Polis tahan lelaki disyaki aktif samun, ragut
KEPALA BATAS - Seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam beberapa kes samun dan ragut menggunakan pistol di sekitar daerah Seberang Perai Utara (SPU), ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di sini petang semalam.
Lelaki berusia lingkungan 30-an dan tidak mempunyai pekerjaan tetap itu disyaki aktif menjalankan kegiatan jenayah sejak awal tahun ini, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah.
Beliau berkata hasil siasatan awal, polis percaya suspek bersama seorang lagi lelaki yang masih bebas terlibat dalam kes samun seorang suri rumah di Kampung Kovil pada 18 Mac lepas.
"Polis juga percaya dengan penangkapan lelaki itu, kami mampu menjejak seorang lagi rakan suspek berusia 20-an yang dipercayai terlibat dalam beberapa kes samun bersama lelaki terbabit," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mazlan ditemui selepas malawat mangsa samun, S.Shanti, 47, di rumah wanita itu di Kampung Kovil.
Dalam kejadian pukul 9.40 pagi itu, Shanti mendakwa dicekik dan ditumbuk selain diikat menggunakan pita pelekat oleh dua lelaki bersenjatakan pisau dan pistol yang kemudian melarikan pelbagai barangan kemas antaranya rantai, gelang, cincin, subang serta telefon bimbit.
Sementara itu, Mazlan berkata polis telahpun mengenal pasti dan sedang memburu beberapa kumpulan samun yang aktif di sekitar Pulau Pinang.
Kumpulan berkenaan dianggotai sekurang-kurangnya dua lelaki dan kebanyakan mereka menggunakan motosikal untuk menyamun mangsa. - Bernama
Minum cuka getah: Anggota polis kritikal
GEORGETOWN - Seorang anggota polis dimasukkan ke hospital di sini selepas dipercayai meminum cuka getah di rumah sewanya di Balik Pulau awal hari ini.
Anggota polis lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditemui dalam keadaan kritikal oleh rakan serumahnya pada kira-kira 1 pagi.
Jurucakap polis berkata lelaki itu dihantar ke Hospital Balik Pulau sebelum dipindah ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.
"Dia kini dilaporkan dalam keadaan stabil," katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata difahamkan anggota polis itu bertindak demikian berikutan masalah keluarga.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah, ketika ditanya berkaitan perkara itu, mengesahkan kejadian namun enggan mengulas lanjut. - Bernama
Tiada garis masa cari MH370
Najib bersama Tony Abbott bergambar kenangan berlatar belakangkan pesawat Hercules C130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) Pearce Bullsbrook di Perth, hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Malaysia dan Australia berikrar akan meneruskan pencarian MH370, yang hilang sejak 8 Mac lepas, tanpa garis masa meskipun jangka hayat bateri kotak hitamnya kini kurang daripada 72 jam.
"Kami tidak akan berputus asa dan mengalah," kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sidang media bersama rakan sejawatan beliau di Australia, Tony Abbott, di Perth hari ini.
Sementara itu, Abbott berkata meskipun ia merupakan misi mencari yang paling sukar pernah dilakukan, Australia komited meneruskan pencarian "walaupun ia mengambil masa yang lama".
Berdepan dengan begitu sedikit bukti yang dikumpul daripada pakar berdasarkan data satelit, kedua-dua pemimpin turut menasihati anggota keluarga penumpang dan anak kapal MH370 supaya bersabar sehingga pesawat itu dijumpai.
Najib mengadakan pertemuan dengan Abbott dalam rangka lawatan kerja dua hari beliau bagi meninjau lebih dekat misi mencari di bandar raya barat Australia itu, bagi pesawat MH370 yang dipercayai jatuh di selatan Lautan Hindi.
Najib juga berkata teknologi dron bawah air diperlukan untuk fasa seterusnya dalam operasi mencari dan mengesan pesawat MH370 sebaik pinger bateri pada kotak hitam kehabisan (dalam tempoh empat hari), dan bagi membolehkan pasukan SAR mengesan pesawat jenis Boeing 777-200ER itu.
Dron bawah air, atau sebuah kapal selam robotik, bergantung kepada denyutan sonar untuk pencarian di dasar laut dan ia pernah digunakan bagi mengesan pesawat Air France Penerbangan 447 yang terhempas di Atlantik pada 2009.
Sementara itu, operasi mencari yang masuk hari ke-27 hari ini, meliputi kawasan seluas 223,000 kilometer persegi kira-kira 1,680 kilometer di barat daya Perth, Australia dengan dibantu lapan pesawat dan sembilan kapal.
Dalam pada itu, operasi pusat media mengenai kehilangan pesawat MH370 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) akan dihentikan mulai Selasa depan.
Menurut kenyataan Kementerian Pengangkutan, semua kenyataan akhbar (jika ada) mulai 8 April, akan dihantar melalui e-mel yang diberi kepada pusat media itu.
Sekiranya terdapat keperluan untuk mengadakan sidang akhbar, jemputan akan akan dihantar kepada media melalui notis sewajarnya.
Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar semasa berada di kawasan Laut China Selatan pada 8 Mac lepas, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam.
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing 6.30 pagi hari sama.
Misi mencari pesawat itu melibatkan pelbagai negara, pada mulanya di kawasan Laut China Selatan dan kemudiannya - selepas pesawat itu dikesan melencong daripada laluan - di sepanjang dua koridor iaitu koridor utara dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga utara Thailand dan koridor selatan dari Indonesia sehingga selatan Lautan Hindi.
Berikutan hasil analisis terhadap data satelit, syarikat telekomunikasi satelit United Kingdom Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB) merumuskan Penerbangan MH370 terbang di sepanjang koridor selatan dan kedudukan terakhirnya di tengah Lautan Hindi, barat Perth.
Najib kemudian mengumumkan pada 24 Mac, 17 hari selepas kehilangan pesawat Boeing 777-200 itu, Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi". - Bernama
Polis serbu 'Las Vegas' Miri
MIRI - Polis menyerbu sebuah premis dipercayai sarang kaki judi komputer yang diubah suai menyerupai pusat perjudian mewah terkenal Las Vegas di Amerika Syarikat.
Ketua Polis Miri, Asisten Komisioner Gan Tian Kee berkata serbuan dilakukan pasukan petugas khas Ibu Pejabat Daerah Miri di tingkat bawah sebuah bangunan di Bandar Baru Permyjaya pada 3 petang dalam satu operasi dinamakan 'Ops Dadu'.
"Sebanyak 46 unit mesin perjudian komputer yang sedang berfungsi dirampas termasuk komputer kawalan perjudian dan turut dirampas wang hasil perjudian sebanyak RM291," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata suspek, kedua-duanya lelaki warga Indonesia yang dipercayai bertugas sebagai penjaga pusat perjudian itu, ditahan dan sewaktu serbuan tiada pelanggan dalam premis berkenaan.
Katanya, kedua-dua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka dan Seksyen 5(2) Ordinan Hiburan 2001 kerana dipercayai menjalankan perniagaan tanpa lesen sah. - Bernama
Sepasang kekasih mati dalam kereta
KUALA LUMPUR - Seorang isteri terkejut mendapati suaminya dan seorang wanita lain mati dalam sebuah kereta di Taman Metropolitan, Batu Muda di sini, petang tadi.
Pegawai Operasi, Balai Bomba dan Penyelamat Gombak Selatan Sabri Sulaiman berkata pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung kejadian itu kira-kira 5.10 petang tadi.
Ketika di tempat kejadian, lelaki itu yang berumur dalam lingkungan 60-an dan wanita berumur dalam lingkungan 50-an itu telah pun meninggal dunia.
Tiada pengenalan diri ditemui pada mereka, katanya. - Bernama
Polis Melaka Lupus Dadah Bernilai Lebih RM82,000
MELAKA – Polis Melaka melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai RM82,320 melibatkan 390 kes pemilikan dadah bagi daerah Melaka Tengah dalam tempoh 2009 hingga 2012.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Melaka Supt Md Azmi Othman berkata dadah berkenaan melibatkan 8,600 gram dadah jenis heroin; ganja (2,400 gram); syabu (68,000 gram); ketamin (1,800 gram) selain 1,150 biji pelbagai jenis pil dan 113 mililiter ubat batuk Kodein.
“Semua barang kes ini dilupuskan atas arahan mahkamah dan ia melibatkan kes yang telah selesai jatuh hukum,” katanya kepada pemberita selepas pelupusan dadah tersebut di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini, hari ini.
Beliau berkata pelupusan tersebut juga bertujuan mengurangkan kesesakan barang kes di stor simpanan di setiap ibu pejabat daerah polis.
Katanya semua barang kes tersebut dilupuskan melalui proses pembakaran. – BERNAMA
Kebakaran: 124 Orang Hilang Tempat Tinggal
SIBU – Sebanyak 124 orang hilang tempat tinggal apabila rumah panjang yang mempunyai 18 pintu dan lima rumah lain di Sungai Engkalat dekat sini terbakar pagi tadi.
Kebakaran yang berlaku kira-kira 8.45 pagi itu memusnahkan rumah panjang Rh. Adin Jawa yang berusia kira-kira 100 tahun.
Ketua Bomba dan Penyelamat Sibu, Abdul Mutalif Rashid berkata 12 anggota dari balai Sungai Merah dan sembilan anggota dari balai pusat Sibu digegaskan ke tempat kejadian, termasuk tambahan enam lagi anggota.
“Sebaik kami tiba, api sudah pun merebak. Kami dapat mengawal api pada pukul 9.53 pagi dengan menggunakan air dari Sungai Igan berhampiran,” katanya.
