Sunday, April 13, 2014

Berita Terkini 13 April 2014

Pemuda maut tersepit
Pemuda maut tersepit
Kereta Proton Wira yang dipandu Mohd Syafiq remuk selepas bertembung dengan sebuah bas yang membawa seramai 20 pelajar IPT di i Kilometer 26 Jalan Jasin Merlimau.
MERLIMAU - Seorang pemuda maut apabila kereta Proton Wira yang dipandunya, bertembung dengan sebuah bas di Kilometer 26 Jalan Jasin Merlimau, malam kelmarin. Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam, mangsa Mohd Syafiq Abdul Latif, 24, dipercayai dalam perjalanan ke bandar Melaka berseorangan, dari arah Merlimau ke Jasin sebelum terbabit dalam kemalangan dengan sebuah bas yang membawa seramai 20 penuntut sebuah institut pengajian tinggi (IPT). Menurut sumber, mangsa yang mengalami cedera parah di kepala maut di tempat kejadian, manakala pemandu bas berusia 47 tahun bersama 20 penumpangnya terselamat. “Difahamkan bas itu disewa IPT berkenaan untuk membawa penuntutnya mengikuti rombongan, namun sebaik tiba di lokasi, kenderaan terbabit bertembung dengan kereta dipandu mangsa yang dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan. “Rempuhan kuat itu mengakibatkan mangsa maut tersepit dan mayatnya dikeluarkan dengan bantuan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Merlimau,” katanya. Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, bomba menerima panggilan kira-kita jam 10.38 malam dan tiba di lokasi pada jam 10.45 malam. Menurutnya, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Merlimau dikejarkan ke lokasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II Yahya Ahmad bersama dengan kekuatan enam anggota. “Sebaik tiba didapati pemandu kereta Proton Wira itu tersepit di tempat duduknya dan kita mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Mohd Nur Hishamudin Hashim berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu mangsa hilang kawalan ketika melalui laluan berselekoh, lalu terbabas sebelum merempuh bas dipandu seorang lelaki bersama 20 penumpang. “Rempuhan mengakibatkan mangsa tersepit dan parah di kepala sebelum disahkan maut di tempat kejadian, manakala pemandu dan penumpang bas tidak mengalami sebarang kecederaan. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jasin untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia
JPJ: 3.35 juta penunggang motosikal tiada lesen
JERTEH - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memastikan kira-kira 3.35 juta penunggang motosikal di seluruh negara yang dikesan tidak memiliki lesen akan memperoleh dokumen penting itu dalam tempoh lima tahun akan datang. Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, usaha itu akan dilakukan melalui Program 1Rakyat 1LESEN atau myLESEN khusus untuk para belia dan Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) bagi penduduk berumur 40 tahun ke atas di Sabah dan Sarawak dan 45 tahun ke atas di Semenanjung. Katanya sejak kedua-dua program dilancar pada tahun 2009, JPJ berjaya mengeluarkan lesen menunggang B2 kepada 62,903 penduduk daripada 154 program diadakan di seluruh negara dan dari jumlah itu sebanyak 6,668 membabitkan penduduk di Terengganu. "Program tersebut bagi memastikan penduduk dapat memandu dengan selamat mengikut undang-undang," katanya kepada pemberita selepas menutup Program Satu Komuniti Satu JPJ daerah Besut di Gong Kemuntong di sini hari ini. Mengenai kes kemalangan jalan raya, Ismail berkata sepanjang tahun lalu angka kemalangan meningkat sebanyak 14,781 kes daripada 477,204 berbanding 462,423 kes pada tahun 2012. "Daripada jumlah kes kemalangan itu, sebanyak 6,915 kematian dicatatkan berbanding 6,917 kematian pada tahun 2012," katanya. Ismail berkata, sebagai langkah mengurangkan kes kemalangan termasuk kemalangan maut, JPJ mengadakan pelbagai program termasuk menubuhkan Skuad Muda 1JPJ (SM1JPJ) bagi memberi kesedaran kepada rakyat terutamanya generasi muda tentang kepentingan menjaga keselamatan. "JPJ akan memastikan keahlian SM1JPJ mencapai sasaran 300,000 orang menjelang akhir tahun ini berbanding 28,773 ahli yang berdaftar sehingga 31 Mac lalu melalui kaunter-kaunter khas yang diwujudkan oleh JPJ di seluruh negara," katanya. - Bernama

China belum terima tuntutan penculik
China belum terima tuntutan penculik
KUALA LUMPUR - Kerajaan China belum menerima sebarang tuntutan wang tebusan daripada penculik yang menahan warganya sejak 2 April lalu. Konsulat China di Kuching berkata, walaupun tuntutan telah dibuat terhadap Kerajaan Malaysia, namun pihaknya tidak menerima tuntutan sama. Kelmarin, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya menerima nota daripada penculik yang menuntut RM36.4 juta sebagai wang tebusan. Terdahulu pihak berkuasa Filipina yakin penculikan itu dilakukan oleh kumpulan Abu Sayyaf dan kedua-dua mangsa itu dipercayai dibawa ke Pulau Simunul di Tawi-Tawi, Filipina Selatan. - Chinadaily

Khalid Abu Bakar
Tidak wajar dedah maklumat terkini kes culik
SINTOK - Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, tidak wajar bagi pihaknya mendedahkan maklumat terkini mengenai kes culik dua wanita warga asing di sebuah resort di Semporna 2 April lepas. "Saya tidak fikir wajar bagi saya memberitahu anda (media) maklumat terkini mengenainya (penculikan itu) demi keselamatan mangsa," katanya ketika ditemui pemberita selepas Kejohanan Bola Jaring dan Sepak Takraw Piala Ketua Polis Negara di Universiti Utara Malaysia, di sini hari ini. Khamis lepas, penculik dua wanita itu menuntut wang tebusan sebanyak RM36.4 juta untuk membebaskan seorang daripada mereka, pelancong warga China. Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiada wang tebusan dituntut bagi seorang lagi wanita, pekerja resort warganegara Filipina. Pelancong warga China, Gao Hua Yuan, 29, dari Shanghai, dan pekerja resort itu, Marcy Dayawan, 40, diculik dari Singgahmata Adventures and Reef Resort oleh sekumpulan tujuh lelaki bersenjata kira-kira pukul 10.30 malam pada hari berkenaan. - Bernama

Lelaki maut diserang empat lelaki
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki maut selepas diserang sekumpulan empat lelaki berhampiran Program Perumahan Rakyat (PPR) Beringin, Jinjang, di sini hari ini. Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata dalam kejadian 2.20 petang itu, mangsa berusia dalam lingkungan 20-an cedera parah di kepala, tangan dan lutut. Beliau berkata dia ditemui orang awam dalam keadaan terkulai tetapi masih bernyawa di tempat duduk pemandu sebuah kereta. Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada 3.45 petang di Hospital Selayang, katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. Berikutan kejadian itu, seorang lelaki berusia 22 tahun ditahan bagi membantu siasatan. "Siasatan awal mendapati mangsa diserang empat lelaki yang dipercayai dikenalinya. Kejadian disyaki bermotifkan pengedaran dadah," katanya. Polis turut menemui sebuah motosikal dan sebuah kereta yang disyaki ditinggalkan kumpulan lelaki itu. Khairi berkata usaha mengesan empat suspek utama kes itu masih dijalankan dan kejadian itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Bernama

Rancangan jahat Israel cemari Al-Aqsa didedah
Rancangan jahat Israel cemari Al-Aqsa didedah
Israel mendedahkan rancangan jahat mereka untuk membina kuil Yahudi di pekarangan masjid Al-Aqsa.
BAITULMAQDIS - Rancangan jahat Israel untuk membina sebuah kuil baharu berhampiran Al-Aqsa dengan tujuan untuk mencemari kesucian kawasan masjid tersebut akhirnya terbongkar. Model kuil Yahudi yang ditunjukkan kepada umum untuk pertama kali itu turut dilengkapi dewan besar yang boleh memuatkan ratusan pengunjung pada setiap hari. Susulan daripada itu, Yayasan Warisan dan Kebajikan Al-Aqsa bertindak menyelar langkah biadab tersebut dan ia turut disifatkan sebagai satu ancaman langsung terhadap masjid yang menjadi kiblat pertama orang Islam itu. Organisasi terbabit berpendapat projek tersebut sebenarnya bertujuan mendapatkan sokongan tambahan bagi merealisasikan niat jahat mereka untuk merampas al-Aqsa. Sebelum ini, aktivis Palestin telah memberi amaran berhubung projek penggalian dalam skala besar yang sedang giat dilakukan berhampiran pintu selatan masjid tersebut. Menurut Press TV, sejak beberapa bulan lalu, pelampau Yahudi dan pihak berkuasa rejim Zionis berterusan meningkatkan tindakan provokasi dengan menyerbu pekarangan Al-Aqsa terutamanya selepas solat Jumaat hingga mencetuskan pertempuran dengan penduduk Palestin.

Pemandu bas didakwa asyik SMS
Pemandu bas didakwa asyik SMS
BENTONG – "Sebelum kemalangan, pemandu bas sibuk 'bermain' SMS (khidmat pesanan ringkas), malah kenderaan turut dipandu laju," dakwa seorang penumpang bas, Norfazilah Zainuddin, 22, ketika ditemui di Hospital Bentong, semalam. Norfazilah mendakwa, dia yang duduk bersebelahan pemandu bas berasa tidak sedap hati melihat kelakuan lelaki itu yang leka dengan telefon bimbit sambil memandu. Menurutnya, dia menegur pemandu bas beberapa kali, namun tidak diendahkan. "Saya cakap baik-baik minta dia fokus kepada pemanduan kerana bimbang berlaku perkara buruk yang boleh membahayakan saya dan penumpang lain. "Dia tidak hiraukan saya langsung dan terus memandu laju, sebelum bas kami masuk ke laluan bertentangan," katanya. Norfazilah yang bekerja sebagai kerani di Kuala Lumpur berkata, ketika itu, dia hanya sempat menjerit 'Awas, abang!', sebelum bas itu terbabas dan terbalik. Katanya, kejadian terlalu cepat dan kepalanya cedera akibat terhantuk pada cermin hadapan bas, selain lututnya luka akibat terhimpit. “Saya masih sedar dan hanya dapat melambai-lambai pengguna jalan raya lain, berharap ada yang membantu mengeluarkan kami yang tersepit,” katanya yang mahu pulang ke kampung di Tumpat, Kelantan. Menurutnya, insiden itu tidak mungkin dilupakan, namun dia bersyukur kerana terselamat. Sementara itu,Suhaila Ismail, 32, berkata, dia yang pertama kali menaiki bas tersebut sangat trauma dengan kemalangan ngeri itu. Katanya, dia dan abangnya terpaksa menaiki bas itu, selepas tiket bas yang selalu dinaiki habis dijual. "Sebelum kejadian, abang memang dah perasan bas tersebut dipandu laju dan pemandu bas juga asyik menekan brek. "Saya cedera di bahagian tulang belakang serta rusuk. Kejadian ini buat saya serik dan trauma naik bas," katanya. Seorang lagi penumpang, Razali Musa, 47, turut menceritakan detik cemas insiden itu. “Saya naik bas bersama isteri, ketika dalam perjalanan saya tertidur, sebelum tiba-tiba terdengar bunyi dentuman serta cermin pecah. "Semua penumpang menjerit. Tiba-tiba saya ditindih tiga individu lain termasuk isteri," katanya. Menurutnya, memang dia terkejut dengan kejadian itu tetapi mujur dia tidak panik manakala penumpang yang selamat dan tidak cedera keluar dari bas berkenaan melalui cermin depan yang pecah.

Pejabat Bank Dunia di KL
Pejabat Bank Dunia di KL
Ahmad Husni (dua, kanan), van Trotsenburg (dua, kiri) dan Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz semasa majlis menandatangani memorandum itu di Washington D.C.
KUMPULAN Bank Dunia menandatangani memorandum persefahaman dengan kerajaan Malaysia dalam usaha membuka pejabat institusi kewangan antarabangsa itu di Kuala Lumpur. Matlamat jangka panjang penubuhan pejabat itu adalah untuk membantu perkongsian pengalaman Malaysia yang berjaya dalam bidang seperti pembasmian kemiskinan dan pembangunan sektor kewangan yang baik dengan negara membangun lain di seluruh dunia. Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dalam satu kenyataan semalam berkata, sebagai negara yang telah mengambil langkah besar untuk membasmi kemiskinan dan meningkatkan kebajikan penduduk miskin, Malaysia berada pada kedudukan sesuai untuk bekerjasama dengan Bank Dunia bagi mencapai matlamat bank itu membasmi kemiskinan tegar dan menggalakkan perkongsian kemakmuran di seluruh dunia. Naib Presiden Bank Dunia bagi Asia Timur Axel van Trotsenburg berkata, penubuhan pejabat itu mengiktiraf kejayaan Malaysia sebagai negara berpendapatan sederhana tinggi dan peranannya sebagai pelanggan serta rakan kongsi dalam memajukan pembangunan global.

Malaysia pilihan syarikat Saudi
Malaysia pilihan syarikat Saudi
PIHAK Berkuasa Pembangunan Eksport Arab Saudi (Seda) berhasrat meningkatkan jumlah penyertaan syarikat dari negara itu dalam Pameran Halal Antarabangsa (Mihas) tahun depan. Pada tahun ini, sebanyak 20 syarikat dan 43 tapak pameran dari Arab Saudi menyertai pameran itu. Arab Saudi merupakan antara negara terbesar yang menyertai Mihas 2014 selain Thailand (36 syarikat), Indonesia (30 syarikat) dan Iran (21 syarikat). Pengarah Pemasaran dan Sumber Manusia Seda, Feras Abal Khail berkata, 20 syarikat Arab Saudi yang menyertai Mihas tahun ini adalah daripada sektor makanan dan minuman (F&B) yang memasarkan produk seperti kurma, jus dan madu. “Daripada jumlah itu, dua syarikat telah pun memasuki pasaran Malaysia sementara 18 syarikat lain sedang bersedia untuk memasuki pasaran negara ini," katanya ketika ditemui pada hari ketiga pameran itu berlangsung. Feras berkata, kesemua syarikat Arab Saudi yang menyertai Mihas 2014 adalah syarikat dengan produk berkualiti tinggi dan ada antaranya telah memasuki pasaran negara lain di benua Eropah. Menurutnya, memandangkan Mihas adalah platform terbaik untuk memperkenalkan produk F&B, pihaknya akan membawa lebih banyak syarikat F&B dari Arab Saudi tahun depan, selain syarikat dalam industri kosmetik. Mengulas berhubung Mihas 2014, Feras berkata, Malaysia adalah pasaran yang berpotensi bagi syarikat luar yang turut ingin menembusi pasaran Asia lain. “Ini didorong oleh jumlah populasi Islam di Malaysia dan pasaran halal yang besar di negara jiran Indonesia serta negara sekitarnya,” katanya. Feras berkata, menerusi Mihas 2014, pihaknya juga berharap untuk meningkatkan jumlah eksport antara Arab Saudi dan Malaysia pada tahun ini. Mihas 2014 turut menjalinkan usaha sama dengan Arab Saudi menerusi Seda buat kali pertama tahun ini dalam usaha untuk memperkukuhkan hubungan dan mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan kepada syarikat dari kedua-dua negara bagi meneroka pasaran halal global yang besar.


Serangan gas beracun baharu, Syria
DAMSYIK - SYRIA. Laporan terbaru pembangkang Syria mendakwa tentera rejim Presiden Bashar al-Assad sekali lagi melancarkan serangan gas beracun di pinggir ibu negara. Shaam News Network mendedahkan sekurang-kurangnya 100 penduduk di Harasta dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas menunjukkan simptom sesak nafas, akhir bulan lalu. "Bashar cuba mengaburi mata dunia dengan mematuhi langkah menghapuskan senjata kimia tetapi dalam masa yang sama beliau masih membunuh rakyatnya secara senyap," kata Setiausaha Agung Majlis Kebangsaan Syria (SNC), Badr Jamous, dipetik oleh Al-Arabiya. Sebagai respons terhadap dakwaan itu, Pertubuhan bagi Pencegahan Senjata Kimia (OPCW) sedang menyiasat sama ada Syria telah melanggar perjanjian terbabit.


Polisi Catuan Setiap 2 Hari Ada Air Masih Diteruskan
KUALA LUMPUR – Polisi catuan bekalan air setiap dua hari yang diluluskan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) masih berjalan mengikut jadual, menurut Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas). Syarikat itu berkata ini bermakna, kawasan yang dijadual mendapat air akan menerima bekalan berterusan selama 41 jam bermula jam 4 petang, manakala zon yang dijadualkan tiada bekalan air akan mengalaminya selama 55 jam bermula jam 9 pagi. Justeru, kenyataan bahawa catuan air dilaksanakan secara tiga hari ada air dan dua hari tiada air adalah tidak benar sama sekali, kata Syabas dalam kenyataan di sini, Sabtu. Dalam perkembangan lain, Syabas memaklumkan kejadian paip pecah di Seksyen 3 Petaling Jaya, Bukit Kemuning dan Bukit Rinching menjadi antara punca kelewatan mendapat bekalan air di kawasan berkenaan. Menurut Syabas, kawasan terlibat akan kembali mendapat bekalan air selepas kerja pembaikan paip siap dilaksanakan. Pengguna dinasihatkan melayari laman web Syabas di www.syabas.com.my untuk mengetahui maklumat dan status terkini pelan catuan air. – BERNAMA


Penjenayah Pecah Rumah Tembak-Menembak Dengan Polis
KUALA LUMPUR: Satu insiden tembak-menembak antara anggota polis dan sekumpulan lima perompak berlaku di kawasan perumahan di Taman Taynton View, Cheras apabila polis mengesan kesemua penjenayah itu cuba untuk memecah masuk ke sebuah rumah pada petang Sabtu. Difahamkan unit peronda polis yang menggunakan kenderaan pelbagai guna ( MPV) mengesan sekumpulan lelaki yang berkelakuan mencurigakan di dalam sebuah kereta warna merah di Bandar Kinrara, Puchong dan mengekori mereka sehingga ke Jalan 25/119 di sini pada kira-kira pukul 5 petang. Lima lelaki berkenaan, kesemuanya rakyat Malaysia dan merupakan penjenayah, melompat pintu pagar rumah dan cuba untuk memecah masuk menerusi tingkap rumah. Ketika anggota polis cuba untuk menahan mereka, suspek dipercayai melepaskan beberapa das tembakan, menyebabkan polis terpaksa membalas melepaskan tembakan. Penduduk berkata, lapan tembakan didengari dalam insiden tembak-menembak antara polis dan perompak, yang kemudiannya cuba untuk melarikan menggunakan kereta mereka sebelum melanggar sebuah kereta Proton Wira yang diletakkan di tepi jalan. Kesemua lima penjenayah itu ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Serdang. Salah seorang suspek dipercayai terkena tembakan di bahagian kaki. Pemilik rumah, yang hanya mahu dikenali sebagai Alex, berkata ini merupakan cubaan rompakan kedua sejak dia mula tinggal di rumah itu lima tahun lalu. "Sudah dua kes pecah masuk di kawasan perumahan ini. Nasib baik tiada seorang pun daripada kami berada di rumah ketika kejadian berlaku," kata Alex.


Kemalangan bas: Ibu mengandung selamat
BENTONG - Seorang ibu mengandung bersama anak berusia dua tahun terselamat dalam kejadian kemalangan semalam. Dalam kejadian itu, Norzamera Abd Manaf, 24, cedera di kepala dan tangan manakala anaknya, Norqaseh Qaisara Ahmad Rizuan, 2, yang berada di sebelah tingkap tidak mengalami sebarang kecederaan dan tidak menangis semasa kejadian itu berlaku. Menurutnya, semasa kejadian dia tertidur manakala anak sulungnya itu duduk di tempat duduk sebelah tingkap bas. “Apabila saya tersedar saya terasa seperti hilang ingatan dan anak saya berada di sebelah memanggil nama saya dan dia tidak menangis pun. “Saya bersyukur kerana walau pun saya mengalami kecederaan di bahagian kepala tetapi anak saya tidak cedera begitu juga bayi dalam kandungan yang berusia empat bulan,” katanya ketika ditemui di sini. Norzamera yang tinggal di Puchong dalam perjalanan balik ke kampungnya di Kelantan menerima tujuh jahitan di kepala akibat kemalangan itu. Dalam pada itu, bapa mertua Norzamera, Osman Halus, 64, berkata dia amat terkejut sekali apabila mendengar berita mengenai kejadian tersebut. “Saya terus bergegas ke hospital apabila diberitahu mengenai kejadian ini tetapi saya bersyukur kerana dia selamat begitu juga anaknya,” katanya.


Foto Pra-Perkahwinan Misha Omar, Firos
Setelah beberapa kali menundakan majlis pernikahan mereka, akhirnya penyanyi Misha Omar dan bakal suaminya, juruterbang Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS), Firos Ezzwan telah menetapkan 2 Mei ini sebagai hari penyatuan hati kedua-dua mereka. Majlis pernikahan dan resepsi sebelah pihak perempuan dijadualkan berlangsung di Hotel Renaissanse, Kota Bharu, Kelantan pada 2 Mei sementara majlis menyambut menantu akan diadakan di Hotel Concorde, Kuala Lumpur, 12 Mei depan. Sepatutnya, Misha bernikah pada Februari lalu namun demi menghormati pemergian ayahanda tercinta yang pulang ke rahmahtullah November lalu, pasangan ini sepakat menundakan terlebih dahulu majlis raja sehari mereka. Di bawah ini merupakan gambar pra-perkahwinan pasangan Misha dan Firos yang diambil berlatarkan belakang sebuah kilang arang yang terletak di Taiping, Perak. Tahniah diucapkan buat Misha dan Firos!

Gajet rosakkan minda kanak-kanak
PETALING JAYA - Penggunaan gajet seperti tablet dan telefon pintar dalam tempoh jangka masa panjang dalam kalangan kanak-kanak boleh merosakkan pemikiran mereka dan mengundang kepada masalah antisosial serta ketagihan. Presiden Persatuan Pediatrik Asia Pasifik, Datuk Dr. Zulkifli Ismail berkata, berdasarkan pemerhatian pihaknya, kebanyakan ibu bapa pada zaman moden yang sibuk bekerja sering menggunakan peralatan digital itu untuk menghiburkan dan menarik perhatian anak-anak mereka. Menurutnya, fenomena tersebut amat membimbangkan terutama apabila menyaksikan kanak-kanak berusia bawah lima tahun sudah pandai bermain gajet. "Peralatan digital ini seolah-olah pengganti kepada ibu bapa sehingga menyebabkan hubungan kekeluargaan antara mereka dan anak-anak menjadi renggang," katanya.


20 wanita ditahan terbabit aktiviti pelacuran
MELAKA - Pihak polis menahan 20 wanita di dua hotel bajet di Jalan Munshi Abdullah di sini malam tadi kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti pelacuran. Deputi superintendan Kamal Khan Mohd Shariff daripada Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman berkata, mereka terdiri daripada 11 warga Indonesia dan sembilan rakyat tempatan berumur antara 21 hingga 38 tahun. Beliau berkata, turut ditahan tiga penjaga premis dan tiga pelanggan berumur sekitar 20-an hingga 30-an. Operasi disertai empat pegawai dan 20 anggota dari Bukit Aman yang turut dibantu anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah, katanya kepada pemberita. - Bernama


Tunggangan rangsang 1,000 otot
“ANGKAT tangan, tegakkan badan,” kata seorang pelatih yang berdiri di tengah-tengah gelanggang kuda yang berpagarkan kayu putih itu. Seakan-akan faham dengan arahan yang diberikan, tubuh kecil yang sejak dari tadi duduk diam di atas badan kuda putih bernama Seroja itu menukar posisi. Biarpun sinar mentari pagi mula memancar terik di Unit Rekreasi Berkuda, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur, namun riak wajah yang terpamer itu masih bersemangat untuk terus menunggang kuda. Daripada pandangan mata kasar, remaja lembam, Husni Mubarak, 17, tidak ubah seperti manusia normal lain, namun siapa sangka, dia sebenarnya orang kelainan upaya (OKU) yang sedang menjalani latihan terapi berkuda. Menurut Pembantu Tadbir Tertinggi Jabatan Landskap dan Rekreasi, DBKL, Zainora Buyong, terapi berkuda merupakan inisiatif DBKL untuk membantu kanak-kanak dan remaja OKU membina pertumbuhan fizikal dan emosi. “Kuda merupakan haiwan cerdik yang tahu siapa penunggangnya. “Jadi, secara tidak langsung ia memudahkan lagi proses terapi dijalankan memandangkan kuda memiliki daya sensitiviti yang lebih terhadap golongan tersebut,” katanya. Tambah Zainora, keistimewaan kuda yang mempunyai lengkok pada belakang badannya itu berkesan dalam membantu memperbaiki pertumbuhan otot serta saraf secara semula jadi. Ini ekoran daripada kesan tindak balas latihan terapi fizikal tersebut. Melalui terapi itu, mereka diajar cara untuk membuat beberapa pergerakan asas semasa menunggang kuda. KUDA akan diperiksa bagi memastikan keupayaannya menampung berat badan pelatih. Ujarnya, bagi setiap 10 minit terapi, kira-kira 1,000 otot pelatih dapat digerakkan. “Kita akan dapat melihat perubahan tersebut setelah dua hingga tiga kali terapi, bergantung kepada keupayaan kanak-kanak berkenaan. “Ada satu kes seorang kanak-kanak yang hiperaktif dan sukar mendengar arahan namun sebaik tubuhnya diletakkan di atas kuda, dia berubah menjadi tertib,” ulasnya. Tambah Zainora, hal tersebut disebabkan wujudnya hubungan unik antara kuda dengan penunggang yang menimbulkan perasaan percaya. “Disebabkan itulah kanak-kanak akan disuruh membelai kuda terbabit sebelum terapi bermula. “Ini bagi memastikan kuda tersebut kenal orang yang akan menunggangnya sekali gus mengelakkan kuda daripada berasa terancam,” jelasnya Ulasnya lagi, terapi tersebut bagaimanapun sesuai untuk OKU yang tergolong dalam empat kategori kecacatan sahaja iaitu kecacatan anggota badan, sindrom Down, lembam dan autisme. Sementara itu, Pensyarah Sosiologi dan Antropologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Dr. Fatimah Daud berkata, terapi berkuda diperlukan untuk perkembangan fizikal seseorang terutamanya OKU. “Terapi berkuda sebenarnya merupakan sejenis sukan ataupun latihan fisioterapi yang bagus untuk golongan tersebut. “Ini kerana setiap manusia perlu membuat pergerakan badan bagi membetulkan organ dalaman yang bermasalah,” katanya. Namun begitu, beza terapi berkuda dengan terapi fisiologi di hospital ialah mereka terpaksa menjalani latihan secara berseorangan tanpa rakan-rakan yang boleh bergaul selain terkurung di dalam bilik terapi selama beberapa jam. Jadi, apabila emosi berada dalam keadaan gembira, stabil dan tidak tertekan, tindak balas terapi itu membantu mempercepatkan proses pemulihan, katanya. KUDA mesti dibelai dulu sebelum sesi terapi. Walaupun terapi berkuda dianjurkan khas bagi kanak-kanak OKU, namun mereka wajib mendapatkan surat akuan kesihatan daripada doktor terlebih dulu. Seorang jurulatih, Zarina Ali berkata, hal tersebut bertujuan memastikan tahap kesihatan kanak-kanak selain mengelakkan sebarang kejadian buruk kepada mereka. “Jika kanak-kanak itu tidak mempunyai surat perakuan doktor, secara automatik kita tidak akan membenarkan mereka menjalani sesi terapi di sini. “Sesetengah kanak-kanak bukan sahaja mengalami kecacatan anggota badan, bahkan menghadapi masalah kesihatan yang lain seperti sakit jantung dan asma,” ujarnya. Lazimnya, terapi dilakukan selama kira-kira lima jam iaitu dari pukul 7.30 pagi pada hari Selasa hingga Khamis. Secara purata, setiap kanak-kanak akan mengambil masa antara 20 hingga 30 minit untuk satu sesi terapi. Dalam pada itu, seorang jurulatih, Roslan Sulaiman, 49, berkata jumlah masa yang diperuntukkan itu termasuk untuk pemasangan pelana dan pelapik pelana di atas badan kuda, persediaan pelatih dan latihan terapi itu sendiri. “Pelatih akan diberikan taklimat ringkas keselamatan supaya proses tersebut berjalan lancar. “Jadi ketika menunggang kuda, mereka tahu apa yang perlu dilakukan dan kepada siapa perlu mereka rujuk serta fokus untuk mendengar arahan yang selanjutnya,” ujarnya. Tambah Roslan, semasa sesi terapi, pelatih akan diiringi oleh sekurang-kurangnya empat orang jurulatih yang mempunyai peranan masing-masing. “Setiap terapi wajib diiringi oleh seorang jurulatih, seorang ketua, dua orang pembantu dan juga penunggang itu sendiri. “Jurulatih akan berada di tengah-tengah kandang dan berperanan untuk memberi arahan sepanjang proses terapi manakala ketua yang berada di bahagian kepala kuda bertugas untuk mengawal pergerakan kuda menggunakan tali kekang,” katanya. Sementara itu, pembantu yang lazimnya berada di kedudukan kiri dan kanan pelatih pula ditugaskan menjaga keseimbangan dan keselamatan pelatih selain memastikan pelatih mengikut arahan. KHAIRI yang berdiri di tengah-tengah padang bertindak sebagai ketua dan memberi arahan kepada pelatih. Pasti ramai yang tertanya-tanya mengapa kuda padi digunakan dalam terapi berkuda berbanding spesies kuda yang lain. Menurut seorang jurulatih, Muhammad Khairi Abdul Halid, ketinggian kuda padi yang hanya berukuran kira-kira 1.4 meter itu menyebabkan ia sesuai digunakan untuk terapi berkuda. “Seperti yang diketahui, terapi berkuda memfokuskan kanak-kanak OKU. Disebabkan kuda padi mempunyai ketinggian yang paling minimum berbanding jenis kuda yang lain, ia merupakan kuda yang paling selamat digunakan. “Tambahan pula pergerakan kuda padi yang perlahan dan teratur mampu memberi tindak balas dalaman yang diperlukan oleh kanak-kanak ini,” jelasnya. Namun begitu, kuda padi yang aktif sehingga tempoh enam tahun pertama hayatnya itu hanya mampu menampung berat sehingga 60 kilogram. Ujar Khairi, kuda tersebut terlebih dulu akan dibawa mengelilingi kandang berkeluasan kira-kira dua hektar itu bagi melancarkan peredaran darahnya selain mengelakkannya daripada menerima kejutan. “Seperti sukan-sukan yang lain, aspek keselamatan turut dititikberatkan dalam terapi berkuda. “Setiap pelatih wajib memakai topi keselamatan dan but khas,” katanya sambil menambah, terapi tersebut sememangnya bermanfaat untuk pelatih dalam kalangan OKU.


Kenderaan robotik boleh bergerak sedalam 4,500 meter
GAMBAR fail menunjukkan Kenderaan Dalam Air Automatik, Blue Fin 21 diangkat ke atas kapal Ocean Shield milik Australia pada 1 April lalu.
PERTH - Kenderaan Dalam Air Automatik milik Amerika Syarikat iaitu Blue Fin 21 boleh bergerak sedalam 4,500 meter ke dalam Lautan Hindi. Ia yang merupakan kenderaan robotik akan dihantar ke dasar Lautan Hindi selepas para pegawai yang terlibat mencari sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang sejak 8 Mac lalu tidak lagi menemui isyarat getaran yang pernah dikesan sebelum ini. Isyarat getaran yang sebelum ini dikesan beberapa kapal pencari pesawat MH370 itu dikesan datang dari kedalaman 4,500 meter di selatan Lautan Hindi. Kawasan pencarian kotak hitam MH370 itu terletak sejauh 2,300 kilometer dari timur laut Perth. Kenderaan robotik itu akan mengambil masa enam minggu hingga dua bulan untuk mencari di zon kawasan pencarian pesawat MH370 itu. Sebanyak 10 buah pesawat dan 14 buah kapal terlibat dalam misi mencari kapal terbang MH370 itu semalam. - AP


Tahan sejuk 17 jam elak dicekup
ANGGOTA APMM menunjukkan ruang simpanan ikan yang menjadi tempat persembunyian lima nelayan yang ditahan di Pangkalan Maritim APMM Kemaman di Bukit Kuang, Kemaman, Terengganu semalam.
KEMAMAN - Lima daripada 24 nelayan Vietnam sanggup berhimpit-himpit dan menahan kesejukan menyorok di dalam ruang simpanan ikan bercampur ais di perut bot selama hampir 17 jam bagi mengelakkan daripada dicekup pihak berkuasa kelmarin. Bagaimanapun taktik mereka gagal apabila kesemuanya berjaya ditahan pasukan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 8 (DM 8) Kuantan selepas pemeriksaan rapi dilakukan di dalam bot itu sebaik tiba di Pangkalan Maritim APMM Kemaman di Bukit Kuang di sini. Pengarah Operasi DM 8, Kuantan, Komander Maritim Rahim Ramli berkata, bot yang sedang melakukan aktiviti tunda sebuah lagi bot lain itu ditahan kira-kira 27 batu nautika utara dari Pulau Tioman pada pukul 1.35 pagi kelmarin. Menurutnya, ketika dihampiri, kelima-lima lelaki terbabit dipercayai sempat menyusup masuk ke dalam tempat persembunyian tanpa dilihat kerana lampu di atas bot telah dipadam sebaik kapal APMM mengesan mereka.

Penyelia asrama didakwa noda
Kuala Lumpur: Seorang penyelia asrama warga Pakistan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam terhadap tuduhan merogol dan melakukan seks luar tabii terhadap seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun dalam bilik sebuah hotel, tiga bulan lalu. Awais Ul Haq, 20, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ahmad Bache. Mengikut kertas tuduhan, lelaki yang mengalami masalah pendengaran itu didakwa merogol mangsa berusia 16 tahun yang juga teman wanitanya dalam bilik sebuah hotel di sini, antara jam 2 dan 3.30 petang, 17 Januari lalu. Bagi tuduhan itu, tertuduh yang menyelia asrama tempat mangsa belajar didakwa mengikut Seksyen 376(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Empat penyamun kempunan, pecah mesin ATM
Shah Alam: Empat lelaki ‘kempunan’ melarikan wang tunai daripada tiga mesin juruwang automatik (ATM) di sebuah pusat beli-belah di Seksyen 14, di sini, selepas alat penggera mesin berbunyi, pagi semalam. Dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, tiga lelaki memakai topi keledar memasuki kawasan menempatkan mesin ATM itu melalui pintu tepi premis. Sumber berkata, tiga pengawal keselamatan bertugas menyedari mesin cuba diumpil selepas mendengar bunyi penggera daripada mesin. Beliau berkata, sebaik mendengar bunyi penggera, pengawal keselamatan bertugas bergegas ke mesin berkenaan dan mendapati dua daripada mesin ATM sudah disembur warna hitam selain mempunyai kesan umpilan. “Suspek dipercayai cuba mengumpil mesin ATM itu. Cubaan kumpulan itu tidak berjaya selepas alat penggera mesin berkenaan berbunyi menyebabkan suspek melarikan diri tanpa sempat melarikan wang tunai yang berada di dalam mesin,” katanya. Menurutnya, kejadian hanya dimaklumkan pengawal keselamatan kepada pihak pengurusan ATM sebaik memulakan operasi jam 9.30 pagi sebelum mereka membuat laporan polis untuk tindakan lanjut. Sumber itu berkata, hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) premis mendapati suspek memasuki premis memakai topi keledar dan berjaket sebelum memusingkan CCTV ke arah luar premis bagi mengelak perbuatan mereka dirakam. Katanya, suspek kemudian melarikan diri menggunakan sebuah kereta yang sedia menunggu di luar premis. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Azisman Alias mengesahkan kejadian dan memberitahu kes tidak membabitkan sebarang kerugian dan polis masih menjalankan siasatan menjejaki individu yang disyaki terbabit dalam kejadian itu.

Tanggungan liabiliti MAS RM1.64 billion
Kuala Lumpur: Anggaran tanggungan liabiliti oleh Penerbangan Malaysia (MAS) bagi nahas pesawat MH370 adalah sebesar AS$500 juta ke AS$750 juta (RM1.64 bilion ke RM2.46 bilion). Menurut Floyd Wisner yang mempunyai firma guaman berasaskan kemalangan udara, taksiran itu berdasarkan kepada nilai ‘polisi pesawat dan liabiliti’ sebesar AS$1 bilion (RM3.3 bilion) dimiliki MAS. “Anggaran liabiliti ini berdasarkan pengalaman luas hampir dua dekad saya mewakili keluarga mangsa pesawat terhempas di seluruh dunia. “Bagaimanapun, setiap 239 penumpang pesawat akan memperoleh nilai pampasan berbeza, bergantung kepada faktor umur, pendapatan dan lain-lain,” katanya menerusi e-mel kepada Metro Ahad. Flyod berkata, ketika ini waris keluarga akan memperoleh bayaran minimum pampasan berjumlah AS$175,000 (RM573,475) secara automatik berdasarkan konvensyen Montreal diguna pakai MAS. “Setiap mereka juga berhak mendapat tambahan pampasan, kecuali MAS berjaya buktikan sudah mengambil segala langkah perlu untuk mengelak kehilangan pesawat atau pihak ketiga dipertanggungjawab untuk kerugian. “Bagaimanapun, saya tidak percaya MAS boleh memberi bukti bagi mengelak membayar pampasan lebih besar dan ini bermakna jumlah pampasan bakal diterima waris adalah besar,” katanya. Floyd berkata, kes kehilangan pesawat MH370 mempunyai persamaan dengan pesawat Adam Air yang terhempas pada 2007. “Penerbangan Adam Air juga hilang di dalam laut dan tiada bangkai atau pesawat ditemui dalam tempoh sebulan. “Dalam kes ini, saya dan rakan guaman berunding dengan syarikat insurans di London bagi bayaran pampasan walaupun tiada petunjuk, dan hasilnya setiap waris memperoleh pampasan sebanyak AS$400,000 (RM1.31 juta),” katanya. Bagaimanapun, beliau berkata, pesawat Adam Air yang juga penerbangan dalam negara tidak tertakluk kepada Konvensyen Montreal.

239 penumpang, anak kapal dilindungi maksimum RM3.3b
Kuala Lumpur: Semua 239 penumpang dan anak kapal pesawat MH370 dilindungi insurans maksimum AS$1 bilion (RM3.3 bilion) berdasarkan kepada tiket penerbangan dibeli. Bagaimanapun, penerimaan nilai insurans dinamakan ‘polisi pesawat dan liabiliti’ kepada setiap orang bergantung kepada siasatan oleh penilai insurans atau broker dilantik. Menurut sumber insurans, tempoh masa pembayaran keseluruhan insurans akan mengambil masa tertentu iaitu sehingga siasatan ke atas pesawat terbabit selesai. “Setiap penumpang dan kru kapal berhak menerima insurans terbabit yang akan diterima waris mereka. “Dalam kes kehilangan pesawat MH370, jika didapati 239 orang sama ada warga tempatan atau asing mati atau hidup, mereka atau waris mereka akan mendapat bahagian insurans masing-masing, tertakluk kepada terma dan syarat polisi,” katanya. Beliau berkata, ada satu lagi insurans tidak wajib dibeli oleh penumpang iaitu ‘MHinsure’ disediakan oleh Etiqa Insurance Berhad. “Hampir semua syarikat penerbangan menyediakan skim insurans ini, sungguhpun begitu, bukan semua penumpang membeli polisi berkenaan. “Bagaimanapun, insurans ini hanya melindungi barang penumpang seperti beg dan lain-lain,” katanya. Sumber industri itu berkata, syarikat insurans lain yang bergabung di dalam polisi terbabit termasuk syarikat Allianz berpangkalan di Jerman sebagai pemegang utama akan berkongsi membayar pampasan kepada keluarga mangsa.

Foto
Orang Asli jumpa mayat bayi dalam plastik sampah
Kuala Kubu Baru: Seorang lelaki Orang Asli yang sedang memungut sampah di Kawasan Perindustrian Meil, Batang Kali di sini, tersentak apabila menemui mayat seorang bayi perempuan di dalam satu bungkusan plastik sampah dipercayai dibuang di kawasan itu, kelmarin. Difahamkan, lelaki berusia 26 tahun itu dan beberapa rakannya melakukan kerja memotong rumput dan memungut sampah di kawasan Jalan Batang Kali-Rasa dan kawasan perindustrian terbabit, kira-kira jam 9.30 pagi. Apabila tiba di lokasi kejadian kira-kira dua jam selepas itu, dia menemui bungkusan plastik berwarna hitam lalu membukanya dan segera menghubungi talian kecemasan selepas melihat bayi terbabit. Sumber berkata, bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kurang 800 meter dari Jalan Batang Kali-Rasa. “Pemeriksaan menemui mayat seorang bayi perempuan mengiring dibalut dengan sehelai baju dan keadaannya masih bertali pusat bersama uri. Bayi itu dipercayai dibuang pada awal pagi iaitu kira-kira enam atau tujuh jam sebelum penemuan terbabit. “Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Kuala Kubu Baru untuk bedah siasat,” katanya di sini, semalam. Menurutnya, hasil laporan bedah siasat mendapati bayi itu berusia kira-kira 28 minggu dalam kandungan dan kematiannya akibat lemas. “Sehelai baju berwarna hitam dan plastik yang dijumpai diserahkan kepada Jabatan Kimia. Mayat bayi itu dihantar ke hospital,” katanya. Kata sumber itu, polis turut menjalankan pemeriksaan di klinik di sekitar Hulu Selangor untuk mengesan wanita yang baru bersalin atau hadir untuk diperiksa dalam tempoh terdekat. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian diminta menyalurkannya ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Shukri Yaakob mengesahkan kejadian dan berkata, siasatan lanjut masih sedang dijalankan pihaknya.

PM ziarah Haron Din
Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam menziarahi Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din di Institut Jantung Negara (IJN) di sini. Najib yang tiba jam 1.30 tengah hari meluangkan masa 30 minit bersama Dr Haron yang menerima rawatan di IJN sejak seminggu lalu. Dr Haron, 73, kelihatan ceria sambil ditemani anaknya Dr Huda Haron dan menantu Dr Azlin Azzuddin. Turut serta Pakar Perunding Kardiologi IJN Datuk Dr Amin Ariff Nuruddin. - BERNAMA


Pelajar tahfiz lemas cuba bantu rakan
BESUT: Seorang pelajar tahfiz lemas ketika cuba membantu rakannya yang mengalami masalah di dalam air di Pulau Rhu, Bukit Keluang di sini semalam. Pelajar itu Muhammad Nabil Azmi, 17, dari Sekolah Menengah Agama Taqadum Maarif, Pasir Tumbuh, Kota Bharu cuba membantu rakannya yang dikenali sebagai Mohd Hanif Zaudi dalam kejadian kira-kira 7 malam itu. Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, DSP Noorzainy Mohd Noor berkata, mereka merupakan anggota rombongan 14 pelajar dan guru sekolah berkenaan. Mangsa sendiri tenggelam ketika cuba menyelamatkan rakannya, sementara rakannya itu sempat diselamatkan seorang guru mereka, katanya. - Bernama

Foto
Dua pelajar maut, dua parah
SERIAN: Dua pelajar lelaki maut dan dua parah apabila PROTON Satria yang dinaiki mereka melanggar tembok jambatan di KM54 Jalan Kuching-Serian di sini, pagi tadi. Dalam kejadian jam 6.50 pagi itu, kenderaan yang dinaiki empat sahabat yang berasal dari Bintulu itu dipercayai hilang kawalan dan terbabas melanggar tembok jambatan. Dua yang maut ialah penumpang depan Abu Hanifah Abdul Jalil,20 dari Taman Bukit Orang, Bintulu dan Mohd Hafiz Waslee, 20 dari Taman Chin Lee, Bintulu. Dua penumpang yang parah ialah pemandu kenderaan dipercayai berusia lingkungan 20-an tiada pengenalan diri dan penumpang belakang Mohamad Ikmal Hisyam Andara, 20 dari Bekenu, Sibuti. Tiga yang ada pengenalan diri ialah pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Polis masih mengesan seorang lagi identiti mangsa.

FotoNekad kelar pergelangan tangan
Pelakon kelar tangan
Ipoh: Seorang pelakon wanita yang sering muncul dalam tele filem Tamil nekad mengelar pergelangan tangan kirinya menggunakan pisau cukur selepas mendapat tahu kekasihnya berkahwin dengan wanita lain, petang kelmarin. Mangsa berusia 29 tahun dan kini mengandung tujuh bulan, dipercayai membuat keputusan itu selepas terlalu sedih dan kecewa dengan nasib yang menimpa dirinya dan anak yang bakal dilahirkan. Bagaimanapun, dia bernasib baik apabila segera dibawa ke hospital dan keadaannya kini dilaporkan stabil. Menurut seorang rakan mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai John, 50-an, dia dimaklumkan seorang rakan mangsa mengenai kejadian itu jam 4 petang kelmarin sebelum segera membantu membawa mangsa mendapatkan rawatan di wad kecemasan, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini. MANGSA yang cedera dibawa ke wad kecemasan, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh. “Sebelum kejadian, dia tinggal seorang diri di rumah selepas keluarganya ke Singapura atas urusan keluarga. Disebabkan kasihan, beberapa rakannya mengajak bermalam di Taman Pengkalan, di sini.

FotoBina semula selaput terkoyak
Bina semula selaput dara terkoyak
Kuala Lumpur: Teknik pembedahan kosmetik untuk memulihkan selaput dara menerusi kaedah tampalan atau istilah perubatannya ‘hymenoplasti’ makin popu­lar di ibu kota, terutama dalam kalangan gadis terlanjur, wanita berduit dan golongan kenamaan. Golongan terbabit berbuat demikian dengan memberi alasan tersendiri. Gadis terlanjur lazim­nya untuk mengaburi bakal suami menjelang malam pertama perkahwinan, manakala wanita yang lama berkahwin pula bagi memuaskan hati suami. Dari segi perubatan ia bukan kesalahan tetapi bagi wanita Islam, kaedah itu haram kerana menipu bakal suami selain pembaziran bagi yang berkahwin. Hymenoplasti ialah pembedahan kosmetik bagi membina semula selaput dara selepas yang lama terkoyak akibat hubungan seks kali pertama, kecederaan ketika bersukan, terjatuh, senaman ekstrem atau onani dengan memasukkan objek keras. Pembedahan itu membabitkan penampalan membran baru pada bahagian luar alat kelamin wanita dan mampu berfungsi seperti selaput dara asli.

Foto
Waris MH370 bakal jadi jutawan
Kuala Lumpur: Keluarga waris penumpang MH370 bakal menjadi jutawan jika mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak berwajib dan memenangi kes berkenaan di mahkamah. Pampasan diperoleh dijangka sekurang-kurangnya tiga kali ganda daripada jumlah bayaran minimum pampasan insurans daripada ‘polisi pesawat dan liabiliti’ berjumlah AS$175,000 (RM577,500) yang patut dibayar iaitu sekurang-kurang RM1.72 juta. Namun, petisyen saman berkenaan perlu difail dalam tempoh tiga bulan dari tarikh kehilangan pesawat iaitu selewat-lewatnya 8 Jun depan. Menurut peguam tempatan Dr Syed Iskandar Syed Jaafar al Mahdzar, ini selaras dengan Seksyen 24(1) (b), Akta Penerbangan Awam 1969. “Selaras dengan konvensyen Montreal, dalam tempoh tiga bulan, keluarga waris penumpang mesti bertindak segera.

Rumah mayat tak cukup keranda
Jubail: Mayat seorang pekerja warga India yang ditemui mati di pinggir bandar ini pada 2011 masih lagi tersimpan di rumah mayat. Menurut laporan polis, mangsa dibunuh oleh pembunuh yang tidak dapat dikenali. Pegawai kedutaan India berkata, prosedur untuk menghantar mayat pulang ke negara itu sudah pun selesai, tetapi tidak dapat dilakukan kerana kekurangan keranda di hospital. Serang pekerja syarikat yang membekalkan keranda kepada Kementerian Kesihatan berkata mereka hanya memperbaharui kontrak membekalkan keranda itu minggu lepas dan akan menghantar 25 keranda setiap minggu kepada pihak berkuasa yang berkenaan di Jubail. Seorang jurucakap Hal Ehwal Kesihatan Jubail, Khaled Al-Ossaimi berkata, selepas menerima keranda barulah mayat akan dihantar pulang ke negara asalnya. - Agensi

Foto
Mesir mula kempen kuasai masjid
Kaherah: Kerajaan Mesir meningkatkan kempen bagi mengekang pengaruh Ikhwanul Muslimin apabila memberi lesen kepada lebih 17,000 imam yang diluluskan kerajaan untuk menyampaikan khutbah Jumaat bagi mengelak rumah ibadah ‘jatuh ke tangan puak pelampau.’ Pihak berkuasa yang turut disokong tentera berusaha mengawal masjid sejak bekas perdana menteri Mohamed Mursi daripada Ikhwanul Muslimin digulingkan Julai tahun lalu selepas demonstrasi besar-besaran menentang pemerintahannya. Semua imam terbabit mendapat latihan di Universiti Al-Azhar dan institusi yang diuruskan kementerian pembiayaan agama, mengikut kenyataan dikeluarkan pejabat perdana menteri, semalam. “Ini bagi memperkuatkan pemantauan kementerian terhadap semua masjid di Mesir supaya tidak jatuh ke tangan puak pelampau atau mereka yang tidak layak selain mengelak rumah ibadat digunakan untuk tujuan perkauman atau parti,” katanya. September lalu, kementerian berkenaan berkata, imam yang tidak berlesen akan diharamkan daripada memberi khutbah – yang juga digunakan sebagai platform untuk parti politik Islamis. Mengikut kenyataan itu, kementerian terbabit mengambil langkah penting dalam menangani masalah kekurangan imam yang berkelayakan. Kira-kira 12,000 imam yang tidak diluluskan kerajaan ditamatkan perkhidmatan mereka, malah September lalu menteri pembiayaan agama berkata dia menyasarkan untuk mengharamkan 55,000 imam yang tidak berlesen.- Reuters

FotoFotoFoto
Jeritan tengah malam, Bas eksiden
Bentong: Bas ekspres dipandu laju di laluan selekoh dipercayai menjadi punca ia terbabas dan melanggar tiang elektrik di kanan jalan sebelum terbalik ke sebelah kiri di Kilometer 11 Jalan Bentong-Raub, berhampiran Bukit Lebu, dekat sini, tengah malam semalam. Kejadian jam 12.30 malam itu menyebabkan tiga penumpang terbunuh di tempat kejadian, termasuk sepasang suami isteri, 10 parah serta 55 lagi cedera ringan. Mereka dibawa ke Hospital Bentong dan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh. Bas Ekspres Transnasional dua tingkat membawa 68 penumpang itu dalam perjalanan dari Putrajaya ke Kota Bharu, Kelantan. Mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian adalah Zarifah Alias, 26, beralamat di Kampung Padang Jeman Salor, Kota Bharu, Kelantan dan suaminya warganegara Somalia, Saeed Mohamad Mohamud Abdalla, 31, beralamat di Kediaman Siswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Setapak, Kuala Lumpur serta Suhaisam Che Abdulla, 33, dari Kampung Sungai Masin, Batang Kali, Selangor. Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, pemandu bas Wan Khairul Affendi Mustafa, 39, berasal dari Kubang Kerian, Kelantan dipercayai memotong beberapa kenderaan di laluannya sebelum hilang kawalan di satu selekoh. Katanya, bas ekspres itu kemudian melanggar tiang elektrik di kanan jalan sebelum terbalik di sebelah kiri sehingga ada penumpang tersepit di dalamnya.

Lelaki Romania ada 795 kad ATM
Bangkok: Polis Lumpini menahan dua rakyat Romania yang mempunyai 795 kad ATM palsu. Mereka kini disiasat kerana disyaki menggunakan kad berkenaan untuk mengeluarkan wang dari mesin ATM di Bangkok. Ketua Polis Metropolitan Major Jeneral Suebsak Phansura berkata, dua lelaki itu dilihat menaiki teksi motosikal berhampiran Thailand Tobacco Monopoly di daerah Klong Toey, kelmarin. Katanya, polis menjalankan pemeriksaan selepas mendapati dua lelaki itu dalam keadaan meragukan. Seorang daripada mereka memegang sejumlah kad ATM menyebabkan polis membuat pemeriksaan lanjut di bilik hotel mereka dan menemui keseluruhannya 795 kad ATM serta mesin mencuri data. Dengan bantuan Siam Commercial Bank polis mendapati 431 daripada kad itu mengandungi data manakala 364 selebihnya kosong. Bank menganggarkan jumlah kerugian sebanyak 100 juta baht (RM10 juta) jika dua lelaki terbabit berjaya mengggunakan semua kad dimiliki untuk mengeluarkan jumlah maksimum daripada pelbagai ATM. Menurut polis, dua lelaki itu mengakui diupah 500 euro (RM2,200) untuk mengeluarkan wang menggunakan kad palsu berkenaan yang mengandungi data yang digodam daripada bank di Itali. - Agensi

Padah rasuah projek al-Quran
Jakarta: Mahkamah Antirasuah di sini semalam menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun ke atas pegawai kanan Kementerian Hal Ehwal Agama Ahmad Jauhari kerana peranannya dalam kes rasuah projek membekalkan al-Quran. Panel hakim yang diketuai hakim Annas Mustaqim juga mengarahkan Ahmad, bekas Pengarah Bimbingan Syariah kementerian berkenaan supaya membayar denda berjumlah Rp200 juta (RM57,000) atau berdepan dengan lanjutan enam bulan penjara. Tertuduh juga diarah memulangkan Rp100 juta (RM28,000) dan AS$15,000 (RM48,700) wang rasuah yang diambilnya. Hukuman itu lebih ringan berbanding penjara 13 tahun yang dituntut oleh pendakwa raya Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK). Tahun lalu, mahkamah sama menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan lapan tahun ke atas anggota Parlimen Zulkarnaen Djabar dan anaknya Dendy Prasetya kerana peranan mereka dalam kes itu. - Agensi

Bunuh kerana dipaksa kahwin
Lagos: Seorang kanak-kanak yang dipaksa berkahwin bertindak membunuh suami dan tiga rakannya dengan memberi makan makanan yang dicampur dengan racun tikus. Wasila Umaru, 14, berkahwin minggu lepas dengan Umaru Sani, 35, menurut penolong penguasa polis, Musa Magaji Majia. Umaru kemudian menjemput beberapa rakannya untuk meraikan perkahwinan mereka di Kampung Ungwar Yansoro, berhampiran bandar Kano di utara Nigeria. Pengantin perempuan itu mencampurkan racun berkenaan ke dalam nasi yang dihidangkan kepada tetamu. Umaru mati pada hari kejadian bersama-sama dua rakannya, Mohammed dan Alhassan Alhassan. Seorang lagi mangsa, Indo Ibrahim mati di hospital ketika menerima rawatan kecemasan. Wasila mengaku membeli racun itu di pasar. “Suspek mengaku melakukan kesalahan jenayah dan berkata dia melakukannya kerana dipaksa mengahwini lelaki yang tidak dicintainya. “Wasila memberi kerjasama baik kepada polis dan akan dihukum dengan tuduhan melakukan pembunuhan tanpa niat,” menurut Majia. Perkahwinan bawah umur adalah perkara biasa di utara Nigeria. Ia kerap berlaku ketika musim kemarau dan mengahwinkan anak perempuan bermakna menerima wang hantaran. Ia juga akan akan mengurangkan beban keluarga untuk menyediakan makanan. Sebanyak 50 peratus remaja perempuan Nigeria yang tinggal di kawasan luar bandar berkahwin sebelum berusia 18 tahun, menurut agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB). - Agensi

FotoFoto
Kembar tak mahu dipisah
Doktor percaya mereka boleh dipisahkan, namun kembar ini nekad untuk terus hidup bersama. “Kami tidak mahu dipisahkan. “Kami akan bersama sampai tua seperti ini,” kata Shivram ketika diwawancara stesen televisyen Barcroft. Kes kembar siam berlaku satu dalam setiap 200,000 kelahiran dan separuh daripadanya dilahirkan mati. Walaupun dengan kecacatan mereka, Shivanath dan Shivram mampu mengatasi halangan. Mereka cuba hidup seperti manusia normal, bekerja berpasukan seperti mandi, memakai baju dan menyikat rambut satu sama lain. Selain itu, mereka juga boleh bergerak di kampung mereka. “Kami belajar sendiri semuanya. Kami menunggang basikal ke sekolah, dan tiada masalah bermain kriket,” kata Shivanath. Bapa mereka, Raj Kumar, 45, berkata mereka juga pelajar cemerlang. Dia percaya walaupun dengan sikap positif yang ada, kehidupan sentiasa memberi cabaran untuk mereka berdua. Pakar kanak-kanak di Fortis Institut Penyelidikan Memorial di Gurgaon, India, Dr, Krishnan Chugh berkata, pasangan kembar itu boleh dipisahkan. Tetapi kerana mereka berkongsi kaki, mungkin hanya Shivram sahaja akan mendapat anggota itu sementara Shivanath akan lumpuh. Chugh berkata, dia faham kenapa kembar dan bapa mereka tidak mahu berdepan dengan senario itu, tetapi keadaan akan berubah apabila kembar itu dewasa kelak.- Agensi

FotoFotoFoto
Bandar raya Aladdin di Dubai
Dubai akan membina ‘Bandar raya Aladdin,’ projek yang diilhamkan daripada cerita Aladdin dan Sindbad. Majlis Perbandaran Dubai dalam kenyataannya semalam berkata, projek itu mengandungi tiga menara, terdiri daripada ruang komersial dan hotel. Jarak antara setiap menara ialah 450 meter dan ia akan dibina di Sungai Dubai. Ia selaras dengan wawasan Naib Presiden dan Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang juga pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum. Ketua Pengarah Majlis Perbandaran Dubai, Hussain Nasser Lootah, dalam kenyataan itu berkata: “Bandar Aladdin akan terletak di antara pelabuhan kapal komersial di Sungai Dubai di Al Regga hingga ke Dubai lama dan mengandungi tiga menara. “Ia bertujuan membangunkan menara untuk dijadikan ikon legenda lampau dengan sentuhan bercirikan keindahan tarikan pelancong bandar itu. Ia tidak akan mengganggu kegiatan di pelabuhan berkenaan.” Menurut Hussein, pembangunan projek seumpama itu akan memberi kesan kepada budaya dan sejarah global terhadap kawasan terbabit serta menjadi sumber kebanggaan generasi akan datang di samping menyumbang kemajuan kepada UAE. Ia juga diramal akan membantu meningkatkan ekonomi Dubai dalam jangka panjang, khususnya menjelang Expo 2020. Projek berkenaan akan mempunyai jambatan berhawa dingin dengan lantai bergerak bagi menghubungkan menara itu dengan jalan masuk serta keluar dan tempat letak kereta. Menara itu pula akan menawarkan pemandangan ke arah sungai, bandar lama Dubai serta pembinaan moden, termasuk Burj Khalifa. Bercakap mengenai reka bentuknya, Hussain berkata: “Seni bina serta kandungan projek berkenaan mengambil kira hubungan sejarah dan warisan kapal layar di sungai itu, menandakan perdagangan mengguna kapal sudah wujud sejak abad ke-11 yang belayar ke pantai Afrika Timur, India dan China. Ia juga akan mengandungi mitos mengenai pelayar terkenal, Sindbad dan Aladdin.” “Kerana itu, kandungan simbolik reka bentuk projek bangunannya diilhamkan daripada cerita dan warisan lampau, termasuk cerita mengenai bangunan dan istana yang mempunyai kubah berbentuk agak ganjil, tergantung di udara. Bentuk jambatan yang akan menghubungkan bangunan itu mewakili kehidupan marin eksotik, seperti naga dan ular. Tiga menara itu akan mempunyai kawasan binaan seluas 110,000 meter persegi dengan menara paling tinggi mempunyai 34 tingkat. Dua menara lain pula akan mempunyai 26 dan 25 tingkat sementara 900 ruang letak kereta akan disediakan. Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyebut mengenai kos projek berkenaan. Bandar raya Aladdin itu adalah projek terbaru Dubai yang bertemakan pelancongan. Sebelum ini, majlis mengumumkan rancangan membina projek seumpama itu, termasuk Taman Safari Dubai, Taman Buaya dan Taman Al-Quran. Projek yang dalam pembinaan sekarang termasuk, taman Bunga dan Miniatur, Perpustakaan Mohammad Bin Rashid Library di atas sungai dan Pusat Seni Al Quoz.

Amah kapak majikan sedang solat
Taif: Polis menahan seorang pembantu rumah warga Habsyah kerana membunuh seorang majikan wanitanya kelmarin. Wanita berusia lingkungan 30-an itu menetak majikannya dengan kapak sehingga mati ketika mangsa yang berumur 50-an itu menunaikan solat Zuhur di rumahnya di Maisan, kata jurucakap polis Makkah, Leftenan Kolonel Ati Al-Qarshi. “Sebaik menerima laporan, polis Maisan bergegas ke tempat kejadian dan menemui mayat wanita itu terbaring berlumuran darah di atas sejadah,” katanya. Polis menahan pembantu rumah terbabit yang mengaku membunuh majikannya, Umm Saad. Mereka turut menemui wang tunai berjumlah SR 7,000 (RM6,040) dalam simpanannya. Satu sumber berkata, wanita Saudi itu melayan pembantu rumahnya dengan baik dan ada rakannya yang percaya dia memanjakan wanita itu. - Agensi

Lagi murid tadika diracun oleh cikgu , pizza beracun
Yunan: Polis menahan seorang wanita yang mengaku memberikan makanan beracun kepada murid tadika hingga menyebabkan dua mangsa mati. Zhao Jianzhi, 44, membuat pengakuan itu kepada polis daerah Qiubei yang dia memasuki sebuah kelas di Tadika Jiajia pada 19 Mac dan meletakkan satu bungkusan pizza yang disapu racun tikus. Ketika dia memasuki kelas berkenaan, kanak-kanak berusia sekitar empat ke lima tahun itu sedang tidur. Menurut laporan media, sebaik bangun, kanak-kanak berkenaan memakan pizza yang diletakkan di situ. Akibatnya, dua murid meninggal dunia di hospital dan masih belum dapat dipastikan jumlah mereka yang keracunan makanan. Zhao memberitahu polis dia bertindak demikian kerana membalas dendam terhadap tadika berkenaan yang menggunakan apartmennya sebagai bangunan sekolah dan memaksanya keluar. Tadika berkenaan beroperasi secara tidak sah sejak tahun lalu dan pemilik tadika itu ditahan polis selepas kejadian. Apa yang menyedihkan, ini bukan kes pertama membabitkan perbuatan meracun makanan yang membawa maut di tadika. Bulan lalu, dua kanak-kanak meninggal dunia manakala ramai lagi dimasukkan ke hospital selepas mereka dilaporkan memakan racun tikus di Yunan. Kejadian berlaku seminggu selepas tadika di Shaanxi ditutup kerana pihak pengurusan tadika memberikan dadah antivirus yang menyebabkan murid itu sakit. - Agensi


7 penyeludup dadah mati ditembak
Bangkok: Pasukan keselamatan Thai menembak mati tujuh suspek penyeludup dadah dan merampas ribuan pil methamphetamine selepas pertempuran di sempadan Segi Tiga Maut. Kejadian berlaku lewat kelmarin di Chiang Rai selepas peronda sempadan mengesan 10 lelaki yang enggan berhenti selepas menyeberang sempadan. “Kami menemui mayat tujuh lelaki yang ditembak mati dan merampas enam beg methamphetamine selepas membersihkan kawasan pertempuran,” kata seorang pegawai. Setiap beg itu mengandungi 100,000 pil dadah berkenaan. Menurut pegawai yang enggan dikenali itu, tembak menembak berterusan hingga ke malam. Pertempuran antara pasukan keselamatan dengan penyeludup dadah sering berlaku di kawasan Segi Tiga Maut, wilayah sempadan yang menghubungkan Thailand, Myanmar dan Laos. - AFP - Agensi

Mayat peniaga bakso dalam peti ais
Jakarta: Mayat seorang lelaki, Suwarno, 40, ditemui di dalam peti ais sebuah warung di Tangerang, semalam. Lelaki berkenaan, menurut jurucakap polis tempatan, Kombes Riwanto,dipercayai dibunuh di dalam warung miliknya itu. Riwanto berkata, mayat itu ditemui adik mangsa, Sarini, selepas dia memeriksa warung berkenaan setelah ditanya sebab warung itu tidak dibuka. Sarini, dalam laporannya kepada polis berkata, dia menemui barang keperluan perniagaan di depan warung, tetapi tidak melihat kelibat abangnya. Dia terkejut apabila menemui mayat abangnya di dalam peti ais apabila membukanya kerana hendak membantu menyimpan barang keperluan perniagaan. “Mangsa luka di kepala, dipercayai ditetak dengan senjata tumpul. - Agensi


Pakar silap bedah kerana nama sama
Zhenjiang: Pakar bedah di hospital di Yueqing tersilap membuang dua per tiga perut seorang wanita yang tidak mempunyai masalah kerana mempunyai nama yang sama dengan seorang lagi pesakit yang sepatutnya dibedah. China.org melaporkan, warga emas yang dikenali sebagai Chen pada mulanya hanya datang membuat pemeriksaan di hospital berkenaan selepas mengadu sakit perut. Menurut menantu pesakit malang itu, Wang, memandangkan Chen dan suaminya tidak boleh membaca mereka tidak memahami laporan yang dikeluarkan doktor. Namun, apabila anak mereka mendapati laporan itu menyebut Chen mempunyai kanser, mereka bergegas untuk berbincang dengan doktor yang menasihatkan pembedahan segera perlu dijalankan. Sehingga pembedahan selesai dijalankan, perkara itu masih belum disedari sehinggalah pesakit sebenar datang untuk mengambil laporannya dan laporan itu dikatakan hilang. Timbalan pengarah perhubungan perubatan hospital berkenaan, Nan Xiaohao berkata, kesilapan itu berlaku kerana kecuaian dan kebetulan kedua-dua pesakit mempunyai nama yang sama dan hadir ke hospital untuk membuat pemeriksaan perut pada hari yang sama. - Agensi

FotoFotoFoto
Payudara beralih
Beijing: Seorang wanita kelmarin mendedahkan rasa terkejut dan marahnya selepas mendapati implan payudaranya beralih ke belakang badan dan perutnya. Tian Hui, 39, menjalani pembedahan plastik untuk membesarkan payudaranya pada 2002. Dia mengharapkan pembedahan itu akan meningkatkan keyakinannya selepas mengetahui suaminya, Chiu, 41, berlaku curang dan menjalinkan hubungan dengan wanita lebih muda. TIAN terkejut mendapati implan payudaranya di belakang dan perut. Meskipun dia berusaha menolaknya semula ke tempat sepatutnya, ia masih bergerak jauh dari payudaranya. Tian berkata, keyakinannya musnah selepas suaminya bermain kayu tiga dan dia menjalani pembedahan itu dengan harapan untuk mendapatkan semula kasih sayang suaminya. “Saya sangka rumah tangga kami bahagia sehinggalah saya mengetahui dia menjalinkan hubungan dengan wanita yang enam tahun lebih muda daripada saya,” katanya. Pasangan yang berasal dari Guangzhou di wilayah Guangdong itu sudah mendirikan rumah tangga selama lapan tahun, membuka sebuah restoran dan membina perniagaan bersama sehingga mereka kaya. Selepas kecurangan suaminya terbongkar, mereka memutuskan untuk kekal semata-mata kerana keluarga. Tetapi, dia tetap merasakan tidak lagi menawan dan mengambil keputusan melakukan pembedahan plastik. “Saya menghubungi seorang pakar bedah plastik berhampiran kediaman kami dan mengatur untuk membesarkan payudara saya. “Saya terkejut apabila bangun selepas beberapa tahun kemudian melihat implan itu beralih ke tempat lain. “Saya sungguh malu dan cuba mengalihkannya semula ke tempat asal. Tetapi, setiap kali bangun pagi, implan itu semakin jauh dari tempat sehari sebelumnya. “Suatu hari apabila bangun saya mendapati satu implan itu berada di belakang dan satu lagi di perut. Saya menyedari saya perlu melakukan sesuatu. “Saya bimbang sungguh mengenai kerosakan yang berlaku pada tubuh saya. Sebenarnya, ia sungguh menyakitkan,” Dia menjalani satu lagi pembedahan untuk membuang implan berkenaan dan meletakkan yang baru beberapa minggu lalu. Doktor di Hospital Polis Guandong, Liang Hao, berkata, implan yang disuntik pada payudara Tian sebelum ini ialah gel polyacrylamide hydrophilic. “Ia bahan berbahaya dan boleh merosakkan dalaman tubuh, menyebabkan barah serta menjejaskan buah pinggang,” kata Hao. Penggunaan bahan itu diharamkan di China sejak 2006. Bagaimanapun, kesan peralihan payudaranya menyebabkan rumah tangganya lebih teruk. “Suami saya sungguh kecewa dan menyebabkan hubungan kami lebih renggang,” kata Tian.- Agensi

No comments:

Post a Comment