Tuesday, April 29, 2014
Berita Terkini 29 April 2014
Mayat Atas Batu Di Pulau Perhentian Kecil
Jertih – Misteri kehilangan seorang lelaki yang tidak pulang ke rumah sejak Isnin lalu, terjawab apabila mayatnya ditemui di atas batu berhampiran sebuah resort di Pulau Perhentian Kecil, di sini, kelmarin. Mangsa dikenali sebagai Md Hazmi Hanafi, 26, dari Kampung Beris Cawat, Kuala Besut, di sini, ditemui mati oleh orang awam jam 12.20 tengah hari berhampiran sebuah resort di kawasan pulau sebelum menghubungi Pondok Polis Pulau Perhentian. Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, sepasukan anggota bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan. “Hasil siasatan mendapati mayat mangsa dalam keadaan terlentang, tidak berbaju dan hanya berseluar pendek berwarna hitam, selain memakai seutas tali pinggang bertulis ‘replay’. “Penemuan mayat itu dipercayai ada kaitan dengan laporan polis dibuat bapa mangsa pada 21 April lalu di Balai Polis Kuala Besut mengenai kehilangan mangsa,” katanya. - myMetro Online
Mayat Atas Batu Di Pulau Perhentian Kecil
Jertih – Misteri kehilangan seorang lelaki yang tidak pulang ke rumah sejak Isnin lalu, terjawab apabila mayatnya ditemui di atas batu berhampiran sebuah resort di Pulau Perhentian Kecil, di sini, kelmarin. Mangsa dikenali sebagai Md Hazmi Hanafi, 26, dari Kampung Beris Cawat, Kuala Besut, di sini, ditemui mati oleh orang awam jam 12.20 tengah hari berhampiran sebuah resort di kawasan pulau sebelum menghubungi Pondok Polis Pulau Perhentian. Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, sepasukan anggota bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan. “Hasil siasatan mendapati mayat mangsa dalam keadaan terlentang, tidak berbaju dan hanya berseluar pendek berwarna hitam, selain memakai seutas tali pinggang bertulis ‘replay’. “Penemuan mayat itu dipercayai ada kaitan dengan laporan polis dibuat bapa mangsa pada 21 April lalu di Balai Polis Kuala Besut mengenai kehilangan mangsa,” katanya. - myMetro Online
Gambar Peserta Pondan Miss Tiffany 2014
Seperti yang diketahui, Thailand merupakan salah satu daripada negara di dunia yang dilihat sangat menyokong pergerakan transgender atas dasar hak asasi manusia. Di atas sebab itu juga, setiap tahun, negara Gajah Putih itu akan mengadakan pertandingan ratu cantik pondan Miss Tiffany yang mengiktiraf kecantikan golongan terbabit. Kecantikan peserta yang terpilih dilihat sangat cantik malah tidak kurang juga mengatakan kecantikan yang dimiliki mereka mengalahkan wanita tulen! Di bawah merupakan foto-foto finalis Miss Tiffany 2014 yang bisa mengegarkan pentas ratu cantik pondan di Thailand, sekadar untuk mencuci mata anda di hujung minggu ini!
Tetak Isteri Dan Anak Hingga Mati
Machakos (Kenya) – Seorang lelaki menetak kepala isteri dan anak lelakinya sehingga mati sebelum cuba membakar rumah mereka bagi menghapuskan bukti. Lelaki berusia 60 tahun itu memancung isterinya yang berusia 25 tahun dan anak mereka yang baru berusia setahun serta meninggalkan kesan luka yang dalam di badan wanita itu. Polis menemui kapak dan pisau dapur yang dipercayai dijadikan senjata pembunuhan namun suspek dapat melarikan diri. Seorang pengawal keselamatan, Steve Mwendo menemui mayat dua beranak itu selepas dia memeriksa rumah berkenaan apabila terlihat kepulan asap di situ pada jam 5 pagi. Mwendo berkata, pada mulanya dia menyangka berlaku litar pintas lalu bergegas untuk memadamkan suis utama di rumah berkenaan. “Sebaik membuka pintu rumah saya terkejut melihat mayat wanita dan budak lelaki yang berlumuran darah disamping timbunan baju yang dibakar. “Saya cuba memanggil tuan rumah beberapa kali namun tiada jawapan,” katanya. Mwendo berkata, keluarga itu tinggal di kawasan berkenaan sekurang-kurangnya sejak enam bulan lalu memang sering bertengkar. – Agensi
Jamil Khir Saran Hudud Guna Hukum Jenayah islam
GEORGE TOWN – Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom hari ini menyarankan hukum hudud menggunakan hukum jenayah Islam kerana ia adalah sebahagian daripada perundangan jenayah syariah Islam. “Kalau kita membicarakan soal hudud maka tanggapan orang melihat hanya pada satu sudut. Mungkin orang akan melihat hudud dari sudut potong tangan, rejam ataupun persepsi sebatan. “Tetapi sebenarnya di dalam Islam bila bercakap sebatan ada peraturan-peraturan sebatan. Ia tak sama macam sebatan sivil yang mana mungkin sekali rotan pun telah memberi bekas yang cukup dari segi fizikal. “Konsep sebatan dalam syariah ia tidak sampai kepada tahap yang sedemikian, bahkan sebatannya adalah bersifat mendidik dan mengajar…lebih besar daripada itu untuk tujuan memberi kesedaran,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Multaqa Imam, Guru Takmir dan Jawatan Kuasa Kariah Masjid peringkat negeri Pulau Pinang, di sini hari ini. Sehubungan itu Jamil Khir menyeru masyarakat untuk melihat dan memahami hukum hudud dalam konteks lebih luas iaitu perundangan Islam. Beliau berkata pelaksanaan hukum hudud memerlukan rujukan, penelitian dan perbincangan yang mendalam daripada pakar supaya semua pihak dapat memahami dengan lebih jelas. Isu pelaksanaan hukum hudud di Kelantan kembali menjadi perbincangan hangat akhir-akhir ini apabila Kerajaan PAS negeri itu, melalui anggota Parlimen parti itu, bercadang membawa di Dewan Rakyat Jun ini usul mengenainya. Namun, hasrat PAS untuk mengemukakan rang undang-undang persendirian itu di Parlimen ditentang keras sekutunya, DAP, atas alasan pelaksanaan hudud tidak pernah menjadi kesepakatan dalam pakatan PAS-DAP-PKR. Majlis penutup multaqa itu dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas. Turut hadir Timbalan Ketua Menteri I Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama dan Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Abdul Malik Abul Kasim. – BERNAMA
Hudud: AMK Tidak Setuju Desakan DAP
JASIN – Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini menyatakan pendiriannya untuk tidak bersetuju dengan desakan DAP supaya PAS keluar daripada pakatan pembangkang sekiranya mahu melaksanakan hukum hudud di Kelantan. Ketuanya Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata sebagai cabang muda dalam PKR dan pakatan itu, AMK tidak akan bersetuju terhadap desakan mana-mana pihak terutamanya rakan dalam pakatan pembangkang untuk mengeluarkan mana-mana parti daripada pakatan tersebut tanpa sebab kukuh. Bagaimanapun, Pengerusi PKR Negeri Melaka itu berkata AMK memahami hasrat dan kemarahan yang ditunjukkan pemimpin DAP berkaitan isu hudud dan menegaskan isu itu perlu diselesaikan secara muafakat bersama pimpinan pakatan pembangkang. Beliau ditemui pemberita selepas mengundi di Taman Bemban Utama di sini hari ini untuk menentukan kepimpinan PKR bagi penggal 2014 hingga 2017 dan beliau turut bertanding bagi jawatan naib presiden. PAS Kelantan melalui anggota Parlimennya merancang untuk membawa usul rang undang-undang persendirian (hukum hudud) di Dewan Rakyat bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 selewat-lewatnya Disember ini. Pada Jumaat lepas Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Loke Siew Fook dilaporkan sebagai berkata PAS perlu berundur daripada pakatan itu jika bertegas untuk tetap dengan keputusannya berhubung pelaksanaan hudud di Kelantan. – BERNAMA
Obama Nafi ‘Buli’ Malaysia Dalam Rundingan TPPA
PUTRAJAYA – Presiden Amerika Syarikat Barack Obama menafikan Washington membuli Malaysia dalam rundingan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) yang sedang dijalankan. Sebaliknya, beliau berkata beliau sendiri yang telah dibuli oleh partinya sendiri (Democratic) berhubung perjanjian itu selain protes terhadap perjanjian itu yang lebih kepada orang takut perubahan corak perdagangan pada masa depan atau tidak mahu mengubah cara lama. “Adalah penting bagi semua orang tunggu dan lihat apakah perjanjian (akhir) sebelum mereka terus membuat kesimpulan,” kata beliau sebagai respons kepada soalan yang Washington membuli Kuala Lumpur dalam rundingan mengenai TPPA pada sidang akhbar bersama dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sini Ahad. Beliau berkata memang difahami bahawa akan ada bantahan, protes, tuduhan konspirasi politik, yang berlaku bukan sahaja bagi Amerika Syarikat dan Malaysia, tetapi juga semua negara yang berunding. Melihat ke hadapan ke arah memuktamadkan rundingan TPPA, beliau berkata “negara-negara dan syarikat-syarikat mesti bersedia untuk mengambil langkah seterusnya.” Najib, dalam komen sebelum itu, melahirkan keyakinan bahawa manfaat keseluruhan daripada TPPA jauh akan mengatasi kelemahan pakatan itu yang masih dirundingkan oleh 12 ekonomi lingkungan Pasifik walaupun akan terdapat beberapa kelebihan dan kekurangan. Beliau juga berkata Washington memahami sensitiviti domestik Malaysia seperti yang dibuktikan semasa rundingan dua hala dengan Obama sebelum ini. Obama juga berkata TPPA akan memberi manfaat kepada Malaysia dalam mencapai status negara berpendapatan tinggi pada tahun 2020. Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata Malaysia komited kepada proses mendapatkan penerimaan orang ramai berhubung TPPA. – BERNAMA
TPPA: Kita Tidak Harus Berada Di Pihak Yang Rugi
KUCHING – Kerajaan harus memastikan bahawa Malaysia tidak berada di pihak yang rugi sebelum memutuskan untuk menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Meskipun beliau secara peribadi berpendapat bahawa tidak perlu bagi Malaysia menandatangani perjanjian itu namun beliau mengakui bahawa keputusan muktamad berhubung perkara itu terletak pada kerajaan. “Mereka (negara maju) kaya dan mempunyai teknologi dan boleh mengatasi dasar (kerajaan) kita untuk membantu rakyat Malaysia,” kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri persidangan Persekutuan Antarabangsa Arkitek Landskap Rantau Asia Pasifik (IFLA-APR) di sini Isnin. Dr Mahathir diundang sebagai penceramah utama yang menyampaikan ucapan dasar pada persidangan itu anjuran bersama IFLA-APR dan Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM). Menurut beliau, sebaik sahaja menandatangani TPPA, pasaran Malaysia akan dibuka selanjutnya dan ini tidak semestinya menguntungkan rakyat Malaysia. TPPA buat masa ini dirunding oleh 11 negara diketuai Amerika Syarikat dengan matlamat meliberalisasikan selanjutnya ekonomi rantau Asia Pasifik. Dr Mahathir berharap Presiden Amerika Syarikat Barack Obama yang mengakhiri lawatan tiga hari ke Malaysia hari ini akan mengotakan janjinya untuk tidak ‘membuli’ Malaysia bagi menandatangani perjanjian itu. Pada masa yang sama, bekas perdana menteri itu juga mengaku tentang perlunya kedua-dua negara mengekalkan hubungan baik yang sedia terjalin antara kedua-dua pihak dan kedudukan Amerika Syarikat sebagai sebuah daripada rakan dagangan terbesar Malaysia. “Hubungan baik akan memanfaatkan Malaysia dan Amerika Syarikat,” kata beliau. – BERNAMA
Pemuda PAS Kerah Ahli Sertai Perhimpunan 1 Mei
KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mahu mengerakkan seramai 50,000 ahlinya menyertai perhimpunan anjuran pembangkang pada 1 Mei ini. Setiausahanya, Mohd. Nasai Ismail berkata, DPPM sedang menggiatkan edaran risalah, ceramah penerangan, kempen dan taklimat untuk mencapai sasaran itu. “DPPM menggunakan sepenuhnya media sosial bagi memberi kefahaman mengenai isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). “Semakin ramai yang mengerti tentang GST dan menyatakan kesediaan untuk hadir dalam himpunan itu nanti,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini. Mohd. Nasai berkata, Unit Amal PAS akan dipertanggungjawabkan menjaga keamanan lokasi serta keselamatan awam. Justeru, beliau memberi jaminan tiada sebarang provokasi, ganas, liar dan keterlaluan akan berlaku dalam perhimpunan tersebut.
Dolezal Di Nobat Lelaki Paling Kotor Di Eropah
CZECH– Lelaki gelandangan ini dilabelkan sebagai lelaki paling kotor di Eropah. Kenapa? Kerana dia suka tidur di atas abu dan turut menggosok badannya dengan abu tersebut. Ludvik Dolezal, 58, akan membakar apa sahaja benda yang ditemuinya sehingga rentung dan kemudiannya dia akan tidur di atas abu berkenaan. Malah tilam dan selimurnya juga dibakar, bagi memenuhi tabiatnya itu. “Setahun lalu saya telah berhenti kerja. Sejak itu saya tidur di atas abu dan setiap malam saya akan memasukkan abu-abu berkenaan ke dalam baju saya bagi menjadikannya panas. “Orang ramai juga membantu saya dengan membawa tayar lama untuk dibakar,’’ katanya. Dolezal, yang menetap di sebuah rumah lama dikatakan mengalami masalah mental, hingga menyebabkan dia mahu berkongsi hidupnya dengan api dan abu.
Anak Kencing Di Jalan Jadi Bualan Media Sosial
HONG KONG – Tindakan sepasang suami isteri yang membenarkan anak perempuan mereka yang berusia kurang dua tahun kencing di tepi jalan di Jalan Mong Kok, telah mencetuskan perdebatan mengenai tingkah laku dalam masyarakat di China. Ia menjadi perbualan di media sosial selepas kejadian itu dirakamkan ketika kanak-kanak tersebut kencing jalan yang paling sibuk di Hong Kong. Selepas aksi kanak-kanak itu dirakamkan, pasangan berkenaan telah bergaduh dengan lelaki yang merakamkan aksi itu dan mahu merampas kad memori daripada lelaki terbabit. Wanita itu kemudiannya menjerit sambil memberitahu bahawa anaknya hendak kencing dan tidak boleh menahannya lagi. Ketika kejadian, tandas awam di situ dilaporkan penuh dengan orang ramai. Orang ramai yang melalui kawasan itu kemudiannya mengepung keluarga tersebut yang cuba melarikan diri. Hukuman bagi mereka yang kencing di jalan di Hong Kong adalah denda sebanyak HK$2000. Bagaimanapun kencing di jalanan di China adalah perkara biasa. Pertengkaran itu juga dirakamkan seorang pejalan kaki dan rakaman berkenaan telah tersebar di media sosial Weibo dengan lebih satu juta orang menontonnya Ia juga menjadi isu yang dibahaskan selepas seorang wartawan, Luqiu memuatnaik video itu dalam blognya.
Bayi Hampir Dipam Ke Dalam Lubang Tandas
CHINA – Pihak berkuasa berjaya menyelamatkan seorang bayi daripada dipam ke dalam lubang tandas oleh ibunya yang tidak mengetahui bahawa dia mengandung. Gadis itu mengunjungi hospital tersebut kerana sakit perut, tanpa menyedari dia sedang hamil dan hampir melahirkan bayi. Menurut seorang doktor, Gao Yuwen, dia mendengar seseorang menjerit di tepi koridor hospital pada pukul 1 pagi. “Saya kemudiannya mendapati orang ramai sedang mengerumi tandas dengan seorang wanita menjerit dan mengetuk pintu, meminta gadis di dalam tandas itu membuka pintu. “Gadis itu masuk ke dalam tandas dan mengunci pintu dari dalam. Saya dapat mendengar bayi tersebut menangis,’’ katanya. Selepas gagal memujuk gadis itu, anggota keselamatan terpaksa memecahkan pintu. “Saya dapat melihat bayi itu berada di atas tandas sambil menangis dan tali pusat masih melekat pada ibunya,’’ kata doktor Gao. Ibu dan bayi itu sihat.
Penuntut IPTS Disyaki Buang Bayi Dalam Mangkuk Tandas
KUALA TERENGGANU: Seorang penuntut perempuan sebuah pusat pengajian tinggi swasta ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pembuangan bayi lelaki yang baru dilahirkan di Padang Hiliran. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K.Manoharan berkata suspek yang berusia 21 tahun itu ditahan pukul 3 petang Khamis lalu selepas selesai menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah. “Bagaimanapun, remaja itu dibebaskan tiga jam selepas itu dengan jaminan polis selepas selesai memberi keterangan ekoran keadaannya yang masih lemah,” katanya kepada Bernama hari ini. Selasa lepas, penuntut itu disyaki bertindak membuang bayi lelaki yang cukup sifat di dalam mangkuk tandas di rumah sewanya di sini. Kejadian itu disedari rakan serumah penuntut itu pada 2.30 pagi selepas melihat suspek terbaring di depan pintu tandas dalam keadaan lemah selain terkejut melihat tompokan darah dan seorang bayi di dalam mangkuk tandas. Manoharan berkata hasil bedah siasat mendapati bayi berusia 38 minggu itu meninggal dunia ketika dilahirkan. Beliau berkata pihaknya juga mengambil keterangan anggota keluarga suspek serta teman lelakinya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran. - BERNAMA
Presiden Obama Akhiri Lawatan Ke Malaysia
SUBANG – Presiden Amerika Syarikat Barack Obama mengakhiri lawatan selama tiga hari di Malaysia hari ini, lawatan bersejarah dalam tempoh 50 tahun selepas lawatan oleh Presiden Lyndon B. Johnson. Pesawat Air Force One yang membawa presiden Amerika itu berlepas pada kira-kira 10.20 pagi dari Pangkalan Udara Subang yang terletak di pinggir Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia. Antara yang hadir untuk mengucapkan selamat jalan kepada Obama ialah Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin. Destinasi seterusnya presiden AS ialah Filipina, hentian terakhir dalam siri lawatan beliau ke empat negara Asia. Sebelum Malaysia, beliau melawat Jepun dan Korea Selatan. Atur cara terakhir Obama adalah menyaksikan pemeteraian beberapa perjanjian komersial antara syarikat Malaysia dan Amerika bernilai US$2 bilion dalam sektor penerbangan, bioteknologi dan insurans. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut hadir pada majlis itu yang berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Isnin. Kedua-dua pemimpin mengadakan mesyuarat dua hala di pusat pentadbiran Malaysia di Putrajaya pada Ahad yang menyaksikan Malaysia dan AS bersetuju untuk meningkatkan hubungan dua hala kepada Perkongsian Komprehensif. AS juga berjanji untuk terus membantu Malaysia dalam operasi dan penyiasatan untuk mengesan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak 8 Mac. Sepanjang lawatan itu, Obama antara lain menghadiri sesi perjumpaan tidak formal dengan pemimpin belia dari Asia Tenggara dan melawat Masjid Negara. Presiden juga menghadiri jamuan negara bersama-sama raja Malaysia, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Istana Negara beberapa jam selepas tiba di negara ini pada Sabtu. – BERNAMA
“Bukan Anwar Sahaja Yang Saya Tidak Jumpa” – Barack Obama
Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama berkata beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membincangkan mengenai usaha meningkatkan perkara berkaitan hak asasi manusia di Malaysia. Dalam sidang media bersama dengan Najib sempena lawatan rasmi pertamanya ke Malaysia, Obama berkata, tindakannya tidak menemui Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bermakna beliau tidak mengambil berat mengenai apa yang berlaku berkaitan isu hak asasi di negara ini. Malah, katanya, Najib mengakui kerajaannya sedang berusaha meningkatkan hak kebebasan masyarakat dan perubahan politik di negara ini. “Dalam mesyuarat saya di seluruh dunia, saya tidak sempat menemui semua pemimpin, termasuk dari pembangkang namun ia bukan tanda saya tidak mempedulikan mereka. “Bukan Anwar saja yang saya tak jumpa, di Negara lain yang saya pergi pun ramai yang saya tak jumpa,” kata Obama. Pada masa sama, Obama turut mengakui AS turut melakukan usaha yang sama dalam memberi lebih kebebasan kepada rakyatnya sama seperti dilakukan Malaysia. Sementara itu Obama turut mempertahankan tindakan kerajaan Malaysia dalam mengendalikan tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, ketika pasukan mencari dan menyelamat bertungkus-lumus mencari pesawat yang dipercayai berada di Lautan Hindi. Obama berkata beliau tahu bagaimana setiap anggota yang terbabit bekerja keras dalam operasi berkenaan, tambahan AS mengerahkan semua aset miliknya untuk membantu mencari pesawat berkenaan. “Kerajaan Malaysia sedang berusaha tanpa mengenal erti putus asa untuk mencari pesawat dan menyiasat apa yang berlaku. “Saya tidak boleh bercakap untuk semua negara di rantau ini tetapi bagi pihak AS dan rakan-rakan lain yang sudah menemui kerajaan Malaysia, kita sentiasa komited untuk memberikan bantuan dan maklumat yang ada,” katanya. najib obama 2Obama berkata, beliau memahami kesedihan yang dialami keluarga penumpang, namun beliau berkata, ia akan mengambil masa yang lama untuk mencari pesawat berkenaan kerana membabitkan kawasan pencarian yang luas. “Jelas sekali, kita tidak tahu maklumat terperinci mengenai apa yang berlaku tetapi apa yang kita perlu tahu, jika benar pesawat berkenaan berakhir di Lautan Hindi, ia adalah kawasan yang besar dan usaha untuk mencari bangkai pesawat itu adalah sangat mencabar dan sukar serta mengambil masa yang lama,” katanya. - bnbbc.my
Sidang Akhbar Najib – Obama Bertukar ‘Ceria’ Gara-Gara ‘PROLIFERATION’
KUALA LUMPUR – Detik serius bertukar ceria di sidang media Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama siang tadi. Najib sedikit sukar untuk mengungkap perkataan Inggeris “proliferation”. Beliau berusaha untuk menyebut perkataan itu sebanyak tiga kali tetapi gagal menyebut dengan lancar, lalu Obama pantas membantu “Ia (perkataan) yang susah. Saya selalu tersilap,” akuinya. Kedua-dua pemimpin kemudiannya tergelak bersama dengan Najib berjanji untuk berusaha untuk membetulkan sebutannya. Najib kemudian menggantikan perkataan itu dengan “spread”. Ia berlaku semasa beliau memberi penerangan tentang rancangan keselamatan global dan penyebaran senjata pemusnah besar-besaran kedua-dua negara. Sebelum itu, Najib meyambut Obama dengan berkata “Selamat datang, sahabat saya”, sambil berkata Obama adalah antara beberapa pemimpin dunia yang memahami perkataan itu (kerana beliau dibesarkan di Indonesia). Semasa ucapannya, Najib bercakap tentang bagaimana Malaysia telah berkembang pesat sejak lawatan terakhir presiden negara itu, iaitu Lyndon B. Johnson, pada tahun 1966. – Astroawani.com
Obama Dijamu Nasi Goreng, Udang Galah Dan Ikan Patin Di Seri Perdana
TENGAH hari tadi selepas mesyuarat bersama Perdana Menteri dan beberapa menteri kabinet, Presiden Obama dijamu dengan hidangan istimewa di Seri Perdana. Selain itu, beliau juga diberi peluang merasai buah-buahan tempatan seperti manggis, durian dan banyak lagi. Mungkin kita tertanya-tanya, apalah agaknya juadah yang dihidangkan untuk pemimpin paling berpengaruh di dunia tu yea? Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ada jawapannya. Menerusi twitter beliau, Menteri Pertahanan itu mengatakan Obama dan rombongan dihidangkan Nasi Goreng, Udang Galah, Ikan Patin dan tak ketinggalan sambal belacan!
Gambar ‘Selfie’ Bodoh Kena Kutuk
Shenyang – Gambar satu pasangan yang duduk di bahagian tingkap sebuah teksi untuk merakamkan gambar ‘selfie’ mereka mendapat kritikan hebat pengguna Internet apabila ia dimuat naik di laman sosial China baru-baru ini. Mereka dilabel sebagai ‘mabuk atau bodoh’ kerana melakukan perkara berkenaan dalam keadaan teksi yang bergerak pada kelajuan 60 kilometer sejam, sekali gus membahayakan keselamatan sendiri. Ketika ditanyakan pemberita mengenai hal itu, pemandu teksi berkenaan menyatakan, pasangan itu tiba-tiba mengeluarkan badan mereka melalui tingkap di bahagian penumpang dan duduk sambil mengambil gambar berdua ketika dia sedang memandu di bandar dalam wilayah Lioning itu. Kedua-dua mereka dikatakan berada dalam keadaan mabuk. Gambar ‘kebodohan’ pasangan itu tersebar secara meluas di Internet dan mengundang kritikan dalam kalangan pengguna yang melihatnya. – Agensi
Gadis Tangkis Cubaan Perkosa
Kuala Lumpur – Seorang gadis berusia 17 tahun nekad melawan suspek lelaki yang cuba merogolnya walaupun penjenayah itu mencekik leher mangsa sekuat hati. Dalam kejadian jam 6 petang kelmarin, mangsa dikatakan diserang penjenayah ketika menunggu ibunya untuk keluar makan di kawasan perumahan berhampiran Taman Muda, Ampang, di sini. Sumber polis berkata, mangsa yang bersendirian dihampiri suspek berusia lewat 20-an dari arah belakang sebelum memeluknya. “Mangsa meronta-ronta bagi melepaskan diri, namun dipukul lelaki terbabit. Tidak cukup dengan itu, mangsa turut dicekik suspek dipercayai bagi mengelakkannya menjerit. “Remaja terbabit terus bergelut sebelum lelaki itu cuba menanggalkan pakaiannya dipercayai bagi merogol mangsa,” katanya. Sumber itu berkata, mangsa yang bergelut dengan suspek kemudian terjatuh sebelum menjerit meminta pertolongan daripada orang ramai. “Jeritan kuat itu didengari penduduk kawasan berkenaan sebelum lima hingga tujuh lelaki bergegas memberi bantuan,” katanya. – myMetro Online
Suami Kapak 2 Belah Kaki Isteri Selepas Bergaduh
Pakistan – Gara-gara berdepan dengan masalah rumahtangga, seorang suami hilang akal lalu memotong kedua-dua belah kaki isterinya dengan kapak, dalam satu kejadian malang malam semalam. Kejadian itu berlaku di bandar Shahpur di Punjab, iaitu kira-kira dua bulan selepas pasangan tersebut mendirikan rumahtangga. Lelaki berkenaan, Memoona Bibi dilaporkan mula mendera isteri keduanya itu beberapa hari selepas mereka berkahwin bulan lepas. Dia dilaporkan memukul isterinya dengan kayu sebelum mengambil kapak dan memotong kedua-dua kaki wanita itu. Jiran-jirannya yang mendengar pertengkaran itu kemudiannya menahan Memoona dan menyerahkan kepada polis manakala isterinya dibawa ke hospital.
2 Pesawat Berlanggar Di San Francisco
SAN FRANCISCO – Dua pesawat kecil berlanggar di San Francisco Bay, dan hanya satu pesawat berjaya mendarat di lapangan terbang berhampiran, kata Pengawal Pantai Amerika Syarikat. Jurucakap agensi, Loumania Stewart, berkata serpihan dikesan di dalam air selepas perlanggaran berlaku pada petang semalam. Beliau berkata, satu daripada pesawat berkenaan mendarat di lapangan terbang berhampiran, bagaimanapun tiada maklumat segera mengenai keadaan penumpang. Jurucakap Pentadbiran Penerbangan Persekutuan, Ian Gregor, berkata maklumat lanjut mengenai insiden berkenaan sedang disiasat. – AP
GAMBAR: Majlis Bertunang Dan Nikah Fizz-Almy
DUA hari lalu, pelakon Almy Nadia, 28, telah selamat bergelar isteri kepada Fizz Fairuz, 35, selepas dinikahkan di Masjid Daerah Balik Pulau, Pulau Pinang. Ikatan pasangan yang telah menjalinkan hubungan cinta selama lapan tahun itu termetrai dengan sekali lafaz berserta mas kahwin RM1,001. Untuk pengetahuan semua, jurufoto rasmi untuk majlis pertunangan dan pernikahan mereka ialah thePermaisuris. Memang cantik-cantik gambar hasil bidikan mereka.
Pengantin Perempuan Mati Tiga Jam Sebelum Bersanding
Ternyata kegembiraan sepasang pengantin baru tidak berpanjangan apabila pengantin perempuan, Junaida Jamaludin, 29, telah disahkan meninggal dunia kira-kira tiga jam sebelum majlis persandingan mereka, semalam. Menerusi laporan sebuah akhbar harian, Junaida ditemui meninggal dunia dengan keadaan hidung dan mulut berdarah di bilik pengantin di rumahnya di Petaling Jaya, pada jam 8.30 pagi. Sehari sebelum itu, Junaida selamat dinikahkan dengan Muhammad Danial Zainal Abidin, 30, dan majlis persandingan yang dijadualkan berlangsung di Dewan Gemilang Yayasan Felda, Kelana Jaya, jam 11.30 pagi. Menurut abang Junaida, Kamarul Affendi Jamaludin, 38, mereka sekeluarga menyangkakan adik bongsunya itu sudah pergi ke dewan persandingan terlebih dahulu namun sangkaan mereka meleset apabila menyedari Junaida tidak berada di situ. “Pagi tadi (semalam) saya ingat Junaida telah pergi ke dewan lebih awal tetapi sangkaan kami meleset sebab dia tiada di situ. “Kami cuba menghubunginya tetapi gagal. Saya cuba memeriksa dia di bilik dan ketika itu saya nampak dia masih berada di atas katil,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam. Jelasnya, dia menyangka Junaida masih tidur kerana kepenatan tetapi terkejut apabila mendapati hidung dan mulut anak bongsu daripada empat beradik itu berdarah. “Kami terus membawa Junaida ke hospital berhampiran tetapi dia disahkan meninggal dunia akibat masalah pendarahan dalaman,” katanya sedih. Al-Fatihah.
Maut Selepas Kemaskini Status ‘Gembira’ di FB
SUDAH banyak kempen yang dilakukan bagi memberi kesedaran tentang bahaya menggunakan telefon bimbit sewaktu memandu. Mungkin kejadian yang menimpa Courtney Sanford, 32, di Utara Carolina beberapa hari lalu boleh dijadikan pengajaran buat semua. Dia maut dalam kemalangan yang membabitkan keretanya dengan sebuah lori beberapa saat selepas mengemaskini status Facebooknya yang berbunyi: ‘The happy song makes me HAPPY (Lagu ‘happy’ membuatkan saya GEMBIRA).’ Ia merujuk kepada lagu popular nyanyian Pharell. Menurut pihak berkuasa, status tersebut muncul di akaunnya pada jam 8.33 pagi dan panggilan kecemasan yang diterima adalah pada jam 8.34 pagi. Hasil siasatan pada aktiviti di laman sosialnya juga mendapati Sanford pernah memuatnaik gambar ‘selfie’ sewaktu sedang memandu. Wanita itu mati serta-merta dalam kemalangan itu, manakala pemandu lori, John Wallace Thompson, 73, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pelakon Veteran Sidek Hussain Meninggal Dunia
Kuala Lumpur - Pelakon veteran Sidek Hussain, 63, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 11.55 malam tadi, akibat kanser tahap empat. Sidek dimasukkan ke HKL pada 30 Mac lalu sejurus pengsan di ibu negara ketika membeli barang untuk cucunya dan hasil pemeriksaan doktor mengesahkan ketumbuhan pada pipinya sejak lebih tiga dekad lalu itu sejenis kanser pada bulan ini. Ketumbuhan yang mencapai berat dua kilogram itu pada peringkat permulaannya muncul ketika Sidek berusia dalam lingkungan 20-an. Pada Jun lalu, Sidek sempat mengerjakan umrah dan dia mengalami susut berat badan serius serta semakin lemah berikutan hilang selera makan. – Harian Metro
GAMBAR: Lelaki Letup Kekasih Hamil Di China!
Beijing – Seorang lelaki menculik kekasihnya berusia 21 tahun yang sarat mengandung sebelum mengikat kanister gas pada belakangnya yang dinyalakan apabila polis datang menyelamatkan wanita berkenaan. Li Moulian, 36, mengheret Xu Fan, 21, yang sedang tidur dari katilnya dan disumbat ke belakang keretanya sebelum dia mencederakan wanita berkenaan dengan kejam di Huizhou, wilayah Guangdong di selatan China. Akibatnya pasangan itu terlantar sebelah-menyebelah di hospital manakala doktor berusaha menyelamatkan kedua-duanya. Namun ajaibnya, bayi dikandung Xu terselamat walaupun kecederaan dialami wanita terbabit begitu teruk. Xu dipercayai mengandung selepas hubungan satu malam dengan Li, namun pasangan itu bersetuju terus menjalin hubungan, malah memilih untuk tinggal bersama. Bagaimanapun, Li dipercayai tertekan selepas enam bulan. Dia menyerang Xu ketika tidur, malah mengugut berkali-kali akan membunuhnya. Dia memandu di sekitar bandar itu sebelum dijejaki polis yang dihubungi jiran selepas melihat Xu diheret ke dalam kereta teman lelakinya itu, namun ketika itu Li sudah meletupkan kanister gas berkenaan. Anggota polis berjaya menarik Xu keluar dari kereta itu sebelum memadamkan api dan membawa kedua-duanya ke hospital untuk rawatan. Kecederaan dialami Li amat serius dan dia tidak dijangka dapat diselamatkan. Bapa saudara Xu, Wu Chin, 47, berkata, keluarganya pernah menasihatkan wanita itu supaya berhati-hati dalam hubungannya dengan Li. – Agensi
PAS Hilang Ketegasan Laksana Hudud?
KUALA LUMPUR – Ketegasan PAS mahu melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan mula tenggelam berikutan tentangan hebat yang diterima daripada golongan penentang terutama sekutunya parti DAP. Perkara itu boleh dilihat apabila PAS membuat kenyataan yang seakan-akan tunduk kepada bantahan tersebut hari ini. Ketua Penerangannya, Datuk Mahfuz Omar dalam satu kenyataan berkata, PAS tidak akan melaksanakan undang-undang itu sekiranya ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. “Apa jua agenda dan dasar yang hendak di bawa PAS, ia tidak akan di laksanakan secara ‘pintu belakang’ melalui cara-cara yang diluar daripada kaedah Perlembagaan dan undang-undang. “Jika ketentuan proses demokrasi tersebut tidak menyebelahi kehendak PAS, kami akan akur dan bersedia menerima apa jua keputusan,” katanya hari ini. Mahfuz turut mengakui, PAS sebenarnya mempunyai pilihan untuk menguatkuasakan enakmen tersebut di Kelantan kerana ia telah diluluskan melalui proses perundangan yang sewajarnya dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu lebih 20 tahun lalu. Namun, katanya, PAS menyedari langkah itu perlu juga mendapat legitimasi demokrasi selain menghormati ketetapan komponen pakatan pembangkang yang tidak bersetuju dengan undang-undang tersebut. Jelasnya, kerjasama yang dibina dalam pakatan pembangkang berteraskan kepada agenda-agenda yang dipersetujui bersama yang bilangannya jauh lebih banyak jika dibandingkan dengan agenda tunggal hudud. Oleh itu, katanya, PAS tidak mempunyai sebab untuk memusuhi rakan dalam pakatan pembangkang sekiranya mereka tidak bersetuju dengan hudud dan mereka berhak tidak menyokong rang undang-undang yang akan PAS bawa di Parlimen kelak. “Perbezaan dalam soal hudud dengan rakan pakatan terlalu kecil jika dibandingkan dengan komitmen dan iltizam pakatan membawa perubahan yang lebih baik dalam pemerintahan negara,” tambahnya. Beliau bagaimanapun tetap meminta semua pihak yang menentang pelaksanaan undang-undang hudud termasuk DAP supaya menghormati hak parti itu untuk membentangkan rang undang-undang berkaitan di Parlimen nanti. Malah, katanya, PAS bersedia berdialog dengan mana-mana pihak yang ingin mendapatkan penjelasan atau memberikan kritikan, teguran atau pandangan terhadap rang undang-rang undang yang ingin dibentangkan tersebut. Kepimpinan DAP sebelum ini pernah mengugut PAS supaya keluar daripada pakatan pembangkang jika berdegil untuk meneruskan rancangan melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan.
Pak Guard Didakwa Bunuh Rakan Sekerja
KUALA LUMPUR – Seorang pengawal keselamatan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh rakan sekerjanya, Selasa lepas. Muhammad Azry Muhammad Yusoff, 34, didakwa membunuh Mohd Johar Abu Hassan, 30, di 888-4-17, Flat Abdullah Hukum, Jalan Bangsar, Brickfields, di sini antara pukul 6.30 pagi dan 8 pagi, 22 April tahun ini. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. Tiada pengakuan direkodkan daripada Muhammad Azry semasa pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Erry Shahriman Nor Aripin. Mahkamah menetapkan 30 Jun ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik. Sementara itu di mahkamah sama, seorang lelaki warga Myanmar, Mohd Jaafar Mohd Jalal, 43, didenda RM800 atau empat bulan penjara selepas mengaku bersalah dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada rakan senegaranya awal bulan lepas. Dia didakwa menumbuk muka Ba Htin, 46, sehingga mengalami kesakitan dan luka, di kawasan berhampiran kedai runcit Mohammed Ali, di Kampung Cheras Baru, Cheras, di sini, pukul 11.45 malam, 6 April lepas. Mohd Jaafar, yang bekerja sebagai pemotong daging, didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya. Mengikut fakta kes berlaku pertengkaran antara tertuduh dan mangsa sehingga menyebabkan mangsa yang merupakan pekerja ladang ditumbuk menggunakan tangan kanan dan mengalami kecederaan di hidung. Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa memohon mahkamah menjatuhkan hukuman sewajarnya sebagai pengajaran kepada tertuduh kerana dia telah melakukan kekerasan terhadap mangsa. Bagaimanapun, Mohd Jaafar yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda kerana dia merupakan penanggung utama keluarga yang menyara isteri dan tiga orang anaknya. – BERNAMA
Aksi Panas Pelajar Sekolah Di KFC
Tak tahulah nak cakap apa mengenai tingkah laku dan sikap pelajar sekolah di zaman serba moden dan canggih ni. Semakin hilang rasa malu apabila secara terang-terangan berani melakukan aksi terkutuk di tempat awam sambil seorang rakan mereka menjadi pengawal untuk ‘cover line’ aksi panas mereka. Gambar tersebut dirakamkan oleh seorang pengunjung di KFC cawangan Sungai Besi, Kuala Lumpur yang menceritakan secara jelas aksi tak senonoh pelajar tersebut kepada Malaysia Gazette. “Selepas duduk rapat-rapat, mereka mula raba-meraba. Selepas itu sambil berselubung dengan jaket, mereka mula beraksi ganas, siap bunyi mengerang lagi,” katanya. Menurut pengunjung itu lagi, pasangan remaja tersebut sempat memadu asmara selama 20 minit sebelum dihalau petugas premis selepas pengunjung tersebut membuat aduan di kaunter kedai makanan segera popular itu.
AUDIO: Maki Selepas Penipuan Terbongkar
PERNAHKAH anda dihubungi oleh pihak yang kononnya mewakili bank-bank tertentu yang bertanyakan mengenai tarikh luput kad dan ‘Card Verification Value’ (tiga digit nombor terakhir) di belakang kad kredit atau kad ATM anda? Pelbagai alasan diberikan oleh sindiket ini untuk mendapatkan maklumat ini termasuklah untuk semakan semula atau tawaran menarik dari pihak bank. Tahukah anda, dengan maklumat ini, mereka boleh membuat pengeluaran wang menerusi akaun kita tanpa disedari? Biasanya, mangsa hanya menyedari tertipu jika apa yang dijanjikan tidak kunjung tiba dan wang dalam akaun mereka tiba-tiba lesap. Tapi, tidak semua orang mampu ditipu oleh sindiket ini seperti dalam rakaman audio yang kami kongsikan ini. Seorang lelaki yang berjaya mengenakan wanita yang kononnya dari sebuah bank bertanyakan maklumat kad debitnya dengan memberi maklumat palsu. Akibatnya, wanita tersebut ‘naik hantu’ sehingga menyebut perkataan kurang sopan termasuklah ‘bodoh’ selepas menyedari penipuannya terbongkar. Padan muka!
Al-Jazeera Ambil Tindakan Ke Atas Kerajaan Mesir
KUALA LUMPUR – Rangkaian berita, Al-Jazeera mahu mengambil tindakan undang-undang antarabangsa ke atas kerajaan interim Mesir. Al-Jazeera dalam satu kenyataan media mendakwa, organisasi itu mengalami kerugian kira-kira 150 juta dolar akibat pendekatan kerajaan negara tersebut. “Al-Jazeera berhadapan kempen gangguan, ugutan dan halangan penyiaran oleh pasukan keselamatan Mesir termasuk pejabat diserang, ditutup dan peralatan dirampas. “Anggaran kerugian lebih 150 juta dolar. Jika tiada penyelesaian terbaik dicapai selepas tempoh enam bulan, kami akan membawa kes ini kepada pihak antarabangsa,” kata kenyataan itu hari ini. Al-Jazeera turut mendakwa empat kakitangannya masih ditahan di penjara Mesir Abdullah ElShamy sejak Ogos 2013 serta Peter Greste, Baher Mohamed dan Mohammed Fahmy sejak Disember 2013.
CEC DAP Tolak Undang-Undang Hudud Di Kelantan
KUALA LUMPUR – Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP malam tadi sebulat suara mengeluarkan beberapa resolusi menolak rancangan PAS untuk melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan. Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, antara resolusi itu adalah DAP kekal dengan pendirian bahawa hudud bercanggah dengan Perlembagaan Negara dan semangat kemerdekaan negara. “Resolusi itu turut menegaskan rancangan melaksanakan undang-undang hudud PAS bukan polisi pakatan kerana DAP tidak pernah bersetuju dengan pelaksanaan undang-undang itu selama ini. “Resolusi juga mengesahkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang salah apabila menyatakan pakatan dan DAP telah bersetuju melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan atau Terengganu pada tahun 2011,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini. Guan Eng turut memaklumkan, pimpinan DAP akan bertemu dengan pemimpin PAS berhubung perkara itu, namun menegaskan mereka sama sekali tidak akan berbincang tentang kewajaran melaksanakan undang-undang itu. Menurutnya, DAP akan turut memaklumkan PAS tentang risiko-risiko yang akan dihadapi parti itu sekiranya meneruskan rancangan untuk melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan. Risiko itu adalah risiko kehilangan sokongan kehilangan sokongan bukan Islam, risiko perpecahan pakatan pembangkang, risiko kehilangan kehilangan kerusi yang dimenangi dengan sokongan bukan Islam. Selain itu, mesyuarat CEC DAP malam tadi turut mengeluarkan resolusi calon parti itu dalam pilihan raya kecil Bukit Gelugor akan ditentukan oleh Tan Kok Wai dan Lim Kit Siang. “Walaupun keutamaan diberikan kepada senarai calon yang dicadangkan Jawatankuasa Negeri DAP Pulau Pinang, adalah hak Jawatankuasa Pemilihan Calon DAP untuk mempertimbangkan calon-calon lain yang dicadangkan,” katanya.
VIDEO: Bila Sukarelawan Polis Maki Polis Trafik
GELENG kepala dibuatnya tatkala menonton video yang dikongsikan di Facebook Nescafeais.com ini. Seorang lelaki yang mendukung anak kecil dengan sewenang-wenangnya memaki-hamun anggota polis trafik yang bertugas mengawal lalu lintas sewaktu pesta Reggata Lepa di Sabah, baru-baru ini. Khabarnya dia tidak berpuas hati kerana tidak dibenarkan meletakkan kenderaan di tepi jalan dengan alasan hanya mahu keluar sebentar. Menerusi komen yang diterima, ada pihak yang mengatakan bahawa lelaki itu sebenarnya sukarelawan polis. Jika benar, seharusnya dia faham akan tugas anggota polis lain. Melucukan apabila dia meminta polis yang bertugas untuk bercakap elok-elok sedangkan dia sendiri yang menjerit dan meninggikan suara kepada mereka. Hai, macam manalah nak mendidik anak kalau ibu-bapa sendiri sudah terang-terangan menunjukkan contoh yang tidak baik…
VIDEO: Pemain Barcelona Selamba Makan Pisang Yang Dibaling Penonton!
PEMAIN pertahanan Barcelona, Dani Alves ternyata mempunyai cara yang tersendiri untuk ‘membalas’ provokasi penonton yang menyaksikan perlawanan bola sepak antara pasukan itu dan Villarreal, semalam. Entah dari mana, sebiji pisang tiba-tiba dilontarkan oleh penonton ke arahnya sewaktu dia sedang bersedia melakukan sepakan sudut. Tidak membiarkannya, dia dengan selamba mengutip dan mengupas kulit pisang itu sebelum memakannya. Dia kemudiannya meneruskan permainan dan Barcelona menang 3-2 pada perlawanan itu. “Saya tak tahu siapa yang mencampakan pisang itu, tapi saya mahu berterima kasih kepadanya. Ia memberikan saya tenaga untuk membantu pasukan menambahkan dua lagi gol,” ujarnya sejurus selepas perlawanan. Sebagai tanda sokongan, rakan sepasukannya, Neymar dan juga kekasih Alves, Thaissa Carvalhi telah ‘menyindir’ pihak yang membaling pisang itu menerusi laman Instagram dengan memuatnaik gambar mereka memegang pisang dengan hashtag #weareallmonkeys (kami semua monyet) dan #saynotoracism (katakan tidak pada perkauman).
Lagi Percubaan Penculik Memasuki Sabah, Kali Ini Berjaya Dipatahkan!
Sekumpulan penculik dari selatan Filipina yang cuba memasuki negara ini melalui perairan Semporna dikatakan terpaksa mengubah haluan ke perairan negara jiran di utara Sabah selepas gagal menembusi kawalan ketat di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone). Sehubungan itu mereka bertindak melakukan jenayah penculikan di negara mereka sendiri iaitu di kawasan perairan antara Pulau Cagayan dan Pulau Palawan, kata Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Mohammad Mentek. Beliau berkata berdasarkan maklum balas bahagian risikan, kumpulan penjenayah yang menggunakan kapal layar tersebut berjaya menculik dua pelancong asing di situ minggu lepas. Katanya beliau telah mengarahkan anggota pasukan keselamatan di ESSZone yang membabitkan 10 daerah dari Kudat hingga Tawau supaya bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan. “Kita memandang serius kes cubaan masuk kumpulan penculik yang terbaharu ini melalui perairan Semporna. Kita tidak mahu kes penculikan di Singamata Resort pada 2 April lepas berulang. “Semua pasukan keselamatan ESSCom diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga di sepanjang perairan pantai timur Sabah,” katanya dalam satu kenyataan Isnin. Sementara itu Mohammad berkata pihak berkuasa keselamatan Filipina kini menghampiri lokasi dua wanita yang diculik di Singamata Reef Resort disembunyikan dan berusaha untuk melakukan yang terbaik bagi menyelamatkan mereka. Kedua-dua mereka berada dalam keadaan sihat. “Pihak keselamatan Filipina sedang menghampiri kawasan di mana mangsa culik disembunyikan dan sedang berusaha menyelamatkan mereka tanpa dicederakan. “Pegawai ESSCom juga pergi ke sana hingga ke kepulauan Jolo dan pegawai kita telah berbincang dengan bahagian risikian Filipina untuk menyelamatkan mangsa,” katanya. Beliau berkata berdasarkan maklum balas risikan, warga China itu Gao Hua Yuan, 29, dari Shanghai dibenarkan hampir setiap hari membuat panggilan telefon kepada anggota keluarganya. Pelancong China itu dan pekerja resort tersebut warga Filipina, Marcy Dayawan, 40, diculik sekumpulan tujuh lelaki bersenjata kira-kira pukul 10.30 malam pada 2 April lepas dan meminta wang tebusan. - BERNAMA
Syarikat Australia Percaya Mungkin Temui Bangkai MH370!
Sebuah syarikat penerokaan Australia mendakwa ia menemui bangkai pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang, enam minggu selepas ia meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk ke Beijing pada 8 Mac lalu. GeoResonance yang berpangkalan di Adelaide pada Isnin berkata, ia mula melakukan pencariannya sendiri terhadap pesawat Boeing 777 pada 10 Mac lalu dan mengesan kemungkinan bangkai pesawat itu di Teluk Bengal, kira-kira 5,000 kilometer dari lokasi carian semasa di selatan Lautan Hindi dekat Perth. Pencarian GeoResonance itu meliputi 2,000,000 kilometer persegi zon kemungkinan berlakunya nahas, menggunakan imej yang diperolehi dari satelit dan pesawat, dengan pakar-pakar sains syarikat itu menumpukan usaha mereka di utara dari lokasi terakhir MH370 yang diketahui, menggunakan lebih 20 teknologi untuk menganalisis data yang termasuk reaktor nuklear. Menurut jurucakap syarikat itu, David Pope, “Teknologi yang kita gunakan pada asalnya direka untuk mencari kepala peledak nuklear, kapal selam. Pasukan kami di Ukraine memutuskan kita perlu mencuba dan membantu.” Pope menambah bahawa GeoResonance telah membandingkan penemuan mereka dengan imej yang diambil pada 5 Mac lalu, tiga hari sebelum MH370 dilaporkan hilang dan mereka tidak mencari apa yang dikesan mereka di tempat itu. “Bangkai itu tidak ada sebelum kehilangan MH370. Kita bukan cuba untuk mengatakan bahawa ia adalah pasti MH370, bagaimanapun ia merupakan petunjuk yang harus kita ikuti,” kata Pope. Sementara itu, seorang lagi jurucakap GeoResonance, Pavel Kursa menambah, beberapa elemen yang terdapat dalam pesawat komersial itu dikesan di kawasan Teluk Bengal. “Kami mengenal pasti unsur-unsur kimia dan bahan-bahan yang membentuk satu Boeing 777… ianya adalah aluminium, titanium, tembaga, aloi keluli dan bahan-bahan lain,” kata Kursa dalam satu kenyataan yang dilaporkan oleh saluran berita Australia 7News . MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 12.41 pagi 8 Mac lalu dan hilang dari skrin radar kira-kira sejam kemudian, ketika berada di ruang udara Laut China Selatan. Ia sepatutnya tiba di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama. Satu operasi pencarian antarabangsa dilakukan bagi mencari pesawat yang hilang, dengan yang pertama di Laut China Selatan dan kemudian selepas ia dikatakan menyimpang dari laluan penerbangan, pencarian beralih ke dua koridor, meliputi koridor utara dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand dan koridor selatan, dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi. Susulan analisis data satelit yang belum pernah belaku sebelum ini, syarikat telekomunikasi satelit Inmarsat dan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom membuat kesimpulan bahawa pesawat MH370 terbang ke koridor selatan, dan kedudukan terakhirnya di tengah Lautan Hindi di barat Perth. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kemudian pada 24 Mac, 17 hari selepas kehilangan pesawat itu, mengumumkan bahawa pesawat MH370 telah “berakhir di selatan Lautan Hindi”.
Suspek Militan Wanita Ditahan – Zahid
KUALA LUMPUR – Seorang wanita dipercayai terbabit dalam kegiatan militan di dalam dan luar negara ditahan di sini pagi tadi, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid. Penahanan hari ini itu menjadikan keseluruhan 10 individu ditahan setakat ini. Mereka dikatakan mempunyai kaitan dengan kumpulan militan luar negara. – Berita Harian
Fiza Elite Dan Adam AF Bercerai Kerana Instagram?
TUJUH bulan. Itulah tempoh perkahwinan pasangan Fiza Elite dan Adam AF sebelum kedua-duanya sah bercerai dengan talak satu semalam di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, semalam. Dalam tempoh yang singkat itu, rumahtangga mereka sebenarnya sudah mula goyah sejak empat bulan lalu, memetik mStar Online. Siapa sangka, laman sosial Instagram adalah antara punca keretakan hubungan mereka. Menurut Fiza, dia bertindak membuang gambar bersama mereka di Instagram apabila terlalu banyak spekulasi yang mengatakan rumahtangga mereka bermasalah. Ia sekaligus menambahkan lagi andaian bertalu-talu daripada para peminat dan telah menyebabkan kedua-dua mereka turut bergaduh. Pada masa yang sama, Fiza menafikan perceraian itu terjadi kerana masalah kewangan Adam kerana bekas suaminya itu telah membantu menghulurkan wang untuk pembedahan ayahnya. Tapi, secara logiknya, kalau hubungan mereka tidak bermasalah sebelum ini, mengapa Fiza perlu membuang gambarnya bersama Adam? Atau mungkin ada punca yang lebih besar yang mendorong kepada tindakan Fiza membuang gambar Adam di akaun sosialnya itu? Hmm..hendak fikir dalam-dalam pun rasanya sudah tak perlu sebab keputusan sudahpun dibuat. Apa pun, kami yakin peminat masih berharap untuk melihat pasangan ini bersatu semula jika jodoh mereka masih panjang…
HUDUD: Pas Perlu Bincang Dulu Dengan PKR – Anwar
Malaysia masih belum mempunyai institusi yang sesuai untuk melaksanakan hukum hudud Islam, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ketua pembangkang itu berkata, ekoran perkara itu, PAS seharusnya berbincang bersama rakan komponen mereka daripada Pakatan Rakyat (PR) sebelum membentangkan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 di Parlimen. “Kita tidak boleh membayangkan situasi apabila kita cuba laksanakan sesuatu yang kita anggap penting kepada agama, sedangkan tiada institusi untuknya,” kata Anwar ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini. Anwar berkata, sistem kehakiman di negara ini juga masih mempunyai kelemahan dari aspek perundangannya, sekaligus menyukarkan ?implementasi hudud di mahkamah. “Kita tidak boleh bicara soal hudud sedangkan sistem penghakiman kita masih tidak bebas. Saya boleh kemukakan banyak? contoh, termasuk Mahkamah Syariah. “Siapa yang akan laksanakan hudud? Hakim bagaimana? Adakah mereka bebas?” katanya kepada pemberita apabila disoal tentang persediaan Malaysia untuk melaksanakan hudud. Pemimpin pembangkang itu juga berkata, PAS perlu membawa isu hudud kepada perbincangan Majlis Pimpinan PR bagi menjelaskan semua isu tersebut. “Dan tentunya dalam soal hudud ini, pendirian PAS yang konsisten menjadi kontroversi kerana mahu membawa rang undang-undang persendirian ke Parlimen. “Sebab itu kita putuskan ia dibincangkan di Majlis Pimpinan PR,” kata Anwar kepada pemberita. – The Malaysian Insider
VIDEO: Pengalaman Ngeri Penunggang Motor Langgar Babi Hutan!
KADANG-KADANG, kemalangan jalan raya tidak hanya berpunca dari kecuaian pemandu atau oleh kenderaan lain semata-mata. Ia juga boleh dicetuskan oleh faktor lain termasuklah haiwan liar, terutamanya di jalan-jalan sunyi. Video ini dikongsikan oleh seorang penunggang motosikal yang mengalami kemalangan di Jalan Mersing, Johor Bahru, semalam. Penyebabnya, seekor babi hutan yang tiba-tiba melintas jalan. Akibatnya, mangsa tidak sempat mengelak dan terus melanggar haiwan itu sehingga dia jatuh dan tercampak ke atas jalan. Menurutnya, dia bernasib baik kerana kereta yang lalu di kawasan itu berjaya mengelak daripada melanggarnya. Mangsa hanya mengalami kecederaan ringan, manakala babi hutan itu mati serta-merta.
Adam AF Dan Fiza Elite Sah Bercerai Talak Satu!
Sah bercerai talak satu! Itulah jawapan untuk spekulasi yang melanda pasangan Adam AF dan Fiza Elite sejak beberapa minggu lalu. Lafaz talak itu diucapkan oleh Adam di hadapan Hakim Syarie Moh Nazri Basrawi di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada jam 1.05 tengah hari tadi, memetik Harian Metro. Bagaimanapun, punca masalah sehingga menyebabkan perceraian itu tidak diketahui kerana semua wartawan diminta untuk keluar atas permintaan Fiza. Alasannya, dia seorang artis dan tidak mahu masalah rumahtangga mereka diketahui umum. Turut hadir sewaktu prosiding, rakan baik Fiza iaitu Azza Elite. Kami yakin dengan berita ini, ramai peminat yang turut bersedih atas kehancuran rumahtangga yang dibina tidak sampai setahun itu. Apa pun, jika inilah penyelesaian yang terbaik, doakan saja kedua-dua terus tabah menghadapi dugaan besar ini.
Fara Fauzana Kini Dalam Proses Untuk Berhijab, Nafi Kerana Mahu Kahwin
Menerusi gambar beliau di laman sosial sejak kebelakangan ini, peminat boleh melihat yang Fara Fauzana sudah mula menggayakan selendang untuk menutup sebahagian kepalanya dan ada juga cakap cakap mengatakan beliau bakal berhijap tidak lama lagi. Ketika hadir ke majlis kemuncak Kunci AM Krew yang berlangsung di Berjaya Times Square baru baru ini, Fara Fauzana turut mendapat perhatian media kerana sekali lagi tampil berselendang & berkata beliau dalam proses untuk berhijab penuh. “Saya tidak tahu bagaimana untuk memberi komen kerana tidak mahu ada pihak memberikan persepsi yang lain kepada saya. Secara peribadi, memang saya dalam proses untuk ke arah itu. Saya mengharapkan agar peminat-peminat mendoakan yang terbaik untuk saya” Bercakap kepada sebuah portal hiburan GUA, Fara Fauzana turut berkata yang beliau tidak mahu orang luar keliru dengan penampilannya sebelum ini dan lebih gemar berdiam diri apabila diajukan soalan tentang bertudung ini namun sekarang sudah bersedia untuk memberikan komen. “Umur saya sudah mencecah 30-an, ianya bukan satu perkara yang begitu mengejutkan. Saya sendiri sudah lama menyimpan niat, namun secara perlahan-lahan ianya datang kepada saya sekarang. Saya belajar untuk menjadi lebih bersabar dan tidaklah ‘seganas’ dulu” Namun Fara Fauzana menafikan yang perubahan positif beliau ketika ini mempunyai kaitan dengan kemungkinan untuk berumah tangga namun penyampai radio popular ini tidak menolak jika sudah tiba jodoh. Belum ada calon katanya.
Fara Fauzana Sedang Dalam Proses Berhijab?
JIKA anda mengikuti akaun Instagram pengacara dan penyampai radio popular, Fara Fauzana, anda mungkin perasan perubahan yang berlaku menerusi gambar terbarunya. Fara dilihat mula mengenakan menyarungkan selendang di kepalanya termasuklah ketika menghadiri majlis kemuncak Kunci AM Krew di Berjaya Times Square, baru-baru ini. Adakah Fara sedang cuba membiasakan dirinya untuk berhijab? Jawapannya, ya! Memetik laporan GUA, dia mengakui dirinya sedang dalam proses untuk berhijab perlahan-lahan. Menurutnya lagi, dia sudah lama menyimpan niat untuk berhijab dan sudah mula mengenakan selendang sejak sebulan lalu. “Umur saya pun sudah mencecah 30-an, jadi ianya bukan satu perkara yang begitu mengejutkan. Saya sendiri sudah lama menyimpan niat, namun secara perlahan-lahan ianya datang kepada saya sekarang. Saya belajar untuk menjadi lebih bersabar dan tidaklah ‘seganas’ dulu,” ujarnya. Kami tabik dengan niat baik Fara itu. Bak kata orang, pelan-pelan kayuh. Kepada peminat, doakan agar suatu hari nanti hati Fara akan terbuka untuk berhijab sepenuhnya.
Malaysia Tidak Akan Berjaya Kecuali Peluang Setara Diberi Kepada Bukan Islam, Kata Obama
Malaysia perlu memastikan masyarakat bukan Islam di negara ini mendapat peluang yang sama seperti majoriti penduduk beragama Islam jika negara Asia Tenggara itu mahu terus makmur, kata Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama, dalam lawatannya ke Malaysia, 48 tahun selepas presiden terdahulu negara itu datang ke sini. “Malaysia tidak akan berjaya jika bukan Islam tidak mendapat peluang yang sama,” katanya dalam majlis pertemuan dua hala untuk belia Asean di Dewan Tunku Canselor di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, hari ini. Obama berkata, masyarakat bukan Islam di Malaysia pada masa ini berdepan permusuhan, dan ada yang rasa tertindas. “Sepatutnya tidak ada alasan untuk diskriminasi, dan anda perlu memastikan anda menentang perkara ini dalam kehidupan harian. “Dan apabila anda mula menjadi pemimpin, anda perlu berada di pihak politik yang membawa rakyat bersatu, bukan memisahkan mereka,” katanya. Obama berkata demikian ketika menjawab soalan daripada seorang belia Myanmar mengenai faktor kerjasama yang boleh membawa Asean bersatu memandangkan negara Asean mempunyai kepelbagaian dan perbezaan. Beliau berkata, sumber konflik terbesar dan peperangan serta kesukaran yang dilalui di dunia berpunca daripada masyarakat yang memberikan layanan berbeza kepada mereka yang tidak sama seperti mereka. Katanya, situasi di Myanmar sekarang ialah negara itu melalui perubahan selepas berdekad ditindas kerajaan, dan negara itu kini cuba untuk bersikap lebih terbuka. “Namun, bahayanya sekarang ialah mereka sedang mendemokrasikan, akan ada kumpulan dalam Myanmar yang mungkin menyusun diri mereka secara politik dengan identiti agama atau etnik, bukan berpegang kepada prinsip keadilan atau undang-undang dan demokrasi. Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama melihat belia yang bertanya soalan kepadanya dalam majlis pertemuan dua hala dengan belia Asean di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, semalam. – Gambar Reuters “Dan anda sebenarnya boleh lihat konflik yang akan membawa Myanmar ke arah yang tidak baik,” katanya dan menambah salah satu masalah di Myanmar ialah hak golongan minoriti masyarakat Islam di negara itu tidak dilindungi. Obama berkata, situasi itu bukan berlaku di Myanmar sahaja, kerana di Malaysia, yang mempunyai populasi masyarakat Islam, ada keadaan di mana mereka yang bukan Islam mendapati diri mereka berdepan dengan permusuhan. Katanya, di AS sendiri, mengikut sejarahnya, konflik terbesar timbul mengenai kaum, tetapi selepas beberapa generasi, keadaan itu diperbaiki, sehingga satu tahap, beliau boleh dipilih menjadi presiden. “Kita semua, dalam diri kita ada rasa bias dan prejudis terhadap orang lain yang tidak sama seperti kita atau mereka yang tidak dibesarkan dengan keimanan yang sama atau datang daripada latar belakang berbeza, tetapi dunia semakin mengecil. “Anda boleh berfikir seperti itu ketika tinggal berasingan di kampung-kampung dan puak berbeza dan tidak perlu ada hubungan komunikasi antara satu sama lain. “Tetapi dengan adanya internet dan telefon pintar, budaya saling bercanggah, tidak ada negara yang boleh berjaya jika ada sebahagian populasinya diketepikan dan didiskriminasi,” katanya. Katanya, perkara yang serupa boleh berlaku kepada negara ini, Malaysia tidak akan berjaya jika masyarakat bukan Islam tidak diberi peluang, dan perkara yang sama boleh berlaku di Myanmar jika populasi Islam terus tertindas. “Malaysia tidak akan berjaya jika bukan Islam tidak mendapat peluang yang sama adil, Myanmar tidak akan berjaya jika populasi Islam di sana terus ditindas. “Tidak ada masyarakat yang akan berjaya jika separuh daripada populasi wanita anda tidak menerima pendidikan dan peluang pekerjaan yang sama seperti lelaki,” katanya. Sehubungan itu, beliau menyeru belia untuk meraikan budaya dan bangga dengan diri sendiri, dan pada masa sama menghargai perbezaan dalam bahasa, makanan dan bagaimana seseorang mempunyai cara berbeza dalam keimanan kepada Tuhan, serta menambah perbezaan itu adalah perkara yang patut dibanggakan dan bukan alat untuk memandang rendah kepada orang lain. Beliau juga meminta generasi baru untuk cuba “berada di tempat seseorang yang berbeza dan melihat daripada kaca mata mereka”. Obama berkata, hampir semua agama mengajar prinsip asas “berbuat baik kepada orang lain seperti mana anda mahu orang lain berbuat baik kepada anda” dan “beri layanan yang baik seperti mana anda mahu dilayan”. “Jika anda tidak berbuat demikian, maka maknanya kita berpatah balik, bukan terus maju ke depan dan ini adalah benar untuk masyarakat seluruh dunia,” katanya di depan kira-kira 700 belia dan wakil persatuan awam. – The Malaysian Insider
Sembilan Individu Disyaki Militan Ditahan Bahagian Anti Pengganas, Bukit Aman
PETALING JAYA – Cawangan Khas (Bahagian Anti Pengganas) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menahan sembilan individu yang disyaki terlibat dengan aktiviti militan di negara ini. Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kenyataannya berkata, , kesemua mereka yang ditangkap di beberapa lokasi yang berasingan iaitu di Kedah dan Selangor, dalam lingkungan umur di antara 22 hingga 55 tahun. “Kesemua individu terbabit disyaki terlibat dalam kumpulan militan yang bertanggungjawab merancang perbuatan ganas di dalam dan di luar negara. “Mereka turut disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas yang beroperasi di luar negara,” katanya. Tambahnya, sebahagian daripada individu yang ditahan dikesan telah menjalani perjumpaan sulit bagi memantapkan ideologi militan, mengumpul dana dan latihan ala ketenteraan sebagai persiapan untuk melakukan keganasan. Mereka ini ditahan kerana melakukan kesalahan dibawah VIA kesalahan berkaitan dengan keganasan, Akta Kanun Keseksaan (Akta 574) dan kesemuanya disiasat mengikut prosedur dibawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Akta 747). - mStar Online
Pesawat Latihan Terhempas Di Pengkalan Chepa
PETALING JAYA – Sebuah pesawat latihan terhempas berhampiran Taman Kurnia Jaya dekat Pengkalan Chepa, Kelantan pada Isnin. Keadaan juruterbang yang diselamatkan selepas pesawat ringan yang dipandunya terhempas di Pengkalan Chepa. Maklumat awal mendapati juruterbang pelatih pesawat berkenaan cedera parah. Tiada kecederaan membabitkan orang awam dilaporkan akibat insiden berkenaan. Dipercayai pesawat itu milik Asia Pasific Flight Training. - mStar Online
HUDUD: Potong Tangan Tanpa Anestesia Tidak Boleh Dilakukan Pakar Bedah – IMAM
Pakar bedah tidak boleh melakukan pemotongan untuk pelaksanaan hudud kerana hukuman seperti itu mesti dilakukan tanpa anestesia, kata Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM). Dalam kenyataannya kepada Malaysiakini, Presiden IMAM Prof Datuk Dr Abdul Rahim Mohamad (kanan) berkata, pemotongan anggota badan tanpa anestesia bertentangan dengan sumpah pakar perubatan. “Para doktor, yang memotong anggota badan berpenyakit, melakukannya menggunakan anestesia supaya tidak menyakitkan. “Moral hukuman hudud untuk memberikan kesakitan, ketakutan, penyesalan dan taubat kepada pesalah sebagai pengajaran untuk tidak mengulangi jenayah dan hukuman terbuka menjadi penghindar kepada salah laku jenayah sama di masa akan datang,” katanya. Justeru, katanya, penggunaan anestesia menghalang maksud sebenar pelaksanaan hudud. IMAM bagaimanapun mengakui terdapat perbezaan pandangan antara mazhab berhubung peranan doktor dalam pelaksanaan hudud dan mereka terbuka kepada perbincangan. – Malaysiakini.com
Harta Karun Di Pulau Nangka, Melaka? Rabu Ini SEGALA PERSOALAN Bakal Terjawab!
Persoalan tentang kewujudan harta karun peninggalan zaman Kesultanan Melayu Melaka yang dianggarkan bernilai berbilion ringgit di Pulau Nangka bakal diketahui Rabu ini. Exco Kerja Raya, Kemudahan Awam, Pengangkutan dan Pemulihan Projek Melaka Datuk Abdul Ghafaar Atan berkata kerja-kerja mengorek dinding batu di kawasan dipercayai merupakan pintu tempat simpanan harta karun itu kini siap 90 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Rabu ini. “Kita percaya pintu ini akan berjaya dibuka dalam tempoh dua hari lagi seterusnya dapat memberi jawapan sama ada harta karun tersebut benar-benar wujud atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak pencarian harta karun di Pulau Nangka di sini, Isnin. Beliau berkata kerja-kerja pencarian harta karun tersebut dijalankan syarikat Smart Partnership International (M) Sdn Bhd melalui kontrak selama empat bulan bermula Januari lepas hingga 30 April ini. Katanya jika syarikat terbabit gagal menyelesaikan kerja-kerja mengorek tersebut dalam tempoh kontrak, kerajaan negeri akan menyerahkannya kepada syarikat lain. “Jika Smart Partnership International berjaya membuka pintu ini dan tidak menemui sebarang artifak, kita akan memberi mereka lanjutan masa untuk proses pencarian harta karun,” katanya. Sementara itu, Pengarah Urusan syarikat berkenaan Mohammad Foad Khushairy Mohd Said berkata pihaknya menjalankan kerja-kerja menebuk dinding batu secara intensif selama 24 jam sehari melibatkan 36 pekerja. “Sehingga kini, kami masih belum menemui apa-apa tanda dan jika sebarang artifak atau harta tersebut ditemui kami akan maklumkan segera dalam satu sidang akhbar khas,” katanya. Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Shah Gzali Khan Shahadat berkata pihaknya melalui Polis Marin dan Pasukan Gerakan Am akan bertugas menjaga kawasan tersebut jika terdapat penemuan artifak atau harta berkenaan. Pulau Nangka merupakan sebuah pulau tidak berpenghuni berkeluasan kira-kira 20 hektar dan terletak 4 kilometer dari Pulau Besar, Jasin. – BERNAMA
Labels:
Berita Terkini
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment