Friday, June 19, 2015

Ramadan 2015


Keindahan puasa

TOP
Keindahan puasa



Thursday, June 18, 2015

Berpuasa bukan hanya lapar dan dahaga sahaja.

Assalamualaikum
     
Di hari-hari Ramadhan penuh keberkatan ini, maka usah dibiarkan ia berlalu pergi tanpa sebarang perubahan dalam diri kita. Andai kata Ramadan kali ini yang terakhir buat kita, moga ia menjadi pembela kita di akhirat kelak. Gunakan peluang yang terbuka luas ini untuk bertaubat dan kembali kepada fitrah kerana manusia tidak terlepas daripada melakukan dosa.

Daripada Abu Hurairah, Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: “Setiap amal yang dilakukan anak Adam adalah untuknya dan satu kebaikan dibalas sepuluh kali ganda bahkan sampai tujuh ratus kali ganda. Allah berkata: "Kecuali puasa, itu untuk-Ku dan Aku yang langsung membalasnya. Orang yang berpuasa mendapatkan dua kesenangan iaitu kesenangan ketika berbuka puasa dan kesenangan ketika berjumpa dengan Tuhannya. Sesungguhnya, bau mulut orang berpuasa itu lebih harum daripada aroma kasturi.” (Hadis diriwayatkan Bukhari dan Muslim) Malaikat juga merendahkan sayapnya bagi menghitung pahala berganda yang dijanjikan Allah kepada hamba-Nya yang sentiasa taat serta mengisi waktunya dengan beribadat.

Begitulah istimewanya puasa berbanding dengan ibadat lain kerana ia perlu dilakukan dengan penuh keikhlasan. Ramadan adalah salah satu daripada empat bulan yang dianggap mulia oleh kaum Muslimin disebabkan pelbagai peristiwa agung berlaku antaranya peristiwa penurunan kitab suci al-Quran kepada Nabi Muhammad s.a.w serta berlakunya malam lailatul qadar. Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar; mudah-mudahan kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah ayat 183). Ibadah puasa diwajibkan kepada manusia supaya mereka dapat mengawal nafsu daripada makan, minum dan bersetubuh pada siang hari selain bagi tujuan kerehatan. Hikmahnya adalah untuk mendidik rohani, jasmani, budi pekerti dan nafsu. Ramadan juga adalah proses penilaian diri yang selama ini hanya banyak memikirkan kesibukan dunia. Sememangnya hidup manusia tidak lari dari cabaran dan ujian daripada Allah. Sedar ataupun tidak, manusia yang lemah ini sentiasa diperangi dengan godaan hawa nafsu. Kesan nafsu tidak terkawal, pasti mempengaruhi roh kita sama ada berbentuk harta benda, kekuasaan, pangkat, pengikut yang ramai serta ingin menjadi ternama. Apabila nafsu dibiarkan tanpa didikan, ia akan menghasut manusia memusuhi larangan Allah dan melakukan maksiat. Justeru, apakah persiapan kita menghadapi Ramadan terakhir ini? Pertamanya, lengkap diri dengan ilmu pengetahuan dan ulang kaji amalan yang perlu dilakukan ketika beribadat.

Berapa ramai orang yang berpuasa, tetapi secara terang melakukan maksiat? Semua itu berlaku akibat mereka tidak menjaga adab berpuasa. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Berapa ramai orang yang berpuasa, mereka tidak mendapat apa-apa daripada puasa mereka kecuali lapar dan dahaga.” Berpuasa tidak hanya berlapar dahaga siang hari saja, malah kita dituntut menjaga anggota daripada melakukan maksiat. Berpuasa memerlukan kesabaran yang tinggi. Sifat tamak, gelojoh, makan berlebihan tidak boleh diamalkan kerana ia bertentangan dengan matlamat Ramadan. Jauhkan diri daripada mendengar umpatan, fitnah dan kata kotor. Berwaspada ketika berbicara kerana bimbang boleh mengurangkan pahala puasa seperti mencerca, membuka dan menceritakan keaiban orang lain, memaki serta mengeluarkan kata-kata kesat. Pergaulan yang baik perlu dilakukan terutama terhadap isteri, anak, jiran tetangga, rakan dan seluruh manusia yang mempunyai hubungan dengan kita. Tidak hairanlah, apabila tiba Ramadan, ia mengembalikan semula hubungan persahabatan dalam masyarakat kerana mereka akan bertemu di masjid ketika solat jemaah.

Jadi amalan berkenaan sepatutnya dihidupkan pada setiap masa dan tidak hanya berlaku ketika Ramadan. Inilah masa jika anda mahu melipat ganda pahala dengan bersedekah, bertadarus al-Quran, solat Tarawih, beriktikaf, mengawal nafsu serta perangai, menghidupkan ibadah dan menjaga pancaindera daripada melakukan maksiat. Ramai mendakwa mereka berpuasa, tetapi masih melakukan perkara sumbang dan maksiat.

“Puncanya, mereka berpuasa sekadar menjalankan rutin apabila tiba bulan Ramadan saja. Orang lain berpuasa, mereka pun ikut berpuasa tanpa memahami fadilatnya.

“Golongan ini amat rugi, walaupun berpuasa, tetapi hakikatnya mereka hanya mendapat pengalaman lapar dan dahaga,” katanya.

Beliau turut meminta umat Islam di negara ini jangan menjadikan Ramadan sebagai ‘pesta’ makanan. “Apabila makan dengan banyak ketika berbuka, bagaimana mahu menghidupkan malam Ramadan dengan beribadah kerana pasti tubuh letih? “Secara biologinya, binatang seperti penguin, anjing laut, singa laut turut berpuasa pada musim tertentu. Jelas berpuasa satu keperluan selain memberi rehat pada tubuh,” katanya.

Mengulas berkaitan ada golongan yang melakukan ibadat dengan bersungguh-sungguh pada bulan Ramadan kerana ingin merebut fadilat tertentu, Rahimi berkata, ia tidak salah kerana Allah sudah sediakan semua itu buat hambanya. “Umat Nabi Muhammad agak singkat umurnya berbanding umat nabi lain. Maka, Allah sediakan peluang dan kesempatan kita mengumpul amalan seperti mana yang disediakan buat umat terdahulu. “Peluang itu adalah untuk merebut malam lailatulqadar. Namun perlu diingat, hubungan kita dengan Allah bukan perlu dijaga hanya pada Ramadan saja. Jangan jadikan Ramadan sekadar bulan ‘mencuci dosa’,” katanya.

Sepanjang malam pada bulan Ramadan, lakukan solat Taarawih, membaca al-Quran, berzikir dan sembahyang tahajud bagi menjaga hati supaya jangan mati.

“Antara amalan digalakkan pada sepuluh hari terakhir Ramadan ialah solat tahajud, tadarus al-Quran, zikir, dan doa, panjangkan bacaan di dalam solat sunat yang dilakukan, zikir yang ma’thur (diajar oleh Nabi) dan mintalah apa yang dihajati kerana Allah sangat hampir dengan hamba-Nya pada malam berkenaan,” katanya.
   
Wassalam

Marhaban Ya Ramadhan Al Mubarak


1) Berdoalah agar Allah swt. memberikan kesempatan kepada kita untuk bertemu dengan bulan Ramadhan dalam keadaan sihat wal afiat. Dengan keadaan sihat, kita dapat melaksanakan ibadah secara maksima di bulan itu, baik puasa, solat, tilawah, dan zikir. Dari Anas bin Malik r.a. berkata, bahwa Rasulullah saw. apabila masuk bulan Rejab selalu berdoa, “Allahuma bariklana fii rajab wa sya’ban, wa balighna ramadan.” Ertinya, ya Allah, berkahilah kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikan kami ke bulan Ramadhan. (HR. Ahmad dan Tabrani)

Para salafush-soleh selalu memohon kepada Allah agar diberikan kurnia bulan Ramadhan dan berdoa agar Allah menerima amal mereka. Bila telah masuk awal Ramadhan, mereka berdoa kepada Allah, “Allahu akbar, allahuma ahillahu alaina bil amni wal iman was salamah wal islam wat taufik lima tuhibbuhu wa tardha.” Ertinya, ya Allah, kurniakan kepada kami pada bulan ini keamanan, keimanan, keselamatan, dan keislaman dan berikan kepada kami taufik agar mampu melakukan amalan yang Engkau cintai dan redhai.

2) Bersyukurlah dan pujian kepada Allah atas kurnia Ramadhan yang kembali diberikan kepada kita. Al-Imam Nawawi dalam kitab Adzkar-nya berkata, “Dianjurkan bagi setiap orang yang mendapatkan kebaikan dan diangkat dari dirinya keburukan untuk bersujud kepada Allah sebagai tanda syukur dan memuji Allah dengan pujian yang sesuai dengan keagungannya.” Dan di antara nikmat terbesar yang diberikan Allah kepada seorang hamba adalah ketika dia diberikan kemampuan untuk melakukan ibadah dan ketaatan. Maka, ketika Ramadhan telah tiba dan kita dalam keadaan sihat wal afiat, kita harus bersyukur dengan memuji Allah sebagai bentuk syukur.

3) Bergembiralah dengan kedatangan bulan Ramadhan. Rasulullah s.a.w. selalu memberikan kabar gembira kepada para shahabat setiap kali datang bulan Ramadhan, “Telah datang kepada kalian bulan Ramadhan, bulan yang penuh berkah. Allah telah mewajibkan kepada kalian untuk berpuasa. Pada bulan itu Allah membuka pintu-pintu syurga dan menutup pintu-pintu neraka.” (HR. Ahmad).

Salafush-soleh sangat memperhatikan bulan Ramadhan. Mereka sangat gembira dengan kedatangannya. Tidak ada kegembiraan yang paling besar selain kedatangan bulan Ramadhan karena bulan itu bulan penuh kebaikan dan turunnya rahmat.

4) Rancanglah agenda kegiatan untuk mendapatkan manfaat sebesar mungkin dari bulan Ramadhan. Ramadhan sangat singkat. Kerana itu, isi setiap detiknya dengan amalan yang berharga, yang dapat membersihkan diri, dan mendekatkan diri kepada Allah.

5) Bertekadlah mengisi waktu-waktu Ramadhan dengan ketaatan. Barangsiapa Jujur kepada Allah, maka Allah akan membantunya dalam melaksanakan agenda-agendanya dan memudahkannya melaksanakan perkara-perkara kebaikan. “Tetapi jikalau mereka benar terhadap Allah, nescaya yang demikian itu lebih baik bagi mereka.” [Q.S. Muhamad (47): 21]

6) Pelajarilah hukum-hukum semua amalan ibadah di bulan Ramadhan. Wajib bagi setiap mukmin beribadah dengan dilandasi ilmu. Kita wajib mengetahui ilmu dan hukum berpuasa sebelum Ramadhan datang agar puasa kita benar dan diterima oleh Allah. “Tanyakanlah kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tiada mengetahui,” begitu kata Allah di Al-Qur’an surah Al-Anbiyaa’ ayat 7.

7) Sambut Ramadhan dengan tekad meninggalkan dosa dan tabiat buruk. Bertaubatlah secara benar dari segala dosa dan kesalahan. Ramadhan adalah bulan taubat. “Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman, supaya kamu beruntung.” [Q.S. An-Nur (24): 31]

8) Siapkan jiwa dan ruhiyah kita dengan bacaan yang mendukung proses tadzkiyatun-nafs. Hadiri majlis ilmu yang membahas tentang keutamaan, hukum, dan hikmah puasa. Sehingga secara mental kita siap untuk melaksanakan ketaatan pada bulan Ramadhan.

9) Siapkan diri untuk berdakwah di bulan Ramadhan dengan membuat catatan kecil untuk kultum tarawih serta ba’da sholat subuh dan zhuhur, memberikan buku saku atau lebaran yang berisi nasihat dan keutamaan puasa.

10) Sambutlah Ramadhan dengan membuka lembaran baru yang bersih. Kepada Allah, dengan taubatan nashuha. Kepada Rasulullah saw., dengan melanjutkan risalah dakwahnya dan menjalankan sunnah-sunnahnya. Kepada orang tua, isteri, anak, dan kaum kerabat, dengan mempererat hubungan silaturrahim. Kepada masyarakat, dengan menjadi orang yang paling bermanfaat bagi mereka. Sebab, manusia yang paling baik adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain.

Maaf Zahir dan Batin

Wassalam