Tuesday, June 17, 2014

Berita Terkini 17 June 2014


Penculikan Di Sabah Jejas Pelancongan Berbanding Tragedi MH370

Seorang Pemuda Di China Meninggal Dunia Ketika Menonton Piala Dunia

Nasi Kandar Pokok Ketapang, Sedapnya Menjilat Jari

Selatan Thailand: Wilayah Melayu Yang Hilang

Adegan 'Tonjol Buah Dada', Dalam Projek Kahwin Sekadar Hiburan

Rahsia Anak Dikandung Che Ta Hanya Untuk Astro

Harta Pulau Nangka: Tempoh Pencarian Tamat 1 Ogos

Bekas Kekasih Didenda RM500 Akibat Bergaduh Di Tempat Awam

Warga Emas Berjudi Di Pusat Snuker Didenda RM1,500

242 Komputer Bernilai RM200,000 Dilupuskan

Pengundi kena potong jari

275 tentera AS sedia dikerah ke Iraq - Obama

PDRM Beri Jaminan Jenayah Berkumpulan Tak Berlaku Lagi

IRAQ: Lebih 2,000 maut sepanjang 6 hari

GAMBAR: Pelajar Perubatan M’sia Di Mesir Maut Kemalangan

Sayu Hati Suami – Isteri Digilis Lori

Tebusan Dilarikan Ke Selatan Filipina

Helikopter tentera Iraq ditembak jatuh dekat Fallujah

Isu Bikini, Maria Farida Anggap Pengikut Instagram Fikiran Kotor

'Jangan Ganggu Keluarga Saya, Saya Akan Ikut Anda'

Bible: MB akan menghadap Sultan Selangor esok

80 penjawat awam ditahan terbabit rasuah lima bulan pertama 2014

Kumpulan Lanun Rompak Kapal Tangki Dipercayai Rakyat Indonesia

Audit: KKMM belanja lebih peruntukan

Video: Cemas,Cubaan Melarikan Diri Dari Jerung Putih

Penarik kereta diperintah bela diri dakwaan bunuh pengasas AmBank

Isteri Kekasih Hanez Suraya Tarik Balik Kes Fasakh

Masih ada yang berani hina Islam

‘Orang Dalam’ Dipercayai Dalangi Kes Penculikan

Tukang gunting rambut kelar leher pelanggan

Pengurus Syarikat Pembersihan Didakwa Bunuh Bayi 6 Bulan

Pekin Dikecam Kononnya Mahu Tonjolkan Budaya 'Skinhead'

Murid tahun satu parah dilanggar kereta depan sekolah

Tipu Umrah: 3,611 Mangsa, Rugi RM14.1 Juta

Fuziah, Surendran Digantung Dewan Rakyat

Kilang Bihun Cap Masjid Terbakar

Nabila Huda Diajak Tukar Agama Kristian

Kes Bunuh Di MSU Shah Alam 16 Jun 2014

Joachim Low Puji Aksi Muller

Pengurusan Pensijilan Halal Jais Kurang Memuaskan - Ketua Audit Negara

Laporan Audit: KPTM Hadapi Masalah Kutip Hutang Bekas Pelajar

Laporan Audit: Hanya 36.6% Projek Bekalan Air Luar Bandar Siap

Laporan Audit: Saguhati RM20,000 Kepada Lembaga Pengarah Felcra Tanpa Kelulusan Perbendaharaan

Nilai Semula Prestasi GLC - PAC

Laporan Audit: Felda Ditegur Tak Guna Sistem Tender Projek Lebih RM1 Juta

Audit Pematuhan Keselamatan SPAD Tidak Menyeluruh

Budak Dihalau Dari KFC Ditawar AS$30,000 Dan Perkelahan Keluarga

Lelaki Bunuh Isteri, Dua Anak Sebelum Tonton Perlawanan Piala Dunia

Mesyuarat Tertutup Isu Rampasan Bible Jadi Tanda Tanya

Laporan Audit: Hanya 14 Pegawai Penguasa Imigresen Jalankan Aktiviti Naziran

Laporan Audit: DBKL Perlu Pertingkat Operasi Urus Lesen Iklan, Papan Tanda

Laporan Audit: Pengeluaran Padi Dan Beras Kada Tidak Capai Sasaran

Laporan Audit: 3 SBP Operasi Tanpa CCC

Lelaki Warga Pakistan Ditemui Mati Di Universiti

Polis Siasat Mangsa Kemalangan Terbabit Sindiket Pemerdagangan Manusia

Isteri Dihina, Awal Ashaari Bergaduh Dengan Follower Di Laman Sosial

Yang pukul isteri itu bukan saya

Michael Schumacher Sedar Daripada Koma

“Saya mahu ayah pulang” pohon Maira

Malaysia Bukan Negara Sekular - Jamil Khir

Polis nafi pekerja diculik bersama majikan dapat lepaskan diri

Mayat 16 pengganas Sulu dihantar ke Hospital Lahad Datu

Mangsa Culik Minta Penculik Jangan Ganggu Isterinya

Ibu dan tiga anak terjun bunuh diri di Jepun

TOP
Penculikan Di Sabah Jejas Pelancongan Berbanding Tragedi MH370

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengakui insiden penculikan yang berlaku di Sabah menjejaskan sektor perlancongan negara khususnya membabitkan kemasukan pelancong dari China berbanding tragedi kehilangan pesawat MH370. Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, sebanyak 76 penerbangan dari China ke Kota Kinabalu dibatalkan baru-baru ini selepas insiden penculikan warga negara itu berlaku di Sabah. Menurut Mohamed Nazri, sebanyak 10 penerbangan berjadual dari Shanghai ke Kota Kinabalu telah dibatalkan oleh Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) sehingga kini. "Selain itu terdapat juga 22 pembatalan penerbangan berjadual dari Shenzhen ke Kota Kinabalu oleh China Southern Airlines serta 44 penerbangan sewa khas dari Shanghai ke Kota Kibnabalu oleh syarikat tambang murah Spring Airlines," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, Isnin. Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) yang bertanya sama ada insiden penculikan di Sabah menjejaskan kemasukan pelancong ke Malaysia. Insiden penculikan di Sabah semakin membimbangkan, malah hari ini, dua lagi insiden penculikan dilaporkan berlaku di Kunak, Tawau. April lalu, insiden penculikan di Semporna berulang selepas pelancong dikenali sebagai Gao Hua Yun, 29, dari Shanghai, China dan pekerja Filipina, Marcy Dayawan @ Mimi dibawa lari dari Singamata Reef Resort. Bagaimanapun, warga China tersebut dibebaskan sebulan kemudiaan. Kejadian terbaru ini mengulangi insiden yang berlaku tahun lepas dimana dua kes penculikan membabitkan nelayan di atas bot mereka pada April dan pada November pula, pelancong Taiwan diculik dari Pulau Pom-Pom.

TOP
Seorang Pemuda Di China Meninggal Dunia Ketika Menonton Piala Dunia

Seorang pemuda ditemui mati di biliknya ketika menonton Piala Dunia.
AKSI Piala Dunia 2014 yang kini sedang berlangsung di Brazil menyebabkan seorang pemuda di China meninggal dunia gara-gara tidak tidur menonton perlawanan sepanjang malam. Pemuda berusia 25 tahun dari Wilayah Timur China, Sonzhou ditemui mati di depan TV yang masih terpasang di biliknya pada Sabtu pagi lalu. Dipercayai, perlawanan terakhir yang ditontonnya ketika aksi Sepanyol tewas 5-1 kepada Belanda. Mayat telah dihantar ke hospital di Xiangcheng dan disahkan oleh doktor punca kematian disebabkan kekurangan tidur serta keletihan fizikal. Bagaimanapun pihak hospital tidak menjelaskan lebih lanjut punca kematian yang mungkin juga disebabkan oleh serangan jantung. Biarpun negara China tidak beraksi pada Piala Dunia ini, penduduk-penduduk tetap bersekang mata untuk menonton perlawanan yang berlangsung. Pihak doktor di China mengeluarkan amaran agar tidak terlalu obses untuk menonton perlawanan sehingga mengabaikan kesihatan. Sebagai rekod, tragedi maut 'gila' bola ini turut berlaku di China pada aksi Euro 2012 selepas seorang lelaki menonton 11 jam perlawanan tanpa henti. Manakala pada Piala Dunia 2006 dan 2010, hospital di China dipenuhi pesakit yang mengalami simptom keletihan melampau.

TOP
Nasi Kandar Pokok Ketapang, Sedapnya Menjilat Jari

NASI kandar di Pulau Pinang...sedap ke.
Kalau Abang Fen sembang dengan kawan-kawan dari luar Pulau Mutiara ini, mereka akan beritahu semuanya nasi kandar di sini sedap belaka. Baiklah, oleh itu kali ini Abang Fen nak kongsi dengan you all tentang Nasi Kandar Pokok Ketapang yang terletak di Butterworth. Apa istimewanya? Jawapannya ialah Nasi Kandar Pokok Ketapang bukan sahaja sedap tahap menjilat kelima-lima jari tapi waktu operasinya juga agak eksklusif.

Lauk-pauk yang baru tiba ditolak menggunakan kereta roda tiga. 
Bagi pembaca-pembaca yang diet pada waktu malam, mereka memang rugi, sebab nasi kandar ini memang sedap...Abang Fen tak tipu. Cuma waktu operasinya bermula pada pukul 11 malam hingga 7 pagi. Bagi pembaca yang tiba di Butterworth pada tengah hari, kenalah bersabar sehingga 11 malam untuk menikmatinya. Untuk pengetahuan pembaca yang Abang Fen sayangi dan hormati, bagi berkongsi kisah keenakkan Nasi Kandar Pokok Ketapang, Abang Fen sanggup beratur panjang dan menjadi pelanggan ke-27 (gambar bawah).

Asalkan, pembaca dapat tahu mengenai kisah nasi kandar ini. Semasa beratur, haruman kari ikan dari periuk betul-betul memukau hinggakan Abang Fen rasa nak makan nasi dengan kari ikan sahaja pun sudah berbaloi. Untuk pengetahuan terdapat dua jenis nasi yang disediakan iaitu nasi putih dan nasi minyak, Abang Fen memilih nasi minyak sebab baunya memikat selera semasa beratur. Setelah menjamah Nasi Kandar Pokok Ketapang ini, Abang Fen nak bagi tahu pada kamu-kamu semua bahawa nasi kandar ini adalah yang paling sedap pernah Abang Fen makan...bukan nak propa tapi ikhlas.

Telur ikan yang menjadi antara lauk kesukaan pelanggan. 
Bila dah sedap, Abang Fen pun mula nak tahu lebih lanjut tentang sejarah Nasi Kandar Pokok Ketapang ini dan siapa tuan empunya atau pengurusnya, rempah apa yang diguna serta macam-macam lagi. Cari punya cari siapa yang mampu merungkai keenakkannya, akhirnya, Abang Fen berjumpa dengan pengurusnya, Mohd Abu Tahir Jamal (gambar).

Jelasnya yang berusia 38 tahun, premis tersebut tidak mempunyai rahsia besar yang digunakan untuk menyedapkan makanan selain resipi dan bahan asli. "Kami menggunakan rempah giling untuk masakan kari, dan lauk-lauk lain," jawabnya ringkas. Abang Fen tidak puas hati dan terus mengasak dengan beberapa soalan lagi terutama mengenai nasi minyak yang rasanya cukup menyelerakan walaupun dimakan begitu saja. "Nasi minyak itu adalah resepi warisan dan kami menggunakan minyak sapi untuk menjadikan ianya harum selain bahan-bahan yang perlu dirahsiakan. "Tetapi jangan bimbang setiap bahan yang digunakan adalah halal dan terdiri daripada bahan asas makanan yang biasa digunakan, cuma kaedah campuran sahaja berlainan," ceritanya.

Nasi kandar Pokok Ketapang itu juga sebernarnya mempunyai sebuah restoran yang terletak kira-kira 100 meter dari pokok ketapang yang menjadi tapak perniagaan mereka pada waktu malam. Restoran yang dimaksudkan ialah Nasi Kandar Jamal Mohamad yang diusahakan sejak 1988 dan beroperasi pada pagi dan ditutup pada 12.00 tengah malam. Mohd Abu Tahir memberitahu, pada sebelah malam mereka menumpu pada perniagaan di bawah pokok ketapang kerana pelanggan lebih suka makan dalam keadaan bersantai serta terbuka. Diakhirnya, Abang Fen ingin kongsikan tentang satu perkara iaitu jika kamu ke sini nanti jangan lupa juga mencuba masakan telur sotong (gambar bawah).

Lazatnya memang tidak terkata...

TOP
Selatan Thailand: Wilayah Melayu Yang Hilang

WILAYAH Satun, Trang, Narathiwat, Pattani, Yala dan Songkhla cukup sinonim dengan orang Islam di Thailand. Kesemua wilayah ini, kecuali Trang dan Pattani bersempadanan dengan Malaysia. Walaupun majoriti penduduk di wilayah-wilayah ini adalah orang Melayu-Islam, tetapi wilayah-wilayah ini bukan lagi sebahagian daripada negara kita.
Apakah benar apa yang dikatakan bahawa wilayah selatan Thailand adalah wilayah Melayu yang hilang?

Sejarah Awal
Negeri Kedah yang wujud pada hari ini merupakan sisa tinggalan daripada wilayah kerajaan Melayu yang terbentang luas di kawasan utara Semenanjung Melayu yang meliputi wilayah-wilayah selatan Thailand. Menurut sumber catatan sejarah, kerajaan Langkasuka adalah kerajaan Melayu terawal yang pernah wujud di Semenanjung Melayu. Ia wujud pada kurun ketiga dengan mempunyai pusat kekuasaan di Kedah yang kemundiannya dipindahkan ke Pattani. Kerajaan Kedah Tua kemudiannya muncul pada kurun keenam dan berkuasa ke atas laluan kapal pedagang di kawasan utara Semenanjung Melayu. Kehebatan Kerajaan Kedah Tua ini dapat dilihat daripada tinggalan arkeologi candi-candi di Lembah Bujang yang masih wujud sehingga hari ini.
Empayar Maritim
Kurun ketujuh menyaksikan kemunculan sebuah kerajaan Melayu terhebat yang pernah muncul di Pulau Sumatera. Srivijaya adalah sebuah kerajaan Melayu Hindu-Buddha yang berjaya mencapai status ‘empayar maritim’, dengan wilayahnya meliputi sebahagian besar Pulau Sumatera, Semenanjung Malaysia dan wilayah-wilayah selatan Thailand serta sebahagian daripada Pulau Borneo. Setelah berkuasa lebih dari lima abad, kerajaan Jawa Majapahit menggantikan kerajaan Srivijaya dengan menguasai kawasan yang dahulunya pernah menjadi milik Srivijaya, malah jajahan Majapahit adalah lebih besar daripada Srivijaya. Indonesia yang terbentuk pada hari ini adalah gambaran betapa luasnya jajahan kerajaan Nusantara ini.
Penjajahan
Berkurun lamanya orang Melayu Nusantara menguasai rantau kepulauan Melayu ini sebelum kekuasaan mereka terhakis menerusi kedatangan penjajah-penjajah Barat. Selain penjajah Barat, kerajaan-kerajaan Melayu juga terpaksa berhadapan dengan kuasa penjajah serantau iaitu Siam yang senantiasa mengambil peluang untuk meluaskan wilayah mereka ke selatan Semenanjung Melayu. Sebagai contoh, wilayah Satun yang sekarang ini sebahagian daripada Thailand pernah berada di bawah pengaruh kerajaan Kedah sehingga tahun 1813. Kesultanan Kelantan dan Terengganu pernah menjadi sebahagian daripada Persekutuan Pattani Besar sehingga dipecahkan oleh Siam pada tahun 1785.

Sempadan Malaysia-Thailand yang terbentuk pada hari ini bukanlah sempadan yang memisahkan wilayah sebenar orang-orang Melayu dan Siam. Sempadan ini telah dilukis melalui persetujuan pihak British, selaku pelindung kerajaan-kerajaan Melayu dengan pemerintah Siam, tanpa kerelaan sultan-sultan Melayu sendiri pada tahun 1909. Bertitik-tolak dari peristiwa bersejarah ini, terpisahlah wilayah-wilayah Melayu di selatan Thailand dengan negeri-negeri serumpunnya iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu. Wilayah Setul ditukar namanya kepada Satun, Singgora menjadi Songkhla, Terang menjadi Trang, Jala menjadi Yala dan Menara menjadi Narathiwat. Wilayah-wilayah ini kemudiannya menerima perpindahan orang-orang Siam yang agak ramai untuk menyeimbangkan populasi Melayu-Muslim dengan Siam-Buddha. Satun contohnya, mempunyai populasi Muslim melebihi 90% pada awal kurun ke 19 tetapi sekarang ini, populasi Muslimnya berkurangan kepada 65%.
Dasar Thesapiban
Setelah wilayah-wilayah selatan ini menjadi milik mutlak Siam pada tahun 1909, pemerintah Siam pada ketika itu mengenakan dasar Thesapiban kepada penduduk-penduduk di kawasan ini dengan harapan untuk mengasimilasikan orang-orang Melayu Muslim kepada budaya masyarakat majoriti Siam-Buddha. Dasar ini diperkenalkan oleh Perdana Menteri Siam, Pibul Songgram yang memerintah Siam di antara tahun 1939 sehingga 1944. Penduduk-penduduk Melayu dipaksa untuk menerima adat dan budaya masyarakat majoriti Siam-Buddha untuk diamalkan dalam kehidupan seharian. Bahasa Siam diajarkan di sekolah-sekolah dengan bahasa Melayu tidak diberikan perhatian langsung oleh pemertintah. Mujur sekali Dasar Thesapiban tidak memaksa orang-orang Melayu untuk meninggalkan Islam sebagai agama yang dianuti oleh mereka. Apabila Siam menjadi Thailand pada tahun 1949, masyarakat Melayu telah dilabelkan sebagai ‘Thai-Muslim’. Jati diri masyarakat Melayu di selatan Thailand berjaya secara sedikit demi sedikit, dihakis menerusi Dasar Thesapiban ini. Kini, majoriti generasi muda Thai-Muslim di selatan Thailand tidak lagi fasih berbahasa Melayu dan lebih selesa menuturkan bahasa Thai.
Masyarakat Melayu Selatan Thai Kini
Walaupun rata-rata orang Melayu-Thai di daerah Pattani, Yala dan Narathiwat masih lagi boleh bertutur di dalam bahasa Melayu dan masih lagi mengakui yang mereka itu Melayu, lain pula dengan kebanyakan masyarakat Thai-Muslim di wilayah-wilayah Satun, Trang dan Songkhla. Mereka tidak lagi boleh bertutur bahasa Melayu dengan baik walaupun mereka tampak seperti masyarakat Melayu-Islam di Kedah ataupun Kelantan. Lebih menyedihkan, hanya 9.9% daripada masyarakat Islam Satun dan Trang yang mengaku mereka itu Melayu.
Wilayah yang Hilang
Sejarah menunjukkan bahawasanya orang-orang Melayu pernah membina peradaban yang tinggi menerusi kerajaan-kerajaan maritim yang pernah diterajui mereka. Namun, penjajahan telah menyebabkan orang-orang Melayu tertindas sehingga hilang jati diri. Masyarakat Thai-Muslim di Satun dan Trang adalah manifestasi sebuah bangsa yang telah hilang jati-diri mereka sebagai seorang Melayu. Amat mendukacitakan apabila saudara serumpun seagama kita di Satun dan Trang tidak lagi mahu mengakui diri mereka Melayu, malah lebih berbangga menjadi orang Thai.
Kesimpulan
Wilayah-wilayah Satun, Trang, Pattani, Yala, Songkhla dan Narathiwat adalah wilayah-wilayah Melayu yang hilang dan sekarang telah menjadi hak mutlak negara Thailand. Nasib masyarakat Muslim di selatan Thailand patut dijadikan iktibar oleh kita semua. Rakyat Malaysia terutamanya masyarakat Melayu perlu menanamkan rasa kasih pada bangsanya sendiri dan negara Malaysia kerana inilah negara warisan kerajaan-kerajaan Melayu lama yang masih kekal bersama orang-orang Melayu.
> Mohd Hazmi Mohd Rusli (Ph.D) adalah pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan seorang felo pasca kedoktoran kehormat di University of Wollongong, Australia.

TOP
Adegan 'Tonjol Buah Dada', Dalam Projek Kahwin Sekadar Hiburan

Zulin Aziz dan Sherry Alhadad antara yang berjaya mengamatkan pementasan 'Projek Kahwin'.
PETALING JAYA: Penerbit teater Projek Kahwin iaitu Mohd Amer Syafiq Khalip memberitahu adegan menonjolkan buah dada yang menjadi isu lakonan Zulin Aziz untuk watak Mak Long dalam teater itu yang berlangsung pada 6 hingga 14 Jun lalu sekadar untuk menyuntik elemen hiburan semata-mata. Bagaimanapun, Mohd Amer berkata, ia terpulanglah kepada penonton untuk menilai sendiri dan memberi pendapat masing-masing terhadap watak tersebut. "Saya bersikap terbuka dan menerima segala kritikan yang membina untuk memperbaiki kesilapan pada masa depan. "Berkenaan watak Mak Long itu ia memang ada dalam skrip dan pada saya ia hanya untuk menyuntik elemen komedi sahaja agar 'mood' penonton tidak terlalu serius," ujarnya kepada mStar Online, di sini, Isnin. Mohd Amer berkata, demikian ketika diminta mengulas kontroversi watak berkenaan yang dibangkitkan lakonan Zulin Aziz apabila ia dikatakan mencemarkan persembahan teater berkenaan yang dipentaskan di Istana Budaya. Dalam pada itu, Mohd Amer turut mengakui terkilan dengan laporan sebuah akhbar yang menganggap teater tersebut tidak layak dipentaskan di pusat kesenian itu. Jelasnya, keputusan untuk melakukan pementasan Projek Kahwin berkenaan dibuat sendiri oleh Ketua Pengarah Istana Budaya iaitu Datuk Mohamed Juhari Shaarani. "Pada asalnya saya membuat kertas kerja Projek Kahwin ini untuk pementasan di Lambang Sari namun pihak Istana Budaya sendiri yang memberi peluang agar ia dipentaskan di skala yang besar. "Pada saya pihak Istana Budaya mempunyai standard mereka sendiri terhadap sesebuah teater sama ada layak atau tidak untuk di pentaskan di mana-mana panggung mereka," katanya. Sementara itu, menjelaskan tentang kutipan yang didakwa kurang sambutan, Mohd Amer berkata, ia telah melebihi daripada sasaran awal mereka. Malah, katanya, pihak Istana Budaya turut meminta agar ia dilanjutkan sehari lagi namun ia tidak dapat dilaksanakan kerana pertindihan jadual pelakon. "Kutipan boleh dikatakan baik kerana ada hari yang kita mencecah 800 hingga 1,000 penonton yang datang. "Pihak Istana Budaya juga meminta agar dilanjutkan namun jadual artis tidak mengizinkan kerana mereka ada komitmen lain," ujarnya. Sementara itu, Mohamed Juhari pula berkata, teater Projek Kahwin mencapai kriteria yang melayakan ia untuk dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya. Beliau juga memberi peluang tersebut kepada generasi muda sebagai pelapis kepada pengiat teater negara. "Teater tersebut mempunyai beberapa aspek yang layak untuk dipentaskan di pentas berskala besar. Bagi saya mereka berjaya menjalankan pementasan dengan baik terutama untuk pertama kalinya. "Ia bukan sesuatu yang mudah kerana ada produksi besar pun gagal dan tarik diri saat-saat akhir," katanya. Tambahnya, kekurangan penonton berkemungkinan disebabkan tarikh pementasan yang diberikan jatuh pada musim cuti sekolah. Katanya, biarpun ia tidak dipenuhi penonton seperti pementasan teater lain, namun kesemua yang datang masuk secara berbayar. "Saya akui ia juga kesilapan pihak Istana Budaya yang memberi tarikh pada musim cuti persekolahan menyebabkan tidak ramai pelajar sekolah yang datang. "Biarpun tidak penuh, namun semua yang datang menonton adalah berbayar dan tiada tiket percuma diedarkan," katanya.

TOP
Rahsia Anak Dikandung Che Ta Hanya Untuk Astro

Gambar imbasan bayi yang dimuat naik oleh Zain pada petang Isnin.
PETALING JAYA: Keterujaan pelakon Zain Saidin untuk menimang cahaya mata mendorong dia mendedahkan gambar imbasan bayi di dalam kandungan isterinya pelakon Rozita Che Wan kepada umum pada petang Isnin. Walaupun gambar bayi berkenaan telah dimuat naik dalam laman sosial Instagram dan Facebook miliknya, pasangan itu mengambil pendekatan untuk tidak memberi sebarang komen termasuklah merahsiakan jantina bayi yang kini berusia lima bulan itu. "Ya, saya memuat naik gambar imbasan bayi dalam kandungan isteri saya, namun saya tidak boleh beritahu apa-apa juga tentang hal itu kerana ia akan disiarkan secara eksklusif di sebuah program terbitan Astro nanti.

Zain Saidin dan isterinya Rozita. 
"Program lapan episod itu akan mendedahkan perjalanan bermula Rozita mengandung, persiapan bayi sehinggalah dia melahirkan bayi tersebut," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Isnin. Dalam pada itu, ditanya tentang perkembangan kesihatan isterinya, Zain memberitahu Rozita dan bayi tersebut berada dalam keadaan sihat biarpun kandungan semakin membersar. Katanya, dia juga mengakui rezeki semakin bertambah semenjak isterinya disahkan mengandung pada awal Mac lalu. "Alhamdulillah, saya percaya rezeki anak kerana sejak isteri saya mengandung ada sahaja tawaran untuk kami berdua. Sepanjang tahun ini saya sibuk dengan drama Oh My English!. "Setiap kali kami terima tawaran berlakon kami akan asingkan separuh daripada bayaran itu untuk simpanan bayi sebab itu adalah rezeki dia," katanya. Dalam perkembangan lain, Zain baharu sahaja pulang daripada penggambaran selama sepuluh hari di Istanbul, Turki untuk drama Bestora Cinta terbitan RTM. Dia dan Rozita juga kini sibuk dengan beberapa penggambaran iklan televisyen sempena Hari Raya Aidilfiti.

TOP
Harta Pulau Nangka: Tempoh Pencarian Tamat 1 Ogos

JASIN: Syarikat Smart Partnership International (M) Sdn Bhd yang menjalankan kerja-kerja pencarian harta peninggalan kerajaan Kesultanan Melayu Melaka di Pulau Nangka di sini diberi tempoh sehingga 1 Ogos depan bagi menyelesaikan projek itu. Timbalan Exco Pelancongan, Pembangunan Sungai, Pantai dan Pulau-pulau Melaka, Datuk Ghazale Muhamad berkata, pencarian itu perlu dihentikan serta-merta jika tidak membuahkan hasil. Beliau berkata, langkah itu perlu bagi memelihara ekosistem dan alam semula jadi Pulau Nangka yang dikhuatiri terjejas ekoran kerja penggalian lubang di beberapa kawasan di pulau berkenaan. "Kalau dalam tempoh itu masih tidak menjumpai bukti konkrit mengenai harta yang didakwa tersimpan di pulau ini, kerja pencarian perlu dihentikan...biarlah pulau ini sebegini kerana kita tidak mahu merosakkan ekosistem semula jadinya," katanya kepada pemberita ketika melakukan lawatan ke pulau itu di sini, Selasa. Turut hadir Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar. Ghazale berkata, berdasarkan lawatan tersebut, beliau mendapati syarikat terbabit telah melakukan penggalian di kawasan yang tidak dibenarkan oleh kerajaan negeri. "Kerja penggalian hanya dibenarkan di dua kawasan sahaja dan syarikat ini perlu menimbus kembali lubang lain yang telah digali," katanya. Tinjauan Bernama mendapati terdapat kira-kira lima kawasan penggalian yang dilakukan di pulau tersebut. Sementara itu, Abdul Latiff berkata, Perzim akan menempatkan seorang pegawainya di Pulau Nangka bagi memantau perkembangan pencarian harta tersebut agar tidak merosakkan struktur pulau itu. Katanya, syarikat terbabit yang memulakan kerja pencarian pada awal tahun ini sepatutnya mengemukakan bukti terlebih dahulu kepada kerajaan negeri mengenai kewujudan harta sebelum melakukan penggalian di kawasan baharu. Pada 30 April lepas, dua artifak berbentuk bulat dan berwarna kekuningan ditemui syarikat terbabit namun hasil ujian makmal mendapati artifak berkenaan hanya merupakan azimat purba dipercayai berasal daripada kerajaan Majapahit.

TOP
Bekas Kekasih Didenda RM500 Akibat Bergaduh Di Tempat Awam

KUALA LUMPUR:"Saya mahu kamu hentikan pergaduhan ini. Walau apapun alasannya jangan pula kamu sambung bergaduh di luar mahkamah nanti, jika tidak kamu boleh dihukum lebih berat lagi," nasihat seorang Majistret kepada bekas pasangan kekasih sebelum menjatuhkan hukuman terhadap mereka. Majistret Nur A'minahtul Mardiah Md Nor kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM500 masing-masing terhadap Mohd Chairil Anuar Mahmud, 30, dan Rosnita Abdul Rahman, 36, selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan bergaduh. Mahkamah juga memerintahkan kedua-dua mereka yang tidak diwakili peguam, dipenjara sebulan jika gagal membayar denda itu. Mohd Chairil Anuar dan Rosnita didakwa bergaduh di tempat awam dengan menggunakan tangan sesama sendiri dengan tujuan mengganggu ketenteraman awam berhampiran Hotel Leo & Phonix di Jalan Sungai Besi, di sini pada 3.40 pagi 7 Jun lepas. Terdahulu, ketika rayuan Mohd Chairil Anuar memohon mahkamah meringankan hukuman kerana dia mempunyai tanggungan isteri dan dua orang anak yang masih kecil. Sementara Rosnita dalam rayuannya memohon hukuman diringankan kerana mendakwa dia hanya ingin mempertahankan diri ketika kejadian berlaku. Timbalan Pendakwa Raya Nithia Sivasamy memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kerana kesalahan itu tidak sepatutnya dilakukan oleh orang dewasa dalam apa jua masalah.

TOP
Warga Emas Berjudi Di Pusat Snuker Didenda RM1,500

KUALA LUMPUR: Seorang warga emas pada Selasa didenda RM1,500 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini kerana berjudi di sebuah pusat snuker. Majistret Nur A'minahtul Mardiah Md Nor menjatuhi hukuman itu terhadap Yap Sau Kon, 60, setelah mengaku bersalah berjudi di Pusat Snuker, 25 Taman Melati pada 2 pagi, 8 Jun lepas. Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali. Sebelum hukuman dijatuhkan tertuduh sempat memberitahu mahkamah bahawa dia hanya memperoleh pendapatan sebanyak RM30 sehari sebagai penjual buah. Timbalan Pendakwa Raya S. Nithia memohon mahkamah agar menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang lain.

TOP
242 Komputer Bernilai RM200,000 Dilupuskan

Komputer yang dipasang permainan judi dilupuskan selepas mendapat perintah mahkamah.Gambar Hiasan.
KEPALA BATAS: Sebanyak 242 unit komputer bernilai RM200,000 yang diubah suai dan dipasang dengan permainan judi, dilupuskan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU), Selasa. Ketua Bahagian Pengurusan IPD SPU, Deputi Superintendan Abdul Aziz Daud berkata, pelupusan komputer itu yang melibatkan 19 kes dari 2009 hingga 2013 dibuat setelah mendapat perintah mahkamah. "Kami melakukan pelupusan selepas 19 kertas siasatan berkaitan kes perjudian di sekitar daerah ini diselesaikan dan pertuduhan selesai dilakukan di mahkamah. "Kebanyakan premis judi yang diserbu menjalankan kegiatan secara tersembunyi malah mempunyai lesen perniagaan, namun set komputer itu dirampas kerana menawarkan permainan judi," katanya kepada pemberita selepas pelupusan komputer berkenaan, di sini. Beliau berkata, semua peralatan itu disita menurut kesalahan di bawah Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan serta Seksyen 4 Akta MPSP iaitu berniaga tanpa lesen Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP). Sementara itu, Abdul Aziz berkata, polis menahan 28 orang termasuk seorang wanita membabitkan sembilan kes dalam Ops Cantas Bersepadu yang dijalankan polis daerah SPU selama lima hari berakhir Ahad lepas. "Mereka yang ditahan dalam operasi di beberapa hotel bajet di daerah ini berusia 17 hingga 47 tahun yang terlibat dalam kes berkaitan dadah, pecah rumah, pusat hiburan tanpa lesen dan judi," katanya. Dalam perkembangan lain, beliau turut menasihatkan pengguna Lebuhraya Utara Selatan yang berhenti rehat di kawasan Tol Sungai Dua di sini agar berhati-hati berikutan kerap berlaku kegiatan pecah kereta di kawasan itu. "Sepanjang bulan ini sahaja kami menerima lima laporan berhubung kes pecah kereta yang dilakukan penjenayah bermotosikal. Mereka dipercayai aktif di kedua-dua arah perhentian tol pada waktu tengah malam hingga 5 pagi. "Siasatan awal polis mendapati, penjenayah yang melakukan kegiatan secara berpasangan itu melarikan diri secara menongkah arus bagi mengelak ditahan," katanya.

TOP
Pengundi kena potong jari

Jari penduduk di wilayah Herat dikerat kerana ingkar dengan arahan Taliban.
HERAT - AFGHANISTAN. Seramai 11 lelaki Afghanistan terpaksa menanggung kecacatan kekal selepas jari telunjuk mereka dipotong kumpulan militan Taliban kerana didakwa mengabaikan amaran untuk memboikot Pilihan Raya Presiden yang diadakan 5 April lalu. Menurut polis, serangan kejam berlaku di wilayah Herat dan Taliban menganggap ia sebagai hukuman kepada penduduk yang mengabaikan amaran daripada kumpulan itu. Menteri Dalam Negeri Mohammad Umar Daudzai memberitahu, dalam beberapa siri serangan pada pungutan undi tersebut, lebih 100 orang termasuk 20 orang awam dan pegawai pilihan raya yang bertugas maut. Sebelum ini, Taliban mengarahkan pengundi tidak mengambil bahagian dalam pilihan raya antara Abdullah Abdullah dan Ghani Ahmadzai. Sementara itu, pegawai pilihan raya memaklumkan, lebih tujuh juta daripada 12 juta penduduk di negara itu layak mengundi pada pusingan pertama dan keputusan akhir dijangka diumumkan pada 22 Julai ini menurut laporan Daily Mail. Sumber: Daily Mail / Sinar Online

TOP
275 tentera AS sedia dikerah ke Iraq - Obama

Foto AP
WASHINGTON: Presiden Barack Obama memberitahu Kongres bahawa 275 anggota tentera Amerika Syarikat (AS) sedia dikerah ke Iraq. Obama berkata, pasukan itu akan menyediakan sokongan dan kawalan keselamatan kepada kakitangan AS dan Kedutaan AS di Baghdad. Katanya, pasukan itu dilengkapi dengan senjata untuk bertempur dan akan kekal di Iraq sehingga keadaan keselamatan tidak lagi memerlukan kehadiran mereka. Seramai 160 anggota tentera sudah berada di Iraq termasuk 50 anggota Marin dan lebih 100 anggota Tentera Darat. Pegawai AS berkata, Washington akan menempatkan tambahan 100 anggota tentera di negara ketiga di mana mereka diletakkan sebagai tentera simpanan sehingga khidmat mereka diperlukan. Rumah Putih menyatakan anggota tentera AS memasuki Iraq dengan kebenaran negara itu. Sumber: AP

TOP
PDRM Beri Jaminan Jenayah Berkumpulan Tak Berlaku Lagi

Pasukan polis sedang menyiasat lokasi insiden tembakan di Kajang.
PETALING JAYA: Sejak Ops Cantas Khas dilancarkan 10 bulan lalu, ia merupakan satu tempoh panjang bagi gengster untuk keluar dari tempat persembunyian dan kembali melakukan jenayah berkumpulan. Namun, polis berkata gengster sudah tersilap langkah kerana pasukan keselamatan kini bersiap sedia untuk memastikan kekacauan tidak berulang lagi. Kira-kira lapan kes tembakan berlaku pada tahun ini. Kes terbaharu membabitkan pemilik kedai daging, Abd Ghani Abdullah, 50, yang ditembak oleh seorang lelaki yang menunggang motosikal ketika dia sedang berjalan dari tempat letak kereta menuju ke kedainya di Pasar Kajang pada Isnin. Namun, dia terselamat daripada serangan itu. Abd Ghani, yang mendakwa dirinya sebagai Datuk Sulu, mengalami kecederaan parah di bahagian bahu kirinya dan dibawah telinga kanan selepas ditembak dua kali dalam insiden yang berlaku kira-kira pukul 6.30 pagi itu. Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, seorang saksi yang melihat insiden itu segera menghubungi polis selepas penembak tersebut melarikan diri. Nampaknya, gengster meninggalkan negara ketika Ops Cantas Khas, dengan matlamat mula menunjukkan unsur-unsur jenayah berkumpulan. Namun, beberapa kumpulan kini sedang cuba bersatu semula. Sumber mendedahkan sebuah kumpulan iaitu Geng 36 - mengadakan pertemuan secara rahsia di beberapa negeri pada 3 Jun lalu untuk memperingati pembentukan kumpulan tersebut. Difahamkan, beberapa ahli Geng 36 yang bersembunyi di negara jiran sudah 'bersatu semula'. Namun, Bukit Aman memberi jaminan kepada orang ramai bahawa keadaan masih terkawal. "Hanya segelintir ahli kumpulan tersebut yang cuba melancarkan serangan terhadap kumpulan musuh, tiada lebih daripada itu. "Mereka membayangkan bahawa operasi Ops Cantas Khas telah dikurangkan. Awasi kata-kata saya - kumpulan tersebut tidak boleh kembali. Ops Cantas masih dijalankan. "Anggota kita sedang bekerja keras siang dan malam untuk memastikan kumpulan tersebut tidak kembali," kata Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan Operasi) Polis Bukit Aman Datuk Mazlan Mansor kepada The Star, Isnin. Beliau berkata gengster tersebut kini lebih berwaspada kerana polis mempunyai Akta Pencegahan Jenayah (PCA) sebagai amunisi utama mereka. "Kita tidak mendedahkan lebih lanjut mengenainya. Kami akan melancarkan serangan terhadap kumpulan tersebut apabila mereka tidak menyedarinya," kata Mazlan. Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Roslee Chik berkata kira-kira 134 individu, kebanyakannya ahli kumpulan terbabit ditahan dibawah PCA sejak 2 April lalu. "Daripada jumlah itu, 38 orang mendapat perintah Kediaman Terhad oleh Lembaga Pencegahan Jenayah manakala 24 orang lagi dalam proses untuk didakwa semula. "Baki anggota kumpulan masih lagi dalam tahanan," katanya. Roslee berkata PCA amat berguna dalam membantu mengheret penjenayah ganas dan berbahaya ke dalam penjara. Ops Cantas Khas turut menyumbang kepada penurunan kadar aktiviti kumpulan penjenayah. Kes pembunuhan menyusut dari 504 kepada 433 kes manakala kes rompakan menurun dari 83 kepada 54 kes. Samun berkumpulan pula menurun dari 13,533 kepada 12,048 kes dengan jenayah melibatkan senjata api berkurangan kepada 14 daripada 20 kes. Sejumlah 9,659 senjata api, bahan letupan dan peluru dirampas sepanjang operasi khas tersebut. Sumber: mStar

TOP
IRAQ: Lebih 2,000 maut sepanjang 6 hari

Wanita dan kanak-kanak buntu untuk mencari perlindungan. Foto: AFP
BAGHDAD - IRAQ. - Strategi serangan bertali arus diatur dari segenap pelosok Iraq di mana bermula dari barat menuju ke selatan beralih ke utara dan kini tertumpu di bahagian tengah. Siapa yang melakukan serangan itu, masih belum disahkan tetapi gerakan puak Sunni dari Kumpulan Negara Iraq dan Jajahannya (ISIL) secara terbuka mengaku bertanggungjawab. Jika diperhatikan, ia mungkin dilakukan oleh askar dan polis yang memusuhi kerajaan kerana banyak penyelewengan dan rasuah berlaku di kalangan pegawai atasan sehingga pekerja bawahan ditindas. Tindakan ini menjurus untuk mereka membalas dendam terhadap perbuatan itu atau ISIL secara terang terangan yang selama ini mengaku terhadap serangan tersebut atau polis dan tentera bergabung untuk menjatuhkan kerajaan. Tetapi, tindakan melakukan pembunuhan beramai-ramai melibatkan orang awam, wanita dan kanak-kanak cedera parah kelmarin, jelas menunjukkan ia bertentangan dengan ajaran Islam melainkan ia menunjukkan mereka jelas penganut Syiah. Sehingga semalam, dianggarkan lebih 3,000 maut sepanjang operasi menawan wilayah Mosul, Tikrit, Nineveh, Kirkuk dan Saleheddin. Pertempuran meningkat sejak Selasa lalu itu diandaikan bakal meningkatkan angka kematian dan jutaan penduduk menjadi pelarian. Selepas menakluki beberapa bandar di Iraq, kumpulan bersenjata menyebarkan foto pembunuhan beramai-ramai di Saleheddin. Susulan itu, Perdana Menteri Nouri Al-Maliki berikrar untuk membebaskan wilayah ditawan dan menahan semua kumpulan terbabit. Ketua tentera, Leftenan Jeneral Qassim al-Moussawi mengesahkan, gambar-gambar itu adalah sahih dan ia dilakukan oleh kumpulan ISIL. “Pemeriksaan imej dari kalangan tentera mengesahkan, kira-kira 1,700 askar berpakaian awam ditembak mati oleh ISIL di beberapa lokasi berlainan,” katanya. Menurutnya, melalui foto itu, ISIL mengaku pembunuhan itu dilakukan sebagai membalas dendam pembunuhan Komander ISIL, Abdul-Rahman al-Beilawy. Sementara itu, Qassim juga mengesahkan sekurang-kurangnya 300 ahli kumpulan ISIL terbunuh dalam pertempuran di Tal Afar dalam tempoh 24 jam. Jumaat lalu, Ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Navi Pillay memberi amaran, ISIL dijangka membunuh semua golongan tidak kira lelaki, wanita atau kanak-kanak sama seperti apa yang berlaku di Syria. Pillay berkata, sejak Khamis lalu, ribuan penduduk terpaksa berjalan kaki beratus kilometer untuk mencari perlindungan. “Laporan awal diterima seramai 300 orang awam maut termasuk wanita dan kanak-kanak di Mosul. Ia berpunca daripada serangan, kekurangan air dan pesakit kronik,” katanya. Menurutnya, peningkatan kematian juga berlaku selepas serangan disasarkan di sebuah sekolah dengan 20 kematian dicatatkan. Selain itu, serangan turut berlaku di hospital menyebabkan 50 maut dan di Lapangan Terbang Mosul menyebabkan 30 maut. “Mosul lumpuh. Operasi pengangkutan terhenti. Kedai yang masih menjalankan perniagaan menaikkan harga. Jika keadaan ini berterusan, ramai penduduk akan menderita terutama ketika Ramadan,” katanya. Semalam, di bandar Sadr 15 orang awam maut manakala 20 cedera apabila sebuah kenderaan meletup angkara bom nekad. Sumber: Agensi

TOP
GAMBAR: Pelajar Perubatan M’sia Di Mesir Maut Kemalangan

Menerusi laman facebook Media Perubatan, dukacitanya dimaklumkan bahawa seorang pelajar Malaysia iaitu Ummi Nadiah yang kritikal akibat kemalangan sejak 4 Jun 2014 telah menghembuskan nafas terakhirnya pada 15 Jun 2014 di Unit Rawatan Rapi, Hospital Miri Iskandariah, Mesir. Terdahulu, Allahyarhamah Ummi Nadiah Filzah Daud Ummi Nadiah bersama lima rakannya yang juga penuntut Fakulti Pergigian Universiti Iskandariah telah terlibat dalam kemalangan ketika menaiki sebuah van menuju lapangan terbang Borg el Arab untuk pulang ke tanah air.

Van yang dinaiki mereka dikatakan terlanggar sebuah lori sebelum kesemua penuntut berkenaan tercampak di Tasik Mesir.
Kronologi Ummi Nadiah Filzah Daud Pelajar Malaysia Meninggal Dunia
4 Jun 2013: Satu kemalangan melibatkan 6 penuntut Fakulti Pergigian Universiti Iskandariah telah berlaku pada jam 8.30 malam ketika van yang dinaiki mereka telah melanggar sebuah lori ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Borg el Arab untuk pulang ke tanah air. Susulan itu, semua mangsa dikejarkan ke Hospital Salamah untuk rawatan lanjut. 2 daripada mereka hanya mengalami cedera ringan dan dibenarkan pulang. 6 Jun 2014: Senarai 4 Mangsa masih dalam rawatan manakala 2 lagi telah dibenarkan pulang
Siti Nurul Aisyah bt Zahari telah selesai menjalani pembedahan tangan di Hospital Pakar Tulang Nariman. Fatin Inani bt Mohd Noh berada di Hospital Nur Islam,Camp Caesar telah selesai pembedahan plastik di bahagian muka dan rahang. Ummi Nadiah Filzah bt Daud masih belum sedar sepenuhnya berada di wad ICU Hospital Salamah, Azarita. Siti Shahirah bt Abdul Jalil kini berada di ICU Hospital AlMiri sekarang dalam keadaan stabil dan sedang menunggu waktu untuk menjalani pembedahan.
9 Jun 2014
Siti Shahirah binti Ab Jalil telah dipindahkan ke Hospital Nur islam bagi menjalani pembedahan rahang. Ummi Nadiah Filzah binti Daud pula telah dipindahkan ke Hospital Miri Iskandariah, Mesir.

11 Jun 2014: Penderma darah diperlukan untuk salah seorang mangsa kemalangan, Ummi Nadiah Filzah bt Daud.
15 Jun 2014: Ummi Nadiah Filzah binti Daud dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi, Hospital Miri Iskandariah, Mesir.
Sumber: melvister.com

TOP
Sayu Hati Suami – Isteri Digilis Lori
Cheras – Kuala Lumpur: Pagi Selasa Berlaku Satu Kemalangan Ngeri Melibatkan Sepasang Suami Isteri Muhammad Hafiz Ab Rahmn, 28, menghantar isterinya, Norsha Ahmad,35 ke tempat kerja di Taman Shamelinyang dari rumah mereka di Baju 9 Cheras. Dalam keadaan yang sempit disebab oleh pembinaan MRT, motosikal yang dibawa mereka cuba mengelak sebuah kereta mewah yang melalui jalannya itu lalu hilang kawalan dan terjatuh. Malangnya bagi pasangan tersebut apabila ada sebuah lori sarat dengan pasir mengekori mereka dari belakang terus menggilis si isteri. Manakala si suami pula telah selamat kerana dia berada di tengah-tengah ruang antara tayar lori terbabit. Dalam keadaan terkejut, tergamam, dia mendapatkan isterinya yang terbaring di atas jalan tidak bernyawa lagi dan keadaan fizikal yang sangat menyayat hati. Melihat keadaan isterinya dalam kedaan begitu lantas beliau membuka baju bagi menutup mayat isterinya. Orang ramai kemudiannya memberikan sehelai lagi baju untuk menutup mayat tersebut. Bagi anggota trafik bertugas, melihat kecekalan dan tabahnya Muhammad Hafiz apabila sama-sama mengumpulkan cebisan mayat isterinya dan membantu mencuci jalan kesan dari kemalangan ini. Menyedihkan lagi, pasangan ini mempunyai seoarang anak lelaki yang baru berusia 6 bulan, Muhammad Adam Mishary. Muhammad Hafiz merupakan pelajar pengajian Islam di sebuah madrasah di Sri Petaling, manakala arwah isterinya merupakan pekerja sebuah kilang roti di Taman Shamelin.


TOP
Tebusan Dilarikan Ke Selatan Filipina

Omar menunjukkan pusat ternakan ikan lokasi Chan dan pekerjanya seorang warga Filipina, Maslan diculik sebelum dilarikan ke selatan Filipina.
LAHAD DATU: Sebaik saja pemilik sangkar ikan, Chan Sai Chiun dan seorang pekerja diculik kumpulan senjata Filipina - kes penculikan ketiga dalam tempoh tiga bulan, dibawa menuju ke Alice Reef (sempadan Malaysia-Filipina). Chan, 32, dan pekerjanya seorang warga Filipina, Maslan, 20, dibawa menaiki bot laju dari pusat ternakan ikan itu yang terletak di Kunak, kira-kira 60 kilometer dari Lahad Datu oleh seramai empat lelaki bersenjata kira-kira pukul 12.45 pagi Isnin. Terdapat laporan bahawa Maslan berjaya terjun dari bot laju tersebut dan berenang naik ke darat sebelum membuat laporan polis. Polis sedang memburu kumpulan bersenjata terbabit yang dipercayai memasuki wilayah Tawi Tawi di selatan Filipina bersama tebusan mereka. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Omar Mamah berkata penculik tersebut yang membawa senjata panjang menyerupai senapang M-16 mendayung bot tersebut memasuki pusat ternakan ikan di di Kampung Air Sapang, Kunak dekat sini. "Ketika kejadian, Chan dan isterinya keluar dari bilik mereka apabila terdengar bunyi bising di luar bilik tersebut. "Lelaki bersenjata itu mengacukan senjata ke arah Chan dan mengarahkannya untuk masuk ke dalam bot manakala isterinya berjaya melarikan diri ke dalam bilik lain. "Kami tidak pasti bila mereka menculik Maslan kerana isteri Chan tidak bersama mereka," katanya. Omar berkata, Maslan tinggal dekat dengan bilik pasangan suami isteri terbabit yang terletak di pusat ternakan ikan yang dibuka Chan bersama dua lagi rakan kongsi tiga bulan lalu. Katanya, suspek itu dipercayai terdiri daripada kumpulan menculik untuk tebusan (KFR) dan berpangkalan di Tawi Tawi mendayung bot sepanjang 5 meter dengan kekuatan 40 kuasa kuda, memasuki pusat ternakan ikan itu secara senyap. "Tempoh penculikan memakan masa kurang dari lima minit dan tiada tembakan dilepaskan," katanya. Omar berkata, semua pasukan keselamatan dibawah Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) telah dikerahkan turut serta dalam operasi menyelamat dan memburu kumpulan tersebut. Polis turut menyiasat latar belakang Maslan untuk memastikan sama ada dia merupakan pekerja yang memiliki dokumen sah. Omar tidak menolak kemungkinan bahawa kumpulan bersenjata itu mungkin memasuki Sabah sehari sebelum insiden itu. "Kumpulan ini sedang mencari 'komoditi' dan tidak mengambil kira sama ada tebusan adalah pelancong asing atau pemilik sangkar ikan," katanya. Sumber: mStar

TOP
Helikopter tentera Iraq ditembak jatuh dekat Fallujah

BAGHDAD: Sebuah helikopter tentera darat Iraq ditembak jatuh ketika pertempuran dengan kumpulan militan di barat Baghdad. Menurut pegawai keselamatan Iraq, dua kru helikopter berkenaan terbunuh apabila ia ditembak jatuh berhampiran bandar Fallujah di wilayah Anbar. Fallujah dikuasai kumpulan militan sejak Januari lalu. Sumber: AP

TOP
Isu Bikini, Maria Farida Anggap Pengikut Instagram Fikiran Kotor

Maria Farida terkejut foto beberapa bikini yang dimuat naik di Instagram menjadi isu. BACA: Tayang Bikini Dekat Instagram – Keliru Nak Pilih Katanya PETALING JAYA: Pelakon Maria Farida menyifatkan pengikut-pengikut yang memberi komen berbau lucah menerusi foto bikini yang dimuat naik menerusi Instagram miliknya adalah mereka yang berfikiran kotor. Maria, 44, berkata, foto tersebut tidak patut dijadikan isu kerana ia hanyalah beberapa bikini yang diletakkan di atas katil dan bukannya menunjukkan dia memakai pakaian tersebut. "Ia hanyalah sejenis pakaian mandi yang diletakkan di atas katil. Mereka (pengikut) melenting dan kecoh seolah-olah saya memakai bikini tersebut dan memuat naik gambar saya ke Instagram. "Takkan mereka tak pernah melihat bikini sebelum ini? Dan saya tidak pernah suruh pun melihat foto-foto yang saya muat naik. Itu hanyalah pemikiran kotor mereka terhadap baju itu. Apa yang mereka cakap semua tidak masuk akal," katanya kepada mStar Online menerusi aplikasi WhatsApp di sini pada Isnin. Pada Sabtu lalu, Maria telah memuat naik foto beberapa bikini dengan kapsyen 'Can't decide on which one... hmm' (Tak boleh putuskan yang mana satu... hmm). Foto tersebut telah menimbulkan kekecohan daripada kalangan pengikutnya terutama golongan lelaki yang memberikan komen-komen lucah kepada aktres itu. Tambah pelakon yang popular dengan filem Datin Ghairah itu, dia turut mendapat kritikan seolah-olah tidak berpegang pada agama Islam dengan menunjukkan foto tersebut. "Bayangkan ada yang siap mengutuk dan pada masa sama memberi ceramah agama sedangkan apa yang mereka buat dengan mengutuk orang sudah menunjukkan ia salah di sisi agama Islam. "Entahlah, bagi saya ia hanyalah perkara kecil sahaja dan rasa kelakar pula apabila ramai yang mengambil serius dengan foto tersebut. "Saya tertanya-tanya adakah pengikut-pengikut lelaki yang memberi komen ini akan menutup mata mereka apabila melalui kedai-kedai pakaian dalam di pusat beli belah?" soalnya. Dalam pada itu kata Maria lagi, memandang dia mendapat terlalu banyak komen negatif, dia telah meminta pembantu peribadinya untuk membuang komen-komen tersebut. Maria kini sedang bercuti di Pulau Krabi, Thailand dan akan pulang ke tanah air pada hujung minggu ini.

Sumber: mStar

TOP
'Jangan Ganggu Keluarga Saya, Saya Akan Ikut Anda'

Sangkar ikan di Kampung Air Sapang Kunak, lokasi Chandiculik sekumpulan lelaki bersenjata tengah malam Ahad lepas. Ini merupakan kes penculikan ketiga di kawasan pantai timur Sabah tahun ini.- foto BERNAMA
LAHAD DATU: Kata-kata terakhir pemilik sangkar ikan, Chan Sai Chuin yang diculik oleh empat lelaki bersenjata warga Filipina akan sentiasa terpahat di ingatan isterinya. Chin Pek Nyen, 42, berkata, dia terdengar suaminya memberitahu penculik tersebut dalam Bahasa Melayu: 'Jangan ganggu mereka (keluarga saya), saya akan ikut anda'. Semasa insiden itu, Chin berkata mereka sedang tidur di pusat ternakan ikan yang terletak di Kampung Sapang, Kunak dan tiba-tiba terbangun apabila terdengar bunyi bising di luar bilik selain salakan anjing peliharaan mereka. "Suami saya keluar dan meninjau keluar bilik. "Kemudian saya lihat ada dua lelaki mengacukan senjata ke arahnya. Saya cepat-cepat masuk ke dalam bilik," katanya. Pasangan tersebut berasal dari Ipoh dan membuka pusat ternakan ikan dalam sangkar sejak April lalu. Chin berkata, dia tidak dapat mendengar dengan jelas apa yang dikatakan lelaki bersenjata itu. "Mereka semestinya faham Bahasa Malaysia, jadi mereka tidak datang kepada saya selepas suami saya merayu kepada mereka," katanya kepada pemberita di sini. Walaupun suspek mengetuk bilik tidurnya beberapa kali, Chin tidak mempedulikannya. "Saya enggan membuka pintu. Anak perempuan saya yang berusia dua tahun sedang tidur di dalam bilik itu. "Saya hanya keluar 15 minit selepas bot tersebut meninggalkan pusat ternakan ini," katanya. Chin turut menghubungi rakan kongsi suaminya, Khoo Mun Huah yang berada di pekan Kunak, memberitahu suaminya telah diculik. Khoo, 57, turut dimaklumkan bahawa salah seorang pekerja mereka turut dilarikan. "Namun, dia (pekerja) kembali semula ke pusat ternakan ini kira-kira pukul 9 pagi. "Dia mendakwa dapat melarikan diri dan berenang ke darat," kata Khoo. Sumber: mStar

TOP
Bible: MB akan menghadap Sultan Selangor esok

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Mestika, di sini pagi esok. Abdul Khalid berkata, pertemuan itu bagi membincangkan status kitab Bible yang dirampas Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Januari lalu. "Kerajaan negeri akan menghadap memohon pandangan tuanku dalam perkara ini. Kita mungkin bagi cadangan kepada tuanku untuk dipertimbangkan, sama ada Bible ini perlu disimpan JAIS atau dipulangkan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini. Sumber: BH Online

TOP
80 penjawat awam ditahan terbabit rasuah lima bulan pertama 2014

MELAKA: Seramai 80 penjawat awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana terlibat dalam pelbagai kesalahan rasuah bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini. Menurut laman web rasmi SPRM, jumlah itu menunjukan peningkatan berbanding 65 tangkapan dalam tempoh sama tahun lepas. Kumpulan sokongan merupakan golongan yang paling ramai ditahan iaitu 67 orang diikuti kumpulan pengurusan dan profesional sebanyak 13 orang. Tiada penjawat awam daripada kumpulan pengurusan tertinggi ditahan, menurut laman web berkenaan. Dalam tempoh sama, SPRM juga menahan 127 orang awam dengan 36 orang daripadanya merupakan pekerja sektor swasta. Sumber: BERNAMA

TOP
Kumpulan Lanun Rompak Kapal Tangki Dipercayai Rakyat Indonesia

Kapal tangki Mt Ai Maru.
PENGERANG: Sekumpulan lanun yang merampas 700,000 liter diesel dari sebuah kapal tangki di Tanjung Sedili dipercayai terdiri dari warga Indonesia, berdasarkan loghat mereka. Kesimpulan itu dibuat berdasarkan hasil siasatan awal dan keterangan yang direkodkan dari 13 anak kapal warga Thailand dan kapten warga Indonesia kapal tersebut. "Anak-anak kapal turut memberitahu kami bahawa lanun tersebut mengikat mereka dengan tali raffia sebelum mengurung mereka di dalam bilik," kata Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Wilayah Selatan, Kapten Ibrahim Mohamed. Beliau berkata, anggota penguatkuasa Maritim Malaysia turut menjumpai sarung parang dan majalah senjata api yang ditinggalkan di kapal selepas insiden tersebut. Tiada anak kapal dilaporkan dicederakan oleh kumpulan lanun tersebut. Kapal Mt Ai Maru yang membawa diesel bernilai RM1.4 juta dalam perjalanan dari Kemboja ke Singapura dirompak kira-kira 31 batu nautika dari Tanjung Sedili di sini kira-kira pukul 8 malam Sabtu. Ibrahim tidak boleh mengesahkan sama ada rompakan itu didalangi oleh orang dalam dan berkata siasatan sedang dijalankan. Beliau berkata, Maritim Malaysia biasanya melakukan tiga kali rondaan di kawasan tersebut tetapi akan meningkatkan kawalan keselamat selepas insiden itu. Ia merupakan kes ketiga dalam suku kedua tahun ini. "Kami menyedari kumpulan lanun itu sedang beroperasi di timur perairan Pengerang berbanding bahagian barat sebelum ini," katanya. Beliau berkata, jumlah kegiatan lanun menurun sejak 2010 apabila 16 kes direkodkan dan meningkat kepada 20 kes pada 2011. "Kami sedang mempertingkatkan usaha dan jumlah kes menunjukkan penurunan, bermula dari 2012, enam kes direkodkan secara purata setiap tahun," katanya. Sumber: mStar

TOP
Audit: KKMM belanja lebih peruntukan

KUALA LUMPUR- Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) didapati membelanjakan sejumlah peruntukan melebihi apa yang diberikan. Perkara itu didedahkan melalui Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 2 yang menyatakan KKMM telah meluluskan perolehan secara rundingan terus sebanyak 426 program bagi saluran TVi berjumlah RM111.83 juta. "Surat Kementerian Kewangan kepada Ketua Setiausaha KKMM bertarikh 19 November 2009 dan 2 Ogos 2012 menyatakan bahawa KKMM hanya boleh membuat perolehan secara rundingan terus sekiranya peruntukan mencukupi. "Bagaimanapun, peruntukan yang diluluskan hanya berjumlah RM90.04 juta.KKMM telah membuat komitmen melebihi peruntukan sejumlah RM21.79 juta bagi saluran TVi," katanya. Selain itu, laporan tersebut turut mendedahkan bahawa perbelanjaan perolehan program bagi saluran TV1 dan TV2 tidak mendapat kelulusan. "Perbelanjaan perolehan program bagi TV1 dan TV2 berjumlah RM43.70 juta adalah di luar skop Projek Pembangunan Kandungan Penyiaran Digital (PKPD) tanpa mendapat kelulusan Unit Perancang Ekonomi dan Perbendaharaan. "Selain itu antara kelemahan lain juga keseluruhan 413 program yang bernilai melebihi RM50,000 setiap satu tidak mempunyai kontrak formal," kata laporan itu lagi. Sumber: Sinar Online

TOP
Video: Cemas,Cubaan Melarikan Diri Dari Jerung Putih

Kepada sesiapa yang tidak tahu, jerung putih adalah antara yang paling kerap menyerang manusia. Penulis pun tidak pasti kenapa jerung ini tidak menyerang orang ini tetapi yang pasti, kalau penulis sudah tentu terkencing dalam air. Apa yang tidaknya, lihat saja saiz jerung tersebut. Bagaimanapun, cemas juga boleh membuatkan kita mati kelemasan.

TOP
Penarik kereta diperintah bela diri dakwaan bunuh pengasas AmBank

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan penarik kereta, Kong Swee Kwan membela diri atas dakwaan membunuh pengasas Kumpulan Perbankan Arab Malaysia (AmBank) Hussain Ahmad Najadi. Hakim Datuk Azman Husin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie. Sumber: BH Online

TOP
Isteri Kekasih Hanez Suraya Tarik Balik Kes Fasakh

Mahkamah Syariah Klang telah meluluskan permohonan, Nur Liyana Abdul Manan, 29, untuk menarik balik kes fasakh yang difailkan pada 1 Oktober 2013 terhadap suaminya, Romie Razin Adilha Abd Jais, 34. Keputusan tersebut dibuat oleh Hakim, Zainal Abidin Kusmin selepas plaintif yang diwakili peguamnya Kamar Ainiah Kamaruzaman membuat permohonan tersebut. Dalam pada itu, Nur Liyana akan mengemukakan permohonan baru iaitu perceraian secara talak mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003. Nur Liyana dan suaminya, Romie Razin Adilha yang juga kekasih pelakon Hanez Suraya hadir ke mahkamah secara berasingan. Sumber: Media Hiburan Karangkraf

TOP
Masih ada yang berani hina Islam

KUALA LUMPUR – “Ini tidak sepatutnya berlaku kerana sebagai rakyat Malaysia yang mengamalkan konsep 1Malaysia, hormat menghormati antara agama perlu ada dalam diri. Bukan menghina atau mencaci agama orang lain.” Itu tegas Pengerus Belia Taman Kota Cheras, Razali Amran berhubung sebuah laman web Faceebook milik seorang wanita Cina yang menghina agama Islam. “Dia ingat dia siapa? Orang Islam pun tak caci hina agama dia, kenapa mesti sentuh agama Islam? “Perbuatan wanita ini sangat melampau dan tidak boleh dimaafkan selagi dia tidak tampil memohon maaf secara terbuka. “Saya tak nak sentuh apa dia cakap tetapi sebagai rakyat Malaysia, dia sepatutnya tahu menghormati agama orang lain kerana kita hidup dalam sebuah negara berbilang kaum,” katanya ketika dihubungi pagi tadi. Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan di laman Facebook Ester Yeam yang menyebut: “saya cadangkan kamu semua makan chewing gum semasa berpuasa kerana kalau tidak buat macam itu, nafas kamu semua sangat berbau dan sangat mengganggu orang sekitar. sangat mengarut mengikut ajaran agama sehingga menyusahkan orang sekitar. nonsense,”. Mengulas tindakan yang wajar diambil ke atas sesiapa sahaja yang menghina agama Islam, kata Razali, masalah yang dibangkitkan adalah umum. “Tak kira agama apa sekalipun, kita tidak ada hak untuk mencaci dan menghina agama orang lain. “Siapa yang melakukannya, perlulah berhadapan tindakan mahkamah mengikut agama yang mereka kaitkan. “Orang-orang begini mesti dipanggil kerana perbuatan yang dilakukan boleh mencetuskan suasana tidak sihat di negara kita,” jelasnya. Sumber: Malaysia Gazzete

TOP
‘Orang Dalam’ Dipercayai Dalangi Kes Penculikan

KUNAK – Kes penculikan yang berlaku di pusat ternakan ikan dalam sangkar di Kampung Sapang Air, di sini awal pagi semalam, dipercayai didalangi orang dalam, kata Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Mohammad Mentek. Berdasarkan maklumat yang diperoleh, pihaknya mendapati kes penculikan itu mempunyai unsur penglibatan orang dalam kerana penjenayah seperti mengetahui keadaan selok-belok di kawasan itu. “Kawasan ini terpencil, dikelilingi pulau dan kawasan laut yang luas. Saya percaya hanya orang dalam atau orang yang sudah lama berada di sini tahu mengenai keadaan di pusat ternakan ikan ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pusat ternakan ikan dalam sangkar di Kampung Air Sapang, di sini Selasa. Beliau berkata sejurus mendapat laporan tentang kejadian penculikan itu, beberapa aset dikerah ke tempat yang telah dikenal pasti untuk memintas penjenayah itu keluar dari perairan negara. Bagaimanapun penjenayah itu berkemungkinan besar menggunakan jalan alternatif hingga berjaya meloloskan diri dan kini berada di kawasan negara jiran, katanya. Mohammad berkata siasatan awal mendapati modus operandi penjenayah semasa insiden itu hampir sama dengan kejadian penculikan di Pulau Baik, Lahad Datu pada 6 Mei lepas. “Kedua-dua kumpulan penjenayah itu menggunakan pekerja untuk mencari siapa pemilik syarikat berkenaan dan penculik itu juga dipercayai fasih berbahasa Melayu.

Pasukan keselamatan melakukan pemeriksaan di sebuah pusat ternakan ikan dalam sangkar yang menjadi lokasi penculikan seorang majikan dan pekerjanya di Kampung Air Sapang di Kunak, Sabah, semalam.
Cara penculik itu masuk dan keluar dari pusat ternakan ikan dalam sangkar itu juga sama,” katanya. Beliau turut menekankan ESSCom kini berdepan cabaran besar jenayah rentas sempadan yang didalangi orang yang telah menetap lama di negeri ini khususnya di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone). Dalam kejadian pada kira-kira 12.40 tengah malam itu, pengusaha pusat ternakan ikan dalam sangkar, Chan Sai Chiun, 32, dan seorang pekerja yang hanya dikenali sebagai Mazlan berumur sekitar 20-an diculik dua lelaki bersenjata di pusat ternakan ikan dalam sangkar Kampung Air Sapang, Kunak. Ini merupakan kes penculikan ketiga di kawasan pantai timur Sabah tahun ini. Pada 6 Mei lepas, lima lelaki bersenjata menculik seorang pengurus syarikat ternakan ikan dalam sangkar warga China di Pulau Baik di Lahad Datu, sebulan selepas seorang pelancong wanita warga China diculik di sebuah resort di Semporna. Sementara, itu Mohammad mengulangi gesaannya agar semua pihak termasuk pengusaha resort dan pengusaha sangkar ikan mematuhi peraturan sedia ada yang menghendaki mereka hanya menggaji pekerja yang mempunyai dokumen sah. “Kita telah berkali-kali menasihatkan pengusaha resort dan pengusaha ikan dalam sangkar agar tidak lagi mengambil pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen. “Apa yang berlaku masih ramai di kalangan mereka yang ingkar termasuklah syarikat di sini. Jadi inilah apa yang berlaku (kes penculikan) apabila kita tidak mematuhi peraturan,” katanya. Sehubungan itu, Mohammad berkata ESSCom tidak lagi berkompromi dengan majikan yang enggan mematuhi peraturan yang ditetapkan. Katanya Operasi Gasak juga akan diteruskan untuk membersihkan pendatang tanpa izin di kawasan ESSZone. Sumber: BERNAMA

TOP
Tukang gunting rambut kelar leher pelanggan

Darah mangsa memenuhi kaki lima di depan kedai.
SEORANG tukang gunting rambut didakwa selepas mencederakan pelanggannya dengan sengaja menggunakan pisau pencukur di kedainya, Jack’s Barber Shop di Newscastle. Lloyd Dobrodumow, 44, yang menggunakan nama samaran Demon Barber di laman Twitter dikatakan mencederakan Robert Charles Smith, 31, sehingga menyebabkan mangsa menerima jahitan sepanjang 15 hingga 17 sentimeter. Hakim daerah Stephen Earl berkata, kes itu tidak boleh dipandang remeh kerana mangsa mengalami kecederaan serius termasuk di bahagian saraf, otot dan kelenjar. Dipetik oleh Mail Online, ketika kejadian sekitar pukul 5.09 petang (waktu tempatan) itu, mangsa dilihat berlari keluar dari kedai sambil memegang lehernya yang berlumuran darah dan menjerit meminta tolong. Polis memaklumkan, mangsa dikejarkan ke Newcastle Royal Victoria Infirmary dan kini berada dalam keadaan stabil. “Disebabkan kejadian itu, saya terpaksa menutup kedai pada pukul 6 petang kerana pasukan keselamatan dan pihak polis memenuhi kawasan sekitar. Beberapa jam selepas itu, saya buka semula kedai namun tiada pelanggan dan terpaksa menutupnya semula,” menurut saksi. Jurucakap polis Northumbria mengesahkan kejadian dan suspek kini didakwa atas kesalahan mencederakan dengan niat. Sumber: Daily Mail / Sinar Online

TOP
Pengurus Syarikat Pembersihan Didakwa Bunuh Bayi 6 Bulan

Weng Yew diiringi anggota polis di Mahkamah Majistret Shah Alam kerana didakwa membunuh bayi berusia enam bulan yang ditemui di gaung berdekatan Genting Highlands.
SHAH ALAM: Seorang pengurus syarikat perkhidmatan pembersihan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan membunuh seorang bayi enam bulan yang mayatnya ditemui kembung dan berulat di sebuah gaung berdekatan Genting Highlands awal bulan ini. Wong Weng Yew, 41, didakwa membunuh bayi lelaki bernama Esmen Zeus Yves di rumahnya (tertuduh) di No: 12, Cannal Garden, Jalan Anggerik Vanilla 31/98S, Seksyen 31, Kota Kemuning di sini antara 28 Mei dan 31 Mei lepas. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. Wong yang hadir ke mahkamah memakai t-shirt berwarna oren dan berseluar pendek paras lutut mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah. Dalam prosiding pada Selasa, tiada pengakuan direkodkan daripada lelaki itu yang turut menguruskan perkhidmatan pekerja asing. Majistret Norshakinah Ahmad Kamarudin menetapkan 14 Julai ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Rohaida Che Hamid, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Terdahulu, isteri Wong yang sebelum ini turut ditahan bagi membantu siasatan, dibebaskan dengan bon mahkamah berjumlah RM50,000 untuk dijadikan sebagai saksi pendakwaan pada perbicaraan kelak. Media sebelum ini melaporkan sepasang suami isteri ditahan bagi membantu siasatan berhubung aduan seorang pembantu rumah warga Indonesia yang kehilangan bayi pada hujung bulan lepas. Penahanan suspek terbabit membawa kepada penemuan mayat itu 4 Jun lepas.

TOP
Pekin Dikecam Kononnya Mahu Tonjolkan Budaya 'Skinhead'

Pekin tidak mahu masyarakat salah anggap dengan filem terbaharunya 'Ophelia'. PETALING JAYA: Pelakon Pekin Ibrahim kesal apabila gambarnya bersama beberapa individu yang kononnya memperjuangkan fahaman songsang Skinhead dan Nazi disalah erti dan dianggap sebagai cuba menonjolkan budaya itu. Pekin atau nama sebenar Mohd Iznan Ibrahim, 34, berkata, ia terjadi ketika dia dalam proses membuat kajian tentang budaya tersebut yang masih diamalkan di negara ini bagi menjayakan filem terbaharunya berjudul Ophelia. "Saya cuba mengkaji tentang budaya-budaya yang pernah popular satu ketika dahulu seperti Skinhead dan Nazi dan kini masih lagi diikuti oleh segelintir masyarakat di negara ini untuk filem terbaharu saya. "Ada orang yang telah muat naik gambar-gambar saya dengan satu kumpulan tersebut, selepas itu ramai yang cuba menghentam saya di laman sosial yang menganggap saya cuba menghidupkan semua budaya ini dengan menerapkan isu perkauman," ujarnya kepada mStar Online. Pekin berkata demikian ketika diminta mengulas tentang status-statusnya di laman Facebook yang meminta agar orang ramai termasuk kumpulan-kumpulan tersebut bertenang dan menganggap filem terbaharunya itu bertujuan menukar persepsi masyarakat kearah yang lebih positif. Jelasnya, filem Ophelia merupakan sebuah filem yang memaparkan tentang kemanusiaan dan persahabatan serta apa yang masyarakat tidak tahu tentang budaya tersebut. Dalam pada itu Pekin berkata, untuk filem berkenaan dia telah melakukan kajian hampir dua tahun dan mendalami aktiviti kumpulan itu yang masih aktif di seluruh Malaysia. Malah katanya, dengan usaha itu, dia kini mendapat sokongan dan kerjasama penuh daripada kumpulan berkenaan dalam membantu memberi maklumat bagi menjayakan filem yang masih dalam proses penggambaran itu. "Pada mulanya mereka ingat kami ingin buat cerita tentang keburukan sahaja, tetapi sebenarnya kita mahu memaparkan budaya ini daripada sisi lain yang orang tidak tahu. "Pada saya mereka semua ada satu ikatan yang sangat kukuh antara satu sama lain," katanya yang memeggang watak sebagai Uji. Dalam pada itu, Pekin mengakui meminta seorang rakannya melukis dahulu gambaran watak Uji yang bakal dilakonkannya sebelum memulakan penggambaran. Katanya, ia bagi memastikan karakter dan penampilan yang akan dilakonkan nanti tidak berlaku persamaan dengan watak-watak terdahulu. "Setiap watak yang saya dapat saya akan gambarkan dan suruh kawan saya lukis di atas kertas terlebih dahulu untuk tentukan penampilan yang bagaimana. "Dengan cara tersebut saya dapat memberi kelainan dan membezakan watak-watak yang saya lakonkan," ujarnya. Sumber: mStar

TOP
Murid tahun satu parah dilanggar kereta depan sekolah

Baru dua hari lepas SiakapKeli.com ada menyiarkan berita Murid Tahun Satu Maut Dilanggar Bas (Klik). Lagi semalam ada pula seorang pelajar juga tahun satu pula dilanggar kereta. Ikuti berita dari BERNAMA ini.
SANDAKAN – Seorang murid tahun satu mengalami cedera parah selepas dilanggar sebuah kereta ketika melintasi jalan raya di hadapan sekolahnya di Jalan Cecily Utara Batu 4 dekat sini, semalam. Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Rowell Marong berkata, mangsa yang dikenali sebagai Mohd. Zul Hakeem Hamsah, 7, belajar di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Sung Siew. Dalam kejadian pada pukul 5.50 petang itu, mangsa mengalami patah kaki kanan dan masih menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent Sandakan. Rowell berkata, pemandu kereta berkenaan sudah tampil membuat laporan polis berhubung kemalangan itu. Beliau meminta orang ramai yang melihat kejadian itu turut tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Insektor Zabir Aripin di talian 08-9212222 (sambungan 254). Sumber: BERNAMA

TOP
Tipu Umrah: 3,611 Mangsa, Rugi RM14.1 Juta

Lebih 3,000 jemaah umrah menjadi mangsa kegiatan penipuan pakej umrah.
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan merekodkan sebanyak sembilan kes penipuan umrah membabitkan sembilan syarikat pengendali pelancongan dan agensi pengembaraan berlesen sehingga Mei tahun ini. Menterinya, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, kesemua kes penipuan berkenaan melibatkan 3,611 mangsa dengan anggaran kerugian sebanyak RM14.1 juta. "Kesemua sembilan syarikat ini telah dibatalkan lesen operasinya, malah ada antaranya sudah didakwa dan dibicarakan di mahkamah," katanya pada persidangan Dewan Rakyat pada Selasa. Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Zairil Khir Johari (DAP-Bukit Bendera) yang ingin mengetahui mengenai tindakan kerajaan terhadap ejen perlancongan yang tidak berhemah bagi mengelak kes penipuan umrah terus berlaku. Mengulas lanjut Mohamed Nazri menasihatkan rakyat supaya menyemak senarai syarikat yang berdaftar dengan kementerian itu sebelum membeli mana-mana pakej umrah. Jelas beliau, hanya 38 syarikat berdaftar diberikan lesen untuk berurusan dengan kerajaan Arab Saudi bagi menguruskan prosedur mendapatkan visa umrah. "Kalau nama syarikat yang menawarkan pakej umrah itu tidak ada...jangan beli dari mereka. "Biasanya harga untuk pakej umrah dalam lingkungan RM4,500. Tapi kalau ada tawaran pakej bernilai RM3,000...itu tipulah. Pakej semurah itu tak cukup nak tampung kos umrah," katanya. Selain itu, tambah Mohamed Nazri, mangsa penipuan pakej umrah boleh membuat tuntutan ganti rugi kepada Tribunal Tuntutan Pengguna di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. Sumber: mStar

TOP
Fuziah, Surendran Digantung Dewan Rakyat

Surendran (kanan) dan Fuziah (dua, kanan) digantung menghadiri sidang Parlimen selama dua hari. KUALA LUMPUR: Dua Ahli Parlimen pembangkang digantung daripada persidangan Dewan Rakyat mengikut Peraturan Mesyuarat 44 (2) kerana ingkar arahan Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia. Arahan penggantungan itu dibuat kepada Fuziah Salleh (PKR-Kuantan) dan N. Surendran (PKR-Padang Serai) selepas kedua-dua wakil rakyat itu berkeras untuk berhujah berhubung isu Lynas. Fuziah dan Surendran masing-masing digantung menghadiri sidang Parlimen selama dua hari bermula hari ini. Sebelum ini pada sesi persidangan November tahun lalu, Surendran yang merupakan Ahli Parlimen penggal pertama pernah digantung selama enam bulan kerana menghina Speaker. Drama penggantungan wakil rakyat itu bermula apabila Fuziah mempersoalkan keputusan Pandikar Amin yang menolak rayuannya untuk berhujah mengenai Lynas. Ketika Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee mempengerusikan persidangan, Fuziah menuduh Parlimen memihak kepada kerajaan berdasarkan alasan penolakan usul rayuannya. Bagaimanapun Kiandee menjelaskan bahawa keputusan Speaker adalah muktamad dan beliau menasihatkan Fuziah supaya mengemukakan usul persendirian berhubung isu berkenaan mengikut peraturan mesyuarat. Namun Fuziah tidak menghiraukan nasihat berkenaan dan terus berhujah dengan mempetikaikan keputusan Speaker. Fuziah terus mencetuskan kekecohan di dalam Dewan apabila Pandikar Amin masuk mengambil alih sesi persidangan. Pandikar Amin menegur tindakan beberapa Ahli Parlimen pembangkang yang secara berterusan mempertikaikan kredibiliti Speaker sebagai pengerusi persidangan sama ada di dalam atau luar Dewan Rakyat. Sumber: mStar

TOP
Kilang Bihun Cap Masjid Terbakar

Sebelum ini SiakapKeli.com ada menyiarkan beberapa berita berkenaan Kilang Mihun Cap Masjid ini yang menjadi isu panas setelah beberapa keping gambar yang menunjukkan proses pembuatan mihun di situ dalam persekitaran yang amat menjijikkan. BACA: Jijik - Proses Membuat Bihun Cap Masjid Yang Menggelikan BACA: Mihun Jijik Cap Masjid Guna Logo Halal Tidak Sah - Jakim Hari ini pula, menurut laporan Daily Traffic Report, Kilang Mihun tersebut terbakar dan beberapa keping gambar kemusnahan tersebut dimuatnaikkan. Menurut komen pada page tersebut mengatakan kebakaran ini mungkin bermotifkan insurans.

Walaubagaimanapun punca kebakaran belum dikenal pasti.
Foto: Daily Traffic Report

TOP
Nabila Huda Diajak Tukar Agama Kristian

Nabila Huda yang kita tahu sememangnya artis yang suka berpakaian seksi dan juga pernah tercetusnya kontroversi berkenaan gambar-gambar beliau yang sedang bersosial. Dia juga ibarat sudah kebal dengan tomahan-tomahan dan teguran peminat mahupun dari ayahnya sendiri. Disebabkan gaya hidup bebas dan bersosial Nabila dengan pakaiannya yang selalu seksi tu terkini ada seorang peminat beragama Kristian, DarianChirt mengajaknya menukar agama. Sesuai dan tiada sebarang halangan bagi Nabila Huda, kata peminat berkenaan. Bukan setakat Nabila sahaja, diajaknya juga anak Nabila berbuat perkara yang sama. Apa pun, sama-samalah kita doakan agar dia kekal dengan Islam dan tidak terdetik di hatinya untuk berbuat pekara yang murtad tersebut.

Sumber: hotlips-yuya.blogspot.com

TOP
Kes Bunuh Di MSU Shah Alam 16 Jun 2014

Pelajar di sebuah IPTS terkemuka di Seksyen 13 Shah Alam dikejutkan dengan insiden kes bunuh yang julung pertama kalinya berlaku di Management and Science University (MSU) sejak ianya ditubuhkan. Dalam kejadian yang berlaku lebih kurang jam 3.30 petang, seorang pekerja tukang bersih warga Pakistan maut di tingkat 8 bangunan Science Tower. Identiti mangsa dikenali sebagai Muhammad Uzair, 25 yang merupakan pekerja pembersihan (Cleaner) di universiti tersebut. Punca kematian dipercayai akibat berselisih faham dengan rakan serumahnya yang turut bekerja ditempat yang sama. Maklumat terkini diperolehi melalui komen pada oleh Barbara Colorose: Tarikh : 16/6/2014

Sek : 302 kk
Fakta kes:
Pada 16/6/2014 jam l/kurang 1545 hrs maklumat mengatakan di tingkat 8 blok akademi MSU seksyen 13 shah alam ada (1)(L) w/negara pakistan tidak sedarkan diri dan serta dalam berlumuran darah. Hasil siasatan awal:-
Tempat kejadian merupakan bilik AHU di tingkat 8 bangunan MSU seksyen 13 shah alam. Mangsa ( simati ) adalah (1)(L) w/negara pakistan Mula berkerja dari SEPT 2013. Mangsa dengan saspek telah berlaku perselisihan faham akibat giliran memasak di rumah kongsi mereka. Tetapi telah di damai kan oleh supervisornya. Pada hari ini jam l/kurang 1535hrs supervisor tlh menghubungi pihak atasan dan memberitahu terjumpa mangsa yg telah mati. Apabila disiasat di percayai mangsa telah dibunuh oleh saspek iaitu (1)(L) w/negara pakistan : Siasatan masih di teruskan.
Please quote timb KPD S Alam. Supt ruslan abdullah.

Kes Bunuh Di MSU Shah Alam Trending Di Twitter

Sumber: Melvister.com


TOP
Joachim Low Puji Aksi Muller

JOACHIM Low menghamburkan pujian ke atas Thomas Muller selepas pemain itu berjaya membantu Jerman membenam Portugal 4-0 dalam saingan kumpulan G Piala Dunia awal pagi Selasa.

Muller memecah kebuntuan menerusi penalti pada minit ke-12 sebelum terus meletakkan pasukannya di depan dengan melengkapkan hatrik. Selain itu, Mats Hummels turut membantu pasukannya menambah beban Portugal yang dipimpin bintang dunia, Cristiano Ronaldo. Muller, 24, yang menjadi bintang Jerman bagaimanapun turut terpalit oleh kontroversi pada minit ke-37 yang berakhir dengan pertahanan Portugal, Pepe dilayangkan kad merah. Pepe dikatakan telah melakukan kekasaran terhadap Muller ketika berlaku perebutan di kawasan gol Portugal.

Berikutan insiden itu pengadil dari Serbia, Milorad Mazic menghukum Portugal untuk beraksi 10 pemain pada perlawanan pertama mereka.

Low yang teruja dengan aksi Muller berkata, "Dia (Muller) melakukan kerja yang hebat untuk Jerman. "Dia membuatkan pertahanan lawan menjadi sibuk, membuka jurang dengan menjaringkan gol," katanya. Jurulatih berusia 54 tahun itu memberitahu, Jerome Boateng dan Hummels juga mempamerkan aksi yang memukau kerana berjaya menutup peluang penyerang lawan menjaringkan gol.

Sumber: mStar

TOP
Pengurusan Pensijilan Halal Jais Kurang Memuaskan - Ketua Audit Negara

SHAH ALAM: Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 2 mendapati pengurusan pensijilan halal oleh Seksyen Pengurusan Halal, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) adalah kurang memuaskan dari segi pemprosesan baru Sijil Pengesahan Halal (SPH) dan pemantauan terhadap pemegang SPH. Menurut laporan itu, antara kelemahan yang ditemui adalah pemprosesan SPH mengambil masa yang panjang di mana ia boleh menjejaskan reputasi serta keyakinan industri terhadap kecekapan Jais. Ketua Audit Negara turut mendapati pemantauan terhadap pemegang SPH kurang memuaskan dan aduan terhadap produk atau premis yang diragui halal tidak diurus dengan cekap. Selain itu, kelemahan lain yang ditemui ialah SPH yang belum diambil oleh pengusaha menyebabkan pemohon terbabit menjalankan proses pengeluaran produk makanan tanpa mempamerkan SPH di premis masing-masing. Sehubungan itu, Ketua Audit Negara mengesyorkan supaya Jais mengkaji semula prosedur proses permohonan SPH serta pengurusan aduan awam dengan menyediakan norma masa yang lebih jelas dan bersesuaian untuk setiap peringkat pemprosesan agar tempoh penyelesaian permohonan SPH serta aduan dapat dioptimumkan. JAIS juga disyorkan untuk meningkatkan pemantauan secara berkala terhadap produk perkilangan, premis makanan dan premis sembelihan dengan mempercepatkan pelantikan kakitangan baharu selaras dengan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN). Jabatan itu perlu segera memuktamadkan pelantikan Penolong Pengawal Perihal Dagangan yang akan menjalankan aktiviti penguatkuasaan selaras dengan Seksyen 3 Akta Perihal Dagangan 2011. Laporan Audit turut mengesyorkan supaya JAIS mengepos SPH kepada pemohon memandangkan sijil yang diterima daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) disertakan dengan surat yang dialamatkan kepada pemohon terbabit. Mengenai pemantauan terhadap pemegang SPH yang kurang memuaskan, Jais memberi maklumbalas bahawa tindakan pemantauan akan dijalankan oleh Pegawai Pemantau, Unit Pengawasan Dan Audit di Bahagian Penyelidikan Dan Pembangunan. JAIS juga memaklumkan pihak Ketua Audit Negara bahawa jabatan itu telah menyediakan proses kerja pengurusan aduan berkaitan halal dan menetapkan syarat masa 90 hari bagi penyelesaian aduan yang diterima. Mengenai SPH yang belum diambil oleh pengusaha, Jais turut memaklumkan bahawa rekod pemakluman berkaitan urusan pengambilan SPH telah diselenggarakan dan pihaknya akan mengepos SPH sekiranya pemohon gagal mengambil sijil dalam tempoh sebulan seperti cadangan pihak audit.

TOP
Laporan Audit: KPTM Hadapi Masalah Kutip Hutang Bekas Pelajar

PETALING JAYA: Kolej Poly-Tech MARA Sdn. Bhd (KPTM), milik penuh Majlis Amanah Rakyat (Mara) berhadapan dengan hutang bekas pelajar berjumlah RM19.36 juta walaupun mencatatkan keuntungan sejak 2008. Menurut siri kedua Laporan Ketua Audit Negara 2013, setakat Jun 2013, terdapat bekas pelajar yang berhutang berjumlah RM19.36 juta kepada KPTM dengan RM18.35 juta daripada mereka yang membiayai pembiayaan mereka secara persendirian. Pihak audit berkata, prestasi ejen kutipan kurang memuaskan kerana bilangan hutang yang berjaya dikutip sepenuhnya rendah iaitu kurang 30 peratus. KPTM hanya berjaya mengutip RM1.61 juta pada Jun tahun lepas walaupun melantik empat ejen kutipan hutang dengan memperoleh RM6.47 juta daripada 2,210 bekas pelajar. "Dengan kurang 30% hutang pelajar yang berjaya dikutip, prestasi ejen kutipan kurang memuaskan," kata Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dalam laporan itu, KTPM yang memberi maklum balas berkata, kontrak ejen kutipan yang berprestasi rendah akan ditamatkan di samping menubuhkan satu petugas khas untuk melengkapkan data pembayaran dengan baik. Laporan itu turut menunjukkan bahawa KTPM kehilangan 42% daripada bilangan pelajar yang walaupun telah melebihi kadar pendaftaran tahunan yang disasarkan antara 2010 dan tahun lepas. "Antara 33.4% dan 42.2% adalah pelajar yang sama ada berhenti atau telah gagal untuk meneruskan pengajian mereka. "Ini disebabkan oleh beberapa faktor seperti pelajar yang baru mendaftar menerima tawaran daripada institusi-institusi pengajian tinggi lain, gagal dalam peperiksaan dan masalah peribadi," kata Ambrin.

TOP
Laporan Audit: Hanya 36.6% Projek Bekalan Air Luar Bandar Siap

PETALING JAYA: Sebanyak RM2.48 bilion diperuntukan untuk 314 projek bekalan air di Sarawak dan hanya 115 (36.6%) projek itu siap dengan kos RM1.43 bilion, lebih separuh daripada peruntukan, menurut siri kedua Laporan Ketua Audit Negara 2013. Projek di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya negeri bagi menyediakan air bersih dan dirawat kepada masyarakat luar bandar. Daripada 314 projek, sebanyak 69 projek yang terlibat dalam pembinaan pelan rawatan air atau menghubungkan saluran paip air utama, bernilai RM1.71 bilion. Hanya 13 daripada 69 projek dipilih untuk diaudit. Sembilan daripada 13 projek itu telah siap manakala selebihnya masih di dalam pembinaan. Walaupun kerja-kerja pembinaan dikatakan memuaskan, tetapi terdapat beberapa kelemahan yang dikenal pasti. Antaranya adalah kajian awal yang tidak cukup komprehesif membabitkan empat daripada 11 perunding. Kualiti pembinaan juga tidak memuaskan apabila kebocoran tangki air dikesan. Sebanyak empat projek yang diaudit gagal untuk disiapkan selepas diberikan beberapa kali penundaan dan hanya dua yang siap mengikut waktu yang ditetapkan. Baki projek yang lain iaitu 53% disiapkan selepas diberikan penundaan. Bagaimanapun, kos projek yang diaudit adalah lebih rendah daripada jumlah peruntukan dengan RM388.03 juta yang dibelanjakan berbanding RM463.4 juta.

TOP
Laporan Audit: Saguhati RM20,000 Kepada Lembaga Pengarah Felcra Tanpa Kelulusan Perbendaharaan

KUALA LUMPUR: Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) membuat bayaran saguhati berjumlah RM20,000 kepada setiap Ahli Lembaga Pengarahnya tanpa kelulusan Kementerian Kewangan. Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan, Perbendaharaan menerusi suratnya bertarikh 20 Ogos 2010 menolak permohonan cadangan pembayaran honorarium berjumlah RM20,000 bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2009. "Bagaimanapun mesyuarat khas Lembaga Pengarah pada 21 Julai 2011 bersetuju supaya pemberian saguhati kepada Lembaga Pengarah berjumlah RM133,333, di mana RM20,000 bagi setiap Ahli Lembaga Pengarah dan RM30,000 kepada Pengerusi Lembaga Pengarah bagi tahun berakhir Disember 2010," kata Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang pada Isnin. Trend yang sama diteruskan bagi tahun kewangan berakhir pada Disember 2011 apabila bayaran saguhati berjumlah RM257,500 iaitu sebanyak RM30,000 diberikan kepada Ahli Lembaga Pengarah serta RM50,000 dibuat kepada Pengerusi Lembaga Pengarah. "Selain itu Felcra juga bersetuju supaya bayaran saguhati diberi kepada setiausaha syarikat pada 2012 dengan jumlah keseluruhan bayaran berjumlah RM332,500," katanya. Menurut Ambrin, pembayaran saguhati itu memberi kesan kepada peningkatan kos operasi Felcra hingga mengurangkan pembayaran dividen kepada pemegang saham. "Pada pendapat Audit bayaran saguhati kepada Lembaga Pengarah dapat dilihat lebih telus dengan alasan yang munasabah sekiranya mendapat kelulusan Kementerian Kewangan sebagai pemegang saham utama," katanya.

TOP
Nilai Semula Prestasi GLC - PAC

Nur Jazlan
KUALA LUMPUR:Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menggesa kerajaan supaya menjalankan penilaian semula bagi menentukan tahap keupayaan semasa lebih 200 syarikat subsidiari miliknya. Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, kajian berkenaan perlu bagi mendapatkan maklumat terkini kerana syarikat berkaitan kerjaaan (GLC) kini dilihat sering mengharapkan bantuan kerajaan bernilai jutaan ringgit bagi meneruskan kelangsungannya. "Kementerian Kewangan perlu lihat kembali portfolio GLC bagi mengetahui sama ada mereka masih memenuhi objektif penubuhannya. "Jika tidak proses rasionalisasi perlu dilaksanakan sama ada untuk menggabungkan GLC, menukar portfolio atau mungkin menamatkan operasi," katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen di sini, Isnin. Menurut beliau, kajian semula itu perlu menentukan sama ada syarikat subsidiari sedia ada mencapai objektif penubuhan kerana mungkin wujud situasi di mana GLC tertentu tidak lagi relevan pada masa ini. "Kajian juga perlu melihat sama ada GLC ini diuruskan dengan baik serta memberi pulangan kepada kerajaan," katanya. Tambah beliau, terdapat beberapa GLC seperti Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) di Kelantan dan Lembaga Koko Malaysia yang tidak begitu dikenali dan diketahui fungsi penubuhannya. "Malah saya sendiri tidak tahu selama ini wujud GLC seperti Kada," katanya. Selain itu, Nur Jazlan berkata, Kementerian Kerja Raya merupakan antara kementerian pertama yang akan dipanggil memberi keterangan kepada PAC kerana kelemahan pengurusan seperti yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2013 siri kedua yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin. Turut akan dipanggil oleh PAC ialah Kemenerian Pelajaran, Kementerian Kewangan, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Kementerian Dalam Negeri.

TOP
Laporan Audit: Felda Ditegur Tak Guna Sistem Tender Projek Lebih RM1 Juta

KUALA LUMPUR: Pengurusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) ditegur apabila mengelak daripada menggunakan sistem tender dan pelawaan sebut harga bagi perolehan kerja atau bekalan yang melebihi RM1 juta. Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan, pengurusan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu memecahkecilkan dua perolehan projek miliknya yang bertentangan dengan Peraturan Urusan Kontrak Felda. Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang berkata, perolehan sempena sambutan Hari Peneroka 2011 berjumlah RM1.85 juta tidak dibuat melalui Jawatankuasa Tender Lembaga. Malah, Felda turut menggunakan kaedah sama apabila melaksanakan perolehan kerja hiasan dalaman fasa satu Menara Felda bernilai RM3.65 juta melalui lima pakej yang berasingan. "Bagi perolehan sambutan Hari Peneroka di Jengka, Pahang dipecah kecil kepada dua kontrak, masing-masing bernilai RM990,000 dan RM860,000," katanya pada Isnin. Mengenai perolehan bagi kerja hiasan dalaman Menara Felda, semakan audit mendapati kesemua lima pakej yang dipecahkan daripada nilai asal ditawarkan kepada Naza TTDI Sdn Berhad dengan nombor kontrak yang berbeza. "Selain itu, juru perunding bagi kerja-kerja berkenaan diarahkan oleh Felda untuk menyediakan pecahan harga bagi fasa satu kepada lima pakej tanpa mengubah amaun akhir yang ditawarkan oleh Naza TTDI Sdn Berhad bagi memudahkan proses kelulusan," katanya. Menurut Ambrin, berdasarkan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 5, 2009 menyatakan dengan jelas bahawa agensi kerajaan dilarang memecahkecilkan perolehan bekalan atau kerja. Selain itu, kelemahan pengurusan kewangan Felda turut dikesan apabila agensi itu tidak menyediakan kontrak formal bagi 56 perolehan berjumlah RM183.13 juta. "Sebanyak 53 daripada perolehan tersebut yang berjumlah RM165.65 juta dibayar tanpa perjanjian manakala tiga perolehan bagi tahun 2012 berjumlah RM17.48 juta masih belum dibayar," katanya. Berdasarkan laporan itu lagi, turut didedahkan bahawa sebanyak 23 daripada 53 perolehan berjumlah RM19.93 juta dibayar berdasarkan pesanan pembelian yang diluluskan oleh Pengarah Tadbiran sahaja. "Sebanyak 30 daripada 53 perolehan berjumlah RM145.72 juta dibayar hanya mempunyai Surat Setuju Terima (SST) dan pesanan pembelian...ini juga dibuat tanpa sebarang kontrak," katanya.

TOP
Audit Pematuhan Keselamatan SPAD Tidak Menyeluruh

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tidak menjalankan pengauditan pematuhan keselamatan secara menyeluruh terhadap pengangkutan awam darat dan kenderaan perdagangan pada 2011 dan 2012. Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2013, Siri 2, pada Isnin, SPAD hanya menumpukan pemeriksaan keselamatan terhadap syarikat bas ekspres dan tidak menjalankan pengauditan pematuhan keselamatan terhadap semua jenis pengangkutan awam darat yang lain. Selain itu, laporan tersebut mendapati pada tahun 2011 sebanyak 43 syarikat pengangkutan awam telah diaudit oleh SPAD berbanding sasaran sebanyak 44 syarikat manakala sebanyak 169 syarikat telah diaudit melebihi sasaran sebanyak 156 syarikat pada 2012. Justeru, pihak audit mengesyorkan SPAD mendapatkan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya aktiviti penguatkuasaan dapat dijalankan secara menyeluruh. Selain itu, semakan audit terhadap kes tangkapan SPAD dari tahun 2011 sehingga Oktober 2013 mendapati sebanyak 57.5 peratus kes atau 103 daripada 179 kes lewat diselesaikan iaitu melebihi 60 hari. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 58 kes lewat antara 61 hingga 240 hari, 30 kes (241-420 hari), manakala 15 kes lewat 421 hingga 600 hari. Untuk itu, pihak audit mengesyorkan SPAD menetapkan tempoh penyelesaian kes di peringkat Bahagian Penguatkuasaan dalam Manual Prosedur Kerja. Di samping itu, mekanisme pemantauan yang berkesan perlu diwujudkan termasuk perbincangan mengenai status tempoh penyelesaian kes dalam Mesyuarat Pengurusan bagi memastikan kes diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan.

TOP
Budak Dihalau Dari KFC Ditawar AS$30,000 Dan Perkelahan Keluarga

Victoria Wilcher.
JACKSON (MISSISSIPPI): KFC Corp berkata, syarikat itu memberi sumbangan wang berjumlah AS$30,000 (RM96,684) sebagai bayaran perubatan kepada seorang kanak-kanak perempuan yang diserang oleh anjing sehingga menyebabkan mukanya berparut yang diusir keluar dari restoran makanan segera Kentucky Fried Chicken (KFC) di Jackson, Mississippi. Syarikat turut memaklumkan bahawa ia sedang menyiasat dakwaan mengenai tindakan seorang pekerja restoran yang mengusir kanak-kanak berkenaan. Dakwaan mengenai KFC dibuat Khamis yang dikongsikan di laman Facebook bertajuk 'Victoria's Victory' (Kemenangan Victoria). "Adakah wajah ini menakutkan anda? Minggu lepas di KFC di Jackson MS wajah ini diminta meninggalkan restoran kerana wajahnya menakutkan pengunjung lain," demikian 'posting' yang dibuat di laman Facebook tersebut. KFC bagaimanapun memohon maaf pada keesokan harinya. "Sebaik sahaja kami dimaklumkan laporan ini pada Jumaat, kami segera memulakan penyiasatan, dengan menyifatkan tindakan yang menyinggung perasaan dan tidak menghormati orang lain, yang tidak boleh diterima KFC," kata jurucakap Rick Maynard pada Ahad. "Tidak kira apakah hasil siasatan kami, kami telah memohon maaf kepada keluarga Victoria dan komited untuk membantu mereka. Syarikat ini memberikan sumbangan AS$30,000 kepadanya bagi membantu menjelaskan bayaran perubatan. Seluruh keluarga KFC menyokong Victoria." Sementara itu, pentadbir halaman Facebook Victoria itu pada Ahad memberitahu bahawa Victoria's Victory mencatatkan lebih 32,500 tanda suka 'like' pada Ahad. Satu mesej disiarkan pada malam Jumaat oleh sebuah lagi francaisi KFC Mississippi, Dick West of West Quality Food Service in Laurel, menawarkan "satu perkelahan besar KFC" untuk kanak-kanak perempuan itu dan keluarganya. West turut menulis bahawa ia tahu pemilik restoran Jackson "dan mereka yang tidak pernah menjalankan operasi membenarkan sesiapa yang memasuki restoran mereka dengan diberikan layanan buruk sejak 50 tahun. "Saya menawarkan untuk belanja Victoria untuk menikmati perkelahan KFC tanpa mengira hasil siasatan tersebut. Vicoria melalui banyak perkara berbanding kanak-kanak perempuan lain dan saya mahu memberikan layanan istimewa untuknya."

TOP
Lelaki Bunuh Isteri, Dua Anak Sebelum Tonton Perlawanan Piala Dunia

Gambar Carlo Lissi (kiri) dan isterinya Cristina Omes yang dipaparkan di laman Facebook milik ibu kepada dua anak itu.
SEORANG peminat bola sepak didakwa mengelar leher isteri dan dua anaknya sebelum ke pub untuk menonton perlawanan Piala Dunia antara England dan Itali bersama rakan-rakannya. Mayat Cristina Omes, 38, dan anak-anaknya, Giulia yang berusia lima tahun dan Gabriele, 20 bulan, ditemui di kediaman mereka di kawasan perumahan di Motta Visconti, dekat Milan. Kesemua mayat mereka ditemui dengan kesan kelar di leher serta beberapa kesan tikaman, menurut beberapa laporan di Itali. Perunding komputer, Carlo Lissi didakwa melakukan tiga pembunuhan. Lissi memberitahu penyiasat bahawa dia membunuh isterinya terlebih dahulu diikuti dengan dua anaknya pada lewat malam Sabtu (waktu tempatan). Dia kemudiannya meninggalkan rumah pada kira-kira pukul 11.30 malam untuk menonton perlawanan Piala Dunia bersama rakan-rakan. Menurut sumber polis, dia membuang senjata yang digunakan untuk membunuh isteri dan kedua-dua anaknya di sebuah lubang konkrit ketika dalam perjalanan. Dia kemudiannya kembali pulang ke rumah selepas pukul 2 pagi untuk 'mencari' mayat, dan menghubungi polis. Peti keselamatan di rumah lelaki itu terbuka dengan sejumlah kecil wang dilaporkan hilang, tetapi pasukan penyiasat memfokuskan motis mengenai pembunuhan bayi itu, sumber memberitahu media Itali. Kekurangan senjata yang digunakan dalam kejadian bunuh itu menyebabkan mereka menolak pembuhan itu disebabkan oleh ibu muda itu yang membunuh diri. Lissi dikatakan memberitahu polis bahawa dia mengakui melakukan tiga pembunuhan ngeri itu kerana dia menyintai wanita lain. - mirror.co.uk

TOP
Mesyuarat Tertutup Isu Rampasan Bible Jadi Tanda Tanya

SHAH ALAM: Mesyuarat antara Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) bersama Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang berlangsung selama lebih dua jam berhubung isu rampasan naskhah Bible dalam bahasa Malaysia berakhir dengan tiada sebarang pendedahan mengenai perkara yang diperbincangkan secara tertutup itu. Ketika ditemui The Star pada Isnin, Timbalan Ketua Pengarah Jais, Ahmad Zaki Arshad enggan untuk memberikan komen, sebaliknya hanya berkata: "Buat pun salah, tak buat pun salah." Sehubungan itu, para pemberita diberitahu supaya mendapatkan komen Abdul Khalid di lobi bangunan sekretariat kerajaan negeri. Bagaimanapun, selepas kira-kira sejam menunggu, kereta Menteri Besar yang sebelum itu dilihat menunggu di kawasan lobi beredar tanpa Abdul Khalid. Pegawai media Abdul Khalid berkata, tidak diketahui sekiranya pejabat Menteri Besar akan mengeluarkan kenyataan atau tidak. Mesyuarat itu membabitkan beberapa pihak berkuasa berkaitan, termasuk Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abdul Wahid bagi mencapai kata sepakat berhubung isu rampasan naskhah Bible daripada Persatuan Bible Malaysia (PBM) pada 2 Januari lalu, sebelum mendapat perkenan daripada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

TOP
Laporan Audit: Hanya 14 Pegawai Penguasa Imigresen Jalankan Aktiviti Naziran

KUALA LUMPUR: Hanya 14 Pegawai Penguasa Imigresen menjalankan aktiviti naziran ke atas pengurusan pekerja asing di seluruh negara, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 2. Dalam maklum balas kepada Jabatan Audit Negara, Kementerian Dalam negeri berkata, tugasan mereka memantau syarikat yang memohon pekerja asing dan menjalankan siasatan terhadap aduan ke atas syarikat yang menggaji pekerja asing. Namun, kementerian itu menyambut baik saranan Jabatan Audit supaya unit Naziran turut menjalankan pemeriksaan susulan secara berkala ke atas premis syarikat yang diluluskan permohonan mereka bagi mengambil pekerja asing. Laporan itu yang dibentangkan di Dewan Rakyat, di sini hari ini, menarik perhatian bahawa pemeriksaan susulan itu perlu bagi memberi gambaran dan amaran kepada pihak majikan bahawa kerajaan serius mengawal kemasukan pekerja asing dan memastikan syarat-syarat yang telah ditetapkan dipatuhi. Selain itu, menerusi audit yang dilakukan pada 10 April, pihak Audit turut menegur kelulusan 24 daripada 52 dokumen permohonan baharu yang tidak disahkan ahli panel pengambilan pekerja asing, namun sebaliknya hanya disahkan pegawai KDN. "Kehadiran ahli jawatankuasa bagi tujuan proses tersebut adalah penting bagi menjamin ketelusan dan memastikan ia dibuat bersandarkan kepada dasar yang ditetapkan kerajaan mengikut kementerian masing-masing," katanya. Pihak Audit turut menegur pengurusan dokumen permohonan pekerja asing dan Pas Lawatan Kerja Sementara oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang tidak teratur dengan penyimpanan dokumen yang berselerak di beberapa pejabat Imigresen negeri selain mengambil masa yang agak lama bagi memasukkan data ke dalam sistem myIMMs dan meluluskan permohonan. Justeru, Audit mengesyorkan pengurusan dan pengendalian pekerja asing dipertingkatkan supaya lebih sistematik, cekap dan berkesan antara lain bagi mengelak pekerja asing daripada menjadi pekerja asing tanpa izin. Bagaimanapun, JIM dalam maklum balas kepada pihak Audit pada 27 Februari, menarik perhatian bahawa kelewatan memasukkan data ke dalam sistem myIMMs adalah kerana masalah tunggakan ekoran pemindahan sistem dari Visa Pas ke myIMMs. "Sebagai langkah penyelesaian jangka masa pendek, pegawai sambilan telah diambil, manakala bagi jangka masa panjang sistem e-Services/e-VDR diperkenalkan di mana majikan boleh memasukkan data secara online," katanya.

TOP
Laporan Audit: DBKL Perlu Pertingkat Operasi Urus Lesen Iklan, Papan Tanda

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu mempertingkat operasi pengurusan lesen iklan dan papan tanda memandangkan terdapat beberapa kelemahan termasuk prestasi kutipan lesen. "DBKL perlu sentiasa berusaha untuk meningkatkan terimaan sebenar bagi sumber pendapatan. "Ini memandangkan hasil daripada lesen iklan/papan tanda adalah signifikan kepada jumlah pendapatan DBKL," menurut Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 2 yang dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Isnin. Menurut laporan itu, sistem pengumpulan maklumat bayaran lesen yang berbeza iaitu secara sistem pengkomputeran bagi lesen iklan papan tanda premis dan secara manual bagi lesen paparan iklan luar telah menyebabkan maklumat mengenai hasil kutipan lesen iklan tidak menentu. "Bagi tempoh 2010 sehingga Mei 2013, jumlah kutipan sebenar lesen iklan/papan tanda adalah berjumlah RM52.09 juta atau 83 peratus berbanding hasil yang dianggarkan berjumlah RM62.73 juta. "Prestasi terimaan sebenar pada tahun 2011 dan 2012 dilihat melebihi hasil yang dianggarkan dengan peratusan masing-masingnya sebanyak 111.2 peratus dan 124.3 peratus," menurut laporan itu. Laporan itu turut mengesyorkan DBKL menambah baik dan meningkat kualiti Sistem Maklumat Berkomputer lesen iklan/papan tandanya. Selain memastikan semua syarat ditetapkan dipatuhi oleh pelesen atau operator pengiklanan (OP) sebelum mengeluarkan lesen. "Tindakan tegas seperti menyenaraihitamkan serta mengenakan denda juga perlu diambil terhadap mereka yang melanggar syarat-syarat lesen," menurutnya. Menurut laporan itu, lawatan Audit pada September 2013 mendapati iklan-iklan haram masih banyak didirikan atau dipasang di sekitar ibu negara dan ia mencacat pemandangan serta kebersihan Kuala Lumpur. DBKL juga disyorkan untuk mengambil tindakan penyelesaian terhadap pelesen atau OP yang tidak menjelaskan bayaran lesen, terutamanya terhadap mereka yang mempunyai nilai tunggakan yang besar dan bagi tempoh yang terlalu lama. Menurut laporan itu semakan audit mendapati hanya 43 daripada 80 fail premis perniagaan yang dikenakan kompaun masih tidak menjelaskan kompaun sehingga tarikh pengauditan, dan mendapati tiada tindakan susulan oleh DBKL bagi mengutip kompaun itu. Tempoh kelulusan tapak pameran iklan luar perlu dihadkan, dan DBKL perlu mencari alternatif penyelesaian supaya tunggakan dapat dikutip balik untuk meningkatkan hasil DBKL, menurut laporan itu. Laporan itu turut mengesyorkan supaya DBKL mewujudkan kawalan dalaman yang lebih berkesan termasuk mengkaji semula peranan pegawai dan unit yang terlibat terhadap penguatkuasaan dan operasi lesen iklan bagi mengelakkan risiko percanggahan kepentingan. DBKL bagaimanapun telah bertindak dengan melantik Syarikat Oracle Synergy Sdn Bhd, yang antara lain bertanggungjawab memantau paparan iklan yang berlesen, dan memaklumkan kepada DBKL untuk tindakan pengeluaran notis, kompaun, tindakan mahkamah dan penurunan iklan yang tidak berlesen. DBKL juga telah menubuhkan skuad ronda yang akan bertindak terhadap iklan-iklan haram, menurut laporan itu.

TOP
Laporan Audit: Pengeluaran Padi Dan Beras Kada Tidak Capai Sasaran

KUALA LUMPUR: Prestasi pengeluaran padi dan beras oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) kurang memuaskan serta tidak mencapai sasaran walaupun menerima peruntukan sebanyak RM235.95 juta. Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 2, pengeluaran padi pada tahun 2013 hanya pada kadar 159,763 tan metrik atau 63.5 peratus, jauh lebih rendah daripada sasaran 251,750 tan metrik yang ditetapkan. "Pengauditan yang dijalankan antara bulan November hingga Disember 2013 mendapati secara keseluruhannya, pengurusan tanaman padi di Kada adalah kurang memuaskan, malah KADA juga tidak mencapai sasaran intensiti tanaman padi. Menurut laporan yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin, penurunan pengeluaran padi dan beras juga disebabkan penurunan keluasan penanaman padi pada tahun 2013 iaitu sebanyak 15.7 peratus berbanding tahun sebelumnya. Selain itu, masalah stesen pam utama dalam kawasan Kada yang tidak dapat membekalkan air ke sawah padi berikutan paras air Sungai Kelantan yang tidak mencapai paras minimum bagi stesen itu untuk beroperasi. Ini mengakibatkan pesawah tidak dapat melaksanakan penanaman secara serentak. Bagi mengatasi masalah itu, Kada sedang menyiapkan pembinaan empangan rendah (Low Wier) di Stesen Pam Kemubu yang dijangka siap sebelum musim 1/2014 dan pembinaan Low Wier di Stesen Pam Kasar yang dijangka siap tahun hadapan. Bagi memastikan masalah itu tidak berulang, pihak Audit mengesyorkan Kada supaya memantau kerja kontraktor bagi memastikan projek pembinaan empangan rendah di Kemubu dapat disiapkan dengan segera supaya masalah pengairan di kawasan itu dapat diatasi. Selain itu, Kada juga perlu meningkatkan pemantauan terhadap pengurusan tanaman padi bagi memastikan kelemahan pelaksanaan projek dapat dikenal pasti di peringkat awal dan tindakan penyelesaian dapat diambil.

TOP
Laporan Audit: 3 SBP Operasi Tanpa CCC

Sekolah Menengah Sains Banting.
PETALING JAYA: Sebanyak tiga sekolah berasrama penuh di Selangor, Pahang dan Johor tidak memperoleh Sijil Penyiapan dan pematuhan (CCC) daripada Kementerian Pendidikan, walaupun beroperasi sepenuhnya sejak awal tahun lalu. Laporan Ketua Audit Negara 2013 menyebut, sekolah berkenaan yang membabitkan kos antara RM38.48 juta hingga RM76.25 juta setiap satu itu juga didapati dibina dengan hasil kerja tidak berkualiti. "Kerja mekanikal dan elektrikal tidak disiapkan sepenuhnya, selain kerosakan yang tidak dibaiki semula. "Kemudahan seperti makmal komputer, kuarters, lapangan sukan dan peralatan komunikasi juga tidak digunakan secara optimum, manakala sistem amaran kebakaran pula tidak berfungsi," kata laporan siri 2 itu. Sekolah terbabit adalah Sekolah Menengah Sains Banting, Sekolah Menengah Agama Persekutuan Bentong and Sekolah Menengah Sains Batu Pahat. Projek berkenaan juga didapat tertangguh antara 90 hingga 909 hari, menyebabkan sekolah berkenaan tidak dapat menempatkan pelajar mengikut perancangan. Sekolah berkenaan adalah antara 15 sekolah berasrama yang dibina di seluruh negara sejak 2005, sebagai tambahan kepada 54 sekolah berasrama sedia ada ketika itu. Ketika lawatan pihak Audit, ketiga-tiga sekolah itu sudah beroperasi sepenuhnya dan menempatkan 1,845 pelajar. Dalam jawapan balas, kementerian berkenaan memaklumkan, pemberian CCC kepada sekolah terbabit lewat dikemukakan kerana arkitek tidak melengkapkan borang untuk mendapatkan kelulusan daripada agensi berkaitan.

TOP
Lelaki Warga Pakistan Ditemui Mati Di Universiti

SHAH ALAM: Mayat lelaki warga Pakistan ditemui di dalam sebuah kolam yang berlumuran dengan darah di bilik unit kendalian udara (AHU) di Management and Science University (MSU) di sini, Isnin. Seorang penyelia memaklumkan kepada polis selepas beliau menemui mayat berkenaan di bilik AHU di aras lapan bangunan itu kira-kira pukul 3.45 petang. Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Supt Ruslan Abdullah berkata, mayat lelaki itu dikenal pasti sebagai Muhammad Uzair, 25, yang bekerja sebagai pencuci di universiti itu. Difahamkan, terdapat perselisihan faham apabila mangsa tidak mengendahkan tugas memasak yang perlu dilakukannya. "Kami sedang memburu Muhamad Tanveer, 24, yang turut bekerja sebagai pencuci di MSU bagi membantu siasatan," kata Roslan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan diminta untuk menghubungi polis di talian 03-2052 9999 atau membuat laporan polis di balai polis berhampiran.

TOP
Polis Siasat Mangsa Kemalangan Terbabit Sindiket Pemerdagangan Manusia

Pemandu kereta yang membawa 10 warga Myanmar tanpa dokumen yang disyaki terbabit dalam kegiatan sindiket pemerdagangan manusia dimasukkan ke wad Hoshas.
TEMERLOH: Polis sedang menyiasat sama ada lelaki tempatan yang membawa 10 warga Myanmar di dalam kereta Honda Accord yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 134.1 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dekat Temerloh awal pagi Isnin terlibat dalam sindiket pemerdagangan manusia. Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Annuar Othman berkata, siasatan dilakukan daripada pelbagai aspek, termasuk sama ada suspek berusia 29 tahun itu bergerak secara sendirian ataupun terlibat dengan rangkaian sindiket yang lebih luas. "Suspek yang juga pemandu kereta Honda Accord terbabit masih dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat kecederan parah yang dialami. "Dia kini masih dirawat di Hospital Sultan Ahmad Shah (Hoshas), di sini dan soal siasat akan dilakukan sebaik dia sedarkan diri," katanya dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh di sini, Isnin. Katanya, siasatan awal polis juga mendapati lelaki berkenaan mempunyai satu rekod jenayah lampau iaitu mencuri pada 2003. Dalam kejadian kira-kira 4.30 pagi, empat warga Myanmar maut, manakala tujuh lagi termasuk pemandu warga tempatan cedera setelah kereta Honda Accord yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan. Identiti kesemua warga Myanmar yang berumur 20-an hingga 30-an itu sukar dikenal pasti berikutan tiada dokumen pengenalan diri ditemui dan dipercayai masuk ke negara ini secara haram. Kereta yang dipandu oleh Che Mohd Azuwan Che Hashim, 29, berasal dari Tanah Merah, Kelantan membawa 10 warga Myanmar itu dipercayai bertolak dari Rantau Panjang, Kelantan ke Kuala Lumpur dari pukul 6.30 petang semalam. "Kita percaya kemalangan berlaku akibat lebih muatan menyebabkan kenderaan yang mereka naiki terbabas sebelum masuk ke dalam longkang dan terbalik sehingga empat mangsa tercampak keluar dan mati di tempat kejadian. "Kita masih menyiasat sama ada kereta itu telah diubah suai untuk mengangkut kesemua 10 warga asing berkenaan. Ia masih sukar dipastikan memandangkan kenderaan tersebut dalam keadaan remuk," katanya. Kereta berkenaan juga menggunakan cermin gelap menyebabkan kegiatan lelaki itu yang menyumbat 10 penumpang dalam kereta tersebut tidak disedari. Katanya, empat warga daripada tujuh mangsa yang cedera dibenarkan keluar dari hospital dan telah ditahan polis kira-kira pukul 5 petang tadi bagi membantu siasatan. "Sehingga kini, hanya tiga mangsa masih dirawat di hospital berkenaan termasuk pemandu," katanya Beliau turut menafikan LPT dijadikan sebagai laluan membawa masuk pendatang asing kerana masih banyak laluan lain yang turut digunakan untuk laluan keluar masuk ke ibu kota itu.

TOP
Isteri Dihina, Awal Ashaari Bergaduh Dengan Follower Di Laman Sosial

Awal Ashaari bergaduh dengan seorang follower wanita apabila dia menghina Scha Al Yahya dan anak yang sedang di kandung. Memang melampau komen dari peminat tersebut yang mendoakan agar anak Awal Ashaari dan Scha Alyahya menjadi "jahat". Melihat komen keji itu, Awal terus memuatnaik gambar wanita itu. ini kata-kata Awal Ashaari: Doakan semoga si polan atau anaknya nanti jadi orang yang baik baik, amin. #ifyoudonthaveanythingnicetosaydontsayanythingatallbitch You can change your IG name all you want but you cant change that ugly attitude of yours. I kasi u free publicity malam ni. I'm sure this is what u want, B. Wanita itu kemudiannya menukar nama Instagram dan cuba lari dari serangan Awal Ashaari. Hai macam-macam..

Sumber: Hot Lips Corner

TOP
Yang pukul isteri itu bukan saya

DEK kerana pernah terlibat dengan pergaduhan, gengsterism dan penyalahgunaan dadah, cerita silam itu nyata memberi kesan terhadap dirinya pada hari ini. Kecewa dengan pelbagai tuduhan negatif sehingga mencalarkan namanya sejak menjadi penyanyi kira-kira 28 tahun lalu, Awie mengakui itu antara dilema setiap kali namanya dikaitkan dengan cerita kontroversi. Sehinggakan apabila ada kisah yang membabitkan kejadian rockers memukul isteri di sebuah bank di ibu negara baru-baru ini, namanya terus dikaitkan. Biar tidak menafikan mahupun mengiyakan kejadian itu, bagi lelaki berusia 46 tahun ini, itu merupakan satu tuduhan yang melampau. Kerana baginya dia tidak akan melakukan tindakan yang boleh mendatang mudarat terhadap orang tersayang. “Dalam kes-kes yang membabitkan nama saya sebelum ini, jelas saya tidak diberi peluang untuk menjernihkan keadaan malah terus-terusan dituduh yang macam-macam. “Masyarakat hanya nampak semua kesilapan saya sedangkan mereka tidak tahu tentang cerita sebenar,” tegas Awie yang enggan bercerita panjang lebar perkara yang membabitkan soal rumahtangganya itu. Mengulas lanjut tentang dakwaan memukul isterinya, Rozana Misbun itu Awie berkata, perkara membabitkan keluarga tidak perlu dikongsi bersama khalayak. “Saya hanya akan bercerita jika ada bukti yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak yang menyabitkan nama saya terhadap dakwaan tersebut. “Jika tiada, rasanya tak perlu saya ulas. “Kisah rumahtangga terlalu privasi buat saya. Tidak wajar digembar-gemburkan,” tegasnya sambil menafikan tertekan dengan dakwaan tersebut. Mengakui sebagai suami isteri adakalanya berlaku perselisihan faham antara mereka namun katanya, situasi yang sama turut berlaku pada pasangan suami isteri yang lain. Menggunakan perumpamaan sedangkan lidah lagi tergigit, kata Awie, dia hanya mampu membiarkan masyarakat membuat spekulasi. “Saya manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Yang baik orang tak nampak tapi kalau yang buruk, mudah-mudah saja buat cerita,” katanya yang mengakui hubungannya dengan isteri baik-baik saja.
Definisi memukul
Kata Awie lagi, dia tidak akan menggunakan kekerasan melainkan dia diprovakasi terlebih dahulu malah mendefinisikan perbuatan memukul sebagai satu tindakan mempertahankan diri. Sebagai lelaki sejati tegas Awie, dia tidak akan menggunakan kelebihan kudratnya untuk menyakiti mana-mana pihak melainkan dia ‘diserang’ terlebih dahulu. Tegas Awie lagi, dia juga manusia biasa yang kadangkala gagal mengawal kemarahan dan situasi sebegitu menyebabkan namanya berterusan dikaitkan dengan pelbagai kes membabitkan kekerasan. Justeru akuinya, dia sudah lali apabila namanya kerap dikaitkan dengan cerita negatif yang bertujuan untuk memburukkan imejnya di mata masyarakat. “Saya sedih apabila orang kata saya gengster yang memukul isteri sendiri. Itu bukan saya,” katanya kesal. Mengakui semakin kerap diuji dengan dugaan, semakin luas rezeki yang diberikan oleh-Nya kata Awie, dia bersyukur apabila kini dilantik menjadi duta rangkaian produk Longjack bagi minuman tenaga dan produk kesihatan. “Setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya. Kesabaran saya dibalas dengan rezeki lain,” kata Awie. Mengulas tentang isu album terbaharu Wings, Menakluk Kosmos dicetak rompak dalam bentuk cakera padat (CD) kata Awie, dia kesal kerana perkara tersebut masih belum ada tindakan khusus daripada pihak berkuasa. “Soal cetak rompak ini perlu dilakukan secara kolektif oleh pelbagai pihak dan bukan secara individu oleh mana-mana penggiat seni. “Kalau keadaan itu berterusan berlaku, macam mana kami hendak hidup apabila hasil kerja keras kami sewenang-wenangnya dirampas,” katanya yang masih menanti pertemuan secara empat mata dengan Presiden KRU Music, Norman Abdul Halim yang menjadi penerbit album Wings. Sumber: Utusan

TOP
Michael Schumacher Sedar Daripada Koma

Michael Schumacher.
BEKAS juara dunia tujuh kali Formula Satu (F1), Michael Schumacher dilaporkan kembali sedar daripada koma yang dialaminya selama enam bulan sejak akhir tahun lalu dan dibenarkan keluar dari hospital di Grenobel, Perancis. Menurut keluarganya dalam satu kenyataan, Schumacher sudah dibenarkan keluar hospital dan akan menjalankan rawatan pemulihan di satu lokasi yang tidak didedahkan. Terkini, Schumacher dikatakan dimasukkan ke Hospital University Lausanae di Switzerland selepas keluar dari hospital di Perancis. Schumacher mengalami kecederaan parah pada kepalanya selepas dia terjatuh ketika bermain ski di Pergunungan Alps di Perancis 29 Disember lalu. Keluarganya turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menghantar mesej sokongan dengan berkata: "Kami pasti ia (sokongan) membantu dia (untuk kembali sedar." Tambah kenyataan itu, keluarga Schumacher turut memuji tugas kakitangan perubatan di hospital di Grenoble di tenggara Perancis. Sumber: mStar

TOP
“Saya mahu ayah pulang” pohon Maira

Maira kelihatan menitiskan air mata ketika sesi wawancara bersamanya menerusi Skype pada Ahad KUALA LUMPUR: Tiada lain yang Maira Elizabeth Nari inginkan, hanya kepulangan bapanya ke pangkuan keluarga, atau setidak-tidaknya khabar berita tentang apa sebenarnya yang berlaku. Kepulangan Andrew Nari iaitu ketua pramugara bagi penerbangan MH370 terus dinantikan. Itulah doa yang sentiasa dipinta Maira kepada tuhan hari demi hari. Dalam satu temubual menerusi laman media sosial Skype pada Ahad, pelajar jurusan Komunikasi Massa itu meluahkan harapan dan impiannya. Bertemankan ibu dan ahli keluarga, itulah penyumbang semangat kepada Maira dalam menghadapi dugaan yang amat besar ini. Cukup 100 hari sejak kehilangan pesawat MH370, ia ditambah pula dengan sambutan Hari Bapa, ini sudah tentu membuat Maira terasa akan kehilangan bapanya. “Saya berdoa supaya dia pulang ke pangkuan keluarga. Saya berdoa Tuhan beri petunjuk. Kalau dia masih hidup, saya doa dia tabah menghadapi semua ini. Jangan sesekali berputus asa kerana dia ada keluarga yang memerlukan dia. Saya juga berdoa supaya Tuhan memberikan kekuatan kepada ibu saya kerana dia amat sensitif dengan situasi ini, Emosinya juga tidak stabil,” kata Maira sambil menahan sebak. Maira memberitahu dia tidak pernah ketinggalan pergi ke gereja pada setiap hari Ahad bagi mendoakan kepulangan ayahnya agar mereka kembali menjadi sebuah keluarga seperti sedia kala. “Perkara pertama saya mahukan adalah supaya dia pulang semula. Saya mahu kami menjadi seperti keluarga lain keluarga makan bersama-sama. Saya nak dia pulang, itu sahaja,” ujar Maira sambil mengelap air matanya. Andrew Nari mempunyai impian, iaitu menyiapkan pengubahsuaian kereta vintaj atau lama yang dimilikinya. Namun atas beberapa faktor, hasrat itu terbantut dan yang paling ketara apabila dia tidak pulang sehingga ke hari ini. Bagi merealisasikan impian bapanya, anak gadis Andrew Nari itu bertekad mengumpul wang bagi mengubah suai kereta tersebut. “Sudah tentu saya akan teruskan kerana itu apa yang dia mahu. Memang ayah hendak baiki kereta itu, cuma, pada waktu itu tidak cukup duit. Jadi sekarang saya akan terus kumpul duit. Tetapi setakat ini yang dapat dikumpul tidak lebih daripada RM5,000,” tambah Maira. Inisiatif Maira ini turut dibantu rakan bapanya yang kini sedang mengumpul duit bagi menyelesaikan pengubahsuaian kereta tersebut. Apabila ditanya mengenai apakah medium atau bahan bagi dia dan keluarga mendapatkan maklumat berhubung insiden MH370 ini, Maira memberitahu mereka bergantung kepada berita di televisyen dan juga portal. “Apa yang orang ramai tahu sebenarnya sama dengan apa yang kami tahu. Kami juga tidak dapat banyak maklumat,” katanya. Berkongsi cerita, Maira memberitahu keluarganya turut menyertai perjumpaan bersama keluarga penumpang dan anak kapal MH370 yang lain. Ujarnya, mereka sentiasa berkongsi kesedihan dan kegembiraan bersama-sama dan perjumpaan tersebut sedikit sebanyak dapat mengurangkan keresahan yang ditanggung mereka. Sumber: Awani

TOP
Malaysia Bukan Negara Sekular - Jamil Khir

KUALA LUMPUR: Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom sekali lagi menegaskan Malaysia bukan negara sekular berdasarkan fakta sejarah. Menurut beliau, penegasan itu berdasarkan fakta sejarah yang menunjukkan Malaysia ditubuhkan berasaskan Kerajaan Islam Kesultanan Melayu dan Raja-Raja Melayu merupakan ketua agama Islam bagi negeri masing-masing. "Ini diperkukuhkan dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyatakan agama Islam adalah agama bagi Persekutuan. "Tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan," katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin. Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ling Chai Yee (DAP-Sibu) yang bertanya sama ada hudud bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan serta adalah Kerajaan Pusat turut bercadang melaksanakan undang-undang Islam itu. Turut ditanya ialah sama ada Malaysia merupakan negara Islam atau sekular. Mengulas lanjut mengenai hudud Jamil Khir berkata, berdasarkan Fasal (2) Perkara 74 dan Butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan, undang-undang Islam diletakkan di bawah bidang kuasa negeri. Katanya kuasa negeri berkenaan pewujudan dan penghukuman kesalahan terhadap perintah agama Islam hanya terpakai kepada penganutnya dan setakat yang dibenarkan oleh undang-undang Persekutuan sahaja. "Kerajaan sedia maklum mengenai hasrat Kelantan untuk laksanakan hudud. "Oleh itu sebelum hasrat berkenaan dapat dilaksanakan, peruntukan undang-undang sedia ada perlu diteliti bagi memastikan pelaksanaan undang-undang tersebut selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang sedang berkuat-kuasa," katanya. Mengenai soalan sama ada kerajaan mahu melaksanakan hudud, Jamil Khir berkata: "Kerajaan sentiasa mengambil pendekatan bertahap bagi memastikan undang-undang jenayah syariah dilaksanakan termasuk memperluaskan bidang kuasa mahkamah syariah. "Dalam masa sama kerajaan negeri perlu memandang serius terhadap prinsip keadilan dan kesaksamaan dalam penghukuman," katanya. Sumber: mStar

TOP
Polis nafi pekerja diculik bersama majikan dapat lepaskan diri

KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, SAC Omar Mammah menunjuk gambar mangsa culik, Pengurus Ladang Ternakan Ikan, Chan Sai Chiun, 32 ketika sidang media, di Ibu Pejabat Kontijen, Kota Kinabalu, hari ini. – Foto Izhari Ariffin
KOTA KINABALU: Polis menafikan pekerja ternakan ikan dalam sangkar yang dilarikan penculik bersenjata bersama pengusaha premis berkenaan dari ladang ternakan ikan di Kampung Sapang, Kunak, tengah malam tadi, dapat melepaskan diri. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Senior Asisten Komisioner Omar Mammah, berkata pihaknya tidak menerima sebarang pengesahan yang menunjukkan warga Filipina yang dikenali sebagai Mazlan, 20-an, itu terselamat dalam kejadian berkenaan. “Kita percaya kumpulan penculik bersenjata laras panjang itu telah membawa pengusaha ladang berkenaan dan seorang pekerjanya yang dikenali sebagai Mazlan ke perairan antarabangsa menunju ke selatan Filipina,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, sebentar tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 12.40 pagi tadi dua lelaki bertopeng lengkap bersenjata laras panjang dilapor melarikan pengusaha ternakan ikan dalam sangkar, Chan Sai Chiun, 32, dan seorang pekerjanya. Ada laporan mengatakan pekerja terbabit berjaya melarikan diri selepas melompat daripada bot ketika kumpulan penculik membawa mereka keluar dari kawasan ternakan ikan berkenaan. Sumber: BH Online

TOP
Mayat 16 pengganas Sulu dihantar ke Hospital Lahad Datu

KOTA KINABALU – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa pasukan keselamatan mengumpul mayat 16 pengganas Sulu di Kampung Tanjung Batu, Lahad Datu dan menghantarnya ke hospital daerah pada tahun lepas. Asisten Superintendan Zawi Awang berkata, beliau dan pasukannya terjumpa 18 mayat ketika menjalankan operasi memintas di sebuah kampung antara 8 dan 10 Mac tahun lepas. Katanya, mereka mendapat arahan supaya mengambil mayat berkenaan pada tengah hari 10 Mac, tetapi hanya dapat mengambil 16 daripadanya kerana dua lagi mayat berada di dalam longkang dalam yang sukar dikeluarkan dengan segera. “Kesemua mayat dimasukkan ke dalam beg mayat plastik berasingan,” katanya. Menjawab soalan timbalan pendakwa raya Mohd Dusuki Mokhtar tentang cara mayat berkenaan dibawa keluar dari Kampung Tanjung Batu, Zawi berkata, ia diangkut dengan dua trak polis pada pukul 5 petang hari tersebut dan dibawa ke Markas Taktikal VAT69 di Felda Sahabat 16. “Apabila kami sampai di markas taktikal itu pada 5.30 petang, saya berjumpa dengan seorang pegawai forensik, Superintendant Shaid Aziz, yang mengarahkan saya membawa mayat berkenaan ke sebuah hospital sementara di Felda Sahabat, yang diurus oleh tentera. Sumber: Bernama

TOP
Mangsa Culik Minta Penculik Jangan Ganggu Isterinya

KUNAK: "Jangan kacau isteri saya. Saya akan ikut kamu," kata Chan Sai Chiun, 32, sebelum dia dipercayai dilarikan dua lelaki bersenjata di Kampung Sapang Air yang terletak kira-kira 20 kilometer dari sini tengah malam semalam. Chin Paek Nyuen, 40, berkata beliau terdengar suaminya berkata demikian ketika penjenayah terbabit cuba memecah pintu bilik di mana dia dan anak perempuannya yang berusia dua tahun tidur. "Saya hanya menyedari kejadian itu selepas mendengar anjing menyalak. Apabila saya keluar untuk melihat apa terjadi, saya ternampak dua lelaki bersenjata serta memakai topeng telah menahan suami. "Terkejut dengan kejadian itu, saya terus masuk ke bilik dan beberapa minit kemudian, penculik itu datang dan cuba memecahkan pintu bilik. Pada masa yang sama, suami saya berkata 'jangan kacau isteri saya. Saya akan ikut kamu'... dan ini membuatkan penculik itu beredar dari tempat ini," katanya ketika ditemui di pusat ternakan ikan dalam sangkar itu, Isnin. Dia berkata selain menculik suaminya dan seorang pekerja di situ, penjenayah terbabit turut melarikan beberapa barangan termasuk sebuah televisyen dan enjin bot. Chin juga berkata suaminya mengusahakan pusat ternakan itu bersama dua lagi rakan kongsi. Dalam kejadian pada kira-kira 12.40 tengah malam itu, Chan dan seorang pekerja yang hanya dikenali sebagai Mazlan berumur sekitar 20-an diculik oleh dua lelaki bersenjata di pusat ternakan ikan dalam sangkar Kampung Air Sapang, Kunak. Ini merupakan kes penculikan ketiga di kawasan pantai timur Sabah tahun ini. Pada 6 Mei lepas, lima lelaki bersenjata menculik seorang pengurus syarikat ternakan ikan dalam sangkar warga China di Pulau Baik di Lahad Datu, sebulan selepas seorang pelancong wanita warga China diculik di sebuah resort di Semporna. Sementara itu, di KOTA KINABALU, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP Omar Mamah menafikan tanggapan bahawa pengusaha ternakan ikan dalam sangkar menjadi sasaran 'penculikan' untuk tebusan. Beliau berkata polis masih menyiasat sama ada kumpulan itu terbabit dalam kes penculikan seorang pelancong China di Singamata Adventures Reef Resort di Semporna pada 2 April lalu. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup dan enam sebatan, jika sabit kesalahan. "Setakat ini, belum ada sebarang tuntutan diterima dan polis akan menyiasat jika ada faktor orang dalam... jangan membuat sebarang spekulasi buat masa ini," katanya dalam satu sidang akhbar di sini. Omar berkata pihaknya dimaklumkan kejadian itu oleh rakan kongsi mangsa. Beliau berkata semasa kejadian, terdapat lagi dua pekerja dan seorang anak saudara Chan berusia dua tahun yang tinggal bersama mangsa serta isteri. Katanya, polis percaya penculik meloloskan diri ke Pulau Sitangkai (Filipina) yang mengambil masa 40 minit dan ada suspek lain terlibat. Beliau berkata semasa kejadian, tiada tembakan dilepaskan di pusat ternakan itu yang tidak mempunyai pegawal keselamatan. Sumber: BERNAMA

TOP
Ibu dan tiga anak terjun bunuh diri di Jepun

TOKYO: Polis Jepun menyiasat kemungkinan seorang ibu terjun membunuh diri bersama tiga anaknya dari sebuah kompleks apartmen. Mayat wanita berumur 35 tahun itu dan tiga anaknya — lelaki berumur tujuh tahun, perempuan enam tahun dan lelaki dua tahun — ditemui dekat pintu masuk bangunan apartmen 14 tingkat di Chiba, timur Tokyo, kata jurucakap polis. “Mereka dipercayai ibu dan anak,” katanya. Ditanya apakah kejadian itu bunuh diri, beliau berkata: “Polis masih menyiasat kes ini dan kemungkinan itu dalam pertimbangan.” Akhbar Youmiuri Shimbun melaporkan mayat wanita itu ditemui terdampar di tanah manakala dua anak di atas bumbung pintu masuk manakala anak bongsunya tersangkut pada dahan sebatang pokok. Sumber: AFP

No comments:

Post a Comment