Sunday, March 2, 2014

Berita Terkini 02 Mac 2014


Zombi Kilang Biskut Jadi Taruhan
ZOMBI Kampung Pisang, Hantu Kak Limah Balik Rumah, Husin Mon & Jin Pakai Toncit adalah antara filem arahan sutradara, Mamat Khalid yang sering mencuri tumpuan masyarakat. Mana tidaknya, barisan pelakon yang ditampilkan bukanlah calang-calang, malah mampu memberi impak yang berkesan. Ini terbukti apabila watak Usop Wilcha yang dimainkan oleh Syed Mohamad Asri atau Shy8 berjaya mencetuskan fenomena yang luar biasa. Lantas kesinambungan fenomena itu cuba dikekalkan oleh pengarahnya menerusi filem terbaru iaitu Zombi Kilang Biskut. Masih mengekalkan beberapa pelakon seperti Awie, Man Kadir, Delimawati, Sofi Jikan, Zainuri Misfar, filem ini turut menampilkan pelakon baharu iaitu Dayana Roza, Eina Azman dan Syuq Balas.


Klang Penyumbang Peningkatan Kes Denggi Di Selangor
KLANG, 2 Mac (Bernama) -- Daerah Klang di Selangor mencatat peningkatan kes demam denggi sebanyak 45 peratus iaitu 1,605 kes dengan satu kematian bagi tempoh 1 Jan hingga 28 Feb lepas berbanding 426 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu. Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman berkata jumlah tersebut adalah antara penyumbang kepada peningkatan kes demam denggi di seluruh Selangor dan orang ramai digesa bertindak lebih aktif dalam menghapuskan pembiakan nyamuk Aedes. Katanya, jumlah kes demam denggi di daerah itu yang naik mendadak menunjukkan kawasan tersebut berpotensi menjadi antara lokaliti aktif nyamuk Aedes seandainya masyarakat masih tidak bekerjasama membendung penularan wabak tersebut.


Supermodel, Macam Ini Pun Dikatakan Terlebih Saiz?
Facebook majalah Cosmolitan mendapat kecaman apabila memuat naik gambar supermodel Robyn Lawley yang didakwa bertubuh terlebih saiz (plus-size) atau bahasa mudahnya, gemuk. Rata-rata yang melihat gambar itu tidak berasa supermodel tersebut boleh diistilahkan gemuk dan ia dianggap meracuni fikiran masyarakat terutama remaja untuk memahami konsep tepat tentang berat badan ideal. “Jika ini ‘plus-size’ maknanya saya ini apa? ‘Super size’?” demikian antara komen dilontarkan di Facebook Cosmopolitan. Terdapat juga yang menyuarakan kebimbangan kerana berasakan adalah tidak wajar saiz tubuh yang normal dikatakan gemuk. Justeru, ada antara pembaca meminta supaya majalah yang relevan tentang kecantikan dan kesihatan ini membetulkan semula ‘ukuran’ gemuk mereka.


VIDEO: Filem Pendek ‘Man Pomen’
KADANG-KADANG, kejayaan seseorang itu tidak diukur melalui ketinggian tahap pendidikannya. Asas utama untuk berjaya sebenarnya ialah usaha dan kerajinan individu itu dalam mengubah masa depannya ke arah yang lebih baik lagi. Apa gunanya kita berpelajaran hingga ke peringkat universiti, tetapi tiada usaha lebih untuk menjana pendapatan melainkan hanya dengan makan gaji sahaja. Filem pendek bertajuk ‘Man Pomen’ terbitan Skills Malaysia dengan kerjasama Candid Syndrome ini boleh dijadikan iktibar untuk para pembaca mengenai realiti hidup masa kini.


100 Majikan Gagal Patuhi Gaji Minimum, Berdepan Tindakan Tegas
KUANTAN, 2 Mac (Bernama) -- Sebanyak 100 majikan di seluruh negara bakal dikenakan tindakan tegas jika didapati masih gagal mematuhi pelaksanaan Perintah Gaji Minimum 2012. Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Ismail Abdul Muttalib berkata pihaknya menerima kira-kira 600 aduan dari pekerja sejak perintah itu dikuatkuasakan 1 Jan 2014. "Setakat ini kita telah bagi amaran kepada majikan yang terlibat, jika selepas ini mereka masih gagal menjalankan tanggungjawab di bawah perintah tersebut, majikan bakal berdepan tindakan tegas dari kementerian," katanya. Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kerjaya Azam Kerja 1Malaysia di sini hari ini. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas Khas Negeri, Datuk Norul Azali Sulaiman; dan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Saripuddin Kasim.


Video Seks Marilyn Monroe & Adik Beradik JFK Dilelong
Rakaman video seks ‘threesome’ antara Marilyn Monroe bersama bekas Presiden Amerika Syarikat, John F Kennedy dan adiknya, Robert akan dijual pada satu majlis lelong, Selasa ini. Rakaman seks tersebut selama ini berada dalam simpanan seorang bekas pengawal keselamatan Hollywood, William Castleberry,56. William menyatakan selama ini dia menyimpan rakaman filem 8mm tersebut dan tidak mendedahkannya kerana menghormati suami Marilyn iaitu pemain bola keranjang legenda, Joe DiMaggio. Filem yang diakui William sebagai rakaman benar itu akan turut dijual bersama beberapa barangan memorabilia lain yang disimpan William sepanjang perkhidmatannya bersama selebriti terkenal Hollywood satu ketika dulu.


