Sunday, March 16, 2014

Berita Terkini 16 Mac 2014


MH370 dipandu orang yang tahu cara elak dikesan radar
KUALA LUMPUR – Para penyiasat kini percaya bahawa sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) telah dikemudikan oleh seseorang yang berkemahiran tinggi bagi mengelak pergerakan kapal terbang itu dikesan radar, kata seorang pegawai kanan tentera Malaysia kepada agensi berita AFP semalam. Radar tentera Malaysia menunjukkan pesawat Boeing 777-200 itu telah mengubah arah semasa dalam penerbangan ke Beijing, China dan ia dipercayai menuju ke arah Lautan Hindi. “Dia (juruterbang itu) seorang yang berkemahiran tinggi, cekap dan merupakan seorang juruterbang. “Juruterbang itu mengetahui cara untuk mengelakkan pesawat itu dikesan radar. Dia telah membuat kajian tentang cara untuk mengelakkan pesawat itu dikesan (radar),” kata pegawai tersebut yang enggan namanya disiarkan. Rumusan itu dibuat selepas agensi berita AP melaporkan kelmarin bahawa satelit Inmassat menerima lima atau enam isyarat ’ping’ atau denyut elektronik selama empat jam dari pesawat tersebut Akhbar Washington Post melaporkan, transponder pesawat itu yang menerima isyarat dari menara kawalan dimatikan 30 minit selepas berlaku komunikasi suara terakhir dari kokpit MH370. Komunikasi dari pesawat itu ialah: “Baiklah, selamat malam.” Agensi berita AFP melaporkan, seorang pensyarah penerbangan di Politeknik Temasek, Singapura Paul Yap menyatakan terdapat dua keadaan yang boleh menyebabkan transponder itu dimatikan. “Pertamanya, orang yang terlibat menutup transponder itu dengan sengaja ialah iaitu juruterbang dan orang yang bersengkokol dengannya. “Kita turut berdepan dengan senario apabila para pengganas memaksa juruterbang itu mengubah arah haluan dan menutup transponder ketika dures (ancaman). Pengganas itu mungkin mengancam untuk membunuh penumpang,” katanya. Beberapa penganalisis berkata, transponder MH370 ditutup ketika pesawat itu berada pada paras altitud penerbangan yang membolehkan juruterbang pergi ke tandas atau menikmati minuman kopi. Menurut akhbar New York Times, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sidang akhbarnya semalam menyentuh tentang kawasan komunikasi terakhir antara pesawat itu dengan satelit. Najib berkata, komunikasi kali terakhir antara pesawat itu dengan sebuah satelit mungkin berlaku di laluan koridor utara yang menjangkau lebih kurang dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan sehingga ke utara Thailand. Komunikasi terakhir pesawat dengan satelit itu juga mungkin berlaku di laluan koridor selatan dari Indonesia sehingga ke selatan Lautan Hindi. Menurut Najib, pasukan penyiasat sedang berusaha untuk memperhalusi lagi maklumat ini. Namun, akhbar itu melaporkan lalun koridor utara itu terletak berhampiran kawasan yang dianggap paling bergolak di dunia dan menempatkan kumpulan-kumpulan pemberontak. Namun, laluan tersebut juga mempunyai rangkaian pertahanan udara yang dikendalikan tentera AS. Laluan koridor utara itu turut meliputi Iran, Afghanistan, utara Pakistan, utara India, banjaran Himalaya dan Myanmar Bagaimanapun, koridor utara itu mempunyai beberapa buah pangkalan tentera milik AS dan anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Afghanistan yang wujud sejak lebih sedekad lalu. Sebuah angkalan tentera yang terdapat berhampiran koridor utara itu adalah di Bagram, Afghanistan milik tentera AS. Akhbar itu melaporkan laluan koridor selatan yang dinyatakan Najib itu bermula dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi. BEBERAPA anggota Pengawal Pantai Jepun memeriksa tayar sebuah pesawat yang akan berlepas dari Lapangan Terbang Subang, Kuala Lumpur untuk mencari pesawat MH370 di Laut China Selatan semalam. - Reuters. Transponder. Menurut laporan akhbar tersebut, jika pesawat berkenaan melalui koridor selatan, ia akan melintasi kawasan dekat Kepulauan Cocos milik Australia. Kepulauan kecil yang mempunyai penduduk kurang 1,000 orang itu mempunyai sebuah lapangan terbang kecil. Justeru, seorang pengasas perkhidmatan pengesan global Flightradar24, Mkael Robertson menyatakan, cara komunikasi pesawat itu diputuskan menunjukkan terdapat penglibatan seseorang yang mempunyai kepakaran dalam bidang penerbangan dan mengetahui laluan udara. Menurut Robertson kepada akhbar tersebut, kepakaran penerbangan itu kemungkinan dimiliki oleh seorang kru pesawat. Beliau berkata, signal transponder yang ditutup bagi mengelak pesawat tersebut dikesan radar selepas ia berlepas dari lapangan terbang menunjukkan terdapat seseorang yang sengaja melakukan perbuatan itu untuk sesuatu tujuan. Akhbar New York Times melaporkan, seorang individu yang telah mendengar taklimat berhubung perkembangan siasatan pesawat tersebut menyatakan, kotak komunikasi yang terdapat di dalam pesawat MH370 itu merupakan generasi lama yang tidak dilengkapi dengan sistem kedudukan sejagat (GPS). Seramai 153 penumpang dalam pesawat itu ialah warga China. Pesawat itu membawa 227 penumpang dan 12 kru itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 12.40 pagi. Komunikasi kali terakhir kapal terbang tersebut dengan menara kawalan trafik awam adalah pada pukul 1.21 pagi. Kehilangan pesawat itu kemudian mencetuskan misteri kerana tiada serpihan badan Boeing 777-200 yang ditemui di Laut China Selatan dan Selat Melaka selepas operasi mencari kapal terbang berkenaan dilancarkan dengan melibatkan beberapa buah negara sejak 8 Mac lalu. Pesawat itu dipandu juruterbang, Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53, dan pembantunya, Fariq Abdul Hamid, 27. Dua penumpang Iran dikenal pasti menggunakan pasport curi yang menaiki pesawat itu ialah Pouri Nour Mohammadi, 19, dan Delavar Seyed Mohammad Reza, 29. Pouri menggunakan pasport Austria manakala Delavar menggunakan pasport Itali yang telah dicuri di Thailand. Penumpang lain yang menaiki pesawat itu ialah 38 warga Malaysia, tujuh orang penduduk Indonesia, enam warga Australia, lima warga India, empat rakyat Perancis, tiga warga AS dan dua warga New Zealand. Turut menaiki pesawat MH370 ialah dua warga Ukraine, dua warga Kanada, Rusia (1), Taiwan (1) dan Belanda (1). – Agensi


Atlet kudung berenang seperti ikan
KOLAM renang awam di wilayah Kunming, China dibanjiri dengan pengunjung seawal pukul 8 pagi. Kelibat tubuh genit milik Qian Hongyan yang sedang meranduk air mencuri tumpuan. Manakan tidak, gadis bertubuh kecil itu tangkas membelah kedalaman air meskipun dia tidak mempunyai kedua-dua belah kaki. Dilahirkan normal, Hongyan kehilangan kakinya pada usia empat tahun selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya. Mengimbau kembali peristiwa hitam itu, gadis berumur 19 tahun itu memberitahu, dia dalam perjalanan pulang ke rumah melalui lebuh raya Zhuangzia, Beijing apabila teksi yang dinaiki secara tiba-tiba hilang kawalan lalu merempuh sebuah lori pengangkut sampah. "Doktor terpaksa memotong kedua-dua belah kaki sehingga ke bahagian pelvik untuk menyelamatkan nyawa saya," katanya menerusi portal berita China Daily. Melecet. Selepas tiga bulan menerima rawatan, gadis yang berasal dari wilayah Luliang, Yunnan itu dibenarkan keluar dari hospital. Kemiskinan hidup menghalangnya daripada memiliki kaki palsu. Namun, dia membulatkan semangat dan tekad untuk terus mengharungi hidup meskipun sukar bergerak. Menggunakan kudrat yang ada, Hongyan akan mengesot untuk bergerak di kawasan rumahnya. BOLA dan pemegang khas kayu memudahkan pergerakan Hongyan. Pergerakan yang terbatas sering membuatkan i sekeliling badannya yang kudung melecet. Ujar Hongyan, ibunya akan membasuh luka tersebut dengan air suam sebelum meletakkan ubat daripada campuran herba di bahagian yang melecet tadi. "Saya akan terlantar selama beberapa hari sementara menunggu luka tersebut sembuh sebelum boleh bergerak semula," ujarnya. Melihat Hongyan terbaring dan tidak mampu bergerak, ayahnya membuat sebuah pelapik punggung daripada sebiji bola keranjang bagi membolehkan anaknya itu 'berjalan' tanpa melecet lagi. Ayahnya juga menyediakan pemegang khas yang diperbuat daripada kayu bagi melindungi kedua-dua tapak tangan daripada cedera. Alah bisa tegal biasa, Hongyan mula membiasakan diri menggunakan kedua-dua alat itu untuk bergerak. Selepas lima tahun berlalu, Hongyan menerima sumbangan kaki protestik berteknologi tinggi daripada Pusat Penyelidikan Rehabilitasi China. Bagaimanapun, dia lebih selesa menggunakan bola itu untuk bergerak sehingga dia memperoleh gelaran 'Budak Bola Keranjang' dalam kalangan rakan-rakan sebaya. "Saya tidak ambil hati dengan gelaran itu," katanya yang cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum. Bagaimanapun berikutan kemiskinan yang dihadapi, Hongyan terpaksa berhenti sekolah ketika berusia 11 tahun. Tidak berputus asa, dia seterusnya menyertai sebuah kelab renang untuk orang kurang upaya dan mendapat bimbingan daripada jurulatih Zhang Honghu. "Ketika mula-mula belajar berenang, saya sukar untuk mengapungkan badan namun lama-kelamaan, saya dapat membiasakan diri dan akhirnya mampu berenang dengan baik," jelasnya. Ikan. Di sebalik kecacatan Hongyan, dia mempunyai bakat semula jadi dalam sukan itu sehingga kecekapannya berenang disamakan seperti ikan. Hongyan memberitahu, dia menjalani modul latihan intensif selama empat jam setiap hari di Kelab Renang Yunzhinan, Kunming. "Saya perlu berenang sejauh 2,000 meter (m) sehari bagi menguatkan otot-otot tangan dan badan. Saya turut melakukan senaman bangkit tubi serta latihan menggunakan dumbel," ujarnya yang menggemari disiplin 400m gaya bebas dan 100m kuak lentang. KECEKAPAN gadis ini berenang disamakan dengan seekor ikan. Kebolehannya itu melayakkan Hongyan mewakili China ke Sukan Paralimpik 2012 yang berlangsung di London, Britain. Walaupun tidak memenangi sebarang pingat pada kejohanan bertaraf antarabangsa tersebut, Hongyan berbangga dengan pencapaiannya setakat ini. Hongyan pernah memenangi tiga pingat emas dalam kejohanan sukan paralimpik bawah 18 tahun wilayah Yunnan yang diadakan pada tahun 2009. Dia turut menggondol satu pingat emas dan lima pingat perak dalam Kejohanan Renang Orang Kurang Upaya Kebangsaan yang berlangsung di Shaoxing, Zhejiang pada tahun 2010. "Saya akan terus berusaha bagi memajukan diri dalam sukan ini," katanya.


Hukuman emosi pelajar ponteng
ISNIN lalu, akhbar melaporkan rancangan Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan untuk mengarak pelajar yang ponteng sekolah menggunakan van jenazah di sekitar bandar Kota Bharu, Kelantan. Tindakan tersebut diambil bagi mengurangkan gejala ponteng sekolah di negeri itu. Sebelum ini, van jenazah pernah digunakan untuk mengangkut orang Islam yang ditangkap tidak berpuasa pada bulan Ramadan di negeri-negeri tertentu. Menurut Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussain Awang, langkah itu juga bagi mengurangkan pelajar-pelajar terbabit terlibat dengan kegiatan yang tidak bermoral terutama penagihan dadah. “Kami memberi amaran keras kepada pelajar yang ponteng, mereka akan diarak mengelilingi bandar ini dengan van tersebut kerana kami mahu mereka mengambil pengajaran daripada perbuatan yang dilakukan itu. “Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan mahu mengurangkan kadar ponteng sekolah dalam kalangan pelajar di negeri ini,” katanya. Beliau berkata demikian selepas Ops Ponteng dijalankan. Dalam operasi itu, seramai 17 pelajar yang ponteng sekolah ditangkap di beberapa lokasi di Kota Bharu. “Sebahagian besar pelajar terlibat adalah dari sekolah-sekolah di daerah ini tetapi ada juga pelajar dari daerah lain yang ponteng di sini. “Ada dalam kalangan mereka yang ditahan positif dadah dan terbabit dengan gejala merokok. “Kesemua pelajar itu diberikan kaunseling dan ibu bapa turut dimaklumkan oleh pihak sekolah. Mereka terkejut dengan perlakuan anak-anak mereka itu,” ujarnya. Sementara itu, seorang pelajar yang mahu dikenali sebagai Bidi, 17, memberi alasan, dia dan rakan-rakannya ponteng sekolah disebabkan makanan yang disediakan di kantin tidak sedap. “Kami sering ponteng sekolah kerana makanan di kantin tidak sedap, tetapi selepas ini kami berjanji tidak akan mengulangi perbuatan ini lagi,” ujarnya. PENGGUNAAN van jenazah dicadangkan bagi memberi pengajaran kepada pelajar yang ponteng sekolah. - Gambar hiasan Bebas salah laku. Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohd. Ali Hassan berkata, tindakan mengarak pelajar yang ponteng sekolah dengan menaiki van jenazah disifatkan agak melampau dan boleh mengaibkan keluarga serta pelajar itu sendiri. Menurutnya, tindakan itu hanya boleh dipertimbangkan sebagai langkah akhir bagi menyedarkan pelajar terbabit selepas semua cara ‘lembut’ gagal memberi kesan. “Tindakan drastik tanpa mengira adab susila budaya ketimuran seperti ini hanya akan membawa aib kepada keluarga pelajar. “Sepatutnya cara terbaik dimulakan dengan komunikasi dengan ibu bapa pelajar, kaunseling serta pendekatan agama,” katanya. Ketua Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Dr. Zainal Madon memberitahu, secara umumnya, setiap hukuman yang dikenakan kepada pelajar bertujuan untuk membendung tingkah laku negatif dan membolehkan pelajar tersebut berubah ke arah yang lebih positif. “Penggunaan van jenazah adalah hukuman dalam bentuk emosi iaitu bertujuan memberi keinsafan tetapi sejauh mana bentuk hukuman sebegini dapat memberi pengajaran dan membendung kegiatan ponteng, perlu diperhalusi,” jelasnya. Tambahnya, sebarang hukuman yang dikenakan merupakan satu bentuk pengajaran dan bukan bertujuan memalukan serta menjatuhkan maruah pelajar terbabit. “Kita perlu melihat punca kejadian ponteng itu sendiri secara menyeluruh bagi merangka strategi pencegahan yang lebih komprehensif dan berkesan. “Membina perkembangan sahsiah dan kendiri secara berterusan dan terancang merupakan kunci membina pelajar yang sejahtera dan bebas salah laku,” beritahu beliau.


Yossibnosh calon BN
MUKAH - Barisan Nasional (BN) menamakan bekas Pegawai Daerah Dalat, Yossibnosh Balo, 48, sebagai calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian pada 29 Mac ini. Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pucuk pimpinan BN sebulat suara memilih anak jati Mukah yang berasal dari Kampung Tellian Tengah itu kerana beliau memiliki pengalaman luas dalam kerajaan dan seorang yang berjiwa rakyat. Menurutnya, Yossibnosh yang berketurunan Melanau juga amat dikenali dalam kalangan masyarakat setempat dilihat mampu memberi khidmat bakti terbaik kepada pengundi di Balingian. "Pada masa sama, kita yakin berdasarkan pengalaman dan kelayakan yang ada pada calon (Yossibnosh), jumlah majoriti undi boleh ditingkatkan kepada lebih 6,000 undi berbanding 5,154 undi pada pilihan raya sebelum ini," katanya di sini semalam. Kerusi DUN Balingian yang disandang Tan Sri Abdul Taib Mahmud kosong selepas beliau melepaskan jawatan Ketua Menteri dan dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri pada 28 Februari lalu. Pada Pilihan Raya Negeri 2011, Abdul Taib mengekalkan kerusi itu dalam persaingan tiga penjuru menewaskan Suriati Abdullah dari PKR dan Datuk Salleh Jafaruddin (Bebas) dengan majoriti 5,154 undi. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon PRK Balingian diadakan pada 17 Mac manakala pengundian pada 29 Mac.


Simulator milik juruterbang diambil untuk siasatan - KPN
SEPANG - Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis telah mengambil simulator penerbangan daripada rumah juruterbang MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah untuk diperiksa oleh pakar. Beliau berkata, pakar sedang memeriksa simulator milik juruterbang itu dengan harapan mendapatkan petunjuk bagi membantu mencari kehilangan pesawat itu. "Kami ke rumah beliau petang semalam dan mengambil simulator dan semuanya yang dapat membantu kami. Kami menanggalkannya (simulator) di rumah dan memasangnya semula di pejabat kami,” katanya pada sidang media yang dipengerusikan oleh Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di sini hari ini. Dilaporkan polis semalam telah memeriksa rumah Kapten Zaharie serta pembantu juruterbang Fariq Abdul Hamid. - Bernama


Ramai Media Mabuk Laut Ketika Ikut Operasi SAR
Ramai wartawan, jurugambar dan kru televisyen yang mengikut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menjalankan operasi Mencari dan Menyelamat (SAR), dilaporkan mengalami mabuk laut. Mengikut laporan akhbar The Malay Mail, seramai 13 anggota media telah dibawa menaiki bot menyusuri kira-kira 25 batu nautika lautan dari pantai Tok Bali, Kelantan semalam. Bagaimanapun baru 10 minit ikut serta, beberapa anggota media mula berasa pening dan loya. Keadaan diburukkan lagi oleh gelombang kuat disebabkan air pasang. Tidak lama kemudian, sebilangannya mulai muntah ke dalam beg plastik. Namun seorang jurugambar dikatakan terlalu lemah hingga termuntah ke atas pakaiannya sendiri. Melihat keadaan ini, wakil APMM segera memindahkan pihak media ke atas dek kapal. Juru cakap APMM turut memberi tip, salah satu cara anggota maritim mengelak mabuk laut adalah menyibukkan diri mereka di atas dek. Sepanjang operasi yang memakan masa empat jam semalam, pihak media telah didedahkan tentang cara bagaimana operasi SAR dijalankan di lautan. Antara yang ditunjukkan termasuklah penggunaan binokular bagi mengesan sebarang petanda berkaitan pesawat MH370. Suasana dikatakan sempat kecoh seketika apabila salah seorang anggota media mendakwa ternampak objek menyerupai rakit atau jaket keselamatan namun selepas diperiksa, ia rupa-rupanya cuma kotak terbuang. – REM RAMZI Sumber: THE MALAY MAIL ONLINE


Kekasih Fariq Diberi Cuti Sebulan
Dalam keadaan nasib para penumpang MH370 yang masih belum diketahui sampai ke hari ini, pihak yang paling bersedih sudah tentulah waris, keluarga dan insan tersayang penumpang terbabit. Salah seorangnya adalah teman wanita pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid, 27. Kekasihnya yang dikenali sebagai Nadira Ramli, 26, yang merupakan juruterbang pesawat Air Asia dikatakan telah diberi cuti selama sebulan oleh majikannya bagi menenangkan perasaan dan mengikuti perkembangan semasa pencarian pesawat yang hilang sejak awal pagi Sabtu lepas. Dikhabarkan, Nadira kini sentiasa berada bersama ibu Fariq sambil menanti berita tentang insan yang mereka sayangi itu. Difahamkan, Fariq dan Nadira yang mula berkenalan di sebuah sekolah penerbangan di Langkawi sudah bersama selama sembilan tahun. Pasangan ini juga sudah ke peringkat mahu mengakhiri hubungan mereka di jinjang pelamin sebelum insiden yang menggemparkan negara ini berlaku. Nadira merupakan anak bongsu kepada Kapten Ramli Ibrahim yang turut merupakan juruterbang kanan di Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) manakala Fariq, merupakan anak bongsu kepada Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Ab.Hamid Md Daud. Berkenaan isu yang tersebar berkaitan Fariq membawa masuk dua wanita Afrika Selatan ke dalam kokpit, Nadira nyata tidak melatah dan dikatakan meminta agar saudara mara mereka tidak mempercayai sepenuhnya berita berkenaan. Diharapkan Nadira dan keluarga penumpang serta anak kapal MH370 terus bersabar menanti khabar tentang pesawat ini. Kesemua rakyat Malaysia turut mendoakan kesudahan yang baik bagi mengakhiri penantian kita sejak semingggu lalu.


Zahid – Denda RM500 Kalau Hilang MyKad
BAGAN DATOH — Individu yang didapati menghilangkan MyKad mereka dengan cuai boleh dikenakan denda sehingga RM500, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Namun beliau berkata kehilangan MyKad akibat bencana alam tidak akan dikenakan denda. Pada masa ini denda yang dikenakan ialah RM100 bagi kehilangan kali pertama, RM200 bagi kali kedua dan RM300 untuk kehilangan seterusnya. Katanya sehingga kini kira-kira setengah juta MyKad dilaporkan hilang. “Kerajaan prihatin terhadap mereka yang hilang kad pengenalan tetapi kerajaan rasakan mereka harus membayar dengan harga sepatutnya supaya tidak berlaku kehilangan semula,” katanya. Ahmad Zahid berkata adalah amat penting untuk menjaga MyKad dengan baik kerana ia menunjukkan kewarganegaraan seseorang individu. Dalam perkembangan lain, beliau berkata Sistem Pengurusan Pekerja Asing Berpusat akan distruktur semula bagi mempercepatkan proses permohonan untuk mendapatkan pekerja asing. Katanya ketika ini pengambilan pekerja asing dilakukan melalui tiga saluran yang dianggotai pelbagai jabatan dan agensi, bahagian pengambilan pekerja asing Kementerian Dalam Negeri dan bahagian pekerja asing Jabatan Imigresen. “Permohonan tidak akan lagi dibuat melalui agensi pekerja asing sebaliknya majikan akan meminta terus secara online kepada satu saluran yang akan ditentukan oleh jawatankuasa khas mengenai pekerja asing yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya. Ahmad Zahid berkata beliau akan melawat negara sumber pekerja asing bagi memudahkan prosedur pengambilan pekerja asing dan penghantaran balik ke negara asal bagi mereka yang tamat tempoh permit kerja. Beliau berkata dengan cara itu sistem pengambilan pekerja asing akan menjadi lebih teratur. – Bernama


Remaja Pakistan Maut Bakar Diri
LAHORE – Seorang remaja Pakistan mati akibat kecederaan yang dialaminya selepas membakar diri di luar sebuah balai polis berikutan tindakan pihak berkuasa membebaskan lelaki yang didakwa merogolnya. Aamna Bibi, 18 membakar diri di luar balai polis di daerah Muzaffargarh di Punjab selepas perogolnya berjaya merasuah pihak polis untuk membebaskan diri, lapor media tempatan. Mangsa dibawa ke hospital dengan mengalami 80 peratus kesan kebakaran pada tubuhnya tetapi meninggal dunia pada hari berikutnya berikutan kecederaan parah yang dialaminya. Aamna disahkan mati kelmarin selepas kejadian yang berlaku di kampung Beit Mir Hazar Khan, kata ketua polis daerah Muzaffargarh, Usman Akran Gondal. Gondal berkata abang mangsa memfailkan laporan kepada pihak polis pada Januari mengatakan adiknya itu diculik dan penyerang cuba merogolnya. Katanya pihak berkuasa menyiasat dakwaan itu tetapi tidak menemui bukti untuk menyokong dakwaan menyebabkan suspek dibebaskan. Bagaimanapun media tempatan melaporkan bahawa seorang daripada penyerang dibebaskan selepas merasuah pihak polis dengan sejumlah wang yang besar. Suspek kemudian diisytiharkan tidak bersalah oleh pegawai penyiasat, Zulfiqar Ahmed selepas membayar sejumlah 70,000 rupee (RM2,300), lapor International Business Times. Suruhanjaya Hak Asasi Pakistan berkata wanita terbabit ke balai polis untuk membantah kejadian itu tetapi akhirnya memutuskan untuk membunuh diri kerana ketidakadilan itu. – AGENSI


Sekolah Ditutup Ekoran Jerebu Dibuka Semula Esok
PETALING JAYA, 16 Mac (Bernama) -- Kesemua 202 buah sekolah yang ditutup akibat jerebu sejak Jumaat lepas diarah dibuka semula seperti biasa esok, kata Timbalan Menteri Pendidikan II P. Kamalanathan. Katanya, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) terkini adalah selamat dan semua aktiviti sekolah boleh berjalan seperti biasa. Bagaimanapun pengetua dan guru besar di seluruh negara diminta mematuhi pekeliling mengenai jerebu yang dikeluarkan kementeriannya awal bulan ini. "Jangan tunggu hingga indeks IPU mencecah 200. Malahan arahan telah dikeluarkan kepada semua sekolah, sebaik saja IPU mencecah 100, bagi kanak-kanak dengan penyakit dan masalah bernafas, guru-guru diminta jangan libatkan mereka dengan aktiviti luar. "Sebaik saja ia (IPU) mencecah 150, arahan ialah memberitahu sekolah bahawa tidak ada aktiviti luar (dibenarkan) bagi semua orang," katanya ketika ditemui media di majlis Marathon Tarian anjuran Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan, sempena Hari Buah Pinggang Sedunia, di sini Ahad. Kementerian Pendidikan sebelum ini mengarahkan semua sekolah ditutup jika bacaan IPU melebihi 200 iaitu bacaan sangat tidak sihat. Minggu lalu, Jabatan Pelajaran Selangor mengarahkan semua 131 sekolah di daerah Klang dan 71 sekolah di daerah Kuala Langat ditutup serta-merta pada Jumaat ekoran bacaan IPU sangat tidak sihat di dua daerah itu. Kamalanathan juga mengarahkan pihak sekolah sentiasa peka dengan kualiti udara di kawasan masing-masing. Walaupun bacaan IPU dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mungkin menunjukkan bacaan kategori sihat di laman sesawangnya namun di kawasan mereka ia mungkin tidak sihat, kata beliau. -- BERNAMA


Penggunaan Bekalan Air Berjaya Dikurangkan 331 Juta Liter Sehari
KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Kadar penggunaan bekalan air bersih berjaya dikurangkan sebanyak 331 juta liter sehari (JLH) hasil daripada pelaksanaan Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Pertama dan Ketiga di sembilan wilayah di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) dalam satu kenyataan di sini pada Ahad berkata kadar penggunaan air secara keseluruhan kini adalah sebanyak 4,369 JLH berbanding dengan pengeluaran biasa dalam lingkungan 4,700 JLH. SYABAS juga memaklumkan bahawa tiada penghantaran bekalan air melalui lori-lori tangki atau tangki air statik di semua kawasan catuan kerana pelan catuan yang dijalankan merupakan pelan yang menghadkan bekalan air mengikut jadual yang ditetapkan. Bagaimanapun pertimbangan untuk menghantar bekalan air kecemasan dilakukan mengikut keutamaan seperti upacara kematian, kenduri dan pusat dialisis. Para pengguna juga diharapkan agar memberikan kerjasama dalam usaha mengurangkan penggunaan bekalan air dan terus berjimat bagi membolehkan bekalan air dapat bertahan lebih lama. Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Pertama dan Ketiga dilaksanakan susulan dari keputusan Kerajaan Negeri Selangor mengurangkan perlepasan air mentah dari empangan Sungai Selangor sebanyak 500 JLH dan empangan Klang Gates sebanyak 30 JLH. Selain itu, pelan pencatuan juga dilaksanakan susulan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi ekoran dari pencemaran air mentah. Laman web SYABAS, www.syabas.com.my boleh dilayari untuk mengetahui kawasan yang terlibat dan jadual catuan bekalan air. -- BERNAMA


Anggota Keluarga Penumpang MH370 Dari Medan Kagum Dengan Komitmen Malaysia
PUTRAJAYA, 16 Mac (Bernama) -- Anggota keluarga penumpang Penerbangan MH370 warga Indonesia pada Ahad melahirkan rasa puas hati dengan kesungguhan kerajaan Malaysia dalam usaha mencari pesawat itu yang kini memasuki fasa baharu. Abang kepada Surti Dahlia, penumpang MH370, Robinhood Simanjuntak berkata beliau masih menaruh harapan tinggi agar kesemua penumpang pesawat berada dalam keadaan selamat dan kembali ke pangkuan keluarga masing-masing. "Setiap malam, selepas solat saya berdoa agar dapat berjumpa dengan adik Surti. "Saya masih berharapan tinggi. Kita tak boleh buat sebarang keputusan selagi belum mengetahui cerita sebenarnya. Kalau ia di luar batasan, kita terpaksa terima," katanya kepada pemberita sebelum mendaftar keluar dari Hotel Everly di sini. Robinhood dan isterinya Delfi Siagian berada di sini sejak Ahad lalu untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini berhubung nasib yang menimpa adik perempuannya, bersama penumpang dan anak kapal MH370 yang hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, Sabtu lalu. Robinhood berkata beliau dan isterinya akan pulang ke kampung halaman mereka di Medan untuk membantu siasatan polis berhubung kehilangan pesawat itu sejak Sabtu lalu. Katanya polis Medan menghubungi beliau semalam. "Jadi saya kena berada di Medan untuk membantu siasatan polis. Lagipun di sini kami masih menunggu berita mutakhir nasib penumpang (MH370). Harap kami dapat berita baik dari rumah (Medan)," katanya. -- BERNAMA


Daily Mail Lapor Kejadian MH370 Mungkin Protes Politik, Keputusan Kes Anwar
Dengan pelbagai spekulasi mengenai kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370, akhbar Daily Mail melaporkan kemungkinan teori pesawat tersebut dirampas sebagai protes terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mensabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalah atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan. Akhbar Britian itu mendedahkan, beberapa jam sebelum berlepas dengan pesawat Boeing 777-200ER (9M-MRO) untuk ke Beijing, Kapten Zaharie Ahmad Shah pergi ke mahkamah pada 7 Mac untuk menyatakan sokongan terhadap Anwar. Ketua pembangkang itu dijatuhkan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Rayuan kerana meliwat bekas pembantunya pada 2008. Akhbar tersebut turut memetik sumber polis yang mengesahkan Zaharie, 53, merupakan seorang aktivis yang lantang dan berkemungkinan kecewa dengan keputusan mahkamah. Semalam, polis menyerbu rumah juruterbang berpengalaman itu di Laman Seri, Shah Alam yang mempunyai simulator penerbangan di rumah. Daily Mail berkata, terlalu banyak masa dihabiskan menyiasat dua komputer riba yang diambil dari rumah Zaharie, yang dipercayai mengandungi data simulasi penerbangan, minggu lalu. Akhbar tabloid itu melaporkan, meskipun pihak berkuasa Malaysia menafikan serbuan dilakukan di rumah Zaharie, dua komputer riba itu diambil semasa lawatan pihak polis awal minggu lalu. Bagaimanapun, pihak berkuasa gagal mengesan komputer riba peribadi Zaharie dan dipercayai dibawa bersama dalam kokpit pesawat dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, lapor Daily Mail. Menurut rakan sekerja Zaharie, beliau merupakan seorang aktivis sosial dan penyokong kuat Anwar serta sangat berminat dengan politik. Zaharie menerbangkan pesawat MH370 bersama pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid. Penyiasat memberitahu Daily Mail, mereka kini sedang mencari bukti mengaitkan teori pandangan politik Zaharie adalah sebahagian daripada faktor kontroversi kehilangan pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal pada 8 Mac. “Siasatan ini banyak membabitkan sensitiviti, namun kita harus meneruskan apa sahaja sudut yang menjadi perhatian,” lapor Daily Mail memetik penyiasat itu. Zaharie dipercayai berpisah atau bercerai dengan isterinya biarpun kini mereka masih berkongsi rumah yang sama. Laporan itu seterusnya menyatakan bahawa serbuan ke atas rumah Zaharie itu dilihat sebagai tindakan susulan selepas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada sidang media khasnya semalam, yang mengatakan siasatan kini beralih dan tertumpu kepada kru pesawat berdasarkan petunjuk baru. Menafikan bahawa terdapat unsur rampasan, Najib berkata, pesawat MH370 berpatah balik ke arah barat selaras dengan tindakan yang disengajakan oleh seseorang dalam kapal terbang itu. Media antarabangsa itu memetik sumber risikan rasmi Amerika Syarikat yang menyatakan pesawat diterbangkan seorang pakar penerbangan dan hilang daripada radar pada 8 Mac. Ia kemudiannya disusuli dengan siasatan semula ke atas semua 239 penumpang dan anak kapal pesawat itu bagi mencari jawapan termasuk dakwaan kemungkinan pesawat dirampas. Daily Mail turut melaporkan kemungkinan pesawat itu terbang sehingga 45,000 kaki di mana ia melebihi had perkhidmatan, sebagai percubaan untuk tidak menyedarkan penumpang dan anak kapal.


Media Britain Yang Kaitkan Juruterbang Dengan Kes Anwar
PKR menganggap laporan akhbar Britain, Daily Mail yang menyatakan kemungkinan juruterbang Kapten Zaharie Ahmad Shah merampas pesawat Malaysia Airlines MH370 kerana kecewa dengan keputusan mahkamah yang menjatuhkan hukuman bersalah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes Liwat II sebagai khayalan luar biasa. Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, berkata walaupun Zaharie merupakan ahli seumur hidup parti itu, perkara ini mustahil berlaku kerana ia melibatkan nyawa ramai manusia yang tidak bersalah dan ini merupakan satu teori konspirasi politik yang tidak masuk akal. “Semua dikaitkan dengan Anwar sangat unik dalam politik Malaysia. Namun mengenali Umno dan BN, kalau mereka kehabisan modal, sesuatu yang bersifat khayalan boleh menjadi nyata,” kata Saifuddin kepada The Malaysian Insider. Saifuddin berkata, isu sebenarnya adalah kerajaan Malaysia tidak kompeten dalam menguruskan kes pesawat MH370 yang hilang pada 8 Mac lalu dengan 239 penumpang termasuk anak kapal. Dengan pelbagai spekulasi mengenai kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370, hari ini akhbar Daily Mail melaporkan kemungkinan teori pesawat tersebut dirampas sebagai protes terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mensabitkan Anwar bersalah atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan pada 2008. Akhbar Britian itu mendedahkan, beberapa jam sebelum berlepas dengan pesawat Boeing 777-200ER (9M-MRO) untuk ke Beijing, Zaharie pergi ke mahkamah pada 7 Mac untuk menyatakan sokongan terhadap Anwar. Ketua pembangkang itu dijatuhkan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Rayuan kerana meliwat bekas pembantunya pada 2008. Apabila ditanya apakah PKR akan mengambil tindakan terhadap akhbar tabloid Britian itu, Saifuddin berkata:”Tidak ada sebarang tindakan daripada PKR buat masa ini. Fokus kami adalah untuk menyeru rakyat Malaysia doa agar pesawat MH370 ditemui.” Akhbar tersebut turut memetik sumber polis yang mengesahkan Zaharie, 53, merupakan seorang aktivis yang lantang dan berkemungkinan kecewa dengan keputusan mahkamah. Semalam, polis menyerbu rumah juruterbang berpengalaman itu di Laman Seri, Shah Alam yang mempunyai simulator penerbangan di rumah selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib razak mengumumkan fasa kedua pencarian pesawat MH370 pada satu sidang akhbar khas. Daily Mail berkata, terlalu banyak masa dihabiskan menyiasat dua komputer riba yang diambil dari rumah Zaharie, yang dipercayai mengandungi data simulasi penerbangan, minggu lalu. Akhbar tabloid itu melaporkan, meskipun pihak berkuasa Malaysia menafikan serbuan dilakukan di rumah Zaharie, dua komputer riba itu diambil semasa lawatan pihak polis awal minggu lalu. Bagaimanapun, pihak berkuasa gagal mengesan komputer riba peribadi Zaharie dan dipercayai dibawa bersama dalam kokpit pesawat dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, lapor Daily Mail. Menurut rakan sekerja Zaharie, beliau merupakan seorang aktivis sosial dan penyokong kuat Anwar serta sangat berminat dengan politik. Zaharie menerbangkan pesawat MH370 bersama pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid. Penyiasat memberitahu Daily Mail, mereka kini sedang mencari bukti mengaitkan teori pandangan politik Zaharie adalah sebahagian daripada faktor kontroversi kehilangan pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal pada 8 Mac.


Kapten Zaharie Ahli Seumur Hidup PKR – Sivarasa
PKR mengaku juruterbang MH 370 merupakan ahli parti itu tetapi meminta semua pihak tidak membuat spekulasi mengaitkan mereka dengan kehilangan penerbangan tersebut. Ketua PKR Cabang Subang Sivarasa Rasiah berkata beliau memang mengenali Kapten Zaharie Ahmad Shah sejak beliau menyertai parti tersebut 23 Januari tahun lalu. Bagaimanapun, tambahnya, tidak adil sekiranya pihak media mengaitkan perkara itu dengan parti kerana ia “tidak relevan”. Sivarasa merujuk kepada laporan akhbar tabloid Uniter Kingdom Daily Mail semalam yang membuat spekulasi bahawa Zaharie seorang ‘fanatik politik’ dan ‘aktivis sosial yang lantang’ “Media tidak sepatutnya membuat sebarang spekulasi. “Akhbar Daily Mail ialah sebuah tabloid, mereka langsung tidak merujuk mana-mana sumber,” kata beliau dalam sidang media hari ini.



(VIDEO) MH370: Wan Azizah Terus Perlekeh Usaha SAR Malaysia
SATU demi satu pemimpin pembangkang dari Pakatan Rakyat (PR) dilihat mencela dan mengkritik tindakan Malaysia dalam mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370. Selepas Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Saman, bekas Menteri Besar Perak Nizar Jamaluddin kini tampil pula seseorang yang rapat dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengkritik dan memperlekehkan cara Malaysia. Paling terbaru calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut mengkritikn cara Malaysia dalam ceramah kempen beliau di Kajang. Menurut beliau, pakar Amerika Syarikat dan negara-negara lain menggunakan tekonologi canggih untuk mencari pesawat MH370 tetapi Malaysia menggunakan bomoh yang jelas melanggar syariat Islam. “China, kerana dia mempunyai paling ramai warganya penumpang dalam pesawat itu menggunakan satelit sana, satelit sini.. Tengok, Singapura pakai kapal selam pergi mencari.. Malaysia pakai… bomoh.. “Naik tikar, kita ada satu filem dalam P Ramlee dulu “Laksamana Do Re Mi”, itu memang dongeng,” katanya dalam ceramah itu. Video ceramah dimuatnaik salurn YouTube pro-PR kini.tv pada 14 Mac lepas. Tidak cukup dengan itu, Dr Wan Azizah turut mengulangi kritikan anaknya yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar satu ketika dahulu yang mendakwa kapal selam Scorpene milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak mampu menyelam. “Kita submarine (kapal selam) kan?.. tapi tak boleh tenggelam kan.. tak boleh pakai.. saya diberitahu kapal selam yang dimiliki itu sekarang digunakan sebagai muzium,” katanya. Begitu lantang mulut Dr Wan Azizah mempermainkan emosi keluarga penumpang MH370 yang sehingga kini menanti jawapan dimanakah lokasi pesawat itu padahal beliau sendiri sudah pergi melawat keluarga di Hotel Everly, Putrajaya sebelum ini. Dakwaan beliau juga salah apabila mengatakan kapal selam Scorpene digunakan sebagai muzium kerana kapal selam yang dikatakan beliau ialah kapal selam SMD Quessant Agosta 70 dari Perancis yang ditempatkan di Melaka. Kapal selam berkenaan sebenarnya merupakan kapal yang digunakan untuk latihan pasukan kapal selam pertama TLDM yang mengendalikan kapal selam KD Tun Razak dan KD Tunku Abdul Rahman. Inilah contoh pemimpin PR yang suka membuat tuduhan melulu dan kenyataan tanpa usul periksa demi meraih sokongan politik terutamanya dalam menghadapi pilihan raya 23 Mac depan.



VIDEO : CIA Pun Pernah Rampas Pesawat, Bekas Ejen
AGENSI berita CNN yang cukup terkenal di arena kewartawanan dunia, pada 14 Mac lepas telah menemubual seorang bekas pegawai Agensi Risikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat berkenaan kes kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370. Bekas anggota CIA itu Robert Baer juga merupakan Penganalisis Keselamatan Amerika Syarikat untuk CNN. Dalam video temubual berkenaan yang berada di laman YouTube sejak 14 Mac lepas, Robert dengan jelas mengutuk Malaysia dengan mengatakan beliau tidak mempercayai Malaysia kerana ia merupakan sumber berita yang lemah. “Saya tidak mempercayai Malaysia pada masa ini, mereka memberi banyak kenyataan dan informasi bercanggah yang tidak benar, mereka bukanlah sumber informasi yang baik. “Mereka ketika ini amat malu dengan apa yang terjadi, mereka kehilangan sebuah pesawat.. kejadian ini mencalarkan maruah Malaysia.. Ia juga adalah bencana politik dan kerajaan Malaysia sedang berdolak-dalik menutup kebenaran yang ada,” kata Robert dalam segmen The Lead di CNN. Bagaimanapun pada awal temubual, Robert berkata suatu ketika dahulu CIA berjaya mereka plot untuk merampas sebuah kapal milik Soviet Union dahulu kerana mahukan teknologi pesawat itu dan ia berjaya dilakukan. “Pada sekitar 80-an, CIA kerap melihat kepada pesawat kesatuan Soviet yang moden.. Kami mahukan teknologinya.. Kita akan mendapatkan seorang juruterbang yang akan menerbangkan pesawat berkenaan keluar. “Kami berjaya mendapatkan sebuah pesawat Soviet, juruterbang itu diarahkan untuk terbang di atas Lautan Hindi, membuat panggilan isyarat kecemasan “May Day”, juruterbang itu juga perlu membuat pergerakan menjunam ke paras ketinggian yang rendah. “Juruterbang itu kemudiannya akan terbang ke sebuah pulau rahsia, CIA akan menutup pesawat itu bagi mengelakkan ia dikesan satelit sehingga pihak Soviet menghentikan pencarian pesawat berkenaan dan tidak menyedari teknologi pesawat itu sudah hilang,” katanya dalam temubual itu. Sudahlah mengakui CIA sendiri pernah merencanakan satu rampasan pesawat, pada masa sama Robert mengatakan dakwaan bahawa pesawat MH370 dirampas adalah satu perbuatan dari pihak Malaysia untuk menutup maklumat sebenar adalah amat keji dalam temubual CNN ini.


MH370: Polis Turut Siasat Jurutera MAS Bertugas – Hishammuddin
Polis sedang menyiasat para jurutera pesawat yang mempunyai kaitan tugas dengan kehilangan penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH370 sebelum pesawat itu berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing, Sabtu lepas. “Sebagai prosedur biasa, polis sedang menyiasat semua anak kapal dan penumpang MH370 serta jurutera,” kata Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Pesawat jenis Boeing 777-200ER dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 12.41 pagi Sabtu. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. Sehingga ini, nasib penumpang dan anak kapal belum diketahui berikutan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilancarkan oleh beberapa negara masih belum menemui pesawat tersebut. Mengenai operasi SAR, Hishammuddin berkata pegawai Malaysia sedang meminta bantuan daripada 15 buah negara di dua koridor iaitu Koridor Utara dari utara Thailand sehingga sempadan Kazakhstan dan Koridor selatan dari utara Indonesia sehingga selatan Lautan Hindi. Beliau berkata negara-negera berkenaan ialah Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan, Turkmenistan, Pakistan, Bangladesh, India, China, Myanmar, Laos, Vietnam, Thailand, Indonesia, Australia dan Perancis. “Pegawai Malaysia sedang berbincang dengan semua rakan kongsi cara terbaik untuk menggunakan aset di sepanjang dua koridor tersebut,” katanya. Hishammuddin berkata perbincangan tersebut termasuk meminta negara-negara berkenaan terus menyediakan bantuan carian pesawat itu seperti data satelit dan analisis, keupayaan carian di darat, data radar serta aset maritim dan udara. (Bernama)


Mayat bayi ditemui atas penutup pam tandas
Seremban: Seorang tukang cuci warga Myanmar terkejut menemui satu mayat bayi perempuan dalam tandas sebuah perhentian bas di sini, malam tadi. Difahamkan, mayat bayi terbabit dibalut dengan kain putih sebelum dimasukkan dalam plastik dan ditinggalkan di atas penutup pam tandas wanita. Mayat bayi perempuan itu ditemui kira-kira jam 7 malam dan masih bertali pusat serta berbau busuk dipercayai sudah mati lebih dua hari lalu. Tukang cuci berusia 32 tahun terbabit pada mulanya menyangka ada individu tertinggal plastik berkenaan namun sebaik membukanya wanita itu mendapati ia adalah mayat bayi. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Zainal Abu ketika dihubungi mengesahkan penemuan itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Foto
Pemancing terkejut tangkap buaya 2 meter
Muar: Seorang pemancing terkejut selepas jangkaan diragut oleh ikan toman meleset apabila seekor buaya berukuran kira-kira dua meter tersangkut pada mata kailnya di sungai Kampung Parit Bugis, di sini. Kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, menyebabkan Kalit Morsid, 55 terpaksa meminta bantuan rakan pemancing lain serta penduduk setempat untuk membantu sama menaikkan serta mengikat buaya berkenaan supaya tidak bertindak lebih agresif.


Raja Ema diacu pistol
Kuala Lumpur: Pelakon dan penyanyi, Raja Ema Raja Ibrahim berdepan detik cemas apabila diacukan pistol dua kali oleh seorang lelaki tidak dikenali ketika sedang memandu di Shah Alam, Rabu lalu. Menerusi kenyataan Raja Ema yang dikongsikan pada akaun Instagram, dia mengakui bimbang dengan keselamatan dirinya dan dua anaknya Putera Ammar, 20, dan Putera Alkashah, 18, apabila diacukan pistol secara tiba-tiba. Bagaimanapun, aktres itu mengesahkan tiada kecederaan dialami berikutan ancaman yang mengejutkan itu. “Tak ada apa-apa kejadian tidak diingini. Lelaki itu hon dan pintas kereta sambil acu pistol. “Di kawasan lampu isyarat ketika lampu merah dia acu lagi. Sudahlah anak-anak ada dalam kereta,” katanya. Difahamkan, insiden mengejutkan itu berlaku ketika Raja Ema, 46, memandu keretanya bersama Putera Ammar dan Putera Alkashah pada sekitar jam 2.30 petang di pusat bandar itu selepas selesai berurusan di Jabatan Pelajaran Negeri Selangor. Secara tiba-tiba, seorang lelaki yang memandu bersendirian PERODUA Kenari menghampiri keretanya dan membunyikan hon dipercayai tidak berpuas hati dengan pemanduan Raja Ema yang perlahan. Bagaimanapun, penyanyi lagu Jejaka Idaman itu tidak mempedulikan bunyi hon itu dan meneruskan pemanduan seperti biasa. Akibatnya, kereta itu memintas keretanya sebelum lelaki terbabit mengeluarkan sepucuk pistol dan mengacukan ke arah aktres terbabit. Raja Ema mengabaikan ancaman itu dan memandu keretanya sehingga ke lampu isyarat sebelum lelaki terbabit sekali lagi mengacukan pistol ke arahnya. Raja Ema yang ketakutan dengan tindakan lelaki itu meneruskan pemanduan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya dan membuat laporan kerana bimbang dengan keselamatannya dan keluarga. Sementara itu, jurucakap Polis daerah Shah Alam ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu.

Foto
Zombi Kilang Biskut (ZKB) - Nafi terima surat saman
Rendisi filem Zombi yang dicetus pengarah Mamat Khalid diteruskan dengan tajuk terbaru, Zombi Kilang Biskut (ZKB) yang akan ditayangkan 20 Mac ini. Namun kali ini, ia bukan lagi di bawah terbitan atau edaran Tayangan Unggul Sdn Bhd, sebaliknya syarikat Enjit Semut Sdn Bhd milik Mamat. Sebelum ini, timbul kisah bahawa syarikat terdahulu miliknya, Naga VSX jatuh bankrap sehingga Mamat membawa diri ke kampung halaman. Selepas hampir setahun, muncul pula syarikat baru, Enjit Semut Sdn Bhd dengan semangat dan produk sulung yakni ZKB. Walaupun Mamat menafikan dirinya muflis, timbul kisah baru apabila penerbit Tayangan Unggul Sdn Bhd yang diterajui penerbit, Gayatri Su-Lin Pilai mahu menyamannya atas isu hak cipta tajuk Zombi. Mamat ketika ditemui pada malam pratonton filem Zombi Kilang Biskut, menafikan dia menerima surat saman daripada Tayangan Unggul. “Filem Zombi adalah hak dan idea saya. Kenapa pula ada orang nak saman? Kalau ada yang nak saman, kami sedia berlawan. “Sebenarnya, tidak timbul isu hak cipta sebab perkara ini dibincangkan bersama produksi lama. Hak cipta idea milik saya, walaupun mereka yang terbitkan filem saya sebelum ini,” katanya ringkas. Sebelum Zombi Kilang Biskut, Mamat pernah mengarah filem Zombi Kampung Pisang dan seterusnya menggunakan resipi sama dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah dan Hantu Kak Limah 2: Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit bawah penerbit Tayangan Unggul. Selepas itu, ada dakwaan Mamat dan TU tidak lagi sebulu, lantas Mamat keluar daripada TU dan meneruskan karyanya di bawah produksi miliknya, Enjit Semut Sdn Bhd. Enggan bercerita lanjut mengenai isu itu, Mamat ditanya pula mengenai beberapa elemen kritikan dan jentikan ‘manja’ dalam filem terbarunya yang didakwa mengkritik institusi pengajian tinggi (IPT) tertentu yang menghasilkan ramai lulusan perfileman tapi tidak kompeten dalam pasaran hiburan sekarang. Antara digambarkan dalam filem ini, kilang biskut ibarat sebuah IPT dan zombi yang muncul akibat termakan biskut hasil ciptaan Dr Sofi (lakonan Sofi Jikan) seolah-olah pelajar lulusan filem yang tidak membantu perkembangan filem tempatan. Sebaliknya, zombi ini susah dimusnahkan kerana dianggap sebagai virus berbahaya yang akan terus berkembang sampai bila-bila. Malah, beberapa babak dan watak dalam filem itu juga menjurus kepada beberapa individu yang dianggap tidak membantu perkembangan sihat industri filem tanah air. Mamat berkata, Zombi Kilang Biskut hanya filem berbentuk hiburan yang tidak ada kena-mengena dengan mana-mana pihak. “Filem saya tidak ada kritikan sosial atau mengata mana-mana pihak. Kalau ada, mungkin ia secara kebetulan.

Foto
Zombi Kilang Biskut (ZKB) - Idea asal milik saya
Kuala Lumpur: Pengarah filem Mamat Khalid berkata, penerbitan filem terbarunya, Zombi Kilang Biskut (ZKB) di bawah syarikat sendiri iaitu Enjit Semut Sdn Bhd tidak menyalahi hak cipta asal karya itu yang dimiliki Tayangan Unggul (TU) Sdn Bhd. Mamat berkata demikian sebagai mengulas desas-desus mendakwa tindakannya menerbitkan bahagian kedua Zombi Kampung Pisang (2007) itu melanggar kontrak dan hak cipta filem yang dimiliki TU sebelum ini. Sumber Harian Metro mendakwa, menurut perjanjian dan kontrak asal, Mamat dikehendaki menyiapkan beberapa siri filem berkenaan di bawah syarikat itu. Bagaimanapun, sumber mendakwa Mamat gagal berbuat demikian selepas menyiapkan Zombi Kampung Pisang dan sebaliknya menerbitkan bahagian kedua francais itu menerusi syarikat sendiri. Mamat yang dihubungi berkata, perkara itu tidak perlu dibangkitkan kerana karya asal termasuk idea, konsep, tajuk dan perwatakan dalam francais itu adalah miliknya. “Karya tetap karya dan itu tetap karya saya. Rasanya okay dan tak jadi masalah. “Benda ini tak ada apa-apa (langgar hak cipta asal) dan tak patut timbul pun,” katanya ketika dihubungi. ZKB adalah filem sulung terbitan syarikat produksi Mamat dan akan ditayangkan bermula 20 Mac ini. Filem komedi itu dibintangi antaranya Awie, Usop Wilcha, Delimawati, Man Kadir, Eina Azman, Dayana Roza, Soffi Jikan, Ilya Buang dan Shuk SYJ. Mamat berkata, dia juga enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu kerana kontroversi berkenaan tidak diperlukan untuk mempromosikan filem itu. “Saya menjual filem menerusi nilai hiburannya. Itu faktor utama saya menjual filem. “Saya tidak jual benda-benda lain seperti gimik atau kontroversi untuk tarik penonton (ke pawagam). Saya tak rasa itu perlu,” katanya. Sementara itu, Naib Presiden Astro Shaw/TU, Gayatri Su-Lin Pillai yang dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan yang dikemukakan. “Astro Shaw/TU dan Mamat Khalid ada dua lagi filem kolaborasi yang akan dipasarkan pada masa akan datang. Setiap kerjasama kami itu bersebab dan ada alasan tersendiri. “Malah, kami juga sudah berbincang dengan Mamat untuk bekerjasama dalam projek (filem) akan datang. Kami mendoakan yang terbaik untuk Mamat dan ZKB,” katanya.

MH370 - Pelajar China Kesan gelombang seismos 8 Mac
Kuala Lumpur: Sepasukan pakar seismologi sebuah universiti terkemuka China mendakwa menemui gelombang seismos kecil di dasar lautan antara Vietnam dan Malaysia pada 8 Mac lalu selari dengan kapal terbang terhempas dalam laut yang mungkin mempunyai kaitan dengan kehilangan pesawat MH370, lapor akhbar South China Morning Post. Penemuan itu dimuat naik laman web University of Science and Technology of China, semalam adalah maklumat terbaru dalam misi pencarian MH370 selepas hilang dari skrin radar dengan membawa 239 penumpang termasuk 12 anak kapal. Saintis China dari Makmal Seismologi dan Fizik Dalaman Bumi dalam laman web mereka memberitahu menemui dua aktiviti stesen gelombang seismos di Malaysia yang menunjukkan pergerakan tremor di dasar lautan jam 2.55 pagi pada 8 Mac, kira-kira 150 kilometer dari Vietnam. “Ia bukan zon gelombang seismos berdasarkan masa dan lokasi, ia mungkin berkaitan kehilangan pesawat MH370,” katanya dalam kenyataan itu. Kejadian gelombang seismos itu berlaku selepas 85 minit kehilangan pesawat MH370 dari Pusat Kawalan Trafik Udara, sekitar 116 kilometer di timur laut dari lokasi terakhir pesawat berkenaan dilaporkan berada.

MH370 - Amerika gerak Poseidon
Kuala Lumpur: Armada Ketujuh Tentera Laut Amerika Syarikat akan menggerakkan pesawat P-8A Poseidon bagi membantu misi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MH370 yang hilang sejak Sabtu minggu lalu. Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur dalam satu kenyataan, di sini, semalam berkata, pesawat P-8A mempunyai kelajuan maksimum 490 knot dan mampu terbang pada ketinggian maksimum 12,500 meter. “Untuk satu misi seperti pencarian MH370, P-8A biasanya terbang pada ketinggian 1,524 meter ke 3,048 meter pada kelajuan 350 knot dengan masa pencarian antara lapan hingga sembilan jam bergantung pada jarak ke kawasan pencarian,” kata kenyataan itu. Menurutnya, P-8A adalah pesawat pelbagai misi yang menyediakan pemantauan dan pengintipan di permukaan dan dasar laut. - BERNAMA

4 penyamun ditahan
Petaling Jaya: Polis menahan empat lelaki anggota kumpulan samun dan curi kenderaan yang bergiat aktif di daerah ini dalam beberapa serbuan di Kota Damansara, 7 Mac lalu. Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, semua suspek berusia antara 20 dan 30-an termasuk seorang remaja berusia 19 tahun disahkan positif dadah jenis syabu. “Kumpulan ini dipercayai menyasarkan mangsa yang memandu bersendirian sebelum menahan dan memberitahu mangsa kononnya bonet kereta mereka terbuka. “Mangsa yang percaya akan berhenti dan keluar untuk menutup bonet dan ketika itu seorang suspek akan meluru masuk ke dalam kereta dan membawa lari. Ada juga mangsa yang turut disamun,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, semalam. Beliau berkata, kumpulan yang bergiat aktif sejak 2012 itu terbabit dalam kira-kira 15 kes samun dan curi kereta di sekitar Petaling Jaya dan Shah Alam malah ada dikalangan suspek itu masih dalam jaminan polis dan sedang menjalani perbicaraan kes di mahkamah.

Foto
Dua syarikat peralatan sukan yang menjual senjata api tiruan diserbu
Petaling Jaya: Dua syarikat peralatan sukan yang menjual senjata api tiruan di Damansara diserbu sepasukan polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, dan menahan lima lelaki dipercayai pekerja premis berkenaan, semalam. Serbuan jam 11.30 pagi itu dilakukan selepas pemilik kedua-dua syarikat berkenaan enggan melesenkan senjata api tiruan yang dijual di premis masing-masing, meskipun sudah berulang kali diberi notis untuk berbuat demikian. Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, kali terakhir notis dikeluarkan pada 21 Februari lalu dan risikan daripada anggota polis mendapati mereka masih beroperasi. “Bukan sekadar notis, malah kami turut meminta mereka mengambil lesen senjata api dalam beberapa mesyuarat bersama pemilik syarikat, namun mereka tetap berdegil,” katanya dalam sidang media di IPD Petaling Jaya, semalam. Menurut Arjunaidi, dalam serbuan itu sebanyak 95 laras senjata api tiruan termasuk pistol dan senapang angin yang digunakan dalam sukan paintball dirampas dianggarkan bernilai lebih RM200,000.

MH370 Kemungkinan ke ‘Grey Area’
Kuala Lumpur: Pesawat MH370 yang masih hilang berkemungkinan menuju ke Koridor Utara dengan melalui kawasan liputan radar rendah “Grey Area“ untuk sampai ke destinasi misteri. Ini adalah berikutan di laluan terbabit terdapat kawasan pergunungan dan negara mundur seperti Nepal dan Myanmar tidak mempunyai teknologi radar canggih. Penganalisis penerbangan Prof Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, radar tentera akan mengesan sebarang pergerakan dalam liputan mereka tetapi kebiasaannya mengabaikan perkara itu kerana ia bukan pesawat ketenteraan. “Saya percaya pesawat terbabit sudah menuju ke Koridor Utara dan melalui kawasan liputan radar minimum di antara sempadan negara tertentu. “Dalam bahasa mudah ialah pesawat terbabit terbang di hujung radar,” katanya. Dr Ahmad Samsuri berkata, pesawat terbabit mempunyai kapasiti minyak mencukupi untuk terbang sekurang-kurang tujuh jam. “Bagaimanapun, untuk sampai ke destinasi misteri, pesawat terbabit perlu terbang dalam ketinggian tertentu untuk menjimatkan minyak serta kadangkala akan turun ke altitud rendah bagi mengelak dikesan radar,” katanya ketika dihubungi. Menurut beliau, terdapat kes yang mana pesawat Charlie milik tentera Israel pada 1976 terbang dari Israel ke Uganda sejauh 4,000 kilometer tanpa dikesan radar dalam Operasi Entebbe bagi menyelesaikan krisis rampasan pesawat.

MH370 Kemungkinan Perbuatan pakar
Kuala Lumpur: Ada pakar penerbangan dalam pesawat itu yang memungkinkan pesawat MH370 dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, Sabtu lalu dirampas pihak tertentu. Ia selari dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, semalam memberitahu sistem komunikasi dan transponder sengaja dimatikan oleh seseorang dalam pesawat yang membawa 227 penumpang dan 12 kru termasuk dua bayi itu. Bekas Ketua Juruterbang MAS Bagi Penerbangan Serantau Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain berkata, secara peribadi dia tidak menolak kemungkinan itu berdasarkan beberapa keadaan ‘pelik’ yang dapat dirungkai sedikit demi sedikit. “Simulator penerbangan kini dijual berleluasa di pasaran dengan harga mampu milik. Kemungkinan ini cukup untuk membolehkan orang biasa mengetahui bagaimana mahu mengendalikan sesebuah pesawat berikutan kebanyakan sistem penerbangan adalah sama. “Saya begitu pasti individu berkenaan begitu mahir dalam hal ehwal pesawat dan mengenali setiap fungsi butang di ruang kokpit,” katanya kepada Metro Ahad, di sini, semalam. Katanya, ciri-ciri keselamatan itu hanya diketahui juruterbang dan pembantu saja namun sejak tragedi 11 September lalu, semua sekuriti terutama untuk masuk ke kokpit diperketatkan.

Foto Foto
Paku kepala sendiri
Fujian: Seorang lelaki yang mendakwa memaku kepalanya sendiri dengan tiga paku berukuran 10 sentimeter terpaksa menjalani pembedahan mengeluarkan paku itu dari tempurung kepalanya. Lelaki berusia 69 tahun dan berasal dari wilayah Fujian itu dikejarkan ke hospital selepas kejadian itu dan menjalani rawatan sejak hujung tahun lalu. Dia yang mendakwa melakukan perkara itu sendiri dan merayu pihak hospital tidak melaporkan kecederaannya itu kepada polis. Doktor percaya perkara itu dilakukan orang lain ke atasnya memandangkan kecederaan yang dialami. Doktor berjaya mengeluarkan paku itu melalui pembedahan dan lelaki berkenaan terpaksa menjalani rawatan selama tiga bulan di hospital sebelum dibenarkan keluar Khamis lalu selepas doktor mendapati dia sembuh sepenuhnya. Kejadian seumpama itu bukanlah kali pertama berlaku di China. Dalam satu kes awal tahun ini, doktor mengeluarkan paku berukuran tujuh sentimeter dari tempurung kepala seorang lelaki di Nanjing. Menurut laporan, paku itu tertusuk di kepala Yang, 55, akibat kemalangan yang berlaku ketika dia menghias rumah. Bagaimanapun, dia tidak menyedari perkara itu sehingga dia merasa kesakitan keesokan harinya. Yang dilaporkan sembuh sepenuhnya dan tidak mengalami sebarang gangguan pada penglihatan atau kerosakan saraf.- Daily Mail

Foto
Lelaki ada ketumbuhan di kemaluan mati
Las Vegas:Lelaki yang pernah mendapat liputan meluas media seluruh dunia kerana mempunyai ketumbuhan besar pada kemaluannya dilaporkan meninggal dunia kelmarin di hospital di bandaraya ini. Wesley Warren Jr, 49, yang menderita masalah ketumbuhan seberat hampir 60 kilogram hingga menyebabkan kemaluannya membesar dimasukkan ke hospital bagi menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan itu pada April tahun lalu. Rakannya, Joey Hurtado berkata punca sebenar kematian masih belum dikenal pasti. Dia memberitahu, Wesley juga sudah dua kali diserang sakit jantung baru-baru ini ketika berada di hospital. Joey juga memberitahu media dia tidak menganggap pembedahan membuang ketumbuhan rakannya itu punca kematian. - Agensi

Batal nikah kerana briyani
Bangalore: Satu majlis perkahwinan dibatalkan hanya kerana pihak lelaki dihidangkan briyani ayam dan bukannya kambing seperti diminta. Media tempatan melaporkan, pihak lelaki mengamuk apabila makanan itu dihidangkan sehingga pertikaman lidah dengan keluarga pihak perempuan gagal dikawal. Perkahwinan yang sepatutnya diadakan di sebuah masjid membabitkan pengantin lelaki yang bekerja di Dubai kemudian dibatalkan walaupun beberapa orang tua cuba meredakan keadaan. Pihak perempuan kemudian dilaporkan berkata mereka enggan membiarkan gadis terbabit memasuki keluarga seperti itu yang tidak boleh berkompromi langsung walaupun mengenai isu kecil. Bagaimanapun, tiada laporan polis dibuat malah pihak polis juga tidak mencampuri kejadian itu berikutan bimbang mengganggu sebarang rundingan antara kedua-dua pihak pada masa akan datang. - Agensi

Foto
Penjaja mengamuk, 6 maut
Beijing: Pergaduhan antara dua pemilik gerai makanan di sebuah pasar di selatan China semalam mengakibatkan lima mati ditetak manakala seorang lagi maut ditembak polis. Agensi berita Xinhua melaporkan, seorang lelaki bernama Hebir Turdi mengelar lelaki yang dikenali sebagai Memet Abla di pasar di Changsha selepas mereka bergaduh. Ketika melarikan diri dari tempat kejadian, Turdi menikam empat orang lagi sebelum dia ditembak mati oleh polis. Sementara itu, polis dalam satu kenyataan berkata, dua mangsa mati di tempat kejadian manakala dua lagi meninggal dunia di hospital. Seorang pegawai bertugas berkata, kejadian itu mencetuskan panik sehingga ke bandar Chengdu, 1,200 kilometer dari situ, apabila khabar angin disebarkan di Internet mendakwa berlaku pembunuhan beramai-ramai menggunakan pisau. “Orang panik disebabkan kejadian itu dan ramai bertempiaran menyelamatkan diri. Namun sebenarnya, tiada apa yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan. Identiti dua pemilik gerai makanan terbabit tidak diketahui. Bagaimanapun, saksi dikenali sebagai Chen berkata kedua-duanya penjual roti keturunan Uighur. Kejadian berlaku dua minggu selepas 29 mati manakala 140 lagi cedera selepas ditikam dalam serangan di stesen kereta api Kunming yang turut didakwa dilakukan etnik Uighur. Bagaimanapun, kejadian semalam dipercayai berlaku akibat pertelingkahan peribadi dan tidak bermotifkan politik.- AP


Saudi haramkan penggunaan 50 nama anak
Dubai: Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi mengharamkan penduduknya untuk menamakan anak mereka dengan 50 nama termasuk yang asing, berkaitan dengan keluarga diraja atau yang dianggap kufur. Laman berita Saudi melaporkan, rakyat negara terbabit tidak lagi boleh menggunakan nama seperti Amir (putera), Linda atau Abdul Nabi (hamba Nabi). Senarai nama itu dikeluarkan oleh jabatan hal ehwal awam. Alasannya, nama berkenaan melanggar budaya atau agama negara terbabit, manakala nama yang asing (bukan Arab atau Islam) dianggap ‘tidak sesuai’ untuk digunakan oleh golongan ibu bapa terhadap anak mereka. Beberapa nama lain yang disenaraikan bagaimanapun agak mengelirukan kerana tidak memasuki mana-mana kategori, seperti Binyamin dan Abdul Nasser. Di samping itu, mengikut sejarah Islam, Binyamin adalah anak Nabi Yaakub namun kebetulan ia juga nama Perdana Menteri Israel. Begitu juga dengan Abdul Naser yang juga nama seorang tokoh politik Mesir yang tidak sependapat dengan Arab Saudi. Sementara itu, nama seperti Abdul Nabi dan Abdul Hussain yang sering digunakan golongan Syiah dianggap mengelirukan kerana boleh ditafsirkan dengan pelbagai cara berikutan ‘Abdul’ membawa erti ‘hamba.’ Senarai berkenaan turut merangkumi nama yang lazim digunakan orang Arab termasuk Malak (malaikat) dan Jibreel. - Agensi

Tembak, bakar guru
Bangkok: Seorang guru wanita mati ditembak di selatan Thai sebelum mayatnya dibakar dalam kejadian serangan terbaru terhadap golongan pendidik. Jurucakap polis berkata, mangsa berusia 42 tahun sedang menaiki motosikal ke tempat kerja di sebuah sekolah rendah di Mayo, Pattani ketika kejadian. “Lelaki bersenjata menembaknya dan membakar mayatnya,” kata jurucakap berkenaan. Mangsa adalah guru ke-171 yang maut dalam konflik di selatan Thai. Lebih 5,900 orang mati sejak konflik bermula sedekad lalu. Kebanyakan mangsa orang awam. Serangan berlaku hampir setiap hari termasuk letupan bom selain ada juga mangsa dipancung. Golongan guru antara paling ramai menjadi sasaran kerana dianggap bekerjasama dengan kerajaan Thai. Menurut pakar, kejadian serangan semakin meningkat sejak kebelakangan ini mungkin disebabkan rundingan damai terpaksa ditangguhkan apabila kerajaan Thai berdepan tentangan dan tunjuk perasaan di Bangkok.- AFP

Foto
Kali ini benar-benar mati
Mississippi: Seorang lelaki warga tempatan yang menjadi tajuk akhbar seluruh dunia dua minggu lalu kerana sedar semula ketika hendak dimasukkan ke dalam beg mayat, semalam disahkan benar-benar mati. Akbar tempatan melaporkan Walter ‘Snowball’ Williams, disahkan meninggal dunia pagi semalam. “Pasukan perubatan kembali memeriksa ‘mayatnya’ pada jam 4.15 pagi,” kata sepupu Walter, Eddie Hester. Walter yang dimasukkan ke hospital pada Februari kerana masalah jantung, pada mulanya disahkan meninggal dunia pada 27 Februari selepas pihak hospital tidak mengesan denyutan nadinya. Ketika dia hendak dimasukkan ke dalam beg mayat di sebuah rumah mayat, Williams bergerak, memeranjatkan petugas. Mereka kemudian memanggil ambulans untuk membawanya semula ke hospital. Ayah 11 anak itu berkata ketika itu dia cuma tidur nyenyak tetapi ahli keluarganya merasakan tuhan memberinya satu lagi peluang untuk hidup. “Ramai yang terkejut dengan kejadian itu. “Ia akan kekal dalam ingatan mereka,” kata anaknya, Mary Williams. - Agensi

Foto
Samseng buang kemaluan
Middlesbrough: Seorang lelaki yang kemaluannya dipotong dan dibuang di dalam semak di tepi lebuh raya di sini oleh sekumpulan samseng gipsi kini koma di hospital. Polis dilapor menanti di sisi katilnya, untuk menemubualnya mengenai kejadian itu. Mangsa diserang selepas kumpulan samseng itu mengetahui dia meniduri kekasih seorang daripada mereka. Polis terpaksa menutup lebuh raya yang sibuk di bandar itu untuk mencari kemaluan lelaki berkenaan. Polis Cleveland mengesahkan lelaki berusia 40 tahun itu ditemui mencari sesuatu di dalam semak di tepi lebuh raya terbabit walaupun dalam kesakitan. Seorang pekerja pasar raya yang terletak berhampiran tempat kejadian berkata dia mendengar cerita tentang nasib yang menimpa lelaki itu. Dua anggota polis yang ditemui di tempat kejadian enggan mengulas apabila ditanya sama ada benar kemaluan seorang lelaki dipotong. Mereka hanya berkata lelaki itu cedera parah di pangkal paha. Bagaimanapun, berita yang tersebar di kalangan penduduk setempat ialah kemaluan lelaki berkenaan dipotong dan hilang, menyebabkan polis menutup sebahagian laluan di lebuh raya itu untuk mencarinya. Kira-kira lapan anggota polis dilihat mengepung kawasan berkenaan, dipercayai untuk mencari kemaluan mangsa yang dicampak oleh samseng gipsi itu. Sehubungan itu, seorang lelaki berusia 22 tahun ditangkap kerana disyaki terbabit dalam serangan itu.- AFP


5 lagi tentera Mesir ditembak mati
Kaherah: Lima anggota tentera terbunuh selepas diserang di satu pusat pemeriksaan awal pagi semalam. Kejadian berlaku dua hari selepas seorang askar ditembak mati di ibu negara Mesir itu. Dalam kejadian semalam, penyerang melepaskan tembakan ke arah anggota polis tentera yang baru saja habis solat Subuh. Kumpulan bersenjata itu kemudian memasang bom berhampiran sekatan jalan raya itu sebagai cara memerangkap pasukan bantuan tetapi bom berkenaan berjaya dimatikan. Serangan terhadap pasukan keselamatan Mesir di Kahaerah semakin meningkat sejak beberapa bulan lalu. Seperti keganasan sebelum ini, pihak berkuasa Mesir menyalahkan penyokong bekas Presiden Mohamed Mursi di kalangan anggota Ikwanul Muslim bertanggung jawab dalam kejadian semalam. - Agensi

Osama ditembak ratusan das
Los Angeles: Sumber terbaru semalam mendedahkan pemimpin al-Qaeda, Osama Bin Laden ditembak lebih seratus kali dalam operasi membunuhnya pada 2011. Laporan terbaru daripada satu laman web yang terkenal dalam kalangan perisik dan perkhidmatan bersenjata mendakwa, bilangan das yang ditembak untuk membunuh Osama adalah punca Amerika Syarikat enggan menyiarkan gambar mayatnya. Dengan memetik dua sumber sulit, Laporan Situasi Operasi Khas Tentera mendedahkan bagaimana askar Amerika yang terbabit dalam pembunuhan itu bergilir-gilir melepaskan tembakan dengan menyasarkan mayat Osama. Menurut laman itu, meskipun anggota komando tentera laut Amerika Syarikat merasakan tidak bersalah dari segi ‘moral, undang-undang dan etika’ untuk menembak pemimpin al-Qaeda itu berulang kali bagi memastikan dia benar-benar mati dan tidak lagi menjadi ancaman, tindakan mereka hingga menghancurkan mayat Osama adalah tidak wajar. “Apa yang berlaku dalam serbuan terhadap Osama adalah melampaui batas. Perbuatan mereka jelas bukan untuk memastikan Osama tidak lagi menjadi ancaman tetapi hanya untuk memuaskan hati mereka,” kata pengarang laporan berkenaan, Jack Murphy. Selepas pembunuhan itu, Presiden Barack Obama dan pentadbirannya berkata, mereka mempunyai alasan untuk tidak mendedahkan gambar mayat Osama atau langkah mengebumikannya di laut. Alasan mereka kononnya supaya ia tidak dijadikan propaganda oleh al-Qaeda. Teori baru menunjukkan, mereka cuba mengelak daripada sebarang tindak balas kerana keganasan melampau dalam pembunuhan Osama. Butir mengenai misi sulit itu terbongkar daklam buku anggota keenam pasukan komando Amerika yang terbabit dalam operasi itu, Mark Bissonnette. Dalam buku No Easy Day itu, Bissonnette menulis: “Ketika dia (Osama) nazak, saya dan seorang anggota lain membidik senjata kami ke arah dadanya dan melepaskan tembakan. “Sudah menjadi perkara biasa dalam kalangan tentera Amerika Syarikat untuk melakukan kekejaman seperti itu,” kata Murphy.- Agensi

Kaca mata dilelong
Kaca mata dilelong
WALAUPUN empat bulan sudah berlalu, namun kehilangan bintang terkenal, mendiang Paul Walker, masih mekar di ingatan. Malah, barang-barang yang dikatakan ditemui di lokasi kemalangan bintang itu kini dilelong di internet. Antara barang yang dijumpai termasuk alat pemadam kebakaran yang digunakan untuk mematikan api serta kaca mata yang dipakai Walker pada hari tersebut. Menurut seorang sumber yang enggan dikenali, kaca mata milik Walker ditemui dalam semak, tidak jauh dari tempat kenderaan itu terbakar. Lelongan di internet yang dibuka sejak Khamis lalu, mendapat perhatian lebih 4,000 pengikut dan empat daripadanya membuat penawaran tertinggi sehingga RM7,000. Pun begitu, ramai dalam kalangan peminat meragui keaslian barang-barang berkenaan. Namun, sumber itu memberitahu bahawa lelongan ini bukanlah untuk mengaut keuntungan semata-mata. "Sebahagian daripada hasil lelongan ini akan disumbangkan ke yayasan amal. Ini adalah kebaikan untuk semua," katanya.

Lelaki dikehendaki polis ditahan
Lelaki dikehendaki polis ditahan
KANGAR - Pasukan Task Force Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perlis menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam beberapa kes mencuri kenderaan sekitar Kedah, Perlis dan Pulau Pinang. Ketua JSJ IPK Perlis, Superintendan Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata, lelaki berusia 32 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Kampung Sematang Serdang, Simpang Empat, Perlis pada Isnin lalu kira-kira jam 9.30 malam. Kata beliau, selain suspek positif dadah jenis opiate, lelaki yang bekerja sendiri itu juga mempunyai lima rekod kesalahan lampau yang melibatkan kes dadah dan curi kenderaan. “Malah suspek adalah dikehendaki bersangkut laporan di di Pulau Pinang kerana langgar syarat pengawasan narkotik mengikut Seksyen 297. “Dengan tertangkapnya suspek, polis telah menyelesaikan satu kes curi kenderaan di negeri berkenaan,” katanya kepada pemberita di IPK, di sini, semalam. Menurut beliau, kenderaan yang dimaksudkan adalah sebuah kereta jenis Proton Iswara yang dipercayai dicuri suspek di Taman Desa Permai Indah Pulau Pinang pada 25 September tahun lalu. Katanya, dua motosikal jenis Yamaha 125Z berwarna hitam dan merah serta sebuah Honda EX5 turut dirampas sejurus penahanan suspek. “Kes ini disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor, yang boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum hingga tujuh tahun dan denda. “Siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana menerima dan menyimpan harta curi yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya.

2 rakan ditahan pecah rumah
2 rakan ditahan pecah rumah
KANGAR - Dua penganggur yang ligat mencuri kenderaan dan pecah rumah akhirnya ditahan polis dalam Ops Pintu Beseri yang dilakukan pasukan Task Force Bahagian Siasatan Jenayah Padang Besar, baru-baru ini. Kedua-dua lelaki berusia 44 dan 38 tahun itu ditahan di kawasan hadapan Taman Melati Indah, Beseri, Perlis yang membawa kepada penemuan barang-barang curi. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perlis, Superintendan Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata, antara barang curi yang dirampas adalah sebuah motosikal jenis EX5 yang dilaporkan hilang di Kaki Bukit Beseri pada 2 Februari lalu, empat cincin dan satu beg yang mengandungi sebuah komputer riba warna hitam jenama Acer. Katanya, lelaki berusia 44 tahun dari Kedah itu mempunyai tujuh rekod jenayah lampau yang antaranya kes pecah rumah, dadah dan lari dari pusat pemulihan dadah. “Manakala seorang lagi suspek dari Perlis ada dua kes jenayah yang direkod iaitu kes curi dalam bangunan serta kes melibatkan siasatan mengikut Seksyen 7(1)(a) Akta Senjata Merbahaya. “Ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati kedua-dua mereka positif jenis syabu,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK), di sini, semalam. Menurut Tengku Mohd Zailan ,dengan tertangkapnya kedua-dua suspek, polis telah berjaya menyelesaikan beberapa kes kejadian pecah rumah dan curi kenderaan di negeri itu. “Polis masih menyiasat mengenai kegiatan kumpulan ini dan kami percaya mereka terlibat dengan banyak lagi kes pecah rumah dan curi kenderaan di negeri ini,” katanya.

Tan Eng Seng
Warga emas kena ragut
TAIPING – Seorang warga emas tidak menyangka tindakannya berhenti sebentar untuk menjawab panggilan telefon mengundang padah apabila dia diragut dua individu di Jalan Lorong 38, Kampung Baru Aulong, kelmarin. Ketika kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa, Tan Eng Seng, 61, yang menunggang motosikal sendirian terpaksa memberhentikan kenderaannya di laluan itu setelah menerima satu panggilan telefon. Bagaimanapun katanya, secara tiba-tiba dua individu bermotosikal jenis Yamaha 125 berwarna merah menghampirinya dan meragut telefon bimbit milik mangsa dari arah belakang. “Kejadian berlaku sangat pantas dan saya tidak sempat untuk berbuat apa-apa. "Bagaimanapun saya bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut. Menurutnya, berdasarkan laporan, dua individu yang meragut mangsa melarikan diri ke arah Simpang Halt. “Polis masih menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengesan suspek dan siasatan dibuat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan membabitkan curi dan ragut,” katanya.

MH370: Singapura teruskan operasi di Selat Melaka
SINGAPURA - Angkatan Tentera Singapura (SAF) menghentikan operasi mencari dan mengesan (SAL) pesawat Malaysia Airlines MH370 di Laut China Selatan. Pegawai dan anggota serta kapal dan pesawat SAF yang menyertai operasi itu kini dalam perjalanan pulang ke Singapura. Bagaimanapun, Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) akan terus menyokong operasi SAL di Selat Melaka dengan menggemblengkan Pesawat Peronda Maritim Fokker-50, demikian menurut RSAF dalam laman sosial Facebook malam Sabtu. Pesawat Fokker-50 itu dihantar ke Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang semalam dan akan beroperasi di luar pangkalan itu. SAF juga bersedia untuk memberikan bantuan seterusnya kepada Malaysia dalam usaha mengesan pesawat MH370 itu. Pesawat itu yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal ke Beijing, hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 malam Sabtu. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi Sabtu. - Bernama

Kamaruddin Mohd Zakaria
Kekasih lepas rindu di bilik hotel
BESUT - Dua pasangan kekasih ditahan dalam Operasi Bersepadu membabitkan beberapa agensi penguat kuasa yang diadakan di sekitar daerah ini bermula malam kelmarin dan berakhir pagi semalam. Kedua-dua pasangan terbabit ditahan bersama pasangan masing-masing di lokasi berbeza kerana didapati berdua-duaan dalam bilik tanpa sebarang ikatan yang sah. Pasangan pertama yang berusia 21 tahun dan kedua-duanya beralamat di Pahang ditahan di sebuah hotel, di bandar Jertih. Difahamkan wanita terbabit datang dari Kuala Lumpur untuk bertemu kekasihnya yang sedang bekerja di sebuah tapak pembinaan, dekat sini. Mereka yang menyewa sebuah bilik hotel, dekat sini, diberkas hasil pemeriksaan sepasukan pegawai dan anggota polis yang turut disertai anggota Penguatkuasa Syariah Pejabat Agama Daerah dan Penguatkuasa Daerah Besut. Kedua-dua mereka ditahan kira-kira jam 11.30 malam selepas gagal menunjukkan bukti mempunyai hubungan suami isteri atau mahram. Manakala pasangan kedua pula ditahan ketika berdua-duaan di sebuah chalet di Pantai Air Tawar, kira-kira jam 11.45 malam oleh pasukan lain. Lelaki berusia 21 dan teman wanitanya berusia 20 tahun yang beralamat di Kampung Gaung, Jertih dan Apal, Jabi itu menyewa bilik tersebut semata-mata untuk bertemu. Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan kedua-dua pasangan terbabit diserahkan kepada Pejabat Agama Daerah untuk tindakan lanjut. Menurutnya, kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (takzir) Negeri Terengganu 2001. “Dalam operasi sama polis turut menahan empat suspek kerana disyaki mengambil dadah dan mereka disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Anggota polis ditangkap mengamuk
KOTA BHARU - Seorang anggota polis yang telah melarikan diri daripada tugas sejak awal minggu lalu mengamuk di hadapan rumahnya, di sini. Lelaki itu yang berusia 25 tahun dan masih bujang itu ditangkap selepas kakaknya membuat aduan polis mengenai suspek yang mengamuk di rumah mereka di Jalan Sabak. Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superitendan Idris Abd Rafar mengesahkan menerima laporan kejadian. Beliau berkata, ekoran daripada aduan yang dibuat oleh kakaknya, polis telah menahan suspek. “Hasil pemeriksaan ke atas suspek telah menemui lapan biji pil kemerahan disyaki dadah merbahaya,” katanya. Suspek yang kini bertugas di Balai Polis Hulu Kelang, Selangor dikatakan telah melarikan diri daripada menjalankan tugas sejak 5 Mac lalu. Kes disiasat di bawah seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan ini adalah kali kedua suspek melarikan diri daripada tugas.

 Sulaiman A Hamid
Budak tiga tahun maut tercampak
MARAN - Seorang budak lelaki berusia tiga tahun maut tercampak dari pangkuan ibunya selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas dan terbalik di Kilometer 149.7 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dekat sini, kelmarin. Dalam kejadian jam 8 malam itu, mangsa, Muhammad Hariz Syahmi Mohd Shah Rizal meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. Ketua Polis Daerah Maran, Pemangku Deputi Superintenden Sulaiman A Hamid berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kenderaan terbabit dikatakan cuba mengelak binatang dan terbabas ke bahu jalan. Menurutnya, kenderaan tersebut terbalik dan menyebabkan budak lelaki berkenaan yang berada dalam pangkuan ibu di bahagian hadapan tercampak. Bapa mangsa yang memandu kenderaan dan ibunya, Nazirah Zakaria, 25, hanya mengalami kecederaan ringan serta menerima rawatan pesakit luar. “Mayat mangsa dibawa ke Hospital Jengka untuk bedah siasat dan disahkan meninggal dunia akibat parah di kepala. “Ketiga-tiga beranak itu difahamkan dalam perjalanan pulang ke Kuantan dari Temerloh atas urusan peribadi," katanya. Sulaiman menasihati orang ramai terutama yang memandu membawa bayi atau kanak-kanak agar mengutamakan keselamatan bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Mayat lelaki dipercayai dijumpai di Pantai Lido
JOHOR BAHRU - Mayat seorang lelaki dipercayai dibunuh dijumpai di Pantai Lido berhampiran Hospital Sultanah Aminah di sini hari ini. Mayat itu, yang dijumpai pada 11 pagi oleh orang awam, mempunyai kesan bengkak di kepala dan lebam di sebelah mata. Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan Asisten Komisioner Sulaiman Salleh, yang mengesahkan penemuan itu, berkata mangsa berusia dalam pertengahan 30an dan dipercayai dipukul dengan objek tumpul. Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Bernama

Foto
Mayat ditemui dalam dusun durian
BUKIT MERTAJAM - Mayat seorang lelaki dipercayai warga asing ditemui dalam dusun durian di Jalan Gajah Mati, Machang Bubok, di sini, pagi tadi. Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Supritenden Baharom Abu berkata, mayat tanpa sebarang dokumen itu ditemui kira-kira 8 pagi oleh pemilik dusun yang kemudian memaklumkannya kepada polis. Pihak polis tidak menolak kemungkinan mangsa dalam lingkungan 20-an mati di tempat lain sebelum dibuang di dusun berkenaan. "Setakat ini siasatan kita mendapati tiada sebarang kecederaan dialami mangsa dan polis tidak menolak kemungkinan lelaki itu mati akibat jangkitan kuman pada paru-parunya. "Ini berdasarkan kepada empat kes penemuan mayat warga asing sebelum ini yang hasil bedah siasat mendapati semua mereka mati akibat jangkitan kuman pada paru-paru," kata Baharom. - Bernama

Pacuan empat roda RM1.9 juta dirampas
Pacuan empat roda RM1.9 juta dirampas
KUALA LUMPUR - Sebanyak 10 kenderaan pacuan empat roda hasil curi bernilai kira-kira RM1.9 juta dirampas polis dari bahagian risikan dan operasi D4 Bukit Aman, bulan lepas. Ketua Penolong Pengarah D4 Bukit Aman, Datuk Abd Manaf berkata, pihaknya berjaya kesan kumpulan itu dipercayai terlibat dalam aktiviti curi kereta khususnya jenis Toyota Hilux dan Fortuner. Menurutnya, semua kereta curi berkenaan dimasukkan ke dalam kontena sebelum diseludupkan ke luar negara melalui jalan laut. “Dalam serbuan pertama di sebuah gudang kawasan Perindustrian Mega, Kajang, didapati dua buah Toyota Hilux dan sebuah Perodua Kancil keluar dari gudang sebelum anggota (polis) mengekorinya hingga ke Plaza Tol Sungai Ramal. “Lalu, kita pintas ketiga-tiga kenderaan tersebut, namun pemandu kedua-dua Hilux agresif dengan merempuh kenderaan polis sebelum satu das tembakan dilepaskan ke arah tayar Hilux itu,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, semalam. Katanya, dengan itu, polis menahan dua lelaki berusia 21 dan 26 tahun manakala dua wanita yang pada mulanya ditahan dibebaskan kerana tidak mempunyai kaitan dengan kes. Siasatan dapati, dua lelaki itu mengambil upah memandu kenderaan, manakala wanita tersebut kekasih mereka. Kedua-dua Hilux itu didapati kenderaan curi. Mereka yang ditahan membawa polis ke gudang tersebut di mana polis merampas dua lagi Toyota Hilux. "Enam kenderaan curi lain disembunyikan dalam dua kontena, Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang. “Setiap satunya mengandungi tiga kenderaan curi. Maklumat mendapati kenderaan itu akan dihantar ke Pelabuhan Jebe Ali, Dubai,” katanya. Abd Manaf berkata, pihaknya yakin sindiket itu direkrut oleh Robin Hai sejak pertengahan tahun lalu. Malah, difahamkan, Robin Hai terlibat kes samun sebelum ini. “Kita sudah jejak suspek kira-kira 10 tahun lalu dan dia kini dipercayai di Dubai. “Dua lelaki yang ditahan, disiasat bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 44 akta sama. Mereka ditawarkan ikat jamin RM44,000 seorang,” katanya.

Dua kontena di NBCT terbakar
BUTTERWORTH - Dua buah kontena yang baru dipindahkan dari sebuah kapal terbakar selepas satu daripadanya meletup dalam kejadian di Pelabuhan Kontena Butterworth Utara (NBCT), di sini awal hari ini. Dalam kejadian 3.40 pagi itu, kontena yang dipercayai mengandungi cecair klorin itu meletup sebelum merebak dan menyambar sebuah lagi kontena mengandungi rokok. Letupan itu menghasilkan api yang menjulang tinggi namun beberapa pekerja di kawasan pelabuhan terbabit bernasib baik kerana mereka berada agak jauh daripada kontena yang meletup itu. Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Azmi Tamat berkata pihaknya menerima panggilan pukul 3.45 pagi dan jentera pertama tiba di lokasi kejadian lapan minit kemudian. "Sebanyak 20 anggota bomba dari balai Butterworth dan Perai dikejarkan ke lokasi kejadian dan kita berjaya mengawal serta memadam api daripada merebak ke kontena lain dalam tempoh 15 minit. "Kita turut menggunakan khidmat Pasukan Khas Tindakan Bahan Berbahaya (Hazmat) untuk mengesan dan melakukan pemeriksaan di kawasan terbabit kerana bimbang sekiranya ada kebocoran atau bahan berbahaya lain," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Azmi berkata pemeriksaan lanjut oleh pasukan Hazmat mendapati tiada sebarang kebocoran dan bahan berbahaya. Katanya punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat. - Bernama

Jangan buang puntung rokok, elak kebakaran terbuka
Jangan buang puntung rokok, elak kebakaran terbuka
SHAH ALAM - Pengendali Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) Trafik mengingatkan pengguna lebuh raya itu supaya tidak membuang puntung rokok di tepi jalan untuk mengelakkan kebakaran terbuka dan belukar sepanjang musim kemarau ini. Memetik kenyataan ringkas di laman mikro twitternya hari ini, Plus Trafik turut mengingatkan pengguna lebuh raya memastikan lampu kenderaan dinyalakan sebagai langkah-langkah keselamatan terutama di kawasan yang berjerebu. Sementara itu, Sinar Harian sebelum ini pernah melaporkan, lebih 10 kenderaan terbabit kemalangan berikutan asap tebal disebabkan kebakaran hutan di Jalan Kuantan-Pekan, dekat Kuantan. Penolong Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Wan Mohd Najlis Wan Ismail berkata, kemalangan jam 3 petang itu menyebabkan lalu lintas di situ terpaksa ditutup beberapa jam.

14 penonton konsert dirawat
Kuala Lumpur: Jumlah mangsa dirawat akibat pengambilan dadah sintetik ketika menghadiri konsert di Stadium Bukit Jalil meningkat menjadi 14 orang. Mangsa yang dirawat membabitkan sembilan warga Singapura manakala masing-masing seorang warga tempatan, Myanmar, Iran, Taiwan dan seorang masih belum dikenal pasti identiti.

Enam maut ambil dadah berlebihanFotoFoto



Enam maut selepas konsert
Enam maut ambil dadah berlebihan
KUALA LUMPUR – Enam individu termasuk seorang pelajar dari sebuah universiti di utara tanah air maut dan tiga kritikal disyaki akibat pengambilan dadah secara berlebihan ketika berhibur di acara muzik terbesar, Future Music Festival Asia yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin. Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, kesemua mangsa warga tempatan berumur 19 hingga 28 tahun dan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), awal pagi semalam. Mereka ialah Kamal Zekry Kamal Basha, 22, Victor Wong E Hern, 26, Sabreena Kamaruddin, 21, M Suresh, 28, Syazana Sohaime, 23, dan Nor Faizza Mohd Wazir, 27. “Hasil bedah siasat mendapati suhu badan mangsa terlalu panas dan tiada unsur pergaduhan. Kita percaya kematian mangsa berpunca daripada dadah jenis methamphetamine yang diambil secara berlebihan. “Sementara itu, tiga pengunjung yang kritikal menerima rawatan lanjut di PPUM dan di PUKM,” katanya ketika sidang media, semalam. Beliau berkata, mangsa kritikal terdiri daripada dua warga Singapura dan seorang warga tempatan berumur antara 19 dan 27 tahun. Susulan daripada itu, katanya, polis menahan menahan seramai 19 orang di bawah kesalahan dadah. Enam orang ditahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya yang melibatkan empat warga tempatan dan dua warga asing. Manakala empat tangkapan lagi dibuat di bawah kesalahan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya yang melibatkan seorang warga Singapura dan tiga warga tempatan. Katanya, sembilan lagi pengunjung ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang melibatkan tiga warga Sudan, Singapura (2) , Indonesia (2), Australia (1) dan Zimbabwe (1). Mohmad berkata, beliau percaya dadah ini diperoleh di luar sebelum mereka masuk melihat konsert itu. “Masalah dadah di Malaysia ini bukanlah satu benda baru, bahkan penyalahgunaan dadah ini bukan berlaku di kawasan begini sahaja, tapi juga berlaku di pusat-pusat hiburan. Jadi sekarang ini penyalahgunaan dadah sintetik ini merupakan satu ‘trend’ mereka untuk berhibur. “Ekoran daripada keadaan ini, kita sudah memberitahu penganjur bahawa konsert yang diteruskan ini dibatalkan tanpa alasan kerana menyebabkan masalah keselamatan,” katanya. Future Music Festival Asia yang berlangsung dari 13 Mac hingga 15 Mac 2014 membariskan lebih 70 bintang hebat dalam industri hiburan tempatan dan antarabangsa.

Rampasan secara berkumpulan, terancang
SIDANG media Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam merungkaikan beberapa aspek penting dalam pencarian MH370. Aspek penting didedahkan adalah pesawat sebelum ini didakwa membuat pusingan balik adalah milik MH370. Maklumat terbaharu ini menguatkan lagi teori rampasan dibangkitkan ramai pihak. Namun, jika benar pesawat ini dikawal seseorang bagaimana cara ia dilakukan? Pesawat Boeing 777 ini bukan sembarangan pesawat, ia adalah pesawat dilengkapi ciri keselamatan yang canggih. Ini termasuk, pintu menghubungkan kokpit dengan pesawat hanya boleh dibuka dari kokpit. Sumber enggan namanya didedahkan memberitahu, jika seseorang mahu merampas pesawat, adalah sukar untuknya memasuki kokpit. Ini kerana, hanya juruterbang dan pembantu juruterbang sahaja yang boleh membuka pintu tersebut. "Ia sukar dilakukan melainkan mendapatkan bantuan 'orang dalam'. Jika ini berlaku adalah lebih mudah seseorang merampas pesawat," katanya. Jika seseorang mampu memasuki kokpit pesawat, transponder boleh dimatikan secara manual kerana transponder mudah dikendalikan. Namun, beliau enggan mengulas lanjut berhubung perkara tersebut kerana siasatan masih berjalan. Apabila ditanya adakah wujud cara lain untuk mengawal pesawat selain dari memasuki kokpit, beliau berkata, terdapat cara lain namun sukar dilakukan. Jika seseorang mempunyai kemahiran tinggi dalam menggodam, tidak mustahil mampu menggodam sistem pesawat. Ini kerana, pesawat Boeing 777 mempunyai sistem berkomputer iaitu 'fly by wire system' yang mungkin boleh digodam oleh seseorang yang berkemahiran tinggi.

Polis periksa rumah kapten pesawat MH370Foto

Polis periksa rumah kapten pesawat MH370
SHAH ALAM - Polis dilihat tiba di rumah Kapten Zaharie Ahmad Shah, juruterbang pesawat Malaysia Airlines MH370, pada 2.42 petang tadi selepas sidang berita Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai perkembangan pesawat yang hilang itu. Tiga anggota polis berpakaian preman itu memperkenalkan mereka dari ibu pejabat polis Bukit Aman kepada pengawal keselamatan yang mengawasi kediaman Laman Seri di Seksyen 13 di sini, sebelum mengambil pas keselamatan untuk memasuki kawasan itu. Difahamkan anggota polis berkenaan telah menjalankan pemeriksaan di kediaman juruterbang itu dan mereka dilihat meninggalkan rumah itu pada 4.46 petang. Wakil-wakil media tempatan dan asing yang menunggu di kawasan perumahan itu, tidak dibenarkan memasukinya oleh pengawal keselamatan. Pesawat itu yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal ke Beijing dilaporkan hilang sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 pagi pada Sabtu lepas. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. Setakat ini, operasi mencari dan menyelamat, yang memasuki hari kelapan hari ini, masih gagal mengesan pesawat itu. Sementara itu, polis dijadual memberi kenyataan rasmi mengenai pemeriksaan di rumah Zaharie pada satu sidang media esok. "Saya tidak boleh nyatakan bila mereka jalankan siasatan dan siapa yang memberi maklumat mengenai perkara itu kepada agensi berita luar negara, Reuters, tadi tetapi apa yang boleh diberitahu setakat ini, kemungkinan perkara itu akan diumumkan esok. "Diharap media boleh menunggu," katanya. - Bernama

Superintendan Abdul Razak Hassan
Orang Asli dakwa nampak percikan api
KUALA LIPIS - Polis Lipis mengesahkan menerima aduan daripada beberapa penduduk Orang Asli Pos Lenjang yang mendakwa ternampak percikan api dan bunyi dentuman kuat sekitar kawasan Bukit Selipar, Pos Lenjang di sini kira-kira jam 1.30 pagi, 8 Mac lalu. Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, ketika kejadian dua sahabat Orang Asli itu sedang mencari durian di sekitar Bukit Selipar sebelum dikejutkan dengan cahaya terang dari udara. Menurutnya, dua sahabat terbabit mendakwa melihat sebuah kapal terbang mengeluarkan api di bahagian ekor dan tidak mengeluarkan sebarang bunyi. “Mereka kemudian melihat kapal terbang terbabit terbang menghala ke Perak dan tidak lama kemudian terdengar bunyi letupan kuat. “Mereka kemudiannya pulang ke rumah dan tidak mengesyaki perkara pelik yang berlaku pada waktu itu," katanya di sini, semalam. Abdul Razak berkata, penduduk Orang Asli terbabit hanya mengetahui tragedi kehilangan pesawat itu empat hari kemudian sebelum bertindak keluar dari kampung dan membuat aduan di Balai Polis Sungai Koyan. Menurutnya, empat anggota polis dari Balai Polis Sungai Koyan telah meninjau kawasan sekitar Bukit Selipar seperti yang didakwa oleh Orang Asli terbabit, namun tidak menemui apa-apa kesan pelik. “Orang ramai perlu lebih peka dan mendapatkan bukti yang sahih kerana mereka hanya nampak cahaya dan mendengar bunyi letupan namun tidak menemui sebarang objek. “Saya harap orang ramai tidak mengambil peluang ini untuk menarik perhatian ramai atau mengelirukan pihak berkuasa dengan sesuatu yang tidak tahu kesahihannya,” katanya.

MH370
India pergiat pencarian pesawat MH370
NEW DELHI - India terus mempergiat usaha mencari pesawat MH370 dengan menggerakkan lebih banyak aset laut dan udaranya ke kawasan pencarian yang diperluaskan di tengah dan timur Teluk Bengal. Usaha mencari hari ketiga itu disertai dua pesawat Peronda Maritim Jarak Jauh P8I yang baru dibeli milik Tentera Laut India dan sebuah pesawat C 130 J milik Tentera Udara India di Teluk Bengal dan Laut Andaman. Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan hari ini, pesawat Dornier Peninjau Maritim Jarak Dekat milik Tentera Laut India dan Pengawal Pantai India juga digemblengkan untuk operasi mencari itu. Enam kapal (masing-masing tiga kapal daripada Tentera Laut India dan Pengawal Pantai India) dihantar mengikuti operasi itu, dengan Kapal Kesari dan Kapal Saryu milik Tentera Laut India meneruskan usaha pencarian sebagai sebahagian daripada Kumpulan Antarabangsa di Laut Andaman. Selain daripada kapal Kanaklata Barua dan kapal Bhikaji Cama milik Pengawal Pantai di Laut Andaman, CGS Sagar juga telah diberi tanggungjawab untuk menjalankan pencarian itu di Selat Melaka. Pemerintah Tentera Laut Timur India juga menyediakan pesawat termasuk P8I untuk operasi mencari di Teluk Bengal. Selain itu, beberapa kapal dan pesawat juga diletakkan dalam keadaan siap siaga untuk membantu pencarian itu. Setakat ini, unit berkenaan tidak mengesan apa-apa, kata kementerian itu. Sebagai perkhidmatan utama, Tentera Laut India sentiasa berhubung dengan Pusat Operasi Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia untuk menyelaraskan usaha pencarian pelbagai negara yang melibatkan 14 negara, 45 kapal dan 60 pesawat. Tentera Laut India telah menyelaras kawasan lebih 2,50,000 kilometer per segi di Laute Andaman dan Teluk Bengal, dan akan meneruskan operasi itu. - Bernama

MH370: Pusingan balik kuatkan 'teori rampasan'Foto
MH370: Pusingan balik kuatkan 'teori rampasan'
SHAH ALAM – Pengesahan pesawat MAS MH370 berpatah balik menguatkan lagi kemungkinan pesawat itu dirampas. Bekas Timbalan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Datuk Ishak Yeop Hamzah berkata, ia juga berdasarkan lingkungan kawasan pesawat itu boleh pergi, yang menyimpang daripada laluan asalnya ke Beijing, China setelah komunikasi terakhir dengan satelit pada jam 8.11 pagi, Sabtu minggu lalu. “Ini bermakna ada seseorang yang berjaya masuk ke dalam kokpit dan menyuruh juruterbang pergi ke destinasi dikehendakinya. Teori rampasan ini dikuatkan lagi dengan kenyataan Perdana Menteri bahawa pesawat itu dipandu oleh orang yang arif mengenai penerbangan. “Individu yang merampas pesawat itu mungkin memberi arahan kepada juruterbang. Ataupun mungkin individu itu sendiri yang membawa pesawat itu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam. Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sidang media mengesahkan pesawat tidak dikenali yang dikesan radar utama merupakan pesawat MH370 yang telah menyimpang dari laluan asalnya. Berikutan itu, pencarian MH370 kini ditumpukan di dua koridor iaitu Koridor Utara dari utara Thailand sehingga sempadan Kazakhstan dan Koridor Selatan bertumpu dari utara Indonesia sehingga selatan Lautan Hindi. Mengulas lanjut, Ishak berkata, motif rampasan dan individu yang melakukannya masih samar berikutan banyak faktor boleh dikaitkan sambil tidak menolak ia dilakukan lebih daripada seorang. “Mungkin rampasan itu dilakukan kumpulan pengganas yang tidak digazet. Kebiasaannya dalam rampasan pesawat, motifnya untuk meminta wang tebusan. “Walaupun hingga kini masih tiada tuntutan dibuat, bukan bermakna tidak berlaku rampasan. Ada kemungkinan pesawat tidak mendarat di tempat yang diingini membuatkan tuntutan tidak dapat dibuat,” katanya. Bagaimanapun, beliau lebih cenderung melihat motif peribadi sebagai faktor rampasan pesawat. Oleh itu, katanya, siasatan teliti terhadap karakter dan latar belakang anak kapal dan penumpang penting bagi mengenal pasti punca rampasan dilakukan. “Profiling penting kerana mungkin ada penumpang yang sakit jiwa dan sebagainya. Rampasan pesawat bukan mudah, tetapi kalau seseorang itu mengalami gangguan mental, apa saja dia boleh lakukan,” katanya.

Foto
Ucapan penuh Datuk Seri Najib
TUJUH hari lalu pesawat MAS MH370 hilang. Kami menyedari ketika ini adalah detik yang sukar kepada keluarga penumpang pesawat itu. Tiada perkataan dapat menggambarkan keperitan yang mereka lalui. Doa kami bersama mereka. Saya mengikuti perkembangan operasi mencari yang dilakukan setiap jam. Pada permulaan operasi, saya arahkan kawasan pencarian diperluaskan. Saya arahkan pihak berkuasa Malaysia untuk berkongsi semua maklumat berkaitan secara telus dengan semua pasukan penyiasat dan saya telah meminta semua rakan dan sekutu negara berkaitan menyertai operasi ini. Sehingga kini 14 negara membabitkan 43 kapal dan 58 pesawat menyertai operasi pencarian. Saya ucapkan terima kasih kepada semua negara berkenaan di saat genting ini. Sejak hari pertama pasukan keselamatan Malaysia bekerjasama dengan rakan antarabangsa termasuk beberapa negara jiran dan pihak berkuasa penerbangan serta pasukan mencari antarabangsa. Kebanyakan daripada mereka sudah berada di lapangan operasi sejak Ahad lalu. Kami berkongsi maklumat dengan pasukan keselamatan mempunyai pengalaman berkaitan yang diperlukan untuk mengkaji data. Kami berusaha tanpa henti untuk membantu siasatan dan kami meletakkan keutamaan pencarian pesawat itu melebihi keselamatan negara kami. Kami sudah melakukan operasi mencari di darat, di Laut China Selatan, Selat Melaka, Laut Andaman dan Lautan Hindi. Bagi setiap peringkat, kami bertindak berdasarkan maklumat yang disahkan. Kami mengikut setiap petunjuk yang boleh dipercayai. Kadangkala petunjuk itu tidak membawa apa-apa hasil. Ada banyak spekulasi, kami faham keluarga penumpang dan masyarakat dunia terdesak untuk mendapatkan maklumat. Tetapi kami mempunyai tanggungjawab terhadap siasatan dan keluarga iaitu dengan hanya menyalurkan maklumat yang telah disokong. Motivasi utama kami sentiasa untuk mencari pesawat berkenaan. Bagi fasa pertama operasi mencari, kami menjalankan pencarian berdekatan lokasi terakhir MH370 hilang radar di Laut China Selatan. Pada masa sama, berdasarkan radar primer Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) percaya mengesan kehadiran pesawat tetapi tak dipastikan MH370 yang berpatah balik. Data radar primer itu menunjukkan bahawa pesawat berkenaan mengikut laluan penerbangan menuju kawasan utara Selat Melaka. Berdasarkan data itu yang turut disokong beberapa pihak berkuasa negara berkaitan, kami memperluaskan operasi mencari merangkumi Selat Melaka sebelum ke Laut Andaman. Pada pagi ini saya diberikan taklimat oleh pasukan penyiasat yang membabitkan FAA (Pentadbiran Penerbangan Persekutuan), NTSB (Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan), AAIB (Biro Siasatan Kemalangan Udara) dan pihak keselamatan Malaysia serta pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengenai maklumat terbaru dan apa yang berlaku kepada MH370. Berdasarkan maklumat satelit terbaru, kami boleh katakan bahawa Sistem Pautan Data Digital Bagi Penghantaran Pesanan Pendek Antara Pesawat dengan Stesen Darat atau Aircraft Communications Addressing and Reporting System (ACARS) tidak berfungsi sebelum pesawat tiba di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Sejurus selepas itu sistem komunikasi pesawat (transponder) dimatikan sebaik pesawat menghampiri sempadan pusat kawalan udara antara Malaysia dan Vietnam. Selepas itu, radar primer TUDM percaya mengesan kehadiran pesawat tetapi tak dipastikan MH370 yang berpatah balik. Pesawat itu kemudian terbang bepatah balik arah barat semenanjung sebelum menuju barat laut. Selepas itu, liputan radar primer tentera menunjukkan pergerakan pesawat konsisten sengaja dilakukan seseorang dalam pesawat itu. Hari ini, berdasarkan maklumat satelit, kami dapat sahkan bahawa pesawat yang terdapat dalam radar primer itu adalah MH370. Selepas banyak kerja forensik FAA, NTSB dan AAIB sudah mengkaji data itu secara berasingan dan mengesahkan maklumat itu tepat. Daripada maklumat terbaru itu juga, komunikasi terakhir dikesan pada jam 8.11 pagi pada 8 Mac. Pasukan risikan kini sedang mencari kesimpulan berapa jauh pesawat boleh terbang selepas kali terakhir hilang dari radar. Itu akan membantu kita mengecilkan skop operasi pencarian. Berdasarkan data satelit, kita tidak dapat mengesahkan lokasi pesawat apabila ia kali terakhir dikesan dengan satelit. Bagaimanapun, berdasarkan data baru diterima oleh Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) dan agensi sama di beberapa negara lain mengesahkan komunikasi terakhir pesawat yang dikesan oleh satelit kemungkinan berada di dua koridor iaitu di koridor utara berhampiran Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand atau koridor selatan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi. Pasukan penyiasat sedang mengesahkan lanjut maklumat berkenaan. Berkaitan perkembangan terbaru ini, pasukan keselamatan Malaysia memfokuskan semula siasatan terhadap kru dan penumpang pesawat berkenaan. Mengenai laporan media mengatakan pesawat itu dirampas, saya ingin menegaskan kami sedang menyiasat segala kemungkinan pesawat MH370 melencong daripada laluan asal penerbangan. Maklumat baru diterima berhubung komunikasi satelit itu memberi impak baru kepada operasi mencari dan menyelamat. Justeru kami menamatkan SAR di Laut China Selatan dan menyusun semula penghantaran aset. Kami juga sedang bekerjasama dengan beberapa negara berkaitan untuk meminta maklumat yang relevan berhubung operasi SAR termasuk maklumat berkaitan data radar. Oleh kerana dua koridor baru itu membabitkan banyak negara, kementerian agensi luar negara itu sudah dimaklumkan maklumat baru itu oleh Kementerian Luar Malaysia dan pakar siasatan teknikal. Saya juga sudah mengarahkan Kementerian Luar untuk menyediakan penjelasan menyeluruh kepada wakil kerajaan luar yang mempunyai penumpang dalam pesawat itu bagi setiap kerakyatan. Pagi ini MAS sudah memaklumkan kepada ahli keluarga penumpang dan kru mengenai perkembangan terbaru itu. Jelas, pencarian MH370 memasuki fasa baru. Sejak tujuh hari lalu kami mengambil kira semua petunjuk yang ada dan melihat kepada sebarang kemungkinan itu. Kepada keluarga dan rakan terbabit dalam insiden, kami berharap maklumat baru itu memberikan kami selangkah ke hadapan untuk mencari pesawat itu.

Komunikasi akhir MH370 jam 8.11 pagi SabtuFoto
Komunikasi akhir MH370 jam 8.11 pagi Sabtu
SEPANG - Misi mencari dan menyelamat MH370 yang memasuki hari ke lapan hari ini membuat kesimpulan, pesawat yang hilang dari radar sejak Sabtu lalu telah memutuskan transponder dan komunikasi jam 8.11 pagi. Perdana Menteri dalam sidang media tergempar mengumumkan kemungkinan seseorang dalam pesawat itu sengaja mengubah haluan penerbangan. Najib berkata, misi mencari dan menyelamat MH370 kini memasuki fasa terbaru apabila lokasi pencarian dialih ke koridor utara dan selatan. Jelasnya, kemungkinan pesawat berada di koridor utara menghala ke sempadan Khazakstan dan Turkmenistan sebelum menghala ke utara Thailand. Teori kedua, pesawat tersebut sama ada melalui perjalanan ke Indonesia menuju ke Laut Hindi. Pelbagai teori sebelum ini bertebaran tentang kehilangan pesawat MH370. Dalam pada itu, Najib menolak spekulasi berkenaan pesawat itu dirampas. "Pihak kami masih siasat semua kemungkinan. Berkenaan ia dirampas, kami masih belum mahu mengesahkan apa-apa," katanya pada sidang media di Hotel Sama-Sama, di sini, hari ini. Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang semasa penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing selepas sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi Sabtu lepas. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pukul 6.30 pagi hari yang sama.

MH370
Ada beberapa cara transponder dimatikan
SEPANG - Pihak berkuasa sedang meneliti empat hingga lima kemungkinan mengenai bagaimana transponder pesawat MH370 boleh dimatikan, kata Menteri Pertahanan dan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Bercakap dalam sidang media harian mengenai perkembangan terkini berhubung kehilangan pesawat MAS itu hari ini, Hishammuddin berkata antara kemungkinan tersebut ialah akibat letupan, dimatikan secara sengaja atau dalam keadaan dures. "Kami melihat semua kemungkinan, sebab itu saya tidak mahu membuat spekulasi," katanya menjawab soalan sama ada wujud bukti kedua-dua transponder pesawat dimatikan secara sistematik. Ditanya sama ada pihak berkuasa tempatan menerima signal 'pings' atau denyut elektronik daripada pesawat yang boleh membantu siasatan dalam menentukan laluan dan lokasinya, Hishammuddin berkata banyak pegawai tidak bernama membuat pelbagai cadangan. "Kami sedang menyiasat dan meneliti secara mendalam siapa (sumber itu), dari mana dan mengenai apa," katanya. Menurut laporan Wall Street Journal, penerbangan MH370 telah menghantar satu siri 'pings' atau denyut elektronik dengan yang terakhir dihantar dari lokasi di atas permukaan air pada altitud jajap Sementara itu, Hishammuddin turut menyangkal dakwaan pihak berkuasa Malaysia menghalang Rolls-Royce dan Boeing daripada menghebahkan maklumat berkaitan pesawat. "Kami tidak memberi sebarang tekanan kepada mereka. Mereka bekerjasama dengan kami sejak awal," katanya. Rolls-Royce semalam bersetuju dengan penafian kerajaan Malaysia bahawa laporan mengenai pesawat penumpang MAS itu mungkin terbang selama empat jam setelah hilang daripada imbasan radar, sebagai tidak benar. Pesawat ke Beijing dengan 239 penumpang serta anak kapal itu hilang daripada radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi 8 Mac lepas. - Bernama

MH370
Cari MH370 di kawasan khusus
NEW DELHI - Dua buah kapal Tentera Laut India, INS Saryu dan INS Kumbhir sedang menjalankan usaha-usaha mengesan kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 di kawasan-kawasan yang ditetapkan di selatan Lautan Andaman. INS Kesari menggantikan INS Kumbhir, yang turut membawa helikopter, kira-kira pukul 3 petang semalam. Selain itu, dua kapal pengawal pantai turut melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan persisiran pantai. "Dua pesawat jenis Dornier milik Tentera Laut India dan Pengawal Pantai turut menjalankan carian udara di sekitar pantai Andaman," menurut kenyataan Kementerian Pertahanan India hari ini. Menurut kementerian itu, kapal dan pesawat India telah dikerah ke kawasan-kawasan khusus yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Malaysia dalam usaha menjejak kehilangan pesawat MH370. Pihak berkuasa Malaysia juga telah meminta usaha pencarian itu dijalankan di Teluk Bengal, meliputi keluasan kira-kira 9,000km persegi. - Bernama

MAS terus berhubung keluarga penumpang MH370
BEIJING - Malaysia Airlines (MAS) akan terus berhubung dengan keluarga penumpang penerbangan MH370 biarpun mereka telah kembali ke rumah masing-masing, kata Pegawai Pengurusan Kanan MAS Ignatious Ong Ming Choy. Beliau berkata MAS akan memberikan nombor telefon dan alamat e-mel kepada keluarga penumpang bagi memastikan maklumat dari Kuala Lumpur boleh terus disampaikan kepada mereka. "Sebaik sahaja pesawat yang hilang itu ditemui, kami akan menghubungi mereka untuk menguruskan perjalanan mereka," katanya kepada para wartawan Malaysia di sini semalam. Beliau berkata MAS juga akan membiayai kos pengangkutan pulang saudara-mara penumpang pesawat itu. MAS yang telah menampung segala kos anggota keluarga penumpang pesawat itu sejak kejadian itu berlaku Sabtu lepas, berjanji akan menanggung segala kos mereka untuk sekurang-kurangnya seminggu. Sebanyak 31,000 yuan (US$5,000) bantuan kewangan juga telah diperuntukkan kepada anggota keluarga setiap penumpang MH370. Beliau berkata buat masa ini sebanyak 500 visa kemasukan pelbagai telah dikeluarkan kepada anggota-anggota keluarga selain daripada penerbangan yang disediakan MAS untuk membawa mereka ke lokasi sebaik sahaja pesawat itu ditemui. "Mereka perlu meneruskan kehidupan, mereka masih ada yang tersayang menunggu mereka di rumah. Adalah normal untuk mereka merasa sedih dan marah kerana mereka mencari satu jawapan yang kami masih tiada ," katanya. Ditanya berapa lama lagi saudara-mara penumpang perlu menunggu di Hotel Lido di sini, Ong berkata pihaknya merancang untuk memberitahu mereka dalam dua atau tiga hari lagi dan mereka akan mempunyai masa seminggu untuk berkemas sebelum pulang. Mengenai sukarelawan pasukan Go terdiri daripada sekurang-kurangnya 93 kakitangan MAS dan anggota-anggota yayasan Penganut Buddha Tzu-Chi , Ong berkata beliau berasa bangga dengan mereka. Beliau berkata selain daripada memberikan sokongan emosi, sukarelawan-sukarelawan itu juga membantu keluarga-keluarga itu dalam kerja-kerja pentadbiran seperti membantu mereka mengisi borang permohonan visa dan menjadi penterjemah. "Kami tidak bercakap mengenai agama atau bangsa di sini, mereka semua sanggup menyumbang tanpa kepentingan diri," katanya. - Bernama

Uri Geller
Uri Geller turut bantu cari MH370
SEORANG psikik mendedahkan dia diminta membantu pihak berkuasa dalam usaha mencari pesawat MAS penerbangan MH370 yang hilang sejak lapan hari lalu. Uri Geller yang terkenal dengan aksi membengkokkan sudu tanpa menggunakan tenaga fizikal, mendakwa dia menggunakan kaedah 'penglihatan jarak jauh' bagi mengenal pasti kedudukan sebenar pesawat MH370. "Saya mempunyai pandangan dan teori saya sendiri mengenai kehilangan pesawat itu. "CIA percaya kaedah sebegini boleh membantu pihaknya untuk menyelesaikan kes-kes yang rumit," katanya dipetik The Mirror di kediamannya di Sonning, Berkshire, hari ini. Menurutnya, seorang tokoh berpengaruh di Malaysia telah meminta bantuannya untuk menggunakan kepakarannya untuk mengesan pesawat terbabit. Uri mendedahkan bahawa dia berpendapat juruterbang pesawat itu lemas akibat kebakaran dalam pesawat. Pesawat MH370 dilaporkan berlepas dari KLIA jam 12.41 pagi 8 Mac lalu dijadualkan mendarat di Beijing pada jam 6.40 pagi pada hari yang sama namun pesawat itu hilang dan tidak dapat dikesan.

Lukis mural guna aising
Lukis mural guna aising
ARTIS dari Montreal ini menggunakan aising yang biasanya dijadikan hiasan pada permukaan kek untuk menghasilkan lukisan mural pada tembok jalanan. Shelley Miller mendedahkan campuran gula, mentega dan putih telur itu dijadikan sebagai bahan utama hasil seninya selepas beliau mendapat inspirasi daripada rekaan kaligrafi dan seni menghias kek. Menurutnya kepada DailyMail, tujuan asal beliau adalah untuk membuat perbandingan antara reka bentuk yang rumit dengan dinding usang. Bagaimanapun, Miller terpaksa berhadapan risiko 'kehilangan' semua lukisannya dalam tempoh singkat kerana aising terbabit mudah mencair, namun ia bergantung kepada faktor cuaca dan suhu. Difahamkan, salah satu projek seninya yang digelar Sugar Bomb pernah dipamerkan di Saskatoon, Saskatchewan pada Julai lalu. "Sugar Bomb adalah lukisan yang mengetengahkan tema lebih feminin selain menggunakan beberapa bahan utama seperti beg paip mengandungi aising dengan warna terang. Miller turut berkongsi hasil seninya yang pernah dipamerkan di Brazil, Australia dan India menerusi Twitter dan Facebook.

Rumah pokok unik
Rumah pokok unik
SEBUAH apartmen setinggi 17 tingkat menyerupai pokok gergasi dan berlatarbelakangkan pemandangan gunung serta pantai akan dibina di Montpellier, selatan Perancis. Projek L'Arbre Blanc atau The White Tree hasil kerjasama pereka tempatan dan Jepun yang menggabungkan seni arkitek abad ke-21 itu diilhamkan dari imej pokok sebenar. Premis tersebut akan dilengkapi 120 unit kediaman dengan balkoni yang mengunjur ke luar pada arah berbeza seperti dahan pokok. Selain itu, beberapa unit pejabat, restoran dan galeri seni juga bakal dibina bagi menarik lebih ramai pengunjung ke menara setinggi 56 meter tersebut. Gizmodo.com.au melaporkan setiap apartmen itu turut menyediakan ruang balkoni terbuka untuk penduduk menikmati udara segar. Difahamkan menurut DailyMail, projek pembinaan The White Tree akan bermula pada Julai 2015 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Disember 2017.

Nasib mangsa Agen Oren
Nasib mangsa Agen Oren
SEKUMPULAN kanak-kanak cacat ditempatkan di sebuah rumah anak yatim di luar Ho Chi Minh selepas ditinggalkan tanpa perikemanusiaan oleh ibu bapa mereka. Puluhan budak itu adalah antara ribuan mangsa yang terpaksa menanggung derita akibat daripada penggunaan senjata kimia oleh Amerika Syarikat (AS) ketika Perang Vietnam antara 1962 dan 1971. Kebanyakan mereka mengalami kecacatan fizikal dan mental sejak lahir dan ia berpunca daripada racun terbabit yang disemburkan pesawat AS lebih 50 tahun lalu, namun kesannya berlarutan hingga kini. Difahamkan, kesemua kanak-kanak tersebut dijaga secara bergilir-gilir oleh kumpulan sukarelawan. Seorang jurugambar dari Illinois yang merakamkan keadaan kanak-kanak di rumah yatim tersebut melahirkan rasa kecewa kerana Washington masih belum mengambil sebarang tindakan untuk membela nasib mangsa Agen Oren. "AS sepatutnya bertanggungjawab dalam hal ini dan mereka perlu menyalurkan bantuan untuk meringankan beban penduduk di Vietnam," kata Matt Lief Anderson. Menurut laporan Palang Merah Vietnam kepada Daily Mail, kira-kira sejuta penduduk menderita pelbagai penyakit manakala 150,000 kanak-kanak dilahirkan cacat akibat senjata kimia digunakan AS lebih lima dekad lalu.

Mohmad Salleh
Pesta muzik tiga hari biadab
SHAH ALAM - Penganjuran acara muzik terbesar selama tiga hari di Stadium Negara Bukit Jalil dilihat sebagai satu tindakan biadab dan tidak menghormati sensitiviti rakyat Malaysia. Naib Ketua Pemuda Pas Wilayah Persekutuan, Muhammad Farhan Mat Zin berkata, di kala negara sedang diuji ALLAH SWT dengan ketidaktentuan cuaca hingga dilaporkan 10,000 kebakaran hutan, jerebu pada tahap membimbangkan dan kehilangan MH370, namun pihak kerajaan masih membenarkan pesta muzik diadakan. "Saya melihat ramai pihak menganjurkan solat hajat di masjid-masjid dan solat Istisqa memohon pertolongan ALLAH untuk menurunkan hujan, tetapi anak-anak muda terkinja-kinja berpesta di stadium," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Tambah beliau, dengan lambakan pesta seumpama itu, dikhuatiri pertolongan yang dipinta dari ALLAH akan ditolak. "Jangan mencabar kuasa ALLAH dan kita bimbang pertolongan ALLAH tidak diberikan dengan wujudnya lambakan pesta-pesta seumpama ini," katanya. Kelmarin, enam individu termasuk seorang pelajar dari sebuah universiti di utara tanah air maut dan tiga kritikal disyaki akibat pengambilan dadah secara berlebihan ketika berhibur di acara muzik terbesar itu. Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, kesemua mangsa warga tempatan berumur 19 hingga 28 tahun dan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), awal pagi semalam. Mereka ialah Kamal Zekry Kamal Basha, 22, Victor Wong E Hern, 26, Sabreena Kamaruddin, 21, M Suresh, 28, Syazana Sohaime, 23, dan Nor Faizza Mohd Wazir, 27. Dua orang yang kritikal ialah warga Singapura dan seorang lagi warga tempatan, dalam lingkungan umur 19 dan 27 tahun yang kini menerima rawatan di PPUM dan di PPUKM. Dalam satu sidang media semalam, Mohmad berkata, ekoran keadaan ini, pihak polis sudah memberitahu penganjur bahawa konsert hari ketiga perlu dibatalkan tanpa alasan kerana menyebabkan masalah keselamatan.

Khairy Jamaluddin
KJ jawab Tok Moh isu tampar 'kokedai'
SHAH ALAM - Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin secara berseloroh berkata, "satu Malaysia" mahu menampar Raja Bomoh, Ibrahim Mat Zin ekoran perbuatannya yang "memalukan" negara. Kata-kata itu lahir dari mulut menteri muda ini sebagai respon kepada Raja Bomoh Sedunia Nujum VIP yang mahu menamparnya seperti buaya. KJ sebelum itu menyifatkan perbuatan Ibrahim sesuatu yang menjatuhkan maruah dan mencalar imej negara. "Dia sorang yang nak tampar saya...tapi saya rasa satu Malaysia nak tampar dia sebab malukan negara. "Perbuatan dia syirik, khurafat...saya tak nak layan," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan melalui sebuah portal. Baru-baru ini, KJ telah menyelar Ibrahim menerusi laman mikro Twitter miliknya. KJ dalam Tweetnya menggesa pihak berwajib untuk menangkap dan menahan bomoh berkenaan. Isnin lalu, Ibrahim muncul di tengah kesibukan Kuala Lumpur International Airport (KLIA) dan melakukan ritual menggunakan bubu mata pancing dan batang buluh. Keesokan harinya Raja Bomoh berkenaan menggemparkan KLIA sekali lagi dengan menjalankan ritual menggunakan tikar, bakul mengkuang dan dua biji kelapa dalam misi mencari pesawat MH370 yang gagal dikesan sehingga kini. Menurut Ibrahim, apa yang dilakukannya berniat baik untuk membantu kerajaan mengesan lokasi pesawat MH370. Upacara ritual yang dijalankannya bersama dua lagi pengikutnya itu mendapat kritikan meluas di media-media sosial selain dijadikan parodi.

bomoh
Raja Bomoh bakal berdepan tindakan undang-undang
SHAH ALAM - 'Raja Bomoh' yang melakukan ritual di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini, kononnya bagi membantu usaha mengesan kehilangan pesawat MH370, bakal dikenakan tindakan mengikut Enakmen Jenayah Syariah Selangor. Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, tindakan itu akan dikenakan ke atas Ibrahim Mat Zin, 80, jika siasatan Jais mendapati perbuatannya menyimpang daripada ajaran Islam sebenar. "JAIS menerima banyak aduan daripada orang ramai, termasuk melalui laman sesawang dan Facebook Jais, berhubung perbuatan dia. "Merujuk kepada aduan itu, Jais sedang meneliti dan menyiasat kejadian itu mengikut Seksyen 7(1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor," katanya kepada pemberita di sini. Rabu lepas, Ibrahim dilapor melakukan ritual ala-ala 'tikar terbang' dengan disertai beberapa lelaki memegang dua biji kelapa yang tidak diketahui fungsinya. Dua hari sebelum itu, Ibrahim turut muncul di KLIA melakukan ritual menggunakan bubu mata pancing. Mengulas lanjut, Ahmad Zaharin berkata, pihaknya juga masih melakukan pemantauan di KLIA bagi mengekang kegiatan itu daripada berulang. - Bernama

Azmi Abdul Rahim
Pelajar trauma diliwat 4 pelajar senior
KUALA PILAH – Seorang pelajar berusia 15 tahun trauma selepas diliwat empat pelajar tingkatan lima yang menuntut di sekolah yang sama dekat sini. Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Azmi Abdul Rahim berkata, penjaga mangsa berusia 34 tahun yang bertugas sebagai pengawal keselamatan hanya mengetahui kejadian itu setelah dimaklumkan pihak sekolah. Menurutnya, dia yang terkejut apabila mengetahui anak tirinya diliwat bertindak membuat laporan polis pada 13 Mac jam 3.15 petang. “Kejadian liwat itu berlaku sebanyak tiga kali sejak pertengahan Februari dan kali terakhir pada 10 Mac lalu. “Susulan laporan polis yang dibuat penjaga berkenaan, pada 14 Mac, sepasukan polis yang diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kuala Pilah, Asisten Superintendan Normanshah Din menahan empat suspek pada hari yang sama di sekolah tersebut. “Semua suspek tinggal di asrama begitu juga dengan mangsa,” katanya. Tambahnya, keempat-empat suspek ditahan reman selama empat hari mulai 15 Mac dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana melakukan seks di luar tabii yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun jika sabit kesalahan. Azmi menambah, kes liwat merupakan masalah serius yang perlu ditangani dengan segera. “Pihak sekolah sepatutnya tidak perlu berselindung berhubung perkara ini sebaliknya terus bertindak melaporkan kepada pihak polis serta ibu bapa mangsa. “Walaupun kes ini boleh mencemarkan imej sekolah namun ia perlu dipandang serius dan diharapkan pihak sekolah dapat memberi kerjasama yang baik kerana melibatkan pelajar mereka," katanya. Selain itu, peranan ibu bapa juga penting untuk mengetahui aktiviti dan kegiatan anak-anak mereka sama ada di sekolah mahupun di luar rumah.

LLOC tarikan terbaharu
Lego Legends of Chima (LLOC) tarikan terbaharu
LEGOLAND Malaysia Resort, pemilik taman tema pertama seumpamanya di Asia memperkenalkan Lego Legends of Chima (LLOC) yang telah dibuka kepada orang ramai. Pengurus Besarnya, Mark Germyn berkata, model LLOC yang dipaparkan itu merangkumi elemen interaktif dan kesan animasi tersendiri. Menurutnya, model LLOC dibina menggunakan lebih 214,000 kepingan lego dan mengambil masa anggaran 3,775 jam untuk disiapkan. “LLOC adalah tarikan terbaharu di Miniland, yang mana memberikan pengalaman menarik untuk seisi keluarga," katanya. Mark berkata, pihaknya turut menyediakan tayangan filem empat dimensi (4D) selama 20 minit untuk LLOC, supaya pengunjung berpeluang merasai pengalaman sebenar berada di alam fantasi. "Bermula 14 hingga 30 Mac depan, kami turut menyediakan pelbagai aktiviti dan permainan menarik,” katanya. Mark berkata, pihaknya turut menawarkan potongan harga bagi pembelian pas tahunan khusus untuk warga Johor dengan harga RM195 bagi dewasa dan RM150 bagi kanak-kanak. Sementara itu, pas tahunan dijual pada harga RM275 bagi dewasa dan RM210 untuk kanak-kanak.

Foto
Tiga lelaki maut dalam kemalangan
Alor Gajah: Tiga lelaki maut dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di Jalan Kampung Lekok-Paya Rumput, Masjid Tanah, di sini, jam 1.30 pagi semalam. Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Mohamad Laham berkata, motosikal ditunggang anggota sukarelawan polis (SP) Hairul Anwar Idris, 20, bertembung dengan sebuah lagi motosikal ditunggang Muhamad Aiman Ridauddin Ramley, 17, dan pembonceng Muhammad Firdaus Hassan, 16. Ia menyebabkan Hairul Anwar dan Muhamad Aiman Ridauddin meninggal dunia di tempat kejadian manakala Muhammad Firdaus disahkan meninggal dunia di Hospital Alor Gajah. “Motosikal Demak dibonceng Muhamad Aiman Ridauddin dan Muhammad Firdaus datang dari arah Masjid Tanah menuju ke rumah mereka di Taman Seri Aman dipercayai gagal memotong sebuah kereta sebelum bertembung dengan motosikal Yamaha 125Z ditunggang Hairul Anwar yang datang dari arah Paya Rumput ke Masjid Tanah. “Hairul Anwar dan Muhamad Aiman Ridauddin cedera parah di kepala serta badan, manakala Muhammad Firdaus yang parah di kepala disahkan meninggal dunia ketika dirawat.

No comments:

Post a Comment