Monday, March 17, 2014
Berita Terkini 17 Mac 2014
FMFA: 3 NGO lapor polis
KUALA LUMPUR - Tiga badan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis terhadap penganjur Future Music Festival Asia (FMFA) 2014 berikutan kematian enam individu semasa konsert itu berlangsung hujung minggu lepas. Tiga NGO itu adalah Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia(Irimm), Dewan Ekonomi dan Sosial Muslim Malaysia (Desmma)dan Lembaga Pembangunan Pengguna Malaysia (LPPM). Presiden Irimm, Amir Amsaa Alla Pitchay sebagai jurucakap kumpulan itu, ketika ditemui media selepas membuat laporan, menggesa pihak polis supaya mengambil tindakan tegas terhadap penganjur konsert itu. "Penganjur perlu bertanggungjawab dalam kes ini dan mereka sepatutnya mengikut garis panduan undang-undang negara ini. "Pihak penganjur perlu memberi penekanan dalam hal keselamatan penonton bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini," katanya selepas membuat laporan polis itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini. Amir Amsaa berkata, konsert itu dilihat memberi kesan buruk kepada golongan remaja di negara ini, dan beliau menyeru Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Belia dan Sukan untuk mengambil tindakan sewajarnya dalam menangani isu itu. Dalam kejadian awal pagi Sabtu lepas, enam warga tempatan, termasuk tiga wanita berusia 19 hingga 28 tahun, meninggal dunia akibat pengambilan dadah ketika konsert FMFA berlangsung di Stadium Bukit Jalil. Empat belas orang lagi dimasukkan ke hospital. Konsert tiga hari yang bermula sejak Khamis lepas, bagaimanapun dibatalkan pada Sabtu ekoran kejadian itu. - Bernama
MH370: Malaysia hantar nota diplomatik
SEPANG - Malaysia telahpun menghantar nota diplomatik kepada 14 negara di kawasan dua koridor bagi membantu pencarian pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac. Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin berkata, lebih separuh daripada negara berkenaan menyatakan persetujuan secara lisan bagi membantu Malaysia mencari pesawat itu. Beliau berkata Malaysia masih menunggu respons negara lain terhadap nota diplomatik yang dihantar pagi ini. "Harapan kita agar semua negara terbabit akan memberi respons terhadap permintaan kita. Jadi perkara ini tidak akan jadi masalah kerana kebanyakan negara terbabit sudahpun bersetuju secara lisan," katanya dalam sidang akhbar perkembangan pencarian pesawat MH370 di sini hari ini. sabtu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa pencarian pesawat MH370 memasuki fasa baharu dengan tumpuan beralih ke dua kawasan iaitu koridor utara dan koridor selatan. Koridor utara dianggarkan menjangkau dari sempadan Kazakhtstan dan Turkmenistan sehingga ke utara Thailand manakala koridor selatan dianggarkan menganjur dari Indonesia ke utara Lautan Hindi. Malaysia, menerusi Kementerian Luar, menghantar nota diplomatik bagi meminta negara yang berada dalam kedua-dua koridor menyalurkan bantuan lanjut, termasuk data satelit dan analisis, data radar serta aset maritim. Antara negara terbabit ialah Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan, Turkmenistan, Pakistan, Bangladesh, India, Vietnam, Thailand dan Indonesia. Pesawat MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi 8 Mac. Ia dijadual mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. - Bernama
Bekas pembantu peguam Anwar menyamar?
KAJANG - Pengerusi MyWatch, R. Sri Sanjeevan mendakwa bekas pembantu peguam kes liwat Anwar, Yuktesvaran Malaipan cuba menyamar sebagai pegawai khas kepada timbalan menteri pendidikan Malaysia untuk kepentingan peribadi. Dakwanya, tindakan Yuktes itu agak serius apabila beliau menggunakan gelaran itu untuk kegunaan rasmi dengan kerajaan termasuk laporan polis pada Februari lalu. "Bagaimana seorang peguam itu boleh menyalahgunakan gelaran itu sedangkan pegawai timbalan menteri terbabit mengesahkan nama Yuktes tidak tersenarai dalam senarai bayaran gaji," katanya pada sidang media di Sg Chua, di sini, hari ini. Yuktes merupakan salah seorang peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sebelum ini pernah menawarkan diri bertanding pada PRK N25 Kajang untuk menentang bekas bosnya. Bagaimanapun Yuktes menarik diri apabila mengetahui mahkamah rayuan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas ketua pembangkang itu sekali gus Anwar hilang kelayakan bertanding. Dalam pada itu, Sanjeevan turut mendedahkan Yuktes melakukan beberapa penipuan lain termasuk menggunakan alamat rumah orang lain untuk tujuan bertanding di Kajang. "Berdasarkan carian MyWatch, pemilik rumah itu ialah seorang Cina, Encik Chin dan alamat rumahnya di Country Heights, Kajang telah disalahgunakan Yuktes tanpa pengetahuannya. "Malah carian saya di Jabatan Pendaftaran Malaysia mengesahkan Yuktes telah mengubah alamat dalam kad pengenalannya untuk bertanding di Kajang," dakwanya. Selain Kajang, Sanjeevan mendakwa Yuktes juga menyalahgunakan dua lagi alamat berasingan untuk kegunaan rasmi kerajaan. Antaranya di Taman Bayu Perdana, Klang dan Bandar Bukit Beruntong, Rawang.
Ahli perniagaan saman Zarina Anjoulie, 5 yang lain
KUALA LUMPUR - Seorang ahli perniagaan memfailkan saman terhadap pelakon Zarina Anjoulie, kerajaan dan empat lagi atas dakwaan berlaku kecuaian serta penipuan membabitkan sebuah kereta mewah milik arwah bapanya. Kevin Shah Kadar Shah, 33, memfailkan saman itu menerusi Tetuan Jeev Anand & Partners di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada 13 November tahun lepas. Beliau turut menamakan pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor, Kementerian Pengangkutan Malaysia, kerani penghantar surat Salleh Idris dan Public Islamic Bank Berhad sebagai defendan. Pada prosiding hari ini, Hakim Hue Siew Kheng yang mendengar kes itu dalam kamar, menetapkan 7 April depan untuk mendengar permohonan plaintif bagi meminda penyataan tuntutan dan permohonan Salleh bagi membatalkan saman terhadapnya. Peguam J.Jev Anand mewakili Kevin Shah, peguam YK Leong mewakili Salleh manakala Peguam Persekutuan Nur Aqilah Ishak bagi pihak kerajaan, JPJ Negeri Selangor dan Kementerian Pengangkutan Malaysia. Penyataan tuntutan Kevin Shah mendakwa arwah bapanya, Kadar Shah Sulaiman membeli sebuah kereta terpakai jenis BMW dengan nombor pendaftaran WTN 8850 yang didaftarkan atas nama bapanya pada 17 Mei 2010 dan menandatangani perjanjian sewa beli dengan Public Islamic Bank pada 11 Mei, tahun sama. Beliau mendakwa bapanya meminjamkan kereta itu kepada Zarina, yang merupakan rakan Kadar Shah, sekitar Jun 2010 untuk kegunaan harian dan kereta itu masih dalam milikan pelakon berkenaan sehingga bapanya meninggal dunia pada 19 November 2011. Kevin Shah mendakwa selepas kematian bapanya, Zarina tidak pernah memulangkan kereta itu dan sebelum beliau sempat menghubunginya untuk berbincang, pihak bank menarik kereta berkenaan selepas ansuran bulanan gagal dilunas mengikut perjanjian. Ahli perniagaan itu mendakwa Public Islamic Bank memulangkan kereta berkenaan kepadanya pada 21 Febuari tahun lepas setelah beliau melunaskan segala tunggakan ansuran bulanan. Bagaimanapun, Kevin Shah berkata beliau terkejut apabila mendapati kereta itu didaftarkan dengan nombor pendaftaran BLP 8858 sedangkan bapanya tidak pernah membuat sebarang permohonan kepada JPJ untuk mendaftarkan kenderaan miliknya dengan nombor BLP 8858. Kevin Shah juga mendakwa Kementerian Pengangkutan, melalui surat bertarikh 18 Mac 2013, memaklumkan bahawa nombor WTN 8850 telahpun didaftarkan ke atas kenderaan lain, iaitu sebuah motosikal atas nama bapanya, manakala nombor BLP 8858 didaftarkan bagi kereta BMW itu. Beliau berkata JPJ, melalui surat bertarikh 3 Jun 2013, menyatakan pertukaran nombor pendaftaran antara kereta dan motosikal itu dibuat pada 14 Febuari 2012 namun perkara berkenaan adalah mustahil kerana bapanya telah meninggal dunia sebelum tarikh pertukaran. Oleh itu, Kevin Shah mendakwa sebarang permohonan yang diterima JPJ tidak pernah ditandatangani bapanya dan mendakwa jabatan berkenaan gagal mengesan tandatangan yang terkandung dalam permohonan untuk pertukaran nombor WTN 8850 dari kereta kepada motosikal dan juga pertukaran nombor BLP 8858 dari motosikal kepada kereta. Beliau juga mendakwa Zarina, Salleh dan Public Islamic Bank berkomplot melakukan penipuan ke atas bapanya bagi penukaran nombor kereta dan motosikal itu bagi tujuan melenyapkan kereta berkenaan daripada milikan Kadar Shah. Kevin Shah menuntut ganti rugi am, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah, selain memohon deklarasi bahawa pertukaran nombor pendaftaran kereta dan motosikal itu adalah tidak sah dan terbatal. - Bernama
Komunikasi terakhir oleh pembantu juruterbang "all right, good night"
SEPANG - Komunikasi terakhir daripada kokpit penerbangan MH370 dilakukan oleh pembantu juruterbang Fariq Abdul Hamid, sebelum pesawat ke Beijing itu hilang pada awal pagi 8 Mac. Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Ahmad Jauhari Yahya dalam sidang media harian berkenaan perkembangan terkini pencarian MH370 hari ini, berkata berdasarkan siasatan awal, Fariq yang menghantar mesej radio terakhir "all right, good night" pada 1.19 pagi sebelum pesawat hilang daripada imbasan radar. Beliau berkata nada suara Fariq juga tidak menunjukkan tanda-tanda stres ketika mengucapkan "all right, good night". (baiklah, selamat malam) Ahmad Jauhari mengulangi transmisi terakhir Sistem Pengendalian Komunikasi dan Laporan Pesawat (ACARS) diterima pada 1.07 pagi. "Bagaimanapun kami tidak tahu bila ACARS dimatikan selepas itu," katanya. Beliau berkata syarikat itu mempertimbangkan untuk memperkasa ujian rutin aspek psikologi, psikometrik dan psikomotor juruterbang selain memperketat syarat pengambilan baharu. Beliau berkata syarikat kini dalam 'code tango', iaitu kod dalaman yang bermakna kod keselamatan yang dipertingkatkan, dan syarikat meneliti semua kemungkinan petunjuk atau kelemahan. Ahmad Jauhari turut menolak spekulasi bahawa juruterbang Kapten Zaharie Ahmad Shah ditukar pada saat-saat akhir untuk menerbangkan MH370 pada 8 Mac. "Beliau memang dijadualkan (untuk MH370)," katanya. Mengenai kargo, Ahmad Jauhari berkata selain bagasi, pesawat turut membawa antara tiga dan empat tan buah manggis. Beliau juga berkata tiada bukti penumpang penerbangan MH370 membuat panggilan telefon atau menghantar mesej teks selepas pesawat itu hilang. "Kami masih menyiasat. Ada sejuta rekod yang perlu kami proses. Ini masih dilakukan sebagai sebahagian daripada siasatan," kata Ahmad Jauhari. - Bernama
Pemandu maut, 2 parah bas ekspres jatuh gaung
GOPENG - Seorang pemandu bas maut manakala dua penumpang parah apabila bas ekspres yang dinaiki mereka terbabas dan terjunam ke gaung sedalam hampir 10 meter di Kilometer 301.5 Lebuhraya Utara-Selatan laluan ke utara, berhampiran Gua Tempurung di sini hari ini. Mangsa dikenali sebagai Hasmir Arshad, 43, dari Bercham, Ipoh, maut di tempat kejadian. Dua penumpang, Mong Ming Chai, 48, dan Farahzela Zainal Abidin, 27, masing-masing dari Salak Utara, Kuala Kangsar dan Kampung Jalong, Sungai Siput parah dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk rawatan lanjut. Ketua Polis Daerah Kampar Supritendan Ng Kong Soon berkata kemalangan pada pukul 4.25 petang itu dipercayai berlaku apabila bas ekspres dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh itu cuba mengelak sebuah kereta jenis Toyota Avanza yang terbabas di hadapannya. Ini mengakibatkan bas membawa dua penumpang terbabit hilang kawalan dan merempuh penghadang tepi lebuh raya itu sebelum terjunam ke dalam gaung yang terletak kira-kira lima kilometer dari plaza tol Gopeng, katanya di sini. Ng berkata ketika kejadian, bas itu melalui jalan lurus manakala cuaca pula baik. Sementara itu, rakan Hasmir, Rosli Shaari, 43, berkata mangsa berpengalaman memandu bas selama lebih 10 tahun dan tidak pernah melaporkan sebarang masalah yang dihadapinya berhubung bas tersebut. Rosli yang bekerja sebagai pemandu bas di syarikat yang sama, berkata pemandu mempunyai jadual khusus bagi kekerapan perjalanan bas setiap hari dengan satu atau dua kali perjalanan sahaja. "Bas sentiasa diselenggara dari semasa ke semasa di kawasan bengkel di Simpang Pulai. Saya mengenali Hasmir lebih enam tahun dan dia mempunyai seorang isteri dan tiga anak yang kini tinggal di Medan, Indonesia," katanya. - Bernama
Masih ada harapan bagi MH370
KUALA LUMPUR - Hakikat bahawa tiada panggilan kecemasan, tiada pihak menuntut wang tebusan dan tiada mana-mana kumpulan mengaku bertanggungjawab terhadap kehilangan pesawat MH370 memberi harapan bahawa pesawat itu dapat ditemui. "Masih ada harapan bagi MH370 oleh kerana tiada panggilan distres, tiada pihak menuntut wang tebusan atau mana-mana kumpulan mendakwa bertanggungjawab," kata Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada sidang media mengenai usaha mencari pesawat MH370 di sini, hari ini. Harapan itu juga terpancar dalam operasi di udara apabila operasi mencari dan menyelamat, membabitkan 26 negara, bermula hari ini dengan tumpuan kepada koridor selatan membabitkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Australia dan Indonesia bersetuju untuk mengetuai usaha pencarian di dua sektor koridor selatan di rantau masing-masing. Dalam tempoh 24 jam lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah berhubung dengan rakan sejawatannya dari Australia dan China. Dalam responsnya, Perdana Menteri Australia, Tony Abbott berkata Canberra berdiri di belakang Malaysia dalam keadaan yang amat sukar ini dan dengan senang hati memikul tanggungjawab tambahan ini. Duta Vietnam ke Malaysia, Nguyen Hong Thao pula berkata kerajaannya komited untuk meneruskan kerjasama dengan Malaysia dalam usaha mencari pesawat berkenaan. Pesawat MAS MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pukul 12.41 pagi pada 8 Mac. Pesawat itu sepatutnya tiba di Beijing pukul 6.30 pagi hari yang sama. Pesawat itu telah menyimpang daripada laluan asalnya dan pihak berkuasa Malaysia percaya pesawat itu mungkin telah memasuki satu daripada dua koridor penerbangan iaitu koridor utara menjangkau dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand, atau koridor selatan yang meliputi dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi. Ketika insiden kehilangan pesawat itu masuk hari kesembilan, nasib penumpang pesawat Boeing 777-200ER belum diketahui dan usaha mencari dan menyelamat membabitkan pelbagai negara belum berhasil. Susulan insiden itu, Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan, berjanji untuk mengkaji semula sistem radar negara selepas operasi mencari pesawat berkenaan selesai. Sementara itu, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, yang melawat keluarga beberapa penumpang dan anak kapal rakyat Malaysia di Hotel Everly, Sepang dan menasihatkan mereka supaya bertenang dan bersabar. - Bernama
Tujuh R&R, hentian ditutup sementara
KUALA LUMPUR - Tujuh kawasan rehat dan rawat (R&R) serta hentian sebelah di Lebuhraya Utara-Selatan akan ditutup mulai esok sehingga Khamis ini bagi kerja-kerja penyelenggaraan. Menurut Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (Plus) dalam kenyataan hari ini, penutupan bermula jam 8 pagi sehingga 5 petang melibatkan R&R Ulu Bernam (arah selatan) dan Hentian Sebelah Bukit Gantang di kedua-dua arah. Hentian Sebelah Taiping (arah selatan) dan R&R Gunung Semanggol (arah selatan) akan ditutup jam 8 pagi sehingga 5.30 petang. Sementara penutupan pada jam 8.30 pagi sehingga 5.30 petang melibatkan R&R Seremban di kedua-dua arah. Plus memaklumkan bahawa semua gerai, kiosk serta kemudahan lain akan ditutup kepada orang ramai sepanjang kerja-kerja penyelenggaraan tersebut dijalankan kecuali stesen minyak. Talian PlusLine 1-800-88-0000 boleh dihubungi untuk mendapatkan keterangan lanjut mengenai penutupan sementara ini. - Bernama
TLDM, TUDM cari MH370 di koridor selatan
KUALA LUMPUR - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ditugaskan mencari pesawat MH370 yang hilang dengan mengerah aset mereka di kawasan koridor selatan, kata pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, hari ini. Koridor selatan menjangkau dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi, manakala koridor utara pula dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand. Hishammuddin, yang juga menteri pertahanan berkata, jumlah negara yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini meningkat daripada 14 kepada 26 buah. Negara berkenaan adalah Malaysia, Australia, Bangladesh, Brunei, China, Perancis, India, Indonesia, Jepun, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Laos, Myanmar, New Zealand, Pakistan, Filipina, Rusia, Singapura, Korea Selatan, Thailand, Turkmenistan, Emiriyah Arab Bersatu, United Kingdom, Amerika Syarikat, Uzbekistan dan Vietnam. "Kementerian Luar telah menghantar nota diplomatik kepada semua negara di sepanjang koridor utara dan selatan serta semua negara yang kita memohon bantuan," kata Hishammuddin. Hishammuddin berkata, nota diplomatik itu menggariskan sokongan dan bantuan khusus yang diperlukan, termasuk maklumat radar dan satelit; operasi mencari di darat, laut dan udara; pelan tindakan mencari dan menyelamat bagi negara berkaitan; dan perincian berkaitan apa jua maklumat yang diperlukan daripada Malaysia. Beliau turut mengesahkan tiga pegawai daripada Agensi Penyiasatan Keselamatan Penerbangan Awam Perancis (BEA) kini berada di Kuala Lumpur untuk membantu operasi SAR itu. Pegawai berkenaan akan berkongsi kepakaran dan pengetahuan berdasarkan pengalaman yang mereka peroleh semasa mencari pesawat 447 Air France yang terjunam ke Lautan Atlantik di perairan Brazil ketika dalam penerbangan dari Rio de Janeiro ke Paris pada 1 Jun, 2009, mengorbankan kesemua 228 penumpang dan anak kapal. Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi 8 Mac. Ia dijadual tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. - Bernama
Kualiti udara di seluruh negara bertambah baik
KUALA LUMPUR - Kualiti udara di seluruh negara terus menunjukkan pemulihan dengan hanya 10 kawasan mencatat IPU sederhana baik tengah hari ini, berbanding 11 kawasan pada sebelah pagi. Senarai bacaan IPU setakat 1 tengah hari dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS), menunjukkan hanya Port Dickson yang menunjukkan peningkataan bacaan IPU daripada 31 (baik) kepada 55 (sederhana baik). Sembilan kawasan lain yang turut mencatatkan IPU sederhana baik ialah Kuantan (73), Putrajaya (66), Banting (61), Pelabuhan Klang (59), Muar (56), Kangar (54), Petaling Jaya (53), Shah Alam (51) dan Alor Star (51). Manakala 41 kawasan mencatatkan IPU baik. Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya). Orang ramai boleh merujuk ke portal http:apims.doe.gov.my kendalian JAS untuk mengetahui bacaan IPU. - Bernama
Simulator dipasang semula di Bukit Aman
KUALA LUMPUR - Simulator penerbangan milik juruterbang pesawat MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah dipasang semula di Bukit Aman, demikian menurut kenyataan Kementerian Pengangkutan, hari ini. Kenyataan itu menyebut simulator penerbangan berkenaan diambil dari rumah juruterbang terbabit dengan bantuan anggota keluarganya. "Pada Ahad 9 Mac, anggota polis ke rumah juruterbang dan pembantu juruterbang serta bercakap dengan anggota keluarga. "Polis sekali lagi ke rumah juruterbang dan pembantu juruterbang terbabit pada 15 Mac," katanya. Menurut kenyataan itu, polis mula menyiasat kesemua anak kapal MH370 termasuk juruterbang dan pembantu juruterbang serta petugas lain yang mengendali pesawat berkenaan. - Bernama
Penternak ikan tak digalak beri makan perut ayam
KUANTAN - Penternak ikan sungai dalam sangkar di negeri ini, khususnya yang menternak ikan patin, tidak digalak menggunakan perut ayam sebagai makanan utama ternakan mereka. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata amalan itu dikhuatiri meninggalkan kesan terhadap kesihatan pengguna kerana isi perut ayam tersebut mungkin mengandungi bakteria berbahaya. "Kalau ingin meneruskan penggunaannya penternak perlu menggunakan kaedah yang betul iaitu merebus perut ayam itu terlebih dahulu sebelum diberi kepada ikan ternakan," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Biosekuriti Jabatan Perikanan Pahang, di sini hari ini. Katanya beliau difahamkan penternak ikan menggunakan perut ayam sebagai alternatif kepada makanan ikan termasuk pelet atas faktor kos. Sementara itu, Shafik Fauzan berkata kerajaan Pahang akan memberi peruntukan tambahan bagi menambah nilai pusat bernilai RM10 juta berkenaan dalam usaha menjadikannya pusat rujukan perikanan di Wilayah Pantai Timur. "Pusat Biosekuriti Perikanan ini yang merupakan makmal bagi menganalisis produk perikanan sama ada yang dijual di dalam mahupun luar negara, perlu dilengkapi dengan sebuah perpustakaan untuk meletakkan hasil kajian dan pelbagai bahan rujukan lain yang berkaitan. "Jika dibandingkan dengan harga bangunan dan peralatan yang telah disediakan tidak lengkap dengan hanya memiliki alat canggih tetapi tidak ada perpustakaan bagi pusat rujukan pelbagai pihak bukan sahaja untuk negeri ini, malah seluruh wilayah Pantai Timur ini," katanya. - Bernama
SEGERA: Obama Tetap Nak Melawat Malaysia April Ini
Wakil kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur memberi isyarat bahawa kes kehilangan pesawat MH370 tidak menjejaskan lawatan presidennya, Barack Obama ke wilayah ini pada bulan April. Atase Akhbar Kedutaan AS Harvey Sernovitz berkata tarikh bagi jadual lawatan yang turut meliputi Malaysia itu bagaimanapun masih belum ditetapkan. “Seperti yang White House nyatakan bulan lalu, Presiden akan melawat Malaysia sebagai sebahagian dari kunjungan ke empat negara di Asia pada penghujung April. “Tarikh sebenar dan jadualnya masih belum diperolehi buat masa ini,” kata Sernovitz dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.
Reuters Dakwa Jurutera Pesawat Yang Juga Penumpang MH370, Khairul Amri Disiasat
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat jurutera pesawat yang juga merupakan penumpang dalam pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang hilang selain memfokuskan kepada juruterbang dan sesiapa yang mempunyai kemahiran teknikal penerbangan, kata pegawai kanan polis. Jurutera pesawat, Mohd Khairul Amri Selamat, 29, rakyat Malaysia yang dikatakan berkhidmat dengan syarikat jet peribadi seperti tersebar di laman sosial. “Ya kami memantau Khairul, penumpang dan anak kapal lain. Fokus tertumpu kepada mereka yang mempunyai kepakaran penerbangan di dalam pesawat itu,” kata pegawai penyiasat itu kepada Reuters. Siasatan dimulakan dengan memeriksa latar belakang juruterbang dan anak kapal yang berkhidmat dalam pesawat Boeing 777-200ER (9M-MRO) yang hilang itu bagi mendapatkan petunjuk. Tiada petunjuk pesawat itu ditemui selepas lebih seminggu ia dilaporkan hilang yang dipercayai menghala ke kawasan lain oleh pihak mempunyai pengetahuan penerbangan. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata pada Sabtu bukti mendapati pesawat dilencongkan ke barat daripada laluan asalnya Kuala Lumpur-Beijing. Jurutera pesawat bertanggungjawab memastikan sistem pesawat berfungsi dan membaikinya jika perlu. Sebagai jurutera yang pakar dalam jet eksklusif, Khairul tidak perlu menguasai semua pengetahuan penerbangan bagi menerbangkan pesawat komersial. Khairul sebelum ini mendakwa dia bekerja di firma jet catar berpengkalan di Switzerland iaitu Execujet Aviation Group namun syarikat itu enggan mengesahkan kedudukan Khairul. “Kami tidak boleh dedahkan semua. Kami mahu melindungi privasi keluarga,” menurut sumber syarikat itu. Khairul, bapa kepada seorang anak baru-baru ini membeli sebuah rumah di pinggir Kuala Lumpur dan mempunyai 10 tahun pengalaman sebagai jurutera pesawat, kata bapanya, Selamat Omar. Beliau enggan mengulas sama ada anaknya terlibat dalam perbuatan tersebut atau tidak. Selamat berkata, dia dan keluarganya sepatutnya berkunjung ke rumah baru Khairul pada bulan ini namun anaknya berkata mempunyai tugas di Beijing. “Khairul rajin bekerja dan seorang anak yang baik. Dia akan datang melawat kami sekurang-kurangnya sekali sebulan,” kata Selamat.
Pengedar Bawa Bayi Ketika Hantar Bekalan
DUNGUN – Seorang pekerja kontrak sanggup menjadikan isteri dan bayinya berusia sebulan sebagai alat untuk mengaburi pihak berkuasa dalam usahanya mengedarkan dadah berbahaya kepada penagih. Bagaimanapun taktik suspek berusia 28 itu berjaya dihidu polis ketika dia bersama isteri dan bayinya dipercayai dalam perjalanan menaiki Perodua Myvi untuk bekalkan barang larangan itu kepada individu berkaitan. Ketika ditahan, suspek yang bekerja di syarikat swasta petrokima itu dikatakan dalam perjalanan dari rumahnya di Wakaf Tengah Kuala Terengganu menuju ke rumah bapa mertuanya di Paka. Sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah diketuai Sub Inspektor Ismail Omar yang mendapat maklumat berjaya mengesan kenderaan suspek lalu menahannya di sebatang jalan berdekatan kampung Serdang. Sebaik menyedari kenderaannya dipintasi, suspek dipercayai cuba meloloskan diri dengan keluar dari kereta dipandu lalu berlaku pergelutan. Pemeriksaan lanjut polis menemui 200 biji pil kemerahan disyaki dadah jenis methampethamine dalam beg sandangnya. Dadah yang popular dengan nama pil kuda itu dianggarkan bernilai RM5,000 dan dipercayai bakal diedarkan kepada penagih sekitar. Suspek terbabit yang berasal dari Kuala Terengganu bersama isterinya yang merupakan pelajar kolej swasta di Kuala Terengganu kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah untuk siasatan lanjut. Kereta Perodua Myvi dinaiki suspek juga ditahan untuk siasatan lanjut manakala isteri dan bayi mereka dibebaskan selepas polis merekodkan keterangan diberikan. Bagaimanapun ujian saringan air kencing mendapati dia bebas daripada pengaruh dadah. Suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39 A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. Ketua Polis Daerah, Pemangku Superintendan Ahmad Zailani Yaacub mengesahkan tangkapan tersebut. – Sinar Harian Online
VIDEO: Bila Anggota Tentera Naik Angin
ADALAH lumrah untuk kita melihat para pemandu bertekak di tepi jalan kerana kesilapan dalam pemanduan di jalan raya. Dalam video yang kami kongsikan ini, satu perang mulut telah tercetus antara seorang anggota tentera dengan seorang awam yang tidak diketahui punca sebenarnya. Sekali lihat, mungkin anggota tentera itu kelihatan baran kerana membawa sebatang ‘steering lock’ ketika menghampiri kereta pemandu tersebut. Bagaimanapun, menerusi komen yang diterima, mereka rata-rata bersetuju dengan tindakan anggota tentera tersebut kerana awal-awal lagi dia sudah memberitahu tujuannya membawa ‘steering lock’ tersebut. Walaupun dilihat meninggikan suara, dia dilihat masih cuba mengawal kemarahannya berbanding pemandu yang seorang lagi yang dilihat cuba membuat provokasi secara berlebih-lebihan. Apa pun, kami tetap merasakan pergaduhan bukanlah perkara terbaik untuk menyelesaikan masalah ini. Bawalah beristighfar kerana itu lebih baik untuk meredakan ‘kepanasan’ di hati.
Juruterbang Diajar Mendarat Atas Air
PETALING JAYA – Setiap juruterbang telah dilatih untuk melakukan pendaratan kecemasan di atas air tetapi tugas tersebut adalah sukar dan memerlukan banyak latihan. Seorang tenaga pengajar juruterbang yang enggan dikenali berkata, semua juruterbang telah dilatih untuk melakukan pendaratan di air melalui simulator tetapi masih mempunyai prosedur yang perlu diikuti. “Juruterbang perlu cuba mendarat di permukaan tidak rata dengan meminimumkan kerosakan pada pesawat. “Ia bukan tugas yang mudah walaupun bagi juruterbang terbaik,” katanya yang mempunyai pengalaman selama 23 tahun sebagai tenaga pengajar. Jelasnya, pesawat mampu mendarat di mana-mana kawasan yang mempunyai permukaan rata dan keras. “Jika mendarat atas Air, lebih baik mendarat di permukaan air yang tenang, malangnya kita tidak boleh membuat pilihan,” katanya. Menurutnya, juruterbang mempunyai amalan untuk mendarat di mana-mana sahaja jika pesawat berada dalam keadaan tidak terkawal seperti berlakunya kebakaran. “Walaupun perlu mendarat di atas lebuh raya, juruterbang akan melakukannya untuk mengurangkan risiko,” ujarnya. – mStar Online
MH370 ‘Turun’ 5,000 Kaki Untuk Elak Dikesan!
Ketika misi mencari dan menyelamat pesawat MH370 masuk hari ke-10 dengan hanya beberapa petunjuk mengenai di mana ia mungkin berada, akhbar New Straits Times hari ini berkata Boeing 777-200ER turun 5,000 kaki (1,500m) untuk mengelak dikesan radar komersial. Dalam berita eksklusif, akhbar itu berkata, penyiasat yang menganalisis data penerbangan MH370 mendedahkan pesawat seberat 200 tan itu turun 1,500m atau lebih bawah lagi untuk mengelak liputan radar komersial (sekunder) selepas ia berpatah balik dari laluan asal penerbangan menuju ke Beijing. Pesawat Malaysia Airlines Boeing 777-200ER (9M-MRO) hilang pada 8 Mac dengan membawa 239 penumpang. Pihak berkuasa pada Sabtu berkata, pesawat itu sengaja dilencongkan daripada laluan sebenarnya dan peralatan transmisi di atas pesawat dipadam untuk elak dikesan. Komunikasi terakhirnya ialah pada 8.11 pagi di utara Selat Melaka. Penyiasat yang mengkaji data penerbangan MH370 berkata pesawat itu terbang rendah dan menggunakan kawasan terlindung (terrain masking) ketika ia terbang merentasi Teluk Bengal dan menuju utara ke arah daratan, lapor NST. Pegawai, yang membentuk pasukan teknikal, melihat kepada kemungkinan sesiapa juga yang mengendalikan pesawat pada masa itu mengambil kesempatan terhadap kesibukan laluan udara merentasi Teluk Bengal dan tersekat kepada laluan komersial untuk mengelak disyaki oleh radar utama (tentera), kata akhbar itu. “Individu yang mengawal pesawat itu mempunyai pengetahuan kukuh mengenai avionic dan navigasi dan meninggalkan jejak yang bersih. Ia melepasi Kelantan, ia adalah benar,” kata NST memetik kenyataan pegawai yang enggan dikenali. “Terrain masking” merujuk kepada kebolehan meletakkan pesawat supaya alam semula jadi bumi menyembunyikannya daripada gelombang radio yang dihantar daripada sistem radar. Ia adalah teknik yang biasanya digunakan dalam pertempuran di mana juruterbang tentera akan terbang sangat rendah di kawasan berbukit atau pergunungan untuk melindungi kedatangan mereka. Pakar berkata, menerbangkan Beoing 777 dengan cara itu adalah berbahaya kepada kerangka pesawat udara dan boleh menyebabkan mereka di dalam pesawat pening dan mengalami disorientasi spatial. Pesawat MH370 dianggarkan terbang selama lapan jam dan pihak berkuasa percaya ia terbang merentasi dua negara lain selain Malaysia, tetapi tidak jelas negara yang mana. Pada Sabtu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata pencarian MH370 kini diluaskan ke kawasan antara Thailand hingga Kazakhstan dan Turkmenistan di utara dan Indonesia di selatan. Pencarian di kawasan baru dilancarkan selepas data satelit mendapati pesawat itu berada di salah satu daripada dua koridor: di utara ialah kawasan menjangkau dari utara Thailand ke Kazakhstan, atau di selatan, dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi. NST memetik sumber sebagai berkata, siasatan kini fokus kepada lapangan terbang yang tidak digunakan lagi tetapi dilengkapi landasan panjang yang mampu mengendalikan pesawat besar seperti Boeing 777. Putrajaya memberikan taklimat kepada wakil negara daripada hampir 24 negara dan meminta bantuan antarabangsa dalam mencari pesawat itu. “Kawasan mencari diperluaskan,” kata pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, semalam. “Daripada fokus utama kepada laut cetek, kita kini melihat kepada kawasan daratan lebih luas, merentasi 11 negara, termasuk kawasan laut dalam dan terpencil,” katanya. Siasatan juga fokus kepada latar belakang dua juruterbang, anak kapal dan kakitangan lapangan yang bekerja di pesawat yang hilang itu. Pada Sabtu, pegawai Cawangan Khas menggeledah rumah Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53, dan Pegawai Pertama Fariq Abdul Hamid, 27. Hari ini, Reuters melaporkan kata-kata terakhir dari kokpit MH370 – “all right, good night” (baiklah, selamat malam) – diucapkan oleh seseorang dalam pesawat yang sudah mula memadamkan satu daripada sistem pengesan automatik pesawat. Katanya, kedua-dua tempoh masa dan frasa yang tidak formal, diucapkan kepada pengawal trafik udara ketika pesawat meninggalkan ruang udara Malaysia boleh menambahkan lagi syak wasangka MH370 dirampas atau sabotaj. Hishammuddin semalam berkata, rakam keluar itu adalah selepas salah satu sistem komunikasi data pesawat, yang boleh menyebabkan ia tidak dikesan liputan radar, dipadamkan secara sengaja. “Jawapan kepada soalan anda ialah ya, ia ditutup sebelum,” katanya kepada media ketika ditanya jika sistem ACARS – penyelenggaraan komputer yang menghantar balik data status pesawat – dinyahaktifkan sebelum suara rakam keluar. Pemeriksaan latar belakang pesawat tidak memberi maklumat berguna tetapi tidak semua negara yang mempunyai rakyatnya dalam pesawat itu sudah memberi maklum balas terhadap permintaan informasi rakyat mereka, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Juruterbang, pembantu patut disiasat sejak hari pertama, kata anggota Kongres Amerika
Juruterbang dan pembantu juruterbang penerbangan Malaysia Airlines MH370 seharusnya menjadi tumpuan siasatan sejak hari pertama, kata anggota Kongres Amerika Syarikat (AS) daripada parti Republikan, Peter T King kepada ABC News. Menurut King yang juga merupakan anggota Jawatankuasa Keselamatan Dalam Negeri bagi Kongres AS, beliau kecewa dengan cara kerajaan Malaysia menguruskan misi mencari dan menyelamat pesawat membawa 239 penumpang dan anak kapal yang hilang pada 8 Mac semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing. “Faktanya, FBI tidak dijemput untuk membantu. Dan anda tahu seharusnya juruterbang dan pembantu juruterbang menjadi tumpuan sejak dari mula,” kata King dalam rancangan “This Week” di ABC News awal pagi ini. “Itu akan menjadi prosedur penyiasatan penguatkuasaan undang-undang biasa. FBI boleh dipanggil untuk membantu, Interpol boleh dipanggil, agensi-agensi perisikan kita,” katanya. Bagaimanapun setakat ini, katanya, masih belum ada indikasi yang menunjukkan kehilangan pesawat MH370 itu berkaitan dengan aktiviti terrorisme. “Setakat ini masih belum ada indikasi ia merupakan terrorisme. Tidak bermakna ia tidak akan tetapi setakat ini masih belum ada petanda dijumpai komuniti perisikan sejak hari pertama,” kata King yang mempengerusikan Jawatankuasa Kecil Pencegahan Keganasan dan Perisikan bagi Kongres AS kepada ABC News. King berkata, beliau difahamkan pihak berkuasa Malaysia tidak memberikan kerjasama yang baik dan keberatan untuk berkongsi maklumat dengan negara-negara yang membantu misi mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines itu. King turut menyatakan keraguan bagaimana dua warga Iran yang menaiki pesawat tersebut dengan pasport curi tidak disyaki dan dilepaskan daripada pemeriksaan keselamatan dengan cepat. “Maksud saya bagaimana mereka dapat menaiki pesawat tersebut untuk mencari suaka? Faktanya, mudah bagi mereka untuk menaiki pesawat dengan pasport curi,” katanya kepada ABC News. Dua lelaki Iran yang dikenal pasti sebagai Pouri Nourmohammadi, 19, dan Delavar Seyed Mohammad Reza, 29, dikatakan menggunakan pasport curi dan menaiki pesawat MH370 untuk ke Eropah. Pouri menggunakan pasport Austria untuk ke Jerman bagi bertemu ibunya manakala Delavar Seyed pula menggunakan pasport Itali yang dilapor dicuri, manakala tiket penerbangan mereka dibeli dari sebuah agensi pelancongan di Thailand. Kedua-dua lelaki itu meninggalkan Iran pada 22 Februari menggunakan pasport negara itu. Duta Iran ke Malaysia, Mohammad Jalal Firouznia mengesahkan kedua-dua lelaki itu memperoleh visa daripada Kedutaan Malaysia di Tehran dan mereka tiba ke negara ini menerusi penerbangan dari Doha, Qatar. Semalam, Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishamuddin Hussein mengesahkan juruterbang Kapten Zaharie Ahmad Shah dan pembantunya Fariq Abdul Hamid tidak meminta untuk penerbangan bersama ke Beijing. Beliau yang juga menteri pertahanan bagaimanapun berkata, polis menggeledah rumah juruterbang yang mempunyai simulator penerbangan dan rumah pembantu juruterbang itu pada Sabtu. Hishammuddin berkata, Malaysia sentiasa berkerjasama dengan agensi penguatkuasa antarabangsa sejak hari pertama sekali gus menafikan laporan media antarabangsa yang mengatakan kerajaan menolak bantuan polis antarabangsa Interpol untuk mengesan lokasi pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu. Semalam, ABC News melaporkan Malaysia berkali-kali menolak bantuan Interpol untuk mencari pesawat MH370. Bercakap kepada ABC News di AS, seorang pegawai yang tidak mahu dinamakan itu menuduh kerajaan Malaysia menyembunyikan maklumat dan menolak tawaran Interpol untuk membantu. “Ini merupakan taktik lama sebelum tragedi 9/11: Sembunyikan maklumat, jangan kongsi dengan sesiapa,” kata pegawai tersebut seperti dilaporkan ABC News di laman sesawangnya merujuk kepada tragedi 11 September 2001 satu ketika dahulu. – The Malaysian Insider
Nelayan putus kaki tarik pukat
SENAI – Seorang nelayan ditimpa kecelakaan apabila kehilangan kaki kananya ketika menarik pukat di perairan Desaru, di sini kelmarin. Mangsa, Ramli Liman, 47, menjalankan rutin hariannya seperti biasa dengan berkerja di bot kelas A terpaksa akur apabila putus kaki kanan setelah tersepit dalam kejadian jam jam 2.00 petang. Dia yang berasal dari Tanjung Sedili diselamatkan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Tanjung Sedili. Ketua Penguatkuasanya, Kapten Maritim Amran Daud berkata, MERS 999 telah menerima panggilan kecemasan mengenai perkara terbabit. “Bertindak atas maklumat itu, bot peronda telah digerakkan ke lokasi kejadian dengan segera. “Mangsa dibawa ke Jeti Maritim Tanjung Sedili menggunakan bot peronda dan seterusnya dihantar ke Hospital Kota Tinggi dengan bantuan ambulans untuk rawatan selanjutnya,” katanya. – Sinar Harian Online
Pengarah disamun rugi RM100,000
Georgetown : Seorang pengarah syarikat kerugian kira-kira RM100,000 apabila keretanya serta pelbagai barangan berharga dilarikan dua lelaki bersenjatakan pisau ketika tertidur di tepi di Jalan Sungai Dua pagi semalam. Kejadian berlaku jam 3 pagi ketika mangsa berusia 31 tahun dikatakan dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Sungai Petani sebelum berhenti di tepi jalan kerana keletihan sebelum terlelap tanpa mengunci pintu kereta. Dua suspek lelaki kemudian masuk ke dalam kereta sebelum mengacukan sebilah pisau dan meminta menyerahkan wang tunai serta barangan lain.
16 wanita warga asing dicekup
Johor Bahru: Seramai 16 wanita warga asing yang dipercayai menawarkan khidmat urut dan seks ditahan dalam satu pemeriksaan Jabatan Imigresen Johor di sebuah pusat urut di Taman Nusa Bestari, Bukit Indah di sini, malam tadi. Tiga lelaki warga tempatan yang dipercayai majikan dan penjaga premis turut ditahan dalam pemeriksaan diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Anuar Zainal bersama 10 pegawai dan anggota kira-kira jam 8 malam itu. Wanita yang ditahan itu terdiri daripada warga Vietnam dan Thailand, kesemua yang ditahan berusia antara 19 hingga 58 tahun. Ketua Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Johor dan Ketua Penyelaras Operasi Bersepadu Masri Adul berkata, kesemua yang ditahan disiasat mengikut Peraturan 17(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1966, Seksyen 55(B) dan 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63. Menurutnya, kesemua yang ditahan kemudiannya dibawa ke pejabat imigresen di Kompleks Sultan Abu Bakar untuk siasatan lanjut.
Lelaki koma kepala ditetak
Kangar: Seorang lelaki berusia 32 tahun koma selepas diserang seorang lelaki menggunakan parang panjang di hadapan sebuah kedai telefon bimbit di Jalan Raja Syed Alwi, di sini malam tadi. Mangsa Cheng Shin Seng, 32, parah di bahagian kepala dan terpaksa menerima lebih 20 jahitan apabila diserang seorang lelaki tidak dikenali dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam tadi. Difahamkan dalam kejadian itu mangsa yang berada dihadapan kedai berkenaan didatangi dua lelaki menaiki motosikal jenis Honda Wave sebelum salah seorang daripada suspek turun sambil membawa sebilah parang panjang. Ketua Polis Daerah Kangar Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, sejurus selepas itu, suspek menetak kepala mangsa sebelum melarikan diri selepas rakan mangsa menyedari kejadian. "Mangsa yang parah dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) bagi mendapatkan rawatan. "Pihak kami percaya ia berkaitan hutang along dan kedua-dua suspek kini sedang diburu," katanya.
24 taska tidak berdaftar
Georgetown: Sejumlah 24 pemilik Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) dikesan masih beroperasi secara tidak sah di negeri ini. Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Zulkifli Ismail berkata pemilik taska berkenaan didapati masih belum berdaftar dengan JKM. Menurutnya, JKM akan mengambil tindakan sekiranya mereka masih ingkar dan akan memberi notis amaran kepada pemilik taska. "Antara alasan yang digunakan pemilik yang enggan berdaftar ini adalah kerana mereka menjalankan operasi taska secara kecil-kecilan dan juga mempunyai masalah kewangan. "Bagaimanapun, kita rasa alasan ini hanyalah digunakan pemilik untuk mendaftar secara sah dengan JKM dan sekiranya mereka tidak mendaftar ini akan mengundang pelbagai risiko kepada mereka termasuk kepada kanak-kanak dibawah jagaan mereka," katanya.
Lelaki maut kereta rempuh van sekolah
Johor Bahru: Seorang pekerja kilang maut selepas kereta dipandunya merempuh sebuah van sekolah di simpang tiga Jalan Persisiran Seri Alam di sini, petang semalam. Dalam kejadian jam 5.10 petang itu, mangsa, John Anak Penggau, 28, yang memandu kereta Perodua Viva disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di badan dan kepala. Bagaimanapun pemandu van sekolah itu hanya mengalami kecederaan ringan dan kesemua tujuh kanak-kanak yang juga penumpang van itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Buta akibat jangkitan kuman
KUALA KANGSAR - Akibat jangkitan kuman dialami ketika berusia tiga bulan, seorang bayi berumur 1 tahun 11 bulan di Kampung Kota Lama Kanan di sini, kehilangan deria penglihatan. Lebih malang, otak Nurjannah Abdul Wahab, didapati mengandungi air yang boleh memudaratkan anak kecil itu menyebabkan doktor terpaksa melakukan pembedahan bagi mengeluarkan cecair berkenaan. Ibu bayi malang itu, Hashina Che Mat, 43, berkata, ketika anaknya berusia tiga bulan, Nurjannah mengalami demam panas yang menyebabkan jantungnya berhenti berdenyut selama lima minit. Menurutnya, apabila jantungnya kembali berdenyut, Nurjannah koma selama dua minggu. “Selepas itu, doktor menyatakan mata saya menjadi buta disebabkan jangkitan kuman yang menjejaskan saraf Nurjannah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian. Hashina berkata, anaknya kini perlu menjalani pemeriksaan perlu di Pulau Pinang setiap minggu. Jelasnya, setiap kali membuat pemeriksaan, dia dan suami perlu mengeluarkan kos perbelanjaan kira-kira RM300. “Suami pula hanya bekerja kampung dan pendapatannya tidak mencecah RM500. Dengan pendapatan sebanyak itu, memang agak sukar untuk kami menanggung kos perubatan anak. “Saya berharap ada orang atau pihak berkaitan sudi membantu kos rawatan anak saya,” katanya. Kepada orang ramai yang mahu memberikan sumbangan boleh disalurkan ke akaun BSN Hashina Che Mat dan nombor akaunnya adalah 0220-0298-8753-2729.
MH370: Wujud sindiket jual pasport tulen
KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri mendedahkan wujudnya sindiket penjualan pasport tulen membabitkan negara jiran yang menyumbang kepada kes dua pelancong Iran menggunakan pasport curi untuk menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, kata menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. "Siasatan mendapati dua pasport yang dimiliki warga Iran itu bukan palsu tetapi genuine. Dia (dua lelaki Iran) masuk (ke Malaysia) menaiki kapal terbang Qatar Airways dari Phuket ke Kuala Lumpur pada 28 Februari. (Kita percaya) di Phuket lah mereka membeli atau mendapatkan pasport tersebut," katanya. Ahmad Zahid menjawab soalan tambahan Datuk Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena) yang ingin tahu kebanjiran pelajar asing dan pekerja asing tanpa izin termasuk kes dua pelancong Iran tersebut di Dewan Rakyat di sini hari ini. Beliau berkata, maklumat itu hasil siasatan awal yang dijalankan pihaknya dan Jabatan Imigresen namun keseluruhan siasatan akan didedahkan ketika sesi penggulungan yang dijadual akhir bulan ini. Ahmad Zahid turut menegaskan Jabatan Imigresen dan kementeriannya tidak akan berkompromi dengan mana-mana sindiket sekalipun kerana pihak berkuasa memandang serius dalam hal membabitkan keselamatan negara. Jelasnya lebih 40 juta kes pasport hilang dilapor Interpol di seluruh dunia ketika ini dan Malaysia turut menerima tempias tersebut. Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi 8 Mac. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. Menjawab soalan lain, Ahmad Zahid juga berkata hasil kerjasama dengan Kementerian Pendidikan, beberapa pusat bahasa yang kononnya menawarkan kemudahan belajar Bahasa Inggeris telah ditutup kerana menyalah guna pas pelajar untuk bekerja. "Siasatan rapi mendapati pelajar-pelajar ini akan dapat pas pelajar namun akan diberikan kerja di tempat lain dan bukannya belajar," katanya. Ahmad Zahid berkata, sebanyak 117,833 orang pemegang pas pelajar antarabangsa aktif sehingga 31 Disember lepas dan kemasukan mereka berpandukan tawaran belajar dan kemampuan institusi pendidikan swasta untuk mengendalikan pelajar antarabangsa. Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, sebanyak 5,217 kes tinggal lebih masa dan sebanyak 57 kes salah guna pas telah dikendalikan Jabatan Imigresen bagi tempoh 2010 hingga 2013. Bagi tempoh yang sama, Polis Diraja Malaysia merekodkan sebanyak 40 kes di bawah kategori jenayah kekerasan, 31 kes menurut kategori jenayah harta benda, 505 kes mengikut Akta Dadah Berbahaya, Akta Racun 1952 dan 1,403 kes jenayah komersial, katanya. - Bernama
Rampasan terbesar KPDNKK Johor
BATU PAHAT – Satu sindiket penyeludupan diesel bersubsidi berjaya dibongkar susulan serbuan ke sebuah stor penyimpanan bahan api itu daerah ini. Serbuan digerakkan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Batu Pahat dan Johor Bahru kira-kira jam 10.30 pagi. Hasil serbuan, 60,000 liter minyak diesel bernilai kira-kira RM120,000 ditemui dalam sebuah stor, hasil maklumat awam dan risikan dilakukan badan itu. Ketua cawangan, Supartini Mahhbot berkata, operasi berkenaan melibatkan lapan anggota dari cawangan Johor Bahru dan empat dari Batu Pahat yang diketuai Penolong Penguatkuasa, Mohd Zulazre Mokeri. Katanya, semasa serbuan dilakukan di stor terbabit, pihaknya berjaya menahan empat warga Indonesia berumur sekitar 20 hingga 30 tahun yang dipercayai penjaga stor. “Dengan serbuan ini, ia merupakan kejayaan terbesar KPDNKK Johor setakat tahun ini (2014), di mana diesel bersubsidi berkenaan dipercayai untuk pasaran sekitar Johor. “Empat yang ditahan dalam operasi berkenaan kini ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya selepas operasi. Supartini berkata, sindiket berkenaan dipercayai telah mengumpul minyak diesel bersubsidi berkenaan dari stesen minyak sekitar daerah Batu Pahat menggunakan lori yang diubahsuai. Katanya, pihaknya turut percaya beberapa kenderaan pacuan empat roda juga diguna sindiket berkenaan dan kegiatan terbabit dipercayai telah beroperasi selama sebulan. “Setelah berjaya mengumpulkan kuantiti dikehendaki, minyak diesel tersebut akan diambil lori tangki untuk dijual kepada pihak lain. “Siasatan akan diteruskan di bawah Seksyen 20(1), Akta Kawalan Bekalan 1961 dan sekiranya sabit kesalahan boleh dikenakan denda sebanyak RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi perseorangan. “Manakala bagi syarikat perbadanan pula boleh dikenakan denda sebanyak RM250,000 di bawah akta sama,” katanya.
Pemuda tak serik ragut mangsa
KULIM - Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat (PPKM) Kulim menahan seorang lelaki berusia 20-an dipercayai terlibat dalam kegiatan ragut. Suspek sebelum ini pernah meragut seorang wanita di Taman Selasih dan berjaya melarikan beg tangannya. Pengerusi PPKM, Khor Eng Khim berkata, suspek melakukan ragut kira-kira jam 4.30 petang ketika mangsa berjalan berseorangan dan boleh mengecam suspek. Menurutnya, PPKM telah beberapa kali menerima maklumat tentang perlakuan jenayah dilakukan suspek, bagaimanapun gagal menahannya. “Suspek dilihat menunggang motosikal yang digunakan untuk meragut di Taman Selasih dalam keadaan mencurigakan. "Ahli PPKM kemudiannya memaklumkan kepada saya melalui alat perhubungan. Menyedari dirinya diekori ahli PPKM, suspek cuba melarikan diri dengan menggunakan jalan sempit,” katanya. Menurutnya, setelah beberapa jam ahli PPKM mengekori suspek, suspek dilihat cuba melakukan ragut sekali lagi di kawasan taman perumahan itu. Ahli PPKM kemudiannya mengepung suspek sebelum memaklumkan tentang kejadian itu kepada unit MPV polis. Dari pemeriksaan dijalankan polis terhadap beg dimiliki suspek, terdapat beberapa peralatan yang digunakan untuk melakukan jenayah termasuk sebatang tukul besi. Suspek kemudiannya dibawa ke Balai polis Kulim untuk siasatan lanjut.
MH370: Malaysia pohon bantuan India, Pakistan
NEW DELHI - Malaysia meminta bantuan daripada pelbagai negara, termasuk India dan Pakistan, dalam usaha mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang, dan kini memasuki fasa kedua. Menurut akhbar The Times of India, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak menghubungi rakan sejawatannya di India Manmohan Singh pada Ahad petang dan memohon bantuan teknikal dari India untuk mengesahkan kemungkinan laluan yang diambil pesawat MH370 itu. Pesawat itu disahkan telah dilencongkan secara sengaja. Ia dikesan bergerak ke arah barat menuju ke Laut Andaman dan Lautan Hindi oleh radar tentera AS yang berkuasa tinggi. Dalam perbualannya dengan Manmohan, Najib mengesahkan siasatan dijalankan melibatkan dua kemungkinan lautan, di koridor utara dan selatan, menurut akhbar harian berbahasa Inggeris itu. Di Kuala Lumpur, Pesuruhjaya Tinggi India T.S Tirumurti dan atase pertahanan India menghadiri mesyuarat bersama pegawai tertinggi Malaysia untuk menyusun strategi berkaitan hala tuju siasatan itu, menurut laporan berkenaan. Sanjay Bhattacharyya, setiausaha bersama (selatan) dari kementerian luar juga berada di Kuala Lumpur untuk menghadiri mesyuarat berkenaan. Jurucakap kementerian luar Syed Akbaruddin berkata: "Perdana Menteri, sambil berkongsi kebimbangan dan kerisauan tentang nasib pesawat itu dan kesejahteraan penumpangnya, memberi jaminan akan menghulur segala bentuk bantuan oleh pihak berkuasa India yang prihatin." Laporan itu menyebut Najib turut menghubungi Perdana Menteri Pakistan Nawaz Sharif dengan permintaan serupa. Pakistan adalah sebuah daripada negara yang berkemungkinan menjadi laluan pesawat yang dilencongkan itu. Pasukan keselamatan India pada Ahad menggantung usaha mencari pesawat berkenaan dan menunggu arahan terkini daripada pihak berkuasa Malaysia. - Bernama
MH370: Ada keluarga penumpang mahu pulang
PUTRAJAYA - Beberapa keluarga penumpang pesawat MH370 yang ditempatkan di sebuah hotel di sini menyatakan hasrat untuk pulang ke rumah masing-masing. Kaunselor daripada Persatuan Kaunselor Malaysia Nazrul Azizi berkata mereka mahu kembali meneruskan kehidupan seharian dan tidak lagi fokus kepada misteri kehilangan pesawat MH370 yang melibatkan orang tersayang selepas mendengar pengumuman Perdana Menteri Sabtu lepas. "Selepas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu mereka mendapat sinar harapan baharu. "Ada keluarga yang kata mahu balik sebab nak uruskan pelbagai perkara. Sebagai kaunselor saya rasa ini satu perkembangan positif," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Nazrul berkata kaunselor sentiasa bersedia membantu meredakan tekanan emosi anggota keluarga terlibat. "Bagaimanapun, mereka tetap berdoa mengikut kepercayaan agama masing-masing untuk menenangkan jiwa. Elemen ketuhanan sangat penting pada waktu ini dan teruskan mendekatkan diri kepada Tuhan," katanya. Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 pagi 8 Mac. Pesawat sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. - Bernama
Orang Melayu, MH370 Dan Bomoh
MENGGUNAKAN bomoh dan sihir mencari MH370 telah menjadi bahan ketawa dunia. Rakyat Malaysia di luar negara, termasuk anak-anak saya yang berada di Iskandariah, Mesir, amat malu dengan kejadian ini. Kita sering mendakwa, kita adalah negara Islam contoh. Hari ini, kita sedang ditertawakan kerana percaya kepada perkara-perkara khurafat, tahyul dan tidak masuk akal. Persoalannya siapakah yang memanggil bomoh tersebut? Apakah orang tersebut pernah menggunakan khidmat bomoh? Apakah tujuan khidmat bomoh itu digunakan? Jika benarlah ‘kesaktian’ bomoh tersebut, buatlah di tempat tertutup, bukanlah tempat terbuka sebegitu, hingga menjadi perhatian dunia, dengan alat lucu seperti teropong buluh, tikar, kelapa, labu sayung dan lain-lain. Kejadian ini mengingatkan saya kenapa ajaran sesat berleluasa? Walaupun tidak masuk akal, tetapi ramai yang mempercayainya, terutama kalangan orang Melayu. Bayangkan bagaimana kita boleh mempercayai ada orang mengakui diri dia tuhan, Imam Mahdi, Rasul dan sebagainya. Pengikut Ayah Pin mempercayai Ayah Pin boleh hidup di alam langit. Begitu juga pengikut Harun yang percaya Harun boleh menjadi tuhan. Ini tidak termasuk orang Jawa yang mengakui Imam Mahdi. Jika ditanya orang kafir sekalipun, walaupun mereka sudah syirik, mereka tidak akan mempercayai perkara tersebut. Dalam isu kehilangan MH370, paling kurang, mereka tampil bermeditasi dan berdoa mengikut cara masing-masing. Penampilan mereka tidak pelik. Sebagai umat Islam, segala tindak-tanduk kita mestilah berteraskan kepada al-Quran dan Sunnah. Apa jua perbuatan yang bercanggah, hendaklah ditolak kerana boleh menjejaskan akidah. Ini termasuk menggunakan khidmat bomoh, dukun, pawang, penilik nasib atau sesiapa jua yang mendakwa mengetahui ilmu-ilmu ghaib. Maksud saya, pengetahuan yang tidak dapat diperoleh melalui deria manusia, seperti khabar yang akan datang, isi hati manusia dan peristiwa tersembunyi. Ilmu-ilmu ini hanya dimiliki oleh ALLAH SWT dalam firmanNya yang bermaksud, “Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyembah atau memuja yang lain daripada ALLAH yang tidak mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepadamu. Oleh itu, sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka pada saat itu jadilah engkau daripada kalangan orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu). (Surah Yunus: 106) Selain itu, Islam juga melarang umatnya daripada menggunakan sihir kerana Rasulullah SAW bersabda, “Jauhilah tujuh perkara yang merosakkan. Golongan sahabat bertanya, “Apakah tujuh perkara itu? Jawab Baginda, “Mensyirikkan ALLAH, melakukan sihir, membunuh orang tanpa hak, memakan riba, memakan harta anak yatim, lari dari medan perang dan menuduh perempuan baik melakukan zina”. (Hadis riwayat Bukhari) Perlu diingat, umat Islam perlu berhati-hati menggunakan khidmat bomoh supaya tidak terjebak dalam amalan syirik yang akan menjejaskan akidah. Setiap daripada kita diwajibkan berusaha dan berikhtiar serta seterusnya bertawakal kepada-Nya kerana ALLAH saja yang Maha Berkuasa terhadap segala sesuatu. Saya amat bersyukur ramai kalangan kita yang melakukan solat hajat dan berdoa kepada ALLAH SWT, mohon petunjuk. Jika di darat tunjukkanlah, jika di laut, timbulkanlah, jika di udara, turunkanlah. Inilah yang sepatutnya dilakukan. Serahkan semua kepada Yang Maha Esa dan Maha Kuasa. Kepada orang bukan Islam, ingin saya jelaskan di sini perbuatan berbomoh seperti dilakukan ini bukan sumber daripada ajaran Islam, meskipun ada yang mendakwa ia akan mengikut kaedah Islam. Pandanglah agama Islam daripada sumber agama Islam itu sendiri, bukan daripada perbuatan orang Islam. Ketika saya memeluk Islam pun dahulu, saya mengkaji Islam dan mendalami Islam. Jika ditakdirkan saya melihat perbuatan umat Islam dalam mencari MH370 sebegini, sudah tentu saya tidak jadi memeluk Islam. Kebimbangan saya, jika ditakdirkan bomoh itulah yang akan dapat memberi petunjuk dan menjumpai MH370 itu nanti, semakin ramailah umat Islam yang akan percayai kepada bomoh daripada menumpahkan ketaatan sepenuhnya kepada ALLAH SWT. Justeru, apa jua yang berlaku dalam pencarian MH370, kita berikhtiar, selebihnya kita serahkan kepada ALLAH SWT, yang lebih mengetahui hikmah semua kejadian ini. - RIDHUAN TEE ABDULLAH
Sempat ajar mangsa mengucap
TAMPIN – “Sebaik lori berhenti saya terus berlari keluar dan menuju ke arah mangsa yang kelihatan seperti nyawa-nyawa ikan. Saya periksa nadi di pergelangan tangannya dan melihat nafas turun naik mangsa lalu mengajar mangsa mengucap,” luah pemandu lori, Jamaludin Mohamed, 51, ketika ditemui di lokasi kemalangan di kilometer 43, Jalan Tampin-Gemas, dekat sini, semalam. Dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, mangsa, Syekh Mohd Haikal Daud, 29, maut di tempat kejadian selepas kereta yang dipandunya dirempuh sebuah lori. Mangsa yang memandu kereta jenis Proton Perdana cedera parah di bahagian kepala dan badan, manakala isterinya cedera. Jamaludin berkata, ketika kejadian dia berasa sangat cemas apabila melihat darah mengalir tidak henti-henti dari hidung mangsa dan keadaan mata mangsa yang pecah serta isteri mangsa pula sedang menangis meminta pertolongan. "Kejadian ini berlaku selepas sebuah kereta Perodua Viva dari arah Gemencheh masuk ke laluan saya sebelum bergesel dengan lori saya. "Selepas itu, lori saya berpusing serta masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh kereta dinaiki mangsa," katanya. Katanya, selepas itu, ada sebuah lagi kereta jenis Toyata Unser merempuh bahagian belakang lorinya. Pemandu kereta Toyota Unser, Mazri Mohamad, 47, ketika kejadian, dia bersama empat ahli keluarganya dalam perjalanan dari arah Gemencheh ke Gemas. “Anak-anak saya menjerit dan kami menyelamatkan diri dengan merebahkan badan ke arah kiri bagi mengelak bahagian lori mengenai saya," katanya yang bersyukur mereka sekeluarga selamat. Sementara itu, bapa mangsa, Daud Mohamad Din, 70, yang menetap di Segamat berkata, dia menerima panggilan daripada menantunya, Munirah Harun, 26, yang memaklumkan anaknya maut dalam kemalangan. Menurutnya, dia yang terkejut bergegas bersama isteri, Salmah Abdullah, 60, ke lokasi kemalangan dan kali terakhir dia suami isteri berjumpa arwah adalah pada tiga hari lalu ketika arwah datang di warungnya. “Arwah adalah anak ketiga daripada empat adik beradik bersalaman mencium tangan seperti biasa dan sempat memberi duit kepada isteri saya sebanyak RM500. “Jika diikutkan kami sememangnya terkejut, namun reda dengan ketentuan Ilahi lebih-lebih lagi anak sulung saya juga meninggal akibat kemalangan jalan raya pada tahun 1999," katanya. Jurucakap polis berkata, berdasarkan siasatan awal sebuah kereta jenis Perodua Viva yang dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun dalam perjalanan dari Melaka ke Segamat masuk ke laluan bertentangan dan bergesel dengan sebuah lori. Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tampin untuk proses bedah siasat dan isterinya dikejarkan ke klinik di Gemas bagi rawatan lanjut.
Peragut dicekup orang ramai
BANDARAYA MELAKA - Nasib malang menimpa dua lelaki apabila ditangkap ketika cuba meragut beg salah seorang daripada empat pelancong asing yang sedang menunggu bas di hentian bas, Jalan Kubu, di sini, semalam. Kedua-dua suspek berusia lingkungan 20-an itu ditangkap oleh keempat-empat pelancong asing wanita dibantu orang awam yang melalui kawasan berkenaan dalam kejadian kira-kira jam 3.15 petang. Saksi, Yeo Tian Su, 30, berkata, dia dari Malim, di sini dalam perjalanan bertemu rakannya di Jalan Bendahara melihat motosikal dinaiki kedua-dua lelaki berada di hadapannya sebelum berhenti di hentian bas. “Pembonceng turun dari motosikal lalu meragut beg salah seorang daripada empat warga asing berusia 40 hingga 50-an itu, bagaimanapun berjaya ditahan keempat-empat mereka sebelum sempat lelaki itu lari. “Sementara penunggang motosikal pula cuba melarikan diri, tapi dapat dihalang dengan motosikal saya dan beberapa orang awam yang turut melalui kawasan ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam. Menurut Tian Su, penunggang motosikal itu sempat mencakar bahagian dadanya sambil tidak mengaku terlibat dengan kejadian ragut tersebut. “Saya luka sedikit di bahagian dada ketika bersama orang awam cuba menahan penunggang motosikal itu daripada melarikan diri. “Kami menghubungi polis memaklumkan kejadian, sementara empat pelancong terus menaiki bas sebelum polis sampai kira-kira 10 minit kemudian,” katanya.
Terjunam dalam gaung elak lembu
GEMAS – Seorang pekerja sebuah pasar raya di Melaka nyaris maut apabila kereta Perodua Kancil yang dipandunya terbabas ke kanan jalan lalu sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam lebih lima meter di Jalan Jelai-Pasir Besar, dekat Felcra Jelai, semalam. Dalam kejadian kira-kira 1 petang itu, mangsa, Zainurhairi Izwan Zainal, 29, dipercayai ingin mengelak daripada merempuh seekor lembu yang tiba-tiba melintas selepas melalui sebuah selekoh. Menurutnya, kejadian berkenaan berlaku sekelip mata dan dia juga terpaksa memanjat tebing bagi meminta pertolongan pengguna jalan raya untuk membawanya ke Klinik Kesihatan Jelai. “Saya sebenarnya dalam perjalanan dari Melaka ke kampung halaman saya di Felda Palong 6," katanya yang hanya mengalami cedera ringan.
Balasan kerana ancam cedera ibu, kakak
KOTA BHARU- Seorang penganggur berusia 32 tahun, dijel 21 bulan oleh mahkamah majistret di sini, semalam, setelah didapati bersalah dua pertuduhan mengancam mencederakan ibu dan kakaknya. Majistret, Mohamad Isa Mohamed menjatuhkan hukuman itu setelah Ng Chee Yew, 32, mengaku salah mengugut mencederakan ibunya, Goh Lay Eiang, 66, dan kakak kandungnya, Ng Phei Suan, 35, dengan mengacukan pisau ke leher kedua-dua mereka, kira-kira jam 7 petang pada 12 Mac lalu. Bagi pertuduhan pertama, Chee Yew didakwa membuat ugutan jenayah dengan mengacukan sebilah pisau ke leher Phei Suan dengan niat menyebabkan ketakutan yang mendatangkan kecederaan dan kematian. Pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengacukan sebilah pisau ke leher Lay Eiang, juga dengan niat yang sama. Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di rumah mereka di Jalan Telipot. Mengikut fakta kes, tertuduh yang baru pulang daripada bersenam tiba-tiba mengamuk dan menyalakan api sambil berkata mahu membakar rumah jiran. Tertuduh kemudian mengambil sebilah pisau di dapur dan pergi ke ruang tamu dengan mengacukan pisau yang dipegang ke leher ibunya, malah turut melakukan perbuatan sama terhadap kakaknya. Chee Yew didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Tertuduh dihukum penjara 21 bulan bagi pertuduhan pertama dan pertuduhan kedua. Hukuman berjalan serentak daripada tarikh tertuduh ditahan pada 13 Mac lalu. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Padah menyamar kakitangan TNB
KAMPAR – Seorang kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjaya mematahkan tindakan lelaki yang cuba menyamun seorang penduduk dengan menyamar sebagai kakitangan itu di sekitar Malim Nawar dan Gopeng, Jumaat lalu. Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi, kakitangan yang hanya ingin dikenali sebagai Suhari, 31, terserempak dengan ‘rakan sekerja’ itu ketika dia sedang menjalankan tugas membuat bacaan bil-bil elektrik di Kampung Lalang, Kota Bharu, Gopeng. Katanya, dia pelik apabila ada kakitangan lain yang tidak dikenalinya melakukan tugas di kawasan itu tanpa pengetahuannya menyebabkan dia mengekori lelaki itu dengan menunggang motosikal. “Lelaki itu sedar saya mengekorinya, dia bertindak memecut motosikalnya dan melarikan diri. Saya kehilangan jejaknya menyebabkan saya meneruskan tugas yang tertangguh. “Namun, saya terkejut apabila terlihat kembali lelaki itu berbual dengan seorang penduduk dan meminta bil elektrik bulan lalu menyebabkan saya mengesyaki lelaki itu cuba menyamun penduduk kampung yang sering dilaporkan berlaku di kawasan ini,” katanya. Suhari berkata, dia berjaya mencekup lelaki itu selepas dia bertindak nekad melanggar motosikal suspek sebelum bergelut untuk menahannya. “Lelaki terbabit mengaku tidak bekerja dengan TNB, tetapi tidak memberitahu tujuan dia meminta bil elektrik daripada penduduk kampung,” katanya yang menyerahkan lelaki itu kepada polis. Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, suspek berusia 37 tahun itu dikesan memiliki dua jenis pakaian TNB masing-masing sehelai baju kemeja lengan panjang berwarna biru dan baju T berlengan pendek berwarna merah. Turut dirampas sebuah beg tangan dan motosikal jenis Modenas. “Lelaki beralamat dari Kampung Manjoi dan bekerja sendiri itu kini ditahan reman selama enam hari bermula Sabtu lalu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sempat SMS suami sebelum diculik
MELAKA - Seorang lelaki terkejut menerima mesej menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada isterinya yang memaklumkan dia disamun dan diculik di hadapan sebuah bank dekat Malim di sini, petang kelmarin. Selepas menerima SMS tersebut, lelaki itu lantas bergegas ke tempat kejadian namun hanya kereta Proton Iswara Aeroback sahaja yang ditemui di tempat letak kereta tetapi isteri tiada di situ. Menurut sumber, SMS itu menyatakan dia telah diragut dan dibawa masuk ke dalam sebuah kereta, sebelum dibawa ke suatu lokasi yang tidak diketahui. “Suami mangsa yang bekerja di Sungai Rambai, Jasin balik ke rumah mereka di Durian Tunggal, Alor Gajah selepas membaca SMS yang diterima kira-kira jam 3.30 petang. “Melihat isterinya tiada, dia terus ke Malim sebelum menemui kereta isterinya di tempat letak kereta di hadapan sebuah bank,” kata sumber itu. Sumber berkata, lelaki tersebut memerika kereta itu dan menemui beg tangan dan kunci kereta. Dia kemudian bertindak membuat laporan di Balai Polis Malim, kira-kira jam 9.15 malam. Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan PR Gunarajan mengesahkan pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian. “Kita siasat kes ini di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang. Setakat ini belum ada apa-apa maklumat yang boleh didedahkan. "Namun, polis akan siasat dengan teliti sebarang kemungkinan lain sama ada benar-benar disamun atau diculik, atau apa jua sekalipun yang berlaku,” katanya.
Upah RM1 kupas bawang 5kg
ALOR SETAR – Selepas kematian suaminya lapan tahun lalu, kehidupan Saudah Kasim, 75, semakin melarat. Ujar Saudah, kudratnya yang semakin lemah dan tidak bermaya menghalang dirinya untuk bekerja lebih kuat untuk menanggung dirinya yang sebatang kara. Lebih menyedihkan, wanita yang tidak mempunyai zuriat sepanjang dua perkahwinannya ini berkata, apa yang mampu dia lakukan ialah mengambil upah mengupas bawang. “Itu yang terdaya tok lakukan, tok dapat upah RM1 untuk setiap lima kilogram (kg) bawang, dalam sebulan dapatlah RM30,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Melayu, Jalan Temenggong, Jalan Telok Wanjah di sini baru-baru ini.
29 terlibat 'parti dadah' ditahan
KUALA LUMPUR - Seramai 29 individu termasuk 16 warga asing pengunjung Future Music Festival Asia (FMFA) 2014 yang berlangsung di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil ditahan kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah jenis syabu kelmarin. Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, seramai 13 individu warga tempatan, Sudan (3), Maldives (2), Singapura (3), Indonesia (2) dan masing-masing seorang rakyat Pakistan, Singapura, Autralia, Zimbabwe (1) dan Mauritius (1) ditahan. Seorang lagi warga asing yang ditahan belum dikenal pasti.
Teori pesawat dirampas guna 'telefon bimbit'
LONDON - Pakar-pakar keselamatan bimbang kemungkinan pesawat MH370 Penerbangan Malaysia (MAS) dirampas menggunakan 'telefon bimbit', lapor akhbar Daily Express semalam. Beberapa pakar perisikan percaya pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu kemungkinan dikawal oleh sebuah alat kawalan jauh. Akhbar Daily Express melaporkan bahawa kelajuan pesawat, ketinggian atau arah juga boleh ditukar menggunakan isyarat elektronik. Mereka yang disyaki terlibat dalam rampasan itu kemungkinan kumpulan pengganas atau sebuah negara asing.
Israel minta Palestin iktiraf negara Yahudi
BAITULMUQADDIS - Menteri Pertahanan Israel, Moshe Yaalon berkata, satu perjanjian keamanan dengan Palestin tidak akan dicapai melainkan Pihak Berkuasa Palestin mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara Yahudi. "Adalah sukar untuk membuat satu perjanjian tanpa pihak di sebelah sana (Palestin) mengiktiraf hak kita untuk wujud sebagai tanah air penduduk Yahudi," katanya kepada saluran sebuah stesen televisyen. Menurutnya, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas bukannya seorang rakan yang boleh membantu menamatkan konflik antara Palestin dengan Israel. Beliau berkata, keamanan tidak wujud ketika generasi Mahmoud masih hidup. Isu pengiktirafan itu menjadi perkara utama dalam rundingan damai tajaan Amerika Syarikat. Palestin telah menolak untuk memberi pengiktirafan tersebut. Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, pengiktirafan itu merupakan punca utama konflik melibatkan Israel dengan Palestin. Mahmoud akan menemui Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama pada minggu depan. - AP
Aligator hidangan untuk tetamu
NEW YORK - Seorang cef terkenal, Gene Rurka mengetuai satu pasukan untuk menghasilkan makanan unik di Hotel Waldorf Astoria di sini kelmarin. Rurka dibantu oleh 40 tukang masak bagi menyediakan makanan unik itu yang melibatkan masakan serangga, organ haiwan seperti kemaluan kambing dan labah-labah tarantula. Tukang masak itu turut memasak lipas dan aligator untuk para tetamu pada majlis makan malam Kelab Penjelajah kali ke-110. Aligator merupakan reptilia besar yang bentuknya seperti buaya. Pada kebiasaannya ia terdapat di tasik dan sungai. Pengerusi syarikat Amazon, Jeff Bezos turut menghadiri majlis makan malam itu. Dia turut menikmati makanan lipas yang dimasak oleh Rurka dan pasukan memasaknya. Kuih coklat yang dihidangkan bersama larva turut disediakan untuk para tetamu. - Agensi
Pemberi maklumat dakwa empat warga Malaysia rancang rampas pesawat
LONDON - Seorang pemberi maklumat kumpulan Al-Qaeda, Saajid Badat pernah memberitahu sebuah mahkamah di New York bahawa sekumpulan lelaki Malaysia merancang merampas sebuah kapal terbang, lapor akhbar Daily Telegraph kelmarin. Menurut akhbar itu, ekoran pendedahan itu, terdapat spekulasi bahawa rampasan pesawat itu didalangi oleh kumpulan pengganas Al-Qaeda. Kata laporan itu, satu siasatan dijalankan berhubung sebuah kumpulan militan Islam di Malaysia yang merampas pesawat itu. Saajid memberitahu kumpulan itu merancang meletupkan pintu kokpit dengan menggunakan sebuah bom yang disembunyi di dalam kasut. Beberapa pakar keselamatan berkata, bukti yang dikemukakan lelaki itu boleh dipercayai. Saajid berkata, dia berjumpa dengan beberapa lelaki Malaysia di Afghanistan dan salah seorang daripada mereka adalah juruterbang. Katanya, dia memberi sebuah bom kasut yang boleh digunakan untuk merampas sebuah pesawat. Saajid membuat pendedahan itu dalam satu perbicaraan di New York melibatkan menantu Osama bin Laden, Sulaiman Abu Ghaith. Jelasnya, rancangan itu dirancang oleh seorang pemimpin Al-Qaeda, Khalid Sheikh Mohammed yang juga perancang serangan terhadap AS pada 9 November 2011. - Agensi
Hotel bajet transit edar dadah
Kuantan: Polis menahan seorang lelaki dipercayai pengedar dadah, yang menjadikan hotel bajet di sini, sebagai transit untuk membungkus dadah sebelum mengedarkannya di sekitar daerah ini. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintendan Yap Thoon Khuan, berkata suspek berusia 55 tahun itu ditahan di sebuah inap desa di sini, jam 9.30 malam, Khamis lalu, oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Risikan JSJN. Katanya, ketika ditahan, suspek sedang berjalan seorang diri dan membawa satu bungkusan kertas surat khabar. Suspek dikehendaki, ada 16 rekod jenayah. “Hasil pemeriksaan mendapati, bungkusan itu mengandungi lapan paket plastik lut sinar berisi serbuk dan ketulan hijau dipercayai dadah jenis heroin. Thoon Khuan berkata, suspek berasal dari Johor Bahru, Johor, itu sudah lama menetap di Pekan dan menjadikan daerah itu dan Kuantan sebagai lokasi urus niaga. Katanya, hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methampithamine dan mempunyai 16 rekod jenayah lampau, termasuk dikehendaki polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan. "Nilai rampasan dianggarkan RM17,500 (heroin) dan RM1,000 (syabu). Suspek ditahan reman di lokap Balai Polis Kuantan selama dua minggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) serta Seksyen 39A (1) dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Enam individu yang maut mungkin ambil dadah tanpa sedar
Kuala Lumpur: Enam individu yang maut akibat pengambilan dadah berlebihan ketika konsert Future Music Festival Asia (FMFA 2014 di Bukit Jalil, kelmarin, mungkin mengambil dadah tanpa disedari. Penganalisis Jenayah, Kamal Effendi Hashim (gambar) berkata mungkin ada mangsa diperdaya sindiket dadah yang melarutkan bahan terlarang dalam minuman mereka. Katanya, ahli sindiket kebiasaannya mencari mangsa baharu di tempat hiburan kerana lokasi berkenaan lebih mudah untuk menjual dadah dan mangsa mudah diperdaya. “Mungkin ada dalam kalangan mangsa yang mengambil (dadah) dan ada juga yang terpedaya. “Ini kerana ada dadah yang boleh dilarutkan dalam air dan mangsa mungkin ditawarkan oleh sindiket yang kononnya air berkenaan dapat memberi tonik tambahan untuk berhibur. Campuran air, dadah. “Lebih memburukkan keadaan apabila campuran air dan dadah memberi kesan lebih buruk kepada individu yang meminumnya,” katanya ketika dihubungi BH, semalam. Mengulas mengenai petugas dan anggota keselamatan yang menjaga pintu masuk untuk mengelak dadah dibawa masuk, Kamal berkata, bukan mudah untuk membuat saringan terhadap pengunjung. “Bukannya sedikit jumlah mereka yang hadir... terlalu ramai. Bukan mudah untuk mengenal pasti mereka yang membawa barangan terlarang. Apatah lagi barangan itu bersaiz kecil dan diletakkan di tempat tersorok,” katanya.
Britain hadapi masalah lebihan banduan
LONDON: Britain sedang berdepan krisis paling teruk membabitkan ruang penjara sejak tahun 2008 apabila pusat tahanan hanya mempunyai satu peratus ruang untuk menampung penjenayah. Pakar penjara berkata kelmarin daripada lebih 85,000 kemudahan penjara di seluruh England dan Wales hanya 265 punya ruang. Angka itu adalah yang tertinggi sejak kerajaan campuran mengambil alih pentadbiran empat tahun lalu. “Keadaan semasa di penjara yang sesak boleh membawa kepada rusuhan dan menghalang pemulihan di pusat tahanan,” kata pakar. Mereka juga menuduh pihak berkuasa keadilan United Kingdom, terutama Setiausaha Keadilan Chris Grayling, membayar 14 penjara yang dikendalikan sektor swasta untuk menyumbat lebih banyak tahanan ke dalam sel. Firma pengurusan penjara sektor swasta ini termasuk Serco dan G4S, dua syarikat perkhidmatan sokongan yang mengenakan caj berlebihan kepada kerajaan Britain membabitkan “berpuluh juta pound” bagi memantau tag elektronik yang sebenarnya tidak wujud. Pengkritik berkata krisis kesesakan di penjara Britain sudah meningkat dua kali ganda selepas pihak berkuasa menutup beberapa penjara negeri dalam usaha untuk mengurangkan bajet. Setiausaha Agung Persatuan Penjara, Padi Scriven, berkata pasti timbul tanda tanya yang jelas apabila sebuah penjara ditutup secara tergesa-gesa, sambil menambah bahawa ia dianggap "politik yang tidak boleh diterima" untuk menutup penjara menjelang pilihan raya umum di United Kingdom. Pembangkang utama Parti Buruh Britain menuduh Grayling “tidak bertanggungjawab”, sambil menambah masa depannya akan “bersifat sementara.” “Dalam 14 daripada 22 minggu yang lalu, termasuk tujuh minggu secara berturut-turut, pihak penjara sudah mencecah tahap satu peratus daripada kapasitinya,” kata Parti Buruh. - AGENSI
Wanita Tua Tinggalkan Harta Jutaan Ringgit
JEDDAH – Selama 50 tahun penduduk di bandar al- Balad melihat Eisha, yang berusia 100 tahun dan buta itu meminta sedekah dengan duduk di tepi bangunan dan jalan. Namun selepas kematian Eisha , penduduk di situ amat terkejut apabila mendapati wanita tua itu mempunyai harta yang banyak dengan anggaran bernilai lebih RM3 juta. Ia meliputi empat bangunan, barang kemas dan wang syiling serta wang tunai. Menurut jirannya, Ahmed al-Saeedi, yang sama sama membesar dengan Eisha di daerah itu, wanita tua itu tidak mempunyai saudara mara kecuali ibu dan kakaknya, yang juga mengemis. “Mereka mendapat simpati orang ramai terutama pada musim Hari Raya Aidilfitri. Selepas kematian ibu dan kakaknya, Eisha terus mengemis,’’ katanya. Menurut Ahmad, dia cuba meyakinkan Eisha supaya berhenti daripada meminta sedekah kerana dia sudah mempunyai wang, namun Eisha enggan kerana dia mahu bersiap sedia jika menghadapi masalah kewangan. Eisha juga memberikan semua duit syiling emasnya kepada Ahmad untuk dijaga hinggalah dia memutuskan untuk menjual syiling berkenaan. “Dia menyerahkan syiling emas itu 15 tahun yang lalu kepada saya, bayangkanlah berapa harganya ketika ini,’’ katanya. Menurut Ahmad, dia telah melaporkan kepada polis mengenai harta milik Eisha dan meminta mereka mengendalikannya mengikut saluran undang-undang. Bagaimanapun katanya, sehingga kini pihak berkuasa masih belum melakukan apa-apa terhadap wang berkenaan, jadi beliau menyerahkan syiling emas itu kepada seorang lelaki yang dihormati di bandar itu, yang kemudiannya berjanji menyerahkan kepada polis. Ahmad juga meminta keluarga yang menetap di empat bangunan milik Eisha supaya berpindah bagi membolehkan bangunan itu diserahkan secara rasmi kepada pihak berkuasa. “Namun penduduk di situ enggan berpindah kerana mereka berkata mereka tidak menyewa bangunan itu dan Eisha membenarkan mereka menetap di situ secara percuma,’’ katanya. Dalam pada itu, ketua daerah Al-Balad, Tal’at Ghaith berkata, meskipun dia adalah pemimpin masyarakat di situ, namun dia tidak mempunyai kuasa untuk menyuruh penduduk di situ mengosongkan bangunan tersebut.
Qatar didesak tutup Al-Jazeera
Dubai: Arab Saudi mendesak Qatar menutup agensi berita Al-Jazeera dan dua organisasi lain pada mesyuarat terbaru Lembaga Kerjasama Teluk (GCC), menurut sumber yang terbabit dalam perjumpaan itu. Riyadh menuntut penutupan penyiar Arab serta Pusat Toleransi Doha dan Pusat Penyelidikan dan Kajian Polisi Arab, kata sumber berkenaan. Panggil pulang duta. Selepas mesyuarat GCC pada 5 Mac lalu yang dilaporkan panas; Arab Saudi, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE)memanggil balik duta mereka dari Qatar yang dituduh campur tangan dalam hal ehwal dalaman serta menyokong Ikhwanul Muslimin. Sumber itu berkata, Menteri Luar Arab Saudi, Saud Al Faisal menuntut tiga perkara daripada Doha iaitu “menutup rangkaian Al Jazeera (milik Qatar) kerana menghasut, menutup pusat penyelidikan di Doha dan menyerahkan semua pelarian” di wilayahnya. Sumber sama berkata Menteri Luar Qatar bertindak balas dengan menyatakan bahawa tuntutan itu “mengganggu hal ehwal dalaman Qatar. - AFP
Chef Riz Terkilan Diboikot Stesen Televisyen
PETALING JAYA – Tukang masak selebriti iaitu Chef Riz berasa terkilan apabila terdapat beberapa pihak stesen televisyen telah memboikotnya untuk tidak melibatkannya dalam mana-mana program masakan. Chef Riz atau nama sebenarnya Mohd Nadzri Redzuwan, 32, berkata, walaupun tidak mempunyai bukti sahih secara hitam putih, namun dia sedar dirinya telah diboikot sejak kontroversi dia didakwa menipu dalam resume sebagai juri program terbitan Astro Masterchef Malaysia pada penghujung tahun 2011. “Walaupun tiada hitam putih mengatakan saya diboikot pihak stesen televisyen, tetapi saya tahu yang mereka tidak mahu menggunakan khidmat saya dalam mana-mana program kerana isu lama berkaitan dengan resume itu. “Diakui, memang saya terkilan ke atas apa yang berlaku. Tetapi saya terima dengan hati yang terbuka dan menganggap ia berpunca daripada kesilapan saya yang lalu,” katanya kepada mStar Online. Sebelum ini Chef Riz didakwa menipu dalam resume sebagai juri Masterchef Malaysia yang dipaparkan dalam laman web Astro Ria pada hujung tahun 2011. Dalam resume berkenaan Chef Riz dilaporkan pernah bekerja sebagai ketua chef dan penolong ketua chef di sebuah restoran Itali terkenal New York, Babbo dan restoran Perancis, Le Bernadin. Bagaimanapun, kedua-dua pemilik restoran berkenaan, chef selebriti, Mario Batali dan Eric Ripert menyangkal kenyatan tersebut dan mendakwa Chef Riz tidak pernah bekerja di sana. Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan terbaharu, dia kini sibuk membentuk badannya di pusat latihan kecergasan (gim) sebagai persiapan bagi menyertai seuah pertandingan bina badan pada April depan. “Selain sibuk menguruskan restoran sendiri, Flavors, di Bangsar, saya sedang mempersiapkan diri untuk menyertai pertandingan bina badan pada bulan depan (April). “Pada masa sama juga, saya sedang membuat perancangan untuk membantu masyarakat yang mahu menurunkan berat badan dengan cara yang sihat. Saya mahu sedarkan semua orang betapa pentingnya penjagaan kesihataan,” ujarnya. Dalam pada itu, Chef Riz berkata, dia juga sedang dalam perancangan untuk mengahwini kekasihnya, Shikin Maembong, yang merupakan kakak kepada aktres Emma Maembong pada hujung tahun ini. Bagaimanapun, persiapan perkahwinan hanya akan dilaksanakan selepas ibunya yang diserang angin ahmar baru-baru ini sembuh. “Alhamdulillah, keluarga merestui perhubungan saya dengan Shikin dan memang kami rancang kahwin pada tahun ini. Tetapi buat masa ini ibu tengah sakit, jadi biarlah ibu sembuh dahulu. “Lagipun kami tidak mahu tergesa-gesa. Saya mahu hubungan kami disatukan dengan cara yang lebih neutral,” tuturnya. – mStar Online
4 Pelajar Dikuatiri Hilang Daki Gunung Bubu
KUALA KANGSAR - Empat pelajar Kolej Vokasional Kuala Kangsar dilapor hilang, dikhuatiri sesat ketika menuruni Gunung Bubu di Ulu Kenas di sini, dalam kejadian petang semalam. Mereka ialah Muhammad Putera Rafii, Adam Asraf Azman, Muhammad Amir Asyraff dan Siti Azimah Mohd Fitri yang kesemuanya berusia 17 tahun, kata Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar Ismail Darus. "Guru pengiring membuat laporan mengenai kehilangan tersebut setelah menyedari mangsa tidak dapat dikesan sejak pukul 2.30 petang semalam," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Mereka merupakan sebahagian daripada 25 pelajar tingkatan lima kolej itu yang mengikuti program perkhemahan tiga hari dua malam di gunung berkenaan, diiringi enam guru. Ismail berkata pihaknya melancarkan operasi mencari dan menyelamat yang turut disertai penduduk pada 11.35 malam tadi. Operasi bersambung semula pada 7 pagi tadi membabitkan 114 orang termasuk Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Perhutanan, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia, polis dan orang awam. Sehingga pukul 3 petang ini operasi mencari dan menyelamat masih gagal menemukan keempat-empat pelajar terbabit. - Bernama
Mustahil MH370 Boleh ‘Lepas’ Ke Koridor Utara Tanpa Langsung Dikesan Radar! – Pakar
KUALA LUMPUR – Penganalisis dan pegawai industri penerbangan antarabangsa tidak yakin pesawat Malaysia Airlines yang hilang lebih 200 jam lalu boleh terbang dengan mudah ke wilayah sebelah utara tanpa dapat dikesan oleh radar. Ini kerana negara-negara di kawasan jalur antara sempadan Kazakhstan hingga ke utara Thailand itu diketahui mempunyai sistem radar pertahanan yang mantap khususnya India. Pengawal trafik udara di Kolkata, India menolak kemungkinan pesawat penerbangan MH370 yang hilang itu masuk ke ruang udara India dan terbang sehingga ke jalur utara yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sidang media pada Sabtu. “Tentera Udara India mempunyai radar di beberapa tempat di serata negara dan adalah mustahil tidak ada satu pun antaranya yang mengesan blip ganjil yang tidak ada kebenaran terbang,” kata setiausaha persatuan pegawal trafik udara di Kolkata, Sugata Pramanik seperti dipetik oleh Times of India. Jelas Sugata, pesawat MH370 mungkin boleh mengelak daripada dikesan oleh radar pemantauan sekunder tetapi ia masih boleh dikesan oleh radar pemantauan primer yang digunakan oleh tentera udara. Beliau juga menambah semua penerbangan dari Malaysia menghala arah barat daya menuju ke Kazakhstan akan melalui kawasan maklumat penerbangan Kolkata. Laporan Times of India menyebut India mempunyai sembilan zon pertahanan udara yang dikawal sepanjang masa 24 jam sehari bagi mengelak sebarang pesawat musuh menceroboh ruang udaranya. Seorang pengawal trafik udara yang lain, Sushil Mondal pula menjelaskan keadaan akan jadi haru-biru sekiranya tentera udara India mengesan pesawat yang tidak mempunyai kebenaran terbang di ruang udaranya termasuk “mengerah pesawat tentera menembak jatuh (pesawat itu).” “Ini tidak berlaku pada Sabtu (8 Mac) lalu,” katanya. Kenyataan dua pengawal trafik udara itu disokong oleh kenyataan Paul Hayes, pengarah keselamatan dan insurans di sebuah firma rundingan penerbangan, Ascend Worldwide yang berpejabat di London. “Saya tidak percaya sebuah pesawat boleh terbang masuk ke ruang udara India tanpa dikesan,” katanya seperti dipetik oleh Bloomberg. India pada Ahad menggantungkan operasi carian di sekitar Kepulauan Andaman dan Kepulauan Nicobar serta Teluk Benggala dan menunggu permintaan baru daripada Malaysia. “Seluruh operasi ditangguhkan buat masa ini. Kami menunggu arahan baru daripada Malaysia,” kata jurucakap tentera India, Kolonel Harmit Singh. Koridor utara yang menjangkau lebih kurang dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke utara Thailand, atau koridor selatan dari Indonesia hingga ke selatan Lautan Hindi. Selain jalur utara, Najib dalam sidang media pada Sabtu membayangkan kemungkinan kedua pesawat penerbangan MH370 terbang ke arah selatan pada jalur antara Indonesia hingga ke bahagian selatan Lautan Hindi. Lautan Hindi adalah kawasan laut ketiga terbesar selepas Lautan Pasifik dan Atlantik. Menurut Dave Gallo, seorang pakar di Institut Kajian Lautan Woods Hole di Massachusetts, kawasan selatan Lautan Hindi merupakan antara kawasan perairan yang cukup berbahaya. “Lebih ke selatan dari Malaysia, keadaannya lebih rumit, lebih dalam dan lebih bergelora,” kata Gallo, dan menambah, ia mungkin lebih dalam daripada kedalaman nahas Air France AF447 pada 2009. Gallo terlibat mengetuai usaha mencari pesawat AF447 itu yang terhempas ke dalam Lautan Atlantik pada 2009. Serpihan dan bangkai pesawat Airbus A330 itu ditemui lima hari selepas nahas tetapi kotak hitam pesawat hanya dapat dikeluarkan dua tahun kemudian. Pesawat penerbangan MH370 yang menuju ke Beijing dari Kuala Lumpur hilang sejak 8 Mac lalu selepas dikesan oleh satelit pada 8.11 pagi hari yang sama dari lokasi yang tidak dapat dikenal pasti. Lokasi itu dijangka berada antara dua kawasan iaitu jalur utara antara sempadan Kazakhstan hingga ke utara Thailand dan jalur selatan dari Indonesia ke bahagian selatan Lautan Hindi. Usaha mengesan pesawat itu sebelum ini disertai oleh 14 negara dan sekarang bakal disertai oleh negara-negara berdekatan jalur berkenaan termasuk Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan, Turkmenistan, Pakistan dan Myanmar. Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan media hari ini memaklumkan kedua-dua jalur utara dan selatan itu diberikan perhatian yang seimbang dalam usaha mengesan pesawat yang hilang itu. – Astroawani.com
Siasatan menjurus rampasan
SEPANG 16 Mac - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengklasifikasikan kes siasatan terhadap pesawat MH370 yang hilang lebih seminggu lalu menjurus ke arah rampasan kapal terbang dan perbuatan pengganas. Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, berikutan itu pihak polis sedang menyiasat kes tersebut di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA). Fokus siasatan yang melibatkan empat elemen iaitu rampasan, sabotaj, masalah peribadi dan psikologi dalam kalangan anak kapal serta penumpang tidak berubah walaupun kita telah membuat klasifikasi tersebut. Siasatan telah dilakukan ke atas kesemua orang yang mempunyai kaitan dengan pesawat tersebut daripada juruterbang, krew, jurutera hingga kepada orang yang menarik kapal terbang tersebut sebelum pesawat ini berlepas," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama mengenai insiden kehilangan pesawat MH370 di Pusat Media Hotel Sama-Sama di sini hari ini. Yang hadir sama, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAS), Ahmad Jauhari Yahya. Menurut Khalid, berdasarkan maklumat terbaharu yang diterima daripada agensi risikan luar negara dan pihak berkuasa dari negara berkaitan, mereka mengesahkan kesemua penumpang dalam pesawat itu mempunyai latar belakang yang bersih. Namun, beliau berkata, masih terdapat negara yang belum menyerahkan lagi maklumat tersebut kepada pihak Kedutaan Malaysia di negara berkenaan. Antara negara yang telah memberi maklumat kepada polis ialah China dan India," katanya. Dalam pada itu, Khalid berkata, berhubung dua penumpang Iran yang menaiki pesawat menggunakan pasport curi, siasatan mendapati mereka tidak terlibat dengan sebarang kumpulan pengganas dan tidak mempunyai latar belakang negatif. Katanya, siasatan lanjut kini lebih tertumpu kepada krew pesawat tersebut. Mengenai pemeriksaan di rumah juruterbang, Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53, kami telah menjalankan siasatan di rumahnya dan mengambil peralatan simulasi dan yang berkaitan untuk disiasat oleh sepasukan pakar," katanya. Tambahnya, polis telah mengambil keterangan daripada ahli keluarga juruterbang tersebut dan siasatan mendapati dia dan juruterbang pembantu, Fariq Abdul Hamid, 27, tidak membuat permintaan kepada MAS untuk terbang bersama pada hari kejadian. Mengulas dakwaan pihak polis telah menamatkan kerjasama dengan Organisasi Perisikan Antarabangsa (Interpol), beliau berkata, perkara itu tidak betul malah siasatan terhadap pesawat tersebut turut melibatkan beberapa agensi negara lain.
Pesawat boleh hantar isyarat dari darat
SEPANG 16 Mac - Pesawat MH370 yang hilang sejak lebih seminggu lalu boleh menghantar isyarat kepada satelit bukan sahaja ketika berada di udara, tetapi juga selepas mendarat. Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata, pesawat Boeing 777-200 itu boleh menghantar isyarat ke satelit dari darat dengan syarat bekalan elektrik masih ada. "Ya, pesawat itu boleh menghantar isyarat dari darat jika masih mempunyai bekalan elektrik," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. Pesawat MH370 sebelum ini disahkan menghantar isyarat terakhir kepada satelit pada pukul 8.11 pagi, sama ada dari koridor utara atau koridor selatan. Dalam pada itu, Azharuddin berkata, keputusan untuk mencari pesawat MH370 di koridor utara dan selatan dibuat berdasarkan hasil pengiraan dua pasukan pakar dari Amerika Syarikat dan United Kingdom. "Dua pasukan ini membuat pengiraan menggunakan kaedah sendiri, tetapi mereka melaporkan hasil yang sama iaitu isyarat pesawat MH370 dikeluarkan dari dua koridor itu," katanya. Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAS), Ahmad Jauhari Yahya memberitahu, pesawat MH370 yang berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing dianggarkan dibekalkan dengan minyak yang boleh terbang sehingga lapan jam. "Pesawat MH370 dibekalkan dengan minyak berdasarkan penerbangannya dari Kuala Lumpur ke Beijing yang memerlukan masa enam jam setengah "Pesawat bagaimanapun selalunya dibekalkan dengan bahan api yang lebih untuk menghadapi kemungkinan perlu melencong ke lapangan terbang berdekatan jika Lapangan Terbang Beijing tutup. "Saya fikir pesawat itu telah diisi dengan bahan api untuk penerbangan antara tujuh jam setengah hingga lapan jam," katanya. Sementara itu, Ahmad Jauhari berkata, MAS pada masa ini menyediakan bantuan kepada ahli keluarga penumpang MH370 dan bukannya pampasan insurans kerana pesawat itu masih dikategorikan sebagai hilang.
MH370 boleh 'dihilangkan'
KUALA LUMPUR 16 Mac - Spekulasi mengatakan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu dirampas oleh pihak tertentu boleh diterima kerana menurut pakar penerbangan, pesawat tersebut boleh 'dihilangkan' daripada radar secara sengaja menggunakan teknologi ketenteraan. Mengulas perkara itu, bekas juruterbang MAS selama 15 tahun, Hazri Satriawan Haron, 42, berkata, MH370 boleh menjadi 'halimunan' sekiranya terdapat sekurang-kurangnya tiga pesawat Stealth iaitu pesawat perang antiradar yang terbang berhampiran atau di bawahnya. Katanya, pada masa sama, individu yang menerbangkan pesawat Stealth juga boleh melakukan pintasan terhadap frekuensi radio yang digunakan mana-mana pesawat komersial berhampiran menyebabkan isyarat kecemasan yang dihantar juruterbang tidak sampai ke menara kawalan. Hazri yang juga Pengurus Kualiti dan Keselamatan, Asia Pasific Flight Training (APFT) berkata, meskipun teori itu sukar diterima, namun boleh dilakukan asalkan pihak merancang rampasan mempunyai akses kepada mana-mana pesawat Stealth, sistem satelit dan melakukan perancangan dengan teliti. "Pesawat Stealth direka khas untuk mengelak daripada dikesan oleh radar biasa dan melalui formasi khusus iaitu sekiranya terdapat tiga pesawat tersebut terbang di bawah MH370 pada jarak antara 30 hingga 60 meter, secara automatik MH370 juga akan 'hilang' daripada radar," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Beliau memberitahu, pesawat Stealth yang hanya dimiliki oleh beberapa negara kuasa besar mempunyai keupayaan untuk memesongkan pancaran radar selain menyerap transmisi radio daripada pesawat yang terbang berhampiran. Sehubungan itu, katanya, selain tindakan juruterbang sendiri, hanya pesawat Stealth yang boleh menyebabkan juruterbang terputus hubungan dengan menara kawalan sebelum transponder pesawat dipadamkan atau selepas rampasan berjaya dilakukan. "Andaiannya mudah iaitu perkara tersebut mungkin telah dirancang dengan tiga pesawat itu terbang di bawah MH370 untuk memastikan radar tidak dapat mengesannya lalu pada masa itulah macam-macam boleh berlaku termasuk cubaan merampas penguasaan pesawat daripada juruterbang. "Saya percaya juruterbang ada menghubungi menara kawalan namun gagal kerana sistem radio yang digunakan itu sudah dipintas menyebabkan aduannya hanya sampai pada pesawat Stealth yang terbang berhampirannya," katanya. Sementara itu, ditanya kemungkinan juruterbang sendiri memainkan peranan dalam kehilangan MH370, Hazri berkata, sebagai bekas juruterbang, perkara tersebut sukar diterima. Ini kerana, katanya, untuk mencapai tahap kapten bukan mudah sebaliknya memerlukan tempoh yang lama dengan pengalaman dan kecintaan yang tinggi terhadap kerjaya, maka tidak mudah untuk seseorang juruterbang bertindak di luar batas. "Memang ada kemungkinan juruterbang terlibat sama, namun secara peribadi saya tidak percaya. Bagi saya, tindakan itu memerlukan satu dorongan yang luar biasa untuk seseorang juruterbang berpengalaman merampas sendiri pesawatnya dan bertindak di luar dugaan," katanya. Tambahnya, andaian rampasan dilakukan oleh penumpang boleh diterima terutama bagi individu dengan kepakaran dalam teknologi elektronik yang boleh digunakan untuk mematikan sistem keselamatan dalam pesawat. "Untuk masuk ke dalam kokpit pesawat tidak mudah memandangkan pintu tersebut dikunci menggunakan sistem magnetik dari dalam bagi menjamin keselamatan juruterbang malah kapten juga boleh melihat apa yang berlaku di luar kokpit melalui kamera yang disediakan. "Namun, sistem magnetik itu boleh dimatikan dari luar kokpit sekiranya kita tahu kod yang digunakan. Lazimnya, kod tersebut hanya diketahui oleh jurutera penerbangan yang terlatih selain syarikat yang membina kapal terbang itu," katanya.
Pesawat dirampas pelampau Malaysia?
LONDON 16 Mac - Pihak keselamatan Britain memberi petunjuk baharu kemungkinan pesawat MH370 dirampas oleh kumpulan pelampau Islam yang mahu meniru gaya serangan kumpulan militan al-Qaeda ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York pada 11 September 2001. Sumber keselamatan Britain yang enggan dikenali berkata, seorang anggota al-Qaeda yang dibicarakan di mahkamah negara ini sebelum kehilangan MH370 mendakwa, antara empat dan lima rakyat Malaysia didakwa merancang untuk merampas sebuah pesawat dan menggunakan sebutir bom yang disembunyikan dalam kasut bagi meletupkan pintu kokpit pesawat berkaitan. "Maklumat itu yang dianggap 'sahih' dimaklumkan oleh seorang pengganas Britain, Saajid Badat yang disabitkan dengan kesalahan terlibat dalam aktiviti keganasan. "Saajid mendakwa, dia pernah bertemu beberapa orang anggota kumpulan pelampau dari Malaysia, termasuk seorang juruterbang (Malaysia) di Afghanistan dan memberi mereka sebutir bom kasut untuk merampas pesawat," kata sumber itu kepada portal berita The Telegraph. Berdasarkan rekod mahkamah itu, Saajid mengakui, ketika dia berada di sebuah kem latihan di Afghanistan, dia menerima arahan daripada pihak atasannya untuk memberi sepasang kasut (bom) kepada kumpulan itu yang dipercayai mahu menggunakannya untuk memecahkan pintu kokpit pesawat. Jelasnya, plot rakyat Malaysia itu dipercayai dirancang oleh Khalid Sheikh Mohammed iaitu perancang utama serangan pada 11 September 2001. Tambahnya, Khalid menyimpan senarai bangunan tertinggi di dunia dan memangkah bangunan berkembar WTC di New York selepas serangan 11 September. "Saya percaya kumpulan rakyat Malaysia terbabit termasuk seorang juruterbang sudah bersedia melakukan sesuatu (serangan). "Saya juga percaya mereka bersedia melancarkan serangan yang sama seperti (serangan) 11 September," katanya kepada mahkamah Selalsa lalu, apabila ditanya tentang pengetahuannya berhubung kumpulan tersebut. Saajid pernah dipenjarakan selama 13 tahun pada 2005 atas kesalahan terlibat dalam konspirasi 'pengebom kasut' Richard Reid untuk meletupkan sebuah pesawat. Sehubungan itu, pihak keselamatan dan perisikan Britain menyiasat kemungkinan kumpulan berkenaan merancang melancarkan serangan ke atas Menara Berkembar Petronas (KLCC) di Kuala Lumpur, simbol permodenan Malaysia. - AGENSI
Malaysia nafi sorok maklumat, tidak telus
KUALA LUMPUR 16 Mac - Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberi jaminan kerajaan akan bersikap telus dan telah memberitahu segala maklumat yang telah disahkan berhubung kehilangan pesawat MH370 sejak 8 Mac lalu. Beliau menegaskan, kerajaan telah sehabis telus sehingga sanggup mengetepikan kepentingan negara apabila berkongsi data pasukan tentera dalam usaha mengesan pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu. Itu adalah arahan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dari awal lagi, bahawa kita akan menjadi setelus yang boleh namun dengan syarat maklumat yang telah disahkan dan tidak menjejaskan siasatan. Macam mana kita boleh sembunyikan maklumat apabila melibatkan nyawa orang yang kita belum temui," katanya dalam satu sesi temuramah eksklusif dengan wartawan CCTV English Channel, James Chau semalam. Hishammuddin berkata, bagi berlaku adil kepada siasatan dan keluarga mangsa, hanya maklumat yang telah disahkan akan dikeluarkan oleh kerajaan supaya maklumat itu mempunyai kredibiliti dan diyakini. Katanya, kerajaan tidak mahu memberikan harapan palsu kepada keluarga mangsa dengan mengeluarkan maklumat yang tidak pasti yang hanya berdasarkan khabar angin. Saya beri jaminan kepada keluarga penumpang di China, kalau siasatan mengambil masa dua tahun atau 20 tahun sekali pun, saya akan lakukannya," katanya. Beliau berkata, walaupun sebahagian media memberikan laporan negatif terhadap Malaysia, keadaan itu tidak menjejaskan fokus kerajaan untuk terus mencari pesawat tersebut. Apa jua isu di luar sana, keutamaan saya selaku menteri bertanggungjawab adalah untuk menemukan pesawat itu, mendapatkan kotak hitam dan punca kejadian. Tumpuan kita tidak sepatutnya terganggu dengan perkara-perkara lain," katanya. Ketika ditanya oleh wartawan tersebut kenapa kerajaan tidak menggunakan istilah pesawat itu telah dirampas, Hishammuddin berkata, ini kerana maklumat bahawa seseorang di dalam pesawat telah mematikan sistem komunikasi MH370 adalah penemuan baharu yang telah disahkan. Itu baharu dan kita konsisten untuk bersikap telus dalam hal ini dengan mengeluarkan maklumat telah disahkan dan kita juga perlu pasti apa yang sebenarnya berlaku," katanya.
Polis kesan dadah sintetik baharu
KUALA LUMPUR 16 Mac - Dadah yang dikesan membunuh enam penonton konsert antarabangsa Future Music Asia 2014 di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil semalam, berkemungkinan adalah dadah sintetik baharu yang belum dipasarkan di negara ini. Difahamkan, dadah berkenaan diseludup masuk dari negara jiran dan sememangnya dibawa khas untuk mereka yang menghadiri konsert terbabit. Sumber memberitahu, setakat ini polis masih belum dapat memastikan jenis dadah yang digunakan, meskipun mereka mengaitkan kematian mangsa dengan dadah sintetik jenis methamphetamine. Menurutnya, pakar perubatan yang menemui beberapa kapsul dadah berkenaan di badan mangsa juga sukar untuk mengenal pasti jenisnya. Polis masih mengesan sama ada dadah itu jenis methamphetamine yang baharu atau dadah jenis lain kerana setakat ini barangan terlarang sebegitu masih belum ada dalam pasaran negara. Polis juga tidak dapat memastikan kandungan dalam dadah itu untuk menentukan punca kematian enam individu terbabit dan dadah tersebut telah dihantar ke makmal untuk diuji. Keputusan ujian hanya akan diketahui dua minggu lagi dan ketika itu barulah polis mengetahui jenis dan dari mana bekalan dadah tersebut diperolehi," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Semalam, enam penonton konsert iaitu Kamal Zekry Kamal Basha, 22; Sabreena Kamarudin, 21; Syazana Sohaime, 23; Victor Wong E Hern, 26; Faizza Mohd. Wazir, 27; dan M. Suresh, 28; maut manakala tiga lagi kritikal dipercayai akibat pengambilan dadah sintetik berlebihan. Utusan Malaysia difahamkan, dadah yang diambil oleh mangsa ketika menghadiri konsert berkenaan berupa kapsul ubat dan dijual dengan harga yang rendah. Mereka yang mengambil dadah itu juga dikatakan akan mengalami peningkatan suhu badan secara mendadak sehingga boleh mengakibatkan tidak sedarkan diri di samping keluar darah menerusi hidung dan telinga. Mengulas tentang pengedaran dadah di konsert terbabit, sumber memberitahu, bekalan dadah itu mungkin dibawa oleh warga asing. Polis juga tidak tahu sama ada dadah itu dibekalkan oleh individu yang sama kerana percakapan mangsa masih belum direkodkan. Polis turut menyiasat kemungkinan dadah berkenaan dengan kes yang melibatkan belasan penonton di sebuah konsert di Sepang dimasukkan hospital beberapa tahun lalu," katanya.
Tiada tuntutan wang tebusan - Hishammuddin
SEPANG 16 Mac - Tiada tuntutan wang tebusan susulan kehilangan MH370 dan seterusnya ia menjurus siasatan polis dalam aspek lain, kata Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. - UTUSAN
Robot cipta rekod dunia permainan Rubik
LONDON 16 Mac - Sebuah robot memecah rekod Guinness World Records dalam cabaran menyelesaikan permainan kiub Rubik dengan catatan masa terpantas. DailyMail Online melaporkan, robot Cubestormer 3 menyelesaikan permainan kiub itu dalam masa hanya 3.253 saat, sekali gus memadamkan rekod Cubestormer 2 sebelum ini dengan catatan masa 5.27 saat. Rekod baharu itu dicatat pada pertandingan kiub Rubik di Big Bang Fair, Birmingham, baru-baru ini. Sebelum itu, rekod terpantas dicatatkan adalah 10.69 saat, juga oleh sebuah robot binaan pelajar jurusan komputer dari Universiti Teknologi Melbourne, Australia pada 2011. Robot Cubestormer 3 dibina dalam tempoh 18 bulan oleh pakar kejuruteraan, David Gilday dan Mike Dobson daripada syarikat teknologi, ARMMobile. Mesin tersebut menggunakan teknologi telefon pintar Samsung Galaxy S4 untuk menganalisis kiub sebelum empat tangan robot berkenaan menyelesaikan permainan. Rekod menyelesaikan kiub Rubik terpantas dicatatkan oleh manusia dilakukan oleh Mats Valk dari Belanda pada tahun lalu dengan rekod 5.55 saat. Selain itu, Feliks Zemdegs memegang rekod melengkapkan cabaran tersebut hanya menggunakan sebelah tangan dengan catatan 9.03 saat, manakala seorang peserta, Fakhri Raihaan menyelesaikan permainan berkenaan menggunakan kaki dalam tempoh 27.93 saat.
Tentera Syria kuasai bandar Yabrud
DAMSYIK 16 Mac - Tentera Syria, hari ini menguasai bandar Yabrud, benteng pertahanan kumpulan penentang kerajaan ketika negara ini memasuki tahun keempat perang saudara yang telah meragut lebih 146,000 nyawa serta berjuta-juta penduduk terpaksa berpindah dan menjadi pelarian. Pemerhati Hak Asasi Manusia bagi Syria melaporkan, tentera turut menerima bantuan daripada pergerakan Hezbollah yang merupakan sekutu tentera Syria dalam usaha tersebut. Sumber tentera berkata, 13 ketua penentang terbunuh di samping ramai anggota penentang kerajaan turut terkorban dalam operasi itu. Stesen televisyen tempatan yang melaporkan dari pinggir bandar itu berkata, pasukan tentera telah memasuki bandar itu sejauh dua kilometer dan sedang menuju ke sebuah bulatan. Yabrud merupakan pusat dan laluan utama penentang kerajaan bagi mendapatkan bekalan serta benteng pertahanan terakhir dalam wilayah Qalamun di sepanjang sempadan Lebanon dan lebuh raya antara Damsyik dan bandar Homs. Kumpulan penentang yang menguasai sebahagian besar Syria kini berhadapan serangan balas tentera dan kumpulan pelampau yang mempunyai hubungan dengan al-Qaeda. Dalam pada itu, Ketua Gabungan Kebangsaan Syria, Ahmed Jarba, semalam mendesak pihak antarabangsa menyediakan peralatan senjata seperti yang dijanjikan sebelum ini. Kami meminta supaya rakan-rakan Syria menunaikan janji mereka untuk membekalkan senjata berkualiti kepada kumpulan penentang. Pejuang kami bukan sahaja berdepan tentera kerajaan, tetapi juga kumpulan pelampau, terutamanya Kumpulan Negara Iraq dan Jajahannya (ISIL)," katanya ketika berucap di Istanbul, Turki. Kumpulan penentang kerajaan gagal mencapai kata sepakat dengan wakil kerajaan dalam rundingan damai di Geneva, Switzerland, bulan lalu, manakala Presiden Syria, Bashar al-Assad kini bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya Presiden yang dijangka diadakan pada Jun ini. - AFP
MH370 terakhir dikesan di barat Perth
NEW YORK 16 Mac - Pasukan penyiasat Amerika Syarukat (AS) berkata, lokasi terakhir pesawat MH370 dikesan kemungkinan ketika ia berada di sebuah zon kira-kira 1,609 kilometer dari barat Perth, Australia. Laman web berita Bloomberg melaporkan petunjuk terbaharu itu dimaklumkan oleh sumber kerajaan AS berdasarkan keputusan analisis ke atas data transmisi satelit oleh pasukan penyiasat tersebut. - AGENSI
MH370 disembunyi di pangkalan AS di Diego Garcia?
LONDON 16 Mac - Pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang masuk hari kesembilan hari ini dipercayai telah 'disembunyikan' di Diego Garcia, pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Lautan Hindi. Menurut portal Cabal Times, sekiranya spekulasi pesawat itu terbang ke pangkalan tentera AS di Diego Gracia adalah benar, radar Indonesia sudah pasti mengesan kedudukan pesawat tersebut. Namun, persoalannya Indonesia yang dipercayai negara terlibat dalam gerakan 'rahsia globalisasi' atau pakatan Barat yang mempunyai agenda tertentu, sudah pasti berdiam diri tentang apa yang mereka kesan pada radar mereka, dakwa portal itu. Portal itu membuat spekulasi itu berdasarkan laporan media yang menyebut walaupun pesawat itu dikesan terputus hubungan dengan radar pada pukul 1.22 pagi Sabtu lalu namun ada pihak mendakwa pesawat itu masih boleh dihubungi lagi beberapa jam selepas itu selagi enjinnya hidup. Sejurus selepas transponder pesawat dimatikan, MH370 dipercayai membuat pusingan-U dan didakwa melintasi Malaysia menghala ke Diego Garcia. Menurut portal itu, sekiranya pesawat mengalami masalah teknikal, juruterbang seboleh-bolehnya akan cuba mendarat dengan selamat di laut dan tidak akan berpatah balik ke Malaysia. Persoalannya, mengapa tiada pihak yang mendedahkan tentang kedudukan MH370 berada di Diego Garcia? Ia mungkin kerana kakitangan di pangkalan tentera AS di Diego Garcia mematuhi prosedur operasi standard (SOP), termasuk tidak bertanyakan soalan dan 'menutup mata' tentang apa yang mereka lihat di radar. Sementara itu, Cabal Times dalam laporannya mendakwa mengapa AS melakukan 'rampasan pesawat' itu adalah kerana MH370 membawa sejumlah besar rakyat China dan AS mahu mengeruhkan hubungan Kuala Lumpur dan Beijing. - AGENSI
Mendarat di lokasi rahsia?
LONDON 16 Mac - Biro Siasatan Persekutuan (FBI) tidak menolak kemungkinan pesawat MH370 mungkin berada di satu lokasi rahsia. DailyMail Online yang memetik kenyataan sumber melaporkan pesawat terbabit mungkin dirampas dan kesemua 239 penumpang dan anak kapalnya kini ditahan di satu tempat rahsia. Dalam pada itu, stesen radio Amerika Syarikat (AS) WNYC melaporkan, sebanyak 634 lokasi boleh menjadi tempat pesawat MH370 mendarat, dari Australia hingga ke Maldives dan Pakistan. - AGENSI
Perbankan Islam bakal capai kemajuan besar di Afrika
DALAM satu persidangan perbankan Islam yang saya hadiri di Nairobi baru-baru ini, saya menyedari bahawa setelah menyaksikan pertumbuhan yang lembab kebelakangan ini, terdapat petanda bahawa perbankan Islam kini menuju ke arah kemajuan di Afrika. Ini satu berita baik, bukan sahaja bagi penduduk Islam di rantau itu, malahan bagi sesiapa yang mahu melihat pertumbuhan pesat industri perbankan di Afrika berlandaskan pilihan bagi pengguna. Walaupun aset perbankan Islam telah menunjukkan pertumbuhan pesat di seluruh dunia pada lebih USD1.3 trilion (RM4.258 trilion) penghujung 2012, bagaimanapun di Afrika, ia masih pada tahap infansi. Namun, melihat kepada berkembangan terbaharu, ini mungkin berubah. Menjelang dekad ini, perbankan berlandaskan syariah mampu menguasai lebih 10 peratus daripada aset perbankan di lima atau enam negara sub-Sahara termasuklah Kenya dan Nigeria. Dengan pemberian lesen pertama di Kenya kira-kira enam tahun lalu, langkah itu akan membantu menyegerakan penglibatan Afrika dalam perbankan Islam berbanding negara seperti Pakistan dan Indonesia di mana perbankan Islam telah bertapak lebih lama. Di sebalik berita baik tersebut, terdapat permintaan sebenar daripada pengguna domestik Afrika terhadap pilihan perbankan berlandaskan agama - sama seperti di kebanyakan penduduk Islam di Asia dan Asia Barat. Kerajaan dan pengawal selia di Afrika tidak lagi melihat perbankan Islam sebagai industri khusus tetapi terus menggalakkan perkembangannya secara aktif. Terdapat juga kesedaran yang tinggi terhadap liquidity pool yang tersedia dalam kewangan Islam terutama sekali di Asia Barat sebagai sumber pembiayaan bagi pelaburan infrastruktur utama. Sukuk dilihat oleh banyak advokat utama - seperti bank-bank pusat - sebagai pilihan pembiayaan yang berpotensi untuk kerajaan. Suruhanjaya sekuriti dan bursa Nigeria baru-baru ini telah membenarkan penerbitan sukuk dan industri kini menantikan penerbitan sukuk pertama negara itu. Seperti Nigeria, negara Afrika lain turut ingin mengikuti jejak Kenya yang mengeluarkan lesen perbankan Islam pertamanya kira-kira enam tahun lalu dan pada 2010, meminda Akta Perbankannya bagi membuka lagi industri tersebut. Dalam hanya beberapa tahun, perbankan Islam telah tumbuh untuk menguasai dua peratus pasaran di Kenya di mana satu daripada sepuluh penduduknya beragama Islam. Bagi saya, dengan mengambil pengajaran daripada pengalaman pasaran perbankan Islam utama seperti Asia Barat dan beberapa negara Asia, sub-Sahara Afrika berpotensi besar untuk berkembang pesat mengatasai rantau lain di dunia. PENULIS adalah Ketua Pegawai Eksekutif, Standard Chartered Saadiq & Ketua Global, Perbankan Islam Pengguna, Kumpulan Standard Chartered.
Pelaburan Skim Kepentingan di SSM cecah RM16 bilion
KUALA LUMPUR 16 Mac - Nilai keseluruhan pelaburan Skim Kepentingan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sehingga kini mencecah RM16.03 bilion berbanding RM9.47 bilion yang dicatatkan pada 2010. Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Mohd. Naim Daruwish (gambar) berkata, jumlah ini dipacu oleh kesedaran syarikat berkaitan mengenai kewujudan Skim Kepentingan yang dapat memudahkan mereka untuk mendapatkan modal bagi menguruskan perniagaan. Katanya, Skim Kepentingan berdaftar boleh dikategorikan kepada lapan kategori terdiri daripada kelab golf, kelab rekreasi, kelab marina, taman memorial, hartanah, perkongsian peralatan, kongsi tani dan kongsi masa. Menurut rekod sehingga 2013, sebanyak 193 Skim Kepentingan daripada pelbagai kategori telah didaftarkan di SSM dan ia mewakili sebanyak 183 syarikat berhad yang menjalankan operasi berkaitan skim kepentingan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini. SSM telah dipertanggungjawabkan untuk mengawal selia aktiviti pelaburan membabitkan Skim Kepentingan di bawah Akta Syarikat 1965. Menurut beliau, pada 2014, SSM akan memperkenalkan garis panduan mengenai skim patuh syariah dan ini dijangka dapat menarik minat lebih ramai pengusaha skim untuk meneroka kaedah pengurusan skim Islamik dan patuh syariah di samping memberi peluang kepada bakal pelabur untuk meningkatkan pendapatan pelaburan melalui sumber berkenaan. Ujarnya lagi, hasil daripada tindakan penguatkuasaan dijalankan, SSM mendapati bahawa terdapat pengusaha skim berasaskan aktiviti ekonomi yang benar-benar dijalankan dan dilihat berpotensi serta bukan berbentuk penipuan. Walau bagaimanapun, disebabkan kurang pendedahan, pengusaha skim ini tidak mendaftarkan skim mereka sekali gus meningkatkan risiko kepada perbuatan salah laku atau pecah amanah kerana tidak wujud mekanisma semak dan imbang di samping mekanisma perlindungan pelabur seperti pelantikan pemegang amanah. SSM akan meneliti skim-skim seumpama ini dan sekiranya perlu, kami akan mengarahkan supaya pengusaha skim mendaftarkan skim mereka agar kepentingan pelabur dapat dilindungi seterusnya aktiviti ekonomi yang tulen dapat diteruskan," katanya. Ketika ditanya tentang isu penipuan dilakukan oleh penganjur skim tidak berdaftar terhadap orang awam, Mohd. Naim berkata, berdasarkan maklumat diperoleh, sebanyak 117 syarikat telah diambil tindakan penguatkuasaan oleh SSM sepanjang 2012.
Kereta langgar rumah
Kota Bharu: “Bunyi dentuman sangat kuat dan apabila keluar, saya terkejut melihat sebuah kereta berada di atas kereta kakak dengan kedudukan yang sama tinggi dengan bumbung rumah,” kata Ibrahim Hamzah, 49, menceritakan detik cemas rumah dia dan kakaknya dirempuh sebuah kereta di Jalan Guchil Bayam di sini, semalam. Dalam kejadian jam 5 pagi itu, Ibrahim sekeluarga panik seketika apabila mendapati bahagian hadapan rumah mereka hampir ‘ranap’ dirempuh kereta dipandu seorang remaja lelaki berusia lingkungan 20-an. Difahamkan remaja itu memandu seorang diri dari arah Kubang Kerian namun hilang kawalan apabila melalui laluan terbabit menyebabkan garaj kenderaan milik Ibrahim runtuh dan kereta serta motosikal milik keluarga berkenaan rosak teruk. Ibrahim berkata, dia tidak menyangka bunyi bising burung candik belaannya petanda ada kenderaan lain merempuh rumah mereka. “Saya sudah tidur ketika itu sebelum terjaga kerana burung candik berkicau kuat. Apabila saya keluar ke ruang tamu untuk melihat burung itu dan membaiki sangkarnya, dengan tak semena-mena berlaku dentuman kuat di depan rumah, diikuti bunyi runtuhan.
Kaji simulator Kapten Zaharie
Sepang : Simulator penerbangan milik Kapten Zaharie Ahmad Shah telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk diperiksa bagi membantu gerakan mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu. Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis telah mengambil simulator penerbangan daripada rumah juruterbang MH370 itu untuk diperiksa oleh pakar. "Kami ke rumah beliau petang semalam dan mengambil simulator dan semuanya yang dapat membantu kami. Kami menanggalkannya (simulator) di rumah dan memasangnya semula di pejabat kami," katanya pada sidang media yang dipengerusikan oleh Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di sini, petang tadi. Beliau berkata pakar memeriksa simulator milik juruterbang itu dengan harapan mendapatkan petunjuk bagi membantu mencari kehilangan pesawat itu. Menurut laporan media, Zaharie berpengalaman luas dengan rekod 18,365 jam penerbangan telah memasang sendiri simulator penerbangan itu di rumahnya. Malah, kapten yang mula berkhidmat dengan MAS pada 1981 ini juga dikatakan memiliki kepakaran boleh mendaratkan pesawat penumpang di landasan yang lebih pendek berbanding landasan standard kapal terbang komersial. Semalam, polis telah memeriksa rumah Kapten Zaharie serta pembantu juruterbang Fariq Abdul Hamid serta membawa beberapa beg yang tidak diketahui kandungannya. Selain itu, Khalid berkata, siasatan polis masih bertumpu kepada empat fokus iaitu rampasan, sabotaj, masalah peribadi dan psikologi. “Kami belum melengkapkan siasatan terhadap penumpang dalam pesawat dan mengklasifikasikan siasatan terhadap semua penumpang termasuk kru mengikut Seksyen 130(C) Kanun Keseksaan iaitu menjurus kepada kesalahan merampas pesawat, sabotaj termasuk perbuatan pengganas dan semua kesalahan mengikut Akta Penerbangan. “Itu bermaksud kita menyiasat semua penumpang dalam pesawat berkenaan. Kami juga menyiasat semua pihak yang mempunyai kaitan dengan pesawat termasuk petugas yang tarik kapal terbang,” katanya mengaku belum menerima data lengkap atau profil semua penumpang setakat ini. Boeing 777-200ER sedang dalam penerbangan ke Beijing membawa 227 penumpang dan 12 kru bila hilang dari imbasan radar kira-kira sejam setelah berlepas dari KLIA pada 12.41 pagi. Pesawat dijadual tiba di Beijing pada 6.30 pagi. Nasib penumpang masih tidak diketahui kerana pesawat belum dapat dikesan.
Sistem agihan baru BR1M dikaji
Ipoh: Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), mungkin diberikan kepada rakyat secara bulanan, pembayaran suku tahunan ataupun mengekalkan kaedah pengagihan sedia ada untuk memastikan golongan sasar menikmati subsidi yang disediakan kerajaan. Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Mohd Hanadzlah berkata, cadangan melaksanakan sistem agihan baru itu dikemukakan pada mesyuarat Kabinet dan dipertimbangkan serta dalam peringkat kajian. “Kami cuba beralih kepada sistem (agihan) yang baru ini, tetapi ia belum diputuskan. Bagaimanapun, ia dibincangkan dan besar kemungkinan kami beralih kepada sistem baru tetapi keputusan hanya dibuat Kabinet,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu dan bersiaran di Radio PerakFM, di sini, semalam. Ahmad Husni berkata, langkah itu bagi membolehkan penerima BR1M menikmati bantuan berterusan sepanjang tahun. “Kalau kami bagi sekali dia belanja habis, tetapi kalau bagi secara bulanan atau mengikut suku tahun, mereka boleh belanja lebih lama,” katanya. Menurutnya, BR1M diperkenalkan bagi membantu rakyat berikutan peningkatan kos sara hidup. “Subsidi dinikmati semua golongan termasuk mereka yang tidak memerlukan bantuan daripada kerajaan, jika rasionalisasi subsidi dibuat, kerajaan memberikan fokus dalam memberikan bantuan yang sepatutnya termasuk BR1M kepada golongan memerlukan,” katanya. Menurutnya, ketika ini, kerajaan menanggung subsidi RON95 dan melalui rasionalisasi yang dilaksanakan, kerajaan boleh melakukan penjimatan RM14 bilion setahun. Katanya, cadangan rasionalisasi petrol RON95 dibentangkan kepada Jawatankuasa Polisi Fiskal dan model mengenainya sudahpun disiapkan. “Daripadanya, kita akan putuskan berapa banyak subsidi RON95 yang akan diturunkan sama ada subsidi itu diturunkan secara berperingkat atau pelaksanaannya diturunkan secara terus,” katanya.
Guru simpan data secara offline
Kajang: Guru tidak perlu lagi memasukkan data ke dalam sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) seperti sebelum ini. Itu antara langkah penambahbaikan sistem PBS yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan. Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengumuman lengkap mengenai langkah penambahbaikan PBS akan dibuat esok. Beliau berkata, selain itu, guru juga tidak perlu menyertakan bukti, sebaliknya hanya menyimpan data pencapaian pelajar secara offline. “Apabila ibu bapa mahu mengetahui pencapaian anak mereka, kami boleh tunjukkan dalam data yang guru simpan. Butiran terperinci berhubung perkara ini diumumkan pada 18 Mac ini,” katanya pada Program Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti di Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Kajang di sini, semalam. Sebelum ini, Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Khair Mohamad Yusof berkata, kerajaan memutuskan penangguhan pelaksanaan PBS pada 23 Februari lalu untuk memberi ruang kepada satu kajian bagi penambahbaikan diadakan. Hal itu bermakna guru tidak perlu meneruskan pelaksanaan PBS sehingga kenyataan rasmi mengenainya dibuat Kementerian Pendidikan nanti. Muhyiddin berkata, penambahbaikan itu mengambil kira rungutan guru terhadap pelaksanaan sistem berkenaan yang didakwa membebankan mereka. Beliau berkata, ia juga selepas pihaknya menerima maklum balas daripada bengkel membabitkan 1,000 warga pendidik khusus bagi merangka cadangan penambahbaikan itu. Menurutnya, penambahbaikan itu dilaksanakan tanpa mengorbankan asas PBS bagi mengukur pencapaian pelajar. “Saya tidak bersetuju apabila tugas guru menyimpang apabila ada PBS. Tugas guru adalah mengajar dan bukan memasukkan data. Kalau itu dianggap agak membebankan, kami kena cari penyelesaian,” katanya. Katanya, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan kesatuan guru berhubung cadangan penambahbaikan itu. PBS dilaksana berdasarkan empat komponen iaitu Pentaksiran Pusat (PP), Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Psikometrik (PPsi).
Doa di empangan terus makbul
Alor Gajah: Hujan lebat membasahi 200 pelajar tahfiz enam madrasah dari Melaka dan Shah Alam sejurus mereka selesai menunaikan solat sunat hajat dan doa di Empangan Durian Tunggal, di sini, pada jam 10.30 pagi, semalam. Majlis anjuran Badan Amal Tarbiah Sejagat (BATAS) Negeri Melaka itu disertai tahfiz dari Madrasah Bustanul Ulum, Bemban, Madrasah Tahfiz Al-Quran Arrasyidin (Alor Gajah), Madrasah Tahfiz Al-Quran As-Solihin (Merlimau), Madrasah Tahfiz Baitulnur (Alor Gajah), Ribat Tahfiz Syeikh Ismail Aljailani (Serkam) dan Maahad Tahfiz Darul Pekima Pusat Terbiah dan Anak Yatim (Shah Alam). Solat hajat dua rakaat itu diimamkan Ustaz Amali Dhiya Uddin Ab Rahim dari Ribat Tahfiz Syeikh Ismail Aljailani yang turut memohon doa bagi keselamatan 239 penumpang serta kru penerbangan pesawat MH370 yang masih hilang. Selesai bersolat, bacaan surah Yasin melalui hafazan diteruskan dalam keadaan hujan yang semakin lebat sehingga tamat bacaan doa akhir. Setiausaha Kehormat BATAS negeri Hasimi Mohd Nor berkata, pihaknya terpanggil untuk mengadakan majlis berkenaan bagi memohon hujan rahmat berikutan fenomena cuaca panas melanda negara sejak dua bulan lalu. Beliau berkata, pihaknya memilih lokasi di empangan berkenaan bagi memohon rahmat dari Allah supaya semua empangan di negeri itu dipenuhi air. “Syukur Alhamdulillah, hujan lebat turun buat pertama kali selepas sekian lama sehingga semua jemaah dan tahfiz kebasahan ketika membaca Yasin,” katanya.
Hujan pulih kualiti
Kuala Lumpur: Hanya dua kawasan, Banting dan Shah Alam mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat jam 10 malam. Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS), bacaan IPU di Banting ialah 128 diikuti Shah Alam iaitu 107. Pengarah Bahagian Sains Atmosfera dan Pembenihan Awan Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) Azhar Ishak berkata, operasi pembenihan awan dijalankan menggunakan pesawat ringan Cessna, kelmarin, memfokuskan kawasan tadahan air kritikal dan kawasan paling terjejas akibat jerebu. Hasil usaha jabatan itu serta keadaan awan yang mengizinkan operasi dijalankan berhasil apabila beberapa negeri seperti Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan mula menerima hujan dan keadaan itu dijangka berterusan. “Operasi pembenihan akan diteruskan jika terdapat awan yang sesuai selain atmosfera perlu dalam keadaan stabil supaya dapat menyumbang kepada hujan yang lebih banyak.
Pegawai perisik Amerika Syarikat Syak ‘mereka dalam kokpit’
Pegawai perisik Amerika Syarikat cenderung kepada teori ‘mereka di dalam kokpit’, merujuk kepada juruterbang pesawat Penerbangan Malaysia MH370 bertanggungjawab terhadap kehilangan pesawat itu. CNN melaporkan kerajaan Malaysia sudah lama mencari alasan memeriksa rumah juruterbang dan pembantu juruterbang sejak beberapa hari lalu, namun hanya dalam tempoh antara 24 hingga 36 jam selepas data radar dan satelit menunjukkan sesuatu, pihak berkuasa percaya mereka mempunyai alasan mencukupi untuk menggeledah rumah Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53, dan pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid, 27, bagi mencari petunjuk. Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata pada sidang media, pesawat bertukar haluan dan ia adalah tindakan yang sengaja dilakukan seseorang dalam Boeing 777-200ER itu. “Rakyat Malaysia tidak melakukan perkara seperti itu sewenang-wenangnya,” kata seorang pegawai Amerika Syarikat, lapor CNN.
Keluarga Fariq ‘dipindahkan’
Shah Alam: Ahli keluarga pembantu juruterbang MH370, Fariq Ab Hamid dipercayai sudah ‘dipindahkan’ ke lokasi tidak diketahui ketika pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut berhubung kehilangan pesawat itu. Seorang jiran keluarga itu yang ditemui semalam, berkata, keluarga Fariq sudah tiada di rumah mereka di Seksyen 7, di sini, sejak Jumaat lalu, namun tidak tahu di mana mereka berada. “Rumah Fariq sudah tidak berpenghuni sejak Jumaat lalu. Saya percaya mereka berada di tempat lain sementara pihak berkuasa melakukan siasatan lanjut,” katanya. Malam kelmarin, sepasukan pegawai dan anggota polis dilihat membawa dua beg kertas keluar dari rumah pembantu juruterbang itu. Difahamkan, sepasukan kira-kira 10 anggota polis, termasuk pegawai berpangkat superintendan dari Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, tiba di kediaman Fariq jam 8 malam. Sejam kemudian, pasukan itu keluar dari rumah berkenaan dengan membawa dua beg kertas yang tidak diketahui kandungannya.
Tindakan bomoh raih publisiti murahan
Bukit Mertajam: “Tindakan bomoh penerbangan terbabit mengesan pesawat MH370 disifatkan terlalu keterlaluan dan hanya ingin meraih publisiti murahan,” kata Yang Dipertua Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia (PSSPGM) Datuk Raja Abdul Majid Raja Mat Isa. Raja Abdul Majid berkata, tindakan bomoh itu yang mendakwa Pengasas Persatuan Seni Silat Gayong Ghaib Malaysia (PSSGGM) turut menyebabkan imej dan maruah persilatan Melayu tercalar. Katanya, dalam keadaan negara ditimpa musibah, tidak sepatutnya bomoh terbabit menambahkan lagi kekusutan yang mana ia bertentangan dengan ajaran Islam.
Buat malu warga pesilat
Tanjung Malim: Presiden Majlis Pendekar Malaysia (MPM) Tan Sri Omar Din Mauju menyifatkan tindakan Mahaguru Silat yang mendakwa Raja Bomoh, Ibrahim Mat Zain sebagai memalukan warga pesilat seluruh negara. Menurutnya, Ibrahim juga perlu memohon maaf kepada Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, atas apa yang sudah dilakukannya melalui rakaman video yang disiarkan melalui laman sosial. Katanya, Raja Bomoh itu bukan saja memalukan warga pesilat, malah maruahnya sebagai guru silat juga sudah tercemar gara-gara insiden yang dilakukannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, baru-baru ini. “Saya rasa malu dengan apa yang dilihat di Facebook dan bertambah malu apabila tindakannya itu dilaporkan secara meluas media antarabangsa yang secara tidak langsung mencalarkan imej rakyat Malaysia dan negara,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutupan Kejuaraan Pencak Silat Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Jemputan Antarabangsa Ke-5 UPSI, di Dewan Kolej Ungku Omar, di sini semalam. Katanya, tindakan Ibrahim hanya memalukan pesilat di seluruh negara, apatah lagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri mengiktiraf silat sebagai benteng ketiga negara.
Jais Siasat tok bomoh
Shah Alam: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mungkin akan memanggil pengamal perubatan tradisional Ibrahim Mat Zin, 80, jika mendapati tindakan lelaki itu yang mengadakan upacara ritual di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang berhubungan kehilangan pesawat penerbangan MH370 bertentangan dengan akidah. Pengarah JAIS Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, pihaknya masih menyiasat bagi mengenal pasti sama ada upacara ritual dijalankan Ibrahim pada awal minggu lalu itu boleh menyesatkan akidah umat Islam. Menurutnya, jika didapati ritual dilakukan itu menyalahi akidah, tindakan mengikut Enakmen Jenayah Syariah Selangor akan diambil terhadapnya. “Jika dia (Ibrahim) kata apa yang dilakukan tidak bertentangan dengan ajaran Islam, itu hak dia, namun JAIS tetap menjalankan siasatan lanjut kerana perkara seumpama ini (ritual dijalankan) boleh menyesatkan masyarakat khususnya umat Islam. “Bagi mengekang tindakan itu daripada terus berleluasa, JAIS sudah menempatkan penguat kuasa bagi memantau jika Ibrahim atau individu lain masih menjalankan ritual berkenaan di KLIA,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis penutup menghafaz al-Quran ke-35 di sini, kelmarin.
Mustahil Kapten Zaharie Ahmad Shah sabotaj pesawat
Shah Alam: Rakan rapat Kapten Zaharie Ahmad Shah menyangkal kemungkinan yang disiarkan akhbar Daily Mail bahawa Zaharie merampas pesawat MH370 kerana kecewa dan obsesif dengan keputusan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 7 Mac lalu. Peter Chong, 51, berkata, sebagai seorang yang penyayang dan bertanggungjawab, mustahil Zaharie sanggup mensabotaj pesawat itu. Menurutnya, sejak mengenali Zaharie, dia tidak pernah melihat bapa kepada tiga anak itu menyakiti hati sesiapa dan baginya tindakan itu (sabotaj) sangat mustahil untuk dipercayai. “Saya tidak percaya beliau sanggup melakukan perkara itu (sabotaj). Sepanjang mengenalinya ketika menjalankan kerja amal, beliau seorang yang sangat peramah dan baik hati. “Malah, ketika kami sama-sama melakukan kerja amal di sebuah rumah anak yatim di Kota Damansara, beliau melayani mereka dengan penuh kasih sayang terutama apabila bercerita mengenai pengalamannya,” katanya yang dihubungi, di sini, semalam. Peter yang juga pembantu Ahli Parlimen Subang R Sivarasa berkata, perkataan obsesif terlalu kasar untuk menggambarkan ideologi politik Zaharie walaupun beliau ahli PKR dan pernah menjadi sukarelawan parti berkenaan ketika kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang lalu di Subang. “Beliau masih dianggap ahli biasa dan tidak memegang sebarang jawatan dalam parti. Penglibatannya juga sangat terhad,” katanya.
Lautan Hindi cabaran terbesar
Kuala Lumpur: Selatan Lautan Hindi yang disyaki kawasan pendaratan pesawat penerbangan MH370 oleh pasukan penyiasat adalah lokasi selamat untuk pendaratan pesawat tanpa dikesan kapal laut, radar mahupun satelit. Reuters melaporkan lautan yang amat luas dan antara terdalam di dunia itu akan menjadi cabaran besar kepada pasukan pencari selepas memasukkan kemungkinan Lautan Hindi antara kawasan terakhir pesawat berkenaan mendarat. Dilaporkan Australia yang juga mempunyai beberapa pulau di Lautan Hindi, sukar untuk menghantar pesawat penyelamat bagi menyelamatkan pelayar di kawasan berkenaan sekiranya mereka menghadapi masalah di kawasan kepulauan berikutan tiada liputan radar. “Biasanya tiada liputan radar di kebanyakan kawasan barat Australia dan Lautan Hindi. “Sukar untuk mengesan sesuatu jika ia berada lebih dari 100 kilometer pesisir pantai,” kata seorang pegawai berkuasa penerbangan Australia kepada Reuters. Lautan Hindi laut ketiga terbesar dunia yang mempunyai kedalaman purata 3,657 meter. Ia lebih dalam daripada Lautan Atlantik yang memerlukan dua minggu untuk mengesan pesawat Air France yang terhempas pada 2009. Sehingga kini, usaha pencarian MH370 menggunakan kapal laut dan pesawat membabitkan lebih 12 negara, gagal mengesan pesawat Boeing 777-200ER itu yang hilang sejak seminggu lalu selepas berlepas dari Kuala Lumpur menuju Beijing sebelum dilencongkan dari laluan asal. Usaha pencarian mulanya difokuskan di Laut China Selatan dan Selat Melaka, kini beralih ke Lautan Hindi selepas siasatan data radar dan satelit, memberi petunjuk pesawat berkenaan diterbangkan ke laluan lain dengan sengaja.
MH370 : Rampas guna bom kasut?
Kuala Lumpur: Misteri kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 menjadi lebih rumit apabila ada dakwaan mengaitkannya dengan kumpulan pengganas al-Qaeda. The Telegraph yang berpejabat di London melaporkan seorang bekas pengikut kumpulan itu Saajid Badat memberitahu mahkamah di New York minggu lalu bahawa empat hingga lima lelaki warga Malaysia merancang mengambil alih sebuah pesawat dengan menggunakan bom yang disembunyikan di dalam kasut untuk meletupkan pintu kokpit kapal terbang. Pertemuan antara Saajid dengan kumpulan berkenaan didakwa berlaku pada 2001, tidak lama selepas peristiwa serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York pada 11 September tahun yang sama. Bagaimanapun, perancangan itu tidak pernah menjadi kenyataan dan ia kini cuba dikaitkan dengan kehilangan pesawat penerbangan MH370 pada 8 Mac lalu. Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika ditanya wartawan Harian Metro mengenai dakwaan yang mengaitkan misteri kehilangan pesawat itu dengan al-Qaeda berkata: “Semua terangkum dalam siasatan kita.”
Mangsa nahas meronta seperti dirasuk
Dungun: Seorang pemuda menjerit sambil meronta-ronta bagai dirasuk ketika orang ramai memberi bantuan kepadanya selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 85.5, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Bukit Bauk, di sini, pagi semalam. Insiden itu menyebabkan orang ramai mengikat kaki dan tangannya di atas pengusung bagi mengelak dia terus meronta sebelum dikejarkan ke Hospital Dungun menggunakan ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM). Mangsa, Mohd Fahmi Idham Mohd Syukri, 22, yang memandu kereta PERODUA Viva dari arah Paka ke Dungun dipercayai terbabas ke kanan jalan selepas melalui satu selekoh tajam di situ jam 1.40 pagi. Berikutan itu, kereta mangsa dirempuh sebuah PROTON Satria GTI yang datang dari arah bertentangan sebelum kereta dipandu mangsa terhumban ke dalam gaung dan terbalik. Ketika kejadian Mohd Fahmi Idham dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Banggol Peradong, Kuala Terengganu dari Seremban, Negeri Sembilan. PROTON Satria GTI dipandu Faizal Rizal Abd Aziz, 26, bersama tiga rakannya Aminruddin Mamat, 21, Mohd Padzil Ab Manan, 22, dan Mohammad Nasridam Md Nor, 22 yang semua mereka berasal dari Air Putih, Kemaman dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing selepas menyaksikan perlawanan bola sepak antara Terengganu dan Johor Darul Ta’zim di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. Mohd Fahmi yang parah di tangan dan beberapa bahagian badan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk rawatan manakala empat sahabat terbabit yang cedera ringan di muka dan kaki dirawat di Hospital Dungun. Faizal Rizal berkata, sebaik tiba di tempat kejadian dia terkejut apabila sebuah PERODUA Viva tiba-tiba berpusing memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta dinaiki mereka. “Kejadian berlaku terlalu pantas dan saya tidak sempat membrek menyebabkan saya merempuhnya,” katanya ketika ditemui di Hospital Dungun, di sini, semalam. Ketua Polis Daerah Pemangku Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan.
Maut angkara si pemabuk
Kuala Lumpur: Malang bagi seorang pemandu teksi berusia 58 tahun apabila dia rentung ketika tidur di tempat duduk pemandu selepas keretanya terbakar akibat dirempuh kereta Toyota Corolla Altis dipandu seorang lelaki dipercayai mabuk di tepi sebuah pusat pameran kereta di Jalan Sungai Besi, di sini, pagi semalam. Dalam kejadian jam 5.20 pagi itu, pemandu Toyota Corolla Altis itu yang dalam perjalanan ke pusat bandar, memandu laju dan dipercayai mabuk, hilang kawalan lalu merempuh dua kereta dan empat motosikal yang berada di tempat letak kenderaan. Penolong Pengarah Operasi Bomba Kuala Lumpur Penguasa Kanan Bomba 1 Azizan Ismail berkata, akibat rempuhan itu semua kenderaan terbabit terbakar sepenuhnya dan orang ramai yang menyedari kejadian itu menghubungi bomba serta polis. Menurutnya, bomba menerima maklumat berhubung kejadian pada jam 5.26 pagi dan tiba di lokasi 10 minit kemudian membabitkan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP ) Pudu serta BBP Hang Tuah. “Seramai 33 pegawai dan anggota bomba terbabit dalam operasi memadam kebakaran itu dan siasatan awal mendapati kereta Toyota Altis melanggar kenderaan lain yang berada di tempat kejadian. “Kami menemui mayat seorang lelaki yang rentung. Mangsa dipercayai tidur di tempat pemandu dalam keretanya dan gagal menyelamatkan diri apabila keretanya terbakar,” katanya. Azizan berkata, pemandu kereta Toyota Corolla Altis itu hanya cedera ringan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. Pemangku Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur Asisten Superintendan Fadhli Daud ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan menurutnya, pusat pameran kereta terbabit turut terbakar akibat kemalangan itu.
Ketua Polis Indonesia, arah tembak suspek pembakaran terbuka
Pekanbaru: Ketua Polis Indonesia, Jen Sutarman mengarahkan anggotanya melepaskan tembakan jika ada suspek yang terbabit dalam pembakaran terbuka melawan ketika cuba ditahan. Menjelaskan mengenai Operasi Bersepadu Darurat Asap Riau, Sutarman berkata, polis boleh melepaskan tembakan jika keadaan dirasakan berbahaya. “Tidak ada toleransi bagi sesiapa yang terbabit dalam perbuatan mencemar alam sekitar dan menyebabkan bencana asap di Riau. “Jika perlu, tembak mereka,” katanya dalam satu kenyataan. Menurutnya, setakat ini sudah ada 60 suspek ditahan polis di sekitar wilayah Riau, termasuk seorang daripada sebuah syarikat Indonesia. Sejak 14 Mac lalu Presiden Susilo Bambang Yudhoyono mengarahkan operasi di Riau ditingkatkan dan dijalankan secara bersepadu. Operasi berkenaan membabitkan tiga fokus utama, iaitu memadam kebakaran dan mengawal asap, rawatan kesihatan serta penguatkuasaan undang-undang. - Agensi Ia akan berlarutan selama tiga minggu dan mungkin dilanjutkan jika perlu. - Agensi
Rakyat Crimea mengundi dalam pungutan suara, Berpisah atau kekal?
Simferopol: Rakyat Crimea mengundi dalam pungutan suara yang akan menentukan masa depan wilayah itu semalam sama ada menuntut kuasa autonomi lebih besar daripada kerajaan Ukraine atau berpisah dan cuba menyertai Russia. Pengundian berlangsung beberapa minggu selepas pasukan bersenjata diketuai Russia menguasai Crimea yang didiami majoriti etnik Russia. Jika pungutan suara itu diluluskan, Russia bakal berdepan sekatan dari negara Barat, namun Moscow bertegas untuk tidak berundur dari Crimea. Sejak Viktor Yanukovych digulingkan daripada jawatannya sebagai Presiden Ukraine, Crimea berada di bawah kawalan militia tempatan yang cenderung kepada Moscow. Kerajaan Crimea berkata, jika tentera Ukraine yang dikepung kini tidak menyerah selepas pungutan suara berakhir, mereka akan dianggap “haram.” Namun pemangku Menteri Pertahanan Ukraine Igor Tenyuk berkata, Crimea adalah wilayah mereka dan menegaskan tidak akan berundur dari situ. Di Sevastopol, pengundi kelihatan teruja untuk menyertai referendum itu. Manita Meshchina berkata, semalam adalah hari penting untuk seluruh Crimea, Ukraine dan Russia. “Saya fikir semua orang menjangka majoriti pengundi Ukraine akan menyokong pemisahan dari Ukraine,” katanya. Tinjauan mendapati, dalam tempoh 15 minit pertama pengundian bermula, lebih 70 orang berbaris untuk menyertai proses berkenaan di satu daripada pusat mengundi. Vera Sverkunova, berkata semalam adalah hari cuti. Ditanya bagaimana pilihannya, Vera menjawab dengan menyanyi lagu patriotik Russia. Bekas pegawai tentera laut Russia, Vladimir Lozovoy, 75, sebak ketika membuang undinya. “Saya menunggu selama 23 tahun untuk melihat detik ini,” katanya. Bagaimanapun, etnik Tatar Muslim menolak rancangan menyertai Russia. Pemimpin komuniti Islam setempat, Refat Chubarov berkata referendum itu adalah proses yang “lucu dan umpama sarkas.” - AP
Wanita potong kemaluan lelaki dipenjara 7 tahun
Hong Kong: Wanita yang didakwa memotong kemaluan teman lelakinya hingga putus dan membunuhnya menggunakan tukul dua tahun lalu dijatuhkan hukuman tujuh tahun penjara kelmarin selepas di dapati bersalah menyebabkan kematian. Pihak juri sebulat suara membuat keputusan itu selepas perbicaraan berlangsung selama empat setengah jam. Hakim mahkamah berkata, Yeung dilihat benar-benar menyesal dengan perbuatannya melalui pengakuan yang dibuat. Sehari selepas kejadian itu berlaku, dia dikatakan memberitahu seorang pekerja kebajikan: “Saya memotong kemaluannya. Ia perbuatan kejam tetapi saya tidak berniat melakukannya.” Yueng Ki dikatakan bertindak demikian selepas teman lelakinya, Zhou Hui merogolnya dan memukul anak perempuannya. Perkara itu terjadi apabila Yueng enggan memberikan HK$200,000 (RM 84,449) kepada Zhou untuk membeli kereta. Berang dengan tindakan itu, Zhou mengugut menyebarkan gambar bogel Yueng di Internet sebelum memukul dan merogolnya. - Agensi
48 tahun tak sedar peluru dalam hidung
Lioning: Doktor minggu lalu berjaya mengeluarkan sebutir peluru yang berada dalam hidung seorang wanita sejak 48 tahun lalu. Wanita berkenaan sebelum ini tidak pernah tahu mengenai kehadiran peluru berukuran 2.5 sentimeter itu dalam hidungnya. Ia dikeluarkan doktor di Hospital Universiti Perubatan China di Shenyang dari kepala Zhao, 62, selepas dia mengalami resdung yang kronik, sakit kepala dan limpa bengkak selama lebih 10 tahun. Dia mulanya menyangka kesakitan itu disebabkan batu kecil yang terdapat dalam rongga kanan hidungnya. Zhao kemudiannya mendapatkan pemeriksaan lanjut apabila tidak mampu lagi menahan kesakitan yang di alami dan ketika itulah doktor mengesan peluru berkenaan di dalam hidungnya. Zhao berkata, suatu ketika dahulu dia pernah terkena peluru sesat sewaktu masih kanak-kanak tetapi hanya merasa sedikit kesakitan dan membiarkannya. Doktor percaya peluru itu beralih dan tersekat di hidung wanita itu, mengelak daripada terkena otaknya. - Agensi
Terperangkap empat hari dalam keranda
Shanghai: Seorang lelaki berusia 50 tahun bernasib baik kerana masih hidup selepas terperangkap dalam keranda di sebuah tanah perkuburan awam selama empat hari. Lelaki berkenaan berkata, dia terpaksa minum air kencingnya sendiri untuk mengelak daripada mati. Lelaki yang hanya dikenali sebagai Chien diselamatkan Khamis lalu apabila satu pasangan yang melawat tanah perkuburan awam Pifeng di daerah Nantao itu terdengar jeritan meminta tolong dari keranda berhampiran. Polis dan bomba dikejarkan ke tempat kejadian untuk membuka keranda itu dan mendapati lelaki terbabit di dalamnya dengan pakaian berlumpur. Chien memberi kenyataan yang mengelirukan kepada polis mengenai bagaimana dia boleh terperangkap dalam keranda itu. Pada mulanya dia berkata kawannya meletakkan dia di situ tetapi selepas itu memberitahu dia terjatuh ke dalamnya kerana mabuk. Dia gagal menerangkan bagaimana keranda itu boleh tertutup. Chien memberitahu dia ketakutan apabila tersedar. Dia cuba untuk meminta bantuan dan membuka penutup keranda itu tetapi tidak berjaya. Dia mengalami dehidrasi selepas sekian lama berada di dalam keranda berkenaan tetapi bernasib baik kerana dapat menggunakan beg plastik yang ditemui dalam poketnya bagi diisi air kencingnya untuk diminum. Chien berada di dalam keranda itu selama empat hari tanpa boleh menggerakkan badannya dan merasakan dia akan mati sebelum sempat diselamatkan. Namun keajaiban terjadi apabila hujan ribut yang berlaku mengalirkan air melalui celah keranda membolehkan dia minum. Apabila mendengar suara orang berhampiran Khamis lalu, dia menjerit sekuat hati dan yakin dia akan diselamatkan selepas mendengar bunyi tapak kaki menuju dan anjing menyalak ke arahnya. Doktor berkata Chien kini berada dalam keadaan stabil. - Agensi
Motosikal tulang haiwan
Florida: “Cowasaki” bukanlah kesilapan ejaan pada bagi satu nama pengeluar motosikal sebaliknya ia nama yang diberikan bagi replika motosikal yang dibuat dari tulang binatang. Reese Moore, 65, dari Orange City mempunyai kemahiran unik menggunakan tulang binatang untuk membina replika motosikal selama lebih 10 tahun.. Rekaan terbarunya yang di beri nama Cowasaki akan mula dipamerkan di bilik pameran Ormond Beach sebagai sebahagian daripada Minggu Motosikal 2014 Replika bernilai AS$ 55,000 (RM 180,372) itu dibuat daripada tengkorak lembu, tulang buaya, rakun dan khinzir. “Saya suka menggunakan tulang dalam hasil kerja saya,” kata Reese. Lelaki itu tidak pernah menunggang motosikal apatah lagi motosikal yang dibinanya kerana ia hanya replika dan bukan untuk digunakan. Dia mula membina replika motosikal itu apabila dia cuba melakukan sesuatu yang hebat untuk anaknya pada hari Halloween dengan membuat replika dinosaur dari tulang binatang. Apabila rakannya meminta dia membuatkan satu untuknya, dia membuat sesuatu yang lebih baik. “Pada mulanya saya cuma bergurau dengan mengatakan saya akan membuat motosikal untuk Minggu Motosikal, dan saya anggap itu sebagai satu cabaran buat saya,” katanya. Dalam kira-kira tiga atau empat hari kemudian saya menghubunginya untuk memberitahu ia sudah siap,” katanya. Rekaan terbaru Reese itu kini dipamerkan untuk jualan di Dunn's Attic & Auction House. - Agensi
PR1MA terima 405,000 pendaftaran
Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) setakat ini menerima 405,000 pendaftaran di seluruh negara membabitkan rumah PR1MA. PR1MA menetapkan sasaran untuk melancarkan beberapa projek yang diluluskan tahun lalu oleh ahli perbadanan PR1MA, yang membabitkan pembinaan 50,000 unit rumah di seluruh negara. Untuk maklumat lanjut mengenai projek PR1MA dan mendaftar untuk peluang memiliki rumah PR1MA boleh melayari www.pr1ma.my.
Cara memohon
Untuk menjadi pemilik kediaman PR1MA, sila ikuti langkah permohonan di bawah.
1) Isi borang Buka Akaun
2) Aktifkan akaun dalam masa 14 hari dengan mengklik pautan dalam e-mel yang dihantar oleh PR1MA
3) Cipta kata laluan baru untuk akaun anda
4) Jika akaun PR1MA anda sudah dibuka, terus ke proses pendaftaran
Syarat layak untuk memohon:
• Warganegara Malaysia
• Bujang atau berkahwin serta berumur 21 tahun dan ke atas
• Pendapatan isi rumah individu atau keluarga (suami dan isteri) antara RM2,500 hingga RM7,500
• Tidak memiliki lebih daripada satu hartanah sama ada anda atau pasangan jika ada.
Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) dan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) Tawar rumah mampu milik
Kuala Lumpur: Apabila berbicara mengenai rumah mampu milik, masih terdapat segelintir individu kurang mengetahui Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) dan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) adalah dua agensi kerajaan yang memberi fokus kepada penyediaan kemudahan itu di negara ini. Kedua-dua syarikat itu memiliki objektif hampir sama, namun menawarkan rumah mampu milik pada harga berbeza mengikut definisi masing-masing bagi memastikan masyarakat mempunyai peluang memiliki rumah, sekali gus memenuhi keperluan negara dalam menjadi negara maju. Pengarah Urusan SPNB Profesor Datuk Dr Kamarul Rashdan Salleh berkata, orang ramai pada masa kini prihatin dengan keperluan memiliki rumah kediaman pada harga mampu milik memandangkan kos sara hidup dan harga rumah yang meningkat dari semasa ke semasa. “Saya ingin menegaskan SPNB dan PR1MA sentiasa membantu rakyat dalam memiliki rumah pada harga berpatutan sekali gus membantu usaha kerajaan mensejahterakan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.kepada Bisnes Metro. Beliau berkata, SPNB menyeru orang ramai supaya mengambil peluang memiliki rumah mampu milik di bawah RM250,000 melalui pelancaran projek pembangunan Rumah Idaman Rakyat (RIR) yang dilancarkan menjelang suku ketiga tahun ini. Menurutnya, projek terbabit peluang terbaik bagi rakyat untuk memiliki kediaman masing-masing memandangkan ia menawarkan pelbagai jenis rumah daripada teres, semi-D, banglo dan lain-lain pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran. “Sebagai permulaan, kami merancang membina 3,000 unit RIR membabitkan beberapa lokasi di seluruh negara dengan golongan sasaran seperti anak muda, keluarga muda, kakitangan kerajaan dan individu memiliki pendapatan antara RM3,000 dan RM7,000,” katanya. RIR satu inisiatif diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada pembentangan Bajet 2014, Oktober lalu bertujuan membina lebih banyak rumah mampu milik untuk rakyat. Kamarul berkata, SPNB berharap lebih ramai individu melakukan pendaftaran dengan pihaknya apabila projek RIR dilancarkan dan semua maklumat mengenai cara permohonan serta lokasi rumah diumumkan. “Setakat ini, kami mengenal pasti beberapa lokasi dan kami membuka pendaftaran, pembinaan dan proses undian untuk menentukan pemilik sebelum memulakan proses jual beli dan bayaran deposit kemudian menyerahkan unit rumah kepada pemohon yang layak,” katanya. Selain RIR, SPNB masih meneruskan program Rumah Mesra Rakyat yang disasarkan kepada golongan memiliki tanah sendiri dan pendapatan berjumlah RM3,000 ke bawah yang terbahagi kepada rumah bersaiz 700 kaki persegi dengan harga (RM45,000), 850 kaki persegi (RM55,000) dan 1,000 kaki persegi (RM65,000). “Kami turut menawarkan subsidi bagi harga keseluruhan rumah terbabit dengan membabitkan nilai RM20,000 (700 kaki persegi), RM17,500 (850 kaki persegi) dan RM15,000 (1,000 kaki persegi) bertujuan mengurangkan beban ditanggung pemohon,” katanya.
Dalam model perancangan kewangan ambil berat 7 perkara
Dalam model perancangan kewangan, terdapat tujuh perkara perlu dititikberatkan iaitu pendapatan, perbelanjaan, simpanan, perlindungan kewangan, pelaburan, penyucian (zakat dan sedekah) serta pembahagian (wasiat dan faraid). Simpanan adalah antara perkara utama perlu diambil kira kerana ia mungkin jadi satu perkara penting yang sukar dilakukan. Mengikut statistik yang dicatatkan, 23.4 peratus rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan, 17 peratus memiliki simpanan satu hingga dua bulan perbelanjaan, 17.5 peratus (tiga hingga enam bulan belanja) dan sekitar 42.1 peratus (lebih enam bulan belanja). Secara umumnya, kesedaran mengenai amalan membuat simpanan masih rendah di Malaysia sedangkan ia penting dalam aliran tunai kewangan seseorang dan berkait rapat dengan pendapatan serta perbelanjaan. Semua buku pengurusan kewangan di seluruh dunia dan tempatan menekankan pentingnya mempunyai simpanan. Simpanan perlu diletakkan sebelum perlindungan dan pelaburan. Sekiranya seseorang itu gagal menyimpan, maka sebenarnya dia gagal menguruskan kewangannya dengan baik kerana ia satu tanda aras pengurusan kewangan yang baik. Sebelum memulakan simpanan, kita perlu menetapkan matlamat untuk apa simpanan itu dibuat. Ada orang menyimpan untuk membeli rumah, menabung untuk pendidikan anak, untuk persaraan atau untuk menunaikan haji. Simpanan paling utama untuk dana rizab atau dana kecemasan. Tujuannya untuk menyediakan kewangan yang cukup untuk memastikan kestabilan hidup seandainya kewangan terjejas. Dalam kisah Nabi Yusof, Raja Mesir bermimpi tujuh ekor lembu gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu kurus, serta melihat tujuh tangkai gandum hijau di samping tujuh tangkai gandum kering. Nabi Yusof mentafsirkan mimpi tersebut bahawa negara Mesir akan menghadapi tujuh tahun musim kemarau selepas tujuh tahun musim menuai hasil. Nabi Yusof menyarankan agar tujuh tahun pertama digunakan sebaik-baiknya untuk menanam dan menuai hasil dalam masa sama menyimpan sebahagiannya untuk menghadapi musim kemarau selepas itu. Saya berpendapat, jumlah sepatutnya perlu diketepikan sebagai simpanan untuk tujuh tahun perbelanjaan. Mungkin ada berpendapat jumlah berkenaan terlalu tinggi terutama bagi yang berpendapatan kecil. Sebagai contoh, sekiranya seseorang mempunyai pendapatan RM2,000 sebulan, maka adakah beliau perlu menyimpan RM168,000 (RM2,000 x 12 bulan x 7 tahun)? Ia bergantung kepada jumlah perbelanjaan dan bukan pendapatan bersih dimiliki setiap bulan. Ini kerana, jumlah perbelanjaan tidak seharusnya melebihi pendapatan kerana jika keadaan itu berlaku, maka ia menandakan kita berada dalam masalah besar. Bagi mereka berpendapatan RM2,000 sebulan dan perbelanjaan juga dalam jumlah sama, maka terdapat dua pilihan yang boleh membantu iaitu mengurangkan perbelanjaan atau menambah pendapatan. Saya mencadangkan agar kedua-dua perkara berkenaan dapat dilaksanakan. Ramai orang menghadapi masalah kekurangan wang, menumpukan aspek penambahan pendapatan. Namun, apabila pendapatan bertambah, maka perbelanjaan juga turut bertambah dan ia tidak menyelesaikan masalah. Ia umpama menggali lubang untuk menutup lubang saja. Dengan mengurangkan perbelanjaan, secara automatik ia seolah-olah menambah pendapatan sedia ada. Sebagai contoh, sekiranya perbelanjaan RM2,000 sebulan, dengan mengurangkan perbelanjaan kepada RM1,900, ia menunjukkan seolah-olah pendapatan bertambah RM100. Ini bermakna, jika selama ini di hujung bulan tiada langsung duit baki, tetapi dengan cara pertama ini, kita memiliki baki RM100 di hujung bulan. Bagi segelintir individu pula, mereka tidak boleh langsung mengurangkan perbelanjaan dan ini bermakna, menambahkan pendapatan cara terbaik. Namun, harus dipastikan, selepas menambah pendapatan, jumlah perbelanjaan harus dikekalkan seperti sebelumnya. Penulis Perunding Kewangan Bertauliah IFP (Islamic Financial Planner) di INFAQ Consultancy & Advisory
MH370: Kaitan dengan serangan 9 September?
WASHINGTON - Bekas Timbalan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Strobe Talbott mendakwa kehilangan pesawat MH370 yang disyaki angkara pengganas mungkin akan untuk melakukan serangan menyerupai 9 September di India. Berikut adalah dakwaannya menerusi Twitter, semalam: ‘Misteri pesawat Malaysia: Faktor arah, kapasiti minyak menjurus kepada rampasan pesawat, perampas mungkin merancang melakukan serangan menyerupai 9 September di India’. Beliau berkata, pesawat itu mungkin terhempas seperti rampasan pesawat UA 93 pada 2001. Terdahulu, beliau menjelaskan menerusi tweet bahawa terdapat spekulasi pesawat itu mungkin terhempas dalam perjalanan ke India seperti berlaku pada pesawat UA93. Pesawat UA93 dirampas di Pennsylvania dengan kesemua 44 anak kapal dibunuh dan dua hari kemudian dua lagi pesawat dirampas sebelum melanggar Pusat Dagangan Dunia. - Times of India
India tidak kesan MH370 di Pulau Andaman
NEW DELHI - Pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 di sekitar pulau Andaman dan Nicobar belum berhasil setakat ini, pegawai pemerintah Andaman dan Nicobar (ANC) mengesahkan semalam. Dua kapal tentera laut India termasuk dari negara lain terus mencari di lokasi yang ditentukan pihak Malaysia, namun tiada sebarang tanda pesawat dikesan. "Tiada tanda-tanda jet terhempas berhampiran kawasan pencarian. Perincian yang diperoleh adalah kabur. Pasukan mencari kami memerlukan titik permulaan untuk mencari. Kami telah mencari di semua kepulauan tetapi tiada tanda-tanda pesawat," The Times of India memetik Laksamana Madya Sudhir Pillai, ketua staf ANC sebagai berkata. Pengawal trafik udara di Kolkata turut menolak kemungkinan pesawat yang hilang itu terbang melalui ruang udara India, satu dari dua kemungkinan yang dicadangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam. Sekiranya teori ini betul, pesawat tidak boleh mengelak daripada dikesan pihak Maklumat Penerbangan Serantau Kolkata. Satu lagi laluan alternatif pesawat yang sistem komunikasinya dipercayai sengaja dimatikan, ialah Lautan Hindi, di selatan Selat Melaka yang kali terakhir pesawat dikesan radar tentera Malaysia, menurut laporan itu. Pillai berkata ini akan membawa pesawat ke selatan Andaman. Beliau berkata setiausaha pengawal trafik udara, Sugata Pramanik telah menjelaskan sementara pesawat MH370 mungkin telah mengelak dari dikesan radar pemantauan sekunder, blip dari pesawat Boeing 777-200ER yang besar itu sudah tentu dapat dikesan Tentera Udara India yang menggunakan radar pemantauan utama untuk mengesan seperti pencerorobohan ruang udara. "Sekiranya sesuatu pesawat tidak mahu dilihat, ia dengan mudah boleh hilangdaripada radar awam dengan mematikan transponder. Tetapi ia tidak boleh mengelak radar sistem pertahanan. "Tentera Udara India mempunyai radar yang dipasang di seluruh negara dan tidak menyakinkan tiada yang dapat mengesan sebarang blip ganjil," katanya. -Bernama
Semua disiasat, tiada terkecuali
SEPANG - Tragedi kehilangan pesawat MH370 disiasat di bawah Seksyen 130 (C) Kanun Keseksaan, Akta Kesalahan Keselamatan(Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan Akta Kesalahan- Kesalahan Penerbangan 2003, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar. Katanya, tiada sesiapa pun yang akan dikecualikan daripada siasatan sama ada kru penerbangan atau penumpang. "Siasatan menyeluruh itu melibatkan empat fokus utama seperti yang diumumkan sebelum ini iaitu rampasan, sabotaj, masalah psikologi penumpang dan anak kapal serta masalah peribadi," katanya. Menurutnya, semua pihak yang ada kaitan dengan pesawat MH370 akan disiasat termasuk kakitangan MAS yang bertugas semasa pesawat itu belepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). "Semua kita siasat termasuk jurutera MAS. Tapi semuanya masih dalam siasatan," katanya ketika sidang media di sini, semalam. Bagi tujuan itu, kata Khalid, semua negara yang mempunyai penumpang di dalam pesawat MH370 dimaklumkan supaya menyiasat latar belakang warganegara mereka. "Saya kata bukan semua penumpang bersih dan tidak perlu disiasat, tapi ada negara yang sudah bagi rekod bersih berdasarkan penumpang mereka. "Tapi ada juga polis dan pihak berkuasa sesetengah negara belum bagi respons terhadap permintaan kita untuk buat penyiasatan, antara negara yang sudah bagi maklum balas adalah China dan India," kata beliau. Sementara itu, menjawab pertanyaan media mengenai tindakan polis yang memeriksa rumah juruterbang dan pembantunya, beliau menjelaskan perkara itu adalah sebahagian siasatan yang dijalankan. "Kita ada ke rumah mereka untuk bantu kertas siasatan, itu adalah amalan biasa. "Berkenaan simulator yang diambil oleh polis ia adalah untuk kajian dan siasatan pihak kami," katanya. Beliau berkata pakar sedang memeriksa simulator milik juruterbang itu dengan harapan mendapatkan petunjuk bagi membantu mencari kehilangan pesawat itu. “Kami ke rumah beliau petang semalam (kelmarin) dan mengambil simulator dan semuanya yang dapat membantu kami. Kami menanggalkannya (simulator) di rumah dan memasangnya semula di pejabat kami,” katanya. Kelmarin, polis memeriksa rumah kapten Zaharie Ahmad Shah, 53, dan pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid, 27, untuk maklumat lanjut.
Keluarga penumpang MH370 di China diberi pilihan
BEIJING - Malaysia Airlines (MAS) memberi tiga pilihan kepada keluarga penumpang pesawat MH370 di China. Pilihan itu ialah mereka boleh terus tinggal di Beijing, yang kedua MAS akan menanggung kos pengangkutan dari Beijing ke rumah mereka dan ketiga, mereka masih boleh terbang ke Malaysia untuk mendapatkan perkembangan semasa yang berlaku tentang kehilangan pesawat itu sejak 8 Mac lalu. Perkara itu diberitahu seorang pegawai kanan pentadbiran MAS, Ignatious Ong Ming Choy kepada media Malaysia di sini pada Ahad. Beliau berkata, MAS akan menguruskan soal hotel kepada keluarga berkenaan yang mahu ke Kuala Lumpur. "Kami akan memaklumkan kepada mereka persiapan seterusnya," katanya dan menambah sesetengah anggota keluarga yang telah berada di Kuala Lumpur mengambil keputusan kembali ke China kerana merasakan tiada makna mereka terus menunggu. Satu keluarga dari wilayah Xinjiang yang berada di sini berkata mereka akan terus menunggu di Beijing. Ong berkata, taklimat mengenai operasi mencari dan menyelamat kini hanya akan disalurkan melalui saluran berita yang betul kerana kes kehilangan pesawat sedang disiasat. - Bernama
Insiden MH370 tidak jejas keyakinan pelabur
MUAR - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yakin insiden kehilangan pesawat Boeing 777-200 milik Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 tidak menjejas keyakinan pelabur asing terhadap tahap keselamatan negara ini. Malah timbalan menterinya, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, keyakinan pelabur asing terhadap negara semakin bertambah berikutan kecekapan kerajaan menyelaras gerakan mencari dan menyelamat pesawat malang itu. Bercakap kepada media selepas seminar tentang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di sini hari ini, beliau berkata, pelabur asing tidak mempunyai sebab untuk hilang keyakinan terhadap tahap keselamatan Malaysia. "Malaysia mendapat pujian dari negara luar (berkenaan operasi SAR pesawat MH370) dan ia tidak memberi kesan terhadap import dan eksport kita," katanya. Menurut Hamim, cubaan pihak tertentu memburuk-burukkan Malaysia melalui media sosial juga tidak akan menggugat keyakinan dan kepercayaan pelabur asing kerana mereka menyedari negara ini menyediakan persekitaran pelaburan yang kondusif. - Bernama
Minyak tambahan 1 jam pesawat prosedur biasa - MAS
SEPANG 16 Mac - Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAS), Ahmad Jauhari Yahya berkata, kapal terbang yang diberi bahan api tambahan untuk kira-kira 45 minit hingga satu jam adalah prosedur biasa, supaya pesawat boleh ke lapangan terbang lain, sekiranya lapangan terbang destinasi sebenar ditutup. - UTUSAN ONLINE
Operasi mencari MH370 masuki era baharu, semakin sukar
SEPANG 16 Mac - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MH370 yang hilang sembilan hari lalu kini menjadi lebih sukar dengan peluasan kawasan pencarian dan pertambahan negara yang terlibat di dalam operasi tersebut. Menurut Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, negara yang terlibat di dalam operasi itu telah bertambah kepada 25 negara dan melangkau 11 sempadan negara. "Operasi pencarian semakin sukar kerana ia membabitkan dua koridor laluan. Walau bagaimanapun, kami masih komited dalam mencari pesawat berkenaan," kata Hishamuddin pada sidang akhbar di sini hari ini. Sementara itu, Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan hari ini berkata, kerajaan sedang berunding dengan beberapa buah negara mengenai bentuk bantuan yang diperlukan dalam operasi SAR pesawat MH370 yang sudah masuk hari kesembilan. Kenyataan tersebut turut berkata, bentuk bantuan yang diperlukan bukan sahaja terdiri daripada aset laut dan udara tetapi termasuk data satelit berserta analisis, data radar dan kepakaran pencarian darat. Negara-negara tersebut ialah Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgystan, Turkmenistan, Pakistan, Bangladesh, India, China, Myanmar, Laos, Vietnam, Thailand, Indonesia, Australia dan Perancis. Pada 8 Mac lalu, pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), MH370 dilaporkan hilang selepas terputus hubungan dari menara kawalan udara (ATC) Subang. Selepas lapan hari operasi SAR, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan pesawat yang membawa 239 penumpang termasuk 12 anak kapal itu telah diubah haluan oleh seseorang di dalam pesawat berkenaan. - UTUSAN ONLINE
Dari Penjual Petai, Kini Pengusaha Restoran
Siapa menyangka daripada seorang penjual petai di pasar malam, kini pelakon dan pelawak Ebby Yus sudah maju ke hadapan apabila bergelar usahawan restoran. Menurut Ebby atau nama sebenarnya, Muhammad Yunus Abdul Rashid, 48, sehingga kini sebanyak tiga cawangan restoran masakan Cina Muslim, Restoran Adam Lai telah berjaya diusahakannya bersama tiga rakan kongsi yang lain. “Saya sudah biasa dengan berniaga sejak kecil. Walaupun berlakon sejak 1883, tetapi saya tetap berniaga kecil-kecilan. “Jangan tak tahu, saya pernah berniaga petai di pasar malam, walaupun sudah bergelar pelakon ketika itu,” katanya memetik laporan Berita Minggu, hari ini. Ternyata keazaman yang dimiliki oleh Ebby boleh dibanggakan apabila Restoran Adam Lai yang terletak di Shah Alam, Sri Gombak dan Wangsa Melawati sentiasa tidak menang tangan menerima kunjungan pengunjung setia mereka. Dalam perkembangan lain, Ebby yang tercalon dalam kategori Pelawak Lelaki Popular menerusi Anugerah Bintang Popular tidak mengharapkan sebarang kemenangan kerana merasakan artis komedi seperti Jep Sepahtu, Johan dan Zizan mempunyai peluang cerah untuk menggenggam trofi tersebut.
Pekerja Tapak Binaan Nyaris Maut Kren Tumbang
BUTTERWORTH – Seorang pekerja di tapak pembinaan nyaris maut apabila sebuah kren yang di gunakan untuk kerja-kerja di situ tumbang secara tiba-tiba dalam satu kejadian di tapak projek rumah teres dua tingkat di Sungai Dua, di sini hari ini. Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi, pekerja terbabit yang berusia lingkungan 30-an bernasib baik kerana hanya mengalami cedera ringan selepas terkena serpihan kayu yang melantun ke arahnya. Difahamkan, ketika kejadian kren itu sedang mengangkat bahan binaan sebelum ia hilang kawalan dan senget di bahagian kiri membuatkan tayarnya terangkat dan besinya jatuh di atas rumah yang masih dalam pembinaan. Seorang pekerja di tapak pembinaan itu yang enggan dikenali berkata ketika kejadian tidak ramai pekerja bertugas di kawasan berkenaan dan mangsa yang mengalami kecederaan ringan sempat melarikan diri selepas melihat besi kren berkenaan jatuh. “Jika dia tidak sempat mengelak kemungkinan kren itu akan menghempapnya dan pekerja berkenaan pasti cedera parah bagaimanapun dia bertindak pantas dengan melarikan diri. “Mangsa hanya terkena serpihan kayu yang melantun ke arahnya dan dia hanya mendapat rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Seberang Jaya,” katanya. Pekerja itu berkata kren berkenaan kemungkinan mengangkat beban berat hingga menyebabkannya hilang kawalan sebelum tumbang dan menghempap rumah yang masih dalam pembinaan itu. Untuk rekod, kejadian kren tumbang itu adalah kali ketiga berlaku pada tahun ini di Pulau Pinang dan satu daripadanya menyebabkan seorang wanita yang dalam perjalanan ke tempat kerja maut selepas dia melanggar besi kren yang melintang jalan. Kejadian yang berlaku pada 24 Januari lalu di depan Masjid Negeri menyebabkan mangsa Che Fatimah Ishak, 50, maut akibat kecederaan parah di kepala. Empat hari sebelum itu, tiga pelajar kolej swasta yang mengambil gambar pemandangan daripada atas sebuah kren di Jalan Lebuh King nyaris maut apabila jentera terbabit tumbang dan menghempap sebuah rumah teres dua tingkat. – BERNAMA
Operasi Kesan MH370 Kini Libatkan 25 Buah Negara
OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 kini disertai oleh 25 buah negara berbanding hanya 14 buah negara baru-baru ini. Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata ia satu cabaran besar buat Malaysia dalam usaha menyelaras operasi berkenaan melibatkan jumlah negara sebesar itu. “Seperti yang dimaklumkan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) semalam, operasi kini memasuki satu fasa baru.. Operasi menyelamat kini lebih sukar melibatkan usaha pelbagai negara. “Kawasan SAR kini sudah pun diperluaskan dan tujuan utama misi mencari juga sudah berubah.. Daripada misi mencari di kawasan perairan yang cetek, kita sekarang melihat ke kawasan muka bumi yang luas melibatkan sempadan 11 buah negara dan juga lautan dalam dan terpencil kepada dunia. “Jumlah negara yang menyertai misi SAR kini juga meningkat..Daripada 14 buah kepada 25 buah negara yang membaca cabaran baru dalam penyelarasan dan diplomatik,” katanya dalam sidang media hari kesembilan kehilangan pesawat MH370 di Hotel Sama-Sama, Sepang hari ini. Menurut Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan, dalam tempoh 24 jam sebelum ini, Najib telah pun berinteraksi dan berhubung dengan beberapa pemimpin negara-negara yang terlibat dalam operasi SAR pesawat MH370. Semalam, Najib dalam sidang medianya berkata operasi kini menumpukan pencarian sepanjang dua lokasi iaitu di Koridor Utara dan Koridor Selatan untuk menjejaki lokasi sebenar MH370. “Perdana Menteri telah pun berhubung dengan Perdana Menteri Bangladesh, Presiden Turkmenistan, Presiden Kazahkstan dan Perdana Menteri India. “Semalam, wakil Kementerian Luar Malaysia memberikan taklimat kepada wakil negara-negara di kedua-dua koridor berkenaan,” katanya. Hari ini sudah masuk hari kesembilan pesawat MH370 yang pada awalnya dalam penerbangan ke Beijing pada awal pagi Sabtu 8 Mac lepas hilang dari radar. Menurut perkembangan terbaru, sebuah syarikat satelit milik Britain telah mengesahkan menerima isyarat dikenali sebagai isyarat “handshake” dari pesawat MH370 dan ia kali terakhir di kesan masih di udara pada pukul 8.11 pagi Sabtu. Hasil pemerhatian, pasukan penyiasat mengecilkan laluan terbang ke dua koridor berkenaan yang kini menjadi lokasi terbaru operasi SAR.
Kepala tersepit di luar, badan di dalam bas
Georgetown: Seorang pemandu bas ekspres ditemui maut dalam keadaan kepalanya tersepit di pintu bas penumpang yang diletakkan di kawasan parkir di Masjid Kampung Rawa, Sungai Pinang di sini, semalam. Dalam kejadian yang hanya disedari jam 7.30 pagi itu, mangsa, Muhamad Shaharil Anuar, 32, ditemui dalam keadaan ngeri dengan kepalanya berada di luar, manakala badannya pula berada di dalam bas berkenaan. Pegawai Bomba Kanan II Jalan Perak, Yaakob Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.33 pagi daripada orang awam dan tiba di lokasi kejadian tiga minit kemudian dengan mendapati terdapat seorang lelaki tersepit kepalanya di pintu bahagian penumpang bas ekspres berkenaan. “Enam anggota tiba di lokasi dan melakukan kerja menyelamat menggunakan peralatan yang dibawa serta terpaksa masuk melalui cermin bahagian pemandu bas sebelum membuka pintu bahagian penumpang itu. “Selepas 10 minit, mangsa yang tersepit itu dikeluarkan dan kami cuba memberikan rawatan kecemasan terhadapnya, namun dia didapati sudah meninggal dunia kerana tersepit dalam tempoh yang lama,” katanya. Yaakob berkata, pihaknya tidak dapat memastikan punca sebenar kejadian itu sama ada berlaku disebabkan masalah teknikal atau sebaliknya dan kes itu diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Superintendan Ismail Idris berkata, berdasarkan siasatan awal, pihaknya mendapati mangsa pemandu kedua bas ekspres berkenaan. Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dikatakan masuk ke dalam bas melalui pintu pemandu dan dipercayai keluar melalui pintu penumpang, namun siasatan dijalankan untuk mengenal pasti punca dia boleh tersepit di pintu bas berkenaan. Katanya, mangsa berjaya dibawa keluar dari pintu bas dengan bantuan bomba dan mayatnya dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian yang sebenar.
Polis buru suspek kes bunuh di hotel
ALOR SETAR - Polis masih memburu suspek berhubung kematian seorang lelaki berumur 60 tahun dalam keadaan terlentang dengan kaki terikat di bilik tingkat empat sebuah hotel di bandar raya ini petang Khamis lalu. Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, mereka masih menjalankan siasatan terperinci mengenai kes itu dan belum ada sebarang perkembangan terbaru mengenai suspek. Sebelum ini, hasil laporan bedah siasat mendapati mangsa mempunyai kesan jerut pada lehernya dan punca kematian mangsa yang juga ejen pelancongan itu adalah kerana sesak nafas. Ia diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. Laporan Sinar Harian terdahulu, melaporkan mangsa berasal dari Kuala Lumpur berada dalam keadaan terlentang dan kedua-dua belah kaki diikat menggunakan tali kasutnya sendiri di bahagian buku lali. Mangsa ditemui petugas hotel dalam keadaan berpakaian lengkap dengan berseluar pendek dan kemeja T. Polis hanya menjumpai ubat kencing manis dan tiada sebarang benda mencurigakan di bilik berkenaan.
Komputer Nato digodam
BEBERAPA laman web Perjanjian Pakatan Atlantik Utara (Nato) digodam semalam namun ia tidak memberi kesan kepada sistemnya, lapor CNN. Menurut jurucakapnya, Oana Lungescu, laman web Ukraine mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu. Laman web itu lumpuh untuk beberapa jam daripada serangan dikenali sebagai 'penafian perkhidmatan'. CNN gagal mengakses sekurang-kurangnya tiga laman web selepas sejam kenyataan Nato dikeluarkan. Nato juga tidak menyebut siapa yang bertanggungjawab dalam serangan itu. Namun, sebuah laman web Ukraine yang dimiliki kumpulan digelar Cyber Berkut mengaku bertanggungjawab. "Kami Cyber Berkut mengumumkan hari ini pada jam 6 petang, kami memulakan serangan siber kepada sumber Nato. "Kami tidak membenarkan kewujudan pekerjaan Nato di kawasan tanah air kami kerana ia bertentangan dengan campur tangan Ukraine," dakwa laman web itu dalam satu kenyataan. Serangan itu dibuat sehari sebelum pengundian kontroversi pada pemisahan Crimea dari Ukraine. Cyber Berkut merujuk kepada polis merusuh yang dikenali sebagai Berkut yang digunakan oleh bekas Presiden Ukraine Viktor Yanukovych.
KTMB cadang mohon RM400j baiki laluan Gemas-Tumpat
BATU GAJAH - Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) telah menyediakan kertas kerja bagi cadangan permohonan RM400 juta daripada kerajaan untuk memperbaiki laluan segmen pantai timur secara besar-besaran. Pengerusi KTMB Datuk Ir Nawawi Ahmad berkata sekiranya kerajaan bersetuju dengan cadangan itu, projek pembaikan infrastruktur dan landasan bagi laluan Gemas, Negeri Sembilan ke Tumpat, Kelantan, yang mengalami masalah teruk sejak 1989 akan menjadi keutamaan. "Kita sedang menyediakan kertas kerja itu untuk kelulusan Lembaga Pengarah. Sememangnya KTMB perlu memberi penekanan kepada laluan pantai timur dengan kepanjangan landasan sebanyak 529 kilometer kerana wilayah itu juga mengharapkan perkhidmatan pengangkutan kereta api," katanya kepada pemberita di Akademi KTM di sini hari ini. Beliau berkata, kerja penyelenggaraan infrastruktur dan landasan termasuk pembaikan bagi laluan di kawasan tertentu merupakan proses berterusan di samping langkah waspada sentiasa diambil bagaimanapun, perubahan masa turut menuntut penggantian secara besar-besaran dilakukan. Pada masa sekarang perkhidmatan kereta api dari Kuala Lumpur ke Tumpat mengambil masa antara 12 dan 14 jam memandangkan kelajuan yang rendah berikutan landasan tidak baik, katanya. Kerja-kerja menaik taraf secara besar-besaran perlu dilaksanakan dan menjadi tumpuan KTMB supaya perkhidmatan pengangkutan kereta api bagi segmen wilayah pantai timur lebih sempurna pada masa depan, katanya. Mengenai kadar tambang bagi penumpang kereta api yang tidak pernah dinaikkan sejak 32 tahun lepas, beliau berkata walaupun KTMB beroperasi dalam keadaan rugi, namun kepentingan rakyat juga perlu diambil kira. "Walaupun kita beroperasi dalam keadaan rugi, kita tidak boleh buatkan rakyat susah. Jadi kita mohon supaya kerajaan mempertimbangkan masalah kita seperti perkhidmatan lebuh raya yang mana pembayaran pampasan diberikan supaya syarikat dapat bertahan," katanya. - Bernama
Labels:
Berita Terkini
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment