Tuesday, April 1, 2014

Berita Terkini 01 April 2014

Ingatan kabur dirempuh motor
“Hanya Allah yang tahu betapa bimbangnya hati saya apabila dimaklumkan suami cedera dirempuh sebuah motosikal ketika cuba menahan sekumpulan remaja yang melarikan diri daripada polis. “Ini adalah kejadian pertama suami sepanjang beliau berkhidmat dengan polis sejak 30 tahun dulu dan kami sekeluarga masih menunggu laporan penuh dari doktor mengenai kecederaan yang dialaminya, namun bersyukur suami tidak mengalami kecederaan parah dan dilaporkan stabil,” kata Noor Asiah Mohd Yaakob, 52. Suaminya, Koperal Mohd Zawawi Ibrahim, 53, anggota polis yang bertugas di Balai Polis Klang, di sini, cedera selepas kepalanya terhentak dirempuh seorang remaja lelaki di Bandar Bukit Tinggi, Jumaat lalu. Noor Asiah berkata, hentakan kuat menyebabkan suaminya tidak mengingati kejadian dan bertanya di mana lokasinya sebaik sedarkan diri. “Ingatannya masih tidak stabil dan sukar mengingati kejadian awal pagi itu. “Setakat ini, beliau masih tidak dapat memberi maklum balas dengan cepat serta tidak dapat berdiri lama kerana akan pitam,” katanya. Noor Asiah berkata, kejadian itu tidak menghalang semangat suaminya untuk terus menjalankan tugasnya sebagai anggota polis walaupun tahu risiko yang dihadapi. Sementara itu, Ketua Polis Klang Selatan Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan polis sudah menahan empat remaja berusia antara 15 hingga 16 tahun bagi membantu siasatan. Beliau berkata, polis turut merampas dua motosikal masing-masing sebuah Suzuki Shogan dan Modenas Kriss. Katanya, ketika kejadian, Zawawi sedang dalam perjalanan pulang selepas terbabit dalam satu operasi di Bandar Parkland apabila melihat anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Balai Polis Klang sedang mengejar sekumpulan remaja menunggang motosikal. “Sebaik melihat anggota URB sedang mengejar remaja terbabit, mangsa turut mengejar sebelum seorang daripada suspek merempuh motosikal yang dinaikinya,” katanya.

 Muhammad Azlee Abdullah
Pecah rumah menjadi-jadi di TTDI
Kuala Lumpur: Penduduk di sekitar kawasan Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini, bimbang dengan kejadian pecah rumah di kawasan itu sejak kebelakangan ini hingga membabitkan kerugian jutaan ringgit. Dalam kejadian terbaru semalam, empat rumah dipecah masuk iaitu dua kejadian di Jalan Burhanuddin Helmi 1 dan masing-masing satu kes di Jalan Athinapan 4 dan Jalan Abang Haji Openg membabitkan kerugian lebih RM200,000. Difahamkan, kegiatan itu dilakukan kumpulan penjenayah berbeza yang berjaya mengesan rumah tidak berpenghuni untuk melakukan pecah rumah. Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah berkata, dalam kejadian jam 8 malam semalam, seorang doktor kerugian RM200,000 selepas rumahnya di Jalan Athinapan dimasuki penyamun ketika dia bersama isterinya keluar menghadiri majlis kenduri kahwin. “Ketika kejadian, seorang anak mangsa berusia 24 tahun berada di dalam bilik tidurnya dan hanya menyedari selepas mendapati bilik tidur utama dalam keadaan berselerak sebelum dia menghubungi bapanya. “Hasil pemeriksaan di dalam bilik berkenaan, suspek berjaya melarikan pelbagai barang kemas bernilai hampir RM200,000 manakala dua lagi bilik tidur di dalam rumah berkenaan tidak digeledah,” katanya.

Pelancong Wanita parah jatuh gaung
Balik Pulau: Seorang pelancong berdepan detik cemas apabila melihat isterinya terjatuh ke dalam gaung sedalam 7.5 meter berhampiran Jeti Universiti Sains Malaysia (USM) di Taman Negara Pulau Pinang, di sini, tengah hari semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, pelancong berasal dari United Kingdom (UK) Thomas David, 68, bersama isterinya Valeria Trinton, 64, melalui lorong pejalan kaki berhampiran tebing sebelum wanita terbabit tergelincir dan jatuh ke dalam gaung. Akibat kejadian itu, wanita berkenaan patah kaki dan cedera di kepala. Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Bahang dipanggil bagi membantu mengeluarkan mangsa dari gaung. Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Bahang Mohd Yusof Mat berkata, pihaknya bergegas ke lokasi dan tiba pada jam 12.31 tengah hari. “Kami mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di celah batu. “Kerjasama daripada polis dan penduduk berhampiran memudahkan operasi. Mangsa dipercayai mengalami pendarahan dalaman berada dalam keadaan separuh sedar ketika diselamatkan,” katanya. Menurutnya, mangsa dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi mendapatkan rawatan susulan berikutan kecederaan parah. Difahamkan pasangan berkenaan pergi ke Taman Negara Pulau Pinang untuk bersiar-siar.

Foto
IPD Wangsa Maju dirasmi 
MOHMAD memeriksa perbarisan pada majlis pengisytiharaan IPD Wangsa Maju, semalam.
Kuala Lumpur: Pertambahan penduduk di Wangsa Maju yang mencecah sejuta orang menjadikan daerah itu perlu kepada perkhidmatan kepolisan secara profesional bagi kepentingan masyarakatnya. Sehubungan itu, bagi membantu mengecilkan bidang tugas ibu pejabat polis daerah (IPD) di ibu negara, ditubuhkan IPD Wangsa Maju yang beroperasi secara rasminya hari ini. Pengisytiharan itu menjadikan Wangsa Maju IPD keenam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selepas IPD Putrajaya ditubuhkan. Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, penubuhan IPD Wangsa Maju itu adalah komitmen Jabatan Pengurusan dan Jabatan Logistik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dalam memberikan perkhidmatan lebih baik kepada masyarakat. “Kawasan pentadbiran IPD Wangsa Maju ini meliputi 87.3 kilometer persegi dengan populasi penduduk hampir satu juta orang. “Terdapat empat balai di bawah pentadbiran IPD ini iaitu Balai Polis Pudu, Wangsa Maju, Jalan Tun Razak dan Setapak,” katanya pada majlis perasmian pengisytiharan IPD Wangsa Maju di sini, semalam. Pada majlis itu, turut diumumkan pelantikan Superintendan Nor Azman Muhamad Yusuf sebagai ketua polis pertama daerah itu dan timbalannya, Deputi Superintendan A Asmadi Abdul Aziz. Mohmad berkata, penubuhan IPD itu adalah usaha persempadanan semula daerah itu yang kedudukannya di antara IPD Sentul dan IPD Cheras. “Wangsa Maju adalah kawasan yang pesat membangun dan menjadi cabaran bagi pasukan polis mengekalkan kesejahteraannya. “IPD ini nanti mempunyai kekuatan 952 pegawai dan anggota secara berperingkat,” katanya. Sementara itu, Nor Azman berkata, jumlah keanggotaan masih rendah berikutan pada peringkat penubuhan, namun akan ditambah sehingga mencapai 900 anggota secara berperingkat. “Di sini, kami bertanggungjawab terhadap keselamatan hampir sejuta penduduk termasuk menjaga 90 peratus pejabat kedutaan asing di negara ini,” katanya yang sebelum ini bertugas sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi. Orang ramai yang mempunyai permasalahan boleh menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222, Balai Polis Pudu di talian 03-92850222 atau Balai Polis Wangsa Maju di talian 03-41492222.

Kerja jahat 2 tahun, samun kenderaan
Petaling Jaya: Lebih dua tahun bermaharajalela melakukan samun kenderaan di sekitar daerah ini dan Subang Jaya akhirnya empat suspek Geng Khutty ditahan polis hasil dua serbuan berasingan pada Khamis dan Jumaat lalu. Dalam serbuan pertama pada jam 6.30 petang, Khamis lalu polis menahan dua lelaki dan seorang wanita di sebuah hotel di ibu negara sebelum membawa kepada penahanan dua lagi suspek, seorang lelaki dan wanita di Kelana Jaya keesokannya. Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, dengan penahanan lima suspek berusia 20-an itu polis berjaya menemui kembali tujuh kereta yang disamun kumpulan dianggarkan bernilai lebih RM1 juta. Menurutnya, tujuh kereta itu ialah dua Honda Accord serta masing-masing satu Toyota Camry, Toyota Estima, Mercedes-Benz, Nissan Sentra dan Proton Exora. “Seorang daripada suspek wanita dipercayai pembeli kereta curi dan dia ditahan ketika leka berurusan dengan seorang suspek lelaki di kawasan jalan raya di Kelana Jaya,” katanya dalam sidang media, di sini, semalam. Arjunaidi berkata, dengan tertumpasnya geng itu polis percaya sudah menyelesaikan 37 kes samun kenderaan mewah yang dipercayai dilakukan kumpulan berkenaan sejak dua tahun lalu. “Kita jalankan risikan dan intipan ke atas geng ini sejak beberapa minggu lalu sehingga tertangkapnya dua lelaki dipercayai anggota geng yang sama di Subang Jaya, pada 7 Mac lalu dan susulan itu kita berjaya tahan lima suspek,” katanya. Menurutnya, dalam dua serbuan itu polis turut merampas beberapa telefon bimbit serta komputer riba dipercayai disamun kumpulan berkenaan yang bertujuan dijual kepada pembeli barangan curi. Beliau berkata, siasatan polis mendapati geng itu menggunakan modus operandi dengan menunggu mangsa yang baru pulang serta hendak keluar dari rumah sebelum bertindak menyamun dan melarikan kenderaan mangsa dengan menggunakan parang.

Foto
Mayat mula busuk, reput
EMPAT tertuduh kes kematian dua beranak.
Shah Alam: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, semalam kekurangan oksigen berkemungkinan membawa kematian pensyarah Bahasa Inggeris Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernatics (KTAC) Zara Eleena dan bapanya Omar Peter Abdullah, dua tahun lalu. Pakar Perunding Perubatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Nurliza Abdullah, 49, berkata, kekurangan oksigen adalah kecederaan kurang ketara yang tidak boleh dikecualikan sebagai punca kematian dalam kes itu selepas dia melakukan bedah siasat ke atas mayat dua beranak itu. “Saya tidak boleh mengecualikan kesan kecederaan yang kurang ketara atau kurang jelas seperti kesan lebam, kesan lecet atau abrasi superfisial, tanda asfiksia seperti kekurangan oksigen dan seumpamanya yang disebabkan perubahan warna dan corak yang berlaku akibat dari proses pembusukan serta pereputan...oleh sebab itu kematian tidak boleh ditentukan secara konklusif,” katanya. Saksi pendakwaan ke-14 itu berkata demikian ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Aidatul Azura Zainal Abidin dalam perbicaraan kes bunuh Zara Eleena, 23, dan Omar Peter, 56. Beliau berkata, hasil bedah siasat terhadap mayat Zara Eleena pada keseluruhannya dalam keadaan membusuk dan mereput serta tidak menunjukkan kesan kecederaan ketara atau kesan tulang patah pada rangka mayat yang boleh menyebabkan kematian. “Di bahagian muka terdapat kesan kehitaman di sebelah kiri manakala lidah dalam keadaan terjelir serta bola mata kemek. “Tisu lembut pada bahagian ketiak mayat Zara Eleena yang dicubit haiwan jenis kecil seperti tikus dan seumpamanya selepas wanita itu meninggal dunia,” katanya. Terdahulu, Dr Nurliza berkata, selepas seseorang itu meninggal dunia tidak kira punca kematian sama ada digantung, dicekik dan seumpamanya, lidah terjelir kerana berlakunya proses pembusukan atau pereputan. Saksi Norazamah Zainal, 42, berkata, Zara Eleena pernah menjadi pelanggannya untuk menggantikan kad bank miliknya yang hilang. “Saya mengingati Zara Eleena kerana namanya yang unik dan berasa dia adalah anak kacukan. “Selain itu, Zara Eleena juga istimewa kerana berwajah cantik namun tempang membuatkan saya ingat padanya walaupun mempunyai beribu pelanggan lain,” katanya Kerani di CIMB Bank Taman Maluri, Cheras, Kuala Lumpur itu berkata, Zara Eleena selalu datang ke bank menggantikan kad bank hilang. Mengikut pertuduhan, Mohamad Zul Shahril, 22; Mohamad Sharafe Matt Noh, 21; Azizi Aizat Ibrahim, 22, dan Muhamad Safwan Muhamad, 22, dituduh membunuh Zara Eleena di rumah nombor 28 Jalan TK 1/11, Taman Kinrara, Puchong, di antara jam 1.30 dan 2.30 pagi, 9 Mac 2012. Mereka juga dituduhmembunuh pesara syarikat kewangan Omar Peter di tempat dan hari yang sama.

Buat laporan palsu tutup salah rakan
Nibong Tebal: Penipuan seorang lelaki memakan diri selepas dia ditahan kerana membuat laporan palsu berhubung kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dan kenderaan pacuan empat roda dalam kejadian di Kilometer 164, Lebuhraya Utara Selatan, arah utara berhampiran Jawi di sini, Sabtu lalu. Lelaki berusia 37 tahun itu yang juga seorang kontraktor dikatakan datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) jam 8.30 malam kelmarin membuat laporan berhubung kemalangan itu dan mengaku sebagai pemandu kenderaan Toyota Hilux terbabit ketika kejadian berlaku. Dia dikatakan bertindak demikian untuk melindungi rakannya iaitu individu sebenar memandu Toyota Hilux terbabit tanpa memiliki lesen memandu sah. Bagaimanapun, gelagatnya itu menimbulkan rasa curiga pegawai penyiasat terbabit selain keterangan dan fakta yang diberikan lelaki itu kerap bercanggah. Ketua Polis Daerah SPS Superintendan Shafien Mamat berkata, lelaki berkenaan datang dengan ditemani tiga rakannya termasuk pemuda berusia 29 tahun iaitu pemandu sebenar Toyota Hilux ketika kemalangan berlaku. “Ditanya mengapa lewat membuat laporan lelaki terbabit memberikan alasan bergegas menghadiri kenduri kahwin di Perlis. “Selain gelagat mencurigakan lelaki sama juga gagal mengemukakan bukti bahawa sudah menghadiri majlis perkahwinan itu manakala siasatan lanjut dilakukan mendapati dia memberikan keterangan tidak benar. “Semuanya dilakukan untuk mengelakkan rakannya iaitu pemandu sebenar Toyota Hilux berkenaan ketika kejadian tidak mempunyai lesen memandu daripada dikenakan tindakan,” katanya. Kontraktor berkenaan bagaimanapun dibebaskan jam 5 pagi semalam dengan jaminan selama dua minggu selain pihak polis berpuas hati dengan kerjasama dan keterangan diberikan. Siasatan mendapati ketika kejadian Toyota Hilux terbabit dinaiki lelaki berkenaan bersama tiga lagi rakannya yang bekerja di sebuah syarikat swasta di Lembah Klang. “Tindakan lelaki itu hanya menambahkan lagi masalah kerana bukan saja terbabit dengan kemalangan sebaliknya cuba mengelirukan penjawat awam dengan memberikan keterangan palsu. “Perkara ini amat serius dan mereka yang terbabit dengan kemalangan diberi amaran supaya tidak melakukan perkara sama kerana ia hanya merugikan diri sendiri,” katanya.

Buat laporan palsu dakwa dikurung bekas suami
Kuala Lumpur: Seorang wanita membuat laporan polis palsu mendakwa dikurung dan tidak dibenarkan menjamah makanan oleh bekas suaminya sepanjang dia menumpang di rumah lelaki itu di Pantai Dalam, di sini, sejak beberapa bulan lalu. Polis yang melakukan siasatan mendapati wanita berusia 28 tahun itu berbuat demikian selepas tidak berpuas hati dengan bekas suaminya enggan memberikannya wang. Sumber polis berkata, pasangan terbabit sudah bercerai, namun si lelaki simpati kerana bekas isterinya tidak bekerja membenarkan wanita itu tinggal sementara di kediamannya. “Walaupun sudah bercerai, namun keperluan wanita terbabit tetap ditunaikan menyebabkan bekas isterinya terus menetap selama beberapa bulan dan enggan bekerja. “Namun, dalam kejadian terbaru Rabu lalu, wanita terbabit datang ke tempat kerja suaminya dan meminta sejumlah wang, namun apabila lelaki itu enggan berlaku pertengkaran di antara mereka sebelum wanita itu membuat laporan polis Rabu lalu,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah berkata, siasatan pihaknya mendapati wanita terbabit tidak pernah dikurung atau dipukul sebaliknya dia dibenarkan tinggal di rumah bekas suaminya.

Rahib protes bakar diri
Beijing: Seorang rahib Tibet semalam bertindak membakar dirinya sendiri sebagai protes terhadap pentadbiran China. Menurut organisasi Free Tibet dan Radio Free Asia, rahib yang nama dan usianya tidak didedahkan itu melakukan perbuatan berkenaan Sabtu lalu di Wilayah Autonomi Kardze Tibet di Sichuan. Penggubal undang-undang bagi kerajaan Tibet dalam buangan di India, Kalsang Gyaltsen berkata, kejadian berlaku ketika wanita berkenaan sedang berjalan mengelilingi sebuah biara yang juga antara tatacara dalam amalan keagamaan Tibet. “Mereka yang berada di tempat kejadian memadamkan api sebelum menghantar wanita itu ke hospital,” katanya. Sumber mendakwa wanita itu memprotes pentadbiran Beijing di kawasan didiami orang Tibet. Menurut Free Tibet dalam laporannya berkata, kawalan keselamatan ditingkatkan di kawasan berkenaan. Katanya, sekurang-kurangnya 125 orang Tibet di China membakar diri sendiri sejak 2009. Kejadian terbaru ini adalah yang ketiga bulan ini selepas dua orang Tibet meninggal dunia di Sichuan pada 16 Mac lalu. Mac adalah bulan sensitif bagi orang Tibet berikutan 10 Mac menandakan ulang tahun pemberontakan Tibet pada 1959 sehingga mengakibatkan Dalai Lama ke-14 melarikan diri ke India. Beijing menuduh Dalai Lama menggalakkan perbuatan membakar diri dalam kalangan orang Tibet sebagai sebahagian daripada perjuangannya untuk berpisah daripada China. Ini berikutan kawalan dikenakan China terhadap hak orang Tibet termasuk kebebasan beragama. Bagaimanapun, tuduhan berkenaan disangkal Dalai Lama yang menegaskan tidak terbabit, malah tidak dapat menghalang perbuatan seumpama itu. - AFP

Mahkamah tolak kes bunuh kerabat Saudi di Thailand
Bangkok: Mahkamah Jenayah Thai semalam menolak kes membabitkan lima individu termasuk seorang pegawai kanan polis yang dituduh membunuh seorang ahli perniagaan Arab Saudi, 25 tahun lalu. Pembunuhan itu dikatakan membabitkan kes kecurian berlian bernilai puluhan juta ringgit. Kes kecurian berlian bernilai AS$20 juta (RM65.3 juta) pada 1989 dan kehilangan seorang ahli perniagaan dari kerabat diraja Saudi, Mohammad al-Ruwaili menjejaskan hubungan Thai-Saudi. Hakim memutuskan tiada bukti kukuh bagi mendakwa lima individu berkenaan dengan tuduhan menculik dan membunuh Ruwaili yang datang ke negara itu bagi menyiasat kes kecurian berkenaan. Berlian itu dikatakan dicuri dari istana seorang putera Saudi oleh seorang tukang kebun warga Thai, Kriangkrai Techamong yang kemudiannya menghantar berlian itu ke negaran asalnya. Kriangkrai ditahan tidak lama selepas kecurian itu, tetapi mendakwa sudah menjual kebanyakan berlian yang dicuri. Beberapa berlian itu kemudiannya dipulangkan kepada pemiliknya, namun Arab Saudi mendakwa kebanyakannya palsu. Pihak berkuasa Saudi yang tidak yakin dengan siasatan yang dijalankan polis Thai, menghantar Ruwaili bagi menyiasat kes berkenaan. Tiga diplomat Arab Saudi dihukum mati di Bangkok sehari sebelum kehilangan Ruwaili pada 1990 dan sejak itu Arab Saudi mengesyaki pembabitan pihak berkuasa Thai dalam pembunuhan berkenaan. Jabatan Siasatan Khas Thailand menafikan kejadian itu ada hubung kait dengan kes kecurian berlian. - Agensi

Foto
Jantung anak diluar
BAYI yang masih belum mempunyai nama dilahirkan dengan jantungnya di luar badan.
New Delhi: Sepasang suami isteri miskin merayu bantuan kewangan untuk menyelamatkan nyawa bayi lelaki mereka yang lahir dengan jantungnya di luar badan. Priyanka Pal, 24, melahirkan anaknya itu di Hospital Sultanpur, Uttar Pradesh Rabu lalu, namun terkejut dan sedih apabila mendapati bayi berkenaan lahir dengan keadaan dikenali sebagai ectopia cordis yang melihat jantungnya terkeluar daripada dada. Bayi itu kini memerlukan pembedahan kecemasan untuk mengelak maut dalam tempoh beberapa hari ini. Keadaan itu amat jarang berlaku malah hanya dilihat dalam lapan daripada sejuta kelahiran dengan 90 peratus bayi terbabit mati ketika dilahirkan atau dalam tempoh tiga hari pertama. Namun, bayi berkenaan - yang belum diberi nama - agak ‘ajaib’ apabila setakat ini berjaya bertahan sehingga hari keenam. Malangnya, dia masih memerlukan pembedahan di sebuah hospital swasta kerana hospital kerajaan tidak mempunyai kemudahan untuk prosedur rumit itu. Keluarga itu terlalu miskin dan hanya bergantung kepada pendapatan suami Priyanka, Nirbhay Pal iaitu hanya sekitar 300 rupee (RM16) sehari. Nirbhay, 30, yang bekerja sebagai buruh binaan berkata, kakitangan hospital memberitahunya anaknya tidak mungkin dapat hidup lama jika tidak menjalani pembedahan itu dan memerlukan rawatan di hospital dengan kemudahan lebih moden. “Doktor berkata kami perlu mendapatkan rawatan di hospital swasta. “Namun, kami terlalu miskin. Nak makan dua kali sehari pun belum tentu kami mampu, apatah lagi untuk ke hospital swasta,” katanya. - Agensi

Foto
Laporan fitnah media asing
KERATAN laporan berita Daily Mail mendakwa Kapten Zaharie mungkin membunuh diri.
Kuala Lumpur: “Penipu besar! Saya tak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan kepada mana-mana wartawan dari Daily Mail.” Demikian tegas Presiden Persekutuan Juruterbang Malaysia (MPA) Kapten Abdul Manan Mansor. Beliau berang apabila portal berita berpangkalan di United Kingdom itu menyiarkan laporan berita memetik dia mendakwa juruterbang MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah mungkin membunuh diri. Daily Mail itu juga memetik Abdul Manan sebagai berkata, Zaharie berada dalam keadaan psikologi tidak stabil akibat masalah rumah tangga. Abdul Manan berkata, semua berita 10 perenggan itu rekaan Daily Mail semata-mata dan dia langsung tidak tahu bagaimana mereka boleh berbuat begitu. “Saya berpendapat wartawan terbabit tiada cerita lagi. Semua orang mencari jawapan kehilangan MH370, semua tanya kenapa kerana operasi dan menyelamat sudah memasuki hari ke-24.

FotoDuit kahwin RM150,000 lebur
Duit kahwin RM150,000 lebur
WANG RM150,000 sebelum diserahkan kepada dua rakan mangsa. Kuala Lumpur: Akibat terlalu percayakan dua rakan bergelar ustaz, seorang lelaki kini tenggelam punca apabila wang untuk majlis perkahwinannya sebanyak RM150,000 lebur di tangan ‘Sheikh Sudan’ dua beranak. Mangsa yang mahu dikenali sebagai Amin, 28, berkata, dia setuju meminjamkan wang kepada dua rakannya itu atas dasar percaya dan bagi membalas jasa mereka yang pernah menolongnya sebelum ini. “Saya sama sekali tidak menyangka mereka menyerahkan pula wang itu kepada dua beranak dari Sudan yang mereka panggil Sheikh untuk upacara tarik duit,” katanya. Amin berkata, ketika mahu meminjam wang, dua rakannya yang bergelar ustaz itu memberi alasan mereka memerlukan wang untuk perniagaan dan berjanji membayar semula dalam tempoh lima jam. Menurutnya, kejadian itu berlaku awal Mac lalu dan kini dia pening memikirkan bagaimana mahu meneruskan majlis perkahwinannya yang dijadual Jun depan kerana masih gagal mendapatkan wangnya semula.

Lelaki maut ditikam dalam masjid
JOHOR BAHRU: Seorang lelaki ditemui maut selepas ditikam seorang bekas pesakit Hospital Permai di dalam Masjid Al-Muslihum hospital terbabit, di sini, malam tadi. Dalam kejadian kira-kira 7.30 malam itu, mangsa yang masih belum dikenal pasti identiti sepenuhnya itu juga adalah bekas pesakit hospital berkenaan. Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU, Asisten Komisioner Mohd Khamsani Abd Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.53 malam daripada seorang lelaki yang melaporkan kejadian. "Ketika anggota dan pegawai tiba di lokasi kejadian suspek tidak melarikan diri dan mengaku menikam mangsa. "Tiada saksi yang menyaksikan kejadian kerana kesemua individu yang berada di dalam masjid itu sedang menunaikan solat Maghrib," katanya di sini. Mohd Khamsani berkata, siasatan lanjut masih dijalankan terutama meneliti sebab kejadian dan butir peribadi mangsa selain suspek.

Warga Myanmar maut dikelar dan ditetak
Kajang: Seorang lelaki warga Myanmar ditemui mati dengan kesan kelar di leher dan tetakan di kepala di belakang restoran di Jalan Temenggung 19/9, Bandar Mahkota Cheras, malam tadi. Mangsa yang dikenali sebagai Gin Sian Hku, 20, ditemui seorang lelaki kira-kira 8.15 malam. Dia kemudian menghubungi polis memaklumkan kejadian itu. Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Abdul Ghani Mohd Ji berkata, maklumat pertama yang diterima berhubung seorang lelaki dibunuh sekumpulan lelaki Nigeria. Bagaimanapun, katanya, siasatan lanjut di tempat kejadian mendapati mangsa kemungkinan diserang dua atau tiga lelaki warga Myanmar selepas bergaduh sesama sendiri. "Pemeriksaan di tempat kejadian menemui sebilah pisau pemotong daging berhampiran mayat mangsa namun pisau itu bukan digunakan untuk membunuh sebaliknya pisau mangsa sendiri yang bekerja sebagai pemotong ikan. "Mangsa mungkin pekerja di sebuah restoran di sini tetapi siasatan belum mengenalpasti majikannya kerana semua restoran sudah tutup sebaik polis tiba di lokasi kejadian," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian. Abdul Ghani berkata, pemeriksaan ke atas mayat mendapati tangan mangsa masih dipenuhi sisik ikan dan tidak menolak kemungkinan mangsa diserang ketika sedang bekerja. "Mungkin berlaku pergelutan dan mangsa juga lari beberapa meter dipercayai untuk menyelamatkan diri. "Terdapat kesan kelar pada bahagian kiri leher mangsa dan kesab tetakan di kepala dipercayai dipukul dengan objek tumpul," katanya. Menurutnya, polis masih mengesan suspek dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.Mayat dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.



Video seks aktres Pakistan, suami tersebar
Islamabad: Satu video seks mempamerkan aktres Pakistan Meera dan suaminya, Navid Shahzad, juruterbang keturunan Pakistan yang menetap di Amerika Syarikat mencetuskan kontroversi selepas ia tersebar di Internet. Sebuah mahkamah Pakistan di sini semalam mengeluarkan waran tangkap terhadap pasangan berkenaan. Polis diarah membawa mereka ke mahkamah pada 2 April ini berhubung video seks itu. Hakim mengeluarkan perintah selepas menerima petisyen yang menuduh Meera dan Navid melakukan dosa dengan merakam babak seks. Tuduhan itu mendakwa pasangan berkenaan menyebarkan maksiat dan menggesa mahkamah menangkap mereka untuk dijadikan teladan. David bagaimanapun berkata kes itu sepatutnya tidak timbul kerana mereka sudah berkahwin. Video itu dimuat naik oleh orang tidak dikenali dan tersebar di beberapa laman web sejak beberapa hari lalu. Akses untuk menonton video itu bagaimanapun disekat oleh Lembaga Telekomunikasi Pakistan atas permintaan Meera yang pernah berlakon dalam dua filem Bollywood. Meera mendakwa video itu palsu. -Agensi

Israel khianat janji, macam biasa dibuat
Ramallah: Israel tidak akan membebaskan kumpulan keempat tahanan Palestin seperti yang dijadualkan dalam rundingan damai yang diusahakan Amerika Syarikat (AS). Pegawai kanan Palestin, Jibril Rajub berkata, perkara itu dimaklumkan rejim Zionis kepadanya. “Rejim Israel memaklumkan kepada kami menerusi orang tengah AS bahawa ia tidak akan menunaikan komitmennya untuk membebaskan kumpulan keempat tahanan Palestin. “Tahanan itu sepatutnya dibebaskan esok (hari ini),” kata Jibril. Pegawai Israel yang dihubungi enggan mengulas. Menurut perjanjian damai yang dilancarkan semula AS Julai lalu, rejim Zionis itu akan membebaskan 104 warga Palestin yang ditahannya sejak sebelum perjanjian damai 1993 sebagai pertukaran kepada langkah Palestin menghentikan tuntutan negara merdeka di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Rejim itu setakat ini sudah membebaskan 78 tahanan tetapi kabinetnya berkata, mereka akan menghalang pembebasan itu sekiranya Palestin enggan melanjutkan tempoh rundingan menjangkau 29 April. Kabinet Israel mendakwa keputusan membebaskan tahanan Palestin bergantung kepada kemajuan rundingan damai yang sehingga ini gagal direalisasikan. Jibril menyifatkan langkah Israel itu sebagai tamparan kepada pentadbiran AS dan usahanya. Katanya, Palestin akan menyambung semula usaha diplomatik antarabangsa untuk diiktiraf sebagai sebuah negara. “Dengan tidak membebaskan tahanan akan menandakan permulaan usaha di peringkat antarabangsa untuk mencabar kesahihan penjajahan Zionis di bumi Palestin,” katanya.- AFP


RM4.2 juta untuk makan bersama pelakon Korea
Hong Kong: Sekumpulan wanita di sini dilapor membayar lebih HK$10 juta (RM4.2 juta) untuk medapatkan peluang makan bersama pelakon drama Korea Selatan Kim-Soo-Hyun. Dalam perkembangan terbaru berikutan ketaksuban masyarakat China terhadap drama bersiri Korea, tawar menawar mengenai harga itu dilapor diadakan, lapor akhbar Want China Times. Kim Soo-hyun terkenal kerana berlakon dalam drama mengisahkan percintaan makhluk asing, ‘My Love From Another Star.’ Menurut sumber, sekumpulan wanita Hong Kong membayar seorang lelaki menjadi orang tengah untuk menjemput Kim ke satu majlis makan malam tertutup. Orang tengah itu mendakwa Kim meminta bayaran HK$10 juta. Wanita itu berbincang sesama mereka dan memutuskan untuk membayar HK$1 juta (RM420,000) setiap seorang. Laporan mengenainya timbul selepas dakwaan kononnya peminat Kim terpaksa membayar 25,000 yuan (RM13,100) untuk hadir di majlis menyambutnya di Shanghai Ahad lalu. Bagi kebanyakan orang, ini mungkin satu pembaziran. Tetapi bagi peminat di China, mereka sanggup bergaduh jika ada pihak yang mempersoalkan kecerdikan mereka berbelanja besar jika ia berkait dengan pelakon yang mereka minati. - Agensi

Foto
Bebas kerana badan besar
Devon (England): Seorang penjenayah setinggi dua meter dibebaskan dari tahanan selepas hakim menyatakan katil dan pakaian seragam penjara terlalu kecil untuknya. Jude Medcalf, 23, dari Newton Abbot melakukan jenayah selepas dia disahkan menghidap sindrom Klinefelter. Penyakit itu mengganggu sistem tumbesarannya, menyebabkan dia terus membesar. Dalam satu kejadian terbaru, dia menakutkan seorang wanita dengan melepaskan tembakan menggunakan pistol tiruan melalui sebuah tingkap sebelum melarikan hadiah Krismas bernilai £30 (RM163) dan sejumlah wang daripada pejabat Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan England (NHS), lapor mahkamah Exeter Crown. Mahkamah diberitahu yang Medcalf kemudiannya ditemui dengan makanan yang dicuri dari kelab The Sloop ketika kakitangannya leka. Dia dibebaskan dari penjara selepas mahkamah mendapati dia sudah 75 hari ditahan. Ketika dalam tahanan, dia berdepan masalah untuk menyesuaikan diri kerana tiada katil atau pakaian penjara yang muat dengannya. Medcalf yang turut menghidap masalah kecelaruan kromosom hingga menyebabkan dia bersikap keanak-anakan dikenakan hukuman enam bulan tahanan rumah dan 12 bulan khidmat komuniti. Pendakwa raya, Brian Fitzherbert memberitahu mahkamah Medcalf menembak teman wanitanya selepas mendapati wanita itu menghubungi polis kerana dia menyerang kereta rakannya di Torquay. Tembakan itu bagaimanapun terkena cermin tingkap. “Wanita itu ketakutan. Dia tidak mengetahui pistol yang digunakan tiruan,” kata Brian. Medcalf mengaku bersalah memiliki pistol tiruan dan melakukan jenayah dengan senjata itu ketika dia mula dibicarakan. - AFP

Cerai isteri gemuk
Dubai: Seorang lelaki memfailkan cerai terhadap isterinya yang didakwa terlalu gemuk sehingga mengganggu hubungan seks antara mereka. Dalam tuntutannya, lelaki itu mendakwa isterinya yang seberat 115 kilogram mengalami pelbagai penyakit sejak berat badannya bertambah sehingga menyebabkan dia tidak boleh mengadakan hubungan seks apabila wanita itu sering sakit. Sementara itu, sumber Mahkamah Dubai memberitahu Gulf News bahawa wanita itu sebenarnya yang memfailkan saman berkenaan, malah memfailkan permohonan awal bulan ini. Dalam tuntutannya, wanita itu mendakwa diabaikan suaminya yang juga dikatakan gagal memenuhi tanggungjawabnya sebagai suami. Ini menyebarkan suaminya membalas tuntutan berkenaan selepas terkejut dan marah dengan perbuatan isterinya itu selain gagal mencapai kata sepakat antara mereka untuk menyelesaikan isu berkenaan secara baik. Suami berkenaan mendakwa isterinya punca masalah antara mereka. “Dia tidur hampir sepanjang masa, malah sering bangun pada waktu tengah hari. “Seharian dihabiskan menonton televisyen manakala saya dan anak tidak dipedulikan langsung. Dia semakin mementingkan diri sendiri dan sering marah-marah sehingga saya sukar intim dengannya. “Saya terpaksa membuat temujanji jika mahu mengadakan seks dengannya. - Agensi

Sumbangan PKS mampu capai 40%
Kuala Lumpur: SME Corporation Malaysia (SME Corp) melihat negara mampu mencapai sasaran sumbangan 40 peratus daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020 bersandarkan kepada prestasi peningkatan bilangan pemain industri berkenaan setiap tahun. Sumbangan PKS kepada KDNK tahun ini diunjurkan berkembang kepada 33.7 peratus berbanding 22.7 peratus tahun lalu. Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Hafsah Hashim berkata, prestasi positif itu membantu PKS mencatatkan 40 peratus kepada KDNK menjelang 2020 selaras dengan hala tuju negara untuk menjadi negara maju pada tahun berkenaan. Beliau berkata, ini kerana PKS di negara maju mencatatkan sumbangan antara 40 dan 60 peratus kepada KDNK dan sekiranya industri berkenaan mampu mencapai sasaran berkenaan ia, sekali gus berupaya menjadinya sebagai satu penanda aras kemajuan Malaysia. “SME Corp ingin mengingatkan supaya pemain PKS yang tidak mendaftarkan syarikat mereka supaya berbuat demikian segera kerana pelbagai manfaat dan bantuan bakal diterima antaranya dari segi pemasaran serta kewangan,” katanya pada majlis pelancaran Kongres Usahawan Muda Bumiputera 2014 di sini, semalam. Kongres berkenaan dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mustapa Mohamed anjuran Pertubuhan Usahawan Generasi Muda Berjaya (GMB) Malaysia dan MITI bertempat di Matrade Exhibiton and Convention Centre (MECC) dari 27 hingga 29 Mac ini. Kongres yang bertemakan Ekonomi Satukan Kita membabitkan 1,500 peserta dan 200 gerai pameran serta jualan. Aktiviti lain yang turut diadakan seperti forum perniagaan, pembentangan usul serta sesi motivasi di kalangan usahawan muda. Hafsah berkata, SME Corp sudah membangunkan Strategi Kelompok Perusahaan Mikro, yang di bawahnya lima program iaitu ‘Start- MEup’, ‘GrowME’, ‘MarketME’, ‘FastrackME’ dan MEMoneymatter’ akan dilancarkan tahun ini untuk membantu meningkatkan produktiviti syarikat-syarikat kecil.

Miliki hartanah sebelum GST
Petaling Jaya: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) menyeru orang ramai supaya mengambil peluang memiliki hartanah masing-masing melalui penganjuran Ekspo Hartanah Malaysia 2014 (MAPEX 2014) sebelum Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan pada 1 April 2015. MAPEX 2014 akan berlangsung di Pusat Konvensyen Mid Valley, Kuala Lumpur pada 4 hingga 6 April ini mulai jam 10 pagi hingga 9 malam. Pengerusi Jawatankuasa MAPEX, Datuk Ng Seing Liong berkata MAPEX 2014 adalah masa paling tepat bagi orang ramai untuk mendapatkan hartanah idaman pada harga lebih baik dan turut menjadi platform untuk mengukur impak langkah-langkah penyejukan di pasaran yang diperkenalkan kerajaan pada pembentangan Bajet 2014 lalu. “Tahun ini, industri hartanah dijangka lebih positif kerana lebih ramai individu mencari peluang memiliki rumah, pada masa sama pemaju hartanah dijangka lebih banyak melancarkan projek baru sebelum April tahun depan,” katanya pada majlis taklimat media mengenai MAPEX 2014. MAPEX adalah acara hartanah dwitahunan yang dianjurkan Rehda Malaysia, Wilayah Persekutuan dan Selangor, sekali gus menjadi pusat sehenti terbesar negara menawarkan pembangunan hartanah inovatif.

Foto
Teliti sebelum sain
Kuala Lumpur: Pembeli hartanah diseru supaya meneliti setiap aspek yang terdapat pada kandungan dokumen perjanjian jual dan beli (S&P) seperti perihal hartanah yang dijual, syarat jual beli, maklumat penjual dan butiran harga sebelum menandatanganinya bagi memastikan mereka tidak terpedaya dan mengalami kerugian disebabkan tindakan penjual tidak bertanggungjawab. Perunding Hartanah IM Global Property Consultant Sdn Bhd, Ishak Ismail berkata, terdapat segelintir kes yang menyaksikan pembeli ditipu ekoran sikap kurang cermat dan kurang pengetahuan masing-masing ketika menandatangani S&P terutamanya aspek perihal hartanah, bayaran, hak milik dan keadaan hartanah itu sendiri. “Dokumen S&P amat mustahak untuk melindungi kepentingan pembeli kerana pembelian hartanah membabitkan pelaburan tinggi. Jika urusan jual beli rumah tidak dikendalikan secara sah sepenuhnya maka pelbagai risiko akan dihadapi pembeli pada masa akan datang,” katanya pada Bisnes Metro, semalam. S&P adalah dokumen yang disediakan bertujuan mengikat perjanjian antara pemilik iaitu penjual dan pembeli di mana kedua-dua pihak menyatakan persetujuan dalam melakukan urus niaga hartanah. Lazimnya, ia akan mengulas mengenai tanggungjawab pembeli dan penjual bagi memberi perlindungan dan hak undang-undang kepada kedua-dua pihak sekiranya berlaku sebarang tindakan yang melanggar undang-undang. Beliau berkata, orang ramai perlu mengambil inisiatif untuk mengesahkan kandungan S&P dengan cara melakukan penyiasatan sendiri dengan pihak berwajib atau lebih mudah, melantik perunding hartanah atau ejen tafsiran bagi memastikan segala maklumat berkaitan hartanah terutama daripada segi nilai jualan adalah tepat mengikut maklumat yang dinyatakan. “Selain itu, pembeli perlu melantik peguam bagi membantu mereka dalam memahami terma dan syarat yang terkandung dalam S&P kerana masih terdapat segelintir individu melakukan urusan jual beli rumah tanpa membabitkan peguam ekoran faktor seperti yakin dengan pihak penjual atau mengenali mereka. “Saya juga menyarankan agar pihak pembeli membuat pinjaman bank untuk membeli hartanah diingini kerana lazimnya mereka akan melantik peguam untuk menilai hartanah terbabit berbanding mengeluarkan modal wang sendiri. Ini dilihat sebagai langkah pencegahan terbaik kerana terdapat dua peguam yang akan meneliti kandungan yang terdapat dalam S&P,” katanya.

Fahami dokumen S&P rumah
Kuala Lumpur: Pembeli berhak mendapatkan bantuan peguam untuk menjelaskan istilah dan kandungan dalam dokumen perjanjian jual dan beli (S&P) bagi memastikan tidak berlaku sebarang masalah selepas tandatangan diturunkan. Rakan kongsi di Asiah & Hisam Peguambela dan Peguamcara Mohd Zakwan Adenan berkata, peguam bertanggungjawab untuk memberi penjelasan sebaik mungkin setiap butiran perjanjian yang bakal ditandatangani pihak pembeli dan penjual. “Peguam juga perlu memastikan pembeli bukan saja mengetahui akan kewujudan sesuatu terma, malah perlu memastikan mereka benar-benar faham akan isi kandungan dan yang paling penting implikasi yang terjadi susulan perlanggaran terma seperti yang terkandung di dalam perjanjian,” katanya kepada Bisnes Metro di sini, semalam. Menurutnya, pembeli dan penjual diberikan tempoh yang cukup untuk memahami terma yang terkandung di dalam perjanjian di mana ia meliputi tiga proses utama. “Proses pertama merangkumi peringkat praperjanjian memerlukan pembeli menandatangani surat tawaran pembelian di mana pembeli akan membuat penawaran untuk membeli rumah daripada penjual. “Ia mengandungi maklumat penting seperti harga jualan, tempoh perjanjian jual beli, pembayaran deposit dan prasyarat yang dipersetujui kedua-dua pihak. Kesemua terma dinyatakan di dalam surat berkenaan kemudiannya dimasukkan ke dalam perjanjian jual beli,” katanya. Menurutnya, selepas surat tawaran pembelian ditandatangani, peguam yang dilantik akan menyediakan draf pertama S&P dan diserahkan kepada kedua belah pihak untuk dibaca, difahami serta disahkan segala terma yang dipersetujui bersama sebelum ini. Proses seterusnya membabitkan proses menandatangani S&P yang hanya akan dilakukan selepas kedua-dua pihak bersetuju dan berpuas hati dengan kandungan perjanjian. “Ketika proses ini dilakukan, peguam sekali lagi memberi penerangan dan perlu memastikan kedua-dua pihak faham akan isi kandungan perjanjian,” katanya. Dalam pada itu, pembeli boleh membatalkan perjanjian selepas ia ditandatangani, namun ia bergantung kepada sebab pembatalan. “Sekiranya pembatalan disebabkan salah laku pembeli kerana tidak dapat memenuhi terma dan kandungan perjanjian, maka pihak penjual berhak mengambil wang pendahuluan sebanyak 10 peratus atau kurang yang telah dibayar sebagai denda atau penalti ganti rugi. “Sekiranya pembatalan perjanjian adalah disebabkan oleh kesalahan penjual, maka pembeli berhak menuntut semula wang pendahuluan yang telah dibayar dan pihak penjual wajib memulangkannya,” katanya.

Dapatkan bantuan peguam
Kuala Lumpur: Perjanjian jual dan beli (S&P) adalah dokumen yang sangat penting supaya kepentingan antara penjual dan pembeli terjamin selain untuk memperoleh pemilikan secara sah. Pakar hartanah Tuanbri Hashim berkata, perjanjian S&P tertakluk di bawah Akaun Pemaju Perumahan (HDA), akta yang melindungi kepentingan pembeli dan penjual serta pembeli perlu melantik peguam yang bersesuaian dengan cara terbaik memilih peguam yang dicadangkan oleh rakan, ahli keluarga atau mereka yang selalu terbabit dalam jual beli hartanah. Katanya, perlu diingat hanya pembelian rumah secara lelong tiada perjanjian S&P disediakan, oleh itu bank akan menggunakan sepenuhnya hak mereka dan jual beli berlangsung melalui kontrak yang disediakan pihak bank itu sendiri. “Jika perjanjian S&P untuk rumah terpakai (subsale), selalunya ia perlu dipersetujui oleh kedua-dua pihak iaitu vendor dan pembeli dan semua perkara boleh dinyatakan dalam surat perjanjian terbabit. “Manakala rumah atas tanah pula surat perjanjian S&P sepenuhnya akan mengikut apa yang ditentukan oleh kerajaan,” katanya. Menurutnya, kos yang diperlukan bagi surat perjanjian S&P tidak tetap dan berubah-ubah mengikut harga rumah dan pembeli tidak perlu risau kerana kos fi guaman yang dikenakan dikawal selia seperti yang ditetapkan dalam Perintah Saraan Peguam Cara 2005. Tuanbri berkata, tempoh masa yang diambil untuk surat perjanjian S&P biasanya 3+1 iaitu tiga bulan tambah sebulan bergantung kepada pembayaran daripada pembeli. “Dalam tempoh tiga bulan, pembeli harus menyelesaikan 100 peratus harga rumah terbabit dan selalunya 10 peratus pendahuluan akan dibayar terlebih dulu ketika perjanjian S&P ditandatangani. Jika terdapat kelewatan pembayaran dari tempoh yang diberi, pembeli akan dikenakan bayaran sebanyak lapan peratus daripada harga rumah. “Dinasihatkan kepada pembeli untuk membaca setiap baris dalam surat perjanjian S&P sebelum menurunkan tandatangan. Peguam memainkan peranan penting dan sepatutnya peguam yang menasihatkan kita dalam pelaburan hartanah ini. Tetapi pembeli perlu berwaspada kerana tidak semua peguam sebegitu dan ada juga yang membuat kerja sambil lewa,” katanya. Selain daripada bayaran muka, jangan lupa untuk berhati-hati dengan kos permulaan yang lain semasa membeli hartanah (yuran guaman, duti setem, penilaian dan sebagainya). Beliau berkata, sehingga 31 Disember 2014, jika pembelian rumah pertama berharga di bawah RM400,000, pembeli layak untuk mendapat diskaun 50 peratus atas duti setem bagi Perjanjian Jualan dan Pembelian serta dokumentasi pinjaman dan ia hanya boleh digunakan sekali seumur hidup.

Arab Saudi rakan baru HDC
Halal Industry Development Corporation Sdn Bhd (HDC) menyasarkan Arab Saudi sebagai pasaran baru tahun ini yang memberi peluang besar kepada pemain industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan unjuran nilai perdagangan keseluruhan berpotensi RM100 juta dalam pelbagai sektor. Arab Saudi adalah negara baru yang mengadakan kerjasama perdagangan dengan HDC dalam industri halal iaitu dalam bidang perkongsian kepakaran status halal, pelaburan dan teknologi dalam kalangan PKS antara dua negara. Timbalan Presidennya, Prof Malik Musharaf berkata, ketika ini, HDC menjalankan kerjasama dengan 20 negara antaranya China, Singapura, Thailand, India, Australia, Amerika Syarikat, Jepun, Indonesia, Korea Selatan dan Belanda. Beliau berkata, dengan kemasukan Arab Saudi sebagai rakan kerjasama terbarunya akan membantu PKS tempatan mengembangkan perniagaan mereka dalam industri halal ke pasaran asing lebih meluas berikutan kemampuan permintaan produk dari negara di sekitarnya. “Pihak berkuasa dari Arab Saudi juga memperuntukkan 100 syarikat Malaysia untuk menjalankan perniagaan di negaranya dalam pelbagai sektor yang berpotensi antaranya makanan dan minuman, farmaseutikal dan kosmetik. “HDC mempunyai 900 syarikat dalam industri halal yang mengikuti Program Transformasi Perniagaan Halal (HBT) dan telah mengenal pasti 100 syarikat daripada jumlah berkenaan untuk memasarkan serta menjalankan perniagaan di negara terbabit. Namun, senarai syarikat berkenaan akan diteliti oleh Arab Saudi terlebih dulu,” katanya. Menerusi HBT, HDC menyasarkan 500 syarikat PKS baru menyertainya dengan melaksanakan beberapa aktiviti baru termasuk Program Hubungan Pengedaran Serantau (ReDiLINK) yang memberi perhatian kepada usaha memasuki pasaran halal di peringkat serantau antaranya ASEAN, China dan Negara Teluk. Malik berkata, HBT antara 20 program yang dinilai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada tahun lalu dan diiktiraf sebagai program terbaik oleh Jawatankuasa Penilaian Outcome. “Kami melihat langkah ini dapat melahirkan banyak usahawan tempatan menceburi sektor halal secara global dengan bantuan perkongsian maklumat pemasaran asing dan insentif lain pelepasan cukai,” katanya.


Polis sembur penyembur lada ke arah pelajar universiti
TUCSON - Anggota-anggota polis menyembur lada ke arah ratusan penyokong pasukan bola keranjang Universiti Arizona di sini kelmarin. Tindakan itu dilakukan selepas para peminat tersebut yang juga pelajar universiti berkenaan membaling botol bir dan bunga api ke arah anggota-anggota polis. Para peminat tersebut melakukan perbuatan itu selepas pasukan bola keranjang universiti berkenaan kalah kepada Wisconsin dengan keputusan 64-63 pada pertandingan akhir Persatuan Atletik Kolej Kebangsaan di Anaheim, California kelmarin. Menurut seorang pegawai polis, Sarjan Pete Dugan, para peminat universiti itu tidak mengalami sebarang kecederaan. Bagaimanapun, katanya, seramai 10 orang ditangkap polis ekoran kejadian itu. Dugan berkata, para peminat itu meninggalkan bar dan restoran dekat kampung universiti berkenaan selepas perlawanan tersebut berakhir. Menurutnya, botol bir yang dibaling dan bunga api tersebut membahayakan keselamatan anggota-anggota polis. - AP


Isyarat kecemasan disiasat
TEMBAKAN suar dilepaskan dari sebuah pesawat Tentera Udara Diraja Australia semasa mencari kapal terbang MH370 di selatan Lautan Hindi kelmarin. SYDNEY - Sebuah kapal penyelamat milik Australia terpaksa dilencongkan dari misi mencari sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) semalam untuk memberi bantuan kepada sebuah kapal yang mengeluarkan satu isyarat kecemasan berhampiran Antartika. Isyarat kecemasan dikeluarkan pada kedudukan di hujung selatan Lautan Hindi. Ia dikesan semalam oleh Pusat Koordinasi Penyelamat Australia. Isyarat itu datang dari sebuah kapal yang terletak kira-kira 3,241 kilometer barat daya Perth dan kira-kira 648 kilometer utara tanah besar Antartika. Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) berkata, pihaknya bagaimanapun gagal untuk berkomunikasi dengan kru kapal tersebut. Pihak AMSA juga tidak mengetahui bentuk kecemasan yang menyebabkan kapal tersebut meminta bantuan. Sebuah jet awam berlepas dari Melbourne untuk menyiasat isyarat itu dan dijangka sampai dalam tempoh lima jam. Sebuah pesawat P3 Orion milik tentera Australia juga dilencongkan dari misi mencari pesawat MH370 dan menuju ke lokasi kapal berkenaan sekiranya perlu untuk menjatuhkan peralatan kecemasan. Isyarat itu didaftarkan pada sebuah kapal menangkap ikan tetapi AMSA tidak mendedahkan maklumat tentang negara asal kru atau saiz kapal tersebut. - dpa

Bunuh isteri, anjing, diri sendiri
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang tertekan akibat masalah kewangan sejak tiga bulan lalu bertindak nekad mengelar leher isterinya hingga mati sebelum membunuh diri dengan cara sama di sebuah rumah di Blok C, Projek Perumahan Rakyat Muhibbah, Kampung Muhibbah, Cheras di sini malam kelmarin. Lelaki itu, G. Rajamani, 32, menjalankan perniagaan penghantaran dan pengangkutan, manakala isterinya bekerja sebagai jurusolek sambilan. Mayat isteri mangsa, Anita Kupon, 32, ditemui dalam keadaan tertiarap di bilik tidur utama, sementara suaminya mati terbaring di tepi katil bersama dua ekor anjing peliharaan jenis shih tzu yang turut dikelar pada leher.

Jambatan Kedua Pulau Pinang merupakan yang terpanjang di Asia Tenggara.Jambatan kedua siap ikut jadual
Tol jambatan kedua Pulau Pinang berkuat kuasa esok
KUALA LUMPUR - Kutipan tol Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah akan berkuat kuasa pada esok setelah laluannya dibuka kepada orang ramai secara percuma sejak 1 Mac lalu. Jambatan kedua Pulau Pinang itu menghubungkan Batu Kawan di Seberang Perai dan Batu Maung di bahagian pulau. Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam satu kenyataaan semalam berkata, kutipan tol di jambatan itu dilaksanakan secara sistem tol terbuka dengan menempatkan dua buah plaza tol. "Plaza Tol Bandar Cassia untuk pengguna yang melalui Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah pula bagi pengguna dari Persimpangan Bertingkat Batu Kawan," katanya kata kenyataan itu.


Bagaikan 'medan pesta' pecah rumah
SALAH sebuah rumah yang dipecah masuk di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR - Kawasan perumahan di Taman Tun Dr. Ismail dekat sini bertukar menjadi 'medan pesta' pecah rumah apabila empat kediaman di kawasan tersebut dipecah masuk dalam tempoh satu jam oleh tiga kumpulan penjenayah berbeza malam kelmarin. Dalam kejadian antara pukul 8 hingga 9 malam itu, keempat-empat rumah yang jaraknya sekitar 1.5 kilometer antara satu sama lain dipercayai kosong berikutan kesemua penghuninya tiada di rumah. Dua daripada rumah berkenaan terletak bersebelahan di Jalan Burhanuddin Helmi 1, manakala masing-masing sebuah kediaman di Jalan Athinapan 4 dan Lorong Abang Haji Openg 2.


Sasar jana RM3.8b setiap tahun, Langkawi
NAJIB (empat dari kanan) melihat model Pelan Induk Pembangunan Perdana Quay sambil diperhatikan oleh Mukhriz (tiga dari kanan) dan Dr. Mahathir (dua dari kanan) di Langkawi, Kedah semalam.
LANGKAWI - Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Pelan Induk Pembangunan Perdana Quay di Teluk Burau di sini semalam. Perdana Menteri melahirkan harapan untuk melihat tiga juta pelancong mengunjungi Langkawi setiap tahun dan menyumbang RM3.8 bilion kepada ekonomi. Beliau berkata, pelancongan adalah elemen utama Program Transformasi Ekonomi bagi menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. "Saya mahu melihat ketibaan tiga juta pelancong ke pulau ini setiap tahun, membawa RM3.8 bilion kepada ekonomi dan melahirkan sekurang-kurangnya 4,200 pekerjaan baharu kepada rakyat Malaysia," kata beliau semasa pelancaran itu pelan induk tersebut.

Polis minta maklumat berhubung kes rompakan kedai telekomunikasi di Kemaman
KUALA TERENGGANU - Pihak polis meminta orang ramai agar menyalurkan maklumat berhubung kes rompakan kedai telekomunikasi di Bandar Seri Bandi, Kemaman pada Rabu lalu. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, setakat ini pihaknya tidak mempuyai maklumat terperinci berhubung lima suspek yang dipercayai melakukan kegiatan berkenaan. "Kita juga telah mengambil keterangan dari mangsa yang terlibat, namun identiti kelima-lima suspek masih samar selain mangsa juga tidak mengingati nombor pendaftaran kereta Proton Persona bewarna Perak yang dinaiki kumpulan lelaki itu,” katanya. Kedai itu dilapor mengalami kerugian kira-kira RM13,000 apabila barangan kemas individu serta berberapa telefon bimbit dilarikan kumpulan lelaki yang bersenjatakan parang kira-kira pukul 1.10 petang. - Bernama

Jakim peruntuk RM885 juta bagi perkembangan syiar Islam di seluruh negara tahun ini
KUALA TERENGGANU - Kerajaan memperuntukkan RM885 juta tahun ini bagi perkembangan syiar Islam di seluruh negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom. Beliau berkata, peruntukan itu bagi perbelanjaan pengurusan dan pentadbiran aktiviti keagamaan untuk rakyat dan daripada jumlah itu RM540 juta diperuntukkan untuk pembayaran elaun imam, guru takmir, guru Kelas Agama dan Fardhu Ain dan Pegawai Penyelaras Masjid Daerah "Peruntukan ini membuktikan kecaknaan kerajaan persekutuan dalam memastikan keselesaan empat golongan yang terlibat secara langsung dalam aktiviti dakwah di peringkat akar umbi ini kerana mereka adalah teraju utama memastikan kelangsungan keharmonian masyarakat setempat. "Peranan mereka, semakin hari semakin mencabar dengan serangan ancaman akidah dari pelbagai sudut...jadi dengan dana bantuan yang diberikan ini diharap dapat dimanfaatkan untuk mempelbagaikan usaha menyuburkan roh Islam di tempat mereka bertugas,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Multaqa imam, guru takmir dan anggota jawatankuasa masjid peringkat negeri Terengganu di sini hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Datuk Othman Mustapha. - Bernama

Bera bakal jadi pusat ternakan haiwan terbesar di Pahang
BERA - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berhasrat menjadikan Bera sebagai pusat ternakan haiwan terbesar di negeri ini sekaligus menjadikan Pahang pembekal utama daging di Malaysia suatu hari nanti. Menterinyam, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau telah meminta Jabatan Veterinar supaya menjalankan kajian secara menyeluruh termasuk kos yang terlibat sebelum projek itu dilaksanakan di sini. “Siasatan serta kajian tersebut perlu bagi mengetahui luas kawasan, bilangan penternak dan populasi ternakan itu sendiri,” katanya di sini semalam. Ismail Sabri berkata sehingga kini terdapat 29,784 ekor lembu, 400 ekor kerbau dan 5,700 ekor kambing diternak di daerah ini melibatkan 800 orang penternak. Katanya, perusahaan ternakan jika diusahakan secara komersial, mampu mendatangkan pulangan lumayan kerana permintaan ke atas daging semakin meningkat, terutama pada musim perayaan dan perkahwinan. Ismail Sabri berkata, ternakan yang ada di negeri ini terutamaa di Bera tidak mencukupi untuk menampung keperluan pasaran tempatan, apatah lagi untuk dieksport. “Maka sebab itulah dalam beberapa tahun ini kami akan memberikan tumpuan untuk menjayakan projek ternakan berskala besar ini. “Kami mahu apabila orang sebut sahaja fasal daging dan ternakan, daerah Bera boleh membekalkan daging dan memenuhi permintaan tersebut,” katanya. Ismail Sabri yang juga anggota Parlimen Bera berkata, soal makanan ternakan bukan satu masalah kerana daerah ini mempunyai banyak sumber yang boleh diproses untuk dijadikan makanan ternakan seperti daun kelapa sawit, daun nangka, daun cempedak, mengkudu, daun pisang dan rumput. Menurutnya, negara membelanjakan ratusan jutaan ringgit setiap tahun bagi mengimport makanan ternakan dari India dan beberapa negara lain sedangkan ia boleh diproses sendiri dan lebih menjimatkan. - Bernama

100,000 penjaja, peniaga kecil nikmati pengecualian lesen di Kedah
ALOR SETAR - Dianggarkan lebih 100,000 penjaja dan peniaga kecil menikmati pengecualian bayaran lesen di Kedah bermula 1 Januari selepas kerajaan negeri menunaikan aku janji Pilihan Raya Umum ke-13 untuk mengecualikan bayaran lesen itu. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan, Badrul Hisham Hashim berkata, pengecualian itu adalah hasil persetujuan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah yang bersidang pada 18 Disember lalu. Pengecualian dikhususkan untuk mereka yang berniaga di pasar sehari, pasar pagi, pasar malam, pasar tani, penjaja statik dan penjaja bergerak yang beroperasi dalam kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) Kedah. “Pengecualian ini dilaksanakan kerana Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sangat prihatin dengan nasib penjaja dan peniaga kecil yang dianggarkan lebih 100,000 orang,” katanya kepada pemberita di Wisma Darul Aman di sini hari ini. Badrul berkata, walaupun tindakan pengecualian itu akan menyebabkan kerajaan negeri kehilangan lebih RM4 juta, kerajaan tetap melaksanakanya bagi membantu meringankan bebanan golongan penjaja. Antara aku janji lain yang telah ditunaikan kerajaan negeri ialah menjadikan 17 Januari sebagai cuti peristiwa sempena sambutan perayaan Thaipusam dan memberi tumpuan secara berterusan untuk pembangunan industri berteknologi tinggi. - Bernama

Wanita selamat selepas 14 hari terapung di laut
JAKARTA - Pantang maut sebelum ajal. Itulah yang dialami seorang wanita selepas hanya bergantung kepada air hujan untuk hidup setelah terapung di laut selama dua minggu. Susanti, 32, yang berasal dari Desa Lebo dalam daerah Parigi Moutong, Sulawesi Tengah, ditemui oleh dua nelayan di laut pagi tadi. Ketua Polis Wilayah Poso Kota, Urbanus Songgo berkata, kejadian berlaku apabila bot yang dinaiki Susanti dan suaminya, Toni, 33, terbalik dilambung ombak ketika memancing ikan di laut. "Dari keterangan mangsa, dia sudah 14 hari terumbang-ambing di laut. Dia boleh bertahan hidup kerana minum air hujan. Wanita ini diselamatkan oleh dua nelayan yang berasal dari Tegalredjo, Poso, kira-kira 11 pagi tadi,” kata Urbanus yang dipetik akhbar Kompas.com pada Isnin. Urbanus berkata, daripada keterangan dua nelayan berkenaan, Sudirman, 30, dan Aco, 36, mereka melihat sebuah bot terbalik dan seorang wanita yang berada dalam keadaan lemah. "Kedua-dua nelayan itu membawa mangsa ke klinik berdekatan. Sehingga kini, suami Susanti belum ditemui,” katanya. - Bernama


MH370: Kapal Australia Tiba Di Kawasan Sasaran
PERTH – Kapal perang Australia, Toowoomba tiba di kawasan sasaran bagi mencari pesawat MH370 yang hilang, kata pihak berkuasa hari ini. Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) berkata, kapal itu adalah satu daripada 10 kapal yang ditugaskan untuk mencari kapal terbang Boeing 777 itu hari ini di kawasan selatan Lautan Hindi kira-kira 2,060 kilometer barat Perth. Kapal-kapal lain yang terbabit dalam misi mencari ialah tujuh dari China, sebuah kapal dagang dan satu lagi kapal Australia manakala 10 pesawat pula akan membuat pencarian di udara. – Xinhua


Bantu Cari MH370 Bukti Dunia Sayang Malaysia
KUALA LUMPUR – Bantuan diterima Malaysia dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MH370 membuktikan seluruh dunia sayang Malaysia dan rakyatnya, kata Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Dr Rais Yatim. “Kita menerima banyak bantuan dari aspek tenaga sekutu, pertahanan, penyelidikan, dan ‘surveillance’ (pemantauan),” katanya selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara, BERNAMA TV di sini. Dr Rais berkata, sifat bertanggungjawab diamalkan Malaysia dalam menangani kesulitan sekarang diterima pelbagai pihak dengan positif, sekali gus mendedahkan dan menyerlahkan kebolehan kerajaan Malaysia menangani masalah ini, walaupun ia amat rumit. Malahan, katanya, China turut menzahirkan perasaan bahawa mereka masih bersama-sama Malaysia dan akan terus bekerjasama dalam semua bidang, walaupun majoriti penumpang pesawat tersebut adalah rakyatnya. Penerbangan MH370, menggunakan pesawat Boeing 777-200ER membawa 227 penumpang dengan lebih 150 warga China, serta 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam. Pesawat itu sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. Misi SAR membabitkan 26 negara meliputi Laut China Selatan, Selat Melaka dan Laut Andaman sebelum difokuskan kepada dua koridor iaitu koridor utara dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke bahagian utara Thailand, serta koridor selatan yang meliputi Indonesia hingga ke bahagian selatan Lautan Hindi. Pada hari ke-17 pencarian, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa berdasarkan analisis maklumat satelit dan siasatan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB), penerbangan MH370 “berakhir di selatan Lautan Hindi”. Pada masa sama, Dr Rais turut menekankan peri pentingnya rakyat menjaga adab semasa memperkatakan mengenai tragedi MH370 terutama apabila menggunakan media baharu. “Yang paling perlu sekarang adalah nilai, mengamalkan nilai dan peradaban yang menghormati sesuatu perisitwa, dan menentukan kata-kata dan perbuatan kena pada tempatnya. “Dalam keadaan MH370 kita lihat kata-kata kesat keluar, tuduhan yang tidak berasas selain daripada penulisan yang tidak bertanggungjawab, ini perlu kita banteras dan ‘political will’ (iltizam politik) memang perlu disisip,” katanya. Kata-kata kesat, katanya, hanya akan menampakkan budaya negatif serta mencerminkan daya intelek rakyat yang rendah dan sehubungan itu beliau menasihatkan blogger agar menjaga penggunaan kata-kata supaya tidak menyinggung mana-mana pihak. “Kita semua berasal daripada asuhan Islam, Confucious, Buddhisme, Hinduisme dan sebagainya tapi kita tidak menjelmakan nilai-nilai itu dalam tindak tanduk kita terutama yang berkaitan dengan sosial media,” katanya. Sehubungan itu, beliau menekankan perlunya penulisan yang tepat dan objektif, untuk mengelak daripada kritikan. Dr Rais turut menyambut baik cadangan baru-baru ini bagi diwujudkan mata pelajaran Literasi Media, namun katanya hanya celik media tidak cukup, sebaliknya mesti dilaksanakan bersama-sama dengan budaya berterus terang, bertanggungjawab serta beradab. – BERNAMA


Kapal Kesan Kotak Hitam Sertai Misi Cari MH370
PERTH – Sebuah kapal perang Australia yang dilengkapi dengan alat pengesan kotak hitam menyertai misi mencari sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang terhempas di Lautan Hindi. Penghantaran kapal tersebut dibuat semalam iaitu sehari selepas beberapa kapal lagi mengambil beberapa objek di Lautan Hindi bagi mengenal pasti sama ada ia mempunyai kaitan dengan pesawat yang hilang itu. Bagaimanapun, tiada satu pun objek mempunyai kaitan dengan pesawat MH370 tersebut menyebabkan pasukan mencari masih belum mengetahui lokasi sebenar kapal terbang itu terhempas selepas lebih tiga minggu hilang. Seramai 29 ahli keluarga penumpang pesawat berkenaan tiba di Kuala Lumpur, Malaysia semalam bagi mencari jawapan berhubung kehilangan saudara-mara mereka. Pesawat yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing dan membawa seramai 239 penumpang itu hilang pada 8 Mac lalu. Seramai 153 penumpang pesawat jenis Boeing 777-200 tersebut adalah warga China. Kotak hitam yang perlu dicari itu mengandungi maklumat penerbangan dan rakaman perbualan di kokpit. Kapal Ocean Shield milik Australia itu dijadualkan sampai dilokasi carian yang seluas hampir menyamai keluasan Poland dalam tempoh empat hari. Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) yang menyelaras misi mencari itu berkata, kapal Ocean Shield dilengkapi dengan sebuah alat pengesap kotak hitam yang dikenali sebagai towed pinger locator. Selain alat pengesan yang dipinjam dari tentera Amerika Syarikat itu, kapal berkenaan turut membawa sebuah kapal selam kawalan jauh. Seorang jurucakap AMSA berkata, kapal dari China dan Australia telah mengambil beberapa objek di kawasan carian tetapi mendapati ia hanya sampah. Ketika ini tiada objek yang diambil itu disahkan mempunyai kaitan dengan MH370. – AP


Pencarian MH370 Mungkin Makan Masa Bertahun-Tahun
Pencarian MH370 yang hilang secara misteri sejak 8 Mac lalu mungkin tidak akan dapat diselesaikan dalam tempoh masa yang terdekat ini. Malah, pakar dari Amerika Syarikat menjangkakan ia mungkin memakan masa bertahun-tahun sebelum sebarang penemuan dan penyelesaian terhadap misteri itu dirungkai. Halangan terbesar adalah kerana tidak ada sesiapa pun yang tahu secara tepat laluan yang digunakan MH370 ketika ia hilang dan dipercayai terhempas. Kapten Mark Matthews dari angkatan tentera laut negara itu berkata, “Pada masa ini secara umum kawasan pencarian adalah seluruh Lautan Hindi yang akan memakan masa yang sangat lama untuk pencarian sepenuhnya dilakukan. “Jika anda membandingkan dengan penerbangan 447 Air France, sekurang-kurangnya ketika itu kita ada maklumat yang lebih baik mengenai di mana kapal berkenaan mungkin terhempas,” katanya. Beliau merujuk kepada kejadian yang berlaku di perairan berhampiran Brazil yang memakan masa dua tahun untuk kotak hitam kapal tersebut ditemui. Pada ketika ini, Malaysia dan Australia telah mengumumkan akan terus mencari MH370 dan tidak menetapkan sebarang garis masa atau waktu untuk berbuat demikian. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam memberi jaminan bahawa kerajaan Malaysia komited sepenuhnya terhadap operasi menjejaki Penerbangan MH370 MAS dan tidak akan menghentikan pencarian sehingga pesawat itu ditemui. Ketika operasi mencari memasuki minggu ketiga, Perdana Menteri berkata ingatan dan doa beliau sentiasa bersama keluarga penumpang dan anak kapal pesawat jenis Boeing 777-200ER itu, yang hilang pada 8 Mac. “Ketika masuk minggu ketiga pencarian MH370, kami memberi jaminan bahawa kerajaan Malaysia komited sepenuhnya terhadap operasi pencarian dan tidak akan menghentikan operasi sehingga pesawat dijumpai,” kata beliau di akaun Facebook miliknya. Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang termasuk 152 warga China, dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pukul 12.41 tengah malam. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. Misi pencarian membabitkan pelbagai negara digerak bagi menjejaki pesawat itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian di sepanjang dua koridor iaitu koridor utara menjangkau dari sempadan Kazakhstan dan Turkemistan ke utara Thailand dan koridor selatan, meliputi dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi. Susulan analisis yang belum pernah dibuat sebelum ini, satelit Inmarsat milik syarikat telekomunikasi United Kingdom dan AAIB merumuskan Penerbangan MH370 terbang di koridor selatan dan kedudukan terakhirnya ialah di tengah-tengah Lautan Hindi ke barat Perth, Australia. Najib kemudian mengumumkan pada 24 Mac, 17 hari selepas pesawat itu hilang bahawa Penerbangan MH370 “berakhir di selatan Lautan Hindi”. Kawasan pencarian bagi pesawat MH370 kini ditumpukan ke satu kawasan kira-kira 1,100 kilometer ke barat Perth, Australia berdasarkan nasihat terkini kumpulan penyiasat antarabangsa


“Kalau Ada Serpihan Dalam Zon Pencarian Sekarang – Sudah Tentu Kami Nampak”
Apakah zon pencarian MH370 sekarang adalah tempat yang betul?
Itulah persoalan yang bermain di pemikiran semua pihak lebih-lebih lagi apabila mengambil kira faktor keputusan mencari hanya dibuat berdasarkan andaian dari data satelit semata-mata. Akhbar Mirror dari United Kingdom yang memetik seorang jurucakap pasukan tentera laut Amerika Syarikat (AS) yang terbabit dalam operasi mencari itu melahirkan rasa tidak yakin ada sebarang serpihan MH370 dalam zon semasa. Zon itu terletak 1,850 kilometer ke barat bandar Perth di Australia. Komander William Marks memberitahu CBS; “Kami memiliki sebanyak mungkin aset yang termampu di luar sana. “Anda pasti tertanya-tanya jika serpihan itu ada di luar sana, jika kami terbang melangkaui sesuatu, sudah tentu kami sudah melihat,” katanya. Misi pencarian membabitkan pelbagai negara digerak bagi menjejaki pesawat itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian di sepanjang dua koridor iaitu koridor utara menjangkau dari sempadan Kazakhstan dan Turkemistan ke utara Thailand dan koridor selatan, meliputi dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi. Susulan analisis yang belum pernah dibuat sebelum ini, satelit Inmarsat milik syarikat telekomunikasi United Kingdom dan AAIB merumuskan Penerbangan MH370 terbang di koridor selatan dan kedudukan terakhirnya ialah di tengah-tengah Lautan Hindi ke barat Perth, Australia. Kawasan pencarian bagi pesawat MH370 kini ditumpukan ke satu kawasan kira-kira 1,100 kilometer ke barat Perth, Australia berdasarkan nasihat terkini kumpulan penyiasat antarabangsa. Operasi pencarian penerbangan MH370 dipindahkan selepas petunjuk baharu mendapati pesawat mungkin bergerak lebih laju daripada anggaran asal.


Daily Mail Dakwa Zaharie Ada Perempuan Lain, Keluarga Nafi Laporan
Semalam, akhbar tabloid UK, Daily Mail menerusi keluaran mingguannya, The Mail terus melaporkan artikel yang tidak bermoral apabila mendakwa mereka melakukan wawancara dengan ahli keluarga juruterbang pesawat Malaysia Airlines MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah. Menerusi artikel itu, mereka mendakwa isteri Zaharie, Faizah Khanum Mustafa Khan memberitahu penyiasat, suaminya menyepikan diri dan menghabiskan masa bersendirian di bilik tidur mereka beberapa hari sebelum kejadian kehilangan MH370 pada 8 Mac lalu. Selain itu, mereka turut menyiarkan kenyataan daripada anak sulung Zaharie, Aisyah yang mengatakan, bapanya bukan seperti individu yang dikenalinya selain ayahnya kelihatan terganggu dan seperti ‘hilang’ dalam dunianya sendiri. Daily Mail sebelum ini juga menyiarkan laporan mengatakan Zaharie mengalami masalah rumah tangga sehingga membuatkan fokusnya terganggu ketika menjalankan tugasnya. Malah, dakwaan seorang rakan kepada Zaharie juga menyebut yang kapten berpengalaman selama 33 tahun itu kelihatan seperti ‘tiada keinginan untuk bekerja disebabkan permasalah keluarga yang dialaminya itu’. Selain itu, akhbar tabloid itu juga mendakwa Zaharie turut mempunyai skandal dengan wanita lain sehingga mendorong isterinya berpindah keluar dari rumah mereka yang terletak di Laman Seri, Shah Alam. Ternyata, semua yang dilaporkan Daily Mail itu adalah tidak benar apabila Aishah memuat naik status di Facebook yang berbunyi, “wahai Daily Mail hentikanlah membuat drama walaupun anda sangat pandai membuat cerita dan skrip yang tidak benar. “Semoga tuhan mempunyai belas kasihan terhadap roh anda. Saya tidak akan maafkan anda,” tulis Aishah lagi. Satu emel yang dipercayai dihantar keluarga Zaharie kepada portal Malaysian Insider menafikan ahli keluarga juruterbang itu bercakap kepada Daily Mail. Menurut kandungan emel itu lagi, setakat ini hanya anak lelaki Zaharie yang pernah bercakap kepada media sejak insiden itu berlaku. Kapten Zaharie, 53, dan pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid, 27, bersama 227 penumpang dan 10 anak kapal berada dalam pesawat MH370 yang masih hilang sehingga hari ini sejak berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 12.41 pagi, 8 Mac lalu. Pesawat tersebut sepatutnya mendarat di Beijing pada jam 6.30 pagi hari yang sama. Namun, pada 24 Mac lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah membuat pengumuman bahawa penerbangan itu telah mengakhiri perjalanan mereka di kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi hasil analisa daripada Cawangan Siastan Nahas Udara (AAIB) dari Britain.


Jangan Letak Kesalahan Pada Kapten Zaharie
GEORGE TOWN – Seorang bekas rakan sekolah Kapten Zaharie Ahmad Shah meminta agar juruterbang itu tidak dipersalahkan berhubung kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370. Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Penang Free, Jalil Saad berkata beliau tidak berpuas hati dengan laporan negatif pihak media asing yang cuba mencari kesalahan Zaharie. Beliau berkata media asing seperti CNN (Cable News Network) dan Asia Wall Street Journal (AWSJ) datang ke sekolah itu minggu lalu bagi mendapat butiran lebih lanjut tentang juruterbang tersebut. “Saya beritahu mereka saya tidak setuju dengan laporan mereka sebelum ini terutama CNN yang cuba menggambar imej negatif Zaharie dengan mengaitkannya dengan pengganas,” katanya. Beliau berkata juruterbang itu yang merupakan rakan sekolahnya di sekitar tahun 70-an merupakan seorang yang bercita-cita tinggi dan bekerja kuat untuk mencapai cita-citanya menjadi juruterbang. “Saya berharap semua media asing tidak membuat spekulasi mengenai Zaharie sehingga siasatan ke atas kehilangan misteri pesawat yang dipandunya selesai,” tambahnya. Semasa perhimpunan di sebelah pagi, para pegawai, guru dan pelajar sekolah tertua di Asia Tenggara ini yang mempunyai kira-kira 1,045 pelajar bertafakur selama seminit bagi mengingati penumpang dan anak kapal pesawat yang hilang. – BERNAMA


MH370: Sudah Boleh Tuntut Insurans Nyawa – LIAM
Ahli keluarga penumpang penerbangan MH370 sudah boleh mengisi permohonan untuk tuntutan insurans bermula sekarang tanpa perlu menunggu sijil kematian dikeluarkan. Presiden Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Vincent Kwo berkata, beberapa ahli LIAM telah memulakan proses tuntutan insurans kepada waris penumpang dan anak kapal berkenaan. “Mengambil kira aspek istimewa kejadian itu, syarikat insurans di Malaysia telah bersetuju untuk menyediakan keutamaan khas dalam membantu dan mempercepatkan tuntutan. “Waris boleh memfailkan tuntutan sekarang tanpa perlu menunggu sijil kematian. “Sebaik pemohon yang tepat dikenalpasti, syarikat-syarikat di bawah LIAM komited dalam memberikan sokongan dan bantuan yang terbaik kepada ahli keluarga di masa yang sukar ini,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini. LIAM disertai 14 syarikat insurans utama di negara ini. Penerbangan MH370 membawa 227 penumpang termasuk 152 warga China dan 12 anak kapal.

 

Penipu Twitter Lagak Anak Ketua Pramugara MH370
Dalam kalangan keluarga penumpang pesawat MH370, Maira Elizabeth Nari boleh dikatakan waris yang paling aktif di Twitter. Maira yang merupakan anak perempuan kepada ketua pramugara, Andrew Nari rajin berkongsi perasaan dan berita tentang insiden MH370 melibatkan bapanya. Bagaimanapun bagi yang biasa yang mengikuti perkembangan Maira menerusi twithandle @Gorgxous, anda akan dapati akaun tersebut tidak lagi aktif. Sebaliknya Maira kini menggunakan twithandle baru iaitu @MairaElizxbeth_. Keputusan ini dipercayai kerana Maira terasa hati apabila dia menerima kata-kata berunsur kebencian sebelum ini di Twitter lama. Kini akaun baru Maira mempunyai 3,546 pengikut dan dipercayai akan terus meningkat. Pada masa sama, Maira dilihat menegur seseorang yang menggunakan twithandle @Gorgxous1 kerana berlagak seolah-olah dia adalah Maira termasuk menggunakan gambarnya dan membalas pertanyaan pengikut seolah-olah dia adalah Maira sebenar. Pelik juga perangai sebilangan manusia ini ya? Boleh buat-buat macam tak bersalah dan sanggup berlakon jadi orang lain semata-mata mahukan perhatian. Sedih


Lelaki Sanggup Bertaruh Telan Garpu
Bacau (Romania) – Seorang lelaki cuba menyembunyikan kesalahannya ketika mendapatkan rawatan kerana mengalami kesakitan pada kerongkongnya. Dia enggan memberitahu doktor yang dia menelan garpu sebelum itu. Ujian X-ray yang dijalankan ke atas Radu Calincescu, 25, menunjukkan objek berkenaan tersekat di tekaknya. Radu menelan garpu berkenaan kerana bertaruh dengan rakannya bagi membuktikan kekuatannya, lapor Daily Mail. “Saya mabuk ketika itu dan bertaruh dengan rakan yang saya mampu menelan garpu itu tanpa tercedera. Saya memasukkannya ke dalam mulut dan dapat menelannya. “Kini saya sedar ia tindakan yang amat bodoh. Saya rasa, buat sementara waktu, saya tidak akan bertaruh lagi,” katanya. Bengang dengan kenyataan itu, doktor memberitahu Radu mereka “tidak ada masa” untuk mengeluarkan garpu berkenaan.


Bayi 7 Bulan Nyaris Dihempap Dinding Runtuh
KUALA KEDAH – Seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan nyaris tercedera namun sempat diselamatkan bapanya daripada terkena dinding kayu kediaman mereka yang roboh selepas ditiup angin kencang, malam kelmarin. Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, Muhammad Adam Iman bersama ibu bapanya berada dalam rumah mereka di Kampung Sungai Batang, dekat sini, sebelum terdengar deruan angin kuat. Bapanya, Fadzilah Harun, 41, berkata, dia segera menerpa ke arah bayinya kemudian mengalihkan kedudukan anak bongsunya itu dari bilik tidur ke ruang tamu. “Kebiasaannya dia merangkak dalam bilik tidur saya. Nasib baik kami sempat mengangkatnya sebelum dinding kayu roboh selepas angin ribut membadai kediaman kami. “Ketika itu, kediaman kami terasa bergegar seketika bak gempa bumi, sebelum dikejutkan bunyi bumbung jatuh ke sawah berhampiran,” katanya. Fadzilah berkata, anak kedua, Nurul Fatin Najwa, 4, dan bayinya menangis akibat terkejut dengan kejadian terbabit bagaimanapun angin kuat itu seakan-akan berhenti sebaik dia melaungkan azan. Katanya, angin terbabit tidak menerbangkan bumbung di bahagian bilik ibunya yang sedang bersolat semasa kejadian, sedangkan ia hanya bersebelahan biliknya. “Banyak barang rosak termasuklah baju dan buku sekolah anak kerana basah. Malah, saya hantar ahli keluarga tinggal dengan kakak kerana bimbang berlaku kejadian tak diingini,” katanya. Sementara itu, Adun Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa yang turun padang bersama Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail bersimpati dengan nasib dialami kebanyakan mangsa ribut ini. Mohd Nasir berkata, pihaknya hanya menerima lebih kurang lima aduan mangsa ribut di kawasan terbabit setakat ini bagaimanapun mereka sudah melawati mangsa yang terlibat. – Sinar Harian Online

 
 

Jaclyn Victor Bakal Tamatkan Zaman Bujang
Tahniah diucapkan buat penyanyi bersuara emas, Jaclyn Victor yang dilaporkan bakal menamatkan zaman bujang tidak lama lagi. Berita gembira ini dikongsikan oleh Jac sendiri menerusi laman Instagramnya, sebentar tadi. Namun, penyanyi berusia 36 tahun ini tidak pula memberikan butir-butir lanjut tentang perkahwinannya itu. Dengan besertakan gambar patung pengantin lelaki dan perempuan, Jac menulis, ” Tahniah Jac dan bakal suami!


Ooi Sang Kuang Dilantik Pengerusi OCBC Malaysia
KUALA LUMPUR – OCBC Bank (Malaysia) Bhd melantik Datuk Ooi Sang Kuang sebagai Pengerusi OCBC Bank Bhd dan anak syarikat perbankan Islamnya Al-Amin Bank Bhd. Dalam kenyataan Isnin, bank itu berkata Ooi, Penasihat Khas Bank Negara sejak 2010 hingga persaraannya pada 2011, ialah Timbalan Gabenor dan anggota lembaga pengarah bank pusat itu dari 2002 hingga 2010. “Beliau dilantik sebagai anggota lembaga pengarah OCBC Bank pada 2012 dan sebagai Timbalan Pengerusi pada tahun yang sama,” katanya dan menambah, Ooi juga ialah Pengerusi Cagamas Bhd dan anak-anak syarikatnya. – BERNAMA


Korea Utara, Selatan Berbalas Bedilan
SEOUL – Dua negara Korea berbalas bedilan di sempadan laut yang dipertikaikan selepas Seoul menyatakan tentera Pyongyang membedil di perairan Korea Selatan. “Beberapa peluru artileri yang ditembak Korea Utara jatuh di kawasan kami dan pihak kami membalas bedilan itu,” kata seorangjurucakap Ketua Turus Bersama (JCS) Korea Selatan. Tiada petunjuk sama ada kedua-dua pihak membedil ke sasaran khusus. Latihan menembak oleh Korea Utara bermula pada jam 12.15 tengah hari (11.15 waktu Malaysia) dan Korea Selatan mula membalasnya dalam masa 30 minit. Sempadan Laut Kuning adalah wilayah amat sensitif dan menjadi medan pertempuran berdarah sebelum ini. Pada November 2010, Korea Utara membedil Pulau Yeonpyeong di Korea Selatan dan menyebabkan empat penduduk terbunuh. – AFP



VIDEO: Suami Curang Dimarahi Isteri Dalam Bas -”This One Got No Money One”
KANTOI. Itulah perkataan yang sesuai untuk lelaki ini apabila isterinya dapat menghidu kecurangannya dengan seorang wanita yang jauh lebih muda. Video yang dirakamkan di dalam sebuah bas di Singapura ini menyaksikan si isteri memarahi suaminya yang lebih banyak berdiam diri kerana malu. Antara ayat-ayat yang kedengaran dari mulut wanita itu kepada suaminya ialah: “Eh, anak kat rumah dah banyak kau nak buat macam ni? Tak tau malu ke apa?” Agak melucukan apabila wanita itu memberitahu kekasih suaminya bahawa lelaki itu tidak mempunyai wang sebelum mereka bertiga turun dari bas tersebut bersama-sama. Rasa-rasanya, apa yang akan berlaku selepas itu? Anda fikirkan sendiri.

alt
Catuan air peringkat ke-4 bermula 4 April
KUALA LUMPUR 28 Mac - Pelan catuan air peringkat keempat yang melibatkan beberapa kawasan di Lembah Klang akan dilaksanakan mulai 4 April ini. Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan itu dicapai hasil persetujuan melibatkan SPAN, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, kerajaan negeri Selangor, Lembaga Urus Air Selangor, Majlis Keselamatan Negara dan semua operator dalam mesyuarat pada hari ini. Katanya, tarikh dan kawasan yang terlibat dengan catuan itu akan dimaklumkan dalam sidang akhbar pada Selasa depan. "Butiran terperinci mengenai jadual pengagihan air peringkat keempat itu akan dikeluarkan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. dalam sidang akhbar tersebut," kata kenyataan itu di sini, hari ini. Dalam pada itu, SPAN memberitahu, berikutan paras air di tujuh empangan di Selangor yang masih rendah, pelan catuan ketiga yang sedang dilaksanakan ketika ini akan diteruskan sehingga 30 April. Ujarnya, pelan catuan yang sepatutnya tamat pada 31 Mac ini melibatkan kira-kira 3.6 juta penduduk dan 722,032 kediaman di enam wilayah iaitu Gombak, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Kuala Lumpur dan Hulu Selangor. Katanya, pelan catuan peringkat pertama yang bermula pada 27 Februari lalu dan melibatkan 60,185 rumah di kawasan Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang turut diteruskan. Ia dilaksanakan ekoran penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi akibat kandungan ammonia yang tinggi di Sungai Langat. Menurut kenyataan itu, Empangan Sungai Selangor yang merupakan empangan bekalan air terbesar di Selangor menerima hujan yang sedikit sejak dua bulan lalu berbanding tahun-tahun sebelum ini. "Disebabkan jumlah hujan berkurangan sejak pertengahan Januari dan ditambah pula dengan peningkatan pengeluaran air terawat, paras air di semua empangan terus menyusut," jelasnya. Katanya, sehubungan itu, kerajaan negeri Selangor selaku pihak yang bertanggungjawab dalam mengawal selia sumber air negeri telah memutuskan untuk menambah pengurangan pelepasan air dari Empangan Sungai Selangor kepada 1,000 juta liter sehari.


Media China minta keluarga bersikap rasional
KUALA LUMPUR - Media China meminta keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370 yang masih hilang supaya "tidak membiarkan kemarahan mereka mengatasi fakta dan kewarasan", walaupun mereka berasa amat sedih. Dalam ruangan pendapat umum bertajuk "Hadapi tragedi MH370 dengan rasional" yang disiarkan oleh akhbar China Daily hari ini, penulis Mei Xinyu berkata anggota keluarga mangsa perlu mematuhi nilai-nilai asas masyarakat bertamadun. Beliau berkata mereka juga perlu menjaga "maruah sebagai sebuah kuasa besar". "Perkataan dan tingkah laku tidak waras yang bercanggah dengan nilai-nilai asas sekalipun atas nama 'mempertahankan hak perundangan', tidak akan membantu dalam hal ini. "Sebaliknya, ia mungkin menikam diri sendiri dan menjejaskan keseluruhan kepentingan nasional, menyebabkan semua rakyat China menanggung kesan tragedi itu," kata beliau dalam akhbar itu yang dimiliki kerajaan. Xinyu, seorang penyelidik di Institut Kerjasama Perdagangan dan Ekonomi Antarabangsa, Kementerian Perdagangan China, berkata warga China perlu memahami yang kejadian itu mungkin insiden paling aneh dalam sejarah penerbangan awam Asia. Beliau menarik perhatian bahawa menemui pesawat dan menganalisis data teknikal akan mengambil masa. "Penerbangan MH370 nampaknya jatuh di selatan Lautan Hindi yang sunyi dengan keadaan ombak yang tinggi dan kedalamannya mencecah beribu-ribu meter. Tidak banyak penerbangan sivil atau kapal-kapal laut melalui kawasan ini. "Kita perlu ingat, ada kes di mana bangkai pesawat hanya dijumpai selepas beberapa tahun usaha mencari. Selain semua pihak perlu berusaha mencari hasil terbaik, mereka juga perlu bersedia untuk pencarian yang mengambil masa lama," katanya. Xinyu berkata keluarga dan waris perlu faham bahawa pencarian pesawat yang hilang itu membabitkan keupayaan ketenteraan dan rahsia pertahanan sesebuah negara. Oleh itu, menuntut sebuah negara berdaulat untuk mengeluarkan semua maklumat adalah tidak wajar, dan adalah mustahil bagi semua maklumat rahsia itu didedahkan. "Pendapat umum tidak sepatutnya menyalahkan pihak berkuasa Malaysia kerana kononnya menyembunyikan maklumat berikutan ketiadaan bukti, memandangkan kita perlu bertindak mengikut undang-undang dan bukan dengan 'membuat bising' atau menunjukkan tingkah laku yang agresif atau tidak waras," kata beliau. Xinyu berkata anggota keluarga harus mengakui bahawa dalam insiden yang belum pernah berlaku itu, Malaysia tidak lepas tangan dan seluruh rakyat Malaysia menunjukkan kesedihan yang mendalam. (Oleh itu) rakyat China perlu mengelak daripada mencetuskan kritikan dan memulakan pemulauan terhadap Malaysia bagi memastikan mereka tidak melukakan hati majoriti rakyat Malaysia. "Semua rakyat China bersimpati dengan anggota keluarga penumpang MH370 dan berkongsi kesedihan mereka," kata beliau. Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam 8 Mac dan hilang daripada radar kira-kira sejam kemudian. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. Sebanyak 154 daripada penumpang MH370 adalah warga China. Pada 24 Mac lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa penerbangan MH370 berakhir di "selatan Lautan Hindi" berdasarkan analisis data satelit oleh firma telekomunikasi satelit United Kingdom Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB). Misi pencarian pelbagai negara dikerahkan di selatan Lautan Hindi untuk mencari pesawat Boeing 777-200 itu, yang melencong daripada laluan asal penerbangannya. - Bernama

Pemuda ditemui mati
Pemuda ditemui mati
LABIS - Seorang pemuda berusia awal 30-an ditemui mati dengan kesan tetakan di kedua-dua belah kaki dan belakang kepala dipercayai menggunakan senjata tajam di sebuah kebun getah kira-kira tiga kilometer dari kawasan perumahan Ladang Sungai Labis, di sini, Jumaat lalu. Timbalan Ketua Polis Daerah Segamat, Deputi Superintendan Mohd Anuar Ismail berkata, mangsa yang dikenali sebagai Devaraj Rung Raj ditemui orang awam di tepi tebing anak sungai di kawasan tersebut sebelum menghubungi pihak polis kira-kira pukul 2.00 petang hari ini. “Siasatan di lokasi kejadian tidak menemukan sebarang dokumen pengenalan diri mangsa dan senjata yang digunakan oleh suspek. Mangsa yang masih bujang dikatakan tidak pulang ke rumahnya di Ladang Sungai Labis beberapa hari sebelum kejadian. “Berdasarkan keadaan mayat mangsa, kami percaya mangsa diserang lebih dari seorang individu dan mangsa meninggal dunia lebih 24 jam sebelum ditemui,” katanya. Menurutnya, mayat mangsa dijumpai di tebing anak sungai di kawasan kebun getah tersebut dalam keadaan tertiarap berlumuran darah dan dipercayai dicampakkan oleh penyerang sebelum ditemui. Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai diserang lebih dari seorang penyerang tidak jauh dari kawasan mayat ditemui. Bagaimanapun, mayat mangsa dikenal pasti oleh seorang ahli keluarganya berdasarkan fizikal mangsa yang kudung di pergelangan tangan kiri. “Sebelum ini, keluarga terdekat mangsa ada membuat laporan polis di Balai Polis Labis pada 28 Mac lalu apabila mangsa tidak pulang ke rumah. “Siasatan lanjut juga sedang dijalankan bagi mengenal pasti suspek dan motif dari pelbagai sudut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Wan Junaidi Tuanku Jaafar
Akta Pencegahan Jenayah berkuat kuasa Rabu ini
KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Rakyat hari ini diberitahu Akta Pencegahan Jenayah (POCA) (Pindaan dan Pemerluasan) 2013, khusus untuk membanteras jenayah terancang dan berat akan dikuatkuasakan Rabu ini. Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata selain bukti kerajaan komited membanteras aktiviti jenayah, akta yang akan diwartakan esok itu bertujuan memastikan usaha pencegahan dapat dilakukan segera. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu) yang ingin tahu bila POCA akan dilaksanakan pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini. Wan Junaidi menjelaskan akta itu antara lain memberi kuasa kepada Lembaga Pencegahan Jenayah mengeluarkan arahan menahan penjenayah selama dua tahun. Beliau berkata pelaksanaan akta bagi memerangi dan mencegah jenayah dengan lebih berkesan yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan atas kepentingan ketenteraman dan keselamatan awam atau pencegahan jenayah. Kepada soalan asal Datuk Hasbullah Osman (BN-Gerik), yang ingin tahu bagaimana pelantikan anggota ke dalam Lembaga Pencegahan Jenayah dibuat, Wan Junaidi berkata pelantikan dibuat sepenuhnya oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri. "Semua pelantikan adalah melalui perkenan Yang di-Pertuan Agong, dan Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak terlibat dalam proses pelantikan itu," katanya. - Bernama

Gara-gara dadah, anak tergamak curi di kedai bapa
BESUT - Gara-gara dadah, seorang lelaki berumur 37 tahun sanggup mencuri barangan alatan rumah di kedai bapanya yang mengusahakan kedai perkakasan pembinaan di Kampung Gong Bayor, Kampung Raja di sini pada Rabu lepas. Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Noor Zainy Mohd Noor berkata kejadian pukul 1 pagi itu disedari mangsa yang berumur 66 tahun ketika pergi memeriksa kedainya. "Semasa tiba di pekarangan kedainya, mangsa ternampak sebuah van di hadapan kedai dan melihat dua suspek yang dikenalinya sedang memunggah beberapa barangan ke dalam van itu. "Sebaik sahaja kedua-dua suspek beredar, mangsa terus memeriksa ke dalam kedai dan mendapati lima mangkuk tandas duduk dan lima gulung dawai pagar dilarikan suspek," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Noor Zainy berkata bertindak atas laporan yang dibuat oleh mangsa sepasukan polis berjaya menahan anak mangsa dan seorang lagi suspek pada Sabtu lepas. Katanya, hasil pemeriksaan suspek didapati positif methamphetamine dan barang yang dicuri dijumpai semula setelah suspek mengaku menjual kepada rakannya. - Bernama

Awang Adek
Awang Adek duta baru Malaysia ke AS
KUALA LUMPUR - Bekas Timbalan Menteri Kewangan Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin telah dilantik menjadi Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat. Menurut Wisma Putra, Awang Adek, 59, menerima watikah pelantikannya daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara hari ini. Awang Adek berkelulusan ijazah sarjana muda dalam matematik dan ekonomi dari Drew University Amerika Syarikat sebelum melanjutkan pelajaran ke Wharton School, University of Pennsylvania di peringkat sarjana dan Doktor Falsafah (PhD). Beliau pernah bertugas sebagai pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) pada 1983 hingga 1985. Beliau kemudian menyertai Bank Negara Malaysia pada 1985 hingga 2001 dengan jawatan terakhir sebagai penolong gabenor. Pada Pilihan Raya Umum 2004, beliau bertanding kerusi Parlimen Bachok dan selepas memenangi kerusi itu telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah hingga 2006. Seterusnya, beliau dilantik sebagai timbalan Menteri Kewangan, yang dipegangnya hingga April 2013. Pada 9 April 2009 beliau dilantik sebagai senator, dan kemudian dilantik semula untuk penggal kedua pada 9 April 2012. - Bernama

Najib Tun Razak
MH370: Bukan mudah kelola SAR berskala besar
SEPANG - Hubungan baik Malaysia dengan negara lain telah menyumbang kepada bantuan antarabangsa yang dihulur dalam misi mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak 8 Mac, kata Datuk Seri Najib Tun Razak. Perdana Menteri menegaskan bukanlah tugas mudah untuk menghimpunkan 26 negara dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) besar-besaran itu sekiranya Kuala Lumpur tidak mewujudkan hubungan rapat dengan ibu negara lain. "Masyarakat perlu menyedari bahawa menjadi tugas yang besar untuk melibatkan begitu banyak negara dalam satu operasi besar-besaran. Perkara ini tidak akan berlaku jika Malaysia tidak mempunyai hubungan akrab dengan banyak negara," kata Najib. Beliau ditemui media selepas menyaksikan perlumbaan Grand Prix Formula 1 Malaysia Petronas di Litar Sepang di sini hari ini. Najib berkata Malaysia amat menghargai semua sokongan dan bantuan yang dihulur negara terbabit dalam pencarian pesawat Boeing 777-200ER yang hilang daripada paparan radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Pesawat itu dijadual mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. Operasi SAR yang ketika ini tertumpu di Lautan Hindi setakat ini belum membuahkan hasil. Najib mengumumkan pada 24 Mac bahawa Penerbangan MH370 itu berakhir di selatan Lautan Hindi. - Bernama

Pegawai penjara terima bungkusan 2 butir peluru
NIBONG TEBAL - Sebuah bungkusan mengandungi dua butir peluru hidup dikirim kepada seorang pegawai di Penjara Seberang Perai, Sungai Jawi, di sini semalam tanpa diketahui motif kiriman itu. Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, seorang pegawai penjara wanita menerima bungkusan berkenaan yang didapati mengandungi peluru berbalut kertas tisu. Jurucakap polis berkata bungkusan berkenaan pernah dihantar ke penjara itu pada Februari lepas dan pengirimnya menulis nama seorang pegawai penjara iaitu 'Asisten Superitenden Nordin' sebagai penerima. "Bagaimanapun, tiada pegawai penjara yang bernama Asisten Superitenden Nordin bertugas di situ dan pihak pentadbiran enggan menerima kiriman terbabit sebelum ia diserahkan kembali ke pejabat pos. "Namun selepas hampir sebulan, bungkusan itu dihantar sekali lagi ke penjara berkenaan dengan menggunakan nama pengirim dan penerima yang sama," katanya di sini hari ini. Jurucakap itu berkata pegawai penjara bertugas yang curiga dengan kiriman terbabit kemudian membuka dan terkejut apabila mendapati ia mengandungi dua peluru hidup bersaiz 9mm jenis 'Luger' S&W. "Berikutan itu, pegawai penjara berkenaan membuat laporan polis dan siasatan awal mendapati nama pengirim dan nombor telefon yang digunakan adalah milik seorang wanita yang tinggal di Sungai Petani, Kedah. "Bagaimanapun, wanita berkenaan mendakwa dia bukan pengirim bungkusan berkenaan dan semakan rekod juga mendapati seorang pegawai penjara yang bernama ASP Nordin pernah menjalani latihan di penjara berkenaan dua tahun lalu," katanya. Jurucakap itu berkata pegawai terbabit kini bertugas di penjara Alor Setar dan polis sudah menghubunginya namun beliau sedang bercuti. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supritenden Shafien Mamat ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan pihaknya kini masih menjalankan siasatan berhubung kejadian itu. - Bernama

Polis siasat punca kematian suami isteri dikelar
KUALA LUMPUR - Polis masih menyiasat kes sepasang suami isteri yang ditemui mati dengan kesan kelar di leher mereka di Projek Perumahan Rakyat Kampung Muhibbah, Cheras di sini malam Sabtu lepas. Ketua Daerah Polis Cheras Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata polis sedang melakukan siasatan daripada pelbagai sudut antaranya latar belakang mangsa dan turut mengambil keterangan daripada anggota keluarga mereka. "Siasatan awal forensik menunjukkan kemungkinan si suami telah mengelar isterinya terlebih dahulu bersama anjing mereka dengan menggunakan pisau yang sama, sebelum si suami membunuh diri. "Setakat ini polis mengklasifikasi kes itu sebagai kematian mengejut," katanya ketika ditemui pada majlis pengisytiharan Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di sini hari ini. Beliau berkata sebelum kejadian, seorang mangsa menghubungi anggota keluarganya memberitahu bahawa dia sedang mengalami masalah, namun enggan menyatakan lebih lanjut masalahnya. Akhbar hari ini melaporkan punca kejadian mungkin disebabkan si isteri dipercayai mempunyai hubungan dengan lelaki lain yang ditemui si suami di Facebook isterinya atau si suami sendiri tertekan kerana mempunyai masalah kewangan. Dalam kejadian pukul 10 malam itu, kedua-dua mangsa yang berumur 32 tahun ditemui mati di dalam bilik tidur dengan sebilah 'pen knife' ditemui berhampiran mayat si suami. Turut ditemui mati ialah dua ekor anjing mereka yang turut dikelar di leher. Sementara itu Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mohmad Salleh yang merasmikan IPD itu berkata ia akan beroperasi mulai esok dan merupakan IPD yang keenam yang ditubuhkan di bawah Ibu Pejabat Polis Kontijen Kuala Lumpur. Beliau berkata daerah Wangsa Maju merupakan gabungan sebahagian kawasan IPD Sentul dan IPD Cheras yang merangkumi empat balai polis dan enam balai komuniti. Empat balai polis itu ialah Pudu, Wangsa Maju, Setapak dan Jalan Tun Razak sementara enam balai komuniti merupakan balai Setiawangsa, Datuk Keramat, Melati, Wangsa Link, Seksyen 5 Wangsa Maju dan Kampung Pandan, kata Mohmad. Kawasan pentadbiran IPD Wangsa Maju seluas 87.3km persegi dengan populasi kira-kira 971,540 orang dan mempunyai 952 anggota serta pegawai. - Bernama

Foto
Lelaki ditemui mati dalam longkang USM
ANGGOTA polis forensik memeriksa mayat yang ditemui di longkang.
GEORGETOWN - Seorang lelaki ditemui mati dalam longkang berhampiran asrama lelaki Desasiswa Restu, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini tengah malam tadi. Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Superintendan Ismail Idris berkata lelaki berusia lingkungan 20-an yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri itu ditemui dengan kesan kecederaan pada betis kiri, hidung berdarah dan calar di dagu pada 12.45 tengah malam oleh pengawal keselamatan universiti. Katanya lelaki terbabit memakai baju kuning bertulis 'Pertandingan Pertolongan Cemas Cawangan Perak' dan berseluar sukan pendek. Beliau berkata siasatan awal polis mendapati kamera litar tertutup di lokasi kejadian tidak berfungsi dan beberapa penuntut yang tinggal di asrama itu tidak mengenali lelaki berkenaan. Katanya mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat. Beliau meminta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantU siasatan. - Bernama

Kes bawah umur terlibat jenayah membimbangkan
JOHOR BHARU - Jumlah remaja bawah umur terlibat kesjenayah di negeri ini membimbangkan dengan tahun lepas mencatatkan peningkatan kes kepada 469 berbanding 433 kes pada tahun 2012, kata Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff. Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 249 kes merupakan kes jenayah kekerasan manakala 220 kes adalah kes jenayah harta benda. Pada tahun lepas, katanya sebanyak 83 pelajar ditangkap, dengan 38 daripadanya terlibat dalam jenayah kekerasan manakala 45 dalam jenayah harta benda. "Jumlah ini membimbangkan...kalau kanak-kanak sekolah terlibat dalam jenayah, ini adalah sesuatu yang amat mendukacitakan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Peringatan Hari Kor Kadet Polis ke-44 Peringkat Kontinjen Johor di Dataran Kawad, Universiti Teknologi Malaysia di sini. Terdahulu, Mokhtar menyampaikan perutusan khas daripada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sempena ulang tahun kor kadet polis yang disambut serentak di seluruh negara. Dalam perutusan itu, Ketua Polis Negara berkata masalah gejala sosialmelibatkan remaja adalah sangat membimbangkan "umpamabarah yang semakin merebak dalam tubuh jika tidak dirawat dengan segera." "Jika dahulu kes-kes yang sering timbul dalam kalangan pelajar sekolahmenengah ialah kes-kes buli, kini ia melibatkan jenayah berat melibatkan samun, curi kenderaan, rogol, rompak dan sebagainya," kata Khalid. Bagi menangani sebahagian daripada masalah ini, katanya Kor Kadet Polis yang telah diwujudkan sekian lama diharapkan dapat menjadi ejen penyalur maklumat kepada Polis Diraja Malaysia, bahkan bertindak sebagai pembimbing rakan-rakan supaya tidak terlibat dengan gejala negatif. Di Johor kini terdapat sebanyak 14,444 anggota Kor Kadet Polis merangkumi 425 platun, 243 sekolah dan 432 guru. - Bernama

Kematian akibat Tibi meningkat 13 peratus
KUALA LUMPUR - Tibi atau Tuberculosis menjadi punca utama kematian bagi kategori penyakit berjangkit dengan mencatatkan peningkatan kes kematian sebanyak 13 peratus pada tahun lepas. Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata sebanyak 1,597 kes kematian disebabkan Tibi dilaporkan di Malaysia pada tahun lepas iaitu meningkat sebanyak 183 kes berbanding 1,414 kes kematian pada 2012. "Kes Tibi juga meningkat pada tahun lepas iaitu sejumlah 24,071 kes dilaporkan dan ia meningkat sebanyak enam peratus atau 1,361 kes berbanding 22,710 pada tahun 2012," katanya pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Tibi Sedunia 2014 peringkat kebangsaan yang bertemakan 'Mantapkan Prestasi:Ke arah Mengesan, Merawat dan Menyembuhkan Pesakit Tibi' di sini hari ini. Beliau berkata secara nisbah seorang pesakit Tibi yang aktif boleh memberi jangkitan kepada 10 orang lain sekiranya tidak mendapatkan rawatan lanjut dan tidak menghiraukan langkah pencegahan awal bagi menghapuskan kuman Tibi. "Sebanyak 14 peratus penyakit Tibi ini merebak disebabkan oleh warga asing manakala 86 peratus lagi disebabkan oleh penduduk tempatan. Setakat ini Sabah merupakan negeri yang mencatatkan kes Tibi paling banyak iaitu 4,526 kes," katanya. Dr Subramaniam berkata ujian saringan kesihatan mengesan penyakit itu pada peringkat awal adalah amat penting bagi masyarakat untuk ambil berat supaya individu yang disahkan menghidapi Tibi boleh mendapatkan rawatan lanjut bagi memutuskan rantaian jangkitan. "Kenal pasti penyakit Tibi yang mustahak. Kalau ada batuk berterusan, tidak ada selera makan dan demam yang berterusan tanpa sebab, individu itu perlu berjumpa doktor dengan kadar segera. "Ada keperluan untuk mendapat rawatan lanjut dan ubatan khusus untuk penyakit ini agar kuman yang boleh menjangkiti orang lain akan berkurangan dan tidak akan merebak," katanya. Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Dr Subramaniam berkata kementerian itu begitu komited terhadap usaha menangani masalah penularan penyakit Tibi dalam kalangan rakyat dengan merangka beberapa pelan strategik kebangsaan seperti Program Kawalan Tibi Kebangsaan. "Bagi memperkukuh Program Kawalan Tibi Kebangsaan ini, Kementerian Kesihatan telah menyediakan beberapa strategi untuk mendekati pesakit Tibi yang masih tidak mendapatkan perkhidmatan rawatan yang disediakan dalam proses penyembuhan penyakit ini. "Antaranya ialah memperluaskan perkhidmatan rawatan Tibi kepada klinik-klinik swasta bagi memastikan rakyat mendapat rawatan Tibi yang cepat, tepat dan efisien," katanya. - Bernama

Rambo Bentong diperintah bela diri
Rambo Bentong diperintah bela diri
Mahkamah Tinggi di Temrloh hari ini memerintahkan penganggur Rabidin Satir, 43, yang juga dikenali "Rambo Bentong" (dua, kiri) membela diri atas tuduhan membunuh dan merogol seorang remaja, lima tahun lalu. - Foto Bernama
TEMERLOH - Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan seorang lelaki yang sebelum ini dihukum penjara 115 tahun bagi lima sabitan merogol dan seks luar tabii, membela diri terhadap pertuduhan membunuh dan merogol seorang remaja perempuan lima tahun lalu. Hakim Datuk Abdul Karim Ab Rahman membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Rabidin Satir yang juga dikenali sebagai Rambo Bentong. Rabidin, 43, dari Kampung Libang Ulu, Tambunan, Sabah didakwa membunuh Annie Kok Yin Cheng, 17, antara 11.30 malam 7 Mac 2009 dan 1.50 tengah hari 8 Mac 2009, di Lot 4168 Kampung Ketari Bentong, Bentong, dekat sini. Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. Tertuduh juga didakwa merogol Kok sehingga menyebabkan kematiannya di tempat dan pada masa sama, mengikut Seksyen 376(4) yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 30 tahun dan sebatan. Rabidin memberitahu mahkamah dia akan memberikan keterangan secara bersumpah dari kandang tertuduh sebagai kaedah bagi membela diri, selepas berbincang dengan peguam belanya, Richard Bong Chong Fook. Abdul Karim kemudiannya menetapkan 2 April ini sebagai tarikh mendengar keterangan bersumbah Rabidin. Terdahulu, semasa penyampaikan penghakimannya, Abdul Karim berkata hasil pemeriksaan doktor mendapati punca kematian mangsa adalah kelaran di lehernya. Menurut beliau, kesan air mani terdapat pada kemaluan mangsa dan kesan yang sama turut didapati pada pakaian mangsa yang diserahkan oleh keluarga mangsa kepada pegawai penyiasat. "Kesan air mani pada mangsa jelas bahawa pada hari kejadian, tertuduh adalah orang yang terakhir dengan mangsa. "Tiada keterangan menunjukkan bahawa ada orang lain pada masa kejadian. Saya mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan satu prima facie bagi dua tuduhan itu," katanya. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mustaffa. Pada 5 Feb tahun lepas, Rabidin dijatuhi hukuman penjara berjumlah 115 tahun dan 50 sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Raub terhadap empat pertuduhan merogol dan satu pertuduhan melakukan seks luar tabii terhadap empat mangsa berumur antara lapan hingga 17 tahun. Sebulan kemudian iaitu pada 21 Mac 2013, dia dihukum penjara 18 tahun oleh Mahkamah Sesyen Raub selepas mengaku bersalah menyerang dan mencederakan Konstabel Mohd Suhaimi Md Razali, 24, dengan sebilah parang di sebuah rumah di Taman Shahbandar Husin, Bentong pada kira-kira 6 petang, 14 November 2012. - BERNAMA

Dua ditahan miliki senapang buatan sendiri
KOTA BHARU - Polis menahan dua lelaki kerana disyaki memiliki selaras senapang buatan sendiri dalam Ops Cantas Khas di sebuah rumah di Kampung Aur Duri, Salor di sini semalam. Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata kedua-dua suspek berumur 26 dan 30 tahun itu ditahan pada pukul 4.30 pagi. "Hasil risikan, polis melakukan serbuan ke atas rumah terbabit dan menahan dua suspek berkenaan. "Pemeriksaan yang dilakukan menjumpai satu laras senapang buatan sendiri berada dalam almari dalam bilik tidur rumah tersebut," katanya ketika dihubungi hari ini. Beliau berkata polis turut menemui beberapa komponen motosikal yang telah dileraikan dalam rumah berkenaan, disyaki dicuri. "Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan mereka kini direman selama empat hari bermula semalam untuk siasatan lanjut," katanya. Azham berkata kes disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan tidak kurang enam sebatan jika sabit kesalahan. Mereka juga disiasat mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1995 kerana memiliki barang curi yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM1,000 jika sabit kesalahan. - Bernama

Tony Abbott
Abbott sokong MH370 hilang di Lautan Hindi
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Australia Tony Abbott menyokong pandangan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa penerbangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 berakhir di Lautan Hindi. "Berdasarkan bukti dikumpulkan mendapati pesawat itu telah hilang dan ia hilang di kawasan selatan Lautan Hindi," katanya kepada pemberita di pusat koordinasi pencarian pesawat itu di pangkalan tentera udara Australia di Perth, menurut laporan agensi berita AFP pada Isnin. "Bukti itu jelas amat kukuh dan saya fikir Perdana Menteri (Datuk Seri) Najib (Tun) Razak berhak membuat rumusan itu, dan saya fikir sebaik sahaja rumusan itu dicapai, adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk mengumumkan rumusan itu," kata Abbott dipetik oleh agensi berita itu. Pesawat Boeing 777-200ER itu, membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang pada 8 Mac, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. Pada 24 Mac, Najib mengumumkan bahawa berdasarkan analisis maklumat satelit dan siasatan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB), penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi". Pengumuman itu telah menimbulkan rasa kecewa dalam kalangan anggota keluarga penumpang dan anak kapal pesawat itu, menggesa pihak berkuasa membuat rumusan konkrit daripada bukti diperoleh. Sementara itu, dalam sidang akhbar yang sama, agensi berita Reuters memetik Abbott sebagai berkata Australia tidak menetapkan tempoh tertentu bagi misi mencari pesawat Malaysia itu. "Saya pastinya tidak akan menetapkan tempoh terhadap usaha ini," katanya dan menambah "usaha pencarian kami dan tahap operasi diperhebat, bukan dikurangkan". Agensi berita itu melaporkan sejumlah 20 pesawat dan kapal terlibat dalam misi mencari MH370 di kawasan terpencil barat daya perairan Australia pada Isnin. Dalam perkembangan berkaitan, Abbott turut memuji usaha tanpa mengenal penat lelah Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang disfatkannya sebagai "luar biasa" dalam misi mencari MH370. Pengumuman itu telah menimbulkan rasa kecewa dalam kalangan anggota keluarga penumpang dan anak kapal pesawat itu, menggesa pihak berkuasa membuat rumusan konkrit daripada bukti diperoleh. Sementara itu, dalam sidang akhbar yang sama, agensi berita Reuters memetik Abbott sebagai berkata Australia tidak menetapkan tempoh tertentu bagi misi mencari pesawat Malaysia itu. "Saya pastinya tidak akan menetapkan tempoh terhadap usaha ini," katanya dan menambah "usaha pencarian kami dan tahap operasi diperhebat, bukan dikurangkan". Agensi berita itu melaporkan sejumlah 20 pesawat dan kapal terlibat dalam misi mencari MH370 di kawasan terpencil barat daya perairan Australia pada Isnin. Dalam perkembangan berkaitan, Abbott turut memuji usaha tanpa mengenal penat lelah Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang disfatkannya sebagai "luar biasa" dalam misi mencari MH370. "Saya menghargai usaha luar biasa tentera udara Malaysia kerana ia bukan setakat berada di sini ketika ini, malah turut terbabit dalam pencarian dari udara yang kini sudah masuk tiga minggu," katanya dalam sidang media semasa melawat pangkalan RAAF (Tentera Udara Diraja Australia) Pearce di Perth pada Isnin. Beliau berkata sejak tiga minggu lepas, TUDM terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat membabitkan pelbagai negara, mulanya di Laut China Selatan dan kemudian di kawasan darat dan laut barat Malaysia, termasuk Lautan Hindi, apabila dikesan pesawat itu melencong jauh daripada laluan asalnya. Misi mencari beralih ke selatan Lautan Hindi selepas pengumuman oleh Najib bahawa penerbangan pesawat itu berakhir di kawasan terpencil Lautan Hindi. - Bernama

 Zulkifeli Mohd Zin
Ada media asing mahu burukkan imej negara
KUALA LUMPUR - Panglima Angkatan Tentera kesal dengan laporan sesetengah media asing mengenai kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang dilihat seakan mempunyai agenda memburukkan imej negara. Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata terdapat beberapa laporan media asing yang tidak benar, dan ada yang keterlaluan dan tidak mengambil kira keadaan sebenar serta kekangan yang dihadapi pihak berkuasa Malaysia dalam menyampaikan maklumat mengenai kejadian itu. “Kita dituduh lewat menyampaikan maklumat sedangkan setiap maklumat yang kita terima perlu disahkan (oleh pelbagai pihak berkuasa negara dan luar negara), sebelum mengambil sebarang tindakan (mengenai maklumat yang akan disampaikan). "Hanya dalam keadaan tertentu sahaja, kita (ATM) perlu mengambil tindakan atau respon kepada maklumat berkenaan secara bersendirian," katanya kepada pemberita selepas menutup Eksesais Pahlawan siri 15 2014 di sini, hari ini. Beliau berkata selain itu tidak semua maklumat dapat didedahkan kepada umum kerana implikasinya terhadap penyiasatan. Zulkifeli berkata: "Kemungkinan mereka (media asing) mempunyai agenda tertentu sehingga kita dikecam sebegitu hebat.” Malaysia telah melakukan respon yang diperlukan, termasuk penyampaian maklumat, berdasarkan peraturan-peraturan dan panduan yang telah ditetapkan, katanya. "Kita telah melakukan segalanya termasuk menggembleng segala sumber termasuk sumber dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Segala maklumat mengenai kejadian dan tindakan yang diambil untuk cari dan menyelamat telah kita dedahkan semampu yang mungkin," katanya. - Bernama

Pengguna perlu waspada, buat kajian elak ditipu
KUALA LUMPUR - Selain sentiasa berwaspada, pengguna perlu melakukan banyak kajian dan mendapatkan maklumat terkini bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan pihak tidak bertanggungjawab yang semakin licik, kata Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Mohd Yusof Abdul Rahman. Beliau berkata teknik penipuan kini berubah mengikut perkembangan dan kemajuan teknologi dengan trend penipuan menjadi lebih khusus dan mensasarkan golongan-golongan tertentu. "Kita dapat lihat pengguna yang muda dan bekerjaya banyak menjadi mangsa penipuan di Internet manakala yang lebih berusia sering ditipu dalam penipuan seperti 'gores dan menang' dan skim cepat kaya," katanya kepada Bernama hari ini. Semalam Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek semalam memberitahu kementeriannya menerima 3,508 aduan berkaitan pengguna dalam tempoh tiga bulan sejak Januari lepas. Antara aduan yang diterima adalah aduan penipuan perkhidmatan sebanyak 867 aduan, penipuan harga (681), penipuan transaksi Internet (283), jualan bahan petroleum (273) dan tidak meletakkan tanda harga (260). Mohd Yusof berkata pengguna juga perlu saling berkongsi dan bertukar maklumat berkaitan penipuan serta isu kepenggunaan lain sesama mereka. - Bernama

Jailani: 6 kes curi talian wifi, 3 dikena tindakan
KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Rakyat hari ini diberitahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerima enam aduan berhubung pembekalan dan penjualan kelengkapan peranti yang berfungsi mencuri talian wifi. Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata daripada jumlah itu, tiga kertas siasatan dibuka dan tindakan sewajarnya telah diambil. "Sehingga kini, tiga kes melibatkan kesalahan membekal atau menjual kelengkapan yang berfungsi mencuri talian wifi telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah," katanya menjawab soalan Datuk Jumat Idris (BN-Sepanggar) pada sesi soal jawab hari ini. Jumat ingin tahu berhubung aktiviti mencuri talian wifi dan apakah yang dilakukan kementerian bagi mengatasi kerugian di kalangan pelanggan. Jailani berkata kebanyakan aktiviti mencuri talian wifi dikesan menggunakan peranti seperti wifi booster, sejenis gajet yang boleh menguatkan isyarat bagi menarik isyarat wifi dalam jarak antara satu hingga tiga kilometer. Beliau berkata bagi mengelak aktiviti itu berleluasa, SKMM menjalin kerjasama dengan Sirim Berhad bagi pemantauan pemasaran secara berkala di seluruh negara bagi memastikan penjualan kelengkapan atau peranti itu dapat dibendung. Selain itu, SKMM bersama SIRIM turut menganjurkan taklimat kesedaran mengenai kewujudan kelengkapan atau peranti komunikasi kepada pihak awam, para pemegang lesen dan agensi-agensi penguatkuasa undang-undang yang lain, katanya. Jailani berkata kementerian memandang serius penggunaan peranti yang merupakan satu kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, sambil menasihatkan pengguna agar sentiasa memastikan kata laluan disimpan dengan baik supaya tidak mudah diceroboh. - Bernama

Polis tahan suami isteri, rampas pil kuda
Suami isteri ditahan, pil kuda hampir RM1j
Jalaluddin (tengah) menunjukkan sebahagian dadah yang disyaki dadah jenis pil kuda yang dirampas di Kampung Gual Tinggi, Gual Sitok Rantau Panjang. - Foto Bernama
KOTA BHARU - Polis menahan sepasang suami isteri bersama 39,399 biji pil dipercayai pil kuda yang dianggar bernilai hampir RM1 juta di Kampung Gual Tinggi, Rantau Panjang, semalam. Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata pasangan itu yang berumur 21 dan 25 tahun ditahan pada 2.45 pagi di rumah mereka oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan. "Pemeriksaan ke atas pasangan terbabit membawa kepada penemuan beberapa biji pil yang disyaki pil kuda. "Setelah disoal siasat, suspek membawa polis ke tempat dadah disembunyikan yang mana kesemua dadah itu diletakkan di dalam sebuah tin milo dan sebuah tong plastik yang ditanam dalam tanah yang terletak di hutan belakang rumah suspek," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, hari ini. Jalaluddin berkata pihaknya turut menyita wang tunai RM39,599 dan mata wang Thailand 9,000 Bath, serta sebuah kereta Proton Wira dan sebuah motosikal. Jalaluddin berkata dadah itu disyaki untuk diedarkan di seluruh Kelantan dan ujian awal saringan air kencing kedua-duanya didapati negatif serta tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Beliau berkata pasangan itu direman selama seminggu bermula semalam untuk siasatan lanjut. Sementara itu, beliau berkata sehingga Jan hingga Mac tahun ini pihaknya menahan 239 pengedar dadah di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan. "Pihak polis komited menangani kes pengedaran dadah di kawasan sempadan dan dalam tempoh berkenaan 1,582 tangkapan dilakukan dengan 60,215 pil kuda dirampas. Dalam perkembangan lain, Jalaluddin berkata orang ramai dialu-alukan untuk hadir ke IPK Kelantan esok bagi memeriahkan Karnival Kesihatan Sepanjang Hayat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang akan dirasmikan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar. "Ini merupakan program yang julung kali diadakan yang mana 53 kiosk kesihatan akan dibuka jadi orang ramai boleh hadir untuk melakukan pemeriksaan kesihatan," katanya. - Bernama

Najib Tun Razak
Najib ke Perth Rabu ini tinjau operasi SAR
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak akan berangkat ke Perth pada Rabu ini untuk meninjau sendiri misi mencari yang dijalankan oleh kerajaan Australia. Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata, keberangkatan Najib ke sana adalah untuk melihat dan mendapatkan gambaran penuh berkenaan misi SAR yang dijalankan. "Perdana Menteri sendiri akan ke Air Force Base yang berpangkalan di Perth, beliau akan diberikan taklimat penuh tentang usaha cari MH370 di sana nanti. "Selain itu beliau juga ingin menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan kerjasama dalam mencari serta mengesan pesawat terbabit," katanya dalam sidang media di PWTC hari ini. Hari ini AMSA melaporkan sebanyak 10 pesawat dan 10 kapal telah menyertai misi SAR yang dijalankan di Laut Hindi. Misi carian MH370 yang disertai oleh sembilan negara menjadi semakin mencabar akibat keadaan cuaca yang semakin tidak menentu.

MH370
MH370: Tangkis laporan negatif media asing
KUALA LUMPUR - Kementerian Luar dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia diminta bertindak segera menangkis laporan tidak tepat mengenai Malaysia yang tidak henti-henti dilaporkan media antarabangsa. Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) berkata kedua-dua kementerian itu perlu memainkan peranan lebih proaktif mempertahankan imej negara supaya dunia tidak berterusan melabel dan melihat Malaysia sebagai negara pengganas. "Kita kena ambil tindakan, takkan mereka boleh tuduh kita sama ada secara langsung dan tidak langsung seolah-olah kita negara yang kononnya ala keganasan tetapi kita tidak menjawab. "...kita mesti jawab di peringkat antarabangsa sebab ini imej negara," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2013) 2014 bagi bacaan kali kedua peringkat dasar pada persidangan Dewan Rakyat di sini. Azalina berkata laporan tidak bertanggungjawab itu seolah-olah mengaitkan juruterbang pesawat MAS MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah dan pembantunya Fariq Abdul Hamid dengan tindakan berunsur subversif perlu dihentikan demi maruah negara. Katanya, kerajaan melalui kedua-dua kementerian berkenaan perlu bertindak tegas terhadap media antarabangsa seperti itu kerana kebanyakan laporan mereka dibuat tanpa kajian mendalam, sebaliknya hanya agresif membuat laporan untuk menarik tontonan ramai. "Bagaimana nak buat laporan yang baik kalau sebut nama perdana menteri pun salah. Jadi saya mohon kementerian bertanggungjawab di peringkat antarabangsa membuat kenyataan segera mengenai keadaan Malaysia yang sebenarnya. "Tolong Menteri Luar dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, bantulah negara supaya imej tidak terus tercalar," katanya. Sebagai tanda simpati dan membela nasib juruterbang dan pembantunya itu, Azalina menggesa pembangkang bersatu bersama kerajaan menangani tragedi kehilangan pesawat MH370 agar negara luar dan media antarabangsa tahu kesepakatan seluruh rakyat dalam mempertahankan maruah negara. Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) berkata tragedi kehilangan MH370 memberi banyak iktibar kepada negara, khususnya dalam menangani laporan media antarabangsa yang seboleh-bolehnya mahu menggambarkan Malaysia sebagai sarang pengganas. Samsul Anuar berkata kerajaan dan kementerian bertanggungjawab perlu merangka sesuatu bagi memperbetulkan tanggapan itu kerana sejarah telah membuktikan pelabelan sebegitu kepada beberapa negara lain sebelum ini telah membuka jalan kepada negara kuasa besar masuk dan menjajah negara berkenaan. "Laporan sebegitu perlu ditangani segera kerana cukup bahaya. Banyak negara telah dijajah atas alasan awal ia dilabel sebagai negara pengganas...dan saya cukup bimbang perkara itu berlaku kepada Malaysia," katanya. Pesawat MH370, yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dan membawa 239 penumpang serta anak kapal, hilang pada 8 Mac kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam Pada 24 Mac lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi". Persidangan bersambung esok. - Bernama

MH370: Kenyataan pemangku Menteri Pengangkutan
MH370: Kenyataan pemangku Menteri Pengangkutan
KUALA LUMPUR - Berikut kenyataan Menteri Pertahanan dan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam sidang media mengenai pencarian Penerbangan MH370 Malaysia Airlines (MAS) di sini hari ini:
  
Pengenalan    
Sebelum saya memulakan taklimat hari ini, saya ingin mengulangi apa yang disebut Perdana Menteri Australia Tony Abbot pagi ini. Kerjasama antarabangsa yang sedang dijalankan untuk menjejaki MH370 tidak kurang kehebatannya. Tentera Malaysia, Australia, Amerika Syarikat, New Zealand, China, Jepun dan Korea berusaha menjejaki pesawat yang hilang. Saya juga ingin menjelaskan bahawa Indonesia telah memberi kebenaran kepada 94 penerbangan pesawat dari sembilan negara - untuk terbang melintasi ruang udara Indonesia sebagai sebahagian daripada usaha mencari. Seperti disebut Perdana Menteri Australia, amat menggembirakan untuk menyaksikan pelbagai negara bekerjasama untuk satu misi kemanusiaan; untuk merungkai misteri luar biasa ini; dan merapatkan hubungan ahli keluarga mereka yang berada dalam pesawat.
   
Lawatan Perdana Menteri ke Perth
Pagi ini, Perdana Menteri berhubung dengan Perdana Menteri Australia Tony Abbot. Perdana Menteri Abbot memberi taklimat mengenai perkembangan terkini status operasi mencari, yang berlepas dari Perth.
Perdana Menteri memutuskan untuk berlepas ke Perth pada Rabu untuk lawatan kerja ke pangkalan Tentera Udara Pearce untuk meninjau dari dekat dan juga untuk mengucapkan terima kasih kepada anggota yang terbabit dalam usaha pelbagai negara mencari pesawat, termasuk anggota dari Malaysia.

Perkembangan terkini operasi  
Tengah hari tadi, Pesuruhjaya Tinggi Australia di Malaysia memberi taklimat kepada saya mengenai penubuhan Pusat Koordinasi Agensi Bersama (JACC) yang baharu berpusat di pangkalan Tentera Udara Pearce di Perth.   
JACC akan diketuai oleh Ketua Marsyal Udara (B) Angus Houston, bekas Panglima Pasukan Pertahanan Australia.   
JACC akan menyelaraskan operasi antara semua agensi kerajaan Australia dan pasukan mencari antarabangsa.   
Berhubung maklumat yang kami terima daripada pihak berkuasa Australia, kawasan pencarian hari ini meliputi 254,000 kilometer persegi.   
Hari ini, sembilan pesawat tentera dan sebuah pesawat awam berlepas ke kawasan pencarian.   
Pesawat-pesawat tersebut ialah:   
    - dua pesawat C-130 Malaysia.
    - sebuah pesawat Ilyushin IL-76 China.
    - sebuah pesawat G5 Pengawal Pantai Jepun.
    - sebuah pesawat P3 Orion Australia.
    - sebuah pesawat P3 Orion New Zealand.
    - sebuah pesawat awam New Zealand.
    - sebuah pesawat P8 Poseidon Amerika Syarikat.
    - sebuah pesawat P3 Orion Jepun.
    - sebuah pesawat P3 Orion Korea Selatan.

Hari ini, 11 kapal juga dikerah ke kawasan pencarian:
    - Lapan kapal China:
    - Xue Long,
    - Kunlunshan,
    - Haikou,
    - Qiandaohu Jian,
    - Jing Gang Shan,
    - Haixun,
    - Dong Hai Jian,
    - Nan Hai Jian.
 
Tiga kapal Australia:   
    - HMAS Success,
    - HMAS Toowoomba
    - dan MV Barkley Pearl, yang kini dalam persinggahan di kawasan pencarian.
 
Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia, KD Lekiu, dijangka tiba di kawasan pencarian pada 3 April.   
Kapal ADV Ocean Shield - dipasang dengan alat pengesan isyarat "Towed Pinger Locator" dan "Bluefin 21 autonomous underwater vehicle" (kapal selam kecil tanpa pemandu) - dijangka tiba di kawasan pencarian pada 3 April.

Penemuan objek-objek berpotensi:  
Pada Sabtu, lima objek dikutip oleh HMAS Success dan Haixun. Bagaimanapun, tiada satupun daripada objek-objek itu didapati berkaitan MH370.    
Pada Ahad, pesawat P3 Orion Australia melaporkan mengenai penemuan secara visual tujuh objek berpotensi. Sebuah pesawat P3 Orion Korea juga melaporkan penemuan secara visual tiga objek berpotensi.   
Kapal China, Haixun, ditugaskan pada Isnin untuk mengutip objek-objek berpotensi itu.
     
Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN  
Atas sifat saya sebagai Menteri Pertahanan Malaysia, Saya akan berlepas malam ini ke Markas Pasifik Amerika Syarikat di Hawaii.   
Saya akan menghadiri mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN, yang akan berlangsung dari 1 hingga 3 April.   
Mesyuarat dipanggil oleh Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Chuck Hagel.   
Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya akan berkongsi dengan rakan sejawatan dari ASEAN, dan kerajaan Amerika Syarikat, maklumat mengenai perkembangan terkini operasi pencarian MH370.   
Saya akan menyampaikan kepada rakan-rakan ASEAN dan Amerika Syarikat, rasa penghargaan tertinggi Malaysia atas bantuan mereka yang tinggi nilainya dalam usaha mencari multi nasional.   
Saya juga akan menggunakan kesempatan ini untuk membincangkan kemungkinan menggerakkan lebih banyak aset tentera jika kita perlu melancarkan operasi meliputi fasa yang lebih sukar. Saya akan berbincang dengan Amerika Syarikat dan negara-negara sahabat dan sekutu, cara terbaik untuk memperoleh aset-aset yang diperlukan bagi kemungkinan melancarkan operasi mencari di laut dalam.
       
Pertemuan dengan Wakil Khas Indonesia
  
Hari ini, saya mengadakan pertemuan dengan Wakil Khas Indonesia dan Penasihat Khas kepada Menteri Luar, Puan Wiwiek Setyawati Firman, dan delegasinya.   
Anggota delegasi termasuk Tuan Yang Terutama Herman Prayitno, Duta Indonesia di Malaysia.   
Wakil Khas melahirkan penghargaan yang tulus ikhlas kepada Kerajaan Malaysia dan pasukan multi nasional yang menjalankan operasi pencarian.    
Wakil Khas juga menegaskan bahawa Indonesia memahami sepenuhnya kerumitan dan betapa besarnya cabaran yang mendatang, dan mengulangi sokongan yang tidak goyah kepada Malaysia.
   
Ahli keluarga  
Semalam, sekumpulan ahli keluarga, yang orang tersayang mereka berada dalam MH370, tiba di Kuala Lumpur dari Beijing.   
Kerajaan dijangka mengadakan taklimat peringkat tertinggi tidak lama lagi bagi ahli keluarga ini untuk memberi maklumat mengenai perkembangan terkini berhubung pencarian MH370.   
Taklimat termasuk pakar-pakar antarabangsa yang tidak dapat hadir semasa taklimat di Beijing termasuk pakar dari China. Ia juga akan disiarkan secara langsung kepada keluarga lain di Beijing.  
Pencarian MH370 terus kekal sebagai usaha besar-besaran yang sukar membabitkan banyak negara dan agensi antarabangsa.
Kebanyakan penyelidikan yang diguna pakai untuk mengesan MH370 disalurkan kepada pasukan penyiasat Malaysia oleh rakan-rakan antarabangsa kita.   
Penyelidikan ini amat rumit, membabitkan pasukan pakar-pakar tertinggi, kebanyakan mereka berpusat di negara-negara yang berlainan di seluruh dunia.    
Taklimat itu akan memberi peluang kepada ahli keluarga untuk mendengar dari dekat penjelasan pakar-pakar ini. Pakar-pakar berpeluang untuk menjelaskan mengenai penyelidikan, data dan metodologi yang memaklumkan operasi pencarian.
  
Kesimpulan
   Kami faham bahawa bahawa sekarang adalah masa yang sukar bagi semua keluarga. Dan kami menghargai bahawa kebanyakan keluarga mahu melihat bukti fizikal sebelum menerima kenyataan bahawa Penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.
    Kami mendapati diri kami berada dalam keadaan yang sukar. Saya ulangi: persoalan yang pada prinsipnya anggota keluarga mahukan jawapannya ialah persoalan yang kami tidak mempunyai jawapan - terutama di mana orang tersayang mereka berada, dan di mana MH370 berada.
    Pada Sabtu, saya menemui ahli keluarga penumpang rakyat Malaysia dan warga China di Kuala Lumpur. Ia pertemuan paling sukar yang pernah saya hadiri.    
Anggota keluarga berada dalam keadaan amat sedih. Bagi kebanyakan mereka, keadaan yang dilalui sejak beberapa minggu kebelakangan tidak tertanggung.
Tetapi satu mesej yang disampaikan kepada saya berulang kali ialah mereka tidak berputus harap.    
Dan saya berjanji kepada ahli keluarga bahawa Malaysia, yang bekerjasama dengan rakan-rakan antarabangsa, tidak akan putus harapan. Kami akan meneruskan usaha kami untuk mencari MH370.    
Ini adalah janji bahawa Malaysia berazam untuk memenuhinya. Kami akan meneruskan pencarian dan kami akan meneruskan penyiasatan, dan kami tidak akan berputus asa sehingga kami mengetahui apa yang berlaku kepada MH370. - Bernama

MH370: PM tidak sebut terhempas
MH370: PM tidak sebut terhempas
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah menyebut perkataan "terhempas atau tiada yang terselamat" semasa mengumumkan bahawa Penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi. Perkara ini dijelaskan pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri HishammuddinTun Hussein dalam sidang akhbar rutin hari ini berikutan tuntutan maaf keluarga penumpang warga China daripada kerajaan Malaysia. "Sebahagian daripada sebab-sebab permohonan itu dibuat berikutan dakwaan bahawa perdana menteri atau kerajaan telah menyatakan bahawa pesawat itu sebenarnya telah terhempas dan tiada yang terselamat. Perkara itu benar-benar salah..Tidak disebut terhempas atau tiada yang terselamat," katanya memetik kenyataan Najib pada 24 Mac. Semasa membuat pengumuman itu berdasarkan analisis yang belum pernah dibuat sebelum ini oleh Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom dan Inmarsat, syarikat UK yang menyediakan data satelit, Najib berkata: "Kawasan ini merupakan lokasi terpencil, jauh daripada sebarang tempat pendaratan. Oleh itu saya dengan perasaan amat sedih dan terharu ingin memaklumkan bahawa Penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi". Pengumuman itu mencetuskan kekecewaan di kalangan sanak saudara penumpang dan anak kapal terbabit dan menggesa kerajaan supaya memberikan keterangan konkrit dalam dapatan mereka. Pesawat Boeing 777-200ER membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL jam 12.41 tengah malam. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing jam 6.30 pagi hari yang sama. Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan berkata, usaha mencari sebarang serpihan yang dicerap satelit berkemungkinan berkaitan dengan pesawat Malaysia Airlines itu akan diteruskan. Walaupun serpihan yang ditemui di Lautan Hindi didapati tidak berkaitan dengan pesawat malang itu, Hishammuddin berkata tiada garis masa bagi operasi mencari. "Kami perlu berlaku adil kepada anggota keluarga (penumpang dan anak kapal). Buat masa ini usaha itu tidak akan dikurangkan. Apa yang berlaku selepas ini, kami telah berbincang tetapi ia tidak sesuai untuk berkongsi dengan orang ramai untuk berlaku adil kepada anggota keluarga," katanya. Semasa sidang akhbar itu, beberapa media asing meminta Hishammuddin menjelaskan maklumat grafik mengenai tindakan MH370 berpatah balik yang diberikan semasa taklimat kepada keluarga penumpang di Beijing. "Saya tidak boleh sahkan. Saya tidak akan berdebat mengenai perkara itu di sini. Taklimat dengan keluarga itu diadakan secara tertutup," jawab Hishammuddin. Bagi setiap soalan teknikal mengenai MH370, Hishammuddin mengulangi bahawa ia hanya boleh dijawab apabila kotak hitam itu ditemui. "Masa semakin suntuk, untuk isyarat itu keluar daripada kotak hitam, jika ia memang di selatan Lautan Hindi," katanya. Hishammuddin juga berterima kasih kepada pihak berkuasa Australia atas kerjasama dan komitmen mereka mengetuai operasi mencari di koridor selatan. "Saya mahu bukan sahaja untuk berterima kasih tetapi memohon mereka meneruskannya di sebalik pelbagai cabaran dan jaraknya. Tetapi setiap hari saya lihat mereka tidak mengecewakan kita terutama anggota keluarga," katanya. - Bernama

Hasan Malek
Kes penipuan perdagangan elektronik meningkat
SEREMBAN – Kes penipuan perdagangan elektronik (e-dagang) di negara ini semakin meningkat terutamanya yang membabitkan pembelian telefon bimbit, pakaian, tiket kapal terbang, pakej umrah, pakej percutian serta aksesori pakaian. Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek berkata sebanyak 212 kes dilaporkan pada 2012 dan ia meningkat kepada 706 kes tahun lepas. "Malah, aduan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia(TTPM) juga dilaporkan meningkat. Pada 2012, sebanyak 32 kes difailkan di TTPM membabitkan kerugian berjumlah RM34,067 dan ia meningkat kepada 53 kes membabitkan kerugian RM70,223 tahun lepas," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan program Fasilitasi Industri Perkhidmatan (FILIM) 2014 di sini, hari ini. Sehubungan itu, katanya kementerian giat melaksanakan kempen kesedaran dalam kalangan pembeli dan peniaga selain memperkasakan Akta E-Dagang 2006 dan Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012. Hasan berkata pelbagai medium digunakan oleh penjenayah e-dagang untuk menipu masyarakat orang ramai melalui talian. Menurutnya kementerian sentiasa merangka cara dan mekanisme yang sesuai dalam memastikan pengguna dan pembeli di Internet tidak mudah ditipu. "Kementerian sentiasa berusaha mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif selain memodenkan peraturan perniagaan, agar penguna tidak mudah tertipu," katanya. Sementara itu, program FILIM 2014 disertai 400 peserta terdiri daripada ahli perniagaan dan pengguna. Program tahun kedua itu adalah sebahagian daripada usaha meningkatkan kesedaran dan pengetahuan orang ramai mengenai hak sebagai pengguna yang bijak serta tahap profesionalisme pengusaha perdagangan, terutamanya di bidang elektronik perdagangan. - Bernama

MH370: Hishammuddin mohon kerjasama penuh AS
Hishammuddin mohon kerjasama penuh AS
KUALA LUMPUR - Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein akan berangkat ke Hawaii untuk menghadiri satu mesyuarat dengan Markas Pasifik Amerika Syarikat berkenaan isu MH370. Mesyuarat yang akan diadakan mulai 1 hingga 3 April akan dikendalikan oleh Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Chuck Hagel. Menurut beliau, pertemuan itu diadakan untuk meminta bantuan dan kerjasama dari Amerika Syarikat dalam usaha mengesan MH370. "Bagi pihak kerajaan Malaysia, saya akan memberikan maklumat terkini dan juga prkembangan terbaru berkenaan dengan misi mencari pesawat MH370," "Ianya satu pertemuan yang penting bagi kedua buah negara, pihak kerajaan amat berterima kasih kepada kerajaan Amerika Syarikat jika mereka mahu memberikan kerjasama penuh bagi menjejak pesawat terbabit," katanya dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini. Tambahnya lagi, beliau akan turut menggunakan peluang itu untuk membincangkan kemungkinan untuk menambah lagi aset untuk mencari pesawat di Laut Hindi.

Datuk Seri Liow Tiong Lai
Mei Fun dilantik pegawai khas ke China
KUALA LUMPUR - Naib Presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun dilantik sebagai pegawai khas mewakili Malaysia ke China bagi bertemu dengan anggota keluarga penumpang pesawat MAS MH370. Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata keputusan itu dibuat oleh jemaah menteri dalam mesyuarat mingguannya baru-baru ini bagi memastikan wakil kerajaan Malaysia fasih berbahasa Mandarin bagi mengendalikan urusan dengan anggota keluarga penumpang warga China. "Difahamkan (Chew) Mei Fun bersama-sama dengan rombongan delegasi yang diketuai Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainudin serta anggota Crisis Relief Squad of MCA (CRSM) berlepas ke China untuk bertemu anggota keluarga semalam," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden MCA di Wisma MCA, di sini hari ini. Tiong Lai berkata selain menghantar wakil untuk bertemu anggota keluarga penumpang, pihaknya turut akan bekerjasama dengan pemimpin pelbagai agama untuk menganjurkan majlis keagamaan bagi mendoakan misi mencari dan menyelamat MH370. "Kami juga menghantar pasukan CRSM untuk membantu dan menjaga semua anggota keluarga penumpang MH370 ke semua hotel yang menempatkan mereka, terutamanya dari negara China," katanya. Ditanya mengenai kenyataan Adun Sungai Pinang, Teng Chang Khim daripada DAP yang mempersoalkan pelantikan Mei Fun ke China setelah tewas dalam Pilihan Raya Kecil Dun Kajang pada 23 Mac lepas. Tiong Lai berkata, PR sering mempolitikkan banyak isu terutamanya dalam isu MH370 bagi mencapai agenda mereka sendiri. Pelantikan Mei Fun ke China adalah tugas yang mulia dan amat dititikberatkan oleh kerajaan dalam memberi bantuan kepada anggota keluarga penumpang MH370. "Pakatan (Rakyat) bukan sahaja mempolitikkan isu ini, malah banyak lagi isu-isu lain yang melibatkan rakyat juga sering dipolitikkan bagi mencapai agenda mereka," katanya. Semalam, Teng yang juga bekas speaker Dun Selangor menerusi akaun Twitternya menyebut 'rupa-rupanya kalah dalam PRK Dun Kajang pun boleh dilantik menjadi wakil ke negara China' dalam bahasa Mandarin. Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang termasuk 152 warga China dan 12 kru, hilang pada pagi 8 Mac kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pukul 12.41 tengah malam. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. Najib kemudian mengumumkan pada 24 Mac, tujuh belas hari selepas pesawat itu hilang bahawa penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi". - Bernama

Dua lagi proMursi digantung
Dua lagi proMursi digantung
Visual menunjukkan beberapa individu mencampak Mohamed Badr dari bangunan.
ISKANDARIAH - MESIR. Sebuah mahkamah Mesir menjatuhi hukuman mati terhadap dua lagi penyokong Presiden yang digulingkan Mohammed Mursi kerana melakukan pembunuhan hingga mencetuskan keganasan tahun lalu. Mahmoud Ramadan dan Abdullah el-Ahmedi dituduh mencampak Mohamed Badr dari sebuah bumbung bangunan di bandar Mediterranean. Bapa Mohamed Badr berkata, beliau tidak tahu sama ada individu mencampakkan anaknya dari bumbung itu adalah penyokong Mursi atau sekumpulan individu yang sengaja mencetuskan provokasi. “Seluruh rakyat Mesir tahu ketika kejadian itu, ratusan ‘orang luar’ dibawa masuk ke Kaherah untuk sengaja mencetuskan kekecohan,” katanya dipetik Al Ahram. Dalam kes berasingan, sebuah mahkamah di wilayah selatan Minya menangguhkan hukuman mati terhadap 529 penyokong Mursi termasuk beberapa pemimpin kanan Ikhwanul Muslimin. Hukuman yang mendapat kecaman Barat dan kumpulan hak asasi manusia antarabangsa itu akan dibicarakan semula pada 19 Mei selepas mendapat keputusan mufti.

Bekas Ahli Parlimen ditembak
Bekas Ahli Parlimen ditembak
BANGKOK - THAILAND. Bekas Ahli Parlimen Chanthaburi, Yukol Chanawatpanya cedera ditembak di daerah Khao Khitchakut, semalam. Insiden itu dipercayai berlaku ketika bekas anggota Parti Demokrat tersebut mahu meninggalkan rumah adiknya yang terletak di kawasan terbabit. "Beliau cedera parah akibat tembakan. Yukol kini dirawat di Hospital Phra Pokklao," kata jurucakap polis. Dalam perkembangan lain, Pilihan Raya Wakil Dewan Negara di 77 wilayah di seluruh negara termasuk Bangkok dilaporkan berlangsung aman tanpa sebarang provokasi. Timbalan Ketua Polis, Aree Onchit memaklumkan kira-kira 100,000 anggota polis turut ditempatkan di kesemua pusat pengundian di seluruh negara sebagai langkah berjaga-jaga, dipetik dari Bangkok Post. Bagaimanapun, proses pengundian di wilayah Narathiwat didakwa telah dicemari insiden pengeboman hingga mengakibatkan dua anggota keselamatan maut manakala tiga lagi cedera. Bom tersebut dipercayai meletup ketika pasukan polis terbabit sedang mengiringi pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya memasuki pusat membuang undi di kawasan berkenaan.

Taman tema animasi
Taman tema animasi pertama Asia siap hujung 2015
TAMAN Tema Animasi atau dikenali sebagai 'Movie Animation Park Studios (MAPS), yang pertama di Asia, bernilai RM450 juta di Meru Raya di sini, dijangka siap pada Disember tahun depan. Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata MAPS, usahasama antara Perak Corp Berhad dan Sanderson Group, akan mempunyai pelbagai konsep zon animasi merangkumi Animation Square, Fantasy Forest, Live Action, Blast Off, DreamWorks dan Lakeside Zone. "Ia juga akan memperkenalkan watak animasi yang ada di televisyen seperti The Croods, MegaMind, Mr Peabody and Sherman serta Casper the Friendly Ghost. MAPS adalah projek terbesar bertaraf antarabangsa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah MAPS di Pusat Konvensyen Aman Jaya di sini hari ini. Beliau berkata MAPS terletak pada kedudukan strategik iaitu di Ipoh yang dilengkapi perkhidmatan keretapi elektrik (ETS) serta berhampiran laluan Lebuhraya Utara-Selatan bagi kemudahan para pengunjung. MAPS yang kini dibangunkan di kawasan seluas kira-kira 10 hektar daripada 20.8 hektar di Meru Raya di sini, akan membuka hampir 3,000 peluang pekerjaan termasuk 700 pekerjaan utama, katanya. Zambry berkata MAPS menyasarkan 1.4 juta pengunjung iaitu 80 peratus pelancong domestik dan 20 peratus dari luar negara pada tahun pertama pembukaannya. Sementara itu, Pengerusi Animation Theme Park Sdn Bhd (ATP), syarikat usahasama tujuan khas, Datuk Aminuddin Md Desa berkata projek itu bakal menjadi penyumbang kepada ekonomi negeri Perak. "Ia juga adalah sesuatu yang diusahakan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dan Perak Corp Berhad (anak syarikat PKNPk) untuk menjadi sebagai pencetus ekonomi yang lebih besar untuk negeri Perak," kata Aminuddin yang juga Ketua Eksekutif PKNPk. Beliau berkata bagi perancangan jangka panjang atau fasa kedua, MAPS juga akan mempunyai hotel, pangsapuri berperkhidmatan, 'street mall' dan taman air di kawasan seluas 10.8 hektar lagi. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sanderson Group Steve A. Sanderson berkata MAPS di Perak merupakan projek antarabangsa Sanderson, syarikat taman tema bersepadu pertama Australia yang mengkhusus dalam mereka bentuk dan membina taman tema serta destinasi hiburan. "Untuk keselesaan pengunjung, majoriti taman tema berkenaan atau 60 peratus adalah dalam bangunan atau berbumbung bagi melindungi pengunjung daripada panas dan hujan," katanya. - Bernama

Kaki tersangkut dalam lubang tandas
Kaki tersangkut dalam lubang tandas
AYER KEROH - Hasrat anak beranak hendak membeli belah di bandar hampir tergendala gara-gara kaki salah seorang daripada mereka termasuk ke dalam lubang tandas rumahnya di TU22 Taman Tasik Utama, di sini, semalam. Dalam kejadian itu, Muhammad Daniel Amir, 7, terpaksa melalui detik cemas selama dua jam sehingga pihak bomba mengeluarkan kakinya. Sebelum itu, keluarga berkenaan termasuk dua lagi adik beradik Muhammad Daniel berusia 5 dan 6 tahun sedang menunggu mangsa mandi untuk ke bandar Melaka bagi membeli barang keperluan. Bagaimanapun, mangsa tergelincir lalu kaki kanannya terperosok ke dalam lubang tandas itu. Bapa kanak-kanak tersebut, Amir Ali, 47, berkata, anak sulung daripada tiga beradik itu kemudian menjerit minta bantuan. “Saya bergegas masuk dalam tandas dan terkejut lihat kaki anak saya di dalam lubang tandas. Saya cuba keluarkan kakinya tapi selepas lebih setengah jam masih gagal. Lalu saya hubungi bomba. “Akhirnya bomba terpaksa memecahkan seramik tandas," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam. Amir yang juga kakitangan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berkata, dia bersyukur anaknya tidak cedera, meskipun mengalami kerugian kira-kira RM500 untuk membaiki tandas yang rosak. Sementara itu, Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Shahril Zauni berkata, sebuah jentera membabitkan empat anggota tiba sebaik saja menerima panggilan jam 10.20 pagi. "Biasanya kami cuba menarik kaki mangsa, namun tidak berhasil. Kami terpaksa gunakan peralatan khas untuk memecahkan seramik sebelum kaki mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 11.40 pagi,” katanya.

Anak gadis Zaharie bidas laporan The Daily Mail
Anak gadis Zaharie bidas laporan The Daily Mail
KUALA LUMPUR - Aishah Zaharie, anak perempuan Kapten Zaharie Ahmad Shah, juruterbang pesawat Malaysia Airlines MH370 yang masih hilang, membidas laporan The Daily Mail yang mendakwa bapanya mengalami gangguan emosi beberapa minggu sebelum tragedi itu. "Kepada Daily Mail, anda patut menimbang untuk membuat filem memandangkan anda memang cekap mengada-adakan cerita dan skrip... Semoga Tuhan merahmati jiwa anda. Saya tidak akan memaafkan anda," katanya dalam catatan terbaharunya dalam Facebook. Selain itu, catatan itu juga menerima sokongan rakan-rakannya dan seorang daripadanya Izni Disney membalas catatan itu dengan menyatakan bahawa Zaharie adalah seorang yang baik. Semalam, The Daily Mail memaparkan tajuk berita 'Anak perempuan akui Kapten MH370 Kelihatan Keliru dan Terganggu'. Pada 8 Mac, penerbangan MH370 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 pagi menuju ke Beijing dengan membawa 239 penumpang dan anak kapal, sebelum hilang daripada radar sejam kemudian. - Bernama

 Keluarga penumpang China dibawa ke lokasi rahsia
Keluarga penumpang China dibawa ke lokasi rahsia
SUBANG - Usaha untuk mendapatkan respons daripada keluarga penumpang MH370 yang tiba dari China sejak semalam gagal sama sekali apabila pihak MAS telah membawa mereka keluar dari Hotel Holiday Villa tepat jam 10 pagi tadi. Keluarga tersebut yang diiringi pihak polis dan pengawal dibawa secara berkumpulan menuju ke pekarangan lobi hotel untuk menaiki dua buah bas e-Putra yang disediakan khas untuk mereka. Kelihatan anggot keluarga penumpang MH370 berwajah sugul dan muram namun agak tenang ketika dibawa menuju ke kenderaan yang telah tersedia. Usaha Sinar Harian Online untuk mendapatkan maklumat lanjut dari pegawai MAS dan juga sukarelawan tidak berhasil apabila mereka enggan memberikan kerjasama. Kira-kira 48 ahli keluarga penumpang MH370 tiba dari China semalam untuk menuntut penjelasan dan maklumat terperinci mengenai misi SAR yang dilancarkan di Laut Hindi. Kumpulan tersebut yang menetap di Hotel Holiday Villa, Subang telah dibawa keluar oleh pihak MAS dengan bantuan polis pengawal dan sukarelawan ke suatu lokasi yang tidak dapat dipastikan.

Jururawat mahu saman hospital kerana cuai
Jururawat mahu saman hospital kerana cuai
HUTAN MELINTANG - PERAK. Seorang jururawat bercadang memfailkan saman terhadap sebuah hospital yang didakwanya melakukan satu prosedur rawatan tanpa mendapatkan persetujuan ahli keluarganya hingga dia terpaksa melakukan pembedahan kali kedua dalam tempoh 48 jam selepas melahirkan bayinya. Dalam kejadian Februari lalu, Noralisa Mohd Malid, 29, mendakwa, tiub fallopio sebelah kirinya diikat oleh doktor pakar yang menjalankan pembedahan caesarean ke atasnya ketika dia melahirkan anak ketiganya di hospital itu. Difahamkan, tindakan itu dibuat kerana terdapat lekatan pada dinding pelviknya berikutan saluran tiub mangsa cedera ketika pembedahan dilakukan. Noralisa berkata, dia hanya mengetahui keadaannya sehari selepas pembedahan apabila mendapati pembalut luka di abdomennya basah dan berdarah. “Ketika doktor buat pemeriksaan, saya sempat tanya sama ada berlaku komplikasi semasa pembedahan dijalankan. “Doktor itu kata, mereka telah mengikat tiub fallopio sebelah kiri saya kerana ada lekatan pada dinding pelvik. "Doktor cuba untuk menanggalkannya namun secara tidak sengaja saluran tiub itu tercedera dan menyebabkan pendarahan tidak berhenti hingga mereka terpaksa ikat tiub itu bagi menyelamatkan nyawa saya,” katanya ketika ditemui rumahnya di Kampung Parit 13, semalam. Noralisa berkata, apa dikesalkannya ialah doktor yang memberitahu perkara itu kepadanya tidak langsung menunjukkan rasa kesal walhal ia adalah satu perkara besar buat dirinya memandangkan tiub fallopio kirinya kini tidak berfungsi. Katanya, selepas pembedahan, dia berasakan perutnya semakin sakit dan kain dipakainya turut ditembusi darah daripada pembalut luka pembedahan. “Saya terpaksa tunggu agak lama untuk doktor datang buat pemeriksaan dan saya menggigil menahan kesakitan di perut. “Apabila doktor datang dan periksa luka, dia jerit dan mengatakan usus perut saya terkeluar menerusi luka pembedahan. Saya juga melihatnya," katanya. Noralisa berkata, dia terpaksa menjalani pembedahan kali kedua dalam tempoh tidak sampai 48 jam oleh doktor pakar lain dan masalah tersebut didakwa berpunca daripada kecuaian doktor yang membedahnya sebelum ini. Katanya, dia kini trauma dan kesal dengan apa yang terjadi serta telah membuat aduan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia.

MH370
Malaysia ikut prosedur tidak dedah info SAR
BEIJING - CHINA. Malaysia mematuhi prosedur standard penerbangan awam antarabangsa dengan tidak mendedahkan maklumat berhubung penyiasatan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang, kata Major Jeneral Datuk Affendi Buang dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Beliau berkata Lampiran 13 kepada Konvensyen mengenai Siasatan Kemalangan dan Insiden pesawat Penerbangan Awam Antarabangsa menghalang kerajaan dari mendedahkan maklumat berhubung kehilangan Boeing 777-200ER itu. Kebanyakan syarikat penerbangan terikat dengan konvensyen itu, katanya pada taklimat rutin yang dihadiri oleh waris kepada penumpang warga China yang menaiki MH370, di sini pada Isnin. Waris-waris itu meminta kerajaan Malaysia dan badan penyiasat mendedahkan kepada umum maklumat berhubung operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang sedang berjalan. Keluarga itu tidak dapat menerima hakikat bahawa penerbangan pesawat itu berakhir di selatan Lautan Hindi. Mereka mengemukakan persoalan berhubung fungsi peralatan kecemasan pesawat, Emergency Locator Transmitter (ELT), walaupun jurutera MAS telah berulang kali menjelaskan bahawa hanya satu daripada empat ELT itu boleh dimatikan secara manual, dan setiap satu memancarkan isyarat dengan sistem tersendiri. Terdahulu pada taklimat itu, seorang anggota keluarga memohon mendapatkan data satelit mengenai hubungan perbualan terakhir atau "hand-shake" pesawat daripada pengendali satelit Inmarsat, sekalipun jika hanya dibekalkan menerusi pemacu USB. Affendi berkata beliau akan merujuk permintaan itu kepada KL. Pengarah Komersial MAS, Dr Hugh Dunleavy bagaimanapun menegaskan bahawa maklumat SAR mengenai MH370 tidak akan dikeluarkan sehingga siasatan selesai. "Mereka mungkin mengambil masa untuk mengesan pesawat dan kotak hitamnya," ujar beliau. - Bernama

Foto

Mayat lelaki reput dijumpai tergantung
ANGGOTA polis mengusung keluar mayat.
ALOR SETAR - Mayat seorang lelaki yang hampir reput dijumpai tergantung di sebatang pokok di kawasan hutan berhampiran Jalan Lencong Barat, Alor Setar di sini hari ini. Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata mayat itu dijumpai oleh orang awam yang melalui kawasan tersebut pada jam 1.30 petang. Beliau berkata anggota polis bergegas ke tempat kejadian. "Mayat telah dihantar ke hospital untuk bedah siasat dan punca sebenar kematian belum diketahui. "Buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya. - Bernama

Wanita dan bayi dalam kandungan maut
JOHOR BAHRU - Seorang wanita yang sarat mengandung tujuh bulan maut bersama kandungannya apabila kenderaan yang dinaikinya dirempuh lori pasir di persimpangan lampu isyarat Jalan Masai Baru dekat sini hari ini. Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata dalam kejadian 4 petang itu, mangsa Noor Hayati Che Aziz, 30, yang duduk di bahagian penumpang hadapan kereta Persona, meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI). "Hasil siasatan awal, mendapati kereta (yang dipandu suami mangsa) dari arah susur keluar pasar raya Big Aeon menghala ke Taman Johor Jaya, telah dilanggar dari arah tepi sebelah kiri penumpang oleh lori pasir yang muncul secara tiba-tiba dari arah Lebuhraya Pasir Gudang ke bandar Johor Baharu. "Akibat pelanggaran itu, kereta Persona diseret lebih kurang sejauh 20 meter dari tempat pelanggaran," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas di sini. Turut berada di dalam kenderaan itu, suami mangsa Mohd Faizal Rosli, 31, dan dua anaknya, Muhamad Farhan Danial, 6, dan Noor Fadzliyana Dania, 5, dan adik mangsa, Nasarudin, 20, yang mengalami kecederaan parah kini dirawat di HSI. Bagaimanapun Sulaiman berkata pemandu lori dengan nombor pendaftaran JDA 7798 sedang diburu selepas melarikan diri. - Bernama

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
Transkrip juruterbang, ATC didedah jika benarkan
KUALA LUMPUR - Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata transkrip perbualan antara juruterbang MH370 dan pengawal trafik udara (ATC) akan hanya didedahkan jika pakar-pakar memberikan kebenaran. Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan mengenai komunikasi terakhir di antara juruterbang dan ATC, yang dikatakan mempunyai dua versi transkrip yang didedahkan kepada orang ramai. Hishammuddin berkata beliau tidak pasti sama ada kenyataan itu dikeluarkan oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI). "Saya tidak berapa pasti mengenainya tetapi saya boleh sahkan penglibatan saya dalam penyiasatan itu yang berkaitan dengan FBI sejak dari hari pertama. "Transkrip adalah sebahagian daripada penyiasatan ini. Jika ia amat penting buat anda, saya akan bercakap dengan pakar-pakar dan bertanya kepada mereka jika ia boleh didedahkan. Jika ia boleh didedahkan, kami akan mendedahkannya," katanya dalam sidang akhbar mengenai operasi mencari itu di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini. Sementara itu, beliau berkata semua panel siasatan telah ditubuhkan dan kebenaran akan dibuktikan. "Pada dasarnya, jika anda bertanyakan soalan yang merupakan sebahagian daripada siasatan, mengenai transkrip, anda perlulah bersikap adil kepada kami kerana hanya mereka yang melakukan siasatan itu yang boleh memberikan kata 'OK'." Hishammuddin berkata pada akhirnya nanti, beliau yang perlu berdepan dengan suruhanjaya diraja atau jawatankuasa pilihan Parlimen serta lembaga siasatan antarabangsa. "Kami tidak menyembunyikan apa-apa. Kami hanya mengikut prosedur yang telah ditetapkan," tegas beliau. Ditanya mengenai maklumat penyiasatan berkaitan transkrip temu bual dengan isteri juruterbang pesawat itu, yang dikatakan didedahkan oleh polis kepada The Daily Mail yang berpejabat di London, beliau berkata ia tidak didedahkan pihak polis. "Dan bagaimana Daily Mail mendapat transkrip itu. Itu anda perlu tanya kepada Daily Mail," kata Hishammuddin. Mengenai isu maklumat yang didedahkan di luar sidang akhbar dan spekulasi mengenai diagram dalam Google atau laman internet yang lain, katanya beliau tidak dapat mengesah atau mengetepikannya. "Saya tidak boleh sahkan atau ketepikan. Saya hanya boleh melakukannya berdasarkan apa yang telah saya sahkan dalam PC (sidang akhbar) saya. Saya tidak mahu membahaskannya di sini. Kami mengadakan PC setiap hari. Jika itu adalah sesuatu yang kami maklumkan, saya akan akan menjelaskannya," kata beliau. - Bernama

No comments:

Post a Comment