Beliau berkata api cepat merebak kerana rumah panjang itu dan rumah yang lain dibina berdekatan antara satu sama lain.
Tiada yang cedera, kata Abdul Mutalif.
Seorang penduduk dan ketua masyarakat Iban, Pemanca Stanley Geramong berkata beliau baru selesai bersarapan di bandar Sibu dan mahu ke tempat kerjanya di pejabat daerah Sibu apabila menerima panggilan dari saudaranya memberitahu tentang kebakaran itu.
Beliau berkata nasib baik anggota bomba dapat mengawal api dari merebak ke deretan rumah panjang yang lain dan rumah milik persendirian di kawasan berhampiran.
“Kami mempunyai 70 unit rumah panjang dan rumah individu di sini. Kebanyakan penghuni adalah kakitangan kerajaan dan pekerja syarikat di bandar.
“Kami kehilangan banyak harta benda termasuk warisan tradisi,” katanya.
Beliau berkata dipercayai seorang kanak-kanak yang ditinggal untuk dijagai neneknya menyebabkan kebakaran apabila dia tidak sengaja membakar tilam di unit keluarganya yang terletak di tengah-tengah rumah panjang itu. – BERNAMA
Hantu Dirakam Cuba Ambil Gambar Selfie?
Selfie atau mengambil gambar sendiri kini menjadi kegemaran semua orang tanpa mengira usia, di seluruh dunia.
Tapi siapa sangka, trend ini turut diikut oleh ‘makhluk lain‘. Tak percaya?
Saksikan gambar di bawah dan penerangannya:
(Beberapa bulan lalu sepupu kepada kawan saya membeli sebuah telefon bimbit baru. Satu hari selepas balik kerja dia meletakkan telefon tersebut di atas meja lalu mula menonton televisyen.
Anaknya datang lalu meminta untuk bermain dengan telefon bimbit tersebut. Dia membenarkan dengan syarat jangan menelefon sesiapa atau membuka mesej.
Sekitar 11.20 malam dia mula berasa mengantuk lalu ke bilik anaknya untuk memeriksa. Ternyata anaknya tiada di situ.
Rupa-rupanya si anak tertidur dalam biliknya dengan telefon masih di tangan. Dia mula memeriksa jika ada perubahan dilakukan anaknya pada telefon bimbit.
Didapati, hanya perubahan kecil dilakukan seperti menukar gambar latar. Seterusnya dia membuka bahagian ‘Pictures’ dan mula memadam gambar-gambar yang diambil. Hinggalah apabila tiba di gambar terakhir, dia tersentak…
Gambar itu menunjukkan anaknya sedang tidur di atas katil tetapi diambil oleh ‘orang lain’. Separuh daripada wajah pengambil dapat dilihat dan menyerupai wajah perempuan tua!)
Seram tak?
Kewujudan makhluk selain manusia memang sesuatu yang tidak dapat dinafikan. Tapi sama ada gambar dan cerita di atas benar, wallahu’alam.
Peg. Polis Terima Padah Kerana Rasuah RM800
KUCHING – Mahkamah Khas Rasuah di sini hari ini menjatuhi hukuman penjara dua hari dan denda RM5,600 terhadap seorang pegawai polis kerana menerima rasuah RM800 tiga tahun lepas.
Abdul Aziz Ab Latiff, 43, yang bertugas sebagai cif inspektor di balai polis Kota Sentosa di sini, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Bagi pertuduhan pertama, dia dituduh menerima RM500 daripada seorang lelaki dikenali sebagai Joseph Wong pada kira-kira pukul 7 malam 11 Feb 2011 sebagai ganjaran kerana tidak mengambil tindakan terhadap lelaki itu, yang didapati menjual VCD dan DVD cetak rompak di sebuah premis perniagaan di Kota Sentosa.
Bagi kesalahan itu, Hakim Marutin Pagan menjatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM3,500 atau penjara tiga tahun terhadap Abdul Aziz.
Tertuduh juga dikenakan hukuman penjara sehari dan denda RM2,100 setelah mengaku menerima RM300 pada pukul 3.20 petang 5 Okt 2011 daripada seorang lelaki dikenali sebagai Stephen Kon sebagai ganjaran kerana tidak mengambil tindakan terhadap pemberi wang itu.
Ketika merayu agar hukuman terhadapnya diringankan, Roger Chin, peguam pertama yang mewakili Abdul Aziz, meminta mahkamah menimbang kedudukan anak guamnya yang pertama kali melakukan kesalahan dan sebagai satu-satunya pencari nafkah untuk keluarganya.
Sementara itu, Osman Ibrahim, seorang lagi peguam yang mewakili tertuduh, memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya, yang telah berkhidmat selama 18 tahun, akan kehilangan semua manfaat sebagai penjawat awam berikutan hukuman itu.
Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Law Chin How bagaimanapun memberitahu mahkamah bahawa hukuman lebih ringan yang dikenakan terhadap tertuduh akan bercanggah dengan usaha kerajaan untuk memerangi rasuah. – BERNAMA
Hukuman Penjara 5 Pelatih Pusat Serenti Dikekalkan
PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman penjara antara lapan hingga 10 tahun terhadap lima pelatih Pusat Serenti Kampung Selamat di Tasek Gelugor, Pulau Pinang kerana merusuh di pusat pemuilihan itu kira-kira empat tahun lalu.
Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif, yang mempengerusikan panel tiga anggota itu juga mengekalkan denda RM2,000, RM3,000 dan RM5,000 yang dikenakan terhadap setiap perayu oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.
Lima perayu itu ialah Murugesan Jaya Raman, 32, S Kumaradevan, 37, I.
Subramaniam, 31, V Sivasangar, 42, dan Megat Jamaludin Megat Wazir, 52.
Md Raus menolak rayuan mereka terhadap sabitan dan hukuman penjara selepas perayu memberitahu mahkamah bahawa mereka menarik balik rayuan.
Beliau mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang mengekalkan sabitan mereka, tetapi menambah hukuman penjara dan mengurangkan denda.
Sementara itu, mahkamah berkenaan menetapkan 16 Jun sebagai tarikh untuk mendengar rayuan dikemukakan seorang lagi pelatih pusat pemulihan sama, G Ganesh, 43, terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhi hukuman penjara 20 tahun dan denda RM10,000 atau sebulan penjara terhadapnya.
Kesemua mereka disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Sesyen Butterworth pada 13 Jan 2012 bagi tuduhan menyertai perhimpunan haram dengan niat melakukan kejahatan khianat yang memusnahkan tujuh blok bangunan di pusat itu kira-kira 6.30 petang 19 Jun 2009.
Mahkamah Sesyen mengenakan hukuman penjara enam tahun serta denda RM50,000 atau penjara enam bulan terhadap Murugesan; dan penjara lapan tahun serta denda RM50,000 atau penjara enam bulan masing-masing terhadap Kumaradevan, Sivasangar dan Megat Jamaluddin.
Subramaniam dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM50,000 atau penjara enam bulan.
Rayuan mereka kepada Mahkamah Tinggi ditolak pada 16 Jun 2012. Mahkamah itu juga menambah hukuman penjara terhadap mereka. – BERNAMA
Awas Surat Tawaran Biasiswa Palsu!
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan tidak pernah mengeluarkan surat panggilan temuduga bagi mendapatkan tawaran biasiswa atau pinjaman kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).
Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan media memberitahu, kementerian itu juga tidak pernah mengeluarkan iklan berhubung perkara tersebut dan meminta orang ramai tidak terpedaya dengan iklan berkenaan.
“Kami menerima pertanyaan mengenai surat penggilan temuduga untuk tawaran biasiswa dan pinjaman pendidikan program di institusi pengajian tinggi (IPT) yang kononnya dikeluarkan oleh Pusat Urusetia Pengambilan Pelajar.
“Kementerian Pendidikan tidak mengedarkan sebarang bentuk surat panggilan temuduga untuk program Pengajian Asasi, Diploma, Ijazah dan Sijil Kemahiran Malaysia dengan Skim Biasiswa dari IPT terpilih atau pinjaman kepada pelajar lepasan SPM dan STPM yang ditawarkan seperti itu,” kata kenyataan itu hari ini.
Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan meminta orang ramai supaya merujuk kepada Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar Jabatan Pengajian Tinggi melalui talian 03-8870 6767 / 6777 atau melayari Laman Web Rasmi Kemasukan di http://upu.moe.gov.my berhubung perkara itu.
Ibu Bapa Biar Anak Telanjang Di Medan Selera
Sepasang ibu bapa diselar di laman sosial selepas gambar anak mereka yang dibiarkan telanjang bulat di sekitar Changi Food Centre, Singapura tersebar.
Seorang pembaca memberitahu laman web Stomp, ibu bapa tersebut bukan sahaja membiarkan anak mereka berlari ke sana sini dalam keadaan telanjang malah membuang air kecil di lantai premis tempat makan tersebut.
Kata pengadu tersebut, pada mulanya si anak dilihat masih memakai seluar dalam namun tidak lama kemudian, bertelanjang bulat.
Rata-rata rakyat Singapura yang memperkatakan perkara ini di sebuah forum bagaimanapun tidak percaya kanak-kanak tersebut anak warga Singapura dan yakin ia dilakukan ibu bapa dari China. Salah seorang daripadanya memberi komen, mustahil rakyat Singapura akan berkelakuan begitu.
Kejadian dirakamkan pada malam 1 April, Selasa lalu. – Rem Ramzi / SiakapKeli.com
Sumber: Asiaone.com
Pelajar MRSM Kena Panah Petir Meninggal Dunia
KUALA LUMPUR – Seorang pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Alor Gajah, Melaka yang dipanah petir semasa berada di padang sekolahnya petang semalam meninggal dunia kira-kira pukul 3.50 petang ini di Hospital Melaka.
Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam satu kenyataan media memberitahu, pelajar Tingkatan 1 itu, Johan Jasmin dimasukkan ke hospital berkenaan akibat tidak sedarkan diri akibat insiden itu petang semalam.
“Dukacita dimaklumkan bahawa pelajar tersebut telah disahkan meninggal dunia pada kira-kira pukul 3.50 petang di Hospital Melaka. Allahyarham merupakan
anak bongsu daripada dua adik beradik,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, jenazah mangsa akan dibawa ke Jelutong Heights, Bukit Jelutong di Selangor dan akan dikebumikan pada pukul 10 pagi di
Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam.
Media awal hari ini melaporkan, Johan koma selepas dipanah petir di padang sekolahnya di Ayer Paabas dalam satu kejadian kira-kira pukul 6 petang.
Sewaktu kejadian, mangsa bersama sekumpulan pelajar lain dikatakan sedang berjalan masuk ke bangunan asrama sebelum tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri dipercayai terkena petir.
Dia difahamkan mangsa bersama pelajar lain berada di padang bola keranjang selepas melakukan aktiviti sukan sebelum diarahkan masuk ke bangunan apabila cuaca gelap
Polis Percaya Sudah Temui Mesin ATM Yang Dilarikan
Mesin pengeluaran wang automatik (ATM) yang dilarikan dari sebuah
bank di Putra Mahkota, Putra Heights semalam ditemui dibuang di tepi
lebuhraya di Kilometer 239.3 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan
berhampiran plaza tol Pedas-Linggi dekat Rembau hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR – Polis percaya telah menemui semula sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) yang dilapor dilarikan tiga lelaki di Putra Mahkota, Putra Heights awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata mesin ATM tersebut ditemui pada kira-kira 6.50 pagi hari ini hasil maklumat yang disalurkan seorang pekerja kontrak di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).
“Maklumat awal memaklumkan ia ditinggalkan di tepi lebuh raya berkenaan di Kilometer 239.1 arah selatan dan sejurus itu sepasukan polis forensik dihantar ke tempat kejadian.
“Kami mengesyaki mesin itu juga adalah mesin sama yang dilarikan di Putra Heights semalam,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurut Yahaya, mesin ATM itu dibawa ke Balai Polis USJ 8, Subang Jaya untuk pengecaman pihak bank.
Dalam kejadian kira-kira 5 pagi semalam, tiga suspek dipercayai menggunakan tali dan penyangkut untuk menarik keluar satu daripada mesin ATM di bank berkenaan.
Mereka juga menggunakan sebuah van dipercayai jenis Hiace berwarna putih untuk melarikan mesin ATM itu sebelum melarikan diri dengan sebuah lagi kenderaan jenis Toyota Hilux dengan nombor pendaftaran palsu.
Menurut Yahaya, jumlah kerugian dianggarkan RM160,000. – BERNAMA
VIDEO: Bayi Dibuang Dalam Kebuk Pembuangan Sampah!
” Alhamdulillah, bayi yang tidak berdosa ini sempat saya selamatkan dengan beberapa jiran yang lain. Bayi yg tidak berdosa ini dibuang di dalam kebuk pembuangan sampah, tapi Allah swt maha memelihara…ibu bapa atau manusia apakah yang sanggup melakukan perbuatan sebegini.
” Malam semalam dan malam ini saya tidak dapat melelapkan mata…saya teringat akan wajah comelnya….hati kecil ini berhasrat untuk mengambilnya untuk dijadikan anak angkat…namun saya terpaksa menyerahkan kepada pihak berwajib..pihak polis dan hospital.
” Disamping itu saya bersama rakan-rakan berbilang bangsa yang lain sedang cuba mengesan melalui rakaman CCTV…terima kasih kepada semua kejiranan terlibat terutama nya Mr.Loh untuk (CCTV). ”
VIDEO: Sedihnya.. Anak-Anak Syria Kutip Habuk Roti
ALLAHUAKBAR… sedihnya melihat video ini yang memaparkan bagaimana dua beradik di Hajar Al-Aswad, Damascus, Syria terpaksa menguis tanah mencari habuk roti untuk dimakan.
Apabila ditanya apa yang diinginkan mereka, katanya mereka hanya mahu keadaan kembali seperti biasa jadi mereka tidak lagi tidur dalam keadaan lapar setiap hari.
Keluarga mereka susah kerana tidak mendapat bantuan makanan disebabkan ibu mereka meninggalkan tempat tersebut bersama dokumen keluarga kerana tidak tahan dengan kesempitan hidup.
Bapa mereka pula, kehilangan kad pengenalan membuatkan mereka tidak dapat memberikan bukti identiti yang merupakan syarat untuk mendapat makanan bantuan.
Namun mulianya hati anak kecil ini, mereka sedikit pun tidak marah dengan orang yang meninggalkan mereka di situ termasuk si ibu malah mendoakan mereka semua sihat dan gembira.
Kata mereka, sungguh pun sudah hampir setahun melalui hidup yang sukar namun Allah sentiasa bersama mereka dan orang yang sabar.
Kepada anda yang ingin menghulurkan sumbangan kepada mangsa kemelut Syria termasuk kanak-kanak ini, bolehlah menyumbang kepada IKRAM for SYRIA menerusi:
Tabung Kasih Ummah Syria
Bank Islam Malaysia Berhad
120290 100 63512
(Pertubuhan IKRAM Malaysia)
email : i4syria315@gmail.com
atau;
Tabung Palestin:
‘AQSA SYARIF BERHAD’
1) Maybank Islamic: 551575-004299
2) Bank Islam: 1209-20100-34904
Maklumkan melalui e-mail, nama beserta bank-in slip kepada @aqsasyarif.org.my untuk mendapat resit rasmi.
Semoga usaha dan amal kita diganjari syurga oleh Allah.
Sumber: Facebook Aqsa Syarif / IKRAM for SYRIA • i4s
GAMBAR: Kerana Terlalu Rindukan Soekarno, Lelaki Minum Air Kaki Anaknya, Megawati
Gambar yang tersebar menunjukkan seorang lelaki tua meminum air basuhan kaki bekas Presiden Indonesia, Megawati Soekarnoputri pertengahan bulan lepas mendapat reaksi yang negatif di negara tersebut.
Rata-rata tidak faham mengapa Cecep Ondon Iskandar, 68, tergamak bertindak demikian.
Difahamkan, lelaki kelahiran Tomo, Sumedang Jawa Barat itu bukan sahaja tidak rasa jijik malah bangga kerana sudah lama menyimpan hasrat untuk meminum dan mencuci mukanya dengan air basuhan kaki Megawati sebelum dia meninggal dunia.
Malah Cecep mengaku, dia pernah terfikir mahu ke Jakarta bertemu Megawati di rumahnya bagi menunaikan hasrat itu tapi dibatalkan kerana masalah biaya.
Kata Cecep yang merupakan ahli Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) yang diketuai Megawati, perkara itu juga dilakukannya bagi mengubat kerinduan terhadap bapa Megawati, Soekarno.
Impiannya kini kesampaian namun ia rupa-rupanya mengundang komen negatif orang ramai dan menjadi trending di media sosial.
Di Twitter, ramai yang mengeluarkan komen berasa jijik dengan perbuatan itu dan tidak menyangka masih ada orang yang taksub dengan pemimpin hingga sanggup berbuat begitu.
MH370: Liputan CNN, Fox News Tidak Tepat, NGO Hantar Bantahan
Gabungan NGO membawa sepanduk mengutuk laporan berita CNN, Fox
News di hadapan kedutaan Amerika Syarikat (AS) di ibu negara, hari ini. -
Foto Ihsan Facebook Fairuz Baharuddin
Empat badan bukan kerajaan (NGO) hari ini menyerahkan memorandum bantahan terhadap dua agensi berita dari Amerika Syarikat (AS) yang didakwa membuat liputan berita tidak tepat serta tanggapan buruk terhadap Malaysia berkenaan tragedi pesawat MH370.
Empat NGO itu ialah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Yayasan Media Malaysia (MMF), Persatuan Pengguna Islam Antarabangsa dan Batas Malaysia.
Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan mendakwa dua agensi berita iaitu Cable News Network (CNN) dan Fox News bukan sahaja mengeluarkan berita tidak tepat malah tidak mempunyai etika kewartawanan dalam liputan tragedi MH370.
“Media mempunyai kebebasan, tapi janganlah melampau sehingga menyebarkan pembohongan.
“Pengamal media perlu lebih bertanggungjawab dalam penulisan berita, kerana berita yang tidak benar boleh mencetus keadaan tidak tenteram dalam kalangan masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada wakil kedutaan AS di Kuala Lumpur, kira-kira 3.30 petang.
Beliau berkata, sebagai pengamal media yang profesional, kedua-dua agensi berita itu perlu membuat kajian sebelum mengeluarkan berita berkenaan.
Nadzim berkata, sebagai contohnya, wartawan CNN yang membuat liputan berita itu tidak mempunyai pengetahuan mengenai negara ini dan melaporkan Kuala Lumpur terletak di Indonesia.
Sementara itu, Presiden MMF Dzulkarnain Taib melahirkan rasa kesal terhadap agensi itu yang didakwanya gagal mematuhi etika kewartawanan.
“Kita (MMF) sedia menawarkan latihan asas kewartawanan secara percuma terutamanya kepada CNN dan Fox News,” katanya.
Beliau menambah, tindakan pengamal media terbabit diumpamakan sebagai “pelacur” kewartawanan.
Kira-kira 100 penyokong NGO itu berkumpul di hadapan bangunan kedutaan itu sambil memegang kain rentang tertera perkataan: “Malaysia is not a terrorist country, stop spreading lies about Islam and Malaysia” dan “CNN & Fox News Channel Boycott”.
Beberapa anggota polis berkawal di sekitar bangunan itu bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Pesawat Malaysia Airlines MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang pada 8 Mac lepas, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang pada 12.41 tengah malam. – Bernama
MH370: Sektor Penerbangan Awam Perlu Dikaji Semula – Hishammuddin
HONOLULU – Wujud keperluan untuk mengkaji semula sektor penerbangan awam bagi tujuan meningkatkan keupayaannya dan mengatasi kelemahan yang dikesan berikutan kehilangan pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370.
Semasa menyatakan perkara itu, Menteri Pertahanan Malaysia Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata landskap keselamatan dan pertahanan juga perlu disemak semula untuk mengatasi apa yang mungkin dianggap sebagai kelemahan susulan insiden kehilangan pesawat itu sejak lebih tiga minggu lepas.
“Kami mungkin perlu melihat kepada perkara seperti satelit, radar dari segi kepakaran yang diperlukan serta pemerolehan aset,” kata Hishammuddin yang juga Pemangku Menteri Pengangkutan kepada Bernama di sini Rabu.
Beliau berada di sini untuk menghadiri Forum Pertahanan Amerika Syarikat-Asean, hasil inisiatif oleh Setiausaha Pertahanan AS Chuck Hagel.
Forum itu yang pertama kali diadakan dijadualkan berlangsung pada Khamis dan didahului dengan sesi meja bulat keselamatan bukan tradisional pada Rabu.
Penerbangan MH370, membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang di kawasan Laut China Selatan pada 8 Mac lepas semasa dalam penerbangan ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam.
Misi pencarian besar-besaran melibatkan pelbagai negara untuk mengesan pesawat yang dipercayai jatuh di selatan Lautan Hindi itu sedang dilakukan di perairan Perth, Australia.
Berkongsi apa yang dibincangkan beliau dalam interaksi di sini berhubung MH370, Hishammuddin berkata: “Kami berbincang tentang masa depan, tentang fasa akan datang – bukan bermaksud kami mendoakan masa itu akan tiba.
“Kami akan menggunakan teknologi yang ada, siapa milikinya, apa perlu dilakukan. Dan gesaan bagi perkongsian kepakaran dalam kalangan negara Asean,” katanya.
Dalam kenyataan dibuat di Perth pada Khamis, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak berkata 10 pesawat dan sembilan kapal sedang melakukan pencarian di Lautan Hindi bagi sebarang petunjuk berkaitan pesawat yang hilang itu.
Berhubung kehadiran menteri-menteri pertahanan Asean di Hawaii, Hishammuddin berkata Asean menghadiri forum itu sebagai satu pasukan.
“Apa yang ingin saya katakan adalah sekiranya kita hadir secara sendirian, tiada siapa akan hiraukan kita,” katanya.
Menteri Malaysia itu menegaskan Asean yang bersatu akan dihormati dan ini akan mendorong negara-negara lain tampil menghulurkan sokongan dan bantuan yang amat diperlukannya.
MH370: Najib Umum Dron Bawah Air Diperlukan Mengesan Pesawat
Najib bersama Tony Abbort (dua, kanan) ketika beramah mesra
bersama juruterbang dan anak kapal Tentera Udara Diraja Australia (RAAF)
di Pangkalan RAAF Pearce Bullsbrook di Perth, hari ini. - Foto Bernama
Sebuah kapal selam robotik atau dron bawah permukaan air diperlukan untuk fasa seterusnya dalam operasi mencari dan mengesan (SAR) pesawat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang di selatan Lautan Hindi, kata Datuk Seri Najib Razak (gambar) hari ini.
Perdana Menteri Malaysia itu berkata beliau telah berbincang dengan rakan sejawatnya dari Australia, Tony Abbott mengenai keperluan untuk mendapatkan bantuan daripada negara lain bagi teknologi berkenaan.
Najib berkata teknologi itu diperlukan sebaik pinger bateri pada kotak hitam kehabisan (dalam tempoh empat hari) dan perlu bagi pasukan SAR mencari pesawat berkenaan, Boeing 777-200ER.
Dron bawah permukaan air bergantung kepada denyutan sonar untuk mencari di dasar laut dan ia pernah digunakan untuk membantu mengesan pesawat Air France 447 yang terhempas di Atlantik pada tahun 2009.
“Perbincangan adalah mengenai penggunaan teknologi sonar, dron robotik dan kamera,” katanya kepada wartawan Malaysia sejurus selepas sidang media bersama Abbott.
Najib berkata pada masa ini operasi mencari menggunakan pesawat dan kapal tentera laut akan diteruskan meskipun ia adalah usaha mengejar waktu sebelum bateri kotak hitam yang menghantar isyarat ping hilang dalam tempoh beberapa hari lagi.
Katanya Malaysia akan menghantar lebih banyak aset untuk turut serta dalam misi carian di kawasan berkenaan, namun tidak memberikan butiran lanjut.
Pesawat Penerbangan MAS MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang daripada radar pada 8 Mac setelah sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam.
Operasi membabitkan pelbagai negara itu dikerah mencari MH370 bermula di Laut China Selatan dan Selat Melaka sebelum dilakukan di koridor utara yang menjangkau dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand dan koridor selatan yang meliputi dari Indonesia sehingga ke selatan Lautan Hindi. – Bernama
GAMBAR: Inilah Mangsa Terbaru Penculikan Di Semporna
PETALING JAYA – Bapa kepada pelancong warga China yang diculik di sebuah resort di Semporna, Sabah menghubungi Stesen Radio ‘Shanghai People’ bagi merayu mendapatkan bantuan daripada pihak berkuasa untuk menyelamatkan anaknya.
Beliau berkata, anak perempuannya, Gao Huayun, 29, bekerja di sebuah firma Jepun dan memperoleh keputusan cemerlang dalam pengajiannya.
Beliau pada Rabu menerima surat daripada sebuah universiti di Britain bagi memaklumkan bahawa anak perempuannya diterima masuk menyertai program Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA).
Beliau berkata, Gao berkunjung ke Malaysia bersama rakan-rakan sekuliahnya.
Gao dilaporkan diculik pada kira-kira pukul 10.30 malam Rabu apabila sekumpulan lelaki bersenjata menceroboh masuk ke Singamata Reef Resort.
Mereka turut menculik seorang kakitangan resort warga Filipina.
Menurut stesen radio itu, seorang wanita bernama Xu membuat laporan polis di balai polis daerah Yangpu di Shanghai dengan mendakwa bahawa anak perempuannya diculik di Malaysia. – The Star
CULIK: Kerja ‘Orang Dalam’ – Ketua Polis Sabah
SEMPORNA – Polis percaya bahawa kumpulan yang menculik untuk mendapatkan wang tebusan, yang berpangkalan di selatan Filipina bertanggungjawab terhadap penculikan dua wanita, seorang pelancong warga China dan seorang pekerja resort warga Filipina di Semporna.
Polis turut mengesyaki bahawa tujuh lelaki bersenjata itu mendapat “bantuan dalaman” untuk memasuki resort itu, kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib pada Khamis.
Beliau menambah, “sesiapa yang ingin memasuki kawasan resort itu perlu dibawa atau dibenarkan masuk oleh kakitangan Singamata Reef Resort.
Hamza berkata, pihaknya mengenal pasti kumpulan-kumpulan tertentu dalam usaha mereka untuk mengesan lelaki bersenjata dengan harapan bagi menyelamatkan dua wanita yang diculik.
“Ia kelihatan seperti kumpulan penculikan untuk wang tebusan (KFR) yang merupakan dalang kepada insiden ini.
“Kumpulan ini menculik mangsa dan kemudian menjualnya kepada kumpulan-kumpulan lain,” kata beliau sambil menambah bahawa mereka telah merekodkan kenyataan 49 pekerja resort dan 61 pelancong (59 warga China, seorang warga Iran dan seorang rakyat Malaysia) dalam siasatan mereka.
“Tiada tangkapan yang dilakukan,” kata beliau sambil menambah bahawa mereka hanya mencari orang-orang yang boleh membantu dalam siasatan mereka. – Mstar.com.my
CULIK: Keselamatan Tebusan Keutamaan Kami – PM
Malaysia telah menghubungi pihak berkuasa Filipina dalam usaha membantu mengesan seorang pelancong wanita China dan seorang pekerja resort warga Filipina yang diculik oleh sekumpulan lelaki di Semporna, Sabah, malam tadi.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyifatkan kejadian penculikan itu sebagai serius dan telah mengarahkan semua agensi penguatkuasaan yang relevan supaya melihat kes itu dengan serta-merta.
“Keutamaan kami adalah bagi memastikan keselamatan tebusan,” kata Najib kepada wartawan Malaysia sejurus selepas sidang media bersama Perdana Menteri Australia, Tony Abbott berhubung misi pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 di selatan Lautan Hindi.
Najib tidak menolak kebarangkalian bahawa sesetengah pihak mahu mencemarkan hubungan antara Malaysia dan China berikutan penculikan tersebut adalah bertepatan dengan kehilangan pesawat MH370.
Perdana Menteri berkata semua usaha untuk mengesan mangsa penculikan itu akan berterusan dan mengenal pasti mereka yang terbabit dalam kejadian itu mungkin mengambil sedikit masa.
No comments:
Post a Comment