Wednesday, March 26, 2014
Berita Terkini 26 Mac 2014
Henti spekulasi mengenai MH370
PETALING JAYA - Orang ramai diminta menghentikan semua spekulasi berkaitan insiden kehilangan MH370 di laman sosial kerana perkara itu hanya menimbulkan kekeliruan pelbagai pihak. Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek berkata walaupun kejadian kehilangan pesawat itu terus dipersoal, tumpuan kerajaan kini adalah mencari kotak hitam bagi mengetahui situasi sebenar insiden berkenaan. "... masih lagi menjadi misteri, kenapa benda ini berlaku dan sebagainya, dan selagi kotak hitam ini kami tak dapat ditemui, selagi itulah misteri ini orang akan buat spekualsi yang bermacam-macam. "Saya melihat jangan kita buat spekulasi tentang apa sahaja sebab ia tidak bagus, kita kena juga menjaga dan menghargai perasaan anggota keluarga penumpang dan kru pesawat itu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Misi Larian Solo AROMA di sini semalam. Beliau berkata rakyat harus melihat impak positif negara dalam menghadapi kesukaran apabila negara luar menghulur bantuan dan sekali gus membuktikan Malaysia sebuah negara yang dihormati. "Bila keadaan macam ini berlaku, kalau negara luar tidak hormat pada kita, sudah tentu mereka tidak akan bantu mencari pesawat MH370, namun sebanyak 26 negara telah menghulurkan bantuan tanpa meminta sebarang ganjaran," katanya. - Bernama
Lelaki Bangladesh cedera dikelar
Lokasi kejadian di mana pergaduhan berlaku di dalam bas.
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Bangladesh cedera dikelar dalam pergaduhan yang tercetus di dalam sebuah bas yang sedang dalam perjalanan dari Rawang menuju ke Kuala Lumpur, kira-kira jam 11.30 pagi, semalam. Menurut sumber, mangsa berusia lewat 20-an dikelar pada leher sebelah kiri oleh seorang lelaki warga Myanmar. "Berlaku pergelutan sebelum mangsa dikelar. Salah seorang rakan mangsa cuba menghalang suspek daripada bertindak ganas, namun gagal," katanya. Difahamkan, pemandu terpaksa menghentikan bas dan mengarahkan semua penumpang turun sebaik tiba di Plaza Tol Jalan Duta. Suspek juga dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur bersama mangsa selepas cedera dibelasah oleh penumpang yang berang dengan perbuatannya. Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan kejadian, namun kes itu kini diserahkan kepada daerah Gombak berikutan kejadian tersebut berlaku di kawasan Rawang.
Google pula disekat
Penduduk membantah sekatan akses Twitter di negara itu.ANKARA - TURKI.
Turki kini menyekat perkhidmatan enjin carian Google selepas akses Twitter yang didakwa menjadi medium untuk menyebarkan pautan berhubung rakaman skandal rasuah melibatkan pegawai kerajaan disekat, minggu lalu. Difahamkan, kerajaan menyekat Sistem Nama Domain Google (DNS) selepas komuniti Twitter tempatan mula menggunakan perkhidmatan tersebut untuk memasuki laman blog mikro terbabit. Pada 20 Mac lalu. akses Twitter disekat selepas Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan memberi amaran akan menghapuskan rangkaian sosial itu yang turut mendedahkan rakaman intipan perbualan telefon palsu seperti yang tersebar di internet. Media tempatan melaporkan, jumlah tweet telah meningkat sehingga 138 peratus sejak perkhidmatan terbabit diharamkan.
Misi cari pesawat MH370 diteruskan semula pagi ini - AMSA
PESAWAT AP-3C Orion Tentera Udara Diraja Australia berlepas dari lapangan terbang RAAF Pearce di Perth, Australia, pagi ini bagi meneruskan usaha mencari dan menyaelamat pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu. - Foto AP
PERTH: Misi cari MH370 diteruskan pagi ini selepas cuaca kembali baik babitkan kawasan 80,000 kilometer persegi dengan 12 pesawat, kata Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA). AMSA dalam kenyataan media pagi ini berkata, pesawat pelbagai negara itu akan berlepas secara berperingkat di kawasan carian di perairan selatan Lautan Hindi. Semalam, operasi SAR digantung selepas Ribut Gale membadai menyebabkan ombak besar dan hujan lebat sehingga merbahaya kepada operasi penerbangan. Hari ini 12 pesawat yang terbabit daripada Amerika Syarikat (AS), China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.
MH370: Kapal pemecah ais China tiba di lokasi penemuan objek
Folger (kiri) dan Schlickum pada pelancaran Mercedes-Benz S-Class baharu di Kuala Lumpur, semalam.
ATAS KAPAL XUELONG: Kapal pemecah ais China, Xuelong hari ini tiba di kawasan di mana pesawat udara negara itu mengesan beberapa objek yang disyaki berkaitan pesawat MH370 kelmarin. Sementara itu, pesawat China, IL-76 juga tiba di kawasan selatan Lautan Hindi pagi ini dan mula mencari pesawat berkenaan. - Xinhua
3 model S-Class tepati inspirasi Mercedes-Benz
Folger (kiri) dan Schlickum pada pelancaran Mercedes-Benz S-Class baharu di Kuala Lumpur, semalam.
Mercedes-Benz Malaysia (MBM) melancarkan tiga model S-Class baharu iaitu S 400 Hybrid model pemasangan tempatan (CKD), S 500 yang diimport sepenuhnya (CBU) dan S 63 AMG (CBU). Naib Presiden Pemasaran dan Jualan Mercedes-Benz, Kai Schlickum, berkata model sedan terbaharu itu dibangunkan menepati inspirasi Mercedes-Benz dalam menerajui teknologi automotif. Katanya, berdasarkan standard baru itu, beliau yakin model itu akan memulakan era baharu bagi kereta yang memiliki kemewahan moden, teknologi kepintaran buatan dan keselamatan pemanduan terbaik tanpa terhad kepada nilai estetika, kuasa, kecekapan, keselesaan atau dinamik.
Sistem kepintaran
“S-Class kali ini memiliki sistem pemanduan pintar yang dipertingkat hasil penggunaan sistem penderia, kamera stereo baharu dilengkapi penderia radar berperingkat. Umumnya, S-Class bukan hanya dilengkapi penderia sebagai mata di bahagian hadapan, tetapi deria 360 darjah sekeliling kereta. “Sistem kepintaran bantuan ini menganalisis situasi kompleks, mengenal pasti risiko bahaya dengan lebih baik di jalan raya dan kami lebih maju ke depan dengan sistem bantuan tindakan awal automatik bagi meningkatkan tindak balas pemandu dan mengelak kemalangan serius. “Model ini juga adalah kereta pertama yang mampu mengesan bonggol atau jalan rosak serta bertindak menyelaras sistem penyerap hentakan dan brek secara automatik, selain sistem amaran awal dan sistem membrek automatik jika mengesan pejalan kaki melintas secara mengejut,” katanya ketika pelancaran model berkenaan di Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir Presiden dan Ketua Eksekutif MBM, Roland S Folger. Teknologi cekap tenaga S-Class dibangunkan menepati teknologi cekap tenaga dengan penggunaan 4.4 liter setiap 100 kilometer atau 20 peratus lebih rendah berbanding model sebelum ini dan diakui sebagai model kereta pertama dunia yang menggunakan pencahayaan Diod Pemancar Cahaya (LED) sepenuhnya menggantikan lampu bulb. Mercedes-Benz turut meletakkan penanda aras baharu bagi keselesaan pengguna dengan memperkenalkan fungsi kerusi urutan bagi setiap tempat duduk yang memiliki enam program urutan untuk melegakan ketegangan ketika jalan jauh atau trafik jam.
Anak perempuan tampar bapa kerana RM2.50
MOHAMAD Idris mengesat air mata selepas anaknya, Nor Diana Mohamed di bebaskan daripada pertuduhan menamparnya selepas warga emas itu menyatakan kesediaan untuk memaafkan Nor Diana di Mahkamah Majistret, Kota Bharu, semalam.
KOTA BHARU 25 Mac - "Hanya kerana tidak memberi RM2.50 untuk membeli air batu, kamu tergamak memukul bapa yang mengalami strok. "Sedih bapa kamu apabila kamu buat begitu kepadanya. Selalunya kita mendengar ayah memukul anak tetapi hari ini berlaku sebaliknya. Lebih-lebih lagi kamu adalah anak perempuan dia.'' Demikian teguran seorang majistret di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap seorang wanita yang menghadapi tuduhan memukul bapanya dengan cara menampar mangsa, tahun lalu. Nor Diana Mohamed, 30, yang tidak bekerja bagaimanapun dilepas dan dibebaskan oleh Majistret Nik Habri Muhamad daripada tuduhan itu setelah Mohamad Idris, 66, bersetuju kes tersebut diselesaikan menerusi permohonan maaf oleh anaknya. Wanita tersebut didakwa menampar bapanya sehingga mendatangkan kecederaan kepada warga emas itu kira-kira pukul 4.15 petang, 2 Ogos 2013 di rumah mereka di Kampung Pintu Geng, di sini. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 334 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 12 bulan atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya. Nor Diana mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut. Terdahulu, selepas Nik Habri meminta warga emas itu tampil ke hadapan, bapa tertuduh yang mengalami kesukaran berjalan akibat serangan strok menyatakan hasratnya untuk menarik balik pendakwaan terhadap anaknya itu. "Saya mahu menarik balik laporan polis dan pendakwaan yang dibuat pada hari ini. Saya telah bersedia untuk memaafkan dia," katanya sambil mengesat air mata. Mahkamah bagaimanapun menolak permohonan tersebut tetapi membenarkan kes itu diselesaikan mengikut Seksyen 260 Kanun Tatacara Jenayah menerusi kompaun kesalahan dengan permohonan maaf oleh anaknya. Nor Diana kemudian tanpa menunjukkan sebarang emosi hanya menyatakan permohonan maaf daripada bapanya. Nik Habri sebelum membuat keputusan membebaskan tertuduh turut menyifatkan tindakan wanita itu menampar bapanya hanya kerana lelaki tidak memberi wang yang diminta sebagai perbuatan tidak berperikemanusiaan. "Kali ini saya melepaskan kamu di atas permintaan bapa kamu, namun jika perkara ini berulang lagi saya tidak akan bertolak-ansur," tegas beliau. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Polis siasat punca sebenar tragedi - Najib
Najib Tun Razak melihat buku 'Outreach & Engagement' selepas melancarkannya sempena Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-207 di Pusat Latihan Polis, Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan, Ahmad Zahid Hamidi (kiri) dan Khalid Abu Bakar (kanan).
KUALA LUMPUR 25 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, polis akan menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti dengan secepat mungkin punca sebenar tragedi menimpa pesawat MH370. Menurut Perdana Menteri, kejadian berkenaan merupakan satu tragedi yang amat besar dan menyayat hati rakyat negara ini dan seluruh dunia. "Malaysia mesti dilihat dengan komitmen dan tahap profesionalisme dalam semua aspek termasuk siasatan apa yang sebenarnya telah berlaku. "Kita tidak mungkin dapat jawapan yang tuntas melainkan memperoleh kotak hitam tetapi siasatan-siasatan lain perlu dilakukan kerana keluarga mangsa pesawat mahu kepada jawapan dan mereka mahu segera," katanya ketika berucap pada majlis Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-207 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini. Yang hadir sama, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan timbalannya, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin. Menurut Najib, tragedi menimpa pesawat MH370 merupakan antara cabaran luar dugaan yang perlu didepani pasukan polis dalam abad ke-21. Dalam pada itu, beliau menyeru rakyat supaya memberi sokongan dan memainkan peranan aktif dalam membantu polis mengurangkan kadar jenayah serta mengekalkan keamanan negara. Beliau berkata, walaupun soal kesejahteraan, keselamatan, ketenteraman awam dan keharmonian merupakan bidang polis, namun semua itu tidak dapat direalisasikan tanpa dokongan serta sokongan rakyat. Umpamanya, kata Perdana Menteri, bagaimana seorang yang bekerja sebagai perancang bandar dan wilayah boleh mengolah struktur bandar berkenaan agar mempunyai ciri-ciri keselamatan. Perdana Menteri turut meminta polis menguruskan persepsi rakyat terhadap jenayah agar seiring dengan trend penurunan indeks jenayah seperti ditunjukkan tahun lalu yang menurun sebanyak 4.3 peratus berbanding tahun sebelumnya. Sementara itu, selepas majlis perbarisan berkenaan, Najib melancarkan buku Jangkauan dan Penglibatan (Outreach & Engagement) yang diterbitkan oleh Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Operasi mencari tertumpu di 459,400 batu nautika
KUALA LUMPUR 25 Mac - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MH370 kini tertumpu di kawasan seluas 459,400 batu nautika persegi di koridor selatan. Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pada masa sama, SAR di koridor utara telah dihentikan. Menurut beliau, SAR di bahagian utara koridor selatan berhampiran Indonesia turut dihentikan dengan tumpuan kini di bahagian utara koridor tersebut. - UTUSAN ONLINE
Dakwaan intip, Huawei kutuk Agensi Perisikan Kebangsaan (NSA) Amerika Syarikat (AS)
BEIJING 24 Mac - Syarikat telekomunikasi China termasuk syarikat gergasi Internet, Huawei, mengutuk Agensi Perisikan Kebangsaan (NSA) Amerika Syarikat (AS) selepas laporan mendedahkan agensi itu mengintip jaringan syarikat-syarikat berkenaan sejak beberapa tahun lalu. Akhbar The New York Times dan Der Spiegel kelmarin melaporkan, NSA mengakses arkib e-mel Huawei, komunikasi pegawai kanan syarikat tersebut dan kod sumber rahsia beberapa produk. Naib Presiden Hubungan Antarabangsa Huawei, Roland Sladek berkata, syarikatnya mengutuk aktiviti NSA itu. Laporan berkenaan adalah berasaskan dokumen yang diberikan oleh bekas kontraktor keselamatan AS, Edward Snowden. - AFP
Rahsia mumia didedah
LONDON 25 Mac - Satu pameran di Muzium Britain, bakal mendedahkan rahsia mumia yang jarang diketahui sebelum ini antaranya bukti bahawa manusia purba turut berdepan masalah kesihatan seperti kolestrol tinggi dan sakit gigi. Pameran dinamakan Ancient Lives: New Discoveries itu bakal membongkar rahsia tersembunyi lapan mumia purba Mesir selepas menjalani imbasan tomografi computer (CAT). Mumia-mumia itu terdiri daripada kerabat diraja sehingga rakyat biasa yang berusia antara 1,300 tahun hingga 5,500 tahun. Ada di antara mumia itu mati pada usia dua tahun dan ada diantaranya meninggal dunia ketika berumur 50 tahun. Laman web, Mail Online melaporkan, dua daripada mumia itu didapati menghidap masalah jantung berdasarkan penemuan mendapan kalsium, tisu dan kolesterol pada bahagian kakinya. Keadaan itu terjadi disebabkan pengambilan makanan tinggi lemak atau faktor keturunan. Kebanyakan mumia itu turut mengalami kerosakan gigi yang mengakibatkan keradangan pada tekak sehingga boleh membawa maut akibat masalah pernafasan. Penemuan baharu itu mendedahkan, manusia purba turut mengalami masalah kesihatan seperti sakit jantung yang biasanya dikaitkan dengan gaya hidup masa kini. Kurator Jabatan Purba Mesir dan Sudan muzium berkenaan, John Taylor berkata, pihaknya mahu menampilkan apa yang dialami oleh mumia tersebut, dan bukan hanya menjadikan mumia itu sebagai bahan pameran.
Barack Obama digesa bantu Rohingya
WASHINGTON 25 Mac - Bekas ahli Kongres Amerika Syarikat (AS), Tom Andrews yang melawat kem pelarian etnik Rohingya di barat Myanmar menggesa Presiden AS, Barack Obama menggunakan pengaruhnya di negara itu untuk melindungi anggota etnik tersebut. Andrews yang merupakan presiden kumpulan aktivis, End Genocide dalam laporannya semalam memberi amaran, anggota etnik tersebut mengalami kekurangan bekalan perubatan dan sentiasa hidup dalam ketakutan. "Tanda-tanda bahaya dapat dilihat dengan jelas. Jumlah yang terkorban adalah tinggi. "Mereka diserang bukan kerana apa yang telah mereka lakukan. Serangan dilakukan kerana etnik dan agama mereka," katanya yang melawat kem tersebut selama sebulan. Beliau berkata, tanda-tanda amaran berlakunya pembunuhan kaum dan keganasan besar-besaran sudah dapat dilihat di sana. Sejak pertengahan 2012, hampir 280 orang terutama etnik Rohingya Islam maut dalam pertempuran kaum di negeri Rakhine, kejadian yang membayangi perubahan Myanmar ke arah demokrasi selepas lima dekad diperintah oleh kerajaan junta. Hampir 140,000 anggota Rohingya Islam terpaksa tinggal di kem-kem sesak dan berpuluh ribu melarikan diri ke negara lain menaiki bot. Andrews berkata, jumlah pelarian yang melarikan diri melalui laut meningkat dua kali ganda tahun ini walaupun perjalanan tersebut amat berbahaya dan sukar mendapat perlindungan di tempat lain. Myanmar menganggap kira-kira 1.3 juta etnik Rohingya Islam sebagai pendatang yang berpindah ke negara itu secara haram dari Bangladesh walaupun kebanyakannya sudah tinggal di sana sejak beberapa generasi. - AGENSI
Capex sektor huluan O&G cecah RM198b
Najib Tun Razak diiringi Edward Stokes (dua dari kiri) dan Shamsul Azhar Abbas (tiga dari kanan) ketika melawat ruang pameran di Persidangan Teknologi Luar Pesisir Asia 2014 di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 25 Mac - Perbelanjaan modal (Capex) untuk sektor huluan minyak dan gas (O&G) Malaysia dijangka mencecah hampir AS$60 bilion (RM198 bilion) dalam tempoh lima tahun akan datang, kata Datuk Seri Najib Tun Razak. Perdana Menteri berkata, era inovasi pada ketika ini menjadi pendorong kepada pertumbuhan perbelanjaan sektor huluan O&G di rantau Asia. Beliau berkata, perbelanjaan global dijangka mencecah AS$700 bilion (RM2.31 trilion) dalam tempoh sedekad akan datang dengan 20 peratus daripadanya akan dibelanjakan di Asia Tenggara. "Kita telah melihat perkembangan yang pesat terhadap inovasi mengekstrak hidrokarbon, teknologi dan kaedah baharu sehingga membolehkan akses pencarian minyak dan gas dapat dilakukan di kawasan yang sukar," kata beliau dalam ucapan perasmian Persidangan Teknologi Luar Persisir (OTC) Asia 2014 di sini hari ini. Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petroliam Nasional Bhd. (Petronas), Tan Sri Shamsul Azhar Abbas dan Pengerusi Lembaga Pengarah OTC, Edward Stokes. Menurut Najib, bagi memanfaatkan pertumbuhan pesat sektor tersebut di rantau ini, Malaysia berminat menarik lebih ramai peserta antarabangsa untuk membuat pelaburan strategik di negara ini dan melengkapkan syarikat tempatan. "Malaysia kini merupakan salah satu pembangun utama sektor O&G di dunia. Sejak skim Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) diperkenalkan pada 1977, lebih 100 kontrak telah dianugerahkan kepada pemain utama sektor huluan O&G," kata Perdana Menteri. Jelasnya lagi, Malaysia memiliki ramuan terbaik bagi menjadi hab tenaga peringkat serantau. Ini bersandarkan kepada industri O&G tempatan yang aktif selain disokong oleh sumber yang signifikan. "Malaysia juga mempunyai rangka kerja perundangan dan peraturan yang kukuh bagi menjaga kepentingan pelabur komersial. Kita juga berada di dalam kedudukan yang baik untuk menjadi hab peralatan dan mesin O&G, fabrikasi serta perkhidmatan di peringkat serantau," kata Najib lagi.
Lampu LED jimatkan elektrik
Gambar LED ini tidak membebaskan haba yang banyak dan TEKNOLOGI lampu LED semakin meluas penggunaannya termasuk pada kenderaan.
MENGGANTIKAN mentol biasa dan halogen dengan lampu diod pemancar cahaya (LED) di rumah mungkin menjadi antara petua penjimatan elektrik terbaik pada dekad ini. Penggunaan LED sebagai lampu di rumah mampu menjimatkan elektrik sehingga 90 peratus kerana ia menggunakan kapasiti tenaga paling minimum. Lampu LED yang menggunakan kapasiti elektrik sebanyak 12.5 watt mampu memberi pencahayaan sama terang dengan lampu biasa yang berkadar 80 watt. Malah, cahaya dihasilkan LED lebih selamat kerana ia tidak membebaskan sinar ultra ungu yang berbahaya kepada kulit dan memberi keselesaan terhadap mata. Selain itu, jangka hayat LED juga lebih lama sehingga 50,000 jam atau bersamaan 15 hingga 20 tahun berbanding lampu halogen dan kalimantang yang mudah rosak akibat kepanasan jika dipasang terlalu lama. Pengurus Besar (Bahagian Produk Lampu) Philips Malaysia, Adrine Ong berkata, LED juga tidak menggunakan bahan berbahaya seperti plumbum dan raksa sebagaimana yang terdapat pada mentol lampu. “Pengguna hari ini sentiasa mahu kepada produk yang selamat. Mereka juga lebih gemar untuk memilih produk yang mampu memberikan penjimatan. “LED menawarkan penjimatan tenaga yang efisien untuk menerangi ruang rumah, pejabat dan tempat awam dengan lebih terang,” kata Adrine. Beliau berkata demikian ketika majlis memperkenal produk inovasi lampu Philips LED the Way di Hotel Garden Kuala Lumpur baru-baru ini. Dalam majlis itu, lebih 10 model lampu LED untuk kegunaan rumah, ruang pejabat dan tempat awam diperkenal. Antara produk LED diperkenal ialah mentol, lampu tiub menggantikan kalimantang, variasi lampu siling, lampu jalan dan lampu hiasan di ruang tamu serta dapur rumah. Haba. Ujar Adrine lagi, penggunaan LED juga tidak menyebabkan ruang rumah atau pejabat menjadi panas akibat pembebasan haba. “Lampu biasa yang kita guna sejak berpuluh tahun dahulu bukan sahaja menggunakan tenaga elektrik yang banyak, tetapi juga membebaskan banyak haba dan menyebabkan pengguna berasa tidak selesa akibat panas. “Pembebasan haba daripada lampu juga menyebabkan pendingin hawa menggunakan lebih banyak elektrik untuk menjadikan ruang rumah atau pejabat sentiasa sejuk. “Jadi, penggunaan lampu sebenarnya mempunyai fungsi yang tidak kurang penting terhadap langkah awal penjimatan elektrik,” kata Adrine. Menurut beliau lagi, meskipun kos untuk membeli dan memasang lampu LED lebih tinggi berbanding mentol biasa, ia sebaliknya menawarkan penjimatan jangka panjang. Tambah Adrine, persekitaran di tempat awam yang gelap juga akan lebih selamat daripada bahaya sinaran ultra ungu sekiranya lampu-lampu jalan jenis mentol biasa diganti dengan LED. “Di Philips, kita mendapati sebanyak 779 juta tong minyak diguna setiap hari untuk menjana elektrik dan 296 juta tan karbon dioksida dibebas sepanjang tahun disebabkan penggunaan lampu mentol biasa di seluruh dunia. “Menyedari semua itu, LED menawarkan pilihan terbaik untuk penjimatan tenaga dan membantu mengawal pencemaran alam sekitar akibat pembebasan gas karbon dioksida,” katanya. Adrine menambah, produk lampu LED keluaran Philips menjalani proses inovasi untuk menawarkan penjimatan elektrik secara optimum dan efisien. Dalam pada itu, Philips menyasarkan pilihan pengguna terhadap lampu LED di Malaysia melebihi penggunaan mentol biasa di premis pejabat dan rumah kediaman menjelang 2015. “Persekitaran akan lebih selamat melalui penggunaan LED. Penggunaan tenaga untuk menjana elektrik seperti minyak dan arang batu juga boleh dijimatkan. “Sudah tiba masanya untuk menggantikan lampu-lampu biasa yang banyak menggunakan tenaga kepada LED yang lebih efisien,” kata Adrine.
Inmarsat guna kaedah fizik kesan MH370
JURUTERA penerbangan, Pegawai Waran, Michael Makin (kanan) duduk di dek penerbangan pesawat AP-3C semasa mencari pesawat MH370 di selatan Lautan Hindi semalam dan GAMBAR yang dirakamkan dari pesawat AP-3C milik Tentera Udara Diraja Australia menunjukkan lokasi pencarian pesawat MH370 di selatan Lautan Hindi kelmarin.
LONDON - Firma rangkaian satelit Britain, Inmarsat menggunakan fenomena gelombang yang ditemui pada kurun ke-19 untuk menganalisis tujuh bunyi denyut elektronik atau 'ping' yang diterima satelitnya dari sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) untuk menentukan destinasi akhir pesawat berkenaan di lokasi terpencil di selatan Lautan Hindi. Penemuan baharu itu mendorong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk merumuskan kelmarin bahawa pesawat Boeing 777-200ER tersebut yang hilang sejak 8 Mac lalu terhempas di selatan Lautan Hindi dengan semua 227 penumpang dan 12 krunya terbunuh. Kapal terbang itu dilengkapi sistem satelit Aero Klasik yang mengumpulkan maklumat seperti lokasi, ketinggian, arah dan kelajuan sebelum menghantar maklumat tersebut melalui rangkaian satelit Inmarsat ke pangkalan data firma berkenaan. Sistem satelit itu dikenali sebagai Sistem Pelaporan dan Komunikasi Pesawat (ACARS). Namun, ACARS pesawat MH370 itu dimatikan atau tergendala pada awal penerbangan yang menyebabkan tiada maklumat yang diterima untuk mengesan kapal terbang tersebut. Pesawat itu didapati masih menghantar bunyi 'ping' pada setiap jam yang diterima satelit Inmarsat. Sekurang-kurangnya 'ping' itu dihantar lima jam selepas ia meninggalkan ruang udara Malaysia. Bunyi 'ping' yang dihantar selepas semua sistem telekomunikasi pesawat terhenti menunjukkan kapal terbang Boeing itu terus terbang selama beberapa jam selepas ia hilang selepas melencong dari laluan penerbangannya ketika ia perlu memberitahu menara kawalan Vietnam. Pesawat dari Kuala Lumpur sepatutnya tiba di Beijing pada pukul 6.30 pagi pada 8 Mac lalu. Namun, bunyi 'ping' tersebut tidak mengandungi sebarang data tetapi hanya masa dan frekuensinya terkandung petunjuk-petunjuk matematik yang tersembunyi. Pakar-pakar Amerika Syarikat dan Australia menggunakan maklumat frekuensi itu untuk memutuskan bahawa pesawat itu hilang di Koridor Selatan iaitu di Lautan Hindi dan bukan di Koridor Utara di Asia Tengah. Maklumat tersebut turut menunjukkan bahawa pesawat itu bergerak pada ketinggian tetap melebihi 9,000 meter. "Ia seperti menembak di dalam kegelapan (misi mencari lokasi akhir MH370). "Saya memuji pasukan saintis yang dapat melakukan pengiraan tersebut," kata Timbalan Presiden Kanan Hal Ehwal Luar Inmarsat, Chris McLaughlin dalam wawancara bersama Perbadanan Penyiaran British (BBC). "Hanya satu 'ping' digunakan untuk menyatakan bahawa pesawat itu masih terbang. Kami kemudian membandingkan MH370 dengan penerbangan Boeing 777-200 lain untuk merumuskan bahawa ia menuju ke selatan Lautan Hindi," katanya. Menurut McLaughlin, berdasarkan masa yang diambil untuk isyarat 'ping' itu sampai ke satelit Inmarsat dan sudut penerbangan MH370, pihak Inmarsat kemudian memberikan dua laluan iaitu berpotensi MH370 iaitu Koridor Utara dan Koridor Selatan. "Kami menggunakan kesan Doppler yang merupakan perubahan frekuensi disebabkan pergerakan sebuah satelit di orbit (untuk mengesan lokasi MH370)," tambahnya. "Kami juga tidak mengetahui sama ada pesawat itu terbang pada kelajuan yang konsisten. Kami juga tidak mengetahui sama ada arahnya kemudian berubah," jelasnya. Justeru, katanya, kami menggunakan kelajuan sistem pengesan penerbangan pandu automatik iaitu pada kira-kira 350 knot. "Kami menggunakan apa yang kami tahu mengenai minyak dan jarak pesawat itu untuk dipadankan dengan maklumat 'ping' yang kita peroleh," tambahnya. Saintis-saintis Inmarsat kemudian memeriksa isyarat 'ping' itu menggunakan teknik berdasarkan hukum fizik yang dikenali sebagai Efek Doppler yang ditemui pada kurun ke-19. Efek Doppler pernah merungkaikan punca bunyi siren kereta polis berubah apabila ia menghampiri dan melintasi seseorang individu. "Ia mengenai perubahan gelombang frekuensi MH370 dan kaitannya dengan satelit Inmarsat," kata seorang jurucakap firma berkenaan. "Kami kemudian menganalisis data itu dan mendapati ia melalui laluan selatan," kata ketua komunikasi korporat Inmarsat, Jonathan Sinnatt. - Agensi
Tugas sukar mencari kotak hitam MH370
PARIS - Usaha untuk mendapatkan semula kotak hitam sebuah pesawat Penerbangan Malaysia yang terhempas di selatan Lautan Hindi merupakan satu tugas sukar walaupun dibantu oleh pelbagai peralatan moden dan canggih. Dua kotak hitam tersebut menjadi kunci untuk merungkai misteri mengapa pesawat tersebut tersasar amat jauh dari laluannya dan nasib kapal terbang itu. Namun, pakar-pakar menyatakan pencarian kotak hitam itu akan mengambil masa yang lama. Secara teori, kotak hitam itu menyimpan data penerbangan dan rakaman suara kokpit yang berterusan mengeluarkan isyarat untuk tempoh dua minggu lagi. Isyarat tersebut boleh dikesan pada jarak sekitar tiga kilometer dari lokasi alat tersebut berada. Namun, tanpa serpihan itu ditemui di kawasan pencarian yang jauh di tengah lautan, usaha bagi mencari kotak hitam itu ibarat mencari sebatang jarum dalam timbunan jerami. "Mencari isyarat kotak hitam ibarat bergantung kepada nasib," kata seorang anggota pasukan yang mencari kotak hitam Penerbangan Perancis AF447 yang terhempas ke dalam Lautan Atlantik pada tahun 2009. - AFP
Kekasih penumpang MH370 enggan terima berita kematian
BAJC dan kekasihnya, Woods.
NEW YORK - Seorang teman wanita seorang penumpang sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), Phillip Woods menyatakan dia enggan menerima berita kematian kekasihnya, lapor akhbar New York Daily News kelmarin. "Saya hanya akan menerima realiti Woods sudah tiada apabila bangkai pesawat hilang ini ditemui," kata wanita berkenaan, Sarah Bajc. "Saya memerlukan sesuatu yang konkrit untuk menutup episod sedih ini (kehilangan MH370)," tambah Bajc yang bekerja sebagai seorang guru perniagaan di China. Menurut wanita tersebut, Woods menaiki penerbangan menuju ke Beijing itu pada 8 Mac lalu untuk membantunya berpindah. "Malangnya, misi kami tidak kesampaian," kata Bajc. "Kini keluarga Woods dan saya memerlukan masa untuk berkabung," tambahnya. - Agensi
Keluarga MH370 bergelut dengan polis
BEBERAPA keluarga penumpang MH370 berhimpun di depan Kedutaan Malaysia di Beijing semalam.
BEIJING - Berpuluh-puluh keluarga penumpang sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) bergelut dengan polis di sini semalam selepas mereka menuduh kerajaan Malaysia berbohong berhubung misi pencarian pesawat itu. Perkembangan tersebut berlaku sehari selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan bahawa penerbangan pesawat Boeing 777-200ER itu berakhir di selatan Lautan Hindi, lebih 2,000 kilometer dari bandar raya Perth di Australia. "Kira-kira 20 hingga 30 penunjuk perasaan membaling botol air ke Kedutaan Malaysia di sini dan cuba menyerbu masuk ke dalam bangunan kedutaan," kata beberapa saksi. Tunjuk perasaan itu berakhir selepas beberapa jam apabila polis mengarahkan mereka supaya bersurai. Para penunjuk perasaan itu diarah untuk menaiki beberapa buah bas dan beredar dari lokasi tersebut dengan diiringi pihak polis. Sebelum beredar, saudara-mara penumpang pesawat MH370 itu berarak sambil membawa sepanduk dan melaungkan kata-kata: "Kerajaan Malaysia menipu kami dan Malaysia kembalikanlah saudara-mara kami." Beberapa orang membawa kain rentang yang meminta kerajaan Malaysia memberitahu maklumat yang benar tentang misi pencarian tersebut. "Kenapa mereka (kerajaan Malaysia) membuat kami menunggu terlalu lama," kata salah satu kain rentang tersebut. Pesawat MH370 itu didapati hilang dari dikesan radar pada 8 Mac lalu ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur menuju ke sini. Seramai 227 penumpang dan 12 kru berada di dalam pesawat itu. Dalam pesawat itu, terdapat 153 penumpang yang merupakan warga China. Sebuah kumpulan yang dilaporkan mewakili keluarga para penumpang warga China mengeluarkan kenyataan mengkritik kerajaan Malaysia. Mereka menuduh Malaysia cuba melengah-lengahkan berhubung kehilangan MH370 dan menipu mereka. Kumpulan tersebut menamakan diri mereka sebagai Jawatankuasa Keluarga Penerbangan Malaysia MH370. - Agensi
Berlumba cari kotak hitam
TOWED Pinger Locator merupakan salah sebuah alat yang digunakan untuk mengesan kotak hitam MH370.
CANBERRA, Australia - Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kini kesuntukan masa untuk mencari kunci utama bagi menyelesaikan misteri tragedi pesawat MH370 terhempas di Lautan Hindi iaitu kotak hitam pesawat tersebut. Dengan masa yang semakin suntuk, pasukan SAR kini bertungkus-lumus mencari kotak hitam pesawat sebelum kuasa baterinya menjadi semakin berkurangan selepas tempoh 30 hari. Mengikut undang-undang yang ditetapkan, kotak hitam sesebuah pesawat perlu mempunyai keupayaan untuk menghantar isyarat selama 30 hari selepas ia diaktifkan. Tetapi pakar berpendapat, mereka boleh terus menerima isyarat dari kotak hitam itu untuk tempoh 15 hari atau lebih, bergantung kepada kekuatan bateri pada masa kemalangan itu. "Kami perlu mengharapkan tuah. Ia seperti satu perlumbaan untuk sampai ke lokasi dalam masa ditetapkan bagi mengesan isyarat daripada kotak hitam selagi ia masih berfungsi," kata John Goglia, seorang bekas anggota Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB) Amerika Syarikat (AS). Untuk mengesan isyarat tersebut, SAR akan menggunakan alat pendengaran berteknologi tinggi yang dipinjamkan oleh Tentera Laut AS iaitu Towed Pinger Locator. Ia merupakan sebuah silinder mikrofon sepanjang 30 inci yang ditarik perlahan-lahan dalam paten grid di belakang kapal komersial. Ia dipasang bersama kabel sepanjang kira-kira 6,500 meter dan dikawal melalui alat pembawa berbentuk tiga segi dan berwarna kuning. Ia kelihatan seperti ikan pari dan dilengkapi peralatan pengesanan akustik yang juga akan berfungsi mengesan isyarat ping. Situasi ini sama seperti operasi mengesan bangkai pesawat Air France 447 yang terhempas di Lautan Atlantik pada tahun 2009 yang membabitkan kos lebih daripada AS$40 juta (kira-kira RM120 juta). Misi mencari pesawat tersebut memakan masa hampir dua tahun sebelum pesawat dan kotak hitam pesawat itu ditemui. Sementara itu di Kuala Lumpur, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan Towed Pinger Locator yang dibawa dari Amerika Syarikat dijangka tiba hari ini di Perth, Australia. Beliau berkata, alat itu akan dipasang pada kapal milik tentera laut Australia, Ocean Shield yang akan berlabuh di Perth pada 28 Mac ini. "Kapal Ocean Shield itu pula akan menuju ke kawasan pencarian dan dijangka tiba pada 5 April depan," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Penyamun intai rumah berkereta mewah
Nusajaya: Polis yakin melumpuhkan satu kumpulan penjenayah yang aktif melakukan kegiatan pecah rumah dan curi kenderaan di Johor dan negeri berdekatan dengan penangkapan enam ahlinya termasuk dua wanita, kelmarin. Kumpulan berkenaan dikatakan gemar melakukan jenayah dengan menggunakan kenderaan jenis Toyota Estima dan Toyota Rush bagi memuatkan semua ahli dan hasil kegiatan jenayah mereka. Dua kenderaan yang digunakan kumpulan itu juga didapati dicuri dan mereka menggunakan plat palsu dipercayai bagi mengaburi mata pihak berkuasa. Namun, kelicikan mereka berakhir selepas diberkas polis dalam dua serbuan berasingan di rumah di Taman Nusa Bestari, Skudai pada jam 1.30 pagi, Ahad lalu, dan rumah di Taman Anggerik, Kempas, dekat sini, jam 5 petang, kelmarin. Ketua Polis Daerah Nusajaya Superintendan Noor Hashim Mohamed berkata, enam suspek itu berusia antara 25 hingga 35 tahun dan semuanya mempunyai rekod jenayah lampau. “Tiga daripada mereka individu dikehendaki polis bersabit kes curi kenderaan di Johor Bahru Utara. “Siasatan mendapati kumpulan ini menggunakan dua kereta setiap kali melakukan pecah rumah di mana mereka akan meninjau kawasan yang sudah dikenal pasti terlebih dulu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Nusajaya, di sini, semalam. Menurut Noor Hashim, pemeriksaan lanjut mendapati dua kereta itu dilaporkan hilang di Kelana Jaya dan Kuala Selangor, Selangor. “Kumpulan itu juga menyasarkan rumah ditinggalkan dalam tempoh lama selain kediaman mempunyai kereta mewah. “Kami turut menemui pelbagai barangan untuk kegiatan jenayah termasuk mesin membuat kunci dan alat mematikan penggera kereta,” katanya.
Keluarga mangsa ilmu hitam
MOHD Farid melakonkan kembali cara dia berubat untuk membuang santau.
Bagan Serai: “Ramai tidak lagi percaya mengenai ‘santau tuju’ di zaman IT (teknologi maklumat) ini, namun saya sudah merasai azab selain kehilangan bapa dan abang yang maut akibat sihir ini,” kata Mohd Farid Idris, 30, yang mendakwa dia kini terpaksa bertarung nyawa selepas turut menjadi mangsa ilmu hitam itu. Mohd Farid, dari Kampung Sungai Gedung, di sini, berkata, keluarganya yang mengalami muntah darah berulang kali, mulanya dimaklumkan ia berkemungkinan simptom penyakit tibi ketika dirawat di hospital. Katanya, ramai tidak percaya mereka disantau malah ada saudara mara yang mengatakan perkara itu karut dan mendakwa mereka sekeluarga menghidap penyakit tibi yang berjangkit di dalam rumah. Namun menurut Mohd Farid, kebimbangan mereka sampai ke kemuncaknya apabila bapanya Idris Mohd, 60, menghembuskan nafas terakhir pada September 2010 diikuti abangnya Mohd Jusoh, 38, seminggu kemudian selepas menderita penyakit misteri itu selama lebih dua tahun. Dia yang bekerja sebagai kakitangan di sebuah stesen minyak di pekan Parit Buntar mendakwa, perbuatan syirik itu tidak berakhir di situ saja apabila dia pula diserang santau sebaik kematian dua ahli keluarganya itu. “Saya pernah dikejarkan ke Hospital Parit Buntar untuk mendapatkan rawatan kecemasan selepas memuntahkan darah pekat berwarna merah kehitaman. “Doktor yang melakukan pemeriksaan mulanya mengesyaki saya mengidap tibi. Namun dia akhirnya gagal memberi jawapan tepat selepas ujian darah mendapati saya bebas dari jangkitan bakteria mycobacterium tuberculosis,” katanya yang menderita penyakit misteri itu sejak hampir tiga tahun lalu.
58 peratus kes jenayah selesai dalam 3 bulan
Ampang: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang berjaya menyelesaikan 58 peratus kes jenayah membabitkan pecah rumah, samun, ragut dan jenayah kekerasan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini. Kejayaan menyelesaikan kes terbabit hasil idea Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan yang mewujudkan Pelan Strategik Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi setiap IPD di Selangor dalam usaha membanteras jenayah di kawasan masing-masing. Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Khairuldin Saad berkata, Pelan Strategik KPI yang baru dilancarkan tiga bulan itu terbukti membantu menurunkan kadar indeks jenayah selain berjaya menyelesaikan 58 peratus kes jenayah di Daerah Ampang. Katanya, komitmen masyarakat melalui persatuan penduduk yang sentiasa bekerjasama dengan polis dalam usaha membanteras jenayah turut menyumbang kepada keamanan dan penurunan jenayah di Ampang. “Mereka ini boleh diibaratkan sebagai mata dan telinga polis yang akan menyalurkan maklumat berkaitan jenayah yang berlaku di kawasan perumahan mereka seterusnya bersama-sama membanterasnya. “Malah saya dapati persatuan penduduk di sini sangat aktif merancang pelbagai program bersama polis dan diharapkan usaha mereka itu akan berterusan,” katanya pada sidang media sempena Sambutan Hari Polis ke-207 Peringkat IPD Ampang, semalam. Seramai sembilan persatuan penduduk menerima sijil penghargaan daripada Khairuldin pada majlis itu bagi menghargai jasa mereka yang membantu polis membanteras jenayah. Selain itu, tidak ketinggalan dua wartawan iaitu Siti Aishah Sarani (Metronews) dan Muhaamad Hafis Nawawi (Harian Metro) turut dianugerahkan sijil penghargaan bagi menghargai komitmen media yang sering melaporkan berita berkaitan kejayaan IPD Ampang dalam membanteras jenayah.
Pembenihan awan secepat mungkin
Melaka: Operasi pembenihan awan akan dilakukan secepat mungkin di Empangan Muda, Kedah dan Empangan Klang Gate, Selangor selepas bekalan air di situ dilaporkan di bawah paras kritikal. Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah berkata, pembenihan awan perlu dilakukan segera di lokasi itu bagi mengelak bekalan air di beberapa kawasan di negeri terbabit terjejas sekiranya tiada hujan dalam masa terdekat. “Rakyat tidak perlu risau kerana diramalkan kawasan berkenaan akan hujan seperti biasa, tetapi lambat sedikit. Namun, bagi memastikan keadaan air stabil terutama di empangan yang berada di bawah paras kritikal, kami akan melakukan pembenihan awan khas berdasarkan kepada permintaan. “Langkah itu dibuat jika pihak kami mendapati kehadiran awan kumulus berada di sekitar kawasan berkenaan selain terdapat 85 peratus peluang menghasilkan hujan di situ. Operasi akan terus dilakukan sehingga air naik melebihi paras kritikal di empangan terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Abu Bakar yang juga Ahli Parlimen Tangga Batu mengulas laporan akhbar kelmarin mengenai permintaan kerajaan Kedah supaya operasi pembenihan awan dilakukan di negeri itu berikutan cuaca yang baik ketika ini seterusnya membantu mengatasi kemarau panjang di negeri itu sejak Januari lalu. Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata, secara umumnya cuaca panas dan kering yang melanda negara sejak awal tahun ini sudah berakhir apabila hujan berlaku selama tiga hari berturut-turut minggu lalu. Katanya, dengan jumlah taburan hujan yang baik, cuaca di Malaysia kembali kepada iklim asal iaitu panas dan lembab. “Kita bersyukur kerana beberapa kawasan dilanda hujan. Ini berkat doa serta permohonan rakyat pelbagai kaum dan agama kepada Tuhan. “Sehubungan itu, saya meminta terutama umat Islam melakukan sujud syukur kepada Allah selain memohon supaya negara kita akan sentiasa dilindungi-Nya,” katanya.
Nahas lori bawa ayam beku
KEADAAN lori yang remuk selepas merempuh bahagian belakang sebuah treler.
Alor Gajah: Seorang pemandu lori parah manakala dua kelindan cedera ringan selepas kenderaan mereka yang membawa muatan ayam beku merempuh belakang sebuah treler di Kilomter 215.7 Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan, di sini, semalam. Dalam kejadian jam 2 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Mohd Salleh, berusia lingkungan 40-an bersama dua kelindan warga Nepal berusia 30-an dari arah Kuala Lumpur menuju ke Johor. Menurut sumber, sebaik tiba di lokasi, lori 10 tan itu dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh belakang sebuah treler. “Rempuhan mengakibatkan mangsa tersepit di tempat duduknya manakala dua kelindan hanya cedera ringan manakala pemandu treler itu meneruskan perjalanan kerana dipercayai tidak menyedari mengenai kejadian. “Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan selepas bomba mendapatkan bantuan sebuah lori untuk menarik kenderaan dipandu mangsa dalam usaha mengeluarkannya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah Pegawai Bomba Kanan II Jamaludin Jalil berkata, pihaknya menerima panggilan jam 2.12 petang sebelum bergegas ke tempat kejadian. “Seramai tujuh pegawai dan anggota dengan sebuah jentera ke lokasi sebelum dibantu enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Negeri Sembilan dalam usaha mengeluarkan mangsa. “Setibanya di tempat kejadian kami dapati orang awam sedang menenangkan mangsa sebelum operasi mengeluarkan lelaki berkenaan yang tersepit dalam keadaan sedar dijalankan,” katanya. Menurutnya, pihaknya hanya mengambil masa tiga minit untuk mengeluarkan mangsa sebelum lelaki itu dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Mohamad Laham ketika dihubungi mengesahkan kemalangan itu.
Api menjerit di tengah jalan
ANGGOTA JPAM memberi bantuan kecemasan kepada mangsa dalam ambulans untuk dibawa ke hospital.
Kulim: “Ketika membuka pintu rumah saya terkejut melihat tompokan api bergerak di atas jalan sambil mendengar jeritan manusia. “Selepas itu saya melihat api itu secara tiba-tiba berhenti dan terpadam sendiri, saya bersama jiran pergi ke arah api itu dan terkejut apabila melihat seorang lelaki terbaring dengan kesan kebakaran di seluruh bahagian atas badannya,” kata seorang lelaki enggan dikenali mengenai kejadian seorang lelaki yang terbakar dalam kejadian di Taman Selasih, di sini, semalam. Dalam kejadian pada jam 3.15 pagi itu, mangsa berusia 54 tahun yang melecur dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. Menurut lelaki terbabit, dia mendengar suara orang menjerit di hadapan kawasan perumahan mereka lalu membuka pintu rumah untuk melihat apa yang berlaku. Katanya, keadaan di luar gelap dan dia hanya nampak seperti tompokan api di hadapan rumahnya namun pelik kerana api itu bergerak. “Selepas itu saya terus memanggil jiran untuk melihat kejadian itu. Saya terkejut melihat seorang lelaki yang mengalami kesan melecur dari bahagian perut sehingga ke kepala akibat kesan kebakaran. “Saya enghubungi ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk meminta bantuan serta menghubungi anggota polis,” katanya yang ditemui, di sini, semalam. Katanya, penduduk di kawasan itu hairan bagaimana lelaki terbabit boleh terbakar dan berada di kawasan perumahan mereka kerana difahamkan dia tinggal di kawasan taman bersebelahan dengan taman berkenaan. Sementara itu, Pegawai JPAM Daerah Mohd Fadhil Fahmi Zaini berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.25 pagi daripada orang awam mengenai mangsa kebakaran di Taman Selasih. Katanya, selepas menerima panggilan itu sebuah ambulans JPAM bersama lima anggota bergegas ke tempat kejadian dan menemui seorang lelaki dalam keadaan terlentang dengan kesan melecur di bahu jalan di taman perumahan terbabit. “Anggota JPAM segera memberi bantuan kecemasan dan ketika itu mangsa masih sedar serta dalam keadaan kesakitan sebelum membawa mangsa ke Hospital Kulim (HK). “Ketika sampai di hospital mangsa yang dalam keadaan sedar masih mampu memberi maklumat mengenai dirinya kepada petugas hospital dan JPAM. “Hasil maklumat awal mangsa dipercayai berasal daripada Taman Angsana, di sini. Pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kesan melecur hampir 40 peratus dari bahagian perut sehingga kepala. “Kami tidak tahu punca sebenar mangsa terbakar dan tidak menolak kemungkinan ia adalah cubaan bunuh diri,” katanya.
Penyamun siap ucap terima kasih
SUSPEK keluar dari kedai seperti biasa sementara seorang lagi rakan menunggu di dalam kereta di hadapan kedai sebelum melarikan diri.
Sabak Bernam: Seorang daripada empat penyamun sempat mengucapkan terima kasih kepada pekerja kedai kelengkapan pertukangan di Sungai Air Tawar, di sini, selepas menyamun kedai itu, kelmarin. Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, pemilik kedai, Kenny Tee, 47, kerugian kira-kira RM2,000 selepas penyamun terbabit melarikan wang tunai RM1,400 dan sebuah telefon bimbit. Pekerja kedai, Farah Ayu Jumri, 27, berkata, ketika bersendirian di kedai, muncul seorang lelaki bertanyakan mengenai gergaji sebelum tiga rakannya masuk ke dalam kedai dan mengacukan parang terhadapnya. “Tangan saya terus diikat dan mereka menggeledah kedai. Mereka menemui wang berjumlah RM1,400 dan sebuah telefon bimbit yang disimpan di dalam laci. “Mujur ketika itu majikan saya tiada di kedai kerana ke pekan bagi memasukkan wang hasil perniagaan sebanyak RM6,000 ke dalam bank. Jika tidak, majikan mungkin kerugian dalam jumlah yang lebih besar,” katanya. Menurutnya, selepas menemui wang dan telefon bimbit itu, seorang daripada penyamun berkenaan mengucapkan terima kasih kepadanya sebelum beredar. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Noor Mushar Mohamad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Bongkah besi baham tayar
SEBAHAGIAN mangsa yang terkandas selepas tayar kenderaan dinaiki pecah.
Jasin: Lebih 20 kereta tersadai di lorong kecemasan selepas tayar semua kenderaan itu pecah akibat terlanggar bongkah besi padu di tengah laluan lebuh raya di Kilometer 182.2 Lebuhraya Utara-Selatan, arah utara, malam kelmarin. Difahamkan kejadian jam 11.15 malam itu dipercayai berlaku selepas besi padu jatuh melintang di tengah lebuh raya akibat tercicir daripada kenderaan berat yang melalui kawasan terbabit sebelum kejadian. Keadaan itu mengakibatkan perjalanan lebih 20 keluarga tergendala hampir lima jam kerana terpaksa menunggu bantuan rakan membawa tayar ganti. Mangsa Rosli Kamidi, 42, berkata, ketika kejadian dia memandu Honda Odyssey bersama isterinya, Azura Hamidon, 40, serta empat anak berusia antara tujuh hingga 15 tahun dalam perjalanan pulang dari Ulu Choh, Pontian, Johor, menuju ke Kuala Lumpur. “Saya tidak menyedari terdapat objek melintang di tengah lebuh raya, namun terasa tayar melanggar sesuatu dan kenderaan bergegar serta hilang kawalan. Ia mengakibatkan isteri serta anak yang tidur menjerit ketakutan. “Saya terpaksa memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan dan mendapati tayar hadapan dan belakang di sebelah kanan pecah, tidak lama selepas itu beberapa kenderaan lain turut menerima nasib sama,” katanya ketika ditemui kelmarin. Pemandu Naza Ria, Edi Azrul Baharum, 38, berkata, dia terkejut selepas MPV yang dipandunya secara tiba-tiba melencong ke kanan sehingga hampir melanggar pembahagi jalan. “Syukur saya dapat mengawal stereng dan berhenti di lorong kecemasan, sebaik turun saya lihat tayar hadapan dan belakang sebelah kiri pecah manakala rim bengkok. “Saya dan isteri, Moly Izahar, 37, bersama tiga anak berusia tiga hingga 11 tahun serta seorang pembantu rumah berumur 23 tahun hanya boleh meneruskan perjalanan selepas mendapatkan bantuan rakan yang membawa tayar ganti,” katanya. Seorang lagi mangsa, Abdul Aziz Mahdi, 59, berkata, kejadian itu turut mengakibatkan tayar hadapan dan belakang sebelah kiri PERODUA Myvi pecah sehingga dia terpaksa membatalkan temu janji jam 9 pagi semalam kerana tersadai lebih lima jam sebelum dibaik pulih. Abdul Aziz yang bertugas sebagai pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) swasta berkata, dia kecewa kerana keadaan itu mengakibatkan lebih 20 kenderaan mengalami nasib sama dan ia dapat dielakkan sekiranya rondaan kerap dilakukan di kawasan terbabit. Jurucakap Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (PLUS) berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu dan mengalihkan bongkah besi padu sepanjang hampir satu meter yang melintang di tengah lebuh raya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Mohd Nor Hishamudin Hashim ketika dihubungi mengesahkan lebih 20 kenderaan mengalami kerosakan tayar selepas terlanggar besi berkenaan, namun semua mangsa tidak mengalami kecederaan.
Tiga fokus PDRM
Kuala Lumpur: Tiga fokus utama perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang profesional dan berkualiti bagi melindungi negara dan menjamin persekitaran selamat kepada masyarakat menjadi keutamaan pasukan keselamatan itu. Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, tiga fokus itu adalah ketenteraman awam, mengurangkan jenayah dan pemantapan integriti dalam pasukan yang selari dengan Program Transformasi Kerajaan 2.0, membabitkan lima elemen tumpuan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) 2.0. Menurutnya, dalam usaha mengurangkan jenayah PDRM mensasarkan penurunan indeks jenayah sebanyak lima peratus setahun sementara kejadian pecah rumah pula antara lima hingga 10 peratus setahun. “Selain itu, kita mahu meningkatkan persepsi terhadap keselamatan sebanyak 65 peratus, meningkatkan kadar pendakwaan bagi kertas siasatan yang dibuka kepada 35 peratus dan meningkatkan kepuasan orang ramai sebanyak 85 peratus. “Bagi fokus pemantapan integriti pula, kita dalam rangka penubuhan Jabatan Integriti Pematuhan Standard sebagai langkah meningkatkan disiplin serta persepsi positif PDRM,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Peringatan Hari Polis Ke-207 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Jalan Semarak di sini, semalam. Menurut Khalid, PDRM akan melaksanakan Kempen Tolak Rasuah yang bertujuan membetulkan persepsi negatif dan mengembalikan kepercayaan masyarakat terhadap institusi polis yang berusia 207 tahun, serta menjadikannya sebagai institusi berwibawa. “PDRM juga meletakkan aspek integriti sebagai nilai tambah utama dalam pengurusan organisasi bertujuan meningkatkan keyakinan dan kepercayaan masyarakat,” katanya.
Wanita mengandung kejar pencuri
SUSPEK kes curi berjaya di tangkap orang ramai di Teluk Chempedak.
Kuantan: Seorang wanita mengandung empat bulan, nekad mengerah kudrat berlari sejauh 100 meter mengejar pencuri yang melarikan sehelai kemeja-T berharga RM130 dari gerainya di Teluk Chempedak, tengah malam semalam. Bagaimanapun, usaha wanita berkenaan, Kodeeyah Leeae, 26, berjaya apabila suspek berusia 17 tahun berjaya diberkas dengan bantuan orang awam yang turut mengejar remaja itu selepas mendengar jeritan mangsa. Menceritakan kejadian, Kodeeyah yang mengandung anak sulungnya berkata, sebelum kejadian jam 12 tengah malam, dia berada di gerainya sambil menunggu pelanggan sebelum seorang lelaki masuk sambil mencuba sehelai baju. Menurutnya, bagaimanapun lelaki terbabit meletakkan baju itu sebelum keluar dari gerainya namun kembali beberapa minit kemudian untuk bertanyakan harga baju berkenaan. Katanya, dia yang tidak mengesyaki apa-apa apabila lelaki terbabit beredar selepas diberitahu harga baju berkenaan, tetapi dia kembali bersama tiga rakan dan mencuri baju itu. “Melihat lelaki itu melarikan diri, saya nekad mengejarnya dibantu seorang peniaga lain, Ahmad Jalaluddin Abdul Jamil, 24, yang turut mengejar suspek. “Bagaimanapun, saya bersyukur dan berterima kasih kepada rakan kerana berjaya memberkas suspek dan menemui semula pakaian yang dicuri,” katanya ketika ditemui, semalam. Ahmad Jalaluddin berkata, dia bertindak mengejar suspek terbabit selepas mendengar mangsa menjerit sekuat hati untuk meminta pertolongan. “Dia (suspek) memang ada membeli baju dari kedai sebelah, tetapi sehelai lagi curi manakala tiga lagi rakan suspek sempat melarikan diri dengan masuk ke dalam hutan berhampiran,” katanya memaklumkan suspek terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk tindakan lanjut.
Mangsa samun balas balik
SUSPEK cedera di paha tertusuk pisau Rambo.
Gombak: Akibat mengacu pisau Rambo dan menyamun pelanggan kafe siber, seorang lelaki berusia 23 tahun menerima pembalasan segera apabila dia dikejar dan dilanggar menggunakan sebuah kereta dalam kejadian di Taman Sri Gombak, Jumaat lalu. Sumber berkata, dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, suspek masuk ke dalam kafe siber itu sebelum mengacukan pisau kepada seorang lelaki berusia 41 tahun dan mengarahkannya menyerahkan wang tunai dan tefon bimbit miliknya. “Suspek merampas wang tunai milik mangsa kira-kira RM1,000 sebelum terus keluar daripada kafe siber itu dan terus membonceng motosikal rakannya. “Berang apabila wang tunainya dirampas, mangsa mengekori suspek menggunakan keretanya dan melanggar motosikal dibonceng suspek di persimpangan lampu isyarat. Suspek dan rakannya terjatuh dari motosikal, tetapi rakan suspek melarikan diri manakala suspek ditahan oleh orang ramai,” katanya. Katanya, suspek turut cedera di bahagian paha akibat tertusuk pisau Rambo miliknya sendiri sebelum ditahan polis dan dibawa ke hospital bagi menerima rawatan,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun.
Kru, penumpang Islam MH370 disifatkan mati syahid
Johor Bahru: Kru dan penumpang penerbangan MH370 beragama Islam yang terkorban disifatkan sebagai mati syahid akhirat dan memperoleh anugerah terbesar daripada Allah. Penasihat Majlis Agama Islam Johor Datuk Noh Gadut berkata, walaupun ujian itu amat sukar diterima, namun ahli keluarga mangsa diminta reda menerima takdir yang ditentukan ke atas mereka. “Pahalanya sama seperti mati syahid akhirat dan ini satu anugerah Allah. “Keluarga kena menghayatinya bahawa ini adalah ketentuan yang kita tidak boleh tolak kerana ia juga salah satu daripada Rukun Iman,” katanya ketika ditemui di sebuah hotel, di sini, semalam. Noh juga meminta pihak berkenaan menghentikan spekulasi mengenai tragedi yang menimpa MH370. “Sekali lagi saya hendak ingatkan orang di luar sana yang suka menulis di dalam laman sosial supaya jangan buat dosa kering sebab Nabi Muhammad bersabda bahawa ‘cakaplah benda baik-baik, jika tiada benda baik hendak diperkatakan, lebih baik diam’. “Jangan mengguris perasaan saudara-mara mangsa. Keluarga perlu berhenti daripada meratapi nasib mangsa, tetapi lebih baik menghadiahkan apa yang terbaik untuk mangsa,” katanya. Menurutnya, umat Islam di negara ini diminta terus melakukan solat hajat bagi membolehkan bangkai pesawat berkenaan ditemui termasuk kotak hitam bagi merungkai misteri kehilangan MH370.
Catuan disambung hingga 31 Mac
Kuala Lumpur: Pelan catuan bekalan air peringkat pertama dan ketiga di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya diteruskan sehingga 31 Mac ini. Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) Priscilla Alfred berkata, ini kerana fenomena cuaca panas dan ketiadaan hujan sejak beberapa hari lalu menyebabkan tiada aliran air tambahan di Sungai Selangor. “Bagaimanapun, SYABAS masih menunggu keputusan lanjutan catuan air daripada pihak kerajaan negeri Selangor,” katanya. Beliau berkata, catuan bekalan air ke semua kawasan terlibat di peringkat pertama dan ketiga akan terus dilakukan mengikut jadual berdasarkan pelan catuan sebelum ini. Oleh itu, Priscilla berharap pengguna memandang serius perkembangan terkini situasi bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Beliau berkata, pelan catuan peringkat pertama dan ketiga di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya masing-masing dilaksana 27 Februari dan 10 Mac. Pelan catuan peringkat ketiga adalah gabungan pelan kedua dan ketiga. “Pelan catuan bekalan air peringkat pertama dilaksanakan berikutan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi disebabkan pencemaran ammonia di dalam Sungai Langat melibatkan beberapa kawasan di wilayah HuluLangat, Kuala Langat dan Sepang,” katanya. Priscilla berkata, SYABAS dimaklumkan syarikat operator loji iaitu Puncak Niaga (M) Sdn Bhd bahawa LRA Cheras Batu 11 beroperasi mulai 17 Mac lepas menghentikan operasi sejak 2 petang ini.
Hujan tak tingkat paras air takungan
Kuala Lumpur: Keputusan sama ada pengagihan air berjadual di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya perlu diteruskan selepas 31 Mac ini bergantung kepada paras air di empangan terbabit. Menurut kenyataan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), pihaknya meluluskan pengagihan air berjadual bagi peringkat ketiga di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga 31 Mac 2014. “Hujan yang turun sejak 16 Mac tidak dapat meningkatkan paras empangan utama. Daripada rekod, kadar hujan tertinggi dicatat di Empangan Sungai Selangor yang juga empangan terbesar di negeri Selangor adalah 6.73 mm saja pada 16 Mac,” katanya. Kenyataan itu juga menyebut paras air di tujuh empangan di Selangor masih menyusut. “Bagi Negeri Sembilan pula , Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) menarik balik pengagihan air berjadual di daerah Jempol dan Tampin yang dilaksanakan sejak 6 Mac 2014. “Penarikan ini adalah berikutan Loji Rawatan Air (LRA) Gemas Baru dapat mengeluarkan air seperti biasa iaitu 28 juta liter sehari (JLH) berikutan peningkatan paras di Sungai Muar,” katanya. Mengulas kedudukan bekalan air di Johor, SAJ Holdings menarik balik pengagihan air berjadual di daerah Kluang, Kulai Jaya dan Kota Tinggi selepas hujan sejak minggu lalu. - BERNAMA
Bas terbalik ke PUSPAKOM
Kuala Lumpur: Bas sekolah yang terbabas dan terbalik di Batu 9, Jalan Hulu Langat-Ampang, dekat sini, kelmarin akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan pihak berkaitan bagi membantu siasatan. Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Selangor, Superintendan Zulkifli Joned berkata, setakat ini pemandu bas terbabit mendakwa bas dipandu hilang kawalan akibat kegagalan brek. “Bagaimanapun ,kita belum dapat memastikan kesahihan dakwaan terbabit dan bas itu akan dihantar ke PUSPAKOM dan pihak berkaitan untuk pemeriksaan. “Siasatan lanjut dijalankan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya semalam. Harian Metro semalam melaporkan seorang pelajar yang juga penumpang bas sekolah berkenaan maut manakala empat lagi mangsa tersepit sejurus bas dinaiki terbabas dan terbalik dari ketinggian 200 meter. Nahas itu menyebabkan seorang pelajar perempuan, Chin Yeong Peng, 17, maut di lokasi kejadian akibat tersepit di tempat duduk manakala tiga cedera dirawat di Hospital Ampang. Mangsa berusia 17 tahun yang enggan namanya didedahkan itu memberitahu 34 pelajar yang menaiki bas itu dalam perjalanan ke restoran makanan laut selepas tamat menjalani program kepemimpinan pengawas di Kem Lembah Azwen di Hulu Langat, di sini.
Chile dilanda 300 gempa bumi kecil
Santiago: Lebih 300 gempa bumi melanda pesisiran pantai utara Chile sepanjang minggu ini menyebabkan orang ramai bimbang selepas saintis gagal mengenal pasti sama ada ia petanda malapetaka lebih dahsyat. Gempa bumi pertama dirasakan pada 16 Mac dengan kekuatan 6.7 magnitud mengakibatkan lebih 100,000 orang meninggalkan kawasan tanah rendah walaupun tiada tsunami berlaku. Ia juga tidak menyebabkan kerosakan harta benda secara meluas. Penolong ketua pusat seismologi Universidad de Chile Mario Pardo berkata, gegaran tetap dirasai dengan lebih 12 gegaran sederhana di bandar Iquique pada Isnin lalu. “Keadaan ini memang tidak normal. Ada beberapa gegaran dan kejutan lanjut yang menyukarkan kami menilai keadaan dengan lebih tepat. “Namun kami tidak boleh mengetepikan kemungkinan akan berlaku gempa bumi lebih besar,” katanya kepada akhbar La Tercera. Sementara itu, pakar analisis seismik Universidad de Santiago Paulina Gonzalez berkata, kali terakhir zon itu ditimpa gempa bumi dahsyat ialah lebih 130 tahun lalu. “Apa yang membimbangkan ialah kawasan ini paling terdedah kepada kemungkinan gempa bumi dan sudah lama sekian lama bencana itu tidak berlaku,” katanya. - AFP
Ulama sokong kasi penjenayah seks
Riyadh: Seorang ulama Arab Saudi semalam menyuarakan sokongannya terhadap hukuman mengembiri menggunakan bahan kimia untuk menghalang masalah gangguan atau jenayah berkaitan seks. Bekas dekan Kolej Sharia di Universiti Imam, Saud Abdullah Al Fanisan mengakui hukuman itu diharamkan Nabi Mohammad (SAW). “Namun jika ada bahan kimia yang mampu menghalang pesalah hilang minat terhadap seks, saya percaya ia patut dibenarkan,” katanya. Menurutnya, walaupun wujud pelbagai undang-undang membabitkan jenayah seks di seluruh dunia, ia bukan penyelesaian jangka panjang bagi isu berkenaan. Dia bagaimanapun tidak menyatakan sama ada hukuman sedemikian perlu bersifat jangka panjang atau pendek. Pengembirian kimia menggunakan suntikan atau pil boleh menghapuskan minat terhadap seks dan menjadikan seseorang tidak dapat melakukan hubungan seks. Mengikut laporan, proses ini mengurangkan testosteron sehingga tahap terlalu rendah namun proses ini boleh dibalikkan apabila tidak lagi diberikan dadah berkenaan. Hukuman itu diperkenalkan di California, Amerika Syarikat pada 1996 diikuti lapan lagi negeri bagi pesalah seks yang bakal dibebaskan daripada penjara dan masuk semula ke dalam masyarakat. Korea Selatan pada Mei 2012 juga memperkenalkan kaedah itu sebagai hukuman bagi pesalah seks membabitkan mangsa kanak-kanak berusia kurang 15 tahun. - Agensi
Russia digantung daripada G8
Moscow: Keahlian Russia dalam G8 - kumpulan negara industri utama dunia - digantung kelmarin selepas kumpulan itu tidak dapat menerima tindakan Moscow yang melanggar undang-undang antarabangsa. David Cameron, Barack Obama dan pemimpin lain lumpulan itu berkata, ia terpulang kepada Vladimir Putin untuk “mengubah pendirian” terhadap Ukraine atau negara itu akan disingkirkan buat selama-lamanya. Pemimpin negara yang kekal dalam kumpulan itu - Britain, Amerika Syarikat (AS), Jerman, Perancis, Itali, Kanada dan Jepun yang menggelar diri mereka G7- bersetuju untuk bersidang tanpa Russia sehingga negara itu bersedia mengubah pendiriannya terhadap Ukraine. Mereka membuat kenyataan bersama berikutan krisis berkenaan dalam persidangan mengenai keselamatan nuklear yang dibayangi perkembangan di Ukraine. Sejak menggabungkan Crimea menjadi sebahagian wilayahnya, tentera Russia bertindak menyerbu dan menawan tiga pangkalan tentera Ukraine. Ia menimbulkan kebimbangan mengenai tindakan Putin seterusnya. Cameron berkata persidangan G8 akan datang yang sepatutnya diadakan di Sochi, Russia terpaksa dibatalkan. Sebaliknya ia akan diadakan di Brussels pada Jun dan Putin tidak akan dijemput untuk pertama kali sejak Russia menyertai kumpulan itu pada 1998. Kenyataan daripada G7 yang dikeluarkan malam kelmarin menyebut, “Kumpulan ini ditubuhkan kerana perkongsian keyakinan dan tanggungjawab. Tindakan Russia baru-baru ini bertentangan dengan matlamat itu.” Kenyataan itu turut mengecam tindakan Russia yang menyebabkan pemisahan Crimea dari Ukraine. - Reuters
Ukraine pecat menteri pertahanan
TENTERA Ukraine berkawal di sempadan dengan Crimea, semalam.
Kiev: Parlimen Ukraine semalam memecat menteri pertahanannya selepas tentera negara itu berundur dari Crimea tanpa melepaskan sebarang tembakan terhadap askar Russia yang mengambil alih kuasa di semenanjung Laut Hitam itu. Kehilangan Crimea kepada Russia, walaupun tidak diiktiraf oleh Barat, memberi tamparan hebat dari segi psikologi kepada ramai penduduk Ukraine yang sejak puluhan tahun lalu berdepan dengan kegiatan rasuah pemimpin mereka serta masalah ekonomi. Pemimpin tentera Ukraine di Crimea mengadu keliru dengan keputusan pegawai kanan tentera di Kiev sejak Presiden Russia Vladmir Putin mengumumkan hak untuk menggunakan kekerasan terhadap negara jirannya sebagai reaksi kepada kejatuhan rejim pro-Kremlin di Kiev bulan lalu. Kira-kira 228 daripada 450 anggota Parlimen menyokong pemecatan Igor Tenyukh selepas pemangku menteri pertahanan itu mengemukakan peletakan jawatannya dalam ucapan penuh emosi yang disiarkan di seluruh negara menerusi televisyen. “Tindakan saya di Crimea telah menyebabkan beberapa pihak tidak berpuas hati. Saya tidak bercadang mempertahankan jawatan ini. Saya ada maruah,” kata Tenyukh dalam satu kenyataan. Anggota Parlimen kemudian mengundi melantik Leftenan Jeneral Mykhailo Koval selaku pemangku menteri pertahanan baru selepas namanya dicadangkan oleh presiden sementara Oleksandr Turchynov. Koval menjadi tajuk berita awal bulan ini apabila diculik seketika oleh anggota militia pro-Kremlin berhampiran pangkalan tenteranya di Pelabuhan Yalta, Crimea. Sidang semalam turut memberi peluang kepada anggota Parlimen menyuarakan kekecewaan mereka mengenai cara anggota kerajaan sementara menjalankan tugas mereka sejak mula berkuasa.- AFP
Korea Utara anggap China ‘pengkhianat’
Pyongyang: Akademi ketenteraan Korea Utara menggantung papan tanda yang menyifatkan China sebagai “pengkhianat dan musuh”. Tindakan itu dikatakan berpunca daripada pertemuan Presiden China, Xi Jinping dengan Presiden Korea Selatan, Park Geun-hye di Eropah minggu ini. Perkara itu dilaporkan melalui akhbar tempatan Korea Selatan. Dalam sesi temubual bersama media Korea Utara, Presiden Institut Kajian Korea Utara di Beijing, Ahn Chan-il berkata pertemuan antara presiden kedua-dua negara itu memberi kesan kepada Korea Utara untuk menggantung papan tanda itu. Papan tanda serupa juga pernah diletakkan di akademi ketenteraan negara itu pada 1992 ketika negara jirannya menjalinkan hubungan diplomatik dengan China. - Agensi
30 maut bas jatuh gaung, Bangkok
Bangkok: Sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh dan 22 cedera apabila sebuah bas dua tingkat yang membawa pekerja majlis perbandaran melawat kawasan barat Thailand terbabas dan menjunam ke dalam gaung di Mae Sot, utara Thailand. Dalam kejadian yang berlaku malam kelmarin, pemandu bas dikatakan cuba memotong sebuah kenderaan sewaktu berada di selekoh menuruni jalan itu sebelum tergelincir dan terbalik beberapa kali selepas menjunam 30 meter ke dalam gaung. Ia kemudian melanggar sebatang pokok, kata Gabenor wilayah itu, Suriya Prasatbunditya memetik laporan polis. Pemandu bas yang terselamat mendakwa dia cuba memperlahankan kenderaan tetapi brek tidak berfungsi. Walaupun terselamat, dia turut cedera. Bas berkenaan adalah satu daripada empat bas yang membawa pekerja dan penduduk kampung dari Tak ke timur laut Thailand pada malam berkenaan. - Agensi
Indonesia haram filem Noah
Jakarta: Indonesia menjadi negara Islam terbaru yang mengharamkan tayangan filem “Noah.” Lembaga penapisan filem di negara paling ramai penganut Islam di dunia itu berkata mereka mengharamkan tayangan filem itu yang dijadual bermula Jumaat ini kerana kandungannya yang cuba memaparkan fizikal Nabi Nuh yang bertentangan dengan ajaran Islam. “Tindakan memaparkan fizikal Nabi Nuh akan menyentuh sensitiviti umat Islam dan Kristian,” kata ahli Lembaga Penapisan Filem Indonesia, Zainut Tauhid Saadi. Pengharaman itu adalah lanjutan kepada tindakan sama yang dilakukan Qatar, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu awal bulan ini. Universiti Al-Azhar dalam fatwanya mengharamkan penayangan filem berkenaan di Mesir kerana filem itu bertentangan dengan nilai Islam. Filem kontroversi yang cuba memaparkan kehidupan Nabi Nuh itu dibintangi Russell Crowe, Jennifer Connolly, Emma Watson dan diarahkan oleh Darren Aronofsky. - AFP
Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) parti Islam paling popular
Jakarta: Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) adalah yang paling popular dalam kalangan enam parti politik berlandaskan Islam di Indonesia ketika ini. Kaji selidik yang dilakukan Lembaga Survei Nasional (LSN) di 34 wilayah seluruh Indonesia baru-baru ini menunjukkan 6.5 peratus pengundi akan memilih PKB pada pilihan raya 9 April ini. Kajian yang membabitkan 1,230 responden itu juga mendapati Parti Persatuan Pembangunan (PPP) di tempat kedua dengan 4.7 peratus sementara Parti Amanat Nasional (PAN) di tempat ketiga, disusuli oleh Parti Keadilan Sejahtera (PKS) dan Parti Bulan Bintang (PBB). - Agensi
Bayi lahir, mati dalam pesawat
Tokyo: Seorang bayi mati selepas dilahirkan pramatang dalam pesawat Cathay Pacific dari Hong Kong ke New York. Menurut sumber, ibu bayi berkenaan yang sarat mengandung dibenarkan menaiki pesawat terbabit oleh doktor, namun mula sakit bersalin selepas kapal terbang itu berlepas. Penerbangan itu terus dialihkan ke Tokyo manakala wanita itu dan anaknya dikejarkan ke hospital, namun bayi itu disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian. - Agensi
Tak mungkin ada terselamat, banjir lumpur di Oso
Washington: Semakin ramai mangsa dikhuatiri hilang dalam banjir lumpur di Oso. Setakat ini 14 orang disahkan mati manakala 176 masih belum ditemui. Lebih 100 anggota penyelamat menggunakan anjing, pesawat udara dan peralatan sonar berusaha mengesan mangsa di bandar terpencil itu yang terletak 80 kilometer dari Seattle itu. Ramai menggunakan gergaji rantai malah ada juga mengorek tanah menggunakan tangan apabila semakin ramai penduduk mula melaporkan gagal mengesan anggota keluarga mereka dalam kejadian itu. Pasukan penyelamat juga tidak lagi berharap menemui mangsa yang terselamat dalam runtuhan berkenaan. - AFP
Diharam guna telefon bimbit lepas 9 malam
Tokyo: Kanak-kanak di sebuah bandar di Jepun dilarang menggunakan telefon bimbit selepas jam 9 malam dalam usaha menangani masalah pembulian siber. Jurucakap lembaga pendidikan Kariya berkata, bermula April ini, 13,000 kanak-kanak berusia antara enam dan 15 tahun di bandar itu akan terikat dengan peraturan baru itu. Usaha ini diharapkan mampu menghalang golongan itu terjebak dalam kes pembulian siber, menghabiskan masa bertukar-tukar emel menggunakan telefon bimbit selain mengekang kesan negatif lain akibat penggunaan berlebihan aksesori itu. Inisiatif itu hasil usaha polis, pekerja sosial dan guru. Bagaimanapun, ibu bapa tidak akan dihukum jika anak mereka tidak mematuhi peraturan berkenaan. Ibu bapa bagaimanapun diminta mengambil semua telefon bimbit selepas jam 9 malam dan memantau penggunaan laman web anak mereka dalam kempen yang membabitkan 21 sekolah itu. Beberapa minggu lalu, kerajaan mendedahkan statistik menunjukkan penggunaan tinggi telefon bimbit dalam kalangan kanak-kanak Jepun. Mengikut statistik itu, kanak-kanak berusia antara 10 hingga 17 tahun menghabiskan masa online 107.4 minit secara purata sehari menggunakan telefon bimbit. Cadangan mengehadkan penggunaan telefon bimbit dalam kalangan kanak-kanak Jepun pertama kali dibuat pada 2008 berikutan masalah pembulian siber kini dihadapi kanak-kanak dan ibu bapa di seluruh dunia. - Agensi
Tagih makan mekap
BRITTONI menghabiskan lebih RM660 seminggu membeli mekap.
Ohio: Seorang wanita membeli mekap bukan untuk dipaki, sebaliknya untuk dimakan. Britonni, 22 berkata, dia kemaruk memakan mekap sehingga boleh memakan 15 hingga 20 bahan kosmetik itu setiap hari. Menurutnya, setiap mekap itu mempunyai rasa berbeza bergantung kepada jenis dan jenamanya. Dia mendakwa pembayang mata metalik berwarna coklat muda, putih dan kelabu yang paling lazat. “Saya rasa hidup tidak lengkap jika tidak makan mekap. Setiap kali memakannya saya dapat membayangkan warna-warna cantik itu menyelaputi bahagian dalam badan saya,” katanya. Tabiat pelik Brittoni itu bermula sejak dia berusia lima tahun apabila dia mula ‘geram’ melihat mekap berwarna-warni ibunya. Bagaimanapun, dia mengakui terpaksa menyembunyikan sikap peliknya itu daripada keluarga. “Saya menyorok mekap merata-rata di rumah. Di bawah sofa, di dalam pasu bunga atau peti sejuk. “Malah, rambut saya yang panjang juga menjadi tempat menyembunyikan mekap yang saya ingin bawa untuk dimakan ketika di luar rumah. “Keluarga tidak mengetahui perkara ini kerana saya malas menjelaskan kepada mereka. “Malah ibu juga tidak tahu - kalau tidak habislah saya dileteri,” katanya. Menurutnya, dia membelanjakan lebih AS$200 (RM660) seminggu membeli kosmetik malah mempunyai cara tersendiri untuk memastikan mekap dibeli bersesuaian. “Sudah tentu saya perlu merasa mekap untuk memastikan tidak tersalah beli. Jadi saya tuangkan sedikit pada tangan sebelum menjilatnya sambil memastikan tiada sesiapa di situ. “Kalau tidak sedap, saya letak semula. Mungkin perbuatan itu salah namun saya tidak mahu terbeli mekap tidak sedap,” katanya. Bagaimanapun, bahan kimia dalam mekap berkenaan sudah pasti menghancurkan badannya dari dalam secara perlahan. Antara bahan yang digunakan termasuk magnesium silikat yang serupa dengan asbestos selain minyak galian dan mika iaitu sejenis galian yang digunakan untuk menghasilkan warna dalam cat. Brittoni menghidap masalah jantung sejak berusia 12 tahun yang mungkin disebabkan tabiat peliknya itu namun mengakui enggan memikirkan kesan negatif akibat tabiatnya itu. Tabiat Brittoni itu bukan saja memberi kesan terhadap kesihatannya, malah menjejaskan hubungannya dengan teman lelaki, Josh.- Agensi
Malaysia jadi hab sekuriti siber
Kuala Lumpur: Malaysia bakal menjadi hab sekuriti siber rantau ini dalam tempoh dua tahun akan datang didorong tawaran peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. Menerusi pelan ini, BAE Systems Applied Intelligence bakal menawarkan 300 peluang pekerjaan kepada graduan bidang teknologi tinggi dalam tempoh terbabit. Pengarah Urusan Asia Pasifik dan Timur Tengah Richard Watson berkata, pihaknya sudah membina Pusat Penghantaran Global yang beroperasi sejak suku keempat tahun lalu yang ketika ini sudah menempatkan 100 pakar dalam bidang itu. “Kita melihat pasaran Malaysia sebagai lokasi yang menarik dan sesuai khususnya bagi kerjasama dengan pihak kerajaan. “Malaysia mempunyai kepakaran dalam bidang ini selain bakal tenaga kerja daripada universiti tempatan,” katanya kepada Bisnes Metro di sini semalam. Hadir sama Pengarah Urusan BAE Systems Applied Intelligence Martin Sutherland. Katanya, negara ini bersifat terbuka dalam menerima bidang teknologi baru dan ketika ini mempunyai misi sama dengan pihaknya berkenaan perkembangan dan pembangunan industri Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT). Menurutnya, pihaknya sudah beroperasi dalam penyediaan pusat bagi pelbagai perisian dan perkakasan.
Bata mahu kuasai 20% pasaran di Malaysia
Kuala Lumpur: Bata (Malaysia) Sdn Bhd (Bata) berhasrat untuk menguasai 20 peratus pasaran dalam segmen jualan kasut di negara ini dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang bersandarkan pembukaan cawangan baru, pemasaran menerusi kerjasama rakan niaga atas talian dan pengenalan koleksi baru. Ketika ini, Bata menguasai 16 peratus pasaran dan mempunyai 226 cawangan di seluruh Malaysia yang mana tahun ini syarikat berkenaan akan menambah sepuluh cawangan baru. Pengarah Urusannya, Paolo Grassi berkata, melihat kepada prestasi keuntungan perniagaan yang meningkat setiap tahun meyakinkan pihaknya untuk mencapai sasaran penguasaan pasaran sehingga 20 peratus itu. Beliau berkata, Malaysia dan Indonesia adalah dua pasaran penting perniagaan Bata di Asia Tenggara yang mana kedua-dua negara itu mempunyai rangkaian cawangan terbanyak dan mempunyai permintaan tinggi daripada pelanggan. “Kami juga sentiasa mengkaji medium terbaru pelanggan di semua pasaran yang mana ketika ini kami melihat orang ramai lebih gemar untuk membeli dan melihat produk terbaru menerusi atas talian. “Kerjasama dengan syarikat jualan produk atas talian yang popular di negara ini menunjukkan hasil positif kepada jualan produk kami tahun lalu dan ia akan diteruskan terutama menerusi laman sosial yang digunakan oleh golongan muda,” katanya pada Malam Anugerah Bata di sini, baru-baru ini.
KFC tambah 40 cawangan pandu lalu
MEE Jiuan (dua dari kanan) bersama Pengurus Besar Pemasaran KFC Kelvin Hong (dua dari kiri) di Kuala Lumpur, semalam.
Kuala Lumpur: QSR Brands (M) Holdings Sdn Bhd merancang untuk memperkembangkan lagi rangkaian perniagaan KFC Malaysia dengan membuka antara 20 hingga 40 lagi cawangan yang berkonsep pandu lalu tahun ini. Naib Presiden Kanan KFC Malaysia Ling Mee Jiuan berkata, pihaknya akan memperuntukkan pelaburan antara RM40 juta hingga RM80 juta bagi membuka rangkaian restoran pandu lalu KFC di seluruh negara. Katanya, setakat ini terdapat sekitar 100 restoran pandu lalu KFC di seluruh Malaysia dan sambutan yang diterima daripada orang ramai menerusi cawangan konsep itu begitu menggalakkan. “Dalam pada itu, kami merancang untuk membuka 25 lagi restoran KFC di seluruh negara tahun ini dan bagi separuh pertama tahun ini. “Selain itu, kami komited memberi perkhidmatan dan menu berkualiti kepada orang ramai menerusi pembukaan cawangan serta menu baru yang diperkenalkan,” katanya pada majlis pelancaran KFC Variety Bucket dan Hot Box Christiano Ronaldo di sini, semalam. Menurutnya, hidangan terbaru itu diperkenalkan sempena musim bola sepak dan Variety Bucket mengandungi lima ketul ayam, empat ketul ayam tanpa tulang, lapan ketul kentang ‘hash rounds’, gegelang bawang, dua perisa sos dan percuma dua kentang goreng bersaiz besar di jual pada harga RM39.90. Ling berkata, bagi hidangan KFC Ronaldo Hot Box pula didatangkan dengan seketul ayam, minuman berkarbonat, empat keping kentang hash rounds dan pilihan burger kegemaran pada harga dari RM8.95. Beliau berkata, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi tujuan pengiklanan dan promosi dan menyasarkan peningkatan sumbangan jualan 10 peratus sepanjang tempoh dua bulan tawaran hidangan terbaru itu. “Promosi ini adalah fasa pertama dan boleh didapati di semua restoran KFC di seluruh negara bermula 24 Mac 2014 dan fasa kedua pula akan menyusul selepas dua bulan,” katanya.
Data INMARSAT petunjuk utama
KUALA LUMPUR: Susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengesahkan penerbangan MH370 berakhir di tengah Selatan Lautan Hindi, tumpuan kini beralih kepada data satelit INMARSAT yang digunakan untuk mengesan laluan penerbangan pesawat berkenaan. Menurut Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, kaedah yang digunakan adalah rumit dan yang pertama kali untuk siasatan insiden seumpama ini. Selain itu operasi mencari dan menyelamat di Koridor Selatan yang ditangguhkan hari ini berikutan faktor cuaca akan disambung semula secepat mungkin. Berikut sesi soal jawab media dan Hishammuddin pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur. Turut sama Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines (MAS) Ahmad Jauhari Yahya dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Soalan: Kenapa baru 12 Mac, kerajaan Malaysia mengumumkan pesawat itu hilang di Lautan Hindi dan di mana anda mendapat bukti? Azharuddin: Kami dapat maklumat daripada satelit dan INMARSAT. Kemudian kami perlu lakukan banyak analisis sebelum membuat pendedahan.
Soalan: Bolehkah berikan data terperinci mengenai paten pesawat, ketinggian dan lain-lain perkara? Hishammuddin: Segala data terperinci akan kami agihkan kepada media kemudian. Jika selepas ini kamu ada soalan berkenaan data tersebut, sila e-mel kepada kami dan kami akan menjawab pada keesokan hari.
Soalan: Adakah bukti baru berkenaan pesawat terbabit terhempas di Laut Hindi? Hishammuddin: Kami telah berbincang dengan pakar-pakar tetapi semua persoalan itu cuma boleh dijawab bila kita jumpa kotak hitam. Kita tidak akan mendedahkan penemuan baru kerana akan mengganggu siasatan yang sedang berjalan.
Soalan: Ramai ahli keluarga penumpang mahu bukti kukuh? Hishammuddin: Saya tahu perkara terbabit. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya memberitahu mereka tanpa kita telah pastikan bahawa serpihan pesawat terbabit adalah serpihan pesawat MH370. Bagaimanapun, saya optimis dan kita akan buat sedaya upaya.
Soalan: Kenapa sehingga hari ini masih belum ada bukti kukuh penumpang telah meninggal dunia dan apakah bentuk insurans disediakan oleh MAS? Hishamuddin: Kedudukan pesawat terakhir, saya panggil lokasi am di tengah laut Hindi. Pesawat terbabit membawa minyak yang minimum dan tiada bukti pendaratan di darat. Jadi, kita boleh merumuskan bahawa pesawat terbabit jatuh di dalam air dalam tempoh 17 ke 18 hari dan adalah sukar untuk penumpang selamat dalam tempoh itu. Selain itu, kami juga sedang bekerja keras bagi menyediakan bantuan kewangan sewajarnya bagi mengurangkan beban keluarga penumpang.
Soalan: Bagaimana siasatan terkini simulator? Khalid: Siasatan terhadap simulator masih lagi dijalankan dan tunggu laporan daripada rakan kita dari luar negara
Soalan: Adakah Malaysia masih akan mengetuai pasukan penyiasat utama? Hishammuddin: Kita akan memastikan koordinasi kesemua 26 negara lain di dalam misi pencarian dan menyelamat. Malaysia akan merangka pelan untuk menjadi negara yang mengetuai.
Soalan: Sekiranya negara lain menarik diri, adakah Malaysia akan tetap meneruskan misi? Hishammuddin: Tetap dan kita akan teruskan setelah mengambil inspirasi daripada kegigihan pasukan penyelamat Perancis sewaktu tragedi Air France selama dua tahun. Mereka juga berkongsi maklumat dengan kita.
Soalan: Apakah yang akan dibuat untuk menenangkan keluarga penumpang di China berikutan dakwaan mereka kerajaan Malaysia tidak menyalurkan maklumat tepat? Hishammuddin: Kita akan sentiasa telus. Kita konsisten dalam pendirian kita. Apa jua spekulasi di luar sana dan apa jua tuduhan dilontar kepada kita, kita tidak akan berganjak daripada fokus utama iaitu mencari pesawat berkenaan.
Soalan: Adakah betul seperti yang anda beritahu di Parlimen yang kerajaan akan menubuhkan suruhanjaya siasatan khas? Hishammuddin: Itu tidak betul kerana, itu hanya cadangan di Parlimen dan saya tidak boleh membuat keputusan sendiri. Tetapi apa yang saya boleh beritahu ialah Angkatan Tentera Malaysia sedang mengendalikan siasatan mereka sendiri. Bagaimanapun, saya akan mengusulkan suruhanjaya siasatan diraja ini pada mesyuarat Kabinet nanti.
Soalan: Adakah serpihan pesawat akan dibawa ke Australia jika ditemui? Hishammuddin: Saya tidak boleh memberi jawapan sekarang sama ada serpihan akan dibawa ke Australia. Saya akan memberi jawapan kemudian.
Pesawat Air France 447
Pesawat Air France 447 hanya dapat disahkan terhempas pada 6 Jun 2009 setelah pasukan mencari hanya menjumpai serpihan ekor pesawat dan dua mayat. Sedangkan pesawat itu dilaporkan hilang pada 1 Jun 2009. Usaha mencari dihentikan pada 27 Jun 2009 dengan hanya menemui 51 mayat daripada keseluruhan 273 penumpang dan anak kapal yang berada di dalam pesawat berkenaan. Kotak Hitam pesawat pula hanya ditemui pada Mei 2011 iaitu dua tahun selepas tragedi. Ini termasuklah penemuan bangkai besar pesawat juga ditemui pada tahun yang sama. Lihatlah sendiri, betapa sulit dan sukarnya kerja-kerja berkaitan dengan tragedi penerbangan. Ianya bukan semudah tragedi kemalangan kereta di daratan. Pesawat tidak boleh diumumkan sebagai terhempas selagi bukti kukuh tidak ditemui. Jadi janganlah jadi pakar di Faebook dan sedap bercakap semata-mata. Ini bukan kerja mudah, ini kerja RUMIT!
Ustaz Darul Manzil Mimpi Pesawat MH370
Assalamualaikum.. Semalam, saya tidak bercadang kemana-mana ekoran seharian menahan sakit akibat gout. Sekitar jam 11 malam, sahabat lama saya (Fadli) datang ke rumah bersama adiknya. Tujuan mereka datang adalah kerana pinta saya ikhtiarkan mengubati Pak Cik mereka yang mengalami masalah sihir. Kalau orang lain memang saya akan menolak. Tapi bila mengenangkan si Fadli ni kawan lama saya sejak dari darjah 1 dan kami pernah susah-senang bersama ketika bujang dulu, maka saya terima perlawaannya. Diringkaskan cerita, saya pulang ke rumah jam 3:10 pagi. Lapar pulak perut saya bila sampai di rumah. Maka saya ajak isteri menemani saya makan di luar, di restauran yang hanya 2 kilometer dari kediaman kami. Sekitar jam 4 pagi, kami sudah ada di rumah. Mungkin kerana terlampau penat, saya terus lena sebaik saja kepala menghempas bantal. Sebelum tidur, memang saya selalu bacakan Al-Kautsar 11 kali dan kemudian nyatakan seperti ini, “Ya Allah, kalau ada sesuatu untukku/pesakitku/penyakitku/apa saja, kau tunjukkanlah.” Entah kenapa malam tu saya terniat MH37O…… Saya melihat 2 pesawat terbang di udara. Sebuah adalah MH370 dan saiz kapal yang satu lagi lebih kecil berbanding MH370 tetapi bukan jenis kapal terbang tempur. Kapal terbang yang satu lagi itu juga bukan jenis pesawat komersial. Pada pendapat saya yang tidak arif tentang model kapal terbang, saya andaikan itu adalah pesawat persendirian. Kedua-dua kapal itu terbang rendah di persisiran pantai yang kedudukan geografinya berbatu-batu besar. Saya kira pantai sebegitu bukan destinasi pelancongan kerana persisirannya membahaya untuk didiami.. Saya kemudian diperlihatkan suasana yang berlaku dalam kapal terbang MH370. Dari ruang penumpang, saya lihat masing-masing cemas di tempat duduk masing-masing. Melilau saya berjalan di dalamnya mencari krew penerbangan. Rupanya pramugari dan pramugara duduk di ruang belakang dan ruang depan berdekatan almari simpanan makanan. Ada dua bayi yang saya lihat menangis sambil ditenangkan ibu masing-masing. Mereka seolah-olah diberi amaran untuk tidak beralih dari tempat duduk. Wajah mereka ketakutan sama sekali. Saya berjalan menuju ke ruang kemudi. Memang pelik bila saya lihat Kapten kapal dan pembantunya berhempas pulas menekan suis-suis yang ada dan cuba memusing stereng kawalan. Sepertinya, kapal terbang itu dikawal secara auto. Cemas wajah kedua-dua juruterbang tersebut. Tiba-tiba, saya rasakan kapal terbang itu melencong ke kiri dan naik tinggi secara mendadak. Berhempas pulas Kapten cuba mengawal stereng pandu namun tiada apa-apa kesan. Tidak semena-mena kapal itu turun menjunam, kemudian terbang stabil membelah lautan. Saya terdengar suara di corong radio. “You don’t ever try to change the route. There are no chance to turn back to your country. We control everything, we knew what you done inside” Pemandangan saya ditarik keluar dari luar kapal terbang MH370. Saya seperti terbang di awan-awangan melihat kedua-dua pesawat di permukaan lautan yang saya tidak tahu namanya. Tiba-tiba, saya lihat pesawat yang satu lagi melepaskan sesuatu ke depan yang kemudian turun menjunam ke air sehala laluan MH370. Kemudian, ruang air yang ditimpa ‘benda’ itu membuahkan letupan yang amat besar. Kapal terbang MH370 kemudian melalui ruang tersebut dan disedut ke dalam air dari ekor pesawat. Kelihatan ruang air di bawahnya berputar. Kapal terbang MH370 menjunam ke dalam air dari bahagian ekornya. Beberapa kali ia berpusing sebelum hilang dari pandangan. Pesawat yang satu lagi melencongkan arahnya ke kiri dan terbang membelah awan. Saya masih di situ, memerhati kejadian yang tak pernah saya lihat dalam hidup. Sebaik saja air pusaran hilang, saya lihat dua serpihan besi terapung-apung di permukaan air. Serpihan itu terumbang ambing mengikut gelombang ombak yang ganas. Saya tidak tahu apa yang berlaku pada nasib penumpang di dalam MH370.. Menitis air mata bila melihat kejadian itu. Tiba-tiba saya tersedar dari tidur… Termenung saya memikirkan mimpi yang dialami. Saya berharap itu semua hanyalah mainan tidur dan sangat-sangat berharap kesemua penumpang di dalam MH370 masih hidup.. Sama-samalah kita berdoa akan keselamatan mereka. Amin.
683 lagi dibicarakan
Minya, Mesir: Mahkamah Mesir semalam memulakan satu lagi perbicaraan beramai-ramai, kali ini membabitkan 683 defendan termasuk pemimpin tertinggi Ikhwanul Muslimin. Mereka menghadapi pelbagai tuduhan termasuk bunuh, menghasut keganasan dan melakukan sabotaj ketika merusuh di bandar ini Ogos tahun lalu yang mengakibatkan lebih 600 orang terbunuh. Prosiding di selatan Kaherah itu diadakan sehari selepas hampir 530 orang penyokong bekas Presiden Mohamed Mursi dihukum mati kerana menyerang polis. Hukuman berkenaan dikecam termasuk di peringkat antarabangsa kerana dijatuhi selepas perbicaraan ‘ekspres’ selama hanya dua hari. Peguam bela juga tidak dibenarkan berhujah ketika perbicaraan itu. Dalam prosiding semalam, hanya 68 daripada 683 defendan hadir manakala yang lain dibicarakan tanpa kehadiran mereka. Beberapa pemimpin Ikhwan termasuk pemimpin tertingginya, Mohammed Badei juga tidak hadir kerana ditahan di penjara di Kaherah. Pihak berkuasa mendakwa mereka tidak dibawa menghadiri perbicaraan itu atas faktor keselamatan. Sementara itu, barisan peguam memboikot prosiding semalam sebagai protes terhadap keputusan hukuman mati oleh mahkamah Isnin lalu yang dikendalikan hakim sama, Said Youssef. Peguam bela Yasser Zidan berkata, Said melakukan kekhilafan besar dari segi perundangan apabila meneruskan prosiding tanpa kehadiran peguam. “Ia satu malapetaka dalam perundangan negara ini. Hakim sesuka hati membuat peraturannya sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, semalam. Menurutnya, barisan pembelaan memfailkan permohonan supaya hakim berkenaan digantikan. Seorang lagi peguam, Khaled Fouda berkata: “Perbuatan (hakim) seperti itu tidak pernah dilihat sebelum ini sepanjang hayat kami.”- AP
Mahkamah Mesir tangguh perbicaraan
KAHERAH - MESIR. Mahkamah di Mesir, hari ini menangguhkan perbicaraan kedua melibatkan kira-kira 683 penyokong bekas Presiden digulingkan, Mohammed Mursi termasuk Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin, Mohamed Badie, sehari selepas 529 penyokong pemimpin itu dihukum mati. Media tempatan memaklumkan prosiding perbicaraan tersebut ditangguhkan pada 28 April depan. Perbicaraan besar-besaran ke atas lebih 1,200 penyokong pro-Mursi di selatan wilayah Minya tersebut dibuat selepas mereka dituduh memusnahkan harta benda awam dan merusuh hingga menyebabkan dua anggota keselamatan terbunuh, Ogos lalu. Bagaimanapun menurut Al-Jazeera, hukuman mati yang dikenakan ke atas lebih 500 penyokong Mursi itu telah mencetuskan kritikan banyak pihak kerana ramai mempertikaikan prosiding perbicaraan terbabit yang didakwa tidak mengikut prosedur ditetapkan. Pakar undang-undang memaklumkan keputusan mengejut itu mungkin boleh ditarik balik dengan mengemukakan rayuan. Sementara itu, Amnesty International turut mengecam keputusan tersebut yang disifatkan sebagai keterlaluan. "Ia jelas menunjukkan kelemahan sistem keadilan di Mesir. "Penyokong Mursi menjadi sasaran sedangkan pasukan keselamatan yang secara terang-terangan mencabul hak asasi manusia di negara itu langsung tidak dibawa ke muka pengadilan," menurut kenyataan Amnesty lagi.
Delegasi tertinggi Malaysia ke Beijing malam ini
KUALA LUMPUR - Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata satu delegasi tertinggi sekali lagi akan ke Beijing dan berlepas malam ini untuk memberi taklimat lanjut susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam tadi bahawa Penerbangan MH370 Malaysia Airlines berakhir di selatan Lautan Hindi. Semasa sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini, Hishammuddin berkata delegasi tertinggi itu berada di Beijing sebelum ini dan pulang bersama beberapa persoalan untuk dibincangkan.. "Saya dimaklumkan bahawa beberapa persoalan dikemukakan kepada delegasi tertinggi ini yang pulang dan membincangkan maklumat apakah yang boleh disampaikan kepada mereka (anggota keluarga)...mereka akan berbuat demikian sebaik sahaja tiba di Beijing," kata beliau. Di samping itu, beliau berkata kenyataan media berkaitan maklumat oleh Bahagian Siasatan Kemalangan Udara UK (AAIB) akan dibawa bersama kepada keluarga penumpang di Beijing untuk dimaklumkan bagaimana kawasan pencarian dikecilkan ke bahagian selatan koridor selatan. Pada 20 Mac, delegasi tertinggi, diketuai oleh Panglima Operasi Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Lt Jen Datuk Seri Ackbal Abdul Samad tiba di Beijing untuk memberi taklimat kepada keluarga dan waris penumpang pesawat MH370, mengenai perkembangan terkini pencarian pesawat yang hilang itu. Delegasi itu mengandungi wakil dari Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Luar, TUDM, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan Malaysia Airlines. Malam tadi, Najib mengumumkan berdasarkan analisis data dalam penyiasatan bahawa penerbangan pesawat Boeing 777-200ER yang membawa 227 penumpang dan 12 krew telah berakhir di selatan Lautan Hindi selepas operasi mencari dan menyelamat selama 17 hari. Pesawat yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dilaporkan hilang pada 8 Mac kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pukul 12.41 tengah malam. Penerbangan MH370 sepatutnya tiba di Beijing pukul 6.30 pagi pada hari yang sama. - Bernama
Fokus cari MH370 tidak berganjak
KUALA LUMPUR - Fokus Malaysia tidak berganjak dan sentiasa konsisten dengan pendirian mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 meskipun timbul pelbagai tuduhan dan spekulasi, kata Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Beliau berkata operasi mencari tetap diteruskan meskipun negara lain yang terbabit dalam usaha itu menarik diri. "Tetap... dan kita akan terus bersandarkan kepakaran pasukan Perancis. Dalam hal ini, kita berjumpa dengan mereka (bagi berbincang) mengenai cara dan cabaran dalam masa dua tahun mencari kotak hitam yang diperlukan," katanya dalam sidang media harian perkembangan terkini insiden MH370 di sini hari ini. Hishammuddin berkata maklumat daripada pasukan Perancis itu turut dikongsi dengan negara lain yang turut terbabit dalam operasi mencari MH370 melibatkan aspek keluarga selain teknologi pencarian di lautan dalam serta aset yang digunakan. Pasukan Agensi Keselamatan Penerbangan Perancis (BEA), yang terlibat dalam penyiasatan nahas udara pesawat Air France 447 pada 2009, turut menghulur bantuan kepakaran dan pengalaman kepada pihak berkuasa Malaysia bagi mencari MH370. Semasa mengumumkan tragedi yang menimpa pesawat itu semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata berdasarkan analisis baharu oleh Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB) dan Inmarsat, syarikat UK yang menyediakan data satelit, penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi. Pesawat yang dalam perjalanan ke Beijing itu hilang daripada skrin radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi pada 8 Mac. Pengumuman Najib menamatkan penantian selama 17 hari dalam usaha mencari dan menyelamat yang disifatkan sebagai terbesar dalam sejarah membabitkan 26 negara dengan menggerakkan segala sumber mereka bagi mencari pesawat malang itu. Spekulasi akan terus menyelubungi misteri kehilangan MH370 sehinggalah kotak hitam pesawat itu dijumpai. Semasa mengumumkan tragedi yang menimpa pesawat itu semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata berdasarkan analisis baharu oleh Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB) dan Inmarsat, syarikat UK yang menyediakan data satelit, penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi. Pesawat yang dalam perjalanan ke Beijing itu hilang daripada skrin radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi pada 8 Mac. Pengumuman Najib menamatkan penantian selama 17 hari dalam usaha mencari dan menyelamat yang disifatkan sebagai terbesar dalam sejarah membabitkan 26 negara dengan menggerakkan segala sumber mereka bagi mencari pesawat malang itu. Spekulasi akan terus menyelubungi misteri kehilangan MH370 sehinggalah kotak hitam pesawat itu dijumpai. Disoal mengenai alasan berhubung kemungkinan penerbangan pesawat itu berakhir di selatan Lautan Hindi, Hishammuddin berkata ia memerlukan proses yang amat rumit termasuk menyokong serta mengesahkan data satelit dan radar selain petunjuk lain sebelum sebarang rumusan boleh dibuat. Beliau berkata pihak berkuasa kini meneliti aset dan peralatan tertentu bagi mengesan MH370 dan kotak hitam pesawat berkenaan. Katanya, satu mesyuarat akan diadakan dengan wakil Tentera Amerika Syarikat di rantau Pasifik bagi membincangkan jenis alat pengesan yang terbaik bagi mencari kotak hitam di selatan Lautan Hindi. Hishammuddin juga berkata Malaysia kekal sebagai penyelaras operasi yang membabitkan 26 negara itu meskipun terdapat pelbagai petunjuk dikesan di selatan Lautan Hindi di mana Australia menerajui pasukan mencari di kawasan berkenaan. Sementara itu, seorang wartawan dari China meminta Hishammuddin menjelaskan mengapa ada kelewatan di pihak kerajaan Malaysia untuk mendedahkan data yang diperoleh satelit Inmarsat. Hishammuddin berkata pihaknya menerima data satelit dari China membabitkan pengesanan objek di Laut China Selatan yang mengalih tumpuan mereka daripada operasi mencari dan menyelamat namun hasilnya adalah negatif. Bagaimanapun, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata maklumat itu sememangnya diterima pada 12 Mac. "Bagaimanapun kita perlu meneliti maklumat itu dan berkongsi dengan pasukan AS untuk disahkan. "Ia mengambil masa yang lama kerana kita terpaksa melakukan banyak kerja untuk menganalisis maklumat itu," katanya. - Bernama
Islam beri tempoh hingga 4 tahun sabit kematian
KUALA LUMPUR - Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata Islam memberi tempoh sehingga empat tahun untuk mensabitkan kematian bagi kehilangan seseorang yang tidak diketahui kedudukannya. Beliau merujuk pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam bahawa penerbangan pesawat MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi. Abdul Hadi berkata maklumat yang dihasilkan daripada satelit adalah tidak terperinci. "Tetapi itu terpulang pada kerajaanlah untuk menentukan hal-hal (sabit kematian) seperti ini," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini. Pesawat MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, hilang daripada skrin radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi pada 8 Mac. - Bernama
Usaha mencari MH370 tertumpu di koridor selatan
KUALA LUMPUR - Usaha mencari pesawat MH370 yang hilang kini tertumpu di koridor selatan Lautan Hindi meliputi kawasan seluas 469,407 batu nautika persegi. Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata berikutan penemuan analisis data terkini, operasi mencari di koridor utara telah dihentikan. "Kami sedang bekerja untuk memperincikan lagi kawasan carian, menggunakan empat kaedah yang saya nyatakan sebelum ini: mengumpulkan maklumat daripada pemantauan satelit, analisis data daripada pemantauan radar, meningkatkan aset-aset permukaan dan udara, dan meningkatkan bilangan pakar teknikal dan bidang berkaitan," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai perkembangan operasi mencari MH370 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini. Mengenai penghantaran aset, dua pesawat Korea berlepas dari lapangan terbang Subang ke Perth pagi ini dan enam kapal China serta kapal tentera laut Australia , HMAS Success kini berada di kawasan pencarian. "Pengesan Bunyi Ping Amerika - satu alat yang boleh membantu mencari sebuah kotak hitam - sekarang sedang dalam perjalanan ke Perth dan akan tiba esok. Sistem itu akan dipasang pada kapal Australia, Ocean Shield, yang dijangka berlabuh di Perth pada 28 Mac ini," kata beliau. Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata penerbangan pesawat itu berakhir di selatan Lautan Hindi berdasarkan analisis terbaru daripada Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB) dan syarikat satelit Inmarsat. Operasi selama 17 hari bagi mencari dan menyelamat pesawat yang hilang pada 8 Mac lepas itu, merupakan antara operasi yang terbesar dalam sejarah penerbangan melibatkan 26 negara. Spekulasi mengenai misteri kehilangan MH370 itu masih berterusan kerana sampai sekarang tiada jawapan konkrit yang boleh menjelaskan kehilangannya sehingga kota hitam ditemui. - Bernama
Carian MH370 dihentikan di koridor utara
KUALA LUMPUR - Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan bahawa pencarian telah dihentikan di koridor Utara. Tambah beliau, operasi pencarian di bahagian utara koridor selatan turut dihentikan bagi menumpukan usaha pencarian ke selatan Laut Hindi. "Usaha pencarian di koridor utara telah pun dihentikan, pihak kami juga telah memutuskan untuk menghentikan operasi mencari di utara koridor selatan iaitu berdekatan dengan Indonesia. "Ini bagi membolehkan semua pihak menumpukan perhatian dan carian di lokasi di mana MH370 mungkin berada," katanya dalam satu sidang media hari ini. Menurutnya, kesemua usaha mencari pesawat terbabit kini bertumpu di bahagian selatan Laut Hindi. "Ianya kawasan yang meliputi 469, 407 kilometer nautika persegi, namun pihak kami sedang berusaha untuk mengecilkan kawasan carian," katanya. Dalam pada itu, pihak Korea telah mengerahkan dua pesawatnya ke Perth bagi membantu kerajaan Australia mengesan serpihan objek manakala enam kapal pengesan dari China akan dijadualkan tiba pada pagi esok.
Tragedi MH370 Inmarsat AAIB Temui Bukti Kukuh
Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya berkata, terdapat beberapa bukti kukuh yang boleh mengesahkan dakwaan MH370 hilang di Laut Hindi.
Kaedah 'kesan Doppler' tentukan kedudukan MH370
KUALA LUMPUR - Kedudukan terakhir pesawat MH370 yang hilang, dikenal pasti melalui penggunaan 'kesan Doppler' oleh Air Accident Investigation Branch (AAIB) United Kingdom dan Satelit Inmarsat. Pemangku Menteri Pengngkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Inmarsat mencipta kaedah inovatif kedua ini, yang mengambil kira halaju pesawat berkenaan dan kaitannya dengan satelit berkenaan. Menurut beliau, berdasarkan pergerakan relatif ini, frekuensi yang diterima dan dipancarkan akan berbeza daripada nilai normalnya, sama seperti bunyi sebuah kereta berubah apabila ia semakin dekat dan berlalu. Ini dikenali sebagai kesan Doppler," katanya pada sidang akhbar mengenai"kemajuan usaha mencari pesawat tersebut di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini. Beliau berkata kaedah Inmarsat itu membuat analisis tentang perbezaan antara frekuensi yang dijangka diterima stesen bumi dengan frekuensi sebenar yang diukur dan perbezaan yang wujud adalah hasil daripada kesan Doppler, yang dikenali sebagai 'Burst Frequency Offset'. Hishammuddin berkata 'Burst Frequency Offset' berubah mengikut lokasi pesawat terbabit dalam arca yang berkemungkinan menjadi tempatnya berada, arah pergerakan dan kelajuannya. "Untuk mendapatkan keyakinan terhadap teorinya, Inmarsat menyemak ramalannya itu dengan maklumat yang diperoleh daripada enam pesawat B777 lain yang terbang pada hari sama di pelbagai arah. Terdapat persamaan yang meyakinkan. "Ketika berada di bumi di lapangan terbang Kuala Lumpur dan pada peringkat awal penerbangannya, MH370 menghantar beberapa mesej. "Pada peringkat itu, lokasi pesawat berkenaan dan satelit, telah dikenal pasti, maka oleh itu, perkiraan bolehlah dibuat tentang ciri-ciri sistem pesawat terbabit, satelit dan stesen bumi," katanya. Beliau berkata analisis ini menjadi asas bagi kajian selanjutnya dalam usaha menentukan kedudukan terakhir pesawat MH370."Sejajar dengan itu, pasukan penyiasat Malaysia menubuhkan sebuah kumpulan kerja antarabangsa, yang dianggotai agensi yang memiliki kepakaran dalam bidang komunikasi satelit dan prestasi pesawat, untuk meneruskan tugas berkenaan," katanya. Beliau berkata walaupun banyak lagi kerja perlu dibuat, kerajaan berterima kasih kepada Inmarsat, AAIB dan pasukan penyiasat antarabangsa, yang sedang meneruskan tugas mereka dengan pihak berkuasa Malaysia. Malam tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa penerbangan pesawat berkenaan berakhir di selatan Lautan Hindi berdasarkan analisis baharu AAIB dan Inmarsat. Penerbangan ke Beijing itu hilang pada 8 Mac. Pengumuman Najib itu mengakhiri operasi mencari dan menyelamat yang diadakan selama 17 hari dan disifatkan sebagai operasi terbesar dalam sejarah penerbangan, dengan melibatkan 26 negara. Bagaimanapun, spekulasi tentang misteri kehilangan pesawat MH370 terus tersebar kerana hingga kini, belum terdapat jawapan konkrit mengenainya. Ia mungkin berakhir setelah kotak hitam dijumpai. - Bernama
Australia siasat bukti penemuan MH370
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein (tengah) bercakap pada sidang media MH370 bagi hari ke-18 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada hari ini. - Foto Sinar Harian oleh Zulfadhli Zaki
KUALA LUMPUR - Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata, penemuan bukti yang mengaitkan pesawat MH370 di selatan Laut Hindi akan disiasat oleh pihak kerajaan Australia. Bercakap dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini, beliau menjelaskan bahawa bukti penemuan tersebut akan dibawa pulang oleh kerajaan Australia dan dikaji oleh pasukan siasatan di negara terbabit. "Pihak Australia akan mengambil bukti penemuan tersebut untuk dianalisis, namun pada masa yang sama, pihak Malaysia akan turut beri kerjasama untuk melakukan penyiasatan pada bukti tersebut," katanya. Menurutnya lagi, operasi mencari dan menyelamat terpaksa dihentikan untuk hari ini berikutan dengan cuaca buruk yang melanda di perairan Laut Hindi. "Operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370 akan diteruskan semula apabila cuaca semakin pulih," tambahnya lagi.
Tragedi MH370: Pertubuhan Palestin ucap takziah
KUALA LUMPUR - Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) hari ini menyampaikan ucapan takziah atas kesudahan tragis pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang pada 8 Mac lepas. Dalam satu kenyataan hari ini pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu berkata PCOM amat dukacita berikutan pengesahan tentang tragedi itu selepas menunggu dengan cemas selama 17 hari. "Bagi pihak penduduk Palestin, PCOM ingin mengucapkan takziah dan simpati kepada kerajaan serta rakyat Malaysia yang menjalankan usaha tanpa mengenal jemu untuk mencari kapal terbang yang hilang itu," kata PCOM. NGO Palestin itu turut menyatakan sokongan moral dan setiakawan kepada keluarga yang sedang berkabung itu, yang kehilangan orang tersayang, serta mendoakan semoga mereka sentiasa tabah dan sabar. "Kami akan turut berdoa agar Malaysia mengatasi masa yang sukar ini dengan azam yang kuat seperti yang sering dilakukannya," menurut PCOM. Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penerbangan itu berakhir di suatu kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi, tanpa tempat untuk mendarat. Pesawat MH370 menuju Beijing dengan membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam 8 Mac. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. - Bernama
MH370: Keluarga berhimpun di kedutaan Malaysia
BEIJING - CHINA. Kira-Kira 200 anggota keluarga 154 penumpang warga China dalam pesawat MH370 hari ini berarak dengan membawa sepanduk di depan Kedutaan Besar Malaysia di sini bagi melahirkan kekecewaan mereka berkaitan berita tentang nasib pesawat itu yang diterima semalam. Mereka memakai kemeja T putih yang tertera ayat 'Pray for MH370',melaungkan "pulangkan semula keluarga saya" ketika berarak ke arah kedutaan itu. Pada mulanya, tunjuk perasaan itu berlangsung secara aman namun bertukar menjadi tidak terkawal apabila mereka dihalang memasuki premis berkenaan oleh anggota keselamatan yang berkawal di depan kedutaan berkenaan. Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa data yang dikeluarkan satelit milik British iaitu Inmarsat merumuskan bahawa penerbangan pesawat Boeing 777-200ER milik MAS itu berakhir di selatan Lautan Hindi. "Justeru itu dengan perasaan sedih dan kesal yang amat sangat, saya perlu memaklumkan anda bahawa menurut data baharu ini, penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi," katanya. Di KUALA LUMPUR, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS Ahmad Jauhari Yahya berkata syarikat itu akan menguruskan untuk membawa anggota keluarga penumpang ke kawasan penemuan pesawat berkenaan, jika mereka ingin berbuat demikian, selepas menerima kebenaran daripada pihak berkuasa yang melakukan siasatan. Beliau berkata MAS akan terus membantu keluarga terbabit dengan program khidmat sokongan komprehensif menerusi sekumpulan 700 petugas yang dedikasi dengan dua orang bagi setiap keluarga penumpang dan anak kapal MH370. "Ketika ini kami menyediakan khidmat sokongan kepada lebih 900 orang di bawah program ini dan sejak 72 jam lepas, kami telahpun melatih 40 petugas tambahan bagi memastikan keluarga terbabit mempunyai akses kepada khidmat sokongan 24 jam sehari," katanya. MAS telahpun menyediakan bantuan kewangan permulaan sebanyak US$5,000 bagi setiap penumpang kepada waris terdekat dan sedia menawarkan bantuan tambahan jika pencarian diteruskan. - Bernama
MH370: Kerajaan pertimbang tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI
KUALA LUMPUR - Kerajaan akan menimbang cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan Jawatankuasa Terpilih Parlimen berhubung tragedi pesawat MAS MH370, kata Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. "Cadangan tersebut akan saya bawa ke pihak yang membuat keputusan. Itu jaminan saya kepada Dewan ini...(tetapi) kalau masih tidak berpuas hati, inilah cara kita melihat ke hadapan. "Tapi apa yang boleh saya sahkan hari ini, bahawa audit atau jawatankuasa di peringkat kementerian (Pengangkutan) diwujudkan, begitu juga di Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). "Semua ini berjalan serentak dengan operasi mencari dan pemulihan," katanya ketika menggulung usul khas dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menzahirkan rasa sedih, dukacita dan pilu terhadap tragedi yang menimpa pesawat tersebut di Dewan Rakyat di sini hari ini. Hishammuddin kemudian mengulangi pendirian kerajaan bahawa tumpuan pasukan mencari adalah mengenal pasti serpihan dan menemui pesawat yang hilang itu. Mengenai operasi mencari, Hishammuddin berkata beliau optimis ia akan diteruskan walaupun berdepan cabaran seperti gangguan cuaca selain teknikal, diplomatik dan logistik dalam menjayakannya. "Walaupun lokasi jauh dari daratan dan mencabar, saya optimis, selagi ada harapan, saya masih berharap terhadap semua harapan manakala operasi pencarian dan pemulihan akan diteruskan," katanya. Dalam pada itu, mengenai imej satelit yang dikeluarkan dari Australia, China dan Perancis, beliau berkata pihaknya akan bermesyuarat malam ini dengan wakil United States Pacific Command (USPACOM), sebuah badan ketenteraan bertanggungjawab bagi kawasan Lautan Pasifik. "(Mesyuarat) ini untuk pastikan sama ada serpihan itu dari pesawat tersebut. Selepas disahkan, barulah kita akan cari kotak hitam pula. Itu cara kita, bekerjasama, sahkan petunjuk dan maklumat setiap yang ada," katanya. Usul itu kemudian diluluskan. Sementara itu, ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, Hishammuddin melahirkan rasa terharu dan terima kasih dengan sokongan padu tidak berbelah-bahagi yang dizahirkan setiap anggota Dewan Rakyat kepada kerajaan dalam menghadapi insiden yang berlaku ke atas pesawat MH370. "Hikmahnya sekurang-kurangnya ada jambatan dan perkara yang boleh menyatupadukan kita dan inilah sesuatu yang saya tengok kelebihan yang ada pada kita," katanya. Terdahulu, ketika sesi perbahasan usul itu, anggota Parlimen kerajaan dan pembangkang sepakat mahu satu RCI dan Jawatankuasa Terpilih Parlimen ditubuhkan bagi menyiasat tragedi pesawat itu. Datuk Seri Liow Tiong Lai (BN-Bentong) berkata ia bagi memastikan tragedi itu disiasat secara mendalam dari segala aspek dan maklumat dikongsi secara terbuka dan telus kepada seluruh rakyat. Cadangan tersebut disokong Hasbi Habibollah (BN-Limbang) yang menyatakan penubuhan itu perlu disokong semua pihak agar tragedi MH370 dapat diperincikan demi kebaikan imej negara pada masa depan. Datuk Seri Dr S.Subramaniam (BN-Segamat) pula berkata penubuhan RCI adalah satu tanggungjawab kerajaan bagi mencari jawapan kepada semua persoalan yang menyelubungi tragedi MH370 bagi memenuhi harapan keluarga penumpang. Dr Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan berkata ia juga sebagai pengajaran kepada kerajaan dan negara lain pada masa depan mengenai sistem teknologi di mana masih ada pesawat yang boleh terlepas dari kawalan radar walaupun dalam kecanggihan teknologi masa kini. Sementara itu, Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) berkata jawatankuasa yang bakal dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang itu adalah amat perlu bagi menyelesaikan misteri tragedi MH370. Dalam pengumumannya malam tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi. Penerbangan MH370 Kuala Lumpur-Beijing yang hilang sejak 8 Mac lepas, membawa 227 penumpang dengan 154 daripadanya merupakan warga China. - Bernama
Kaedah matematik mudahkan usaha cari kotak hitam
KUALA LUMPUR - Kaedah matematik boleh digunakan untuk memudahkan usaha mencari kotak hitam pesawat Malaysia Airlines yang hilang, kata Ketua Penyelidikan dan Inovasi Universiti Kuala Lumpur (UNIKL)dan pelatih juruterbang Profesor Madya Kapten Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian. Beliau berkata kaedah itu boleh digunakan bagi mengenal pasti titik pertemuan di antara sayap dan fiuslaj bagi mengenal pasti kedudukan kotak hitam itu. "Ada beberapa kaedah atau kebarangkalian berhubung bagaimana fiuslaj boleh ditemui. Sebagai contoh, selepas sayap ditemui, kita mungkin tahu di mana fiuslaj itu berada," katanya. Bagaimanapun, Mohd Harridon berkata sebenarnya untuk mencari kotak kotak hitam lebih sukar daripada dijangka. "Walaupun jika serpihan itu ditemui, bahagian-bahagian pesawat itu sudah pasti jauh dihanyutkan oleh arus yang kuat dan ia menjadi sukar untuk mengenal pasti kedudukan fiuslaj itu kerana radiusnya akan menjadi agak luas," katanya kepada Bernama. Pesawat malang yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing itu, hilang daripada skrin radar, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam 8 Mac. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. Usaha pencarian pelbagai negara digerakkan untuk mencari pesawat itu, pada mulanya di Laut China Selatan dan kemudian ke kawasan daratan dan laut yang luas di sebelah barat Malaysia termasuk Lautan Hindi, apabila dilaporkan pesawat itu melencong dari laluan asal dan terbang selama tujuh jam selepas seseorang dengan sengaja menutup sistem komunikasi pesawat. Usaha mencari kemudian bertumpu kepada dua koridor iaitu koridor utara yang menganjur dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan sehingga ke sebelah utara Thailand, manakala koridor selatan meliputi kawasan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi. Selepas imej satelit menunjukkan sesuatu seperti serpihan, pesawat dan kapal tentera daripada pasukan mencari pelbagai negara bergegas ke kawasan di selatan Lautan Hindi. Berdasarkan hasil analisis yang belum pernah dibuat sebelum ini, syarikat Inmarsat United Kingdom dan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB) memaklumkan Perdana Menteri bahawa mereka merumuskan Penerbangan MH370 terbang di koridor selatan dan kedudukan terakhirnya adalah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth, Australia. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan malam tadi: "Oleh itu dengan penuh rasa sedih dan kesal saya mesti memaklumkan kepada anda bahawa menurut data baharu ini, Penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi." Mohd Harridon berkata adalah wajar bagi pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan sensor sonar untuk mengesan isyarat dari kotak hitam pesawat itu. Katanya kotak hitam yang diperbuat daripada titanium dan keluli dan disalut bahan kalis api, boleh menahan hentakan yang kuat sehingga 3,000 kali serta masih mampu mengeluarkan isyarat jika jatuh sehingga kedalaman 6,000 meter. Kotak hitam juga mampu bertahan sehingga 2,000 darjah Fahrenheit dalam sesuatu kejadian kebakaran dan hampir 95 peratus kotak hitam dapat ditemui dalam kemalangan yang membabitkan kapal terbang. Mohd Harridon juga tidak menolak kemungkinan bahawa pesawat itu melakukan 'soft landing' (pendaratan lunak) di Lautan Hindi. - Bernama
Najib rakam penghargaan kepada pasukan mencari
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini merakamkan penghargaan kepada mereka yang terbabit dalam misi mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang. Najib ketika berucap merasmikan Persidangan Teknologi Luar Persisir Asia 2014 di sini hari ini, merakamkan penghargaan beliau kepada anggota tentera serta awam dari Malaysia dan seluruh dunia yang terus bertugas siang malam dalam pencarian pesawat MH370, anak kapal dan penumpangnya. "Pertama-tama sekali yang berada dalam doa dan ingatan kami adalah penumpang, anak kapal dan keluarga mereka," katanya. Semalam, perdana menteri mengumumkan penerbangan MH370 itu berakhir di selatan Lautan Hindi. Pesawat Boeing 777-200ER menuju ke Beijing itu hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam 8 Mac. Ia sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. - Bernama
MH370: Kenyataan pemangku Menteri Pengangkutan
KUALA LUMPUR - Berikut kenyataan Menteri Pertahahan dan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada sidang media mengenai pencarian pesawat MH370 Malaysia Airlines (MAS) yang hilang, di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini: " Ketika usaha mencari MH370 diteruskan, kami tetap memberi fokus untuk mengecilkan kawasan pencarian. " Hasil kerjasama kukuh daripada rakan-rakan antarabangsa, cabaran tidak lagi bersifat diplomatik. Ia sekarang tertumpu pada teknikal dan logistik. Oleh kerana skala siasatan sekarang lebih kompleks, pemberitahuan maklumat teknikal dan logistik akan dikendalikan secara berbeza. Seperti yang anda lihat hari ini, ini bermakna Malaysia Airlines menjalankan usaha untuk berkomunikasi dengan keluarga penumpang. "Ketika kawasan pencarian dikecilkan, cabaran baru timbul termasuk menguruskan sumber di kawasan mencari dan menyelamat yang terpencil. Kami meneruskan kerjasama dengan negara-negara sahabat dan rakan ketika kami berusaha mendapatkan lebih banyak sumber bagi menyokong operasi di kawasan terbabit.
Data baharu
" Malam tadi, Perdana Menteri(Datuk Seri Najib Tun Razak) mengumumkan bahawa menurut analisis baharu data satelit, INMARSAT iaitu firma satelit Britain dan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara UK (AAIB) membuat kesimpulan bahawa penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi. " Hari ini, saya akan memberi butiran lanjut tentang bagaimana data itu dianalisis seperti yang disalurkan. Maklumat ini lebih bersifat teknikal, Jadi, walaupun saya akan memberikan seberapa banyak maklumat yang boleh, saya tidak akan menjawab soalan-soalan mengenai analisis data hari ini. "Bagaimanapun, kami akan menerima soalan bertulis yang akan dijawab secepat mungkin. Kami akan menyalurkan maklumat ini dalam kenyataan akhbar selepas sidang media ini berakhir. Ini adalah maklumat yang disalurkan kepada kami oleh AAIB.
Butiran lanjut
" Kebelakangan ini, Inmarsat menggunakan teknik inovasi yang menghuraikan masa isyarat untuk sampai ke satelit dan sudut ketinggian. Berdasarkan pergerakan ini, arus gelombang yang diterima dan dipancarkan akan berbeza dan keadaan ini sama seperti bunyi kereta yang lalu akan berubah selepas mendekati atau memotong. Ini dipanggil kesan Doppler. "Teknik Inmarsat menganalisis perbezaan antara gelombang yang stesen di bumi dijangka menerima dan gelombang yang sebenarnya diukur. . Perbezaan ini adalah hasil kesan Doppler dan dikenali sebagai "Burst Frequency Offset." "Burst Frequency Offset berubah bergantung kepada lokasi pesawat pada kemungkinan kedudukan lengkok, arah penerbangan serta kelajuannya. "Untuk mengukuhkan kayakinan pada teorinya, Inmarsat menyemak ramalannya menggunakan maklumat yang diperoleh daripada enam lagi pesawat B777 yang terbang pada hari yang sama dalam pelbagai arah. " Semasa berada di landasan lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan semasa peringkat awal penerbangan, MH370 menghantar beberapa mesej. " Pada peringkat ini, kedudukan pesawat dan satelit diketahui, dan ini memungkinkan untuk menghuraikan kiraan mengenai cici-ciri sistem bagi pesawat, satelit dan stesen bumi. " Analisis itu menunjukkan tahap komunikasi yang lemah dengan koridor utara tetapi jelas dengan koridor Selatan, dan bergantung kepada kelajuan pesawat, ia memungkinkan untuk menentukan kedudukan pada 0011 UTC, iaitu perhubungan terakhir berlaku. Saya ingin menarik perhatian bahawa ini bukan kedudukan terakhir pesawat. " Ada bukti mengenai perhubungan yang hanya sebahagian antara pesawat dan stesen bumi pada 0019 UTC. Pada ketika ini, penghantaran istarat tidak difahami dan perlu analisis lanjut. " Tiada respons diterima daripada pesawat pada 0115 UTC, apabila stesen bumi menghantar mesej log on/log off selanjutnya. Ini menunjukkan bahawa pesawat tidak lagi berada dalam log pada jaringan komunikasi. " Oleh itu, antara 0011 UTC dan 0115 UTC, pesawat tidak lagi berupaya untuk berkomunikasi dengan stesen bumi. " Analisis oleh INMARSAT menjadi asas petunjuk bagi analisis lanjut untuk cuba menentukan posisi terakhir pesawat. " Oleh itu, pasukan siasatan Malaysia telah menubuhkan kumpulan kerja antarabangsa terdiri daripada agensi yang mempunyai kepakaran dalam komunikasi satelit dan keupayaan pesawat, untuk membuat huraian lanjut.
Latarbelakang teknikal
" Analisis baru yang saya huraikan adalah cukup meyakinkan untuk AAIB memberi taklimat kepada Perdana Menteri bahawa MH370 terbang melintasi koridor selatan dan bahawa kedudukan terakhirnya ialah di tengah Lautan Hindi, ke barat Perth. " Dalam masa bebarapa jam, keluarga penumpang telah dimaklumkan, dan Perdana Menteri mengumumkan perkembangan terkini itu kepada dunia. " Seperti diumumkan Perdana Menteri, analisis seperti ini belum pernah diguna pakai dalam siasatan sebelum ini. " Ada banyak lagi usaha yang perlu dilakukan, dan kami berterima kasih kepada Inmarsat, AAIB dan pasukan siasatan antarabangsa yang meneruskan kerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia.
Perkembangan terkini operasi
" Hasil analisis data terbaru ini, operasi mencari dan menyelamat di koridor utara dihentikan. Kami juga telah menghentikan operasi pencarian di bahagian utara koridor selatan, berhampiran Indonesia. " Semua usaha pencarian sekarang tertumpu di bahagian selatan koridor selatan, meliputi kawasan kira-kira 469,407 batu nautika persegi berbanding 2.24 juta batu nautika persegi yang diumumkan pada 18 Mac. " Kami sedang bekerjasama untuk mengecilkan lagi kawasan pencarian, menggunakan empat cara yang saya umumkan sebelumnya: memperoleh maklumat daripada pemantauan satelit, analisis pemantauan data daripada radar, menambah aset udara dan darat, dan menambah pakar-pakar teknikal dan pakar dalam setiap bidang. " Mengenai aset yang digerakkan, 2 pesawat Korea berlepas dari pangkalan udara Subang menuju ke Perth pagi tadi untuk membantu dalam operasi pencarian pelbagai negara. " Tiada penerbangan dari Perth ke kawasan pencarian dilaporkan hari ini kerana cuaca buruk. " Enam kapal China kini berada di kawasan pencarian. Kapal-kapal itu dijangka tiba di sekitar kedudukan terakhir MH370 menjelang pagi esok. Kapal-kapal ini termasuk kapal pemecah ais "Xue Long’. " HMAS Success juga sekarang berada di kawasan pencarian. " American Towed Pinger Locater – peralatan yang berupaya mengesan kotak hitam -- kini dalam pelayaran ke Perth dan akan tiba esok. Sistem itu akan dipasang pada kapal tentera laut Australia Ocean Shield, yang dijangka tiba di Perth pada 28 Mac. " Ocean Shield, yang dilengkapi Towed Pinger Locater, dijangka tiba di kawasan pencarian pada 5 April. " Analisis baru yang diguna pakai dalam siasatan oleh Inmarsat dan AAIB memberi tumpuan di bahagian selatan koridor selatan. " Walaupun pengumuman semalam adalah saat-saat yang sukar untuk anggota keluarga, tetapi seperti ditegaskan Perdana Menteri, ia dibuat kerana komited kepada sikap terbuka dan menghormati anggota keluarga terbabit, dua prinsip yang menjadi amalan dalam siasatan. - Bernama
Lagi 700 penyokong Mursi dibicarakan
KAHERAH - MESIR. Kira-kira 700 penyokong bekas Presiden digulingkan, Mohammed Mursi termasuk Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin, Mohamed Badie dihadapkan ke mahkamah, sehari selepas 529 penyokong pemimpin itu dijatuhi hukuman mati. Perbicaraan besar-besaran ke atas lebih 1,200 penyokong pro-Mursi di selatan wilayah Minya tersebut dibuat selepas mereka dituduh merusuh dan memusnahkan harta benda awam hingga menyebabkan dua anggota keselamatan terbunuh, Ogos lalu. Bagaimanapun menurut Gulfnews, hukuman mati yang dikenakan ke atas lebih 500 penyokong Mursi itu telah mencetuskan kritikan banyak pihak kerana ramai mempertikaikan prosiding perbicaraan terbabit kerana didakwa tidak mengikut prosedur ditetapkan, namun dinafikan kerajaan sementara terbabit. Pakar undang-undang memaklumkan keputusan mengejut itu mungkin boleh ditarik balik dengan mengemukakan rayuan kepada mahkamah. Sementara itu, Amnesty International turut mengecam keputusan tersebut yang disifatkan sebagai keterlaluan. Kumpulan hak asasi manusia berpusat di Britain itu menyatakan ia jelas menunjukkan kelemahan dalam sistem keadilan di Mesir. "Penyokong Mursi menjadi sasaran sedangkan pasukan keselamatan yang mencabul hak asasi manusia di negara itu langsung tidak dibawa ke muka pengadilan," menurut kenyataan Amnesty lagi.
Hampir 90 majikan tidak laksana gaji minimum
PUTRAJAYA - Hampir 90 majikan di seluruh negara tidak melaksanakan pembayaran gaji minimum setakat akhir bulan lalu, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Ismail Abdul Muttalib. Katanya sejumlah 5,189 pemeriksaan tenaga kerja berhubung pematuhan gaji minimum dijalankan kementerian baru-baru ini bagi memastikan majikan melaksanakan Perintah Gaji Minimum Kebangsaan 2012 yang dikuat kuasakan pada 1 Jan 2014. "Bagi tuntutan kerana tidak membayar gaji minimum yang difailkan di Jabatan Tenaga Kerja, sehingga 28 Feb tahun ini, sejumlah 67 tuntutan diterima. Daripada jumlah itu, 54 tuntutan (81 peratus) diselesaikan dengan baki 13 tuntutan masih dikendali pegawai bertugas," katanya semasa berucap merasmikan Seminar bersama Bank Dunia, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Jawatankuasa Teknikal Gaji Kebangsaan Mengenai Semakan Perintah Gaji Minimum 2012 anjuran kementerian di sini hari ini. Jumlah tuntutan kewangan kerana tidak membayar gaji minimum mencecah kira-kira RM170,000, katanya. "Mengikut Seksyen 43 Akta Majlis Perundingan Gaji Kebangsan 2011, mana-mana majikan yang didapati bersalah boleh didenda sehingga RM20,000 atau dipenjara tidak melebihi lima tahun, kata Ismail. Sebagai tambahan, beberapa kes pertelingkahan perdagangan juga difailkan dengan Jabatan Perhubungan Industri membabitkan perjanjian kolektif dan setakat 11 Mac tahun ini sejumlah 40 kes pertikaian difailkan terutama membabitkan gaji minimum di sektor perhotelan. Daripada jumlah itu, sembilan kes diselesaikan secara berdamai melalui Jabatan Perhubungan Industri dengan 11 kes dirujuk oleh menteri sumber manusia kepada Mahkamah Perindustrian melalui proses timbang tara. - Bernama
Elak lubang antara punca nahas jalan raya
SANDAKAN - Mengelak dari melanggar jalan raya berlubang dikenal pasti antara penyumbang nahas jalan termasuk yang melibatkan kematian di daerah ini. Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Rowell Marong menasihatkan para pengguna jalan raya di sini supaya lebih berhati-hati dan tidak memandu laju supaya mereka boleh mengelak daripada berlakunya kemalangan terutamanya di jalan raya yang berlubang. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas satu nahas jalan raya pada Sabtu lepas yang mengorbankan seorang pemandu kereta ketika cuba mengelak dari melanggar lubang besar di Kilometer 43 Jalan Labuk sebelum bertembung dengan sebuah bas ekspres. Rowell sendiri pernah hampir terlibat dalam nahas jalan raya disebabkan sebuah kenderaan dari arah bertentangan cuba mengelak lubang dan hampir bertembung dengan kenderaan dipandunya, kata beliau ketika ditemui pemberita di majlis sambutan Hari Polis Ke-207 Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan di sini hari ini. Bagaimanapun, beliau berjaya mengelak daripada berlakunya kemalangan kerana sempat memperlahankan kenderaan yang dipandunya secara berhemah. - Bernama
6.48 juta terima BR1M, libat RM3.37 bilion
KUALA LUMPUR - Sejumlah 6.48 juta orang menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tahun ini menerusi peruntukan sebanyak RM3.37 bilion, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah. Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 57 peratus atau 3.68 juta orang menerima BR1M melalui pindahan kredit ke akaun bank masing-masing. Bagi 2.80 juta penerima atau 43 peratus daripada mereka yang tidak mengemukakan akaun bank termasuk transaksi pindahan kredit tidak berjaya pula, bayaran akan diterima secara berperingkat melalui majlis pengagihan BR1M dan perlu menunaikannya di kaunter bank terlibat iaitu Bank Simpanan Nasional, Public Bank Berhad, Maybank dan CIMB Bank. "Bagi pemohon yang tidak berjaya, pemohon boleh membuat rayuan mulai 1 April 2014. Borang rayuan boleh didapati di mana-mana cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDNM)," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Borang rayuan yang lengkap diisi beserta dokumen berkaitan perlu dihantar ke pejabat LHDNM sebelum 30 April 2014. Pada masa sama, Ahmad Husni berkata sebanyak 69 kes penipuan atau salah guna baucar BR1M dikesan dalam tempoh tiga minggu pelaksanaan BR1M 2014. "Kerajaan memandang serius perkara ini dan sedang menjalankan siasatan terperinci, sekiranya didapati terdapat unsur penipuan, individu tersebut boleh disabitkan kesalahan di bawah seksyen 193 Kanun Keseksaan (Akta 574) atau disenarai hitam pada masa depan," katanya. Beliau berkata melalui inisiatif Bajet 2014, kerajaan buat pertama kali memperkenal caruman takaful i-BR1M iaitu pelan yang memberi manfaat perlindungan kepada penerima kategori isi rumah/ keluarga, jika berlaku kematian atau hilang upaya kekal akibat kemalangan. Sumbangan i-BR1M ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan dan tiada kos dikenakan sepanjang tempoh perlindungan bermula iaitu 1 Januari hingga 31 Disember 2014. Borang i-BR1M boleh dimuat turun dari laman sesawang www.malaysiantakaful.com.my atau https://ebr1m.hasil.gov.my. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi talian 1-800-88-2716 atau 03-8882 4565/ 4566 setiap hari bekerja 9 pagi hingga 5 petang manakala bagi i-BR1M, penerima boleh menghubungi 03-2716 2716 atau e-mel ke i-BR1M@takaful-ikhlas.com.my. - Bernama
Catuan air hingga 31 Mac atau dilanjut
KUALA LUMPUR - Pelan catuan bekalan air peringkat pertama dan ketiga di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya diteruskan sehingga 31 Mac ini, atau dilanjutkan. Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) Priscilla Alfred berkata ini kerana fenomena cuaca panas dan ketiadaan hujan sejak beberapa hari lepas menyebabkan tiada aliran air tambahan di Sungai Selangor. "Bagaimanapun, pihak Syabas masih menunggu keputusan lanjutan catuan air daripada pihak kerajaan negeri Selangor," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Beliau berkata catuan bekalan air ke semua kawasan yang terlibat di peringkat pertama dan ketiga akan terus dilakukan mengikut jadual berdasarkan pelan catuan sebelum ini. Oleh itu, Priscilla berharap pengguna memandang serius perkembangan terkini situasi bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Beliau berkata pelan catuan peringkat pertama dan ketiga di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya masing-masing dilaksana pada 27 Februari dan 10 Mac 2014. Pelan catuan peringkat ketiga adalah gabungan pelan kedua dan ketiga. "Pelan catuan bekalan air peringkat pertama dilaksanakan ekoran penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi disebabkan pencemaran ammonia di dalam Sungai Langat melibatkan beberapa kawasan di wilayah Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang," katanya. Priscilla berkata Syabas dimaklumkan oleh syarikat operator loji iaitu Puncak Niaga (M) Sdn Bhd bahawa LRA Cheras Batu 11 yang beroperasi mulai 17 Mac lepas telahpun menghentikan operasi sejak 2 petang ini. "Ini berikutan kandungan ammonia di LRA Cheras Batu 11 telahpun meningkat semula sejak semalam disebabkan kekurangan hujan sejak empat hari lepas. "Bacaan paras ammonia sehingga 2 petang hari ini adalah pada tahap 4.2 part per juta (ppm) iaitu melebihi paras kandungan yang dibenarkan oleh pihak Kementerian Kesihatan," katanya. Beliau berkata LRA Bukit Tampoi sehingga 2 petang ini masih beroperasi seperti biasa disebabkan paras ammonia masih di tahap yang dibenarkan. Priscilla juga berkata pelan catuan bekalan air peringkat ketiga dilaksana di kawasan Gombak, Petaling, Kuala Lumpur, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang dan Shah Alam. "Ini adalah ekoran pengurangan pelepasan air mentah dari Empangan Sungai Selangor dan Empangan Klang Gates seperti yang diputuskan oleh kerajaan negeri Selangor," katanya. - Bernama
Pelajar trauma dicabul di depan sekolah
Kelibat suspek yang memakai baju berkolar berwarna putih atau kelabu dan berseluar jeans berwarna hitam dirakam oleh CCTV ketika kejadian, Sabtu lalu. - Foto Sinar Harian
KAMPAR - Seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun sebuah sekolah menengah, di sini, trauma apabila menjadi mangsa cabul seorang lelaki tidak dikenali ketika menunggu bapanya di hadapan sekolah di sini, Sabtu lalu. Dalam kejadian kira-kira jam 4.20 petang itu, mangsa yang merupakan pelajar tingkatan tiga sedang menunggu seorang diri di kerusi hadapan sekolah terbabit didatangi seorang lelaki yang duduk bersebelahan dengannya. Ketua Polis Daerah, Superintendan Ng Kong Soon berkata, ketika berada tidak jauh daripada pintu utama sekolah terbabit, secara tiba-tiba lelaki yang tidak dikenalinya itu terus memeluk mangsa. “Berlaku pergelutan sehingga mangsa jatuh ke lantai. Suspek juga bertindak mengoyak baju yang dipakai mangsa. Mangsa kemudiannya menjerit meminta bantuan menyebabkan suspek terkejut dan melarikan diri dengan sebuah motosikal. “Mangsa mengalami sakit di bahagian dada terus memberitahu kejadian itu kepada bapanya yang tiba tidak lama kemudian sebelum membuat laporan polis di Balai Kampar,” katanya di sini, hari ini. Kong Soon berkata, pihaknya telah meneliti rakaman CCTV di kawasan parkir dan masih mengesan suspek berkenaan. “Orang ramai yang terlihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh menyalurkan maklumat dengan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar atau menghubungi talian 05-4650020,” katanya.
Kewangan Islam dapat sambutan luar biasa
KUALA LUMPUR - Kewangan Islam berkembang pesat dalam industri kewangan global dalam tempoh yang singkat dan semakin popular di kebanyakan negara bukan Islam, kata bekas timbalan perdana menteri Tun Musa Hitam. Bercakap kepada Bernama, Musa berkata ciri-ciri dalam kewangan Islam berjaya mencetuskan keyakinan dalam kalangan kedua-dua pengguna Islam dan bukan Islam untuk melabur wang mereka dalam sistem itu. "Dari segi kewangan Islam, di samping beretika, telus, bertanggungjawab dan mempunyai tadbir urus korporat yang baik, ia juga mempunyai ciri menarik dipanggil pengurusan risiko," katanya selepas muncul dalam program "Dalam Radar" oleh Bernama Radio 24 di Wisma Bernama, semalam. "Dalam kewangan Islam, anda tanggung risiko 50-50. Ia amat menarik dan anda perlu mendalaminya untuk memahami betapa ia amat berbeza, selain faktor penggalak yang menggerakkan kewangan Islam," kata Musa. Beliau menarik perhatian bahawa kewangan Islam ditadbir oleh hukum Syariah yang terdedah kepada interpretasi yang berbeza. "Kita tidak perlu risau kerana pihak berkuasa dan bank-bank membincangkan perkara ini hampir setiap hari dan cuba menyelaraskan pelaksanaannya. Inilah yang saya sifatkan sebagai kerja terus berjalan," katanya. Menyentuh mengenai persidangan Forum Ekonomi Islam Sedunia ke-10, Musa yang juga pengerusinya berkata sidang itu akan diadakan di Dubai dari 28 hingga 30 Oktober. - Bernama
Kehilangan MH370 Misteri
Pakar industri penerbangan beranggapan andai kotak hitam penerbangan MH370 ditemui pun, ada kebarangkalian misteri yang menyelubungi kehilanganya tidak akan terjawab sampai bila-bila. Mengikut laporan AFP mereka percaya perakam data penerbangan dan perakam suara kokpit tidak mungkin menjawab tentang teka-teki mengapa dan bagaimana kapal itu dilencongkan ribuan batu jauh dari laluan sebenar. Benar… banyak persoalan yang tidak mungkin terjawab semata-mata berdasarkan rakaman perbualan itu sahaja. Antaranya… sukar untuk difahami mengapa ia melencong ketika hubungan dari menara kawalan Kuala Lumpur sepatutnya diserahkan kepada menara di Vietnam… Sukar untuk difahami juga mengapa ia diterbangkan di bawah radar…untuk mengelak dikesan? Mengapa harus mengelak? Tidak ada panggilan kecemasan dibuat… Mengapa? Mengapa pula semua alat komunikasi dimatikan secara berperingkat-peringkat. Semua petanda memperlihatkan ia dirampas dan perkara itu disahkan pasukan penyiasat kerajaan. Namun, pada masa yang sama… tidak ada sebarang tuntutan wang atau politik pun yang dibuat…MENGAPA? Seolah-olah ia dilarikan dari laluan asal semata-mata untuk ditamatkan hayatnya di Lautan Hindi. Tetapi, mengapa perlu mengambil risiko untuk terbang rendah masuk kembali ke semenanjung Malaysia andai niat di hati adalah untuk menjunam di Lautan Hindi? Kalau laut yang dicari… mengapa tidak terus ke Lautan Pasifik? Dengan itu tidak perlu terbang rendah bawah radar… Mengapa harus ke Lautan Hindi? Kalau hendak kata kapal itu terbakar… takkan dari pukul 1 pagi sampai 8 pagi ia terbakar? Ping terakhir ke satelit adalah pukul 8.11 pagi… bermakna ia masih terbang antara masa ia hilang hubungan ke waktu ping terakhir. Semuanya tidak masuk akal… sebab itu kehilangan MH370 adalah misteri terhebat industri penerbangan dunia. Apabila kita berhadapan dengan suasana yang begitu kompleks… maka gerak kerja kita pun tidak boleh teratur. Menghukum kerajaan Malaysia sebagai lemah dan sebagainya hanyalah sikap ‘benci semua yang kerajaan buat’ semata-mata dan bukannya memberikan ruang secara rasional bersandarkan realiti kejadian. Pada masa ini, cabaran terbesar Malaysia adalah untuk mendapatkan kotak hitam kapal tersebut bagi mula mendapatkan petunjuk-petunjuk penting untuk menentukan punca kapal terbang itu hilang selepas ia bertolak dari Kuala Lumpur dalam perjalanan ke Beijing pada 8 Mac.
Labels:
Berita Terkini
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment