Tuesday, June 3, 2014
Berita Terkini 03 June 2014
TOP
Gadis Terbunuh Jatuh Dari Tingkat Tujuh Di Cheras
Pada 2 Jun 2014 jam lebih kurang 4.07 petang pihak polis telah menerima maklumat menyatakan ada orang jatuh dari bangunan Pusat Komuniti, Bandar Tun Razak. Sebaik sahaja menerima maklumat tersebut pihak polis telah bergegas ke tempat kejadian. Hasil siasatan awal pihak polis di tempat kejadian percaya mangsa didapati terjatuh dari tingkat 7 bangunan tersebut. Saksi awam yang berada berhampiran tempat kejadian sebelum itu nampak mangsa kelihatan sedang berjalan seorang diri. Keadaan mangsa ketika ditemui dalam keadaan tertiarap. Mangsa dikenali sebagai Woo Kwan Ti (P) berumur 26 tahun dan masih bujang, tinggal di Taman Mulia Bdr Tun Razak Cheras KL. Simati juga tidak bekerja. Menurut keterangan emak mangsa, simati ada mengalami sakit psikiatri sejak 5 tahun yang lalu dan sering mendapatkan rawatan ulangan di PPUKM. Simati juga sebelum ini pernah beberapa kali cuba membunuh diri tetapi dapat diselamatkan oleh ahli keluarganya. Mayat simati telah dibawa ke PPUKM pada 3/6/14 untuk tujuan bedah siasat. Kes telah diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Sumber: Facebook Daily Traffic Report
TOP
Bukan Serbu, Cuma Periksa Betulkah Pengantin Itu Islam
Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menafikan pegawai penguatkuasanya menyerbu dan mengganggu upacara perkahwinan Hindu di sebuah kuil di Petaling Jaya kerana mengesyaki pengantin perempuannya beragama Islam. Timbalan Ketua Pengarah Jais, Ahmad Zaki Arshad, berkata pihaknya datang ke kuil hanya untuk menjalankan siasatan dengan mengambil keterangan pengantin perempuan untuk mengesahkan taraf agamanya. Ahmad Zaki berkata, tindakan Jais itu mengikut prosedur selepas menerima aduan daripada orang ramai. “Itu bukan serbuan atau operasi. Kita hanya datang buat pemeriksaan biasa sahaja tanya pemilik kad pengenalan betulkah dia beragama Islam,” katanya kepada The Malaysian Insider. Untuk menggelakkan orang awam membuat kesimpulan sendiri Ahmad Zaki berkata, kes itu masih dalam siasatan dan setakat ini jabatan itu hanya memanggil pengantin perempuan hadir ke pejabat Jais di Shah Alam bagi membantu siasatan. “Tiada isu hendak tuduh dia murtad. Jais belum buat kesimpulan lagi. Tunggu kenyataan rasmi selepas kita habis siasat,” katanya. Beliau berkata, Jais tidak ada hak mengenakan hukuman terhadap seseorang hanya kerana individu itu mempunyai nama Islam. “Susahlah kalau contohnya Rafael Nadal (pemain tenis antarabangsa) datang Malaysia dan pergi ke gereja kita kena siasat sebab nama dia Islam. Jadi jangan cepat sangat buat kesimpulan,” katanya. Dilaporkan kira-kira 50 tetamu yang menghadiri upacara perkahwinan di sebuah kuil di Jalan SS 1/25 Petaling Jaya pada Ahad tercengang dengan kehadiran empat penguatkuasa Jais dan 10 anggota polis ke majlis berkenaan. Semakan terhadap MyKad pengantin perempuan itu menunjukkan beliau merupakan seorang Islam dan Jais membawanya untuk disiasat sebelum dibebaskan. Jais menyiasat mengikut Enakmen Ugama Bukan Islam Selangor (Kawalan Penyebaran Kepada Umat Islam) 1988 yang menghalang bukan Islam menarik penganut Islam keluar agama dan memberikan kuasa kepada Jais bertindak tanpa waran. Pengantin perempuan terbabit bagaimanapun dilaporkan berkata, dia didaftarkan oleh bapanya sebagai Islam di luar pengetahuannya dan membesar dengan anutan Hindu. “Dia tak sedar bapanya daftarkan dirinya dan tiga beradiknya sebagai Islam. Dia hanya sedar selepas saudaranya menunjukkan sijil kelahirannya,” lapor Sinar Harian memetik sumber Jais. Akhbar itu juga melaporkan pengantin itu pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menukar status agama dua kali pada 2007 dan April lalu tetapi gagal kerana tidak memperoleh tandatangan bapanya. Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) mengecam tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu dan mengganggu upacara perkahwinan yang membabitkan seorang pengantin beragama Islam di kuil Hindu di Petaling Jaya semalam. Pengerusi Hindraf, P Waytha Moorty berkata, tindakan Jais mencampuri urusan adat budaya agama Hindu itu melanggar Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh hak kebebasan beragama penganut bukan Islam. Sumber: The Malaysian Insider
TOP
SEGERA: Siasatan Kenalpasti Individu Bocor Ujian Makmal
Siasatan akan dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung kontroversi dua produk cokelat Cadbury dikaitkan dengan DNA babi atau ‘porcine’ yang mencetuskan keresahan serta kekeliruan di kalangan orang ramai, khususnya umat Islam di negara ini. KKM akan mengadakan siasatan dalaman bagi mengenalpasti individu yang bertanggungjawab menyebarkan dokumen laporan sulit ujian makmal KKM tentang hasil analisa ke atas dua sampel produk cokelat Cadbury yang diambil secara rambang di pasaran pada 23 Mei lalu. Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Hilmi Yahya berkata, laporan awal analisa itu tidak tepat dan penyebarannya kepada umum secara terburu-buru mengakibatkan kekecohan di kalangan masyarakat negara ini yang majorinya beragama Islam. “Kami akan membuat siasatan dalaman. “Mereka terburu-buru mengeluarkan laporan awal itu sebelum siasatan lanjut melibatkan produk tersebut dilakukan semula,” kata Dr Hilmi kepada media selepas merasmikan Persidangan Persatuan Hospital Swasta Malaysia, Selasa. Sumber: BNBBC
TOP
Dyana Sofya Tidak Bercadang Keluar Dari Parti DAP
KUALA LUMPUR – Calon DAP bagi pilihan raya Kecil (PRK) Teluk Intan yang baru berlalu, Dyana Sofya Mohd Daud, menafikan akan meninggalkan parti DAP ekoran kekalahan beliau. Dyana Sofya berkata DAP ialah parti pelbagai kaum dan akan terus berada dalam parti itu untuk meneruskan perjuangan politiknya. “Saya akan tetap berjuang bersama DAP, tiada cadangan keluar daripada DAP setakat ini. Jika ada yang menganggap saya kecewa dan akan keluar (DAP), mereka salah,” katanya kepada pemberita ketika waktu rehat Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik ke-28 di sini hari ini. Dyana Sofya merupakan seorang daripada peserta persidangan itu. Semalam, bekas Naib Pengerusi DAP Tunku Abdul Aziz Ibrahim, berkata beliau percaya Dyana Sofya akan meninggalkan parti pembangkang itu. Tunku Abdul Aziz berkata beliau membuat ramalan itu berdasarkan pengalaman sendiri ketika bersama DAP. Dyana Sofia, 27, tewas dengan majoriti 238 undi kepada calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mah Siew Keong, 53, pada PRK Teluk Intan Sabtu lepas. Sumber: Bernama
TOP
Anak Perempuan Nekad Terjun Dari Kereta Bapanya Yang Dicuri
Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun bertindak nekad terjun keluar dari sebuah kenderaan yang dilarikan penjenayah dalam kejadian di Keramat AU3, di sini, Isnin. Kanak-kanak itu yang berbuat demikian ketika kenderaan jenis Mitsubishi Triton tersebut mula bergerak, mengalami cedera ringan di pinggang, tangan dan kaki, kata Ketua Polis Ampang Jaya ACP Khairuldin Saat kepada BERNAMA. Katanya kejadian berlaku pukul 12.30 tengah hari ketika bapa mangsa meninggalkan anaknya di dalam kenderaan tanpa mematikan enjin berhampiran sebuah bengkel. Suspek yang berbadan kurus tinggi dan dipercayai warga tempatan berusia dalam 30-an dilihat turun dari sebuah kereta jenis Proton Persona berwarna kelabu sambil bercakap menerusi telefon bimbit, sebelum melarikan kenderaan tersebut, katanya. Khairuldin berkata bapa mangsa yang menyedari kejadian cuba menghalang namun gagal menghalang suspek daripada melarikan kenderaannya. Kanak-kanak itu ditemui bapanya kira-kira 700 meter dari lokasi kejadian, katanya. Sementara itu, penganalis jenayah Datuk Akhbar Satar mengingatkan ibu bapa supaya tidak bersikap sambil lewa dalam soal keselamatan anak. “Jenayah berlaku kerana ada peluang untuk penjenayah…selagi ibu bapa tidak peka tentang keselamatan anak mereka, kejadian seumpama ini akan terus berlaku walaupun media sering memaparkan isu-isu sebegini,” katanya kepada BERNAMA. Sumber: Bernama
TOP
Sampel Cadbury Yang Ada DNA Babi Mungkin Telah Tercemar
Kementerian Kesihatan tidak menolak kemungkinan berlaku pencemaran terhadap kedua-dua sampel coklat Cadbury yang diambil di pasaran untuk dianalisis di makmal sebelum ini. Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kedua-dua sampel coklat yang dikesan mengandungi DNA babi (porcine) itu memang diambil di pasaran, bukan dari kilang dan kemungkinan berlaku pencemaran mungkin ada. “Keputusan itu masih positif, tetapi kemungkinan sampel berkenaan diambil dari tempat yang tercemar tidak boleh diketepikan, dan kami tidak meragui ujian makmal itu tetapi sampel itu tidak diambil dari kilang,” katanya kepada Bernama hari ini. Dr Noor Hisham berkata Kementerian dalam pada itu akan menyiasat untuk mengenal pasti punca pencemaran berkenaan. Sehubungan itu Kementerian dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengeratkan kerjasama dalam pemantauan dan usaha bersama untuk menyeragamkan penilaian makmal kepada tanda aras yang disahkan oleh Standard Malaysia seperti yang telah dinyatakan, katanya. Pada 24 Mei lepas, Kementerian Kesihatan mengeluarkan kenyataan bahawa ia telah mengesan ‘porcine’ atau DNA babi dalam coklat susu dan kacang Hazel serta coklat susu dan badam bagi kelompok produk itu bertarikh luput 13 Nov 2014 dan kelompok bertarikh luput 15 Jan 2015. Jakim pula semalam mengesahkan dua sampel produk coklat berkenaan yang diambil terus dari kilang syarikat itu disahkan oleh makmal Jabatan Kimia, tidak mengandungi DNA babi. Sumber: Bernama
TOP
Kastam Rampas Dadah RM2.93 Juta Di KLIA
SEPANG – Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), berjaya menggagalkan dua cubaan menyeludup dadah jenis methamphetamine sebanyak 15.44 kilogram dianggarkan bernilai RM2.93 juta. Pengarah KDRM KLIA, Datuk Chik Omar Chik Lim, berkata cubaan seludup itu dilakukan oleh dua lelaki warganegara Uzbekistan dan Nigeria melalui balai ketibaan penumpang antarabangsa KLIA, di sini, pada Jumaat dan Sabtu lalu. “Modus operandi yang digunakan suspek pertama adalah dengan menyorok barang kes dalam bagasi menggunakan serbuk kopi dan suspek kedua menggunakan ruangan khas atau rahsia dalam bagasi demi mengaburi mata pihak berkuasa. “Kes disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati mandatori,” katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.
Sumber: BH Online
TOP
Awasi Taktik Ah Long Rekrut Pelajar - Polis
Mun Phing (tengah)menurunkan poster Ah Long pada Selasa di Shah Alam.
SHAH ALAM: Kegiatan Ah Long dikesan merekrut pelajar untuk mengedarkan risalah atau menampal poster dengan menawarkan sejumlah wang saku untuk mengisi masa lapang pada musim cuti persekolahan. Walaupun belum ada tangkapan setakat ini, pihak polis sudah mengenal pasti lokasi kegiatan berkenaan dan kini sedang mempergiatkan pemantauan. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor, Asisten Komisioner Chong Mun Phing berkata, pembabitan pelajar dalam kegiatan ini adalah salah di sisi undang-undang. "Dalam undang-undang, sesiapa yang membantu kegiatan Ah Long adalah satu kesalahan. "Walaupun belum terima sebarang laporan, pihak kami tahu mengenai perkara ini dan saya berharap ibu bapa memantau kegiatan harian anak-anak mereka," katanya ketika mengikuti 'Operasi Vulture' di sekitar Shah Alam pada Selasa. Mun Phing berkata, sesiapa yang didapati bersalah boleh didalwa mengikut 29AA Seksyen 5 Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 dan dihukum penjara dua tahun dan denda sehingga RM20,000 jika disabitkan kesalahan. "Bagi yang menjalankan aktiviti Ah Long pula boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 5(2) akata sama," katanya. Beliau berkata, sehingga kini 29 tangkapan membabitkan Ah Long dibuat, manakala 38 kes dibuka untuk siasatan lanjut. "Di Shah Alam, kawasan Taman Sri Muda menjadi tumpuan Ah Long kerana faktor pendatang asing yang ramai serta pekerja kilang. "Kami dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) serta Pertubuhan Bukan kerajaan (NGO) akan cuba mengurangkan aktiviti Ah Long ini daripada terus berleluasa," jelasnya. Selain itu, Pengawai Penguatkuasa MBSA, Hairul Hanif Abu Taib berkata, pihaknya membuat empat tangkapan dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini berkaitan kes merosakkan harta benda awam atau vandalisme. Katanya, daripada jumlah itu, seorang membayar denda, manakala tiga lagi dalam proses penawaran kompuan dan boleh didakwa jika gagal berbuat demikian. "Selain itu, sebanyak 35,000 bunting diturunkan tahun ini dengan purata 7,000 sebulan," katanya. Ops Vulture yang dijalankan pada Selasa melibatkan 110 orang termasuk pihak polis, MBSA dan NGO. Sumber: mStar
TOP
GAMBAR: Sanggup Tidur Luar Butik Demi Tudung Fareeda
Di sebalik pelbagai kontroversi yang menyelubungi tudung Fareeda terutama pertikaian tentang tudung yang dikatakan singkat dan tidak memenuhi syariat, jenama ini terus gah menempa nama di negara ini. Malah tak keterlaluan dikatakan, minat terhadap tudung ini mencetuskan fenomena yang biasanya hanya berlaku apabila jenama terkemuka dunia seperti Apple atau Samsung melancarkan produk baharu. Bayangkan demi mendapatkan koleksi terbaru Fareeda, ada yang sanggup tidur di luar butik dan beratur dari pagi sampai ke petang. Dan oleh sebab ruang butik yang terhad tetapi pelanggan terlalu ramai, sistem angka giliran terpaksa diperkenalkan. Ya, sampai begitu sekali!
Berikut antara komen pelanggan Fareeda sekaligus membuktikan kesanggupan sesetengah wanita beratur dan menunggu berjam-jam demi mendapatkan tudung jenama ini: Situasi ini pula bukan hanya melanda di Bandar Baru Bangi tapi di semua butik Fareeda termasuk di Kelantan dan Pulau Pinang.
Lihat sahaja gambar-gambar di bawah yang boleh membuatkan sesiapa sahaja yang tidak biasa pasti melopong melihat kegilaan peminat tudung ini.
Paling tak tahan, ada yang sanggup sampai tidur di luar butik semata-mata mahu jadi orang terawal mendapatkan tudung terbaru jenama ini! Apa pun, tahniah diucapkan kepada Fareeda kerana berjaya mencetuskan fenomena tersendiri di negara ini. Ia menjadi bukti produk yang bagus akan ‘bercakap dengan sendiri’ dan inilah yang dibuktikan oleh tudung Fareeda yang sentiasa tampil dengan rekaan segar dan tersendiri. Sumber: Rem Ramzi / Mynewshub
TOP
“Saya Akan Lepaskan Emma” – Zizan Razak
Pelakon dan pelawak Zizan Razak berasa pelik bagaimana boleh timbul isu kekasihnya, Emma Maembong diberitakan bakal disaman oleh pihak pengurusan WireFame Entertainment (WFE). Sedangkan dia selaku pemilik bersama syarikat tersebut kurang jelas dan tidak tahu menahu mengenai hal itu. “Saya pun sebenarnya pelik macam mana cerita saman itu boleh timbul. Setahu saya kalau diikutkan, kontrak Emma tamat sehingga bulan Jun ini. Jadi kenapa pula ada keluar cerita saman ini. “Bagi saya, pihak pengurusan sepatutnya tak perlu lah nak besar-besarkan lagi perkara yang dah hampir nak selesai. Kontrak Emma pun dah hampir tamat”, kata Zizan ketika diminta mengulas mengenai hal tersebut ketika ditemui pada majlis Astro Meraikan Media yang diadakan di hotel Le Meridien, Kuala Lumpur, semalam. Menyatakan yang dia tidak menyokong mana-mana pihak, bintang filem ‘Abang Long Fadil’ itu bagaimanapun berharap agar konflik di antara Emma dan WFE tidak berpanjangan dan dapat diselesaikan secara baik. Malah kata Zizan, kalau ditanyakan keputusannya selaku pemegang saham dalam syarikat tersebut, dia bersedia untuk membebaskan pelakon cantik Emma Maembong daripada syarikat sebaik saja tempoh kontrak Emma dengan WFE betul-betul tamat. “Bagi saya, daripada menyusahkan kedua-dua pihak dan mungkin akan timbul lagi macam-macam masalah, saya akan release-kan (lepaskan) Emma. Saya harap perkara ini boleh selesai secara baik lah. “Saya sendiri hendak berjumpa dengan pihak WFE untuk membincangkan beberapa perkara yang melibatkan diri saya. Sayangnya buat masa ini saya tidak ada ada peluang lagi kerana jadual saya terlalu padat”, ujarnya yang kini telah menjadi artis naungan Astro. Zizan yang dahulu juga merupakan artis dibawah naungan WFE, difahamkan sehingga kini masih kekal sebagai pemilik saham terbesar syarikat berkenaan iaitu sebanyak 70%. Sementara ditanya mengenai perkembangan hubungan dengan Emma, jejaka kelahiran Terengganu ini berkata dia ada memikirkan untuk menyunting aktres itu menjadi isterinya namun setakat ini tiada sebarang perbincangan yang serius. “Tarikh kahwin tak ada lagi. Belum bincang apa-apa lagi. Saya sibuk dengan kerja saya, dia sibuk dengan kerja dia. Lagipun hal ini bukan tentang kami berdua sahaja tapi melibatkan kedua-dua belah pihak keluarga”, katanya yang turut meluahkan rasa gembira kerana ramai peminat yang merestui hubungan mereka berdua. Sumber: Malaysian Digest
TOP
Huntley Mungkin Cedera, Kata Pakar Mencari Dan Menyelamat
Operasi mencari Gareth Huntley diteruskan. Foto AZMIN GHANI / THE STAR
PETALING JAYA: Besar kemungkinan warga Britain, Gareth Huntley tidak akan hilang begitu lama melainkan dia mengalami kecederaan ketika sedang melakukan 'jungle trekking' ke air terjun Lubuk Teja di Pulau Tioman. Pakar mencari dan menyelamat, Mejar (Rtd) Murali Bhaskaran berkata, berdasarkan pengalamannya sendiri di Pulau Tioman, Huntley tidak akan hilang begitu sahaja kerana terdapat banyak laluan yang menuju ke pantai di mana dia begitu mudah untuk dijumpai. "Terdapat satu jalan di sepanjang 'jungle trek" dari Kampung Tekek ke Kampung Juara. Jika dia tidak hilang atau sesat, dia akan mudah untuk melalui jalan tanah itu," katanya. Murali berkata, Huntley mungkin tersesat jalan dan cuba untuk mencari jalan pulang apabila dia tergelincir dan mungkin boleh mencederakan dirinya, menyebabkan pergerakannya terbatas. "Walaupun ia hanya sebuah pulau yang kecil, tetapi hutan begitu tebal dan sebahagian laluan trek begitu lincin sekiranya cuaca agak buruk," katanya. Beliau berkata, walaupun Huntley hilang sejak 27 Mei lalu, lelaki berusia 34 tahun itu boleh hidup di dalam hutan selagi ada bekalan air tawar dan makanan berdekatan. Sementara itu, keadaan operasi yang tidak begitu baik, malah buat anggota pasukan mencari yang mengalami kecederaan sewaktu melakukan usaha bagi mencari Huntley yang hilang. Tetapi tanpa sebarang kesan warga Britain itu selepas seminggu kehilangannya, pihak berkuasa berkata, mereka akan terus melakukan pencarian malah berkhemah di dalam hutan. "Apa sahaja akan dilakukan untuk mencari orang yang hilang. "Keadaan (pencarian) begitu sukar tetapi saya percaya semua orang mahu meneruskan usaha ini supaya Huntley dijumpai," kata Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Menyelamat Pahang, Alimaddia Bukri. Sumber: mStar
TOP
PAC Mahu SPRM Siasat Projek Terbengkalai Berkaitan PDRM
PETALING JAYA – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) campur tangan bagi menyiasat isu projek terbengkalai berkaitan polis hingga memberi imej buruk terhadap kerajaan. Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, kegagalan menyiapkan projek-projek kerajaan menimbulkan pelbagai keraguan dan persepsi negatif terhadap tender projek terbabit. “Jabatan Audit Negara perlu melakukan audit terhadap 14 projek terbengkalai termasuk pembinaan Ibu Pejabat Polis Kontijen Johor yang gagal disiapkan mengikut jadual. “Saya juga akan menghubungi Ketua Pesuruhjaya SPRM bagi menyiasat perkara ini jika berlaku kecuaian, ketirisan dan penyelewengan sehingga menyebabkan ia gagal disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa. Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang melahirkan kekecewaan kerana terdapat sekurang-kurangnya 14 projek polis di seluruh negara yang bernilai kira-kira RM1 bilion sedang tertangguh. Mengulas lanjut Nur Jazlan berkata, isu kelewatan pembinaan infrastruktur kerajaan tidak boleh dipandang ringan kerana ia membabitkan kepentingan rakyat. “Saya tidak faham mengapa soal kelewatan pembinaan projek kerajaan terus berlaku di negara ini, kita bukan baharu membina bangunan kerajaan sebaliknya sudah lebih lima dekad sejak merdeka, jadi mengapa berlaku kelewatan? “Dimanakah salahnya dan siapakah yang bersalah…seseorang perlu memberikan penjelasan dan memikul tanggungjawab terhadap kelewatan ini,” katanya. Selain itu Nur Jazlan yang juga Ahli Parlimen Pulai itu berkata PAS akan memanggil semua pihak terbabit bagi memberi keterangan dan membantu siasatan jawatankuasa bebas itu. “PAC juga mahu tindakan tegas diambil kepada kontraktor yang gagal menyiapkan projek berkenaan mengikut jadual termasuk menyenaraihitamkan syarikat terbabit daripada mendapat semua projek kerajaan,” katanya. Sumber: mStar
TOP
Apa Yang Dimaksudkan ‘Berpakaian Tetapi Telanjang’?
Ini yang dikatakan dunia akhir zaman. Seperti yang kita lihat pada zaman sekarang perempuan tidak lagi menitikberatkan aurat. Aurat wanita adalah dari hujung rambut sehingga hujung kaki kecuali telapak tangan dan muka, manakala aurat bagi lelaki pula dari pusat sehingga lutut. Wanita hendaklah menutup kepala dan belahan dada mereka dengan sempurna seperti firman Allah: “Katakan kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutup kain tudung ke dadanya…” (Surah an-Nuur, ayat 31) Ramai wanita zaman sekarang yang berpakaian, tetapi bertelanjang. Maksudnya, mereka berpakaian, tetapi pakaian itu ketat dan nipis seperti tidak berpakaian kerana terserlah susuk tubuh dan warna kulit kepada bukan muhrim. Islam tidak mengharamkan fesyen seperti selendang asalkan ia labuh menutupi dada dan tidak nipis sehingga menampakkan bayangan rambut serta telinga.
Tak tutup kaki
Bertudung bulat ataupun sebaliknya, tidak penting asalkan menutup aurat mengikut syariat Islam. Kebanyakan wanita memakai tudung yang singkat dan jarang sehingga menampakkan rambut dan telinga. Mereka menganggap pemakaian tudung hanya trend tanpa memikir dosa membuka aurat. Ramai wanita menganggap kaki bukan aurat kerana menutup anggota lain dengan sempurna, tetapi tidak memakai sarung kaki atau stokin. Fesyen terbaharu sekarang adalah pemakaian sanggul tinggi. Mereka walaupun kelihatan memakai tudung, tetapi sebenarnya memberi helah bagi membuktikan rambut panjang dan hendak menarik pandangan lelaki. Mereka bukan ikhlas bertudung bagi memenuhi suruhan Allah dan ibadat, tetapi sebaliknya. Seperti hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Dua golongan dari ahli neraka yang aku belum melihat kedua-duanya iaitu; kaum yang membawa cambuk seperti ekor lembu untuk memukul manusia dengannya dan wanita berpakaian, tetapi bertelanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepadanya. Kepala mereka umpama bonggol unta yang senget. Mereka ini tidak akan dapat memasuki syurga dan tidak akan mencium baunya iaitu bau syurga dapat dicium dari jarak perjalanan sekian-sekian jauh.” (Syarh Shahih Muslim) Hadis ini dikemukakan Imam an-Nawawi dalam kitab Sahih Muslim.
beliau menyebut: “Makna bonggol unta itu ialah wanita yang membesarkan kepala dengan tudung. Mereka meletakkan apa saja bagi membesarkan kepala sehingga seolah-olah kelihatan kepala mereka bagaikan bonggol di atas unta.” Namun, jika rambut memang panjang lalu diikat sehingga kelihatan sanggul, maka ia dimaafkan syarak. Diharamkan sekiranya meletakkan sesuatu selain daripada rambut sehingga kelihatan seperti sanggul buatan. Tambahnya lagi, perkara ini adalah bukti mukjizat kenabian, perkara ini telah terbukti pada zaman ini.” Namun, sekiranya rambutnya memang panjang lalu dia mengikat rambutnya sehingga kelihatan sanggul, maka dalam hal ini adalah dimaafkan oleh syarak. Diharamkan sekiranya meletakkan sesuatu selain daripada rambut sehingga kelihatan seperti sanggul buatan. Sumber: BH Online
TOP
“Gangnam Style” Mencapai 2 Bilion Tontonan Di YouTube
Video penyanyi terkemuka Korea, PSY – Gangnam Style, telah menjadi fenomena di seluruh dunia terutama yang sering melayari Youtube atau penggemar K-Pop. Apa yang menarik, perkataan ‘Oppa’ digunakan oleh perempuan untuk merujuk kepada lelaki yang lebih tua, yang bermaksud abang. Gangnam pula merupakan nama satu tempat di Korea yang bermaksud selatan “south of the river”. Selepas menjadi video pertama yang mencapai 1 bilion tontonan pada bulan Disember 2012 yang lepas, hari ini PSY sekali lagi mencatatkan sejarah tersendiri di platform YouTube apabila ia mencapai jumlah tontonan seluruh dunia sebanyak 2 bilion tontonan. Video PSY “Gangnam Style” sebelum ini telah dimuat-naik pada 15 Julai 2012 dan menjadi antara video yang popular pada tahun 2012 selain mencapai jumlah tontonan tertinggi dalam masa yang pantas. Seperti sebelum ini, pihak Google memaparkan sebuah ikon animasi khas bersebelahan dengan pengiraan jumlah tontonan untuk video berkenaan sebagai tanda meraikannya. Pengguna juga boleh klik pada ikon tersebut, dan ia akan memaparkan kiraan dalam masa-nyata pada bahagian atas halaman YouTube berkenaan.
Sumber: hzqahmd
TOP
HyppTV Tiada Hak Penyiaran FIFA World Cup 2014
Buat pengguna Unifi yang melanggan pakej HyppTV dan merancang untuk menonton siaran langsung kesemua 64 perlawanan akhir Piala Dunia FIFA di Brazil bulan depan, ada berita mengecewakan buat anda. Telekom Malaysia (TM) hari ini memberikan kenyataan, HyppTV tidak berjaya menerima hak penyiaran untuk Piala Dunia FIFA 2014, sekaligus bermakna ia tidak akan disiarkan melalui platform mereka. HyppTV merupakan perkhidmatan IPTV daripada TM yang ditawarkan bersama pakej UniFi dan juga Streamyx. Baru beberapa tahun memasuki pasaran, ia menjadi sebab mereka terlepas bidaan untuk hak penyiaran tersebut. Selain itu, HyppTV juga tidak berjaya mendapat kerjasama beberapa pihak lain untuk penyiaran perlawanan bola sepak yang dinantikan ramai itu melalui platform mereka. Sebagai contoh saluran RTM akan digelapkan di HyppTV ketika siaran Piala Dunia FIFA ditayangkan. TM mengakui agak kecewa dengan perkembangan ini memandangkan saluran RTM adalah berkonsepkan FTA (Free-To-Air) jadi ia sepatutnya dibuka untuk diakses melalui perkhidmatan HyppTV tanpa sebarang masalah. Prinsip saluran FTA sepatutnya percuma dan tidak perlu digelapkan seperti bakal dilakukan RTM. Di Malaysia, Astro mendapat hak eksklusif untuk siaran kesemua 64 perlawanan langsung bola sepak Piala Dunia FIFA 2014, sebaliknya RTM pula mempunyai hak penyiaran untuk 35 perlawanan langsung dan tertunda. Selain HyppTV, Media Prima juga tidak mendapat hak penyiaran untuk perlawanan Piala Dunia 2014, termasuk ABN Access. Sebagai ganti kekecewaan ini, HyppTV akan menawarkan beberapa kandungan secara percuma kepada pelanggan mereka termasuk saluran HyppTV 888 yang menyiarkan pelbagai filem Malaysia dari 12 Jun hingga 13 Julai dan juga saluran RTL CBS Extreme HD selama tiga bulan (bermula 1 Jun hingga 31 Ogos). Sumber: hzqahmd / Mynewshub
TOP
Zaman Lampard Di Chelsea Berakhir
Pemain England Frank Lampard mengumumkan hari ini akan meninggalkan Chelsea apabila kontraknya tamat akhir Jun nanti. Lampard, 35, mewakili Chelsea selama 13 tahun dan adalah penjaring gol terbanyak kelab itu. Dia menjaringkan 211 gol dalam 649 perlawanan. Sekurangnya 10 kelab lain termasuk QPR dipercayai berminat dengan Lampard. Lampard kini bersama England di Miami, Amerika Syarikat untuk dua perlawanan persahabatan sebelum bermulanya Piala Dunia di Brazil. Sumber: AFP
TOP
Try Zero G: Kongsi Idea Bersama Angkasawan Jepun
KUALA LUMPUR – Orang ramai dijemput menyertai Program ‘Try Zero G’ buat kali keempat anjuran Agensi Angkasa Negara (Angkasa) dan berpeluang berkongsi idea bersama Angkasawan Jepun di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS). Menurut kenyataan Angkasa di sini hari ini, program pendidikan itu memberi penekanan untuk berfikir secara kreatif dengan menggunakan aplikasi sains dan fizik yang mudah. “Orang ramai dijemput menyertai program ini dengan menyumbang idea dan cadangan aktiviti eksperimen yang sesuai untuk dijalankan di ISS,” menurut kenyataan itu. Angkasa percaya, menerusi program itu ia dapat memberi pendedahan dan pendidikan mengenai perbezaan ciri-ciri dan ruang persekitaran antara 0G (di ISS) dan 1G (di Bumi). “Angkasa berharap dengan adanya pertandingan ini ia akan membantu kerajaan untuk mendekatkan bidang sains dan teknologi kepada rakyat,” menurut kenyataan itu. Borang penyertaan boleh didapati di www.angkasa.gov.my/tryzerog/ dan cadangan perlu dihantar melalui pos atau e-mel atau mengisi borang penyertaan di laman sesawang sama, selewat-lewatnya, 31 Ogos ini. Untuk maklumat lanjut, hubungi Jong Tze Kian atau Asmidar Zainol di talian 03-2273 4303 atau layari laman sesawang Angkasa atau Facebook Angkasa. Sumber: Bernama
TOP
Lawatan Ke China Kukuh Hubungan Sosiobudaya
KUALA LUMPUR – Lawatan rasmi enam hari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke China baru-baru berjaya melangkaui hubungan diplomatik antara dua negara dan turut membuka hubungan baharu dalam sosiobudaya. Ahli Geostrategist Universiti Teknologi Malaysia Dr Azmi Hassan berkata hubungan Malaysia-China yang terjalin sejak 40 tahun lalu bersifat menyeluruh, meskipun ramai melihatnya dari sudut hubungan dagangan, ekoran kedudukan China sebagai kuasa ekonomi kedua terbesar dunia. Beliau menambah, hubungan dua negara ini lebih istimewa kerana telah dinaikkan statusnya kepada Perkongsian Strategik Komprehensif dengan tidak semata-mata tertumpu kepada hubungan ekonomi. “Walaupun China mempunyai perkongsian sama dengan negara lain seperti Eropah, Thailand dan Indonesia, hubungan dengan Malaysia lebih istimewa kerana kita lebih menekankan bidang perkembangan kebudayaan dan sosial, rakyat-ke-rakyat, yang berada pada peringkat minimum di negara lain,” katanya kepada Bernama di sini. Beliau berkata, sebagai contoh dari sudut ketenteraan, China antara negara yang digeruni dan mampu memberi tekanan kepada negara lain, namun hubungan baik Malaysia-China menyebabkan tekanan itu tidak dirasai, malah kedua-duanya memilih untuk memperkukuhkan hubungan dengan memeterai persefahaman pertahanan bagi mengadakan latihan ketenteraan. “Ini adalah antara keistimewaan dalam hubungan Malaysia-China, yang terjalin atas dasar saling percaya dan menghormati. Kita (Malaysia) adalah negara Asean pertama yang menjalin hubungan diplomatik dengan China membuktikan kita tidak memandang serong negara itu dan wajar hubungan ini terus dipelihara supaya terus harmonis untuk masa hadapan,” katanya. Najib mengadakan lawatan rasmi ke China bermula 28 Mei lalu dan beliau menyifatkan lawatan itu sebagai ‘amat berjaya’ dan optimis hubungan dua negara dapat dilonjakkan ke tahap lebih besar, terutamanya selepas Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri Li Keqiang menegaskan hubungan Malaysia-China sesuatu yang istimewa. Dekan Kolej Undang-Undang Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Ahmad Marthada pula berkata hubungan erat dengan China perlu terus disemai kerana ia antara lain mampu memberi impak positif kepada rakyat negara ini, seperti dalam sektor pelancongan. Beliau menambah, masyarakat China gemar ke negara ini kerana persamaan budaya, bahasa dan makanan dengan masyarakat Cina di sini, selain kedudukan Malaysia sebagai negara Islam menjadikan masyarakat Muslim China menjadikan negara ini sebagai destinasi pilihan. Pada tahun 2013, seramai 1.7 juta rakyat China melancong ke Malaysia dan jumlah ini diharap meningkat kepada 2 juta orang pada tahun ini, bersempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014. Bagaimanapun, industri pelancongan agak terkesan ekoran insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 pada 8 Mac lepas yang membawa 239 penumpang termasuk 153 warga China, semasa dalam perjalanan ke Beijing. Kehilangan pesawat itu menyebabkan program jerayawara TMM 2014 di Beijing dihentikan bagi menghormati perasaan rakyat China, namun reaksi positif dari lawatan Najib, menurut Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz membolehkan kempen pelancong di negara Tembok Besar itu disambung semula, dalam masa terdekat. Sementara itu, Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan Tan Sri Dr Rais Yatim berkata lawatan Najib ke China juga memberi implikasi positif terhadap perkembangan Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. “Ini adalah komitmen berterusan dalam mengiktiraf bahasa kebangsaan kita menerusi kerjasama dua hala dalam penyelidikan, penerbitan karya agung, pewujudan kajian dan bidang perkamusan,” katanya. Najib dalam lawatan itu merasmikan persidangan antarabangsa ‘Pengajian Melayu 2014 Hubungan Malaysia-China’ dan melancarkan tiga buku – Kamus China-Melayu Dewan, Kajian Bandingan Pantun Melayu degan Nyanyian Rakyat Tiongkok dan Eksplorasi Pengajian Melayu-China di Beijing Foreign Studies University. Pensyarah Jabatan Hubungan Antarabangsa Universiti Malaya (UM) Prof Datuk Mohamad Abu Bakar pula menyifatkan lawatan itu sebagai ‘terowong masa’ untuk mengimbas kembali dan memperkukuhkan hubungan yang bermula pada 31 Mei 1974 oleh Perdana Menteri kedua Malaysia, Tun Abdul Razak Hussein, yang juga ayah Najib. Mohamad berkata Malaysia dan China telah banyak menerima manfaat daripada hubungan selama 40 tahun, dan lawatan itu adalah perlu untuk memastikan hubungan itu ‘terus berada di landasan’ yang tepat, supaya ia tidak mudah goyah. Tambahnya, lawatan Najib juga penting untuk ‘mendamaikan’ China, supaya Malaysia tidak dilihat sebagai sebuah lagi negara Asia Tenggara yang menyebelahi Amerika Syarikat (AS) ekoran persepsi hasil lawatan Presiden Barrack Obama ke Malaysia pada April lalu. Sumber: Bernama
TOP
Pedang Rasulullah, al-Quran gergasi tarikan utama
ALOR SETAR - Pengunjung ‘Muslim Fest Malaysia’ berpeluang menyaksikan Pedang Rasulullah dan al-Quran bersaiz gergasi yang bakal menjadi tarikan utama sepanjang karnival berkenaan berlangsung dari Khamis hingga Ahad ini. Pengurus acara, Rosliza Majid berkata, penganjuran festival itu yang julung kali di negara ini oleh Muslim Fest Event dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) dan kerajaan negeri diadakan di pekarangan Stadium Darul Aman bermula jam 10 pagi hingga 11 malam. Menurutnya, festival itu bakal menampilkan konsep berbeza kerana menonjolkan aktiviti umat Islam yang santai tetapi pada masa sama boleh beribadat serta menimba ilmu. “Selain pameran, turut diadakan demonstrasi penyembelihan kambing, ayam, arnab dan burung puyuh oleh kakitangan Jaik. “Ibadat solat lima waktu secara berjemaah sepanjang program ini berlangsung turut dititikberat. Apabila azan dilaungkan semua aktiviti dihentikan bagi memberi peluang kepada orang ramai menunaikan solat berjemaah di tempat yang disediakan,” katanya. Rosliza berkata, pengunjung juga berpeluang menyertai aktiviti qiamullail yang bakal diimamkan, Imam Besar Masjid Zahir. “Orang ramai juga boleh mengunjungi gerai jualan produk halal, gerai agensi kerajaan yang mengambil bahagian seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan melihat pertandingan dekorasi kek, tulisan khat serta pertunjukan teh tarik. “Aktiviti untuk kanak-kanak juga disediakan seperti pertandingan mewarna, pertunjukan fesyen dan penampilan istimewa watak animasi Upin dan Ipin,” katanya. Menurutnya, aktiviti golongan belia pula termasuk sukan lasak dan pameran permotoran. “Pengisian lain yang menarik ialah ceramah agama oleh peserta program Pencetus Ummah Izzat Fathi Hisham, qasidah oleh pelajar sekolah tahfiz. “Beberapa artis akan membuat persembahan pada hari ketiga serta malam penutup antaranya Ainan Tasneem dan Hafiz Hamidun,” katanya. Majlis penutup akan disempurnakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada Sabtu malam. Orang ramai dijemput hadir beramai-ramai kerana ia adalah percuma. Sumber: Sinar Online
TOP
Lima Maut Tanah Runtuh Di Guatemala
GUATEMALA – Lima maut dalam satu kejadian tanah runtuh berikutan hujan lebat di Guatemala, kata pihak berkuasa. Menurut pihak berkuasa itu, penduduk di kawasan bandar itu digesa untuk mengambil langkah berjaga-jaga berikutan hujan kilat dijangka berterusan pada minggu ini. Pengarah Pejabat Kebangsaan bagi Pengurangan Bencana, Alejandro Maldonado berkata, satu kejadian tanah runtuh berlaku berikutan hujan lebat mengorbankan lima ahli keluarga pada hujung minggu di wilayah Huehuetenango. Beliau berkata, jiran-jiran keluarga itu dan pasukan penyelamat menyelamatkan anjing milik keluarga berkenaan selepas sebahagian badan haiwan itu ditimbus tanah selama lebih 18 jam. Maldonado berkata, beberapa sungai dengan arus yang deras telah memecah benteng sistem saliran, sekurang-kurangnya di empat wilayah barat negara itu. Bagaimanapun katanya, setakat ini tiada banjir besar yang dilaporkan oleh pihak berkuasa. Jabatan pendidikan telah menangguhkan sesi persekolahan di sembilan wilayah selama dua hari berikutan cuaca buruk itu. Sumber: AP
TOP
Padah abaikan keperluan haiwan
SEORANG pesara didapati bersalah kerana didakwa gagal memenuhi keperluan kesemua 26 ekor haiwan peliharaannya termasuk kucing, arnab dan anjing serta membiarkan ia hidup dalam keadaan kotor serta tidak terurus. Menurut Mail Online, ketika pemeriksaan Pusat Kebajikan Haiwan United Kingdom (RSPCA), pemilik rumah Raymond Coll, 66, pada awalnya menafikan dia tinggal di situ. Namun, siasatan mendapati dia tinggal di rumah itu bersama isterinya. Pegawai juga menemui beberapa ekor kucing di dalam sangkar yang berada di dalam sebuah bilik utiliti gelap tanpa laluan cahaya matahari, pengudaraan dan bekas minuman mahupun makanan. Pegawai RSPCA Louise Showering berkata kepada mahkamah, rumah itu berada dalam keadaan bersepah, semak dan kesemua haiwan sangat menyedihkan. “Keadaan di rumah itu sangat kotor dan persekitaran di sekelilingnya tidak sesuai untuk dijadikan tempat tinggal haiwan,” katanya. Kesemua haiwan itu kini ditempatkan di pusat jagaan haiwan. Sumber: Mail Online / Sinar Online
TOP
Wanita Dirogol, Dibunuh Dan Muka Dicurah Asid
BAREILLY – India dikejutkan lagi dengan kes rogol dan bunuh dengan mangsa terbaru melibatkan seorang wanita berusia 22 tahun. Mangsa bukan sahaja dirogol beramai-ramai, malah lebih kejam dia dicekik dan asid dicurahkan ke mukanya bagi mengelakkan identitinya dikenal pasti. Kejadian menakutkan dan kejam ini terbongkar selepas mayatnya yang dibuang di satu kawasan lapang di Aithpura, ditemui orang ramai. Polis kini sedang mengesan identiti mangsa. Manakala bedah siasat yang dijalankan semalam menunjukkan wanita itu dirogol, dipaksa minum asid dan dicekik. Wajahnya rosak teruk akibat kesan asid. Ia berlaku kira-kira 60 batu dari kawasan di mana dua beradik dirogol dan mayat mereka digantung di pokok, minggu lepas. Kejadian itu mengakibatkan penduduk mengadakan protes bagi menuntut polis mengambil tindakan segera. Sumber: AFP / Mynewshub
TOP
Warga emas maut dirempuh motosikal
Orang ramai dan polis melihat keadaan mangsa yang maut akibat dirempuh motosikal di Kilometer 3 Jalan Sitiawan-Kampung Acheh.
MANJUNG - Seorang penunggang basikal maut dirempuh sebuah motosikal dalam kejadian Kilometer 3 Jalan Sitiawan-Kampung Acheh dalam kejadian pagi semalam. Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Jaafar Baba berkata, kejadian pada jam 9.45 pagi itu berlaku apabila penunggang basikal dikenali sebagai K Kamachi, 62, cuba melintas jalan sebelum dirempuh motosikal yang ditunggang seorang pemuda berusia 22 tahun. Menurutnya, penunggang motosikal yang datang dari arah Sitiawan menuju ke Kampung Acheh tidak dapat mengelak mangsa sedang melintas jalan dan melanggar warga emas itu sebelum terbabas ke bahu jalan. “Akibat rempuhan itu, mangsa mengalami cedera parah dan maut di tempat kejadian manakala penunggang motosikal pula hanya cedera ringan,” katanya. Beliau berkata, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang wanita berusia 32 tahun ditemui mati dalam keadaan tergantung di sebuah pondok di dalam kebun sawit peringkat 13 Felcra Changkat Lada di sini, Sabtu lalu. Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata, mayat wanita itu ditemui abangnya kira-kira jam 6 petang pada hari kejadian. Menurutnya, ketika kejadian, abang mangsa mencari motosikal ditunggang wanita itu sebelum menjumpai mayatnya tergantung di pondok berkenaan. “Polis sudah menerima laporan mengenai kejadian itu dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat. Sumber: Sinar Online
TOP
Polis Harap Min You Ditemui Semula
KOTA KINABALU – Polis masih berharap agar dapat menemui Low Min You kerana kes kehilangan kanak-kanak itu masih lagi dalam siasatan. Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata tiada petunjuk kanak-kanak berusia tiga tahun itu dicederakan. “Ya, kami masih berharap dia hidup lagi,” katanya pada Isnin. Kanak-kanak itu dilaporkan hilang pada pukul 5.50 pagi 9 Mei lalu dekat stesen minyak di Kampung Air selepas bapanya meninggalkan dia yang sedang tertidur untuk ke tandas. Difahamkan kereta tersebut telah dilarikan dan hanya ditemui beberapa jam kemudian tanpa kanak-kanak itu didalam kereta terbabit. Kereta tersebut ditemui semula kira-kira 2 kilometer dari tempat ia dilarikan. Setakat ini, polis telah mengambil keterangan 30 individu dalam membantu siasatan kes kehilangan Min You. Selain ibu bapa kanak-kanak itu, polis turut merakam percakapan dengan kakak mangsa berusia lima tahun. Bapa Min You, Low Yee Sheng dan isterinya, ditahan dan direman selama enam hari selepas polis menyedari wujud percanggahan dalam kenyataan mereka berhubung kehilangan kanak-kanak itu. Mereka kemudiannya dibebaskan. Sumber: mStar
TOP
Wartawan Dihukum Gara-Gara Serang Brad Pitt
GARA-GARA menyerang Brad Pitt ketika pelakon itu menghadiri sebuah acara, seorang wartawan yang dikenali sebagai Vitalii Sediuk tidak dibenarkan menghadiri sebarang majlis melibatkan bintang Hollywood oleh sebuah mahkamah di Los Angeles pada Jumaat lalu. Portal Aceshowbiz melaporkan, Vitalii turut tidak dibenarkan mendekati mana-mana acara hiburan dalam jarak sekurang-kurangnya 500 meter dan dia dikenakan waktu percubaan selama 36 bulan oleh mahkamah. Dalam pada itu, mahkamah turut membuat keputusan lelaki berkenaan perlu menjalani terapi kerana bimbang tindakannya menyerang Brad berpunca daripada penyakit mental. Serangan itu dibuat lelaki berkenaan ketika Brad hadir ke acara karpet merah tayangan filem terbaharu kekasihnya, Angelina Jolie berjudul Maleficent pada Rabu minggu lalu. Bagaimanapun Vitalii sempat ditahan oleh pengawal bertugas pada acara berkenaan sebelum dia diserahkan kepada pihak berkuasa. Ia bukan kali pertama dia berbuat demikian kerana lelaki itu pernah melakukan serangan terhadap pelakon lain seperti Will Smith, Adele dan Bradley Cooper. Sumber: mStar
TOP
Pelanggan Mydin Kini Boleh Guna Touch ‘n Go Buat Bayaran
Ameer (kiri) bergambar bersama Abdul Karim ketika pelancaran khidmat berkenaan di Mydin Hypermarket Subang Jaya pada Isnin. foto NORAFIFI EHSAN/The Star
KUALA LUMPUR: Pelanggan pusat beli-belah Mydin kini boleh membuat pembayaran secara elektronik (e-bayaran) dengan menggunakan kad Touch 'n Go (TNG). Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad Datuk Ameer Ali Mydin berkata kerjasama dengan Touch 'n Go Sdn Bhd (TNGSB) itu menyaksikan buat permulaan 11 cawangan Mydin di beberapa negeri menawarkan khidmat itu. Kemudahan e-bayaran TNG itu boleh didapati antara lain di Mydin Subang Jaya, Seremban 2, Jasin dan Bukit Jambul, katanya pada sidang media selepas pelancaran khidmat berkenaan di Mydin Hypermarket Subang Jaya pada Isnin. Ameer Ali berkata Mydin menyasarkan semua 222 premis perniagaannya di seluruh negara akan mempunyai perkhidmatan e-bayaran TNG tahun ini. Selain itu, pelanggan juga boleh menambah nilai baki kad prabayar TNG mereka sehingga RM1,500 di kaunter bayaran. Ketua Pegawai Eksekutif TNGSB Abdul Karim Md Lassim berkata kerjasama dengan Mydin itu merupakan langkah transformasi TNGSB untuk membolehkan 7.5 juta pemegang aktif kad TNG meluaskan penggunaan kad masing-masing. Katanya kini hanya tujuh peratus pemegang aktif kad berkenaan yang menggunakan kad itu untuk pelbagai urusan pembelian, manakala selebihnya hanya menggunakannya untuk membayar tol. "Perkhidmatan e-bayaran yang diperkenalkan ini merupakan antara inisiatif kami (TNGSB) untuk mengubah budaya masyarakat daripada menggunakan wang tunai kepada bayaran tanpa tunai," katanya. Usaha itu juga dijangka membantu memenuhi sasaran TNGSB untuk menggandakan pendaftaran tahunan pemegang kad TNG, daripada 2.5 juta kepada 4.5 juta. Abdul Karim berkata lebih 2,000 premis perniagaan kini mempunyai kemudahan pembayaran mikro TNG menerusi kerjasama TNGSB dengan 38 syarikat perniagaan. Sumber: mStar
TOP
Isu Cadbury: Kenyataan baharu kelirukan pengguna
SEREMBAN - Kenyataan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bahawa kedua-dua sampel coklat Cadbury bebas Asid Deoksiribonukliek (DNA) babi (porcine), mengelirukan pengguna Islam di negara ini. Persatuan Pengguna Negeri Sembilan (PPNS), Khairudin Yunus berkata, situasi yang berlaku sekarang ini tidak sepatutnya terjadi, berikutan ia melibatkan soal haram dan halal sesuatu makanan. Beliau turut mempersoalkan bagaimana sebelum ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) boleh mengesan penggunaan DNA babi dalam coklat terbabit, dan disahkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Tambahnya, sebagai pakar dalam hal ini, pihak berkenaan perlu meneliti dan memastikan fakta diperoleh benar-benar sahih sebelum membuat sebarang kenyataan. “Pengguna kini semakin keliru dengan apa yang berlaku, sekejap kata sah ada DNA babi, sekejap kata bebas. "Jabatan berkenaan seolah-olah tidak mempunyai pendirian yang kukuh dalam memastikan isu berkenaan benar-benar sahih atau sebaliknya. “Sebagai pengguna sudah tentu kita akan keliru sekiranya terdapat fakta bercanggah, sehingga menyebabkan hilang keyakinan terhadap produk berkenaan," katanya kepada Sinar Harian, semalam. Katanya, pihak berwajib perlu memberi penjelasan dengan telus dan jujur agar pengguna Islam tidak dianiaya dengan perbuatan yang tidak sepatutnya. "Ke mana laporan asal yang dibuat KKM sebelum ini, yang mula-mula mengenal pasti produk berkenaan mengandungi DNA babi? Halalal toiyibah itu penting dalam setiap produk makanan yang dimaka bagi memastikan jiwa umat Islam tidak dinodai dengan benda-benda haram,” katanya. Kata Khairudin, dengan situasi sekarang, pengguna dinasihatkan supaya tidak membeli produk makanan yang dirasakan was-was tahap kebersihan dan pembuatannya. Jelasnya, pengguna mempunyai banyak pilihan lain memandangkan di pasaran semasa sekarang ini terdapat pelbagai jenama coklat lain yang disahkan halal. Sumber: Sinar Online
TOP
Abbas Ketuai Kerajaan Baharu Palestin
RAMALLAH, Tebing Barat – Presiden Mahmoud Abbas mengangkat sumpah semalam sebagai ketua kerajaan penyatuan Palestin semalam sekali gus menamatkan perpecahan dengan pentadbiran Hamas di Genting Gaza. Beliau mengangkat sumpah dalam satu upacara ringkas di ibu pejabatnya di sini. Sebelum mengangkat sumpah itu, berlaku tawar-menawar berhubung 17 anggota Kabinet baharu Palestin yang dipilih dalam kalangan ahli teknokrat. Walaupun anggota Kabinet baharu itu tidak memiliki hubungan dengan Hamas, sama ada mereka akan diterima oleh Amerika Syarikat (AS) dan Eropah adalah samar. Namun, Abbas optimis kerajaan baharu itu dapat menamatkan perpecahan politik dan wilayah yang berlaku apabila kumpulan Hamas menguasai Genting Gaza pada 2007. Perkembangan tersebut menyebabkan Abbas hanya dapat memerintah wilayah Tebing Barat yang ditawan Israel. Selama tujuh tahun, Abbas dan Hamas mentadbir dua kerajaan berasingan dalam wilayah masing-masing. “Lembaran hitam dalam sejarah kita ditutup untuk selamanya dan tidak akan kembali semula,” kata Abbas sebelum mempengerusikan mesyuarat pertama Kabinet Palestin. Abbas turut memberi bayangan bahawa beliau tidak lama lagi akan melawat Gaza untuk kali pertama sejak tahun 2007. Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Hamas, Ismail Haniyeh menyatakan, Palestin kini membuka era baharu berteraskan penyatuan dan perkongsian dalam membuat keputusan dan bekerja. Beliau akan berundur ekoran penyatuan itu. Kabinet yang baru dibentuk tersebut berdepan dengan pelbagai kesukaran. Antara krisis yang perlu diselesaikan segera termasuk isu penyatuan pasukan keselamatan di Tebing Barat dan Gaza yang dahulunya berseteru. Abbas juga tidak memberi jaminan bahawa AS dan Eropah akan terus menyalurkan bantuan tahunan bernilai jutaan dolar yang diperlukan untuk membiayai kerajaan baharu tersebut. Ia berikutan Barat sebelum ini menganggap Hamas sebagai sebuah kumpulan pengganas manakala sokongan kumpulan itu kepada kerajaan baharu Palestin mungkin menimbulkan kebimbangan dalam kalangan negara penderma. Dalam pada itu, kos untuk membiayai kerajaan baharu itu akan menjadi lebih mahal kerana Abbas terpaksa menggabungkan kakitangan daripada dua pentadbiran berasingan. Hamas menggaji lebih 40,000 pekerja sejak tahun 2007 manakala Abbas pula memiliki seramai 150,000 kakitangan awam. Dalam perkembangan berkaitan, Israel mengumumkan ia akan memboikot kerajaan baharu itu kerana ia disokong oleh Hamas. Kumpulan itu sebelum ini membunuh beratus-ratus warga Israel dalam sejumlah serangan bertahun-tahun lalu. Regim Zionis mengumumkan langkah untuk menghukum pembentukan kerajaan penyatuan Palestin tersebut tetapi tidak mendedahkan secara terperinci tindakan yang akan dilakukannya. Sumber: Agensi
TOP
Sanggup Buat Pembedahan, Gila Nak Jadi Orang Korea
BRAZIL – Gara-gara minat dengan muzik K-pop dan drama Korea, seorang lelaki `mat saleh’ sanggup berhabisan dan melakukan pembedahan plastik untuk kelihatan seperti lelaki Korea. Lelaki itu, Max, 25, yang berambut perang dan bermata biru, jatuh cinta dengan Korea selepas dia menyertai program pertukaran pelajar di Universiti Dongseo di Korea Selatan. Dia kemudiannya membelanjakan lebih RM10,000 untuk menjalani 10 pembedahan termasuk pembedahan bagi menjadikan matanya lebih sepet. Max juga yang mahu dikenali dengan nama Xiahn turut mewarnakan rambut dengan warna hitam. “Saya tidak takut sekiranya pembedahan itu tidak berjaya, tapi saya takut jika pembedahan di mata saya tidak berjaya, tapi nasib baik penglihatan saya sempurna,’’ katanya. Selepas menjalani pembedahan itu, Xiahn bukan sahaja tidak mendapat sokongan daripada ibunya, malah dia juga diselar kerana mengubah ciptaan Tuhan. Namun dia menganggap semua proses itu sebagai perkara normal. Sumber: Mynewshub
TOP
Tiga termasuk remaja didakwa curi motosikal
Kesemua tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret, semalam.
SEREMBAN – Tiga lelaki termasuk seorang remaja 14 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini semalam atas pertuduhan mencuri dan melupuskan motosikal curi. Tertuduh, Razali Abdul Wahab, 28, Aniq Khan Said Khan, 19, dan seorang lagi remaja bagaimanapun mengaku tidak bersalah. Razali dituduh melupuskan harta curi motosikal Honda EX5 milik R.P Yokesh, 31, Siti Rabiah Ahmad Saupi, 24, Nor Amerah Farhana Jamaluddin, 20 dan syarikat Nando’s Chickenland Malaysia Sdn Bhd pada 20 Mei lalu, kira-kira jam 9.30 malam di Kampung Jelebu dan Kampung Rawa Hilir, Lenggeng. Dia juga dituduh melupuskan motosikal curi jenis Honda C100B milik Mohd Azmi Omar, 30, di lokasi sama. Sementara itu Razali turut dituduh bersama remaja 14 tahun pada 10 Mei lalu, lebih kurang jam 6 petang membantu melupuskan harta sebuah motosikal Yamaha RXZ milik Norazmi Abu Bakar, 38. Manakala Aniq Khan pula didakwa membantu melupuskan harta curi iaitu motosikal Yamaha Y110 milik Nur Ain Ismail, 21,. Salam@Mohsd Sahlan Mohd Adanan, 34 serta motosikal Modenas Kriss dalam jagaan Azizul Mohd Isa, 44, pada 17 Mei, kira-kira jam 3.30 petang di sungai Kampung Jerangkang, Nilai. Kesemua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dari enam bulan dan maksimum tujuh tahun dan denda. Majistret, Haslina Basarudin menetapkan wang jaminan RM24,000 terhadap Razali, dan RM12,000 terhadap Aniq Khan, manakala wang jaminan RM1,000 bagi remaja terbabit. Mahkamah menetapkan 2 Julai ini sebagai tarikh sebutan kes. Sumber: Sinar Online
TOP
Scolari Tak Sabar Permulaan Piala Dunia
GOIANIA – Jurulatih Luiz Felipe Scolari berkata, beliau tidak sabar menantikan kempen Piala Dunia bermula dan teringin supaya kejohanan bola sepak berprestij itu dimulakan sekarang. Beliau berkata, memang baik jika ada masa yang lebih lama untuk membuat persiapan menjelang perlawanan pembukaan pada 12 Jun tetapi tidak terlalu banyak yang dapat dibuat apabila kejohanan semakin dekat. Ketika 10 hari sebelum Brazil berdepan Croatia di Sao Paulo, katanya, apabila Piala Dunia sudah bermula tidak banyak yang dapat difikirkan kecuali misi “buat atau mati.” Scolari berusaha menjulang Piala Dunia untuk Brazil selepas pernah membimbing skuad itu muncul juara pada 2002. Sumber: AP
TOP
Zalim, Penggal Kepala Kucing, Muat Naik Dalam Internet
CHINA – Perempuan tidak berhati perut!. Itu gelaran yang diberikan kepada seorang perempuan, Li Pingping yang sanggup memenggal kepala seekor kucing selepas dia membeli binatang tersebut, dua minggu lalu.. Pingping, bekas perunding pemasaran juga bukan seorang yang bijak kerana memuat naik gambar binatang tersebut dalam keadaan berlumuran darah dalam media sosial Sina Weibo, iaitu sama seperti twitter. Perbuatan gila itu kemudiannya mendapat kecaman. Namun dia membalas balik kecaman itu dengan perasaan marah dan meminta orang ramai supaya tidak mengadilinya. Dia kemudiannya memadamkan entri tersebut dan selepas itu mengemukakan permohonan maaf dalam sepucuk surat secara terbuka. Dalam surat itu, Pingping mendakwa dia berbuat demikian kerana berada di bawah pengaruh alkohol dan telah hidup di dalam ketakutan serta perasaan bersalah sejak membunuh kucing itu. Bagaimanapun tidak semudah itu Pingping boleh dimaafkan kerana ramai yang percaya dia berbuat demikian pun selepas dikecam hebat dan bukannya disebabkan bersalah dengan perbuatan terkutuk itu. Sumber: WantChinaTimes / Mynewshub
TOP
Pegawai JAKIM sedia makan coklat Cadbury untuk buktikan halal
Pensijilan halal diberikan selepas semua prosedur dan standard dipatuhi
KUALA LUMPUR: Bagi membuktikan status halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terhadap coklat Cadbury benar-benar meyakinkan, pegawai jabatan itu sedia pada bila-bila masa untuk membuat demonstrasi memakan coklat tersebut. Pengarah Kanan Bahagian Hab Halal JAKIM, Mohd Amri Abdullah berkata pihaknya berpegang kepada keputusan yang telah mereka keluarkan dan tidak ada masalah untuk pihaknya membuktikan kepada orang ramai bahawa coklat Cadbury adalah halal. Mohd Amri berkata, proses memberikan status halal kepada sesuatu produk dibuat setelah prosedur dan standard yang ditetapkan ditepati. "Sebagaimana yang disebutkan bahawa status Cadbury yang diputuskan adalah halal. Kalau diminta kami makan coklat Cadbury kami yakin bahawa apa yang diberikan status pensijilan itu adalah halal sepenuhnya. "Dalam hal ini, ia memerlukan keyakinan yang begitu utuh, yang begitu kuat untuk menentukan konsep halal. "Kalau di pihak pengguna jika adanya was-was, adanya keraguan yang melampau, lebih baik tinggalkan," katanya ketika kepada Astro AWANI menerusi AWANI745 malam tadi. Mohd Amri berkata keputusan yang dibuat oleh Jakim terhadap coklat Cadbury itu adalah sama dengan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kimia. Katanya, ini bermakna JAKIM membuat keputusan berdasarkan apa yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Kimia dan prosedur lain yang perlu dipatuhi. "Untuk keputusan pensijilan halal ini, pihak JAKIM hanya menggunakan makmal jabatan kimia yang dibenarkan sahaja. "Standard dan prosedur yang JAKIM gunakan untuk memberikan pensijilan halal ini adalah sama dengan apa yang digunakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya. Beliau juga menafikan keputusan yang dibuat JAKIM pada Isnin merupakan satu tindakan membuat pusingan U sepertimana yang didakwa sesetengah pihak. Selain itu Mohd Amri masyarakat juga perlu faham bahawa semua perkara berkaitan pensijilan halal perlu dirujuk kepada JAKIM iaitu pihak yang diberi kuasa dalam bidang itu. "JAKIM diibaratkan sebagai imam, pengguna adalah sebagai makmum, perlu mengikut apa yang ditentukan JAKIM dalam soal halal atau haram ini." Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan adanya DNA babi (porcine) dalam dua produk coklat susu Cadbury Dairy Milk. Hasil siasatan oleh KKM mendapati tiga (3) sampel coklat Cadbury telah diambil untuk analisis DNA babi (porcine) bagi tujuan pemantauan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada Isnin bagaimanapun mengumumkan tiada DNA babi dikesan dalam dua produk coklat Cadbury berkenaan. Pengumuman dibuat selepas ujian dijalankan oleh Jabatan Kimia ke atas sampel yang diambil dari kilang. Namun pengumuman yang dibuat oleh Jamil Khir itu masih menimbulkan was-was di kalangan pengguna berkenaan status coklat Cadbury. Sumber: Astro Awani
TOP
Bekas pegawai agama aktif Syiah
Timbalan Yang Dipertua Angkatan Belia dan Islam Malaysia (Abim), Abdullah Din
ALOR SETAR - Seorang bekas pegawai kanan Jabatan Agama Islam di sebuah negeri dipercayai terbabit dengan kegiatan fahaman Syiah di negeri ini. Difahamkan, individu yang berumur sekitar 60-an itu juga merupakan orang kuat dalam kumpulan itu. Timbalan Yang Dipertua Angkatan Belia dan Islam Malaysia (Abim), Abdullah Din berkata, pihaknya memandang serius perkara ini dan berharap perkara itu perlu tindakan lebih tegas daripada pihak berkuasa kerana dibimbangi boleh mempengaruhi umat Islam yang lain. “Saya berasa sedih dan kecewa dengan perkara ini. Dia adalah seorang individu yang berpengaruh dan pernah dipertanggungjawabkan untuk menjaga kesucian agama Islam. “Tetapi orang yang kita percaya selama ini, tiba-tiba boleh sertai ajaran itu. Ini tidak seharusnya berlaku terutama kepada individu di Jabatan Agama Islam,” katanya kepada Sinar Harian, semalam. Menurutnya, penglibatan individu terbabit dalam fahaman Syiah adalah satu perkara yang perlu dipandang serius berikutan dia adalah individu yang berpengaruh. “Saya bimbang jika pihak berkuasa tidak mengambil tindakan tegas, mungkin lebih ramai orang besar dan kenamaan akan sertai fahaman tersebut,” katanya. Abdullah berkata, individu itu turut kelihatan hadir pada program anjuran Syiah di Alor Berala, Pendang. “Sebenarnya, dalam ahli keluarganya hanya dia seorang yang sertai Syiah. Isteri dan anak-anak dia adalah Ahli Sunnah Wal Jamaah. “Tetapi kita bimbang sebab dia sering memaksa ahli keluarganya supaya berdebat mengenai Syiah,” katanya. Tambahnya, individu itu amat disegani masyarakat kerana pernah memimpin sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di sebuah negeri. Sumber: Sinar Online
TOP
Dua maut treler jatuh gaung dekat Gopeng
Dua maut apabila treler yang dinaiki terbabas ke dalam gaung sedalam 10 meter di KM300.2 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Utara di sini kira-kira jam 10.15 malam tadi. - Foto Supian Ahmad
GOPENG: Dua maut apabila treler yang dinaiki terbabas ke dalam gaung sedalam 10 meter di KM300.2 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Utara di sini kira-kira jam 10.15 malam tadi. Dalam kejadian itu, kelindan lori kontena itu yang masih belum dikenal pasti identitinya maut di tempat kejadian manakala pemandunya yang dikenali sebagai Mohd Mustafa Syafie, 36,, meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh. Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata treler yang membawa muatan alat ganti kenderaan itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh dan dipercayai hilang kawalan ketika tiba di tempat kejadian lalu terjunam ke dalam gaung di sebelah kiri jalan. "Mangsa yang tersepit ditempat duduk sebelah pemandu maut ditempat kejadian akibat cedera parah. "Sementara pemandu treler yang cedera di muka dan beberapa anggota badan dibawa ke HRPB tetapi disahkan meninggal dunia ketika dirawat di situ," katanya di sini hari ini. Beliau berkata, siasatan dibuat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Sumber: BH Online
TOP
PM baharu Libya mula tugas
Ahmed Maiteeq
TRIPOLI: Perdana Menteri Libya yang baharu, Ahmed Maiteeq mengadakan mesyuarat Kabinet pertama selepas pasukan polis membantunya mengambilalih bangunan pejabat. Negara itu berdepan kekacauan dan krisis politik apabila bekas Perdana Menteri, Abdullah al-Thinni enggan menyerahkan kuasa kepada Maiteeq yang dipilih oleh Parlimen menerusi pengundian dicemari kekecohan bulan lalu. Thinni yang meletak jawatan April lalu tetapi berkata, beliau menerima arahan berbeza daripada Parlimen Libya berkaitan kesahihan pemilihan Maiteeq dan akan terus memegang jawatan sehingga Kongres Agung Kebangsaan (GNC) menyelesaikan pertikaian berkenaan. Maiteeq tiba di pejabat perdana menteri dengan diiringi polis manakala Thinni sudah dipindahkan lebih awal ke bangunan lain. Sumber: Reuters
TOP
Lima maut, ribut melanda Tehran
Ribut pasir yang melanda bandaraya Tehran, Iran semalam mengorbankan lima nyawa dengan 27 tercedera. – Gambar oleh AFP, 3 Jun, 2014.
Sekurang-kurangnya lima terkorban selepas ribut pasir melanda bandaraya Tehran, Iran semalam, sehingga mengakibatkan bekalan eletrik terputus serta beberapa bangunan musnah, lapor AFP. Media tempatan melaporkan, ribut berkelajuan 110 kilometer sejam itu berlaku kira-kira jam 5.10 petang waktu tempatan (8.40 malam waktu Malaysia). Ketua Agensi Kecemasan Iran, Amin Sabernia, berkata kejadian tersebut turut mengakibatkan sekurang-kurangnya 27 cedera dan hampir 7,000 anggota penyelamat dikejarkan ke tempat kejadian bagi membantu mangsa yang terjejas, lapor AFP. – 3 Jun, 2014. Sumber: The Malaysian Insider
TOP
AirAsia nafi berdepan masalah pembiayaan
Aireen
SYARIKAT penerbangan tambang rendah AirAsia Bhd menafikan laporan media bahawa syarikat itu berdepan masalah pembiayaan untuk membina pejabat baharunya di Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (KLIA2) sehingga menyebabkan mereka terus menghuni pejabat korporat di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT). Laporan media sebelum ini mendakwa AirAsia mahu mengekalkan pejabat korporatnya di LCCT sekurang-kurangnya setahun lagi, menyebabkan kelewatan dalam rancangan pengendali LCCT dan KLIA2, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk menjadikan LCCT hab logistik dan kargo global, tahun ini. Laporan itu juga menyebut ibu pejabat baharu AirAsia di KLIA2 sepatutnya siap apabila lapangan terbang itu dibuka pada 2 Mei lalu tetapi AirAsia dikatakan berdepan masalah pembiayaan untuk membina pejabat baharunya. Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Aireen Omar dalam satu kenyataan semalam berkata, syarikat itu dalam proses mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan untuk bangunan pejabat baharunya di KLIA2. "AirAsia diminta mengurangkan ketinggian bangunan baharu kami apabila menara kawalan di KLIA2 dipindahkan ke tapak baharu berdasarkan arahan pihak berkuasa. "Disebabkan ketinggian (bangunan) yang (perlu) dikurangkan itu, tapak dan rancangan asal untuk bangunan pejabat baharu itu menjadi tidak ekonomik," katanya. Menurut beliau, tapak baharu perlu dikenalpasti dan pelan pembinaan perlu dirombak serta diserahkan semula untuk kelulusan, menyebabkan perubahan besar dalam jadual pembinaan bangunan pejabat baharu itu. "Pembinaan bangunan baharu itu dijangka dimulakan pada Julai 2014 dan siap akhir tahun depan. "Kami juga ingin menjelaskan tiada permohonan dibuat kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) untuk membenarkan pejabat korporat AirAsia kekal di LCCT, seperti dilaporkan," katanya. Menurut Aireen, AirAsia bagaimanapun telah berbincang dengan MAHB untuk menggunakan sebahagian daripada tingkat satu LCCT sebagai pejabat korporatnya sementara waktu. Katanya, MAHB memaklumkan kehadiran pejabat AirAsia di LCCT tidak mendatangkan sebarang gangguan kepada rancangan MAHB itu. Sumber: Sinar Online
TOP
Kanak-Kanak Empat Tahun Maut Tercekik Bebola Ikan
SUNGAI PETANI: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut dipercayai tercekik setelah menikmati bebola ikan yang diambil dari ibunya. Insiden tersebut berlaku kira-kira pukul 4 petang Isnin di kediaman saudara kanak-kanak lelaki itu di Resort Homes dekat Persiaran Cinta Sayang di sini. Difahamkan, mangsa dikenali sebagai Lim Wei Kiat menikmati bebola ikan yang bersaiz duit syiling 50 sen dalam keadaan terburu-buru. Seorang saudara mangsa yang hanya dikenali sebagai Wong membawa mangsa ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk mendapatkan rawatan kecemasan. Namun, mangsa disahkan meninggal dunia tiga jam kemudian akibat kekurangan oksigen. Difahamkan pembantu pegawai perubatan di unit kecemasan hospital tersebut cuba menyelamatkan kanak-kanak tersebut tetapi tidak berjaya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Khalil Arifin ketika dihubungi mengesahkan insiden itu dan mengklasifikasikan kes tersebut sebagai kematian mengejut. Sumber: mStar
TOP
Lelaki Diburu Selepas Bahan Letupan Ditemui Dirumahnya
Dua gambar Ryan Kelly Chamberlain yang diedarkan oleh FBI dalam operasinya memburu lelaki berkenaan. Foto AFP
LOS ANGELES: Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) melancarkan operasi di seluruh negara bagi memburu seorang lelaki berusia 42 tahun selepas bahan letupan ditemui dirumahnya di San Francisco, kata mereka pada Isnin. Ryan Kelly Chamberlain II, 42, yang dilihat pada kali terakhir Ahad lalu memandu kereta ke selatan San Francisco sama ada menggunakan plat kenderaan California atau Texas. "Suspek dianggap berbahaya dan mungkin mempunyai senjata," kata Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) di bandar pantai barat itu. Chamberlain, yang merupakan seorang perunding media dan politik, hilang selepas meninggalkan satu pesanan bunuh diri secara online, menurut San Francisco Chronicle. "Terlalu banyak kedukaan yang berlaku sejak setahun setengah yang lalu, berbanding sebelumnya," kata-kata yang dipetik dalam surat sebanyak tiga halaman yang bertajuk "Goodbye" (Selamat Tinggal). Di dalam surat itu turut dipetik sebagai berkata, "Saya rasa ia tidak dapat diatasi lagi, dan sudah cukup." Menurut FBI, Chamberlain dikenal pasti sebagai lelaki berkulit putih, dengan ketinggian 6 kaki 3 inci, yang mempunyai rambut coklat dan bermata biru. Dia kali terakhir dilihat memakai sweater biru gelap dan seluar jeans biru. Sumber: AFP
TOP
Ahli astronomi temui planet berbatu lebih besar berbanding Bumi
BOSTON: Ahli astronomi menemui planet berbatu terbaharu di sebalik sistem solar dengan berat lebih 17 kali ganda berbanding Bumi dan saiz dua kali lebih besar, kata saintis hari ini. Planet terbaharu itu dipanggil "mega-Earth" berputar di sekeliling bintang Kepler-10, terletak kira-kira 560 tahun cahaya dari Bumi di buruj utara langit. Penemuan itu diumumkan pada mesyuarat Persatuan Astronomi Amerika Syarikat di sini mencetuskan kejutan kerana bagaimana sebuah planet yang besar dan dipercayai terdapat sebahagian besar gas, tidak berbatu keras seperti Bumi atau Marikh. Sumber: Dailymail / Reuters
TOP
Kereta Miley Cirus Dikebas Pencuri
Miley Cyrus
RUMAH bintang Miley Cirus menjadi sasaran pencuri apabila ia dipecah masuk pada Jumaat lalu menyebabkan artis itu kehilangan sebuah kereta Maserati Quattroporte berhargara RM329,000. Bukan sahaja kereta malah barang kemas yang disimpan aktres itu turut dikebas pencuri. Polis yang melakukan siasatan awal di rumah artis itu di San Fernando, California, Amerika Syarikat mempercayai rumahnya dimasuki oleh seorang lelaki dan seorang perempuan.
Inilah contoh kereta Miley Cyrus yang hilang.
Mereka dikatakan menceroboh bahagian garaj kereta sebelum mendapat akses memasuki rumahnya. Semasa kejadian Miley berada di Eropah untuk siri jelajahnya dan dijangka kembali ke Amerika Syarikat selepas Julai depan. Penyanyi itu dikatakan sangat kecewa dengan kejadian tersebut kerana banyak barang peribadinya dicuri. Pada hari Ahad lalu Miley berada dalam emosi sedih di Twitter tetapi tidak diketahui sama ada beliau merujuk kepada kejadian berkenaan ataupun tidak. Sumber: mStar
TOP
Eina Azman Enggan Campur Isu Tampar
Eina tidak mahu terlibat dalam kontroversi berkaitan Afiq Muiz dan ibunya, Hasliza Mohd. PETALING JAYA: Pelakon Eina Azman tidak mahu terlibat dengan sebarang kontroversi yang mengaitkan dua beranak iaitu bekas kekasihnya Afiq Muiz dan ibu pemuda itu, Hasliza Mohd. Eina atau nama sebenarnya Ainur Syakina Azman, 19, berkata, dia juga tidak berhasrat untuk memberi sebarang ulasan berhubung isu kononnya dua beranak itu berhasrat menampar mukanya. "Sejujurnya saya tidak membaca laporan berkenaan tetapi mengetahui tentang perkara itu daripada orang lain dan saya tidak mahu mengulas mengenainya kerana saya enggan terlibat dalam sebarang kontroversi lagi," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin. Terdahulu, Hasliza menerusi laman Twitter miliknya menyifatkan laporan sebuah akhbar yang mendakwa dia dan Afiq mahu menampar muka Eina Azman jika berjumpa wanita itu sebagai satu fitnah. Eina adalah pelakon yang sebelum ini dikatakan menjadi punca Afiq Muiz menderhaka kepada ibunya sehingga tidak pulang ke rumah. Dalam pada itu, Eina berkata, biarpun terkejut dengan berita berkenaan namun dia tidak mampu untuk menolak kesahihan laporan yang dibuat akhbar itu. Bagaimanapun katanya lagi, dia tidak mahu membebani fikirannya dengan persoalan tersebut kerana ia tidak memberi sebarang kebaikkan kepadanya. "Saya cuma terfikir sekiranya perkara itu tidak wujud, masakan orang boleh bercerita mengenainya tetapi saya malas hendak layan perkara remeh seperti itu kerana saya tidak melakukan apa-apa kesalahan," jelasnya. Sementara itu, Eina menafikan dia memusuhi Afiq sebaliknya menjelaskan kesibukan dengan kerjaya masing-masing menyebabkan hubungan mereka tidak rapat seperti dahulu. Jelas Eina lagi, faktor dia kini mempunyai teman lelaki turut menjadi alasan mengapa dia tidak lagi bertemu dengan Afiq seperti bagi menghormati kekasihnya. "Memang kami tiada apa-apa masalah tetapi saya kini sudah mempunyai teman lelaki dan sudah tentu jika saya masih akrab dengannya kekasih akan salah faham. "Saya perlu menjaga perasaan teman lelaki dan sebab itu saya sudah lama tidak bertemu dengannya dan bukannya kerana kami bergaduh," jelasnya. Dalam perkembangan lain, Eina berkata, dia kini sedang sibuk dengan penggambaran drama bersiri Selamat Pengantin Madu untuk slot Zehra di TV3 disamping aktres Fasha Sandha. Sumber: mStar
TOP
Apple sudah jual lebih 800 juta telefon bimbit - Cook
SAN FRANCISCO: Pengeluar iPhone sudah menjual lebih 800 juta unit telefon bimbit, kata Ketua Eksekutif Apple Inc, Tim Cook, hari ini. Cook berkata, kira-kira 130 juta pelanggan membeli telefon bimbit Apple buat kali pertama dalam tempoh 12 bulan. Beliau berkata demikian pada persidangan tahunan pembangun iPhone di sini. Pada persidangan berkenaan, Cook menggariskan ciri-ciri terbaharu komputer Macintosh dan perisian operasi telefon bimbit, iOS. Sementara itu, Apple menyifatkan perisian Mac terbaharu, "Yosemite" yang antara lain menampilkan aplikasi storan terbaharu Internet dan membolehkan pengguna menjawab panggilan dan menyemak pesanan teks yang dipaparkan menerusi iPhone. Sumber: Reuters
TOP
Israel, AS tertekan Kabinet baharu Palestin
Penduduk Palestin menyambut baik pembentukan Kabinet perpaduan. Foto: AFP
RAMALLAH - PALESTIN. Israel mendakwa pejuang Palestin melancarkan roket di Genting Gaza, sejam sebelum Kabinet dibentuk, semalam. Jurucakap tentera berkata, serangan berlaku di selatan Genting Gaza itu menyebabkan tentera udara digerakkan bagi tujuan serangan balas. Menurut Agensi, sehingga kini, kesahihan Palestin melancarkan serangan itu tidak disahkan. Media menyifatkan, Israel dan Amerika Syarikat (AS) kini semakin tertekan selepas Hamas dan Fatah bersepakat membentuk kerajaan perpaduan. Kesepakatan itu dilihat melemahkan usaha Israel untuk menakluki beberapa wilayah di negara terbabit dengan sokongan Amerika Syarikat (AS). April lalu, Hamas dan Fatah dibawah pimpinan Presiden Mahmoud Abbas menandatangani perdamaian sekali gus bersepakat membentuk Kabinet perpaduan. Sementara itu, Setiausaha Negara AS, John Kerry menyuarakan kebimbangan terhadap pembentukan kerajaan itu Beliau berkata, AS tidak teragak-agak menghukum kerajaan terbabit jika melanggar prinsip komposisi dan dasar antarabangsa. Sumber: Sinar Online
TOP
Kerajaan sasar eksport produk komoditi RM242.6b
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komuditi(MPIC), Datuk Noriah Kasnon (tudung biru) menyaksikan demonstrasi permainan rehal kayu jati oleh seorang pengusahanya dalam Program Hello Komuditi di Dewan Simpang Lima di sini,semalam. - Utusan/UMU HANI ASSAIDAH ABDULLAH
SUNGAI BESAR 1 Jun - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi dijangka mampu mencapai sasaran eksport produk komoditi berjumlah RM242.6 bilion yang digariskan di bawah Dasar Komoditi Negara menjelang 2020. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon berkata, sumbangan eksport produk komoditi dijangka dapat merealisasikan hasrat Malaysia untuk mencapai taraf negara maju yang berpendapatan tinggi dalam tempoh enam tahun lagi. Menurutnya, dengan langkah transformasi yang sedang diusahakan oleh kerajaan, beliau yakin sektor komoditi mampu melonjakkan pembangunan ke tahap lebih cemerlang dan kekal kompetitif dalam jangka masa panjang. "Kerajaan sentiasa berusaha untuk membangunkan serta memperkenalkan beberapa komoditi baharu tanpa bergantung semata-mata kepada kelapa sawit, getah, kayu-kayan, koko dan sebagainya," katanya ketika berucap merasmikan program Hello Komoditi di sini malam tadi. Yang hadir sama ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Nurmala Abd. Rahim; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Budiman Mohd. Zohdi dan ADUN Sungai Air Tawar, Kamarul Zaki Abd. Malik.
TOP
Mara buka jalan untuk PKS
KUALA LUMPUR 2 Jun - Industri biogas tempatan dijangka menyumbang kira-kira RM20 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2020, melalui penekanan yang diberikan oleh kerajaan terhadap industri tersebut pada masa ini. Ketua Pegawai Operasi Malaysian Biotechnology Corporation (BiotechCorp), Razwin Sulairee Hasnan berkata, sumbangan itu adalah sebahagian atau 15 peratus daripada RM150 bilion nilai pelaburan di dalam sektor bioekonomi kepada KDNK menjelang tempoh yang sama. Katanya, usaha itu dapat dilihat melalui syarikat-syarikat tempatan yang telah melaksanakan beberapa projek percubaan bagi menjadikan perniagaan berkaitan biogas lebih komersial dan berskala besar, selain dengan bantuan kerajaan yang menawarkan tarif galakkan kepada pemain-pemain industri yang terlibat. "Kajian oleh BiotechCorp menjangka rantaian industri biogas ini mampu menyumbang sekitar RM20 bilion kepada KDNK. Namun, jangkaan itu tetap bergantung kepada kesediaan teknologi dalam tempoh enam tahun akan datang," katanya pada sidang akhbar sempena berlangsungnya Forum Biogas Asia Pasifik Ketiga di sini hari ini. BiotechCorp sebelum ini telah menyasarkan sektor bioekonomi mampu menyumbang lima peratus kepada KDNK negara pada 2020 atau nilainya RM150 bilion. Jelas Razwin, kebiasaannya sumbangan sektor itu kepada KDNK negara-negara maju ialah sekitar 10 peratus. Tambahnya, dalam usaha Malaysia mencapai status negara maju, sumbangan sektor itu perlu ditingkatkan. Katanya, industri biogas kini lebih terarah kepada penghasilan tenaga untuk dibekalkan kepada sistem gred elektrik negara, bagaimanapun sumbangannya masih kecil. "Pembangunan industri biogas juga dilihat sebagai satu keperluan tambahan pula Malaysia kini mengalami pembangunan pesat seperti pembukaan kawasan-kawasan komersial, penempatan dan perbandaran baharu," katanya.
TOP
Biogas sumbang RM20 bilion kepada KDNK
KUALA LUMPUR 2 Jun - Industri biogas tempatan dijangka menyumbang kira-kira RM20 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2020, melalui penekanan yang diberikan oleh kerajaan terhadap industri tersebut pada masa ini. Ketua Pegawai Operasi Malaysian Biotechnology Corporation (BiotechCorp), Razwin Sulairee Hasnan berkata, sumbangan itu adalah sebahagian atau 15 peratus daripada RM150 bilion nilai pelaburan di dalam sektor bioekonomi kepada KDNK menjelang tempoh yang sama. Katanya, usaha itu dapat dilihat melalui syarikat-syarikat tempatan yang telah melaksanakan beberapa projek percubaan bagi menjadikan perniagaan berkaitan biogas lebih komersial dan berskala besar, selain dengan bantuan kerajaan yang menawarkan tarif galakkan kepada pemain-pemain industri yang terlibat. "Kajian oleh BiotechCorp menjangka rantaian industri biogas ini mampu menyumbang sekitar RM20 bilion kepada KDNK. Namun, jangkaan itu tetap bergantung kepada kesediaan teknologi dalam tempoh enam tahun akan datang," katanya pada sidang akhbar sempena berlangsungnya Forum Biogas Asia Pasifik Ketiga di sini hari ini. BiotechCorp sebelum ini telah menyasarkan sektor bioekonomi mampu menyumbang lima peratus kepada KDNK negara pada 2020 atau nilainya RM150 bilion. Jelas Razwin, kebiasaannya sumbangan sektor itu kepada KDNK negara-negara maju ialah sekitar 10 peratus. Tambahnya, dalam usaha Malaysia mencapai status negara maju, sumbangan sektor itu perlu ditingkatkan. Katanya, industri biogas kini lebih terarah kepada penghasilan tenaga untuk dibekalkan kepada sistem gred elektrik negara, bagaimanapun sumbangannya masih kecil. "Pembangunan industri biogas juga dilihat sebagai satu keperluan tambahan pula Malaysia kini mengalami pembangunan pesat seperti pembukaan kawasan-kawasan komersial, penempatan dan perbandaran baharu," katanya.
TOP
Syarikat Malaysia digesa jadi jaguh di peringkat global
LONDON 2 Jun - Lebih banyak syarikat Malaysia termasuk syarikat permulaan digesa menjadi jaguh di peringkat antarabangsa dengan berusaha menembusi pasaran United Kingdom (UK), Eropah dan Amerika Syarikat (AS). Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah berkata, terdapat banyak peluang perniagaan di rantau berkenaan yang boleh diceburi dan direbut oleh syarikat-syarikat Malaysia sama ada melalui pelaburan secara langsung ataupun bekerjasama dengan syarikat permulaan tempatan. Beliau berkata, kejayaan syarikat Malaysia di luar negara bukan sahaja akan membawa keuntungan kepada mereka, tetapi juga pertumbuhan ekonomi Malaysia. "Sambil menyumbang kepada ekonomi negara tersebut, mereka juga boleh membawa balik kepakaran-kepakaran kepada negara kita supaya ada rantaian di antara negara yang dia melabur dengan Malaysia. Ini akan memberi kebaikan kepada pertumbuhan ekonomi negara," katanya ketika ditemui selepas majlis makan malam anjuran Malaysia Venture Capital Management Berhad (Mavcap) di sini kelmarin. Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mavcap, Jamaludin Bujang; Ketua Pegawai Operasinya, Shaik Taufik Shaik Yusof; CEO iGene Sdn. Bhd., Mathavan A. Chandran; Pengarah MIDA London, Najihah Abas dan Kaunselor (Komersial) Pusat Pelaburan dan Perdagangan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini, Khairul Nizam Moonier. Mohd. Irwan ke sini dalam rangka misi mempromosi dan menarik pelabur asing ke Malaysia anjuran Invest KL. Beliau turut mengulas kejayaan syarikat Malaysia, iGene yang didokong oleh Mavcap dan Agensi Inovasi Malaysia (AIM) dalam mempelopori bidang autopsi digital di UK melalui pembukaan pusat keduanya di Bradford Jumaat lalu. Menurutnya, kejayaan itu satu permulaan yang baik apabila Mavcap sanggup melabur dalam syarikat permulaan yang baharu, tetapi hasil usaha gigih mereka berjaya menembusi pasaran UK. "Saya berharap mereka dapat mengembangkan perniagaan mereka ke Eropah dan tempat-tempat lain seperti di Asia Barat dan sebagainya. Inilah antara aspirasi golongan muda dalam syarikat iGene tersebut dan juga kerajaan. "Dalam usaha transformasi yang dilakukan kerajaan, salah satu aspek ialah supaya syarikat-syarikat tempatan bukan sahaja menjadi terkenal di Malaysia tetapi juga di peringkat global," katanya. - UTUSAN Beliau sehubungan itu menasihatkan syarikat tempatan yang mahu menembusi pasaran global supaya memastikan mereka memiliki kualiti kepimpinan, kegigihan dan kesabaran yang tinggi untuk menghadapi persaingan. "Mereka perlu memiliki keyakinan bahawa mereka boleh berjaya kerana banyak halangan yang akan ditempuh dan kegagalan itu digunakan sebagai pengajaran untuk berusaha lebih gigih supaya mereka dapat menghadapi cabaran-cabaran yang lebih besar. Dengan adanya ciri-ciri ini barulah kejayaan akan dicapai," katanya.
TOP
Ambil peluang melabur projek mega di negara Teluk
KUALA LUMPUR 2 Jun - Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) menggesa syarikat-syarikat Malaysia mengambil peluang untuk melabur dalam projek-projek mega yang akan dijalankan di negara-negara Teluk terutamanya Kuwait. Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee berkata, sudah tiba masanya syarikat-syarikat tempatan membuat pelaburan secara besar-besaran di negara-negara Teluk yang kini sedang giat membangun. Katanya, pada waktu ini, penyertaan syarikat-syarikat Malaysia di Kuwait dan negara-negara Teluk yang lain sangat rendah berbanding syarikat-syarikat dari Korea Selatan. "Adalah mencukupi sekiranya syarikat-syarikat Malaysia dapat mengambil sekurang-kurangnya satu peratus daripada nilai projek baharu bandar raya mega di Kuwait bernilai AS$30 bilion (RM96 bilion). "Pada waktu ini, projek-projek mega di negara-negara Teluk dan Asia Barat dimonopoli oleh syarikat-syarikat dari Korea Selatan," katanya. Beliau yang juga Penasihat PSI InControl Sdn. Bhd., (PSI InControl) berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media di sini hari ini. Yang turut hadir Pengerusi dan Pengarah Urusan PSI InControl (PSI InControl), Harvinder Singh dan Pengarah Jualan dan Pemasaran Perniagaan Unit sub stesen PSI InControl, Azhar Abdul Aziz. Tambah Syed Hussien, tiga sektor yang sangat diperlukan di negara-negara teluk iaitu infrastruktur, petrokimia dan pelbagai bidang kejuruteraan. Katanya, negara-negara teluk juga merupakan pasaran yang baik untuk industri perabot dan juga barangan perhiasan. "Syarikat-syarikat dari Malaysia sepatutnya tidak hanya perlu memberi tumpuan terhadap pasaran tradisional dan di negara-negara tertentu seperti Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), sebaliknya mula melihat potensi pasaran di negara-negara lain," ujarnya. Bercakap mengenai pencapaian PSI InControl setakat ini, kata Syed Hussien, pihaknya berjaya mendapat kontrak selama setahun menggantikan Unit-unit Terminal Remote (RTU) dalam 30 buah sub stesen dari Pihak Berkuasa Elektrik dan Air (EWA) Bahrain bernilai RM4.5 juta. Pencapaian sebelum ini, jelasnya, PSI Incontrol berjaya melaksanakan projek untuk tiga tahun bernilai RM50 juta di Muscat City, Oman. Sekarang, projek di Oman memasuki tahun kedua, kata Syed Hussien. "Berdasarkan penggunaan teknologi yang terkini dan inovatif, kami mengunjurkan pencapaian perolehan sebanyak RM1 bilion pada tahun 2022,'' tegas beliau.
TOP
Biri-biri bergaya dengan jersi skuad bola sepak Piala Dunia
BEBERAPA ekor biri-biri memakai jersi skuad bola sepak Brazil di Nobsa, Colombia kelmarin.- REUTERS
NOBSA, Colombia – Sejumlah biri-biri dipakaikan jersi beberapa pasukan yang akan menyertai Pusingan Akhir Bola Sepak Piala Dunia di Brazil di sini kelmarin. Biri-biri dipakaikan jersi skuad Jerman, Brazil, Colombia dan Sepanyol. Haiwan-haiwan tersebut dipakaikan jersi dan seluar pasukan-pasukan tersebut. Biri-biri itu memakai pakaian itu sempena satu pameran yang diadakan sebelum Pusingan Akhir Bola Sepak Piala Dunia bermula di Brazil pada 12 Jun hingga 13 Julai depan.
– Agensi
TOP
Asus lancar gajet hibrid lima dalam satu
SEORANG model memegang gajet hibrid Transformer Book V pada pameran Computex di Taipei, Taiwan semalam. - REUTERS
TAIPEI - Firma utama Taiwan, Asus memperkenalkan gajet hibrid dipercayai yang pertama di dunia menggabungkan sebuah komputer riba, tablet dan telefon bimbit semalam Pelancaran itu dibuat sehari sebelum pameran teknologi terbesar di Asia, Computex membuka tirainya di ibu kota Taiwan di sini. Ketua Asus, Jonney Shih memperkenalkan gajet tersebut, Transformer Book V di hadapan ratusan peneraju industri, pakar dan petugas media dari seluruh dunia. "Dalam setiap mod, kami menawarkan pengalaman tanpa kompromi, tanpa mengira sama ada gajet ini digunakan untuk tujuan komunikasi, pengeluaran atau hiburan," kata Shih. Transformer Book V memiliki lima mod merangkumi sebuah komputer riba dan tablet boleh cabut yang menggunakan kedua-dua perisian Android dan Windows serta berfungsi sebagai telefon pintar Android. Telefon berukuran 12.7 senti- meter itu berada di dalam tablet tersebut dan menjanjikan kepantasan melebihi empat kali ganda daripada sistem komuni- kasi 3G. Terdapat satu butang pada gajet itu untuk menukar sistem operasi daripada Android kepada Windows bagi kegunaan komputer riba. Asus yang dahulunya dikenali sebagai pengilang papan litar kini merupakan pengeluar komputer riba terbesar di dunia. Namun, harga gajet hibrid itu tidak didedahkan kepada media.
- AFP
TOP
Tiga beranak maut dalam nahas
BEGINILAH keadaan Toyota Innova dinaiki tiga beranak yang maut dalam kemalangan di Kilometer 107.9 Lebuh Raya Pantai Timur dekat Temerloh, Pahang malam kelmarin.
TEMERLOH – Seorang wanita yang merupakan pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Soi di sini dan dua anaknya maut selepas kenderaan dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 107.9 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) berhampiran Lanchang dekat sini malam kelmarin. Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, mangsa, Nor Hayati Mohd. Ghazali, 58, dan anaknya, Muhammad Amirul Afiq Hamdan, 17, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan manakala anak bongsunya, Muhammad Amirul Hakeem Hamdan (gambar kecil), 14, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh. Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Anuar Othman berkata, kenderaan MPV jenis Toyota Innova dipandu anak sulung mangsa, Muhammad Asyraf Naqiuddin Hamdan, 19, itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Kuantan selepas menghabiskan cuti hujung minggu di ibu negara.
TOP
Abbas ketuai kerajaan baharu Palestin
HANIYEH (tengah) mengangkat kedua-dua tangannya di pejabatnya di Bandar Gaza semalam. - REUTERS
RAMALLAH, Tebing Barat - Presiden Mahmoud Abbas mengangkat sumpah semalam sebagai ketua kerajaan penyatuan Palestin semalam sekali gus menamatkan perpecahan dengan pentadbiran Hamas di Genting Gaza. Beliau mengangkat sumpah dalam satu upacara ringkas di ibu pejabatnya di sini. Sebelum mengangkat sumpah itu, berlaku tawar-menawar berhubung 17 anggota Kabinet baharu Palestin yang dipilih dalam kalangan ahli teknokrat. Walaupun anggota Kabinet baharu itu tidak memiliki hubungan dengan Hamas, sama ada mereka akan diterima oleh Amerika Syarikat (AS) dan Eropah adalah samar. Namun, Abbas optimis kerajaan baharu itu dapat menamatkan perpecahan politik dan wilayah yang berlaku apabila kumpulan Hamas menguasai Genting Gaza pada 2007. Perkembangan tersebut menyebabkan Abbas hanya dapat memerintah wilayah Tebing Barat yang ditawan Israel. Selama tujuh tahun, Abbas dan Hamas mentadbir dua kerajaan berasingan dalam wilayah masing-masing. "Lembaran hitam dalam sejarah kita ditutup untuk selamanya dan tidak akan kembali semula," kata Abbas sebelum mempengerusikan mesyuarat pertama Kabinet Palestin. Abbas turut memberi bayangan bahawa beliau tidak lama lagi akan melawat Gaza untuk kali pertama sejak tahun 2007.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Hamas, Ismail Haniyeh menyatakan, Palestin kini membuka era baharu berteraskan penyatuan dan perkongsian dalam membuat keputusan dan bekerja. Beliau akan berundur ekoran penyatuan itu. Kabinet yang baru dibentuk tersebut berdepan dengan pelbagai kesukaran. Antara krisis yang perlu diselesaikan segera termasuk isu penyatuan pasukan keselamatan di Tebing Barat dan Gaza yang dahulunya berseteru. Abbas juga tidak memberi jaminan bahawa AS dan Eropah akan terus menyalurkan bantuan tahunan bernilai jutaan dolar yang diperlukan untuk membiayai kerajaan baharu tersebut. Ia berikutan Barat sebelum ini menganggap Hamas sebagai sebuah kumpulan pengganas manakala sokongan kumpulan itu kepada kerajaan baharu Palestin mungkin menimbulkan kebimbangan dalam kalangan negara penderma. Dalam pada itu, kos untuk membiayai kerajaan baharu itu akan menjadi lebih mahal kerana Abbas terpaksa menggabungkan kakitangan daripada dua pentadbiran berasingan. Hamas menggaji lebih 40,000 pekerja sejak tahun 2007 manakala Abbas pula memiliki seramai 150,000 kakitangan awam. Dalam perkembangan berkaitan, Israel mengumumkan ia akan memboikot kerajaan baharu itu kerana ia disokong oleh Hamas. Kumpulan itu sebelum ini membunuh beratus-ratus warga Israel dalam sejumlah serangan bertahun-tahun lalu. Regim Zionis mengumumkan langkah untuk menghukum pembentukan kerajaan penyatuan Palestin tersebut tetapi tidak mendedahkan secara terperinci tindakan yang akan dilakukannya. - AGENSI
TOP
Stesen minyak di Rantau Panjang lengang
Salah sebuah stesen minyak di pekan Rantau Panjang lengang
RANTAU PANJANG - Kebanyakan stesen minyak di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di sini semakin lengang susulan tindakan kerajaan menghadkan jualan bulanan bahan bakar sejak Ahad lepas. Timbalan Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Kelantan Abdul Ghani Harun berkata buat masa ini penetapan kuota 600,000 ribu liter bagi setiap stesen minyak sebulan itu hanya tertakluk kepada petrol RON95. "Ia hanya dikenakan kepada petrol RON95 kerana bagi diesel sekarang kita tidak ada masalah, ianya tidak sampai tahap serius," katanya kepada pemberita di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di sini hari ini. Abdul Ghani berkata penetapan kuota itu dibuat berdasarkan kajian lalu lintas, jumlah penduduk dan persekitaran. Beliau berkata pihaknya mendapati sindiket penyeludupan minyak menggunakan modus operandi baharu iaitu dengan mengisi minyak di stesen minyak berasingan. "Contohnya, mereka mengisi RM30 di setiap stesen minyak berlainan, tidak macam dulu. Dulu mereka isi penuh tangki di satu stesen minyak sahaja," kata Abdul Ghani "Kita pasti yang mereka (pengusaha stesen minyak dan orang ramai) tahu akan arahan baharu itu," katanya. Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan taklimat untuk pengusaha stesen minyak. Sabtu lepas, Ketua Setiausaha KPDNKK Datuk Seri Alias Ahmad mengumumkan had penjualan diesel dan petrol di stesen minyak di sempadan berkenaan kepada 600,000 liter sebulan berkuat kuasa 1 Jun bagi membendung kegiatan penyeludupan bahan api bersubsidi yang semakin aktif di sempadan negeri itu. Mengenai isu lain, Abdul Ghani berkata bekalan minyak masak dan tepung gandum di Kelantan masih mencukupi. "Bekalan minyak masak dan tepung gandum masih baik dan kalau tidak mencukupi, kita akan maklumkan," katanya mengulas laporan media mengenai masalah bekalan bahan berkenaan yang dikatakan berlaku di Utara Semenanjung. - Bernama
TOP
Rogol remaja: Ketua balai polis terima balasan
SEORANG anggota polis membawa Mahmad selepas dia didapati bersalah atas pertuduhan merogol oleh Mahkamah Sesyen, Kota Bharu semalam.
KOTA BHARU - Seorang anggota polis dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan lapan sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah merogol seorang remaja berusia 14 tahun, lima tahun lepas. Hakim Mohd Yusoff Yunos menjatuhi hukuman itu terhadap Sarjan Mejar Mahmad Abidin, 57, yang juga bekas ketua sebuah balai polis di sini, selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. Mahmad didakwa merogol remaja itu di Balai Polis Binjai di sini pada 2.30 petang, 15 Oktober 2009. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum menurut Seksyen 376(1) kanun sama yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan. Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Salam Yusof manakala tertuduh diwakili Datuk Sukri Mohamed. Pada prosiding itu, Mohd Yusoff membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman dengan syarat permohonan rayuan difailkan pada hari sama. Beliau turut membenarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh berkuat kuasa sejurus notis rayuan difailkan.
- Bernama
TOP
Coklat Cadbury sah tiada DNA babi
JAMIL KHIR (tengah) bersama Othman (kiri) dan Mohd. Roslan pada sidang akhbar mengenai hasil ujian Jabatan Kimia terhadap coklat Cadbury di Bangi semalam.
1. Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Jabatan Kimia Malaysia (JKM) kerana telah memberi keutamaan dalam pengujian sampel bagi dua produk coklat cadbury yang menjadi isu nasional berikutan kenyataan akhbar Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 24 Mei 2014 yang lalu.
2. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 26 Mei 2014 telah mengambil kedua-dua sampel produk terlibat iaitu:
i. Coklat dengan kacang hazel-Cadbury Dairy Milk Hazelnut dengan nombor kelompok (Batch no) 200813 M01HI2; dan
ii. Coklat susu dengan buah badam-Cadbury Dairy Milk Roast Almond dengan nombor kelompok (Batch No) 221013 N01RI1
3. Selain itu, Jakim juga turut mengambil empat (4) produk lain dalam aliran pemprosesan yang sama dan lima (5) jenis bahan mentah yang berpotensi mengandungi unsur haiwan.
4. Kesemua sampel diambil dari kilang pengeluar produk tersebut yang beralamat di Cadbury Confectionary (M) Sdn. Bhd., Persiaran Raja Muda, Seksyen 16, P.O. Box 7043, 40700 Shah Alam Selangor dan telah dihantar ke JKM pada hari yang sama.
5. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia pada hari ini (2 Jun 2014) telah menerima keputusan analisis makmal Jabatan Kimia Malaysia ke atas dua sampel produk keluaran Syarikat Cadbury Confectionary (M) Sdn. Bhd. iaitu:
i. Coklat dengan kacang hazel-Cadbury Dairy Milk Hazelnut dengan nombor kelompok (Batch no) 200813 M01HI2 dan (Batch no) 200813 M01HI2; dan
ii. Coklat susu dengan buah badam-Cadbury Dairy Milk Roast Almond dengan nombor kelompok (Batch No) 221013 N01RI1
6. Keputusan analisis makmal adalah seperti berikut:
i. Coklat dengan kacang hazel-Cadbury Dairy Milk Hazelnut dengan nombor kelompok (Batch no) 200813 M01HI2 dan (Batch no) 200813 M01HI2 – DNA BABI TIDAK DIKESAN
ii. Coklat susu dengan buah badam-Cadbury Dairy Milk Roast Almond dengan nombor kelompok (Batch No) 221013 N01RI1 – DNA BABI TIDAK DIKESAN
7. Walau bagaimanapun memandangkan perkara ini melibatkan tanggungjawab dan integriti pihak syarikat, pemeriksaan menyeluruh akan dibuat semula ke atas seluruh rantaian pengeluaran produk syarikat Cadbury Confectionary (M) Sdn Bhd merangkumi bahan mentah, aliran pemprosesan, penyimpanan, peralatan dan lain-lain bagi memastikan syarikat benar-benar mematuhi piawaian pensijilan halal Malaysia.
8. Laporan pemeriksaan menyeluruh tersebut akan dibentangkan semula dalam Mesyuarat Panel Pengesahan Halal Malaysia sebelum Sijil Pengesahan Halal Malaysia dua produk tersebut dikembalikan.
9. Jakim juga akan mengadakan mesyuarat bersama agensi-agensi berkaitan bagi membincangkan strategi pengurusan krisis sekiranya berlaku pengesanan DNA dalam sesuatu produk, oleh makmal mana-mana agensi kerajaan di masa-masa akan datang.
10. Dalam masa terdekat, Saya juga akan mempengerusikan mesyuarat khas Jawatankuasa Pemandu Halal yang dianggotai oleh pelbagai agensi dan pakar-pakar berkaitan dengan halal bagi membincangkan isu-isu halal secara menyeluruh.
11. Seterusnya, Jakim akan merangka program kesedaran pengguna Islam bagi menjelaskan mengenai pensijilan Halal Malaysia dan isu hukum DNA porcine serta kesannya terhadap kepenggunaan. Sekian, terima kasih.
Y.B Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Bin Hj. Baharom (B)
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
2 Jun 2014
TOP
Keganasan terhadap kanak-kanak membimbangkan
Unicef
SHAH ALAM – Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef) Malaysia melahirkan kebimbangan yang serius di atas peningkatan kes rogol dan dera yang terjadi pada kanak-kanak sejak akhir ini. Menurut satu statistik yang dikaji oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan bahawa kes penderaan melibatkan kanak-kanak terutamanya penderaan seksual dan pengabaian telah meningkat daripada 2,789 pada 2009 kepada 3,428 pada tahun 2011. “Angka yang dicatatkan oleh statistik tersebut sememangnya wajar menjadi kebimbangan memandangkan masih banyak kes rogol di luar sana tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa. “Seperti mana kes rogol remaja perempuan bawah umur yang berlaku di Kelantan baru-baru ini, ianya merupakan satu isu yang membimbangkan banyak pihak,” katanya. Mengulas lanjut, kerajaan sepatutnya mengenal pasti punca dan mencari jalan penyelesaian bagi menangani masalah penderaan dan keganasan seksual supaya kes seperti itu dapat dikurangkan pada masa akan datang. Sehubungan dengan itu, pihaknya menggesa kerajaan supaya mewujudkan perlaksanaan undang-undang yang lebih tegas ke atas perogol dan pendera kanak-kanak. Unicef dalam pada itu turut menyeru kepada semua golongan masyarakat untuk sama-sama bekerjasama dalam mengurangkan kes penderaan dan keganasan seksual kanak-kanak di negara ini.
TOP
7 ditahan kes lelaki tunjuk kemaluan mati dipukul
SERDANG - Polis menahan tujuh lelaki berusia lingkungan 20 dan 30 tahun kerana dipercayai membelasah sehingga mati seorang lelaki yang disyaki menunjukkan kemaluan kepada seorang wanita di Seksyen 17, Shah Alam semalam. Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata, dalam kejadian 2 pagi itu mangsa dikatakan berkelakuan tidak senonoh dengan menunjukkan kemaluannya kepada wanita berusia 20-an tersebut yang kemudian menjerit meminta tolong. "Polis masih menyiasat kes ini, namun setakat ini tiada motif lain dikenal pasti selain faktor orang awam naik berang terhadap mangsa," katanya kepada pemberita selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Serdang di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, di sini hari ini. "Mangsa dipukul setelah kedua-dua tangannya diikat dan ketika polis sampai di lokasi kejadian, dia sudah tidak sedarkan diri," kata Abdul Samah. Beliau tidak menolak kemungkinan masih ada lagi individu yang terlibat dalam kes itu. Hasil siasatan, polis mendapati tiada sebarang senjata ditemui di lokasi kejadian dan kesemua lelaki yang ditahan itu dipercayai penduduk di kawasan itu. Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Klang untuk dibedah siasat, katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Bernama
TOP
Hina raja, orang ramai dinasihat berhati-hati
SHAH ALAM – Orang ramai dinasihati supaya berhati-hati dalam menyiarkan atau memuat naik sebarang komen yang berkaitan dengan kemangkatan Sultan Perak, Almarhum Sultan Azlan Shah. Menurut Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihaknya telah menerima beberapa laporan polis berkaitan individu atau pihak yang sengaja menghina institusi beraja di dalam media sosial. “Pihak kami sudah pun menerima laporan yang berkaitan dan perkara ini sedang dalam proses siasatan.” “Sebarang maklumat atau petunjuk yang diperoleh daripada hasil siasatan akan dirujuk kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan susulan,” katanya melalui sebuah kenyataan hari ini. Mengulas lanjut, pihak PDRM sentiasa memandang serius tentang isu-isu yang boleh menyentuh sensitiviti perkauman seperti ini. “Tindakan undang-undang boleh diambil di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 terhadap mereka yang terbabit. “Pihak kami ingin menyarankan kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam memuat naik sebarang 'post' bagi mengelakkan perpecahan perpaduan masyarakat,” katanya lagi.
TOP
Lima suspek kes tembak ahli perniagaan ditahan
Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Abdul Ghani (tengah) menunjukkan pistol dan peluru yang digunakan dalam cubaan membunuh seorang ahli perniagaan di Mentakab di Kuantan, hari ini. - Foto Bernama
KUANTAN - Kes tembak melibatkan seorang ahli perniagaan di Jalan Zabidin berhampiran Stesen Bas Mentakab di Temerloh pada malam Jumaat lepas dianggap selesai dengan tertangkapnya lima suspek termasuk dua wanita pagi semalam. Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani berkata kesemua suspek berumur 22 hingga 48 tahun itu ditahan dalam tiga serbuan berasingan di Kuala Lumpur dan Temerloh. Beliau berkata dalam serbuan pertama kira-kira jam 6 pagi semalam di sebuah rumah di Taman Melawati, polis menahan sepasang kekasih warga tempatan yang berumur 22 tahun (perempuan) dan 35 tahun (lelaki). "Hasil soal siasat yang dilakukan, polis menyerbu sebuah lagi rumah di Wangsa Maju pada jam 9.45 pagi dan berjaya memberkas sepasang lagi kekasih warga Indonesia berusia 38 tahun (perempuan) dan 36 tahun (lelaki)," katanya kepada pemberita di sini malam ini. Menurutnya, hasil pemeriksaan di dalam rumah tersebut, polis menemui sepucuk pistol jenis revolver .38, lima kelongsong peluru, 45 butir peluru serta pakaian yang dipakai semasa menembak mangsa terbabit. "Siasatan awal mendapati suspek warga asing berkenaan melepaskan tiga das tembakan dan mengenai rusuk kiri mangsa. Lelaki warga asing itu tidak mempunyai sebarang pekerjaan telah mengaku mengambil upah untuk menembak mangsa," kata Shariffuddin. Beliau berkata susulan penangkapan empat suspek tersebut, polis menahan seorang lelaki berusia 48 tahun dipercayai bergelar 'Datuk' dalam serbuan di Taman Permai Temerloh pada jam 10 pagi. Lelaki tersebut dipercayai mengupah warga asing itu untuk menembak mangsa terbabit kerana tidak berpuas hati dengan mangsa yang menuntut hutang daripadanya sebanyak RM350,000. "Kes dianggap selesai namun kita juga tidak menolak jika ada tangkapan dibuat selepas ini sekiranya terdapat suspek lain yang turut terlibat," katanya. Beliau berkata kesemua suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah kini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan. Dalam kejadian malam Jumaat, seorang ahli perniagaan berusia 37 tahun parah selepas terkena tiga das tembakan di rusuk kirinya di depan sebuah klinik swasta di Jalan Zabidin berhampiran Stesen Bas Mentakab. - Bernama
TOP
Video: Satu Gelas Air Boleh Merubah Arah Anak Panah
Satu gelas air yang ada di dalam gelas ternyata mampu membelokan arah anak panah, jika kamu tidak percaya sila lihat video di bawah ini di mana arah anak panah yang awalnya mengarah ke kiri berubah ke kanan selepas air di isikan ke dalam gelas. Jom videonya di bawah ini:
TOP
Pencuri Masjid Al-Hasanah Bandar Baru Bangi
Satu kes kecurian telah berlaku di Masjid Al-Hasanah Bandar Baru Bangi, Selangor pada 23 Mei 2014, Jumaat lepas jam 3:07am. Video rakaman CCTV kejadian dimuat naik ke laman facebook.
Masjid A-Hasanah ini yang mana satu? Masjid bumbung hijau di Bandar Baru Bangi seksyen 9 berdepan dengan Hospital Zaharah. Waktu pagi-pagi buta ini semua orang tengah tidur nyenyak. Mana yang bangun pun untuk mengerjakan solat malam bagi membersihkan jiwa dan mengerjakan amal bekal bawa ke akhirat. Boleh tengok gambar penyamun-penyamun masjid yang terang-terang adalah anak melayu beragama Islam. Umur dalam lingkungan belasan tahun tetapi sudah pandai buat kerja jahat lagi terkeji. Ambil wang ihsan derma untuk membina masjid baru, tabung wakaf Masjid Al-Umm. Ini baru orang kata meruntuhkan masjid.
Kelibat 4 pencuri masjid sedang sibuk "kerja"
Muka salah seorang penyamun yang memakai baju T dengan logo Superman.
Kerana dah perasan ada CCTV, beliau terus tutup muka ala ninja. Tetapi bukan ninja berani.Ninja penakut.Takut kerana salah. Ini dia video CCTV akhir 23 saat menunjukkan pencuri 4 ekor ini telah perasan kehadiran CCTV dan cuba menutup muka mereka semasa melarkan diri setelah mendapat habuan kerja malam duit tabung masjid. Jika anda kenal dengan pencuri atau ada maklumat mengenai kes ini, sila berhubung terus dengan pihak pengurusan masjid atau terus ke balai polis berdekatan. Terima kasih.
TOP
Menakjubkan! Keindahan Masjid Direka Bentuk Oleh Seorang Wanita.
Selama ini, sebuah masjid biasanya direka oleh seorang lelaki. Tapi ada sebuah masjid di Turki yang berbeza. Nama masjid ini adalah Masjid sakirin. Seperti yang dilaporkan oleh ilmfeed.com, masjid ini diyakini sebagai masjid pertama yang direka oleh seorang perempuan. Hmm, kira-kira apa yang membezakan masjid ini dari masjid-masjid lain? Masjid sakirin ini menggabungkan reka bentuk kontemporari dan moden dengan masih memberikan sentuhan gaya tradisional Uthmaniyyah. Masjid berkapasiti 500 orang. Wanita luar biasa yang merancang masjid ini bernama Zeynep Fadıllıoğlu. Wanita ini memang sudah dikenal sebagai wanita yang merancang hotel-hotel mewah, restoran, dan kedai. Ia adalah satu daripada sejumlah perancang perempuan yang sudah diakui bakatnya di kancah antarabangsa.
Masjid ini mempunyai sebuah kubah besar dan unik. Kubah ini menutupi ruang solat utama, menara masjid, dan laman. Nampak luar, masjid ini kelihatan sangat indah dan anggun. Ketika malam tiba, masjid ini semakin kelihatan indah. Sesiapa yang berada di dalamnya pasti boleh merasa damai dan dapat beribadah dengan khusyuk.
Mimbar masjid juga mempunyai reka bentuk yang sangat cantik. Dengan warna biru dan emas, mimbar masjid nampak elegan dan seolah-olah diilhamkan daripada filem fiksyen sains. Dindingnya juga dihiasi dengan ayat-ayat suci Al-Quran. Tidak lupa juga dengan lampu-lampu gantung yang tidak terlalu mewah tetapi sangat cantik dan elegan. Jika anda mempunyai rancangan atau berkesempatan untuk melawat Istanbul, masjid ini boleh jadi masuk ke senarai tempat yang wajib anda lawati.
TOP
PDRM Beli Helikopter Tempur
Kali terakhir kabinet meluluskan permohonan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memperoleh 21 helikopter baru pelbagai jenis adalah pada tahun 2008. Pada ketika itu PDRM sudah memiliki 12 helikopter pelbagai guna. Pembelian helikopter itu bukan sahaja untuk menjalankan operasi rondaan tetapi untuk membantu tugas pencegahan jenayah. Selepas insiden di Lahad Datu tahun lepas dan beberapa kes penculikkan baru-baru ini, ESSCOM (Eastern Sabah Security Command) sudah menggambarkan yang mereka akan dilengkapi dengan helikopter tempur dengan teknologi tercanggih dan terkini. Ini adalah kerana apabila PDRM dilengkapi dengan helikopter tempur ini, pasukan PDRM akan lebih pantas bertindak berbanding pasukan komando darat dan TUDM. Helikopter tempur juga fleksibel untuk digunakan dalam apa jua operasi sama ada rondaan, bantuan atau pertempuran.
Laporan akhbar hari ini mengenai pembelian helikopter tempur untuk PDRM
Apache Longbow AH-64D, helikopter tempur untuk operasi pelbagai guna yang diintai oleh PDRM
Semoga dengan pembelian ini keselamatan di Sabah lebih terjamin.
TOP
Kelajuan Internet Malaysia Memalukan Negara
Kecoh satu Malaysia semenjak data perbandingan kelajuan internet negara-negara Asean keluar bulan lepas. Kelajuan jalur lebar negara menjadi cemuhan ramai rakyat Malaysia dan negara jiran. Kita dikalahkan oleh negara seperti Cambodia, Vietnam dan Thailand. Bukan sahaja negera-negara tersebut mempunyai kelajuan yang tinggi, malah kadar sewaan talian jalur lebar negara-negara berkenaan juga jauh lebih murah. Usaha kerajaan menjayakan sasaran kadar penembusan internet tertinggi seluruh negara, sehingga jauh ke ceruk seluruh kampung dan pendalaman adalah positif. Ironinya sekarang seluruh rakyat Malaysia mendapat informasi, maklumat dan berita tanpa tapisan dan kekangan kerajaan. Contoh paling nyata adalah kes laporan kadar kelajuan jalur lebar Malaysia yang jauh ke belakang berbanding negara Cambodia, Vietnam dan Thailand. Bolehkah kita pandang rendah lagi kepada Cambodia, Vietnam dan Thailand lagi? Persoalannya sekarang adalah bagaimana negara-negara miskin ini mampu berbuat sedemikian. Mungkin kerana kurang projek songlap. Bayangkan negara kita yang kononya negara Islam, tetapi songlap berleluasa sehingga infrastruktur IT kita juga jadi mangsa. Yang menyedihkan adalah Suruhanjaya Komunikai dan Multimedia (SKMM) serta Telekom Malaysia bermati-matian mempertahankan benang yang basah. Alasan yang diberi adalah kerana kajian menggunakan metodologi berbeza. Rakyat Malaysia sudah cerdik dan pandai serta boleh membuat penilaian sendiri. Kenapa pengerusi SKMM dan CEO Telekom Malaysia perlu mengeluarkan fakta mengatakan Malaysia adalah negara dengan kadar penembusan tertinggi sedangkan isunya adalah kelajuan jalur lebar dan harga sewa jalur lebar yang mahal. Cuba fikir-fikirkan.
TOP
Sebenarnya Raja Azmi Mula Berhijab 29 Mei 2014 Lalu
Biarpun produser filem, Raja Azmi Raja Sulaiman sudah membuat penampilan serta kenyataan secara eksklusif bahawa dia kini sudah pun berhijrah serta berhijab kepada pengacara Hlive! Special, Datuk Aznil HJ Nawawi sewaktu program infotainment itu bersiaran di Astro Ria pada malam semalam, hakikatnya Raja Azmi Raja Sulaiman sudah pun mula berhijab secara rasmi pada 29 Mei 2014 yang lalu. Keputusan untuk memakai hijab pada tarikh tersebut (29 Mei 2014) telah dikongsi kepada Editor In-Chief Portal Murai iaitu Ellyna Ali beserta rakan-rakan terdekat serta ahli keluarganya yang lain, beberapa hari sebelum itu. Namun, Raja Azmi meminta supaya hal tersebut dirahsiakan kerana pada tarikh yang sama juga dia mahu mengadakan Kenduri Doa Selamat di atas penghijrahannya itu beserta menyambut kedatangan bulan Ramadan yang bakal menjengah tidak lama lagi "Kenduri Doa Selamat itu saya buat untuk mengaminkan niat saya untuk berhijrah dan saya juga mahu memohon kepada Allah SWT supaya dapat menetapkan iman saya serta diberikan hidayah agar saya dapat terus memperbaiki kelemahan diri saya dan terus belajar untuk menjadi muslimah yang baik. "Kebetulan, tarikh itu jatuh pada hari Khamis malam Jumaat, jadi memang kena sangatlah saya buat kenduri tersebutdan saya juga mahu mengambil keberkatan bulan Ramadan ke atas penghijrahan saya ini.," katanya kepada Portal Murai. Menurut Raja Azmi lagi, keputusan untuk berhijarh dibuat selepas memikirkan pelbagai aspek terutama selepas tercetusnya kontroversi apabila dia mempersoalkan isu wanita tidak bertudung akan masuk neraka. "Selepas mengeluarkan kenyataan tersebut, saya telah dihambat dengan pelbagai kritikan dan saya mula berfikir balik bahawa sedikit-sebanyak kritikan itu ada kebenarannya. "Akhirnya saya cuba mendekatkan diri kepada Allah bagi mendapatkan petunjuk.Saya baca Al-Quran dan membuat solat sunat serta solat Tahajud selama tiga hari tiga malam. Malah saya juga membuat sembahyang Istikarah "Akhirnya saya temui jawapan dan pada satu pagi, terus terdetik di hati saya untuk berhijrah dan Alhamdulillah sekarang ini Allah SWT sudah memberikan petunjuk dan jalan untuk saya berhijab sepenuhnya," katanya lagi.
murai.com.
TOP
Kreatif! Kek Berbentuk Seperti Watak Maleficent Disney
Untuk merayakan pelancaran filem Disney Maleficent, chef kreatif dari Tattooed Bakers telah membuat kek yang kelihatan seperti watak dalam filem itu. Kek itu sangat realistik dan boleh dimakan. Kek itu kelihatan lebih menarik sebagai sebuah karya seni dan saat menghiris "kepala" pada kek itu agak mengganggu selera makan.
TOP
Maut dilanggar komuter
Klang: Seorang lelaki maut dilanggar komuter dalam satu kemalangan di Stesen Teluk Pulai, dekat sini pagi tadi. Annggota bomba mengeluarkan mayat mangsa yang tersangkut di landasan. FOTO Ihsan Bomba dan Penyelamat Mangsa, Lim Yeong Kak, 29, dikatakan terjun ke arah komuter yang sedang bergerak kira-kira jam 8 pagi. Ketika kejadian, komuter yang datang dari Pelabuhan Klang ke Kuala Lumpur sedang bergerak perlahan sejurus tiba di stesen berkenaan. Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Raja Husin Mat Amin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 8.15 pagi. Katanya, sebuah jentera bomba dengan kekuatan lima anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan kerja menyelamat mangsa yang tersepit di landasan.
TOP
CheguBard dakwa Azmin cuba sogok Pengerusi JPP
KUALA LUMPUR – Selepas digantung keahlian kerana kritikan secara terbuka, Badrul Hisham Shahahrin atau dikenali CheguBard sekali lagi bersuara mengenai proses pemilihan PKR yang dianggapnya banyak tidak kena. Kali ini, beliau mendakwa calon Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali cuba menyogok Pengerusi Panel Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Malek Husin menggunakan calon Naib Presiden yang juga ahli biro politik. “Benarkah Azmin Ali cuba menyogok Malek Husin melalui calon Naib Presidenya yang juga anggota biro politik? JPP harus keluar kenyataan rasmi segera! “Siapakah calon timbalan presiden yang menggunakan calon naib presiden dari pasukanya untuk memberikan wang tunai kepada Malek Husin? Mujur Malek membaling wang rasuah ini katanya dlm mesy.biro politik dan makanya terbongkarlah kegiatan cubaan beri rasuah ini,” katanya dalam status laman sosialnya hari ini. Menurut CheguBard, ia adalah perbuatan rasuah dan rakyat melihat apa yang berlaku di dalam PKR sekarang. “Adakah PKR sama mcm UMNO yang beri nama politik wang untuk rasuah bagi kelirukan rakyat…semuanya atas nama konon demi jaga parti…calon naib presiden itu katanya seorang YB dan juga seorang doktor,” ujarnya yang juga pengasas NGO, Solidariti Anak Muda Malaysia. Beliau juga tidak menolak kemungkinan dipecat gara-gara statusnya itu tetapi demi sayang pada parti dan yakin PKR tidak akan melindungi disebalik masalah yang berlaku. Baginya, lebih baik PKR mengaku dan tidak berselindung seterusnya membaiki segala yang berlaku bagi menjadikan PKR parti yang lebih dihormati. Sumber: Malaysia Gazzete
TOP
Real Madrid Bakal Guna Jersi Warna Pink
Untuk musim La Liga akan datang, pasukan bola sepak Real Madrid bakal mengenakan jersi berwarna pink untuk setiap perlawanan ‘away’ mereka. Untuk jersi pertama mereka, Real Madrid masih lagi mengenakan jersi berwarna putih dengan garisan berwarna merah jambu.
'' Sebelum ini, pemain bintang Real Madrid, Gareth Bale dan Iker Casillas muncul terlebih dahulu dalam video pengenalan kepada kemunculan jersi tersebut dan ramai sudah menjangkakan warna jersi baharu mereka berdasarkan iklan terbabit. Jadi, buat peminat setia Real Madrid, jika sebelum ini anda kurang yakin memakai pakaian berwarna kerana takut diejek, selepas ini anda akan ada alasan yang munasabahlah untuk memakai pakaian berwarna pink selepas ini! Tak gitu?
Sumber: Audrey Lee / Mynewshub
TOP
Abang Long Fadil Berpaksikan Dunia Gengsterisme
Fadil (Zizan Razak) dipaksa mendapatkan Kampung Berani sekiranya tidak mahu dibunuh Shark (lakonan Syamsul Yusof).
FILEM: Abang Long Fadil
PENGARAH: Syafiq Yusof
PELAKON: Zizan Razak, Kamal Adli, Tauke (Raja Lawak), Soffi Jikan, Syamsul Yusof dan Aaron Aziz
DURASI: 80 Minit
GENRE: Aksi/Komedi
TERBITAN: Skop Productions Sdn Bhd.
TARIKH TAYANGAN: 29 Mei 2014
SELEPAS gagal meraih kutipan besar untuk karya sulung Saya Amat Mencintaimu (SAM), rasanya pengarah Syafiq Yusof mampu memancing penonton dengan hasil air tangan keduanya, Abang Long Fadil. Kenapa? Sebab anak muda ini berjaya menghasilkan sebuah filem di luar kotak, di mana setiap adegan yang disampaikan di luar jangkaan penonton. Dengan jumlah belanja sebanyak RM3 juta, Syafiq menggunakan bajet tersebut sebaik-baiknya untuk menghasilkan filem yang sekurang-kurang setaraf Hollywood. Filem yang genre aksi komedi ini membawa kesinambungan daripada kisah KL Gangster apabila sahabat baik Fadil iaitu Malik, lakonan Aaron Aziz ditahan dalam penjara. Berbeza sedikit dengan kisah KL Gangster yang lebih serius, filem ini mengisahkan tentang Fadil yang mahu menjadi samseng sehebat Malik. Memandangkan Malik dijatuhi hukuman penjara lima tahun, Fadil enggan terlibat lagi dengan dunia gengster dan mahu bebas daripada geng Shark (Syamsul Yusof).
Tetapi dia perlu melaksanakan satu tugasan terakhir sebagai hadiah untuk layak membebaskan diri daripada kumpulan gangster Shark iaitu musuh dalam selimut kepada Malik. Shark membuli Fadil dengan memberikan tugasan yang dianggap mustahil bagi semua gangster-gangster di Kuala Lumpur menakluk kawasan Kampung Berani. Kampung Berani adalah penempatan orang Melayu yang sedang menghadapi krisis hak milik tanah peneroka dengan syarikat-syarikat kapitalis yang telah mengupah sekumpulan gengster untuk mengugut penduduk kampung. Dalam masa yang sama, kawasan itu dipegang oleh seorang gengster besar yang tidak diketahui identitinya. Filem ini yang turut dibintangi oleh Kamal Adli, Soffi Jikan, Tauke Raja Lawak, Yassin Senario, Arman Graseka dan Harun Salim Bachik ini digarap dalam bentuk komedi aksi dan satu kelainan kalau dibandingkan dengan KL Gangster.
Namun naratifnya tidak lari daripada KL Gangster yang berpaksikan kepada dunia gelap gengsterisme. Berdasarkan bacaan plot ceritanya sahaja, ia dianggap sekadar sebuah filem gengster biasa. Tetapi Syafiq berjaya mengubah persepsi penonton dengan memasukkan beberapa elemen yang jarang digunakan dalam perfileman tempatan. Menggunakan hampir 40 peratus visual teknik imej janaan komputer (CGI) Syafiq mengambil inspirasinya menerusi filem Bad Boys, Kung Fu Hustle dan Padayappa. Walaupun dilihat seperti tidak logik, aksi lawan antara gengster menggunakan efek audio seperti filem-filem Tamil menggeletek hati penonton walaupun babak tersebut adalah serius. Malah kemunculan watak daripada filem Transformers iaitu Bumble Bee serta Iron Man ketika Zizan sedang bergelut dengan gengster agak pelik namun ia masih lagi boleh diterima buat penonton yang berfikiran terbuka. Menariknya, babak aksi yang dihasilkan bukan sebarangan kerana Syafiq lebih memberi fokus kepada lawan 'one to one' dengan efek yang unik. Ada masanya seperti filem Matrix! Sementara itu, Kamal Adli harus dipuji kerana lakonan yang menunjukkan seni mempertahankan diri cukup hebat sekali gus membuktikan bahawa dia bukan sekadar mampu melakonkan cerita-cerita cinta sahaja tetapi juga babak penuh aksi. Jangan terkejut sekiranya satu hari nanti, Kamal menggantikan tempat Adi Putra mahupun Aaron memegang watak utama dalam filem aksi. Secara keseluruhannya, filem ini harus dipuji kerana ia jelas dilihat penyampaiannya jauh berbeza dengan filem-filem yang sedia ada di negara ini. Sayangnya, filem Abang Long Fadil diklasifikasikan sebagai PG18 dimana ia tidak boleh ditonton oleh golongan di bawah umur 18 tahun.
Sumber: mStar
TOP
Gelandangan Dinasihat Serah Anak Kepada JKM
Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Golongan gelandangan yang mempunyai anak hari ini disaran menyerahkan segera anak-anak mereka kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) demi perlindungan dan kehidupan mereka yang sempurna. Beberapa tokoh masyarakat berkata, langkah sedemikian amat perlu demi mengelakkan anak-anak yang masih kecil itu hidup dalam persekitaran tidak sihat dan terjebak dalam dunia pelacuran, penagihan dadah dan jenayah. Penganalisis Jenayah Datuk Akhbar Satar berkata gelandangan yang merempat di sekitar ibu kota perlu sedar bahawa kanak-kanak di bawah pengawasan JKM bukan 'didera' sebagaimana anggapan mereka. "Malah (anak-anak itu) akan berdisiplin selain diberi pendidikan yang secukupnya bagi menjadi insan berguna kepada masyarakat dan negara pada masa depan. "Serahkan kepada JKM. Sekurang-kurangnya kanak-kanak itu dapat keperluan harian - makanan, minuman dan pendidikan," katanya. Akhbar menyifatkan kedegilan ibu bapa gelandangan untuk menyerahkan anak kepada JKM adalah satu penganiayaan kepada anak-anak yang tidak berdosa itu. Sumber: mStar
TOP
Cari Keluarga Kandung Selepas Terpisah 40 Tahun
KOTA BHARU – Seorang wanita yang terpisah dengan keluarga kandung sejak berusia sebulan, berharap Aidilfitri kali ini akan menemukan mereka. Rohani Hassan, 40 berkata beliau yang dilahirkan di Sabah, diserahkan sebagai anak angkat kepada Hassan Yaacob dan Nik Kamariah Nik Ismail ketika usianya sebulan sebelum dibawa ke Kelantan ketika berusia dua tahun. Katanya, ibu beliau bernama Lim Jid De berketurunan Cina manakala bapa berketurunan Kadazan dan mereka mempunyai empat anak termasuk beliau. “Saya percaya mereka masih ada tetapi saya tidak yakin di mana mereka berada…saya mahu mengenali dan kembali menjadi satu keluarga kerana kami tidak pernah melalui saat indah bersama keluarga sejak 40 tahun lalu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini Rohani yang kini tinggal di Taman Restu Tiga, Telipot di sini, berkata beliau hanya mengetahui statusnya sebagai anak angkat ketika berusia 13 tahun. “Ayah serahkan dua keping gambar bersama dua keping nota bertulisan Cina dan disebabkan saya tidak tahu bahasa Cina, saya minta rakan terjemahkan. Dalam surat itu, ibu memberitahu dia tidak mahu menyerahkan anak-anaknya kepada orang lain. “Namun disebabkan kesempitan hidup, dia terpaksa menyerahkan kami kepada orang lain dan akan meninggalkan Sabah serta kembali ke China,” kata ibu kepada Ahmad Hirzan Aiman Razlan, 17, dan Ahmad Hazrin Asyram, 14 itu. Katanya keinginan untuk bertemu keluarga kandung semakin membara dan berharap mereka yang mengenali atau mengetahui kisahnya boleh menghubunginya di talian 012-9225671. Sumber: Bernama
TOP
LHDN: Potong Gaji Lunaskan Tunggakan Cukai
KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan mengeluarkan satu Arahan Potongan Gaji (Arahan CP38) terhadap pekerja yang mempunyai tunggakan cukai, mulai 16 Jun ini. Menurut kenyataan LHDN di sini hari ini, sehingga 24 Mei lalu rekod LHDN menyasarkan sebanyak 156,158 orang pembayar cukai individu akan menerima arahan CP38 berkenaan melibatkan amaun tunggakan cukai hampir RM418juta. “Para majikan dikehendaki membuat potongan tambahan secara ansuran bulanan terhadap pekerjanya. “Arahan CP38 ini akan berkuat kuasa mulai gaji Julai sehingga Disember tahun ini dan satu salinan akan diserahkan kepada pembayaran cukai melalui e-mel atau perkhidmatan pos untuk rekod percukaian mereka,” menurut kenyataan itu. Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi Pusat Panggilan LHDN di talian 1-800-88-5436 atau Cawangan LHDN yang mengendalikan fail cukai tersebut. Sumber: Bernama
TOP
Editor Free Malaysia Today Letak Jawatan
Laman portal Free Malaysia Today (FMT) hari ini dilaporkan sudah kehilangan editor dan 15 orang wartawan ekoran masalah dalaman yang meruncing. Menurut beberapa sumber, FMT diwujudkan kira-kira empat tahun lepas dan sebenarnya berkait rapat dengan laman portal yang diwujudkan oleh Raja Petra Kamaruddin iaitu Malaysia Today, menurut laporan uppercaise.wordpress.com. “Difahamkan ia mendapat sumber kewangan dari seorang usahawan John Soh Chee Wen yang dahulunya merupakan rakan kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bermula dengan agak goyah,” kata sumber berkenaan. “Orang kanan Soh iaitu bekas wartawan New Straits Times (NST) Nelson Fernandez yang kini seorang usahawan membawa masih editor dari laman portal Malaysiakini K Kabilan sebagai editor FMT. “Ia bergerak dengan satu pasukan dengan beberapa wartawan berpengalaman yang pernah bertugas di NST dan The Star,” kata sumber itu. Kabilan dilaporkan telah meninggalkan FMT hujung minggu lalu, selepas membina laman portal berkenaan semenjak empat tahun lepas. “Dia gagal dihubungi dan kurang jelas ke mana hala tujunya selepas ini,” katanya. Tiga lagi Eksekutif Editor, Ketua Sub-Editor dan Editor Wilayah serta berita, juga dikatakan akan menyerahkan surat perletakan jawatan mereka tidak lama lagi. Menurut sumber, kira-kira berbelas lagi wartawan akan mengikuti jejak langkah para editor meninggalkan FMT. “Difahamkan mereka akan cuba mencari peluang bertugas di laman portal berita yang lain seperti The Malaysian Insider, FZ.com, The Rakyat Post atau Malay Mail,” katanya. Tidak diketahui kenapa mereka meninggalkan laman portan itu tetapi ada khabar angin telah berlegar bahawa laman itu bakal berdepan masalah kewangan yang teruk. Ketua Pegawai Eksekutif FMT Nelson Fernandez juga gagal dihubungi untuk memberikan maklumbalas, tetapi beliau dipercayai akan membuat pengumuman kepada semua kakitangan FMT tidak lama lagi. Satu pautan telah pun diemekan ke blog berkenaan berkaitan satu kes prosiding saman oleh Royal Bank Of Canada ke atas Nelson dan dua lagi usahawan dengan jumlah AS$63 juta. Nelson dikatakan berhutang dengan bank berkenaan sebanyak AS$22 juta. Sumber: Mynewshub
TOP
Segera Bertindak Elak Kanak-Kanak, Remaja Jadi Mangsa Kes Jenayah
PETALING JAYA: Kerajaan perlu segera bertindak bagi mengelak lebih ramai generasi muda negara, terutama kanak-kanak dan remaja menjadi mangsa kejadian jenayah terutama kes bunuh, rogol dan penderaan. Beberapa pihak ketika dihubungi mStar Online mahu supaya diadakan persidangan meja bulat yang menggabungkan semua pihak sama ada agensi kerajaan, polis, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan anggota masyarakat untuk mencari penyelesaian kukuh bagi mengurangkan kejadian ini. Selain itu, undang-undang sedia ada wajar dikaji semula, sama ada peruntukan yang digariskan mencukupi untuk menjaga keselamatan generasi muda negara, termasuk daripada segi hukuman terhadap ibu bapa yang cuai dalam menunaikan tanggungjawab mereka. Terkini pada minggu lalu, kejadian remaja dirogol sekumpulan 38 lelaki di Kelantan seharusnya membuka mata pelbagai pihak untuk tampil menggerakkan usaha bagi mengelak lebih ramai lagi menjadi mangsa. Selain itu, kes membabitkan kanak-kanak dengan terbaharu Siti Soffea Emelda Abdullah dibunuh dengan kepalanya dipenggal, kes penderaan hingga menyebabkan kematian dan kejadian ponteng sekolah juga seharusnya mendapat perhatian ramai.
Rakaman suspek kes bunuh Siti Soffea menjadi viral di internet. Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan berkata, tanpa tindakan drastik tentunya kejadian jenayah membabitkan kanak-kanak dan remaja akan terus berleluasa. "Adalah menyedihkan kerana ada ibu bapa yang cuai dan alpa walaupun kedua-dua faktor itu tidak boleh dikompromi kerana selagi anak mereka belum baligh dan berkahwin, keselamatan anak-anak adalah dibawah tanggungjawab mereka. "Mereka tidak boleh lepas tangan atau leka, sebaliknya perlu lebih ketat mengawasi pergerakan anak-anak mereka kerana akan ada unsur luar yang mudah menguasai pemikiran pihak tidak bertanggungjawab ini hingga berlakunya perlakuan kejam," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Isnin. Mohamad Ali berkata, walaupun ada undang-undang yang menetapkan hukuman kepada ibu bapa yang cuai, ia masih perlu diteliti sama ada daripada segi agama, adat resam dan pendidikan adalah mencukupi untuk menjaga generasi muda negara. "Ilmu keibubapaan adalah syarat penting bukannya nikah kahwin sahaja dan hal ini juga wajar diberi perhatian dalam kursus perkahwinan yang diadakan," katanya. Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng, berkata walaupun isu berkenaan bukan membabitkan bidang kuasa pihaknnya, namun sikap ambil tahu penting untuk memastikan kanak-kanak dan remaja tidak terus menjadi mangsa jenayah kejam seumpama itu. "Era digital dengan teknologi terkini yang memudahkan maklumat diperoleh mungkin juga menyumbang kepada situasi ini dan ia boleh menjadi semakin serius jika tidak dibendung. "Selain itu, masalah domestik di peringkat keluarga boleh menyebabkan kanak-kanak dan remaja berhadapan masalah disiplin, sekali gus menyebabkan mereka terjebak dengan pelbagai kejadian tidak diingini," katanya ketika dihubungi mStar Online. Beliau berkata, langkah segera ini perlu kerana ia membabitkan masa depan generasi muda yang berperanan mencorakkan hala tuju negara ini. Sumber: mStar
TOP
Anggota Tentera Makan Haiwan Haram Dalam Latihan Survival?
Sebuah laman Facebook Listen Listen Original pada 31 Mei lepas mempersoalkan beberapa keping gambar yang memaparkan beberapa anggota tentera yang tidak diketahui daripada negara mana menikmati makanan di dalam hutan. Menurut Facebook berkenaan, ia mendakwa anggota tentera berkenaan mungkin dari Malaysia dan dilihat menjalani latihan memakan benda ‘haram’ sebagai latihan ketika darurat. Gambar itu dikatakan dipaparkan pada mulanya di laman web maahadsas.edu.my mengatakan bahawa para anggota itu diberi latihan kelangsungan hidup atau bagaimana cara untuk menangkap, memasak serta memakan. “Antara binatang yang kelihatan ialah monyet, katak dan beberapa binatang liar yang lain,” katanya. Di status Facebook berkenaan turut dipaparkan persoalan apakah tujuan sebenar latihan sebegitu diadakan dan ia dirujuk pula kepada kemungkinan latihan seorang ibu yang terdesak masalah kewangan untuk menjadi pelacur. “Adakah ini latihan untuk menghadapi situasi darurat atau terdesak? Apakah selepas ini akan ada pula latihan melacur untuk ibu yang terdesak keputusan bekalan susu anak. “Dr Mashitah dalam ruang soal jawab akhbar Harian Metro bertarikh 19 Jun 2005 mengatakan, dalam keadaan biasa memang melacur itu haram, tetapi jika terdesan dan darurat ia dimaafkan,” katanya. Selepas puas memberikan soalan berbaur provokasi baru laman Facebook itu memohon pencerahan daripada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dalam isu gambar anggota tentera memakan haiwan yang pelik-pelik yang didakwa haram itu. “Apakah perlu dilatih makan benda haram dalam keadaan darurat? Bagaimana pula jika latihan terebut dalam bulan Ramadhan, kerana orang berpuasa dalam bulan Ramadhan pun dibolehkan berbuka puasa sekiranya dalam keadaan darurat?,” katanya. Sumber: FB Listen Listen Original / Kumbang Wira / Mynewshub
TOP
Bekas polis mengaku tidak bersalah cederakan wanita
KUALA LUMPUR: Seorang bekas anggota polis berpangkat lans koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap tuduhan mencederakan seorang wanita, hujung Mei lepas. Mohd Nizam Osman, 37, didakwa dengan sengaja mencederakan Ku Hayani Ku Ali, 28 di sebuah unit di Apartment Sri Gembira, Batu 4 1/2, Sentul, di sini pada 7 malam, 29 Mei. Tertuduh yang kini bekerja sebagai pengawal keselamatan, didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Mohd Nizam yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan jumlah jaminan yang rendah kerana perlu menyara isteri dan anaknya. Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Inspektor Zuraimi Kamarozzaman memohon mahkamah mengenakan jaminan setimpal. Majistret Siti Shakirah Mohtarudin membenarkan Mohd Nizam diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Julai untuk sebutan kes. Sumber: Bernama
TOP
Bila ustaz hendak makan coklat Cadbury?
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom hari inimengumumkan coklat Cadburyyang sebelum ini dikesan mengandungi unsur babi sebenarnya tidak ada babi. Beliau membuat pengumuman itu sebaik saja pihaknya menerima laporan ujian makmal daripada Jabatan Kimia di Petaling Jaya. Ujian dibuat ke atas 11 sampel itu melibatkan dua jenis coklat yang terlibat, empat produk lain dalam aliran pemprosesan yang sama serta lima bahan mentah yang mungkin ada unsur haiwan. Sampel berkenaan dihantar untuk ujian oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kerana ujian awal yang didedahkan oleh Kementerian Kesihatan — yang mencampakkan kita ke dalam isu halal atau tidak coklat Cadbury ini — dikatakan dibuat ke atas sampel yang diambil dari pasaran. Menurut Jakim, ujian status halal yang ia jalankan lebih ketat. Ia pergi terus kepada sumber asalnya iaitu kilang. Dengan membuat ujian ke atas produk di kilang, ia akan dapat mengetepikan soal pencemaran yang berlaku selepas produk berkenaan masuk ke pasaran. Pengumuman Jamil Khir itu hanya merumuskan satu perkara: tidak ada unsur babi dalam coklat Cadbury yang diuji. Tentang sijil halal ke atas produk syarikat Cadbury Confectionary (M) Sdn. Bhd. yang terlibat, Jakim akan memeriksa semula “seluruh rantaian pengeluaran produk” dan membentangkan laporan kepada Mesyuarat Panel Pengesahan Halal Malaysia sebelum ia boleh mengeluarkan semula Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang ia tarik balik serta-merta sejak 24 Mei lalu. Kenyataan Jamil Khir itu sepatutnya menamatkan isu coklat ada babi. Dakwaan bahawa coklat Cadbury dengan kazang hazel dan buah badam ada unsur babi itu sebenarnya tidak betul. Cerita sudah habis. Umat Islam sepatutnya boleh makan coklat Cadbury (semula) tanpa was-was. Tetapi kalau melihat kepada reaksi di media sosial sejak selepas pengumuman Jamil Khir itu, isu ini nampaknya belum lagi hendak selesai. Reaksi orang ramai bercampur-campur. Ada yang yakin, ada yang tidak yakin dan selebihnya, banyak juga yang keliru. “Sekejap ada babi, sekejap tak ada babi.” Itu antara reaksi mereka.
Ada beberapa soalan yang tinggal belum berjawab:
1. Coklat yang diuji oleh Kementerian Kesihatan sebelum ini datang dari mana?
2. Ujian oleh Kementerian Kesihatan itu dibuat di mana?
3. Apakah coklat yang diuji itu tercemar di pasaran?
4. Jika benar tercemar di pasaran, bagaimana coklat yang berbungkus boleh tercemar?
5. Apakah sebenarnya coklat itu tidak tercemar di pasaran tetapi coklat yang diseludup dari negara jiran dengan bungkusan yang sama dan label yang serupa?
Ini antara soalan yang perlu dijawab oleh pihak berkuasa. Dalam masyarakat Islam yang cukup sensitif tentang soal babi dalam makanan, cerita babi dalam coklat ini perlu penyelesaian yang muktamad. Wajar atau tidak mereka terlalu sensitif tentang haramnya babi tetapi tidak begitu peduli soal dosa dan mudarat perkara lain yang jelas haram seperti riba, rasuah dan menyeleweng harta awam, itu soal yang lain. Apa yang dihadapi oleh Jakim sekarang ini bukan saja soal coklat ada babi tetapi sejauh mana logo halal yang ia keluarkan boleh dipercayai. Itu isu sebenarnya. Itu isu yang perlu ditangani oleh Jakim sekarang. Ingat lagi isu keselamatan ayam semasa gempar cerita penyakit selesema burung lebih kurang 10 tahun lalu? Kementerian Pertanian yang ketika itu diterajui oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin menjamu hidangan ayam kepada Jemaah Menteri. Majlis makan tengahari itu berlangsung di sebuah hotel di Putrajaya. Menurut laporan media, ada hidangan sup ayam dengan telur puyuh, ayam goreng berempah, ayam rendang Minang, ayam masak kicap dan ayam goreng. “Rasa ayam itu amat enak sekali dan kita berharap ramai lagi akan makan ayam kerana ayam kita selamat dan rasanya pun sedap,” kata Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri ketika itu yang mengetuai Jemaah Menteri hadir ke majlis jamuan makan tengahari itu. Majlis itu dibuat untuk mengembalikan keyakinan orang ramai kepada tahap keselamatan ayam kerana pada waktu itu, jualan ayam sudah merosot sehingga 30 peratus. Perdana Menteri Singapura, Goh Chok Tong juga pernah melakukan hal yang sama pada 2002 apabila beliau minum air kitar semula jenama NEWater yang dikeluarkan oleh republik itu. Pada masa itu, rakyat Singapura tidak yakin air yang dirawat itu selamat dan bersih untuk diminum. Itulah yang barangkali perlu dilakukan oleh Jakim sebagai pihak berkuasa agama di negara ini. Ahli Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pun sepatutnya ikut sama. Mereka perlu menunjukkan kepada umat Islam di negara ini bahawa logo halal yang dikeluarkan oleh Jakim itu sah dan harus dipercayai tanpa ragu-ragu. Makanya, mereka wajar makan dahulu coklat Cadbury itu. Apakah ada cara lain untuk mengembalikan keyakinan umum yang hilang itu? Sumber: Astro Awani
TOP
Raja Sepanyol – Juan Carlos Akan Turun Takhta: PM
MADRID – Raja Juan Carlos akan turun takhta untuk memberi laluan kepada anaknya, Putera Felipe, umum Perdana Menteri Sepanyol, Mariano Rajoy. “Raja Juan Carlos baru memaklumkan kepada saya keinginan baginda untuk melepaskan takhta dan memulakan proses pewarisan,” katanya. Sumber: AFP
TOP
Pemilik Nasi Kandar Line Clear Diberi Tempoh 14 Hari Selesai Konflik Keluarga
Gerai Nasi Kandar Line Clear.
GEORGE TOWN: Restoran Nasi Kandar Line Clear bakal berdepan tindakan pengosongan jika pengurusannya gagal menyelesaikan pertikaian hak pemilikan antara empat rakan kongsinya dalam tempoh dua minggu. Pengarah Bahagian Pelesenan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) Azman Sirun berkata pihaknya menerima aduan bahawa seorang daripada empat pemilik restoran, Abdul Hamid Seeni Pakir, enggan mematuhi sistem giliran yang ditetapkan iaitu setahun operasi bagi setiap orang sejak penubuhannya pada 1950-an. Beliau berkata siasatan mendapati Abdul Hamid tidak memiliki lesen dan mengikut rekod, MPPP hanya mengeluarkan tiga lesen atas nama Sahubarali China Mohd Hanibah, Abdul Latif Thulkarunai dan Pathumah Iskandar untuk menjalankan perniagaan di tapak itu. "Satu perjumpaan telah diatur antara Bahagian Pelesenan dan peniaga-peniaga berkenaan pada 28 Jun 2013. Namun, tiada persefahaman dicapai dalam menentukan giliran menjalankan aktiviti penjajaan di kawasan itu.
"Kami juga pernah mengeluarkan surat bertarikh 23 Dis 2013 untuk menasihati semua pemilik mencari penyelesaian dan mengemukakan dokumen perjanjian yang telah dipersetujui bersama sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas bermesyuarat dengan tiga daripada wakil peniaga berkenaan di sini, Isnin. Azman berkata jika keempat-empat pemilik restoran itu tidak mencapai kesepakatan dalam tempoh 14 hari, pihaknya akan mengeluarkan notis pengosongan bagi menyusun semula aktiviti penjajaan selaras dengan undang-undang kecil yang dikuatkuasa MPPP. Masalah turut timbul apabila ada di antara tiga daripada pemilik membuka gerai lain di lorong belakang berdekatan restoran yang terletak di Jalan Penang menyebabkan aktiviti perniagaan di kawasan itu menjadi tidak teratur dengan tahap kebersihan kurang memuaskan, katanya. Perniagaan itu diwarisi turun temurun dan Abdul Hamid dikatakan mendominasi perniagaan itu sepenuhnya dari 2008 sehingga kini. Pemegang lesen, Sahubarali, 50, berkata perbincangan berhubung giliran perniagaan di restoran berkenaan cuba diadakan tetapi menemui jalan buntu apabila pengendali operasi sekarang tidak mahu mengembalikan giliran kepada pihak sepatutnya. "Perbincangan pernah diadakan tetapi tidak dipersetujui pengendali operasi sekarang ini dan tujuan kami untuk sekali lagi mengadu kepada MPPP supaya sistem giliran dapat dikembalikan," katanya. Seorang lagi pemegang lesen restoran itu, Abdul Latiff, 53, berkata beliau mahu perniagaan itu beroperasi seperti dahulu. Beliau juga menyatakan rasa sedih dengan konflik itu kerana mereka yang terlibat adalah sepupunya sendiri dan kini mereka telah berpecah belah. "Memang kami ada perniagaan lain, tetapi restoran ini ada kenangannya tersendiri dan tradisi ini perlu diteruskan," katanya. Sumber: mStar
TOP
Polis Sambung Reman Ibu, Bapa Tiri Kanak-Kanak Mati Didera
Jenazah Mohammad Akhil dituntut ahli keluarganya.
KUALA LUMPUR: Tempoh tahanan reman sepasang suami isteri dilanjutkan sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun, yang disyaki didera. Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Khairuldin Saad berkata, sebelum ini, pasangan itu direman dari 26 Mei lalu hingga semalam. "Siasatan diteruskan dengan mengambil keterangan anak-anak suspek dan jiran mereka. Siasatan kini sudahpun 80 peratus," katanya ketika dihubungi Bernama, Isnin. Dalam kejadian 26 Mei lalu, Mohammad Akhil Mustaqim Rashidy ditemui tidak sedarkan diri oleh ibunya dan disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Ampang dekat sini. Kanak-kanak itu dipercayai didera oleh bapa tirinya, 35, yang bekerja sebagai pemandu teksi. Susulan kejadian itu, polis menahan ibu mangsa, seorang suri rumah berusia 31 tahun dan lelaki itu di rumah mereka di Pangsapuri Permai Ria, Tasik Permai, Ampang. Sumber: mStar
TOP
Susulan Kes Buli: Pelajar Perempuan ‘Pailang’ Kini Diburu
SUSULAN video kejadian buli melibatkan beberapa pelajar perempuan yang kami kongsikan sebelum ini, satu kenyataan berkaitan telah dikeluarkan menerusi Facebook rasami Polis Diraja Malaysia, hari ini. Ia berbunyi: “Satu klip video yang memaparkan sekumpulan pelajar perempuan membuli seorang pelajar perempuan lain telah tersebar di media sosial dan ia sedikit sebanyak telah menimbulkan rasa kurang senang di kalangan masyarakat. Kejadian tersebut berlaku pada 25 April 2014 di sebuah sekolah di daerah Kota Samarahan, Sarawak. Pihak polis telah menerima laporan berkaitan kejadian tersebut pada 25 Mei 2014 dan siasatan serta tindakan susulan sedang dijalankan.
ACP DATIN ASMAWATI BT AHMAD
PEN. KETUA URUS SETIA KPN (KOMUNIKASI KORPORAT)
2 JUN 2014″
Pada masa yang sama, gambar jelas wajah dua pelajar yang turut terlibat dalam rakaman kejadian itu turut dikongsikan oleh orang ramai di laman sosial.
Diharap dengan tindakan undang-undang seperti ini, tidak ada lagi pelajar sekolah yang menganggap buli sebagai perkara ringan di masa akan datang.
Sumber: MyWatch / Elza / Mynewshub
Labels:
Berita Terkini
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment