Wednesday, March 12, 2014
Berita Terkini 12 Mac 2014
Perintah darurat di Bangkok ditarik balik
BANGKOK - THAILAND. Perintah darurat yang dikenakan di Bangkok dan wilayah berhampirannya patut ditarik balik kerana bukan semua peraturan di bawah perintah itu boleh dikuatkuasakan dari segi undang-undang, kata Menteri Buruh sementara Chalerm Yubumrung di sini hari ini. Menurut beliau, Mahkamah Sivil memutuskan pada 19 Feb bahawa kerajaan mempunyai kuasa untuk mengenakan perintah darurat dalam keadaan kritikal, tetapi tidak boleh menggunakannya untuk meleraikan bantahan secara aman dan tanpa menggunakan senjata. “Saya sudah memaklumkan kepada majlis keselamatan negara bahawa perintah darurat perlu ditarik balik kerana keputusan yang dibuat mahkamah sivil menyebabkan Pusat Pemeliharaan Keamanan dan Ketenteraman Awam (CMPO) tidak dapat menguatkuasakan hampir kebanyakan perkara yang terkandung di dalam perintah itu," kata Chalerm, yang juga pengarah CMPO, pihak yang bertanggungjawab terhadap pelaksanaan perintah darurat. "Lagi pun, jika ia terus dikuatkuasakan, orang asing akan mengkritiknya. Oleh itu, secara peribadi, saya berpendapat ia (perintah darurat) perlu ditarik balik," kata Chalerm kepada media di Kelab Sukan Polis di sini, yang dijadikan markas CMPO. Beliau bagaimanapun berkata terserahlah kepada Perdana Menteri sementara Yingluck Shinawatra untuk membuat keputusan tentang perkara itu. Mahkamah Sivil membuat keputusan itu selepas polis bertindak untuk mengosongkan tempat tunjuk perasaan tertentu di bandar raya ini, yang menyebabkan tercetus konfrontasi ganas dengan penunjuk perasaan. Chalerm berkata Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) boleh dikuatkuasakan jika perintah darurat ditarik balik. Perintah darurat dikenakan mulai 22 Januari dan berkuat kuasa selama 60 hari bagi kawasan meliputi Bangkok, wilayah Nontaburi, daerah Lat Lumkaew di Pratumthani dan daerah Bangphli di Sumutprakarn. - Bernama
Bomoh jadi perhatian di media sosial
SHAH ALAM - Upacara ritual menggunakan teropong buluh dan bubu mata pancing yang dilakukan oleh seorang bomoh yang menggelarkan dirinya sebagai Raja Bomoh Sedunia Nujum VIP kini menjadi satu trending di media sosial. Penyebaran video upacara ritual Datuk Mahaguru Ibrahim Mat Zin, 80 menzahirkan pelbagai reaksi dari golongan masyarakat lebih-lebih lagi golongan muda. Semakin ramai individu yang berlumba-lumba ‘melakukan’ ritual yang sama bagi menunjukkan usaha mereka untuk menemukan pesawat MH370 yang hilang sejak Sabtu lalu. Kelmarin, Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) gempar menerima ketibaan Raja Bomoh yang mendakwa pernah menampar buaya tembaga sehingga mati itu. Bomoh VIP yang kononnya berkebolehan meramal keadaan pesawat MH370 itu menjalankan upacara selama 30 minit dan mendakwa pesawat tersebut 'tergantung' di antara tiga negara iaitu Laut China Selatan, Filipina dan sebuah negara asing yang tidak dapat dikenal pasti namun beliau mengesahkan MH370 itu berada dalam keadaan selamat. Menurut Raja Bomoh Sedunia ini, bubu mata pancing yang digunakan merupakan simbolik penjara di mana pesawat itu dipercayai berada dalam cengkaman pihak tertentu atau ditawan di alam bunian. Ibrahim sebelum ini mendakwa pernah membuat ramalan ke atas kes tragedi Highland Tower serta membatalkan ilmu hitam Mona Fendy agar hakim dapat menjalankan tugas di Mahkamah Temerloh, Pahang berkata, seramai 100,000 ahli Persatuan Silat Gayung Ghaib dan Selendang Merah turut melakukan solat hajat serta berdoa semoga pesawat yang hilang ditemui dalam minggu ini. Jakim bagaimanapu menyelar tindakan pihak-pihak tertentu yang menggunakan khidmat bomoh bagi mengesan pesawat MH370 yang masih hilang.
Pesawat berpatah balik tak dapat disahkan sebagai MH370 - PAT
SEPANG: Pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjelaskan bahawa pesawat yang berpatah balik itu tidak dapat disahkan sebagai MH370. Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata, namun tidak mahu mengambil sebarang risiko, pihaknya menghantar pesawat C130 untuk meninjau tetapi tidak menemui apa-apa di kawasan terakhir pesawat misteri itu dikesan. "Kita kaji rakaman semula daripada radar dan ia buktikan ada kemungkinan pesawat ini berpatah balik dan tak pasti sama ada ia adalah pesawat yang sama tapi dalam radar ada nampak patah balik," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Jambatan Pulau Pinang Kedua ditutup Ahad ini
GEORGETOWN - Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (Jambatan Kedua Pulau Pinang) akan ditutup dari pukul 4 pagi hingga 2 petang Ahad ini untuk memberi laluan kepada acara Merdeka Ride ke-56, kata pemegang konsesi jambatan itu Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB). Ia akan dibuka semula pada pukul 2.01 petang selepas acara itu selesai. Merdeka Ride Ke-56, anjuran bersama kerajaan negeri Pulau Pinang, JKSB, Kelab Lions dan Bicycle Town, adalah acara rasmi pertama melibatkan orang ramai sejak jambatan itu dibuka pada 1 Mac. "Merdeka Ride Ke-56 bukan pertandingan, tetapi suatu acara yang memebri peluang kepada penunggang basikal tempatan dan antarabangsa untuk berbasikal secara santai di jambatan terpanjang di Asia Tenggara itu," kata Pengarah Urusan JKSB Datuk Ir Dr Ismail Mohamed Taib dalam kenyataan hari ini. Penaung acara ini, Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas, akan menunggang basikal bersama-sama lebih 9,000 penunggang di jambatan berkenaan, kata kenyataan itu. - Bernama
Warga emas maut dirempuh kereta
KOTA BHARU - Seorang warga emas maut selepas dirempuh sebuah kereta di KM58 Jalan Kota Baharu-Gua Musang berhampiran Kampung Keroh, Kuala Krai, awal hari ini. Dalam kejadian pada pukul 6.45 pagi itu, Mohd Razali Awang Besar, 63, dari Felda Kemahang, Tanah Merah maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Ab Rahim Che Ghani berkata, mangsa dirempuh sebuah kereta Proton Wira ketika sedang menyeberangi jalan untuk menaiki sebuah bas, sebaik selesai menunaikan solat subuh di sebuah masjid. "Mangsa telah keluar dari masjid berkenaan untuk menaiki bas sebelum dilanggar sebuah kereta dari arah Gua Musang," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. Siasatan awal mendapati mangsa ingin menghadiri perjumpaan peneroka Felda di Gua Musang, hari ini. Mayat dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk bedah siasat, katanya. - Bernama
Penguatkuasa JPJ cedera ditumbuk pemandu kereta
ALOR SETAR - Seorang pembantu penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) cedera di mulut selepas ditumbuk seorang pemandu kereta di Kilometer 1 Jalan Stadium di sini. Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, Asrul Hadi Zainon, 34, yang mengetuai sekatan jalan raya ditumbuk lelaki berusia 31 tahun selepas merempuh sekatan berkenaan. Ketua Penguatkuasa JPJ Kedah Fatimah Saad berkata ketika itu, sejumlah 11 anggota jabatan berkenaan menjalankan sekatan jalan raya dan sebuah kereta jenis Proton Wira, yang menunggu giliran untuk diperiksa, dikatakan membelok ke kiri jalan dan melanggar sebuah 'kon'. Beliau berkata kereta itu, yang tidak memiliki cukai jalan, hampir merempuh seorang anggota lain sebelum berhenti dalam jarak 100 meter di depan. "Lelaki berusia 31 tahun itu keluar dari keretanya meluru ke arah Asrul Hadi dan terus menumbuk muka Asrul sehingga mangsa mengalami cedera pada bahagian bibir sebelah kanan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat JPJ Kedah hari ini. Fatimah berkata anggota itu tidak melawan sebaliknya mempertahankan diri sebelum dibantu yang lain bagi meleraikan kekecohan berkenaan. Suspek kemudian ditahan dan dibawa ke Balai Polis untuk tindakan lanjut. Beliau berkata pemeriksaan pada kereta itu mendapati cukai jalannya tamat tempoh pada November tahun lepas dan kenderaan berkenaan disita JPJ. Fatimah berkata pihaknya akan mengeluarkan saman terhadap pemilik kenderaan itu mengikut Seksyen 23(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 90(1) akta sama kerana tidak mempunyai cukai jalan. Beliau menasihati pengguna yang terlibat dalam sekatan jalan raya agar tidak melakukan sebarang perbuatan jenayah seperti merempuh sekatan dan bertindak kasar terhadap anggota bertugas. Katanya, pengguna perlu mengikut peraturan yang ditetapkan saman hanya dikeluarkan bagi mereka yang melanggarnya seperti tidak mempunyai lesen dan cukai jalan. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan mengesahkan kejadian berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan terhadap penjawat awam. - Bernama
Kira-kira 40 rumah setinggan musnah terbakar
SEMPORNA - Kira-kira 40 buah rumah setinggan musnah dalam kebakaran di Kampung Simunul, di sini, hari ini. Pegawai Bomba Kanan Dua Semporna Lajah Abdul Jalil berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 2.13 petang dan tiga jentera bomba dikejarkan ke tempat kejadian bersama 28 anggota termasuk enam anggota dari balai Semporna, lima anggota dari balai Kunak dan 17 anggota dari balai Tawau. "Kami tiba di tempat kejadian pada pukul 2.16 petang dan kebakaran itu berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 3.57 petang dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian. Beliau berkata punca kebakaran dan jumlah kerugian sedang disiasat dan semua mangsa akan ditempatkan di Dewan Masyarakat Semporna. Sementara itu, pihak bomba Tawau menerima sebanyak 53 kes kebakaran melibatkan hutan dan belukar di daerah itu sejak awal tahun sehingga Isnin lepas. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Rudy Fredzex berkata kebakaran itu berlaku berikutan keadaan cuaca yang panas ketika ini. "Pada Rabu lepas sahaja kami menerima sebanyak sembilan kes kebakaran hutan termasuk sebuah rumah di Jalan Kuhara," katanya dalam kenyataan di sini. Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran secara terbuka bagi mengelak sebarang kebakaran berlaku. - Bernama
Rompak: Penganggur dihukum penjara 6 tahun
KAJANG - Seorang penggangur dihukum penjara enam tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang wanita pada Julai tahun lepas. Hakim Nor Hazani Hamzah membuat keputusan itu selepas Fakhrullah Ma’mon, 35, menukar pengakuan kepada bersalah dan memerintah tertuduh menjalani hukuman bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 6 September tahun lepas. Fakhrullah dan seorang lagi yang masih bebas didakwa menggunakan satu objek menyerupai pistol ketika merompak Nik Nor Baizura Sabiamad, 31, di sebuah kedai di Seksyen 4 Tambahan, Bandar Baru Bangi pukul 2.25 petang 1 Julai 2013. Mengikut pertuduhan, tertuduh yang tidak diwakili peguam, mengambil tiga telefon bimbit jenama Samsung, seutas rantai tangan emas bernilai RM2,500 dan wang tunai RM1,000. Fakhrullah, yang juga bapa kepada lima anak, didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siaw Chooi Chin. - Bernama
Menteri nafi sembunyi fakta SAR MH370
SEPANG - Malaysia telus dalam mendedahkan segala maklumat berhubung insiden pesawat MH370 yang dilaporkan hilang dari radar, Sabtu lalu. Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pihak berkuasa telah menyampaikan segala maklumat kepada media dan orang awam secara telus tanpa menyembunyikan apa-apa. Pada sidang media hari ini, pemberita membangkitkan soal suasana kecoh yang timbul ditambah dengan pelbagai spekulasi yang berlegar berhubung insiden itu. Pihak berkuasa juga didakwa lambat bertindak sehingga perkembangan insiden tersebut terlalu perlahan. "Bukan sebab huru-hara. Banyak spekulasi yang kami telah jawab. Kami bekerja keras supaya semua spekulasi yang timbul disiasat. "Kami telus kepada media dan orang awam," katanya pada sidang media berkenaan perkembangan terbaru misi mencari dan menyelamat (SAR) MH370. Beliau menegaskan, sidang media yang diadakan setiap hari itu adalah medan untuk menyampaikan semua maklumat yang diperlukan. "Secara asasnya tiada kekeliruan. Sidang media ini untuk jelaskan bagi memastikan maklumat yg kami sampaikan konsisten. "... tiada apa yang kami hendak disembunyikan," katanya. Hari ini merupakan hari kelima misi SAR dijalankan dengan bantuan 12 buah negara dengan penyertaan terbaru tiga negara, Jepun, India dan Brunei. Sebanyak 42 kapal dan 39 pesawat digunakan dalam misi tersebut. Lokasi pencarian pula diluaskan kepada 27,000 batu nautika meliputi dua kawasan iaitu Selat Melaka dan Laut Cina Selatan.
TUDM kesan pesawat tak dikenali lepas MH370 hilang
SHAH ALAM - Tentera Udara Diraja Malaysia mendedahkan, sebuah pesawat tidak dikenali dikesan di ruang udara utara Selat Melaka selepas penerbangan MH370 gagal dikesan. Panglima TUDM Tan Sri Rodzali Daud memberitahu, pesawat yang masih belum dikenalpasti itu mungkin pesawat Malaysia Airlines yang dijadualkan ke Beijing. “Saya tidak kata bahawa ini adalah MH370. Kami sedang mengesahkannya. Kami masih bekerjasama dengan pakar," katanya dalam satu sidang media, hari ini. Rodzali berkata, pesawat tidak dikenali itu dikesan pada jam 2.15 pagi Sabtu, selang kira-kira 45 minit selepas MH370 hilang dari skrin kawalan udara. Katanya, radar tentera mengesan pesawat tidak dikenali itu berada pada kedudukan kira-kira 320 kilometer di barat laut Pulau Pinang. Pendedahan itu muncul hanya beberapa jam selepas beliaumenafikan laporan akhbar bahawa radar tentera mengesan MH370 berpatah balik dan terbang ke arah Selat Melaka.
Maritim gagal sah objek ditemui adalah rakit
MELAKA - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) tidak dapat mengesahkan bahawa objek yang ditemui sekumpulan nelayan kira-kira 10 batu nautika dari pantai Port Dickson semalam merupakan rakit keselamatan sebuah kapal terbang. Ketua Pengarahnya Laksamana Maritim, Datuk Mohd Amdan Kurish berkata, Maritim telah menerima laporan berhubung penemuan objek tersebut daripada nelayan dan mengarahkan anggotanya di Daerah Kuala Linggi di Alor Gajah dekat sini ke kawasan itu untuk melakukan siasatan. "Apabila anggota Maritim cuba ambil alih objek itu daripada nelayan, objek itu terlepas dan tenggelam ke dalam laut...mungkin kerana tali yang digunakan itu reput," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini. Namun, katanya nelayan terbabit sempat merakam gambar objek berkenaan yang telah tersiar di laman portal sebuah akhbar dan meminta mana-mana pihak termasuk Malaysian Airlines untuk tampil memberikan maklumat mengenai objek berkenaan. Pesawat MH370 itu yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi Sabtu lalu. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi, hari sama. - Bernama
Boeing 777-200 boleh terbang bawah radar
SEPANG - Pesawat Boeing 777-200 boleh terbang di bawah radar selagi ada bahan bakar, kata Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman. Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan media berhubung kebolehan pesawat Boeing 777-200 terbang di bawah radar. "Boleh (terbang bawah radar) selagi ada bahan bakar," katanya. Sementara itu, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tan Sri Rodzali Daud menjelaskan tentang kekeliruan maklumat berhubung kenyataannya sebelum ini yang menyebut MH370 dipercayai berpatah balik. "Plot terakhir dikesan pada 2.15 pagi di Pulau Pinang. Ia adalah plot yang tidak dikenali. Ia terbang 29,500 kaki (hampir 9 kilometer) dari aras paras laut. "Saya tak kata ini (plot tak dikenali pada radar) adalah MH370. Dari awal kami kata 'ada kemungkinan'. Kami masih siasat," katanya. Sehubungan itu, pihak berkuasa meminta sedikit lagi masa untuk menyiadat perkara tersebut.
Jakim selar pihak guna bomoh cari MH370
KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyelar usaha beberapa pihak mendapatkan khidmat bomoh dalam usaha mencari penerbangan MH370, yang hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing Sabtu lepas, kerana langkah itu jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Justeru, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha menggesa masyarakat di negara ini, terutama umat Islam, agar tidak terpengaruh atau mengamalkan upacara perbomohan. "Ia bukan sahaja satu usaha yang sia-sia malah boleh mengundang kemurkaan ALLAH SWT. Hukum mengamalkan perubatan alternatif atau kaedah perbomohan adalah harus dalam Islam namun mestilah tidak bertentangan dengan syarak," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Beliau berkata, umat Islam harus menyakini bahawa ALLAH SWT adalah sebaik-baik tempat untuk mereka bergantung dan bertawakal. "Setelah segala usaha pencarian dengan upaya manusia melalui ilmu sains, kepakaran dan teknologi sedang giat dijalankan, maka kita sebagai hamba ALLAH harus terus berdoa memohon kepada ALLAH yang Maha Kuasa. Saya yakin kita akan berjaya temui petunjuk terhadap misteri kehilangan pesawat ini atas izin-Nya jua," katanya. Beliau berkata, Jakim mengeluarkan Garis Panduan Perbomohan Menurut Islam untuk diteliti dan difahami masyarakat yang boleh diakses melalui laman sesawang www.islam.gov.my. "Mana-Mana pihak juga adalah dilarang mengelirukan masyarakat dengan penggunaan kalimah Arab sebagai cara untuk menunjukkan ia adalah bertepatan dengan syarak sedangkan hakikatnya pengamalan, bacaan dan prosedur yang digunakan adalah jelas bertentangan dengan syarak," katanya. - Bernama
Khidmat bomoh: Fathul mahu Jakim bertindak
PUTRAJAYA - Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memandang serius pembabitan bomoh dalam usaha mencari pesawat MAS yang hilang sejak Sabtu lalu. "Mohon Jakim memandang serius isu penglibatan bomoh-bomoh dalam mencari MH370 pelbagai versi. "Ada tikar terbang zam-zam ala kazam, labu, kelapa, teropong, bubu dan sebagainya," katanya dalam akaun Twitternya, hari ini. Sebelum ini, media melaporkan balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) gempar seketika dengan kemunculan seorang lelaki yang mendakwa sebagai 'Raja Bomoh Sedunia Nujum VIP' yang kononnya mampu membuat ramalan lokasi pesawat MAS penerbangan MH370 yang dilaporkan hilang. Terbaru, KLIA lagi sekali digemparkan dengan penyebaran gambar dengan kehadiran sekumpulan tiga lelaki memakai sut lengkap untuk memulakan ritual mengesan pesawat tersebut.
59 warga asing ditahan di tapak pembinaan
JASIN - Sebanyak 59 buruh binaan warga asing termasuk lapan wanita ditahan dalam operasi bersepadu 6P Fasa Dua di sebuah tapak pembinaan di Mukim Ayer Panas di sini, hari ini. Pemangku Pengarah Imigresen Melaka, Abu Bakar Sidek Hasan berkata, kesemua mereka meliputi 25 lelaki dan lapan wanita warga Indonesia, 23 lelaki warga Myanmar dan tiga lelaki Bangladesh berusia antara 18 hingga 55 tahun. Beliau berkata, ketika operasi selama dua jam bermula 10 pagi tadi kesemua mereka sedang bekerja di tapak projek perumahan seluas 20 hektar itu. "Seorang wanita warga Indonesia berusia 29 tahun dibawa ke Hospital Melaka akibat mengalami kecederaan di bahagian kaki selepas terjatuh di tapak pembinaan itu dua hari lepas, namun tidak mendapatkan rawatan kerana takut ditahan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. Katanya kesemua mereka didapati melakukan kesalahan memasuki dan tinggal di negara ini tanpa pas atau permit yang sah serta tinggal di negara ini setelah pas atau permit tamat tempoh. Abu Bakar Sidek berkata, pihaknya sedang mengesan majikan kesemua buruh binaan terbabit. Sementara itu, beliau berkata, seramai tujuh majikan ditahan sepanjang Januari hingga Februari lepas kerana mengambil satu atau lebih pekerja asing yang tidak memiliki pas sah selain memberi perlindungan kepada warga asing yang melanggar peruntukan Akta Imigresen 1959/63. Katanya empat daripada mereka telah didakwa di mahkamah dalam tempoh itu. Dalam pada itu, beliau berkata, sepanjang tahun lepas, seramai 25 majikan telah dikompaun dengan jumlah keseluruhan RM178,100 kerana melanggar peruntukan Akta Imigresen. - Bernama
Tiga wanita disamun ketika tidur
KUANTAN - Tiga wanita disamun dua lelaki bersenjatakan parang di sebuah rumah di Indera Mahkota, di sini awal pagi tadi. Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, dalam kejadian 2.40 pagi itu kesemua mangsa yang berusia lingkungan 20-an sedang tidur sebelum dikejutkan suspek. Katanya mangsa yang kesemuanya bekerja sebagai kerani di syarikat swasta itu panik dan hanya berdiam diri serta menuruti arahan suspek kerana bimbang dicederakan. "Suspek melarikan dua buah telefon bimbit, sebuah tablet, sebuah kamera digital, sebuah komputer riba dan beg tangan termasuk kunci kereta milik salah seorang mangsa," katanya kepada Bernama di sini hari ini. Beliau berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek yang menutup muka itu melarikan diri melalui pintu depan rumah mangsa. Menurutnya keterangan semua mangsa sudah diambil dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. - Bernama
Malaysia hantar nota diplomatik kepada Vietnam
SEPANG - Kerajaan Malaysia telah menghantar nota diplomatik kepada Vietnam semalam supaya pihak berkuasa itu dibenarkan memasuki ruang kedaulatan negara tersebut untuk operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata demikian pada sidang akhbar di pusat media di Hotel Sama-Sama di sini hari ini. - KOSMO!
Radar militari kesan objek berpatah balik di saat MH370 dikatakan hilang
SEPANG - Pihak berkuasa mengesahkan radar militari telah mengesan satu objek yang berpatah balik di saat pesawat MH370 dikesan hilang namun masih menyiasat jenis sebenarnya objek itu. Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia, Tan Sri Rodzali Daud berkata, objek itu dikesan pada pukul 2.15 pagi Sabtu lalu di kedudukan Barat Laut Pulau Pinang. Oleh itu katanya, pihak berkuasa mendapati ada kemungkinan pesawat tersebut berpatah balik selepas kira-kira dua jam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Beijing, China. - KOSMO!
Perbuatan membawa masuk penumpang ke dalam kokpit menyalahi polisi MAS
SEPANG - Penerbangan Malaysia (MAS) menegaskan perbuatan membawa masuk penumpang ke dalam kokpit kapal terbang menyalahi polisi syarikat dan pihaknya tidak dapat menerima perbuatan sedemikian. Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya berkata, MAS tidak berkompromi dengan isu keselamatan dan melarang keras setiap juruterbang membawa masuk penumpang ke dalam kokpit apatah lagi untuk bergambar. Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai pendedahan media asing berhubung perbuatan juruterbang pembantu MH370, Fariq Abdul Hamid yang bergambar dengan gadis luar negara di dalam kokpit. - KOSMO!
Dua ditahan curi batu marmar
KULIM - Hasrat tiga lelaki untuk melarikan batu marmar dari sebuah rumah yang sedang dalam binaan di Taman Beringin Indah tidak kesampaian apabila kegiatan mereka dikesan penduduk. Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM), Khor Eng Khim berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 petang semalam ketika suspek berada dalam keadaan mencurigakan berada di tempat kejadian. “Orang awam menghubungi saya dengan menggunakan alat perhubungan. Saya kemudiannya mengarahkan ahli PPKM untuk membuat pemantauan, bagaimanapun gagal menemui suspek. Ahli PPKM terus mencari suspek dan berjumpa tiga lelaki menaiki motosikal. "Kerana takut ditahan PPKM, dua suspek melarikan diri dengan menunggang motosikal, manakala seorang lagi menaiki kereta. "Suspek berjaya ditahan setelah motosikal ditunggang mereka terbabas dan mereka terhumban di tepi jalan,” katanya. PPKM kemudiannya menghubungi unit MPV polis dan membawa suspek ke Balai Polis Kulim untuk siasatan lanjut. Eng Khim berkata, suspek sering mencuri marmar di sekitar kawasan taman perumahan baru bagaimanapun perbuatan mereka kali ini gagal.
SKMM terima 17 aduan salah guna Internet sejak Jan
KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Rakyat hari ini diberitahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerima 17 aduan penyalahgunaan Internet bagi tempoh Januari dan Februari lepas. Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata daripada jumlah itu, sebanyak empat kertas siasatan dibuka manakalabaki 13 aduan lagi telah diambil tindakan sewajarnya. "Tindakan itu ialah sama ada sekatan, melaporkan penyalahgunaan kepada pentadbir laman sesawang dan dirujuk kepada agensi penguatkuasaan yang lain," katanya menjawab soalan Datuk Sapawi Ahmad Sawali (BN-Sipitang) di sini. Sapawi ingin tahu tahap keseriusan penyalahgunaan kemudahan media sosial seperti Facebook oleh rakyat negara ini dan langkah menanganinya. Jailani berkata sehingga kini, sebanyak 20 kes telah didakwa di mahkamah bagi kesalahan menurut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. Beliau berkata kementerian melalui SKMM sentiasa bekerjasama dengan agensi penguat kuasa lain dalam menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan dengan media sosial dan penyalahgunaan Internet. "Ini kerana Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 bukanlah satu-satunya undang-undang yang terpakai dalam menangani penyalahgunaan media sosial dan Internet. "Antara undang-undang lain yang terpakai ialah Akta Hasutan 1948, Akta Fitnah 1957, Kanun Keseksaan dan Akta Jenayah Komputer 1998 dan Enakmen Jenayah Syariah," katanya. Beliau berkata dalam menangani penyalahgunaan Internet, antara tindakan yang diambil oleh SKMM ialah mengenal pasti jenis kesalahan yang dilakukan suspek sebelum dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk pendakwaan. Jailani berkata kerajaan memandang serius isu penyalahgunaan Internet dan beberapa langkah telah, sedang dan akan diambil antaranya keperluan mengkaji semula keberkesanan AKM 1998 dan Kempen Kesedaran Media Sosial. - Bernama
Lelaki maut dihempap traktor
KOTA TINGGI - Seorang lelaki warganegara Indonesia maut selepas traktor dinaiki mangsa terbabas dan terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 9.14 meter sebelum menghempap mangsa, petang kelmarin. Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, dalam insiden yang berlaku jam 3 petang itu, mangsa, Hasan Haedi, 28, meninggal dunia di tempat kejadian kerana tersepit dan tertindih jentera berat itu. Menurutnya, kejadian berlaku di ladang kelapa sawit Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) di Jalan Kota Tinggi-Kulaijaya, dekat sini. “Mangsa cedera parah akibat tersepit dan ditindih stereng jentera tersebut pada bahagian dada. Siasatan awal juga mendapati traktor yang dinaiki mangsa terbabas semasa hendak mengundur sebelum terjatuh ke dalam gaung. “Mangsa berjaya dikeluarkan jam 5.30 petang dan dibawa ke Unit Perubatan Forensik, Hospital Kota Tinggi untuk urusan bedah siasat,” katanya. Rahmat berkata, mayat mangsa dituntut abangnya untuk dikebumikan di kampung asal mereka di Desa Bagek Papan, Lombok Timur, Indonesia.
Anak patut pulang dari bulan madu esok
PUTRAJAYA - "Hari ini teringatlah. Perasaan perempuan teringatkan anaknya, anak sulung... dia sayang lah...". Demikian kata bapa seorang penumpang MH370, Zamani Zakaria, 56, menceritakan keadaan isterinya, Kamariah Sharif, 55, yang mengenangkan keadaan anak mereka Mohd Razahan, 23, ketika usaha mencari dan menyelamat sudah memasuki hari kelima, hari ini. Isterinya, yang hadir ke tempat penginapan yang disediakan kepada waris penumpang pesawat malang itu kelihatan menangis semasa tiba di lobi Hotel Everly. Menurut Zamani, isterinya itu amat menyayangi anak lelaki sulung mereka dan sering bergurau senda melalui telefon jika tidak berpeluang untuk berjumpa. "Sebelum ini dapat berhubung, dan bergurau. Dia rindu. "Dia (isteri) tak cakap apa-apa cuma dia rindu lah nak tahu anak dia ada kat mana sekarang. "Sama ada hidup ke atau kalau hidup pun macam mana kehidupannya kat sana. Macam mana keadaannya kat sana," luah bapa ini. Selain itu, Zamani yang datang dari Ipoh juga berkata, kesedihan isterinya itu ekoran terkenangkan jadual penerbangan Mohd Razahan, di mana esok adalah hari sepatutnya anaknya itu pulang kembali ke tanah air. "Ikut pada jadual itu, dia hari Khamis baru balik. "Esok yang dia bagitahu (pulang) hari Khamis baru balik sini selepas berbulan madu di sana," katanya.
USM cipta pengganti mentega koko
GEORGETOWN - Sepasukan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) mencipta pengganti mentega koko (CBR) yang dihasilkan daripada lemak minyak biji mangga bersama adunan stearin sawit. Ketua penyelidik daripada Sekolah Teknologi Industri, Prof Dr Ir Mohd Omar Ab Kadir berkata, mentega koko adalah lemak yang mempunyai permintaan amat tinggi, tetapi pengeluarannya di dunia semakin menurun akibat masaalah penanaman. Menurut Lembaga Koko Malaysia, kawasan tanaman koko berkurangan kepada 10,000 hektar daripada 12,000 hektar dalam tempoh 2010 hingga 2013," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini. Di samping itu, kata beliau harga koko ketika ini juga mahal iaitu RM10,000 setan, berikutan kekurangan bekalan dan oleh itu, CBR daripada lemak biji mangga boleh digunakan sebagai satu daripada opsyen dalam industri pembuatan coklat, gula-gula dan kosmetik. Dr Mohd Omar berkata penyelidikan yang bermula pada 1990 itu menunjukkan bahawa CBR yang dihasilkan daripada lemak biji mangga dan adunan stearin sawit melalui karbon dioksida superkritikal (SC-CO2), adalah sama dari segi tekstur dan rasa dengan mentega koko asli. Menurut Dr Mohd Omar, pasukan penyelidiknya akan bekerjasama dengan Sekolah Sains Kesihatan USM untuk menguji dan menggunakan CBR dalam pengeluaran makanan serta penghasilan produk akhir dengan menggunakan CBR daripada lemak biji mangga. Katanya, penggunaan lemak biji mangga adalah praktikal bagi CBR kerana prosesnya bersifat mesra alam, tidak memerlukan kos pengeluaran yang tinggi dan mempunyai bekalan berterusan. Beliau berkata stearin sawit yang diperoleh daripada bungkil kelapa sawit, yang lazimnya dieksport sebagai makanan haiwan, berpotensi untuk dijadikan serat kelapa sawit dan seterusnya dikisar menjadi tepung pembuat roti. Kata Dr Mohd Omar beliau sedang menjalankan penyelidikan untuk menghasilkan satu sistem menggunakan SC-CO2 bagi menggunakan semula dan mengitar semula sisa pepejal klinikal untuk mengurangkan kos operasi hospital dan klinik. Menurut beliau penggunaan proses SC-CO2 bukan sahaja boleh mensterilkan sisa pepejal klinikal, tetapi juga membunuh bakteria. - Bernama
Panglima Udara nafi pesawat MH370 di Pulau Perak
KUALA LUMPUR – Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud menafikan membuat pengesahan bahawa pangkalan udara Tentera Di-Raja Malaysia di Butterworth mengesan pesawat MH370 berada dekat kawasan Pulau Perak di Selat Melaka pada pukul 2.40 pagi Sabtu lepas sebelum isyaratnya hilang tanpa sebarang petunjuk. Kata beliau, laporan akhbar Berita Harian pada Selasa yang memetik kenyataannya itu telah tersalah lapor. “Saya minta laporan itu dibetulkan bagi mengelak sebarang salah tafsir yang seterusnya tentang apa yang jelas tidak tepat dan salah lapor,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat malam tadi. Berita Harian melaporkan Rodzali berkata pada malam kejadian, pangkalan udara di Butterworth mengesan isyarat kedudukan pesawat berkenaan yang berpatah balik menghala ke laluan asalnya ke Kota Bharu, Kelantan sebelum dipercayai melalui ruang udara Pantai Timur dan Utara tanah air. Menurut Rodzali beliau telah diminta mengesahkan kejadian itu oleh wartawan Berita Harian tetapi beliau tidak menjawab soalan tersebut. “Sebaliknya apa yang saya katakan kepada wartawan itu ialah ‘sila rujuk kepada kenyataan yang saya buat pada 9 Mac 2014 semasa sidang media bersama Ketua Angkatan Tentera di Sama-sama Hotel, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur,” katanya. Pada sidang media itu, Rodzali berkata: “TUDM tidak menolak kemungkinan pesawat berpatah balik ke arah bertentangan sebelum pesawat itu hilang daripada radar dan ini menyebabkan operasi mencari dan menyelamat diperluaskan ke kawasan perairan Pulau Pinang.” – Astroawani.com
6 suspek kebas wang ATM diberkas
Kuala Lumpur: Enam suspek lelaki termasuk empat daripadanya pekerja sebuah syarikat keselamatan ditahan kerana dipercayai terlibat mencuri RM160,000 daripada dua mesin pengeluaran wang automatik (ATM) masing-masing di Bangsar dan Putrajaya pada 3 Mac dan Isnin lalu. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, enam suspek terbabit berusia 22 hingga 29 tahun masing-masing ditahan di Kuala Selangor, Putrajaya dan Kampung Kerinchi, di sini, selepas pihak pengurusan syarikat kawalan keselamatan menyedari mengenai kekurangan wang yang sepatutnya terdapat dalam dua mesin ATM itu. "Dalam kejadian pertama polis menerima laporan daripada pembantu penyiasat dalaman syarikat kawalan keselamatan mengenai kehilangan wang pada mesin ATM di Bangsar dan siasatan awal pihak polis mendapati RM80,000 hilang dari mesin ATM berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini sebentar tadi. Beliau berkata, hasil siasatan polis membawa kepada penahanan tiga lelaki pada 6 Mac lalu di sebuah rumah di Kuala Selangor, dekat sini yang mana salah seorang suspek berkenaan merupakan pekerja teknikal syarikat keselamatan itu. Gan berkata, dalam kes kehilangan wang di mesin ATM Bangunan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Presint 2, Putrajaya pada Isnin lepas, pihaknya menerima laporan kes kecurian berkenaan pada 12.48 tengah hari sebelum menahan tiga lelaki beberapa jam kemudian masing-masing di Putrajaya dan Kampung Kerinchi.
2 warga Indonesia diberkas
Miri: Dua lelaki warga Indonesia diberkas dalam serbuan di sebuah rumah pekerja di Taman Tunku, di sini, semalam selepas dipercayai terbabit dalam sekurang-kurangnya lapan kes pecah rumah termasuk curi kenderaan. Serbuan jam 6.30 petang itu dilakukan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Balai Polis Pusat Miri diketuai Inspektor Koay Kok Ping hasil maklumat awam dan risikan. Kedua-dua suspek berusia 20-an berkenaan dipercayai giat dalam kes pecah rumah di sekitar Taman Tunku, Taman Jelita dan Delight dekat sini sejak beberapa bulan lalu, selain turut disyaki terbabit dalam gejala penagihan dadah. Jurucakap polis berkata, siasatan masih dilakukan termasuk mengenal pasti identiti beberapa lagi rakan subahat mereka yang masih bebas dan dipercayai menghilangkan diri sebaik mengetahui suspek ditahan. Katanya, kedua-dua suspek direman empat hari mengikut Seksyen 379A/395 Kanun Keseksaan.
Ibu dedah identiti passpost curi
Sepang: Dua penumpang MH370 yang menggunakan pasport curi dikenal pasti berasal dari Iran dan dipercayai tiada kaitan dengan kumpulan pengganas, namun polis masih memfokuskan siasatan kepada kemungkinan pesawat itu dirampas atau disabotaj. Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, seorang daripada mereka dikenali sebagai Pouria Nour Mohammad Mehrdad yang menggunakan pasport milik warga Austria, Christian Kozel. Menurutnya, lelaki berusia 19 tahun itu dalam perjalanan ke Jerman dan dipercayai dia mahu berhijrah ke negara itu. “Maklumat ini diperoleh selepas ibunya yang berada di Frankfurt, Jerman menghubungi pihak berkuasa negara ini selepas anaknya tidak muncul di balai ketibaan lapangan terbang di sana. “Hasil maklumat ibunya, kami bekerjasama dengan pihak berkuasa beberapa negara bagi memeriksa profil dan latar belakang Pouria. Setakat ini, tiada maklumat yang boleh mengaitkannya dengan kumpulan pengganas,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Nelayan Port Dickson dakwa temui objek mirip rakit penyelamat pesawat
Port Dickson: Satu objek dipercayai rakit getah keselamatan kapal terbang dengan tulisan 'boarding' ditemui sekumpulan empat nelayan kira-kira 10 batu nautika dari pantai di sini, semalam. Penemuan kira-kira jam 12 tengah hari itu dipercayai dapat memberi petunjuk dalam usaha pihak berkuasa mengesan pesawat MH370 milik Penerbangan Malaysia (MAS) yang dilaporkan hilang dan terputus hubungan dengan menara kawalan sejak awal Sabtu lalu. Nelayan Azman Mohamad, 40 berkata, mereka sedang menangkap ikan di perairan terbabit sebelum sebelum terpandang objek berkenaan tenggelam timbul dipukul ombak. Katanya, dia bersama tiga rakan yang mengikuti perkembangan kes kehilangan pesawat MH370 melalui media, tertarik untuk melihat objek itu dengan lebih dekat. "Saya dan rakan sedaya upaya cuba mengambil objek itu dan berjaya sebelum menambatnya pada bot kerana bimbang ia tenggelam dalam laut. "Objek itu mungkin tidak mampu terapung lama kerana koyak atau bocor," katanya, ketika dihubungi semalam. Azman yang sudah 20 tahun menjadi nelayan berkata, mereka keluar menangkap ikan pada jam 8 pagi dan pulang kira-kira jam 8 malam. "Sebaik menemui objek itu, saya terus menghubungi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Kuala Linggi, Melaka, untuk mendapatkan bantuan selepas gagal menaikkan objek itu yang terlalu berat. "Saya yakin penemuan objek itu penting kerana mungkin boleh menjadi petunjuk kepada usaha mencari pesawat MH370 kerana terdapat tulisan ‘boarding’ pada permukaan objek itu. "Ia mungkin adalah rakit getah penyelamat yang dibekalkan kepada penumpang pesawat untuk menyelamatkan diri di laut," katanya. Katanya, sebaik bot APMM tiba di lokasi, tugas mengangkat objek itu diserahkan kepada pasukan berkenaan, manakala mereka kemudian menyambung kerja menangkap ikan. Sementara itu, jurucakap APMM Kuala Linggi ketika dihubungi mengesahkan sepasukan anggotanya dihantar ke tempat kejadian untuk menyiasat penemuan itu. Bagaimanapun, katanya objek itu terus tenggelam dalam laut dan tidak sempat diselamatkan.
Dihukum penjara sehari kerana MC palsu
AYER KEROH - Gara-gara memalsukan sijil cuti sakit, seorang penghantar surat dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu. Hukuman diputuskan Majistret Mohd Firdaus Saleh terhadap Ahmad Shafiq Rahman, 24, selepas menukar pengakuan bersalah pada hari sebutan semula kes semalam. Ahmad Shafiq bersama rakannya yang tidak mengaku bersalah, Ahmad Nabil Fikri, 24, didapati bersama-sama memalsukan sijil cuti sakit dengan nombor siri P436074 bagi membuktikan seorang lagi rakannya, Mohamad Syakir Ashari, 25, sakit pada 30 September lalu. Terdahulu, Ahmad Shafiq yang diwakili Peguam, Ishak Kari merayu supaya hukuman ringan diberikan dengan alasan kesalahan dilakukan anak guamnya yang mempunyai isteri yang tidak bekerja tidak melibatkan kerugian besar kecuali kepercayaan. “Selain isterinya baru mengalami keguguran, tertuduh telah pun menerima hukuman secara tidak langsung apabila hilang pekerjaan selepas kejadian tersebut, sedangkan ketika itu dia baru melangsungkan perkahwinan,” katanya. Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Norshazwani Ishak ketika mengendalikan kes meminta mahkamah memberikan hukuman bersifat literan yang mampu memberi pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh tetapi pihak klinik kesihatan memandangkan MC kini dilihat mudah dipalsukan. Selepas meneliti fakta kes, mendengar rayuan dan hujah kedua belah pihak, selain Mohd Firdaus menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh penjara sehari dan denda RM3,000 atau penjara selama enam bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Juruteknik disamun ketika tidur dalam kereta
GOPENG - Seorang juruteknik tidak menyangka disamun sekumpulan lelaki bersenjatakan parang ketika tidur di dalam keretanya di di kawasan Rehat dan Rawat Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng, pagi semalam. Lelaki berusia 23 tahun dari Puchong, Selangor itu tidur bersendirian dalam kereta Proton Satria Neo miliknya [ada jam 6.45 pagi sebelum dikejutkan dengan bunyi cermin tingkap pecah kira-kira 15 minit kemudian. Ketua Polis Daerah Kampar, Superitendan Ng Kong Soon berkata, siasatan awal mendapati suspek memecahkan cermin tingkap kereta mangsa menggunakan parang. Menurutnya, mangsa cuba menghidupkan enjin untuk melarikan diri namun suspek menarik keluar mangsa dari kereta. “Suspek kemudian melarikan kereta mangsa diikuti sebuah kereta jenis Proton Wira dan sebuah lagi kereta berwarna putih yang tidak dikenal pasti dipercayai dipandu rakan suspek. “Selain kereta, antara barangan dilarikan termasuk Mykad, lesen memandu, tiga Kad ATM, wang tunai RM500, komputer riba, komputer, telefon pintar dan satu set QA Reader dianggarkan berjumlah RM50,000. “Bagaimanapun, mangsa bernasib baik kerana tidak cedera,” katanya dalam satu kenyataan. Kong Soon berkata, mengikut laporan polis dibuat mangsa pada jam 8 pagi semalam, suspek yang menyerangnya tidak memakai penutup muka dan mempunyai badan kurus serta kulit hitam manis. Katanya, mangsa memberitahu suspek terbabit berumur lingkungan 30 tahun dan boleh mengecam dengan jelas rupa suspek. "Manakala Proton Wira yang digunakan suspek dipercayai kereta curi mengikut laporan polis dibuat di Karak, Pahang pada 10 Mac lalu. “Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan tanpa senjata api dan kepada sesiapa yang melihat kejadian berkenaan atau menemui ketiga-tiga kenderaan tersebut diminta memaklumkannya ke balai polis berhampiran,” katanya.
Jangan terpedaya orang jual nama MB Perak
IPOH - Kerajaan negeri sekali lagi mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan 'orang tengah' yang melakukan penipuan dengan menggunakan nama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir atau mana-mana pegawai yang berkaitan untuk urusan termasuk melibatkan tanah, pembalakan dan pasir. Pegawai Khas Menteri Besar Perak, Datuk Azhar Ahmad berkata, walaupun kejadian itu pernah belaku dan telah terbongkar sebelum ini, namun masih ada lagi segelintir rakyat percaya akan tindakan indvidu yang tidak bertanggungjawab itu. "Masih ada lagi unsur penipuan yang mengelirukan rakyat, mereka (orang tengah) ini telah memperdagangkan nama menteri besar, setiausaha politik, setiausaha kanan bagi mengaut keuntungan dengan cara menipu," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini. Beliau berkata, individu terbabit melakukan modus operandi dengan mewakili seseorang untuk berurusan dengan menteri besar atau pegawainya pada 'Hari Bertemu Pelanggan' sebelum memberitahu kepada mangsa bahawa pihak kerajaan negeri meminta sedikit wang untuk menyelesaikan perkara itu. "Ini merupakan satu penipuan...ia telah memburukkan nama kami di pejabat menteri besar dan kami dijadikan kambing hitam bagi mereka yang mahu memburukkan pentadbiran menteri besar," tegasnya. Azhar berkata, terdapat juga individu yang tidak bertanggungjawab meniru tandatangan menteri besar mengenai kes hutan dan kes itu telah di bawa ke muka pengadilan. Justeru itu, beliau berkata, sekiranya orang ramai yang mempunyai keperluan untuk berurusan dengan pejabat menteri besar perlulah berjumpa terus dengan beliau atau mana-mana pegawai yang berkenaan. "Mana yang kami dapat bantu kami akan bantu. Sekiranya kami tidak dapat membantu kami akan rujuk sesuatu perkara itu kepada kerajaan negeri," katanya. Azhar berkata, orang ramai yang merasakan diri mereka ditipu oleh orang tengah, diminta jangan berdiam diri, sebaliknya melaporkan hal itu kepada pihak berkuasa agar kejadian sedemikian tidak berulang. - Bernama
MAS pandang serius laporan media Australia
KUALA LUMPUR - Malaysia Airlines (MAS) melahirkan rasa terkejutnya berkaitan dakwaan yang dilempar terhadap pembantu juruterbang MH370, Fariq Ab Hamid. Menurut satu kenyataan hari ini, syarikat penerbangan negara itu berkata MAS memandang serius terhadap dakwaan itu. "Kami tidak dapat mengesahkan kesahihan gambar dan video berkenaan. Seperti yang anda sedia maklum, kami sedang mengalami krisis dan tidak mahu tumpuan kami dialih," katanya. MAS turut menggesa media dan orang awam agar menghormati privasi keluarga dan rakan penumpang serta anak kapal penerbangan MH370 kerana mereka berdepan masa yang sukar ketika ini. "Kebajikan keluarga anak kapal dan penumpang kekal menjadi fokus kami. Pada masa yang sama, keselamatan penumpang adalah perkara paling penting bagi kami," kata MAS ketika mengulas dakwaan yang dimuat naik Channel 9 News dari rangkaian Televisyen Australia dalam laman sesawangnya bertajuk 'Woman remembers cockpit fun with missing pilot' pada Selasa. Fariq merupakan antara 12 anak kapal penerbangan MH370 yang hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing selepas sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 pagi Sabtu. Pesawat yang membawa 227 penumpang serta 12 anak kapal itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi.- Bernama
Kempunan nikmati hasil curi
KUALA KRAI - Sekumpulan penjenayah kempunan menikmati hasil curian mereka apabila lori serta barang dilarikan terjatuh ke cerun bukit di Sungai Titas, berhampiran Sungai Sam, dekat sini, iaitu kira-kira 100 meter dari rumah pemilik lori tersebut, pagi semalam. Ketika kejadian, pemilik lori yang juga peniaga runcit, Mat Zin Jusoh, 54 sekeluarga tidak menyedari kenderaan berisi barangan runcit itu dilarikan. Mat Zin berkata, dia hanya menyedari kehilangan lori itu ketika hendak membuka kedai runcit yang diusahakannya sejak lebih 20 tahun, kira-kira jam 7 pagi semalam. "Saya agak terkejut apabila lori saya hilang. Tambahan pula saya telah mengunci lori tersebut sebelum meninggalkannya. "Kemudian saya cari lori itu bersama-sama anak saya, namun gagal menemuinya sehinggalah dimaklumkan penduduk lori itu berada di bawah cerun bukit tidak jauh dari rumah saya," katanya. Mat Zin berkata, dia segera ke tempat dimaksudkan selepas mendapat makluman daripada penduduk dan terperanjat melihat lorinya rosak teruk pada bahagian depan serta belakang di bawah cerun berketinggian 10 meter itu. Katanya, pelbagai barangan runcit yang baharu dibeli di Kota Bharu seperti gandum, mihun, gula dan beberapa barangan lagi bertaburan di tempat kejadian. "Saya yakin perkara ini dilakukan secara berkumpulan dan kami turut temui kesan darah dalam lori yang dipercayai darah suspek. "Saya sangka suspek masih berada dalam lori. Kami cuba cari dalam lori serta di kawasan sekitar, namun gagal," katanya kepada Sinar Harian, semalam. Tambahnya, semua barangan untuk dijual telah dipunggah menggunakan kenderaan pikap jenis Toyota Hilux untuk dibawa naik dari bawah cerun bukit tersebut. Mat Zin berkata, kejadian itu telah menyebabkan dia mengalami kerugian kira-kira RM20,000 dan telah membuat laporan di Balai Polis Laloh pada jam 9 pagi semalam. Katanya, ini merupakan kali pertama kejadian kenderaan dilarikan berlaku di kediamannya manakala rumah kedai pula pernah dimasuki pencuri beberapa tahun lalu.
Mayat ditemui di laluan pejalan kaki
KOTA BHARU - Mayat seorang lelaki dipercayai mengalami masalah mental ditemui tertiarap di laluan pejalan kaki berhampiran bangunan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini malam kelmarin. Kejadian disedari oleh pelajar perubatan yang lalu di blok bangunan terbabit dan terserempak dengan seorang lelaki tertiarap di kawasan berkenaan. Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Idris Abd Rafar berkata, pelajar berkenaan hanya nampak susuk tubuh lelaki di atas ranting di kawasan itu selepas pulang dari bilik X-ray untuk ke asrama. “Lelaki berkenaan berpakaian lengkap serta terbaring di atas ranting dan apabila diperiksa oleh Pegawai Perubatan kecemasan, pihaknya mengesahkan mengenai kematian mangsa. “Hasil pemeriksaan yang dilakukan kita turut menemui selipar dipercayai milik mangsa di koridor tangga tingkat 7 bangunan hospital dan mungkin lelaki itu terjatuh dari kawasan terbabit,” katanya kepada media. Idris berkata, mangsa yang merupakan pesakit psikiatri yang menerima rawatan di HUSM semenjak 20 Julai 2011 sehingga 8 Januari lalu, telah menerima rawatan sebanyak enam kali. “Mangsa juga dikatakan telah bercerai dengan isteri dan hasil perkahwinan terdahulu mempunyai dua anak lelaki. “Mengikut maklumat, dia juga kini tidak bekerja dan tinggal dengan kedua ibu bapanya,” katanya. Susulan kejadian itu, keluarga mangsa telah dikesan dan mayat mangsa di bawa ke unit forensik untuk bedah siasat sebelum jenazahnya dituntut keluarga. “Kematian mangsa diklafikasikan sebagai mati mengejut dan tiada kaitan dengan unsur jenayah,” kata Idris lagi.
Rumah pegawai polis dipecah masuk
KOTA BHARU - Seorang pegawai kanan polis hanya menyedari kediamannya dipecah masuk selepas pulang ke rumahnya petang kelmarin di Taman Sakinah Pengkalan Chepa di sini. Dalam kejadian berkenaan, suspek dipercayai memecah masuk rumah terbabit dengan mengumpil pintu hadapan kediaman berkenaan ketika pemilik rumah berkenaan meninggalkan rumah kerana mempunyai tugasan di luar Kelantan. Dipercayai penjenayah bertindak mengumpil gril besi dan tombol pintu kayu untuk masuk ke dalam rumah sebelum melarikan televisyen, komputer riba serta pelbagai lagi barangan berharga milik mangsa. Daripada maklumat yang diterima, mangsa meninggalkan rumah untuk berkursus di Maktab Polis Cheras Kuala Lumpur sejak 23 Februari lalu dan meminta seorang rakan menjaga keadaan rumahnya. Bagaimanapun, kira-kira jam 5.54 petang kelmarin mangsa menerima panggilan daripada rakannya yang dikenali sebagai Tajul Arifin Ab Fatah memberitahu rumahnya dipecah masuk oleh penjenayah. Timbalan Ketua Polis Kota Bharu, Superintendan Idris Abd Rafar, ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian terbabit. Idris berkata, sebaik mendapat maklumat sepasukan anggota dihantar ke tempat kejadian bagi melakukan siasatan lanjut. Beliau berkata, suspek dipercayai masuk melalui pintu hadapan selepas mengumpil pagar jeriji besi dan memecah tombol pintu rumah berkenaan. “Tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di situ atau saksi bebas yang melihat kejadian. Usaha pengecaman cap jari sudah dilakukan dengan penemuan tiga kesan cap jari yang didapati pada pemegang laci rak televisyen. “Kes disiasat dibawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,”katanya
1,000 nelayan bantu cari MH370
KUANTAN - Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuantan menggerakkan lebih 1,000 ahlinya di seluruh daerah ini untuk membantu pihak berkuasa mengesan pesawat MH370 yang hilang sejak Sabtu lalu. Ahli Lembaga Pengarah PNK Kuantan, Talib Husin berkata, nelayan yang digerakkan ini adalah terdiri daripada semua kategori termasuklah nelayan pesisir pantai dan laut dalam. Menurutnya, pihaknya sudah maklumkan kepada nelayan yang terlibat untuk memberitahu kepada pihak berkuasa jika menemui sebarang penemuan di laut. “Setakat ini ada lebih kurang 20 bot jenis C2 sedang berada di tengah laut dan mereka telah dimaklumkan mengenai perkara ini menggunakan walkie-talkie. “Kebanyakan bot laut dalam ini boleh berhubung terus dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim). Buat masa ini, saya belum menerima laporan mengenai penemuan oleh nelayan di kawasan ini,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Katanya, nelayan bot kelas C2 itu juga boleh pergi ke kawasan 60 batu nautika dan secara tidak langsung boleh membantu pihak berkuasa mencari pesawat yang hilang ini,” katanya. Dalam pada itu, beliau berkata, nelayan tradisional dan nelayan pesisir pantai juga boleh memantau ketika mereka pergi menangkap ikan. “Jika ada sebarang penemuan, mereka boleh terus pergi ke pihak berkuasa,” katanya.
Port urut panas diserbu
DUNGUN – “Saya tak sangka kali pertama datang mengurut badan di sini dah kena serbu, nasib saya memang kurang baik. Demikian luah seorang pemuda yang ditahan sepasukan Pegawai Penguat kuasa Jabatan Agama Dungun dalam satu serbuan di sebuah pusat refleksologi dekat Paka, di sini, malam kelmarin. Serbuan itu dilakukan hasil maklumat orang awam yang mendakwa pusat urut berkenaan dipercayai turut menawarkan khidmat luar jangka setelah ada dalam kalangan pelanggannya dikatakan terpaksa membayar sehingga RM250 bagi pakej urutan badan termasuk urut tenaga batin. Hasil pemeriksaan selama hampir satu jam, dua lelaki yang sedang menikmati pakej berkenaan di bilik khas tingkat satu bangunan tiga tingkat itu disoal siasat.
Pemilik butik dakwa kena pukau
KUALA LIPIS - Akibat menjadi mangsa pukau seorang warga lelaki Indonesia yang tidak dikenalinya, pemilik butik pengantin di sini telah mengalami kerugian hampir RM7,000. Mangsa, Rahmah Yasim, 57, berkata, semasa kejadian berlaku pada kira-kira jam 9.00 pagi itu, dia berada di perhentian bas berhampiran sebuah pasar raya, Bandar Kuala Lipis. “Ketika sedang berehat di perhentian bas berkenaan, datang dua orang lelaki yang mana seorang daripada lelaki itu memakai baju kemeja serta seorang lagi warganegara Indonesia yang berbadan gempal dan memakai songkok. “Lelaki yang memakai baju kemeja itu hanya duduk di sebelah saya manakala lelaki Indonesia memberi salam sambil bertanyakan bangunan bersejarah di sekitar daerah ini,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam. Rahmah berkata, lelaki Indonesia itu kemudiannya bertanyakan pekerjaan kepada seorang lagi lelaki dan menyatakan dia mempunyai perniagaan. Menurutnya, tidak semena-mena lelaki Indonesia terbabit mengeluarkan dua biji batu berwarna hitam yang mempunyai tulisan jawi dan diberikan kepadanya dan lelaki terbabit. “Setelah menerima batu yang kononnya pelaris, saya membelek-belek batu itu namun lelaki Indonesia meminta semula batu berkenaan. “Lelaki Indonesia itu kemudiannya meminta jam tangan daripada lelaki itu dan meletakkan jam tangan berserta batu berwarna hitam terbabit ke dalam sampul surat,” katanya. Rahmah berkata, lelaki Indonesia terbabit kemudian meminta gelang dan rantai daripadanya dan tanpa banyak soal dia melakukan apa sahaja yang diminta lelaki itu. “Setelah mengambil barang kemas berkenaan, lelaki Indonesia terbabit meminta saya membeli air di kedai berhampiran kerana kononnya ingin mengubati penyakit “darah kotor” yang saya hidapi. “Setelah membeli air berkenaan saya pergi ke perhentian bas itu semula dan mendapati dua lelaki terbabit sudah menghilangkan diri. Tidak lama selepas itu, barulah saya ‘tersedar’ dan mendapati barang kemas sudah hilang,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superitendan Abdul Razak Hassan ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis. Abdul Razak turut menasihati penduduk di daerah ini agar lebih berhati-hati dengan individu yang tidak dikenali bagi mengelakkan kejadian sama daripada berulang.
Diugut sebar gambar bogel
RAUB - Kerana tidak berpuas hati hubungan diputuskan, seorang lelaki lewat 20an telah mengugut bekas teman wanitanya untuk menyebarkan gambar separuh bogel wanita terbabit. Gambar terbabit telah diberikan wanita yang berusia awal 20an itu kepada bekas teman lelakinya ketika mereka masih menjalinkan hubungan. Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, lelaki terbabit sebelum ini juga pernah menampal gambar separuh bogel wanita terbabit di pintu pagar rumahnya. “Selain menampal gambar di pintu pagar rumah wanita tersebut, lelaki terbabit juga pernah datang ke pejabat wanita tempat wanita terbabit bekerja dan melemparkan gambar berkenaan ke arahnya. “Kerana takut gambarnya disebarkan, mangsa telah datang ke balai polis bagi membuat laporan berkaitan kejadian,” katanya. Menurutnya, polis dalam pada itu menyifatkan kejadian Wan Mohd Samsu din terbabit bukanlah perkara baru berlaku sekali gus menasihatkan kepada masyarakat mengambil pengajaran daripada kejadian ini. “Pihak polis berharap apa yang berlaku ini dijadikan sebagai iktibar supaya kejadian yang sama tidak akan berulang lagi," katanya. Tambahnya lagi, pihak polis turut menasihatkan kepada gadis agar memikirkan kesan yang akan diterima dari tindakan mereka di kemudian hari. “Ibu bapa memainkan peranan penting mengawasi tindakan anak-anak agar tidak melakukan sesuatu yang tidak wajar,” katanya.
Vietnam henti operasi, tunggu jawapan Malaysia
PHU QUOC - VIETNAM. Kerajaan Vietnam akan menghentikan aktiviti pencarian pesawat milik Malaysia Airlines (MAS) di perairan mereka sementara menunggu jawapan dari Malaysia mengenai kedudukan terakhir pesawat itu. Timbalan Menteri Pengangkutan Vietnam, Pham Quy Tieu hari ini berkata, operasi mencari pesawat yang dilaporkan hilang pada 8 Mac lalu itu dihentikan selepas laporan media semalam menyebut bahawa tentera Malaysia kali terakhir mengesan pesawat itu di Selat Melaka. "Kami telah menghantar dua notis kepada Malaysia (sejak semalam) untuk mengesahkan laporan media antarabangsa (berhubung kedudukan terakhir pesawat itu). "Tiada jawapan diterima setakat ini," katanya dalam sidang media di pusat operasi mencari dan menyelamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Phu Quoc, pagi tadi. Namun Pham berkata, dua penerbangan untuk operasi mencari dan menyelamat akan tetap dibuat hari ini tetapi semua aktiviti lain akan dihentikan. Beliau juga berkata, sehingga kini Vietnam hanya berhubung dengan seorang pegawai dari Malaysia dan maklumat yang diperolehi dari Malaysia tidak mencukupi. Kerajaan Malaysia pada Sabtu lalu mengumumkan lokasi pencarian pesawat yang membawa 239 individu itu diperluas ke Selat Melaka. Semalam, sebuah akhbar di Malaysia melaporkan Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Rodzali Daud menyebut bahawa radar milik tentera Malaysia kali terakhir mengesan penerbangan MH370 di Selat Melaka, jauh tersasar daripada laluan asalnya dari Kuala Lumpur ke Beijing, China. Sebuah agensi media antarabangsa turut melaporkan perkara sama menggunakan sumber dalaman tentera Malaysia. Namun, Rodzali menafikan mengeluarkan sebarang kenyataan seperti itu.
Saya masih presiden sah Ukraine
ROSTOV-ON-DON - UKRAINE. Viktor Yanukovych, semalam menegaskan bahawa beliau masih lagi Presiden Ukraine yang sah walaupun telah digulingkan, 23 Februari lalu. "Saya kekal sebagai presiden tunggal yang sah dan tidak teragak-agak untuk kembali semula ke Kiev sebaik sahaja keadaan mengizinkan," katanya yang membuat kemunculan pertama di hadapan umum dalam satu sidang media di selatan Rusia lapor Press TV. Sementara itu, Rusia menolak pelan Amerika Syarikat (AS) yang kononnya bertujuan untuk menamatkan krisis di Ukraine. Kelmarin, Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov menyifatkan cadangan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry itu sebagai tidak sesuai kerana mereka menjadikan situasi selepas rampasan kuasa sebagai titik permulaan krisis tersebut. "Kandungan dokumen tersebut turut menimbulkan pelbagai soalan kerana ia hanya menyatakan mengenai konflik antara Rusia dan Ukraine. "Susulan itu, Kremlin telah memutuskan untuk merangka cadangan balas bagi menyelesaikan sengketa itu mengikut undang-undang antarabangsa," katanya lagi. Difahamkan, Perdana Menteri sementara, Arseniy Yatsenyuk dijadualkan bertemu dengan Presiden AS, Barack Obama di Washington pada hari ini untuk mencari jalan penyelesaian bagi menamatkan konflik dengan Rusia yang kini berada di ambang perang.
Syria negara paling bahaya di dunia
NEW YORK - Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) memaklumkan bilangan kanak-kanak yang terjejas akibat krisis di Syria meningkat lebih dua kali ganda berbanding tahun lalu. Lapor Press TV kelmarin, Unicef turut memaklumkan Syria kini merupakan salah sebuah tempat paling bahaya di dunia selepas tiga tahun negara itu terjerumus ke kancah perang saudara. Berdasarkan angka dikeluarkan PBB, sekurang-kurangnya 10,000 kanak-kanak terbunuh sepanjang konflik itu dan jumlah sebenar didakwa mungkin jauh lebih tinggi. Selain itu, agensi tersebut turut mendedahkan bahawa budak seawal 12 tahun telah direkrut untuk bertempur dan ada juga yang dipaksa menjadi pemberi maklumat, pengawal serta penyeludup senjata. Sebelum ini, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon pernah menggesa semua parti di Syria menyambung semula rundingan damai bagi mencari jalan penyelesaian politik untuk menamatkan krisis di negara terbabit.
Kakitangan pejabat syerif uji sebuah pesawat dron kawalan jauh
BRIGHAM, Utah - Beberapa kakitangan pejabat syerif di daerah Box Elder menyaksikan demonstrasi sebuah pesawat dron kawalan jauh yang diadakan di sini. Pesawat dron yang lengkap dengan kamera itu bakal digunakan pejabat berkenaan untuk operasi menyelamat. Demonstrasi penerbangan dron itu diadakan pada 13 Februari lalu. Seorang pereka dron untuk firma Digital Defense Surveillance, Jon McBride menunjukkan demonstrasi tersebut kepada kakitangan pejabat tersebut. Beberapa kakitangan itu turut mengendalikan dron tersebut. Sebelum ini, beberapa agensi penguat kuasa undang-undang di Amerika Syarikat merancang untuk menggunakan dron untuk operasi penyelamat. Pesawat dron yang mampu merakamkan imej dari udara itu boleh memudahkan operasi menyelamat seperti mencari pendaki yang tersesat serta mengesan kebakaran hutan. - AP
Hapus tapak pelupusan haram
SHAH ALAM - Kewujudan sebuah tapak pelupusan sampah haram di tebing Sungai Klang, Seksyen 36 di sini menyebabkan pencemaran bau sehingga mewujudkan suasana tidak selesa kepada penduduk Kampung Sri Kandis berdekatan. Kawasan tapak pelupusan sampah seluas 500 meter sepanjang tebing Sungai Klang itu didakwa penduduk telah dijadikan lokasi pembuangan sampah domestik sejak dua bulan lalu. Seorang penduduk, Hidayat Mohd. Yusof, 37, berkata, pemerhatiannya mendapati lokasi itu dijaga oleh beberapa individu tidak dikenali kerana setiap lori yang memasuki kawasan tersebut untuk membuang sampah dikenakan caj sebanyak RM20. "Penduduk kampung sekarang bimbang dengan keselamatan mereka selain tidak selesa dengan bau busuk. "Lebih merisaukan jika kawasan itu kerap dikorek untuk aktiviti penanaman sampah akan menyebabkan tebing Sungai Klang runtuh dan kemungkinan kampung ini dilanda banjir," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Empangan di Selangor terus susut
KUALA LUMPUR - Paras air di tujuh empangan di Selangor terus mencatatkan penyusutan berikutan musim panas yang melanda sekitar Lembah Klang sejak kebelakangan ini. Antaranya, Empangan Sungai Selangor, Sungai Semenyih, Klang Gate, Sungai Langat, Tasik Subang dan Sungai Batu. Bagaimanapun, Pengarah Lembaga Urus Air Selangor, Md. Khairi Selamat berkata, penyusutan air di empangan tersebut belum sampai ke tahap kritikal. Beliau berkata, sebagai langkah kawalan, pihaknya telah membuat keputusan agar pelepasan air dari Empangan Sungai Selangor dikurangkan sehingga 500 Juta Liter Sehari (JLS) secara berperingkat manakala pelepasan air dari Empangan Klang Gates dikurangkan sebanyak 30 JLS.
Khidmat tangkap ular percuma
TELUK INTAN – Seorang remaja lelaki di sini menjadi tumpuan ramai apabila memiliki kebolehan menangkap ular termasuk daripada jenis berbisa. Muhamad Noh Sulaiman, 19, membuktikan kemahirannya apabila berjaya menangkap dua ekor ular tedung dan seekor ular sawa yang memasuki rumah seorang penduduk di Kampung Kunci Air 4, Labu Kubong, Sungai Manik di sini semalam. Menurutnya, dia mula berminat menangkap ular sejak berumur 13 tahun dan mengakui semakin teruja jika perkhidmatannya diperlukan penduduk sekitar daerah berkenaan.
India turut sertai misi mencari pesawat MH370
NEW DELHI - Kapal Tentera Laut India yang membuat rondaan di Selat Melaka menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MH370 yang hilang Sabtu lepas. Satelit Tentera Laut India Rukmini atau GSAT-7 juga diaktifkan untuk merekodkan apa-apa petunjuk yang boleh membawa kepada penemuan pesawat yang hilang itu, lapor Media India. Operasi SAR memasuki hari kelima hari ini. Lebih 40 kapal dan 26 pesawat dari pelbagai negara menyertai operasi SAR selepas pesawat itu hilang secara misteri daripada radar pada 8 Mac. Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang termasuk lima warganegara India dan 12 anak kapal, hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 12.41 pagi Sabtu. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi. - Bernama
Radar tentera kesan MH370 terbang di Selat Melaka sebelum hilang
KUALA LUMPUR - Tentera Malaysia percaya pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang sejak Sabtu lalu berpatah balik dan terbang beratus-ratus kilometer ke arah barat selepas terputus hubungan dengan menara kawalan, kata seorang pegawai kanan tentera semalam. Kehilangan pesawat Boeing 777-200ER yang membawa 239 penumpang tersebut dianggap paling misteri dalam sejarah penerbangan dan operasi mencari pesawat itu secara besar-besaran masih menemui jalan buntu. Pihak berkuasa Malaysia berkata, pesawat tersebut hilang sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Beijing, China. "Pesawat berkenaan mengubah haluan selepas memasuki ruang udara Kota Bharu dan terbang rendah sebelum menuju ke Selat Melaka," kata seorang pegawai kanan tentera yang turut terlibat dalam siasatan kehilangan pesawat tersebut. Menurutnya, situasi itu sekali gus menolak kemungkinan berlakunya kerosakan mekanikal kerana pesawat tersebut terbang sekurang-kurangnya sejauh 500 kilometer selepas kali terakhir dikesan menara kawalan. Pesawat itu gagal dikesan selepas alat pengesan pada pesawat tersebut dipadamkan. Satu sumber bukan tentera yang mengetahui mengenai siasatan berkata, laporan terbaharu itu merupakan antara beberapa teori yang dikemukakan dan sedang disiasat pihak berkuasa. Ketika terputus hubungan dengan menara kawalan, pesawat itu berada di antara Kota Bharu dan bahagian selatan Vietnam serta terbang pada ketinggian 10,670 meter. Selat Melaka antara laluan kapal paling sibuk di dunia yang terletak di sepanjang pantai barat Malaysia. Sebuah akhbar tempatan yang memetik Panglima Tentera Udara, Tan Sri Rodzali Daud berkata, pesawat itu kali terakhir dikesan oleh radar tentera kira-kira pukul 2.40 pagi berhampiran Pulau Perak, utara Selat Melaka. Katanya, pesawat itu terbang pada paras 1,000 meter lebih rendah daripada ketinggian sebelumnya. Bagaimanapun, tiada sebarang maklumat berhubung pesawat itu selepas ia dikesan buat kali terakhir menerusi radar tersebut. Mematikan alat pengesan atau transponder di dalam pesawat itu menyebabkan ia tidak dapat dikesan menerusi radar. Radar sekunder berinteraksi dengan transponder bagi mendapat maklumat mengenai identiti pesawat, kelajuan dan ketinggian. Namun, ia tetap masih boleh dikesan radar utama yang digunakan pihak tentera. - Reuters
Sanggup Beratur Beli Permainan Video Titanfall
AUSTIN, Amerika Syarikat – Beratus-ratus peminat permainan video beratur selama beberapa jam untuk membeli permainan video terbaharu, Titanfall yang dilancarkan di sini kelmarin. Permainan video khas untuk konsol permainan Xbox One dan komputer peribadi itu dijual pada harga AS$60 (RM196.75). Ia merupakan permainan aksi peperangan dan para pemain boleh berperang dengan askar dan menawan robot-robot musuh. Syarikat Microsoft Corporation berharap pelancaran video tersebut mampu menaikkan jualan Xbox One dan mengatasi jualan PlayStation 4 keluaran Sony. – Agensi
Isteri cakar suami hingga cedera dipenjara sehari
Melaka: Akibat mencakar suami sehingga cedera dalam kejadian Februari lalu, seorang suri rumah dipenjara sehari oleh Mahkamah Majistret semalam. Tertuduh, Lim Cheng Wan, 58, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku salah di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh, selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan. Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencederakan suaminya, Ng Cheng Poh, 58, di sebuah pejabat, di Taman Perindustrian Melaka pada jam 10.30 pagi, 15 Februari 2014. Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Berdasarkan fakta kes, Lim ke pejabat Ng dan membuat kacau serta marah-marah sambil menuduh suaminya mempunyai perempuan simpanan. Tertuduh bertindak mengeluar dan membuang dokumen perniagaan yang berada dalam kereta suaminya sebelum mencakar tangan serta menarik baju Ng sehingga meninggalkan kesan calar ketika berada di dalam kereta berkenaan. Lim yang tidak diwakili peguam ketika rayuan memohon supaya tidak dikenakan denda dan diringankan hukuman dengan alasan sudah tua dan mempunyai dua anak. Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Norshazwani Ishak yang mengendalikan pertuduhan memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh yang tidak memiliki rekod kesalahan lampau. Mohd Firdaus kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara sehari bermula dari tarikh jatuh hukum semalam.
Pejabat pelakon dipecah masuk
Kuala Lumpur: “Saya tak nak tuduh mana-mana pihak tapi nampak sangat lemahnya pengurusan bangunan itu kerana ada kawalan keselamatan 24 jam tapi bagaimana TV sebesar 42 inci boleh diambil tanpa mereka sedari?” kata Pelakon Emma Akma Yunus, 44 mengenai kejadian pejabatnya di sebuah pusat beli-belah, dekat sini di pecah masuk. Kejadian itu katanya, disedari pada pagi semalam sekitar jam 9 pagi apabila seorang pekerja hendak membuka pintu utama bagi memulakan operasi. Pekerjanya mengesyaki sesuatu sudah berlaku apabila pintu depan syarikat tidak boleh dibuka seperti biasa dan memaksanya pergi ke pintu belakang. Apabila ke belakang, pekerjanya mendapati pintu kayu belakang sudah pecah dan jeriji besi dipatahkan yang menjadi laluan masuk perompak terbabit. Susulan itu, rakan kongsinya melaporkan kejadian itu di Balai Polis Setapak, kira-kira jam 9.30 pagi semalam. Katanya, kejadian di Blok B itu bukan pertama kali berlaku kerana beberapa kejadian pecah masuk turut dilaporkan berlaku sebelum ini. Emma berkata, butiran kejadian dan jumlah sebenar kerugian masih belum diputuskan namun ia menjejaskan operasi syarikatnya. “Sudahlah dalam masa terdekat, syarikat saya akan memulakan kelas tarian dan menggunakan TV itu. “Sekarang sudah jadi satu hal pula nak cari TV baru. Pintu gril semua itu nak kena ganti, semua itu duit,” katanya yang bakal terbabit dalam pementasan bangsawan Puteri Lindungan Bulan tidak lama lagi.
Pangkalan data bersepadu, PDRM
Kuala Lumpur: Bagi menangani kes jenayah komersial yang dilihat semakin terancang dan rumit, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) mewujudkan sistem pangkalan data bersepadu di bawah projek Kumpulan Inovasi dan Kreatif (KIK) bermula Januari tahun ini. Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Wira Mortadza Nazareene berkata, sistem itu diwujudkan untuk memberi kemudahan kepada pegawai penyelia untuk memantau kertas siasatan yang dikendalikan pegawai penyiasat seliaan mereka. “Sistem ini dinamakan sebagai BIGANT yang dilancarkan Januari lalu oleh mantan Pengarah JSJK Datuk Seri Syed Ismail Syed Azizan. “Antara maklumat dimuat naik dalam sistem ini termasuklah rujukan undang-undang, arahan terkini, manual siasatan, pertuduhan dan keputusan mahkamah serta maklumat berhubung jabatan lain terbabit,” katanya ketika diwawancara sempena sambutan Hari Polis ke-207, di sini, semalam. Sementara itu, beliau berkata, statistik jenayah komersial mencatatkan penurunan sebanyak 9.4 peratus pada tahun lalu iaitu daripada 18,386 kes pada 2012 kepada 16,651 kes. “Bagaimanapun, nilai kerugian yang dicatatkan menunjukkan peningkatan sebanyak 9.7 peratus iaitu daripada RM1.6 juta pada 2012 kepada RM1.7 juta tahun lalu,” katanya. Beliau berkata, penurunan kes jenayah komersial itu disebabkan beberapa faktor termasuk keberkesanan tindakan pencegahan yang dilakukan pihak polis. “Selain memberi kesedaran mengenai jenayah komersial kepada masyarakat, kami turut mengadakan kempen menerusi media cetak dan elektronik dan bekerjasama dengan pelbagai agensi seperti pihak bank dan institusi kewangan,” katanya.
8 pekerja BNM ditahan
Georgetown: Lapan pekerja di kaunter pertukaran mata wang asing di Bank Negara Malaysia cawangan Pulau Pinang ditahan bagi membantu siasatan kehilangan wang RM300,000 yang dikesan dilakukan sejak September tahun lalu. Semua mereka terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang wanita masing-masing berusia 26 hingga 34 tahun ditahan petang semalam dan akan direman jam 2.30 petang ini. Menurut sumber, kehilangan wang terbabit hanya disedari minggu lalu oleh pihak pengurusan bank. "Berikutan itu, pihak bank melakukan siastan dalaman dan hasil daripada siasatan itu membawa kepada penahanan lapan suspek terbabit. "Mereka ini dipercayai mengambil wang berkenaan sejak September tahun lalu namun dalam kuantiti yang sedikit untuk mengelak daripada disyaki," katanya
Malang dua beranak mati terbakar
Kepong: Cubaan seorang bapa menyelamatkan anaknya yang terperangkap di dalam bilik rumah mereka yang terbakar, gagal apabila dua beranak itu ditemui rentung dalam kejadian di Taman Ehsan, di sini, pagi, semalam. Dalam kejadian jam 4.40 pagi, rumah yang didiami 11 orang itu dipercayai terbakar secara tiba-tiba di bahagian ruang tamu sebelum disedari penghuni yang kemudiannya bertindak menyelamatkan diri. Pemilik rumah, Tan Kien Mun, 43, dipercayai cuba menyelamatkan anak perempuannya Tan Chau Ling, 4, yang tidur berseorangan di bilik tidurnya, tetapi gagal apabila kedua-duanya dipercayai terperangkap. Mayat Kien Mun ditemui dalam keadaan rentung di ruang tamu, manakala Chau Ling ditemui dalam bilik tidur. Menurut seorang ahli keluarga yang enggan dikenali berkata, kejadian berlaku ketika semua penghuni nyenyak tidur sebelum menyedari rumah mereka terbakar. Bagaimanapun, katanya, keadaan menjadi kelam kabut apabila semua mangsa cuba menyelamatkan diri masing-masing. Katanya, Kien Mun adalah pemilik kedai runcit di Taman Maluri dan keluarganya masih bersedih dengan kejadian terbabit dan enggan mengulas lanjut.
Bapa noda anak sejak usia 4 tahun dicekup
Ipoh: Tindakan seorang bapa menjadikan anaknya sebagai tempat memuaskan nafsu terbongkar apabila mangsa membuat laporan di Balai Polis berhubung kejadian berkenaan, petang kelmarin. Sumber polis berkata, suspek berusia 40-an kini diberkas dan ditahan reman untuk membantu siasatan berhubung kes berkenaan. Menurutnya, suspek merogol anak kandungnya antara 2004 hingga 2007 ketika berusia antara empat dan tujuh tahun. “Tangkapan dibuat selepas polis menerima laporan daripada mangsa yang kini berusia 14 tahun. “Mangsa mengadu dirogol bapa kandung disyaki seorang penagih dadah sejak berusia empat hingga tujuh tahun,” katanya. Beliau berkata, keluarga mangsa kemudian berpindah ke kediaman baru di Jalan Thambusamy di sini dan ketika di kediaman baru itu juga bapa mangsa sering mengajak mangsa melakukan hubungan seks tetapi tidak dipersetujui mangsa. “Kejadian terbaru berlaku pada 9 Mac lalu jam 9 malam ketika mangsa di dalam bilik bersama ibunya. “Bapa mangsa masuk bilik dan memeluk mangsa menyebabkan mangsa menjerit,” katanya. Sementara itu Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Sum Chang Keong ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit dan siasatan lanjut dijalankan. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 376(B) Kanun Keseksaan.
Belaian manja separuh jalan
Kuala Lumpur: Enam pelanggan pusat urut yang asyik berseronok bersama pasangan masing-masing tidak sempat melarikan diri apabila premis di Jalan Kuchai Lama, di sini diserbu polis, malam kelmarin. Serbuan yang bermula jam 9 malam itu dijayakan dua pegawai dan enam anggota Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7B) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur diketuai Asisten Superintendan Eu Kee Leong. Difahamkan, seorang pelanggan yang ditahan dikehendaki polis berhubung kesalahan mengikut Seksyen 18(4) (a) Akta Penapisan Filem 2002. Menurut Eu, dalam serbuan selama dua jam itu pihaknya menahan 11 wanita warga Vietnam yang dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO). “Siasatan awal mendapati premis terbabit melakukan kesalahan membenarkan warga asing bekerja tanpa mempunyai permit kerja. “Pihak polis turut merampas 70 kondom serta RM1,678,” katanya. Sementara itu, pasukan sama turut melakukan lagi satu serbuan di sebuah pusat hiburan di Kepong Lama, di sini jam 12 tengah malam. Eu berkata, dalam serbuan itu pihaknya menahan 21 wanita warga asing. “Pusat hiburan ini mempunyai lesen yang dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). “Bagaimanapun, pemilik didapati melakukan kesalahan kerana menggaji pekerja warga asing tanpa permit sah,” katanya. Beliau berkata, daripada jumlah tangkapan itu 18 adalah wanita warga Thailand, Vietnam (dua) manakala seorang lagi warga Laos. “Seorang penjaga premis ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen kerana menggaji pekerja asing tanpa permit,” katanya.
MAS Terkejut Dakwaan Terhadap Pembantu Juruterbang MH370
KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Malaysia Airlines (MAS) melahirkan rasa terkejutnya berkaitan dakwaan yang dilempar terhadap pembantu juruterbang MH370, Fariq Ab Hamid. Menurut satu kenyataan hari Selasa, syarikat penerbangan negara itu berkata MAS memandang serius terhadap dakwaan itu. "Kami tidak dapat mengesahkan kesahihan gambar dan video berkenaan. Seperti yang anda sedia maklum, kami sedang mengalami krisis dan tidak mahu tumpuan kami dialih," katanya. MAS turut menggesa media dan orang awam agar menghormati privasi keluarga dan rakan penumpang serta anak kapal penerbangan MH370 kerana mereka berdepan masa yang sukar ketika ini. "Kebajikan keluarga anak kapal dan penumpang kekal menjadi fokus kami. Pada masa yang sama, keselamatan penumpang adalah perkara paling penting bagi kami," kata MAS ketika mengulas dakwaan yang dimuat naik Channel 9 News dari rangkaian Televisyen Australia dalam laman sesawangnya bertajuk 'Woman remembers cockpit fun with missing pilot' pada Selasa. Fariq merupakan antara 12 anak kapal penerbangan MH370 yang hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing selepas sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 pagi Sabtu. Pesawat yang membawa 227 penumpang serta 12 anak kapal itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi. -- BERNAMA
Pakar Penerbangan Sebut Enam Sebab Kehilangan Misteri MH370
KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Kehilangan misteri pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 sejak Sabtu terus membingungkan pakar-pakar penerbangan serata dunia. Di tahap ini, seorang pakar penerbangan mengemukakan bukti sejarah yang boleh menjadi penyebab kepada kehilangan pesawat Boeing 777-200ER berusia 11 tahun itu. Sebab-sebab itu merupakan gabungan kesilapan teknikal dan juruterbang hingga membawa kepada kesan-kesan terkumpul, kerosakan struktur, faktor kemanusiaan, cuaca buruk, kegagalan total elektrik dan rampasan pesawat. Menurut Perunding Ruang Angkasa dan Pertahanan Frost and Sullivan Asia Pacific, Ravi Madavaram, tidak wujud faktor tunggal yang umumnya menyebabkan pesawat terhempas, tetapi gabungan kerosakan teknikal dan keputusan juruterbang. Dalam satu kenyataan di sini hari Selasa, beliau berkata kerosakan dan keputusan jika berlaku bersendirian tidak membahayakan. "Ini yang berlaku kepada Air France 447. Tidak ada isyarat kecemasan dari Air France 447 kerana pilot (juruterbang) tidak sedar bahawa mereka akan terhempas hinggalah 10 saat sebelum ia berlaku," jelas beliau. Mengenai kerosakan struktur, Madavaram berkata kegagalan struktur pesawat boleh menyebabkan pilot hilang kawalan. "Ini yang berlaku kepada China Airlines Penerbangan 611, semasa terbang di ketinggian 35,000 kaki pada 2002 bila Boeing 747 (Penerbangan 611) terhempas akibat kesilapan dalam pembaikan kerosakan. Menyentuh faktor kemanusiaan, beliau menegaskan tindakan yang disengajakan seumpamanya oleh penumpang atau pilot hingga menyebabkan pesawat terhempas telah ditonjolkan dalam insiden World Trade Centre 9/11. Pakar itu menyatakan keadaan cuaca buruk seperti salji, kabus, hujan, dan ais boleh menjejas prestasi pesawat, yang berkemungkinan mengakibatkan pesawat terhempas. "Ini berlaku pada penerbangan sebuah pesawat Qantas pada 2008 di Bangkok. Pesawat itu mendarat dengan selamat dengan tenaga sokongan dari Auxiliary Power Unit (APU)," katanya. Madavaram menolak kemungkinan MH370 dirampas, kerana adalah mustahil bagi pesawat itu terlepas dari semua imbasan radar dalam kawasan penerbangannya. Menjelas lanjut, beliau berkata setiap pesawat sivil komersial mempunyai alat pengesan, Emergency Locator Transmitters (ELT), dan ia akan diaktifkan semasa pesawat terhempas bergantung pada kekuatan hentakan atau maklumat diberikan juruterbang. Beliau berkata satu lagi lampu isyarat (beacon) dilekatkan pada alat perakam penerbangan atau kotak hitam dipanggil Underwater Locator Beacon (ULB), dan lampur isyarat ini akan diaktifkan sebaik saja ia bersentuh dengan air. "Andainya pesawat terhempas di air, ELT akan menghantar isyarat, tetapi ia tidak kalis air. ULB mula menghantar isyarat sebaik saja ia tersentuh dengan air," kata beliau. ELT dan beacon menggunakan bateri sendiri dan kegagalan elektrik tidak menjejas alat-alat ini. "Bateri beacon atau beacon kotak hitam direka untuk hayat 28 hari. Jika beacon kotak hitam padam dan pesawat tidak dikesan dalam tempoh tersebut, maka satu-satunya harapan ialah mencari serpihan dan dari situ cuba mengesannya dengan gerak berundur," kata beliau. -- BERNAMA
PROTON Satria Neo dilarikan perompak di R&R Gopeng
Kampar: Seorang juruteknik kerugian hampir RM50,000 selepas kereta PROTON Satria Neo miliknya dilarikan perompak bersenjatakan parang di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Pusat Transformasi Desa (RTC), Lebuh Raya Utara Selatan di Gopeng, semalam. Dalam kejadian berlaku jam 7 pagi itu, mangsa berusia 24 tahun yang dalam perjalanan dari Puchong, Selangor menghala utara memb erhentikan keretanya untuk tidur. Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, ketika sedang tidur mangsa terjaga selepas dikejutkan dengan bunyi cermin keretanya dipecahkan menggunakan sebilah parang oleh seorang suspek. Cuba menghidupkan enjin. “Melihatkan keadaan itu, mangsa cuba menghidupkan enjin keretanya tetapi suspek bertindak membuka pintu lalu menarik mangsa keluar. “Suspek berkenaan kemudian melarikan kenderaan itu sambil diekori dua kereta lain dipercayai dinaiki rakan suspek,” katanya di sini, semalam. Kong Soon berkata, mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan membuat laporan polis sejam kemudian. Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati kejadian membabitkan lima suspek dengan seorang daripadanya bersenjatakan parang dan berusia lingkungan 30-an. Katanya, mangsa dapat mengecam wajah suspek yang memecahkan cermin kereta dan menariknya keluar kerana tidak menutup muka ketika melakukan jenayah itu.
2 ditahan miliki bahan letupan
Seorang warga tua dan isterinya ditahan kerana memiliki barangan membuat bahan letupan di kawasan Batu-Batu Sabindo dekat sini, semalam. Lelaki berusia 63 tahun dari Semporna dan wanita warga Indonesia berusia 50 tahun itu ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau berhampiran tempat menaiki bot ke Pulau Sebatik, kira-kira jam 8.40 pagi. Pemeriksaan dua bagasi dibawa pasangan terbabit menemui 200 butir bahan peledak, dua gulung wayar fius keselamatan merah dengan setiap satu sepanjang 1,000 meter, selain empat telefon bimbit dan sejumlah wang tunai. Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Madun, berkata siasatan mendapati kedua-dua suspek cuba menyeludup bahan letupan itu ke negara jiran bagi pengeboman ikan. Siasatan lanjut. “Kita akan lakukan siasatan lanjut bagi mengenal pasti jika ia turut digunakan untuk kegiatan jenayah. “Berdasarkan kuantiti bahan rampasan, PPM tidak menolak kemung-kinan kedua-dua suspek menjadi pembekal bahan letupan yang dipercayai diperoleh dari Filipina untuk dipasarkan. “Keseluruhan rampasan dianggar RM15,735 dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya di sini, semalam. Dalam kes berasingan, lima lelaki warga asing ditahan selepas disyaki terbabit dengan kegiatan pengeboman ikan di perairan Pulau Guhuan, Kudat, Jumaat lalu. Semua suspek ditahan PPM Kudat yang menjalankan Operasi Cantas Khas (Ops Cantas) kira-kira jam 9.30 pagi dan merampas 30 kilogram ikan yang disyaki ditangkap menggunakan bahan letupan, selain beberapa peralatan menyelam dalam bot terbabit. Mohamad berkata, semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Jabatan Perikanan untuk siasatan mengikut Seksyen 26 (1) (c) Akta Perikanan 1985.
Dua lelaki samun lebih 20 kali ditahan
Gombak: Kelicikan dua lelaki menyamar sebagai polis untuk menyamun lebih 20 kali, berakhir selepas ditahan di Bandar Sunway, Batu Caves, di sini, semalam. Suspek berusia 23 dan 37 tahun itu ditahan kirakira setengah jam selepas menyamun sebuah rumah di Kampung Melayu, Rawang. Perkenal diri sebagai polis Sumber berkata, suspek ke rumah berkenaan kira-kira jam 12 tengah hari menaiki kereta Proton Saga biru dan memperkenalkan diri sebagai polis. “Mereka mendakwa ada penjenayah berada di rumah didiami empat sekeluarga itu. “Sebaik mendapati penghuni rumah itu termakan helah mereka, suspek pantas mengikat keempatempat mangsa sebelum melarikan beberapa komputer riba, permainan video dan wang tunai,” katanya kepada BH, semalam.
Kerjasama kesan awan kumulus untuk pembenihan
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mendapat kerjasama beberapa negara untuk mengesan pergerakan awan kumulus bagi membolehkan pembenihan hujan dilakukan di negara ini. Timbalan Menterinya, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah, berkata Jabatan Meteorologi sentiasa berhubung dengan negara berkenaan bagi memantau kemungkinan wujud tompokan awan yang boleh menghasilkan hujan. Katanya, kajian tetap dilakukan untuk memastikan sama ada awan berkenaan boleh menghasilkan hujan atau sebaliknya. “Kita memantau pergerakan dan sedia melakukan pembenihan tanpa mengira tempat jika Jabatan Meteorologi mengesahkan wujud tompokan awan kumulus wujud di ruang udara negara. “Segala kelengkapan termasuk 150 kilogram garam dan 1,000 liter air untuk setiap proses pembenihan awan sudah disediakan di Subang. Siap siaga. “Pasukan kita akan digerakkan sebaik menerima maklumat jabatan berkenaan,” katanya selepas menyaksikan Majlis Perjanjian Persefahaman antara Politeknik Merlimau dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Melaka, di sini, semalam. Abu Bakar berkata, empat daripada enam operasi pembenihan awan sejak bulan lalu berjaya menghasilkan hujan di sekitar Lembah Klang, Negeri Sembilan dan beberapa kawasan di Perak. Katanya, dua operasi pembenihan di Empangan Jus, Jasin pada Jumaat dan Sabtu minggu lalu gagal menghasilkan hujan berikutan awan kumulus yang tidak padu selain kekurangan udara. “Kita puas hati dengan empat operasi pembenihan awan yang dilakukan sebelum ini dan penduduk tidak perlu risau kerana cuaca diramal hujan mulai minggu depan,” katanya.
Dua anak VIP pengikut Syiah ditahan
Ipoh: Dua daripada 82 individu dewasa yang ditahan kerana dipercayai pengikut fahaman Syiah dalam serbuan di sebuah rumah dalam kawasan hutan di Selama, Sabtu lalu, adalah anak orang kenamaan (VIP) asing. Sumber berkata, dua anak kenamaan asing itu antara lapan warga asing ditahan dalam serbuan berkenaan. “Selain dua anak VIP asing itu, beberapa individu rakyat tempatan yang sebelum ini dikaitkan dengan fahaman berkenaan juga turut ditahan. “Sebahagian besar mereka yang ditahan juga bukan penduduk daerah Selama dan Perak, sebaliknya orang luar yang datang ke situ. “Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan rapi ke atas mereka dan mendapatkan bukti yang cukup sebelum mendakwa mereka di Mahkamah Syariah kerana melanggar fatwa mengenai pengharaman Syiah di Perak yang sudah diwartakan,” katanya di sini, semalam. Beliau mengulas penahanan 82 individu berusia sehingga 70 tahun bersama 32 kanak-kanak seawal usia tujuh tahun yang dibawa bersama pada satu majlis di sebuah rumah di kawasan Hutan Simpan Bintang Hijau, berhampiran sempadan daerah Selama dan Gerik. Serbuan jam 10 malam. Serbuan pada jam 10 malam itu dilakukan 150 pegawai Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan polis. Sumber itu bagaimanapun enggan menyatakan negara asal dua anak orang kenamaan berkenaan, namun berdasarkan kenyataan polis sebelum ini warga asing yang ditahan terdiri daripada warga Myanmar, Thailand, Pakistan dan Indonesia. Sementara itu, Ketua Pegawai Penguat kuasa JAIPk, Ahmad Nizam Amiruddin yang dihubungi berkata, pihaknya masih dalam proses merakamkan percakapan individu berkenaan tetapi terpaksa mengambil masa lama kerana bilangan mereka yang ditahan sebelum dibebaskan dengan bon jaminan JAIPk terlalu ramai. “Kami percaya masih ramai anggota Syiah di luar sana dan orang ramai yang ada maklumat boleh segera memaklumkannya kepada pejabat agama berhampiran atau polis,” katanya. Ketua Polis Daerah Selama, Deputi Superintendan Wan Jamil Wan Chik pula berkata pemantauan pihaknya mendapati kawasan rumah yang diserbu malam Sabtu lalu sepi dan tiada sebarang aktiviti berlaku di situ.
Tentera Israel bunuh ulama
Israel: Seorang hakim Palestin ditembak mati oleh tentera Israel di kawasan bersempadan Jordan kelmarin. Hakim Palestin itu, Raed Zeiter, 38 ditembak dan dibunuh tentera berhampiran Jambatan Allenby antara Israel dan Jordan, dan melaungkan “Allahu Akbar” ketika mara ke arah tentera yang menjaga terminal sebelum kematiannya. Raed Zeiter, seorang ulama kelahiran Nablus dengan kerakyatan Jordan dikatakan cuba merampas senapang salah seorang tentera. Pihak tentera berkata, ia masih meneruskan siasatan. Ambil “langkah tegas” Selepas Jordan mengancam untuk mengambil “langkah tegas” terhadap tindak balas Israel membabitkan insiden itu, pihak berkuasa Israel berjanji memaklumkan perkembangan kepada Jordan membabitkan siasatan itu. Insiden itu mencetuskan kemarahan pemerintahan Hashemite dengan penunjuk perasaan berkumpul di luar Keduataan Israel di Amman menuntut Jordan menarik diri daripada perjanjian damai 1994 yang ditandatangani antara pihak berkaitan. Tunggu hasil siasatan. Menteri kerajaan Jordan dipetik agensi media China Xinhua kelmarin sebagai berkata bahawa Amman menunggu keputusan siasatan Israel membabitkan insiden itu. “Kami mengikuti siasatan ini,” kata menteri hal ehwal media Jordan, Mohammad Momani. “Apabila kami mempunyai keputusan, kami akan mengumumkan langkah tegas ini. Kami juga akan mengambil tindakan terhadap pembunuh hakim ini.” katanya.
3 angkasawan mendarat
Moscow: Dua angkasawan Russia dan seorang Amerika Syarikat semalam mendarat ke Bumi di Kazakhstan selepas lebih satu setengah tahun berada di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa, kata pusat kawalan misi. Rakyat Russia terbabit, Oleg Kotov dan Sergei Ryazansky serta angkasawan NASA, Mike Hopkins mendarat dengan kapsul Saoyuz 3.24 pagi di luar Dzhezkazgan di Kazakhstan. Cuaca buruk. Pelepasan dan pendaratan pada awalnya ditangguhkan berikutan cuaca buruk tetapi kemudian dibenarkan untuk diteruskan dan pusat kawalan misi berkata pendaratan itu diteruskan seperti dijadualkan.
Polis pertama bertudung di Amerika
St Paul: Seorang wanita Islam dari negeri Utara Minnesota di Amerika Syarikat mencatat sejarah apabila menjadi pegawai polis pertama di St Paul yang memakai tudung, lapor rangkaian berita tempatan Minnesota, CBS. Polis St Paul menerima wanita pertama Somalia itu di jabatan terbabit pada Sabtu lalu. Kadra Mohamed kelahiran Kenya adalah berkelulusan Sekolah Tinggi Pusat pada 2010. Beliau melanjutkan pengajian di Universiti St Cloud dalam ijazah keadilan jenayah pada Mei tetapi dianugerahkan lencana minggu lalu. “Saya di sini hari ini kerana saya mempunyai cita-cita yang sudah ditetapkan dalam minda dan bekerja keras untuk cuba memenuhi impian saya itu. Saya mahu anda semua terus melakukan kerja yang baik,” kata Kadra Mohamed. Setakat ini belum ada jabatan lain di Minnesota yang mengambil wanita Somalia untuk bekerja dengan mereka. St Paul adalah satu-satunya bandar raya di negara itu yang membenarkan pemakaian tudung di tempat kerja.
Nota ‘wasiat’ remaja lemas
Alor Setar: “Saya sayang abang, mak, ayah dan yang lain, saya akan dengar kata dan tak akan buat masalah lagi.” Demikian antara kandungan surat terakhir ditulis Zamzuri Asyraf Don, 13, dua hari sebelum remaja itu lemas selepas terperangkap dalam bilik air ketika rumahnya di Taman Seri Putra, Kuala Kedah dekat sini, terbakar, malam kelmarin. Selain Zamzuri Asyraf, abang tirinya, Zamzuri Aswad Zainol Abidin, 34, turut maut dipercayai ketika cuba menyelamatkan diri dalam kejadian jam 9.30 malam itu. Mayat Zamzuri Aswad ditemui berdekatan tangga di tingkat atas rumah terbabit. Ibu simpan surat. Surat ditulis Zamzuri Asyraf satu-satunya ‘wasiat’ peninggalan remaja berkenaan yang masih disimpan ibunya, Zubaidah Daud, 58, selepas tragedi menyayat hati itu. Zubaidah yang berniaga di kedai makan Laksa Teluk Kecai, dekat Kuala Kedah, berkata surat itu diserahkan Zamzuri Asyraf kepadanya dua hari lalu dan beliau menyimpannya kerana terharu dengan isinya. “Surat ini sahaja satu-satunya kenangan tinggalan anak bongsu saya (Zamzuri Asyraf), yang lain semua hangus terbakar. “Tragedi ini membuat saya sedih. Namun saya perlu kuat kerana bertanggungjawab jaga cucu (Mohamad Zamil Haikal, 7) selepas bapanya yang juga anak sulung saya, Zamzuri Aswad turut terbunuh dalam kejadian terbabit,” katanya. Dalam kejadian malam kelmarin, tiga kediaman di Taman Seri Putra terbakar, termasuk satu daripadanya milik milik Zubaidah. Sembunyi dalam baldi. Zamzuri Asyraf ketika kejadian dikatakan sempat memaklumkan kebakaran di rumah mereka kepada dua abang tirinya, Zamzuri Amri Zainol Abidin, 31 dan Zamzuri Alif Zainol Abidin, 27, namun mangsa yang panik kerana ketakutan dipercayai terus memasuki bilik air dan bersembunyi di dalam baldi besar berisi air. Zubaidah berkata, dia hanya mampu meraung sekuat hatinya memanggil nama semua anaknya kerana percaya mereka masih berada di dalam rumah.
Keputusan perogol bersiri 31 Mac
TEMERLOH 11 Mac - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menangguhkan sehingga 31 Mac ini keputusan terhadap perogol bersiri, Rabidin Satir yang dituduh membunuh dan merogol seorang remaja, lima tahun lalu. Hakim Datuk Abdul Karim Ab. Rahman menetapkan demikian selepas selesai mendengar hujah daripada pihak pembelaan dan pendakwaan. Rabidin, 43, didakwa membunuh Annie Kok Yin Cheng, 17, antara pukul 11.30 malam, 7 Mac 2009 dan 1.50 petang, 8 Mac 2009, di Lot 4168 Kampung Ketari Bentong, Bentong dekat sini. Dakwaan terhadap tertuduh dari Kampung Libang Ulu, Tambunan, Sabah itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati. Lelaki itu turut didakwa merogol mangsa sehingga menyebabkan kematiannya di tempat dan masa yang sama, mengikut Seksyen 376(4) yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 30 tahun dan sebatan. Rabidin yang tidak bekerja diwakili peguam Richard Bong Chong Fook, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mustaffa. Terdahulu, Chong Fook, dalam hujahannya menyatakan, berdasarkan laporan makmal, baju-T yang diserahkan keluarga mangsa turut mempunyai asid deoksiribonukleik (DNA) pihak ketiga, selain DNA mangsa dan juga suspek. Katanya, laporan makmal berkenaan juga tidak menjelaskan DNA tersebut milik mana-mana individu lain, selain tiada kenyataan daripada keluarga mangsa mengenai barang bukti berkenaan. Sementara Siti Hajar menghujahkan, Jabatan Kimia telah menjalankan analisis DNA sebanyak dua kali iaitu selepas kejadian dan dua tahun kemudian selepas penangkapan Rabidin. Katanya, berdasarkan laporan daripada kedua-dua analisis yang dibuat membuktikan DNA mangsa terdapat pada barang bukti termasuk baju T berkenaan. Pada 5 Februari tahun lalu, Rabidin dihukum penjara berjumlah 115 tahun dan sebatan 50 kali selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Raub terhadap empat pertuduhan merogol dan satu pertuduhan melakukan seks luar tabii ke atas empat mangsa berumur antara lapan hingga 17 tahun. Sebulan kemudian iaitu pada 21 Mac 2013, dia dihukum penjara 18 tahun oleh Mahkamah Sesyen Raub selepas mengaku bersalah menyerang dan mencederakan Konstabel Mohd. Suhaimi Md. Razali, 24, dengan sebilah parang di sebuah rumah bernombor 43 di Taman Shahbandar Husin, Bentong pada kira-kira 6 petang, 14 November 2012.
Doa sebagai kunci - Pakar
KUALA LUMPUR 11 Mac - Allah memberikan hambanya segala cara dan kunci untuk menemukan apa sahaja termasuk pesawat MH370 yang hilang sejak awal pagi Sabtu lalu. Juruterbang berpengalaman, Kapten Norudin Abdul Majid sehubungan itu berkata, usaha yang perlu dilakukan kini adalah berdoa kepada Allah supaya didatangkan petunjuk agar pesawat itu ditemui. Jelas beliau, doa daripada mereka yang soleh dan juga kaum keluarga penumpang serta anak kapal sentiasa didengari Allah. "Kita orang beriman, Allah telah menentukan segala-galanya, dunia ini kepunyaan pencipta. "Sehubungan itu, cara terbaik yang perlu kita lakukan (adalah berdoa), insya-Allah boleh ditemui, ia adalah gabungan apa itu sains dan juga pencipta sains," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Rata-rata pakar dan penganalisis penerbangan semalam melahirkan rasa bingung dan terkejut dengan misteri kehilangan pesawat MH370. Penganalisis penerbangan, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ini merupakan pengalaman pertama kehilangan pesawat canggih seperti MH370 walaupun beliau telah berkecimpung dalam kerjaya itu selama puluhan tahun. Pakar Oseanografi dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Mohd. Fadzil Mohd. Akhir pula membuat andaian, kemungkinan MH370 terhempas ke laut. Dalam pada itu, Norudin menegaskan, setakat ini pesawat itu dilihatnya telah hilang. Katanya, kehilangan pesawat seumpama itu pernah berlaku sebelum ini dan fakta yang berkaitan kehilangan MH370 kini adalah mengelirukan dan 'ajaib'. "Apa yang berlaku sekarang, kita kena terima, dunia kena terima bahawa pesawat itu kini hilang," katanya.
Lagi individu dakwa lihat MH370 terbang rendah
PASIR MAS 11 Mac - Seorang lelaki mendakwa melihat sebuah pesawat terbang rendah di kawasan Kota Bharu pada pagi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dilaporkan terputus hubungan pada Sabtu lalu. Pembantu Am di Pejabat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pasir Mas, Mohd. Hisham Seman, 38, mendakwa, dia melihat pesawat berkenaan sekitar pukul 1.30 pagi sehingga 1.45 pagi ketika berada di luar rumah mertuanya di Kampung Pasir Kasar, Sering, Kota Bharu dekat sini. Dia mengesyaki sesuatu yang tidak kena berlaku selepas melihat pesawat terbabit terbang rendah menuju arah laut pada ketika itu. "Kebiasaannya pesawat akan membelok atau menghala ke kanan bagaimanapun pada pagi itu ia (pesawat) terus menghala ke laut. "Selain itu, saya juga hairan kerana pesawat itu melalui kawasan berkenaan pada waktu tersebut yang sepatutnya tiada pesawat kelihatan di ruang udara," dakwanya ketika ditemui di sini hari ini. Sejak tiga hari lalu, tiga individu di negeri ini telah tampil mendakwa melihat pesawat terbang rendah di ruang udara pada awal pagi Sabtu lalu. Sementara itu di TUMPAT, seorang petani mendakwa ternampak sebuah pesawat terbang rendah dengan bahagian ekornya seperti terbakar ketika melintasi Kampung Nechang pada hari kejadian pesawat MH370 dilaporkan hilang pada Sabtu lalu. Ibrahim Konok, 60, mendakwa, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 2 pagi ketika dia berehat selepas membuat batas di kebun cili miliknya yang terletak berhampiran rumah. Dakwanya, pesawat itu terbang rendah daripada biasa seperti mahu melakukan pendaratan kecemasan menghala ke arah laut. "Logo MAS jelas kelihatan pada badan pesawat itu dan ia terbang menghala ke arah pantai Sri Tujoh. "Saya juga nampak seperti kebakaran kecil di ekor pesawat. Api jelas kelihatan kerana pesawat itu melintas kawasan ini," katanya. Dakwa petani itu lagi, kawasan kebunnya itu merupakan laluan pesawat tetapi kebiasaannya menghala ke arah darat tetapi pesawat yang dia lihat itu melawan arus, dari darat menghala keluar ke laut. "Saya memerhati pesawat itu hingga hilang dari pandangan mata, lebih kurang lima minit dia terbang rendah menghala ke Pantai Sri Tujoh," ujarnya. Ibrahim berkata, dia telah membuat laporan polis di Balai Polis Chabang Empat kira-kira pukul 12.35 tengah hari kelmarin.
Bilal dakwa pesawat terbang rendah
IPOH 11 Mac - Seorang bekas polis, Mohamat Naszeli Yahaya mendakwa dia ternampak sebuah kapal terbang dipercayai MH370 merentasi kawasan perumahannya sekitar pukul 7 pagi Sabtu lalu. Mohamat Naszeli, 61, yang merupakan bilal di masjid berdekatan rumahnya percaya pesawat itu adalah milik Malaysia Airlines (MAS) berdasarkan logo syarikat penerbangan itu di bahagian ekor pesawat tersebut. Dia mendakwa, pesawat berkenaan terbang sangat rendah dipercayai kira-kira 100 ke 150 meter dari jarak penglihatannya yang berdiri di luar rumah. "Ruang udara kawasan rumah saya memang menjadi laluan kapal terbang tetapi sepanjang 10 tahun sejak saya menetap di sini, tidak pernah saya nampak pesawat terbang serendah itu. Bunyinya juga sangat kuat sehingga menggegarkan rumah. "Kebetulan waktu itu saya baru pulang menunaikan solat Subuh dari masjid dan sebaik sahaja sampai di rumah, saya nampak sebuah pesawat seperti mahu menjunam ke arah kawasan perumahan kami dengan pergerakan yang perlahan menyebabkan saya rasa takut. "Bagaimanapun pesawat itu terus melepasi kawasan perumahan kami sebelum hilang daripada penglihatan setelah melepasi kawasan berbukit kira-kira tiga kilometer dari sini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Medan Lahat Baharu di sini hari ini. Mohamat Naszeli memberitahu, ketika itu dia tidak mengesyaki apa-apa kerana tidak mengetahui mengenai kejadian kehilangan pesawat MH370 dan hanya beranggapan kemungkinan pesawat yang dilihatnya itu mengalami kerosakan kecil. Walau bagaimanapun, selepas dia diberitahu mengenai kejadian kehilangan pesawat MH370 oleh adik iparnya pada petang hari yang sama, dia terkejut dan teringat mengenai kejadian pesawat terbang rendah di kawasan perumahannya. "Saya bukan mereka-reka cerita, saya beritahu apa yang saya nampak. Saya tidak kata memang itu pesawat MH370 tetapi saya nampak logo MAS dan sama seperti gambar kapal terbang yang dipaparkan menerusi media. "Saya berharap kejadian yang saya lihat itu sedikit sebanyak dapat membantu pihak berkuasa dalam merungkai kehilangan pesawat berkenaan. Bukan saya seorang yang nampak tetapi isteri imam di masjid yang tinggal berdekatan juga menyaksikan kejadian itu," jelasnya. Tambah Mohamat Naszeli, dia percaya berdasarkan pergerakan pesawat itu yang melepasi bukit berdekatan rumahnya, hala pergerakannya adalah ke arah perairan Lumut dan Selat Melaka. Ketika ditanya sama ada dia ada melihat kepulan asap atau kebakaran daripada pesawat itu, Mohamat Naszeli berkata, tiada apa yang pelik terhadap pesawat berkenaan melainkan terbang dalam ketinggian rendah serta bergerak perlahan.
Gara-gara percayakan amah warga Indonesia, ahli perniagaan kerugian RM10,000
ALOR SETAR 11 Mac - Gara-gara percayakan amahnya seorang warga Indonesia, seorang ahli perniagaan bergelar Datuk kerugian hampir RM10,000 apabila wanita itu melarikan diri bersama wang tunai serta barangan berharga yang lain. Perbuatan itu dilakukan suspek dikenali sebagai Rani, 23, semasa majikan dan ahli keluarganya yang lain tiada di rumah mereka di Taman Bersatu di sini, kerana keluar bekerja, pada 28 Februari lalu. Datuk Lim Bak Soew, 65, berkata, semasa kejadian, beliau berada di pejabatnya di Jalan Dato Wan Muhamad Saman, atas urusan perniagaan manakala isteri dan seorang anak perempuannya yang bertugas sebagai doktor, keluar bekerja. "Kira-kira pukul 5 petang, anak saya pulang ke rumah dan terkejut mendapati pintu terbuka. Hasil pemeriksaan dia mendapati wang tunai RM1,800 dan seutas jam tangan yang disimpan di dalam bilik lesap. "Rani yang berasal dari Jawa Barat juga tiada di rumah dan paspotnya yang saya letak di atas meja di dalam rumah kami, juga telah hilang," katanya ketika ditemui di Jalan Kanchut, di sini hari ini. Menurutnya, beliau yang bergegas pulang selepas dimaklumkan anaknya, mendapati wang tunai RM8,000 yang disimpan di dalam almari turut hilang. "Saya mengambilnya bekerja melalui seorang ejen, tiga bulan lalu. Dia seorang yang sopan dan rajin bekerja sehingga saya percayanya," jelasnya. Tambah Bak Soew, beliau percaya Rani masih berada di bandar ini, malah membalas khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepadanya. "Saya tanya dia kenapa curi wang saya, tetapi dia balas (SMS) kata dia tidak curi wang tersebut. Saya kemudian dapat tahu seorang rakan saya di Taman Lamsun juga telah menjadi mangsa Rani. "Kawan saya hilang RM800 selepas dua hari Rani diambil bekerja di situ sebelum Rani melarikan diri. Saya harap polis segera mengambil tindakan dan orang ramai perlu berhati-hati terhadap amah itu," katanya. Ketua Polis Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd. Jan ketika dihubungi hari ini mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.
Geng Wei Chai, Sinulihan tumpas
KOTA KINABALU 11 Mac - Polis menumpaskan dua geng curi kereta dan motosikal dikenali dengan kumpulan Wei Chai dan Sinulihan yang aktif melakukan kegiatan jenayah itu di sekitar bandar raya ini dengan tertangkapnya 23 individu termasuk seorang wanita di sini, baru-baru ini. Dalam tangkapan bermula 8 Januari lalu itu, nilai rampasan keseluruhannya mencecah RM353,000 termasuklah lebih 10 buah kereta seperti kereta jenis Proton Saga, Wira, komputer riba dan motosikal jenis Honda EX5. Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, tangkapan geng Wei Chai itu membabitkan penahanan 12 lelaki berusia antara 22 dan 53 tahun di sekitar Kota Kinabalu, Penampang serta Beaufort. "Sembilan daripada suspek ditahan dikenal pasti positif dadah dan turut disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Kesemua rampasan geng ini dianggarkan bernilai RM318,000," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun; timbalannya, Supritendan M. Chandra dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kota Kinabalu, Deputi Supritendan Nor Azizulkifli Mansor. Tambah Hamza, bagi kes curi motosikal yang dipercayai dilakukan oleh geng Sinulihan, seramai 10 lelaki dan seorang wanita berusia antara 18 dan 48 tahun ditahan di sekitar Inanam, Menggatal, Penampang dan Kota Kinabalu. "Sembilan buah motosikal yang dianggarkan bernilai RM45,000 kebanyakannya jenis Honda EX5 ditemukan semula. Dengan tangkapan kedua-dua geng ini, polis percaya berjaya menyelesaikan kes-kes kecurian kenderaan yang aktif sejak Disember tahun lalu hingga bulan lalu. "Kesemua suspek ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri kenderaan," katanya. Dalam kes berasingan, Hamza berkata, pihaknya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 kes pecah rumah, 12 kes kecurian kenderaan dan satu kes samun dengan tertangkapnya empat rakan baik daripada enam suspek di sini, baru-baru ini. Katanya, suspek berkenaan berusia antara 16 dan 26 tahun yang dipercayai menganggotai Geng Ah Kit dan Ading itu ditahan dalam Ops Pintu yang dilaksanakan pada bulan lalu. "Hasil daripada tangkapan itu, polis menemukan barangan seperti telefon bimbit, jam tangan, barangan kemas, televisyen, komputer riba yang dianggarkan bernilai lebih RM70,000," katanya.
Tiga suspek warga asing kes samun, pecah rumah mati ditembak
SUNGAI PETANI 11 Mac - Polis menembak mati tiga penjenayah warga asing yang disyaki terlibat dalam beberapa kes samun bersenjata dan pecah rumah dalam kejadian berbalas tembakan di sebuah ladang kelapa sawit di Ladang Kuala Muda, Jalan Kuala Ketil, dekat sini awal pagi ini. Seorang anggota polis turut terkena tembakan tetapi terselamat dan mengalami kecederaan ringan, kerana memakai pakaian kalis peluru. Ketiga-tiga suspek berusia dalam lingkungan 25 hingga 30-an itu, menaiki sebuah kereta Proton Perdana sebelum terserempak dengan pasukan polis yang menjalankan Op Cantas di simpang tiga Bukit Selambau, kira-kira pukul 4.30 pagi. Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, sebaik sahaja menyedari kehadiran polis, kumpulan suspek melarikan diri namun berjaya dipintas di simpang masuk ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Kuala Muda. "Seorang daripadanya kemudian mengeluarkan pistol dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis. "Polis yang membalas tembakan itu untuk mempertahankan diri, berjaya menembak mati kesemua suspek," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di sini. Ahmad memberitahu, hasil pemeriksaan menjumpai sepucuk pistol .38mm bersama peluru hidup, parang, beberapa peket dadah dan peralatan pecah rumah. "Tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai tetapi polis percaya mereka adalah warga asing berdasarkan pemeriksaan pada tubuh," katanya. Katanya, siasatan mendapati kereta yang digunakan suspek dilaporkan dicuri di Pulau Pinang, beberapa minggu lalu, dan siasatan diteruskan bagi mengenal pasti kes-kes jenayah lain membabitkan mereka.
Hiasan pelik dalam mata
NEW YORK 11 Mac - Seorang wanita sanggup mengambil risiko asalkan dapat tampil menarik, apabila bertindak nekad meletakkan logam platinum di dalam matanya. Dailymail Online melaporkan, Kristina Kovalevskya merupakan wanita pertama dari bandar raya ini, menemui Dr. Emil Chynn dari Park Avenue Laser Vision untuk memasukkan logam platinum berbentuk hati berukuran 3.5 milimeter di bahagian mata putihnya. "Saya sukakan cabaran dan mahu objek ini berada di dalam mata saya untuk jangka masa yang lama. Namun begitu, saya ada merancang untuk menukarnya kepada bentuk lain yang lebih menarik, jelasnya, sambil menambah kos keseluruhan pembedahan menelan belanja AS$3,000 (RM 9,851.82). Menurut Dr. Chynn prosedur perhiasan mata sudah dijalankan beribu-ribu kali di Eropah dan Los Angeles, namun tidak di New York, dan Kovalevskya merupakan pelanggan pertamanya untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut. Jelasnya, proses pemasangan platinum itu dimulakan dengan menyuntik anestetik yang sering digunakan dalam dunia perubatan, sebelum membuat hirisan kecil di bahagian mata untuk membentuk ruang bagi meletakkan platinum itu. "Selepas membuat hirisan, platinum tersebut dimasukkan dan tiada sebarang jahitan dilakukan kerana hirisan itu akan bersambung secara semulajadi dalam tempoh masa tiga hari, ujarnya lagi. Walaupun kelihatan seperti mengerikan, Dr. Chynn menegaskan bahawa kaedah pembedahan yang dicipta oleh seorang pakar mata dari Belanda pada tahun 2004 itu adalah selamat. Bagaimanapun, Agensi Dadah dan Makanan (FDA) masih lagi belum meluluskan prosedur pembedahan berkenaan, sambil American Academy of Ophthalmology memberi amaran kepada pengguna akan bahaya yang bakal menimpa mereka jika melakukan pembedahan tersebut. Akademi itu dalam satu kenyataan kepada rangkaian televisyen Fox 5 memberitahu, setakat ini tiada sebarang bukti kukuh yang dapat menyokong kesahihan bahawa pembedahan tersebut adalah selamat.
Cucu dikhuatiri alami nasib seperti datuk
NEW DELHI 11 Mac - Seorang cucu lelaki ahli politik India yang terlibat dalam nahas pesawat pada 1973, merupakan antara 227 penumpang yang menaiki pesawat MH370 yang hilang sejak empat hari lalu. Portal berita The Telegraph India melaporkan, warganegara Kanada kelahiran India, Muktesh Mukherjee, 42, dikhuatiri berkongsi nasib seperti datuknya, Mohan Kumaramangalam yang terbunuh semasa menaiki penerbangan Indian Airline 440 hampir empat dekad lalu. Dalam kejadian tersebut, Kumaramangalam yang merupakan Menteri Besi dan Perlombongan ketika itu, antara 48 penumpang yang maut selepas pesawat terbabit terhempas berhampiran New Delhi. Kini nasib cucunya, Muktesh masih belum diketahui dan beliau merupakan Timbalan Presiden Operasi Syarikat Sumber dan Tenaga XCoal di China. Muktesh menaiki penerbangan itu bersama isterinya, Xiaomao Bai, 37, yang merupakan rakyat China. Ibunya, Uma yang merupakan anak perempuan kepada Kumaramangalam, berlepas ke Beijing semalam selepas mendapat berita tentang kejadian yang menimpa pesawat MH370. Sepupu mangsa, Mangaljit Mukherjee berkata, ahli keluarganya bimbang dengan nasib Muktesh yang mungkin akan mengikut jejak Kumaramangalam. "Buat masa ini, kami cuba mengumpul maklumat bersama ahli keluarga yang lain. "Kejadian ini sangat menyedihkan kerana kami khuatir akan berakhir sama seperti yang berlaku pada datuk kami," katanya.
Thailand wujudkan pangkalan data pasport hilang
BANGKOK 11 Mac - Pihak berkuasa Thailand akan mewujudkan pangkalan data mengenai kehilangan pasport pelancong bagi menangani isu keselamatan berikutan pendedahan bahawa dua penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang, menggunakan pasport yang dicuri di negara ini. "Saya akan kemukakan syor mengenai penubuhan pangkalan data mengenai kehilangan pasport ini kepada Ketua Polis Nasional Diraja Thailand, Jeneral Adul Saengsingkaew," kata Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar, Surapong Tovichakchaikul kepada media di Pusat Pemeliharaan Keamanan dan Ketenteraman Awam (CMPO) di sini hari ini. Beliau berkata, penubuhan pangkalan data itu akan memudahkan urusan penyampaian maklumat tentang pelancong yang kehilangan pasport ketika berada di Thailand kepada Interpol. Ini akan membolehkan Interpol menjalankan penyiasatan terhadap kes kehilangan pasport di negara ini, katanya. Thailand menjadi perhatian ramai berikutan tersebarnya berita bahawa dua penumpang penerbangan MH370 yang hilang daripada radar pada pukul 1.30 pagi Sabtu lalu, membeli tiket dengan menggunakan pasport yang dicuri di Thailand. Surapong bagaimanapun berpendapat, kes kecurian pasport itu tidak akan menjejaskan imej Thailand sebagai destinasi pelancongan popular. Beliau menasihati semua pihak supaya tidak membuat andaian bahawa kehilangan pesawat berkenaan mempunyai kaitan dengan tindakan keganasan dan sebaliknya menunggu hasil siasatan mengenainya. Sementara itu, Surapong mengutuskan ucapan simpati kepada Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Anifah Aman melalui telefon berhubung insiden penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing. Beliau berkata, kerajaan Thailand sedia memberi sokongan dan bantuan untuk membantu mencari pesawat itu. - BERNAMA
Bukan serangan pengganas - Interpol
LYON, Perancis 11 Mac - Agensi Polis Antarabangsa (Interpol) hari ini tidak percaya bahawa kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 pada Sabtu lalu mempunyai kaitan dengan serangan pengganas. Setiausaha Agungnya, Ronald Noble berkata di ibu pejabat Interpol di sini, pihaknya lebih cenderung ke arah kesimpulan bahawa kehilangan pesawat itu bukan disebabkan serangan pengganas berdasarkan maklumat yang diterima. "Berdasarkan lebih banyak maklumat yang kami terima, kami beranggapan kehilangan MH370 tidak melibatkan elemen keganasan," katanya. Noble dalam pada itu berkata, dua lelaki warganegara Iran yang turut menaiki pesawat tersebut dengan pasport curi, kemungkinan menjadi mangsa pemerdagangan manusia. Dua pemilik pasport warga Iran berumur 19 dan 29 tahun yang datang dari Doha, Qatar telah menggunakan pasport curi di Kuala Lumpur dengan nama warga Itali dan Austria ketika memasuki penerbangan MAS itu. "Kami tahu mereka tiba di Kuala Lumpur pada 28 Februari lalu dan menggunakan pasport serta identiti palsu bagi menaiki pesawat MH370," katanya. Kedua-dua pasport warga Iran itu juga tidak dilaporkan dicuri atau hilang. Tambah Noble, Interpol sedang menggiatkan usaha bagi mengenal pasti sebarang kemungkinan terhadap kehilangan MH370 termasuk kegiatan pengganas, jenayah terancang atau pemerdagangan manusia. "Pengumuman tentang identiti warga Iran yang dikenal pasti sebagai Pouri Nourmohammadi dan Delavar Seyed Mohammadreza itu mungkin boleh memaksa keluarga atau rakan mereka tampil dan memberi maklumat kepada pihak berkuasa bagi menolak kemungkinan serangan pengganas. "Dengan penambahan bukti, kita mampu menolak jangkaan mereka terlibat dalam rancangan terhadap kehilangan pesawat itu dan memberi perhatian terhadap jenayah pemerdagangan manusia yang membolehkan mereka ke luar negara," katanya. - REUTERS
Bingkisan Doa Dan Harapan Terhadap #MH370
Kehilangan pesawat MH370 telah membuatkan rakyat Malaysia dan masyarakat seluruh dunia bersatu mendoakan kesudahan yang terbaik bagi insiden yang masih menjadi tanda tanya ini. Di meja kerja salah seorang penumpang terlibat iaitu Philip Wood, 50, yang merupakan eksekutif IBM, banyak origami burung diletakkan sebagai tanda mendoakan keselamatannya. Wood yang sudah bekerja di IBM cawangan Beijing selama dua tahun, dikatakan sedang dalam proses untuk berpindah ke Kuala Lumpur. Berikut adalah gambar lain yang memaparkan doa serta harapan rakyat Malaysia yang tidak putus-putus. Antara yang menarik perhatian adalah sokongan daripada anak-anak PASTI di Lahad Datu, pelajar Malaysia di Birmingham, murid-murid di SJK(T) Sithambam Pillay, peminat bola sepak Pahang dan banyak lagi. Apa yang pasti, harapan dan doa yang baik-baik terhadap MH370 telah menyatukan bukan sahaja rakyat Malaysia tetapi juga masyarakat dunia tanpa mengira di mana sahaja kita berada.
Sumber ATM Kesan MH370 Berjaya Terbang Melalui Selat Melaka?
ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) kini memaklumkan bahawa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dikesan melalui radar Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah terbang di atas kawasan Selat Melaka jauh daripada ia terputus hubungan dengan radar menara kawalan di Subang. Menurut laporan The Malaysian Insider, sumber tentera memaklumkan mengesahkan dengan agensi berita Reuters bahawa pesawat Boeing 777-200ER itu telah menukar laluannya dan berjaya terbang melalui selat berkenaan. “Ia mengubah laluan selepas melalui Kota Bharu dan terbang pada ketinggian rendah, ia berjaya sampai ke Selat Melaka,” menurut sumber rasmi berkenaan yang telah diberi taklimat. Selat Melaka merupakan antara selat yang paling sibuk di dunia. Sebuah akhbar tempatan memetik kata-kata Panglima TUDM Tan Sri Rodzali Daud yang mengatakan pesawat itu dikesan di sekitar kawasan Pulau Perak di bahagian Pantai Barat Semenanjung Malaysia. “Kali terakhir pesawat itu berjaya dikesan ialah berdekatan Pulau Perak yang terletak di atas Selat Melaka pada pukul 2.40 pagi Sabtu. “Selepas itu, isyarat dari pesawat berkenaan terputus,” katanya. Turut difahamkan, unit kawalan trafik udara di Singapura turut menerima isyarat yang MH370 telah berpusing balik dan mendaki ke ketinggian 1,000 meter daripada paras ketinggian asal iaitu 10,000 meter. Terdapat juga laporan polis dibuat oleh beberapa penduduk yang mendakwa melihat pesawat berkenaan terbang rendah kira-kira 1,000 meter dari paras laut di sekitar Kota Bharu. Petunjuk bahawa pesawat yang dikendalikan oleh Kapten Zaharie Ahmad Shah itu telah berpusing balik menjadi asas untuk memperluaskan kawasan operasi mencari dan menyelamat ke sekitar Selat Melaka dan Laut Andaman.
MH370 – Iran Sedia Bantu Siasatan Dua Warga Iran
SUSULAN pendedahan dua individu yang menggunakan pasport palsu dan menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, Iran hari ini menawarkan bantuan kepada Malaysia memandangkan kedua-dua individu berkenaan adalah warga Iran. Jurucakap Kementerian Luar Iran Marzieh Afkham berkata tawaran bantuan dan kerjasama itu dibuat selepas Iran yang mengikuti perkembangan kehilangan pesawat berkenaan dan menyedari perkembangan terbaru itu. “Kami menawarkan kerjasama untuk mendapatkan lebih banyak maklumat,” katanya. Menurut beliau, Tehran akan memberikan segala informasi berkaitan dua warga Iran itu sebaik sahaja ia telah tersedia. Hari ini Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mendedahkan individu yang menggunakan pasport dicuri dari warga Austria sebagai Pouria Nour Mohammad Mehrdad, 19 tahun. Manakala pihak Polis Antarabangsa Interpol mendedahkan nama individu kedua yang menggunakan pasport curi dari warga Itali Luigi Maraldi sebagai Delavar Syed Mohammad Reza, 30 tahun. “Hasil siasatan kita beliau bukanlah didapati menjadi ahli mana-mana kumpulan pengganas dan dia hanya cuba untuk berhijrah ke Jerman,” kata Khalid. Pouria Nour dan Delavar Syed tiba di negara ini pada 28 Feb lepas dan diberikan pas lawatan sosial selama 90 hari sebelum kemudiannya berlepas ke Beijing menaiki pesawat MH370 ke Beijing. Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Aloyah Mamat pula berkata, dua individu berkenaan telah mematuhi semua aspek prosedur standard dalam urusan pemeriksaan pasport dan dokumen perjalanan lain.
KLIA Dianugerahkan Khidmat Imigresen Terbaik
LAPANGAN Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah dianugerahkan dengan Anugerah Khidmat Imigresen Lapangan Terbang Terbaik oleh Anugerah Lapangan Terbang Dunia tahun lepas. Anugerah berkenaan merupakan satu pengiktirafan ke atas lapangan terbang di seluruh dunia melalui satu kaji selidik melibatkan pengembara dari lebih 160 negara. Anugerah itu dimulakan pada tahun 2009. Pada tahun ini majlis anugerah itu akan diadakan pada 26 Mac depan di Fira de Barcelona di bandar Barcelona, Sepanyol sempena Pameran Ekspo Penumpang Terminal. Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda, di Tokyo Jepun di tempat kedua kategori sama manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura menduduki tempat ketiga. Lapangan terbang di Singapura itu turut dianugerahkan sebagai Lapangan Terbang Terbaik pada tahun lepas. Dalam kategori Lapangan Terbang Terbaik mengikut saiz pengendalian penumpang setahun, KLIA mendapat tempat ketiga untuk kategori pengurusan 30 hingga 40 juta penumpang setahun. Untuk kategori sama, lapangan terbang terbaik ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan dan tempat kedua ialah Lapangan Terbang Munich, di Jerman. Pengiktirafan sebagai khidmat imigresen terbaik dalam anugerah berkenaan merupakan satu bukti bahawa kemungkinan tipis keselamatan berkaitan imigresen di KLIA longgar sehingga terlepasnya dua individu warga Iran yang didapati menggunakan pasport palsu.
Nampak macam sama
LUIGI Maraldi, warga Itali (kiri), Delavar Seyed Mohammad Reza, warga Iran (kanan). FOTO Reuters dan EPA
SEPANG: Seorang daripada dua lelaki Iran yang menggunakan pasport curi untuk menaiki pesawat Malaysia Airlines #dimanaMH370 didapati memiliki wajah hampir seiras dengan pemegang pasport asal, Luigi Maraldi yang berasal dari Itali. Ini berdasarkan gambar Delavar Seyed Mohammad Reza, 29, yang diedarkan menerusi sidang media oleh Interpol di Lyon, Perancis and Polis Diraja Malaysia, di sini, dan foto Luigi Maraldi oleh agensi berita EPA ketika sidang media warga Itali itu di Pattaya, Thailand pada 10 Mac. Setiausaha Agung Interpol Ronald K Noble berkata, rakaman menunjukkan Delavar Seyed Mohammad Reza, 29, dan Pouri Nur Mehdrad, 19, menaiki pesawat pada masa sama. Nobel berkata, maklumat setakat ini mendapati lelaki berkenaan tiada kaitan dengan mana-mana kumpulan pengganas. “Mereka kemungkinan besar adalah mangsa perdagangan manusia. Apa yang membimbangkan adalah kemungkinan lebih satu bilion kali setiap tahun, mereka yang melewati sempadan atau menggunakan pengangkutan udara, pasport mereka tidak disemak teliti dengan pangkalan data Interpol. Dua lelaki Iran menggunakan pasport negara asal mereka untuk masuk ke Malaysia menggunakan pasport curi dan menyamar sebagai warga Austria dan Itali ketika mendaftar masuk bagi menaiki pesawat MH370. Pouri yang menggunakan pasport curi milik warga Austria dipercayai ingin berhijrah ke negara Jerman. Sebelum ini, Itali dan Austria menafikan rakyat mereka berada dalam pesawat MH370 dan pihak berkuasa berkenaan mendakwa pasport Luigi Maraldi (Itali) dan Christan Kozel (Austria) telah dicuri di Asia Tenggara beberapa tahun lalu. Tiket dua penumpang ini juga dibeli dengan China Southern Airlines dalam mata wang baht pada masa sama. Kedua-dua tiket penerbangan itu ditempah bagi destinasi Kuala Lumpur-Beijing sebelum diteruskan ke Amsterdam. Delavar sepatutnya meneruskan perjalanan ke Copenhagen manakala Pouri akan ke Frankfurt. Sementara itu, Ketua Polis Wilayah Selatan Thai Lt Jeneral Panya Maman memberitahu AFP: “Kami percaya kedua pasport ini dicuri sindiket pemerdagangan manusia yang menghantar mangsa bekerja di negara lain terutama di Eropah.” Katanya, lelaki Iran dikenali sebagai “Mr Ali” yang menempah tiket di atas nama dua pemegang pasport Eropah dipercayai pernah menetap di Malaysia dan mempunyai kaitan dengan rangkaian sindiket pemerdagangan manusia antarabangsa. Menurutnya, kira-kira 2,000 pasport hilang atau dicuri di Thailand setiap tahun. - Agensi Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/11
Penumpang 'hantu' bukan pengganas
Suspek warga Iran, Poria Nour Mohamad Mehrdad. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Sepang: Polis sudah mengenal pasti seorang daripada dua individu yang menggunakan passport palsu untuk menaiki pesawat MH370. Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, individu itu dikenali sebagai Pouria Nur Mohamad Mehdrad, 19, dipercayai warga Iran yang ingin berhijrah ke German. Lelaki itu menggunakan pasport warga Austria yang dilapor hilang di Thailand oleh pemilik sebenar, sebelum ini. Menurutnya, berdasarkan siasatan yang dilakukan terhadap individu terbabit mendapati lelaki berkenaan tiada kaitan dengan mana-mana kumpulan pengganas. Sementara itu, di Lyon, Perancis, Setiausaha Agung Interpol, Ronald K Noble mendedahkan identiti individu kedua yang menggunakan pasport curi untuk menaiki pesawat MH370. Individu itu dikenal pasti sebagai Delavar Seyed Mohammad Reza, 29, dan rakaman foto yang disiarkan Interpol menunjukkan mereka menaiki pesawat pada masa yang sama. Mereka menggunakan pasport Iran untuk memasuki Malaysia sebelum bertuka dan menggunakan dokumen perjalanan curi milik warga Austria dan Itali, kata Nobel. Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/11
Hakim didakwa zalimi bekas isteri
Riyadh: Seorang wanita memfailkan saman terhadap bekas suaminya yang juga hakim kerana didakwa menzaliminya sebelum mereka bercerai. Wanita itu turut mendakwa ibu dan adik lelaki hakim berkenaan cuba memukul anak perempuannya ketika mahu melarikan kanak-kanak itu. Menurut akhbar Al Watan, ibu hakim terbabit dihukum penjara 14 hari manakala adik lelakinya dipenjara 20 hari. Bagaimanapun, ia tidak menyebut hukuman terhadap hakim terbabit atas dasar kekebalannya sebagai hakim. “Wanita itu kemudian memfailkan permohonan supaya mahkamah membatalkan kekebalan berkenaan, namun ditolak,” lapor akhbar itu. - Agensi
‘Raja drift’ dipenjara 10 tahun
Riyadh: Mahkamah Umum semalam memerintahkan seorang lelaki berusia 23 tahun dipenjara 10 tahun dan disebat 1,000 kali selain diharamkan memandu seumur hidup kerana beberapa kesalahan aktiviti kereta ‘drift.’ Pendakwa Raya bagaimanapun tidak berpuas hati dengan hukuman diberikan kerana menganggap lelaki itu patut dihukum bunuh selepas aksinya menyebabkan kematian rakannya. Lelaki yang dikenali sebagai ‘Raja Kejiranan Nazeem’ berkenaan popular selepas aksinya dimuat naik di YouTube menunjukkan dia memandu kereta, termasuk memandu menentang arah trafik. Dalam satu video yang dimuat naik menunjukkan dia dan dua rakannya menembak mesingan ke udara pada waktu siang. Dia juga menyebabkan kematian seorang lelaki terbabit akibat pemanduannya. Pegawai polis yang melakukan penyamaran menahan lelaki berkenaan pada November dua tahun lalu ketika dia bersembunyi di sebuah rumah di pinggir bandar ini selepas diburu kerana kematian rakannya itu. - Agensi
Sorok dadah dalam seluar dalam
Dubai: Dua rakyat Filipina termasuk seorang jururawat mengaku tidak bersalah memiliki sejumlah kecil methamphetamine untuk tujuan pengedaran. Jururawat berusia 34 tahun itu dikenali sebagai JT didakwa memiliki 0.53 gram dadah yang disorok dalam seluar dalamnya ketika dia ditahan. Rakan senegaranya, lelaki berusia 33 tahun dikenali sebagai RJ didakwa memiliki 0.46 gram dadah. Kedua-duanya didakwa memiliki dadah itu bagi tujuan pengedaran. Sementara itu, JT juga menghadapi tuduhan berasingan menggunakan dadah jenis methamphetamine dan amphetamine. - Agensi
Sedia kahwin lelaki tua untuk hapus hutang ayah
Riyadh: Seorang wanita menawarkan dirinya sebagai isteri pemiutang ayahnya yang berusia hampir 40 tahun lebih tua daripadanya. Keputusan itu dibuat untuk mengelak ayahnya dipenjara kerana berhutang sebanyak SAR3 juta (RM2.6 juta) dengan lelaki itu. Akhbar Al Watan melaporkan, wanita berusia 20-an itu sanggup berbuat demikian selepas ayahnya ditahan dan berdepan hukuman penjara. “Wanita itu menghubungi pemiutang ayahnya dan menawarkan dirinya sebagai isteri dengan mas kahwin SAR3juta (RM2.6 juta). “Lelaki itu bagaimanapun berkata dia jauh berusia daripadanya dan mempunyai tiga isteri. Wanita terbabit tetap bersedia mengahwininya. “Mereka kemudian bersetuju berjumpa di rumah keluarga berkenaan, malah memanggil kadi untuk menyempurnakan majlis itu manakala lelaki terbabit datang bersama peguamnya,” lapor akhbar itu. Selepas sejam berbincang, pemiutang itu mengucapkan tahniah kepada ‘bakal isterinya’ atas keberaniannya namun berkata dia enggan mengahwini wanita berkenaan disebabkan jarak usia mereka. Menurutnya, dia mahu gadis itu mengahwini lelaki seusianya. “Dia kemudian menulis cek bernilai SAR300,000 (RM262,350) yang diberikan kepada gadis berkenaan sebagai hadiah perkahwinan untuk digunakan apabila dia berkahwin. “Dia menarik balik kes terhadap penghutangnya itu sebelum mendoakan Tuhan merahmati wanita itu,” katanya. - Agensi
Raja Saudi bantu bayi kembar siam
Riyadh: Raja Abdullah memerintahkan pihak berkuasa kesihatan membawa sepasang kembar siam perempuan dari Syria untuk dipisahkan berikutan rayuan dibuat bapa mereka. Akhbar tempatan melaporkan, Tuqa dan Yaqin yang bercantum di kepala tinggal di Riqa, utara Syria. Ayah mereka tidak dapat membawa mereka untuk rawatan di hospital disebabkan kekurangan peralatan di situ. Lelaki yang mempunyai 11 anak itu membuat rayuan berkenaan melalui akhbar Sabq empat bulan lalu. “Raja Abdullah mengeluarkan arahan supaya Tuqa dan Yaqin diberi rawatan. “Mereka akan dibawa ke sini untuk menjalani pembedahan untuk memisahkan kedua-duanya dalam masa terdekat,” lapor akhbar itu. - Agensi
Parlimen Crimea semalam mengundi Pilih Russia
SEKUMPULAN lelaki diperiksa pasukan bersenjata pro-Russia di pusat pemeriksaan di Chongar yang menghalang laluan masuk ke Crimea semalam.
Kiev: Parlimen Crimea semalam mengundi untuk mengisytihar wilayah di pinggir Laut Hitam itu sebagai negara merdeka jika penduduknya bersetuju berpisah dari Ukraine dan menyertai Russia. Melalui dokumen “Deklarasi Kemerdekaan Republik Autonomi Republik Crimea” itu, ia menjelaskan wilayah berkenaan akan menjadi negara bebas andai penduduk yang menyertai referendum memilih menyertai Russia. Proses itu akan diadakan Ahad depan tetapi Barat berkata, mereka tidak akan mengiktirafnya. Namun usaha itu mungkin digunakan sebagai usaha mengurangkan ketegangan dengan Crimea tanpa menyebabkan Russia terbabit dengan segera. Selepas perang pendek antara Russia dan Georgia pada 2008, pemimpin wilayah Abkhazia dan Ossetia Selatan juga memohon menyertai Russia tetapi permohonan itu tidak diterima. Sementara itu pemangku Presiden Ukraine semalam menggesa pembentukan pengawal kebangsaan serta menggerakkan sukarelawan tentera ke dalam pasukan bersenjata. Berucap di parlimen, Oleksandr Turchynov berkata, perwakilan perlu meluluskan usul menukar pasukan keselamatan Kementerian Dalam Negara menjadi Pengawal Kebangsaan bagi “mempertahankan negara serta rakyat daripada sebarang tindakan jenayah luaran atau dalaman.” Kata Turchynov, turut terbabit dalam perintah itu ialah bekas tentera. Perdana Menteri Ukraine pula akan bertemu Presiden AS Barack Obama esok dan membincangkan isu di rantau berkenaan. Arseniy Yatsenyuk dijangka menggesa Barat mempertahankan Ukraine daripada negara “yang penuh dengan senjata serta bom nuklear.” Bekas Presiden Ukraine, Viktor Yanukovych kemudian menuduh kerajaan baru negara itu cuba mencetus perang saudara.- AP
Gunung Slamet tak selamat
Jakarta: Pihak berkuasa tempatan melarang pendakian Gunung Slamet melalui Bambangan di Purbalingga, Jawa Tengah ekoran peningkatan aktiviti gunung berapi di situ. Jurucakap Agensi Kesenian, Kebudayaan Dan Sukan Purbalingga berkata, pihaknya menyelaras tindakan dengan Agensi Pengurusan Bencana Wilayah bagi memantau status Gunung Slamet. “Atas faktor keselamatan Gunung Slamet ditutup kepada semua pendaki,” katanya, semalam. Menurut maklumat dari pos Bambangan, sekurang-kurangnya 21 pendaki masih dalam perjalanan ke puncak gunung berkenaan. Mereka, katanya, memulakan pendakian pada pagi kelmarin. Sepuluh daripadanya pendaki dari Jakarta, sembilan dari Jawa Barat dan dua dari Tegal “Pegawai di Bambangan sedang cuba menghubungi pendaki terbabit dan mengarahkan mereka turun secepat mungkin,” katanya. - Agensi
Saman penyelamat
Colorado: Seorang lelaki yang diselamatkan daripada terperangkap dalam kenderaannya yang hampir tenggelam akibat banjir besar di kawasan kediamannya September lalu merancang memfailkan saman terhadap pasukan penyelamat. Roy Ortiz yang berasal Broomfield melalui peguamnya berkata pasukan penyelamat itu tidak sepatutnya mengambil masa sehingga dua jam untuk menyelamatkannya. “Ya, dia berterima kasih kepada penyelamat yang menyelamatkannya, tetapi itu tidak bermakna tiada kesilapan berlaku. “Saya faham ramai yang mengatakan tindakannya ini dianggap seperti melepaskan anjing tersepit. Namun, itu tidak bermakna pihak bomba bebas daripada melakukan kesilapan dan tidak boleh ditegur,” kata peguamnya Ed Ferszt. Menurut laporan Time-Call, Roy bercadang memfailkan saman sebanyak AS$500,000 (RM 1.6 juta) ke atas timbalan sherif Boulder, Jeannette Cunning dan beberapa orang lagi. - Agensi
Dukung anak 30km ke sekolah setiap hari
Sichuan: “Kasih ayah rela berkorban” ungkapan yang sesuai untuk menggambarkan seorang bapa di China yang sanggup berjalan kaki mendukung anaknya yang kelainan upaya untuk ke sekolah sejauh hampir 30 kilometer setiap hari. Keadaan itu mendapat perhatian kerajaan China yang menawarkan penginapan yang ditanggung sepenuhnya untuk bapa berkenaan di kawasan berhampiran sekolah bagi memudahkan urusannya. Yu Xukang, 40, mendukung anaknya, Xiao Qiang, 12, yang diletakkan di dalam bakul khas yang diikat di belakang badannya. Yu yang berasal dari kampung Fenyi di daerah Yibin terus gigih untuk menyekolahkan anaknya walaupun tangan dan kaki kanak-kanak itu bengkok. “Saya sedar anak saya mengalami kecacatan fizikal tetapi otaknya berfungsi dengan baik. Bagaimanapun saya tidak dapat mencari sekolah berhampiran kediaman kami yang mempunyai kemudahan untuk orang seperti anak saya dan permohonan saya sering kali ditolak,” kata Yu “Satu-satunya sekolah yang dapat menempatkan anak saya ialah Sekolah Rendah Fengxi yang sejauh lapan kilometer,” katanya. Lelaki itu berpisah dengan isterinya sewaktu Xiao berusia tiga tahun dan membuat keputusan untuk membesarkan anaknya seorang diri. - Agensi
Potong kemaluan kekasih sebelum bunuh
Hong Kong: Seorang wanita menggunting hingga putus kemaluan teman lelakinya sebelum membunuh manggsa dengan tukul selepas lelaki itu merogolnya. Yeung Ki, 41, semalam dituduh membunuh guru piano, Zhou Hui, 32, pada 26 Disember tahun lalu. Dia mengaku tidak bersalah. Yueng yang berasal dari tanah besar China dan menetap di Hong Kong, didakwa membunuh Zhou selepas setahun menjalinkan hubungan dengan suami orang itu. Dia juga mendakwa lelaki itu meninggalkannya sewaktu dia mengandung dan banyak berhutang dengannya. Pada malam kejadian, Zhou dikatakan memukul Yueng, menolaknya ke lantai dan menampar anak perempuan mereka, sebelum mengadakan seks secara paksa dengannya. Selepas kejadian itu, Yueng mencampurkan ubat tidur ke dalam sup yang dihidangkan kepada lelaki itu, menggunting kemaluan Zhou ketika dia tidak sedarkan diri dan membuangnya ke dalam tandas. Apabila lelaki itu terjaga akibat kesakitan, wanita itu memukulnya berulang kali dengan tukul sehingga mati, lapor akhbar tempatan yang memetik pertuduhan yang dibacakan. Mengikut laporan akhbar tempatan, Zhou sebelum itu mengugut menyebarkan gambar lucah Yeung yang dimilikinya di Internet kecuali dia memberinya HK$200,000 (RM 84,477) untuk membeli kereta. “Perbicaraan kes ini akan diadakan selama 11 hari,” kata jurucakap badan kehakiman Hong Kong. - AFP
Ahli bina badan macam Popeye
Rio de Jeneiro: Ahli bina badan di Brazil meletakkan diri mereka dalam bahaya apabila menyuntik diri mereka dengan alkohol dan bahan kimia yang boleh membawa maut semata-mata untuk membesarkan otot. Arlindo de Souza mempunyai otot lengan berukuran 73 sentimeter - yang terbesar di Brazil- selepas mengambil suntikan berkenaan yang menyebabkan otot badan kelihatan bengkak seperti karakter kartun Popeye. Namun, dia sendiri mengakui tindakannya memberi kesan berbahaya kepada dirinya. Di antara mereka yang menggunakan kaedah itu, ada yang terpaksa dipotong lengannya akibat jangkitan, tidak kurang juga yang meninggal dunia. “Kawan saya Paulinho mati kerana melakukan perkara ini. Saya sangat terkesan dengan kematiannya. Kami melakukan perkara yang sama tetapi dia melampaui batas. Saya nasihatkan supaya tiada sesiapa mencuba kaedah ini,” kata Arlindo. “Saya sudah berhenti mengambilnya, tetapi perasaan untuk melakukannya lagi masih ada. Namun, saya berjaya mengawal diri sehingga kini,” katanya. Peminat Arnold Schwarzenegger yang digelar ‘The Mountain’ di kampungnya itu pernah menggunakan steroid, hormon dan pil kuda untuk merangsang pertumbuhan ototnya. Kemudian seorang kenalan di gimnasium memperkenalkan “minyak ajaib” yang mampu merangsang pertumbuhan ototnya. “Lelaki itu memberikannya kepada saya dan berkata, “Cuba yang ini, ia akan buat otot kamu membesar dalam tempoh yang singkat,” kata Arlindo. Dia yang masih bujang dan tinggal di Olinda, Brazil bersama ibunya berkata: “Saya menyuntik badan dengan minyak yang diberikan dan sejak itu otot saya membesar. “Secara jujurnya, saya tidak merasai kesan sampingannya kecuali kadangkala pening. Selain itu memang tidak ada apa-apa,” kata Arlindo.- AFP
Mauritius Sokong Pencalonan Malaysia Di Majlis Keselamatan PBB
PORT LOUIS (MAURITIUS), 11 Mac (Bernama) -- Mauritius menyokong pencalonan Malaysia sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri Mauritius Dr Navinchandra Ramgoolam kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia Datuk Seri Mustapa Mohamed yang berkunjung ke pejabatnya di sini pada Isnin. Mustapa, yang mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada lawatan tiga hari ke Mauritius, memberitahu wartawan Malaysia di sini, Ramgoolam juga memberitahu beliau akan melobi beberapa negara termasuk negara Eropah untuk menyokong pencalonan Malaysia. "Kita ucap terima kasih kepada Perdana Menteri Mauritius kerana mahu memberi sokongan kepada pencalonan Malaysia dan sokongan ini amat kita hargai," katanya sambil menambah Malaysia berharap sokongan Mauritius itu dapat dinyatakan dalam bentuk bertulis. Mustapa yang tiba di sini pada Isnin pagi, berkata beliau diminta mewakili Najib pada lawatan kali ini kerana Perdana Menteri terpaksa menangguhkan lawatan itu disebabkan kejadian berlaku di Malaysia iaitu pesawat B777-200 milik Malaysia Airlines (Malaysia) yang membawa 239 penumpang dan anak kapal dalam penerbangan MH370 hilang pada Sabtu lalu. Malaysia, yang sedang melobi sokongan untuk kerusi anggota tidak tetap di Majlis Keselamatan PBB telahpun mendapat sokongan dari negara-negara Asean dan Asia Pasifik dan kini berusaha mendapatkan sokongan dari negara lain terutamanya Afrika, Eropah dan negara Latin Amerika. Pencalonan Malaysia itu adalah bagi keanggotaan selama dua tahun iaitu dari 2015 hingga 2016.
MH370: 94 Agensi Berita Tempatan dan Agensi Berkampung Sejak Sabtu
SEPANG, 11 Mac (Bernama) -- Sebanyak 94 organisasi dan agensi berita tempatan dan luar negara berkampung di Hotel Sama-Sama di sini bagi membuat liputan operasi mencari dan menyelamat penumpang dan kru pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 yang hilang Sabtu lepas. Ketua Pengarah Penerangan Datuk Ibrahim Abdul Rahman berkata daripada jumlah itu 36 terdiri daripada organisasi berita tempatan dan baki 58 agensi berita asing dari seantero dunia, berada di sini sejak Sabtu lepas. "Pusat media dibuka di hotel ini selama 24 jam sejak hari tersebut dan menyediakan pelbagai kemudahan kepada pemberita termasuk bilik sidang media yang teratur, internet, makanan dan minuman. "Kira-kira 250 pengamal media termasuk wartawan, jurugambar dan kru teknikal berada di hotel ini setiap hari bagi mendapatkan bahan berita dan jumlah ini dijangka bertambah," katanya kepada pemberita di sini, Selasa. Ibrahim berkata sidang media diadakan secara teratur dan profesional dengan wartawan tempatan dan luar negara diberikan peluang sama untuk mengemuka soalan. Media antarabangsa termasuk CNN, BBC, Reuters, Associated Press (AP), Agence France-Presse (AFP), Al-Jazeera serta organisasi media dari Jepun, China, Vietnam, Filipina, Indonesia dan Singapura. "Semua media sama ada tempatan mahupun asing memberikan kerjasama yang begitu baik dan menjalankan tugas mereka dengan profesional," katanya. Pesawat MAS Penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 12.41 pagi Sabtu. -- BERNAMA
Lelaki Ditemui Mati Ditetak Di Tawau
PUTRAJAYA, 11 Mac (Bernama) -- Selepas lebih 80 jam pesawat penerbangan Malaysia Airlines MH370 hilang, beberapa anggota keluarga masih berharap berlaku keajaiban kesemua penumpang dan anak kapal dapat pulang dengan selamat. Selamat Omar, 60, bapa kepada penumpang yang dikenali sebagai Mohd Khairul Amri, tetap tidak berputus untuk berdoa walaupun beliau reda dengan segala ketentuan Allah S.W.T. "Memang sedih sebab belum ada khabar berita, tapi kami berharap pihak berkuasa dapat menemui pesawat itu secepat mungkin, walaupun hanya rangkanya sahaja," katanya kepada Bernama, di sini hari Selasa. Mohd. Khairul, 29, yang merupakan seorang jurutera pergi ke Beijing kerana urusan kerja untuk membaiki sebuah jet milik syarikat persendirian di sana. Selamat juga berpuas hati dengan segala maklumat yang disampaikan pihak MAS dan kecewa dengan kejadian baling botol kepada petugas MAS di China oleh keluarga penumpang MH370 yang mendakwa syarikat penerbangan itu lambat menyampaikan maklumat kepada mereka. "Sebenarnya pihak MAS sentiasa terbuka menerima apa saja persoalan yang dikemukakan oleh waris untuk mengetahui keadaan semasa. MAS pun tertakluk kepada pihak berkuasa kerana bukan MAS yang pergi mencari tapi agensi penguatkuasa kerajaan yang pergi mencari," ujarnya lagi. Beliau juga hairan dengan laporan yang menyatakan keluarga penumpang di China yang dapat menghubungi anggota keluarga mereka. "Saya amat hairan mereka kata mereka dapat, tapi kita di sini cuba tak dapat pun. Malah kredit kita lagi habis," katanya. Sementara itu, ibu kepada seorang lagi penumpang, Mohamad Sofuan Ibrahim, 33, Wan Tom Wan Chik, 74, juga meluahkan harapannya agar satu-satunya anak lelakinya itu dapat pulang ke pangkuan keluarga dengan selamat. "Makcik takkan putus asa berdoa. Itu sahaja yang mampu dilakukan sekarang," katanya dengan sebak. Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 12.41 pagi Sabtu. -- BERNAMA
Selepas Lebih 80 Jam, Harapan Keluarga Tetap Tidak Pudar
PUTRAJAYA, 11 Mac (Bernama) -- Selepas lebih 80 jam pesawat penerbangan Malaysia Airlines MH370 hilang, beberapa anggota keluarga masih berharap berlaku keajaiban kesemua penumpang dan anak kapal dapat pulang dengan selamat. Selamat Omar, 60, bapa kepada penumpang yang dikenali sebagai Mohd Khairul Amri, tetap tidak berputus untuk berdoa walaupun beliau reda dengan segala ketentuan Allah S.W.T. "Memang sedih sebab belum ada khabar berita, tapi kami berharap pihak berkuasa dapat menemui pesawat itu secepat mungkin, walaupun hanya rangkanya sahaja," katanya kepada Bernama, di sini hari Selasa. Mohd. Khairul, 29, yang merupakan seorang jurutera pergi ke Beijing kerana urusan kerja untuk membaiki sebuah jet milik syarikat persendirian di sana. Selamat juga berpuas hati dengan segala maklumat yang disampaikan pihak MAS dan kecewa dengan kejadian baling botol kepada petugas MAS di China oleh keluarga penumpang MH370 yang mendakwa syarikat penerbangan itu lambat menyampaikan maklumat kepada mereka. "Sebenarnya pihak MAS sentiasa terbuka menerima apa saja persoalan yang dikemukakan oleh waris untuk mengetahui keadaan semasa. MAS pun tertakluk kepada pihak berkuasa kerana bukan MAS yang pergi mencari tapi agensi penguatkuasa kerajaan yang pergi mencari," ujarnya lagi. Beliau juga hairan dengan laporan yang menyatakan keluarga penumpang di China yang dapat menghubungi anggota keluarga mereka. "Saya amat hairan mereka kata mereka dapat, tapi kita di sini cuba tak dapat pun. Malah kredit kita lagi habis," katanya. Sementara itu, ibu kepada seorang lagi penumpang, Mohamad Sofuan Ibrahim, 33, Wan Tom Wan Chik, 74, juga meluahkan harapannya agar satu-satunya anak lelakinya itu dapat pulang ke pangkuan keluarga dengan selamat. "Makcik takkan putus asa berdoa. Itu sahaja yang mampu dilakukan sekarang," katanya dengan sebak. Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 12.41 pagi Sabtu. -- BERNAMA
China Hargai Keikhlasan Malaysia - Ong Ka Ting
BEIJING, 11 Mac (Bernama) -- China menghargai usaha ikhlas Malaysia yang melaksanakan operasi mencari dan menyelamat secara berterusan bagi mengesan pesawat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang, Sabtu lepas. Wakil Khas Perdana Menteri Malaysia ke China Tan Sri Ong Ka Ting berkata Menteri Naib Luar China Xie Hang Sheng telah memuji usaha Malaysia dalam mengukuhkan hubungan dua hala dengan meletakkan keikhlasan dan bertindak secara praktikal dalam menangani insiden berkenaan. Semasa misi mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Ong berkata beliau berada di sini untuk menyampaikan mesej kepada China bahawa Malaysia telah meletakkan sepenuh usaha dalam operasi mencari dan menyelamat. "Saya di sini untuk menyampaikan keprihatinan Perdana Menteri terhadap keluarga mangsa yang terbabit," katanya kepada media Malaysia di sini hari Selasa. Ong berkata lawatan beliau bertujuan memberi sokongan kepada sejumlah 103 petugas MAS, termasuk 13 petugas warga China, semua sukarelawan dan Yayasan Buddha Taiwan, Tzu-Chi dan Dewan Perdagangan dan Industri Malaysia di China yang bekerja selama 24 jam dan menunjukkan semangat Malaysia yang terbaik. Terdahulu, Perdana Menteri China Li Keqiang telah menghubungi Najib mengenai perkara berkenaan. -- BERNAMA
31,000 Yuan Bantuan Kewangan, Bukan Pampasan, Kata MAS
BEIJING, 11 Mac (Bernama) -- Malaysia Airlines (MAS) menjelaskan bantuan kewangan berjumlah 31,000 yuan (US$5,000) bukannya pampasan tetapi bantuan wang tunai kepada waris penumpang penerbangan MH370 yang hilang sejak Sabtu lepas, untuk membeli barang keperluan harian. Jurucakap MAS Ignatius Ong Ming Choy berkata bantuan itu bagi meringankan beban waris berkenaan pada waktu sukar ketika ini. "Kami telah memaklumkan kepada waris penumpang mengenai perkara ini petang tadi, dan kami sedang mencari kaedah untuk mengagihkan wang itu," katanya dalam sidang akhbar di Hotel Citic di Lapangan Terbang Beijing pada Selasa. Mengenai ada waris enggan menerima wang itu kerana turut disertakan syarat tertentu dalam borang penerimaan, Ong berkata MAS akan mengambil kira semua permintaan dan pandangan mereka. Kami akan memberikan maklum balas berhubungan perkara itu pagi esok, katanya dan menurutnya pihaknya akan mendapatkan bantuan peguam untuk meneliti dari segi undang-undang berhubung syarat dalam borang penerimaan itu berikutan rasa tidak puas hati keluarga dan menyerahkan semula borang itu kepada keluarga terbabit pagi esok. Ong berkata setakat ini, sebanyak 12 keluarga telah tiba di Kuala Lumpur dan mereka akan sentiasa diberikan maklumat dan perkembangan terkini mengenai operasi mencari pesawat itu. -- BERNAMA
Perbankan Islam berkembang pantas
Kuala Lumpur: Perbankan Islam dijangka mampu mencapai perkongsian pasaran sebanyak 25 peratus dalam aspek aset perbankan keseluruhan tahun ini berdasarkan pertumbuhan industri itu yang berkembang dua kali, lebih pantas dengan pertumbuhan hasil tahunan sebanyak 22 peratus. Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Saadiq dan Ketua Global bagi Perbankan Islamik Kumpulan Standard Chartered Wasim Saifi berkata, beliau yakin industri terbabit mampu mencatatkan pertumbuhan dua angka meskipun berhadapan dengan persekitaran global yang mencabar. “Saya lihat sasaran kerajaan Malaysia untuk mencapai 40 peratus daripada jumlah pasaran kewangan Malaysia menjelang 2020 mampu dilaksanakan melalui momentum pertumbuhan dua angka stabil dan kerangka undang-undang yang diperkenalkan Bank Negara Malaysia,” katanya pada majlis pelancaran tingkap perbankan Islamik jenama Saadiq di sini, semalam. Hadir sama, Ketua Negara Perbankan Pengguna Standard Chartered Malaysia Sonia Wedrychowicz dan Ketua Perbankan Pengguna Standard Chartered Saadiq Mohib Yousufani. Pelancaran perbankan Islam jenama Saadiq itu bagi meluaskan capaian dan menawarkan produk kepada lebih ramai pelanggan di mana sehingga kini, penyelesaian berasaskan syariah itu ditawarkan melalui 10 cawangan Standard Chartered Saadiq. Beliau berkata, pelancaran terbabit juga membolehkan penyelesaian kewangan berasaskan syariah ditawarkan kepada pelanggan melalui tingkap perbankan Islamik di cawangan konvensional Bank Standard Chartered. “Sebagai permulaan, tingkap perbankan Islamik ini akan diperkenalkan di lapan cawangan di Lembah Klang, Seremban, Alor Setar, Johor Bahru, Butterworth, Kuching, Kuantan dan Kota Kinabalu. Selain itu, kami merancang untuk menawarkan perkhidmatan terbabit merangkumi 33 cawangan konvensional di seluruh negara dalam tempoh dua tahun akan datang,” katanya. Tingkap perbankan Islamik itu akan menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan berasaskan Syariah termasuk deposit, pelaburan, takaful, kewangan, dan perbankan perusahaan kecil sederhana (PKS) yang menyediakan alternatif terbaik pelanggan berpotensi dan sedia ada seluruh negara.
Labels:
Berita Terkini
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment