Sunday, April 20, 2014

Berita Terkini 20 April 2014

Remaja maut motosikal berlanggar loriFoto
Remaja maut motosikal berlanggar lori
Keadaan lori yang terbabas akibat kemalangan itu menyebabkan pemandunya turut mengalami kecederaan.
TAIPING - Dua remaja lelaki maut selepas terlibat dalam satu kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 7.5 Jalan Taiping- Bagan Serai, di sini, semalam. Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang itu, kedua-dua mangsa adalah penunggang dan pembonceng motosikal. Menurutnya, mangsa Muhammad Fadhli Osman, 19 dan Muhammad Juffri Abdul Wahab, 17, maut di tempat kejadian. “Kemalangan berlaku apabila sebuah lori yang datang dari arah Taiping menghala ke Bagan Serai telah berlanggar dengan sebuah motosikal yang datang dari arah bertentangan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam. Yusuf berkata, sebelum kejadian, lori terbabit dikatakan terlebih dahulu cuba mengelak sebuah motosikal lain yang tidak diketahui nombor pendaftarannya. “Kemalangan tersebut juga mengakibatkan pemandu lori cedera ringan. “Manakala kedua-dua remaja berkenaan maut di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian anggota badan,” katanya. Dalam pada itu, Yusuf berkata, kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. “Kedua-dua mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat. “Sehingga kini siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengetahui punca kemalangan,” katanya.

Guru terlibat kes cabul ditukar
BANDAR BERA - Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) memandang serius kes cabul membabitkan seorang guru lelaki berusia 49 tahun dengan tiga pelajar yang berusia 12 tahun di sebuah sekolah di tanah rancangan Felda, dekat sini. Pegawai PPD, Baharum Samat berkata, guru terbabit dikenakan tindakan pentadbiran dan mulai Selasa depan, dia akan bertugas di tempat lain bagi memastikan emosi pelajar tersebut terjamin. Menurutnya, sejak kejadian itu, pihaknya mengarahkan guru itu bertugas di PPD sebagai langkah keselamatan selain menjaga emosi pelajar agar tidak takut ke sekolah dan kita serius dalam menangani perkara seperti ini,” katanya kepada Sinar Harian. Sementara itu, bagi kes penjaga yang mendakwa cucunya dipaksa menggigit kasut oleh guru semasa sesi pembelajaran pula, beliau memberitahu perkara itu diselesaikan melalui permuafakatan semua pihak iaitu pihak sekolah, Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) dan ibu bapa serta penjaga. Bagaimanapun, katanya, hanya seorang penjaga yang tidak berpuas hati sehingga membuat laporan polis meminta perkara ini diselesaikan dengan cara lain. “Sebenarnya kita sudah siasat perkara ini. Memang benar ada pelajar yang gigit kasut ada ketika itu tetapi bukan atas arahan guru. “Namun, dalam rundingan permuafakatan itu, guru berkenaan sudah melakukan permohonan secara terbuka walaupun tidak pernah mengeluarkan arahan tersebut,” kata beliau. Baharum berkata, selepas ini, perkara itu akan terus diperbincangkan dan diselesaikan PIBG dan sekolah terbabit.

Tiga parah termasuk seorang bayi
Tiga parah termasuk seorang bayi
Kanak-kanak lelaki ini yang cedera di kepala didukung anggota penyelamat.
TEMERLOH - Tiga penumpang termasuk seorang bayi 11 bulan parah apabila sebuah bas ekspres membawa 27 orang dalam perjalanan dari Kuantan ke Kuala Lumpur terlibat dalam kemalangan kira-kira 10 kilometer dari Plaza Tol Temerloh, awal pagi semalam. Kejadian kira-kira jam 1.15 pagi itu, bas berkenaan dikatakan terbalik sebelum terjatuh dan tersangkut dalam longkang di sebelah kiri jalan. Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, berdasarkan siasatan, bas dipercayai terbabas dan melanggar pengadang jalan sebelah tengah lebuh raya. “Akibat pelanggaran ini, bas hilang kawalan dan terbalik sebelum terjatuh ke dalam longkang di bahagian kiri jalan. “Kejadian menyebabkan tiga penumpang parah termasuk seorang bayi dan enam cedera, manakala enam lagi masih dalam pantauan,” katanya. Abdul Aziz berkata, kesemua mangsa dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh termasuk pemandu yang sedang diberi pemantauan akibat luka di bahagian muka. Beliau berkata, kesemua mangsa parah dalam keadaan stabil dan telah sedarkan diri termasuk bayi lelaki yang mengalami kecederaan di bahagian pergelangan tangan. Menurutnya, polis akan melakukan siasatan menyeluruh termasuk ujian air kencing dan ujian darah serta alkohol ke atas pemandu terbabit. “Kawasan kejadian bukanlah kawasan kemalangan dan semasa kejadian kawasan baik meskipun sedikit berkabus. “Siasatan masih giat dilakukan dan kita tidak menolak kemungkinan kejadian berpunca akibat pemandu mengantuk,” katanya. Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ayub Yaakob
Malaysia hab penyeludupan?
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius dakwaan masyarakat dunia mendakwa Malaysia sebagai hab penyeludupan dan perniagaan hidupan liar. Pengarah Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah Bukit Aman, Datuk Wira Ayub Yaakob, berkata, hasil risikan dan maklumat diperoleh dari dalam dan luar negara memang mendapati dakwaan tersebut terhadap Malaysia. “Hidupan liar itu bukan dari dalam negara, tetapi ia merupakan khazanah dari luar negara seperti gading gajah yang diseludup. “Mereka menjadikan Malaysia sebagai transit atau hab penyeludupan hidupan liar untuk mengaut keuntungan serta menjayakan agenda yang tidak baik,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Save The Nature di Maktab PDRM, di sini, semalam. Menurutnya, PDRM tidak mahu perkara sedemikian terus berlaku dalam masa yang sama melindungi khazanah hidupan liar di dalam negara. “Terdapat juga usaha pihak yang tidak bertanggungjawab menyeludup haiwan eksotik seperti Pangolin (Tenggiling) serta hidupan liar lain termasuk flora yang turut sama terancam, kita harus berganding bahu melaksanakan penguatkuasaan bersama demi menjaga flora dan fauna,” katanya. Beliau berkata, PDRM akan berbincang bersama agensi lain dalam usaha melaksanakan penguatkuasaan undang-undang bagi membanteras jenayah alam sekitar daripada berterusan. “Pada peringkat awal, kita menyampaikan penerangan, nasihat, amaran, sebelum tindakan tegas dilaksanakan secara berterusan,” katanya. Seminar dua hari itu bertujuan mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai pencegahan perlakuan jenayah alam semula jadi dan resolusi dalam menangani jenayah alam semula jadi. Sebanyak 10 kertas kerja dibentangkan pada seminar itu antaranya, pengurusan alam sekitar, pembalakan haram, kesedaran alam sekitar dan isu-isu pemuliharaan, perancangan dan pemuliharaan hutan di Semenanjung Malaysia. Pada tahun 2009, Malaysia pernah disenaraikan sebagai antara 10 hab antarabangsa penyeludupan hidupan liar oleh sebuah pertubuhan. Senarai ini adalah melalui kajian dan penyelidikan yang dilaksanakan oleh pertubuhan itu, iaitu melalui faktor lokasi dan keadaan bentuk muka bumi negara ini yang kaya dengan khazanah dan cukup strategik mengundang jenayah sedemikian.

Mekanik maut dalam nahas babit 4 kenderaan
JOHOR BAHRU - Seorang mekanik maut dalam nahas jalan raya yang melibatkan empat kenderaan di Jalan Pantai Permas Jaya hari ini. Dalam kejadian kira-kira 9 pagi itu, Lai Kau Chai, 67, dari Masai maut di tempat kejadian selepas kereta Peugeot yang dipandu mangsa ke arah pusat bandar dirempuh sebuah Toyota Alphard yang terbabas ke laluannya dari arah bertentangan. Terdahulu, sebuah kereta Toyota Vios yang dipandu seorang lelaki berusia 22 tahun dari arah pusat bandar hilang kawalan sebelum melanggar Toyota Aplhard berkenaan di lorong kanan jalan. Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, Toyota Alphard itu turut terlanggar sebuah motosikal jenis Suzuki menyebabkan penunggangnya, seorang lelaki berusia 35 tahun dari Taman Sierra Perdana, Masai cedera parah dan dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI). Pemandu Toyota Alphard berusia 28 tahun serta tiga jurutera warga Jepun yang bekerja di sebuah syarikat di Pasir Gudang berusia lingkungan 40-an dan 60-an mengalami kecederaan ringan dan dirawat di hospital sama. Mayat mangsa dibawa ke HSI manakala pemandu Toyota Vios dibawa ke Hospital Pakar Regency. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama

Abdullah
Tidak salah Pas bawa usul hudud ke Dewan Rakyat
PUTRAJAYA - Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata bukan menjadi satu kesalahan jika kerajaan Pas Kelantan ingin membawa usul rang undang-undang mengenai Hukum Hudud ke Dewan Rakyat. "Pada saya kalau perkara tersebut hendak dibawa ke Parlimen apa salahnya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Cemerlang 2014 Sekolah Sultan Alam Shah di sini hari ini yang turut dihadiri isterinya, Tun Jeanne Abdullah. Menjawab satu soalan sama ada wajarkah hukum hudud dilaksanakan pada peringkat persekutuan, Abdullah berkata : "Biarlah satu demi satu pelaksanaannya". Kerajaan Pas Kelantan melalui anggota Parlimen parti itu dilaporkan akan membawa usul rang undang-undang persendirian (Hukum Hudud) di Dewan Rakyat bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 selewat-lewatnya Disember tahun ini. Di majlis itu, 300 pelajar menerima anugerah dengan anugerah pelajar terbaik keseluruhan disandang Iqbal Danial Sa'id yang mendapat semua A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas. - Bernama

34 GRO asyik layan pelanggan dicekup
34 GRO asyik layan pelanggan dicekup
Sebahagian GRO dan pondan yang ditahan dalam serbuan di Jalan Kuchai Lama.
KUALA LUMPUR – Seramai 34 wanita termasuk tiga pondan warga asing sedang leka melayan pelanggan masing-masing tersentak selepas premis hiburan di Jalan Kuchai lama dekat sini diserbu polis malam, kelmarin. Ketua operasi D7 Bukit Aman, Inspektor Rajendran Yalamalai berkata, turut ditahan seorang wanita dikenali sebagai 'mummy' yang bekerja sebagai juruwang termasuk seorang lelaki tempatan dipercayai pengurus premis berkenaan. “Serbuan hasil risikan selama dua hari termasuk aduan orang awam. Siasatan mendapati seramai 22 wanita warga Thailand, lapan Vietnam dan seorang wanita warga China dipercayai bekerja sebagai GRO, manakala tiga pondan yang ditahan itu pula berasal dari Thailand,” katanya. Beliau berkata, kesemua GRO yang berusia 21 hingga 30 tahun itu dipercayai menyalah guna pas lawatan sosial. “GRO di situ boleh ditempah dengan bayaran RM20 untuk satu selempang sebagai tanda tempahan,” katanya. Menurutnya, premis berkenaan berkonsepkan hiburan terbuka di atas pentas, pelanggan boleh menyanyi bersama GRO tersebut. “Sistem kupon digunakan sebagai cara GRO mengumpul 'point' untuk pendapatan mereka, selain menemani pelanggan lelaki minum, tubuh mereka juga akan dibelai pelanggan berkenaan,” katanya. Kesemua individu yang ditahan itu dibawa ke balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.

Kapten feri pertahan tindakan
Kapten feri pertahan tindakan
Pasukan penyelam masih meneruskan operasi mencari dan menyelamat 273 penumpang yang masih hilang.
JINDO - KOREA SELATAN. Kapten feri Sewol, semalam mempertahankan tindakannya kerana melambatkan pemindahan penumpang sebelum feri tersebut karam, Rabu lalu Lee Joon-Seok berkata dia mengarahkan supaya penumpang tidak berganjak selama lebih 40 minit sebagai langkah keselamatan. "Ketika itu, tiada kapal penyelamat atau bot nelayan yang berada dekat dengan kami untuk memberi bantuan. Saya tidak mahu mengambil risiko kerana ia melibatkan nyawa penumpang," jelasnya kepada AFP. Terdahulu, Lee Joon-Seok dan dua kru feri tersebut diberkas pihak berkuasa selepas mahkamah mengeluarkan waran tangkap. Kesemua mereka didakwa cuai dan gagal untuk memastikan keselamatan penumpang. Kelmarin, Joon-Seok dan dua kru feri tersebut dikecam keluarga penumpang selepas didakwa tidak berada di dek ketika insiden itu berlaku.

Sembilan maut selepas minum oplosan di Jawa Timur
JAKARTA - INDONESIA. Sembilan maut manakala yang lain dimasukkan ke hospital di Jawa Timur selepas minum 'oplosan', sejenis arak buatan tempatan, awal minggu ini. Ketua Polis Malang Adi Deriyan Jayamarta berkata lebih 20 orang menghadiri dua jamuan pada Isnin, yang menyajikan oplosan. Sejumlah 14 orang menghadiri jamuan di Jalan Sumberwaras, Kalirejo manakala sembilan lagi di Kampung Sidodadi, kedua-duanya terletak dalam daerah kecil Lawang di Malang. "Setakat hari ini, sembilan orang maut. Lima mati di Sumberwaras dan empat lagi di Kampung Sidodadi," Adi dipetik oleh akhbar harian tempatan Jakarta Globe, sebagai berkata hari ini. Beliau berkata pengunjung majlis itu dimasukkan ke tiga hospital di Malang iaitu Hospital Besar Dr Saiful Anwar, Hospital Wilayah Lawang dan Hospital Panti Nirmala. "Tiga daripada mereka kritikal dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi," katanya. Adi berkata polis kini menyiasat bahan-bahan yang digunakan untuk menyediakan koktel yang diminum dari 9 pagi hingga 11 malam pada Isnin. Beliau berkata polis tidak dapat menjalankan bedah siasat ke atas beberapa mangsa kerana mayat mereka sudah dikebumi oleh keluarga masing-masing. "Bagi menentukan punca kematian, polis mengambil sampel darah dan air kencing daripada seorang mangsa yang dirawat di Hospital Besar Dr Saiful Anwar di Malang. "Kami mengesyaki mereka mendapat keracunan alkohol namun belum dapat mengesahkan sama ada ia disebabkan oleh metanol atau etanol," katanya. - Bernama

Penumpang wanita hilang ketika feri berlabuh
SINGAPURA - Seorang penumpang wanita warga Singapura dilaporkan hilang ketika sebuah feri yang didaftar di Singapura 'Sindo Empress' berlabuh di Terminal Feri Tanah Merah di sini. Dalam satu kenyataan, Lembaga Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) berkata MPA menerima laporan berhubung insiden itu kira-kira 11 pagi Sabtu. Feri itu berlepas dari Tanjong Pengelih, Malaysia, pada 7.30 pagi. MPA segera memaklumkan kehilangan wanita itu kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim). MPA dan Maritim ketika ini mengadakan operasi mencari dan menyelamat dalam lingkungan perairan masing-masing di panjang laluan yang diikuti feri itu dengan dibantu Polis Pengawal Pantai Singapura. Lima bot masing-masing tiga daripada MPA dan dua daripada PCG turut digerakkan dalam operasi itu. - Bernama

Feri karam, ratusan masih hilang
Feri karam: Jumlah korban meningkat
SEOUL- KOREA SELATAN. Satu lagi mayat ditemui hari ini berhampiran kawasan feri karam, kata pegawai pengawal pantai, lapor agensi berita Xinhua. Mayat wanita yang tidak dikenali itu ditemui pada jam 5.58 petang waktu tempatan selepas satu lagi mayat wanita ditemui pada jam 4.15 petang. Daripada 476 penumpang, 31 telah disahkan mati dan 271 masih hilang. Difahamkan menurut laporan Reuters, feri terbabit membawa 325 pelajar menuju Pulau Jeju sebelum memberikan isyarat kecemasan pada 8.58 pagi waktu tempatan iaitu ketika belayar sekitar 20 kilometer dari Pulau Byeongpoong. Sejurus berita diterima, kapal pengawal pantai, kapal dagang dan beberapa helikopter dikerahkan dalam operasi menyelamat itu.

Kumpulan militan pro-Rusia enggan berundur
Masjid jadi sasaran vandalisme
BAITULMAQDIS - Sebuah masjid di bandar Umm al-Fahm, utara Israel menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab, menurut pihak berkuasa, semalam. Imam Jamil Mahagna memberitahu keseluruhan dinding diconteng dengan grafiti dalam bahasa Ibrani dan pintu masjid berkenaan turut dirosakkan. "Kejadian seperti ini sengaja mahu mencetuskan kekacauan di bandar ini. Saya berharap dalang yang bertanggungjawab dapat dibawa kemuka pengadilan secepat mungkin," katanya kepada AFP. Awal bulan lalu, sekumpulan pelampau Yahudi dipercayai mengelar lebih 40 tayar kereta di timur Baitulmaqdis.

Pemilu
Gagal bentuk parti perikatan Islam
JAKARTA - Pembentukan parti perikatan berteraskan Islam mungkin satu perkara yang sukar. Kenyatan itu dibuat selepas mesyuarat, lewat kelmarin yang turut disertai wakil Parti Kebangkitan Bangsa (PKB), Parti Mandat Negara (PAN), Parti Keadilan Sejahtera (PKS), Parti Persatuan Pembangunan (PPP), Parti Bulan Bintang (PBB) dan beberapa pertubuhan Islam termasuk Majlis Ulama Indonesia (MUI). Difahamkan, mesyuarat itu juga gagal untuk menetapkan sebarang keputusan kerana berbeza pendapat dipetik laporan Jakarta Globe. Dalam satu kenyataan, bekas Timbalan Presiden Jusuf Kala memaklum kan usaha untuk membentuk perikatan Islam bukan satu perkara mudah. Pendapat beliau turut disokong Pengerusi Lembaga Pusat Kepimpinan PKB, Mar wan Jafar yang menyatakan bahawa tidak ada calon tunggal popular yang boleh bersaing dengan calon presiden lain . Sementara itu , PPP tela h menyuarakan hasrat mereka untuk menyertai Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra ) dan menamakan pengerusinya, Prabowo Subianto sebagai calon presiden mereka.

Padah langgar lari
Padah langgar lari
Keadaan kereta dan pagar rumah yang dirempuh di Kampung Tawas, kelmarin.
IPOH - Seorang lelaki bersama rakan wanitanya parah apabila kereta yang mereka naiki hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh pagar sebuah rumah di Kampung Tawas, kira-kira jam 11.30 malam, kelmarin. Pemandu berusia 25 tahun itu, dipercayai panik dan cuba melarikan diri selepas melanggar seorang penunggang motosikal, 50, di laluan sama. Bagaimanapun, kemalangan itu disedari penduduk kampung yang kemudiannya mengejar pemandu kereta terbabit. Menurut sumber, pemandu terbabit memecut kereta dipandu sehingga menyebabkannya hilang kawalan dan merempuh pagar sebuah rumah sebelum terbalik. "Rempuhan itu menyebabkan pemandu terbabit parah pada kepala, manakala rakan wanita, 23, patah kaki kanan. "Mujur penghuni rumah berkenaan tidak cedera," katanya. Difahamkan, pasangan terbabit kemudian dibawa mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta, manakala penunggang motosikal terbabit cuma cedera ringan dan telah membuat laporan berhubung kejadian berkenaan. Difahamkan kenderaan dinaiki pasangan terbabit remuk teruk di bahagian tepi dan hadapan. Manakala pagar besi dan tembok rumah berkenaan turut turut rosak. Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ipoh Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan. Jumlah kerugian dianggarkan melebihi RM30,000, namun siasatan mengenainya masih diteruskan. Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Remaja diliwat, dirogol teman lelaki
SUNGAI BULOH – Seorang remaja berusia 14 tahun terpaksa menempuh detik hitam dirogol teman lelakinya sendiri dalam kejadian di Kampung Paya Jaras dekat sini, minggu lalu. Menurut sumber, mangsa yang sudah tidak bersekolah itu dikatakan keluar dari rumah di Tanjong Karang Selangor tanpa pengetahuan keluarganya. “Mangsa dibawa ke rumah sewa teman lelakinya di Kampung Paya Jaras sebelum dirogol dan diliwat. “Siasatan mendapati mangsa turut dirogol oleh dua lagi lelaki yang merupakan kawan serumah teman lelakinya," katanya. Menurutnya, teman lelaki mangsa kini direman selama seminggu bagi membantu siasatan, manakala dua lagi rakannya diburu. Kes disiasat di bawah Seksyen 376 dan 377 kanun keseksaan kerana merogol dan meliwat.

Gurauan kematian jadi kenyataan
Gurauan kematian jadi kenyataan
Mendiang Michael diusung memasuki van untuk dibawa ke KLIA sebelum dihantar pulang ke kampung halamannya di India.
IPOH - Gurauan mengenai mati bekas Pengerusi DAP, Karpal Singh Ram Singh, 74, bersama pembantu peribadinya, Michael Cornelius Jayakrishnan, 39, di pejabatnya Rabu lalu adalah gurauan terakhir mereka sebelum kedua-duanya maut dalam kemalangan keesokan harinya. Anak tunggal perempuan mendiang Karpal, Sangeet Kaur Deo, berkata, dia mendengar cerita tersebut daripada pekerja bapanya yang kebetulan mendengar gurauan itu. Menurutnya, Michael amat disenangi dan seorang yang periang dan ceria yang suka berjenaka. Sangeet berkata, bapanya sangat rapat dengan Michael dan mereka selalu bergurau di dalam pejabat bersama. “Pada pagi Rabu lalu, bapa saya sempat bergurau dengan Michael, (berbunyi) "tanpa Michael saya akan mati" dan Michael pula membalas, "tanpa bos saya akan mati". “Pada ketika itu, hanya pekerja yang berada di pejabat mendengar gurauan dan melihat mereka dalam keadaan ceria,” katanya yang tidak berada di pejabat pada waktu itu. Anak keempat daripada lima adik beradik itu ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini ketika menuntut mayat Micheal untuk dibawa pulang ke India. Turut kelihatan, anak ketiga Karpal yang turut terbabit dalam kemalangan Khamis lalu, Ramkarpal Singh dan anak bongsunya, Man Karpal Singh. Selain itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang juga hadir memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Michael yang dianggap sangat setia dan jujur terhadap Karpal sepanjang berkhidmat sebagai pembantu peribadi sejak sembilan tahun lalu. Upacara keagamaan turut diadakan selama 20 minit sebelum Michael dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk dibawa pulang ke kampung halamannya di Vellore, Tamil Nadu, India menaiki pesawat MH180 yang berlepas jam 10 malam semalam. Mendiang meninggalkan seorang isteri dan dua anak. Dalam kejadian pagi Khamis lalu, MPV jenis Toyota Alphard hilang kawalan sebelum merempuh belakang sebuah lori dan meragut nyawa Karpal dan Michael. Kemalangan itu, turut menyebabkan pembantu Indonesia, Selfiana Rengga, 26, cedera parah dan kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HRPB, di sini. Kejadian di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara Selatan berlaku, ketika mendiang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang.

Pegawai TUDM ditahan di Texas
Pegawai TUDM ditahan di Texas
Pegawai TUDM yang ditahan disyaki cuba seludup senjata api.
SHAH ALAM – Seorang pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berpangkat mejar ditahan di San Angelo, Texas, Amerika Syarikat kerana disyaki cuba menyeludup senjata api ke Kuala Lumpur. Memetik sebuah portal berita antarabangsa, bigcountryhomepage.com, pegawai TUDM terbabit ditahan sebelum menaiki penerbangan pulang ke Malaysia, kelmarin. Menurut portal sama, penahanan dibuat selepas imbasan ke atas beg dan kotak milik pegawai itu mendapati ada objek meragukan. “Apabila kotak dibuka, pihak berkuasa San Angelo menemui sepucuk pistol kaliber PT- 22, .22 bersama kelopak berisi lapan butir peluru jenis .22 caliber. “Ketika ditemui, senjata itu dilekatkan di antara pembuka botol dan pembuka tin sebelum dibalut dengan pita pelekat,” kata laporan di portal itu. Menurut laporan di portal itu lagi, pegawai TUDM yang sudah menaiki pesawat kemudiannya diiring keluar oleh pihak polis untuk siasatan berhubung penemuan senjata tersebut. “Bagaimanapun, pegawai terbabit memaklumkan dia menyembunyikan senjata itu bagi mengelak dikesan sebaik tiba di Malaysia,” jelas portal itu. Difahamkan, hasil siasatan mendapati pegawai TUDM itu memasuki Amerika Syarikat secara sah sejak 5 Januari lalu untuk menjalani latihan ketenteraan di Pangkalan Tentera Udara Gooffellow, San Angelo. “Pegawai itu hanya berada di pangkalan terbabit sepanjang tempoh tersebut,” kata portal berkenaan. Menurut portal itu, pegawai TUDM itu dipercayai membeli senjata api terbabit ketika menghadiri pertunjukan senjata di Sweetwater. Katanya, dua vendor pertama enggan menjual senjata api kepadanya berikutan dia bukan warganegara, namun vendor ketiga yang ditemui dalam pertunjukan itu bersetuju menjual senjata api itu pada harga AS$200 (RM648). Portal sama melaporkan, pegawai TUDM berkenaan tidak sepatutnya memiliki dan menyembunyikan senjata api dalam beg untuk diseludup masuk ke Malaysia. Menurut portal itu lagi, pegawai TUDM itu kini ditahan di Lubbock, Texas untuk pendakwaan. Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Udara, Tan Sri Rodzali Daud ketika dihubungi Sinar Harian semalam, enggan mengulas lanjut. Beliau berkata, bagaimanapun pihaknya akan mengeluarkan satu kenyataan media dalam tempoh terdekat berhubung perkara itu.

Harta karun milik Kesultanan Islam
Harta karun milik Kesultanan Islam
PULAU NANGKA - Harta karun bernilai berbilion ringgit yang dipercayai tersimpan sejak lebih lima abad lalu di Pulau Nangka, hanya boleh digunakan untuk kebajikan. Itulah yang diberitahu kepada media oleh syarikat yang dipertanggungjawab melakukan kajian serta mencari bukti bergambar mengenai kewujudan harta karun tersebut. Pengarah Urusan syarikat terbabit, Mohammad Foad Khushairy Mohd Said mendakwa, harta tersebut hanya boleh dikeluarkan dengan berbai’ah dan tidak boleh digunakan sesuka hati. “Saya hendak tekankan perkara ini tidak boleh dibuat main-main dan menerusi pengkajian kami secara teknologi dan spiritual, harta Kesultanan Islam Melayu Melaka memang tidak keluar dari bumi dan perairan Melaka termasuk isi kapal Flor De La Mar,” katanya. Semalam, wartawan Sinar Harian, antara yang diberi peluang untuk sekali lagi menjejakkan kaki di pulau yang dikatakan pernah berperanan sebagai markas para Wali Allah. Rombongan tersebut turut disertai Timbalan Exco Kewangan, Tanah, Perancangan Ekonomi Pelaburan dan Perindustrian, Hal Ehwal Agama, Warisan, Pembangunan Belia dan Pelancongan, Datuk Norpipah Abdol; Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Datuk Khamis Abas serta Ketua Jabatan Warisan Negara, Zon Selatan, Johar Kadis. Tidak seperti kunjungan pertama, kali ini kami diberi peluang menyaksikan sendiri kerja-kerja menebuk lubang pintu di samping menyaksikan kesan peninggalan sejarah yang terdapat di Pulau Nangka. Menurut Mohammad Foad Khushairy, kehadiran syarikatnya di Pulau Nangka bermula pada Julai 2012 dan kerja-kerja tersebut akan berakhir pada 30 April ini. Setakat ini, pihaknya begitu yakin akan menemui bukti sebagaimana yang diharapkan mengenai kewujudan harta karun tersebut. Katanya, kerja-kerja penebukan pintu dinding batu sedang giat dijalankan dan dijangka selesai selewat-lewatnya pada 27 April ini. "Berdasarkan laporan geoteknikal dengan alat pengimbas bumi, kami yakin memang terdapat harta karun dan barangan artifak di sini. Lantaran itu, kami terpaksa membuat pintu baharu untuk tembus ke bawah. “Bila kita dapat masuk ke ruang bawah, maka kita akan dapat masuk kesemua bilik yang terdapat di sini,” katanya. Beliau berkata, menerusi imbasan yang dijalankan terdapat 20 bilik di dalam pulau seluas 20 hektar itu yang pernah dibina di zaman kemuncak Islam Kesultanan Melayu Melaka. “Kami terpaksa menambah tenaga kerja. Kalau sebelum ini hanya 23 orang tetapi menjelang Isnin ini meningkat kepada 40. Kebanyakan mereka memang pakar dalam melakukan kerja menebuk bongkah batu. “Kesemua dinding batu terbabit mempunyai ketebalan antara 3.5 hingga lima meter serta mempunyai kedalaman lapan meter dari puncak bukit. Tempat yang kita tebuk semua kita sudah imbas bagi mengenal pasti lorong-lorong yang boleh dimasuki. “Ada pintu, sudah hampir 50 peratus siap manakala pintu kedua hanya 30 peratus sahaja untuk kita masuk ke dalam. Proses dan kaedah yang dilakukan terpaksa mengambil masa sehingga hampir dua tahun kerana perlu dijalankan pelbagai peringkat dan prosedur,” katanya. Beliau berkata, sebelum ini pun sudah banyak pihak yang berjaya masuk dan menembusi pintu berkenaan tetapi tidak boleh membawa harta itu keluar. “Apa yang ada di pulau ini memang penjajah terdahulu sudah tahu baik Belanda, Inggeris dan Jepun, mereka cuba ambil tetapi tidak dapat. “Struktur tembok batu yang dibina ini memang benar-benar kukuh dan kalau di kira sekarang hendak membinanya memang tidak mampu. “Jadi sebagaimana orang dahulu bersusah payah dan sebagaimana mereka mempertahankan bumi Melaka daripada penjajah, kita hari pun kena macam itu,” katanya. Selain itu, beberapa simbol unik turut ditemui sepanjang penjelajahan kami di sebahagian pulau berkenaan. Selain ukiran bulan sabit serta peta Pulau Nangka yang pernah dipaparkan sebelum ini, semalam kami telah menemui beberapa lagi tanda dan simbol antaranya batu berbentuk piramid dan batu berkenaan sama seperti yang terdapat di Pulau Serimbun terletak bersebelahan Pulau Besar. “Di antara simbol lain yang ditemui adalah ukiran batu seperti orang Islam sedang solat iaitu melakukan duduk antara dua sujud, batu berbentuk ulas nangka. “Simbol bulan sabit yang ditemui juga tertera kalimah “Muhammad Bin Abdullah” serta “Al-Mahdi”,” dakwanya. Secara kesimpulannya, selain isu harta karun yang semakin memuncak heboh diperkatakan, Pulau Nangka sebenarnya adalah satu lagi lambang perkembangan syiar Islam di rantau ini dan ia pernah menjadi markas para wali termasuk beberapa Wali Songo. Para pengkaji benar-benar yakin, harta berkenaan hanya boleh dikeluarkan oleh mereka yang berhak dan tidak boleh digunakan untuk tujuan sembarangan. Sekiranya ada niat lain, pasti akan menerima musibah.



Uqasha Senrose Lupa Pakai Bra Sehingga Nampak Puting?
Ingatkan selebriti Hollywood sahaja yang berani tampil berfesyen tanpa memakai bra, namun tak disangka-sangka aktres muda, Uqasha Senrose, 22, turut mempunyai minat yang sama. Tak tahulah pulak kalau Uqasha memang lupa nak pakai bra ke kan. Menerusi gaun berwarna merah jambu yang dipakainya ketika menghadiri sebuah majlis baru-baru ini, sesuatu terjojol kelihatan pada tubuh pelakon tersebut. Namun, dari pemerhatian penulis, itu juga mungkin merupakan lipatan ataupun jahitan di bahagian baju tersebut, cuma kebetulannya terletak di situ, sekali gus menimbulkan tanggapan nakal pada sesetengah peminat yang melihat penampilan Uqasha ini.-


Gambar Selebriti Tak Pakai Bra Di Red Carpet
Tak tahulah sememangnya menjadi trend ataupun memang selebriti Hollywood ni tidak gemar memakai bra. Ataupun memang mereka sengaja nak menarik perhatian para jurugambar mahupun paparazzi ketika menghadiri sesebuah majlis keraian di sana. Diperhatikan kebanyakan selebriti wanita ini tanpa segan silu menayangkan diri mereka yang tidak memakai pakaian dalam yang sepatutnya dipakai untuk menyokong aset wanita-wanita tersebut. Kalau mereka rasakan ini satu trend yang cool, takkot, rasanya ini lebih kepada jadi ‘fashion victim’ atau pun ‘fashion disaster’. Apa kata anda?

Remaja perempuan maut disimbah asid , info, berita, terkini, sabah,
Gadis Mati Menggelupur Disimbah Asid Di Sabah
Penampang – Seorang remaja perempuan berusia 19 tahun maut selepas dipercayai disimbah asid oleh seorang lelaki bertopeng di sebuah restoran di Towering, Jalan Penampang, di sini, kira-kira 4.30 pagi tadi. Difahamkan, mangsa bersama dua rakannya sedang memesan makanan di sebuah restoran apabila tiba-tiba seorang lelaki yang memakai topeng terus menyimbah cecair dipercayai asid ke muka mangsa. Mangsa yang menggelupur kesakitan dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) oleh dua rakannya dan disahkan meninggal dunia ketika dalam rawatan pada 11.20 pagi tadi. Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Ratan Kumar Singh ketika dihubungi, mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut masih dijalankan. Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh. - myMetro Online


Sakit Kemaluan, Gadis Mengaku Dirogol
(Petikan: KualaLumpurPost) KUCHING – Seorang gadis mengaku dirogol lelaki yang baharu dikenalinya sejak sem­inggu lalu selepas mengalami kesakitan pada alat sulitnya. Difahamkan, mangsa yang baharu berusia 15 tahun dan berasal dari Petra Jaya mengadu perkara tersebut kepada guru kaunseling di sekolahnya ekoran tidak ta­han dengan kesakitan yang dialaminya. Menurut sumber, mangsa mengaku telah dirogol oleh seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai Amirzul dipercayai berusia 19 tahun melalui seorang daripada rakannya. “Lelaki (suspek) telah men­gambil mangsa di rumahnya sekitar jam 4.30 petang Rabu lepas dengan menaiki sebuah motosikal. “Mangsa kemudian dibawa oleh lelaki terbabit ke dalam hutan berdekatan dan me­maksa mangsa melakukan hubungan seks dengannya sebelum dihantar pulang se­lepas itu,” katanya. Keluarga mangsa pada mulanya tidak mengetahui in­siden tersebut kerana mangsa takut untuk menceritakannya sehingga diberitahu oleh guru kaunseling iaitu sehari selepas kejadian. Mangsa kemudian dibawa ke balai polis berhampiran untuk melaporkan mengenai perkara tersebut. Ketua Polis daerah Kuch­ing ACP Roslan Bek Ahmad semasa dihubungi menge­sahkan ada menerima lapo­ran berhubung kejadian dan memberitahu pihaknya masih menjalankan siasatan. “Mangsa telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk menjalani pemeriksaan sementara sia­satan polis masih diteruskan,” katanya, lapor Utusan Borneo.


Gambar Najib Selfie Dengan PM Turki
Jika sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah bergambar selfie dengan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan terbaharu, Najib turut menambah koleksi gambar selfie apabila sempat bergambar dengan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan. Kedua-dua tokoh politik itu sempat bergambar ketika menyambut kedatangan Najib di Ankara, semalam. Dalam lawatan kerja dua hari di situ, Najib sempat menghadiri majlis meletakkan kalungan bunga di Makam Anitkabir yang mana majlis ini memberi penghormatan kepada Mustafa Kamal Ataturk, pengasas Turki moden.


Tempoh 48 Jam Akan Datang Kritikal – Hishammuddin
KUALA LUMPUR – Tempoh 48 jam akan datang akan menjadi saat paling kritikal dalam misi mencari pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 dengan kawasan pencarian dikecilkan, kata pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. “Ia berdasarkan pemahaman saya bahawa usaha mencari memasuki fasa kritikal dalam tempoh 48 jam akan datang. “Apa saja yang berlaku dalam tempoh itu, kami kemudiannya akan berkumpul semula dan berbincang mengenai langkah seterusnya,” katanya pada sidang media di Hotel Royale Chulan di sini, Sabtu. Hishammuddin turut menafikan laporan media bahawa pengimbasan seluruh kawasan pencarian akan mengambil masa antara enam minggu dan dua bulan. “Itu tidak benar. Ia seharusnya diselesaikan minggu depan,” katanya. Beberapa pegawai Australia yang memantau operasi tersebut berkata, pencarian di dasar laut untuk mengesan kotak hitam berdasarkan isyarat dikesan oleh alat pengesan pinger akan diselesaikan dalam tempoh lima hingga tujuh hari. - mStar Online


Epic Fail Betul La… Kamarul Zainuddin Buat Silap Lagi Pasal Karpal Singh Dan Karam Singh
Menyedari kesilapan itu apabila ia viral di media sosial… Kamarul cuba memperbetulkan keadaan. Namun,…hendak dijadikan cerita… dalam pembetulan tu pun ada kesilapan jugak… maka lawak tidak sengaja beliau terus berpanjangan di media sosial. Kali ini, Karam Singh jadi Kalam Singh pulak… mungkin Kamarul nak cepat jadi dia tersilap taip… tapi bila dan berturut dengan kejadian sebelum tu… kesilapan ini pun jadi bahan ketawa jugaklah kan…. Cuba tengok salah satu poster lawak yang ditemui berkenaan kesilapan kali kedua Kamarul… kena smash lagi. Kejadian Kamarul ini mengingatkan zaman jadi wartawan dulu… kalau dah buat silap dalam penerbitan berita… kita buat pembetulan yang dipanggil ralat… Pantang dunia kewartawanan ialah jangan ada kesilapan dalam pembetulan… jangan nanti kena buat ralat berkaitan ralat… Kes Kamarul ni samalah…mula dia tersilap antara Karpal dan Karam (ralat)…lepas tu nak betulkan balik Karam jadi Kalam (dah ralat dalam ralat pulak). Apa pun… terima kasih la kepada lawak-lawak spontan Kamarul… best gak gelak sorang-sorang cam orang gila ni kekadang.


Adi Putra Cipta 264 Formula Matematik
Tanjung Malim: Biarpun tidak pernah mendapat pendidikan formal di mana-mana pusat pendidikan di negara ini, budak pintar matematik Adi Putra Abd Ghani, 15, mampu berkongsi pelbagai bidang ilmu terutamanya matematik dengan pelbagai lapisan masyarakat antaranya pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) serta kakitangan agensi kerajaan. Adi Putra berkata, dia sudah mencipta 264 formula matematik membabitkan pelbagai cabang ilmu termasuk menghasilkan buku penyelesaian matematik yang diterbitkan beberapa tahun lalu. Menurutnya, ini bukan bidang matematik baru, namun pendekatan saja yang berbeza dan kebanyakan formula yang diciptanya adalah berasaskan daripada al-Quran serta Islam seperti berdasarkan hukum tajwid termasuk mengaitkan formula dengan kejadian alam, namun ia ditukar kepada sistem pengiraan matematik. Adi Putra yang pernah menarik perhatian ramai berikutan kepintarannya dalam menyelesaikan permasalahan matematik pernah mendapat perhatian umum kira-kira enam tahun lalu sebelum kelibatnya seolah-olah ‘hilang’ daripada pandangan masyarakat. Dia yang kini sudah menginjak usia remaja berkata, dia tidak pernah ‘hilang’ atau membawa diri tetapi masih meneruskan usahanya dalam berkongsi ilmu matematik dengan pihak lain tidak mengira platform atau pentas. “Saya tidak pernah hilang, sebaliknya masih meneruskan usaha untuk menyebarkan ilmu pengetahuan yang saya ada untuk semua pihak. Saya juga sering mengadakan bengkel di sekolah serta IPT berkaitan dengan ilmu matematik. - Harian Metro


Sekuriti Paling Kacak Dan Menawan Di Dunia Yang Bekerja Di Stesen Tren
Di bawah adalah beberapa gambar seorang pengawal keselamatan yang bekerja di stesen tren bawah tanah. Memiliki wajah yang kacak, baru berusia 22 tahun dan bekerja di stesen tren bawah tanah di Sao Paulo, Brazil. Guilherme Leao adalah seorang jejaka yang mesra dan ‘mudah didekati’ menyebabkan dia menjadi perhatian para pengguna stesen tren tersebut, popularitinya mula terserlah apabila beberapa gambarnya tersebar di media sosial. Dengan bertubuh maskulin tatkala mengenakan uniform, di samping wajah yang kacak pasti akan ada sesiapa saja yang akan tertarik untuk memerhatinya setiap hari terutama oleh pengguna wanita.


Presiden FAM: Sultan Pahang Dicabar Putera Sendiri Dan Tunku Ismail
Kelana Jaya – Tiga calon sah bertanding untuk merebut jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada kongres, 25 Mei ini. Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah akan dicabar Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim. Demikian diberitahu Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM di Wisma FAM, di sini sebentar tadi. Sementara itu, tiga calon juga akan bertanding untuk merebut dua kerusi timbalan presiden iaitu dua Naib Presiden FAM ketika ini, Datuk Seri Subahan Kamal dan Datuk Seri Afandi Hamzah serta Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Mokhtar Ahmad. Dalam pada itu, lapan calon akan bertanding merebut empat jawatan naib presiden, 22 calon bertanding merebut lapan jawatan exco lelaki dan sembilan calon merebut dua jawatan exco wanita. – BH Online


Selfie Menyebabkan Penyebaran Kutu Kepala – Pakar
Berfikir dua kali sebelum mengambil gambar selfie bersama rakan… kerana mendekatkan kepala dengan rakan anda mungkin membawa kepada penyebaran kutu! “Saya melihat peningkatan yang banyak dalam penyebaran kutu kepala di kalangan remaja dalam tahun ini, umumnya dahulu saya merawat ramai kanak-kanak kerana mereka memiliki risko head-to-head contact yang tinggi, namun sekarang remaja mendekatkan kepala masing-masing untuk mengambil gambar menggunakan telefon bimbit,” kata Marcy McQuillan dari syarikat Nitless Noggins. Syarikat berkenaan menyediakan perkhidmatan pengawalan dan pembuangan kutu. Vanessa Mor dari Pusat Kawalan Kutu Oakland turut mengesahkan peningkatan kes kutu di kalangan remaja dan individu dewasa. Beliau bagaimanapun tidak menyalahkan selfie tetapi pada masa yang sama tidak pula menolak kemungkinan peningkatan berkenaan berpunca daripada tingkah laku sosial yang demikian. “Ia memang benar-benar masuk akal. Untuk dijangkiti kutu, anda perlu mempunyai hubungan yang terus seperti menggunakan tuala yang sama, berkongsi headphones atau menggunakan alat pengkerinting rambut milik orang lain atau berkongsi topi, baju dan skaf,” kata Mor. Namun, tidak semua menerima dakwaan demikian. Malah seorang pakar berpendapat peningkatan jangkitan kutu kepala ada kaitan dengan ‘sesuatu pihak cuba menjual sesuatu barang’. “Bebila ada salon tak guna yang membuka cawangan baru, pasti akan ada epidemik, ia bagus untuk perniagaan,” kata Dr Richard J. Pollack dari Sekolah Kesihatan UMUM Harvard kepada NBC News. Pollack yang menjalankan perkhidmatan petunjuk dan pengenalan serangga – IdentifyUS berkata, beliau tidak melihat sebarang bukti penyebaran kutu di kalangan remaja yang gemar mengambil gambar selfie atau mana-mana kumpulan remaja yang lain. “Remaja hampir tidak ada kutu,” katanya. Bagaimanapun, Pusat Kawalan Penyakit (CDC) di Amerika Syarikat mempunyai beberapa tip berkaitan mengekang penyebaran kutu… yang pertama sekali ialah elakan mengelakan head-to-head contact semasa bermain atau sebarang aktiviti lain. Jadi, mengelakkan selfie dengan rakan lain mungkin satu pilihan yang bijak.


Uthaya Sankar SB Menulis Bahawa Kaum Melayu Tidak Wujud
**Sebelum apa-apa… penulis nak bagi pandangan sikit… Uthya dalam rencana di bawah antara komponen utama penulisan beliau adalah berpaksikan kepada pandangan dirinya bahawa kaum India ada negara asal usul iaitu India dan dan kaum Cina ada negara China, namun tidak ada negara nama Melayu. Mintak maaf la Uthaya yea… selama ni saya pandang tinggi kepada anda… tapi saya tak sangka anda sebodoh ini…. bumi yang anda pijak sekarang ini asalnya dikenali sebagai Tanah Melayu…jadi mana pula timbul isu tidak ada negara nama Melayu? Cuma terlebih baik hati atau kebodohan bangsa Melayu… ia diubah kepada Malaysia sebagai tanda menerima kehadiran kaum Cina dan India di dalam negara ini. Asas perdebatan anda salah 100 peratus… menjadi rencana anda gagal juga 100 peratus. – Oleh AK-47. (Petikan: Projek Dialog) Dilema Melayu, Cina, India Kebanyakan rakyat Malaysia yang berfikiran rasional akan mengalami dilema dan rasa serba salah apabila berdepan dengan istilah-istilah yang mengelirukan seperti “keturunan”, “kaum”, “etnik”, “ras” dan “bangsa” pada borang rasmi. Untuk berlaku adil, orang Melayu biasanya “terlepas” daripada masalah ini kerana mereka selalu memberikan jawapan “Melayu” bagi kesemua kategori di atas. Di sisi yang lain, orang Punjabi berdepan masalah kerana orang lain biasanya keliru antara “Punjabi” dan “Sikh”, lalu menggunakan label “keturunan Sikh” sedangkan ada orang Punjabi beragama Hindu, Islam dan Kristian. Bercakap tentang istilah “bangsa”, orang Cina di negara bertuah ini selalu dilabelkan sebagai “bangsa Cina”. Mujurlah juga kerana terdapat perbezaan ejaan antara “Cina” (orang) dan “China” (negara). Bagi orang India pula, pasti timbul kekeliruan apabila mereka digelar sebagai “bangsa India” kerana terdapat negara bernama “India”. Mungkin sahaja orang Melayu kurang memahami isu ini kerana tidak ada negara bernama “Melayu”. Sejak dahulu, apabila saya mengisi apa-apa borang, saya mencatatkan begini pada maklumat berkaitan yang diminta: keturunan Malayali, kaum India, bangsa Malaysia. Tambahan pula, dalam surat beranak saya memang dicatatkan keturunan saya adalah Malayalam (Malayali). Perbuatan saya sering menimbulkan rasa tidak puas hati kerani atau pegawai yang meminta saya mengisi borang. Katanya, saya sepatutnya mencatatkan begini sahaja: bangsa India. Meneliti erti dalam kamus Lalu saya bertanya, bagaimana dengan “kaum”? Katanya, kaum, keturunan dan bangsa sama sahaja. Saya perlu mengisi “India” sahaja bagi ketiga-tiganya. Saya pernah menulis mengenai isu ini dalam majalah Pelita Bahasa (September 1998), ArahKiri (Disember 2002), Kavya (Mei 2003) dan Siasah (Jun 2003). Akan tetapi, kekeliruan dan salah tanggap terhadap istilah-istilah ini masih wujud sehingga hari ini. Mengikut definisi dalam kamus, bangsa adalah “kumpulan manusia yang sama asal-usulnya serta serupa sifat-sifatnya” atau “kumpulan manusia yang menjadi rakyat sesebuah negara”. Sementara itu, istilah kaum pula didefinisikan sebagai “golongan orang sebagai sebahagian daripada satu bangsa yang besar; suku bangsa”. Tentu sahaja definisi ini dilihat secara umum/asas dan bukannya secara mendalam dari sudut antropologi dan sosiologi. Apa-apa pun, frasa “bangsa India” sebenarnya boleh membawa (sekurang-kurangnya) dua makna yang sangat berbeza. Pertama, orang itu adalah warganegara atau rakyat negara India. Kedua, orang itu termasuk dalam kumpulan manusia yang memiliki sifat-sifat yang sama; tetapi tidak semestinya warganegara India. Biar kita lihat contoh mudah untuk membezakan antara “kaum” dan “bangsa”, khususnya dalam konteks negara Malaysia. Katakan A berasal dari negeri Perak, B dari Selangor dan C dari Sabah. Andainya A, B dan C dikatakan memiliki sifat “kenegerian”, kita faham apa yang dimaksudkan. Begitu juga jika D, E dan F berasal dari daerah yang berbeza dan memiliki sifat “kedaerahan”. Kita faham secara tepat apa yang dimaksudkan. Semangat perkauman, semangat kebangsaan Sekarang kita teliti pula konvensi (kelaziman) di negara kita terhadap definisi “bangsa” yang disamakan dengan “kaum”. Kita ambil contoh G dikatakan bangsa Melayu, H bangsa Cina dan I bangsa India. Jadi, apakah yang dimaksudkan apabila G, H dan I dikatakan memiliki sifat kebangsaan? Apakah masing-masing berjiwa Malaysia (Bangsa Malaysia) atau masing-masing masih bersifat kemelayuan, kecinaan dan keindiaan (khususnya berdasarkan negara asal-usul nenek-moyang)? Bezakan pula apabila kita katakan bahawa G adalah individu kaum Melayu, H kaum Cina dan I kaum India. Kita harap tidak akan wujud sifat perkauman (kekauman?). Sebaliknya timbul semangat kebangsaan iaitu semangat keMalaysiaan. Sekadar contoh mudah untuk difikirkan dan direnungkan, jika “kaum” dan “bangsa” dianggap sama sahaja, bayangkan makna yang boleh dibawa oleh frasa “lagu kebangsaan”, “bahasa kebangsaan”, “budaya kebangsaan” dan seumpamanya! Contoh-contoh mudah di atas diharap akan membuka mata orang ramai terhadap kekeliruan yang boleh timbul apabila “bangsa” dan “kaum” dianggap sama dan serupa dari aspek makna dalaman. Sesungguhnya saya mengimpikan utopia di mana rakyat Malaysia (Bangsa Malaysia) tidak ditanya tentang kaum dan keturunan. Sementara menanti bulan jatuh ke riba, saya akan terus mengisi borang-borang rasmi dengan maklumat yang sama: keturunan Malayali, kaum India, bangsa Malaysia. Sudah dinyatakan bahawa perbincangan ini adalah secara umum sahaja; tanpa pergi secara mendalam dari sudut kajian antropologi dan sosiologi. Dinyatakan juga bahawa orang Melayu di Malaysia mungkin kurang memahami isu “keturunan”, “kaum” dan “bangsa” seperti difahami (dan dihadapi) orang “Bukan Melayu”. Kaum Melayu tidak wujud? Di negara bertuah ini, orang Jawa, Bugis, Minang, Batak, Arab, Punjabi Muslim, India Muslim, Cina Muslim dan sebagainya (asalkan beragama Islam) secara mudah dimasukkan dalam kategori keturunan, kaum, ras, etnik dan bangsa Melayu. Saya pernah menulis makalah bertajuk “Hak Istimewa Orang Melayu” (Free Malaysia Today, 23 Februari 2013), “Takkan Melayu Hilang di Malaysia” (The Malaysian Insider, 25 Februari 2013), “Hidayah Bangga Kekal Cina” (Free Malaysia Today, 4 Mac 2013), “Kami Tidak Masuk Melayu” (The Malaysian Insider, 4 Mac 2013), “Masuk Islam, Bukan Masuk Melayu” (Projek Dialog, 5 Mac 2013), “Perihal Raja-raja Melayu” (Projek Dialog, 5 November 2013) dan “Hidup 1Melayu!” (Free Malaysia Today, 7 Disember 2013) berdasarkan pandangan rakan-rakan pelbagai kaum. Amat jelas bahawa orang India dan orang Cina merupakan diaspora yang wujud di Malaysia sejak ratusan tahun dahulu dan merupakan warganegara Malaysia. Bangsa India dan bangsa China pula merujuk kepada warganegara India dan China; termasuk mereka yang tinggal/bekerja di luar negara asal. Bagaimana pula jika “kaum Melayu” atau “Malay race” tidak wujud? Ini sebenarnya idea atau hujah yang dikemukakan oleh AB Sulaiman menerusi bukunya, “Sensitive Truths in Malaysia: A Critical Appraisal of the Malay Problem” (2013). “There is no such thing as a Malay race,” kata Sulaiman, penulis, ilmuan dan pengkaji berumur 71 tahun dalam bukunya. Pada pandangan beliau, “kaum Melayu” tidak wujud. Mengulas lebih lanjut, Sulaiman mengakui bahawa hujah dan pandangan ini pasti membuatkan Perkasa, Umno dan puak etnosentrik marah dan kecewa. Apa tidaknya! Survival atau kelangsungan hidup politik mereka akan berakhir jika ia benar. Maka, mereka pasti menentang hujah ini. Tambahan pula, menurut Sulaiman, corak pemikiran orang Melayu tidak begitu mementingkan aspek peraturan dan undang-undang. Sebaliknya ia dipengaruhi nilai-nilai tradisi, keengganan menerima perubahan, berpusatkan kelompok sendiri, penuh dengan kekeliruan, serta wujud pertentangan idea dan keangkuhan. Melayu hanya bahasa, bukan keturunan “Istilah ‘Melayu’ tidak merujuk kepada mana-mana kaum atau etnik. Sebaliknya istilah itu merujuk kepada bahasa yang dipertuturkan oleh sekitar 385.5 juta orang di Nusantara. “Akan tetapi, bahasa Melayu yang dipertuturkan penduduk pelbagai negara di Kepulauan Melayu adalah berbeza mengikut sempadan; misalnya di Indonesia, Malaysia dan Filipina,” tegasnya. Hujah yang dikemukakan ini segera mengingatkan saya kepada makalah bertajuk “Kisah tentang Malayu” (The Malay Mail Online, 21 Oktober 2013) yang menimbulkan kemarahan pihak tertentu berikutan hujah dan fakta yang dikemukakan mengenai realiti orang Melayu. Dilema berhubung konsep “kaum” ini mungkin kurang dihadapi orang Cina dan India kerana masih wujud negara China dan India sebagai bukti asal-usul nenek-moyang mereka. Orang Cina dan India masih ada tamadun yang boleh dijadikan rujukan. Bagi orang Melayu pula, bukan sahaja kewujudan “kaum Melayu” dipersoalkan (seperti dilakukan oleh Sulaiman) tetapi tidak wujud sebuah negara bernama “Melayu” sebagai bukti asal-usul nenek-moyang mereka. Indonesia pula lazimnya tidak mahu diakui sebagai negara asal orang Melayu. Bagaimana dengan Perkara 160 dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang memberikan definisi “Melayu” serta menjadi asas pegangan ramai? Dinyatakan antara lain bahawa “orang Melayu” ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu dan menurut adat Melayu. Dalam hal ini, Dr Abdul Rahman Embong dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dipetik oleh Sulaiman sebagai menjelaskan bahawa definisi itu merujuk kepada “Melayu” dari sudut budaya (bahasa) dan bukannya dari sudut biologi, keturunan atau kaum. Tentulah pandangan ini akan menimbulkan kemarahan dan rasa tidak selesa dalam kalangan sekelompok orang Melayu yang disifatkan oleh Sulaiman sebagai bersifat etnosentrik, memiliki minda tertutup, bersikap seperti katak di bawah tempurung serta tidak mahu berfikir secara rasional. “Kebenaran budaya” tidak perlu diterima semua pihak Mengulas lanjut, Sulaiman mengatakan bahawa definisi “Melayu” dalam Perlembagaan bukan berdasarkan fakta atau rujukan sains. Dengan itu, konsep “Melayu” itu sendiri merupakan “kebenaran budaya” (cultural truth) dan bukannya “kebenaran universal” (universal truth). Hal-hal “kebenaran budaya” hanya merujuk kepada apa-apa yang diiktiraf dan diterima oleh sekelompok masyarakat; bukannya hal-hal yang sudah terbukti secara sah berdasarkan fakta yang tidak dapat dipertikaikan serta sudah diperakukan pula secara universal. Maknanya, Melayu atau “kemelayuan” – termasuk konsep Ketuanan Melayu yang menjadi laungan keramat sekelompok politikus – serta sering dilaungkan oleh sekumpulan orang India-Muslim dan Cina-Muslim di negara ini sebenarnya hanyalah “kebenaran budaya” yang “betul” bagi kelompok orang Melayu semata-mata. Sekelompok orang India-Muslim dan Cina-Muslim yang beranggapan mereka adalah orang Melayu juga ketara menerima “kebenaran budaya” itu sebagai kebenaran hakiki. Sebaliknya, orang Bukan Melayu tidak tertakluk untuk menerimanya sebagai fakta kerana ia bukan “kebenaran universal”. Satu lagi contoh yang suka saya gunakan adalah mengenai Hang Tuah. Sulaiman turut menggunakan contoh ini dalam bukunya. Hang Tuah dipercayai pernah melafazkan kata-kata “Takkan Melayu hilang di dunia”. Hal ini sering kita dengar dan baca sejak usia kanak-kanak. Sebenarnya, Hang Tuah mungkin sahaja legenda atau mitos. Individu bernama Hang Tuah berkemungkinan tidak pernah wujud. Ada teori mengatakan dia sebenarnya orang Cina. Saya berpandangan bahawa kisah Hang Tuah lima bersaudara adalah saduran kisah Ramayana dan Mahabharata. Akan tetapi, dalam kalangan orang Melayu, kewujudan Hang Tuah adalah “kebenaran budaya”. Orang Bukan Melayu – serta orang Melayu di luar Malaysia – tidak semestinya bersetuju dengan kewujudan Hang Tuah kerana ia bukan “kebenaran universal”. Pembacaan buku “Sensitive Truths in Malaysia: A Critical Appraisal of the Malay Problem” tulisan Sulaiman akan membantu pemahaman lanjut berhubung topik ini. Nampak gayanya, sementara orang Cina dan India di Malaysia menghadapi dilema berikutan penggunaan label “kaum” dan “bangsa” serta “pendatang”, orang Melayu pula tidak menghadapi sebarang masalah dalam soal itu. Sebaliknya, berdasarkan kajian Sulaiman, dilema sebenar orang Melayu adalah mengenai kewujudan “Melayu” itu sendiri! Penulis itu dalam bukunya mengatakan bahawa orang Melayu yang kononnya berasal daripada keturunan Iskandar Zulkarnain (Alexander the Great) kurang memiliki kepakaran dalam hal-hal teknikal. Namun begitu, saya berharap topik yang diketengahkan di sini akan mendapat reaksi pelbagai pihak berasaskan pemikiran rasional dan hujah berbentuk fakta ke arah memulakan dialog sihat.


RIP, Al-Fatihah, Syurga Bukan Untuk Karpal Singh – MUIS
Oleh: Prof Madya Dr Aznan Hassan Pengerusi Majlis Ulama ISMA (MUIS) Kesan daripada kenyataan facebook saya semalam yang memberi komentar kepada status facebook salah seorang sahabat saya di Security Council, saya mendapat banyak private message di facebook yang bertanya (lebih kurang bunyinya): “Untuk pencerahan, menurut pandangan Dr, apakah yang boleh dan yang tidak boleh kita lakukan bila berhadapan dengan beliau (atau bukan Islam yang lain)?” Jawapan saya kepada yang bertanya: “Berkenaan dengan isu kematian Karpal Singh, saya tidak pernah menyuruh sesiapa untuk bergembira. Kerana itulah, saya menyatakan secara jelas di dalam komentar tersebut: “Saya tidak meminta saudara untuk bergembira dan meraikan kematian beliau….”. Beliau hanya seorang individu yang telah meninggal dunia. Pada saya, kematian beliau tidak bermakna kerja dakwah akan lebih mudah, atau memberi apa-apa kesan kepada perjuangan Islam di Malaysia. Kematian beliau tidak akan merubah apa-apa pun rangka kerja yang dirancangkan oleh gerakan Islam. Umat tetap menghadapi permasalahan yang sama. Musuh Islam tetap berusaha untuk menjatuhkan Islam dan berusaha menggagalkan sebarang usaha untuk perlaksanaan syariat Islam di Malaysia, Umat Islam terus berselisih dan bertelingkah. Kerja dakwah akan terus berjalan seperti biasa. Namun apa yang hendak ditekankan di dalam posting tersebut ialah batas-batas syarak yang sepatutnya kita jaga apabila berhadapan dengan perkara ini. Ada yang mengucapkan rest in peace (RIP). Bahkan ada dikalangan umat Islam yang mengucapkan al-fatihah kepad beliaua. Bahkan ada yang menyatakan bahawa syurga bukan utk org Islam sahaja, dan Tuhanku tidak zalim. Faktanya,secara zahirnya, beliau meninggal sebagai seorang kafir. Hukum fekahnya ialah hukum meninggalnya seorang kafir dan hukum-hakam tersebut mestilah berpandukan kepada syarak. Mengucapkan takziah kepada keluarga beliau dan melakukan istirja’(inna lillah wa inna ilayhi raji’un) adalah dibenarkan. Tetapi mengucapkan RIP, apatah lagi membaca fatihah kepada beliau adalah sesuatu yang tidak dibenarkan. Terlalu byk nas-nas dan istidlal syarak dalam hal ini. Qias kepada kisah bangunnya Nabi terhadap jenazah Yahudi (jika betul tafsiran bahawa bangunnya Nabi SAW tersebut sebagai penghormatan kepada jenazah tersebut) tidak sekali-kali menunjukkan bahwa Nabi SAW “yatarahhamu lahu (meminta rahmat atau kesejahteraan)” kepada Yahudi tersebut.Jangan menggunakan dilalah hadith lebih daripada apa yang dimaksudkan. Ini bertentangan dengan kaedah usul fiqh yang sebenar. Itupun jika kita merasakan bahawa itulah tafsiran yang sebenarnya.Tetapi, jika kita merujuk kepada syarah-syarah ulama berkenaan dengan hadis tersebut akan mendapati bahawa tafsiran itu bukanlah satu-satunya tafsiran (untuk hadis tersebut), bahkan bukan juga merupakan tafsiran yang terkuat. Janganlah membuat tafsiran atau berhukum megikut apa yang kita rasa. Syarak ada batasannya. Ada halal haramnya. Soal bagaimana Allah akan menerima beliau, itu bukan urusan kita. Itu urusan Allah SWT. Kita diwajibkan oleh Allah untuk berhukum berdasarkan perkara yang zahir. Soal bagaimana Allah SWT akan menghukum beliau, itu urusan Allah SWT. Miliknya segala yang dilangit dan dibumi, tetapi kita di dunia diwajibkan oleh Allah utk berhukum secara zahir mengikut hukum-hakam syarak yang sebenar. Adalah amat penting utk kita menyedari batas-batas iman dan kufur, dan apa yang dibenarkan dan tidak dibenarkan. Saya merasakan kematian Karpal Singh adalah suatu kematian yang akan dilalui oleh sesiapa sahaja. Beliau telah pergi berjumpa dengan Penciptanya dan beliau sudah tentu telah mengetahui pengakhiran beliau. Semuanya berada di dalam ilmu Allah. Tidak ada sebab mengapa seorang Muslim perlu terlalu menyibukkan diri dengan kematian tersebut. Berhujah dengan pelbagai hujah dan mengucapkan ucapan yang tidak betul mengikut syarak, dan meleburkan batas-batas iman dan kufur. Kita mahu menjaga hubungan sesama manusia, Ya, itu benar. Tetapi hubungan dgn Allah dan batas-batas iman dan kufur perlu jelas. Ucapkan takziah dan istirja’ dan teruskan kehidupan anda dalam memperjuangkan Islam seperti biasa. Ini adalah kenyataan terakhir saya dalam hal ini. Semoga mendapat manfaat.


KDN Selaras P’berian Kuasa Kepada Polis, Tentera
KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang menyelaras pemberian kuasa Komandan operasi Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (Esscom) secara bergilir kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu juga sedang diteliti Majlis Keselamatan Negara sebelum diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak untuk keputusan muktamad. “Perubahan kuasa lazimnya merujuk kepada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman atau Kementerian Pertahanan. “Oleh yang demikian, bagi menentukan keseluruhan kawasan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) dikawal sepenuhnya, maka Komandan ini lebih baik digilirkan untuk beberapa tahun tertentu kepada pihak polis dan tentera,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Keluarga KDN di Kompleks Penjara Kajang dekat sini, hari ini. Ahmad Zahid berkata penyelarasan penggiliran itu penting bagi mengelak percanggahan kuasa dan melibatkan penggunaan aset yang dibeli oleh PDRM, ATM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim). “Pada hemat saya, yang penting keselamatan penduduk di sekitar Esszone dan menghalang kemasukan penceroboh dari negara jiran serta penyeludupan barangan ke dalam atau luar terutamanya barangan bersubsidi,” katanya. Ditanya mengenai bidang kuasa ATM dalam membuat tangkapan ketika menjadi Komandan di kawasan Esscom itu, Ahmad Zahid berkata “Apa yang telah diselaraskan ialah mereka (tentera), mempunyai kuasa tangkapan, tetapi diserahkan kepada polis untuk tindakan”. Mengulas tahap keselamatan di pantai timur Sabah ekoran insiden penculikan di Semporna baru-baru ini, Ahmad Zahid berkata pihaknya telah mewajibkan pemasangan kamera litar tertutup berdefinisi tinggi di kesemua 11 resort di premis masing-masing untuk memperketat kawalan keselamatan. Beliau juga berkata satu memorandum persefahaman (MoU) akan ditandatangani dengan kerajaan Nepal dan Bangladesh berhubung pengambilan pekerja negara itu di negara ini. “Saya telah menjemput Menteri Tenaga Kerja Bangladesh dan Nepal ke Kuala Lumpur untuk tandatangan MoU itu. Namun, oleh kerana ia adalah di bawah kuasa Kementerian Sumber Manusia, maka KDN akan menjadi saksi untuk menentukan pelaksanaannya dapat dijalankan secara teratur,” katanya. Beliau mengulas penahanan 15 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang bekerja di sebuah pusat peranginan di Sabah berhubung penculikan di Singamata Adventures Reef and Resort, Semporna, Sabah. Dalam laporan itu, Ahmad Zahid meminta pengusaha resort dan majikan tidak mengambil warga asing atau individu yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah kerana ia akan mengakibatkan pelbagai masalah kelak. “Macam pekerja asing Bangladesh dan Nepal, mereka minta pihak agensi pekerja asing tak kenakan bayaran tinggi untuk pengambilan pekerja dalam negara. Kita sebenarnya dah tentukan jumlah yang cukup minimum untuk pemprosesan Biometrik dan sebagainya,” katanya. Bagaimanapun masalah timbul kerana agensi terbabit mengenakan bayaran tinggi iaitu lebih RM24,000. “Mereka terpaksa gadaikan harta benda untuk membuat pinjaman… Jadi saya fikir perlu ada tindakan dilakukan bukan sahaja melibatkan kerajaan dengan kerajaan tetapi juga perjanjian perniagaan dengan perniagaan. – BERNAMA


Syabas Akui Ada Kawasan Lewat Terima Bekalan Air
KUALA LUMPUR – Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) mengakui sesetengah kawasan lewat memperoleh semula bekalan air selepas pelaksanaan catuan bekalan dilaksanakan selama dua hari di kawasan terbabit. Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awamnya, Priscilla Alfred Dharan berkata, kelewatan itu antaranya disebabkan kejadian paip pecah pada jajaran paip agihan yang menyalurkan bekalan air ke kawasan berkenaan. “Setiap zon di dalam kawasan catuan bergilir-gilir dua hari mendapat bekalan air dan dua hari seterusnya tidak mendapat bekalan air. Bagi zon yang dijadualkan ada air, pengguna dijangka mendapat bekalan air pada pukul 4 petang pada hari pertama zon tersebut dijadualkan ada air. “Bagaimanapun, terdapat kemungkinan kelewatan bekalan disebabkan kejadian paip pecah. Zon yang yang dijadualkan tiada air, bekalan air kepada pengguna dijangka mula terhenti pada pukul 9 pagi pada hari pertama zon tersebut dijadualkan tiada air,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini. Priscilla dalam pada itu menerangkang, orang ramai yang mengadakan majlis kenduri perkahwinan semasa catuan atau majlis-majlis seumpamanya boleh memohon bantuan bekalan air melalui lori tangki dan tangki air statik Syabas. Sehubungan itu, katanya, pengguna yang masih keliru tentang jadual dan kaedah catuan serta kawasan yang terlibat diminta melayari laman web www.syabas.com.my untuk maklumat lanjut. Beliau turut mengingatkan talian Pusat Perkhidmatan Pelanggan (PUSPEL) mungkin tidak dapat dihubungi kerana kesesakan talian pada waktu ini.


Ibu Tunggal Antara 16 Ditahan Seludup PATI
MELAKA – Seorang wanita merupakan antara 16 yang ditahan dipercayai terlibat dalam aktiviti penyeludupan pendatang tanpa izin (PATI) ke Indonesia dalam Ops Serkap di persisiran pantai Duyung di sini, Jumaat. Wanita berusia 40 tahun dari Batu Kikir, Negeri Sembilan itu disyaki tekong darat yang membawa PATI ke persisir pantai berkenaan. Ibu tunggal itu bagaimanapun mendakwa tidak mengetahui dua lelaki warga Indonesia yang dibawanya dengan sebuah kereta itu, merupakan PATI. “Saya hanya mendapat panggilan untuk mengambil dan menghantar warga asing ke tempat tersebut dan bayaran diterima melalui akaun bank,” katanya ketika ditemui di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bandar Hilir di sini. Sementara itu, Pemangku Pengarah Imigresen Melaka Abu Bakar Sidek Hasan dalam satu sidang akhbar berkata wanita berkenaan ditahan pada 7.55 petang semalam selepas menurunkan warga asing berhampiran Kampung Padang Temu di sini untuk menaiki bot ke Indonesia. Abu Bakar berkata penahanan itu hasil intipan selama tiga bulan oleh imigresen selepas mengesan berlakunya aktiviti penyeludupan PATI di kawasan berkenaan. Pada masa sama, katanya 13 warga Indonesia berusia antara 21 hingga 70 tahun ditahan Polis Marin dalam sebuah bot pancung kira-kira 0.3 batu nautika dari persisiran pantai berkenaan. Beliau berkata dua lelaki yang merupakan tekong laut warga Indonesia berusia 32 dan 35 tahun juga ditahan dalam operasi itu. Kesemua PATI warga asing itu dipercayai cuba menyeludup keluar dari Malaysia mengikut laluan berkenaan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan atau permit tamat tempoh, katanya. Katanya PATI terbabit dipercayai membayar antara RM400 hingga RM600 seorang untuk diseludup keluar menggunakan bot pancung. – BERNAMA



Video: Kelibat Manusia Disangka Ikan
Buat kaki pancing, pastinya tergambar satu kepuasan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata apabila umpan pada mata kail ataupun jala yang dihampar ke sungai mengena. Apatah lagi kalau ikan atau hasil laut yang ditangkap itu memang besar dan berat. Video yang ingin dikongsikan di bawah ini agak lawak jugalah. Sebabnya, si penjala memang bersungguh-sungguh ingat jalanya mengena, namun tak disangka-sangka yang diangkat dan tersangkut pada jala tersebut adalah manusia! Pasti kecewa hati si penjala, yela mati-mati ingat jalanya bakal mendapat habuan besar namun hampeh rupa-rupanya.


Hans Isaac Buat Keputusan Kahwin Hujung Tahun
PETALING JAYA – Pelakon Hans Isaac telah membuat keputusan untuk menamatkan zaman bujangnya dan bakal mengumumkan berita baik itu hujang tahun ini. Hans atau nama sebenarnya Gerald Hans Isaac, 48, mengakui dia kini sedang menjalani kehidupan bahagia dan sudah bersedia untuk mempunyai isteri. Saya tidak mahu dedahkan kehidupan peribadi saya kepada umum terutama sekali berkenaan cinta atau kekasih, tetapi saya akui kini sedang menjalani kehidupan yang bahagia. “Kalau diikutkan kesediaan untuk berumah tangga, saya sudah lama bersedia dan mungkin akan buat keputusan untuk berkahwin selewat-lewatnya Disember ini,” ujarnya kepada mStar Online ketika ditanya tentang status hubungannya dengan aktres Neelofa. Tambah Hans, buat masa ini dia lebih banyak menumpukan perhatian kepada kehidupan peribadi berbanding kerjaya. Dia juga mahu menjalani kehidupan peribadi yang lebih normal dan seimbang berbanding dahulu. “Tiada lagi istilah kerja kuat, saya hanya kerja selama tiga jam sehari sahaja dan selebihnya saya lakukan aktiviti yang tidak dapat saya lakukan dahulu. “Saya tidak mahu fikir fasal jualan filem, promosi atau cari publisiti untuk mengejar populariti, zaman itu semua sudah berlalu,” katanya. Sementara itu, bercerita soal kerjaya, Hans memberitahu tetap dengan pendiriannya untuk tidak menghasilkan serta mengarah filem Melayu. Bagaimanapun, dia akui ingin mencuba beralih arah untuk menerbitkan filem berbahasa Inggeris serta bercadang menembusi pasaran Singapura. “Filem ini menggunakan bahasa Inggeris seratus peratus. Ia bukan untuk industri Malaysia, sebaliknya lebih fokus untuk industri antarabangsa. “Kini saya masih dalam proses untuk mencari pelakon yang fasih berbahasa Inggeris tetapi dengan cara Malaysia,” katanya. Dalam perkembangan lain, Hans berkata, dia bakal mementaskan Teater Muzikal Supermokh pada 8 hingga 21 September depan di Istana Budaya. – mStar Online


Semut Api Hukum Pencuri Di Amazon
Ayopaya – Penduduk desa di kawasan hutan Amazon mengenakan hukuman yang kejam terhadap dua pencuri motor mengikat mereka pada pokok yang penuh dengan semut api. Kedua-dua pencuri itu berusia 18 dan 19 tahun hampir mati digigit semut berbisa itu. Kejadian itu berlaku di Ayopaya di hutan Amazon bahagian barat Bolivia. Penyeksaan terhadap kedua-dua pencuri itu dilakukan selama tiga hari berturut-turut. Mereka hanya dibebaskan Sabtu lalu apabila keluarga kedua-dua pemuda berkenaan membayar wang tebusan dan ganti rugi kepada pemilik motor berjumlah RM12 ribu, hampir empat kali ganda purata upah bekerja setahun di Bolivia. Kedua-dua pencuri motor itu kritikal dan ginjal seorang daripada mereka dikatakan hancur. “Keadaan mereka parah dan hampir mati kerana digigir semut yang beracun,” kata Dr. Roberto Paz yang bertugas di hospital Bolivia Cochabamba. Semut ganas jenis seudomyrmex triplarinus itu mempunyai racun yang mampu membunuh mangsanya. Tetapi dalam dos kecil, racun semut itu boleh digunakan sebagai penawar perubatan tradisional untuk penyakit artritis. – Agensi


28 Penumpang Nyaris Maut Bas Ekspres Terbalik
TEMERLOH – Sebuah bas ekspres yang membawa 28 penumpang terbabas dan terbalik di Kilometer 116 Lebuh Raya Pantai Timur, dekat sini awal pagi tadi. Dalam kejadian pada kira-kira jam 1.15 pagi itu bas berkenaan dalam perjalanan dari Kuantan ke Kuala Lumpur. Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, tiada mangsa yang maut dalam kejadian itu. – BH Online


12 Maut Salji Runtuh Di Gunung Everest
KATHMANDU – Salji runtuh telah menyebabkan 12 pemandu arah Nepal maut di Gunung Everest dan empat lagi hilang semalam. Ketika kejadian, 12 pemandu arah itu mendaki gunung tersebut untuk memperbaiki tali yang digunakan para pendaki Everest pada pukul 6.30 pagi waktu tempatan. Menurut seorang pegawai di Persatuan Mendaki Nepal, Ang Tshering, runtuhan itu berlaku di kawasan yang diberi nama jolokan sebagai padang bertih jagung dan terletak di bawah Kem 2. Kem 2 terletak pada kedudukan 6,400 meter (m). Runtuhan salji itu berlaku pada ketinggian 5,800m. Gunung tersebut terletak pada ketinggian 8,850m. Salah seorang pendaki yang terselamat, Dawa Tashi mengalami patah tulang dan dirawat di Hospital Grande di sini. – Agensi


Karpal Singh Seorang Pemimpin Yang Berani
SHAH ALAM – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyifatkan mendiang Karpal Singh mempunyai reputasi yang baik dan dihormati sama ada sebagai seorang peguam mahupun ahli politik pembangkang. Presidennya Mohd Khalid Atan yang mewakili MTUC menyampaikan takziah atas kematian Karpal Singh dalam kemalangan pada awal pagi Khamis menyifatkan bekas Pengerusi DAP itu sebagai pemimpin yang berani dan tidak pernah berhenti berjuang demi keadilan. “Bagi saya, Karpal Singh merupakan seorang daripada ahli politik senior dan peguam yang terbaik dalam profesionnya. Beliau memperoleh kehormatan daripada kawan-kawan dan pesaing politiknya,” katanya dalam kenyataan ringkas kepada Bernama. Karpal Singh, 74, meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di KM306.1 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Gua Tempurung di Kampar pada 1.10 pagi, pada Khamis. Turut terbunuh dalam kemalangan membabitkan kenderaan serba guna (MPV) dan lori itu ialah pembantu peribadi Karpal Singh, Michael Cornelius, 40-an. – BERNAMA


Pembantu Rumah Karpal Masih Kritikal
IPOH – Pembantu rumah wanita warga Indonesia yang turut berada dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard bersama dengan bekas Pengerusi DAP, Karpal Singh semasa kemalangan pada awal pagi Khamis lalu, masih dalam keadaan kritikal dan dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini. Ketua Polis Daerah Kampar, Supritendan Ng Kong Soon berkata, sehingga pukul 1 petang Jumaat, Selfiana Rengga, 26, dari Kalembuweri, Indonesia masih berada di unit rawatan rapi. Ng bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan berkata siasatan kes kemalangan yang mengorbankan Karpal dan pembantu peribadinya, Michael Cornelius sedang dijalankan. – mStar Online


Liong Sik Sifatkan Karpal Sebagai Pelajar Yang Nakal
GEORGE TOWN – Bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik menyifatkan mendiang Karpal Singh sebagai pelajar yang suka main-main dan selalu gagal dalam peperiksaan. Dr Ling yang tinggal sebilik dengan Karpal di asrama pada awal 1960-an berkata mereka bersama-sama menuntut di Universiti Malaya di Singapura. “Kami menginap di asrama yang sama di Dunearn Road di Singapura dan saya mengingati beliau sebagai seorang pelajar nakal yang selalu gagal dalam peperiksaan. “Semasa saya menjadi presiden kesatuan pelajar, Karpal masih di semester satu sebagai anggota jawatankuasa,” kata beliau kepada pemberita sebelum memberi penghormatan terakhir kepada Karpal di sini. Beliau berkata, pada suatu ketika, Karpal bertekad untuk lulus semua kertas peperiksaan dan memperoleh ijazah untuk menjadi peguam yang dihormati dan beliau telah membuktikannya. Ketika ditanya mengenai persahabatannya dengan Karpal, Dr Ling berkata kedua-dua mereka menjalin “hubungan rapat secara senyap” memandangkan mereka menyertai parti politik yang berbeza selepas memperoleh ijazah. “Pernahkah anda mendengar Karpal memarahi Liong Sik atau saya memarahi Karpal. Tidak, kami tidak pernah memarahi satu sama lain disebalik berbeza fahaman politik. Saya hanya memarahi DAP dan beliau cuma memarahi MCA. “Saya amat merasai kehilangan Karpal dan negara juga kehilangannya,” kata bekas menteri pengangkutan itu yang kelihatan sebak apabila menceritakan mengenai kawan lamanya. Bekas presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu pula berkata Karpal selalu membangkitkan persoalan bagi kepentingan rakyat dalam sidang Dewan Rakyat. “Saya dan beliau sama-sama menghadiri sidang Parlimen (Dewan Rakyat) selama beberapa tahun dan setiap kali beliau membangkitkan soalan, ia selalu untuk faedah rakyat. “Apa sahaja soalan yang beliau bangkitkan, saya akan memberi jawapan yang memuaskan. Saya akan menyediakan maklumat lanjut jika beliau memerlukan penjelasan selanjutnyua. “Pemergiannya adalah satu kehilangan besar kepada negara dan saya berasa amat sedih kerana kami telah kehilangan seorang rakan yang karib,” kata beliau. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata beliau mengenali Karpal semasa sama-sama menjadi anggota Parlimen pada 1986. “Kami mungkin berbeza pendapat semasa perbahasan di Parlimen tetapi di luar, kami masih berkawan dan saya rasa pemergiannya merupakan satu kehilangan besar kepada negara,” katanya. Sementara itu, Timbalan Presiden Gerakan Datuk Dr Cheah Soon Hai berkata kerjaya politik Karpal lebih cemerlang daripada kebanyakan orang yang seangkatan dengannya pada masa itu. “Karpal meninggalkan warisannya untuk dikenang oleh rakyat Malaysia terutama dalam politik dan juga dalam kalangan pengamal undang-undang,” kata beliau. Mereka yang memberi penghormatan terakhir kepada Karpal di kediamannya di Jalan Utama di sini hari ini termasuk Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri, naib presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun, Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang, pengerusi Barisan Nasional Pulau Pinang Teng Chang Yeow, ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Datuk Jahara Hamid, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali. Karpal Singh terbunuh dalam nahas jalan raya di Kilometer 306.1 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung di Kampar pukul 1.10 pagi Khamis. Mendiang berusia 74 tahun. Turut terbunuh dalam nahas itu ialah pembantu peribadi beliau, Michael Cornelius, 39. – BERNAMA


Kos Pencarian MH370 Sudah Lebih RM300 Juta
PENCARIAN pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 bakal mencatat kos paling mahal dalam sejarah dunia penerbangan sementelah usaha mencarinya di Lautan Hindi masih belum menemui sebarang petunjuk, menurut pihak penganalisis. Setakat ini, Australia yang mengetuai misi pencarian di kawasan yang disifatkan ‘tidak diketahui manusia’ itu tidak meletakkan sebarang angka, namun Malaysia telah diberi amaran bahawa kosnya akan meningkat. Mengimbas tragedi tersebut, pesawat MH370 yang membawa 239 orang penumpang dan anak kapal hilang dari radar sewaktu dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dan dipercayai terhempas di luar pantai Australia. “Kalau pun kita menemui serpihan pada kedalaman 4.5 kilometer, tiada tentera di luar sana yang mempunyai kapasiti untuk melakukannya (operasi menyelamat),” kata Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Sementara itu, pakar penerbangan di Frost & Sullivan Asia Pacific, Ravikumar Madavaram berkata, Malaysia, Australia dan China merupakan penyumbang paling besar dan jumlah kos sehingga kini dianggarkan mencecah RM324 juta. “Sukar untuk dinyatakan secara terperinci kos operasi ini…tetapi, ia sememangnya operasi terbesar dalam sejarah penerbangan. Secara tidak langsung, kosnya juga akan menjadi paling tinggi. “Buat masa ini, persoalan mengenai kos mungkin dianggap ‘kurang sensitif’, namun selepas beberapa bulan, mungkin orang ramai akan mula mempersoalkannya,” jelasnya. Pendapat Madavaram turut disokong dengan kenyataan penyelidik keselamatan pesawat Universiti Loughborough, Britain, David Gleave yang menyifatkan kosnya tetap akan mencecah ratusan juta ringgit jika pesawat itu dijumpai pada waktu yang terdekat ini. Pentagon pada masa yang sama berkata, pada bulan pertama, Amerika Syarikat sudah membelanjakan hampir RM24 juta untuk mencari pesawat itu. Bagaimanapun, Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JCCC) berkata, fokus utama mereka sehingga ke saat ini ialah untuk terus mencari pesawat MH370 itu berbanding membincangkan sebarang isu mengenai kos. “Ini merupakan pencarian paling sukar dan akan mengambil masa. Angka sebenar masih belum dikira. Kos dikongsi bersama oleh rakan negara yang menyumbang bantuan dari segi pegawai, tentera dan aset awamnya,” menurut jurucakapnya. (Sumber: AFP)


Mahkamah Rayuan Putuskan Adalah Selamat Untuk Mensabitkan Anwar
PUTRAJAYA — Adalah selamat untuk mahkamah mensabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pertuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan kerana terdapat cukup keterangan untuk mengesahkan dan membuktikannya, demikian diputuskan Mahkamah Rayuan. Mahkamah berkata malah sekiranya diandaikan tiada bukti untuk menyokong keterangan Mohd Saiful tentang fakta berlakunya penetrasi, adalah selamat untuk mensabitkan responden (Anwar). Panel tiga hakim Mahakmah Rayuan diketuai Hakim Datuk Balia Yusof Wahi dalam penghakiman bertulis 85 muka surat bertarikh 11 April, berkata terdapat cukup keterangan lain yang membolehkan elemen pertuduhan dapat disahkan dan dibuktikan. Dalam penghakiman yang diedarkan kepada media Jumaat, mahkamah memutuskan isu kemungkinan sampel DNA diambil daripada Mohd Saiful telah diusik oleh pegawai penyiasat kes Superitenden Jude Blacious Pereira dan telah tercemar juga tidak dapat dibuktikan. “Kami berpendapat andaian bahawa pegawai penyiasat telah mengusik barang bukti (sampel) tidak mempunyai merit. Kami tidak tahu bagaimana hakim perbicaraan yang bijaksana boleh terkhilaf dalam pendapatnya,” kata hakim berkenaan.– BERNAMA


Talian Syabas Sesak – Tolong Layari Laman Web!
KUALA LUMPUR – Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) mengulangi permintaan supaya orang ramai melayari laman web rasmi syarikat itu untuk mendapatkan maklumat berhubung pelan catuan air di Lembah Klang. Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awamnya, Priscilla Alfred Dharan berkata, Pusat Perkhidmatan Pelanggan (Puspel) pada waktu ini mengalami kesesakan talian yang teruk disebab pelaksanaan pelan catuan itu. “Masih ramai pengguna cuba menghubungi Puspel bagi mengetahui berkenaan kawasan dan jadual pelan catuan bekalan air yang dilaksanakan. “Situasi ini menyebabkan kesesakan talian. Syabas sekali lagi menyeru kepada semua pengguna supaya melayari laman web www.syabas.com.my untuk mengetahui tentang kawasan terlibat dan jadual pelan catuan bekalan air,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini. Priscilla berkata, Syabas sentiasa mengemas kini perkembangan pelan catuan bekalan air dari semasa ke semasa dalam laman web tersebut bagi memastikan pengguna mendapat maklumat tepat dan terkini. Mengulas lanjut, katanya, pelan catuan bekalan air masih diteruskan di Selangor sehingga langkah itu diputuskan semula oleh kerajaan Selangor yang mengarahkan pelaksanaan pelan tersebut sebelum ini.


Polis KL Cari Gadis 15 Tahun Hilang
KUALA LUMPUR – Polis sedang mencari seorang gadis berusia 15 tahun yang dilaporkan hilang sejak 16 April lalu. Polis Kuala Lumpur dalam satu kenyataan media memberitahu, gadis itu ialah Che Nurul Che Harun. “Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Balai Polis Dang Wangi di talian 03-2600 2229,” kata kenyataan itu hari ini. Menurut kenyataan itu, maklumat boleh juga disalurkan kepada Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-2697 7099. Orang ramai boleh juga memberi maklumat melalui Hotline Rakan Cop Polis Kuala Lumpur 03-2115 9999 atau SMS kepada 32728 atau hadir di balai polis berhampiran.


Polis Cari Waris Mayat Wanita India Muslim
KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur sedang mencari waris satu mayat wanita berusia 38 tahun. Polis Kuala Lumpur dalam satu kenyataan media memberitahu, wanita itu dikenali sebagai Arsalina Amran. “Wanita ini berketurunan India Muslim dan alamat terakhir di Kampung Medan, Jalan Klang Lama,” kata kenyataan itu hari ini. Menurut kenyataan itu, waris atau orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai wanita itu di minta menghubungi talian 03-2070 2222. Maklumat boleh juga disalurkan kepada Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-2697 7099 hadir di balai polis berhampiran.


Sekeluarga Disamun 3 Lelaki Di Jengka
MARAN – Sepasang suami isteri dan seorang anak lelaki mereka disamun tiga lelaki bersenjatakan parang di rumah kedai milik mereka di Jengka 21, Bandar Jengka dekat Maran awal pagi tadi. Ketua Polis Daerah Maran DSP Sulaiman A Hamid berkata dalam kejadian pukul 3 pagi itu, suami isteri tersebut yang berusia 70 tahun dan anak lelaki mereka yang berusia 24 tahun turut diikat. Para perompak yang dipercayai warga asing kemudiannya melarikan wang tunai sebanyak RM3,000, kad prabayar bernilai RM1,000 serta barang kemas yang kesemuanya bernilai kira-kira RM10,000. “Siasatan awal mendapati suspek telah memotong jeriji besi tingkap dapur sebelum masuk ke dalam rumah. Polis sedang memburu suspek,” katanya. – BERNAMA



VIDEO: Anak Kecil Terjatuh Keluar Dari Kereta
KAMI yakin anda pernah melihat sikap pemandu kenderaan yang tidak peka dengan keselamatan anak-anak yang duduk di bahagian belakang. Selebriti yang paling seksi pada abad ini! Ada yang membiarkan anak-anak mereka mengeluarkan tangan, kepala atau hampir separuh badan ke luar tingkap tanpa memikirkan risikonya termasuklah terjatuh keluar atau dilanggar kenderaan lain. Video yang kami kongsikan ini merupakan antara kecuaian ibu-bapa yang tidak menekan butang ‘child lock’ bagi mengelakkan anak mereka membuka pintu sewaktu kenderaan sedang bergerak. Mujurlah jalan yang dilalui pada ketika itu tidak terlalu sesak sekaligus menyelamatkan anak kecil mereka daripada digilis atau dirempuh kenderaan lain.

No comments:

Post a Comment