Saturday, April 12, 2014
Berita Terkini 12 April 2014
Misi cari MH370 misi paling mahal
SYDNEY - AUSTRALIA. Pencarian MH370 yang berlarutan sejak sebulan yang lalu dicatatkan sebagai pencarian yang menelan kos paling tinggi dalam sejarah. Menurut laporan yang disediakan oleh portal berita Reuters, misi menjejak pesawat tersebut telah menelan belanja berjuta dolar dan bakal mencatatkan misi carian paling mahal dalam sejarah penerbangan. Misi pencarian MH370 juga telah melibatkan usaha dan kerjasama dari 26 buah negara berbeza yang memberikan bantuan aset pesawat, kapal selam, kapal carian dan juga satelit. Menurut anggaran pengalisis Pentagon, kira-kira USD44 juta telah dibelanjakan untuk misi pencarian yang berlangsung di Laut China Selatan. Misi di Laut China Selatan dan Laut Hindi yang melibatkan kerahan tenaga manusia dan aset teknologi telah disertai oleh Australia, China, Vietnam, Malaysia dan Amerika Syarikat.
Tentera Mesir roboh rumah berpenghuni
KAHERAH - MESIR. Tentera Mesir bertindak kejam apabila merobohkan rumah berpenghuni menyebabkan dua kanak-kanak maut dan tiga lagi cedera di kejiranan Al-Ammdi, kelmarin. Menurut saksi, tentera dan polis menggunakan bahan letupan untuk merobohkan beberapa kediaman yang didirikan di belakang Mahkamah Perlembagaan di ibu negara itu. “Penduduk terpaksa membakar pokok dan tayar bagi menghentikan aktiviti tersebut,” katanya. Dalam perkembangan lain, majalah LA Times melaporkan, pemilihan bekas ketua tentera Jeneral Abdel Fattah Al-Sisi sebagai presiden tidak menjamin kestabilan di negara itu. Pengarang majalah itu berpendapat, kepimpinan Al-Sisi yang selama ini dianggap penindas tidak membawa sebarang perubahan sungguhpun giat melobi Amerika Syarikat untuk dapatkan pengaruh kuat. “Kebangkitan Arab Spring lebih berpengaruh dari taktik Al-Sisi yang mahukan perubahan politik di negara itu,” katanya dipetik Agensi Menurutnya, undang-undang mencegah keganasan yang diperkenalkan ketika rampasan kuasa juga tidak akan membuatkan negara itu selamat dalam jangka panjang.
OpIsrael laman web Israel
RAMALLAH - PALESTIN. Kumpulan penggodam digelar #OpIsrael menggodam ratusan laman web kementerian dan organisasi Israel sebagai sebagai salah satu daripada kempen anti-Israel. “Pada April 7, kami menyeru saudara-saudara kita untuk menggodam, merampas, membocorkan pangkalan data, mengambil alih admin dan melancarkan perang siber,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan. Menurut kenyataan itu, langkah itu adalah tindakan bantahan terhadap dasar Israel yang selama ini menindas rakyat Palestin. “Gaza diserang, diganasi dan dibiarkan mati di sempadan ketika menunggu rawatan. Kami tidak boleh berdiam diri, kami mahukan negara dan rakyat bebas,” menurut kenyataan itu lagi. Kini, sekitar 700 laman web Israel digodam termasuk memuat naik 5,000 data peribadi pegawai Israel ke dalam talian, laporan dipetik dari IP.
Israel bunuh 1,500 budak
RAMALLAH - Laporan terbaharu menunjukkan, lebih 1,500 kanak-kanak Palestin dibunuh manakala ribuan lagi cedera akibat kekejaman rejim Zionis sejak 14 tahun lalu. Memetik laporan Press TV, pendedahan itu dibuat Menteri Hal Ehwal, Kamal al-Sharafi sempena Hari Kanak-Kanak Palestin, Sabtu lalu. Selain itu, lebih 10,000 budak diberkas dan 200 daripada mereka kini ditempatkan di pusat tahanan Israel. Tahun lalu, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan Zionis terhadap golongan bawah umur di Palestin. Menurut agensi tersebut, kira-kira 700 kanak-kanak dan remaja berumur 12 hingga 17 tahun di Tebing Barat disumbatkan ke dalam penjara setiap tahun.
Susilo akui kekalahan dalam Pemilu
JAKARTA - INDONESIA. Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono, dalam kedudukannya sebagai pengerusi Parti Demokratik (PD) berkata, beliau menghormati keputusan pengiraan segera peninjau pendapat umum berwibawa yang meletakkan parti pimpinannya di tempat keempat dalam pemilihan umum (Pemilu) Parlimen pada Rabu. "Dengan kepercayaan dan andaian bahawa keputusan pengiraan undi secara segera tidak akan banyak berbeza dengan keputusan pengiraan undi sebenar, kami terima kemenangan Parti Demokrat," katanya kepada pemberita pada Rabu seperti yang dipetik agensi berita Antara. Susilo berkata, walaupun kelebihan undi yang diterima PD dalam pengiraan undi secara segera itu tidak tinggi, beliau dapat menerimanya dan percaya tidak berlaku sebarang penipuan dalam Pemilu. Beliau juga menyeru kader dan penyokong parti itu di seluruh negara supaya menerima hakikat itu dan membuat persiapan dengan sebaik mungkin untuk menghadapi Pemilu Parlimen 2019. "Bagi pihak Parti Demokratik, saya mengucapkan tahniah kepada Parti Demokratik Indonesia-Perjuangan (PDI-P), Parti Golkar dan Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) atas kejayaan mereka mendapat jumlah undi yang relatif lebih tinggi," katanya. Mengenai prestasi Parti Demokratik, keputusan awal pengiraan segera oleh dua peninjau pendapat umum, Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) dan Cyrus Network, menunjukkan parti itu hanya memperoleh 9.1 peratus undi. Jumlah undi yang diterima parti pemerintah itu merosot daripada 26.4 peratus dalam Pemilu 2009. PDI-P menduduki tempat teratas dalam keputusan awal pengiraan segera itu dengan memperoleh 18.6 peratus undi, diikuti Golkar (14.6 peratus), Parti Gerindra (11.9 peratus) dan Parti Kebangkitan Nasional (PKB) (9.8 peratus). Parti Amanat Nasional menduduki tempat keenam dengan 7.9 peratus undi, diikuti Parti Persatuan Pembangunan (PPP) (6.8 peratus), Parti Keadilan Sejahtera (PKS) (6.7 peratus), Parti Nasional Demokrat (Nasdem) (6.5 peratus), Parti Hati Nurani Rakyat (Hanura) (5.5 peratus), Parti Bulan Bintang (PBB) (1.6 peratus) dan Parti Keadilan dan Persatuan Indonesia (PKPI) (1.1 peratus). Pengiran undi secara segera itu dibuat berdasarkan kaedah persampelan rawak, dengan kualiti rawak sementara pada kadar 98.3 peratus, manakala jidar kesilapan adalah satu peratus. Sampel diambil daripada 2,000 pusat mengundi di 77 kawasan mengundi di seluruh Indonesia. - Bernama
Pengawal keselamatan racun budak
BEIJING - CHINA . Seorang wanita Cina ditahan atas dakwaan membunuh dua kanak-kanak dan menyebabkan 30 yang lain jatuh sakit akibat keracunan makanan di sebuah tadika. Pegawai polis daerah Qiubei memberitahu media, suspek Zhao Jianzhi, 44, seorang pengawal keselamatan di premis tersebut dipercayai berang kerana dipaksa meninggalkan kuarters yang didudukinya sejak tiga tahun lalu. "Suspek didakwa meletakkan racun ke dalam makanan ringan dan meninggalkannya di dalam kelas. "Dua budak perempuan berusia empat dan lima tahun meninggal dunia dan lima yang kini berada dalam keadaan kritikal," katanya dipetik dari laporan Channel News Asia. Sebanyak 25 lagi mangsa kini sedang mendapatkan rawatan dan ada di antara mereka telah keluar dari hospital.
Wanita bunuh teman lelaki dengan kasut tinggi
Trujillo pada hari pendengaran hukumannya. - Foto BBC
TEXAS - AMERIKA SYARIKAT. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas seorang wanita selepas didapati bersalah kerana memukul hingga mati teman lelakinya menggunakan kasut tinggi stiletto. Ana Trujillo, 45, memberitahu hakim dia "tidak pernah berniat membunuh" Alf Stefan Andersson, lapor BBC. Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati leher dan wajah Andersson mempunyai sekurang-kurangnya 25 kesan tusukan. Trujillo didapati bersalah pada Selasa lalu selepas pihak juri mengambil masa empat jam untuk membuat keputusan.
China, India berdepan krisis penyakit kanser
PARIS - PERANCIS. Pakar mendapati China and India sedang berhadapan krisis penyakit kanser disebabkan rakyatnya lambat membuat pemeriksaan dan siri rawatan tidak konsisten menyebabkan ia menjadi masalah skala besar, lapor AFP. Menurut laporan The Lancet Oncology, lebih 40 pakar memberi amaran kepada dua negara gergasi Asia itu bakal berhadapan peningkatan kos ekonomi dan kemanusiaan berhubung krisis itu. Di China, setiap satu daripada lima kematian mencatatkan kematian yang disebabkan kanser selepas penyakit kardiovaskular. Tambah laporan itu, 60 peratus daripada kes-kes kanser di China berpunca daripada "faktor persekitaran diubah" termasuk merokok, pencemaran air dan pencemaran udara.
Lapor polis akaun Facebook hina Agong
KLANG - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pergerakan Pemuda Umno hari ini membuat empat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong. Laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan itu dibuat oleh Gerakan Belia 4B Kota Raja; Umno Cawangan Taman Desa Utama, Klang Jaya; Pemuda Umno Kota Raja; dan Persatuan Persatuan Penduduk Pangsapuri Klang Jaya. Pengerusi Gerakan Belia 4B Kota Raja Muhd Ali Zakariah berkata pihak berkuasa digesa mengambil tindakan tegas terhadap pemilik akaun facebook itu kerana menghina ketua negara. "Sebagai rakyat Malaysia, kami mengutuk tindakan pemilik akaun itu yang menghina Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong. Dia ibarat menghina sistem raja Melayu di negara ini. "Kami gesa pihak berkuasa dapat siasat pemilik akaun Facebook itu dan dihukum dengan hukuman lebih berat sebagai amaran dan pengajaran pada orang lain," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu. Beliau berkata, akaun laman sosial itu didapati masih aktif dengan memuat naik pelbagai status mencerca keharmonian kaum di negara ini selain turut menghina Polis Diraja Malaysia, parti-parti politik dan sebagainya. - Bernama
Mayat masih sempurna walaupun dilanggar treler
Anggota bomba membawa keluar mayat mangsa dari celah tayar treler.
GEORGETOWN - Walaupun dilanggar sebuah treler, namun mayat seorang warga emas masih dalam keadaan sempurna kerana ditemui antara dua tayar dalam keadaan terbaring. Warga emas, Syed Mohamed Shukor Syed Abdul Rashid, 64, dari Sungai Nibong Kecil, Bayan Lepas dikatakan sedang melintas jalan namun tiba-tiba terjatuh di Jalan Tun Dr Awang di sini pagi semalam. Mangsa dikatakan berjalan kaki ke Kampung Setinggan, terletak berhadapan dengan kediamannya kira-kira jam 9 pagi. Seorang ahli keluarganya yang enggan dikenali berkata, ketika mangsa terjatuh terdapat sebuah treler dengan muatan bahan binaan sedang menghala ke arahnya dari bulatan Bayan Baru ke Relau. Beliau berkata, pemandu treler tidak dapat memberhentikan kenderaannya kerana kejadian berlaku secara mengejut. “Mayat dia ditemui antara dua tayar treler itu dalam keadaan terbaring dan tidak berdarah. Ini merupakan takdir ALLAH, dia pergi dalam keadaan sebegini,” katanya. Menurutnya, Syed Mohamed kerap pergi ke kampung berkenaan untuk berjumpa rakan-rakannya dan ia menjadi sebahagian rutin hidupnya selepas bergelar pesara kerajaan. Sementara itu, pemangku Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pulau Pinang, Deputi Superintendan Abdul Rahim Md Din berkata, polis sudah mengambil keterangan dari pemandu treler bagi membantu siasatan.
Najis Tikus Bertaburan, 14 Premis Makanan Di P.Pinang Diarah Tutup!
GEORGE TOWN – Najis tikus bertaburan, peralatan dapur berkarat dan makanan dibasuh di atas lantai adalah antara punca 14 premis makanan di Pulau Pinang diarah tutup mulai semalam. Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan) Ku Nafishah Ku Ariffin berkata dalam operasi itu, empat premis masing-masing di Barat Daya dan Seberang Perai Tengah diarah tutup manakala di Timur Laut serta Seberang Perai Utara masing-masing tiga premis. “Kesemua premis terlibat dikesan pertama kali melakukan kesalahan itu dan pemiliknya diberi tempoh 14 hari untuk melakukan kerja pembersihan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 sebelum diperiksa sekali lagi,” katanya kepada pemberita di sini Jumaat. Beliau berkata operasi bersepadu yang turut melibatkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, turut mengeluarkan 20 notis saman mengikut Sekyen 32B Akta Makanan 2009 atas pelbagai kesalahan melibatkan amalan kebersihan. Ku Nafishah berkata PBT mengeluarkan 46 kompaun berjumlah RM4,400 kerana kesalahan tidak menyediakan perangkap minyak pada saluran buangan di dapur dan pengurusan sisa tidak sempurna. Beliau berkata kesedaran pengusaha makanan di negeri ini semakin baik hasil pemeriksaan kerap dan hanya kira-kira 30 peratus pengendali makanan belum mendapatkan suntikan tifoid berbanding lebih 90 peratus dalam operasi-operasi terdahulu. Ku Nafishah berkata orang ramai boleh menghubungi talian 04-2017277 atau 04-2017278 jika mempunyai aduan berkenaan premis makanan kotor atau produk makanan rosak di negeri ini.
VIDEO: Aksi ‘Panas’ Agnez Monica Dalam Klip Video
Penyanyi seberang, Agnes Monica atau sekarang dikenali sebagai Agnez Mo kini sedang hangat mencipta nama di luar negara. Bagaimanapun banyak kisah tidak enak mula keluar tentang penyanyi yang pernah popular dengan lagu Matahari ini. Selain memakai berpakaian sangat seksi ketika menghadiri parti Grammy, terdapat dakwaan menyatakan pakaiannya terlondeh hingga menampakkan payudara ketika menjalani penggambaran klip video lagu Coke Bottle kolaborasinya bersama Timbaland dan TI. Agnez bagaimanapun menafikan perkara ini. Begitu pun, penafian Agnez tidak dapat menutup mulut orang termasuk masyarakat negaranya apabila dia begitu berani beraksi dalam klip video Coke Bottle. Ramai terkejut melihat Agnez memakai pakaian yang seksi ‘maut’ dan melakonkan beberapa babak panas. Kami sendiri agak terkedu melihat klip video di bawah namun pada masa sama, tak dapat dinafikan Agnez Mo sememangnya berbakat besar dalam bidang nyanyian dan layak berada di pentas antarabangsa.
Pengusaha Tudung Fareeda Mohon Maaf Komen Kurang Bijak Admin Fanpagenya
Teruk juga isteri pelakon, Fizo Omar yang merupakan model dan pemilik jenama tudung Fareeda dikecam selepas komen kurang bijak yang dikeluarkan di Facebook disebarkan di media sosial. Komen itu dikeluarkan selepas ada pengguna merungut tentang harga tudung Fareeda yang mahal. Antara isi komen tersebut adalah ‘nasihat’ agar wanita yang tidak mampu membeli tudung Fareeda supaya menabung dan bergaya mengikut kemampuan mereka. Susulan itu, satu kenyataan meminta maaf telah dikeluarkan Facebook Mawar Fareeda Fanpage pada hari ini. Status itu berbunyi: Salam sejahtera. Untuk makluman, Mawar FAREEDA Fanpage ini bukan dikendalikan oleh Puan Mawar sendiri tetapi 5 orang admin. Diharapkan anda semua tidak membuat sebarang spekulasi negatif terhadap Puan Mawar berhubung komen di page ini. Admin memohon maaf dan berharap semua pihak tidak menyalahkan Puan Mawar di atas segala komen dan status yang dikeluarkan di sini. Sekali lagi admin memohon maaf di atas sebarang kekeliruan dan salah faham yang berlaku. Nampaknya Mawar bukanlah individu yang mengeluarkan kenyataan mencetuskan kontroversi. Maka sebarang penyebaran tentang hal ini yang membabitkan nama Mawar boleh dianggap satu fitnah. Begitu pun pengajaran yang boleh diambil pihak Fareeda adalah mereka seharusnya mengambil individu yang bijak menjawab persoalan pengguna secara berhemah bagi mengendalikan laman pemasaran mereka untuk bagi menjaga imej syarikat.
Polis Buru 2 Suspek Tembak Anggota Polis
KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis sedang menjejaki dua suspek yang menembak dua anggotanya di Taman Lembah Maju, Ampang di sini pagi tadi menerusi petunjuk positif yang baru diperolehi pihaknya. “Usaha mengesan suspek sedang dibuat kerana kami ada sedikit petunjuk berkenaan suspek,” katanya kepada pemberita selepas melawat dua anggota polis itu di Hospital Ampang. Dalam kejadian 10.30 pagi itu, anggota polis berpangkat lans koperal yang berumur 26 tahun dan konstabel berumur 28 tahun dari Balai Polis Pandan Indah cedera parah di perut serta bahagian ari-ari akibat ditembak oleh suspek. Kejadian berlaku ketika dua anggota PDRM itu terserempak dengan dua lelaki berumur sekitar 30-an yang bermotosikal dan dalam keadaan mencurigakan, ketika mereka membuat rondaan. – BERNAMA
Penganggur Dipenjara 31 Tahun & 30 Sebatan
KUALA LUMPUR – Seorang penganggur hari ini dikenakan hukuman penjara 31 tahun enam bulan dan 30 sebatan oleh Mahkamah Majistret Ampang di sini selepas mengaku bersalah memecah masuk 16 buah rumah di sekitar Ampang antara 2011 hingga awal tahun ini. Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman menjatuhkan hukuman itu terhadap Norman Shah Jamal, 24, dari Taman Mulia Jaya, Ampang selepas dia mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah. Mahkamah menjatuhkan hukuman dua tahun penjara dan dua sebatan bagi setiap tuduhan daripada pertuduhan pertama hingga ke-15 yang dihadapi Norman atas dakwaan memecah rumah dan mencuri pelbagai barang berharga di sekitar Pandan Indah dan Ampang Jaya antara 11 Mac 2011 hingga 24 Mac tahun ini. Antara barang yang dicuri ialah barang kemas termasuk gelang dan anting-anting, wang tunai, kamera, telefon bimbit, jam tangan pelbagai jenama, komputer riba, geran tanah dan wang tunai milik 15 individu yang membabitkan kerugian RM174,200. Mahkamah juga menjatuhkan hukuman 18 bulan penjara terhadap Norman atas dakwaan memecah masuk sebuah rumah kepunyaan Chin Kah Hoe, 35, di Kampung Tasek Permai, Ampang pada 5.45 petang, 26 Nov tahun lepas. Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berjalan secara berasingan berkuat kuasa hari ini. Terdahulu, Norman yang tidak diwakili peguam memohon hukuman terhadapnya berjalan serentak dengan alasan dia bakal melangsungkan perkahwinannya pada Ogos. Norman berkata desakan hidup akibat perceraian kedua ibu bapanya menyebabkan dia terdesak melakukan kesalahan itu. “Disebabkan kesusahan hidup saya melakukan perbuatan itu (pecah rumah) kerana ibu bapa telah bercerai dan saya tiada pendapatan. Saya juga perlu menyara dua orang adik dan kalau saya tahu semua ini akan terjadi saya tidak akan buat kerja ini. “Saya kesal dan insaf…dan jika mahkamah beri peluang, saya akan gunakan peluang itu sebaik mungkin,” katanya sambil menahan sebak. Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene memohon hukuman berat kerana tertuduh sebelum ini pernah didakwa atas kesalahan sama sejak 2008 hingga kini dan kesusahan hidup yang dihadapinya bukan alasan kukuh untuk dia melakukan kesalahan itu. Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya S.Purnima, yang membantu pihak pendakwaan turut memohon hukuman berat dengan alasan pemerhatian serta perancangan yang rapi telah dilakukan oleh tertuduh untuk melakukan kesalahan itu. “Modus operandi yang dilakukannya adalah sama kerana rumah itu dipecah masuk ketika tiada penghuni di dalamnya dan kesemua kesalahan itu dilakukan dalam tempoh masa yang dekat seperti telah dirancang terlebih awal. “Ini menunjukkan tertuduh adalah ‘habitual offender’ (pesalah tegar) yang langsung tidak menyesali perbuatan yang dilakukannya dan tidak menunjukkan elemen desakan hidup,” katanya. – BERNAMA
Pelajar IPT Terlantar Sakit, Perlu Bantuan
ERSENTUH hati tatkala melihat gambar seorang pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT), Ezzat Nur Azam Abdullah Hadi, 21, yang dikongsikan di akaun Facebook Oh!Media, hari ini. Ezzat kini terlantar sakit akibat masalah jangkitan kuman dalam otak hampir setahun lalu. Berikut merupakan maklumat yang diterima daripada penghantarnya: “Salam Oh! Media, hrap dpt meringakan beban sahabat saya ni, dh hampir setahun dia terlantar di atas katil. Masih blajar di uitm arau dn mngalami mslh jangkitan kuman dlm otak hmpir stahun. Baru berumur 21 thun, difahamkan dia merupakan anak sulung dn ada 7 org adik lgi yg msih kecil dn bersekolah, kalau kita tk mmpu nk beri sumbangan duit,sedekahknlah doa untuknya, ni bukan pngalaman pertama buat keluarga ezat,sblum ni 3 org Adik ezat kemalangan dan 2 org drpdnya meninggal dunia, adiknya kini brusia 16thun yg terlibat kemalangan menjadi insan kurang keupayaan, IQ’nya menurun. Ayahnya hanya kerja sendiri, manakala emaknya surirumah sepenuh masa yg terpaksa mengharungi semua ni. Mohon share gambar ini agar ada yang bermurah hati memberi sumbangan. berat mata memandang,berat lgi bhu memikul. dia ni sangat baik dan tak lekang dengan masjid tapi harini Allah uji dia mcm ni. kita tak thu lagi apa akn jdi esok dan siapa pulak nak tolong kita kan, saya merayu pada admin tolong lah sahabat saya ni.” Bagi orang ramai yang prihatin dan ingin membantu Ezzat dari segi kewangan, anda boleh merujuk nombor akaun bank yang disertakan pada gambar ini. Nombor telefon bapa Ezzat juga turut disertakan bagi memudahkan pihak di luar sana untuk menghubunginya. Sama-samalah kita doakan agar anak muda ini akan kembali pulih seperti biasa dan dapat meneruskan pengajiannya suatu hari nanti.
Labels:
Berita Terkini
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment