Saturday, June 7, 2014
Berita Terkini 07 June 2014
TOP
Kejutan Setiap Hari Petua Bahagia Izzue & Isteri
PETALING JAYA – Pelakon Izzue Islam memberitahu dia menghangatkan rumah tangga selepas berkahwin dengan Nurinafilah Waharudin (Awin), 32, dengan cara memberi kejutan kepada isterinya itu pada setiap hari. Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, 24, berkata, kejutan yang diberikan itu bukanlah berbentuk pemberian barangan tetapi lebih kepada perbuatan agar masing-masing akan berasa dihargai. “Saya percaya setiap pasangan mempunyai cara tersendiri untuk menghangatkan rumah tangga mereka. Saya pula lebih suka memberi kejutan seperti mencium dahi isteri ketika bangun pagi. “Walaupun kecil perbuatan itu, isteri semestinya akan berasa dihargai. Begitu juga dengan Awin, ada saja kejutan yang dia lakukan untuk saya. Keadaan itu membuatkan kami berasa seronok dan lebih memerlukan antara satu sama lain,” katanya kepada mStar Online. Tambah anggota kumpulan Forteen ini, walaupun sudah lima tahun berkenalan sebelum mendirikan rumah tangga, sehingga kini mereka yang meraikan ulang tahun perkahwinan pertama pada 2 Jun lalu masih lagi berasa seperti sepasang kekasih yang baharu menjalinkan hubungan cinta. Kata Izzue, dia telah menghadiahkan Awin sebuah jam tangan semepna ulang tahun itu dan tidak sangka pula isterinya itu turut memberikan hadiah serupa kepadanya. “Memandangkan sekarang ini saya sibuk dengan persiapan pementasan teater Projek Kahwin, jadi saya tidak ada masa nak cari hadiah untuk diberikan kepada isteri. “Kebetulan pula saya mempunyai sedikit masa waktu rehat, jadi saya terus beli jam tangan untuknya kerana dia pernah meluahkan hasrat mahu beli jam tangan baru. “Tak sangka pula dia pun menghadiahkan barangan sama kepada saya. Apa-apapun saya bersyukur kerana sudah setahun kami melayari bahtera sebagai pasangan suami isteri. Doakan kami sehingga akhir hayat Insya-Allah,” ujarnya. Sementara itu, lakonan Izzue boleh disaksikan menerusi pementasan teater muzikal Projek Kahwin yang dipentaskan pada 6 hingga 14 Jun ini di Panggung Sari, Istana Budaya. Sumber: mStar
TOP
Johan As’ari Akan Bersikap Professional Dengan Nabila
PETALING JAYA – Pelakon Johan As’ari bersedia dan akan belajar bersikap profesional untuk digandingkan bersama pelakon Nabila Huda selepas mereka putus cinta. Johan, 28, berkata, dia menerima tawaran drama berjudul Udin Glamor Balik Kampung bagi musim kedua di RTM itu selepas Nabila terlebih dahulu bersetuju untuk digandingan dengannya. “Saya yakin tiada masalah untuk kami digandingkan sekali lagi apabila drama tersebut mendapat rating yang tinggi pada musim pertama dahulu. “Saya terima tawaran ini selepas Nabila sendiri bersetuju digandingkan dengan saya dan saya akan belajar untuk bersikap profesional ketika bekerjasama nanti,” katanya kepada mStar Online. Tambah Johan, selama ini hubungannya dengan pelakon wanita itu tiada masalah dan dia ada berhubung untuk bertanya khabar. Malah dia juga masih berkawan rapat dengan wanita-wanita yang sebelum ini pernah dikaitkan bercinta dengannya. “Saya baik juga dengan Fasha Sandha dan Shila Amzah terutama apabila mereka mengenali keluarga saya dan pada majlis Anugerah Bintang Popular 2013 baru-baru ini saya ada bertegur sapa dengan Izreen Azminda,” katanya.
Nabila Huda
Dalam pada itu, Johan mengakui kegagalan hubungan percintaan yang dilalui banyak memberi pengajaran dan mematangkan dirinya sebagai seorang lelaki. Pelakon Juvana ini pernah dikaitkan bercinta dengan beberapa selebriti seperti Nabila HUda, Izreen Azminda, Shila Amzah, Fasha Sandha dan terbaharu Lana Nordin. Sementara itu, ditanya sama ada kontroversi yang dilalui terutamanya ketika berpisah dengan Lana Nordin menjejaskan kerjayanya sebagai pelakon, Johan berkata rezekinya masih sama seperti dahulu. “Saya percaya rezeki adalah daripada Allah dan Alhamdulillah, setakat ini ia masih sama seperti sebelum berlaku kontroversi cuma mungkin banyak produk saya yang belum keluar,” katanya. Dalam pada itu, Johan turut mengulas tentang syarikat pengurusannya iaitu Wire Fame yang kini bermasalah dan menganggap dia masih ingin bernaung di bawah pengurusan tersebut. Dia juga tidak mempunyai sebarang masalah dengan pihak pengurusan tersebut malah berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan selama ini. “Saya sudah tiga tahun bersama Wire Fame dan tidak ada masalah, jika berlaku masalah sekalipun kami akan selesaikan secara baik. “Bagi saya syarikat pengurusan itu sentiasa menyokong kerjaya saya dengan baik dan saya akan terus bersama mereka,” katanya. WFE merupakan syarikat milik bersama pelakon dan pelawak Zizan Razak dan bekas pengurusnya, Marina Juki yang dikatakan kini sudah tidak lagi sehaluan. Bercakap tentang filem Juvana 2, filem ini mengisahkan bagaimana Daim (Zahiril Adzim), Botak (Johan) dan Ayam (Adam Shah) cuba menyesuaikan diri mereka di dalam masyarakat. “Cabaran kali ini apabila saya berlakon dengan barisan pelakon hebat dan akan bermain dengan emosi dan konflik. “Apa yang menarik untuk filem kali ini ialah babak pergaduhan antara Daim dan Botak”, katanya. Sumber: mStar Online
TOP
Tiga sekeluarga maut kemalangan
Keadaan kereta Proton Wira yang remuk selepas terbabit kemalangan. Gambar kecil Yuzairie dan Hafiza.
TANAH MERAH - Tiga sekeluarga termasuk bayi berusia 10 bulan dan ibunya yang hamil tujuh bulan maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 54.5, Jalan Kota Bharu-Machang Gerik, dekat sini, semalam. Pada kejadian kira-kira jam 5 petang, pemandu kereta Proton Wira terbabit, Yuzairie Mohd Yusof, 30, dan anaknya, Yus Ammar Zafril, 10 bulan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala isteri Yuzairie, Hafiza Ab Halim, 32, mati di Hospital Tanah Merah. Tiga lagi penumpang kereta itu, Yus Izham Hakimi, 5, Yus Azmira Najwa, 9, dan emak saudara mangsa, Rogayah Makhtar, 55, bagaimana pun hanya cedera. Sepupu Yuzairie, Surian Mohd Ghazali, 35, berkata, sepupunya itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Gelang, Pasir Puteh selepas menghadiri kenduri kesyukuran adiknya, Yus Azaliezie, 23, di Kampung Legeh, Ayer Lanas, dekat Jeli. “Kami datang lima buah kereta tetapi dia (Yuszairie) balik dulu manakala saya pergi ke Pasir Mas. Saya dapat tahu mengenai kejadian ketika dalam perjalanan balik dari Pasir Mas,” katanya, semalam. Yus Azaliezie pula berkata, dia tidak menyangka perubahan abang sulungnya itu daripada seorang yang peramah kepada pendiam menjadi petanda kejadian buruk akan menimpanya. “Dia tak bercakap apa-apa, malah tak masuk dalam rumah dan hanya datang makan sahaja. Sebelum ini dia rapat dengan saya dan suka bercakap bila kami berjumpa,” katanya. Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Asisten Superintendan Mohd Fadzir Manap mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kereta dinaiki mangsa memasuki lorong kanan jalan sebelum bertembung di bahagian sisi kanan sebuah Proton Waja dan bahagian hadapan pacuan empat roda Toyota Fortuner. “Kejadian menyebabkan pemandu Proton Wira dan seorang bayi meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penumpang yang hamil tujuh bulan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Tanah Merah. “Bayi dalam kandungan juga disahkan meninggal dunia,” katanya. Sumber: Sinar Online
TOP
Nik Aziz Tunggu Penjelasan Kit Siang
KOTA BHARU – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan hudud punca kekalahan DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan daripada penasihat parti itu, Lim Kit Siang yang akan menemuinya Sabtu depan. Menurutnya, beliau tidak boleh mengulas isu berkenaan sebelum mendapatkan penjelasan mengenainya daripada Kit Siang. “Kit Siang akan datang Sabtu ini, jadi kita tunggu hari itu. Saya tak boleh sebut (jawab) hari ini (semalam) kerana dia (Kit Siang) hendak datang Sabtu ini,” katanya kepada media selepas menyampaikan Kuliah Jumaat di Dataran Ilmu di sini, semalam. Nik Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Puchong (DAP), Gobind Singh Deo yang menyifatkan isu pelaksanaan undang-undang Islam oleh Pas yang juga komponen dalam Pakatan Rakyat, sebagai faktor Dyana Sofya Mohd Daud tewas dalam PRK Teluk Intan hujung Mei lalu. Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah sebelum ini menyangkal dakwaan tersebut dan menasihatkan DAP agar mengakui kesilapan sendiri dan tidak meletakkan kesalahan pada orang lain. Menurutnya, pemilihan Dyana Sofya yang merupakan orang Melayu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengundi Cina menyebabkan berlaku undi protes dengan tidak mengundi DAP. Keputusan PRK Teluk Intan menyaksikan Dyana Sofya tewas kepada calon Barisan Nasional, Datuk Mah Siew Keong dengan majoriti 238 selepas memperoleh 19, 919 undi. PRK Teluk Intan diadakan selepas kematian Seah Leong Peng (DAP) akibat barah 1 Mei lalu. Sumber: Sinar Online
TOP
Polis buru bapa cabul anak kandung
SABAK BERNAM – Seorang pemandu lori bakal berhadapan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan jika didapati bersalah mencabul anak kandungnya berusia sembilan tahun, awal tahun ini. Perbuatan tidak senonoh pada Januari lalu itu dilakukan sebanyak dua kali iaitu di sebuah pondok dan di rumah ibu mangsa. Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Muhammad berkata, suspek yang tinggal berasingan dengan isterinya sejak November lalu melakukan perbuatan terkutuk berkenaan di sebuah pondok berhampiran rumah mangsa. Menurutnya, dalam kejadian itu, suspek, 39, yang selalu berkunjung ke rumah isterinya itu membawa mangsa ke sebuah pondok dan dibogelkan sebelum menyuruh mangsa memegang kemaluannya. “Mangsa yang jijik dengan perangai bapanya itu enggan melakukan apa yang disuruh. Bagaimanapun, suspek bertindak hilang akal dengan mencabul kehormatan kanak-kanak terbabit,” katanya. Noor Mushar berkata, suspek yang hilang kewarasan dengan perbuatan dosanya itu sekali lagi melakukan perbuatan serupa di sebuah bilik sewaktu isterinya yang bekerja sebagai pembantu kedai tiada di rumah. Bagaimanapun, katanya, perbuatan durjana suspek itu akhirnya terbongkar Rabu lalu setelah ibunya mengesyaki sesuatu terjadi pada anaknya selepas kerap kali melihat mangsa suka termenung bersendirian. “Ibu mangsa yang menegur anaknya itu terkejut selepas mangsa memberitahu dia dicabul bapanya sebanyak dua kali dalam kejadian berasingan,” katanya. Noor Mushar memberitahu, berang dan kecewa dengan perangai suaminya kerana tergamak menodai anak kandung sendiri kemudiannya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam. Beliau berkata, polis masih menggiatkan usaha memburu dan mengesan lokasi lelaki itu berada bagi membantu polis menjalankan siasatan lanjut berhubung kes cabul terbabit. Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan. Sumber: Sinar Online
TOP
Shamsul Ghau Ghau Jadi Deejay KLFM
Shamsul kini bergelar deejay KLFM
PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak Shamsul Ghau Ghau akan melebarkan karier seninya dalam bidang penyiaran selepas mendapat tawaran bertugas sebagai penyampai radio (deejay) stesen KLFM. Shamsul atau nama sebenarnya Shamsul Shamsul Azahar Aliddin, 46, berkata, dia belum menandatangani sebarang kontrak lagi namun sudah menjalani latihan pengendalian radio sejak minggu lalu selama sebulan. "Selepas ditawarkan menjadi deejay KLFM, saya rasa ini adalah rezeki buat keluarga. Ye lah, sampai bila kita nak sibuk dengan penggambaran pagi hingga malam sampaikan kita tidak sempat meluangkan masa bersama keluarga. "Memandangkan saya tidak berpengalaman menjadi deejay, maka saya diberi tempoh percubaan selama sebulan. Alhamdulillah, saya semakin serasi dengan dunia penyiaran radio. "Mungkin ada yang bertanya kenapa tidak ke arah radio-radio yang lebih popular? Saya rasa jika kita ada peminat, mereka akan mengikuti kita di mana-mana sahaja tidak kira sama ada radio tersebut popular atau tidak," katanya kepada mStar Online. Bagaimanapun tambah Shamsul, dia masih lagi mengambil tawaran berlakon seperti biasa, sekiranya jadual penggambaran tidak bertindih dengan masa kerja di radio. Dalam pada itu, Shamsul berkata, sepanjang 20 tahun terlibat dalam dunia seni sudah tiba masanya untuk dia mengutamakan keluarga memandangkan sebelum ini dia sering terlepas melihat perkembangan anak-anaknya iaitu Megat Ummar Azhar, 9, Puteri Qaseh Batrysha, 4, dan Megat Ammar Azahar yang berusia sembilan bulan. "Pernah sekali saya sibuk dengan penggambaran selama sebulan dan apabila pulang ke rumah, saya lihat anak saya sudah boleh merangkak. Saya terlepas melihat mereka membesar kerana kesibukan kerja. Ia membuatkan saya ralat seketika. "Sebab itu kali ini, apabila mempunyai kerja tetap, selain mendapat gaji bulanan hasil menjadi duta produk kesihatan Walid Gold yang sudah masuk tahun ketiga, saya mahu melihat anak-anak membesar di depan mata saya sendiri," ujarnya yang sudahpun mengerjakan haji. Sumber: mStar
TOP
25 Tahun Jalan Secara Mengundur Di India
New Delhi – Seorang lelaki yang berjalan secara mengundur sejak 25 tahun lalu dalam usaha untuk membantu mewujudkan keamanan di seluruh dunia kini sudah lupa untuk berjalan ke depan. Mani Manithan memilih untuk berjalan secara berundur pada 1989 kerana membantah keganasan yang berlaku di India. Dia bertegas menyatakan, rutin luar biasa itu tidak mengganggu kehidupan sehariannya kerana selepas 25 tahun, dia telah mahir dengan berjalan seperti itu, termasuk menaiki tangga, menyeberang jalan dan ketika menggunakan kenderaan awam. Bagaimanapun, menurut pemilik sebuah kedai telefon bimbit di daerah Tiruppatur, Tamil Nadu itu, dia sudah lupa cara berjalan ke depan. “Berjalan seperti orang biasa kini menjadi cabaran kepada saya. Jiwa saya sudah lupa cara untuk melakukannya. Saya lebih selesa jalan berundur. “Kehidupan saya penuh dengan perjuangan, pengorbanan, pencapaian dan bantahan. Kerana itu, saya tidak ada masalah untuk meneruskan kehidupan dengan berjalan gostan sehingga dunia ini aman sepenuhnya,” katanya. Dia pernah berjalan secara berundur sejauh 480 kilometer di Chennai dalam keadaan berbogel.
Sumber: Harian Metro
TOP
Suspek Tembak Mati Tiga Polis Ditahan
Moncton – Lelaki yang disyaki menyebabkan kematian tiga anggota Polis Diraja Kanada (RCMP) dan mencederakan dua lagi dalam kejadian berbalas tembak di timur Kanada berjaya ditahan awal semalam, kata polis. Justin Bourque ditahan sekitar jam 12.30 pagi, kata jurucakap RCMP, Paul Greene. Pihak berkuasa mengenalpasti Justin, 24 sebagai suspek selepas kejadian berbalas tembak Rabu lalu di bahagian barat laut bandar berkenaan. Serangan ke atas polis yang turut digelar Mountie itu adalah yang terburuk sejak hampir sedekad lalu. Seorang penduduk, Michelle Thibodeau berkata dia ternampak lelaki dari Moncton itu ditahan di depan laman rumahnya. Michelle, 21, berkata dia terdengar suspek berkata, “saya menyerah,” sebelum ditahan pegawai polis bersenjata. Bandar Kanada dengan 60,400 penduduk itu yang biasanya tenang kini diselubungi ketakutan dan penduduk mengunci diri dan berkumpul di rumah sementara Mounties giat melakukan rondaan di jalan-jalan. Motif tembakan masih belum diketahui.
Jiran suspek menggambarkan beliau sebagai lelaki yang suka menyendiri, suka mengumpul senjata dan gemar memburu burung dan rusa. “Dia tidak pernah terlepas satu musim pun,” kata Kerry Fitzpatrick, yang tinggal setengah blok dari tempat tinggal Bourque dan berada di rumah ketika dia terdengar bunyi tembakan. “Dia hilang pertimbangan. Lelaki itu hilang pertimbangan,” kata Fitzpatrick. Bourque yang lengkap dengan senjata api lama berkuasa tinggi, dikesan tiga kali Khamis lalu namun masih mampu melepaskan diri dihidu polis yang menutup bandar yang terletak kira-kira 290 kilometer di timur sempadan Maine. Polis masih belum mengesahkan identiti tiga pegawai yang terbunuh malam Rabu lalu selepas menerima panggilan mengenai lelaki bersenjata. Dua lagi pegawai yang cedera juga masih dirahsiakan. Sumber: AP
TOP
Banduan Lari Tunai Janji Kembali Ke Penjara
Geneva – Seorang pembunuh berketurunan Perancis yang berjanji menyerah diri semula dalam masa beberapa hari selepas melarikan diri daripada penjara di Switzerland, menunaikan janji yang ditulisnya dalam sepucuk surat, kata pihak berkuasa. Lelaki berusia 38 tahun itu, yang menjalani hukuman 15 tahun penjara kerana membunuh seorang pelacur, mencetuskan usaha mencari besar-besaran apabila beliau tidak kembali Ahad lalu selepas menghabiskan masa seharian bekerja di luar penjara itu. Dalam surat yang dialamatkan kepada ibunya, beliau memberitahu perlu bebas selama empat atau lima hari dan berjanji menyerah diri sebaik puas ‘menyedut udara’. “Saya akan berkelakuan baik ketika di luar,” janjinya dalam surat itu. Memegang kepada janji itu, beliau kembali ke penjara lewat kelmarin, kata pihak berkuasa Geneva dalam satu kenyataan. “Seperti yang dijanjikan sebelum itu, beliau kembali ke penjara selepas gagal berbuat demikian empat malam lalu,” menurut kenyataan itu. Pembebasan awal bersyarat lelaki terbabit, yang didapati bersalah pada 2005 menikam mangsa 110 kali, ditolak Mac lalu. Berikutan tindakan itu, beliau akan dipindahkan ke penjara tertutup, tetapi hukumannya yang dijangka berakhir pada 2019, tidak akan dipanjangkan, kata pihak berkuasa. Sumber: AFP
TOP
Kadar Parkir KLIA2 Kekal RM46 – Syarikat
KUALA LUMPUR – Pihak pengurusan tempat letak kereta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), Segi Astana Sdn Bhd, tidak berhasrat untuk menurunkan kadar bayaran meletak kereta dalam masa terdekat memandangkan tempoh operasinya masih baru. Pegawai Perhubungan Awamnya, Ellice Ng, berkata kadar bayaran itu sememangnya berpatutan dengan perkhidmatan yang ditawarkan pihaknya berbanding caj yang dikenakan di tempat meletak kereta LCCT sebelum ini. “Kadar bayaran meletak kereta di klia2 dan LCCT masing-masing adalah RM46 dan RM40.50 sehari. Jika hendak dibandingkan dengan kadar bayaran di kedua-dua tempat, perbezaan kosnya sangat minimal. “Ini disebabkan pihak kami juga telah meningkatkan pelbagai kemudahan seperti kawalan sekuriti 24 jam, tempat meletak kereta berbumbung dan berpagar, ‘servis buggy’, dan ruangan kapasiti sebanyak 5,690 petak tempat meletak kereta disediakan untuk keselesaan para pengunjung,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. Ng berkata, tempat meletak kereta lapan tingkat itu sentiasa penuh pada setiap hujung minggu serta cuti umum dan ini membuktikan ia mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung. “Bagaimanapun, pihak kami akan terus mendapatkan maklum balas daripada pengunjung untuk melakukan penambahbaikan pada masa akan datang,” katanya. Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Azmi Murad, berkata tempat meletak kereta alternatif disediakan bagi mereka yang mahukan kadar bayaran lebih rendah iaitu di Long-term Car Park (LTCP) yang terletak di Jalan KLIA1. “Terdapat 6,000 petak dengan kadar bayaran sebanyak RM2.50 bagi setiap jam atau RM32 untuk satu hari. “Namun, pengunjung perlu menaiki bas ulang-alik yang disediakan secara percuma pada setiap 15 minit untuk ke terminal kerana jarak perjalanannya agak jauh iaitu kira-kira 7 kilometer dari LTCP,” katanya. Sumber: Bernama
TOP
Pemandu Syarikat Perladangan Dirompak Hampir RM1j
TAWAU – Sebuah syarikat perladangan kerugian RM835,603 selepas pemandunya dirompak dua lelaki berhampiran sebuah bank di Fajar, di sini semalam. Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Supt Keong Ho Eng, berkata ketika kejadian kira-kira 11.10 pagi, pemandu berusia 39 tahun itu diarah mengambil wang tunai untuk dihantar ke lokasi lain oleh kerani syarikat berkenaan yang telah mengeluarkan wang tunai itu dari sebuah bank. Beliau berkata, setelah pemandu itu mengambil beg berisi wang tunai RM835,603 daripada kerani itu, dia terus meletakkan duit berkenaan di tempat duduk belakang kereta. “Pada masa itu, datang dua lelaki memakai topi besbol dan membawa senjata dipercayai sebatang besi yang tiba-tiba masuk ke dalam kereta lalu mengarahkan pemandu itu supaya memandu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Keong berkata, pemandu itu kemudian diarah menuju ke jalan Sekolah Menengah Kebangsaan Tawau sebelum diikat dan ditinggalkan di kawasan tersebut. “Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup kedua-dua suspek itu didapati berada 20 minit di kawasan kejadian,” katanya. Sumber: Bernama
TOP
Pelajar Maut Terperangkap Dalam Kebakaran
IPOH – Seorang penuntut lelaki sebuah pusat pengajian tinggi swasta ditemui mati selepas terperangkap dalam kebakaran di sebuah kedai runcit di Jalan Kempas 3 B, Proton City dekat Tanjung Malim di sini malam tadi. Dalam kejadian 9.15 malam, mangsa R Aris Muniandy, 20, ditemui terbaring dalam tandas di kedai runcit berkenaan. Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim, Abdul Jamil Mowplause, berkata pihaknya terpaksa memecahkan pintu belakang kedai berkenaan untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap di dalam stor. “Mangsa tidak dapat menyelamatkan diri kerana api marak di bahagian hadapan kedai dan menyukarkannya membuka pintu stor berkenaan manakala pintu belakang kedai terkunci,” katanya ketika dihubungi di sini. Katanya, mayat mangsa ditemui tidak rentung dan kemungkinan mangsa mati disebabkan sesak nafas kerana terhidu asap tebal. “Bapa saudaranya yang turut berada di dalam kedai itu menyelamatkan diri melalui pintu hadapan,” katanya. Abdul Jamil berkata, mangsa yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan dipercayai datang ke kedai runcit milik seorang lagi bapa saudaranya itu untuk membantu sementara cuti semester. Beliau berkata, kebakaran itu menyebabkan 90 peratus kedai berkenaan musnah dan api dapat dikawal 20 minit selepas kejadian. “Kedai runcit itu terletak di bahagian bawah rumah kedai dua tingkat, namun kebakaran tidak merebak ke kedai-kedai yang lain,” katanya. Tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim, Slim River dan Proton City dikerahkan ke tempat kejadian, katanya. Sumber: Bernama
TOP
Isu Cadbury: ‘Hanya KP Jakim Ada Kuasa Jawab’
KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini enggan mengulas lanjut bersabit laporan polis oleh beberapa badan NGO berkaitan isu coklat Cadbury baru-baru ini. Timbalan Ketua Pengarahnya, Datuk Razali Shahabudin sebaliknya berkata, isu berbangkit mengenai DNA babi dalam coklat Cadbury hanya boleh diulas oleh Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha. “Saya tidak boleh komen perkara tersebut, ketua pengarah sahaja yang ada kuasa. “Mintak maaf, saya memang tiada kuasa untuk menjelaskan perkara tersebut,” katanya kepada pemberita selepas melepaskan peserta Konvoi Amal MyGMJ (Global March to Jerusalem) di Masjid Wilayah Persekutuan, hari ini. Rabu lalu, beberapa badan NGO Melayu yang diketuai oleh Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) telah membuat satu laporan polis terhadap Jakim dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkaitan percanggahan hukum terhadap dua coklat tersebut. Oleh itu, satu laporan polis telah dibuat oleh Presiden MJMM, Abdul Rani Kulup Abdullah, di Balai Polis Dang Wangi bagi mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Jakim dan KKM. Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan adanya DNA babi (porcine) dalam dua produk coklat susu Cadbury Dairy Milk. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bagaimanapun kemudiannya mengumumkan tiada DNA babi dikesan dalam dua produk coklat Cadbury berkenaan. Pengumuman dibuat selepas ujian dijalankan oleh Jabatan Kimia ke atas sampel yang diambil dari kilang. Namun pengumuman yang dibuat oleh Jamil Khir itu masih menimbulkan was-was di kalangan pengguna berkenaan status coklat Cadbury. Sumber: Sinar Online
TOP
VIDEO: Kenderaan Dilarikan Akibat Tidak Matikan Enjin
Paparan video ini menunjukkan sebuah kereta telah dilarikan di sebuah stesen minyak oleh penunggang motosikal. Berdasarkan pemerhatian daripada video ini ia menunjukkan yang pemilik kenderaan tersebut tidak mematikan engin keretanya ketika ditinggalkan untuk buat pembayaran pada kaunter stensen minyak. Kejadian ini telah dirakamkan di Taman Impian Emas, Skudai, Johor. Walaubagaimanapun belum diketahui samada kenderaan tersebut sudah dijumpai ataupun tidak.
Sumber Video: Malaysian Crime Awareness Campaign
TOP
LPHJ Beri Kuasa Penuh Kepada Sultan
JOHOR BAHRU – Jika rang undang-undang bagi menubuhkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) diluluskan, ia akan memberi kuasa kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk menyelia akaun dan terlibat dalam pembangunan hartanah di negeri itu. Kuasa Raja dalam LPHJ, satu enakmen baharu yang akan dibentang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Isnin ini adalah tertakluk kepada kanun Undang-undang Tubuh Negeri Johor. Difahamkan Sultan Ibrahim juga akan dapat menentukan imbuhan ahli lembaga pengarah, meluluskan pelantikan pengarah dan lulus belanja yang dianggarkan bagi setiap tahun berikut sebelum kelulusan peruntukan oleh kerajaan negeri. Ahli DUN telah memohon penjelasan daripada Pegawai Undang-Undang Negeri dalam pelbagai klausa sejak menerima salinan Rang Undang-Undang kira-kira dua minggu lalu. Pakar undang-undang perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari berkata Sultan boleh memainkan peranan aktif dalam pentadbiran negeri termasuk semak dan imbang tanpa campur tangan dalam cara yang dinyatakan dalam Rang Undang-Undang yang dicadangkan. “Rang Undang-Undang yang dicadangkan oleh kerajaan Johor akan membolehkan Sultan mempunyai penglibatan secara langsung dalam pentadbiran negeri ini. “Ia tidak perlu dan boleh menjejaskan konsep raja berperlembagaan yang diamalkan di Malaysia, ” katanya. Dua orang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) yang tidak mahu dikenali, memberitahu kepada The Star Rang Undang-Undang ini perlu ditangguh untuk membolehkan lebih banyak masa untuk menelitinya. “Kuasa untuk menubuhkan lembaga ini terletak pada Dewan Undangan Negeri Johor dan oleh itu, kuasa untuk membatalkan atau membubarkan ia perlu di DUN,” kata seorang daripada ahli dewan. Ketua Pembangkang Johor Dr Boo Cheng Hau, yang turut melahirkan kebimbangan berkata, Pakatan Rakyat akan membuat pendirian rasmi selepas mengadakan pertemuan dengan Ahli Dewan Undangan pada Ahad. Sumber: mStar
TOP
Rockers Pukul Isteri Depan Orang Ramai
Kuala Lumpur: Perbuatan seorang rockers terkenal memukul isterinya mengejutkan kakitangan dan pelanggan sehingga menimbulkan kekecohan sebuah bank di Ampang. Malahan sebelum tiba di bank berkenaan, wanita itu sudah ditampar oleh suaminya dalam kejadian yang berlaku pada Isnin lalu. Hanya selepas beberapa hari insiden itu berlaku, ibu kepada tiga anak hasil perkahwinan dengan rockers ini mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan di ibu negara kerana kesakitan akibat perbuatan suaminya. Difahamkan kekecohan itu berlaku apabila penyanyi rock itu meminta isterinya membuat pengeluaran di bank berkenaan. Menurut sumber, penyanyi rock itu bertindak sedemikian mungkin disebabkan gagal mengawal perasaan marah terhadap isterinya. Tinjauan BH di tempat kejadian semalam, gagal untuk mendapatkan maklumat daripada kakitangan bank berkenaan. Usaha untuk mendapatkan gambaran kejadian tidak berjaya apabila kakitangan enggan mengulas atau seolah-olah tidak mengetahui berlakunya insiden itu. Sumber: BH Online
TOP
Perintah berkurung di 4 lokasi ditarik balik
BANGKOK - THAILAND. Junta tentera Thailand menarik balik perintah berkurung terhadap empat kawasan dalam usaha meningkatkan ketibaan pelancong. Dalam pengumuman lewat petang Jumaat, Majlis Keamanan dan Ketenteraman Awam Negara (NCPO) berkata penamatan perintah berkurung itu berkuat kuasa serta-merta di Krabi, Phung Nha, daerah Cha-am (wilayah Petchaburi) dan daerah Hua Hin (wilayah Prachuabkirikhan). Semua kawasan ini terletak di selatan Thai dan merupakan kawasan pelancongan dengan pulau-pulau yang indah. Minggu lepas, NCPO menarik balik perintah berkurung di Pattaya dan Koh Samui serta Phuket. Pelancongan merupakan penyumbang utama ekonomi Thailand namun konflik politik disusuli rampasan kuasa oleh tentera menyebabkan penurunan ketara ketibaan pelancong dengan kebanyakan hotel serta resort sukar memenuhkan bilik penginapan masing-masing. Jutaan rakyat yang terbabit sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam sektor itu terjejas. Tahun ini Thailand menyasarkan ketibaan 28 juta pelawat pada peringkat awal namun angka itu diturunkan kepada 26.3 juta oleh Lembaga Pelancongannya. Dalam pada itu perintah berkurung masih dikuat kuasa di beberapa kawasan termasuk Bangkok, bermula tengah malam hingga 4 pagi. Sumber: Bernama
TOP
Dicekup Beri Dadah Kepada Tahanan
Klang – Tindakan berani seorang lelaki yang cuba menyeludup dadah kepada seorang tahanan yang baru selesai perbicaraan membawa padah apabila dia dicekup polis di Mahkamah Sesyen di sini, kelmarin. Dalam kejadian jam 11.30 pagi, suspek berusia 25 tahun ditahan polis selepas menyerahkan bungkusan plastik berisi 37 ketulan mampat dipercayai ganja seberat 160 gram kepada seorang tahanan. Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, suspek yang menghadiri perbicaraan itu pada mulanya duduk di belakang kamar mahkamah sebelum bangun dan menghampiri seorang daripada tertuduh sambil membawa plastik putih. “Tertuduh yang bergari sedang berjalan keluar dengan diiringi dua anggota polis mahkamah untuk dibawa ke lokap sementara di tingkat bawah bangunan berkenaan. “Sebaik suspek menyerahkan bungkusan itu kepada tertuduh, ia disedari anggota polis bertugas yang curiga dengan kandungannya lalu terus menahan suspek sebelum merampas bungkusan itu dan mendapati ia mengandungi 37 ketulan mampat ganja seberat kira-kira 160 gram,” katanya. Beliau berkata, polis akan menjalankan siasatan lanjut sama ada suspek adalah orang tengah yang membekalkan dadah kepada tahanan di penjara. Menurutnya, suspek kini direman tujuh hari bermula semalam untuk disiasat. Sumber: myMetro Online
TOP
Tujuh undang-undang baharu Al-Sisi dilulus
Adly mengumumkan pengundurannya sebagai Presiden sementara Mesir, Rabu lalu.
KAHERAH - MESIR. Presiden sementara Mesir, Adly Mansour meluluskan tujuh undang-undang baharu dalam tempoh 48 jam sebelum beliau menyerahkan jawatannya kepada bekas ketua tentera, Abdel Fattah al-Sisi yang akan dilantik secara rasmi untuk menerajui negara itu pada hari esok. Menurut laporan Al-Ahram, keputusan Adly itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha beliau untuk membantu al-Sisi menjayakan rancangan pelan peralihannya selepas memenangi pilihan raya presiden dengan lebih 96 peratus undi sokongan pada bulan lalu. Rabu lalu, stesen televisyen tempatan turut menyiarkan ucapan Ketua Mahkamah Tinggi Perlembagaan tersebut yang telah memegang tampuk pemerintahan sejak 11 bulan lalu. Dalam ucapannya, Adly menggesa penduduk Mesir supaya memikul tanggungjawab mereka untuk menghadapi cabaran dalam politik, ekonomi dan keselamatan yang meruncing di negara itu sejak beberapa bulan lalu. "Bagaimanapun, situasi di Mesir kembali pulih selepas beberapa pembaharuan dilakukan seperti pindaan Perlembagaan dan pilihan raya presiden pada bulan lalu," katanya lagi. Selain itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menjauhkan diri dengan mana-mana pihak yang mahu mengambil kesempatan atas kepentingan peribadi dan parti politik mereka. Ketua Hakim Negara itu merupakan satu-satunya presiden dalam sejarah Mesir yang melepaskan jawatannya tanpa berlaku sebarang pemberontakan daripada rakyat. Difahamkan, penyokong bekas Presiden digulingkan, Mohammed Mursi pernah menuduh beliau sebagai boneka tentera untuk memerintah Mesir. Sumber: Sinar Online
TOP
Pemimpin antirampasan kuasa ditahan junta tentera
Tentera cuba untuk memenangi hati rakyat menerusi acara hiburan yang dianjurkan oleh mereka. Gambar kecil: Sombat.
BANGKOK - THAILAND. Junta tentera, semalam mengesahkan mereka telah menahan pemimpin antirampasan kuasa paling dikehendaki di Thailand. Sombat Boonngamanong yang menjadi pencetus kempen dalam talian untuk mengadakan perhimpunan membantah rampasan kuasa oleh tentera diberkas, lewat kelmarin di timur wilayah Chonburi. Jurucakap tentera, Sirichan Ngathong berkata, mereka berjaya mengesan jejak Sombat menerusi internet. "Aktivis terkenal tersebut boleh didakwa kerana gagal menghadirkan diri ketika dipanggil junta tentera kira-kira dua minggu lalu," katanya kepada AFP. Difahamkan, Sombat telah memuat naik status mesej berbaur provokasi di Facebook selepas dia enggan menyerah diri pada bulan lalu. Selain itu, pemimpin pakatan kumpulan Baju Merah itu turut menggesa penyokongnya untuk mengadakan perhimpunan secara aman sebagai membantah pemerintahan tentera. Dalam perkembangan lain, tentera dilihat cuba memenangi hati rakyat dengan pemberian makanan percuma dan mengadakan acara hiburan di ibu negara. Bagaimanapun, tindakan mereka yang kononnya mahu mengembalikan kegembiraan penduduk di Bangkok telah dikecam beberapa pihak yang menyifatkan ia sebagai propaganda semata-mata. Sumber: mStar
TOP
20 Remaja Sertai Parti Liar Di PD Ditahan
PORT DICKSON – Seramai 20 remaja yang menyertai parti liar, ditahan polis ketika sedang menari, dalam serbuan di sebuah hotel di sini, awal pagi tadi. Remaja berusia 18 hingga 24 tahuh itu menyewa sebuah bilik di hotel berkenaan dipercayai untuk berparti dengan pasangan masing-masing. Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Abd Wahab Harun, berkata pihaknya menjalankan serbuan pada jam 2.45 pagi, selepas mendapat aduan dan maklumat orang awam. Katanya, semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson untuk soal siasat dan ujian air kencing. Sumber: BH Online
TOP
Polis Marin Selamatkan 2 Pemancing Hanyut Di PD
KUALA LUMPUR – Pasukan Polis Marin (PPM) Port Dickson menyelamatkan dua pemancing di perairan Pelabuhan Port Dickson, Negeri Sembilan, tengah hari semalam. Komander PPM Wilayah 2, ACP Paul Khiu Khon Chiang berkata kedua-dua pemancing yang berusia 29 dan 32 tahun itu diselamatkan selepas PPM menerima maklumat terdapat bot nelayan yang hanyut pada 11.45 pagi semalam. Beliau berkata mangsa dan bot dijumpai pada 12.35 tengah hari dan dibawa balik ke Jeti Penumpang CIQ di Port Dickson. Katanya kedua-dua lelaki itu keluar memancing dari Pangkalan Tanjung Sepat pada Selasa lepas. “Bagaimanapun, mereka tidak dapat balik ke pangkalan keesokannya (Rabu) berikutan kehabisan minyak. “Sehubungan itu, operasi menyelamat digerakkan ke lokasi kejadian melibatkan empat anggota bersama sebuah bot peronda,” katanya dalam kenyataan di laman rasmi Facebook Polis Diraja Malaysia, hari ini. Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Port Dickson untuk mendapatkan rawatan, katanya.
Anggota polis marin memeriksa bot yang ditemui. Foto:PDRM
Sumber: Bernama
TOP
Jurulatih renang lemas kepenatan
GEORGETOWN: Hasrat seorang jurulatih renang warga emas berenang 150 meter dari pantai ke arah bot mewah yang berlabuh di Pantai Teluk Duyung bertukar tragedi selepas dia lemas berhampiran Monkey Beach, Teluk Bahang, di sini, tengah hari semalam. Kejadian berlaku pada jam 12.45 tengah hari apabila mangsa, Lee Lam Pai, 62, seorang ahli perniagaan dari Taman Petani Jaya, Sungai Petani, Kedah, lemas selepas berenang ke arah bot sejurus selesai menikmati juadah makan tengah hari bersama 30 rakannya termasuk sembilan kanak-kanak di Monkey Beach. Pemilik bot, Soon Chin Chun, 62, berkata, dia bersama mangsa serta rakan menaiki bot dari Batu Uban ke Pulau Duyung jam 9 pagi dan tiba di pantai berkenaan dua jam kemudian sebelum masing-masing melakukan aktiviti bebas termasuk makan dan mandi. Katanya, selepas makan tengah hari, mangsa berenang dari pantai ke arah bot sebelum seorang kru bot terbabit melihatnya seperti kepenatan. “Ketika itu mangsa tidak menunjukkan sebarang perubahan dan menunjukkan isyarat bagus kepada kru bot itu walaupun dia dilihat dalam keadaan seperti kepenatan. “Berikutan itu, kru bot melemparkan pelampung kecemasan ke arah mangsa untuk mengelak kejadian tidak diingini dan mangsa masih memberi tindak balas. “Bagaimanapun, tidak sampai lima minit, mangsa dilihat tidak sedarkan diri dalam keadaan mukanya terlingkup ke dalam air dan bantuan kecemasan diberikan kepada mangsa termasuk melakukan bantuan pernafasan, namun tiada reaksi,” katanya. Soon berkata, mereka menghubungi polis untuk memaklumkan mengenai kejadian berkenaan sebelum mayat mangsa dibawa ke Jeti Taman Negara, Teluk Bahang, di sini, untuk pemeriksaan lanjut dan disahkan sudah meninggal dunia. Sumber: myMetro
TOP
‘Belian’ halau roh
MIRI: Darah ayam atau babi serta pelbagai bentuk batu dan kristal menyerupai binatang, kayu, tulang dan taring binatang dipercayai mampu memikat makhluk halus atau kuasa ghaib dalam upacara mengubati penyakit dalam kalangan masyarakat Iban di Sarawak suatu ketika dulu. Kepercayaan lama atau ‘pengarap lama’ masyarakat pribumi itu dikatakan mampu mengubati penyakit misteri yang disebabkan gangguan roh atau semangat. Mereka percaya, seseorang itu boleh menjadi gila atau mati sekiranya gangguan roh jahat itu tidak dikeluarkan atau ada kalanya menyebabkan seseorang itu sakit berpanjangan meskipun sudah mendapatkan rawatan melalui kaedah moden. Upacara yang dinamakan ‘belian’ sudah diamalkan sejak ratusan tahun itu digunakan sebagai alternatif untuk memulihkan pesakit, namun tradisi rawatan itu kini semakin kurang popular dalam kalangan masyarakat terbabit terutama generasi muda. Bagaimanapun, sebelum upacara dijalankan, ia perlu melalui pelbagai proses termasuk bacaan jampi secara teliti sekali gus membolehkan ‘Manang’ atau dukun mampu berkomunikasi dengan makhluk halus berkenaan. Sumber: myMetro
TOP
ASP Mohd Zabri, KPN Ketuai Senarai Penerima Pingat
PUTRAJAYA: Allahyarham ASP Mohd Zabri Abdul Hamid, antara perwira yang paling dikenang dalam sejarah 69 Komando, dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar adalah antara penerima tertinggi mengetuai senarai 1,622 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan Tahun 2014 sempena sambutan ulang tahun keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada Sabtu. Mohd Zabri, Platun Komander 2, 69 Komando, yang terkorban akibat terpijak jerangkap samar pada tahun 1975 menerima gelaran Seri Pahlawan Gagah Perkasa (S.P.) manakala Khalid dianugerahkan Darjah Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran 'Tan Sri'. Pingat S.P. adalah pingat yang tertinggi sekali dan paling kanan dalam senarai keutamaan Anugerah Persekutuan. Penganugerahan tahun ini juga membabitkan 46 penerima darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri antaranya Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hasan Lah, Peguam Cara Negara Datuk Seri Idris Harun, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Dr Madinah Mohamad, Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali, Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Tan Kok Wha. Turut menerima PSM ialah Ahli Lembaga Penasihat Mengenai Sains, Teknologi dan Inovasi kepada Setiausaha Agung dan Ketua-Ketua Eksekutif Agensi-Agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Prof Emeritus Datuk Sri Dr Zakri Abdul Hamid dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Zaleha Zahari. Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Datuk Prof Ir Dr Ahmad Zaidee Laidin, Pengarah Urusan Kumpulan/ Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji Datuk Paduka Ismee Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) Datuk Amar Wilson Baya anak Dandot, Pengarah Urusan Akitek Jururancang (M) Sdn Bhd Datuk Sri Esa Mohamed, Pengasas dan Pengarah Urusan Brunfield International Group Datuk Ir Gan Thian Leong. Penerima PSM yang lain ialah Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Datuk Henry Chin Poy Wu, bekas Penasihat Media Kepada Perdana Menteri Datuk Seri Jalaludin Bahaudin, Pengerusi Media Prima Berhad Datuk Johan Jaaffar, Pengerusi Eksekutif Malton Berhad Datuk Lim Siew Choon, Pengarah Urusan Kumpulan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) Datuk Mohamad Salim Fateh Din, Pengerusi Bloomberg TV Malaysia Datuk Seri Mohd Effendi Norwawi, Pengerusi Eksekutif Express Rail Link Sdn Bhd Datuk Seri (Dr) Mohd Nadzmi Mohd Salleh dan Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) Datuk Seri Mohd Yussof Abdul Latiff. Selain itu, PSM turut dianugerahkan kepada Pengerusi Eksekutif Dialog Group Berhad Dr Ngau Boon Keat, Yang Di-Pertua Majlis Datuk Persekutuan Malaysia Datuk Ooi Han Eng, Ketua Pegawai Eksekutif Mamee-Double Decker (M) Bhd Datuk Wira Pang Tee Chew, Ketua Pegawai Eksekutif Mamee-Double Decker (M) Bhd, Pengerusi Ahmad Zaki Resources Berhad Datuk Seri Raja Aman Raja Ahmad, Timbalan Pengerusi Sunway Group Datuk Seri Razman Md Hashim Che Din Md Hashim dan Ketua Persekutuan Pengakap Datuk Seri Paduka Shafie Mohd Salleh. Pengarah Eksekutif See Hoy Chan Holdings (SHCH) Datuk Ir Teo Chiang Hong, Pengerusi Eksekutif Jopami Group Of Companies Datuk Seri Ir Abdahir Abdul Majid, Presiden Management & Science University (MSU) Prof Datuk Wira Dr Mohd Shukri Ab Yajid dan Pengarah Urusan Liziz Standaco Sdn Bhd Datuk Guok Nguong Peng. Ketua Pegawai Eksekutif Kencana Petroleum Sdn Bhd Datuk Mokhzani Tun Dr. Mahathir, Panglima Tentera Darat Jen. Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, bekas Panglima Tentera Udara Jen (B) Datuk Seri Abdullah Ahmad Sumber: mStar
TOP
2 Nelayan Tempatan Guna Pukat Tunda Ditahan
KUALA LUMPUR – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua menahan dua nelayan tempatan dan merampas sebuah bot nelayan kelas A serta pelbagai hasil laut, selepas didapati menangkap ikan menggunakan pukat tunda. Komandernya ACP Paul Khiu Khon Chiang berkata mereka ditangkap di perairan Air Baloi, Pontian, Johor awal pagi semalam. PPM mengesan beberapa buah bot nelayan yang disyaki menangkap ikan menggunakan pukat tunda di situ, namun apabila menyedari kehadiran pihakberkuasa mereka bertindak melarikan diri, katanya dalam kenyataan menerusi laman sosial rasmi Facebook Polis Diraja Malaysia, hari ini. Beliau berkata bot peronda PPM berjaya memintas sebuah daripada bot berkenaan dan menahan dua nelayan terbabit. “Suspek dibawa balik ke Pangkalan Polis Marin Kukup untuk diserahkan kepada pihak Jabatan Perikanan bagi tindakan lanjut. “Kegiatan menangkap hasil laut dengan menunda tanpa lesen adalah satu kesalahan yang serius. Tindakan pasukan polis ini adalah berobjektifkan untuk memelihara dan melindungi ekologi serta alam semulajadi negara,” katanya. Sumber: Bernama
TOP
Antonio Banderas Bercerai Dengan Melanie Griffith
Pelakon yang sinonim dengan watak Zorro, Antonio Banderas dan isteri, Melanie Griffith dilaporkan telah memfailkan penceraian setelah 18 tahun hidup bersama. Melanie, 56, juga menuntut hak penjagaan untuk anak tunggal mereka, Stella, 18. Ini merupakan penceraian kali keempat buat Melanie dan yang kedua buat Antonio. Walaupun sudah berpisah, mereka tetap akan terus bersahabat baik untuk kebaikan anak mereka. Sumber: Audrey Lee / My News Hub
TOP
Bukan dirogol tetapi ada lelaki simpanan
KUALA LUMPUR – Polis hari ini mendapati pembantu rumah Indonesia yang sebelum ini mendakwa dirinya dirogol sehingga melahirkan anak rupa-rupanya melakukan hubungan seks secara sukarela. Kes pembantu rumah tersebut menjadi berita hangat selepas mangsa mendakwa dirogol majikan manakala mayat anaknya dibungkus dan dibuang oleh ejen ke dalam gaung di Genting Highlands. Siasatan terbaru bagaimanapun mendapati bayi lelaki dilahirkan pembantu rumah Indonesia tersebut merupakan hasil hubungan dengan seorang lelaki Bangladesh yang merupakan pekerja potong rumput. Namun kes itu dianggap ‘dramatik’ dan pelik kerana lelaki Bangladesh tersebut dilaporkan akan membayar RM180 sebagai ‘duit poket’ setiap kali selepas melakukan hubungan seks dengan pembantu rumah tersebut. Pembantu rumah itu dilaporkan mula mengenali lelaki Bangladesh semasa bekerja di rumah majikan, malahan selalu membawa lelaki itu ke dalam rumah pada waktu malam. Polis akan mengambil DNA daripada lelaki tersebut untuk menyiasat sama ada dia merupakan bapa kandung kepada bayi yang dibuang ke dalam gaung. China Press sebelum ini melaporkan pembantu rumah tersebut dirogol sehingga mengandung zuriat majikan, sementara ejen memaksanya menjual bayi yang dilahirkan. Tanpa disangkakan, anak lelaki berumur enam bulan di bawah ‘jagaan’ ejen telah mati dan ejen itu terpaksa membungkus mayat dan membuangnya ke kawasan hutan di sekitar Genting Highlands. Polis yang menerima maklumat telah menemui mayat bayi lelaki tersebut dan menahan ejen haram dan isterinya. Dalam pada itu, mayat bayi tersebut dikenal pasti telah dibuang ke dalam gaung sekurang-kurangnya empat hari dan sudah reput. Keadaan itu menyebabkan doktor yang melakukan bedah siasat berdepan kesukaran untuk mengenal pasti sama ada bayi itu mati akibat dera atau punca lain. Sumber: Malaysia Gazzete
TOP
Laman facebook bantah rang undang-undang hartanah sasar 100,000 Like
JOHOR BAHRU – Laman Facebook membantah usaha kerajaan negeri Johor hendak membentangkan rang undang-undang penubuhan Lembaga Perumahan dan Hartanah 2014, mensasarkan 100,000 Like sebelum Ahad ini. Laman Facebook dengan tajuk ” 100,000 Rakyat Johor Bantah Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor 2014″, diwujudkan hari ini dan sehingga 6 petang telah mendapat 940 Like daripada pengunjung laman sosial itu. “Tujuan page ini adalah untuk mengumpul 100,00 dan lebih Like dari seluruh rakyat Johor bagi membantah Enakmen Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor 2014,” menurut kenyataan di dalam laman Facebook terbabit. Salah satu posting pengendali laman Facebook itu menyebut, Persekutuan Malaysia adalah sebuah persekutuan yang mengamalkan prinsip Raja Berperlembagaan di mana Raja Berperlembagaan menjadi pengimbang antara semua institusi demokrasi, seperti Parlimen dan mana-mana suruhanjaya bebas. “Sultan Johor perlu memberikan kebebasan urusan tanah negeri itu kekal di bawah seliaan kerajaan negeri dan baginda masih boleh memberikan pandangan sekiranya melihat sebarang kepincangan berlaku,” menurut salah salah satu post pengendali laman itu. Laman Facebook itu turut menyelitkan keratan-keratan muka depan akhbar Utusan Malaysia serta laporan pelbagai portal berita terutamanya yang pro-pembangkang mengenai isu pembentangan Rang Undang-Undang itu. Menurut laporan media sebelum ini, jika rang undang-undang itu diluluskan ia akan memberi kuasa kepada Sultan Johor untuk menyelia akaun lembaga terbabit dan terlibat di dalam pembangunan hartanah di negeri itu. Ia juga akan membolehkan Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar mempunyai kuasa membubar dan melantik ahli lembaga pengarah yang baru, menentukan elaun dan saraan mereka serta berhak melantik seorang pengarah yang boleh dipilih sebagai ketua eksekutif lembaga itu. Sumber: Malaysia Gazzete
TOP
Menu Start Pada Windows 8 Ditangguhkan Ke 2015
Windows 8 adalah usaha Microsoft dalam membangunkan sistem operasi yang mempunyai pelbagai fungsi yang menarik dan kelebihan yang tiada pada pesaingnya. Menurut kepada pengguna Window 8, Menu Start merupakan salah satu perkara yang diminta ramai pengguna untuk diperkenalkan semula pada Windows 8. Pihak Microsoft telah menjanjikannya, tetapi ia mungkin hanya akan hadir sekitar tahun hadapan. Menurut ZDNet, Microsoft mungkin tidak akan membawakan menu Start ke Windows 8 melalui kemaskini Windows 8.1 Update 2 yang akan datang, sebaliknya pengguna perlu menantikan ia sehingga tahun 2015. Microsoft dilihat mungkin menyimpan fungsi tersebut untuk diperkenalkan bersama-sama versi Windows yang seterusnya – “Windows 9″ yang mana dijangka hadir sekitar April 2015 kelak. Sebelum ini, pada bulan April yang lepas, pihak Microsoft telah memperlihatkan secara ringkas sokongan menu Start pada Windows 8, dimana ia menyertakan akses kepada beberapa menu, disamping membolehkan pengguna menambah Tiles padanya. Sokongan ini semestinya salah satu perkara yang diminati ramai pengguna desktop, memandangkan mereka agak jarang menggunakan Start Screen berbanding pengguna tablet dan sebagainya. Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi apakah yang bakal dibawa oleh Microsoft bersama-sama Windows 8 Update 2 kelak. Sumber: ZDNET / hzqahmd / My News Hub
TOP
Keputusan DNA Mayat Di Pulau Tioman Dijangka Isnin
KUANTAN – Keputusan ujian DNA bagi mayat ditemui di Pulau Tioman dijangka akan diketahui pada hari Isnin, kata Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani. Mayat lelaki, yang ditemui di sungai di Pulau Tioman pada Rabu lalu, dipercayai Gareth David Huntley. Akauntan dari London berusia 34 tahun itu tiba di Pulau Tioman pada 24 Mei untuk menjadi sukarelawan bagi projek pemuliharaan penyu. Huntley dilaporkan hilang pada 27 Mei lalu selepas pergi bersendirian ke kawasan air terjun Lubuk Teja. Pasukan pencari kemudiannya mendapati mayat seorang lelaki di Kampung Juara pulau tersebut, kira-kira 500 meter dari chalet penginapan Gareth di Pusat Perlindungan Penyu di kampung itu pada Rabu lalu. Sumber: mStar
TOP
Bentang rombakan subsidi minyak di Parlimen
SHAH ALAM – Penganalisis bersetuju cadangan PKR agar kerajaan membentangkan sistem baharu berkaitan penjualan diesel dan petrol bersubsidi di Parlimen kerana ia melibatkan kepentingan rakyat. Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Maszlee Malik berkata, apabila sistem yang dijangka diperkenalkan 1 September depan itu dibahaskan di Parlimen, baharulah wujud unsur semak dan imbang serta konsensus. “Pandangan rakyat sebagai ‘stake holder’ atau wakil-wakil mereka di Parlimen atau wakil masyarakat perlu diambil kira,” katanya kepada Sinar Harian Online. Menurutnya, sehingga kini masih belum jelas mekanisme yang akan diaplikasikan bagi memastikan subsidi berkenaan sampai kepada golongan sasar. “… sekarang ini kita masih belum nampak mekanisme yang jelas untuk pastikan bahawa subsidi itu benar-benar sampai kepada golongan sasar dan bagaimana nak elak penipuan berlaku. “Kalau tanya apa yang perlu kerajaan lakukan, jangan laksanakan GST lah tapi kenakan cukai-cukai mewah. Kerana cukai mewah itu yang sepatutnya mendatangkan lebih pendapatan kepada kerajaan. Sebab kalau GST, semua pihak akan dikenakan cukai dan yang tak sepatutnya terlibat juga akan membayar cukai,” katanya. Sementara itu, Pensyarah Fakulti Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Madya Dr Shaharuddin Badaruddin berkata, kerajaan tidak boleh hanya bergantung idea daripada BN saja. “Cadangan untuk dibincangkan dalam Parlimen satu cadangan yang baik kerana apabila ia melibatkan rakyat secara keseluruhannya, maka wajarlah ia dibincangkan. “Kemungkinan ada idea-idea baru yang boleh dikemukakan. Tidak boleh menumpu hanya kepada idea daripada kerajaan atau BN. Perlu ambil kira pandangan rakyat jelata,” katanya. Malah menurutnya tindakan kerajaan merombak sistem subsidi petrol dan diesel ini akan memberi kesan langsung kepada rakyat terutama golongan pertengahan. “Sistem baru subsidi terutama berkait rapat dengan minyak ini akan memberi kesan langsung terutamanya kepada golongan pertengahan. Pihak atasan tak apa lah kerana mereka memang dah kaya. “Sudahlah sekarang kerajaan banyak hilang pengaruh daripada golongan pertengahan ini, dengan sistem ini lagi, kerajaan akan kehilangan lagi pengaruh itu. Sedangkan golongan ini paling berpengaruh dalam masyarakat. Sudah tentu tindakan –tindakan kerajaan ini tidak akan popular dalam kalangan masyarakat,” katanya. Rabu lalu, PKR mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak segera membentangkan rancangan rombakan sistem subsidi petrol dan diesel kepada rakyat yang didakwa menyumbang kepada kenaikan berganda harga barangan dan perkhidmatan (GST). Ia susulan kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Alias Ahmad Ahad lalu bahawa kerajaan akan memperkenalkan satu sistem baharu penjualan diesel dan petrol bersubsidi kepada kenderaan komersial yang layak mulai 1 September depan. Menurutnya, sistem yang sama bagi kenderaan persendirian juga akan dilaksanakan pada Oktober atau November depan. Sumber: Sinar Online
TOP
Amah Mengamuk, Makan Anak Kucing Hidup-Hidup
BAGAIKAN dirasuk roh jahat, seorang pembantu rumah warganegara Indonesia dipercayai memakan anak kucing peliharaan majikannya hidup-hidup. Terdahulu, majikan terbabit menemui bangkai anak kucing kesayangan mereka di depan rumahnya di Sibu, malam kelmarin. Apabila ditanya oleh majikannya, pembantu rumah itu mengaku telah memakan bahagian kepala dan daging anak kucing itu serta meninggalkan bahagian kulitnya. Wanita itu memberitahu, mereka terpaksa mengikat kaki dan tangan pembantu rumah terbabit yang dipercayai tiba-tiba mengamuk. Bimbang keselamatan keluarga, mereka kemudian meletakkan pembantu rumah itu di dalam kereta yang diparkir di luar rumah, semalaman. “Dia (pembantu rumah) kelihatan pulih hari ini (semalam). Saya kemudian membuka ikatan dan berjanji akan menghantarnya pulang ke negara asalnya jika itu kehendaknya. “Saya juga membawanya membeli nasi ayam di Ramin Way seperti yang dia minta sekitar jam 10.30 pagi tadi (semalam),” jelasnya. Selepas selesai membeli makanan, pembantu rumah itu dikatakan enggan masuk ke dalam kereta sekali gus mencetuskan satu adegan yang menarik perhatian orang ramai. “Dia tiba-tiba mengamuk kemudian masuk ke dalam kereta semula dan membuang barang keluar dari kereta. Dia juga menggigit pokok hiasan,” ujar wanita itu. Empat anggota polis bergegas ke tempat kejadian dan mengambil masa sejam untuk membawa pembantu rumah itu masuk ke dalam kenderaan polis. Menurut polis, pembantu rumah itu dikatakan berada di luar kawalan dan turut merosakkan cermin kenderaan. Selain itu, dia difahamkan mengigit lengan salah seorang anggota polis, malah meludah ke arah beberapa anggota polis yang membawanya ke balai sebelum ditahan untuk dimasukkan ke dalam ambulans dan dihantar ke Hospital Sibu. Anggota polis juga menutup mukanya dengan surat khabar bagi menghalang pembantu rumah itu terus meludah ke arah mereka. Majikan itu memberitahu, pembantu rumahnya berkelakuan aneh sejak seminggu lalu.
Pembantu rumah itu dibawa ke Hospital Sibu.
Sumber: Utusan Borneo
TOP
Lari telanjang elak ditahan
DUA anggota penguat kuasa wanita menggari GRO sebaik ditahan, semalam.
GEORGETOWN: Tanpa rasa malu, dua wanita warga asing disyaki sedang melakukan seks dengan pelanggan melarikan diri dalam keadaan telanjang bulat dalam dalam serbuan di sebuah hotel bajet di Lebuh Chulia, di sini, awal pagi semalam. Dalam serbuan jam 2 pagi itu, wanita berkenaan dikatakan sedang leka melayan pelanggan masing-masing, namun terus berlari keluar dari bilik hotel tanpa sempat mencapai pakaian sebaik mendapat tahu premis berkenaan diserbu. Tindakan itu turut menyebabkan pelanggan masing-masing kebingungan dan hanya mengetahui premis itu diserbu pihak berkuasa selepas anggota imigresen memperkenalkan diri ketika pemeriksaan dilakukan. Bagaimanapun, langkah kedua-dua wanita bogel itu terhenti ketika menuruni tangga apabila ditahan dan diarahkan masuk semula ke bilik untuk memakai pakaian masing-masing. Ketua Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Pulau Pinang Basri Othman berkata, serbuan ke atas dua hotel bajet itu dilakukan serentak selepas mendapat maklumat mengenai aktiviti persundalan ditawarkan wanita warga asing berkenaan. Beliau berkata, pihaknya menahan enam wanita iaitu dua warga Laos, dua warga Indonesia dan masing-masing seorang dari Vietnam dan Nigeria berusia 20-an hingga 30-an selepas mereka didapati memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial dan pas pelajar. “Lima daripada wanita berkenaan menggunakan pas lawatan sosial manakala wanita warga Nigeria pula didapati menjadikan pas pelajar sebagai lesen untuk masuk ke negara ini dan dia disyaki menyalahgunakan kebenaran diberikan dengan menawarkan perkhidmatan seks. “Siasatan awal kami tidak menolak mereka ini bergerak sendiri tanpa didalangi mana-mana sindiket,” katanya. Modus operandi digunakan ialah menggunakan susuk tubuh yang seksi bagi memikat pelanggan di sekitar hotel tempat menginap atau restoran berhampiran. “Jika ada persetujuan, pelanggan akan dibawa kE bilik di hotel bajet berkenaan dipercayai bagi tujuan mendapatkan perkhidmatan seks dengan bayaran RM120 hingga RM150 bagi setiap langganan,” katanya. Basri berkata, berdasarkan keadaan bilik berkenaan, pihaknya percaya wanita terbabit sudah menginap di premis berkenaan sejak beberapa minggu lalu dan akan berpindah ke hotel bajet lain bagi mengelak kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa. Sumber: myMetro Online
TOP
Jumpa Bayi Dalam Kotak Air Mineral
Bachok – Bayi lelaki masih hidup ditemui ditinggalkan dalam kotak air mineral di depan rumah kedai di Kampung Gajah Mati, di sini, awal pagi tadi. Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Abdul Hamid Che Ahmad berkata, bayi yang cukup sifat dan masih bertali pusat itu ditemui oleh pemilik kedai runcit itu pada 5.15 pagi. Katanya, lelaki itu menyedari bayi itu diletakkan di hadapan kedainya selepas dimaklumkan isterinya yang terdengar bunyi tangisan di luar kedai. “Mereka berdua kemudian menemui kotak air mineral yang berisi bayi berkenaan bersama beberapa helai lampin pakai buang dan puting susu. “Pasangan suami isteri itu mengambil bayi yang masih menangis itu dan memberinya susu sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Tawang, 7 pagi ini,” katanya. Sumber: myMetro Online
TOP
Abong Long Fadil Kutip RM2 Juta Dalam Masa 5 Hari
Kutipan mencecah lebih RM1 juta dalam tempoh 3 hari tayangan, kini kutipan filem Abang Long Fadil telah berjaya mencatat kutipan jualan tiket melebihi RM2 juta selepas hari kelima ditayangkan seluruh Malaysia. Walaupun filem ini diklasifikasikan sebagai 18PL yang tidak membolehkan ianya ditonton oleh semua peringkat umur, nampaknya filem garaban Syafiq Yusof ini mendapat tempat di hati orang dewasa seluruh Malaysia.
Syafiq Yusof menyatakan yang dia amat gembira dengan berita tersebut dan percaya kontroversi yang berlaku sebelum ini mempunyai hikmah disebaliknya. “Saya bersyukur dengan kutipan yang diperoleh menerusi filem ini walaupun pengklasifikasian yang dibuat oleh LPF (Lembaga Penapisan Filem) tersebut disifatkan tidak relevan dan melampau. Apa pun, saya berterima kasih kepada orang ramai yang senantiasa menyokong karya saya dan berjanji akan terus berbakti kepada industri dengan menghasilkan filem-filem berkualiti”
Apapun pada kami kekuatan utama filem ini tentulah Zizan Razak sebagai pelakon utama itu sendiri tetapi tak dinafikan ‘efforts’ yang dicurahkan Syafik dan seluruh krew produksi untuk filem ini bukan kepalang. Ianya satu filem tempatan yang menarik untuk ditonton seisi keluarga. Sumber: OhArtis!
TOP
Lelaki Bunuh Diri Kerana Dipaksa Bercerai Oleh Keluarga
KEBELAKANGAN ini, semakin menjadi-jadi pula kes bunuh diri akibat tekanan perasaan di negara kita. Terbaru, seorang lelaki bertindak mengakhiri nyawanya dengan melompat di hadapan sebuah treler yang sedang bergerak di Jalan Stutong Baru, Kuching, Sarawak. Memetik laporan Borneo Post, mangsa yang dikenali sebagai Baharon Putit ketika itu sedang dalam perjalanan pulang ke rumah bersama isterinya yang berusia 29 tahun. Secara tiba-tiba dia mengajak isterinya itu untuk membunuh diri dan cuba merebut stereng kereta yang sedang dipandunya. Bagaimanapun, wanita itu berjaya mengawal kereta tersebut, namun Baharon bertindak keluar menerusi cermin pintu kereta yang dipecahkannya. Malangnya, percubaan isterinya untuk mengejar mangsa tidak berjaya kerana dia terus melompat di hadapan sebuah treler dan mati serta-merta di tempat kejadian. “Saya cuba menghentikannya (daripada terus berlari) sehingga baju dan seluarnya koyak sehinggalah dia melompat di hadapan (treler) tersebut,” katanya. Menurut wanita itu, tindakan Baharon itu berpunca daripada tekanan kerana dipaksa bercerai oleh keluarganya dan dijadualkan ke Mahkamah Syariah pada 16 Jun nanti. Mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan kepala dan organ dalaman.
Sumber: The Borneo Post
TOP
Pemilik Butik Perkahwinan Maut Ditembak
Unit forensik polis memeriksa mayat Ragen yang maut ditembak di Puchong pada malam Jumaat.
PETALING JAYA: Seorang lelaki maut akibat ditembak ketika keluar dari kuil di Puchong dekat sini pada malam Jumaat. Dalam kejadian pada pukul 8 malam itu, mangsa A. Ragen, 31, ditembak ketika berjalan keluar dari kuil bersama ibu dan beberapa orang saudaranya. Mangsa yang merupakan pemilik butik perkahwinan didakwa ke kuil bagi mendoakan kesihatan isterinya yang berada di hospital untuk melahirkan anak pertama mereka.
Saudara Ragen yang berada di lokasi kejadian di Puchong pada malam Jumaat.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razimi Ahmad berkata, Ragen maut selepas terkena empat tembakan di kaki, dada dan kepala. "Kami masih menyiasat motif tembakan. Saksi yang berada di lokasi kejadian setakat ini mendakwa insiden itu berlaku dengan pantas serta sukar untuk mereka membuat pengecaman," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian. Tambahnya, polis percaya suspek telah berlari ke arah lebuh raya berdekatan sebelum menghilangkan diri. Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat. Sumber: mStar
TOP
Akta Baharu Pantau Dana Politik Mungkin Dicadang
KUALA LUMPUR – Selepas berdepan masalah mewujudkan badan pemantau dana politik berikutan kurangnya kerjasama parti-parti politik, pihak Bidang Keberhasihan Utama Negara (NKRA) Mencegah Rasuah kini bercadang untuk mengkaji keperluan mewujudkan satu akta baharu untuk tujuan itu. Badan itu berpendapat peruntukan undang-undang diperlukan untuk mewajibkan parti-parti politik mengisytiharkan sumber dana politik masing-masing agar ketelusan dapat diwujudkan. Pengarah NKRA Mencegah Rasuah Datuk Hisham Nordin berkata pihaknya sedang melihat kepada keperluan untuk mewujudkan akta baharu itu atau mencadangkan pindaan kepada akta sedia ada di beberapa agensi kerajaan yang terlibat dalam penyeliaan parti-parti politik. “Pihak kami juga bercadang untuk meneliti beberapa akta lain seperti Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Akta Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA), bagi melihat keperluan untuk mencadangkan pindaan-pindaan,” katanya pada Sabtu. Hisham berkata sama ada ia satu akta baharu atau pindaan kepada akta sedia ada, pihak NKRA Mencegah Rasuah berpendapat pemantauan dana politik hanya dapat dijalankan dengan berkesan apabila keperluan melaporkan sumber dana politik itu menjadi mandatori kepada semua parti politik. “Contohnya parti politik perlu mengisytiharkan penerimaan dana terbabit kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) dengan mengemukakan resit kerana ia merupakan peraturan yang dikeluarkan oleh ROS. “Tapi kalau parti politik tidak mematuhi peraturan itu, ROS tidak boleh buat apa-apapun sebab ia hanya peraturan bukan akta. Jadi untuk lebih telus dalam dana politik, kena ada akta,” katanya. Hisham berkata parti-parti politik mungkin tidak bersedia untuk mendedahkan penyumbang dana politik masing-masing pada masa ini untuk menjaga kredibiliti seseorang pemimpin dalam parti berkenaan. “Pandangan saya ialah pemantauan dana politik amat penting bagi menutup segala ruang dan peluang kepada perlakuan rasuah. Oleh itu, setiap dana politik yang disalurkan perlu diaudit dan direkodkan bagi menunjukkan ketelusan parti itu,” katanya. Pada Februari 2012, melalui Pelan Transformasi Kerajaan (GTP), Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan inisiatif baharu membanteras rasuah bagi mengawal pembiayaan politik dan menyiasat penyalahgunaan dana di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara Anti-Rasuah. Najib berkata pembiayaan politik di peringkat pusat mahu pun negeri perlu disalurkan terus ke akaun parti bagi meningkatkan ketelusan dan keyakinan rakyat terhadap pertubuhan politik itu. Mengenai penubuhan badan pemantau dana politik, Hisham berkata ia bukanlah satu perkara baru kerana ia telah dilaksanakan di luar negara seperti di Amerika Syarikat dan Perancis, yang menetapkan peraturan bahawa setiap sumbangan politik yang disalurkan perlu direkodkan. Berdasarkan laporan kajian Barometer Rasuah peringkat nasional yang dilaksanakan badan bukan kerajaan (NGO) Transparency International Malaysia bulan lalu, parti politik menduduki tempat pertama sebagai institusi paling banyak mengamalkan rasuah di peringkat global. Kajian rambang itu mendapati daripada 2,000 rakyat Malaysia yang menjadi responden, 45 peratus daripada mereka melihat parti politik mengamalkan rasuah tertinggi diikuti dengan polis (42 peratus). Ia berbeza dengan Barometer Rasuah Global tahun lalu, di mana 78 peratus rakyat Malaysia percaya polis paling tinggi mengamalkan rasuah di Malaysia. Baru-baru ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata statistik SPRM merekodkan 509 orang ditahan berkaitan gejala rasuah dan penyelewengan pada 2013 berbanding 701 individu tahun sebelumnya. Orang awam merupakan tangkapan tertinggi iaitu 261 orang diikuti penjawat awam (176 orang), pegawai swasta (71) dan seorang ahli majlis pihak berkuasa tempatan. Sumber: Bernama
TOP
Dua Beradik Dicekup Khalwat Di Perak
PARIT BUNTAR – Ketiadaan ibu bapa di rumah diambil kesempatan oleh dua beradik dengan membawa pulang teman lelaki untuk melakukan maksiat. Perbuatan tidak bermoral remaja yang masih bersekolah itu bagaimanapun berjaya dihidu pihak berkuasa dan mereka ditahan bersama pasangan masing-masing ketika serbuan pencegahan maksiat di sebuah rumah di Taman Kerian Permai, awal pagi 2 Jun lalu. Setiausaha Pertubuhan Sukarela Keselamatan dan Kebajikan Kerian (PSKKK), Abdul Sukur Ahmad berkata, serbuan pada kira-kira jam 2.20 pagi itu dilakukan oleh 20 anggota penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kerian (PADK) dengan kerjasama PSKK) dan polis setelah menerima aduan daripada orang awam. Difahamkan, kedua-dua remaja perempuan itu berusia 15 dan 17 tahun dan mereka masih bersekolah di sebuah sekolah menengah di Parit Buntar. “Dua remaja perempuan terbabit hanya membuka pintu selepas kira-kira setengah jam anggota penguat kuasa PADK meminta mereka berbuat demikian. “Hasil pemeriksaan kami, terdapat dua lelaki berusia lingkungan 18 dan 20 tahun yang tidak mempunyai hubungan mahram dengan kedua adik-beradik terbabit ditemui dalam rumah,” katanya kepada Sinar Harian. Abdul Sukur berkata, keempat-empat pasangan remaja ditahan itu dibawa ke Balai Polis Parit Buntar dan kemudiannya dihantar ke Pejabat Agama Daerah Kerian untuk tindakan susulan. Beliau berkata, golongan remaja diingatkan supaya tidak melakukan sebarang perlakuan tidak bermoral manakala ibu bapa diminta sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak mereka. “Paling penting, kami minta kerjasama orang ramai untuk turut serta membanteras gejala sosial dan maksiat terutama menjelang Ramadan yang semakin hampir. “Sebarang aduan melibatkan gejala sosial boleh disalurkan terus kepada anggota penguat kuasa PADK atau menghubungi pihak kami untuk tindakan sewajarnya,” katanya. Sumber: Sinar Harian Online
TOP
Sorok Mayat Dua Beranak Bawah Katil
Hong Kong – Seorang lelaki dengan dua keluarga ditangkap selepas pekerja menemui mayat wanita simpanannya dan anak mereka berusia dua tahun yang hilang 14 tahun lalu di bawah katil di apartmen yang mereka sewa. Lelaki itu didakwa mencekik kedua-dua mangsa sebelum menyembunyikan mayat berkenaan. Kan Wai-nam, 53, ditangkap minggu lalu selepas mayat keluarga keduanya itu di temui dalam beg di Shenzhen. Kan yang mempunyai seorang lagi isteri dan dua anak di Hong Kong dilapor mengaku membunuh wanita simpanannya dan anak mereka pada Mei 2000. Kan dilapor memberitahu polis, dia membunuh wanita dan kanak-kanak itu selepas berdepan bebanan hutang mencecah ratusan ribu yuan akibat ketagihan judi. Mayat itu ditemui selepas Kan meminta pemilik rumah sewanya membersihkan dua apartmen yang disewanya di Shenzhen. Dia dilapor memberitahu tuan rumah, sebuah apartmen berkenaan digunakan untuk didiami sementara satu lagi digunakan sebagai bilik serba guna. Pekerja yang dihantar untuk membersihkan apartmen itu menemui beg berisi mayat selepas tersilap memasuki apartmen yang digunakan sebagai bilik serba guna. Kan masih membayar sewa apartmen itu walaupun selepas membunuh mangsa 14 tahun lalu. Sumber: Agensi
TOP
Waris penumpang MH370 dakwa ada pihak ambil kesempatan kutip dana
Waris penumpang MH370 dikejutkan apabila mendapati acara majlis makan malam untuk mengumpul dana bagi keluarga MH370 dianjurkan tanpa pengetahuan mereka. – Gambar fail, 7 Jun, 2014 The Malaysian Insider
Waris penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370 mendakwa wujudnya pihak yang mengambil kesempatan atas tragedi itu, apabila mendapati terdapat dua program makan malam amal bagi kutipan dana dibuat April lalu tanpa pengetahuan mereka. Mengakui membuat laporan polis mengenai hal itu, mereka berkata program makan malam dianjurkan sebuah badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang digelar Malaysia, China Indonesia (MCI) Budaya Muslim dan Econtrade diadakan di sebuah hotel di Seremban, Negeri Sembilan pada 21 April lalu dan hotel di Seri Kembangan tiga hari kemudian. Selain itu, mereka mendakwa penganjur juga tidak pernah datang berunding, memberitahu atau meminta kebenaran sehingga menyebabkan ahli keluarga penumpang pesawat MH370 merasa terkejut apabila mengetahui acara itu diadakan. Mereka berkata lagi, laporan polis dilakukan di Petaling Jaya pada Khamis selepas diketahui oleh salah seorang ahli keluarga pesawat malang itu melalui artikel di Internet. Antara lain, keluarga penumpang MH370 turut mendakwa laporan artikel itu menyatakan sebanyak 500 kerusi dibuka untuk tempahan berharga di antara RM1,500 dan RM10,000 sementara meja tempahan pula berharga antara RM2,000 dan RM 15,000. NGO itu juga dikatakan mengemukakan nombor bank akaun kepada umum bagi tujuan kutipan dana. Manakala laporan yang turut dipaparkan pada laman Facebook keluarga MH370 dan kebanyakan ahli keluarga pesawat itu menyatakan langsung tidak menyedari kewujudan acara itu. "Kami membuat laporan polis untuk memberitahu masyarakat kami langsung tidak menerima sebarang wang hasil kutipan derma daripada majlis makan malam itu, termasuk tidak mengetahui acara itu diadakan. "Kami amat risau memikirkan masyarakat akan memikirkan wang tersebut diberikan kepada kami," katanya. Dalam laporan polis, mereka turut meletakkan Datuk Andrew Lim sebagai individu yang dihubungi ahli keluarga MH370 bagi mendapat penjelasan mengenai acara tersebut. Lim ketika dihubungi The Malaysian Insider memberitahu menerima panggilan daripada ahli keluarga MH370 yang cuba mengugut beliau. "Dua individu menghubungi saya. Mereka bertanyakan mengenai makan malam itu dan amat kasar. Saya tidak tahu adakah mereka ahli benar ahli keluarga seperti didakwa. Saya memberitahu saya bukanlah penganjur, namun hanya penaja dan meminta mereka menulis kepada MCI bagi penjelasan lanjut, namun mereka enggan mendengar saya. "Mereka mengugut saya dengan berkata saya perlu lari laju-laju sebelum mereka menangkap saya. Saya tidak melakukan apa-apa kesalahan. Kerana itu saya membuat laporan polis pada Khamis untuk menjaga reputasi saya sebagai ahli perniagaan selain membuktikan tidak bersalah," katanya. Lim yang merupakan anggota NGO tersebut mengakui menghadiri kedua acara itu, namun bertindak sebagai penaja dalam persembahan budaya dengan membawa penari dari China. "Benar saya ada pada kedua acara di Seremban dan Seri Kembangan, namun makan malam itu sikit pun tidak menyebut mengenai kutipan amal untuk keluarga MH370. Mereka yang menghadiri acara itu mengetahui perkara sebenar," katanya. Katanya, acara di Seremban adalah lebih kepada program kebudayaan dianjurkan kerajaan negeri. "Saya di sana bagi menjaga kebajikan penari kebudayaan dibawa dari China bagi acara itu. Tiada kutipan dana dikumpul bagi tujuan makan malam itu," katanya. Bagi acara di Seri Kembangan pula, Lim berkata ia dihadiri kira-kira 500 orang di mana tujuan makan malam itu adalah untuk merapatkan pertalian antara Muslim di China, Malaysia dan Indonesia. "Acara itu memang sepatutnya ada bidaan ketika makan malam, namun ia tidak berjalan dengan lancar dan tiada duit dikumpul," katanya. Ditanya mengenai sebuah artikel yang disiarkan di Internet mengenai rancangan MCI mengadakan makan malam amal bagi kutipan dana, beliau berkata ia sememangnya merupakan rancangan asal, namun tidak dilaksanakan. Lim juga berkata sudah menyerahkan penyata kewangan MCI kepada polis. "Saya tidak ada apa yang perlu disembunyi," katanya. Katanya, Naib Pengerusi MCI Datuk Seri Abdul Shukor Mohsin juga mengetahui mengenai panggilan yang diterima. Sementara itu, Penolong Komisioner Polis ACP Razimi Ahmad mengesahkan ada menerima kedua-dua laporan polis tersebut. – 7 Jun, 2014. Sumber: The Malaysian Insider
TOP
BSN sasar 19 juta transaksi EBB
YUNOS Abdul Ghani (dua kiri) berkata sesuatu sambil bertukar dokumen perjanjian dengan Yeap Dein Wah (tiga kiri) pada majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Bank Simpanan Nasional dan Singer Malaysia Sdn. Bhd. di Bukit Kiara Equestrian and Country Resort, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 6 Jun - Bank Simpanan Nasional (BSN) menyasarkan sebanyak 19 juta transaksi menerusi Ejen Bank Berdaftar (EBB) berbanding 10.6 juta transaksi bernilai RM890 juta dicapainya tahun lalu. Timbalan Ketua Eksekutif (Perbankan Komuniti) BSN, Yunos Abdul Ghani berkata, sehingga Mei lalu, pihaknya mempunyai 5,342 ejen berdaftar di seluruh negara dan jumlah itu diunjurkan naik kepada 6,000 ejen pada akhir tahun ini. Katanya, BSN justeru optimis unjuran bagi transaksi dan ejen berkenaan boleh dicapai dan bakal dipacu oleh pemeteraian kerjasama antara BSN dan Singer Malaysia Sdn. Bhd. (Singer) sebagai saluran terus untuk perkhidmatan pembayaran ansuran produk Singer. "Kerjasama ini membolehkan pelanggan Singer untuk membuat pembayaran ansuran bagi produk Singer yang dibeli dengan kadar segera dan lebih mudah melalui rangkaian EBB. "Ia akan turut memberi manfaat kepada pelanggan kedua-dua belah pihak terutama yang berada di kawasan luar bandar," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani perjanjian antara BSN dan Singer di sini hari ini. Turut hadir, Pengarah Urusan Singer, Yeap Dein Wah. Urusniaga pembayaran ansuran Singer itu akan dilakukan sepenuhnya menerusi terminal Point-of-Sale (POS) yang membenarkan transaksi digital dilakukan sepenuhnya, malah selamat dan tidak melibatkan sebarang kos tambahan. Sejak EBB diperkenalkan pada Januari 2012, syarikat telah mencatatkan kira-kira 20.2 juta transaksi bernilai lebih RM1.69 bilion.
TOP
Koguru agih dividen 14 peratus kepada ahli
BESUT 6 Jun - Koperasi Warga Pendidikan Terengganu Berhad (Koguru), yang meraih keuntungan bersih RM2.8 juta bagi tahun kewangan 2013, akan membayar dividen 14 peratus kepada 10,000 anggotanya. Pengerusinya, Alias Yahya berkata, berdasarkan laporan kewangan 2013, koperasi itu akan membayar dividen 10 peratus iaitu 10 peratus modal saham dan 4 peratus modal yuran berjumlah RM1.8 juta, kepada 10,000 anggota Koguru mulai awal November ini," katanya kepada Bernama di sini hari ini. Beliau berkata, berdasarkan pencapaian memberangsangkan dan belum pernah dicapai sebelum ini, koperasi juga akan membayar bonus kepada pekerja Koguru tahun ini. Sejak ditubuhkan pada 1965, Koguru telah berjaya mengumpul modal yuran anggotanya sebanyak RM40 juta. - BERNAMA
TOP
Malaysia menarik kepada pelabur Hong Kong
KUALA LUMPUR 5 Jun - Kestabilan politik, tadbir urus dan ketelusan serta infrastruktur bertaraf dunia yang dimiliki Malaysia merupakan antara beberapa faktor pelabur Hong Kong perlu melabur di negara ini, dan menjadikannya sebagai gerbang ke ASEAN. "Kami berharap keduadua pihak akan meningkatkan hubungan memandangkan keduaduanya mempunyai daya saing berbeza," kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed. Hong Kong berjaya dalam bidang seperti antirasuah dan kewangan Islam manakala Malaysia berada di barisan hadapan dalam infrastruktur menerusi pembukaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan terminal tambang rendah terbesar dunia yang baharu, klia2, katanya. Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan pada Forum Kerjasama Serantau Hong KongASEAN, di sini hari ini. Mustapa berkata, Malaysia akan terus meningkatkan usahanya untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pelaburan asing seperti dari Hong Kong. Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Strategi dan Kepimpinan Asia, Tan Sri Dr. Michael Yeoh berkata, Hong Kong perlu meneroka potensi ASEAN memandangkan kirakira 80 peratus daripada sasaran yang ditetapkan dalam Majlis Ekonomi ASEAN (AEC), sudah tercapai. AEC yang dijangka terbentuk menjelang akhir 2015, akan membantu mengubah ASEAN menjadi pasaran tunggal bagi 600 juta penduduk selain sebagai tapak pengeluaran dengan aliran bebas barangan, perkhidmatan, pelaburan dan tenaga kerja mahir. "ASEAN menawarkan banyak peluang dalam sektor seperti minyak dan gas, pembuatan dengan kos yang rendah, pertanian dan komoditi, serta hotel dan pembangunan hartanah," kata Yeoh, anggota panel pada forum itu. Sebaliknya, Hong Kong boleh membantu syarikat ASEAN untuk menjalankan perniagaan di bandar pelabuhan itu, selari dengan status sebagai pusat kewangan terkemuka, katanya. BERNAMA
TOP
Pusat Kewangan Islam Setempat dilancar
KUALA LUMPUR 5 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan pembukaan pusat kewangan Islam setempat (IFiC) yang ditubuhkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH). Perdana Menteri berkata, IFiC akan menempatkan beberapa agensi dan penyedia perkhidmatan kewangan Islam di bawah satu bumbung seperti mana Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC). Beliau berkata, buat permulaan, IFiC akan menempatkan operasi TH, TH Travel and Services, Bank Islam dan Takaful Malaysia. Malah, menurut Perdana Menteri, dua lokasi IFiC setakat ini adalah di ruang tingkat bawah bangunan Tabung Haji, Jalan Tun Razak di sini dan sebuah lagi di Menara TH di Johor. "TH yang merupakan milik kerajaan sentiasa peka dengan inisiatif ke arah perkhidmatan yang cekap, telus dan mudah," katanya berucap pada majlis pelancaran kad Tabung Haji Debiti Mastercard, Coffee Table Book dan IFiC di sini hari ini. Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim serta Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Paduka Ismee Ismail. Sementara itu, Ismee menambah, pihaknya mahu membuka IFiC di seluruh negara dalam tempoh setahun atau dua tahun lagi dengan terdekat dijangka dibuka di Melaka dan utara Semenanjung Malaysia. "Pembukaan IFiC ini perlu mengikut keperluan dan permintaan semasa dan beroperasi mengikut jadual operasi cawangancawangan TH yang lain. "IFiC dapat memberi penjimatan kos kerana ditempatkan di bawah satu bumbung dan memberi impak dalam jangka masa yang panjang," katanya. Ketika ditanya mengenai kad TH Debiti Mastercard yang baru dilancarkan, Ismee berkata, pendeposit TH boleh memohon secara sukarela dan TH menyasarkan pengeluaran sebanyak 5,000 sehingga 10,000 kad terbabit dalam tempoh sebulan atau dua bulan ini. Katanya, kad debit itu memudahkan urusan pendeposit untuk berbelanja di dalam dan di luar negara. "Kita akan mengehadkan pengeluaran bagi setiap kad debit itu dan caj pengeluaran untuk mengeluarkan kad adalah RM8 sekeping. Pemilik kad debit perlu mempunyai akaun simpanan dengan TH," ujarnya.
TOP
Arab Saudi larang dekati unta
JEDDAH 7 Jun - Pihak berkuasa di Arab Saudi memberi amaran kepada para pelancong dan penduduk tempatan agar menjauhkan diri dari berada dekat dengan unta kerana haiwan itu disyaki menjadi punca merebaknya wabak sindrom pernafasan korona virus Asia Barat (MERS-CoV). Kementerian Kesihatan Arab Saudi, mengeluarkan amaran itu sebagai langkah pencegahan bagi umat Islam yang baru tiba di kota suci Mekah untuk menunaikan umrah selain cenderung untuk mendekati haiwan padang pasir tersebut untuk bergambar bersama. Katanya lagi, kementerian turut melarang orang ramai untuk bersentuhan, memakan daging dan meminum susu unta sebagai langkah berjaga-jaga. Malah pihak kementerian turut merancang untuk melakukan ujian sampel darah dan mengambil lendir semua unta domestik untuk mengesan Mers-Cov. - Agensi
TOP
302 gading dirampas selepas cuba diseludup keluar
MOMBASA 7 Jun - Pihak berkuasa Kenya merampas 302 gading haiwan yang di antaranya termasuk 228 gading gajah dalam satu serbuan di sebuah gudang di bandar Mombasa untuk dieksport keluar semalam. Pegawai Pembantu Pengarah Konservasi Perkhidmatan Hidupan Liar, Arthur Tuda berkata, gading gajah itu diperoleh daripada lebih 130 ekor spesies gajah. Pasukan polis sehingga kini telah menangkap seorang suspek dan sedang mengesan beberapa suspek lagi yang berjaya melarikan diri. - Agensi
TOP
Gadis pakai ala tentera pujuk hati rakyat Thailand
BANGKOK 7 Jun - Beberapa wanita cantik telah diarahkan junta tentera Thailand untuk memakai pakaian ala tentera yang menarik dan meminta mereka menyanyi, menari dan tabik kepada orang ramai bagi memenangi hati dan minda rakyat ekoran rampasan kuasa yang mencetus kontroversi sebelum ini. Beberapa anggota tentera wanita Thailand turut dilihat menyanyi bersama di belakang trak tentera di jalan-jalan utama Bangkok. Inisiatif yang dilakukan ini termasuk menganjurkan beberapa parti jalanan dengan menyediakan makanan dan muzik percuma, yang mana merupakan sebahagian daripada kempen perhubungan awam oleh pemerintah baharu negara Asia Tenggara itu berikutan penggulingan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra bulan lepas. - Agensi
TOP
Rohingya terus ditindas
TENTERA Bangladesh mengawal di sempadan Bangladesh berdekatan Myanmar sejak keadaan tegang di sempadan negara berkenaan. - Agensi
MAUNGDAW, Myanmar 6 Jun - Tentera Myanmar didakwa merancang untuk menggunakan penduduk etnik Rohingya beragama Islam di daerah Maungdaw sebagai perisai manusia, dalam persediaan jika berlakunya peperangan di antara negara ini dengan Bangladesh. Agensi berita Burma Times melaporkan seorang penduduk tempatan berkata, tentera dan Polis Pengawal Sempadan Myanmar (BGP) memaksa anggota etnik Rohingya ke barisan hadapan pertahanan sempadan sebagai pengangkat barang. Pada 30 Mei lalu, Pentadbir Daerah Maungdaw, U Aung Myint Soe telah mengadakan perjumpaan bersama pentadbir perkampungan yang didiami oleh penduduk Islam Rohingya di pejabatnya. "Dalam pertemuan itu Myint Soe berkata, ketika ini sedang berlaku peperangan di utara Maungdaw dan beliau mengarahkan setiap pentadbir kampung menyediakan sekurang-kurangnya 30 orang untuk menjadi pengangkat barang di barisan hadapan pertahanan. "Tentera Myanmar turut meminta 10 hingga 15 orang penduduk Rohingya dari setiap kampung untuk dijadikan sebagai pengangkat barang di barisan hadapan pertahanan, namun apabila kami enggan melakukannya, mereka mengugut menggunakan kekerasan bagi memaksa kami melakukannya," kata seorang pentadbir kampung yang enggan mendedahkan namanya. Tentera Myanmar dan BGP dilaporkan didakwa merancang untuk menggunakan etnik Rohingya sebagai perisai manusia jika peperangan tercetus dengan Bangladesh. "Terdapat beberapa orang penduduk Rohingya telah menjalani latihan sebagai anggota bomba sukarelawan di kampung Ywet-Nyo-Taung dan Kyeing-Chaung, utara Maungdaw. Pada 3 Jun 2012, BGP pernah memaksa mereka turut serta dalam latihan ketenteraan jangka pendek," kata seorang penduduk kampung, Kyeing Chaung. Pertelingkahan di antara Myanmar dengan Bangladesh tercetus selepas BGP bertindak menyerang dan membunuh tentera Pengawal Sempadan Bangladesh (BGB) di pos kawalan sempadan di barat laut Maungdaw pada 28 Mei lalu. Ekoran kejadian itu, pertempuran berlaku di antara kedua-dua belah pihak sehingga menyebabkan kerajaan bertindak mengerahkan tentera di sepanjang kawasan sempadan, selain menempatkan tentera laut di sepanjang sempadan maritim. Agensi berita Mizzima melaporkan, satu pertemuan di antara pegawai Myanmar dan Bangladesh telah diadakan pada 5 Jun 2013, namun ia berakhir dengan pertelingkahan, sekali gus mengeruhkan lagi keadaan serta meningkatkan kebimbangan dikalangan penduduk Rohingya.
TOP
Vietnam dedah video rempuhan kapal
Gambar yang diedarkan pihak berkuasa Vietnam menunjukkan saat-saat sebelum kapal China (kiri) merempuh satu daripada bot nelayan Vietnam sehingga ia karam berhampiran Kepulauan Paracel dalam kejadian 26 Mei lalu. - AGENSI
HANOI 6 Jun - Vietnam hari ini mendedahkan video yang merakamkan saat-saat dramatik yang menunjukkan sebuah kapal besar China mengejar dan merempuh satu daripada bot-bot nelayan negara ini yang kemudiannya karam berhampiran pelantar minyak di perairan yang menjadi pertikaian kedua-dua buah negara, bulan lalu. Kedua-dua negara jiran itu saling tuduh menuduh berhubung insiden yang berlaku pada 26 Mei itu dengan Hanoi mengutuk tindakan berkenaan sebagai perbuatan tidak berperikemanusiaan oleh China yang sebaliknya menyalahkan bot nelayan Vietnam kerana menceroboh perairannya. Video itu dirakam dari sebuah bot nelayan Vietnam yang berada berhampiran lokasi insiden tersebut yang menunjukkan sebuah kapal besar China mengejar bot nelayan Vietnam sebelum merempuhnya menyebabkannya karam. Timbalan Ketua Jabatan Pengawasan Perikanan Vietnam, Ha Le berkata, sebanyak 10 nelayan di dalam bot itu diselamatkan oleh bot-bot nelayan lain yang berada di lokasi kejadian itu, kira-kira 12 batu nautika dari barat daya pelantar minyak China itu. Vietnam semalam mendakwa, kapal-kapal China yang mengawal pelantar minyak itu telah mengakibatkan 12 rakyatnya termasuk 10 buah bot karam termasuk merosakkan 24 buah kapal penguatkuasa Vietnam sejak konflik tersebut bermula, awal Mei lalu. Selain itu, sebanyak 12 kapal nelayan turut rosak akibat dilanggar kapal-kapal China di kawasan berhampiran Kepulauan Paracel yang menjadi rebutan kedua-dua negara yang dikenali di Vietnam sebagai Hoang Sa manakala Beijing memanggilnya sebagai Xisha. "Mereka dilarang daripada menangkap ikan, diancam kapal-kapal China termasuk kelengkapan mereka musnah dan anak kapal dilayan dengan buruk," katanya. Sementara itu, Timbalan Komander Pengawal Pantai Vietnam, Ngo Ngoc Thu berkata, sebanyak 30 hingga 137 buah kapal China akan mengelilingi pelantar minyak berkenaan termasuk enam kapal perang pada setiap hari. "Kapal-kapal Vietnam sentiasa dihalang dan cuba mengelak daripada dirempuh kapal China," katanya menambah, Vietnam tidak menggunakan meriam air ke atas kapal-kapal China. - AFP
TOP
Rancangan realiti lahir anak di hutan dikritik
LOS ANGELES 6 Jun - Rancangan realiti baharu saluran televisyen Lifetime memaparkan sebuah keluarga melahirkan bayi mereka di dalam hutan tanpa sebarang peralatan moden dan bantuan doktor, mendapat kritikan ramai pihak. Laman web Mail Online melaporkan, orang ramai mengkritik idea tersebut yang disifatkan membahayakan nyawa ibu dan bayi yang bakal dilahirkan. Rancangan bertajuk Born in the Wild itu akan memaparkan lelaki dan wanita yang membuat keputusan untuk melahirkan anak mereka di dalam hutan. Lifetime berhasrat untuk menghasilkan rancangan itu selepas melihat video seorang wanita melahirkan bayinya di dalam hutan tanpa sebarang bantuan di laman perkongsian video, YouTube. "Apa yang akan berlaku apabila seorang wanita atau ibu bapa membuat keputusan melahirkan anaknya di dalam hutan," kata Lifetime dalam satu kenyataan memperkenalkan rancangan tersebut. Pihak pengurusan Lifetime berharap, rancangan itu akan dapat mewujudkan trend melahirkan bayi di rumah di kalangan penduduk negara ini dan bukannya seperti kebiasaan di hospital. "Mereka yang akan terlibat dalam rancangan ini merupakan individu yang berpengalaman dan pernah melahirkan bayi sebelum ini. Selain itu, mereka turut akan pantau oleh krew penerbitan," jelas Lifetime lagi. Februari lalu, seorang pengguna YouTube memuat naik satu rakaman video seorang wanita melahirkan bayi di dalam hutan dengan hanya dibantu oleh ahli keluarganya sahaja. Sejak dimuat naik, video tersebut telah ditonton oleh lebih 20 juta orang.
TOP
Temui bom ketika buang air besar
Anggota polis unit pemusnah bom sedang bersiap sedia untuk memusnahkan sebiji bom yang ditemui di Malang, Indonesia. - AGENSI
MALANG - Seorang pemuda Misbahul Karin nyaris maut apabila dia menemui sebiji bom tangan di kawasan dusun di Ngepeh, Karangploso, Malang baru-baru ini ketika sedang membuang air besar. Ketika kejadian, Misbahul di dapati berada di pinggir sebatang sungai untuk membuang air besar lalu terlihat sebiji benda pelik berbentuk seperti bola. Dia mengambil benda pelik itu dan membersihnya sebelum membawanya pulang ke rumah sebelum ditegur rakan-rakan yang mendapati objek tersebut seperti sebiji bom tangan. Sejurus itu, pemuda tersebut membuat laporan polis dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa di Balai Polis Karangploso. "Keadaan bom itu berkarat. Kemungkinan besar masih aktif. Bom tangan itu dipercayai masih aktif kerana ia masih dilengkapi pin kekunci. "Kita telah pun meminta bantuan dari unit pencegahan bahan letupan untuk memusnahkannya," kata seorang anggota polis Malang. Sehingga kini, siasatan lanjut masih dilakukan oleh pihak berkuasa yang terlibat bagi mengetahui asal-usul bom berkenaan. - AGENSI
TOP
Bangladesh lancar 'cukai hijau'
DHAKA 6 Jun - Bangladesh semalam, menguatkuasakan 'cukai hijau' untuk memaksa kilang-kilang yang menyumbang kepada pencemaran membayar levi tambahan dalam usaha untuk membersihkan sungai dan udara yang semakin tercemar di negara ini. Cukai alam sekitar itu diumumkan sebagai sebahagian daripada AS$32 bilion (RM103.5 bilion) bajet untuk tahun 2014 dan 2015, yang turut memfokuskan terhadap projek infrastruktur gergasi yang baharu di bandar raya ini. "Industri cairan dan bahan buangan daripada kumbahan bandar adalah penyebab sungai di negara ini teruk tercemar dan sekali gus menjejaskan akuatik dan persekitarannya," kata Menteri Kewangan, A.M.A Muhith ketika mengumumkan bajet tersebut di Parlimen semalam. - AFP
TOP
Bawang Malaysia diseludup
Seorang pegawai kastam menunjukkan sebahagian daripada berpuluhpuluh tan bawang merah dari Malaysia yang diseludup ke Sumatera Utara, barubaru ini. - AGENSI
JAKARTA 5 Jun - Aktiviti penyeludupan barangan keperluan asas dari Malaysia khususnya ke Sumatera Utara semakin meningkat sejak kebelakangan ini berikutan ketibaan bulan Ramadan yang dijangka disambut umat Islam pada penghujung bulan ini. Jabatan Kastam di Sumatera Utara mendedahkan, antara barangan keperluan asas yang paling tinggi dibawa masuk secara haram ke wilayah itu ialah daging, gula dan bawang merah. Menurut Ketua Jabatan Kastam Sumatera Utara, Harry Mulya, peningkatan kegiatan penyeludupan barangan itu berlaku kerana terdapat permintaan yang tinggi daripada pengguna, sementara bekalan pula sangat terbatas di pasaran tempatan. Katanya, secara umumnya, barangan asas makanan itu dibawa masuk secara haram dari Malaysia. "Masalah ini (penyeludupan) berlaku hampir setiap tahun," kata Harry kepada akhbar The Jakarta Post. Bagaimanapun, pihak berkuasa tegas beliau, sentiasa berusaha mematahkan kegiatan penyeludupan itu termasuk dua cubaan membawa masuk bawang merah dari Malaysia pada bulan lalu. "Bekalan bawang merah di Medan sangat menurun pada masa ini. Ini yang menyebabkan pembekal membawa masuk secara haram dari luar negara," katanya lagi. Keduadua kegiatan penyeludupan bawang merah itu berjaya dipatahkan oleh pihak kastam di perairan Tanjung Jumpul, Asahan pada 3 Mei lalu dan dari Tanjung Siapiapi, Asahan pada 30 Mei lalu. Botbot yang membawa barangan tersebut memasuki perairan Indonesia sebaikbaik berlepas dari Klang, Malaysia. Pegawaipegawai penguatkuasa kastam turut menyita 48 tan bawang merah dalam keduadua cubaan penyeludupan itu, sementara 11 anak kapal dan kapten ditahan. Sementara itu, peniagapeniaga di pasar tradisional di Medan mengakui, mereka kehabisan bekalan bawang merah menjelang ketibaan bulan Ramadan. Harga bawang merah juga dilaporkan naik daripada 20,000 rupiah (RM5.44) sekilogram kepada 26,000 rupiah (RM7) sekilogram. - UTUSAN
TOP
Heboh haiwan jadian muncul
SITUBONO - Penduduk kampung Sletreng di daerah Kapongan gempar dengan penemuan seekor kelawar yang disyaki seekor haiwan jadian. Haiwan itu yang kebiasaannya ditemui berkeliaran pada waktu malam ditangkap ketika memasuki rumah seorang penduduk tempatan bernama Muhlis. Selepas haiwan misteri itu berjaya ditangkap, berita mengenainya mula tersebar luas di kampung-kampung lain. Ekoran itu, dalam masa yang singkat, rumah Muhlis mula dibanjiri orang ramai yang mahu melihat sendiri haiwan berwarna jingga itu yang disyaki jelmaan ilmu hitam. "Sebaik sahaja mendengar cerita mengenai penemuan haiwan itu, saya terus teruja dan mahu melihat sendiri kelawar berwarna aneh itu," kata Syamsul, seorang penduduk di kampung tersebut.Muhlis mengakui sukar untuk menangkap haiwan pelik itu yang didapati masuk ke ruang tempat simpanan duit di rumahnya. "Kelawar itu didapati tangkas dan susah untuk ditangkap. "Haiwan itu hanya berjaya ditangkap setelah saya tidak memakai baju," kata Muhlis. Bagi mengetahui sama ada kelawar itu haiwan jadian, ia perlu dimasukkan ke dalam sebuah balang kaca. Jika ia merupakan haiwan jadian, maka pemiliknya akan mengambilnya kembali kerana ia sukar bernafas. - AGENSI
TOP
Nenek jual syabu dicekup
MEDAN - Taktik seorang nenek berusia 54 tahun mengaburi mata pihak berkuasa untuk menjual dadah jenis syabu melalui perniagaan kuihnya di Jalan Sentosa Lama di Medan Timur, membawa padah apabila kegiatannya itu dihidu pihak polis. Suspek yang dikenali sebagai Suwini atau Mamak dicekup polis bersama 11 bungkus syabu yang sedia untuk diedarkan kepada pembeli ketika sedang berniaga kuih di sini, baru-baru ini. Menurut keterangan Suwini, dia sanggup menjual bahan terlarang itu semata-mata memenuhi keperluan hidupnya ekoran pendapatan yang lumayan. "Hasil perniagaan kuih tidak cukup untuk menampung sara hidup lima anak dan enam cucu saya," katanya kepada Okezone.com. Suwini berdepan hukuman maksimum 20 tahun penjara jika didapati bersalah. - AGENSI
TOP
Dagangan Malaysia meningkat RM123.86b
KUALA LUMPUR 6 Jun - Jumlah dagangan Malaysia pada April 2014 meningkat 12 peratus tahun ke tahun kepada RM123.86 bilion hasil daripada peningkatan aktiviti perdagangan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (gambar). Beliau berkata, peningkatan dagangan direkodkan dengan China meningkat kepada RM1.72 bilion, Taiwan (RM1.51 bilion), Korea Selatan (RM1.49 bilion), Hong Kong (RM1.37 bilion), Australia (RM1.25 bilion), Singapura (RM1.2 bilion) dan Jepun (RM1 bilion). Dalam satu kenyataan hari ini, Mustapa berkata, eksport bernilai RM66.37 bilion pada April, peningkatan sebanyak RM10.56 bilion berbanding April 2013, manakala import berkembang lima peratus kepada RM57.5 bilion, menyumbangkan lebihan dagangan sebanyak RM8.87 bilion. Eksport utama terdiri daripada produk elektrik dan elektronik (E&E) bernilai RM21.68 bilion mewakili 32.7 peratus jumlah eksport, meningkat 22 peratus berbanding April 2013, barangan petroleum bertapis (RM5.6 bilion) dan gas asli cecair (RM5.35 bilion). Produk lain termasuk kimia dan barangan kimia (RM4.56 bilion) dan minyak sawit, meliputi minyak sawit mentah, fractionated palm oil, isirung, olein dan stearin, berjumlah RM3.84 bilion. Produk import utama terdiri daripada barangan E&E yang meningkat 7.5 peratus pada RM15.33 bilion atau 26.7 peratus daripada jumlah import, produk petroleum bertapis (RM6.47 bilion) dan kimia serta produk kimia (RM5.68 bilion). Mustapa berkata, prestasi dagangan Malaysia menunjukkan aliran meningkat dengan jumlah dagangan mengembang sebanyak 9.3 peratus kepada RM473.24 bilion antara Januari hingga April 2014, berbanding tempoh sama pada 2013, hasil daripada prestasi eksport yang kukuh dalam tempoh itu. "Kita mencatat pengembangan ketara dalam dagangan dengan beberapa rakan dagang, dan pada masa yang sama mengekalkan pertumbuhan trajektori untuk eksport sepanjang 10 bulan yang lepas sejak Julai," katanya. Selari dengan trend pertumbuhan ini, beliau berkata, Malaysia mencatat lebihan dagangan yang kukuh, sebanyak RM35.19 bilion pada empat bulan pertama 2014 dengan eksport meningkat 12.8 peratus kepada RM254.22 bilion dan import meningkat 5.4 peratus kepada RM219.03 bilion. - BERNAMA
TOP
Proton tawar rebat tunai sempena Ramadan, Aidilfitri
KUALA LUMPUR 6 Jun - Proton Holdings Bhd. membuat tawaran menarik untuk semua kereta keluarannya bulan ini bersempena Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri. Dalam satu kenyataan hari ini, Proton berkata, ia akan menawarkan rebat tunai sehingga RM8,000 untuk model tertentu dan servis percuma tiga tahun, kadar faedah bermula daripada serendah 2.70 peratus dan pelbagai tawaran istimewa lain. "Orang ramai dijemput melihat tawaran promosi kami bulan ini di semua bilik pameran Proton di Malaysia. "Promosi ini berterusan sehingga 30 Jun 2014," katanya. - BERNAMA
TOP
Mohd. Yunus tinggalkan MASkargo
KUALA LUMPUR 6 Jun - Proton Holdings Bhd. membuat tawaran menarik untuk semua kereta keluarannya bulan ini bersempena Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri. Dalam satu kenyataan hari ini, Proton berkata, ia akan menawarkan rebat tunai sehingga RM8,000 untuk model tertentu dan servis percuma tiga tahun, kadar faedah bermula daripada serendah 2.70 peratus dan pelbagai tawaran istimewa lain. "Orang ramai dijemput melihat tawaran promosi kami bulan ini di semua bilik pameran Proton di Malaysia. "Promosi ini berterusan sehingga 30 Jun 2014," katanya. - BERNAMA
TOP
Maybank bubar 2 anak syarikat tidak langsung
KUALA LUMPUR 6 Jun - MASkargo Sdn. Bhd. hari ini mengumumkan peletakan jawatan oleh Mohd Yunus Idris sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) berkuat kuasa 10 Jun 2014. Bahagian kargo udara Malaysia Airlines (MAS) berkata Mohd Yunus melakar banyak kejayaan sepanjang 30 tahun bersama syarikat penerbangan itu, dengan memulakan kerjayanya sebagai pengawal harta di pejabat bandar syarikat itu di sini. "Pada November 2011, beliau dilantik sebagai pemangku CEO MASkargo dan secara rasminya menjawat jawatan itu pada Ogos 2012," katanya. CEO kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya berkata, Mohd Yunus berjaya mengharungi industri kargo yang sukar dan situasi pasaran yang mencabar dengan permintaan untuk pergerakan kargo terjejas teruk oleh pertumbuhan ekonomi negara dan benua. -- BERNAMA
TOP
Thailand turunkan harga barangan pengguna
BEBERAPA orang askar dan anggota sukarelawan memindahkan kawat berduri dalam operasi pembersihan dari sebuah terusan dekat Rumah Kerajaan di Bangkok semalam.
BANGKOK - Kementerian Perdagangan Thailand menyatakan semalam bahawa harga kebanyakan barangan pengguna di negara itu tidak akan dinaikkan selama enam bulan sehingga November depan. Pembekuan kenaikan harga tersebut dibuat bagi menurunkan kos sara hidup selain meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan keyakinan pengguna. "Para pengeluar 205 produk yang diklasifikasi sebagai barangan keperluan pengguna bersedia untuk membekukan harga selama enam bulan," kata Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Thailand, Srirat Rastapana selepas mengadakan pertemuan dengan wakil syarikat-syarikat dan persatuan perniagaan. Srirat merupakan pemangku menteri di bawah kerajaan junta tentera yang merampas kuasa di Thailand pada 22 Mei lalu. "Antara produk berkenaan termasuk minuman, beras, minyak kelapa sawit, makanan segera, produk tenusu, produk isi rumah dan makanan haiwan serta baja," katanya. Penduduk Thailand sebelum ini mengadu tentang kenaikan kos sara hidup walaupun keyakinan pengguna meningkat selepas rampasan kuasa tersebut. Dalam pada itu, ekonomi Thailand mengecut sebanyak 2.1 peratus dalam suku pertama tahun ini berbanding tiga bulan sebelumnya akibat krisis politik dalaman yang berlanjutan selama berbulan-bulan. Junta tentera juga mengumumkan, seorang pemimpin antirampasan kuasa, Sombat Boonngamanong ditangkap kelmarin di Chonburi, tenggara Thailand. Sombat akan berdepan dakwaan membantah arahan untuk melaporkan diri kepada junta. Jika disabit kesalahan, dia akan dihukum penjara dua tahun. Thailand juga akan mempunyai Perdana Menteri dan Kabinet dalam tempoh tiga bulan. Perkara itu dimaklumkan kepada sekumpulan ahli perniagaan Cina oleh ketua junta yang juga Panglima Tentera, Jeneral Prayuth Chan-ocha.
- Agensi
TOP
Pasangan curi kereta Cyrus ditangkap
KERETA berwarna putih Maserati Quattroporte milik Cyrus yang diperoleh semula oleh Jabatan Polis Lembah Simi, Los Angeles.
LOS ANGELES - Polis di sini mengesahkan pihaknya berjaya menangkap dua suspek yang disyaki mencuri sejumlah barang kemas dan sebuah kereta mewah jenis Maserati Quattroporte milik penyanyi seksi, Miley Cyrus. Polis berkata, seorang lelaki dan wanita berusia dalam lingkungan 20-an ditangkap di sebatang jalan raya di Hollywood Utara sekitar pukul 11 pagi kelmarin. Polis mengenal pasti suspek berkenaan berdasarkan rakaman kamera keselamatan di kediaman penyanyi itu. Nama-nama mereka bagaimanapun belum didedahkan oleh pihak berkuasa. "Cyrus berada di luar bandar apabila rumahnya di Lembah San Fernando di sini dipecah masuk oleh dua pencuri itu pada 30 Mei lalu," kata polis dalam satu kenyataan. "Mereka melarikan barang kemas dan kereta Maserati milik Cyrus. Kenderaan tersebut kemudian ditemui dalam keadaan ditinggalkan di Lembah Simi, dekat sini," tambah kenyataan sama. Dalam pada itu, penyanyi berkenaan masih belum mengulas tentang kecurian tersebut. - Agensi
TOP
Dua kumpulan Sikh bergaduh di Kuil Emas
DUA kumpulan Sikh berbalah di dalam Kuil Emas itu.
NEW DELHI - Satu pergaduhan melibatkan anggota-anggota pasukan sukarelawan Jawatankuasa Shiromani Gurdwara Parbandhak (SGPC) dan para aktivis Sikh telah menyebabkan 12 orang cedera di kompleks Kuil Emas di Amritsar, India semalam. pergaduhan itu berlaku selepas anggota-anggota Shiromani Akali Dal menegaskan, mereka dibenarkan untuk berucap menerusi mikrofon. Beberapa saksi berkata, pada pertempuran itu, para aktivis Shiromani Akali Dal dihalang oleh para sukarelawan SGPC daripada menghunus pedang, lembing dan senjata tradisonal yang lain. Tindakan para sukarelawan SGPC itu menyebabkan pergaduhan berlaku melibatkan kedua-dua pihak pada ulang tahun ke-30 Operasi Bintang Biru yang berakhir semalam. Pada operasi Bintang Biru itu, kira-kira 400 orang terbunuh pada Jun 1984 atas arahan Perdana Menteri ketika itu, Indira Gandhi. Pemimpin golongan pemisah, Jarnail Singh Bhindranwale turut diusir keluar oleh askar-askar India dalam kejadian itu. Ramai orang yang dilihat berlari untuk menyelamatkan diri ekoran kejadian itu. Kedua-dua anggota kumpulan itu saling kejar-mengejar di tangga marmar di dalam kuil tersebut. Bagaimanapun, pertempuran tersebut berjaya dikawal dengan kehadiran anggota keselamatan tambahan yang ditempatkan di dalam kuil itu. "Insiden ganas itu akan disiasat dan tindakan akan diambil ke atas mereka yang dituduh melakukan perbuatan tersebut," kata seorang pemimpin pentadbiran kuil tersebut, Giani Gurbachan.
- Agensi
TOP
Kaviar dan udang karang dijual RM512.41
GAMBAR menunjukkan hidangan roti yang mengandungi kaviar dan udang karang di Restoran BLT Fish di New York pada 4 Jun lalu.
NEW YORK - Roti yang mengandungi kaviar (telur ikan Sturgeon) dan diperkaya udang karang dijual pada harga AS$160 (RM512.41) di Restoran BLT Fish di sini sejak 4 Jun lalu. Cef Ekesekutif restoran itu, Luke Venner menghasilkan resipi itu yang turut dihiasi dengan kentang goreng. Restoran itu sebelum ini terkenal dengan hidangan berasaskan ikan. - Reuters
TOP
Wanita ketuai skuad pembunuh kartel dadah paling bahayadi Mexico
FELIX
LOS ANGELES - Seorang wanita mirip selebriti Hollywood Kim Kadarshian didakwa menjadi ketua baharu skuad pembunuh elit yang digunakan oleh kartel dadah paling berbahaya di Mexico, lapor akhbar MailOnline semalam. Wanita berkenaan, Claudia Ochoa Felix atau digelar Maharani Antrax turut memiliki sepucuk raifal AK-47 berwarna merah jambu. Dia dipercayai menjadi ketua skuad pembunuh Los Antrax yang digunakan oleh kartel dadah Sinaloa untuk melakukan pembunuhan dan serangan balas dendam. Wanita berusia 27 tahun itu menggunakan media sosial untuk menceritakan tentang gaya hidupnya. Felix turut memuat naik gambarnya memegang senjata, berdamping dengan seekor harimau bintang dan memakai pakaian ketat termasuk pakaian renang. Gambar-gambar itu turut memperlihatkan imej anak-anaknya. Terdapat juga gambar yang menunjukkan seorang anak perempuan yang berbaring di katil dengan dikelilingi ratusan wang kertas. Dalam pada itu, beberapa sumber perisikan Amerika Syarikat (AS) menamakan kartel Sinaloa sebagai organisasi pengedaran dadah paling berkuasa di dunia. Kartel dadah itu dipercayai terlibat dalam sebahagian besar heroin yang diseludup masuk ke AS. - Agensi
TOP
Mati ditetak dalam kapal nelayan
ANGGOTA polis mengangkat Ah Kok yang cedera parah akibat ditetak seorang warga Indonesia untuk dihantar ke Hospital Miri, Sarawak semalam.
MIRI 6 Jun - Seorang anak kapal maut manakala tekongnya cedera setelah diserang dengan parang oleh seorang rakan mereka yang tiba-tiba mengamuk ketika berada kira-kira 27 kilometer dari perairan Miri/Tukau, hari ini, Dalam kejadian pukul 11 pagi itu, suspek dikenali sebagai Pudin, 30-an, seorang warganegara Indonesia, bertindak menyerang rakannya warga tempatan dikenali Jarup, 20-an, yang berketurunan Iban. Menurut Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Gan Tian Kee, berikutan itu, mangsa yang sedang membaiki jala meninggal dunia di tempat kejadian. Katanya, selepas itu, suspek menyerang tekong kapal pula dikenali sebagai Ah Kok, 40-an yang berbangsa Melanau, semasa lelaki terbabit sedang memasak. "Ah Kok mengalami kecederaan parah di seluruh badan. Ketika bergelut, suspek terjatuh ke dalam laut. Mereka kemudian pulang ke Miri dan menghubungi majikan. "Mangsa yang cedera dan mayat dihantar ke Hospital Umum Miri. Dua orang anak kapal lain telah ditahan untuk membantu siasatan, namun seorang lagi yang merupakan warga Filipina melarikan diri dengan terjun ke laut kerana tiada dokumen pengenalan," ujarnya di sini hari ini. Kata beliau, pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Pasukan Polis Marin telah dimaklumkan serta pergi ke lokasi kejadian untuk mencari suspek.
TOP
Nenek ditahan dera tiga cucu
BAHAGIAN belakang cucu ketiga kepada suspek dipenuhi kesam lebam akibat didera oleh neneknya.
KOTA KINABALU 6 Jun - Tindakan beberapa penduduk di Taman Jaya Diri, Sepanggar dekat sini, menjaga tepi kain orang lain berjaya menyelamatkan tiga beradik berusia antara tiga dan sembilan tahun daripada terus menjadi mangsa dera nenek mereka sendiri. Penduduk yang menyedari penderaan itu beberapa kali sebelum ini, akhirnya bertindak nekad melaporkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa pada 3 Jun lalu. Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan M. Chandra berkata, bertindak atas maklumat, polis menyerbu rumah berkenaan dan menyelamatkan ketiga-tiga mangsa iaitu dua kanak-kanak perempuan berusia tiga dan sembilan tahun serta seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun. Kata beliau, kesemua mangsa dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas, di sini bagi mendapatkan rawatan susulan. "Berdasarkan laporan perubatan, terdapat kesan lebam di bahagian anggota badan seperti bahu, tangan dan lengan. Mangsa-mangsa bagaimanapun dilaporkan stabil dan dijangka diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sabah untuk tindakan susulan," katanya di sini hari ini.
TOP
Pelacur asing diberkas ketika 'beraksi' di ranjang
SEBAHAGIAN pelacur asing (duduk atas katil) yang ditahan oleh penguat kuasa Jabatan Imigresen di sebuah hotel bajet di George Town, Pulau Pinang semalam.
GEORGETOWN - Jabatan Imigresen Pulau Pinang menahan enam wanita rakyat asing dipercayai terlibat dalam kegiatan pelacuran dalam serbuan di hotel bajet sekitar Jalan Penang dan Lebuh Chulia, awal hari ini. Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen negeri Basri Othman berkata mereka yang ditahan dalam operasi pada 2 pagi itu ialah dua warga Laos, dua Indonesia, seorang Vietnam dan seorang Nigeria berumur antara 20-an dan 30-an. "Lima daripada mereka menggunakan pas lawatan sosial manakala seorang lagi warga Nigeria masuk ke negara ini dengan pas pelajar," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. Hasil risikan dan pemantauan selama dua minggu mendapati wanita berkenaan menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan mereka dengan kadar bayaran serendah RM120 hingga RM150. Beliau berkata, warga asing itu dihantar ke Depo Tahanan Imigresen, Juru untuk siasatan mengikut Peraturan 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas masuk ke negara ini. - Bernama
TOP
Tiga maut dalam kemalangan libatkan rombongan pernikahan
TANAH MERAH - Rombongan pernikahan lima buah kereta bertukar sedih apabila tiga beranak termasuk seorang ibu yang sedang sarat mengandung maut dalam satu kemalangan yang melibatkan tiga buah kenderaan, di Kampung Bechah Laut, sini petang semalam. Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 5 petang itu, Proton Wira yang dipandu oleh Yus Zairi Mohd. Yusof, 29, membawa empat penumpang yang lain iaitu Hafiza abdul halim 30, Rogayah Makhtar, 55, Muhammad Hakimi, 9, Azmira Najwa, 6, dan Mohd. Zafril Yus Zairie, 9 bulan, dikatakan bertembung dengan dengan sebuah pacuan empat roda, Toyota Fortuner. Yus Zairi dan Mohd. Zafril meninggal di tempat kejadian manakala Hafiza yang mengandung tujuh bulan maut di Hospital Tanah Merah. - KOSMO!
TOP
Kebakaran rumah panjang, 20 keluarga tinggal sehelai sepinggang
KUALA LUMPUR - Sebanyak 20 buah keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila dua baris rumah panjang yang didiami mereka sejak 20 tahun lalu, musnah dalam kebakaran di Kampung Chubadak Jaya, Sentul, di sini. Penolong Pengarah Operasi Bomba Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian kira-kira 3 petang itu dengan beberapa penghuni berjaya menyelamatkan diri sebelum rumah mereka terbakar. "Pihak bomba berjaya mengawal kebakaran itu dalam tempoh sejam. Punca kejadian masih dalam siasatan," katanya ketika dihubungi di sini. Menurut Azizan, operasi memadam kebakaran berdepan kesukaran kerana kekurangan punca air di lokasi kejadian dan angin kuat menyebabkan api cepat marak. Seramai 27 anggota bomba dan lapan jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat Sentul, Hang Tuah, Setapak dan Gombak Selatan terlibat dalam usaha memadamkan kebakaran tersebut. - Bernama
TOP
Ujian makmal Jakim ikut piawai antarabangsa
KUALA LUMPUR - Makmal yang digunakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menguji dua contoh coklat Cadbury yang didapati bebas daripada DNA babi (Porcine), diiktiraf Jabatan Standard dan proses dapatannya mengikut piawaian antarabangsa. Ketua Pengarah Jabatan Standard Malaysia, Fadilah Baharin berkata, orang ramai tidak perlu khuatir dengan keputusan itu yang menyatakan produk berkenaan adalah halal kerana prosedur yang diguna pakai untuk menganalisis dua jenis coklat berkenaan mempunyai piawaian MS ISO/IEC 17025. "Makmal Jabatan Kimia memang mendapat pengiktirafan daripada jabatan kami bagi pengujian DNA termasuk pengujian produk makanan diproses. "Apabila ujian ke atas dua jenis coklat mendapati tiada DNA tersebut, maka saya yakin keputusan itu adalah tepat dan rasmi, malah ia seharusnya tidak menimbulkan konflik," katanya kepada Bernama di sini hari ini. Piawaian antarabangsa MS ISO/IEC 17025 menetapkan proses ujian terhadap DNA hanya boleh dilakukan di dalam makmal khas yang mempunyai kompetensi standard seperti kakitangan yang terlatih, peralatan yang ditentu ukur dan pendokumentasian yang sempurna. Terdapat 18 makmal lain yang turut mendapat akreditasi daripada Jabatan Standard Malaysia untuk melakukan pengujian DNA babi dan senarai makmal itu boleh diperolehi dengan melayari alamat www.standardsmalaysia.gov.my. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 24 Mei lepas mengeluarkan kenyataan bahawa ia telah mengesan DNA babi dalam coklat susu dan kacang Hazel serta coklat susu dan badam bagi kelompok produk itu bertarikh luput 13 November 2014 dan kelompok bertarikh luput 15 Januari 2015. Pada Isnin lepas Jakim mengesahkan dua sampel produk coklat berkenaan yang diambil terus dari kilang syarikat itu disahkan tidak mengandungi DNA babi selepas melakukan ujian sampel di makmal Jabatan Kimia. Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya kini dalam usaha mewujudkan satu standard kebangsaan (Malaysian Standard) mengenai kaedah ujian bagi mengesan kehadiran DNA babi mengikut metadologi yang seragam; mungkin akan dinamakan 'Malaysian Standard: Test Method for the Detection of Porcine-Based DNA'. Katanya standard itu dijangka siap dan diumumkan tahun hadapan sebagai garis panduan dan teknik bagi menganalisis DNA babi dengan lebih teratur. "Kami dalam proses itu tetapi isu ini (Cadbury) meletup sebelum saya boleh umumkan perkara itu. "Kalau standard ini dapat dilaksanakan, ia akan menjadi yang pertama di dunia mempunyai garis panduan untuk menganalisis DNA babi dan saya yakin isu berbeza pendapat mengenai cara sesetengah pihak melakukan analisis DNA tidak akan timbul," katanya. - Bernama
TOP
Floria Putrajaya sasar lebih sejuta pengunjung
PUTRAJAYA - Sasaran pengunjung lebih satu juta ke Festival Bunga dan Taman Putrajaya (Floria Putrajaya) 2014 dijangka akan tercapai ekoran pemilihan tema bunga iaitu Begonia atau asam batu yang semakin pupus. Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Tan Sri Aseh Che Mat berkata disebabkan Begonia tidak begitu dikenali di negara ini, justeru acara berkenaan bakal menjadi tumpuan ekoran ramainya pengunjung ingin melihatnya. "Jika ramai beranggapan yang asam batu tidak akan mendapat sambutan, saya rasa persepsi itu salah, ramai orang yang ingin melihat sendiri bunga tersebut," katanya dalam sidang media di kediamannya di sini hari ini. Aseh berkata bayaran masuk RM3 akan dikenakan bagi dewasa dan RM1 untuk kanak-kanak berumur 7 hingga 12 tahun juga diharap tidak membebankan lebih-lebih lagi ia diyakini dapat menarik tumpuan pelancong asing. Katanya, Floria Putrajaya kali ini dijangka akan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah pada 14 Jun ini. Floria Putrajaya anjuran PPj yang memasuki tahun ketujuh bertemakan Pesona Warna akan berlangsung mulai 14 hingga 22 Jun ini di tapak baharu yang kekal di Pesisiran Tasik, Presint 4 di sini. Sebanyak 400,000 spesies bunga dan tumbuhan akan dipamerkan selain 58 ruang disediakan kepada pengusaha landskap, pembekal bunga dan mereka yang terlibat dalam industri ini untuk memperkenalkan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan syarikat atau perusahaan mereka.
TOP
Kanak-kanak 9 tahun terima ganti rugi RM2.78 juta
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini memberi RM2.78 juta kepada seorang kanak-kanak berumur sembilan tahun sebagai ganti rugi dalam satu saman ke atas kerajaan, hospital dan 28 yang lain berhubung kecuaian perubatan kerana didakwa menyebabkan dia mengalami kerosakan otak. Peguam Manmohan S Dhillon yang mewakili Nurul Husna Muhammad Hafiz berkata, Pesuruhjaya Kehakiman Vazeer Alam Mydin Meera memerintahkan wang itu dibayar kepada ibu bapa kanak-kanak itu Muhammad Hafiz Abd Wasit dan Dr Nor Azalina Mohd Songib yang bertindak sebagai pemegang amanah kanak-kanak itu. Mahkamah memberi ganti rugi wang sejumlah itu selepas mendengar testimoni tentang kuantum ganti rugi daripada ibu bapa dan tiga pakar perubatan, katanya kepada pemberita. Manmohan berkata, pada 3 September tahun lepas, kerajaan, hospital dan semua defendan mengaku bertanggungjawab atas kecuaian itu. Beliau berkata, RM2.78 juta itu adalah RM345,031.9 untuk ganti rugi khas, RM151,330 bagi ganti rugi praperbicaraan, RM350,000 bagi ganti rugi kesakitan dan penderitaan dan RM1,937,810 bagi ganti rugi masa depan.
DI Hospital Selayang, Kuala Lumpur inilah Nurul Husna mengalami kecacatan otak kekal akibat kecuaian doktor yang bertugas ketika dia dilahirkan di hospital berkenaan.
"Mahkamah memberitahu bahawa kedua-dua ibu bapa bahawa mereka adalah pemegang amanah dan mesti menggunakan wang itu untuk kanak-kanak itu," katanya sambil menambah bahawa mahkamah juga memerintahkan defendan membayar kos RM213,864 kepada plaintif. Bapa kanak-kanak itu, Muhammad Hafiz, yang bekerja sebagai pegawai bank, ketika ditanya berhubung keputusan itu berkata, beliau berpuas hati dengan kuantum itu dan wang itu akan digunakan untuk menjaga anaknya pada masa depan. Pada Disember 2012, Nurul Husna memfailkan saman melalui ibu bapanya. Nurul Husna dan ibunya, Dr Nor Azalina tidak hadir di mahkamah hari ini. Dalam pernyataan tuntutannya Dr Nor Azalina mendakwa Nurul Husna mengalami kerosakan otak yang teruk dan tidak boleh dipulihkan berikutan kecuaian defendan. Dr Nor Azalina berkata, beliau melahirkan Nurul Husna di Hospital Selayang pada 22 Julai, 2005. Dalam saman itu, mereka menamakan kerajaan, 21 doktor dan lapan kakitangan perubatan termasuk jururawat, yang terbabit dalam merawat dan menguruskan kanak-kanak itu di hospital, sebagai defendan. Dr Nor Azalina berkata, kecuaian dan pelanggaran tanggungjawab kontraktual untuk melaksanakan kemahiran dan penjagaan yang sewajarnya menyebabkan dia mengalami kebimbangan dan penderitaan mental. Katanya sepanjang hayatnya Nurul Husna akan bergantung kepada orang lain untuk semua aktiviti kehidupan hariannya. Peguam kanan Persekutuan Zaliha Mohd Janis mewakili defendan. - Bernama
TOP
Melaka tawar pelabur bina taman tema berciri Islam
Idris Haron
MELAKA - Melaka menawarkan peluang kepada pelabur-pelabur yang berminat untuk membina sebuah taman tema berciri Islam di negeri ini, kata Ketua Menterinya Datuk Idris Haron. Beliau berkata Melaka berhasrat untuk menjadi negeri pertama yang memiliki sebuah taman tema berciri Islam untuk menarik pelancong seterusnya meningkatkan ekonomi negeri. "Kebanyakan taman tema lebih bercirikan Barat, jadi idea ini mungkin boleh menjadi satu gaya baru untuk kita berdakwah selain cara sedia ada seperti bernasyid, bernazam, berselawat menggunakan alat muzik seperti gendang dan sebagainya," katanya. Melaka mempunyai beberapa tempat strategik bagi membangunkan projek impiannya itu, katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Keusahawanan dan Kesenian Islam, di Pusat Islam, di sini hari ini. Idris berkata:"Taman tema ni tak mahal tapi maksimum dalam RM400 juta sahaja. Impian kita biar satu dunia tahu, di Melaka ada taman tema Islam," katanya. Terdahulu, Idris dalam ucapannya menyarankan semua pihak dapat menggembleng tenaga bagi memperkasakan produk dan perkhidmatan patuh syariah dan halal dalam menghadapi cabaran masa hadapan dunia perniagaan yang amat kompetitif. Beliau berkata ini kerana produk dan perkhidmatan patuh syariah dan halal seperti makanan, takaful dan perbankan Islam bukan sahaja menjadi pilihan umat Islam, malah turut mendapat sambutan baik dari masyarakat bukan Islam. Katanya industri halal juga adalah salah satu industri yang amat berpotensi dan berkembang dengan pesat di Malaysia dan ianya tidak hanya tertumpu kepada industri makanan, tetapi merangkumi industri seperti farmaseutikal, bio teknologi dan perbankan. Karnival selama tiga hari anjuran Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka dan Telaga Biru Training & Consultancy itu bertujuan menggalakkan penglibatan pelajar dalam perniagaan di samping melahirkan graduan profesional, beretika dan bersifat global dalam bidang keusahawanan. - Bernama
TOP
92 lelaki ditahan miliki senjata berbahaya
KUALA LUMPUR - Polis menahan 92 lelaki di sekitar ibu kota kerana memiliki senjata berbahaya di tempat awam dipercayai untuk tujuan samun dan ragut sepanjang lima bulan lepas. Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata polis merampas 39 bilah pisau, 20 pisau lipat, sembilan buku lima, lima pisau pemotong kertas dan beberapa pedang samurai, kerambit, pistol palsu dan pedang. "Kita percaya motif mereka membawa senjata di tempat awam adalah untuk melakukan jenayah samun, ragut selain untuk pergaduhan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini hari ini. Beliau memberi contoh, walaupun pisau lipat digunakan untuk pelbagai tujuan namun membawa ia ke tempat awam untuk tujuan membahayakan orang awam boleh dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 6 (1) dan Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya (ABKLSB) 1958. "Contohnya, pada Isnin lepas, polis menahan seorang lelaki tempatan di ibu kota kerana memiliki pisau berukuran 22cm. Walaupun dia mendakwa pisau itu untuk tujuan keselamatannya, namun hasil siasatan mendapati, dia (suspek) mempunyai lima rekod jenayah lampau berkaitan samun dan dadah. "Orang ramai dinasihatkan agar jangan sesekali membawa senjata berbahaya di tempat awam kerana ia adalah satu kesalahan. Kita tahu, ada yang simpan pisau di kereta untuk tujuan-tujuan tertentu, namun jika hasil siasatan mendapati ia untuk tujuan jenayah, maka polis tidak akan berkompromi," tegasnya. Mengenai Ops Cantas Khas, Zainuddin berkata, polis menahan 38 penjenayah termasuk tiga wanita atas pelbagai kesalahan termasuk pecah rumah, curi motosikal dan memiliki senjata api palsu sepanjang bulan lepas. "Kesemua mereka (38 penjenayah), ditangkap atas maklumat risikan. Dengan penahanan ini, kami yakin dapat menyelesaikan beberapa kes di sekitar Lembah Klang," katanya. Tambahnya, kawasan Bukit Bintang, Pasar Seni, Kota Raya dikenal pasti sebagai tempat titik panas berlaku jenayah samun dan ragut. - Bernama
TOP
Thailand jamin keselamatan pelancong
Kecha (dua, kanan) bergambar bersama penganjur Sadao Border Bike Week, hari ini.
DANOK - THAILAND. Thailand memberi jaminan keselamatan pelancong ke negara itu terutama pada program Sadao Border Bike Week selama dua hari bermula 13 Jun ini. Datuk Bandar Danok, Kecha Benjakarn berkata, kawalan akan diketatkan di kawasan Danok sepanjang program itu kerana dianggarkan lebih 4,000 pelancong luar akan hadir. “Soal keselamatan tiada masalah. Kita beri jaminan keselamatan pelancong ke negara ini. Kita akan kuatkan kawalan keselamatan untuk memastikan semua pelancong selamat,” katanya kepada media selepas menghadiri pelancaran Sadao Border Bike Week di sini, hari ini. Menurutnya, di samping mempromosi Danok sebagai kawasan pelancongan, pihaknya akan melakukan kutipan derma untuk membantu golongan memerlukan. “Hasil kutipan akan diserahkan kepada sekolah, rumah anak yatim dan rumah orang tua sebagai aktiviti amal,” katanya. Sebelum ini, Hatyai digegarkan dengan dua letupan bom mengakibatkan 13 orang cedera dan beberapa kenderaan musnah. Bagaimanapun, tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan cedera atau terlibat dengan letupan itu. Difahamkan, bom buatan sendiri itu dipasang pada motosikal sebelum diletupkan menggunakan jam digital pada jam 2.30 petang waktu tempatan.
TOP
Khalid bertegas laksana Kidex
Khalid Ibrahim
SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengulangi pendirian untuk meneruskan projek lebuh raya bertingkat Kinrara-Damansara (Kidex) dan tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak. Katanya dalam soal pembangunan, semua pihak harus mengutamakan kepentingan rakyat, bukan hanya mengkritik demi perjuangan politik. "Adalah baik untuk kita mendengar penerangan bagaimana perancangan untuk selesaikan kesesakan jalan raya hari ini dan 20 tahun akan datang. "Sebagai profesional, saya tidak boleh buat keputusan atas desakan hanya berlandaskan pemikiran politik saja tetapi kena ambil kira kepentingan rakyat," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Beliau mengulas kenyataan Anggota Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo baru-baru ini yang menyelar sikap Menteri Besar itu kerana mahu meneruskan pembinaan Kidex yang dirancang di Petaling Jaya. Sementara itu, ketika ditanya sama ada kerajaan negeri akan mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Abdul Khalid berkata pihaknya telah membuat penambahbaikan SOP, namun perlu ada pembaharuan dari segi pelaksanaan. "Kita akan adakan bengkel kepada pegawai penguat kuasa Jais agar kita dapat jalankan tugas dengan betul serta tidak menyusahkan rakyat," katanya. Media baru-baru ini melaporkan Jais menyerbu satu majlis perkahwinan di sebuah kuil Hindu di Petaling Jaya selepas menerima aduan orang awam bahawa pengantin wanita beragama Islam. - Bernama
TOP
Maklumat bocor: Kenakan tindakan paling tegas
KOTA KINABALU - Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye menggesa agar tindakan paling tegas dikenakan kepada mereka yang bertanggungjawab terhadap kebocoran maklumat yang menyebabkan perairan Sabah diceroboh. Katanya tindakan tegas itu diharap dapat mengekang masalah daripada berulang. "Namun kami percaya majoriti anggota pasukan keselamatan kita berdedikasi dan melaksanakan tugas menjaga keselamatan kita dengan penuh tanggungjawab. Mereka yang terlibat dalam kebocoran maklumat itu mungkin hanya segelintir," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bahawa kebocoran maklumat penting dan rasuah membabitkan anggota pasukan keselamatan merupakan kelemahan utama yang menyumbang kepada pencerobohan perairan Sabah baru-baru ini. Sekalipun menyifatkan kenyataan Hishammuddin itu sebagai suatu yang serius, Lee berharap perkara tersebut tidak akan melemahkan semangat anggota pasukan keselamatan yang selama ini berkorban nyawa demi mempertahankan negara. - Bernama
TOP
Denggi catat tiga kematian minggu lepas
KUALA LUMPUR - Tiga lagi kematian akibat demam denggi dilaporkan minggu lepas menjadikan jumlah keseluruhan yang meninggal dunia meningkat kepada 72 orang sejak Januari lepas. Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata tiga kematian termasuk seorang kanak-kanak berumur dua tahun dilaporkan di Kedah, Negeri Sembilan dan Melaka. "Kejadian denggi menunjukkan tren peningkatkan semula selama lima minggu berturut-turut bermula pada minggu ke-18. "Pada minggu ke-22, (25 hingga 31 Mei), sejumlah 1,755 kes demam denggi dilaporkan di seluruh negara berbanding 1,614 kes yang dilaporkan pada minggu ke-21," katanya. Dari bulan Januari sehingga 31 Mei ini, beliau berkata 36,825 kes denggi dilaporkan dengan peningkatan sebanyak 254 peratus berbanding hanya 10,401 kes yang dilaporkan bagi tempoh yang sama tahun lepas. Dr Noor Hisham berkata sejumlah 408 lokaliti wabak dilaporkan di seluruh negara membabitkan 14 negeri, meningkat sebanyak 7.4 peratus berbanding 380 lokaliti wabak pada minggu sebelumnya. "Terdapat 59 lokaliti titik panas dilaporkan di seluruh negara yang melibatkan 53 lokaliti di Selangor, tiga di Negeri Sembilan, serta masing-masing satu di Kelantan, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang," katanya. Sempena musim cuti persekolahan ini, beliau turut menyeru orang ramai supaya memastikan persekitaran rumah masing-masing bebas daripada tempat pembiakan aedes sebelum pergi bercuti atau meninggalkan rumah untuk jangka masa yang panjang. "Masukkan juga bahan pembunuh jentik-jentik (Temephos) ke dalam bekas simpanan air yang kekal antaranya seperti bekas simpanan air, kolah air dan pasu bunga yang berpotensi menjadi lokasi pembiakan aedes," katanya. - Bernama
TOP
Lelaki maut dalam kebakaran
Mayat mangsa turut ditemui dengan kesan lecur di beberapa bahagian badan.- Foto dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perak
TANJUNG MALIM - Seorang lelaki maut dalam satu kebakaran di sebuah kedai di Varum Avenue di Proton City, di sini, malam tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 minit itu, mangsa berusia 30 an yang masih belum dikenalpasti identitinya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat terhidu asap tebal. Mayat mangsa turut ditemui dengan kesan lecur di beberapa bahagian badan oleh anggota bomba dan penyelamat setelah kebakaran berjaya dikawal.
TOP
Polis nafi ibu kanak-kanak mangsa bunuh direman
KUALA LUMPUR - Polis hari ini menafikan laporan bahawa ibu Siti Soffea Emelda, kanak-kanak berusia dua tahun enam bulan yang dibunuh kejam bulan lepas, kini ditahan reman berhubung kes itu. Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, Siti Salmy Suib, 32, kini dipercayai berada di rumah ayahnya di Petaling Jaya. "Polis tidak menahan Siti Salmy. Janganlah sebarkan fitnah dan tolong cuba fahami perasaan keluarga mangsa sebelum menyebarkan sesuatu berita. Tolong rujuk pihak berkuasa bagi pengesahan maklumat," katanya kepada Bernama di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini. Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Dang Wangi, Deputi Superintendan M Gunalan berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan kanak-kanak itu bersama suspek, diambil di aras empat sebuah kompleks membeli-belah di ibu kota. Tiada CCTV di kawasan wanita itu dikatakan meninggalkan anaknya bersama rakan sebelum ke tandas, kata Gunalan. Dalam kejadian 29 Mei lalu, mayat kanak-kanak berkenaan ditemui kira-kira 9 malam dalam keadaan kepalanya terpisah daripada badan berhampiran Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) di Jalan Hishamuddin di sini. Mayat suspek yang dikatakan terjun ke dalam Sungai Klang selepas membunuh kanak-kanak itu ditemui terapung di sungai berhampiran plaza tol Sunway pada 31 Mei lepas. Menurut Gunalan, adik perempuan suspek yang berada di Kedah menyatakan abangnya menghilangkan diri sejak 15 tahun lepas dan tidak pernah menghubungi keluarga selepas itu. Katanya keluarga suspek juga enggan menuntut mayat lelaki itu menyebabkan polis meminta pihak hospital menguruskannya. Hasil siasatan juga mendapati suspek dan bapa kanak-kanak itu pernah ditahan reman di lokap yang sama sebelum suspek dimasukkan ke penjara Bentong dan bapa mangsa ke penjara Kajang. Suspek memiliki empat rekod jenayah lampau dan baru dua bulan dibebaskan dari penjara. - Bernama
TOP
Nenek maut, dua cucu parah nahas di Dungun
DUNGUN - Seorang wanita warga emas maut manakala dua cucunya parah setelah kereta yang dinaiki enam sekeluarga terbabit dalam satu kemalangan di Kilometer 84.9, Jalan Jerangau-Jabor, Ladang Gajah Mati, dekat Bukit Besi, di sini petang tadi. Kejadian 5 petang itu mengakibatkan Che Zawiah Musa, 60, yang berasal dari Bandar Al-Muktaffi Billah Shah (AMBS), dekat sini meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala. Cucunya Anis Damia Qalisya Mas Rudy, dua tahun, parah di bahagian kepala dan kini dilaporkan kritikal dan Muhammad Danish Haikal, 6, patah kaki kanan. Bagaimanapun, dua lagi anak perempuan mangsa, Norfarain Mohamad, 19, dan Zuriana Mohamad, 27, serta suaminya, Mas Rudy Karim, 28, yang memandu Proton Saga BLM masing-masing cedera ringan dan menerima rawatan di Hospital Dungun. Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila sebuah Proton Exora dalam perjalanan dari arah AMBS ke Bukit Besi, dikatakan memotong beberapa buah kenderaan sebelum terpusing lalu merempuh kereta dinaiki keluarga itu yang datang dari arah bertentangan. Ekoran rempuhan kuat itu, kereta dinaiki ahli keluarga mangsa terbabit yang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di AMBS, terhumban ke dalam gaung berhampiran. Menurut anak mangsa, Norfarain, semasa kejadian mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang selepas menghadiri majlis kenduri bapa saudaranya di Kampung Delong, dekat sini. "Saya hanya mampu menjerit selepas melihat kereta di depan yang memasuki laluan kereta dipandu abang ipar, namun dia gagal mengelak sebelum kedua-dua kenderaan bertembung," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Dungun di sini. - Bernama
TOP
Van Thailand perlu akur peraturan Malaysia
Ahmad Zaini
DANOK - Pemandu van Thailand perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan Malaysia jika ingin membawa pelancong atau pekerja ke negara ini. Adun Bukit Kayu Hitam, Datuk Ahmad Zaini Japar berkata, perkara itu menjadi masalah kepada mereka apabila tidak dibenarkan masuk ke Malaysia. “Pada 28 Mei lalu, saya bertemu Gabenor Selatan Thailand untuk berbincang mengenai masalah pemandu van Thailand yang membawa pelancong dan pekerja ke Malaysia. “Ia menjadi masalah apabila tidak dibenarkan masuk ke Malaysia tanpa permit dan menjejaskan sumber pendapatan mereka," katanya kepada media selepas menghadiri pelancaran Sadao Border Bike Week di sini hari ini. Menurutnya, pemandu van terbabit juga menyifatkan sekatan jalan raya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) baru-baru ini mendatangkan banyak masalah kepada mereka. “Saya menerangkan kepada mereka bahawa kita mempunyai dua pihak yang boleh mengeluarkan permit iaitu JPJ dan Kementerian Pelancongan. “JPJ hanya mengeluarkan permit edaran antarabangsa (ICP) bagi tujuan persendirian manakala Kementerian Pelancongan bagi permit bas persiaran untuk membawa pelancong,” katanya. Bagaimanapun, beliau berkata, pemandu van berkenaan difahamkan tidak mendaftar perniagaan di Thailand. “Berdasarkan peraturan yang ditetapkan, setiap van yang membawa penumpang melebihi tujuh orang ke Malaysia memerlukan perkhidmatan pemandu pelancong. “Tetapi, halangan berlaku apabila van itu tiada pendaftaran perniagaan di Thailand. Mereka sepatutnya mendaftar dengan badan pelancongan negara itu dan kemudian baru memohon permit melalui Kementerian Pelancongan,” katanya.
TOP
Parlimen: Parti politik bimbang undang-undang baru
KAHERAH - MESIR. Parti politik di Mesir bimbang pelaksanaan undang-undang baru dalam pilihanraya Parlimen akan mengembalikan negara itu kepada sistem serupa ketika pemerintahan Presiden digulingkan, Husni Mubarak, lapor Reuters. Salah satu perubahan dalam undang-undang pemilihan Parlimen yang diluluskan Presiden sementara Mesir itu ialah kembali kepada sistem di mana calon individu menguasai majoriti kerusi di Parlimen berbanding senarai parti calon. Daripada 540 ahli Parlimen yang akan dipilih, 420 daripadanya akan diambil daripada senarai calon individu manakala 120 lagi daripada senarai tertutup. Pengaturan sebegini dlihat hanya akan melemahkan parti politik di negara ini, kata ahli politik Mesir, Khaled Dawoud dari parti al-Dostour. "Ia tidak seperti yang kami jangka dan ia akan melemah parti politik serta membolehkan Parlimen dikendalikan seperti zaman pemerintahan Mubarak," katanya. Sistem di bawah Mubarak itu membenarkan individu kaya atau popular yang lazimnya bersekutu dengan partinya, Parti Demokrasi Kebangsaan (NDP) untuk bergerak sebagai 'calon bebas' dengan menggunakan rangkaian tempatan bagi memasuki Parlimen. "Sistem individu ini hanya membenarkan orang yang berkemampuan, banyak duit. Sebagai parti politik baru, kami tidak mampu bersaing dengan syarat itu," katanya. Sementara itu, Ketua Parti Konsevatif Salafi Nour, Younes Makhyoun yang sebelum ini menyolong tentera menjatuhkan Presiden Mohamed Mursi, juga mengkritik undang-undang baru berkenaan. "Saya beritahu Presiden sementara, Adly Mansour supaya jangan mengakhiri khidmatnya sebagai presiden dengan meluluskan undang-undang kontroversi ini. "Ia akan menjadi garis panduan kepada perjalanan atau corak politik di masa depan," katanya.
TOP
Perdana menteri, Kabinet baharu Thai dalam 3 bulan
BANGKOK - TAHILAND. Thailand akan mempunyai perdana menteri dan kabinet dalam tempoh tiga bulan, kata junta tentera. Perkara itu dimaklumkan kepada sekumpulan ahli perniagaan Cina oleh ketua junta yang juga Panglima Tentera Jeneral Prayuth Chan-ocha, kata timbalan jurucakap Majlis Keamanan dan Ketenteraman Awam Negara (NCPO) Kolonel Weerachon Sukondhapatipak. Katanya Prayuth yang juga Pengerusi NCPO dan memikul tanggungjawab perdana menteri, berkata demikian ketika bertemu anggota Dewan Perniagaan Cina Thailand di ibu pejabat tentera, di sini pada Jumaat. Sementara itu, NCPO juga meneliti untuk melonggarkan perintah berkurung yang pada masa ini dikenakan di beberapa wilayah termasuk Bangkok. Keputusan itu selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk sektor pelancongan, namun ini bergantung kepada situasi dan keberkesanan dalam mengekalkan keamanan dan ketenteraman, kata jurucakap NCPO Kolonel Wintai Suwaree dalam sidang media harian, di sini pada Jumaat. Perintah berkurung di tiga kawasan pelancongan utama ditarik balik minggulepas iaitu di Pattaya, Pulau Samui dan Pulau Phuket. - Bernama
TOP
Instagram 6.0 Menambahkan Sokongan Pada Suntingan
Instagram merupakan salah satu aplikasi yang digunakan dengan meluas oleh pengguna untuk berkongsi gambar yang dirakamkan dengan menggunakan peranti pintar. Ia membolehkan penggunanya untuk mengambil gambar, mengedit dan berkongsi gambar di laman sosial seperti Facebook, Twitter, Foursquare, Tumblr, Flickr dan juga di Instagram itu sendiri. Pelbagai jenis penuras disediakan dalam aplikasi berkenaan untuk memberikan kesan tambahan kepada gambar, dan hari ini pihak Instagram menawarkan beberapa penambahan baru untuk aplikasi tersebut.
Sumber: hzqahmd / Mynewshub
TOP
One Direction Diharamkan Masuk Filipina?
Adakah boyband terkenal, One Direction akan diharamkan kemunculan mereka di Filipina? Ini kerana pertubuhan gereja di sana telah mendesak kerajaan Filipina untuk menghalang kemasukan One Direction selepas kontroversi dua ahli kumpulan mereka iaitu Zayn Malik dan Louis Tomlinson menghisap ganja tersebar di Internet, baru-baru ini. Menurut pertubuhan gereja tersebut, perbuatan mereka adalah sangat tidak bermoral dan dibimbangi boleh mempengaruhi peminat mereka yang kebanyakannya masih di bawah umur. Selain itu, mereka turut menggesa ibu bapa di sana menghalang anak mereka daripada meminati boyband ini untuk mengelakkan sebarang anasir yang tidak baik. Hmm, hanya disebabkan perbuatan ‘bodoh’ dua ahlinya, tiga anggota lain iaitu Harry Styles, Liam Payne dan Niall Horan turut menerima tempiasnya. Tapi, rasanya One Direction tak rugi kalau hilang peminat di Filipina, kerana nama mereka pun dah cukup gah di serata dunia buat masa ini. Tak gitu? Sumber: Audrey Lee / Mynewshub
TOP
Remaja Lelaki Hilang di Gombak Sudah Ditemui
Alhamdulillah, Beliau telah selamat ditemui di Putrajaya pada jam 6 petang tadi. Nampaknya ramai rakyat Malaysia yang peka terhadap kes ini. Tidak lupa juga kepada Daily Traffic Report diatas laporan ini.
TOP
Kereta Ditampal Pelekat Dengan Ayat-Ayat ‘Nakal’
HAI, apalah nasib pemilik kereta yang terkena ‘prank’ di hadapan Restoran Kayu Nasi Kandar, Cyberjaya ini? Habis keretanya ditampal dengan pelekat yang ditulis dengan ayat-ayat berbaur ‘nakal’. Apapun, kami rasa pihak yang mengenakannya bukanlah berniat untuk ‘mendajalkan’ pemilik kereta ini. Mungkin ia perbuatan rakan-rakannya yang sekadar mahu menimbulkan kelucuan sempena sambutan hari lahirnya. Ia boleh dilihat menerusi ayat: “I’m 24 today…hot, young & sexy chic.” Harap-harap pemilik kereta ini jenis yang ‘sporting’, kalau tidak memang mengamuklah dibuatnya…
TOP
Nafi Lantik Ejen Selesai Saman Dengan Kadar Rendah
KUALA LUMPUR – Polis hari ini menafikan ada melantik individu tertentu sebagai ejen bagi menyelesaikan saman dengan kadar rendah seperti yang diiklankan dalam laman sosial baru-baru ini. Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Low Hong Soon berkata, orang ramai jangan terpedaya dengan iklan terbabit yang bertujuan mengaut keuntungan semata-mata. “Sebaiknya mereka perlu membuat semakan dengan polis terlebih dahulu agar tidak menjadi mangsa sindiket penipuan ini,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan serah terima tugas Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur di Balai Polis Trafik, Jalan Tun H.S Lee di sini, hari ini. Sindiket itu dikatakan mengiklankan tawaran diskaun antara 10 hingga 50 peratus bayaran saman dalam laman sosial termasuk “Facebook”. Low berkata pihaknya akan menyiasat perkara itu dan sekiranya benar, polis akan mengambil tindakan di bawah Akta Multimedia dan Komunikasi 1998. Pada majlis hari ini Ketua Polis Daerah Arau, Perlis, ACP Mohd Nadzri Hussain dilantik sebagai Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur yang baharu berkuat kuasa hari ini menggantikan ACP Rusli Mohd Noor yang dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang. Mohd Nadzri, 52, yang berasal dari Sik, Kedah, telah berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia selama 30 tahun dan pernah menjawat beberapa jawatan termasuk Inspektor Siasatan Tatatertib, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Pegawai Turus Trafik Perak. Sementara itu, Low berkata dengan pelantikan Mohd Nadzdri itu, beliau diharap mampu memacu kecekapan PDRM dalam meneruskan kesinambungan legasi Ketua Polis Trafik sebelum ini. Low dalam pada itu berkata sepanjang Januari hingga hujung bulan lepas, polis telah mengeluarkan kira-kira 200,000 saman kepada pesalah-pesalah trafik di sekitar Kuala Lumpur. Katanya lagi, penunggang motosikal merupakan penyumbang terbesar kadar kemalangan maut apabila 227 orang terbunuh pada tahun lepas sementara 91 kematian dicatat sejak Januari tahun ini. Sumber: Bernama
TOP
Video Santai: Jangan Sampai Ter’Kantoi’
Dari segi sosial dan komunikasi, rakyat Malaysia sudah dikenali dengan penggunaan pelbagai cara kreatif dalam bersahabat mahupun berbual. Paling popular pengggunaan pelbagai jenis istilah dalam perbualan sosial santai antaranya sempoi, poyo, macho dan sebagainya. Sempoi merujuk kepada mudah, poyo bermaksud berlagak dan macho merujuk kepada seseorang yang tenang. Selain perkataan itu, kita mungkin biasa menggunakan istilah “Kantoi”. Kantoi merujuk kepada perbuatan yang ‘tertangkap dengan pembohongan’ yang kebiasaannya digelarkan kepada subjek yang cuba mengelak daripada menghadapi situasi sebenar. Menerusi video santai daripada DanKhooProductions yang dikongsikan ini, ia merupakan sebahagian perangai pelik segelintir rakyat Malaysia yang kebiasaanya digunakan bagi melepaskan diri daripada situasi yang sebenarnya. Ingat ya, jangan menipu untuk melepaskan diri dan paling penting, jangan sampai ter ‘kantoi’. Selamat berhibur.
TOP
Analisis Bebas: Pencarian MH370 Di Kawasan Betul
Satu analisis bebas yang dijalankan mengesahkan pasukan pencarian sedang melaksanakan operasi mengesan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 di lokasi yang betul. Berita pengesahan itu muncul kira-kira seminggu selepas Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) mengeluarkan kenyataan bahawa kawasan pencarian yang turut dikesan isyarat akustik boleh disahkan sebagai bukan lokasi pesawat itu berakhir. Pasukan pencarian bagaimanapun tetap yakin bahawa pesawat itu ada satu lokasi sepanjang laluan di koridor selatan di Lautan Hindi seperti analisis yang dilakukan syarikat satelit Britain, Inmarsat. Ia diputuskan melalui isyarat satelit terakhir yang dihantar pesawat MH370 kepada Inmarsat yang dikenali sebagai “handshake”. “Ketika pesawat itu tiba di kawasan laluan koridor selatan, pesawat itu boleh dianggap sudah kehabisan bahan bakar dan dalam penerbangan menjunam,” kata ATSB dalam satu kenyataan di laman webnya. Berkemungkinan pesawat itu berada di kawasan tidak lebih dari 38km atau 55km timur laluan berkenaan. Analisis itu akan dikaji dalam minggu-minggu akan datang untuk memperkecilkan kawasan pencarian kepada kira-kira 60,000km persegi. Sumber: Ibnu Khusairy Aris / My News Hub
Labels:
Berita Terkini
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment