Friday, April 11, 2014
Berita Terkini 11 April 2014
Wanita Ditemui Rentung Dalam Kereta BMW
KUALA LUMPUR – Seorang wanita ditemui rentung dalam sebuah kereta dalam kebakaran dua buah kenderaan di tempat letak kereta sebuah kondominium di Taman Desa, di sini awal pagi tadi. Pengarah Penguat Kuasa Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata kebakaran dipercayai perbuatan khianat di Kondominium Danau Murni itu melibatkan kereta jenis BMW dan Proton Iswara. Katanya, wanita yang ditemui maut dalam kereta BMW itu dipercayai terperangkap dalam kenderaannya ketika kebakaran. “Kami (bomba) menerima panggilan kecemasan pukul 5.56 pagi sebelum menghantar sebuah jentera bersama-sama lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seputeh ke tempat kejadian. Kebakaran dikawal sepenuhnya setengah jam kemudian,” katanya kepada Bernama. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Muhammad Azlee Abdullah berkata polis sedang menyiasat identiti wanita itu. “Kita sudah ada butiran pemilik kenderaan tapi masih belum dapat pastikan adakah mangsa adalah pemilik kereta itu,” katanya. Katanya, pasukan forensik telah dihantar ke tempat kejadian untuk melakukan siasatan. – BERNAMA
2 Anggota Polis Cedera Kereta Terbalik
Melaka – Dua anggota polis cedera selepas kereta peronda dinaiki dipercayai hilang kawalan sebelum terbalik ketika mengejar sebuah kenderaan di persimpangan lampu isyarat Taman Ciptaco, Jalan Tun Abd Razak, Ayer Keroh di sini, awal pagi tadi. Difahamkan dalam kejadian jam 1.25 pagi itu, kereta peronda polis (MPV) berkenaan sedang mengejar sebuah Proton Wira dipercayai dinaiki penjenayah dari arah Ayer Keroh ke pusat bandar. Menurut sumber, bagaimanapun sebaik tiba di persimpangan itu, Proton Wira berkenaan membelok ke kiri ke arah Taman Ciptaco. “MPV itu mengekori tetapi terlanggar bahu jalan mengakibatkan kenderaan berkenaan hilang kawalan dan terbabas sebelum terbalik. “Sejurus kemalangan, kereta dipercayai tidak mempunyai nombor pendaftaran itu memecut laju ke arah taman terbabit dan meloloskan diri,” katanya. Menurutnya, kemalangan mengakibatkan kedua-dua anggota berkenaan masing-masing cedera di siku dan kepala. – myMetro Online
Bella Dally Sudah Berhijab, Buang Gambar Lama?
JIKA benar telahan kami bahawa pelakon Bella Dally sudah berhijrah dari segi penampilan iaitu berhijab, syukur dan tahniah kami ucapkan. Ia berdasarkan gambar-gambar di akaun Instagramnya yang kini menampilkan dirinya mengenakan hijab. Bukan itu sahaja, Bella juga dilihat sudah membuang gambar lama yang tidak menutup aurat. Apa pun, diharap agar bekas kekasih pelakon kacak Nazim Othman ini akan terus istiqamah dengan perubahan baru ini.
Masuk Lokap Padah Status Facebook Hina Polis Trafik
Zaman sekarang, pepatah ‘kerana mulut santan binasa’ mungkin boleh juga ditukar kepada ‘kerana status Facebook badan merana’. Inilah yang menimpa seorang ibu tunggal beranak satu di Beaufort, Sabah apabila dia ditahan polis kerana satu status yang dimuatnaik di Facebook miliknya. Status itu berbunyi: “TRAFIK PAPAR CARI DUIT CARA KEJI… Bodo ke bangang trafik Papar, boleh-boleh saman laju di kawasan lorong memotong Jalan Bongawan tu. Laju 90km/h. Sudah la tiada signboard had laju, gulung balik la tu. Jalan 3 hala. Gila ka mau suruh orang memotong tapi laju 90 ja di sana. Nampak sangat cara perangkap orang tu. Buat jalan tiga hala, siap ada signboard LORONG MEMOTONG tapi tak boleh laju lebih 90. Siapa-siapa mau lalu jalan tu boleh siap-siap bawa batu ka apa-apa ja yang boleh baling kepala otak trafik yang jaga sana sebab bangang sangat…” Difahamkan, status yang ditulis oleh wanita berkenaan diiringi status lain yang menyebut anggota-anggota trafik sebagai ‘Anjing Anjing Putih C Najib’ membuatkan seorang anggota trafik yang terbaca kenyataan tersebut pada 9 malam, 8 April lalu kemudiannya membuat laporan laporan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Susulan itu wanita yang bekerja di Agensi Anti Dadah Kebangsaan Beaufort itu ditahan di lokap dan direman, manakala barangan miliknya yang boleh membantu siasatan dirampas.
VIDEO: Nyaris Kena.. Hilary Clinton Dilempar Kasut
Sedang enak isteri bekas Presiden Amerika Syarikat, Hilary Clinton memberi ucapan, sebelah kasut tiba-tiba melayang di tepi mukanya di Las Vegas, semalam. Ketika insiden tersebut berlaku Hilary sedang berucap di Industri Kitar Semula Sisa Pepejal (ISRI) di Hote-Kasino Mandalay Bay. Meskipun ketara terkejut, Hilary bagaimanapun berjaya menenangkan keadaan apabila berseloroh tentang perkara tersebut secara spontan. “Apa tu, kelawar? Ada orang melempar kepada sesuatu kepada saya? Apakah ini sebahagian daripada Cirque du Soleil (sejenis persembahan tarian akrobatik)?” ujar Hilary sekaligus mengundang ketawa orang ramai. Pada masa sama, wanita yang membaling kasut terhadap Hilary kelihatan diheret keluar oleh pengawal keselamatan. Insiden pemimpin dibaling kasut bukanlah pertama kali berlaku namun ini mungkin yang pertama melibatkan ahli politik wanita. Pada Disember 2008, Presiden AS ketika itu George W. Bush telah dilempar dengan sepasang kasut ketika berucap di Iraq. Dalam pada itu, Hilary yang aktif bergiat dalam politik diuar-uarkan sebagai calon Demokrat yang akan bertanding pada pilihanraya Presiden AS 2016.
852 Pati Ditahan Dalam 6 ‘Ops Gasak’ Di Semporna
SEMPORNA – Sejumlah 852 orang dipercayai pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan dalam enam ‘Ops Gasak’ yang diselaraskan oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) sejak 24 Nov tahun lepas di beberapa pulau di sini. Ketua Pengarah Esscom Datuk Mohammad Mentek berkata dalam ‘Ops Gasak 6′ awal hari ini di Kampung Labuan Haji Pulau Bum Bum berdekatan dengan pekan Semporna, 527 orang ditahan termasuk 287 wanita. Beliau berkata kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Semporna untuk penelitian dan pengesahan dokumentasi pihak Jabatan Imigresen. Mohammad berkata dua lelaki daripada yang ditahan itu masing-masing disyaki penagih dan pengedar dadah, dan mereka disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya. “Ops Gasak yang kami mulakan sejak tahun lepas ini akan diteruskan dan diperluas ke kawasan lain di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone). “Buat masa ini tumpuan kami ialah membersihkan Semporna daripada Pati, apatah lagi dengan berlakunya kes penculikan di Singamata Resort baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini. Sehubungan itu, Mohammad menasihatkan orang ramai khususnya majikan di Esszone, supaya tidak melindungi atau menggaji pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen sah. “Saya juga ingin mengingatkan pemimpin masyarakat terutama ketua kampung dan pengerusi jawatankuasa keselamatan dan kemajuan kampung (JKKK) agar melaporkan kepada pihak berkuasa atau balai polis berhampiran kehadiran orang yang mencurigakan atau Pati di kampung mereka masing-masing. “Kami tidak mahu ada orang kita yang menjadi tali barut dan melindungi Pati khususnya penjenayah,” katanya sambil menegaskan bahawa pihak berkuasa tidak akan berkompromi lagi dengan mereka yang bersekongkol dengan Pati. – BERNAMA
Unisel Alami Kerugian RM37 Juta Sejak 2009
SHAH ALAM – Kerajaan Selangor mengakui Universiti Selangor (UNISEL) di Bestari Jaya, Kuala Selangor dekat sini mengalami kerugian kira-kira RM37 juta, berikutan bilangan penuntut di universiti itu merosot sejak 2009. Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata faktor kedudukan kampus yang jauh dari asrama telah menyumbang kepada kemerosotan bilangan penuntut universiti itu dalam tempoh lima tahun berturut-turut. Keadaan itu disebabkan kedudukan asrama jauh daripada kampus menyebabkan pelajar tidak berminat untuk menyambung pengajian di universiti itu, katanya semasa menjawab soalan tambahan Budiman Mohd Zohdi (BN-Sungai panjang) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini. Buat masa ini, penuntut Unisel itu ditempatkan di asrama sementara di Kota Puteri iaitu kira-kira 17km dari kampus universiti itu. Ini berikutan bangunan asrama yang sedia ada dalam kawasan universiti berkenaan sedang dibaik pulih kerana mengalami keretakan. Sementara itu, Budiman yang ditemui pemberita di lobi dewan berkata beliau tidak berpuas hati dengan kenyataan Halimah. Katanya, faktor penginapan bukan sebab utama menyumbang kepada kekurangan bilangan penuntut di universiti itu. “Banyak sebab lain, mungkin tiadanya promosi dan kegagalan pihak berkaitan menguruskan hal-hal pentadbiran universiti itu,” katanya. – BERNAMA
Anak Linda Rafar Disahkan Hidap Ketumbuhan Kronik
Kasihan… pelakon Linda Rafar diuji dugaan hebat apabila anak keduanya, Rezaiman Keiflin, 12, disahkan menghidap ketumbuhan kronik dalam perut dan kini perlu menjalani rawatan untuk mengelak ia merebak. Rezaiman yang sebelum ini terlantar di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras selama tiga minggu kini menerima rawatan lanjut di rumah. Difahamkan, Linda sudah menghabiskan puluhan ribu ringgit untuk berikhtiar mengubat penyakit anaknya sama ada melalui kaedah moden mahu pun tradisional. Malah dia baru sahaja membeli ubat berharga RM12,000 untuk kegunaan anaknya itu selama 19 hari. Memetik kenyataan Linda kepada laman web Astro Gempak, dia berterima kasih kepada bantuan yang diberikan kepada keluarganya namun pada masa sama berasa malu dan risau jika ada yang menyangka dia cuba mengambil kesempatan menggunakan alasan anak. “Terus terang saya katakan, setiap bantuan yang kami sekeluarga terima saya terus masukkan dalam akaun Rezaiman dan terus fikir jalan alternatif lain untuk bantu lawan penyakit anak saya,” ujarnya. Sememangnya, tiada ibu yang boleh berdiam diri jika anaknya bertarung dengan kesakitan. Bagi mereka yang ingin membantu meringankan beban Linda, anda boleh berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan kepada:
Akaun ASB
Rezaiman Keiflin
Nombor Akaun : 167579162
Nombor Kad Pengenalan : 002120 -114- 0927
Akaun Maybank
Azlinda binti Rafar : 114253247661 Maybank
Ketumbuhan Pipi Sidek Hussin Disahkan Kanser
BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah pepatah yang sesuai untuk keadaan yang dialami oleh pelakon veteran, Sidek Hussin, 63, apabila ketumbuhan yang dihidapinya di pipi sejak sekian lama disahkan doktor sebagai kanser. Memetik laporan Berita Harian, persoalan mengenai ketumbuhan itu terjawab apabila dia dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 30 Mac lalu selepas dia pengsan ketika sedang membeli barang. “Saya agak terkejut apabila doktor mengesahkan ketumbuhan ini semakin merebak menjadi kanser. “Jika dulu usaha untuk membuangnya terhalang kerana banyak perkara, antaranya masalah jantung saya yang lemah, selain sibuk menjalani penggambaran, kini saya hanya mampu berserah,” katanya. Sidek kini dikatakan semakin susut berat badan dengan hanya 55 kilogram berbanding 83 kilogram sebelum ini. Dia juga berada dalam keadaan lemah dan tutur katanya sukar difahami. Sementara itu, isterinya, Sebiah Sulaiman, 61, menerusi Sinar Harian pula berkata, biar pun Sidek tidak mengadu sakit sebelum kejadian itu, bengkak di pipinya semakin membesar. “Saya sendiri tak tahu apa penyakitnya kerana pada pembedahan pertama, doktor memberitahu ianya hanya bengkak biasa. “Namun, bila ia membengkak lagi, situasi itu merisaukan kami. Semalam, doktor telah mengambil sampel dan dua minggu lagi, keputusannya akan diketahui. “Sebelum ini, doktor ada memberitahu bahawa bengkak berkenaan turut melibatkan urat di bahagian otak dan paru-paru,” jelasnya. Sidek pernah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan itu pada tahun 1982, namun kembali membesar tiga tahun selepas itu. Diharap agar orang ramai mendoakan kesihatan dan kesejahteraan pelakon ini. Bukan sedikit jasanya dalam bidang lakonan. Jangan kerana sudah terlantar sakit dan kurang muncul di kaca televisyen, dirinya dilupakan pula.
Anwar Sah Cabar Wan Azizah Jawatan Presiden PKR
KETUA Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sah mencabar isteri beliau Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail untuk merebut jawatan presiden parti itu. Ini merupakan percubaan pertama ketua pembangkang itu bertanding jawatan yang disandang Wan Azizah sejak penubuhan parti itu. Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Datuk Johari Abdul turut mengumumkan Tian Chua dan Elizabeth Wong menarik diri dari persaingan jawatan timbalan dan naib presiden PKR. Dalam sidang medianya pagi ini, Johari berkata selepas pencalonan peringkat pusat ditutup semalam, kebanyakan calon masih mengekalkan pencalonan mereka. Bagaimanapun persaingan timbalan presiden kini hanya tinggal empat sahaja selepas Tian dan bekas ketua cabang PKR Puchong Murali Subramaniam menarik diri semalam. Sementara itu, persaingan bagi jawatan naib presiden pula, seramai 15 pemimpin masih bertanding selepas hanya Wong menarik diri. Manakala, persaingan bagi jawatan Ketua Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) pula tiada sebarang penarikan diri. “Mereka yang menarik diri sebelum hari ini dikembalikan bayarannya. Selepas ini boleh menarik diri tetapi jika selepas JPP keluarkan gambar dan nama semua undi yang diterima calon itu dikira undi rosak,” kata Johari dalam sidang media hari ini. Johari yang juga ahli parlimen Sungai Petani turut mengumumkan JPP akan mengadakan satu lagi sidang media pada 15 April depan bagi kedudukan terbaru.
Berikut senarai calon yang bertanding (* penyandang):
Presiden:
Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail* Datuk Seri Anwar Ibrahim
Timbalan Presiden:
Azmin Ali* Tan Sri Khalid Ibrahim Saifuddin Nasution Ismail Datuk K Rama Chandram
Naib Presiden:
Fuziah Salleh* Datuk Mansor Othman* Nurul Izzah Anwar* Tian Chua*
Baru Bian N Surendren R Suresh Kumar Mustafa Kamil Ayub
Mohd Rafizi Ramli Mohd Yahya Sahri Lee Chin Cheh Shanmugam Randhathani
Streram Sinnasamy Dr Xavier Jayakumar Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua AMK:
Amiruddin Shaari Nazree Yunus Nik Nazmi Nik Mohamad
Ketua Wanita:
Zuraida Kamaruddin* Rodziah Ismail
Sumber: Malaysiakini
SEGERA..Suspek Tembak Polis Ada Tatu ‘Harimau’
SUSULAN kejadian dua anggota peronda polis (MPV) yang cedera parah ditembak di Ampang kira-kira jam 11 pagi tadi, akhbar Harian Metro melaporkan suspek mempunyai tatu ‘Harimau’. Tembakan dikatakan mengenai bahagian perut seorang anggota polis, manakala satu lagi tembakan terkena bahagian ari-ari seorang lagi anggota polis. Sebelum kejadian itu, dua anggota polis berkenaan menahan sebuah motosikal yang dinaiki oleh suspek pertama untuk pemeriksaan selepas mendapati dia dalam keadaan mencurigakan. Pada masa yang sama, mereka melihat suspek kedua berada berhampiran suspek pertama yang dilihat cuba melarikan diri. Dua anggota polis tersebut kemudiannya mengejar suspek kedua sebelum suspek pertama melepaskan tembakan ke arah mereka. Kedua-dua suspek yang dipercayai anggota kongsi gelap itu kini sedang diburu polis dan dipercayai melarikan diri ke kawasan taman perumahan berhampiran. Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Rahim Jaafar telah mengedarkan fotofit seorang daripada suspek yang melepaskan tembakan.
TERKINI….Dua Anggota Polis Peronda Parah Ditembak Di Ampang!
AMPANG JAYA – Dua anggota polis peronda (MPV) cedera parah selepas ditembak oleh dua lelaki di Lembah Maju, Ampang, di sini. Dalam kejadian 11 pagi tadi, kedua-dua polis yang berpangkat Lans Koperal dan Konstabel itu dikatakan cuba memeriksa dua lelaki yang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan sebelum ditembak. Mereka kini sedang dirawat di Hospital Ampang, memetik laporan akhbar tempatan.
PKR Minta Calon Yang Ada Masalah Dengan Kepimpinan JANGAN DEDAH Pada Media
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR Datuk Johari Abdul tidak mahu calon yang mempunyai masalah dengan kepimpinan mendedahkannya kepada media. “Sebarang perselisihan dalam parti perlu diajukan kepada kami (JPP). Tak perlu dihebah pada media atau kepada umum. “Bila anda (calon) beritahu media, kadang-kadang tak membantu perkembangan parti,” kata beliau dalam sidang media hari ini. Johari bakal berhadapan dengan tugas sukar jika perbandingan dibuat bersandarkan proses pemilihan parti pada 2010. Pelbagai masalah berlaku dan dilaporkan dalam media sehingga membawa kepada tuduhan memalsukan kertas undi, pergaduhan, rasuah dan korupsi yang diperjuangkan PKR sendiri selama ini. Pengundian parti akan bermula 26 April ini sehingga 11 Mei depan dan dilakukan secara berperingkat mengikut negeri. Seramai 496,923 dari sejumlah 500,001 ahli parti layak mengundi dalam pemilihan parti sepenuhnya yang kedua selepas 2010. ‘Rakam dan hantar pada JPP’ Beliau turut mengumumkan tiada masalah untuk calon membuat kumpulan selagi tidak melanggar arahan parti. “Nak bubuh gambar atas lori ke, nak ‘tag team’ ke, saya tiada masalah,” kata beliau. Beliau melarang semua calon terlibat dalam ugutan dan kekerasan ataupun perbuatan politik wang seperti pemberian wang tunai, barangan atau tawaran jawatan. termasuk menjanjikan balasan. “Walaupun dia (calon) mungkin tak cakap, dan pengurus kempen yang cakap pun akan kena juga. Kami amat serius dalam perkara ini,” tegas beliau. Beliau menggalakkan ahli merakam ucapan atau perbuatan calon yang dirasakan menyalahi peraturan dan menyampaikan kepada JPP untuk diambil tindakan. “Apa-apa ucapan bahan kempen adalah berdasarkan rekod kerja, pencapaian dan perancangan masa depan calon. Ucapan keji, caci dan fitnah dilarang sama sekali. – Malaysiakini.com
HUKUMAN SEBAT: Pekerja ‘Bangla’ Saman Kerajaan Malaysia RM3 Juta!
SEORANG pekerja Bangladesh memfailkan saman ke atas kerajaan Malaysia, Jabatan Imigresen untuk RM3 juta kerana didakwa disebat ketika di dalam penjara sementara menunggu rayuan sabitan kesnya. Pekerja itu, Alamin Sheikh Badsha Sheikh, 28 tahun, seorang pekerja binaan sebelum itu dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan tiga sebatan pada Julai tahun lalu selepas dia mengaku bersalah atas tuduhan gagal menunjukkan dokumen perjalanan dan permit yang sah. Menurut laporan The Malaysian Insider (TMI), dia ditahan pada bulan Jun tahun lalu dan didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam bulan berikutnya di mana Alamin mengaku bersalah tanpa diwakili peguam. Selepas dia dijatuhkan hukuman, barulah majikannya tampil dengan dokumen sah untuk membuktikan sebaliknya. Ketika menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, dia telah disebat di Penjara Pokok Sena. Peguam Alamin kini, S Raveentharan berkata anak guamnya disebat tiga kali dengan rotan pada 9 Oktober tahun lepas hanya kira-kira 16 hari sebelum rayuan kesnya didengar di Mahkamah Tinggi. Pada prosiding rayuan itu, Hakim Datuk Zamani Abdul Rahim mengenepikan sabitan bersalah ke atasnya yang dibuat di bawah Akta Imigresen. “Hakim pun turut terkejut apabila mengetahui bahawa anak guam saya sudah menjalani hukuman penjara dan disebat. “Ini adalah kes yang mana sistem kehakiman dilakukan secara tergesa-gesa, adakah perlaksanaan hukuman yang terburu-buru itu sebabnya diketahui oleh pihak polis, imigresen? Adakah penyelewengan berlaku?,” kata Raveentharan dalam satu sidang media hari ini. Beliau berkata, Alamin yang tidak diwakili peguam ketika didakwa, mengaku bersalah tanpa memahami tuduhan yang dikenakan ke atasnya. Laporan TMI menyebut Alamin tidak hadir pada sidang media berkenaan kerana sedang ditahan di Pusat Tahanan Imigresen Langkap, Perak sementara menunggu proses penghantaran pulang. Menurut Raveentharan, anak guamnya akan menyaman kerajaan Malaysia atas penderitaan, turut menamakan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Pegawai Penyiasat Jabatan Imigresen, Ketua Polis Negara, Ketua Polis Pulau Pinang dan Pegawai Penyiasat Polis sebagai defendan. “Pihak kami memohon saman sebanyak RM1 juta bagi setiap sebatan,” katanya. Dalam kenyataan tuntutan saman itu yang difailkan hari ini di Mahkamah Tinggi, Alamin juga menuntut ganti rugi umum dan ganti rugi khas untuk kesakitan, penderitaan dan juga masalah psikologi yag dialaminya. Raveentharan berkata Alamin juga akan menjalani pemeriksaan perubatan untuk melihat kecederaan kekal yang dialami selepas disebat di penjara. “Hukuman sebat itu mencetuskan kebimbangan dia tidak akan boleh mendapatkan zuriat pada masa akan datang,” katanya. Selain itu, Alamin turut menuntut ganti rugi kehilangan pendapatan sebanyak RM1,300 sebulan sepanjang dipenjarakan dari Julai ke November 2013. Dia juga menuntut ganti rugi RM2,500 sehari bagi tempoh 90 hari ketika dipenjarakan.
Warga Emas Bernafsu Liar Ditahan Cabul 3 Budak
Manila – Seorang lelaki Britain berusia 73 tahun ditahan selepas didakwa mencabul kehormatan tiga kanak-kanak bawah umur. Stanley James Lamb ditahan polis Carcar kerana disyaki meraba bahagian sulit kanak-kanak itu di kediamannya di Barangay Perrelos, Cebu kelmarin. Ketua Polis Wilyah Visayas, Superintendan Danilo Constantino berkata, Stanley didakwa di bawah akta pencabulan Filipina. Katanya, identiti ketiga-tiga mangsa yang dirahsiakan atas faktor keselamatan. Danilo berkata, Stanley menjemput mangsa ke rumahnya sebelum mengambil kesempatan dengan meraba bahagian sulit mereka. Tertuduh ditahan di balai polis Carcar sementara menunggu pertuduhan difailkan ke atasnya. Sabtu lalu, seorang diplomat Itali berusia 46 tahun ditahan di pusat peranginan Laguna selepas dituduh menyeludup dan mendera tiga kanak-kanak lelaki. Menurut saksi, duta Itali di Turkmenistan, Daniele Bosio dilihat “meraba dan membelai” kanak-kanak itu di kolam renang. Bosio ditahan di balai polis BiƱan sementara kanak-kanak itu yang didakwanya gelandangan dari Manila, diletakkan di Jabatan Kebajikan Sosial dan Pembangunan. – Agensi
Agnes Monica Nafi Tayang Payudara
Jakarta – Agnes Monica semalam tampil mempertahankan dirinya di tengah-tengah kontroversi mendakwa pakaiannya terlondeh ketika menjalani penggambaran video muzik dengan penyanyi AS sehingga menampakkan buah dadanya. Dalam kenyataan ringkas kepada media semalam, Agnes berkata, dakwaan itu ternyata tidak benar. “Justeru, saya enggan mengulas lanjut mengenainya,” katanya selepas ada pihak mendakwa pakaiannya terlondeh dalam klip video muzik Coke Bottle yang turut menampilkan penyanyi Timbaland. Agnes bagaimanapun menafikan hal itu ketika ditanya mengenainya. Agnes juga dilihat tidak mengendahkan dakwaan itu kerana menurutnya ia terpulang kepada pertimbangan umum. “Jika orang melihatnya dari sudut negatif, apapun yang dilakukan pasti akan kelihatan negatif,” katanya. Klip video muzik yang dimuat naik pada 1 April itu menarik perhatian ramai bukan saja kerana insiden itu malah ramai yang mempertikaikan cara Agnes berpakaian yang mencolok mata dan mengenakan seluar mirip lampin. – Agensi
Tukang Cuci Mati Dibelasah Sekumpulan Lelaki
GEORGE TOWN – Seorang lelaki ditemui mati dipercayai akibat dibelasah beramai-ramai di Ocean View, Sungai Pinang di sini awal hari ini. Mayat Ameer Mustaqim Naharudin, 19, tukang cuci di sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA) di sini ditemui pada 2.45 pagi. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata lelaki itu dikatakan berbual bersama tiga rakannya sebelum sekumpulan empat hingga lima lelaki mendekati mereka dan menyerangnya menggunakan topi keledar. “Kami menemui cermin penutup topi keledar berhampiran mayat mangsa,” katanya kepada pemberita. Beliau berkata kesemua suspek dipercayai dalam keadaan mabuk berikutan penemuan beberapa tin minuman keras di kawasan berkenaan. Mazlan berkata polis sedang menyiasat motif sebenar kejadian dan hubungan mangsa dengan penyerangnya. Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu agar menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – BERNAMA
Sabah Akan Bina Lebih Banyak Maahad Tahfiz
KUDAT – Kerajaan negeri Sabah akan membina lebih banyak Maahad Tahfiz al-Quran di negeri ini bagi meningkatkan syiar Islam khususnya penghayatan al-Quran. Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, berkata institusi itu akan memberikan tumpuan terhadap penguasaan aspek hafazan, tajwid dan taranum selain melahirkan generasi muda Islam yang cemerlang akademik dan sahsiah serta mencintai al-Quran. Ketika berucap merasmikan majlis Tilawah al-Quran peringkat negeri di Dewan Tun Mustapha di sini malam tadi, Musa berkata pendidikan berlandaskan al-Quran dan sunnah harus dijadikan teras bagi melahirkan modal insan untuk memperkasa bangsa dan negara mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat. Justeru, katanya, penganjuran tilawah al-Quran itu adalah wadah terbaik bagi membangunkan generasi yang cemerlang dan unggul dalam pelbagai bidang menerusi pemahaman dan penghayatan terhadap kandungan kitab suci al-Quran. Musa juga meminta umat Islam supaya mennghayati semangat dan prinsip kesederhanaan dan memperkukuhkan perpaduan melalui pendekatan kesederhanaan. “Ia bagi membolehkan kita terus mengecapi nikmat kemajuan dan kemakmuran, apatah lagi dalam konteks kehidupan kita dalam masyarakat majmuk,” katanya. Justeru, katanya, semua pihak perlu mengelakkan perselisihan dan perpecahan untuk menjadikan umat Islam contoh terbaik dalam aspek kesatuan, perpaduan, kejayaan dan kecemerlangan. Di majlis itu, Zunaidi@Ady Misdaranai dan Soffizah Mousin masing-masing dinobatkan sebagai johan qari dan qariah peringkat negeri. Zunaidi mengatasi qari lain dengan memperoleh 86.33 markah manakala Soffizah dengan 85.33 markah dengan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM6,000, sijil, hadiah iringan, kitab agama selain menunaikan ibadat haji atau umrah. Mereka akan mewakili Sabah dalam Tilawah al-Quran peringkat kebangsaan yang akan berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah Kuantan mulai 13 hingga 17 Mei depan. – BERNAMA
Polis Minta Sekolah Tubuh Kelab Cegah Jenayah
BESUT – Polis Daerah Besut meminta setiap sekolah di daerah ini mengambil inisiatif menubuhkan Kelab Cegah Jenayah di sekolah masing-masing bagi membantu pihak polis menangangi masalah jenayah di sekolah. Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, DSP Noorzainy Mohd Noor, berkata penubuhan kelab tersebut amat digalakkan kerana kadar penglibatan pelajar dalam kegiatan jenayah yang semakin meningkat dan membimbangkan. Beliau berkata, penglibatan pelajar dalam jenayah seperti dadah, rogol dan curi motorsikal semakin tinggi dan masalah ini perlu diatasi segera sebelum mereka terjebak dalam masalah jenayah yang lebih besar. “Dalam tiga bulan pertama tahun ini sahaja, sebanyak 14 kes tangkapan dadah di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya telah dicatatkan yang membabitkan pelajar berumur 16-18 tahun, berbanding 12 kes sepanjang tahun lalu,” katanya pada Bernama. Beliau berkata, setakat ini hanya 10 daripada 22 buah sekolah menengah di Besut telah menubuhkan Kelab Cegah Jenayah di bawah inisiatif sekolah masing-masing yang dibantu oleh Kor Kadet Polis di sekolah berkenaan. Pihaknya bersedia untuk membantu sekolah-sekolah yang menubuhkan kelab berkenaan dengan memberikan bimbingan dan ceramah dalam mengisi aktiviti mereka sepanjang tahun. – BERNAMA
Status Whatsapp Tersebar, Pakar Motivasi Kunci Mulut
Susulan seorang penuntut IPT di Arau, Perlis mendakwa dirinya dicabul penceramah dan pakar motivasi terkenal, kini status Whatsapp penuntut tersebut mula tersebar. Dalam status itu penuntut berkenaan menulis: Berdasarkan laporan polis dibuat penuntut berkenaan, kejadian dikatakan berlaku pada 4 April lalu apabila dia datang ke pejabat pakar motivasi terkenal yang juga pensyarahnya itu bersama dua lagi rakan perempuan untuk mengulangkaji pelajaran. Mangsa kemudiannya mendakwa pensyarah terbabit tiba-tiba duduk di sebelahnya sebelum mula meraba bahagian kaki dan meramas payudaranya. Mangsa yang bimbang jika digagalkan dalam subjek yang diambil membiarkan perlakuan itu namun kemudiannya mengambil keputusan untuk membuat laporan polis di Balai Polis Arau selepas selepas menduduki peperiksaan akhir semester. Difahamkan, ini bukan kejadian pertama menimpa penuntut berkenaan kerana pakar motivasi tersebut pernah melakukan perangai serupa di dalam kelas ketika sesi pembelajaran juga. Disebabkan nama pakar motivasi terkenal yang sering keluar televisyen dan radio ini mula diketahui ramai, beliau dikejar orang ramai yang ingin meminta penjelasannya termasuk di laman Facebook. Namun hingga sekarang beliau dilihat mengunci mulut, mungkin kerana kes ini masih dalam siasatan pihak polis. Dalam pada itu, status Whatsapp penuntut berkenaan yang disebarkan di laman Facebook tertentu telah mendapat beberapa maklumbalas. Ada yang didapati menyokong tindakannya termasuk seseorang yang mendakwa pernah menjadi PA pakar motivasi tersebut namun ada juga yang kurang bersetuju. Apa pun, kita serahkan sajalah perkara ini untuk disiasat oleh pihak berkuasa. Di penghujungnya nanti semoga pihak yang teraniaya dalam hal ini akan mendapat pembelaan.
Kira-Kira 200,00 Wanita Di Negara Ini Tidak Bekerja
KUALA LUMPUR – Kira-kira 200,000 atau 1.42 peratus wanita di negara ini tidak bekerja sehingga Disember tahun lepas, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini. Menteri Sumber Manusia Datuk Richard Riot Jaem bagaimanapun tidak memberitahu sebab atau punca mereka tidak bekerja. Riot berkata sebanyak 7,519 wanita atau 44.7 peratus daripada 16,821 jumlah keseluruhan penempatan pekerjaan di bawah program kerja separa masa telah berjaya ditempatkan ke alam pekerjaan. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Zuraida Kamaruddin (PKR-Ampang) yang ingin tahu statistik wanita tanpa kerja dan sama ada program kerja separuh masa mendapat sambutan baik dalam kalangan masyarakat khususnya wanita. Golongan wanita turut digalak meningkatkan pendapatan dengan menceburi perusahaan kecil dan mikro menerusi program 1Azam dan program ‘Get Malaysian Business Online’ bagi melibatkan diri dengan perniagaan dalam talian, katanya. – BERNAMA
Amir Pilih ‘I’ Sebagai Bakal Isteri
Pelawak Amir Raja Lawak membuat pengakuan bahawa dirinya sudah nekad untuk memperisterikan kekasihnya yang dikenali sebagai ‘I’ pada tahun hadapan. Sebelum ini, Amir pernah mendedahkan dia sudah melakukan solat sunat istikarah untuk memilih di antara dua wanita yang ketika itu menarik minatnya untuk dijadikan sebagai teman wanita. Memetik kenyataannya dalam mStar, Amir menjelaskan, “Alhamdulillah…dalam solat yang saya lakukan, saya terbayang wajah dia dan akhirnya saya membuat keputusan memilihnya sebagai cinta saya walaupun sebelum ini saya serik untuk berkawan dengan wanita”. “Lagipun ‘I’ amat baik dan dia pandai menjaga hati saya,” katanya lagi. Amir yang popular menerusi rancangan Raja Lawak juga menyatakan hubungan mereka direstui keluarga kedua-dua pihak.
Bekas Model Serah Diri Tembak Bekas Kekasih
Slovakia – Bekas model pakaian renang yang diburu oleh polis selepas didakwa menembak mati bekas kekasihnya yang juga seorang jutawan barang kemas, akhirnya ditangkap di kampung halamannya. Mayca Kukucova, 24, ditahan di Nova Bosaca selepas melarikan diri kira-kira 2,000 batu dari lokasi jenayah yang dilakukannya iaitu di Sepanyol. Kukucova menyerah diri di balai polis dan dikatakan memandu dari Sepanyol ke Slovakia dengan menyeberangi lima negara. Pihak berkuasa kini sedang mengatur untuk proses ekstradisi Kukucova ke Sepanyol bagi berdepan dengan proses keadilan. Dia didakwa membunuh Andrew Bush selepas menyelinap masuk ke kediaman lelaki berkenaan. Menurut teman wanita Bush, Maria Korotaeva, 20, suspek tidak dapat menerima hakikat bahawa hubungannya dengan lelaki itu sudah berakhir. “Saya rasa mungkin dia ada sebab tersendiri untuk berbuat demikian, mungkin dia kecewa kerana Bush bersama dengan saya dan kami hidup bahagia. “Mungkin juga kerana terlalu cemburu. Saya rasa bagi dirinya lebih baik Bush bersamanya atau orang lain tidak akan dapat merasakannya,’’ kata Korataeva. Korotaeva berkata, dia mengunjungi kediaman Bush untuk meraikan ulang tahun ke lima bulan mereka bersama apabila lelaki itu ditembak di kepala. Dia yang tidak dapat memasuki rumah itu akibat sistem keselamatan, kemudiannya melihat Kukucova keluar dari rumah berkenaan dengan muka yang dingin. “Dia tenang sahaja dan tidak bergegas melarikan diri. Dia seperti datang ke situ untuk mengambil barang dan rupanya tidak memperlihatkan bahawa dia membunuh Bush,’’ katanya. Korotaeva kemudiannya memanggil bomba untuk memasuki rumah tersebut dan kemudiannya menemui mayat lelaki tersebut.
Bayi Dengan 2 Kepala, Meninggal Dunia
India – Pasangan bayi kembar siam yang dilahirkan dengan dua kepala, akhirnya meninggal dunia tanpa sempat menatap wajah ibu tersayang. Apa yang tragiknya, ibu bayi berkenaan, Urmila Sharma, 28, memutuskan untuk tidak melihat bayi itu yang dilahirkan menerusi pembedahan kerana tidak dapat menerima kehadirannya. Selain mempunyai dua kepala, bayi tersebut juga memiliki dua leher, dua tulang bekalang namun hanya mempunyai masing-masing satu jantung, perut dan paru-paru. Menurut bapanya, Subash, 32, berita kematian bayinya itu tidak mengejutkan mereka sekeluarga kerana mereka masih terkejut selepas isterinya melahirkan bayi tersebut. Urmila hanya mengetahui mengenai keadaan bayinya itu ketika bayi itu dilahirkan. Mereka sebelum itu tidak membuat pemeriksaan doktor kerana miskin dan tidak mempunyai wang untuk ke hospital. “Mereka adalah anak istimewa namun Tuhan lebih sayangkan mereka. Malah mereka boleh hidup selama 20 hari juga adalah satu keajaiban,’’ kata Subash. Menurutnya, Urmila tidak dapat menerima hakikat bahawa bayi perempuan itu berkenaan semikian dan menjadi emosi serta sering menangis. “Ia amat menyakitkan bagi isteri saya. Kini bayi itu telah bebas dan saya sendiri mengebumikan mereka,’’ katanya. Dalam pada itu, Dr Shikha Malik yang menyambut kelahiran bayi berkenaan berkenaan apabila salah seorang tidur, seorang lagi bayi akan menangis. Namun bayi berkenaan meninggal dunia selepas jantungnya semakin lemah. “Mereka mengalami masalah pernafasan ketika dilahirkan dan meninggal dunia akibat kegagalan jantung,’’ katanya.
Selfie Pertama Dari Angkasa Lepas
Los Angeles –Instragram akhirnya sampai ke bulan selepas angkasawan Steven Swanson merakamkan selfienya di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) sebelum dimuat naik dalam sosial media itu. Swanson memuatkan naik gambar itu pada Isnin lalu, Ia sekaligus menjadikan beliau sebagai individu pertama di dunia yang melakukannya. Gambar itu dimasukkan dalam akaun rasmi Instragram ISS yang menunjukkan beliau sedang terapung dengan latar belakang beberapa tingkap. Turut kelihatan adalah pemandangan yang menarik. `Back on ISS, life is good,’ adalah mesej yang ditulis oleh Swanson dan beliau dijangka kembali ke bumi pada bulan September ini.
Pertandingan Kereta Tanpa Enjin Paling Pantas
LIMA, Peru – Sebanyak 53 pasukan berentap dalam pertandingan lumba kereta buatan sendiri di sebuah litar yang menuruni sebuah bukit di sini kelmarin. Pada perlumbaan tersebut, setiap pasukan akan membina kereta lumba tanpa enjin. Setiap kereta perlu bergerak sejauh 400 meter. Pemenang pertandingan anjuran Red Bull itu dinilai berdasarkan kepantasan kenderaan setiap pasukan dan reka bentuk kenderaan yang kreatif. – Reuters
Habuan Budak ‘Nakal’ Di China
Beijing – Polis China memutuskan untuk tidak mengambil tindakan terhadap seorang wanita yang memukul anak lelakinya dengan penyangkut baju selepas berpuas hati budak terbabit “nakal” kerana tidak menyiapkan kerja rumah. Kecederaan Xiao Bing, 6, dikesan seorang guru di sebuah tadika di Jiangmen di wilayah Guangdong ketika budak terbabit menyalin pakaian untuk menyertai sesi pendidikan sukan. Melihat kecederaan itu, guru terbabit mengambil gambar Xiao menggunakan telefon bimbit dan menyerahkannya kepada polis. Namun, walaupun kecederaan itu dilaporkan kepada pihak berkuasa, ibu Xiao tidak ditahan selepas polis Jiangmen mendapati ia tidak terlalu serius seperti dijangka. Sumber berkata, polis juga sudah menasihati wanita terbabit supaya tidak lagi memukul anaknya terlalu teruk. Katanya, Xiao mendakwa dia dipukul dengan dawai penyangkut baju kerana gagal menyiapkan kerja rumah. “Namun polis mendapati kecederaan itu tidak terlalu serius seperti apa yang dilihat. “Polis beranggapan memadai jika ibu kanak-kanak terbabit diberi amaran supaya tidak mengulangi perbuatan itu,”katanya. Menurut sumber berkenaan, ibu dan bapa Xiao tidak berpuas hati dengan pencapaian akademiknya. Katanya, Xiao juga didakwa nakal dan sering mengabaikan tugasan diberi guru. Justeru, kata sumber itu, ibu bapa Xiao berpendapat anak mereka perlu diajar supaya lebih bertanggungjawab.- Agensi
Bar Di NY Dikecam Namakan Minuman MH370
Amerika Syarikat – Sebuah bar di New York, Mother’s Ruin dikecam hebat kerana tidak sensitif selepas menyediakan hidangan yang dinamakan sempena pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak sebulan lalu. Minuman Flight 370 itu diletakkan dalam senarai minuman keras minggu lalu, tidak lama selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan bahawa pesawat itu berakhir di selatan Lautan Hindi. “Kami menukar minuman setiap hari. Kami menambah satu minuman (Flight 370) ke dalam menu pada setiap Isnin,’’ kata pelayannya. Minuman berharga $13 itu mengandungi campuran gin, lemon dan anggur. Mother’s Ruin dibuka pada 2011 oleh TJ Lynch serta Richard Knapp dan ia popular di kawasan Nolita. Jurucakap bar itu bagaimanapun tidak dapat dihubungi.
Pakar Animasi Dreamworks Hasilkan Video Untuk Anak
TERNYATA kelebihan Daniel Hashimoto sebagai pakar animasi di salah sebuah syarikat produksi terkemuka dunia, Dreamworks tidak hanya tertumpu kepada pembikinan filem semata-mata, sebaliknya dia juga turut menunaikan impian anak lelakinya untuk menjadi ‘adiwira’. Dengan menggunakan kesan khas, Daniel telah menghasilkan beberapa video pendek untuk James, 3. Video-video tersebut diilhamkan dari pelbagai filem terkenal sebelum ini termasuklah Batman, The Matrix dan Kung Fu Panda 2. Hasilnya, hampir setiap video ditonton lebih dari sejuta kali oleh para pelayar laman YouTube dan turut dikongsikan di laman sosial. Apa pun, saksikan kompilasi video tersebut.
VIDEO: Geng Kangkang Curi Minuman Berkarbonat Pula
TEKNIK mencuri ‘celah kangkang’ mungkin boleh disifatkan sebagai kerap terjadi di negara kita pada masa kini. Antara kes-kes yang pernah kita dengar ialah ‘Geng Kangkang Curi Susu’ dan ‘Geng Kangkang Curi Baju’ yang pernah dilaporkan sebelum ini. Terbaru, satu lagi kes curi yang dipercayai dilakukan oleh satu keluarga di sebuah pasaraya, juga menggunakan teknik yang sama. Bezanya ialah pada barang yang dicuri iaitu satu pak minuman berkarbonat. Bagaimanapun, perbuatan mereka itu telah berjaya dirakamkan melalui kamera pengawasan yang terdapat di situ. Saksikan.
142,160 Pelarian Berada Di Malaysia
KUALA LUMPUR – Persidangan Dewan Rakyat hari ini diberitahu sehingga kini terdapat 142,160 pelarian termasuk dari Myanmar, Afghanistan, Iraq, Somalia dan Sri Lanka di negara ini. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata daripada jumlah itu 132,187 orang ialah pelarian Myanmar termasuk 27,289 daripada etnik Rohingya. Pada dasarnya Malaysia tidak mengiktiraf pelarian kerana negara ini tidak terlibat dalam Konvensyen Pelarian 1951 dan menganggap mereka sebagai pendatang tanpa izin, katanya menjawab soalan Datuk Mohd Johari Baharom (BN-Kubang Pasu),’ Bagaimanapun kata Shahidan, Malaysia membenarkan pelarian yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) tinggal sementara di negara ini selain dikecualikan daripada penguatkuasaan undang-undang imigresen. Shahidan berkata pelarian yang memegang kad UNHCR mempunyai keistimewaan termasuk kemudahan mendapatkan rawatan kesihatan di hospital kerajaan, vaksinasi kepada kanak-kanak secara percuma dan kemudahan melanjutkan pelajaran di sektor swasta. “Mereka juga bebas bergerak dan tidak ditahan, tetapi mereka masih terikat dengan undang-undang negara ini,” jelasnya. Menjawab soalan tambahan Nasrudin Hassan Tantawi (PAS-Temerloh), Shahidan berkata Malaysia tidak akan menghantar balik pelarian Rohingya ke negara asal secara paksa. “Sekiranya dia (pelarian) secara sukarela balik ke negara asal mereka, kita benarkan,” katanya. – BERNAMA
1 Juta Meter Padu Air Bersih Kena Curi
KUALA LUMPUR – Penduduk Lembah Klang kehilangan kira-kira 1,290,000 meter padu air bersih sejak 1 Januari hingga 4 April lalu gara-gara aktiviti mencuri air. Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) dalam satu kenyataan ringkas memaklumkan, sebanyak 59 kes curi air dikesan sepanjang tempoh tersebut. “Dari 1 Januari sehingga 4 April 2014, Syabas merekodkan 908 aduan kes curi air dan sebanyak 59 daripadanya kes sahih dan telah mengambil tindakan lanjut. ”Anggaran kehilangan air daripada kes-kes tersebut adalah sebanyak 1,290,000 meter padu,” kata kenyataan itu hari ini. Menurut kenyataan itu, tindakan mencuri bekalan air daripada paip Syabas itu memburuk lagi situasi kekurangan bekalan air bersih pada waktu ini. Ia turut menyumbang kepada masalah gangguan bekalan air semasa pelaksanaan catuan bekalan air dan menjejaskan pengguna.
VIDEO: Pemain Bolasepak Belanda ‘Picit Telur’ Lawan Gara-Gara Perang Mulut!
SEORANG pemain bola sepak liga Belanda dari kelab Roda JC, Guy Ramos telah melakukan provokasi melampau ketika bertegang leher dengan pemain lawannya dari kelab AZ Alkmaar, Aron Johannsson, semalam. Perbuatannya itu difahamkan berlaku ketika mereka sedang berperang mulut di atas padang, sebelum Ramos secara tiba-tiba ‘memicit zakar’ Johannsson. Perbuatan Ramos itu mungkin akan menyebabkan dia berhadapan dengan tindakan daripada persatuan bolasepak negara berkenaan.
VIDEO: Ibu Kejam Pukul, Seret Anak Kecil Di Jalan
Seorang ibu di Dongguan, China dikritik hebat apabila video menunjukkan dirinya memukul dan mengheret anak yang masih kecil tanpa belas kasihan tersebar di internet. Anaknya hanya mampu menangis hingga terkencing malah terbaring di jalanraya yang kotor dan berdebu namun si ibu dilihat lebih sibuk dengan telefon bimbit. Orang awam dan anggota polis yang terkejut melihat perlakuannya cuba menenangkan keadaan namun ibu ini bukan sahaja tidak menerima nasihat malah naik angin. Berikut adalah rakaman lain menunjukkan apa yang diperkatakan wanita ini apabila dinasihati: Selain menghambur maki hamun, dia turut berkeras itu adalah cara dia mendisiplinkan anaknya. Anaknya yang ketakutan melihat orang ramai cuba mendapatkan perlindungan ibunya namun wanita berhati kering ini tergamak meninggalkan anaknya yang mungkin baru pandai berjalan itu semata-mata untuk bercakap di telefon bimbit. Perlakuan kejam wanita ini dikecam masyarakat yang pada sama, turut menyalahkan anggota polis dalam rakaman ini kerana tidak menahan wanita tersebut.
Wanita Tanpa Bra Dan Hanya Pakai G String Mengamuk Di McDonalds
She’s not lovin’ it… Kejadian dipercayai berlaku di Mcdonalds St Petersburg, Florida, Amerika Syarikat. Rakaman adalah dari kemera keselamatan restoran berkenaan. Entah apa la yang dia marah sangat…atau sedang berhalusinasi kot… sehingga pekerja-pekerja lelaki restoran tu pun hanya mampu melihat. Dalam video di bawah, wanita berkenaan selain menghancurkan barangan, turut memakan ais krim dari mesin. Lebih menarik kalau menonton video ini adalah suara gelak ketawa krew Mcdonalds ketika menonton kembali kejadian itu. Memang best pemandangan… kah kah kah
Penganggur Dipenjara Sebulan Kerana Curi Coklat
KUALA LUMPUR – Seorang penganggur dipenjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini Rabu selepas mengaku bersalah terhadap dakwaan mencuri 21 keping coklat, tiga hari lepas. Majistret Nur Azura Murah memerintahkan supaya Ahmad Amsraf Abdullah, 37, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkapan pada 6 April. Dia didakwa mencuri coklat itu yang kesemuanya bernilai RM71.40, di kedai 7-eleven KL Sentral, Brickfields di sini, pada pukul 10 pagi, hari yang sama. Mengikut fakta kes, ketika kejadian pembantu kedai itu melihat tertuduh menyimpan barang curi itu di dalam beg silangnya dan melarikan diri selepas itu tetapi berjaya ditangkap oleh pengawal keselamatan di situ. Ahmad Amsraf didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan. Dia yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon supaya hukuman terhadapnya diringankan kerana tidak mempunyai pekerjaan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Ravindran. – BERNAMA
Lebih 120,000 Rakyat M’sia Muflis Dari 2007-2013
KUALA LUMPUR – Sejumlah 122,169 rakyat Malaysia diisytihar muflis bagi tempoh 2007 hingga tahun lepas berdasarkan rekod Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI). Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata golongan muflis itu meningkat pada setiap tahun sejak 2007 hingga tahun lepas. Sejumlah 33,570 orang atau 26.54 peratus daripada golongan ini diisytihar muflis dalam tempoh berkenaan kerana masalah sewa beli kenderaan. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini. Nancy berkata beliau mensasarkan pengurangan bilangan muflis di negara ini sebagai Petunjuk Prestasi Utamanya (KPI). Kerajaan melalui MDI telah mengadakan beberapa program bagi mengawal peningkatan ini dengan memberi pendedahan dan mewujudkan kesedaran masyarakat mengenai pengurusan kewangan. – BERNAMA
Johnny Depp Bercium Dengan Jimmy Kimmel
Pelakon berkaliber Hollywood Johnny Depp yang bakal muncul dengan filem Transcendence mencetuskan ‘kegilaan’ terbaharu buat peminat yang sentiasa dahagakan perkembangan terbaharu daripadanya. Depp baru-baru ini dijemput menjadi jemputan bagi program bual bicara Jimmy Kimmel Live bagi mempromosikan filem tersebut yang turut dibintangi Morgan Freeman, Kate Mara dan Rebecca Hall. Menerusi rancangan siaran langsung itu, Depp sempat berseloroh dengan Jimmy dengan memakai pelembap bibir sebelum mencium bibir pengacara tersebut pada minit-minat akhir video di bawah ini. Aksi mereka mendapat sorakan gemuruh penonton yang nyata memahami tingkah laku pelik aktor yang popular dengan watak Captain Jack Sparrow itu.
MIHAS 2014 Jangka Catat Jualan RM500 Juta
KUALA LUMPUR – Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS 2014) mengunjurkan jualan RM500 juta tahun ini berbanding RM411 juta tahun lalu. “Sasaran lebih tinggi itu dipacu prospek yang lebih baik ekonomi global, permintaan lebih tinggi untuk produk dan perkhidmatan halal serta lebih banyak gerai disediakan kali ini,” menurut MIHAS 2014 dalam satu kenyataan hari ini. Sebanyak 620 gerai disediakan dan kira-kira 20,000 pengunjung perniagaan tempatan serta asing dijangka mengunjungi acara empat hari yang bermula hari ini. Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia,(MATRADE), Datuk Wong Lai Sum, berkata wujud cabaran besar dalam menarik peserta asing untuk Mihas tahun ini. “Sejak 10 tahun lalu, MIHAS telah membina jenama yang kukuh di dalam dan luar negara dan sebagai pusat penyumberan utama untuk produk dan perkhidmatan halal. “Dengan sokongan kuat kerajaan, sektor swasta, perusahaan kecil dan sederhana serta kerajaan asing, Mihas akan terus berada di depan dalam industri halal,” katanya. Wong berkata, kehadiran delegasi perniagaan dari Persatuan Islam China, Dewan Perniagaan Guangdong, Kongres Wanita Kebangsaan China dan pelbagai pertubuhan lain di MIHAS mencerminkan daya tahan berterusan industri halal di masa depan. “Walaupun wujud pelbagai spekulasi mengenai senario ekonomi Malaysia berikutan tragedi pesawat MH370, Malaysia kekal sebagai tumpuan utama dengan 26 negara termasuk 12 anggota Pertubuhan Kerjasama Islam, menyertai MIHAS 2014,” katanya. Sebagai sebahagian Minggu Halal Sedunia, MIHAS 2014 adalah satu daripada dua acara terpenting di samping Persidangan Halal Sedunia. MIHAS 2014 juga perhimpunan terbesar peserta industri halal global. – BERNAMA
‘Bandar Seks’: Guan Eng Kena Jawab
BUTTERWORTH – Kerajaan Pulau Pinang perlu memberi penjelasan berhubung laporan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa negeri ini ‘bandar seks’ berikutan kononnya terdapat sekurang-kurangnya 200 kawasan panas yang menawarkan perkhidmatan seks. Ketua Pembangkang Pulau Pinang, Datuk Jahara Abdul Hamid berkata, semua pihak terutama rakyat negeri ini mahu Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tampil memberi penjelasan mengenai perkara itu berikutan laporan itu memberi imej buruk kepada Pulau Pinang. “Umno mahu Guan Eng beri penjelasan mengenai perkara itu dan jika beliau enggan berbuat demikian, kami akan bangkitkan pada sidang Dewan Undangan Negeri yang akan bersidang bulan depan. “Laporan itu bukan sahaja memberi imej buruk malah menunjukkan pihak berkuasa tempatan tidak buat kerja mereka kerana saya difahamkan 200 premis yang menawarkan perkhidmatan berkenaan mempunyai lesen dan bagaimana perkara itu boleh terjadi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kembara Kebajikan 1Malaysia Family Care (IMFC), di Dewan Sungai Dua, di sini hari ini. Jahara yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (MPWKM) mengulas dakwaan Jaringan Utara Migran dan Pelarian (Jump) itu. Laporan kajian itu berdasarkan temu bual membabitkan 172 pemandu teksi di negeri ini yang mendakwa pernah membawa penumpang ke kawasan panas berkenaan sekurang-kurangnya sekali. – BERNAMA
Kaji Pekerja Asing Di Resort, Kenapa Sekarang??
KABINET kerajaan Negeri Sabah dalam mesyuarat minggunya pada Rabu, 9 April telah mengambil pendirian untuk mengkaji semula lesen perniagaan semua pengusaha resort di negeri ini yang mengambil pekerja asing tanpa memiliki dokumen yang sah. Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Masidi Manjun berkata, langkah itu termasuk mewajibkan pengusaha resort mengemukakan senarai semua pekerja mereka bersama butiran peribadi masing-masing untuk tapisan keselamatan oleh polis dan Jabatan Imigresen. Agensi berita nasional, Bernama memetik beliau sebagai berkata, pengusaha resort mempunyai masa sebulan, mulai hari ini (9 Apr), untuk berbuat demikian, dengan pengusaha resort di pantai timur dikehendaki mengemukakan senarai pekerja mereka kepada Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), manakala mereka di pantai barat pula, kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar. “Ini (kewajipan mengemukakan senarai pekerja) bukan bermaksud untuk menghukum pengusaha resort, tetapi untuk mendidik mereka supaya mematuhi undang-undang dan tidak mengambil pekerja tanpa izin atau yang tidak memiliki dokumen sewajarnya,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Kabinet negeri di Kota Kinabalu. Persoalannya ialah mengapa baru sekarang – selepas tiga kali insiden penculikan melibatkan pelancong asing berlaku sehingga menjejaskan maruah dan juga nama baik negara ini. Yang terbaru ialah insiden di Pulau Pom-Pom pada 15 November tahun lalu dan kini melibatkan Singamata Resort pada 2 April lalu. Satu-satunya sebab mengapa pelancong asing tetap datang ke pantai timur Sabah kerana perairan dan pulaunya adalah di antara yang tercantik di dunia. Pulau Sipadan misalnya pernah diundi oleh industri pelancongan antarabangsa sebagai salah satu daripada 10 pusat skuba yang tercantik di dunia. Keunikan bunga karang dan hidupan lautnya tiada tandingan. Malah untuk berkunjung ke Pulau Sipadan, seseorang pelancong perlu membuat tempahan 10 bulan lebih awal untuk mendapatkan tempat. Setiap pelancong Jepun yang pernah datang ke Sipadan dan kawasan sekitarnya pasti akan datang semula atau mengesyorkan kepada rakan-rakan atau taulan supaya berkunjung ke situ. Malangnya pulau ini juga pernah menyaksikan para pekerja dan pelancongnya menjadi mangsa penculikan oleh kumpulan yang ada kaitan dengan Abu Sayaf di Filipina pada tahun 2000. Setiap pelancong asing tahu yang mereka mengambil risiko yang besar untuk berkunjung ke timur Sabah. Tetapi mereka tetap datang dengan harapan pihak berkuasa tempatan dan keselamatan mengambil ikhtibar dari insiden sebelum ini. Nampaknya tidak. Maka itu, keputusan yang dibuat oleh kerajaan Sabah untuk bertindak tegas memang wajar dan patut. Yang tidak sepatutnya ialah, mengapa baru sekarang hendak kuatkuasakan undang-undang dan kelihatan tegas. Ia seolah-olah memberi gambaran yang selama ini, pihak berwajib tidak tegas, tidak ambil kisah dan menutup sebelah mata dengan keselamatan serta reputasi negeri dan negara berhubung isu keselamatan ini. Sabah untuk sekian lamanya memberi gambaran kepada umum yang ia adalah sebuah negeri tanpa undang-undang bila berhadapan dengan pendatang dan pekerja asing. Tidak cukup dengan skandal kad pengenalan dan pekerja asing, kini ia dicalarkan dengan insiden penculikan pelancong asing pula – di tahun kita melancarkan kempen ‘Melawat Malaysia’ di serata dunia pulak tu. Insiden pencerobohan oleh bala tentera Sultan Jamalul Kiram di Tawau dan insiden penculikan dan pembunuhan warga Taiwan di Pulau Pom-Pom baru-baru ini seperti tidak memberi sebarang kesan atau pengajaran kepada kita. Masalah ‘tidak apa’ kita kini memakan diri, reputasi dan nama baik kita sendiri. – Mstar.com.my
13 Anak Jati T’ganu Bakal Galas Cabaran Daki Everest
KUALA TERENGGANU – Seramai lapan pendaki utama serta lima pendaki sokongan yang kesemuanya anak jati Terengganu akan menggalas cabaran negara mendaki dan menawan puncak Gunung Everest pada suku kedua 2015. Ekspedisi pendakian oleh Persatuan Kembara Negara (PKN) itu mendapat pembiayaan Kerajaan Terengganu yang bermurah hari menaja perbelanjaan sebanyak RM1 juta. Menteri Besarnya Datuk Seri Ahmad Said berkata ekspedisi pendakian itu akan diketuai oleh Presiden persatuan itu Datuk Khalid Yunus, bekas Timbalan Menteri Penerangan yang dibantu oleh Mohd Rafi Kori selaku ketua jurulatih yang pernah menjejakkan kaki ke bumbung dunia pada Ekspedisi Merdeka de’ Everest 2007. “Kita taja sebahagian daripada kos keseluruhan pendakian dan saya percaya belum ada mana-mana kerajaan negeri yang sanggup menaja kerana sudah pastinya kita ingin dapatkan pencapaian individu kita selain mengharumkan nama negara,” katanya. Kerajaan negeri berharap penganjuran ini akan dapat menggalakkan ramai pendaki dari kalangan rakyat negeri ini mendaki ke puncak Everest, katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan replika cek dan bendera Terengganu sebagai simbolik perasmian ekspedisi “Terengganu De Everest 2015″ kepada Khalid, di sini hari ini. Ahmad berkata ekspedisi melalui Majlis Sukan Negeri Terengganu dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) itu turut mendapat sokongan penuh dari kerajaan pusat. Dijangka ekspedisi pendakian berkenaan akan bermula dari Kathmandu Nepal, pada pertengahan Mac dan dijangka berakhir pada Mei 2015, bergantung pada keadaan dan cuaca sepanjang pendakian dilakukan. Lapan pendaki utama tersebut diketuai oleh seorang guru Mohd Redzauddin Ismail, Mohd Anuar Mohd (tukang masak), Mashelmie Sidik (pengajar Kolej Tati) , Mohd Izzat Ilman Zahari (peniaga), Ahmad Saharudin Abdullah (bekerja sendiri), Mohd Azhari Abdul Wahab (pemandu Klinik Kesihatan), serta dua wanita Nor Asma Fadzila Mansor (kerani) dan Wahida Amalin Masngun (pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM)). Manakala lima pendaki sokongan, Mohd Hanif Mat Rasat (pelajar UiTM), Hisyam Mari Zawawi (pelajar Universiti Putra Malaysia), Tengku Ahmad Sufian Tengku Ibrahim (pembantu tadbir), Ahmad Shaifuddin Ahmad Sharif (pelajar UiTM) dan Fauzi Jaafar (juruteknologi pergigian). Kesemua mereka berumur antara 20 hingga 42 tahun dan datang dari latar belakang berbeza. Sementara itu, Khalid berkata lapan pendaki utama ini akan menjalani latihan ketahanan diri dengan mulai mendaki Gunung Annapurna di Nepal selama 18 hari dan akan bertolak esok. Kesemua pendaki negara ini menerima latihan intensif di dalam mahupun luar negara dalam usaha menawan puncak tertinggi di dunia itu. “Lepas di Annapurna, mereka akan mendaki Gunung Kilimanjaro di Tanzania pada Jun, Gunung Elbrus di Rusia pada Ogos sebelum pulang mendaki ke Gunung Kinabalu pada November ini. Malah mereka akan mendaki satu lagi gunung iaitu Aconcagua di Argentina pada Januari depan,” katanya. Gunung Everest menjadi idaman para pendaki seluruh dunia dimana ia merupakan puncak tertinggi di dunia setinggi 8,848 meter dengan mempunyai dua laluan memanjat, rabung tenggara dari Nepal dan rabung barat laut dari Tibet. – BERNAMA
Sindiket Menyamar Polis Tumpas
JOHOR BAHRU – Polis menumpaskan satu sindiket dengan anggota kumpulan itu menyamar sebagai polis dan melakukan kegiatan samun jalanan dan pecah rumah berikutan tertangkapnya lapan lelaki, minggu lalu. Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, empat lelaki pertama ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Petaling, Kampung Sri Paya, Larkin pada 7.30 malam. “Susulan daripada tangkapan itu, empat lagi rakan mereka ditahan di sebuah rumah Jalan Kebun Teh pada hari yang sama,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. Beliau berkata, mereka yang ditahan berumur antara 27 hingga 48 tahun. Polis merampas pakaian seragam polis dengan tanda pangkat Lans Koperal, sepucuk pistol tiruan dengan kelopak mengandungi tiga biji bebola besi dan sarung pistol dengan tulisan “Police”, sebilah pisau lipat, 14 utas jam tangan pelbagai jenama, 14 telefon bimbit pelbagai jenama, 11 peralatan elektronik dan sebuah motosikal yang dilaporkan dicuri. Beliau percaya dengan tangkapan itu polis dapat menyelesaikan 15 kes samun jalanan, lima kes samun menyamar polis, tiga kes pecah rumah dan satu kes curi kenderaan. – BERNAMA
Budak Maut Dihempap Tiang Gol
Batu Pahat – Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun maut selepas dihempap tiang gol yang tumbang di sebuah padang permainan di Parit Besar di sini, semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 6.20 petang itu, mangsa, Ahmad Ilham Fikri Ahmad Zaki dibawa bapanya ke padang permainan itu bersama dua lagi adik beradiknya untuk beriadah. Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, ketika kejadian mangsa bersama abangnya berusia 10 tahun sedang bermain sementara bapanya membawa adik lelaki mangsa berusia setahun mengelilingi padang menaiki basikal. Menurutnya, dalam tempoh 10 minit selepas itu mangsa dihempap tiang gol yang secara tiba-tiba tumbang tepat mengenai bahagian lehernya menyebabkan pendarahan di kedua-dua telinga dan mangsa tidak sedarkan diri. “Kejadian itu disaksikan abang mangsa yang sedang bermain dengannya sebelum segera memberitahu kepada bapanya yang berada di padang itu juga. “Mangsa kemudiannya terus dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) namun disahkan sudah meninggal dunia,” katanya kepada Harian Metro di sini, sebentar tadi.
11 Jangkitan Virus MERS Di Arab Saudi
JEDDAH – Kerajaan Arab Saudi menyatakan semalam bahawa negara itu mencatat 11 kes jangkitan maut virus Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS) di sini termasuk kakitangan hospital. Agensi berita Saudi Press Agency memetik pihak berkuasa kesihatan di sini sebagai berkata, dua pesakit telah meninggal dunia, enam sembuh manakala tiga lagi masih dirawat. Jabatan kecemasan Hospital Raja Fahd di bandar raya ini ditutup untuk operasi pembersihan kuman selepas seorang pekerja kesihatan didapati dijangkiti virus MERS manakala ujian berikutnya terhadap seorang staf lain turut positif. “Sebahagian pesakit dipindahkan ke beberapa hospital lain sepanjang operasi membunuh kuman itu dilakukan,” kata pihak berkuasa dalam satu kenyataan. Seorang jururawat di Hospital Raja Abdul Aziz didapati positif ujian MERS tetapi tiada jangkitan melibatkan pekerja lain di hospital berkenaan. Pihak berkuasa kesihatan turut memberi jaminan kepada orang ramai bahawa tiada hospital lain di sini mencatat kes MERS . Pihak berkuasa sama turut menafikan berita bahawa dua lagi kematian akibat penyakit itu telah berlaku. Virus MERS muncul di Asia Barat pada tahun 2012 dan berasal daripada keluarga virus penyebab sindrom pernafasan akut teruk (SARS). Penyakit itu boleh menyebabkan batuk, demam dan jangkitan pneumonia. Walaupun jumlah jangkitan MERS di seluruh dunia agak kecil, saintis-saintis dan pegawai kesihatan berada dalam keadaan berjaga-jaga ekoran penyakit itu kini merebak di luar rantau Asia Barat dan menyebabkan kematian lebih 40 peratus penghidapnya. Sejumlah kes telah dilaporkan di Arab Saudi, Qatar, Kuwait, Jordan, Emiriah Arab Bersatu, Oman dan Tunisia selain di beberapa negara Eropah. – Reuters
Buaya Makan Pelet Sayur Di Afrika
Afrika – Buaya haiwan paling digeruni di Afrika, reptilia yang terkenal dengan membaham sebelum menelan mangsanya hidup-hidup. Masalah timbul di ladang buaya Butat Nyanyana di pesisiran pantai Pulau Kariba, Zimbabwe kerana haiwan berkenaan jemu dengan makanan pelet berasaskan sayur-sayuran. Penternak di ladang berkenaan memilih makanan itu kerana harganya yang murah berbanding daging, berprotein bermineral dan bervitamin yang dikatakan dapat meningkatkan kualiti kulit reptilia itu untuk dijadikan beg tangan atau kasut dalam pentas peragaan fesyen di New York, Paris, London atau Milan. “Kami tidak lagi memberi daging kepada buaya di sini,” kata Pengarah Kewangan, Oliver Kanmundimu, pemilik ladang Padenga Holdings. “Kualiti kulit dapat ditingkatkan kerana kami mengukur semua nutrien yang diberikan yang tidak boleh didapati hanya dengan memakan daging,” katanya semalam. Nyanyana yang terletak 400 kilometer ke barat laut Harare menempatkan 50,000 buaya Nil dan satu daripada tiga Ladang Padenga di Kariba. Ia adalah tasik buatan manusia terbesar di Afrika. Syarikat berkenaan mempunyai 164,000 buaya secara keseluruhannya dan memberi makanan palet sayur-sayuran sejak 2006 ketika krisis melanda Zimbabwe hingga menyebabkan daging sukar didapati dan harganya yang terlalu mahal. Pada mulanya, pelet itu mengandungi 50 peratus daging tetapi dikurangkan secara beransur-ansur kepada diet sayur-sayuran keseluruhannya. “Kami berada di satu tahap hingga mengurangkan daging daripada 15 peratus kepada tujuh peratus dan sekarang kepada sifar daging dan ikan,” katanya. Operasi lebih senang, dan buaya berkenaan mendapat segala nutrien daripada makanan seumpama itu. Makanan diberi dua hari sekali, menjadikan buaya itu jinak dan hanya berbaring ketika pekerja menjalankan operasi pembersihan. Buaya berkenaan disembelih ketika berusia 30 bulan dan berukuran 1.5 meter panjang. Kulitnya ketika itu lembut dan mudah dilentur. Tahun lalu, Padenga Harare menjual 42,000 kulit ke Eropah terutama di Perancis. Harga puratanya setiap kulit itu boleh mencapai sehingga (AS550) RM2,277. Sebanyak 90 peratus kulit buaya itu dijadikan beg tangan berkualiti tinggi, kata Kamundi, manakala lebihan kulit dijadikan tali pinggang, kasut dan tali jam bagi beberapa jenama terkenal dalam dunia fesyen.- Agensi
Wanita Ditahan Selepas Adu Kualiti Ganja
Texas – Polis di sini memberkas seorang wanita selepas dia menelefon untuk mengadu mengenai kualiti ganja yang dibelinya daripada pengedar. Polis Lufkin, Sarjan David Casper berkata, Isnin lalu seorang pegawainya pergi ke rumah Evelyn Hamilton, 37, untuk mendengar aduannya mengenai pengedar yang enggan memulangkan wangnya selepas dia membantah kerana dadah yang dijualnya tidak berkualiti. Casper berkata, wanita itu mengeluarkan sedikit ganja daripada colinya selepas pegawai polis itu bertanya mengenainya. Dia ditahan Jumaat lalu atas tuduhan memiliki dadah. Evelyn berkata, dia membelanjakan AS$40 (RM129) Isnin lalu tetapi tidak berpuas hati dengan kualiti ganja yang diperolehnya. – Agensi
Dipenjara: Mengendap, Ceroboh Bilik Wanita
KUANTAN – Seorang lelaki dihukum penjara selama tiga bulan sebagai balasan atas tabiat buruknya yang suka mengendap sehingga berani menceroboh bilik sewa seorang wanita di tingkat 2 sebuah bangunan kedai di Lorong Tun Ismail 11, Seri Dagangan 2 di sini, kelmarin. Tertuduh, Shaari Junit, 46, berasal dari Petaling jaya, Selangor yang dicekup kerana menceroboh bilik wanita berusia 21 tahun bagi tujuan jijiknya itu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan semalam dan dia mengaku bersalah sebelum dijatuhkan hukuman. Tanpa segan silu tertuduh memberitahu mahkamah bahawa dia menceroboh bilik sewa wanita terbabit untuk mengintai wanita berkenaan. Bagaimanapun nasibnya agak malang tengah malam 6 April lalu apabila kehadirannya disedari dan dia berjaya ditahan polis sebelum dihadapkan ke mahkamah itu atas tuduhan mengikut Seksyen 448 Kanun keseksaan kerana menceroboh. Bagi kesalahan tersebut, tertuduh sebelum itu berdepan hukuman penjara sehingga setahun atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya sekali. Pertuduhan dikemukakan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Abdul Halim Hamat di hadapan Majistret Noor Zaihan Mohamed Ali. – Sinar Harian Online
Potong 3 Jari Anak Hanya Kerana Kerja Sekolah
Shanghai – Gila dan sangat kejam. Ia berlaku ke atas seorang budak berusia lapan tahun apabila tiga jarinya telah dipotong oleh ibunya selepas wanita itu bergaduh dengan bapanya. Semuanya kerana Mingmei Sun, 34, marahkan suaminya Tu, 36, yang jarang pulang awal untuk membantu anaknya membuat kerja sekolah, hingga menyebabkan dia yang terpaksa membantu anaknya. Marah dengan tindakan Tu yang masuk ke dalam bilik tidur dan mengunci pintu dari dalam selepas bertengkar, Sun telah menarik anaknya dan memotong tiga jari tangannya dengan pisau pemotong daging. Selepas memotong jari anaknya, dia cuba mencincang tangan anaknya, namun gagal. Jeritan kesakitan budak itu menyebabkan bapanya keluar dari bilik dan terus membawa anaknya ke hospital. Menurut doktor, setibanya di hospital, budak itu meraung kesakitan dan kehilangan banyak darah. “Nasib baik bapanya bertindak pantas dengan membalut tiga jari yang dipotong itu dalam tuala dan ais. “Kepantasan bapanya berfikir membolehkan pembedahan menyambung jarinya dilakukan. Kita perlu melihat dalam beberapa hari lagi keadaan jari yang disambung itu,’’ kata doktor. Ibunya kini ditahan polis.
Remaja Tikam 20 Pelajar Di Amerika Syarikat
SATU kejadian tikaman secara rambang berlaku di Franklin Regional Senior High School di Murrysville, Pennsylvania, Amerika Syarikat semalam sebelum suspek perbuatan itu berjaya ditangkap pembantu pengetua sekolah berkenaan. Seramai 20 orang pelajar dan seorang pengawal keselamatan sekolah itu sama ada telah ditikam atau dikelar dalam serangan itu. Pendakwaraya Daerah Westmoreland John Peck menurut laporan CNN, suspek serangan itu dikenalpasti berusia 16 tahun bernama Alex Hribal. Hribal difahamkan akan didakwa sebagai orang dewasa biarpun umurnya belum pun 18 tahun, dan bakal berdepan tuduhan cubaan membunuh, 21 tuduhan menyerang dengan senjata dan satu tuduhan memiliki senjata dalam kawasan sekolah. “Saya tak pasti sama ada dia menyedari perbuatan yang telah dilakukannya,” kata peguam Hribal, Patrick Thomassey. Thomassey berkata beliau akan melihat kemungkinan untuk memohon agar kes Hribal dipindahkan ke mahkamah juvana untuk dibicarakan. “Kita perlu memastikan bahawa dia faham akan akibat tuduhan berkenaan dan apa yang bakal berlaku. Selain itu, seorang pakar psikiatri akan membuat ujian ke atas mentalnya. Menurut doktor yang merawat enam mangsa tikaman itu berkata, menurut mangsa mereka tidak menyangka pun mereka telah ditikam pada mulanya. “Mereka hanya berasa sakit dan kemudian mereka sedar badan mereka cedera dan berdarah,” kata Dr Timothy VanFleet Ketua Unit Kecemasan di Pusat Perubatan Pittsburgh. Ketika ini, pihak pendakwaraya membantah sebarang jaminan diberikan kepada Hribal dengan mengatakan empat orang kini dalam keadaan kritikal akibat perbuatannya. Hribal kini ditahan tanpa sebarang ikat jamin di Pusat Tahanan Juvana Westmoreland County. Pihak berkuasa masih menyiasat motif serangan sehingga kini tetapi dalam soal siasat ke atas Hribal, dia mengatakan bahawa dia ingin mati.
Warga China Lebih Mudah Dapat Kerja Di Singapura?
MENERUSI akaun Facebook ‘The Real Singapore’, seorang wanita Melayu, Nurul telah meluahkan kekecewaannya selepas lebih setahun menganggur akibat sikap sesetengah majikan di Singapura yang memilih pekerja berdasarkan bangsa. Menerusi ‘screenshot’ yang disertakannya, dia menunjukkan contoh syarat pekerjaan di sebuah pasaraya yang hanya menghendaki wanita berbangsa Cina sahaja untuk bekerja di situ. Luahan Nurul itu disokong oleh beberapa pembaca yang turut mempersoalkan betapa mudahnya pendatang warga China mendapat pekerjaan di negara itu berbanding rakyat sendiri. Jini J Sarojini berkata: “Kalau pendatang China yang tidak tahu berbahasa Inggeris diambil bekerja sebagai pemandu bas dan pelayan di kedai makan, kenapa rakyat Melayu dan India tempatan tidak diberi peluang yang sama?” Manjer Izura pula berkata: “Saya pernah bercakap dengan mereka (majikan) dalam bahasa Mandarin kerana ia merupakan salah satu syarat yang mereka mahu. Akhirnya, mereka berkata yang mereka mahukan pekerja Cina, bukan Melayu.” Berikut antara komen lain yang diterima: Kalau benar ia menjadi amalan para majikan di sana, memang beruntunglah pendatang China berbanding rakyat tempatan Singapura sendiri…
Geng Pecah Rumah Ditahan Di Padang Besar
PADANG BESAR – Dua kumpulan pecah rumah tumpas dengan tertangkapnya sembilan anggota kumpulan itu termasuk seorang pelajar berumur 14 tahun dan seorang wanita berumur 24 tahun. Ketua Polis Daerah Padang Besar, Supt Che Man Md Dros, berkata kedua-dua kumpulan saling bekerjasama dalam menjalankan aktiviti mereka. Beliau berkata, satu kumpulan mempunyai anggota berumur antara 14 hingga 17 tahun manakala satu lagi berumur antara 24 hingga 35 tahun. “Penangkapan mereka setakat ini telah menyelesaikan tujuh kes pecah rumah termasuk tiga kes membabitkan tiga buah tadika di Beseri dekat sini,” katanya pada sidang media di sini hari ini. Che Man berharap dapat menyelesaikan 15 lagi kes pecah rumah yang dilapor di Beseri, Kaki Bukit dan Padang Besar sejak awal tahun ini. Katanya, penahanan dilakukan dalam operasi khas yang lancarkan bulan lalu dengan suspek pertama ditahan pada 2 April dan yang terakhir seorang wanita semalam. Beliau berkata, polis menemui semula barang-barang yang dicuri bernilai lebih RM15,000 antaranya komputer riba, kamera, generator dan peralatan eletrik. Polis juga sedang mencari Yusri Jusoh, 24, yang dikenali sebagai ‘E Dokong’ beralamat terakhir Batu 8, Jalan Kaki Bukit, Kampung Padang Malau, Beseri, bagi membantu siasatan. – BERNAMA
Wanita Iras Angelina Jolie Tikam Lelaki Yang ‘Tak Mampu’ Beri Kepuasan Seks Padanya
Romania – Seorang wanita gila seks dengan wajah seiras pelakon Angelina Jolie telah dikenakan hukuman penjara lima tahun selepas didapati bersalah menikam seorang pemandu teksi. Luminita Perijoc, 31, berbuat demikian kerana lelaki itu, Nicolae Stan, 35, tidak mampu lagi mengadakan hubungan seks kali ketiga berturut-turut dengannya. Hukuman itu bagaimanapun ditangguhkan kerana Perijoc, dikatakan mengambil ubat ketika kejadian tersebut berlaku. Pemandu itu, Stan, memberitahu polis bahawa Perijoc, telah mengacukan pisau kepadanya dengan niat memaksanya melakukan hubungan sekas pada 2012. Dia mendakwa bertemu dengan Perijic ketika menghantar beg wanita itu ke rumahnya di Tulcea. Selepas beberapa jam Stan beredar dari rumahnya, Perijic kemudiannya menghubungi semula Stan untuk memintanya mengambil beberapa botol wain di rumahnya. Ketika lelaki itu masuk ke rumahnya, Perijic didakwa mengacu pisau sepanjang 10 cm dan memaksa lelaki itu menanggalkan baju “Dia memaksa saya melakukan seks dengannya sambil mengacu pisau. Dia tidak pernah puas dan meminta seks berulang kali. “Apabila saya enggan lagi mengikut kemahuannya, dia menikam saya,’’ kata bapa kepada tiga anak itu. Stan memberitahu dia berjaya melepaskan diri selepas mengunci diri dalam bilik tidur dan menghubungi 999 dengan telefon bimbitnya. Polis telah mengesahkan Stan telah dibawa ke hospital dan badannya dipenuhi dengan 12 kesan luka tikaman. “Ia amat teruk. Saya kini seperti selebriti, semua orang bercakap mengenai saya. “Orang ramai bertanya kepada saya kenapa saya menolak wanita itu, tapi mereka tidak merasakan bagaimana saya berdepan dengan perempuan gila yang mengacukan pisau ke muka. “Apabila mereka melihat wanita itu dan kemudian melihat saya, mereka ketawa. Adalah mustahil melakukan seks dengan pisau terhunus di leher, walaupun perempuan itu adalah Ratu Cantik Romania,’’ katanya.
GAMBAR: Pelatih PLKN ‘Kantoi’ Seludup Rokok Dalam Roti
KUALA LUMPUR - Kelicikan seorang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) untuk menyeludup 15 batang rokok dengan menyembunyikannya di dalam tiga biji roti sosej di Sungkai, Perak tidak kesampaian apabila helahnya terlebih dahulu dihidu oleh pihak pengurusan kem. Tindakan remaja berusia 17 tahun itu dikesan ketika jurulatih kem tersebut melakukan pemeriksaan terhadap pelatih Kumpulan 2, Siri 11 yang melapor diri pada Rabu. Difahamkan, ketika melapor diri kepada pihak kem, remaja berkenaan mendakwa roti tersebut merupakan bekalan makanannya jika terasa lapar semasa menjalani latihan. Bagaimanapun, prosedur setiap kem PLKN yang menuntut pemeriksaan terperinci dilakukan berjaya mengesan helah remaja terbabit. Semasa pemeriksaan dilakukan terhadap remaja itu, dia kelihatan tenang dan enggan menyerahkan roti tersebut. Bagaimanapun, seorang daripada jurulatih yang memeriksa roti tersebut menemui lima batang rokok yang dibungkus kemas dengan plastik di dalam setiap biji roti. Kesemua rokok itu kemudiannya dirampas dan pelatih berkemungkinan akan dikenakan hukuman kerana kesalahan menyeludup rokok. Difahamkan, cubaan menyeludup rokok oleh pelatih bukanlah perkara baharu tetapi ia sentiasa dibendung oleh pihak pengurusan kem bagi memastikan objektif mendisiplinkan remaja tercapai. - MSTAR ONLINE
Pesawat Jet Airways ‘Hilang’ 30 Minit
NEW DELHI – Komunikasi antara sebuah pesawat Jet Airways dari India dengan menara kawalan trafik udara hilang selama 30 minit ketika berada di ruang udara Jerman pada bulan lalu selepas juruterbang menanggalkan fon kepala mereka, lapor akhbar semalam. Pesawat itu yang dalam penerbangan dari London, Britain menuju ke Mumbai dilaporkan tidak menjawab panggilan radio dari menara kawalan selama 30 minit ketika terbang di ruang udara Jerman. Kejadian yang berlaku pada 13 Mac lalu menyebabkan pihak berkuasa Jerman membuat aduan kepada India. “Kejadian itu mencetuskan panik di menara kawalan trafik udara Jerman kerana situasi itu menyamai tragedi yang berlaku pada pesawat MH370 milik Penerbangan Malaysia (MAS),” kata seorang pegawai yang dipetik akhbar Indian Express. Pesawat MH370 yang membawa seramai 239 penumpang dan anak kapal itu dipercayai terhempas di Lautan Hindi selepas terputus hubungan dengan menara kawalan pada 8 Mac lalu. Seorang jurucakap Jet Airways berkata, komunikasi itu terputus selepas kru pesawat Boeing 777-300ER terlupa untuk meningkatkan bunyi pembesar suara selepas membuka fon kepala mereka. Tambah jurucakap itu lagi, dua juruterbang pesawat berkenaan digantung selama dua minggu akibat insiden berkenaan. Pihak berkuasa penerbangan awam India juga mengarahkan satu siasatan dijalankan berhubung tindakan juruterbang tersebut. – dpa
Pelajar Bawa Peluru Meriam Dalam Pesawat
CHICAGO – Lapangan Terbang Antarabangsa O’Hare di sini gempar selepas dua pelajar sekolah menyeludup dua peluru meriam ketika dalam penerbangan dari London, Britain ke Chicago, lapor akhbar Daily Mail semalam. Pelajar sekolah menengah tersebut yang baru pulang dari lawatan sekolah di Eropah dikatakan membawa pulang dua peluru meriam era Perang Dunia Pertama itu sebagai cenderahati. Peluru meriam itu dikesan dalam satu bagasi milik dua pelajar berusia 16 dan 17 tahun selepas pesawat United Airlines yang dinaiki mereka dari London mendarat di Chicago pada Isnin lalu. Pihak keselamatan lapangan terbang yang mengesan peluru itu kemudiannya menghubungi unit pemusnah bom dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) untuk tindakan lanjut. Bagaimanapun, siasatan pakar mendapati peluru tersebut sudah dimatikan dan tidak berbahaya. Pelajar itu memberitahu pihak berkuasa, peluru itu dijumpai di satu lokasi berhampiran sebuah muzium di Perancis sebelum dibawa pulang sebagai cenderahati. Selepas soal-siasat dua pelajar berkenaan dibebaskan tetapi peluru berkenaan dirampas. Kejadian itu juga mencetuskan persoalan berhubung tahap kawalan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow di London. – Agensi
Wanita Diragut ‘Secara Langsung’
Rio de Janeiro – Seorang wanita Brazil cuba diragut ketika temu bual lintas langsung mengenai kadar jenayah yang semakin meningkat dengan sebuah televisyen di Rio de Janeiro. Wanita itu yang namanya dirahsiakan, mengadu tentang kekurangan polis pada waktu siang apabila seorang pencuri cuba meragut rantai emasnya. Penjenayah itu berjaya memutuskan rantai itu, tetapi gagal melarikannya. Rio terkenal dengan kadar jenayah yang tinggi. Ogos tahun lalu berlaku 406 pembunuhan di bandar berkenaan. Video itu akan digunakan untuk membantu peminat bola sepak yang datang melancong di bandar itu pada musim panas bagi perlawanan Piala Dunia. Baru-baru ini, tentera bersenjata dengan bantuan pasukan helikopter menyerbu satu kawasan jenayah di Rio dalam usaha membersihkan kawasan itu dari kadar jenayah menjelang kejohanan bola sepak itu. – AP
Tak Bersalah Selepas 25 Tahun Dalam Jel
New York – Seorang lelaki yang menghabiskan masa hampir 25 tahun di dalam penjara kerana dituduh membunuh dibebaskan semalam selepas hakim mendapati dia bercuti di Florida ketika kejadian. Jonathan Fleming, 51, dibebaskan selepas pejabat pendakwa raya di Mahkamah Tinggi Brooklyn menggugurkan semua pertuduhan yang dikenakan ke atasnya. “Dia sangat gembira kerana hari yang ditunggu akhirnya tiba, namun kecewa kerana terpaksa meringkuk di dalam penjara selama 25 tahun atas kesalahan yang tidak dilakukannya,” kata peguam bela Taylor Koss. Sepanjang perbicaraannya atas pertuduhan menembak mati rakannya, Darryl Rush pada 1989 di Brooklyn, Fleming mengekalkan akuan tidak bersalah. Peguamnya berkata, pihak pendakwa terburu-buru mensabitkan lelaki itu dan tidak mengendahkan bahan bukti seperti bil telefon, gambar, resit hotel dan beberapa bukti lain yang menunjukkan lokasinya ketika kejadian. Ketika perbicaraan, seorang saksi memberi keterangan yang dia melihat Fleming berada di tempat kejadian, namun mengaku tersilap pandang beberapa minggu kemudian, kata peguam bela lelaki itu. Fleming didapati bersalah pada 1990 dan dijatuhkan hukuman penjara 25 tahun. Selepas sekian lama merayu dan kes itu disemak semula, pendakwa raya, Ken Thompson berkata, bukti yang dikemukakan membebaskan Fleming daripada tuduhan itu. – Reuters
Jangan Hina Isteri Saya Kerana Tudung Fareeda
PETALING JAYA – Pelakon Fizo Omar kecewa dengan tohmahan dan hinaan yang dilemparkan segelintir individu terhadap isterinya, Mawar Abdul Karim, 25, gara-gara tidak berpuas hati dengan rekaan tudung Fareeda. Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 29, berkata, sebagai suami dan Ketua Bahagian Pemasaran, Fareeda Global Resources, dia berhak untuk bersuara bagi menjelaskan tuduhan yang boleh menjejaskan imej dan kredibiliti isterinya serta perniagaan mereka. “Aurat itu subjektif, selagi dia menutup kepala, tidak berpakaian seksi dan menjolok mata ia sudah cukup baik bagi saya, dalam Islam sebenar tangan pun tidak boleh terdedah. “Isteri saya menjual tudung… bukan menjual skirt pendek, kenapa perlu hina dia sampai begitu sedangkan kerana perniagaan tudungnya itu, ramai wanita yang sudah berhijrah untuk bertudung,” katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Khamis. Fizo berkata demikian ketika diminta mengulas tohmahan segelintir pihak yang menganggap pernghasilan tudung jenama Fareeda tidak mengikut cara-cara tudung yang dituntut dalam Islam. Mawar merupakan pemilik jenama tudung itu yang diusahakannya bersama keluarga. Tambah Fizo, agak menyedihkan pihak-pihak berkenaan turut mengecam Mawar di semua laman sosial setiap kali dia memuat naik gambar mereka bersama. “Saya tidak boleh tahan marah bila gambar yang saya muat naik bersama Mawar dikomen dengan pelbagai ayat berunsur negatif. “Sehingga ada mengatakan saya menanggung dosa kerana Mawar bertudung begitu, saya tidak faham kenapa ramai yang tidak berpuas hati dengannya,” soal Fizo. Jelas Fizo, jenis tudung yang dipakai oleh Mawar merupakan salah satu daripada lebih 20 jenis rekaan tudung yang dijual di butik Fareeda. “Kalau mereka kata tudung itu terlalu singkat mereka boleh beli jenis yang lain, di Fareeda kita jual pelbagai jenis tudung mengikut saiz yang bersesuaian dengan mereka. “Cuma permintaan tinggi terhadap tudung yang dipakai oleh isteri saya, jadi sebab itu ia lebih komersil berbanding tudung-tudung yang labuh,” katanya. Bagaimanapun, jelas Fizo, isterinya tidak pernah mengambil peduli dengan sebarang tohmahan di laman-laman sosial. Katanya, Mawar lebih banyak menumpukan perhatian terhadap perniagaan berbanding mengambil tahu komen negatif yang tidak mendatangkan keuntungan. “Dia tidak ada Facebook, Twitter dan Instagram. Yang ada sekarang semua saya. Yang jaga (akaun laman sosial) itu juga saya kerana dia tidak ada masa. “Saya sangat kagum dengan usaha gigih isteri saya kerana dia berjaya menjadikan jenama Fareeda sehingga terkenal di Malaysia,” katanya. Dalam pada itu Fizo juga tidak menolak kebanyakan individu memberi komen negatif kerana berasa cemburu dengan kejayaan mereka dalam perniagaan yang semakin berkembang itu. - mStar Online
Wanita Baling Kasut Ke Arah Hillary Clinton
LOS ANGELES Seorang wanita menyerbu melepasi kawalan keselamatan dan membaling kasut ke arah Hillary Clinton di Las Vegas tetapi tersasar dan bekas Wanita Pertama Amerika Syarikat itu berseloroh mengenai kejadian itu. Wanita itu bertindak sedemikian ketika Clinton berucap pada pertemuan Industri Kitar Semula Sisa Pepejal (ISRI). Clinton yang dikatakan bakal calon Demokrat untuk pilihan raya president 2016, mengelak ketika kasut itu melayang pada paras kepala di sebelah kiri beliau. “Apakah itu, kelawar?…Apakah ada orang melempar sesuatu kepada saya?” kata Clinton pada mulanya. Selepas kembali tenang beliau menambah: “Apakah ini sebahagian daripada Cirque du Soleil?” — merujuk persembahan tarian akrobatik di Begas. “Saya tidak tahu pengurusan sisa pepejal begitu kontroversi. Nasib baik beliau tidak pandai bermain bola lisut seperti saya,” katanya menyebabkan hadirin ketawa. Wanita berambut perang itu segera diiring keluar dari dewan dan ditahan. – AFP
Krisis Air: Masalah Terburuk Berbanding 1998
SHAH ALAM – Krisis air di Lembah Klang bakal menjadi yang terburuk dalam sejarah apabila dua empangan terbesar kini hanya mampu membekalkan air untuk 80 hari sahaja lagi. Empangan Sungai Selangor dan Empangan Klang Gate masing-masing kini hanya mempunyai bekalan yang minimum sebelum parasnya berada pada tahap kritikal. Krisis air di negara ini yang paling buruk pernah direkodkan ialah pada tahun 1998 apabila 4.2 juta orang terpaksa berkongsi 2,553 juta liter sehari, susut 105 JLH. Bagaimanapun kali ini, keperluan untuk 7.1 juta pengguna iaitu 4,900 juta liter sehari terpaksa dikeceilkan kepada 4,367 juta liter sehari, susut 533 juta liter sehari. Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (Luas), Md Khairi Selamat berkata, Empangan Sungai Selangor hanya mampu membekalkan air selama 71 hari manakala Empangan Klang Gate akan dapat bertahan untuk 88 hari. “Jumlah tersebut merupakan hasil anggaran yang telah dilakukan iaitu 1,000 juta liter sehari bagi keluaran di Empangan Sungai Selangor dan 100 juta liter sehari di Empangan Klang Gate. “Setakat ini, kita perlukan 200mm hujan untuk Empangan Sungai Selangor supaya paras air berada pada tahap 55 peratus berbanding 37.38 peratus ketika ini,” katanya. Pada 1998, 1.8 juta penduduk di Selangor dan Kuala Lumpur terpaksa menghadapi catuan air selama enam bulan bermula Mac hingga September akibat fenomena El Nino. Namun bagi tahun ini, catuan air bermula di Selangor pada awal Mac menerusi empat fasa yang akan berakhir pada 30 April ini. Empangan Sungai Selangor berada pada tahap kritikal dengan bekalan air hanya tinggal 69 juta Mm3 manakala Empangan Klang Gate 4.7 Mm3. Md Khairi memberitahu, hujan dijangka turun bermula awal bulan depan dan ia diharap dapat membantu menambahkan bekalan air di empangan. Di Shah Alam, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menganggap catuan air merupakan keadah terbaik dalam memberi pengajaran kepada rakyat enggunakan air secara berfaedah. “Keputusan catuan air selama setiap dua hari itu diputuskan oleh kumplan pakar dalam industri air,” katanya. – mStar Online
CABUL: Pakar Motivasi Minta Direhatkan Daripada Tugas
Pensyarah yang juga bergelar pakar motivasi terkenal telah meminta pihak pengurusan institut pengajian tinggi tempatnya mengajar untuk merehatkannya dari tugasan buat sementara waktu. Tindakan tersebut dipercayai diambil oleh pensyarah berkenaan di atas dakwaan salah laku meraba seorang pelajarnya, baru-baru ini. Menurut Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis, Prof Datuk Dr Ahmad Redzuan Abd Rahman, pihaknya terus bertindak memanggil pensyarah terbabit demi menjaga reputasi universiti tersebut. “Sebagai ketua, saya bertindak memanggil pensyarah berkenaan untuk berbincang sebelum beliau meminta untuk bercuti bagi menenangkan diri sehingga kes selesai. “Malah, pelajar yang membuat laporan polis berkenaan juga kini sedang bercuti semester di kampungnya,” katanya memetik laporan Harian Metro. Perkara ini tersebar di laman-laman sosial apabila seorang pelajar perempuan mendakwa dirinya diraba di bahagian kaki dan payu dara oleh pensyarahnya ketika sedang menelaah pelajaran di bilik pejabat pensyarah tersebut. Salinan laporan polis yang dibuat pelajar berusia 20 tahun itu juga sudah tersebar secara meluas sehingga boleh dilihat oleh masyarakat umum.
PENCULIKAN SEMPORNA: Penculik Minta RM36 Juta Wang Tebusan – Zahid
Penculik menuntut wang tebusan sebanyak P500 juta atau RM36.4 juta untuk membebaskan pelancong China yang diculik dari sebuah resort di Semporna minggu lalu, The Star melaporkan hari ini. Memetik kata Menteri Dalam Negeri Datuk Ahmad Zahid Hamidi, akhbar itu melaporkan Malaysia menghantar satu pasukan untuk berbincang perkembangan terkini dengan “orang tengah” yang terlibat dalam perundingan membebaskan tawanan ini. “Kami menerima nota penculik menuntut P500 juta atau RM36.4 juta wang tebusan. “Kami menghantar satu pasukan untuk berunding dengan mereka yang dinamakan sebagai orang tengah,” kata Ahmad Zahid, sambil menambah tidak ada tuntutan untuk tebusan Filipina. Pada 2 April lepas, pelancong China, Gao Hua Yuan, 29, dan pekerja Filipina Marcy Darawan, 40, diculik dari Singgahmata Reef Resort dekat Semporna oleh tujuh ahli kumpulan bersenjata yang dikaitkan dengan kumpulan militan Abu Sayaf.
Media Russia Lapor Nama Perampas #MH370, ‘Hitch’?
SUSULAN dakwaan sumber yang rapat dengan agensi risikan Russia FSB, sebuah akhbar negara berkenaan menurut satu laporan hari ini mendakwa sumber yang sama juga mengetahui nama perampas itu. Menurut laporan akhbar Russia yang dipetik laman web beforeitsnews.com , perampas yang bertindak ‘melarikan’ pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dikenali dengan nama ‘Hitch’. Menurut akhbar The Moskovsky Kosomolets yang memetik sumber enggan dikenali menyebut sumber itu berkata juruterbang pesawat MH370 tidak bersalah dalam kejadian itu. “Penerbangan MH370 yang hilang pada 8 Mac lepas telah dirampas, kedua-dua juruterbang tidak bersalah dan pesawat dirampas oleh pesawat yang dikenali, kami hanya mengetahui nama pengganas yang memberikan arahan sebagai ‘Hitch’. “Pesawat itu kini berada tidak jauh di Kandahar berdekatan dengan sempadan Pakistan,” dakwa akhbar berkenaan yang dipetik laman web voiceofrussia.com. Menurut laporan itu, sumber berkenaan mendakwa pesawat itu diletakkan di sebuah jalan di pergunungan dan sayapnya rosak, kemungkinan akibat pendaratan yang agak kasar. “Semua penumpang terselamat dan mereka diletakkan di dalam sebuah pondok dengan hampir tiada makanan,” katanya. Sumber yang tidak didedahkan namanya itu berkata beberapa orang ‘pakar’ yang berjumlah 20 orang dari Asia telah ditahan dengan seorang daripada mereka warga Jepun. Ia kemungkinan merujuk kepada para pekerja syarikat elektronik Freescale Semiconductor. Biarpun begitu pendedahan akhbar itu tidak menular ke seluruh dunia mahupun ke Amerika Syarikat. Akhbar itu melaporkan, pihak berkuasa Malaysia membuat pengumuman bahawa pesawat itu telah pun mengakhiri penerbangannya di Lautan Hindi. Sebelum itu, akhbar The Independent pada 16 Mac pernah melaporkan spekulasi berkaitan pesawat berkenaan telah terbang di kawasan yang dikawal oleh militan Taliban. “Pesawat MH370 yang hilang telah diterbangkan tanpa dikesan radar ke kawasan Taliban di sempadan Afghanistan,” menurut laporan The Independent.
MH370: Amerika Syarikat Jawab Teori Diego Garcia
APABILA pelbagai spekulasi berkaitan kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 berlegar-legar dalam kalangan orang ramai, teori mengenai penglibatan Amerika Syarikat (AS) paling popular. Teori itu ialah pesawat MH370 dikawal oleh teknologi drone (alat kawalan jarak jauh berkeupayaan tinggi) oleh AS dan diterbangkan sehingga mendarat di Lapangan Terbang Diego Garcia yang terletak berhampiran Pulau Maldives. Hari ini menurut akhbar Sinar Harian, pihak kedutaan AS di Malaysia tampil menjawab teori berkenaan. Pihak kedutaan AS menafikan sekeras-kerasnya teori yang mengatakan pesawat itu mendarat di pangkalan tentera udara AS di pulau kecil itu. Menurut jurucakapnya, tuduhan itu adalah palsu dan pesawat berkenaan tidak mendarat di situ. “Spekulasi bahawa penumpang MH370, Philip Woods menghantar mesej foto dari Diego Garcia juga tidak benar,” katanya. Menurut beliau, AS turut menolak dakwaan beberapa orang yang menyaksikan pesawat dengan skim warna seakan sama dengan MH370 terbang rendah di ruang udara Maldives pada pagi 8 Mac lepas. ” Tidak ada petunjuk bahawa MH370 terbang di mana-mana berhampiran Maldives atau Diego Garcia,” katanya. Jurucakap itu berkata usaha kerjasama Malaysia dan Australia, tujuh kapal Tentera Laut AS bersama 26 negara lain dilakukan berdasarkan kawasan yang dikenalpasti oleh pakar-pakar Malaysia dan antarabangsa.
GAMBAR: Evo10 PDRM Kejar Evo7 Sampai Terbalik Di MRR2
Tak sia-sia anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dibekalkan dengan kereta peronda polis (MPV) jenis Mitsubishi Evolution-X (Evo-10). Dalam kejadian semalam, anggota polis yang memandu Evo10 telah berjaya memintas sebuah kereta dipandu suspek yang disyaki mempunyai rekod jenayah. Suspek yang menaiki kereta Evo7 pada mulanya cuba melarikan diri dengan memecut laju sebaik dikesan di Taman Connaught menuju ke Taman Bakti, Ampang. Namun usaha itu tidak berjaya dan berakhir apabila kereta tersebut akhirnya terbabas dan terbalik di MRR2. Pemandu lelaki dan tiga penumpang wanita di dalam kereta tersebut kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut. Plat nombor kereta Evo7 yang digunakan suspek turut disahkan palsu.
Video Pelancongan Singapura Ditarik Balik
Badan Pelancongan Singapura (STB) menarik balik video promosi Singapura yang mendapat kritikan negatif daripada penonton yang telah melihat video tersebut. Penonton menyifatkan video itu paling teruk dibikin dalam sejarah pengiklanan kerana ia seolah-olah dirakam oleh amatur selain lakonan kaku kedua-dua pelakonnya. Menurut STB, video itu dirakamkan oleh sebuah syarikat produksi Filipina, ABS-CNB untuk menarik kehadiran penduduk negara tersebut ke Singapura. Namun, selepas menerima kecaman yang sebegitu teruk, STB terus menarik balik video terbabit dari laman Youtube, semalam. Walau bagaimanapun, segalanya sudah terlambat kerana terdapat segelintir pihak yang sudah memuat turun video itu dan berkemungkinan mereka terpaksa berhadapan lagi dengan pelbagai kata-kata yang kurang menyenangkan berhubung video tersebut. Video tersebut berkisarkan pasangan suami isteri dari Filipina yang melawat Singapura dan menikmati keindahan percutian di negara itu. Ia diakhiri dengan si isteri memberitahu suaminya bahawa dia kini sedang hamil.
Labels:
Berita Terkini
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment