Saturday, April 19, 2014
Berita Terkini 19 April 2014
Feri karam: Guru bunuh diri
Unit polis udara memberi bantuan sejurus menerima panggilan kecemasan.
JINDO, KOREA SELATAN- Timbalan pengetua sekolah yang terselamat daripada insiden feri karam di Korea Selatan ditemui mati, dipercayai membunuh diri. Polis tempatan di Pulau Jindo berkata, mayat Kang Min-Kyu, 52, ditemui tergantung berdekatan gimnasium sekolah. Gimnasium itu menempatkan ahli dan waris keluarga penumpang yang masih belum ditemui sejak Rabu lalu. “Punca sebenar kematiannya masih dalam siasatan," kata polis kepada AFP. Agensi berita Yonhap memetik polis berkata, Kang Min-Kyu ditemui tergantung di sebatang pokok dipercayai membunuh diri. Kumpulan pelajar dari Sekolah Tinggi Danwon di bandar Ansan selatan Seoul menaiki feri menuju ke Jeju.
Hanya 10% berhenti merokok selepas pemulihan
GEORGETOWN - Hanya 10 peratus daripada 200 perokok yang mengikuti program pemulihan di klinik berhenti merokok di negeri ini berjaya meninggalkan tabiat itu sepenuhnya. Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Lailanor Ibrahim berkata tiada disiplin, sukar mengawal ketagihan dan kurang kesungguhan antara punca majoriti perokok gagal melepasi tempoh enam bulan minimum yang ditetapkan untuk berhenti merokok. "Perokok tegar biasanya akan menghadapi beberapa simptom seperti berasa kurang bertenaga dan mudah mengantuk apabila tidak merokok dalam tempoh lama dan ini menyebabkan mereka susah meninggalkan tabiat itu," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan pelancaran Tempat Kerja Bebas Asap Rokok di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia negeri di sini hari ini. Dr Lailanor berkata tiada istilah terlewat untuk berhenti merokok kerana kebanyakan yang mendapatkan rawatan terdiri daripada individu berumur 40 tahun ke atas. Beliau berkata ada juga perokok muda berniat berhenti merokok kerana tidak mampu membayar harga rokok yang semakin meningkat tetapi peratusan mereka amat kecil. Dr Lailanor berkata terdapat 12 klinik berhenti merokok di seluruh negeri dikendalikan pakar perubatan keluarga secara percuma dan perokok biasanya diberi gula-gula nikotin untuk mengawal ketagihan dan sesi kaunseling. Dalam perkembangan lain, beliau berkata Jabatan Kesihatan negeri akan mencadangkan kepada Kementerian Kesihatan dan kerajaan negeri untuk menjadikan bahagian dalam premis di kawasan bandar warisan sebagai zon larangan merokok. Beliau berkata pihaknya masih berunding dengan pelbagai pertubuhan peniaga, hotel, pengusaha restoran nasi kandar serta pemilik pub untuk mendapatkan maklum balas berhubung perkara itu. - Bernama
Cedera disamun enam lelaki
TAIPING - Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila dia disamun enam penjenayah di hadapan rumahnya sendiri di Kampung Tersusun kelmarin. Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, mangsa yang enggan dikenali itu turut cedera ringan selepas bergelut dengan penyamun-penyamun terbabit. Menurutnya, ketika kejadian kira-kira jam 10.45 malam itu, mangsa berada di hadapan rumahnya seorang diri. “Mangsa secara tiba-tiba disamun sekumpulan enam lelaki yang menunggang tiga dan membonceng tiga motosikal," katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam. Yusuf berkata, enam individu berkenaan merampas dompet mangsa yang mengandungi kad pengenalan, lesen memandu dan wang tunai berjumlah RM200. "Sebuah telefon bimbit jenama Nokia milik mangsa turut dilarikan kumpulan penjenayah terbabit,” katanya. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan akibat samun berkawan. Yusuf berkata, pihak polis sentiasa memandang serius kes-kes membabitkan samun khususnya di sekitar kawasan Taiping. “Oleh yang demikian, kita juga berharap dan memohon kepada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat supaya boleh tampil ke hadapan membantu polis menangani kegiatan ini,” katanya.
Baka cegah jenayah cara Islam
Pengurusan jenazah antara pengisian dalam modul.
DALAM usaha mencegah jenayah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan sahaja berkhidmat menjaga keamanan negara. Malah PDRM mencuba meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap keselamatan dengan menggunakan pendekatan Islam. Justeru, Bahagian Agama dan Kaunseling (Baka) ditubuhkan hasil Laporan Suruhanjaya Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM pada 13 Mei 2005. Dalam isi laporan itu, cadangan agar bahagian agama ditubuhkan bagi meningkatkan pembangunan kerohanian dan moral anggota polis. Baka menjadi sebuah pertubuhan rasmi PDRM pada 3 April 2007. Matlamat utama penubuhan Baka untuk melahirkan pemimpin yang berwibawa dan berkesan, membentuk warga PDRM berakhlak, profesional dan berhemah, meningkatkan mutu disiplin berlandaskan etika murni dan cemerlang, meningkatkan pembangunan diri dan kesedaran kemajuan kerjaya, mengenal pasti isu, cabaran semasa dan yang akan datang berkaitan agama, psikologi serta kaunseling. Demi mencapai matlamat tersebut, Baka telah menganjurkan pelbagai aktiviti yang bukan sahaja melibatkan anggota polis, malah terdapat juga program yang melibatkan masyarakat. Antara aktiviti yang telah dianjurkan ialah kem motivasi, forum “Berakar Kasih, Berbunga Sayang”, kursus pengurusan jenazah dan banyak lagi. Program terdekat Sementara itu, buat julung kalinya Baka bakal menganjurkan satu simposium yang bertemakan Pencegahan Jenayah dari perspektif Islam. Simposium ini akan berlangsung selama dua hari bermula 24 hingga 25 April ini bertempat di Dewan Muktamar Pusat Islam, Bangunan Pusat Islam, Kuala Lumpur. Program ini terbuka kepada masyarakat awam dan akan bermula dari jam 8 pagi hingga 5 petang. Antara yang menarik mengiri program ini ialah pameran dan gerai jualan yang akan diadakan sepanjang acara berlangsung. Selain itu, dua penceramah dijemput khas untuk membincangkan mengenai zakat dan isu-isu semasa iaitu Ustaz Hariyanto Rizal Rokman dan Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim pada hari pertama simposium tersebut. Pada hari kedua pula akan berlangsung satu forum melibatkan tiga ahli panel yang akan membentangkan kertas kerja mereka berlandaskan tema utama simposium mengikut perspektif berbeza berdasarkan kepakaran masing-masing. Ahli-ahli panel tersebut ialah Pengarah Jabatan Pembanterasan dan Pencegahan Jenayah; Datuk Wira Ayub Yaakob, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi); Paimuzi Yahya, dan Pengarah Bahagian Penyelarasan Undang-undang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim); Abdul Aziz Mohamad. Menurut Timbalan Pengarah Pengurusan Baka, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dalam temu bual baru-baru ini, objektif utama program ini adalah untuk mendidik orang ramai, memberi kesedaran mengenai kepentingan penyaluran maklumat, memberi pendedahan tentang akibat dan kesan kehilangan nyawa dan harta benda serta mengetengahkan perkembangan isu-isu semasa berkaitan pencegahan jenayah menurut perspektif Islam. “Dengan penganjuran program-program sebegini juga diharapkan dapat mengeratkan lagi hubungan antara kami pihak polis dan masyarakat. "Kita cuba untuk menerapkan rasa tanggungjawab untuk orang ramai membantu pihak polis dalam membanteras jenayah dengan menyalurkan maklumat yang mereka ketahui. "Program ini adalah satu titik permulaan dan tidak akan terhenti di sini sahaja, malah akan diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya. Beliau berkata, Baka juga berfungsi sebagai penawar bagi anggota-anggota yang bermasalah seperti terlibat dengan rasuah dan penyalahgunaan dadah. "Meskipun hanya sebilangan kecil anggota polis yang terjebak dalam permasalahan ini, menjadi tanggungjawab Baka untuk mencegahnya dari awal supaya tidak menjadi lebih serius pada masa akan datang," katanya.
Tinggalkan nota sebelum mati
Bangunan menara tangki air di mana mayat si mati ditemui.
PORT DICKSON - Seorang lelaki meninggalkan sekeping nota sebelum dia ditemui mati, semalam. Ketua Polis Daerah, Superitendan Abd Wahab Harun berkata, si mati, Joon Mooi Sang, 51, meninggalkan sekeping nota berbahasa Mandarin bermaksud ‘Semua barang ada pada saya... Saya tak pergi mana, saya ada sini’ dan ditampal di hadapan cermin depan kereta miliknya di rumahnya di Tanah Merah Site A. “Mangsa ditemui dalam keadaan cedera parah oleh isteri dan tiga jirannya di tingkat bawah bangunan menara tangki air yang jaraknya 100 meter dari rumah mangsa,” katanya kepada Sinar Harian semalam. Abd Wahab berkata, polis menerima panggilan kecemasan pada jam 1.25 pagi selepas si mati disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan di Klinik Kesihatan Sungai Pelek. “Hasil siasatan polis mendapati, si mati tidak bekerja dan menghidap penyakit di bahagian sulitnya sejak lima tahun lalu. “Isterinya mengesyaki, suaminya mengalami kemurungan semenjak balik dari rawatan berkenaan penyakit itu pada petang kelmarin sebelum menemui suaminya dalam keadaan cedera parah. Abd Wahab berkata, siasatan polis di tempat kejadian mendapati, si mati mengambil masa sebelum terjun berdasarkan kulit kacang dan puntung rokok yang masih baharu ditemui di kaki lima bangunan tangki air tersebut. “Di lokasi kejadian, juga terdapat dahan kecil patah yang masih baharu tepat di atas tompokan darah dipercayai si mati terhempas di atas lantai simen,” katanya lagi. Tambahnya, pemeriksaan fizikal mendapati si mati mengalami kecederaan di belakang kepala, patah tangan kiri dan paha kanan dan hasil laporan bedah siasat, mendapati sebab kematian adalah kecederaan parah pada bahagian kepala. “Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya lagi.
Indahnya nikmat ibu mengandung
Wanita hamil yang kurang berkemampuan diberi kemudahan lakukan beribadah - Gambar hiasan
MENGANDUNG adalah saat yang diimpikan seorang wanita bergelar isteri. Kelebihan ibu hamil adalah ALLAH SWT memberikan keringanan (rukhsah) dalam melakukan ibadah seperti solat. Jika bersolat di surau atau masjid, kita mungkin melihat ibu mengandung menunaikan solat secara duduk atau duduk di atas kerusi. Pernah terdengar orang mengata, “Tadi berjalan elok je, kenapa bila solat, dia duduk.” Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang perempuan mendirikan solat lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai.” (Riwayat Ahmad) Pensyarah Akademik Pengajian Islam Kontemporari (Acis), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor, Ustazah Siti Fatahiyah Mahamood menyifatkan situasi itu adalah kemudahan diberikan ALLAH kepada mereka yang mempunyai alasan kukuh. “Solat adalah perkara diwajibkan ke atas umat Islam, tak kira dalam keadaan sihat atau sakit selagi dia berada dalam ruang lingkup syarat wajib solat. “Solat tidak boleh ditinggalkan kerana itu adalah ibadah utama Muslim. Bagi mereka yang kurang berkemampuan untuk mengerjakan solat secara berdiri, dibolehkan baginya solat mengikut kemampuannya seperti duduk ataupun baring. “Begitu juga wanita hamil yang mengalami kesukaran berbeza antara satu sama lain. Jika wanita itu mampu bersolat secara berdiri dengan sempurna, maka diwajibkan ke atasnya solat berdiri. “Sekiranya dia tidak mampu berdiri, dibolehkan ke atasnya solat duduk atau baring mengikut kemampuannya ketika mengerjakan solat,” katanya kepada Rehal. Menurutnya, hak wuduk bagi wanita hamil dalam istihadah sama seperti wanita lain yang mengalami istihadah. Merujuk Kitab al-Fiqh ‘Ala al-Mazahib al-Arba’ah karangan Syeikh ‘Abdurrahman al-Jazairi : Menurut Mazhab Syafi’ie satu wuduk hanya untuk satu solat fardu sahaja. Jika dia ingin mengerjakan berbilang-bilang solat fardu (seperti solat qadak, nazar atau menjamakkan) dia wajib mengulangi wuduknya. Untuk mengerjakan solat sunat, harus dia mengerjakan seberapa banyak solat sunat yang diingini dengan satu wuduk. Namun menurut Mazhab Hanafi dan Hanbali; harus dia mengerjakan dengan satu wuduk seberapa banyak solat fardu yang dikehendaki, iaitu tiada beza dengan solat sunat. Di sebalik segala kesusahan dan kesukaran yang dihadapi oleh wanita ketika proses kehamilan, di situlah terbitnya salah satu rahsia apabila ALLAH mewajibkan kita mentaati ibu dan ayah. Teliti darah jenis apa Kebiasaan wanita mengandung tidak mengalami perdarahan ketika kehamilan. Namun apabila berlaku permasalahan kesihatan ketika kehamilan, tidak dinafikan ada wanita yang mengalami perdarahan. Siti Fatahiyah berkata, sebagai Muslimah, penting untuk menentukan apakah jenis darah yang keluar bagi menentukan limitasi ibadah yang perlu dilaksanakannya. Untuk menilai apakah jenis darah yang keluar, maka kita perlu rujuk kepada hukum asal jenis darah itu. Menurut Kitab Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah hasil penulisan Dr Abdul Karim Zaidan, pada dasarnya seseorang wanita mengalami beberapa jenis perdarahan iaitu darah haid, nifas dan istihadah. “Darah haid adalah darah yang keluar ketika dalam kitaran haid yang normal. Ulama juga membahaskan dari aspek bilangan hari keluarnya darah haid. “Secara ringkas dapat disimpulkan bilangan darah haid yang keluar mengikut Mazhab Syafi’ie adalah antara enam hingga tujuh hari pada kebiasaan wanita atau yang paling lama 15 hari." Beliau menambah, Mazhab Hanafi pula berpendapat ia antara tiga ke 10 hari. Mazhab Maliki pula berpendapat tempoh maksima haid adalah antara15 hingga 17 hari. “Berbalik kepada persoalan perdarahan yang dialami ketika proses kehamilan, perlu dinilai dengan teliti apakah jenis darah yang dialami. Ia amat penting bagi menentukan apakah limitasi ibadah yang perlu dilaksanakan termasuk limitasi perkara yang perlu dielakkan,” katanya. Menurutnya lagi, berdasarkan kepada jenis darah yang telah diterangkan, maka apabila wanita mengalami perdarahan ketika proses kehamilan yang membawa ke arah pengguguran bayi, maka perlu diambil kira apakah bayi itu cukup sifat atau tidak. Jika dirujuk ilmu sains perubatan, tempoh masa bagi cukup sifat berlaku ketika minggu ke 10 kehamilan. Dengan itu, apabila berlaku perdarahan ketika kehamilan lebih daripada 10 minggu, maka darah yang keluar adalah darah nifas. Jika ia berlaku sebelum masuk minggu ke sepuluh, maka darah yang keluar adalah darah istihadah. Manakala jika darah yang keluar ketika hamil tidak membawa ke arah pengguguran, maka kebanyakan ulama berpendapat ia adalah darah istihadah. Jika dirujuk kepada pakar perubatan pendapat mereka sama. Kecuali jika ia mengalir dengan tiada henti di usia kandungan 3-6 bulan maka mengikut Mazhab Maliki adalah darah haid. Qadak, bayar fidyah? Bagi wanita yang hamil, jika dia risau keselamatan dirinya dan bayi dalam kandungan, dia dibolehkan berbuka puasa. Ini adalah berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesungguhnya ALLAH menggugurkan (meringankan) setengah hari beban solat ke atas orang yang bermusafir, menggugurkan (memberi rukhsah) ke atas wanita yang hamil dan menyusukan anak akan kewajipan berpuasa”. (Riwayat Tirmidzi, an-Nasa’i & Abu Daud) Namun ulama membahaskan berkaitan kewajipan wanita hamil tersebut perlu qadak sahaja atau qadak dan membayar fidyah ataupun dibolehkan membayar fidyah sahaja kerana tiada nas yang jelas disebutkan berkaitan cara qadak yang perlu dilaksanakan oleh wanita hamil dan yang menyusukan anaknya. Merujuk kepada Kitab Fiqh Syafi’ie, Imam Syafi’ie dan Imam Ahmad berpendapat jika wanita hamil itu berbuka puasa kerana risau akan keselamatannya maka diwajibkan ke atasnya untuk qadak puasa tersebut (tidak perlu berturut-turut harinya). Tapi jika wanita menyusu berbuka puasa kerana risaukan anaknya, maka diwajibkan ke atasnya untuk qadak puasa dan membayar fidyah. Wanita mengandung yang tidak dapat berpuasa sepenuhnya kerana dikenal pasti pakar perubatan jika berpuasa memudaratkan dan mengancam nyawanya, hukumnya tertakluk seperti hukum ke atas orang tua yang sudah terlalu lemah atau orang sakit yang tidak diharapkan sembuh kerana apabila dia berpuasa akan memudaratkan lagi sakit tersebut.
Kaki tersepit dalam lubang tandas
Anggota bomba bertungkus-lumus mengeluarkan kaki mangsa yang tersepit dalam lubang tandas.
PUCHONG - Seorang murid darjah satu Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Bandar Puchong 1 terpaksa menahan kesakitan hampir sejam apabila kaki kirinya tersepit dalam lubang tandas di sekolah itu, ketika sesi pagi persekolahan, semalam. Difahamkan, mangsa yang dikenali sebagai Sanjana, 7, ke tandas untuk membuang air namun tergelincir dan tiba-tiba kaki kirinya termasuk ke dalam lubang tandas jenis cangkung itu. Sumber berkata, mangsa kemudian meminta tolong kepada murid lain yang kebetulan memasuki tandas sebelum insiden dimaklumkan kepada guru sekolah. “Beberapa kali guru sekolah cuba mengeluarkan kaki mangsa namun usaha itu gagal dan pihak bomba terpaksa dihubungi untuk mendapatkan bantuan,” katanya. Ketua Balai Bomba Puchong, Penolong Kanan Penguasa Bomba Jafri Amat berkata, Balai Bomba dan Penyelamat Puchong menerima panggilan kira-kira jam 12.28 tengah hari memaklumkan kejadian itu. Pihaknya terpaksa memecahkan mangkuk tandas bagi mengeluarkan kaki kanak-kanak perempuan itu. Operasi menyelamat berakhir pada jam 1.10 tengah hari. “Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan nasib baik mangsa memakai kasut sekolah serta sarung kaki . Ia menyelamatkan dia daripada terkena bucu tajam lubang tandas,” katanya.
Taktik pegawai imigresen palsu terbongkar
Pengawal keselamatan (kanan) dibawa anggota penguat kuasa untuk siasatan lanjut.
JOHOR BAHRU - Seorang pengawal keselamatan ditahan Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Johor, kelmarin kerana melakukan penyamaran sebagai anggota jabatan berkenaan. Ketua Bahagian Penguat Kuasa Imigresen Johor, Masri Adul berkata, lelaki berusia 34 tahun itu ditahan di sebuah premis refleksologi di Taman Nusa Bestari sekitar jam 9.30 malam. “Hasil aduan awam iaitu pekerja di sebuah pusat urutan di Taman Nusa Bestari, memaklumkan kehadiran seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan mengaku sebagai pegawai Imigresen dari Putrajaya . “Pemuda berkenaan memaklumkan akan diadakan serbuan dalam masa terdekat bagi mendapatkan wang perlindungan agar premis tidak diserbu anggota ops,” katanya, semalam. Masri berkata, anggota Penguat Kuasa Imigresen Johor segera bergegas ke lokasi aduan dan berjaya menahan lelaki terbabit. Katanya, lelaki itu yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah tapak pembinaan mengaku perbuatannya dilakukan atas cengkaman ceti haram dan terpaksa melunaskan hutang RM5,000. “Lelaki ini dibawa ke Pejabat Bahagian Penguat Kuasa Imigresen Johor untuk siasatan selanjutnya. Beliau juga diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Nusajaya untuk tindakan susulan. “Saya menasihatkan kepada orang awam jangan sama sekali melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang kerana boleh menimbulkan masalah kepada diri sendiri dan menjejaskan nama baik jabatan,” katanya.
6 direman disyaki curi motosikal
Khalil (kanan) menunjukkan motosikal dan komponen yang dicuri, disyaki angkara enam lelaki yang dikenakan perintah tahanan reman.
SUNGAI PETANI - Seramai enam lelaki ditahan dipercayai terlibat dalam kegiatan curi motosikal ketika serbuan dilakukan dekat sebuah rumah di Taman Sutera, di sini, awal pagi kelmarin. Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Khalil Arifin berkata, kesemua mereka yang ditahan berusia lingkungan 20-an dikenakan perintah tahanan reman sehingga 19 April ini. Menurutnya, kesemua lelaki terbabit adalah penduduk tempatan yang disyaki menjalankan kegiatan mencuri dan memproses komponen motosikal sebelum dijual. “Ketika serbuan, polis turut menemui komponen motosikal yang sudah dileraikan dan diasingkan mengikut bahagian,” katanya kepada Sinar Harian. Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian dan percaya kegiatan itu dilakukan secara berkumpulan. “Polis percaya dengan tertangkapnya enam suspek ini, mampu menyelesaikan dan mempunyai kaitan dengan kes kecurian motosikal yang dilaporkan sekitar daerah. “Kita akan teruskan siasatan dan mengenal pasti sekiranya masih ada ahli dari geng sama yang terlibat dalam kegiatan terbabit,” katanya. Ketika serbuan, polis turut menemui enam motosikal yang masih berada dalam keadaan baik manakala 10 rangka motosikal yang lain sudah dileraikan. Kesemua hasil serbuan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda untuk tindakan lanjut.
Empat beranak disamun lelaki bersenjata
Piah menunjukkan besi tingkap nako di bahagian belakang rumah dipotong dan sebelum ketiga lelaki bersenjatakan parang itu menyamun empat beranak terbabit.
MARAN - Empat beranak termasuk seorang warga emas berusia 78 tahun disamun tiga lelaki tidak dikenali dengan bersenjatakan parang di rumah mereka di Kampung Merbau dekat sini, kira-kira jam 4 pagi, semalam. Ketua keluarga terbabit yang juga seorang pengamal perubatan tradisional, Abu Bakar Kadir, 51, turut diikat ketiga-ketiga lelaki bertopengkan kain muka itu. Abu Bakar berkata, dia yang sedang tidur bersama isteri di bilik dikejutkan secara kasar dengan parang dihunus ke leher sebelum diminta mendiamkan diri. Menurutnya, selepas diikat, seorang daripada lelaki itu mengarahkan isteri, Rajhah Othman, 49, menunjukkan tempat simpanan wang sambil menggeledah seluruh rumah. “Masa kejadian, saya dan isteri tidur di bilik sementara ibu di ruang berasingan dan anak bongsu lelaki berusia 10 tahun di ruang tamu. “Ketiga lelaki yang menggunakan loghat Indonesia ini masuk ke dalam rumah dengan memotong besi tingkap nako di sebuah bilik bahagian belakang rumah. “Mereka mendesak serahkan wang tunai dan seorang ikut isteri saya menggeledah sambil mengacukan parang,” katanya. Mangsa kehilangan wang tunai RM2,000 hasil berniaga lauk-pauk di pasar malam dan dua utas rantai emas serta tiga telefon bimbit dengan anggaran kerugian berjumlah RM5,000. Warga emas terbabit, Piah Zakaria berkata, ketiga lelaki tersebut melalui ruang tempat dia tidur namun berkemungkinan tidak mengendahkan sebelum terus ke bilik anak dan menantunya itu. Menurutnya, dia hanya sedar sebaik kelambu tidur diselak seorang lelaki dengan mengacu parang dan meminta diam serta menyerahkan rantai emas di leher. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Pemangku Deputi Superintendan Sulaiman A Hamid mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan sedang dijalankan.
Kereta hilang di ruang pameran
Ketua Balai Polis Jertih, Inspektor Zuraidi Semail (kiri) memeriksa Proton Perdana yang dijumpai semula enam hari kemudian.
BESUT - Sebuah kereta Proton Perdana yang dilaporkan dicuri di sebuah kedai menjual kereta terpakai di Simpang Tiga Jertih, di sini, ditemui semula enam hari kemudian, kira-kira enam kilometer dari tempat kereta berkenaan dicuri. Kehilangan kereta diletakkan di ruang pameran premis itu disedari eksekutif jualan pada jam 10 pagi 8 April lalu, yang kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Jertih, selepas suspek memecah pintu pagar premis itu. Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, bertindak atas maklumat awam, sepasukan polis berusaha menjejak suspek dan enam hari kemudian, mereka terserempak dengan sebuah kereta Proton Perdana berwarna hitam di tepi jalan di Kampung Lak Lok. Menurutnya, kenderaan berkenaan ditinggalkan dalam keadaan tidak berkunci di hadapan sebuah premis perniagaan tanpa pemandu dan penumpang. “Kereta dijumpai itu dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu dan pemeriksaan lanjut mendapati, ia adalah kenderaan dicuri di kedai kereta terpakai itu,” katanya. Kamaruddin berkata, kereta berkenaan kemudian dibawa ke Balai Polis Jertih untuk tindakan lanjut. Menurut beliau, pihaknya sedang berusaha mengesan suspek yang dipercayai bertindak melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 379(a) Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan. Dalam pada itu, Kamaruddin turut meminta orang ramai memastikan keselamatan kenderaan masing-masing bagi mengekang peluang penjenayah untuk mencuri kenderaan.
Curi kain batik, buruh dijel 6 bulan
KUALA TERENGGANU - Tidak berbaloi! itulah ungkapan paling sesuai untuk seorang buruh, Mohamad Sufian Mohamad, 37, yang terpaksa menjalani hukuman penjara selama enam bulan gara-gara mencuri lima helai kain batik sarung di Pasaraya Mydin, di sini. Mohamad Sufian mengaku melakukan kesalahan itu di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim, pada perbicaraan di mahkamah majistret di sini, semalam. Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu jam 4.15 petang, 14 April lalu. Ketika kejadian, tertuduh gagal melarikan diri setelah ditahan seorang pengawal keselamatan, Ahmad Naim Ab Aziz, 26, sebaik terdengar bunyi sensor di bahagian pintu keluar pasar raya berkenaan. Setelah diperiksa, pengawal keselamatan itu terjumpa dua helai kain batik sarung jenama Doa Ibu dan tiga helai kain batik sarung jenama Puspita bernilai RM85 di dalam jaket tertuduh, sebelum pihak pengurusan Mydin membuat laporan polis. Tertuduh yang beralamat di Kampung Durian Burung itu didakwa di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda dan sebatan jika sabit kesalahan. Kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dustan Muda.
Dua rakan didakwa merogol
KOTA BHARU - Dua rakan dihadapkan ke mahkamah sesyen, di sini, semalam, atas tuduhan merogol seorang remaja berusia 15 tahun 10 bulan dalam kejadian berasingan, April 2014. Tertuduh, Husin Mohamed, 19, berhadapan tiga pertuduhan merogol mangsa yang sama itu bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Yusoff Yunus, semalam. Husin didakwa merogol mangsa dari Pengkalan Chepa itu di pondok buruk tanpa nombor di Chekok lebih kurang jam 7.15 petang, 2 April 2014. Dia juga didapati melakukan perbuatan itu terhadap mangsa, lebih kurang jam 9.30 malam pada hari dan di lokasi yang sama. Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan turut merogol remaja terbabit di pondok sama, kira-kira jam 4 pagi pada 3 April 2014. Seorang lagi tertuduh berusia 18 tahun, turut didakwa merogol mangsa sama di sebuah hotel di Kota Bharu, antara jam 12 hingga 1 pagi pada 3 April 2014. Kesalahan di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. Timbalan Pendakwa Raya negeri, Intan Nor Hilwani Mat Rifin tidak menawarkan jaminan kepada kedua-dua tertuduh. Mahkamah tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin. Kes bersambung 20 Mei ini.
Pemimpin parti politik beri penghormatan terakhir
Bekas Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu memberi penghormatan terakhir kepada bekas pengerusi DAP yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh yang maut dalam satu kemalangan pada awal pagi semalam di kediamannya di Jalan Utama di Georgetown hari ini. - Foto Bernama
GEORGETOWN - Pemimpin-pemimpin parti politik tidak kira bangsa dan agama terus mengunjungi kediaman mendiang Karpal Singh di sini hari ini untuk memberi penghormatan terakhir. Antara yang hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Datuk Jahara Hamid, Naib Presiden PKR Azmin Ali serta beberapa Adun Barisan Nasional. Nancy ketika ditemui pemberita, berkata Karpal Singh merupakan seorang pemimpin yang tegas dan peguam yang komited dalam menegakkan keadilan. "Kali terakhir saya bertemu mendiang ialah ketika perbahasan persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini," kata Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong, Sarawak. Sementara itu, Jahara yang juga Adun Teluk Air Tawar pula menyifatkan pemergian Karpal Singh sebagai kehilangan besar kepada negara. "Karpal merupakan seorang peguam yang beretika dan sangat berpegang kepada prinsip yang harus dicontohi oleh semua peguam dan sebagai ahli politik, beliau adalah seorang yang profesional dan tidak sesekali membuat serangan peribadi," katanya. Azmin yang turut ditemui di kediaman Karpal Singh berkata mendiang merupakan seorang mentor yang sentiasa membantu orang yang kurang berkemampuan. "Beliau merupakan seorang ikon yang tiada pengganti dan pemergian beliau bukan sahaja satu kehilangan besar kepada Pakatan (Rakyat) tetapi juga seluruh rakyat Malaysia," katanya. Karpal Singh maut dalam kemalangan membabitkan kenderaan serba guna (MPV) yang dinaikinya dan sebuah lori di KM306.1 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurong di Kampar, Perak awal pagi semalam. Turut terbunuh dalam kemalangan itu ialah pembantu peribadinya Michael Cornelius, 39. - Bernama
Pemandu jengkaut maut tertimbus tanah runtuh
KEMAMAN - Seorang pemandu jengkaut maut setelah tertimbus runtuhan batu dalam kejadian tanah runtuh di kuari pemecah batu Telok Kalong pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, mangsa, Muhamad Hafiz Muhamad Zizan, 24, baru sahaja selesai mengisi batu ke dalam sebuah lori untuk dibawa ke sebuah tongkang. Akibat runtuhan berkenaan mangsa yang berada di dalam jengkaut itu, meninggal dunia setelah terperangkap hampir dua jam di dalam runtuhan berkenaan. Pegawai Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri, Abdullah Zawawi Mohamed berkata pihaknya menerima panggilan pada 6.30 pagi berhubung kejadian itu. Beliau berkata bomba menggunakan sebuah jengkaut lain bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam timbunan batu itu dan berjaya mengeluarkan mangsa kira-kira 7.47 pagi. "Sejurus menerima laporan itu sepasukan penyelamat terdiri daripada pasukan bomba dan polis bergegas ke tempat kejadian dan berusaha menyelamatkan mangsa," katanya ketika dihubungi hari ini. Sementara itu, rakan mangsa, Mohd Roslan Khalid, ketika ditemui di tempat kejadian berkata ketika kejadian hujan turun dengan lebat menyebabkan tanah mengelongsor dan menghempap rakannya yang berada di dalam jengkaut. Mohd Roslan berkata beliau dan rakan-rakan berusaha menggali tanah yang menghempap mangsa bagi menyelamatkannya dan menghubungi pihak bomba. "Kejadian berlaku begitu pantas," katanya yang terkejut dengan insiden itu. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kemaman untuk dibedah siasat. - Bernama
Jenazah isteri Adun Paloh selamat dikebumi
GUA MUSANG - Jenazah isteri anggota Dewan Undangan Negeri (Dun) Paloh, Datin Maziah Din, 57, yang maut susulan kemalangan di Km 23 Jalan Cameron Higlands-Simpang Pulai petang semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Tanah Rancangan Felda Chiku 5 di sini, hari ini. Jenazah Allahyarham yang dibawa pulang dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, Perak, tiba di kediamannya di Bandar Chiku dekat sini pada jam 7.15 pagi tadi. Jenazah kemudian dibawa ke tanah perkuburan diiringi anggota keluarga dan ratusan penduduk di kawasan Dun Paloh serta Adun Palas Ab Aziz Yusof. Maziah meninggal dunia di hospital selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandu anaknya, Norfatim Nabila Norzula, 22, terbabas dan merempuh tebing bukit sebelum jatuh ke dalam longkang, dalam kejadian 6.30 petang semalam. Nahas turut menyebabkan suaminya Datuk Norzula Mat Diah, 57, serta anak lelaki mereka Mohd Fitri, 19, cedera dan kini dirawat di HRPB. Norfatim Nabila serta dua lagi adik beradiknya dan anak saudara berusia setahun lapan bulan bagaimanapun selamat. Norfatim Nabila yang ditemui pemberita selepas pengebumian itu berkata kejadian berlaku ketika hujan dan jalan licin menyebabkannya gagal mengawal SUV tersebut. "Saya yang hanya mengalami kecederaan ringan cepat-cepat keluar untuk mengheret keluar adik saya, Nadirah, Mohd Fitri dan anak saudara Raja Haris sambil meminta pertolongan daripada orang ramai yang melalui kawasan itu. "Hanya arwah ibu bersama bapa masih tersepit di dalam kereta yang remuk itu dan berjaya dikeluarkan anggota bomba tidak lama selepas itu," katanya. Ab Aziz pula ketika ditemui menyatakan rasa sedih atas kejadian menimpa keluarga Adun Paloh itu. Katanya Allahyarham amat dikenali di kawasan Gua Musang kerana sentiasa bergaul mesra dengan penduduk. "Saya doakan Datuk Norzula cepat pulih," katanya. - Bernama
Pengarah X-Men didakwa laku serangan seksual
LOS ANGELES - AMERIKA SYARIKAT. Peguam kepada Pengarah X-Men, Bryan Singer semalam menolak tuduhan yang mendakwa pengarah itu melakukan serangan seksual terhadap bekas model kanak-kanak dan pelakon remaja lelaki, lapor AFP. Mangsa, Michael Egan III berkata, dalam samannya bahawa Bryan telah memaksa dirinya untuk mengadakan hubungan seks dalam satu majlis di California dan Hawaii lewat tahun 1990-an ketika dia berusia 17 tahun. Namun, peguam Bryan, Marty Singer berkata tuduhan itu tidak masuk akal dan pendedahan itu dibuat bagi menarik publisiti maksimum ekoran begitu hampir dengan waktu pelancaran filem terbaru pengarah tersebut, X-Men. “Ia sangat jelas yang kes ini difailkan dalam cubaan untuk mendapatkan publisiti ketika filem terbaru Bryan akan dilancarkan beberapa minggu lagi,” kata Marty.
PM Seoul dibaling botol
JINDO - KOREA SELATAN. Perdana Menteri Korea Selatan, Chung Hong Won dibaling botol air oleh ahli keluarga mangsa tragedi feri karam yang tidak dapat mengawal emosi selepas 287 penumpang dilaporkan masih hilang, semalam. Menurut laporan AFP, media tempatan melaporkan, sekurang-kurangnya sembilan termasuk lima pelajar sekolah tinggi disahkan maut manakala 179 penumpang berjaya diselamatkan dalam tempoh 48 jam. Ketika ini, seramai 555 penyelamat dibantu 20 pesawat dan helikopter serta 169 kapal penyelamat dikerah untuk menyertai operasi mencari dan menyelamat (Sar) di perairan Korea Selatan tersebut. Kelmarin, Menteri Keselamatan dan Pentadbiran, Kang Byung-kyu memaklumkan, usaha mencari mangsa hilang tergendala berikutan arus kuat selain jarak penglihatan terhad. Angka kematian dijangka meningkat berikutan ramai mangsa masih terperangkap dalam feri Sewol berkenaan yang dilaporkan tenggelam di Pulau Jindo, barat daya Semenanjung Korea, kelmarin. Difahamkan, kira-kira 70 peratus daripada 475 penumpang feri tersebut adalah pelajar sekolah yang mengikuti lawatan sambil belajar selama empat hari bersama 15 guru ke pulau peranginan Jeju. Menurut pengawal pantai, mereka menerima panggilan kecemasan pertama dari salah seorang penumpang pada jam 8.52 pagi (waktu tempatan) dan feri terbabit didakwa berada dalam keadaan condong selama dua jam setengah sebelum ia tenggelam.
6 maut pesta air Thingyan
Kematian ketika pesta air meningkat berbanding tahun lalu.
YANGON - MYANMMAR. Sekurang-kurangnya enam maut dan 47 yang lain cedera dalam 20 insiden sepanjang empat hari Pesta Air Thingyan di wilayah tersebut. Agensi berita Xinhua melaporkan, kebanyakan kemalangan disebabkan penduduk menyimbah air ketika kenderaan dipandu laju hingga menyebabkan kereta terbabas dan berputar. Laporan polis turut menunjukkan antara kes lain yang berlaku sepanjang perayaan pada 13 hingga 16 April itu termasuk mencuri, meragut dan menyamun. Sepanjang pesta berlangsung, lebih 5,000 polis dan anggota keselamatan ditugaskan bagi memastikan keselamatan orang awam. Pada pesta air tahun lalu, sebanyak 46 kemalangan jalan raya dicatatkan di seluruh negara mengakibatkan empat kematian dan 92 kecederaan. - Reuters
120 ahli Ikhwanul dipenjara 3 tahun
Sebahagian ahli Ikhwanul menghadiri perbicaraan di ibu negara, semalam.
KAHERAH - MESIR. Sebuah mahkamah Mesir menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap 120 penyokong Ikhwanul Muslimin kerana mencetuskan keganasan, Oktober lalu. Akhbar Ahram melaporkan, keganasan tercetus ketika upacara memperingati ulang tahun ke-40 Perang 1973 dengan Israel di ibu negara. Defendan menghadapi tuduhan menganjurkan perhimpunan haram dan hingga menyebabkan 50 orang maut ketika perhimpunan itu. Kumpulan Ikhwanul kini mendapat tekanan hebat daripada kerajaan sementara bertujuan melenyapkan pengaruh Presiden yang digulingkan, Mohamed Mursi, Julai lalu. Kini, lebih 15,000 pengikut gerakan itu dipenjara manakala ratusan lagi dijatuhi hukuman mati, menurut laporan Al Arabiya.
Sekampung kritikal serangan gas beracun
Rakaman video menunjukkan seorang penduduk dirawat selepas insiden serangan gas beracun terbaharu di Harasta.
DAMSYIK - SYRIA. Aktivis pembangkang Syria, kelmarin sekali lagi mendakwa rejim Presiden Bashar al-Assad menggunakan gas beracun dalam serangan di pinggir Harasta. Dakwaan itu diperkukuhkan dengan rakaman yang kini tersebar menunjukkan, empat lelaki mendapatkan rawatan sejurus insiden itu. Menurut aktivis, kejadian serangan senjata kimia tersebut adalah keempat dilaporkan pada bulan ini. Minggu lalu, lebih 100 penduduk kritikal akibat sesak nafas selepas kejadian sama menimpa di kawasan kejiranan Harasta. Susulan itu, Majlis Kebangsaan Syria (SNC) mengutuk serangan berkenaan yang didakwa menggunakan racun perosak. Sementara itu, jurucakap Rumah Putih Jay Carney memaklumkan, Washington kini bekerjasama dengan Pertubuhan bagi Larangan Senjata Kimia (OPCW) untuk melakukan siasatan. Difahamkan, sejak beberapa bulan lalu, pembangkang berterusan menuduh rejim Bashar melancarkan beberapa siri serangan menggunakan senjata kimia di Harasta dan Jobar. Bagaimanapun, kesahihan laporan itu mencetuskan persoalan kerana sehingga kini tiada pihak mengesahkan perkara tersebut. - Al-Arabiya
Mayat murid lemas ditemui
SHAH ALAM - Mayat kanak-kanak 11 tahun yang jatuh longkang di sekolahnya ditemui 2 kilometer dari lokasi dia terjatuh dekat Ampang, 4.40 petang tadi. Sebelum ini, operasi mencari dan menyelamat murid tahun lima, Khairul Azriel Abd Razak dilakukan selepas mangsa dilaporkan terjatuh ke dalam longkang berhampiran sekolahnya di Ampang. Dalam kejadian Rabu lepas, Khairul Azriel dari Sekolah Kebangsaan Ampang, tergelincir dan jatuh ke dalam longkang sedalam 1.5 meter. Kejadian kira-kira 4.24 petang itu berlaku apabila mangsa dipercayai pergi ke longkang itu untuk mengambil bola sepak takraw yang ditendang salah seorang rakannya selepas ia melepasi pagar kawasan sekolah.
Pengacara TV Selangor kritikal di hospital
SHAH ALAM - Exco Belia, Sukan dan Kemudahan Infrastuktur Awam, Dr Yunus Hairi berkesempatan meluangkan masa melawat Pegawai Perhubungan Awam dan Korporat Media Selangorku, Mansor Abu Bakar yang kini kritikal di Hospital Sentosa Klang, semalam. Mansor yang lebih dikenali sebagai DJ Mansor terlantar di hospital terbabit sejak minggu lalu akibat komplikasi kesihatan demam denggi, jantung, darah tinggi dan paru-paru. Beliau kini bergantung dengan bantuan pernafasan melalui mesin. “Saya mengambil kesempatan ini merakamkan kesedihan saya kepada ahli keluarga Saudara DJ Mansor, seorang tenaga penting di sebalik penerbitan TV Selangor yang kini di dalam keadaan yang agak kritikal. “Saya mengenali Saudara DJ Mansor dengan agak rapat kerana beliau sentiasa menghubungi saya untuk mendapatkan sebarang maklumbalas berkenaan isu-isu di Selangor dan aktiviti serta program di bawah portfolio jagaan saya untuk disebarkan melalui TV Selangor,” katanya. Yunus berharap semua pihak mendoakan kesihatan DJ Mansor dan sekeluarga dapat bersabar dan tenang menghadapi dugaan itu. Turut menziarahi DJ Mansor ialah Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail.
Denda RM2,000 tinjau perempuan dalam tandas
Jurujual didenda RM2,000 tinjau perempuan dalam tandas. KUALA LUMPUR - Gara-gara meninjau seorang perempuan di dalam tandas seorang jurujual lelaki hari ini didenda RM2,000 atau empat bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini. Majistret Nurul'Ain Abdul Rahim menjatuhkan hukuman itu terhadap Syed Abu Bakar Sadiq Syed Salleh, 23, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu dengan maksud hendak mengaibkan kehormatan mangsa. Dia didakwa melakukan kesalahan itu dalam tandas perempuan tingkat 5, Bangunan Pavilion, Jalan Bukit Bintang di sini, pada 15 April lepas, jam 8.40 malam. Syed Abu Bakar Sadiq, yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya dan mengikut fakta kes, tertuduh berada di dalam bilik tandas bersebelahan ketika kejadian itu berlaku. Sementara itu di mahkamah yang sama seorang penganggur S. R. Suresh, 35, didenda RM2,000 atau empat bulan penjara setelah mengaku bersalah mendatangkan kecederaan dengan sengaja kepada isterinya dua hari lepas. Dia didakwa melakukan kesalahan itu terhadap B. Parameswary, 36, dengan menggunakan cerek elektrik plastik di No.25-4 Apartment Gemilang, Jalan Klang Lama di sini, jam 1 pagi, 16 April lepas. Berdasarkan fakta kes, mangsa yang bekerja sebagai pencuci mengalami kecederaan di kepala selepas dipukul lima hingga enam kali menggunakan cerek tersebut. Suresh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tiga tahun dan denda. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Joy Jothi Nadrarasan (she) manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama
Khalid, jangan sombong sangat...
Unit polis udara memberi bantuan sejurus menerima panggilan kecemasan.
SEREMBAN – "Jangan sombong sangat. Kalau tak nak, tak mengapa," kata Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan. Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menolak tawaran negeri itu untuk menjual 20 juta gelen air sehari kepada Selangor dalam usaha membantu menangani krisis air di negeri itu. Menurut Mohamad, Negeri Sembilan tidak rugi apa-apa sekiranya Selangor enggan menerima tawaran itu, cuma beliau kasihan melihat rakyat Selangor terpaksa berdepan krisis air yang semakin meruncing. "Kalau tak hendak tak apa, tapi jangan cakap air yang kita tawarkan itu terlalu sedikit. Fikir dulu sebelum bercakap. “Saya bagi tahu ini pun atas dasar kemanusiaan, memandangkan rakyat di negeri itu terpaksa angkat baldi dan menunggu air di tepi jalan. Kata negeri maju, takkanlah rakyat terpaksa angkat baldi untuk dapatkan air," katanya. Menurutnya, setakat ini Negeri Sembilan ada kelebihan 20 juta gelen air dan boleh diberikan kepada mana-mana negeri yang memerlukannya. “Saya boleh beri apa yang kita ada. Setakat ini kita ada lebihan 20 juta gelen, kalau tidak dapat liputi seluruh negeri Selangor, sekurang-kurangnya bekalan air itu boleh tampung di mana-mana tempat terdesak, misalnya Shah Alam, Subang atau mana-mana daerah difikirkan perlu," katanya di sini, semalam. Mohamad berkata, beliau hanya mahu membantu setakat yang mampu dan bukan menyelesaikan masalah air di negeri itu secara keseluruhan. “Tapi kalau dia sombong sangat, tak kisahlah. Saya pun bukannya terhegeh-hegeh suruh dia beli. Lepas ini kalau dia melutut minta bantuan, saya tak akan bagi dan tidak akan layan. Pintu hati saya sudah tertutup," katanya. Semalam, Sinar Harian melaporkan kenyataan Mohamad berhubung kesediaan Negeri Sembilan menjualkan air bersih kepada Selangor dan Wilayah Persekutuan sekiranya bekalan tersebut benar-benar diperlukan kedua-dua negeri berkenaan. Menurut Mohamad, kerajaan Negeri Sembilan sedia menjual air terawat maksimum 20 juta gelen sehari yang diperolehi daripada Loji Rawatan Air Ngoi-Ngoi. Bagaimanapun, tawaran Mohamad itu dibalas dengan kenyataan Abdul Khalid yang menyifatkan jumlah 20 juta gelen itu sangat sedikit untuk menyelesaikan krisis air di Selangor. “Jumlah 20 juta gelen air itu sangat sikit. Jadi tak payahlah,” katanya.
Feri karam: Mangsa hantar mesej menyayat hati
Unit polis udara memberi bantuan sejurus menerima panggilan kecemasan.
SEOUL - KOREA SELATAN . Keluarga penumpang feri yang karam di Korea Selatan menerima mesej menyayat hati daripada anak-anak mereka yang masih terperangkap di dalamnya. Memetik laporan ABC News, salah seorang pelajar perempuan berusia 19 tahun yang hanya dikenali menerusi nama terakhirnya, Shin telah menghantar mesej kepada bapanya. “Ayah, jangan risau. Saya ada jaket keselamatan dan kami berpaut satu sama lain,” tulis Shin seperti yang dilaporkan agensi berita Korea, MBC News. Kemudian, bapanya membalas, “Ayah tahu pasukan penyelamat dalam perjalanan tapi cuba cari jalan keluar jika boleh.” “Ayah, saya tak boleh keluar. Koridor penuh dengan orang dan ia terlalu condong,” beritahu Shin lagi. Dalam perkembangan lain, seorang pelajar lelaki menghantar pesanan kepada ibunya yang tidak tahu bahawa feri itu karam. “Ibu, saya mungkin tak sempat nak beritahu yang saya sayangkan ibu,” tulisnya. “Ibu juga. Ibu sayang kamu,” balas ibunya diikuti tiga simbol hati. Namun, pelajar itu antara 179 yang dilaporkan terselamat, lapor MBC. Sementara seorang lagi keluarga memberitahu telah menerima pesanan yang berbunyi, ‘saya hidup’ daripada salah seorang penumpang namun ia tidak pasti sama ada penumpang itu sudah diselamatkan atau belum. Salah seorang penumpang terselamat berkata, ketika kejadian, dia terdengar bunyi dentuman dan feri mula condong dan terdengar pengumuman dibuat agar penumpang kekal di tempat masing-masing. “Beg-beg mula jatuh dan kami semua tertanya-tanya apa yang berlaku tapi pengumuman itu meminta kami kekal di tempat kami, jadi kami ikut arahan. “Feri mula condong secara tiba-tiba dan semua orang menggelongsor ke bawah dari atas. Saya berpaut pada susur tapi kemudian saya dilanggar seseorang yang jatuh dari atas dan saya turut tertolak ke bawah,” kata Young-Ja Shin. Seorang penumpang berusia 50 tahun, Eun-Bok Jang berkata dalam kejadian itu dia tidak mampu bernafas. “Ia ambil masa 10 saat untuk condong sepenuhnya dan saya mula menggelongsor ke hujung. “Saya dilanggar dan kemudiannya saya tidak dapat bernafas,” katanya. Menurutnya, suasana dalam feri itu semakin kecoh apabila semua barang-barang seperti peti ais mula jatuh. Berdasarkan cerita penumpang terselamat lain, apabila air mula memasuki feri itu, ramai penumpang yang memakai jaket keselamatan dan keluar menyelamatkan diri. Difahamkan menurut laporan Reuters, feri terbabit membawa 325 pelajar menuju Pulau Jeju sebelum memberikan isyarat kecemasan pada 8.58 pagi waktu tempatan iaitu ketika belayar sekitar 20 kilometer dari Pulau Byeongpoong. Sejurus berita diterima, kapal pengawal pantai, kapal dagang dan beberapa helikopter dikerahkan dalam operasi menyelamat itu.
Mihas catat jualan RM1b
Antara produk dipamerkan di Mihas 2014, baru-baru ini. Foto: MIHAS 2014.
JUALAN sebanyak RM966.4 juta dicatatkan sepanjang Pameran Halal Antarabangsa Malaysia 2014 (Mihas 2014) yang ke-11 termasuk menerusi program Misi Belian yang berlangsung di Kuala Lumpur, minggu lalu, iaitu kenaikan 21 peratus berbanding RM798.72 juta tahun lalu. Mihas 2014 yang dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) ialah pameran perdagangan halal terbesar dunia yang memfokus kepada pembekalan produk dan perkhidmatan halal kepada pasaran antarabangsa. "Semasa acara yang berlangsung dari 9 hingga 12 April itu, Matrade turut mengaturkan program Misi Belian yang menemukan 400 pembeli dari 41 negara dalam mesyuarat perniagaan yang telah dijadualkan," menurut Mihas dalam satu kenyataan. Menurut kenyataan itu, sektor utama yang menarik perhatian pembeli semasa pameran itu ialah minuman, produk diproses dan sedia dimakan, makanan sejuk beku, perasa dan rempah. Namun, sektor bukan makanan dan perkhidmatan seperti kelengkapan tandas, penjagaan tubuh, penjagaan kebersihan dan produk kewangan turut menyumbang RM82.9 juta daripada RM489.2 juta jualan yang dijana sepanjang acara itu. Mihas 2014 menarik 20,818 pengunjung dari 60 negara, naik 12.5 peratus berbanding tahun lalu dan disertai 521 syarikat dari 26 negara.
Malaysia pengeksport utama Asean ke Jerman
FRANKFURT - Malaysia menjadi negara pengeksport utama Asean ke Jerman pada 2013. Import Jerman dari Malaysia meningkat 4.2 peratus, berbanding dari Singapura dan Indonesia yang susut sebagaimana dicatatkan dalam data terkini Majlis Perniagaan Asia Pasifik Jerman (OAV) yang berpangkalan di Hamburg. Menurut data OAV, yang berdasarkan kepada perangkaan dikumpul oleh Biro Perangkaan Jerman Persekutuan, eksport Malaysia ke negara itu pada tahun lepas berjumlah 5.649 bilion euro, naik 4.2 peratus berbanding 5.420 bilion euro pada 2012. Sebaliknya, import Malaysia dari Jerman pada 2013 berkurangan kepada 4.809 bilion euro, turun 3.0 peratus daripada 4.958 bilion euro sebelumnya. Sementara itu, jumlah eksport Asean ke Jerman pada 2013 berjumlah 27.162 bilion euro, naik 1.4 peratus daripada 26,789 bilion euro pada 2012. Gabungan import Asean dari Jerman pada 2013 pada 22.074 bilion euro, susut 3.0 peratus daripada 22.746 bilion euro pada tahun sebelumnya. Dua rakan dagang terbesar Jerman di Asia ialah China dan Jepun. - Bernama
Malaysia perkukuh industri semikonduktor
KUALA LUMPUR - Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan mengetuai perwakilan Malaysia ke SEMICON Singapore 2014, sebuah eksposisi bagi industri separa konduktor di Asia Tenggara, dari 23 hingga 25 April di Marina Bay Sands Expo. Perwakilan itu terdiri daripada MIDA, antaranya Timbalan Ketua Eksekutifnya, Datuk Phang Ah Tong; Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan tujuh syarikat Malaysia. Dalam satu kenyataan hari ini, MIDA berkata perwakilan itu juga terdiri daripada penyedia penyelesaian menyeluruh bagi industri separa konduktor serta pengeluar mesin dan kelengkapan proses khusus. Phang berkata: "Industri separa konduktor merupakan penyumbang utama dalam prestasi eksport bagi industri elektrik dan elektronik (E&E) di Malaysia. "Eksport peranti separa konduktor bernilai RM111.19 bilion atau 47 peratus daripada keseluruhan produk E&E yang dieksport pada 2013." Beliau berkata Malaysia sedang memperkukuh industri ini selanjutnya dengan menyasarkan pengeluaran komponen, seperti pemprosesan wafer, pembuatan wafer, reka bentuk litar bersepadu (IC) dan kegiatan penyumberan luar pembuatan wafer. "SEMICON Singapore akan menjadi platform yang baik bagi kita mempamerkan pembangunan ekosistem separa konduktor Malaysia dan menarik lebih banyak syarikat separa konduktor berteknologi tinggi," katanya. Acara kemuncak penyertaan Malaysia dalam SEMICON Singapore 2014 ialah seminar bertajuk 'Completing the E&E Chain in Malaysia (Melengkapkan Rantaian E&E di Malaysia)' pada 23 April. Sesi ini akan menampilkan pembentangan daripada MIDA, Matrade dan ketujuh-tujuh syarikat yang mengambil bahagian di astaka Malaysia, katanya. Phang berkata MIDA akan juga menganjurkan sesi perangkaian perniagaan bagi syarikat-syarikat ini. "Kita ingin menggalakkan pelabur kita yang berpotensi untuk melihat Malaysia dari perspektif serantau yang lebih luas dan menganggap negara ini sebagai rakan kongsi perniagaan strategik dalam rangka kerja Asean," katanya. "Semasa seminar itu, peserta boleh mendapat maklumat dan kefahaman langsung tentang cabaran dan peluang dalam industri separa konduktor Malaysia," tegas Phang. - Bernama
Produk tilapia sejuk beku dapat sambutan
Idai Sinar bersama antara produk keluaran syarikatnya yang paling laris terjual.
SYARIKAT pengeluar produk sejuk beku berasaskan ikan tilapia, Snapper Food Sdn Bhd menyasarkan untuk memasuki pasar raya besar dalam tempoh terdekat. Eksekutif Operasi Pemasarannya, Idai Sinar Suria Yaacob berkata, pihaknya dalam proses membawa produk itu ke pasar raya seperti Tesco dan Giant. “Dengan sambutan yang menggalakkan sejak diperkenalkan pada 2011, kami yakin dapat memasuki lebih banyak pasar raya tempatan pada masa akan datang. “Produk kami juga telah memasuki beberapa hotel dan restoran dengan menjadi pembekal kepada produk sejuk beku seperti nugget, burger, jejari ikan dan isi ikan,” katanya ketika ditemui di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia 2014 di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Menurutnya, selain pasaran tempatan, produk itu juga dieksport ke China dan Vietnam. Katanya, negara lain disasarkan syarikat itu ialah negara di Timur Tengah. Bagaimanapun, Idai Sinar berkata, syarikat itu ingin memberi tumpuan untuk menguasai pasaran tempatan terlebih dahulu menerusi ejen mereka. "Setakat ini, Snapper Food mempunyai 50 ejen di seluruh negara. “Kami berharap untuk memperoleh 200 ejen dan 100 stokis serta 17 pengedar pada masa akan datang,” katanya. Menurutnya, syarikat itu memiliki kolam ternakan ikan sendiri di Gerik, Perak dan menjual purata tiga tan isi ikan setiap tiga bulan. “Kelebihan produk kami adalah kerana ikan tilapia digunakan untuk menghasilkan produk tidak berbau hanyir. “Bagi menghasilkan ikan tilapia seperti ini, kami menjalin kerjasama dengan syarikat dari Norway untuk menggunakan teknologi mereka dalam sistem ternakan agar ikan tidak berbau,” katanya.
Isu Tegur Ustaz Don, Ini Jawapan Wardina Safiyyah, entahlah...
“Saya tiada niat untuk aibkan ustaz Don” -Wardina Safiyyah Pengacara dan pelakon Wardina Safiyyah tidak pernah berniat untuk mengaibkan Uztaz Don dengan berkongsi video ceramah agama yang dikatakan mengandungi hadis-hadis palsu disampaikan penceramah selebriti itu. Wardina berkata, dia hanya mewakili pihak yang musykil bagi mencari kebenaran terhadap beberapa perkara yang disampaikan oleh ustaz itu dalam ceramah umum tersebut. “Saya bukan ingin menasihati dan tiada niat langsung untuk membuka aib Ustaz Don dengan berkongsi video tersebut tetapi saya ingin mencari kebenaran sahaja. “Memang ada kata-kata ustaz dalam video tersebut yang membuat ramai orang musykil termasuk saya. Saya rasa ustaz perlu membantu kami orang awam yang tidak faham daripada mana sumber tersebut didapati,” katanya. Wardina berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kenyataannya yang menimbulkan kontroversi apabila dia mempersoalkan ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Don Daniyal sehingga mendapat banyak reaksi termasuk ada pihak menganggapnya cuba mengaibkan personaliti tersebut secara umum. Terdahulu pihak TV AlHijrah turut mengambil pendekatan untuk meneliti kandungan video ceramah personaliti berkenaan yang tersebar sebelum sebarang tindakan diambil. Ustaz Don merupakan hos rancangan 30 Minit Bersama Ustaz Don siaran TV AlHijrah yang disiarkan pada setiap Isnin hingga Khamis, pukul 9.30 malam. Tambah Wardina, tindakannya menegur secara umum bukan bertujuan melakukan serangan peribadi, sebaliknya sekadar mahukan mendapatkan kepastian dan jawapan. “Saya minta maaf jika ada yang tidak suka cara saya membuat teguran ini secara terbuka. Saya berbuat demikian kerana ceramah itu juga dilakukan secara umum, saya jujur dengan niat ingin bertanya. “Kata-kata saya di Facebook itu tidak sedikit pun mengecam, mengutuk atau memperkecilkan Ustaz Don kerana ilmu dia lebih tinggi daripada saya,” katanya. Bagaimanapun, Wardina akan bertemu dengan pendakwah terbabit bagi membincangkan kemusykilan berkenaan selain mahu bertukar pendapat tentang agama. Dalam status yang dimuat naik pada malam Selasa lalu Wardina turut berkongsi video ceramah Ustaz Don bertajuk Kompilasi Hadis Palsu dan Penyelewengan Ustaz Don. Dia turut meminta pihak ulama dan mufti mengkaji semula kandungan ceramah yang disampaikan melalui video tersebut. Ustaz Don ketika ini berada di United Kingdom untuk menjayakan sebuah rakaman berkaitan keislaman.
Luahan Hati Isteri Kedua Ashraf Muslim Kepada Anaknya
Wan Sakinah telahpun selamat melahirkan anak pertamanya setelah berkahwin dengan Ashraf Muslim. Wan Sakinah kini sedang berpantang dan kelihatan amat gembira dengan kehadiran cahayamata perempuan itu. Turut berasa gembira sudah tentulah Ashraf Muslim dan juga isteri pertama Ashraf iaitu Dayana. Dayana ternyata kelihatan sudah berbaik-baik dengan Wan Sakinah. Namun begitu, perjalanan kehidupan sebagai isteri kedua ternyata sukar ditempuhi oleh Wan Sakinah daripada orang ramai. Sememangnya ramai yang masih marah dengan Wan Sakinah kerana kontroversi pernikahannya dengan Ashraf Muslim. Menerusi laman sosial, Wan Sakinah telah meluahkan perasan sedihnya dan meminta maaf kepada anak kecilnya itu kerana turut mendapat tempias kebencian “haters” Wan Sakinah. Wan Sakinah menulis: Sarah sayang… Kat dunia ni ramai yg marah ibu. Ramai yg benci pun. Tp sarah jgn risau.. Ibu, ayah & mama sayang sgt kat sarah. Ibu mntk maaf, sebab ibu, sarah pun terkena tempiasnya. Ibu tau ramai doa yg bkn2 utk anak ibu ni. Tp insyaAllah, anak ibu, Sarah Ashraf bt Mohd Ashraf ni dipelihara & dilindungi Allah dunia & akhirat. Jd anak yg solehah sayang yea.. #sarahashraf Sedangkan Dayana isteri pertama Ashraf juga kini berkongsi kasih sayang dan kegembiraan diatas kelahiran anak Wan Sakinah, mengapa ada individu lain pula yang berlebih-lebih dalam hal ini? Ada baiknya doakan sahaja kebahagiaan mereka sekeluarga.
(Video) Penyanyi Terkejut Dicium Peminat Malaysia Ketika Di Pentas!
Mungkin bukan pengalaman pertama buat penyanyi yang popular dengan lagu Terima Kasih Cinta itu, tetapi Afgan dilihat seolah-olah terkejut dengan reaksi peminat itu yang tidak semena-mena datang bergambar dan mengucup pipinya saat dia sedang mengadakan persembahan di atas pentas. Namun dia kemudian sudah seakan-akan merelakan apabila sekumpulan peminat wanita mengerumuninya kerana mahu merakamkan gambar bersama serta tidak melepaskan peluang juga memeluknya dengan mesra ketika dia menyampaikan beberapa lagu pada malam itu. Afgan pada malam itu muncul dengan lima buah lagu iaitu seperti Pesan Cinta, Jodoh, Panah Asmara, Bawalah Cinta dan Terima Kasih Cinta. Tetamu wanita kelihat amat seronok sekali apabila dapat menyanyi bersama-sama dan bermesra dengan Afgan yang turut mengambil kesempatan bersama dengan peminat di bawah pentas dengan mengunjung dari meja ke meja. Sebelum persembahan daripada penyanyi yang digilai wanita itu, malam tersebut terlebih dahulu diserikan dengan persembahan nyanyian daripada penyanyi, Noryn Aziz yang turut menyampaikan lima buah lagu. Lima buah lagu tersebut adalah Natural Woman, Medley (Rolling In The Deep dan Set Fire To The Rain), Tinta Putih, Cinta Sejati dan Medley ( Happy dan You To Me Are Everything) Noryn juga turut memkau peminat dengan suara dan persembahannya yang agak luar biasa walaupun dia kini sedang hamil 4 bulan. Majlis yang diacarakan oleh Kuah Jenhan itu juga berselang seli dengan sesi cabutan bertuah buat para hadirin.
Mak Camni Pun Ada… Ibu Bekal Dadah Untuk Anak Dicekup
BALIK PULAU – Seorang wanita ditahan ketika cuba membekalkan dadah kepada anaknya yang baru sahaja dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan kerana memiliki dadah di Mahkamah Majistret Balik Pulau, di sini semalam. Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya Deputi Superintenden Siti Nor Salawati Saad berkata perbuatan wanita berusia 56 tahun itu disedari polis yang mengiringi anak lelakinya turun dari kandang tertuduh untuk dibawa ke lokap sementara mahkamah pada pukul 11.15 pagi. “Suspek dilihat mendekati anaknya yang berusia 35 tahun sebelum menyerahkan bungkusan kecil yang dibalut plastik hitam secara sembunyi, bagaimanapun kelakuannya yang mencurigakan itu disedari anggota bertugas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. Beliau berkata pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan itu mengandungi ketulan mampat dadah jenis heroin seberat 9.4 gram yang dibalut dalam gulungan tembakau. Siti Nor Salawati berkata polis masih menyiasat sumber bekalan dadah itu diperoleh dan wanita yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu direman tujuh hari mulai hari ini untuk membantu siasatan. – BERNAMA
Rugi RM300 Ribu Kerana Jejaka ‘Lamborghini’
SEORANG wanita Malaysia yang bekerja di Singapura terpaksa berputih mata apabila kerugian hampir RM300,000 dalam tempoh tidak sampai sebulan selepas ditipu oleh kekasihnya. Wanita berusia 20an itu berkata, dia mengenali kekasihnya menerusi aplikasi talian ‘SayHi’ apabila lelaki itu menegurnya. Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Jane mengakui bahawa dia tertarik dengan lelaki itu selepas melihat kemewahan yang ditonjolkannya. Selepas pertemuan pertama, lelaki itu melamar Jane untuk menjadi kekasihnya dan dia bersetuju. Sepanjang tempoh pertemuan mereka, lelaki berkenaan kerap membawanya keluar dengan kereta berjenama mewah seperti Mini Cooper, BMW 7 Series dan juga Lamborghini yang didakwa miliknya. “Dia sangat pandai berlakon. Bila kami bertemu, dia akan bercerita tentang kerjanya dan kerap bercakap di telefon dengan ‘rakan sekerjanya’,” ceritanya. Lelaki itu turut mengatakan bahawa gaji tahunannya mencecah lebih RM1 juta. Bagaimanapun, empat hari selepas pertemuan pertama, lelaki berkenaan memberitahu bahawa dia kehilangan dompet dan akaunnya terpaksa dibekukan. Dari situlah bermula episod ‘pinjam-meminjam’ dan Jane berkata, dia telah melakukan 30 transaksi dalam tempoh sebulan untuk lelaki itu. Antara alasannya termasuklah untuk membeli hadiah kepada keluarga, ubahsuai rumah, bayaran untuk ganti rugi akibat perbalahan dengan kontraktor sehinggalah kepada pampasan kes mahkamah. Jane mengakui hampir 90 peratus wang itu dipinjam daripada keluarga dan rakan-rakannya. Namun, dia apabila dia meminta kekasihnya membayar semula wang yang dipinjamkan itu, lelaki itu memberinya cek tendang sekaligus mengundang rasa curiga. Percubaannya untuk bertemu dengan lelaki itu juga gagal selepas dia memberi pelbagai alasan. Hasil siasatannya mendapati, lelaki itu sudah muflis sejak tahun 2011 dan sudah berkahwin pada tahun 2012 serta mempunyai seorang anak. “Saya tak fikir saya akan mendapat semula wang saya. Tapi saya mahu mengambil tindakan dan melihat dia dihukum sebelum dia melakukan perkara yang sama kepada gadis lain,” akhirinya.
MERS-CoV: Penduduk Kg Bintang Laut Dikuarantin
Batu Pahat – Seramai 64 penduduk Kampung Bintang Laut, dekat sini, dikuarantin di rumah masing-masing sejak Rabu kerana mempunyai tanda awal Sindrom Pernafasan Asia Barat-Virus Korona (MERS-CoV) susulan kematian seorang penduduk akibat penyakit itu. Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat, berkata keseluruhannya 1,000 lagi penduduk termasuk saudara mara lelaki yang meninggal itu diminta menjalani pemeriksaan di klinik dan hospital berhampiran. “Mereka yang dikuarantin adalah sebahagian daripada 100 penduduk kampung yang menjalani pemeriksaan bagi mengesan jangkitan MERS-CoV. “Ini kes pertama di negara ini dan kita mengambil tindakan serius dengan membuka Pusat Pemeriksaan Khas Jangkitan MERS-CoV sejak Isnin lalu bagi mengekang penyakit ini daripada merebak,” katanya. Ahad lalu, seorang lelaki berusia 54 tahun yang baru pulang mengerjakan umrah meninggal dunia akibat virus berkenaan. Beliau berkata, Jabatan Kesihatan Johor juga sedang mengenal pasti 12 daripada 18 jemaah yang mengerjakan umrah bersama mangsa bagi pemantauan. Katanya, enam lagi iaitu empat dari Johor Bahru dan dua dari Kluang, sudah menjalani pemeriksaan, di mana dua daripada empat jemaah dari Johor Bahru itu dikesan mengalami tanda awal MERS-CoV dan kini dalam pemerhatian, manakala empat lagi disahkan sihat. – mStar Online
Karpal Singh La Yang Meninggal… Bukan Karam Singh Walia
Memang lumrah untuk manusia terkeliru adakalanya. Cuma, di zaman moden ini, kalau kekeliruan diterjemahkan dalam bentuk status di mana-mana media sosial, maka ia akan berakhir menjadi lawak yang diperkatakan secara meluas untuk tempoh yang lama. Kalau baca status Kamarul di atas… agak nyata beliau terkeliru antara mendiang Karpal Singh dan wartawan TV3, Karam Singh Walia (yang masih sihat). Disebabkan itu, status beliau telah tersebar di Facebook dan media lain. Memang lawak la jugak kan… menipulah kalau penulis kata penulis tak gelak. Cuma penulis faham, niat dan bahasa yang digunakan beliau itu baik… cuma kandungan dan kepada siapa ia ditujukan tu tak boleh nak blah la kan bila baca. Mungkin juga beliau sengaja buat untuk dapatkan publisiti… kalau itu niatnya memang hebat la cara marketing. Insiden ni sebenarnya hampir sama dengan kematian bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela tetapi gambar pelakon Hollywood, Morgan Freeman yang disebarkan segelintir pengguna.
Rumah Tangga Goyah? Adam Akan Beri Penjelasan
PETALING JAYA – Penyanyi dan pelakon Adam (AF2) memohon diberi sedikit masa untuk dia mengumumkan kedudukan status rumah dengan bekas anggota kumpulan Elite iaitu Fiza yang didakwa goyah. Adam atau nama sebenar Mohd Aizam Mat Saman, 31, berkata, dia enggan mengulas panjang tentang dakwaan keretakan rumah tangganya dan berharap peminat mendoakan yang terbaik.| “Saya tidak mahu komen panjang tentang perkara ini, doakan sahaja yang terbaik untuk rumah tangga kami. Apa-apa berita tentang rumah tangga kami, Insya-Allah saya akan beritahu kelak,” katanya kepada mStar Online, ketika ditemui pada majlis pelancaran dan pra tonton filem Bahaya Cinta, di TGV One Utama, di sini, Rabu. Adam berkata demikian ketika diminta mengulas tentang rumah tangga yang dibina pada 26 September 2013 dikatakan sedang mengalami masalah. Tambah Adam mengulas tentang gossip tersebut, dia akui sebagai selebriti segala berita baik dan buruk akan dapat dihidu oleh pihak media dan masyarakat. “Apa yang saya boleh cakap kami baik-baik sahaja dan tidak bergaduh, kami cuma sibuk dengan kerja masing-masing. Saya anggap ia sebagai satu ujian,” katanya. Sementara itu, Adam turut menafikan dakwaan melarikan diri daripada media bagi mengelak ditanya isu tersebut dalam sebuah majlis baru-baru ini. Dia terpaksa pulang awal dan membatalkan beberapa sesi fotografi kerana mempunyai masalah peribadi yang terpaksa diselesaikan. “Saya balik awal pada majlis berkenaan minggu lalu sebab ada hal peribadi, manakala saya terpaksa membatalkan sebuah sesi fotografi kerana mahu pulang ke Sabah berikutan ada perkara peribadi yang perlu diuruskan,” katanya. Dalam pada itu, Adam melakonkan watak Iskandar dalam filem Bahaya Cinta yang merupakan filem kerjasama dengan penerbit dari negara Vietnam. Ia bakal ditayangkan pada 1 Mei Depan. - mStar Online
Maafkan Pembunuh Anak Dari Hukuman Gantung
IRAN – Betapa mulianya wanita ini. Dia sanggup memaafkan pembunuh anaknya, sekali gus menyelamatkan lelaki berkenaan beberapa saat sebelum digantung. Aksi berkenaan ditonton oleh orang ramai dan tindakan wanita itu yang memaafkan lelaki tersebut, ketika saat-saat akhir hayatnya, mendapat pujian ramai. Wanita itu sanggup naik ke tempat hukuman itu dijalankan, lalu menampar pipi lelaki tersebut dan kemudiannya memilih untuk memaafkannya. Dia kemudiannya membuka tali yang melilit Balal dan melepaskannya daripada hukuman gantung sampai mati yang dijatuhkan ke atas Balal kerana menikam anak lelaki wanita itu yang berusia 18 tahun, tujuh tahun lalu. Menurut bapa mangsa, Abdolghani Hosseinzadeh, isterinya itu menukar fikiran selepas bermimpi arwah anak mereka, beberapa hari sebelum hukuman itu dijalankan. “Dalam mimpi itu anak saya memberitahu ibunya bahawa dia berada di tempat yang baik dan memintanya supaya tidak membalas dendam,’’ kata Abdolghani. Sejak mimpi itu, katanya, isterinya telah berfikir dan kemudian mengambil keputusan memaafkan Balal. Abdolghani Hosseinzadeh juga yakin bahawa Balal tidak berniat membunuh anaknya. “Anak saya telah menendang Balal dan pada masa sama Balal telah mengeluarkan pisau dari stokinnya. Balal tidak tahu mengendalikan pisau. Dia sungguh naif,’’ katanya.
Hanya Anak Dara Yang Cantik Dibolehkan Mengutip Daun Teh?
Seperti yang dilaporkan oleh Daily Mail, setelah dipetik dengan bibir , daun teh dari pergunungan yang subur di wilayah Gushi, dimasukkan ke dalam mulut. Kemudian ia dimasukkan ke dalam bakul kecil yang terletak di celah buah dada pemetik perawan yang disebut Chaliuqing. Proses memetik daun teh jenis itu berdasarkan legenda yang masih dipercayai di China. Legenda berkenaan menyebut , daun teh harus dipetik pelbagai cara dengan mulut. Untuk memelihara legenda ini, syarikat teh di China mengupah gadis – gadis cantik dengan bayaran lebih RM200 sehari. Gadis -gadis pemetik teh harus memenuhi beberapa kriteria. Selain mempunyai saiz bra minimum C, mereka harus perawan dan tidak ada bekas luka di tubuh. Kriteria itu diyakini dapat meningkatkan kesegaran dan kesucian teh. Menurut syarikat Lip Tea , pengambilan pemetik teh sangat ketat . Syarikat mencari gadis yang paling bersih , kuat dan suci sebagai kunci kejayaan pengeluaran teh . Mereka harus membersihkan diri sebelum mula bekerja . Mereka juga perlu mendapatkan latihan khusus untuk melatih bibir dan leher . Ini adalah pekerjaan yang jauh lebih sukar daripada yang biasa terlihat ,kata Li Yong , jurucakap Jiuhua , tempat pemetikan teh . Syarikat teh mendakwa bahawa teh unik itu mempunyai aroma dan rasa yang menyegarkan , serta dapat menyembuhkan beberapa penyakit termasuk membantu menurunkan berat badan . Beberapa abad lalu , para penjual teh China berinovasi dengan menyimpan teh di letak dicelah payudara gadis berusia 16 tahun . Mereka membiarkan teh disimpan di bahagian badan itu selama para gadis tidur . Esok nya , teh akan mempunyai aroma dara yang berkhasiat untuk kesihatan dan kesejahteraan.
Gambar Menarik Percutian Tiz Di Australia
Dalam banyak-banyak artis tanah air yang penulis ‘follow’ Instagramnya, gambar Tiz Zaqyah yang dilihat paling artistik dan penuh seni bagi penulis lah.. Ini kerana gambar-gambar yang dikongsikan Tiz tidaklah hanya berselfie semata-mata sebaliknya aktres berusia 26 tahun ini gemar berkongsi gambar pemandangan tempat-tempat menarik yang dilawatinya sama ada di dalam atau luar negara. Terbaharu, Tiz berkongsi foto-foto menariknya sepanjang bercuti di Melbourne, Australia bersama kekasihnya, Daniel Haziq, rakan-rakannya dan juga pelakon terkenal dari Filipina, Jericho Rosales. Tidak dapat dipastikan sama ada kedatangannya ke negara Kangaroo itu untuk bercuti ataupun untuk menjalani penggambaran. Apa-apa pun jom layan gambar penuh warna-warni dari Tiz ni dulu ya!
Bayi 9 Bulan Nyaris Maut Dalam Kebakaran
ALOR SETAR – Lima sekeluarga termasuk seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan nyaris maut dalam satu kebakaran di Jalan Sekolah, Alor Merah dekat sini pagi tadi. Kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu dipercayai berpunca daripada kebakaran dapur memasak yang memusnahkan bahagian ruang dapur dan ruang makan rumah setingkat itu. Azmi Ishak, 68, berkata beliau bersama keluarga, isteri, Fatimah Omar, 67, anak perempuan, Nor Azah, 27, dan menantu lelaki Che Wahizul Hafia Che Wahab, 29, serta cucu perempuan Che Nur Ariana, sembilan bulan, berada di dalam rumah ketika kejadian. Katanya kebakaran itu disedari oleh Nor Azah yang keluar dari bilik selepas menidurkan anaknya dan ternampak api sedang marak di bahagian dapur yang struktur binaannya daripada kayu. “Selepas terdengar anak saya menjerit, saya lihat api sedang marak dan terus keluar rumah meminta bantuan daripada jiran untuk menelefon bomba,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. Azmi yang bekerja sebagai penyelia bas di Shahab Perdana di sini berkata beliau sempat menyelamatkan beberapa dokumen penting sambil menyuruh kesemua yang berada di dalam rumah itu menyelamatkan diri. Katanya dia bersyukur anggota keluarga termasuk cucunya selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan, walaupun terpaksa menanggung kerugian hampir RM50,000. Beliau berkata turut musnah dalam kebakaran itu sebuah motosikal dan sebuah mesin serta peralatan milik isterinya untuk membuat kuih tradisional. Sementara itu Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar, Muhamad Mahayuddin berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 8.32 pagi dan menghantar tiga jentera dengan 15 anggota ke tempat kejadian. – BERNAMA
Polis, Bomba Teruskan Operasi Cari Pelajar Lemas
KUALA LUMPUR – Operasi mencari dan menyelamat seorang murid tahun lima, Khairul Azriel Abd Razak, 11, yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang berhampiran sekolahnya di Ampang, masih diteruskan hari ini. Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairuldin Saad berkata, pihaknya masih belum menemui mangsa dalam operasi sehingga jam 6 petang semalam. “Kita dah jalankan operasi mencari melalui kawasan sungai sehingga ke Masjid Jamek, merangkumi jarak lebih kurang 10km dari tempat kejadian,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini. Khairuldin berkata pihak Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia akan meneruskan usaha mencari hari ini dan tidak menolak kemungkinan mangsa dihanyutkan hingga ke Puchong atau Sungai Klang. Beliau berkata sebelum kejadian, berlaku hujan lebat dan dan kemungkinan mangsa dihanyutkan dengan begitu laju memandangkan arus sangat deras. Dalam kejadian Rabu lepas, Khairul Azriel dari Sekolah Kebangsaan Ampang, dipercayai lemas selepas tergelincir dan jatuh ke dalam longkang sedalam 1.5 meter berhampiran kawasan sekolahnya. Kejadian kira-kira 4.24 petang itu berlaku apabila mangsa dipercayai pergi ke longkang itu untuk mengambil bola sepak takraw yang ditendang salah seorang rakannya selepas ia melepasi pagar kawasan sekolah. – BERNAMA
Hamil Kali Kedua, Fasha Sandha Mahu Baby Girl
Pastinya peminat setia Fasha Sandha sudah sedia maklum pelakon itu kini sedang hamil anak kedua selepas beberapa foto yang memperlihatkan ‘baby bump’nya jelas kelihatan di laman sosialnya, baru-baru ini. Mengulas mengenai kehamilan kali keduanya ini, Fasha mengatakan ini semua adalah kerja Tuhan dan rezeki yang dikurniakan buatnya sekeluarga walaupun ramai mengatakan anak sulungnya, Putra Rayfal Ramli yang genap berusia setahun pada 15 April lalu, masih belum puas bermanja dengan dirinya dan suami, Rizal Ashram. “Saya terima rezeki yang Allah berikan ini walaupun ada yang mengatakan jarak anak kedua ini terlalu dekat, kata mereka tak puas Rayfal bermanja denga saya. Tetapi pada saya ini semua rezeki,” katanya memetik laporan majalah Eh! Dalam pada itu, Fasha mengharapkan anak perempuan bagi kehamilannya kali ini walau bagaimanapun, aktres tersebut menerima sahaja pemberian Allah SWT buatnya sekeluarga kelak.
Ustaz Pancing Ikan, Dapat Anak Buaya
PANCING ikan tapi dapat anak buaya. Tangkapan itu amat mengejutkan seorang guru Sekolah Menengah Agama Tun Ahmad Zaidi, Kuching, Ustaz Abang Marsal Karim ketika menyertai pertandingan memancing anjuran sekolah itu semalam. Penolong Kanan Kokurikulum, Eh Fat E Sau berkata ustaz tersebut terpaksa ‘bergelut’ seketika dengan anak reptilia sepanjang kira-kira empat kaki itu sebelum berjaya mendaratkannya pada jam 8.30 pagi. Pertandingan memancing yang merupakan antara aktiviti sempena Hari Kokurikulum Bersepadu sekolah itu diadakan di kolam sebelah sekolah yang terletak di Jalan Sultan Tengah. Anak buaya itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat petang semalam. - Utusan Borneo
Nafi B’laku Serangan Ganas Antara 2 Kaum Di Klang
KUALA LUMPUR – Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan Jumaat menafikan khabar angin kononnya berlaku serangan ganas antara dua kaum di Klang dekat sini, seperti yang tersebar luas di laman sosial baru-baru ini. Beliau berkata, khabar angin yang tersebar menerusi khidmat sistem pesanan ringkas (sms) dan di Facebook itu adalah berniat jahat dan boleh mencetus huru-hara serta masalah perkauman di negara ini. “Hasil siasatan mendapati tiada sebarang laporan mengenai kejadian seumpama itu. Polis mengesahkan tiada sebarang bukti dan maklumat yang menyokong dakwaan tersebut. Ada khabar angin mengatakan penunggang motosikal dilarang pergi ke kawasan Pandamaran, Klang hingga ke Pelabuhan Klang bagi mengelakkan menjadi mangsa. Dakwaan seperti ini boleh menggugat ketenteraman orang awam,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini Jumaat. Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai sebarang khabar angin yang tersebar di laman sosial dan perlu mendapatkan maklumat daripada sumber yang sah bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini. – BERNAMA
Murid Tahun 5 Ditendang Cikgu Sampai Pengsan
Kuala Terengganu – Sudahlah disepak, seorang murid tahun lima mendakwa dipijak gurunya bertubi-tubi sehingga pengsan dan muntah di surau sebuah sekolah rendah di daerah ini, kelmarin. Dalam kejadian jam 1.20 petang, mangsa, Wan Luqman Al Hakim Wan Omar, 11, dikatakan bergaduh dengan rakan yang mengejek nama bapanya dan pergaduhan itu disedari guru lelaki terbabit yang ketika itu berada di kawasan surau. Guru terbabit yang naik hantu dikatakan bertindak luar dugaan apabila menyepak kepala mangsa hingga dia jatuh sebelum memijaknya sehingga pengsan. Bapa mangsa, Wan Omar Wan Mohammad, 43, berkata, kejadian itu disedari anak saudara perempuannya yang bergegas ke rumahnya bagi memaklumkan kejadian itu. Katanya, dia yang panik segera ke sekolah dan mendapati anaknya sudah lembik, terbaring dalam pejabat guru besar akibat dibelasah guru muzik terbabit. – myMetro Online
2 Anggota Tentera Cedera Siling PWTC Runtuh
Kuala Lumpur - Dua anggota tentera cedera ringan apabila sebahagian siling di tingkat dua Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) runtuh selepas demonstrasi letupan bom dilakukan pasukan pertahanan negara itu. Kedua-dua anggota tentera berkenaan yang dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan bagaimanapun dilaporan dalam keadaan stabil. Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail, berkata demonstrasi berkenaan yang menyebabkan sebahagian struktur siling itu runtuh. “Kami akan bekerjasama dengan PWTC untuk memastikan keselamatan keseluruhan bangunan ini selamat,” katanya. Demonstrasi pengeboman itu adalah sebahagian daripada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia 2014 selama empat hari yang berakhir, Khamis. Azizan berkata, pusat operasi jabatan berkenaan menerima panggilan kecemasan diterima pada pukul 4.59 petang, Khamis dan sebaik tiba didapati siling di kawasan beranda pusat itu telah runtuh. - mStar Online
Rapper Potong Zakar Sebelum Cuba Bunuh Diri
Los Angeles – Seorang penyanyi rap yang pernah membuat persembahan bersama Wu-Tang Clan memotong zakarnya sebelum cuba membunuh diri dengan terjun dari sebuah bangunan, kata polis, semalam. Andre Johnson dikejarkan ke hospital semalam selepas dia terjun dari tingkat dua balkoni sebuah apartmen di Hollywood Utara. Johnson ditemui dalam keadaan parah di tepi jalan dan dibawa ke hospital dengan zakarnya yang terputus. Tidak dapat dipastikan jika doktor cuba mencantum semula zakarnya, lapor TMZ. Dia kini dirawat di Pusat Perubatan Cedars-Sinai di Los Angeles. Rakan penyanyi rap yang tinggal di bangunan itu memberitahu semalam, Johnson memotong zakarnya dan terjun dari tingkat dua secara tiba-tiba. Kejadian berlaku dengan pantas, apabila rakannya turun ke bawah, Johnson dikatakan sudah berdiri, berlari sambil menjerit, lapor laman web itu. Kejadian itu dikatakan tidak membabitkan sebarang dadah berbahaya. Johnson, penyanyi rap dikenali dengan nama Christ Bearer dalam kumpulan Northstar. Bakatnya ‘ditemui’ oleh produser Wu-Tang dan penyanyi rap RZA pada tahun 1998. Dia menerbitkan album pertama kumpulan itu RZA Presents Northstar pada 2004. Jurucakap Jabatan Polis Los Angeles memberitahu semalam, ada individu dibawa dengan ambulans ke hospital tempatan berikutan kemalangan sejurus sebelum 1 pagi. Ia bagaimanapun tidak mendedahkan identiti individu terbabit atau kecederaan yang dialaminya. – Agensi
Polis Tembak Mati Penunggang Di China
Beijing – Polis di wilayah Xinjiang di barat China menembak mati seorang lelaki yang merempuh pusat pemeriksaan keselamatan, kata kerajaan tempatan semalam, keganasan terbaru melanda wilayah bermasalah yang mempunyai ramai penduduk Islam. Kerajaan Aksu di laman webnya berkata lelaki berkenaan, Abdul Basiti Abdulimit ialah pengganas dari mukim Keping di negeri Aksu. Ia tidak mengenal pasti Abdul Basiti sebagai salah seorang penduduk Islam Uighur tetapi nama keluarganya menunjukkan begitu. Abdulimiti maut Sabtu lalu selepas merempuh dua pusat pemeriksaan keselamatan dengan motosikal, tidak mengendahkan tembakan amaran daripada pegawai, kata kerajaan Xinjiang di portal berita tempatannya, Tianshannet. Beliau merampas senjata api dan menyerang pegawai polis, kata kerajaan. Namun tokoh dalam buangan dan banyak kumpulan hak mengesan puncanya kepada dasar China, termasuk sekatan ke atas Islam dan budaya serta bahasa penduduk Uighur, dakwaan yang dinafikan kerajaan. Jurucakap kumpulan buangan Uighur, Kongres Uighur Sedunia, Dilxat Raxit, berkata penunggang motosikal itu baru berusia 17 tahun, dan menuduh China memutar-belitkan cerita dengan mendakwa wujud unsur keganasan. AFP
Feri Karam: Angka Korban 25 Orang , 271 Masih Hilang
JINDO – Angka korban feri karam di perairan Korea Selatan meningkat kepada 25 orang pagi ini dengan ibu bapa yang kehilangan anak menyalahkan kapten dan syarikat feri selepas membuat pengumuman maaf berikutan tragedi itu. Daripada 475 penumpang dan anak kapal dalam Feri Sewol yang karam Rabu lalu, 179 disenaraikan sebagai selamat manakala 271 lagi masih hilang. Pihak berkuasa Korea Selatan akan memulakan operasi menyelamat awal pagi ini serta mengerahkan mini kapal selam automatik untuk melakukan tinjauan feri di bawah air. Penyelam berdepan dengan ombak yang kuat dan air pasang besar sehingga gagal untuk memasuki ke dalam feri yang kini tertangkup sepenuhnya di dalam laut. Feri mula tenggelam pada Rabu ketika dalam pelayaran biada dari Pelabuhan Incheon ke pulau peranginan popular Jeju, 480 kilometre ke selatan. Pegawai pengawal pantai Korea kini menumpukan siasatan mengenai kemungkinan kecuaian kru kapal, had kargo dan kerosakan pada struktur feri meskipin kapal berkenaan dilaporkan sudah melepasi pemeriksaaan keselamatan dan insurans. Kapten feri, Lee Joon-seok, kini berdepan dengan siasatan jenayah yang menjadi kebiasaan mengikut undang-undang Korea Selatan. Ahli keluarga dan waris mangsa yang maut menuduh kapten feri berkenaan dan beberapa anak kapal sebagai antara yang pertama keluar dan menyelamatkan diri. – Reuters
Lintah Berjaya Cantum Telinga Remaja Yang Putus
WASHINGTON – Seorang remaja perempuan berusia 19 tahun berjaya menyelamatkan telinganya yang putus selepas diserang seekor anjing, dengan bantuan lintah. Pakar bedah berjaya menyambung semula telinga yang putus itu menggunakan lintah, yang bertindak menghisap darah ketika proses penyambungan dilakukan. Dia dirawat oleh Dr Stephen Sullivan, yang menggunakan kaedah berkenaan selepas beliau gagal mencari arteri halus di telinga yang bertindak untuk memberikan oksigen kepada darah, sekali gus memastikan telinga itu `hidup’. Selepas dua minggu , lintah itu telah digunakan dan ia melekat di telinganya . Remaja itu kini telah pulih sepenuhnya dan kejadian itu hanya meninggalkan parut yang kecil di telinganya. Pendengarannya juga tidak terjejas dan dia perlu menjalani rawatan selama dua minggu di hospital itu. “Penggunaan lintah itu adalah sementara, ketika badan bertindak balas dengan arteri baru. “Alam semula jadi memang berkesan sejak lama dulu dan tiada kaedah lain yang dicipta oleh saintis, jurutera atau doktor yang boleh mengatasi kejadian semula jadi ini,’’ kata Dr. Sullivan yang mengakui ada pesakit yang terkejut dengan rawatan menggunakan lintah ini.
Polis P.Pinang Bongkar 2 Makmal Dadah
GEORGETOWN – Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah selepas membongkar dua makmal memproses dadah dalam serbuan berasingan di negeri ini semalam. Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata dalam serbuan pertama pada pukul 3.30 pagi di sebuah rumah di Air Itam, di sini, polis menahan lima orang termasuk tiga wanita Vietnam berusia antara 19 dan 43 tahun. “Dalam serbuan itu, kami merampas 66 gram dadah jenis heroin, 50 gram syabu, pelbagai bahan kimia serta perlatan memproses dadah,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. Beliau berkata susulan tangkapan itu, polis menyerbu sebuah rumah di Bukit Tengah, Bukit Mertajam dekat sini pada pukul 3.30 petang yang turut dijadikan makmal memproses dadah oleh sindiket itu. Sebanyak 82 gram syabu, 15 gram heroin, 1,287 gram serbuk disyaki dadah, serta 15 kilogram kafein dirampas dalam serbuan itu, katanya. Beliau berkata dalam serbuan kedua itu, polis turut merampas dua pucuk pistol dan lapan butir peluru. “Nilai semua dadah yang kami rampas ialah RM65,000 dan dalam operasi itu polis turut menyita sebuah kereta jenis Toyota Vios bernilai RM30,000,” katanya. Abdul Rahim berkata siasatan awal mendapati sindiket itu beroperasi di negeri ini sejak tiga bulan lepas dan dadah yang diproses adalah untuk pasaran kawasan utara. Beliau berkata seorang daripada lelaki yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. – BERNAMA
Serius Ke ni? … Berpakaian Tak Kemas Pun Boleh Kena Saman?
Seorang lelaki di Banting, Selangor tidak puas hati apabila dia diberi saman atas kesalahan ‘berpakaian tidak kemas semasa memandu’. Menurutnya dia tidak melanggar undang-undang seperti cukai jalan serta lesen memandu masih sah dan memakai tali pinggang keledar tetapi tetap dikenakan saman atas alasan yang tidak pernah didengarnya. Justeru, dia tertanya-tanya apakah kesalahan sebenar yang telah dilakukannya dan berharap mendapat penjelasan daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) berkaitan hal ini. Bagaimana dengan anda. Pernah dengar orang kena saman sebab berpakaian tidak kemas semasa memandu?
Jualan Kenderaan Meningkat 58,919 Unit
KUALA LUMPUR – Jualan kenderaan penumpang dan perdagangan pada Mac meningkat kepada 58,919 unit daripada 57,622 unit pada bulan yang sama tahun lepas. Persatuan Automotif Malaysia (MAA) berkata daripada jumlah 58,919 unit yang dijual, 52,122 merupakan kenderaan penumpang dan baki 6,797 kenderaan perdagangan. Ia berkata kuantiti jualan pada Mac juga tinggi berbanding Februari sebanyak 16.2 peratus. MAA dalam satu kenyataan berkata jualan yang bertambah baik itu adalah hasil daripada penghantaran model baharu, penghantaran tergesa-gesa oleh syarikat yang tahun kewangannya berakhir pada 31 Mac, 2014, dan bulan bekerja yang lebih panjang. Mengenai prospek masa depan, ia berkata kuantiti jualan pada April 2014 dijangka kekal pada paras semasa. – BERNAMA
Pembangkang S’gor Mahu Loji Langat 2 Dipercepat
SHAH ALAM – Seorang anggota pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini menggesa agar pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 dipercepat bagi mengelak isu catuan air yang berlaku sekarang berulang. Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang0 berkata pelaksanaan projek itu tidak harus dihalang kerana membabitkan kepentingan rakyat Selangor dan kawasan sekitar. “Sekiranya projek ini dibina pada 2008, kos pembinaannya itu mungkin tidak sebanyak pada masa kini dan jika ditangguh lagi kita khuatir kos tersebut termasuk kos tenaga kerja dan pelbagai lagi akan terus meningkat,” katanya semasa membahaskan usul khas dalam persidangan DUN Selangor, di sini hari ini. Lau Weng San (DAP-Bukit Tunku) membawa usul agar projek tersebut tidak diberi kelulusan selagi penstrukturan air tidak selesai. Pada 26 Feb lepas, kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) untuk kerajaan Selangor mengeluarkan kebenaran kepada pihak kerajaan persekutuan merancang Loji Rawatan Air Langat 2 di negeri itu. Sebagai tambahan, kerajaan persekutuan bersedia menyuntik dana untuk membantu kerajaan negeri mengambil alih syarikat-syarikat konsesi air dan seterusnya membenarkannya menguruskan perkhidmatan bekalan air di Selangor melalui sebuah syarikat milik kerajaan negeri. – BERNAMA
Mengecas Enam Peranti Anda Sekaligus?
Bagi yang mempunyai lebih daripada satu telefon pintar atau peranti, sudah pasti anda akan mempunyai pelbagai jenis pengecas. Bagaimana jika kesemua pengecas tersebut disatukan untuk dijadikan ‘ibu’ kepada kesemua jenis peranti, menjimatkan masa bukan? Kini anda boleh mengecas kesemua peranti pada masa sama menggunakan ‘The Six Device Charging Clock Radio’. Pengecas jam radio ini membolehkan anda mengecaj hingga enam peranti pada masa sama. Enam USB pot di belakangnya membolehkan anda mengecaj telefon pintar, tablet atau pelbagai peranti yang menyokong pot USB ini pada satu lokasi. Terdapat tiga jenis pot berlainan yang disesuaikan mengikut peranti yang secara langsung membolehkan ia disinkronasikan dengan peranti yang sedang dicas. Jadi, anda boleh menonton video atau mendengar muzik sementara peranti sedang dicas. Saiz peranti ini lebih kecil daripada saiz pembakar roti dan ia mempunyai binaan dalaman yang untuk menyekat kuasa sekiranya terdapat litar pintas yang berlaku selain dilengkapi radio fm, jam LCD dan dwi pembesar suara.
Muhyiddn Beri Penghormatan Terakhir Terhadap Mendiang Karpal
TIMBALAN Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebentar tadi tiba di rumah Karpal Singh di Pulau Pinang bagi memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu. Karpal terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya awal pagi tadi di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS). Ketika kejadian, kereta jenis MPV dinaiki Karpal hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang sebuah lori lima tan ketika dalam perjalanan ke Pulau Pinang. Karpal dan pembantu peribadinya Michael Cornelius maut di tempat kejadian. Bermula hari ini berkemungkinan sehingga Ahad, orang ramai boleh hadir di rumah mendiang Karpal di Jalan Utama, Kebun Bunga di Georgetown. Jasad Karpal tiba di rumahnya pada pukul 3.40 petang tadi.
Shell Umum Penemuan Gas Laut Dalam Malaysia
KUALA LUMPUR – Shell hari ini mengumumkan kejayaan penemuan gas laut dalam di telaga ‘Rosmari-1’, terletak 135 kilometer luar pesisir Malaysia di Blok SK318. Dalam kenyataan daripada The Hague hari ini, katanya telaga itu yang digerudi pada jumlah kedalaman 2,123 meter, menemui lebih daripada 450 meter ruang gas dan dengan eksplorasi yang dirancang, penemuan itu merupakan petunjuk positif kepada potensi gas di kawasan kepentingan strategik Shell. Blok SK318 dikendalikan Shell dengan 85 peratus kepentingan manakala bakinya, 15 peratus dipegang oleh Petronas Carigali Sdn Bhd. Pengarah Shell Upstream International, Andy Brown, berkata penemuan itu membuktikan kemampuan syarikat yang berjaya melakukan penggerudian dan membina pemahaman mengenai geologi baharu dalam kawasan utama eksplorasi sedia ada. “Kami sedang memperluaskan dan memberi nafas baharu kepada kawasan utama merentasi portfolio eksplorasi kami, termasuk di Brunei, Australia dan Teluk Mexico,” katanya. – BERNAMA
Berubahkah Pendirian DAP Terhadap Hudud Dengan Ketiadaan Karpal?
Pagi ini, negara telah dikejutkan dengan berita kematian ahli politik pembangkang dan juga peguam tersohor, Karpal Singh. Karpal atau nama penuhnya, Karpal Singh a/l Ram Singh lahir pada 28 Jun 1940 merupakan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Pulau Pinang sejak 2004. Beliau juga memegang jawatan sebagai Pengerusi Kebangsaan parti DAP sejak tahun yang sama. Pemergian Karpal Singh dilihat sebagai peristiwa yang agak signifikan dalam politik Malaysia kerana beliau dianggap sebagai ‘dinding pemisah’ antara PAS dengan DAP atas sebab kenyataan kontroversinya yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia pada 8 Oktober 1990 mengenai Negara Islam. Dalam kenyataan tersebut, Karpal mencabar agar melangkah mayatnya terlebih dahulu jika ingin mewujudkan Negara Islam yang dicadangkan oleh PAS. Namun, pada tahun 1999, selepas DAP bekerjasama dengan PAS, Karpal pernah dilaporkan meminta maaf atas kenyataan tersebut. Walaubagaimanapun beliau menegaskan bahawa DAP tetap menolak Negara Islam yang dicadangkan oleh PAS. Ketegasan DAP akhirnya memaksa PAS mengalah dan melupakan Negara Islam. PAS kemudian mengumumkan Negara Berkebajikan tanpa mengenepikan terus impian untuk melaksanakan Undang-undang Hudud. Sehingga ke akhir hayatnya, Karpal terus diletakkan oleh DAP di barisan hadapan dalam menentang Hudud PAS. Tujuannya tentulah untuk mengelak daripada PAS dan orang-orang Melayu menyalahkan kaum Cina di dalam DAP sebagai penentang Islam. Karpal yang mewakili kaum India dalam kepimpinan DAP, dilihat sebagai alat paling sesuai untuk dijadikan ‘penentang Islam’ dalam strategi parti rasis Cina itu meraih sokongan Melayu. Secara teknikalnya, kewujudan Karpal di dalam DAP hanyalah untuk mengaburi mata rakyat mengenai hakikat parti DAP adalah parti perkauman tegar Cina yang memusuhi Islam. Dengan pemergian Karpal, pemimpin berbangsa Cina DAP mungkin terpaksa bangkit menentang Hudud PAS secara lebih terbuka dan agresif, melainkan mereka mampu mengenengahkan personaliti lain dari bangsa Melayu atau India juga, yang dapat menggantikan tempat Karpal sebagai ‘dinding pemisah’ dan ‘penentang Islam’ tadi. PAS selama ini telah berjaya menyelamatkan hubungan dengan DAP dengan menyalahkan Karpal Singh seorang dan bukan DAP dalam memperkatakan isu hudud. Menurut PAS, Karpal menolak hudud atas kapasiti individu bukan parti. Kononnya, DAP tidak pernah menentang hudud secara langsung tetapi bersifat terbuka mengenainya. Kononnya DAP bukan menolak hudud tetapi sekadar tidak faham Islam. Kononnya juga, DAP telah menerima Islam, dan berbagai-bagai konon lagi. Apa yang pelik ialah hanya PAS yang memberi berbagai alasan bagi pihak DAP manakala DAP pula secara tegas mendesak klausa ‘Islam sebagai agama rasmi’ di dalam Perlembagaan dihapuskan terus. Jika DAP menentang Islam sebagai agama rasmi, mana mungkin hudud dilaksanakan jika PAS memerintah bersama DAP? Hari ini, ada pemimpin Islam dari PKR yang berikrar akan meneruskan perjuangan Karpal. Memandangkan Karpal merupakan juara dalam menentang hudud, maka ini bermakna bahawa PKR juga akan memastikan yang PAS tidak akan melaksanakan hudud sekiranya Pakatan Rakyat berkuasa. Nampaknya, pemergian Karpal mungkin tidak membawa apa-apa perubahan bagi isu hudud dalam Pakatan Rakyat. DAP dan PKR kekal menentang hudud, negara Islam mahupun Islam sebagai agama rasmi negara. PAS pula kekal menjadi parti ‘sumbang’ dalam Pakatan Rakyat yang membawa mimpi berbeza dari sekutunya. Biarpun tanpa Karpal, PAS akan terus menjadi semakin lemah, semakin kecil dan semakin tidak bermakna dalam PR. Namun, PAS mungkin mampu kekal relevan dalam politik negara kerana ia mewakili bangsa majoriti iaitu Melayu. Tidak pasti sejauh mana PAS mampu bertahan sebagai parti tanpa maruah dan sesat dalam mencari hala tuju dalam PR. Apa yang pasti, Karpal bukan penghalang kepada hudud, tetapi DAP tetapi DAP juga tidak akan mampu menghalang hudud jika bukan kerana PAS yang terlalu ‘hadap’ dengan kasih sayang parti rasis tegar Cina itu.
SYAHDU : Kisah Benar Seorang Polis Trafik
Suatu hari, dari kejauhan, lampu lalulintas di satu persimpangan itu masih menyala hijau. Harun segera menekan pedal minyak kenderaannya. Dia tak mahu terlambat, apalagi ia tahu penempatan di sini cukup padat sehingga lampu merah biasanya menyala cukup lama. Kebetulan jalan di depannya agak lengang, lampu berganti kuning. Hati Harun berdebar berharap semoga ia boleh melepasi lampu hijau itu dengan segera. Tiga meter sebelum garis jalan, lampu merah menyala. Harun bimbang, haruskah ia berhenti atau terus saja? “Ah, takkan nak brake mendadak,” fikirnya sambil terus memandu laju. Priiiiiiiiiiiiiiit! Di seberang jalan, seorang pegawai polis melambaikan tangan memintanya berhenti. Harun menepikan kenderaannya agak jauh sambil mengumpat dalam hati. Dari cermin pandang sisi ia melihat pegawai polis itu. Wajahnya tak terlalu asing baginya. Jamal rupanya! Sahabat baiknya semasa di sekolah menengah dulu. Hati Harun agak lega. Dia cepat cepat keluar sambil melambai mesra. “Apa khabar, Jamal! Lamanya tak jumpa…last jumpa masa aku kawin dulu” “Aku baik je.” Kata Jamal tanpa senyum. “Alahai…aku nak cepat nih. Bini aku dah lama menunggu di rumah,” jelas Harun. “Oh ye ke?” Nampaknya Jamal ragu. “Ye la Mal, hari ini bini aku punya birthday. Dia dan anak-anak sudah menyiapkan semuanya. Tentu aku tidak boleh terlambat, kawan-kawannya pun sedang menunggu,” ujarnya. “Aku paham. Tapi, sebenarnya aku dah lama perhatikan kau…selalu sgt kau langgar lampu merah di persimpangan ini,” tegas Jamal Harun mesti ganti strategi. “Jadi, kau nak saman aku ker? Tapi tadi aku tidak melanggar lampu merah. Sewaktu aku jalan lampu kuning masih menyala..” Berdusta sedikit boleh melancarkan keadaan fikir Harun. “Ok. Sebenarnya aku nampak jelas. Tolong keluarkan lesen dan kad pengenalan,” pinta Jamal. Dengan kesal Harun menyerahkan lesen dan kad pengenalan lalu masuk ke dalam kenderaan dan menutup kaca tingkapnya. Sementara itu Jamal menulis sesuatu di buku catatannya. Beberapa saat kemudian Jamal mengetuk kaca tingkap kereta Harun. Harun memandang wajah Jamal dengan penuh kecewa. Diturunkan tingkap sedikit saja. “Ah, satu inci cukup untuk memasukkan surat saman.” Fikir Harun. Tanpa berkata-kata Jamal terus kembali ke tempat dia bertugas. Harun mengambil surat saman yang diselitkan Jamal. Tapi, hei apa ini? Ternyata lesen memandu dan kad pengenalan dikembalikan bersama sebuah nota. Kenapa ia tidak menyaman aku? Lalu nota ini apa? Semacam gurauan atau apa? Tergesa-gesa Harun membuka dan membaca nota yang berisi tulisan tangan Jamal. Harun, Kau tahu kan aku dulu ada seorang anak perempuan dan seorang isteri yang cantik. Sayang, mereka sudah meninggal dunia, dilanggar pemandu yang tidak memperdulikan lampu merah di persimpangan ini. Pemandu itu dihukum penjara selama 3 bulan. Sekarang pemandu itu bebas bertemu isteri dan memeluk ketiga2 anaknya lagi. Sedangkan anak dan isteriku sudah tiada. Hari ini aku sendirian menyesali peristiwa itu. Yang pergi tidak akan kembali lagi. Beberapa kali aku cuba memaafkan pemandu itu tetapi sangat sukar. Begitu juga kali ini bila sahabatku sendiri memandu seperti pemandu itu. Aku kecewa teramat sgt. Berhati-hatilah ketika memandu Run” Jamal Harun terkedu. Dia segera keluar dari kenderaan mencari Jamal. Namun, Jamal sudah meninggalkan pos tempat ia bertugas. Sepanjang jalan pulang ia memandu perlahan dengan hati tak tentu sambil berharap kesalahannya dimaafkan.
VIDEO: Rakaman ‘Kereta Berhantu’ Di Rusia Menjadi Viral
Sebuah video yang dikatakan memperlihatkan sebuah kereta berhantu kini menjadi viral di media sosial. Rakaman yang dimuatnaik di YouTube ini menunjukkan kejadian di jalanraya Rusia di mana sebuah kereta tiba-tiba muncul secara misteri lalu meluncur laju secara terus di persimpangan lampu isyarat yang sibuk. Apa yang menakjubkan, tidak ada kereta yang terlanggar kereta tersebut sedangkan ia berada di laluan yang salah kecuali sebuah BMW yang hampir merempuhnya namun berhenti tepat pada masa. Wanita yang merakam iaitu penumpang kereta di belakang BMW tersebut dapat didengar menjerit ketakutan melihat perkara ini. Walaupun ada yang mendakwa ada penjelasan bagaimana kenderaan dalam rakaman ini tiba-tiba muncul namun ramai juga mengakui terkejut dan berasa seram menyaksikannya lalu berkongsi video ini hingga ia mendapat tontonan lebih sejuta kali.Sesudah menyaksikan video di atas dapatkah anda fikirkan dari mana kereta misteri itu datang?
Lelaki Dan Dua Isteri Diburu Menipu Pakej Umrah
KUALA LUMPUR — Polis memburu seorang lelaki dan dua isterinya kerana disyaki menipu lebih 100 individu melalui pakej umrah sehingga mengakibatkan kerugian sebanyak RM250,000 sejak tahun lepas. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur ACP Izany Abdul Ghany berkata syarikat pakej umrah yang dikendalikan oleh suspek itu memperdayakan mangsa dengan menawarkan pakej umrah murah berharga RM3,999. Katanya, mereka yang diburu ialah Zakariah Hassan, 56, alamat terakhir di No.5, Jalan AU 1C/3G, Taman Keramat Permai, di sini. Beliau memberitahu pemberita di sini hari ini, lelaki itu mempunyai tiga isteri dan salah seorang isterinya telah ditahan reman sehingga esok untuk membantu siasatan. Dua lagi isterinya yang sedang diburu ialah Suziana Mohd Yamin, 47, alamat terakhir di No.51, Persiaran Bukit Setiawangsa, Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur dan Syarifah Norfazihan Syed Mustaffa, 36, alamat terakhir di No.16, Taman Ibai Indah, Kuala Terengganu. Izany berkata, syarikat yang dikenali sebagai IUMRAH Rakyat Sdn Bhd itu beroperasi di Wangsa Maju, di sini dan meminta pelanggan membuat bayaran penuh secepat mungkin jika mereka berminat menunaikan umrah dengan harga yang rendah. Setelah menerima bayaran, syarikat itu kemudiannya akan memaklumkan kepada pelanggan kononnya penerbangan mereka ke tanah suci telah dibatalkan dan wang pelanggan akan dipulangkan dengan pemberian cek tarikh bertunda. “Antara alasan yang diberikan oleh syarikat itu ialah kononnya penerbangan telah dibatalkan kerana mereka gagal mendapat kelulusan visa daripada kerajaan Arab Saudi. Wang mangsa dikembalikan menggunakan cek tarikh bertunda dan apabila mangsa pergi tunaikan di bank didapati akaun bank tersebut telah ditutup,” katanya. Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang pernah menjadi mangsa pakej umrah seumpama itu supaya tampil membuat laporan polis di balai polis berdekatan. Izany juga menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan terlebih dahulu ke atas syarikat yang menawarkan dan mengendalikan pakej umrah dengan harga yang murah serta meragukan.–BERNAMA GAMBAR: Antara mereka yang pernah menjadi mangsa penipuan yang dipetik dari : http://www.aduanrakyat.com.my
Cakap Berapi-Api… Kini Diburu Polis Kerana Dipercayai Menipu Pakej Umrah
Rencana di bawah disiarkan oleh akhbar Metro pada 23 Februari tahun lalu. Kalau dibaca, memang mulia tahap wali la lelaki ni… tup tap tup tap… hari ini polis umumkan dia diburu kerana dipercayai menipu pakej umrah dengan kerugian mencecah RM250,000. Dalam salah satu laman web mengenai syarikat miliknya, tiba-tiba ada gelaran dato pulak… memang datuk dia sendiri yang bagi kot tak tahulah. Zakariah bangkit daripada kegagalan SEKALI jatuh, tidak mungkin rebah selama-lamanya. Itulah prinsip dipegang Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan iEPU Holding Sdn Bhd, Zakariah Hassan. Lelaki ini pernah jatuh berkali-kali, namun tetap bangkit untuk menongkah kesukaran dialaminya. Pengalaman zaman kecil yang menempuhi kesusahan bersama ibu bapa tersayang membuatkan anak sulung kepada tujuh beradik ini mengenal erti perjuangan tanpa wujudnya frasa berputus asa. “Saya anak sulung, oleh itu menjadi tanggungjawab saya untuk menunjukkan contoh terbaik buat adik lain. Berikutan itu, saya bersungguh-sungguh dalam pelajaran dan syukur, anak orang susah ini berjaya memperoleh keputusan cemerlang sebaik tamat tingkatan lima. “Keputusan terbaik itu membuka peluang kepada saya untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading, Institut Teknologi Mara (kini Universiti Teknologi Mara). Apabila dimaklumkan kepada arwah bapa mengenai tawaran itu, jawapan diberikannya sungguh mudah. “Kata bapa, ‘kamu lihat saja keadaan keluarga dan adik-beradik lain’. Saya mengerti kesusahan hidup keluarga yang hanya bergantung harap kepada pendapatan bapa sebagai buruh di Pelabuhan Klang ketika itu,” katanya memahami isi tersirat diluahkan bapanya. Meskipun kecewa tidak dapat melanjutkan pelajaran, Zakariah tidak membiarkan dirinya hanyut dengan kesedihan, sebaliknya menjalankan tanggungjawab sebagai abang apabila mencari pekerjaan di sekitar kawasan pelabuhan. Bergelar kerani perkapalan dengan gaji RM300 memadai buat Zakariah meringankan bebanan bapa. Selepas menolak wang peruntukan kerja dan makan tengah hari, wang gaji diserahkan sepenuhnya kepada arwah ibu sebagai belanja dapur. “Mengerti nilai wang diterima hasil titik peluh membuatkan saya tidak boros. Selama dua tahun membanting tulang di situ, saya hanya memakan roti canai dan air suam untuk mengalas perut. “Waktu kerja bermula jam 8 pagi hingga 5 petang, demi memuaskan kehendak diri, pada waktu malam saya mengikuti kursus perakaunan selama setahun lebih hingga memiliki pengiktirafan. “Kemudian, rezeki saya semakin luas apabila ditawarkan jawatan kerani akaun oleh Malaysia International Shipping Corporation Berhad (MISC) di Jalan Conlay, Kuala Lumpur selama dua tahun,” kata bapa kepada sembilan cahaya mata ini. Amanah kerja yang terlalu membebankan hingga memaksa Zakariah ‘berkampung’ di pejabat, membuatkannya beralih angin apabila menyertai syarikat swasta tembakau dalam bidang jualan dan pemasaran. Kemudahan terbaik disediakan syarikat tidak mampu mengikat kaki Zakariah untuk terus berkhidmat di sana, selain menyedari dirinya bersikap hipokrit iaitu memujuk perokok menggunakan produk syarikat, sedangkan dia tidak memiliki tabiat berkenaan. Mungkin hikmah bersikap jujur dengan diri sendiri, lelaki kelahiran Klang ini kemudian menerima tawaran daripada Netlot EAS Shipping yang beroperasi di Larkin, Johor sebagai pegawai pemasaran. Bertanggungjawab mempromosi ruang perkapalan dalam kalangan pengeksport dan pengimport di bahagian selatan membuatkan jaringan perhubungan Zakariah semakin berkembang. Apabila seorang teman mencadangkan dia menjalankan perniagaan berbentuk pembangunan, Zakariah mengambil peluang untuk memperbaiki kehidupan. Kejayaan membangunkan 364 unit rumah kos rendah di Bestari Jaya (dulu Batang Berjuntai) di bawah projek kerajaan Selangor membuka pintu rezeki yang lain. “Bayangkan kehidupan saya ketika itu yang mula lalai dengan kemewahan. “Saya bercuti bersama teman ke London, kemudian terbang ke Paris semata-mata untuk makan tengah hari dan bermalam selama dua hari sambil berbelanja. “Selepas itu kembali ke London dan berbelanja saja. Masa itu saya ingat kejayaan akan berterusan dan tidak mengambil langkah berjaga-jaga. “Mungkin Allah SWT mahu menyedarkan saya, lalu berlaku krisis ekonomi pada 1997 dan perniagaan terus jatuh. Banyak projek perumahan terbengkalai. “Saya terpaksa menjual rumah gara-gara ingin membayar hutang, dua rumah lagi dilelong dan tiga kereta mewah ditarik bank kerana tiada pembayaran. Masa itu semua saudara-mara dan kawan menjauhkan diri dan saya bermuhasabah diri serta mendekatkan diri dengan Allah SWT,” katanya. Bangkit daripada kejatuhan, Zakariah menebalkan muka untuk menjalankan perniagaan Pemasaran Pelbagai Peringkat (MLM) pada 2003 dan dalam masa sama, dia memperkenalkan program motivasi, Mentor Jutawan. Meninggalkan dunia MLM pada 2010, Zakariah mengambil langkah berani apabila membuka syarikat di Malaysia dan Indonesia yang membekalkan jus ginseng bagi dua pasaran berkenaan. Malangnya, syarikat itu hanya mampu bertahan setahun. Kembali menguruskan program motivasi, Zakariah berniat menghantar guru agamanya bersama lapan anak murid mengerjakan umrah pada Julai 2011. Dalam kesempitan hidup, dia menunaikan janji meskipun terpaksa menjual rumahnya. “Saya pinta pada mereka supaya mendoakan kesihatan saya sekeluarga dan rezeki dimurahkan. Baki daripada hasil penjualan rumah selepas pembayaran umrah, saya gunakan sebagai modal perniagaan. “Syukur, rezeki Allah SWT besar dan berkat doa mereka yang mengerjakan umrah, perniagaan saya berkembang sedikit demi sedikit. Pada awal 2012, saya memulakan perniagaan mengimport buah goji dari China. “Kemudian timbul idea untuk menubuhkan syarikat pengurusan umrah, di mana pakej ditawarkan jauh lebih rendah dengan niat membantu orang tidak berkemampuan mengerjakan umrah, dan ia berjaya disempurnakan pertengahan tahun lalu,” katanya yang memperkenalkan I Umrah Rakyat Sdn Bhd. Mengenai keuntungan memperkenalkan pakej umrah murah, Zakariah berkata, walaupun syarikatnya menjalankan pelbagai jenis perniagaan termasuk iEPU TPMBiotech, Seven Seas Travel & Tours Sdn dan I PMC Global Sdn Bhd, Umrah Rakyat, ia bukan berasaskan keuntungan, sebaliknya dapat ditawarkan pada harga demikian hasil infak keuntungan daripada anak syarikat lain. Hasil termeterainya perjanjian antara pihak Zakariah, Gansu Chamber Of Commerce dan Mestika Sdn Bhd pada awal Disember 2012, Zakariah bakal menjalankan projek bernilai RM20 bilion bagi menghasilkan pulau buatan manusia terbesar di Asia. Memilih Melaka sebagai lokasi strategik, lelaki gigih ini optimis, projek akan dimulakan pada penghujung tahun ini dan dijangka siap selepas tujuh tahun dengan memperkenalkan konsep pusat perdagangan Islam antarabangsa.
Kisah Mengapa Mendiang Karpal Singh Tidak Memakai Serban (Turban)
Wajah mendiang ketika memakai serban di Universiti Singapura, Wajah mendiang pada tahun 1974 ketika bertanding kerusi Parlimen dan DUN Alor Setar.
Pernah sekali penulis terdengar pergaduhan di Parlimen melibatkan mendiang Karpal Singh ketika penulis masih wartawan dengan sebuah syarikat akhbar arus perdana. Ketika itu hari pembentangan Bajet (tak ingat tahun mana) dan sebelum pembentangan dibuat, Karpal bangun mempersoalkan sesuatu berhubung aturan di Parlimen. Seperti biasa… maka timbullah suara yang mendesak beliau agar duduk… diselang seli dengan pertukaran kata-kata kasar dari kedua belah pihak (kerajaan dan pembangkang). Antara yang penulis masih ingat adalah seorang Ahli Parlimen menjerit… “Hoi bengali, duduklah”. Lepas itu, ada pulak yang menyambung… “Ini bukan bengali… ini bengali murtad… serban tarak,” . Bengali kalau di rantau Asia Selatan bukan merujuk kepada orang Sikh tetapi kepada orang Bangladesh… tapi tidak mengapa dengan pemahaman seperti itu… ia tidak berapa penting buat masa ini. Walaupun serban adalah tenet atau prinsip penting dalam agama Sikh, namun yang tidak memakainya bukan dikatakan murtad tetapi dikenali sebagai sahajdhari (berlajar dan menerima secara perlahan-lahan). Seperti mendiang Karpal, beliau mengamalkan semua prinsip utama (5K) dan memakai serban pada waktu-waktu tertentu menjadikan beliau sebagai seorang sahajdhari. Pemakai serban dan pengamal 4 lagi perkara wajib dikenali sebagai lelaki Khalsa. Mengikut ajaran Sikh, tidak ada satu bulu pun di badan yang boleh dipotong atau dibuang. Penggunaan serban adalah bertujuan mengemaskan rambut panjang yang akan tumbuh selepas bertahun-tahun tidak dipotong. Ok berbalik kepada tajuk rencana ini… mengapa Karpal Singh memilih untuk tidak mengenakan serban? Jika mengikut wawancara beliau dengan sebuah akhbar berbahasa inggeris beberapa tahun lalu, Karpal berkata, beliau memakai serban secara tetap sehingga tahun 1970. “Bagaimanapun, pada 1969 saya telah berada di kedai gunting rambut menunggu giliran saya untuk mengunting rambut saya yang panjang sebelum menoleh ke luar tingkap dan melihat ayah saya sedang menaiki basikal (lalu di hadapan kedai), saya terus gugup dan membatalkan hasrat. “Tahun berikutnya saya berada di Alor Star dan ia sangat panas ketika itu yang merupakan musim menuai. Saya baru sahaja memulakan kerjaya sebagai peguam dan keperluan untuk membasuh dan mengikat rambut memakan masa yang amat lama. Saya berfikir bahawa sesuatu perlu dilakukan. “Ia bukan mudah untuk mengambil tindakan seperti itu. Saya berseorangan dalam bilik saya, berjalan mundar-mandir memikirkan keputusan saya. Akhirnya, saya mengikat rambut saya, mengambil gunting dan memotong bahagian ekornya. Kemudian saya ke kedai gunting rambut dan tukang gunting mencantikan potongan saya,” katanya. Sudah melakukannya satu benda kata beliau, untuk berhadapan dengan ibu bapanya satu lagi hal besar. “Saya memakai kembali serban tetapi ibu saya perasan yang ia kelihatan lain dari belakang dan mula menangis. Dia menjerit ‘kamu telah memalukan kami’. “Nasib baik ayah saya menarik saya ketepi dan berkata; : Sabar, orang perempuan memang suka membuat kecoh. Teruskan memakai serban untuk sedikit masa lagi sehingga mereka dapat menerima idea itu,” katanya. Karpal seterusnya menambah, beliau memakai lagi serban untuk setahun sebelum menanggalkannya. “Namun, pada majlis-majlis istimewa seperti perkahwinan anak saya, saya tetap akan pakai,” katanya. Jadi… kita dapat fahamlah mengapa Karpal tidak memakai serban… satu tindakan yang diambil atas desakan kerjaya yang pada mula tidak diterima keluarganya tetapi kemudian boleh. Akhir sekali… sahaja la penulis menulis rencana ini… bukan apa… mungkin ada yang berminat nak tahu. – Mynewshub Oleh: AK-47 (Nota: Pasukan Ekspedisi Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia (KE7B) Felda Greenland 2014 telah memulakan langkah ekspedisi yang agak berbahaya. Mari kita sama-sama doakan kejayaan ekspedisi anak-anak muda kita yang dijangka memakan masa selama 28 hingga ke 35 hari. Tidak banyak yang dipohon melainkan ingatan kita kepada mereka agar mereka selamat pergi dan selamt kembali pulang. Ingat… cuaca di benua itu mampu mencapai negatif 45 darjah… bayangkan kita berada berhari-hari dalam situasi itu….kalau berjaya, akhirnya orang akan ingat nama Malaysia… jadi..marilah kita berbangga sedikit)
Labels:
Berita Terkini
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment