Wednesday, March 19, 2014

Berita Terkini 19 Mac 2014

Foto
Laung azan 4 penjuru oleh penyelamat
ANGGOTA bomba mengangkat mayat mangsa lemas di tasik, semalam. Shah Alam: Laungan azan pada empat penjuru tasik berhampiran hadapan pusat beli-belah di Puncak Alam, di sini, dilakukan penduduk membantu pasukan bomba dan penyelamat mencari mayat remaja, Mohd Ikmal Hakim Kamarul Bahrin, 13, yang lemas di kawasan itu sejak petang kelmarin. Mayat mangsa dipercayai terperangkap di dasar tasik dinaikkan unit skuba bomba dan penyelamat sejurus azan selesai berkumandang jam 4.30 petang semalam. Mangsa sebelum itu dikatakan tergelincir ke dalam tasik jam 4.30 petang kelmarin ketika cuba mengambil basikalnya yang terjatuh berhampiran tasik berkenaan. Rakan mangsa, Mohd Nur Fikri Emir, 13, berkata, ketika kejadian dia dan mangsa bersiar-siar di taman berkenaan dan bercadang mahu pergi ke pusat beli-belah berkenaan. Menurutnya, basikal dinaiki mangsa hilang kawalan lalu terjatuh ke dalam tasik menyebabkan arwah cuba mengambil basikal itu sebelum tergelincir. “Dia meminta tolong dan saya cuba membantunya. Saya sempat memegang tangannya, namun pegangan tangan kami terlepas kerana licin,” katanya. Menurutnya, mangsa terus tenggelam dan gagal dibantu. “Kami ke kawasan itu selepas menyiapkan kerja sekolah diberi cikgu. Saya tidak menyangka ia berakhir begini,” katanya. Sementara itu, bapa mangsa mengucapkan terima kasih kepada semua pihak dan bersyukur kerana mayat anak keduanya itu ditemui.

Batal konsert: FMFA akan pulangkan bayaran
‘Kami tak jual pil khayal’
Banting: Dua penjenayah bersenjatakan pistol berjaya diberkas polis kira-kira enam jam selepas merompak seorang pengurus restoran di sebuah rumah di Sungai Jarom, di sini. Suspek berusia 30-an itu yang juga pengedar dadah ditahan anggota polis Daerah Kuala Langat jam 8.30 pagi kelmarin selepas operasi memburu suspek dilakukan secara besar-besaran. Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azman Abdul Razak berkata, kumpulan penjenayah sebelum itu dikesan merompak mangsa yang sedang membuka pintu pagar rumahnya jam 2 pagi kelmarin. Menurutnya, mangsa berusia 52 tahun yang diacukan pistol di kepala kemudian dipaksa masuk ke dalam rumah sebelum diikat menggunakan wayar bersama isteri dan anak lelakinya. “Suspek kemudian menggeledah kediaman itu sebelum melarikan diri bersama telefon bimbit dan wang tunai milik mangsa. “Sepasukan anggota polis diketuai Inspektor Mohd Azan Saranon yang dimaklumkan berhubung kejadian itu segera melakukan gerakan memburu suspek. Penjenayah akhirnya dikesan bersembunyi di sebuah rumah kedai di Bandar Parkland, Klang, di sini, jam 8.30 pagi kelmarin,” katanya pada sidang media di pejabatnya, semalam. Beliau berkata, polis kemudian melakukan serbuan sebelum berjaya menahan kedua-dua suspek. “Hasil pemeriksaan polis menemui sepucuk pistol model Glock bersama dua butir peluru yang disorokkan di bahagian pinggang hadapan suspek berusia 35 tahun itu. “Lelaki itu mengaku menyimpan senjata api terbabit sejak 12 tahun lalu tanpa lesen senjata api yang sah,” katanya.

12 tahun simpan pistol, untuk merompak
Kuala Lumpur: “Dakwaan itu tidak benar dan bohong sama sekali. Sebagai penganjur, kami mempunyai polisi tidak bertolak-ansur dan menentang sepenuhnya penggunaan dadah terlarang (dalam kalangan penonton).” Demikian kenyataan tegas menerusi e-mel daripada Pengarah Livescape Asia, Rahul Kukreja berhubung dakwaan terbaru mengatakan penganjur konsert Future Music Festival Asia (FMFA) 2014 itu menawar dan menjual pil khayal mengandungi dadah terlarang kepada penonton. Rahul berkata, peringatan dan amaran terhadap penggunaan dadah pada konsert itu sudah dinyatakan secara jelas kepada semua pengunjung. “Kami menekankan beberapa langkah pencegahan bagi mengelakkan penyalahgunaan bahan terlarang seperti dadah pada konsert itu. “Malah, kami turut menekankan larangan itu pada pembelian tiket dan sebagai syarat dan terma untuk memasuki konsert. “Malah, terdapat banyak tanda larangan antidadah yang diletakkan di depan pintu masuk tapak konsert, selain mesej antidadah yang dimuat naik di laman sosial kami,” katanya. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan penggunaan dadah di luar kawalan hingga membawa kepada insiden yang meragut enam nyawa penonton ketika konsert di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, awal pagi Sabtu lalu. Mangsa terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita berusia 19 hingga 27 tahun. Rahul berkata, sebagai penganjur, Livescape mematuhi segala peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa bagi membolehkan konsert itu mendapat kelulusan. Katanya, Livescape melakukan pemantauan dengan teliti terhadap gerak laku penonton bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini. Justeru, dakwaan mengatakan penganjur bersikap sambil lewa dan lepas tangan terhadap penggunaan dadah dalam kalangan penonton adalah tidak benar sama sekali. “Kami mengambil langkah keselamatan yang ketat bagi mengawal dan mengelakkan kemasukan bahan terlarang ke tapak konsert termasuk pemeriksaan beg penonton pada pintu masuk. “Malah, terdapat dua balai polis bergerak pada dua pintu masuk termasuk 100 pegawai yang memantau di tapak konsert, 280 staf keselamatan dan 80 anggota RELA,” katanya yang bersimpati dengan kes kematian yang dilaporkan.

Foto
KR1M Diskaun hingga 46%
HASAN (kanan) menunjukkan sayur-sayuran yang dijual di premis KR1M. Cheras :Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memperluaskan barangan basah di 10 rangkaian di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di sekitar Lembah Klang dan Selangor dengan diskaun antara 10 hingga 46 peratus jauh lebih murah dari pasar awam. Menterinya Datuk Seri Hasan Malek berkata, pelaksanaan penjualan barang basah di KR1M bermula 1 Mac lalu dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. “Ini bertujuan memberi pilihan kepada pengguna bagi mendapatkan barangan keperluan bukan saja barangan kering, tetapi juga basah di satu tempat. “Sebagai permulaan 10 outlet KR1M di sekitar Lembah Klang dan Selangor iaitu Pasar Awam Presint 16, Putrajaya, Bandar Tun Razak, Gombak, Wangsa Maju, Ara Damansara, Pandan Mewah, Dataran Mentari, Bukit Rahman Putra, Bukit Beruntung dan Selayang dipilih sebagai projek perintis,” katanya selepas Program Walkabout KR1M di Bandar Tun Razak, di sini, semalam. Katanya, barangan basah yang dijual seperti ikan sejuk beku, ayam dan sayuran terpilih dengan harga antara 10 hingga 47 peratus. “Semua barangan yang diletakkan di KR1M akan dibungkus berdasarkan kepada kuantiti tertentu dan harga yang seragam. “Barangan basah dibekalkan Lembaga Pertanian Persekutuan (FAMA), Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMenurutnya, barangan seperti kubis, tomato, cili merah, timun, lobak merah, halia tua, terung, kacang panjang, kacang buncis dan cili padi serta tujuh ikan iaitu kembung, selar, pelaling, cencaru, selayang dan keli serta ayam. “Kerajaan berharap pelaksanaan penjualan barangan basah di KR1M dapat membantu pengguna,” katanya.

Foto Foto
Jasad dalam lubuk, trajedi Gunung Bubu
MUHAMAD Putera Rafii (kiri) dan Siti Azimah ditemui selamat di tebing Sungai Gading. Kuala Kangsar: “Kedua-dua mangsa ditemui dalam kawasan lubuk di Sungai Gading berhampiran Gunung Bubu. Berdasarkan keadaan mayat, saya percaya mereka lemas pada hari mereka dilaporkan hilang,” kata bapa saudara Muhammad Amir Ashraf Baharuddin, seorang daripada dua pelajar tingkatan lima Kolej Vokasional Padang Rengas, di sini, yang ditemui mati lemas petang semalam. Dia yang enggan dikenali berkata, mayat Amir Ashraf ditemui selepas lebih 49 jam didapati hilang bersama tiga rakannya yang lain ketika menyertai aktiviti mendaki Gunung Bubu, Hutan Lipur Ulu Kenas di sini. Dalam penemuan jam 3.30 petang, semalam itu, Allahyarham bersama seorang rakannya Adam Asraf Azman, 17, ditemui beberapa jam selepas dua lagi rakannya Muhamad Putera Rafii, 17, dan Siti Azimah Mohd Fitri, 17, dijumpai dalam keadaan selamat pada jam 9 pagi di tebing Sungai Gading 13 kilometer dari kaki Gunung Bubu. Menurutnya, mayat Muhammad Amir dan Adam Asraf ditemui bersama dalam lubuk yang airnya sedalam 1.5 meter dan mereka dipercayai lemas ketika cuba menyeberangi sungai berkenaan. “Kami sekeluarga reda dengan pemergian arwah dan menerima takdir, namun terkilan dengan cara pihak kolej menangani insiden terjadi. “Banyak pertanyaan perlu dijawab kerana mengapa keempat-empat pelajar berkenaan boleh tercicir daripada kumpulan besar 21 pelajar lain serta enam guru pengiring ketika turun dari puncak gunung dan lebih membuat kami terkilan, kehilangan mereka disedari selepas kumpulan mendaki itu tiba di kaki gunung,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. Menurutnya, guru pengiring sepatutnya sentiasa memastikan semua ahli kumpulan cukup dan bergerak bersama-sama tanpa ada yang ketinggalan hingga boleh menyebabkan perkara sebegini berlaku. “Kami terima apa terjadi dan harap kejadian ini menjadi pengajaran kepada semua supaya tidak akan berulang lagi,” katanya. Sementara itu, bapa Allahyarham Adam Asraf yang mahu dikenali sebagai Azman, 44, berkata, dia mengetahui aktiviti pendakian gunung disertai anak sulungnya itu, namun tidak sangka berakhir dengan tragedi. “Kali terakhir saya menemuinya pada Ahad minggu lalu ketika menghantar pelbagai barang diperlukannya untuk mendaki, tidak sangka itu kali terakhir kami bertemu.

Foto
Belasahan di bilik kurungan
ANGGOTA polis membawa suspek untuk tindakan lanjut. Klang: “Mereka tutup mata dan ikat tangan kami. Kami kemudian dibelasah dan dikurung di dalam sebuah bilik tanpa diberi makan,” kata seorang daripada tiga mangsa culik warga Bangladesh dan Myanmar yang diselamatkan anggota polis di sebuah bilik hotel bajet, di Jalan Lebuh Tapah, di sini, kelmarin. Mangsa yang berusia lingkungan 20-an bersama dua lagi rakan sekerjanya diculik tiga lelaki tempatan yang menyamar anggota polis kira-kira jam 4.30 pagi Ahad lalu ketika mereka sedang bekerja di Pasar Borong, Jalan Meru, di sini. Penjenayah yang mendera semua mangsa kemudian meminta wang tebusan RM70,000 daripada majikan mangsa. Semua mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan sepasukan anggota polis Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, petang kelmarin sejurus menerima maklumat berhubung kejadian culik di lokasi awam berkenaan. “Mereka (suspek) datang dengan memakai jaket polis sebelum meminta kami menunjukkan dokumen perjalanan masing-masing. Mereka menuduh kami tidak mempunyai permit kerja sah. “Kami kemudian dipaksa menaiki sebuah kereta sebelum diikat dan dipukul. Mata kami ditutup sebelum dibawa ke lokasi tidak diketahui,” katanya. Menurutnya, mereka tidak diberi makan dan minum lebih sehari oleh kumpulan penjenayah terbabit, “Bagaimanapun, saya bersyukur kerana kami akhirnya diselamatkan polis petang semalam (kelmarin),” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd Shukor Sulong berkata, mangsa bernasib baik kerana kejadian culik itu disaksikan orang ramai yang kemudian membuat laporan jam 8 pagi hari kejadian. “Berdasarkan maklumat itu, seramai 11 pegawai dan anggota D7 IPD Klang Utara dengan bantuan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor diketuai Inspektor Mohd Anuar Ibrahim segera menjalankan operasi mengesan suspek. “Hasilnya, polis berjaya menahan dua lelaki di kawasan tapak pembinaan di Taman Klang Perdana, di sini, jam 6 petang, semalam (kelmarin),” katanya. Menurutnya, susulan tangkapan itu, suspek membawa polis ke sebuah hotel bajet di Jalan Lebuh Tapah, di sini, yang dijadikan lokasi untuk menyembunyikan semua mangsa di dalam sebuah bilik disewa. “Ketika ditemui, mangsa dalam keadaan lemah selain tangan, kaki serta mata mereka diikat,” katanya. Mohd Shukor berkata, mangsa dikawal tiga lagi suspek membabitkan seorang lelaki warga tempatan, Myanmar dan juga Bangladesh yang bekerja di hotel itu. “Seorang wanita dipercayai kekasih kepada salah seorang suspek turut ditahan di sebuah rumah di Jalan Taiping, di sini, selepas dipercayai bersubahat bagi membolehkan wang tebusan dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya,” katanya. Menurutnya, suspek utama kes itu berusia 37 tahun mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan samun dan dadah.

Foto
PT3 laksana di peringkat sekolah
MUHYIDDIN beramah mesra dengan ahli Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) bersama Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh (kiri), semalam. Kuala Lumpur: Penilaian Menengah Rendah (PMR) akan digantikan dengan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang dilaksanakan di peringkat sekolah, kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Menurut beliau, pelaksanaan PT3 masih sama seperti pentaksiran yang dibuat sekolah untuk menilai pencapaian murid tahap lain cuma ia mempertimbangkan keperluan bagi kemasukan ke sekolah berasrama penuh di tingkatan empat. “Bagi menangani tanggapan sesetengah pihak termasuk ibu bapa yang mungkin menyifatkan tiada keseragaman antara sekolah dalam PT3, kita meminta Lembaga Peperiksaan (LP) mainkan peranan dengan menyediakan soalan dalam data bank mengikut pemberatan seperti soalan susah, soalan kurang susah dan soalan senang. “Langkah ini disetarakan supaya tiada sekolah yang hanya mengambil soalan senang malah apa yang ditaksir di peringkat sekolah diverifikasi pasukan dilantik LP untuk memastikan perbezaan tak ketara,” katanya. Menerusi PT3, ibu bapa yang memerlukan keputusan PT3 boleh memohon kepada sekolah untuk dikeluarkan slip keputusan bagi tujuan kemasukan ke sekolah berasrama penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) serta Sekolah Menengah Teknik (SMT) dan Kolej Vokasional. Muhyiddin berkata, keputusan PT3 akan digunakan sebagai asas memasuki sekolah berkenaan bersama Ujian Psikometrik yang bermakna, tiada lagi ujian lain perlu dilakukan untuk tujuan itu. “Ia akan dibuat di sekolah, bukan secara peperiksaan awam berpusat seperti PMR yang mana sekolah akan maklumkan keputusan pentaksiran terbabit. Sijil juga tidak lagi dikeluarkan seperti PMR sebelum ini,” katanya. Bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, pelaksanaan PT3 akan menggunakan instrumen pentaksiran ujian bertulis dan lisan manakala Sains, Matematik, Pendidikan Islam, Kemahiran Hidup, Bahasa Arab, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Iban dan Bahasa Kadazandusun hanya ditaksir secara bertulis.

Penggunaan PBS kurang beban 80 peratus
Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan mengumumkan tiga penambahbaikan berhubung Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang dijangka mengurangkan sehingga 80 peratus bebanan guru berkuat kuasa 1 April ini. Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia merangkumi Dokumen Standard Prestasi (DSP) yang dipermudah menjadi Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid, pemansuhan Fail Perkembangan Murid (FPM) dan Rekod Transit serta Sistem Pengurusan PBS (SPPBS) yang dihentikan. “Apa yang menjadi beban kepada guru sepanjang tiga tahun lalu adalah keperluan memasukkan data penting khususnya deskriptor dan evidens yang terlalu kompleks ke dalam SPPBS secara online (dalam talian). “Sekarang tak perlu lagi. Maklumat penguasaan murid yang ada pada guru boleh disimpan dalam sistem masing-masing secara offline saja dan ia juga mengikut kesesuaian masa dan keadaan guru berkenaan,” katanya pada sidang media di sini, semalam. Menurutnya, bilangan pernyataan deskriptor dan evidens yang dikurangkan juga secara tidak langsung membolehkan guru memberi tumpuan kepada Pengajaran dan Pembelajaran (PDP) di bilik darjah. Muhyiddin berkata, pada peringkat ini, maklumat penguasaan murid yang direkodkan secara offline dalam tempoh tertentu boleh diguna untuk menyesuaikan pengajaran mereka dengan tahap kefahaman dan penerimaan murid mengenai sesuatu tajuk. “Maklumat ini masih penting bukan saja untuk kemudahan guru mengajar malah boleh diguna untuk ditunjukkan kepada ibu bapa yang ingin mengetahui tahap pencapaian anak mereka,” katanya. Mengulas lanjut, Muhyiddin menjelaskan, kursus yang bersesuaian untuk menerangkan perkara itu mungkin boleh dilaksanakan jika wujud keperluan, namun beliau yakin guru lebih mahir dengan pelaksanaan rekod yang kini dipermudah. “Mungkin kita akan adakan kursus selama dua tiga hari dan waktu yang sesuai boleh diaturkan. Ia boleh berterusan sehingga hujung tahun kalau guru perlu dilatih tapi pelaksanaan sudah ditetapkan pada 1 April ini,” katanya. Surat pekeliling berhubung perkara itu diedar bermula semalam kepada semua guru dan pengetua/guru besar serta pegawai di peringkat negeri dan daerah. Difahamkan, SPPBS yang mula dilaksanakan pada 2011 menjadi isu kepada kebanyakan guru apabila ia dikatakan sukar diakses serta memakan masa yang lama sehinggakan ada guru terpaksa berjaga malam semata-mata untuk memasukkan data setiap murid untuk setiap mata pelajaran diajar. Setiap mata pelajaran juga mempunyai deskriptor dan evidens yang perlu dimasukkan oleh guru bagi setiap murid dalam tempoh tertentu sepanjang tahun.

10 hari tiada khabar
Kuala Lumpur: “Kami hanya bertengkar sebentar dan berpisah sebelum dia tiba-tiba dibawa pergi oleh kereta peronda polis di depan mata saya,” kata seorang kakak mengenai kehilangan adiknya yang langsung tiada khabar berita sejak 10 hari lalu. Rahmahbi Sulaiman, 23, berkata adiknya, Shadikah Sulaiman, 17, pergi ke arah perhentian bas, selepas bertengkar mengenai kerja rumah sebelum dia singgah makan di kedai berhampiran rumah pada 8 Mac 2014, jam 12.30 tengah hari di Selayang berhampiran pasar raya NSK. “Saya hanya duduk sebentar di kedai itu dan nampak adik di perhentian bas sebelum dia didatangi dua orang anggota polis yang membawa adik masuk ke dalam kereta dan tidak sempat mengejar kereta tersebut,” katanya yang ditemui bersama ayahnya, Sulaiman Ibrahim, 52, di sini semalam. Wakil penduduk kawasan itu, Mohd Amin Salamatula, 44, berkata dia menolong keluarga berketurunan Myanmar ini yang jelas risau mengenai kehilangan anak bongsu daripada enam beradik kerana mereka tidak begitu fasih berbahasa Melayu. “Kami sudah pun membuat laporan polis di Selayang mengenai kehilangan Shadikah malah turut pergi mencari di balai polis yang lain kerana khuatir dia di dalam lokap walaupun dia tidak pernah terbabit dengan apa-apa kes jenayah ataupun masalah sosial. “Malangnya kami tidak berjaya menemukan Shadikah dan pihak polis juga masih lagi membuat siasatan, lalu kami mengambil keputusan untuk memberitahu media agar pencarian ini menemukan hasil,” katanya. Mereka juga menolak kemungkinan diculik kerana tidak pernah menerima apa-apa panggilan dan berharap orang ramai dapat membantu menyalurkan maklumat kerana tidak tenang melalui kehidupan seharian. Sebarang maklumat orang ramai boleh menghubungi Amin di talian 017-2518661 jika menjumpai Shadikah yang berambut hitam, panjang hingga ke pinggang dan pada hari kejadian memakai baju berwarna oren dan hitam serta seluar jeans warna-warni.

Pesawat dilapor terbang guna Mod F
Kuala Lumpur: Penerbangan MH370 dipercayai dikesan buat kali terakhir oleh menara kawalan sebuah negara di lingkaran Koridor Utara beberapa jam selepas berpatah balik dari kawasan Igari, Laut China Selatan. Harian Metro difahamkan, dengan menggunakan Mod F (Friendly) untuk kategori pesawat bukan musuh, MH370 yang sebelumnya dikesan melalui ruang angkasa antarabangsa menuju ke Pulau Perak di Selat Melaka, kemudian dikesan menghala ke arah perjalanannya ke kawasan Laut Andaman. Menurut sumber, penerbangan MH370 yang terbang tanpa sebarang identiti asalnya (MH370) kerana sistem isyarat transmisi dimatikan seseorang dari dalam pesawat kemudian dikesan memasuki koridor utara di Lautan Hindi dan terus menuju ke ruang angkasa India. “Berdasarkan pemeriksaan awal, pasukan keselamatan menjalankan operasi pencarian menemui petunjuk terdapat sistem pengesanan radar menara kawalan trafik di negara yang terdapat dalam koridor utara. Menara kawalan itu menerima isyarat mengenai kehadiran MH370 ke dalam ruang udara negara mereka. “SBagaimanapun, sehingga kini masih tiada pengesahan dibuat mengenai kedudukan sebenar pesawat berkenaan, namun sekiranya negara terbabit dapat mendedahkan sistem radar mereka ia sedikit sebanyak dapat membantu negara mengesan MH370,” katanya. Sumber itu berkata, ada beberapa negara dilapor cuba menyembunyikan segala maklumat berhubung pengesanan radar mereka biarpun mempunyai petunjuk mengenai laluan pesawat itu yang terbang tanpa data pengenalan pesawat. “Ini mungkin disebabkan, perkongsian maklumat berkenaan dianggap mendedahkan sistem pertahanan negara mereka kepada pihak luar,” katanya satu persoalan utama masih belum terjawab, siapakah bertanggungjawab memberikan kod diplomatik penerbangan kepada pengendali penerbangan MH370 setiap kali memasuki ruang udara sesebuah negara.

China dakwa tiada bukti
Kuala Lumpur: Duta China ke Malaysia, Huang Huikang menolak kemungkinan rakyat negaranya yang berada dalam pesawat MH 370 terbabit dalam senario rampasan atau sabotaj pesawat berkenaan. Ini berikutan tiada bukti menunjukkan pembabitan rakyatnya dalam senario keganasan dan kerajaan China juga sudah menjalankan penyiasatan terperinci mengenai rakyatnya. Huang berkata, China sudah memulakan usaha pencarian di Koridor Utara dan sembilan kapal laut sudah bersedia untuk mencari di Koridor Selatan selepas selesai usaha pencarian di Laut China Selatan. Berdasarkan maklumat terkini, kawasan pencarian baru merangkumi Koridor Utara dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke utara Thailand dan Koridor Selatan dari Indonesia hingga selatan Lautan Hindi. “Disebabkan wujud unsur jenayah dalam kehilangan pesawat, ia tidak sesuai didedahkan kepada umum sekarang,” katanya. Sebelum ini, ada pihak mengaitkan pembabitan warga negara berkenaan yang terdiri daripada masyarakat minoriti dalam kehilangan pesawat berkenaan. Sementara itu, Reuters melaporkan China menggunakan 21 satelit miliknya dalam usaha mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang membawa 239 penumpang termasuk 12 anak kapal. Jurucakap Kementerian Luar China, Hong Lei berkata demikian pada satu taklimat harian mengenai misi mencari dan menyelamat (SAR) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu. Katanya, China sudah mencari pesawat berkenaan di wilayah mereka yang terletak di Koridor Utara. Bagaimanapun, katanya, tiada sebarang petunjuk selepas operasi SAR itu memasuki hari ke-11. Namun, anggota penyiasat mempercayai pesawat berkenaan dirampas dan dialihkan oleh seseorang yang mempunyai pengalaman dalam pengendalian kapal terbang dan navigasi komersial. - BERNAMA

Foto Foto
Radar 7 negara tiada petunjuk
SEORANG anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Kebangsaan Indonesia meneropong Laut Andaman di utara Pulau Sumatra, semalam dalam usaha menjejaki penerbangan MH370.Kuala Lumpur: Tujuh negara mengesahkan pesawat penerbangan MH370 yang dilaporkan hilang 8 Mac lalu tidak dikesan radar atau satelit milik negara mereka sekali gus menolak kemungkinan ia terbang memasuki ruang udara negara berkenaan. Negara yang mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu ialah Pakistan, Kazakhstan, Kyrgyzstan, India, China, Indonesia dan Australia. Pegawai Penerbangan Pakistan, India dan Asia Tengah menegaskan tiada sebarang maklumat atau petunjuk MH370 yang hilang pada 8 Mac lalu melalui ruang udara wilayah mereka. Reuters juga melaporkan kerajaan India secara rasminya menafikan kemungkinan pesawat berkenaan melalui ruang udara negara berkenaan, namun kenyataan itu meragukan. “Dakwaan kapal terbang melalui ruang udara India selama beberapa jam tanpa sesiapa menyedari adalah mustahil,” kata seorang pegawai Kementerian Pertahanan yang enggan dikenali. Menurut Reuters, negara Asia Tengah iaitu Kazakhstan dan Kyrgyzstan, yang terletak di bahagian akhir Koridor Utara juga mengesahkan tidak mengesan sebarang pesawat memasuki ruang udara negara itu pada hari ia dilaporkan hilang. Jawatankuasa Penerbangan Awam Kazakh berkata, sekalipun semua peralatan di dalam pesawat berkenaan dipadamkan, ia mustahil terbang dalam keadaan senyap selain menegaskan ruang udara mereka turut dipantau pasukan tentera. Bagi jurucakap kumpulan militan Taliban di Afghanistan, Zabihullah Mujahid dakwaan menyatakan pesawat itu mungkin terbang di kawasan pergunungan atau sempadan antara Afghanistan dan Pakistan adalah tidak benar.

Maut lepas 16 jam jatuh
Shah Alam: Seorang budak perempuan berusia tiga tahun maut akibat pendarahan dalam kepala selepas 16 jam mangsa terjatuh di dalam bilik air di rumah bapa saudaranya di Taman Air Manis, Sabak Bernam, kelmarin. Sumber berkata, dalam kejadian jam 5.30 petang kelmarin, insiden itu hanya disedari bapa saudara mangsa berusia 17 tahun selepas menemui mangsa dalam keadaan separuh sedar di dalam tandas berkenaan. Bagaimanapun mangsa tidak dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan berikutan didakwa pulih. “Bagaimanapun, kira-kira jam 6 pagi semalam, mangsa didapati, muntah-muntah sebelum mengalami sesak nafas dan tidak sedarkan diri. “Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Sabak Bernam untuk mendapatkan rawatan namun mangsa disahkan mati kira-kira jam 10 pagi tadi (semalam),” katanya.

3 ahli ‘Macau Scam’ perdaya nenek tumpas
Subang Jaya: Tiga ahli sindiket ‘Macau Scam’ yang menyamar sebagai pegawai bank berjaya diberkas polis, Sabtu lalu, selepas menipu seorang nenek supaya memindahkan wang berjumlah lebih RM1 juta. Suspek yang berusia 30-an dikesan berjaya memperdaya mangsa berusia 68 tahun itu dengan mendakwa kononnya kad kredit mangsa digunakan individu tidak dikenali. Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahya Ramli berkata, ahli sindiket terbabit menghubungi mangsa dengan memperkenalkan dirinya sebagai pegawai di sebuah bank terkemuka. “Dalam perbualan itu, suspek mendakwa mangsa mempunyai hutang kad kredit dengan bank berkenaan. “Suspek mendakwa ada individu menyamar dan menggunakan identiti mangsa untuk memohon kad kredit dan menggunakannya,” katanya pada sidang media di pejabatnya semalam. Menurutnya, mangsa diarah menghubungi seorang lagi pegawai didakwa bertugas di Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membolehkan pemindahan wang dilakukan segera. “Mangsa yang percaya dengan kata-kata suspek akur memindahkan semua wang simpanannya ke akaun bank diberikan suspek sebelum menyedari ditipu,” katanya. Menurutnya, susulan laporan itu, polis menahan tiga suspek warga asing.

Foto
Gempar bom atas rumput
BOM tangan diletupkan UPB, semalam. Kapar: “Saya terkejut apabila melihat sesuatu seperti bom berada atas rumput berdekatan kedai saya. Bimbang bom berkenaan meletup, saya terus menghubungi polis,” kata seorang lelaki mengenai penemuan sebutir bom tangan di persimpangan Jalan Klang Sentral/KU5 di sini, semalam. Beliau yang enggan dikenali berkata, bom berkenaan dipercayai diletakkan individu tidak dikenali malam kelmarin sebelum ditemui pagi semalam. Menurut lelaki itu, sebelum dia menutup kedai kelmarin, tiada sebarang objek yang mencurigakan di kawasan berkenaan. Penemuan bom tangan atas rumput yang ditutupi pelepah pokok pinang itu membuatkan pengunjung dan orang ramai yang berada di kawasan itu gempar. Ini kerana picu bom tangan berkenaan sudah ditarik individu tertentu, namun keadaan komponen berhampiran picu yang berkarat menyebabkan objek kecil berhampiran picu tidak terpelantik, sekali gus menghalang ia daripada meletup. Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong berkata, pihaknya menerima panggilan jam 10 pagi sebelum sepasukan polis bergegas ke tempat kejadian. Menurutnya, sebutir bom tangan yang dipercayai dibawa dari luar negara ditemui dan ia didapati sudah ditarik picunya menyebabkan anggota polis terpaksa meletakkan benteng pasir sebagai langkah keselamatan. Beliau berkata, Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dipanggil dan memaklumkan bom berkenaan perlu diletupkan. “Pemeriksaan pegawai dan anggota UPB mendapati picu bom tangan berkenaan sudah ditarik namun ia tidak meletup kerana terdapat komponen pada bom terbabit berkarat. “UPB menggunakan alat kawalan jauh kira-kira jam 12.30 tengah hari untuk meletupkan bom tangan berkenaan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam. Katanya, setakat ini, polis akan mengambil keterangan daripada pemilik kedai berhampiran tempat kejadian untuk mengumpul bukti dan tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini.


Pindah bukan kerana merajuk
Perjalanan seninya dilihat semakin bersinar. Bermula dari bawah kini dia mampu berdiri setanding artis popular sedia ada. Tidak hanya bersandarkan bakat pada lakonan semata-mata, artis jelita Soo Wincci semakin menyerlah dalam bidang nyanyian juga. Memberanikan diri mencuba pasaran luar negara iaitu Taiwan, gadis yang mesra dengan panggilan Wincci ini tidak menyangka rezekinya begitu murah di sana sehingga dia juga mula dikenali sebaris artis popular di sana. Dengan mempertaruhkan lagu Cina berjudul Happiness dan Not Brave, Wincci tidak menyangka lagu berkenaan mampu bertahan di dalam carta popular di negara berkenaan. “Saya gembira, pengorbanan melaburkan wang yang begitu banyak di sana berbaloi dan membuahkan hasil. Sepanjang tahun lalu, saya sibuk dengan pelbagai aktiviti yang sudah di atur di sana.

Foto
Ramdan Misbun buka mata BAM
Kuala Lumpur: Kecemerlangan pemain perseorangan lelaki Misbun Ramdan Misbun menjuarai Kejohanan Siri Antarabangsa Romania dengan menewaskan pencabar dari Poland Adrian Dziolka 15-21, 21-8, 21-16 di aksi final kelmarin, membuka mata Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menyenaraikannya dalam pemilihan skuad Piala Thomas negara. Setiausaha Kehormat BAM Ng Chin Chai, mengesahkan badan induk itu menjemput Misbun Ramdan ke sesi pemilihan skuad Piala Thomas di Stadium Juara, Bukit Kiara pagi ini bagi memilih barisan pemain untuk membawa cabaran negara di Wuhan, China dari 20-27 Mei ini. “Saya ingin ucapkan tahniah atas kejayaan Ramdan di Romania. Itu menunjukkan permainannya semakin meningkat dan kita harus memberi dia peluang untuk merebut tempat dalam skuad Piala Thomas. “Kami sudah menjemputnya ke sesi pemilihan esok (hari ini) yang akan dihadiri pemain serta barisan kejurulatihan bagi memilih yang terbaik sebelum kita menjalani latihan pusat,” katanya ketika ditemui, semalam. Misbun Ramdan, 23, yang juga anak kepada bekas jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek sebelum ini memilih haluan berbeza apabila mengikut jejak bapanya keluar dari pangkuan BAM.

Foto FotoKomando cari MH370
Komando cari MH370
KAPAL KD Selangor berlayar ke lokasi pencarian di Koridor Selatan, semalam. Kuala Lumpur: Sekumpulan anggota pasukan komando Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah dihantar ke kawasan Koridor Utara bagi membantu merungkai misteri kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang masuk hari ke-12, hari ini. Menurut sumber, anggota pasukan elit terbabit berlepas malam kelmarin sejurus selesai satu taklimat tergempar dengan pegawai tertinggi pasukan keselamatan negara. Bagaimanapun, sumber itu enggan mendedahkan lokasi dituju pasukan berkenaan dan berapa jumlah anggota terbabit. “Penghantaran pasukan itu sebahagian usaha membantu mengesan penerbangan MH370. Tindakan menghantar pasukan itu pula dilakukan selepas ada maklumat menunjukkan pesawat berkenaan memasuki kawasan udara sebuah negara dalam lingkaran Koridor Utara,” katanya kepada Harian Metro. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Sabtu lalu memberitahu bahawa misi mencari dan menyelamat (SAR) diperluas ke Koridor Utara dan Selatan berikutan data daripada radar tentera mengesahkan bahawa pesawat yang berpatah balik dari pusat kawalan trafik udara Vietnam adalah penerbangan MH370.

Foto
Lima maut, kereta langgar pokok
Keadaan kereta yang mengorbankan 5 remaja di depan R&R Juru. Juru: Lima remaja terbunuh apabila kereta mereka naiki terbabas sebelum melanggar pokok dalam kejadian di Kilometer 141.9, Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan, depan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Juru, di sini, 10.20 malam tadi. Berikutan perlanggaran itu, tiga daripada mangsa tercampak keluar dari kenderaan berkenaan, manakala dua lagi rakan mereka tersepit di dalam kereta yang remuk. Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Prai Norizal Md Rabani berkata, dua daripada mangsa tersepit di bahagian pemandu dan penumpang hadapan. “Kami mengambil kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dan terpaksa memotong badan kenderaan menggunakan alat pemotong khas. “Kami menerima panggilan kecemasan pada jam 10.03 malam dan sampai ke lokasi bersama sebuah jentera dan 17 anggota beberapa minit kemudian,” katanya. Semua mangsa yang maut berusia 17 hingga 18 tahun dan berasal dari Sungai Bakap, Nibong Tebal, manakala seorang lagi rakan mangsa yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ), tetapi meninggal dunia tidak lama kemudian. Suasana hiba menyelubungi lokasi kejadian selepas keluarga seorang daripada mangsa yang tiba terus menangis. Empat mangsa yang terbunuh adalah Tan Chee Win, 17, Mar Jing Quan, 18, Song Jing Ping, 17, dan Chye Zhi Fei, 17, manakala identiti seorang lagi mangsa belum dikenal pasti.

selangor water syabas
Catuan air masih diteruskan, Syabas
Kuala Lumpur: Pelan catuan bekalan air peringkat pertama dan ketiga masih diteruskan walaupun hujan di beberapa kawasan sejak beberapa hari lalu, menurut Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS). Dalam kenyataan semalam, SYABAS berkata, pelan catuan bekalan air itu masih diteruskan sehingga ada pindaan atau arahan yang diterima daripada kerajaan negeri Selangor dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara. “Bagaimanapun, ingin dimaklumkan loji rawatan air (LRA) Cheras Batu 11 dapat beroperasi semula pada jam 9 malam semalam berikutan penurunan paras ammonia manakala LRA Bukit Tampoi masih lagi ditutup. “Dengan itu, bekalan air yang dapat dikeluarkan LRA yang beroperasi tersebut sudah disalurkan kepada pengguna,” katanya. Kenyataan itu turut memberitahu paras ammonia di Sungai Langat masih belum dapat dipastikan sama ada tetap pada tahap yang rendah dan masih dalam pemantauan pengoperasian LRA. Sementara itu, kenyataan itu juga memaklumkan agar pengguna sentiasa memberikan kerjasama penuh ke arah usaha mengurangkan penggunaan air dan terus berjimat cermat bagi membolehkan bekalan air sedia ada dapat bertahan lebih lama. - BERNAMA

Keputusan STPM hari ini, SPM esok
Kuala Lumpur: Keputusan Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM) 2013 dikeluarkan hari ini manakala keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 esok. Bagi keputusan STPM, semua calon boleh mengambil keputusan mereka di sekolah masing-masing bermula jam 12 tengah hari, manakala calon persendirian akan memperolehinya melalui pos. Pegawai Perhubungan Awam Majlis Peperiksaan Malaysia, Khawari Idris berkata, seramai 55,214 calon STPM tahun lepas menduduki peperiksaan di 773 buah pusat peperiksaan di seluruh negara. Calon juga boleh menyemak keputusan mereka melalui SMS. Calon juga boleh melayari portal Majlis Peperiksaan Malaysia di http://www. mpm.edu.my mulai 12 tengah hari. - BERNAMA

Diheret kereta api 40km
Paris: Seorang penunggang basikal di Perancis diheret sejauh 40 kilometer oleh kereta api laju TGV bandar raya ini sebelum orang ramai menyedarinya. Polis dan Syarikat Kereta Api Nasional Perancis (SNCF) kelmarin tidak dapat mengesahkan kematian lelaki berusia 48 tahun itu berpunca dari kemalangan atau bunuh diri. Dia digilis kereta api di tempat melintas di perkampungan Petit-Croix berhampiran Belfort Ahad lalu tetapi penumpang dan kakitangan kereta api berkenaan hanya menyedarinya ketika sampai di stesen berikutnya di Mulhouse. “Mayat lelaki itu ditemui tersekat di bahagian kanan hadapan tren yang tidak dapat dilihat pemandu,” kata jurucakap SNCF dalam satu kenyataan. Dia juga berkata, kejadian itu sangat jarang berlaku. Basikal mangsa ditemui polis di kawasan lintasan. - AFP

‘Knights Templar’ culik budak untuk jual organ
Michoacan (Mexico): Polis di negeri ini semalam mendakwa anggota kartel Knights Templar menculik kanak-kanak bagi tujuan mengambil dan menjual organ mereka. Setiausaha Keselamatan Awam Michoacan, Carlos Castellanos Becerra berkata, Manuel Plancarte Gaspar adalah sebahagian daripada rangkaian kartel penyeludupan organ. Menurut Becerra, rangkaian itu menculik kanak-kanak dan membawa mereka ke sebuah kediaman yang dilengkapi peralatan perubatan bagi mengambil organ mereka. “Kami mempunyai bukti yang menunjukkan cara mereka menjalankan kegiatan itu, termasuk cara mengenalpasti mangsa melalui ciri-ciri tertentu dan kemudian menculik mereka,” katanya. Carlos berkata kes itu sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu tetapi dia tidak boleh mendedahkan butirannya kerana siasatan masih dijalankan. Plancarte Gaspar, 34, ditahan bersama seorang lagi suspek minggu lalu. Menurut Becerra Plancarte adalah sepupu kepada pemimpin kanan Knights Templar, Enrique Plancarte Solis. Beberapa jam sebelum pengumuman itu dibuat, pemimpin satu kumpulan bersenjata tempatan yang ditubuhkan di Michoacan tahun lepas bagi mencabar penguasaan kartel memberitahu sebuah stesen radio, penduduk di situ tahu pembabitan kartel itu dalam sindiket penyeludupan organ, Mereka mendakwa berjaya menyelamat beberapa kanak-kanak ketika dibawa dalam peti sejuk yang diletakkan di dalam sebuah van. - AP

Sunni Lubnan jadi sasaran militan Syiah
Beirut: Kumpulan militan Hizbullah dan penduduk Syiah tempatan meningkatkan kepungan mereka di sebuah bandar Sunni berhampiran sempadan Syria semalam. Tindakan itu menimbulkan kebimbangan kemungkinan bantuan kepada ribuan pelarian Syria di kawasan itu akan terputus. Ketegangan yang berlaku di Arsal, bandar yang terletak berhampiran sempadan Syria adalah perkembangan terbaru di Lubnan kesan daripada peperangan saudara di Syria. Konflik itu mencetuskan ketegangan antara mazhab di Lubnan dan mendorong kepada tercetusnya keganasan di beberapa tempat di negara itu terutamanya di Lembah Bekaa. Hujung minggu lalu, kumpulan militan Syiah menutup satu-satunya laluan di Arsal dengan meletakkan pos kawalan yang dikendalikan anggota Hizbullah dan militan Syiah lain. Tindakan itu diambil selepas puak Syiah menyalahkan bandar berkenaan yang menyebabkan mereka menjadi sasaran serangan roket baru-baru ini dan serangan bom kereta yang meragut tiga nyawa. Semalam, militan Syiah melepaskan tembakan kepada sebuah kenderaan dari Arsal yang menuju ke arah pos kawalan. Sementara itu, kira-kira 200 lagi keluarga Syria tiba di Arsal beberapa hari lalu selepas melarikan diri dari pertempuran apabila tentera yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad menawan Yabrud. - AFP

Israel mahu tindak sendiri
Baitulmaqdis: Menteri Pertahanan Israel semalam berkata, rejim Zionis itu itu tidak boleh bergantung kepada Amerika Syarikat (AS) untuk menghentikan program nuklear Iran. Moshe Yaalon berkata demikian ketika kuasa dunia bersiap sedia mengadakan rundingan baru dengan Iran berhubung program nuklear nya. Barat berusaha menghentikan program nuklear Iran kerana bimbang ia digunakan untuk membina senjata atom. Teheran bagaimanapun menyangkal dakwaan kononnya program nuklear itu bertujuan untuk kegunaan ketenteraan. Ia sebaliknya mendakwa program itu bertujuan untuk kegunaan awam, khususnya membangunkan sistem jana kuasa. Jika rundingan dengan kuasa dunia berjaya, pelbagai sekatan yang dikenakan terhadap Iran akan ditarik balik. Israel bagaimanapun mengecam rundingan itu. “Kami berpendapat Amerika Syarikat sepatutnya mengetuai kempen menentang program nuklear Iran. “Jika kami terus mengharapkan orang lain melakukannya untuk kami, ia akan memakan masa. “Kerana itu, kami berpendapat, Israel perlu bertindak sendiri dalam menangani program nuklear Iran,” kata Yaalon. Pejabat menteri pertahanan Israel itu mengesahkan Yaalon berkata demikian tetapi enggan mengulas sama ada ia bermaksud Israel sudah bersedia untuk melancarkan serangan ke atas Iran. Yaalon dalam kenyataannya itu juga mengecam pemimpin Barat dengan berkata mereka berusaha mengelakkan konfrontasi dengan Iran. Dia turut mendakwa pengaruh Amerika Syarikat kini semakin terhakis di beberapa negara seperti Ukraine. “Kelemahan bukan satu pilihan. Tiada yang dapat menggantikan AS sebagai polis duniaSaya berharap AS sedar hakikat itu,” katanya dalam satu kenyataan. Ini bukan kali pertama Yaalon membuat kenyataan kontroversi yang ditujukan kepada AS. Januari lalu dia menyifatkan Setiausaha Negara AS, John Kerry sebagai keterlaluan dalam usaha membawa keamanan di Asia Barat. - AFP

Kapten ditembak mati dalam tunjuk perasaan
Caracas: Seorang kapten Pengawal Kebangsaan Venezuela ditembak mati di kepalanya dalam satu tunjuk perasaan, kata pasukan keselamatan semalam, menjadikan pegawai itu mangsa ke-29 maut dalam pertempuran kerajaan dan demonstran. Ketua Pusat Pemerintahan Strategik Tentera, Jen Padrino Lopez berkata, pegawai terbabit ditembak lewat kelmarin di satu sekatan jalan raya dibuat penunjuk perasaan di bandar Maracay di negeri Aragua. “Dia menjadi satu lagi mangsa keganasan teroris,” katanya. Menurut Lopez, pasukan bersenjata Venezuela tidak menekan tunjuk perasaan aman, sebaliknya memberikan perlindungan terhadap mereka. “Sejak awal Februari penuntut dan pemimpin pembangkang mengajak penyokong mereka turun ke jalan raya bagi membantah kepemimpinan Presiden Nicolas Maduro,” katanya dalam satu kenyataan. Mereka menuntut kerajaan melakukan reformasi politik dan menamatkan inflasi yang tinggi, kekurangan makanan asas dan menangani kadar jenayah yang menjadi antara tertinggi di dunia. Namun protes itu tidak menampakkan berkesan mengetepikan Maduro - seorang bekas pemandu bas yang menang tipis dalam pilihan raya bagi menggantikan mentornya, Hugo Chavez pada April 2013. Gabenor Aragua, Tareck El Aissami berkata, seorang “ejen China” ditangkap berhampiran tempat kejadian. - Reuters

Russia terima Crimea jadi sebahagian wilayahnya
Moscow: Russia menandatangani perjanjian untuk memasukkan Crimea menjadi sebahagian daripada wilayahnya selepas hampir semua penduduk wilayah itu menyokong langkah berkenaan melalui referendum. Presiden Vladimir Putin menandatangani dokumen itu bersama Perdana Menteri Crimea dan Speaker Parlimen wilayah berkenaan. Ia dibuat selepas Putin selesai menyampaikan ucapan kepada seluruh rakyat Russia bagi menjelaskan langkah itu. Langkah itu perlu diluluskan Mahkamah Perlembagaan Russia terlebih dulu dan disokong kedua-dua dewan legislatif sebelum berkuat kuasa. Namun kedua-dua proses berkenaan dilihat sekadar mengesahkan keputusan yang dibuat semalam. - AP

Ukraine tidak sertai NATO
Kiev: Kepemimpinan baru Ukraine yang pro-Barat tidak akan memohon menganggotai NATO, kata Perdana Menteri Arseny Yatseniuk semalam. Dalam komen yang dilihat untuk meyakinkan Russia dan penutur bahasa Russia yang ramai di Ukraine itu, Yatseniuk berkata pengagihan kuasa adalah kunci utama dasar kerajaannya. “Demi untuk mengekalkan perpaduan Ukraine, persoalan untuk menyertai NATO bukan agenda kerajaan,” katanya. dalam ucapan disiar stesen televisyen negara itu semalam. Walaupun sering bertutur menggunakan bahasa Ukraine, ucapan 10 minit Yatseniuk semalam disampaikan dalam bahasa Russia. Kata Yatseniuk, Ukraine akan dipertahankan oleh tentera moden dan gagah negara itu. Sebelum ini Ukraine dilanda kekacauan apabila sebahagian rakyatnya menuntut kerajaan mengadakan hubungan lebih rapat dengan NATO tetapi dibantah presiden terdahulu, Viktor Yanukovich, menyebabkan dia disingkirkan. - Reuters

Jepun gantung rundingan diplomatik Russia
Tokyo: Jepun semalam mengenakan sekatan ke atas Russia ekoran tindakan “keji” Moscow mengiktiraf referendum Crimea mahu merdeka dari Ukraine. Kenyataan Kementerian Luar Jepun berkata, tindakan Moscow itu melanggar kedaulatan serta integriti wilayah Ukraine. “Jepun akan menggantung sebarang rundingan memudahkan permohonan visa dan tidak memulakan apa-apa perbincangan untuk perjanjian pelaburan, angkasa lepas serta aktiviti pencegahan ketenteraan baru,” katanya. Semalam Presiden Russia Vladimir Putin menandatangani dikri mengiktiraf Crimea sebagai negara bebas selepas majoriti penduduk wilayah autonomi berkenaan memilih untuk berpisah dari Ukraine. AS dan Eropah juga mengumumkan sekatan terhadap Russia semalam, dengan Rumah Putih berkata, langkah paling keras pernah dibuat sejak Perang Dingin berakhir itu menyasarkan ekonomi negara berkenaan. - AFP

Foto
Moscow nafi jajah Crimea
KUMPULAN bersenjata dipercayai tentera Russia meronda di luar pangkalan tentera Ukraine di Perevalnoye. Moscow: Bersemangat mempertahankan keputusan Russia menerima Crimea, Presiden Vladimir Putin berkata, Moscow terpaksa bertindak selepas Barat merancang membawa Ukraine dalam lingkungan pengaruh blok itu. Bercakap di parlimen dan ucapannya disiar ke seluruh negara, Putin berkata, hak etnik Russia di Crimea didera kerajaan baru Ukraine. Dia juga mendakwa referendum dijalankan di Crimea hujung minggu lalu selari dengan undang-undang antarabangsa serta menggambarkan hak rakyat wilayah itu untuk menentukan nasib mereka sendiri. “Pada masa sama Russia tidak mahu memecah-belahkan Ukraine,” katanya. Ucapan itu dibuat hanya beberapa jam selepas Putin meluluskan rang undang-undang menerima Crimea sebagai sebahagian daripada wilayah Russia dalam langkah awal sebelum Moscow secara rasmi mengambil semula semenanjung itu menjadi negaranya. Untuk menghalalkan referendum itu, Putin berhujah, Kosovo juga mendapat kemerdekaan dari Serbia melalui proses sama dan disokong Barat walaupun dibantah Russia. “Pemisahan Crimea dari Ukraine mengulangi proses dilakukan Kiev ketika mendapatkan kemerdekaan dari Soviet Union pada 1991,” katanya. Putin turut menafikan Russia menjajah Crimea menjelang referendum itu. Katanya, tentera dihantar ke wilayan itu selaras dengan perjanjian Russia Ukraine yang membenarkan Moscow menempatkan sehingga 25,000 tentera di Criema. - AP

Foto
Thailand - ISA ganti darurat
PENJAJA cenderahati menunggu pelancong di pintu masuk Istana Besar di Bangkok, semalam. Agensi pelancongan Thailand mendakwa negara itu kerugian AS$2.7 bilion (RM8.8 bilion) akibat protes berlanjutan kumpulan antikerajaan. Bangkok: Thailand menarik balik darurat di Bangkok dalam langkah untuk mengembalikan keyakinan kepada kerajaan ketika perdana menteri sementara berdepan cabaran perundangan dan protes antikerajaan semakin kendur. Darurat itu akan batalkan secara rasmi hari ini selepas Kabinet Yingluck Shinawatra bermesyuarat di wilayah Nakhon Pathom semalam. Yingluck tiba menggunakan kerusi roda selepas dia tergelincir ketika keluar dari keretanya di Chiang Mai Sabtu lalu. Bercakap kepada media, Yingluck berkata, Kabinet menarik balik perintah darurat untuk memulihkan keyakinan sektor swasta dan industri pelancongan. “Sebagai ganti kerajaan akan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA) yang menyediakan peruntukan undang-undang kurang keras,” katanya. Namun ISA masih membenarkan kerajaan melaksanakan perintah berkurung, mengendalikan pos keselamatan dan mengehadkan pergerakan penunjuk perasaan jika perlu. Darurat dikuatkuasakan di Bangkok - serta beberapa daerah berhampirannya - sebagai langkah kerajaan mengekang kebangkitan rakyat propembangkang. - Reuters

Pantang maut sebelum ajal
Zhejiang: Gambar menunjukkan sepasang suami isteri (dalam bulatan) tercampak ke udara selepas beca mereka dilanggar berhampiran lampu isyarat di Linhai, wilayah Zhejiang, di China. Ketika kejadian, Hu Mou dan isterinya tidak menghentikan kenderaan mereka walaupun lampu isyarat itu merah. Beca yang mereka naiki musnah sama sekali. Bagaimanapun, pasangan suami isteri berkenaan terselamat. - Agensi


Penerbit ‘Ultraman’ Operasi Tanpa Permit, Alamat Palsu
KUALA LUMPUR – Penerbit yang menerbit komik kontroversi “Ultraman The Ultra Power” yang didapati menyamakan watak utama komik tersebut dengan Allah didapati beroperasi tanpa permit penerbitan dan menggunakan alamat palsu. Dalam satu kenyataan Kementerian Dalam Negeri (KDN) kepada media, syarikat pencetak komik berbahasa Melayu itu juga tidak mempunyai lesen percetakan dan tidak meletakkan alamat pejabat. “Siasatan KDN mendapati bahawa alamat penerbit seperti yang tertera pada penerbitan komik tersebut iaitu, Resign Publications, No 78, Jalan Brunei Utara, Off Jalan Pudu, 55100, Kuala Lumpur didapati adalah palsu,”. Warta Perintah Larangan yang berkuatkuasa 18 Februari 2014 mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 “Adalah menjadi satu kesalahan mengikut Seksyen 8(2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 sekiranya mana-mana orang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau ada dalam miliknya bagi apa-apa jua maksud seperti itu apa-apa hasil penerbitan larangan”. Mereka yang disabitkan melakukan kesalahan itu boleh dikenakan penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya. Pada 7 Mac yang lalu, KDN mengesahkan bahawa Perintah Larangan Penerbitan terhadap buku ‘Ultraman The Ultra Power’, diwartakan kerana kandungan buku itu menyamakan watak Ultraman King sebagai “Allah”. KDN walau bagaimanapun menjelaskan bahawa watak Ultraman tersebut tidak diharamkan tetapi hanya edisi (Ultraman The Ultra Power) sahaja yang dikenakan Perintah Larangan adalah. Perintah Larangan terhadap bahan penerbitan ini disebabkan watak Ultraman menjadi idola kepada kanak-kanak yang boleh mengelirukan pemikiran kanak-kanak terhadap sifat “Allah” yang disamakan dengan Ultraman King. - Astro Awani


Ops Tanduk: 25 Pati Ditahan Di Sabah
KOTA KINABALU – Pihak berkuasa menahan 251 pendatang tanpa izin dalam Ops Tanduk yang dijalankan di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang selama dua hari sehingga semalam. Penolong Pengarah Bahagian Operasi Pasukan Petugas Khas Persekutuan Sabah dan Labuan Deputi Superitendan Annuar Ali berkata daripada jumlah itu, 247 ialah warga Filipina (162 lelaki, 42 wanita, 19 kanak-kanak lelaki dan 24 kanak-kanak perempuan), manakala baki empat orang merupakan lelaki Indonesia. Beliau berkata demikian dalam kenyataan di sini hari ini. Menurutnya sepanjang tempoh itu, pihak berkuasa memeriksa 469 orang dengan kawasan sasaran penempatan setinggan, rumah kongsi dan tapak pembinaan serta premis perniagaan. Sebahagian yang diperiksa dibebaskan kerana mempunyai dokumen termasuk sijil kelahiran bagi bukan warganegara yang berstatus penduduk tetap Sabah. Operasi melibatkan 100 anggota dan pegawai Pasukan Petugas Khas Persekutuan, Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Ketua Menteri Sabah dan Jabatan Pendaftaran Negara. – BERNAMA


Akhbar Tabloid Promosi Rawatan ‘Raja Bomoh’
MEMANG hebat pengaruh ‘Raja Bomoh’, Ibrahim Mat Zin kepada masyarakat Melayu di Malaysia sebenarnya. Bukan sahaja mempunyai pengikut yang ramai, tetapi turut mendapat publisiti di akhbar tabloid ini. Biar pun mendapat kecaman hebat kerana ritual pelik yang dilakukannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum ini, ia tidak menghalang akhbar ini daripada mempromosikan ‘Pusat Rawatan Bomoh 1Malaysia’ yang dinaungi oleh ‘Raja Bomoh’ ini menerusi ruangan iklan. Ia turut menyertakan ayat-ayat yang memuji kehebatan Ibrahim seperti: “Rawatan cara Islam dari anak-anak murid tertua Datok Mahaguru Ibrahim Mat Zin.” “Kami anak didik merasa bangga kerana mendapat guru yang hebat.” Bukan itu sahaja, iklan ini juga menyertakan jadual rawatan oleh pusat ini termasuklah di Sabah dan Sarawak. Bagi kami, selagi ada sokongan daripada orang Islam sendiri, selagi itulah amalan syirik dan khurafat yang dipraktikkan oleh para bomoh ini akan berterusan. Pendek kata, tepuk dada, tanyalah selera…


Kerajaan Tidak Haramkan `Ultraman’, Hanya Komik ‘Ultra Power’ – KDN
KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak mengharamkan watak Ultraman sebaliknya cuma mengenakan perintah larangan ke atas penerbitan komik bertajuk “Ultraman The Ultra Power” kerana isi kandungannya menyalahi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan media memberitahu, komik berbahasa Melayu terbitan Resign Publications dan dicetak oleh Network Printers didapati mengandungi unsur-unsur yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan menggemparkan fikiran orang ramai. Menurut kenyataan itu, alasan kenapa buku itu dikenakan perintah larangan oleh KDN adalah seperti berikut:
i. Pada halaman Ultraman King, terdapat kandungan penerbitannya yang menganggap dan menggelar watak Ultraman King sebagai Allah melalui tulisan seperti berikut: “Ultraman King adalah Ultra yang paling berkuasa dalam alam semesta di papar garis universe. Beliau adalah yang tertua Ultra, purba sebelum setiap ultra lain yang diketahui dilahirkan. Dalam tahun 2009 filem Monster Mega Battle: Ultra Galaxy Legend The Movie. Beliau dianggap sebagai dan dihormati sebagai ‘Allah’ atau Elder semua wira Ultra”.
ii. KDN mengenakan perintah larangan terhadap bahan penerbitan ini disebabkan watak Ultraman menjadi idola kepada kanak-kanak yang boleh mengelirukan pemikiran kanak-kanak terhadap sifat Allah yang disamakan dengan Ultraman King. Perkara ini dibimbangi boleh merosakkan akidah anak-anak umat Islam dengan menyamakan Allah dengan Ultraman.
iii. Kalimah Allah juga merupakan kalimah suci bagi umat Islam dan boleh mencetuskan provokasi bagi umat Islam sekiranya disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Jika perkara ini tidak dibendung, ianya boleh memudaratkan ketenteraman awam dan boleh menggemparkan fikiran orang ramai.
iv. Penerbit juga tidak mempunyai permit penerbitan dan alamat pejabat penerbit yang tertera di penerbitan tersebut merupakan alamat palsu seperti berikut “Resign Publications, No. 78, Jalan Brunei Utara, Off Jalan Pudu, 55100 KUALA LUMPUR”. Manakala, nama pencetak yang tertera di penerbitan tersebut tidak mempunyai lesen percetakan dan tidak meletakkan alamat pejabat. Sehubungan itu, KDN menginggatkan mana-mana pihak yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau memiliki komek tersebut boleh dikenakan penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya.

Luahan Abang Kepada Sabreena, Remaja Maut Konsert FMFA
JUMAAT lalu, kita digemparkan dengan berita kematian enam anak muda yang maut akibat pengambilan dadah berlebihan sehingga mengalami sesak nafas sewaktu konsert ‘Future Music Festival Asia’ (FMFA) di Stadium Bukit Jalil. Apa yang menyedihkan, empat daripada merupakan anak Melayu beragama Islam. Ia sekaligus mengundang pelbagai komen daripada masyarakat dan rata-rata mereka melahirkan rasa kesal dengan kejadian itu. Bagaimanapun, ada juga yang melahirkan rasa marah mereka dengan komen-komen yang kasar sehingga mengguris hati keluarga mereka.

Justeru, abang kepada salah seorang remaja yang maut, Sabreena Kamarudin telah memuatnaik status luahan hati di akaun Facebook milik adiknya itu.

Assalamualaikum,
Pada 15 Mac 2014, adik saya Sabreena binti Kamarudin telah kembali ke rahmatullah. Saya tidak menafikan apa yang dikatakan oleh media massa tentang apa yang berlaku, di mana adik saya terlibat dengan satu konsert dan telah meninggal dunia. Arwahyarhamah merupakan seorang yang sangat baik hati, disayangi serta disenangi oleh ahli keluarga dan juga kawan-kawannya. Ramai pihak yang tidak mempercayai apa yang telah berlaku, terutamanya para guru dan sahabat handai kerana perwatakannya yang lemah lembut dan baik budi pekerti sejak dari kecil lagi. Saya sebagai abang turut terkejut dengan berita ini, dan sehingga ke saat ini masih tidak dapat menerima hakikat bahawa adik saya telah kembali kepadaNya dalam keadaan begini. Saya masih terlibat dalam proses menyiasat dan mencari informasi tentang apa yang telah berlaku, dan saya tidak akan berhenti sehingga nama adik saya bersih seperti sediakala. Saya juga meminta kepada semua pihak agar tidak membuat spekulasi, menambah-nambah cerita, menghina atau mencaci arwahyarhamah atau keluarga. Hormatilah yang telah pergi, dan hormatilah ahli keluarga saya yang masih dalam keadaan trauma. Mereka cuma insan biasa, mereka memerlukan sokongan anda untuk menghadapi ujian dariNya. Saya ingin meminta pertolongan anda semua agar memadam gambar-gambar arwahyarhamah yang tidak menutup aurat. Selain itu, saya serendah-rendah diri memohon jasa baik sesiapa yang membaca post ini, sama ada anda mengenali arwahyarhamah atau tidak, untuk sama-sama terus mendoakan Sabreena agar ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan solehah. Sedekahkan Al-Fatihah untuknya agar beliau mendapat ketenangan di sana. Ingatlah adikku dalam doamu. – Amirul Aftar. Bagi penulis, adalah lebih baik kita mendoakan ketenangan untuk mereka kerana sehingga ke hari ini, kita masih tidak mengetahui adakah mereka sengaja mengambil dadah secara berlebihan atau tidak. Ini berdasarkan siasatan pihak polis yang memaklumkan bahawa kemungkinan ada sindiket dadah yang sedang menguji dadah jenis baru sebelum dipasarkan. Jika mereka melakukan kesilapan sekalipun, kita masih tidak mempunyai hak untuk memaki-hamun dan menjatuhkan hukuman ‘neraka’ kerana kita sendiri pun bukanlah maksum. Sebaiknya, jadikan apa yang berlaku sebagai iktibar di masa akan datang.


MH370 Dari Kacamata Kapten Datuk Nik Huzlan Nik Hussain
Inilah dia figura yang cukup penting mendidik rakyat Malaysia serba sedikit disebalik tragedi dan insiden MH370 melalui temuramah di Berita Astro Awani Berita Buletin Tv3, NTV7. Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain, bekas ketua juruterbang Serantau MAS (Malaysia Airlines). Biodata Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain Bekas ketua juruterbang Serantau MAS Malaysia Airlines Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain berpengalamaman lebih 30 tahun Isteri Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain adalah Ketua Pramugari MAS Malaysia Airlines Bapa Mertua Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain adalah bekas Ketua Jurutera Malaysia Airlines MAS Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain pernah bawa pasukan gergasi seperti Manchester United, Real Madrid serta tokoh politik dunia iaitu bekas Presiden Amerika Syarikat Bill Clinton Antara Intipati Pendedahan Datuk Kapten Nik Huzlan Mengenai Tragedi MH370? Mustahil sebenarnya untuk sebuah kapal terbang seperti MH370 terputus isyarat atau komunikasi kerana setiap pesawat ada 3 peringkat komunikasi dan ketiga-tiga ini memang berkualiti. Selaian daripada itu, agak mustahil juga untuk kita semua mengatakan pesawat MH370 mengalami total ‘electrical shutdown’ dan sekiranya berlaku sekalipun, pesawat ada masa yang sangat cukup untuk buat pendaratan kecemasan. Bukan sahaja itu, setiap pesawat mempunyai banyak bateri dan bateri ini mampu menjana tenaga untuk pesawat. MAS adalah syarikat penerbangan terbaik dari segi ‘maintainance’ kerana menurut kapten, Amerika Syarikat juga meminta MAS bantu dari segi ini. Kualiti juruterbang MAS juga adalah yang terbaik, bahkan menurut Kapten, juruterbang MAS sering “diculik” oleh syarikat penerbangan lain. Seorang juruterbang itu akan buat SEHABIS BAIK selagi ada harapan,untuk selamatkan pesawatnya,walaupun gunung ada di depan.Bukan semudah itu untuk mereka putus asa. Setiap pesawat boleh terkena petir,itu biasa. Namun aliran arus elektrik itu akan mengalir mengikut bentuk pesawat dan keluar ke belakang. Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain sempat menemplak laporan berita luar negara yang membuat berita yang cukup “nonsense & dongeng” apabila mengatakan pesawat MH370 MAS Malaysia Airlines telah pergi ke Rusia sedangkan untuk ke sana MH370 perlu melepasi Banjaran Himalaya termasuk pancaran radar dari Turki, Uzbekistan, Turkmenistan Radar-radar di negara Thailand, India, Myanmar (mungkin) dan negara-negara ‘tan’ di belakang, amat serius dan akan mengambil tindakan jika berlaku sebarang aircraft yang tidak dikenali di dalam airspace mereka. Negara seperti ini, sangat berbahaya jikalau dapat mengesan pesawat yang menceroboh kedaulatan negara mereka. Kecanggihan peralatan ketenteraan mengawasi ruang udara negara mereka tidak boleh dipermainkan. Begitu juga radar negara India “sangat-sangat berbahaya”. Jangan tidak tahu, negara seperti di Singapura radar sangat hebat mereka mampu mengesan sehingga ke Kota Kinabalu. Hanya pilot sahaja yang boleh mematikan transponder atau mmsg dalam mode tertentu. Dan hanya orang yang berpengalaman mengenai koordinat dan tahu susuralur setiap jalan di udara. Cara plane MH370 buat turning back seperti profesional kerana masa tepat dan kelajuan plane stabil, tidak laju, tidak perlahan dan tidak terhuyung-hayang MH370 Dirampas Pengganas? Datuk Kapten Nik Huzlan Nik Ahmad Hussain mengatakan andaikata MH370 hijacked (MH370 dirampas) tidak mungkin dilakukan seorang. Pasti ada yang membantu yang mana bergerak dalam kumpulan. Siapakah dia? MH370 hijacked (MH370 dirampas) boleh berlaku dengan syarat kumpulan tersebut arif dengan kokpit, besar kemungkinan “authorised person” di mana dilakukan dalam bentuk terancang yang ‘mungkin’ digerakkan ala-ala komando Datuk Kapten Nik Huzlan Nik Ahmad Hussain mengatakan kapal terbang MH370 berpatah balik, mungkin diterbangkan oleh org yang mahir dengan laluan dan sangat berkemahiran tinggi untuk mengelakkan dari dikesan radar Andaikata MH370 hijacked (MH370 dirampas) sekalipun tidak akan dilakukan oleh penumpang. Sangat tipis kerana pintu masuk kokpit ada kod rahsia. Hanya kabin krew yang tahu kod rahsia itu. Apatah lagi, di dalam kokpit mempunyai CCTV unttk pilot/co pilot melihat disebalik pintu tersebut. Tetapi Kapten Nik Huzlan Nik Ahmad Hussain ada mengatakan sekiranya salah seorang penumpang adalah org yang sangat arif tentang kapal terbang, dan memang ada agenda konpirasi tersendiri, jadi tidak mustahil berlaku insiden MH370 hijacked (MH370 dirampas) Sekiranya berlaku rampasan Mh370 sekalipun, mereka masih ada masa untuk bersedia menghantar isyarat kecemasan. Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain tidak menolak kemungkinan sekiranya MH370 dirampas oleh kabin krew (pilot/co-pilot/pramugara/pramugari), cuma tidak dipastikan apa motif mereka Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain mendedahkan jikalau MH370 pergi arah Kazakhtan, memang boleh mendarat di sana,tetapi radar masih boleh kesan sebab untuk pergi kesana perlu melalui banyak negara Jikalau MH370 pergi Lautan Hindi (Indian Ocean), memang tiada kapal terbang yang pernah lalu sana. Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain juga ada mengatakan bahawa terdapat banyak radar yang boleh detach MH370. Jika MH370 turn over ke arah barat menuju ke Andaman Sea (Laut Andaman) Jika MH370 turun ke bawah menuju ke Diego Grasia ke arah apa yang dipanggil ‘lonely sea‘ iaitu Lautan Hindi, baru kata kapal terbang MH370 hilang. Kerana tiada radar yang berdekatan sana yang mampu menangkap dan mengesan pesawat MH370 ini. Akhir sekali, Datuk Kapten Nik Huzlan menyatakan bahawa, Kapten Zaharie adalah antara juruterbang terbaik yang Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain pernah kenal selama kurang lebih 30 tahun. Insiden MH370, mengingatkan dunia tragedi pesawat jenis Airbus 330-203 milik Air France yang terhempas ke dalam laut di perairan dengan Rio de Janeiro pada 1 Jun 2009 tetapi bangkai pesawat itu hanya ditemui dua tahun kemudian. – SUMBER


China Desak Malaysia Dedah Maklumat
TINDAKAN China yang menuntut Malaysia mendedahkan segala penemuan berhubung misteri kehilangan pesawat MH370 berbeza dengan sejarah negara itu yang terlalu berahsia ketika gempa bumi melanda negara berkenaan di Sichuan pada 2008, kata AFP memetik kenyataan penganalisis. Perdana Menteri China, Li Keqiang menggesa Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak untuk memberikan maklumat berkenaan pesawat berkenaan secara berkala dan tepat, lapor agensi berita Xinhua. Gesaan itu dibuat selepas lebih seminggu apabila ruangan minda pengarang akhbar di China menuntut keterbukaan yang lebih luas daripada Kuala Lumpur dan Malaysia Airlines. “Kecuali ketelusan itu dapat dipastikan, misi pencarian antarabangsa ini tidak akan berhasil seperti yang diharapkan,” kata komentar Xinhua. “Ketika berdepan dengan bencana, kejujuran adalah kunci untuk mengelakkan insiden sama berulang kembali,” katanya. Namun ketika taklimat kepada media, jurucakap Kementerian Luar China Hong Lei enggan mendedahkan maklumat lanjut ketika ditanya beberapa siri soalan berkaitan peranan China dalam misi pencarian itu. Mampukan China menolak kemungkinan pesawat hilang itu memasuki ruang udara? Adakah 153 penumpang warga China yang menaiki pesawat itu disiasat? Adakah China menjalankan misi mencari dan menyelamat di darat termasuk di laut? Adakah misi mencari dilakukan di wilayah barat Tibet dan Xinjiang, di mana data satelit menunjukkan kemungkinan pesawat terbang ke sana? Hong enggan mengulas lanjut, sebaliknya berkata,”operasi mencari kini diteruskan, dan kami akan bekerjasama dengan Malaysia untuk lakukan usaha pencarian.” – The Malaysian Insider

Perkhidmatan Monorel RapidKL dihenti dua hari
KUALA LUMPUR - Perkhidmatan Monorel RapidKL akan diberhentikan sementara pada 12 dan 13 April ini untuk kerja-kerja menaik taraf sistem semboyannya. Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd., Khairani Mohamed berkata kerja-kerja menaik taraf sistem semboyan itu akan bermula 12.01 tengah malam pada 12 April hingga 4 pagi, 14 April. Perkhidmatan monorel RapidKL dijangka pulih seperti biasa pada pukul 6 pagi, 14 April, katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Beliau berkata penutupan selama 52 jam itu adalah perlu bagi membolehkan ujian tanpa gangguan untuk sistem semboyan baharu itu. Katanya sistem semboyan yang ada sekarang digunakan sejak perkhidmatan monorel mula beroperasi pada 2003. Berikutan penutupan itu, perkhidmatan bas pengantara khas akan disediakan berhampiran dengan semua stesen monorel untuk memudahkan pengguna pergi ke destinasi yang terletak di sepanjang laluan perkhidmatan itu. Tambang sebanyak RM1 dikenakan bagi penumpang untuk setiap perjalanan. Pengguna boleh mendapatkan butiran terkini di laman web rasmi RapidKL di www.mtrapid.com.my atau di laman facebook RapidKL agtau melalui twitter RapidKL di @MyRapidKL. - Bernama

HDC
Halal: 56 negara minta bantuan Malaysia
KUALA LUMPUR - Sebanyak 56 negara kini meminta bantuan kepakaran Malaysia dalam bidang ekosistem halal, kata Pengerusi Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC), Datuk Seri Jamil Bidin. Beliau berkata, negara terbabit yang menyedari halal adalah sumber baharu pertumbuhan ekonomi, telah menghantar wakil untuk mempelajari ekosistem berkenaan dan kemudian melaksanakannya di negara mereka. "Dengan 1.8 bilion penduduk Islam di dunia hari ini, sudah tentu terdapat permintaan tinggi untuk produk halal dan mereka perlu merebut peluang itu," katanya kepada Bernama. Bagaimanapun, Jamil berkata, terlebih dulu mereka perlu memahami konsep halal yang lebih luas daripada hanya pengeluaran makanan. Menurutnya, di samping makanan (daging dan produk makanan lain), terdapat banyak pasaran halal lain seperti farmaceutikal, kosmetik, logistik halal kewangan dan pelancongan. "Inilah yang dipromosi HDC. Rantaian itu perlu dilengkapkan sebelum kita muncul sebagai hab halal dunia," katanya. Jamil berkata, eksport halal Malaysia telah meningkat pada 2013 berbanding tahun sebelumnya, yang menunjukkan peningkatan permintaan global walaupun senario ekonomi global yang tidak menentu. Bercakap mengenai rancangan Korea Selatan menceburi industri halal, Jamil berkata, HDC sudah mula membantu negara itu sejak dua tahun lalu. "Korea Selatan nampak peluang dalam industri halal. Walaupun mereka tidak tahu banyak perkara mengenainya, mereka boleh nampak prospek ekonominya. "Beberapa pertubuhan daripada sektor bioteknologi dan kosmetik Korea Selatan telah menemui kita dan menyertai seminar kita," katanya. Jamil berkata, selain Korea Selatan, negara lain yang menyatakan minat dalam industri halal ialah Jepun, Uruguay, Chile dan Argentina. HDC yang ditubuhkan pada 18 September 2006 berfungsi sebagai penyelaras pembangunan menyeluruh industri halal di Malaysia. Ia tertumpu kepada pembangunan standard halal, audit dan pensijilan serta peningkatan kapasiti untuk produk dan perkhidmatan halal - Bernama

Misbun Ramdan Misbun
Piala Thomas: BAM senarai nama Misbun Ramdan
PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) menyenaraikan nama Misbun Ramdan Mohmed Misbun untuk sesi pemilihan ke kempen Piala Thomas 2014 di Wuhan, China 20 hingga 27 Mei depan. Ia berikutan kecemerlangan dipamerkan pemain perseorangan lelaki iut yang memenangi Kejohanan Siri Antarabangsa Romania dengan menewaskan pencabar Poland, Adrian Dziolka 15-21, 21-8, 21-16 di aksi final semalam. Setiausaha Kehormat BAM, Ng Chin Chai, mengesahkan badan induk itu mempelawa Misbun hadir ke sesi pemilihan akhir skuad Piala Thomas di Stadium Juara, Bukit Kiara esok pagi. “Saya ucapkan tahniah kejayaan Ramdan di Romania. Itu menunjukkan permainannya semakin meningkat dan kita harus memberi dia peluang untuk merebut tempat dalam skuad Piala Thomas. “Esok ada pemilihan yang akan dihadiri pemain lain serta barisan kejurulatihan untuk memilih yang terbaik sebelum kita menjalani latihan pusat,” katanya. Misbun Ramdan, 23, yang juga anak kepada bekas jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek, meraih kejuaraan sulung tahun ini setelah Ramdan pada tahun lalu memilih haluan berbeza dengan mengikut jejak bapanya keluar dari pangkuan BAM. Sementara itu, diajukan persoalan mengenai perkembangan terkini status Misbun Sidek yang masih lagi berteka-teki menerima atau sebaliknya tawaran jawatan Pengarah Keupayaan dan Kemahiran daripada BAM, Chin Chai menjawab, “sehingga kini kami masih lagi belum menerima sebarang respon daripada Misbun."

Malaysia manfaat hubungan baik dengan negara lain
Malaysia manfaat hubungan baik dengan negara lain
KUALA LUMPUR - Malaysia memanfaatkan hubungan baiknya untuk melibatkan 25 negara membantu dalam mencari pesawat MH370 yang hilang, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman hari ini. Beliau berkata negara-negara berkenaan juga bersedia menghulurkan bantuan daripada aspek kemanusiaan dalam usaha mencari pesawat Boeing 777-200ER Malaysia Airlines (MAS) yang hilang pada 8 Mac ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing. Anifah berkata Malaysia setakat ini telah menghantar nota diplomatik kepada 12 negara di koridor utara, menjangkau dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand, dan kepada dua negara di koridor selatan, meliputi dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi, memohon bantuan dalam misi mencari dan menyelamat. "Dan respons mereka amat baik. Ini adalah hasil hubungan baik Kuala Lumpur dengan semua negara itu. Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) telah menghubungi presiden (dan pemimpin) untuk memohon bantuan mereka," kata beliau pada sidang media mengenai maklumat terkini pencarian MH370, di sini hari ini. Sabtu lepas, Najib mengumumkan bahawa pencarian pesawat MH370 telah memasuki fasa baharu dengan tumpuan beralih dari Laut China Selatan di bahagian timur Malaysia ke koridor utara dan selatan, di bahagian barat. Anifah juga berkata sembilan negara lagi yang tidak tergolong di bawah kedua-dua koridor itu telah tampil untuk membantu dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) termasuk Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Jepun. Beliau berkata operasi sekarang amat kompleks oleh kerana Malaysia perlu berurusan dan menyelaraskan misi dengan 25 negara yang mengamalkan ideologi dan sistem kerajaan yang berbeza. Ketika ditanya mengapa Malaysia tidak meminta bantuan daripada Iran, Anifah berkata berdasarkan siasatan sekarang, setakat ini tiada keperluan untuk Kuala Lumpur menghubungi Tehran. "Kerajaan tidak memerlukan Wisma Putra menghubungi kerajaan Iran dan saya percaya apa jua keperluan akan dikemukakan kepada Wisma Putra sekiranya perlu," katanya. Jumaat lepas, Duta Iran ke Malaysia Mohammad Jalal Firouznia berkata Tehran bersedia menawarkan sebarang bentuk bantuan jika diperlukan oleh Malaysia dalam mencari pesawat MH370. - Bernama

MH370
Malaysia minta bantuan negara ada radar, satelit
SEPANG - Malaysia telah menghubungi negara-negara yang mempunyai kemudahan radar dan satelit memohon bantuan dalam siasatan pesawat Malaysia yang hilang ketika usaha mencari diperhebat di dua koridor yang luas. Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata beberapa buah dari negara itu telah memberi respons terhadap permintaan itu, terutama berhubung maklumat satelit, tetapi tidak dapat mendedahkannya kerana ia sensitif. Beliau berkata beliau telah menghubungi hampir semua pemimpin Asean untuk membantu Malaysia dengan aset mereka yang mempunyai keupayaan meninjau dan mengesan di lautan dalam. "Segala usaha digunakan sekarang bagi mengurangkan kawasan konsentrasi. Ini dapat dilakukan dengan melihat data satelit sedia ada. Melihat semula (data ini) dan dengan menggunakan aset di udara atau di laut untuk mengecilkan kawasan (pencarian). "Sehingga itu dilakukan, kedua-dua koridor menjadi keutamaan," katanya pada sidang media harian mengenai perkembangan dalam pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang masuk hari ke-11 hari ini. Koridor utara merintangi kawasan dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke bahagian utara Thailand, sementara koridor selatan merintangi kawasan dari Indonesia ke bahagian selatan Lautan Hindi. Pesawat Boeing 777-200ER itu, dengan 227 penumpang dan 12 kru, hilang kira-kira sejam selepas meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 pagi pada 8 Mac. Pesawat itu didapati telah melencong dari laluan asalnya selepas seseorang dengan sengaja mematikan sistem komunikasi di dalamnya. Menurut satelit Inmarsat, pesawat itu telah terbang tujuh jam selepas itu. Malaysia telah meminta, antara lain, Indonesia dan Thailand melihat kembali data radar satelit dan tentera mereka untuk kemungkinan terdapat petunjuk baru, kata Hishammuddin. Beliau berkata koridor selatan nampaknya lebih mencabar memandangkan liputannya yang luas dengan hanya sedikit negara wujud di dalamnya, antaranya Australia dan Indonesia. Hishammuddin berkata beliau telah bercakap dengan Setiausaha Pertahanan AS Chuck Hagel tentang kemungkinan menggunakan satelit, radar, pesawat dan kapal AS dalam operasi mencari dan menyelamat di koridor selatan. "Satu kawasan luas perlu diliputi dengan fokus khas terhadap koridor selatan. Kita tahu bahawa AS mempunyai keupayaan terbaik untuk membantu kita," kata beliau. Ditanya sama ada Malaysia kini mencari sebuah pesawat yang terhempas atau mendarat, Hishammuddin berkata: "Fokusnya ialah mencari pesawat". Hishammuddin menafikan sekerasnya yang Malaysia sarang komunis. - Bernama

MH370
MH370: Kerajaan fokus kepada empat aspek terbaharu
SEPANG - Hasil kerjasama mengumpulkan maklumat terbaharu yang diperoleh pihak kerajaan dan negara-negara luar membuahkan penemuan maklumat tambahan bagi membantu menamatkan misteri kehilangan MH370. Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata, pihaknya telah menetapkan fokus terbaru dalam usaha mengesan pesawat terbabit. "Kami telah mensasarkan empat aspek terbaru dalam usaha pencarian MH370, antaranya mengumpulkan maklumat dari pengawasan satelit dan menganalisa data dari radar. "Kami juga akan mempertingkatkan aset udara dan juga pakar teknikal bagi melancarkan usaha menjejak pesawat itu dan juga bagi memastikan penyaluran maklumat dengan betul kepada pihak media dan masyarakat," katanya pada sidang media, di sini, hari ini. Mengulas tentang perkembangan usaha menjejak pesawat terbabit, beliau mengesahkan bahawa kerajaan Indonesia dan Australia kini mengetuai carian pesawat di sekitar koridor Selatan. Manakala China dan Kazakhstan akan mengepalai pencarian pesawat di sekitar koridor Utara.

Malaysia bukan sarang pengganas
Malaysia bukan sarang pengganas
SEPANG - Kerajaan menafikan dakwaan mengatakan Malaysia merupakan sarang pengganas berikutan insiden kehilangan MH370 sejak 8 Mac lalu. Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, dakwaan itu dianggap sebagai satu tuduhan liar dan tidak berasas. "Dakwaan ini saya sudah dengar sejak saya berada dalam Kementerian Dalam Negeri lagi. Namun, memang jelas tak ada asas. "Apatah lagi nak kaitkan dengan apa yang kita lalui sekarang (kehilangan pesawat MH370). “Jangan kaitkan dakwaan tersebut dengan apa yang kita lalui saat ini, tuduhan seperti itu boleh menjatuhkan imej negara," katanya dalam sidang media di sini, hari ini. Turut hadir, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya. Menurut beliau lagi, isu pengganas pernah dibangkit di awal penyiasatan apabila timbul kontroversi warga Iran menggunakan pasport curi ketika menaiki MH370. Namun spekulasi tersebut dihentikan serta-merta sebaik sahaja pihak polis mengesahkan warga Iran tersebut bukan pengganas sebaliknya dia hanya cuba berhijrah dan menetap di Jerman bersama ibunya. "Sepatutnya dakwaan ini tidak patut dibangkitkan lagi, ianya sudah disiasat oleh pihak berkuasa dan tidak wujud isu pengganas di negara ini," katanya. Sebelum ini, media asing melaporkan pendedahan seorang pemberi maklumat Al-Qaeda, Saajid Muhammad Badat yang mendakwa pernah bertemu dengan pengganas Malaysia berhubung rancangan merampas pesawat yang dikatakan pesawat MAS MH370. Dalam keterangannya di Mahkamah New York, Saajid berjata, lima lelaki Malaysia merancang mengawal pesawat menggunakan bom tersembunyi dalam kasut untuk meletupkan pintu kokpit. Beliau turut mendakwa pernah bertemu dengan rakyat Malaysia itu yang salah seorangnya merupakan juruterbang, di Afghanistan dan memberikan bom kasut kepada mereka. Sementara itu, dalam sidang media minggu lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan dua warganegara Iran yang menaiki penerbangan MH370 ke Beijing tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana kumpulan pengganas.

MH370
MH370: Sektor pencarian diperluas
SEPANG - Sektor pencarian pesawat MH370 kini diperluaskan kepada 2.24 juta nautika persegi. Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata, ia adalah satu keluasan yang tidak akan dapat diterokai oleh pihak Malaysia sendiri. "Ianya melibatkan usahasama dari 26 buah negara berbeza dan mustahil kami dapat melakukan carian ini tanpa bantuan dari negara luar," katanya pada sidang media, di sini, hari ini. Dalam pada itu, Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) telah menambah jumlah aset cariannya termasuk kapal dan dua helikoper Super Lynx. Malaysia juga turut mengerah dua pesawat C-130 ke Indonesia untuk membantu pihak berkuasa memperkasakan pencarian di koridor selatan. Menurutnya, antara negara yang turut menambah bilangan aset jentera mereka ialah Amerika Syarikat (AS), Australia, New Zealand, Korea, Jepun dan UAE. "Sesetengah dari mereka sedang menunggu arahan dan pengesahan dari pihak kerajaan masing-masing sebelum turut serta mencari pesawat terbabit," katanya. tambah beliau lagi, ianya merupakan bukti hubungan diplomatik Malaysia terjalin baik antara negara yang lain.

palsu
PDRM nafi gambar tentera AS cari MH370
KUALA LUMPUR - Polis hari ini menyangkal gambar tersebar di laman sosial Facebook kononnya tentera Amerika Syarikat (AS) di Kota Baharu, Kelantan dan di Ipoh, Perak dalam misi mencari MH370 yang hilang. Menurut laman rasmi Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM), gambar tersebut merujuk kepada latihan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tentera AS yang diadakan di Lapangan Terbang Unit Udara Ipoh, Perak, pada 2012. Sehubungan itu, orang ramai dinasihat supaya tidak mudah mempercayai maklumat tidak rasmi yang disiarkan di blog-blog atau mana-mana platform media. PDRM mengingatkan bahawa penyebaran maklumat tidak tepat adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab serta boleh menggugat ketenteraman awam. Gambar beberapa tentera AS tersebar di Facebook dan WhatsApp dengan mendakwa tentera AS berada di Kota Bharu dan Ipoh dalam misi mencari dan menyelamat pesawat MH370. Penerbangan MH370 membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal ke Beijing, hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi 8 Mac lepas. Pesawat sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. - Bernama

Batal konsert: FMFA akan pulangkan bayaran
Konsert FMFA: Lima warga asing mengaku ambil dadah
KUALA LUMPUR - Dua lelaki warga Indonesia dan tiga lelaki warga Sudan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap pertuduhan mengambil dadah semasa konsert Future Music Festival Asia (FMFA), di Stadium Nasional Bukit Jalil, minggu lepas. Arifiyanto, 27, dan Angga Diandry Andy dari Indonesia mengaku memasukkan dadah jenis Methamphetamine ke dalam badan sendiri manakala Awap Abdualhafez Alrwfaea Abualhassan, 23, Mohamed Elzain Dafaalla Babiker Khalid, 22, dan Mohamed Abdalla Sayed Mohamed, 23, dari Sudah mengaku memasukkan dadah jenis Kanabis. Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Balai Polis Bergerak dan di perkarangan Stadium Bukit Jalil, di sini antara 11.50 malam, 13 Mac dan 12.30 tengah malam, 15 Mac lalu. Mereka didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun dan diwajibkan pengawasan sehingga tiga tahun. Media sebelum ini melaporkan enam maut termasuk tiga gadis manakala tiga lagi lelaki dalam keadaan kritikal disyaki mengambil dadah ketika menghadiri konsert itu. Sembilan lagi warga asing turut didakwa iaitu Adam Paul, 19, dari Australia; Pavin Akshay, 20, dari Mauritius; Muhammad Ahsan, 23, dari Pakistan; Fazal Mohamed, 24; Hassan Ibrahim Hayyan, 20, dan Ahmed Hayyan Majeed, 19, dari Maldives; Ng Teck Ming, 27, dan Mohamed Redzwan Sali, 26, dari Singapura; dan Tinashe Shimbo, 27, dari Zimbabwe. Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memasukkan dan memiliki dadah jenis pil dan serbuk Ecstacy, Amphetamine dan Kanabis pada waktu dan tempat yang sama. Mereka didakwa mengikut Seksyen 12 (2)(a) akta sama, yang boleh didenda sehingga RM100,000 atau boleh dipenjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan. Ahmed Hayyan, Fazal, Muhammad Ahsan dan Shimbo diwakili peguam Mohd Shamril Afzan Mohamed, peguam Tania Scivetty Sandu mewakili Paul manakala tertuduh lain tidak diwakili peguam. Majistret Erry Shahriman Nor Aripin menetapkan 20 Mac dan 23 April untuk sebutan semula bagi kesemua kes berkenaan sementara menunggu laporan kimia. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa. - Bernama

MH370
MH370: Perancis tawar kepakaran mencari dalam air
SEPANG - Pakar-pakar Perancis akan menghulurkan kepakaran dalam operasi pencarian di bawah permukaan air kepada Malaysia yang mengetuai misi mencari dan menyelamat (SAR) MH370 yang hilang. Jean Paul Troadec, penasihat khas kepada Biro Penyiasatan Kemalangan Penerbangan Perancis berkata kepakaran mereka dalam siasatan nahas udara Penerbangan 447 Air France pada 2009 mungkin boleh dimanfaatkan dalam pencarian pesawat Boeing 777-200ER itu. "Kami mempunyai kepakaran dalam pencarian dalam air, uji kaji dan aspek teknikal dalam bidang komunikasi dan elektronik," kata beliau kepada pemberita ketika ditemui di Hotel Sama Sama di sini hari ini. Bagaimanapun Troadec berkata, misi pencarian MH370 berbeza dengan operasi pencarian yang dapat mengesan pesawat 447 dalam tempoh yang singkat selepas nahas itu berlaku. "Bezanya ialah tidak lama selepas nahas penerbangan 447 Air France itu, kami tahu batas kawasan di mana pesawat itu berada. "Kami memulakan pencarian dengan segera selepas nahas itu (pada 2009) yang sudah tentu berbeza dengan misi sekarang. Akan ada kelainanannya," kata beliau. Troadec ialah antara tiga pegawai daripada Pihak Berkuasa Penyiasatan Keselamatan Penerbangan Awam Perancis (BEA) yang tiba di Kuala Lumpur semalam untuk membantu operasi SAR. Ketika ditanya mengenai kemungkinan teori utama tentang kehilangan MH370 itu, beliau berkata: "Kami tidak mempunyai teori. Kami berada di sini hanya untuk membantu pihak berkuasa Malaysia.. Mereka yang menjalankan siasatan dan kami cuma berkongsi pakar kami dan nasihat." Pesawat Boeing 777-200ER, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada pukul 12.41 tengah malam Jumaat. Pesawat itu sepatutnya tiba di Beijing pukul 6.30 pagi Sabtu. Misi pencarian pesawat berkenaan setakat ini membabitkan 26 buah negara. - Bernama

Hishammuddin Tun Hussein
MH370: Simulator masih dalam siasatan
Hishammudin Tun Hussein (kiri) menunjukkan peta operasi pencarian SAR yang diperluaskan pada sidang media MH370 di KLIA pada hari ini.
SEPANG - Siasatan masih dijalankan terhadap perisian program simulator milik juruterbang MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah yang diambil dari rumahnya, Sabtu lalu. Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, hasil siasatan akan diumumkan polis dalam masa terdekat. "Semasa Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menghadiri sidang media sebelum ini, tidak timbul perkara tersebut (simulator). "Namun, saya percaya dalam masa terdekat ini polis akan memaklumkan hasil siasatan mereka berkenaan simulator kepada umum ," katanya dalam sidang media, di sini, hari ini. Hari ini, media tempatan melaporkan siasatan kini dilakukan ke atas lima landasan lapangan terbang yang ditemui dalam perisian program simulator Zaharie. Siasatan ke atas maklumat dan data penerbangan simulator yang dikendalikan Zaharie dikatakan paling penting, selain rekod penerbangan dengan MAS. Antara perisian yang dikatakan telah diperiksa setakat ini ialah lapangan Terbang Antarabangsa Male di Maldives, lapangan terbang markas tentera Amerika Syarikat di Diego Garcia serta tiga lagi landasan India dan Sri Lanka yang kesemuanya mempunyai jarak landasan 1,000 meter. Hishammuddin dalam sidang media semalam bagaimanapun menafikan menafikan pesawat MAS MH370 mendarat di Diego Garcia.

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
MH370: Kenyataan penuh Datuk Seri Hishammuddin
KUALA LUMPUR - Berikut kenyataan Menteri Pertahanan dan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada taklimat media mengenai operasi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370, di Sepang, Selangor, hari ini: Kenyataan pengenalan. Semalam, saya nyatakan bahawa operasi mencari MH370 telah memasuki fasa baharu, yang turut membawa cabaran-cabaran baharu dari segi diplomatik, teknikal dan logistik. Hari ini, saya akan memberikan anda perkembangan terkini mengenai aspek logistik dan diplomatik dalam operasi mencari itu. Operasi mencari dan menyelamat telah memasuki dimensi baharu peringkat antarabangsa. Pencarian masih diselaraskan oleh Malaysia, tetapi rakan-rakan kami telah memainkan peranan penting dalam menguruskan dan menjalankan operasi, dalam kawasan mereka sendiri dan juga di sektor yang telah dipersetujui bagi operasi mencari. Rakan sejawat saya, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman akan memberikan kenyataan lebih terperinci mengenai usaha diplomatik kami pada masa ini. Dari segi logistik, dalam tempoh 24 jam lepas kami telah bekerja keras dengan negara-negara lain untuk menjuruskan pencarian di koridor-koridor. Kami memfokuskan kepada empat tugas: mengumpul maklumat daripada pengawasan satelit, analisis data daripada pengawasan radar, menambah aset udara dan permukaan, dan menambah jumlah pakar teknikal dan perkara berkaitan. Mengenai pengawasan satelit, saya tidak boleh dedahkan siapa memiliki keupayaan satelit, tetapi saya dapat sahkan bahawa kami telah menghubungi setiap negara relevan yang mempunyai akses kepada data satelit. Mengenai analisis data radar, di koridor selatan, Australia dan Indonesia telah bersetuju untuk mengetuai di bahagian masing-masing dalam pencarian di koridor. Di koridor utara, China dan Kazakhstan telah bersetuju untuk mengetuai pencarian di kawasan paling hampir dengan negara mereka. Mengenai aset udara dan permukaan, saya telah berhubung dengan hampir kesemua pemimpin Asean bagi meminta bantuan selanjutnya, termasuk aset dilengkapi keupayaan pengesanan dan pengawasan di laut dalam. Kami juga meminta rakan antarabangsa yang telah membantu kami untuk meneliti semua data pada radar primer mereka. 1. Perkembangan terkini operasi. Di koridor utara, kami telah membahagikan kawasan pencarian kepada tujuh kuadran. Setiap daripada tujuh kuadran itu adalah 400 batu nautika darab 400 batu nautikal – atau 160,000 batu nautika persegi secara keseluruhannya. Kami juga membahagikan koridor selatan kepada tujuh kuadran. Sama seperti di utara, setiap kuadran meliputi kawasan 160,000 batu nautika persegi. Keseluruhan kawasan pencarian kini adalah 2.24 juta batu nautika persegi. Ini adalah kawasan pencarian yang amat luas. Dan ia sesuatu yang Malaysia tidak mampu lakukan secara bersendirian. Saya dengan ini amat berbesar hati bahawa terdapat begitu banyak negara yang tampil menawarkan bantuan dan sokongan terhadap operasi mencari dan menyelamat ini. Dari segi penghantaran aset-aset spesifik: Hari ini, Tentera Laut Diraja Malaysia menghantar dua lagi kapal ke koridor selatan. Penghantaran ini termasuk sebuah helikopter Super Lynx, yang boleh beroperasi daripada mana-mana dua kapal itu. Ini menjadikan jumlah kapal Malaysia dihantar ke koridor selatan kepada empat buah, dengan dua helikopter Super Lynx. Hari ini Malaysia turut menghantar dua pesawat C-130 ke sektor Indonesia dalam pencarian di koridor selatan. Negara-negara lain turut menyumbang dengan aset-aset berikut: Amerika Syarikat menghantar sebuah P-8 Poseidon, dan akan menghantar sebuah pesawat P-3 Orion. Australia, sepertimana saya sebut semalam, telah menghantar tiga P-3 Orion dan sebuah C-130 Hercules. New Zealand menghantar sebuah P-3 Orion untuk membantu usaha pencarian oleh Australia. Repubuik Korea menjanjikan sebuah P-3 Orion dan sebuah C-130 Hercules. Jepun, menjanjikan dua P-3 Orion, dua C-130 dan sebuah jet Gulfstream. UAE menjanjikan sebuah pesawat C-17 dan sebuah pesawat Bombardier Dash-8. Aset dari Korea, Jepun, dan UAE kini berada di Malaysia dan sedang menunggu arahan daripada kerajaan masing-masing. Selain menghantar aset-asetnya ke koridor utara, China juga membuat perjanjian dengan Australia untuk menghantar sebuah pesawat ke koridor selatan. 2. ACARS (Sistem Pelaporan dan Komunikasi Pesawat). Saya ingin menjelaskan mengenai apa telah diperkatakan mengenai ACARS dan turutan kejadian sebelum pesawat berpatah balik. Pada Sabtu, kami menyatakan bahawa – dan saya petik: “Berdasarkan maklumat baharu daripada satelit, kami boleh katakan dengan kepastian tahap tinggi bahawa Sistem Pelaporan dan Komunikasi Pesawat (ACARS) dimatikan sejurus sebelum pesawat itu sampai ke pantai timur Semenanjung Malaysia. "Tidak lama selepas itu, dekat sempadan antara kawalan trafik udara Malaysia dan Vietnam, transponder pesawat itu dimatikan.” Dapatan ini dirumuskan secara bersama dengan wakil-wakil pasukan penyiasat utama antarabangsa, berdasarkan maklumat diperoleh pada waktu itu. Semalam, Malaysia Airlines menjelaskan bahawa kami tidak dapat tentukan secara tepat bila ACARS dimatikan, hanya bahawa ia berlaku dalam tempoh waktu spesifik: dari 01:07 – anggaran ketika pesawat itu sampai ke pantai timur Semenanjung Malaysia, dan transmisi terakhir ACARS berlaku – hingga 01:37, iaitu masa pelaporan seterusnya dijadualkan. Ini sebenarnya yang berlaku. Ini tidak mengubah kepercayaan kami, seperti dinyatakan, bahawa sehingga ke titik ia keluar daripada liputan radar primer tentera, pergerakan pesawat itu adalah konsisten dengan tindakan sengaja oleh seseorang dalam pesawat itu. Ini menjadi tumpuan pasukan penyiasat. Adalah juga penting untuk ditegaskan bahawa masa tepat ACARS dimatikan tidak memberikan tekanan kepada operasi mencari dan menyelamat. Kami tahu bahawa kedudukan terakhir pesawat seperti disahkan oleh pasukan penyiasat antarabangsa adalah sama ada di koridor utara atau selatan, yang menjadi fokus usaha mencari dan menyelamat. Keutamaan kami ialah mencari pesawat itu. - Bernama

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
'Ya, saya memang sepupu Perdana Menteri tapi...'
SEPANG - Kredibiliti Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mula dipermainkan media barat apabila mendakwa beliau di bawah 'perlindungan' Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Dalam sidang media di Sama-sama Hotel pada petang tadi, seorang wartawan dari CNN mula mendakwa beliau tidak memberikan kerjasama yang baik dengan media dan juga lambat menyalurkan maklumat kepada semua pihak. Wartawan tersebut juga mula mempertikaikan hubungan kekeluargaan beliau dengan Najib. Hishammuddin bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya dakwaan terbabit. "Ya, saya memang sepupu Perdana Menteri namun saya bukan berada di bawah perlindungan beliau. "Pihak kami bekerjasama dengan 26 buah negara yang berbeza, banyak maklumat yang diterima dan perlu disahkan terlebih dahulu sebelum dibentangkan kepada media, tentunya ia memakan masa," katanya. Beliau turut menegaskan, beliau tidak mahu dikaitkan dengan sebarang dakwaan berhubung pencarian MH370.

chanelNewsAsia
CNA siar 'MH370 Special: Passport to crime'
SINGAPURA - Badan penyiaran serantau Channel NewsAsia (CNA) akan menyiarkan program khas "MH370 Special: Passport to Crime" pada Rabu jam 8.00 malam (waktu Singapura/Hong Kong/Manila) mengenai pesawat Malaysia yang hilang. Dalam satu kenyataan, CNA menerangkan kehilangan misteri pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 mendedahkan hakikat bahawa beberapa penumpang telah menaiki penerbangan itu dengan mengguna pasport curi. Saluran televisyen itu menyoroti perkembangan bermula dari check-in di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hingga ke Thailand dan kegiatan bawah tanah menghasilkan pasport palsu. Program itu akan memberi tumpuan bagaimana ini berlaku dan kesan yang terpaksa ditanggung bila ia berlaku. Memandangkan Pengarah Interpol menyifatkan penipuan pasport sebagai ancaman keselamatan paling serius di dunia, program itu akan berkongsi dengan penonton tentang mengapa hal ini diabaikan sekian lama. CNA akan menampilkan pakar-pakar keselamatan dan penyiasat yang berusaha keras mengesan sindiket di sebalik perdagangan ini. Program itu turut menyentuh persoalan mengapa lapangan terbang dan syarikat penerbangan keberatan bertindak mematahkan jenayah berkenaan. Siaran ulangan ialah pada Khamis (20 Mac) 5.00 pagi, Jumaat (21 Mac) 1.00 tengah hari, Sabtu (22 Mac) 6.00 pagi dan Ahad (23 Mac) 3.00 pagi. - Bernama

Pilihan Raya Mesir hanya sandiwara?
Pilihan Raya Mesir hanya sandiwara?
KAHERAH - MESIR. Bekas calon presiden Mesir mengesahkan tidak akan bertanding pilihan raya presiden yang dijadualkan April ini. Khaled Ali yang juga peguam Hak Sosial berkata, pilihan raya itu sudah mempunyai agenda tersendiri dan hanya sandiwara untuk mengaburi penduduk Mesir. “Saya yakin calon presiden hanya satu iaitu ketua tentera, Abdel Fatah Al-Sisi dan beliau akan mendapat kemenangan mudah,” katanya dipetik Al Arabiya/ Menurutnya, institusi negara dan media yang semuanya menjurus ke arah pencalonan Al-Sisi ini sekali gus melemahkan peluang mana-mana calon yang mahu bertanding. “Kami tidak menentang pencalonan mana-mana pemimpin bekas tentera, tetapi tidak mustahil beliau juga akan melakukan kesilapan dan akan dikritik,” katanya. -

Krisis politik: Thailand catat rugi besar
Krisis politik: Thailand catat rugi besar
BANGKOK- THAILAND. Konflik politik berterusan menyebabkan ekonomi Thailand mengalami kerugian kira-kira 100 bilion baht, dan angka itu semakin meningkat tanpa menampakkan sebarang penyelesaian. Lembaga Perdagangan (BOT) dan Dewan Perniagaan Thailand berkata jika konflik berterusan selama enam bulan lagi, ia boleh mengakibatkan pertumbuhan negatif tahun ini, kali pertama dalam tempoh tiga tahun. Pengerusi BoT dan Dewan Perniagaan itu Isara Vongkusolkit berkata antara 500 bilion dan 600 bilion baht pelaburan modal yang sepatutnya dilaburkan di negara ini, kini digantung. Beliau berkata pelabur Eropah dan Jepun kini mengalihkan rancangan pelaburan mereka dari Thailand ke negara Asean lain, terutama Indonesia dan Vietnam. "Jika pergolakan politik berakhir dalam beberapa bulan dan pilihan raya umum diadakan pada suku ketiga, ekonomi akan berkembang dua hingga tiga peratus tahun ini," katanya. Beliau menggesa kerajaan dan kumpulan pembangkang berunding untuk mencari penyelesaian bagi membolehkan ekonomi kembali ke laluan pertumbuhan biasa. Industri pelancongan paling teruk terjejas akibat pergolakan politik, dengan pendapatan serta tempatan perjalanan dan hotel agensi pelancongan mengalami penguncupan besar. "Hampir separuh daripada pelancong China telah membatalkan tempahan mereka ke Thailand manakala Jepun kira-kira 40 peratus dan Korea 30 peratus," katanya. Beliau berkata purata tempahan purata untuk hotel di Bangkok dan wilayah-wilayah lain turun antara 25 dan 30 peratus, manakala jualan barang kemas dan perhiasan jatuh 30 peratus. - Bernama

No comments:

Post a Comment