Saturday, March 29, 2014
Berita Terkini 29 Mac 2014
Tong sarat berisi bahan kimia Lynas terjatuh daripada treler
SEBAHAGIAN daripada tong berisi bahan cecair kimia yang terjatuh daripada sebuah treler di Kilometer 149, Jalan Kuantan-Kuala Lumpur dekat Lanchang, Temerloh semalam.
TEMERLOH - Pengguna jalan raya yang melalui jalan di Kilometer 149, Jalan Kuantan-Kuala Lumpur di Lanchang dekat sini gempar selepas 13 tong yang mengandungi bahan cecair kimia yang dibawa dari Kilang Lynas terjatuh daripada sebuah treler pada pukul 9.30 pagi semalam. Kejadian itu berlaku ketika treler terbabit dalam perjalanan dari Gebeng, Kuantan ke Pelabuhan Klang, Selangor. Dalam kejadian itu, sebanyak empat tong berisi cecair kimia jenis NDPR Chloride pecah dan cecair berkenaan tumpah di bahu jalan.
Warga Nigeria maut jatuh balkoni
BULATAN menunjukkan balkoni di mana seorang warga Nigeria terjatuh ketika cuba melarikan diri daripada polis di Pangsapuri Flora Damansara, Petaling Jaya, Selangor semalam.
PETALING JAYA – Gara-gara cemas dengan kehadiran sepasukan anggota polis, tiga lelaki warga Nigeria bertindak nekad melarikan diri melalui balkoni tingkat 6, rumah mereka di Pangsapuri Flora Damansara, dekat sini semalam. Bagaimanapun, tindakan berkenaan mengundang padah apabila salah seorang daripada mereka yang berusia 20-an maut setelah terjatuh daripada balkoni berkenaan. Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, dalam kejadian pukul 1 petang itu, pihaknya ke rumah berkenaan setelah menerima aduan daripada jiran mereka mengenai bunyi bising dari rumah tersebut.
Pelan catuan air peringkat pertama, ke3 diteruskan
KUALA LUMPUR - Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Pertama dan Ketiga masih diteruskan sehingga ke satu tarikh yang akan diputuskan oleh kerajaan negeri Selangor. Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) Priscilla Alfred berkata catuan air itu kerana fenomena cuaca panas dan ketiadaan hujan sejak beberapa hari lepas menyebabkan aliran air sungai kembali ke paras yang rendah di Sungai Selangor. "Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Pertama masih aktif kerana Loji Rawatan Air (LRA) di Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi masih ditutup berikutan paras kandungan ammonia yang tinggi di Sungai Langat," katanya dalam kenyataan hari ini. Alfred berkata bagi pengguna di Wilayah Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang yang memperoleh bekalan air menerusi kedua-dua LRA berkenaan akan menghadapi catuan bekalan air seperti yang dijadualkan dalam Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Pertama. Bagi Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Ketiga yang melibatkan beberapa kawasan di Wilayah Gombak, Petaling, Kuala Lumpur, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Klang/Shah Alam, ia masih diaktifkan juga. "Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash) dan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd masih meneruskan pengawalan dan pengurangan pelepasan air mentah dari empangan Sungai Selangor dan empangan Klang Gates. "Kedua-dua pelan catuan bekalan air tersebut berjalan lancar seperti yang dirancang," katanya. Pihak Syabas menasihati pengguna agar tidak mencuci kenderaan, mengisi air ke dalam kolam renang dan menyiram tanaman hiasan kecuali keadaan kritikal sahaja. - Bernama
Penganjuran F1 kali ini lebih mencabar
KETUA Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Datuk Razlan Razali menyifatkan penganjuran perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix Malaysia Petronas 2014 menghadapi cabaran hebat dalam menarik kehadiran peminat tempatan. Tragedi penerbangan MH370 membayangi perlumbaan dan dijangka mempengaruhi kehadiran penonton tempatan pada Ahad ini. "Memang kita sedang bersedih dengan (tragedi) MH370, tetapi kita perlu teruskan hidup dan saya harap rakyat Malaysia datang dan sokong acara ini serta buktikan kepada media luar bahata peminat masih menyokong acara ini walaupun dalam keadaan berkabung," katanya dalam sidang media, di Sepang hari ini. Sambil menafikan perlumbaan itu untuk mengalih perhatian masyarakat daripada tragedi tersebut, Razlan berkata: "kadangkala kita perlukan sesuatu untuk menenangkan fikiran daripada masalah dan kerisauan". Malah katanya semua pasukan yang menyertai perlumbaan akan berkongsi kesedihan mereka dengan peminat sebelum perlumbaan berlangsung. "Semua pasukan yang menyertai Formula 1 kali ini akan bertafakur selama seminit sebelum memulakan perlumbaan serta mereka juga ada menampalkan pelekat seperti #prayforMH370 dan #rememberingMH370 pada topi keledar masing-masing. Ini menunjukkan seluruh dunia turut merasai kesedihan yang dialami oleh rakyat Malaysia," katanya. Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan peraturan baharu yang menetapkan penggunaan deruman enjin perlahan turut menyumbang kepada penurunan jumlah penonton kali ini. "Saya sebagai peminat tegar sukan permotoran mengakui agak kecewa dengan peraturan baharu tersebut, tetapi kami juga mendapat respons positif daripada penonton yang hadir hari ini terutamanya kanak-kanak dan wanita. Mereka ternyata lebih selesa dengan bunyi yang lebih perlahan. "Peminat baharu ini lebih menghayati perlumbaan tanpa perlu memakai penutup telinga, berbeza dengan perlumbaan sebelum ini," katanya. - Bernama
Ketibaan pelancong China tetap menggalakkan
KUALA LUMPUR - Ketibaan pelancong China ke Malaysia dijangka tidak merosot di sebalik tragedi melibatkan pesawat MAS, kata Pengarah Eksekutif Berjaya Hotels and Resorts Leong Wy Joon. Mac lazimnya musim puncak kepada pelancong China yang berkunjung ke negara Asia, dengan Malaysia destinasi utama mereka. "Bagaimanapun, mungkin ada impak besar dalam jumlah pelancong China dalam jangka masa pendek berikutan sensitiviti berikutan tragedi itu. "Perniagaan hotel dan pusat peranginan mungkin terjejas, tetapi bukan untuk jangka panjang," katanya kepada pemberita selepas majlis pemeteraian perjanjian antara Berjaya Land Bhd dengan Taisei Corp untuk projek pembinaan hotel Four Seasons di Kyoto, Jepun. Berjaya Land turut menandatangani perjanjian dengan RHB Bhd dan Mizuho Bank Ltd untuk dana pembiayaan US$160 juta (RM526.4 juta) bagi projek hotel itu. Penerbangan MH370 membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, berlepas dari KLIA pada 12.41 tengah malam 8 Mac lalu hilang daripada skrin radar kira-kira sejam kemudian ketika terbang melintasi Laut China Selatan. Ia dijadual mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama tetapi sehingga hari ini usaha mencarinya di selatan Lautan Hindi masih belum membuahkan hasil. Projek Hotel Four Seasons Kyoto ialah projek besar ketiga dilaksanakan Berjaya di utara Asia selepas pembangunan pusat peranginan bersepadu di Jeju, Korea Selatan dan Great Mall China di Beijing, China. Mengenai prospek masa depan, Leong berkata selain projek sedia ada, syarikat itu merancang meneroka peluang di Tokyo, Osaka dan Fukuoka. - Bernama
Catuan bekalan air Taiping, Kamunting mulai 3 Apr
TAIPING - Lembaga Air Perak (LAP) akan melaksanakan pelan catuan bekalan air di sebahagian daerah Taiping dan Kamunting selama dua minggu bermula 3 April ini susulan penyusutan sumber air yang berlaku sejak Januari lepas. Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Insfrastruktur, Tenaga dan Air Perak Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata pelan itu melibatkan dua zon dengan keseluruhan 27,982 akaun. "Bekalan akan diberi secara bergilir-gilir kepada zon terlibat selama dua hari dan dua hari berikutnya tiada air. Bagi zon dijadual tiada bekalan air, bekalan kepada pengguna dijangka terhenti pada 9 pagi berterusan sehingga 53 jam sehingga dibuka semula pada 2 petang dua hari berikutnya," katanya. Beliau ditemui pemberita selepas melawat Loji Rawatan Air Taiping Headwork, di sini hari ini. "Masa sebenar pengguna mendapat bekalan dijangka akan berbeza beberapa jam berbanding seperti yang dijadualkan kerana pengguna perlu faham bahawa adanya perbezaan jarak antara kolam air," katanya. Beliau juga mengingatkan pengguna sepanjang catuan itu LAP tidak akan menyediakan lori tangki atau tangki statik di kawasan terjejas. "Pelan catuan bekalan air itu juga sebenarnya tertakluk kepada pindaan dari semasa ke semasa oleh pihak SPAN (Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara). Ini kerana jika berlakunya hujan untuk tempoh sebelum tarikh catuan bekalan air dijadualkan, kita mungkin boleh mengelak daripada terus melakukan tindakan berkenaan," katanya. - Bernama
600 anggota polis bertugas untuk Formula One
SEPANG - Kira-kira 600 anggota polis termasuk dari unit trafik, narkotik dan jenayah akan ditugaskan pada kejohanan perlumbaan Formula Satu Grand Prix Malaysia Petronas 2014 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bermula hari ini sehingga Ahad ini. Ketua Polis Daerah Sepang, Supt Mohd Yusoff Awang berkata 100 anggota polis ditambah tahun ini berbanding tahun lepas bagi memastikan keselamatan awam bagi mengekang kejadian seperti kecurian kenderaan dan pergaduhan yang dilaporkan tahun lepas. Beliau berkata tumpuan penugasan juga dilakukan seperti di tempat letak kereta dan tempat duduk penonton dan memeriksa semua penonton sebaik mereka memasuki litar. Bilik operasi polis di litar juga dibuka hari ini manakala pelan kontingensi diadakan bagi melicinkan kelancaran ke litar, katanya kepada pemberita di sini. Mohd Yusoff berkata bagi pengunjung dari Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuhraya Maju (MEX), Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) perlu melalui jalan Utama Welcome Centre, Simpang pertama lampu isyarat Bukit Tinjau atau melalui Jalan Quarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Jalan Pekeliling dua. Bagi laluan keluar ke lebuh raya, pengunjung perlu membuat pusingan U di Bulatan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) serta Jalan Quarters KLIA dan melalui lampu isyarat simpang empat Jalan Salak/Sepang. "Jika terjadi kesesakan luar biasa di Jalan Pekeliling Dua, semua kenderaan akan dialirkan ke Bulatan Chaterfield-Jalan CTA 2 KLIA-Lebuhraya KLIA-Plaza Tol KLIA, lencongan akan bermula di bulatan Masjid KLIA," kata Mohd Yusoff. Beliau berkata SIC turut menyediakan perkhidmatan bas shuttle di KL Sentral, Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) dan LCCT selain perkhidmatan teksi Sunlight bagi pengunjung yang menggunakan pengangkutan Express Railway Link (ERL) dari Salak Tinggi dan KLIA. Mohd Yusoff berkata 15,000 petak kenderaan termasuk untuk kereta, teksi, motosikal serta bas khas disediakan di SIC dan perkhidmatan shuttle bas juga disediakan. Bagi mereka yang ingin ke LCCT namun terperangkap di kesesakan jalan raya boleh mendapatkan bantuan polis trafik yang bertugas bagi mengelakkan terlepas penerbangan. - Bernama
Lelaki Afrika maut cuba lari dari polis
PETALING JAYA - Seorang lelaki warga Afrika maut apabila terjatuh dari tingkat enam sebuah pangsapuri di Flora Damansara ketika cuba melarikan diri daripada ditangkap polis. Ketua Polis Petaling Jaya Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, ketika mengesahkan perkara itu, berkata polis ke pangsapuri berkenaan setelah menerima aduan daripada orang awam berkaitan bunyi bising di tingkat enam. "Anggota polis telah pergi ke tingkat itu dan mendapati pintu rumah yang didiami tiga lelaki warga Afrika terbuka tetapi pintu jerijinya berkunci menyebabkan polis gagal masuk ke dalam rumah itu," katanya ketika dihubungi Bernama. Beliau berkata menyedari kehadiran polis, ketiga-tiga lelaki cuba melarikan diri melalui tingkap belakang dan seorang daripada mereka terjatuh manakala dua lagi berjaya meloloskan diri. Katanya, siasatan dalam unit pangsapuri itu menemui dua kad pelajar dan satu pasport dipercayai milik ketiga-tiga individu berkenaan. "Butiran si mati masih belum dikenal pasti dan mayatnya telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat," katanya. Arjunaidi berkata polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut dan akan terus memburu dua lagi lelaki yang berjaya melepaskan diri. Seorang jiran, Mohamad Fikri Ramelin, 23, berkata ketika kejadian, tiga anggota polis meminta bantuan beliau untuk meninjau dari beranda rumahnya situasi di rumah warga Afrika itu. "Bila saya tinjau sendiri dari arah beranda, saya terperanjat apabila mendapati seorang lelaki telah terlentang dengan keadaan berlumuran darah berdekatan sebuah kereta. "Dua lagi lelaki cuba melarikan diri dengan turun dari satu tingkat ke satu tingkat dengan bergayut pada jeriji tingkap dan terjun dari tingkat tiga ke atas tanah," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian. Katanya, kedua-kedua lelaki dilihat melarikan diri ke arah berlainan melalui hutan kecil di belakang pangsapuri itu. - Bernama
MH370: Kelajuan pesawat sukar diukur
KUALA LUMPUR - Terlalu kompleks untuk kita jangka kelajuan pesawat dengan menggunakan minyak yang sedia untuk sampai ke sesebuah destinasi. Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata ia kerana kelajuan pesawat susah untuk diukur jika melakukan penerbangan diketinggian yang berbeza di lokasi tertentu. "Jadi kemungkinan pesawat untuk sampai lokasi yang dikatakan sebelum ini mungkin benar. "Tapi masih lagi dalam koridor (Selatan, Lautan Hindi) yang sudah dikenal pasti," katanya ketika sidang media harian MH370 di sini, hari ini. Terdahulu, Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA), berkata lokasi pencarian diubah 1,100 km ke timur laut. Katanya, maklumat terbaru itu adalah berdasarkan analisa data radar antara Laut China Selatan dan Selat Melaka sehingga hubungan radar terputus. Hasil siasatan mendapati pesawat MH370 terbang lebih pantas dari masa yang dianggarkan sebelum ini, menyebabkan peningkatan penggunaan minyak dan berkemungkinan mengurangkan jaraknya menuju ke Lautan Hindi. Berhubung perkara itu, agensi penyiasat, Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) sudah pun memeriksa maklumat yang diberikan dan berpendapat maklumat itu adalah paling kredibel untuk mengesan kawasan sepihan. Mengulas lanjut, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein berkata beliau berterima kasih kepada semua pihak yang memberikan kerjasama baik dalam operasi pencarian. "Membanggakan kita adalah dari segi teknikal, kita mendapat maklumat dari data-data termasuk dari United Kingdom, satelit Inmarsat, Pusat Penyiasatan insiden pesawat (AAID), Jabatan Penerbangan Awam China (CAAC), Badan Keselamatan Kenderaan Nasional (NTSB), Jabatan Penerbagan Awam (FAA)dan Boeing. "Pasukan ini bekerjasama dengan data Inmarsat untuk dianalisis bersama mengenai maklumat termasuk data radar dan prestasi pesawat bagi mengecilkan lokasi pencarian," katanya.
Baki unit AS1M untuk bumiputera kurang RM1b
KUALA LUMPUR - Unit langganan untuk pelabur Bumiputera bagi Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) kini berbaki kurang daripada RM1 bilion, kata Permodalan Nasional Bhd (PNB). Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, PNB menyasarkan untuk menghabiskan kesemua unit langganan tersebut dalam tempoh terdekat. "PNB berharap pelabur dapat mengambil kesempatan dan peluang ini untuk melanggan baki unit yang tinggal," katanya pada taklimat mengenai produk terbaharu PNB, Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2). Produk tersebut bakal dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2 April. AS1M, dana berharga tetap dengan saiz dana RM10 bilion unit, dilancarkan pada 31 Julai, 2009. Ia dibuka kepada seluruh rakyat Malaysia dengan peruntukan 50 peratus untuk Bumiputera, 30 peratus untuk kaum Cina, 15 peratus untuk kaum India dan lima peratus untuk lain-lain kaum. - Bernama
Kerjasama galakkan pembangunan industri halal
NILAI - Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Institut Penyelidikan dan Pengurusan Halal (IHRAM), hari ini menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) Malaysia dan TPM Biotech Sdn Bhd (TPMB) bagi mewujudkan jalinan industri yang memberi manfaat berpanjangan. MoA itu adalah bagi pembangunan modul program 'Analisis Halal Profesional' dalam program pemindahan ilmu. USIM diwakili Naib Canselornya Prof. Datuk Dr Asma Ismail, HDC diwakili Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya Hasni Zarina Mohamed Khan manakala TPMB diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Ahmad Husni Johari. HDC ialah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang berperanan menyelaras pembangunan keseluruhan industri halal di Malaysia. TPMB, anak syarikat Technology Park Malaysia & Corporation Sdn Bhd, merupakan institusi yang memperuntukkan tenaga dan sokongan pakar dalam perkhidmatannya untuk menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan. Asma berkata, melalui kerjasama ini, HDC dan TPMB berhasrat bekerjasama dengan USIM, sebagai rakan kongsi strategik, menggalakkan pembangunan industri halal di Malaysia, khususnya untuk mewujudkan platform perundingan halal, latihan, perdagangan dan ruang potensi lain pada masa akan datang. "Selain memberi kesedaran berkaitan konsep halal kepada masyarakat dan industri, program tersebut turut berperanan menyalurkan pengetahuan halal melalui pelbagai saluran seperti berpandukan teori dan praktikal, pandangan dari sudut syariah, prosedur samak, analisis makmal serta meningkatkan pengetahuan dalam amalan halal dan pelaksanaan audit," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoA itu, di sini. Katanya bertepatan hasrat untuk menjalankan pembangunan modul berkaitan persijilan halal, enam modul dihasilkan untuk program latihan yang bakal dijalankan selama 14 minggu. "Berdasarkan industri halal yang bersifat kompleks dan holistik, USIM percaya pendekatan ini mampu mewujudkan peluang ekonomi yang luas dengan menggunakan pendekatan bersepadu selaras dengan hasrat dan visi USIM dalam mengintegrasikan ilmu Naqli (Wahyu) dan Aqli (Rasional) untuk mentransformasikan dan menghasilkan nilai kepada negara, ummah dan manusia sejagat," katanya. Katanya USIM kini giat berusaha untuk menggerakkan dan mengaktifkan jalinan kerjasama dalam industri halal dengan pihak industri dan pelbagai organisasi terutama bagi tujuan penyelidikan dan inovasi, perkhidmatan serta pengkomersilan dan pertukaran serta perkongsian kepakaran agar kepakaran yang ada dapat dikongsi bersama ke tahap optimum demi kemajuan ummah. - Bernama
MH370: Keluarga Penumpang Di China Tak Mampu Kawal Emosi Atau Angkuh?
INSIDEN kehilangan pesawat MH370 ternyata mengundang suasana sedih dan muram bukan sahaja di kalangan waris penumpang dan krew penerbangan, malah turut dirasai oleh orang ramai. Bagaimanapun, selepas 20 hari kehilangannya, ramai ahli keluarga yang mula redha dan menerima hakikat mereka mungkin telah kehilangan orang tersayang terutamanya selepas pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengesahkan pesawat tersebut mengakhiri penerbangannya di selatan Lautan Hindi. Namun, suasana yang berbeza pula berlaku di Beijing, China apabila rata-rata mereka tidak berpuas hati dan melahirkan kemarahan secara melampau termasuklah menuduh Malaysia sebagai ‘pembunuh’. Menerusi tulisan Celia Lim yang disiarkan di beberapa portal Singapura, dia membidas sikap waris keluarga penumpang China yang disifatkannya sebagai ‘luar biasa’. “Semakin hari, kesedihan itu diluahkan dengan cara menjerit, membaling objek, membuat permintaan yang bukan-bukan, menyerang sidang media, mogok lapar dan mengadakan protes di Kedutaan Malaysia di Beijing. Memang menyedihkan apabila kehilangan orang tersayang. Tetapi, ramai lagi keluarga penumpang negara lain yang sedih dan kecewa! Namun, mereka tidak bertindak seperti keluarga penumpang China. “Adakah ia disebabkan budaya dan sosial yang berbeza? Xenophobia? Atau mungkin kerajaan China dan medianya telah secara sengaja atau tidak sengaja menyemarakkan api kemarahan di kalangan mereka? “Apabila penerbangan domestik China terhempas dan mengorbankan kesemua penumpangnya, saya tidak melihat pula televisyen menyiarkan kesedihan ahli keluarga mereka sehingga membaling objek ke arah pegawai kerajaan atau mengadakan mogok lapar,” katanya. Tambah Celia lagi, dia percaya mungkin kerajaan Malaysia tidak menangani keadaan ini seperti yang sepatutnya, namun harus diingatkan bahawa insiden ini merupakan bencana yang tidak pernah disangka-sangka. “Ia umpama mencari jarum dalam sisa rumput kering, tambah-tambah pula jika anda langsung tidak tahu di kawasan rumput mana ia berada. Ia misi yang hampir mustahil! Dengan hampir 26 negara terlibat dalam pencarian ini, bukan semua mereka sanggup berkongsi informasi dan laporan kepada Malaysia. “Sesetengah maklumat yang berkaitan dengan kawasan tertentu, pertahanan kebangsaan, politik dan pandangan antarabangsa adalah sensitif dan penting untuk dikongsikan begitu sahaja. “Saya berharap masih ada keajaiban berlaku biarpun kesimpulan awal yang diumumkan oleh Perdana Menteri menyatakan tiada yang terselamat dalam insiden itu,” akhirinya. Pandangan Celia itu turut dipersetujui oleh beberapa pembaca lain menerusi laman Facebook The Real Singapore. Eliaz Trazaguet menulis: “Apakah erti ‘TAKDIR’ di China? Mungkin ada seseorang yang boleh menjelaskan kepada mereka maksudnya. Jika mereka meninggal dunia kerana penyakit, kemalangan atau sebarang bencana, suruh mereka buat bantahan. Sudah-sudahlah..semua orang akan mati suatu hari nanti.” Ahmad Johari pula berkata: “Tidak sensitif…daripada membazir tenaga di situ (protes), ada baiknya mereka mengumpul maklumat dan membantu usaha mencari…” Bagi penulis, tidak salah untuk melahirkan kesedihan, namun pada masa yang sama mereka juga perlu melihat insiden ini dari segenap segi dan tidak hanya memikirkan perasaan mereka sahaja.
ChargeCard: Powerbank Yang Sebesar Kad Kredit
Bagi anda yang biasa membawa powerbank untuk telefon pintar anda semestinya menginginkan powerbank yang mudah dibawa, ringan dan tidak membebankan. Jika dilihat dari sudut penggunaanya, ia memang sangat efisyen tetapi bagaimana pula bagi pengguna yang inginkan suatu yang ringan, kecil dan muat di dalam dompet? Kini, produk ChargeCard pasti dapat memuaskan hati anda. Ia adalah powerbank yang boleh di kira ‘produk yang memberi seribu makna’ kepada pengguna. Lihat saja gambar-gambar berikut dan anda akan memahami bagaimana kemudahalihan dari segi penggunaanya. ChargeCard telah direka untuk dimuatkan ke dalam dompet anda seperti kad kredit. Ia mempunyai panjang dan lebar seperti tiga kad kredit, walaupun ianya sangat nipis, ia menggunakan getah fleksibel yang boleh dibengkokkan di tengah-tengah dengan penyambung USB dan 30-pin penyambung di sebelah. Oleh itu, jika anda mempunyai telefon pintar bersama dengan anda, dan jika anda mempunyai peranti yang menghantar kuasa ke port USB anda (seperti komputer riba), anda boleh menarik ChargeCard tersebut daripada dompet anda dan cajkan peranti iOS anda. Jadi tidak perlulah menggunakan kabel USB yang panjang. Dan jika disambungkan kepada komputer, anda boleh mensiknronisasi ChargeCard tersebut. ChargeCard adalah aksesori telefon pintar yang akan berfungsi sebagai pengecas bateri kecemasan, kabel data dan bateri sandaran dimana kesemuanya telah dihimpunkan ke dalam saiz kad kredit. ChargeCard adalah satu idea yang benar-benar bernas. Saiz kecil ChargeCard ini bermakna kadar kapasiti kuasa caj nya tidak lah sehebat powerbank yang biasa kita lihat, tetapi ia mungkin menjadi penyelamat kepada anda jika anda seorang yang sangat sibuk dengan rutin kehidupan anda. Sumber: www.chargecardproject.com , kickstarter
Buaya Terkam, Baham Kamera
HOMESTEAD, Florida – Hasrat seorang aktivis pencinta alam ingin merakam aksi seekor buaya gergasi gagal apabila sebuah kamera jenis GoPro yang baru dibelinya rosak teruk akibat dibaham reptilia itu, lapor akhbar Daily Mail semalam. Chris Madden meletakkan kamera tersebut di dalam sebuah kerangka sebelum menuju ke sebuah tasik di Homestead, dalam negeri Florida yang menempatkan buaya sepanjang 4.1 meter itu baru-baru ini. Penduduk setempat menggelarkan buaya itu ‘Big Boy’ kerana saiznya yang besar. “Saya cuba mendapatkan beberapa gambar di dalam air, namun sebaik sahaja kamera ini menyentuh permukaan air, buaya tersebut terus menerkam dengan ganas,” katanya. Kamera tersebut dimasuki air selepas beberapa gali digigit oleh buaya tersebut. – Agensi
Bunuh Harimau Untuk Hibur Si Kaya
Beijing – Lebih dari 10 ekor harimau dibunuh dalam satu persembahan bagi menghiburkan pegawai rasmi dan peniaga kaya di China. Polis Zhanjiang merampas bangkai harimau yang baru dibunuh itu serta beberapa produk lain yang berasaskan harimau dalam serbuan baru-baru ini, lapor akhbar Nanfang Daily. Pegawai tempatan dan ahli perniagaan berjaya berkumpul bagi menyaksikan haiwan itu dibunuh sebagai simbolik status sosial mereka. Rakaman video perbuatan tidak berperikemanusiaan itu yang dimuat naik dua tahun lalu menunjukkan, mulut harimau yang dikurung dalam kandang besi itu dirodok dengan rod elektrik selama lebih 10 saat sehingga mati. Seorang penyembelih berpengalaman dibayar untuk melapah daging haiwan berkenaan bagi mendapatkan bahagian penting. Tulang harimau biasanya dijual pada harga 14,000 yuan (RM7,421) sekilo manakala daging pula mencecah RM530 sekilo. Menurut polis, penyembelih berkenaan yang mati selepas terjun kerana mahu melarikan diri ketika serbuan itu sudah membunuh lebih dari 10 ekor binatang. “Harimau itu mungkin disuntik pelali sewaktu di bawa ke sini, tetapi pembeli akan memeriksa dan memastikan harimau itu hidup sebelum dibunuh,” kata sumber yang tidak didedahkan identitinya, semalam. – Agensi
Hajat Datuk Ali Mamak Tak Kesampaian
SEMALAM kita dikejutkan dengan berita pemergian pelawak terkenal era 80an, Datuk Ali Mamak atau nama sebenarnya, Jantan Osman akibat komplikasi pelbagai penyakit seperti gout, jantung, buah pinggang dan leukimia sejak beberapa tahun lalu. Menerusi Sinar Harian, isterinya, Datin Rohani Wahab, 53, meluahkan rasa terkilannya kerana hasrat Allahyarham untuk menunaikan umrah bersama-sama pada bulan ini tidak berjaya dilaksanakan kerana masalah kesihatannya itu. “Sebelum dimasukkan ke wad (Selasa) keadaannya masih baik. Keadaan Allahyarham bertambah kritikal sejak dua hari yang lalu. Masa tu dia sudah tidak sedarkan diri dan dipindahkan ke wad CCU (Unit Rawatan Kritikal) dan doktor sudah memaklumkan kepada anak saya bahawa peluang Allahyarham untuk sembuh sangat tipis. “Saya amat terkilan apabila hasrat Allahyarham untuk menunaikan umrah tidak tercapai dan permintaan terakhirnya untuk menikmati rendang ayam juga tidak dapat saya tunaikan kerana keadaannya sedang berpantang di hospital,” katanya. Sementara itu, anak sulungnya, Shahrol menceritakan mengenai gurauan Allahyarham empat hari sebelum dia menghembuskan nafas terakhir. Menurutnya, Allahyarham secara berseloroh berkata bahawa dia sudah berpuas hati dengan anak-anak dan kehidupannya serta boleh pergi dengan tenang. Biarpun tidak sedap hati dengan gurauan itu, dia terpaksa menyembunyikan perasaannya di hadapan keluarga lain. Apa pun, mari kita panjatkan doa agar roh Allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang beriman.
4 Pengedar Dadah Ditahan Bersama Pistol & Pedang
KUANTAN – Empat lelaki dipercayai pengedar dadah ditahan polis bersama dadah bernilai RM75,000 di sebuah chalet di Kampung Cherating Lama dekat Cherating di sini Rabu lepas. Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani berkata polis turut merampas sepucuk pistol tiruan, sebilah pedang, sebilah pisau dan wang tunai RM400 dalam serbuan itu. Katanya serbuan jam 6 petang itu dilakukan oleh sekumpulan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Pahang yang diketuai ASP Wan Zulkifly Sahabaludin. “Hasil pemeriksaan di dalam chalet itu polis menemui lima botol dadah jenis heroin seberat 20.7 gram, dadah jenis ganja seberat 248.6 gram, 2,000 biji pil kuda dan 119 biji pil ecstasy dengan jumlah keseluruhannya bernilai kira-kira RM75,000,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. Beliau berkata siasatan awal juga mendapati tiga daripada suspek yang berusia lingkungan 21 hingga 45 tahun dan berasal dari Terengganu itu didapati positif dadah. Menurut Sharifuddin, dua daripada suspek terbabit bekerja di chalet berkenaan dan turut memiliki rekod jenayah lampau. “Polis percaya bekalan dadah tersebut dibawa masuk dari Terengganu dan Kelantan untuk diedarkan di sekitar kawasan Cherating dan bandar ini. “Kumpulan ini juga dipercayai aktif menjalankan aktiviti pengedaran dadah sejak awal tahun 2014,” katanya. Polis juga masih meneruskan siasatan dan mengesan anggota kumpulan lain yang mungkin terbabit dengan suspek. Menurut Sharifuddin, semua suspek kini ditahan reman selama seminggu bermula pada Khamis lepas di IPD Kuantan bagi membantu siasatan. – BERNAMA
Pegawai Polis Didakwa Di Mahkamah Minta Rasuah
KUALA LUMPUR – Seorang pegawai polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan meminta dan memperoleh rasuah daripada seorang ahli perniagaan, dua tahun lalu. Bagi pertuduhan pertama, Inspektor Dominic Ngalang Anak Ngabong, 33, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras didakwa meminta suapan RM10,000 daripada Leung Hua Yin Ganesha Beatrice sebagai dorongan untuk meneruskan siasatan berhubung kes tipu. Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Balai Polis Pudu, Cheras dekat sini pada jam 2.15 petang, 13 Jun 2012. Bagi pertuduhan kedua, Dominic didakwa memperoleh suapan RM10,000 daripada Leung bagi tujuan sama di Pertama Residency Apartment, Cheras di sini pada 4.55 petang, 20 Jun 2012. Kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 16 (a) (B) dan Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi. Terdahulu Pegawai Pendakwa dari SPRM Wan Ahmad Nidzam Wan Omar menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan. Peguam Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud yang mewakili tertuduh memohon jaminan ke atas anak guamnya direndahkan atas alasan tertuduh merupakan pegawai yang berdedikasi dan pernah dua kali menerima penghargaan dalam menjalankan tugasannya. Hakim Mohd Nasir Nordin membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 6 Mei depan untuk pengurusan kes. – BERNAMA
MH370: Anugerah Bintang Popular Berita Harian (APBH) Ditangguh
KUALA LUMPUR – BH selaku penganjur Anugerah Bintang Popular BH atau ABPBH mengumumkan penangguhan penganjuran malam kemuncak anugerah yang bakal diadakan pada 6 April 2014 di Arena of Stars, Genting Highlands, dan bersiaran secara langsung di TV3 dan Hot FM ke satu tarikh baru yang akan diberitahu kelak. Penundaan tarikh malam anugerah untuk memartabatkan penggiat seni tanah air ini diputuskan sebagai tanda menghormati insiden memilukan yang menimpa penerbangan MH370, Pengarang Kumpulan BH merangkap Penaung ABPBH 2013, Mahfar Ali berkata: “BH dan ahli jawatankuasa pengelola ABPBH 2013 sepakat mengambil keputusan menangguhkan malam anugerah ini dan disokong sepenuhnya oleh pengurusan Media Prima, NSTP, TV3 selaku hos penyiar rasmi, Resorts World Genting selaku penaja lokasi malam anugerah, rakan penaja ABPBH 2013 serta rakan-rakan artis yang bakal terbabit pada malam anugerah itu nanti.” Keputusan ini turut diambil selaras dengan pengumuman oleh Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad (MPB), Ahmad Izham Omar, baru-baru ini iaitu semua rangkaian TV MPB merombak susunan program dengan menggugurkan rancangan hiburan seterusnya memanjangkan laporan khas dan berita terkini, selain melebihkan pengisian agama serta ilmiah. Ahli jawatankuasa pengelola ABPBH 2013 sedang berusaha mencari tarikh baru yang sesuai untuk menganjurkan malam anugerah ini yang akan diumumkan kelak. Pihak penganjur dan ahli jawatankuasa pengelola merakamkan penghargaan kepada rakan penaja ABPBH2013 iaitu TV3, D’Haja; Eynasha; Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal & Pembersihan Awam; SWM Environment; Environment Idaman; Alam Flora; Kerajaan Negeri Perak; Lord’s Tailor; KTM CKD Malaysia; Resorts World Genting; Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd; Natika Gold & Jewellery; The Royale Chulan Hotel; Tendence dan Hot FM, rakan artis, kru produksi, tenaga kerja yang terbabit secara langsung atau tidak serta kepada rakan media yang memberi sokongan kepada acara ABPBH 2013. “Pada kesempatan ini juga, kami ingin merakamkan ucapan doa dan takziah untuk ahli keluarga penumpang dan kru penerbangan MH370. Semoga mereka diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi dugaan yang berat ini,” tambah beliau. – Berita Harian
Penganjur Kecewa Festival Muzik Kuantan Dibatalkan
KUALA LUMPUR – Penganjur Festival Muzik Kuantan bersempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 kesal kerana acara itu yang dijadualkan berlangsung di Cherating dekat sini bulan depan terpaksa dibatalkan. Pengarah festival, Atord Hamdan dan Erica Gilbert dalam satu kenyataan media berkata, pembatalan itu berikutan arahan pihak berkuasa tempatan di Kuantan yang menarik lesen penganjuran acara tersebut. “Sebagai penganjur festival, kami bersedih untuk pencinta muzik di Kuantan dan Pantai Timur yang tidak dapat menikmati acara muzik akustik, blues, jazz, fusion yang tulen. “Untuk makluman, sebarang laporan yang mengaitkan penganjur Festival Muzik Kuantan dengan Festival Future Music Asia (FFMA) 2014 yang telah membawa kepada pembatalan Festival Muzik Kuantan adalah satu laporan yang salah,” dakwa kenyataan itu hari ini. Media pada 19 Mac lalu melaporkan Festival Muzik Kuantan sempena TMM 2014 dibatalkan bagi mengambil iktibar kejadian semasa konsert FFMA 2014 di ibu negara baru-baru ini. Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusof dipetik berkata, keputusan itu dicapai melalui perbincangan bersama antara pihak polis, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) hari ini. Seramai enam remaja termasuk pelajar perempuan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dilaporkan meninggal dunia semasa menyaksikan konsert FFMA 2014 akibat pengambilan dadah secara berlebihan.
MAS Terima Petisyen Dari Mahkamah Amerika
SYARIKAT Malaysia Airlines (MAS) telah menerima salinan petisyen yang difailkan di sebuah mahkamah di Amerika Syarikat bagi pihak penumpang yang menaiki pesawat MH370 milik syarikat itu yang hilang sejak 8 Mac lepas. Petisyen itu dihantar kepada dua pihak iaitu MAS dan syarikat pengeluar pesawat Boeing. Menurut MAS, peguamnya sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan bersedia menguruskan kes itu walaupun ia belum diserahkan secara formal. Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia pada Khamis, syarikat penerbangan itu faham bahawa petisyen berkenaan bukan saman tetapi adalah satu permohonan menerusi mahkamah untuk memperoleh maklumat berkaitan kejadian menimpa pesawat MH370. Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, KLIA pada 12.41 pagi 8 Mac dan hilang daripada skrin radar semasa terbang di Laut China Selatan. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. Pencarian oleh pasukan keselamatan pelbagai negara kini sedang giat dilakukan di koridor selatan Lautan Hindi.
MH370: Cari Di Dasar Laut Selepas 30 Hari
MISI mencari pesawat MH370 mungkin akan beralih kepada pencarian di dasar laut selepas tamat tempoh 30 hari. Perkara itu dinyatakan oleh Pemangku Menteri pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada sidang media petang tadi. Sehingga hari ke-21 ini, objek yang dilihat terapung menerusi satelit di Lautan Hindi masih belum dikenalpasti. Zon pencarian MH370 juga masih tertumpu di perairan koridor selatan.
MH370: Antara Hishammuddin, Sidang Media Dan Soalan Merapu!
Unprecedented…cuba bilang, memang banyak kali Datuk Seri Hishamuddin Hussein mengunakan perkataan Bahasa Inggeris itu dalam sidang akhbar harian beliau mengenai MH370. Kalau diterjemahkan dalam bahasa kita unprecedented bermaksud sesuatu kejadian yang belum pernah berlaku sebelum ini.Mengikut kamus ‘without previous instance; never before known or experienced; unexampled or unparalleled : an unprecedented event’ . Satu dunia mengakui itulah status misteri kehilangan pesawat Boeing 777-200 MAS dengan 239 penumpang dan anak kapal itu.Belum ada rekod kejadian yang begini membingungkan pernah berlaku. Bayangkan siapa saja dalam kedudukan Hishamuddin hari-hari terpaksa mengadap ratusan wartwan dari dalam dan luar negara yang mahu tahu serba serbi. Kata orang nampak saja senang.Siapa nak cuba berdirilah diatas pentas sidang akhbar itu. Memang mudah kalau semua jawapan ada dalam tangan. Isunya sekarang siapa yang boleh secara pasti jawap apa yang sebenarnya berlaku dalam pesawat MH370 di saat lokasi terakhir diatas udara Laut China Selatan sebelum ia melencong ke Barat dan terbang hingga ke hujung dunia di Selatan Lautan Hindi. Teori 1001 macam teori boleh dibuat tetapi siapa yang berani bagi kepastian. Kalau kalangan pemimpin Pakatan Rakyat yang mulut longkang nak cakap banyak dakwa konon kerajaan tidak tahu handle sidang akhbar itu dengan baik khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim…suruhlah dia berdepan dengan media di situ untuk jawapanya. Kiota boleh tengok sendiri bagaimana hebatnya beliau mampu nak gelembong media tentang ini. Ketika berdepan dengan tekanan soalan kalangan wartawan mengenai gelagat keluarga penumpang China yang terpekik terlolong di Beijing mahu jawapan apa jadi pada pesawat MH370 baru-baru ini….Hishamuddin sendiri kata beliau tidak mampu beri jawapan yang mereka mahu itu. Rasanya kalau letak Presiden Obama di atas pentas sidang media itu beliau akan beri jawapan sama. Ini kerana hingga ke saat ini siapa pun tidak tahu apa yang yang berlaku dalam pesawat itu samaada ia dirampas atau dikendalikan oleh orang yang sengaja mahu bunuh diri atau apa. Seperti kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hanya penemuan kota hitam MH370 saja boleh memberi jawapan pasti. Namun pencarian kotak hitam itu boleh urusan mudah.ia mungkin ambil masa seminggu…sebulan..atau setahun…atau mungkin tidakm ditemui. Lihat sudah bagaimana bagai mana pasukan pencari pelbagai negara diketuai Australia sampai hari ini belum jumpa sebarang serpihan di Selatan Lautan Hindi. Itu baru nak cari serpihan untuk mengesahkan betul atau tidak pesawat MAS terhempas di lautan yang dalam dan sunyi itu. Pelik…di saat-saat yang menekan ini ramai seolah-soal buat-buat lupa bagaimana pencarian kotak hitam pesawat Air France di Lautan Atlantik 2009 ambil masa dua tahun lamanya. Itu sebuah negara kuasa besar yang ada segala macam peralatan canggih. Cara keluarga penumpang China dan sesetengah media Barat dan juga pemimpin pembangkang yang mulut longkang cakap seolah Malaysia ada lampu Aladin…wajib mesti jumpa. Ramai pihak mengakui dalam keadaan tekanan yang hebat,Hishamuddin telah berjaya kendali sidang akhbar harian dengan baik. Ini juga mengambarkan ketelusan Malaysia dalam memberi apa jua ‘maklumat sah’yang mampu diberi. Ada juga yang gatal mulut tuduh konon Malaysia ada sorok sesetengah maklumat mengenai MH370.
Soalnya nak sorok buat apa?
Lagipun operasi ini melibatkan 26 buah negara.Mana mungkin Malaysia sorok apa-apa maklumat dari mereka dalam usaha memastikan operasi dan penyiasatan berjalan lancar. Memang susah bila kena bercakap dengan orang yang sudah tidak rasional dan mahu pakai otak lagi. Dalam pada itu bayangan hari-hari tanpa jawapan perlu mengadap media seluruh dunia yang harapkan jawapan segera. Melihat pada senario ini jangan hairan kalau ada wartawan Barat sendiri pun naik merapu tanya soalan yang buat wartawan lain dalam sidang akhbar itu bengang. Ini berlaku baru-baru ini bila seorang wartawan Peranchis tanya Hishamuddin minta pengesahkan betulkah dia anak saudara Najib. Bila sudah jem dan tidak ada apa nak tanya dan nak tulis lagi…inilah jadinya. Bagi yang sudah merasa bosan bolehlah membaca segala macam spekulasi yang kebelakangan ini banyak dimainkan oleh media Barat khususnya yang menjurus untuk menyalahkan juruterbang Kapten Zaharie sebagai dalang insiden ini. Juga tengok sudah bagaimana Fox news cuba mengaitkan dengan unsur Islam pula. Apa lagi kerja yang mampu dibuat kecuali mahu kasi terus panas ini cerita. – Agendadaily.com
Pasangan Azizul Dan Shalwati Didapati Bersalah, Dipenjara 14 Dan 10 Bulan
Pasangan Malaysia di Sweden yang didakwa memukul anaknya didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Daerah Solna di negara itu kerana melanggar hak integriti anak-anak mereka. Pengarah Tourism Malaysia Azizul Raheem Awaluddin dijatuhi hukuman penjara 10 bulan kerana didapati bersalah melanggar mencabul integriti anak lelaki paling tuanya, Ammar, 13 tahun, memukul anak sulungnya Aisyah, 15 tahun dan Adam, 12 tahun. Azizul bagaimanapun dilepaskan dari tuduhan melakukan keganasan ke atas anak bongsunya, Arif, 8 tahun. Isterinya, Shalwati Norshal dijatuhkan hukuman penjara 14 bulan kerana mencabul hak integriti Aisyah, termasuk didapati bersalah memukul dua lagi anak lelakinya iaitu Adam dan Arif. Ibu bapa kepada kanak-kanak itu Azizul Raheem Awalludin seorang pegawai Tourism Malaysia di Stockholm dan Shalwati Norshal, guru yang bercuti tanpa gaji, ditahan pada 18 Dis dan tahanan reman mereka dilanjutkan selama dua minggu lagi. Mereka ditahan oleh pihak berkuasa negara itu untuk siasatan kerana didakwa memukul tangan seorang daripada anak mereka yang tidak solat.
MH370: Juruterbang MAS Jalani Pemeriksaan Kesihatan Tahunan
Juruterbang Malaysia Airlines (MAS) melalui pemeriksaan kesihatan, termasuk ditemubual untuk memastikan keadaan psikologi yang stabil sekurang-kurangnya setahun sekali, kata MAS. “Berhubung ujian psikologi, apabila kami ambil juruterbang baru kami biasanya memeriksa secara tahunan dan setiap enam bulan, bergantung kepada umur dan (pemeriksaan) kesihatan…,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya. Menurutnya, ia dilakukan melalui temubual dengan doktor bidang penerbangan. Beliau memberitahu pemberita demikian dalam sidang media harian di Kuala Lumpur hari ini berhubung perkembangan usaha mencari MH370.
Labels:
Berita Terkini
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment