Tuesday, March 18, 2014

Berita Terkini 18 Mac 2014

China mula cari MH370 di wilayah sendiri
BEIJING 18 Mac - China telah memulakan operasi mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 di wilayahnya sendiri memandangkan terdapat kemungkinan pesawat itu terbang menuju ke arah pedalaman barat China. Duta China di Kuala Lumpur, Huang Huikang hari ini berkata, analisis data dari satelit dan radar tentera menunjukkan terdapat kemungkinan pesawat boleh berada di koridor utara pencarian iaitu membabitkan sebahagian wilayah China. - AFP


PT3 ganti PMR
KUALA LUMPUR 18 Mac - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) akan digantikan dengan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) mulai tahun ini. Menerusi pelaksanaan penambahbaikan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) pada 1 April ini, tiada lagi peperiksaan berpusat untuk pelajar Tingkatan 3 yang akan dilaksanakan di peringkat sekolah, katanya. "Akan ada bentuk penilaian di peringkat sekolah. PT3 ini akan digunakan sebagai asas untuk menentukan kemasukan murid-murid ke tingkatan 4 sama ada di Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) termasuk Sekolah Menengah Teknik (SMT) dan Kolej Vokasional. "Di samping PT3, kemasukan ke sekolah-sekolah tersebut juga akan menggunakan Ujian Psikometrik bagi memastikan pemilihan dan penempatan murid bersesuaian dengan kemampuan dan minat mereka," jelas beliau. Muhyidddin yang juga Menteri Pendidikan berkata demikian dalam sidang media khas yang turut dihadiri penggiat utama sistem pendidikan negara seperti Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) di bangunan Parlimen di sini hari ini. -BERNAMA

MH370: Penjawat awam diingat jangan sebar maklumat tidak tepat
KLUANG 18 Mac - Penjawat awam di negara ini diingatkan tidak menyebarkan sebarang maklumat yang tidak tepat berkaitan kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 bagi mengelakkan kekeliruan masyarakat. Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata, arahan sudah dikeluarkan pihaknya terhadap kira-kira 1.4 penjawat awam supaya mereka tidak terlibat dalam sebarang penyebaran atau spekulasi berhubung penerbangan MH370. "Banyak pihak terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga sudah berkali-kali mengingatkan hal ini. Jadi, saya mahu penjawat awam menjadi benteng pertahanan negara dengan tidak menjadi ’api dalam sekam’ atau ’gunting dalam lipatan’," katanya. Mohamad Zabidi berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Wacana Transformasi Kepimpinan Muda di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Wilayah Selatan di sini hari ini. - BERNAMA

This Boeing 777-200 (reg number: (9M-MRO) is the one in question with Malaysia Flight MH370 - Photo: Thomas Becker
Plot 'misteri' bukan ancaman musuh, Hishamudin
SEPANG 17 Mac - Pihak keselamatan negara tidak memintas atau bertindak terhadap sebuah plot 'misteri' yang memasuki ruang udara negara pada awal pagi 8 Mac lalu kerana tidak menganggap perkara itu sebagai serangan musuh. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan maklumat yang diperoleh radar primer milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berjaya mengesan pergerakan berkenaan. "Dari segi tindakan ini, Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud telah menyatakan bahawa pihaknya tidak menganggap pergerakan kapal terbang itu sebagai serangan musuh," katanya dalam sidang akhbar bersama di Pusat Media Hotel Sama-Sama di sini hari ini. Yang hadir sama, Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin; Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAS), Ahmad Jauhari Yahya. Hishammuddin yang juga pemangku Menteri Pengangkutan mengulas keraguan banyak pihak mengapa tiada tindakan diambil terhadap plot 'misteri' itu yang akhirnya disahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai pesawat MH370 yang melakukan pusingan balik dari Laut China Selatan ke Selat Melaka. Menurut Hishammuddin, setiap maklumat daripada radar milik tentera itu merupakan perkara sensitif dan tidak boleh sewenang-wenangnya didedahkan. Bagaimanapun kata beliau, bagi melaksanakan operasi mencari dan menyelamat MH370, pihaknya terpaksa mengetepikan seketika soal keselamatan negara. Mengulas lanjut, beliau berkata, pengesahan rasmi plot tersebut adalah milik pesawat MH370 juga bukan dilakukan oleh tentera sahaja, sebaliknya turut mendapat pengesahan agensi antarabangsa seperti Ahli Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara (NTSB) dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA). Ditanya mengenai ruang udara negara yang seperti mudah diceroboh ekoran insiden tersebut, beliau berkata, pihaknya telah berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi meningkatkan sistem radar serta tahap keselamatan negara selepas operasi dan menyelamat pesawat MH370 diselesaikan. Dalam pada itu, mengulas kerjasama dengan beberapa agensi perisikan antarabangsa, katanya, kerajaan masih mengadakan kerjasama tersebut terutamanya dengan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Organisasi Perisikan Antarabangsa (Interpol). Katanya, kerjasama tersebut diadakan sejak hari pertama pesawat jenis Boeing 777-200 itu hilang sehingga sekarang. Mengulas sama ada kerajaan telah menerima sebarang tuntutan wang tebusan daripada pihak pengganas, Hishammuddin berkata, tiada permintaan seperti itu. Sementara itu, mengenai perkembangan siasatan terhadap penumpang dan krew pesawat tersebut, beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan polis.


Pakar cadang misi mencari bergantung pada data satelit
Foto yang dibekalkan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat menunjukkan anggota dalam pesawat P-8A Poseidon melakukan operasi mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines MH370 di Lautan Hindi, Ahad lalu. - AP
WASHINGTON 17 Mac - Pakar mencari dan menyelamat mencadangkan agar misi pencarian pesawat MH370 dikecilkan dengan bergantung kepada data satelit yang sebelum ini diragui kerana tidak memberi maklumat tepat dan tidak pernah digunakan untuk tujuan tersebut. Pakar penyiasatan kemalangan dari Universiti Penerbangan Embry-Riddle di Arizona, William Waldock berkata, pihak yang terlibat dalam operasi mencari MH370 berfikir di luar kotak kerana menggunakan teknologi terbabit, dan tindakan itu dilihat berkesan. Jelasnya, pasukan penyiasat insiden pesawat terhempas tidak pernah menggunakan data satelit bagi mencari pesawat hilang, tetapi selepas meneliti petunjuk lain, teknologi berkenaan merupakan pilihan terbaik. "Malah, sekiranya pesawat MH370 berjaya ditemui dengan bantuan satelit, mungkin kaedah misi mencari dan menyelamat selepas ini akan menggunakan cara yang sama," katanya. Pihak berkuasa Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) percaya sistem isyarat pesawat MH370 telah dimatikan dengan sengaja oleh pihak tertentu, dipercayai mahu mengelak dikesan radar. Tetapi satelit milik syarikat telekomunikasi Britain, Inmarsat didakwa berhubung dengan MH370 ketika masih beroperasi, namun tiada sebarang jawapan diberikan oleh sistem komunikasi pesawat terbabit. Walaupun komunikasi singkat itu tidak memberi kedudukan tepat lokasi pesawat, tetapi satelit terbabit terus berhubung dengan MH370 sekali setiap jam dalam tempoh lima jam selepas kapal terbang berkenaan hilang dikesan radar. - AP

Ahli keluarga penumpang MH370 ugut mogok lapar
BEIJING 18 Mac - Ahli keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 mengugut akan mengadakan mogok lapar bagi menunjut jawapan kehilangan pesawat itu daripada syarikat penerbangan tersebut. “Kini kami tidak memperoleh sebarang berita dan semuanya sedang berasa bimbang. Ahli keluarga mereka berkata, mereka akan pergi ke bangunan Kedutaan Malaysia di sini untuk berjumpa dengan dutanya," kata Wen Wancheng yang merupakan bapa seorang penumpang pesawat itu. - AFP

14 pengunjung konsert Future Music didakwa ambil dadah
KUALA LUMPUR 18 Mac - Seramai 14 lelaki warga asing dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini masing-masing atas kesalahan mengambil dadah pelbagai jenis termasuk antaranya memilki dadah semasa konsert Future Music Festival Asia (FMFA) di Stadium Bukit Jalil minggu lalu. - UTUSAN ONLINE

Gambar satelit Iridium mengorbit di atas bumi
20 satelit China dikerah kesan MH370
BEIJING 18 Mac - China hari ini mengerahkan 20 satelitnya untuk mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu. Perkara tersebut diumumkan oleh jurucakap Kementerian Luar, Hong Lei pada taklimat harian media. - Reuters

Kes tangkapan dadah di KLIA turun mendadak
SEPANG - Kes penyeludupan dadah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi tempoh Januari hingga kini didapati turun mendadak dengan hanya lima kes dicatatkan oleh Kastam Diraja Malaysia membabitkan rampasan bernilai RM7.023 juta. Pengarah Kastam KLIA, Datuk Chik Omar Chik Lim berkata, bagi tempoh sama 2012, Kastam KLIA mencatatkan 20 kes dengan nilai rampasan RM14.855 juta, manakala pada tahun lepas 21 kes direkodkan membabitkan rampasan RM14.233 juta. Perkara ini mungkin disebabkan sindiket menggunakan modus operandi baharu dan kami sedang menyiasat, katanya dalam sidang media di sini, hari ini. Mengulas lanjut, Chik Omar berkata, lima kes yang direkodkan setakat ini termasuk dua yang dipatahkan oleh Kastam KLIA pada 1 dan 13 Mac lepas, membabitkan rampasan dadah seberat 22.74 kilogram dengan nilai RM4.32 juta. Dalam kes pertama pada 2.30 pagi 1 Mac, kastam menemui dua bungkusan serbuk teh bersama-sama serbuk kristal ketika memeriksa bagasi milik seorang wanita warga China. Katanya dadah jenis syabu seberat 2.14 kg bernilai RM406,600 itu disorokkan di dalam batang besi penarik bagasi wanita berkenaan yang kini ditahan reman. Dalam kes kedua pada 13 Mac, Kastam KLIA memeriksa sebuah bungkusan yang tiba dari Nigeria di gudang MASkargo pada 5.30 petang. "Hasil pemeriksaan menemukan beberapa peket makanan segera, rambut palsu dan bungkusan bijirin yang didapati mengandungi serbuk kristal putih. "Hasil siasatan lanjut mendapati ia adalah dadah jenis methamphetamine seberat 20.60kg dengan nilai dianggar RM3,914,000," katanya menambah siasatan sedang dijalankan bagi mengesan pengimport bungkusan tersebut. - Bernama

R. Sri Sanjeevan
MyWatch dedahkan bukti cubaan menyamar Yuktes
KAJANG - Pengerusi MyWatch, R.Sri Sanjeevan hari ini mendakwa mempunyai yang mengaitkan bekas pembantu peguam kes liwat II, Yuktesvaran Malaipan dengan cubaannya menyamar sebagai pegawai khas kepada seorang timbalan menteri. Sanjevaan dalam satu kenyataan berkata, bukti yang dimilikinya itu adalah salinan laporan polis yang dibuat Yuktes sendiri menggunakan jawatan tersebut. "Pada 7 Februari lalu, Yuktes mendakwa beliau adalah Pegawai Khas kepada Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan dan ia tertera dalam satu laporan polis tersebut. "Tindakan Yuktes itu menunjukkan beliau telah membuat pengisytiharan palsu sedangkan beliau tidak lagi bertugas sebagai pegawai khas itu," katanya. Beliau berkata demikian mengulas lanjut kenyataan Yuktes semalam yang mencabar Sanjeevan supaya mengemukakan bukti kukuh mengaitkannya menyamar sebagai pegawai khas itu dalam urusan rasmi kerajaan. Mengulas lanjut, Sanjeevan berkata cubaan menyamar dan menipu Yuktes itu agak serius dan beliau boleh disiasat di bawah Seksyen 182 kerana membuat laporan salah kepada polis. Sehubungan itu, Sanjeevan telah membuat satu laporan polis semalam terhadap salah laku yang dilakukan Yuktes untuk diambil tindakan tegas.

Indeks jenayah P Pinang turun 14.6 peratus
GEORGETOWN - Indeks jenayah di Pulau Pinang turun sebanyak 14.6 peratus dalam tempoh Januari hingga semalam berbanding tempoh sama tahun lepas, kata Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi. Beliau berkata, sebanyak 270 kes direkodkan dalam tempoh tersebut tahun ini berbanding 316 kes dalam tempoh sama tahun lepas. Peningkatan jenayah hanya melibatkan daerah Timur Laut iaitu sebanyak tiga kes manakala indeks di empat daerah lain iaitu Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Selatan dan Barat Daya menurun, katanya kepada pemberita pada majlis perjumpaan bersama petugas Op Bayan di sini hari ini. Beliau berkata, penurunan indeks jenayah itu adalah hasil operasi cegah jenayah berterusan secara taktikal yang dijalankan di peringkat daerah dan semua balai dibantu 128 petugas Op Bayan. Abdul Rahim berkata, pihaknya telah mengenal pasti 10 lokasi panas di negeri ini dan menempatkan 10 hingga 15 petugas Op Bayan bagi memantau trend harian jenayah. Op Bayan yang ditubuhkan sejak 2010 dan turut melibatkan Pasukan Gerakan Am berjaya menahan 179 orang termasuk 25 wanita atas pelbagai kesalahan di negeri ini sehingga tahun lepas. - Bernama

Datuk Seri G. Palanivel
Pusat cucian kereta disaran kitar semula air
KUALA LUMPUR - Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G. Palanivel menyarankan pusat-pusat cucian kereta di negara ini mengitar semula air yang digunakan bagi mengelakkan pembaziran. Beliau berkata cadangan itu pernah dikemukakan pada mesyuarat kabinet beberapa bulan lepas, dengan teknologi untuk program kitar semula air melibatkan pusat cucian kereta boleh dipelajari daripada negara seperti Australia. "Buat masa ini, bila kita cuci kereta atau motosikal air itu hanya dibiarkan mengalir ke longkang, sedangkan air sangat penting dalam kehidupan seharian dan perlu dipelihara sebaiknya," katanya. Palanivel berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui selepas merasmikan Persidangan Sumber Air Asia (AWARE) 2014 yang dianjurkan sempena Hari Air Sedunia di sini, hari ini. Beliau berkata program kitar semula itu jika mahu dilaksanakan, memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk kementeriannya, Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI) dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA). Sementara itu, Palanivel di dalam ucapannya menyeru kesemua peserta industri dan profesional menggunakan AWARE 2014 untuk mencari penyelesaian bagi memastikan bekalan air yang mampan untuk masa hadapan. "Air telah menjadi satu cabaran besar untuk pembangunan mampan beberapa dekad lepas. Ketika corak penggunaan terus berkembang, permintaan untuk air bersih dan kos mengawal pencemaran dan melindungi ekosistem juga meningkat, katanya. Palanivel berkata selain daripada pertumbuhan penduduk dan aliran urbanisasi, keadaan cuaca melampau juga menyumbang kepada keadaan di mana capaian kepada air menjadi satu cabaran. Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Datuk Ahmad Husaini Sulaiman berkata pengurusan air yang baik dapat membantu negara mengatasi masalah kekurangan air semasa kemarau memandangkan purata hujan tahunan di sini agak tinggi iaitu 3,500 milimeter. "Pengurusan air juga memerlukan kerjasama orang ramai, contohnya tidak membuang sampah ke sumber air seperti di Sungai Klang. Tiga tahun lalu, purata sampah yang diangkut setiap hari dari perangkap sampah ialah antara 80 ke 90 tan," katanya. Bagaimanapun, Ahmad Husaini mengakui jumlah itu semakin berkurangan selepas program Sungai Nadi Kehidupan yang bermatlamat untuk memberi nafas baharu kepada Sungai Klang dan Sungai Gombak dilancarkan pada 2011. Lebih daripada 100 pakar air termasuk mereka dari Vietnam, Filipina dan Thailand menyertai persidangan dua hari yang bermula hari ini sementara 726 peserta daripada 42 negara menyertai expo di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Rabu dan Khamis ini. - Bernama

Idris Haron
Hujan hanya tambah satu peratus air empangan
MELAKA - Hujan sejak tiga hari lepas hanya menambah satu peratus daripada jumlah takungan air di seluruh Melaka, kata Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron. Justeru itu, katanya pengepaman air dari Sungai Gerisik di Muar, Johor ke empangan di negeri ini akan diteruskan bagi menampung keperluan para penduduk. "Bila sampai satu tahap di mana berlakunya limpahan air di kolam takungan, proses pengepaman akan dihentikan...saya harap hujan akan berterusan selama sebulan bagi menambah air di kolam takungan. "Sekiranya hujan berterusan, catuan air yang kita rancang pada 29 Mac ini tidak akan dilakukan," katanya kepada pemberita selepas melawat Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (Iksep) Melaka di sini, hari ini. Melaka mempunyai tiga empangan yang mampu menampung isipadu maksimum iaitu kira-kira 75 bilion liter air. Empangan Durian Tunggal kini mempunyai paras air sebanyak 54.8 peratus, Empangan Jus (57 peratus) dan Empangan Asahan (61.3 peratus). Sementara itu, Idris berkata Iksep perlu aktif melaksanakan peranan dan tanggungjawabnya secara berwibawa bagi membantu mengekalkan kemakmuran negara. "Iksep tidak boleh bertolak ansur dengan data atau maklumat yang longgar kerana mereka mesti menjadi model kepada keterperincian fakta dan angka sejarah," katanya. Selain itu, Iksep boleh berperanan sebagai pemantau kepada gerakan-gerakan yang tidak sah seperti gerakan yang ingin menuntut takhta Kesultanan Melaka. - Bernama

Tiada unsur jenayah lelaki mati tersepit pintu bas
GEORGETOWN - Polis mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kes pemandu bas ekspres mati tersepit di pintu bas di tempat parkir kenderaan di Masjid Kampung Rawa, Sungai Pinang di sini, Ahad lepas. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata hasil bedah siasat menunjukkan Muhamad Shaharil Anuar, 32, mati akibat kecederaan di bahagian leher kerana tersepit. "Kami telah menjalankan siasatan daripada semua aspek dan mendapati tiada unsur perlakuan jenayah sehingga menyebabkan kematian lelaki itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Mayat pemandu bas itu ditemui pada 7.55 pagi dalam keadaan tersepit di pintu sebelah penumpang bas dengan kepala dari paras leher berada di bahagian luar bas manakala badannya di dalam bas. Kes diklasifikasi sebagai kematian mengejut, kata Mazlan. - Bernama

Tiada bukti kaitkan penumpang China dengan rampasan - Duta
BEIJING: Tiada bukti ditemui bagi mengaitkan 153 penumpang China dalam pesawat Malaysia Airlines yang hilang, dengan keganasan atau rampasan, menurut media negara itu yang memetik perwakilan Beijing di Kuala Lumpur. Menurut agensi berita Xinhua, Duta Besar China ke Malaysia, Huang Huikang, berkata pemeriksaan latar belakang semua penumpang China dalam penerbangan MH370 tidak menemui sebarang bukti menunjukkan mereka mempunyai kaitan dengan perbuatan merampas atau serangan pengganas.

Kastam KLIA gagalkan cubaan seludup dadah bernilai RM4.32j
SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 22.74 kilogram (kg) dadah jenis Methamphetamine bernilai RM4.32 juta ke negara ini. Pengarah Kastam KLIA, Datuk Chik Omar Chik Lim, berkata hasil rampasan itu membabitkan dua kes iaitu melalui seorang wanita warga China yang menyembunyikannya dalam batang penarik bagasi dengan jumlah keseluruhan dadah yang dibawa suspek dianggarkan sebanyak 2.14kg bernilai kira-kira RM406,600. "Kes kedua pula membabitkan cubaan membawa masuk dadah yang disorokkan dalam bungkusan mengandungi makanan segera dan rambut palsu. "Ia berjaya dipatahkan selepas pegawai kastam memeriksa satu bungkusan dari Nigeria yang tiba di gudang MAS Kargo KLIA pada 13 Mac lalu jam 5.30 petang. "Hasil pemeriksaan mendapati bungkusan itu mengandungi paket makanan segera, rambut palsu dan bungkusan bijirin. "Selepas bungkusan bijirin dibuka, didapati ia mengandungi serbuk kristal putih dan apabila diuji, ia positif dadah Methamphetamine dengan berat kasar 20.6kg dan bernilai kira-kira RM3.91 juta," katanya pada sidang media di Kompleks Kastam KLIA di sini, sebentar tadi.

MH370: India sahkan 5 warganya punyai rekod bersih
NEW DELHI: Pegawai risikan India mengesahkan lima warganegara India penumpang pesawat Malaysia yang hilang, mempunyai rekod bersih, menurut laporan agensi berita Press Trust of India memetik kenyataan pegawai polis. Warganegara India itu ialah Chetna Kolekar, 55, Swanand Kolekar, 23, dan Vinod Kolekar, 59, daripada satu keluarga, Chandrika Sharma, 51, dan Kranti Shirsatha, 44. Penerbangan MH370 Malaysia Airlines (MAS), membawa 239 orang, hilang pada 8 Mac, sejam setelah berlepas dari Kuala Lumpur untuk ke Beijing. Penumpang pesawat itu ialah 154 warga China, 38 warga Malaysia, Indonesia (tujuh), Australia (enam), India (lima), Amerika (empat) dan Kanada (dua). Berikutan maklumat bahawa sistem komunikasi dan alat transponder dalam pesawat hilang itu sengaja dimatikan sebelum pesawat itu melencong daripada laluannya, polis menumpukan siasatan mereka ke atas anak kapal, penumpang dan petugas di lapangan dan turut menyiasat latar belakang semua penumpang pesawat itu. - BERNAMA


Ezam dilantik Pengarah Komunikasi di Kementerian Kewangan
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan, melantik Mohamad Ezam Mohd Nor sebagai Pengarah Komunikasi di Kementerian Kewangan berkuat kuasa 15 Mac 2014. Kementerain Kewangan, dalam satu kenyataan media, menyatakan Mohamad Ezam dilantik sebagai pengarah selepas melepaskan jawatannya sebagai Ahli Dewan Negara yang disandangnya sejak 2010, pada 5 Mac lalu. "Tugas utama beliau ialah membantu Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan dalam menangani isu-isu berkaitan langkah-langkah transformasi ekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan dengan lebih rancak, bermula tahun ini dan beberapa tahun akan datang," menurut kenyataan itu. Mohamad Ezam, 47, berkelulusan Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Islam Antarabangsa. Beliau juga pernah berkhidmat di Kementerian Kewangan sebagai Setiausaha Politik Menteri Kewangan pada 1996 hingga 1998. Mohamad Ezam juga sebelum ini pernah mengasaskan organisasi badan bukan kerajaan (NGO) anti rasuah iaitu Gerakan Demokrasi dan Anti-Korupsi (Gerak) dan dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tahun lalu sebagai Ahli Jawatankuasa Khas Parlimen mengenai rasuah. - BERNAMA

Kadar unit kosong kondo mewah dijangka meningkat
KUALA LUMPUR: Kadar unit kosong di kondominium mewah di negara ini dijangka meningkat ke paras membimbangkan pada 35-38 peratus tahun ini berikutan lebihan bekalan, kata CH Williams Talhar & Wong Sdn Bhd. Ini berbanding kadar unit kosong 32 peratus pada 2013 dan 35 peratus pada 2012, kata Pengarah Urusannya Foo Gee Jen. "Bagi tempoh tiga hingga empat tahun lalu pertumbuhan bekalan kondo berada pada paras membimbangkan yang membawa kepada penurunan kadar penghunian dan sewa," katanya pada sidang akhbar mengenai prospek pasaran hartanah bagi tahun ini. "Jumlah kondominium mewah yang tersedia dalam pasaran tahun ini dijangka bertambah 19.4 peratus tahun ke tahun kepada 32,020 unit," menurut firma perunding hartanah itu. Katanya, sebahagian besar bekalan baharu tertumpu di kawasan Kuala Lumpur City Centre, Mont Kiara, Ampang Hilir dan Bangsar. "Penduduk di Lembah Klang semakin mewah dan ini menyebabkan semakin banyak kondominium mewah dilancarkan," kata Foo. Keseluruhannya, purata pasaran kondominium yang termasuk segmen sederhana dan rendah akan menyaksikan kadar unit kosong sebanyak 20 peratus pada 2014. Kondo mewah biasanya menawarkan kemudahan seperti rumah kelab, kolam renang, gimnasium, dengan kawasan podium yang disediakan bagi tujuan runcit. - BERNAMA

FotoFoto
MH370: Berjuta-juta orang sertai pencarian satelit kesan pesawat
WASHINGTON : Tiga juta penduduk dunia berganding bahu bagi mengesan pesawat MH370 berpandukan imej satelit yang dirakam oleh DigitalGlobe di koridor utara dan selatan kawasan pencarian Boeing 777-200ER milik MAS itu. DigitalGlobe berkata, lebih tiga juta orang mengambil bahagian dalam program membabitkan 257 juta imbasan peta 2.9 juta kawasan yang ditanda oleh peserta dengan rakaman imej membabitkan kawasan seluas 24,000 kilometer persegi itu ditambah setiap hari. Pesawat MH370 membawa 239 penumpang dan kru itu dilaporkan hilang pada awal pagi 8 Mac lalu dan hingga kini 25 negara terbabit dalam operasi SAR yang dibahagikan kepada koridor utara iaitu dari Malaysia hingga Kazakhstan dan koridor Selatan hingga ke Lautan Hindi. DigitalGlobe mengaktifkan platform sumber daya kerumunan (crowdsourcing) dipanggil Tomnod pada 11 Mac lalu bagi mengajak orang ramai meneliti imej yang dirakam menggunakan lima satelit berdefinisi tinggi. Maklum balas yang diterima DigitalGlobe sangat hebat hingga melebihi kapasiti sistem pelayan komputernya pada minggu lalu. Syarikat itu menggunakan algoritma dipanggil CrowdRank bagi menapis bukti yang berpotensi berpandukan kepada lokasi yang banyak ditanda oleh orang ramai. “Pakar penganalisis DigitalGlobe akan memeriksa tanda itu untuk disenarai pendek kepada 10 terbaik sebelum maklumat itu dikongsikan dengan pelanggan dan pihak berkuasa. “DigitalGlobe ada hubungan langsung dengan kerajaan Amerika Syarikat (AS) selain mempunyai hubungan yang rapat dan berterusan dengan banyak acara antarabangsa,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan, semalam. Walaupun tidak ada rekod muktamad yang dicatat oleh sumber daya kerumunan, ia dilihat sebagai usaha terbesar dalam sejarah dunia malah lebih besar daripada bantuan yang diusahakan ketika Taufan Haiyan yang melanda Filipina, November lalu. “Memang ada projek membabitkan orang ramai namun tidak mengumpulkan seramai orang dalam tempoh sesingkat ini. “Walaupun usaha sumber daya kerumunan ini masih belum menemukan MH370, setidak-tidaknya ia dapat mengenepikan kawasan yang tiada bukti kehadiran pesawat itu seterusnya menjimatkan masa penganalisis imej profesional,” kata penyelidik yang mengkaji sumber daya kerumunan dari Woodrow Wilson International Center for Scholars, Lea Shanley. Walaupun belum ada sebarang bukti kukuh, perbualan antara pencari sukarela ini begitu hangat malah ada yang mendakwa berjaya menemukan lokasi MH370. “Ada yang nampak seperti bentuk kapal terbang tetapi saya meraguinya, bentuk yang mirip pesawat itu di petak peta 112075 dekat sungai...mungkin juga ia pokok tumbang dalam air,” komen pencari yang menggunakan identiti Rasande Tyskar Youness Mikou. Seorang lagi pencari dikenali Alice von Malice menjawab, “Youness, ia kelihatan agak kecil tetapi bentuknya memang seperti kapal terbang.” Ramai yang menanda kawasan yang memaparkan imej seperti kerusi yang terapung dan puing selain ada yang menanda pesawat, bot serta kawasan tumpahan minyak yang besar. Ada sukarelawan yang mengatakan imej satelit itu tidak seperti rakaman kamera pemantau permukaan bumi kerana hanya merakam mengikut segmen dan ia bermakna anda perlu benar-benar bertuah untuk menjumpai Boeing 777-200ER yang hilang itu. - AFP

Bom tangan gemparkan penduduk Klang
KLANG - Sebutir bom tangan ditemui di hadapan sebuah bengkel motosikal di Jalan Klang Sentral 8/KU5 dekat sini. Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd Shukor Sulong berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 10 pagi sebelum bergegas ke lokasi berkenaan. "Bom tangan itu ditemui atas rumput oleh orang awam yang kebetulan melalui kawasan tersebut sebelum memaklumkannya kepada polis. "Pemeriksaan menunjukkan bom ini telah ditarik picunya tetapi (bom) tidak meletup disebabkan ada komponen pada bom tersebut yang berkarat," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini. Bom itu dimusnahkan di lokasi terbabit menggunakan alat kawalan jauh pada pukul 12.30 tengah hari. "Polis tidak menolak kemungkinan bom itu dibuang dan kami akan menyiasat siapa yang melakukannya," katanya. - Bernama

Culik warga asing, enam individu ditahan
KLANG - Polis menahan enam individu termasuk seorang wanita tempatan yang didapati terlibat dalam kes culik tiga lelaki warga asing di Pasar Borong Meru, di sini, Ahad lalu. Kesemua suspek ditahan semalam di dua lokasi berasingan iaitu di Klang Perdana di sini pukul 5 petang dan sebuah hotel bajet di sini dua jam kemudian. Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd. Shukor Sulong berkata, dalam serbuan di hotel tersebut, polis turut menemui semula tiga mangsa dalam keadaan tangan terikat dan mata tertutup. Kes disiasat dibawah Seksyen 3 Akta Culik 1961. - KOSMO!

Pelajar kolej didakwa sebabkan kematian bayi baru dilahirkan
MELAKA - Seorang pelajar kolej swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan menyebabkan kematian bayi yang baru dilahirkannya pada Disember tahun lepas. Pelajar itu berumur 17 tahun 11 bulan ketika kejadian didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Batang Tiga, Bukit Rambai di sini pada 8 malam, 23 Disember 2013. Dia didakwa mengikut Seksyen 309B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga denda jika sabit kesalahan. Hakim Azhaniz Teh Azman Teh membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 April untuk sebutan semula kes. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Maisarah Kamal manakala tertuduh diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork. - Bernama


Anak Kapten Zaharie Sedih Dengan Spekulasi
SPEKULASI demi spekulasi yang mengaitkan juruterbang Kapten Zaharie Ahmad Shah dengan kehilangan pesawat MH370 sejak 11 hari lalu nyata menguris hati ahli keluarganya. Memetik laporan Mirror, anak perempuannya, Aishah Zaharie memberitahu rakannya bahawa ia seakan-akan “membunuh keluarganya”. Gadis yang menetap di Australia sejak 2010 itu telah kembali pulang ke Malaysia untuk bersama-sama keluarganya di sini. “Perkara yang ditulis oleh media antarabangsa tentang Zaharie adalah tidak tepat dan tidak masuk akal. Dia seorang lelaki yang baik dan ayah yang penyayang kepada anak-anaknya,” ujar sumber tersebut. Sebelum ini, beberapa media barat membuat andaian bahawa kecenderungan politik juruterbang itu mungkin ada kaitan dengan kehilangan pesawat itu.


Ibu Enggan Menerima, Jumpa Bayinya Yang Berkepala Dua
India – Seorang wanita yang melahirkan bayi berkepala dua, minggu lalu,masih belum mahu bertemu dengan bayinya itu kerana dia masih terkejut dengan keadaan berkenaan. Urmila, 28, hanya melihat gambar bayinya itu namun masih belum bersedia untuk menerima mereka. Menurut doktor, wanita itu masih terkejut dan belum kuat untuk melihat bayi berkenaan, yang hanya diketahuinya berkepala dua sebelum dia bersalin. Keadaannya yang miskin menyebabkan dia tidak mampu untuk menjalani rawatan ultrasound di hospital dan tidak pernah membuat pemeriksaan rutin semasa hamil. Sementara suaminya, Subhash,32, yang berkerja sebagai buruh di sebuah kilang pula menyerahkan semuanya kepada doktor, namun yang penting adalah kesihatan isterinya. Jelasnya, ketika isterinya mula sakit perut, dia telah dikejarkan ke hospital dan selepas mengetahui bayi yang dikandungnya berkepala dua, mereka sungguh terkejut. “Saya adalah bapa mereka dan akan melakukan apa saya untuk mereka. Saya serahkan kepada Tuhan. “Sama seperti mana saya menjaga anak perempuan saya, saya juga akan menjaga bayi ini namun ia bergantung kepada doktor. Saya masih risaukan isteri saya,’’ katanya. Bayi berkenaan kini dirawat di sebuah hospital dan doktor memantau perkembangannya dengan rapi.


Lencongan Pertama Dilakukan Dengan Sistem Komputer – Bukan Manual
Lencongan pertama oleh MH370 dari laluan asalnya dipercayai dilakukan oleh sistem komputer yang telah diprogam kembali oleh seseorang ketika berada di dalam kokpit dan bukannya dilakukan secara manual. Laporan berkenaan dibuat oleh The New York Times hari ini. Langkah itu memperkukuhkan teori bawa kapak berkenaan dirampas oleh pihak yang mempunyai pengetahuan yang kukuh berhubung aspek penerbangan dan sekali lagi jari dituding media berkenaan kepada kapten dan pembantunya sebagai antara yang berpotensi membuat program laluan yang baru. Radar tentera Malaysia memperlihatkan MH370 telah naik ke altitut 45,000 kaki selepas hilang dari skrin radar awam dab kemudiannya turub kepada ketinggian 23,000 kaki sebelum naik semula. MH370 hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing selepas sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 pagi, 8 Mac lalu. Pesawat yang membawa 227 penumpang serta 12 anak kapal itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi.

Terkejut jumpa rangka pesawat dalam paya
Terkejut jumpa rangka pesawat dalam paya
MUAR – Seorang pemandu jentera berat terkejut menjumpai satu rangka pesawat, empat bom dan ratusan peluru lama yang dipercayai masih hidup dipercayai peninggalan tentera Jepun dalam kawasan hutan berhampiran Air Hitam, kelmarin. Majid Parman, 46, berkata, kesemua bahan itu ditemui ketika dia dan beberapa rakannya membersihkan kawasan itu untuk dijadikan kebun. Menurutnya, dia menyedari kewujudan bahan berkenaan apabila melihat satu objek pelik dalam paya. "Saya terdorong mendekati kawasan tersebut dan terkejut mendapati ia adalah rangka pesawat yang sudah terbakar mungkin akibat aktiviti pembakaran membersihkan hutan. “Tidak jauh dari rangka itu terdapat empat butir bom berukuran 0.5 meter dan ratusan peluru berselerak di atas tanah,” katanya. Bapa kepada lima anak itu berkata, dia tidak berani menyentuh bom tersebut kerana khuatir akan meletup dan mengancam nyawanya serta rakan. Katanya, dia percaya kesemua barangan itu pernah ditemuinya empat tahun lalu di lokasi sama ketika melakukan kerja pembersihan kebun miliknya di kawasan berhampiran. “Ketika itu rangka ditemui dalam keadaan baik dengan cat masih sempurna dan terdapat lambang tentera Jepun pada sayap pesawat. “Pada masa itu saya ada membuat laporan polis memaklumkan penemuan berkenaan,” katanya. Majid memberitahu, masih ramai yang tidak mengetahui penemuan tersebut kerana lokasinya kira-kira 15 kilometer dari jalan utama selain perlu melalui tiga kampung. Tambahnya lagi, dia memohon pihak berkuasa melakukan sesuatu terhadap bahan itu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Foto
Tiga didakwa bunuh Ketua Wanita Semenchu
KOTA TINGGI - Tiga penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh Ketua Wanita Umno cawangan Semenchu Zalfah Jamaluddin, 68, pada 28 Februari lalu. Amirul Syahid Mohamad Razali, 20, Hairulnizam Salleh, 25 dan Mazlan Kassim, 21, kesemuanya dari Felda Semenchu didakwa melakukan kesalahan itu di rumah mangsa di No.36, Blok 2, Felda Semenchu, pada 12.20 tengah hari. Ketiga-tuga tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin, namun tiada pengakuan direkodkan. Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. Mahkamah menetapkan 22 April sebagai tarikh sebutan semula kes dan laporan bedah siasat ke atas mangsa. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suhaila Shafi'uddin manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama

Angkasa
Angkasa sasar RM500 juta perolehan bagi 2014
KOTA BHARU - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) menyasarkan perolehan RM500 juta tahun ini dengan penglibatan 500 sekolah lagi di seluruh negara di bawah program 'Memperkasakan Koperasi Sekolah'. Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah, berkata program itu memberi pendedahan kepada pelajar mengenai bidang peruncitan, selain keusahawanan dan kepemimpinan. "Kalau dahulu koperasi sekolah hanya terlibat dalam perniagaan tradisional seperti menjual alat tulis, tetapi kini diperluas kepada bidang peruncitan dengan menjual pelbagai barangan kering seperti beras, tepung, dan gula. "Pelajar juga didedahkan secara praktikal, bukan secara teori sahaja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Angkasa Peringkat Negeri Kelantan di sini, hari ini. Turut hadir Naib Presiden Angkasa, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom serta 258 perwakilan dari negeri ini. Beliau berkata, tiga syarikat pembekal, iaitu Koperasi Felda, Adabi Consumer Industries Sdn Bhd (Adabi) dan Faiza Sdn Bhd akan bekerjasama menjayakan program berkenaan. "Mereka bersetuju memberikan harga borong dan ini dapat membantu warga sekolah, termasuk pengusaha kantin berjimat. Abdl Fattah berkata, pihaknya juga mendapat kerjasama Persatuan Pengusaha Kantin, Koperasi Sekolah dan Majlis Pengetua-Pengetua Sekolah untuk membantu menggerak dan memajukan koperasi sekolah. Setakat ini 2,300 sekolah telah mendaftar sebagai anggota Angkasa. - Bernama

Episod duka
Episod duka
LIMA tahun lalu, pesawat Air France pernah hilang selepas terhempas di Lautan Atlantik. Pesawat berkenaan akhirnya ditemui selepas dua tahun.Bagi Malaysia Airlines (MAS), setelah lebih 60 tahun beroperasi, syarikat ini turut terpalit kenangan pahit melibatkan pesawat kendaliannya. Pada Disember 1977, MAS terlibat nahas pertama apabila pesawat MH653 terhempas di Tanjong Kupang, Johor dan mengorbankan 100 nyawa.Manakala pada September 1995, 34 orang terbunuh dan sembilan lagi cedera selepas pesawat Fokker 50 terhempas ketika cuba mendarat di landasan Lapangan Terbang Tawau, Sabah.Pesawat dilaporkan terlajak dan terhempas lalu merempuh 20 rumah setinggan di Kampung Seri Menanti terletak berhampiran lapangan terbang.Kini, MAS sekali lagi diuji apabila pesawat MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing tiba-tiba hilang. Ada mengaitkan kes ini dengan kehilangan Air France AF447 ekoran kesukaran pasukan mencari dan menyelamat (SAR) untuk mengesan pesawat terbabitPesawat membawa 227 orang penumpang dan 12 anak kapal dikatakan terputus hubungan dengan menara kawalan pada jam 2.40 pagi, dua jam selepas ia berlepas.Sehingga kini, usaha mencari masih giat dijalankan diiringi bantuan dari lebih 15 negara yang menghantar pelbagai jenis pesawat canggih mereka untuk mengesan pesawat malang terbabit.

5 KEHILANGAN MISTERI DI UDARA

Amelia Earhart
Juruterbang wanita pertama dunia Amelia Earhart hilang ketika cuba melakukan penerbangan bersejarah merentasi Lautan Pasifik dan mengelilingi dunia bersama juru pandu Fred Noonan menaiki pesawat Lockheed Model 10 Electra.
Sejak terputus hubungan 3 Julai 1937, misi mencari dihentikan secara rasmi pada 18 Julai. Amelia disahkan meninggal dunia pada 5 Januari 1939 setelah usaha mencari gagal.

Air France AF447
1 Jun 2009, pesawat Air France AF447 jenis Airbus A330-203 dari Rio de Janeiro, Brazil ke Paris, Perancis terhempas di  Lautan Atlantik menyebabkan 228 orang terbunuh.
Beberapa hari selepas itu, beberapa serpihan ditemui dan dua tahun kemudian, kotak hitam dan lain-lain serpihan pesawat ditemui terdampar di dasar lautan pada kedalaman antara 3,800 hingga 4,000 meter.

Penerbangan EgyptAir 990
Penerbangan dari John F. Kennedy di New York ke Kaherah pada 31 Oktober terhempas di Lautan Atlantik dan membunuh 217 penumpang. Menerusi penyelidikan, As membuat kesimpulan pemandu juru terbang sengaja menghempaskan pesawat sebagai tindakan membalas dendam kerana pernah ditegur atas kesalahan salah laku seksual.

Segi tiga Bermuda
Puluhan kapal dan pesawat dilaporkan hilang tanpa dapat dikesan di kawasan berbentuk segi tiga antara Florida, Bermuda dan Puerto Rico.
Penerbangan 19 yang menggunakan pesawat pengebom TBM Avenger antara yang hilang pada 5 Disember 1045, di perairan Lautan Atlantik ini.

Steve Fosset
Steve Fossett, seorang ahli perniagaan dilaporkan hilang pada 3 September 2007 ketika terbang melalui Great  Basin Desert di Nevada. Usaha mencari Peronda Udara Awam (CAP) dihentikan pada 2 Oktober.
Fossett disahkan meninggal dunia pada 15 Februari 2008.

NAHAS PESAWAT 2014
13 Mac
Sekurang-kurangnya enam penumpang maut dalam nahas pesawat ambulans di wilayah tengah  Meta di Colombia berhampiran Lapangan Terbang Vanguardia.
Ketika kejadian pesawat sedang dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Bogota El Dorado ke Solano. Menurut saksi, pesawat terbakar sebelum terhempas.

11 Mac
Igor Novodran, 52, terbunuh dalam nahas pesawat di Lapangan Terbang Washington Country selepas pesawat satu tempat duduk dinaiki terhempas di landasan sekitar jam 2.10 petang waktu tempatan.

9 Mac
Kegagalan cubaan mendarat di Lapangan Terbang Aspen Pitkin-Country mengorbankan juru terbang dan mencederakan dua penumpang.  Jet dengan enjin berkembar 1994 Canadair Challenger berdepan angin
kencang semasa menghampiri lapangan terbang di Colorado barat menyebabkan ia terpaksa membuat cubaan pendaratan kedua.

16 Februari 2014
Kesemua 18 penumpang maut selepas pesawat kecil dinaiki terhempas akibat cuaca buruk di sebuah gunung yang dilitupi salji  tebal di Nepal. Pesawat membawa 15 penumpang dan tiga orang anak kapal sedang dalam perjalanan dari Pokhara ke Jamia.

11 Februari 2014
Pesawat C-130 Hercules milik tentera Algeria membawa tentera dan keluarga terhempas berhampiran Ouled Gacem di timur negara  terbabit. Hanya seorang terselamat manakala 77 yang lain terbunuh sekali gus menjadikan insiden tersebut nahas udara paling teruk di Afrika Utara dalam tempoh 10 tahun.

DRAMA TRGEDI

Ugut bom pesawat
Bulan lalu, tindakan bijak juru terbang Boeing 737-800 Pegasus Airlines bersama anak kapal berjaya menyelamatkan pesawat dari Kharkiv, Turki daripada dirampas seorang lelaki Ukraine yang mengancam akan meletupkan bom dibawa di dalam beg.
Suspek berusia 45 tahun memaksa pesawat dengan 110 penumpang mengubah haluan penerbangan ke Sochi, yang merupakan tempat berlangsungnya Sukan Olimpik Musim Sejuk di Rusia.
Sebelum memasuki ruang udara di Turki, juru terbang berjaya memberi maklumat kepada Pusat Kawalan Tentera Udara Turki tentang cubaan rampasan dan pesawat pejuang F-16 dikerah bagi mengiringi pesawat tersebut. Pesawat akhirnya selamat mendarat ke destinasi asal di lapangan terbang di Sabiha Gokcen, Istanbul.

Kegagalan mekanikal punca 520 maut

Pada 12 Ogos 1985, 520 penumpang terbunuh selepas pesawat Japan Airlines dari Lapangan Terbang Antarabangsa Tokyo (dahulu Lapangan Terbang Haneda) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Osaka
mengalami masalah mekanikal 12 minit selepas ia berlepas.
Selepas 32 minit, Boeing 747SR terhempas di antara dua rabung di Gunung Takamagahara di Ueno, wilayah Gunma kira-kira 100 kilometer dari
Tokyo dan Osutaka Ridge berhampiran Gunung Osutaka.
Insiden menyebabkan 15 anak kapal bersama 505 daripada 509 penumpang keseleruhan terbunuh. Hanya empat penumpang terselamat dalam nahas terbabit.

Rampas pesawat untuk perlindungan politik

Pembantu juru terbang pesawat Ethiopia Airlines Boeing 767-300 dalam penerbangan dari Addis Ababa ke Rom ditahan selepas melakukan rampasan pesawat sebelum mendarat di Switzerland.
Suspek dikenali sebagai Hailemedehin Abera Tagegn menunggu sehingga juru terbang ke tandas sebelum bertindak mengunci dirinya di dalam kokpit.
Selepas selamat mendarat di Lapangan Terbang Geneva, dia dikatakan meminta perlindungan politik di Switzerland. Bagaimanapun, kesemua 202 penumpang dan anak kapal selamat.
Pesawat dijadual meninggalkan ibu negara Ethiopia pada pukul 3 pagi waktu tempatan dan tiba di Rom pada 4.40 pagi . Selepas merampas pesawat, suspek dipercayai membuat panggilan radio ke Geneva eminta kebenaran untuk mengisi bahan api sebelum mematikan penggera sekali gus menunjukkan pesawat telah dirampas.
Malah, suspek turut mengugut untuk menghempaskan pesawat. Dua jet pejuang Perancis dihantar mengiringi pesawat terbabit kerana telah melintasi Eropah. Pada jam 6 pagi waktu tempatan, pesawat itu  membuat pendaratan tidak berjadual di Geneva.
Ahli keluarga kapten tidak lari
Ahli keluarga kapten tidak lari
SHAH ALAM - Dakwaan mengatakan isteri kepada Kapten Zaharie Ahmad Shah melarikan diri ke luar negara sehari sebelum kejadian tidak benar. Menurut sumber terdekat keluarga, isteri Zaharie sebenarnya tidak pernah melarikan diri sebaliknya berada di rumah anak sulungnya di Subang. Beliau berkata, wanita tersebut pergi ke rumah anaknya sehari sebelum kejadian. "Beliau (isteri) sering berulang alik antara Shah Alam dan Subang apabila suaminya terbang. "Kebanyakan masa dihabiskan di Subang dan hanya akan pulang ke rumah sekiranya kapten bercuti. Rumah ini boleh dikatakan sebagai rumah persinggahan untuk ahli keluarga berkumpul," katanya, semalam. Menurut sumber tersebut, dia juga kecewa dengan spekulasi yang tersebar kerana sedikit sebanyak menjejaskan emosi keluarga serta memberi tanggapan buruk terhadap keluarga Zaharie terutama isterinya. Sumber berkata, rumah Zaharie di Laman Seri di sini, dikawal ketat oleh pihak pengurusan. "Pengawal keselamatan sentiasa berkawal di rumah Zaharie, malah orang luar juga tidak dibenarkan memasuki kawasan tersebut," katanya. Tinjauan Sinar Harian pagi semalam, menunjukkan kediaman Zaharie lengang serta berkunci rapat. Selain itu, terdapat sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux hitam diletakkan di garaj dan turut kelihatan seorang wanita dipercayai pembantu rumah sedang memegang seekor kucing berwarna kelabu. Cubaan untuk menemu bual wanita itu tidak berjaya kerana dia tidak mahu mengeruhkan keadaan. "Saya tak boleh cakap apa-apa kerana majikan tiada di rumah," katanya. Pada 8 Mac lalu, pesawat MH370 yang dipandu Zaharie bersama pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid hilang bersama 239 penumpang dan anak kapal yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing. Sebelum ini, media antarabangsa Daily Mirror melaporkan bahawa isteri Zaharie bersama tiga orang anaknya telah keluar ke luar negara sehari sebelum kejadian pesawat tersebut hilang. Sementara itu, tinjauan Sinar Harian juga mendapati Facebook dan Instagram Zaharie telah ditutup dan dipercayai dilakukan oleh ahli keluarga untuk mengelakkan sebarang spekulasi yang menjejas imej keluarga. Manakala, akuan Twitter beliau juga tidak mempunyai sebarang status lama dan kekal kosong.

Foto
Dua daripada empat pelajar hilang ditemui
KUALA KANGSAR - Dua daripada empat pelajar tingkatan 5 Kolej Vokasional Padang Rengas yang dilaporkan hilang ketika ekspedisi mendaki Gubung Bubu, Ulu Kernas sejak Ahad lalu, sudah ditemui pagi tadi. Siti Azimah Mohd Fitri dan Mohd Putera Rafii, 17, ditemui anggota penyelamat kira-kira jam 9.15 pagi sebelum tiba di pusat kawalan operasi anggota Bomba dan Penyelamat pada jam 12.13 tengah hari. Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Superintenden Alias Seman berkata, kedua-dua mereka ditemui dalam keadaan lesu, namun tidak mengalami sebarang kecederaan. [ARTIKEL BERKAITAN: Empat pelajar hilang di Gunung Bubu, Kuala Kangsar] Menurutnya, usaha mencari dua lagi pelajar, Adam Asyraf Azuaan dan Mohd Amir Asyraf masih diteruskan. "Namun dengan penemuan dua pelajar itu, kawasan pencarian dapat dikecilkan dan anggota bertugas menumpukan pencarian di sekitar pesisiran Sungai Gading," katanya.

1,424 kes rogol bawah 16 tahun dilapor tahun lalu
KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Rakyat hari ini diberitahu kes rogol membabitkan mangsa berusia bawah 16 tahun mencatatkan penurunan daripada 1,550 kes pada 2012 kepada 1,424 pada tahun lepas. Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, mangsa berusia 13 hingga 16 tahun meliputi hampir 90 peratus daripada jumlah kes yang dilaporkan. Daripada jumlah kes yang dilapor, kaum Melayu mencatatkan 1,147 kes, Cina (62), India (32) dan lain-lain kaum (183), katanya menjawab soalan Che Mohamad Zulkifly Jusoh (BN-Setiu). Bagi 2012 pula, 1,243 kes membabitkan kaum Melayu, 73 kaum Cina, diikuti India (45) dan lain-lain kaum (189). Katanya kerajaan memandang serius kes rogol terutamanya membabitkan mangsa bawah umur dan polis mengambil pelbagai langkah termasuk menubuhkan Bahagian D11 dalam Jabatan Siasatan Jenayah bagi mengendalikan kes seksual, penderaan kanak-kanak dan keganasan rumah tangga. Kerajaan katanya turut menubuhkan perkhidmatan One Stop Crisis Centre (OSCC) di hospital bagi menangani kes rogol secara lebih profesional selain menyediakan khidmat kaunseling dan 'Child Interview Centre'. - Bernama

Pelajar kolej didakwa sebabkan kematian bayi
MELAKA - Seorang pelajar kolej swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan menyebabkan kematian bayi yang baru dilahirkannya pada Disember tahun lepas. Pelajar itu berumur 17 tahun 11 bulan ketika kejadian didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Batang Tiga, Bukit Rambai di sini pada 8 malam, 23 Disember 2013. Dia didakwa mengikut Seksyen 309B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga denda jika sabit kesalahan. Hakim Azhaniz Teh Azman Teh membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 April untuk sebutan semula kes. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Maisarah Kamal manakala tertuduh diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork. - Bernama

Parah dilanggar ikan lumba-lumba
Parah dilanggar ikan lumba-lumba
Anggota penyelamat memberi rawatan kecemasan kepada mangsa.
SYDNEY - AUSTRALIA. Seorang lelaki berusia 27 tahun cedera akibat bertembung dengan ikan lumba-lumba ketika sedang meluncur ombak di Bawley Point, Australia. Pengurus Operasi Ambulans New South Wales, Wayne Dunlop berkata, mangsa berlaga dengan ikan itu menyebabkan kecederaan parah di bahagian pelvis. "Mangsa bagaimanapun berjaya naik ke darat dan dirawat sebelum diterbangkan ke hospital di ibu negara," katanya dipetik AFP. Mengikut undang-undang, perenang dikehendaki berada jauh 50 meter dari ikan lumba-lumba dan 100 meter jauh dari ikan paus.

Pemandu terkena sawan, BMW masuk longkang
Pemandu terkena sawan, BMW masuk longkang
Orang ramai melihat keadaan pemandu yang dipercayai terkena sawan menyebabkan kereta dipandunya terbabas dan masuk ke dalam longkang.
SUBANG JAYA – “Masa saya datang dekat kereta...saya nampak pemandu kereta itu menggigil-gigil, mulutnya berbuih-buih seperti tahan sakit,” cerita seorang pengawal keselamatan perumahan di USJ 11, dekat sini, semalam. Dia yang enggan dikenali berkata, sebelum itu dia melihat kereta tersebut nyaris merempuh dua wanita yang menunggu bas di hentian berdekatan kawasan perumahan itu. Kedua-dua wanita yang kebetulan berada di bahu jalan bagaimanapun sempat mengelak dan terus melarikan diri kerana menyangka pemandu mahu melanggar mereka. Dalam kejadian kira-kira jam 10.55 pagi itu, pemandu kereta jenis BMW terbabit dipercayai terkena serangan sawan sebelum hilang kawalan sebelum kereta dipandunya terbabas ke dalam longkang berdekatan Jalan USJ11/4P. Kereta dipandu mangsa berusia 38 tahun yang dalam perjalanan dari Petaling Jaya ke rumahnya di USJ 12 itu, juga dilihat terbabas ke bahu jalan sebelah kiri. Pengawal keselamatan itu berkata, orang ramai kemudian mengambil keputusan memecahkan tingkap belakang kereta dan membawa keluar pemandu yang tidak sedarkan diri. Selepas keadaan mulai tenang, pemandu itu mula membuka mata dan bertanya apa yang berlaku. “Mula-mula saya nampak kereta itu dipandu perlahan seperti mahu berhenti tapi ia terus bergerak dan rempuh tiang penanda jalan. Kemudian terperosok masuk ke dalam longkang,” katanya. Sepasukan anggota polis turut ke lokasi kejadian untuk bantuan awal.

Ambulans bawa pesakit kemalangan langgar lembu
Ambulans bawa pesakit kemalangan langgar lembu
Mangsa yang memandu sebuah ambulans tidak sempat mengelak lembu yang melintas di Lebuhraya Latar lewat, petang kelmarin.
KUALA SELANGOR - Gara-gara tak sempat mengelak lembu melintas, seorang pemandu ambulans yang membawa pesakit ke Hospital Sungai Buloh nyaris maut dalam satu kemalangan di KM17.8 berhampiran sebuah kawasan rehat dan rawat (R&R) susur keluar Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar) ke Kundang, lewat petang kelmarin. Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 malam itu, mangsa yang memandu bersama dua kakitangan jururawat dan seorang pesakit dari Hospital Tanjong Karang itu dipercayai tidak sempat mengelak lembu yang berkeliaran di lebuh raya. Difahamkan, lembu-lembu itu secara tiba-tiba melintas dan melanggar secara berdepan di laluan kanan. Saksi kejadian, Umar Abd Rahman berkata, nasib baik mangsa yang membawa pesakit itu tidak mengalami kecederaan teruk dan sempat diberi bantuan awal oleh pengguna dan kakitangan Latar yang kebetulan berhampiran lokasi kejadian. “Saya pun selalu nampak lembu milik orang awam berkeliaran di Lebuhraya Latar ini terutamanya pada sebelah petang sebab pagar di kawasan kampung dan ladang ini masih belum sempurna lagi. “Mungkin dari situ lembu ini terbiar berkeliaran untuk cari makanan tapi kejadian kali ini agak membahayakan sehingga menyebabkan kemalangan. Perkara ini perlu diberi perhatian pihak berwajib,” katanya kepada Sinar Harian. Rakannya, Yusof Abdul Kazim berkata, pemilik lembu itu perlu bertanggungjawab kerana sewenang-wenangnya membiarkan haiwan ternakan mereka terlepas sehingga masuk ke kawasan lebuh raya. Menurutnya, bukan sekali tetapi sudah banyak kali lembu dilihat berkeliaran di kawasan itu pada waktu petang sewaktu jalan sesak dan jika tiada tindakan drastik dibuat, pastinya kejadian kemalangan sama akan berulang. “Mungkin pagar pemisah kawasan R&R di kawasan ini masih belum sempurna tapi pemilik lembu itu tak bolehlah sesuka hati biarkan lembu berkeliaran tanpa pemantauan sampai mengganggu tumpuan pengguna Latar. “Saya harap kemalangan seperti ini tak berulang. Saya juga harap semua pihak termasuk agensi kerajaan serta pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mengambil perhatian masalah ini demi keselamatan pengguna,” katanya.

Tiada unsur jenayah: Polis
Tiada unsur jenayah: Polis
Mayat mangsa yang ditemui di tepi jalan Tamimi Tebuk Jawa, Bagan Nakhoda Omar Sungai Air Tawar, pagi semalam.
SABAK BERNAM – Hasil pemeriksaan Bahagian Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah melibatkan kematian seorang lelaki warga Indonesia yang ditemui di tepi jalan Tamimi Tebuk Jawa, Bagan Nakhoda Omar Sungai Air Tawar, pagi, semalam. Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Muhammad berkata, mangsa, Yustus Lonis, 29, pekerja ladang kelapa sawit, ditemui mati berlumuran darah di bahagian dada oleh orang awam yang melalui jalan berkenaan. Menurutnya, anggota polis dari Balai Polis Sungai Air Tawar menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada orang awam yang menjumpai mayat tertiarap dalam keadaan tidak berbaju itu kira-kira jam 7.30 pagi. “Seramai enam anggota forensik diketuai Inspektor Radfizan menjalankan pemeriksaan ke atas mayat dan dipercayai mangsa jatuh dari atas pokok kelapa hingga menyebabkan kecederaan serius di bahagian muka. “Siasatan itu juga mendapati, terdapat kesan tapak kaki pada pokok kelapa yang dipanjat manakala dahan pokok kelapa turut dipotong untuk memudahkan mangsa memanjat pokok terbabit,” katanya. Noor Mushar memberitahu, hasil pemeriksaan itu turut menemui kesan tikaman berukuran dua sentimeter di bahagian dada disyaki terkena parang berdasarkan penemuan objek itu yang dijumpai di sebelah mayat mangsa. Beliau turut memberitahu, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) untuk tujuan bedah siasat.

Tubuh terperosok dalam longkang
Tubuh terperosok dalam longkang
Anggota polis dengan dibantu orang awam mengangkat mayat mangsa ke dalam kenderaan polis untuk dihantar ke Hospital Parit Buntar.
PARIT BUNTAR - Seorang warga emas maut selepas tubuhnya terperosok di dalam longkang di hadapan sebuah pusat hiburan keluarga di Taman Wawasan, di sini semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 8.10 pagi itu, mangsa, Ch’ng Chiew Weng, 72, yang berasal dari Taman Golden Jade, Nibong Tebal ditemui berlumuran darah di bahagian kepalanya, dipercayai akibat terhentak pada sisi longkang setelah penutup saliran di dipijaknya tiba-tiba pecah. Saksi kejadian, Mohd Yusof Ishak,40, berkata, dia yang sedang melalui jalan depan lokasi kejadian terlihat kelibat seorang lelaki dalam longkang terbabit, seolah-olah sedang cuba membaiki meter air yang bocor. Tanpa mengesyaki apa-apa, Mohd Yusof berkata, dia meneruskan perjalanan, namun mula curiga setelah menyedari lelaki terbabit masih berada di dalam longkang sewaktu berpatah balik melalui jalan sama. “Saya segera mendekati mangsa dan terkejut apabila melihat kepalanya berada di dalam longkang dengan keadaan berlumuran darah. "Terdapat kesan darah yang banyak pada bahagian sisi longkang dan kaki mangsa terjulur keluar. “Disebabkan tiada sesiapa di situ, saya segera berlari ke kedai berhampiran dan minta tolong seorang orang awam untuk membantu saya angkat mangsa keluar dari longkang,” katanya ketika ditemui di Taman Wawasan, di sini, semalam. Mohd Yusof berkata, mangsa masih bernyawa ketika dibaringkan di atas jalan raya dengan nafas tersekat-sekat dan dadanya berombak. Menurutnya, dia segera menghubungi ambulans, namun mangsa dipercayai meninggal dunia sejurus ambulans tiba untuk memberikan rawatan kecemasan. Katanya, ketika melalui lokasi kejadian, dia melihat mangsa berada dalam longkang manakala air memancut keluar dari paip bocor serta motosikal warga emas itu diletakkan di kaki lima kedai berhampiran. Mohd Yusof berkata, dia percaya mangsa terjatuh ke dalam longkang berkenaan. Isteri mangsa, Guek Ah Hong, 67, tidak dapat menahan kesedihannya sebaik mengetahui insiden menimpa mendiang suaminya itu. Katanya, suaminya yang tidak bekerja sering membantu membersihkan kaki lima premis hiburan di situ tiga kali seminggu. “Pagi ini (semalam), dia (mangsa) sudah keluar rumah jam 7 pagi. Suami saya beritahu dia mahu pergi cuci lantai kedai. Saya sedih kerana tak sangka dia akan mati begini,” katanya. Ah Hong berkata, mendiang suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap sejak kebelakangan ini dan hanya mengadu kepenatan. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan kes tersebut masih dalam siasatan.

Kereta rempuh belakang treler
Kereta rempuh belakang treler
Keadaan kereta yang dinaiki mangsa akibat merempuh belakang treler di Kilometer 336.6, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, semalam.
TAPAH - Seorang jurujual maut manakala rakannya cedera parah selepas kereta dinaiki merempuh belakang sebuah treler dalam kemalangan di Kilometer 336.6, Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus) arah utara, pagi semalam. Dalam kejadian pada jam 2.30 pagi itu, Harm Yi Qian, 22, dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala. Ketua Polis Daerah Tapah, Superitendan Som Sak Din Keliaw berkata, rakan lelaki mangsa yang memandu kereta jenis Myvi turut cedera di kepala dan kini dirawat di Hospital Raja Pemaisuri Bainun, Ipoh. Menurutnya, kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke Pulau Pinang dari Kuala Lumpur, apabila tiba di kawasan kejadian kereta dipandu rakan Yi Qian hilang kawalan sebelum merempuh treler yang berada di hadapannya. "Akibat rempuhan itu sebahagian kereta terperosok di bawah treler menyebabkan kedua-dua mangsa tersepit. "Pemandu kereta berkenaan dipercayai mengantuk dan keletihan menyebabkan dia gagal mengawal kenderaannya,’’ katanya kepada pemberita, di sini, semalam. Som Sak berkata, kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan kira-kira 30 minit kemudian dengan bantuan anggota bomba dan penyelamat. Jelasnya, manakala pemandu treler berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan. "Mayat mangsa dihantar ke Hopital Tapah untuk bedah siasat, sebelum dituntut keluarga. "Punca kemalangan masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Kekasih maut tergantung
TELUK INTAN - Seorang wanita tidak menyangka menemui kekasihnya dalam keadaan tergantung di ruang tamu rumahnya, pagi kelmarin. Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, mangsa dikenali sebagai R Muniswaran, 40, ditemui dalam keadaan tergantung menggunakan tali nilon yang diikat pada paku di ruang tamu sebuah rumah di Taman Seri Intan, Batu, 5, Jalan Maharajalela. Menurutnya, kejadian jam 8.30 pagi kelmarin, disedari orang awam sebelum mereka menghubungi polis. "Mangsa yang bekerja sebagai buruh di sebuah ladang dekat sini tinggal bersama teman wanitanya berusia 56 tahun dan dipercayai mempunyai masalah mental. “Ketika kejadian teman wanita mangsa keluar sebentar sebelum menemui Muniswaran dalam keadaan tergantung di ruang tamu rumahnya," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui, semalam. Beliau berkata, hasil siasatan mendapati mangsa merupakan anak keempat daripada lapan beradik , mempunyai kad rawatan psikiatri dan rawatan terakhir diterima mangsa adalah pada 11 Mac lalu di Hospital Teluk Intan. Jelasnya, mangsa juga tiada masalah dengan pekerja lain dan tidak terlibat dalam kegiatan jenayah. "Mayat mangsa dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk tindakan lanjut dan hasil bedah siasat mendapati ada kesan gantung di leher mangsa," katanya. Dalam perkembangan lain, Kok Liang berkata, polis menerima satu laporan mengenai penemuan mayat seorang warga emas di dalam sebuah rumah di Jalan Sungai Nibong, dekat sini, semalam. Katanya, siasatan di tempat kejadian mendapati rumah berkenaan kosong selain tidak mempunyai bekalan elektrik dan air. “Warga emas yang berusia lingkungan 70-an itu dipercayai tinggal bersendirian dan merupakan gelandangan di kawasan Teluk Intan. “Hasil siasatan yang dijalankan, kami tidak menemui sebarang senjata tajam di tempat kejadian,” katanya. Kok Liang berkata, mayat warga emas dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk pemeriksaan lanjut. "Hasil bedah siasat mendapati mangsa menghidapi pneumonia dan tiada kesan jenayah dijumpai pada badan mangsa. “Cap jari mangsa telah dihantar ke Bukit Aman untuk mendapatkan maklumat mengenainya dan kedua-dua kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.


Lelaki ditemui mati dengan kesan tikaman dan tetak
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga tempatan ditemui mati dalam keadaan mengerikan dengan kesan kesan tikaman dan tetakan di leher serta pergelangan tangan hampir putus, dipercayai dibunuh di depan sebuah hotel di Jalan Tan Cheng Lock di sini, malam tadi. Ketika kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa yang berasal dari Mantin, Negeri Sembilan itu dikenali sebagai, M Mugunthan, 28, ditemui terbaring berlumuran darah di depan kaki lima hotel berkenaan oleh orang awam. Menurut sumber, siasatan awal rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati seorang lelaki dipercayai suspek datang dari arah stesen bas berhampiran, sebelum menyerang dari belakang. “Suspek dipercayai memakai topi keledar, berjeket warna biru muda dan berseluar jeans biru,” katanya. Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, tiada senjata ditemui di lokasi berkenaan. “Kita masih menyiasat motif sebenar kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh," katanya. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil menyalurkannya di balai polis berdekatan.

Sebab takut, remaja nekad berkurung dalam kereta
Sebab takut, remaja nekad berkurung dalam kereta
Kenderaan mangsa yang terjunam dalam longkang dekat Jalan Bakar Sampah, kelmarin.
SUNGAI PETANI - Seorang remaja lelaki berusia 20-an yang terbabit dalam kemalangan dekat Jalan Bakar Sampah dekat sini bertindak berkurung dalam kereta sehinggalah dipujuk keluar oleh orang ramai supaya meninggalkan kenderaannya yang terjunam dalam longkang. Mangsa yang sedang memandu dari arah Jalan Bakar Sampah ke arah Taman Ria Jaya dikatakan gagal mengawal kenderaan menyebabkannya terbabas. Saksi yang enggan dikenali berkata, mangsa yang tidak mengalami kecederaan enggan keluar dari kenderaan berikutan bimbang dan cemas. “Kami menyangka dia tersepit dalam kenderaan menyebabkannya terkandas dan tidak dapat keluar, bagaimanapun setelah diperiksa, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan serius,” katanya. Menurutnya, kejadian dikatakan berlaku lebih kurang jam 10 malam apabila mangsa memandu seorang diri sebelum terbabas dengan sendiri. Kenderaan yang dipandu mangsa dilihat terjunam ke dalam longkang dan kemek di bahagian hadapan, tetapi pemeriksaan awal mendapati mangsa tidak cedera. “Kami hairan mengapa mangsa masih berada dalam kereta walaupun tidak cedera, setelah dipujuk akhirnya lelaki berusia lingkungan 20-an itu bertindak keluar. “Kemungkinan perasaan cemas dan trauma menyebabkan mangsa tidak berganjak dari tempat duduk pemandu walaupun puas dipujuk,” katanya. Menurutnya, keadaan mangsa juga dilihat berada dalam kebingungan apabila tidak dapat menjawab soalan yang diajukan orang ramai. Katanya, dalam keadaan ketakutan, mangsa masih sempat berpesan supaya tidak memaklumkan perkara itu kepada ibunya yang berkemungkinan bimbang dimarahi. Mangsa yang keluar setelah dipujuk, dihantar pulang oleh rakan yang dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Putin: Bahan jenaka media barat
Putin: Bahan jenaka media barat
WAJAH Presiden Rusia, Vladimir Putin sering dipersendakan media Barat untuk melepaskan kemarahan. Bermula dari binatang, hero kartun malah apa jua objek sering disamakan dengan wajah beliau. Minggu lalu, media menyamakan wajah beliau dengan Raja Louis XII dengan menggambarkan bentuk mata dan hidung raja itu mempunyai persamaan dengan Putin. Pemimpin yang merupakan musuh tradisi Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah itu juga sering dicemuh. Vladimir Putin Vladimirovich menjadi Presiden Rusia sejak 7 Mei 2012. Sebelum ini, beliau berkhidmat sebagai Presiden dari 2000 hingga 2008, Perdana Menteri Rusia 1999-2000 dan sekali lagi terpilih dari 2008 hingga 2012. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai pegawai Agensi Keselamatan Negara selama 16 tahun. Pada 1996, beliau berpindah ke Moscow dan menyertai pentadbiran Presiden Boris Yeltsin di mana beliau ditawarkan menjadi Pemangku Presiden pada 31 Disember 1999 apabila Yeltsin meletak jawatan secara mengejut. Pada September 2011, Perlembagaan negara itu diubah dengan menetapkan tempoh perkhidmatan presiden dilanjutkan dari empat kepada enam tahun sekali gus memberi laluan kepada Putin untuk terus berkuasa. Kehidupan, pendidikan Putin dilahirkan pada 7 Oktober 1952 di Leningrad (St Petersburg) Rusia merupakan anak kepada Vladimir Putin Spiridonovich dan Maria Ivanovna Putina. Ibunya adalah pekerja kilang dan bapanya seorang askar Tentera Laut Soviet. Dua kakanya yang dilahirkan pertengahan 1930-an meninggal dunia beberapa bulan dilahirkan dan seorang lagi meninggal dunia akibat difteria semasa pengepungan Leningrad dalam Perang Dunia II. Putin dikatakan mendapat pendidikan awal di Sekolah Baskov Lane hingga gred lima. Memasuki gred enam beliau mula melibatkan diri dalam sukan judo. Pada 1975, Putin mendapat Sarjana Muda dalam bidang Undang-undang Antarabangsa di Leningrad State University. Ketika itu, Putin dikatakan menciplak tesis berjudul ‘Perancangan Strategik Sumber Serantau di bawah Pembentukan Perhubungan Pasaran’ dari seorang penyelidik dari di University of Pittsburgh. Keluarga Pada 28 Julai 1983 Putin berkahwin dengan Lyudmila Putina. Lyudmila memiliki ijazah bahasa dari Leningrad State University dan merupakan bekas pramugari Aeroflot. Selepas berkahwin mereka tinggal di Jerman dari 1985 hingga 1990. Lyudmila mendakwa beliau sering dipukul selepas mengetahui Putin menjalin hubungan dan mempunyai seorang anak luar nikah. Selain itu, Putin juga dikaitkan menjalin hubungan dengan atlet gimnastik Alina Kabayeva dan bekas perisik Anna Chapman. Pada Jun 2013, pasangan itu mengumumkan penceraian mereka. Putin dan bekas isteri mempunyai dua anak Mariya Putina dan Yekaterina Putina. Kedua-dua anaknya membesar di Jerman dan bersekolah di Sekolah Jerman di Moscow. Segala butiran lanjut mengenai dua anaknya itu tidak didedahkan atas sebab keselamatan. Kekayaan peribadi dan kediaman Pada 2007, Putin dilaporkan mempunyai simpanan di dalam akaun peribadi kira-kira 3.7 juta Rubles (RM331 juta), pangsapuri di St Petersburg, 260 saham dalam bank St Petersburg. Pada 2012, Putin memperoleh pendapatan 3.6 juta Rubles (RM322 juta) sekali gus tersenarai sebagai 100 individu paling kaya di Rusia. Beliau juga memiliki 11 jam tangan mewah bernilai kira-kira 25.5 juta Rubles (RM2.2 juta). Pemimpin pembangkang mendedahkan, nilai keseluruhan Putin mencecah AS$70 bilion. Selian itu, beliau juga mempunyai 20 vila dan sembilan istana yang dibina sejak 12 tahun berkuasa. Bahasa Putin fasih berbahasa Jerman. Mereka sekeluarga banyak bertutur dalam bahasa itu. Selepas bergelar Presiden, beliau dikatakan mengambil kursus bahasa Inggeris. Kali pertama beliau berucap dalam Bahasa Inggeris adalah ketika majlis makan malam di Istana Buckingham pada 2003 dan menyampaikan ucapan takziah ketika kematian bonda Queen Elizabeth II. Ketua Kremlin Sergei Ivanov mendedahkan, Putin juga mahir bertutur dalam bahasa Sweden. Seni mempertahankan diri Judo adalah sukan paling digemari Putin. Beliau mula melibatkan diri dalam seni mempertahankan diri sambo (seni mempertahankan diri tradisional berasal dari Kesatuan Soviet) pada usia 14 tahun, sebelum beralih kepada judo. Pemegang tali pinggang gred 6 ini pernah memenangi pertandingan di kampungnya di St Petersburg. Ketika lawatan ke Jepun, beliau dijemput ke Institut Kodokan iaitu ibu pejabat judo di mana beliau menunjukkan teknik judo yang berbeza kepada pelajar dan pegawai-pegawai Jepun. Beliau juga pemegang tali pinggang hitam dalam sukan Kyokushin Kaikan karate. Sukan kegemaran Putin sering dilihat bermain ski di Krasnaya Polyana bersama Perdana Menterinya Dmitry Medvedev. Putin juga gemar bermain badminton, berbasikal dan memancing. Beliau merupakan penyokong fanatik pasukan bola sepak FC Zenit Saint Petersburg. Haiwan peliharaan Putin memiliki anjing digelar Koni dan Buffy. Pada 2000, Ketua Tentera Sergey Shoigu menghadiahkan Koni kepadanya dan anjing itu sering menemaninya ketika mesyuarat dan menyambut pemimpin dunia. Canselor Jerman, Angela Merkel menjadi individu pertama yang melarikan diri ketika bertemu dengan anjingnya itu. Pada 2003, Koni melahirkan lapan ekor anak dan kemudiannya anjing itu dihadiahkan kepada pemimpin politik dan duta asing.

Padah 'penjarakan' kucing
Padah 'penjarakan' kucing
GARA-gara 'memenjarakan' keenam-enam kucingnya, seorang warga emas dilarang memelihara haiwan peliharaan selama 15 tahun dan dikenakan perintah berkurung selama 16 minggu bermula jam lapan malam hingga tujuh pagi oleh Mahkamah Majistret Wigan. Janet Latheron, 60, dari Atherton dekat Wigan didakwa mengurung kesemua kucing peliharaannya dalam sebuah bilik kotor seperti penjara. Difahamkan, penganiayaan ke atas haiwan itu terbongkar selepas pegawai Pertubuhan Diraja Membasmi Kekejaman Terhadap Haiwan (RSPCA) melakukan pemeriksaan mengejut ke kediamannya dan mendapati keadaan bilik kurungan tersebut sangat menjijikkan selain baunya cukup memualkan perut. Menurut mereka, permukaan lantai yang dipenuhi najis, berenga, bangkai lalat dan sisa makanan menyebabkan kesemua haiwan tersebut terpaksa bersesaksesak di atas sebuah meja kecil. "Keadaan terbabit menyebabkan keenam-enam kucing itu terkena jangkitan kronik. Hasil siasatan awal kami mendapati, kesemua haiwan peliharaan Latheron telah berada dalam situasi seperti itu sejak tiga tahun lalu," kata jurucakap RSPCA. Difahamkan, kesemua kucing tersebut kini dirawat dan ditempatkan di pusat perlindungan haiwan di bawah pertubuhan terbabit. - DailyMail

Kegiatan pengasuh terbongkar
Kegiatan pengasuh terbongkar
KEMATIAN seorang bayi perempuan berumur tiga bulan membongkar 'kegiatan' seorang pengasuh yang mengendalikan sebuah pusat jagaan harian kanak-kanak di South Carolina. Pamela Clark Wood, 49, diberkas pihak berkuasa, selepas satu serbuan dilakukan di rumahnya. Menurut pejabat Timbalan Polis Greenville, mereka menemui anak perempuan suspek bersama 14 kanak-kanak lain disembunyikan di dalam sebuah bilik tingkat bawah kediamannya yang dipenuhi minuman beralkohol. "Kami turut menemui beberapa lagi budak tanpa pengawasan orang dewasa termasuk di bilik tidur utama, di mana sepucuk senapang ditemui pada sebuah rak buku. "Tujuan asal kami menyiasat kematian bayi tersebut membawa kepada penemuan lebih mengejutkan," kata jurucakap pihak berkuasa. Difahamkan, seramai 23 kanak-kanak ditemui di rumah tersebut walaupun jabatan perkhidmatan sosial hanya membenarkan enam budak ditempatkan di pusat jagaan harian pada satu-satu masa. Susulan daripada itu, Wood didakwa atas kesalahan mengabaikan kanakkanak dan melanggar syarat perlesenan pusat jagaan harian. Siasatan untuk mengetahui punca kematian bayi tersebut masih dijalankan. "Keadaan tempat atau posisi tidurnya ketika itu mungkin antara sebab mangsa mati mengejut," kata koroner, Parks Evans. Sementara itu, Gary Blackburn yang pernah meletakkan anak lelakinya di bawah jagaan Wood selama empat tahun setengah mendakwa beliau mula mengesyaki sesuatu apabila anaknya berkelakuan pelik secara tiba-tiba. "Bagaimanapun, dia kembali normal selepas kami tidak lagi menghantarnya ke pusat jagaan tersebut sejak Januari lalu," jelasnya. Saluran berita WSPA melaporkan kes melibatkan wanita itu bukan pertama kali dilakukan olehnya kerana dia pernah melanggar peraturan sama kira-kira enam tahun lalu. - DailyMail

Zaharie bina simulasi sendiri di rumah
Landasan Diego Garcia dalam simulator pilot?
KUALA LUMPUR - Landasan lapangan terbang Diego Garcia antara lima penemuan pasukan penyiasat dalam program simulator milik Kapten Zaharie Ahmad Shah yang diambil dari rumahnya di Shah Alam pada Sabtu lalu, lapor Berita Harian. Akhbar itu memetik sumber yang berkata, penyiasatan mengambil kira penemuan itu sebagai satu daripada elemen siasatan berhubung kehilangan pesawat MH370 yang dipandu oleh Zaharie. “Antara perisian landasan yang diperiksa setakat ini ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Male di Maldives, sebuah lapangan terbang milik Amerika Syarikat (Diego Garcia) serta tiga lagi landasan di India dan Sri Lanka, yang semuanya mempunyai jarak landasan 1,000 meter. "Meskipun kelmarin Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin menafikan MH370 mendarat di Diego Garcia, siasatan tetap dibuat kerana ia berpandukan data perisian simulator penerbangan Zaharia," kata sumber tersebut kepada Berita Harian. Sabtu lalu, pegawai penyiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil simulator penerbangan Kapten Zaharie Ahmad Shah di rumahnya di Shah Alam. Ia kemudian dipasang semula semalam di ibu pejabat Bukit Aman bagi mencari petunjuk kehilangan MH370 yang masih misteri. Sebelum ini, Amerika Syarikat menafikan kemungkinan pesawat yang membawa 239 penumpang tersebut mendarat di pangkalan mereka. Menurut sumber itu juga, siasatan juga dibuat bagi mencari petunjuk kemungkinan juruterbang mendaratkan pesawat di landasan yang dipelajarinya dalam simulator berkenaan. Sumber itu menjelaskan pihak PDRM menjalankan siasatan tersebut dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM) bagi mencari petunjuk dalam usaha mencari MH370. Siasatan yang dibuat juga merangkumi kemungkinan pesawat tersebut mendarat di landasan yang kawalannya longgar, selain teori pesawat itu mungkit mendarat di atas laut, bukit atau kawasan lapang yang sesuai.

Foto
L'Wren Scott dijumpai mati bunuh diri
SEORANG pereka fesyen terkemuka telah ditemui meninggal dunia dalam keadaan tergantung di sebuah pangsapuri miliknya di bandar Manhattan, New York pagi semalam. L'Wren Scott yang juga seorang model dan pendandan rambut terkenal dijumpai oleh pembantunya dalam keadaan tergantung pada sebuah pintu dan terjerut dengan sebuah skarf. Menurut pembantunya, Scott telah menghantar sebuah teks pesanan ringkas kepadanya 90 minit sebelum kejadian dan memintanya untuk datang ke apartment wanita tersebut namun dia tidak diberitahu mengapa dia di minta untuk ke sana. Teman lelaki Scott, Mick Jagger melahirkan rasa terkejut dengan berita yang diterimanya. Menurutnya, Scott tidak menunjukkan kemurungan atau rasa tertekan sebelum ini. Sementara itu, jurucakap Jagger meminta pihak media memberikan ruang kepada keluarga dan rakan-rakannya. "Jagger terlalu terkejut dan kecewa dengan berita ini, berikanlah sedikit privasi untuk dia dan keluarga mereka," katanya. Dalam pada itu, siasatan polis mendapati tiada sebarang nota bunuh diri ditinggalkan oleh Scott dan pihaknya tidak menjumpai sebarang bukti yang boleh mengaitkannya dengan perbuatan khianat. Scott sebelum ini pernah mereka pakaian untuk selebriti terkemuka seperti Madonna, Nicole Kidman, Oprah Winfrey,Penelope Cruz dan Michelle Obama.

L'Wren Scott
L'Wren Scott dijumpai mati bunuh diri
SEORANG pereka fesyen terkemuka telah ditemui meninggal dunia dalam keadaan tergantung di sebuah pangsapuri miliknya di bandar Manhattan, New York pagi semalam. L'Wren Scott yang juga seorang model dan pendandan rambut terkenal dijumpai oleh pembantunya dalam keadaan tergantung pada sebuah pintu dan terjerut dengan sebuah skarf. Menurut pembantunya, Scott telah menghantar sebuah teks pesanan ringkas kepadanya 90 minit sebelum kejadian dan memintanya untuk datang ke apartment wanita tersebut namun dia tidak diberitahu mengapa dia di minta untuk ke sana. Teman lelaki Scott, Mick Jagger melahirkan rasa terkejut dengan berita yang diterimanya. Menurutnya, Scott tidak menunjukkan kemurungan atau rasa tertekan sebelum ini. Sementara itu, jurucakap Jagger meminta pihak media memberikan ruang kepada keluarga dan rakan-rakannya. "Jagger terlalu terkejut dan kecewa dengan berita ini, berikanlah sedikit privasi untuk dia dan keluarga mereka," katanya. Dalam pada itu, siasatan polis mendapati tiada sebarang nota bunuh diri ditinggalkan oleh Scott dan pihaknya tidak menjumpai sebarang bukti yang boleh mengaitkannya dengan perbuatan khianat. Scott sebelum ini pernah mereka pakaian untuk selebriti terkemuka seperti Madonna, Nicole Kidman, Oprah Winfrey,Penelope Cruz dan Michelle Obama.


MH370: Thai Tawar Kongsi Maklumat Aeronautik
BANGKOK – Thailand menawarkan untuk membantu pencarian penerbangan MH370 milik Malaysia Airlines yang hilang sejak 8 Mac lepas. Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar kerajaan sementara Thailand Surapong Tovichakchaikul berkata negara itu sedia berkongsi maklumat aeronautik dengan Malaysia bagi memastikan sama ada pesawat berkenaan terbang di ruang angkasanya. “Pusat kawalan trafik kami mempunyai semua rekod dan jika maklumat ini digabung dengan maklumat dari negara lain, maka haluan pesawat itu boleh diketahui,” katanya dalam sidang akhbar hari ini. Beliau berkata kerajaan Thailand sedia menyokong dan membantu usaha mencari pesawat Boeing 777-200ER itu, yang hilang bersama-sama 227 penumpang serta 12 anak kapal. – BERNAMA


Mayat penyelam Jepun hilang di Bali ditemui
Malang: Mayat yang dipercaya penyelam Jepun yang hilang bersama-sama enam lagi di Bali sebulan lalu ditemui jauh dari tempat beliau hilang, kata polis Indonesia semalam. Mayat Shoko Takahashi ditemui hujung minggu lalu di pulau Sempu, wilayah Jawa Timur, kira-kira 400 kilometer dari tempat kumpulan penyelam itu hilang. Lima penyelam diselamatkan. Lima daripada penyelam wanita Jepun dalam kumpulan itu diselamatkan beberapa hari selepas mereka hilang pada 14 Februari lalu manakala mayat keenam dihanyutkan. Mayat yang ditemui hujung minggu lalu sukar dikenali - kepalanya hilang - tetapi suami Takahashi yang berasal dari Bali percaya itu ialah isterinya kerana pakaian yang dipakai di dalam pakaian selam, kata polis. “Mayat ditemui Sabtu lalu di pantai pulau Sempu di daerah Malang. Suaminya, yang tiba di hospital tengah malam kelmarin, berkata beliau 98 peratus yakin itu ialah mayat isterinya,” kata Ketua Polis Marin Malang, Slamet Prayitno. Mayat berkenaan diterbangkan ke hospital di Bali lewat kelmarin. Takahashi dan suaminya mengendalikan Yellow Scuba yang membawa penyelam dalam ekspedisi itu. Kapten bot yang membawa mereka ditahan dan berdepan dakwaan ‘cuai yang menyebabkan kehilangan nyawa’ selepas meninggalkan penyelam bersendirian di laut terbuka dalam kejadian itu. - AFP

Filipina arah tapis akses pornografi kanak-kanak
Manila: Filipina semalam berkata ia meminta pembekal perkhidmatan internet memasang tapisan bagi menghalang akses kepada pornografi kanak-kanak. Langkah dibuat ketika negara itu berusaha membasmi pornografi kanak-kanak online, selepas menahan sekurang-kurangnya 13 suspek awal tahun ini kerana didakwa menawarkan imej kanak-kanak yang didera secara seksual menerusi online. Bagi menghalang akses kepada pornografi kanak-kanak, Manila akhirnya akan melaksanakan undang-undang yang diluluskan pada 2009 tetapi memerlukan rundingan umum selama bertahun-tahun mengenai cara melaksanakannya, kata pengarah Suruhanjaya Telekomunikasi Kebangsaan, Edgardo Cabarrios.
Ada pakar berkata cara ini membantu. Ia mungkin tidak menghapuskan pornografi kanak-kanak di internet sepenuhnya tetapi ia akan membantu” Edgardo Cabarrios, Pengarah Suruhanjaya Telekomunikasi Kebangsaan Filipina
“Ada pakar berkata cara ini membantu. Ia mungkin tidak menghapuskan pornografi kanak-kanak di internet sepenuhnya tetapi ia akan membantu,” katanya kepada AFP. Polis berkata, Filipina adalah kunci utama industri pantas berkembang itu yang menayangkan secara langsung imej kanak-kanak yang dipaksa melakukan aksi seks untuk golongan pedofilia di luar negara. Penapis porno. Undang-undang memerlukan pembekal perkhidmatan memasang tapisan menghalang pornografi kanak-kanak atau berdepan denda berat. Mereka mempunyai masa sehingga Jun untuk memasang tapisan itu, kata Cabarrios. Beliau mengaku hampir mustahil menghalang semua pornografi kanak-kanak tetapi berkata tapisan akan mengurangkan majoriti yang berbuat demikian. “Kita semua tahu laman web mudah dicipta jadi menapis ia adalah sasaran bergerak,” katanya. Penjenayah pornografi kanak-kanak mengambil kesempatan di atas kemiskinan di Filipina untuk merekrut kanak-kanak bagi menghasilkan pornografi kepada pedofilia di seluruh dunia, kata polis. - AFP

Gadis urut tak sempat loloskan diri
Imigresen bongkar sarang pelacuran
Salah seorang gadis urut yang ditemui cuba bersembunyi di bawah katil.
Johor Bahru: Sikap agresif seorang lelaki yang enggan memberikan kerjasama kepada penguat kuasa Jabatan Imigresen ketika pemeriksaan di sebuah premis di Taman Nusa Bestari di sini, terbongkar apabila didapati premis itu menjadi sarang pelacuran. Dalam pemeriksaan jam 8 malam kelmarin, lelaki tempatan dipercayai penjaga premis terbabit bersikap biadap dan cuba menghalang anggota penguat kuasa memeriksa premis berkenaan. Ketua Penyelaras Operasi Bersepadu 6P Jabatan Imigresen Johor, Masri Adul, berkata suspek yang enggan memberikan kerjasama ditahan dan pemeriksaan pada badannya menemui kad akses ke premis terbabit. Katanya, ketika pemeriksaan terdapat tiga wanita warga negara asing yang melarikan diri ke atas bumbung bersama seorang lagi penjaga premis juga rakyat tempatan. “Pemeriksaan juga menemui empat lagi wanita rakyat asing yang bersembunyi di bawah katil dan dalam almari di tingkat atas premis dua tingkat terbabit,” katanya di sini semalam.

Zarina Anjoulie
Pelakon didakwa tipu nombor plat kereta mewah
Kuala Lumpur: Pelakon Zarina Anjoulie dan lima lagi disaman anak lelaki seorang ahli perniagaan kerana didakwa berkomplot melakukan penipuan ke atas nombor pendaftaran sebuah kereta mewah milik bapanya. Melalui writ saman dan pernyataan tuntutan difailkan pada November tahun lalu, Kevin Shah Kadar Shah memfailkan saman itu selaku pentadbir harta pusaka bapanya, Kadar Shah Sulaiman, seorang ahli perniagaan. Kevin Shah menamakan Pengarah Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Kementerian Pengangkutan, Kerajaan Malaysia, Zarina Anjoulie Lavocah Mohd Fahizul, Salleh Idris dan Public Islamic Bank Berhad selaku defendan pertama hingga keenam. Dalam pernyataan tuntutannya, Kevin Shah berkata, pada sekitar Mei 2010, bapanya membeli kereta terpakai BMW dengan nombor pendaftaran WTN 8850 didaftarkan atas nama si mati pada 17 Mei 2010 dan dipinjamkan kepada Zarina Anjoulie bagi jangka masa tertentu. Plaintif berkata, bapanya pada setiap masa membayar ansuran bulanan kereta itu, bagaimanapun beliau meninggal dunia pada 19 November 2011 dan pada masa kematiannya Zarina tidak pernah berusaha memulangkan kereta berkenaan. Beliau berkata, sebelum sempat berbincang untuk mendapatkan kembali kereta itu, didapati Public Islamic Bank Berhad menarik balik kereta berkenaan kerana ada beberapa bulan ansuran yang tidak dibayar. Katanya, ketika mendapatkan kembali milikan kereta itu daripada bank selepas membayar tunggakan ansuran, didapati kereta itu mempunyai nombor pendaftaran BLP 8858 manakala carian di kementerian menunjukkan nombor plat WTN 8850 didaftarkan ke atas sebuah motosikal Honda yang juga dimiliki si mati. Kevin Shah berkata, defendan keempat, kelima dan keenam berkomplot menipu ke atas si mati dan hartanya dengan menukar nombor pendaftaran kedua-dua kenderaan itu bertujuan melesapkan kereta terbabit daripada milikan si mati.

Wanita kena asid cadang fail perceraian
Kota Bharu: Seorang wanita yang melecur hampir 40 peratus akibat disimbah petrol sebelum dibakar oleh suaminya awal bulan ini, bercadang memfailkan perceraian kerana tidak tahan dengan lelaki itu yang disifatkan sebagai cemburu buta. Malah, kejadian hitam itu menyebabkan Rohfadla Abdullah, 35, kemurungan dan enggan berjumpa dengan orang ramai kerana melecur teruk di muka dan badan. Adik mangsa, Ahmad Shafiq, 21, berkata selepas mengalami penderitaan sepanjang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini, hampir dua minggu, kakaknya menyuarakan hasrat untuk bercerai dan mahu memulakan kehidupan baru. Sedih muka melecur teruk. “Hati siapa tidak sedih melihat kakak terbaring dengan muka dan badan melecur angkara perbuatan suami sendiri. Selepas hampir tiga minggu, Rohfadla meminta saya ke Mahkamah Syariah untuk mengambil borang sebelum memfailkan perceraian. “Kakak saya nekad untuk bercerai kerana menyifatkan suaminya sudah melakukan perbuatan yang melampaui batas sehingga dia nyaris maut. Selepas keluar hospital, kakak enggan berjumpa dengan orang ramai. “Dia lebih suka menyendiri dalam bilik sehinggakan tiga anaknya dijaga oleh isteri saya,” katanya ketika dihubungi, semalam. Dalam kejadian jam 11.30 pagi pada 2 Mac lalu, Rohfadla melecur selepas disimbah petrol dan dibakar suaminya kerana mengesyaki dia menjalin hubungan dengan lelaki lain.

Kenaikan kos sara  hidup perlu ditangani
Kenaikan kos sara hidup perlu ditangani
Kuasa beli terjejas antara faktor cetus krisis kewangan. Kerajaan perlu menangani kenaikan kos sara hidup rakyat secara berkesan bagi memperkukuhkan kedudukannya untuk berdepan sebarang krisis kewangan global pada masa akan datang, demikian pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau berkata, ini dapat dilihat apabila harga barangan, makanan dan bahan api berterusan meningkat, manakala kuasa membeli, khususnya dalam kalangan rakyat negara sedang membangun termasuk Malaysia pula semakin berkurangan. Orang ramai boleh melihat dan turut merasainya pada masa ini apabila harga barangan, makanan dan bahan api yang menjadi kegunaan hari-hari makin meningkat. Ini sudah tentu memberi kesan yang serius ke atas kuasa membeli mereka” Dr Mahathir Mohamad, Bekas Perdana Menteri “Orang ramai boleh melihat dan turut merasainya pada masa ini apabila harga barangan, makanan dan bahan api yang menjadi kegunaan hari-hari makin meningkat. Ini sudah tentu memberi kesan yang serius ke atas kuasa membeli mereka. Krisis kewangan. “Apabila kuasa membeli terjejas dan makin turun dari hari ke hari, ia akan menjadi antara faktor utama yang akan mencetuskan krisis kewangan,” katanya pada sidang media selepas sesi persidangan meja bulat bertajuk Surviving the Next Glo-bal Financial Crisis bersama lima pakar ekonomi dari Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), dan China, di Kuala Lumpur, semalam. Lima pakar ekonomi berkenaan ialah Profesor Dr Cai Penghong (dari Shanghai Academy of Social Science, China); Dr Karen Phillippa Malmgren (Principalis Asset Management, London); Profesor James K Galbraith (University of Texas, AS); Professor L Randall Wray (University of Missouri, USA) dan Robert A Wiedemer (Absolute Investment Management, LLC, USA). Persidangan sehari anjuran Yayasan Kepemimpinan Perdana itu dibuat bagi membincangkan beberapa isu berkaitan sistem ekonomi dan kewangan global serta langkah sesuai untuk Malay-sia melaksanakan sebagai strategi utamanya bagi mengurangkan kesan krisis kewangan global pada masa depan. Dr Mahathir berkata, bersandarkan kepada sejarah, ekonomi global akan mengalami kitaran kenaikan dan penurunan.

MH370
MH370 catat tempoh hilang paling lama
Kuala Lumpur: Kehilangan pesawat MH370 yang memasuki minggu kedua, tanpa petunjuk nyata mengenai lokasinya mengatasi rekod jumlah hari kehilangan pesawat komersial sejak 1972. Tempoh pesawat hilang paling lama dalam sejarah penerbangan moden sebelum ini adalah 10 hari membabitkan pesawat tambang murah Adam Air 574, yang hilang pada Januari 2007 di luar pantai Sulawesi Selatan, Indonesia. Hilang dari radar. Pesawat Boeing 737-400 yang membawa 102 penumpang dan anak kapal dari Surabaya menuju Manado itu secara tiba-tiba hilang dari radar akibat cuaca buruk. Pelbagai spekulasi timbul antaranya pesawat itu melanggar gunung setinggi 8,000 kaki di Rangon, Sulawesi Barat, namun disangkal apabila cebisan bangkai pesawat ditemui nelayan selepas 10 hari nahas berlaku. Kotak hitam pesawat itu hanya ditemui selepas tujuh bulan, namun bangkai lengkap pesawat Adam Air masih belum ditemui sehingga hari ini dipercayai terhempas di Selat Majene, perairan Laut Sulawesi. Pesawat Air France AF447 jenis Airbus A330-203 yang membawa 216 penumpang dan 12 kru, yang hilang di Lautan Atlantik ketika dalam penerbangan dari Rio de Janeiro, Brazil ke Lapangan Terbang Paris-Charles de Gaulle di Perancis, ditemui lima hari kemudian. Nahas itu berlaku selepas tiga jam 45 minit ia berlepas menyebabkan semua 228 orang di dalamnya terbunuh. Sempat salur mesej. Bagaimanapun, sebelum hilang daripada radar, pesawat Air France AF447 menyalurkan mesej automatik mengenai kedudukannya dan pelbagai masalah teknikal menerusi Sistem Laporan dan Penerimaan Komunikasi Pesawat (ACARS) selama tiga minit. Walaupun mempunyai banyak petunjuk dan dengan bantuan kelengkapan paling canggih, operasi mencari hanya mengesan serpihan pesawat dan mayat pertama pada hari kelima, manakala kotak hitam hanya ditemui dua tahun kemudian. Bagaimanapun, pesawat sewa Tentera Udara Uruguay yang membawa 45 penumpang dan anak kapal, termasuk pasukan ragbi dari Montevideo yang terhempas di Banjaran Andes dalam keadaan cuaca buruk pada 13 Oktober 1972, hanya ditemui selepas 72 hari.

Badan tren MRT pertama tiba Mei
Kuala Lumpur: Badan tren Mass Rapit Transit (MRT) yang pertama dijangka tiba dari China pada akhir Mei depan sebelum dipasang di kilang pemasangan di Rasa, Hulu Selangor. Kerja pemasangan tren yang mengandungi dua gerabak dijangka siap pada 31 Oktober depan sebelum diuji di Sungai Buloh dari segi sistem kawalan operasi, komunikasi dan keselamatan. Tren MRT keluaran Siemens Ag dari Jerman dan reka bentuk BMW Designworks USA, pertama kali digunakan di Asia. Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam MRT Corp, Amir Mahmood Razak, berkata kerja pemasangan akan dilakukan dengan kerjasama MRT Corp dan Siemens. Pamer replika gerabak. Katanya, komponen tren dikeluarkan oleh pelbagai negara seperti China tetapi akan dipasang di kilang pemasangan pertama di negara ini yang sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada Mei depan. “Bagaimanapun, ada beberapa komponen tempatan seperti lampu LED dan tempat duduk yang dikeluarkan oleh syarikat tempatan,” katanya pada sesi lawatan media ke Replika Tren MRT di balai ketibaan KLIA Ekspres, KL Sentral di sini, semalam. Sempena lawatan itu, Ketua Eksekutif Pengangkutan Bandar, Bahagian Sistem Rel, Siemens AG, Sandra Gott-Karlbauer, memperkenalkan replika sebenar gerabak MRT. Tujuan replika itu dipamerkan bagi membolehkan orang ramai melihat reka bentuk sebenar separuh daripada gerabak tren yang akan digunakan bagi aliran Sungai Buloh-Kajang. Pameran akan berlangsung sehingga 18 Mei depan, bermula jam 9 pagi hingga 9 malam setiap hari. Laluan bawah tanah siap Julai 2017. Amir berkata, sebanyak 58 set tren akan digunakan bagi laluan Kajang-Sungai Buloh dengan operasi pertama membabitkan laluan Sungai Buloh-Semantan menjelang Disember 2016 dan laluan bawah tanah pula dijangka siap sepenuhnya pada Julai 2017. Ada empat gerabak bagi setiap set tren yang boleh memuatkan 174 penumpang dengan 45 tempat duduk di penghujung gerabak dan 42 tempat duduk di tengah gerabak. Setiap gerabak mampu mengangkut 300 penumpang dengan jumlah keseluruhan 1,200 penumpang pada satu masa atau 20,000 orang dalam tempoh sejam bagi setiap arah.

Malaysia bukan sasaran al-Qaeda
Kuala Lumpur: Malaysia bukan negara sasaran serangan kumpulan al-Qaeda, sebaliknya hanya dijadikan pangkalan merekrut dan menjana sumber kewangan kumpulan militan itu. Menurut sumber, berdasarkan hasil tangkapan anggota kumpulan pengganas terbabit di negara ini, kebanyakan mereka menggunakan Malaysia bagi tujuan itu dan tiada agenda kegiatan subversif. Beliau berkata, kebanyakan anggota militan itu yang ditangkap di negara ini datang dari Pakistan dan Afghanistan. Tiada ancaman. “Sepanjang tangkapan dilakukan terhadap anggota militan ini kita tidak menemui sebarang rancangan menyerang negara. “Sebaliknya mereka menjadikan Malaysia sebagai pusat merekrut ahli untuk dihantar berjuang ke luar negara selain melakukan aktiviti perniagaan untuk mencari dana,” katanya di sini, semalam. Misteri kehilangan pesawat MH370 terus menimbulkan tanda tanya apabila wujud dakwaan ia didalangi oleh al-Qaeda. Dakwaan itu susulan laporan media antarabangsa mengenai seorang bekas pengikut kumpulan terbabit, Saajid Badat yang memberitahu mahkamah di New York minggu lalu, bahawa empat hingga lima rakyat Malaysia merancang untuk merampas kapal terbang. Sumber berkata, walaupun Malaysia bukan negara sasaran namun ia tidak mustahil boleh berlaku. “Sehingga kini, hasil kecekapan polis melalui perkongsian maklumat dengan Polis Antarabangsa kita berjaya mengekang kegiatan kumpulan itu,” katanya.

logo baru AirAsia
AirAsia batal beberapa penerbangan di Indonesia
SYARIKAT penerbangan tambang rendah, AirAsia Bhd (AirAsia) membatalkan penerbangannya ke atau dari Pekanbaru, Indonesia sehingga 19 Mac 2014 berikutan jarak penglihatan terhad disebabkan jerebu tebal di kawasan itu. Antara penerbangan terlibat adalah ke atau dari Kuala Lumpur ke Pekanbaru, Pekanbaru ke Bandung, Pekanbaru ke Medan. Dalam satu kenyataan, AirAsia berkata, operasi dijangka pulih pada 20 Mac 2014 bergantung kepada tahap peningkatan jarak penglihatan. “Keadaan jerebu tebal mengehadkan jarak penglihatan juruterbang kepada kurang 1,000 meter yang merupakan jarak penglihatan minimum penerbangan bagi memastikan operasi selamat,” katanya. Menurutnya, AirAsia menawarkan pilihan kesinambungan perkhidmatan kepada penumpang yang terjejas akibat pembatalan penerbangan. “Mereka yang terlibat boleh memilih satu daripada opsyen berikut iaitu perubahan tarikh penerbangan dalam lingkungan tujuh hari dari jadual asal tanpa caj tambahan. “Opsyen kedua pula ialah deposit dalam bentuk shell kredit iaitu bersamaan dengan nilai tempahan asal dan boleh digunakan sebagai bayaran untuk menempah mana-mana penerbangan AirAsia. shell kredit sah untuk tiga bulan dari tarikh dikeluarkan,” katanya. Penumpang yang terlibat akan diberitahu melalui e-mel yang didaftarkan dengan AirAsia dan juga SMS mengenai pembatalan penerbangan itu. “AirAsia menggesa penumpang untuk mengemas kini alamat emel dan nombor telefon berserta kod negara di dalam profil ahli AirAsia, agar pihak syarikat penerbangan dapat menghubungi untuk memberikan bantuan,” katanya.

Baca al-Quran rahsia kekal sihat
Baca al-Quran rahsia kekal sihat
Mat Hassan dan Jenab sentiasa mesra serta manja antara satu sama lain seperti pasangan muda walaupun usia sudah lanjut.
PASIR MAS - Amalan membaca ayat suci al-Quran adalah rahsia Mat Hassan Ngah yang kini berusia 105 tahun masih sihat tubuh badan dan tidak mempunyai sebarang penyakit. Bapa kepada tiga anak berusia antara 58 hingga 48 tahun itu juga bersyukur dianugerahkan penglihatan yang baik walaupun telah berusia. Berasal dari Kampung Chap, Gelang Mas, Mat Hassan dan isterinya, Jenab Adam, 90, tetap kelihatan mesra serta manja antara satu sama lain. Mereka sering bergurau senda dan tidak malu menunjukkan kasih sayang, malah adakalanya mereka juga turut makan bersuap. “Pakcik masih ingat semasa kecil-kecil dulu, orang-orang tua selalu cakap pakcik dilahirkan semasa Kelantan dilanda banjir merah. “Tetapi kalau diikutkan pada kad pengenalan, pakcik dilahirkan pada 1915 dan semasa membuat kad tersebut, umur pakcik 25 tahun,” katanya. Mat Hassan berkata, dia juga sangat menjaga pemakanan dan hanya memakan ulam-ulaman serta sayur-sayuran segar sahaja. “Pakcik tidak suka mengambil makanan yang diawet dan segera, semuanya harus segar,” katanya. Menurutnya, dahulu dia merupakan Home Guard dan berkhidmat dari tahun 1948 hingga 1962. Mat Hassan yang begitu bersemangat menceritakan pengalamannya sebagai pejuang kemerdekaan berkata, melihat generasi muda sekarang seolah-olah tidak menghargai kebebasan, sangat menyedihkan hatinya. Katanya, generasi muda seperti mensia-siakan kebebasan tersebut apabila ramai terjebak dengan aktiviti tidak bermoral seperti penyalahgunaan dadah dan lumba haram. “Pakcik harap generasi muda akan sedar dengan kealpaan mereka dan menggunakan peluang yang ada ini untuk menikmati kehidupan lebih baik untuk masa depan, bukannya merosakkan diri sendiri,” katanya.

Pandang serius isu kemalangan maut
Pandang serius isu kemalangan maut melibatkan pelajar
Ibrahim memakaikan topi keledar kepada pelajar pada Kempen Pemakaian Topi Keledar Dalam Kalangan Pelajar dan Kepentingan Menjaga Keselamatan Jalan Raya di SMK Bukit Jawa.
SELISING - Isu keselamatan jalan raya terutama kemalangan maut yang membabitkan golongan pelajar perlu diberi perhatian serius oleh pelbagai pihak. Pegawai Bahagian Pentadbiran Cawangan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Pasir Puteh, Sarjan Ibrahim Awang berkata, golongan remaja mesti didedahkan dengan pelbagai maklumat berkaitan bagi mengelak atau mengurangkan kadar kemalangan. Menurutnya, pihak polis khususnya IPPD Pasir Puteh banyak mengendalikan kes kemalangan maut membabitkan pelajar di daerah ini. Justeru katanya, semua pihak termasuk ibu bapa dan pengurusan sekolah perlu membuat pemantauan kerana pada masa ini kebanyakan pelajar menggunakan motosikal dengan mengabaikan peraturan jalan raya selain tidak memiliki lesen ke sekolah. “Ada pelajar yang bermotosikal masih di bawah umur dan sudah pastinya tidak memiliki lesen, kita tidak boleh pandang ringan perkara ini,” katanya. Beliau berkata demikian pada Kempen Pemakaian Topi Keledar Dalam Kalangan Pelajar dan Kepentingan Menjaga Keselamatan Jalan Raya di Dewan Seri Gemilang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jawa di sini, kelmarin. Hadir sama pada majlis itu, Pengetua SMK Bukit Jawa, Harun Shafie; Ketua Balai Polis Selising, Sarjan Mejar Ibrahim Isa dan Pegawai Penghubung Sekolah, Sarjan Faizal Abdullah. Ibrahim berkata, pihak polis berharap ibu bapa dan pihak sekolah dapat mendisiplinkan anak-anak dan pelajar mereka dengan menggunakan kenderaan yang lengkap ciri keselamatan termasuk memakai topi keledar. “Saya percaya kemalangan membabitkan pelajar dapat dikurangkan sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing dengan baik," katanya . Sementara itu, Harun ketika ditemu berkata, kerjasama antara sekolah dan polis mampu mendidik dan memberi kesedaran kepada pelajar. “Kita ada pegawai penghubung di sekolah, ini merupakan saluran pihak pentadbiran sekolah merangka lebih banyak program berkaitan dalam memberi kesedaran kepada pelajar betapa pentingnya keselamatan diri diutamakan," katanya.

Wanita disamun belakang bangunan
Wanita disamun belakang bangunan
Lorong tempat mangsa samun yang diacukan parang panjang ke leher oleh seorang lelaki tidak bertopeng dari arah belakang.
MARAN - Seorang wanita berusia 20 tahun hadapi detik cemas apabila disamun lelaki tidak dikenali dalam satu kejadian samun bersenjata di sini, kira-kira jam 9.30 malam kelmarin. Mangsa yang bekerja sebagai pembantu jualan di sebuah pasar raya dekat Bandar Maran itu dipercayai dalam perjalanan pulang ke bilik sewa di bangunan kedai dua tingkat berhampiran sebuah poliklinik. Ketika melalui lorong belakang bangunan terbabit seorang diri, mangsa didatangi seorang lelaki dari arah belakang dengan mengacukan parang panjang ke leher dan meminta wang. Akibat panik dan ketakutan, mangsa secara tidak sengaja terpegang parang panjang berkenaan sehingga mendatangkan kecederaan. Lelaki berkenaan kemudian bertindak merampas beg duit mangsa yang mengandungi kad bank, wang tunai RM50, dua telefon bimbit serta seutas rantai emas dengan anggaran kerugian bernilai RM1,000. Tanpa mengenakan sebarang topeng muka dan hanya memakai kain penutup kepala, lelaki terbabit melarikan diri dengan hanya berjalan kaki. Mangsa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Maran dan menerima sembilan jahitan di bahagian tepi tangan kanan akibat terpegang tanpa sengaja parang yang diacukan. Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Maran. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Pemangku Deputi Superintendan Sulaiman A Hamid mengesahkan laporan berhubung kejadian tersebut. Menurutnya, siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun.

Nelayan dikhuatiri lemas
Nelayan dikhuatiri lemas 
Gambar Mohd Ikmal Daniel (berbaju merah) yang hilang di laut, pagi kelmarin.
KUANTAN- Seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot dinaiki ketika keluar menangkap ikan di kawasan perairan kira-kira 23 batu nautika Timur Laut Tanjung Gelang dekat sini, pagi kelmarin. Nelayan terbabit, Muhd Ikhmal Danial Mohamad, 17, dari Taman Inderapura dekat sini dipercayai terjatuh kira-kira jam 9.30 pagi sebelum kehilangannya dilaporkan kepada Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Kuantan kira-kira jam 1 tengah hari, kelmarin. Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Daerah Maritim Kuantan dalam satu kenyataan menyebut, MRSC Kuantan menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki, Ibrahim Mamat memaklumkan berhubung kejadian. Berdasarkan kenyataan itu, Maritim Daerah Maritim Kuantan mengaktifkan operasi cari amat kira-kira jam 1.20 tengah hari dengan menghantar dua bot, Pengawal 24 dan Kilat 50 ke lokasi yang dinyatakan. Pada masa yang sama, operasi mencari dan menyelamat (carilamat) itu turut mendapat bantuan bot CB90, aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan bot-bot nelayan yang berada di sekitar kawasan tersebut. Bagaimanapun operasi itu terpaksa ditamatkan kira-kira jam 8 malam kelmarin ekoran keadaan cuaca tidak mengizinkan. Usaha mencari ketika itu menghadapi kesukaran apabila angin bertiup agak kencang dengan kelajuan antara 40 hingga 50 kilometer sejam manakala ombak setinggi 2.5 hingga 3.5 meter. Maritim memaklumkan, operasi carilamat nelayan terbabit diteruskan pagi semalam membabitkan tiga aset agensi itu termasuk Bot Pengawal 24, Penggalang 16 dan kapal KM Langkawi ke lokasi pencarian. Operasi semalam turut dibantu KD Ganyang dan Bot CB90 dari TLDM serta bot-bot nelayan. Bagaimanapun sehingga jam 4 petang semalam, mangsa masih belum ditemui. Maritim akan meneruskan misi mencari dan menyelamat awak-awak bot PAF 4273 yang berpangkalan di Jeti LKIM Kuantan itu selagi keadaan cuaca mengizinkan. Susulan kejadian, semua nelayan dinasihatkan supaya mengambil langkah-langkah keselamatan ketika berada di laut dan sekiranya berlaku kecemasan, mereka diminta segera memaklumkan kejadian dengan maklumat tepat kepada MRSC.

Palestin bantah catuan makanan PBB
Palestin bantah catuan makanan PBB
GAZA - PALESTIN. Pencatuan program makanan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNRWA) menyebabkan ribuan pelarian Palestin kelaparan. Susulan itu, ratusan pelarian berhimpun di luar pagar UNRWA di Gaza City dengan membawa periuk belanga mengadakan protes terhadap catuan tersebut. Sebelum ini, UNRWA menyediakan makanan, pendidikan dan perkhidmatan asas lain untuk pelarian Palestin di wilayah Palestin dan di kem-kem pelarian Palestin di Syria, Lubnan dan Jordan. Namun, beberapa bulan kebelakangan ini, organisasi itu mengurangkan bantuan makanan buat keluarga di Gaza. Jawatankuasa pelarian Shukri al- Arouqi berkata, kini hanya 65 peratus bantuan makanan segera disalurkan kepada mereka. “Bajet untuk program makanan ini kira-kira AS$16 juta (RM52 juta) setahun tahun. Mengapa mereka tidak menggunakan wang itu untuk membeli makanan lebih,” katanya. Lebih daripada 800,000 rakyat Palestin di Gaza menerima bantuan makanan UNRWA, termasuk bakul makanan, tepung, beras, gula dan minyak. Bagaimanapun, UNRWA melaporkan, hanya 57 peratus isi rumah di Gaza, atau kira-kira 1.04 juta orang sahaja yang memerlukan bantuan makanan.

Mustahil MH370 tidak dikesan radar
Mustahil MH370 tidak dikesan radar
SHAH ALAM – Tidak mungkin pesawat MH370 melintasi ruang udara India tanpa dikesan oleh radar awam dan tentera negara itu. Editor Hal Ehwal Keselamatan dan Strategik NDTV, Nitin Gokhale berkata, India mempunyai dua jenis satelit iaitu sekunder dan primer bagi mengesan pergerakan pesawat yang melalui ruang udara negara itu. “Pesawat MH370 mungkin boleh mengelak daripada dikesan oleh radar pemantauan sekunder tetapi ia masih boleh dikesan oleh radar pemantauan primer yang digunakan tentera. “Radar tentera akan dapat mengesan sebarang pergerakan pesawat yang tidak dikenali melalui ruang udara kami,” katanya ketika diwawancara saluran televisyen, Astro Awani, semalam. Sebelum ini, dalam laporan Times of India, pengawal trafik udara negara itu menolak kemungkinan pesawat MH370 masuk ke ruang udara India dan terbang sehingga ke jalur utara yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sidang media Sabtu lalu. Setiausaha Persatuan Pengawal Trafik Udara di Kolkata, Sugata Pramanik berkata, Tentera Udara India mempunyai radar di beberapa tempat di serata negara dan adalah mustahil tidak ada satu pun antara radar itu yang mengesan bip ganjil yang tidak ada kebenaran terbang di ruang udara negara itu. India bagaimanapun telah menghentikan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Mas itu selepas pihak berkuasa Malaysia memberi petunjuk bahawa operasi sudah memasuki fasa baharu.

Foto Foto
Beca sedia khidmat WiFi
MOHAMAD Hasan membawa pelancong yang menaiki becanya mengelilingi Bandar Hilir. Melaka: Golongan pengayuh beca di negeri ini sanggup berhabis wang menghiasi beca mereka selain menyediakan kemudahan teknologi komunikasi terkini seperti WiFi demi menarik perhatian pelancong menggunakan perkhidmatan itu. Mereka sanggup mengeluarkan ribuan ringgit untuk aksesori dan sistem audio semata-mata membuatkan beca mereka kelihatan menarik di mata umum, selain bayaran bulanan WiFi. Mohamad Hasan Dolah, 56, berkata, dia memperuntukkan RM500 setiap lima bulan bagi menghiasi becanya supaya kelihatan menarik. “Ketika mula berjinak dalam bidang pekerjaan ini sejak hampir enam tahun lalu, saya sudah menghabiskan kira-kira RM3,000 untuk mengubah suai beca dengan pelbagai hiasan selain melengkapkan beca dengan sistem audio terbaik. “Secara kebetulan saya adalah peminat tegar kumpulan ‘Scorpion’, jadinya mengambil peluang ini untuk berkongsi minat dengan pelanggan dari dalam dan luar negara dengan memainkan lagu popular dari kumpulan itu selain turut menghias beca dengan arca gergasi berbentuk kala jengking di atas bumbung beca,” katanya di sini.

STING lumpuh sindiket dadah
Kuala Lumpur: Penubuhan Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) sejak lima bulan lalu disifatkan amat berkesan apabila polis berjaya merampas dadah membabitkan nilai lebih RM118 juta. Pasukan STING turut berjaya melumpuhkan beberapa sindiket serta rangkaian dadah antarabangsa yang dikesan aktif menyeludup dan mengedar dadah ke negara ini. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim (gambar) berkata, kejayaan itu pastinya meningkatkan lagi reputasi STING sebagai pasukan elit dalam membanteras jenayah narkotik. “Pengambilan seramai 200 pegawai dan anggota diketuai pegawai kanan berpangkat Asisten Komisioner ini hanya dipilih dikalangan mereka yang berkelayakan dan melepasi proses tapisan ketat. “Bagi meningkatkan kemahiran, pasukan STING sentiasa didedahkan dengan latihan dan kursus bagi menyekat kemasukan dadah melalui darat atau laut dari awal,” katanya ketika ditemui pada wawancara di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, semalam. Beliau berkata, pihaknya yakin STING berupaya menjadi pasukan setanding dengan agensi penguat kuasa di luar negara dari sudut profesionalisme, integriti dan anggotanya yang terlatih. “Usaha perlu ditingkatkan bagi mengawal pintu masuk termasuk di lapangan terbang, pelabuhan dan laluan sempadan dengan menempatkan anggota ser ta peralatan moden bagi menyekat sebarang usaha pengedaran dadah ke negara ini. “Pengedar dadah dari luar negara seperti Afrika, Iran, India dan Pakistan sering menjadikan Malaysia sebagai transit mereka. Sebab itu, kemasukan mereka perlu disekat dari awal sebelum menghampiri sempadan darat dan perairan negara,” katanya. Selain itu katanya, JSJN akan melengkapkan pasukan STING dengan peralatan moden dan berteknologi tinggi termasuk dari sudut persenjataan dan kenderaan. “Disamping itu, kualiti tangkapan, siasatan dan pendakwaan akan dipertingkatkan supaya setiap kes yang dibawa ke mahkamah mampu dimenangi. Ini bagi memastikan penjenayah terbabit tidak terlepas dan menerima hukuman,” katanya.

FotoBudak 13 tahun dikhuatiri lemas
Jatuh tasik cuba selamat basikal
ANGGOTA bomba menjalankan operasi mencari mangsa di Puncak Alam, semalam dan Ibu mangsa, Sharizaton Syawal, 35, ditenangkan ahli keluarganya ketika misi mencari anaknya dijalankan di sekitar kawasan tasik.
Shah Alam: Seorang remaja lelaki yang mahu mengambil basikalnya yang menggelongsor ke dalam tasik dikhuatiri lemas dalam kejadian berhampiran pusat beli-belah Tesco Puncak Alam, dekat sini petang semalam. Kejadian berlaku pada jam 6 petang selepas remaja berkenaan dikenali sebagai Mohd Ikmal Hakim Kamal Bahrin, dikatakan cuba menghalang basikalnya dari terjunam ke dalam tasik berkenaan. Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Balai Bestari Jaya Amerhaizal Sahak berkata, bomba menerima panggilan pada jam 6.01 petang sebelum pasukan anggota bomba tiba ke tempat kejadian pada jam 6.30 petang. “Seramai lapan anggota penyelam masing-masing empat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang dan BBP Shah Alam ditugaskan mencari mangsa dan sehingga kini, usaha mencari dan menyelamat mangsa giat dijalankan,” katanya. Sementara itu, sehingga jam 9 malam tadi, operasi mencari masih diteruskan dan cuaca gelap tidak menghalang pihak berkuasa meneruskan operasi mencari dan menyelamat.

Batal konsert: FMFA akan pulangkan bayaran
Perlu rujuk JAKIM dulu sebelum menganjurkan konsert
Melaka: Mana-mana pihak digesa mendapatkan pandangan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan agensi agama lain, sebelum menganjurkan konsert di negara ini pada masa akan datang. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, perkara seperti ini perlu dipertimbangkan sebagai pengajaran pada masa akan datang. “Bagi mengelak tragedi tidak baik sehingga menyebabkan kematian dan sebagainya, kami harap penganjur merujuk kepada pihak tertentu (JAKIM) untuk mendapatkan khidmat nasihat,” katanya mengulas mengenai kehilangan enam nyawa ketika Konsert Future Music Festival Asia 2014 (FMFA) di Bukit Jalil, Sabtu lalu. Beliau ditemui selepas majlis Multaqa Pegawai Syarak, Guru-Guru Agama dan Jawatankuasa Masjid Peringkat Negeri Melaka 2014 di Masjid Al-Azim, di sini, semalam. Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron, Ketua Pengarah JAKIM Datuk Othman Mustaoha dan Pengarah Jabatan Agama Islam negeri Datuk Mohd Zin Mansor. Dalam kejadian itu, semua enam penonton konsert itu dipercayai mati akibat pengambilan dadah berlebihan ketika konsert berlangsung. Sementara itu, Jamil Khir turut mengumumkan JAKIM menyalurkan RM875 juta kepada semua imam, guru takmir, guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) dan penyelaras majlis daerah (PMD) di seluruh negara dengan Selangor dan Kelantan menjadi penerima peruntukan tertinggi tahun ini. Peruntukan itu meningkat 10 peratus berbanding tahun lalu selepas berlaku pertambahan bilangan imam, guru takmir, guru KAFA dan PMD.

Foto
Ibu tunggal tak sempat genggam ijazah
KEADAAN kenderaan yang dinaiki mangsa. Endau: Hasrat seorang ibu empat anak untuk menggenggam segulung ijazah tidak kesampaian apabila terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 154, Jalan Kuantan-Johor Bahru berhampiran simpang Kampung Mempisang, Tanjung Gemuk, Rompin di sini, awal pagi semalam. Dalam kejadian jam 1.15 pagi itu, mangsa, Wan Syazana Wan Mansor, 27, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Belukar Juling, Endau dari Universiti Malaya di ibu negara selepas menghadiri kuliah kerana mengikuti Pengajian Jarak Jauh (PJJ) peringkat ijazah pertama. Ibu kepada empat anak berusia sembilan bulan hingga enam tahun itu terbunuh apabila PERODUA Kembara dipandu suaminya Ahmad Shanawey Roslan, 29, terbabas sebelum merempuh belakang sebuah treler yang diletakkan di bahu jalan. Kejadian itu menyebabkan Ahmad Shanawey cedera parah, namun anak mereka berusia sembilan bulan dan tiga tahun terselamat dan hanya cedera ringan manakala dua lagi anak berusia lima dan enam tahun tidak turut serta. Menurut adik mangsa, Wan Shairah, 26, tiga hari sebelum kejadian itu, dia ada menghubungi kakaknya untuk bertanya khabar, namun tiada sebarang perubahan sikap ditunjukkan. “Sepanjang berbual melalui telefon itu, kami hanya berbicara mengenai hal keluarga dan kakak tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap. “Namun, hari ini (semalam) saya terkejut mendapat panggilan daripada ahli keluarga memaklumkan kakak terbabit kemalangan jalan raya sebelum bergegas ke Hospital Mersing dari Johor Bahru untuk melihat keadaannya. Sebaik tiba, saya dimaklumkan kakak sudah meninggal dunia,” katanya.

Foto
Wanita ‘halimunan’ di KLIA
SAFIRAH (kanan) menunjukkan aksi seni halimunan sebagai simbolik tanda sokongan terhadap MH370. Sepang: Kehadiran seorang wanita berpakaian serba putih dan bertopeng menarik perhatian orang ramai di Anjung Tinjau Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, apabila dia dilihat berdiri kaku berhampiran kain rentang ‘mesej harapan’ terhadap penumpang pesawat MH370, semalam. Wanita terbabit, Safirah Rashid, 28, yang juga artis seni halimunan mendakwa tindakan dilakukannya itu adalah simbolik tanda sokongannya terhadap penumpang dan kakitangan pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu. Katanya, seni halimunan itu adalah salah satu cara dia menzahirkan harapan rakyat Malaysia supaya pesawat yang ‘ghaib’ itu dapat ditemui semula secepat mungkin. “Ini adalah satu seni yang lain daripada kebiasaan. Saya mahu menzahirkan harapan mewakili rakyat Malaysia dan mungkin juga masyarakat seluruh dunia. “Seni halimunan ini juga akan memberi gambaran kepada kemunculan semula pesawat MH370 yang hilang bersama penumpang dan anak kapal dengan selamat,” katanya ketika ditemui di anjung tinjau KLIA, di sini, semalam. Sementara itu, pelukis artis halimunan Tony Mdy, 35, berkata, dia mengambil masa hampir tiga jam untuk menyiapkan pakaian dan topeng halimunan berkenaan. Katanya, seni halimunan yang ditonjolkan ini diharapkan sedikit sebanyak dapat membantu memberi ketenangan dan menceriakan ahli keluarga mangsa yang terbabit dalam misteri kehilangan pesawat MH370.

Juruterbang mungkin diugut
Kuala Lumpur: Elemen ugutan yang mungkin diterima dua juruterbang pesawat MH370 sebelum menaiki pesawat turut menjadi skop siasatan terbaru pihak berkuasa berdasarkan pelbagai maklumat dikumpul setakat ini. Menurut sumber, skop siasatan itu akan diperluaskan termasuk menyiasat telefon bimbit, pesanan e-mel, laman sosial serta alat telekomunikasi lain dimiliki dua juruterbang pesawat MH370 yang memungkinkan mereka diugut sebelum menerbangkan pesawat itu. Sumber berkata, pihak berkuasa turut menjalankan siasatan ke atas ahli keluarga terdekat kedua-dua juruterbang terbabit bagi mendapatkan lebih maklumat. “Elemen ugutan ini masih dalam siasatan dan usaha mendapatkan lebih banyak petunjuk baru sedang dilakukan. “Sekiranya perlu, kita akan periksa juga telefon bimbit milik ahli keluarga juruterbang terbabit dan alat telekomunikasi lain yang memungkinkan terdapat unsur ugutan dan ancaman diterima,” katanya. Beliau berkata, siasatan bagaimanapun masih di peringkat awal untuk mengenal pasti motif sebenar mengapa pesawat yang dijadualkan tiba di Beijing, China itu mengubah haluannya.

Gelap mata dek RM600 sehari, sanggup jadi GRO
Petaling Jaya: Tarikan gaji lumayan mencecah RM600 sehari menyebabkan seorang gadis berusia 17 tahun sanggup meninggalkan keluarganya di kampung untuk bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di sebuah pusat hiburan di sekitar Sunway Mentari, di sini. Difahamkan, remaja perempuan berasal dari Seremban, Negeri Sembilan terbabit mula terjebak dalam aktiviti tidak bermoral itu selepas berhenti dari sekolah pada usia 14 tahun. Kegiatan itu bagaimanapun terbongkar selepas remaja itu ditahan polis bersama 26 wanita termasuk 15 warga asing dalam serbuan dilakukan sepasukan anggota polis Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman di premis itu kira-kira jam 11.30 malam kelmarin. Dalam serbuan diketuai Inspektor Mohammad Mohd Jais itu, remaja perempuan terbabit dikatakan bertindak kasar apabila enggan menyarung baju khas disediakan anggota polis dengan membuang pakaian itu ke lantai. Namun, tindakan degil remaja itu berjaya dikawal anggota polis bertugas sebelum dia berjaya ditenangkan. Mohammad berkata, seramai 12 wanita berusia 17 hingga 35 tahun yang ditahan itu dikenal pasti sebagai rakyat tempatan manakala 14 lagi adalah wanita warga asing membabitkan warga Thailand, Vietnam, Indonesia dan Filipina. “Siasatan awal turut mendapati premis hiburan itu mempunyai lesen sah dan beroperasi sejak lebih setahun lalu walaupun pemiliknya sering kali bertukar ganti. “Pemilik premis melakukan kesalahan kerana menggaji pekerja warga asing sebagai GRO. Kita juga tidak menolak kemungkinan semua wanita itu menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan premis,” katanya. Menurutnya, siasatan polis mendapati kumpulan wanita GRO itu menawarkan khidmat seks dengan bayaran antara RM400 hingga RM600. “Ketika serbuan, puluhan pelanggan turut berada di dalam pusat hiburan itu, namun tiada dadah atau kondom ditemui. “Semua wanita yang ditahan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk tindakan lanjut. Siasatan turut dilakukan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang (ATIP),” katanya. Harian Metro difahamkan, pusat hiburan yang digempur kali kedua dalam tempoh tiga bulan itu kerap menjadi lokasi pertemuan bagi kegiatan pelacuran. Malah, golongan GRO itu turut menggunakan kalungan bunga yang dijual kepada pelanggan sebagai ‘simbol’ persetujuan untuk dilanggani.

Foto

Angin kencang landa Shah Alam
BEBERAPA pokok tumbang ditiup angin kencang dan hujan lebat di sekitar Seksyen 13, Shah Alam, semalam.
Shah Alam: Beberapa pokok dan gerai milik peniaga di Jalan Snuker, Seksyen 13, di sini tumbang serta diterbangkan angin dalam kejadian, petang semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, pusaran angin seperti puting beliung dikatakan tiba-tiba muncul menyebabkan pokok, papan tanda dan gerai diterbangkan angin. Peniaga burger, Mohd Firdaus Mustapa, 27, berkata, dia bernasib baik kerana tidak berada di gerainya ketika kejadian. “Tidak sampai 10 minit selepas saya ke belakang gerai untuk membasuh peralatan, tiba-tiba saya dikejutkan dengan bunyi bising sebelum melihat semua perkakas seperti botol sos, roti burger dan gerai diterbangkan angin dan jatuh di atas jalan. “Mungkin ini takdir saya, semua sudah rosak dan saya tidak boleh berniaga lagi kerana peralatan perlu diganti baru dan ia akan mengambil masa yang lama untuk diperbaiki. Ini kejadian paling buruk terjadi, sejak saya berniaga di sini kira-kira dua tahun lalu,” katanya. Pemilik restoran, Zabidi Samsudin, 50, berkata, sebaik melihat pusaran angin yang datang dari kawasan lapang berdekatan, dia segera keluar untuk menyimpan barang di hadapan kedainya sebelum nyaris terkena zink yang diterbangkan angin. “Ketika kejadian, saya berada di luar restoran untuk mengemas barang seperti payung, kuali serta perkakas lain sebelum terkejut melihat pusaran angin yang turut membawa bersama daun kering dan sekeping zink menuju ke arah saya. “Terkejut melihat kejadian itu, saya terus meluru masuk ke dalam restoran tanpa mempedulikan payung serta perkakas lain kerana khuatir terkena serpihan zink dan ranting kayu yang diterbangkan itu,” katanya.

Foto
Diserang seorang lelaki tidak dikenali
CHIN Shin parah di bahagian kepala dan terpaksa menerima lebih 20 jahitan apabila diserang seorang lelaki tidak dikenali.
Kangar: “Kejadian berlaku dengan pantas dan saya hanya ternampak dia berlari sejurus dikejar seorang lelaki sebelum terjatuh akibat libasan parang di belakang badan dan kepalanya,” kata Tan Ong An, 17, selepas rakannya cedera parah akibat dilibas dengan parang, malam kelmarin. Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam, Ong An bersama mangsa Cheng Chin Shin, 32, berada di hadapan sebuah kedai telefon bimbit di Jalan Raja Syed Alwi, di sini. Ong An berkata, kedua-duanya yang bekerja di sebuah kedai aksesori kereta berdekatan pada mulanya tidak mengesyaki apa-apa apabila dua lelaki menaiki sebuah motosikal menuju ke arah mereka. “Tidak lama selepas itu, seorang lelaki turun dari motosikal membawa sebilah parang panjang sebelum menuju ke arah Chin Shin. Kejadian berlaku dengan pantas dan saya hanya sempat melihat rakan melarikan diri apabila suspek mengejarnya. “Saya melihat rakan rebah selepas dilibas parang di belakang badan dan kepala sebelum suspek melarikan diri menaiki sebuah motosikal Honda Wave,” katanya di sini, semalam.

Misi khas kesan lapangan terbangFoto
5 LANDASAN DALAM SIMULATOR DISIASAT
Misi khas kesan lapangan terbang
AHLI keluarga penumpang menunggu maklumat terkini operasi pencarian penerbangan MH370 di Beijing. 
Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan satu pasukan penyiasat khas untuk menjejak kemungkinan wujud lapangan terbang rahsia di koridor utara dan selatan yang kini menjadi kawasan tumpuan pencarian pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang sejak 10 hari lalu. Agensi media antarabangsa sebelum ini melaporkan, ada lebih 600 lapangan terbang di koridor utara yang menjangkau dari sempadan Kazakhstan-Turkmenistan sehingga utara Thailand dan koridor selatan yang mengunjur dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi. Bagaimanapun, Jumlah berkenaan turut mengambil kira semua lapangan terbang awam, komersial dan pangkalan udara tentera beberapa negara. Justeru, sumber PDRM memberitahu Harian Metro jika pesawat MH370 mendarat di lapangan terbang awam, komersial atau milik tentera, sudah tentu pendaratannya diketahui umum. “Jadi, pasukan khas itu menyiasat kemungkinan ia mendarat di lapangan terbang rahsia yang mungkin wujud, termasuk milik persendirian atau lapangan terbang lama yang diguna semula,” katanya.

Foto
Tiada jejak MH370 di koridor utara
EMPAT negara di koridor utara serta Taliban yang menguasai sempadan Afghnistan-Pakistan turut nafikan kelibat MH370. Grafik Hanafi Nordin
KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya empat negara yang terletak di koridor utara operasi mencari dan menyelamat (SAR) MH370 memaklumkan tidak mengesan sebarang jejak pesawat itu melintasi ruang udara negara mereka. Pihak berkuasa penerbangan awam dan tentera di India, Pakistan, Kazakhstan dan Kyrgyzstan menegaskan, radar awam atau tentera pasti dapat mengesan pergerakan pesawat itu jika benar ia melintasi ruang udara mereka. Malah, pejuang Taliban di sempadan pergunungan Pakistan - Afghanistan turut menafikan kemungkinan MH370 melintasi kawasan mereka. Malaysia mengumumkan pencarian pesawat penumpang Boeing 777-200ER milik MAS yang hilang pada 8 Mac lalu diperluas ke koridor utara menghala Kazakhstan dan Kyrgyzstan manakala koridor selatan ke Lautan Hindi selepas siasatan mendapati pesawat itu berpatah balik ketika berlepas dari Lapangan Terbang Kuala Antarabangsa Lumpur (KLIA) Sepang ke Beijing. Jawatankuasa Penerbangan Awam Kazakhstan mengesahkan tidak mengesan sebarang 'penggunaan tanpa sekatan' di ruang udaranya 8 Mac lalu. "Walaupun semua sistem di dalam pesawat dimatikan, agak mustahil pesawat dapat terbang tanpa dikesan," kata Timbalan Ketua jawatankuasa itu Serik Mukhtybayev. Katanya, MH370 berupaya terbang sehingga Kazakhstan tetapi ia akan dikesan sebaik memasuki ruang udara negaranya. "Pihak tentera mengawasi ruang udara negara ini dan pesawat juga terpaksa merentasi ruang udara beberapa negara lain. Zon penerbangan ini dipantau dengan teliti. Kami pasti akan menerima maklumat daripada negara berkenaan," katanya. Sementara itu, pihak penerbangan awam Kyrgyzstan juga menolak kemungkinan pesawat itu hilang berhampiran negaranya. "Pesawat ini tidak terbang di ruang udara Kyrgyzstan. Tentera Udara Russia dan Amerika Syarikat yang berpangkalan di negara ini mempunyai alat radar yang pasti dapat mengesan pesawat ini," kata Timbalan Presiden Lapangan Terbang Awam Manas dekat Bishkek, Dair Tokobayev. Pegawai penerbangan awam Pakistan, India dan Afghanistan turut menjelaskan mereka tidak tahu lokasi MH370 walaupun telah maklum dengan pencarian pesawat itu telah diperluaskan ke wilayah berkenaan. "Idea bahawa pesawat terbang di ruang udara India selama beberapa jam tanpa dikesan adalah sesuatu yang tak masuk akal," kata pegawai Kementerian Pertahanan India yang tidak mahu dikenali. Menurutnya, laporan itu tidak berasas kerana juruterbang terbabit perlu tahu lokasi tepat semua radar dan sistem pemantauan di India jika mahu mengelak daripada dikesan sedangkan pemantauan di ruang udara India amat ketat berikutan krisis sempadan yang dihadapi dengan jirannya Pakistan. Pegawai tentera India yang mengulas teori MH370 terbang melintasi banjaran Himalaya yang kurang mendapat liputan radar pula menjelaskan, rupa bumi banjaran itu memerlukan kepintaran dan kemahiran juruterbang tentera untuk berbuat demikian. Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Pakistan juga memberitahu pihaknya tidak mengesan sebarang keganjilan di ruang angkasanya selepas MH370 dilaporkan hilang. "Kami telah memeriksa rekod radar kami dalam tempoh berkenaan tetapi gagal menemui sebarang bukti kehadiran pesawat itu,” katanya. Malah, teori mengatakan MH370 melintasi kawasan pergunungan di sempadan Pakistan - Afghanistan yang menjadi lokasi Taliban berkubu juga ditolak oleh kumpulan pejuang itu. Jurucakap Taliban di Afghanistan Zabihullah Mujahid berkata, kehilangan pesawat itu tidak ada kena mengena dengan mereka. "Ia berlaku di luar Afghanistan dan anda sendiri boleh lihat bahawa negara yang memiliki peralatan dan kemudahan canggih sekalipun tidak tahu ke mana perginya pesawat itu. Oleh itu, kami juga tidak ada sebarang maklumat, lagi pun ia urusan negara luar,” katanya. - AGENSI

Lelaki ditemui mati dengan kesan tikaman, tetakan
Kuala Lumpur: Seorang lelaki ditemui mati dengan kesan tikaman, tetakan di tangan dan leher di depan sebuah hotel di Jalan Tan Cheng Lock, di sini, kira-kira 10 malam tadi. Mayat mangsa, M Mugunthan, 28, ditemui terbaring berlumuran darah di depan kaki lima premis berkenaan oleh orang awam. Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, pemeriksaan pihaknya mendapati pergelangan tangan kiri mangsa yang berasal dari Mantin, Negeri Sembilan, itu hampir putus selain kesan tikaman di lehernya. "Tiada senjata ditemui di lokasi berkenaan dan motif sebenar kejadian sedang disiasat. "Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh," katanya di tempat kejadian. Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil menyalurkannya di balai polis berdekatan.

Empangan masih di paras kritikal
Kuala Lumpur: Hampir semua empangan di Selangor masih berada di atas paras kritikal biarpun hujan sejak kebelakangan ini. Melalui bacaan yang direkodkan di dalam laman web Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) semalam, dua empangan di Selangor masih berada dalam keadaan berjaga-jaga. Empangan Sungai Selangor yang mencatatkan takungan air sebanyak 39.1 peratus dan empangan Klang Gates mencatatkan 51.3 peratus. Empangan Batu mencatatkan takungan air tertinggi dengan sebanyak 90.5 peratus, diikuti Tasik Subang sebanyak 90 peratus, Semenyih sebanyak 75.3 peratus, Sungai Tinggi sebanyak 68.7 peratus, Langat sebanyak 58.5 peratus.

Hujan bantu padam kebakaran hutan
Banting: Hujan selama dua hari berturut-turut sejak Sabtu lalu melegakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) apabila kebakaran hutan dan ladang kelapa sawit di Bukit Changgang, dekat sini, hampir padam sepenuhnya menyebabkan tumpuan kini hanya diberikan di kawasan seluas enam hektar berbanding 17 hektar sebelum ini. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Yahya Mohd Sham berkata, jika hujan berterusan, kemungkinan dalam sehari lagi api akan dapat dipadamkan sepenuhnya dan operasi pemadaman boleh ditamatkan. “Sekarang kita mendapati api tidak lagi merebak namun di beberapa kawasan, asap masih kelihatan dan ia bermakna di situ masih ada bara yang perlu dipadamkan. “Kawasan itu pula hanya membabitkan kira-kira enam hektar,” katanya. Yahya berkata, selain itu, jumlah keanggotaan juga sudah dikurangkan daripada 75 orang ke 30 orang dan anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) juga sudah tidak lagi bertugas kerana kebakaran sudah dapat dikawal. “Bagaimanapun, kita masih mengekalkan peralatan yang digunakan bagi memastikan proses memadam dan mengawal dapat dipercepatkan lagi,” katanya.

hajj sermon islam terrorism
Mufti besar Saudi jatuh masuk hospital
Riyadh: Mufti besar Saudi dimasukkan ke hospital selepas terjatuh dan “cedera” di punggung. Shaikh Abdul Aziz Bin Abdullah Al Shaikh, 73, yang juga pengerusi Jawatankuasa Tetap Penyelidikan dan Fatwa Islam dilapor terjatuh di rumahnya kelmarin. Dia dibawa ke Hospital Polis di Riyadh. Bagaimanapun, sumber yang terdekat dengan keluarganya tidak menerangkan mengenai kecederaan punggung yang dialaminya. Ia sebaliknya berkata, keadaan mufti itu stabil dan dia perlu berehat Abdul Aziz dikatakan jatuh ketika berwuduk. - Agensi

Saudi nafi haram 50 nama
Riyadh: Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi semalam menafikan mereka mengeluarkan kenyataan mengharamkan penggunaan 50 nama. Penafian itu dibuat selepas berita mengenainya heboh diperkatakan di media sosial. Bagaimanapun, kementerian itu turut menyatakan sebarang nama boleh digunakan selagi ia mematuhi undang-undang yang ditetapkan. Jurucakap kementerian, Mohammed Al-Jaser berkata, sesetengah nama tidak boleh didaftarkan kerana ia bertentangan dengan Islam. Antaranya nama ala barat, nama yang melanggar adab sosial atau nama yang mempunyai maksud menghina Tuhan. Nama seperti Abdul Rasul atau Abdul Nabi dan nama dengan konotasi agama seperti, malaikat juga dilarang. Nama lain seperti “Humair” yang membawa maksud keldai dalam bahasa Arab juga dianggap melanggar adab penduduk negara itu. - Agensi

Jadi ‘serigala’ kerana mahu dihormati
Kuwait: Seorang lelaki tempatan menjalani pembedahan plastik bagi membolehkannya kelihatan seperti serigala. Dia berkata tindakannya itu adalah untuk mendapatkan penghormatan orang ramai. Lelaki yang tidak didedahkan namanya muncul dengan wajah “serigala” dalam klip pendek di Youtube yang disiarkan akhbar tempatan Al-Anba. “Kini orang ramai lebih menghormati saya. Tambahan pula, penduduk Kuwait memang menghargai binatang,” kata lelaki berkenaan kepada wartawan. Akbar itu melaporkan kebanyakan penonton klip itu mengutuk tindakan lelaki berkenaan sementara yang lain menuduhnya menipu dan mendakwa dia tidak menjalani pembedahan plastik, sebaliknya ia hanya teknik solekan. - Agensi

Jakarta - 500 buru dalang jerebu
Jakarta: Wilayah Riau menubuhkan pasukan khas - dianggotai lebih 500 petugas - untuk memburu pihak yang memulakan pembakaran hutan selepas presiden menuntut tindakan segera diambil. Agensi berita Antara semalam melaporkan, pasukan itu dianggotai wakil daripada pasukan polis, tentera dan renjer hutan. Sementara itu, Ketua Polis Riau, Condro Kirono berkata, seramai 558 petugas diarah memperkukuh penguatkuasaan undang-undang sedia ada. “Setakat ini kami sudah mengenal pasti kira-kira 65 orang yang sengaja memulakan kebakaran hutan atau tempat terbuka sehingga menyebabkan terjadinya masalah jerebu,” katanya dalam satu kenyataan, semalam. Langkah berkenaan dijalankan selepas Presiden Susilo Bambang Yudhoyono mengkritik secara terbuka agensi penguat kuasa yang tidak berkesan dalam menangani isu terbabit. Dalam kenyataannya di Twitter, Susilo berkata, “undang-undang mesti dikuat kuasa dengan tegas dan pantas” bagi mengelak masalah itu berlarutan. Terdulu, Susilo meluangkan masa melawat Riau yang sudah diisytihar sebagai kawasan darurat. Di samping itu, amalan pembakaran terbuka biasanya menjadi pilihan di kalangan penduduk setempat untuk membuka tanah baru atau membersihkan kawasan pertanian kerana proses berkenaan lebih murah serta mudah. Namun asap yang terhasil menimbulkan pelbagai masalah, termasuk kesihatan serta mengganggu jadual penerbangan.- AFP

Bela isteri yang cuba membunuhnya
Abu Dhabi: Seorang lelaki India membela isterinya di mahkamah di sini walaupun wanita itu cuba menikamnya hingga mati. Lelaki itu memberitahu hakim, isterinya melakukan jenayah itu kerana dia menghidap barah. Dia merayu mahkamah melantik peguam untuk isterinya. Menurutnya, isterinya cuba membunuhnya kerana tertekan selepas menghidap barah payudara. Menurut laporan akhbar Al Khaleej, lelaki itu juga bersetuju membayar wang ikat jamin isterinya supaya wanita itu boleh menjalani rawatan lanjut. “Si suami memberitahu mahkamah yang isterinya sangat menderita kerana menghidap barah dan penyakit itu menjadi punca wanita berkenaan cuba membunuhnya,” katanya, semalam. -Agensi

Paksa jalin hubungan sulit jika ingin kerja
Riyadh: Mahkamah Saudi menjatuhkan hukuman empat tahun penjara dan 1,500 sebatan ke atas seorang lelaki India yang didapati bersalah memaksa gadis tempatan mengadakan hubungan sulit dengannya jika mahukan pekerjaan. Pihak defendan memberitahu mahkamah dia akan merayu terhadap hukuman itu manakala pendakwa berkata mereka akan menuntut hukuman yang lebih berat dikenakan. Hakim menjatuhkan hukuman itu selepas lelaki itu terbukti menjalinkan hubungan sulit dengan ramai gadis dan menghantar gambar lucah ke telefon bimbit mereka. Dia juga dituduh menggunakan kereta mewahnya untuk membawa gadis berkenaan ke “tempat kerja” mereka. - Agensi


Profesor, pembantu tiduri 85 pelajar
Kaherah: Pihak berkuasa Mesir menahan seorang profesor dan pembantunya kerana didakwa tidur dengan 85 pelajar wanitanya sebagai balasan membantu mereka dalam peperiksaan. Polis menahan mereka selepas kamera pengawasan berjaya merakam dia bersama pelajarnya yang sudah berkahwin di apartmennya di Kaherah. Akbar tempatan semalam melaporkan, polis berjaya memasang CCTV di kediamannya bagi mengesahkan laporan yang dibuat beberapa pelajar mengenai ugutan yang dilakukan profesor itu ke atas pelajar perempuan Universiti Ain Shams. Menurut polis, profesor berkenaan menafikan dakwaan itu tetapi kebanyakan mangsa mengaku diberikan jawapan untuk peperiksaan sebagai balasan mengadakan hubungan seks dengannya. - Agensi

China gantung operasi ‘hac bayi’
Hong Kong: Pihak berkuasa China semalam menggantung khidmat ‘hac bayi’ di Guangzhou selepas jumlah bayi yang ditinggalkan di pusat yang disediakan terlalu banyak sehingga sukar untuk dikendalikan. ‘Hac bayi’ yang dilengkapi sebuah inkubator dan penggera bagi melindungi bayi yang ditinggalkan itu diwujudkan untuk mengatasi kes pembuangan bayi di jalanan di China. Kemudahan itu yang dirasmikan pada 28 Januari, lalu setakat ini sudah menerima 262 orang bayi - 148 lelaki dan 114 perempuan - menurut laporan Biro Perhubungan Awam bandar berkenaan. Hampir semua bayi yang dihantar ke pusat itu menghidap penyakit, termasuk 110 kes kecacatan otak, 39 kes sindrom Down dan 32 kes penyakit jantung, lapor biro berkenaan. “Berikutan jumlah bayi yang ditinggalkan semakin meningkat, pusat itu tidak mampu lagi menampungnya,” kata pengarah Institut Kebajikan Sosial Guangzhou, Xu Jiu Pegawai kebajikan mengambil bayi antara lima hingga 10 minit selepas seseorang meninggalkannya dan menekan loceng penggera bagi membolehkan kleluarga menyerah bayi mereka dengan selamat dan tanpa dikenali. Kini, setiap orang yang meninggalkan bayi mereka di hac bayi di Guangzhou akan dilaporkan kepada polis, menurut kenyataan pihak berkuasa bandar raya berkenaan. Ia akan membuat pengumuman jika ‘hac bayi’ itu dibuka semula. - Agensi

Foto
‘Mangkuk ayam’ dilelong RM131 juta
Hong Kong: Satu mangkuk yang sangat jarang ditemui dijangka mencecah harga £24 juta (RM131 juta) apabila dilelong bulan depan “Mangkuk ayam” Chenghua dibuat dalam kuantiti yang sangat sedikit dan kini hanya tinggal empat sahaja dalam simpanan pemilik persendirian. Hanya beberapa muzium di seluruh dunia yang mempunyai replika mangkuk berkenaan termasuk Muzium London, Muzium British dan Muzium Victoria and Albert. Mangkuk yang sangat eksklusif itu dijangka memecahkan rekod harga jualan apabila ia dilelong di Hong Kong bulan depan. Timbalan Pengerusi Sotheby's Asia, Nicolas Chow berkata: “Ia satu penghargaan buat kami untuk menawar melelong ‘mangkuk ayam’, 15 tahun selepas mencatatkan rekod seni China pada 1999.” Sejak dibuat pada zaman Dinasti Ming, ‘mangkuk ayam’ Chenghua mendapat pujian ramai dan sangat dihargai Maharaja dan pencinta artifak. Mangkuk itu dibuat di wilayah Chenhua antara tahun 1465-1487 dan kemudian dibuat semula ketika pemerintahan Dinasti Ming, 1368-1644 dan Dinasti Qing, 1644-1911. Ia akan mula dilelong di Jualan Musim Bunga Hasil Seni dan Seramik Halus China pada 8 April di Pusat Konvensyen dan Pameran Hong Kong.

Operasi mencari MH370 di darat, seluas 72.5 juta kilometer persegi
LONDON - Tumpuan mencari pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang sejak 8 Mac lalu beralih ke darat dengan operasi mencari kini dilakukan di 11 buah negara, lapor akhbar Daily Mail. Skop pencarian tersebut melibatkan lokasi meluas termasuk hutan hujan Asia Tenggara dan padang landai Steppe di Kazakhstan. Pesawat MH370 hilang pada 8 Mac lalu ketika melakukan penerbangan dari Kuala Lumpur, Malaysia menuju ke Beijing, China. Sehingga kini, nasib 239 penumpang dan kru pesawat itu kekal misteri manakala pihak berkuasa 25 negara yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih tidak pasti sama ada pesawat itu berada di darat atau laut. Pakar-pakar pula merumuskan bahawa Penerbangan MH370 itu telah dirampas atau disabotaj oleh seseorang yang berpengalaman luas mengendalikan Boeing 777-200. Mereka juga memberitahu, selepas mengubah haluan asal, terdapat kemungkinan kapal terbang itu menghala ke selatan di Lautan Hindi atau utara di Asia Tengah. Isyarat terakhir MH370 yang dikesan sebuah satelit di atas Lautan Hindi pada ketinggian 22,500 kilometer (km) di orbit Bumi mendapati ia berada di dua laluan yang dikenali sebagai koridor udara. Satu koridor udara itu bermula dari selatan Kazakhstan di Asia Tengah dan menuju ke utara Thailand manakala laluan kedua pula mencakupi Indonesia dan Lautan Hindi. Pihak-pihak berkuasa percaya isyarat terakhir yang dikesan satelit itu berkemungkinan dihantar ketika Boeing 777 tersebut berada di darat. Pencarian di darat itu melibatkan negara seperti Thailand, Burma, China, Bhutan, Nepal, Pakistan, Afghanistan, Tajikistan, Uzbekistan dan Kazakhstan selain Indonesia. Susulan perkembangan tersebut, kawasan keseluruhan operasi mencari MH370 kini mencakupi 72.5 juta km persegi bersamaan dua kali ganda keluasan benua Afrika atau satu persepuluh planet Bumi. Dalam pada itu, beberapa pegawai India menyatakan, pesawat komersial itu berkemungkinan lolos daripada dikesan radar ketika menyeberangi lautan. "Kami memiliki banyak sistem radar di rantau ini tetapi Boeing 777-200 itu tiada dalam radar kami," kata Laksamana Muda Sudhir Pillai dari India. "Ia mungkin tidak dikesan kerana terdapat radar tentera yang dimatikan ekoran kami hanya menggunakan keseluruhannya apabila wujud keperluan berbuat demikian," tambahnya. Namun, beberapa pegawai tentera udara dan laut India juga menegaskan bahawa tidak mungkin MH370 dapat menyeberangi ruang udara India tanpa dikesan. Perkara serupa turut dinyatakan pihak berkuasa Pakistan sekali gus mendorong beberapa pakar mempercayai kapal terbang itu tidak terbang ke Asia Tengah. Sekiranya tidak terjatuh ke dalam Lautan Hindi, pesawat Boeing 777 memerlukan landasan sepanjang 1,500 meter untuk mendarat. - Agensi


Pengawal keselamatan dapati sikap Zaharie berubah
KUALA LUMPUR - Juruterbang pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang dilaporkan hilang, Kapten Zaharie Ahmad Shah dilaporkan berubah sikap sebelum melakukan penerbangan ke Beijing pada 8 Mac lalu, lapor akhbar India Today semalam. Perubahan itu disedari ketika Zaharie memberi salam kepada pengawal keselamatan yang bertugas di luar kawasan perumahan di Laman Seri, Shah Alam sebelum malam penerbangannya. Sebuah stesen televisyen, Headlines Today mendedahkan, biasanya kapten yang berusia 53 tahun itu akan memberi salam mengikut cara Islam kepada beberapa pengawal keselamatan warga Nepal. Namun, pada malam sebelum melakukan penerbangan pesawat yang hilang itu, beliau memberi tabik hormat gaya tentera kepada pengawal-pengawal keselamatan itu. "Terdapat perubahan ketara dengan gaya beliau memberi hormat kepada kami. Sikapnya berbeza berbanding biasa," kata salah seorang pengawal keselamatan yang bertugas di luar kediamannya. Selain itu beliau dilihat memandu sendiri keretanya jenis BMW 5 Series ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk bertugas pada hari tersebut. Kebiasaannya, beliau mengambil teksi MAS untuk KLIA sebelum melakukan penerbangan antarabangsa. Menurut pengawal keselamatan berkenaan, sebuah teksi MAS tiba di kediamannya hampir 20 minit selepas beliau meninggalkan rumahnya untuk ke KLIA. Malah, pada malam itu beliau keluar dari rumah kira-kira pukul 9 malam dan turut ditemani isterinya. Bagaimanapun, isterinya tidak pulang ke rumah pada malam itu dan dia hanya kembali ke rumah pada pagi Sabtu lalu seminggu selepas pesawat tersebut hilang. Kata pengawal itu, isterinya pulang ke rumah pada pukul 10 pagi. Siasatan pihak berkuasa kini tertumpu kepada kru dan penumpang pesawat itu termasuk Zaharie dan pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid. - Agensi


12 tahun berkurung dalam rumah kerana kulit sensitif
BALING – Penyakit kulit sensitif yang dialami oleh Mohd. Shafiq Pijan, 19, membuatkan diri remaja itu tertekan kerana terpaksa berkurung sepanjang hari di rumah sejak 12 tahun lalu. Menceritakan tentang penyakitnya, Mohd. Shafiq berkata, dia mula menghidap penyakit berkenaan ketika berusia tujuh tahun. “Tidak tahu apa sebabnya dan keadaan menjadi semakin buruk bila saya meningkat dewasa. Bayangkan, saya terpaksa berkurung dalam rumah sepanjang hari sejak 12 tahun lamanya kerana tidak boleh terdedah kepada cuaca panas. “Malah, saya juga terpaksa berpantang makan makanan laut dan daging kerana khuatir mengalami alahan yang teruk. “Jujur saya katakan ada sedikit perasaan sedih, namun saya sentiasa berdoa agar Allah dapat memberi ruang kepada saya menjadi manusia yang normal semula,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.


Guru maut rempuh MPV
GOMBAK - Seorang guru maut apabila kereta yang dipandu untuk ke sekolah terlibat dalam kemalangan di Jalan Besar Kundang di sini semalam. Jurucakap polis berkata, dalam kejadian pada pukul 6.50 pagi itu, mangsa, K. Rajan, 47, yang memandu kereta Perodua Kelisa gagal mengawal kenderaan lalu merempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina dari arah bertentangan. "Akibat kemalangan itu mangsa cedera teruk di kepala dan mati di tempat kejadian, manakala pemandu MPV, Teng Mei Hong, 43, hanya cedera ringan," katanya di sini semalam.

Kongsi maklumat tidak jejas keselamatan negara
SEPANG - Perkongsian maklumat dengan pelbagai agensi asing yang terlibat dalam siasatan kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 tidak menjejaskan keselamatan negara kerana ia masih dalam kawalan, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. "Ia tidak dalam tahap yang membimbangkan tetapi untuk jangka masa panjang, kita akan lihat semula kemampuan radar kita. Ini telah saya maklumkan kepada Perdana Menteri," katanya pada sidang akhbar harian berhubung perkembangan kehilangan pesawat itu di sini semalam. Beliau berkata, fokus dan keutamaan negara kini ialah mencari dan mengesan pesawat MH370. Hishammuddin turut menolak teori bahawa pesawat itu dirampas dengan alat kawalan jauh. "Bagi saya ia tidak mungkin. Kalau ada maklumat yang sudah disahkan, kita pasti akan siasat," katanya.


Pakar persoal pertahanan udara Malaysia
SEBUAH pesawat pejuang jenis MiG-29N milik Tentera Udara Diraja Malaysia.
LONDON - Kehilangan pesawat milik Penerbangan Malaysia (MAS) sejak 8 Mac lalu menimbulkan persoalan berhubung kemampuan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam menangani ancaman dari udara. Siaran berita Perbadanan Penyiaran British (BBC) melaporkan, maklumat terbaru bukan sahaja menimbulkan misteri berhubung kehilangan pesawat MH370 tetapi persoalan mengapa TUDM tidak bertindak selepas menyedari kapal terbang tersebut berpatah balik. Pihak berkuasa Malaysia mendedahkan, radar tentera mengesan sebuah pesawat tidak dikenali yang kemudian disahkan pesawat MH370 berpatah balik dan melintasi semenanjung negara itu. Bagaimanapun, tiada sebarang tindakan diambil oleh tentera udara negara itu. "Di mana tentera udara ketika semua ini berlaku?" kata bekas juruterbang Tentera Udara Britain dan penganalisis aeroangkasa, Andrew Brookes. "Sejak serangan pengganas terhadap Amerika Syarikat (AS) pada 11 September 2001 semua pertahanan udara di seluruh dunia sentiasa berjaga-jaga dengan kejadian rampasan pesawat yang digunakan sebagai senjata untuk menyerang sasaran tertentu. "Di Malaysia terdapat bangunan penting seperti Menara Berkembar Petronas yang mungkin menjadi sasaran kumpulan pelampau," tambahnya. Ujar Brookes, ketika pesawat MH370 dikesan berpatah balik semasa dalam penerbangan dan mengubah ketinggian secara mendadak ia sepatutnya mencetuskan amaran kepada pihak tentera yang mengendalikan radar. Akhbar The Telegraph melaporkan seorang pakar berkata, kebanyakan negara yang mempunyai pertahanan udara yang canggih akan mengesan pesawat musuh pada jarak beratus-ratus kilometer dan menghantar pesawat untuk memintasnya. TUDM mempunyai beberapa jet pejuang canggih seperti Sukhoi S30, MiG-29N dan F18 serta sering mengadakan latihan bersama tentera udara dari negara lain seperti Britain, Australia, New Zealand dan Singapura. Di negara di Amerika Utara dan Eropah terdapat kerjasama rapat antara pihak tentera udara dan menara kawalan trafik. Sekiranya radar tentera mengesan satu objek tidak dikenali atau mencurigakan, prosedur normal adalah berhubung dengan menara kawalan untuk pengesahan pesawat. Jika pesawat itu tidak dikenali pihak tentera akan membuat hubungan radio dan sekiranya gagal jet pejuang dengan segera akan dihantar bagi memintas kapal terbang tersebut.- Agensi


Sindiket sedang uji dadah baharu
SEBAHAGIAN dadah dipercayai eramin 5 dan ekstasi yang dirampas polis pada konsert FMFA 2014 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur Jumaat lalu.
KUALA LUMPUR - Siasatan awal polis mendapati enam pengunjung konsert hiburan di Bukit Jalil di sini mati dalam tempoh 10 minit selepas mengambil dadah ekstasi dipercayai mengandungi kandungan bahan kimia berbahaya baharu. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, dadah baharu itu didapati baru saja berada dalam pasaran Malaysia dipercayai awal tahun ini dan kemungkinan masih dalam peringkat diuji oleh sindiket dadah. Menurut beliau, siasatan polis juga mendapati mereka yang mati berkongsi dadah itu yang dijual kepada pengunjung konsert Future Music Festival Asia (FMFA) 2014 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini. "Hasil siasatan dan saringan awal daripada ujian hospital, kesemua mereka positif dadah jenis ekstasi, methampetamine dan ampetamine," katanya di sini semalam. Beliau berkata demikian ketika mengulas kematian enam pengunjung konsert FMFA 2014 di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil kelmarin yang dipercayai akibat pengambilan dadah sintetik berlebihan.


MH370 Tidak Mungkin Dikawal Dari Jauh – Hishammuddin
SEPANG – Pesawat MH370 tidak mungkin dikawal dari jauh untuk mengubah haluan penerbangannya, kata Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. “Dari segi kawalan jauh, saya rasa tidak mungkin…sekiranya ada maklumat ia mesti disiasat,” katanya pada sidang media harian di Hotel Sama-Sama di sini sebentar tadi. Hishammuddin sebelum itu ditanya sama ada pesawat Boeing 777-220ER Penerbangan Malaysia (MAS) itu dikawal pihak tertentu dari jauh.


MH370 Tidak Bawa Kargo Berbahaya, Hanya Beberapa Tan Manggis!
SEPANG – Pesawat Malaysia Airlines MH370 tidak membawa kargo berbahaya atau bernilai tinggi tetapi beberapa tan manggis. Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya pada sidang media di sini, sebentar tadi.


Tapis Penganjuran Konsert, Cegah Aktiviti Liar
MELAKA – Konsert dianjurkan di negara ini perlu ditapis secara menyeluruh termasuk daripada aspek agama bagi mencegah kegiatan liar pada acara itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom. Katanya, tragedi enam penonton maut dipercayai akibat pengambilan dadah pada konsert di ibu negara Sabtu lepas perlu dijadikan pengajaran supaya perkara seperti itu tidak berulang dalam konsert dianjurkan di negara ini pada masa depan. Penganjur konsert dinasihatkan mendapatkan pandangan daripada pelbagai agensi termasuk pihak agama sebelum menganjurkan konsert bagi memastikan ia tidak memberi kesan tidak baik, katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Multaqa Pegawai Syarak, Guru Agama dan Jawatankuasa Masjid Peringkat Negeri Melaka 2014 di Masjid Al-Azim di sini hari ini. Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron. Pada majlis itu, peruntukan RM18.72 juta daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) disampaikan kepada kerajaan negeri Melaka bagi membayar elaun imam, guru takmir, guru Kafa dan penyelaras masjid daerah bagi tahun ini. Enam maut manakala 14 individu kini dirawat di hospital dipercayai akibat pengambilan dadah ketika menghadiri konsert Festival Future Music Asia 2014 di Stadium Nasional Bukit Jalil di ibu negara manakala polis menahan 29 individu pelbagai warga yang disyaki terlibat dalam kegiatan dadah di konsert berkenaan. Jamil Khir berkata, Jakim memperuntukkan RM875 juta untuk pembayaran elaun imam, guru takmir, guru Kafa dan penyelaras masjid daerah di seluruh negara tahun ini. “Jumlah peruntukan berbeza mengikut bilangan penerima setiap negeri dan kita tambah peruntukan ini kira-kira 10 peratus setiap tahun kerana pertambahan penerima…kita harap semua penerima ini dapat menjalankan tanggungjawab sebaiknya sebagai penegak syiar Islam di negara ini,” katanya. Mengenai usaha mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak Sabtu lepas, Jamil Khir menasihatkan rakyat negara ini menggunakan cara yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam. “Kita menggalakkan semua rakyat Malaysia beragama Islam mengadakan lebih banyak solat hajat…tentang ritual (oleh bomoh) di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa KL) kita telah bekerjasama dengan Jais (Jabatan Agama Islam Selangor) bagi mengambil tindakan, kita tunggu tindakan nanti,” katanya. – BERNAMA


Perkhidmatan Panggilan Telefon Untuk Whatsapp
Masihkah anda ingat pengumuman yang dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif aplikasi Whatsapp, Jan Koum di mana aplikasi tersebut bakal memperkenalkan perkhidmatan panggilan telefon menjelang tahun 2014? Bagi mereka yang ingin tahu, laman web iPhoneItalia baru-baru ini telah mengambil beberapa imej ciri baru yang diperkenalkan oleh aplikasi terkenal ini pada peranti iOS yang kelihatan hampir sama seperti paparan panggilan telefon bagi iOS7.1. Menurut iPhoneItalia, perkataan “Whatsapp Call” akan tertera di bahagian atas skrin setiap kali panggilan telefon dibuat melalui Whatsapp. Seperti perkhidmatan yang ditawarkan oleh aplikasi lain, panggilan telefon ini adalah percuma, melainkan jika syarikat telekomunikasi tempatan mengikut langkah yang diambil oleh syarikat telekomunikasi Singapura SingTel yang mengenakan cas bagi aplikasi yang sama pada pengguna mereka. Dengan ciri baru yang diperkenalkan oleh Whatsapp, adakah anda akan setia bersama aplikasi ini atau berpindah ke aplikasi lain seperti Telegram? Sumber: Lowyat


Australia Tidak Ada Maklumat Berkaitan MH370
Kerajaan Australia hari ini memaklumkan mereka tidak mempunyai sebarang maklumat berkaitan penerbangan pesawat Malaysia Airlines(MAS) MH370 jika ia terbang dekat dengan negara benua itu. Perdana Menterinya Tony Abott memaklumkan sedemikian ketika ditanya apakah pihak berkuasa ada mengesan pesawat MH370 dekat dengan Australia memandangan kawasan persisir pantai baratnya bersempadan dengan Lautan Hindi. “Saya tidak ada maklumat seperti itu.. tetapi semua agensi yang boleh membantu sedang menyemak data mereka untuk melihat apakah ada maklumat yang boleh membantu untuk memahami misteri ini,” katanya menurut laporan AFP. Siasatan setakat ini mendedahkan pesawat MH370 itu telah dengan sengaja dilencongkan daripada laluan asalnya dan terbang beberapa jam selepas lencongan itu, sama ada menuju ke utara di sekitar rantau Asia Tengah atau ke selatan sampai ke Lautan Hindi. Sebelum ini, pegawai penerbangan di Pakistan dan India juga menafikan pesawat MH370 ada memasuki ruang udara dua negara itu dan jika ada sekalipun, ia sudah pasti dapat dikesan oleh radar tentera. Australia mengerahkan dua pesawat peninjau Orion untuk membantu usaha mengesan pesawat jenis Boeing 777-200 itu yang sedang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing semasa ia hilang. Menurut Abbott, sebuah daripada pesawat itu kini sudah dikerahkan pula ke Lautan Hindi. “Saya akan menghubungi Malaysia hari ini untuk melihat kemungkinan bantuan tambahan yang boleh Australia tawarkan,” katanya. Enam warga Australia adalah antara 239 orang yang menaiki pesawat penerbangan MH370 dan ahli keluarga serta waris mereka masih berharap mereka masih hidup. “Saya tidak tahu apa yang berlaku tetapi ia mungkin dirampas dan itu memberikan saya harapan,” kata David Lawton kepada Australian Broadcasting Corporation pada Isnin. Adiknya, Bob “Pada zaman ini dengan teknologi yang ada, kita rasa mereka boleh mencarinya tetapi tidak. Saya tidak salahkan sesiapa. Saya hanya mahu tahu nasib mereka,” tambahnya.


Rogol Kanak-Kanak, Lelaki Dipenjara 5 Tahun
GEORGETOWN – Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan merogol seorang kanak-kanak pada 2009. Hakim Zulhasni Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Hazri Abdul Ghafor 28, selepas mengambil kira kepentingan awam dan pengakuan bersalah tertuduh. Mohd Hazri yang bekerja sendiri, dituduh melakukan kesalahan itu pada Mac 2009 di sebuah blok Flat Kampong Melayu, Air Itam dan disiasat di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan. Dalam prosiding hari ini Timbalan Pendakwa Raya S. Selvaranjini memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal ke atas tertuduh sebagai pengajaran memandangkan kesalahan yang dilakukan adalah serius. Katanya walaupun perbuatan itu dikatakan dipersetujui mangsa tetapi usia mangsa ketika itu baru 13 tahun dan dia masih tidak berfikiran matang. Sementara itu peguam bela Mohd Hazri, Rosli Ismail memohon mahkamah menimbangkan hukuman lebih ringan kerana pengakuan bersalah tertuduh telah menjimatkan masa mahkamah. Katanya Mohd Hazri yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau turut kesal dengan perbuatannya dan mahu bertanggungjawab terhadap mangsa serta anak yang kini berusia tiga tahun hasil daripada perbuatan itu. “Mangsa dan tertuduh berkawan, perbuatan itu adalah atas kerelaan mangsa dan tiada kekerasan fizikal terhadap mangsa. Pengakuan salah daripada tertuduh telah mengelakkan mangsa daripada trauma,” katanya. Mahkamah juga diberitahu bahawa mangsa kini menjalani program pemulihan di sebuah Sekolah Tunas Bakti. – BERNAMA



Tak Serik…Satu Lagi Parti Terbesar Di KL
TERNYATA musibah yang menimpa enam anak muda yang maut sewaktu menghadiri Konsert Future Music Festival Asia (FMFA) pada Jumaat lalu tidak cukup untuk ‘memperlahankan’ budaya hedonisme yang kian melanda masyarakat pada masa kini. Biarpun negara kini sedang dilanda kesedihan, masih ada pihak yang bersikap acuh tak acuh dengan apa yang berlaku. Ia dibuktikan dengan satu lagi acara hiburan yang dipanggil ‘Life In Color’ yang merupakan ‘parti cat’ terbesar dunia yang bakal diadakan buat kali pertama di Kuala Lumpur pada 19 April nanti. Melihatkan video promo yang dimuatnaik di YouTube, kami andaikan ia tidak jauh berbeza dengan konsert sebelum ini. Sebenarnya, tidak salah untuk berhibur, namun janganlah melampau sehingga melakukan perbuatan di luar batasan yang sepatutnya termasuklah pengambilan dadah atau alkohol semata-mata untuk ‘lebih nikmat’. Rasanya, di saat seluruh negara sedang memanjatkan doa dan mengadakan solat hajat agar segala musibah yang melanda negara kembali pulih seperti biasa, ada baiknya kita menangguhkan dulu perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah.
Di sini kami sertakan sebuah nukilan sinikal oleh jurufoto terkenal, Saiful Nang:
Dan ini yang sepatutnya hilang dari radar
Ini rupanya di Malaysia 
Aku ingatkan ini Amerika
Rupanya Bukit Jalil Sahaja 
Laki perempuan berboleng-bolengan
Lepas musik beromen-romenan
Ini Malaysia dah macam Amerika

Tok Moh sila bagi penampar
Generasi begini tak boleh dibiar
Yang buaya boleh tokmoh tampar
Bagi yang ini semua menggelepar

Bila nak buktikan Tok Moh hebat
Ini ada bahan teruskanlah rembat

Sultan Melaka sila ambil buat gundik
Jangan biar terlepas di luar
Takut lelaki baik terambil buat bini
Takut perempuan baik terbuat laki

Malaysiaku dah macam Amerika. 
Amerika pun marah aku cakap macam ni
Dia cakap, korang lagi advance – SAIFUL NANG



Ops Cantas Khas: Polis KL Tahan 15 Individu
KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur menahan 15 individu menerusi Ops Cantas Khas sepanjang tempoh 24 jam lepas kerana disyaki terbabit dalam pelbagai kegiatan jenayah. Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mohmad Salleh dalam satu kenyataan berkata mereka ditahan kerana dipercayai melakukan samun berkawan, curi kenderaan, memiliki senjata berbahaya, ugutan jenayah dan lari dari pengawasan pusat pemulihan dadah. Katanya mereka antara 593 individu yang diperiksa oleh polis di sekitar ibu negara sepanjang tempoh itu. Sepanjang tempoh itu juga polis memeriksa 181 kenderaan, katanya. – BERNAMA


‘Raja Bomoh’ Kata Anwar Kacang Lupakan Kulit
SHAH ALAM – Rupa-rupanya tindakan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengaitkan nama ‘Raja Bomoh’ dalam satu ceramah politiknya di Kajang mengundang perasaan marah individu berkenaan. Datuk Ibrahim Mat Zin yang dipetik sebuah blog berkata, tindakan Anwar mahu meraih populariti dengan menggunakan namanya sewaktu berkempen sebagai tidak wajar. Malah Ibrahim turut mendakwa, Anwar sebagai “kacang yang lupakan kulit” kerana melupakan budi yang pernah diberikannya sebelum ini. “Saya tidak pernah kenal dia, tapi dia pernah makan budi saya. Masa dia jadi Menteri Pertanian dia datag ke Sungai Manik, Perak. Masa itu dia datang saya sponsor (taja) dia makan. Tapi manusia lupa kulit, tak tahu nak cakap la (jenis) lupa orang. Kita tak lupa dia (tapi) dia lupa kita” katanya. Beliau turut menjelaskan akan memfailkan saman malu terhadap Ahli parlimen Permatang Pauh itu kerana menggunakan nama dan popularitinya di dalam kempen dan ceramah pilihan raya. “Anwar Ibrahim kalau dia lantang (bangkitkan lagi isu) saya akan sama malu, kerana dia menjual nama saya ketika (ceramah) pilihan raya kerana dia tidak ada modal. “Dia cakap dalam Parlimen baru-baru ini, siasat siapa Ibrahim Mat Zin. Jadi dia nak siasat saya, siasat diri sendiri dulu, jangan tuduh orang bukan-bukan,” bidasnya. Katanya lagi kepada blog berkenaan, Anwar sepatutnya menjaga aib dan masalah sendiri, sebelum sibuk dengan isu orang lain “Saya akan saman Anwar sebanyak RM300 juta, kalau dia main-mainkan saya. Biadap.. Kamu hakim agama ke? ” tegasnya lagi. Ketua Umum PKR itu sebelum ini menggesa agar siasatan segera dijalankan terhadap bomoh yang melakukan upacara itu di terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kononnya untuk membantu menjejak kehilangan pesawat MH370. “Saya nak tahu siapa yang suruh, siapa yang membayar mereka, siapa yang membenarkan? Apakah ini bomoh ’1Malaysia’? “Mana pergi Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)? Mana pergi menteri yang membiarkan perkara itu berlaku? “Bila bomoh buat sebegitu, panggil pula media antarabangsa (buat liputan), tak malukah kita? Ini (perbuatan) syirik,” katanya. – Sinar Harian Online

2 Anggota Polis Dipenjara 12 Bulan Kerana Rasuah
GEORGE TOWN – Dua anggota polis masing-masing dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini Isnin selepas didapati bersalah terhadap dua pertuduhan menerima rasuah pada 2011. Sarjan Yang Ghazali Abu Hanifah, 58 dan Lans Koperal M. Vathumalai, 52 dari Cawangan Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut dituduh meminta suapan RM400 dan menerima rasuah RM400 pada 13 dan 14 Mei 2011. Mereka didakwa meminta dan menerima suapan itu daripada Tan Seong Soon, 41, sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap dua warga China, Fan Qiyan dan Wei Youmei yang bekerja tanpa permit sah. Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan pertama di tempat kerja warga China itu di sebelah premis makanan Loo Yee Fish Spa & Restaurant, Lorong Madras di sini pada 11.20 malam, 13 Mei 2011. Kesalahan kedua pula didakwa dilakukan di tempat sama pada 12.10 malam, 14 Mei 2011. Mereka dituduh menurut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, iaitu dipenjara 20 tahun atau denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi. Ketika menjatuhkan hukuman itu, Hakim Khairul Anuar Abdul Halim berkata, faktor kedua-dua tertuduh merupakan penjawat awam yang diberi amanah turut diambil kira. Perbuatan tertuduh meminta suapan telah menghancurkan kepercayaan dan menjejaskan integriti pasukan polis, katanya. Mahkamah memerintahkan hukuman berjalan serentak berkuat kuasa pada Isnin. Rosli Ismail yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon mahkamah menangguhkan hukuman penjara terhadap kedua-duanya kerana mahu memfailkan rayuan pada Selasa. Mahkamah menerima permohonan itu namun kedua-dua tertuduh perlu membayar denda pada Isnin dan jika gagal boleh dikenakan hukuman penjara enam bulan. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Ghazali Mohammad Nadzri. – BERNAMA

Bayi melecur: Keluarga mungkin ambil tindakan
Bayi Melecur Akibat Alahan Ubat Meninggal Dunia
Khairul Nizam dan Nur Shazira menyiram air di pusara anak mereka, semalam.
ALOR SETAR, 17 Mac (Bernama) -- Bayi berusia sembilan bulan yang melecur seluruh badan dipercayai akibat alahan ubat yang diberi oleh sebuah klinik swasta pada 16 Feb lalu meninggal dunia Isnin. Muhammad Nasrullah Khairul Nizam meninggal dunia pada pukul 1.25 pagi tadi selepas 10 hari dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) sejak dimasukkan ke HSB pada 5 Mac lalu. Bapanya, Khairul Nizam Lebai Jusoh, 41, berkata anaknya itu disahkan meninggal dunia akibat 'Sepsis Secondary To Infected Severe Atopic Eczema' (jangkitan kuman dalam darah) atau penyakit radang seluruh badan yang membawa maut disebabkan oleh jangkitan yang teruk. "Selepas mendapatkan rawatan di HSB pada 25 Feb lalu, keadaan dia semakin pulih dan pada 5 Mac lalu, Ketua Puteri Umno Kulim-Bandar Baharu, Nor Sabrina Mohd Noor telah membantu kami membawa dia ke Kedah Medical Centre (KMC) bagi mendengar pandangan daripada doktor pakar kulit di situ. "Selepas diperiksa, doktor di KMC menyuruh kami membawa dia ke HSB semula kerana sudah mempunyai rekod pemeriksaan di sana. Apabila dibawa ke HSB semula, dia ditahan di dalam ICU selama 10 hari sebelum meninggal dunia pagi tadi," katanya kepada pemberita di kampung Kuala Bangka, Kota Sarang Semut di sini. Khairul Nizam berkata pada Sabtu lalu doktor telah memberitahunya dan isteri bahawa peluang untuk bayi mereka hidup hanya 50/50. "Pada pukul 11 malam semalam, keadaan dia semakin lemah dan sekitar pukul 12 pagi, doktor memberitahu bahawa jantung anak saya terhenti sementara sebelum mereka berjaya memberikan bantuan oksigen tetapi sejam kemudian keadaan semakin kritikal dan akhirnya disahkan meninggal dunia," katanya. Sementara itu, Khairul Nizam berkata dia akan berbincang dengan anggota keluarganya sama ada ingin mengambil tindakan undang-undang terhadap klinik swasta yang telah menyebabkan kematian anaknya. Isterinya Nur Shazira Mohd Salleh, 23, berkata sebelum Muhammad Nasrullah meninggal dunia, dia berasa tidak sedap hati ditambah pula melihat berat badan anaknya turun mendadak daripada 9.6 kilogram kepada 6. 3 kilogram dalam tempoh 10 hari. "Tiga hari kebelakangan ini hati saya tidak sedap kerana saya lihat perubahan dia semakin letih dan tidak mahu minum susu seperti sebelum ini. Tapi dia tidak menangis kesakitan dan hanya merenung wajah saya. "Saya tidak dapat bersama dengan dia sepanjang dia berada di dalam ICU. Saya hanya dapat memegang semasa menyusukan dia dan kali terakhir saya melihat dia pada pukul 1 pagi sebelum dia meninggal dunia 25 minit kemudian," katanya. Jenazah Muhammad Nasrullah dikebumikan di tanah perkuburan Masjid Permatang Buluh di sini pada pukul 9 pagi tadi. Pada 16 Feb lalu, badan bayi itu didapati mula melecur dan bertukar menjadi kehitaman selepas beberapa hari menggunakan ubat makan dan sapu yang diberi sebuah klinik swasta di sini ketika mendapatkan rawatan akibat ruam sebelum dibawa ke HSB untuk rawatan lanjut. -- BERNAMA


Mekanik Dipenjara 24 Tahun Kerana Cubaan Bunuh Dua Bayi
MOHD. AFIZI mengaku salah cuba bunuh dua bayi dihukum penjara 12 tahun oleh Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Seorang mekanik dihukum penjara 24 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana dua cubaan membunuh - anak teman wanitanya dan seorang bayi - pada Januari lepas. Hakim Ahmad Bache menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun bagi setiap pertuduhan yang dihadapi Mohd Afizi Abdul Rahman, 27, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah. Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu secara serentak bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 22 Jan lalu. Ketika menjatuhkan hukuman itu, Ahmad berkata mahkamah mengambil kira faktor mangsa yang merupakan dua bayi yang tidak mampu menyelamatkan diri dalam kejadian itu. Ahmad turut menasihatkan Mohd Afizi supaya menjadi orang yang baik selepas keluar dari penjara. Mohd Afizi yang bekerja di sebuah kedai basikal didakwa melakukan cubaan membunuh anak teman wanitanya, Nur Airis Qaliesya yang berusia satu tahun tiga bulan dan seorang bayi Nur Dia Syazana, anak kepada jiran wanita itu yang berusia dua bulan ketika kejadian. Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Perumahan Projek Rakyat (PPR) Desa Rejang, Setapak Jaya, Sentul dekat sini pada pukul 1 hingga 1.30 pagi, 21 Jan lepas, mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun. Terdahulu peguam Chris Kooi Wei Kit yang mewakili tertuduh memohon hukuman ke atas anak guamnya diringankan kerana tertuduh di bawah pengaruh dadah ketika kejadian itu berlaku. Beliau berkata tertuduh telah mengambil dadah jenis syabu dan tidak tidur selama tiga hari dan berada di bawah khayalan pada masa kejadian. "Pada hari itu Mohd Afizi bergaduh dengan teman wanitanya serta ibu teman wanitanya, dia dimaki dan dimarahi oleh ibu teman wanitanya, oleh itu faktor yang menyumbang kepada kelakukan tertuduh adalah disebabkan oleh tahap pembelajaran rendah sehingga darjah lima, kesan dadah dan provokasi," katanya. Timbalan Pendakwa Raya Norazlin Mohamad Yusoff memohon hukuman berat kerana pertuduhan itu adalah serius dan dilakukan ke atas kanak-kanak. Norazlin berkata walaupun niat tertuduh adalah untuk membakar kekasihnya, tetapi perbuatan Mohd Afizi membakar keseluruhan bilik dengan mengetahui kewujudan dua kanak-kanak yang berada di dalam bilik itu jelas menunjukkan bahawa tertuduh mempunyai niat yang sama terhadap kanak-kanak tersebut. Pada 18 Feb lepas, Mohd Afizi dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tuduhan membunuh teman wanitanya Saliza Saidin, 29, yang meninggal dunia pada 1 Feb lepas setelah 12 hari dirawat di Unit Rawatan Kebakaran Hospital Kuala Lumpur (HKL). -- BERNAMA

150 Koperasi Wujud Skim Ar-Rahnu, Catat Perolehan RM600 Juta
KUCHING, 17 Mac (Bernama) -- Sebanyak 150 koperasi telah mengadakan skim Ar-Rahnu iaitu program mikro kredit berasaskan pajak gadai Islam, sejak garis panduan aktiviti itu dikeluarkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), pada 1 Mac tahun lepas. Pengerusi Eksekutif SKM, Datuk Nik Ali Mat Yunus berkata sejak pengenalan garis panduan itu, perolehan aktiviti Ar-Rahnu mencatat peningkatan kepada RM600 juta. "SKM membiarkan koperasi menjalankan aktiviti Ar-Rahnu tanpa had kerana sistem pajak gadai Islam dilihat menjadi pilihan," katanya kepada pemberita selepas melawat Koperasi Koppes Sarawak Berhad, di Kuching, Isnin. Nik Ali berkata koperasi kecil perlu mengambil peluang menjadikan skim Ar-Rahnu sebagai salah satu cabang perniagaan mereka. --BERNAMA

300 Majikan Didakwa Atas Pelbagai Kesalahan Akta Keselamatan Pekerja
DUNGUN, 17 Mac (Bernama) -- Purata 300 majikan dibawa ke mahkamah setiap tahun oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) kerana didakwa melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja 1994. Ketua Pengarahnya Datuk Dr Johari Basri berkata antara kesalahan yang sering dilakukan majikan ialah gagal mendaftarkan perusahaan, mendaftarkan pekerja dan lewat melaporkan kemalangan di tempat kerja. "Ada juga majikan yang didakwa kerana gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja ketika di tempat kerja serta tidak mematuhi sistem kerja yang ditetapkan mengikut piawaian standard JKKP. "Namun berikutan pelbagai kempen yang dijalankan setakat ini mendapati tahap kesedaran majikan untuk menyediakan persekitaran kerja yang selamat sudah bertambah baik iaitu peningkatan 35 peratus berbanding 10 tahun lepas," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis sambutan meraikan kejayaan 10 juta jam tanpa kemalangan oleh Newwin Engeneering (M) Sdn Bhd dekat Paka di sini Isnin. Dalam perkembangan lain, Johari berkata kadar kemalangan di tempat kerja semakin menurun iaitu sebanyak 30 peratus bagi tempoh 10 tahun kebelakangan ini. Kemalangan jalan raya sebenarnya menjadi penyumbang utama kematian pekerja, katanya. Beliau berkata JKKP juga menyasarkan untuk menurunkan kadar kemalangan kepada 3 per 1000 orang menjelang 2015 berbanding 3.2 per 1000 orang sekarang. "Kadar kemalangan tertinggi dicatatkan oleh sektor pembuatan manakala kematian tertinggi oleh sektor pembinaan. "Jika boleh kita ingin mencapai tahap negara maju iaitu pada kadar 2 kes kemalangan per 1,000 orang," katanya. -- BERNAMA

Malaysia Perlu Bersedia Berdepan Satu Lagi Krisis Kewangan - Mahathir
KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Malaysia perlu bersedia berdepan dengan satu lagi krisis kewangan dunia yang dijangka berlaku berikutan kenaikan harga dan kurang kuasa membeli, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed. Beliau berkata negara perlu merangka strategi berdasarkan pengalaman lalu dan mencari punca krisis. "Dengan krisis kewangan semasa dan yang lepas, kita perlu meneliti dan seterusnya mencari idea-idea mengenai cara bagi menyediakan diri kita untuk mengatasinya," kata Dr Mahathir pada sidang akhbar selepas sesi meja bulat antarabangsa Yayasan Kepimpinan Perdana, mengenai 'Bertahan Dalam Krisis Kewangan Global Akan Datang', di ibu negara, Isnin. Beliau berkata peringkat pertama akan melibatkan memahami mekanisme dan apabila dicapai, krisis berkenaan boleh diuruskan. "Saya bekas doktor dan pendekatan kita perlu seperti seorang doktor," kata Dr Mahathir. Sesi meja bulat itu membincangkan cara-cara untuk mengatasi krisis kewangan dan hasilnya akan dikemukakan kepada kerajaan. Sesi itu anjuran Yayasan Kepimpinan Perdana dan ditaja oleh YTL Corp Bhd, Malaysia Airlines, Bina Puri, Westports, AmBank, UEM dan Bank Rakyat. Pesertanya termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Tan Sri Azman Mokhtar, Timbalan Pengerusi Khazanah Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Pengerusi AmBank Tan Sri Azman Hashim, Pengarah Urusan YTL Tan Sri Francis Yeoh Sock Ping, Pengerusi Bank Rakyat Tan Sri Sabbaruddin Chik, Pengerusi/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Symphony Life Tan Sri Azman Yahya dan Pengerusi ISIS Tan Sri Jawhar Hassan. Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata beliau sedih dengan insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370, sejak 8 Mac lepas. "Anehnya ia tidak boleh dikesan melalui satelit dengan 20 negara membantu dalam usaha mencari dan menyelamat," kata beliau. --BERNAMA

Tiga penuntut muncul graduan terbaik ACCA dunia
KUALA LUMPUR - Tiga penuntut Malaysia meraih hadiah sebagai graduan terbaik Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) peringkat dunia. Loh Jia Ying, Saw Li Jee dan Jasreen Kaur A/P Mamohan memperoleh markah tertinggi bagi kertas ACCA masing-masing bagi peperiksaan Disember 2013 dan merupakan antara 15 penerima hadiah ACCA di peringkat dunia bagi mengiktiraf kecemerlangan pencapaian mereka. "Tahniah saya ucapkan kepada tiga pelajar cemerlang kita yang sekali lagi meletakkan Malaysia di peta dunia dan membuktikan kemampuan rakyat negara ini sememangnya bertaraf dunia," kata Ketua ACCA Malaysia, Jennifer Lopez dalam satu kenyataan hari ini. Jia Ying memperoleh markah tertinggi nagi kertas P4 ACCA (Pengurusan Kewangan Lanjutan) dan menerima 'ACCA Top Affiliate for Malaysia' yang mengiktiraf pelajar ACCA dengan markah terkumpul tertinggi berdasarkan lima kertas peperiksaan peringkat profesional yang diambil dalam satu peperiksaan. Li Jee pula memperolej markah tertinggi di peringkat dunia bagi kertas F7 ACCA (Laporan Kewangan) manakala Jasreen bagi kertas P1 (Tadbir Urus, Risiko dan Etika) yang diambil ketika beliau bekerja sebagai seorang penolong pengurus di Jabatan Penasihat PricewaterhouseCoopers (PwC). - Bernama

Bung Mokhtar
MP mahu kerajaan siasat kes dadah di FMFA
KUALA LUMPUR - Seorang wakil rakyat hari ini meminta kerajaan menyiasat dan mengadakan kajian terperinci berhubung kes penggunaan dadah di konsert Festival Future Music Asia 2014 (FMFA), Sabtu lepas. Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) berkata penggunaan dadah di konsert sebegitu di negara ini adalah mengejutkan dan tidak seharusnya berlaku. "Saya mahu kerajaan mengkaji, kenapa apabila ada konsert (FMFA), ada yang mati, kematiannya pula kerana pengambilan dadah berlebihan, kenapa dibenarkan dalam konsert sebegini. "Saya tidak tahu macam mana tidak ada kawalan ke arah untuk mengekang (penggunaan dadah)," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Diraja pada persidangan Dewan Rakyat di sini. Awal pagi Sabtu lepas, enam orang, termasuk tiga wanita, meninggal dunia manakala 14 individu dirawat di hospital akibat mengambil dadah ketika menonton konsert FMFA. Enam orang yang meninggal dunia itu adalah warga tempatan berumur 19 hingga 28 tahun. Persidangan dewan disambung esok. - Bernama

MH370
India nafi laporan serangan ala 9/11
NEW DELHI - INDIA. India menolak laporan kononnya pesawat Malaysia yang hilang dihalakan ke negara itu untuk serangan ala 9/11. Menteri Luar Salman Khurshid berkata India tidak ada menerima sebarang petunjuk tentang serangan seumpama itu. "Saya tak fikir kita pergi sejauh itu. Namun agensi keselamatan akan mengkaji segala kemungkinan," katanya kepada saluran tv CNN-IBN. Bagaimanapun, beliau menegaskan agensi-agensi keselamatan akan mengkaji segala sudut, dan memberi jaminan India akan berusaha sedaya upaya membantu operasi menyelamat. "Kami akan beri mereka apa yang perlu...sokongan dari segi sumber tenaga, kapal dan kelengkapan. "India membekalkan bilangan terbesar kapal-kapal. Kami akan terus berbuat demikian sedaya upaya kami, tetapi operasi akan diketuai oleh mereka," kata beliau tentang operasi mencari dan menyelamat. India merupakan satu daripada beberapa negara yang diminta oleh Malaysia untuk membantu dalam operasi mencari pesawat MAS yang hilang itu. - Bernama

Batal konsert: FMFA akan pulangkan bayaran PDRM
Polis: Enam Pengunjung Konsert FMFA Maut 10 Minit Selepas Ambil Dadah
KUALA LUMPUR - Siasatan awal polis mendapati enam pengunjung konsert mati dalam tempoh 10 minit selepas mengambil dadah ecstacy jenis baharu. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, dadah jenis baharu itu didapati baru berada dalam pasaran negara ini dan kemungkinan sedang diuji sindiket dadah. Katanya siasatan polis juga mendapati mereka berkongsi dadah itu yang dijual kepada pengunjung konsert Festival Future Music Asia 2014 (FMFA) di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini dengan harga tertentu. "Hasil siasatan dan saringan awal daripada ujian hospital, kesemua mereka positif dadah jenis methampetamine dan ampetamine,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini. Awal pagi Sabtu lepas, enam orang termasuk tiga wanita, meninggal dunia akibat pengambilan dadah selepas mengalami sesak nafas ketika menonton konsert berkenaan manakala 15 individu lagi dirawat di hospital. Ekoran insiden itu, konsert itu yang sepatutnya berlangsung tiga hari dibatalkan pada hari terakhir semalam. Mereka dirawat di Hospital Kuala Lumpur, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) manakala seorang dibenarkan keluar dari PPUM semalam. Noor Rashid berkata sebelum insiden itu, polis telah menahan 40 orang iaitu sembilan orang, masing-masing memiliki ecstacy dan ganja manakala 22 orang disyaki mengambil dadah yang jenisnya belum dikenal pasti. "Mereka yang ditahan kerana memiliki ecstacy iaitu empat warga asing dan lima warga tempatan, memiliki ganja dua warga asing dan tujuh warga tempatan manakala 22 orang lagi iaitu enam warga tempatan dan 16 warga asing antaranya dari Zimbabwe, Australia, Indonesia dan India," katanya. Beliau berkata berdasarkan kajian oleh Pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) mendapati dadah baharu terhasil setiap dua minggu. - Bernama

No comments:

Post a Comment