Jangan Guna Air Bersih Untuk Cuci Kereta
PETALING JAYA – Pengguna air di Lembah Klang dinasihatkan untuk tidak mengguna air bagi tujuan yang tidak penting seperti mencuci kereta dan lain-lain lagi sehingga arahan catuan ditarik balik. Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) berkata, air yang dirawat sepatutnya digunakan untuk tujuan kritikal sahaja seperti minum, memasak dan mandi. “Kami telah mengulangi mesej ini di televisyen, radio dan akhbar, Oleh itu kami berharap pengguna akan memainkan peranan mereka dengan tidak membuang air yang berharga sesuka hati,” kata Penolong Pengurus Komunikasi Korporat Syabas, Priscilla Alfred . Bagi pengusaha mencuci kereta yang telah mencuri air untuk operasi mereka, Alfred berkata, Syabas akan mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan. “Mereka menafikan hak pengguna sah, bekalan air sangat berharga ketika ini dan kami akan mempergiatkan operasi terhadap mereka, ” katanya kepada The Star. – mStar



VIDEO: Bayi Enggan Berpisah Dengan Ibu
Seperti diketahui, hubungan antara ibu dan anak amat istimewa dan bermula sejak dari dalam perut lagi. Keistimewaan hubungan tersebut terserlah dalam video di bawah apabila seorang bayi yang baru lahir enggan dipisahkan daripada ibunya. Bayi berkenaan yang dilahirkan melalui kaedah caesarian, pada mulanya ditunjukkan pada ibunya secara dekat seperti yang sering dilakukan oleh doktor. Ia kemudiannya diambil semula untuk dibersihkan dan dibedung dengan sempurna. Bagaimanapun, tangan comel bayi tersebut segera mendakap wajah ibunya dan tidak mahu dipisahkan lagi selepas itu. Bila ditarik, bayi berkenaan menangis sekuat hati dan kembali diam selepas didekatkan kembali pada ibunya. Memang manis sekali momen ini dan ia pasti menyentuh hati para ibu dan anak di luar sana.




Puluhan Orang Awam Maut Ditikam Di Stesen Keretapi
Sekurang-kurangnya 33 orang maut dan 130 cedera apabila sekumpulan penyerang bersenjatakan pisau panjang menikam orang awam di salah sebuah stesen keretapi paling sibuk di China. Daripada gambar yang tersebar, dapat dilihat mayat manusia bergelimpangan, darah bersimbah di merata tempat dan beg-beg terkapar ditinggalkan orang ramai yang melarikan diri. Menurut saksi kejadian yang berlaku di Stesen Keretapi Kunming di daerah Yunnan jam 9.20 malam kelmarin, para penyerang menikam orang awam yang melintasi mereka di luar terminal stesen sebelum bergerak masuk ke dalam komuter. Pihak polis berjaya menembak mati empat suspek, menangkap seorang daripada mereka dan masih memburu yang lain. Terdapat khabar menyatakan, dua daripada penyerang yang masih belum dapat dipastikan motif sebenar mereka itu merupakan wanita. Kerajaan China dipercayai menyalahkan ekstremis agama dari barat wilayah Xinjiang yang mempunyai isu dengan pihak kerajaan. Bagaimanapun, kejadian amuk di tempat awam menggunakan pisau bukan perkara baru di China. Pada Jun tahun lepas, 24 orang terbunuh manakala 23 lagi cedera selepas sekumpulan lelaki menyerang balai polis dan bangunan kerajaan sekitar jam 6 pagi di sebuah daerah terpencil di barat China. Pengganas berkenaan dikatakan datang dari Xinjiang, daerah yang diduduki paling ramai etnik minoriti Islam Uighur.


Dakwa DVD Haji Direnjis Air Bekas Tapak Kaki Nabi, macam2
Aduh, macam-macam cara dilakukan untuk melariskan perniagaan menggunakan unsur-unsur agama yang kadangkala kedengaran tidak masuk akal. Paling utama, ia dikhuatiri membawa kepada terpesongnya akidah apabila diyakini dari sudut yang salah. Jika sebelum ini ada penjual mendakwa produk mereka menggunakan air atau bahan yang dibacakan surah al-Quran, kini ada pula syarikat yang menjual pakej umrah dan haji mendakwa perkara lebih kurang serupa. Demi menarik perhatian orang ramai, syarikat ini mendakwa DVD Haji dan air zam-zam mereka telah diberkati dengan curahan air bekas tapak kaki dan rambut Rasulallah SWT serta diperdengarkan bacaan khatam al-Quran sebanyak 600 RIBU KALI. Secara logiknya macam mana nak khatam al-Quran sampai 600,000 kali pada air zam-zam dan DVD agaknya. Mungkin juga kesemua DVD dan botol air zam-zam syarikat ini diperdengarkan dengan rakaman al-Quran, tapi perlukah sampai begitu sekali modal digunakan untuk menarik pelanggan?


Wajah ‘Mencair’ Gara-Gara Silap Makan Ubat
Wajah seorang seorang pelatih pendandan rambut dari Hoveton, Norwich, United Kingdom dipenuhi gelembung nanah sebesar bola tenis apabila tersilap mengambil ubat untuk melegakan kesakitan ulu hati. Kulit sekitar wajah Leanne Howes, 17, menggelupas manakala bahagian dalam mulut dan tekaknya dikatakan turut bengkak hingga menyukarkan gadis ini untuk bernafas sehari selepas dia mengambil tablet Zantac yang dibeli di farmasi. Menurut Leanne, pada mulanya dia berasa amat gatal sebelum kulitnya mula membengkak dan bernanah. Dia dikejarkan ke hospital selepas ibunya menemui Howes terbaring di lantai bilik air tidak sedarkan diri. Sebaik tiba di Hospital Universiti Norfolk, doktor menyapu krim perubatan lalu kulitnya mulai luruh dan mencair. Howes disahkan mengalami sindrom Stevens-Johnson yang jarang berlaku. Secara nisbah, keadaan ini hanya menimpa dua orang daripada sejuta. Keadaan Howes kini sudah pulih namun peristiwa yang menimpa dirinya pada September tahun lepas ini tidak mungkin dilupakan sampai bila-bila.

Keju tertua di dunia
Keju tertua di dunia
PENYELIDIK mendakwa mereka telah menemui keju tertua di dunia pada sekitar dada mumia yang berusia 3,500 tahun di barat laut China. Pakar kimia di Institut Biologi Molekul, Sel dan Genetik Max Planck mendapati keju bebas laktosa tersebut berasal dari tahun 1,615 sebelum Masihi. Sementara itu, penganalisis kimia, Andrej Shevchenko memaklumkan penemuan pelik itu menjadi bukti kepada teknologi pembuatan makanan pada Zaman Gangsa di Asia. "Kaedah membuat keju mungkin murah ketika itu dan ia mampu dihasilkan semua golongan penduduk," katanya dipetik DailyMail Difahamkan, ketika saintis menemui mumia di Gurun Taklamakan itu pada 1930-an, mereka hanya menganalisis protein dan lemak dari sisa makanan itu tanpa menyedari ia sebenarnya adalah keju.

Pengecas hibrid dicipta
Pengecas hibrid dicipta
KITA sering berhadapan dengan masalah untuk mengecas telefon bimbit dan komputer riba jika berada di luar kawasan rumah atau pejabat. Bagaimanapun, sekumpulan saintis di Institut Penyelidikan Bahan dan Inovasi di Universiti Bolton cuba menyelesaikan perkara itu dengan mencipta objek sekeliling yang bertukar sebagai penjana kuasa elektrik. Memetik laporan DailyMail, gentian fleksibel photovoltaic-piezoelectric menggunakan penyeragaman tenaga melalui tindak balas, yang mana kuasa elektrik boleh dijana menerusi pergerakan seperti sedang berjalan di atas permaidani. Teknologi berpaten itu juga boleh digunakan pada pelbagai permukaan objek asas termasuk pakaian. Ketua penyelidik, Profesor Siores berkata bahawa ciptaan mereka mungkin boleh menjadi sumber alternatif berikutan sumber tenaga boleh diperbaharui seperti cahaya matahari, angin dan hujan adalah tidak menentu. "Ciptaan hibrid kami menggabungkan bahan photovoltaic- piezoelectric yang menggunakan tenaga solar dan pergerakan untuk menghasilkan tenaga elektrik,"katanya.

Syarat warga asing miliki rumah
Syarat warga asing miliki rumah
GELANG PATAH - Warga asing yang ingin memiliki rumah kediaman di negeri ini hanya dibenarkan membeli hartanah bernilai lebih daripada RM1 juta seunit mulai 1 Mei ini, berbanding had minimum RM500,000 yang ditetapkan sebelum ini. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tempoh berkenaan ditetapkan untuk memberi masa kepada pemaju menjual unit hartanah yang telah sedia dibangunkan bagi mengelakkan berlaku projek perumahan terbengkalai. "Pembelian hartanah bagi perancangan unit kediaman yang diluluskan sebelum 1 Mei masih diteruskan mengikut had minimum sedia ada untuk elakkan berlakunya projek-projek perumahan terbengkalai sekiranya penguatkuasaan dilakukan serta merta.

Pekan Greenwood 'dibanjiri' tikus
Pekan Greenwood 'dibanjiri' tikus
GOMBAK - Kesedaran rendah di kalangan peniaga pekan Greenwood berkenaan pengurusan sampah dan kebersihan persekitaran menyumbang kepada pembiakan tikus di sini. Adun Gombak Setia, Hasbullah Ridzwan berkata, persekitaran yang kotor dikhuatiri bukan hanya menjejaskan perniagaan tetapi boleh menyumbang kepada wabak penyakit. Menurutnya, maklumat berkenaan kesan wabak penyakit yang berpunca daripada pembiakan haiwan perosak itu perlu diterangkan kepada komuniti supaya mereka lebih tanggungjawab terhadap kebersihan. “Hari ini (semalam) sebanyak 34 ekor tikus berjaya ditangkap dan saya yakin jumlah sebenar habitat adalah lima hingga enam kali ganda daripada itu.

Jangan lupa daftar sekolah anak anda!
Jangan lupa daftar sekolah anak anda!
KUALA TERENGGANU - Permohonan penempatan murid Tahun 1 bagi sesi persekolahan 2015 dan 2016 kini mula dibuka kepada ibu bapa dan penjaga kanak-kanak tersebut dan akan berakhir pada 31 Mac ini. Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri, Hashim Mohd Zin berkata semua permohonan penempatan kanak-kanak masuk ke sekolah rendah hanya boleh dibuat seawal dua tahun sebelum kanak-kanak itu bersekolah bagi mereka yang lahir dari 2 Januari 2008 hingga 1 Jan 2009 bagi sesi persekolahan 2015. "Manakala kanak-kanak yang lahir dari 2 Januari 2009 hingga 1 Januari 2010 pula boleh mendaftar untuk sesi persekolahan tahun 2016. "Dokumen yang perlu dibawa bersama oleh ibu bapa atau penjaga ialah sijil lahir kanak-kanak (salinan asal dan salinan fotostat) dan bil elektrik, air atau telefon sebagai bukti tempat tinggal," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

KJ: Ultras Malaya melampau!
KJ: Ultras Malaya melampau!
GEORGETOWN - Tindakan penyokong Ultras Malaya yang membakar mercun serta bom asap pada perlawanan persahabatan antara Harimau Malaya dengan Filipina malam semalam disifatkan sebagai melampau. Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyatakan kekesalan terhadap insiden itu dan menyifatkan ia sebagai memalukan imej negara. Beliau berkata, kejadian membakar mercun dan bom asap sehingga menyebabkan perlawanan persahabatan itu terhenti semalam adalah kesalahan sangat serius dan tidak boleh diterima. "Saya memberi jaminan akan mengambil tindakan terhadap pihak bertanggungjawab yang bukan sahaja mengganggu perlawanan, malah mengancam keselamatan penyokong lain yang berada di situ," katanya katanya kepada media selepas melancarkan program `Wheels For All Global Cycling' dan penyerahan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) di Universiti Sains Malaysia (USM), hari ini.

rokok
Rakyat Kelantan No 3 tertinggi hisap rokok
KOTA BHARU - Sebanyak 27 peratus rakyat Kelantan dikenal pasti merokok, angka yang lebih tinggi berbanding 24 peratus di peringkat nasional. Justeru, ia perlu diberi perhatian oleh semua pihak kerana jumlah itu adalah ketiga tertinggi dalam negara. Mengulas mengenai perkara itu, Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Maher berkata, mereka yang merokok perlu menghormati orang ramai yang tidak merokok kerana kesan terhadap tabiat itu diperoleh kedua-dua pihak. Bagi tujuan itu, pihaknya mengadakan pelbagai kempen termasuk menubuhkan penguatkuasaan pendidikan bagi memastikan perokok tidak merokok di kawasan larangan yang boleh menjejaskan orang ramai. “Kita akui dari segi penguatkuasaan ia sukar, tahun lepas 770 saman dikeluarkan dan ia kecil berbanding perokok, oleh itu di Wisma Persekutuan mengambil pendekatan lain seperti kaedah penguatkuasaan pendidikan.

Tun Dr Mahathir Mohamad.
'Geli hati dengar alasan menteri'
SHAH ALAM – Kenyataan seorang menteri berhubung 17,000 penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang enggan menerima bantuan tersebut dianggap melucukan, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. “Saya berasa geli hati apabila seorang menteri menyifatkan keengganan 17,000 golongan individu menerima BR1M sebagai bukti kematangan rakyat di negeri ini. “Ini menunjukkan bahawa kerajaan gagal memahami sentimen rakyat. Kegagalan parti politik untuk memahami permasalahan dan keperluan masyarakat merupakan satu kerugian besar dalam bidang politik,” katanya yang dipetik dari blognya, Chedet.com, hari ini. Sebelum ini, media melaporkan, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, penolakan itu membuktikan rakyat Malaysia semakin ‘matang’ dan tidak memerlukan bantuan dari kerajaan.

Datuk Dr S Subramaniam
Denggi: 38 kes kematian Jan-Feb 2014
KAJANG - Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata 38 kematian akibat denggi dilaporkan di seluruh negara bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini berbanding lapan kematian dalam tempoh sama tahun lepas. Beliau berkata bagi tempoh itu sebanyak 18,047 kes demam denggi dilaporkan di seluruh negara berbanding 4,250 kes bagi tempoh sama tahun lepas dan peningkatan itu antara lain berpunca kurang kerjasama dalam memastikan kawasan bersih dan tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes. Katanya, sikap menyerahkan tanggungjawab membersihkan sesuatu kawasan kepada pihak tertentu atau menyalahkan antara satu sama lain disebabkan peningkatan kes denggi, tidak akan menyelesaikan masalah itu.

Lelaki OKU ditemui mati, dipercayai disamun
ALOR SETAR - Mayat seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang dipercayai disamun dan dipukul ditemui di tepi jalan di Kampung Gunung Keriang dekat sini hari ini. Mayat Khor Joo Koay, 42, dijumpai seorang pekebun yang melalui jalan berkenaan kira-kira jam 9 pagi tadi. Adik mangsa, Khor Choo Heok, 40, berkata abangnya mungkin telah dipukul dan disamun kerana dia gagal menjumpai dompet abangnya selain terdapat kesan cedera di belakang kepalanya. "Beberapa hari lepas, kami ada memberi duit belanja sebanyak RM100 kepada abang saya tetapi hanya ada tujuh ringgit dalam poket seluarnya," katanya. Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan mengesahkan kejadian itu dan pihaknya sedang menyiasat. - Bernama

Dadah: Sepasang suami isteri ditahan
Dadah: Sepasang suami isteri ditahan
ALOR SETAR - Taktik sepasang suami isteri menggunakan premis rumah kedai berhampiran Lebuhraya Sultanah Bahiyah dan rumah di Taman Desa Seraya, di sini dipercayai untuk menjalankan kegiatan pengedaran dadah terbongkar selepas ditahan polis Rabu lalu. Difahamkan, kegiatan berkenaan beroperasi sejak enam bulan lalu untuk edaran kawasan Alor Setar. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Superintendan Abd Razak Md Zin berkata, serbuan pertama dilakukan di premis kedai sebelum serbuan kedua di rumah berkenaan antara jam 1.30 hingga 2.20 petang.

Pemandu bas maut tercampak keluar dari bas
KUALA LUMPUR - Seorang pemandu bas persiaran maut selepas tercampak keluar daripada basnya setelah terbabas ke laluan bertentangan di Kilometer 10.9 Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX) awal pagi ini. Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor berkata ketika kejadian iaitu pada 6.15 pagi, bas terbabit tanpa penumpang dari arah Kuala Lumpur dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kanan jalan dan melanggar tiang lampu. Mangsa, VN Shanmuganathan, 38, mati di tempat kejadian.

Bunuh: Perompak jerut leher, sumbat mulut mangsa
Warga emas mangsa rompak dibunuh
TUMPAT - Seorang wanita warga emas yang tinggal sendirian, maut disyaki selepas lehernya dijerut dan mulutnya disumbat dengan tuala oleh perompak yang memecah masuk rumahnya di Kampung Kutan Tengah, Wakaf Bharu di sini hari ini. Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, Wan Meriam Wan Mahmood, 85, ditemui terbaring di atas katil di dalam rumahnya oleh cucunya Mohd Faizal Abdul Samad, 30, yang sebelum itu menerima panggilan telefon dipercayai daripada mangsa. Mohd Faizal yang tinggal berdekatan rumah neneknya, berkata dia menerima panggilan sebanyak dua kali dipercayai daripada neneknya dan segera pergi ke rumahnya selepas berasa curiga dengan keadaan itu kerana neneknya tidak pernah menelefonnya. Kali pertama telefon berbunyi saya tidak sempat mengangkatnya bagaimanapun tiada siapa yang bersuara ketika saya mengangkat telefon pada panggilan kali kedua, katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini.


Mayat dua remaja perempuan lemas ditemui
KUALA KRAI - Mayat dua remaja perempuan yang lemas selepas tergelincir ke dalam Sungai Lebir di Kampung Manek Urai di sini semalam, ditemui hari ini. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba Azman Abu Hassan berkata mayat kedua-dua mangsa ditemui di dasar sungai itu oleh anggota Unit Skuba Balai Bomba dan Penyelamat Kota Baharu. Mayat Nurul Akmal Roshid, 16, ditemui pada 8.28 pagi iaitu kira-kira 20 meter dari tempat kejadian manakala mayat Nursyafiqah Syaura Mohd Tusof, 13, ditemui kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian pada 8.40 pagi. Azman memberitahu pemberita di sini mayat kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Krai untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing untuk dikebumikan.

Diberkas selepas lori dicuri DI IPD terbabas, terbalik
HULU TERENGGANU - Seorang lelaki yang menceroboh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini semalam, dapat diberkas selepas lori yang dicurinya terbabas dan terbalik ketika menuju Jalan Batu 24 di sini. Lelaki berusia 28 tahun itu melarikan sebuah lori tiga tan di tepi Jalan Besar Kuala Berang selepas meloloskan diri dari IPD itu setelah gagal mencuri kenderaan polis pada kira-kira 4 petang. Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Hussin Deraman berkata, ekoran kemalangan itu, suspek tersepit di tempat duduk pemandu dan dapat dikeluarkan oleh pihak bomba. "Dia kemudian dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. Hasil ujian air kencing terhadap suspek juga mendapati dia positif dadah. Lelaki itu kini ditahan di lokap IPD untuk membantu siasatan kes itu di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan, katanya ketika dihubungi hari ini. - Bernama

R Sri Sanjeevan
Pengerusi MyWatch dakwa diekori dua lelaki
BAHAU - Pengerusi Pasukan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), R Sri Sanjeevan mendakwa diekori dua lelaki menaiki Perodua Kancil selepas mengambil gambar premis dipercayai sarang pelacuran Taman Sornam, di sini petang kelmarin. Sanjeevan memberitahu, dia menerima aduan daripada penduduk, berlaku kegiatan tidak bermoral sejak kewujudan premis itu. "Kejadian saya diekori dua lelaki yang dipercayai lingkungan 30-an berkenaan berlaku antara jam 5.30 hingga 6 petang. "Ia disedari pemandu saya dan bimbang insiden buruk, pemandu saya pandu kereta ke Taman ACBE berhampiran Taman Sornam dan kemudian ke Pusat Perniagan Kiara bagi mengelak kereta kami terus diekori," katanya.

‘Raja Dangdut’ boleh kena hukum penjara
‘Raja Dangdut’ boleh kena hukum penjara
Jakarta: “Profesor Dangdut” Rhoma Irama mungkin terpaksa berpuas hati dengan gelaran “Raja Dangdut” selepas Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia Muhammad Nuh, berkata calon presiden itu boleh dikenakan hukuman jika terbukti anugerah ‘Profesor Dangdut’ diterimanya adalah palsu. “Wujud sekatan, sila baca Sistem Undang-undang Pendidikan Negara,” Kata Nuh Khamis lalu, sambil menambah Rhoma boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda Rp 500 juta (RM1.4 juta). Rhoma dicalonkan Parti Kebangkitan Bangsa(PKB) sebagai calon presiden. Pengerusi Parti itu, Muhaimin Iskandar berkata parti itu akan mempromosikan Rhoma sebagai satu-satunya calon.

Chong Wei sertai Seluruh England
Chong Wei sertai Seluruh England
Kuala Lumpur: Pengarah Kejohanan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Dr Koay Ban Hing mengesahkan jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei tetap akan menyertai Seluruh England yang bermula Selasa ini. Katanya, walaupun Chong Wei dihantui kecederaan buku lali kaki kiri, namun ia bukan di tahap membimbangkan dan pemain nombor satu dunia itu tetap akan turun beraksi di Birmingham, nanti. “Saya boleh sahkan yang Chong Wei akan menyertai Seluruh England. Memang dia ada cedera buku lali tetapi tidak serius. “Apa pun kami akan sentiasa pantau tahap kecederaan Chong Wei itu. Jika dia merasakan kecederaan itu menjadi lebih teruk, dia boleh maklumkan kepada kami dan tidak perlu paksa diri,” kata Koay selepas menyaksikan sesi latihan terakhir skuad negara sebelum ke Seluruh England, semalam.

Foto
Pelihara kesucian makanan umat Islam
Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan mewujudkan mekanisme khas bagi memastikan ayam yang dibekalkan kepada pengguna Islam hanya diperoleh dari rumah sembelihan yang memiliki pengiktirafan halal. Cadangan berkenaan akan dibincangkan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) selaku badan yang bertanggungjawab mengeluarkan sijil halal bagi memelihara kesucian makanan umat Islam. Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek, berkata isu status halal bukan hanya isu kepenggunaan, tetapi juga isu agama yang perlu dipandang serius oleh semua pihak. “Soal halal haram soal agama yang tidak patut dipermainkan, sebab ia sensitif kepada pengguna Islam. Dalam hal ini, pengguna juga perlu menggunakan kuasa mereka untuk memastikan bekalan ayam diperoleh dari rumah sembelihan halal.

'Sudah tiba masa pujuk Misbun'
'Sudah tiba masa pujuk Misbun'
Beliau calon terbaik pikul tugas selaku Pengarah Kejurulatihan berdasarkan rekod cemerlang sebagai jurulatih sebelum ini: Norza Kuala Lumpur: Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Mohamad Norza Zakaria secara peribadi menyifatkan sudah tiba masanya untuk memujuk Datuk Misbun Sidek kembali ke pangkuan badan induk itu. Katanya, Misbun adalah calon terbaik untuk memikul tugas selaku Pengarah Kejurulatihan berdasarkan rekod cemerlangnya sebagai jurulatih sebelum dia membuat keputusan meletak jawatan pada Disember 2010. “Secara peribadi saya rasakan Misbun adalah calon terbaik. Namun, itu terpulang kepada kepimpinan BAM yang lain khususnya Tan Sri Tengku Mahaleel sebagai presiden untuk membuat keputusan. “Kita perlu ada inisiatif untuk membawa masuk Misbun kembali. Siapa yang nak pergi memujuk Misbun saya serahkan kepada Tengku Mahaleel untuk buat keputusan, jika saya yang diberi tanggungjawab itu, saya sedia berjumpa dengan Misbun demi kepentingan badminton negara,” kata Norza semalam.

Dubai haram 'terapi puntianak'
Dubai haram 'terapi puntianak'
Dubai: Pihak berkuasa Dubai mengharamkan rawatan kecantikan yang menggunakan sel darah pelanggan untuk mengekalkan keremajaan wajah. Prosedur platelet kaya plasma (PRP) itu dikenali sebagai rawatan wajah puntianak dan popular di kalangan pelanggan di banyak spa dan klinik di bandar raya itu. Pembantu Pengarah Jabatan Kesihatan di Pihak Berkuasa Kesihatan Dubai (DHA), Dr Laila Mohammad Al Marzouqi mengesahkan PRP diharamkan. “Ia satu bentuk prosedur baru dan perlu dikawal selia seperti prosedur kosmetik atau terapeutik lain untuk memastikan keselamatan pesakit, yang menjadi keutamaan kami,” katanya.

Boleh guna e-Filing mulai semalam
Kuala Lumpur: Pembayar cukai sudah mula menggunakan perkhidmatan e-Filing sejak semalam untuk memfailkan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi tahun taksiran 2013. Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), dalam kenyataan yang diterbitkan di sini, menyatakan pihaknya dalam proses mengeluarkan BNCP kepada pembayar cukaiyang mempunyai pendapatan perniagaan dan/atau pendapatan selain perniagaan. “BNCP yang dikeluarkan termasuklah Borang E, BE, B, BT, P, M, MT, TP, TF dan TJ untuk tahun taksiran 2013,” katanya.

Sindiket tipu pelajar
Sindiket tipu pelajar
Caj RM500 untuk hadiri temuduga dan dijanjikan tempat ke universiti. Kuala Lumpur: Dua sindiket dikesan menipu pelajar menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mengaut keuntungan dengan mengenakan bayaran sehingga RM500 bagi menghadiri temuduga kemasukan ke universiti awam dan swasta. Sindiket itu turut menggunakan logo Kementerian Pendidikan, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan pelbagai agensi lain dalam surat panggilan temuduga yang diedar kepada pelajar di seluruh negara. Mereka turut menggunakan nama Jabatan Pengurusan Siswazah, Jabatan Pengurusan Biasiswa dan Unit Pengambilan Khas Pelajar Kementerian Pendidikan. Namun, siasatan BH mendapati jabatan dan unit itu tidak wujud di Kementerian Pendidikan.

2 pemuzik terbunuh jambatan besi runtuh di Bolivia
LA PAZ (Bolivia): Dua pemuzik terbunuh manakala 30 yang lain cedera apabila sebuah jambatan besi runtuh ke arah sekumpulan pemuzik dalam perarakan pembukaan karnival di bandar Oruro, demikian menurut polis Bolivia. Berpuluh pengunjung berada di jambatan berkenaan ketika ia tumbang ke arah sekumpulan penari dan pemuzik di kawasan tanah tinggi ibu negara Bolivia. Acara tahunan selama empat hari itu adalah festival terbesar di Bolivia yang menghimpunkan sekurang-kurangnya 20,000 pemuzik dan penarik serta berpuluh ribu pelancong. Agensi berita tempatan berkata, angka korban dijangka meningkat. - AP

Ketua Wanita UMNO FELDA Semenchu mati akibat ditekup muka
Johor Bahru: Laporan bedah siasat ke atas mayat Ketua Wanita UMNO FELDA Semenchu Zalifah Jamaluddin, 68, mengesahkan mangsa mati akibat muka ditekup. Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Rahmat Othman berkata, hasil bedah siasat juga mendapati mangsa patah empat tulang rusuk kanan dan lapan tulang rusuk kiri berpunca daripada tekanan benda berat dan tulang rapuh. Menurut Rahmat, ketika ditemui, fizikal mangsa tidak mengalami kecederaan, tetapi hasil bedah siasat dijalankan mengesahkan mangsa mati disebabkan mukanya ditekup dengan sesuatu, dipercayai tuala kecil. “Mangsa juga mengalami patah tulang rusuk berkemungkinan disebabkan beban tekanan, manakala matanya merah kerana mengalami luka di bahagian dalaman,” katanya.

Tahanan mati dalam lokap lepas mengadu sakit perut
Georgetown: Seorang tahanan kes dadah mati selepas mengadu sakit perut di Lokap Berpusat Balai Bayan Baru, di sini, awal pagi semalam. N Ramasamy, 50, ditahan dalam lokap bersama enam individu lain, termasuk adik kembarnya dan mereka direman seminggu kerana kesalahan menghisap dadah. Bagaimanapun, dia mengadu mengalami kesakitan di perut dan badan sebelum diberi bantuan dan dibawa ke bilik menunggu di lokap terbabit. Namun, selepas ambulans tiba, pegawai perubatan mengesahkan Ramasamy meninggal dunia. Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Lai Fah Hin berkata, polis menjalankan siasatan lanjut berhubung kematian Orang Kena Tahan (OKT) terbabit untuk mengenal pasti punca sebenar. “Hasil keterangan awal, adik kembarnya yang turut ditahan dalam lokap berkenaan mendakwa abangnya menghidap penyakit asma dan kencing manis.

3 rumah ditelan bumi
Ipoh: Malang berganda menimpa seorang warga emas yang baru kematian isteri enam hari lalu apabila kini terpaksa berpindah selepas rumahnya terjejas teruk akibat tanah jerlus, awal pagi semalam. Dalam kejadian jam 3.30 pagi, tiga rumah terjejas akibat tanah jerlus dengan satu daripadanya musnah hampir 80 peratus selepas tanah mendap sedalam lima meter hingga menyebabkan 20 penghuni membabitkan empat keluarga terpaksa dipindahkan ke tempat selamat. Mangsa G Sandaran, 64, yang juga pesara Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) berkata, ketika kejadian, dia dan 11 ahli keluarga lain tidur selepas penat mengadakan kenduri dan upacara keagamaan untuk mendiang isterinya. “Ketika nyenyak tidur, tiba-tiba saya terjaga apabila mendengar bunyi bising dan keluar untuk memeriksa kerana menyangka penyamun ingin memecah masuk rumah.

Foto
Vandalisme rumah ibadat angkara lelaki kurang siuman
Kulim: Polis mengesahkan kejadian vendalisme membabitkan empat rumah ibadat di daerah ini dan Baling dilakukan oleh seorang lelaki kurang siuman berusia 31 tahun dan tidak bermotif keagamaan. Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim meminta orang ramai menghentikan spekulasi yang boleh menyebabkan ketegangan kaum dan agama supaya ia tidak merebak menjadi perkara tidak diingini. Katanya, berdasarkan maklumat, kejadian berlaku jam 1 tengah hari hingga 5 petang kelmarin berdasarkan laporan dibuat pihak pengurusan rumah ibadat terbabit. “Dalam kejadian terbabit, empat rumah ibadat dirosakkan iaitu tiga di Kulim membabitkan dua tokong Cina dan sebuah kuil Hindu manakala di Kuala Ketil, Baling membabitkan sebuah kuil Hindu.

Foto
Hanya mati lima setengah jam, kemudian hidup
Mississippi: Seorang lelaki yang disahkan mati oleh doktor bangkit sejurus sebelum dia diawet. Kejadian berlaku di sebuah rumah mayat di Lexington, di sini, kelmarin. Menurut laporan, pekerja rumah mayat itu bersiap sedia untuk mengawet Walter Williams apabila dia mula bergerak. Terdahulu, doktor memeriksanya dan mengesahkan dia mati pada jam 9 malam. Bagaimanapun, pada jam 2.30 pagi, pekerja rumah mayat menelefon anak saudaranya untuk memberitahu dia masih hidup. Foto WILLIAMS terjaga sejurus sebelum diawet. “Saya melihat sendiri pekerja hospital memasukkan bapa saudara saya ke dalam beg mayat untuk dihantar ke rumah mayat.

Nyaris tak mati dilanggar keretapi kerana asyik main telefon
Shanghai: Kerana asyik bermain dengan telefon bimbitnya sambil bermundar-mandir di platform, seorang penumpang wanita berusia 50 tahun yang menanti kereta api di sebuah stesen di sini terjatuh ke landasan. Mujur ketika kejadian tidak ada kereta api yang melintas dan wanita itu ditarik naik ke platform tanpa sebarang kecederaan. Rakaman video menunjukkan penumpang itu tidak duduk diam sambil membelek telefonnya, tanpa melihat keadaan sekeliling sebelum dia terjatuh ke landasan. Rakaman itu juga menunjukkan, walaupun selepas jatuh, dia tidak menunjukkan sebarang reaksi, malah masih asyik melihat telefonnya. - Agensi

Foto
Doktor beri racun, badan bayi melecur
Alor Setar: “Hati ibu mana tidak sebak apabila melihat anak yang sebelum ini sihat dan aktif berubah sekelip mata. Selain menangis setiap masa, Muhammad Nasrullah juga tidak lalu makan, malah sering muntah apabila diberi susu,” kata Nur Shazira Mohd Salleh, 23. Menurut Shazira, dia menyedari perubahan mendadak yang berlaku terhadap anak tunggalnya berusia lapan bulan itu selepas mendapatkan rawatan akibat dijangkiti ruam di sebuah klinik swasta di Jalan Sultan Badlishah, di sini, Isnin lalu. Katanya, selepas diberi ubat makan dan sapu dibekalkan klinik berkenaan, badan anaknya menjadi kemerahan seperti dibakar sebelum merebak ke seluruh badan. Warna kemerahan itu kemudian bertukar hitam dan menggelupas. Selain melecur pada kulit, anaknya tidak lalu makan dan sering muntah apabila diberi susu walaupun tidak mempunyai alahan terhadap susu sebelum ini.

Foto
Dua pengasuh kejam
Ipoh: Seorang bayi berusia dua bulan koma sejak seminggu lalu selepas mengalami pendarahan dalam otak yang serius, dipercayai akibat didera pengasuhnya. Bayi lelaki malang itu dimasukkan ke wad kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, jam 11 malam 25 Februari lalu, selepas dibawa oleh ibu bapanya kerana tidak sedarkan diri. Menurut sumber, sebaik dihantar ke hospital oleh ibu bapanya yang menetap di Persiaran Meteor, di sini, pakar perubatan melakukan CT Scan terhadap bayi terbabit dan mengesan pendarahan dalam otak. Mangsa turut mengalami sawan yang teruk. “Doktor pakar neurologi kanak-kanak yang menjalankan pemeriksaan mendapati ada pendarahan dalam otak bayi berkenaan dan kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Foto
Kedai kopi gesek
Banting: Minum sambil bergesek, itulah menu tambahan ditawarkan pengusaha sebuah restoran di sini yang menyediakan sekurang-kurangnya 10 wanita warga China untuk menjadi peneman pengunjung sepanjang menjamu selera di premis dalam ladang kelapa sawit itu. Terletak jauh di pinggir kota, gadis muda berkulit putih gebu yang rata-rata­nya berusia 20-an ini boleh dibawa keluar dan diajak ke ranjang dengan bayaran kira-kira RM500 oleh pengunjung mata keranjang, terutama pelanggan tetap, Itulah gambaran boleh diberikan kepada restoran berkenaan yang menawarkan khidmat pelayan pelanggan (GRO) ‘China Doll’ kepada pengunjung­nya dipercayai sejak beberapa bulan lalu. Beroperasi kira-kira 500 meter dari jalan utama, tidak siapa menyangka ada lebih 10 GRO asyik melayan pelanggan secara terbuka di restoran berkenaan.

No comments:

Post a Comment