Thursday, June 19, 2014

Berita Terkini 19 June 2014


Pramugari MAS Bebas Pilih Pakaian Patuh Syariah

Azwan Ali Maki & Hina Adibah

Presiden Isma Didakwa Atas Tuduhan Menghasut

Jakim Tentukan Tanda Aras Sijil Patuhi Syariah

KDN Perlu Kaji Operasi Syarikat Keselamatan Asing

Tiga Parah Akibat Bas Hilang Kawalan

Polis Kedah Kawal Ketat Sempadan Elak Penyeludupan Mercun

Peniaga Kain Mati Ditetak

Minyak Diesel Bernilai RM4,600 Dirampas
brete5
Pengarah Filem Mamat Khalid Rugi Hampir RM100,000 Rumah Dimasuki Perompak

PDRM Nafi Van Putih Berkeliaran Culik Kanak-Kanak

Puluhan Mayat Ditemui Dalam Kubur Besar di Mexico

Dua Hakim Tarik Diri Kes Pohon Isytihar Murtad

Bekas Isteri Gembira Hubungan Nedim & Nora Danish

Amuk di JPM: Muhdalena Terlepas Hukuman

Lelaki Didakwa Ugut Pelancong Vietnam Melalui E-Mel

Zul Ariffin Tepis Tuduhan Pernah Jadi Mangsa Kekasaran Abby Abadi
monica TamilMonica, Bintang Filem Tamil Peluk Islam
Raja Azmi Mengaku Berhijab Kerana Bisnes Tudung

Rita Rudaini Kesal Aidil Tidak Jenguk Anak

Crotia Menang Besar 4-0 Ke Atas Cameron

Pesawat MASWing Hadapi Masalah Teknikal Selamat Mendarat

Wanita Bogel Berjemur Di Tingkap Sebabkan Kemalangan Jalan Raya

Dazrin Kamarudin & Amyra Rosli Nikah 8 Ogos Depan

Populariti Jokowi mengatasi Prabowo

Penduduk Rohingya hidup menderita

Tentera Syria serang kem pelarian, 20 maut


Mahkamah tolak permohonan NFCorp lupus saman terhadap Public Bank tanpa bicara

Mata & diabetes
Selamatkah Seks Ketika Hamil?
Selamatkah bersalin di rumah?

Senggugut jejas kesuburan?

Kunyit penyembuh semula jadi

Sasar 25 % akauntan profesional bumiputera

Pengubahan wang haram RM13.1b

Tubuh pasukan khas banteras pengubahan wang haram

4 komander tertinggi Iraq dipecat

15 pemuda mengaku tidak bersalah ceroboh bangunan DUN P.Pinang
rita-rudaini
Rita Rudaini enggan benar isteri Aidil dekati anak
Pesawat Cathay Pacific [google]
Penumpang tersepit jari dalam tandas pesawat ke Hong Kong
TPPA To Open Up Government Procurement Market For Malaysian Companies
TPPA: Malaysia paling sukar antara 12 negara perunding

Kenaikan minyak dijangka beri kesan jangka panjang

ASNB umum dividen 6.60 sen seunit bagi ASD

Lelaki China seberat 247kg hirup udara segar

Tentera Iraq lancar serangan balas

Geng samun kedai 24 jam tumpas

Panel solar RM2j lesap
mekah
1,000 imam ditawar ke Mekah

Fida Ibrahim nafi liat bayar hutang

Malaysia Iktiraf Islam Sebagai Agama Rasmi Negara Ini - Dr Mahathir

Petronas Pindahkan Pekerjanya Di Iraq Ke Dubai

Chalet Haram Di Batu Ferringhi Di Roboh

Akta Hasutan: Presiden Isma Akan Didakwa Esok

Penoreh getah disyaki terbabit kegiatan militan ditahan di Kuala Kangsar

Lebih 40,000 Murid Dapat Manfaat Daripada SDH

Terpaksa Ikat Adik Guna Rantai Besi

Diana Danielle belum bersedia bawak anak bertemu nenek

Perbendaharaan nafi kutipan LHDN untuk beli saham, bon

GAMBAR: Bas Rapid Kuantan Tertusuk Rel Penghadang Jalan

Video: Cara Meletak Kenderaan yang Boleh Meragut Nyawa Orang Lain

Jom Nikah Free!

TOP
Pramugari MAS Bebas Pilih Pakaian Patuh Syariah

PETALING JAYA – Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) diarahkan oleh Kementerian Pengangkutan supaya memberi pilihan kepada pramugari untuk memakai pakaian seragam yang mematuhi Syariah. Dalam jawapan bertulis kepada Ahmad Marzuk Shaary (PAS-Bachok), pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata syarikat penerbangan itu mempunyai kebebasan untuk memilihan pakaian seragam untuk anak kapal mereka asalkan ianya mengikut standard keselamatan yang ditetapkan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO). “Kementerian Pengangkutan meminta MAS untuk membenarkan atau memberi pilihan kepada pramugari beragama Islam untuk memakai pakaian seragam yang mematuhi Syariah,” katanya. Hishammuddin berkata MAS telah memaklumkan kepada kementerian bahawa pakaian seragama ala kebaya mencerminkan ‘layanan baik Malaysia’ identiti syarikat penerbangan tersebut. “Ia juga merupakan keputusan komersial syarikat penerbangan itu untuk menentukan pilihan pakaian seragam berdasarkan imej korporat mereka,” katanya. Dalam soalannya, Ahmad bertanya kepada Kementerian Pengangkutan bila MAS akan mengenakan keperluan kod pakaian menutup aurat dan melarang hidangan minuman beralkohol. Hishammuddin berkata, tiada perancangan untuk melarang hidangan alkohol dari menu penerbangan itu kerana ia adalah normal bagi amalan penerbangan antarabangsa. Tambahnya, ketiadaan larangan itu tidak bermaksud MAS menggalakkan penumpang untuk minum minuman tersebut. Namun, Hishammuddin berkata, kementerian akan meminta MAS untuk mempertimbangkan bacaan doa perjalanan sebelum pesawat berlepas. “Itu adalah cadangan yang baik. Kementerian akan meminta MAS untuk mempertimbangkannya,” katanya. Sumber. mStar

TOP
Azwan Ali Maki & Hina Adibah

Nampaknya Azwan Ali kembali mewarnai kontroversi industri hiburan tanah air. Kini Di laman twitter, Azwan Ali dikatakan menghina dan memaki Adibah Nor. Mula-mula admin terbaca di blog OhBulan tentang perkara ni, terus admin singgah ke twitter kedua-dua selebriti ni. Memang panas, nak nak lagi Azwan Ali hehe Apa puncanya masih tak diketahui. Tapi sejak dulu memang 2 selebriti ni tak ngam dan masih belum baik sehingga kini.

Dua-dua pun bujang, kahwin je lah. Haha Bagaimanapun agak melucukan juga bila membaca text-text mereka ini ya. Yelah, si Azman tu memang diketahui umum keceluparan mulutnya. Sumber: hotlips-yuya.blogspot.com

TOP
Presiden Isma Didakwa Atas Tuduhan Menghasut

Abdullah Zaik Abdul Rahman.
KAJANG: Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abdul Rahman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kajang terhadap tuduhan mengeluar kenyataan menghasut 6 Mei lalu. Abdullah Zaik, 48, didakwa di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 berikutan kenyataannya yang disiarkan dalam artikel bertajuk ‘Kedatangan pendatang Cina bersama penjajah British ke Tanah Melayu adalah satu pencerobohan’ yang disiarkan dalam laman www.ismaweb.net, sebelum ini. Beliau didakwa melakukan kesalahan tersebut di ibu pejabat Isma di Bangi pada 6 Mei. Tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan alternatif di bawah Seksyen 4(1) (b) sekyen yang sama. Jika didapati bersalah, Abdullah Zaik boleh dijatuhkan hukuman maksimum tiga tahun penjara atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya. Ketika memohon untuk mengurangkan ikat jamin, peguam Haezreena Begum Abdul Hamid berkata tertuduh perlu menyara sembilan anak yang berusia antara sembilan hingga 24 tahun dan ini merupakan kesalahan jenayah yang pertama kali dilakukannya. Kira-kira 25 penyokong Isma berkumpul di luar mahkamah sebagai tanda sokongan kepada Abdullah Zaik.

TOP
Jakim Tentukan Tanda Aras Sijil Patuhi Syariah

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dilantik sebagai badan yang menentukan tanda aras patuh syariah perkhidmatan selain daripada produk makanan dan perbankan Islam. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata pelantikan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Kebangsaan Islam (MKI) baru-baru ini dan tanggungjawab Jakim kini diperluaskan bagi menentukan kriteria-kriteria patuh syariah untuk produk seperti pelancongan, spa dan perhotelan. "Jakim telah ada pasukan bagi menentukan kriteria bagi produk seperti pelancongan Islam, spa atau hotel patuh syariah itu bagaimana ciri-cirinya. "Jika semua ini telah diperhalusi, maka semua perkhidmatan ini akan diiktiraf Jakim sebagai patuh syariah sebagaimana makanan yang ada sijil halal," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muzakarah Majlis Penasihat Syariah Institus Kewangan di Malaysia kali ke 19, di sini, Khamis. Jamil Khir berkata langkah itu perlu memandangkan terdapat banyak permintaan dari permain industri perkhidmatan yang mahu pengiktirafan halal dan kecenderungan pengguna yang semakin gemar menggunakan produk berasaskan Islam. Dalam perkembangan lain, beliau berkata Malaysia kini menjadi rujukan dunia dalam pelaksanaan sistem kewangan Islam seperti perbankan Islam dan perlindungan insurans takaful. "Kita mempunyai rekod unggul dalam pelaksanaan kewangan berasaskan syariah dan kita berharap pemain-pemain syariah Malaysia menempa nama di persada dunia sebagai tempat rujukan negara-negara lain," kata Jamil Khir. Muzakarah sehari yang merupakan program tahunan sejak tahun 2004 kali ini bertemakan "Pematuhan Syariah Perkukuh Ekonomi Ummah" dan disertai 150 peserta. Program anjuran Jakim ini antara lain bagi meningkatkan kerjasama dan penyelarasan di peringkat kebangsaan dalam bidang syariah di sektor kewangan. Ia juga membincangkan tajuk-tajuk terpilih berkaitan isu-isu syariah yang relevan dalam kewangan Islam di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Antara pembentang dan pengulas kertas kerja kali ini ialah Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Datuk Dr Mohd Daud Bakar dan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

TOP
KDN Perlu Kaji Operasi Syarikat Keselamatan Asing

JOHOR BAHARU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) diminta mengkaji secara terperinci cadangan sebuah syarikat kawalan keselamatan negara jiran untuk beroperasi di Iskandar Malaysia. Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kempas, Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Tengku Hamid Jumat, berkata apa yang dibimbangkannya dan masyarakat tempatan ialah kehadiran syarikat asing itu berkemungkinan boleh memudaratkan keselamatan Johor. "Kita kena peka. Kita kena musykil tentang kepintaran dan kepakaran (syarikat). Jika kepakaran mereka dalam bidang seperti perisikan, kita bimbang ia akan memudaratkan keselamatan Johor...tidak harus ada tolak ansur terhadap isu keselamatan," katanya. Walaupun begitu, Tengku Putra Haron Aminurrashid berkata beliau faham dengan kehendak pelabur asing yang mahu menjaga pelaburan mereka di Johor. Malah beliau berterima kasih kepada pelabur asing yang datang ke Johor untuk melabur dan membawa pembangunan, namun katanya, ia tidak seharusnya menjejaskan keselamatan dalam negeri. Media pada Mac lepas melaporkan tentang kerjasama antara syarikat keselamatan asing dengan rakan niaga tempatannya untuk menawarkan perkhidmatan keselamatan di Iskandar Malaysia. Tengku Putra Haron Aminurrashid turut menyentuh isu operasi syarikat keselamatan asing itu di Iskandar Malaysia dalam ucapannya pada persidangan DU NJohor awal bulan ini.

TOP
Tiga Parah Akibat Bas Hilang Kawalan

SHAH ALAM: Tiga orang cedera parah dalam kemalangan membabitkan sebuah bas henti-henti dengan empat kenderaan termasuk sebuah motosikal di KM16.1 Lebuhraya Persekutuan berdekatan Plaza Tol Batu Tiga di sini pagi Khamis. Dalam kejadian pukul 8.30 pagi itu, bas yang membawa 15 penumpang dari Klang ke Kuala Lumpur dikatakan cuba mengelak sebuah kenderaan pada laluan yang sama sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh besi penghadang jalan.

Bas henti-henti yang hilang kawalan dan merempuh beberapa buah kereta dan motosikal di Shah Alam pagi Khamis. 
Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, DSP Goh Lee Shen berkata bas berkenaan dipercayai hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan sehingga melanggar tiga kenderaan iaitu masing-masing sebuah Proton Wira, Toyota Camry dan Perodua Myvi yang datang dari arah bertentangan. Katanya, bas itu kemudiannya merempuh satu lagi besi penghadang jalan di laluan motosikal dan melanggar sebuah motosikal yang sedang melalui laluan berkenaan sebelum terbabas ke kawasan berumput.

Pemandu sebuah kereta mengalami kecederaan selepas kenderaannya dirempuh bas yang hilang kawalan di Shah Alam pagi Khamis. 
"Tiga mangsa mengalami kecederaan ialah penunggang motosikal, pemandu Proton Wira dan seorang penumpang bas," katanya. Goh berkata kesemua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk rawatan lanjut. Sementara itu, tinjauan di lokasi kejadian mendapati lalu lintas di kedua-dua arah mengalami kesesakan teruk sepanjang dua kilometer sehingga kira-kira pukul 11 pagi tadi.

Sebuah kereta yang remuk dirempuh sebuah bas henti-henti di Shah Alam pagi Khamis.

TOP
Polis Kedah Kawal Ketat Sempadan Elak Penyeludupan Mercun

ALOR SETAR: Polis Kedah akan mempertingkatkan kawalan di kawasan sempadan negeri ini bagi membendung aktiviti penyeludupan mercun terutamanya ketika menjelang Ramadan dan Syawal. Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata kawalan ketat telah dilakukan di pintu sempadan selain penambahan bilangan anggota polis kerana aktiviti penyeludupan mercun ini lazimnya meningkat menjelang pertengahan Ramadan. "Perkara ini memang sudah biasa berlaku. Kita sedia tahu kawasan sempadan luas bermula dari Kelantan hingga ke Perlis dan Kedah pula bersempadan dengan negara Thailand jadi mereka akan cuba membawa masuk dan keluar barang haram seperti mercun. "Kita akan bekerjasama dengan semua agensi kerajaan berkaitan bagi membanteras sebarang jenayah daripada berlaku di sekitar pintu sempadan. Selain itu, kita juga akan mengadakan Ops Bersepadu dari semasa ke semasa," katanya kepada pemberita di sini, Khamis. Sementara itu, Ahmad berkata anggotanya sentiasa membuat pemantauan sepanjang musim Piala Dunia 2014 ini bagi mengelak premis-premis daripada menjalankan kegiatan judi bola sepak. "Kita sentiasa lakukan pantauan dan serbuan tetapi kadang-kadang premis ini akan mencari jalan untuk menjalankan aktiviti haram ini di tempat lain, jadi kita tidak dapat membanteras 100 peratus tetapi kita sama sekali tidak akan membiarkan perkara ini berleluasa. "Boleh dikatakan hampir setiap hari anggota saya menjalankan serbuan dan berjaya membuat rampasan dan tangkapan melibatkan perjudian Internet dan mesin," katanya. Katanya tumpuan lebih akan diberikan kepada kawasan panas seperti di daerah Kota Setar, Kuala Muda, Kulim dan Langkawi.

TOP
Peniaga Kain Mati Ditetak

GEORGE TOWN: Seorang peniaga kain mati ditetak di hadapan kedainya berhampiran Pasar Chowrasta, Jalan Penang di sini hari ini. Mayat Mohamed Badusha Kalandar Masthan, 41, ditemui orang awam dalam keadaan berlumuran darah dengan kecederaan parah di leher, muka serta seluruh badan pada pukul 8.30 pagi. Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata peniaga kain itu dikatakan bertengkar dengan seorang lelaki yang berniaga bunga di belakang premisnya. "Pertengkaran itu menjadi pergaduhan serius sehingga menyebabkan kematian mangsa," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian. Beliau berkata suspek telah menyerah diri Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut tidak lama selepas kejadian dan motif pembunuhan masih dalam siasatan. Mayat lelaki itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat, katanya.

TOP
Minyak Diesel Bernilai RM4,600 Dirampas

GEORGE TOWN: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Pulau Pinang berjaya menggagalkan cubaan penyelewengan diesel bersubsidi di sebuah stesen minyak di Jalan Kebun Bunga, di sini Selasa. Timbalan Ketua Penguatkuasanya, Johary Yakob, berkata hasil maklumat awam dan intipan sejak seminggu lepas, sepasukan anggota menahan sebuah lori dan kenderaan pacuan empat roda yang sedang diisi diesel pada pukul 7 petang Selasa. "Bertindak atas maklumat, penguatkuasa kami bersama polis menyerbu stesen minyak berkenaan dan mendapati dua kenderaan sedang diisi diesel, bagaimanapun pemandunya melarikan diri selepas menyedari kehadiran kami," katanya kepada pemberita, di sini Rabu. Beliau berkata pemeriksaan mendapati 2,300 liter diesel bersubsidi dalam tangki tambahan yang diletakkan di bahagian belakang lori dan pacuan empat roda berkenaan. "Tangki tambahan itu ditutup menggunakan kanvas dan dipasang di ruang meletak barang dalam lori dan pacuan empat roda berkenaan. Terdapat saluran khas menghubungkan tangki utama lori ke tangki simpanan. "Dua kenderaan itu masing-masing telah mengisi 1,200 liter dan 1,100 liter minyak diesel bersubsidi bernilai RM4,600," katanya. Johary berkata berdasarkan siasatan awal, kesemua diesel itu dikumpulkan sebelum dibawa ke sempadan oleh pemborong dan sindiket berkenaan boleh mengaut keuntungan sehingga RM400 bagi setiap tangki berkenaan.

TOP
Pengarah Filem Mamat Khalid Rugi Hampir RM100,000 Rumah Dimasuki Perompak
brete5
Mamat Khalid
IPOH: Pengarah filem Mohammad Mohd Khalid atau lebih dikenali sebagai Mamat Khalid kerugian hampir RM100,000 apabila tiga perompak memecah masuk kediamannya pada Rabu dan melarikan pelbagai barangan termasuk sebuah kenderaan pacuan empat roda dan kamera antik milik pengarah itu. Isteri Mamat, Hasmah Hassan, 50, atau lebih dikenali sebagai Intan berkata kejadian itu disedari beliau pada pukul 6.30 pagi Rabu ketika bangun tidur untuk menunaikan solat Subuh. "Daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) perompak dilihat telah umpil tingkap bahagian tepi rumah dan masuk ke dalam rumah. Mereka melarikan sebuah kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton, kamera antik milik Mamat Khalid, Ipad, gajet mainan mudah alih (PSP) dan wang tunai RM500. "Kerugian dianggarkan hampir RM100,000," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Lebuh Hillview, Taman Ipoh Jaya Timur, di sini, malam Rabu.

Hasmah Hassan menunjukkan almari hiasan yang pecah dalam kejadian rompakan di rumah mereka di Lebuh Hillview Taman Ipoh Jaya, awal pagi Rabu. - fotoBERNAMA 
Menurut Hasmah, sejurus memasuki rumah, penjenayah itu mengambil kunci pintu utama rumah dan pagar serta kunci kenderaan tersebut yang disimpan dalam mangkuk di atas piano berhampiran pintu utama rumah. Katanya ketika kejadian beliau berada di rumah bersama dua anaknya iaitu Mohd Khalid Adam, 19, dan Nurhassanah, 14, manakala Mamat Khalid sedang menjalankan penggambaran filem di Universiti Pendidikan Sultan Idris Shah, Tanjung Malim. Katanya beliau telah buat laporan di Balai Polis Kampung Rapat pada pukul 11 pagi Rabu. Siasatan polis tidak menjumpai sebarang kesan cap jari namun beliau telah menyerahkan rakaman CCTV dalam bentuk cakera padat untuk siasatan lanjut pihak polis, katanya.

TOP
PDRM Nafi Van Putih Berkeliaran Culik Kanak-Kanak

Gambar hiasan.
KUALA LUMPUR: Polis DiRaja Malaysia (PDRM) pada Rabu menafikan khabar angin kononnya sebuah van putih yang menggunakan nombor plat pendaftaran negara jiran berkeliaran di kawasan Selangor untuk menculik kanak-kanak bagi mendapatkan organ mereka. PDRM menerusi laman rasmi facebooknya menyatakan maklumat itu, yang tersebar menerusi media-media sosial yang mendakwa van berkenaan berkeliaran di sekitar kawasan Selangor terutamanya di Sabak Bernam, adalah palsu. "Polis dengan sekeras-kerasnya menafikan penyebaran maklumat berkenaan dan ia hanya disebar untuk menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat," kata PDRM. Sehubungan itu, PDRM menasihatkan orang ramai supaya tidak mempercayai penyebaran maklumat itu.

TOP
Puluhan Mayat Ditemui Dalam Kubur Besar di Mexico

TRES VALLES, Mexico: Sekurang-kurangnya 28 mayat ditemui dalam sebuah kubur besar di Veracruz, sebuah negeri di timur negara itu yang dibelenggu serangan terhadap pendatang dan keganasan oleh kartel dadah. Menurut kerajaan negeri itu, pegawai keselamatan menemui kubur itu di sebuah ladang di luar bandar Tres Valles. Pihak berkuasa masih menggali kubur berkenaan tetapi tidak menyatakan butiran lanjut. Sebuah akhbar tempatan melaporkan anggota keselamatan menemui mayat berkenaan selepas terlihat burung hering di atas jalan tanah merah.

TOP
Dua Hakim Tarik Diri Kes Pohon Isytihar Murtad

PUTRAJAYA: Dua Hakim menarik diri daripada mendengar kes Zaina Abdin Hamid dalam percubaannya untuk mendapat perisytiharan beragama Hindu, dengan mengatakan bahawa mereka tidak sesuai untuk mengetuai kes itu. Panel Pengerusi, Hakim Azahar Mohamed mendedahkan bahawa kes itu telah berada di bawah bidang kuasanya, di mana ketika itu dia masih bersama Pejabat Peguam Negara, pada 2002. Hakim Mohamad Ariff Md Yusof juga menarik diri dengan berkata beliau mengendalikan kes yang hampir sama, James Vs Kerajaan Malaysia. "Saya tidak berasa selesa, mempunyai perkara yang sama. Oleh itu, saya menarik diri daripada kes ini," katanya. Zaina Abidin Hamid @ S. Maniam, 60, dan tiga anaknya iaitu Surindran a/l Zaina Abidin, Mohanasubash a/l Zaina Abidin dan Chandrika a/p Zaina Abidin memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi memohon perisytiharan bahawa mereka telah murtad selepas mendakwa tidak pernah mengamalkan ajaran Islam.

TOP
Bekas Isteri Gembira Hubungan Nedim & Nora Danish

Nora Danish
PETALING JAYA: Bekas isteri Nedim Nazri iaitu Nabilah Khan berharap isu Nora Danish kononnya menjadi orang ketiga sehingga menyebabkan perceraian mereka sebelum ini diharap tidak lagi diperbesarkan. Nabilah atau lebih mesra dengan panggilan Bee Khan berkata, dia gembira dengan perhubungan pasangan itu yang sudah lama terjalin lebih-lebih lagi anak kecilnya iaitu Mohamed Nedrin atau dipanggil Dre turut bahagia di samping Nora. "Nedim adalah bekas suami dan ayah kepada anak saya. Dia telah menjalinkan hubungan dengan Nora dalam tempoh masa yang agak lama dan mereka dilihat bahagia bersama. "Anak saya, Dre juga gembira apabila bersama mereka serta anak Nora (Putera Rayqal). Dan sebagai seorang ibu saya bahagia melihat anak saya bahagia," katanya menerusi laman Instagram miliknya pada Rabu.

Nabilah Khan bersama anaknya, Mohamed Nedrin, hasil perkahwinannya dengan Nedim. - Foto dari Instagram Nabilah
Menerusi laporan mStar Online pada Rabu, Nora Danish benar-benar kecewa apabila dituduh menjadi punca perceraian Nedim yang juga anak kepada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz. Nora atau nama sebenarnya Nora Mohd Danish Hanif, 32, turut bengang apabila ada individu menyindirnya dalam Instagram milik Nabilah selepas Nora muat naik gambar bersama anak bekas suami-isteri itu dalam Instagram miliknya. Perbuatan Nora itu mendapat reaksi yang kurang menyenangkan apabila beberapa pihak memberi komen negatif menerusi Imstagram milik Nabilah termasuklah tuduhan Nora sebagai perampas.

Nora bahagia bersama Nedim.
Sementara itu, Bee Khan berharap penjelasan yang diberikan di Instagram dapat meleraikan kontroversi tersebut. "Saya bukanlah seorang selebriti dan tidak biasa dengan perhatian yang diberikan orang ramai. "Diharap penjelasan yang diberikan dapat meleraikan isu ini," ujarnya. Dalam pada itu Nora Danish turut memberi komen dalam status dimuat naik Bee itu turut melahirkan rasa syukur dengan penjelasan berkenaan. Nedim Nazri dan Nabilah Khan berkahwin pada 2011 dan dikatakan bercerai dua tahun kemudian. Pemuda itu kemudiannya menjalinkan hubungan bersama Nora yang juga seorang janda anak satu.

TOP
Amuk di JPM: Muhdalena Terlepas Hukuman

Muhdalena Ahmad diringi anggota polis dan peguamnya ketika meninggalkan perkarangan mahkamah setelah Mahkamah Sesyen Putrajaya hari ini melepaskannya daripada empat pertuduhan berhubung kejadian amuk di Kompleks B, JPM pada Julai 2012. -fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepaskan Muhdalena Ahmad daripada empat pertuduhan berhubung kejadian amuk bersenjatakan pedang samurai di luar kompleks Jabatan Perdana Menteri (JPM), dua tahun lepas kerana tertuduh mengalami ketidaksempurnaan akal semasa kejadian itu. Hakim Mohamed Kamil Nizam bagaimanapun memerintahkan agar Muhdalena, 30, ditahan di Hospital Permai, Tampoi, Johor untuk menerima rawatan psikiatri sementara mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong mengikut Seksyen 348(1) Kanun Tatacara Jenayah. Beliau meminta Pendaftar Mahkamah untuk melaporkan kes itu kepada Urus Setia Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan seperti yang diperuntukkan oleh Seksyen 348 Kanun Tatacara Jenayah. Dalam keputusannya, Mohamed Kamil berkata selepas mendengar keterangan saksi dan berdasarkan nas undang-undang, beliau berpendapat pada imbangan kebarangkalian, semasa kejadian tertuduh mengalami kemurungan psikotik akibat daripada perkongsian khayalan yang menyebabkan dia tidak tahu tindakannya itu menyalahi undang-undang. "Oleh yang demikian saya berpendapat bahawa pihak pembelaan berjaya membuktikan pembelaan ketidaksempurnaan akal mengikut Seksyen 84 Kanun Keseksaan pada imbangan kebarangkalian," katanya. Mohamed Kamil juga berkata tertuduh semasa memberi keterangan tidak menafikan kesemua pertuduhan semasa dia dipanggil untuk membela diri malahan mengaku dia berada di tempat kejadian. Katanya semasa disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, tertuduh juga mengaku memegang parang di tempat kejadian. Beliau berkata kegagalan pembelaan membawa keterangan untuk menafikan pertuduhan serta dengan wujudnya keterangan pengakuan oleh tertuduh, membuktikan tertuduh melakukan perbuatan seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan pertama sehingga keempat. "Bagaimanapun oleh sebab ketidaksempurnaan akal tertuduh, mahkamah melepaskan tertuduh di bawah Seksyen 348(1) Kanun Tatacara Jenayah," katanya. Beliau berkata keterangan pakar psikiatri yang memeriksa tahap mental tertuduh juga menyatakan bahawa tertuduh tidak sedar bahawa perbuatannya adalah salah di sisi undang-undang. Mohamed Kamil berkata selepas mendengar keterangan pakar itu dan laporan psikiatri, mahkamah berpuas hati tertuduh mengalami ketidaksempurnaan akal dan tidak berupaya untuk mengetahui sebab dan akibat perbuatannya. Sementara itu peguam M. Visvanathan yang mewakili Muhdalena ibu kepada dua anak berumur empat dan tiga tahun itu berkata anak guamnya akan dihantar ke Hospital Permai hari ini. Timbalan Pendakwa Raya Kalmizah Salleh ketika ditanya sama ada pendakwaan akan merayu terhadap keputusan itu berkata pihaknya mempunyai 14 hari untuk menfailkan notis rayuan.

TOP
Lelaki Didakwa Ugut Pelancong Vietnam Melalui E-Mel

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini Rabu atas pertuduhan memeras ugut pelancong Vietnam menerusi e-mel setelah meragut telefon bimbit mangsa. Muhammad Azhan Hamzah, 24, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di depan Majistret Nurul'Ain Abdul Rahim. Dia didakwa menghantar e-mel kepada Lee Thi Hang dan meminta wang tunai RM1,000 untuk menebus balik telefon bimbit jenis iPhone 4S yang diragut. Dia didakwa melakukan kesalahan itu bersama-sama seorang lagi yang masih bebas di Flat Sri Kelantan di sini pada 3.57 pagi 11 Jun lepas mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda, atau dengan sebatan, atau mana-mana dua daripadanya, jika disabit kesalahan. Nurul'Ain menetapkan 26 Jun ini untuk sebutan. Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya N. Joy Jothi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

TOP
Zul Ariffin Tepis Tuduhan Pernah Jadi Mangsa Kekasaran Abby Abadi

Zul menepis kononnya dia pernah menjadi mangsa kekasaran bekas kekasihnya, Abby Abadi.
PETALING JAYA: Ketika banyak pihak menghentam Abby Abadi selepas bekas suaminya mendakwa dicederakan pelakon berkenaan, aktor Zul Ariffin pula bertindak mempertahankan bekas kekasihnya itu. Zul atau nama sebenarnya Zulkifli Ariffin, 28, berkata, sepanjang tiga tahun mereka menjalinkan hubungan cinta, Abby bukan seorang wanita yang digambarkan sedemikian. Malah Zul juga menepis tuduhan kononnya dia pernah mengalami nasib menjadi mangsa kekasaran Abby. "Selama tiga tahun kami bercinta hubungan kami baik-baik sahaja dan dia bukan seorang wanita seperti mana didakwa," katanya kepada mStar Online.
Terdahulu, bekas suami Abby iaitu Muhammad Noor Farhan Che Bakar , 24, mendakwa Abby, pernah mencederakan dia dengan membaling kunci motosikal ke wajahnya sehingga mengakibatkan lebam selain pernah mencakar mukanya. Pasangan berkenaan disahkan bercerai pada 11 Jun lalu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, dekat sini selepas hampir setahun berkahwin.

Abby Abadi.
Dalam pada itu, Zul turut menyangkal dakwaan kononnya dia memutuskan hubungan dengan Abby kerana tidak tahan dikongkong oleh wanita berkenaan. Jelas Zul, perkara itu tidak pernah wujud dalam hubungan mereka sebelum ini selain dia tidak mahu mengungkit kisah lama. "Tidak, itu tidak benar. Seperti saya katakan dia bukan seorang wanita yang begitu," ujarnya. Zul juga enggan mengulas mengenai perceraian bekas kekasihnya itu dan sentiasa mengharapkan yang terbaik buat wanita berkenaan. Sementara itu, mengulas mengenai hubungannya dengan penerbit filem Tayangan Unggul, Gayatri Su-Lin Pillai, Zul mengakui jarang berjumpa dengan kekasihnya itu sejak akhir-akhir ini kerana kesibukan. Bagaimanapun kata Zul, percintaan mereka berada dalam fasa baik namun dia tidak berani untuk bercakap tentang perancangan berkahwin buat masa ini. "Hubungan dengan Gayatri masih berjalan seperti biasa tetapi jarang berjumpa kerana masing-masing sibuk dengan pelbagai perkara tetapi kami sering berhubung menerusi telefon," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Zul bakal muncul dengan sebuah drama istimewa menerusi slot Akasia di TV3 pada bulan Ramadan ini berjudul Rindu Awak 200 Peratus. Drama 28 episod yang turut menampilkan Ayda Jebat yang akan ditayangkan bermula 14 Julai depan pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, pukul 7 malam.

TOP
Monica, Bintang Filem Tamil Peluk Islam
monica Tamil
Monica menukar namanya kepada MG Rahima dan meninggalkan terus kerjaya seninya yang dibina sejak zaman kanak-kanak.
PELAKON popular filem Tamil, Monica, 27, membuat keputusan memeranjatkan apabila beliau memutuskan untuk menukar agama daripada Hindu kepada Islam dan seterusnya meninggalkan kerjaya seninya. Seperti dilaporkan portal Salam News, pelakon itu juga telah memilih nama MG Rahima sebagai nama Islamnya. "Saya menukar agama bukan kerana cinta ataupun wang. Saya suka prinsip Islam. Inilah sebabnya mengapa saya telah memeluk agama Islam, " kata beliau. Menurut media India, Monica telah membuat pengumuman itu pada satu sidang media pada hari Jumaat lalu di mana beliau mengeluarkan gambar yang menunjukkan dia memakai pakaian tradisional yang sederhana dan bertudung. Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan sebab di sebalik keputusannya untuk menyertai agama berkenaan. Pelakon itu memulakan kerjayanya sebagai artis kanak-kanak dalam bahasa Tamil pada tahun 1990 ketika berusia tiga tahun dan telah berlakon dalam lebih 50 buah filem. Beliau juga merupakan bintang popular dalam industri perfileman India Selatan seperti filem Telugu, Malayalam dan Kannada. Monica, juga pernah memenangi Tamil Nadu State Award sebagai pelakon kanak-kanak terbaik. Pada tahun 2001, Monica telah berubah namanya kepada Paravana untuk industri filem Malayalam. Filem terakhirnya ialah Jannal Oram yang ditayangkan di pawagam pada November 2013.

TOP
Raja Azmi Mengaku Berhijab Kerana Bisnes Tudung

Imej terbaharu Raja Azmi.
KUALA LUMPUR: Penerbit filem Raja Azmi menjelaskan salah satu sebab kenapa dia membuat keputusan bertudung adalah kerana mahu mengembangkan perniagaan bisnes berkenaan. Raja Azmi atau nama sebenarnya Raja Azmi Raja Sulaiman 55, berkata, dia tidak dapat menafikan perkara tersebut tetapi niat berkenaan turut datang serentak dengan hasrat untuk berubah. "Adakah saya berhijab kerana mahu mulakan bisnes rekaan tudung? Ada kebenarannya perkara itu. "Saya tak berani nak nafikan tentang perkara itu kerana niat bertudung dan mahu menjalani bisnes rekaan tudung datang seiring," katanya kepada mStar Online.

Raja Azmi memakaikan tudung kepada salah seorang pelanggannya.
Raja Azmi ditemui pada majlis pelancaran tudung Raja Azmi For Variente Hijab di butik tersebut di Bangsar, di sini pada Rabu. Sebelum ini Raja Azmi dalam satu kenyataan menjelaskan keputusan dia berhijab kerana keceluparannya mempersoalkan dakwaan wanita tidak bertudung akan masuk neraka. Raja Azmi berkata, selepas membuat sembahyang sunat tahajud selama tiga malam, barulah dia mendapat jawapan dan terbuka hati agar bertudung. Dalam perkembangan berkaitan Raja Azmi memberitahu dia tidak kisah sekiranya ada pihak cuba mempertikaikan niat sebenar dia bertudung kerana dia percaya Allah lebih tahu tentang isi hatinya itu. Mengenai rekaan tudung terbaharu tersebut, Raja Azmi berkata, dia menjalinkan kerjasama dengan butik Variante dan menghasilkan tujuh jenis selendang inspirasi daripada 'headband'.

Model yang menggayakan tudung-tudung di butik Variante.
"Sebelum bertudung, saya memang suka memakai 'headband'. Jadi saya mengambil inspirasi `headband’ itu ke dalam rekaan selendang. "Harganya pun tidak berapa mahal iaitu RM70 sehingga RM250," ujarnya. Tambah Raja Azmi, jika ia mendapat sambutan, dia akan membuat rekaan terbaharu dalam masa terdekat nanti. Tudung-tudung berkenaan boleh didapati di 11 cawangan butik Variante sekitar Lembah Kelang.

TOP
Rita Rudaini Kesal Aidil Tidak Jenguk Anak

Rita mengakui kedua-dua anaknya Rayyan dan Arjuna semakin rapat dengan Aidil sejak lelaki itu banyak menghabiskan masa bersama mereka dua minggu sebelum bekas suaminya berkahwin baharu.
PETALING JAYA: Pelakon Rita Rudaini kesal dengan sikap bekas suaminya, Mohd Aidil Zafuan Abd. Radzak yang langsung tidak menjenguk dua anak mereka sejak mendirikan rumah tangga dengan Zarema Zainal pada Mac lalu. Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mokhtar, 38, berkata, Aidil tidak menunaikan janjinya untuk meluangkan masa dan menjalankan tanggungjawab sebagai bapa kandung terhadap anak-anak biarpun diberi peluang berbuat demikian. "Saya berasa marah apabila dia tidak menunaikan janjinya untuk meluangkan masa lebih banyak bersama anak-anak kerana selepas berkahwin dia langsung tidak datang bertemu mereka. "Saya sendiri tidak pasti mengapa tetapi anak kedua kami iaitu Arjuna yang semakin rapat dengannya mula bertanya mengapa ayahnya tidak datang lagi," katanya kepada mStar Online.

Rita memberitahu Aidil tidak menunaikan janjinya terhadap anak-anak mereka biarpun diberi peluang berbuat demikian. Rita ditemui pada majlis Seindah Ramadan & Syawal Media Prima Berhad di Hotel One World di sini pada Rabu. Pasangan itu sah bercerai talak satu pada 5 September tahun lalu di Mahkamah Rendah Syariah Seremban, Negeri Sembilan. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Airit Rayyan Rizqin, 5, dan Airit Qaqa Arjuna, 3. Dalam pada itu, Rita berkata, dua minggu sebelum melangsungkan perkahwinan, Aidil ada menghantar mesej kepadanya meminta untuk bertemu dengan anak-anak namun dia tidak segera membalas kerana bimbang Aidil tidak mengotakan keinginannya. Bagaimanapun kata Rita, dia tidak mahu memutuskan ikatan di antara anak dengan bapa dan sanggup mengenepikan perasaan sendiri bagi memastikan Aidil dapat berbaik-baik dengan anak-anak mereka. "Alhamdulillah dua minggu sebelum dia berkahwin dia hari-hari datang berjumpa dengan Rayyan dan Arjuna malah saya menjelaskan situasi kepada anak-anak bahawa Aidil adalah bapa kandung mereka dan perlu memanggilnya 'Daddy'.

Aidil Zafuan.
"Biarpun Rayyan agak sensitif namun hubungan mereka semakin rapat terutamanya Arjuna yang tidak pernah mengenali bapanya sebelum ini sudah mula dapat menerima Aidil. "Saya gembira dengan perubahan Aidil sebab sebelum ini kasih sayang seorang bapa dan lelaki tiada dalam diri anak-anak, apabila ada kesungguhan daripada bekas suami untuk rapat dengan mereka sudah tentu saya seronok. Namun entah mengapa lepas kahwin dia terus berubah," katanya. Dalam perkembangan lain, Rita bakal muncul dengan sebuah telefilem istimewa bersempena Hari Raya Aidilfitri iaitu Pontianak Teng Teng pada Hari Raya pertama menerusi TV9. Pelakon itu turut muncul dalam sebuah drama bersiri 20 episod berjudul Azam Ramadan Su pada setiap hari Isnin hingga Khamis, 12.30 tengah hari di TV3.

TOP
Crotia Menang Besar 4-0 Ke Atas Cameron

Pemain Crotia, Mario Mandzukic (kiri) cuba menanduk bola melepasi pemain pertahanan Cameroon Nicolas Nkoulou pada perlawanan kumpulan A antara Cameroon dan Croatia di The Amazonia Arena di Manaus, Brazil dalam saigan Piala Dunia 2014. - Foto AFP.
MANAUS: Pasukan Croatia mencatatkan kemenangan besar ke atas Cameron dalam saingan Kumpulan A, Piala Dunia 2014 yang berlangsung di Arena da Amazonia, Manaus, Brazil pada awal pagi Khamis. Gol Crotia dijaringkan oleh Ivica Olic (min11), Ivan Perisic (min48) dan Mario Mandzukic minit ke-61 dan 73. Pada separuh pertama Croatia berjaya mengatasi Cameroon 1-0. Agak malang buat pasukan Cameroon apabila tonggak utama mereka, Alex Song dilayangkan kad merah pada minit ke-40 kerana mengasari Mario Mandzukic. Penyerang Cameroon, Samuel Eto'o tidak akan diturunkan dalam perlawanan penting ini selepas kecederaan lutut dan ia sedikit sebanyak menjejaskan kekuatan wakil Afrika itu.

TOP
Pesawat MASWing Hadapi Masalah Teknikal Selamat Mendarat

KOTA KINABALU: Sebuah pesawat MASwings ATR72-500 penerbangan MH3041 dari Kota Kinabalu ke Labuan yang berlepas pada 7.30 pagi hari ini, selamat mendarat di Lapangan Terbang Labuan pada 8 pagi. "Pesawat itu membawa 55 penumpang dan empat anak kapal. Apabila mendarat menghala ke Lapangan Terbang Labuan, satu daripada enjin pesawat mengalami masalah teknikal. "Sebagai mematuhi prosedur operasi standard, kapten operasi dengan serta-merta memaklumkan ATC Labuan dan perkhidmatan sokongan lapangan terbang telah diaktifkan sepenuhnya," menurut MASWings dalam satu kenyataan, di sini, hari ini. Menurutnya, semua prosedur perlu telah dilaksanakan dan didapati enjin nombor dua kapal terbang di dalam papan penutup bahagian enjin telah terpisah dan ditemui di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Menurut kenyataan itu, tiada kejadian tidak diingini dilaporkan. "Bagaimanapun, memandangkan keselamatan merupakan aspek terpenting syarikat, pesawat itu kini dilarang terbang bagi membolehkan pemeriksaan dan penyelenggaraan kejuruteraan sebelum kembali berkhidmat," katanya.

TOP
Wanita Bogel Berjemur Di Tingkap Sebabkan Kemalangan Jalan Raya

Wanita berbogel berjemur di tingkap kediamannya menyebabkan kemalangan jalan raya di Vienna, Austria. TINDAKAN seorang wanita berjemur dalam keadaan bogel di tingkap kediamannya menimbulkan keadaan kelam kabut apabila mengganggu tumpuan pemandu hingga menyebabkan berlaku kemalangan jalan raya. Pengguna jalan raya tidak dapat memandu dengan tenang apabila terlihat wanita berkenaan di bangunan kediaman yang terletak di Vienna, Austria itu. Gregory Shakaki menyedari aksi selamba itu dan merakamkan gambar seorang wanita berbaring dengan kakinya menjulur ke luar tingkap di aras tiga bangunan itu. "Saya terkejut apabila melihatnya," kata pelajar itu. Ternyata Shakaki bukan satu-satunya saksi kejadian itu, sebaliknya ramai lagi pengguna jalan raya yang terkesan dengan perbuatan wanita berkenaan. Michael Kienast berkata, wanita itu terlalu inginkan sinaran matahari hingga melakukan sesuatu yang jarang dilakukan. "Ketika ramai mendongak melihat wanita itu, saya terdengar ada yang menjerit kepada pemandu yang terlanggar kenderaan lain di hadapannya. "Pemandu itu kemudiannya meminta maaf dan mengakui tumpuannya terganggu berikutan tindakan wanita itu dan menunjuk ke arah tingkap di mana wanita itu sedang berbaring," katanya. Menyedari punca pelanggaran yang tidak disengajakan itu, mangsa kemalangan kemudiannya berkata: "Oh, baru saya faham maksud awak." Pada masa sama, beberapa kereta dilihat menghalang lalu lintas kerana pemandunya terlalu asyik melihat gelagat wanita itu hinggakan polis peronda terpaksa dipanggil untuk mengawal keadaan. Bagaimanapun, sebaik polis tiba, wanita itu sudah masuk ke kediamannya dan menutup tingkap.

TOP
Dazrin Kamarudin & Amyra Rosli Nikah 8 Ogos Depan

Dazrin dan Amyra bakal disatukan sebagai suami-isteri pada 8 Ogos depan.
PETALING JAYA: Pelakon Dazrin Kamarudin mengesahkan bakal melangsungkan perkahwinan dengan tunangnya yang juga aktres Amyra Rosli pada 8 Ogos depan. Dazrin, 26, berkata, dia sendiri memilih tarikh berkenaan kerana ia mempunyai simbolik istimewa dalam hubungan mereka tambahan pula ketika itu umat Islam masih meraikan perayaan Hari Raya Aidilfitri. "Insya-Allah saya dan Amyra akan disatukan sebagai suami-isteri pada 8 Ogos depan iaitu dua minggu selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri. "Saya memilih tarikh itu kerana ia bulan kelahiran Amyra dan dia dilahirkan pada tahun 1988. Jadi ia sebagai satu simbolik sebagai ingatan kami berdua," katanya kepada mStar Online. Dazrin ditemui pada majlis pelancaran program Seindah Ramadan dan Anugerah Syawal di Hotel One World dekat sini pada Rabu lalu. Pasangan itu terdahulu mengikat tali pertunangan pada 25 Ogos tahun lalu selepas tiga tahun menjalinkan hubungan cinta.

Pasangan ini bertunang pada 25 Ogos tahun lalu. 
Dalam pada itu, Dazrin mengakui gementar untuk bergelar seorang suami namun menjelaskan sudah bersedia mengalas tanggungjawab baharu itu apabila mengambil keputusan untuk berkahwin. "Tanyalah pada sesiapa pun perasaan gemuruh itu pasti akan ada pada mana-mana lelaki yang bakal berkahwin tambahan pula tarikh untuk disatukan itu semakin hampir. "Pun begitu saya sudah bersedia untuk melayari alam rumah tangga bersama Amyra dan berharap perancangan ke arah itu berjalan dengan baik," katanya. Sementara itu, Amyra, 23, yang turut hadir pada majlis sama berkata, dia tidak melihat keputusannya untuk menamatkan zaman solo akan memberikan impak negatif kepada kerjaya lakonannya yang sedang meningkat naik. Jelas Amyra, dia yakin rezekinya bukan ditentukan oleh status seseorang artis itu sebaliknya ia daripada Tuhan selain usaha dan kerja keras untuk berjaya. "Perkahwinan adalah sesuatu yang baik dan banyak hikmah disebalik sesuatu perkahwinan dan salah satunya adalah rezeki. "Saya tidak bimbang tawaran dalam bidang lakonan berkurangan selepas berkahwin kerana percaya sesuatu rezeki itu bukan boleh kita tentukan tetapi ia daripada Allah," katanya. Dalam perkembangan sama, Amyra berkata, persiapan perkahwinan mereka sedang rancak dilakukan oleh keluarga kedua-dua belah pihak dan dia turut terharu apabila ada beberapa pihak bersedia menaja majlis itu nanti.

TOP
Populariti Jokowi mengatasi Prabowo

Joko Widodo atau Jokowi terkenal dengan imej sederhana dan disenangi oleh rakyat pelbagai lapisan. - REUTERS
JAKARTA 18 Jun - Populariti gandingan calon Presiden dan Naib Presiden, Joko Widodo (Jokowi) dan Jusuf Kalla mengatasi pasangan Prabowo Subianto-Hatta Rajasa berdasarkan undian yang dibuat oleh orang awam dalam satu kaji selidik. Berdasarkan kaji selidik yang diadakan di seluruh negara itu, pasangan Jokowi-Jusuf dijangka memenangi Pemilihan Umum (Pemilu) 2014 Presiden pada 9 Julai ini. Berdasarkan kaji selidik itu, Prabowo dan Hatta didapati boleh mengubah kedudukan berkenaan seandainya pasangan tersebut berupaya mempengaruhi golongan pengundi atas pagar untuk memihak kepada mereka. Menurut lembaga kaji selidik Indo Baromoter, seandainya Pemilu pusingan kedua ini diadakan dari 28 Mei hingga 4 Jun lalu sebelum bermula tempoh kempen rasmi, Jokowi-Jusuf dijangka memperolehi 49.9 peratus undian, kelebihan 13.4 peratus berbanding Prabowo-Hatta yang mendapat 36.5 peratus. Hasil kaji selidik itu juga mendapati, Jokowi-Jusuf yang dicalonkan oleh Parti Demokrasi Indonesia-Perjuangan (PDI-P) boleh dianggap memenangi Pemilu, sekalipun pengundi atas pagar tidak mengundi. Peningkatan populariti Jokowi itu antaranya disumbangkan imej sederhananya, sehingga beliau dikatakan tidak ada masalah mengenakan baju berharga murah Rupiah 100,000 (RM27) dan kasut berharga Rupiah 120,000 (RM32). Bahkan, beliau juga tidak pernah memakai jam tangan kerana tidak memiliki seutas pun jam tangan. "Harga baju saya cuma Rupiah 100,000 dan kasut saya pula Rupiah 120,000. "Selalunya, isteri saya yang akan membelikan pakaian saya. Ada masa pakaian itu sesuai, ada masa tidak. Tetapi, saya seorang yang sangat sederhana. Selalunya saya pakai baju putih," ujarnya. Dalam hal berkaitan teknologi, Jokowi setia dengan telefon pintar edisi terawal Samsung Galaxy Note dan Blackberry lapor akhbar The Jakarta Post, hari ini. Kesederhanaan Jokowi juga begitu terserlah dalam membuat keputusan memilih sistem pengangkutan untuk membawa beliau dari satu tempat ke satu tempat lain. Semasa dalam perjalanan rasmi, Jokowi hanya memilih tempat duduk ekonomi menggunakan pesawat nasional, Garuda Indonesia. Namun, dalam situasi tertentu khususnya untuk menjayakan kempen Pemilu, beliau tiada pilihan selain daripada menyewa jet peribadi. Untuk perjalanan darat pula, kebiasaannya Jokowi akan mengelilingi Jakarta dan kawasan lain menggunakan kereta Toyota Innova, kenderaan yang sering kali dikaitkan sebagai kenderaan kelas menengah. - UTUSAN

TOP
Penduduk Rohingya hidup menderita

WASHINGTON 18 Jun - Kira-kira 140,000 orang entik Islam Rohingya yang tinggal di dalam kem pelarian di Rakhine, kini hidup dalam keadaan daif dan sangat memerlukan pembelaan. Timbalan Koordinator Bantuan Kecemasan, Kang Kyung-wha yang mengadakan lawatan ke Myanmar pada minggu lepas, menyaksikan sendiri bagaimana penduduk di Rakhine dan utara Kachin meneruskan hidup mereka tanpa tempat tinggal, sejak berlakunya keganasan etnik pada Jun 2011. "Di Rakhine, saya menyaksikan sendiri bagaimana penduduk Rohingya hidup menderita di kem pelarian (IDP). Saya tidak pernah melihat perkara seteruk ini di mana-mana tempat. Kaum lelaki, wanita dan kanak-kanak berada dalam keadaan yang sangat teruk dan tidak bebas untuk bergerak. "Kebanyakan mereka tidak mendapat bantuan yang sewajarnya terutama perkhidmatan kesihatan, pelajaran, kemudahan air dan kebersihan," jelas Kyung-wha. Tambah Kyung-wha, tahap keselamatan kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pekerja bantuan lain juga berada dalam risiko, sehinggalah pihak berkuasa Myanmar memastikan kumpulan yang menyerang pegawai PBB dan NGO pada Mac lalu dibawa ke muka pengadilan. "Pekerja kemanusiaan di Rakhine bertugas dalam keadaan yang sangat sukar dan saya amat menghormati komitmen mereka untuk terus berada di sana bagi meneruskan perkhidmatan," ujarnya. Februari lalu, kerajaan Myanmar bertindak mengusir kumpulan bantuan perubatan Doctor Without Borders dari Rakhine, sebelum berlakunya serangan pada bulan Mac lalu yang mengakibatkan banyak kumpulan bantuan keluar dari negeri berkenaan. Kata Kyung-wha, beliau hanya berkesempatan melawat sebuah kem yang terletak di kawasan kawalan kerajaan di Kachin dan turut berbual dengan beberapa orang pekerja bantuan. Sebelum ini, PBB pernah mengeluarkan amaran kekejaman yang berlaku di Rakhine bakal memberi kesan kepada Myanmar yang kini sedang mengalami perubahan dramatik daripada segi ekonomi dan politik selepas berjaya keluar daripada pemerintahan tentera. - REUTERS

TOP
Tentera Syria serang kem pelarian, 20 maut

Beberapa orang penduduk di Syria membantu operasi mencari mangsa yang terperangkap selepas kawasan kem pelarian diserang pesawat pejuang tentera Syria di sempadan Jordan yang mengorbankan 20 orang. - AFP
BEIRUT 18 Jun - Serangan helikopter tentera Syria ke atas sebuah kem pelarian di sempadan Jordan hari ini, mengakibatkan 20 orang terbunuh termasuk lapan daripadanya kanak-kanak, dua hari selepas 60 orang terbunuh akibat serangan bom tong di Aleppo. Pengarah Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia bagi Syria, Rami Abdel Rahman melaporkan, tujuh orang termasuk tiga wanita turut cedera dalam serangan itu yang dilancarkan ke atas Kampung Shajara di selatan negara tersebut. Rami berkata, serangan itu dilancarkan ketika keganasan di wilayah Daraa semakin merebak apabila kumpulan penentang menguasai beberapa kawasan dalam tempoh beberapa bulan lalu. "Kesemua mangsa yang terbunuh merupakan orang awam yang menjadi pelarian dari wilayah Daraa," katanya. Dua hari lalu, helikopter tentera Syria menggugurkan dua tong bom ke atas sebuah pasar di Aleppo, menyebabkan 60 orang terbunuh termasuk sejumlah kanak-kanak. Rangkaian berita Al-Jazeera yang memetik kenyataan seorang penduduk tempatan, Abu Mohammad melaporkan, ramai orang berada di pasar yang terletak di daerah al-Sukari untuk menunggu bantuan makanan diagihkan ketika serangan dilancarkan. "Dua bom digugurkan ke kawasan tersebut dalam tempoh beberapa minit menyebabkan penduduk yang sedang membantu mangsa cedera, turut terkorban. "Tiada pangkalan tentera di kawasan ini dan hanya terdapat orang awam," kata Abu, sambil mempersoalkan tindakan tentera melancarkan serangan ke atas penduduk tempatan. - AFP

TOP
Mahkamah tolak permohonan NFCorp lupus saman terhadap Public Bank tanpa bicara

KUALA LUMPUR 18 Jun - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp) untuk melupuskan saman syarikat itu terhadap Public Bank Bhd. (Public Bank) tanpa melalui perbicaraan penuh. Hakim Datuk John Louis O’Hara memutuskan demikian setelah berpendapat permohonan mengikut Aturan 14A Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 itu sepatutnya difailkan dari awal lagi dan bukannya pada peringkat ini iaitu setelah tarikh perbicaraan ditetapkan. Beliau turut menyatakan, terdapat beberapa isu yang tidak jelas yang tidak membolehkan mahkamah melupuskan kes tersebut tanpa perbicaraan penuh. Dalam keputusannya, beliau turut memerintahkan NFCorp selaku plaintif membayar kos sebanyak RM5,000. Peguam-peguam, Wan Shah­rizal Wan Ladin dan Hariharan Tara Singh hadir bagi pihak plaintif manakala Public Bank selaku defendan diwakili peguam, Yoong Sin Min. Mahkamah kemudian menetapkan 25 September ini untuk pengurusan kes terakhir sebelum perbicaraan dijalankan selama empat hari bermula 9 Oktober ini. Pada 22 Mei 2012, NFCorp dan pengerusinya, Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail memfailkan saman tersebut terhadap Public Bank atas dakwaan institusi kewangan terbabit telah melanggar Akta Perbankan dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (BAFIA). Plaintif kemudian membuat permohonan untuk melupuskan kes tersebut atas alasan, berdasarkan pernyataan pembelaan defendan, bank berkenaan telah menyatakan bahawa bekas kakitangannya, Johari Mohamad telah mencetak maklumat perbankan plaintif yang kemudian telah disebarkan oleh Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd. Rafizi Ramli. Oleh itu, plaintif menyatakan, adalah wajar mahkamah melupuskan saman itu atas isu liabiliti tanpa diteruskan dengan perbicaraan. Selain menetapkan tarikh akhir bagi pengurusan kes, Hakim O’hara turut memerintahkan pihak-pihak terbabit untuk memfailkan pernyataan saksi dan ucapan pembukaan pada 22 September ini. Wan Shahrizal kemudian memaklumkan, pihaknya masih menyenarai pendek senarai saksi mereka serta dalam perbincangan sama ada akan memanggil Mohd. Rafizi sebagai saksi mereka.

TOP
Mata & diabetes

pemeriksaan mata berkala penting bagi pesakit diabetes.
Kini penyakit diabetes menjadi ancaman utama kesihatan yang semakin pantas menyerang akibat pemakanan dan gaya hidup tidak sihat. Ini dapat dilihat daripada segi bilangan pesakit. Bilangan pesakit yang didiagnosis semakin bertambah tiap tahun tetapi masih ramai yang tidak mengetahui mereka menghidapnya sehingga keadaan bertambah teruk. Kebanyakan pesakit bukan sahaja gagal didiagnosis dengan diabetes malah mereka tidak menjaga kesihatan, pemakanan dan gaya hidup sama ada kerana jahil, tidak mahu menerima hakikat atau rasa puas hati dengan keadaan kesihatan semasa.
Diagnosis, pemantauan dan kawalan
Pakar Perunding Kanan Oftamologi, Klinik Pakar Dr. Normalina, Dr. Normalina Mansor berkata, dalam kebanyakan kes diabetes, pengambilan kalori sering kali gagal dikawal dengan baik. Ketidakseimbangan ini menyebabkan kandungan gula dalam darah lebih tinggi daripada biasa seterusnya akan merosakkan dinding saluran darah pesakit jika tidak dikawal. Kerosakan yang berlaku kepada salur darah mungkin membawa kepada kebocoran salur darah atau berkemungkinan menyebabkan salur darah tersumbat. Memandangkan salur darah terdapat di seluruh bahagian badan, semua organ dan struktur badan mungkin menerima kesannya. Antara organ yang paling mudah rosak akibat kerosakan salur darah ialah mata, yang akan mengancam penglihatan pesakit di samping buah pinggang, yang boleh membawa kepada pergantungan kepada mesin dialisis seumur hidup," katanya di premisnya di Cheras, Kuala Lumpur. Diagnosis untuk diabetes hanya memerlukan ujian darah ringkas dan tidak menyakitkan dan boleh dilakukan di mana-mana pusat kesihatan atau klinik. Diagnosis awal membolehkan pesakit menerima rawatan segera yang selalunya lebih ringkas dan penting dalam mengelak atau memulihkan komplikasi yang timbul akibat diabetes," tambahnya. Pemantauan penyakit diabetes hanya memerlukan alat mengukur gula darah (glukometer) yang murah dan mudah digunakan oleh pesakit di rumah. Jika usaha mengawal penyakit lambat dijalankan, terutamanya jika gejala tertentu mula timbul, komplikasi yang berlaku ketika ini mungkin tidak dapat dipulihkan dan sering kali hanya boleh dikawal supaya tidak menjadi semakin teruk.
Mata dan diabetes
Dr. normalina berkata, salur darah di dalam mata amat halus dan menjadi antara yang pertama rosak di peringkat awal penyakit diabetes. Perubahan pada mata akibat diabetes mungkin berlaku sebelum pesakit didiagnosis menghidap diabetes dan perubahan ini amat mudah dikesan kini dengan peralatan moden," katanya. Jadi pemeriksaan mata secara berkala dapat membantu dalam mendiagnosis diabetes dan juga memantau perkembangan penyakit berkenaan. Mata pesakit diabetes yang semakin teruk selalunya menunjukkan pengawalan gula yang kurang berkesan, sejajar dengan kerosakan organ lain seperti buah pinggang. Perubahan pada mata di peringkat awal diabetes akan menyebabkan kebocoran kecil cecair atau darah daripada lubang-lubang kecil pada salur darah. Bagi kes diabetes yang lebih teruk, salur-salur darah ini bukan sahaja akan bocor dengan lebih teruk malahan lambat-laun mungkin akan tersumbat. Apabila semakin banyak salur darah tersumbat, aliran darah mungkin menjadi tidak normal sehingga berlakunya pendarahan dengan banyak. Tambahan lagi, pendarahan ini mungkin diikuti dengan kesan parut yang akan menyebabkan kemusnahan kawasan dalam mata yang sensitif cahaya (retina) dan akhirnya membawa kepada pesakit menjadi buta selamanya. Menurut Dr. Normalina, bermula dengan kelopak mata yang membengkak disebabkan keradangan sehingga kepada retina dan saraf optik boleh mengalami kerosakan sehingga menjadi buta kekal. Kelopak mata mudah mendapat jangkitan yang akan menyebabkan keradangan dan bengkak pada kelopak mata. Biasanya pesakit akan diberikan antibiotik," katanya. Mata pesakit diabetes juga tidak selesa kerana masalah kornea yang mudah terhakis secara berulang (micro recurrent erosion) yang menyebabkan mata tidak selesa dan kering. Ini dapat diatasi dengan ubat titis (artificial eye drop) bagi melembapkan kornea. Dr. Normalina menambah, pesakit juga menghadapi masalah di bahagian kamar hadapan mata (interior chamber) dengan keradangan dan pendarahan yang boleh menyebabkan mata kabur serta mempercepatkan glukoma. Mata hitam atau iris pula akan menyebabkan komplikasi di mana salur darah normal yang halus akan tumbuh pada anak mata menyebabkan pendarahan serta parut, di mana parut akan menutup pengaliran bendalir dalam mata dan boleh menyebabkan glukoma. Pesakit boleh dirawat dengan laser bagi 'membunuh' salur darah baru yang tumbuh dan mengurangkan komplikasi. Bagaimanapun rawatan laser tidak dapat mengembalikan penglihatan yang hilang dan hanya melambatkan komplikasi," katanya. Pesakit diabetes juga jelas Dr. Normalina biasanya mengalami masalah berkaitan dengan kanta seperti perubahan refluksi mata sekejap kabur sekejap terang. Ini berlaku apabila gula dalam darah meningkat menyebabkan kanta mata cembung dan mengurangkan cahaya masuk ke dalam mata dan bila gula normal, kanta menjadi normal dan penglihatan terang semula. Pesakit disaran mengawal paras gula. Pesakit juga mudah mendapat katarak (pemutihan kanta) dan rawatan pembedahan bagi menukar kanta baru. Dr. Normalina berkata, selain kamar hadapan mata, kamar belakang juga mengalami masalah keradangan dan pendarahan. Kesan dan rawatan sama seperti kamar hadapan. Masalah retina juga mendatangkan masalah seperti saraf dan salur darah yang akan menyebabkan salur darah tidak normal dan tersumbat dan menyebabkan kekurangan oksigen ke retina. Dinding salur darah menjadi nipis dan bocor serta mengeluarkan bendalir menyebabkan retiopati diabetes dan jika tidak dikawal boleh menyebabkan kekangan pada retina. Tanda-tanda seperti pendarahan dalam mata dan retina yang berparut boleh menyebabkan retina menjadi lekang. Ini boleh dirawat dengan laser bagi menghalang pertumbuhan salur darah baru tetapi tidak dapat mengembalikan penglihatan yang hilang," katanya. Dr. Normalina menambah, saraf optik juga berpotensi rosak kerana bekalan darah yang berkurangan boleh menyebabkan buta. Ini boleh diatasi dengan pembedahan. Motor akula (occular motor) juga mungkin boleh menjadi bengkak dan menyebabkan pesakit menghadapi masalah penglihatan tengah (central vision) dan pesakit menghadapi masalah untuk membaca tetapi masih boleh melihat.

TOP
Selamatkah bersalin di rumah?
Selamatkah Seks Ketika Hamil?
PENGHUJUNG tahun 2013, dunia perbidanan di Malaysia dikejutkan dengan kematian seorang ibu yang juga kaunselor kesihatan selepas bersalin di rumah. Ibu yang berusia 40 tahun tersebut dikatakan telah melahirkan seorang bayi perempuan dengan hanya ditemani suami dan doula (rujuk info), malah selepas bersalin ibu malang ini sempat mengambil beberapa foto kenangan dia dan anaknya.
Tidak lama selepas itu, ibu tersebut dikatakan mengadu teramat letih dan peluh mula keluar di seluruh tubuhnya. Ibu tersebut akhirnya meninggal dunia disebabkan pendarahan (post partum haemorrhage).
Sanggupkah anda menggadaikan nyawa ibu mahupun anak akibat tidak mendapat maklumat yang tepat dan betul mengenai pilihan bersalin atau melahirkan anak di rumah?
Malah Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali ketika berucap pada pelancaran buku Institut Kesihatan Umum (IKU): Preserving Our Heritage 1964-2014 di Kuala Lumpur, baru-baru ini turut menzahirkan kebimbangan terhadap kaedah kelahiran semula jadi yang kian popular di negara ini. Menurut beliau, konsep bersalin di rumah tanpa sebarang ubatan atau prosedur perubatan moden sepatutnya dipantau seorang pembantu perubatan terlatih bagi mengelak komplikasi yang tidak diingini ketika proses kelahiran. Pakar Obstetrik dan Ginekologi dari Hospital Pakar KPJ Kajang, Dr. Rasliza Ramli berkata, statistik seluruh dunia menunjukkan sebenarnya hanya satu peratus kadar kelahiran di rumah dicatatkan terutama di negara seperti Australia, Amerika Syarikat dan United Kingdom. Orang Malaysia ini mudah terikut-ikut tanpa mendapatkan maklumat yang betul," ujarnya ketika ditemui di kliniknya baru-baru ini. Menurut Dr. Rasliza, kelahiran secara semula jadi sebenarnya bukan sahaja boleh dilakukan di rumah, malah di hospital juga dengan beberapa prosedur yang semuanya bertujuan untuk memastikan kesihatan dan keselamatan nyawa ibu dan anak. Definisi kelahiran semula jadi sebenarnya adalah bersalin tanpa penggunaan ubat-ubatan dari segi mengurangkan rasa sakit dan tanpa ubat untuk mempercepatkan bersalin, termasuk potongan episiotomi untuk memudahkan kepala bayi keluar. Di kawasan pedalaman seperti di Sabah dan Sarawak, memang banyak kelahiran yang berlangsung di rumah, namun dilakukan oleh bidan bertauliah. Kelahiran bayi di rumah ini memang tanpa sebarang pertolongan. Kehadiran bidan itu untuk memastikan ibu dan anak selamat. Semasa proses bersalin apabila nampak akan berlaku komplikasi maka bidan akan cepat menghubungi ambulans atau terus menghantar ibu ke hospital," katanya.
Salah tafsir peranan doula
Menurut Dr. Rasliza, memang terdapat beberapa kes yang berlaku tidak lama dahulu melibatkan kematian ibu dan juga kematian bayi selepas bersalin di rumah. Di Malaysia ramai yang menyalah anggap antara bersalin di rumah dengan free birth. Istilah free birth bermaksud hanya ibu, suami dan doula yang berada di sisi ibu yang mahu bersalin. Doula ini hanya peneman ibu dan memang tidak mempunyai tauliah untuk membantu ibu bersalin. Doula hanyalah orang yang menemani ibu bersalin secara semula jadi. Dia memang tiada tauliah untuk bantu ibu bersalin mahupun mengenalpasti komplikasi yang berlaku. Berbeza dengan bidan, yang juga boleh merangkap sebagai doula. Saya sarankan, kalau mahu bersalin di rumah mesti ada bidan, doula, ibu kepada wanita yang mahu bersalin itu dan orang yang biasa ada di rumah," katanya. Tambah Dr. Rasliza, sekiranya seseorang ibu mengambil keputusan untuk bersalin di rumah tanpa bidan bertauliah dan hanya doula yang menemani, mereka sebenarnya memang mencari masalah. Disebabkan tindakan itu, mereka perlu menanggung risiko dan masalah lain pula timbul apabila ia melibatkan undang-undang di negara ini, kerana setiap kelahiran waima di kalangan Orang Asli sekalipun semuanya didaftarkan dan termasuk dalam statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Kalau dilihat kadar kematian ibu bersalin dalam tahun 1970-an memang sangat tinggi iaitu 200 kematian bagi 100,000 kelahiran. Namun kini peratusannya menurun dengan kadar yang drastik iaitu hanya 25.6 peratus hasil daripada usaha KKM menggalakkan ibu bersalin di hospital yang sekali gus menurunkan kadar kematian bayi baru lahir. Walaupun sekitar tahun 1980-an dan 1990-an masih banyak juga kelahiran di rumah dilaporkan, namun kelahiran ini dilakukan oleh bidan bersalin yang bertauliah. Sekarang ini ramai ibu sudah salah anggap dengan menyamakan home birth dengan free birth. Golongan ini mengambil keputusan bersalin sendiri tanpa pantauan doktor," tegas Dr. Rasliza. - NOOR FAzlina KAMAL

TOP
Senggugut jejas kesuburan?

Senggugut merupakan petanda penting supaya semua wanita yang mengalami masalah ini menjalani pemeriksaan awal bagi mengesan kewujudan masalah endometriosis. - Gambar hiasan
Soalan: Saya mengalami masalah senggugut yang teruk. Saya ada terdengar mereka yang mengalami masalah ini akan sukar hamil kelak. Saya rungsing jika perkara ini benar. Mohon doktor perjelaskan? - Ramlah, Kuala Lumpur.
Jawapan - Kesakitan semasa haid atau senggugut ialah satu gejala biasa dialami seseorang wanita. Kesakitan ini disebabkan oleh penguncupan dinding rahim yang amat kuat. Proses ini bertujuan bagi mengeluarkan ketulan darah haid yang bercampur dengan sedikit tisu daripada selaput endometrium (dinding rahim). Darah ini perlu dikeluarkan melalui saluran pangkal rahim (serviks). Kebiasaannya, pangkal rahim yang dimiliki oleh seorang gadis remaja masih sempit. Senggugut sering menyerang seorang wanita pada hari pertama dan kedua haid. Masalah akibat senggugut bukan sekadar kesakitan teruk ketika haid, tetapi petanda penting supaya semua wanita yang mengalami masalah ini menjalani pemeriksaan awal bagi mengesan kewujudan masalah endometriosis. Terdapat dua jenis senggugut, iaitu senggugut primer dan senggugut sekunder. Senggugut primer disebabkan oleh pengeluaran prostaglandin (sejenis bahan kimia dalam darah) yang menyebabkan penguncupan dinding rahim yang kuat. Manakala senggugut sekunder pula mungkin disebabkan oleh masalah endometriosis. Endometriosis pula merujuk kepada keadaan lapisan tisu yang melitupi bahagian di dalam rahim didapati tumbuh di luar rahim atau kawasan lain pada sekitar sistem reproduksi wanita. Walaupun punca sebenar endometriosis kekal tidak diketahui, ada teori yang mengatakan disebabkan pendarahan haid yang berundur atau menyongsang (retrograde menstruation) ke dalam pelvis, aras hormon estrogen yang berlebihan, tisu endometriosis juga boleh merebak melalui salur darah dan tumbuh di tempat-tempat yang jauh dari rahim seperti di dalam paru-paru atau otak dan juga teori metaplasia. Bagi mengetahui punca sebenar, sebaik-baiknya anda perlu diperiksa oleh doktor pakar sakit puan. Selain daripada ujian imbasan ultrabunyi (ultrasound) untuk melihat jika ada sista (pembengkakan ovari), ujian laparoskopi juga boleh dilakukan untuk memastikan sama ada disebabkan endometriosis dan untuk melihat jika terdapat pelekatan dan penyumbatan pada salur fallopio. Jika diagnosis yang dibuat doktor ialah endometriosis, ubat-ubat tertentu boleh digunakan untuk mengubati keadaan ini dan cara terbaik ialah jika wanita tersebut cepat hamil. Sebab-sebab lain senggugut ialah jangkitan pada bahagian pelvik (pelvic inflammatory disease) dan juga boleh disebabkan masalah fibroid. Anda perlu menjalani pemeriksaan yang teliti supaya penyakit ini tidak melarat. Namun, terdapat sebilangan kecil daripada mereka yang akan menghadapi masalah ketidaksuburan dan mudah mengalami keguguran sekiranya senggugut berlaku secara berterusan. Mereka ini berkemungkinan besar menghidap penyakit endometriosis iaitu sejenis penyakit yang sering dikaitkan dengan masalah kesuburan. Penyelaras Unit Perkembangan Kesihatan Wanita (Pakar Obstetrik & Ginekologi) Pusat Pengajian Sains Perubatan Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kelantan. Sebarang soalan dan pertanyaan berkaitan sakit puan, boleh e-mel ke adawiyah.koh@utusan.com.my

TOP
Kunyit penyembuh semula jadi

Kunyit atau dikenali sebagai curcumin merupakan sejenis rempah yang digunakan dalam masakan. Menariknya, bahan masakan ini juga dikenali sebagai salah satu penyembuh semula jadi paling mujarab. Kegunaan kunyit telah bermula selama 2,500 tahun dahulu. Rempah tersebut dengan perlahan telah memperlihatkan sifat perubatan sejak berabad lamanya. Sejak kebelakangan ini, kunyit mulai mendapat tumpuan ramai kerana keupayaannya dalam pencegahan banyak penyakit. Penyelidikan menunjukkan curcuminoid (komponen aktif dalam kunyit ) boleh digunakan untuk mencegah pelbagai jenis penyakit seperti kanser kolorektum, Alzheimer, arthritis dan gangguan kulit. Kajian menunjukkan curcuminoid mempunyai sifat anti oksida, anti radang dan menurunkan takat kolestrol. Ia merupakan sejenis perencat COX-2 semula jadi bagi melegakan kesakitan dan juga adalah agen anti kanser. Para saintis juga mencatatkan curcuminoid menyokong metabolisme gula darah yang sihat dan memberikan harapan untuk melawan diabetis. Dalam 688 kajian, lebih daripada 400 yang telah dikemukakan mengesahkan sifat anti karsinogenik, anti-radang dan anti oksida yang menakjubkan pada kunyit. Institut Kesihatan Nasional Amerika Syarikat mempunyai empat ujian klinikal untuk menguji tindakan curcuminoid terhadap kanser kolorektum, pankreas, mieloma berganda dan Alzheimer. Menurut pengkaji herba dari Universiti Oxford, Prof. Gerard Bodeker berkata, kunyit merupakan salah satu daripada bahan penyembuh penyakit terbaik di dunia dan telah lama digunakan secara meluas terutamanya di Asia. Kunyit mempunyai pelbagai khasiat kepada tubuh badan manusia antaranya termasuklah asma, kekejangan, darah tinggi, sesak nafas, hidung berair, batuk, resdung, gangguan hati, tiada selera makan, sakit sendi, kencing manis dan luka. Selain itu, kunyit juga berfungsi sebagai bahan aktif utama yang mampu menguatkan sistem imunisasi atau pertahanan badan daripada serangan penyakit," katanya yang juga penulis buku bertajuk Health and Beauty from The Rainforest. Tambah beliau, hasil kajian yang dilakukan oleh sebuah universiti terkemuka di Barat menunjukkan penduduk India mempunyai sistem pertahanan badan yang lebih baik berbanding penduduk di Amerika Syarikat. Ini disebabkan pengambilan kunyit dalam masakan seharian masyarakat India. Dalam kajian ke atas pesakit artritis di Eropah, pakar perubatan mendapati khasiat curcumin boleh dibandingkan dengan ubat tahan sakit moden seperti phenylbutazone. Malah, didapati penghidap artritis merasakan kurang sakit pada waktu pagi, mampu berjalan dengan lebih lama dan bengkak berkurangan. Tambah Prof. Gerard, kunyit membantu dalam peneutralan radikal bebas ini dengan mencegah kesan pemusnahan pada tahap lebih awal yang menjadi punca penyakit Alzheimer. Alzheimer merupakan sejenis gangguan otak yang teruk mempengaruhi keupayaan seorang untuk melakukan aktiviti seharian melibatkan bahagian otak yang mengawal pemikiran, ingatan dan bahasa. Hasil ujian klinikal menunjukkan bahawa kunyit mempunyai kandungan bisdemethoxycurcumin, demethoxycurcumin dan curcumin. Cantuman ketiga-tiga komponen ini membentuk curcuminoids atau curcuminoid yang mampu menjadi agen semula jadi untuk memperlahankan perkembangan Alzheimer," katanya. Pun begitu, masyarakat hari ini terlupa bahawa kunyit banyak digunakan dalam perubatan tradisional Melayu. Ini termasuk menghilangkan gatal-gatal, kesihatan dalaman wanita, herba untuk wanita selepas bersalin. Oleh itu, kunyit bukan hanya dilihat berfungsi sebagai herba tradisional atau bahan masakan, sebaliknya mempunyai potensi untuk dimajukan sebagai penawar pelbagai penyakit.

TOP
Sasar 25 % akauntan profesional bumiputera

KUALA LUMPUR 18 Jun - Kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan jumlah akauntan profesional bumiputera kepada 25 peratus menjelang tahun 2020 berbanding hanya lapan peratus atau 1,554 orang ketika ini. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, bagi memastikan sasaran tersebut dicapai, kerajaan akan mewujudkan Pusat Akauntan Profesional di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam tempoh terdekat. Katanya, pusat berkenaan akan menyediakan empat kursus profesional iaitu Institut Akauntan Bertauliah England dan Wales (ICAEW), Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA), Institut Akauntan Pengurusan Bertauliah (CIMA) dan Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA). "Ketika ini lulusan bumiputera yang memiliki ijazah dalam bidang akauntan agak ramai iaitu 7,663 atau 64 peratus tetapi jumlah yang memperoleh kelayakan sijil profesional masih rendah dan perlu dipertingkatkan. "Kita akan betulkan keadaan ini dan jumlah bilangan akauntan profesional bumiputera dapat ditingkatkan dalam jangka waktu tertentu," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera di Parlimen hari ini. Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa menteri Kabinet. Dalam pada itu, Najib berkata, kerajaan juga akan mengkaji untuk meminda Akta Akauntan 1967 bagi memberi galakan kepada semua akauntan terutama bumiputera untuk mendapatkan kelayakan sijil profesional. Selain itu beliau menjelaskan, ketidakseimbangan bayaran gaji antara akauntan yang bekerja di sektor awam dan akauntan profesional juga akan dikaji semula kerana dilihat menjadi salah satu punca kurangnya akauntan profesional bumiputera. "Sekarang ini dalam kerajaan, mereka yang memiliki ijazah akauntan mendapat gaji lebih tinggi berbanding akauntan profesional. Keadaan ini tidak memberi insentif untuk mereka memperoleh kelayakan profesional," katanya.

TOP
Pengubahan wang haram RM13.1b

KUALA LUMPUR 18 Jun -Jumlah amaun hasil aktiviti pengubahan wang haram di Malaysia yang disiasat pihak berkuasa dalam tempoh tiga tahun lalu iaitu dari 2011 hingga 2013 mencecah RM13.1 bilion membabitkan 13,126 kes pelbagai jenis kesalahan jenayah. Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, daripada jumlah amaun berkenaan, sejumlah RM567.9 juta hasil aktiviti pengubahan wang haram disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2011. Katanya, keadaan itu menyebabkan sebanyak 568 kertas siasatan dibuka iaitu 219 kertas siasatan oleh pihak polis; Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (119); Lembaga Hasil Dalam Negeri (115); Kastam (104); Bank Negara (5) dan Suruhanjaya Sekuriti (1). "Inilah sebabnya kita ingin memastikan perkara ini (jenayah pengubahan wang haram) diambil tindakan dan kita berniat suci untuk meneruskan pindaan ini," katanya sambil mengakui bahawa angka tersebut adalah kali pertama didedahkan kerajaan. Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (Pindaan) 2013, di Dewan Rakyat, hari ini. Rang undang-undang tersebut kemudiannya diluluskan oleh Dewan Rakyat selepas mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen. Terdahulu semasa membentangkan rang undang-undang itu, Ahmad berkata, melalui pindaan ke atas akta sedia ada, pihak berkuasa bakal memiliki kuasa lebih luas untuk membeku, menyita atau melucutkan hak harta pihak yang terlibat dalam penggubalan wang haram. Bagaimanapun jelas beliau, dalam melaksanakan penguatkuasaan itu, sebarang tindakan penyitaan mensyaratkan pihak berkuasa mesti memulakan siasatan ke atas aktiviti haram terlebih dahulu selain perlu mempunyai alasan yang munasabah untuk berbuat demikian. Selain itu beliau berkata, menerusi pindaan terhadap subseksyen 3 (1) Akta 613, penalti lebih berat akan dikenakan bagi kesalahan penggubalan wang haram melalui takrifan serta peruntukan yang lebih menyeluruh mengenai kesalahan 'pengubahan wang haram'. Katanya, hukuman ke atas pesalah yang ketika ini iaitu denda RM5 juta atau penjara 5 tahun ditingkatkan kepada penjara 15 tahun atau denda lima kali ganda daripada jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti pengubahan wang haram. "Memandangkan hampir keseluruhan aktiviti jenayah adalah bermotif dan melibatkan wang, pembanterasan jenayah dengan menyekat perolehan hasil dari kegiatan jenayah adalah salah satu aspek penting bagi mengurang ancaman jenayah di Malaysia. "Kerangka perundangan yang kukuh dan komprehensif perlu disediakan bagi mewujudkan persekitaran berkesan dalam mencegah kegiatan jenayah yang menyumbang kepada aktiviti pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan," katanya.

TOP
Tubuh pasukan khas banteras pengubahan wang haram

IKMAL Hisham
KUALA LUMPUR 18 Jun - Kerajaan diminta menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi membanteras kegiatan pengubahan wang haram sebagai pelengkap kepada Rang Undang-Undang Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (Pindaan) 2013. Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah) ketika mencadangkan perkara tersebut berkata, pasukan petugas khas itu perlu dianggotai pegawai-pegawai kanan Jabatan Peguam Negara dan disertai semua pegawai dari agensi penguat kuasa sedia ada. Katanya, gabungan Jabatan Peguam Negara, polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) diyakini mampu berfungsi dengan lebih sempurna dalam usaha kerajaan membanteras kegiatan pengubahan wang haram. "Kerajaan perlu memikirkan secara serius penubuhan pasukan petugas khas ini kerana mereka yang terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram semakin bijak dan canggih. Kita tidak boleh lagi hanya bergantung kepada sesebuah agensi penguat kuasa sahaja. "Aktiviti jenayah ini boleh memalapkan ekonomi negara jika tidak ditangani dengan berkesan," katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (Pindaan) 2013 di Dewan Rakyat, hari ini. Dalam pada itu, menyentuh mengenai rang undang-undang tersebut, Ikmal Hisham berkata, terdapat beberapa perkara yang wajar dinilai semula dan dari segi perlaksanaannya kelak juga perlu dibuat secara berhemah khususnya ke atas ahli perniagaan yang tulen. Katanya, golongan peniaga terutama yang dituduh mengelak daripada membayar cukai hasil kesilapan agensi penguat kuasa seharusnya diberi peluang untuk memperbetulkan kesilapan dan bukannya mengambil tindakan drastik dengan membekukan akaun mereka. Bagaimanapun beliau berkata, pendekatan berhemah itu bukanlah bermaksud kerajaan perlu memberi layanan istimewa kepada golongan peniaga tetapi cukuplah sekadar mengikut peruntukan undang-undang sedia ada. "Saya bercakap berdasarkan pengalaman sendiri di mana syarikat saya dituduh tidak mencarum sedangkan caruman sudah dibuat pada 2010 dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terus membekukan akaun. Bila disemak, kesilapan di pihak LHDN," katanya.

TOP
4 komander tertinggi Iraq dipecat

Anggota pasukan keselamatanIraq menahan seorang lelaki dipercayai anggota kumpulan ISIL di pinggir Kirkuk, kelmarin. - REUTERS
BAGHDAD 18 Jun - Perdana Menteri Iraq, Nouri al-Maliki, hari ini memecat empat komander tertinggi pasukan keselamatan negara ini atas kesalahan mengabaikan tugas sebagai tentera, seminggu selepas bandar Mosul yang terletak di barat laut Iraq jatuh ke tangan pemberontak daripada kumpulan Negara Islam Iraq dan Jajahannya (ISIL). Tindakan tegas itu diambil ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran krisis kebangkitan kumpulan militan di Iraq berisiko memecah belahkan negara ini. Wakil PBB ke Baghdad, Nickolay Mladenov berkata, Iraq berdepan ancaman terbesar yang boleh menggugat kedaulatan negara ini ekoran penguasaan militan ISIL di wilayah Diyala dan mereka semakin menghampiri ibu negara. "Bukan sahaja Iraq yang terancam akibat serangan militan tetapi seluruh rantau ini berdepan bahaya yang sama," katanya. Dalam perkembangan terbaharu, militan ISIL melancarkan serangan ke atas kilang minyak terbesar negara ini yang terletak di Beiji kira-kira 250 kilometer di utara Baghdad. Sementara itu, lebih 21 orang maut dalam pertempuran di seluruh negara dengan kematian paling ramai dicatat di bandar Samara apabila 18 mayat anggota polis ditemukan dengan kesan tembakan di dada dan kepala dipercayai dilakukan oleh ISIL. Pemimpin politik berfahaman Syiah dan Sunnah menyeru agar perpaduan negara dipulihkan selepas satu pertemuan tertutup diadakan buat kali pertama sejak keganasan tercetus di negara ini. Nouri yang berfahaman Syiah, dan ulama berfahaman Sunnah, Usama al-Nujaifi yang juga bekas Speaker Parlimen, merupakan antara pemimpin yang hadir dalam pertemuan tersebut. Bekas Perdana Menteri, Ibrahim al-Jafaari turut menggesa rakyat mempertahankan negara dan melindungi integriti serta kedaulatan negara ini. "Tiada kumpulan pengganas yang mewakili mana-mana fahaman atau agama. "Rakyat perlu mengelak daripada berdendam sesama sendiri disebabkan perbezaan mazhab dan bersatu menentang kumpulan asing mengangkat senjata di negara ini," kata Ibrahim ketika menyampaikan ucapan selepas pertemuan itu.

TOP
15 pemuda mengaku tidak bersalah ceroboh bangunan DUN P.Pinang

PULAU PINANG 19 Jun - Seramai 15 lelaki hari ini mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan di Mahkamah Majistret di sini atas dakwaan menceroboh Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini Mei lalu. Mereka yang terdiri daripada ahli parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nurul Rashidah Md. Akit selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah. - UTUSAN ONLINE

TOP
Rita Rudaini enggan benar isteri Aidil dekati anak
rita-rudaini
PETALING JAYA 19 Jun - Pelakon Rita Rudaini tidak membenarkan isteri kepada Aidil Zafuan, Zarema Zainal untuk mendekati anak-anaknya. Menganggap wanita tersebut sebagai punca anak-anaknya kini terputus hubungan dengan Aidil, Rita juga tidak menolak berasa kecewa dengan bekas suaminya kerana mendakwa Aidil langsung tidak pernah menjenguk anak-anaknya selepas berkahwin. "Orang yang memisahkan anak saya daripada bapa mereka tidak layak pegang anak saya. "Semua orang tahu apa yang berlaku sewaktu saya masih menjadi isterinya, jadi dia tidak layak untuk bergelar ibu kepada anak-anak saya," katanya ketika ditemui pada Kempen Seindah Ramadan dan Anugerah Syawal TV3 dan TV9, di sini semalam. Menurut Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mokhtar, 38, dia juga difahamkan Zarema sudah menyekat nombornya di dua aplikasi telefon Aidil iaitu WeChat dan WhatsApp. Memandangkan sebelum ini kedua-dua aplikasi itu digunakan Rita untuk menghubungi Aidil bagi menyampaikan keadaan terkini anak-anak mereka, kini dia dan Aidil tidak lagi dapat berhubung. "Sebelum ini Aidil yang minta saya memuat turun aplikasi WeChat, katanya senang mahu buat panggilan video dengan anak-anak. Bila saya sudah memuat turun dia sekat pula, jadi saya tanya Aidil dan dia beritahu apa yang berlaku. Memang saya sedih, sebelum ini dia (Aidil) sudah berjanji untuk bertanggungjawab dengan anak-anak. Tetapi tetap sama, saya sudah lali dengan janji-janji dia. Memang saya marah setiap kali anak saya tanya mana Daddy mereka, sebab saya yang ajar mereka mengenali siapa Aidil," katanya. Rita dan Aidil atau Mohd. Aidil Zafuan Abdul Radzak, 28, bernikah di Songkhla, Thailand pada 28 Februari 2008. Bagaimanapun perkahwinan tidak kekal lama dan mereka berdua bercerai pada 5 September tahun lalu. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Airit Rayyan Rizqin, 5, dan Airit Qaqa Arjuna yang kini berusia dua tahun. Sementara itu, ditanya soal penglibatan Aidil dalam bidang lakonan, Rita mengakui langsung tidak tahu mengenai perkara tersebut. - UTUSAN ONLINE

TOP
Penumpang tersepit jari dalam tandas pesawat ke Hong Kong
Pesawat Cathay Pacific [google]
HONG KONG 19 Jun - Seorang penumpang Amerika Syarikat yang menaiki pesawat selama 15 jam ke Hong Kong secara tidak sengaja tersepit jari hantunya di dalam tong sampah tandas semalam. Polis berkata, kejadian yang menimpa penumpang berusia 32 tahun itu berlaku dalam penerbangan pesawat Cathay Pacific dari Newark. Penumpang itu terlebih dahulu terperangkap selama sejam sebelum kapal terbang yang dinaiki mendarat selepas terbang lebih 14 jam. Polis berkata, lelaki itu dapat melepaskan jarinya dengan bantuan anggota bomba selepas pesawat berkenaan mendarat dan tidak perlu mendapatkan rawatan di hospital. - AFP

TOP
TPPA: Malaysia paling sukar antara 12 negara perunding
TPPA To Open Up Government Procurement Market For Malaysian Companies
PUTRAJAYA 18 Jun - Malaysia merupakan negara paling sukar untuk memuktamadkan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) berbanding 11 negara perunding yang lain, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed. Beliau berkata, keadaan itu berlaku kerana Kuala Lumpur mempunyai pendirian teguh berhubung pelbagai isu termasuk dalam soal perolehan kerajaan, dasar bumiputera, peranan kerajaan serta syarikat milik kerajaan (GLC). Beliau berkata, walaupun semua negara perunding berdepan cabaran tersendiri untuk memuktamadkan TPPA, tetapi Malaysia dilihat sebagai paling sukar kerana mempertahankan pendirian dalam isu-isu tersebut. "Amat sukar untuk mengubah pendirian Malaysia berhubung pelbagai isu ini walaupun kita pada masa yang sama mengakui kepentingan akses pasaran yang akan diperoleh melalui perjanjian perdagangan bebas (FTA). "Kontroversi dalam TPPA timbul kerana ia mencakupi skop yang lebih luas berbanding FTA yang lain, Malaysia berpendapat bahawa kita perlu pertahankan kepentingan tetapi pada masa yang sama mendapat manfaat perdagangan," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat mengenai TPPA dan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) kepada kakitangan sektor awam di sini hari ini. Perundingan TPPA melibatkan 12 negara termasuk Australia, Brunei, Chile, Kanada, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat (AS) dan Vietnam telah dimulakan sejak 2010, namun pelbagai isu telah menghalang negara-negara perunding untuk mencapai kata sepakat. Mustapa berkata, beliau sedar mengenai kebimbangan pelbagai pihak terhadap TPPA termasuk kemungkinan AS sebagai kuasa ekonomi dunia ‘menelan’ negara lain melalui FTA yang mungkin diwujudkan.

TOP
Kenaikan minyak dijangka beri kesan jangka panjang

Mustapa Mohamed melakukan simbolik perasmian eTrade dalam Forum Pengeksport Muda 2014 di Matrade Jalan Duta di Kuala Lumpur, semalam. - utusan/ Aizzul A.Majid
KUALA LUMPUR 18 Jun - Kerajaan menjangkakan krisis yang berlaku di Iraq tidak akan menjejaskan ekonomi Malaysia dalam tempoh terdekat, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed. Bagaimanapun beliau berkata, jika keadaan itu berlarutan, ia akan memberi kesan kepada Malaysia sebagai sebuah negara ekonomi terbuka. Katanya, kesan kenaikan minyak secara mendadak ini sudah tentu akan mengambil masa tertentu dan negara-negara maju di dunia tidak terkecuali menerima tempiasnya. "Kita berharap keadaan ini tidak berlarutan dan kalau naik secara mendadak, sudah tentu akan jejaskan penduduk dunia dan Malaysia yang mengamalkan ekonomi terbuka," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Forum Pengeksport Muda 2014 di sini hari ini. Yang turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri; Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Dr. Rebecca Fatima Sta Maria; Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Noraini Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Wong Lai Sum dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), Datuk Mohd. Badlisham Ghazali. Jumaat lalu, harga minyak mentah dunia melonjak kepada AS$107 (RM345.89) setong, susulan meningkatnya krisis Iraq apabila timbul kebimbangan bekalan dari negara pengeluar nombor dua terbesar dunia itu. Harga minyak meningkat kepada 10 bulan tertinggi selepas kumpulan yang dikaitkan dengan al-Qaeda menawan dua bandar utama Iraq pada minggu lalu termasuk Mosul yang merupakan pintu masuk utama minyak mentah. Bagaimanapun, kumpulan berkenaan berikrar untuk meneruskan penguasaan ke Baghdad. Dalam perkembangan lain, Mustapa berkata, kementeriannya menyasarkan untuk membantu 25,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menarik pembeli global dan jualan secara atas talian menjelang 2020 menerusi inisiatif eTRADE. Beliau berkata, menerusi inisiatif tersebut yang dilaksanakan di bawah Digital Malaysia melibatkan kerjasama antara Matrade dan MDeC, dijangka dapat memberi manfaat kepada 2,625 PKS melibatkan urus niaga berjumlah RM50 juta tahun ini. "PKS yang layak akan menerima baucar elektronik sebanyak RM1,000 bagi membolehkan mereka terlibat dengan program eTRADE," katanya.

TOP
ASNB umum dividen 6.60 sen seunit bagi ASD

KUALA LUMPUR 18 Jun - Amanah Saham Nasional (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd. (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 6.60 sen seunit bagi Amanah Saham Didik (ASD) bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2014. - UTUSAN ONLINE

TOP
Lelaki China seberat 247kg hirup udara segar

REMAJA berusia 20 tahun ini memiliki berat badan sehingga mencecah 247 kilogram.
SHENYANG, China - Seorang remaja, Hang Hang, 20, telah dibawa keluar dari pangsapurinya oleh sembilan anggota bomba selepas dia tidak keluar rumah selama tiga tahun disebabkan masalah berat badan, lapor portal berita MailOnline semalam. Hang Hang yang tinggal di sebuah pangsapuri di Shenyang di sini memiliki berat badan mencecah 247.66 kilogram (kg) telah diletakkan di atas sarung tilam dan diangkat oleh sembilan anggota bomba baru-baru ini. Remaja itu yang sangat menyukai makanan mengandungi kandungan gula yang tinggi sebagai menu harian berasa sangat gembira selepas dibawa keluar dari rumah. Dia dapat menikmati udara segar untuk kali pertama selepas 36 bulan berada di dalam rumah. Usaha-usaha untuk membawa remaja itu keluar telah diusahakan oleh sebuah akhbar tempatan melalui kempen khas bagi membantu Hang Hang menikmati udara segar. Menurut ibunya yang memberitahu media China, anaknya memiliki berat badan seberat 146kg semasa berusia 17 tahun. "Setiap kali waktu makan, dia mampu menghabiskan 10 keping penkek dan satu mangkuk besar bubur sayur-sayuran. Pada bulan lalu, seorang lelaki dari Mexico yang pernah diisytiharkan tergemuk di dunia meninggal dunia akibat masalah jantung pada usia 48 tahun. Lelaki itu, Manuel Uribe memiliki berat badan sehingga 552.47kg. - Agensi

TOP
Tentera Iraq lancar serangan balas

BEBERAPA orang penduduk berjalan meninggalkan wilayah Nineveh yang dilanda keganasan melintasi deretan kenderaan yang hangus semasa mereka menuju ke Al-Hamdaniyah, 76 kilometer dari barat wilayah Arbil, Kurdis semalam.
BAGHDAD - Perdana Menteri Iraq, Nouri al-Maliki semalam menyatakan bahawa kerajaan pimpinannya telah memulakan inisiatif untuk melakukan serangan balas. Kenyataan itu dibuat selepas pasukan pertahanan Iraq tewas dalam serangan militan-militan Sunah yang menganggotai Pasukan Negara Islam Iraq dan Syam (ISIL). Nouri yang memegang jawatan sebagai Perdana Menteri sejak tahun 2006 menyatakan menerusi ucapan di televisyen bahawa kehilangan sejumlah anggota pasukan pertahanannya pada minggu lalu telah berjaya membantu warganya kembali bersatu. "Kita mampu untuk menangani serangan dan melakukan penangkapan. "Kami kini telah memulakan serangan balas dan memulakan inisiatif serta melancarkan serangan," kata Nouri. Penilaian yang dibuat Nouri itu berlaku ketika tentera kerajaan menawan semula bahagian strategik berdekatan sempadan Syria yang ditawan ISIL pada Isnin lalu. Ia juga berlaku beberapa jam selepas ketua jurucakap tentera, Leftenan Jeneral Qassim Al-Moussawi berkata, tentera kerajaan menangkis satu serangan yang dilakukan para militan di loji penapisan minyak terbesar Iraq di Beiji yang terletak di utara negara ini. Menurutnya, seramai 40 orang anggota ISIL mati dalam pertempuran yang berlaku semalaman dan pada pagi semalam di kawasan tersebut. Dalam pada itu, Kementerian Luar India menyatakan, 40 pekerja negaranya telah diculik di Iraq. Jurucakap Kementerian Luar India, Syed Akbaruddin berkata, kerajaan gagal untuk menghubungi para pekerja terbabit. Kementerian Luar Turki pula menyatakan, para diplomat sedang menyiasat dakwaan para militan telah menculik 60 pekerja pembinaan termasuk 15 warga Turki dekat bandar Kirkuk, utara Iraq. Terdapat kira-kira 10,000 warga India bekerja dan tinggal di Iraq. - Agensi

TOP
Geng samun kedai 24 jam tumpas

MOHD. YUSOFF (kanan) menunjukkan komponen motosikal yang telah dileraikan oleh kumpulan penjenayah di IPD Sepang, Selangor semalam.
SEPANG 19 Jun - Polis berjaya menumpaskan satu sindiket samun kedai serbaneka 24 jam dan curi motosikal yang aktif di sekitar daerah ini, Banting, dan Nilai, Negeri Sembilan selepas menahan sembilan remaja dalam beberapa serbuan berasingan baru-baru ini. Ketua Polis Daerah, Supritendan Mohd. Yusoff Awang berkata, kesemua suspek yang ditahan terdiri daripada lapan lelaki dan seorang wanita berusia antara 16 tahun dan 19 tahun. Beliau berkata, siasatan juga mendapati salah seorang daripada remaja terbabit yang berusia 16 tahun merupakan ketua sindiket dan wanita yang ditahan ialah teman wanitanya. "Dalam serbuan pertama, pasukan penyiasat khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang telah berjaya menangkap ketua sindiket di Dataran Nilai pada pukul 12.30 tengah malam, 5 Jun lalu. "Selepas soal siasat dijalankan terhadap ketua sindiket berkenaan, polis berjaya menahan lapan lagi rakannya di beberapa lokasi berasingan," katanya dalam sidang akhbar di sini semalam. Menurut Mohd. Yusoff, kejayaan menumpaskan sindiket berkenaan adalah berdasarkan laporan yang dibuat oleh dua pemilik kedai serbaneka 24 jam yang telah disamun di Bandar Baru Salak Tinggi dan Sungai Pelek dekat sini. "Kes pertama adalah samun di kedai serbaneka 24 jam di Bandar Baru Salak Tinggi pada pukul 8.45 malam, 3 Jun lalu dan kes kedua pula samun di kedai serbaneka 24 jam di Sungai Pelek pada pada pukul 5 pagi, 4 Jun lalu. "Suspek berkenaan menggunakan parang untuk menyamun dan antara barangan yang dilarikan adalah wang tunai, rokok dan beberapa barangan lain, Kerugian dalam kedua-dua kes dianggarkan sebanyak RM1,000," katanya. Ujar Mohd. Yusoff lagi, berdasarkan pemerhatian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) terhadap pakaian dan kenderaan yang digunakan serta maklumat orang ramai, polis berjaya menahan suspek utama di Dataran Nilai sebelum tertangkapnya lapan suspek lain. "Hasil soal siasat, sindiket berkenaan bukan sahaja terlibat dalam kegiatan samun, malah terbabit dalam kegiatan mencuri motosikal di sekitar Sepang, Banting, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta Nilai. "Antara barang kes yang dirampas daripada sembilan suspek berkenaan adalah sebilah parang, 20 kotak rokok pelbagai jenis, lima buah motosikal, lapan kerangka motosikal, komponen motosikal dan juga pelbagai perkakas untuk meleraikan motosikal," katanya. Sementara itu kata Mohd. Yusoff, kesemua suspek kini sedang direman sehingga 20 Jun ini dan akan disiasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara selama 20 tahun atau sebatan serta mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana terlibat dalam curi kenderaan bermotor. - UTUSAN ONLINE

TOP
Panel solar RM2j lesap

INILAH lori kargo yang membawa muatan panel solar yang dilarikan penjenayah bersenjata parang di simpang lampu isyarat Kolej Nilai, Nilai, Negeri Sembilan semalam.
NILAI - Sebuah lori kargo yang membawa muatan panel solar seberat 3.8 tan bernilai RM2 juta disamun dua penjenayah bersenjata parang di simpang lampu isyarat Kolej Nilai di sini semalam. Kejadian pada pukul 7.50 pagi itu berlaku ketika lori tersebut dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang, Selangor menuju ke Melaka.

TOP
1,000 imam ditawar ke Mekah
mekah
PUTRAJAYA – Dua orang Tok Batin dan lapan guru pondok merupakan antara 1,000 imam serta Pengerusi Jawatankuasa Kampung Keselamatan dan Kemajuan Kampung yang terpilih untuk mengerjakan haji melalui Program Khas Haji Perdana Menteri-Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) 2014/1435H. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, program yang ditaja sepenuhnya oleh 1MDB melibatkan kos hampir RM10 juta itu diadakan bagi menghargai mereka yang dianggap tidak ternilai. Kos itu tidak termasuk subsidi khas yang diberikan oleh Lembaga Tabung Haji. Kos bagi seorang jemaah haji termasuk subsidi ialah RM16,000.

TOP
Fida nafi suka berhutang dan liat untuk membayar

FIGURA ini mengakui dirinya masih terbuka untuk cinta baharu.
NAMA Fida Ibrahim sukar dipisahkan daripada belenggu kisah kontroversi. Baik persengketaan dengan pengarah drama, begitu juga kisah sensasi berpakaian yang silap gaya. Terdahulu, naik turun hubungan cintanya dengan beberapa pelakon lelaki komedi antaranya, Zalif Sidek dan Mamat Sepah turut menarik perhatian
Fida bagaimanapun kemudian hilang seketika sehinggalah timbul pula kisah pelakon filem Man Sewel Datang KL itu didakwa telah berkahwin senyap-senyap di negara jiran sekitar hujung tahun lalu.
Terbaharu, Fida atau nama sebenarnya Rafidah Ibrahim, 28, dikatakan seorang artis yang suka berhutang dan liat untuk membayar kembali wang yang telah dipinjamkan.
Kosmo! mendapatkan penjelasan lanjut daripada penyanyi lagu Apo Kono Eh Jang itu sendiri berhubung dakwaan itu. Ikuti temu bual berikut.
Kosmo!: Timbul dakwaan terbaharu menyifatkan seorang artis bertudung suka berhutang, namun liat membayar semula wang yang telah dipinjam. Kemudian ada pula pihak yang mengaitkan dakwaan itu dengan Fida, benarkah?
FIDA: Saya tidak tahu-menahu tentang hal ini sebab tidak dinyatakan pula apakah jenis hutang itu. Kalau hutang wang, setakat ini semua individu yang terlibat akan maklumkan sendiri kepada saya. Malah, saya sendiri yang akan cari individu yang memberikan saya pinjaman wang (berhutang) untuk melangsaikannya, tidak kira cepat atau lambat.
Adakah anda menafikan dakwaan tersebut atau tidak?
Saya tidak berani cakap individu itu ialah saya atau tidak, sebab saya sendiri tidak tahu-menahu berkenaan perkara tersebut. Memanglah saya ada berhutang misalnya untuk membeli aset contohnya rumah atau kereta, tapi sampai sekarang saya tiada masalah lewat membayarnya. Jadi, saya boleh katakan saya tidak berhutang dengan mana-mana individu sehingga lewat membayar semula.
Selepas kontroversi demi kontroversi datang dalam hidup anda, apakah yang telah dipelajari sehingga kini?
Saya akui banyak kisah kurang enak melibatkan diri saya sebelum ini. Berkenaan lari daripada set penggambaran, kahwin senyap-senyap dan macam-macam lagi tapi Alhamdulillah, buat masa sekarang, saya lebih tenang hadapinya dan saya ambil nasihat daripada orang lama bahawa saya perlu banyak bersabar dan jangan cepat melatah.

FIDA kini muncul dengan lagu kolaborasinya bersama Qalam Band yang berjudul, Rintihan Kalbu.
Pastinya peminat ingin mengetahui perkembangan kisah peribadi Fida sendiri selepas hubungan dengan Zalif Sidek berakhir. Apakah komen anda?
Saya tidak bercinta dengan sesiapa buat masa sekarang kerana tidak cukup masa. Saya bercinta dengan kerja, menyanyi, berlakon dan bisnes. Hati saya masih terbuka untuk menerima cinta yang datang malah keluarga saya pun tidak menyekat pilihan saya tapi saya tidak rasa itu keutamaan saya sekarang. Tidak dinafikan ada lelaki yang cuba mendekati saya tapi saya tidak suka hubungan yang terlalu singkat, kalau kenal biarlah sampai berkahwin terus. Saya tidak fobia pun dengan kisah lama tapi saya anggap itu satu pengajaran dan pengalaman.
Bisnes apakah yang sedang diusahakan anda sekarang?
Saya terlibat dengan Persatuan Kontraktor Belia Selangor dan pada masa sama, Kelab Usahawan Selangor yang mengumpulkan selebriti yang minat berniaga.
Sepanjang berurusniaga, mana mungkin tiada lelaki cuba mendekati anda untuk hubungan yang lebih serius?
Saya tidak boleh membawa label saya sebagai seorang artis apabila dalam bidang bisnes. Malah, saya sendiri yang perlu turun padang untuk berurusan dengan pemilik syarikat-syarikat besar. Saya akui banyak godaan, malah ada yang mahu mengajak saya berkahwin tapi saya sendiri yang tidak membuka ruang untuk perkara itu. Kerja adalah kerja!
Apakah projek terkini anda?
Saya sedang sibuk mempromosikan single terbaharu saya bersama Qalam Band berjudul Rintihan Kalbu. Lagu itu sangat berkait rapat dengan kehidupan kita dan seperti semua orang pernah melalui fasa bercinta dan putus cinta, samalah seperti lirik lagu itu. Selepas ini saya akan merakamkan sebuah single solo ciptaan Ajai yang akan dilancarkan hujung tahun ini. Baru-baru ini saya selesai penggambaran telefilem Syukri Syukriana untuk tayangan Aidilfitri, selain bakal terlibat dengan penggambaran drama bersiri 26 episod berjudul Setulus Janji.

TOP
Malaysia Iktiraf Islam Sebagai Agama Rasmi Negara Ini - Dr Mahathir

Dr Mahathir Mohamad.
PUTRAJAYA: Malaysia hanya sebuah negara biasa yang mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi negara ini, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Bagaimanapun, beliau berkata, ini tidak bererti Malaysia adalah sebuah negara Islam atau sekular. "Kita mengisytiharkan negara kita sebagai negara Islam sebelum ini, tetapi ia tidak bererti bahawa kita perlu melakukan semua jenis perkara lain untuk menjadikan ia negara Islam. "Terdapat banyak negara Islam yang tidak mengisytiharkan mereka negara Islam dan mereka juga tidak mengamalkan pelbagai perkara yang sepatutnya ada kaitan dengan negara Islam," katanya kepada The Star. Beliau berkata demikian selepas berucap pada ceramah eksekutif di Ibu Pejabat Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di sini Rabu. Namun, Dr Mahathir berkata, ini juga tidak bermaksud Malaysia boleh dianggap sebagai negara sekular kerana ia tidak disebut di dalam Perlembagaan Persekutuan. "Kita tidak pernah berkata negara ini adalah negara sekular atau sebaliknya. Kita hanyalah sebuah negara biasa yang mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi negara ini dan kita mengamalkan perkara yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam," katanya. Empat hari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menegaskan Malaysia bukan negara sekular berdasarkan fakta sejarah penubuhan negara ini yang berasaskan kepada Kerajaan Islam Kesultanan Melayu. Sumber: BERNAMA

TOP
Petronas Pindahkan Pekerjanya Di Iraq Ke Dubai

KUALA LUMPUR - Petronas telah memindahkan 28 daripada 166 pekerjanya di Iraq ke Dubai berikutan keadaan keselamatan di negara itu sekarang. Menurut kenyataan syarikat minyak nasional itu daripada 28 pekerja tersebut, 18 adalah warga Malaysia. Bagaimanapun, 95 pekerja yang dikategorikan sebagai kakitangan kritikal masih berada di Iraq untuk menguruskan operasi dan semuanya berada dalam keadaan selamat. "Para pekerja yang masih tinggal sedang dalam proses untuk dipindahkan," menurut kenyataan itu lagi. Petronas sedang memantau situasi itu dengan teliti serta sentiasa berhubungan dengan Kementerian Luar Negeri dan Kedutaan Malaysia di Jordan. Syarikat itu juga telah mengenal pasti usaha-usaha mengurangkan kesannya dan bersedia mengambil segala langkah yang perlu sekiranya keadaan bertambah buruk. Petronas mempunyai kepentingan dalam empat medan minyak di Iraq iaitu Garraf, Majnoon, Badra dan Halfaya yang terletak di bahagian selatan dan timur Iraq. Sumber: BERNAMA

TOP
Chalet Haram Di Batu Ferringhi Di Roboh

GEORGETOWN – Kerajaan Pulau Pinang merobohkan sekurang-kurangnya 18 unit chalet yang beroperasi secara haram di Kampung Belacan, Batu Ferringhi di sini hari ini. Operasi lima jam bermula 10 pagi itu melibatkan 50 petugas Pejabat Tanah dan Galian negeri dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) yang tiba dengan dua jentolak, sebuah kren serta peralatan meroboh bangunan. Jurucakap Pejabat Tanah dan Galian Daerah Timur Laut berkata notis amaran telah beberapa kali dikeluarkan kepada empat pengendali chalet, mengarahkan mereka merobohkan bangunan yang dibina, atas tanah rizab kerajaan negeri itu. “Kami tiada pilihan, perbuatan mereka salah mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 dan mereka sebenarnya telah diberi tempoh mencukupi untuk mengosongkan tanah ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. Tinjauan mendapati bangunan chalet berdekatan pantai Ferringhi berkenaan diperbuat daripada konkrit dan kebanyakannya dibina kurang daripada setahun. Aisyah Bee Ismail, 58, berkata 12 unit chalet miliknya baru dibina tiga bulan lepas dengan kos RM280,000. “Tak sangka depa (mereka) betul-betul mai (datang) roboh chalet ini, sekarang mak cik tak tahu mana nak letak semua perabot dan perkasasan chalet ini,” katanya. Seorang lagi pemilik Zamil Md Sharif, 56, mendakwa beliau pernah memohon permit untuk mengusahakan dua chalet miliknya awal tahun lepas tetapi tidak menerima sebarang maklum balas MPPP. Pengarah Bahagian Pelesenan MPPP Azman Sirun ketika dihubungi berkata pihaknya tidak boleh mengeluarkan lesen kerana bangunan berkenaan tiada pelan selain tidak mendapat kebenaran tuan tanah untuk beroperasi. Sumber: BERNAMA

TOP
Akta Hasutan: Presiden Isma Akan Didakwa Esok

Abdullah Zaik Abdul Rahman.
PETALING JAYA: Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Abdullah Zaik Abdul Rahman akan didakwa kerana menghasut di Mahkamah Sesyen Kajang, pagi Khamis. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di laman web Isma, Abdullah Zaik berkata, beliau menerima waran polis dan akan hadir di mahkamah pada Khamis. Beliau akan didakwa dibawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan diwakili peguam Haezreena Begum Abdul Hamid. Dalam kenyataan bertarikh 6 Mei lalu, Abdullah Zaik berkata orang Cina datang ke negara ini bersama penjajah British sebagai 'penceroboh'. Banyak laporan polis dibuat ke atas Abdullah Zaik berhubung kenyataannya. Pengerusi Biro Perundangan Pemuda MCA, Choo Wei Sern membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi sehari selepas kenyataan tersebut dikeluarkan. "Kenyataan seperti itu boleh mencetuskan ketegangan kaum dan menjejaskan keamanan serta keharmonian di negara ini," kata Wei Sern. Sumber: mStar

TOP
Penoreh getah disyaki terbabit kegiatan militan ditahan di Kuala Kangsar

KUALA LUMPUR: Seorang penoreh getah, 25, yang disyaki terbabit dalam kegiatan militan ditahan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman di Kampung Kelebor, Kuala Kangsar, hari ini. Dalam serbuan yang dijalankan, polis juga turut merampas sepucuk senapang yang dipercayai digunakan semasa menjalani latihan militan Disember tahun lalu. Sumber: BH Online

TOP
40,568 murid pesakit dapat manfaat Sekolah Dalam Hospital

Muhyiddin Yassin beramah mesra dengan M. Aniq Bazli Shahri, 9, (kiri) ketika beliau melawat sekolah dalam hospital (SDH) di Hospital Selayang, semalam. Turut hadir Noorainee Abdul Rahman (kanan) dan Dr. S. Subramaniam (tiga, kanan). - BERNAMA
KUALA LUMPUR 18 Jun - Penubuhan Sekolah Dalam Hospital (SDH) di 10 buah hospital kerajaan di seluruh negara telah membolehkan sebanyak 40,568 murid pesakit menerima manfaat dalam tempoh dari Julai 2011 hingga Mac 2014. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebanyak tiga lagi SDH akan diwujudkan di Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak menjelang akhir tahun ini bagi memenuhi tanggungjawab menyediakan pendidikan kepada kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan. Bagaimanapun, beliau yang juga Menteri Pendidikan memberitahu, lebih banyak SDH perlu diwujudkan memandangkan statistik tahun 2012 sahaja menunjukkan jumlah pesakit yang berusia lima hingga 19 tahun di hospital-hospital kerajaan adalah melebihi 200,000 orang. "Ini menunjukkan bahawa kita perlu berusaha dengan lebih gigih untuk mewujudkan lebih banyak SDH secara berperingkat-peringkat di seluruh negara bagi memberi manfaat kepada lebih ramai pesakit murid," katanya ketika berucap merasmikan SDH Fasa 2 dan Fasa 3 di Hospital Selayang di sini hari ini. SDH yang ditubuhkan dalam Fasa 2 adalah Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Johor; Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh, Pahang; Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras, Kuala Lumpur dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan manakala SDH Fasa 3 adalah Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar, Johor; Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Selayang. Yang turut hadir isteri Timbalan Perdana Menteri yang juga Penaung Projek Hati Nurani: SDH, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam dan Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan. Menurut Muhyiddin, kerjasama erat antara Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan serta pertubuhan bukan kerajaan, Yayasan Nurul Yaqeen telah berjaya mengembangkan SDH yang pada asalnya bermula di Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang dan Hospital Serdang. "Ucapan terima kasih kepada Kementerian Kesihatan terutamanya Yang Berhormat Menteri Kesihatan di atas komitmen menyediakan ruang untuk SDH di bangunan-bangunan baharu hospital yang mempunyai kapasiti katil 500 buah atau lebih," katanya. Beliau berkata, kementeriannya juga akan mewujudkan pusat latihan khusus di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kota Bharu, Kelantan bagi melatih guru-guru SDH secara lebih tersusun dan komprehensif. Katanya, pendekatan berasaskan didik hibur yang digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di SDH serta suasana pembelajaran yang santai memberikan kesan positif terhadap proses pemulihan pesakit kanak-kanak. "SDH boleh dianggap sebagai terapi bagi pesakit kanak-kanak iaitu proses rawatan yang bukan bersifat farmaseutikal, sebaliknya menggunakan pendekatan psikologi, ini secara tidak langsung membantu menggalakkan proses pemulihan mereka," katanya.

TOP
Terpaksa Ikat Adik Guna Rantai Besi

RANTAU PANJANG – Sekali imbas, tindakan seorang kakak di Kampung Kuin Merah mengikat adik lelakinya dengan menggunakan rantai besi dilihat sebagai zalim. Namun, Rohani Abdul Rahman, 30, berkata, sekiranya dilepaskan, adik bongsunya, Muhamad Saiful Ridwan, 19, akan berkeliaran lari dan mengganggu penduduk di sini. Menurutnya, demam panas seterusnya sawan ketika berusia setahun menyebabkan perkembangan mentalnya terbantut. “Saya bukanlah zalim, saya terpaksa ikat dia kerana mengenangkan keselamatannya, ramai penduduk di sini marah saya sebab tidak jaga adik dengan baik. “Pernah sekali, dia lari ke arah jalan raya dan menahan lori yang sedang bergerak. Mujurlah pemandu lori sempat memberhentikan kenderaan,” katanya. Bukan itu sahaja katanya, Muhamad Saiful memeluk lori berkenaan dan enggan melepaskannya kerana dia beranggapan ia adalah lori permainannya. Hanya selepas dipujuk suami, Anuar Mohamad, 38, barulah dia melepaskan lori berkenaan. Rohani berkata, setelah ibu, kakak dan abang sulung meninggal dunia, tanggungjawab memelihara Muhamad Saiful terletak di bahunya bersama adik perempuan yang lain. “Saya tidak pernah melayan adik saya seolah-olah saya ini ibu tiri yang jahat, tetapi kasih sayang saya kepadanya umpama memelihara anak sendiri,” katanya. Rohani yang juga suri rumah, terpaksa bergantung harap kepada gaji suami sebagai buruh malah masih menyara empat anak yang masih kecil. Buat masa ini Rohani berkata, dia tidak mampu membawa Muhamad Saiful untuk menjalani pemeriksaan atau memohon bantuan kebajikan. “Dia suka cakar anak-anak saya dan adik perempuan yang lain. “Nak mandikan dia jangan cakaplah, payah sangat. Inikan pula nak bawa dia ke hospital atau Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya. Sumber: Sinar Online

TOP
Diana Danielle belum bersedia bawak anak bertemu nenek

ANAK Farid Kamil dan Diana Danielle yang bernama Muhammad sudah pun hampir berusia satu tahun. Memang comel sangat-sangat Muhammad ini. Macam muka si emaknya. Putih pun putih. Kecik-kecik lagi dah nampak kehenseman, besar nanti confirm boleh jadi hero filem Malaysia. Kalau David Teo ada lagi masa tue, confirm dah kena sign kontrak awal-awal. Umum mengetahui krisis yang sedang melanda antara Farid Kamil, Diana Danielle dan ibu Diana Danielle. Oleh kerana krisis tersebut, sehingga ke hari ini, Muhammad masih belum bertemu dengan neneknya. Sedih memang sedih, namun menurut Farid Kamil, Diana Danielle sendiri masih belum bersedia untuk bertemu dengan ibunya. Kata Farid menerusi Harian Metro:-
Sebenarnya, saya tidak ada masalah untuk membawa Muhammad bertemu dengan neneknya. Malah, saya ada berbincang dengan Diana mengenai perkara itu, namun Diana sendiri memberitahu dia belum bersedia untuk berjumpa dengan ibunya itu. Insya-Allah, kalau ada rezeki pasti Muhammad akan bertemu juga dengan neneknya nanti.

Penulis yakin pasti akan ada jalan penyelesaian untuk krisis mereka bertiga ini. Agak sedih juga jika Muhammad tidak mendapat kasih sayang seorang nenek. Nenek kalau jaga cucunya, memang lain macam sikit. Pastinya Farid Kamil dan Diana Danielle tahu yang terbaik untuk anak mereka, sama-samalah kita doakan agar keputusan terbaik dapat dicapai kelak. Sumber: NewMalaysianPost.com / Harian Metro

TOP
Perbendaharaan nafi kutipan LHDN untuk beli saham, bon

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan hari ini menafikan laporan bahawa cukai yang dikutip oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan digunakan untuk melabur dalam saham atau bon. Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, berkata pihak kementerian hanya mahu LHDN mampu berdikari dengan memberikan fi agensi untuk mengurus kos operasi. "Sebagai contoh, selepas perbelanjaan seperti pembayaran bonus, ia boleh menyimpan semua simpanan dalam deposit tetap sebagai pelaburan," katanya selepas menghadiri Sidang Kemuncak CFO 2014 di sini hari ini. Beliau berkata demikian semasa ditanya pemberita mengenai kontroversi pembentangan rang undang-undang mengenai cadangan pindaan kepada LHDN Malaysia 1995 [Akta 533]. "Cadangan rang undang-undang itu bertujuan memberikan LHDN fleksibiliti untuk menyediakan skim gaji dan mengambil pekerjanya sendiri, yang akan meningkatkan produktiviti dan kecekapan," katanya. Merujuk Singapura dan Kanada sebagai contoh, beliau berkata LHDN negara berkenaan berdikari dan menyumbang kepada peningkatan produktiviti selain kutipan cukai juga tinggi. Katanya, pihak berkuasa mengkaji menawarkan 1.5 peratus daripada cukai yang dikutip sebagai fi agensi kepada LHDN, namun cadangan itu belum dimuktamadkan. "Angka itu diperoleh daripada hasil yang dikutip LHDN sejak 10 tahun lepas, dan perbelanjaan operasinya dalam tempoh itu," katanya. Semalam, Kementerian Kewangan berkata kerajaan menangguhkan pembentangan rang undang-undang itu yang dijadual pada minggu ini ke sesi Parlimen akan datang, pada Oktober, bagi membolehkan semakan lanjut dibuat. Sumber: BERNAMA

TOP
GAMBAR: Bas Rapid Kuantan Tertusuk Rel Penghadang Jalan

KUANTAN: Petang Khamis, Sebuah Bas Rapid Kuantan telah merempuh satu rel penghadang jalan sehingga menembusi bas tersebut. Kejadian berlaku di Kilometer 4 Jalan Pekan-Kuantan. Kemalangan tersebut berpunca daripada tayar kiri bas tersebut tiba-tiba pecah lalu terbabas ke kiri jalan. Menurut laporan Harian Metro, Pegawai Bomba Kanan ll, Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas, Rosli Daud berkata "Pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 3.45 petang tadi sebelum mengerahkan empat anggota dan sebuah jentera ke tempat kejadian." Bagaimanapun kesemua mangsa telah dibawa keluar oleh orang ramai dan dihantar ke HTAA untuk rawatan susulan. Dalam kejadian tersebut, seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Mat Kilau, Rasydan Hakimi Saari, 13 yang berada dalam bas berkenaan ketika itu telah mengalami kecederaan akibat tertusuk rel tersebut telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan dan dirawat di ke Unit Kecemasan (ICU).

TOP
Video: Cara Meletak Kenderaan yang Boleh Meragut Nyawa Orang Lain

Bila manusia tidak menggunakan otak sebaik mungkin. Seorang pemandu dengan tidak rasa bersalahnya telah parking kenderaan tepat-tepat di laluan keluar trak bomba dalam kawasan Balai Bomba dan Penyelamat, Tuaran. Sedangkan meletak kenderaan di hadapan pili bomba sudah pun menjadi kesalahan kerana boleh mengganggu kerja-kerja memadam kebakaran inikan pula di laluan keluar trak bomba untuk menjalankan tugas apabila terdapat panggilan kecemasan yang dihalangnya.

TOP
Jom Nikah Free!

Kepada bujang-bujang di luar sana jangan lepaskan peluang ini. Jom Nikah Free - Kursus Perkahwinan Percumaan bagi sesi November anjuran Kerajaan Negeri Selangor. Buat penggilan dengan kadar segera kerana ia terhad kepada 30 pasangan sahaja.

Lokasi: Masjid Al Azim Pandan Indah, Selangor Darul Ehsan.
Tarikh: 29 November 2014
Masa: 9.00 pagi
Hubungi:
03-42932627
019-3094340
017-3915404
017-6257566
Tarikh tutup penyertaan ialah 4 Ogos 2014

No comments:

Post a Comment