Sunday, April 27, 2014
Berita Terkini 27 April 2014
DAP desak PAS keluar Pakatan jika teruskan hudud, main ugut pulak...
PAS perlu berundur daripada Pakatan Rakyat (PR) jika bertegas untuk tetap dengan keputusannya berhubung pelaksanaan hudud di Kelantan dan terus mengambil tindakan yang tiada dalam konsensus gabungan itu, kata Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Loke Siew Fook. Ahli Parlimen Seremban itu berkata sebagai parti politik yang berprinsip dan bertanggungjawab, PAS perlu menghormati dan mengikuti asas permuafakatan yang dipersetujuinya. Katanya, PAS tidak boleh terus bertindak bertentangan dengan Dasar Bersama Pakatan Rakyat tetapi pada masa yang sama tetap bersandar kepada PR. “Sebagai pendukung Pakatan Rakyat, saya amat berharap kerjasama di antara kita tidak berkesudahan sebegitu kerana pertalian di antara PAS dan DAP terutamanya di peringkat akar umbi terjalin dengan begitu akrab dan utuh sekali. “Namun, kami perlu membuat satu keputusan yang berprinsip daripada terus berdolak-dalih di depan rakyat. Seperti ungkapan mendiang Karpal Singh, ‘tidak ada kawan atau musuh yang kekal dalam dunia politik, tetapi kita mesti mempunyai prinsip yang berkekalan’,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Beliau berkata, PAS mencabuli permuafakatan PR apabila pemimpin kerajaan Kelantan secara bersendirian mengemukakan Rang Undang-Undang Persendirian di Dewan Rakyat melalui ahli Parlimen PAS dari Kelantan tanpa sebarang konsensus dalam Majlis Presiden atau pimpinan tertinggi gabungan itu. Katanya, DAP juga tahu pelaksanaan hudud merupakan salah satu matlamat utama perjuangan politik PAS, dan prinsip yang dimeterai dalam kerangka PR adalah parti masing-masing boleh mengekalkan matlamat perjuangan asalnya. Bagaimanapun, katanya, apa-apa keputusan daripada segi pelaksanaan dasar dan undang-undang di mana-mana peringkat kerajaan perlu mendapat konsensus bersama. "Amat jelas pelaksanaan hudud di mana-mana negeri bukan merupakan agenda yang dipersetujui dalam kerangka Pakatan Rakyat," katanya. Loke yang juga ahli Parlimen Seremban berkata, semua pihak mengetahui pendirian DAP dalam isu ini iaitu tidak pernah dan tidak akan bersetuju dengan pelaksanaan undang-undang tersebut kerana tidak pratikal dan tidak sesuai dalam keadaan masyarakat majmuk di Malaysia. Bagaimanapun, katanya, itu sama sekali tidak bermakna DAP menentang agama Islam ataupun anti-Islam malah DAP tidak pernah mempersendakan hukum Islam untuk menimbulkan ketakutan ataupun fobia di kalangan orang bukan Islam terhadap agama Islam seperti yang dilakukan pemimpin MCA. "Ya, DAP sanggup mempertahankan PAS untuk membantu PAS dalam proses mengikis ketakutan dan perasaan fobia di kalangan masyarakat bukan Islam terhadap PAS dan agama Islam supaya PAS boleh diterima oleh semua rakyat Malaysia," katanya. Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob semalam berkata, pihaknya masih mempertimbangkan cadangan untuk mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) khas bagi membincangkan cara pelaksanaan hudud yang dijangka pada 2015. Ahli Parlimen PAS dari Kelantan juga dijangka akan membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian di Parlimen bagi mendapat kelulusan Putrajaya melaksanakan hukum itu selewat-lewatnya Disember ini. Perkara itu kemudiannya turut mendapat respon positif daripada pemimpin kerajaan dan Umno termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. – 25 April, 2014. - TheMalaysianInsider
Ustazah Perlu Bantuan RM12 Ribu, Buang Rahim Pecah
ATU berita sedih telah dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook Puspa Wangi mengenai kemalangan yang menimpa sepasang suami-isteri, Ustaz Firdaus dan Ustazah Rabaah, di Shah Alam, petang semalam. Menurutnya, kemalangan itu telah menyebabkan anak yang dikandung oleh Rabaah meninggal dunia, dan dia sendiri berada dalam keadaan kritikal. Pasangan itu telah dimasukkan ke Darul Ehsan Medical Centre, Shah Alam dan kini memerlukan bantuan kewangan sebanyak RM12,000 bagi menampung kos pembedahan untuk membuang rahim Rabaah yang pecah akibat kemalangan itu.
Berikut merupakan status lengkap yang dikongsi Puspa Wangi di akaun Facebooknya:
“Salam..sahabat semua..
Nk mtk tlg doa n sumbangn untk sahabt saya yg excident ptg td..suami bru sdar istri(shbt)masih dlm ICU..baby dlm kandungan meninggal..suami n istri masih lg belajar..x mampu nk tanggung bayaran hospital.
Raba’ah status dia msih kritikal.
Shah alam ni x dok hospital kerajaan..
DEMC ni hospital swasta..
Operation buang rahim Raba’ah yg pecah sebab baby terkeluar dr rahim dalam kosnya rm12 ribu.
Wad seorg rm290 semalam.
Polis hantar mane yg terdekat sahaja. Sbb nk selamat 2 nyawa.. rabaah n baby
Baby keluar sblum smpai due..Mtk tlg sgt2..
Baby terkeluar disebabkan rahim terhntak..
Assalamualaikum, dgn ini sy mlncarkan derma kilat utk shabat kte yg d timpa musibah..”
Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan, berikut disertakan nombor akaun bersama Bank Muamalat atas nama Zulhilmi Abd. Rahman dan Shuhaimi Embong: 121000049724.
Setakat ini, status tersebut telah dikongsikan oleh lebih 3,800 pengguna Facebook yang lain.
SEGERA: Catuan Air Ditamatkan Pada Selasa Atau Rabu Ini
KANGAR – Catuan air di Selangor dijangka akan ditamatkan pada Selasa atau Rabu ini. Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata pemantauan terkini terhadap empangan di Selangor mendapati paras tadahan air secara puratanya sudah mencecah 39 hingga 40 peratus. “Kita lihat takungan dari sehari ke sehari kian meningkat… kita juga laksanakan usaha menambah air ke loji rawatan air dengan mengepam air dari sungai dan lombong. “Jadi, jika takungan air terus meningkat, kita akan umumkan penamatan catuan pada Selasa atau Rabu nanti,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis perjumpaan bersama ahli PKR di negeri ini, sebentar tadi. – Berita Harian
Bekas Penyiar Radio Malaya Dapat Phd Pada Usia 93 Tahun
MELBOURNE – Bekas penyiar Radio Malaya Elisabeth Kirkby mencatat rekod sebagai siswazah tertua di Australia yang memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) apabila beliau menerima ijazah itu daripada University of Sydney pada usia 93 tahun baru-baru ini. Kirkby mendapat ijazah tersebut melalui tesis yang memberi fokus kepada kajian perbandingan antara Zaman Meleset (Great Depression) dan Krisis Ekonomi Dunia – dua keadaan yang beliau sendiri alami. Bekas anggota parlimen daripada parti Demokrat yang lahir di Lancashire, England pada 1921 itu pernah menceburi pelbagai bidang kerjaya, termasuk berlakon sebagai ‘Lucy Sutcliffe’ dalam siri drama televisyen popular 1970-an, ‘Number 96′, menjadi penternak biri-biri, peladang gandum dan wartawan. Wanita yang mempunyai beberapa cicit ini pernah bertugas sebagai penyiar di Tanah Melayu/Malaysia dan Singapura selama 15 tahun selepas Perang Dunia Kedua, sebelum berhijrah ke Sydney pada 1965 untuk bertugas sebagai penyampai dengan ABC. Dalam temu bual dengan akhbar The Australian baru-baru ini, beliau berkata: ‘Cinta kepada pelajaran adalah sesuatu yang penting. “Saya selalu memberitahu orang bahawa mereka perlu mempunyai minat mendalam atau kecintaan terhadap sesuatu. Janganlah apabila bersara nanti, anda hanya bermain golf atau boling atau melepak dengan rakan-rakan sahaja. “Anda kena buat sesuatu,” kata isteri kepada wira kesihatan wanita dan pakar ginekologi terkenal pada 1970-an Derek Llewellyn-Jones, yang juga pengarang buku ‘Everywoman’. – BERNAMA
Mayat Lelaki Tak Berbaju Ditemui
BESUT – Mayat lelaki tidak berbaju ditemui di kawasan berdekatan Pantai Romantik, Pulau Perhentian Kecil semalam. Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Mohd Zakaria, berkata mayat lelaki berumur 26 tahun itu yang ditemui kira-kira 12.20 tengah hari dikenali pasti sebagai Mohd Hazmi Hanafi dari Kampung Beris Cawat, Kuala Besut, seorang peniaga ikan. Katanya, mayat yang hampir busuk itu pada mula ditemui seorang pelancong yang kebetulan pergi ke tempat terpencil itu sebelum memaklumkan kepada pengurusan resort yang kemudiannya melaporkan kepada polis. “Polis yang pergi ke tempat penemuan mayat itu mendapati si mati dalam keadaan terlentang tidak berbaju dan hanya memakai seluar pendek berwarna hitam serta bertali pinggang,” katanya kepada media ketika ditemui di Program Kayuhan Mencegah Jenayah Bali Polis Jerteh di sini hari ini. Menurut Kamaruddin, pada 21 April lalu, Balai Polis Kuala Besut turut menerima aduan daripada bapa si mati tentang kehilangan anaknya. Mayat mangsa dibawa ke Rumah Mayat Hospital Besut untuk bedah siasat. – BERNAMA
Adik Anggap Kematian Paul Walker ‘Tidak Benar’
SEHINGGA ke hari ini, adik kepada mendiang pelakon Paul Walker, Cody Walker merasakan kematian abangnya itu sebagai ‘tidak benar’. Dia yang menggantikan Paul dalam filem terbaru ‘The Fast and Furious 7′ itu berkata, ia seolah-olah abangnya sedang berada jauh untuk penggambaran seperti sebelum ini. “Kadang-kadang dia berjauhan dengan keluarganya tiga, empat atau enam bulan dalam suatu masa. Komunikasi kami hanyalah melalui panggilan telefon,” ujarnya. Menurut Cody lagi, Paul pernah berkata yang dia ‘cemburu’ melihatnya masih mempunyai masa untuk melakukan aktiviti biasa kerana tidak dikenali sepertinya. “Dia berkata yang dia tidak dapat menonton wayang, tidak dapat menonton filem kegemarannya, tapi saya masih berpeluang melakukannya,” katanya sambil menahan sebak. Ternyata Cody masih memerlukan masa untuk menerima sepenuhnya kehilangan insan tersayang dalam keluarganya. Dia kini mengambil alih tugas Paul sebagai pengurus jenama Reach Out WorldWide (ROWW), sebuah organisasi yang ditubuhkan oleh abangnya pada tahun 2010 bagi membantu mangsa bencana.
Remaja ‘Gembira’ Tikam Nenek 57 Kali Hingga Mati
“SAYA membunuhnya dan gembira melakukannya”. Itu kata-kata seorang remaja sewaktu tiba di sekolah dengan pakaian yang berlumuran darah selepas menikam neneknya sebanyak 57 kali sehingga mati. Dalam kejadian yang berlaku di selatan-barat Atlanta pada Jumaat minggu lalu, Charles Price, 14, menikam Mary Price, 76, di kediamannya selepas berlaku pertengkaran antara mereka. Pihak sekolah yang mendengar pengakuan remaja itu segera menghubungi pihak polis yang kemudiannya bergegas ke rumah mangsa dan menemui tompokon darah bermula dari dapur sehingga ke ruang tamu. Pegawai polis yang berada di tempat kejadian menyifatkan ia sebagai jenayah yang cukup menggerunkan. Dua pisau yang sudah patah turut ditemui di bahagian dapur dan ruang tamu rumah tersebut. Salah seorang bapa saudara remaja itu percaya pertengkaran antara Charles dengan neneknya ada kaitannya dengan televisyen. Remaja itu kini ditahan dan tidak dibenarkan ikat jamin sehingga perbicaraan di mahkamah hujung bulan ini.
Ada Kawasan Tiada Air Bukan Kerana Catuan
KUALA LUMPUR – Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) mengakui terdapat beberapa kawasan yang tidak disenaraikan dalam catuan bekalan air turut mengalami gangguan bekalan air. Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awamnya, Priscilla Alfred Dharan berkata, situasi itu bagaimanapun bukan disebabkan kecuaian dalam pelaksanaan catuan bekalan air. “Keadaan ini berlaku bukan disebabkan oleh catuan tetapi disebabkan kejadian paip pecah atau lain-lain kerosakan pada sistem agihan air,” katanya melalui satu kenyataan media. Priscilla dalam pada itu menyeru orang ramai yang masih keliru terhadap pelan catuan bekalan air supaya melayari laman web www.syabas.com.my untuk mendapatkan maklumat. Menurutnya, laman web itu mempunyai maklumat berkaitan kawasan terlibat dengan catuan, jadual catuan harian dan lain-lain polisi berkenaan catuan tersebut. Katanya, Syabas turut menyediakan pengemaskinian maklumat perjalanan pelan catuan secara harian melalui laman web tersebut. “Syabas turut berkongsi maklumat dengan ketua-ketua penduduk, pemimpin masyarakat, wakil-wakil syarikat dan Badan Pengurusan Bersama (JMB) mengenai maklumat itu,” katanya. Sementara itu, Priscilla menjelaskan, pengguna di dataran tanah yang rendah dan berhampiran kolam air akan mendapat bekalan air lebih awal berbanding pengguna di kawasan yang tinggi dan jauh dari kolam air selepas catuan berlangsung di kawasan mereka.
180 tahanan Palestin mogok lapar
RAMALLAH - PALESTIN. Kira-kira 180 tahanan Palestin di beberapa penjara Israel melancarkan mogok lapar secara serentak sebagai protes kerana dipenjarakan tanpa melalui proses perbicaraan yang adil. Timbalan Hal Ehwal Banduan Palestin, Ziad Abu Ain berkata, kesemua tahanan tersebut nekad untuk meneruskan tindakan itu sehingga mereka dibebaskan. Sementara itu menurut laporan Press TV, peguam Samer Smaan memaklumkan seramai 55 tahanan di penjara Ofer telah diasingkan selepas mereka memulakan mogok lapar. Februari lalu, Kementerian Banduan Palestin melaporkan hasil keputusan bancian mereka menunjukkan lebih 4,800 tahanan Palestin kini dipenjarakan di 17 pusat tahanan di Tel Aviv.
Nampak hantu naik bas
KUALA KANGSAR - Seramai 27 pekerja sebuah pasar raya besar di Ipoh gempar apabila enam rakan mereka berusia lingkungan 18 ke 28 tahun diserang histeria ketika berada dalam bas dalam perjalanan ke tempat kerja. Kejadian kira-kira jam 9 pagi itu menyebabkan pemandu bas terpaksa memberhentikan bas yang dalam perjalanan dari Kamunting ke Ipoh itu di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak kerana keadaan dalam bas semakin kelam-kabut. Saksi yang enggan dikenali ketika ditemui berkata, kejadian bermula ketika bas itu berada di Bukit Gantang apabila salah seorang daripada mereka menjerit dipercayai mengalami histeria dan keadaan semakin teruk apabila beberapa penumpang lain turut mengalami gangguan sama. Salah seorang penumpang bas pula berkata, dia ada terlihat kelibat lembaga hitam masuk ke dalam bas semasa dia berseorangan dalam bas tersebut kerana menunggu rakan lain ketika di Kamunting. Begitu pun, dia tidak mengesyaki apa-apa pada waktu itu kerana beranggapan mungkin tersalah pandang atau mungkin perasaannya sahaja. “Bila saya lihat rakan-rakan saya mengalami histeria, saya yakin kelibat yang saya nampak pada awal pagi tadi ada kena mengena dengan insiden yang berlaku hari ini (semalam). “Kejadian berlaku semasa kami dalam perjalanan ke tempat kerja. Mula-mula seorang saja kemudian berjangkit ke orang lain pula,” katanya. Seorang lagi penumpang bas berkata, sebelum kejadian, salah seorang mangsa ada bercerita tentang kisah hantu dan memberitahu rakannya pernah mengalami histeria. “Sebaik saja dia habis cakap, dia terus menjegilkan matanya dan mula meracau. Keadaan masa itu memang menakutkan sebab pertama kali saya mengalami situasi seperti ini. “Bila sampai saja di kawasan R&R Sungai Perak, kami membawa mereka turun dari bas. Kawan-kawan lelaki penat kerana terpaksa menahan mangsa sebab ada mangsa yang menari dan ada juga yang cuba melarikan diri,” ujarnya. Sempat hantar SMS Dalam pada itu, salah seorang ibu mangsa yang enggan dikenali berkata, anaknya yang berusia 18 tahun sempat menghantar pesanan ringkas kepada kakaknya memberitahu ada sesuatu yang tidak kena pada dirinya. Menurutnya, anaknya pernah mengalami gangguan sama ketika pulang dari kerja, kelmarin, namun gangguan tersebut tidak begitu teruk seperti semalam. Malah, katanya, gangguan itu sudah bermula sejak Rabu lalu, namun pada hari tersebut, hanya seorang pekerja yang mengalami histeria. “Dia ada hantar mesej pada kakaknya beberapa minit sebelum jam 8 pagi dan mengatakan berasa sakit kepala, mata tidak boleh buka dan bahu terasa berat. Kakak dia hantar mesej pada saya dan saya terus ke sini (R&R Sungai Perak) bila dapat tahu anak saya berada di sini,” ujarnya. Tindakan pantas pemandu Menurut pemandu bas yang dikenali sebagai Tan, 60, dia terkejut melihat salah seorang daripada penumpang tiba-tiba menjerit dengan kuat seolah-olah dirasuk sebaik tiba di persimpangan jalan Kuala Kangsar. Katanya, gangguan tersebut merebak kepada beberapa penumpang lain selang beberapa minit kemudian dan menyebabkan suasana dalam bas menjadi kelam-kabut. “Kalau ikutkan saya ingin berhenti di tepi lebuh raya sebaik saja mereka menjerit, namun bila difikirkan semula, berhenti di tepi jalan mungkin mengundang lebih banyak bahaya. “Jadi, saya membuat keputusan untuk berhenti di kawasan rehat dan rawat berhampiran. Sepanjang 30 tahun saya membawa bas, kejadian ini pertama kali terjadi pada saya. Tidak tahu nak gambarkan bagaimana perasaan saya pada waktu itu,” katanya. Sementara itu, seorang pengamal perubatan Islam dari Darul Syifa yang membantu merawat mangsa berkata, dia mendapat panggilan mengatakan ada beberapa orang mengalami histeria di kawasan itu. “Sebaik saja saya tahu berita tersebut, saya bergegas menuju ke tempat kejadian. Bila saya sampai, saya lihat beberapa mangsa menjerit-jerit dan meracau. “Saya tidak pasti gangguan tersebut berpunca daripada mana tapi bolehlah dikatakan mereka diganggu makhluk halus,” jelasnya. Dalam pada itu, seorang daripada mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kangsar oleh Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk menerima rawatan dan selebihnya dibawa pulang oleh keluarga masing-masing. SinarOnline
MERS: 5 Lagi Maut Di Arab Saudi
BUTTERWORTH – Penyebaran wabak Sindrom Pernafasan Asia Barat-Virus Korona (MERS-CoV), jangkitan respiratori yang disebabkan oleh virus korona, disyaki berpunca daripada unta di Arab Saudi. Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata pemeriksaan terhadap darah unta di negara itu mendapati tahap antibodi haiwan berkenaan sama dengan virus itu. “Ada kemungkinan virus itu ada pada unta. Mungkin daripada situ ia telah menular dan merebak kepada manusia…ia (virus) bukan boleh merebak dengan mudah, perlu berada dekat atau bersentuhan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kesihatan Masyarakat MySihat India 1Malaysia di sini hari ini. Semalam, Dr Subramaniam berkata tiada kes jangkitan terbaharu MERS-CoV di negara ini, sejak kes kematian seorang lelaki akibat pneumonia teruk susulan jangkitan virus itu pada 13 April lepas. Lelaki berusia 54 tahun dari Batu Pahat, Johor itu meninggal dunia di Hospital Sultanah Nora Ismail selepas mengadu demam, batuk dan kesukaran bernafas, kira-kira 10 hari selepas kembali daripada mengerjakan umrah pada 29 Mac. Kes itu merupakan yang pertama dilapor di rantau ini. Dr Subramaniam berkata beliau sudah berbincang dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengenai langkah pencegahan selain menasihati jemaah yang ingin mengerjakan Umrah berhubung risiko virus berkenaan. Beliau juga menasihatkan para jemaah supaya mengamalkan langkah-langkah keselamatan seperti kerap mencuci tangan, membawa sanitiser, mandi dengan lebih kerap dan menjauhkan diri daripada orang sakit. Ditanya sama ada Kementerian Kesihatan akan mengenakan pelalian tambahan kepada jemaah yang akan mengerjakan ibadah Haji pada Oktober ini, Dr Subramaniam berkata: “Malaysia sudah mempunyai sistem perubatan terbaik untuk jemaah haji. Di Arab Saudi pun kita mempunyai kemudahan rawatan dan doktor-doktor pun ada di sana. “Kita kena lihat sama ada terdapat keperluan untuk meningkatkan kemudahan itu…ini kita kena bincang dengan pihak Tabung Haji yang menguruskan perkara tersebut.” Dalam perkembangan lain, Dr Subramaniam berkata Kementerian Kesihatan sedang menganalisis produk gula-gula yang didakwa dijual dalam kotak rokok di luar kawasan sekolah seperti dilaporkan media sebelum ini. “Kementerian sedang menjalankan analisis sampel produk tersebut dan sekiranya ia mengandungi bahan yang membahayakan kesihatan, kami akan ambil tindakan,” katanya. Beliau berkata mana-mana pihak yang didapati menyedia, membungkus dan melabel makanan dengan cara palsu boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Makanan 1983. – BERNAMA
MERS: 5 Lagi Maut Di Arab Saudi
KUWAIT – Arab Saudi menyatakan ia mengesan 14 lagi kes yang mungkin Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS), menjadikan keseluruhan 313 kes. Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan negara itu, kes terbaharu itu dilaporkan di Riyadh, Jeddah dan Makkah dalam tempoh 24 jam lalu. Peningkatan bilangan kes itu membimbangkan Arab Saudi yang akan menerima kedatangan jemaah umrah Ramadan pada Julai ini dan jemaah haji pada Oktober depan. Keseluruhannya, 92 orang sudah meninggal dunia akibat MERS di Arab Saudi. – Reuters
DAP Bantah Larangan Bible Dalam Bilik Hotel
KUALA LUMPUR – Pemimpin DAP, Teresa Kok Suh Sim mendakwa Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) bertindak melampau kerana melarang pengusaha meletakkan bible di bilik hotel. Beliau yang merupakan Naib Pengerusi DAP Kebangsaan mendakwa, larangan itu satu berbuatan yang tidak bertanggungjawab dan melanggar jaminan Perlembagaan negara dalam kebebasan beragama. “Bible itu diletakkan di bilik-bilik hotel dengan tulisan perkataan ‘untuk bukan Islam sahaja’. Oleh itu adalah salah bagi MUIP mengandaikan bahawa ia sebagai tindakan untuk menyebar kepercayaan agama lain kepada orang Islam,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini. Sehubungan itu, Teresa meminta Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob campur tangan dalam perkara tersebut untuk mengelakkan imej negara diperingkat antarabangsa terjejas. Media kelmarin melaporkan MUIP melarang pemilik hotel di negeri itu menempatkan bahan bacaan agama selain Islam di dalam bilik penginapan pelanggan mereka. Timbalan Yang Dipertua MAIP Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan dipetik berkata, surat tentang perkara itu telah diedar kepada 147 hotel di seluruh Pahang sejak 6 Mac lalu dan mereka yang ingkar boleh dikenakan tindakan undang-undang. Jelas Wan Abdul Wahid, tindakan meletak bahan-bahan itu boleh dianggap sebagai perbuatan menyebarkan fahaman agama lain kepada orang Islam selaku sebahagian daripada pihak awam yang menginap di hotel terbabit. Larangan tersebut dibuat mengikut Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-Agama Bukan Islam 1989 bagi negeri ini selaras dengan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan.
“Kita Berdebat Isu Hudud Di Mahkamah”, sombong betul...
KUALA LUMPUR – “Saya rasa tidak perlu lagi apa-apa debat atau dialog antara saya dengan PAS,” kata Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang. Beliau berkata, PAS telah beberapa kali ingin berdebat dengan beliau berhubung perlaksanaan hudud tetapi tidak pernah jadi kenyataan. “Contohnya pada tahun 2011, saya telah terima cabaran dari Ketua Pemuda PAS waktu itu untuk berdebat isu ini. “Selepas saya sahut cabaran tersebut, debat mahupun dialog tersebut tidak pernah berlangsung,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini. Sebuah portal pembangkang kelmarin mencabar Keng Liang berdebat tentang isu hudud berikutan tindakan beliau menghantar Notis Tindakan Undang-undang kepada PAS. Ia berikutan rancangan PAS untuk melaksanakan hudud di Kelantan yang didakwa bercanggah dengan prinsip Perlembagaan negara. Sehubungan itu, Keng Liang meminta PAS supaya memahami kenapa hukum hudud tidak diterima ramai pihak termasuk parti sekutu DAP dalam pakatan pembangkang. Malah, katanya, kerajaan Parti Keadilan Selangor (PKR) yang menteri besarnya beragama Islam pun tidak berniat melaksanakan hudud di Selangor. “Jika PAS masih tetap melaksanakan hudud yang bercanggahan dengan Perlembagaan Persekutuan, maka kita debatlah perkara ini dalam Mahkamah. Pemuda Gerakan bersedia pertahankan prinsip asas Perlembagaan Persekutuan,” tegasnya.
Hudud: Pas Sedia Bermuzakarah
KOTA BHARU – PAS akan dan bersedia mengadakan muzakarah dengan semua pihak bagi memberi penerangan mengenai pelaksanaan hukum hudud di Kelantan, kata Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Beliau berkata muzakarah tersebut penting supaya setiap orang dapat memahami dengan tepat bagaimana undang-undang Islam itu akan diaplikasikan di negeri itu. “Kita sedia memberi penjelasan kepada semua pihak,” katanya apabila diminta mengulas kenyataan pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed semalam bahawa muzakarah antara PAS dan Umno perlu diadakan berhubung hasrat kerajaan negeri Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud supaya pemahaman dan persetujuan bersama dapat dicapai. Abdul Hadi berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam bagi mengumpul dana untuk “Wisma Ilmuan Kelantan” di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) di sini, malam tadi. Turut hadir Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan timbalannya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah. Ditanya bila tarikh muzakarah itu akan diadakan, Abdul Hadi berkata: “Itu jangan tanya pihak kami sahaja, kena tanya pihak lain juga. Tidak jadi kalau bertepuk sebelah tangan”. Mengenai laporan bahawa sekutu PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) menolak pelaksanaan hukum hudud, Abdul Hadi berkata: “Ia adalah hak PAS dan perlu dihormati kerana agenda ini (hudud) telah diadakan sebelum wujudnya PKR lagi.” Sebelum ini, PKR dilaporkan bertegas menolak pelaksanaan hukum hudud seperti mana perjanjian yang dimeterai dalam Majlis Pimpinan Pembangkang pada tahun 2011. PAS Kelantan melalui anggota Parlimennya akan membawa usul rang undang-undang persendirian (hukum hudud) di Dewan Rakyat bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 selewat-lewatnya Disember ini. Sebelum ini, Mohd Amar yang juga Pengerusi Jawatakuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah (2) 1993, dilaporkan berkata pihaknya sudahpun menyiapkan draf untuk tujuan itu dan cuma memerlukan sedikit penambahbaikan serta pandangan daripada pakar perundangan. Sementara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini berkata kerajaan Persekutuan tidak pernah menolak hukum hudud sebagai hukum yang ditetapkan Allah swt, namun banyak kekangan dan keutamaan yang perlu diperhalusi sebelum dilaksanakan tanpa menjejaskan matlamat hukum itu. – BERNAMA
Pelaksanaan Hudud Cuma Gimik PAS, pulak dah!! ini tuntutan agamalah...
KUALA LUMPUR – Langkah PAS untuk membawa rang undang-undang hudud ke Parlimen pada Jun ini cuma satu gimik politik kerana mahu membuktikan kepada penyokongnya bahawa parti adalah rakan kongsi utama dalam pakatan pembangkang. Ahli Parlimen Pulai yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, rancangan PAS itu juga sebenarnya strategi parti berkenaan untuk mengembalikan sokongan penyokongnya yang semakin menurun. Justeru, beliau menggesa PAS supaya mengadakan pungutan suara di seluruh Kelantan terlebih dahulu sebelum bercadang untuk melaksanakan undang-undang hudud di negeri itu bagi melihat sokongan rakyat Kelantan terhadap rancangan tersebut. “Langkah ini juga selari dengan tuntutan agama Islam yang mengkehendaki pemerintah berlaku adil kepada rakyat. Saya secara peribadi menolak undang-undang hudud yang hendak dilaksanakan PAS di Kelantan kerana ia suatu mainan politik parti itu. “Penolakan ini, bukan bermakna saya menolak undang-undang Islam atau membelakangkang ajaran Islam mengenai hudud tetapi berpendapat pelaksanaan undang-undang hudud ciptaan PAS ini adalah mainan politik semata-mata,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini. Nur Jazlan turut bersetuju dengan pandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa kerajaan Pusat tidak pernah menolak hudud sebagai hukum Allah, namun mengakui banyak kekangan dan keutamaan perlu diselesaikan dan diperhalusi sebelum ia dapat dilaksanakan. Beliau seterusnya mendakwa, PAS sebenarnya sejak dahulu menarik sokongan orang Melayu di negara ini dengan memutarbelitkan tentang hukum hudud dan menuduh UMNO membelakangkan Islam sebagai agama rasmi negara. “Hakikatnya, UMNO yang berjaya menegakkan ajaran Islam negara di ini dan adakah segala dasar atau inisiatif yang dilakukan kerajaan untuk mempertahankan serta mengembangkan Islam di Malaysia tidak dikira sebagai suatu dakwah hanya kerana tidak melaksanakan undang-undang hudud,” soal beliau. Tambah beliau, rakyat Kelantan perlu juga menilai sama ada pelaksanaan hudud boleh membantutkan pembangunan ekonomi kerana tiada negara yang melaksanakan undang-undang berkenaan berjaya dalam ekonomi. “Walaupun Malaysia tidak melaksanakan hudud sejak merdeka tetapi negara di bawah pemerintahan Barisan Nasional sebagai tunjangnya berjaya menerima pengiktirafan dunia Islam dengan mengiktiraf Malaysia sebagai antara negara Islam paling maju di dunia,” katanya. “Jika keputusan majoriti referendum itu menunjukkan bahawa majoriti rakyat Kelantan menerima pelaksanakaan undang-undang hudud, barulah Pas membawa rang undang-undang berkenaan ke Parlimen tetapi jika sebaliknya, mereka perlu membatalkan hasrat selari dengan kehendak serta tuntutan rakyat Kelantan sendiri,” katanya.
HUDUD: Potong Tangan Guna Tukang Potong Daging, Presiden MMA Dibidas!
Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) hari ini menyelar kenyataan Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Datuk NKS Tharmaseelan yang dianggap cuba menjadikan pelaksanaan hudud sebagai jenaka apabila mencadangkan kerajaan PAS Kelantan menggunakan khidmat pemotong daging. Pengerusi I-Medik, ?Prof Dr Azmi Md Nor berkata kenyataan presiden MMA tidak profesional, tanpa menghormati perasaan umat Islam apabila meminta pemotong daging diberi tugas menjalankan hudud melibatkan hukuman potong tangan. “Jika MMA tidak dapat bersetuju dengan cadangan yang dibuat oleh kerajaan negeri Kelantan, ia tidak seharusnya menjadikan isu hukum hudud ini sebagai suatu jenaka kepada 63.1% umat Islam di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Beliau menyifatkan kenyataan presiden MMA itu dibuat secara terburu-buru tanpa sebarang usaha untuk memahami kepentingan perundangan syariah kepada umum, khususnya kepada umat Islam dan ribuan profesional perubatan Islam di negara ini. Menurut Dr Azmi, seorang doktor beragama Islam selain menjalankan tugas mereka mengikut sumpah perubatan Islam, juga menyokong penuh perundangan Syariah. Semalam Tharmaseelan yang merupakan presiden MMA mencadangkan kerajaan Kelantan menggunakan khidmat pemotong daging untuk melaksanakan hukuman hudud kerana petugas perubatan yang bertauliah tidak sanggup untuk melakukan perkara sedemikian. “Prosedur (potong tangan) sangat rumit. ?Jika doktor tidak tergamak melakukannya maka anda perlu cari tukang potong daging,” ?katanya. Dr Azmi berkata lagi adalah terlalu awal bagi membincangkan isu siapa yang harus menjalankan hukuman kerana ia memerlukan lebih banyak kajian dan perbincangan berhubung soal teknikal perundangan Syariah. “Lebih banyak kajian dan perbincangan harus diadakan berhubung soal teknikal perundangan Syariah, yang sering disalahtafsir dengan mengecilkan skop kepada memotong tangan, sedangkan ia melibatkan falsafah keadilan, pengajaran dan pencegahan,” katanya. Oleh demikian, beliau menegaskan agar MMA lebih sensitif dalam menyampaikan pandangan mereka terutamanya apabila menyentuh mengenai agama Islam. Semalam Tharmaseelan turut berkata, pihaknya tidak akan bekerjasama dengan kerajaan PAS Kelantan untuk melaksanakan undang-undang syariah di negeri tersebut. Katanya, doktor dan jururawat bertauliah terikat mengikut bidang kuasa Kementerian Kesihatan dan tidak perlu patuh kepada arahan kerajaan negeri. “Semua hospital di Kelantan hanya menerima arahan daripada Kementerian Kesihatan kerana gaji mereka dibayar oleh kerajaan pusat,” katanya. Tharmaseelan berkata, MMA akan mengambil tindakan saman dan membatalkan kelayakan tauliah jika mendapati ada doktor yang melakukan perkara tersebut.
Hudud: Doktor Tidak Boleh Potong Tangan
KUALA LUMPUR – Kerajaan Kelantan tidak boleh memaksa doktor di negeri itu melakukan amputasi terhadap individu yang disabitkan kesalahan mencuri di bawah undang-undang hudud, kata Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Datuk Dr NKS Tharmaseelan. Beliau berkata semua doktor tertakluk di bawah undang-undang persekutuan, justeru tidak perlu mematuhi undang-undang peringkat negeri. “Semua pihak, terutama kerajaan Kelantan harus sedar bahawa semua hospital di Kelantan di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan, di bawah Kementerian Kesihatan. “Mereka (kerajaan Kelantan) tidak mempunyai sebarang kuasa terhadap mana-mana hospital atau klinik di Kelantan. Justeru, jika mereka arahkan doktor di Kelantan, arahan itu tidak sah,” katanya dalam sidang media, di sini, Jumaat. Amputasi merupakan prosedur pemotongan sebahagian anggota badan seperti kaki atau tangan dalam sesuatu pembedahan bagi tujuan perubatan. Selain itu beliau turut mengingatkan pengamal perubatan bahawa pembabitan mereka dalam prosedur sedemikian dilarang menurut undang-undang sivil dan juga perubatan. “Kami diajar mengambil berat, mempunyai empati, menyembuh dan mengasihi. Akan tetapi sekarang anda minta kami mendatangkan bahaya. Kami tidak akan terbabit dalam perkara ini yang bertentangan dengan amalan perubatan. “Para doktor juga tahu jika mereka berbuat demikian, mereka akan dikenakan tindakan dan lesen mereka untuk mengamalkan perubatan akan ditarik balik,” katanya. Malah katanya menurut garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, seseorang doktor dianggap tidak beretika jika turut menyaksikan penjenayah disebat. Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada Rabu dilapor berkata PAS berhasrat menggunakan pakar bedah berkelayakan bagi melakukan amputasi terhadap penjenayah yang disabitkan kesalahan jika hudud dilaksana di negeri itu. – mStar
VIDEO: Bila Ahli Silap Mata Tukar Burung Kepada Gadis Dalam America's Got Talent!
BAGI mereka yang mengikuti rancangan ‘Britain’s Got Talent 2014′, pasti anda mengenali Darcy Oake, 26, peserta yang berjaya memukau juri termasuk Simon Cowell dan para penonton dengan aksi silap matanya yang cukup hebat. Malah video persembahannya yang dimuatnaik di laman YouTube enam hari lalu sudah mencecah tontonan lebih 13 juta kali, memetik Yahoo. Susulan kehebatannya itu, ada pihak yang menyifatkan dia sebagai ‘terlalu profesional’ untuk pertandingan seumpama itu. “Mengenai perihal profesional, saya faham apa yang mereka maksudkan. Tapi, rancangan ini tidak pernah dianggap hanya untuk amatur,” katanya. Persembahan Oake itu hampir keseluruhannya menggunakan burung merpati sebagai subjek utamanya, namun bahagian akhirnya cukup mengejutkan orang ramai apabila dia menukarkan beberapa ekor burung itu kepada seorang gadis. Saksikan.
Dirogol Selepas ‘Check-In’ Hotel Dengan Dua Lelaki?
DIROGOL secara rela? Mungkin ayat ini sesuai dengan kejadian yang dilaporkan oleh seorang gadis di Geylang, Singapura, Selasa lalu. Menurut gadis berusia 18 tahun itu, dia telah mendaftar masuk sebuah hotel bersama-sama dua lelaki untuk tempoh lima jam, memetik The Real Singapore. Kira-kira dua jam selepas itu, gadis itu turun ke kaunter dan memberitahu kepada pekerja di situ bahawa dia telah dirogol. Pihak polis mengesahkan bahawa mereka telah menerima laporan tersebut dan masih menyiasat mengenai perkara itu. Bagaimanapun, mereka percaya bahawa gadis itu mendaftar masuk hotel tersebut secara sukarela dan bukan atas paksaan. Secara logiknya, jika benar dakwaan dia dirogol, apakah tujuan asalnya mendaftar masuk bersama dua lelaki berkenaan? Takkan mengulangkaji pelajaran kot…
Kontroversi Muat Naik Foto Tafsiran Al-Quran, Ini Penjelasan Raja Azmi
Pengarah filem kontroversi Raja Azmi sekali lagi telah menarik perhatian ramai apabila memuat naik foto tafsiran ayat al-Quran di Instagram peribadi miliknya baru-baru ini. Bagaimanapun foto berserta kapsyen yang berbunyi “Tafsiran Surah An-Noor ayat 31…tiada menyebut wanita yg tak pakai tudung masuk neraka. Sekadar berkongsi ilmu..amiin” telah mengundang pelbagai reaksi masyarakat melalui komen-komen yang diberikan tidak kira sama ada positif atau negatif. Oleh itu, Astro Gempak telah menghubungi Raja Azmi untuk mendapatkan penjelasan mengenai gambar tersebut. Menurut Raja Azmi, tujuan dia memuat naik foto itu hanyalah sekadar untuk berkongsi ilmu namun niatnya itu telah disalah tafsir oleh masyarakat. “Saya rasa mereka sudah salah faham… Tiada niat untuk mempersoalkan apa-apa cuma niat saya memuat naik gambar itu adalah sekadar untuk berkongsi. “Menutup aurat itu bagus dan saya juga faham aurat bukan sahaja merangkumi rambut malah tubuh badan juga… Terpulanglah pada mereka untuk tafsirkan,” katanya ketika dihubungi. Tambah produser itu lagi, dia hanya sekadar meluahkan pendapat dan pandangan kepada pihak yang bertanya mengenai perihal dia tidak memakai tudung sebaik sahaja pulang daripada mengerjakan umrah. “Kak Mi hanya meluahkan pendapat apabila ada pihak yang mempersoalkan kenapa saya tidak bertudung lepas balik daripada mengerjakan umrah. “Saya pergi sana dengan niat untuk mengerjakan ibadah bukan untuk menunjuk-nunjuk sebaliknya ikhlas dalam melakukan ibadah. “Bagi saya bila orang mula mempersoalkan mengenai isu bertudung kepada saya itu dah jadi lain,” ujarnya. Selain itu , Raja Azmi juga mengulas mengenai dakwaan yang mengatakan dia sengaja mencari publisiti. “Saya tak pernah mencari publisiti sebaliknya publisiti yang mencari saya begitu juga dengan kontroversi,” ulasnya pendek. Di samping itu, produser filem ‘… Dalam Botol’ ini juga memohon maaf sekiranya ada pihak yang tersinggung mengenai pandangan berkenaan isu tersebut. “Saya nak minta maaf andai kata ada pihak yang tersinggung dengan pendapat saya. “Sekarang saya pun sedang belajar tentang agama dan berusaha mempertingkatkan amalan ibadah yang lain dahulu sebelum mengambil keputusan untuk bertudung sepenuhnya.” tambahnya.
CATU AIR: Syabas Nafi Pilih Bulu!
KUALA LUMPUR – Pemilihan kawasan catuan air tidak dibuat berdasarkan status sosioekonomi pengguna, demikian menurut Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS). Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam SYABAS, Priscilla Alfred Dharan dalam kenyatannya Sabtu berkata pemilihan kawasan itu sebaliknya dibuat berdasarkan pertimbangan teknikal sistem agihan. “Pengecualian hanya pada kawasan secara khusus dikecualikan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), iaitu pusat petadbiran kerajaan Persekutuan Putrajaya dan kerajaan Selangor serta pusat bandaraya Kuala Lumpur. “Ia meliputi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Subang, Pelabuhan Klang, Zon Perdagangan Bebas, hospital kerajaan dan swasta, pusat dialisis serta Stesen Janakuasa Salahudin Abdul Aziz di Kapar,” kata beliau. Priscilla mengingatkan penduduk agar tidak melakukan aktiviti terlarang dan menyalahi undang-undang bagi mendapatkan air seperti merosakkan sistem paip agihan kerana ia akan mengakibatkan kehilangan atau kekurangan lebih banyak bekalan sekali gus menyebabkan masalah kekurangan air bertambah teruk. Orang ramai diminta memberi kerjasama secara berjimat cermat menggunakan air semasa catuan dan pihak badan pengurus bangunan diminta mengawal paras kolam simpanan air mereka sehingga mencapai paras stabil sebelum melepaskan air kepada penduduk. “Ini bagi membantu penduduk kawasan yang dijadual mendapat air menerima bekalan dalam tempoh yang ditentukan,” katanya. Orang ramai yang masih keliru dengan pelan catuan bekalan air boleh melayari laman sesawang www.syabas.com.my untuk mendapatkan maklumat berhubung kawasan terlibat, jadual catuan harian dan polisi lain berkaitan catuan. –BERNAMA
GAMBAR: Pasangan Kontroversi Fizz Fairuz & Almy Nadia Selamat Bernikah
Pasangan selebriti yang banyak menempuh dugaan sepanjang hubungan mereka, Fizz Fairuz & Almy Nadia telah selamat bergelar suami isteri dalam satu majlis akad nikah yang telah diadakan di kampung halaman pengantin perempuan di Pulau Pinang. Almy Nadia dan Fizz Fairuz pada tengahari tadi telah melangsungkan majlis pertunangan terlebih dahulu sebelum sah bergelar suami isteri sekitar jam 5.40 petang waktu tempatan, heh. Majlis akad nikah yang berlangsung hari ini mengambil tempat Masjid Balik Pulau, Pulau Pinang. Tahniah buat keluarga kedua dua mereka, semoga hubungan dan ikatan yang terbina ini kekal sehingga pintu syurga. Kami suka tengok anda berdua. Berikut beberapa keping gambar sekitar majlis pernikahan Almy Nadia & Fizz Fairuz hari ini.
Almy Nadia Sempat Ber'Selfie' Di Majlis Malam Berinai
Dua pelakon terkenal, Fizz Fairus dan Almy Nadia akan melangsungkan pernikahan mereka pada petang ini iaitu selepas solat Asar di Masjid Balik Pulau, Pulau Pinang. Pastinya ramai peminat setia mereka amat teruja untuk melihat Fizz Fairus dan Almy Nadia disatukan setelah sekian lama mengharungi alam percintaan yang penuh cabaran dan dugaan. Semalam, majlis malam berinai Almy Nadia telah diadakan di rumah pengantin perempuan. Aktres berusia 28 tahun itu kelihatan begitu gembira, terharu dan seolah-olah tidak percaya dirinya bakal isteri tidak lama lagi. Penulis ucapkan jutaan tahniah buat pasangan sensasi ini. Ending kisah cinta Almy memang menarik kerana berakhir dengan ke jinjing perkahwinan. Mari layan sekeping foto selfie Almy Nadia di majlis malam berinai yang diadakan malam tadi.
Malaysia Beri Sambutan Permaidani Merah
KUALA LUMPUR – Malaysia mengucapkan “Selamat Datang” kepada Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dengan hamparan permaidani merah pada upacara sambutan rasmi bagi pemimpin Amerika itu di sini hari ini. Obama sebelumnya mendarat di Kuala Lumpur untuk memulakan lawatan negara selama tiga hari ke negara Asia Tengggara ini yang mempunyai 30 juta penduduk. Beliau disambut di Bangunan Parlimen di sini oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah. Turut hadir ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Selepas lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan, Obama memeriksa perbarisan kehormatan oleh 107 pegawai dan anggota dari Batalon Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) diketuai Mejar Amriza Mohd Asshari. Lawatan Obama ke Malaysia, sebahagian daripada lawatan ke empat negara Asia, adalah yang pertama oleh seorang presiden Amerika Syarikat dalam tempoh 48 tahun sejak lawatan Presiden Lyndon B. Johnson pada 1966. Obama sebelum ini melawat Jepun dan Korea Selatan. Negara terakhir yang akan dilawatinya dalam lawatan ke Asia ialah Filipina. Upacara sambutan di Dataran Parlimen dengan tembakan meriam 21 das. Presiden Obama kemudian diperkenalkan kepada menteri-menteri Kabinet pada upacara sambutan yang juga dihadiri oleh anggota-anggota kor diplomatik. Obama akan berlepas ke Pusat Pentadbiran Persekutuan di Putrajaya pada Ahad untuk mengadakan perbincangan dengan Najib sebelum bertolak ke Cyberjaya bagi pelancaran Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia (MaGIC) yang akan menjadi platform bagi para usahawan mengembangkan sayap mereka. Jadual lain dalam lawatan Obama adalah mengadakan sesi perbincangan dengan pemimpin-pemimpin muda dari seluruh Asia Tenggara dan melawat Masjid negara. – BERNAMA
Obama Tiba Di Malaysia Untuk Lawatan ‘Bersejarah’ Tepat Jam 4.50 Petang!
SUBANG – Presiden Amerika Syarikat Barack Obama tiba di Malaysia tepat 4.50 petang tadi untuk mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika negara berdepan tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines, dan misi mencari turut dibantu kapal selam drone Tentera Laut AS. Pesawat Air Force One yang membawa Obama mendarat di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini pada selepas enam jam penerbangan dari Korea Selatan, disifatkan beliau sebagai lawatan bersejarah ke Malaysia. Lawatan tiga hari ke negara Asia Tenggara ini yang mempunyai kira-kira 30 juta penduduk adalah sebahagian daripada lawatan Obama ke empat negara di Asia, julung kali oleh presiden AS yang memegang jawatan dalam tempoh 48 tahun selepas lawatan Presiden Lyndon B. Johnson pada 1966. Memakai sut berwarna hitam, Obama muncul keluar dari Boeing 747-200B – yang dilengkapi kemudahan dan merupakan pejabat presiden di udara yang juga pesawat paling dikenali di dunia – dengan disambut mesra oleh pegawai kanan kerajaan Malaysia. Hadir menyambut beliau dengan ucapan “Selamat Datang” ialah Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, Duta Malaysia ke AS Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Duta Khas Malaysia ke AS Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis. Sebelum ke Malaysia, presiden ke-44 AS itu yang mula memegang tampuk pemerintahan pada 2009 dan dipilih semula untuk penggal kedua pada 2012, melawat Jepun dan Korea Selatan. Selepas Malaysia, beliau akan meneruskan lawatan ke Filipina. Kawalan keselamatan di pangkalan udara itu yang terletak di pinggir ibu negara Malaysia Kuala Lumpur amat ketat dengan beratus-ratus anggota keselamatan ditugaskan untuk berkawal. Obama beredar dari pangkalan udara itu untuk ke bangunan Parlimen di Kuala Lumpur bagi upacara sambutan rasmi dengan menaiki limousin presiden beliau. Semalam, Anifah berkata lawatan presiden AS itu menandakan bermulanya peningkatan hubungan dua hala Malaysia-Amerika Syarikat kepada sebuah perkongsian komprehensif. Beliau berkata hubungan baik yang terjalin antara Obama dan Najib akan memastikan perbincangan berkaitan ekonomi, keselamatan dan hubungan rakyat kepada rakyat adalah terbuka, konstruktif dan produktif. Menurut pegawai, usaha untuk mengesan MH370 yang sedang giat dijalankan di selatan Lautan Hindi mungkin akan disentuh dalam perbincangan di Putrajaya. Kenderaan Dalam Air Automatik Bluefin-21 yang dilengkapi alat sonar telah menjalankan misi mencari di kawasan dikenal pasti di Lautan Hindi sejak 14 April dengan harapan untuk mengesan sebarang serpihan pesawat yang hilang itu. Penerbangan MH370 bersama-sama 239 orang hilang daripada imbasan radar ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. Malam ini, presiden dijadual menghadap raja Malaysia, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan menghadiri jamuan negara di Istana Negara. Pada Ahad, Obama akan mengadakan perbincangan dengan Najib di pusat pentadbiran kerajaan persekutuan di Putrajaya sebelum ke Cyberjaya yang terletak berdekatan untuk majlis pelancaran Malaysian Global Innovation and Creative Centre (MaGIC) yang akan menyediakan platform untuk usahawan melebarkan sayap mereka. Atur cara lawatan Obama termasuk sesi perjumpaan tidak formal dengan pemimpin belia dari seluruh Asia Tenggara dan melawat Masjid Negara. – BERNAMA
Malaysia Beri Sambutan Permaidani Merah
KUALA LUMPUR – Malaysia mengucapkan “Selamat Datang” kepada Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dengan hamparan permaidani merah pada upacara sambutan rasmi bagi pemimpin Amerika itu di sini hari ini. Obama sebelumnya mendarat di Kuala Lumpur untuk memulakan lawatan negara selama tiga hari ke negara Asia Tengggara ini yang mempunyai 30 juta penduduk. Beliau disambut di Bangunan Parlimen di sini oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah. Turut hadir ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Selepas lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan, Obama memeriksa perbarisan kehormatan oleh 107 pegawai dan anggota dari Batalon Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) diketuai Mejar Amriza Mohd Asshari. Lawatan Obama ke Malaysia, sebahagian daripada lawatan ke empat negara Asia, adalah yang pertama oleh seorang presiden Amerika Syarikat dalam tempoh 48 tahun sejak lawatan Presiden Lyndon B. Johnson pada 1966. Obama sebelum ini melawat Jepun dan Korea Selatan. Negara terakhir yang akan dilawatinya dalam lawatan ke Asia ialah Filipina. Upacara sambutan di Dataran Parlimen dengan tembakan meriam 21 das. Presiden Obama kemudian diperkenalkan kepada menteri-menteri Kabinet pada upacara sambutan yang juga dihadiri oleh anggota-anggota kor diplomatik. Obama akan berlepas ke Pusat Pentadbiran Persekutuan di Putrajaya pada Ahad untuk mengadakan perbincangan dengan Najib sebelum bertolak ke Cyberjaya bagi pelancaran Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia (MaGIC) yang akan menjadi platform bagi para usahawan mengembangkan sayap mereka. Jadual lain dalam lawatan Obama adalah mengadakan sesi perbincangan dengan pemimpin-pemimpin muda dari seluruh Asia Tenggara dan melawat Masjid negara. – BERNAMA
MH370: Agong Sampaikan Terima Kasih Malaysia Kepada Obama Atas Bantuan Amerika
KUALA LUMPUR – Ketika usaha mencari pesawat udara Malaysia yang hilang sedang diteruskan, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah menyampaikan ucapan terima kasih Malaysia kepada Amerika kerana terus memberi sokongan dan kerjasama padunya dalam operasi itu. Pada majlis jamuan negara meraikan Presiden Amerika Barack Obama Sabtu malam, baginda bertitah kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 itu melibatkan penumpang pelbagai negara, termasuk Malaysia dan Amerika. Seri Paduka bertitah bantuan yang dihulurkan Amerika itu menjadi bukti wujudnya hubungan rapat antara kedua-dua negara. “Sesungguhnya, penglibatan saudara sejak peringkat awal misi mencari dan menyelamat itu dan operasi pencarian yang dilakukan ketika ini mencerminkan komitmen kukuh yang wujud antara kedua-dua negara kita,” titah baginda. Obama, presiden Amerika pertama berkunjung ke Malaysia sejak hampir 50 tahun lepas, melakukan lawatan negara tiga hari ke Malaysia dalam rangka penjelajahan beliau ke empat negara Asia, selepas Jepun dan Korea Selatan. Destinasi terakhir beliau ialah Filipina. Penerbangan MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam 8 Mac sebelum hilang daripada pengesanan radar kira-kira sejam kemudian ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan. Mereka termasuk rakyat Amerika. Operasi disertai pelbagai negara mencari pesawat Boeing 777-200ER itu di luar perairan Perth, Australia, di Lautan Hindi melibatkan penggunaan kenderaan dalam air autonomi dilengkapi alat sonar milik Tentera Laut Amerika dikenali sebagai Bluefin-21. Tuanku Abdul Halim bertitah baginda gembira melihat hubungan antara Malaysia dengan Amerika semakin kukuh dan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kepentingan bersama dan nilai yang dikongsi kedua-dua negara, begitu pesat berkembang. “Beta gembira kerana kedua-dua negara kita akan membincangkan cara untuk mengukuhkan lagi kerjasama dalam pelbagai bidang, termasuk ekonomi, keselamatan dan pertahanan, pendidikan, tenaga, sains dan teknologi serta hubungan antara rakyat dengan rakyat,” titah Seri Paduka. Obama dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang menghadiri majlis itu, dijadual mengadakan perbincangan dan menghadiri jamuan kerja tengah hari di Putrajaya pada Ahad. Sambil menyifatkan hubungan ekonomi antara kedua-dua negara berada dalam keadaan amat kukuh, Tuanku Abdul Halim bertitah sokongan berterusan Amerika terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia akan membantu mengemudi negara yang mempunyai 30 juta penduduk ini mencapai status negara maju. Titah baginda, Amerika dialu-alukan untuk terus berganding bahu dengan Malaysia bagi menjamin keamanan dan kestabilan rantau ini. “Ini boleh dicapai melalui nilai yang dikongsi bersama dan sikap saling menghormati, saling memahami dan kesederhanaan, disertai hubungan kukuh antara rakyat dengan rakyat,” titah baginda. Tuanku Abdul Halim bertitah Malaysia akan terus berusaha memupuk hubungan kukuh dan berkekalan dengan Amerika sebagai asas dalam usaha mewujudkan kestabilan dan kemakmuran bagi kedua-dua negara. Seri Paduka menyuarakan harapan agar Obama gembira dan berpuas hati dengan layanan Malaysia serta kembali ke Amerika dengan membawa kenangan manis tentang negara ini. “Beta harap lawatan saudara ke Malaysia memberi penuh makna dan menyimpul pelbagai kenangan. Beta mendoakan agar saudara sekeluarga sentiasa sihat dan sejahtera, begitu juga bagi seluruh rakyat Amerika,” titah baginda. –BERNAMA
‘Terima Kasih!’, Kata Presiden Barack Obama
SUBANG – “Terima kasih!”, kata Presiden Barack Obama, menjawab ucapan “Selamat datang Mr President” daripada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin selaku Menteri Pengiring di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini, pada kira-kira 4.50 petang tadi. Perkara itu dikongsi bersama Khairy menerusi laman Twitternya, sebentar tadi. Turut mengiringi Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Duta Besar Malaysia Ke Amerika Syarikat, Datuk Dr Awang Adek Husin. Presiden Amerika Syarikat (AS) yang menaiki pesawat Air Force One mendarat di sini selepas enam jam penerbangan dari Korea Selatan, disifatkan beliau sebagai lawatan bersejarah ke Malaysia. Lawatan tiga hari Obama adalah yang kedua bagi Presiden AS selepas Presiden Lyndon B Johnson mengunjungi negara ini pada 1966.
Kehadiran Obama Tingkat Imej Bandar Pintar
CYBERJAYA – Kehadiran Presiden Amerika Syarikat Barack Obama ke Cyberjaya bagi melancarkan Pusat Kreativiti dan Inovasi Global Malaysia (MaGIC), yang dijadualkan esok, akan mengharumkan lagi imej dan peranannya sebagai antara bandar pintar terunggul di dunia. Pengarah Urusan Cyberview Sdn Bhd Faris Yahaya berkata Cyberjaya yang dibangunkan sejak 1997, kini bukan sahaja berperanan sebagai hab global untuk pembangunan industri teknologi maklumat, bahkan juga sebagai hab penyelidikan dan pembangunan (R&D) di rantau ini. “Kehadiran Presiden Obama sudah pasti meletakkan Cyberjaya antara hab global teknologi penting di pentas dunia dan melonjakkan nama Cyberjaya sebagai tempat berprofil tinggi di global,” katanya selepas menyertai Magic Ride bersama Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, di sini hari ini. Faris yakin selepas kehadiran bersejarah itu, lebih banyak syarikat antarabangsa berteraskan ICT dan R&D terutamanya dari Amerika Syarikat akan memilih Cyberjaya sebagai pangkalan operasi mereka. Katanya, ketika ini Cyberjaya menjadi pilihan kepada lebih 800 syarikat termasuk 43 syarikat multinasional berteraskan ICT tersohor menempatkan pangkalan operasi mereka di sini, sekali gus membantu mencetuskan persekitaran inovatif dan kreatif. Faris berkata hampir 50 peratus daripada syarikat multinasional dan badan organisasi antarabangsa yang beroperasi di Cyberjaya seperti Dell; Hewlett-Packard (HP); International Business Machines Corporation (IBM); American International Assurance (AIA); American International Group (AIG); syarikat telekomunikasi AT&T; Prudential; Silicon Graphics International (SGI) dan Monster Technologies adalah syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat. Bandar pintar pertama di negara ini juga kini mempunyai enam universiti dan kolej bertaraf antarabangsa dan menjelang 2016, Cyberjaya akan menjadi sebuah bandar serba lengkap dengan memiliki infrastruktur moden dan mampu menampung penduduk tetap melebihi 100,000 orang. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan turut menemani Obama pada majlis pelancaran tersebut esok. MaGIC bertujuan untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah negara keusahawanan dinamik dengan membolehkan pengusaha tempatan dan antarabangsa memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka. Pusat ini direka untuk menjadi pusat sehenti untuk usahawan, yang akan menyediakan setiap kemudahan yang diperlukan oleh seorang usahawan, daripada mendapatkan pembiayaan dari bank-bank atau pemodal teroka untuk menyediakan inkubator bagi membangunkan syarikat permulaan untuk memperbaiki produk atau perkhidmatan mereka. Pusat itu juga akan membantu dalam pendaftaran harta intelek dan menyediakan kemudahan untuk latihan, bimbingan dan mentor. – BERNAMA
Lawatan Obama Sokong Hubungan Kukuh Ekonomi
PUTRAJAYA – Lawatan bersejarah Presiden AS Barack Obama menyokong hubungan kukuh ekonomi yang membentuk asas kepada hubungan dua hala Malaysia-Amerika Syarikat, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman. Beliau berkata Amerika Syarikat kekal sebagai satu daripada rakan dagangan terbesar Malaysia dan sumber utama pelaburan langsung asing di negara ini. “Terdapat potensi besar untuk melonjakkan hubungan ekonomi bagi meningkatkan hubungan dalam bahagian pertumbuhan baharu, terutamanya dalam sektor teknologi tinggi,” katanya pada taklimat media di sini, Jumaat, menjelang lawatan tiga hari Obama ke Kuala Lumpur bermula Sabtu. Anifah berkata kedua-dua negara sedang mengkaji cara-cara untuk menggalakkan peluang bagi perdagangan dan pekerjaan di peringkat dua hala serta pelbagai hala. Bagi peluang ekonomi, Anifah berkata tema utama lain lawatan itu ialah pemerkasaan ekonomi dan keusahawanan, sektor yang diceburi oleh semakin ramai golongan muda di negara ini. “Ini adalah susulan kepada Sidang Kemuncak Keusahawanan Global Ke-4 yang dihoskan Malaysia pada Oktober 2013. “Lawatan itu akan menyaksikan pelancaran Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa sidang kemuncak tersebut,” katanya. Kedua-dua Najib dan Obama akan bersama-sama melancarkan MaGIC di Cyberjaya pada Ahad. Anifah berkata kehadiran kedua-dua pemimpin itu pada pelancaran tersebut akan mengukuhkan lagi matlamat bersama Malaysia dan Amerika Syarikat untuk menggalakkan pertumbuhan keusahawanan dan peluang merangsang pembangunan ekonomi yang lebih kukuh. – mStar
Inilah Penumpang Mabuk Yang Ingat Pintu Kokpit Adalah Pintu Tandas!uk Rakyat
SUSULAN kejadian ‘rampasan’ pesawat Virgin Australia oleh seorang penumpang mabuk ketika dalam perjalanan dari Brisbane ke Bali, pihak polis Bali telah mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian tersebut. Rupa-rupanya, penumpang yang dikenali sebagai Matt Lockley, 28, bertindak mengetuk pintu kokpit secara agresif kerana menyangka ia adalah tandas. “Sebelum kejadian itu berlaku, pesawat sudah hampir mendarat. Krew penerbangan kemudian mengejutkan Lockley yang sedang tidur. Dia kemudiannya bangun untuk ke tandas dan mengetuk pintu kokpit itu,” ujar jurucakap polis, Heri Wiyanto. Bimbang berlakunya rampasan, juruterbang menghantar mesej kecemasan kepada menara kawalan mengenai perkara itu. Sebaik sahaja mendarat, Lockley dibawa keluar dari pesawat dalam keadaan bergari oleh pengawal keselamatan. Pihak polis juga mendapati Lockley telah mengambil minuman keras, beberapa biji pil tahan sakit termasuk empat biji Panadol dan dua pil Voltaren. Pada masa ini, dia masih dalam keadaan tertekan dan memerlukan rehat.
Labels:
Berita Terkini
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment