Thursday, May 1, 2014

Berita Terkini 01 May 2014


Failkan Bantahan Saman Dirinya Nusyuz
Hasrat pelakon Sari Yanti Mohd Nazari atau Sari Yanti mahu bercerai dengan suaminya Mohd Edy Casmady Che Hussin tidak kesampaian apabila aktres itu terpaksa memfailkan bantahan dakwaan nusyuz terhadap dirinya. Permohonan tersebut dibuat untuk menolak tuntutan kembali taat dan nusyuz yang dibuat oleh suaminya di Mahkamah Sri Petaling, pada 7 Mac lalu. Permohonan bantahan tersebut telah dibenarkan oleh Hakim Syarie Abdul Halim Abu Samah pada sebutan kes yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari, dekat Petaling jaya, Selangor, hari ini. Terdahulu, Pada 25 Februari lalu, pelakon ‘Kisah Kaisara’ itu menfailkan permohonan cerai terhadap suaminya di Mahkamah Syariah Seremban, Negeri Sembilan. Sari Yanti yang ditemui di luar dewan mahkamah bagaimanapun enggan mengulas lanjut sewaktu ingin ditemubual pihak media. Sebaliknya dia hanya terus berjalan meninggalkan perkarangan mahkamah. Sementara suaminya, Edy Casmady berkata, beliau hanya menyerahkan keputusan kepada mahkamah. “Biar mahkamah yang buat keputusan,” katanya ringkas dan terus meninggalkan mahkamah. Kes ditangguh untuk sebutan semula pada 28 Mei, 2014. Pasangan ini berkahwin pada 2009. Hasil perkongsian hidup dengan Mohd Edy Casmady selama lima tahun, Sari dikurniakan dua anak lelaki iaitu Barr Al Aliy, 4, dan Basit Al-Haq, 2. – Malaysian Digest


Mesir teruskan hukuman gantung
KAHERAH - MESIR. Kementerian Kehakiman kelmarin mempertahankan keputusan mereka, sekali gus menolak reaksi masyarakat negara antarabangsa berhubung keputusan menjatuhkan hukuman mati ke atas 683 penyokong Ikhwanul Muslimin (IM) termasuk Mursyidul Am, Mohamed Badie. Mereka turut menganggap bantahan besar-besaran dilakukan orang awam yang kononnya sebagai tindakan tidak boleh diterima. Dalam satu kenyataan, peguam mendakwa, Hakim Saeed Youssef terlalu tergesa-gesa kerana hanya mengambil masa kurang daripada lima minit untuk membuat keputusan itu. Sebelum ini, beliau pernah dikritik kumpulan hak asasi manusia kerana enggan mendengar sebarang hujah pembelaan ketika prosiding perbicaraan yang menyaksikan 529 penyokong IM dijatuhi hukuman mati. Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan keputusan itu sebagai keterlaluan manakala Washington mendakwa ia sebagai hukuman yang melanggar piawaian asas dalam sistem keadilan antarabangsa. Di bawah undang-undang Mesir, hukuman mati hanya boleh diputuskan selepas mendapat nasihat daripada Mufti Besar Al-Azhar. Isnin lalu, sebuah mahkamah di selatan Minya turut menarik balik hukuman mati yang dikenakan ke atas 492 daripada 529 penyokong IM, Mac lalu manakala baki selebihnya dijatuhi hukuman penjara seumur hidup. - Al-Ahram


Malindo Air Teruja Untuk Beroperasi Di KLIA2
KUALA LUMPUR – Syarikat penerbangan hibrid, Malindo Air berasa teruja untuk memulakan operasinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 2 Mei ini. Malindo Air dalam satu kenyataan media memberitahu, pesawat Boeing 737-900ER bagi penerbangan OD1027 dari Kota Kinabalu, Sabah akan menjadi pesawat pertama syarikat itu mendarat di KLIA2. “Penerbangan OD1027 dijadualkan mendarat KLIA2 pada pukul 12.05 tengah malam Khamis,” kata kenyataan itu hari ini. Menurut kenyataan itu, KLIA2 memiliki kemudahan bertaraf dunia dan bakal memnberi pengalaman paling berharga kepada penumpang OD1027. Tambah kenyataan itu, pembukaan KLIA2 juga selari dengan Kempen Melawat Malaysia 2014 serta memberi nilai tambah kepada pelancongan kos rendah. Malindo Air turut menjelaskan KLIA2 berpotensi menjadi hub transit pelancongan kerana ia terletak di lokasi strategi di Asia Tenggara.


Misteri dan lucu harta karun
KESIAN, sehingga semalam masih tidak ditemui harta karun yang dikatakan peninggalan Kesultanan Melayu Melaka, di Pulau Nangka. Setelah sekian lama menunggu penuh harapan, harta bernilai berbilion RM itu agaknya masih terapung dalam angan-angan. Smart Partnership International (M) Sdn Bhd, syarikat yang sejak Julai 2012 diamanahkan untuk mengesan timbunan harta di laut pulau berkenaan, tidak menemui apa-apa, walaupun tempoh masa pencarian tamat semalam 30 April 2014. Selama hampir dua tahun, menggunakan peralatan serba canggih dengan lebih 30 pekerja, termasuk beberapa pakar, syarikat berkenaan telah berusaha keras menyelami laut, membuat imbasan, dan menebuk bongkah batu untuk sampai ke tempat simpanan karun. Walaupun kerja-kerja dikatakan sudah mencapai tahap 90 peratus, syarikat berkenaan masih gagal menemui sebarang bukti kukuh sebagai tanda kewujudan barang bernilai itu. Pemilik syarikat, Mohammad Foad Khushairy mengakui mengesan harta karun bukan satu kerja mudah. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemudahan Awam, Pengangkutan dan Pemulihan Projek negeri, Datuk Abdul Ghafaar Atan, sekiranya masih tidak ditemui setelah tamat tempoh, tugas pencarian akan diberikan kepada syarikat lain. Sebenarnya kisah harta karun di laut negeri Hang Tuah ini telah menjadi buah mulut sejak lebih 30 tahun dulu. Kerajaan Negeri telah dari semasa ke semasa menjalankan kerja-kerja mengesan timbunan harta itu. Kedengarannya seperti cerita dongeng, tetapi sekiranya benar ada peninggalan Kesultanan Melayu terdampar di dasar laut, Melaka akan mendapat laba yang besar, berbaloi menunggu sekian lama. Tetapi seperti yang diakui sendiri oleh Ghafar, bukan mudah mengorek harta karun di dalam laut. Sepatah katanya: “Tugas ini tidak sahaja memerlukan peralatan tercanggih, tetapi juga melibatkan hal-hal spiritual.” Tidaklah dijelaskan apa yang dimaksudkan dengan hal-hal spiritual itu. Adakah itu bermakna harta berkenaan dikawal oleh penunggu laut? Atau, adakah barang-barang berharga itu kini dalam simpanan kerajaan jin laut? Alkisah sekiranya yang menguasai khazanah tersebut adalah makhluk halus – termasuk jin – tentu tidak mungkin untuk kita berkomunikasi dan berbincang dengan mereka, sebab mereka tidak faham bahasa kita. Kita pun tidak tahu bahasa jin. Hatta, peralatan teknologi tercanggih pun tidak boleh mengalahkan jin. Apa pun jangan cepat putus asa dan menangis hentak-hentak kaki sekiranya segala aset – dalam kes ini hanya aset dalam negara, tidak melibatkan aset dari luar – dan kecanggihan teknologi masih gagal mengesan harta karun bernilai RM berbilion itu. Pada hemat saya Kerajaan Negeri Melaka yang beria benar ingin mendapatkan harta karun itu masih ada harapan. Arakian, ada satu cara lagi yang boleh dicuba untuk mendapatkan pusaka peninggalan Kesultanan Melayu Melaka, iaitu dengan menggunakan peralatan tradisional yang diperbuat daripada buluh seperti teropong buluh, lukah buluh dan buah kelapa. Bukankah kita ada ‘Datuk’ Ibrahim Mat Zin yang menggelar dirinya sebagai ‘Raja Bomoh Nujum Sedunia VIP’ yang selalu mendabik dada dan mendakwa boleh menarik benda-benda terbenam di dasar laut? Apa kata kita uji kehebatan ilmu perdukunan beliau dalam kes klasik ini. Sehingga ini, walaupun telah mendapat publisiti dan liputan media seluruh dunia, belum satu pun dakwaan beliau menjadi kenyataan. Berilah dia peluang terakhir untuk membuktikan kehebatan dalam kes harta karun yang masih terkunci rapat di Pulau Nangka. Seperti yang pernah dibuktikan, Nujum Pak Belalang sebagai Bomoh Diraja telah menunjukkan kecemerlangan dalam kes-kes berprofil tinggi, malah berjaya menyelamatkan negeri daripada tergadai ke tangan musuh. Maka siapa tahu kot-kot apa yang terjadi dalam filem klasik P Ramlee itu boleh berulang di era Melaka Moden! Pak Belalang adalah ahlul nujum auta, tetapi dia berjaya menyelesaikan banyak masalah raja. Apa pun saya tidak berani komen berlebihan dalam kes ini, takut tak fasal-fasal kena tampar dek Raja Bomoh moden. Kata yang empunya cerita bomoh yang seorang ini gemar sangat menampar. Jangankan orang biasa, buaya ganas pun berani ditamparnya. Tabik Datuk!


Model Victoria's Secret Jadi Puteri Duyung
MODEL Victoria's Secret, Cara Delevingne dikhabarkan akan turut terlibat dalam filem Peter Pan arahan Joe Wright sebagai puteri duyung. Model tersebut akan bergabung dengan pelakon lain seperti Hugh Jackman, Garrett Hedlund, Rooney Mara, Adeel Akhtar, Levi Miller dan Amanda Seyfried. Pemilihan Cara dikatakan kerana bentuk tubuhnya bersesuaian dengan satu karakter ikan duyung dalam filem tersebut. Seperti dipetik daripada BBC, Hugh Jackman akan memainkan watak antagonis Blackbeart. "Hugh Jackman selalu memberikan penampilan yang tidak mudah dilupakan penonton. Kami tahu dia akan membawakan watak jahat itu dengan baik dan menguatkan lagi filem ini," kata Presiden Creative Developmant. Filem yang bakal dibeti judul Pan ini dijadualkan tayangannya pada 17 Julai 2015.


Rayuan ibu ringankan hukuman
KOTA BHARU - Seorang penganggur bernasib baik dikenakan hukuman penjara ringan, 40 hari walaupun mengaku salah mengacukan pisau kepada abang kandung sendiri, Mac lalu. Hukuman diputuskan Majistret, Nik Habri Muhamad selepas mempertimbangkan dan memberi penghormatan terhadap rayuan ibu tertuduh yang sudah tua serta hadir ke mahkamah bagi membela anaknya itu. Tertuduh, Muhammad Ariff Yusof, 24, didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengacu pisau ke arah Nik Mohd Affrndi, 34, dengan niat hendak mendatang ketakutan kepada mangsa di sebuah rumah di alamat Jalan Masjid Kampung Baung Bayam, di sini, pada jam 1 pagi, 25 Mac. Pada prosiding semalam, ibu tertuduh merayu mahkamah supaya anaknya itu dibebaskan dan mengakui tertuduh anak yang boleh diharapkan. “Dia anak yang baik. Kesiankanlah makcik, makcik tidak lalu makan dan sakit apabila dia (tertuduh) tiada (di rumah). Kesalahan ini yang pertama dan makcik percaya dia boleh berubah,” katanya. Rayuan itu bagaimanapun dibantah Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nurliyana Md Zukri berikutan ia bercanggah dengan penyataan yang diberi kepada polis sebelum ini. “Berdasarkan fakta, kamu (ibu) yang mengadu supaya mangsa (abang tertuduh) datang mengambil kamu di rumah kerana tidak tahan kerenah tertuduh yang sering meminta wang. “Hari ini (semalam) lain pula ceritanya. Saya mohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana tidak mahu kasih sayang seorang ibu akan memusnahkan anaknya sendiri,” katanya. Tertuduh juga didakwa melakukan perbuatan itu ketika sedang di bawah pengaruh dadah.


Berebut kiub rubik punca pelajar maut
RAWANG - Hanya kerana kehilangan kiub rubik, pelajar Sekolah Menengah Agama Rawang di sini, maut dibelasah apabila rakannya itu tidak berpuas hati mangsa menuduhnya mencuri permainan itu. Dalam kejadian kira-kira 11.15 malam itu, mangsa Mohd Abdul Azim Adnan, 15, dikatakan baharu selesai mengulang kaji pelajaran di asrama sekolah. Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner, Ali Ahmad berkata, mangsa ditemui terbaring tidak sedarkan diri di gelanggang bola tampar di sekolah berasrama di sini sebelum disahkan meninggal dunia jam 11.30 malam kelmarin. Katanya, mangsa dikatakan tidak berpuas hati dengan suspek dan menuduhnya mengambil permainan itu sebelum menolak suspek hingga terjatuh. “Suspek kemudiannya bertindak balas dengan menarik kaki mangsa hingga jatuh dan menumbuknya sebanyak tiga kali sebelum Azim tidak sedarkan diri,” katanya, semalam. Menurutnya, Azim dibawa ke bilik asrama oleh rakannya sebelum memaklumkan kepada warden selepas tiada tindak balas daripada mangsa. “Mangsa terus dibawa ke klinik sebelum dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Selayang dan doktor mengesahkan mangsa telah meninggal dunia. “Siasatan awal mendapati, suspek mengaku menumbuk mangsa di bahagian muka sebanyak tiga kali namun tiada sebarang kesan kecederaan pada anggota mangsa,” katanya. Bagaimanapun katanya, pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat hospital. Sementara itu, ibu saudara mangsa, Murniati Jalaluddin, 44, berkata, arwah pernah bergurau dengan ayahnya mahu mati awal selepas mendengar kisah orang belum baligh meninggal dunia akan dimasukkan ke syurga. Katanya, insiden perbualan itu berlaku dua minggu lalu selepas mangsa pulang bercuti akibat catuan air di sekolahnya. “Bila berkumpul, macam-macam perkara dikongsikan dan ayahnya ada menceritakan kisah syurga iaitu jika orang yang belum baligh meninggal dunia, dia akan masuk syurga, jadi secara spontan dia kata mahu mati awal. “Selain itu, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara, namun menurut adiknya, dia terus solat sebaik sahaja masuk waktu,” katanya ketika ditemui di luar Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur, semalam. Tambahnya, berdasarkan maklumat awal dari pihak forensik, kematian arwah adalah disebabkan otaknya yang membengkak kesan daripada insiden itu. “Secara luaran keadaan mangsa tidak mengalami luka, namun terdapat kesan lebam di bahagian dada, belakang kepala dan telinga kiri,” katanya. Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Batu, petang semalam. - Sinar Harian Online


PSI: Amerika sambut baik sokongan Malaysia
Amerika Syarikat (AS) menyambut baik sokongan kerajaan Malaysia terhadap Inisiatif Keselamatan Proliferasi (PSI), yang diumumkan pada pertemuan dua hala antara Presiden AS Barack Obama dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 27 April. Kedutaan AS di Kuala Lumpur menyatakan keputusan Malaysia untuk menyokong dan mengambil bahagian dalam PSI menunjukkan komitmen tinggi negara ini bagi menghentikan percambahan senjata pemusnah besar-besaran dalam usaha meningkatkan lagi keselamatan dan jaminan perdagangan global serta menggalakkan rantau Asia Pasifik yang aman. "Amerika Syarikat menantikan kerjasama dengan Malaysia bagi menggerakkan matlamat bukan proliferasi PSI dan kenyataannya berhubung Prinsip Penggantungan," kata kedutaan itu dalam satu kenyataan, malam ini. Dilancarkan di Krakow, Poland pada 2003, PSI meraikan ulang tahunnya yang ke-10 pada Mei tahun lalu dengan pertemuan politik peringkat tinggi di Warsaw. Peserta PSI komited untuk mengambil langkah secara sukarela dan konsisten dengan pihak berkuasa perundangan kebangsaan, undang-undang dan rangka kerja relevan serta sumber yang ada. Ini bertujuan menggantung penghantaran senjata pemusnah besar-besaran, sistem penyampaian dan bahan berkaitan dari negara dan bukan negara yang bimbangkan profilerasi. Obama juga menggesa negara-negara berkenaan supaya mengambil langkah kukuh untuk mengukuhkan PSI dan mengekalkannya sebagai elemen teras regim bukan proliferasi antarabangsa. "Sebagai sebahagian daripada usaha itu, Amerika Syarikat dan negara-negara PSI lain komited untuk menjalinkan kerjasama bagi menggesa semua negara terlibat untuk menyokong dan mengambil bahagian dalam inisiatif ini," kata kenyataan itu. – Bernama, 1 Mei, 2014.


DAP Dakwa MCA Pura-Pura Bantah Hudud
KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Kit Siang mendakwa MCA cuma berlakon apabila menyatakan hasrat parti tersebut mahu menghalang PAS daripada mengemukakan rancangan hudud di Kelantan di Parlimen. Beliau mendakwa, pengumuman MCA itu cuma satu kepura-puraan terbesar oleh parti itu sepanjang 65 tahun kewujudan parti itu di negara ini. “Rakyat Malaysia sedang menyaksikan kepura-puraan terbesar MCA sepanjang 65 tahun sejarahnya, Parti itu mengancam untuk mengumpul ribuan orang dan mengepung Parlimen bagi menentang hudud,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini. Kit Siang mendakwa, kepura-puraan seperti itu yang menyebabkan MCA ditolak oleh pengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada Mei lalu. Media pada 29 April lalu melaporkan Gerakan dan MCA menentang keras usaha PAS mahu membentangkan rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat, Jun ini bagi melaksanakan hukum hudud di Kelantan. MCA mendakwa menolak hudud PAS kerana ia akan mewujudkan suasana tidak harmoni dalam kalangan masyarakat. “Bukan bermakna kita menentang Islam tetapi perkara ini perlu kata sepakat oleh semua pihak jika mahu dilaksanakan,” katanya.


Peserta Himpunan membantah cukai barang dan perkhidmatan (CBP) Perlu Patuh Peraturan – Polis
KUALA LUMPUR – Polis meminta penganjur dan peserta perhimpunan membantah cukai barang dan perkhidmatan (CBP) yang dijadual diadakan di sini hari ini supaya mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2012. Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mohmad Salleh berkata pihaknya membenarkan penganjur mengadakan perhimpunan secara aman itu hasil empat kali pertemuan dengan mereka. “Bagaimanapun mereka tidak dibenarkan sama sekali berkumpul dan masuk dalam padang dan podium di Dataran Merdeka kerana kawasan itu sedang dinaik taraf, mereka hanya dibenarkan berkumpul di sekitar Dataran Merdeka sahaja. “Selain itu, mereka juga tidak dibenarkan membawa kanak-kanak, pembesar suara dan senjata ketika perhimpunan sedang berlangsung,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. Beliau berkata perhimpunan tersebut dijangka bermula pukul 2 petang dan berakhir 5 petang esok. Sementara itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak melalui lapan kawasan yang dijangka berlaku kesesakan lalu lintas ekoran perhimpunan tersebut pada sekitar pukul 12 tengah hari sehingga 8 malam esok. Kawasan terbabit ialah KLCC, Sogo, Masjid Negara, KL Sentral, Pasar Seni, Masjid India, Puduraya dan Dataran Maybank berhampiran Plaza Rakyat. Menurutnya, tiada penutupan jalan dilakukan. – BERNAMA


Jangan bawa anak kecil ke perhimpunan
PETALING JAYA – Polis mengingatkan orang ramai agar tidak membawa anak kecil hadir pada perhimpunan anjuran Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari di Dataran Amcorp, hari ini. Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, nasihat itu dibuat bagi mengelak kejadian tidak diingini daripada berlaku. “Kita juga ingatkan pengunjung yang datang supaya tidak membawa sebarang senjata. Sebanyak 400 anggota akan bertugas mengawal lalu lintas dan keselamatan sehingga perhimpunan ini selesai,” katanya kepada media, semalam. Beliau berkata, orang ramai yang ingin hadir ke majlis sambutan itu boleh menggunakan Transit Aliran Ringan (LRT) dan turun di Taman Jaya. “Jalan yang akan ditutup sepenuhnya ialah Jalan Sultan,Jalan Timur serta persimpangan ke Lebuh raya Persekutuan. Mereka yang datang menggunakan kereta boleh meletakkan kenderaan di parkir MBPJ di Kompleks C berhampiran Hotel PJ Hilton,” katanya. Difahamkan kira-kira 5000 orang dijangka menyertai perhimpunan terbabit yanhimpug dijangka bermula seawal jam 7 pagi.


Tun M sangkal pandangan Obama
KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyangkal pandangan Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama yang mengatakan bahawa Malaysia tidak memberikan hak sama rata kepada semua rakyat. Menurutnya, kerajaan Malaysia memberikan peluang kepada semua rakyat tidak kira agama dan bangsa. “Walaupun dengan polisi kerajaan dan sebagainya, Adakah kamu lihat kaum Cina di Malaysia antara yang termiskin? “Kebanyakan kaum India adalah peguam, profesional dan doktor, mereka yang tidak pernah ke Malaysia tidak akan tahu tentang perkara ini,” katanya selepas merasmikan buku ‘A Un Chronicle’ karya Tan Sri Razali Ismail di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) di sini, semalam. Mengenai buku A UN Chronicle yang dilancarkan itu, ia mengandungi catatan pengalaman Razali yang pernah menjadi pengerusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dari 1996 hingga 1997. Razali dalam ucapannya berkata beliau berharap buku berkenaan akan menjadi rujukan berguna kepada diplomat Malaysia pada masa ini, bakal diplomat, golongan akademik dalam jurusan kajian antarabangsa dan pelajar. Antara pengalaman yang dicatatkan dalam buku itu ialah bagaimana beliau berkhidmat di PBB ketika era kepimpinan Dr Mahathir yang sangat proaktif memperjuangkan nasib negara-negara sedang membangun, jelasnya. - Sinar Harian Online


Brunei haram 19 perkataan untuk bukan Islam
BANDAR SERI BEGAWAN - BRUNEI. Kerajaan Brunei mengharamkan penggunaan 19 perkataan, termasuk ALLAH dan masjid, oleh orang bukan Islam di negara itu. Brunei Times melaporkan, pengharaman itu berkuat kuasa bulan ini di bawah Kod Penal Syariah. Lain-lain perkataan diharamkan adalah azan, baitullah, al-Quran, fatwa, firman ALLAH, hadis, haji, hukum syarak, Ilahi, kaabah, kalimah syahadat, kiblat, imam, mufti, mukmin, solat dan wali. Pegawai Undang-Undang Syariah Kanan Unit Undang-Undang Islam Hardifadhillah Mohd Salleh berkata, Kod Penal Syariah juga diguna pakai kepada bukan Islam, termasuk kesalahan berzina dengan pasangan Islam, minum arak di tempat awam dan khalwat dengan pasangan Islam. “Jika sabit kesalahan, hukuman adalah denda sehingga B$4,000 (RM10,400) dan/atau satu tahun penjara. Bagi pesalah zina yang dilakukan oleh seorang Muslim yang sudah berkahwin dan yang sudah berkahwin tetapi bukan Islam, kedua-dua mereka boleh dikenakan hukuman rejam sampai mati jika kesalahan itu dibuktikan oleh pengakuan atau kesaksian empat saksi,” katanya. Menurutnya, mana-mana pihak yang menghasut lelaki atau wanita Islam bercerai atau tidak menjalankan kewajipan terhadap pasangan masing-masing, boleh dikenakan denda sehingga B$4,000 (RM10,400) dan/atau penjara setahun. “Mana-mana ibu atau bapa beragama Islam yang ikhlas menyerahkan anak mereka dipelihara oleh orang bukan Islam, boleh dikenakan denda sehingga B$20,000 (RM52,000) dan atau penjara lima tahun,” katanya.


Brunei laksana Hudud Hari Ini
BANDAR SERI BEGAWAN - BRUNEI. Sultan Brunei mengumumkan undang-undang dikenali sebagai Kod Penal Syariah yang mendapat kritikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dikuatkuasakan secara berperingkat mulai esok, lapor AFP. “Hari ini saya bersyukur kepada ALLAH SWT untuk mengumumkan bahawa esok, Khamis, 1 Mei 2014, akan menyaksikan penguatkuasaan undang-undang syariah fasa satu, yang perlu diikuti oleh fasa-fasa lain,” titah Sultan Hassanal Bolkiah dalam ucapannya, hari ini. Penguatkuasaan hukuman hudud itu termasuk melaksanakan hukuman potong tangan ke atas pencuri dan rejam terhadap kesalahan zina. Awal tahun ini, pengumuman Sultan Brunei itu mendapat sokongan penuh daripada penduduk Islam tetapi mencetuskan kebimbangan di kalangan rakyat bukan beragama Islam. Hampir 70 peratus daripada 400,000 rakyat negara itu adalah penduduk Islam manakala kira-kira 15 peratus adalah bukan Islam. Sungguhpun mendapat kritikan daripada Pertubuhan Hak Asasi Manusia PBB, Sultan Brunei dengan tegas memberi amaran bahawa penekanan lebih kuat akan dilaksanakan jika undang-undang itu cuba dirosakkan oleh pengaruh asing.


Wanita mati ditikam kerana cinta ditolak
PETALING JAYA - Seorang wanita maut dipercayai ditikam kekasihnya dengan gunting dalam kejadian di Jalan SS9A/12 sekitar jam 7 petang, kelmarin. Mangsa, Salmah Lok, seorang tukang jahit berusia dalam lingkungan 40-an, menemui ajal setelah ditikam beberapa kali di bahagian abdomen sebelah kanan dan mengalami pendarahan teruk. Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohammed berkata, kejadian tersebut disedari oleh salah seorang pelanggan mangsa yang datang ke kedai jahitnya sekitar jam 1 tengah hari semalam. “Hasil siasatan awal kami mendapati, mangsa pernah berkahwin dan bercerai serta mempunyai seorang anak di Sabah. “Sejurus mendapat laporan daripada orang awam, beberapa anggota dikerahkan ke lokasi kejadian bagi meninjau keadaan yang berlaku,” katanya kepada Sinar Harian, semalam. Menurut Arjunaidi, pihaknya juga percaya, berlaku pertengkaran di antara mangsa dengan teman lelakinya sebelum kejadian tersebut berlaku. Tambahnya, pihaknya turut menemui sebilah gunting yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan untuk menikam mangsa. “Suspek berkenaan kemudiannya melarikan diri ke rumahnya di Flat PKNS SS3,” katanya. Katanya, sampai di rumahnya, suspek pula bertindak terjun dari tingkat 11. "Suspek yang merupakan warga tempatan dipercayai mati serta-merta di tempat kejadian “Pihak kami mendapat laporan mengenai suspek sekitar jam 4 petang semalam, namun polis mempercayai kejadian terjun itu berlaku pada waktu pagi,” katanya. Jelas Arjunaidi, mayat suspek berkenaan juga didapati terjatuh di atas sebuah rumah pam tangki air yang terdapat di bawah blok kediamannya. “Kita sedang menyiasat dengan lebih mendalam mengenai kejadian ini dan mayat kedua-dua mangsa akan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi menjalani bedah siasat," katanya. Arjunaidi berkata, kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas ini. Dalam pada itu, bekas majikan mangsa, Maimun Yaakub, 48, berkata, dia berasa amat sedih dengan kejadian menimpa Salmah yang telah 10 tahun bekerja dengannya. "Saya baru saja jumpa Salmah jam 6.30 petang kelmarin. Masa tu dia nampak sedih dan dia beritahu tak mahu lagi balik ke kampungnya di Sabah dan berhajat bawa anaknya ke sini. “Dia memang selalu cerita masalahnya kepada saya, tapi tak sangka itu kali terakhir kami jumpa. Sebelum saya balik, Salmah sempat cium tangan dan meminta maaf,” katanya. Menyentuh mengenai perhubungan mangsa dengan suspek yang dikenali sebagai Jim, Maimun memberitahu, Salmah juga sering meminta pandangan daripadanya. "Salmah pernah beritahu saya, dia baru kenal Jim dalam dua bulan dan mereka dah pun merancang nak kahwin. "Dia juga pernah mengadu rimas sebab Jim sering mendesaknya mempercepatkan perkahwinan walaupun mereka baru kenal," katanya.



Penyanyi Irama Keroncong Terkenal , Kartina Dahari Meninggal Dunia
KUALA LUMPUR – Penyanyi yang terkenal dengan lagu irama keroncong, Kartina Dahari, meninggal dunia di Hospital Mount Elizabeth, Singapura, petang tadi akibat barah. Perkara itu disahkan sendiri oleh Biduanita Negara yang juga teman baiknya, Datuk Sharifah Aini. “Anak angkat saya yang berada di Singapura memaklumkan, Kartina meninggal dunia di hospital Mount Elizabeth jam 6 petang tadi selepas bertahun-tahun menderita penyakit barah. “Berita itu sangat menyedihkan kerana kami memang berkawan baik. “Kali terakhir saya bertemu dengannya sekitar Ogos tahun lalu, ketika saya mengunjungi rumahnya di sana,” katanya kepada BH. Selain menyanyi, Kartina, 73, juga dikenali sebagai pelakon. Antara lagunya yang popular ialah Jangan Ditanya, Sayang Di Sayang, Hati Ke Hati, Sejak Kita Berpisah dan duetnya bersama Datuk Ahmad Jais, Budi Setahun Segunung Intan. – Barita Harian


Kesal Suami Dituduh Tak Mampu Hadiah Mercedes
PETALING JAYA – Pelakon dan penyanyi Ifa Raziah kesal apabila ada pihak mempersoalkan kemampuan Mohd Yani Abdul Rahman apabila suaminya itu menghadiahkan dia sebuah kereta Mercedes C200 sempena ulang tahun perkahwinan mereka ke 10, pada 24 April lalu. Ifa, 39, berkata, sepatutnya pihak berkenaan tidak perlu mempersoalkan apa-apa memandangkan suaminya membeli kereta tersebut atas usaha dalam perniagaan yang mereka jalankan bersama. “Suka hatilah suami saya nak hadiahkan apa-apa dekat saya! Itu hak dia. Kenapa perlu orang persoalkan kemampuan suami saya? “Orang hanya melihat pada dasarnya sahaja tetapi mereka tidak tahu apa yang kami lakukan. Kami mempunyai beberapa perniagaan yang diusahakan bersama dan rasanya itu sudah cukup untuk saya jelaskan sama ada dia mampu atau tidak membeli kereta itu. “Dan sebagai isteri yang banyak berkorban demi suami. Saya rasa layak untuk menerima hadiah itu. Kenapa perlu memandang hina? “Itulah masalah kebanyakan masyarakat kita, tidak pernah mahu bangga dengan kejayaan orang lain, sebaliknya hanya tahu mengutuk sahaja,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada petang Selasa. Ifa diminta mengulas mengenai persoalan segelintir pihak yang mempertikaikan kemampuan suaminya menghadiahkan dia sebuah kereta mewah sempena ulang tahun perkahwinan mereka. Isu itu diperkatakan apabila Ifa mengambil langkah memuat naik gambarnya ketika menandatangani dokumen pembelian jual-beli kereta dengan kapsyen menerima hadiah daripada suami. Malah Ifa juga dikatakan sengaja mahu menunjuk-nunjuk dan meniru langkah Rozita Che Wan yang menjadikan kereta mewah sebagai hadiah atas kejayaan anaknya, Ammar Effendy mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Bagaimanapun Ifa menganggap pertikaian dan tuduhan mengatakan dia riak semuanya berpunca daripada laporan mengenai hadiah yang diterimanya itu. Ifa bergaya dengan kereta baharu yang diterimanya daripada suami sebagai hadiah sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang ke 10. “Di Instagram, apabila orang tanya hadiah apa saya dapat, saya cuma cakap beli kereta kancil sahaja. Dan apabila wartawan menghubungi saya dan bertanya banyak kali, maka saya pun beritahulah hadiah sebenar yang saya dapat. “Bukannya saya yang mula menghebohkannya. Saya tahu pihak media ingin menyampaikan cerita hadiah yang saya terima ke arah niat yang positif. Tetapi biasalah, apabila ramai pembaca, dalam yang memuji ada yang mengutuk,” ujarnya. Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ifa bakal muncul sebagai pengacara sebuah program realiti Make Over Mom siaran Astro selain sibuk dengan undangan persembahan nyanyian di majlis-majlis korporat. Ifa berkata dia dan suaminya juga turut sibuk menguruskan perniagaan produk kecantikan, Seri Cantik selain terlibat dengan beberapa pelaburan saham. – mStar Online



Berita Malang Buat Pengusaha Cuci Kereta, Nissan Perkenal Kenderaan Anti-Kotor!
Bagi pemilik kereta terutama yang bercat putih antara yang dikhuatiri adalah melalui jalan berlumpur kerana kotoran akan jelas kelihatan pada kenderaan. Masalah itu nampaknya akan selesai dengan cat jenis baru yang diperkenalkan Nissan di mana air, minyak dan kotoran tidak dapat melekat pada permukaan. Sudah tentu, inovasi ini bukan sahaja membuatkan kenderaan sentiasa nampak bersinar seperti baru malah dapat menjimatkan kos dan masa yang perlu diambil untuk mencuci kereta. Berdasarkan siaran media dikeluarkan baru-baru ini, cat Ultra-Ever Dry yang dihasilkan oleh Nissan bersama UltraTech International ini dijangka akan membawa nafas baru pada rekaan kenderaan. Pastinya, ini adalah berita baik buat pemandu kereta yang selalu malas mencuci kenderaan namun berita yang tidak sedap didengar oleh pengusaha car wash.


Tiada Jaminan Catuan Air Tak Berulang – Menteri Besar
SHAH ALAM – Kerajaan negeri Selangor tidak menolak kemungkinan tindakan catuan air ke atas pengguna akan berulang, walaupun catuan dihentikan berkuatkuasa esok. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagaimanapun memberi jaminan bahawa bekalan air di Selangor dan Kuala Lumpur bagi tempoh lima ke enam bulan akan datang adalah mencukupi. “Kita tidak boleh beri jaminan catuan air ini tidak berulang. “Tetapi melalui usaha yang sedang dijalankan dengan menggunakan air alternatif seperti sumber air hujan, air kolam dan bekas lombong kita yakin bekalan air cukup untuk keperluan pengguna sekurang-kurangnya untuk tempoh ke lima dan enam bulan akan datang,” katanya. Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini, beliau berkata Kerajaan Selangor hari ini memutus menghentikan pelan tindakan catuan air serentak di semua kawasan terlibat mulai esok. Abdul Khalid berkata pihaknya berpendapat tidak perlu menunggu air di empangan mencapai takungan 50 peratus untuk menghentikan catuan. Ini kerana usaha keras termasuk mengepam air kolam selain hujan berterusan di kawasan tadahan air mampu meningkatkan lagi paras air empangan, katanya. – BERNAMA


Tiada Harta Karun Ditemui Setakat Ini Di Pulau Nangka – Ketua Menteri
Smart Partnership International (M) Sdn Bhd syarikat, yang menjalankan kerja mencari harta peninggalan zaman Kesultanan Melayu Melaka dianggarkan bernilai berbilion ringgit di Pulau Nangka, gagal menemui harta itu setakat ini. Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata kontrak pencarian selama empat bulan bermula Januari lepas yang diperoleh syarikat itu, akan tamat pada 12 tengah malam Rabu. Mulai esok, katanya kerja pencarian itu akan dilaksanakan oleh sebuah syarikat lain, yang akan menumpukan pencarian di kawasan lain di pulau itu. “Sebenarnya kerja pencarian harta karun di pulau itu telah dilakukan sejak lebih 25 tahun lepas oleh pelbagai pihak tetapi sehingga kini ia tidak ditemui,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Melaka di sini. Isnin lepas, Exco Kerja Raya, Kemudahan Awam, Pengangkutan dan Pemulihan Projek Melaka Datuk Abdul Ghafaar Atan berkata kerja-kerja mengorek dinding batu di kawasan yang dipercayai pintu tempat simpanan harta itu, sudah siap 90 peratus dan dijangka siap sepenuhnya hari ini. Idris berkata kerajaan negeri bercadang menjadikan Pulau Nangka sebagai pusat tarikan pelancong jika harta itu ditemui tetapi tidak dapat dikeluarkan dari pulau itu atas sebab tertentu. Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri sentiasa bersedia menyiasat dakwaan salah laku yang melibatkan pegawai kanan pentadbirannya jika dakwaan yang dikemukakan itu berasas dan mempunyai bukti kukuh. “Setakat ini, aduan yang dikemukakan itu sekadar aduan emosi sahaja… aduan apabila saya meletakkan orang baharu yang tegas dalam organisasi itu. “Kita sentiasa bersikap terbuka, tetapi janganlah buat aduan sesuka hati tanpa kemuka bukti yang kukuh,” katanya. Baru-baru ini, seorang pegawai kanan sebuah akhbar harian milik Kerajaan Negeri Melaka dikaitkan dengan penyelewengan melibatkan wang kerajaan negeri. Sebelum itu, seorang pegawai kanan Jabatan Ketua Menteri Melaka dikaitkan dengan kegiatan judi haram di negeri ini. Dalam sidang akhbar itu juga, Idris turut mengumumkan Melaka bakal menjadi tuan rumah bagi sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka pada 21 Jun ini. “Kita jangka antara 15,000 dan 20,000 orang bakal menghadiri sambutan itu. Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dijadual merasmikan sambutan itu,” katanya. – BERNAMA


Berselendang Sebelum Bertudung Sepenuhnya
Jika anda merupakan pengikut Fara Fauzana di laman Instagramnya, pasti perasan akan perubahan yang ditampilkan oleh figura popular ini. Sejak kebelakangan ini, Fara atau lebih dikenali sebagai Fafau gemar memakai selendang ketika menghadiri majlis-majlis hiburan dan ketika bekerja di studio radio Hot FM. Fafau melihat imej terbaharunya ini sebagai satu proses berperingkat selain langkah permulaan untuk ke arah bertudung sepenuhnya. “Saya sebenarnya kurang selesa apabila perkataan ‘berhijrah’ digunakan kerana saya sendiri tidak pasti apakah perkataan sesuai untuk menggambarkan perubahan kecil ini. Ia belum sempurna lagi sebenarnya. “Justeru saya mohon agar umum tidak salah anggap dengan pendekatan yang saya lakukan ketika ini. Memang ada yang bertanya kenapa tidak pakai terus atau adakah ini sekadar gaya, tetapi memilih untuk membiasakan diri terlebih dan berharap suatu hari nanti saya akan bertudung sepenuhnya sampai bila-bila,” katanya memetik laporan Harian Metro. Semoga Fafau terus istiqamah dengan perubahan positifnya dan pastinya peminat juga turut teruja dengan imej terbaharu selebriti berusia 34 tahun ini.


PAS Perak Arah Ahli Sertai Perhimpunan 1 Mei
IPOH – Dewan Pemuda PAS (DPP) Perak mengarahkan semua ahlinya menyertai perhimpunan membantah pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di ibu negara pada 1 Mei ini. Ketuanya, Dr. Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss mendakwa, himpunan itu sebagai tanda solidariti golongan muda membantah pelaksanaan cukai tersebut. “Golongan muda kelompok paling terkesan akibat pelaksanaan GST terutama yang baru bekerja. Saya mengarahkan semua ahli DPP Perak turun seramai mungkin ke himpunan bantah GST itu,” katanya melalui satu kenyataan hari ini. Raja Ahmad mendakwa, perhimpunan pada 1 Mei itu akan dipimpin oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) daripada parti PAS dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR). Sehubungan itu, beliau meminta pihak polis memberi bekerjasama terhadap perhimpunan itu dan tidak menghalang pergerakan peserta dari semua lokasi yang dirancang.



VIDEO: Pemandu Dakwa Polis Silap Saman
Seorang pemandu jalanraya yang disaman anggota polis memuatnaik video di YouTube untuk menunjukkan rasa tidak puas hatinya. Meskipun akur dan menandatangani surat saman, namun lelaki dalam video di bawah berasakan pihak polis telah membuat kesilapan kerana kesalahannya dikatakan ‘salah lorong’ sedangkan tiada garisan di jalanraya tempat dia disaman. ‘Polis saman kata Salah Lorong sedangkan tiada garisan dan lampu isyarat penanda belok ke kanan. Ramai lagi lagi rakyat Malaysia yang telah menjadi mangsa salah guna kuasa polis yang jelas dalam kes saya. Laluan jalanraya seharusnya dilengkapi simbol dan arahan lalulintas yang jelas. Undang-undang adalah untuk mendidik bukannya menghukum seseorang membuta sahaja. Saya minta pendapat rakan-rakan sekalian. Sokong saya sekiranya dapati saya berada di pihak benar’ – demikian menurut pengguna jalanraya ini. Saksikan video di bawah dan nilaikan, sama ada individu yang memuatnaik rakaman ini benar-benar telah melanggar undang-undang atau telah berlaku kesilapan.


Hudud: Perlis Ikut Keputusan Putrajaya
KANGAR – Dewan Undangan Negeri Perlis (DUN) hari ini diberitahu kerajaan negeri akan berpegang kepada keputusan kerajaan pusat berhubung pelaksanaan hukum hudud. Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama dan Pembangunan Sumber Manusia, Khairi Hassan, berkata kerajaan negeri perlu melihat dahulu hasil kajian Jawatankuasa Teknikal Hukum Hudud yang ditubuhkan Kerajaan Pusat. “Jika positif kita ikut,” katanya menjawab soalan tambahan Mohd Shukri Ramli (PAS-Sanglang) yang mahu tahu bila Perlis bercadang melaksanakan undang-undang hudud. Khairi berkata, pelaksanaan hukum itu memerlukan penelitian terperinci bagi menjamin wujud masyarakat Muslim yang baik, bertaqwa dan benar-benar memahami tuntutan syarak supaya tidak membawa kepada fitnah terhadap keadilan hukum itu sendiri. Menteri Besar, Azlan Man, kemudian turut bangun mencelah dengan berkata: “Undang-Undang hudud memerlukan pemahaman dan mekanisme yang betul supaya pelaksanaannya kelak tidak menjadi bahan hinaan. Sebagai orang Islam kita menyokong hudud.” Mengenai zakat, Khairi berkata hanya orang Islam termasuk mualaf sahaja layak menerima zakat daripada Baitulmal atau Jabatan Zakat Negeri dan tidak diwajibkan diberi kepada orang bukan Islam. Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Chan Ming Kai (PKR-Indra Kayangan) yang ingin tahu adakah asnaf bukan Islam layak menerima zakat. Kepada soalan lain Chan adakah Baitulmal Perlis bersedia membantu golongan fakir miskin daripada kalangan bukan Islam, beliau berkata golongan bukan Islam tidak pernah disisihkan daripada mendapat bantuan yang disalurkan pelbagai agensi kerajaan antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat. – BERNAMA


14 NGO Bukan Islam Bantah Hudud, diorang pulak sibuk2 pasal Islam, agama diorang kita tak kacau pun
KUALA LUMPUR – Sebanyak 14 badan bukan kerajaan (NGO) menyatakan pendirian membantah rancangan PAS mahu melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan. NGO terbabit dalam satu kenyataan media mendakwa, pelaksanaan undang-undang hudud akan menimbulkan tanggapan berlaku penindasan terhadap kebebasan beragama di negara ini. “Ia akan turut menimbulkan keraguan orang ramai tentang keadilan perundangan negara ini. Negara perlu mengekalkan kepelbagaian agama dan asas perundangannya. “Kami tidak dapat menerima undang-undang hudud hanya ke atas umat Islam kerana itu lebih merumitkan keadaaan terutama jika sesuatu kes melibatkan kedua-dua muslim dan bukan muslim,” dakwa kenyataan itu hari ini. Sehubungan itu, NGO berkenaan menggesa DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendesak PAS tidak meneruskan usaha membentangkan rancangan itu di Parlimen. NGO terbabit turut meminta parti MCA dan Gerakan memaklumkan kepada kerajaan Pusat bahawa rancangan PAS tersebut tidak dipersetujui majoriti rakyat. Seramai 14 NOG tersebut adalah seperti berikut: Young Buddhist Association of Malaysia Malaysian Buddhist Consultative Council Pertubuhan Gerakan Belia Bersatu Malaysia Malaysia Graduates Youth Association Malaysia Christian Youth Association Persatuan Belia Xiang Lian Malaysia Young Malaysians Movement The Kuala Lumpur And Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH) Youth Section Buddhist Missionary Society Malaysia Vajrayana Buddhist Council Malaysia Theravada Buddhist Council of Malaysia Fo Guang Shan Malaysia Sasana Abhiwurdhi Wardhana Society Persatuan Penganut Agama Buddha Fo Guang Malaysia



Kini Orang Buta Boleh Membaca Buku Biasa
Buku Braille dicipta oleh Louise Braille pada tahun 1824 bagi membolehkan golongan buta membaca dengan menggunakan hujung jari mereka. Braille mencipta sistem bacaan ini selepas buta pada usia 15 tahun akibat sebuah kemalangan. Masalah utama buku Braille ialah ianya jauh lebih tebal, berat dan mahal berbanding buku biasa. Sebagai contoh sebuah Al Quran Braille dijual pada harga RM240. Ini adalah berpuluh kali ganda lebih mahal dari Al Quran biasa. Tidak kesemua buku yang ada di pasaran ada di dalam versi Braille dan ini menghadkan keupayaan membaca golongan buta. Sekiranya anda seorang buta yang ini melakukan kajian sarjana sebagai contoh, tidak ada jurnal kajian di dalam versi Braille. Jadi apakah yang boleh dilakukan bagi membantu golongan buta membaca buku-buku ini? Finger Reader ialah sebuah cincin yang boleh dipakai oleh orang buta bagi membaca buku biasa. Ianya adalah projek yang sedang dibangunkan Massachusetts Institute of Technology bagi memperkasakan golong buta dengan menggunakan teknologi pengenalan teks. Finger Reader mempunyai kamera yang mengimbas bahagian buku yang ditunjuk jari si pembaca buta dan kemudian menukarkan teks kepada suara menggunakan perisian khas. Buat masa ini prototaip Finger Reader masih lagi terlalu besar dan tidak cukup praktikal untuk digunakan di dalam dunia sebenar. Tetapi kami percaya dengan penambahbaikan ianya boleh dikecilkan dan menjadi teknologi boleh-pakai untuk golongan buta.


Dipenjara 20 Tahun Rogol Kanak-Kanak
PETALING JAYA – Seorang penghantar piza hari ini dipenjara 20 tahun dan dikenakan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini setelah didapati bersalah merogol anak bekas teman wanitanya yang berusia lima tahun, Julai tahun lalu. Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati Hamdan Ahadluddin, 53, bersalah merogol kanak-kanak perempuan itu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan. “Mahkamah berpendapat pembelaan tertuduh adalah penafian semata-mata. Oleh itu, tertuduh didapati bersalah seperti mana dalam pertuduhan,” katanya. Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 2 Julai 2013. Hamdan didakwa merogol kanak-kanak perempuan itu di sebuah rumah di Lembah Subang, Petaling di sini pada Mei 2013. Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan. Terdahulu peguam PG Cyril yang mewakili Hamdan memohon hukuman ringan dengan alasan anak guamnya itu yang sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak telah memberikan kerjasama sepanjang siasatan dilakukan oleh pihak polis. Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aishah Ahmad Zakiuddin, pula berkata mahkamah perlu mengambil kira rekod kesalahan lampau iaitu rogol yang pernah dilakukan tertuduh pada 2005 sebelum menjatuhkan hukuman. “Tertuduh tidak pernah insaf meskipun mempunyai rekod kesalahan lampau dan dia masih melakukan kesalahan yang sama (rogol) terhadap kanak-kanak itu yang sepatutnya perlu dilindungi olehnya,” kata Nur Aishah. Tujuh saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan termasuk tertuduh dipanggil memberi keterangan. – BERNAMA


Himpunan 1 Mei Bermula Di Jalan Raja
KUALA LUMPUR – Himpunan 1 Mei akan bermula di Jalan Raja di sini dan melintasi Dataran Merdeka tanpa memasuki kawasan padang berkenaan, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu. Beliau berkata, perkara yang diputuskan dalam pertemuannya dengan Ketua Polis Daerah Dang Wangi itu menetapkan himpunan brmula pukul 2 petang itu akan menggunakan laluan sama seperti sambutan kemerdekaan negara. “Jalan itu akan ditutup dan orang ramai yang menyertainya akan bergerak ke Masjid Negara, Sogo, Dataran Maybank dan KLCC. “Tidak ada perarakan cuma berjalan menuju ke Dataran Merdeka melalui Jalan Raja di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad. “Bagaimanapun, akan ada ucapan dan sepanduk yang berkatian GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan), penyelewengan dan lain-lain,” katanya mengenai Demo GST di Dewan China Selangor, Rabu. Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka hadir, termasuk Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kayat, Naib Presiden PKR Tian Chua serta aktivis pembangkang Hishamuddin Rais. Bagaimanapun, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam kenyataannya berkata, perhimpunan itu sesekali tidak akan menimbulkan provokasi sehingga boleh mendatangkan ketegangan. Bagaimanapun, ia dilihat bertentangan dengan gesaannya bahawa PKR bertegas selagi tidak wujud perubahan ketara yang menjadi jurang antara golongan kaya dan miskin serta akan bersungguh-sungguh menentang GST kerana ia akan menambah beban rakyat. Malahan, beliau juga mengajak rakyat menyertai perhimpunan itu bersama PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat kerana parti itu percaya kewujudan pelbagai penguatkuasaan cukai adalah perkara besar yang membawa kesan mendalam kepada rakyat. Selain itu, Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar mengumumkan 60 buah bas dari Kedah akan turut menyertai himpunan ini. Sementara itu, jawatankuasa penganjur, S.Arutchelvan berkata, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) akan menghantar 30 wakilnya untuk menyakinkan polis bagi membenarkan himpunan ini. “Pada hari sama, di KLCC akan diadakan sambutan Hari Pekerja yang melibatkan 95 organisasi yang sudah pun menuntut GST dibatalkan. Kumpulan ini akan bergerak ke Dataran Merdeka. Mengulas lanjut, Tian Chua berkata, selepas beberapa kali mengadakan himpunan besar-besaran, akhirnya ia dilihat sebagai sesuatu yang demokratik dan hak asasi untuk rakyat. “Kita juga ingin menyampaikan penghargaan kepada polis yang menjalankan tugas dengan menyediakan kemudahan dan sentiasa bersedia untuk membantu orang awam, melaksanakan aktiviti mengikut lunas undang-undang dan hak perlembagaan. “Pada hakikatnya yang telah dinyatakan Akta Perhimpunan Aman 10 hari notis hanya panduan untuk memudahkan pihak polis buat kerja,” katanya. - mStar Online


Coqoon : Bantal Untuk Tablet
Adalah menjadi kebiasaan melihat sekurang-kurangnya satu tablet di setiap rumah pada masa kini. Tablet merupakan pengganti kepada komputer riba anda dan lebih mudah digunakan untuk melayari laman sesawang dan menonton video berbanding komputer riba. Kebiasaanya, anda memegang tablet sehingga menyebabkan kepenatan di bahagian lengan. Kini, anda tidak perlu risau lagi dengan wujudnya bantal tablet ‘Coqoon’ Bantal Tablet Coqoon merupakan bantal ideal bagi yang menggunakan tablet seperti iPad atau peranti tablet yang lain. Cagoon ialah bantal yang mempunyai tempat meletak tablet yang telah siap terbina. Ini memudahkan anda menggunakan tablet ketika duduk di atas kerusi atau bersandar di atas sofa. Ianya juga boleh berfungsi sebagai “beg udara” sekiranya tablet terjatuh ke atas lantai. Katakan selamat tinggal kepada tangan lenguh ketika menggunakan tablet kegemaran anda! Sumber: Coqoon


Remaja Maut Motosikal Dirempuh Lori
BESUT – Seorang remaja maut apabila motosikal yang ditunggani dirempuh sebuah lori setelah melanggar sebuah kenderaan lain di Jalan Jerteh-Kuala Terengganu, dekat Kampung Apal, tengah hari semalam. Mohd Ikmal Hafiz Awang, 18, berasal dari Kuala Kubang, Jabi meninggal dunia pada 8.16 malam tadi, iaitu kira-kira lapan jam selepas menerima rawatan di Hospital Besut akibat kecederaan parah di kepala. Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria, berkata dalam kejadian pada kira-kira 1 tengah hari itu, mangsa sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari Jerteh. Katanya, mangsa yang menunggang berseorangan mengekori sebuah kereta yang dipandu seorang wanita namun tidak dapat mengelak ketika kereta berkenaan berhenti memasuki simpang ke kanan jalan. “Motosikal yang ditunggangi Mohd Ikmal Hafiz terlanggar bahagian kanan belakang kereta berkenaan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan dirempuh sebuah lori yang datang dari arah Kuala Terengganu,” katanya kepada pemberita hari ini. Beliau berkata, pemandu wanita dan pemandu lori yang kedua-duanya berumur 40 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan. – BERNAMA


14 Militan Abu Sayyaf, 1 Marin Filipina Maut
MANILA – Pertempuran antara marin Filipina dan militan Abu Sayyaf yang melancarkan serangan mengejut bagi menawan semula satu kem latihan, menyebabkan 14 anggota kumpulan itu dan seorang askar marin terbunuh. Pertempuran sengit membabitkan tembakan grenad dan mortar itu meletus lewat malam tadi di kawasan pergunungan bandar Patikul di wilayah Sulu dan bertukar kepada tembakan curi selepas tengah malam. Menurut pegawai tentera, pasukan marin bantuan berjaya menggagalkan serangan oleh kira-kira 100 anggota Abu Sayyaf itu. Jurucakap marin, Kapten Ryan Lacuesta, berkata sekurang-kurangnya 14 militan terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam pertempuran selama tiga jam itu. Katanya, seorang anggota marin terbunuh manakala 19 lagi cedera, termasuk lapan parah. “Mereka cuba mengalahkan anggota marin kami untuk menawan semula kem itu tetapi kami mempunyai pasukan bantuan berhampiran dan sokongan udara. “Mereka beralih menggunakan mortar dan raifal grenad M203, menyebabkan kecederaan di pihak kami akibat terkena serpihan,” katantya. Kem Abu Sayyaf yang tersorok di kawasan hutan itu mempunyai kira-kira 50 pondok dan boleh menampung kira-kira 100 orang. Ia digunakan untuk melatih anggota baharu dan sebagai kawasan melancarkan serangan serta penculikan. Jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Ramon Zagala, berkata mereka menjangkakan kumpulan mlitan itu akan melancarkan serangan balas. – AP


Pelakon Wanita Berdarah Kacukan Mabuk Di Sydney?
Tak tahulah sejauh mana kebenaran ini. Namun menerusi portal Era FM, dikatakan seorang pelakon wanita berdarah kacukan dilaporkan mabuk di Sydney, Australia, baru-baru ini. Pelakon terbabit berada di sana kerana sedang menjalani penggambaran drama bersiri Silir Kasih Bella yang diarahkan Heykal Hanifah. Menurut sumber yang merupakan pelajar-pelajar Malaysia di sana, pelakon wanita tersebut kelihatan seperti tidak betul dan terjerit-jerit di tengah jalan raya dan sebuah restoran di sana. Selain pelakon tersebut, antara barisan pelakon lain ialah Cristina Suzanne dan Shahrizal Jaszle telah berada di Sydney selama 12 hari untuk menyiapkan rakaman drama itu. Siapakah pelakon wanita yang dimaksudkan? Kerana menerusi klue yang diberikan pelakon tersebut pernah mengalami kemalangan jalan raya beberapa tahun lalu akibat pengambilan alkohol berlebihan. Hmm, agak-agaknya siapa pelakon itu ya?


BERITA BAIK: Catuan Air Di Selangor, KL, Putrajaya Ditarik Balik Esok
KANGAR – Pelan catuan air peringkat 1, 2, 3 dan 4 di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang bermula pada 27 Februari lalu akan ditarik balik berkuatkuasa esok. Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Ismail Kasim, berkata mulai esok, pengguna air di kawasan terbabit dapat menikmati bekalan air seperti biasa. Sementara itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, dijadualkan mengumumkan perkaa itu di Shah Alam petang ini. Keputusan menarik balik pelan catuan air itu disahkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi menerusi satu surat rasmi bertarikh 29 April 2014. Dalam surat itu, Mohammed Khusrin menyatakan perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Air Negeri Selangor Mengenai Catuan Bekalan Air yang dipengerusikan oleh Menteri Besar kelmarin. Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Setiausaha Kanan Kementerian Teknologi Hijau dan Air, Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), wakil daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor serta wakil Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS), Puncak Niaga Sdb Bhd (PNSB), Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dan Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS). “Walaupun paras Empangan Sungai Selangor masih belum mencapai 50 peratus, namun berdasarkan kepada pelan kontigensi yang disediakan dan dengan terdapatnya lebihan air mentah di Sungai Selangor berikutan hujan yang turun beberapa hari ini, kerajaan negeri bersedia supaya pelan catuan air ditarik balik berkuatkuasa 1 Mei 2014,” katanya. - BH Online


Penyair Terkenal Saudi Puji Cara Malaysia Layan Wanita
Penyair terkenal Arab Saudi Nimah Ismail Nawwab memuji cara Malaysia melayan wanita dan golongan belia dengan memberi peluang kepada mereka untuk memainkan peranan penting dalam pembangunan negara. Nimah berkata beliau kagum dengan hak serta peluang yang diberi kepada mereka. Malaysia boleh menjadi model untuk Arab saudi dari segi memastikan wanita dan belia memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat, katanya kepada Bernama selepas menghadiri syarahan umum di Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) di sini hari ini. Syarahan anjuran IAIS dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) itu bertajuk ‘Wanita dan Belia di Arab Saudi: Hakikat Semasa’. Nimah berkata: “Perkara paling menarik tentang Malaysia yang saya dapati ialah kepelbagaian agama yang ada di sini. “Malaysia patut berbangga dengan kedudukannya sebagai negara Islam, wanita dan belianya boleh melibatkan diri untuk merancang dan menyertai usaha membangunkan negara. Ini sesuatu yang amat mengagumkan. “Saya tahu wanita dan belia di Malaysia telah mencapai kemajuan besar dan mereka terus mencari lebih banyak peluang, saya rasa ini sesuatu yang amat baik bagi Malaysia,” katanya.

No comments:

Post a Comment