Saturday, June 14, 2014
Berita Terkini 14 June 2014
TOP
Ratu Cantik Terima Petisyen Bunuh Diri Kerana Hodoh
SEORANG wanita yang pernah menjadi sasaran petisyen kebencian yang ditandatangani oleh 200 kaki buli di sekolahnya yang mahu dia membunuh diri kerana kehodohannya kini bergelar ratu cantik. Hollie Robinson, 22, ditendang, ditumbuk dan didera secara lisan setiap hari di sekolah tingginya selama hampir dua tahun sejak dia berumur 11 tahun. Dia menghabiskan masa makan tengaharinya dengan bersembunyi di tandas sekolah, mempunyai masalah sebelum meninggalkan rumah setiap pagi dan sentiasa berasa panik terhadap serangan di sekolah yang tidak dijangka. Kaki buli di taman permainan mengejeknya sebagai 'hodoh' dan Hollie pernah bercadang untuk membunuh diri setiap hari selepas berasa dirinya 'tidak bernilai'. Pada satu ketika dia menerima e-mel menakutkan yang merupakan satu petisyen dengan 200 tandatangan menggesanya untuk membunuh diri. Hollie masih ingat baris pertama petisyen itu yang dibaca: 'Siapa fikir Hollie Robinson harus membunuh dirinya?'. Tetapi selepas diintai ketika pertunjukan pakaian ketika dia berusia 17 tahun, keyakinan Hollie meningkat dan dia berjaya lari dari mimpi ngeri dengan memenangi siri ratu cantik. Dia kini menubuhkan sebuah syarikat ratu cantik dalam talian yang dikenali sebagai Miss Anti-Bulliying untuk meningkatkan kesedaran dan melakukan kempen amal terhadap mangsa buli sepertinya. Hollie berkata: 'Saya tidak boleh menggambarkan bagaimana saya melalui saat-saat seperti berada di neraka ketika saya masih muda. Ketika saya mula masuk sekolah menengah, saya mempunyai kumpulan rakan yang besar tetapi mereka tiba-tiba menentang saya. Hollie, yang bekerja sebagai perunding ejen hartanah, akhirnya memberitahu ibu bapanya perkara sebenar selepas dua tahun dan dengan segera dibawa keluar dari sekolah selama tiga bulan. Dia menambah: "Saya berusia 13 tahun ketika saya memberitahu ibu saya apa yang berlaku. "Sebelum itu, saya terlalu malu untuk memberitahu ibu bapa saya cerita sebenarnya dan guru-guru saya tidak melakukan apa-apa. Mereka berkata ia hanyalah satu fasa dan tidak lama lagi orang lain pula akan menjadi mangsa. "Tetapi apabila ibu saya dapat tahu perkara ini, dia memberitahu saya supaya tidak pergi semula ke sekolah dan saya meninggalkan sekolah selama tiga bulan. Ia berlaku ketika ibu pergi ke sekolah dan mendapat tahu tentang e-mel kebencian yang meminta saya bunuh diri berserta 200 tandatangan. Dia berkata: "Apabila saya membaca e-mel itu, saya sangat kecewa. Saya bagaimanapun begitu bersyukur kerana ibu saya berada di samping saya pada masa itu kerana jika tidak, saya benar-benar fikir saya mungkin telah melakukan sesuatu yang bodoh. Saya telah lama berfikir untuk membunuh diri dan tidak mustahil ia boleh berlaku. Hollie kemudian tidak kembali lagi ke sekolah itu dan masuk ke sekolah baru di Year Nine, di mana dia mendapat ramai kawan baru. Dia berkata: "Ia adalah permulaan yang benar-benar segar di sekolah baru dan saya mempunyai ramai rakan. Ia berbeza dengan apa yang saya telah alami sebelum ini. "Saya cuba melupakan pengalaman dibuli tetapi ia mengambil masa agak lama untuk memulihkan keyakinan. Apabila anda diberitahu bahawa anda hodoh dan tidak bernilai sepanjang masa, anda mula mempercayainya. Saya merasakan seperti saya tidak bernilai setiap kali saya bernafas. "Apabila saya imbas kembali, saya fikir mereka hanya cemburukan saya. Sebahagian daripada budak lelaki pernah sukakan saya dan saya fikir dari situ ia bermula. Hollie sedang melawat satu pertunjukan pakaian bersama ibunya pada usia 17 apabila dia diintai oleh seorang wanita yang sedang mencari Miss Blackpool Town pada tahun 2009. Dia berkata: "Apabila wanita itu berkata, saya sepatutnya mencuba nasib, reaksi pertama saya adalah saya tidak pernah melakukan perkara seperti itu. Kerana saya begitu teruk dibuli, saya berusaha untuk bercakap tetapi dia memberitahu saya menyertai pertunjukan itu adalah cara yang baik untuk meningkatkan keyakinan saya. Dia kemudian dimahkotakan sebagai ratu dan memenangi Miss West Lancashire pada tahun 2011 dan Miss Blackpool pada tahun 2011. Sumber: mStar
TOP
Sempat Pegang Tangan Sebelum Terlepas Jatuh Balkoni Tingkat Enam
NUR Suzana bersama anak lelakinya menunjukkan tempat kejadian
SHAH ALAM: “Saya sempat memegang tangan Alisya bagaimanapun pegangan saya terlepas akibat tangan licin,” kata Nur Aleena Muhd Rafiq, 10, kakak kepada Nur Alisya Muhd Rafiq, tujuh tahun yang maut selepas terjatuh dari balkoni tingkat enam di Pangsapuri Sri Angkasa Seksyen 28, di sini, kelmarin. Murid tahun empat itu memberitahu sudah berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan adiknya namun gagal. Aleena yang berada di dalam rumah ketika kejadian menyedari adiknya tergelincir dari balkoni sejurus terdengar jeritan mangsa meminta tolong. “Dia (mangsa) memanjat baldi yang berada di balkoni untuk menjenguk ke bawah kerana mahu melihat rakan-rakan yang lain yang sedang menunggu di bawah. “Saya sangat sedih kerana kehilangan seorang adik yang sangat ceria serta sangat pandai mengambil hati,” katanya. Menurutnya, Alisya sempat meminta kebenaran daripada ibu mereka untuk mengikuti kelas mengaji al-Quran ketika mereka berada di Pulau Pinang baru-baru ini. Sumber: Harian Metro
TOP
Hidangan Buaya Masak Kicap Untuk Pengunjung
MIRI – Kejadian manusia dibaham buaya di negeri ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan, namun tidak ramai yang tahu reptilia ganas itu juga sering menjadi santapan segelintir penggemar makanan eksotik di bandar raya ini. Siapa sangka Taman Buaya Miri, di sini, bukan saja memberi peluang kepada orang ramai melihat lebih dekat haiwan berkenaan, malah sebuah restoran di situ turut menghidangkan daging buaya untuk dinikmati pengunjungnya terutama kepada pelancong asing. Selain hidangan sup ekor buaya, pengunjung boleh menempah masakan daging buaya masak kicap dan juga sate buaya. Tukang masak, Sunani Sulong, 55, berkata, hidangan daging buaya itu sangat digemari pelancong dari China, selain penduduk tempatan dalam kalangan kaum Iban. Katanya, hidangan istimewa yang paling digemari adalah sup ekor buaya kerana kononnya hidangan eksotik itu berkhasiat untuk kesihatan terutama penghidap penyakit asma. Sumber: Harian Metro
TOP
Tak Perlu Kontroversi Untuk Popular : Zara Zya
PELAKON Zara Zya tidak memerlukan kontroversi hanya semata-mata untuk mengecap populariti kerana yakin kerjaya lakonannya tidak akan berkekalan untuk jangka masa panjang jika berbuat sedemikian. Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 29, sebaliknya memberitahu dia mahu dikenali kerana bakat lakonannya dan usaha selama lapan tahun untuk membina nama sebagai pelakon mula menampakkan hasil selepas kejayaan beberapa buah drama lakonannya termasuk I Love You Mr Arrogant yang melonjakkan namanya. “Kontroversi bukan jalan mudah untuk berjaya dan popular kerana ia tidak akan kekal lama, sebaliknya usaha berterusan dan bakat seseorang artis itu yang akan dinilai oleh peminat, bukannya gosip. “Saya sendiri mengambil masa yang lama untuk mula dikenali dan banyak pengorbanan dilakukan sebelum hasil kerja dan bakat mula mendapat perhatian,” katanya kepada mStar Online. Nama pemenang trofi Artis Baru Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2013 (ABPBH 2013) itu baru-baru ini terpalit dengan kontroversi kononnya dia gemar menjaja cerita buruk mengenai aktor Azlee Khairi kepada orang di sekelilingnya. Dalam pada itu, Zara berkata, dia yakin peminat sudah bijak menilai tentang sesuatu kesahihan cerita yang tersebar mengenai dirinya, tambahan pula medium media sosial seperti Twitter dan Instagram memudahkan mereka untuk mendapat maklumat. “Peminat bijak menilai dan memberikan komen mereka, terutama dengan teknologi media sosial hari ini membuatkan mereka peka terhadap semua perkara yang mereka baca. “Paling penting seseorang artis itu kena bijak menjaga diri dan imej tetapi bukan bererti kita perlu berpura-pura sebaliknya menjadi diri sendiri,” jelasnya. Dalam perkembangan lain, Zara berkata, dia bersyukur rezekinya dalam bidang lakonan semakin mencurah-curah dan ia membuatkannya lebih fokus terhadap kerjaya lakonannya buat masa ini. Sumber: mStar
TOP
JDT Rampas Takhta Liga Super Daripada Selangor
KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya menamatkan dominasi Selangor sebagai pendahulu Liga Super selepas mengutip tiga mata penuh hasil kemenangan 4-3 ke atas Terengganu di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi. Pasukan yang terkenal dengan gelaran ‘Harimau Selatan’ itu kini mengumpul 38 mata dengan hanya perbezaan satu mata di hadapan Selangor. Terengganu bermula garang apabila pemain importnya Moustapha Dabo membuka jaringan seawal minit kelima sebelum rakan sepasukan Nor Farhan Muhammad menggandakan jaringan pada minit ke-16. Penyerang import JDT yang berasal dari Argentina, Jorge Pereyra Diaz kemudianya mencipta hatrik apabila menjaringkan gol pada minit ke-21, 37′ dan 53′, manakala satu lagi gol pasukan tuan rumah disumbangkan oleh Mahalli Jasuli pada minit ke-45. Skuad Penyu kembali bangkit merapatkan jurang gol menerusi jaringan Vincent Bikana pada minit ke-84. Di Stadium Shah Alam, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakukan kejutan apabila mengalahkan Selangor 2-0. Juan Arostegui muncul sebagai wira skuad ‘The Gladiators’ apabila berjaya menjaringkan dua gol pada minit ke-26 dan minit ke-64. Sementara itu dalam saingan Liga Perdana, Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus kekal sebagai pendahulu liga selepas membenam pasukan tercorot Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP FC) 4-1 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang. Gol skuad Sang Saka Biru dijaringkan Ali Ashraf (minit ketiga dan 52′), Bobby Gonzales (minit ke-75) dan Charles Souza Chad (minit ke-85), manakala gol saguhati PBAPP FC disumbangkan Boris Aleksandrovich Kochkin pada minit ke-45. Felda United terus kekal di tangga kedua carta liga setelah mengalahkan Pulau Pinang 4-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang. Empat gol Felda United dijaringkan oleh Ahmad Syamin Yahya pada minit ke-14, Mohd Raimi Mohd Noor (minit ke-29), Zah Rahan Krangar (minit ke-50) dan Abdul Latif Suhaimi pada mini ke-87. Gol saguhati pasukan pelawat disumbangkan oleh Luiz Ricardo Lino Dos Santos pada minit ke-56. Terdahulu pada aksi sebelah petang, DRB-Hicom FC membelasah UiTM FC 4-0 di Stadium Hang Jebat, Krubong, Melaka. Pemain import skuad kendalian G.Torairaju, Ogunboye Iyanu Ezekial mencipta hatrik pada minit kesembilan, minit ke-63 dan minit ke-68 sebelum Mohd Fakhrullah Rosli mengesahkan kemenangan pada minit ke-76. Lain-lain keputusan Liga Perdana, Sabah seri tanpa jaringan kepada Perlis di Stadium Likas, Kota Kinabalu manakala Negeri Sembilan pula seri 2-2 dengan Johor Darul Ta’zim II di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban. Kedah turut mengutip satu mata selepas seri 1-1 ke atas SPA Putrajaya di Stadium Darul Aman, Alor Setar. Sumber: Bernama
TOP
Roberto Mancini Tinggalkan Galatasaray
ROBERTO Mancini meninggalkan Galatasaray melalui persetujuan bersama selepas mengemudi pasukan itu selama setahun. Bekas jurulatih Manchester City itu memberitahu Gazzetta dello Sport, “Sebagai jurulatih saya faham akan tuntutan kelab. Bagaimanapun, apabila saya menerima jawatan, pasukan mempunyai sasaran yang berlainan. “Dalam tempoh lapan bulan lalu dengan permulaan yang mencabar, saya telah melakukan tugas dengan sasaran yang diberikan iaitu untuk melayakkan Gala ke Liga Juara-juara Eropah selain menjulang Piala Turki serta menghuni tangga kedua liga sekurang-kurangnya. “Ia sesuatu yang sedih apabila saya perlu meninggalkan Istanbul dan penyokongnya yang hebat.” Galatasaray menamatkan saingan Liga Super Turki dibelakang Fenerbahce dan memenangi Piala Turki walaupun pasukan itu baru mendapat sentuhan Mancini pada tahun pertama. “Hubungan kelab dengan Roberto Mancini dan kontraknya yang ditandatangani pada 1 Oktober, 2013, telah ditamatkan dengan persetujuan bersama,” menurut Galatasaray. “Kami dengan sepenuh hati mengucapkan terima kasih kepada beliau yang membantu mencipta kejayaan bersama kelab,” ujarnya. Mancini, yang mempunyai baki kontrak selama dua tahun dikaitkan akan mengendalikan sebuah kelab Serie A iaitu Lazio. Sumber: mStart
TOP
Individu Hina Almarhum Sultan Perak Beri Keterangan
CYBERJAYA – Pengguna Twitter@YouTiup bernama Stevie Chan tampil memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung komen-komen menghina terhadap Institusi Beraja khususnya berhubung kemangkatan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Almarhum Sultan Azlan Shah, baru-baru ini. Individu berkenaan telah hadir ke pejabat MCMC di Cyberjaya untuk memberi keterangan, dan ditemani oleh peguamnya. Sesi memberi keterangan kepada pegawai MCMC berlangsung selama tiga jam. Sesi memberi keterangan itu menyusul sehari selepas pihak MCMC menjalankan penyiasatan bersama dengan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman terhadap individu berkenaan di rumahnya di Kuala Lumpur. Beberapa kelengkapan atau peranti komunikasi miliknya turut disita untuk membantu siasatan. MCMC menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai individu-individu yang menghina Institusi Beraja di media sosial untuk tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan. Mengenai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) MCMC adalah sebuah badan berkanun ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 yang melaksana dan mempromosikan matlamat dasar kebangsaan Malaysia bagi sektor komunikasi dan multimedia. MCMC mengawalselia dan menggalakkan pembangunan industri komunikasi dan multimedia yang merangkumi bidang telekomunikasi, penyiaran, dan juga aktiviti dalam talian, perkhidmatan pos dan pensijilan digital. Akta Komunikasi dan Multimedia mengadakan peruntukan kepada MCMC peranan melaksanakan dasar, manakala dasar membuat keputusan adalah diperuntukkan kepada Menteri. Menteri boleh juga mengeluarkan arahan mengenai dasar kepada Suruhanjaya. Untuk maklumat lanjut, layari www.mcmc.gov.my
SUMBER: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
Tel: +603 8688 8000
Faks: +603 8688 1007
Emel: ccd@cmc.gov.my
Sumber: Bernama
TOP
Angin Kencang, Laut Bergelora Berterusan Sehingga Selasa
KUALA LUMPUR – Angin kencang barat daya dan laut bergelora di perairan Langkawi, Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Sabah dijangka berterusan sehingga Selasa ini. Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan hari ini berkata angin kencang dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dan mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter turut berlaku di bahagian Kudat dan Pantai Barat, Sabah. Keadaan sama juga dijangka dialami di perairan Phuket, Selat Melaka Utara, Samui, Condore, Reef North, Layang-Layang dan Palawan yang dijangka turut berterusan sehingga Selasa. Keadaan ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi dan sukan laut. Sementara itu, ribut petir dengan angin kencang sehingga 50 kilometer sejam dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter di kawasan perairan Johor Barat dan Melaka dijangka berterusan sehingga lewat pagi ini.
TOP
Maut Selepas Beberapa Minit Terjun ke Dalam Sungai
ANGGOTA bomba bersama penduduk kampung menolong mengangkat mayat mangsa
MUAR : Gara-gara termakan pujukan rakan yang mengajaknya mandi, seorang remaja menemui ajal akibat lemas selepas beberapa minit terjun ke dalam Sungai Muar di jeti nelayan Kampung Parit Tiram, di sini, kelmarin. Dalam kejadian jam 7.02 malam itu, Muhammad Afiq Izauddin Mohd Hafizan (gambar kecil), 13, dalam perjalanan ke Surau Kampung Parit Tiram untuk menunaikan solat Maghrib berjemaah sebelum terserempak dengan dua rakannya mandi di sungai berkenaan. Dia pada mulanya dikatakan enggan mandi kerana ingin menunggu masuk waktu Maghrib, namun mengubah fikiran selepas dipujuk rakannya. Ibunya, Siti Maslina Talib, 37, berkata, ketika kejadian dia bekerja di sebuah pasar raya di bandar ini sebelum menerima panggilan telefon dari suaminya memberitahunya insiden terbabit. “Saya bergegas ke lokasi kejadian dan sebaik tiba, jiran memaklumkan anak saya terjun ke dalam sungai untuk mandi bersama dua rakannya. “Dia dikatakan terkapai-kapai meminta tolong apabila berenang di kawasan yang dalam sebelum dilihat tenggelam,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, kelmarin. Menurutnya, tiga hari sebelum kejadian, dia menyedari perangai anaknya berubah kerana asyik bertanya soalan sama berulang kali. “Kebelakangan ini dia juga agak pendiam dan kurang makan. Tetapi, dia tetap ke surau seperti biasa untuk berjemaah pada waktu Maghrib dan Isyak. “Dia seorang anak yang baik dan akan bersalam dan mencium saya ketika keluar bekerja seterusnya melambai saya dari atas rumah. Namun, saya sungguh tidak menyangka, malam Nisfu Sya’aban adalah malam terakhir baginya. “Saya tidak dapat mengawal perasaan sebaik tiba di lokasi kejadian. Mujur ada jiran dan ahli keluarga menenangkan saya kerana tidak berdaya untuk menerima hakikat, tetapi akhirnya saya reda dengan pemergian anak kesayangan,” katanya. Sumber: Harian Metro
TOP
Tolak Hudud: Nik Aziz Tegur Dyana Sofya
KOTA BHARU – Murysidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, antara perkara dijelaskannya semasa pertemuan dengan Dyana Sofya Mohd Daud semalam adalah kesilapan calon DAP itu menyatakan pendiriannya mengenai hudud ketika kempen PRK Teluk Intan baru-baru ini. Menurutnya, Dyana sepatutnya ambil langkah lebih berstrategi atau hanya berdiam diri daripada mengeluarkan kenyataan berkaitan isu yang boleh dijadikan bahan polemik. “Dyana salah dari segi tekniknya. Di peringkat awal kenyataan dia terus sebut tolak hudud.
Dari segi teknik tidak betul. Kalau buat senyap atau sebut akhir-akhir, apa salahnya,” katanya kepada media selepas menyampaikan kuliah mingguan di Medan Ilmu, hari ini. Beliau mengulas pertemuannya dengan Dyana yang mengiringi Penasihat DAP, Lim Kit Siang hadir di pejabatnya semalam, bagi memperjelaskan beberapa isu dibangkitkan pada PRK Teluk Intan dua minggu lalu. Dalam pada itu, Nik Aziz berkata, kenyataan Dyana mengenai hudud telah dimanipulasikan sehingga calon DAP itu dilihat seolah-olah menentang hudud. “(Yang Dipertua Pas Kawasan Kota Bharu) Datuk Wan Abdul Rahim (Wan Abdullah) cuma cakap sebagai orang Islam dia tidak boleh tolak hudud tapi parti tolak hudud, maka dia terimalah, cuma wartawan sahaja yang tidak menekankan apa yang disebut, sedangkan saksi (Wan Abdul Rahim) ada,” katanya. Sumber: Sinar Online
TOP
TLDM Sah Anggota Ditahan Bantu Kes Militan
KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengesahkan seorang anggotanya yang berpangkat Laskar Kanan ditahan polis di Sandakan, Sabah semalam selepas disyaki terbabit dalam kegiatan militan. TLDM dalam satu kenyataan berkata anggota yang ditahan dalam operasi khas Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman itu kini masih dalam siasatan polis. “Anggota yang ditahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas 2012) itu masih dalam siasatan polis dan kes akan dikendalikan pihak polis,” kata kenyataan itu. Sementara itu Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata pihaknya akan mengambil tindakan selanjutnya selepas kes itu selesai disiasat pihak polis. “Kita tidak mengetahuinya. Kita tidak memaafkan aktiviti sedemikian. Ini merupakan kes polis dan kita akan biarkan pihak polis menyiasat. Kita akan mengambil tindakan selepas siasatan mereka selesai,” katanya kepada Bernama. Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata seorang daripada tiga individu yang ditangkap merupakan anggota kanan sel militan yang disyaki telah menjalankan latihan ketenteraan di kem milik Kumpulan Abu Sayyaf di selatan Filipina sejak 22 April lalu. Manakala dua lagi suspek termasuk seorang anggota TLDM yang bertugas di Sandakan ditahan kerana disyaki membantu anggota militan itu menyusup masuk ke Sandakan dan melindunginya. Sumber: Bernama
TOP
Agensi umrah didakwa sebar Syiah
ALOR SETAR – Sebuah agensi pelancongan beroperasi di Kedah yang menawarkan pakej umrah dan ziarah dipercayai turut menyebarkan fahaman Syiah. Difahamkan, agensi yang turut popular di Johor, Sabah dan Sarawak ini juga menyebarkan beberapa risalah dan buku panduan umrah versi Syiah kepada pelanggannya. Lebih membimbangkan apabila buku panduan itu dipercayai bercanggah dengan amalan serta rukun umrah yang sebenar mengikut Ahlul Sunnah Wal Jamaah. Timbalan Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Cawangan Kedah, Abdullah Din berkata, beliau berasa bimbang dengan penularan kegiatan tersebut. Menurutnya, populariti agensi terbabit di seluruh negara juga diyakini mampu mempengaruhi masyarakat berhubung ajaran tersebut. “Perkara ini sebenarnya sudah lama berlaku, tetapi orang ramai tidak berani bersuara disebabkan beberapa faktor. “Namun, saya melihat kegiatan agensi berkenaan semakin membimbangkan apabila sanggup menyebar risalah dan buku panduan berkaitan ajaran tersebut kepada orang ramai,” katanya kepada Sinar Harian, semalam. Beliau berkata, agensi pelancongan itu juga turut menawarkan pakej umrah dua kali ganda lebih murah. “Saya dimaklumkan, agensi berkenaan turut menawarkan pakej umrah serendah RM3,000 seorang berbanding kebiasaannya sekitar RM5,000 dan ke atas. “Pada saya, tawaran harga ini sudah pasti membuatkan orang ramai tertarik untuk membeli pakej agensi berkenaan,” katanya. Abdullah berkata, tindakan itu dipercayai cubaan pihak berkenaan untuk menyebarkan fahaman Syiah kepada orang ramai. Jelasnya, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan serius berhubung perkara itu kerana mereka telah melakukan kesalahan besar, iaitu menyebar fahaman Syiah. “Penularan fahaman Syiah adalah satu perkara yang amat membimbangkan. Apatah lagi ia membabitkan sebuah agensi pelancongan yang menawarkan pakej umrah dan ziarah. “Bukan tawaran harga murah yang menjadi persoalan. Tetapi adakah amalan ibadah dan rukun umrah kita sah. Ini yang perlu diperhatikan,” katanya. Selain itu, beliau berkata, pengikut fahaman itu juga kini sudah mula menonjolkan diri menerusi pembukaan beberapa perniagaan di sekitar negeri ini. Katanya, mereka sudah mempunyai beberapa perniagaan perubatan alternatif, ternakan dan sebagainya. Sumber: Sinar Online
TOP
Cicit Jutawan Minyak AS Maut Nahas Kapal TerbangTerbunuh Jatuh Dari Tingkat Tujuh Di Cheras
NEW YORK – Richard Rockefeller, cicit kepada dermawan dan jutawan minyak AS, John D. Rockefeller, meninggal dunia dalam nahas kapal terbang di New York, JUmaat. Beliau berusia 65 tahun. Richard bersendirian dalam sebuah pesawat enjin tunggal ketika ia terhempas berhampiran lapangan terbang di White Plains, kira-kira 35 batu (55 kilometer) di utara New York. Pesawat Piper PA-46 terhempas sekitar pukul 8.10 pagi (1210 GMT) kira-kira satu batu dari barat daya lapangan terbang, kata Agensi Penerbangan Persekutuan (FAA). FAA dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara sedang menyiasat punca kemalangan itu, kata jurucakap FAA Kathleen Bergen kepada AFP. Richard sedang mengendalikan kapal terbang untuk pulang ke Portland, Maine selepas melawat New York untuk menyambut ulang tahun ke-99 bapanya. “Ini adalah satu tragedi yang dahsyat untuk keluarga Rockefeller,” kata jurucakap Fraser Seitel. “Richard adalah seorang bapa, anak, abang, suami dan datuk yang baik dan dihormati,” kata Seitel. “Dia adalah seorang juruterbang berpengalaman, dengan profesionnya sebagai seorang doktor perubatan.” Selain doktor dan beliau juga merupakan profesor di sekolah perubatan di Maine hingga tahun 2000 dan masih terlibat dengan aktiviti berkaitan kesihatan bukan berasaskan keuntungan, menurut biografi beliau di laman web Yayasan Rockefeller Brothers. Sumber: AFP
TOP
Pencuri takut hon
SANDAKAN: Seorang wanita warga emas berusia 71 tahun terkejut apabila dihampiri seorang lelaki yang mengacukan pisau sambil meminta menyerahkan wang ketika wanita itu memasuki parkir rumahnya di Taman Yeng Seng, Batu 2 1/2, Jalan Labuk, di sini, kelmarin. Mangsa yang berada di dalam kereta dikatakan terpaksa menyerahkan beg tangan dan secara tidak sengaja tertekan hon, menyebabkan suspek lelaki dipercayai lingkungan 30-an melarikan diri, kira-kira jam 9.30 malam. Menurut sumber, mangsa yang juga pesara guru dikatakan tidak menyedari kehadiran suspek yang muncul secara tiba-tiba ketika dia memperlahankan kereta sebaik menghampiri rumahnya. “Sebaik melepasi pagar rumah, suspek tiba-tiba menghampiri mangsa yang masih berada di dalam kereta lalu terus mengacukan pisau. “Mangsa yang bimbang dicederakan menyerahkan dompet dan suspek terus melarikan diri apabila warga emas ini secara tidak sengaja tertekan hon,” katanya. Katanya, selepas memastikan suspek sudah beredar, mangsa kemudian bergegas ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan untuk membuat laporan. Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan Superintendan Fadzil Mohd Ali, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan gerakan memburu suspek sedang dilakukan. “Mangsa tidak cedera dan tindakan mangsa tertekan hon secara tidak sengaja berjaya mengejutkan suspek lalu terus melarikan diri. “Mangsa kehilangan MyKad, lesen memandu, kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM), kad pesara, telefon bimbit jenama Nokia selain wang tunai RM350 di dalam beg berkenaan,” katanya. Fadzil berkata, berikutan kejadian itu, mangsa kerugian kira-kira RM500. “Mangsa juga gagal mengecam wajah suspek berikutan keadaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 392/397, Kanun Keseksaan kerana melakukan rompak dengan menggunakan senjata,” katanya. Sumber: myMetro Online
TOP
Pelacur Vietnam paling hot
PELACUR warga Vietnam yang ditahan dalam Ops Noda
KUALA LUMPUR – : Perangkaan terbaru menunjukkan pelacur warga Vietnam menguasai ‘carta teratas’ kelompok pelacur warga asing yang ditahan polis di negara ini berbanding pelacur China dan Thailand. Ini dibuktikan apabila 2,133 wanita warga Vietnam yang terbabit dalam aktiviti pelacuran ditahan polis daripada jumlah keseluruhan 6,275 pelacur pelbagai negara ditahan sejak Januari hingga April lalu. Ketua Penolong Pengarah Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Roslee Chik berkata, bilangan wanita Vietnam yang ditahan meningkat berbanding tahun sebelumnya bagi tempoh sama iaitu 1,126 orang. “Peningkatan 1,007 pelacur Vietnam ini ada kaitan dengan permintaan pelanggan dan khidmat lebih mesra ditawarkan wanita Vietnam ini. “Kebanyakan wanita Vietnam yang menjalankan kegiatan pelacuran di pusat hiburan dan rumah urut mengenakan caj lebih murah serta mudah didekati. Ini mungkin menyebabkan mereka menjadi pilihan lelaki tempatan,” katanya. Sumber: myMetro Online
TOP
Anggota militan rancang misi serangan di Syria, Iraq – Sumber
PETALING JAYA: Anggota kumpulan militan yang ditahan pada Jumaat telah dilatih di selatan Filipina dan dikatakan telah merancang untuk terbang ke Syria dan Iraq, di mana kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) sedang menjalankan serangan untuk menjatuhkan rejim sedia ada. Menurut sumber, kumpulan militan ini merangka pelan untuk pergi ke Syria dan melancarkan serangan sebelum menuju ke Iraq untuk ‘mengakhiri’ pelan mereka. “Selepas melakukan serangan, mereka telah merancang untuk melancarkan serangan berani mati di Iraq,” kata sumber. Tambahnya, seorang pegawai Tentera Laut berusia 31 tahun telah bertindak membantu menyeludup masuk pemimpin kanan dari selatan Filipina ke Sabah pada 11 Jun dan juga melindunginya di sebuah rumah yang selamat di Sandakan. “Ini memberi amaran bahawa seorang pegawai Tentera Laut, yang tahu suspek menjadi buruan polis, rela membantu kumpulan militan,” kata satu sumber. Sumber itu berkata, suspek yang berusia 29 tahun, yang merupakan adik kepada pemimpin kanan, pernah mengendalikan sebuah syarikat pengangkutan logistik di Sabah. “Kedua-dua adik-beradik ini mempunyai ideologi yang sama,” katanya. Menurut sumber itu, mereka percaya bahawa ahli-ahli lain dari kumpulan militan masih dilatih di kubu kuat Abu Sayyaf di Jolo dan Basilan. Mereka berkata walaupun 15 militan telah ditangkap setakat ini, tidak ada senjata yang ditemui. Menurut sumber itu, Bahagian Counter Terrorism telah membuat pemantauan rapi di sepanjang sempadan Sabah dan pintu masuk lain di negara ini untuk memastikan sisa-sisa kumpulan militan tidak menggunakan Malaysia sebagai batu loncatan untuk melakukan serangan di Timur Tengah. Sementara itu, Laksamana Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata anggota tentera laut yang ditangkap itu memegang pangkat tinggi dalam tentera. “Kita tidak menyokong aktiviti sedemikian. Ini adalah kes polis dan kita akan biarkan mereka menyiasat. Kami akan mengambil tindakan selepas siasatan selesai.” Pada Jumaat, tiga lelaki termasuk seorang anggota TLDM ditahan oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman kerana disyaki terlibat dengan aktiviti kumpulan militan. Sumber: mStar
TOP
Remaja Bawah Umur Dicekup Berdua-Duaan Dalam Tandas
BANDAR SRI SENDAYAN – Dua remaja berusia 15 dan 13 tahun ditangkap ketika sedang asyik berdua-duaan dalam sebuah tandas di kawasan kedai makan Medan Nusari, dekat sini, semalam. Difahamkan, perlakuan sumbang kedua-dua remaja terbabit disedari beberapa pelanggan kedai makan berkenaan kira-kira jam 10 pagi, semasa mahu menggunakan tandas tersebut yang terletak beberapa meter dari kedai dan berkeadaan sunyi. Salah seorang pelanggan hanya mahu dikenali sebagai Rusydi, 35, berkata, pada mulanya, dia tidak mengesyaki apa-apa ketika melihat remaja lelaki dan perempuan menaiki motosikal bersama menuju ke kawasan tandas itu. “Bagaimanapun, saya mula tidak sedap hati apabila mendapati motosikal dinaiki kedua-duanya masih berada di situ, sedangkan kelibat mereka langsung tidak kelihatan sejak 20 minit lalu. “Pemeriksaan saya bersama rakan-rakan dalam tandas lelaki tidak menemui apa-apa. Namun, alangkah terkejutnya saya kerana ternampak dua pasang kaki dalam keadaan cukup rapat ketika menjengah dari bahagian bawah salah satu tandas wanita,” katanya. Menurutnya, selepas dipaksa membuka pintu, mereka mendapati kedua-dua remaja terbabit sedang berada dalam tandas berkenaan dalam keadaan mencurigakan. “Melalui penjelasan diberikan kedua-duanya, difahamkan remaja perempuan yang sedang menuntut dalam tingkatan satu itu berasal dari taman sekitar kawasan ini, manakala si lelaki pula datang dari Seremban Dua yang terletak lebih kurang 6.3 kilometer dari tempat kejadian. “Mereka juga merayu agar tidak diserahkan kepada pihak berkuasa dan mengaku tidak akan mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang,” katanya yang menjelaskan, ibu remaja perempuan itu sampai di lokasi lebih kurang 45 minit kemudian selepas dihubungi anaknya. Katanya lagi, si ibu langsung tidak menyangka akan berlaku demikian, memandangkan anaknya ada meminta izin untuk keluar dengan alasan mahu pergi bersiar-siar. Kekecohan juga hampir berlaku apabila bapa kepada remaja lelaki terlibat yang tiba beberapa minit kemudian, naik angin dan mengugut mahu memukul Sinar Harian yang cuba mendapatkan maklumat. “Kau siapa? Jangan kurang ajar! Aku belasah kau nanti,” demikian herdik lelaki dalam lingkungan 40-an itu kepada Sinar Harian, semalam yang kemudiannya meminta maaf dan mengaku tertekan dengan perbuatan anaknya. Tinjauan Sinar Harian, semalam mendapati, kedua-dua remaja itu diserahkan kepada ibu bapa masing-masing dan tidak membabitkan pihak berkuasa. Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Nusari Aman 2 (Natra), Terence Santhanam Beh, 41, berkata, beliau hanya mengetahui insiden itu selepas dimaklumkan oleh beberapa penduduk. “Kita kesal dengan kejadian sebegini, lebih-lebih lagi berlaku pada hari Jumaat yang mulia. Kita harap, ibu bapa akan dapat mengawasi anak-anak mereka bagi mengelakkan kejadian seperti ini berulang,” katanya. Sumber: Sinar Onlinet
TOP
Amir Raja Lawak Selamat Bertunang Dengan Intan
Wah! Dalam diam Amir Raja Lawak dah pun bertunang dengan kekasihnya, Intan. Tahniah Amir. Semoga bahagia dan selamat bernikah nanti di gerbang perkahwinan. Sebelum ini, Amir pernah mengatakan mahu menamatkan zaman bujangnya. Majlis diadakan di rumah buah hatinya, Intan pada 13 Jun siang semalam. Gambar kredit dari jurugambar The Permaisuris yang telah memuatnaik gambar pertunangan Amir – Engagement Ceremony of Amir Raja Lawak + Intan. Sebelum ini, Amir Raja Lawak dikatakan beberapa kali putus cinta. Semoga cinta ini adalah cinta terakhir buat Amir. Semogo demo bahagio boh. Sumber: budiey.com
TOP
Guan Eng dibidas pertikai cadangan Kedah bina lapangan terbang
GEORGE TOWN: Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP) membidas kenyataan Ketua Menteri Lim Guan Eng berhubung cadangan kerajaan negeri Kedah untuk membina lapangan terbang antarabangsa di Kulim. Presiden KMPP Rahmad Isahak berkata kenapa beliau harus ego, sombong dan tamak serta memandang rendah terhadap cadangan kerajaan negeri Kedah yang tidak sepatutnya dijadikan isu sebaliknya beliau harus menyokong dan bukan mengugut. “Kongsilah sama hasil pendapatan ekonomi dan jangan hendak bolot atas kapasiti politik semata-mata,” katanya dalam kenyataan di sini, Sabtu. Pada Jumaat Lim dilapor sebagai berkata cadangan tersebut adalah tidak sesuai dari segi ekonomi atau mempunyai justifikasi. Beliau berkata lokasi di Kulim menimbulkan banyak persoalan memandangkan ia begitu hampir dengan Pulau Pinang, tambahan pula Kedah sudah mempunyai dua lapangan terbang iaitu di Langkawi dan Alor Setar. Lim juga dilapor sebagai berkata Pulau Pinang merupakan penerima terbesar pelaburan langsung asing (FDI) di Malaysia sementara kedudukan Kedah begitu jauh dari segi FDI. Beliau juga berkata Pulau Pinang mempunyai hubungan dan rangkaian antarabangsa. Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir sebelum ini berkata kerajaan negeri mendapati terdapat permintaan bagi pengangkutan udara disebabkan kemudahan di lapangan terbang antarabangsa di Pulau Pinang semakin terhad manakala keperluan kargo serta penumpang di masa depan pula bertambah. Sumber: mStar
TOP
Lelaki Warga Myanmar Mati Kena Belasah
BUKIT MERTAJAM – Seorang lelaki warga Myanmar maut selepas dibelasah kira-kira 30 rakannya dalam kejadian di tapak projek pembinaan rumah di Jalan Ara Kuda, di sini, awal pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa yang berusia lingkungan 30-an maut apabilanya lehernya dijerut wayar selain turut ditikam di badan. Selain itu, seorang lagi rakan mangsa parah dan kini masih menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya. Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, siasatan awal mendapati pergaduhan itu tercetus antara dua puak iaitu antara Myanmar Budha dan juga Myanmar beragama Islam. “Kita percaya mereka ini mungkin sudah berdendam ketika berada di negara sendiri dan bergaduh sesama sendiri ketika berada di sini. “Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi. Sumber: Harian Metro
TOP
Lenovo K920: Peranti 6 inci Dengan Skrin 2KTerbunuh Jatuh Dari Tingkat Tujuh Di Cheras
Lenovo boleh dikatakan merupakan salah satu nama yang sedang meningkat naik dikalangan pengguna, terutamanya pengguna telefon pintar baru di Malaysia. Terkini, mereka telah memperkenalkan sebuah telefon pintar baru, dinamakan sebagai Lenovo K920. Lenovo K920 membawakan skrin bersaiz 6-inci dengan resolusi 2560×1440 pixel. Peranti ini merupakan antara telefon pintar dengan skrin 2K di pasaran pada hari ini. Melengkapkan peranti ini adalah cip pemprosesan Snapdragon 801 2.5Ghz, serta dilengkapi memori 3GB RAM. Untuk bahagian belakang, ia menyertakan kamera 16-megapixel dan juga kamera hadapan 5-megapixel. Seperti biasa, telefon pintar ini menggunakan Android 4.4 KitKat, dan turut hadir dengan antaramuka khusus daripada pihak Lenovo. Buat masa ini ia tidak diketahui lagi sama ada pihak Lenovo akan membawanya masuk ke pasaran Malaysia ataupun peranti ini akan hanya khusus untuk pasaran di China sahaja.
Sumber: hzqahmd
TOP
Ternak 100,000 Lipas Yang Dianggap Anak
GUANGZHOU – Seorang wanita warga Guangdong mendedikasikan hidupnya dengan menternak 100,000 lipas dan menganggap serangga itu anaknya. Pembiakan lipas untuk tujuan perubatan dan kosmetik adalah antara industri yang berkembang pesat di China ketika ini. Tetapi tiada siapa yang begitu tekun seperti Yuan Meixia, 37, yang menjadi terkenal di Guangdong kerana mempunyai lebih 100,000 lipas.
Dia memelihara lipas itu di sebuah rumah lama berhampiran hutan berhampiran hutan di kampungnya. “Lipas yang sering anda dilihat ialah Blattella Germanica, tetapi baka yang saya biak ialah Periplaneta Americana. “Ia penggemar makanan kanji dan manisan,” katanya. Bahagian siling dan dinding rumah lipas itu ditutup dengan konkrit. Ketika cuaca panas terik, Yuan menyejukkan suhu dengan menyiram air pada dinding rumah berkenaan. Apabila keadaan terlalu sejuk, dia memanaskan bilik itu menggunakan api dapur. “Lipas paling aktif pada waktu malam. Ia akan mencari makanan dan pasangan,” katanya. Yuan menyediakan makanan untuk serangga itu dan mengasingkan anak dengan lipas dewasa, kemudian meletakkan mereka ke dalam kotak serta papan kayu pada jam 6 petang setiap hari.
Menurut Yuan, lipas akan mula mengawan selepas makan dan lipas jantan mati sejurus selepas itu. Selain membiak lipas, Yuan mempunyai kerja tetap sebagai kerani farmasi. “Tahun lalu, saya menonton program mengenai seorang wanita di wilayah Anhui yang membiak lipas untuk tujuan perubatan. “Saya menghabiskan ribuan yuan selama seminggu di sana untuk belajar memberi lipas makan. Saya juga menghabiskan 10,000 yuan (RM5,200) untuk membeli telurnya. Sekarang saya mempunyai 100,000 lipas dan menternaknya adalah tugas kedua saya,” katanya. Yuan berkata, setelah lipas dewasa, ia akan melemaskannya di dalam air, mengering dan membungkusnya ke dalam plastik sebelum menjualnya di kilang farmasi di Anhui. Sumber: Agensi
TOP
Kes Bible: MAIS Tidak Setuju Keputusan Peguam Negara
SHAH ALAM – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tidak bersetuju dengan keputusan Peguam Negara pada 11 Jun lalu untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap Persatuan Bible Malaysia (PBM). Pengerusinya, Datuk Mohd Adzib Mohd Isa, dalam satu kenyataan kepada media sebentar tadi, berkata, MAIS yakin wujud ruang dalam Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di kalangan Orang Islam) 1988 yang membolehkan pendakwaan dibuat. Katanya, MAIS juga tidak bersetuju dengan arahan EXCO Selangor yang mengarahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memulangkan bible berbahasa Melayu yang dirampas itu kepada PBM. Sehubungan itu, katanya, MAIS mendesak Bahagian Pendakwaan Selangor merujuk perkara itu kepada mahkamah terlebih dulu bagi mendapatkan perintah pelepasan barang kes, selaras dengan peruntukan mengikut Seksyen 407A Kanun Acara Jenayah. Sumber: BH Online
TOP
5,000 Rumah PR1MA, Cawangan UPSI Dibina Di Teluk Intan
TELUK INTAN – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan beberapa inisiatif bagi pembangunan Teluk Intan termasuk pembinaan 5,000 unit rumah di bawah program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) serta penubuhan cawangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Sebagai memenuhi manifesto Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi projek pembangunan di kawasan berkenaan. “BN adalah sebuah parti yang berpegang kepada falsafah dan prinsip bahawa BN menetapi janji dan membawa harapan kepada penduduk kawasan ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Bersama Rakyat dan pelancaran PR1MA Teluk Intan di sini. Bagi projek PR1MA, Najib berkata sebagai permulaan, sebanyak 1,000 unit rumah akan dibina di kawasan itu. Projek PR1MA Teluk Intan secara keseluruhannya melibatkan kawasan seluas 202 hektar. Projek PR1MA di Teluk Intan melibatkan kerjasama antara Perbadanan PR1MA Malaysia, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan Koperasi Pegawai-pegawai Melayu Malaysia Bhd (MOCCIS). Bagi penubuhan cawangan UPSI, Najib berkata kampus berkenaan akan menempatkan 1,000 guru yang akan dilatih dalam bidang vokasional dan teknikal. “Kawasan Teluk Intan akan mendapat kesan yang begitu baik (dengan pembinaan cawangan UPSI)…. (cawangan) itu akan cuba siap tiga hingga empat tahun akan datang,” katanya. Selain peruntukan RM5 juta itu, beliau berkata sebagai bakal menteri, Anggota Parlimen Teluk Intan, Datuk Mah Siew Keong akan turut menerima peruntukan khas yang dapat digunakan untuk kepentingan penduduk kawasan itu. Katanya semua peruntukan yang disalurkan adalah untuk memenuhi permintaan penduduk Teluk Intan. Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada pengundi Teluk Intan kerana menyokong BN sehingga membawa kepada kemenangan Mah pada PRK Parlimen itu, 31 Mei lepas selepas menewaskan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud dengan majoriti 238 undi. “Saya datang untuk memastikan janji-janji (BN) ditunaikan. Saya nak ucap setinggi-tinggi perhargaan kepada pengundi yang menyokong BN. “Saya tidak sedap duduk kalau saya tidak turun hari ini untuk berjumpa rakyat Teluk Intan,” katanya. Beliau berkata kemenangan itu membuktikan pengundi yakin BN adalah parti yang menepati janji dan membawa harapan baharu kepada penduduk kawasan itu. “Kita menang kerana kebolehpercayaan rakyat terhadap BN meningkat. Ramai yang merasakan bahawa jika BN diberi peluang akan berlaku perubahan persekitaran dari segi pembangunan sosio-ekonomi di kawasan itu,” katanya. Sumber: Bernama
TOP
Maki Kawan Kerana Bangkit Hutang RM1,800
Hanya kerana hutang, sanggup seorang lelaki memaki hamun kawannya dengan kata-kata kesat. Dikala berdepan dengan kesusahan, bukan main manis lagi mulut berbicara meminta pertolongan dari kawan sendiri. Pelbagai janji manis ditaburkan untuk menyakinkan si kawan. Namun dalam perbualan mesej di atas, "memang aku tak pernah plan nak bayar" Betapa sakitnya hati membaca ayat seperti itu. Adalah amat malang sekali memiliki kawan seperti ini. Lebih-lebih lagi kawan yang dikenali sejak dari kecil lagi. RM1,800 bukanlah satu jumlah yang kecil. Sungguhpun lelaki itu memiliki pekerjaan yang besar pendapatannya, RM1,800 itu masih satu amaun yang diperlukan untuk menyara hidupnya sendiri, keluarga, ataupun ibu bapa di kampung.
Hutang dari perspektif Islam
Perspektif Islam berkenaan hutang dapat difahami dengan jelas jika kita merujuk hadis-hadis Rasulullah SAW. Antaranya hadis Rasulullah SAW bermaksud: “Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban syahid, kecuali jika dia mempunyai hutang (kepada manusia)” (Riwayat Muslim, 6/28) Nampak di situ betapa besarnya isu hutang ini di mana mereka yang mati syahid yang dijanjikan syurga sekalipun tidak akan terampun dosanya jika mempunyai hutang kepada manusia.
Di dalam satu lagi hadis Rasulullah SAW bersabda:
“Barang siapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, ALLAH akan mengembalikan pinjaman itu, namun barang siapa yang meminjamkannya dengan niat ingin merugikannya, ALLAH akan merugikannya” (Riwayat al-Bukhari, 2/83) Islam juga melihat hutang sebagai sesuatu yang membahayakan individu dan umat Islam. Ini dapat dilihat dari doa yang diajar oleh Rasulullah SAW yang berbunyi: “Ya ALLAH, aku berlindung kepada-Mu dari dosa dan hutang, lalu Baginda ditanya: Mengapa tuan sering meminta perlindungan dari hutang, wahai Rasulullah? Baginda menjawab: “Jika seseorang berhutang, bila berbicara ia dusta, bila berjanji ia mengingkari” (Riwayat al-Bukhari, 1/214) Ingatlah, jika berhutang tu bayarlah sedikit demi sedikit lama-lama habis juga. Mohon maaf dengan si pemberi hutang dan bukannya bersikap seperti gambar yang kami paparkan di atas. Sayu hati mengenang ada manusia yang bersikap begini. Soal hutang usah dipandang ringan. Sumber: My Media Hub Online
TOP
Laman Kartun Lucah Bertudung dan Sumbang Mahram
Terkini dikesan yang mana sebuah laman web lucah dari negara seberang yang memaparkan gambar-gambar kartun beraksi lucah telah tersebar di kalangan remaja-remaja kita. Menurut akhbar tempatan harian perkara ini telah dikesan oleh seorang bapa di Cheras apabila mendapati anaknya itu melayari laman tersebut. Bahayanya laman ini kerana ia memaparkan karikatur beraksi lucah dengan gambaran mereka beragama Islam yang mana watak-watak wanitanya itu bertudung dan ada diantara watak lelakinya pula beserban. Selain itu aksi-aksi terlarang yang ditunjukkan itu juga seperti dilakukan bersama ahli keluarga sendiri termasuklah aksi ibu dan anak serta datuk dan cucu. Yang tidak masuk akalnya ialah banyak komen-komen positif pada laman tersebut tentang perkara ini yang mana dianggap satu seni dan perlu diperbanyakkan lagi karya-karya seperti ini. Amat berharap sekiranya pihak berkuasa dapat mengambil tindakan dengan kadar segera menyekat akses ke laman tersebut dari Malaysia. Perkara ini tidak boleh dibiarkan kerana ia boleh mempengaruhi masyarakat kearah sumbang mahram. Selain itu karya-karya seperti itu juga seperti menghina dan memburuk imej masyarakat Islam.
TOP
Cubaan Culik Kanak-Kanak di Ampang
KES PERTAMA
Dua hari lepas mungkin ada menerima satu whatsapp mengenai kes cubaan culik kanak-kanak di lembah Klang. Modus operandi suspek adalah memasuki taman perumahan pada waktu kerja dengan menaiki van warna putih. Sasaran suspek adalah kanak-kanak yang bermain depan rumah. Suspek akan memberitahu kanak-kanak ibu atau ayah terlibat dalam kemalangan dan ingin membawa kanak-kanak pergi ke hospital. Jika ada penjaga yang bodoh dan tidak berhati-hati, kanak-kanak akan dapat dibawa lari. Oleh itu diharap penjaga seperti pengasuh tidak senang-senang melepaskan kanak-kanak di bawah tanggungjawab mereka kepada orang yang tidak dikenali, walaupun mereka membawa surat kuasa. Sila telefon dahulu ibu atau bapa kanak-kanak untuk kepastian. Jika betul ibu dan bapa kanak-kanak sudah meninggal dunia, pegawai kebajikan masyarakat diiringi pegawai polis akan datang untuk mengambil kanak-kanak sementara mencari waris terdekat.
KES KEDUA
Kes ini lagi dasyat kerana suspek terus hendak menarik tangan kanak-kanak masuk ke dalam van. Anda boleh baca laporan polis di atas yang dibuat oleh si bapa. Saya rasa suspek dalam kes ini adalah orang yang sama dengan kes pertama tadi. Mungkin kerana terdesak, suspek cuba menculik dengan cara kasar. Mujur ada si abang yang cerdik. Mungkinkah ini dia "serial rapist" atau perogol bersiri kanak-kanak kes sensasi dahulu yang membunuh kanak-kanak dan menyumbat mayat mangsa dalam beg? Mungkinkah mereka berdua sudah kembali mengganas. Mengikut laporan psikologi kebanyakkan perogol bersiri ini adalah lelaki normal, bekerja dan kekadang mempunya keluarga. Tetapi apabila sampai masa tertentu mereka akan mendapat gerak hati atau naluri pelik untuk merogol atau membunuh. Mengikut statistik pula, kebanyakkan "unsolved case" atau kes belum selesai ini tidak dapat dirungkai kerana suspek mungkin bekerjasama, iaitu terdapat lebih daripada seorang suspek. Trending Malaysia berharap pihak berkuasa dapat membuka semula kertas siasatan dan juga meningkatkan rondaan di kawasan terlibat. Sekali lagi dinasihatkan supaya ibu bapa mengingatkan anak-anak jangan bercakap dan ambil makanan atau minuman daripada orang yang tidak dikenali. Mari kita berdoa agar keluarga kita dan mereka yang tersayang selamat. Sumber: Trending Malaysia
TOP
Pelanggan Fareeda Doa Keturunan Mawar & Fizo Jadi Pengemis?
Hanya kerana kecewa dan gagal mendapatkan tudung Fareeda pada 7 Jun yang lalu, Salina Abu Zar secara terbuka mendoakan anak cucu dua pasangan sweet ini menjadi pengemis dan tidur di kaki 5 bagi merasai apa yang dirasakan oleh peminat-peminat Fareeda yang terpaksa beratur panjang dan lama semata-mata ingin mendapatkan tudung baru Fareeda. Ini berikutan ketiadaan stok seperti yang dijanjikan.
Katanya lagi, peminat Fareeda sanggup berbaris panjang, berpeluh, sampai pengsan pun ada tetapi akhirnya tertipu dengan janji manis mereka. Lantas Mawar dan Fizo dilabelkan sebagai beruk dan kuat menipu. Perkara seperti ini patutnya dapat dielakkan. Sudah tentu Fareeda tahu bahawa apa saja keluaran terbaru Fareeda pasti akan mendapat sambutan hangat. Jadi, sediakanlah stok yang mencukupi. - My Media Hub p/s: pasal tudung pun nak doa benda bukan² ke? awat tak doakan Fareeda keluarkan stok banyak sikit? Sumber: MyMediaHubOnline.blogspot.com
TOP
TLDM sahkan suspek militan anggotanya
KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengesahkan seorang anggotanya yang berpangkat Laskar Kanan ditahan polis di Sandakan, Sabah semalam selepas disyaki terbabit dalam kegiatan militan. TLDM dalam satu kenyataan menyebut bahawa anggota yang ditahan dalam operasi khas Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman itu kini masih dalam siasatan polis. “Anggota yang ditahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas 2012) itu masih dalam siasatan polis dan kes akan dikendalikan pihak polis,” menurut kenyataan itu. Sementara itu Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata pihaknya akan mengambil tindakan selanjutnya selepas kes itu selesai disiasat pihak polis. “Kita tidak mengetahuinya. Kita tidak memaafkan aktiviti sedemikian. Ini merupakan kes polis dan kita akan biarkan pihak polis menyiasat. Kita akan mengambil tindakan selepas siasatan mereka selesai,” katanya kepada Bernama. Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata seorang daripada tiga individu yang ditangkap merupakan anggota kanan sel militan yang disyaki telah menjalankan latihan ketenteraan di kem milik Kumpulan Abu Sayyaf di selatan Filipina sejak 22 April lalu. Manakala dua lagi suspek termasuk seorang anggota TLDM yang bertugas di Sandakan ditahan kerana disyaki membantu anggota militan itu menyusup masuk ke Sandakan dan melindunginya. Sumber: Malaysia Gazzete
TOP
Risiko Penyakit Berjangkit: PBPM Mohon Hospital Khas Anggota Polis
PETALING JAYA: Kerajaan diminta mempertimbangkan cadangan untuk mewujudkan hospital khas kepada anggota polis seperti mana kemudahan kesihatan yang disediakan kepada pihak tentera. Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM), Shafie Bakri berkata, saranan itu perlu kerana tugas anggota polis terdedah kepada risiko dijangkiti penyakit bawaan tahanan. "Hospital khas seperti ini dapat memberi perkhidmatan kesihatan yang lebih fokus kepada anggota polis yang ada masalah kesihatan serius. "Anggota polis bukan senang-senang dapat cuti sakit, walaupun mereka benar-benar sakit," katanya kepada mStar Online. Berkongsi cerita yang pernah dilaluinya, Shafie berkata, beliau pernah diludah penjenayah dan menganggap ia sebagai sebahagian pengalaman menjijikkan. Katanya, insiden seperti itu boleh menyebabkan anggota polis terdedah kepada pelbagai penyakit berjangkit, terutama ketika berdepan dengan tahanan pada sesi soal siasat.
Shafie Bakri.
"Antara penyakit yang sering dialami anggota polis, terutama selepas menyoal siasat tahanan adalah batuk kering, demam dan selesema. "Tugas anggota polis ini bukan mudah, kami sering dicaci, dimaki dan pernah juga saya diludah pelacur, selain tahanan meminta duit sebagai tambang untuk pulang," katanya. Sebelum ini, portal ini menyiarkan laporan mengenai 243 tahanan mati dalam lokap polis sejak 2000 dengan 90 peratus daripadanya kerana masalah kesihatan. Sehubungan itu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menyarankan supaya dilakukan saringan kesihatan untuk setiap tahanan, selain anggota polis diberi suntikan vaksin bagi mengelak dijangkiti penyakit berjangkit. Mengulas berhubung perkara itu, Shafie berkata, beliau setuju anggota polis diberi suntikan vaksin serta menjalani pemeriksaan secara berkala bagi mengelakkan mereka terkena penyakit bawaan penjenayah. "Tugas anggota polis ini sangat berisiko dan sering kali terdedah kepada pelbagai penyakit. Oleh itu, saya menyambut baik cadangan Suhakam itu," katanya. Beliau turut mencadangkan agar kerajaan mewujudkan skim perlindungan insuran individu berbanding insurans berkelompok bernilai RM18,000 sekiranya berlaku kematian kepada anggota polis. "Sekarang ini kita hanya ada insuran kelompok, kita berharap dengan adanya skim insurans individu ini dapat meringankan beban keluarga. "Kasihanilah anggota polis yang maut ketika bertugas, apa akan terjadi kepada balu untuk meneruskan kehidupan, bagaimana pula nasib anak-anak mereka untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi," katanya.
TOP
Empat Lelaki Cuba Samun Rumah Pegawai Kanan Polis
KUALA LUMPUR: Niat empat lelaki dipercayai untuk menyamun rumah seorang pegawai kanan polis berpangkat datuk di Damansara di sini hari ini tidak kesampaian, selepas dikejutkan dengan satu das tembakan. Menurut sumber polis, dalam kejadian 7 pagi itu, empat lelaki dipercayai warga Indonesia menaiki dua motosikal, berlegar-legar di hadapan pagar rumah pegawai polis berkenaan. Dua anggota polis kemudiannya menghampiri kumpulan lelaki itu sebelum seorang daripada kumpulan lelaki itu mengeluarkan objek dipercayai senjata api. Anggota polis berkenaan bertindak melepaskan satu das tembakan amaran menyebabkan kumpulan penjenayah itu melarikan diri. Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Bakri Zinin ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu namun enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan.
TOP
Kaki Budak Empat Tahun Tersepit Dalam Lubang Tandas
GEORGE TOWN: Seorang budak lelaki berusia empat tahun tergelincir hingga menyebabkan kaki kanannya tersangkut dalam lubang tandas di sebuah flat di Jalan Sungai di sini. Muhammad Iskandar Hakimi Mohd Azrul terpaksa menahan kesakitan hampir dua jam sebelum anggota bomba berjaya mengeluarkan kakinya pada pukul 11.40 pagi. Nenek mangsa, Salbiah Ariffin, 61, berkata cucu lelakinya itu mengadu sakit perut dan secara tidak sengaja membuang air besar dalam seluar pada pukul 10 pagi. Dia kemudiannya membawa ke tandas untuk mencuci najis tersebut ketika itulah insiden malang itu berlaku. "Saya hampir pengsan dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Saya segera meminta bantuan dan menelefon balai bomba," katanya ketika ditemui di rumah sewanya pada Jumaat. Ketika insiden malang itu berlaku mangsa yang berada dalam keadaan ketakutan dan sakit turut ditenangkan oleh jiran dan anggota bomba. Pegawai bertugas di Jabatan Bomba Perak, Yaakob Abdul Aziz berkata pihaknya terpaksa memotong paip PVC jiran yang tinggal di unit bawah pangsapuri berkenaan dalam usaha membebaskan kaki kanak-kanak tersebut. "Kami hampir berputus asa dalam usaha mengeluarkan kaki kanak-kanak tersebut, kami terpaksa memecahkan mangkuk tandas dan lantai namun usaha tersebut tidak membuahkan hasil. "Kerja menyelamat juga agak sukar kerana tiada ruang udara atau vakum yang boleh membantu untuk membebaskan kaki kanak-kanak tersebut. Kami juga terpaksa memecahkan lantai tandas untuk memudahkan kerja, sebaik sahaja kami memotong paip PVC tersebut kami dapat melihat kaki kanak-kanak tersebut. "Kami turut meletakkan minyak pada kaki mangsa dan kemudiannya menolaknya ke atas," jelas anggota bomba tersebut. Yaakob berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.19 pagi dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian. Seorang lagi anggota bomba, N. Jayashankar berkata keluarga kanak-kanak lelaki itu telah menghantar mangsa ke Hospital Pulau Pinang untuk menjalani ujian imbasan sinar x untuk melihat sama ada dia mengalami sebarang keretakan pada tulang kakinya. "Kaki mangsa tersepit lebih daripada satu jam. Kami bimbang dia mengalami sebarang kecederaan," katanya.
TOP
Perintah Darurat Thailand Ditarik Balik
BANGKOK: Junta tentera Thailand menarik balik perintah berkurung di seluruh negara ini. Majlis Keamanan dan Ketenteraman Negara (NCPO) mengumumkan perkara itu petang ini. Rakyat Thailand yang gilakan sukan bola sepak sebelum ini melobi agar perintah berkurung ditarik balik buat seketika bagi membolehkan mereka menonton siaran perlawanan Piala Dunia 2014 di luar rumah. Bola sepak merupakan sukan paling diminati di Thailand dan pada masa ini, seperti kebanyakan negara di rantau Asia Tenggara, ada kemungkinan berbilion baht akan bertukar tangan menerusi pertaruhan oleh peminat dan kaki judi dalam menyokong pasukan kegemaran mereka. NCPO berkata perintah berkurung ditarik balik berikutan keadaan semakin pulih dan bagi menghidupkan semula industri pelancongan. Perintah berkurung dikuat kuasakan di negara ini selepas pihak tentera merampas kuasa pada 22 Mei lepas.
TOP
Penguatkuasaan Akta Kawalan Harga Lebih Ketat Menjelang Ramadan - Najib
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus berusaha untuk membantu meringankan beban rakyat melalui penguatkuasaan Akta Kawalan Harga yang lebih ketat terutamanya menjelang Ramadan dan Syawal, kata Datuk Seri Najib Tun Razak. "Menjelang bulan Ramadan yang bakal tiba dan disusuli pula dengan Syawal, kerajaan akan terus berusaha untuk membantu meringankan beban rakyat melalui penguatkuasaan Akta Kawalan Harga yang lebih ketat," kata Perdana Menteri dalam laman Facebook beliau hari ini. Najib turut berkongsi berita Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bertajuk "Kerajaan Laksana Pelbagai Program Bantu Rakyat Tangani Kenaikan Kos Sara Hidup - Muhyiddin" di laman Facebook dan Twitternya. Menurut berita itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan melaksanakan pelbagai program untuk membantu rakyat menangani kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini. Sambil menempelak tuduhan pembangkang kononnya kerajaan tidak berbuat apa-apa untuk membantu rakyat, Muhyiddin berkata kerajaan telah banyak melakukan pelbagai program bagi meringankan beban rakyat termasuk melaksanakan Akta Kawalan Harga sebagai satu undang-undang yang melindungi kepentingan pengguna. "Hanya Malaysia sahaja yang mempunyai undang-undang mengawal harga barangan keperluan dan makanan ini, terutama menjelang musim-musim kritikal seperti waktu perayaan," kata Muhyiddin selepas merasmikan Program Jom Bertani di Kampung Nyior Tujuh, Jerteh, Terengganu, semalam. Sementara itu, hasrat Malaysia untuk menjamin daya saing global, Najib berkata kerajaan perlu bersungguh-sungguh mempertimbangkan dan melaksanakan langkah-langkah untuk memastikan kesejahteraan rakyat di peringkat masyarakat supaya lebih tepat mencerminkan kesejahteraan sebenar negara. "Malaysia menduduki ranking ke-56 daripada 156 negara dalam Indeks Kebahagian Dunia 2013 yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). "Kemajuan mapan sesebuah negara dalam dunia global dan berdaya saing hari ini tidak boleh diukur semata-mata dengan prestasi KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) sahaja," katanya. Perdana Menteri berkata pertumbuhan pesat Malaysia ke arah mencapai status negara maju mestilah selari dengan status kesejahteraan rakyat. "Dalam penjelmaan intipati 1Malaysia, kita secara kolektif mesti memastikan semua rakyat Malaysia dapat maju bersama-sama dalam masyarakat yang saksama," katanya.
TOP
Bayi Mati Dalam Gaung: Agen Pembantu Rumah Akan Didakwa
PETALING JAYA: Seorang agen pembantu rumah akan didakwa Selasa depan atas kesalahan membunuh seorang bayi yang ditemui mati di gaung di Genting Highlands Ketua Polis Selangor Timbalan Komisioner Kanan, Datuk Abdul Samah Mat berkata lelaki yang berusia 40an itu juga berhadapan dengan tuduhan penyeludupan manusia. Lebih mengejutkan apabila, sindiket tersebut dikatakan telah memaksa pembantu rumah warga asing bekerja tanpa apa-apa bayaran dan mereka turut didera secara seksual. "13 orang wanita diselamatkan selepas sindiket diserbu. Seorang wanita bersama anaknya turut berada dalam keadaan yang baik. "Mereka masih ditahan dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen atas kesalahan tinggal terlalu lama dan tidak mempunyai kerja. "Saya tidak boleh komen mengenai dakwaan bahawa suspek telah merogol beberapa wanita namun perkara berkenaan sedang disiasat," katanya. Polis telah dimaklumkan mengenai kes pada 31 Mei lalu selepas wanita Indonesia berusia 33 tahun, mendakwa dia telah bekerja dengan agensi tersebut selama dua tahun. Mangsa membuat laporan polis dengan mendakwa bayinya telah mati namun dia tidak dapat menemuinya. Mangsa mendakwa dia mengandung selepas dirogol oleh majikannya tahun lalu dan bayi tersebut telah dilahirkan pada 23 Novemberu lalu. Pada 2 Jun lalu, polis telah menyerbu tiga rumah di Kota Kemuning dan berjaya menyelamatkan 12 wanita warga Indonesia yang berusia antara 20 hingga 30 an. Difahamkan lelaki berkenaan tidak membayar gaji kepada pembantu rumah berkenaan sementara pekerja lain turut dijadikan sebagai hamba seks. Suspek memberitahu pihak polis bahawa dia dengan sengaja memisahkan ibu dengan bayi berusia 6 bulan itu kerana bimbang bayi tersebut dijangkiti Hepatitis B
TOP
Thailand Tubuh 100 Pasukan Pemeriksa Beras di Gudang
BANGKOK: Kerajaan Thailand akan menubuhkan 100 pasukan untuk memeriksa sekurang-kurangnya 1,800 gudang di seluruh negara iaitu tempat simpanan beras yang dibeli kerajaan di bawah skim subsidi yang kini ditamatkan. Pasukan itu akan memulakan pemeriksaan kuantiti dan kualiti beras mulai hujung bulan ini, kata Panadda Diskul, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Dalam Negeri. Beliau berkata beras yang disimpan di dalam gudang itu tidak dibenarkan dipindah keluar. Beliau bagaimanapun tidak menyatakan jumlah keseluruhan beras yang disimpan di dalam gudang itu buat masa ini, dan menambah beliau sedang menunggu pegawai daripada Kementerian Perdagangan untuk menyerahkan maklumat itu kepadanya sebelum akhir bulan ini. Ketua Majlis Kebangsaan bagi Keamanan dan Kententeraman (NCPO) Jeneral Prayuth Chan-ocha sebelum ini mengumumkan skim yang diselubungi banyak masalah itu akan ditamatkan. Proses pembayaran kembali kepada petani masih terus dilaksanakan. Sejak 26 Mei sehingga hari ini, kira-kira 749,072 petani telahpun dibayar sejumlah 75.754 bilion baht bagi beras yang mereka jual kepada kerajaan, menurut Bank Pertanian dan Koperasi Pertanian. NCPO meluluskan 92 bilion baht sebagai bayaran kepada 800,000 pesawah padi yang terpaksa menunggu berbulan-bulan untuk mendapat wang mereka selepas kerajaan sebelum ini pimpinan Perdana Menteri Yinguck Shinawatra gagal memperoleh dana secukupnya untuk membiayai skim berkenaan.
TOP
Deposit Secara Haram: Pengarah Urusan & Isteri Dipenjara
KUANTAN: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara enam tahun ke atas seorang pengarah urusan manakala isterinya dihukum penjara empat tahun kerana mengambil deposit daripada orang ramai secara haram antara 2006 dan 2007. Syarikat milik mereka, Jai Network System Sdn Bhd, pula didenda RM3 juta bagi kesalahan sama. Hakim Noradida Ahmad membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Datuk Jailani Jabar, 48, dan Datin Latifah Taib, 47, gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan. "Hukuman itu dijatuhkan terhadap kedua-dua tertuduh atas dasar menjaga kepentingan orang awam melebihi kepentingan peribadi, serta mengelak ia menjadi lebih serius jika tidak dibendung," katanya. Mereka didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (BAFIA). Pasangan itu turut berdepan pertuduhan mengikut Subsesyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 membabitkan hampir RM170 juta bagi tempoh yang sama. Bagi kesalahan ini, Jailani dihukum penjara empat tahun manakala isterinya dua tahun serta denda RM50 juta. Noradida memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman itu secara serentak mulai hari ini. Terdahulu, peguam Mohd Firuz Jaffril meminta mahkamah menjatuhkan hukuman ringan ke atas mereka kerana Jailani perlu menanggung 19 orang anak yang berumur lingkungan tujuh bulan hingga 28 tahun. Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Bank Negara Malaysia Fahmi Abd Moin meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal agar menjadi tauladan kepada orang ramai kerana kes itu membabitkan kesalahan yang serius. Turut mewakili pendakwaan ialah Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farez Rahman dan Pegawai Pendakwa Mohd Shukri Ahmad Mansor.
TOP
Dua Larikan Wang, Rokok Dari Stesen Minyak
KULIM: Dua perompak yang memakai topi keledar muka penuh bersenjata sebilah parang melarikan wang tunai serta rokok bernilai RM1,260 dari sebuah stesen minyak di Jalan Bukit Awi di sini hari ini. Pemangku Ketua Polis Daerah Kulim Deputi Superintenden Chin Su Song berkata terdapat tiga pekerja wanita dalam stesen minyak itu ketika dua lelaki datang dan berpura-pura hendak membeli air pada 1.45 tengah hari. "Ketika membawa botol air ke kaunter yang ketika itu hanya ada seorang pekerja wanita, seorang perompak mengeluarkan sebilah parang lalu mengacu ke arah penjaga kaunter dan meminta wang secara paksa," katanya ketika dihubungi. Beliau berkata akibat ketakutan, pekerja itu menyerahkan wang tunai yang terdapat dalam mesin berjumlah kira-kira RM1,200. Suspek turut mencuri enam kotak rokok yang terdapat bersebelahan kaunter sebelum memboloskan diri dengan sebuah motosikal. Chin berkata polis kini memburu suspek berkenaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat, diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim Inspektor K.Vasu di talian 04-4906 222
TOP
Samsung Lancar Tablet Galaxy Tab S
NEW YORK CITY (Amerika Syarikat) – Samsung memperkenalkan tablet baru setebal 6.6 milimeter (mm) dengan teknologi skrin yang dimajukan untuk menambah baik paparan imej dan video di sini, hari ini. Tablet paling nipis dikeluarkan Samsung setakat ini ditawarkan dalam dua versi iaitu 8.4 inci dan 10.5 inci serta dilengkapi teknologi skrin Super AMOLED WQXGA beresolusi 2560 x 1600 dengan nisbah kontras 100,000:1. Ia hanya seberat 465 gram bagi model 10.5 inci dan 294 g bagi 8.4 inci dan kedua-dua setebal 6.6 milimeter. Penggunaan skrin Super AMOLED ini menghasilkan paparan lebih jelas selain imej yang lebih vivid. Pelarasan skrin juga berubah secara automatik berdasarkan aplikasi yang diguna serta keadaan pencahayaan sekeliling. Kuasa bateri tablet juga dapat tahan kira-kira 11 jam kerana penggunaan Super AMOLED yang tidak memerlukan cahaya belakang selain mod ‘Battery Saving’. Galaxy Tab S juga mempunyai pengimbas cap jari dan menggunaan OS Android 4.4 (Kitkat). Ia boleh didapati dengan setoran 16GB atau 32GB serta pilihan rangkaian Wi-Fi sahaja atau Wi-Fi bersama LTE. Samsung Galaxy Tab S akan mula dijual dengan harga AS$399 (RM1,280) bagi versi 8.4 inci (Wi-Fi) dan AS$499 (RM1,600) bagi versi 10.5 inci di Amerika Syarikat mulai Julai, diikuti pasaran lain selepas itu. Sumber: myMetro
TOP
Galaxy K Zoom Akan Ditawarkan Dengan Harga RM1699
Seperti mana yang Samsung katakan sebelum ini, Galaxy K Zoom bakal ditawarkan di Malaysia bermula bulan ini, dimana Galaxy K Zoom berwarna putih akan ditawarkan bermula 21 Jun, sementara yang berwarna hitam akan ditawarkan bermula 26 Jun kelak. Samsung Galaxy K Zoom telah diperkenalkan secara rasminya pada bulan Mei yang lepas, dimana ia membawakan sokongan zoom optikal sehingga 10x pada peranti mudah-alih. Secara kasarnya, Galaxy K Zoom boleh dikatakan sebagai kemaskini keluarga Galaxy S4 Zoom pada tahun lepas, dan pihak Samsung mungkin menggunakan nama keluarga “Galaxy K” supaya pengguna tidak keliru dengan penawaran mereka. Samsung sendiri ketika pengenalannya dulu mengatakan yang mana keluarga “Galaxy K” akan memfokuskan kepada sokongan kamera yang baik pada peranti mudah-alih. Melengkapkan peranti ini adalah cip pemprosesan enam teras (1.3Ghz empat-teras dan 1.7Ghz dwi-teras), skrin sentuh bersaiz 4.8-inci HD Super AMOLED, kamera belakang 20.7-megapixel 1/2.3 BSI CMOS dengan sokongan zoom optikal sehingga 10x, kamera hadapan 2-megapixel, bateri berkapasiti 2430mAh, dan hadir dengan Android 4.4 KitKat dan pelbagai penambahan daripada Samsung. Di Malaysia, Samsung Galaxy K Zoom ini akan dijual pada harga RM1699. Samsung turut melengkapkan peranti ini dengan pelbagai ganjaran tambahan seperti aplikasi Share Lens percuma selama tiga bulan, akses TM Wifi percuma selama 90 hari, dan bebeberapa perkara lain lagi. Sumber: hzqahmd
TOP
Makanan Segera Memang Sedap Tapi…
Gaya hidup masyarat Malaysia kini telah menjejaskan gaya pemakanan yang seimbang dan sihat. Faktor seperti kesibukan bekerja, jadual harian yang terlampau padat dan sebilangan wanita yang bergelar isteri semakin banyak bekerjaya menyebabkan kurangnya pengambilan makanan yang dimasak sendiri di rumah. Bagi kebanyakan orang, mereka pasti akan memilih jalan mudah iaitu membeli makanan segera seperti KFC, Mcdonals, Marry Brown, Pizza Hut, dan Burger King kerana ianya mudah dan cepat disediakan. Namun, sekiranya anda meneliti dengan bijak, mampukah makanan sebegini menyaingi khasiat makanan yang dimasak di rumah? Atau hanya memberi kelazatan semata-mata. Diantara keburukan memilih makanan segera sebagai diet utama ialah kandungan Monosodium Glutamat (MSG) nya yang tinggi. MSG merupakan penambah perisa yang amat berbahaya kepada kesihatan manusia. Golongan yang menggunakan MSG sebagai penambah perisa dalam makanan lebih berisiko tinggi untuk berdepan masalah seperti obesiti, darah tinggi dan sakit jantung berbanding mereka yang tidak mengambilnya walaupun melakukan aktiviti fizikal dan pengambilan kalori yang sama.
Mari kita lihat faktor-faktor masyarakat memilih makanan segera.
Kelazatan
Memang tidak dinafikan kebanyakan makanan segara mempunyai rasa yang mampu menarik kita untuk mencubanya. Selain itu, rasa makanan segera yang lazat menyebabkan pengguna akan ketagih untuk menikmatinya terutama golongan kanak-kanak dan remaja. Hal ini kerana, terdapat perasa tambahan dan pewarna tiruan digunakan untuk melazatkan lagi sesuatu produk makanan tersebut. Contohnya, minuman kola amat kaya dengan kandungan gula iaitu 14 sudu teh gula, pewarna kimia dan kafein bagi setiap botol besar. Minuman ini tidak mempunyai sebarang nilai khasiat tetapi disebabkan rasanya yang enak menyebabkan kanak-kanak dan remaja memilihnya sebagai minuman walhal mereka memerlukan nutrien yang tinggi dalam pembesaran.
Kesibukan hidup
Kesibukan masyarakat terutamanya di bandar kini telah mendorong mereka memilih makanan segera yang lebih mudah disediakan. Pengguna lebih gemar membeli makanan yang telah siap sedia kerana apabila pulang sahaja dari bekerja, mereka tidak perlu lagi menyiapkan makanan di rumah. Selain itu, makanan yang ditin dan dipekkan juga menjadi sajian harian kerana mereka hanya perlu memanaskan sahaja. Hal ini menyebabkan pengguna tidak mempedulikan lagi makanan yang seimbang asalkan ia menjimatkan masa dalam penyediaannya.
Iklan dan promosi
Kewujudan produk-produk makanan segera yang kini dikatakan seperti cendawan tumbuh selepas hujan telah menarik pengguna untuk memilih pelbagai makanan yang digemari. Hal ini kerana pelbagai iklan telah di paparkan termasuk di dada-dada akhbar dan di kaca televisyen. Iklan makanan segara dikatakan sangat kreatif yang mampu menarik minat si celik dan dewasa.Produk makanan segera seperti mee segera, burger, sosej, kentang goreng pula boleh didapati dimana-mana. Di perhentian bas, pasaraya, kantin sekolah dan juga stesen minyak turut menjual makanan seperti ini. Setiap produk makanan terbaru yang dikeluarkan oleh rangkaian makanan segara telah mendapat publisiti dan promosi yang meluas. Hal ini menyebabkan masyarakat tidak mahu melepaskan peluang untuk mencubanya sendiri. Sumber: hzqahmd
TOP
Ratusan Spesis Orkid Di Floria Putrajaya 2014
PUTRAJAYA – Kira-kira 600 spesies orkid akan dipertandingkan pada Festival Bunga dan Taman Putrajaya (Floria Putrajaya) 2014 yang akan berlangsung mulai esok hingga 22 Jun. Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Tan Sri Aseh Che Mat berkata sesetengah daripada orkid itu dibawa dari luar negara, sekali gus memberi peluang kepada rakyat tempatan untuk melihat spesies, yang belum pernah dilihat secara lebih dekat. “Orkid-orkid ini dibawa sendiri oleh tuannya, yang dijaga dengan baik dan dibawa ke sini untuk dipertandingkan,” katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan ke tapak Floria Putrajaya 2014 di sini hari ini. Bertempat di pesisiran tasik Presint 4 di sini, Floria Putrajaya 2014 menyaksikan penyertaan 22 negara termasuk Amerika Syarikat, Singapura dan Taiwan. Bertemakan “Begonia-Pesona Warna”, ia menghimpunkan lebih 60 spesies dan hybrid pokok Begonia atau asam batu serta mempamerkan lebih 400,000 pokok daripada pelbagai spesies dan kultivar bunga-bungaan serta tanaman hiasan dari kawasan tropika dan subtropika. Aseh berkata festival itu juga merupakan peluang terbaik untuk peminat fotografi mengambil gambar pelbagai spesies bunga dan pokok yang dipamerkan di situ. Beliau berkata pengunjung juga dinasihatkan datang pada waktu pagi atau petang memandangkan keadaan cuaca panas ketika ini. Tapak Floria itu juga akan terus digunakan untuk pelbagai aktiviti selepas ini, dengan 50 peratus daripada tumbuhan dan tanaman itu akan dikekalkan, katanya. Floria Putrajaya 2014 dibuka dari jam 9 pagi-10.30 malam (Isnin-Khamis) dan 9 pagi-12 tengah malam (Jumaat-Ahad) dengan bayaran masuk RM3 bagi dewasa dan RM1 untuk kanak-kanak berusia 7-12 tahun. Ia turut diserikan dengan perarakan bot berhias ‘Magic of the Night’ anjuran Kementerian Pelancongan pada setiap malam sepanjang festival itu berlangsung. Sumber: Bernama
TOP
Sony Xperia T3: Peranti Pintar Paling Nipis Di Dunia
Sony secara rasminya memperkenalkan sebuah lagi telefon pintar baru dibawah nama keluarga Xperia, iaitu Sony Xperia T3. Sony Xperia T3 dilihat sebagai peranti dalam keluarga pertengahan, dimana ia menggunakan skrin bersaiz 5.3-inci dengan resolusi 1280×720 pixel, cip pemprosesan empat-teras Snapdragon 1.4GHz, memori sebanyak 1GB RAM, dan ruangan storan 8GB yang boleh diperluaskan dengan menggunakan mikro-SD. Disamping itu, untuk rakaman gambar, pihak Sony menyertakan kamera belakang 8-megapixel. Xperia T3 ini dilihat seperti tidak membawakan sebarang sokongan kalis air dan debu seperti beberapa peranti Sony sebelum ini. Xperia T3 ini turut hadir dengan sokongan rangkaian 4G, disamping pihak Sony melengkapkan ia dengan beberapa aplikasi khusus termasuk AR Effect pada bahagian kamera, Timeshift Burst, dan beberapa yang lain. Sony mengatakan Xperia T3 ini yang menggunakan Android 4.4 KitKat akan hadir ke pasaran global bermula penghujung Julai 2014 ini.
Sumber: hzqahmd
TOP
Gas Pemedih Mata, Bunga Api Mulakan Aksi Piala Dunia Brazil
SAO PAULO – Gas pemedih mata pada waktu pagi, percikan bunga api di sebelah petang. Itulah dua keadaan berbeza di Brazil ketika Negara itu memulakan langkah sebagai negara tuan rumah temasya bola sepak paling berprestij dunia, Piala Dunia FIFA 2014, awal pagi tadi. Ia diselubungi dengan insiden rusuhan antara penunjuk perasaan dan polis di Sao Paulo, sebelum disusuli sambutan besar-besaran di sepanjang jalan apabila “selecao” menumpaskan Croatia 3-1. Bunga api memercik cahaya warna warni di ruang angkasa bandar raya mega itu bagi setiap gol yang dijaringkan pasukan tuan rumah selepas bangkit daripada ketinggalan 0-1 kepada Crotia di Stadium Corinthians Arena. Sebaik tamat perlawanan, bar dan restoran melimpah di jalan raya dipenuhi penonton dan peminat Brazil meraikan kemenangan. Kedai farmasi menukar siaran di premis kepada siaran langsung perlawanan bola sepak. Pekerja stesen minyak duduk di kerusi plastik sambil menonton televisyen krin leper. Selepas berbulan negara itu dilanda tunjuk perasaan kerana tidak puas hati dengan wang yang dilaburkan untuk menganjurkan temasya itu lebih AS$11 bilion, hari ini sesetengahnya kini menonton dan meraikan kejayaan skuad bola sepak negara itu mencipta kemenangan pertama. “Kejayaan ini akan menyemarakkan lagi semangat kepada semua rakyat Brazil,” kata Jonathan de Jesus Silva, 21, penuntut kejururawatan sambil menyarung jersi Brazil yang melompat dan menjerit-jerit bersama rakannya. “Kegembiraan ini akan membantu melegakan hati kami,” kata Vera Lucia, 53, seorang pekerja bank dengan mamakai topi kuning. “Meskipun wujud protes dan tidak puas hati, rakyat Brazil masih mempercayai bola sepak. Di sini kami berasa dan semua menyokong skuad kebangsaan,” kata Vanessa Silva,31, yang memakai skaf kuning dan hijau iaitu warna skuad Brazil. Sumber: AFP
TOP
Tak Sempat Bentang Permaidani Sambut Mangsa
SHAH ALAM – Seorang ibu tidak menyangka anak perempuannya berusia tujuh tahun maut terjatuh dari balkoni tingkat enam kediaman pangsapuri didiami ketika dia pergi ke kedai berhampiran. Dalam kejadian jam 6.30 petang semalam, mangsa Nur Alisya Mohd Rafiq yang tinggal di rumah bersama abang dan kakaknya berusia lapan dan 10 tahun ditemui orang ramai terjatuh di tingkat bawah Pangsapuri Sri Angkasa Seksyen 28 di sini. Ibu mangsa, Nur Suzana Abdullah, 38, berkata, tragedi itu hanya disedari ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumah dari kedai berhampiran pangsapuri itu. Menurutnya, dia terkejut apabila melihat sekumpulan penduduk mengerumuni ‘sesuatu’ di pekarangan kawasan kediamannya. “Saya cuba melihat apa yang berlaku, namun terkejut apabila mendapati Alisya terbaring di atas jalan. “Alisya sering bermain di balkoni rumah kerana ingin melihat pemandangan. Saya tidak sangka tindakannya itu akan meragut nyawa Alisya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang semalam. Dia bagaimanapun tidak dapat meneruskan perbualan kerana terlalu sedih hingga terpaksa ditenteramkan ahli keluarga dan rakan yang turut berada di HTAR. Sementara itu, seorang saksi kejadian, Mohd Shahril Abd Hadi, 27, berkata, dia terkilan kerana tidak dapat menyelamatkan mangsa walaupun sempat melihat mangsa tergantung di balkoni rumah didiami. “Saya bersama dua lagi jiran berlari ke bawah pangsapuri dan mengambil permaidani untuk menyambut mangsa. Namun, belum sempat kami membentangkan permaidani itu, mangsa sudah terjatuh. “Saya mendengar jeritan mangsa meminta tolong, tetapi kami tidak mampu berbuat apa-apa. Mangsa jatuh betul-betul di hadapan saya,” katanya. Sementara itu, jurucakap polis berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. Sumber: myMetro
TOP
Keluarga MH370 Di Kedah Enggan Terima Pampasan
ALOR SETAR – Keluarga Chew Kar Moi, seorang daripada penumpang pesawat Penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang, enggan menerima bayaran pendahuluan pampasan selagi tiada bukti penemuan bangkai pesawat atau mayat Chew. Kakaknya, Chew Kar Hui, 33, berkata keluarganya enggan menerima pampasan itu selepas diberi taklimat oleh pihak Malaysia Airlines bulan lepas. Beliau berkata tidak ada gunanya wang pampasan itu diterima keluarganya sedangkan bukti penemuan bangkai pesawat dan mayat adiknya tidak diketahui hingga kini. “Duit tak mampu ubati luka dan kekecewaan keluarga kami. Kami mahu terus dibela dengan meminta pihak berwajib meneruskan operasi pencarian sehingga terjumpa bukti pesawat itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Chew berkata keluarganya juga enggan menguruskan hal berkaitan dengan insurans walaupun Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) sebelum ini bersetuju mempermudahkan proses prosedur tuntutan. Chew berkata keluarganya enggan melakukan sebarang proses bagi membuat tuntutan selagi kehilangan pesawat tiada sebarang berita. “Duit bukan keutamaan buat masa kini dan kami tetap berharap dan berharap agar dia (Kar Moi) pulang dengan selamat,” katanya. Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin semalam mengumumkan tujuh waris pesawat MH370 iaitu enam dari Malaysia dan seorang dari China menerima pampasan sebanyak US$50,000 seorang melalui insurans syarikat penerbangan. Pada 8 Mac lepas pesawat boeing 777-200ER yang membawa 329 penumpang termasuk 12 anak kapal dan 153 warga China hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam. Sumber: Bernama
TOP
Penjara 11 Tahun Kerana Masak Kari Mayat
LAHORE – Dua lelaki adik beradik semalam dipenjara 11 tahun sebuah mahkamah di sini kerana memakan mayat bayi dalam kes yang mengejutkan rakyat Pakistan. Mereka melakukan demikian setahun selepas dibebaskan atas kesalahan sama. Farman Ali dan Mohammad Arif ditahan April lalu selepas polis menemui kepala bayi berusia dua hari di rumah mereka. Mereka mencuri mayat bayi itu dari tanah perkuburan di kampung mereka di Darya Khan, kira-kira 300 kilometer ke selatan Islamabad. Menurut polis lagi, kedua-dua beradik itu yang berusia lewat 30-an, memasak dan memakan kari yang dimasak daripada mayat berkenaan. Mereka pernah ditahan kerana memakan mayat di kampung sama pada 2011 dan menjalani hukuman penjara dua tahun serta menjalani rawatan psikiatrik. Sumber: AFP
TOP
Datuk Sutinah Berhasrat Terbitkan Buku Selepas Bersara
KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Sutinah Sutan berhasrat melahirkan sebuah buku bagi mendokumentasikan segala kemahirannya setelah 34 tahun berkhidmat. Menurutnya hampir tiga setengah abad yang lalu dia telah melalui pelbagai pahit maung serta cabaran dalam merealisasikan tanggungjawabnya sebagai anggota badan beruniform di SPRM. “Sudah banyak ilmu dan pengalaman melalui pembelajaran dengan ketua saya dan juga melalui pengalaman bekerja yang telah saya lalui, saya rasa ilmu ini perlu dibukukan agar pegawai di SPRM dapat menjadikan buku ini sebagai bahan rujukkan,” katanya kepada Bernama sejurus selesai majlis Paluan Berundur sempena persaraan wajibnya yang diadakan di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di sini hari ini. Turut hadir ialah Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed serta penggantinya Pengarah Bahagian Siasatan SPRM Pesuruhjaya Datuk Mustafar Ali. Menurutnya selama 34 tahun dia telah menyaksikan banyak perubahan positif yang berlaku di dalam SPRM dan ia memberi pengalaman yang menarik untuk dikongs bersama. “Biar mereka yang membacanya menghargainya dan memahami peranan SPRM khasnya dan kerajaan amnya di dalam melaksanakan program-program pencegahan rasuah di negara ini,” katanya. Walau bagaimanapun Sutinah memberitahu penerbitan buku itu masih di peringkat awal dan buat masa ini dia juga belum mempunyai tajuk yang sesuai untuk bukunya itu. “Sekarang ini saya masih memikirkan apa pendekatan yang hendak dibawa di dalam buku ini sama ada hendak dijual atau sebaliknya saya juga belum memikirkan perkara tersebut,”katanya. Dalam majlis itu, Sutinah turut dikurniakan anugerah Tokoh Serikandi Terbilang SPRM atas jasanya mencurahkan khidmat bakti selama 34 tahun di SPRM. Beliau akan mula bersara wajib mulai 15 Jun ini manakala Datuk Mustafar akan memulakan tugas baharu beliau mulai Isnin ini. Sumber: Bernama
TOP
Zainal Yakin Tok Gajah Mampu Benam TRW
KETIADAAN pemain pertahanan import Damion Delano Stewart tidak menggugat keyakinan juara Piala FA, Pahang, untuk membenam Kelantan pada saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur di Kuantan, malam esok. Jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan melaungkan keyakinan awal apabila yakin dengan kemampuan anak buahnya menunjukkan tahap permainan sebenar pasukan Tok Gajah. Walaupun tanpa Stewart disebabkan penggantungan perlawanan, beliau berkata, semangat juang yang tinggi serta kelebihan yang dimiliki oleh setiap pemain mampu memberi kejutan kepada pasukan lawan. “Ditambah pula dengan semangat juang yang ada sekarang cukup meyakinkan bagi mereka memperagakan rentak permainan yang diingini,” katanya di sini, hari ini. Zainal Abidin berkata harapan Pahang sudah tentu ingin mengulangi kejuaraan sulung Liga Super yang mula diperkenalkan pada tahun 2004. Namun, sekiranya perkara itu tidak dapat diulangi sekurang-kurangnya beliau mengharapkan skuad Tok Gajah dapat mencapai kedudukan yang lebih baik dari sekarang dengan baki beberapa perlawanan Liga Super. Pahang, yang mengutip 30 mata, kini menduduki tangga keempat selepas 18 perlawanan. Sumber: Bernama
TOP
Malaysia Hab Fesyen Muslimah Antarabangsa
PAMERAN Hijab Antarabangsa Kuala Lumpur 2014 (KLIHF) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang bermula hari ini hingga 15 Jun diadakan buat julung kali dalam usaha menjadikan Malaysia hab fesyen muslimah di persada antarabangsa. Pengarah Urusan KLIHF, Mona Din berkata, melalui pameran itu, jenama dan bakat usahawan fesyen muslimah tempatan dapat diperkenalkan selain menggalakkan persaingan yang sihat dalam kalangan usahawan tempatan dan antarabangsa. “Inspirasi yang kami dapat untuk menganjurkan KLIHF ini timbul apabila saya melihat di Malaysia tidak ada pameran fesyen pakaian pada skala besar seperti yang terdapat di Indonesia, Brunei, Singapura dan Thailand,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran KLIHF oleh Timbalan Menteri Pembangunan, Wanita dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun di Kuala Lumpur, hari ini. Mona berkata penganjuran KLIHF ini juga untuk menyemarakkan industri fesyen muslimah di Malaysia serta menggalakkan mereka supaya menutup aurat dan memakai hijab selari dengan tuntutan syariah. “Sasaran pengunjung KLIHF kali ini adalah 6,000 orang dan pihak kami telah merancang untuk menjadikan pameran ini sebagai acara tahunan di PWTC,” katanya. Turut hadir pada majlis pelancaran KLIHF ialah Pengerusi Bank Simpanan Nasional (BSN) Tan Sri Abu Bakar Abdullah dan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Datuk Noraini Ahmad. Terdapat 250 gerai pameran fesyen muslimah menyertai KLIHF termasuk 50 daripada kalangan usahawan antarabangsa dengan sebahagian besar mereka dari Indonesia. Pameran yang menyaksikan BSN sebagai penaja utama ini turut diserikan dengan pengisian program kerohanian dan keagamaan oleh penceramah terkenal seperti Prof Dr Muhaya Mohamad dan Ustaz Don Daniyal Don Biyajid selain forum perniagaan serta pertunjukan fesyen muslimah. Sumber: Bernama
TOP
Perompak Larikan RM100,000 Daripada Mesin ATM
ALOR SETAR – Sekumpulan perompak melarikan kira-kira RM100,000 daripada sebuah mesin ATM yang ditempatkan di Bangunan Tabung Haji, Jalan Tunku Ibrahim di sini awal pagi ini. Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi itu, perompak yang dipercayai lebih daripada tiga orang, menggunakan alat pengimpal untuk memotong mesin ATM milik BAnk Rakyat itu dan melarikan wang berkenaan selepas alat penggera berbunyi. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Daerah Kota Setar DSP V.Saravanan berkata penjenayah itu mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengumpil satu daripada mesin ATM yang terletak berderetan di situ sebelum membawa lari sebuah kotak berisi wang. “Kami masih menyiasat suspek kerana kamera litar tutup di situ dipercayai sempat dimatikan oleh perompak,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Sementara itu Juruteknik Alat Penggera dan Kamera Litar Tertutup Syarikat Safeguard G4S, Jusnaidi Johari yang turut membantu memeriksa tempat kejadian berkata rompakan itu disedari oleh seorang kakitangan syarikat itu yang melakukan pemeriksaan harian pada kira-kira pukul 7 pagi. Katanya hasil pemeriksaan oleh kakitangan itu mendapati mesin ATM milik Bank Rakyat telah dikopak dengan sebuah peti simpanan duit hilang. “Sebuah mesin ATM Bank Islam didapati turut terkopak tetapi penjenayah tidak dapat melarikan wang kerana dipercayai ketika itu alat penggera berbunyi,” katanya. Sumber: Bernama
TOP
Mengejutkan Orang Ramai Apabila Pokok Kurma Di Kota Bharu Lebat Berbuah
Kota Bharu: Tujuh tahun lalu, penduduk bandar ini pelik melihat beberapa pohon kurma yang ditanam pihak berkuasa tempatan namun kini pohon sama menjadi tumpuan ramai apabila lebat berbuah. Difahamkan 37 pokok itu ditanam Unit Landskap Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) sebagai tanaman hiasan untuk mengindahkan lagi bandar ini sejajar gelaran Bandaraya Islam. Satu lokasi yang mencuri perhatian adalah di Bulatan Jam Besar berikutan kedudukannya di tengah-tengah bandar menyebabkannya paling menonjol berbanding yang lain. Setiausaha MPKB Rosnazli Amin berkata, pohon kurma dianggap tanaman hiasan yang paling sesuai berikutan cuaca di negeri ini. Malah berikutan keunikannya, pokok itu turut dijadikan tanaman hiasan oleh jabatan dan agensi lain yang beroperasi di sini. “Ia adalah sejenis pokok palma yang rimbun dengan daun yang lebat. Sejak tahun lalu pohon di Bulatan Jam Besar sudah mula berbuah. “Namun kali ini, ia semakin lebat sekali gus mencuri tumpuan semua pihak. “Akhir Ramadan ini buahnya dijangka masak dan boleh dipetik untuk dimakan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam. Rosnazli berkata, daripada 37 pokok itu, 10 daripadanya sudah berbuah namun pihaknya menegah orang ramai memetiknya. Katanya, ia bagi memastikan pokok terbabit kekal terjaga. Bagaimanapun, pihak MPKB tidak melarang mana-mana pihak yang mahu menikmati kurma yang sudah gugur. “Harap mereka tak petik di pokok, sebaliknya ambil yang sudah gugur di tanah. Pohon ini tujuannya untuk indahkan Kota Bharu,” katanya Sumber: Daily Traffic Report
TOP
Uqasha Senrose Bertudung Kerana Diri Sendiri
Kini Uqasa Senrose sudah mengambil jalan yang boleh dipuji dan sebagai motivasi untuk para wanita di untuk turun sama mengikut cara pelakon ini. “saya pakai tudung atas diri saya sendiri. Jika pakai kerana dipaksa, perkara ini tidak akan kekal. Saya mahukan yang terbaik untuk diri saya dan jika boleh, saya nak benda ini berterusan. Saya harap orang mendoakan yang baik-baik untuk saya” - Petikan dari Gua Katanya, dia memilih jalan untuk berhijab adalah bukan kerana lelaki akan terapi kerana dirinya sendiri.
TOP
Murid Sekolah Di China Benam Kepala Sabagai Latihan Pengalaman Lemas
Luoyang - CHINA: Seramai 70 orang pelajar sekolah menajalani latihan yang agak extreme dan aneh apabila mereka disuruh menahan nafas dalam air dengan membenamkan kepala dalam semua bekas yang berisi air. Menurut laporan Oddoty Central, Pihak sekolah rendah tersebut melaksanakan latihan itu bertujuan supaya pelajar mereka tahu pengalaman lemas dan tidak lagi berani untuk bermain berhampiran sungai berdekatan sekolah mereka. Berkenaan kawasan sungai tersebut, pelajar sekolah itu juga ada menandatangani perjanjian yang mana mereka tidak akan bermain di kawasan berbahaya itu tanpa diselia orang dewasa.
TOP
Anak Tiri Dipaksa Jadi Pelacur Kelas VIP Selama 8 Tahun
Kajang: Tidak tahan dipaksa menjadi pelacur kelas atasan oleh bapa tirinya sejak lapan tahun lalu menyebabkan seorang wanita jelita bertindak nekad membuat laporan polis minggu lalu. Wanita terbabit yang kini berusia 25 tahun mendakwa mula dipaksa menjual tubuhnya kepada pelanggan lelaki kaya ketika dia baru menamatkan persekolahan pada usia 18 tahun. Sumber polis berkata, mangsa mendakwa dipaksa melayan nafsu kira-kira 800 lelaki sejak bergelar pelacur berdasar rekod disimpannya secara sulit. “Berdasarkan maklumat, bapa tiri mangsa yang berusia 40-an memaksa wanita terbabit menjadi pelacur dengan kadar bayaran minimum RM300 hingga RM500 bagi sekali perkhidmatan. “Bagaimanapun duit hasil kegiatan pelacuran itu mencecah puluhan ribu sebulan diambil sepenuhnya oleh bapa tiri mangsa. Mangsa hanya diberikan sedikit wang bagi membeli keperluan diri sahaja,” katanya. Menurutnya, mangsa bagaimanapun memberitahu menyimpan rekod identiti membabitkan nama pelanggan, nombor telefon, harga perkhidmatan dan lokasi pertemuan diadakan. “Dia (mangsa) menyimpan semua maklumat itu di dalam diari khas termasuk jumlah wang dibayar oleh pelanggannya sebelum ini. “Berdasar rekod dikumpul, mangsa mendakwa sudah dilanggani kira-kira 800 lelaki sepanjang menjadi pelacur sejak tahun 2006,” katanya. Malah agak mengejutkan apabila pelanggan yang pernah mendapatkan khidmat mangsa adalah dikalangan kenamaan, ahli politik, peguam dan ahli perniagaan tempatan. “Mangsa yang tidak tahan dipergunakan oleh bapa tirinya untuk mendapatkan wang mudah kemudian tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di sini, untuk membuat laporan polis minggu lalu. “Polis sudah mengambil keterangan daripada mangsa sebelum memulakan siasatan terhadap kes itu. Susulan itu polis memberkas bapa tiri mangsa sebelum ditahan reman awal minggu ini,” katanya. Menurutnya, kertas siasatan kes itu sudah diserahkan kepada pihak Timbalan Pendakwa raya untuk tindakan lanjut. Sumber: myMetro
TOP
3 Termasuk Tentera Disyaki Militan Ditahan Di Sandakan!
KUALA LUMPUR — Seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) adalah antara tiga rakyat tempatan ditahan polis di Sandakan hari ini kerana disyaki terbabit dalam kegiatan militan. Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata suspek berusia antara 29 dan 31 tahun, ditahan dalam operasi khas yang dijalankan Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Bukit Aman. Beliau berkata seorang daripada individu yang ditangkap merupakan anggota kanan sel militan yang disyaki telah menjalankan latihan ketenteraan di kem milik Kumpulan Abu Sayyaf di Selatan Filipina, sejak 22 April lalu. “Suspek menyusup masuk ke Malaysia secara haram pada 11 Jun lepas dan bersembunyi di sebuah rumah di Sandakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Beliau berkata dua lagi suspek termasuk anggota TLDM yang bertugas di Sandakan itu ditahan kerana disyaki membantu anggota militan itu menyusup masuk ke Sandakan dan melindunginya. Mohd Bakri berkata mereka ini ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab 5 – Kesalahan Berkaitan Dengan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747) (SOSMA). Sejak 28 April lalu, sejumlah 12 anasir militan ditahan kerana dipercayai terbabit dalam rangkaian militan di Syria dan selatan Filipina. Ia termasuklah penahanan seorang warga asing dari Afrika Timur di Selangor pada 8 Mei lalu. Sumber: Bernama
TOP
Piala Dunia Akan Bertukar Jadi Sarkis
SAO PAULO – Jurulatih Croatia, Niko Kovac yang menyalahkan pengadil Jepun, Yuichi Nishimura dengan memberi amaran Piala Dunia akan bertukar menjadi ‘sarkis; selepas keputusan kontroversi penalti kepada Brazil pada asksi pembukaan Piala Dunia, awal pagi tadi. Nishimura memutuskan pemain Croatia, Dejan Lovren dihukum selepas mengasari pemain Brazil, Fred yang jatuh di dalam kotak penalti ketika perlawanan berbaki 20 minit lagi dengan kedudukan 1-1. Neymar menyudahkan tendangan penalti itu untuk gol keduanya sebelum Brazil meraikan satu lagi gol dengan perlawanan Kumpulan A itu berkesudahan 3-1 kepada Brazil. “Ia satu keputusan tidak masuk akal hari ini dan sekiranya ia berterusan, kita akan mempunyai sarkis,” kata Kovac dalam sidang medianya selepas perlawanan pembukan tirai Piala Dunia itu. Sesi sidang media itu dipenuhi dengan soalan mengenai keputusan penalti itu. “Jika ia satu penalti, kita tidak perlu lagi bermain bola sepak lagi. Marilah kita bermain bola keranjang,” katanya. Kovac berkata pasukannya berhak menghabiskan perlawanan itu dengan keputusan sekurang-kurangnya seri. Beliau juga berasakan gol ketiga jaringan Oscar di Corinthians Arena juga tidak seharusnya dibenarkan kerana pemain itu melakukan kesalahan ketika memulakan gerakan. “Adakah berlaku kekasaran terhadap pemain saya? Ya. Ia adalah satu kesalahan. Namun itulah kehidupan,” katanya. “Anak buah saya bekerja keras dalam dua tahun untuk layak ke Piala Dunia. Mereka bekerja keras, melakukan persiapan secukupnya dan mereka kemudian berdepan dengan keputusan penalti sebegini. “Adakah anda bolah bayangkan bagaimana mereka berjalan memasuki bilik persiapan dengan perasaan yang seperti apa?,” katanya. Sumber: AFP
Labels:
Berita Terkini
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment