Friday, June 13, 2014
Berita Terkini 13 June 2014
TOP
Mayat Seorang Lelaki Ditemui Dalam Kereta
SEREMBAN – Mayat seorang lelaki ditemui dalam sebuah kereta di parkir berhampiran sebuah bank di Jalan Utama, Rasah ke Seremban hari ini. Mayat itu berada di tempat duduk penumpang bahagian depan dan belum diketahui identitinya. Seorang saksi yang enggan namanya disiarkan berkata kereta itu dipercayai berada di situ lebih daripada tiga hari. Mayat itu kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk bedah siasat. Ketua Polis Daerah Seremban ACP Zainal Abu, ketika dihubungi, mengesahkan perkara itu. Beliau berkata polis sedang menyiasat kes itu dari semua sudut bagi mengetahui punca kematian mangsa dan meminta sesiapa yang kehilangan anggota keluarga menghubungi balai polis berhampiran. Sumber: Bernama
TOP
Rejim Zionis bedil Genting Gaza
Rakyat Palestin terus menjadi sasaran Zionis di Gaza. Foto AFP
GENTING GAZA - PALESTIN .Sekurang-kurangnya seorang penduduk Palestin terbunuh manakala beberapa yang lain cedera selepas rejim Zionis melancarkan serangan udara di bandar itu, kelmarin. Menurut saksi, pesawat Israel melepaskan roket menyasarkan kepada seorang penunggang motosikal dan bedilan turut memusnahkan kereta berhampiran. Serangan terhadap Palestin kian memuncak sejak negara itu mengumumkan kerajaan kerajaan perpaduan awal bulan lalu. Menurut Press TV, sejak berada di bawah kepungan Israel pada Jun 2007, penduduk Palestin menjalani kehidupan serba daif dan pengangguran berleluasa selain sering menjadi sasaran keganasan tentera Zionis. Akibatnya, kira-kira 1.7 juta hak penduduk Palestin termasuk pendidikan, penjagaan kesihatan dan bayaran gaji dinafikan.
TOP
Jangan hina undang-undang Saudi
Mohamm ed Al- Eissa
RIYADH - ARAB SAUDI. Kumpulan hak asasi antarabangsa diberi amaran supaya tidak mengkritik badan kehakiman Arab Saudi yang selama ini mengguna pakai undang-undang syariah berlandaskan al-Quran. Menteri Keadilan Mohammed Al-Eissa berkata, sebarang serangan terhadap badan kehakiman dianggap penghinaan dan mencabul kedaulatan negara itu. “Ramai masyarakat antarabangsa salah faham tentang undang-undang Islam kerana mereka tidak mendapat maklumat betul dan mengabaikan perbezaan budaya. "Perkara ini menyebabkan mereka membuat kesilapan dalam pembentangan laporan, terutama mengenai hukuman hudud,” katanya. Menurutnya, hukuman seperti memenggal kepala, memotong tangan atau merejam terdapat di dalam al-Quran dan tidak boleh diubah. “Prosiding jenayah yang dijalankan secara terbuka dilakukan bukan untuk menghina tetapi ia adalah untuk memastikan ketelusan dan keadilan,” katanya. Beliau turut mempelawa kumpulan hak asasi manusia dan pemimpin agama lain untuk berdialog mengenai hukuman itu. “Jika Islam agama kejam, ia tidak akan dapat bertahan lebih daripada 1,400 tahun dan mempunyai jutaan pengikut di seluruh dunia,” katanya kepada Arab News
TOP
Asia penting kepada Amerika Syarikat
Hillary Clinton
NEW YORK- AMERIKA SYARIKAT.- Bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Hillary Clinton menekankan tentang kepentingan Asia kepada Amerika Syarikat semasa beliau mengimbas kembali pada Khamis tentang tugas beliau selama empat tahun sebagai diplomat utama AS. Semasa perbincangan di Majlis Hubungan Luar, badan pemikir polisi luar AS, beliau berkata lawatan luar pertama beliau sebagai setiausaha negara ialah ke Asia sebagai manifestasi pendadbiran AS untuk menyeimbangi semula kepentingan atau sesetengah orang memanggil paksi Asia. Beliau berkata menyeimbangi semula kepentingan merupakan antara langkah strategik yang dibuat dalam tempoh empat tahun pertama Pentadbiran (Presiden Barack) Obama. AS sentiasa menjadi kuasa Pasifik tetapi terdapat "persaan yang tersebar luas dalam kalangan rakan-rakan kita bahawa AS pada dasarnya mengosongkan lapangan," katanya yang disebut-sebut oleh majoriti Parti Demokratik sebagai calon presiden mereka bagi pilihan raya 2016. "Ini tidak syak lagi kebanyakan sejarah dunia akan dibentuk di Asia. Sebab itu, saya mengambil keputusan untuk ke Asia dahulu. Saya ke Indonesia untuk menandatangani Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama, membolehkan AS menjadi peserta aktif di rantau Asean dan akhirnya menjadi anggota Sidang Kemuncak Asia Timur. "Matlamat kita ialah untuk menyokong dan menonjol AS dalam pelbagai arkitektur di Asia. Ia juga bagi memastikan pakatan kita seperti Jepun bahawa kita kekal komited kepada mereka. "Kita mahu cuba mengadakan dialog yang meluas dengan China. Dialog kita dengan China ialah mengenai ekonomi tetapi kita mempunyai banyak persoalan strategik yang perlu ditangani. "Saya bekerja dengan Tim Geithner (bekas setiausaha perbendaharaan) dan kemajuan sedang dibuat mengenai TPP (Perkongsian Trans-Pasifik). Presiden memerlukan kuasa yang segera dari Kongres (untuk menyegerakan TPP),” kata Clinton. Presiden Obama yang memberi keutamaan kepada TPP turut membangkitkan perkara ini dalam perbincangan dengan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak di Malaysia baru-baru ini. Semasa perbincangan itu, Clinton turut memberi pandangan bahawa keadaan di banyak tempat di dunia adalah membimbangkan. Memoir beliau setebal 656 muka surat 'Hard Choices' telah berada di pasaran, yang antara lain memuatkan fikiran, anekdot menarik bukan sahaja mengenai Jabatan Negara AS tetapi pertemuan beliau dengan pemimpin dunia. - Bernama
TOP
Kubur wanita mati beranak ditelan bumi
Norazizan menunjukkan dua batu nisan asal di kubur dipercayai milik wanita yang mati sebaik melahirkan anak hasil zina dengan anak kandung.
KUALA KUBU BHARU - Tidak kiralah ia cerita dongeng atau tidak, kisah yang disampaikan dari mulut ke mulut sejak berpuluh tahun lalu di kalangan penduduk setempat tentang sebuah kubur lama di tengah-tengah kawasan perumahan di Kampung Kelapa di sini, ternyata memberi peringatan bahawa azabnya balasan ALLAH SWT. Pusara tidak bernama lebih 110 tahun itu dikatakan wujud berikutan satu peristiwa yang dikaitkan dengan hubungan terlarang, zina antara ibu dan anak kandungnya. Ketua Kampung Kuala Kubu Bharu, Norazizan berkata, kubur tersebut dipercayai milik seorang wanita yang mati sebaik melahirkan bayinya. Bagaimanapun, katanya terdapat dua cerita yang masih belum terungkai berkaitan bagaimana arwah dua beranak itu dikebumikan di kawasan itu. “Ada cerita beritahu mungkin arwah tak sempat dikebumikan di tanah kubur Ampang Pecah jadi dikebumikan di sini, dan sebab mengapa tak sempat tu, masih tak tahu. Ada pula cerita mengatakan perempuan tu ditelan bumi sebaik bersalin dan tak sempat diselamatkan. Bayi yang dilahirkan katanya hasil hubungan terlarangnya dengan anak kandung sendiri," katanya. Cerita Norazizan ini dikuatkan lagi menerusi laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada 1904 berkaitan peristiwa kubur tersebut. Kini, keratan akhbar tersebut berada dalam simpanan Persatuan Sejarah Kuala Kubu (Peskubu). Laporan akhbar tersebut antara lain menyatakan, telah tersebar cerita pelik melalui sumber masyarakat Melayu mengenai seorang wanita di Kuala Kubu secara misteri telah ditelan atau dirantai oleh tanah akibat dosa dilakukan dan wanita itu sukar dikeluarkan. Menurut laporan itu lagi, orang ramai yang menyaksikan peristiwa dia ditelan bumi itu berasa simpati dan telah mendirikan atap agar memayunginya daripada kepanasan dan hujan. Malah, menurut akhbar itu lagi, cerita tersebut telah tersebar luas sehingga penduduk dari Kuala Lumpur sanggup datang ke Kuala Kubu semata-mata untuk menyaksikan lokasi kejadian misteri itu. Bagaimanapun, Norazizan berkata, selang beberapa tahun kejadian, kubur yang sepatutnya dijadikan peringatan tentang kekuasaan ALLAH itu telah disalah gunakan pihak tidak bertanggungjawab dengan melakukan amalan-amalan khurafat. "Kubur tu dah dijadikan tempat puja nombor ekor judi oleh sesetengah penduduk," katanya kesal. Katanya, dua batu nisan yang hilang tidak diketahui semenjak ia dijadikan tempat pemujaan. “Akibat ada orang buat benda-benda haram dan dosa tu, sejak daripada itu berlaku macam-macam kejadian pelik kepada penduduk kampung antaranya gangguan histeria,” katanya. Norazizan berkata, ada pihak berminat untuk menjadikan kubur lama tersebut sebagai sebahagian peninggalan sejarah Kuala Kubu. "Jika benar nak buat, eloklah kajian menyeluruh dijalankan," katanya yang menyokong.
TOP
Ghairah tak panjang
Warga emas terkejut apabila aksinya bersama wanita Vietnam dirakam.
TELUK INTAN - Keasyikan seorang lelaki warga emas menerima layanan seorang wanita Vietnam terbantut sebaik diserbu pegawai penguat kuasa Jabatan Imigresen Teluk Intan, di Taman Persiaran Melor, di sini, kira-kira jam 6.30 petang kelmarin. Lelaki tempatan berusia 60 tahun itu tergesa-gesa bangun dan menutup tubuhnya dengan selimut sebaik menyedari serbuan berkenaan. Ketua Jabatan Imigresen Teluk lntan, Khairul Anuar Sulaiman berkata, Ops 6P dan Ops Sayang yang dilancarkan kira-kira jam 6.30 petang dan berakhir jam 10.30 malam kelmarin itu membabitkan 15 anggota penguat kuasa dari Ipoh dan Hilir Perak. "Seramai sembilan wanita asing membabitkan seorang warga Vietnam, Thailand dan tujuh warga China berusia antara 33 hingga 46 tahun dicekup di pusat refleksologi di Persiaran Taman Melor kerana tiada dokumen perjalanan sah. "Dalam pada itu, kita turun menahan dua lelaki tempatan di lokasi serbuan bagi membantu siasatan," katanya. Dalam pada itu, menurutnya, sebuah pusat mesin judi di Jalan Changkat Jong turut diserbu kira-kira jam 9.45 malam kelmarin. "Seramai 10 lelaki warga Bangladesh berusia 22 hingga 40 tahun ditahan kerana tiada dokumen perjalanan sah. "Kita turut menahan tiga rakyat tempatan berusia 30 hingga 37 tahun dipercayai melindungi warga asing berkenaan," katanya. Beliau berkata, semua warga asing berkenaan ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63. "Warga asing itu juga disiasat mengikut Akta Anti Permerdagangan serta Anti penyeludupan Migran 2007 dan kini ditahan di Pusat Tahanan Depot Imigresen Langkap untuk siasatan lanjut. "Dalam serbuan itu juga, lima lelaki tempatan yang menjadi majikan warga asing terbabit ditahan reman selama empat hari atas perintah mahkamah bagi bantu siasatan," katanya.
TOP
Tak sangka itu suami, lelaki kemalangan
Seorang rakan mangsa meratapi kematian mangsa yang terlibat dalam kemalangan di KM 31.7, Lebuhraya Kesas, arah Klang menghala Shah Alam, semalam.
KLANG - Seorang isteri yang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Puchong tidak menyangka jaket merah berhampiran mangsa kemalangan yang ditutup di tepi jalan milik suaminya. Keresahan yang mengganggu perasaan Nor Hafizah Adnan, memaksa ibu kepada seorang anak itu memberhentikan kenderaan dan menghampiri mayat itu. Alangkah terkejutnya dia sebaik mendapati tubuh kaku itu milik suami tersayang yang sudah tidak bernyawa. Dia yang gagal mengawal emosi ditenangkan orang ramai yang turut menyaksikan kejadian itu. Dalam kejadian sekitar jam 8.30 pagi, semalam suami mangsa, Mohd Nazry Saion, 33, yang juga Mekanik Wolksvagen maut di Kilometer 31.7, Lebuhraya Kesas, arah Klang menghala Shah Alam, semalam. Sepupu mangsa, Shahrizal Mohd Fadzil, 28, berkata, semasa kejadian Allahyarham dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Petaling Jaya dengan menunggang motosikal. “Arwah ke tempat kerja lebih awal dari isterinya yang bekerja di Puchong. Mereka lalui jalan yang sama dan kami tidak sangka arwah pergi secepat ini," katanya. Beliau yang merupakan sepupu rapat arwah berkata, Allahyarham dan keluarganya baru tiba di rumah mereka di Pandamaran, Klang dua hari lalu selepas bercuti. “Mereka sekeluarga sempat mandi-manda dan habiskan cuti bersama. Kegembiraan itu dikongsi dalam FB bersama rakan-rakan. “Komen rakan-rakan membuatkan arwah gembira habiskan cuti bersama anak lelaki kesayangannya,” katanya kepada Sinar Harian. Menurutnya, kali terakhir dia bertemu dengan Allahyarham kira-kira sebulan yang lalu. “Kami hanya berhubung melalui Facebook dan kami sekeluarga tidak sangka arwah pergi secepat ini. Arwah seorang yang pandai berjenaka dan gemar membuat orang ketawa," katanya. Shahrizal berkata, pemergian arwah amat dirasai namun dia reda dengan pemergian itu Jenazah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam, Desa Temu Jodoh, Chaah, Yong Peng, Johor selepas asar semalam. Sementara itu, Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Deputi Superintendan Goh Lee Shan berkata, kejadian berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa bergesel dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Naza Sorento di KM 31.7, Lebuhraya Kesas arah Klang menghala Shah Alam. “Geselan itu menyebabkan motosikal mangsa terbalik dan mangsa tercampak ke jalan raya. Mangsa yang parah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya. Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
TOP
Lintah masuk dalam perut
Yahya masih trauma selepas kejadian dua ekor lintah masuk ke dalam perutnya ketika mandi di kolam Isnin lalu.
KEMAMAN - “Waktu tengah seronok mandi tiba-tiba saya rasa tali perut seperti dicucuk-cucuk jarum,” kata Yahya Musa, 12, yang berdepan detik ngeri apabila perutnya dimasuki dua ekor lintah ketika sedang mandi di sebuah kolam ikan terbiar di Bandar Seri Bandi, dekat sini. Kejadian luar jangkaan itu sekali gus menghancurkan keseronokan musim cuti sekolah bagi mangsa yang juga murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bandi II itu. Gara-gara kejadian kira-kira jam 3 petang pada Isnin lalu itu, mangsa mengalami pendarahan teruk pada bahagian dubur dan nyaris pengsan sebelum dikejarkan ke klinik berhampiran. Yahya berkata, dia berasa sakit yang keterlaluan dalam perutnya selepas kira-kira 10 minit mandi di kolam terbiar itu bersama beberapa lagi rakannya sebelum keluar darah dari punggungnya. “Semasa mandi saya dah perasan ada lintah dalam kolam tu...jadi lepas terasa sakit perut saya syak lintah tu dah masuk dalam perut. “Lepas itu saya terus pulang ke rumah, saya jalan pun dah terhuyung-hayang sebab rasa macam nak pitam dah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Seri Bandi, semalam. Kolam terbiar itu terletak kira-kira 500 meter dari rumah mangsa dan bersebelahan dengan SK Seri Bandi I. Sementara itu, ibu mangsa, Fuziah Salleh, 38, berkata, ketika Yahya pulang ke rumah dia terkejut melihat seluar yang dipakai anaknya itu dipenuhi darah. “Saya panik seketika kerana secara tiba-tiba dia pulang dalam keadaan begitu. Kemudian saya dan suami hantarnya untuk dapatkan rawatan segera di Klinik Kesihatan Seri Bandi sebelum dirujuk di Hospital Kemaman di Chukai. “Sebaik tiba di hospital, doktor beri ubat tahan sakit dan air garam kepada anak saya. Alhamdulillah selepas makan ubat serta minum air garam, dua ekor lintah yang ada dalam perut anak akhirnya keluar,” katanya. Katanya, dia juga bersyukur kerana selepas dilakukan imbasan x-ray doktor mengesahkan anaknya tidak mengalami luka dalaman.
TOP
Cium dahi, lelaki berdepan penjara 10 tahun
Mohd Safein mengaku salah mencium dahi seorang gadis di dalam bilik sebuah hotel di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam.
KUALA TERENGGANU - Gara-gara gagal mengawal nafsu, seorang lelaki berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan tersebut, jika disabitkan kesalahan. Mohd Safein Hameed, 45, berdepan hukuman itu selepas mengaku salah menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa berusia 19 tahun, dengan maksud untuk mencabul kehormatan dengan mencium dahinya, di Mahkamah Majistret, di sini, semalam. Dia mengaku melakukan kesalahan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan itu pada 8 Jun lalu, di sebuah bilik di Hotel KT Mutiara, di sini. Sejurus pengakuan bersalah Mohd Safein direkodkan, Rozianti menetapkan 17 Jun depan sebagai tarikh jatuh hukum serta membenarkan dia diikat jamin RM3,800 dengan seorang penjamin. Berdasarkan fakta kes, pada 8 Jun lalu, jam 5.40 petang, semasa mangsa berada di dalam bilik hotel, tertuduh telah mengetuk pintu dan terus masuk ke dalam bilik tersebut. Mohd Safein kemudian bertindak mencium dahi dan cuba memeluk mangsa, sebelum melarikan diri. Bagaimanapun, dia berjaya ditangkap orang awam di sebelah Kedai Buku Pustaka Sri Intan, di sini, sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan.
TOP
Curi: Tukang sapu dipenjara kali kelapan
KUALA LUMPUR - Seorang majistret hari ini menyifatkan seorang tukang sapu 'bagaikan tidak insaf dan mengambil pengajaran daripada hukuman terdahulu' apabila dia dihukum penjara buat kali kelapan hari ini bagi kesalahan mencuri. Majistret Ashraf Rezal Abdul Manan berkata demikian ketika menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 44 bulan selepas Mohd Jaafar Baharum, 42, mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu cuba mencuri dan pecah pejabat. Mengikut rekod mahkamah, Mohd Jaafar pernah dipenjara sebanyak tujuh kali bagi kesalahan mencuri, samun, pecah rumah dan curi kereta sejak 1991. Pada prosiding hari ini, dia didakwa cuba mencuri wayar besi dari bangunan Maktab Perguruan Teknik (IPG) di Jalan Yaakob Latif, Cheras pada 2.40 petang 5 Jun lepas. Mohd Jaafar juga didakwa memasuki sebuah premis pejabat melalui bumbung secara tidak sah dan mengambil tiga unit komputer riba, dua unit telefon bimbit, dua unit kamera digital serta wang tunai RM3,800 di Desa Tun Razak di sini pukul 12 tengah hari pada 2 September 2009. Dia turut berdepan dua lagi pertuduhan iaitu gagal mempamer dokumen pengenalan diri yang sah pada 5 Jun di IPG dan 9 Jun lepas ketika ditahan polis di Jalan Dang Wangi di sini. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 14 bulan bagi kesalahan cuba mencuri, 30 bulan bagi kesalahan pecah pejabat dan tiga bulan bagi setiap kesalahan gagal mempamer dokumen pengenalan diri. Bagaimanapun, Mohd Jaafar diperintah menjalani kesemua hukuman secara berasingan bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 9 Jun lepas. Terdahulu, ketika merayu hukuman ringan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memaklumkan mahkamah bahawa dia mempunyai masalah kesihatan dan perlu menyara isteri serta tiga orang anak. "Saya orang susah tuan, saya kesempitan wang, anak-anak masih kecil dan saya ada masalah darah tinggi. Saya minta mahkamah yang mulia ini ringankanlah hukuman saya," katanya. Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Ooi Chean Ling memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana kesalahan mencuri adalah ancaman kepada orang ramai yang terpaksa menanggung kerugian serta mengambil kira kekerapan kesalahan yang dilakukan tertuduh. - Bernama
TOP
MAS, Tourism Australia tawar percutian hebat
Sekadar gambar hiasan. Sumber internet
MALAYSIAN Airlines (MAS) menjalin usaha sama dengan Tourism Australia untuk menawarkan tambang daripada RM999 ke enam bandar raya Australia - Sydney, Melbourne, Brisbane, Adelaide, Perth dan Darwin. Dalam kenyataan bersama hari ini, MAS berkata, bagi tempahan yang dibuat antara 14 Jun hingga 7 Julai, 2014 bagi perjalanan sehingga 31 Mac 2015, penumpang berpeluang menikmati potongan sehingga 50 peratus tambang semasa inklusif bagi kedua-dua kelas ekonomi dan perniagaan. Naib Presiden Kanan Serantau Malaysia Datuk Muzammil Mohamad berkata, syarikat penerbangan itu komited menyediakan tawaran perjalanan hebat dan pada masa yang sama menawarkan layanan mesra dengan pengalaman perkhidmatan lima bintang dalam penerbangan tanpa kos tambahan atau tersembunyi. MAS terbang 72 kali seminggu ke enam bandar raya di Australia. "Tambang kami termasuk daftar masuk bagasi dan makanan, termasuk chef bertugas untuk penumpang kelas peniagaan," katanya. Pengurus Besar Serantau Selatan/Asia Tenggara/Teluk Tourism Australia Karyn Kent berkata pelancong Malaysia wajar merebut peluang ini untuk menikmati pecuti pandu sendiri di Australia. "Kami gembira dapat bekerjasama dengan MAS sekali lagi memandangkan Malaysia merupakan pasaran yang baik untuk kami. "Kami merekodkan pertumbuhan 19.4 peratus dalam jumlah ketibaan dari Malaysia bagi tahun berakhir April 2014 dan gembira bekerja bersama rakan penerbangan yang kami hargai seperti MAS bagi meningkatkan lagi jumlah ketibaan," katanya. MAS terbang 21 kali seminggu ke Sydney dan Melbourne, tujuh kali ke Brisbane dan Adelaide, 12 kali ke Perth dan empat kali ke Darwin. - Bernama
TOP
Suzuki perkenal Swift RS
Shahrul Mizan (kiri) dan Keiichi Suzuki (dua, kiri) ketika melancarkan Suzuki Swift RS, semalam.
SUZUKI Malaysia Automobile Sdn Bhd (SMA) optimis untuk mencapai sasaran jualan 500 unit bagi model baharu Swift RS menjelang April tahun depan. “Pada tahun lalu, sebanyak 2,031 unit model Swift pemasangan tempatan (CKD) dan 261 unit Swift model yang diimport sepenuhnya (CBU) dijual. Kita juga mengeluarkan 200 unit Swift RR edisi terhad pada tahun sama. “Tahun ini, kami menyasarkan untuk tingkatkan jualan model Swift RS dengan 55 unit sebulan,” katanya selepas Pelancaran Suzuki Swift RS, yang turut dihadiri Pengarah Urusan SMA, Keiichi Suzuki dan Penasihat Jualan dan Pemasaran SMA, Ryota Katagiri, di Kelana Jaya, semalam. Suzuki Swift RS dilengkapi teknologi baharu yang turut dilengkapi sistem audio skrin sesentuh bersama kamera undur dan sistem Bluetooth.
TOP
FB Diskaun Saman Trafik: Laporan Polis Dibuat Tahun Lepas
Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, SAC Mohd Fuad Abdul Latiff (dua, kanan) beramah mesra bersama anggota polis trafik yang menyertai program konvoi bermotosikal kempen Keselamatan jalan raya anjuran PDRM bersama iM4U ke Johor di Kuala Lumpur, Jumaat. -fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Laporan polis terhadap kewujudan laman Facebook yang kononnya menawarkan diskaun saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia telah dibuat pada Ogos tahun lepas. Ketua Trafik Pasukan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Fuad Abd Latiff berkata laporan tersebut telah diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) untuk siasatan. "Kami sudah buat laporan pada Ogos tahun lepas di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi. "Sudah lama (kes), mungkin ia sudah pun tenggelam dan timbul semula, yang terkini Menteri Pertahanan Datuk Dr Ahmad Zahid keluarkan kenyataan mengenainya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan flag-off program kesedaran dan keleselamatan jalan raya anjuran polis trafik PDRM dan iM4U di sini, Jumaat. Beliau mengulas laporan pada minggu lalu mengenai orang ramai yang terpedaya dengan tawaran sebuah syarikat dan laman Facebook yang kononnya memberi diskaun saman trafik kepada orang awam. Menurut Mohd Fuad, setakat ini hanya satu sahaja laman Facebook yang dikesan menawarkan tawaran seperti itu. "Mungkin JSJK akan siasat dari mana punca laman web tersebut," katanya. Dalam pada itu beliau menegaskan bahawa diskaun saman trafik tidak pernah dilaksanakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Katanya, kerajaan sebaliknya telah menetapkan satu mekanisme dengan menawarkan diskaun kepada pesalah yang dapat membayar saman lebih awal. "Lebih lama tangguh bayar saman, lebih banyak yang perlu dibayar. "Jika bayar dalam bulan pertama dari tarikh notis saman, memang sudah dapat 50 peratus diskaun, bulan kedua 30 peratus diskaun sehinggalah ia melewati tiga bulan," katanya sambil menambah kadar maksimum bagi kesalahan trafik adalah RM300.
TOP
Tuduhan Berlakon Kerana Terpaksa Cari Duit Nafkah Mengarut - Aidil Zafuan
Aidil Zafuan terkejut apabila dikatakan terpaksa berlakon bagi membayar nafkah tertunggak kepada bekas isterinya, Rita Rudaini.
PETALING JAYA: Pemain bola sepak negara, Aidil Zafuan menyifatkan tuduhan dia melibatkan diri dalam bidang lakonan bagi menambahkan pendapatannya agar dapat membayar nafkah tertunggak kepada bekas isteri, Rita Rudaini adalah mengarut. Aidil atau nama sebenarnya Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak, 27, berkata, dia terkejut apabila ada pihak tidak bertanggungjawab sengaja mencetuskan kontroversi sedangkan penglibatannya dalam lakonan baru-baru ini sekadar ingin mencuba bidang baru. "Tuduhan saya mahu tambah pendapatan kerana perlu membayar nafkah sangat mengarut. Saya terkejut apabila ada pihak yang sengaja mahu memanaskan isu. "Sedangkan apa yang saya lakukan sekarang ini (berlakon) sekadar suka-suka. Tak ada kena mengena dengan nafkah. Gaji saya sebagai pemain bola sepak sahaja dah cukup untuk beri nafkah anak," katanya kepada mStar Online. Pada Rabu lalu, Aidil telah memuat naik foto dia seperti sedang berlakon di sebuah lokasi penggambaran dengan meletakkan kapsyen 'At the set with wife @zaremazaina. #TheGlups'. Menerusi foto tersebut ramai yang memberikan komen positif tanda mereka menyokong Aidil melibatkan diri dalam dunia lakonan. Dalam pada itu, ada juga pihak yang memberikan komen kononnya Zafuan menerima tawaran berlakon kerana ingin membayar nafkah tertunggak kepada bekas isterinya kira-kira RM100,000 itu.
TOP
Anggota Trafik Tidak Bersalah Koyak Wang Sogokan
Ketua Trafik Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, SAC Mohd Fuad Abd Latiff.
KUALA LUMPUR: Tindakan seorang anggota polis trafik mengoyak wang yang disogokkan kepadanya tidak dianggap sebagai kesalahan. Ketua Trafik Pasukan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Fuad Abd Latiff berkata, perkara itu diputuskan selepas membuat rujukan perundangan. "Saya sudah rujuk kepada pihak perundangan kami, tiada kesalahan yang dilakukan (anggota trafik). "Kalau pemandu tidak puas hati dia boleh buat laporan polis, biar kita siasat kelakuan berkenaan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan 'flag-off' konvoi bermotosikal program kesedaran dan keselamatan jalan raya anjuran pasukan Polis Trafik dengan kerjasama iM4U, di sini, Jumaat. Mohd Fuad mengulas mengenai gambar yang tersebar di laman sosial berhubung keengganan seorang anggota polis trafik menerima wang kertas RM20 yang disogokkan seorang pesalah trafik kepadanya. Difahamkan, marah dengan tindakan merasuah itu, beliau telah bertindak mengoyak wang kertas berkenaan. Mohd Fuad berkata, walaupun tindakan mengoyak wang dilihat tidak sepatutnya dilakukan, tetapi ia harus dilihat pada situasi dan masa. "Pada saya anggota trafik tak sepatutnya melakukan tindakan mengoyak wang, tetapi bagi keadaan itu, bila ada orang memberi wang sogokan, ia boleh diterima. "Pemandu boleh buat laporan, tetapi dia nak tulis apa dalam laporan...takut nanti laporan itu makan dirinya sendiri," katanya. Mengulas lanjut, Mohd Fuad berkata, beliau sering mengingatkan pegawai dan anggota trafik supaya menolak dan memberi amaran kepada pemandu yang cuba memberikan wang sogokan. "Jika pemandu berkeras juga mahu beri (wang), tak ada salahnya kalau mereka ditangkap, malah saya sendiri beri arahan supaya mereka ditangkap," katanya. Dalam pada itu beliau menasihatkan orang ramai supaya membuat laporan jika terdapat mana-mana anggota polis trafik yang cuba meminta wang sogokan daripada pesalah trafik. Katanya, jika nama atau nombor pengenalan anggota trafik itu tidak dapat dikenalpasti, orang awam boleh membuat laporan dengan mengemukakan nombor kenderaan dan tempat kejadian.
TOP
Mahkamah Keluar Waran Tangkap Terhadap Alvin Tan
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen mengeluarkan waran tangkap terhadap penulis blog, Alvin Tan Jye Yee setelah gagal menyerahkan semula pasportnya selepas berlepas ke Singapura pada 18 Mei lalu. Hakim Mahkamah Sesyen Abdul Rashid Daud mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Haffiza Jemeli pada Jumaat. Mahkamah kemudiannya menetapkan 18 Julai ini untuk menentukan sama ada Alvin patut dibenarkan ikat jamin atau tidak. Pada 12 Mei, Abdul Rashid memenuhi permohonan Alvin dan rakannya, Vivian Lee untuk menyerahkan pasport mereka. Abdul Rashid mengeluarkan perintah itu selepas peguam Alvin dan Vivian, Chong Joo Tian memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya akan berada di Singapura bagi penggambaran dokumentari filem mengenai kehidupan mereka di sana. Pasangan terbabit dibenarkan mendapatkan semula pasport mereka antara 18 Mei dan 3 Jun untuk membolehkan mereka berlepas ke republik itu. Alvin dan Vivian menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 298A (1)(a) Kanun Keseksaan iaitu memuat naik di laman Facebook Alvin and Vivian- Alvivi di pautan https://www.facebook.com/alvivi.swingers, satu kandungan gambar dan komen di CAF-Syed Restaurant Jalan Dang Wangi pada pukul 10.48 malam antara 11 Julai dan 12 Julai 2013. Bagi pertuduhan pertama, Alvin dan Vivian didakwa bersama-sama menerbitkan satu penerbitan menghasut di laman Facebook Alvin and Vivian- Alvivi di pautan https://www.facebook.com/alvivi.swingers iaitu satu kandungan gambar dan komen yang sama yang mengandungi logo halal dan ayat-ayat yang mempunyai kecenderungan menghasut.
TOP
Krim Dari Ireland Dikesan Beracun
PUTRAJAYA: Krim kosmetik Dermaceutic Spot Cream dan Dermaceutic Spot Peel Cream yang dikilang oleh Dermosciences, Ireland dikesan mengandungi racun berjadual hydroquinone dan tretinoin. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata justeru itu produk tersebut tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia serta orang awam dinasihati untuk mengelak daripada membeli dan mengguna kosmetik berkenaan. Beliau berkata syarikat yang bertanggungjawab ke atas notifikasi produk itu telah diarah untuk memberhentikan penjualan atau pembekalan dengan serta-merta dan memanggil balik kesemua stok produk itu dari pasaran dalam tempoh 72 jam. "Produk yang mengandungi hydroquinone dan/atau tretinoin adalah produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan pihak berkuasa kawalan dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat. Beliau berkata produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan hydroquinone lazimnya dipasarkan untuk tujuan mencerahkan kulit, merawat masalah jeragat dan kulit tidak sekata. Dr Noor Hisham berkata kesan penggunaannya akan menyebabkan kemerahan pada kulit, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini malah kulit menjadi hipersensitif serta menghalang proses pigmentasi yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV merbahaya dan meningkatkan risiko kanser kulit. Katanya produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan tretinoin biasanya dipromosikan untuk merawat masalah jerawat dan membantu mengurangkan kedutan dan penggunaan tanpa pengawasan boleh menyebabkan bahagian yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada matahari. "Penjual diingatkan pemilikan produk itu adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan jika didapati bersalah boleh dihukum maksimum tiga tahun penjara dan denda RM25,000 atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama. "Untuk kesalahan berikutnya denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya," katanya. Beliau berkata syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya. Pengguna yang mengalami sebarang kesan sampingan atau kesan buruk akibat penggunaan produk kosmetik dinasihati menghubungi Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan di talian 03-8835532/5533/5537.
TOP
Syarikat Perkhidmatan Lori Ulang Kesalahan 39 Kali - SPAD
PUCHONG: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengesan sebuah syarikat perkhidmatan lori yang degil dan tidak menghormati peraturan apabila mengulangi 39 kesalahan membabitkan kenderaan itu. Ketua Bahagian Penguatkuasaan SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, kedegilan syarikat yang beroperasi di Lembah Klang itu dikesan menerusi operasi membanteras lori lebih muatan menerusi Ops Hippo yang dilancarkan sejak Jun 2011. "Kita (SPAD) turut merekodkan kesalahan lori mengikut syarikat kerana mereka yang mengendalikan lori-lori berkenaan. "Ada satu syarikat pula... kesalahannya sampai 39 kes berulang. Ada juga syarikat yang melakukan 16 kesalahan" katanya kepada para pemberita pada Ops Hippo di Taman Meranti Jaya dekat sini, Jumaat. Che Hasni berkata, selain itu SPAD juga mempunyai senarai syarikat pengendali lori yang melakukan lima kesalahan dan ke atas. Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan secara lanjut mengenai senarai syarikat serta bilangan kesalahan yang dilakukan. Ditanya apakah tindakan terhadap syarikat-syarikat yang didapati mengulangi kesalahan Che Hasni berkata, SPAD akan mengenakan tindakan pentadbiran seperti penggantungan dan pembatalan lesen. Tambahnya, tiada penetapan bilangan kesalahan untuk dikenakan tindakan tetapi lebih menumpukan tahap keseriusan kesalahan itu. "Penggantungan atau pembatalan lesen akan dilihat berdasarkan kes. Kalau hanya satu lori pun tetapi kalau langgar orang sehingga membawa maut, kita akan gantung," katanya sambil menambah bahawa terdapat syarikat pengendali lori yang digantung dan dibatalkan lesennya kerana melakukan kesalahan. Menurut Che Hasni, kesemua lori yang melakukan kesalahan akan didakwa mengikut Seksyen 57 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang membawa kepada denda tidak kurang RM1,000 hingga maksimum RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali. "Sehubungan itu, saya menasihatkan pengusaha lori termasuk pemandu supaya lebih bertanggungjawab bagi memastikan keselamatan pengguna-pengguna jalan raya yang lain di samping tidak merosakkan jalan-jalan," katanya.
TOP
SPAD Kesan 4,820 Kesalahan Lori Termasuk Lebih Muatan
PUCHONG: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengesan sebanyak 4,820 kesalahan menerusi operasi membanteras lori lebih muatan atau Ops Hippo sejak ia dilancarkan di seluruh negara pada Jun 2011. Ketua Bahagian Penguatkuasaan SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, daripada jumlah itu sebanyak 1,394 kesalahan direkodkan sejak Januari tahun ini. "Antara kesalahan-kesalahan adalah lori lebih muatan, tidak diselanggara dengan baik, membuat pengubahsuaian pada badan lori dan keadaan tayar yang membahayakan pemanduan. "Mengenai kesalahan lebih muatan, terdapat lori yang membawa muatan melebihi 160 peratus daripada had muatan yang dibenarkan pada sesebuah lori itu," katanya kepada para pemberita pada Ops Hippo di Taman Meranti Jaya dekat sini, Jumaat. Mengenai Ops Hippo pada Jumaat, Che Hasni berkata, SPAD menerima banyak aduan daripada orang ramai terutama di kawasan Puchong berhubung lori-lori yang membawa muatan berlebihan sehingga merosakan jalan-jalan. Katanya, kegiatan itu masih berleluasa menyebabkan SPAD menjalankan operasi penguatkuasaan yang bermula sejak pukul 4 pagi melibatkan 35 anggota penguat kuasa. "(Setakat) operasi pada hari ini, kita mencatatkan sebanyak 25 kes membabitkan 12 lori. "Kesemua lori yang melakukan kesalahan akan didakwa mengikut Seksyen 57 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang membawa kepada denda tidak kurang RM1,000 hingga maksimum RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya. Menurut Che Hasni, mesin penimbang lori ketika ini menggunakan teknologi baharu dari Jepun bagi mengesan lori yang membawa lebih muatan yang merosakkan jalan-jalan raya. Beliau menambah, teknologi baharu itu akan dinilai keberkesanannya dan tahap praktikal penggunaannya dalam peringkat percubaan. "Kita ada menggunakan (teknologi) Korea dan kita juga akan cuba menggunakan (teknologi) dari Amerika. Kita akan cuba pelbagai teknologi. "Ini adalah peringkat penilaian dan percubaan. Mana yang elok (terbaik) itu yang akan kita akan gunakan," katanya.
TOP
Gambar artis tidak suka memakai pakaian dalam
Gambar artis tidak suka memakai pakaian dalam|Wanita tidak perlu bercerita dengan menggunakan kata-kata, cukup dengan bersikap dan pakaian yang dikenakannya lelaki sudah dapat menangkap cerita yang sebenarnya.
TOP
Warga Pakistan mati dijerut
ANGGOTA polis mengangkat mayat warga Pakistan yang ditemui mati dipercayai terlibat dalam pergaduhan di Pangsapuri Bayu, Jalan Bukit Serdang, Seri Kembangan, Kuala Lumpur, malam semalam. - UTUSAN/Abdul Razak Latif
KUALA LUMPUR 12 Jun - Seorang lelaki warga Pakistan ditemui mati dalam keadaan mukanya dijerut dengan baju yang dipakainya setelah dipercayai terlibat dalam pergaduhan di rumah mangsa di Pangsapuri Bayu, Jalan Bukit Serdang, Seri Kembangan dekat sini malam tadi. Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, mayat mangsa yang dikenali sebagai Rizwan Tariq berusia 30-an ditemui dalam keadaan terlentang di dalam sebuah bilik oleh teman wanitanya yang berkunjung ke rumah tersebut. Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razimi Ahmad berkata, sebelum itu, jiran-jiran ada mendengar bunyi jeritan seperti orang sedang bergaduh dari rumah mangsa kira-kira pukul 5.30 petang. "Siasatan awal melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi berjaya mengesan beberapa individu berusia lingkungan 20-an yang dipercayai terlibat dalam kes ini. "Bagaimanapun kita masih lagi menyiasat perkara tersebut dan percaya kejadian ini berkemungkinan disebabkan oleh perselisihan faham berkaitan perniagaan," katanya ketika di temui di lokasi kejadian di sini malam tadi. Razimi berkata, ketika ditemui, keadaan di dalam rumah tersebut bersepah dipercayai akibat berlaku pergelutan dan mayat mangsa pula mempunyai kecederaan di mulut berkemungkinan akibat dipukul. Beliau berkata, pihaknya turut percaya suspek merupakan orang yang dikenali mangsa berdasarkan tiada kesan pecah rumah dan kejadian ini bukan bermotifkan samun kerana tiada barangan berharga milik mangsa yang hilang. "Polis juga tidak menemui sebarang senjata di lokasi kejadian," ujarnya. Beliau berkata, mangsa yang menjalankan perniagaan menjual sarung tangan penunggang motosikal tinggal bersendirian di rumah tersebut dan dipercayai mati kurang daripada enam jam sebelum mayatnya ditemui. Beliau berkata, polis ketika ini juga sedang mengesan teman wanita mangsa yang menghilangkan diri selepas kejadian itu bagi membantu siasatan. Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
TOP
Klia2 tidak mesra peniaga bumiputera
Dr. Ahmad Ramzi Mohamad Zubir
KUALA LUMPUR 12 Jun -Pengusaha-pengusaha bumiputera mempersoalkan tindakan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) yang masih membisu tentang permohonan mereka untuk mendapatkan ruang niaga di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) walaupun telah mula beroperasi sejak 2 Mei lalu. Ini memberi kesan kepada beberapa usahawan bumiputera yang telah mendapat kelulusan dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) tentang kebenaran masuk ke klia2 sedangkan MAHB masih membisu dan tiada sebarang surat hitam putih dikeluarkan kepada mereka yang terbabit. Pengerusi Eksekutif Estinwira Sdn. Bhd., Datuk Dr. Ahmad Ramzi Mohamad Zubir berkata, perkara itu amat dikesali kerana syarikatnya yang memiliki 20 rangkaian francais kopitiam Killiney di seluruh negara belum menerima sebarang keputusan daripada MAHB sedangkan mereka sudah bersedia pada bila-bila masa termasuk dari segi konsep restoran dan kemudahan kepada pelanggan. Katanya, menerusi makluman terbaharu dari pegawai MITI yang diterimanya semalam, MAHB masih belum membuat sebarang keputusan dan selewat-lewatnya hanya akan diketahui Julai depan. "Sebenarnya kita dah masuk tender sejak awal lagi tetapi tidak berjaya dan kami terima keputusan MAHB. Bagaimanapun, MITI kemudiannya memberitahu bahawa mereka mempunyai peruntukan tujuh lot untuk usahawan bumiputera. Bersama usahawan lain, kami kemudiannya menyediakan kertas kerja seperti yang diminta. "Namun sehingga kini, tiada kata putus diberikan oleh MAHB walaupun MITI telah memberi reaksi positif berhubung perkara ini," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini. Isu tentang susahnya mencari restoran Melayu di klia2 disuarakan menerusi kolum Cuit Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan pada 11 Jun lalu, walaupun lapangan terbang itu digembar-gemburkan sebagai mercu tanda baharu kebanggaan negara. Dalam kolum itu, siasatan mendapati antara kedai-kedai berasaskan makanan dan minuman atau F&B di klia2 itu yang dianugerahkan melalui tender ialah: Oldtown White Coffee, Hometown Hainan Coffee, Gong Cha, Starbucks, Gloria Jeans, GeorgePeck Coffee, Pacific Coffee, McCafe, Austin Chase Coffee, Baskin Robbins, Kluang Cafe, Coffee Bean, San Francisco. Hasil siasatan ringkas juga mendapati semua kedai kopi yang bukan nama kebangsaan Malaysia itu bukan milik orang Islam. Hanya satu sahaja yang boleh dikatakan dikendalikan oleh orang Melayu Islam iaitu Gloria Jeans Coffee yang dimiliki syarikat berasaskan kerajaan melalui Perbadanan Nasional Berhad (PNS). Dengan keluasan terminal kira-kira 257,000 meter persegi, klia2 dijangka mampu menampung sehingga 45 juta penumpang setahun dan menyediakan ruang seluas 32,000 meter persegi untuk lot kedai dan 6,000 ruang meletak kereta. Kemudahan klia2 juga mempunyai 60 pintu dengan 80 jambatan udara. Ahmad Ramzi berharap supaya MAHB dapat memberi keputusan segera berkenaan perkara itu sekali gus dapat membuka peluang perniagaan buat usahawan Melayu untuk berkecimpung dalam membantu pertumbuhan ekonomi negara. "Kami percaya, kami boleh lakukan jika diberi peluang ini dan akan menggunakannya sebaik-baiknya," katanya. Menurut beliau, restoran Killiney di klia2 kelak jauh berbeza kerana mengetengahkan konsep perdana dengan hiasan dalaman yang lebih canggih dan pilihan pelbagai menu.
TOP
I-Berhad pinda reka bentuk Central Plaza yakin siap 2017
SHAH ALAM 12 Jun - I-Berhad yakin dua lagi projek yang bakal menjadi mercu tanda komersial di bandaraya Shah Alam, Central Plaza @ i-City Mall dan Central Tower di i-City, di sini mampu disiapkan dan beroperasi sepenuhnya menjelang tahun 2017. Keyakinan itu dinyatakan oleh Timbalan Pengerusi I-Berhad, Datuk Eu Hong Chew susulan kejayaan pihaknya menyiapkan pindaan pelan reka bentuk projek terbabit yang melibatkan perkongsian dengan sebuah syarikat konglomerat peruncitan dari Thailand, Central Pattana PLC Ltd. Berdasarkan pelan asal ujarnya, projek Central Plaza @i-City Mall direka bentuk melibatkan pembinaan bersepadu yang menggabungkan pusat beli-belah selain ruang pejabat, kediaman dan menara hotel yang dibina di atas pusat beli-belah berkenaan. Katanya, selaras dengan pelaburan jangka panjang dengan perancangan untuk membuka nilai pasaran menerusi dana pelaburan harta tanah (REIT), maka satu garis panduan pembangunan yang mana pusat beli-belah ini perlu dibina di atas tapak tanah yang lain. "Dengan pindaan ini, tapak tanah projek berkenaan yang berkeluasan satu juta kaki persegi akan dibahagikan untuk pembinaan pusat beli-belah manakala ruang pejabat, kediaman dan hotel akan ditempatkan di Central Tower," katanya yang turut menyatakan nilai pelaburan projek berkenaan berjumlah RM580 juta. Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan Perintah Pembangunan (DO) Central Plaza di i-City, di sini yang sempurnakan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Pengerusi I-Berhad, Tan Sri Lim Kim Hong dan Ketua Pengawai Pembangunan Central Pattana, Khun Wallaya Chirathivat. Pada 22 Julai tahun lalu, I-Berhad dan Central Pattana menjalinkan beberapa perjanjian bersama bagi membina, memilik dan menguruskan pusat beli-belah Central Plaza di i-City, Shah Alam. Berdasarkan perjanjian tersebut, Central Pattana bertanggungjawab terhadap pembinaan dan pengurusan pusat beli-belah tersebut, manakala I-Berhad menguruskan taman tema serta komponen yang lain di i-City.
TOP
132 ditahan bawah Akta Pencegahan Jenayah
KUALA LUMPUR 12 Jun - Seramai 132 orang ditahan sejak Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2014 berkuat kuasa mulai 2 April lalu. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, bagaimanapun beliau tidak bercadang mendedahkan secara terperinci mengenai siasatan ke atas semua tahanan berkenaan kerana dikhuatiri mengganggu proses siasatan polis. Menjawab soalan bertulis Dr. Ko Chung Sen (DAP-Kampar) dalam sidang Dewan Rakyat hari ini, katanya, mengenai penangkapan Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, seorang pengusaha pusat Internet, beliau juga tidak berhasrat mendedahkannya secara terperinci kerana boleh mengganggu proses siasatan. Tambah beliau, panel Ahli Lembaga Pencegahan Jenayah terdiri daripada mereka yang mempunyai integriti tinggi serta berpengalaman selama lebih 27 tahun dalam bidang keselamatan dan juga pengamal undang-undang bertauliah.
TOP
Sukar banteras judi Piala Dunia
KUALA LUMPUR 12 Jun - Kegiatan pertaruhan dalam talian menggunakan telefon pintar merupakan trend terkini yang digunakan oleh sindiket judi menjelang perlawanan Bola Sepak Piala Dunia 2014 yang bermula esok. Fenomena itu dikhuatiri akan lebih menyukarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengesan sekali gus membanteras kegiatan tersebut dan jika mereka ditangkap sekalipun pendakwaan di mahkamah mungkin gagal berikutan tiada bukti kukuh. Ini kerana pada musim Piala Dunia 2010 yang ketika itu penggunaan telefon pintar masih belum popular, pihak polis menghadapi masalah apabila seramai 143 individu yang ditahan dalam 217 serbuan membabitkan nilai pertaruhan seba-nyak RM437.9 juta gagal didakwa di mahkamah. Ketua Penolong Pe-ngarah Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Roslee Chik yang mengakui perkara itu berkata, kegiatan pertaruhan haram menggunakan telefon bimbit sukar dikesan dan dibanteras kerana kegiatan tersebut boleh dilakukan di mana-mana lokasi termasuk dalam kenderaan. "Jika sebelum ini sindiket menggunakan komputer untuk menjalankan pertaruhan haram, kini majoriti sindiket terlibat menggunakan telefon pintar. Melalui cara ini, kegiatan mereka susah dikesan dan akan menyukarkan pembuktian di mahkamah," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini. Mengenai kegagalan pendakwaan seramai 143 individu yang terlibat pertaruhan ha-ram pada perlawanan Piala Dunia 2010, Roslee menjelaskan, mereka tidak dituduh di mahkamah kerana tiada bukti yang kukuh berikutan kegiatan itu menjadi jenayah rentas sempadan yang melibatkan jaringan laman web luar negara sehingga menyukarkan pihak polis mendapatkan keterangan. "Kita juga tidak menolak kemungkinan akan berlaku peningkatan dalam nilai pertaruhan kerana penggunaan telefon pintar memudahkan orang ramai terlibat dengan perjudian dalam talian," ujarnya. Bagaimanapun tambah Roslee, PDRM tidak pernah mengalah dan satu pasukan pemantau khas turut ditubuhkan bagi meningkatkan lagi usaha untuk membanteras kegiatan perjudian dalam talian sepanjang berlangsungnya Piala Dunia 2014. "kita akan melakukan risikan dan siasatan terutamanya di tempat tumpuan orang ramai di seluruh negara seperti kedai mamak, kedai makan yang memasang skrin besar untuk pelanggan menonton perlawanan ini bagi mengenal pasti sindiket tertentu yang menganjurkan pertaruhan secara dalam talian. "Sehubungan itu, kita berharap orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu polis supaya kegiatan haram itu dapat dibanteras sehingga ke akar umbi," ujarnya. Dalam perkembangan yang sama, Roslee memberitahu, pindaan terhadap Akta Pencegahan Jenayah (POCA) yang diwartakan pada 1 April lalu dan telah berkuatkuasa pada 2 April lalu diharap dapat membantu pihaknya untuk mencegah dan memerangi jenayah terutama melibatkan perjudian dan pertaruhan haram dengan lebih berkesan. "Individu yang ditahan atas kesa-lahan berjudi akan disiasat mengikut POCA dan melalui pindaan ini kita harap mereka tidak akan terlepas," katanya.
TOP
Madinah siap sedia hadapi ketibaan Ramadan
Kerajaan Arab Saudi dan sektor swasta di negara itu membuat persiapan bagi menyediakan kemudahan dan perkhidmatan terbaik kepada jemaah umrah sepanjang bulan Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi. - AGENSI
MADINAH 12 Jun - Sektor kerajaan dan swasta di sini yang terlibat menyediakan kemudahan dan perkhidmatan kepada jemaah umrah sudah mula membuat persiapan sempena kedatangan bulan Ramadan bagi menyediakan kemudahan dan perkhidmatan yang sempurna. Menurut laman web Saudi Gazette, setiap kali tiba bulan Ramadan, Madinah dipenuhi dengan umat Islam dari dalam dan luar negara yang ingin menghabiskan bulan mulia ini berhampiran Masjid Nabawi. Gabenor Madinah, Putera Faisal Bin Salman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Haji tempatan, secara peribadi mengikuti perkembangan kesemua persediaan untuk menyambut bulan mulia itu tidak lama lagi. Pasukan keselamatan, sektor kesihatan dan polis trafik juga membuat persiapan terperinci bagi memastikan keadaan yang selesa kepada jemaah umrah dan pengunjung bagi memudahkan pergerakan mereka ke Masjid Nabawi. Pengarah Pertahanan Awam, Mejar Jeneral Zuhair Sabieh berkata, pihaknya telah menggerakkan tenaga kerja dan peralatan yang mencukupi bagi memastikan keselamatan terjaga. Zuhair berkata, kira-kira 27 buah pusat Pertahanan Awam telah ditubuhkan di Madinah, di samping beberapa unit pondok telefon bagi memastikan jemaah selamat daripada sebarang bahaya termasuk kebakaran dan kecemasan. Katanya, kempen kesedaran akan diadakan bagi memberi kesedaran kepada jemaah, pengunjung dan penduduk terhadap pelbagai risiko yang mungkin berlaku. Sementara itu, Pengarah Keselamatan Jalan Raya, Brigedier Khaled Bin Al-Ghamdi berkata, seramai 29 orang pegawai dan 900 orang anggota polis trafik akan bertanggungjawab mengawal keselamatan jalan raya di Madinah dan kawasan sekitar sepanjang Ramadan ini. Katanya, lebih 20 pasukan polis peronda akan mengawasi Lebuh Raya Mekah-Madinah untuk mengawal pergerakan bas dan kereta jemaah bagi memastikan perkhidmatan lalu lintas dan keselamatan terjamin sepanjang masa.
TOP
Rawatan ikan hidup untuk penyakit asma
Penduduk tempatan berpusu-pusu mendapatkan rawatan ikan hidup bagi menyembuhkan penyakit asma di Hyderabad, India. - AGENSI
NEW DELHI 12 Jun - Beribu-ribu penduduk India dari seluruh pelosok membanjiri selatan bandar Hyderabad pada bulan Jun setiap tahun bagi mendapatkan rawatan ikan hidup secara percuma untuk menyembuhkan penyakit asma, lapor laman web MailOnline. Rawatan tradisional itu yang dipelopori keluarga Bathini Goud itu turun-temurun menggunakan ikan hidup serta formula rahsia herba bagi merawat masalah pernafasan. Bagaimana pun, keluarga tersebut tidak akan mendedahkan ramuan rahsia ubat itu yang dikatakan diturunkan oleh seorang sami Hindu pada 1845. Pesakit dirawat dengan menelan ubat herba berserta ikan sardin atau murrel hidup sepanjang 5 sentimeter yang dikatakan akan mencuci tekak dan mampu menyembuhkan asma serta penyakit pernafasan lain sekiranya rawatan diteruskan selama tiga tahun. Selepas itu, pesakit perlu menjalani diet ketat selama 45 hari. Rawatan percuma itu dibuka selama dua hari ketika musim monsun bermula setiap Jun. Dalam pada itu, kumpulan hak asasi dan doktor mendakwa rawatan tradisional itu tidak saintifik dan tidak mengutamakan kebersihan, serta menyalahi hak asasi manusia, namun dakwaan itu disangkal keluarga Bathini. Dakwaan itu juga tidak menghalang orang ramai mendapatkan rawatan itu. Kerajaan India turut menyediakan kereta api khas dan polis bantuan bagi mengawal orang ramai yang datang ke tempat itu.
TOP
Malaysia menang anugerah destinasi keluarga terbaik
NEW DELHI 13 Jun - Malaysia memenangi anugerah destinasi keluarga terbaik pada Lonely Planet Magazine India Travel Awards 2014. ``Ia merasa hebat untuk dihargai dengan pengiktirafan ini. Kami sering mempromosi Malaysia sebagai destinasi yang memiliki sesuatu untuk setiap orang terutama keluarga yang mahukan pengalaman bagi setiap anggota keluarga mereka,'' kata Pengarah Tourism Malaysia India, Manoharan Periasamy. Beliau berkata, pandangan majalah Lonely Planet paling mendapat perhatian oleh pengembara dan menjadi pilihan pembaca yang menjadikan anugerah ini lebih berprestij. Anugerah diadakan di Mumbai, Maharashtra baru-baru ini. ``Sama ada ia merupakan membeli-belah, pengalaman, taman tema atau golf, Malaysia merupakan antara tempat di mana kehendak setiap anggota keluarga dapat dipenuhi,'' katanya. Malaysia memenangi anugerah destinasi terbaik bagi makanan dan minuman (antarabangsa) pada Lonely Planet Magazine India Travel Awards 2013. - BERNAMA
TOP
Agihan terus ikut kelayakan
KUALA LUMPUR 12 Jun - Pemberian diesel dan petrol bersubsidi secara terus kepada rakyat mengikut kelayakan adalah langkah terbaik untuk memastikan tidak berlaku ketirisan dan menghalang warga asing daripada turut menerima manfaat tersebut. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar (gambar) berkata, langkah tersebut dapat membendung bahan api itu daripada terus dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu yang mengaut keuntungan dengan menjualnya di pasaran gelap. Menurut beliau, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM136.6 bilion dana untuk membekalkan bahan bakar tersebut sejak 2000 justeru jumlah itu boleh dikurangkan jika sistem baharu agihan diesel dan petrol diperkenalkan. "Pada 2006 kerajaan membelanjakan sebanyak RM7.3 bilion dan meningkat kepada RM23.5 bilion pada 2014 untuk membekalkan bahan api bersubsidi. "Bagaimanapun, bekalan yang sepatutnya untuk rakyat Malaysia turut dinikmati warga asing malah isunya sekarang adalah penyeludupan yang berleluasa sehingga di jual ke luar negara," katanya ketika menjadi ahli panel pada program dialog 21st Nation Building Series Revisiting The New Economic Model di sini, malam tadi. Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan desakan pelbagai pihak supaya kerajaan memperkenalkan langkah baharu agihan bahan api selepas pendedahan bahawa daripada sejumlah 8.5 bilion liter diesel subsidi yang diguna pakai oleh kenderaan komersial, 3.5 bilion liter telah disalahgunakan akibat aktiviti penyeludupan dan kegiatan mengaut untung keterlaluan termasuk melalui cara gelap. Persoalan timbul tentang bagaimana ini boleh berlaku dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini sehingga kerajaan terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM1.2 bilion akibat sindiket penyeludupan petrol dan diesel subsidi. Menjelaskan langkah yang akan diambil kerajaan, Abdul Wahid berkata, agihan bahan api secara umum sudah tidak relevan justeru pendekatan langsung adalah yang terbaik untuk memberi keadilan kepada rakyat Malaysia. "Kita boleh melantik lebih ramai anggota penguatkuasaan tetapi tidak akan berjaya menyelesaikan masalah ini secara total justeru kerajaan akan mengeluarkan langkah baharu yang lebih relevan selepas ini. "Penyeludup akan sentiasa mengambil kesempatan dalam apa juga cara maka kita perlukan satu penyelesaian secara menyeluruh yang lebih berkesan iaitu pendekatan terus," tegas beliau.
TOP
Purata 32 polis mati sebulan
KUALA LUMPUR 12 Jun - Sebanyak 32 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara dilaporkan meninggal dunia setiap bulan sejak Januari lalu dengan majoritinya berpunca daripada penyakit tiga serangkai iaitu jantung, diabetes dan tekanan darah tinggi yang antaranya mempunyai kaitan dengan masalah obesiti. Pengarah Jabatan Pengurusan PDRM Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan akan menekankan pelaksanaan aktiviti riadah yang sememangnya diwajibkan terhadap semua anggota pada setiap hari Jumaat bagi mengatasi masalah kesihatan di kalangan warga PDRM. "Daripada jumlah 32 kematian sebulan tersebut yang dikira secara purata, ada yang meninggal dunia akibat kemalangan namun majoritinya adalah disebabkan penyakit tiga serangkai. "Kita memang ada melaksanakan aktiviti yang dipanggil games day pada setiap Jumaat bagi menggalakkan setiap anggota beriadah, namun aktiviti terbabit kini kurang dilakukan kerana kesibukan tugas seperti terlibat dengan operasi atau mempunyai tugas luar jangka," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Beliau berkata demikian sebagai susulan kenyataannya semalam mengenai tindakan PDRM yang memberi amaran tegas kepada setiap anggotanya yang mempunyai masalah obesiti dengan peluang kenaikan pangkat mereka boleh terjejas. Kenyataan itu disiarkan di muka hadapan Utusan Malaysia hari ini. Kenyataan tersebut dibuat ketika beliau diminta mengulas ruangan Bisik-Bisik Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia Ahad lalu yang mengutarakan masalah obesiti dalam kalangan anggota tentera dan polis. Kata Awang Selamat, tidak segak kalau mereka berpakaian seragam tetapi berperut boroi dan masalah itu juga berlaku dalam kalangan bos-bos polis dan tentera. Menurut Mohd. Fuzi, pihaknya telah pun memberi peringatan kepada semua penyelia yang terdiri daripada ketua-ketua balai, sub-inspektor atau sarjan mejar agar memantau dan menasihati anggota-anggota yang mempunyai masalah berkaitan. "Kita juga menggalakkan mereka agar membuat pemeriksaan kesihatan yang lebih kerap supaya penyakit tersebut dapat dikesan lebih awal dan dapat dikawal daripada menjadi lebih serius," ujarnya.
TOP
Krim di kilang di Ireland dikesan mengandungi racun
PUTRAJAYA 13 Jun - Krim kosmetik Dermaceutic Spot Cream dan Dermaceutic Spot Peel Cream yang dikilang oleh Dermosciences, Ireland dikesan mengandungi racun berjadual hydroquinone dan tretinoin. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, justeru itu produk tersebut tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia serta orang awam dinasihati untuk mengelak daripada membeli dan mengguna kosmetik berkenaan. Beliau berkata, syarikat yang bertanggungjawab ke atas notifikasi produk itu telah diarah untuk memberhentikan penjualan atau pembekalan dengan serta-merta dan memanggil balik kesemua stok produk itu dari pasaran dalam tempoh 72 jam. ``Produk yang mengandungi hydroquinone dan/atau tretinoin adalah produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan pihak berkuasa kawalan dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan,'' katanya dalam satu kenyataan hari ini. Beliau berkata produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan hydroquinone lazimnya dipasarkan untuk tujuan mencerahkan kulit, merawat masalah jeragat dan kulit tidak sekata. Dr. Noor Hisham berkata, kesan penggunaannya akan menyebabkan kemerahan pada kulit, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini malah kulit menjadi hipersensitif serta menghalang proses pigmentasi yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV merbahaya dan meningkatkan risiko kanser kulit. Katanya, produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan tretinoin biasanya dipromosikan untuk merawat masalah jerawat dan membantu mengurangkan kedutan dan penggunaan tanpa pengawasan boleh menyebabkan bahagian yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada matahari. ``Penjual diingatkan pemilikan produk itu adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan jika didapati bersalah boleh dihukum maksimum tiga tahun penjara dan denda RM25,000 atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama. ``Untuk kesalahan berikutnya denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,'' katanya. Beliau berkata syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya. Pengguna yang mengalami sebarang kesan sampingan atau kesan buruk akibat penggunaan produk kosmetik dinasihati menghubungi Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan di talian 03-8835532/5533/5537. - BERNAMA
TOP
Labuan IBFC kekal momentum dua dipacu tiga sektor utama - Zeti Akhtar
KUALA LUMPUR 12 Jun - Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) menyasarkan untuk mengekalkan momentum dua digit tahun ini, dipacu oleh tiga sektor utama iaitu minyak dan gas, perbankan Islam dan pemajakan perniagaan. Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz (gambar) berkata, prospek pertumbuhan serantau yang bertambah baik di Asia terus menyokong Labuan IBFC untuk meningkatkan hubungan dalam usaha mengukuh dan memperluaskan aktiviti perdagangan dan pelaburan di rantau ini. Katanya, bagi tahun laporan kewangan 2013 menunjukkan perniagaan pemajakan Labuan IBFC terus teguh dan merupakan sektor berprestasi tinggi dengan 72 syarikat baharu sekali gus menjadikan jumlah syarikat pemajakan kepada 312 buah. "Perkembangan positif perniagaan pemajakan di Labuan dilengkapkan dengan pertumbuhan kukuh dalam industri minyak dan gas. "Setakat ini, aset pajakan terkumpul meningkat kepada AS$38.1 bilion (RM122.35 bilion) ndengan 73 peratus daripadanya diperoleh daripada industri minyak dan gas," katanya pada sidang akhbar pembentangan Laporan Kewangan 2013 Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) mengenai pencapaian dan permkembangan Labuan IBFC di sini hari ini. Yang turut hadir, Ketua Pengarah Labuan FSA, Ahmad Hizzad Baharuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Labuan IBFC, Saiful Bahari Baharom. Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013, pendapatan operasi Labuan FSA meningkat kepada RM39.9 juta berbanding RM28.8 juta bagi tahun sebelumnya manakala jumlah rizab meningkat kepada RM39.2 juta. Bilangan syarikat yang diperbadankan pada 2013 mencatat pertumbuhan tahunan yang positif sebanyak 9.1 peratus menjadikan syarikat Labuan IBFC meningkat kepada 10,352 buah. Bagaimanapun, jelas Zeti, hanya 5,124 syarikat yang aktif manakala selebihnya belum memulakan operasi. Sementara itu, menurut beliau, aktiviti pembiayaan Islam di Labuan IBFC turut mencatat peningkatan ketara sebanyak 46.8 peratus kepada AS$775.6 juta (RM2.49 bilion) pada 2013 berbanding AS$528.5 juta (RM1.69 bilion) pada 2012. "Pada tahun lalu juga, dua lesen perbankan baharu diberikan kepada sebuah bank dari Malaysia dan sebuah bank asing dari Pakistan," katanya. Beliau berkata, Labuan FSA turut mengeluarkan garis panduan baharu selaras dengan piawaian antarabangsa bagi mengukuhkan kedudukan institusi kewangan Labuan selain mencegah pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan bagi memelihara integriti sistem kewangan.
TOP
Johor-Kedah bekerjasama cari sumber
JOHOR BAHRU 11 Jun - Kerajaan negeri ini akan menjalin kerjasama pintar dengan kerajaan Kedah bagi mencari sumber baharu pelaburan termasuk dalam sektor pelancongan dan industri asas tani. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata, Johor berhasrat mencontohi Langkawi yang kini terkenal sebagai lokasi percutian terkemuka dalam sektor pelancongan antarabangsa. "Dalam kunjungan saya ke Dubai dan India baru-baru ini, rakyat kedua-dua negara berkenaan amat mengenali Langkawi sebagai destinasi pelancongan terkemuka dan Johor Bahru baru sahaja dikenali selepas beberapa langkah promosi dijalankan. "Johor terkenal dengan keindahan pulau-pulau semula jadi dan tarikan taman tema. Jadi, kerajaan negeri berhasrat mencontohi Langkawi untuk menjadikan sektor pelancongan negeri ini lebih dikenali di peringkat antarabangsa," katanya selepas mengadakan pertemuan bersama delegasi kerajaan negeri Kedah di Pusat Informasi Danga Bay, di sini hari ini. Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan Kedah, Datuk Dr. Ku Abd. Rahman Ku Ismail. Siew Kiong berkata, pertemuan itu bertujuan mendapatkan pandangan dan meneroka peluang perniagaan serta pelaburan yang boleh dipelajari antara kedua-dua pihak. "Kita melihat Johor mempunyai peluang kerjasama yang baik dengan Kedah untuk meningkatkan lagi pelaburan kerana masing-masing mempunyai kelebihan. "Kerajaan negeri turut merancang mengadakan kunjungan perniagaan ke negara luar bagi menarik peluang pelaburan bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan kerajaan negeri Kedah," katanya. Selain itu, Johor turut mengalu-alukan kedatangan pelabur dari Kedah untuk meluaskan perniagaan masing-masing ke bahagian selatan dan Asia Tenggara memandangkan negeri ini mempunyai jaringan logistik yang kukuh. "Sektor utama pelaburan di Kedah adalah dalam bidang pembuatan kereta dan getah, kita amat mengalu-alukan sekiranya pelabur di negeri itu ingin meluaskan perniagaan mereka ke Johor," katanya. "Ini kerana kita memunyai kemudahan pelabuhan dan lapangan terbang yang memudahkan mereka meluaskan pasaran di bahagian selatan dan Asia Tenggara," katanya. Pada masa sama beliau juga menggalakkan pelabur di negeri ini meluaskan perniagaan mereka ke Kedah untuk menerokai peluang di bahagian utara.
TOP
Bank Perancis terbitkan sukuk RM1b di Malaysia
SINGAPURA 12 Jun - Bank ketiga terbesar Perancis dari segi aset, Societe Generale (SocGen), menjadi bank konvensional kedua selepas Bank of Tokyo-Mitsubishi UFJ (Malaysia) Bhd. (BTMU Malaysia), akan menerbitkan sukuk pelbagai mata wang di bawah prinsip berlandaskan syariah bernilai RM1 bilion di Malaysia. Menurut kenyataan RAM Ratings kepada Bursa Malaysia hari ini, melalui program terbitan sukuk berkenaan, SocGen akan menerbitkan sukuk melalui anak syarikat miliknya dengan menyediakan kontrak patuh syariah yang akan menyediakan para pelabur tindakan undang-undang kepada pemberi pinjaman terkemuka Perancis itu. SocGen walaubagaimanapun enggan mengulas mengenai terbitan sukuk berkenaan. Pengumuman mengenai terbitan sukuk itu dilakukan seminggu selepas BTMU Malaysia membuat terbitan sukuk pelbagai mata wang bernilai AS$500 juta (RM1.55 bilion) di Malaysia. Tahun lalu, Reuters melaporkan SocGen mempertimbangkan untuk menerbitkan sukuk bernilai AS$300 juta (RM962.8 juta) di Malaysia, dengan hasilnya akan digunakan bagi mengembangkan operasi bank itu di Asia Barat. Sukuk merupakan pilihan pem biayaan yang semakin popular bagi syarikat korporat dan kerajaan asing di seluruh dunia, dengan Malaysia menjadi negara tumpuan kerana memiliki pasaran modal Islam terbesar. RAM Ratings mentakrifkan program terbitan sukuk itu sebagai suatu yang stabil namun tidak memberikan butiran mengenai pegangan sukuk, struktur atau bila terbitan pertama mungkin berlaku. -Reuters
TOP
Singapura pelabur terbesar di Iskandar
NUSAJAYA 12 Jun - Kerancakan pembangunan di Iskandar Malaysia terus menjadi tumpuan pelabur dan hingga April lalu, berjaya merekodkan jumlah pelaburan sebanyak RM138.61 bilion dengan Singapura menjadi pelabur utamanya sebanyak RM11 bilion. Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim (gambar) berkata, daripada jumlah tersebut, sejak diwujudkan pada 2006, Iskandar Malaysia terus menjadi tumpuan pelabur dari Singapura dalam pelbagai bidang termasuk yang terbaharu dalam industri kreatif, logistik dan pembuatan. "Pada masa ini, Singapura merupakan pelabur asing tertinggi di Iskandar Malaysia. "Malah, mereka terus menunjukkan minat dan kita akan umumkan tentang pelaburan baharu dari negara itu apabila tiba masanya kelak," katanya selepas Majlis Pecah Tanah Nusajaya Tech Park yang disempurnakan bersama oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Perdagangan dan Industri Singapura, Lim Hng Kiang. Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa, Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong; Pengerusi UEM Sunrise Bhd. (UEM Sunrise) Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Ascendas Pte. Ltd. (Ascendas), Manohar Khiatani dan Pengarah Eksekutif UEM Sunrise, Datuk Izzaddin Idris. Projek Nusajaya Tech Park dibangunkan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM3.7 bilion di atas tanah seluas 210 hektar selama sembilan tahun itu adalah hasil kerjasama syarikat dari Malaysia dan Singapura iaitu UEM Sunrise dan Ascendas. Sementara itu, Mustapa berkata, pembangunan Nusajaya Tech Park merupakan bukti kerjasama antara kedua-dua negara selain mewujudkan situasi menang-menang dan bakal menjadi pemacu kerancakan pertumbuhan di Iskandar Malaysia. "Hubungan baik selain kedudukan kedua-dua negara yang dekat dilihat menyumbang kepada jumlah pelaburan tinggi dari Singapura dan saya yakin wilayah itu akan terus menjadi tumpun pelabur dari dalam dan luar negara pada masa akan datang," katanya. Sementara itu, Hng Kiang berkata, Singapura menyumbang sebanyak 23 peratus daripada jumlah pelaburan asing yang diterima di Iskandar Malaysia, sekali gus membuktikan hubungan erat kedua-dua negara yang terjalin sejak sekian lama.
TOP
Bandar minyak di utara Iraq ditawan
SEBUAH kenderaan milik pasukan pertahanan Iraq meninggalkan sebuah pangkalan tentera ketika pasukan pejuang Kurdis menguasai Kirkuk kelmarin.
BAGHDAD - Para pejuang etnik Kurdis menawan bandar minyak di utara Iraq, Kirkuk semalam manakala kumpulan pejuang Sunah bergerak ke Baghdad. Ekoran kemaraan kumpulan pejuang itu, anggota-anggota tentera negara ini meninggalkan pos-pos pemeriksaan di utara Iraq. Para pejuang Peshmerga yang merupakan anggota keselamatan wilayah autonomi Kurdis menawan Kirkuk selepas anggota-anggota tentera Iraq meninggalkan pos kawalan mereka. "Keseluruhan Kirkuk kini jatuh di tangan para pejuang Peshmerga," kata seorang jurucakap pasukan keselamatan itu, Jabbar Yawar. "Tiada anggota tentera Iraq di Kirkuk," tambahnya. Para pejuang Kurdis sebelum ini bermimpi untuk menawan Kirkuk, sebuah bandar yang kaya dengan simpanan minyak di luar wilayah autonomi Kurdis. Kemaraan pasukan itu adalah disebabkan pasukan keselamatan bergerak dengan teratur. Sejak Selasa lalu, anggota-anggota kumpulan Negara Islam Iraq dan Syam (ISIL) telah menawan dua bandar terbesar di Iraq, Mosul dan Tikrit. Tikrit merupakan bandar kelahiran bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein. Kumpulan itu mahu menubuhkan sebuah negara khalifah Sunah Islam. Di Tikrit, kumpulan pejuang-pejuang ISIL menubuhkan majlis ketenteraan untuk mentadbir pekan-pekan yang telah ditawan. "Mereka (para pejuang) itu datang dengan ratusan pejuang di pekan saya. Anggota-anggota itu menyatakan mereka tidak datang ke sini untuk menjalani pertumpahan darah dan melaksanakan keadilan. "Para pejuang itu memilih seorang jeneral yang bersara untuk mentadbir sebuah bandar," kata seorang tokoh penduduk suku kaum di bandar Alam, utara Tikrit. "Destinasi akhir kami adalah di Baghdad yang akan menjadi pertempuran sengit," tambahnya. Kira-kira 500,000 penduduk Iraq telah meninggalkan Mosul yang merupakan tempat tinggal untuk dua juta penduduk dan di wilayah sekitarnya. Kebanyakan penduduk itu mencari tempat perlindungan yang selamat di wilayah autonomi Kurdistan. Pasukan ISIL itu yang diketuai Abu Bakr Al-Baghdadi berbalah dengan Ketua Al-Qaeda, Ayman Al-Zawahri. Di Iraq, pasukan tersebut melancarkan serangan bom ke atas penduduk Syiah menyebabkan ratusan orang terbunuh dalam tempoh sebulan. Keganasan di Iraq telah meningkatkan kebimbangan berhubung harga bekalan minyak mentah. Harga pasaran minyak mentah Texas Barat untuk bulan Julai untuk pasaran Asia semalam meningkat kepada AS$0.16 sen (RM0.51) kepada AS$104.56 (RM335.37). - Agensi
TOP
Kereta dicat dengan warna bendera Brazil
SEORANG peminat yang memakai jersi skuad bola sepak Brazil berada di tepi keretanya di sebuah stesen minyak di Manus kelmarin.
RIO DE JANEIRO, Brazil - Beberapa buah kereta dicat dengan warna bendera negara ini yang bertanding pada pusingan akhir bola sepak Piala Dunia 2014. Sebuah kereta Volkswagen Beetle yang dikenali dengan nama tempatan sebagai fusca turut dicat dengan warna kuning dan hijau di kawasan perumahan Praca 14 de Janeiro, Manus kelmarin. Warna itu terdapat pada bendera Brazil. Sebuah lagi kereta turut dicat dengan warna bendera Brazil itu dapat dilihat di sebuah stesen minyak di Manus kelmarin. Seorang peminat turut memakai jersi bola sepak skuad Brazil semasa dia menaiki kereta tersebut. Pusingan akhir bola sepak Piala Dunia 2014 berlangsung di 12 bandar raya Brazil bermula semalam dan berakhir pada 13 Julai depan. - Agensi
TOP
Mogok pekerja tren gagal di Brazil
SEJUMLAH pekerja tren bawah tanah bermesyuarat di sebuah ibu pejabat kesatuan sekerja di Sao Paulo, Brazil kelmarin. SAO PAULO, Brazil - Satu mogok pekerja tren bawah tanah di Sao Paulo yang bertujuan untuk menjejaskan pembukaan pusingan akhir Piala Dunia 2014 telah berjaya dihalang pada malam kelmarin. Halangan itu berjaya dibuat walaupun para pekerja lapangan terbang di Rio de Janeiro mengisytiharkan kerja-kerja dihentikan dalam tempoh 24 jam di lokasi-lokasi untuk peminat-peminat bola sepak mengembara ke Brazil. Kira-kira 1,500 pekerja tren bawah tanah di Sao Paulo mengundi menentang mogok yang akan dilancarkan semula dalam isu perbalahan mengenai pembayaran gaji. Para pekerja itu sebelum ini tidak bekerja pada Isnin lalu. "Buat masa kini, kami berpendapat adalah baik kami untuk menunggu (keputusan kerajaan berhubung kenaikan gaji)," kata seorang Presiden kesatuan sekerja, Altino Prazeres. Namun, beliau tidak mengetepikan akan terdapat mogok semasa pusingan akhir bola sepak Piala Dunia berlangsung. "Kami berpendapat, kami tidak bersedia untuk berkonfrontasi dengan polis semasa Piala Dunia berlangsung," tambahnya. Pusingan akhir bola sepak Piala Dunia 2014 berlangsung semalam dan akan berakhir pada 13 Julai depan. - Agensi
TOP
Ratu cantik Indonesia meninggal dunia dalam kemalangan
JAKARTA - Miss Jakarta 2004, Rizka Ismalia Putri Iskandar meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya di Jalan Tol Kamal di Jakarta Utara, semalam. Ketua Unit Kemalangan di Subdirektorat Penguatkuasaan Undang-undang Polis Bandar Raya, Miyanto berkata, Rizka, 31, dan suaminya, Aldico Juniarto sedang dalam perjalanan dengan teksi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta untuk menaiki penerbangan ke Malaysia. "Pemandu teksi itu dikatakan hilang tumpuan dan gagal mengawal kenderaannya," kata Miyanto seperti yang dipetik daripada portal Kompas.com. Beliau berkata, teksi itu melanggar sebuah trak yang diletak di tepi jalan, kemudian melanggar pula sebuah Honda CRV sebelum merempuh sekatan jalan konkrit. Aldico dan pemandu teksi, Eko Yulianto terselamat dalam kemalangan itu dan dikejarkan ke Hospital Atmajaya di Pluit.
- Bernama
TOP
Pelajar kolej didakwa bunuh dan cubaan bunuh suami isteri
BUKIT MERTAJAM - Seorang pelajar kolej dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membunuh dan cubaan bunuh pasangan suami isteri di Machang Bubok, di sini awal bulan ini. Remaja itu didakwa membunuh seorang pemandu lori, P. Vijayan, 47, di No. 6 Lorong Pinggiran Alma 6, Taman Pinggiran Alma, Machang Bubok di sini pada pukul 10.40 malam, 2 Jun lepas. Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman mati, jika sabit kesalahan. Bagi pertuduhan kedua, remaja itu didakwa cuba membunuh isteri Vijayan, P. Amutha, 42, di tempat dan pada masa serta tarikh yang sama. Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun, jika sabit kesalahan. Tiada pengakuan direkodkan daripadanya semasa pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Musyiri Peet. Mahkamah menetapkan 13 Ogos ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Saw Sim manakala tertuduh diwakili peguam Dev Kumaraendran. - Bernama
TOP
Beg tangan Nasha dicuri pembantu peribadi sendiri
AMPANG JAYA – Beg tangan pelakon terkenal, Nasha Aziz atau nama sebenarnya, Noraishah A. Aziz, 44, dilarikan pembantu peribadinya ketika dia terlibat dalam penggambaran di Jalan Air Bukit, Taman Ampang Utama di sini Jumaat lalu. Dalam kejadian pukul 2.30 pagi itu, Nasha yang baru selesai menjalani pengambaran mendapati pembantu peribadinya tiada di lokasi bersama beg tangan dan barangan berharga miliknya.
TOP
Rambo Bentong tak bermaya kena sebat
RABIDIN dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Bentong semalam selepas dia kelihatan tidak bermaya.
TEMERLOH 12 Jun - Rabidin Satir sebelum ini dikenali penjenayah kejam. Dia yang digelar Rambo Bentong mencatat sejarah sendiri apabila dihukum penjara 133 tahun untuk beberapa kesalahan membabitkan pertuduhan cubaan bunuh, liwat dan rogol. Namun, sejak dua prosiding lalu bagi kes pertuduhan bunuh dan rogol lima tahun lalu yang sedang dihadapinya, fizikal Rabidin jauh berbeza daripada gelaran rambo mahu pun orang minyak yang pernah diberi kepada penjenayah itu. Selepas menjalani hukuman sebatan 24 kali iaitu hukuman yang digeruni ramai penjenayah pada 2 Mei lalu, ternyata, fizikal Rabidin sudah berubah malahan dia hadir ke Mahkamah Tinggi di sini dengan berkerusi roda untuk sekali lagi. Kali pertama dia kelihatan berkerusi roda pada prosiding 14 Mei lalu dan mahkamah terpaksa menangguhkan keterangan bela diri tertuduh bagi kesalahan membunuh dan merogol seorang remaja, lima tahun lalu. Hari ini, setelah lebih sebulan menjalani hukuman sebat, dia kelihatan masih lemah serta tidak menjawab sebarang soalan ketika ditanya oleh jurubahasa. Ini menyebabkan Hakim Datuk Ab. Karim Ab. Rahman menangguhkan prosiding sehingga 4 Julai ini bagi membolehkan pihak pendakwa membawa doktor pakar dari Hospital Bentong untuk memberi keterangan mengenai tahap kesihatan tertuduh. Menurut Ab. Karim, walaupun laporan perubatan yang diberi pihak penjara menyatakan tertuduh telah sihat namun Rabidin tetap kelihatan tidak bermaya dan enggan menjawab soalan yang diajukan. "Tertuduh menunjukkan keadaan sakit serta tidak memberi respons ketika diminta untuk memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi seperti yang dipilihnya sebelum ini," katanya. Rabidin sebelum ini diperintah membela diri atas tuduhan membunuh Annie Kok Yin Cheng, 17, antara pukul 11.30 malam, 7 Mac 2009 dan 1.50 petang, keesokan harinya di Lot 4168 Kampung Ketari Bentong, Bentong dekat sini. Dakwaan terhadap tertuduh dari Kampung Libang Ulu, Tambunan, Sabah itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. Lelaki itu turut didakwa di bawah Seksyen 376(4) kanun sama kerana merogol mangsa sehingga menyebabkan kematiannya di tempat dan masa yang sama. Seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 30 tahun dan sebatan tidak kurang 10 kali. Rabidin yang tidak bekerja, diwakili peguam Richard Bong Chong Fook, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mustaffa. Pada 14 Mei lalu, Mahkamah Tinggi menangguhkan perbicaraan ke atas Rabidin kerana tertuduh langsung tidak bermaya selepas menerima sebatan 24 kali atas beberapa kesalahan rogol dan liwat dilakukannya sebelum ini. Sebelum ini, pada 5 Februari tahun lalu, Rabidin dihukum penjara berjumlah 115 tahun dan sebatan 50 kali selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Raub terhadap empat pertuduhan merogol dan satu pertuduhan melakukan seks luar tabii ke atas empat mangsa berumur antara lapan hingga 17 tahun.
TOP
10 lagi suspek kes rogol masih disiasat Polis Kelantan
KOTA BHARU – Berapa ramai bilangan suspek yang bakal dituduh di mahkamah berhubung kejadian rogol dua orang gadis secara beramai-ramai di Ketereh di sini pada 20 Mei lalu belum muktamad. Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, biarpun empat lelaki telah dituduh di dua mahkamah kelmarin namun tidak bermakna 10 lagi suspek yang ditahan berhubung kejadian tersebut sudah terlepas sebaliknya polis sedang mengumpul bukti untuk melengkapkan pendakwaan ke atas mereka. “Kita telah tangkap 14 orang tetapi keputusan dibuat oleh ketua unit pendakwaan yang meneliti penyiasatan polis setakat ini hanya bersetuju untuk empat orang itu didakwa.
TOP
Komplikasi penyakit kronik punca kematian Dr Mark
KUALA LUMPUR - Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam menjelaskan bahawa punca kematian seorang doktor di Hospital Alor Gajah, Melaka baru-baru ini adalah akibat komplikasi penyakit kronik yang di hidapinya. Beliau berkata hasil bedah siasat yang dijalankan menunjukkan tiada unsur jenayah berhubung dengan kematian Dr Mark Shashi Nathan. "Dr Mark ialah Pegawai Perubatan di Hospital Alor Gajah dari April 2014 dan beliau diketahui menghidap penyakit kronik sejak kecil tetapi penyakit itu terkawal," kata beliau dalam kenyataan, di sini hari ini. Beliau berkata Dr Mark bertugas atas panggilan (on call) pada malam Jun tetapi beliau tidak datang bekerja pada pagi 10 Jun. "Kakitangan hospital mencarinya selepas panggilan ke telefon bimbitnya tidak berjawab. "Mereka (kakitangan) memasuki bilik panggilan doktor dan terdengar bunyi air dalam bilik mandi dan kemudian menjumpai Dr Mark rebah di atas lantai," kata beliau. Dr Subramaniam berkata apabila memeriksa, mereka mendapati Dr Mark telah meninggal dunia dan bagi mematuhi prosedur kematian mengejut, bedah siasat dijalankan. - Bernama
TOP
Dicekup ketika leka layan pelanggan
Kesemua GRO warga asing yang ditahan dibawa ke depoh tahanan di Juru untuk siasatan lanjut.
GEORGETOWN - Sembilan gadis pelayan pelanggan (GRO) dicekup ketika leka melayan pelanggan di sebuah pusat hiburan di Jalan Burma, dekat sini malam semalam. Ketika serbuan, dua GRO terjatuh ketika cuba melarikan diri daripada dicekup pihak berkuasa. Pengarah Jabatan Imigresen Pulau Pinang, Hasbullah Abdul Rashid berkata, kesemua GRO itu ditahan dalam serbuan kira-kira jam 10 malam. “Ketika serbuan, mereka leka melayan pelanggan. Dua yang terjatuh hanya cedera di kaki. “Kesemuanya berjaya ditahan walaupun ada yang cuba melarikan diri kerana premis sudah dikepung," katanya kepada media hari ini. Menurutnya, serbuan dibuat berdasarkan maklumat awam dan intipan yang dibuat seminggu lalu.
TOP
Sambut baik tiada pendakwaan kes rampas Bible
Abdul Khalid Ibrahim
SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menyambut baik kenyataan Jabatan Peguam Negara semalam yang memutuskan tiada pendakwaan berhubung kes rampasan Bible oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais). Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini berkata pihaknya juga telah meminta exco kerajaan negeri berkaitan dan penasihat undang-undang negeri membantu Jais memulangkan semua kitab terbabit kepada Persatuan Bible Malaysia (PSM). Jelas beliau, kerajaan negeri dinasihatkan oleh Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri Selangor untuk mengambil langkah perlu mengikut perundangan dalam mengendali barang kes yang telah diambil oleh Jais daripada PSM. Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya juga telah menyarankan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa Salehen Mukhyi dan Jais mengadakan perbincangan lebih lanjut dengan pihak terlibat khususnya PSM. "Perbincangan lanjut itu bertujuan bagi menyelesaikan perselisihan pendapat secara baik dan adil demi keharmonian beragama yang dituntut dalam Islam dan agama-agama lain," katanya. Abdul Khalid turut berterima kasih kepada Pejabat Peguam Negara atas nasihat berhubung isu berkenaan dan PSM kerana memberikan kerjasama yang baik kepada Jais sepanjang siasatan dijalankan. - Bernama
TOP
Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu belum muflis
KULIM - Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir berkata, beliau akan melangsaikan semua bayaran tunggakan kepada bank bagi mengenepikan notis kebankrapan yang diterimanya kelmarin. Beliau berkata, tunggakan itu tidak disedarinya yang merupakan kes lama, berlaku sebelum tahun 2007 membabitkan syarikat keluarganya. "Saya hanya mendapat maklum (perkara ini) malam semalam dan ia melibatkan kegagalan syarikat keluarga saya membuat pembayaran pinjaman bank. Malah saya tidak berada dalam perniagaan itu lagi. "Namun, oleh kerana melibatkan saya, saya akan selesaikan dalam tempoh terdekat. Saya telah ambil langkah hubungi bank," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Beliau mengulas penyiaran dalam akhbar notis kebankrapan terhadapnya yang dibuat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan kemudiannya disebarkan secara meluas dalam portal berita serta media sosial. Notis kebankrapannya itu diiklankan dalam beberapa akhbar tempatan oleh peguam pemiutang, Alliance Investment Bank Berhad, kelmarin. Abdul Aziz berkata, buat masa ini, beliau masih menjalankan tugas sebagai Ahli Parlimen dan Ketua Umno Bahagian Kulim Bandar Baharu seperti biasa. "Justeru, saya meminta orang ramai dan pengundi agar tidak terpengaruh dengan dakwaan bahawa saya telah hilang status sebagai Ahli Parlimen,' katanya. - Bernama
TOP
Lebih ramai polis ditempatkan di kawasan panas
SHAH ALAM - Polis akan menempatkan lebih ramai anggotanya di kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan 'panas' jenayah ragut susulan peningkatan kes sejak kebelakangan ini. Pengarah Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah Bukit Aman, Datuk Ayub Yaakob berkata, walaupun indeks jenayah keseluruhan menurun 11.4 peratus bagi lima bulan pertama tahun ini, jenayah ragut meningkat 23.4 peratus. "Biarpun sudah ada anggota kita tempatkan di kawasan 'hotspot', kita akan tambah lebih ramai lagi untuk memantau pergerakan peragut dan keselamatan tempat awam seterusnya membanteras kegiatan itu daripada terus berleluasa," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. Beliau ditemui selepas melakukan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini. Turut hadir Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat. Dalam pada itu, Ayub berkata, polis kini giat memantau kegiatan sindiket judi bola sepak bersempena kejohanan Piala Dunia FIFA 2014 di Brazil yang bermula awal pagi esok. Katanya polis sudah mengenal pasti lokasi aktiviti perjudian dan sedang menyiasat dalang yang menerima pertaruhan. - Bernama
TOP
Kematian akibat denggi meningkat 75 kes
PUTRAJAYA - Sebanyak 75 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan di seluruh negara sejak Januari hingga 7 Jun lepas, meningkat 241 peratus berbanding 22 kes dalam tempoh sama tahun lepas. Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah kes denggi yang dilaporkan dalam tempoh tersebut juga menunjukkan peningkatkan iaitu 38,411 kes, meningkat 252 peratus berbanding 10,910 kes dalam tempoh sama tahun lepas. Terbaru tiga kematian dilaporkan sepanjang minggu lepas iaitu seorang lelaki berusia 45 tahun dari Kuala Lumpur dan dua wanita masing-masing berumur 40 dan 53 tahun dari Selangor dan Kedah. "Sejumlah 360 lokaliti wabak dilaporkan di 13 buah negeri dan daripada itu terdapat 55 lokaliti titik panas iaitu 49 lokaliti di Selangor, tiga di Negeri Sembilan, serta masing-masing satu di Kelantan, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Dr Noor Hisham berkata pada minggu ke-23 (1 Jun-7 Jun) sejumlah 1,586 kes telah dilaporkan dan menurun 10 peratus (169 kes) berbanding 1,755 yang dilaporkan pada minggu sebelumnya. Sempena musim cuti persekolahan yang akan berakhir pada minggu ini, beliau menyarankan kepada pihak pengurusan sekolah supaya memastikan kawasan persekitaran sekolah adalah bersih dan bebas daripada tempat pembiakan aedes. "Ubat pembunuh jentik-jentik (abate) boleh digunakan di tempat-tempat yang berpotensi untuk pembiakan aedes seperti pam tandas, pasu bunga, kolam hiasan dan sebagainya. "Semburan aerosol juga boleh dilakukan di dalam kelas sebelum sesi persekolahan bermula bagi membunuh nyamuk aedes dewasa," katanya. - Bernama
TOP
Segera siasat kes rasuah 2 pegawai tertinggi polis
R.Sri Sanjeevan
SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didesak menyegerakan siasatan ke atas dua kes salah laku rasuah didakwa melibatkan pegawai tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM). Pengerusi Badan Pemantau Jenayah (MyWatch), R Sri Sanjeevan mendakwa sehingga kini, dua pegawai berjawatan tinggi itu masih bertugas seperti biasa sedangkan kertas siasatan ke atas mereka telah dibuka sejak lebih dua minggu lalu. "Sehingga kini SPRM tidak menghubungi saya tentang perkembangan siasatan itu walaupun banyak bukti telah saya berikan kepada mereka. "Saya harap SPRM segera bertindak dan memanggil dua pegawai polis berjawatan tinggi itu supaya memberi keterangan salah laku rasuah dan penyelewengan kuasa mereka," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini. Pada 22 Mei lalu, MyWatch mendakwa anak lelaki seorang pegawai kanan polis memiliki aset melebihi RM2 juta. Menurut Sanjeevan, kekayaan lelaki berusia 30-an itu menimbulkan tanda tanya kerana dia tidak mempunyai sebarang pekerjaan. Antara aset lelaki itu yang diragui sumbernya ialah dua kereta mewah jenis Audi A5 dan Jaguar XF yang dibeli secara tunai, selain turut mempunyai enam akaun peribadi yang kesemuanya berjumlah melebihi RM500,000. Selain itu, MyWatch juga mendakwa seorang pegawai kanan polis di sebuah pusat peranginan didakwa campur tangan dalam dua kes jenayah dengan bertujuan melindungi beberapa sindiket Cina. Ini termasuklah menerima suapan sebanyak RM15,000 untuk melindungi pemilik sebuah pusat hiburan di sebuah pusat peranginan di negara ini. Mengulas lanjut, Sanjeevan turut mempersoalkan sikap berdiam diri Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang masih membiarkan pegawai terbabit bertugas seperti biasa. "Apa guna Unit Tatatertib di bawah urusetia KPN, Tan Sri Khalid kalau pegawai yang disiasat itu masih bertugas seperti biasa. "Sepatutnya KPN kena memandang serius kes ini termasuk menggantung tugas atau memberi mereka cuti sehingga siasatan selesai," katanya.
TOP
Kes tuntut anak: PM syor guna Mahkamah Persekutuan
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meminta keluarga yang terlibat dalam tuntutan penjagaan anak supaya menggunakan Mahkamah Persekutuan bagi mencari jalan penyelesaian kes mereka. Perdana Menteri berkata kerajaan percaya pihak mahkamah akan menimbang untuk memberi keutamaan kepada perbicaraan kes tersebut. "Peguam Negara akan berbincang dengan keluarga yang terbabit bagi tujuan ini dan saya harap semua pihak akan menghormati keputusan yamg dibuat mahkamah," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Bulan lepas, Mahkamah Rayuan menolak permohonan N Viran atau nama Islamnya Izwan Abdullah, untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban yang memberi hak penjagaan dua anaknya kepada ibu mereka S Deepa yang beragama Hindu. Di Ipoh pula, guru tadika M Indira Ghandhi mendapat perintah Mahkamah Tinggi pada awal tahun ini untuk mendakwa bekas suaminya Muhammad Ridzuan Abdullah atau nama sebelum Islam, K Patmanathan, kerana menghina mahkamah setelah gagal menyerahkan anak bongsu mereka, Prasana Diksa (Ummu Habibah), 6, kepada plaintif yang memenangi kes hak penjagaan anak, selaras dengan perintah Mahkamah Tinggi pada 11 Mac 2010. Pada April 2009, Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh memberi hak penjagaan tiga anak mereka iaitu Abu Bakar (Karan Dinish), Ummu Salamah (Tevi Darsiny) dan Prasana kepada Mohd Ridzuan. - Bernama
TOP
Murid tahun tiga dikhuatiri lemas di Jeram Besu
KUANTAN - Seorang murid lelaki Tahun Tiga dikhuatiri lemas semasa mandi bersama keluarganya di Jeram Besu, Dong dekat Raub pagi tadi. Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd Shamsudin Wan Osman berkata, sebelum kejadian mangsa Mohamad Zul Hassan Mohamad Norlan, 9, bersama keluarganya dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Kelantan. "Keluarga mangsa singgah di situ sebentar untuk mandi dan berkelah sebelum meneruskan perjalanan mereka. "Mangsa tiba-tiba didapati hilang semasa sedang mandi di situ pada 11 pagi sebelum anggota keluarga mencarinya," katanya kepada Bernama hari ini. Beliau berkata, keluarga mangsa bertindak membuat laporan kehilangannya di Balai Polis Dong sejurus kemudian. Katanya, 23 anggota pasukan penyelamat yang terdiri daripada polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa. "Sehingga kini mangsa yang berasal dari Teluk Panglima Garang, Selangor masih belum ditemui dan operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan," katanya. - Bernama
TOP
Kematian Dalam Lokap: Saringan Kesihatan Perlu Segera Dikuatkuasakan
PETALING JAYA: Saringan pemeriksaan kesihatan terhadap tahanan perlu mendapat pertimbangan serius untuk segera dikuatkuasakan kerana 90 peratus kematian di lokap polis berpunca daripada masalah itu. Selain itu, anggota polis juga perlu diberi vaksin bagi mengelak daripada terkena jangkitan penyakit ketika menjalankan tugas menyoal siasat tahanan. Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam), James Nayagam berkata, sudah tiba masanya Kementerian Kesihatan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bekerjasama untuk menguatkuasa langkah itu. "Saringan pemeriksaan kesihatan wajar dilaksanakan ke atas tahanan supaya anggota polis bersiap sedia dengan ubat atau bantuan pernafasan kecemasan (CPR) jika berlaku sesuatu diluar jangkaan. "Selain itu, suntikan vaksin kepada anggota polis pula perlu bagi mengelak dijangkiti penyakit seperti hepatitis A, B dan batuk kering yang dibawa tahanan terutama ketika proses soal siasat," katanya kepada mStar Online. Pada Khamis, portal berita ini melaporkan pemantauan Suhakam mendapati 90 peratus daripada 243 kematian tahanan dalam lokap polis sejak 2000 membabitkan masalah kesihatan. Sehubungan itu, James juga menyarankan supaya bahan sanitasi untuk menghapus bakteria dan sarung tangan dibekalkan di setiap lokap polis bagi mengelakkan anggota pasukan itu dijangkiti kuman penyakit berjangkit bawaan tahanan. "Kita juga berharap anggota polis diberikan insurans individu bagi melindungi mereka daripada penyakit berjangkit atau kemalangan ketika bertugas," katanya. Selain penyakit, lawatan ke 43 lokap di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah mendapati masalah utama ialah aspek pengaliran udara dan kebersihan yang tidak memuaskan. "Ada lokap yang sempit, sistem udara tidak bagus dan kotor. Oleh itu, ada keperluan untuk memasang kipas dan kamera litar tertutup (CCTV) yang lebih banyak, terutama lokap lama," katanya. Beliau berkata, suasana lebih selesa perlu kerana anggota polis terpaksa berhadapan dengan situasi sama setiap hari. "Sudah tiba masanya kerajaan memberi perhatian dengan membina lebih banyak lokap berpusat, kerana pemerhatian kami mendapati empat lokap berpusat seperti di Jinjang, Indera Mahkota, Bayan Baru dan Shah Alam mempunyai kemudahan yang sistematik," katanya. Setakat ini, usaha mStar Online untuk menghubungi KDN bagi mendapatkan komen mengenai cadangan yang dikemukakan Suhakam ini belum berhasil.
TOP
RM7.75 Juta Hasil Rampasan 'Perang' Seludup Diesel
Mohd Roslan (kiri) ketika Ops Titik yang hingga kini mencatatkan rampasan RM7.75 juta.
PETALING JAYA: ‘Perang’ yang dilancarkan menerusi Ops Titik bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan penyelewengan diesel sehingga ini mencatatkan sebanyak 141 kes dengan nilai rampasan berjumlah RM7.75 juta. Usaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sejak 15 Mei lalu itu kini semakin menampakkan keberkesanannya. Pengarah Penguatkuasa KPDNKK, Mohd Roslan Mahayudin berkata, Kedah mencatatkan jumlah kes tertinggi dalam operasi yang dilancarkan secara besar-besaran di seluruh negara sebulan lalu. “Jumlah keseluruhan kes terkumpul sehingga pukul 5 petang pada 12 Jun 2014 (Khamis) adalah sebanyak 141 kes dengan nilai rampasan RM7,754,321.43. “Kedah merupakan negeri yang mencatatkan kes tertingi dengan 24 kes dan nilai rampasan RM724,059.20. Ini berikutan negeri itu dekat sempadan negara jiran,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis. Mohd Roslan berkata, Sarawak dan Selangor masing-masing mencatatkan kes kedua dan ketiga tertinggi dalam Ops Titik, dengan 17 kes membabitkan nilai rampasan RM268,501.20 dan 13 kes (RM1,169,816). “Ops Titik di Negeri Sembilan pula merekodkan tujuh kes dengan nilai RM120,290, Pahang (sembilan kes/RM155,254.60), Kelantan (12 kes/RM306,170.82), Sabah (12 kes/RM332,290.65), Perlis (10 kes/RM98.159.40), Pulau Pinang (sembilan kes/RM 116,860) dan Perak (sembilan kes/RM485,164). “Melaka, Terenganu dan Johor masing-masing satu kes dengan nilai rampasan RM21,000, RM19,000 dan RM2,166,400. “Manakala Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya pula masing-masing mencatatkan tiga kes (RM178,728), enam kes (RM1,591,627.56), satu kes bernilai RM1,000 di sini,” katanya. Menurut Mohd Roslan, pegawai penguat kuasa KPDNKK akan terus mempergiatkan operasi menerusi Ops Titik dengan menumpukan kawasan panas atau ‘hotspot’ yang dikenal pasti menjadi tempat jualan atau penyeludupan diesel bersubsidi kepada warga asing dan pihak industri. Beliau menambah, kawasan panas itu seperti stesen minyak yang disenarai pendek, pusat pengumpulan minyak, pelabuhan, kawasan sempadan darat dan laut. “Seperti di Kedah, kita akan menumpukan kawasan panas yang dikenal pasti terutama di Bukit Kayu Hitam dan Durian Burung,” katanya sambil menambah bahawa Ops Titik akan diteruskan sehingga 31 Disember depan. mStar Online dalam laporan eksklusifnya sebelum ini mendedahkan sebanyak 230 stesen minyak dikenal pasti dalam Senarai Pemerhatian Utama atau ‘Priority Watch List’ yang disyaki bersubahat dalam aktiviti penyeludupan dan penyelewengan diesel.
TOP
Chelsea Sambar Fabregas Dari Barcelona
Cesc Fabregas.
CHELSEA berjaya mendapatkan khidmat bekas pemain tengah Arsenal, Cesc Fabregas dari Barcelona dengan kontrak selama lima tahun. Pemain berusia 27 tahun itu dimaklumkan pada musim panas ini bahawa khidmatnya sudah tidak diperlukan di Nou Camp, sekali gus menguatkan lagi spekulasi beliau akan kembali ke saingan Liga Perdana Inggeris. Arsenal tidak mengambil peluang untuk mendapatkan semula khidmat Fabregas dan memberi ruang kepada Chelsea untuk menyambar pemain kebangsaan Sepanyol itu. "Saya mempertimbangkan kesemua tawaran dengan baik. Saya percaya Chelsea adalah pilihan tepat. Mereka memenuhi segala cita-cita saya yang sentiasa dahagakan trofi dan kemenangan," kata Fabregas.
TOP
Farhan Kahwin Hujung Tahun Ini
Farhan dan tunangnya, Rashdan akhirnya memutuskan untuk berkahwin pada hujung tahun ini.
PETALING JAYA: Penyanyi Farhan mengesahkan dia dan tunangnya Ahmad Rashdan Suhaimi, 30, akan mendirikan rumah tangga pada hujung tahun ini. Farhan, 30, berkata, dia tidak boleh memberikan tarikh yang tetap kerana masih lagi belum mendapat pengesahan daripada pihak dewan namun akan mengadakan sidang media khas pada Julai ini. "InsyaAllah kami akan berkahwin pada hujung tahun ini tetapi tarikhnya masih lagi belum dipastikan kerana kami masih menunggu pihak dewan memberikan jawapan penetapan tarikh. "Macam mana terjadi sekalipun, kami tetap akan kahwin tahun ini juga dan tidak mahu menangguh masa lagi," katanya yang dihubungi mStar Online pada petang Khamis. Sebelum ini Farhan dan Rashan terpaksa menangguh tarikh perkahwinan mereka yang sepatutnya berlangsung pada hujung tahun lalu kerana kesibukan kerja.
Farhan telah mengikat tali pertunangan pada 12 Februari 2012.
Pasangan itu menjalinkan hubungan selama tujuh tahun dan mengikat tali pertunangan pada 12 Februari 2012 dalam satu majlis yang di adakan di Cafe Flora, AmWalk, Ampang dekat sini. Sementara itu, Farhan berkata dia kini sudah mula sibuk menguruskan persiapan perkahwinan dengan membeli barangan untuk majlis mereka sedikit demi sedikit. Malah Farhan juga turut ke Jakarta bersama keluarga, Indonesia membeli barangan hantaran dan membeli kain dan baju untuk digunakan ketika menghadiri majlis-majlis hiburan selain memenuhi undangan nyanyian. "Nak kahwin bukannya murah, ia memerlukan perbelanjaan yang besar. jadi saya dan Rashdan bercadang memberi barang-barang kahwin sedikit demi sedikit. "Apabila dah sampai ke penghujung tarikh kahwin, tak adalah kami nak tergesa-gesa," ujarnya.
TOP
Anak-Anak Michael Jackson Belanja RM24 Juta Setahun
Anak-anak Michael Jackson hidup mewah sejak kematian bapa mereka lima tahun lalu.
RAJA pop terkenal dunia, Michael Jackson semasa hayatnya sememangnya dikenali sebagai seorang selebriti yang boros dan gemar membelanjakan wangnya untuk membeli barangan mewah. Malah ketiga-tiga anak penyanyi itu Prince, Paris dan Blanket Jackson turut dilimpahkan dengan kemewahan dan biarpun bapa mereka telah meninggal dunia lima tahun lalu namun gaya hidup mereka tetap tidak berubah. Portal Daily Mail melaporkan, ruangan Page Six mendedahkan anak-anak Michael membelanjakan wang sebanyak RM24 juta (USD8 juta) setahun untuk keperluan mereka. Itu termasuk yuran tahunan persekolahan Prince sebanyak RM90,000 (USD30,000) sebulan dan itu tidak termasuk dua lagi adiknya yang turut belajar di sekolah berasrama yang memerlukan pembiayaian tinggi. Anak ketiga Michael, Blanket juga memerlukan peruntukan tinggi termasuk bayaran kelas karate bersama jurulatih profesional yang bernilai RM600 (USD200) sejam. Malah baru-baru ini, adik-beradik itu membelanjakan RM1 juta (USD350,000) untuk bercuti di Las Vegas dan Hawaii bersama ahli keluarga mereka yang lain termasuk pengawal keselamatan.
TOP
'Good Doctor' Raih Anugerah Drama Terbaik Di Kanada
'Good Doctor' Raih Anugerah Drama Terbaik Di Kanada
DRAMA Korea berjudul Good Doctor meraih penghargaan Anugerah Drama Terbaik di Festival Banff World Media mengalahkan beberapa drama popular dari seluruh dunia. Drama yang dibintangi Joo Won dan Moon Chae Won itu juga tercatat menduduki rating tertinggi semasa ia ditayangkan bukan sahaja di Korea Selatan tetapi dibeberapa buah negara lain di seluruh Asia. Sebelum ini, Good Doctor menerima penghargaan di Anugerah KBS termasuk Drama Terbaik di Anugerah Baeksang Arts. Good Doctor adalah sebuah drama yang memaparkan kisah mengenai seorang doktor yang mempunyai masalah autism namun mempunyai tahap kecerdikan yang diluar jangkaan.
TOP
Persembahan Bertenaga Taylor Swift Gegar Bukit Jalil
Taylor memberikan persembahan bertenaga semasa mengadakan persembahan di Stadium Putra Bukit Jalil pada malam Rabu. Foto IZZRAFIQ ALIAS.
KUALA LUMPUR: Sorakan lebih 10,000 peminat penyanyi terkenal Taylor Swift saat dia muncul di pentas bersempena dengan konsert jelajah Red Tour menggegarkan Stadium Putra Bukit Jalil pada malam Rabu. Julung kali mengadakan persembahan di Kuala Lumpur, Taylor yang pernah memenangi tujuh Anugerah Grammy tampil mantap menerusi lagu pertama berjudul State of Grace sambil diiringi enam pemuzik. Selesai menyanyikan lagu pertama, Taylor meneruskan persembahan dengan dua buah lagi lagu iaitu Holy Ground dan Red sebelum mengambil kesempatan menyapa para peminatnya yang hadir pada malam itu.
Taylor menggayakan gaun bewarna merah ketika mendendangkan lagu The Lucky One.
Taylor juga cuba bertutur dalam bahasa Malaysia iaitu 'Terima Kasih' dan 'Selamat Malam' kepada semua penonton dan mendapat sorakan hebat daripada peminat yang teruja dengan usaha penyanyi itu. Swift sempat memberitahu penonton yang hadir dia seronok berpeluang bertemu dengan peminatnya di Kuala Lumpur dan teruja dengan sambutan yang diberikan dan berharap semua yang hadir akan terhibur dengan persembahannya. Malah Taylor juga banyak berkongsi tentang pengalamnya sepanjang bergelar artis dan sentiasa memberi kata-kata semangat kepada peminatnya yang rata-rata golongan remaja untuk terus mengejar cita-cita.
Lebih 10,000 peminat membanjiri Stadium Putra Bukit Jalil pada malam Rabu.
Sebelum menyanyikan lagu seterusnya, sebuah video dipaparkan di skrin utama tentang perjalanan karier Taylor sebelum dia muncul untuk menyanyikan lagu 22. Penyanyi dan penulis lagu itu turut tampil dengan alat muzik banjo untuk meneruskan persembahan dengan lagu Mean yang turut dinyanyikan oleh para peminatnya. Peminat semakin teruja apabila Taylor tampil dengan gaun merah untuk menyanyikan lagu The Lucky One yang turut disertai oleh barisan penarinya di atas pentas. Menariknya, Taylor tidak gentar untuk turun dari pentas ketika mendendangkan lagu 22 sebelum untuk ke pentas kedua bagi mendekati peminatnya yang berada jauh dari pentas utama.
Aksi Taylor ketika berada di pentas.
Tampil dengan t-shirt 'I Love KL' dan dipadankan dengan seluar pendek, Taylor meneruskan persembahan dengan lagu hit You Belong With Me, Enchanted dan Sparks Fly sebelum kembali ke pentas utama. Konsert semakin meriah apabila penonton mula menjerit sebaik alunan muzik lagu kegemaran ramai, I Knew You Were Trouble dimainkan dan penyanyi itu kembali semula ke pentas utama dengan tarian rancak bersama barisan penari. Persembahan pada malam itu tidak lengkap tanpa lagu Love Story dan konsert menutup tirai dengan lagu yang dinanti-nantikan penonton iaitu We Are Never Getting Back Together dengan persembahan berlatarkan suasana sarkas.
Taylor lincah ketika berada di atas pentas.
Selain Malaysia, Swift turut mengadakan konsertnya di Manila, Filipina, Singapura dan Indonesia namun terpaksa membatalkan persembahan di Bangkok, Thailand ekorang krisis politik dihadapi negara berkenaan. Dalam perkembangan lain, AIA Berhad selaku penaja utama Red Tour di negara ini sempat menganjurkan The AIA Red Party di The Square Publika bagi meraikan peminat Taylor sebelum konsert berlangsung. Ratusan peminat berkumpul bagi dengan pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan pakaian terbaik, berjalan di red carpet serta mengambil gambar di pelbagai ruangan bergambar yang menampilkan latarbelakang prop ‘funky’ serta keratan gambar Taylor Swift dengan saiz sebenar. Salah seorang peminat iaitu Ashley Tay berjaya membawa pulang dua tiket untuk ke AIA Real Life Now Festival 2014 dan akan dapat menyaksikan persembahan Lady Gaga, PSY dan Big Bang di Seoul, Korea pada 15 dan 16 Ogos depan. Semua perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh AIA.
TOP
6,275 Pelacur Pelbagai Negara Ditahan
KUALA LUMPUR - Sejumlah 6,275 wanita dari pelbagai negara ditahan sejak Januari hingga April lepas kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan pelacuran di negara ini. Ketua Penolong Pengarah Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Roslee Chik berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 2,133 adalah warga Vietnam. Bilangan wanita Vietnam yang ditahan meningkat berbanding tahun sebelumnya bagi tempoh sama iaitu 1,126 orang. "Peningkatan sejumlah 1,007 wanita Vietnam adalah disebabkan permintaan pelanggan dan bayaran murah serta layanan 'mesra' wanita negara itu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Beliau berkata kebanyakan wanita Vietnam menjalankan kegiatan mereka dipusat hiburan dan rumah urut. "Kos yang murah dalam sistem pengangkutan seperti penerbangan tambang murah dan jalan darat melalui Thailand juga menjadi pemangkin untuk mereka masuk ke negara ini. "Wanita Vietnam ini dipercayai dibawa masuk oleh ejen tempatan sebelum mengagihkan wanita berkenaan mengikut permintaan pengusaha pusat hiburan," katanya. Selain wanita Vietnam, turut ditahan dalam Ops Noda di seluruh negara sepanjang Januari hingga April lepas ialah wanita China (1,661), Thailand (1,369), Indonesia (485), Filipina (212), India (94), Bangladesh (23), Laos(28) dan Uganda (16). Wanita negara lain yang turut terbabit dalam kegiatan pelacuran di negara ini ialah Pakistan, Nepal, Kampuchea, Uzbekistan, Nigeria, Singapura, Rusia, Sri Lanka, Venezuela dan Perancis. Roslee berkata, polis melakukan 18,520 serbuan bagi membanteras kegiatan pelacuran dengan yang tertinggi di Selangor iaitu sebanyak 4,959 diikuti Kuala Lumpur (3,518), Johor (3,074) dan Perak (2,426). Beliau berkata, wanita tempatan turut terbabit dengan gejala pelacuran iaitu seramai 621 orang sepanjang empat bulan lepas (Januari hingga April 2014). "Tahun lepas, polis tahan seramai 934 wanita tempatan sepanjang tempoh masa yang sama," katanya sambil menambah polis sedang giat mengumpul maklumat berkaitan ejen persendirian dan sindiket pelacuran terbabit. - Bernama
TOP
Punca Laporan Polis Tersebar Di Media Sosial Disiasat
Jalaluddin Abdul Rahman.
KOTA BARU: Polis Kelantan sedang menyiasat punca kebocoran maklumat mengenai laporan polis yang tersebar di laman media sosial. Menurut Ketua Polis negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, dua laporan polis dibuat selepas kes seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang didakwa menjadi mangsa rogol berkumpulan di Ketereh bulan lalu dan satu kes insiden melibatkan seorang guru di Kuala Krai baru-baru ini. "Laporan awal kedua-dua kes disebarkan melalui Whatsapp, Facebook, blog dan beberapa laman media lain," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan polis di Ibu Pejabat Kontinjen negeri di sini, Khamis. "Polis sedang menyiasat bagaimana laporan tersebut boleh tersebar di Internet. "Kita akan mengambil tindakan serius terhadap mana-mana anggota polis atau sesiapa saja yang membocorkan maklumat itu kepada orang ramai yang melanggar Akta Rahsia Rasmi 1972," katanya. Jalaluddin turut memberi amaran kepada sesiapa yang didapati bersalah dibawah akta terbabit boleh dipenjarakan sehingga tujuh tahun. Beliau berkata, siasatan polis harus dirahsiakan dan tindakan sebaliknya adalah melanggar Akta Polis 1967.
TOP
Dalang Rompakan Kapal Di Bintulu Dipercayai Perbuatan Rakyat Tempatan
MIRI: Dalang disebalik kes serangan ke atas sebuah kapal tangki minyak di Laut China Selatan, 78 batu nautika dari luar pesisir pantai Bintulu pada Sabtu lalu dipercayai dilakukan oleh perompak tempatan dan bukannya lanun asing. Polis sedang menyiasat kemungkinan tersebut walaupun pihak berkuasa maritim menyiasat kes ini dari Pusat Maritim di Labuan. Ketua Polis Bintulu Superintendan Abdul Razak Mohamad mengesahkan pada Khamis bahawa polis negeri itu menerima laporan berhubung insiden terbabit. "Kes ini dipercayai insiden rompakan di laut mungkin dilakukan penduduk tempatan. "Ia mungkin bukan perbuatan lanun asing. Kapal terbabit dalam perjalanan ke Labuan ketika diserang oleh sekumpulan lelaki di 78 batu nautika dari luar pesisir Bintulu. "Kapten warga Filipina dan 22 anak kapal tidak dicederakan. Perompak memindahkan semua bahan api dari kapal terbabit (100,000 tan metrik) sebelum beredar. "Kesemua yang berada di dalam kapal itu diikat. Ia bukan kes rampasan tetapi rompakan melibatkan kargo minyak," katanya. Kapal tersebut, MT Budi Mesra Dua, belayar ke Labuan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim mengambil alih siasatan berhubung insiden itu. Pada masa sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kidurong, Chiew Ching Sing menggesa pihak berkuasa maritim untuk meningkatkan kawalan keselamatan di sepanjang kawasan pesisir pantai. "Sarawak mempunyai pantai yang sama panjang. Terdapat keperluan untuk memastikan kes seperti itu tidak berulang lagi. Jika tidak keselamatan penduduk di pesisir pantai akan berada dalam bahaya," katanya.
TOP
Zull Design Cipta Kerusi, Meja Khas Untuk Nur Damia
Nur Damia Irsalina
KUALA TERENGGANU: Kecacatan seorang kanak-kanak perempuan yang kudung kaki dan tangannya sejak lahir mendapat perhatian sebuah syarikat apabila menciptakan kerusi dan meja khas untuknya. Kekurangan yang menyebabkan pergerakan Nur Damia Irsalina Daeng Malis, tujuh tahun, terbatas, mencetuskan idea buat Zull Design Autotronic untuk mencipta sebuah kerusi roda elektronik dan meja khas yang dinamakan 'Damia Asisting Table'. Menurut juruteknik rekaan Zull Design Autotronic, Muhamad Zalihan Abd Hamid mereka terpanggil untuk mencipta kerusi khas itu selepas melihat kesengsaraan murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Kuala Telemong itu. Selepas melihat kisah Nur Damia yang tersebar di media massa, pihak kami mencipta meja serta kerusi khas bagi meringankan beban yang ditanggungnya. "Ia dibina dengan kos RM10,000 dan mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan," katanya kepada pemberita di Program Transformasi Kepimpinan Sekolah Negeri Terengganu di sini, Khamis. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merasmikan majlis itu turut menyaksikan demonstrasi penggunaan Damia Asisting Table yang dilakukan oleh Muhamad Zalihan. Sementara itu, ibu Nur Damia, Rosnaini Muhammad, 36, melahirkan rasa gembira dan terharu dengan sumbangan yang diberikan kepada anak ketiga daripada empat beradik itu.
Katanya, sumbangan yang dihulurkan itu memudahkan pergerakan Nur Damia mengikuti sesi pembelajaran di sekolah. "Saya berterima kasih pada pihak yang prihatin dengan nasib yang menimpa anak saya sehingga mengeluarkan idea dan sumbangan untuk membantu Nur Damia," katanya. Beliau berkata, jika sebelum ini mereka sekeluarga terpaksa memberi tumpuan lebih ekoran keistimewaan yang dimiliki Nur Damia, namun kini dengan kerusi serta meja itu membantu meringankan bebanan yang dihadapi.
TOP
Tidak Perlu Saman, Analisis Air Akan Didedahkan - Khalid
Abdul Khalid Ibrahim.
KUALA LUMPUR: Selangor akan mendedahkan kepada umum mengenai hasil keputusan kualiti air dari bekas lombang dan sungai bagi meredakan kebimbangan rakyat. Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, butiran mengenainya akan dimuat naik di laman web, Lembaga Pengurusan Air Selangor (LUAS) minggu depan. "Kami amat gembira untuk bersikap telus mengenai keputusan itu. Tiada keperluan untuk menyaman kami," katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat dengan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili. Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago yang ingin mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan Selangor sekiranya gagal mendedahkan laporan analisis kualiti air tersebut. Khalid berkata ujian analisis dijalankan secara bebas oleh Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd, Puncak Niaga Holdings Berhad dan Kementerian Kesihatan. "Analisis tersebut bukan saja dari bekas lombong di Bestari Jaya tetapi dari 20 kolam termasuk air yang diambil dari sungai-sungai di sini untuk rawatan," katanya. Beliau berkata, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Dr Ahmad Yunus Hairi akan mengeluarkan kenyataan pada Jumaat berhubung hasil keputusan analisis air tersebut. Katanya, LUAS juga akan mengadakan bengkel untuk pihak berkepentingan untuk menunjukkan kepada mereka bagaimana air dianalisis. "Dalam setiap bekalan air, walaupun air yang dirawat, terdapat kehadiran logam berat. "Bagaimanapun, apa yang penting adalah sama ada pengesanan elemen berada pada tahap seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan," katanya.
TOP
RM3.7 Bilion Bina Taman Teknologi Nusajaya Dalam 3 Fasa
Lakaran Taman Teknologi Nusajaya dengan nilai kasar RM3.7 bilion.
NUSAJAYA: Taman Teknologi Nusajaya dengan nilai pembangunan kasar RM3.7 bilion, akan dibangunkan dalam tiga fasa bagi tempoh sembilan tahun. Projek usaha sama 60:40 antara Ascendas Pte Ltd dan UEM Sunrise Bhd dengan keluasan lebih 210 hektar itu boleh menampung kira-kira 200 perusahaan apabila ia siap kelak. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ascendas, Manohar Khiatani berkata, bagi fasa permulaan, mereka menerima 40 peratus komitmen awal untuk kemudahan siap bina. "Kami juga telah berbincang dengan banyak syarikat lain yang memerlukan kemudahan yang dibina mengikut keperluan. Syarikat utama seperti Sanwa Group, YCH Group dan Vads Bhd juga menimbang kemungkinan memindahkan operasi mereka di sini," katanya kepada pemberita pada upacara pecah tanah di sini, Khamis. Sanwa mungkin memerlukan kemudahan seluas 72,000 kaki persegi bagi kejuruteraan jitu dan operasi pembuatan mereka manakala YCH Group akan bergabung dengan Taman Teknologi Nusajaya untuk menimbang kemungkinan membangunkan kemudahan rantaian bekalan canggih. Sementara itu, Vads Malaysia akan meneroka potensi membuka pusat data di taman ini. Fasa permulaan, dengan kemudahan siap bina seluas lebih 28 hektar dan plot tanah bagi pembangunan bina mengikut keperluan akan mula dibangunkan dalam masa beberapa bulan lagi dan dijangka siap menjelang 2016. Nusajaya Tech Park sesuai bagi syarikat-syarikat yang terlibat dalam elektronik, kejuruteraan jitu, farmaseutikal, peranti perubatan, pemprosesan makanan dan barangan pengguna cepat laris, disokong oleh logistik yang efisien dan perkhidmatan rumah gudang. Taman itu yang terletak hanya beberapa minit daripada Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia-Singapura juga dibangunkan dengan pelan induk keselamatan menyeluruh bagi meningkatkan keselamatan penyewa, kakitangan, aset dan operasi.
TOP
Etiqa Tumpu Kekuatan Agensi Untuk Kembangkan Takaful Keluarga
KUALA LUMPUR: Etiqa Takaful Bhd menggiatkan tumpuan kepada kumpulan agensinya untuk membantu mendekati lebih ramai rakyat Malaysia dan mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran takaful di negara ini. Dalam satu kenyataan pada Khamis, cabang takaful Kumpulan Maybank itu berkata, kekuatan agensi menyumbangkan 20.6 peratus daripada jumlah sumbangan kasar kepada perniagaan takaful keluarga Etiqa. Ketua Pegawai Eksekutif, Ahmad Rizlan Azman berkata, kekuatan agensi kekal satu daripada saluran pengagihan utama bagi Etiqa. "Ia terus menjadi keutamaan kepada kami untuk membangunkan kekuatan agensi dan tahun ini, fokus kami ialah meningkat dan mengukuhkan kemahiran perkhidmatan dan pengetahuan teknikal mereka," katanya. Ahmad Rizlan berkata, sebagai peneraju pasaran takaful, syarikat perlu mampu menyediakan perkhidmatan profesional kepada pelanggannya daripada perundingan dan peranan nasihat kepada memproses polisi dan tuntutan serta perkhidmatan lepas jualan. Beliau berkata, Etiqa Takaful terus menjadi pengendali takaful utama Malaysia menguasai 46.3 peratus daripada pasaran untuk takaful am dan 28.6 peratus takaful keluarga dari segi sumbangan kasar dan sumbangan perniagaan baharu pada 2013.
TOP
RM800 Juta Bagi Hospital Baharu, Perkukuh Sektor Penjagaan Kesihatan - JCorp
NUSAJAYA: Perbadanan Johor (JCorp), melalui unit penjagaan kesihatannya, KPJ Healthcare Bhd, akan membelanjakan RM800 juta bagi hospital baharu dan kerja pembesaran dalam beberapa tahun akan datang sebagai sebahagian strategi untuk memperkukuh perniagaan penjagaan kesihatannya. Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, pada mulanya ia memperuntukkan RM1.2 bilion bagi tujuan itu, tetapi telah menggunakan sebahagian daripadanya dan kini berbaki RM800 juta. Antara hospital baharu itu ialah Hospital Pakar Maharani, Muar; Hospital Pakar Pahang, Kuantan; Hospital Pakar Jayapura Kuching, Sarawak. "Beberapa buah hospital KPJ yang ada sekarang akan juga melalui kerja-kerja pembesaran. Hospital-hospital itu termasuklah Hospital Pakar KPJ Tawakkal, (dan) Hospital Pakar KPJ Selangor," katanya kepada pemberita dalam satu taklimat media di sini, Rabu. Turut hadir ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud. Sebelum itu, Azman mengumumkan dari 2013 hingga Mei tahun ini, MIDA meluluskan lapan projek pelancongan penjagaan kesihatan bernilai RM561.4 juta. Mengenai sektor minyak dan gas, Kamaruzzaman berkata, melalui anak syarikatnya, Langsat Marine Base Inc, kumpulan itu akan membangunkan sebuah pangkalan bekalan marin serantau di Pelabuhan Tanjung Langsat bersama Oilfields Supply Center Ltd dari Dubai yang melibatkan kawasan seluas 11 hektar. Beliau berkata, kerja pembinaan bagi fasa satu kemudahan itu sedang dilaksanakan dengan pelaburan permulaan berjumlah lebih RM226 juta yang merangkumi kos tanah, bangunan dan kemudahan prasarana. Ia dijangka siap menjelang suku ketiga 2015. Beliau berkata, syarikat itu akan melabur kira-kira RM200 juta lagi dalam lima tahun akan datang bagi fasa dua.
TOP
Forbes: 10 Atlet Terima Bayaran Tertinggi Di Dunia 2013
Dari kiri: Floyd Mayweather, Cristiano Ronaldo, LeBron James, merupakan tiga atlet yang menerima bayaran paling tinggi di dunia, seperti yang disenaraikan oleh majalah Forbes. BERIKUT merupakan senarai majalah Forbes bagi 10 atlet yang menerima bayarang paling tinggi di dunia pada 2013:
TOP
Kucing ini Adalah Hadiah Untuk Yang Di-Pertuan Agong Sabtu Ini
LV yang akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, Sabtu ini.
Putrajaya: Seekor kucing jantan bernama Louis Vuitton (LV) akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah yang dijangka merasmikan Festival Bunga dan Taman Putrajaya 2014 (FLORIA Putrajaya) 2014, Sabtu ini. Presiden Kelab Kucing Malaysia (KKM) Khalid Rashid berkata, kucing jenis ‘Maine Coon’ yang dibawa khas dari Estonia itu adalah hadiah daripada KKM dan Perbadanan Putrajaya (PPj) khas untuk pasangan diraja berkenaan. “Kucing terbabit dibawa masuk sejak September 2003 dan dijaga rapi oleh saya sendiri bagi memastikannya sentiasa sihat dan bebas daripada sebarang penyakit sebelum diserahkan kepada pihak istana. “Ini adalah hadiah khas daripada KKM dan PPj sempena FLORIA Putrajaya tahun ini sebagai menghargai kehadiran Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong merasmikan festival tahunan ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Khalid berkata, KKM juga akan mengadakan Pameran Kucing Khas Diraja sepanjang hari perasmian, Sabtu ini. Dari pengamatan SK, kucing ni memang ada gaya sebagai kucing diraja. - SiakapKeli.com Sumber: Harian Metro
TOP
Pembantu Rumah Warga Indonesia Didakwa Aniaya Kanak-Kanak OKU
SHAH ALAM: Seorang pembantu rumah warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini Khamis atas pertuduhan menganiaya seorang kanak-kanak kelainan upaya (OKU) berusia 10 tahun empat bulan, yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi, sejak Februari hingga Mei lepas. Tini Martini, 39, yang tidak diwakili peguam, mengaku bersalah ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di depan Majistret Farah Azura Mohd Saad. Farah Azura menetapkan 14 Julai ini untuk mendengar rayuan sebelum menjatuhkan hukuman sementara menunggu laporan perubatan kanak-kanak perempuan itu. Tini didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Khor Sze Syuen di sebuah rumah di Jalan Anggerik Vanda 31/168, Seksyen 31, Kota Kemuning mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2011 yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya Wan Noora Nisa Ngadirin. Terdahulu, Wan Noora Nisa memaklumkan mahkamah bahawa tertuduh, yang mula bekerja di negara ini pada September tahun lepas, mencederakan kanak-kanak malang itu dengan cara memukul serta melempang. Sumber: mStar
TOP
Keith Foo Nak Tunang Dengan Penuntut Jurusan Fesyen!
KL, 12 JUN 2014: Menurut sumber-sumber media, Keith Foo bakal bertunang tidak lama lagi. Tapi, bakal tunangnya itu bukanlah selebriti Malaysia mahu pun Indonesia. Sebaliknya, hero Ariana Rose ini bakal bertunang dengan penuntut jurusan fesyen di sebuah universiti luar negara yang bernama Kim Raymond. Dia inilah kekasih Keith Foo. Khabarnya lagi, majlis pertunangan Keith Foo dengan Kim bakal diadakan pada 24 JUn ini dan Keith juga dikatakan sudah mula mengedarkan kad undangan majlis pertunangan kepada teman-teman rapatnya. Lokasi majlis yang dipilih ialah di Publika dan pertunangan akan berlangsung pada sebelah malam. Sebelum ini pernah menjalinkan hubungan dengan pelakon Indonesia, Tyas Mirasih. Sumber: Murai.com.my
TOP
Salah guna logo halal: Denda RM1 juta- RM5 juta
KUALA LUMPUR – Individu yang didapati menyalahgunakan logo halal pada produk mereka berdepan dengan denda RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun, manakala syarikat pula boleh didenda tidak kurang RM5 juta. Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek berkata perkara itu diperuntuk di bawah Akta Perihal Dagangan 2011. “Sebenarnya yang tetapkan barangan halal ataupun tidak halal itu tanggungjawab Jakim (Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia), namun jika produk itu tidak halal tetapi dicetak logo halal pada pembungkusannya maka pengeluar akan didakwa menurut Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya di sini hari ini. Beliau diminta mengulas mengenai produk ‘Bihun Istimewa Cap Masjid’ keluaran sebuah kilang di sini yang mengguna pakai logo halal pada pembungkusannnya sedangkan syarikat tidak mempunyai pensijilan halal Jakim. Isu itu terbongkar susulan penyebaran beberapa keping gambar pemprosesan bihun yang dibuat dalam keadaan kotor dan jijik menerusi laman sosial. Sementara itu, mengulas barangan kawalan sempena Aidilfitri, Hasan berkata pihaknya sedang meneliti senarai barangan yang berkenaan. “Kami akan umumkan secepat mungkin selepas senarai dimuktamadkan,” katanya yang ditemui selepas melancarkan buku ‘Patent Drafting Manual for Beginners’ yang diterbitkan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO). Terdahulu dalam ucapannya, Hasan berkata MyIPO kini dalam proses membuat kajian impak bagi mengukur tahap kesedaran mengenai kepentingan perlindungan hak harta intelek dalam kalangan kumpulan sasaran iaitu usahawan, belia dan pelajar. Katanya kajian MyIPO mendapati permohonan hak harta intelek meningkat daripada 31,279 pada 2009 kepada 41,638 pada 2013. “Bagaimanapun, permohonan tempatan hanya sekitar 40 peratus daripada jumlah keseluruhan permohonan diterima,” katanya. Mengenai buku itu, Hasan berkata ia bertujuan membantu pemilik-pemilik harta intelek khususnya pereka cipta dalam teknik-teknik pendraftan spesifikasi paten yang mengikut kehendak Akta Paten 1983 dan Peraturan-peraturan di bawahnya. Ini bagi tujuan pemfailan permohonan paten yang menggariskan teknik pendraftan paten sama ada secara nasional atau penfailan antarabangsa. Hasan berkata buku itu dijual pada harga RM60 dan turut diedarkan secara percuma kepada semua perpustakaan awam dan institusi pengajian tinggi seluruh negara. Sumber: Bernama
TOP
Makanan Disyaki Kaki Babi
Hari ini agak kecoh juga di Facebook apabila seseorang telah membuat aduan yang beliau telah mengesyaki makanan yang dihidangkannya itu adalah kaki babi. Memetik dari facebook beliau:
Assalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuhu.
Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang Ya ALLAH ampunilah dosa saya seandai apa yang apa saya tulis ini tidak tepat dan seandai nya tepat ia nya keizinan yang maha-Esa. 1.Kejadian ini berlaku di pusat membeli belah The Spring, Jalan Simpang Tiga, Kuching. Pada 10 /06/14 saya bersama dua orang rakan lebih kurang jam 7:40 pm ketika menikmati makanan di WARUNG RASA INDONESIA yang terletak di Tingkat 1 The Spring Foodbazaar (Food Court) saya merasa curiga dan mengesyaki menu SOTO AYAM SEMARANG yang dihidangkan menggunakan sup kaki khinzir dan bukannya sapi (Lembu).
2.Kejadian di sedari apabila salah seorang rakan saya telah ternampak "tulang yang agak meragukan" dalam periuk belanga sup restoren tersebut dan memberitahu saya. Perasaan was-was membuatkan saya terus pergi ke kaunter warung tersebut dan menggesa petugas warung berkenaan membuka periuk belanga serta mengaut isi sup itu. MASYA ALLAH, terkejut saya kerana "keping-kepingan daging" sup tersebut tidak langsung menyerupai potongan-potongan daging lembu atau ayam.
3.Lagi mengeruhkan keadaan apabila salah seorang pekerja di premis tersebut berbohong mendakwa dirinya sebagai seorang penganut agama Islam berasal daripada Indonesia. dan berkahwin dengan orang tempatan berbangsa Cina yang empunya warung tersebut. Saya dan rakan terus menyiasat latar belakang suaminya dan mendapati beliau mengusahakan sebuah non-halal restoran yang terletak di Batu Tiga. (Nama kedai tersebut saya akan dedahkan nanti).
4.Sebelum meninggalkan permis berkenaan, saya menunjukkan gambar tersebut dan bertanya apakah makanan itu kepada sorang amoi Cina yang berkebetulan lalu di sana. Dia memerhati gambar tersebut dan tanpa ragu menjawab, "INI KAKI BABI LEH!!!"
5.Aduan secara resmi telah saya laporkan semalam di Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Bhg Penguatkuasaan Halal, Tingkat 12 Kompleks Islam Sarawak agar tindakan dan siasatan lanjut dapat diambil untuk memastikan tiada lagi umat Islam di negeri ini tertipu demi agama, bangsa dan negara.
6. Lokasi premis tsb terletak di kawasan masyarakat majmuk pelbagai bangsa dan kepercayaan agama. Sepatutnya sbg kewajipan pengusaha premis meletakan tanda amaran "Non Halal Food" kpd pelanggan — with Tambi Haji Dan and 22 others at The Spring.
Walauapapun JAIS telah bertindak diatas aduan saudara ini bagi menyiasat isu berkenaan dengan menganbil sampel daging makanan gerai tersebut pada hari ini. Maklumat terkini premis tersebut ianya diusahakan oleh wanita (Indonesia) bukan Islam yang bersuamikan orang Cina tempatan. Menerusi komen dari salah seorang komentar bagi aduan tersebut pula mengatakan yang ia adalah kaki lembu yang mana apabila direbus dalam jangka masa lama akan menghasilkan corak yang seakan kaki babi. Walaubagaimanapun kita tunggu keputusan dari JAIS!
Sumber: Facebook saudara Hazman Hj Johny
TOP
Usahawan Muda Digesa Daftar FPM 2014
KUALA LUMPUR – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menggesa usahawan muda untuk mendaftar dengan Forum Pengeksport Muda (FPM) 2014. Forum itu bertujuan bertukar-tukar idea serta mendapat kefahaman mengenai pengalaman belia Malaysia yang berjaya di pasaran antarabangsa. Dihoskan agensi penggalakan perdagangan itu, forum sehari berkenaan akan diadakan pada 18 Jun ini dan dirasmikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Seri Mustapa Mohamed. “FPM akan menawarkan peluang berharga untuk usahawan muda mendapat pengetahuan melalui perkongsian pengalaman oleh usahawan muda yang berjaya, termasuk ketua pegawai eksekutif syarikat pemasaran Internet terkemuka dan juga fotojournalis yang hasil kerjanya telah tersiar dalam media utama antarabangsa,” kata Matrade dalam satu kenyataan hari ini. Forum itu juga akan mengandungi sesi perbincangan berkumpulan dan kemas kini program pembangunan dan inisiatif ditawarkan Miti serta agensi lain untuk kaum belia memulakan perniagaan baharu serta bantuan untuk perniagaan sedia ada, termasuk pembiayaan, pensijilan, latihan dan keperluan kemasukan pasaran global. Lebih banyak maklumat mengenai program itu boleh diperolehi di www.matrade.gov.my atau dengan menghubungi Mohd Amin Bakar (03-6207 7636)/Khairul Nazri Md Shakari (03-62077629). Sumber: Bernama
TOP
AirAsia Mulakan Perkhidmatan Di India Hari Ini
NEW DELHI – Dengan kod syarikat penerbangan i5, AirAsia India memulakan penerbangan sebagai syarikat penerbangan kos rendah keempat di negara ini dengan penerbangan sulungnya dari Bangalore ke negeri terkecil di India, Goa. Mentera AirAsia sejak dilancarkan di India Februari lalu adalah untuk merevolusikan perjalanan udara di negara berkenaan. Syarikat itu memulakan perkhidmatannya dengan hebat dan ini terbukti apabila tiket untuk penerbangan sulungnya habis dijual dalam masa 10 minit selepas dibuka pada 30 Mei lalu. Perkembangan itu telah mengejutkan pihak lain dalam sektor yang amat kompetitif di India itu. AirAsia India, usaha sama 49:30:21 antara AirAsia, Tata Sons dan Telestra Tradeplace, menawarkan tambang serendah Rs990 (RM54) untuk penerbangan tersebut. Promosi 25,000 tempat duduk juga habis ditempah dalam tempoh 48 jam. “Moto kami adalah untuk membolehkan setiap orang terbang. Kami sudah mula menunjukkan yang kami menepati janji kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mittu Chandilya ketika mengakui mengenai jualan laris tiket penerbangan itu. Bagi menyaingi AirAsia, syarikat penerbangan lain di negara ini seperti SpiceJet dan IndiGo, telah mengadakan tambang promosi mereka sendiri. Ketika mengumumkan pelancaran empat penerbangan baharu untuk laluan domestik, Indigo turut menawarkan tambang satu Rupee (lima sen) untuk laluan Bangalore, Chennai dan Goa bagi menyaingi tambang AirAsia India sebanyak Rs5 (27 sen), tidak termasuk cukai lapangan terbang dan yuran lain. Syarikat penerbangan kos rendah lain di India ialah GoAir. Mittu berkata, tambang syarikat penerbangan itu adalah 35 peratus lebih rendah daripada pihak lain di pasaran. Menurut Ketua Pengarah Penerbangan Awam India, di kalangan syarikat penerbangan domestik, termasuk syarikat penerbangan perkhidmatan penuh, IndiGo menerajui pasaran tempatan dengan 31.6 peratus, diikuti gabungan Jet Airways-JetLite pada 21.8 peratus pada April lalu. Air India menguasai 18.3 peratus pasaran, SpiceJet 17.9 peratus dan GoAir 9.5 peratus. Walaupun tiada sesiapa mengetahui pelan sebenar AirAsia India, ia bukan lagi menjadi rahsia yang ia tidak akan terbang ke dalam sektor yang sesak, sekurang-kurangnya buat masa ini. AirAsia India telah menumpukan minat dalam bandar raya Peringkat 2 dan Peringkat 3. Kira-kira 50 peratus daripada trafik adalah gabungan Mumbai dan New Delhi kerana syarikat penerbangan adalah seperti kambing bebiri, semua pergi ke tempat sama, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes ketika pelancaran syarikat penerbangan terbabit. Masih terdapat banyak pasaran untuk dibangunkan, katanya, menjelaskan kehadiran AirAsia India akan menawarkan penyambungan penerbangan baharu, lebih kekerapan dan pengagihan semula trafik udara. Mengembangkan sayapnya ke India membuatkan AirAsia benar-benar memasuki horizon baharu, dengan kemungkinan AirAsia India menjadi lebih besar daripada kumpulan itu sendiri. Perjalanan AirAsia India setakat ini bagaimanapun bukanlah mudah. Syarikat penerbangan lain telah melobi kuat menentang kemasukan AirAsia, walaupun selepas ia memperolehi Permit Pengendali Penerbangan (AOP) bulan lalu. Ia juga menghadapi kes mahkamah yang difailkan pemimpin parti politik membantah kebenaran kepada syarikat penerbangan itu untuk memulakan operasi. Dengan sikap berterus terangnnya, Fernandes telah beberapa kali mengecam cara bagaimana kepentingan diri menjejaskan industri penerbangan India. Industri penerbangan India mempunyai hutang kira-kira US$12.6 bilion di samping kerugian terkumpul US$8.6 bilion. Fernandes berkata, beliau tidak pernah mengalami situasi di mana seluruh industri cuba menghalang syarikat penerbangannya. “Sesetengah syarikat penerbangan takut kepada kami. Kami mesti melakukan sesuatu yang betul. “Rakyat India perlu membantu kami. Jangan biarkan kartel menang dan tidak membenarkan orang biasa terbang,” katanya dalam catatan Twitternya baru-baru ini. Ketika “mengecat langit India dengan warna merah’ mulai hari ini, saingan akan bertambah sengit. Pertempuran untuk menjadi peneraju baharu sahaja bermula. AirAsia sudah pasti akan meneruskan pelabagai cara inovatifnya dalam usahanya untuk berjaya. Sumber: Bernama
TOP
Panggilan Hangit Wanita Mengandung Anak Luar Nikah Nor Farhan - Hot FM Mohon Maaf
Foto cover dari blog kezoom
Semalam SiakapKeli.com ada menyiarkan Panggilan Hangit dari Hot FM terhadap isteri Nor Farhan Muhammad yang mana seorang wanita telah buat panggilan kepada isteri Farhan dan mengatakan yang dia telah mengandung anak luar nikah bersama Farhan. Disebabkan panggilan hangit tersebut, Hot FM teruk dikecam peminat yang mana ramai merasakan panggilan hangit tersebut tidak sesuai kerana topiknya teramat sensitif. Namun begitu mangsa pangilan hangit tersebut cool sahaja menjawab panggilan tersebut.
Hot FM memohon maaf kepada Norfarhan dan isterinya berhubung insiden segmen Panggilan Hangit.
Tahniah kepada isteri Farhan kerana amat tabah dalam ujian tersebut. Pada pengamatan SK sendiri pun merasakan yang topik itu memang sensitif yang mana jika didengar separuh boleh mendatangkan fitnah selain itu topik itu juga seakan-akan memperlekehkan hukum zina. Menurut Hot FM, topik itu telah dicadangkan oleh Farhan sendiri untuk meraikan ulang tahun perkahwinan mereka. Sepatutnya Hot FM mengkaji terlebih dahulu untuk menentukan topik panggilan hangit dan bukan hanya menuruti apa yang dicadangkan oleh pihak-pihak tertentu kerana kesudahannya Hot FM juga yang dikecam.
Buka: Panggilan Hangit Tersebut
TOP
GAMBAR: Lagi Kes Bunuh Diri Di Jambatan Pulau Pinang
Seorang lelaki telah membunuh diri di jambatan Pulau Pinang petang semalam. Difahamkan dia telah ke tengah-tengah jambatan Pulau Pinang lalu membunuh diri dengan menerjun dari jambatan tersebut. Turut dijumpai barangan peribadi termasuk MyKad, Kad Kesihatan, Telefon Bimbit dan beberapa dokumen lain. Menurut Daily Traffic Report, trafik sesak menghala ke pulau disebabkan ramai yang berhenti untuk melihat kejadian tersebut. Mayat mangsa sudah kelihatan terapung petang semalam. Motor yang digunakan diletakkan di tepi jalan sebelum bertindak membunuh diri dengan terjun kelaut.
Sumber: Daily Traffic Report
TOP
Erin Malik Bakal Bertunang Minggu Depan?
Woohoo..tak payah pusing-pusing, kali ini kami straight forward je okay! Sebentar tadi, kami menerima sebuah berita bahawa pelakon yang popular dengan drama ‘Misiku Kuza’ iaitu Erin Malek, bakal bertunang. Menurut sumber-sumber terapat, Erin khabarnya bakal bertunang dengan jejaka yang bernama Farriz Fauzy, iaitu orang sama yang dikenalinya melalui laman sosial beberapa bulan lalu. Dengar cerita, Erin dikatakan sudah pun mula mengedarkan kad jemputan pertunangannya nanti. Wow! Pantasnya! Kalau betul ada kad jemputan, pastinya majlis itu grand kan?
Inikah bakal tunang Erin Malek? Ermm..mungkin..
Maklumlah, kami difahamkan buah hati Erin ini merupakan seorang ahli perniaagan. Baguslah kalau nak bertunang kan, perkara baik eloklah dipercepatkan. Kalau anda masih ingat, sebelum ini Erin Malek pernah mengakui jejaka tersebut ada meluahkan hasrat ingin mendirikan rumahtangga bersamanya dan seandainya ada jodoh, Erin tidak menolak untuk berkahwin. Sumber: Oh Bulan!
Labels:
Berita Terkini
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment