Friday, April 18, 2014
Berita Terkini 18 April 2014
Puteri Umno Sokong Hudud
Pergerakan Puteri Umno hari ini menyatakan sokongan penuh terhadap perlaksanaan hukum hudud di negeri Kelantan.
Adun Paloh cedera, isteri maut
Gambar kiri: Kenderaan Nozula yang rosak teruk dalam kemalangan yang mengorbankan isteri beliau. Gambar kanan: Keadaan Nozula yang cedera akibat kemalangan petang tadi.
IPOH - Isteri Adun Paloh, Kelantan, Datin Maziah Din disahkan meninggal dunia dalam satu kemalangan di Kilometer 23, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, lewat petang tadi. Kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, turut menyebabkan, Datuk Nozula Mat Diah cedera setelah kereta dinaiki mereka terbabas. Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kereta jenis Nissan Murano dinaiki kedua-dua mangsa dalam perjalanan ke arah Simpang Pulai hilang kawalan sebelum melanggar tebing bukit. Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, insiden berlaku akibat permukaan jalan yang licin. “Mangsa disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital, sementara Nozula yang memandu kereta kini berada di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dalam keadaan stabil,” katanya.
Polis tumpas sindiket 'Black Money'
KUALA LUMPUR - Polis menumpaskan satu sindiket "black money" dengan menahan seorang lelaki warga Afrika dan seorang wanita Filipina serta merampas wang palsu yang dianggarkan bernilai RM3.2 juta. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany berkata, kedua suspek itu ditahan di dua lokasi berasingan di sekitar ibu kota Selasa lepas. Beliau berkata, lelaki Afrika berusia 34 tahun itu ditahan di sebuah hotel di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini setelah pihaknya menerima maklumat daripada seorang wanita tempatan yang mencurigai tawaran yang diberikan oleh suspek itu. "Pengadu mengenali suspek itu melalui Facebook sebelum bercadang untuk bertemu dengan membawa beberapa individu yang berminat dalam bidang pelaburan itu. Susulan itu, polis menyerbu hotel tersebut sebelum merampas tiga keping not RM50 dan peralatan mencuci wang yang dipercayai digunakan dalam kegiatan itu," katanya pada sidang media di Ibupejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, hari ini. Penahanan lelaki itu, membawa polis ke sebuah apartment di Jalan Imbi, di sini dan menahan seorang wanita Filipina berusia 46 tahun serta merampas lima ikat wang kertas US$100, tiga ikat wang kertas RM50 yang disyaki palsu. Tambahnya, pihaknya merampas tiga ikat kertas putih berukuran wang kertas RM50 dan wang kertas dolar Amerika yang belum disahkan ketulenannya. Sehubungan itu, polis meminta orang ramai membuat semakan terlebih dahulu ke atas sebarang pelaburan yang ingin diceburi sebelum menjadi mangsa. - Bernama
Polis jejak lelaki bantu siasat kes tipu
KUALA LUMPUR - Polis sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes penipuan membabitkan urusan pemilikan tanah persendirian di Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany berkata, lelaki terbabit dikenali sebagai P. Nanchudiar, 51, dan eralamat terakhir di No. 55, Jalan 35, Desa Jaya, Kepong. "Pengadu dalam kes ini telah membuat laporan polis mendakwa kaveat persendirian ke atas beberapa lot tanah yang dibuat olehnya telah ditarik keluar dan tanah tersebut kemudiannya dipindah milik kepada pihak lain tanpa pengetahuannya. "Pengadu turut mendakwa telah mengalami kerugian berjumlah RM4 juta," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki itu agar menghubungi Bilik Gerakan Polis Kuala Lumpur atau Pegawai Penyiasat Jenayah Pemalsuan/Jenayah Komplot/Siber, JSJK Kuala Lumpur, Asisten Superintendan Mizan Abdullah di talian 03-21460639 atau 013-6418007. - Bernama
Empat komponen BN bantah hudud
KUALA LUMPUR - Empat parti komponen BN iaitu MCA, Gerakan, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Liberal Demokratik (LDP) hari ini sebulat suara menegaskan bantahan mereka terhadap rancangan Pas melaksanakan hukum hudud. Dalam sidang media bersama di Wisma MCA di sini, pemimpin keempat-empat parti itu berkata langkah tersebut tidak mengikut perlembagaan dan akan menjejaskan masa depan negara. Mereka mengingatkan langkah itu jika diluluskan, akan mendorong Pas menuntut pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan bagi melaksanakan hudud di peringkat negara. "Jika sistem kehakiman mempunyai dua set undang-undang jenayah, ia akan mencetuskan kekalutan (imbroglio) perlembagaan. Ringkasnya, tidak boleh berpatah balik lagi," kata Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai ketika membaca kenyataan bersama mengenai isu itu. Turut hadir ialah Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong, Presiden SUPP, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dan Naib Presiden LDP, Chin Shu Ying. Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob sebelum ini mengumumkan Pas Kelantan akan membawa usul di Parlimen, seawal-awalnya Jun ini, bagi memohon kebenaran melaksanakan undang-undang hudud di negeri itu. Walaupun hanya mempunyai sembilan wakil di Parlimen (MCA tujuh dan masing-masing seorang daripada Gerakan dan SUPP), pemimpin keempat-empat parti itu berkata mereka akan melakukan segala yang terdaya bagi menghalang perkara berkenaan. Tiong Lai berkata, DAP yang mempunyai bilangan kerusi Parlimen terbanyak dalam kalangan pembangkang sepatutnya memainkan peranan menghentikan Pas daripada meneruskan rancangannya. "Jika mereka tidak boleh berbuat demikian, saya fikir mereka wajar meninggalkan pakatan pembangkang," katanya.- Bernama
Demonstrasi letupan bom, 2 tentera cedera
Aksi Demonstrasi Menyelamat Tebusan VIP yang dijayakan oleh pasukan elit Tentera Darat, Grup Gerak Khas (GGK) dan turut melibatkan Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) ke-14 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Dua anggota tentera cedera ringan apabila terkena serpihan siling selepas menonton demonstrasi letupan bom sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, petang tadi. Pengarah Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khiruddin Drahman berkata, dua tentera berkenaan seorang daripadanya cedera ringan di kepala manakala seorang lagi pengsan dihempap siling itu. "Keadaan mereka bagaimanapun dilaporkan stabil dan sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur. "Kejadian itu berpunca daripada demonstrasi letupan bom (sebenar) oleh pasukan tentera yang mengakibatkan sebahagian siling anjung PWTC di tingkat dua runtuh," katanya ketika dihubungi Bernama. Beliau berkata bomba menerima panggilan kecemasan pada 5 petang dan tiba di tempat kejadian enam minit kemudian. - Bernama
Pam petrol meletup di Gua Musang
GUA MUSANG - Sebuah stesen minyak di Jalan Pulai di bandar ini, nyaris terbakar apabila satu daripada empat pam petrol meletup secara tiba-tiba ketika orang ramai sedang mengisi minyak di kenderaan masing-masing hari ini. Dalam kejadian pukul 2.10 petang itu, api yang keluar dari pam terbabit dapat dipadamkan oleh seorang penyelia di stesen itu dengan menggunakan alat pemadam api dan tiada kecederaan dilaporkan kerana pelanggan-pelanggan yang sedang mengisi minyak sempat menyelamatkan diri. Penyelia stesen minyak berkenaan, Mohd Zohir Zakaria berkata beliau mendengar bunyi letupan kuat disusuli dengan api keluar dari pam berkenaan dan beliau dengan segera memadamkan api itu menggunakan alat pemadam api. Katanya, sebelum kejadian, beliau berada di belakang bangunan stesen minyak itu sebelum bergegas ke pam minyak terbabit selepas terkejut mendegar letupan kuat itu sambil mengarahkan empat pekerja yang berada di kaunter keluar menyelamatkan diri. "Ketika itu juga saya lihat beberapa pelanggan yang sedang mengisi minyak di empat pam berkenaan lari bertempiaran kerana bimbang kebakaran besar berlaku. Syukur, saya cepat bertindak memadamkan pam yang terbakar itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di stesen minyak itu. Mohd Zohir berkata kejadian itu pertama kali berlaku dan beliau juga sentiasa memantau mengenai keselamatan stesen minyak berkenaan. "Kita menutup stesen minyak itu buat sementara sehingga siasatan selesai di samping menunggu laporan keadaan benar-benar selamat baharu dapat dibuka semula kepada orang ramai," katanya. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Ahmad Nordin Ibrahim ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 2.48 petang dan empat anggota bersama sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian. Katanya ketika menerima panggilan itu, pihak stesen minyak itu memaklumkan kebakaran di pam berkenaan sudah dipadamkan dan bomba sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui punca kejadian itu. Pada 2 April lepas, 11 orang cedera akibat disambar api dipercayai berpunca dari tumpahan minyak petrol dari sebuah lori tangki yang sedang mengisi minyak dalam tangki simpanan di sebuah stesen minyak di sini, kira-kira pukul 10.10 malam. Seorang mangsa yang cedera parah kemudiannya meninggal dunia pada 9 April ketika dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu. - Bernama
Remaja akui peroleh RM5,000 sebulan jual heroin
Abd Rahman Jid (kanan) menunjukkan dadah dan wang tunai yang dirampas dalam serbuah di sebuah rumah kosong di kampung Padang Kemunting, Pengkalan Balak, pada sidang akhbar di sini, hari ini. - Foto Bernama
ALOR SETAR - Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun mengaku mampu hidup mewah dengan memperoleh keuntungan lebih RM5,000 sebulan hasil menjual dadah. "Saya mula mengambil dadah sejak berusia 16 tahun...ibu bapa tidak mengetahui tentang kegiatan saya yang mengambil dan menjual dadah ini. "Ini merupakan kali ketiga saya ditahan pihak polis kerana pada tahun lepas saya telah ditahan di Bukit Jenun, Pendang atas kesalahan mengambil dadah," katanya kepada pemberita selepas ditahan polis di sini hari ini. Remaja itu merupakan antara 33 individu ditahan dalam 'Ops Bersepadu' yang dijalankan di Pelantar Ahloo, Kampung Sematang Pinang, Kuala Kedah dekat sini. Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Kota Setar, Deputi Superintendan Mat Akhir Jaafar berkata dalam Ops Bersepadu ini sebanyak 19 penagih dan pengedar dadah warga tempatan serta 14 pendatang asing tanpa izin (Pati) berjaya ditahan. "Kita telah melakukan intipan sebelum melaksanakan operasi ini dan didapati kawasan ini memang menjadi sarang kepada penagih dan pengedar dadah. Mereka yang ditahan berusia antara 18 hingga 45 tahun. "PatiI yang ditahan pula terdiri lima warga Myanmar, empat Nepal, satu Thailand, empat China yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 45 tahun," katanya. Operasi dari pukul 9 pagi hingga 1 tengah hari itu melibatkan 214 pegawai dan anggota polis, Jabatan Imigresen, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). - Bernama
Polis P Pinang bongkar dua makmal dadah
GEORGETOWN - Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah selepas membongkar dua makmal memproses dadah dalam serbuan berasingan di negeri ini semalam. Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, dalam serbuan pertama pada pukul 3.30 pagi di sebuah rumah di Air Itam, di sini, polis menahan lima orang termasuk tiga wanita Vietnam berusia antara 19 dan 43 tahun. "Dalam serbuan itu, kami merampas 66 gram dadah jenis heroin, 50 gram syabu, pelbagai bahan kimia serta perlatan memproses dadah," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. Beliau berkata, susulan tangkapan itu polis menyerbu sebuah rumah di Bukit Tengah, Bukit Mertajam dekat sini pada pukul 3.30 petang yang turut dijadikan makmal memproses dadah oleh sindiket itu. Sebanyak 82 gram syabu, 15 gram heroin, 1,287 gram serbuk disyaki dadah, serta 15 kilogram kafein dirampas dalam serbuan itu, katanya. Beliau berkata, dalam serbuan kedua itu, polis turut merampas dua pucuk pistol dan lapan butir peluru. "Nilai semua dadah yang kami rampas ialah RM65,000 dan dalam operasi itu polis turut menyita sebuah kereta jenis Toyota Vios bernilai RM30,000," katanya. Abdul Rahim berkata, siasatan awal mendapati sindiket itu beroperasi di negeri ini sejak tiga bulan lepas dan dadah yang diproses adalah untuk pasaran kawasan utara. Beliau berkata, seorang daripada lelaki yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. - Bernama
Pendekatan cari MH370 mungkin dikaji semula
Hishammuddin Tun Hussein (kanan) bersalaman dengan para peserta ketika hadir pada majlis penutupan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) kali ke-14 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Pendekatan dalam pencarian MH370 yang tertumpu di selatan Lautan Hindi mungkin akan dilihat semula jika maklumat hasil pencarian yang kini memasuki hari ke-41 hari ini tidak mencapai matlamatnya, kata Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Beliau berkata, perkara itu antara yang dibangkitkan dalam perbualan telefon antara Perdana Menteri Australia Tony Abbott dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pagi tadi. "Abbott menyatakan jika dalam masa yang ditentukan bukan dari segi hari tapi dari segi apa-apa yang maklumat kami terima kalau itu sudah tidak sampai matlamat, satu pengumuman akan dibuat di mana mungkin kita perlu kaji dan timbangkan semula pendekatan yang digunakan. "...ini tidak bermakna kami akan hentikan operasi mencari tapi ia mengenai bagaimana pencarian dilakukan, mungkin juga di kawasan lain," katanya dalam sidang media selepas majlis penghargaan sempena penutupan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2014 di sini hari ini. Beliau berkata selain membuktikan sebarang tindakan berhubung misi mencari pesawat itu tidak dibuat tanpa melibatkan perbincangan bersama, perbualan Najib dengan Abbott itu juga menunjukkan hubungan istimewa antara kedua-dua pemimpin. Penerbangan MH370 bersama 239 orang berlepas pada 8 Mac dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam dan hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. Gerakan mencari melibatkan 26 negara dilancarkan untuk mengesan pesawat itu bermula di Laut China Selatan dan kemudian diperluas ke Selat Melaka serta Laut Andaman dan kini di selatan Lautan Hindi. Pencarian di selatan Lautan Hindi bermula 20 Mac lalu iaitu hari ke-13 usaha pencarian antarabangsa ke atas MH370 selepas Abbott mengumumkan imej satelit negara itu mencerap dua objek yang mungkin berkaitan dengan pencarian pesawat berkenaan. Dalam perkembangan sama Hishammuddin berkata, misi mencari dan siasatan punca kehilangan pesawat MH370 sama sekali tidak dipengaruhi oleh pelbagai spekulasi yang dibuat pihak tidak bertanggungjawab. "Kami tidak akan melayan perkara yang boleh menjejaskan siasatan dan misi pencarian, malah percaya setiap spekulasi akan terjawab apabila jawatankuasa siasatan dan panel inkuiri yang dibentuk selesai melakukan siasatan," katanya. Hishammuddin berkata cadangan untuk menubuhkan sebuah panel penyiasatan antarabangsa yang sepatutnya dibentangkan kepada Jemaah Menteri semalam terpaksa ditangguhkan hingga ke mesyuarat Kabinet akan datang. "Kami tidak sempat mengedarkan kertas itu kepada semua kementerian berkaitan untuk mendapatkan komen. Jadi saya akan membentangkan kertas itu lagi kepada Kabinet dan berharap orang ramai tidak membuat spekulasi mengenai status panel pakar sehingga Kabinet membuat keputusan," katanya. Hishammuddin mengulangi adalah tidak adil bagi kerajaan Malaysia untuk hanya memberi tumpuan kepada keluarga warga China dalam insiden yang tidak pernah berlaku sebelum ini kerana pesawat MH370 yang hilang juga melibatkan 14 warga negara lain dalam pesawat itu termasuk rakyat Malaysia. Beliau juga berkata buat masa ini tidak perlu bagi kerajaan untuk membeli peralatan baharu sepenunhnya seperti satelit dengan radar, hanya kerana tragedi MH370, tetapi yang paling penting ialah untuk menaik taraf semua teknologi yang dimiliki. "Saya sendiri mendengar taklimat...dan DSA 2014 memberikan peluang bagi saya untuk melihat kekuatan dan kelemahan kita. Tetapi akhirnya kita perlu menyerahkan kepada tentera udara dan pengguna tentang apa yang terbaik," katanya. - Bernama
Tangan lelaki hancur bom meletup
Mangsa putus tangan kanan selepas membuka bungkusan berisi bom dipercayai buatan sendiri yang diletakkan di atas bonet keretanya.
SERI KEMBANGAN – “Saya dengar dia jerit minta tolong sambil berdiri memegang tangan kanannya yang hancur berkecai,” kata jiran kepada seorang lelaki yang parah akibat terkena letupan bom dipercayai buatan sendiri, pagi tadi. Norsiah Othman, 52 berkata, sebelum itu kira-kira jam 5.30 pagi dia terdengar bunyi letupan kuat lantas mengejutkan suaminya untuk melihat apa yang berlaku. Katanya, dia terlihat kepulan asap di rumah jiran terletak kira-kira 100 meter dari jarak rumahnya. Bimbang sesuatu yang buruk, Norsiah bersama suami, Syed Badrul Hisham Syed Abdullah, 53, bergegas keluar rumah dan terus menuju ke arah kepulan asap tersebut. Dia pada mulanya menyangka bunyi kuat itu adalah letupan tong gas namun sangkaan meleset apabila melihat seorang lelaki tersandar di sebuah kereta dengan keadaan berlumuran darah. Lelaki yang hanya berseluar pendek dan cedera di beberapa bahagian tubuh badan itu meminta pertolongannya sebelum dia segera mengambil tuala dan membalut tangan kanan mangsa yang sudah terkulai. “Mangsa dalam keadaan sedar... dia sempat beritahu bungkusan plastik disangka sampah yang ditemui atas bonet keretanya tiba-tiba meletup, sisa tin dan botol minuman dipercayai berada dalam bungkusan turut bertaburan di atas lantai,” katanya. Norsiah berkata, dia kemudian menghubungi talian kecemasan bagi mendapatkan bantuan lanjut. Mangsa dikejarkan ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan kecemasan. Sementara itu Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
MyKad: Pesara tentera, rakan didakwa cubaan menipu
KUALA LUMPUR - Seorang pesara tentera dan rakannya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan menipu seorang lelaki berhubung pengeluaran kad pengenalan Malaysia (Mykad) tahun lepas. Abdul Wahab Yusuf, 59, dan Budi Harto M Yusof, 45, seorang pemastautin tetap, didakwa secara bersama cuba menipu Mohammad Rozli Yusuf, 46, untuk mempercayai bahawa mereka boleh mendapatkan Mykad bagi warga Indonesia bernama 'Memek' dan 'Yono' melalui Persatuan Amal Kebajikan Bajau Sabah (Pakbis), sedangkan mereka tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan Mykad. Perbuatan itu mendorong Mohammad Rozli memberi wang tunai RM5,000 sebagai wang pendahuluan untuk mendapatkan Mykad itu. Abdul Wahab juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan cuba menipu Mohammad Rozli bagi mendapatkan Mykad untuk warga Indonesia bernama 'Roni' melalui Pakbis sehingga mendorong Mohammad Rozli memberi wang pendahuluan RM2,500. Budi Harto, yang tidak mempunyai pekerjaan tetap, turut mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan cuba menipu Mohammad Rozli bagi mendapatkan Mykad warga Indonesia 'Aminah' dan 'Abbas' melalui Pakbis sehingga mendorong lelaki itu memberi wang pendahuluan RM1,200 kepadanya. Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di K Residence, Avenue K, Jalan Ampang dan di Hotel Putra Muda, Jalan Raja Muda Abdul Aziz di sini antara 2.35 petang, 22 Januari 2013 dan 7 malam, 14 Mac 2013. Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Hakim Rosbiahanin Arifin membenarkan Abdul Wahab dikat jamin RM11,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan manakala Budi Harto dibenarkan diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin warga tempatan serta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah. Mahkamah menetapkan 23 Mei ini untuk sebutan. Pendakwaan dikendali Pegawai Pendakwa daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Mohd Nur Lokman Samingan manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama
BN Selangor desak henti catuan air
SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) Selangor memberi amaran kepada kerajaan negeri untuk menghentikan serta merta tindakan catuan air atau berdepan dengan tindakan undang-undang dan demonstrasi, kata Pengerusinya Datuk Seri Noh Omar. Beliau berkata, kenyataan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bahawa catuan air dibuat bukan untuk menyusahkan para pengguna sebaliknya demi menjamin perkhidmatan berterusan kepada rakyat adalah satu kenyataan kurang cerdik dan tidak memikirkan implikasi lain kepada Selangor. "Atas desakan dan aduan yang berterusan daripada rakyat, BN Selangor membuat pendirian supaya catuan air ini dihentikan serta-merta dalam menjamin keperluan rakyat tidak terjejas. Sekiranya masalah ini masih tidak diselesaikan satu perhimpunan menuntut hak rakyat akan diadakan pada 4 Mei ini," katanya ketika melancarkan 'Ops Baldi'di hadapan Bangunan Umno Selangor di sini hari ini. Ops baldi adalah sebagai simbolik kemarahan rakyat kepada kerajaan negeri berhubung tindakan catuan air dan disertai oleh lebih 100 orang terdiri daripada pemimpin BN negeri, anggota parti dan badan bukan kerajaan (NGO) Selangor yang hadir dengan membawa sepanduk dan beberapa buah baldi. Selain itu, Noh berkata BN Selangor juga menyediakan khidmat guaman percuma kepada mana-mana individu dan syarikat yang mahu mengambil tindakan saman terhadap kerajaan negeri kerana kerugian disebabkan masalah catuan air itu. Beliau berkata, rakyat negeri ini mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang atas kecuaian kerajaan negeri dalam menguruskan air di Selangor. "Sama ada rakyat ada locus standi (hak untuk saman) kita akan usahakan juga untuk membantu rakyat yang tertindas serta mengalami kerugian dan terpulang kepada mahkamah untuk membuat penilaian. Mereka (yang ingin kemuka saman) boleh menghubungi pejabat Umno Selangor dan kita akan lihat perkara ini," katanya. Noh berkata, kerajaan pimpinan BN sebelum ini telah mengingatkan kerajaan negeri bahawa Selangor akan menghadapi masalah bekalan air pada tahun ini sekiranya projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) tidak disegerakan, malangnya Menteri Besar memberi maklum balas bahawa krisis air hanya akan berlaku pada 2019. Beliau berkata, projek Langat 2 sepatutnya bermula pada 2010 dan siap pada tahun ini tetapi atas kepentingan politik Pakatan Rakyat, keperluan asas rakyat digadaikan. "Penggunaan air di Selangor meningkat tiga peratus setiap tahun tetapi bekalan air kurang, sebab itulah kerajaan Persekutuan telah rancang untuk membina Langat 2 bagi penuhi permintaan tiga peratus itu. Walaupun Selangor mempunyai tujuh buah empangan dan 34 loji tetapi masih tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan air di negeri ini. "Kerajaan Persekutuan juga telah belanjakan RM600 juta untuk atasi masalah air di Selangor dengan mengadakan program migrasi termasuk membina Loji Sungai Labu yang akan diuruskan oleh kerajaan negeri. Kerajaan Persekutuan lebih telus dan bersungguh-sungguh membelanjakan wang untuk selesaikan masalah rakyat," katanya. - Bernama
Pesara tentera rugi RM10,000 disamun tiga lelaki
KUANTAN - Seorang pesara tentera kerugian RM10,000 selepas disamun tiga lelaki bersenjatakan parang di rumahnya di Kampung Merbau dekat Maran awal hari ini. Ketua Polis Daerah Maran Deputi Superintendan Sulaiman A Hamid berkata dalam kejadian jam 4 pagi, mangsa berumur 51 tahun, sedang nyenyak tidur bersama isterinya, 50-an, di dalam sebuah bilik manakala ibu mertuanya, 65, tidur di bilik berasingan. Beliau berkata mangsa panik selepas dikejutkan suspek, yang kemudiannya mengikat tangan mangsa, bagaimanapun isteri dan ibu mertuanya tidak diikat. "Suspek kemudiannya bertindak menggeledah rumah mangsa dan melarikan dua utas rantai emas, tiga buah telefon bimbit serta wang tunai RM2,000 dengan kerugian keseluruhan kira-kira RM10,000," katanya kepada Bernama di sini hari ini. Beliau berkata selepas suspek melarikan diri mangsa kemudiannya bergegas menghubungi polis di IPD Maran. Katanya siasatan awal polis mendapati suspek yang dipercayai warga asing itu memasuki rumah mangsa melalui pintu belakang selepas memotong gerigi besi. - Bernama
Mendiang Karpal disayangi kawan, disegani lawan
SHAH ALAM - PKR merakamkan ucapan takziah buat keluarga Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh dan pembantu peribadinya, Michael Cornandez yang telah meninggal dunia akibat nahas jalanraya melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna MPV dan sebuah lori simen jam 1.30 pagi tadi. Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil turut memanjangkan ucapan takziah kepada rakan-rakan seperjuangan dalam DAP yang kehilangan seorang anggota pemimpin dalam kepimpinan parti tersebut. "Beliau seorang pemimpin yang cukup hebat, disayangi kawan dan disegani lawan. "Jasanya akan terus dikenang sebagai pejuang hak asasi, peguam yang sentiasa mempertahankan Perlembagaan, dan pemimpin yang berprinsip dan berintegriti sentiasa menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk terus melakukan perubahan demi Malaysia yang lebih baik dan lebih adil untuk semua," katanya. Ahli Parlimen Bukit Gelugor , Karpal Singh maut apabila MPV Toyota Alphard yang dinaikinya bertembung dengan sebuah lori di kilometer 301.6 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Gua Tempurung, Tapah awal pagi tadi. Dalam kejadian itu, kenderaan yang dinaiki itu bekas Pengerusi DAP bersama empat lagi penumpang dilaporkan telah merempuh belakang lori sehingga mengakibatkan kenderaan mangsa mengalami kerosakan teruk. Mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang bagi menghadiri satu kes mahkamah. Karpal Singh dan pembantunya disahkan maut di tempat kejadian manakala seorang penumpang MPV yang merupakan pembantu rumah warga Indonesia kini cedera parah. Walau bagaimanapun, anaknya Ramkarpal Singh, 38 dan pemandu MPV, C Selvam tidak mengalami sebarang kecederaan. Mayat dan mangsa nahas dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Kampar (HRPB) dan difahamkan, semua ahli keluarga termasuk isteri Karpal Singh sudah berada di hospital tersebut.
TPM: Semoga ahli keluarga mendiang Karpal tabah
KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa pemimpin negara hari ini mengucapkan takziah kepada seluruh anggota keluarga Karpal Singh atas kematian mendiang dalam kemalangan, pada awal pagi tadi. "Takziah untuk keluarga mendiang YB Karpal Singh. Semoga ahli keluarga tabah menghadapi dugaan ini," katanya menerusi Twitter. Bekas Pengerusi DAP dan anggota Parimen Bukit Gelugor itu terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara Selatan laluan utara berhampiran Gua Tempurung di Kampar pada 1.10 pagi. Turut terbunuh, pembantu peribadi Karpal, Michael Cornelius, 40-an. Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai melalui laman sosial miliknya turut berkongsi rasa sedih dengan berkata: "Kami benar-benar sedih dengan berita kematian mengejut Karpal Singh. Ucapan takziah kepada keluarga mendiang,". Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel berkata pemergian Karpal merupakan satu kehilangan besar bagi dunia politik negara. "Tidak kiralah beliau mewakili pihak mana, mendiang merupakan seorang pemimpin yang bagus dan berkebolehan," katanya. Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata: "Ucapan takziah kepada keluarga Anggota Parlimen YB Karpal Singh atas pemergiannya. Ingatan dan doa bersama anda dalam waktu yang sukar ini". Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata: "RIP (bersemadilah dengan tenang) YB Karpal Singh. Takziah kepada keluarga mendiang dari saya sekeluarga dan Wanita BN (Barisan Nasional). Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Wee Ka Siong berkata pemergian Karpal menyebabkan negara kehilangan seorang peguam dan ahli politik yang berwibawa. - Bernama
Bandar selamat: Airbus Defence guna CCTV
SINGAPURA - Airbus Defence and Space telah memasang penyelesaian kamera litar tertutup (CCTV) pada kenderaan sebagai sebahagian daripada Medan Ujian Bandar Selamat Singapura. Airbus dalam satu kenyataan hari ini berkata, penyelesaian itu meningkatkan tahap pengawasan situasi agensi-agensi kerajaan yang mempunyai akses fleksibel ke kawasan-kawasan tertentu dan mereka yang mempunyai kaitan dengan aktiviti jenayah. Penyelesaian itu menyediakan aset yang boleh diatur gerak dengan pantas untuk menyalurkan maklumat perisikan yang berharga bertujuan menyokong pelbagai operasi taktikal atau strategik. "Video yang dirakam daripada kenderaan ini akan dihantar dalam masa nyata," katanya. Pengarah Urusan Airbus Defence and Space di Singapura Johan Pelissier berkata, penyelesaian itu adalah hasil daripada kejuruteraan terkini menggunaka teknologi termaju dan menunjukkan bagaimana keperluan operasi dapat diatasi. Menurut Airbus Defence, projek Medan Ujian itu termasuklah pembangunan dan ujian sebenar teknologi inovatif dan analisis yang lebih canggih seperti kandungan video, pengesanan elektronik dan sensor perbandaran pintar. "Ini akan memberikan tambahan risikan dan faedah operasi kepada agensi-agensi kerajaan yang terlibat seperti polis dan pasukan pertahanan awam dan termasuklah pengangkutan awam bandar, alam sekitar dan agensi utiliti dengan objektif untuk memastikan Singapura selamat dan terjamin," katanya. - Bernama
Feri karam, ratusan masih hilang
Unit polis udara memberi bantuan sejurus menerima panggilan kecemasan.
SEOUL - KOREA SELATAN. Pegawai pasukan pengawal pantai Korea Selatan mengesahkan pihaknya menemui empat mayat penumpang dalam insiden feri karam semalam. Jurucakap kerajaan berkata, angka terkini (10 malam waktu tempatan) mereka yang masih hilang adalah 293 orang setelah hanya 164 penumpang dapat diselamatkan daripada feri yang membawa 459 penumpang itu. “Selebihnya dianggap masih hilang. Jumlah penumpang disahkan 459 orang, berbanding laporan awal 477 orang,” katanya. Menurutnya, setakat ini, identiti penumpang maut disahkan sebagai anak kapal feri terbabit, Park Ji-young, 22, dan pelajar tahun dua Sekolah Tinggi Ansan, Jung Cha-woong. “Kira-kira 27 penumpang kritikal dikejarkan ke Hospital Besar Hankook, Hospital Mokpo Hankook dan Hospital Besar Haenam,” katanya. Difahamkan menurut laporan Reuters, feri terbabit membawa 325 pelajar menuju Pulau Jeju sebelum memberikan isyarat kecemasan pada 8.58 pagi waktu tempatan iaitu ketika belayar sekitar 20 kilometer dari Pulau Byeongpoong. Sejurus berita diterima, kapal pengawal pantai, kapal dagang dan beberapa helikopter dikerahkan dalam operasi menyelamat itu. Menurut seorang penumpang, mereka mendengar satu letupan kuat sebelum feri itu terhenti dan mulai condong.
TPP: Kenyataan tak serupa tindakan
Protes menentang penyertaan Malaysia dalam TPP anjuran MTEM di Kuala Lumpur, Februari lalu.
KENYATAAN yang diberikan kerajaan mengenai pendirian Malaysia dalam perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) bercanggah dengan maklumat yang diterima daripada pegawai terlibat dalam rundingan itu, menurut gabungan Bantah TPPA. Pengerusi Bersama Bantah TPPA Azlan Awang berkata, perkembangan dalam rundingan TPP juga dilihat tidak selari dengan komitmen diberikan kerajaan, khususnya Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), contohnya dalam bidang Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (ISDS). “Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) sendiri berkata (sebelum ini) ISDS bahaya dan boleh menjejaskan negara dalam membuat dasar dan ekonomi negara. “Miti sebelum ini memberi isyarat mereka tidak setuju (dengan ISDS) tetapi nampaknya kini seolah lebih longgar (pendirian kerajaan),” katanya dalam sidang media berhubung perkembangan TPP di Kuala Lumpur, semalam. Menurutnya, kerajaan dilihat mempertimbang ISDS dengan hanya memberi syarat tambahan seperti kos perbicaraan pihak kerajaan perlu dibayar oleh syarikat luar yang membawa kes ke mahkamah, yang disifatkan Azlan sebagai tetap tidak menguntungkan. Bantah TPPA dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain kelmarin bertemu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed untuk taklimat kedudukan Malaysia dalam TPP. Azlan turut menuntut kerajaan mempertimbang keutamaan negara, termasuk menyelesaikan dahulu isu seperti gaji pekerja yang masih sangat rendah di sebalik kerancakan perdagangan Malaysia. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) Mohd Nizam Mahshar berkata, pendirian kerajaan untuk menolak bab dalam TPP yang boleh menaikkan harga ubat-ubatan dilihat mula berubah. Katanya, Malaysia dan beberapa negara membangun lain dalam TPP kini diberi kelonggaran masa lebih lama sebelum dikehendaki mematuhi standard yang akan menyebabkan harga ubat naik. “Tempoh ini bergantung kepada bila Malaysia dapat mencapai Pendapatan Kasar Negara (GNI) seperti negara berpendapatan tinggi. Pada pengiraan kami, dalam dua hingga tiga tahun lagi kita sudah boleh mencapai GNI itu. “Tetapi kita antara negara yang mempunyai jurang kaya-miskin tinggi. Keseluruhannya negara memang dapat mencapai GNI tersebut, tetapi masyarakat di bawah sana masih lagi tidak mampu,” katanya. MTEM adalah satu daripada NGO di bawah Bantah TPPA yang menolak penyertaan Malaysia dalam TPP. Mohd Nizam turut menggesa kerajaan fokus kepada kerjasama ekonomi di peringkat Asean yang memiliki tahap pembangunan hampir sama. “Ekonomi dunia kini berada di Asia. Semua negara tergila-gilakan Asia. Jadi kita perlu memimpin, bukannya kita dikawal,” tegasnya.
Google Adwords dalam bahasa Melayu bantu PKS
KUALA LUMPUR - Platform pengiklanan dalam talian Google, AdWords, kini boleh didapati dalam bahasa Melayu bagi membantu perniagaan Malaysia, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS). AdWords boleh diperolehi individu, perniagaan dan agensi yang membantu perniagaan berkembang dan mendapat pelanggan baharu dengan mengadakan iklan dalam talian. Pengurus Google Malaysia, Sajith Sivanandan berkata, 60 peratus rakyat Malaysia menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama. "Malaysia mempunyai 700,000 PKS dan hanya 15 peratus daripada mereka beroperasi dalam talian. "AdWords dalam bahasa Melayu mempunyai peranan penting dalam membantu perniagaan berkembang di kalangan penutur bahasa Melayu dalam talian," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Google AdWords dalam bahasa Melayu di sini hari ini. Pengiklan boleh mengambil kesempatan daripada kata kunci yang sebahagian besar rakyat Malaysia guna kerana separuh daripada mereka memilih untuk menggunakan konten harian mereka secara dalam talian. "Mereka boleh menyesuaikan iklan mereka berdasarkan bajet dengan pilihan kos bagi setiap klik. Tidak ada minimum penggunaan AdWords, pengguna akan menentukan jumlah yang mereka mahu bayar. "Kos maksimum bagi setiap klik ialah 50 sen," katanya. - Bernama
Saya tak tahu itu Karpal
IPOH - "Saya tak tahu itu Karpal," demikian reaksi pemandu lori, Abu Mansor Mohd, 45. Menurutnya, sebaik perlanggaran berlaku, dia segera meninjau keadaan MPV berkenaan dan mendapati ada mangsa yang cedera. Katanya, terdapat beberapa kenderaan berhenti di laluan itu dan memaklumkan mangsa yang terlibat merupakan bekas pemimpin tertinggi DAP. "Waktu itu baru saya tahu itu Karpal, ketika itu dia berada dalam keadaan tidak sedar, sebahagian mukanya ada kesan darah," katanya. Dalam kejadian itu, Karpal, 74, yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor bersama pembantu peribadinya, Micheal Cornelius, 39, maut. Turut berada dalam MPV berkenaan, anak Karpal, Ramkarpal Singh, 38, namun tidak cedera, pemandu MPV, C Selvam juga tidak mengalami sebarang kecederaan. Seorang lagi penumpang yang juga pembantu rumah warga Indonesia parah dan kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB). Difahamkan, semua ahli keluarga Karpal, termasuk isteri beliau sudah berada di hospital. Insiden kira-kira jam 1 pagi itu berlaku, apabila MPV jenis Toyota Alphard membawa Karpal hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang sebuah lori muatan 5 tan di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara Selatan. Karpal dikatakan dalam perjalanan ke Pulau Pinang untuk menghadiri satu kes perbicaraan mahkamah, pagi ini.
'Saya dengar orang jerit minta tolong'
IPOH - "Saya dengar orang jerit minta tolong, kuat sangat," kata Nur Azlina Ahmad, penumpang lori yang terbabit dalam nahas mengorbankan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh, awal pagi tadi. Nur Azlina, 23, berkata, ketika kejadian, lori dipandu suaminya, Abu Mansor Mohd, 45, berada di laluan kiri dan dipandu perlahan. Bagaimanapun menurutnya, secara tiba-tiba, kenderaan mereka dirempuh kuat dari arah belakang. "Serentak itu saya dengar suara lelaki menjerit, ada juga yang minta tolong," katanya. Nur Azlina bersama suami dan anak perempuan mereka, Nurieman Diana Qhaleesha dalam perjalanan menghantar barang simen, besi dan mozek ke Bukit Mertajam. Ketiga-tiga mereka selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.
Jadual catuan terjejas akibat paip pecah
KUALA LUMPUR - Pelan catuan bekalan air dilapor terjejas di beberapa kawasan di Jalan Serendah, Jalan Besar Serendah (Rawang), Jalan Universiti (Petaling Jaya) dan Jalan Subang (Sungai Buloh) berikutan kejadian paip pecah, sejak semalam. Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) Priscilla Alfred berkata kejadian itu menyebabkan kelewatan bekalan air ke kawasan yang sepatutnya mendapat bekalan air. "Bekalan air akan disalurkan sebaik sahaja kerja-kerja pembaikan paip pecah siap dijalankan dan tempoh penyaluran dipanjangkan sedikit dari yang dijadualkan," menurutnya dalam kenyataan di sini, hari ini. Pada masa sama, Priscilla turut memaklumkan terdapat kelewatan pada penyaluran air di beberapa kawasan catuan termasuk Prima Village dan Rawang Perdana di Wilayah Hulu Selangor ekoran perbuatan mencuri peralatan di rumah pam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, sejak semalam. Bagaimanapun, menurut beliau peralatan itu telah diganti semula oleh Syabas dan bekalan air kembali disalurkan ke kawasan pengguna. Sementara itu, Priscilla berkata Syabas turut mengingatkan Badan Pengurus Bangunan bagi kediaman bertingkat supaya mengawal paras kolam simpanan air masing-masing sehingga mencapai paras yang stabil sebelum melepaskan air kepada penduduk. Ini bagi membantu penduduk berkenaan menerima bekalan air mengikut tempoh yang dijadualkan. Priscilla turut memperjelaskan tentang dakwaan bahawa pengusaha kilang terpaksa membayar kos pembelian air yang diuruskan pihak ketiga yang menyediakan lori tangki air dengan caj yang tinggi. Jelasnya, kos berkenaan merangkumi kos yang dikenakan pihak Syabas, kos pengangkutan dan unsur keuntungan yang dikenakan pihak ketiga terbabit. "Kos yang dicajkan oleh Syabas adalah RM100 untuk setiap trip lori tangki sebagai kos pentadbiran dan kos ujian kualiti air manakala kos untuk pembelian air pula dikenakan pada kadar RM2.07 setiap meter padu iaitu kadar air untuk pengguna industri," katanya. Beliau turut memaklumkan Loji Rawatan Air Wangsa Maju oleh Puncak Niaga (M) Sdn Bhd telah beroperasi semula selepas dihentikan ekoran tahap kekeruhan air di Sungai Gombak melampaui tahap yang dibenarkan Kementerian Kesihatan Malaysia. - Bernama
Karpal Berkeras Mahu Bertolak Malam
IPOH – Karpal Singh berkeras untuk bertolak ke Pulau Pinang pada waktu malam supaya beliau boleh membuat persiapan untuk kes mahkamah pada Khamis, kata anaknya,Gobind Singh Deo. “Saya bertemu dengannya buat kali terakhir di Hospital Pantai, Bangsar apabila saya mendapatkan rawatan disana. “Kami berbual sekejap saja dan beliau memperkatakan banyak perkara dan akan berbincangkan mengenainya kemudian,” kata Gobind yang juga Ahli Parlimen Puchong. Gobind berkata, beliau menerima panggilan telefon daripada isterinya mengenai insiden tersebut kira-kira pukul 2.15 pagi Khamis. “Isteri saya mahu mendapatkan pengesahan dan kami kemudiannya bergegas balik ke Kampar. “Kami melihat mayatnya dan Michael, yang juga penjaganya, yang duduk di kerusi belakang Karpal di dalam kereta itu,” katanya. Gobind berkata, adiknya, Ramkarpal dan pemandu, C Selvam yang turut berada di dalam kereta itu hanya mengalami kecederaan ringan. Pembantu rumah Karpal Singh, seorang wanita warga Indonesia cedera parah dan mengalami pendarahan di bahagian otak. Gobind berkata beliau akan mengumumkan tarikh pengebumian bapanya nanti. “Ramai rakan dan ahli keluarga yang berada di luar negara mahu pulang dan memberikan penghormatan terakhir di rumah kami di Jalan Utama, Pulau Pinang. “Kami merancang untuk melakukan pada petang Sabtu atau pagi Ahad untuk memberi peluang kepada mereka mengatur perjalanan,” katanya. – mStar
Mitsubishi Motors Lancar Lancer 2.0 GTE Baharu
KUALA LUMPUR – Mitsubishi Motors Malaysia Sdn Bhd, pengedar rasmi kenderaan Mitsubishi di negara ini telah melancarkan Mitsubishi Lancer 2.0 GTE baharu di sini, hari ini. Dalam satu kenyataan, Mitsubishi Motors Malaysia berkata, kereta itu dilengkapkan dengan pakej premium dipertingkat, bumbung suria, sistem operasi tanpa kunci untuk kemasukan bebas tangan sebenar dan tambahan beg udara lutut untuk tempat duduk pemandu bagi meningkatkan keselamatan. Ciri baharu di dalam Lancer 2.0 GTE adalah sebagai tambahan kepada kit badan standard dengan kemasan dalaman kulit dan skrin sesentuh 6.1 inci dengan audio kamera pandang belakang. Ia juga disertakan penggilap cermin bersama alat pengesan hujan, lampu depan automatik, pendingin udara automatik dan kawalan kelajuan. Lancer 2.0 GTE itu dijual dengan RM115,590.20 di atas jalan tanpa insurans, diimport dan dipasang sepenuhnya di Jepun. Ia boleh diperolehi dalam tiga warna iaitu putih solid, hitam mica dan merah metalik. – BERNAMA
Tempoh Penghormatan Terakhir Dilanjutkan
AHLI keluarga Ahli Parlimen Bukit Gelugor mendiang Karpal Singh akan melanjutkan tempoh bagi orang ramai untuk memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang. Anak keduanya, Gobind Singh Deo berkata ia berikutan beliau menerima banyak panggilan dari kenalan dan ahli keluarga yang memaklumkan akan hadir menziarah jasad ayahnya itu. Menurutnya, mengikut perancangan awal mendiang dijangkakan akan dikebumikan Ahad ini. “Apa-apa pun kita akan buat pengumuman rasmi kemudian tentang perkara ini seawalnya petang ini,” katanya. Mayat mendiang akan dibawa pulang ke kediaman mereka di Jalan Utama, Pulau Pinang, petang ini sebaik urusan bedah siasat selesai. Gobind membuat pengecaman mayat bapanya di Hospital Kampar, pagi tadi. Mayat kemudiannya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat bersama mayat pembantu peribadinya Michael Cornelius ditemani Gobind. Karpal terkorban selepas kenderaan jenis MPV yang dinaikinya melanggar belakang sebuah lori 5 tan di Lebuh Raya Utara Selatan arah utara berdekatan Gua Tempurung.
Karpal Banyak M’yumbang Kepada Negara
KUALA LUMPUR – Walaupun berpegang pada ideologi politik yang berbeza, bekas Pengerusi DAP dan anggota Parlimen Bukut Gelugor Karpal Singh, yang maut dalam kemalangan, telah banyak menyumbang kepada negara, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahatir Mohamad. Beliau berkata Karpal sering mengkritik kerajaan apabila beliau melihat sesuatu perkara yang tidak betul. “Sebahagian daripada kritikannya mungkin tidak betul tetapi ada juga yang mempunyai asas. Kita memerlukan pembangkang yang bercakap munasabah,” katanya ketika mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang peguam tersebut. Terdahulu, Dr Mahathir menyampai ucaptama pada sesi meja bulat bertajuk ‘Mengurus Kenaikan Kos Dalam Persekitatan Perniagaan Semasa’ di Menara Matrade di sini hari ini. Dalam kemalangan pukul 1.10 pagi tadi, Karpal, 74, maut, apabila kenderaan serba guna (MPV) jenis Toyota Alphard yang dinaikinya bersama empat orang lain melanggar sebuah lori lima tan di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara Selatan laluan utara berhampiran Gua Tempurung di Kampar, Perak. Karpal dikatakan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang ketika kejadian itu berlaku. Turut terkorban dalam kemalangan tersebut ialah pembantu peribadinya, Michael Cornelius, 40-an. – BERNAMA
LCW Tak Gantung Raket Sehingga Olimpik 2016
KUALA LUMPUR – Institut Sukan Negara (ISN) menyediakan seorang pakar fisioterapi sepenuh masa bagi membantu Datuk Lee Chong Wei terus beraksi sehingga Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil. Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata jaguh badminton negara berusia 31 tahun itu bersetuju untuk terus beraksi sehingga Sukan Olimpik 2016 selepas mereka mengadakan perbincangan dari hati ke hati baru-baru ini. “Saya bagai tahu dia, saya tidak mahu dengar yang dia akan bersara tahun ini dan beliau telah bersetuju untuk terus beraksi sampai Sukan Olimpik. “Pemain nombor satu dunia seperti Chong Wei dan ratu skuasy Datuk Nicol David harus diberikan perhatian lebih. Kita kena jaga mereka sebab mereka bakal menyumbangkan pingat kepada negara,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Forum Women@Work. Forum berkenaan diadakan sempena Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia 2014 di Kelab Golf Diraja Selangor (RSGC), di sini hari ini. Mengulas kekalahan Chong Wei kepada pemain bukan pilihan Simon Santoso dari Indonesia pada final Siri Super Terbuka Singapura 2014, Ahad lepas, Khairy berkata menang atau kalah itu adalah perkara biasa. “Kita kena akui bahawa Chong Wei masih lagi merupakan harapan terbaik negara untuk raih pingat emas di Sukan Olimpik nanti,” katanya. Pada Terbuka Singapura, Simon menafikan Chong Wei gelaran keempat tahun ini dengan keputusan 21-15 dan 21-10 dalam masa 48 minit. Sebelum ini, Chong Wei membuka musim baharu dengan merangkul gelaran Terbuka Malaysia pada Januari diikuti All England (Mac) dan Terbuka India, awal bulan ini. – BERNAMA
Wireless Key Finder: Penyelamat Kunci Anda
Adakah anda salah seorang yang sering kali kehilangan kunci? Dan anda sudah mencarinya di merata tempat seperti di bawah kati, sofa, kabinet mahupun dalam peti sejuk tetapi kunci anda masih tidak ada? Anda tidak perlu risau lagi dengan adanya ‘wireless key finder’. Ia merupakan produk yang sangat bagus bagi anda yang sering tertinggal atau terlupa tempat terakhir anda meletakkan kunci. Segala masalah terlupa atau kehilangan dapat diselesaikan dengan menggunakan satu butang sahaja! ‘Wireless key finder’ ini datang dengan dua bahagian termasuk receiver (penerima) di mana anda boleh sertakan bersama kunci dan pemancar yang disertakan butang. Apabila terlupa akan kedudukan terakhir kunci, hanya tekan butang di bahagian transmitter dan ia akan membuatkan ‘receiver’ berkelip lalu menggeluarkan bunyi ‘beep’ bagi memudahkan kunci dijumpai. Kadar signal sistem wireless pemancar ini sangat luas dan daya signalnya boleh menembusi dinding, pintu dan objek yang agak tebal. Kunci boleh ditemui walaupun berada pada jarak 60 hingga 80 kaki. Produk ini juga bukan hanya boleh digunakan pada kunci tetapi apa sahaja barang yang penting seperti dompet, telefon bimbit atau beg. Ia datang bersama empat set yang ditanda dengan warna merah, biru, kuning dan hijau.
Imam Besar Al Azhar Berucap Di Piala Dunia 2013 Di Brazil
Mesir – Imam besar Al-Azhar, Sheikh Ahmed al-Tayeb telah dijemput untuk berucap pada pembukaan kejohanan Piala Dunia 2013 di Brazil yang dijadualkan bermula 12 Jun hingga 13 Julai. Sheikh Ahmed telah dijemput oleh duta Brazil ke Mesir, Marco Brandão semalam untuk mengambil bahagian dalam upacara pembukaan sukan berprestij itu. Brandão menegaskan bahawa Al-Azhar memainkan peranan penting dalam menyebarkan prinsip-prinsip Islam. “Jempuran ini mewakili pengiktirafan dunia kepada peranan yang dimainkan oleh Al-Azhar dalam menyebarkan Islam, di sebalik peningkatan pengganas,’’ kata Brandão. Dalam pada itu, penasihat Sheikh Ahmed, Mohammad Mehanna, berkata, jemputan berkenaan menunjukkan bahawa konsep keserderhanaan diiktiraf oleh dunia. “Islam menggalakkan sukan bagi tujuan kesihatan. Berjuta-juta orang akan menontonnya kejohanan ini dan mereka dapat mengetahui mengenai Islam melalui ucapan Sheikh Ahmed. Sheikh Ahmad sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila beliau menyokong pemberontakan menentang bekas Presiden Mesir, Mohamed Mursi. Malah ulama Sheikh Yusuf al-Qaradawi sendiri mengkritik Sheikh Ahmed dengan menyifatkan kenyataan itu sebagai salah dan tidak berlandaskan al-Quran dan Sunah.
VIDEO: Suami Isteri Gaduh, Kereta Jadi Mangsa
Kisah pasangan suami isteri yang bergaduh hingga salah seorang daripadanya memecahkan pinggan di dapur mungkin bukan kisah luar biasa. Tapi pasangan di Butterworth, Pulau Pinang nampaknya lebih ganas daripada biasa apabila mereka ‘berperang’ dengan memecahkan kenderaan. Dalam rakaman video yang diambil di di Jalan Raja Uda jam 4.30 petang Isnin lalu, sebuah kereta jenis Citroen didapati menghalang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima. Pemandu Toyota Estima dapat dilihat cuba beredar tetapi dirempuh beberapa kali oleh pemandu Citroen walaupun terdapat orang awam cuba mententeramkan dirinya. Kejadian ini mengejutkan orang ramai yang berada di kawasan sekitar. Difahamkan, kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara suami isteri hingga membuatkan salah seorang daripadanya mengamuk kerana tidak dapat menahan perasaan. Kesudahannya, kedua-dua kereta mengalami kerosakan teruk. Macam ini baru puas hati mereka agaknya
Pemandu Lori Terkejut Dengar Jeritan, Dentuman
IPOH – “Bunyi dentuman kuat di belakang lori dan suara orang menjerit telah mengejutkan saya,” demikian menurut pemandu lori Abu Mansor Mohd, 45, yang kenderaanya terlibat dengan kemalangan di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara Selatan laluan utara berhampiran Gua Tempurung di Kampar, awal pagi ini. Kemalangan pada 1.10 pagi itu, mengakibatkan anggota Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh, 74, dan pembantu peribadinya Michael Cornelius maut di tempat kejadian. Ekoran itu, Abu Mansor berkata beliau memberhentikan kenderaannya dan melihat kenderaan serba guna (MPV) yang dinaiki lima penumpang melanggar bahagian belakang kanan lori berkenaan. “Keluar dari lori, saya terkejut setelah melihat MPV itu rosak teruk dan terdapat mangsa yang cedera,” katanya ketika pemberita di sini hari ini. Abu Mansor berkata pada mulanya beliau tidak mengetahui seorang daripada lima mangsa yang berada di dalam kenderaan itu adalah bekas Pengerusi DAP. “Orang ramai yang berhenti di tepi jalan untuk melihat kejadian itu memberitahu saya Karpal Singh berada di dalam kenderaan itu,” katanya. Menurut Abu Mansor, beliau memandu perlahan di bahagian kiri jalan ekoran keadaan jalan yang berbukit. Beliau yang berasal dari Petaling Jaya berkata, beliau sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Bukit Mertajam, Pulau Pinang untuk menghantar barang antaranya simen dan mozek turut bersama isterinya Nur Azlina Ahmad, 23, serta seorang kanak-kanak Nurieman Diana Qhaleesha Abdullah, 4. Kemalangan itu turut mengakibatkan pembantu rumah Karpal, seorang wanita warga Indonesia cedera parah dan mengalami pendarahan di bahagian otak. Sementara anak lelaki bekas pemimpin DAP itu, Ramkarpal Singh, 38, dan pemandu kenderaan MPV C. Selvam, 27, yang merupakan warga India tidak mengalami kecederaan. Abu Mansor pula hanya cedera ringan manakala dua penumpang lain tidak cedera. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kampar Supt Ng Kong Soon berkata saringan awal ujian air kencing bagi mengesan dadah dibuat ke atas Abu Mansor selepas polis mengambil keterangan daripadanya. “Bagaimanapun, Abu Mansor dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya ketika dihubungi di sini. Menurut Ng, ujian makmal akan dilakukan bagi mempoleh keputusan yang lebih tepat. Beliau berkata polis juga akan menjalankan saringan ujian air kencing terhadap pemandu kenderaan MPV C.Selvam, dalam masa terdekat. – BERNAMA
AUDIO : Wanita Maki ‘Kaw Kaw’ Operator PLUS
SUDAH menjadi kebiasaan jalan raya di negara ini berada dalam keadaan sesak khususnya pada waktu puncak ketika orang ramai pergi dan pulang dari kerja. Selain waktu berkenaan lalu lintas akan menjadi sesak ketika musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali ketika orang ramai pulang ke kampung dari bandar. Kita akui, ada sesetengah pengguna jalan raya yang tidak berpuas hati dengan keadaan jalan raya khususnya ketika jalan sesak lebih-lebih lagi jika ia berlaku di lebuh raya. Mungkin apa yang berlaku pada wanita yang memaki operator panggilan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) ini turut menderita akibat masalah yang sama iaitu kesesakan di lebuh raya berkenaan di sekitar kawasan plaza tol Seremban. Rakaman audio perbuatan itu dimuat naik di laman video YouTube berdurasi selama 3.17 minit. Wanita itu tidak berpuas hati dengan keadaan jalan di kawasan itu yang sering sesak kadangkala berkilometer jauhnya. “Aku balik pukul sembilan, jem, aku balik pukul 11 jem, pukul berapa yang sepatutnya aku balik haa, bangsat,” kata wanita itu dengan nada yang betul-betul marah. Dia yang mendakwa sering berulang dari Melaka turut menggunakan banyak kata-kata kesat serta mendakwa yang dia mempunyai anak dan dalam kesusahan ekoran penutupan sesetengah bahagian di lebuh raya itu untuk kerja pembaikan. Pada penulis, jika wanita itu kerap menggunakan jalan raya dan kerap memandu sepatutnya dia boleh menggunakan jalan biasa tidak bertol untuk mengelakkan kesesakan itu dan masuk semula di lebuh raya di Nilai sebelum terus ke Kuala Lumpur. Zaman moden ini, banyak teknologi canggih seperti alat navigasi satelit (GPS) dan juga aplikas GPS komuniti iaitu Waze yang betul-betul boleh membantu. Soalnya, hendak seribu daya tak hendak seribu dalih, dah tak hendak baik maki je senang.
Karpal Pernah Raikan Saya – Imam Muda Asyraf
Menurut Ustaz Roslan, apa yang sepatutnya dilakukan adalah mengucapkan takziah kepada keluarganya dan mengambil iktibar dan ibrah. Hal ini kerana kita sendiri sebagai umat Islam masih tidak ada jaminan bagaimana caranya akan menghadap Ilahi satu hari nanti. Dalam pada itu, Imam Muda Asyraf turut berkongsi satu sisi Karpal yang selama ini tidak diketahui orang ramai iaitu mendiang rupa-rupanya, orang pertama yang meraikan kemenangan Asyraf sebagai Imam Muda dalam satu majlis pada 2010 memandangkan Asyraf merupakan pengundi di kawasannya. Jika status daripada dua ustaz ini tidak memberi kesan, seorang pengguna Facebook bukan Islam turut memuatnaik satu status berkaitan tindakan orang Islam yang mempermainkan kematian mendiang Karpal. Cubalah baca status di bawah dan jika anda antara orang Islam yang ‘bergembira’ atas berita kematian Karpal, mungkin sedikit sebanyak ia dapat menjentik hati anda.
Pemimpin Pakatan Sedih Kematian Karpal
KUALA LUMPUR – Beberapa pemimpin utama pakatan pembangkang melahirkan rasa terperanjat dan sedih di atas kematian Ahli Parlimen Bukit Gelugor dalam satu kemalangan dekat Tapah, Perak awal pagi ini. Antara mereka adalah Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menganggap mendiang seorang ahli politik yang hebat kerana memperjuangkan keadilan untuk rakyat. “Karpal seorang pemimpin yang dihormati orang ramai kerana kepakarannya dalam bidang perundangan,” katanya. Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula berkata, mendiang seorang yang sangat cekal dan mempunyai keyakinan diri yang tinggi dalam apa jua urusan yang diperjuangkan. Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut melahirkan rasa sedih dan terperanjat dengan peristiwa itu dengan menyifatkan kematian bekas Pengerusi DAP itu sebagai satu kehilangan buat mereka. Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui akaun Facebook rasmi beliau mengucapkan takziah kepada keluarga Karpal dan menganggap pakatan pembangkang kini kehilangan seorang pejuang keadilan. Anwar turut memaklumkan beliau sempat berbual panjang dengan Karpal melalui panggilan telefon pukul 6.30 petang semalam. Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil ; Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa turut melahirkan kesedihan mereka melalui media sosial.
Rekod MPV Dinaiki Karpal, Ada 29 Kesalahan Trafik.. 15 Saman Belum Jelas
REKOD ke atas kereta jenis MPV yang dinaiki Ahli Parlimen Bukit Gelugor Mendiang Karpal Singh, 74 tahun, yang terlibat dalam kemalangan awal pagi menunjukkan ada saman trafik yang belum dijelaskan. Ketua Polis Daerah Kampar Supritendan Ng Kong Soon dalam laporan Bernama berkata, rekod MPV itu menunjukkan 29 rekod kesalahan lalu lintas iaitu memandu laju dan sejumlah 15 saman masih belum dijelaskan. Karpal dan pembantu peribadinya Michael Cornelius, 40-an, meninggal dunia di tempat kejadian dalam kejadian berkenaan awal pagi tadi. Kereta MPV itu dikatakan hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang sebuah lori 5 tan ketika dalam perjalanan di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) menghala ke utara. Sementara itu, Ng berkata ujian air kencing yang dijalankan ke atas pemandu lori berkenaan dipercayai ada kesan dadah jenis ganja. “Terdapat adanya kesan penggunaan dadah jenis ganja pada ujian saringan air kencing polis terhadap pemandu lori tersebut namun begitu kita akan hantar sampel tersebut kepada pihak hospital dan patologi untuk dianalisis dengan lebih lanjut,” katanya menurut laporan Astro Awani. Lori yang digunakan juga merupakan sebuah lori syarikat pengangkutan yang berdaftar di Petaling Jaya dan semasa kejadian lori tersebut menghala ke Ipoh sambil membawa muatan barang-barangan seperti bekalan simen, kepingan mozek dan besi. Dalam kejadian, pada jam 1.10 pagi itu, lori berkenaan secara tiba-tiba dikatakan memasuki lorong yang dilalui kenderaan yang dinaiki Karpal. Akibatnya kenderaan mereka melanggar bahagian belakang bucu lori tersebut. Rempuhan itu mengakibatkan impak yang kuat sekaligus meragut nyawa Karpal dan pembantu peribadinya di tempat kejadian.
Allah Mematikan Karpal Singh Sebagai Penentang Utama Hudud – Zulkifli Noordin
SUSULAN kemalangan yang mengorbankan nyawa Ahli Parlimen Bukit Gelugor Mendiang Karpal Singh, peguam Datuk Zulkifli Noordin berkemungkinan dilihat membuat kenyataan melalui twitter yang tidak sesuai pada masanya. Dalam akaun twitternya Zulkifli (gambar atas) yang juga bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru berkata ketika saat kerajaan pusat UMNO menyokong perlaksanaan hukum Hudud oleh PAS, Karpal Singh yang dilihat sebagai penghalang utama terkorban. “Dalam kemelut kerajaan PAS Kelantan mahu melaksanakan hudud dengan bantuan UMNO, Allah telah mematikan Karpal yang menjadi penentang utama perlaksanaanya,” kata beliau dalam tweet berkenaan pada pukul 7.12 pagi. Tweet dari Zulkifli kemudiannya mendapat kecaman hebat di twitter kerana disifatkan sebagai tidak kena pada masanya saat ramai pihak khususnya ahli keluarga mendiang Karpal yang kini sedang bersedih tentang berita kematiannya. Selain para pengguna twitter, Zulkifli turut dibidas oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin. Dalam tweetnya Khairy meminta agar Zulkifli mendiamkan diri dalam nada serius. Karpal dan pembantu peribadinya Michael Cornelius meninggal dunia di tempat kejadian dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan serbaguna (MPV) yang dinaikinya. Kejadian berlaku di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara Selatan laluan utara berhampiran Gua Tempurung.
Mendiang Karpal Singh, Perginya Seorang Tokoh Politik Berprinsip – Nik Abdul Aziz
Saya rakamkan takziah kepada keluarga Yang Berhormat Karpal Singh, Ahli Parlimen Bukit Gelugor yang telah meninggal dunia akibat kemalangan awal pagi ini. Saya sifatkan pemergian beliau sebagai satu kehilangan kepada dunia politik tanah air kerana beliau amat dikenali sebagai seorang yang berprinsip dan sukar digugat pendiriannya. Beliau juga merupakan pendokong kuat kepada Perlembagaan Malaysia dan amat tegas dengan pendirian bahawa Malaysia merupakan negara sekular. Sudah tentu prinsip ini amat berbeza dengan prinsip perjuangan PAS dan beliau ternyata menghormati perbezaan ini. Saya masih ingat sewaktu ke rumah beliau awal tahun lepas di mana saya diberikan sambutan yang sangat hangat dari beliau. Bahkan beliau menghantar saya pulang rapat ke pintu kenderaan sekalipun situasi beliau yang terpaksa bergerak dengan kerusi roda. Saya kira, di sebalik perbezaan pandangan antara kami, sambutan yang diberikan oleh beliau kepada saya sangat-sangat mencerminkan kelembutan beliau dan penerimaannya terhadap hubungan PAS dan DAP di dalam Pakatan Rakyat. Saya kenal Karpal Singh sebagai seorang yang mendokong kuat Perlembagaan Malaysia dan saya yakin beliau akan terus dikenali begitu di dalam sejarah politik tanah air. Di negara ini, jika semua pihak menghormati prinsip yang terkandung di dalam Perlembagaan, Kelantan pastinya tidak akan ditindas dengan pelbagai jenis penindasan. Hak Kelantan termaktub di dalam perlembagaan, tertulis di atas perjanjian, namun ada pihak yang sewenang-wenangnya membelakangi Perlembagaan dan perjanjian bertulis. Dalam kehangatan dunia politik pada hari ini yang menyaksikan hasrat kerajaan negeri Kelantan untuk memfailkan bil persendirian di Parlimen bagi membolehkan undang-undang hudud dilaksanakan, saya sedikit terkilan kerana individu seperti Karpal Singh tidak sempat untuk diberikan pemahaman tentang hudud. Saya amat yakin, individu seperti beliau jika diberikan kefahaman yang sebenarnya tentang undang-undang ini, tidak akan mempunyai sebarang sebab untuk menolak undang-undang hudud. Di Kelantan, sewaktu kita meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) pada tahun 1993, ada yang menghantar surat kepada saya menghalang enakmen ini dikuatkuasakan dan pihak yang menghantar surat ini namanya bukan Karpal Singh. Saya benar-benar berharap, agar pihak yang bertanggungjawab menghantar surat ini sempat memahami keindahan undang-undang Allah SWT sebelum tibanya masa untuk pergi yang tidak akan kembali. Sekali lagi saya rakamkan takziah kepada keluarga Karpal Singh dan juga DAP atas kehilangan pemimpin utama mereka. Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat Bertarikh : 17 Jamadil Akhir 1435H bersamaan 17 April 2014M
Karpal Singh Inspirasi Kepada Parti
IPOH – Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini melahirkan rasa sedih terhadap kehilangan bekas pengerusi DAP Karpal Singh yang disifatkannya sebagai sumber inspirasi kepada anggota parti itu. Setiausaha Agung DAP itu berkata berita kematian Karpal Singh akibat kemalangan di Kampar yang diterima beliau pada pukul 3 pagi, amat mengejutkan. “Saya mewakili seluruh warga DAP merakamkan takziah kepada anggota keluarga beliau, dan bagi pihak kerajaan negeri, kita mahu memberi penghormatan kepadanya, ‘a proud son of Penang’,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini hari ini. Beliau berkata Karpal Singh bukan sahaja seorang peguam yang dihormati malahan seorang ahli politik yang tegas dan tidak berkompromi dengan prinsip yang dipegangnya. Lim berkata kali terakhir pertemuan mereka adalah pada sesi Parlimen baru-baru ini dan beliau turut menelefon Karpal Singh beberapa hari lepas bagi membincangkan isu mahkamah dan parti. “Ia adalah satu kehilangan yang besar, kami terkejut dengan kehilangan secara tiba-tiba ini. Ini kerana kami percaya banyak lagi yang boleh beliau sumbangkan,” katanya. – BERNAMA
Najib Ucap Takziah Kepada Keluarga Karpal Singh
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun hari ini mengucapkan takziah kepada keluarga bekas Pengerusi DAP dan Anggota Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh yang maut dalam kemalangan, pada awal pagi ini. Najib berkata beliau mendengar berita mengenai kematian Karpal, setibanya beliau di Ankara bagi memulakan lawatan rasmi ke Turki. “Saya baru sahaja mendarat di Ankara apabila saya mendengar berita bahawa YB Karpal Singh meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya. “Takziah saya kepada keluarga,” kata Perdana Menteri dalam mesej Twitternya. Lawatan Najib ke Turki adalah atas jemputan rakan sejawatan beliau, Recep Tayyip Erdogan. Turut terbunuh dalam kemalangan pada 1.10 pagi di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara Selatan laluan utara berhampiran Gua Tempurung di Kampar itu ialah pembantu peribadi Karpal, Michael Cornelius, 40-an. Menurut polis, kenderaan Toyota Alphard MPV yang dinaiki Karpal, 74, dan empat orang lain dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang telah terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori lima tan yang membawa muatan simen, besi dan mozek. Lori berkenaan dipercayai bergerak perlahan di sebelah kiri laluan ke utara lebuhraya berkenaan memandangkan ia membawa muatan berat dan tempat kejadian juga merupakan kawasan laluan berbukit. – BERNAMA
Parlimen Ucap Takziah Kepada Keluarga Karpal
KUALA LUMPUR — Seluruh warga Parlimen Malaysia hari ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Anggota Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh, yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya awal pagi ini. Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata Parlimen Malaysia kehilangan seorang tokoh politik yang telah banyak mewarnai sejarah politik negara sejajar dengan amalan demokrasi berparlimen. “Secara peribadi, saya kehilangan seorang ‘kawan dalam lawan’ dan kali terakhir mendiang sempat mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-Undang Saraan Hakim (Pindaan) 2013 semasa Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua Parlimen Malaysia Ke-13 baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan di sini. Pandikar Amin juga berharap keluarga, rakan dan kenalan bekas Pengerusi DAP itu tabah dan sabar dengan pemergian mendiang. “Semoga roh mendiang akan disemadikan dengan penuh ketenangan jua,” katanya. Dalam pada itu, Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor hari ini diminta bertafakur seminit sebelum persidangan bermula bagi menghormati kematian Karpal. Speaker Hannah Yeoh berkata kematian Karpal itu memeranjatkan seluruh rakyat Malaysia, selain menyifatkan mendiang sebagai seorang pemimpin DAP yang amat disanjungi oleh parti. Kemalangan pada 1.10 pagi di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara Selatan laluan utara berhampiran Gua Tempurung di Kampar itu turut mengorbankan pembantu peribadi Karpal, Michael Cornelius, 40-an. Menurut polis, kenderaan Toyota Alphard serba guna (MPV) yang dinaiki Karpal, 74, dan empat orang lain dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori lima tan yang membawa muatan simen, besi dan mozek. Lori berkenaan dipercayai bergerak perlahan di sebelah kiri laluan ke utara lebuhraya berkenaan memandangkan ia membawa muatan berat dan tempat kejadian juga merupakan kawasan laluan berbukit.– BERNAMA
Hospital Ipoh Sugul, Sambut Jasad Karpal
KESUGULAN dan kesedihan menyelubungi suasana di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh hari ini, lokasi di mana proses bedah siasat jasad Ahli Parlimen Bukit Gelugor Mendiang Karpal Singh. Proses bedah siasat berjalan pada pukul 7.30 pagi tadi. Selepas itu, jasad Karpal akan dibawa balik ke rumah keluarganya di Pulau Pinang di mana mendiang dijangka akan turut di semadikan. Mendiang Karpal akan dikebumikan pada Ahad ini. Tiba bersama jasad Karpal dan pembantunya Michael Cornelius di hospital, ialah anaknya Gobind Singh dalam pakaian biru kelihatan lemah dan tidak bermaya. Gobind yang juga Ahli Parlimen Puchong kebetulan baru sahaja dibenarkan keluar dari Hospital Kuala Lumpur baru-baru ini. Bagaimanapun beliau tetap tenang menjawab soalan wakil media yang tiba dari Kuala Lumpur, Perak dan Pulau Pinang untuk membuat liputan berkenaan kejadian yang menimpa bapanya. Isteri Karpal, Gurmit Kaur, juga bergenang air mata. Gurmit memasuki tempat menunggu dengan skaf ungu diiringi saudara mara. Beliau masih kelu seribu bahasa ketika ucapan takziah datang mencurah-curah. Kelihatan anggota keluarga memeluk untuk memberi semangat kepadanya. Turut kelihatan di hospital, seorang lagi anaknya Jagdeep Singh Deo, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, Pesuruhjaya PAS Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin dan beberapa wakil rakyat. Lim juga dibasahi tangisan dan memeluk erat Gobind. Penyokong DAP ramai berkumpul di luar bangunan itu, yang kebetulan baru dibuka secara rasmi semalam.
Harimau Jelutong – Karpal Singh Dalam Kenangan – 19 April 1940 – 17 April 2014
Mendiang Karpal Singh Ram Singh atau Karpal Singh (28 Jun 1940 – 17 April 2014), ialah seorang ahli politik dan peguam terkenal di negara ini. Beliau juga merupakan bekas Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan juga sebagai Ahli Parlimen Bukit Gelugor, George Town, Pulau Pinang. Beliau mengalami kemalangan dengan motosikal pada awal tahun 2005 menyebabkan beliau mengalami masalah neuromotor di sebelah lengan kiri dan terpaksa menggunakan kerusi roda. Manakala, awal malam tadi, beliau dan rakannya Michael Cornandez beserta dengan anak Karpal, Ram Singh telah terlibat dalam kemalangan di KM301.6 Lebuhraya Utara Selatan menuju ke arah utara yang menyebabkan kematian Karpal dan Michael. Kehidupan Awal. Karpal Singh dilahirkan di George Town, anak kepada pengawal keselamatan dan penternak separuh masa Ram Singh. Ram telah berpindah dari India ke Pulau Pinang pada tahun 1921. Leluhur Karpal merupakan petani dari kampung Samna Pind, berhampiran Amritsar, dalam daerah Punjab. Beliau mendapat pendidikan awal di St. Xavier’s Institution,George Town,Pulau Pinang. Mengikut catatan peribadinya, Karpal melawat kampung tersebut pada tahun 1963 ketika melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di Universiti Singapura (1966) dan pada tahun 1974 apabila bapanya terbunuh dalam kemalangan di sana. Beliau mula menyertai politik setelah menjadi ahli DAP pada tahun 1970. Beliau pernah menyandang jawatan Naib Pengerusi DAP dan Timbalan Pengerusi DAP. Beliau ialah daripada etnik Punjabi dan juga sebagai seorang peguam yang handal. Beliau amat mahir dalam berhujah dan menerima jolokan sebagai “Harimau Jelutong” kerana beliau amat sukar untuk ditewaskan dalam pertandingan kerusi Parlimen Jelutong sebelum pilihanraya umum pada 1999. Di Parlimen. Pada 7 September 2004, Karpal Singh diberi peluang sama ada meminta maaf dalam masa 3 hari dan hadapi penggantungan selama 10 hari daripada menyertai Parlimen ataupun penggantungan selama 6 bulan dengan segala kemudahan sebagai ahli parlimen ditarik balik. Beliau kemudian enggan meminta maaf dan digantung selama 6 bulan. Pada 23 Oktober 2008, Karpal Singh digantung selama dua hari daripada menghadiri Persidangan Dewan Rakyat kerana didakwa mencabar kewibawaan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan menuduh beliau bersikap ‘tidak serius dan main-main’ selepas berlaku pertikaman lidah antara beliau dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz ketika pemimpin pembangkang itu mencelah pada sesi lisan. Pada 7 April 2010, Karpal Singh digantung 10 hari kerana mencerca ‘diktator’ terhadap Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia. Puncanya Speaker menolak usul Tian Chua (PKR-Batu) merujuk Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN/UMNO-Pasir Salak) ke jawatankuasa hak dan kebebasan parlimen. Beliau pernah dipenjarakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA pada tahun 1987 dalam Operasi Lalang. Pendirian Politik. Karpal Singh menyatakan bahawa beliau tetap tidak akan menerima pembentukan sebuah negara Islam yang diperjuangkan oleh PAS meskipun sudah meminta maaf di atas kenyataannya yang menyebut ‘langkah mayat saya dulu sebelum tegak negara Islam’. Bagaimanapun, beliau bersetuju jika PAS terus memperjuangkan Islam sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam adalah agama rasmi manakala kebebasan agama lain dihormati. Karpal Singh turut menafikan bahawa pimpinan atasan DAP juga menerima penjelasan berhubung perkara larangan isu kalimah Allah, sebaliknya beliau menyatakan kecewa dengan kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Beliau berkahwin dengan Gurmit Kaur dan dikurniakan lima anak. Salah seorang anaknya,Gobind Singh Deo merupakan Ahli Parlimen Puchong setelah menang di dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2008 yang lalu. Isu Dan Kontroversi. Perogol patut dihukum mati Pada 31 Julai 2010, Karpal Singh selaku Pengerusi DAP Kebangsaan menggesa perogol kanak-kanak dijatuhi hukuman mati. Sekarang, Seksyen 376 (2) (e), Kanun Keseksaan, hukuman bagi kesalahan merogol kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah hanya penjara tidak melebihi 30 tahun dan sebatan.Dalam kebanyakan kes jenayah berat, beliau menjadi peguam bela.
Karpal Singh Terbunuh Dalam Kemalangan Di Tapah!
Ahli Parlimen Bukit Gelugor dan peguam kanan Karpal Singh maut dalam kemalangan dekat Tapah awal pagi ini. Pembantu beliau Michael Cornandez turut meninggal dunia apabila kereta yang mereka naiki melanggar sebuah lori dalam perjalanan menuju utara di Lebuh Raya Utara Selatan kira-kira jam 1 pagi tadi. Anaknya Ram Karpal dan pemandu kereta dilaporkan cedera parah. Kemalangan dipercayai berlaku kira-kira jam 1 pagi berhampiran kilometer 301.6 arah utara Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS). Gambar di kawasan kemalangan menunjukkan kereta kenderaan Karpal rosak teruk. Seorang jurucakap polis memberitahu Malaysiakini kemalangan dipercayai berlaku apabila Toyota Alphard tersebut merempuh lori yang menukar laluan tanpa memberi isyarat. Karpal, 74, menjadi lumpuh dan menggunakan kerusi roda selepas terbabit dalam satu kemalangan pada 2005. Ahli politik lantang ini mendapat ijazah perundangan dari Universiti Singapura dan berkhidmat sebagai peguam sebelum bertanding kerusi Parlimen pada tahun 1978. Perkhidmatan lama beliau sebagai MP Jelutong sebelum ini serta ucapan berapi di Dewan Rakyat menyebabkan beliau digelar ‘Harimau Jelutong’. Karpal melepaskan jawatan Pengerusi DAP baru-baru ini selepas didapati bersalah dalam kes hasutan. Sementara itu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengucapkan takziah melalui laman sosial twitter. “Saya baru mendarat di Ankara (Turki) apabila mendapat khabar YB Karpal terbunuh dalam kemalangan jalan raya. Takziah kepada keluarga beliau,” tulis twit tersebut. – Malaysiakini.com
Bapa Bangga Anak 12 Tahun Sudah Beranak
LONDON – “Saya tidak malu sebaliknya bangga kerana anak perempuan saya yang berusia 12 tahun telah beranak,’’ itu pengakuan seorang lelaki selepas anak perempuannya bergelar ibu paling muda di Britain. Budak perempuan yang tidak didedahkan identitinya itu bersalin minggu lepas. Bapa kepada bayi tersebut berusia 13 tahun. Dia bertemu dengan kekasihnya tahun lepas ketika dia berusia 11 tahun manakala budak lelaki itu pula berusia 12 tahun. Bapanya, berkata demikian ketika menghubungi stesen televisyen LBC dan melahirkan rasa bangga kerana kini bergelar datuk. “Kami hanya mengetahui dia mengandung ketika kandungannya berusia lapan bulan. Bayi itu tetap dilahirkan dan meskipun ia menyedihkan, namun anda tidak boleh kembali ke masa lalu. “ Saya tidak boleh mengawasinya 24 jam, tujuh haruiseminggu. Apa yang boleh dilakukan ialah memberikan sokongan kepadanya,’’ katanya yang turut menyifatkan teman lelaki anaknya itu sebagai budak yang baik. Lelaki itu juga memberitahu bahawa dia akan menanggung cucunya itu dan mereka turut mendapat sokongan daripada ibu bapa budak lelaki berkenaan. Semalam ibu muda itu yang mempunyai adik perempuan berusia tiga tahun dan adik lelaki berusia sembilan tahun, telah mendaftarkan kelahiran berkenaan dengan jabatan pendaftaran. Rekod ibu termuda di Britain sebelum ini dipegang oleh April Webster dan Nathan Fishbourne. April mengandung ketika dia berusia 13 tahun.
Papan Luncur Emas Bernilai RM48,830
NEW YORK – Ia papan luncur termahal di dunia, dijual dengan harga mengejutkan £9,000 (RM48,830). Papan itu disalut dengan emas tulen dan boleh digunakan seperti biasa walaupun berdepan dengan kerumitan untuk menyiapkannya. Menurut pereka papan luncur berkenaan, pembeli bertuah harus memakai sarung tangan khas bagi mengelak permukaannya comot. Papan itu direka untuk kedai papan luncur New York, SHUT oleh pereka, Mathhew Willet. Dia berkata, penting untuk papan luncur itu berfungsi sepenuhnya terutama kerana harganya. Keenam-enam komponen papan berfungsi biasa, walaupun objek berkenaan disadur dengan emas dan berat 80 peratus lebih berbanding papan biasa. Selepas setiap komponen disalut emas, ia digilap dengan tangan sebagai penyudahan. Willet berkata: “Papan itu melalui banyak ujian, tetapi akhirnya ia hasil yang menakjubkan dan memberi pengalaman yang banyak.” – Agensi
Sembilan Maut, Tragedi Feri Korea Selatan
SEMBILAN orang disahkan meninggal dunia, akibat tragedi feri karam di Korea Selatan di perairan selatan negara itu. Kini pasukan mencari sedang berusaha mengesan kira-kria 287 orang yang masih hilang dalam tragedi yang masuk hari kedua hari ini, menurut sumber AFP. Kapal tentera laut dan pengawal pantai menggunakan lampu limpah dan suar untuk membantu menerangi kawasan tragedi untuk operasi mencari pada waktu malam. Bagaimanapun, arus kuat dan jarak penglihatan terhad menghalang pasukan penyelam untuk masuk ke dalam feri berkenaan yang sudah pun tenggelam. “Secara jujurnya, peluang untuk mencari atau menemui penumpang yang masih hidup kini sudah hampir tiada,” kata seorang anggota pengawal pantai Korea Selatan. Menurut sumber pengawal pantai, seramai 179 orang berjaya diselamatkan. Tragedi itu mengejutkan negara Korea Selatan yang disifatkan sebagai moden dan sudah berjaya mengatasi tragedi berskala besar daripada berlaku dan berulang. Jika mereka yang hilang disahkan mati, ia akan menjadi tragedi paling buruk dalam sejarah dalam negara Korea Selatan aman kerana ramai nyawa kanak-kanak terlibat. Ketika kejadian, ada 375 pelajar sekolah tinggi berada dalam feru berkenaan dalam perjalanan bersama guru-guru mereka ke destinasi pelancongan terkenal di Korea Selatan iaitu Pulau Jeju. Presiden Korea Selatan meluahkan rasa sedih dan simpati atas tragedi itu. “Kita berharap agar semua pihak tidak berputus asa,” katanya ketika melawat Bilik Agensi Bencana Kebangsaan Korea Selatan di Seoul, semalam. Sehingga kini tidak diketahui punca feri Sewol seberat 6,825 tan itu boleh karam dan tenggelam.
179 Diselamatkan, 290 Masih Hilang
SEOUL – Pasukan pengawal pantai Korea Selatan berkata setakat pagi ini hanya 179 orang di dalam karam di perairan selatan negara itu semalam sudah diselamatkan manakala 290 lagi masih hilang. Tragedi itu juga sudah meragut enam nyawa setakat ini. – AP
Penyamun Simpan Barang Curi Dalam Perut
KELICIKAN seorang penyamun menyimpan barangan yang dicuri di dalam perut iaitu dengan menelannya sejak hampir 20 tahun lalu akhirnya terbongkar. Suspek, Dariusz Piotrowsk, 39, sering menelan barangan yang dicuri sementara menunggu pembeli bagi mengelak dia ditahan dan dipenjara. Tanpa barangan curi yang boleh dijadikan bukti, pihak berkuasa tidak dapat menjatuh hukuman ke atas suspek. Bagaimanapun tindakan Piotrowsk akhirnya terbongkar apabila dia mengadu mengalami kesakitan dalam perut selepas ditahan polis kerana menyamun dan menjual barangan curi. Hasil imbasan x, pasukan perubatan terkejut melihat objek yang begitu banyak di dalam perut suspek. Antara barangan tersebut ialah enam jam tangan, garpu, sudu, pemetik api, rokok dan objek lain yang digunakan untuk menyamun. Penemuan barangan curi itu juga mengakhiri siasatan polis terhadap suspek sejak sekian lama kerana berhubung tindakannya yang sering menyamun terutamanya wanita.- mStar
Pelatih Polis Tipu Sampel Air Kencing Lahir Anak Dalam Tandas HKL
Pada 15 Apr 2014 lebih kurang jam 11.40 pagi, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur telah dimaklumkan oleh Hospital Kuala Lumpur (HKL) bahawa seorang wanita yang dikenal pasti sebagai pelatih yang sedang menjalani latihan di PULAPOL, telah melahirkan anak perempuan di dalam tandas Jabatan Kecemasan Hospital berkenaan. Kedua-dua ibu serta anak dalam keadaan sihat dan bayi tersebut disahkan oleh pakar perbidanan dilahirkan cukup bulan. Siasatan awal mengesahkan bahawa pelatih tersebut telah melalui saringan ujian air kencing pada 21 Jan 2014 dan disahkan Negatif oleh Jabatan Pathologi HKL. . Sepanjang menjalani latihan di PULAPOL, tidak terkesan sebarang perubahan fizikal yang menunjukkan tanda-tanda kehamilan disebabkan saiz badannya yang kecil. Pelatih dirujuk ke HKL pada 15 Apr 2014 satelah mengadu mengalami bengkak di kaki dan kurang sihat. Selepas melahirkan bayi, pelatih telah membuat pengakuan bahawa semasa ujian air kencing dijalankan, beliau telah mencampurkan air ke dalam sampel air kencing bagi mengelakkan terkesannya hormon kehamilan. Tindakan ini telah disahkan oleh pakar perubatan sebagai berupaya mengurangkan konsentrasi hormon Beta HCG yang memberi kesan Positif dalam ujian kehamilan. Berasaskan pengakuan pelatih tersebut, PDRM berharap tidak wujud sebarang spekulasi negatif dibuat oleh mana-mana pihak berhubung kejadian ini. (FB PDRM)
Lelaki Gay Ini Akan Muntah Apabila Lihat Kim Kardashian
LONDON – Kim Kardashian mungkin merupakan antara wanita idaman lelaki di dunia ini dan dengan badan yang seksi, pasti ramai lelaki tidak akan menolaknya. Namun ada seorang lelaki yang fobia apabila mendengar nama Kim atau keluarganya Kardashian. Lelaki itu, Mike Amess akan berpeluh-peluh apabila mendengar nama Kardashian disebut-sebut dan apabila terpandang wajah Kim, dia akan muntah. “Hanya dengan mendengar nama Kim, suara saya akan tersekat-sekat dan saya akan menggeletar. Pernafasan saya juga menjadi sukar,’’ katanya. Keadaan itu bermula selepas dia menyaksikan aksi Kim dalam video seks ketika Mike berusia 17 tahun. “Saya memuatnaik pita rakaman itu dan menyaksikannya secara sembunyi dalam bilik tidur. Namun melihat punggung Kim yang besar dan suara tangisannya dalam pita itu menyebabkan saya termuntah,’’ katanya yang juga seorang gay. Mike berkata fobianya itu semakin teruk selepas Kim popular dan ketakutan itu kini turut melibatkan keluarga Kardashian. “Kim dan adik beradiknya mempunyai wajah yang serupa. Saya tidak faham bagaimana orang ramai boleh tertarik dengan mereka,’’ katanya yang tidak mahu mendapatkan rawatan doktor kerana malu dengan keadaan dirinya.
Jangan Ambil Air Pili Bomba! – Syabas
KUALA LUMPUR – Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) menyeru orang ramai supaya tidak mengambil air dari pili atau tangki simpanan bomba untuk kegunaan harian gara-gara penguatkuasaan catuan bekalan air di Lembah Klang sejak bulan lalu. Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awamnya, Priscilla Alfred Dharan berkata, kualiti air dari tangki simpanan bomba tidak dijamin selamat kerana ia sudah lama disimpan dan tidak sesuai untuk diminum. “Pengambilan air dari pili atau tangki simpanan bomba juga dilarang sekali kerana simpanan air tersebut adalah untuk kegunaan mencegah dan memadam kebakaran dan bukannya untuk diminum,” katanya melalui satu kenyataan media semalam. Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan penduduk di Perumahan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Salak Selatan bahawa catuan air di kawasan tersebut tidak mengikut jadual yang dikemukakan Syabas kepada mereka. Priscilla berkata, siasatan Syabas bagaimanapun mendapati hal itu disebabkan air yang disalurkan selepas hari catuan terlebih dahulu memenuhkan tangki simpanan bomba yang telah kosong akibat digunakan oleh penduduk semasa hari catuan. Justeru, beliau turut meminta semua Badan Pengurus Bersama (JMB) atau Pengurus Bangunan kediaman bertingkat pengawal paras air tangki simpanan dan hanya melepaskan bekalan air kepada penduduk apabila paras simpanan stabil. Menurutnya, langkah itu bertujuan memastikan penghuni kediaman bertingkat di kawasan catuan mendapat bekalan air bersih yang mencukupi untuk kegunaan mereka.
Mesin Beli Ganja Layan Diri Pertama Di Dunia
Selepas mengambil ganja bukan lagi satu kesalahan di Colorado, Amerika Syarikat kini jualannya dilihat kian terbuka menerusi mesin layan diri. Mesin ini diperkenalkan untuk mengelak sistem orang tengah dan memudahkan pembelian oleh pelanggan. Dalam erti kata lain, pengguna ganja kini tidak lagi perlu membeli secara sembunyi-sembunyi. Digelar Zazz, mesin yang dikeluarkan oleh syarikat American Green ini mula diperkenalkan buat kali pertama di sebuah dispensari di Eagle-Vail, berhampiran sebuah restoran barbeku. Bagaimanapun untuk membeli produk ganja di mesin ini, pelanggan harus menggimbas kad pengenalan sebagai pengesahan identiti dan usia. Bagi langkah berjaga-jaga untuk tujuan keselamatan, mesin Zazz turut dilengkapi beberapa kamera.
Pelajar Tahfiz Maut Tercekik Mi Segera
KUALA NERANG – Seorang pelajar tahfiz di Sekolah Agama As Siddiqiah di sini, maut dipercayai tercekik mi segera, malam tadi. Kejadian berlaku kira-kira jam 10.45 malam di asrama sekolah berkenaan. – Berita Harian
Labels:
Berita Terkini
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment