MH370: Pegawai Imigresen Patuhi SOP, Kata K/P Imigresen
SEPANG, 11 Mac (Bernama) -- Dua penumpang Malaysia Airlines MH370 yang menggunakan pasport curi didapati memasuki Malaysia pada malam 28 Feb, kata Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Aloyah Mamat. Beliau berkata penumpang yang menaiki pesawat itu menggunakan pasport warga Austria Christian Kozel yang dicuri, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 8.28 malam 28 Feb. Seorang lagi penumpang yang menggunakan pasport kepunyaan warga Itali Luigi Maraldi yang juga dicuri, didapati tiba pada 8.31 malam dari Phuket, Thailand menerusi penerbangan QR849 Qatar Airways. Kedua-dua mereka diberi pas lawatan sosial 90 hari. Mereka berlepas dari Malaysia pada 7 Mac. Penumpang pertama diberi kebenaran untuk berlepas dari KLIA pada 8.07 malam manakala penumpang kedua pula mendapat kebenaran pada 8.31 malam. Aloyah berkata pegawai imigresen yang bertanggungjawab memberi kebenaran kepada kedua-dua penumpang itu mematuhi prosedur operasi standard. Mereka mendapati pembawa dan gambar di dalam pasport itu sepadan, katanya. -- BERNAMA
Empat Penumpang Dengan Tempahan Sah Tidak Hadir di KLIA Untuk ‘CHECK IN’ – MAS
SYARIKAT Malaysia Airlines hari ini mengeluarkan kenyataan menjelaskan berkenaan lima penumpang yang dikatakan telah mendaftar masuk tetapi tidak menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370. Menurut MAS, terdapat empat orang penumpang yang sudah membuat tempahan tetapi tidak muncul di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 8 Mac untuk menaiki pesawat berkenaan. “Oleh itu, isu pengeluaran bagasi lima orang penumpang tidak wujud, kerana empat orang penumpang berkenaan tidak pun melakukan daftar masuk untuk penerbangan berkenaan,” kata kenyataan itu. Kenyataan itu dikeluarkan di laman web rasmi MAS sebentar tadi. Sebelum ini Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman memaklumkan pihak MAS sudah mengeluarkan bagasi lima orang penumpang dari pesawat kerana mereka didakwa tidak menaiki penerbangan itu. Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar kemudiannya menafikan perkara itu dalam sidang media pukul 3 petang tadi. Beliau berkata semua individu yang membuat tempahan untuk penerbangan itu menaiki pesawat MH370 menurut apa yang diperolehi dalam siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM)
Kenapa Isteri Suka Dipeluk Suaminya…
- Kebanyakan suami tidak memahami mengapa isteri sangat suka apabila dipeluk.
- Bagi suami, pelukan hanyalah pertautan fizikal, dan ada kalanya merimaskan.
- Sedangkan bagi isteri, pelukan menyimpan erti lebih mendalam dan memberi manfaat besar bagi kesihatan jiwa.
- Pernah seorang kenalan wanita mengadu kepada saya, semangatnya lemah kerana suami tiada di rumah dan jarang memeluknya.
- Bila suami memeluknya, baru terasa semangat dan tubuh menjadi lebih bertenaga.
- Walaupun ia mungkin benar dari sudut psychology, tetapi dari segi
physiologinya juga mengatakan ‘pelukan mesra suami mampu mengeluarkan
hormone oxytocin’ dalam tubuh isteri dan memberikan kesan tersebut.
1. peluklah isteri
2. belai lembut rambutnya
3. sentuh wajahnya
4. gosok lembut lengannya
5. kaitkan jari-jemari tangan anda dengan jari-jemarinya
6. gosok lembut punggungnya
7. sentiasa menjaga pandangan mata anda dengan matanya.
Pelukan membuatkan pasangan merasa lebih dekat dan intim.
Bagaimana pulak pelukan suami tu boleh buat isteri kurus?
Camna tu tak tahu la pulak tapi menurut kata Pakar motivasi Datuk Dr.
Mohd. Fadzilah Kamsah, pelukan dan sentuhan suami kepada isterinya ada
pelbagai kebaikan kepada si isteri juga kepada si suami antaranya:
Pelukan suami dapat mengurangkan tahap kolesterol dan meningkatkan
kesihatan isteri. Oleh itu suami yang inginkan isterinya menurunkan
berat badan digalakkan peluk isterinya lebih kerap.
Seorang suami yang memeluk isterinya untuk sekurang-kurangnya 10 saat
setiap pagi akan panjang umurnya lima tahun. Ini kerana pelukan dan
sentuhan boleh menyebabkan tubuh manusia mengeluarkan pelbagai hormon
termasuk endorfin yang baik untuk kesihatan tubuh.
Hormon endorfin adalah sejenis bahan kimia semula jadi yang bertindak sebagai penahan sakit dan mengurangkan keresahan.
Selain itu pelukan dan gurau senda antara suami dan isteri juga merupakan sunah Rasulullah s.a.w.
Hubungan seks dalam penuh rasa kasih sayang juga dapat membantu pasangan
untuk awet muda dan berketerampilan menarik. Wanita yang mempunyai
kehidupan seks yang baik dan bahagia akan lebih cenderung untuk
menghiasi diri.
Jadi pe kata start hari ni , kita pakat-pakat minta suami peluk sekejap.
Tak pun kita je la pi terkam peluk suami tapi kena tengok timing la
jugak kan, kalau tak nanti ada dikatanya kita ni buang tebiat pulak.
Paling tidak pun lepas kita salam dan suami kiss sebelum keluar rumah pi
kerje tu, minta dipeluk sekejap, InsyaAlaah lama-lama bila diamalkan
ada perubahan sikit dalam hubungan rumah tangga.
Bagi isteri, pelukan merupakan bentuk komitmen cinta dan kesetiaan pasangannya. Bocor: Imej Penuh Telefon Pintar Baru HTC
Beberapa imej penuh peranti yang dipercayai telefon pintar baru dari HTC, M8 yang bakal dilancarkan tidak lama lagi telah dimuat naik dari pelbagai sudut di laman sesawang. Imej yang dikongsikan oleh pemilik akaun Chinese Weibo menampilkan perbandingan antara peranti terbaru ini bersama HTC One Max bagi memberi gambaran saiz yang lebih jelas mengenai gajet tersebut. Buat masa ini, imej yang dikongsi kelihatan konsisten dengan imej bocor lain yang telah dimuat naik sebelum ini – bahan aluminium, dwi-kamera di belakang, serta posisi speaker yang dikekalkan. Jika dilihat pada imej bocor ini, spekulasi berkenaan saiz paparan skrin 5-inci tersebut mungkin adalah benar. Satu lagi kemungkinan besar ciri yang terdapat pada HTC M8 yang mungkin dapat menarik perhatian peminat di luar sana ialah slot kad microSD. Imej yang dipaparkan juga mengesahkan penggunaan Android 4.4 serta HTC Sense 6.0.
PPDNKK Perlis Bongkar Aktiviti Penyelewengan Diesel Di Kuala Perlis
KANGAR, 11 Mac (Bernama) -- Kegiatan seorang lelaki mengumpul minyak diesel secara haram sejak tahun lepas untuk dijual terbongkar apabila anggota penguatkuasaan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Perlis menemui 1,000 liter diesel disimpan di rumahnya di Kuala Perlis. Ketua Pengkuatkuasanya, Razali Salleh berkata lelaki itu bagaimanapun tiada di rumahnya di Taman Bukit Kubu semasa serbuan dibuat pukul 12 tengahari Selasa tetapi bahan bakar itu ditemui dalam beberapa buah tong di rumahnya. Katanya PPDNKK Perlis telah dua kali menyerbu rumah lelaki itu sejak mengetahui beliau menjalankan aktiviti mengumpul minyak diesel untuk dijual kepada pihak tertentu sejak tahun lepas tetapi tidak berhasil. "Sebaik menerima maklumat orang ramai hari ini kita terus membuat serbuan dan menemui bahan bakar bernilai kira-kira RM2,000 dalam tong-tong di bahagian belakang rumah lelaki itu," kata Razali kepada pemberita di sini, hari ini. Beliau berkata identiti lelaki berusia 30-an itu telah diketahui dan akan menahannya tidak lama lagi untuk didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan tanpa permit sah. Katanya lelaki itu dipercayai membeli diesel di stesyen-stesyen minyak dan mengumpulnya dalam tong-tong yang diletak di bahagian belakang rumahnya. Dalam satu lagi kes, pihaknya yang menerima aduan orang ramai menyerbu sebuah pasar raya di bandar ini dan merampas lampin bayi bernilai kira-kira RM1,800 yang tidak diletak tanda harga, kata Razali. Beliau berkata PPDNKK Perlis telah memeriksa 5,670 premis perniagaan dan mengambil tindakan terhadap 76 peniaga iaitu 50 kes mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan 26 kes di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 dalam 'Ops Harga Dua' dari 1 Januari tahun ini sehingga semalam. -- BERNAMA
Nelayan Kuala Kedah Guna Teknologi Sonar Bantu Kesan MH370
ALOR SETAR, 11 Mac (Bernama) -- Nelayan Kuala Kedah menggunakan teknologi sonar pada bot mereka bagi membantu mengesan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang dilaporkan hilang sejak empat hari lepas. Timbalan Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kuala Kedah Mohd Sam Mohd Zuki berkata teknologi tersebut digunakan untuk mengesan ikan dan boleh digunakan untuk mengesan sebarang objek yang berada dalam laut. Katanya pihaknya meminta lebih 30 bot nelayan zon C dan C2 yang menangkap ikan di kawasan Selat Melaka di sepanjang perairan negeri ini dan Perlis membantu mencari pesawat itu. "Alat ini (sonar) boleh kesan hingga ke dasar laut dan turut berupaya mengesan haba atau tindak balas haba daripada pesawat itu. Selain sonar kita juga menggunakan sistem kedudukan sejagat atau GPS (Global Positioning System)," katanya kepada pemberita di jeti pendaratan ikan di sini Selasa. Katanya nelayan mempunyai alat perhubungan seperti walkie talkie bagi memudahkan untuk berhubung terus dari kawasan tengah laut dengan mereka yang berada di tanah besar. "Kalau ada maklumat kita akan berhubung dengan nelayan atau tauke bot yang ada di darat dan mereka boleh terus berhubung denga pihak berkuasa sekiranya mempunyai maklumat berkaitan dengan pesawat yang hilang," katanya. Sabtu lepas, pesawat MAS penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama 227 penumpang termasuk dua bayi dan 12 anak kapal itu hilang dari imbasan radar pada 1.30 pagi, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang. Pesawat itu membawa penumpang terdiri daripada warga 14 negara dengan lebih separuh merupakan warga China dan 38 rakyat Malaysia. -- BERNAMA
MH370: Kedatangan Pelancong Asing Ke Malaysia Tidak Terjejas
KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Kedatangan pelancong asing ke Malaysia termasuk dari China tidak terjejas berikutan insiden pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 hilang semasa dalam penerbangan ke Beijing sejak Sabtu lalu. Presiden Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Hamzah Rahmat berkata daripada maklum balas diterima daripada syarikat pelancongan, tiada pembatalan penerbangan ke negara ini oleh pelancong asing, mahupun rakyat Malaysia yang ingin melawat negara lain berikutan insiden mengejutkan itu. "Dari segi jumlah kedatangan pelancong...tempahan penerbangan adalah baik...tiada pembatalan dibuat oleh pelancong...tetapi kami terus membuat pemantauan dan mengemas kini berkaitan pembatalan sekiranya ada. "Tapi, sehingga hari ini, masih tiada lagi pembatalan termasuk jadual penerbangan ke luar negara...semuanya berjalan seperti biasa," katanya kepada Bernama ketika ditanya perkembangan kedatangan pelancong asing berikutan insiden kehilangan pesawat itu yang belum ditemui sehingga sekarang. Beliau yang bersimpati dengan kejadian yang menimpa penumpang serta anak kapal MH370 itu mendoakan mereka selamat. Beberapa agensi pelancongan di ibu negara juga tidak mengalami pembatalan tempahan malah terus menerima tempahan penerbangan seperti biasa. Penolong Pengurus Hwajing Travel and Tours Sdn Bhd Mai Lim berkata agensinya terus menerima tempahan penerbangan dari pelancong asing terutamanya dari China. Katanya tiada sebarang pembatalan tiket penerbangan malah pelancong masih lagi membuat tempahan sehingga hari ini dan terbaru penerbangan dari Beijing ke Malaysia dijadualkan berlepas esok (12 Mac). AAM Travel Sdn Bhd turut merekodkan jumlah tempahan memuaskan daripada penduduk tempatan yang ingin ke luar negara mahupun pelancong asing yang mahu menggunakan perkhidmatan mereka. "Selepas insiden itu, kita tidak terima panggilan mengatakan untuk batal penerbangan...pada 28-31 Mac ini ada 31 orang secara berkumpulan akan bercuti ke China iaitu Guangzhou dan tiada panggilan untuk pembatalan dibuat," kata Eksekutif Pemasarannya, Shahira Johari. Kakitangan agensi pelancongan MJ Travel Sdn Bhd Emily Chia Lee Hooi dan Pengurus MIAS Travel Sdn Bhd Zulkifli Talip turut menyatakan agensi masing-masing tidak menerima sebarang pembatalan tiket penerbangan. Pengurus Directlink Travel and Tour Sdn Bhd, Dickie Leow pula memberitahu terdapat hanya lima pelancong dari Beijing membatalkan penerbangan mereka ke Malaysia yang dijadualkan April depan. Katanya tempahan pada ketika ini agak berkurangan kerana mungkin menunggu pameran MATTA 2014 yang menawarkan harga lebih murah, dijadual berlangsung di sini 14-16 Mac ini. Sementara itu ketika ditanya mengenai Pameran MATTA 2014, Hamzah berkata antara lain 10 syarikat pelancongan dari China akan menyertai pameran itu nanti. Sempena Tahun Melawat Malaysia 2014, kira-kira 28 juta pelancong disasarkan melawat negara dan bakal menjana pendapatan sehingga RM76 bilion. --BERNAMA
China Puas Hati Usaha Malaysia Kendali Operasi Mencari MH370
KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Kerajaan China setakat ini berpuas hati dengan usaha dilakukan kerajaan Malaysia dalam operasi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang dari radar ketika dalam penerbangan ke Beijing Sabtu lepas. Duta Besar China di Malaysia Dr Huang Hukiang berkata walaupun terdapat laporan mengenai kritikan oleh pihak berkuasa China dan waris penumpang mengenai cara Malaysia mengendalikan operasi yang didakwa perlahan, namun perkara itu telah dijelaskan. "Terdapat banyak kritikan tetapi bagi saya setakat ini kerajaan Malaysia telah berusaha keras dalam menjalankan operasi mencari dengan kerjasama kerajaan China berikutan desakan daripada anggota keluarga penumpang. "Saya telah bercakap dengan wakil media China, saya katakan bahawa kerjasama mencari dan menyelamat setakat ini dijalankan dengan teratur. "Saya mengikutinya sejak dari hari pertama, saya saksikan kelancaran operasi mencari dan menyelamat dan menerima semua laporan daripada jabatan yang terlibat," katanya kepada pemberita semasa melakukan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia di Bangunan Parlimen di sini, Selasa. Huang berkata kerajaan China juga amat menghargai usaha dilakukan oleh kerajaan Malaysia termasuk bantuan kepada waris penumpang yang berada di sini dan juga Beijing. Terdapat 152 penumpang warganegara China termasuk seorang bayi dalam pesawat berkenaan yang sehingga kini masih belum diketahui mereka. Dalam pada itu, Huang juga berharap pihak terlibat terutama waris penumpang terus bersabar dan berdoa agar pesawat berkenaan dapat ditemui. "Dalam waktu sukar ini kita patut berkongsi beban ini, kami menghargai usaha kerajaan Malaysia setakat ini dan kami akan memberikan kerjasama mungkin sehingga semua ini selesai. "Kita perlu tenang, sabar kerana terdapat banyak perkara di luar pengetahuan manusia. Apa juga kemungkinannya, kita perlu tunggu dan berdoa," katanya. -- BERNAMA
Kehilangan MH370 Dapat Liputan Meluas Di India, Sri Lanka
COLOMBO, 11 Mac (Bernama) -- Misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) daripada skrin radar pada Sabtu lepas, mendapat liputan meluas akhbar di India dan Sri Lanka, sekalipun tidak putus-putus disertai teori berbentuk spekulasi dan pendapat pakar. Lima daripada 227 penumpang pesawat MH370 adalah rakyat India. Media India, yang melaporkan maklumat terkini secara langsung berhubung perkembangan misi mencari dan menyelamat (SAR) yang disertai pelbagai negara, turut memberi tumpuan kepada urusan perjalanan yang diatur MAS kepada waris penumpang. Pada 8 Mac, penerbangan MH370 terputus hubungan setelah pesawat Boeing 777-200ER berusia 11 tahun itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menuju Beijing, China. Akhbar Times of India melaporkan rakyat negara itu, Vinod Kolekar, 63, isteri Chetana, 59, dan anak lelaki mereka, Swanand, 23, antara penumpang pesawat berkenaan. Mereka ke Beijing untuk percutian 10 hari bersama saintis Borivli, Sanved Kolekar, anak lelaki sulung pasangan itu, yang berpindah ke Beijing pada Disember 2013, untuk meneruskan penyelidikan pasca-kedoktoran. Sanved dan isterinya, Tejashri, menaiki penerbangan dari Beijing ke Kuala Lumpur pada Selasa bersama-sama lebih 100 lagi anggota keluarga penumpang pesawat yang hilang itu, menurut laporan akhbar berbahasa Inggeris itu. Keluarga N. Chandrika Sharma, 50, seorang daripada lima rakyat India, dilanda trauma sejak mengetahui tentang kehilangan pesawat berkenaan pada Sabtu. "Setakat ini, kami hanya dimaklumkan bahawa pesawat itu hilang," akhbar Mumbai Mirror memetik rakan setugas dan kenalan keluarga itu, N. Venugopal sebagai berkata. Seorang lagi rakyat India yang menaiki penerbangan itu ialah Kranti Pralhad Shirsath, 44, dari Pune, yang dalam perjalanan untuk bertemu suaminya, Prahlad, petugas sebuah badan bukan kerajaan di Pyongyang, Korea Utara, menurut akhbar itu. Rumah Shirsaths di Khandoba Temple Road dekat Ramnadi diselubungi suasana muram ketika Mumbai Mirror menemu bual keluarga wanita itu yang tinggal bersama dua anak lelakinya, Yashwant, 11, dan Rahul, 16, serta ibu mertuanya, lapor akhbar itu. Ahad lepas, Kementerian Hal Ehwal Luar India mengumumkan akan memantau rapi perkembangan berkaitan pesawat yang hilang itu. "Doa dan ingatan kami buat keluarga penumpang pesawat itu. Kami amat menghargai usaha kerajaan Malaysia untuk mengesan pesawat yang hilang," kata kementerian berkenaan dalam satu kenyataan. Sementara itu di Colombo, Mirror Business, sebuah daripada akhbar harian perniagaan terulung di Sri Lanka, mengetengahkan fakta bahawa pesawat itu hilang sehari selepas pemeteraian sistem kabel bawah laut Asia Selatan-Timur Tengah-Eropah Barat-5 (SEA-ME-WE 5), merentasi kira-kira 20,000km dari Asia Pasifik ke Eropah menerusi Sri Lanka, dengan penyertaan 15 pengendali telekomunikasi terkemuka. Laporan itu menarik perhatian bahawa kira-kira 10 peratus daripada penumpang pesawat MAS yang hilang itu adalah eksekutif tertinggi syarikat telekomunikasi. Memetik agensi berita asing, akhbar itu berkata Naib Presiden Perancangan Rangkaian, Telecom Global China Hualian Zhang adalah seorang daripada penumpang itu. -- BERNAMA
MH370: Kapal selam Scorpene milik negara tidak sesuai digunakan
PETALING JAYA, 11 Mac (Bernama) -- Tiada kapal selam digunakan dalam operasi mencari dan mengesan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang, kata Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar. Katanya, ini kerana kapal selam tidak sesuai melakukan tugas itu kerana ia hanya dilengkapi sistem sonar pengesan yang terhad dan tidak berupaya mengesan objek statik di dasar laut. "Sonar yang dipasang pada kapal selam tidak mampu mengesan atau menjejak apa-apa objek yang berada di paras laut, ia hanya mampu mengesan objek yang bergerak atau yang mengeluarkan bunyi," katanya dalam sidang media selepas melawat Pusat Kawalan Trafik Udara, Jabatan Penerbangan Awam di Subang di sini Selasa. Turut melawat pusat itu ialah Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang juga Menteri Pertahanan. Abdul Aziz berkata, bagi mengesan objek di dasar laut ia selalunya dilakukan kapal yang dilengkapi sistem sonar lebih berkeupayaan tinggi dalam mengesan objek di paras laut seperti kapal selam penyelamat, kapal hidrografi dan kapal pengesan periuk api. Katanya, kapal yang mempunyai kelengkapan itu telah dikerahkan ke kawasan operasi termasuk kapal MV Mega Bakti, KD Perantau dan KD Mahameru milik Tentera Laut Diraja Malaysia selain MV Swift Rescue milik Tentera Laut Singapura. "Jadi saya harap selepas ini tidak ada lagi tohmahan ataupun pertanyaan mengenai kenapa kapal selam tidak digunakan dalam operasi mencari MH370 ini," katanya. Pada Sabtu lepas, penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing membawa 227 penumpang termasuk dua bayi dan 12 anak kapal hilang dari imbasan radar pada 1.30 pagi, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang. Pesawat itu membawa penumpang terdiri daripada warga 14 negara dengan lebih separuh merupakan warga China dan 38 rakyat Malaysia. -- BERNAMA
MH370: Lapan Penduduk Buat Laporan Polis Dakwa Dengar Bunyi Dentuman
MARANG, 11 Mac (Bernama) -- Lapan penduduk di Kampung Pantai Seberang Marang di sini mendakwa mendengar bunyi dentuman yang kuat pada pagi Sabtu lalu datang dari timur laut Pulau Kapas, kemungkinan ada kaitan dengan pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 yang hilang. Berikutan itu mereka telah membuat laporan di ibu pejabat polis Daerah Marang kira-kira pukul 10.30 pagi tadi. Seorang daripada penduduk terbabit, Alias Salleh, 36, berkata pada pukul 1.20 pagi berkenaan ketika beliau bersama tujuh lagi rakannya sedang bersantai duduk di bangku kira-kira 400 meter dari pantai Marang, tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi kuat seperti kipas kapal terbang. "Bunyi yang kuat dan menakutkan itu dipercayai datang dari timur laut Pulau Kapas sebelum kami bergegas ke arah tersebut untuk mengesan punca bunyi itu. "Kami mencari di sekitar Pantai Rhu Muda namun tidak menemui apa-apa yang mencurigakan," kata Alias, seorang pemandu lori. Ditanya mengapa beliau membuat laporan selepas empat hari kejadian itu berlaku, bapa kepada tiga orang anak itu berkata, beliau bertanggungjawab untuk melaporkan maklumat kepada pihak berkuasa bila pesawat masih tidak ditemui hari ini selepas empat hari berlalu. Sementara itu, seorang lagi penduduk Mohd Yusri Mohd Yusof, 34, berkata bunyi yang kuat dan agak pelik itu pada awalnya disangkakan fenomena Tsunami. "Bunyi bising yang kedengaran seperti kipas kapal terbang itu dapat saya dan rakan-rakan dengar selama dua minit dan bunyi itu berdesing. "Saya mengambil keputusan ini (membuat laporan) selepas berasa curiga dengan bunyi itu dan ditambah lagi dengan laporan media berkaitan kes kehilangan pesawat," kata beliau. Mohd Yusri turut mendakwa beberapa kawannya termasuk pemancing dan nelayan turut mendengar bunyi aneh berkenaan dari arah pantai. Pesawat MAS Penerbangan MH370 itu membawa 227 penumpang, termasuk dua bayi dan 12 anak kapal, hilang semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang pada 12.41 pagi Sabtu. -- BERNAMA
Musim Panas Dijangka Berakhir Tengah Bulan Ini
JASIN – Musim panas yang melanda negara sejak Januari lepas dijangka berakhir pada pertengahan bulan ini berikutan perubahan Monsun Timur Laut ke Monsun Barat Daya. Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah berkata sehubungan dengan itu hujan yang berterusan juga dijangka mula turun secara kerap dan bukan lagi hujan sekejap-sekejap yang dialami negara pada masa ini. “Namun dalam tempoh tersebut (sebelum hujan berterusan turun) kami akan teruskan dengan pembenihan awan di beberapa lokasi yang dikenal pasti mempunyai awan ‘towering cumulus’,” katanya kepada pemberita di Merlimau di sini hari ini. Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Dokumen Kolaborasi antara Politeknik Merlimau dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Melaka di politeknik itu. Pengarah Politeknik Merlimau Zolkarnain Jobshi dan Pengarah CIDB Melaka Norlida Nabil menandatangani dokumen itu yang bertujuan meningkatkan usaha sama dalam bidang kejuruteraan merangkumi pertukaran informasi dan pengendalian kursus keselamatan bagi pelajar serta pekerja binaan. Dr Abu Bakar berkata pembentukan awan ‘towering cumulus’ yang mempunyai kandungan wap air melebihi 80 peratus merupakan faktor utama dalam memastikan kejayaan operasi itu. “Operasi ini dapat mempercepatkan proses penurunan hujan apabila kita semburkan air garam pada awan itu bagi menambah isi padu kandungan air dan apabila kandungan air didalamnya bertambah, awan akan menjadi berat dan akan menurunkan hujan,” katanya. Beliau berkata sejak tahun 1977 sebanyak 284 operasi pembenihan awan telah dilaksanakan dan kira-kira 80 peratus daripada jumlah itu berjaya menghasilkan hujan. – BERNAMA
MH370: Masih Tiada Penunjuk Ditemui - Hishammuddin
PETALING JAYA, 11 Mac (Bernama) -- Operasi mencari yang dilakukan bagi mengesan kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang memasuki hari ketiga hari ini, masih gagal mengesan sebarang penunjuk. Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata usaha itu bagaimanapun akan terus diperhebat dengan memperluaskan kawasan carian selain penglibatan pelbagai pihak termasuk nelayan. "Saya mahu nyatakan di sini bahawa kawasan yang kita mahu cari pesawat terbabit merupakan kawasan yang cukup luas dan ini menginsafkan saya kerana memang sukar untuk mengesan. "Tetapi kita tidak akan putus asa dan saya gembira kerana ramai yang tampil untuk membantu dengan yang terbaharu dari negara Brunei yang turut menyertai usaha pencarian," katanya dalam sidang media selepas melawat Pusat Kawalan Trafik Udara, Jabatan Penerbangan Awam di Subang Selasa. Katanya sehingga kini jumlah aset yang dikerahkan untuk operasi itu meningkat kepada 42 kapal dan 35 pesawat yang merangkumi pencarian di kawasan perairan Laut China Selatan dan Selat Melaka. Katanya pada masa ini sebanyak 16 buah kapal dan 14 pesawat sedang melaksanakan operasi mencari pesawat MH370 itu di Selat Melaka, sementara di Laut China Selatan membabitkan 26 buah kapal dan 21 pesawat. Dalam pada itu Hishammuddin turut mengalu-alukan penyertaan pihak lain seperti nelayan yang dikatakan mampu menjadi mata dan telinga bagi mencari atau mengesan sebarang penunjuk mengenai pesawat MH370. "Tadi sewaktu saya meninjau operasi pencarian di Selat Melaka dengan menaiki pesawat, saya dapati banyak kapal-kapal nelayan beroperasi di sana dan saya yakin mereka boleh membantu," katanya. Beliau berkata dengan penyertaan pelbagai pihak diharapkan akan dapat mengesan penunjuk yang boleh membawa kepada perkembangan yang lebih bermakna terhadap operasi mencari pesawat itu. Pada Sabtu lepas, pesawat MAS penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama 227 penumpang (termasuk dua bayi) dan 12 anak kapal itu hilang dari imbasan radar pada 1.30 pagi, kira-kira sejam setelah berlepas dari KLIA. Pesawat itu membawa penumpang terdiri daripada warga 14 negara dengan lebih separuh merupakan warga China dan 38 rakyat Malaysia. -- BERNAMA
Jerebu Berpunca Kebakaran Dalam Negara - Palanivel
KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Keadaan jerebu sederhana dialami negara pada masa ini berpunca daripada kebakaran tanah gambut dan hutan di beberapa buah negeri, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G.Palanivel. Beliau berkata selain kebakaran tanah gambut dan hutan di Selangor, Perak, Pahang, Johor dan Terengganu, terdapat punca dalaman lain turut menyumbang kepada keadaan itu antaranya pelepasan asap industri, kenderaan bermotor dan aktiviti kerja tanah. "Dalam keadaan cuaca panas dan kering yang berlarutan, habuk terampai kekal berkumpul di ruang udara lalu menyebabkan jerebu," katanya dalam kenyataan di sini Selasa. Palanivel berkata, kerajaan membuat pengawasan rapi melalui 52 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara untuk mengesan perubahan status kualiti udara dan juga sebagai pengesanan awal kejadian jerebu. Katanya sejak awal tahun ini hingga semalam (10 Mac), Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengesan sebanyak 1,392 kes pembakaran terbuka termasuk yang melibatkan kawasan hutan, pertanian dan industri. Jumlah itu meliputi 284 kes pembakaran terbuka di kawasan hutan, 482 kes (kawasan pertanian), 18 kes (kawasan industri), 45 kes (kawasan pembinaan), 24 kes (tapak pelupusan sampah), 285 kes (kawasan belukar) dan 254 kes (lain-lain pembakaran terbuka kecil). Dalam tempoh sama, sebanyak 119 kes pembakaran terbuka juga telah dikenakan tindakan kompaun dan 31 kes dikeluarkan notis amaran. Dua kawasan di Selangor iaitu Banting dan Pelabuhan Klang masih kekal dengan catatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat pukul 5 petang ini. Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS), kawasan berkenaan mencatat IPU melebihi 100 dengan bacaan tertinggi di Banting (124) dan Pelabuhan Klang (104). Sebanyak 33 kawasan mencatat bacaan sederhana antaranya Tanah Merah (53), Seremban (69), Perai (66) dan Petaling Jaya (73), manakala 16 kawasan mencatat IPU baik seperti Larkin Lama (40), Jerantut (31) dan Tawau (47). IPU pada tahap antara 0-50 adalah baik, sederhana (51-100), tidak sihat (101-200), sangat tidak sihat (201-300) dan berbahaya (lebih 301). Orang ramai boleh merujuk ke portal JAS iaitu http://apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU di kawasan masing-masing. -- BERNAMA
Ecstasy: 2 Rakyat Malaysia Dihukum Mati Di Indonesia
JAKARTA, 11 Mac (Bernama) -- Mahkamah Daerah Batam pada Isnin menjatuhi hukuman mati terhadap dua rakyat Malaysia dan seorang rakyat Singapura kerana mengedar 168,987 pil ecstasy. Rakyat Malaysia itu, Mohammad Sollehudin Anuar dan Azmee Johari, serta rakyat Singapura Ong Beng Song didakwa menyeludup masuk dadah itu dari Malaysia ke Indonesia melalui Batam. "Defendan didapati bersalah menyeludup dadah. Mereka memberi penjelasan rumit dan bercanggah serta menafikan memiliki dadah itu," kata Hakim Jack Octavianus seperti dipetik akhbar harian berbahasa Inggeris 'Jakarta Post' pada Selasa. Jack berkata ketika-tiga mereka dijatuhi hukuman mati memandangkan jumlah dadah yang diseludup sangat besar dan jika diedarkan, banyak kehidupan yang akan musnah. Katanya defendan didapati bersalah mengikut Artikel 114 Undang-undang No 35/2009 berkaitan narkotik, yang memperuntukkan hukuman mati. Polis mendapat maklumat berhubung dadah itu, yang disembunyikan di dalam alat pemampat kepunyaan sebuah syarikat ekspedisi di Tiban, Batam, pada awal Mei tahun lepas. Syarikat itu kemudian membawa alat pemampat itu ke Tanjung Pinang, ibu kota wilayah Kepulauan Riau. Ketika sedang diperhatikan polis, dadah itu kemudian dihantar ke Pekanbaru, Riau, Lampung dan kemudian Merak. Konsainan itu tiba di Jakarta pada 5 Jun. Polis Batam menahan rakyat Malaysia itu di sebuah rumah di Jl. Ubud Raya di kompleks perumahan Daan Mogot Baru di Kalideres, Jakarta Barat pada hari berikutnya. Mereka ditahan ketika sedang menerima dadah itu manakala rakyat Singapura itu pula ditahan di sebuah restoran berhampiran ketika sedang makan bersama isteri dan anaknya. Peguam Edi Hartono, yang mewakili ketiga-tiga tertuduh, berkata mereka masih menimbang sama ada akan merayu terhadap keputusan mahkamah itu. Menurut data daripada Agensi Narkotik Nasional, 42 warga asing ditahan berkaitan kesalahan dadah pada 2013 iaitu lapan rakyat Malaysia; tujuh Taiwan; lima China; empat Filipina; empat Nigeria; empat India; tiga Afrika Selatan; dua Vietnam; dua Jerman; seorang Amerika; seorang Sweden dan seorang Austria. -- BERNAMA
PJ, George Town Bandar Paling Banyak “Selfie”
Hari ini, perkataan selfie atau mengambil gambar sendiri adalah perkataan yang tidak asing lagi bagi semua orang. Mengambil kira #hashtag “selfie” yang digunakan di media sosial Instagram, majalah antarabangsa Time mengenal pasti kegemaran selfie paling tinggi dalam kalangan warga bandar di seluruh negara. Keputusannya, tempat pertama di mana kegemaran selfie amat tinggi adalah bandar Makati yang terletak di Manila, Filipina. Agak mengejutkan apabila di sebuah bandar kecil dengan penduduk kira-kira 500,000 orang, kegiatan selfie begitu menggila di sini berbanding mana-mana purata penduduk di bandar lain di dunia. Secara purata, 258 daripada 100,000 orang di Makati didapati mengambil gambar selfie. Selepas Makati, bandar lain yang dikesan mempunyai gambar selfie terbanyak adalah Manhattan (New York) diikuti Miami (Florida), Anaheim dan Santa Ana (California) serta PETALING JAYA, MALAYSIA yang berada di tangga kelima! Berdasarkan kajian The Time ini, secara purata 141 gambar selfie diambil bagi setiap purata 100,000 orang di Petaling Jaya. Turut memasuki carta adalah bandar George Town, Pulau Pinang yang mencatat rekod tinggi selfie selepas Tel Aviv (Israel), Manchester (England), Milan (Itali) dan Cebu (Filipina). Dianggarkan, 95 gambar selfie diambil daripada setiap 100,000 orang di George Town.
VIDEO: Bekas Ketua Juruterbang Kongsi Pengalaman Bersama Kapten Zaharie
Jika semalam, Buletin Utama TV3 menjemput Bekas Ketua Juruterbang B777 Fleet MAS, Kapten Norudin Abd Majid untuk membicarakan secara lebih lanjut mengenai misteri kehilangan pesawat MH370, hari ini sekali lagi beliau dijemput menjadi panel dalam rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) yang dikendalikan oleh Ahmad Fedtri Yahya dan Saiful Nizam Ismail. Menerusi video berdurasi 38 minit dapat dilihat Kapten Norudin berkongsi cerita dan pengalamannya sepanjang mengenali Kapten Zaharie Ahmad Shah yang merupakan juruterbang bertanggungjawab menggemudi pesawat MH370 di samping pembantunya, Fariq Abdul Hamid. Menurutnya, sepanjang mengenali Zaharie, beliau merupakan seorang yang sangat berdedikasi dalam tugasnya. Selain itu, Zaharie juga disifatkan Kapten Norudin sebagai seorang yang sangat berpengalaman dalam bidang penerbangan serta mempunyai pengetahuan yang luar biasa dalam bidang yang diminatinya itu. Dalam pada itu, Kapten Norudin turut berkongsi pendapatnya berhubung misteri kehilangan MH370 yang sehingga kini masih lagi tidak berjaya ditemui oleh pihak mencari dan menyelamat yang telah dikerahkan sejak hari pertama pesawat itu hilang Sabtu lalu. Kapten Norudin juga mengatakan segala apa yang berlaku adalah di atas kehendak Allah SWT, walau secanggih mana pun sesuatu teknologi itu, tidak ada kuasa lain yang mampu mengatasi kuasa Allah Maha Besar.
VIDEO: Demonstrasi Nujum VIP Guna Bubu, Teropong Untuk Kesan MH370
Di sebalik kesediaan banyak pihak yang mahu membantu membongkar misteri kehilangan MH370, salah satunya adalah “Raja Bomoh Sedunia Nujum VIP” Ibrahim Mat Zin. Menggunakan ‘bubu mata pancing’ dan ‘teropong kuning mati beragan’, aksi Ibrahim mendapat perhatian ramai apabila dia melakukan demonstrasi menggunakan dua objek tersebut untuk mencari kedudukan pesawat di KLIA. Dakwa Ibrahim, dua alatan tersebut sudah digunakan untuk membongkar lima misteri negara sebelum ini termasuk mencari mayat tragedi Highland Towers, melemahkan ilmu hitam Mona Fandey ketika perbicaraan kes pembunuhan seorang ahli politik dan mengesan mangsa banjir di Kuala Dipang, Kampar Perak. Wallahu’alam.
MH370: Masih tiada petunjuk - Hishammuddin
SUBANG: Operasi mencari yang dilakukan bagi mengesan kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang memasuki hari ketiga hari ini, masih gagal mengesan sebarang penunjuk. Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata usaha itu bagaimanapun akan terus diperhebat dengan memperluaskan kawasan carian selain penglibatan pelbagai pihak termasuk nelayan. "Saya mahu nyatakan di sini bahawa kawasan yang kita mahu cari pesawat terbabit merupakan kawasan yang cukup luas dan ini menginsafkan saya kerana memang sukar untuk mengesan. "Tetapi kita tidak akan putus asa dan saya gembira kerana ramai yang tampil untuk membantu dengan yang terbaharu dari negara Brunei yang turut menyertai usaha pencarian," katanya dalam sidang media selepas melawat Pusat Kawalan Trafik Udara, Jabatan Penerbangan Awam di Subang hari ini. Katanya sehingga kini jumlah aset yang dikerahkan untuk operasi itu meningkat kepada 42 kapal dan 35 pesawat yang merangkumi pencarian di kawasan perairan Laut China Selatan dan Selat Melaka. Katanya pada masa ini sebanyak 16 buah kapal dan 14 pesawat sedang melaksanakan operasi mencari pesawat MH370 itu di Selat Melaka, sementara di Laut China Selatan membabitkan 26 buah kapal dan 21 pesawat. Dalam pada itu Hishammuddin turut mengalu-alukan penyertaan pihak lain seperti nelayan yang dikatakan mampu menjadi mata dan telinga bagi mencari atau mengesan sebarang penunjuk mengenai pesawat MH370. "Tadi sewaktu saya meninjau operasi pencarian di Selat Melaka dengan menaiki pesawat, saya dapati banyak kapal-kapal nelayan beroperasi di sana dan saya yakin mereka boleh membantu," katanya. Beliau berkata dengan penyertaan pelbagai pihak diharapkan akan dapat mengesan penunjuk yang boleh membawa kepada perkembangan yang lebih bermakna terhadap operasi mencari pesawat itu. Pada Sabtu lepas, pesawat MAS penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama 227 penumpang (termasuk dua bayi) dan 12 anak kapal itu hilang dari imbasan radar pada 1.30 pagi, kira-kira sejam setelah berlepas dari KLIA. Pesawat itu membawa penumpang terdiri daripada warga 14 negara dengan lebih separuh merupakan warga China dan 38 rakyat Malaysia. Berita mula diterbitkan pada: Mac 11, 2014 17:47 (MYT)
MH370: Polis siasat 4 faktor utama termasuk kemungkinan rampasan pesawat
KUALA LUMPUR: Pihak polis sedang memberi tumpuan kepada empat faktor utama di dalam penyiasatan kes kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang sudah memasuki hari keempat. Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata empat faktor tersebut adalah kemungkinan rampasan pesawat, sabotaj, masalah psikologi penumpang serta anak kapal dan masalah peribadi mereka. Apabila ditanya mengapa faktor seperti masalah mekanikal pesawat dan kesilapan juruterbang tidak disiasat, Khalid berkata polis hanya akan terlibat dengan empat fokus utama di dalam penyiasatan yang diketuai oleh Pengarah Siasatan Jenayah (CID), Datuk Hadi Ho Abdullah. “Pihak pakar pesawat seperti Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan Malaysia Airports Berhad (MAB) akan menyiasat faktor lain seperti masalah mekanikal pesawat dan kesilapan juruterbang,” katanya semasa satu sidang media di Hotel Sama-Sama hari ini. Sementara itu, Khalid berkata beliau telah mendapatkan gambar dan profil 153 warganegara China yang menaiki pesawat MH370 daripada pihak keselamatan awam negara itu. “Kami juga telah mendapatkan rakaman video bertarikh 7 dan 8 Mac di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). “Selain itu, kami sedang berhubung dan memeriksa dengan pegawai daripada jabatan lain untuk mengetahui lebih lanjut tentang latar belakang kesemua penumpang,” katanya. Khalid turut berkata pihaknya telah berkomunikasi dengan 14 negara lain dari mana kebanyakan penumpang berasal dan telah bertukar informasi dengan pihak risikan. Penerbangan MH370 ke Beijing itu membawa 227 penumpang dari 14 negara bersama 12 anak kapal terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang pada 2.40 pagi Sabtu. Pesawat itu berlepas dari KLIA pada 12.41 pagi dan dijadual mendarat di Beijing pada 6.30 pagi. Ia dilaporkan hilang selepas gagal dikesan pada radar pusat kawalan trafik udara Vietnam yang kemudian melaporkannya kepada pusat kawalan trafik di Subang. Berita mula diterbitkan pada: Mac 11, 2014 16:31 (MYT)
3,147 majikan patuhi perintah gaji minimum
KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Rakyat hari ini diberitahu sebanyak 3,147 majikan sudah melaksanakan gaji minimum sejak dasar itu dikuat kuasa sepenuhnya awal tahun ini. Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot berkata, bilangan itu merangkumi 97.79 peratus daripada 3,218 majikan yang diperiksa oleh Jabatan Tenaga Kerja setakat ini. "Pada Januari 2014, hanya 11 daripada 988 majikan yang diperiksa gagal mematuhi penetapan gaji minimum," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Abdul Manan Ismail (BN-Paya Besar) mengenai tahap kejayaan pelaksanaan dasar itu. Menurut Riot beliau yakin berdasarkan jumlah majikan yang ramai mematuhi dasar itu setakat ini, pelaksanaan gaji minimum dapat dilaksana dengan jaya. Dalam pada itu Riot berkata, tindakan undang-undang hanya akan diambil terhadap majikan sebagai jalan terakhir selepas semua langkah lain termasuk amaran tidak diendahkan oleh majikan berkenaan. "Mengikut Seksyen 43 Akta Majlis Perundangan Gaji Negara 2011, mana-mana majikan yang disabit kesalahan akan dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun," katanya. - Bernama
Maut nahas motosikal akibat sawan
KUANTAN - Seorang warga emas maut akibat terjatuh ketika menunggang motosikal setelah diserang penyakit sawan dalam kejadian di Jalan Kuantan- Maran, Maran, tengah hari kelmarin. Dalam kejadian kira-kira jam 1.05 tengah hari itu, mangsa, Abdul Halim Abdullah, 66 dari Felda Jengka 18, Bandar Pusat Jengka yang mengalami cedera parah akibat kejadian dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh untuk menerima rawatan. Bagaimanapun dia disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan akibat kesan kecederaan yang dialami. Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim Berkata, mangsa yang menunggang bersendirian difahamkan dalam perjalanan dari rumahnya untuk menjemput isterinya di satu lokasi. Menurutnya, ketika sampai di tempat kejadian, mangsa yang juga peneroka Felda itu dipercayai diserang sawan menyebabkan dia gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas. “Mangsa tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam. Mohamed Fauzi berkata, kemalangan yang meragut nyawa warga emas itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta pengangkutan Jalan 1987.
Remaja sogok polis RM50
JEMPOL - Seorang remaja sanggup merasuah seorang anggota polis selepas gagal menunjukkan lesen memandu bagi mengelak dirinya disaman kerana tidak memakai topi keledar, kira-kira jam 4 petang Sabtu lalu. Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hamzah Alias berkata, ketika kejadian, remaja berusia 17 tahun itu menunggang motosikal jenis Yamaha secara sendirian sebelum ditahan Ketua Polis Balai Rompin, Sarjan Mejar, Rosli Mohd Ali. “Selepas memperkenalkan diri dan menunjukkan pengenalan identiti polis, anggota berkenaan meminta remaja terbabit menunjukkan lesen memandu bersama kad pengenalan dirinya. “Namun, remaja itu hanya mengeluarkan kad pengenalan dan memaklumkan tiada lesen memandu, sebelum mengeluarkan duit RM50 supaya dirinya tidak dikenakan saman dan dilepaskan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Jempol petang semalam. Hamzah berkata, tindakan remaja terbabit akhirnya memakan diri dan dia kini disiasat di bawah Seksyen 17 b Akta SPRM 2009. Sementara itu, Hamzah berkata, pihaknya berjaya menahan seorang lelaki berumur 23 tahun dalam sekatan jalan raya di Serting Hilir kerana menunggang motosikal curi. "Motosikal tersebut dilaporkan hilang pada 27 Februari lalu dan kita juga turut menjumpai sepeket dadah bersama dua tiup straw dalam sebuah beg kecil pada badannya. “Suspek kini ditahan di bawah Seksyen 379 B Kanun Keseksaan dan 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya lagi.
Pelajar IPTA antara ditahan curi kenderaan
GEORGETOWN - Dua lelaki termasuk seorang pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) ditahan polis selepas dipercayai terlibat secara aktif dengan kegiatan mencuri kenderaan di Lebuh Tenggiri, Seberang Jaya awal pagi Ahad lalu. Bukan sahaja menemui pelbagai peralatan mencuri kenderaan malah pemeriksaan yang dibuat terhadap kedua-dua lelaki yang berusia 49 dan 20 tahun itu turut menemui sepucuk pistol yang terselit di pinggang salah seorang daripada mereka. Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A Thaiveegan berkata, kedua-dua lelaki yang berasal dari Pendang, Kedah ini dikesan ketika cuba mencuri sebuah kenderaan di Lebuh Tenggiri, Seberang Jaya namun berusaha melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis. Bagaimanapun, usaha mereka gagal apabila polis berjaya memintas selepas mengejar mereka kira-kira 200 meter. “Ketika ditahan mereka cuba bergelut dengan anggota polis dan salah seorang daripada mereka cuba memegang sesuatu di bahagian hadapan seluar. “Pemeriksaan dilakukan menemui sepucuk pistol jenis CZ 75 Compact Cal 9 Luger daripada suspek,” katanya pada sidang media di sini semalam.
Tiga didakwa dera dua beradik
JOHOR BAHRU – Tiga sukarelawan sebuah pusat jagaan mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan mendera dua beradik berumur 13 dan 14 tahun di mahkamah majistret, di sini, semalam. Kesemua tertuduh, R Kamala Nanthan, 53; R Pushpalatha, 43; dan R Santhakumary, 40; didakwa mendera dua beradik itu antara Jun hingga November tahun lalu di pusat jagaan di sini. Mengikut tuduhan pertama dan kedua, ketiga-tiga tertuduh didakwa mendera seorang kanak-kanak perempuan secara fizikal antara jam 12 tengah hari hingga 6 petang pada Jun 2013 dan pada jam 12 tengah hari hingga 11 malam pada Oktober tahun lalu di lokasi sama. Bagi dua pertuduhan lagi, mereka turut berdepan dakwaan mendera seorang kanak-kanak lelaki berumur 14 tahun yang juga abang kepada kanak-kanak perempuan terbabit pada jam 12 tengah hari hingga 11 malam pada Jun tahun lalu serta dakwaan mendera kanak-kanak lelaki yang sama pada jam 12 tengah hari hingga 11 malam pada November di pusat jagaan sama. Semua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya. Pihak pembelaan diwakili peguam, GK Sritharan memaklumkan mahkamah berhubung hasrat ibu kedua-dua mangsa untuk menarik balik aduan mengenai kes penderaan terbabit, selain tidak akan memberikan keterangan sepanjang perbicaraan. Bagaimanapun, Timbalan Pendakwaraya Noor Farhana Adham memberitahu mahkamah pihaknya tetap meneruskan kes terbabit berikutan tiada sebarang maklumat atau makluman dibuat oleh keluarga mangsa kepadanya. Selepas mendengar hujah daripada kedua-dua pihak, Majistret, Mohd Azlan Shah Mohd Allias memerintahkan kesemua tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM3,500 setiap seorang dan menetapkan 26 Mac ini sebagai tarikh sebutan dan serahan semula dokumen berkaitan kes.
Tunjuk kemaluan, Warga Nigeria mengaku tak bersalah
JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warga Nigeria mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menunjukkan kemaluan kepada seorang seorang wanita di mahkamah majistret, di sini, semalam. Tertuduh, Ajagbe Akintunde Musibau, 41, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias, selepas pertuduhan dibacakan. Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang juga merupakan pelajar sebuah institusi pengajian tinggi didakwa melakukan perbuatan itu di Bandar Baru Kangkar Pulai kira-kira jam 9.15 malam pada 23 Februari lalu. Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa secara sengaja dan dengan niat menunjukkan kemaluan kepada seorang wanita berumur 23 tahun supaya perbuatan itu dilihat pengadu atau mengganggu kesantunan wanita terbabit. Mohd Azlan memerintahkan tertuduh diikat jamin oleh dua penjamin yang juga warganegara Malaysia dan menetapkan 26 Mac ini sebagai sebutan semula kes. Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Noor Farhana Adham
MH370 diselenggara 10 hari sebelum kejadian
KUALA LUMPUR - Pesawat Boeing 777-200 yang mengendalikan penerbangan MH370 diselenggara 10 hari sebelum dilapor hilang pada awal Sabtu dan tiada sebarang masalah dikesan pada pesawat ketika itu. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines (MAS), Ahmad Jauhari Yahya berkata, pesawat itu menjalani penyelenggaraan di hangar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 23 Februari lepas dan penyelenggaraan seterusnya dijadualkan 19 Jun ini. Sejak diterima pada 2002, pesawat itu sudah merekodkan penerbangan selama 53,465.21 jam dengan keseluruhan 7,525 kitaran, katanya dalam kenyataan, di sini hari ini. Beliau juga berkata, semua pesawat MAS dilengkapi dengan sistem pemantauan data yang berterusan dikenali 'Aircraft Communication Addressing and Reporting System' (ACARS) yang menghantar data secara automatik. "Apapun memang tidak ada maklumat atau panggilan kecemasan dihantar," katanya. Menurut Ahmad Jauhari, operasi mencari dan menyelamat setakat awal hari keempat hari ini tidak menemukan sebarang kesan pesawat itu dan operasi sudah diperluas ke barat Semenanjung Malaysia, melangkaui laluan sebenar pesawat. Katanya operasi pencarian meliputi laut dan darat memandangkan pihak berkuasa turut mengambil kira kemungkinan pesawat berpatah balik ke lapangan terbang. "Semua sudut diteliti. Kita tidak menolak sebarang kemungkinan," katanya. Beliau berkata, Wakil Khas Perdana Menteri ke China, Tan Sri Ong Ka Ting kini berada di Beijing bagi membantu dan mengkoordinasi semua perkara berkaitan operasi MAS. Penerbangan Kuala Lumpur-Beijing itu yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dilapor hilang daripada radar kira-kira sejam setelah berlepas dari KLIA pada 12.41 pagi. Pesawat sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. - Bernama
MH370: Bomba diletakkan dalam keadaan bersedia
SEREMBAN - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menempatkan 100 pegawai dan anggotanya di Kuantan dan Langkawi untuk membantu usaha mencari dan menyelamat pesawat MH370 yang hilang sejak Sabtu lepas. Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata, mereka terdiri daripada pasukan penyelam, pasukan khas Special Technical Operation Rescue Malaysia (STORM), pasukan unit pengesan dan unit udara. "Mereka diletakkan dalam keadaan bersedia dan bertindak cepat sekiranya dipanggil. Mereka kini ditempatkan di Kuantan manakala unit udara menggunakan helikopter Agusta AW139 bersiap sedia di Langkawi," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Dalam keadaan begitu Jabatan Bomba dan Penyelamat tidak boleh bergerak bersendirian, ia perlu menunggu arahan sebelum menyertai operasi, katanya selepas Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Sijil Perkhidmatan Terpuji jabatan itu. Beliau berkata, jabatan itu mempunyai keanggotaan dan aset yang mencukupi untuk menyertai usaha mencari dan menyelamat pesawat MH370 itu. Dalam perkembangan lain, Wan Mohd Nor berkata, kebakaran hutan masih dalam keadaan kritikal dan mengalu-alukan tindakan Jabatan Alam Sekitar mengeluarkan larangan aktiviti pembakaran terbuka khususnya di Lembah Klang kerana didapati lebih 500 kebakaran hutan berlaku sehari di seluruh negara. "Ini merupakan angka yang lima kali ganda lebih tinggi daripada biasa. Dalam keadaan biasa kita menerima 100 panggilan kebakaran hutan. Akibatnya, kita dapati kualiti udara juga terjejas disebabkan oleh kebakaran terbuka," katanya. Oleh itu, beliau berkata, sudah tiba masanya orang ramai memberi perhatian serius tentang perkara ini dan tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka dan sebagainya. Wan Mohd Nor berkata, jabatannya sedang dalam proses memperoleh 100 jentera bomba dengan tangki air berkapasiti 20,000 liter untuk diagihkan ke negeri-negeri yang memerlukan. Sepuluh jentera telah diterima tahun lepas, 70 unit tahun ini dan bakinya pada tahun hadapan. - Bernama
Fotofit pemegang pasport curi didedah
SEPANG: Polis mengesahkan seorang daripada penumpang yang menaiki pesawat MH370 dengan menggunakan pasport palsu adalah warga Iran yang bercadang untuk berhijrah ke Jerman, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar. Beliau mendedahkan identiti lelaki itu sebagai Pouria Nour Mohammad Mehrdad, 19 tahun. "Kita telah semak latar belakangnya. Kita juga telah semak profailnya dengan pihak polis di negara lain dan kita percaya dia tidak mungkin anggota mana-mana kumpulan pengganas," kata Khalid. Pouria Nour menggunakan pasport Austria milik Christian Kozel yang disahkan dicuri di Phuket, Thailand. Pengumuman Khalid ini selari dengan hasil siasatan polis di Thailand yang mendapati dua penumpang MH370 dengan pasport curi itu mungkin pelarian yang mencari suaka. Ia berdasarkan kepada tempahan tiket harga paling murah serta laluan transit Kuala Lumpur-Beijing-Amsterdam sebelum menuju ke destinasi akhir masing-masing ke Copenhagen, Denmark dan Frankfurt, Jerman. "Berdasarkan kepada tempahan tiket saja, sekiranya keganasan, mereka tentunya mengkhususkan laluan dan pesawat yang hendak dinaiki," kata Ketua Polis Pattaya, Supachai Puikaewcome seperti dipetik oleh Reuters pada Selasa. Penumpang pasport curi itu dibantu oleh dua warga Iran yang menguruskan tempahan tiket daripada sebuah agensi pelancongan yang sudah dilanggani oleh orang tengah itu sejak tiga tahun lalu. Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen Aloyah Mamat berkata dua penumpang pasport curi itu menggunakan pasport yang sama untuk masuk dan keluar dari Malaysia. "Kita tidak dapat kesan. Sistem (pasport) kita biometrik. Saya tidak pasti pasport mereka ada biometrik atau tidak," katanya, sambil menegaskan semua protokol keselamatan sudah dipatuhi. Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman pada Isnin memaklumkan siasatan berhubung isu pasport curi itu kini bertumpu kepada aspek penglibatan sindiket pasport. Berita mula diterbitkan pada: Mac 11, 2014 15:59 (MYT)
China gesa MAS perkasa carian MH370
SHAH ALAM - Jurucakap Kementerian Luar China, Qin Gang mendesak Malaysian Airlines (MAS) meningkatkan usaha untuk mencari pesawat Boeing-777 MH370 yang hilang sejak awal pagi Sabtu lalu. Menurut kenyataannya yang dilaporkan BBC, kerajaan China mahu pihak berkuasa di Malaysia mempertingkatkan lagi usaha mencari pesawat terbabit. "Kami mempunyai hak untuk meminta dan menggesa Malaysia untuk melipat-gandakan usaha mencari dan memulakan proses penyiasatan secepat mungkin. "Pihak kami perlukan maklumat terkini dari MAS, tidak ada gunanya jika kami ke Malaysia dan menunggu di sana kerana kebanyakan keluarga hanya fasih berbahasa China," katanya. Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Malaysia, Datuk Azharuddin Abdul Rahman menegaskan pencarian MH370 dipergiat secara agresif. Sebanyak sembilan negara yang terdiri dari Amerika Syarikat (AS), Singapura, Rusia, Austria, Indonesia, Vietnam, Thailand, Filipina dan China telah membantu operasi pencarian namun masih tidak dapat mengesan sebarang petunjuk setakat ini.
Wan Ahmad saman Mat Sabu RM200,000
KUALA LUMPUR - Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar memohon mahkamah memberikan ganti rugi RM200,000 kepadanya dalam kes samannya terhadap Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dan empat lagi berhubung artikel berkaitan pengeluaran kad pengenalan biru di Sabah. Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun mewakili Wan Ahmad berkata pihaknya memohon jumlah itu kerana dakwaan dalam saman itu melibatkan maruah, integriti dan reputasi Wan Ahmad. "Kami pohon ganti rugi tidak kurang RM200,000 diberikan kepada plaintif (Wan Ahmad) supaya ia jadi teladan kepada pihak-pihak yang cuai dalam membuat tuduhan dan fitnah," katanya kepada media selepas kes itu disebut di dalam kamar hakim Lee Heng Cheong. Hari ini mahkamah sepatutnya memberikan keputusannya. Bagaimanapun, Mohd Hafarizam berkata mahkamah meminta kedua-dua pihak berhujah tentang ganti rugi dan kos sebelum membuat keputusannya. Mahkamah, katanya, menangguhkan kepada 20 Mac ini untuk membuat keputusan. Mohd Hafarizam berkata dalam hujahannya beliau memohon mahkamah memberikan ganti rugi tidak kurang daripada RM200,000 dan kos sebanyak RM50,000 jika keputusan mahkamah memihak kepada plaintif.
Fotofit pemegang pasport curi didedah
SEPANG - Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini mendedahkan salah seorang dari dua penumpang yang menaiki pesawat MH370 dengan menggunakan pasport palsu merupakan lelaki warga Iran berusia 19 tahun. Katanya, pihak berkuasa masih berusaha mengenal pasti identiti seorang lagi individu yang memegang pasport palsu berkenaan.
Bibi Aisya: Wanita bukan lemah
AISHA Mohammadzai, 23, nekad melarikan diri selepas dia tidak sanggup lagi menjadi mangsa dera keluarga mertuanya yang kejam. Malah, suaminya turut mengheret wanita itu ke kawasan pergunungan dan bertindak menghukumnya dengan memotong hidung serta telinganya tanpa perikemanusiaan. Kira-kira empat tahun lalu, keadaan wajahnya dengan hidung yang rompong telah menjadi imej tragik mengejutkan masyarakat dunia.
Kuasa kudeta
‘RAMPASAN kuasa atau kudeta adalah satu penggulingan kekuasaan kerajaan biasanya secara keras atau tiba-tiba oleh golongan tertentu termasuk tentera dan akan digantikan dengan kerajaan lain sama ada awam atau tentera.’ Perkataan rampasan kuasa bukan asing bagi negara bergolak. Mungkin kita di Malaysia rasa begitu janggal. Ini kerana sejak Merdeka 57 tahun lalu, negara kita masih bebas dari rampasan kuasa. Tidak dinafikan cubaan berbuat demikian wujud tetapi dapat ditepis dengan berpaksikan kepada kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu dan Rukunegara. Krisis rampasan kuasa hanya boleh diselesaikan dengan pilihan raya. Kuasa pilihan raya dapat menentukan suara majoriti rakyat seperti mana dimahukan. Pada tiga bulan pertama tahun ini, episod rampasan kuasa makin menjadijadi. Ia berlaku hampir di seluruh negara. Belum pun reda krisis rampasan kuasa di Mesir, Turki pula dikatakan mempunyai bayangan bakal berhadapan situasi sama bertujuan untuk membenam kegemilangan empayar Islam. Bagi Palestin, Syria, Libya, Pakistan dan Myanmar pula, cubaan rampasan kuasa sudah menjadi perkara biasa. Sehingga kini, negara berkenaan masih dihimpit dengan krisis perang saudara dan cubaan penggulingan pemimpin termasuk tentera. Namun, paling mendapat perhatian dunia tentang krisis ini adalah di Thailand dan Ukraine. Venezuela juga tidak terkecuali apabila mereka menyalahkan antara satu sama lain susulan protes rakyat terhadap desakan pemimpinnya bagi pembangunan ekonomi dan sosial. Kupasan Isu Minggu Ini pada kali ini, memaparkan sebahagian negara-negara yang sedang berada dalam kemelut dan ambang rampasan kuasa serta tindakan ‘keras’ pemimpin yang mengenakan hukuman terhadap pesalah rampasan kuasa
Tinggal kemewahan demi gajah
SEBAIK sahaja melangkah ke dalam hutan di Zambia, Afrika Selatan Rachael Murton disambut mesra enam ekor gajah yang berebut-rebut ingin 'memeluknya'. Nyata, anak gajah 'yatim' ini sangat mendambakan kasih sayang dicurahkan Rachael, 33, yang menjadi tempat menumpang kasih. "Saya mengambi keputusan untuk tinggalkan kehidupan di bandar dan kemewahan demi membela nasib haiwan di hutan ini. Melihat aksi haiwan di sini, ia memberi ketenangan dan mengajar saya erti kasih sayang," katanya dipetik DailyMail Graduan lulusan biologi dari sebuah universiti tempatan ini, sanggup meninggalkan Essex, Britain untuk menabur bakti menyelamatkan anak gajah ditinggalkan ibu dek kekejaman pemburu haram yang rakus untuk mendapatkan gading. Rachael bukan sahaja bertanggungjawab merawat haiwan yang trauma, tetapi dia juga bersedia 24 jam untuk operasi menyelamatkan mana-mana anak gajah yang ditinggalkan. “Saya sentiasa rasa disayangi oleh semua haiwan di sini. Tidak pernah sekali pun menyesal menceburi bidang ini,” katanya. Pada 2008, Rachael membuat keputusan ke Zambia untuk menguruskan Lilayi Elephant Nursery, satu-satunya taman perlindungan untuk haiwan yang ditinggalkan ibu.
Makan serangga untuk diet
BAGI sesetengah individu, amalan pemakanan yang seimbang dan bersenam secara kerap adalah cara terbaik untuk mengekalkan kesihatan tubuh. Tetapi, bagi Peter Bickerton, 24, pengambilan serangga adalah pilihan 'makanan' terbaik untuk diet sehariannya. Memetik laporan DailyMail, pelajar Ijazah Doktor Falsafah dalam Pengajian Sains Tumbuhan di Universiti Manchester itu mendedahkan dia telah memakan lebih 10,000 serangga sejak 2009. "Memakan serangga sebenarnya dapat mencegah kolesterol tinggi dan serangan jantung," katanya yang mempunyai sejarah keluarga berisiko tinggi untuk diserang penyakit jantung. "Saya dapat mengekalkan berat badan yang ideal selain tahap tenaga dalam tubuh juga semakin meningkat akibat tabiat pemakanan luar biasa seperti itu," jelasnya.
Menaip guna hidung
LATIHAN selama enam jam sehari akhirnya membuahkan hasil buat juara menaip dunia ini. Mohammed Khurshid Hussain, 23, dari India sekali lagi mencipta rekod baru selepas berjaya menaip 103 aksara dengan menggunakan hidung dalam tempoh 47 saat. Ketika melakukan cubaan itu, tangannya turut diikat ke belakang selain dikelilingi peminat dan kumpulan pemerhati. "Saya 'menaip' dengan menutup sebelah mata untuk mudah mengenal pasti huruf pada papan kekunci," katanya dipetik DailyMail Jika pencapaian itu mendapat pengesahan Rekod Dunia Guinness, Khurshid bakal menewaskan pemegang rekod sebelum ini, iaitu selama seminit dan 33 saat yang dicipta seorang lelaki di Dubai pada 2008. Pada Februari 2012, beliau telah mencipta nama dalam Rekod Dunia Guinness sebagai penaip paling pantas di dunia dengan catatan masa 3.43 saat.
Siasatan kes Dr Afif, Teresa selesai
GEORGETOWN - Polis telah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes kenyataan Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin yang didakwa menghina pasukan polis. Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A Thaiveegan berkata, kertas siasatan kes berkenaan akan diserahkan kepada Pejabat Pendakwaraya dalam masa terdekat untuk tindakan lanjut. Menurutnya, polis mengambil tiga keterangan termasuk daripada Dr Afif sendiri dan dua individu lain yang dipercayai ada kaitan dengan status twitter yang dikeluarkannya itu. “Kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948,” katanya pada sidang media di sini, semalam. Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah. Dr Afif sebelum ini dilaporkan memuatnaik status pada laman Twitternya menyatakan: “Penjenayah bunuh polis itu tidak menghairankan, tetapi bila polis yang sepatutnya menegakkan undang-undang membunuh tahanan, itu masalah.”
Baju kalis peluru selamatkan anggota polis
SUNGAI PETANI – Seorang anggota polis berdepan saat genting apabila terkena tembakan ketika menjalankan operasi Op Cantas Khas di Jalan Ladang Kuala Muda Sungai Petani-Baling dekat sini, awal pagi tadi. Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, anggota berkenaan terselamat kerana memakai baju kalis peluru. “Anggota berkenaan kini menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian hari ini. Jelas Ahmad, dalam kejadian kira-kira 4.30 pagi itu, lapan anggota termasuk seorang pegawai polis dalam Op Cantas Khas mengekori kenderaan penjenayah itu sebelum meminta mereka berhenti setelah mengesyaki sesuatu yang mencurigakan. Katanya lagi, kumpulan penjenayah itu melepaskan tembakan dan anggota berkenaan terpaksa mempertahankan diri dengan membalas tembakan itu menyebabkan tiga penjenayah itu terkena tembakan dan maut di tempat kejadian. Tambah beliau, tiga penjenayah yang ditembak mati itu merupakan warga asing berusia lingkungan 25 hingga 30 tahun. “Hasil siasatan mendapati kereta yang digunakan penjenayah itu iaitu jenis Proton Perdana dicuri di Pulau Pinang. "Pemeriksaan juga menemui menemui parang, sejumlah dadah dan sepucuk senjata api (pistol) dalam kenderaan penjenayah," katanya. Mayat tiga penjenayah berkenaan dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim. Ahmad menambah, polis akan mendapatkan maklumat lanjut pembabitan tiga penjenayah berkenaan dalam beberapa kes rompakan. – Bernama
Pengawal keselamatan maut dilanggar kereta
KOTA TINGGI - Seorang pengawal keselamatan maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta berhampiran simpang masuk Taman Kota dekat sini, malam tadi. Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Rahmat Othman, dalam nahas jam 7.30 malam di Km 3, Jalan Kota Tinggi-Kluang itu Irwan Abdullah, 55, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada badan. Kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan balik dari tempat kerja di sebuah ladang, apabila motosikalnya masuk ke laluan bertentangan semasa melalui selekoh dan bertembung dengan sebuah kereta, katanya kepada pemberita, di sini. Katanya akibat pertembungan dengan kereta dari arah Kluang itu, mangsa tercampak beberapa meter ke atas jalan. Pemandu kereta berusia 51 tahun tersebut bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan, katanya menambah kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama
Tukang urut wanita disamun
Georgetown: Hasrat seorang tukang urut wanita yang dalam perjalanan pulang ke rumah tidak kesampaian apabila disamun semasa turun dari kereta mengakibatkan dia kerugian lebih kurang RM4,000 dalam satu kejadian di Taman Kheng Tian, Jalan Perak, Jelutong di sini, kelmarin. Kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 petang ketika mangsa berusia dalam lingkungan 40-an keluar dari parkir kereta dan tiba-tiba datang suspek yang tidak dikenali dari arah belakang dipercayai terus mengetuk kepala dengan menggunakan objek keras dan terus meragut beg mangsa. Jurucakap polis berkata, berdasarkan siasatan yang dilakukan mangsa dikatakan rebah dan pengsan di atas jalan raya dan dia dilaporkan tidak sedarkan diri sebelum dibantu dan dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan dan pemeriksaan lanjut. Beliau berkata, siasatan mendapati mangsa kehilangan sebuah iPad, telefon bimbit, wang tunai RM1,500, kad pengenalan dan lesen memandu namun siasatan mendapati mangsa tidak kenal suspek yang memukulnya sebaliknya hanya tersedar dirinya sudah berada di HPP. Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati mangsa mengalami kecederaan di muka akibat kesan geseran selepas dipercayai ditolak sebelum pengsan selain tidak dapat mengecam suspek dan tidak mengetahui senjata yang digunakan dan mangsa kini dilaporkan dalam keadaan stabil. "Siasatan lanjut masih lagi dijalankan untuk mengenalpasti punca kejadian yang sebenar dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu samun bersenjata dan sekiranya sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,"katanya.
Karpal Singh didenda RM4,000
Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini mengenakan hukuman denda RM4,000 terhadap Pengerusi DAP, Karpal Singh selepas didapati bersalah melafazkan perkataan berbaur hasutan terhadap Sultan Perak pada 2009. Hakim Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu selepas selesai mendengar rayuan terhadap keputusan yang dikemukakan oleh peguam Gobind Singh Deo berhubung kesihatan bapanya. Hakim Azman dalam keputusannya berkata mahkamah mengambil kira keadaan kesihatan Karpal yang mengalami kecederaan tulang belakang kekal sebelum menjatuhkan hukuman. Karpal, 74, menghadapi tuduhan melafazkan perkataan berbaur hasutan terhadap Sultan Perak di firma guamannya di Jalan Pudu Lama, Kuala Lumpur, di antara jam 12 tengah hari dan 12.30 tengah hari, pada 6 Februari 2009. Dia dituduh mengeluarkan kenyataan bahawa pengguguran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar dan pelantikan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir oleh Sultan Perak boleh dipersoal di mahkamah. Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun, denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Bekas Menteri Belia dan Sukan Indonesia dituduh rasuah
Jakarta: Mahkamah Indonesia semalam mendakwa bekas Menteri Belia dan Sukan dalam kes rasuah bernilai jutaan dolar, antara yang menggegarkan parti presiden menjelang pilihan raya bulan depan. Andi Mallarangeng, 50, didakwa menyalah guna kuasa untuk mendapatkan kekayaan kepada diri dan beberapa yang lain dalam pembinaan pusat sukan di Jawa Barat, bernilai kira-kira 2.5 trilion rupiah (RM722 juta), kata pendakwa, Supardi, kepada mahkamah antirasuah di Jakarta. Sogokan sebelahi pembida. Defendan didakwa menerima lebih AS$852,000 (RM2.7 juta) melalui saudara lelakinya, Andi Zulkarnaen, sebagai sogokan untuk menyebelahi seorang pembida dan mengkayakan yang lain dan beberapa syarikat dalam projek itu yang menyebabkan negara kerugian lebih AS$40 juta (RM131 juta), kata Supardi.
Krisis Crimea memuncak
Kiev: Ukraine semalam meminta sokongan Barat selepas Presiden Russia, Vladimir Putin, menegaskan wilayah Crimea berhak menyertai negaranya walaupun memberi petunjuk sedia berunding. Pasukan pro-Eropah di Kiev yang melancarkan bantahan sehingga membabitkan kematian selama tiga bulan untuk menumbangkan rejim disokong Kremlin kini bergelut dengan masa untuk mengekalkan kedaulatan wilayah yang di negara dengan 46 juta penduduk pelbagai budaya itu. Kepemimpinan di Crimea mengisytiharkan merdeka dari Kiev dan menetapkan 16 Mac ini bagi mengadakan pungutan suara untuk berada bawah pemerintahan Kremlin. Keputusan itu dikecam kuasa Barat yang juga marah terhadap tindakan Moscow menawan Crimea dalam operasi tanpa pertumpahan darah yang bermula selepas kejatuhan Presiden Viktor Yanukovych yang melarikan diri ke Russia pada 22 Februari lalu.
Krisis Crimea memuncak
Kiev: Ukraine semalam meminta sokongan Barat selepas Presiden Russia, Vladimir Putin, menegaskan wilayah Crimea berhak menyertai negaranya walaupun memberi petunjuk sedia berunding. Pasukan pro-Eropah di Kiev yang melancarkan bantahan sehingga membabitkan kematian selama tiga bulan untuk menumbangkan rejim disokong Kremlin kini bergelut dengan masa untuk mengekalkan kedaulatan wilayah yang di negara dengan 46 juta penduduk pelbagai budaya itu. Kepemimpinan di Crimea mengisytiharkan merdeka dari Kiev dan menetapkan 16 Mac ini bagi mengadakan pungutan suara untuk berada bawah pemerintahan Kremlin. Keputusan itu dikecam kuasa Barat yang juga marah terhadap tindakan Moscow menawan Crimea dalam operasi tanpa pertumpahan darah yang bermula selepas kejatuhan Presiden Viktor Yanukovych yang melarikan diri ke Russia pada 22 Februari lalu.
Paras air 2 empangan susut 15 peratus
Putrajaya: Paras air di Empangan Sungai Selangor dan Empangan Klang Gates susut kira-kira 15 peratus berikutan cuaca panas berpanjangan yang melanda negara. Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata lawatannya kira-kira sebulan lalu mendapati paras air di Sungai Selangor pada kadar 58 peratus tetapi kini hanya tinggal 42 peratus. “Sementara itu, paras air di Klang Gates, yang berada pada tahap 66 peratus kirakira sebulan lalu, kini hanya tinggal sekitar 52 peratus. “Sekarang ini catuan air sudah masuk ke fasa ketiga. Jadi, saya nasihatkan bagi kawasan yang tidak tersenarai dalam catuan air sekarang supaya jimat menggunakan air memandangkan cuaca panas masih berterusan. Catuan bakal babit. kawasan belum terjejas “Malah, wujud kemungkinan kawasan yang tidak tersenarai sebelum ini akan terkena juga tempias catuan air ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan Kempen Kecekapan Tenaga Untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), di kementeriannya, di sini, semalam. Mahdzir berkata bekalan air yang ada sekarang di dua empangan terbabit tidak dapat menampung keperluan pengguna dalam jangka masa panjang. “Empangan Klang Gates digunakan oleh penduduk sekitar Kuala Lumpur dan Wangsa Maju manakala Empangan Sungai Selangor membabitkan lebih banyak pengguna merangkumi kawasan sekitar Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur. “Kerjasama semua pihak terutama kesanggupan penduduk setempat menggunakan air secara berhemah penting bagi mengelakkan krisis air bertambah buruk,” katanya.
Polis tembak mati tiga geng samun di Sungai Petani
Sungai Petani: Polis menembak mati tiga lelaki warga asing dipercayai geng samun dalam kejadian di simpang masuk Kongsi 14 Jalan Kuala ketil, di sini, pada jam 4.40 pagi tadi. Ketiga-tiga suspek yang menaiki kereta Proton Perdana menembak ke arah polis yang cuba menghalang, namun polis yang membalas tembakan berjaya menembak mati ketiga-tiga suspek terbabit.
Kereta digunakan penyamun pernah dilapor hilang - Polis
SUNGAI PETANI: Polis sahkan PROTON Perdana yang digunakan tiga lelaki warga asing yang ditembak mati di Sungai Petani awal pagi tadi, pernah dilapor hilang di Pulau Pinang.
2 Lokasi Baru I-CITY
I-Bhd meninjau dua lokasi di utara dan selatan semenanjung bagi memajukan projek hartanah bercampur berkonsep perbandaran digital i-City Shah Alam yang dijangka dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun lagi. Timbalan Pengerusinya, Datuk Eu Hong Chew, berkata pembangunan satu lagi bandar digital berkonsep i-City di luar Shah Alam itu akan memberikan kesinambungan sumbangan segmen pembangunan hartanahnya. Bangun secara usahasama Katanya, syarikat merancang untuk membangunkan bandar digital itu menerusi usaha sama dengan pemilik tanah berpotensi bagi mengurangkan komitmen kewangan bagi pengambilalihan.
Saya Bukan Cari Publisiti Murahan – Chef Wan
Bermula dengan isu nasi lemak ‘telanjang’, diikuti teguran buat stesen televisyen yang tidak peka dengan program masakan sehinggalah kepada kontroversi percintaan pelakon Hanez Suraya dengan lelaki berstatus suami orang, Romie Razin Adilha, semuanya mendapat perhatian masyarakat. Ada yang bersetuju dan tidak kurang yang berkata luahan chef selebriti, Datuk Chef Wan, sebagai keterlaluan, terutama berhubung percintaan pelakon ‘Autumn Di Hatiku’ itu sedangkan mereka tiada sebarang pertalian. Bercakap kepada Berita Harian, Chef Wan beliau berbuat demikian bukan untuk meraih publisiti murahan, sebaliknya kerana dirinya berpegang kepada prinsip berani kerana benar. Sebagai seorang yang mempunyai banyak pengalaman, Chef Wan berkata, beliau berhak menegur apa yang dirasakan tidak betul, walaupun kebenaran pahit untuk diterima. Teguran itu pula bukan untuk menjatuhkan, sebaliknya supaya pihak berkenaan dapat mempertingkatkan kualiti perkhidmatan. Ujar Chef Wan, dengan pengaruhnya, beliau berasa berhak untuk menegur supaya pihak yang terbabit tidak terus leka. Begitu juga teguran ikhlasnya kepada stesen televisyen yang dilihat terlalu mementingkan paras rupa dalam pemilihan pengendali program masakan tanpa mengambil kira pengalaman tukang masak berkenaan. “Saya sedikit pun tidak cemburu dengan pencapaian chef baharu kerana sehingga hari ini, program masakan saya tidak hanya disiarkan di stesen tempatan, malah wajah saya juga boleh ditonton pada setiap hari di seluruh dunia. “Cuma saya pelik kenapa kita terlalu cepat mengiktiraf seseorang sebagai chef sedangkan mereka tidak mempunyai pendidikan formal dalam bidang kulinari. – BH Online
Peminat Dapat Hadiah Pukulan Bola Golf Woods
Florida – Seorang peminat golf dari Jerman tidak menyangka kunjungannya ke Doral bagi menyaksikan Kejohanan Golf Dunia, akan membawa pulang hadiah yang tidak akan dilupakan. Apatah lagi ia dihadiahkan oleh pemain golf pujaannya, Tiger Woods. Lelaki itu telah menerima hadiah bola golf yang dipukul oleh Woods di bahagian kepalanya menyebabkan ia berdarah. Woods yang terkejut dengan keadaan itu kemudiannya memberikan sarung tangan yang ditandatanganinya kepada lelaki itu sebagai cenderahati dan untuk membuang nasib malang. “Maaf kerana hal ini,’’ kata Woods kepada lelaki berkenaan. Bagaimanapun selang beberapa minit, keadaan sama berulang apabila lelaki itu terkena bola golf untuk kali kedua. Kali ini, Woods terpaksa memberikan sarung tangannya yang sebelah lagi sambil diikuti dengan permohonan maaf.
`Saya Akan Mati’ Ayat Terakhir Dari Steve Irwin
Australia – `Aku akan mati’. Ia adalah ayat terakhir yang diucapkan bintang Crocodile Hunter, Steve Irwin ketika dia sedang nazak selepas disengat ikan pari sewaktu menjalani penggambaran filem di Queensland pada 2006. Perkara itu didedahkan buat pertama kali oleh jurukamera Justin Lyons yang turut berada bersamanya ketika kejadian itu berlaku lapan tahun lalu. Lyons turut memberitahu bahawa Irwin disengat beratus kali termasuk satu sengatan di bahagian jantung. Jurukamera itu, yang disifatkan Irwin sebagai orang kanannya, sedang melayari utara Queensland untuk mencari lokasi sesuai bagi dokumentari apabila mereka melihat ikan pari gergasi. Mereka merakamkan ikan itu sebelum memutuskan Irwin akan terjun dan berenang di belakang ikan berkenaan. “Secara tiba-tiba ikan itu mula menjadi liar dan menikam Irwin,’’ katanya ketika ditemubual dalam Channel Ten Studio 10. Jelasnya, ikan pari itu menyangka bayang-bayang Irwin adalah jerung dan bertindak demikian untuk mempertahankan diri. Lyon kemudiannya membawa naik Irwin ke atas bot dan menyaksikan banyak luka serta mengalami kesakitan yang amat sangat. Sambil menangis, Lyons memberitahu Irwin supaya bertahan dan memikirkan anak-anaknya. “Kami mengharapkan keajaiban, jadi saya membuat CPR, ke atasnya selama beberapa jam sebelum dia dibawa ke hospital,’’ katanya. Bagaimanapun Irwin disahkan meninggal dunia .
5 Orang Masuk Hospital Kerana Burger Pedas
Sussex – Lima pelanggan yang menikmati burger `berapi’ di restoran paling pedas di Britain, XXX Hot Chilli Burger terpaksa dimasukkan ke hospital. Seorang pelanggan disyaki mengalami luka di usus selepas makan hidang yang pedas manakala empat yang lain terpaksa menerima rawatan pada malam yang sama, disyaki kerana mengalami kejutan. Berikutan itu, pemilik restoran berkenaan, Nick Gambardella terpaksa meminta pelanggannya menandatangani surat perjanjian yang melindunginya daripada disaman oleh mereka, sekiranya pelanggan jatuh sakit kerana makan burger pedas. Dalam surat perjanjian itu tertulis ` Saya mengambil tanggungjawab jika berlaku sesuatu apabila saya makan burger di XXX Hot Chilli Burger. Sekali gus pemilik dan pekerja restoran ini terlepas daripada sebarang tanggungjawab’’. Dalam pada itu, Gambardella, 55, berkata dia terkejut kerana dibenarkan menjual burger paling pedas itu selepas kejadian yang menimpa pelanggannya. “Saya harus mengaku bahawa saya sendiri tidak berani makan burger ini kerana ia sangat pedas,’’ katanya. Jelas, akibat pengambilan burger yang pedas ini, dia melihat pelbagai karenah pelanggan selepas memakannya. “Ada yang berbogel kerana terlalu pedas, merayu belas kasihan, menumbuk tingkap serta muntah. “Selain itu ada yang mengalami alahan termasuk bengkak, ruam dan kesukaran bernafas,’’ katanya.
Banduan dituduh rompak berkumpulan guna parang
KOTA BHARU - Seorang banduan dihadapkan ke mahkamah Sesyen di sini, semalam terhadap pertuduhan merompak secara berkumpulan menggunakan parang Disember tahun lalu. Bagaimanapun, Mohd Annur Shazwan Marzuki membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan hakim, Mohd Yusoff Yunus, selepas pertuduhan dibacakan juru bahasa mahkamah. Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama tiga lagi yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan menggunakan parang dengan mengambil sebuah telefon bimbit, dompet mengandungi kad pengenalan, lesen memandu dan kad bank. Barang lain yang didakwa turut diambil ialah seutas rantai leher emas, seutas rantas tangan emas dan sejumlah wang tunai milik Siti Khuzaini Arefin. Perbuatan itu dilakukan pada 9 Disember 2013 di sebuah kedai runcit di Machang lebih kurang jam 8.40 malam. Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara boleh sampai 20 tahun dan dikenakan sebat. Sementara itu, tertuduh juga yang masih menjalani hukuman penjara atas kesalahan lain itu, turut didakwa di mahkamah sama terhadap pertuduhan melupuskan sekeping kad pengenalan curi milik Zainu Hamid.
Pembonceng maut digilis lori
KOTA BHARU - Seorang remaja maut selepas motosikal yang ditunggang abangnya terbabas sebelum digilis lori dalam kejadian di Jalan Pengkalan Chepa di sini kelmarin. Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, pembonceng, Afiq Ikma Roslan, 14, yang membonceng disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala. Manakala abangnya, Mohamad Amiru Firdaus Roslan, 19 yang menunggang motosikal dilaporkan kritikal dan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II). Menurut sumber, mangsa yang berasal dari Kampung Pulau Gorek, Badang itu dikatakan dalam perjalanan dari Sabak menghala ke Kota Bharu dengan menaiki motosikal jenis EX5 sebelum terbabas ke kiri jalan dan digilis lori yang datang dari arah yang sama. “Pembonceng motosikal berkenaan meninggal di tempat kejadian manakala penunggangnya kritikal dan dirawat di Wad Merah di HRPZ II,” kata sumber berkenaan. Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Padah cuba rasuah polis
BESUT – Dua lelaki ditahan selepas dipercayai cuba merasuah anggota polis bagi tujuan melepaskan diri selepas ditahan kerana memiliki dadah dalam Ops Tapis Bersepadu kelmarin. Lelaki berusia 22 dan 26 tahun itu adalah antara 18 yang ditahan dalam operasi bermula jam 5 pagi hingga 2 petang di beberapa kawasan membabitkan 7 pegawai dan 51 anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK). Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, bertindak atas maklumat sepasukan polis yang menyertai operasi telah menyerbu sebuah rumah di Kampung Pangkalan Nyireh, dekat sini. Menurutnya, dalam serbuan tersebut, tiga lelaki ditahan termasuk dua suspek itu selepas pemeriksaan mendapati terdapat sejumlah dadah jenis methamphetamine (pil kuda) dan syabu di ruang tamu rumah berkenaan. “Suspek kemudiannya merayu meminta dilepaskan dan cuba merasuah anggota polis yang menahannya dengan menghulurkan wang tunai RM500 sebagai pendahuluan dan tanpa ragu-ragu polis telah bertindak memberkas dua suspek itu,” katanya. Kamaruddin berkata, ketiga-tiga mereka termasuk seorang lagi yang berusia 40 tahun dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah dan ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine. Menurutnya, dua suspek berkenaan turut disiasat di bawah Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Sementara itu, dalam operasi sama 15 lagi penagih berusia antara 15 hingga 43 tahun telah diberkas di sekitar Kerandang, Jabi dan Kampung La serta Gaung di Hulu Besut. Beliau berkata, mereka ditahan kerana didapati positif dadah dan polis turut menemui sebuah motosikal yang didapati nombor enjin telah diganggu.
Dua lelaki maut dalam dua kemalangan berasingan
KOTA BHARU - Dua lelaki maut dalam dua kemalangan jalan raya di negeri ini. Kemalangan pertama berlaku di KM 11.5 Jalan Jeli-Dabong pagi tadi apabila kereta dinaiki dua adik beradik itu terbabas sebelum merempuh sebatang tiang elektrik yang berada di tepi jalan. Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superitenden Sheik Azhar Sheik Omar berkata dalam kejadian jam 6.20 pagi itu mangsa Mohd Zuraidi Che Mansor, 35, maut di tempat kejadian manakala abangnya Mohd Zamri Che Mansor, 37, yang memandu kereta itu mengalami kecederaan ringan. Sementara itu, di Kota Baharu seorang remaja yang membonceng motosikal ditunggang abangnya maut bila kenderaan itu terbabas sebelum ia digilis lori dalam kejadian di Jalan Pengkalan Chepa di sini, semalam. - Bernama
Adik ditahan reman dua hari
CHUKAI – Pelajar terlibat dalam pergelutan dengan abangnya hingga abangnya itu mengalami pendarahan teruk dalam kejadian di Kampung Padang Lalang, Felda Neram 1, Air Putih direman selama dua hari bagi membantu siasatan. Ketua Polis Daerah, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, pelajar sebuah institusi kemahiran berusia 21 tahun itu ditahan malam semalam. Katanya, abangnya yang berusia 31 tahun pula dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan dan kini sudah sedarkan diri. “Pisau dirampas dipercayai digunakan dalam pergelutan antara adik beradik ini berukuran 0.3 meter,” katanya. Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang kelmarin, si abang juga penganggur yang naik angin dan cuba memukul ibu kandungnya, alami pendarahan teruk selepas terkena pisau ketika bergelut dengan adik yang cuba mempertahankan ibu mereka. Lelaki berkenaan yang juga penagih dadah, dikatakan mengamuk selepas permintaannya untuk mendapatkan sejumlah wang tidak dipenuhi ibunya.
Lapisan ais atas sungai diletupkan
OTTAWA, Kanada -Beberapa pekerja meletupkan ais yang terbentuk di Sungai Rideau di sini kelmarin. Pada setiap tahun, pihak berkuasa di bandar ini meletupkan ais di sungai berkenaan bagi membolehkan aliran air tidak terhenti. Operasi itu dilakukan bagi mengelakkan aliran air terhalang sekali gus boleh menyebabkan banjir ketika musim bunga. Dalam operasi tersebut, para pekerja menggunakan bahan letupan kecil yang ditanam di dalam lapisan ais di atas sungai berkenaan sebelum ia diletupkan. - Reuters
Thai jadi lokasi pemalsuan dokumen
BANGKOK - Peranan Thailand sebagai hab jaringan jenayah menggunakan dokumen palsu mula menjadi perhatian selepas dua penumpang misteri yang menaiki pesawat MH370 milik Penerbangan Malaysia (MAS) menggunakan pasport yang dicuri di negara ini. Identiti penumpang tersebut yang masih misteri mencetuskan kebimbangan bahawa kehilangan pesawat itu sejak pagi Sabtu lalu itu berpunca daripada serangan pengganas, lapor agensi berita AFP semalam. Terdapat dua nama individu yang berasal dari Eropah dalam senarai penumpang pesawat tersebut yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing, China. Bagaimanapun, nama dalam senarai itu, Christian Kozel yang berasal dari Austria dan warga Itali, Luigi Maraldi sebenarnya tidak menaiki pesawat tersebut. Sebaliknya dua penumpang misteri menggunakan pasport mereka yang dicuri dalam dua kejadian di Thailand. Pendedahan itu menyebabkan pihak berkuasa Malaysia menyiasat kemungkinan ada unsur keganasan dalam kehilangan pesawat itu. Pihak berkuasa di Malaysia kemudian bekerjasama dengan agensi perisikan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) berhubung kes tersebut.
Chong Wei beri bayangan awal
AKSI terbaik Datuk Lee Chong Wei pada final Kejohanan Badminton Seluruh England. Itu rumusan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong ketika ditanya mengenai kejayaan Chong Wei muncul juara Seluruh England 2014. Pada aksi final di National Indoor Arena, Birmingham, England awal pagi semalam, Chong Wei tampil dengan rentak memukau apabila menjinakkan bintang muda China, Chen Long 21-13, 21-18 dalam tempoh 59 minit. Kejayaan itu sekali gus menyaksikan Chong Wei yang juga pemain No. 1 dunia merampas kembali gelaran juara Seluruh England selepas dia muncul juara pada edisi 2010 dan 2011. Sebagai rekod, Chong Wei tewas kepada jaguh China, Lin Dan pada final edisi 2012 sebelum tumbang ketika menentang Chen Long dalam aksi final tahun lalu. Mengulas pertemuan menentang Chen Long semalam, Zolkples mengakui, beliau berasa risau jika pemain No. 2 dunia itu memenangi set kedua. "Saya menonton perlawanan itu dan ia merupakan aksi terbaik pernah saya lihat daripada Chong Wei. Saya percaya dia tidak ada masalah untuk menewaskan sesiapapun jika dia mampu mengulangi aksi sebegitu. "Chen Long juga memberikan aksi sengit dan pada suatu ketika, kita dapat lihat dia mengejar kedudukan daripada 13-18 hingga 17-18 pada set kedua. "Kalau dia menang set kedua itu, mungkin keputusan akan berbeza kerana Chen Long juga bukan calang-calang pemain," jelas Zolkples semalam. Kejayaan itu juga sudah pasti memberi kelegaan kepada Chong Wei kerana sebelum beraksi di Birmingham, dia dikatakan mahu menarik diri ekoran kecederaan buku lali. Sejurus tamat aksi final semalam, Chong Wei memberikan bayangan bahawa dia mungkin tidak akan kembali beraksi pada kejohanan berprestij itu. "Saya rasa penampilan kali ini mungkin aksi terakhir saya pada Seluruh England. Saya sangat gembira dan saya telah cuba yang terbaik kerana Chen Long memberikan cabaran yang paling sukar untuk saya. "Saya pernah tewas dengan dia banyak kali, sebab itu saya mahu cuba yang terbaik dan berazam untuk sekali lagi menjuarai Seluruh England. "Saya mungkin akan mengakhiri (karier) tahun ini dan saya tidak tahu akan kembali lagi atau tidak tahun depan," ujar Chong Wei.
Dua bomoh tawar khidmat kesan pesawat MH370
BUTTERWORTH - Misteri kehilangan pesawat MH370 milik Penerbangan Malaysia (MAS) yang belum terjawab selepas dilaporkan hilang sejak awal pagi Sabtu lalu menarik minat dua bomoh dari Pulau Pinang untuk menghulurkan bantuan. Tawaran itu dibuat oleh Mohd. Rodhi Ahmad, 74, atau lebih dikenali dengan panggilan 'Tok Janggut Bomoh Tauhid' dan rakannya, Zainal Hamid, 54, yang dikenali sebagai 'Bomoh Warisan' bagi membantu merungkai misteri kehilangan pesawat itu. Mereka tidak mengenakan sebarang syarat. Mohd. Rodhi yang berpengalaman selama 35 tahun dalam perubatan tradisional menawarkan bantuan tersebut sebagai salah satu usaha tambahan kepada apa yang telah dilakukan oleh kerajaan dan pihak berkuasa dalam menyelesaikan misteri itu.
Penduduk Palestin mati ditembak
BAITULMUQADDIS – Seorang penduduk Palestin mati ditembak oleh anggota-anggota keselamatan Israel semalam, kata tentera regim Zionis. Menurut tentera Israel, kejadian itu berlaku ketika penduduk Palestin tersebut cuba untuk merampas selaras raifal daripada seorang askar Yahudi. Tentera regim Zionis menyatakan, kejadian tersebut berlaku di Lintasan Allenby yang terletak di sempadan antara Tebing Barat dan Jordan. Kejadian itu berlaku semasa penduduk Palestin datang dari Jordan untuk memasuki Tebing Barat. Jurucakap polis, Micky Rosenfeld berkata, polis sedang menyiasat kejadian itu. Rosenfeld menyatakan, kejadian itu disiasat kerana perbuatan tersebut mungkin mempunyai motif berkaitan dengan perjuangan negara Palestin. Lintasan itu beroperasi menerusi kerjasama Jordan, Israel dan Pihak Berkuasa Palestin. Beberapa diplomat asing dan pelancong asing turut menggunakan lintasan itu. Lintasan tersebut juga digunakan untuk penghantaran barang dari Israel, Terbing Barat dan Jordan. – AP
Ikan Paus Sepanjang 10m Tersangkut Pada Pukat
TUNIS – Seekor ikan paus sepanjang 10 meter dijumpai mati kelmarin selepas tersangkut pada pukat milik seorang nelayan di Tunisia di persisiran pantai Sidi Bou Said yang terletak di utara bandar ini. kelmarin. Nelayan itu, Bilel Jerbi, 24, berkata, pada mulanya dia menyangka pukat miliknya tersangkut pada sebuah bampar kereta. “Selepas saya menarik jaring berkenaan, saya melihat ekor ikan paus berkenaan,” katanya. Ujarnya. spesies ikan paus itu masih belum dikenal pasti dan haiwan itu hampir mati ketika ia tersangkut pada pukat tersebut. Jerbi kemudiannya membawa ikan paus itu ke sebuah pelabuhan di Sidi Bou Said. Beberapa nelayan dan anggota pengawal pantai berusaha untuk membawa naik ikan paus tersebut ke darat. Pelabuhan itu juga dipenuhi orang ramai yang mahu melihat haiwan gergasi berkenaan dengan lebih dekat. Tambah Jerbi, dia mengalami kerugian yang besar selepas pukat yang digunakan untuk menangkap ikan rosak selepas ikan paus itu tersangkut pada pukat tersebut. “Saya berharap dapat menjual daging ikan paus ini dan wang berkenaan digunakan untuk membeli pukat yang baharu,” katanya. Seorang pengawal pantai berkata, ikan paus sepanjang 10 meter itu dianggarkan seberat tujuh hingga lapan tan. “Kami sebelum ini pernah melihat ikan paus sepanjang empat meter tetapi haiwan ini yang terbesar pernah dijumpai di sini,” katanya. Menurutnya, punca kematian ikan paus berkenaan masih belum dapat dipastikan. – AFP
Penumpang guna pasport curi disyaki dari negara Asia Barat
KAJANG - Dua penumpang lelaki pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang dikesan menggunakan pasport curi disahkan bukan rakyat Malaysia atau rakyat China. Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, salah seorang daripada penumpang itu sudah dikenal pasti namun beliau enggan mendedahkan dengan alasan belum masa untuk berbuat demikian. "Semakan terhadap kedua-dua lelaki itu mendapati mereka bukan rakyat Malaysia dan kita juga percaya kedua-dua individu itu bukan etnik Uyghur dari Xinjiang, China," kata beliau kepada pemberita selepas taklimat Pilihan Raya Kecil DUN Kajang di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di sini semalam.
Ejen Tiket Di Thailand Dakwa Dua Penumpang Misteri Itu Pada Mulanya Mahu Ke Eropah
KUALA LUMPUR – Urusan perjalanan dua individu yang menaiki pesawat MH370 berlepas ke Beijing menggunakan identiti palsu dilakukan di pusat peranginan Pattaya dan dibayar secara tunai, menurut sebuah laporan. Akhbar British, Financial Times memetik ejen pelancongan Thai yang menempah tiket untuk kedua-dua lelaki itu berkata dia diminta untuk menguruskan perjalanan oleh seorang kenalan warga Iran. Benjaporn Krutnait, pemilik agensi pelancongan Grand Horizon di Pattaya dipetik sebagai berkata, warga Iran yang juga kenalan perniagaannya yang hanya dikenali sebagai ‘Mr Ali’ memintanya untuk menempah tiket pada harga murah ke Eropah untuk dua lelaki itu pada 1 Mac. Benjaporn pada mulanya menempah tiket untuk salah seorang lelaki itu menggunakan penerbangan Qatar Airways dan seorang lagi dengan penerbangan Etihad. Namun, tiket tersebut tamat tempoh apabila Benjaporn tidak mendapat sebarang maklum balas daripada Ali. Ketika lelaki tersebut menghubunginya semula pada Selasa, Benjaporn menempah semula tiket menggunakan pesawat Malaysia Airlines menghala ke Beijing kerana ia tiket yang murah ketika itu. Seorang rakan Ali membayar wang tunai kepada Benjaporn sebagai bayaran tiket tersebut. Akhbar tersebut turut melaporkan tiada bukti sama ada Ali mengetahui dua lelaki tersebut menggunakan pasport curi. Benjaporn berkata dia tidak percaya Ali ada kaitan dengan keganasan kerana dia tidak menyatakan penerbangan khusus Kuala Lumpur-Beijing tetapi meminta penerbangan murah ke Eropah, lapor akhbar itu. Benjaporn dipetik sebagai berkata beliau mendedahkan perkara itu kerana prihatin mengenai spekulasi serangan pengganas dan mahu ia diketahui umum. – The Star
Pakar 'bingung' pesawat hilang
KUALA LUMPUR 10 Mac - Rata-rata pakar dan penganalisis penerbangan melahirkan rasa bingung dan terkejut dengan misteri kehilangan pesawat MH370 sejak awal pagi Sabtu lalu. Penganalisis penerbangan, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ini merupakan pengalaman pertama kehilangan pesawat canggih seperti MH370 walaupun beliau telah berkecimpung dalam kerjaya ini selama puluhan tahun. Bekas Ketua Jabatan Aeroangkasa Universiti Pertanian Malaysia itu berkata, beliau sedaya upaya mengkaji segala macam kemungkinan yang mungkin terjadi kepada pesawat tersebut namun 'buntu' walaupun sudah masuk hari ketiga. "Kita tahu dan sedia maklum dengan bencana alam dan tragedi akan berlaku dalam mana-mana lapangan. Namun, ini merupakan kejadian pertama yang mempunyai seribu persoalan. "Saya sendiri tidak pasti apa lagi yang boleh saya komen. Industri penerbangan masih terkejut dan bingung memikirkan segala kemungkinan yang telah terjadi dengan pesawat MH370," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Industri penerbangan Malaysia semalam dikejutkan dengan kehilangan pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing, China selepas terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang pada pukul 2.40 pagi. Sebanyak 34 pesawat dan 40 kapal milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Polis Diraja Malaysia (PDRM) beserta kelengkapan dari Thailand, Singapura, China, Indonesia, Filipina, Australia dan Amerika Syarikat telah dikerahkan untuk operasi mencari dan menyelamat. Jelas beliau, adalah sesuatu yang luar biasa kerana dalam insiden berkenaan, kapal terbang dan menara kawalan tidak berkomunikasi seperti kebiasaan. "Menara kawalan tidak menerima apa-apa isyarat, tiada bangkai atau serpihan andai terhempas, tiada isyarat kecemasan. Mungkin juga juruterbang patah balik mengikut gerak hati. Sukar untuk membuat sebarang andaian ketika ini. Semuanya nampak seperti mimpi dan mustahil untuk ditafsirkan. "Mungkin berlaku perkara yang mengejutkan pada enjin atau letupan sehingga menyebabkan sistem kawalan berada di luar kawalan biasa sehingga menyebabkan terputusnya hubungan," katanya. Tambahnya, beliau dimaklumkan pesawat MH370 sudah diselenggarakan dua minggu lepas dan sekiranya terdapat kerosakan sekalipun, masih mampu untuk berhubung dengan pusat kawalan. Pakar Oseanografi dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Mohd. Fadzil Mohd. Akhir pula membuat andaian, kemungkinan MH370 terhempas ke laut. "Ini hanyalah salah satu andaian, mungkin pesawat terhempas dan hanyut ke arah Teluk Thailand, atau ke perairan Malaysia. "Walau bagaimanapun, semua andaian ini hanyalah kemungkinan yang berlaku kepada pesawat tersebut. Kejadian ini masih kekal misteri dan sukar dijawab," ujarnya. Sementara itu, seorang juruterbang veteran yang pernah berkhidmat dengan agensi kerajaan mendakwa, dalam tempoh kurang dari 24 jam ini, kemungkinan 'misteri' kehilangan pesawat MH370 akan mendapat petanda penting. "Saya rasa kita akan dapat dapat sedikit petunjuk dalam tempoh kurang dari 24 jam ini. Kita perlu banyak berdoa dan yakin dengan usaha yang sedang dilakukan oleh semua pihak. "Tidak mungkin pesawat itu hilang daripada radar begitu sahaja, risiko tersebut sangatlah rendah" katanya.
Pekerja ladang wanita dibunuh?
KOTA SAMARAHAN 10 Mac - Seorang pekerja ladang wanita warga Indonesia ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah dipercayai akibat dipukul dan dibelasah dengan objek keras di kawasan tali air di sebuah ladang kelapa sawit di Ensengei di sini semalam. Mayat mangsa, Eli Udin, 34, ditemui pada pukul 4.20 petang oleh seorang pengawal keselamatan yang meronda di kawasan ladang berkenaan lalu menghubungi polis. Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Lee Chong Chern berkata, mangsa dipercayai mati akibat mengalami kecederaan parah di kepala setelah dipukul dengan objek keras. Beliau berkata, Eli bersama suaminya telah bekerja di ladang kelapa sawit terbabit sejak empat tahun lalu. "Bagaimanapun, ketika kejadian suami mangsa sedang bercuti dan berada di Kalimantan Barat, Indonesia kerana mempunyai urusan keluarga," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dipercayai dipukul dan dihentak dengan objek keras. Tambahnya, polis turut menjumpai sebatang kayu yang mempunyai kesan titisan darah tidak jauh dari lokasi mayat mangsa ditemui. "Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk dibedah siasat dan polis sedang giat mengesan suspek yang dipercayai rakan senegara mangsa. "Sehingga kini, polis belum dapat mengenal pasti motif mangsa dibunuh dan punca sebenar kematian wanita itu hanya akan diketahui selepas bedah siasat selesai dijalankan," katanya sambil memberitahu kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sari Yanti minta 'berpisah'
ENTAH mengapa kebelakangan ini semakin kerap Aida dengar kisah artis bercerai. Berbeza keadaannya kalau mereka mahu berkahwin pasti ada sidang media yang akan menjelaskan keadaan sebenar, tetapi kalau bercerai siapa mahu uar-uarkan. Termasuklah kisah Sari Yanti dan suaminya Mohd. Eddy Casmady. Sudah beberapa hari sebenarnya versi kisah rumah tangga pelakon ini dikatakan goyah mula bertebaran. Malah antara versi yang didengar Aida juga mengatakan Sari sudah memfailkan cerai di Seremban. Namun segigih mana wartawan mahu mendapatkan kebenaran dari empunya badan pastinya sukar bila berdepan soal ini. Bukanlah kerja wartawan mahu mencanang perkara yang buruk sahaja, tetapi kalau sudah diberi maklumat kami sedia berkongsi dengan pembaca. Memang benar setelah cuba mencari kepastian, Aida diberitahu sendiri sumber ini kisah 'perpisahan' di antara Sari dan suaminya itu memang benar. Malah permintaan itu katanya hadir daripada Sari selepas pulang dari menjayakan program Fear Factor di Cape Town, Afrika Selatan. Menurut sumber itu lagi, Sari dikatakan tidak pulang ke rumah selepas sekembalinya dia ke Malaysia. Tidak menolak suaminya Casmady masih sayang dengan perkahwinan ini, sumber itu juga memberitahu ada usaha dari suaminya itu untuk mengelakkan perpisahan ini demi anak-anak mereka. Bagaimanapun sikap Sari yang tetap inginkan 'perpisahan' ini seolah-olah tidak meninggalkan Casmady dengan pilihan lain. Malah khabarnya Casmady juga sudah bersedia dengan 'perpisahan' ini. Buat masa ini anak-anak mereka dijaga keluarga Casmady memandangkan Sari tidak lagi pulang ke rumah. Kalau ikutkan memang sedih mendengar kisah sebegini, bukan setahun dua Sari dan suaminya bersama, tetapi sudah enam tahun. Malah kehadiran kedua-dua anak mereka bagaikan menyempurnakan keluarga yang dulunya bahagia ini. Ikutkan, perkahwinan ini tidak pernah menyekat Sari dari terus bergelar pelakon, Aida harap ada ada sinar berbeza buat mereka tidak lama lagi.
Hari 4: Mencari MH370, mengesan "Encik Ali"
KUALA LUMPUR: Usaha mengesan pesawat MH370 yang hilang sejak lebih 80 jam lalu diteruskan hari ini dengan operasi digerakkan di kawasan yang lebih luas meliputi 100 batu nautika daripada titik terakhir pesawat itu dikesan pada awal pagi Sabtu lalu. Kawasan itu meliputi perairan di sebelah barat dan timur Semenanjung Malaysia mencecah sampai ke Vietnam dan utara Sumatera. Operasi disertai oleh 22 buah pesawat udara dan 44 buah kapal dari lapan buah negara. Bagi memudahkan operasi, kawasan berkenaan dibahagikan kepada beberapa petak dan setiap kapal laut serta pesawat yang menyertai usaha tersebut masing-masing ditugaskan meneroka setiap petak itu. Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman dalam sidang media pada Isnin malam menegaskan usaha itu akan dipergiatkan kerana adalah mustahak untuk mengesan pesawat berkenaan untuk memahami apa yang sebenarnya berlaku. "Usaha ini masih lagi sebuah operasi mencari dan menyelamat dan bukannya operasi pemulihan bencana," katanya. Pada sidang media sebelumnya pada tengahari Isnin, Azharuddin menyifatkan kehilangan pesawat yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing itu sebagai "misteri kehilangan pesawat yang belum pernah berlaku sebelum ini." Pasport curi. Ketika operasi mengesan pesawat itu dipergiatkan, pihak berkuasa juga sedang mengesan seorang warganegara Iran yang didedahkan oleh seorang agen pelancongan di Thailand sebagai individu yang membeli tiket bagi pihak dua penumpang yang menaiki pesawat itu dengan pasport curi. Agen pelancongan itu, Benjaporn Krutnait memberitahu akhbar The Financial Times pada Isnin, lelaki yang dikenalinya sejak tiga tahun lalu itu hanya dikenali dengan nama "Encik Ali". Krutnait pada awalnya menempah untuk lelaki Iran itu dua tiket ke Eropah pada 1 Mac lalu melalui penerbangan Qatar Airways dan Etihad. Tiket itu kemudiannya terbatal kerana tidak dituntut oleh Ali. Pada Khamis 6 Mac, Ali menghubungi Krutnait dan agen pelancongan itu menempah penerbangan Malaysia Airlines kerana itu tiket paling murah yang ada. Beliau menempah tiket itu melalui China Southern Airlines yang berkongsi kod penerbangan dengan MH370. "Tidak ada bukti Encik Ali kenal dua lelaki yang menaiki pesawat (MH370) dengan pasport curi," lapor The Financial Times. Tiket. Krutnait mendedahkan perkara itu kerana tidak yakin Ali ada kaitan dengan keganasan kerana tidak menempah secara khusus penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, sebaliknya meminta tiket termurah ke Eropah. Kedua-dua penumpang misteri itu ditempah untuk penerbangan Kuala Lumpur ke Beijing sebelum meneruskan penerbangan ke Amsterdam sebelum masing-masing ke Frankfurt dan Copenhagen. Azharuddin dalam sidang media pada Isnin malam turut menegaskan siasatan ke atas rakaman visual pergerakan dua penumpang misteri itu menunjukkan semua protokol keselamatan di KLIA telah dipatuhi. Oleh itu, siasatan pihak berkuasa berhubung dua pasport curi yang digunakan untuk menaiki pesawat MH370 itu kini bertumpu kepada aspek penglibatan sindiket pemalsuan pasport. Beliau juga mengesahkan, selepas meneliti rakaman dan foto, dua penumpang berkenaan bukan lelaki Asia. Berita mula diterbitkan pada: Mac 11, 2014 06:58 (MYT)
Kawasan carian diperluas ke 100 batu nautika 10 Mac 2014.
Hari ketiga: Kawasan mencari MH370 diperluas, termasuk daratan
KUALA LUMPUR: Setelah tiga hari operasi mencari dan menyelamat diaktifkan tiada sebarang petunjuk untuk menjumpai MH370 yang hilang pada awal pagi Sabtu. Menurut Jabatan Penerbangan Awam (DCA), kawasan pencarian kini diperluas sehingga lebih 100 batu nautikal persegi, meliputi perairan pantai timur dan barat Semenanjung Malaysia. “Pihak kami juga menjalankan operasi mencari di bahagian darat. Ia juga meliputi kawasan utara Sumatera. Kami akan memperluas kawasan mencari dalam tempoh beberapa hari,” jelas Ketua Pengarah DCA Datuk Azharuddin Abdul Rahman pada sidang media pada jam 8.10 malam, Isnin. Dibahagikan mengikut zon, kawasan operasi mencari kini semakin berkembang ke utara Laut China Selatan dan dari Selat Melaka sehingga ke Laut Andaman. “Kami membahagikan kawasan mencari kepada beberapa blok mempunyai kapal yang ditugaskan, setiap pesawat mempunyai bloknya yang tersendiri,” jelasnya. Azharuddin menegaskan usaha mencari akan dipergiatkan kerana baginya amat “penting” untuk MH370 dijumpai. “Sekiranya kita tidak menjumpai pesawat terbabit, kita tidak akan dapat mengetahui sebab insiden ini,” jelas Azharuddin lagi. Sementara itu, Azharuddin memaklumkan pihaknya tidak mengesahkan mengenai laporan media Vietnam yang memetik sumber pihak berkuasa yang mengaitkan penemuan serpihan seperti bahagian pesawat. “Apa yang (pihak berkuasa) Vietnam lakukan ialah ia melaporkan sebarang penemuan. Setiap kali kita menerima berita sama ada dari media atau lain-lain, kami akan terus menghubungi pihak Vietnam dan selama ini, mereka menafikan menjumpai sebarang objek atau bahagian (pesawat),” jelas Azharuddin. “Kami harus berhati-hati apabila kami menyatakan kami menemui sesuatu,” sambil menambah pihaknya enggan memberikan harapan palsu. “Amat sukar untuk menyatakan apa sebenarnya yang terjadi kepada pesawat tersebut. Kami tidak mahu membuat spekulasi. Ia harus menerusi penemuan saintifik… forensik,” tambahnya. MH370, mengadakan perkongsian kod dengan China Southern Airlines berlepas dari KLIA ke Beijing pada Sabtu, jam12.41 pagi. Semua komunikasi pesawat terbabit terputus pada 2.40 pagi tanpa sebarang isyarat kecemasan. Ia membawa 239 penumpang, 38 daripadanya warga Malaysia. Ia sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi Sabtu. Berita mula diterbitkan pada: Mac 11, 2014 01:15 (MYT)
India sedia bantu Malaysia jika diperlukan
NEW DELHI 11 Mac - India menawarkan bantuan untuk membantu kerajaan Malaysia dalam operasi mencari pesawat Malaysia Airlines yang hilang dua hari lalu. Laman web saluran televisyen BBC hari ini melaporkan, Menteri Luar India, Salman Khurshid berkata, negara ini bersedia memberikan sebarang bantuan yang diperlukan. "Kami akan memberikan sebarang bantuan jika ia diperlukan atau berkongsi maklumat jika kami mempunyainya," katanya semalam. - Agensi
PM Australia nasihat rakyatnya tidak bimbang naik kapal terbang
MELBOURNE 10 Mac - Perdana Menteri Australia, Tony Abbott menggalakkan warga Australia supaya terus melakukan perjalanan di sebalik kebimbangan bahawa pengganas mungkin terlibat dalam insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS). Enam rakyat Australia dan dua rakyat New Zealand adalah antara penumpang pesawat Boeing 777-200 yang hilang semasa dalam penerbangan enam jam dari Kuala Lumpur ke Beijing. Pihak berkuasa sedang meneliti kaitan insiden itu dengan keganasan, selepas dua daripada 239 penumpang pesawat berkenaan didapati menggunakan pasport curi. Abbott berulang kali enggan membuat spekulasi berhubung kemungkinan wujudnya kaitan dengan keganasan apabila ditanya tentang perkara itu pada Isnin. "Kita tidak boleh terus membuat kesimpulan," katanya kepada pemberita di Sydney seperti dipetik Australian Associated Press. - BERNAMA
Skandal terbaru Putera Andrew, Monika Jakisic
LONDON 10 Mac - Adik Putera Charles, Duke of York, Putera Andrew, semalam dilaporkan terpaksa membuat penafian beliau telah mengikat tali pertunangan dengan seorang model pakaian renang dari Croatia yang 20 tahun lebih muda darinya. Andrew membuat penafian itu selepas Monika Jakisic, 34, bertindak memuat naik gambar sebentuk cincin berlian didakwa cincin pertunangan mereka di atas bil restoran bernilai 600 pound (RM 3,267) pada laman Twitter wanita tersebut, kelmarin. Foto kedua-dua pasangan itu yang sedang hangat berkucupan di sebuah kelab eksklusif di sini berjaya dirakam selepas mereka menikmati makan malam dalam janji temu ketiga dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini. Gambar itu membuatkan pihak Istana Buckingham mahukan penjelasan segera sehingga memaksa wakil Andrew mengeluarkan kenyataan yang disifatkan memalukan dan tidak pernah berlaku itu, lapor Daily Mail. Jurucakap putera berusia 54 tahun itu, bagaimanapun menolak untuk mengulas spekulasi tentang tahap hubungan Andrew dan Jakisic, sambil berkata: "Saya boleh mengesahkan Duke of York tidak bertunang dengan Monika Jakisic. Khabar angin tentang hubungan mesra antara model dan keluarga diraja Britain itu muncul selepas kedua-duanya dilihat meraikan sambutan ulang tahun putera itu pada bulan lalu di restoran Cecconi di Mayfair, lokasi yang dilaporkan insiden bericum itu berlaku. Jakisic seorang model yang sebelum ini pernah menjalinkan hubungan dengan pelakon George Clooney kini menetap di sebuah rumah di utara London bernilai 1.2 juta pound (RM6.5 juta).
Vietnam buka pangkalan operasi mencari
HANOI 10 Mac - Vietnam membuka sebuah pangkalan di pulau peranginan Phu Quoc di barat daya selatan negara ini bagi membantu usaha mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines (MAS), MH370 yang masih hilang sejak Sabtu lalu. Dalam satu mesyuarat semalam, Timbalan Perdana Menteri Vietnam, Hoang Trung Hai mengarahkan Pentadbiran Penerbangan Awam Vietnam supaya menyediakan segala keperluan yang diperlukan di pangkalan itu supaya ia boleh menyediakan sokongan kepada pasukan menyelamat tempatan dan asing yang terlibat dalam operasi mencari tersebut. Timbalan Ketua Staff Tentera Vietnam, Leftenan Jeneral Vo Van Tuan berkata, Vietnam telah beri amanah untuk mencari pesawat itu di perairan utara Ho Chi Minh City, kawasan maklumat penerbangan (FIR). Katanya, pasukan Malaysia pula mencari di kawasan perairan di selatan, manakala Singapura di kawasan perairan bersempadan antara Malaysia dan Vietnam sebagaimana lapor Thanh Nien News. Penerbangan MH370 membawa 239 penumpang dan anak kapal dilaporkan hilang di kawasan perairan antara Vietnam dan Malaysia selepas dua jam dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing. Pesawat itu dijadual mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi, tetapi hilang dari kawalan radar sehingga sekarang. Sementara itu, portal Dan Tri melaporkan, seorang wakil Kementerian Luar Vietnam berkata, Vietnam akan memudahkan penglibatan negara-negara luar dalam usaha mencari itu yang terbatas pada lokasi kejadian tersebut. Sebanyak dua kapal China dan sebuah kapal Amerika Syarikat (AS) telah mendapat kebenaran untuk memasuki perairan Vietnam bagi menyertai operasi itu.
Malaysia digesa tingkat usaha
BEIJING 10 Mac - Beijing hari ini menggesa pihak berkuasa Malaysia meningkatkan usaha mencari dan siasatan berhubung kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang membawa 239 penumpang termasuk 150 rakyat China. Jurucakap Kementerian Luar China, Qin Gang berkata, Beijing percaya Malaysia mampu melaksanakan segala usaha mencari pesawat MH370 yang hilang sejak tiga hari lalu. "Pihak Malaysia memberikan sepenuh perhatian kepada kejadian tersebut, namun berdasarkan situasi sekarang, mereka perlu meningkatkan usaha, katanya pada sidang media di sini hari ini. Beberapa orang anggota keluarga penumpang pesawat terbabit melahirkan kemarahan dan kekecewaan mereka terhadap usaha mencari tersebut, selain mengkritik syarikat penerbangan MAS serta pihak berkuasa di Beijing dan Kuala Lumpur ekoran kekurangan maklumat mengenai kejadian tersebut. Qin berkata, pihaknya berharap Malaysia memahami perasaan keluarga penumpang dari China tersebut. "Kami akan meneruskan usaha kami terutama bagi menggesa Malaysia berhubung isu operasi mencari dan menyelamat, selain isu susulan lain, katanya. - AFP
Keluarga penumpang gesa dedah cerita sebenar
BEIJING 10 Mac - Kira-kira 100 ahli keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) dari China menggesa cerita sebenar berhubung misteri kehilangan pesawat MH370 yang membawa 239 orang tersebut didedahkan. Ahli-ahli keluarga tersebut dalam sepucuk surat kepada Kementerian Luar China menggesa kementerian itu membantu mendapatkan cerita sebenar daripada kerajaan Malaysia dan meminta Beijing menghantar pegawai untuk bertemu mereka. Laman web akhbar South China Morning Post melaporkan seorang wanita berkata, setakat ini hanya syarikat penerbangan itu yang menghubungi mereka. "Saya berharap kerajaan China akan datang bertemu kami. Lebih awal kerajaan ambil tindakan, lebih tinggi kemungkinan mereka akan selamat, katanya. Malaysia Airlines semalam memaklumkan kepada ahli keluarga penumpang pesawat terbabit supaya bersedia `menghadapi kemungkinan paling buruk selepas 30 jam kehilangan pesawat tersebut. Kebanyakan ahli keluarga menangis apabila pengumuman tersebut dibuat oleh Pengarah Komersial syarikat tersebut, Dr. Hugh Dunleavy di Metropark Lido Hotel, di sini yang menjadi tempat tingga sementara mereka. Seorang pakar berkata, sistem radar moden sangat sensitif dan mempunyai kemampuan tinggi untuk mengesan pesawat itu. "Ia boleh memberi data mengenai pesawat seperti kelajuan dan altitudnya, yang boleh digunakan untuk menganggarkan zon impak terakhir. "Saya mengesyaki pihak berkuasa Malaysia menyembunyikan beberapa maklumat. Kita juga tidak mendengar apa-apa yang berguna daripada pihak berkuasa Vietnam, katanya.
Lelaki berjaya buat 3 panggilan
BEIJING 10 Mac - Seorang lelaki yang mendakwa dia adalah salah seorang ahli keluarga penumpang Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang kini masih gagal dikesan walaupun usaha mencarinya sudah diperluaskan memberitahu, dia berjaya menghubungi telefon bimbit milik abangnya yang merupakan salah seorang daripada 227 penumpang yang menaiki pesawat tersebut. Portal The Real Singapore melaporkan, klip video yang merakamkan lelaki berkenaan sedang mendail nombor telefon milik abangnya itu turut disiarkan di Beijing Television. Video tersebut menunjukkan lelaki itu berjaya menghubungi telefon bimbit abangnya, namun panggilannya itu tidak dijawab. Lelaki itu yang enggan mendedahkan namanya itu turut mendakwa berjaya menghubungi telefon bimbit abangnya itu sebanyak tiga kali, dan kesemua panggilan itu tidak dijawab. Lelaki itu memberitahu pemberita di sini demikian selepas berlangsungnya satu taklimat yang disampaikan oleh kakitangan MAS berhubung kejadian pesawat MAS jenis Boeing 777-200ER itu hilang sejak tiga hari lalu selepas berlepas dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing. Ekoran penedahan lelaki itu, ahli-ahli keluarga penumpang pesawat terbabit yang kini berada dalam kesedihan, menggesa MAS menggunakan teknologi satelit untuk menggesan isyarat telefon bimbit berkenaan, sebelum ia kehabisan bateri. Seramai 150 orang penumpang warga China berada dalam pesawat MH370 itu sebelum terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang, Kuala Lumpur pada pukul 2.40 pagi kelmarin, setelah berlepas dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Malaysia pada 12.41 tengah malam.
Pertumbuhan ekonomi Malaysia memuaskan
KUALA LUMPUR 10 Mac - Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka memuaskan dan mampu mencapai perkembangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kira-kira lima peratus pada tahun ini, menurut penganalisis ekonomi OCBC Bank, Wellian Wiranto. Wiranto berkata, penggunaan persendirian terbukti lebih kukuh daripada yang dijangka, disokong oleh keadaan yang dianggap oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai persekitaran pekerjaan stabil dan pertumbuhan upah mampan. Sementara dari segi perdagangan luar, katanya, keseimbangan dagangan dilihat lebih baik daripada sebelumnya, dengan eksport mencatatkan pemulihan lebih ketara berasaskan tinjauan global lebih baik. "Lebih penting lagi, eksport ke China sudah mula meningkat dengan nyata, disokong oleh permintaan stabil di sana dan juga kenaikan harga minyak sawit mentah. "Jelas bahawa China sedang bersaing untuk menggantikan Singapura sebagai destinasi utama eksport Malaysia, katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Tambah Wiranto, secara keseluruhan, pemulihan eksport akan membantu menangani kekhuatiran tentang kemerosotan lebihan akaun semasa negara. Katanya, sekiranya terdapat sentimen terhadap pasaran baharu muncul (EM) terjejas teruk, pengukuhan kedudukan akaun semasa akan bertindak sebagai pemampan berguna untuk menyekat sebarang kebimbangan tentang pengaliran keluar modal. Beliau memberitahu, dari segi inflasi, walaupun harga meningkat baru-baru ini, OCBC Bank melihat perkembangan ini sebagai sebahagian daripada proses pelarasan fiskal, selain kerajaan mengurangkan subsidi. "Sebagai contoh, kejutan peningkatan angka inflasi asas baru-baru ini boleh dianggap berpunca daripada kenaikan tarif elektrik. "Walaupun peningkatan harga pasti akan mendorong BNM untuk lebih berhati-hati terhadap risiko inflasi yang berturutan, kami tidak yakin sama ada ia cukup untuk mendesak bank pusat menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dalam jangka pendek. "Perlu diingat, walaupun inflasi asas meningkat kepada kira-kira lapan peratus pada awal 2008, BNM tidak bertindak balas dengan membuat keputusan yang betul bahawa hal itu lebih disebabkan tolakkan kos daripada dipacu oleh permintaan," ujarnya. Dari segi mata wang, pihaknya mengunjurkan terdapat kebarangkalian lebih besar bahawa Ringgit Malaysia akan mencatatkan penurunan nilai selanjutnya iaitu pada kadar RM3.34 berbanding Dolar Amerika Syarikat menjelang akhir tahun ini.
Lesen pengilang EEV dikeluarkan bulan ini
KUALA LUMPUR 10 Mac - Kerajaan akan mengeluarkan lesen pengilang kenderaan cekap tenaga (EEV) kepada sebuah syarikat asing pada bulan ini. Namun, nama syarikat itu masih dirahsiakan sehingga tarikh menandatangani perjanjian dilakukan. Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI), Mohammad Madani Sahari berkata, kerajaan telah pun memuktamadkan keputusan untuk pemilihan syarikat tersebut. "Kerajaan sudah memilih dan bersedia untuk mengeluarkan lesen pengeluaran itu pada bulan ini, katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini. Lesen pengeluaran EEV di negara ini adalah untuk pasaran eksport. Pada 6 Februari lalu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed memberitahu bahawa kelulusan lesen pengilang EEV itu adalah yang pertama daripada tiga lesen yang akan diberikan kerajaan sepanjang tahun ini. Beliau memberitahu, setakat ini, nama syarikat yang akan diberi lesen itu masih dirahsiakan. "Ini adalah satu usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah hab EEV pada 2020," katanya. Berdasarkan sumber yang diperoleh Utusan Malaysia, syarikat pengilang EEV yang bakal mendapat lesen itu dijangka berasal dari benua Eropah dan merupakan sebuah syarikat automotif yang berpengaruh.
Bank Jepun tawar perbankan Islam
KUALA LUMPUR 10 Mac - Gergasi perbankan Jepun, Sumitomo Mitsui Banking Corporation (SMBC) hari ini mengumumkan perkhidmatan perbankan Islam di Malaysia, dalam usaha mengukuhkan kehadirannya di seluruh Asia Pasifik. Pengenalan perkhidmatan itu diumumkan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SMBC, Takeshi Kunibe melalui satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi laman sesawang perbankan itu. Perkhidmatan itu akan dikendalikan oleh subsidiari penuh milik SMBC di Malaysia, Sumitomo Mitsui Banking Corporation Malaysia Bhd. (SMBCMY) yang diketuai oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yasuhiro Oashi. Menurut kenyataan bank itu lagi, perkhidmatan yang diperkenalkan itu adalah bagi mengambil kesempatan terhadap kerancakkan pasaran kewangan Islam di Malaysia yang berkembang seiring dengan pertumbuhan ekonominya. Jelas SMBC, perkhidmatan perbankan Islam itu diperkenalkan selaras dengan pelancaran Inisiatif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa di Malaysia pada 2006 bagi menjadikan negara ini hab kewangan Islam. SMBCMY telah memperolehi kebenaran daripada pihak berkuasa Malaysia pada 10 Februari lalu bagi memperkenalkan perkhidmatan tersebut. Bank itu menjadi anak syarikat kedua SMBC yang menawarkan perkhidmatan kewangan Islam, selepas Sumitomo Mitsui Banking Corporation Europe Limited. "Kemampuan syarikat menawarkan perkhidmatan ini dilihat penting bagi memenuhi keperluan pelanggan selain turut menjadi penyumbang kepada perkembangan pasaran kewangan Islam di Malaysia," menurut kenyataan itu lagi.
Dua beradik maut dalam kebakaran
Alor Setar – Dua beradik tiri maut akibat terperangkap dalam kebakaran membabitkan tiga rumah di Taman Seri Putra, Kuala Kedah, di sini, malam tadi. Dalam kejadian kira-kira 9.30 malam, mangsa, Zamzuri Asyraf Don, 13, ditemui dalam bilik air di tingkat bawah manakala abangnya Zamzuri Aswad Zainol Abidin, 34, ditemui di bahagian tangga tingkat atas rumah itu. Ketika kejadian, hanya mereka berdua dipercayai berada di rumah dua tingkat berkenaan berikutan ibu bapa mereka keluar berniaga. Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah Awang Hidzel Awang Bujang berkata, pihaknya menerima panggilan pada 9.45 malam. Katanya, pihaknya tiba di lokasi dengan 17 anggota bersama tiga jentera bagi memadam kebakaran. Katanya, pihaknya masih menyiasat punca kejadian dan jumlah kerugian sebenar. – myMetro Online
Lelaki maut jatuh dari tingkat 12
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berumur 31 tahun meninggal terbunuh selepas terjatuh dari tingkat 12 di Wisma MABA Jalan Hang Jebat, di sini, lewat petang semalam. Ketua Polis Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, Lee Hon Hiung mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan kaki. Katanya, polis menerima panggilan telefon daripada orang awam memaklumkan ada individu yang terjatuh dari bangunan itu. “Sehingga ini, tiada saksi yang melihat kejadian itu dan siasatan di tempat kejadian juga tidak menemui kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu,” katanya ketika dihubungi. Menurutnya, kejadian disedari oleh orang awam yang terdengar bunyi objek jatuh. Zainuddin berkata polis sudah menghubungi waris mangsa dan mereka memaklumkan bahawa mendiang mengalami penyakit kurang daya ingatan. “Mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dan bedah siasat akan dijalankan,” katanya. Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut. - myMetro Online
Sindiket untuk memproses dadah di ladang ternakan kambing dan ayam
SEREMBAN – Polis Negeri Sembilan berjaya menumpaskan sebuah makmal dan stor pemprosesan dadah jenis Heroin di sebuah ladang pisang di Kampung Sebir, Labu, di sini. Serbuan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) negeri dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Nilai kira-kira jam 6.30 pagi kelmarin, berjaya merampas 16.761 Kilogram (Kg) heroin yang bernilai RM700,761. Ketua Polis Negeri, Datuk Osman Salleh berkata, dalam serbuan itu, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun diluar rumah papan yang terdapat di ladang tersebut. “Hasil pemeriksaan di dalam rumah papan itu, kita merampas satu ketulan mampat tumbuhan kering disyaki dadah jenis Kanabis seberat 473 gram. “Pemeriksaan polis di kandang kambing berhampiran rumah papan itu mendapati satu kampit kanvas di dalamnya terdapat satu plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan disyaki dadah berbahaya jenis heroin seberat 9 Kg,” katanya dalam sidang media di bilik media IPK negeri, di sini, semalam. Menurutnya, polis turut melakukan pemeriksaan di reban ayam dengan bantuan Unit Pengesan K9, menemui dadah yang tertanam dalam tanah di kawasan ladang. “Setelah diperiksa dan digali, terdapat satu tangki air berwarna hitam tertanam di lubang khas yang mengandungi satu kampit kanvas di dalamnya terdapat 12 peket plastik berisi serbuk dan ketulan disyaki dadah jenis Heroin dengan seberat 7.47 Kg. “Turut ditemui enam botol kaca berisi cecair disyaki bahan kimia dan pelbagai peralatan yang disyaki digunakan untuk pemprosesan dadah,” katanya. Osman berkata, suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini (semalam) untuk membantu siasatan. Ujian saringan air kencing suspek turut mendapati positif dadah.
Seorang suri rumah maut bertembung MPV
Banting: Seorang suri rumah berusia 43 tahun maut dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 44.5, Jalan Klang-Port Dickson, dekat sini, kelmarin. Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa Sanisah Mohd Shahib yang menunggang motosikal dari Tanjung Sepat, dekat sini, bertembung sebuah MPV Toyota Avanza yang dipercayai hilang kawalan dari arah bertentangan. Berikutan pertembungan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera di kepala dan mayatnya dihantar ke Hospital Banting untuk bedah siasat. Seorang saksi yang ingin dikenali sebagai Ayu, 19, berkata, MPV yang dipandu wanita berusia lingkungan 40-an itu memasuki laluan bertentangan sebelum dia terdengar dentuman kuat. “Saya lihat mangsa (Sanisah) berlumuran darah dan sudah tidak bergerak. Mangsa cedera di kepala dan beberapa bahagian badan,” katanya di sini, semalam. Sementara itu, sumber polis memberitahu, kedua-dua kenderaan itu bertembung selepas kereta berkenaan memasuki laluan bertentangan menyebabkan penunggang motosikal maut, manakala pemandu MPV mengalami kecederaan di bahagian dahi, tangan serta lutut. Katanya, polis akan mengambil keterangan pemandu MPV berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Topi keledar petunjuk nahas, penunggang motosikal yang cedera akibat kemalangan
Alor Gajah: Gerak hati seorang peniaga untuk melakukan pemeriksaan selepas melihat sebuah topi keledar di tengah jalan membawa kepada penemuan seorang penunggang motosikal yang cedera akibat kemalangan di Gadek, di sini, pagi semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi, penunggang motosikal, A Selvarajah, 25, ditemui dalam keadaan separuh sedar dan parah di kepala di sisi motosikalnya di dalam longkang di tepi jalan berkenaan. Peniaga, Zaidi Hashim, 48, berkata, dia bersama isterinya, Rokiah Zainal, 49, dalam perjalanan ke Hospital Melaka untuk menziarahi anaknya dan terkejut apabila mendapati sebuah topi keledar di atas jalan raya itu. “Saya berasa tidak sedap hati selepas melihat topi keledar bergolek di garisan berkembar sebelum berpatah balik untuk memeriksa keadaan. Saya mendapati seorang lelaki tersandar di sisi motosikalnya lalu memberikan bantuan,” katanya ketika ditemui di sini, Zaidi berkata, melihat keadaan mangsa yang parah dan hampir pengsan, dia terus menghubungi Unit Kecemasan Hospital Alor Gajah untuk memaklumkan kejadian itu. Difahamkan, Selvarajah menunggang motosikal bersendirian dari arah Alor Gajah menuju ke Tampin, Negeri Sembilan, dan dipercayai terbabas sebelum merempuh tiang telefon di kiri jalan. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Mohammad Laham ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan berkata, mangsa menerima rawatan di Hospital Alor Gajah serta berada dalam keadaan stabil.
Seorang pegawai Jabatan Imigresen diserang dua lelaki bersenjata
Johor Bahru: Seorang pegawai Jabatan Imigresen mengharungi detik mencemaskan apabila dua lelaki bersenjata parang meluru ke arahnya di parkir kereta di depan sebuah restoran di Danga Bay. Dalam kejadian jam 6.30 petang Sabtu lalu, mangsa berusia 30-an yang bertugas di Putrajaya dan berasal dari Ipoh, Perak dikatakan keluar dari keretanya sebelum mengalihkan barang dari but kereta ke tempat duduk depan. Mangsa yang mahu ke restoran berkenaan untuk menjamu selera, bagaimanapun dihampiri dua penjenayah berpakaian gelap dipercayai warga Indonesia. Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, dalam kejadian itu, tiga suspek yang menaiki kereta jenis Toyota Vios melarikan barangan milik mangsa bernilai RM5,000. Menurutnya, ia termasuk komputer riba, telefon bimbit, wang tunai RM2,000 serta mata wang Singapura SGD500 (RM1,280). Katanya, penjenayah juga melarikan kunci kereta dan kunci bilik hotel tempat mangsa menginap. “Bagaimanapun, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu. Ketika ini, polis sedang mengesan tiga suspek termasuk pemandu kereta berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan,” katanya.
Keluarga koperal dapat gratuiti
Klang: “Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sudi membantu menguruskan jenazah arwah (Raja Aizam Raja Mohid). “Walaupun sumbangan diterima tidak dapat menggantikan nyawa arwah, ia dapat digunakan untuk meneruskan hidup ini,” kata Raja Muhammad Rafiq Raja Aizam, 24, anak sulung anggota polis yang terkorban selepas ditikam seorang lelaki, 4 Mac lalu. Menurut Raja Muhammad Rafiq sebagai anak sulung, dia merancang menggunakan sebahagian wang yang diterima daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk membiayai pengajian dua lagi adiknya yang masih belajar di peringkat Diploma dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Bapanya Koperal Raja Aizam Raja Mohid, 53, terkorban selepas ditikam seorang daripada sekumpulan lelaki warga asing dalam kejadian di Taman Sentosa, di sini. Raja Muhammad Rafiq ditemui selepas Majlis Penyerahan Gratuiti dan Pencen Terbitan oleh JPA di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, semalam. Gratuiti dan pencen terbitan itu diserahkan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) JPA Datuk Seri Zainal Rahim Seman kepada balu arwah Norsalmah Nordin, 51. Dalam pada itu, Raja Muhammad Rafiq berkata, dia sekeluarga tidak bercadang meneruskan tindakan undang-undang terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya Dr Afif Bahardin terhadap kenyataannya yang memperlekehkan kejadian.
Jel 8 tahun curi RM50
Kuala Terengganu: Dua sahabat terpaksa meringkuk dalam penjara selama lapan tahun serta dikenakan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam, kerana merompak seorang warga emas dengan melarikan beg tangan mangsa yang hanya mengandungi RM50. Hakim Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas Mohamad Ayub Jaafar, 27, dan Mohd Azwan Harun, 25, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 395/394 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan dan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ketika melakukan rompakan berkenaan. Dua sahabat itu didakwa bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan terhadap Sepinah Ismail, 61, dengan melarikan beg tangannya yang mengandungi kad pengenalan, kad bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan wang tunai RM50 di Kampung Beladau Selat, di sini, jam 2.30 petang pada 24 Januari lalu. Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Zalina Awang @ Mamat manakala dua sahabat itu tidak diwakili peguam. Mengikut fakta kes, ketika kejadian, mangsa bersama cucu perempuannya berusia tujuh tahun dalam perjalanan untuk ke kenduri di kampung sama dengan menaiki motosikal Honda C70. Mangsa dihampiri motosikal Honda EX5 dinaiki dua tertuduh dari belakang dan meragut beg tangan di dalam bakul motosikal mangsa. Kejadian itu menyebabkan wanita berkenaan jatuh dan cedera di lutut, dagu serta bahagian bawah mata kanan. Mereka ditahan polis di belakang Masjid Kampung Beladau Selat, di sini, tidak lama selepas kejadian.
Seorang ibu maut selepas motosikal dirempuh sebuah motosikal lain
Sungai Petani: Seorang ibu yang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mengambil anak perempuannya dari sekolah maut selepas motosikal mereka naiki dirempuh sebuah motosikal lain dalam kemalangan di Jalan Lencongan Barat berhampiran Sungai Layar, di sini, petang kelmarin. Dalam kejadian pada jam 6.45 petang, mangsa Toharoh Ahmad, 43, dari Kampung Sungai Jagong, di sini, maut di tempat kejadian selepas mengambil anaknya, Siti Nur Amalina Mohd Noor, 14, yang bersekolah menengah dekat Sungai Layar, di sini. Difahamkan, mangsa menunggang motosikal Honda Wave bersama anaknya dari arah Sungai Layar dan ketika memasuki laluan kanan bagi membuat pusingan U, motosikalnya dirempuh sebuah motosikal MODENAS dari belakang. Akibat kejadian itu, mangsa maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala manakala Siti Nur Amalina cedera di bahagian muka dan kepala. Jurucakap trafik berkata, kejadian berlaku ketika motosikal ditunggang Toharoh bersama anaknya cuba memasuki laluan sebelah kanan Jalan Lencongan Barat bagi membuat pusingan U untuk pulang ke rumahnya di Sungai Jagong.
Tauke otak penipu kantoi, memadamkan tag ‘Brewed For Export’
Semenyih: Taktik sebuah kilang memadamkan tag ‘Brewed For Export’ (minuman untuk eksport) (BFE) pada tin minuman keras untuk mengaut keuntungan berlipat ganda gagal apabila kilang yang beroperasi di pusat perindustrian Villaraya, di sini, diserbu pihak berkuasa, semalam. Dalam serbuan jam 12 tengah hari itu, sepasukan anggota penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyerbu kilang terbabit selepas risikan. Ketua Operasi Penguasa Kastam Shahrizal Mahat berkata, siasatan awal mendapati kilang berkenaan membeli minuman keras yang dikhaskan untuk dieksport keluar negara dan bebas cukai. Katanya, pekerja kilang berkenaan memadamkan tag ‘BFE’ pada tin minuman keras itu sebelum menyembur cat untuk mengembalikan semula warna sehingga menjadi seakan-akan sama seperti tin minuman asal tanpa tanda BFE. “Siasatan awal pihak kami mendapati minuman keras dalam tin dan botol ini diubah suai dan dibungkus semula seperti asal termasuk kotak turut digantikan dengan yang baru tanpa tag ‘BFE’. “Kami percaya ini satu sindiket menjual minuman keras untuk dieksport kepada pengilang sebelum tin dan botolnya diubah suai dan dijual dengan harga pasaran selepas cukai,” katanya ketika ditemui selepas melakukan serbuan itu semalam. Menurut Shahrizal, pihaknya menjalankan siasatan lanjut berhubung kejayaan tangkapan itu termasuk mencari sindiket yang menjual minuman keras kepada pengilang tempatan. Sementara itu, dalam serbuan semalam, JKDM berjaya merampas 12,000 tin minuman keras jenama terkenal dengan nilai cukai RM25,000 tidak termasuk harga minuman. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang membawa hukuman denda tidak kurang dari 10 kali ganda dan tidak lebih 20 kali ganda nilai duti kastam atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. “Kami juga menahan dua lelaki warga Myanmar masing-masing berusia 19 dan 23 tahun dan siasatan dijalankan terhadap mereka untuk mencari seberapa banyak maklumat mengenai sindiket itu,” katanya.
Che Ta gementar lama tak hamil
Kuala Lumpur: Pelakon Rozita Che Wan menyambut berita kehamilan anak pertamanya dengan aktor Zain Saidin dengan penuh debaran selepas 15 tahun tidak melalui pengalaman itu. Rozita, 41, yang dihubungi berkata, perasaan itu terbit kerana anak bongsunya Aniq Ezzra daripada perkahwinan terdahulu kini sudah berusia 16 tahun. Katanya, selepas 15 tahun tidak mengandung dia gementar apabila mendapati ujian kehamilan yang dilakukannya sendiri semalam menunjukkan kesan positif. “Mahu tak berdebar apabila sudah lama tak mengandung. Bagi saya perasaannya biasa saja, tapi tetap bersyukur dengan rezeki ini. “Yang lebih seronok tentulah Zain sebab dia baru pertama kali nak rasa. Ini adalah hadiah hari jadi untuk Zain dan saya yang diraikan semalam (Ahad),” katanya ketika dihubungi, semalam. Rozita berkongsi khabar gembira itu menerusi sekeping gambar yang dimuat naik menerusi akaun Instagram, rozitachewan1, petang semalam. Dalam muat naik gambar itu, Rozita mengeluarkan kenyataan ringkas yang memanjatkan kesyukuran dengan nikmat Tuhan atas kehamilan terbabit. Ia adalah kehamilan anak pertama pasangan yang berkahwin pada 12 Disember tahun lalu di Setia City Convention Centre, Shah Alam, dekat sini. Selain Aniq, Rozita turut mempunyai seorang lagi anak lelaki Ammar Effendy, 18, hasil perkahwinan lalu.
Rakaman CCTV dapat perhatian
Kuala Lumpur: Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 15 saat membabitkan juruterbang dan pembantu juruterbang pesawat MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53, dan Fariq Ab Hamid, 27, kini tersebar luas di media sosial Facebook (FB) mendapat perhatian ramai dan dikongsi ribuan pengguna. Rakaman menunjukkan Kapten Zaharie dan Fariq sedang melalui pemeriksaan imbasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipercayai sebelum berlepas ke Beijing, China. Dalam rakaman itu kedua-dua mereka memakai pakaian seragam juruterbang Penerbangan Malaysia (MAS) sedang melalui pemeriksaan polis sebelum mengambil bagasi. Hasil pemerhatian mendapati, setakat jam 8 malam, sebanyak 1,500 ‘like’ dan 406 perkongsian dicatatkan dengan masing-masing memberikan ucapan khas dan menyentuh hati. Antaranya, ‘Adakah ini perjalanan terakhir mereka? Hanya Allah yang mengetahui di mana mereka. Tiada sesiapa yg (yang) boleh mengubah kehendak Allah..kita hanya berdoa yg terbaik utk mereka...Amin’, Ya Allah tiba-tiba sedih dan sayu tengok video ini menitis air mata.. Semoga Allah melindungi mereka semua yang berada dalam kapal MH370 ini dan pelbagai ucapan lain. Rata-rata mereka mendoakan supaya kedua-dua petugas berkenaan selamat kembali ke tanah air.
Interpol mengesahkan pihaknya mempunyai data dua pasport milik warga Austria dan Itali
PESAWAT tentera udara Amerika Syarikat MH-60R Sea Hawk mendarat di Kapal Destroyer USS Pinck Ney (DDG-91) selepas membuat rondaan mengesan pesawat penerbangan MH370 di Teluk Siam, semalam.
Kuala Lumpur: Interpol mengesahkan pihaknya mempunyai data dua pasport milik warga Austria dan Itali yang dilaporkan dicuri sebelum dokumen itu digunakan dua penumpang ‘hantu’ dalam penerbangan MAS MH370 yang hilang selepas pesawat berkenaan terputus hubungan dengan menara kawalan jam 2.40 pagi, Sabtu lalu. Memetik kenyataan yang dikeluarkan laman web Interpol, data dua pasport berkenaan disimpan di dalam Pangkalan Data Dokumen Perjalanan Hilang (SLTD) Interpol. Interpol memberitahu, semakan melalui SLTD mendapati dua pasport milik warga Austria dan Itali itu dilaporkan dicuri di Thailand pada 2012 dan 2013. Kenyataan itu berkata, Interpol kini sedang giat menjalankan pemeriksaan ke atas semua pasport penumpang yang menaiki penerbangan MH370 kerana terdapat kemungkinan pasport lain juga dilaporkan dicuri. “Interpol kini sedang berhubung dengan Biro Pusat Kebangsaan negara masing-masing (Austria dan Itali) yang bagi mengenal pasti identiti sebenar penumpang yang menggunakan pasport curi berkenaan ketika menaiki pesawat MH370,” menurut kenyataan itu. Setiausaha Agung Interpol Ronald K Noble berkata, masih terlalu awal untuk membuat spekulasi mengenai kaitan antara pasport curi dan misteri kehilangan pesawat berkenaan, bagaimanapun ia sesuatu yang membimbangkan jika ada antara penumpang menaiki penerbangan antarabangsa menggunakan pasport curi. Sumber memberitahu Harian Metro, Interpol kini turut menyemak semua pasport penumpang dan mengakses sistem Imigresen Malaysia berkaitan pasport kerana dikhuatiri terdapat individu lain menggunakan pasport curi. Dalam perkembangan membabitkan kes curi identiti dua individu yang menaiki pesawat MH370, sumber berkata, pasukan keselamatan Malaysia yang dibantu Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) kini sedang menyiasat sindiket mencuri dan menjual pasport yang dipercayai beroperasi dan berpangkalan di Thailand. “Sindiket yang beroperasi di Thailand itu dilapor menyasarkan warga asing seperti pelancong sebelum mencuri pasport milik mereka. Ia (mencuri) dilakukan sama ada kaedah samun ataupun seluk saku.
Operasi diperluaskan ke lapan kawasan berlainan
Laporan mengenai misteri kehilangan MH370 terus dispekulasikan media tempatan hingga ada yang melaporkan pasukan mencari menemui serpihan pesawat. Bermula dengan penemuan tompokan minyak, serpihan pesawat dan rakit keselamatan pesawat namun maklumat itu tidak dapat disahkan sehingga kini. Malah tompokan minyak ditemui itu bukannya seperti dilaporkan sebaliknya ia hanya beting pasir. Perang maklumat melalui media sosial berkenaan memeningkan kepala pihak berkuasa Vietnam kerana mereka perlu menyiasat setiap maklumat. Penolong Pengarah Jabatan Perhubungan Luar Kementerian Luar Negara Vietnam Doan Tuan Linh berkata, segala maklumat yang diterima itu akan disahkan terlebih dulu pusat operasi kecemasan di Phu Quoc. “Setakat ini tiada maklumat terkini untuk anda. Kami bersimpati dengan apa yang berlaku ke atas pesawat MH370. “Kerja mencari pesawat malang itu masih diteruskan dan berpusat di Pulau Phu Quoc. Namun tiada sebarang kesan ditemui,” katanya ketika ditemui media Malaysia di sini, semalam. Hadir sama Konsul Besar Malaysia Shazryll Zahiran. Sementara itu, Shazryll berkata, pihaknya dimaklumkan kerja mencari pesawat berkenaan diperluaskan ke lapan kawasan berlainan di perairan selatan Vietnam. Namun sehingga kini tiada perkembangan terbaru dilaporkan.
Raja dadah dibunuh buat ‘kali kedua’
Mexico City: Seorang raja dadah yang sebelum ini dipercayai dibunuh tiga tahun lalu akhirnya ditembak mati dalam pertempuran dengan pihak berkuasa, semalam. Jurucakap kerajaan Tomas Zeron berkata, lelaki yang mati dalam kejadian di Michoacan itu dikenal pasti sebagai Nazario Moreno Gonzalez yang juga dikenali sebagai ‘El Chayo.’ “Analisis cap jari menunjukkan 100 peratus dia ialah Gonzales,” kata Zeron. Ketua Pasukan Keselamatan Awam Kebangsaan Monte Alejandro Rubido berkata, anggota tentera cuba menahan Gonzalez tetapi terpaksa melepaskan tembakan apabila dia melawan. Akibatnya, Moreno mati serta-merta. Kerajaan Mexico sebelum ini melaporkan Moreno - ketua kartel dadah La Familia - terbunuh pada Disember 2010. Namun mayatnya tidak pernah ditemui malah ramai mendakwa melihatnya selepas ‘kematian’ itu. Dia kemudian dikesan masih hidup dan berterusan mengetuai organisasi jenayah berkenaan. - AFP
Terpaksa makan kucing, anjing
Beirut: Tentera Syria didakwa mengguna kelaparan sebagai ‘senjata perang’ ketika mengepung Yarmuk, kem pelarian Palestin di pinggir bandar Damsyik. Dalam laporan yang dikeluarkan Amnesty International semalam, kumpulan hak asasi manusia itu berkata, hampir 200 orang mati di kem berkenaan sejak tentera Syria mengetatkan kepungan mereka pada Julai 2013, termasuk menyekat bantuan perubatan dan makanan. Dalam laporannya berjudul “Menyelamatkan nyawa di Yarmuk: Jenayah perang ke atas orang awam yang dikepung” Amnesty berkata 128 daripada kematian itu berpunca daripada kelaparan. “Keadaan di Yarmuk semakin buruk dengan penduduk yang terkepung kelaparan dan terperangkap tanpa mampu melepaskan diri,” kata jurucakap Amnesty, Philip Luther Kumpulan itu menyifatkan kepungan di Yarmuk sebagai ‘kepungan bersenjata paling kejam yang dilakukan tentera Syria atau pejuang antirejim ke atas suku juta penduduk negara itu”. “Keadaan keluarga yang terdesak sehingga terpaksa menjadikan kucing dan anjing sebagai makanan serta orang awam yang ditembak dengan penembak hendap ketika sedang makan adalah pemandangan biasa di Yarmuk,” katanya. Tentera yang menyokong Presiden Bashar al-Assad mengepung kawasan itu selepas saban hari bertempur dengan pejuang antikerajaan di pinggir Damsyik itu. Keganasan itu memaksa 10,000 dari 170,000 penduduk Yarmuk melarikan diri dari kawasan berkenaan. Mengikut laporan agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kira-kira 20,000 lagi masih terperangkap dan berdepan dengan kesukaran hidup serta kelaparan. Sementara itu, Amnesty mendakwa tentera Syria dan sekutunya melancarkan serangan berulang kali termasuk pengeboman dari udara dan penggunaan senjata berat ke atas bangunan di dalam kawasan yang mereka kepung. “Serangan yang dilancarkan ke atas kawasan orang ramai menyebabkan kematian dan kecederaan. Ia jelas jenayah perang” “Serangan berulang kali yang dilancarkan di kawasan yang padat dengan penduduk hingga tidak membolehkan mereka menyelamatkan diri memberi gambaran kekejaman. “Ia tindakan tidak berperi kemanusiaan dan serangan yang dilakukan atas arahan Bashar itu melanggar prinsip undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” kata Philip. Amnesty turut melaporkan 60 peratus daripada mereka yang masih terperangkap di Yarmuk menderita kekurangan zat makan. “Tindakan tentera pro rejim menggunakan kebuluran sebagai senjata peperangan adalah jenayah perang,” kata Philip dalam satu kenyataan.- AFP
Tentera Zionis tembak mati hakim Jordan
Baitulmaqdis: Tentera Israel semalam menembak mati seorang hakim warga Jordan yang didakwa cuba merampas sepucuk senjata daripada seorang askarnya di pintu sempadan Tebing Barat dan Jordan. Kejadian berlaku di Allenby ketika hakim berkenaan hendak menyeberang dari Jordan memasuki Tebing Barat. Lelaki itu mulanya didakwa warga Palestin. Sehubungan kejadian itu, Israel bertindak menutup pintu sempadan berkenaan. Jurucakap Kementerian Luar Jordan Sabah al-Rafia berkata, pihaknya berusaha mendapat gambaran lebih jelas mengenai kejadian itu daripada pihak berkuasa Israel. Bapa hakim berkenaan, Alaa Zueter berkata, dia ke mahkamah untuk menemui anaknya tetapi gagal. “Saya hanya mengetahui dia ditembak mati oleh askar Israel menerusi media,” katanya. - AFP
Liga Arab enggan iktiraf Israel
Kaherah: Ketua Liga Arab Nabil Elaraby mendesak negara Arab supaya mengambil tindakan tegas terhadap permintaan Israel supaya Palestin mengiktirafnya sebagai negara Yahudi. Nabil yang ditemui selepas pertemuan Menteri Luar Negara Arab di sini berkata, permintaan Israel itu mengganggu usaha mencari jalan penyelesaian dan kedamaian. Minggu lalu, pemimpin Palestin Mahmoud Abbas berkata pihaknya tidak akan mengiktiraf Israel sebagai negara Yahudi selain menegaskan timur Baitulmaqdis tetap akan menjadi ibu negara Palestin. Nabil menggambarkan permintaan Israel berkenaan sebagai satu usaha untuk menggagalkan proses rundingan. Sementara itu, Mahmoud dijadualkan berbincang dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama di Rumah Putih pada 17 Mac ini dalam usaha menyelesaikan konflik di Asia Barat yang sudah berlarutan sejak puluhan tahun. - Agensi
Israel pamer senjata yang dirampas
Eilat, Israel: Israel mempamerkan semua senjata yang dirampas dari sebuah kapal didakwa membawa senjata ke Gaza kononnya untuk ‘membongkar perangai sebenar Iran’ yang didakwa menghantarnya. Pihak tentera mendakwa menemui 40 roket jarak jauh M-302 di atas kapal Klos-C yang ditahan di Laut Merah minggu lalu. Turut ditemui, 181 peluru mortar dan 400,000 peluru 7.62 kaliber. Senjata berkenaan dipamerkan di sidang media yang diadakan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, Menteri Pertahanan Moshe Yaalon dan ketua tentera laut Laksamana Madya Ram Rutberg di Eilat pada jam 2.30 petang (waktu tempatan). Walaupun Iran menafikan pembabitannya, Netanyahu menuduh republik itu berbohong. Hamas turut menafikan tuduhan senjata dalam kapal itu dihantar kepadanya. - AFP
Tembak ibu bapa sebelum bunuh diri
Bangkok: Seorang remaja lelaki menembak mati ibu bapanya sebelum membunuh diri di rumah mereka di Thanyaburi, utara Bangkok semalam. Jurucakap polis berkata, mereka menemui mayat pasangan suami isteri itu bertutup selimut di atas katil, manakala mayat remaja berusia 16 tahun itu ditemui terbaring di lantai dengan sepucuk pistol 9mm di tangannya. Katanya, polis menemui mayat itu kira-kira jam 4 petang di sebuah rumah dua tingkat di daerah Prachathipat. “Semua mayat ditemui dengan kesan tembakan di kepala,” katanya. Abang suspek pula berkata, kejadian mungkin berlaku kira-kira jam 3 pagi kerana mereka biasanya masuk tidur jam 2 pagi. “Saya bangun pagi untuk ke sekolah dan pada tengah hari, saya menelefon rumah tetapi tiada sesiapa menjawab. “Disebabkan curiga, saya bergegas pulang dan mendapati bilik tidur di tingkat atas berkunci,” katanya. Remaja berusia 18 tahun itu kemudian mendapatkan bantuan jiran untuk memecahkan pintu berkenaan. Katanya, suspek mungkin berasa cemburu kerana menganggap ibu bapa mereka tidak adil memberi kasih sayang. - Agensi
Wang senjata menang pilihan raya, Jakarta
Jakarta: Kecenderungan masyarakat memilih pemimpin kerana pengaruh kebendaan menyebabkan Indonesia menjadikan wang sebagai senjata utama bagi memenangi pilihan raya. Ketua Ahli Parlimen Gerindra, Martin Hutabarat berkata, watak, integriti dan tahap intelektualisme seseorang calon tidak lagi menjadi ukuran utama. “Perkiraan utama ialah kemampuan kewangan calon terbabit,” katanya. Justeru, kata Martin, keadaan semasa menyebabkan proses demokrasi yang memang “mahal” menjadi “semakin mahal.” Selepas mengeluarkan wang untuk mendapat jawatan, kata Martin, tokoh politik berlumba-lumba pula mencari sumber kewangan bagi menggantikan modal dikeluarkan. Kenyataan itu disokong penganalisis politik Ucok Sky Khadafi. “Pada masyarakat, bukan ideologi atau ketokohan seseorang diambil kira sebelum memberi sokongan, sebaliknya wang calon terbabit. “Wang juga digunakan untuk merasuah pengendali pilihan raya,” katanya. - Agensi
Ular patuk payudara
Fife (Scotland): Seorang wanita terkejut besar apabila mendapati seekor ular mematuk payudaranya ketika baru bangun tidur. Caroline Griffin, 49 berkata dia dipatuk ketika cuba menghalau reptilia berkenaan dari katilnya “Saya bimbang ular itu berbisa dan saya mungkin mati,” katanya. Ibu empat anak itu mendapati ular sepanjang 1.2 meter dari jenis California kingsnake berada di dadanya sebaik menurunkan selimut. “Pada mulanya saya menyangka anak saya mahu mengenakan saya, tetapi saya mula ketakutan apabila melihat reptilia itu bergerak. “Saya menjerit sekuat hati dan ular itu terus mematuk payudara saya,” katanya. - AFP
Tercekik mata kail
Taipei: Seorang wanita warga emas terpaksa dikejarkan ke hospital selepas tercekik mata kail yang terdapat dalam ikan yang ditangkap cucunya. Wanita itu dilaporkan menjadikan ikan yang ditangkap cucunya itu juadah makan malam mereka. Ketika makan, dia mula merasakan kesakitan yang amat sangat pada tekaknya lalu dikejarkan ke hospital. Selepas pemeriksaan, doktor menemui mata kail dan tangsi sepanjang 13 sentimeter yang masih terikat pada mata kail berkenaan tersekat pada kerongkong wanita itu. Doktor berkata prosedur mengeluarkan “juadah” berkenaan mengambil masa selama 10 minit. - Agensi
Pembunuh menang RM1.4 juta
Chicago: Seorang lelaki yang dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup kerana membunuh tujuh orang di sebuah restoran di pinggir bandar itu pada 1993 memenangi kes saman berjumlah AS$ 451,000 (RM1.4 juta) yang difailkan ke atas seorang pengawal penjara yang didakwa menumbuk mukanya. Saudara mangsa yang dibunuh lelaki itu mengkritik keputusan juri ke atas James Degorski, 41. Degorski dihukum penjara kerana menembak dan menikam dua pemilik restoran dan lima pekerja Brown’s Chicken and Pasta ketika cuba merompak restoran itu. Mayat kesemua mereka ditemui di dalam peti sejuk beku premis itu. James menuduh pengawal di penjara Cook County menumbuknya dan menyebabkan tulang pipi serta soket matanya patah pada 2002, sebaik selepas ditahan dalam kes pembunuhan yang diklasifikasikan sebagai paling kejam dalam sejarah Illinois. “Jika tulang yang patah bernilai hampir setengah juta, berapa pula nilai tujuh nyawa yang melayang di tangannya? “Ini semua mengarut,” kata adik kepada seorang dari pemilik kedai yang dibunuh, Ann Ehlenfeldt. - AFP
Keluarga penumpang China tiba KLIA
AHLI keluarga penumpang pesawat MH370 dari China memasuki sebuah di hotel di Putrajaya.
Sepang: Sebuah pesawat dari Beijing, China yang membawa anggota keluarga penumpang pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 8 pagi tadi. Difahamkan, semua warga China itu dibawa oleh MAS untuk mengikuti perkembangan dan laporan terkini mengenai insiden kehilangan pesawat berkenaan. Setakat ini, pihak media yang menunggu sejak jam 7 pagi masih gagal menemubual mereka. Selain itu, kelihatan di Bilik Taklimat Anak Kapal adalah sukarelawan Tzu-Chi Malaysia yang datang untuk memberikan sokongan kepada ahli keluarga penumpang. Seramai 152 penumpang warga China yang menaiki pesawat itu, Sabtu lalu.
Penumpang `hantu' bukan orang Asia
SEPANG: Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman hari ini mengesahkan bahawa kedua-dua penumpang lelaki yang menaiki #dimanaMH370 menggunakan pasport curi, tidak memiliki wajah Asia. "Kami berulang kali melihat semua gambar video, mereka tidak menyerupai lelaki Asia," katanya pada sidang akhbar - taklimat terakhir dari pihak berkuasa Malaysia untuk hari ini. Azharuddin enggan menjawab pertanyaan sama ada lelaki itu mempunyai rupa Afrika, tetapi menyatakan hal itu masih disiasat oleh pakar keselamatan. Beliau menegaskan selepas meneliti video (CCTV) dari kawasan berlepas, semua protokol keselamatan dipatuhi. "Ada kemungkinan wujud sindiket pasport curi," kata beliau. Azharuddin berkata radius operasi mencari Boeing 777-200 milik Malaysia Airlines itu diperluaskan dari 50 batu nautika kepada 100 batu nautika dalam kawasan laut Igari hingga ke Sumatra Utara di kawasan darat. Beliau berkata, operasi itu yang masih dipanggil operasi mencari dan menyelamat selepas masuk hari ketiga, dijalankan `dari blok ke blok'. "Kapal dan pesawat ditugaskan meliputi setiap blok. Seterusnya kita akan perluaskan lagi (kawasan liputan)," kata beliau. Terdapat dua kawasan carian utama. Satu di pantai timur Semenanjung Malaysia, satu lagi di Selat Melaka.
DCA tidak tolak MH370 mungkin dirampas
SEPANG - Jabatan Penerbangan Awam (DCA) tidak menolak kemungkinan pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 ke Beijing yang dilaporkan hilang dari radar sejak Sabtu lalu, dirampas. Namun, menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Azharuddin Abdul Rahman, pihaknya memerlukan bukti kukuh bagi mengesan apa yang berlaku ke atas MH370 itu. “Pada tahap ini, kami tidak menumpukan pada mana-mana kemungkinan. Kami melihat pada semua sudut tentang apa yang mungkin berlaku pada pesawat tersebut,” katanya pada sidang media di Hotel Sama Sama, hari ini. Bagi mengesahkan apa yang berlaku, DCA tetap memerlukan bukti kukuh dalam bentuk bangkai pesawat. “Malangnya, kita masih tidak dapat menemui mana-mana bahagian pesawat ataupun mengesan lokasinya,” katanya. Sehingga jam 7 malam, masih tiada sebarang penemuan dilaporkan daripada mana-mana unit yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat di kawasan-kawasan terlibat.
Remaja maut dilanggar pemandu mengantuk
KOTA TINGGI - Seorang penuntut lelaki sebuah kolej di Singapura maut selepas kereta dipandunya dirempuh sebuah lori yang terbabas dari arah bertentangan di Km 38.2, Jalan Johor Baharu-Mersing, berhampiran Kampung Batu 25, hari ini. Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Rahmat Othman berkata dalam kemalangan pada kira-kira 5 pagi itu, Roy Teng Guangwei, 24, mati di tempat kejadian manakala pemandu lori, Roslan Paiman, 31, cedera parah. "Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada pemandu lori yang disyaki mengantuk dan masuk laluan bertentangan. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat," katanya kepada pemberita di sini. - Bernama
'Polis' palsu tipu keluarga OKT
KOTA KINABALU - Seorang lelaki dipercayai menyamar sebagai pegawai polis dan menipu keluarga orang kena tahan (OKT) di beberapa daerah di Sabah ditahan berhampiran bangunan Majlis Perbandaran Sandakan, dekat sini, hari ini. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sabah Supt Saiman Kassim berkata suspek berusia 51 tahun itu ditahan pukul 8.40 pagi dan siasatan awal mendapati dia terlibat 10 kes penipuan iaitu empat kes di Kota Kinabalu, Papar (dua), Tawau (dua) dan masing-masing satu kes di Kinabatangan serta Lahad Datu. Beliau berkata modus operandi suspek menghubungi keluarga OKT menawarkan bantuan membebaskan tahanan dari lokap dan sebagai balasan mangsa perlu membayar antara RM500 dan RM1,000 serta tambah nilai telefon bimbitnya bergantung kepada jenis kesalahan yang dilakukan. "Sekiranya anggota keluarga OKT bersetuju, suspek akan memberi nombor akaun CIMB dan Maybank. Kita turut merampas dua keping kad sim dipercayai digunakan dalam kegiatan itu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Suspek kini ditahan reman bagi siasatan lanjut. Sehubungan itu, Saiman menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati apabila berurusan dengan individu yang tidak dikenali terutama melalui telefon atau khidmat pesanan ringkas. - Bernama
No comments:
Post a Comment