Wednesday, April 30, 2014

Berita Terkini 30 April 2014


Biar Anak Mati Kebuluran Kerana Nak Jual Organ
Doha – Pasangan suami isteri yang dituduh membiarkan anak angkat mereka kebuluran sehingga mati semalam merayu atas sabitan cuai dikenakan, kata sumber mahkamah. Matthew dan Grace Huang hadir di mahkamah dan sumber berkata, pendakwa hanya dimaklumkan mengenai hukuman penjara tiga tahun itu pada 27 Mac lalu. Menurutnya, prosiding diadakan semalam hanyalah untuk formaliti. Pasangan suami isteri keturunan Asia itu ditahan pada Januari 2013 selepas anak perempuan mereka, Gloria, 8, meninggal dunia. Gloria yang diambil daripada keluarga asalnya di Ghana didakwa mati akibat masalah pemakanan yang dialami sejak bayi. Bagaimanapun penyiasat mendapati kanak-kanak malang berkenaan sengaja dibiarkan mati bagi membolehkan pasangan suami isteri terbabit menjual organnya. Mereka dibebaskan November tahun lalu sementara siasatan dijalankan tetapi dihalang meninggalkan Qatar. Terdahulu pendakwa memohon mahkamah mengenakan hukuman mati ke atas kedua-dua tertuduh. Mereka juga didenda RM12,300 setiap seorang dan akan diusir sebaik saja menamatkan hukuman. – Agensi


Saintis Temui Antibodi MERS-CoV
LONDON – Saintis-saintis menemui antibodi semula jadi manusia terhadap Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS-CoV) sekali gus meningkatkan harapan bahawa penyakit maut itu boleh dirawat. Mirip kepada Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), MERS-CoV pertama kali dikesan pada tahun 2012 sebelum mencetuskan wabak di Asia Barat diikuti jangkitan rambang di seluruh dunia. Masyarakat antarabangsa pula bimbang akan penularan MERS- CoV berikutan peningkatan mendadak bilangan jangkitan dan kematian akibat virus tersebut. Setakat hujung minggu lalu di Arab Saudi, pihak berkuasa telah merekodkan 26 kes baharu MERS-CoV manakala 10 kematian turut dicatatkan. Perkembangan itu menjadikan angka jangkitan MERS-CoV di negara itu sahaja telah meningkat kepada 339 orang dan menyebabkan 102 kematian. Sehingga kini, tiada ubat atau vaksin bagi mengubati MERS-CoV yang menyebabkan simptom-simptom seperti batuk, demam, sesak nafas seterusnya membawa kepada pneumonia dan kegagalan ginjal. Namun, beberapa kajian yang disiarkan dalam dua jurnal saintifik utama kelmarin menyatakan saintis dari Amerika Syarikat (AS), China dan Hong Kong telah menemui antibodi yang dapat menghalang virus itu daripada menjangkiti sel-sel badan manusia. Dalam satu kajian berkenaan, sepasukan penyelidik China menemui dua antibodi dinamakan MERS-4 dan MERS-27 yang dapat menghalang sel daripada dijangkiti virus MERS-CoV. Kajian dalam makmal itu disiarkan dalam jurnal Science Translational Medicine. “Walaupun masih di peringkat awal, kajian ini menunjukkan antibodi tersebut boleh digunakan untuk menghalang penularan MERS-CoV,” kata saintis-saintis tersebut. Kajian kedua yang disiarkan dalam jurnal Proceedings of the National Academy of Sciences (PNAS) pula melibatkan penemuan tujuh antibodi oleh sepasukan penyelidik dari Amerika Syarikat (AS). Antibodi-antibodi itu berpotensi untuk menghasilkan rawatan dan vaksin MERS-CoV untuk tempoh jangka panjang. Dalam pada itu, sebahagian besar kes MERS-CoV setakat ini telah direkodkan di Arab Saudi dan beberapa negara Asia Barat lain. Namun, penemuan kes jangkitan rambang MERS-CoV di Britain, Greece, Perancis, Itali, Malaysia dan beberapa lagi negara mencetuskan kebimbangan risiko berlakunya wabak global. Pakar-pakar bimbang MERS-CoV akan tersebar melalui pengangkutan udara melibatkan penumpang-penumpang yang dijangkiti virus berkenaan. Sebelum ini, virus SARS yang muncul di China telah meragut 800 nyawa dan menjangkiti lebih 8,000 orang dalam wabak yang berlaku pada tahun 2002 hingga 2003. – Reuters


Mamat Khalid Salahkan Diri Filem Tak Laku
PETALING JAYA – Pengarah filem Apokalips X iaitu Mamat Khalid terpaksa menerima hakikat bahawa karya terbaharunya itu kurang mendapat sambutan penonton. Berdasarkan rekod kutipan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) setakat 24 April lalu, filem berkenaan hanya mengutip sebanyak RM253,446. Kos penerbitannya ialah RM1.5 juta. Mamat atau nama sebenarnya Mohamad Mohd Khalid bagaimanapun tidak menyalahkan penonton yang enggan menyaksikan filem itu sebaliknya menyalahkan diri sendiri kerana tidak menghasilkan filem mengikut cita rasa masyarakat kini. “Saya tidak kecewa mahupun menyalahkan penonton kerana tidak menyaksikan Apokalips X. Sebaliknya saya menganggap diri saya sendiri yang salah kerana tidak cuba faham kehendak penonton,” katanya. Apokalips X membariskan pelakon seperti Farid Kamil, Jehan Miskin, Peter Davis, Zoee Tan, Vassan, Adam AF, Iqram Dinzly, Pekin Ibrahim, Miera Leyana, dan Dazrin Kamarudin. Ia mengisahkan mengenai sekumpulan anak-anak muda yang membesar tanpa bimbingan yang betul dan telah berpecah kepada lima puak iaitu Merah Putih diketuai X (Farid), Taring Led yang dipimpin Sri Gala (Peter), Flora diketuai oleh Kulat (Zoe), Teratai diketuai Melur (Vasanth) dan Jengking diketuai oleh Y (Jehan). Perjuangan mereka dalam usaha menegakkan keamanan menerusi perjanjian damai biarpun menyedari ada dendam di kalangan mereka sehingga wujud pelbagai konflik. Dalam pada itu, Mamat yang cuba memberikan kelainan dalam karyanya itu berkata, dia juga terpaksa akur kerana genre fantasi yang diketengahkan adalah sesuatu yang baharu dan sukar untuk diterima oleh penonton. “Apokalips X bertunjangkan fantasi dan fiksyen di mana plot cerita menjangkau pemikiran biasa. Jadi saya faham ia faktor filem ini kurang diminati. “Apa-apa pun saya masih tidak mengalah dan akan terus menghasilkan prekual filem ini. Kali ini saya akan memastikan agar ia lebih serasi dengan jiwa penonton sekarang. “Bagi saya kegagalan tiada kutipan tidak pernah pudarkan semangat saya untuk terus berkarya,” ujarnya. Sebelum ini filem arahannya iaitu Zombi Kilang Biskut hanya berjaya mengutip RM1.5 juta gara-gara kurang promosi. Bagaimanapun tahun lalu, karya Mamat iaitu Rock Oo berjaya mengutip RM3.95 juta manakala filem Husin, Mon & Jin Pakai Toncit meraih kutipan sebanyak RM5.89 juta. Pada tahun 2010 pula, Mamat terpaksa akur apabila filem berkonsep masyarakat majmuk iaitu Estet gagal mendapat jualan tiket yang tinggi iaitu hanya RM350,000. Bagaimanapun filem tersebut mendapat pengiktirafan sebagai Anugerah Khas Juri Festival Filem Malaysia Ke-21 (FFM21). – mStar Online


Pelakon Filem Lucah B’tukar Jadi Makhluk Asing
Tokyo – Akibat terlalu taksub dengan kecantikan, seorang pelakon filem lucah di Jepun sanggup melakukan pembedahan plastik berulang kali hingga wajahnya seiras dengan makhluk asing dalam filem Harry Potter, Dobby. Gelaran Dobby diberikan kepada Rina Nanase oleh pengikutnya dalam twitter selepas dia memuat naik wajah terbarunya selepas pembedahan di bahagian hidung. Nama Dobby itu menyebabkan Rina menjadi berang dan menyifatkan mereka yang memberikan gelaran tersebut sebagai cemburu dengan pembedahan yang dijalankannya. Pelakon yang berusia 25 tahun dan menggunakan nama Rumi Kanda, sebelum ini tidak berahsia mengenai rupanya dan pembedahan kosmetik yang dilakukannya. Dia telah menjalani pembedahan di bahagian mata, hidung dan dagu. Ramai yang mengkritiknya kerana wajah terbarunya itu amat berbeza dengan wajah asalnya, yang lebih manis dan menawan. Meskipun dia tidak merasakan pembedahan yang dilakukan itu memberikan kesan yang besar kepada wajahnya, namun Rina terkejut apabila mendapat reaksi berbeza daripada peminatnya.


Bil RM17,017 Perkara Biasa Di Samudra Exotic, makan udang galah dan patin
Kuala Lumpur: “Bil makan tengah hari RM17,017?” Itu perkara biasa jika menikmati hidangan eksotik udang galah dan patin buah di Restoran Samudra Exotic River Fish di Kampung Baru di sini. Malah, jika orang ramai yang meragui kesahihan harga makanan itu bolehlah berkunjung ke premis berkenaan untuk pengesahan, kata jurucakap Restoran Samudra Exotic River Fish. “Saya tidak pasti apa tujuan individu yang menyebar gambar itu dan saya tidak mahu komen lanjut mengenai kesahihannya (resit),” katanya yang tidak mahu dikenali. Jurucakap itu berkata, pihak restoran enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu dan beranggapan harga berkenaan adalah perkara biasa kerana membabitkan makanan yang diketahui mahal seperti patin buah dan udang galah. Sekeping resit yang memaparkan nama Restoran Samudra Exotic River Fish bertarikh 26 April 2014 itu tersebar luas di media sosial menjadi topik perbicangan hangat. Berdasarkan gambar resit yang dihidang di meja VIP 1 itu, sebanyak 10 ikan patin buah seberat 26 kilogram berharga RM6,877 manakala 50 udang galah seberat 39 kilogram dicaj RM10,140. Selain daripada aplikasi Whatsapp gambar berkenaan turut tersebar di laman sosial seperti Facebook (FB) dan pengguna memberi pelbagai reaksi terhadap harga makanan yang disifatkan terlalu mahal itu. Bagaimanapun, terdapat juga pengguna FB yang tampil menjelaskan bahawa harga berkenaan adalah untuk jumlah pelanggan yang ramai dan ia adalah harga yang munasabah berdasarkan jenis makanan yang dinikmati. “Saya cuma nak cakap, kepada mereka yang banyak memberi komen negatif silalah datang ke kedai dan lihat sendiri harga makanan,” katanya jurucakap itu lagi. - HARIAN METRO


Aksi Yoga Fouziah Gous Dan Suami Jadi Perhatian
Seronok tengok aksi pasangan yang baru tujuh bulan mendirikan rumahtangga, Fouziah Gous dan suami, Zhafran Yusof ketika melakukan senaman Yoga di rumah mereka. Walaupun Fouziah sememangnya lebih tinggi berbanding suaminya namun Zhafran memiliki kekuatan fizikal yang hebat. Melalui sekeping foto santai yang dikongsikan pelakon itu di laman Instagram miliknya, Fouziah dilihat begitu mudah diangkat oleh Zhafran. Buat wanita yang sudah berkahwin, ajaklah suami anda untuk melakukan senaman yoga bagi meningkatkan tahap kesihatan. Tidak semestinya perlu keluar rumah untuk bersenam, di dalam rumah pun boleh.


Langgar Lari: Wanita Filipina Maut
JOHOR BAHRU – Seorang wanita rakyat Filipina maut selepas dipercayai dilanggar sebuah kereta dalam kejadian langgar lari di KM4.6 Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, di sini, tengah malam tadi. Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisiten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 12 tengah malam ketika mangsa, Iand Bernales, 27, sedang melintas jalan terbabit. “Wanita berkenaan yang beralamat di Stulang Laut di sini merupakan pelajar sebuah kolej swasta di bandar raya ini. Polis telah berjaya mengesan warisnya,” katanya di sini hari ini. Sulaiman berkata, mayat wanita itu dihantar ke Hospital Sultan Ismail, di sini dan polis kini sedang mengesan kenderaan yang dipercayai terbabit dengan kejadian itu. Katanya polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil menghubungi polis bagi membantu siasatan. – BERNAMA


3 Maut Dirempuh Pacuan Empat Roda
MUADZAM SHAH – Tiga daripada empat lelaki yang merupakan pekerja ladang warga Indonesia maut selepas dua buah motosikal yang dinaiki mereka dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 132, Simpang Bandar Tun Razak sekitar jam 8.30, malam Ahad lalu. Timbalan Ketua Polis Daerah Rompin, Asisten Superintendan Zainul Mujahidin Mat Yudin, berkata, kejadian berlaku ketika dua buah motosikal yang dinaiki empat mereka mengambil haluan arah ke kanan untuk memasuki simpang ke Bandar Tun Razak. “Mereka dipercayai sedang menuju ke Keratong 5 dan dalam masa yang sama, sebuah kereta pacuan empat roda jenis Toyota Land Cruiser dikatakan tidak nampak dua buah motosikal tersebut kerana lampu belakang kedua motosikal dipercayai tidak berfungsi. “Pemandu pacuan empat roda tidak sempat mengelak dan terus merempuh di bahagian belakang kedua motosikal tersebut,” katanya kepada Sinar Harian. Menurut Zainul, dua mangsa maut di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) pada keesokan harinya. Katanya, kesemua mangsa berumur sekitar 26 hingga 30 tahun dan hasil siasatan mendapati dua mangsa yang maut di tempat kejadian tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah. “Keempat-empat mangsa didapati tidak memakai topi keledar dan kedua penunggang motosikal tersebut tidak mempunyai lesen. Seorang lagi mangsa yang cedera parah kini sedang dirawat di HTAA,” katanya. - Sinar Harian Online


Bakal Menantu Penipu Besar, mengaku sebagai Datuk
Kuantan – Seorang lelaki yang mengaku dirinya bergelar Datuk bukan saja menipu bakal mentuanya sehingga kerugian ribuan ringgit, malah sanggup melarikan anak gadis pasangan terbabit yang juga tunangnya selepas tembelangnya diketahui mangsa. Lelaki berkenaan yang berusia 44 tahun didakwa melarikan tunangnya, Fatin Nursyamimi, 19, sejak 13 Mac lalu serta menipu keluarga gadis berkenaan menyebabkan kerugian RM4,000, gagal dikesan hingga kini. Difahamkan lelaki berkenaan sering menipu orang ramai sejak 2009 membabitkan kerugian ratusan ribu ringgit, malah pernah menghadapi 11 pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor, pada 2011. Malah, identiti lelaki berkenaan dipaparkan sebagai pesalah rasuah dalam laman sesawang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selain beberapa penipuannya turut didedahkan dalam laman blog sejak Februari lalu. Mangsa, Ramlan Abu Hassan, 45, dari Kampung Kempadang, di sini, berkata, keluarganya bukan saja kerugian wang tunai akibat diperdaya lelaki berkenaan, malah lebih malang anak gadisnya turut dilarikan. – myMetro Online


Pemain Dram Scorpions Dipenjara Sebulan Di Dubai
Dubai – Pemain dram kumpulan rock Scorpions, James Kottak dilaporkan telah dihukum penjara selama bulan selepas didapati bersalah melakukan perbuatan menghina di Emiriah Arab Bersatu. Kottak didakwa menghina Islam, menunjukkan isyarat lucah dan berada di bawah pengaruh alkohol ketika berada transit di lapangan terbang Dubai. The Gulf News melaporkan, dia ditangkap pada 3 April lalu ketika dalam perjalanan dari Rusia ke Bahrain. Ketika itu, kumpulan Scorpions dijadualkan mengadakan persembahan pada perlumbaan Formula Satu. Kottak dilaporkan mengaku minum arak namun menafikan tuduhan lain. Sementara pengurus Scorpions tidak memberikan sebarang maklum balas.


‘Kami hanya ringan-ringan, bukan seks pun’
Sungai Petani: “Saya hanya berasmara saja dengan dia (teman lelaki) dan bukannya melakukan hubungan seks pun.” Begitu alasan memualkan seorang gadis berusia 21 tahun apabila ditahan bersama pasangan lelakinya di dalam bilik sebuah hotel murah, semalam dalam operasi bersepadu syariah oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) bersama beberapa agensi lain. Gadis itu dan pasangannya berusia 21 tahun ditahan jam 2 pagi antara tujuh pasangan yang dicekup kerana berdua-duaan di dalam bilik di beberapa buah hotel sekitar bandar ini dalam serbuan berasingan. PEGAWAI JHEAIK mengambil keterangan pasangan kekasih yang ditahan dalam serbuan. Ketika ditahan, gadis berasal dari Kampung Naga Lilit, Padang Serai, Kulim terbabit hanya berbaju-T dan bertuala ditemui bersembunyi di belakang pintu ketika teman lelakinya membuka pintu selepas diketuk berulang kali oleh pegawai penguat kuasa. Gadis itu mendakwa dia terpaksa bermalam di hotel yang disewa teman lelakinya pada harga RM30 semalam kerana tidak mahu pulang ke rumah selepas dimarahi bapanya akibat gagal membayar ansuran motosikalnya selepas berhenti kerja di sebuah kilang. “Selepas dimarahi bapa, saya keluar dari rumah dan menunggang motosikal datang ke rumah ibu saudara di Sungai Petani, tetapi disuruh pulang walaupun saya enggan berbuat demikian lalu menelefon teman lelaki agar menyewa sebuah bilik hotel. “Saya dan dia (teman lelaki) tidak buat apa-apa pun, cuma ringan-ringan saja sebelum kena serbu,” katanya ketika disoal selepas ditahan, namun mengaku pernah tidur bersama beberapa kali sebelum ini. -HarianMetro


Bayi 3 Bulan Kena 14 Jahitan Dicakar Kera
SEORANG bayi lelaki tiga bulan menerima 14 jahitan di dahi dicakar kera di rumahnya di Kampung Gelugor, Kertih. Kejadian jam 1 tengah hari itu, Nor Iman Adriana Zuhairi sedang tidur di dalam buaian di bahagian dapur rumahnya manakala ibunya, Siti Najwa Muhammad, 21, sedang bersiap di dalam bilik untuk menghadiri majlis perkahwinan. Ibu mangsa yang terdengar anaknya menangis bergegas ke dapur dan mendapati tiga kera berada di dalam buaian menyebabkannya menjerit sekuat hati sebelum haiwan itu bertindak melarikan diri. Siti Najwa terkejut apabila mendapati muka anaknya bermandi darah dengan dua kesan calar. Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Klinik Kesihatan Kertih sebelum dirujuk ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.- Harian Metro


Kerana Dendam, Pelajar 15 Tahun Bunuh Cikgu Di Uk
Seorang guru perempuan dilaporkan mati dibunuh pelajar lelaki berusia 15 tahun yang didakwa berdendam dengan mangsa, semalam di United Kingdom. Menurut saksi, kejadian berlaku ketika mangsa, Ann Maguire, 61, sedang mengajar dan secara tiba-tiba, pelajar lelaki itu datang di belakangnya dan kemudian mengelar leher cikgunya dengan menggunakan pisau. Sejurus insiden mengejutkan itu, rakan sekerja Maguire bergegas ke kelasnya dan menahan pelajar tersebut. Maguire kemudiannya dibawa ke hospital oleh paramedik pada jam 11.45 pagi namun meninggal dunia sebaik sampai di hospital. Kejadian menggemparkan ini dikatakan pertama kali berlaku di UK di mana seorang guru dibunuh anak muridnya ketika sedang sibuk mengajar di kelas. Menurut saksi yang juga pelajar di sekolah itu, suspek telah dimasukkan ke kelas tahanan (detention class) minggu lalu dan mendakwa mangsa gemar mencari kesalahannya.



VIDEO: Kesian Brader Ni Disangka Mesin ATM
HAI, pandanglah kiri-kanan dulu kalau hendak keluarkan duit dari mesin ATM… Boleh pula mamat ini terkeliru antara cik abang ini dengan mesin ATM yang sebenar. Siap hendak masukkan kad lagi ke perut abang tu. Kesilapannya sekaligus mengundang ketawa wanita yang turut melakukan transaksi di situ. Nasib baik abang ni ‘sporting’ dan buat tak tahu saja.


Pontianak Jalan Sungai Ular Makin Mengganas?
SUNGAI ULAR (KULIM) – Gangguan makhluk halus atau mistik wujud dalam kalangan masyarakat kita hari ini bagaimanapun ada di antara mereka beranggapan ia satu kepercayaan tahyul. Misteri gangguan lembaga menyerupai pontianak di sekitar Jalan Sungai Ular ke Simpang Tiga Terap bukanlah satu perkara baru, di mana ada dalam kalangan penduduk tidak berani menggunakan jalan itu waktu tengah malam. Penduduk tempatan mendakwa turut berjumpa lembaga bertenggek di atas paip air di tepi jalan seawal jam 11 malam. Gangguan makhluk halus itu juga dikatakan mengakibatkan ada dalam kalangan penunggang motosikal dan kenderaan lain terbabas. Penulis sempat menemu bual mangsa yang pernah ternampak makhluk halus berkenaan. Dia berkata, ia mempunyai ketinggian sekitar 5 kaki 11 inci hingga 6 kaki tinggi, berambut panjang sehingga ke paras siku dan menutup muka. Menurutnya, lembaga dipercayai pontianak itu selalunya berdiri di tepi jalan atau dilihat berjalan di tepi jalan berseorangan dalam keadaan kepala tertunduk. Pengamal perubatan tradisional, Rosli Ahmad yang tinggal di Taman Tunku Putra berkata, pontianak ini merupakan iblis dan jin yang mampu menyerupai pelbagai bentuk dan rupa. “Gangguan iblis dan jin ini boleh mengakibatkan seseorang itu dirasuk. Semua ini berlaku apabila mangsa berada dalam keadaan lemah. Selain itu, pontianak ini sering berada di kawasan di mana kerap berlakunya kemalangan maut,” katanya. Menurutnya, sekira iblis dan jin sudah berada di dalam badan terlalu lama, ia akan menjadi lebih selesa dan sukar untuk mereka meninggalkan jasad ditumpang. Enjin motosikal tiba-tiba terhenti Terkini, seorang kakitangan awam, Mohd Aziz Osman yang menunggang motosikal jenis Kawasaki RR150 dari arah Terap ke Kulim terkejut apabila enjin motosikal ditunggangnya tiba-tiba terhenti kira-kira 50 meter dari Jambatan Sungai Anak Kulim kira-kira jam 12.30 pagi. Dalam keadaan gelap dia menolak motosikalnya ke tepi jalan. Setelah beberapa kali mencuba, akhirnya enjin motosikalnya itu berjaya dihidupkan semula. Dia kemudiannya menghidupkan lampu motosikal bagaimanapun ternampak lembaga putih berambut panjang berada di hadapannya. “Saya beristighfar panjang apabila ternampak lembaga putih itu berada kira-kira 10 meter di hadapan motosikal saya. “Saya membaca beberapa surah Yasin dan meminta dia jangan mengekori saya,” katanya. Menurutnya, pengalaman tidak dilupakan apabila lembaga itu memusingkan kepalanya sehingga ke belakang tanpa memusingkan badan. Aziz berkata, Jalan Sungai Ular ke Terap sering melibatkan kemalangan maut dan sehingga kini, lebih 10 kemalangan maut dilaporkan berlaku di mana ia melibatkan penunggang motosikal dan pemandu kereta. Bonceng perempuan waktu malam Sementara itu, penduduk tempatan, Safaruddin Ahmad berkata, kewujudan lembaga putih dipercayai pontianak di sekitar Jalan Sungai Ular menghala ke Terap bukanlah satu perkara baru, kerana ramai dalam kalangan penduduk di kawasan itu sudah mengalaminya. Dia yang mempunyai kebun di Terap pernah ternampak lembaga itu bertenggek di atas paip air yang terletak di tepi jalan. “Kejadian berlaku kira-kira jam 11.45 malam ketika dalam perjalanan balik ke rumah. “Saya ketika itu menunggang motosikal dan tidak dapat menunggang dengan laju kerana membawa muatan durian. Jalan dari Terap ke Kulim sememangnya gelap pada waktu malam, kerana ia merupakan kawasan hutan. “Apabila tiba di tempat kejadian saya merasakan muatan yang saya bawa semakin berat. Beberapa minit kemudian badan saya berasa sejuk dan dalam masa sama, lampu motosikal saya menyuluh lembaga perempuan berdiri di kanan jalan,” katanya. Sebelum ini, lima anggota pihak berkuasa tempatan (PBT) mengejar seorang suspek yang melarikan diri dengan menunggang motosikal di jalan berkenaan. Mereka terkejut kerana di belakang motosikal salah seorang anggota ditumpang oleh seorang perempuan. Anggota PBT itu mengalami kerasukan bagaimanapun dipulihkan dengan bantuan penduduk tempatan sebaik sahaja sampai ke pondok rondaan. Kejadian ini masih berlaku sehingga hari ini dan terus menjadi tanda tanya kepada penduduk tempatan. – SINAR HARIAN


Gambar Diana Dan Farid Dianggap ‘Terlalu Mesra’?
SEBENARNYA, kami sendiri tidak pasti apakah yang perlu dikecohkan dengan gambar pasangan suami-isteri, Farid Kamil dan Diana Danielle ini. Gambar yang dimuatnaik di Instagram itu disertakan dengan ‘caption’: “Tadi bermanja dgn dakcik.. Sekarang saya kacau daksar pula :p” Biarpun ramai yang menganggap ia sebagai gambar romantik, ada juga yang menyifatkan ia sebagai kurang sesuai ditayang kepada umum. Alasan mereka termasuklah terlalu mesra, mungkin kerana Farid yang dilihat tidak berbaju. Tapi, secara logiknya, adalah normal melihat gambar lelaki tidak berbaju. Lainlah kalau Diana yang buat begitu, betul tak? Kalau ya, mungkin kita boleh menganggap ia sebagai kurang sopan. Diana bagaimanapun tidak membiarkan pihak tertentu membuat andaian yang bukan-bukan dengan menjawab komen salah seorang pengikut akaunnya yang dikenali sebagai @lizamohdismail: “Dear liza, i was sitting next to my husband while he was chilling on the sofa and i took a picture. Nothing wrong with that. Kids under 12 should be supervised while on the net anyway since there are many things they shouldnt be exposed to but this is not one of them.” Apa pun, terpulanglah kepada pandangan masing-masing. Zaman sekarang ini, mungkin gambar mesra pasangan kekasih lebih dipandang ‘mulia’ berbanding yang sudah berkahwin…


Pesawat Penumpang Patah Balik Ke Perth Akibat Enjin Terbakar
PERTH – Sebuah pesawat penumpang berpatah balik di Lapangan Terbang Perth, pagi ini dan melakukan pendaratan cemas selepas salah satu enjinnya terbakar sebaik berlepas. Penumpang pesawat Cobham Aviation memberitahu, mereka melihat api marak dan asap dari enjin yang terbakar sebaik pesawat berlepas jam 10.30 pagi waktu tempatan. Pesawat bagaimanapun berjaya berpatah balik dan mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Barrow Island. Cobham Aviation Services dalam satu kenyataannya berkata, pesawat BAE 146 empat enjin itu kembali ke Lapangan Terbang Perth jam 10.53 pagi. Katanya, kejadian berlaku ketika pesawat sedang naik ke ruang udara apabila enjin nombor duanya tiba-tiba terbakar. Ketika kejadian pesawat membawa 92 penumpang, dua juruterbang dan tiga anak kapal dan semua mereka tidak mengalami sebarang kecederaan. Penumpang pesawat, Jason Grimmett, berkata kejadian berlaku kira-kira 10 minit selepas pesawat berlepas. “Saya duduk di sebelah kanan enjin dan tiba-tiba kepulan asap keluar dari enjin. “Minyak bertaburan di udara sebelum api menyambar dan keadaan panik ketika itu namun juruterbang bertindak pantas untuk menutup saluran minyak,” katanya. – ABC News


JK Siasat Penemuan Di Teluk Bengal
PEMANGKU Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata jawatankuasa teknikal untuk pencarian MH370 akan meneliti laporan bahawa satu firma carigali menemui bahan yang konsisten dengan Boeing 777 di dasar Teluk Bengal. “Saya tidak akan mengulas sehingga terdapat pengesahan… Sebelum ini terdapat tompokan minyak, imej satelit dan imej serpihan di Laut Cina Selatan, namun dibuktikan tidak benar. “Saya akan bertemu dengan jawatankuasa teknikal tidak lama lagi… Jika mereka putuskan teruskan pencarian, maka kita teruskan,” kata Hishammuddin seperti dipetik dalam laporan The Malay Mail. Semalam, laporan 7News Australia menyebut usaha carigali firma GeoResonance menyebut mereka menemui bahan yang konsisten dengan kapal terbang di Teluk Bengal. Semakan dengan data firma itu menunjukkan bahan tersebut tidak berada di situ sebelum kejadian kehilangan pesawat tersebut pada 8 Mac. – MalaysiaKini


Jangan Beli Produk Kesihatan Dalam Talian
KUALA LUMPUR – Jangan mudah terpedaya membeli ubat atau produk kecantikan melalui Internet, tanpa pengesahan pendaftarannya, kerana ia mungkin produk yang memudaratkan kesihatan. Timbalan Pengarah Bahagian Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan, Mazlan Ismail berkata walaupun penjualan ubat melalui Internet kini semakin popular, namun pengguna perlu sedar kementerian tidak pernah mengesahkan sesuatu produk yang diiklankan atau dijual melalui Internet itu selamat untuk digunakan. Jangan terlalu cepat percaya dengan testimoni keterlaluan tanpa mengenal pasti produk terlebih dahulu yang menyebabkan pengguna tertipu atau lebih malang menjadi mangsa produk yang tidak mendapat kelulusan, katanya. “Pastikan produk-produk ini berdaftar dengan KKM iatu mempunyai nombor pendaftaran dan label keselamatan hologram Meditag. “Bagi produk makanan atau minuman tambahan, periksa label kandungannya terlebih dahulu, sebelum membeli manakala bagi produk kosmetik, semak status notifikasi sebelum membuat pembelian,” katanya kepada Bernama di sini. Mazlan berkata produk berdaftar akan diberi satu nombor pendaftaran khusus seperti MAL20001564T, yang perlu dilekatkan bersama label keselamatan hologram Meditag, pada bungkusannya. Bagi produk kosmetik pula, perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) KKM sebelum dipasarkan dan contoh nombor notifikasi ialah NOT120602463K. “Oleh yang demikian jika membeli secara ‘online’ sukar untuk memastikan status pendaftaran ini, sebaiknya (elok) beli di luar dengan mendapatkan maklumat yang tepat mengenainya daripada ahli farmasi atau daripada pegawai perubatan klinik atau premis farmasi,” katanya. Sementara itu, Mazlan berkata sepanjang tahun lalu sebanyak 33,704 produk tidak berdaftar dengan KKM dirampas, dengan nilai rampasan sebanyak RM43,220,070. Katanya produk-produk ini dirampas melalui aktiviti penguatkuasaan seperti serbuan dan pemeriksaan ke atas premis dan saringan di pintu masuk negara. “Sepanjang tahun yang sama juga sejumlah 1,061 ubat dan suplemen kesihatan telah didaftarkan manakala sejumlah 69,925 notifikasi diluluskan ke atas produk komestik,” kata Mazlan. Bagi menjamin keselamatan pengguna, KKM menjalankan prosedur yang ketat sebelum mendaftarkan sesuatu produk. Katanya semua produk farmaseutikal perlu berdaftar dengan PBKD bagi menjamin kualiti, keselamatan dan keberkesannya. “Kami akan membuat pemeriksaan ke atas premis dan proses pengilangannya untuk memastikan mereka mematuhi Amalan Pengilangan Baik (GMP), selepas itu penilaian data akan dilakukan oleh PBKD untuk meluluskan permohonan tersebut atau tidak,” “Selepas itu satu nombor pendaftaran akan dilekatkan bersama label keselamatan hologram Meditag pada bungkusannya, manakala bagi kosmetik akan diberikan notifikasi sebelum dipasarkan,” kata Mazlan. Dalam usaha memberi kesedaran kepada pengguna pula, beliau berkata pihaknya mengadakan dialog bersama para peniaga secara berkala termasuk kempen-kempen di Institut Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara. “Ini sebagai langkah proaktif bagi memberi pendidikan dan maklumat kepada orang awam dalam memilih produk berdaftar dan bernotifikasi daripada KKM serta membantu mereka mengelak terbeli produk palsu atau yang tidak mendapat kelulusan,” katanya. – BERNAMA


MH370: Mungkinkah Dakwaan Jemaah Umrah Itu Benar?
KUALA LUMPUR – Adakah dakwaan seorang wanita rakyat Malaysia yang baru pulang dari menunaikan umrah pada 8 Mac lalu yang ternampak sebuah bangkai pesawat yang besar berwarna perak di perairan Laut Andaman berkait dengan dakwaan terbaru sebuah syarikat penerokaan Australia yang telah menemui bangkai pesawat MH370 Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang sejak 8 Mac lalu. Dalam laporan Astro Awani pada 21 Mac lalu, wanita tersebut, Raja Dalelah Raja Latife, 53 mendakwa melihat bangkai sebuah pesawat yang sebahagiannya tenggelam dan sebahagian lagi timbul di perairan Laut Andaman ketika pesawat yang dinaikinya itu melintasi kawasan berkenaan pada pagi 8 Mac lalu. Raja Dalelah yang ketika itu berada dalam pesawat milik Penerbangan Saudi SV2058 yang berlepas dari Jeddah pada jam 3.30 pagi waktu Arab Saudi (8.30 pagi waktu Malaysia) telah melewati kawasan bandar Chennai di India sebelum memasuki ruang udara di perairan Laut Andaman. Dalam satu laporan berita daripada 7News Australia semalam pula, menyatakan bahawa syarikat GeoResonance yang membuat pencarian sendiri pesawat tersebut sejak 10 Mac lalu telah mengesan objek yang berkemungkinan sebuah bangkai pesawat di Teluk Bengal berdekatan dengan perairan Laut Andaman. Menurut jurucakap GeoResonance, David Pope, pihak penyelidiknya telah mengesan elemen pada dasar lautan yang dikatakan konsisten dengan elemen pesawat. “Teknologi yang kita gunakan pada asalnya direka untuk mencari kepala peledak nuklear, kapal selam. Pasukan kami di Ukraine memutuskan kita perlu cuba dan bantu,” katanya seperti yang dipetik 7News. Pencarian syarikat berpangkalan di Adelaide itu melibatkan kawasan seluas 2,000,000 km persegi di perairan di mana lokasi itu dikatakan terhempas, menggunakan imej dari satelit dan pesawat. Menurutnya objek tersebut sememangnya tiada sebelum kejadian tersebut. Berdasarkan kedua-dua dakwaan itu mungkinkah ini merupakan satu petunjuk baru dalam misi pencarian pesawat yang masih lagi gagal ditemui sehingga pada hari ini.


Polis Cekik Pelajar Hingga Pengsan Dipecat
SEORANG anggota polis di Knox County, Tennessee dipecat selepas gambarnya mencekik seorang pelajar universiti sehingga hampir pengsan tersebar. Frank Philips, 47, ditamatkan perkhidmatannya dengan alasan ‘tidak sesuai untuk meneruskan perkhidmatan’ selepas dia bertindak mencekik Jarod Dotson, 21, yang ditahan kerana menghadiri parti liar. Kira-kira 800 orang pelajar Universiti Tennessee sedang berhibur sempena tamat minggu peperiksaan akhir dalam kejadian Sabtu lalu. Menurut jurugambar bebas yang merakamkan gambar itu, John Messner, sebelum itu, beberapa pelajar dilihat melemparkan botol minuman keras ke arah pihak polis. Dotson adalah antara yang ditahan dan digari oleh dua anggota polis, namun tidak melawan. Philips yang datang ke arahnya kemudian mencekik pelajar itu sehingga dia jatuh melutut dan tidak sedarkan diri. Messner berkata, Philips kemudiannya menampar kepala Dotson beberapa kali sebelum meninggalkannya.

VIDEO: Histeria Gara-Gara Permainan Video
BENAR kata orang, apabila sudah terlalu ‘menjiwai’ permainan video, kita akan menjadi leka sehingga merasakan kita sememangnya sedang berada di dalam dunia maya itu. Video yang kami kongsikan kepada anda ini merupakan antara kesan akibat terlalu asyik menggunakan gajet permainan video, Oculus Rift. Ia merupakan set kepala yang berfungsi sebagai ‘helmet’ yang menayangkan visual permainan video, seolah-olah kita sedang bergerak melaluinya. Kebanyakan mereka yang menggunakannya akan mempamerkan pelbagai emosi termasuklah berasa gayat, takut dan cemas walaupun sebenarnya mereka hanya berada di hadapan komputer atau televisyen. Saksikan reaksi lelaki ini yang hampir histeria tatkala diusik oleh rakannya sehingga terpaksa ditenangkan oleh para pekerja dan orang ramai. Aduhai…