Thursday, April 24, 2014
Berita Terkini 24 April 2014
MRT: Berlaku Mendapan Di Bukit Bintang Namun Tiada Kereta Masuk Lubang!
SHAH ALAM – Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) menafikan dakwaan bahawa sebuah kereta terjatuh dalam mendapan yang berlaku di Jalan Bukit Bintang, hari ini. Pengarah Strategi Komunikasi dan Perhubungan Awamnya, Amir Mahmood Razak berkata, mendapan itu tidak menghasilkan lubang yang besar sehingga menyebabkan kerosakan harta. “SOP kami bertindak segera dan jalan itu terus ditutup apabila mendapan itu dikesan. Saya menafikan segala rumor yang tersebar mengatakan bahawa kereta telah terjatuh ke dalam lubang. “Saya gesa agar pihak yang menyebarkan rumor berkenaan menghentikannya kerana tindakan tidak bertanggungjawab itu boleh menimbulkan panik kepada orang awam,” katanya dalam satu kenyataan. Laluan yang terlibat dilaporkan akan ditutup sehingga 6 pagi esok. Dalam kenyataan sama, MRT Corp berkata, tindakan segera berkenaan diambil berikutan kontraktor kerja-kerja bawah tanah Projek MRT, MMC Gamuda KVMRT (T) mengesan berlaku sedikit mendapan di bawah laluan pejalan kaki. “Apabila mendapan itu dikesan, kontraktor segera mengerahkan Emergency Response Team (ERT) dan menghubungi pihak berkuasa. “Keputusan itu dibuat berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) Projek MRT untuk menutup sehingga jarak 500 meter Jalan Bukit Bintang itu bagi memastikan risiko minimum kepada orang awam,” kata kenyataan itu. Menurut kenyataan itu juga, penutupan jalan yang bermula sejak 9 pagi tadi membolehkan kerja mengukuhkan tanah dengan menurap kawasan di bawah laluan itu. “Jalan di Bukit Bintang akan ditutup sehingga 6 pagi esok untuk tujuan mengukuhkan tanah itu. Dalam tempoh penutupan itu, laluan trafik bertentangan akan dikawal manakala laluan trafik dari Bukit Bintang menghala ke Jalan Tun Razak akan diarahkan kepada dua laluan bertentangan,” katanya. – SINAR HARIAN
Respon Erma Fatima Berkenaan Ditegur Dr Asri Dan Isu ‘Neraka’
Baru-baru ini industri hiburan tempatan digemparkan dengan kontroversi pengarah terkenal, Erma Fatima yang telah mengeluarkan kenyataan dia redha jika ditakdirkan masuk ke neraka melalui laman sosial instagram. Tindakannya itu telah mendapat perhatian daripada pendakwah bebas iaitu Datuk Dr Asri Zainul Abidin yang meminta Erma membetulkan semula kenyataannya serta menyifatkan pengarah itu mungkin dipengaruhi emosi ketika memuat naik status berkenaan. Terkini, Erma tampil menerangkan bahawa dia tidak tersentuh hati mengenai teguran tersebut dan dia percaya bahawa Dr Asri mungkin tidak mengetahui cerita sebenar disebalik isu tersebut sebelum mengeluarkan kenyataan. Melalui laporan Harian Metro, Erma memberitahu kenyataannya mungkin telah diputar belit oleh pihak tertentu yang mempunyai tafsiran salah tentang apa yang dimaksudkan. Saya terima apa juga teguran Dr Asri dan tak tersentuh hati langsung. Saya percaya teguran beliau hanya berdasarkan persoalan pihak tertentu kepadanya mengenai hukum apabila saya mengeluarkan kenyataan itu. Sedangkan saya rasa Dr Asri mungkin tak tahu cerita penuh yang berlaku, di mana kenyataan saya sudah diputar belitkan pihak tertentu yang salah tafsir dengan apa yang saya maksudkan Pendakwah bebas, Datuk Dr Asri Zainul Abidin menegur kenyataan yang dibuat oleh Erma Fatima Dalam pada itu, Erma berkata dia tidak pernah ingin mempertikaikan hukum Allah sebaliknya menerangkan setiap perincian dan kandungan yang terdapat dalam drama itu adalah berasaskan sejarah dan tidak boleh ditukar sesuka hati. - OhBulan!
KEDUDUKAN MB: Saya Tak Percaya Laman Sosial, Saya Sendiri Dah Tutup FB!
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said hari ini mengulangi kenyataan tidak mahu melayan khabar angin dan spekulasi yang ditimbulkan pihak tertentu berhubung peralihan kuasa pucuk pimpinan negeri. “Biarlah surat khabar atau siapa-siapa mahu membuat spekulasi, asalkan mereka bahagia’” katanya ketika diminta mengulas spekulasi yang kini tersebar luas di laman sosial dan blog kononnya beliau akan digantikan dengan pemimpin lain bagi menerajui kerajaan Terengganu. Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri berkata ketika ini kedudukan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menyaksikan 17 kerusi dimiliki kerajaan BN dan 15 kerusi lagi disandang pembangkang adalah lebih mustahak dan perlu diberi perhatian. “Kita orang politik ni macam-macam spekulasi sebab itu saya tidak percaya laman sosial seperti blog dan FB (Facebook). Saya sendiri sudah tutup FB tetapi ada lagi dua ala-ala klon nama saya yang didaftarkan di Amerika Syarikat dan Singapura,” katanya. Ahmad berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian di antara anak syarikat kerajaan negeri, Eastern Pacific Industrial Corp (EPIC) Berhad dengan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu hari ini. Akhbar melaporkan dakwaan beberapa laman sosial berdasarkan sumber yang boleh dipercayai bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bakal membuat rombakan dan penukaran beberapa Menteri Besar termasuk Terengganu. Spekulasi itu turut menyebut beberapa pemimpin yang dikatakan akan menggantikan Ahmad termasuk Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Rozi Mamat dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Roslee Daud. Ahmad dilantik sebagai menteri besar Terengganu pada 22 Mac 2008. – Bernama
KEDUDUKAN MB: Istana Adalah Kata Pemutus!
KUALA LUMPUR – Keputusan pihak istana yang bakal menentukan sama ada akan berlaku pertukaran Menteri Besar (MB) di beberapa buah negeri menjadi kenyataan sebagaimana yang disebut-sebut sekarang. Walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berhak membuat perubahan ke atas kerusi tersebut tetapi kata putus istana tetap memainkan peranan dan tidak dapat diketepikan begitu sahaja. Beberapa sumber yang dihubungi mStar Online memaklumkan, suka atau tidak, kata putus istana dalam soal kerusi MB harus diterima sebagai salah satu pra-syarat pelantikan mana-mana MB yang baharu. “Lambat atau cepat proses pertukaran (MB) itu bergantung kepada kata putus pihak istana,” katanya lagi. Sumber mStar Online turut mendedahkan bahawa isu mengenai pertukaran MB di beberapa buah negeri ini timbul kerana wujudnya perjanjian bersama antara MB terbabit, Barisan Nasional (BN) dan istana negeri sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) 2013 yang lalu. “Menerusi gentleman aggrement itu, beberapa orang MB telah diberi peluang untuk meneruskan tanggungjawab mereka seperti biasa selepas memenangi PRU lalu, dengan syarat mereka perlu berundur selepas tempoh tertentu dan inilah yang akan berlaku sekarang,” kata sumber berkenaan. Bilakah perubahan ini akan berlaku hanya perdana menteri sahaja yang ada jawapannya. Dua buah negeri yang disebut-sebut terikat dengan persefahaman ini ialah Terengganu dan Pahang. Malah ada yang membuat spekulasi kononnya, Perak dan Kedah juga akan turut terlibat walaupun secara logiknya tidak ada sebab kedua-dua negeri ini memerlukan pertukaran pucuk pimpinan. Namun di mana-mana sekarang, terutamanya di peringkat Umno Bahagian, ramai yang sedang memperkatakan tentang spekulasi pertukaran MB di negeri-negeri berkenaan. Malah jika diimbau sejak selepas PRU lalu lagi, sudah timbul khabar angin bahawa Datuk Seri Ahmad Said dan Datuk Seri Adnan Yaakob tidak akan lagi menduduki kerusi MB. Bagaimanapun ia tidak berlaku dan kedua-duanya mengekalkan jawatan mereka. Berdasarkan keputusan PRU tahun lalu, situasi di Terengganu agak kritikal kerana majoriti BN hanya berkelebihan dua kerusi sahaja berbanding Pakatan Rakyat (PR). Bagi Pahang pula, Adnan sendiri pernah menyatakan hasrat untuk berundur dan enggan meneruskan khidmat sebagai MB selepas PRU lalu, bagaimanapun ia tidak menjadi kenyataan apabila tetap dilantik untuk menerajui pentadbiran negeri berkenaan. Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee ketika diminta mengulas mengenai khabar angin itu berpendapat adalah menjadi hak perdana menteri untuk menukar kepemimpinan tertinggi negeri, jika ia bertujuan untuk melancarkan urus tadbir negeri, termasuk mengukuhkan kedudukan Umno dan Barisan Nasional (BN). “Pemimpin silih berganti, ia bukan masalah, yang penting akan menjamin keberkesanan khidmat kita kepada rakyat untuk kelangsungan Umno dan BN,” katanya lagi.
CATUAN AIR: Wakil Rakyat DAP Anggap MB Selangor TAK GUNA, Pecat Saja!- Macam diorang bagus sangat jer, kutuk kawan sendiri
Kesal kerana bekalan air di rumahnya sering dicatu, seorang MP Pakatan Rakyat menuntut agar Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dipecat kerana didakwa gagal mengatasi masalah tersebut. MP Jelutong Jeff Ooi berkata, masalah bekalan air itu menyulitkan urusannya hingga terpaksa “mandi kerbau” (mandi cincai) setiap kali pulang ke kediamannya di Subang Jaya. “Saya merupakan seorang pembayar cukai di Selangor sejak bertahun-tahun lamanya kerana saya memiliki rumah di Subang Jaya. “Kami tidak pernah menghadapi catuan air yang berlarutan begitu lama seperti ini, malah semasa pentadbiran BN sekalipun. “Kegagalan Pakatan adalah kegagalan Pakatan. Masa Khalid sudah tamat. Pecat orang tidak guna ini,” katanya. MP berkenaan turut memuatkan satu gambar bilik air yang menempatkan empat bekas takungan air. Tulisannya itu mendapat perhatian meluas rakannya di Facebook yang meninggalkan lebih 80 komen di tulisan tersebut Para pengikutnya itu antara lain bertanya sekiranya beliau yakin pengganti Khalid akan dapat menunjukkan prestasi lebih baik dari sedia ada. Mengulas komen tersebut, Jeff Ooi menyoal kembali mengapa perkara itu tidak boleh dilakukan. “Jika penyandang timbalan presiden PKR Azmin Ali lebih baik daripada Khalid, kenapa tidak?,” katanya. Khalid dalam kenyataanya semalam berkata, beliau akan membuat pengumuman pada minggu depan sama ada akan meneruskan atau menghentikan pelan catuan air di negeri Selangor. Katanya, kerajaan negeri mengambil kira bahawa bekalan air di negeri itu hanya boleh bertahan selama 29 hari sekiranya catuan tidak diteruskan. Buat masa ini, kerajaan negeri terpaksa meneruskan catuan kerana paras air masih kritikal di empangan utama di Sungai Selangor. Kerajaan negeri juga hari ini meluluskan peruntukan RM10 juta untuk kerja-kerja mengepam air dari bekas lombong atau kolam sekitar lembangan sungai Selangor ke Sungai Selangor. Setakat jam 8 pagi ini, paras air di Empangan Sungai Selangor masih berada di bawah paras kritikal iaitu 38.97 peratus dengan jumlah takungan 89.63 juta liter padu. – Malaysiakini.com
Bila Air Empangan Cecah 42 Peratus, Barulah Catuan Dihentikan – MB
SHAH ALAM – Kerajaan negeri Selangor sedia menghentikan catuan air yang dilaksana sejak Mac apabila paras air di Empangan Sungai Selangor meningkat ke 42 peratus, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini. Beliau berkata, setakat pukul 8 pagi ini, paras air di empangan itu masih berada di bawah paras kritikal iaitu 38.97 peratus dengan jumlah takungan 89.63 juta liter padu. Katanya, walaupun empangan lain terus menunjukkan peningkatan melebihi paras 50 peratus namun empangan ini hanya membekalkan sebahagian kecil air kepada pengguna. Empangan Sungai Selangor membekalkan kira-kira 60 peratus keperluan pengguna di Lembah Klang. “Seperti yang diumumkan semalam kerajaan negeri telah mengenal pasti usaha untuk menambah bekalan air mentah dan jika hasilnya positif, kita bersedia untuk mengkaji semula pelan catuan air,” kata Abdul Khalid dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini. Sehubungan itu, beliau berkata exco negeri hari ini meluluskan peruntukan sebanyak RM10 juta untuk membina infrastruktur bagi kerja-kerja mengepam air dari kolam bekas lombong sekitar Lembangan Sungai Selangor ke Sungai Selangor. Katanya, sembilan buah pam berkeupayaan tinggi akan disediakan bagi mempastikan kerja-kerja pengepaman memberi kesan maksimum dan mampu meningkatkan paras air di Sungai Selangor. Beliau berkata infrastruktur ini juga akan digunakan bagi mengepam air Sungai Selangor ke kolam takungan apabila paras air sungai mencapai paras normal. Ini sebagai persediaan menghadapi musim kering berlanjutan yang diramal akan berlaku antara Mei sehingga September ini, kata beliau. “Kerja mengepam itu telah dimulakan sejak tiga hari lalu, melibatkan sembilan daripada lebih 26 bekas lombong bijih timah yang ada di negeri ini,” kata Abdul Khalid. Menurutnya, pam berkapasiti tinggi itu mampu mengepam air sebanyak 50 juta liter sehari. “Jadi pengguna tidak perlu bimbang bila tiba musim kering nanti kerana kita sudah ada perancangan untuk enam bulan seterusnya. – BERNAMA
Wardina Dengar Penjelasan Ustaz Don, Gantung Status FB
PETALING JAYA: Keraguan pelakon Wardina Safiyyah mengenai kesahihan ceramah agama Ustaz Don yang dikatakan menggunakan hadis-hadis palsu terjawab apabila dia dapat bercakap dengan penceramah itu. Wardina berkata, ustaz tersebut telah memberi penjelasan dan menjawab kemusykilan yang timbul selain dia juga turut meminta maaf terhadap isu berkenaan yang menjadi kontroversi. “Saya sudah berhubung secara peribadi dengan Ustaz Don melalui telefon dan dia sudah memberi penjelasannya. “Hanya Allah lebih tahu segala-galanya dan saya harap isu ini tidak diperbesarkan lagi,” ujarnya ketika dihubungi oleh sebuah portal tempatan, mStar Online semalam. Wardina juga enggan mengulas secara terperinci apa yang dibualkan dengan ustaz berkenaan. Wardina telah menyerahkan laman sosial facebooknya kepada ‘admin’ dan tidak akan memuat naik sebarang status bagi mengelak provokasi. Dalam pada itu, Wardina berkata, dia mengambil pendekatan memohon maaf kepada Ustaz Don apabila banyak pihak mengehentamnya selepas dia bertindak berkongsi rakaman kompilasi video ceramah yang dikatakan mengaibkan ustaz tersebut. Sementara itu, pelakon Spanar Jaya itu memberitahu dia tidak akan memuat naik sebarang status lagi dan menyerahkan pengendalian laman Facebook miliknya kepada pihak pengurusan buat sementara waktu. Katanya, tindakan itu bagi mengelakkan sebarang provoksi yang ditimbulkan oleh pengguna laman sosial itu yang boleh memburukan lagi keadaan. “Saya tidak akan muat naik apa-apa status buat masa ini bagi meredakan keadaan, semua perkara tentang laman sosial ini akan dikendalikan oleh admin,” katanya. Pada 16 April lalu, Wardina telah mengeluarkan kenyataan melalui Facebook miliknya dengan mempersoalkan kandungan ceramah Ustaz Don melalui video yang telah tersebar di Internet. [Baca Disini] Bagaimanapun, kenyataan tersebut disalah tafsir dan mendapat reaksi negatif daripada segelintir pelayar laman sosial dengan menganggap Wardina cuba mengaibkan ustaz berkenaan. Bagaimanapun Ustaz Don dalam reaksi balasnya menerusi rakaman video menganggap apa yang berlaku itu sebagai satu fitnah apabila rakaman ceramahnya yang disebarkan itu merupakan kandungan yang sudah diedit. Ustaz Don atau Don Daniyal merupakan hos bagi rancangan 30 Minit Bersama Ustaz Don di TV AlHijrah - mStarOnline
Nasihat Tun M Tentang Kuasa dan Pengampu
1. DI mana negara pun akan ada orang yang berkuasa. Mereka berada di berbagai peringkat. Di negara yang demokratik pun terdapat orang yang berkuasa. Budaya orang Malaysia pula demikian sehingga orang yang berkuasa lebih berkuasa kerana tidak akan ada sesiapa yang akan menegur. Orang yang berkuasa boleh buat apa sahaja termasuk yang tidak dibenar. Hanya jika diadakan pemilihan oleh rakyat atau pengikut barulah ketidakpuasan hati mereka dilahirkan. Walaupun demikian faktor lain sering menenggelamkan faktor salahguna kuasa.
2. Saya mengaku bahawa inilah pengalaman saya semasa menjadi pemimpin yang berkuasa. Jarang terdengar teguran melainkan oleh musuh terutama parti lawan. Dan teguran oleh musuh jarang dapat diterima kerana ini memang sifat mereka. Saya dapati teguran pihak ketiga, pihak yang tidak punyai kepentingan biasanya lebih ikhlas dan perlu ditimbang secara serius.
3. Kebiasaannya ramai yang bersedia untuk menyokong dan memuji apa sahaja yang dilakukan oleh orang yang berkuasa. Sokongan mereka mungkin kerana mereka betul-betul dan ikhlas berpendapat apa yang dilakukan memang baik atau buruk.
Tetapi ada juga yang menyokong dan mengiakan apa sahaja kerana ini akan disukai oleh yang berkuasa. Dan ini juga akan meningkat pengaruh mereka dan banyaklah nikmat yang akan dikecapi oleh mereka. 4. Mereka yang dapat mempengaruhi orang yang berkuasa sebenarnya mendapat sedikit dari kuasa itu. Lebih kuat pengaruh lebih banyaklah kuasa yang didapati oleh mereka. Dan ramailah mereka yang cuba mendekati dan mengelilingi seseorang yang berkuasa.
Mereka akan cuba pengaruhi pihak yang berkuasa sehingga pendapat mereka sahaja yang diterima. Apabila ini berlaku maka kuasa yang didapati oleh mereka amatlah besar, begitu besar sehingga tiada pendapat atau nasihat lain yang akan diterima.
5. Jika pendapat mereka ini baik dan hanya untuk menjayakan pihak berkuasa tidaklah sukar untuk diterima. Malangnya yang kerap berlaku apabila sahaja seseorang atau sekumpulan orang keliling sudah dapat menguasai fikiran dan tindakan orang yang berkuasa, maka bermulalah usaha untuk memperalatkan orang yang berkuasa untuk kepentingan diri.
6. Ramai akan sedar dan melihat kesan buruk dari orang sekeliling pihak berkuasa. Ramai yang akan bercakap berkenaan perkara ini, ramai yang tidak senang tentang apa yang sedang berlaku.
7. Tetapi di Malaysia mereka tidak sanggup untuk menasihat pihak berkuasa, takut dimarahi atau dipandang serong.
8. Tanpa teguran yang berani oleh mereka, maka akan lebih buruklah prestasi pihak berkuasa. Kemarahan orang akan meningkat menjadi kebencian.
9. Kita lihat dalam sejarah raja dan orang kuat pun akhirnya dihadapkan dengan tindakan keras dan ganas oleh rakyat untuk menjatuhkan mereka. Inilah yang berlaku kepada beberapa raja dan diktator di Timur Tengah.
10. Rakyat Malaysia belum tahu cara yang ganas. Mereka mungkin mengguna pilihanraya untuk memperbetulkan keadaan.
11. Tetapi janganlah kita terlalu yakin yang mereka terus berlembut.
12. Dalam sejarah raja yang berkuasa mutlak pun tindakan ganas untuk menyatukannya pernah berlaku. Sultan Mahmud dibunuh walau pun tabiat orang Melayu tidak menderhaka kepada raja.
13. Jika hendak berkuasa lama jangan salahguna kuasa yang diberi walaupun ada yang menasihat kita kebal dan segala salahlaku kita tidak akan diketahui dan jika diketahui pun tidak ada yang berani membuat apa-apa.
14. Pembodek di antara penasihat dan orang keliling ialah sebabnya yang berkuasa menyalahguna kuasa sehingga tersingkir.
15. Kuasa membawa kepada korupsi dan kuasa mutlak akan menyebabkan korupsi yang tidak terhad.
16. Bahasa Mat Salleh berbunyi “Power corrupts and absolute power corrupts absolutely”.
17. Mereka yang pegang kepada pepatah ini akan bertegas elak atau gugurkan sahaja kuasa. Bangsa yang korap dan negara yang terkenal dengan bangsa yang korap tidak mungkin maju, bahkan akan runtuh.
Sumber: chedet.cc
‘Biarlah saya undur diri’ – Redzwani Puteri
Seperti kisah cinta di dalam drama pun ada apabila Shahrizal Jaszle secara tiba-tiba memuat naik sekeping gambar bersama seorang wanita dipercayai teman wanita barunya. Ternyata tunang Shahrizal, Redzwani Puteri terkejut dan terpinga-pinga sewaktu bertanya, ‘What is this?’ di ruangan komen gambar berkenaan. Cubaan untuk menghubungi Shahrizal bagi mendapatkan penjelasan gagal memandangkan pelakon itu kini sedang menjalani penggambaran di Australia. Gambar kenangan sewaktu pertunangan Shahrizal & Redzwani Bagaimanapun Redzwani yang dihubungi oleh portal mStar Online, memberi respon bahawa beliau sudah tiada lagi perasaan cinta pada Shahrizal sebaik tunangnya itu curang dan sedia mengundur diri. Biarlah saya undur diri. Mereka (Shahrizal dan Hanis) mengaku mereka adalah sepasang kekasih. Maka tiada lagi kewujudan saya. Semalam, kekasih Shahrizal yang dikenali sebagai Hanis Husna telah mengeluarkan kenyataan kepada media dengan menafikan dirinya perampas kerana hubungan mereka sudah lama terjalin. Baca: 5 Gambar Hanis Husna, Kekasih Baru Shah Jaszle Disebabkan itu, Redzwani enggan memberikan komen lebih lanjut namun tetap mendoakan kebahagiaan Shahrizal dengan kekasih barunya. Malah pada 20 April lalu, Shahrizal telah menulis sesuatu kepada Redzwani di Twitter mengatakan mereka telah berpisah secara baik sebelum ini sekaligus mengesahkan hubungannya dengan Redzwani telah berakhir. Tentang apa yang telah berlaku, tiada apa yang saya boleh katakan. Mereka pun telah membuat kenyataan masing-masing. Jadi, tak perlulah saya cakap panjang lebar. Semoga mereka bahagia dan berjaya dalam karier masing-masing. Sementara itu, ibu kepada Shahrizal, Zaleha pula berasa sedih atas apa yang berlaku dan menganggap kedua-duanya tidak dijodohkan untuk bersama. - OhBulan!
Polis Australia Jumpa ‘Bahan’, Mungkin Ada Kaitan MH370
PERTH – Polis Australia Barat sedang menyiasat laporan mengenai satu bahan tidak dikenali didapati terdampar di pantai kira-kira 10 km di timur Augusta dan lebih kurang 322 km di selatan Perth. Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) berkata Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) sedang meneliti gambar bahan yang dijumpai itu untuk menentukan sama ada analisis lanjut perlu dibuat dan ia mempunyai kaitan dengan kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370. ATSB juga memberi gambar berkenaan kepada pasukan penyiasat Malaysia, agensi yang menyelia operasi mencari pesawat malang itu, kata JACC dalam kenyataan terkininya pada Rabu. Operasi mencari pada Rabu dilakukan di kawasan kira-kira 855 km di barat laut Perth. Penerbangan MH370 bersama 239 penumpang dan anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam 8 Mac dan hilang daripada pengesanan radar kira-kira sejam kemudian ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. Operasi melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mencari pesawat Boeing 777-200 itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian di selatan Lautan Hindi apabila ia didapati melencong daripada laluan asalnya. Apabila analisis terhadap data satelit menunjukkan kedudukan terakhir pesawat itu ialah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth, Australia, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada 24 Mac bahawa Penerbangan MH370 “berakhir di selatan Lautan Hindi”. – BERNAMA
MH370: Profesionalisme Hisham, Azharuddin Dan Ahmad Jauhari Dipuji Dewan Negara
KUALA LUMPUR – Dedikasi, kesungguhan dan profesionalisme tiga individu utama berdepan detik sukar mengendalikan tragedi kehilangan pesawat Malaysia Ailines (MAS) MH370 mendapat perhatian anggota Dewan Negara. Senator Abdul Shukor Mohd Sultan berkata ketabahan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman, dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS Ahmad Jauhari Yahya berdepan pelbagai soalan, terutamanya oleh media asing wajar dipuji. Beliau berkata sepanjang operasi mencari dan menyelamat dijalankan, ketiga-tiga individu tersebut juga tidak lepas dari pelbagai pertanyaan media asing yang kadang kala tidak masuk akal dan tidak berkaitan dengan insiden MH370. “Walau diasak dengan pelbagai soalan pelik, malah ada yang tidak relevan, namun sekalung tahniah buat mereka bertiga yang berjaya menjawab dan menangani situasi itu dengan penuh kesabaran,” katanya. Abdul Shukor berkata demikian ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara di sini hari ini. Pesawat MAS itu dilaporkan hilang pada pagi 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL menuju Beijing. Misi pencarian yang berpusat di selatan Lautan Hindi yang masuk hari ke-47 masih belum menemui sebarang tanda yang boleh dikaitkan dengan pesawat malang itu dengan 239 penumpang dan kru di dalamnya. Abdul Shukor juga merakamkan penghargaan kepada Angkatan Tentera Malaysia yang berjaya mengesan pesawat malang itu melakukan ‘air turn back’ atau berpatah balik. Walaupun teknologi ketenteraan negara sering ditohmah sebagai tidak secanggih teknologi luar, namun keupayaan mengesan isyarat itu perlu diberi pujian, katanya. Persidangan bersambung esok.
MH370: Kabinet Lulus Penyiasatan Antarabangsa
KUALA LUMPUR: Kabinet telah meluluskan penglibatan sebuah pasukan penyiasatan antarabangsa yang akan menilai punca kehilangan pesawat MH370, kata Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. “Bagaimanapun pasukan penyiasatan antarabangsa itu tidak akan melibatkan aspek jenayah,” katanya pada sidang media berkenaan Penerbangan Malaysia MH370 di Hotel Royal Bintang, hari ini. Menurut beliau, siasatan yang dilakukan itu akan dijalankan mengikut peraturan penerbangan awam di mana akan dipantau oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO). Katanya, timbalannya Datuk Abdul Aziz Kaprawi akan mengetuai jawatankuasa kecil yang bertanggungjawab menyelaras pasukan tersebut. Kata Hishammuddin lagi, Biro Siasatan Kemalangan Udara akan bertindak sebagai sekretariat bagi pasukan penyiasatan antarabangsa tersebut. – ASTRO AWANI
Semua `Suspek’ MERS-CoV Disahkan Sihat
KUALA LUMPUR – Semua individu dibawah pemantauan jangkitan Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS-CoV) disahkan bebas penyakit itu dan berada dalam sihat. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah turut memaklumkan, tiada kes baru MERS-CoV dilaporkan sehingga hari ini. “Kementerian Kesihatan menjalankan aktiviti pencegahan dan kawalan di setiap peringkat susulan kejadian satu kes kematian yang disahkan dijangkiti MERS-CoV di Johor. “Aktiviti pengesanan kontak dan pemantauan masih dijalankan. Semua kontak di bawah pemantauan kesihatan berada dalam keadaan sihat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini. Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan sentiasa mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi wabak MERS-CoV. Menurutnya, langkah itu termasuk dengan meningkatkan kapasiti dan kapabiliti makmal bagi mengesan dan mengesahkan jangkitan MERS-CoV. Antara makmal itu di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) Sungai Buloh, Makmal Kesihatan Awam (MKA) Kota Kinabalu dan 12 makmal hospital kerajaan di seluruh negara. Tambah beliau, maklumat terkini berkaitan jangkitan MERS-CoV boleh diperolehi melalui laman web http://www.moh.gov.my.
VIDEO: Pelukis Tergamak Telanjang Atas Nama Seni
Atas nama seni, seorang pelukis wanita Swiss berbogel dan memasukkan telur berisi cat ke dalam kemaluannya sebelum dipecahkan di atas kanvas bagi menghasilkan sebuah lukisan bertema kelahiran. Lukisan dinamakan ‘PlopEgg’ ini dikatakan membawa simbolik ketakutan penciptaan dan kekuatan kreatif seorang wanita. Milo Moire yang sememangnya dikenali kerana gemar melakukan persembahan seni dalam keadaan bogel kali ini beraksi depan orang ramai di luar pameran seni di Jerman baru-baru ini. Bagaimanapun, ini bukan kali pertama Moire melakukan aksi ‘membelanja’ tubuhnya kepada orang ramai demi sebuah karya. Bagi menghasilkan ‘Scrip System’, Moire pernah mengejutkan pengguna komuter apabila menggunakan perkhidmatan awam tersebut tanpa mengenakan seurat benang pun dan hanya berkasut tumit tinggi sebelum ini. Moire nampaknya mengikut jejak langkah beberapa pelukis provokatif terdahulu seperti Marina Abramovic, Yoko Ono dan Franco B yang gemar menggunakan tubuh badan untuk menzahirkan karya seni mereka.
VIDEO: Sabar, Tak Elok Tunjuk Penumbuk…
Seorang lelaki memuatnaik video di YouTube kejadian melibatkan kemalangan kecil keretanya dengan seorang kakitangan Hospital Kuala Lumpur (HKL), pagi tadi. Insiden yang dirakam jam 8.37 itu menunjukkan seorang lelaki memakai uniform putih turun dari motor lalu menuju ke keretanya Lelaki itu bagaimanapun kelihatan tidak puas hati apabila terus bising meskipun sudah kembali ke motor malah turut menunjukkan penumbuk. Dakwa pemuatnaik video ini, dia berada di laluan betul manakala motosikal tersebut yang tiba-tiba muncul menghalang laluannya. Sebenarnya kita pun tidak tahu kenapa kakitangan hospital itu begitu marah, mungkin dia seorang yang baran atau mungkin pemandu kereta berkenaan melakukan provokasi, Wallahualam. Namun seelok-eloknya janganlah sampai menunjukkan penumbuk dan sebagainya, tak elok. Cuba bawa bertenang, cuba bawa bersabar. Istghfar banyak-banyak bang ooi…
Hudud: PKR Masih Berdolak-Dalih
PETALING JAYA – Parti Keadilan Rakyat (PKR) masih berdolak-dalih mengenai pendirian parti itu berhubung pelaksanaan hukum hudud yang menjadi agenda utama sekutu dalam Pakatan Rakyat sendiri iaitu PAS. Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata isu tersebut sengaja dibangkitkan semula untuk memecahbelahkan parti di dalam Pakatan Rakyat. “Isu ini sering dimainkan oleh pihak musuh kerana mereka ingin lihat parti dalam Pakatan Rakyat berpecah-belah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, Rabu. Jelas Wan Azizah, pelaksanaan hukum hudud sebenarnya masih lagi diperhalusi oleh ketiga-tiga parti ketika ini. “Ia masih lagi diteliti dan keputusan akan dimuktamadkan oleh Majlis Presiden Pakatan Rakyat. “Kita adakan perjumpaan (untuk berbincang mengenainya) pada Majlis Presiden Pakatan Rakyat,” katanya. Wan Azizah berkata, PAS perlu diberi peluang untuk memberi penjelasan dan pemahaman kepada sekutunya mengenai pelaksanaan undang-undang Islam itu. “Kita minta PAS untuk perjelaskan hasrat mereka berhubung perkara itu. “Kita berpegang kepada Perlembagaan negara iaitu Islam adalah negara rasmi tetapi pada masa sama menghormati kebebasan agama lain,” katanya. Hukum hudud kembali hangat diperkatakan apabila, kerajaan PAS Kelantan bertegas mahu membentangkan rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat bagi membolehkan hukum hudud dilaksanakan di negeri itu biarpun menerima tentangan daripada sekutunya, DAP dan PKR. Pendirian itu dinyatakan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob pada 10 April lalu yang turut memberi gambaran jelas bahawa kerajaan pimpinannya tidak akan sesekali berganjak daripada keputusan tersebut. Terdahulu, Anwar berkata, PAS perlu ruang secara adil untuk memberikan penjelasan dan pemahaman secara terpinci kepada sekutu mereka mengenai pelaksanaan hukum hudud. “Perkara ini perlu dilihat berasingan dalam konteks Kelantan dan Pakatan Rakyat. Kita hormati enakmen yang diluluskan sebelum pakatan pembangkang ditubuhkan,” kata Anwar. – mStar Online
Budak lemas dalam tali air
Mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar.
SEREMBAN - Seorang murid lelaki darjah empat dipercayai lemas semasa mandi di sebuah tali air berdekatan Kampung Sentosa Senawang, semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 3.35 petang itu, mangsa Mohd Hanif, 10, dibawa keluar oleh orang awam yang berada berdekatan dengan tempat kejadian. Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri, Norazam Khamis berkata, sebaik sahaja pasukan penyelamat tiba di lokasi kejadian, mangsa didapati sudah tidak sedarkan diri, malah tidak memberi sebarang respons terhadap bantuan yang diberikan. Katanya, bantuan pernafasan (CPR) sempat dilakukan dan mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar dengan bantuan ambulans untuk tindakan susulan. “Semasa kejadian, mangsa bersama empat lagi rakannya yang baru sahaja pulang dari sekolah, datang ke tempat itu untuk berehat. “Namun, mangsa secara sendirian terjun ke dalam tali air itu untuk mandi, dan tidak lama kemudian kawan mangsa ternampak mangsa terkapai-kapai seakan lemas. “Salah seorang rakannya, memanggil orang awam yang berada berdekatan tempat itu untuk meminta bantuan, dan hasil bantuan tersebut mangsa berjaya dibawa keluar dari tempat berkenaan,” katanya. Tambahnya, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.41 petang, dan sampai ke lokasi pada jam 3.49 petang, bersama sebuah jentera serta tujuh anggota termasuk pegawai. Katanya, hasil pemantauan yang berterusan pihaknya yakin bahawa tiada mangsa lain yang terlibat dalam kejadian tersebut, dan lokasi kejadian juga berada dalam keadaan terkawal.
Getah dalam nasi lemak
Nasi lemak yang dimakan anak Suhaida terdapat getah gelang.
GEORGETOWN - Seorang kanak-kanak berusia lapan tahun cemas selepas tertelan getah gelang ketika menikmati sarapan nasi lemak. Ibu kanak-kanak berkenaan, Suhaida Zakaria, 36, berkata, nasi lemak itu dibeli di sebuah kedai makan di sini. Menurutnya, dia terkejut kerana anaknya seperti tercekik sesuatu ketika sedang makan di kedai yang sama. “Saya ingatkan anak saya tertelan ikan bilis tapi dia gelengkan kepalanya sedangkan pada masa itu mukanya sudah merah, saya memintanya untuk mengorek kembali apa yang dimakannya. “Nasib baik dia cuba memuntahkan balik apa yang ditelannya, ketika itu saya terkejut kerana ternampak getah gelang yang berwarna sama seperti sambal nasi lemak selepas dimuntahkan,” katanya kepada Sinar Harian. Suhaida yang berasal dari Teluk Kumbar itu juga memberitahu dia terkejut kerana terdapat satu lagi getah gelang dijumpai pada sambal nasi lemak dalam bungkusan makanan anaknya itu. Akibat tidak berpuas hati, Suhaida bertindak memanggil pemilik kedai makan berkenaan. Katanya, bagaimanapun dia kecewa kerana pemilik berkenaan memberitahu nasi lemak terbabit bukan dimasak olehnya kerana dia hanya menjual sahaja. “Mereka kata tidak boleh buat apa-apa melainkan dia akan memaklumkan sahaja kepada tukang masak nasi lemak terbabit. “Pada saya ini memang amat mengecewakan, selepas ini kalau boleh saya nasihatkan orang ramai lebih berhati-hati menikmati makanan luar daripada rumah kita. "Saya sendiri tidak menjangka kejadian sebegini berlaku kepada saya, jika getah terbabit dapat dijumpai sebelum makan, saya sendiri akan berhati-hati tapi akibatnya anak saya sendiri tertelan kerana warnanya menjadi sama seperti sambal,” katanya.
Polis buru Mega, Balok bantu kes samun
SUBANG JAYA – Polis memburu dua individu masing-masing dikenali dengan gelaran Mega dan Balok bagi membantu siasatan kes samun serta ragut di sekitar Puchong dan Subang Jaya. Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, seorang daripada rakan suspek tersebut diberkas orang awam ketika melakukan jenayah itu di Bukit Puchong, kelmarin. Siasatan dijalankan mendapati, suspek terbabit tidak melakukan jenayah itu berseorangan sebaliknya bersama tiga lagi rakannya. Penangkapan pertama membawa polis ke sebuah rumah dan berjaya memberkas ahli geng itu yang dikenali sebagai Mat Top. Suspek berusia 20 tahun itu mempunyai rekod jenayah lampau dan pernah dipenjarakan selama empat bulan atas kesalahan melakukan samun. “Polis memburu dua lagi rakan mereka masing-masing dikenali sebagai Mega, 21 tahun berasal dari Sarawak dan Balok,” katanya. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kedua-dua lelaki tersebut diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di talian 0378627222 untuk membantu siasatan.
Sinematografi: Antara video dan foto
Gaya tersendiri seorang sinematografer sewaktu merakam gambar.
RONA-rona merah dan jingga telah mula kelihatan dari sebalik bukit dan awan. Kesejukan subuh yang mula beransur pergi mula menggigit tubuh. Di suatu destinasi hijau yang penuh flora dan fauna, dia melaraskan tripod dan kameranya ke suatu standard tertentu. Kondisi ISO, bukaan relatif, shutter speed dan mode manual, diset. Lensa kamera dihalakan ke arah matahari yang mula terbit. Detik dan waktu dikira perlahan sebelum matanya tertumpu pada suatu saat yang dia mahukan sebelum membidik punat kameranya. Satu, dua, tiga! Puluhan bidikan diketik agar tidak sekalipun dia terlepas detik-detik indah mentari naik yang sedang megah memancarkan suria. Usai membidik, dia memandang monitor kamera. Satu persatu hasil rakaman ditelitinya sebelum senyuman puas terukir di bibir. Dia memandang penulis dan berkata; “Memotret adalah aktiviti mengasyikkan dan merupakan seni fotografi yang cukup tinggi dari segi daya tarikannya. Bagi ahli foto, fotografi yang baik adalah yang mampu menceritakan suatu peristiwa tanpa perlu diberikan penjelasan kepada orang yang sedang menikmati foto tersebut. “Apa yang kita buat pagi ini adalah salah satu aktiviti memotret menerusi fotografi,” kata Mohammad Mokhriz Abdul Rahim, 36. Senyuman masih tak lekang dari bibirnya, menandakan hasil foto yang diperoleh cukup baik. Disiplin tinggi Bagi Mohammad Mokhriz@Reez, untuk menghasilkan foto yang ada impak, cantik dan bermakna sekaligus mempunyai roh, memerlukan minat,ketekunan dan disiplin tinggi dalam berlatih. Mereka yang baru menceburi, juga perlu mempunyai sikap (attitude) ini supaya gambar dihasilkan mempunyai nilai seni yang tinggi. Dan itulah yang diterapkan Reez kepada setiap staff, pelajar dan protegenya.Sehinggakini, beliau melahirkan puluhan fotografer dan sinematografer menerusi syarikat ditubuhkan; Reezqi Cinematography. “Lain situasi foto, lain tetapannya. Peralatan yang dibawa juga penting.Dalam fotografi ada banyak peralatan namun, setiap satunya bergantung kepada jenis foto yang kita mahukan. “Untuk sunrise dan sunset, Grad ND secara umumnya digunakan untuk mengggelapkan latar belakang daripada latar hadapan (foreground).Pencahayaan yang baik akan diperoleh jika kita rajin menunggu, melihat perubahan matahari dan kesan sinarannya.,” kata Reez. Anak jati Batu Pahat Johor ini asalnya bukan seorang Sinematografer.Dia memulakan karier sebagai QC Technician di sebuah kilang automatif di Meru Selangor dan kini, memiliki empayar perniagaan yang berpusat di Seksyen 10, Shah Alam. Selain menjalankan khidmat fotografi dan videografi, beliau telah melahirkan ramai sinematografer menerusi kursus dan seminar yang dijalankan di bawah pengurusan Reezqi Cinematography. “Secara terperinci tugas saya adalah memberikan khidmat dan kursus kepada bakal juru foto dan sinematografer. Selain itu, saya turut memberikan khidmat fotografi atur cara majlis, sambutan ulang tahun profil model/korporat dan pelancaran produk. “Skop kerja videografer pula ialah shooting dokumentari, video korporat dan video testimonial. Ia termasuk proses penyuntingan (editing dan post process) serta post production,” katanya. Ada beza mengenai videografer, fotografer dan sinematografer; antaranya kekuatan sinematografi yang akan membuatkan imej kelihatan indah, mendapat sub teks emosi, nada dan vibe menerusi foto kepada penonton secara visual. Bermula dengan minat Reez mendirikan rumah tangga dengan Dr Siti Uzairiah Mohd Tobi pada 2001 dan memiliki tiga anak, Akmal Hakim, Farah Aqilah dan Akmal Harraz. Beliau pernah bekerja sebagai Eksekutif Quality Assurance di syarikat industrial Quality Management Sdn Bhd di Shah Alam, sebelum terdetik hati membuka perniagaan berasaskan seni foto dan video. Beliau yang memperoleh keputusan cemerlang A16 ketika belajar di Sekolah Vokasional Sungai Petani, Kedah pada 1995, meneruskan pengajian di bidang Diploma Mekanikal (Aeronautikal Kelas Kedua di Universiti Teknologi Malaysia. “Hati bertaut pada seni ini ketika bekerja separuh masa di Manchester, UK pada 2008. Saya dan anak-anak berpindah ke sana kerana isteri melanjutkan pelajaran di peringkat PHD,” katanya. Dek minat, hanya bermula dengan DSLR Canon 400D besertalense 28-135mm ketika itu, Reez khatam buku manual dalam masa tiga bulan sahaja sebelum melibatkan diri dengan group fotografi maya seperti medium Flickr. Group dan Group C3 Stockport. “Saya berjaya meletakkan hasil kerja dalam pameran fotografi sebanyak dua kali iaitu ketika C3 Stockport Exhibition di Stockport dan Open City Manchester, Cityco Walk & Exhibition at Triangle, pada 2009 dan 2010. “Saya menimba ilmu wedding photography menerusi kenalan di Flickr, RicLatchamnamanya yang sudah 20 tahun berada dalam industri foto di sekitar North West, United Kingdom. Minat mendalam membuatkan saya mendaftar sebagai part time student di Britich Freelance Photographer (BFP) di London. Antara seminar yang saya hadiri adalahPhotocamp Leeds, Photocamp Bradford dan Photocamp Edinburgh, Scotland. “Balik ke Malaysia pada 2011, saya ceburi foto kahwin dan menukar haluan kepada industri foto event. Hasil kerja turut dimuatkan dalam Iklan NLKO TV9,” katanya mengakhiri perbualan.
Tiga samun motor berkuasa tinggi
Abd Razak (kiri) melihat keadaan premis jualan motosikal yang dipecah masuk, awal pagi semalam.
SERI KEMBANGAN – Tiga motosikal berkuasa tinggi bernilai hampir RM260,000 dilarikan tiga penyamun dari ruang pameran jualan sebuah kedai motosikal di Puchong Gateway, awal pagi semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, pemilik dikatakan menyedari premis miliknya dipecah masuk dan mendapati tiga motosikal masing-masing dua jenis Honda CBR 1000cc dan Aprillia RSV4 Factory 1000cc ‘ghaib’ di ruang pameran tersebut. Pemilik kemudian melihat rakaman CCTV yang berada di luar premis dan mendapati tiga lelaki melakukan jenayah terbabit. Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, wayar kabel CCTV dalam premis dipotong menyebabkan rakaman gerak geri suspek ketika berada dalam premis gagal dirakam. Tiga suspek berkenaan dipercayai mengunjungi premis itu menaiki dua motosikal jenis Kawasaki 150 tanpa nombor pendaftaran dan sebuah Yamaha LC 135CC. Semakan mendapati sebuah daripada motosikal yang dinaiki suspek didaftarkan atas nama seorang lelaki dan tidak pernah dilaporkan hilang. “Kabel CCTV dipotong suspek menyebabkan rakaman tindak tanduk mereka ketika berada dalam kedai dan membawa lari motosikal gagal direkod,” katanya. Beliau berkata, sepasukan polis forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bergegas ke lokasi kejadian selepas dimaklumkan. Lapan cap jari ditemui di pintu kaca depan premis disyaki milik ketiga-tiga suspek. Polis turut menemui sebotol minuman isotonik yang mengandungi sedikit cecair petrol. Rantai kunci jenama motosikal, satu fius berwarna hitam dan kunci mangga pelbagai jenama berwarna perak dipercayai ditinggalkan suspek turut ditemui. Kes disiasat di bawah Seksyen 457/379 (a) Kanun Keseksaan.
Kes jenayah Johor turun 10 peratus
JOHOR BAHRU – Polis Johor berjaya mengurangkan 535 kes jenayah dan mencapai penurunan 10.29 peratus bagi tempoh 1 Januari hingga 19 April lalu, berbanding tempoh sama pada tahun lalu. Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Ismail Yatim berkata, indeks jenayah bagi kejadian pecah rumah turut mencatatkan penurunan sebanyak 22.24 peratus iaitu pengurangan 113 kes berbanding tahun lalu. Menurutnya, bagaimanapun seluruh kontinjen diingatkan agar tidak mudah bersikap selesa dengan pencapaian yang dicatat, sebaliknya menggandakan usaha untuk terus meningkatkan keyakinan rakyat. “Penurunan ini menunjukkan usaha-usaha berterusan mencegah dan membanteras jenayah telah menghasilkan kesan positif. “Namun demikian, kita tidak boleh berasa selesa kerana pencapaian statistik tidak cukup memberi gambaran yang diharap dari segi keyakinan masyarakat terhadap polis,” katanya ketika membacakan teks ucapan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff sempena perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, semalam. Ismail turut menyeru seluruh kontinjen agar mengelakkan pembaziran sumber anggota bagi mengurus masalah dalaman selain meningkatkan usaha memberi perkhidmatan secara langsung kepada masyarakat. “Setiap pegawai dan anggota hendaklah menghindari kesilapan dan perkara yang boleh memudaratkan pasukan. “Setiap peringkat perlu mengambil berat kepada aspek kepatuhan kerana kesilapan salah laku anggota boleh memberi kesan negatif kepada persepsi masyarakat,” katanya. Selain itu, beliau turut menekankan aspek pemerolehan maklumat yang bermutu bagi menjadikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) lebih profesional dan cekap. “Kemantapan pasukan juga dapat dibina melalui perolehan maklumat bermutu sebagai asas perancangan strategik untuk memerangi jenayah,” katanya.
32 tahun peluru tertanam di dada
Isteri Mohd Jonoh, Fatimah Mat Adam, 55, menunjukkan kesan tembakan dan pelurunya masih tertanam di dada suaminya sehingga kini.
“SARJAN, saya kena tembak!”. Laungan yang dilontarkan pada 1982 ketika menyertai Ops Gubir di sempadan Malaysia-Thailand bagi menghapuskan saki-baki komunis pastinya tetap diingati bekas renjer, Mohd Jonoh Mohd Noor, 57, dari Ajil, Terengganu. Malah, kejadian itu menjadi kenangan sepanjang hidupnya kerana peluru tembakan itu masih kekal terbenam di tengah tulang dadanya sejak 32 tahun lalu. Dia lebih rela membiarkannya abadi di situ daripada jalani pembedahan yang berisiko untuk lumpuh. Membuka cerita perjalanan hidupnya dalam dunia ketenteraan, bapa empat anak ini memulakan latihan di Kem Terendak Melaka pada 1980. Dua tahun selepas itu dia terpilih menyertai Ops Gubir sekitar Februari diketuai Mejar Goh Ah Bar. “Berbekalkan semangat keperwiraan, kami berazam untuk habiskan saki-baki komunis yang masih ada dalam hutan tebal berkenaan. “Suatu hari, lebih kurang jam 4 petang, maklumat diterima adanya sekumpulan komunis antara 15 hingga 20 orang. “Sejurus selepas itu, rondaan dilakukan di sekitar 200 meter dari pos kawalan dan tidak menjumpai sebarang tanda kehadiran komunis. Bagaimanapun, sewaktu kembali ke kem kami diserang hendap, keadaan ketika itu juga mulai gelap,” katanya. Dihujani tembakan Mohd Jonoh berkata, dia dan pasukannya dari Batalion Pertama Rejimen Renjer dihujani tembakan dari segenap sudut. “Selepas berbalas tembakan lebih 10 minit, saya terkena dua das tembakan iaitu di dada serta paha kiri manakala pengganas komunis melarikan diri. “Mulanya saya tidak menyedari terkena tembakan kerana tak terasa sakit sehinggalah melihat darah mula mengalir selain dada terasa sejuk dan kaki mula kebas. Saya melaung beritahu ketua rondaan yang saya kena tembak,” katanya. Cerita Mohd Jonoh, pada malam kejadian, dia tidak sedarkan diri sehinggalah sekitar jam 9 pagi keesokan harinya bantuan helikopter datang dan membawanya ke Hospital Pulau Pinang bagi mendapatkan rawatan. “Terdapat beberapa orang lagi yang turut cedera. Saya dibawa ke pos kawalan menggunakan usungan dan malam itu masih berkhemah di hutan kerana keadaan sudah gelap serta menyukarkan helikopter memasuki ruang kerana bimbang ditembak komunis sedia ada. “Hanya ALLAH sahaja yang tahu kesakitan ditanggung ketika itu. Tambahan pula seluruh badan terasa sangat panas. Hendak minum air tak boleh kerana ia akan menyebabkan darah semakin banyak keluar. “Semasa di hospital, doktor beritahu pembedahan tak dapat dilakukan ketika itu kerana berisiko untuk lumpuh seumur hidup memandangkan peluru tertanam tepat di tengah tulang dada saya. Malah, ia masih ada sehingga kini,” katanya. Jiwa dekat dengan hutan Kata penerima Pingat Jasa Bakti ini lagi, memikirkan risiko berkenaan dia rela peluru itu kekal berada dalam tubuhnya. Mohd Jonoh berkata, keadaan itu tidak menjejaskan kesihatannya kecuali akan rasa ngilu ketika sejuk selain merasa cepat mengah yang mungkin disebabkan juga oleh faktor usia. “Selepas genap 10 tahun berkhidmat sebagai anggota tentera, saya ambil keputusan berhenti dan kini bekerja dengan sebuah syarikat pembalakan. Jiwa saya masih dekat dengan hutan biarpun tidak lagi bergelar seorang tentera. “Dahulu gaji saya hanyalah RM260 sebulan dan selepas 10 tahun bekerja, gaji cuma RM595. Tapi wang bukan isu utama kerana kami menabur bakti kepada negara demi sebuah keamanan yang kini kita semua sedang nikmati,” katanya. Mengulas tentang keamanan negara, Mohd Jonoh berkata, ia seharusnya dijaga serta dihargai semua lapisan masyarakat yang bergelar warga Malaysia. “Ia sesuatu yang menyedihkan apabila ada segelintir individu tidak menghargai perjuangan orang dulu-dulu termasuk tentera,” tambahnya.
Culik: Ibu terima 15 SMS daripada suspek
Antara kandungan SMS yang diterima ibu bapa mangsa
MELAKA - "Lagi satu kali tak SMS, awak boleh sembahyang untuk anak awak." Itulah mesej terakhir diterima ibu kepada seorang remaja yang menjadi mangsa culik dan bunuh di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam, dekat sini kelmarin. Mesej menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) diterima A Letchumy, 44, seorang operator pengeluaran kilang pada jam 5.35 petang kelmarin selepas anaknya, M Gunaseelan, 13, hilang sejak Ahad lalu. Letchumy berkata, dia tidak menyangka penculikan anak bongsu daripada tiga beradik itu berakhir dengan kematian tragis apabila ditemui terikat pada kerusi di kedai kosong yang hanya terletak kira-kira 500 meter dari rumah mereka. Menurut suami Letchumy, D Muragan, 52, kali terakhir dia melihat anak lelaki tunggalnya itu pada Ahad lalu sebelum keluar ke pasar borong untuk membeli sayur kira-kira 8 pagi. Bagaimanapun, katanya, dia hanya mengetahui anaknya meninggal dunia selepas 39 jam tidak pulang ke rumah. “Saya sempat berpesan kepadanya supaya tidak keluar rumah sementara menunggu saya balik dari pasar. Tapi bila sampai di rumah sejam kemudian, saya dapati anak tiada di rumah. Saya ingat dia pergi main 'game' di kafe siber seperti selalu," katanya. Muragan berkata, dia dan isteri terkejut apabila menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mengatakan anaknya diculik dan meminta wang tebusan sebanyak RM20,000 melalui telefon bimbit isterinya kira-kira 7 malam. “Kami berusaha mencari anak di beberapa kafe siber di kawasan perumahan, tapi gagal. Kami buat laporan di Balai Polis Batu Berendam pada jam 8 malam. "Kemudian kami terima SMS pertama pada jam 8.53 malam. Antara ayatnya, ‘saya mahu wang, awak mahu anak', katanya. Menurutnya, sebanyak 15 SMS diterima dalam tempoh penculikan itu termasuk penculik mengatur empat lokasi bagi menyerahkan wang tebusan di sekitar Banda Hilir. "Sebelum itu, penculik sekali lagi menghubungi dan mengatakan bahawa dia tahu polis mengekori kami. Dia beri amaran untuk tidak cuba memerangkapnya,” katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Melaka, di sini, semalam. Muragan berkata, perhubungan dia dan penculik terputus beberapa jam sebelum menerima SMS tertera mesej ‘selamat jalan’ diikuti SMS terakhir ‘Lagi satu kali x (tidak) sms awak boleh sembahyang utk (untuk) anak' pada jam 5.35 petang. “Saya dan isteri hanya mengetahui anak sudah tiada lagi kira-kira 11.30 malam tadi (semalam) iaitu selepas suspek ditangkap di depan sebuah hotel berhampiran rumah kami yang menjadi lokasi terakhir bagi urusan penyerahan wang tebusan,” katanya.
Sempat tengok anak sebelum kemalangan
PONTIAN - “Saya tidak sangka itu kali terakhir arwah datang ke rumah saya menjenguk anak bongsunya Melor Ayuni (6 tahun) yang dijaga oleh kami sekeluarga di Kampung Melayu, Kayu Ara Pasong,” jelas abang ipar mangsa, Imam Supini Ma’Som, 49. Jelasnya, dia tiada di rumah ketika itu kerana bekerja syif malam di sebuah stesen minyak di Pekan Nenas dan hanya diberitahu tentang kehadiran arwah bersama dua anaknya oleh isterinya, Roha Mansor, 44. “Saya dan arwah bekerja di tempat sama dan arwah tinggal di Kampung Maju Jaya, Pekan Nenas. “Arwah bekerja sebagai penyelia stesen minyak setelah suaminya meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya kira-kira lima tahun lalu. “Selepas pulang dari kerja kira-kira jam 6 petang semalam, arwah menghantar anak perempuannya Melati Ayu (9 tahun) yang tidak sihat ke Hospital Pontian,” katanya ketika ditemui di rumah mayat Hospital Pontian, di sini, semalam.
[ARTIKEL BERKAITAN: Tiga beranak maut]
Katanya, dia cuba menghubungi arwah yang singgah di rumah selepas pulang dari hospital, namun tidak dijawab. Bagaimanapun, dia begitu terkejut apabila menerima panggilan daripada rakan-rakannya terutama pemandu lori yang melalui kawasan kemalangan memberitahu adik iparnya kemalangan. “Arwah baru sahaja mula bekerja empat hari lalu selepas mengambil cuti seminggu. “Saya juga hairan arwah mengambil cuti panjang yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini. “Namun arwah menjawab mahu menghabiskan masa bersama anak-anak dan rakan-rakan ketika ditanya sebab mengambil cuti panjang tersebut,” katanya. Katanya arwah bersama dua anaknya itu akan dikebumikan dalam satu liang lahad di tanah perkuburan Islam Kampung Sawah selepas zohor. Sementara itu, bagi majikan arwah, Ony Azlya Abd Aziz, menyifatkan arwah seorang pekerja yang rajin mencari rezeki untuk membesarkan tiga orang anaknya yang masih kecil. Katanya, kali terakhir dia berjumpa dengan arwah pada hari Ahad kira-kira jam 8.30 malam kelmarin dan keadaannya seperti biasa. Rakan sekelas Mohd Sufi di Sekolah Rendah Kebangsaan Kampung Sawah, Mohd Latiff Kasmin, 11, berkata, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap di dalam kelas. “Arwah merupakan kawan baik dan seorang yang rajin dan periang serta sentiasa patuh dengan arahan guru. “Kami tinggal di dalam kampung dan belajar di kelas yang sama pada tahun ini,” katanya.
Penculik, mangsa berkenalan di kafe siber
Suspek berusia 49 tahun direman sehingga 28 April ini untuk siasatan lanjut.
MELAKA - Masalah kewangan dihadapi seorang penganggur mendorong dia merancang penculikan dan meminta wang tebusan RM20,000 daripada keluarga mangsa. Lelaki berusia 49 tahun itu bagaimanapun bertindak membunuh remaja yang diculiknya itu, M Gunaseelan, 13, di sebuah kedai kosong di Jalan MJ 47, Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam, dekat sini. Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lyee berkata, suspek yang sudah berumahtangga dan mempunyai seorang anak kecil itu bagaimanapun berjaya ditahan selepas 24 jam rundingan dengan keluarga mangsa dilakukan. “Lelaki tempatan itu ditangkap unit siasatan dengan bantuan polis Bukit Aman ketika urusan penyerahan wang tebusan dilakukan di hadapan sebuah hotel di Taman Angkasa Nuri, Durian Tunggal kira-kira jam 10 malam semalam (kelmarin). “Ketika tangkapan, selain pakaian suspek, kita turut merampas tiga buah telefon bimbit dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian culik itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di Bukit Beruang, dekat sini, semalam.
[ARTIKEL BERKAITAN: Culik: Ibu terima 15 SMS daripada suspek]
Ghee Lye berkata, selepas ditangkap, suspek yang mengaku melakukan penculikan kerana masalah kewangan turut membawa polis ke premis kosong terbabit yang menjadi tempat mangsa dikurung dan diikat. “Siasatan awal mendapati suspek mula mengenali mangsa beberapa bulan lalu di sebuah kafe siber berhampiran rumah mereka juga di Taman Merdeka Jaya. “Pada hari kejadian, suspek yang berjumpa mangsa kemudian memperdaya untuk mengikutnya ke sebuah kafe siber dan bermain komputer secara percuma sebelum bertindak mengurung mangsa di kedai kosong berkenaan,” katanya. Beliau berkata, suspek yang mempunyai rekod 'dikehendaki polis' itu kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 28 April ini bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. “Suspek yang dikehendaki bagi kes membabitkan kesalahan trafik di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu juga akan disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 kerana menculik,” katanya.
Berpesta dadah, 23 didakwa
15 pelajar sekolah antara 60 yang disahkan positif dadah.
GEORGETOWN - Dua puluh tiga individu didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap pertuduhan mengambil dadah pelbagai jenis ketika meraikan pesta hari jadi di sebuah banglo yang dijadikan inap desa di Jalan Masjid Negeri, di sini Ahad lepas. Kesemua mereka yang berumur antara 18 dan 35 tahun itu didakwa di tiga mahkamah mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun dan diwajibkan pengawasan sehingga tiga tahun. Di Mahkamah Majistret 1, lapan lelaki mengaku tidak bersalah memasukkan dadah ke dalam badan jenis Methamphetamine dan Amphetamine di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, di sini antara 9 pagi dan 11 pagi, 20 April lepas. Terdahulu, Majistret L. Uma Devi membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Jun untuk sebutan semula kes. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Azura Zulkiflee. Sementara itu, di Mahkamah Majistret 2, empat lelaki dan tiga wanita turut mengaku tidak bersalah memasukkan dadah jenis Methamphetamine, Amphetamine dan Ketamine di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, di sini antara 9 pagi dan 11 pagi, 20 April lepas. Majistret Sri Pracha Nanthini Balabedha membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Jun untuk sebutan semula kes. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Farhana Hashim. Di Mahkamah Majistret 3, dua lelaki mengaku tidak bersalah manakala lima wanita dan seorang lelaki mengaku bersalah memasukkan dadah jenis Methamphetamine, Amphetamine dan Ketamine di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, di sini antara 9 pagi dan 11 pagi, 20 April lepas. Majistret Dianne Nigrad Nor Azhar membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Jun untuk sebutan semula kes. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Emma Syafawati Abdul Wahab. - Bernama
Kerajaan negeri siasat punca ketiadaan polis
GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang akan menjalankan bedah siasat bagi mengenal pasti punca ketiadaan polis bertugas di kediaman mendiang Karpal Singh dan di kawasan Dewan Sri Pinang pada Ahad lepas. Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, sekalipun polis banyak membantu ketika upacara penghormatan terakhir di kediaman mendiang dari hari pertama hingga ketiga, polis tidak muncul seperti yang dirancang pada hari keempat khususnya ketika jasad Karpal Singh hendak dibawa dari kediaman ke Dewan Sri Pinang. "Mungkin polis ada tetapi bukan seperti yang dirancang khususnya pada waktu pagi ketika jasad mendiang hendak dibawa ke Dewan Sri Pinang dan ketika ketibaan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff. "Saya melihat tiada kawalan polis di Dewan Sri Pinang dan Tun Abdul Rahman mengalami kesusahan untuk berjalan menuju ke dewan," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Beliau juga mendakwa polis tidak muncul seperti yang dirancang untuk mengawal orang ramai di luar Dewan Sri Pinang. Kerajaan negeri hanya bergantung kepada pasukan peronda sukarela untuk membantu mengawal orang ramai yang membanjiri Dewan Sri Pinang bagi memberi penghormatan terakhir kepada Karpal Singh, katanya. Semalam, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi menafikan ketiadaan polis membantu semasa upacara penghormatan terakhir kepada Karpal Singh dan menyatakan lebih 50 pegawai serta anggota bertugas sepanjang empat hari berkenaan termasuk ketika upacara pembakaran mayat Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu di Krematorium Batu Gantung, Ahad lepas. Abdul Rahim berkata selain menjaga lalu lintas, pihaknya turut menempatkan pegawai dan anggota di rumah mendiang di Jalan Utama, di sini serta dua balai polis bergerak di pekarangan Dewan Sri Pinang ketika mayat mendiang dibawa ke situ untuk penghormatan terakhir. Karpal Singh, 74, bersama pembantu peribadinya, Michael Cornelius, 39, maut dalam kemalangan pada 1.10 pagi di Km 306.1 Lebuhraya Utara-Selatan laluan utara berhampiran Gua Tempurung di Kampar, Khamis lepas. - Bernama
Keluarga penumpang MH370 mahu saman Boeing
AMERIKA SYARIKAT - Keluarga penumpang MH370 boleh membuat tuntutan saman ke atas syarikat pembuatan kapal terbang dan pesawat, Boeing Corporation. Mengikut Akta Undang-undang Persekutuan Amerika Syarikat, saman tersebut sudah boleh difailkan kerana keluarga penumpang pesawat tersebut sudah melalui tempoh kehilangan yang agak lama iaitu selama 46 hari. Dalam kenyataan yang disiarkan oleh portal CNN, pasangan penumpang MH370 Philip Wood, Sarah Bajc berkata, tindakan undang-undang yang diambil terhadap syarikat Boeing bukan dibuat atas dasar wang tapi untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci berhubung kehilangan pesawat terbabit. "Jawapan kami hanya boleh diberikan melalui cara ini, kami tidak ada banyak jalan untuk memperoleh maklumat dan ini adalah salah satu jalan untuk menggesa pihak yang terlibat supaya menyalurkan kami lebih banyak maklumat," katanya. Walau bagaimanapun, peguam dan juga rakan kongsi Firma Guaman Kreindler & Kreindler, Daniel Rose berkata tanpa penemuan kotak hitam atau serpihan pesawat terbabit, adalah sukar untuk mengekalkan dakwaan ke atas Boeing di mana-mana mahkamah di AS. "Kes ini umpama dakwaan kes bunuh, tapi tidak ada mayat, susah untuk kekalkan kes di mahkamah jika tiada bukti kukuh atau penemuan yang berkaitan dengan pesawat tersebut. "Malah ada pihak yang berpendapat undang-undang tersebut tidak boleh diguna pakai kerana insiden tersebut terjadi di luar sempadan AS," katanya ketika dihubungi wartawan CNN.
Rancang culik dari penjara
Ejen FBI mengumpul bukti berhubung penculikan Arthur Janssen di Atlanta.
SEORANG banduan yang dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup ditangkap kerana merancang penculikan dan pembunuhan dari dalam penjara menggunakan telefon bimbit yang sepatutnya tidak dimilikinya. Kelvin Melton atau digelar Dizzy didakwa membuat rancangan menculik Frank Arthur Janssen dan membunuhnya sebagai membalas dendam atas hukuman yang diterima. Peguan Thomas Walker berkata, Melton merancang jenayah itu bersama lima rakan lain termasuk Jevante Price dan dipercayai membuat sekurang-kurangnya 123 panggilan serta puluhan mesej ringkas. “Melton menggunakan telefon bimbit dimiliki secara haram ketika menjalani hukuman penjara seumur hidup di Polk Correctional Instituition di Butner, Utara Carolina,” katanya. Menurutnya lagi, Melton turut memberikan arahan secara khusus bagaimana untuk membunuh Janssen dan menghapuskan mayatnya. Janssen dijadikan sasaran kerana anak perempuan mangsa merupakan pembantu peguam daerah yang mendakwa Melton. Dalam kejadian penculikan itu, Janssen diserang sekumpulan lelaki yang memaksanya masuk ke dalam kenderaan dan kemudian dibawa ke Atlanta di mana dia telah dijadikan tebusan selama lima hari. Bagaimanapun, mangsa dapat dibebaskan dan menerima rawatan perubatan di sebuah hospital berhampiran. – NY Daily
Tikam ibu lebih 40 kali
Mangsa ditikam kejam di rumah mereka di Wickford. Gambar kecil, Emmanuel.
GARA-gara tertekan dengan penderaan mental dan fizikal, seorang anak menikam ibunya, Tolu Kalejaiye, lebih 40 kali di Wickford, Britain. Selepas melakukan pembunuhan, Emmanuel Kalejaiye, 21, dikatakan menyamar sebagai ibunya untuk memperdaya jiran supaya mereka beranggapan ibunya itu masih hidup. Ketika pendengaran kes, pendakwa mendakwa, suspek merancang melakukan pembunuhan dan menghapuskan bukti dengan sempurna. Sebanyak 12 juri bagaimanapun mendapati pelajar jurusan biokimia di Universiti Essex ini tidak bersalah melakukan pembunuhan tetapi bersalah menyebabkan kematian kerana masalah mental. Ketika serangan itu, ibunya yang juga seorang akauntan berusia 44 tahun sempat meninggalkan pesanan telefon kepada kekasihnya, Leo Shogunle untuk meminta tolong. Malangnya, pesanan suara mengandungi jeritan mangsa itu hanya diketahui beberapa jam selepas kejadian. Shogunle kemudian bergegas ke rumah mangsa dan mendapati mangsa berlumuran darah di lantai dapur. Suspek memberitahu, ibunya diserang sekumpulan lelaki sebelum dia bertindak melarikan diri. Dalam rakaman kamera litar tertutup di sekitar pejabat pos pada pukul 10.30 pagi, suspek dilihat membeli setin minuman sebelum pergi menyerah diri di balai polis berhampiran. “Saya mengaku membunuh ibu dengan menikamnya kerana saya didera sejak beberapa tahun lalu," katanya ketika di soal siasat menurut laporan Mail Online.
Bank Rakyat catat untung bersih RM169 juta
KUCHING - Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) Sarawak mencatat keuntungan bersih berjumlah RM169 juta tahun lepas, kata ahli lembaga pengarah bank itu, Datuk Mangsor Saad di sini, hari ini. Beliau berkata, berdasarkan angka itu, Sarawak kini merupakan negeri kelima tertinggi mencatat keuntungan itu selepas Selangor di tempat teratas sebanyak RM330 juta, Wilayah Persekutuan (RM259 juta) Johor (RM204 juta) dan Sabah (RM204 juta). Menurutnya jumlah ini telah membolehkan bank berkenaan memperoleh keuntungan bersih terkumpul berjumlah RM1.19 bilion tahun lepas. "Kita menjangkakan akan dapat mengekalkan prestasi ini untuk 2014," katanya kepada media selepas menyerahkan zakat perniagaan Bank Rakyat berjumlah RM2.39 juta kepada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS), sebagai pemegang amanah zakat negeri ini. Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem yang mewakili TBS, menerima zakat itu pada majlis ringkas di pejabatnya di Petra Jaya. Turut hadir Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Putit Matzen dan Pengurus Besar TBS Datuk Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie. Mangsor berkata Bank Rakyat kini mempunyai 145 cawangan di seluruh negara, termasuk 15 di Sarawak. - Bernama
LZS terima hampir RM4.5 juta dari Bank Rakyat
SHAH ALAM - Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menerima zakat berjumlah RM4,471,772 daripada Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat). Zakat itu disampaikan kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi pihak Lembaga Zakat Selangor oleh Pengarah Urusan Bank Rakyat Datuk Mustafha Abdul Razak di Istana Bukit Kayangan di sini. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif LZS Mohamed Izam Mohamed Yusof, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa dan Timbalan Mufti Selangor Datuk Abdul Majid Omar. Zakat itu adalah bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013 Bank Rakyat negeri, menurut LZS dalam kenyataan di sini. - Bernama
Curi kabel KTM, lelaki dipenjara 3 bulan
KUALA LUMPUR - Seorang pemasang kanopi untuk majlis perkahwinan hari ini dihukum penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah mencuri dua unit pintu besi semboyan milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB). Muhamad Hafizly Ismail, 29, didakwa mencuri pintu besi semboyan LC 5.30 itu yang bernilai RM800 di laluan KTMB Taman Wahyu, Sentul, di sini antara 9.10 pagi dan 10.28 pagi, 21 April lepas. Dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya. Majistret Nurul'Ain Abdul Rahim turut menjatuhkan hukuman penjara dua bulan ke atas Muhamad Hafizly kerana gagal menunjukkan kad pengenalan apabila diminta anggota polis pada 9.30 pagi, di tempat dan tarikh yang sama. Nurul'Ain memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan secara berasingan bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 21 April. Tertuduh tidak diwakili peguam manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Joy Jothi Nadrarasan. - Bernama
Budaya Membayar Balik PTPTN Meningkat
KUALA LUMPUR – Budaya membayar balik pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam kalangan peminjamnya meningkat hasil daripada pelbagai program kesedaran dan tindakan penguatkuasaan dijalankan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. Timbalan Perdana Menteri berkata sehingga Mac lepas, sebanyak RM54.51 bilion diperuntukkan kepada 2.39 juta peminjam, manakala jumlah pinjaman yang berjaya dikutip semula berjumlah RM5.12 bilion melibatkan 956,018 peminjam. “Trend peningkatan ini ditunjukkan dengan mengambil kira jumlah bagi tahun 2011, PTPTN telah berjaya mengutip sejumlah RM737 juta, pada 2012 sejumlah RM800.47 juta dan RM1.2 bilion dikutip untuk tahun lepas,” katanya. Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh pada majlis pelancaran Sahabat PTPTN peringkat nasional dan penyampaian hadiah Simpanan Perdana Skim Simpanan Nasional (SSPN-i) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata sejak ditubuhkan 16 tahun lepas, PTPTN telah menyumbang kepada usaha kerajaan menjayakan pendemokrasian pendidikan bagi membolehkan lebih ramai rakyat mempunyai akses kepada pengajian tinggi. Melalui penubuhannya, kira-kira 200,000 pelajar berpeluang menjejakkan kaki ke institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta menggunakan pembiayaan PTPTN setiap tahun sekali gus membuktikan ia masih relevan dalam konteks masyarakat hari ini, katanya. “Kewujudan PTPTN adalah selaras dengan objektif utama penubuhannya iaitu memastikan pembiayaan yang efisien disediakan kepada pelajar-pelajar yang layak mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi selaras dengan hasrat kerajaan bahawa tidak ada pelajar yang gagal memasuki IPT atas sebab kewangan,” kata Muhyiddin. Beliau berkata selain berperanan menyediakan pembiayaan pendidikan, PTPTN turut memperkenalkan SSPN-i bertujuan untuk menggalakkan budaya menabung dalam kalangan rakyat Malaysia. Katanya, sejak diperkenalkan pada 2004 sehingga Mac lepas, jumlah pembukaan akaun SSPN-i telah mencecah 1.9 juta akaun dengan jumlah deposit RM1.2 bilion. “Kerajaan berkeyakinan penuh dengan adanya skim ini masalah keciciran dalam kalangan pelajar yang akan melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi akan dapat diatasi. “Pelaksanaan SSPN-i juga menyediakan peluang kepada orang ramai untuk membuat penabungan dan setiap ringgit yang disimpan diberi jaminan sepenuhnya oleh kerajaan,” katanya. Muhyiddin turut mengumumkan bahawa kadar dividen bagi SSPN-i adalah sebanyak 4.25 peratus iaitu lebih tinggi berbanding kadar faedah atau keuntungan untuk akaun simpanan yang diberi oleh kebanyakan institusi kewangan. Mengenai program Sahabat PTPTN, beliau berkata ia merupakan antara kemudahan perkhidmatan kepada peminjam melibatkan promosi bayaran balik pembiayaan, pembukaan akaun dan penambahan deposit SSPN-i melalui majikan dalam sektor awam dan swasta menerusi kaedah potongan gaji. – BERNAMA
DAP mahu Pas rujuk semula Buku Jingga, yerlah tu...
IPOH - Pas disaran kembali memberi fokus penubuhan Negara Berkebajikan sebagaimana yang dipersetujui bersama dengan parti komponen PR sebelum ini. Timbalan Setiausaha Publisiti DAP, Nga Kor Ming berkata, penubuhan Negara Berkebajikan itu juga turut terkandung sebagai polisi dalam Buku Jingga PR, malah ia sudah diluluskan sempena muktamar Pas yang lalu. “DAP memang tidak setuju dengan hasrat Pas menubuhkan negara Islam serta pelaksanaan hukum hudud. Kita juga tidak mahu penubuhan negara Kristian, Buddha atau Hindu. “Apa yang penting adalah semua pihak perlu hidup aman damai dengan saling hormat menghormati selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. “Malah, pada 1998 Mahkamah Persekutuan juga telah memutuskan bahawa Malaysia bukan negara Islam, tetapi negara sekular yang berpaksikan kepada Perlembagaan Persekutuan. Malaysia juga adalah sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan,” katanya pada sidang media, semalam. Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Perak berkata, parti itu tetap menghormati pendirian Pas khususnya dalam memperjuangkan syiar Islam di negara ini. Namun katanya, Pas perlu memberi fokus kepada penubuhan Negara Berkebajikan seperti yang telah dipersetujui bersama sebelum ini. “Pas perlu kembali kepada konsep penubuhan Negara Berkebajikan ini kerana secara tidak langsung ianya akan menambah sokongan daripada masyarakat berbilang kaum di negara ini selaras dengan slogan ‘Pas Untuk Semua.’ “Lagipun, ianya selaras dengan Islam itu yang jelas sebagai agama yang adil dan mementingkan kesejahteraan sejagat,” katanya. Ahli Parlimen Taiping itu juga bersetuju dengan kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak akan menyokong pelaksanaan hudud di Kelantan. Katanya, pelaksanaan hukum Islam itu di Kelantan memerlukan suara majoriti di Parlimen untuk pelaksanaannya. “Apa pun, kita akan tetap teruskan kerjasama kita dengan Pas dan PKR atas platform PR, dan kita harap Pas tidak akan terpengaruh dengan perangkap Umno yang sengaja menimbulkan isu hukum hudud ini,” katanya. - SinarHarian
Hudud: Brunei mula 30 April
BANDAR SERI BEGAWAN - BRUNEI. Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei akan mengadakan Majlis Pengisytiharan Penguatkuasaan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013 (hudud) fasa pertama pada 30 April sekali gus mencatatkan detik bersejarah bagi negara itu. Media tempatan Media Permata melaporkan, sejak perintah berkenaan berkuat kuasa Oktober tahun lalu kini tiba masanya untuk melaksanakan fasa pertama. "Majlis akan diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa di Berakas, manakala majlis doa selamat serta kesyukuran akan diadakan di sebelah malam di masjid, surau dan rumah ibadat di seluruh negara dengan tumpuan utama di Jame Asr Hassanil Bolkiah," menurut kenyataan Kementerian Hal Ehwal Ugama yang dipetik Media Permata
(Al-Fatihah) 6 Gambar Bekas Penyanyi Rap Mati Berjihad Di Syria
BEIRUT – Cuspert yang menggunakan nama pentas, Deso Dogg dan menukar namanya kepada Abu Talha al-Almani selepas memeluk Islam dilaporkan terbunuh dalam serangan di wilayah timur pada Ahad lalu. Dahulunya, beliau adalah bekas penyanyi rap Jerman, Denis Mamadou Cuspert dan kini menyertai kumpulan jihad di Syria telah mati syahid selepas terbunuh dalam satu serangan berani mati yang dilancarkan oleh sebuah kumpulan pejuang yang lain, kata sumber kumpulan jihad berkenaan semalam. Dia yang menyertai perjuangan kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) terbunuh dalam dua serangan bom berani mati yang dilancarkan oleh kumpulan Barisan Al-Nusra Front.
Inspektor Polis Didakwa Menipu Wanita
BUTTERWORTH – Seorang pegawai polis berpangkat inspektor didakwa di Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi, atas pertuduhan menipu seorang wanita bagi menarik balik satu laporan polis pada Mac tiga tahun lalu. Fazli Salim, 33, yang bertugas sebagai Pengawai Penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah mengaku tidak bersalah ke atas pertuduhan berkenaan di hadapan Hakim Julie Lack Abdullah. Tertuduh didakwa memperdaya Noor Diana Hanafiah, untuk mempercayai bahawa Rosli Mahmud telah meminta wang sebanyak RM3,500 untuk menarik balik laporan polis di Bukit Tengah, sedangkan jumlah wang yang sebenarnya diminta Rosli hanya RM1,700. Fazli didakwa dengan curangnya memperdaya Noor Diana supaya menyerahkan wang tunai RM3,500 kepadanya di dalam bilik pegawai penyiasat, Tingkat 2, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, IPD Seberang Perai Tengah, Bukit Mertajam pada 2 Mac 2011, jam 3.05 petang. Dia dituduh melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara setahun dan tidak lebih 10 tahun, sebatan dan denda. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Ghazali Muhamad Nadzri. Manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Terdahulu, Ahmad Ghazali meminta mahkamah mengenakan ikat jamin RM15,000 terhadap tertuduh. Bagaimanapun tertuduh meminta wang jaminan dikurangkan memandangkan dia terpaksa menanggung isteri serta dua anak selain menjelaskan bahawa kes ini menyebabkannya tidak dinaikkan pangkat dan jawatan. Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – BH Online
Suasana Tegang Di Kem Pangkalan Everest
Kathmandu – Pendaki gunung yang sudah membayar beribu-ribu dolar untuk mendaki Gunung Everest kecewa semalam dalam usaha mendaki gunung tertinggi dunia itu ekoran mogok oleh jurupandu arah, sekali gus mewujudkan suasana tegang. Seramai 13 jurupandu arah sherpa terbunuh, manakala tiga lagi hilang dan diisytihar mati selepas runtuhan daripada bongkah ais yang pecah menimpa mereka pada Jumaat dalam kemalangan maut paling buruk di gunung setinggi 8,848 meter itu. Tangguh hormati rakan mati Jurupandu arah itu meminta agar ekspedisi pendakian ditangguhkan sebagai menghormati rakan mereka yang terkorban dan mengancam untuk membatalkan semua aktiviti mendaki Gunung Everest mulai bulan ini sehingga kerajaan mengkaji semula had insurans mereka serta dan mewujudkan dana kebajikan. Ed Marzec, seorang bekas peguam bercadang menjadi rakyat Amerika Syarikat tertua mendaki Gunung Everest pada usia 67 tahun, berkata dia mengambil keputusan untuk membatalkan misinya selepas kematian seorang anggota pasukannya. Katanya suasana hubungan antara beberapa pendaki dan jurupandu agak suram, ekoran tragedi itu yang berlaku sebelum musim pendakian musim panas bermula. “Keadaan menjadi agak tidak menentu dan ramai pendaki golongan muda yang bertekad untuk ke puncak gunung, kini pergi dari khemah ke khemah cuba untuk memujuk yang lain bagi memberi tekanan kepada jurupandu sherpa supaya mereka tidak membatalkannya,” kata Marzec. – AFP
Wau Membahayakan Helikopter, Pesawat
KOTA BHARU – Permainan layang-layang atau wau di sekitar Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini boleh membawa padah apabila empat insiden sebelum ini mengakibatkan talinya terbelit pada kipas helikopter dan pesawat. Sehubungan itu, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Kelantan meminta orang ramai supaya tidak bermain layang-layang atau wau di sekitar kawasan itu bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku. Pengurusnya, Su’aidi Yusoff, berkata layang-layang yang diterbangkan boleh mencapai ketinggian sehingga 300 meter dan ini boleh mengganggu laluan penerbangan masuk dan keluar pesawat dari lapangan terbang berkenaan. “Jika mahu main layang-layang, kita minta jaraknya mestilah lima kilometer dari sempadan lapangan terbang supaya tidak dekat dengan laluan penerbangan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, Selasa. Su’aidi berkata, Weststar Aviation Services Sdn Bhd dan Asia Pacific Flight Training (APFT) mengalami kerugian hampir RM300,000 berikutan tali layang-layang terbelit pada kipas helikopter dan pesawat mereka. Mengikut Akta Penerbangan Awam 1969, adalah menjadi kesalahan bagi orang ramai bermain layang-layang di sekitar kawasan lapangan terbang. Beliau berkata, DCA mengendalikan 1,148 penerbangan setiap bulan, selain 705 pergerakan and 1,674 jadual latihan penerbangan. “Kawasan ini sentiasa sibuk dan jika kegiatan bermain layang-layang masih diteruskan, ia boleh menyebabkan berlaku bencana kepada pesawat yang menggunakan lapangan terbang ini,” katanya. – mStar Online
Polis Miri Rampas Lebih Senjata Api Buatan Sendiri
MIRI – Polis merampas lebih 10 laras senapang patah dan senapang angin buatan sendiri khususnya di kawasan pedalaman di sini dalam tempoh empat bulan lepas. Ketua Polis Miri ACP Gan Tian Kee berkata fenomena senjata api buatan sendiri kini amat membimbangkan kerana ia boleh disalahgunakan untuk melakukan jenayah, walaupun pada asalnya ia digunakan untuk memburu binatang. Kes terbaharu katanya, melibatkan penahanan dua lelaki tempatan berumur 22 hingga 40 tahun pada 3.05 petang semalam kerana memiliki dua laras senapang patah dan empat laras senapang angin buatan sendiri bersama dua butir peluru. “Tangkapan dilakukan di sebuah rumah kayu tidak bernombor di Kampung Sebalik, Bekenu di sini, diketuai Inspektor Nasrul Hadi Jahat dan senjata berkenaan dibawa ke Balai Pusat Miri,” katanya dalam sidang media di sini hari ini. Menurut Gan kegiatan memiliki senjata api buatan sendiri ini sering dikesan di Sarawak dan Sabah dan pemiliknya lazimnya tidak menyedari ia adalah satu kesalahan. Beliau berkata pemilikan senjata api buatan sendiri adalah satu jenayah dan boleh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. “Pemilik senjata api buatan sendiri juga berdepan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda RM10,000 dibawah Seksyen 8(a) Akta Senjata Api kerana tidak memiliki lesen atau permit,” katanya. Justeru, beliau menasihatkan semua pemilik senjata api buatan sendiri untuk menyerahkan kepada polis secepat mungkin bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang. Dalam perkembangan lain, Gan berkata polis merampas pelbagai barangan elektronik yang dipercayai dicuri bernilai RM237,382 dalam satu serbuan pada 4.35 petang, Isnin lepas. Katanya, barangan elektrik itu dipercayai dicuri dari sebuah rumah sewa milik syarikat yang beroperasi di Senadin di sini. Turut ditahan, lima termasuk dua wanita berusia antara 23 dan 54 tahun bagi membantu siasatan, katanya. – BERNAMA
Hafiz Suip Terkejut Dituduh Guna Bomoh
KUALA LUMPUR – Penyanyi Hafiz Suip terkejut dituduh menggunakan khidmat bomoh bertujuan untuk memenangi sesebuah acara atau menarik minat orang ramai. Hafiz atau nama sebenarnya Mohd Hafiz Mohd Suip, 24, mengakui dia memang pernah mendengar tuduhan itu namun tidak diendahkannya kerana dia mengetahui amalan itu adalah syirik. “Saya tidak akan melakukan perkara sebegitu (amalan ilmu hitam) kerana sudah pasti saya tahu ia adalah satu dosa besar. “Tambahan pula saya mencari rezeki untuk keluarga, takkanlah saya nak buat perkara yang dilarang agama? Kejayaan saya selama ini kerana keberkatan doa ibu dan ayah saya selain kerja keras yang saya lakukan,” katanya. Hafiz ditemui selepas persembahannya pada majlis minggu setiausaha A Golden Moment With Hafiz di Matrade Exhibition & Convention Centre, Jalan Duta, di sini pada Selasa. Bagaimanapun tambah Hafiz, dia terpaksa akur sekiranya masih ada pihak yang beranggapan sedemikian kerana dia percaya tidak semua orang menyenangi kejayaan seseorang. Dalam pada itu, Hafiz berkata, dia sering mengamalkan beberapa doa yang terdapat dalam Al-Quran sebelum memulakan sesebuah persembahan pentas. Dia sering berasa gemuruh sebelum memulakan persembahan dan bacaan doa tersebut sedikit sebanyak dapat mengurangkan masalah berkenaan. “Kalau nak tahu, setiap kali ingin mengadakan persembahan, saya akan mengalami rasa gemuruh sehingga sakit perut jadinya. “Alhamdulillah doa itu memberi saya sedikit kelegaan dan perasaan gemuruh akan berkurangan apabila naik ke pentas,” tuturnya. Sementara itu, mengenai persembahan A Golden Moment With Hafiz, Hafiz telah berjaya menghiburkan seramai 400 orang tetamu dengan membawakan sebanyak empat buah lagu solo iaitu Awan Nano, All Of Me, Bahagiamu Deritaku dan dua lagu duet bersama penyanyi Adira iaitu Ombak Rindu serta Muara Hati. Afdlin Shauki turut terlibat sebagai hos majlis berkenaan. - mStar Online
Jelita Clarissa Nama Anak Beego & Linda Hashim
PETALING JAYA – Isteri kepada pelakon Beego iaitu Linda Hashim selamat melahirkan seorang bayi perempuan seberat 2.62 kilogram pada pukul 12.20 pagi Khamis. Beego atau nama sebenarnya Mohd Aszerul Nizam Abdullah, 34, berkata, isterinya yang kini berada di Hospital Pakar KPJ Tawakkal bersalin secara normal dan kini berada dalam keadaan baik. “Alhamdulillah isteri saya selamat melahirkan bayi kami dengan selamat awal pagi tadi dan semuanya berada dalam keadaan baik,” katanya kepada mStar Online. Dalam pada itu, Beego memberitahu, dia dan isterinya sepakat memberikan nama Jelita Clarissa kepada bayi mereka yang membei maksud ‘Jelita Yang Jelas’. Pelakon itu juga memberitahu dia dan isterinya menitiskan air mata apabila Jelita selamat dilahirkan selain berasa cukup gembira dengan kehadiran Jelita kerana ia melengkapi rumah tangga mereka yang dibina. “Perasaan saya sangat terharu apabila pertama kali lihat Jelita malah saya dan Linda menangis, syukur semuanya selamat dan berharap Jelita akan dipelihara kesempurnaannya oleh Allah,” jelasnya. Beego dan Linda berkahwin pada 8 Jun tahun lalu selepas menjalinkan hubungan cinta selama dua tahun. – mStar Online
Angka Kematian Feri Karam Korea Mencecah 146
JINDO – Operasi mencari mereka yang masih hilang di dalam feri yang karam ditingkatkan hari ini dengan angka kematian rasmi setakat ini mencecah 146 orang. Pegawai kerajaan berkata, anggota penyelam kini perlu memecahkan dinding kabin bagi mengeluarkan lebih banyak mayat mangsa yang terperangkap di dalam feri berkenaan. Kebanyakan mangsa adalah pelajar sekolah tinggi di Ansan, di pinggir Seoul. Lebih tiga perempat daripada 323 pelajar disahkan mati atau hilang manakala dua pertiga daripada 153 orang di dalam feri Sewol yang karam itu disahkan selamat dalam kejadian seminggu lalu. Malah, laporan menunjukkan lebih 150 orang lagi masih hilang dengan dewan pengkebumian di Ansan kini sudah hampir penuh. Pasukan Petugas Khas Kecemasan yang ditubuhkan kerajaa, Oh Sang-yoon berkata, pihaknya sudah mengambil langkah perlu untuk membesarkan kawasan di dewan berkenaan bagi menerima lebih banyak mayat mangsa. – AP
Institusi Pondok Perlu Pelbagaikan Ilmu – Mukhriz
ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, menyarankan supaya institusi pondok membuka pintu kepada agensi serta institusi latihan. Katanya, langkah itu dapat membantu melonjak potensi institusi berkenaan, terutama dalam menyediakan nilai tambah dari segi aspek kemahiran kepada kualiti warga pondok. Beliau berkata, warga pondok harus akur bahawa mereka juga harus menguasai ilmu-ilmu yang pelbagai, selain ilmu agama. “Ilmu agama adalah menjadi tumpuan, namun ilmu-ilmu bersifat keduniaan juga wajar dipentingkan. Gabungan ilmu sememangnya pun dituntut oleh agama. “Bukannya bertujuan untuk merendahkan pendidikan Islam itu tetapi untuk menyahut seruan agama sendiri agar ummah kaya dengan segala ilmu yang ada. “Ummah yang mantap didikan agama Islamnya dan kaya pula dengan pelbagai kemahiran sudah pasti tidak mudah diperkotak-katik, sebaliknya dihormati, disegani dan disanjungi,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pembukaan Ijtimak Pondok Malaysia 2014 di sini, sebentar tadi. – BH Online
Zarema, Aidil Berbulan Madu Di Krabi Thailand (11 Gambar)
Nampaknya, ramai juga artis kita yang gemar melancong di Krabi, Thailand. Tidak ketinggalan ialah pasangan yang baru berkahwin iaitu Aidil Zafuan dan Zarema Zainal yang memilih Krabi sebagai lokasi bulan madu mereka. Mungkin keindahan Krabi membuat mereka rasa romantik kerana di sana terdapat permandangan yang indah. Disamping itu, mereka juga boleh menyelam skuba dan menyaksikan pertandingan Muay Thai yang popular di sana. Jom tengok!
MH370: Isteri Pramugara Luah Perasaan, Yakin Insiden Satu KOMPLOT
KUALA LUMPUR: Selepas lebih 40 hari kehilangan pesawat MH370, isteri kepada pramugara Hazrin Mohamed Hasnan atau lebih dikenali dengan nama Rain, Maizura Othaman hari ini sekali lagi meluahkan perasaannya secara terbuka melalui rangkaian media sosial, Instagram. Bagaimanapun, kali ini apa yang ditulisnya lebih bermotifkan mencari kebenaran yang didakwa disembunyikan oleh pihak tertentu kepada waris keluarga penumpang pesawat penerbangan MH370 yang hilang pada 8 Mac lepas. “Hati saya kuat mengatakan suami saya dan yang lain-lain diculik… oleh sebuah kuasa besar,” tulisnya. Intan sebelum ini pernah meluah perasaan menerima kehilangan Rain yang beliau sifatkan “masih ada” dan menyimpan harapan bahawa suatu hari nanti suaminya akan pulang. Pada 27 Mac lalu, iaitu 2 hari selepas Intan meluah perasaannya di dalam media sosial, Astro Awani melaporkan keperitan Intan untuk menerangkan keadaan kepada anaknya yang bertanya bilakah bapanya akan pulang. Dalam pada itu, Astro Awani turut dihubungi oleh seorang waris penumpang MH370 yang dipanggil untuk satu pertemuan bersama Kementerian Luar dan pihak berkuasa pada Ahad, 20 April lepas. Dia yang enggan dikenali menyatakan, keluarga waris seakan-akan tidak boleh mengawal perasaan dan menjerit-jerit sepanjang Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin menjelaskan situasi dan langkah susulan yang akan diambil berhubung insiden MH370 ini. “Waktu mesyuarat dengan Hamzah itu memang teruk, gaduh jerit-jerit di dalam dewan itu,” ujar waris berkenaan. Katanya, waris juga tidak bersetuju mengenai isu bantuan kewangan dan sijil kematian yang dikemukakan kementerian. “Keluarga mahu bukti fizikal, walau jumpa satu `body’ pun jadilah. “Pada masa itu Intan bangun dan kata, bagaimana hendak percaya, tidak ada satu bukti langsung. Intan tanya apakah benar pesawat itu jatuh ke dalam laut dan semua pihak berkenaan senyap seribu bahasa,” jelasnya. Waris itu turut berada dalam pertemuan tertutup selama lebih dua jam di sebuah hotel di Kuala Lumpur itu bersama 40 waris. Sesi penerangan itu juga dihadiri oleh Ketua Pengarah Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya. “Saya tak tahan dengar dan terus balik,” katanya. Pada sidang media selepas pertemuan itu, Hamzah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Waris Penumpang Malaysia Airlines (MAS) MH370 berkata, pihaknya akan mengemukakan cadangan kepada Jawatankuasa Waris Penumpang berhubung bantuan kewangan yang diperlukan dalam masa terdekat. Hamzah berkata, perkara itu adalah antara isu utama yang dibangkitkan dalam pertemuannya dengan waris yang dilakukan pada sebelah pagi. Beliau juga mengumumkan kerajaan sedang mempertimbangkan satu tarikh untuk mengumumkan pengesahan beberapa isu melibatkan penumpang dan anak kapal pesawat itu. - ASTRO AWANI
Labels:
Berita Terkini
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment