Thursday, March 20, 2014

Berita Terkini 20 Mac 2014

Penuntut didakwa menyebabkan kematian bayi
Ayer Keroh: Seorang penuntut kolej swasta didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas tuduhan menyebabkan kematian seorang bayi yang baru dilahirkannya di Tanjung Kling, Disember tahun lalu. Tertuduh yang berusia 17 tahun 11 bulan ketika kejadian, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azhaniz Teh Azman Teh. Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa menyebabkan kematian seorang bayi lelaki yang dilahirkannya di sebuah rumah di Jalan Bukit Rambai, Batang Tiga, Tanjung Kling kira-kira jam 8 malam 23 Disember tahun lalu. Dia yang berasal dari Johor Bahru, dituduh mengikut Seksyen 309B Kanun Keseksaan yang boleh dijatuhkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Maisarah Kamal, manakala tertuduh diwakili Azrul Zulkifli Stork.

Tiga lelaki dituduh bunuh
Tiga lelaki dituduh bunuh
Kes bunuh Ketua Wanita UMNO cawangan FELDA Semenchu: Mahkamah tetapkan 22 April bagi sebutan semula.
Kota Tinggi: Tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret semalam, atas tuduhan membunuh Ketua Wanita UMNO Cawangan FELDA Semenchu, di rumahnya di tanah rancangan berkenaan, 28 Februari lalu. Mazlan Kasim, 21, Amirul Syahid Mohamad Razali, 20, dan Harulnizam Salleh, 25 dituduh membunuh Zalfah Jamaluddin, 68, pada jam 12.20 tengah hari di Blok 2 FELDA Semenchu. Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan diambil daripada ketiga-tiga tertuduh selepas tuduhan dibacakan jurubahasa di depan Majistret Mazana Sinin.  
Tak diwakili peguam.
Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Suhaila Shafi'uddin, manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam. Mahkamah kemudian menetapkan 22 April ini bagi sebutan semula kes dan menunggu laporan bedah siasat. Suasana sedih menyelubungi pekarangan mahkamah apabila anggota keluarga masing-masing menangis dan memeluk tertuduh ketika mereka dibawa masuk ke dewan perbicaraan. Seorang tertuduh turut kelihatan menangis dan cuba memeluk ibu ketika dibawa keluar daripada tempat tertuduh selepas tuduhan dibacakan.

Dua beradik terbabit kes pecah rumah ditahan
Subang Jaya: Polis percaya dapat menyelesaikan sembilan kes pecah rumah di sekitar Putra Heights, di sini, membabitkan kerugian hampir RM30,000, berikutan penahanan dua beradik, Jumaat lalu. Suspek yang masing-masing berusia 32 dan 38 tahun itu ditahan ketika meronda di sekitar kawasan perumahan itu, kira-kira jam 5 petang. Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli, berkata kedua-dua suspek yang mempunyai rekod kesalahan jenayah lebih 19 kes membabitkan samun, pecah rumah dan dadah, sering melakukan pecah rumah di kawasan perumahan sekitar daerah itu. Katanya, suspek yang bergiat aktif sejak setahun lalu menyasarkan rumah yang tidak berpenghuni dan melakukan pecah rumah pada waktu bekerja antara jam 3 petang hingga jam 5 petang. “Mereka (suspek) hanya menggunakan sarung tangan dan pemutar skru untuk memecah masuk melalui pintu belakang dan tingkap di bahagian tepi rumah. “Hasil soal siasat mendapati modus operandi mereka adalah dengan melakukan rondaan terlebih dulu sebelum memasuki rumah yang sudah dikenal pasti tidak berpenghuni,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, semalam. Turut dirampas, beberapa telefon bimbit, jam tangan pelbagai jenama dan barang kemas, dengan sebahagiannya sudah dijual di sekitar Subang Jaya. Yahaya berkata, mereka yang menetap di Seksyen 19, Shah Alam, menyasarkan rumah teres di Putra Heights kerana mempunyai laluan keluar masuk yang strategik. “Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah rumah,” katanya.


Pencarian MH370 keutamaan AS - Obama
WASHINGTON: Presiden Barack Obama berkata pencarian pesawat Malaysia Airline (MAS) yang hilang adalah satu keutamaan kepada Amerika Syarikat (AS) dan menawarkan apa saja sumber termasuk FBI. Dalam ulasan pertamanya di depan kamera berhubung misteri kehilangan penerbangan MH370, Obama turut menyampaikan rasa simpati serta doa kepada keluarga dan penumpang yang hilang. “Saya ingin memberi jaminan kepada mereka bahawa kami menganggap perkara ini sebagai keutamaan tertinggi," Obama memberitahu stesen televisyen Dallas, KDFW dalam temubual di Rumah Putih. “Kami sudah menyediakan setiap sumber yang ada untuk membantu proses pencarian itu. Wujud kerjasama erat dengan kerajaan Malaysia," katanya. Obama berkata, FBI, NTSB dan agensi serta pegawai yang berkaitan penerbangan bersedia membantu siasatan itu. - AFP

FBI MAHU AMBIL SIMULATOR
FBI amahu ambil Simulator
Pakar luar negara berusaha dapatkan log data hilang. Washington: Biro Siasatan Persekutuan (FBI) secara rasmi menyertai siasatan kehilangan pesawat MH370 dan dijangka mula menganalisis komputer dan simulator yang diambil dari rumah Kapten Zaharie Ahmad Shah, minggu ini. Menurut laporan USA Today, seorang pegawai penguat kuasa perundangan persekutuan Amerika Syarikat berkata, komputer dan simulator itu berkemungkinan besar dihantar ke makmal FBI di Quantico, Virginia. Sementara itu, Peguam Negara AS, Eric Holder, kedua-dua kerajaan sudah mengadakan “perbincangan berterusan mengenai bagaimana kita boleh membantu.” “Kita bekerjasama dengan pihak berkuasa, tetapi kita tidak mempunyai sebarang teori (mengenai punca kehilangan pesawat itu),” katanya di sini semalam.


7 Jam Berdiri Sebelah Kaki Demi BMW
JIANGXI – Demi mendapatkan sebuah kereta BMW X1, seramai 140 peserta sanggup menyertai pertandingan berdiri sebelah kaki. Akhirnya Wu Qide menjadi lelaki terakhir yang masih berdiri dan berjaya memenangi kereta mewah itu. Wu berdiri dengan sebelah kaki selama tujuh jam dan 26 minit. Pertandingan itu agak mencabar bagi peserta, malah ada yang pengsan kerana tidak mempunyai stamina yang kuat. Ia diadakan dalam tiga peringkat dengan 20 peserta mengambil bahagian pada peringkat akhir. Pertandingan itu bermula pada 9.30 pagi dan semua 20 peserta diminta memegang kereta itu dengan sebelah tangan sambil berdiri sebelah kaki. Pada pukul 1.30 petang, penganjur menambahkan lagi cabaran dengan peserta diminta berdiri dengan ibu jari kaki dan penganjur turut menabur tepung di bahagian lantai bagi mengelakkan peserta menipu. Akhirnya hanya Wu yang menggalas cabaran itu dan memenangi kereta mewah tersebut.


Restoran Kecoh Selepas Akuarium Gergasi Bocor
FLORIDA – Pelanggan di restoran T-Rex yang terletak di dalam kompleks Disney terkejut apabila sebuah akuarium besar bocor ketika mereka sedang menikmati hidangan. Ia menyebabkan air melimpah ke dalam restoran dan terkena sebahagian pelanggan. Keadaan ini menyebabkan pelanggan di dalam restoran menjadi kecoh dengan ibu bapa membawa anak-anak mereka melarikan diri. Sementara pekerja restoran pula terpaksa menggunakan jaring dan bekas kosong untuk menangkap ikan dalam akuarium besar itu. Menurut seorang pelanggan, Katie Wallace, seluruh restoran menjadi kelam kabut. “Pekerja restoran melakukan sebaik mungkin untuk menyelamatkan ikan dan hidupan lain dalam akuarium berkenaan. “Ketika kejadian kami berdiri 20 kaki sahaja dari akuarium itu menyebabkan kami semua basah,’’ katanya. Restoran itu kembali dibuka selepas pekerja membersihkan kekotoran dan mengeringkan air.


Iklan Palsu Perolok Kehilangan Pesawat MAS
Di saat ramai yang bimbang terhadap nasib penumpang dan anak kapal pesawat MH370, ada pihak sanggup membuat lawak dengan mengubah suai poster lama iklan pesawat MAS. Iklan yang diubahsuai itu dilihat memperolokkan insiden kehilangan pesawat MH370. Ia berbunyi: “Our new Boeing 777. Lose yourself on a journey of epic proportions. Whever you go no one will ever know” (Pesawat Boeing 777 baru kami. Hilangkan diri dalam sebuah pengembaraan epik. Tiada siapa akan tahu ke mana anda telah pergi.” Hakikatnya iklan sebenar pesawat MAS tidak begitu malah ia sebenarnya merujuk kepada pesawat A380 bukannya Boeing 777 yang digunakan MH370. Iklan asal adalah: “Pesawat A380 baru kami. Pengembaraan penuh epik. Kebanggaan negara kita.” Penyebaran poster yang diedit teliti ini menimbulkan kemarahan ramai orang kerana ia amat tidak sensitif dan boleh mengelirukan. Justeru, usahlah kita berkongsikan lagi poster PALSU ini di media-media sosial sekiranya ia dikirim oleh mana-mana rakan. Kepada yang tidak ada kerja dan hanya mahu menangguk di air keruh atas insiden melibatkan isu nasional ini, anda memang tidak sensitif langsung kerana sanggup membuat lawak atas kesedihan orang lain.


Lelaki Maut Leher Kena Kelar
SUBANG JAYA – “Dia cuba bangun dan lari setelah ditetak kali pertama, tapi lelaki yang datang ditemani seorang perempuan itu terus menetak tengkuk mangsa berkali-kali. Lepas tu saya lihat dia dah tak bergerak,” demikian menurut seorang peniaga nasi lemak, Waliah Made, 55. Waliah yang menyaksikan kejadian pembunuhan seorang warga Myanmar di Taman Perindustrian Maju Jaya, pagi semalam berkata, mangsa ketika itu sedang berjalan kaki untuk menghantar barang makanan dari pasar mini tempatnya bekerja ke medan selera berdekatan. Sebelum kejadian, dia menyedari seorang lelaki dan wanita meletakkan motosikal di tempat parkir berhampiran bangunan rumah kedai tiga tingkat berkenaan. Menurutnya, dia ternampak lelaki tersebut terus menetak tengkuk mangsa dan dalam keadaan berlumuran darah mangsa bangun dan berlari untuk menyelamatkan diri. Mangsa dikejar sejauh 20 meter dan terus diserang bertubi-tubi menggunakan parang sehingga dia rebah berdekatan tangga rumah kedai tersebut. “Saya hanya berani lihat dari jauh, apabila mangsa sudah tidak bergerak saya terus memaklumkan kejadian kepada pemilik pasar mini tempat dia bekerja,” katanya. Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, polis menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira jam 7.55 pagi. Pemeriksaan mendapati mangsa bekerja sebagai penghantar barang dan dikenali sebagai Khin Win Maung, 34. Leher mangsa dikelar sepanjang tiga inci, terdapat dua kesan hentakan di belakang kepala berukuran satu inci dan kesan luka di belakang badan sebelah kanan dpercayai dibelasah dengan objek tumpul. Yahaya berkata, mangsa tinggal di kawasan sama bersama isteri dan bekerja di tempat yang sama sejak tiga tahun lalu. Kedua-duanya menyewa sebuah bilik terletak di belakang kedai tempat mereka bekerja. Maklumat mengatakan berlaku pergaduhan antara kumpulan warga Myanmar yang dipercayai dalam keadaan mabuk, Ahad lalu. “Kita percaya ia bermotif dendam,” katanya. Mayat dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat. Suspek masih diburu dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Sinar Harian difahamkan ia kes pembunuhan ketiga membabitkan warga Myanmar di kawasan berkenaan sejak setahun lalu. Kawasan berkenaan didakwa menjadi port warga Myanmar menikmati minuman keras sebelum akhirnya bergaduh sesama sendiri. – Sinar Harian Online


Samseng Ditembak Polis Tak Sempat Lari
Petaling Jaya – Dua lelaki dipercayai ahli kumpulan kongsi gelap mati ditembak polis di sebuah tapak pembinaan di Ara Damansara di sini, malam tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 10.55 malam itu, suspek berusia 22 dan 26 tahun yang dikehendaki berhubung beberapa kes jenayah maut di dalam sebuah kenderaan dinaiki mereka selepas berbalas tembakan dengan polis. Ketua Polis Selangor Datuk Shukri Dahlan berkata, sepasukan anggota polis yang sedang melakukan rondaan pencegahan jenayah melihat sebuah kereta Proton Wira dinaiki suspek dalam keadaan mencurigakan di sekitar kawasan itu. “Panik menyedari kehadiran kereta Unit Peronda (MPV) itu, suspek kemudian melarikan diri ke satu lorong di tapak pembinaan sebelum dihalang polis. “Seorang daripada suspek kemudian melepaskan tembakan ke arah polis. Dalam kejadian berbalas tembakan itu, kedua-dua mereka mati ditembak di dalam kereta terbabit,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, sebentar tadi. Menurut beliau, siasatan lanjut masih dijalankan pihaknya dan mayat suspek dihantar ke hospital berdekatan untuk bedah siasat. – myMetro Online


Program Laluan Baru Dipercayai Dibuat 12 Minit Sebelum Co-Pilot Kata ‘All Right, Good Night’
Laluan pusingan baru yang dibuat secara tiba-tiba oleh pesawat MH370 yang dilaporkan hilang sejak 8 Mac lalu, telah diprogramkan ke dalam komputer dalaman tidak lama sebelum pembantu juruterbang memberi isyarat pelepasan kepada pengawal trafik udara, menurut satu sumber kepada NBC News. Menurut sumber itu lagi, penukaran haluan itu dibuat sekurang-kurangnya 12 minit sebelum Fariq Abdul Hamid mengucapkan, “Baiklah,selamat malam (‘All Right, Good Night’),” kepada pengawal di darat. Pendedahan ini menjadi petunjuk bahawa kehilangan misteri pesawat itu mungkin telah dirancang dan dilaksanakan dalam kokpit sebelum pengawal terputus hubungan dengan MH370. Bagaimanapun, ia tidak menjadi penanda kepada matlamat yang tersembunyi. “Sesetengah juruterbang akan memprogramkan pelan penerbangan alternatif sekiranya berlaku kecemasan,” kata Greg Feith, yang merupakan bekas ahli penyiasat kemalangan Jabatan Keselamatan Transportasi Nasional Amerika Syarikat dan penganalisis NBC News. Ulasnya lagi, “Kita tidak tahu jika ini adalah sebuah perancangan gantian untuk kembali ke Kuala Lumpur atau cubaan untuk membawa pesawat itu ke tempat lain selain destinasi sepatutnya, iaitu Beijing.” Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) dikatakan telah mengesan pesawat MH370 milik Malaysian Airlines yang hilang menerusi radar ketika pesawat itu merentasi utara Selat Melaka, selatan Pulau Phuket,Thailand dan seterusnya menuju ke sebelah barat Semenanjung Malaysia; beratus-ratus kilometer menyimpang daripada haluan sepatutnya. Menurut pihak berkuasa pada Sabtu lalu, pesawat itu berubah haluan secara tergesa-gesa akibat “tindakan sengaja oleh seseorang di dalam pesawat itu,” Haluan penerbangan telah ditukar dengan memasukkan kod navigasi ke dalam Sistem Pengurusan Penerbangan (FMS), iaitu sistem komputer kokpit yang mengawal kapal terbang itu ke arah rancangan penerbangan yang dipilih oleh juruterbang. Sistem Komunikasi dan Laporan Pesawat (ACARS) melakukan transmisi menurut maklumat yang dihantar oleh FMS, yang seterusnya akan dihantarkan kembali ke pangkalan penyelenggaraan syarikat penerbangan itu. Fungsi sistem itu terhenti secara tiba-tiba. Ia tidak jelas sama ada ia ditutup sebelum atau selepas hubungan lisan terakhir MH370 dengan pengawal daratan, ulas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Ahmad Jauhari Yahya kepada pemberita,Isnin lalu. Sumber memberitahu NBC News bahawa sesiapa yang menukar program FMS itu arif dan tahu apa yang mereka lakukan. “Hal ini merupakan satu rancangan yang sangat rumit ,” kata Ross Aimer, yang mereukan bekas perintis United Airlines yang berpengalaman menerbangkan beberapa pesawat Boeing 777. “Mereka memerlukan latihan yang amat ekstensif untuk memastikan rancangan itu berjaya,” tambahnya lagi. Sementara itu,pihak berkuasa meneruskan misi pencarian pesawat yang hilang itu. Kawasan carian telah berkembang secara besar-besaran seluas 2.24 juta batu nautika persegi yang telah dibahagikan kepada 14 seksyen grid, kata pegawai tempatan, semalam. Australia,China,Indonesia dan Kazakhstan telah menerajui usah pencarian ini dengan meneroka kawasan yang terdekat dengan sempadan negara mereka.


Terlalu Awal Untuk Kesimpulan Kes MH370
MENURUT seorang penganalisis penerbangan untuk stesen berita CNN berkata ketika semua bukti menunjukkan kesalahan seseorang juruterbang pada ketika itulah biasanya juruterbang itu sebenarnya menjadi wira. Mary Schiavo yang bertugas di CNN dengan peranan itu sebelum ini merupakan bekas pegawai di Jabatan Pengangkutan Amerika Syarikat. Beliau mengulas mengenai kes kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang masuk hari ke-12 hari ini sejak 8 Mac lalu. Ketika ini beberapa petunjuk diperolehi dalam siasatan menunjukkan pesawat itu mengubah haluan penerbangannya yang sepatutnya ke Beijing dengan sengaja. Ia dikatakan mungkin dilakukan oleh seseorang yang begitu arif dengan penerbangan pesawat. “Saya telah bekerja dengan banyak kes yang juruterbang dilihat sebagai suspek tetapi pada akhirnya ia adalah disebabkan oleh masalah teknikal yang terlalu teruk. “Ada beberapa kes, jejak penerbangan yang melampau dikenalpasti rupa-rupanya sebagai tindakan seorang wira dan bukan keganasan,” katanya menurut laporan laman web CNN. Beliau turut sentiasa mengingatkan dirinya sendiri supaya tidak segera membuat kesimpulan berkenaan sesuatu kes. “Kadangkala, juruterbang menghadapi pertarungan besar ketika bertugas dalam menyelamatkan penumpang dan kita tidak akan mengetahui langsung mengenai cerita mereka,” katanya. Bagi wartawan New York Times, Michael Schimdt pula berkata perkembangan terbaru ini yang mengatakan bahawa sistem transponder di dalam kokpit pesawat telah dimatikan dengan sengaja menunjukkan kemungkinan lebih kuat bahawa pesawat MH370 telah dilarikan. “Dalam misteri ini, kita mempelajari petunjuk yang sedikit tetapi kemudian diberikan dengan tanda tanya yang begitu banyak,” kata Michael. Sehingga waktu ini, terdapat bukti semalam bahawa seseorang di dalam pesawat telah mengubah tetapan komputer dan juga maklumat data satelit terbaru dari Tentera Thailand bahawa pesawat MH370 memang terbang melalui merentasi Semenanjung Malaysia.


Kapten Zaharie, Fariq TAK PERNAH ‘Terbang’ Di Koridor Utara, Selatan
Kedua-dua juruterbang dan pembantunya dalam pesawat MH370 tiada pengalaman di kawasan operasi mencari dan menyelamat yang dilakukan sekarang. “Tiada,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAS) Ahmad Jauhari Yahya kepada pemberita. Beliau berkata demikian ketika ditanya pengalaman kedua-dua mereka menggunakan laluan baru yang berubah daripada haluan KLIA-Beijing. Katanya, melihat kepada koridor Utara, tiada pesawat komersial Malaysia yang terbang di laluan itu. “(Untuk) koridor Selatan, melainkan kami terbang ke pulau-pulaunya, (tetapi) kita tidak terbang ke pulau-pulau itu,” katanya di Hotel Sama-Sama di KLIA, Sepang.


Kenapa Fariq Ucap Selamat Malam, Bukannya Selamat Pagi…Adakah Dia Tertekan?
“Baik, selamat malam,” adalah kata-kata terakhir dari kokpit pesawat MH370. Cuba kita menyebut perkataan “Baik” dalam 3 situasi. Ketika kita tenang, stress dan marah. Ketika dalam keadaan tenang kita akan mengucapkan kata-kata “Baik” dengan penuh kegembiraan, meraikan dan hati yang seronok. Sebaliknya, jika ianya diucapkan di dalam keadaan tertekan atau ketakutan, kita akan bercakap “Baik” dengan raut wajah berkerut, cepat dan pendek. Sebaliknya juga, jika kondisi ketika itu dalam keadaan marah cara kita mengucapkan “Baik” sudah tentu dengan kadar ucapan yang pendek dan laju, mimik muka masam dan panas, benci dan geram. Dalam konteks MH370, pihak berkuasa MAS menyatakannya kata-kata di atas disebut oleh pembantu juruterbang, tetapi tidak dijelaskan dalam kondisi yang bagaimana ianya diucapkan. Juruterbang dikatakan berumur 27 tahun, biologi dan psikologi seseorang yang berusia 27 tahun adalah sudah cukup matang, baik, boleh kontrol keadaan tetapi boleh jadi terkejut, ketakutan, mengikut arahan, berfikiran separuh panjang sekiranya berhadapan dengan situasi sulit. Jika anda membaca ilmu psikik nombor 2 + 7 = 9. Angka 9 adalah angka yang bagus untuk seseorang seperti pembantu juruterbang itu untuk meningkat di dalam kariernya dan kehidupannya. Datuk Dr. Fadzillah Kamsah mungkin boleh memberi ulasan lebih baik perkara ini kerana beliau mempunyai ilmu yang lebih baik. Saya hanya membaca daripada sumber yang lain. Kita harus mengambil kira juga, ko-pilot turut bertandang di surau kediamannya dan juga beramah mesra dengan jirannya. Maknanya beliau bukan seorang yang suka menyendiri atau mengasingkan diri. Ko-pilot juga ditunjukkan seorang yang friendly, mesra, mempunyai ramai kawan dalam dan luar negeri. Maka, saya menolak teori ko-pilot menghadapi masalah mentaliti atau psikologi. Kembali kepada perbualan terakhir tadi. Perkataan kedua dan ketiga ialah “Selamat Malam”. Kenapa bukan Selamat Pagi? Pukul 1.07am hingga 1.30am adalah waktu pagi bukan? Jika benar, maknanya pembantu juruterbang itu dalam keadaan keliru, ketakutan, tidak sedar apa yang dijawabnya dan kebingungannya. Percakapan beliau tidak seiring dengan minda (mind) di mana beliau tidak dapat membezakan waktu ‘pagi’ dan waktu ‘malam’, ketika kondisi stress. Dalam konteks itu juga, ko-pilot tersebut kelihatan mengikut arahan seseorang kerana tidak banyak perkataan keluar dari mulutnya. Jika lebih perkataan, sudah tentu beliau dalam kondisi gembira, senang hati dan enjoy the flight. Jika anda mendengar dengan teliti perbualan pilot atau ko-pilot di mana-mana syarikat penerbangan ketika dalam keadaan kecemasan sepertimana apa yang pernah terjadi kepada JAL Airlines, MAS, Adam Air, Ethiopian Airlines, Lufthansa ataupun Shuttle Colombia, kita akan mendapati ada sesuatu yang luar biasa berlaku dengan perbualan dalam kokpit MH370. Semua perbualan dalam kokpit penerbangan-penerbangan di atas, saya tidak jumpa satu pun rakaman yang begitu ringkas dan pendek! Oleh itu, saya melihat daripada sudut percakapan “baik, selamat malam” yang diucapkan oleh ko-pilot tidak dalam keadaan normal sebaliknya dalam keadaan berlaku sesuatu yang di luar kebiasaan. Perbualan terakhir itu berlaku 11 minit sebelum MH370 hilang dari radar kawalan lalu lintas udara Malaysia pada jam 1.30 pagi, 8 Mac. Jika ditolak 1.30 – 11 minit, maknanya perbualan itu dicatat dalam minit yang ke 1.19 dan 1.21. Tidak mungkin 3 perkataan itu diucap dalam tempoh 5 saat! Ini juga bermakna sebelum ACARS dimatikan pada 1.30am, berlaku percakapan lain dan perbuatan lain di dalam kokpit dalam tempoh beberapa minit itu! ACARS itu sepatutnya berfungsi lagi sehingga 1.37 menurut pihak MAS bukan. Daripada aspek bahasa “baik, selamat malam” yang saya huraikan di atas jelas menunjukkan penggunaan bahasa ko-pilot itu dia dalam keadaan ditekan, tertekan tetapi berjaya mengawal keadaan. Maksud saya ‘berjaya mengawal’ keadaan ialah ko-pilot berjaya memberitahu kepada kita bahawa dia sedang berusaha mengawal emosinya, dia sedang berusaha mengendalikan kokpit dan dia mahu kita tahu bahawa dia memerlukan bantuan segera. Nota : “Jika saya berpeluang mendengar perbualan ko-pilot itu daripada aspek intonasi bahasanya, tempoh masa perbualan, cara alat perbualan itu dimatikan, bunyi backround perbualan itu, status kebisingan ketika berbual dan sebagainya, saya mungkin boleh memberi ulasan yang lebih tepat”. Wallahu’alam. - SUMBER: Abu Syifa (www.al-azharrisiddiq.com)


MH370: Kerajaan Kita Telah Melakukan Segala-Galanya – Haron Din
KUALA LUMPUR – Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din mempertahankan kerajaan dan Penerbangan Malaysia (MAS) dengan menegaskan bahawa mereka melakukan yang terbaik dalam usaha mengesan pesawat MH370. Kenyataan Haron itu dibuat susulan kritikan meulu oleh Naib Presiden PAS Mahfuz Omar dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap kerajaan dalam menangani tragedi yang berlarutan sejak 11 hari lalu. “Ada kata pepatah berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Yang memikul tugas ini adalah kerajaan dan saya secara jujur mengatakan kerajaan telah melakukan segalanya,” katanya kepada Antarapos. Pesawat Boeing 777-200ER yang sedang dalam penerbangan ke Beijing dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang daripada imbasan radar, kira-kira sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada 12.41 pagi, 8 Mac lalu. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. Anwar dan Mahfuz memperlekehkan usaha kerajaan dalam menangani krisis itu dalam ceramah-ceramah mereka sempena pilihan raya kecil Kajang. “Negara dalam krisis yang mereka dah tak mampu tangani. Tak kan DUN Kajang ini kita nak bagi kepada BN. Kalau bagi kepada BN, dengan tuan-tuan sekali kena culik, kena rampas,” kata Mahfuz dalam ceramah di Stadium Kajang. Pihak berkuasa Malaysia menyelaraskan gerakan mencari merentasi benua, membabitkan 24 negara dengan aset ketenteraan mereka, namun masih menemui jalan buntu. Haron kemudiannya menasihatkan rakyat negara ini khususnya keluarga penumpang penerbangan itu menyerahkan perkara itu kepada Allah SWT. “Tetapi segala-galanya itu masih lagi ada persoalan, segala yang terdaya oleh kita dalam menghadapi suasana tempat, masa dan keadaan yang kesemuanya kita rujuk kepada alam kebendaan. “Kita tidak pernah terfikir apakah mungkin alam ini hanya ada alam benda atau nyata? Ada alam dunia sahajakah atau ada alam lain?” katanya. Justeru pengamal perubatan Islam ini tidak menolak sekiranya pesawat tersebut ‘termasuk’ ke alam lain. “Saya sekadar bertanya adakah kita lupa atau tak mahu mengambil kira alam ghaib dari maksud perlu ada kemampuan serta kebolehan untuk kita menembusi, mencari dan mengenali alam ghaib. “Ini hanya berlaku apabila alam nyata tidak dapat menjawab bila alam yang kita lihat dengan mata tidak dapat menjawab, mungkin alam ghaib boleh menjawabnya,” katanya. Menurut Haron, banyak persoalan timbul ekoran kehilangan pesawat itu yang secara tiba-tiba hilang daripada radar selain gagal dihubungi. “Hilang daripada pandangan, besar kemungkinan ia termasuk ke dalam alam ghaib,” katanya. - ANTARAPOS


Konsert Life In Color Batal Susulan Tragedi Bukit Jalil
Susulan kejadian enam pengunjung maut kerana pengambilan dadah di konsert yang berlangsung di Bukit Jalil minggu lepas, sebuah lagi konsert ‘happening’ iaitu konsert Life In Color yang dirancang pada 19 April depan dibatalkan. Lihat sajalah gambar-gambar yang disediakan penganjur di laman Facebook rasmi mereka bagi menggambarkan keadaan konsert ini sekiranya ia berlangsung kelak! Bagaimanapun, konsert Life In Color yang diuar-uarkan sebagai “World’s Largest Paint PARTY Malaysia” diumumkan batal oleh penganjurnya pada hari ini sebagai menghormati tragedi di Konsert Future Music tersebut. Penganjur memberi jaminan pembeli tiket akan diberikan pulangan wang penuh bagi tiket yang telah dibeli mereka. Tindakan ini dilihat sesuai sebagai pengajaran dan menghormati sensitiviti masyarakat apatah lagi dalam keadaan seluruh negara dan dunia masih berada dalam kebimbangan terhadap nasib pesawat MH370. Apatah lagi, banyak pihak turut meluahkan perasaan terkejut dan marah apabila baru ‘tersedar’ ada konsert berlangsung di Malaysia dalam keadaan yang tidak sesuai seperti sekarang. Antaranya, para Imam Muda Malaysia yang beranggapan penganjuran konsert sebegini bukan sahaja tidak sesuai dengan keadaan sekarang malah menyalahi hukum agama, adat dan budaya.

Mati terbeliak kurang gula
Kuala Lumpur: Kekurangan kalsium dan penurunan kandungan gula dalam tubuh secara drastik kesan pengambilan dadah sintetik dikenal pasti antara punca utama kematian mengejut enam penonton konsert di Stadium Bukit Jalil, Jumaat malam. Sumber polis berkata, hasil bedah siasat dilakukan sebelum ini mendapati mangsa mengalami hypoglycemic (kekurangan gula) dan hypocalcemic (kekurangan kalsium) yang menjadi punca mangsa mengalami kekejangan dan mati dalam keadaan mata terbeliak. Dalam kejadian itu, enam penonton konsert termasuk tiga gadis maut disyaki akibat mengambil dadah berlebihan hingga mengakibatkan sesak nafas ketika menghadiri satu konsert di Stadium Bukit Jalil, Jumaat malam. Enam individu warga tempatan berusia 19 hingga 28 tahun itu meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM). Sumber itu berkata, kekurangan mendadak di dalam tubuh menyebabkan kandungan gula tidak sampai ke otak mangsa yang menyebabkan mangsa maut dalam tempoh singkat. “Setakat ini tiga sampel pil dan kapsul berwarna biru serta hijau sudah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dikenal pasti kandungannya. Malah polis turut mendapatkan bantuan Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Petaling Jaya, Selangor untuk membantu mengenal pasti ‘identiti’ pil itu. “Pil itu sudah dihantar kepada pihak KKM kelmarin bagi mengenal pasti sama ada ia adalah ubat berdaftar yang disalah guna atau sebaliknya,” katanya. Menurutnya, berdasar rupa bentuk pil dipercayai dadah syabu dan ecstasy itu, polis yakin ia dikilangkan secara haram di luar negara selain menggunakan mesin pemampat pil tidak berkualiti.

Batal konsert: FMFA akan pulangkan bayaran
Mati terbeliak kurang gula
Kuala Lumpur: Kekurangan kalsium dan penurunan kandungan gula dalam tubuh secara drastik kesan pengambilan dadah sintetik dikenal pasti antara punca utama kematian mengejut enam penonton konsert di Stadium Bukit Jalil, Jumaat malam. Sumber polis berkata, hasil bedah siasat dilakukan sebelum ini mendapati mangsa mengalami hypoglycemic (kekurangan gula) dan hypocalcemic (kekurangan kalsium) yang menjadi punca mangsa mengalami kekejangan dan mati dalam keadaan mata terbeliak. Dalam kejadian itu, enam penonton konsert termasuk tiga gadis maut disyaki akibat mengambil dadah berlebihan hingga mengakibatkan sesak nafas ketika menghadiri satu konsert di Stadium Bukit Jalil, Jumaat malam. Enam individu warga tempatan berusia 19 hingga 28 tahun itu meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM). Sumber itu berkata, kekurangan mendadak di dalam tubuh menyebabkan kandungan gula tidak sampai ke otak mangsa yang menyebabkan mangsa maut dalam tempoh singkat. “Setakat ini tiga sampel pil dan kapsul berwarna biru serta hijau sudah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dikenal pasti kandungannya. Malah polis turut mendapatkan bantuan Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Petaling Jaya, Selangor untuk membantu mengenal pasti ‘identiti’ pil itu. “Pil itu sudah dihantar kepada pihak KKM kelmarin bagi mengenal pasti sama ada ia adalah ubat berdaftar yang disalah guna atau sebaliknya,” katanya. Menurutnya, berdasar rupa bentuk pil dipercayai dadah syabu dan ecstasy itu, polis yakin ia dikilangkan secara haram di luar negara selain menggunakan mesin pemampat pil tidak berkualiti.

Foto
Dibelasah samseng cilik
HASNIZAM menunjukkan kesan lebam pada muka anaknya akibat dipukul.
Alor Setar: Mereka baru berusia 11 tahun, namun sekumpulan lebih 10 murid sebuah sekolah rendah, di sini, layak digelar samseng cilik apabila membelasah termasuk menumbuk seorang rakan sebaya hingga lebam di mata kanan dan cedera di belakang badan. Kejadian dipercayai berlaku jam 10.45 pagi, Isnin lalu ketika kanak-kanak itu, Danish Shazwayri Hasnizam, 11, dari Taman Mutiara, di sini, berada dalam kelas pada waktu rehat seorang diri selepas tamat kelas Bahasa Inggeris. Mangsa mendakwa didatangi beberapa murid lalu mengganggu menyebabkannya melawan sebelum berlaku perang mulut hingga tercetus pergaduhan. Menurut Danish, seorang daripada lebih 10 murid berkenaan tiba-tiba menolak badannya menyebabkan dia melawan, tetapi tiba-tiba ditumbuk pada mata kanan menyebabkannya tidak dapat berbuat apa-apa kerana sakit. Katanya, dia tidak tahu punca kumpulan itu mengganggunya dan tidak mampu melawan kerana mereka ramai sehingga ditumbuk bertubi-tubi kerana bimbang keadaan menjadi lebih buruk. “Ketika itu datang lagi beberapa rakan mereka termasuk rakan sekelas saya yang kemudian menumbuk badan saya, selain menggigit belakang badan menyebabkan saya menangis kesakitan. “Sebelum ini, sudah banyak kali mereka mengganggu murid lain tetapi tiada sesiapa yang berani melawan. Saya terpaksa membiarkan diri dibelasah kerana tidak mampu melawan mereka. “Namun, saya bernasib baik apabila ada murid perempuan ternampak dan memaklumkan kepada guru kelas menyebabkan semua murid terbabit berhenti memukul saya sebelum melarikan diri,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam. Berikutan itu, kumpulan murid terbabit termasuk mangsa dipanggil ke bilik guru. Katanya, dia kemudian memberitahu pergaduhan itu kepada ibunya, Wan Nazilah Megat Hanafi, 32, kerana curiga selepas melihat kesan lebam pada muka dan matanya sebelum bertemu guru di sekolahnya untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kejadian itu. Sementara itu, bapa mangsa, Hasnizam Hashim, 40, berkata, dia kesal apabila pihak sekolah cuba menyembunyikan pergaduhan itu daripada pengetahuannya, malah tidak menghantar anak sulung daripada dua beradik itu ke klinik. Katanya, apa yang dikesalkan pengurusan sekolah terbabit meminta anak lelakinya merahsiakan kejadian itu dan memberitahu ibu bapa kononnya dia terjatuh kerana terlanggar rakannya. “Sebaik melihat keadaan Danish, isteri terus membawanya ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk membuat pemeriksaan selepas Danish mengadu sakit, malah doktor mengesahkan terdapat kesan kecederaan pada badan dan lebam pada mangsa. “Berikutan itu, kami membuat laporan di Balai Polis Kota Setar pada petang hari sama untuk memaklumkan kejadian itu kerana bimbang akan berulang kepada murid lain juga,” katanya. Menurutnya, anaknya kini masih trauma dan enggan ke sekolah menyebabkan dia mahu keadilan selain berharap murid yang melakukan kesalahan itu diambil tindakan sewajarnya. Katanya, masalah itu serius kerana ia membabitkan keselamatan murid di sekolah itu termasuk anaknya, malah tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang berkenaan sekiranya kes terbabit tidak diambil perhatian. “Saya sudah berjumpa pihak sekolah semalam (kelmarin) walaupun mereka langsung tidak memaklumkan kejadian itu dan tidak mengambil tindakan terhadap murid yang terbabit membuli anak saya. “Selain itu, saya turut bertemu dengan murid yang disyaki terbabit dalam pergaduhan itu, malah turut bertanya apa masalah mereka sehingga tidak berpuas hati tetapi mereka memberitahu tiada apa-apa,” katanya. Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan yang mengesahkan menerima laporan kejadian berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 147, Kanun Keseksaan kerana merusuh tanpa senjata. Katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut dan tiada tangkapan dilakukan setakat ini. Pengarah Pendidikan Kedah Datuk Mansor Lat ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menunggu laporan berhubung kejadian itu sebelum mengambil sebarang tindakan terhadap mereka yang terbabit dalam pergaduhan berkenaan.

Catuan air diteruskan
Shah Alam: Walaupun paras takungan air di beberapa empangan di negeri ini melebihi kadar 65 peratus, Kerajaan Selangor tetap meneruskan catuan air seperti dilaksanakan ketika ini. Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kadar hujan yang turun sejak beberapa hari lalu di sekitar Lembah Klang belum cukup untuk membolehkan bekalan air disalurkan seperti sediakala kepada pengguna. “Tiada sebarang perubahan yang dibuat setakat ini, namun kami beri tempoh seminggu lagi untuk tengok sama ada hujan turun banyak atau tidak. “Selepas itu, baru kami boleh buat keputusan mengenai keperluan untuk teruskan catuan air atau sebaliknya. Sebenarnya, ada bagus juga pelaksanaan catuan air ini kerana kami dapat lihat orang ramai lebih berjimat cermat. Begitu juga Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) yang kini lebih peka dengan keperluan pengguna,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO kerajaan negeri di sini, semalam. Pada 24 Febuari lalu, Abdul Khalid mengumumkan catuan air di negeri itu dengan pemegang akaun menerima bekalan air secara bergilir berdasarkan konsep dua hari menerima bekalan dan dua hari lagi tiada bekalan air. Catuan air peringkat pertama bermula 26 Febuari lalu di dua wilayah iaitu Hulu Langat dan Kuala Langat/Sepang, membabitkan 60,185 pemegang akaun. Pada 2 Mac pula, peringkat kedua catuan dibuat di lima lagi daerah di Selangor serta beberapa kawasan di Kuala Lumpur membabitkan 2.2 juta pengguna. Peringkat ketiga di Lembah Klang bermula 10 Mac lalu membabitkan 577 kawasan di Gombak, Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor.

Foto
Lelaki bertelekung pecah tabung
TABUNG Masjid Al Ubudiyah sering menjadi sasaran pencuri.
Shah Alam: Jemaah Masjid Al Ubudiyah, Seksyen 19, di sini, tidak senang duduk berikutan kemunculan kumpulan pencuri lelaki bertelekung yang dikesan kerap memecah tabung masjid selain melarikan pelbagai barangan berharga milik jemaah masjid itu. Aktiviti jenayah berkenaan yang dilakukan kumpulan terbabit sejak beberapa bulan lalu menyebabkan kutipan derma jemaah untuk pembangunan masjid, pengurusan jenazah dan derma kepada anak yatim lesap. Bagi mengaburi mata kariah dan penduduk setempat, suspek lelaki akan memakai telekung serta menyamar sebagai jemaah yang berpura-pura hadir untuk menunaikan solat Asar dan Subuh. Pengerusi Jawatankuasa Masjid Al Ubudiyah, Abdul Hamid Yaakob berkata, suspek turut melarikan barangan berharga terutama beg tangan dan telefon bimbit milik jemaah yang sedang menunaikan solat. Menurutnya, kegiatan jenayah dilakukan secara terancang itu menyebabkan wang derma masjid yang sepatutnya disalurkan untuk kebajikan dan membantu golongan memerlukan tidak dapat disalurkan. “Malah penjenayah turut berani memecahkan cermin kenderaan milik jemaah yang diletakkan di perkarangan masjid,” katanya. Abdul Hamid berkata, pihak pengurusan masjid sukar mengesan suspek yang melakukan jenayah itu berikutan bangunan masjid tidak dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV). “Jawatankuasa masjid membuat keputusan untuk menganjurkan Pertandingan Golf Amal di Kelab Golf Perkhidmatan Awam (KGPA) Bukit Kiara, Kuala Lumpur, pada 30 April kelak bagi mengumpul dana. “Dana yang terkumpul melalui pertandingan golf itu akan digunakan untuk membeli peralatan CCTV serta pagar elektronik yang diharap dapat mengurangkan kejadian jenayah di masjid ini,” katanya. Beliau berkata, pertandingan dianjurkan itu diharap mengeratkan hubungan antara kariah serta memupuk semangat komuniti penduduk di kawasan ini. “Sesiapa yang berminat menyertai pertandingan itu boleh menghubunginya talian 017-3218284 untuk maklumat lanjut,” katanya.

5 hari tahan 85 penyangak
Kuala Lumpur: Seramai 85 individu ditahan polis Kuala Lumpur sepanjang Operasi Cantas Khas (Ops Cantas) yang dijalankan kontinjen itu sejak 14 Mac lalu di seluruh ibu negara. Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, semua suspek yang ditahan itu terbabit dalam pelbagai jenayah seperti samun, curi kenderaan, judi, ugutan jenayah dan bunuh. “Daripada jumlah itu, 14 individu berusia antara 16 hingga 21 tahun, 32 individu (22 hingga 35 tahun) manakala selebihnya berusia lebih 36 tahun ,” katanya. “Operasi dijalankan bermula jam 3 petang hingga 11 malam setiap hari sejak 14 Mac lalu membabitkan 26 pegawai dan 158 anggota,” katanya. Beliau berkata, seramai 1,866 individu membabitkan 1,855 lelaki dan 11 wanita diperiksa, manakala 579 kenderaan turut ditahan untuk tujuan sama. “Hasil operasi itu polis turut merampas pelbagai barangan seperti parang, motosikal curi, telefon bimbit dan dadah jenis heroin seberat 132 gram,” katanya. Menurutnya, pihak polis sedang memperluaskan operasi `Ops Cantas' bagi menangani kegiatan jenayah seluk saku dan ragut di sekitar bandaraya ini terutama di kawasan tumpuan pelancong.

Foto
Tembak kepala, dada
SULAIMAN dijatuhi hukuman penjara 12 tahun di Mahkamah Sesyen atas tuduhan menyebabkan kematian seorang tukang rumah.
Kota Bharu: Seorang warga Thailand dipenjara 12 tahun bermula semalam, selepas didapati bersalah menyebabkan kematian seorang tukang rumah dua tahun lalu. Hakim Mahkamah Sesyen Mohd Yusoff Yunus menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Sulaiman Abdullah, 40, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah. Tertuduh didakwa menyebabkan kematian Mamat Omar, 60, dengan niat di hadapan stor Syarikat Terasalana Sdn Bhd (STSB), Taman Kurnia Jaya pada 17 Jun 2012. Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda. Dalam kejadian kira-kira jam 8.40 malam hingga 11.15 malam itu, seorang penyelia STSB yang melawat tapak projek, ternampak mayat mangsa terlentang di hadapan stor. Hasil siasatan mendapati tertuduh menembak mangsa dan dia turut memaklumkan kepada ahli keluarga arwah Mamat dengan menelefon mereka. Tertuduh berjaya diberkas anggota polis pada 8 Februari 2013 dan bedah siasat mendapati punca kematian ialah luka parah akibat tembak di dada dan kepala. Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman diringankan kerana mempunyai tujuh anak yang masih kecil. Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Asmah Azhari memohon hukuman berat kerana jenayah yang serius. “Walaupun tertuduh memaklumkan kepada ahli keluarga mangsa, dia tidak menyerah diri kepada polis,” katanya.

Foto
Jumpa mayat dalam tong
JENGKAUT digunakan untuk mengeluarkan mayat yang dimasukkan ke dalam tong dram di Simpang Bukit Pelandok, Port Dickson.
Port Dickson: Dua daripada enam suspek kes samun dan bunuh di Cheras, Selangor tiga bulan lalu mengaku membunuh seorang ahli perniagaan. Sumber polis berkata, dua suspek terbabit dibawa polis ke Bukit Pelandok, Lukut, di sini, pada jam 6 petang semalam di lokasi mayat ahli perniagaan itu ditanam. “Pemeriksaan forensik menemui tong berisi simen di tepi jalan simpang tiga ke Bukit Pelandok itu. “Difahamkan mangsa dilaporkan hilang di Batu 9, Cheras tiga bulan lalu,” katanya. Mangsa dipercayai ditembak sebelum mayatnya dimasukkan ke dalam tong dan disimen kemudian ditanam di lokasi kejadian. Ketua Polis Kuala Lumpur dijangka mengadakan sidang media hari ini.

Bawa balik GRO Thai
Kuala Lumpur: Puluhan wanita cantik warga Thailand yang berkhidmat sebagai pelayan pelanggan (GRO) di sebuah premis hiburan di Pusat Perdagangan Kuchai di sini, menjadi buruan lelaki tempatan apabila boleh ‘disewa’ antara RM50 hingga RM1,000 semalam. Kumpulan GRO itu yang menjadi teman penghibur pelanggan di pusat hiburan berkenaan dikatakan meletakkan harga tertentu kepada pelanggan yang mahu mendapatkan perkhidmatan seks atau bersedia dibawa pulang ke rumah. Kegiatan kumpulan pelacur warga asing itu bagaimanapun terbongkar apabila sepasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman diketuai Inspektor Mohammad Mohd Jais melakukan serbuan ke premis itu jam 10.50 malam kelmarin. Ketika serbuan dilakukan, 30 wanita warga asing berusia 19 hingga 32 tahun sedang melayan pelanggan tanpa menyedari kehadiran polis. Mohammad berkata, semua wanita GRO berpakaian seksi itu tidak sempat melarikan diri dan berjaya diberkas. Menurutnya, serbuan dilakukan hasil maklumat dan risikan pihaknya yang mendapati pusat hiburan satu tingkat itu menawarkan perkhidmatan GRO warga Thailand. “Pemeriksaan lanjut mendapati semua wanita itu mempunyai dokumen perjalanan sah namun menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk melakukan kerja maksiat. “Siasatan polis mendapati wanita warga asing itu bukan hanya menjadi teman berhibur di dalam premis hiburan itu malah turut menawarkan khidmat seks,” katanya. Beliau berkata, dalam serbuan sama, pihaknya turut memberkas seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun disyaki pengurus premis hiburan itu bagi membantu siasatan. “Semua yang ditahan dibawa ke Balai Polis Petaling untuk tindakan lanjut,” katanya. Kata Mohammad, pihaknya akan menjalankan operasi seumpama itu secara berterusan bagi mengekang aktiviti tidak bermoral selain meminta orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kepada polis untuk tindakan susulan. Difahamkan, premis hiburan itu beroperasi bermula petang hingga awal pagi menjadi tumpuan lelaki tempatan yang mahu mendapatkan ‘teman’ di ranjang.

Foto
AS, Australia tak kesan petunjuk
ANGGOTA Tentera Udara Diraja Australia menyertai misi mencari dan menyelamat penerbangan MH370 di barat semenanjung Malaysia.
Kuala Lumpur: Pesawat milik Australia dan Amerika Syarikat (AS) gagal mengesan sebarang bukti berkait dengan penerbangan MH370 pada hari pertama pencarian di selatan Lautan Hindi, semalam. AFP melaporkan, Isnin lalu pihak berkuasa di Kuala Lumpur meminta Canberra menjalankan tugas pencarian di Koridor Selatan dalam usaha mengesan pesawat berkenaan. Dilaporkan, kerajaan Malaysia percaya pesawat berkenaan dilencongkan dengan sengaja dan terbang beberapa jam selepas hilang dari laluan asalnya sama ada menghala ke Asia Tengah atau Selatan Lautan Hindi. Usaha pencarian di selatan Lautan Hindi itu dijalankan dengan kerjasama pesawat penyelamat dari Australia, Amerika Syarikat dan New Zealand yang menjalankan pencarian di kawasan seluar 305,000 kilometer persegi. Tiga kapal perdagangan juga memberi respons kepada mesej yang dikeluarkan Pusat Koordinasi Penyelamat Australia. “Tiga kapal melalui kawasan berkenaan, sebuah lagi masih di lokasi manakala sebuah kapal lagi akan tiba menjelang petang esok,” kata pihak berkuasa Keselamatan Maritim Australia yang mengetuai operasi pencarian itu,” katanya. “Tiada pesawat mahupun kapal laut melaporkan menemui berkaitan dengan pesawat MH370,” katanya. Dalam usaha pencarian pada Selasa, kawasan seluas 2,600 kilometer dari selatan Perth menjadi fokus selepas meneliti laporan data satelit dan radar tentera.

Foto
Cikgu tunggu pramugara pulang
TAN (dalam bulatan) bersama rakan sekolah dan Mohd Azhar (tengah) dalam satu program sekolah.
Shah Alam: Seorang guru terkejut dan tidak menyangka seorang daripada pramugara pesawat penerbangan MH370 yang hilang sejak 12 hari lalu adalah bekas muridnya di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. Guru Sains terbabit, Mohd Azhar Md Salleh, 55, berkata, dia sememangnya tidak mengecam wajah muridnya itu, Tan Size Hiang, 46, berikutan mangsa lebih dikenali sebagai David Tan ketika bersekolah dahulu. “Saya hanya mengetahui identitinya hari ini (semalam) selepas dimaklumkan rakan selain membaca akhbar berhubungi isu kehilangan pesawa itu. “Tan adalah murid yang aktif dalam sukan bola sepak ketika belajar di sekolah berkenaan. Malah, dia sebahagian daripada kumpulan pelajar pertama yang menyertai pasukan pengakap di sekolah itu,” katanya. Menurutnya, mangsa sangat aktif dalam kegiatan di sekolah selain pernah menjadi ketua patrol dalam untuk melatih anggota pengakap sekolah. Kali terakhir dia bertemu Tan di sebuah restoran di Taman Tun Dr Ismail, tiga tahun lalu. “Ketika itu Tan menegur saya terlebih dahulu. Walaupun sudah lama tidak bertemu, namun David masih individu yang sama. Dia seorang yang sangat peramah dan berbudi bahasa,” katanya. Mohd Azhar yang akan bersara lima tahun lagi berharap dapat bertemu Tan dan semua bekas pengakap sekolah itu untuk meraikan majlis persaraannya kelak. Difahamkan, seorang lagi anak kapal Wan Swaid Wan Ismail turut bersekolah di sekolah sama, namun Mohd Azhar tidak mengingatinya.

Bateri kotak hitam pesawat hanya bertahan 30 hari
Kuala Lumpur: Jangka hayat bateri kotak hitam pesawat penerbangan MH370 hanya mampu bertahan sehingga 30 hari selepas mengalami sesuatu hentakan mahupun terhempas. Sehingga kini, kotak hitam pesawat berkenaan hanya bertahan untuk 17 hari lagi selepas pesawat itu dilaporkan hilang 8 Mac lalu. Seorang jurutera penyenggaraan pesawat tempatan yang enggan dikenali menjelaskan pesawat komersial yang membawa penumpang wajib mempunyai kotak hitam. “Kebiasaannya ketika proses pembuatan pesawat, pereka seperti Boeing mahupun Airbus akan mengikut Standard And Recomanded Procedure (SARP) yang dikeluarkan International Civil Aviation Organization (ICAO). “Garis panduan ini termaktub dalam Amex siri kelapan iaitu sebahagian daripada syarat penting panduan membuat pesawat,” katanya ketika dihubungi, semalam. Menurut pakar itu, fungsi kotak hitam itu merekodkan segala data mengenai apa yang berada dalam pesawat termasuk mengesan segala tindakan dilakukan juruterbang menggunakan sistem pesawat sebaik enjin dihidupkan seperti membelok, menaik dan membuka pintu kecemasan. “Kotak hitam ini penting apabila berlaku kejadian tidak diingini seperti kemalangan dan terhempas, kita perlukan kotak ini untuk mengetahui punca sesuatu situasi itu berlaku. “Di dalamnya mempunyai cip yang boleh merekodkan data antara satu saat hingga dua saat apa yang berlaku dalam pesawat,” katanya.

Kesan pemilik bom
Kapar: Polis berusaha mengesan individu misteri yang meletakkan sebutir bom tangan di atas rumput di Jalan Klang Sentral 8/KU5, di sini, sebelum ia ditemui orang ramai pagi kelmarin. Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong berkata, polis masih mengumpulkan bukti bagi mengesan individu bertanggungjawab yang meninggalkan bom tangan itu. Menurutnya, polis juga akan mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan keterangan daripada pemilik premis berhampiran bagi membantu siasatan. “Setakat ini tiada tangkapan dibuat, namun polis masih meneruskan siasatan untuk mengesan suspek terbabit,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam. Orang ramai yang melihat individu dalam keadaan mencurigakan beberapa hari sebelum kejadian diminta menghubungi polis untuk membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam. Akhbar ini semalam melaporkan penemuan sebutir bom tangan yang ditutup dengan pelepah pinang dengan picunya sudah ditarik kira-kira pada jam 10 pagi. Bom tangan yang ditemui dalam keadaan picunya sudah ditarik itu bagaimanapun tidak meletup berikutan keadaannya yang sudah berkarat.

Pampasan awal dibayar Foto
Pampasan awal dibayar
WARIS penumpang MH370 yang hilang tidak dapat menahan sebak ketika dia keluar dari dewan taklimat di sebuah hotel di Beijing, semalam.
Kuala Lumpur: Penerbangan Malaysia (MAS) selaku pemilik pesawat penerbangan MH370 dan semua penumpang serta anak kapalnya sudah dibayar 100 juta Euro (RM456.7 juta) oleh syarikat insurans sebagai wang liabiliti awal. Reuters memetik akhbar harian German, Handelsblatt yang melaporkan Allianz adalah syarikat insurans utama yang memberi perlindungan kepada pesawat berkenaan bersama beberapa syarikat insurans lain. Menurut laporan berkenaan, pembayaran itu dilakukan bagi menepati perjanjian yang ditandatangani dengan broker insurans, Willis dan ia selari dengan prosedur biasa dalam pasaran insurans. “Ia obligasi syarikat insurans apabila sesuatu pesawat dilaporkan hilang,” kata laporan itu. Pesawat penerbangan MH370 yang hilang ketika penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada awal pagi 8 Mac lalu itu membawa 12 anak kapal bersama 227 penumpang dari pelbagai negara.

Lebih 30 petani bunuh diri akibat bencana hujan batu
Mumbai: Sejumlah petani membunuh diri di barat India selepas mengalami kerugian akibat tanaman mereka dimusnah hujan batu. Sumber dari Pejabat Ketua Menteri Maharashtra berkata, tujuh kes sudah disahkan setakat ini, selain lebih ramai yang terbunuh akibat ribut taufan. Namun pembangkang dan aktivis mendakwa, kes bunuh diri di negeri itu jauh lebih tinggi berbanding apa yang didedahkan kerajaan. Presiden sebuah pertubuhan membela nasib petani, Kishor Tiwari berkata, 32 petani membunuh diri setakat ini sejak ribut hujan batu melanda Maharashtra. “Kami sedang mengumpul maklumat dari semasa ke semasa dan jumlah itu dijangka meningkat,” katanya. Sebahagian daripada Maharashtra yang menempatkan bandar raya Mumbai dilanda cuaca luar biasa sejak akhir Februari lalu. Keadaan itu menyebabkan hasil pertanian musnah dan petani menanggung kerugian sangat besar. Parti pembangkang utama India, Parti Bharatiya Janata (BJP) mendakwa, jumlah kes bunuh diri mencecah 37 orang. BJP juga menuntut kejadian itu diisytihar sebagai malapetaka negara. Pemimpin kanan BJP, Gopinath Munde berkata, sejak hujan batu melanda pada 28 Februari, seluruh tanaman di tanah seluas 1.6 juta hektar di 17 daerah musnah. Maharashtra biasanya mengalami hujan lebat antara Jun dan Oktober. Setakat ini, pelbagai tanaman seperti anggur, mangga, betik, limau dan tembikai musnah akibat fenomena hujan batu berkenaan. - Agensi

Calon PKS dipenjara enam tahun kerana beli undi - Jakarta
Lampung: Calon yang cuba merebut kerusi Dewan Perwakilan Daerah Lampung Barat dihukum penjara enam bulan selepas didapati membeli undi ketika berkempen. Ketua Badan Pengawas Pemilu Lampung, Nazaruddin berkata, calon itu mewakili Parti Keadilan Sejahtera (PKS) dan hanya satu daripada 150 aduan kesalahan pemilu yang diadukan kepada agensi berkenaan. Kata Nazaruddin, calon terbabit mengumpulkan penduduk setempat untuk diberi kad kempen yang disertakan Rp50,000 (RM14.46). “Perbuatan itu dikesan dan gambarnya sempat dirakam,” katanya. Menyedari pemberian wang berkenaan dirakam, Nazaruddin berkata, calon terbabit meminta gambar berkenaan dipadam sebelum dia meninggalkan tempat kempen. Kes berkenaan kemudian dilaporkan kepada polis Lampung. Nazaruddin berkata, mahkamah daerah mendapati calon terbabit bersalah dan dihukum penjara enam bulan dengan tempoh percubaan selama empat bulan. “Dia mungkin memenangi kerusi Lampung Barat nanti tetapi ia tidak bermakna apa-apa kerana tidak boleh mengangkat sumpah,” katanya dalam satu kenyataan, semalam. - Agensi

‘Ulama’ rakam video porno ditahan - Jakarta
Bogor: Seorang lelaki yang didakwa ulama ditangkap atas tuduhan membuat rakaman video lucah bersama dua guru, berdepan dengan hukuman penjara 12 tahun. Saeful Sardi Jayadi, 44, menyerah diri kepada polis Sabtu lalu selepas video berkenaan mula beredar di Cisarua, selatan Jakarta. Lelaki berkenaan akan dibicarakan menurut undang-undang antiporno. Indonesia, negara paling ramai penduduk Islam didunia, menguatkuasakan undang-undang ketat antiporno pada 2008. Saeful dituduh membuat rakaman video enam minit itu di sebuah hotel pada 2011, kata Ketua Polis Bogor, Didik Purwanto. “Dia menerbitkan video lucah itu untuk koleksi peribadi. Dia boleh dihukum penjara 12 tahun sekiranya didapati bersalah,” kata Didik. Rakaman berkenaan mula tersebar menerusi telefon bimbit di daerah itu baru-baru ini. Saeful melarikan diri minggu lalu kerana mengelak daripada ditangkap tetapi kemudian menyerah diri. - AFP

Penghormatan akhir untuk peminat motor
Chester: Seorang peminat fanatik motosikal yang meninggal dunia akibat barah diusung ke kubur menggunakan kereta sisi. Keranda Helen Hatfield itu kemudian diarak oleh beberapa rakannya yang menunggang motosikal Triumph dan Harley Davidson. Helen meninggal dunia baru-baru ini selepas 12 tahun bertarung dengan barah payudara. Wanita itu yang berasal dari Blacon, England mula meminati motosikal ketika berusia 14 tahun dan menulis artikel mengenai motosikal Triumph selama enam tahun untuk akhbar Sepanyol, Costa Blanca News bersama pasangannya Keith Lloyd. Keith yang sudah bersama Helen selama 20 tahun berkata, ia penghormatan paling sesuai untuk wanita itu. “Kami melihatnya di televisyen dan bersetuju ia idea yang baik,” katanya. - Agensi

Merayu masuk penjara
Shropshire (England): Seorang penagih dadah sanggup menghubungi polis dan merayu supaya dimasukkan ke penjara kerana bosan hidup di bandar Stretton di sini. Lee Andrew Price, 30, memberitahu polis dia bosan hidup di tempat yang “entah di mana” dan bandar itu “terlalu asing untuknya”. Apabila diberitahu yang dia tidak boleh ditahan jika tidak melakukan kesalahan, Lee mencuri di kedai yang terletak berhampiran. Dia mengekori seorang pengawal keselamatan mengelilingi kedai itu sebelum secara terang-terangan mencuri barangan bernilai RM696 dalam usaha membuatkan dirinya ditahan. Dia kini dipenjara 12 minggu oleh Mahkamah Majistret Telford selepas mengaku bersalah atas tuduhan mencuri. Peguamnya Dean Easthope, berkata Lee menagih dadah hampir seumur hidupnya dan sedang khayal ketika berkata dia sudah bosan hidup di bandar itu. “Dia menghubungi polis dan meminta untuk dipenjarakan tetapi polis menyuruhnya melakukan kesalahan,” kata peguam itu. - Agensi

‘Saya ada bom dalam dubur’
Beijing: Seorang penumpang yang ‘mengejar masa’ di lapangan terbang antarabangsa di sini ditahan selama lima hari selepas dia memberitahu pegawai dia mempunyai bom di di dalam duburnya. Lelaki itu merungut apabila pemeriksaan keselamatan yang dijalankan ke atasnya memakan masa yang lama sebelum berkata: “Nak saya buka seluar juga? Saya ada bom dalam dubur saya.” Seorang pegawai keselamatan meminta lelaki itu mengulangi apa yang dikatakannya dan apabila dia melakukan demikian, semua yang berada di situ cemas. Ia mungkin menggelikan hati, tetapi dengan situasi pesawat Malaysia MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu dan masih belum ditemui hingga ke hari ini, perbuatan lelaki terbabit dianggap serius. Perbuatannya itu mencetuskan kekecohan apabila orang ramai diminta mengosongkan kawasan berkenaan dan menyebabkan dia ditahan di pusat tahanan lapangan terbang berkenaan. Pemeriksaan teliti dijalankan ke atasnya sebelum pihak berkuasa mengesahkan dia bukan pengganas tetapi penumpang yang “cerewet” Menurut laporan media tempatan, lelaki itu memberitahu dia marah kerana menganggap pemeriksaan keselamatan hanya membuang masa dan tidak menyangka perbuatannya boleh mencetuskan kekecohan. - Agensi

Foto
Anak anjing RM6 juta
SEORANG lelaki bergambar dengan anjing dari baka Tibetan Mastiff selepas ia dijual di pameran haiwan peliharaan mewah di Zhenjiang.
Zhenjiang: Seekor anak anjing baka Tibetan Mastiff dilapor dijual pada harga RM6 juta semalam, menjadikannya anjing peliharaan paling mahal pernah dijual. Seorang pemaju hartanah membayar 12 juta yuan (RM6 juta) untuk membeli seekor anak anjing berusia setahun itu di pameran ‘Haiwan Peliharaan Mewah’ di wilayah Zhenjiang, lapor akhbar Qianjiang Evening. “Haiwan itu mempunyai genetik singa dan ia baka Mastiff paling baik,” kata pembiak baka berkenaan, Zhang Gengyun. Dia juga memberitahu seekor lagi anjing dari baka sama dijual pada harga RM3.1 juta. Dengan bulu yang banyak sekitar kepala menjadikannya kelihatan seperti singa dan haiwan itu menjadi simbol kemewahan di China. Haiwan dengan bulu keemasan ini mempunyai ketinggian 80 sentimeter dan berat 90 kilogram. “Baka Tibetan Mastiff sangat jarang ditemui, sama seperti haiwan kebanggaan negara ini, panda, menyebabkan harganya tinggi,” katanya. Rekod jualan anjing dari baka berkenaan sebelum ini ialah RM5.2 juta. - Agensi

ANGKASA lebarkan portfolio niaga
Kuala Terengganu: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA) akan melebarkan portfolio niaganya menerusi pembinaan bandar koperasi di Bandar Penawar, Johor Bahru membabitkan kos keseluruhan bernilai RM1 bilion. Presidennya, Datuk Abdul Fatah Abdullah berkata, projek berkenaan akan dibina di tanah seluas 29.5 hektar selepas mendapat kelulusan kerajaan Johor awal tahun ini. “Bandar koperasi ini akan dilengkapi 1,000 unit perumahan mampu milik selain pelbagai kemudahan lain. “Buat masa ini, Angkasa bersama kerajaan Johor dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (MCC) sedang mengadakan perbincangan di peringkat awal bagi perancangan projek ini yang dijangka dapat disiapkan dalam masa lima tahun,” katanya selepas melancarkan Mesyuarat Agung Tahunan Angkasa Terengganu di sini, semalam. Beliau berkata, apabila siap nanti, seramai 1,000 ahli Angkasa yang layak akan diberi peluang memiliki lot rumah di bandar koperasi itu. “Projek perintis ini akan menjadi pemangkin untuk kami mengembangkan projek serupa di negeri lain pula pada masa akan datang,” katanya.

Unjuran inflasi catat 4.0 peratus
Kuala Lumpur: Inflasi pada 2014 dan 2015, diunjurkan melebihi paras purata yang pernah dicatatkan iaitu antara 3.0 hingga 4.0 peratus. Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, semakan terhadap harga ditadbir beberapa barangan, faktor kos domestik yang lebih tinggi dan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan pada 2015, dibuat ketika keadaan harga komoditi dunia agak sederhana, tekanan permintaan dalam negeri yang sederhana serta jangkaan inflasi tegar. Katanya, oleh itu pelarasan harga ini dijangka mempunyai kesan sementara kepada inflasi dan susulan kos yang semakin meningkat, ekonomi dalam negeri sedang memasuki tempoh paras harga yang lebih tinggi. “Kesan pelarasan ini akhirnya akan luput dan inflasi dijangka stabil sekitar kadar purata jangka panjangnya pada 3.0 peratus,” katanya. Menurutnya, peningkatan produktiviti dan kecekapan yang lebih tinggi dalam sektor perniagaan, menyumbang ke arah usaha mengawal pindahan kos yang lebih tinggi kepada pengguna. “Ketika kerajaan meneruskan pelaksanaan rancangannya untuk mengawal defisit fiskal dan tahap hutang sektor awam, cabaran yang wujud adalah untuk mencapai kemampanan fiskal dan pada masa yang sama menyokong pertumbuhan,” kata Zeti. Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kenaikan kadar inflasi didorong oleh faktor kenaikan harga barang yang dikawal seperti petrol dan tarif elektrik serta seumpamanya. Mohd Afzanizam berkata, oleh itu kenaikan ini dikatakan disebabkan kenaikan kos dan bukannya permintaan. “Bagaimanapun, dasar kewangan oleh BNM dijangka akan kekal akomodatif dan sekali gus kadar faedah juga dijangka stabil pada 2014. Malah, amat penting bagi memastikan kenaikan harga ini tidak menjurus kepada kegiatan mengaut keuntungan kerana aktiviti ini sememangnya akan membebankan rakyat. “Oleh itu, penguatkuasaan oleh kerajaan melalui peruntukan undang-undang sedia ada amat dialu-alukan supaya peniaga yang tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan dikenakan tindakan yang sewajarnya,” katanya kepada Bisnes Metro.

Foto
Ekonomi terus mantap
ZETI menunjukkan Laporan Tahunan 2013 selepas sidang media Taklimat Tahunan 2013 dan Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2013 di di Bangunan Bank Negara, Kuala Lumpur, semalam.
Kuala Lumpur: Ekonomi Malaysia dijangka berkembang antara 4.5 dan 5.5 peratus tahun ini berbanding 4.7 peratus pada tahun lalu dengan sektor pembinaan, perkhidmatan, pertanian, perhutanan dan perikanan menjadi penggerak utama pertumbuhan. Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, sektor pembinaan dijangka mencatat pertumbuhan 10 peratus, perkhidmatan (6.2 peratus) manakala sektor perikanan, pertanian dan perhutanan (3.8 peratus) diikuti sektor pembuatan (3.5 peratus). Mengikut Laporan Tahunan 2013, industri dan perkhidmatan berasaskan sumber adalah sektor penting untuk memajukan matlamat Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020. “Malah, kini terdapat bukti jelas bahawa Malaysia berada pada kedudukan yang tepat,” katanya selepas pembentangan Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2013, di sini, semalam. Menurutnya, beberapa pengeluar dalam industri berasaskan sumber yang sudah pun beralih kepada pengeluaran produk dengan nilai ditambah lebih tinggi, seperti sarung tangan berasaskan nitril untuk industri penjagaan kesihatan. “Dari segi perkhidmatan berasaskan sumber, peningkatan aktiviti pemunggahan sementara dicerminkan oleh kenaikan tahunan yang ketara sebanyak 44 peratus dalam eksport semula pada tahun 2012 dan kenaikan seterusnya sebanyak 40 peratus pada 2013. “Perkembangan ini akan menyumbang kepada pengukuhan asas-asas negara ini melalui aktiviti dengan nilai ditambah lebih tinggi dan mempelbagaikan sumber pertumbuhan dalam ekonomi,” katanya. Dalam pada itu, menurutnya inflasi diunjurkan pada purata tiga hingga empat peratus tahun ini terutamanya disebabkan faktor kos dalam negeri. “Tekanan kos yang lebih tinggi akan dibendung sebahagiannya oleh tekanan harga luar yang rendah, pengembangan berterusan kapasiti dalam negeri serta permintaan dalam negeri sederhana,” katanya.

Lelaki Singapura mengaku bersalah kes rasuah Tentera Laut AS
SAN DIEGO - Seorang ahli perniagaan Singapura, Alex Wisidagama kelmarin mengaku bersalah menipu Amerika Syarikat (AS) dalam skandal rasuah melibatkan kontrak perkhidmatan kapal-kapal tentera laut AS. Dia ialah sepupu kepada pemilik firma bekalan kapal Glenn Defense Marine Asia (GDMA), Leonard Francis yang menjadi tertuduh utama kes tersebut. Pihak berkuasa berkata, Wisidagama mengaku menyerahkan invois palsu bertujuan mengenakan caj berlebihan terhadap Tentera Laut AS melibatkan bekalan bahan api, tarif pelabuhan dan beberapa perkhidmatan lain. Wisidagama, 38, membuat pengakuan tersebut selepas mencapai persetujuan dengan pihak pendakwa raya di mahkamah persekutuan di sini, dalam negeri California. Dia adalah orang kedua mengaku bersalah dalam kes itu. Skandal rasuah tersebut selain menggemparkan tentera laut AS, turut mencetuskan kebimbangan tentang krisis etika dalam kalangan pegawai kanan tentera. Pada Disember tahun lalu, bekas ejen khas Perkhidmatan Siasatan Jenayah Tentera Laut (NCIS), John Beliveau mengaku bersalah berkomplot melakukan rasuah. Dia mengaku memberikan maklumat sulit tentera laut AS kepada pemilik firma GDMA berkenaan bagi mendapatkan habuan wang tunai, penginapan hotel mewah dan pelacur. Hukuman ke atas Wisidagama dijadual diputuskan pada 13 Jun depan. Tentera Laut AS membayar ratusan juta dolar dalam bentuk caj perkhidmatan kepada GDMA termasuk bayaran bot tunda, bekalan bahan api, air dan kutipan sampah. Dua komander Tentera Laut AS turut didakwa dalam kes rasuah tersebut. - AFP


Bangkai kambing jadi aktiviti sukan
DUA orang pemain berebut untuk mendapatkan bangkai kambing dalam sukan tradisi Kok-boru.
BISHKEK, Kyrgyzstan - Sekumpulan penduduk menyertai pertandingan merebut bangkai seekor kambing biri-biri yang dijadikan sebagai bola untuk mendapatkan pungutan mata di sini kelmarin. Pertandingan yang disertai dua kumpulan yang masing-masing memiliki 10 orang pemain akan menunggang kuda dan mengejar pihak lawan untuk mendapatkan bangkai kambing biri-biri itu. Namun, hanya empat orang pemain sahaja dibenarkan untuk berada di gelanggang dan setiap pemain memerlukan pengalaman selain kecekapan serta latihan yang cukup untuk menyertainya. Menurut lagenda, pertandingan yang dikenali sebagai Kok-boru itu dijadikan penentu bagi memutuskan keputusan pemilik sesebuah kampung yang dijumpai oleh beberapa pemburu nomad. Ia juga diadakan seperti satu sambutan perayaan tradisional, Navruz di mana penduduk tempatan perlu menunjukkan kekuatan dan semangat mereka. Sukan itu menjadi semakin meluas ke beberapa negara yang lain termasuk Kazakhstan dan Uzbekistan manakala di Afghanistan sukan tersebut dikenali sebagai Buzkashi. - Agensi

MH370
Rakan percaya penumpang, kru MH370 selamat
KOTA BHARU - Pengarah Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Kelantan Azran Deraman, rakan karib Sofuan Ibrahim iaitu seorang daripada 227 penumpang pesawat MH370 yang hilang sejak 12 hari lepas, percaya rakannya itu masih selamat. Beliau yakin Sofuan, yang juga pegawai Miti, masih hidup dan akan pulang dengan selamat akhirnya. "Bukan Sofuan sahaja, semua penumpang dan kru masih selamat. Saya berdoa ia menjadi kenyataan buat semua," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Azran berkata Sofuan pernah bersamanya menjalani latihan untuk Pegawai Tadbir Diplomatik dan bertugas bersama di kementerian sebelum beliau bertukar ke Kelantan beberapa tahun lalu. Beliau berkata Sofuan ke Beijing, China adalah kerana bertugas di sana dan sebelum ini telahpun beberapa kali menangguhkan pemergian ke sana. Kali terakhir Azran bertemu Sofuan adalah kira-kira seminggu sebelum rakannya itu berlepas ke Beijing. Penerbangan MH370 yang menggunakan pesawat Boeing 777-200ER membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam Jumaat. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pukul 6.30 pagi Sabtu. - Bernama

MH370
Perkembangan hari ke-12 misi mencari MH370
KUALA LUMPUR - Berikut kenyataan Menteri Pertahanan dan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada taklimat media mengenai operasi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 di Sepang, Selangor hari ini:
Kenyataan pengenalan
Pencarian MH370 diteruskan. Seperti yang saya nyatakan dalam sidang akhbar semalam, usaha kini membabitkan masyarakat antarabangsa.Fokus utama kami kekal operasi mencari dan menyelamat. Kami kini berusaha mengecilkan koridor carian melalui:
- pengumpulan maklumat satelit
- menganalisis data radar
- menambah aset udara, laut serta darat, dan
- menambah bilangan pakar teknikal.
Kami turut mengambil langkah untuk menangani keperluan keluarga pada masa yang sukar ini.
Perkembangan terkini operasi
Saya akan mulakan dengan memberi taklimat berhubung perkembangan terkini operasi.Seperti yang kami nyatakan sebelum ini, pencarian MH370 membabitkan cabaran dari segi diplomatik, teknikal dan logistik.Sehubungan itu, pasukan teknikal utama yang mengendali operasi mencari dan menyelamat dipecah kepada tiga kumpulan:
- satu pasukan diplomatik diketuai Kementerian Luar
- satu pasukan penempatan aset dan logistik diketuai Angkatan Tentera Malaysia
- satu kumpulan teknikal yang mengekalkan kawalan keseluruhan operasi diketuai Jabatan Penerbangan Awam.
Di barisan depan diplomatik, kesemua 26 negara yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat telahpun secara lisan bersetuju membantu operasi ini dan Malaysia secara rasmi sudah memohon kerjasama dari semua negara yang berkaitan.Sejumlah aset kini hanya menunggu kebenaran diplomatik bagi memulakan operasi.Sebaik menerima kebenaran rasmi, kami boleh mempercepat penempatan aset di sepanjang koridor carian.Seperti yang saya nyatakan semalam, meskipun pencarian masih diselaras oleh Malaysia, rakan kita kini mengambil alih operasi di wilayah mereka dan di sektor yang dipersetujui. Kami mengalu-alukan langkah ini dan sekali lagi, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakan kita atas bantuan serta sokongan mereka yang berterusan.Saya boleh mengesahkan bahawa kami menerima beberapa data radar namun tidak boleh mendedahkan maklumat yang diperoleh dari negara lain.Saya merayu kepada semua rakan kita untuk terus secara sukarela memberi sebarang maklumat yang boleh membantu siasatan dan pencarian MH370.Mengenai laporan bahawa pesawat itu dilihat di Maldives, saya boleh mengesahkan bahawa panglima angkatan tentera telahpun menghubungi rakan sejawatan beliau di Maldives, yang kemudian mengesahkan bahawa laporan itu adalah tidak benar.
Titik LaluanSaya sedar tentang spekulasi yang menyatakan bahawa titik laluan ditambah kepada laluan penerbangan pesawat itu. Saya boleh mengesahkan bahawa pesawat itu terbang di laluan normal sehingga ke titik laluan IGARI.Tiada titik laluan tambahan didokumen di pelan penerbangan MH370 dan ini menggambarkan laluan normal sepanjang perjalanan pesawat itu ke Beijing.
Siasatan PolisBerhubung siasatan polis, sepertimana yang disahkan oleh ketua polis negara, kes ini diklasifikasi di bawah Seksyen 130C Kanun Keseksaan. Semua penumpang, anak kapal dan kakitangan yang mengendali pesawat sedang disiasat.Kami berkongsi semua maklumat berkaitan kes ini dengan semua agensi penyiasatan antarabangsa yang memerlukannya.Kami telahpun menerima laporan berkaitan latar belakang penumpang dari semua negara kecuali Ukraine dan Rusia, yang kedua-dua rakyatnya turut berada dalam pesawat itu. Setakat ini, tiada maklumat yang didapati signifikan berkaitan mana-mana penumpang.
Kepakaran tempatan dan antarabangsa diambil untuk meneliti simulator penerbangan juruterbang terbabit. Beberapa data didapati telahpun dipadam daripada simulator itu dan kerja-kerja forensik untuk mendapatkannya kembali sedang dilakukan.Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyatakan bahawa penumpang, juruterbang dan anak kapal adalah tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.Demi keluarga mereka, saya minta agar kita jangan membuat sebarang spekulasi yang boleh menyulitkan lagi keadaan.
Pasukan Peringkat Tinggi
Saya ingin mengumumkan bahawa sebagai tambahan kepada pasukan sedia ada di lapangan, Malaysia kini menghimpun satu pasukan peringkat tinggi yang akan berlepas ke Beijing secepat mungkin.Pasukan ini akan memberi taklimat dan perkembangan kepada waris berkaitan situasi terkini dan pelan operasi mencari serta menyelamat.Pasukan itu termasuk wakil dari Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Luar, Tentera Udara Diraja Malaysia, Jabatan Penerbangan Awam dan Malaysia Airlines.Pasukan itu akan diketuai Leftenan Jeneral Dato' Sri Ackbal Abdul Samad (Komander Operasi Udara, Tentera Udara Diraja Malaysia), dibantu oleh Ahmad Nizar Zolfakar (Pengarah, Perkhidmatan Trafik Udara, Jabatan Penerbangan Awam) serta membabitkan seorang juruterbang kanan pesawat 777.
Kenyataan Penutup
Kami akan berusaha bersungguh-sungguh. Fokus utama kami ialah operasi mencari dan menyelamat. Kami kini melakukan segalanya bagi mengecilkan kedua-dua koridor carian. - Bernama

Span
Dua loji beroperasi semula
KUALA LUMPUR - Loji rawatan air (LRA) Cheras Batu 11 dan Bukit Tampoi telah beroperasi semula berikutan hujan turun sejak dua hari lalu menyebabkan paras ammonia di Sungai Langat menurun. Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) berkata LRA Cheras Batu 11 mula beroperasi Isnin lepas, manakala LRA Bukit Tampoi bermula hari ini. Dengan beroperasi semula kedua-dua loji itu, operator pengagihan iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) telah membekalkan air secara berterusan ke kawasan yang terlibat di bawah pelan pengagihan air berjadual peringkat pertama, menurut Span dalam kenyataan di sini hari ini. Menurut Span, paras ammonia dalam air terawat di kedua-dua loji itut adalah kurang daripada piawaian yang disyaratkan oleh Kementerian Kesihatan, dan sekiranya paras ammonia di Sungai Langat meningkat semula, operasi LRA berkenaan akan dihentikan dan pengagihan air berjadual dilaksanakan seperti yang ditetapkan. Sementara itu, Syabas dalam kenyataan di sini berkata pelan pengagihan air berjadual peringkat pertama dan ketiga masih diteruskan walaupun dua LRA berkenaan telah beroperasi semula. "Dengan pelan catuan ini diteruskan, Syabas berharap pengguna sentiasa memberikan kerjasama ke arah mengurangkan penggunaan air dan berjimat cermat bagi membolehkan bekalan air sedia ada dapat bertahan lama, " katanya. Pengguna juga diingatkan agar tidak melakukan perkara terlarang seperti melakukan kerosakan terhadap fasiliti dan infrastrutur bekalan air termasuk pada jajaran paip kerana ia boleh mendatangkan kesan buruk kepada pengguna apabila bekalan air pulih seperti sedia kala," menurut Syabas. Ribuan pengguna di Selangor dan Lembah Klang mengalami krisis bekalan air berikutan penutupan LRA Batu 11 Cheras dan LRA Bukit Tampoi sejak Januari lalu dan ditambah dengan musim panas menyebabkan paras air beberapa empangan utama menyusut. - Bernama

Datuk Seri Hishammuddin
Dakwaan pesawat dilihat di Maldives, tidak benar
KUALA LUMPUR - Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini menafikan laporan yang mendakwa bahawa pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang itu dilihat terbang rendah di Maldives. "Saya boleh mengesahkan bahawa panglima angkatan tentera Malaysia telahpun menghubungi rakan sejawatan beliau di Maldives, yang mengesahkan bahawa laporan (media) itu tidak benar," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. Sebuah portal berita Maldive, Haveeru, melaporkan bahawa penduduk pulau Maldives mendakwa melihat sebuah jet terbang rendah pada 8 Mac, pada hari pesawat Boeing 777-200ER hilang. Haveeru melaporkan penduduk di pedalaman Kuda Huvadhoo di Dhaal Atoll di kepulauan Maldives mendakwa melihat sebuah pesawat terbang rendah pada hari Penerbangan MH370 dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing hilang daripada skrin radar. Hishammuddin juga menafikan spekulasi bahawa titik laluan ditambah kepada laluan penerbangan pesawat itu. "Saya boleh mengesahkan bahawa pesawat itu terbang di laluan normal sehingga ke titik laluan IGARI. Tiada titik laluan didokumen di pelan penerbangan MH370 dan ini menggambarkan laluan normal sepanjang perjalanan pesawat itu keBeijing," katanya. - Bernama

KD Kasturi, Lekiu sertai SAR ke Lautan Hindi
KD Kasturi, Lekiu sertai SAR ke Lautan Hindi
LUMUT - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menghantar dua lagi aset miliknya, KD Kasturi dan KD Lekiu bagi menyertai misi mencari dan menyelamat (SAR) MH370 di Lautan Hindi, sebentar tadi. KD Kasturi berlepas tepat jam 9 malam diikuti KD Lekiu 15 minit kemudian disempurnakan Panglima Armada TLDM, Laksamana Madya Dato Abd Hadi A Rashid di Jeti Operasi Pangkalan Lumut, di sini. Pelepasan dua kapal itu menjadikan sembilan aset TLDM telah dikerahkan termasuk tiga pesawat helikopter Super Lynx dan Fennecdalam misi mencari di wilayah koridor selatan. Isnin lalu, KD Selangor dan KD Kelantan dilepaskan diikuti KD Terengganu dan KD Pahang, semalam. Abd Hadi berkata, pertambahan kumpulan ketiga itu menjadikan 560 pegawai dan anggota terlibat dalam misi fasa kedua ini merangkumi pelayaran seluas 1,800 batu nautika bermula di Cristmas Island, Australia. "Misi kali ini berbeza berbanding Laut China Selatan dan Selat Melaka, namun kita harapkan semua aset TLDM yang dikerahkan ini dapat bertahan untuk mengekalkan operasi yang optimum," katanya.

Lelaki Myanmar ditemui mati
BUKIT MERTAJAM - Seorang lelaki rakyat Myanmar ditemui mati dengan beberapa kesan kecederaan di badan dalam sebuah pondok di kebun getah di Jalan Ara Kuda, Kubang Semang hari ini. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata mayat lelaki berusia 40-an itu ditemui pemilik kebun getah berkenaan, yang juga majikannya, pada jam 5 petang. "Mayat lelaki itu ditemui dalam keadaan terlentang dengan kesan luka di tangan, leher, badan dan kepala. "Kami tidak menemui sebarang pengenalan diri atau dokumen perjalanan bersama mangsa dan dipercayai dia bekerja di sini secara haram," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini. Beliau berkata susulan itu, polis menahan rakan mangsa yang juga rakyat Myanmar tidak jauh dari tempat kejadian bagi membantu siasatan. "Lelaki berusia 40-an yang cuba melarikan diri itu ditahan tidak sampai sejam selepas kejadian," katanya. Mazlan berkata siasatan awal mendapati lelaki itu berjumpa mangsa semalam dan mereka dipercayai minum arak bersama-sama sebelum berlaku pergaduhan yang disyaki berpunca daripada dendam lama. Beliau berkata suspek bertindak memukul dan mencederakan mangsa yang bekerja di kebun getah itu sejak tiga tahun lepas dengan pisau toreh getah serta penukul. "Kami turut menahan seorang lelaki tempatan iaitu majikan mangsa berusia 53 tahun bagi membantu siasatan," katanya. - Bernama


MH370: Lima keluarga masih menginap di Hotel Everly
PUTRAJAYA - Hanya tinggal lima keluarga penumpang pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang sejak Sabtu lalu masih menginap di Hotel Everly di sini. Bagaimanapun jurucakap MAS yang ditemui sebentar tadi berkata, ada antara keluarga tersebut akan pulang hari ini kerana ingin mengikuti perkembangan semasa daripada rumah. Menurut jurucakap itu lagi, pihak MAS hanya akan menanggung penginapan ahli keluarga penumpang pesawat MH370 di Hotel Everly sehingga Jumaat ini. "Kita tidak tahu operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370 ini bila akan berakhir, oleh itu lebih baik sekiranya ahli keluarga pulang ke rumah dan mendapat perkembangan semasa melalui panggilan telefon sahaja. "Namun kita tidak halang ahli keluarga untuk terus berada di Hotel Everly kerana difahamkan Perbadanan Putrajaya (PPj) akan menanggung perbelanjaan mereka selepas hari Jumaat," katanya. - KOSMO!

Abdul Khalid Ibrahim
Pelan catuan air Selangor tetap diteruskan
SHAH ALAM - Pelan catuan air di Selangor tetap diteruskan seminggu lagi walaupun ketika ini hujan lebat, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Menurut beliau, walaupun hujan lebat namun paras air di empangan terutama di Sungai Selangor menunjukkan peningkatan yang sedikit iaitu kira tujuh milimeter atau 39.79 peratus. - KOSMO!

Lelaki mati berlumuran darah
Ditemui mati leher hampir putus
ANGGOTA polis memeriksa mayat Mugunthan yang ditemui mati di hadapan sebuah hotel di Jalan Tun Tan Cheng Lock, Kuala Lumpur kelmarin.
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan mengerikan dengan lehernya hampir putus selepas dipercayai ditetak seorang lelaki memakai topi keledar di hadapan sebuah hotel di Jalan Tun Tan Cheng Lock di sini kelmarin. Kejadian pukul 9.57 malam itu disedari seorang wanita yang bekerja di hotel berkenaan yang menemui mangsa, Mugunthan Maran, 29, terbaring di hadapan hotel itu dalam keadaan berlumuran darah. Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, pekerja kontrak di sebuah syarikat swasta di Singapura itu disahkan meninggal dunia selepas pihaknya tiba di tempat kejadian. "Maklumat yang diperolehi daripada televisyen litar tertutup (CCTV) di hotel berkenaan menunjukkan seorang suspek yang berjalan kaki sambil memakai topi keledar datang dari arah perhentian bas Klang yang tidak jauh dari lokasi kejadian sebelum bertindak menyerang mangsa dari arah belakang," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini malam kelmarin. Zainuddin berkata, Mugunthan dipercayai diserang menggunakan parang namun setakat ini, pihak polis masih menyiasat motif pembunuhan memandangkan tiada barang berharga milik mangsa yang hilang. Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa yang menetap di Negeri Sembilan pernah memaklumkan kepada bapanya bahawa dia akan pergi ke Puchong untuk berjumpa dengan kawannya.

Polis tahan enam individu, rampas dua pistol dan bom tangan
KUALA LUMPUR - Polis tumpaskan sebuah kumpulan penjenayah dikehendaki yang dipercayai terbabit dalam kes pecah rumah di sekitar ibu negara dan pembunuhan, dengan menahan enam anggotanya, merampas dua pucuk pistol dan sebiji bom tangan, di sini dan Shah Alam. Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, dalam serbuan pertama pada pukul 12.20 pagi Isnin, polis menahan dua lelaki dan seorang wanita rakyat Thailand di sebuah hotel di ibu kota. "Susulan tangkapan itu, polis melakukan serbuan ke atas sebuah rumah di Lorong 2, Kampung Baru Tanjung Sepat, Selangor kira-kira pukul 5.45 petang semalam dan merampas sepucuk pistol jenis Revolver .38 Smith & Wesson serta tiga butir peluru," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Beliau berkata, nombor siri pistol itu telah dikikis dan ia dijumpai dalam sebuah beg yang disembunyikan di dalam sebuah almari di rumah berkenaan. Hasil soal siasat seorang daripada mereka telah membawa polis kepada penemuan sepucuk lagi pistol, Auto Sig Sauer 9 milimeter, 11 butir peluru dan sebiji bom tangan di sebuah pangsapuri di Setia Alam, Shah Alam dekat sini kira-kira pukul 1.45 pagi hari ini. Polis juga menahan tiga lagi lelaki di rumah berkenaan, katanya. Mohmad yakin dengan penangkapan enam suspek itu, polis telah menyelesaikan tiga kes rompakan di Subang Jaya, Gombak, Seksyen 15, Shah Alam, Selangor, satu kes bunuh di Pelek, Selangor selain 15 kes berkaitan rompakan dan pecah rumah di sekitar ibu kota. Tambahnya, tiga daripada enam suspek itu, mempunyai beberapa rekod jenayah lampau termasuk rompakan, ugutan jenayah, memiliki dan menagih dadah. Kesemua mereka berumur 21 dan 40 tahun, ditahan reman selama empat hari sehingga Jumaat ini, katanya. - Bernama

Penahanan tiga lelaki di Sabah selesai sembilan kes jenayah laut
KUALA LUMPUR - Polis menyelesaikan sembilan kes jenayah laut berikutan penahanan tiga lelaki dalam Op Paradise di perairan Tawau, Sabah awal pagi tadi. Komander PPM Wilayah Empat, Asisten Komisioner Mohamad Madun berkata, ketiga-tiga suspek ditahan selepas gagal meloloskan diri ketika bot yang mereka naiki dipintas pihak berkuasa di perairan Mas-Mas, Tanjong Kiraz, Kalumpang, Sabah. Beliau berkata, suspek yang berumur lingkungan 18 hingga 56 tahun itu juga tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah. "Polis turut merampas sepucuk pistol mainan, dua topeng muka, satu tong gas, dua unit telefon bimbit, dua lampu suluh, sebuah bot laju, papan lapis dan satu unit enjin sangkut bagi membantu siasatan. "Dengan tertangkapnya mereka ini, polis berjaya menyelesaikan beberapa kes rompakan, samun dan kecurian enjin yang dilaporkan," katanya dalam kenyataan di laman rasmi Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM). Tambah Mohamad Madun, kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan. - Bernama

Mayat pekerja ladang ditemui di Sungai Kuala Mentiga
KUANTAN - Mayat pekerja ladang Felda Plantation Chini 3 di sini, yang dikhuatiri lemas semasa mandi di Sungai Pahang dalam kawasan ladang berkenaan petang Isnin lepas, ditemui hari ini. Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Yahaya Othman berkata, mayat mangsa warga Indonesia itu yang dikenali sebagai Zaenudin, 28, ditemui pasukan penyelamat pada kira-kira pukul 10.30 pagi. "Mayat mangsa dijumpai di bawah longgokan kayu di kawasan Sungai Kuala Mentiga kira-kira 14 kilometer dari tempat dia dilaporkan hilang," katanya ketika dihubungi hari ini. Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Pekan untuk bedah siasat. Isnin lepas, Zaenudin yang berasal dari Lombok, dipercayai lemas semasa mandi bersama dua rakannya di Sungai Pahang pada kira-kira pukul 5 petang. - Bernama

FotoFotoFoto
Jabatan Pendidikan Perak tunggu laporan penuh tragedi Gunung Bubu
IPOH - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak menunggu laporan penuh daripada pihak sekolah serta pasukan mencari dan menyelamat sebelum membuat apa-apa keputusan berhubung tragedi pelajar maut di Gunung Bubu, Ulu Kenas di Kuala Kangsar semalam. Pemangku Pengarah JPN, Mohd. Idris Mohd. Ramli berkata, laporan penuh mengenai ekspedisi perkhemahan dan pendakian Gunung Bubu melibatkan 25 pelajar dan enam guru pengiring itu perlu disediakan oleh pihak pengurusan Kolej Vokasional Kuala Kangsar. "Selain itu kami juga mahu mendapatkan laporan penuh daripada pasukan penyelamat untuk melihat aspek lokasi dan bagaimana kejadian itu boleh berlaku," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2013 negeri Perak di sini hari ini. Beliau berkata, pihaknya difahamkan aktiviti perkhemahan serta pendakian di Gunung Bubu merupakan kegiatan tahunan sekolah berkenaan. Mengikut prosedur operasi standard (SOP), pihak sekolah perlu mendapat kebenaran Pejabat Pendidikan Daerah serta pihak-pihak berkaitan sebelum melaksanakan kegiatan luaran, katanya. "Selain kebenaran ibu bapa, guru atau pegawai yang terlibat perlulah seseorang yang berpengalaman dan berkemampuan. Pihak sekolah juga perlu maklumkan kepada pihak berkaitan seperti polis dan pihak yang menjaga kawasan aktiviti," katanya. Mohd. Idris yang mewakili seluruh warga JPN Perak merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dua pelajar Kolej Vokasional Kuala Kangsar iaitu Muhamad Amir Asyraff Baharuddin dan Adam Asraf Azman, kedua-duanya berusia 17 tahun. - Bernama

UAE hantar dua pesawat cari MH370
DUBAI - Tentera Emiriyah Arab Bersatu (UAE) akan menyertai misi antarabangsa mencari sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang sejak 8 Mac lalu. Satu sumber di pejabat jeneral tentera UAE memberitahu, dua pesawat mencari dan menyelamat akan dihantar bagi mengesan pesawat yang membawa 239 penumpang serta anak kapal tersebut. Sehingga kini sekurang- kurangnya 26 negara terlibat dalam usaha mencari pesawat tersebut yang disyaki terbang melalui koridor utara dan selatan. Bagaimanapun, sumber itu tidak memberitahu kawasan di mana pesawat tentera UAE tersebut ditugaskan. Pesawat MH370 itu hilang sejam selepas berlepas dari Kuala Lumpur, Malaysia menuju ke Beijing, China. - Bernama


'Ibarat cari sebatang jarum dalam timbunan jerami'
REUTERS SEORANG anggota Tentera Udara Australia merakamkan imej lautan berhampiran barat Semenanjung Malaysia kelmarin ketika mencari pesawat MH370 yang hilang. SYDNEY - Pihak berkuasa Australia dan Amerika Syarikat (AS) menyatakan semalam bahawa mereka mula mencari sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang di kawasan seluas 600,000 kilometer (KM) persegi di Lautan Hindi. Namun, pihak berkuasa Australia dan AS mengakui pencarian pesawat MH370 tersebut amat sukar ibarat mencari sebatang jarum dalam timbunan jerami. Sebelum ini, kerajaan Malaysia mendedahkan bahawa ia percaya pesawat Boeing 777-200 itu sengaja dilencongkan dan terbang selama beberapa jam selepas keluar dari laluan asalnya sama ada menuju ke Asia Tengah di utara atau Lautan Hindi di selatan. Pihak berkuasa di Kuala Lumpur kelmarin meminta Canberra memikul tanggungjawab mencari pesawat yang hilang pada 8 Mac lalu itu di koridor selatan dengan dibantu sejumlah pesawat AS dan New Zealand. Susulan permintaan tersebut, Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) telah memulakan operasi mencari pesawat itu di kawasan seluas 3,000 km di barat daya Perth. "AMSA mengklasifikasi sebuah kawasan pencarian berpotensi berdasarkan pelbagai sumber tempatan dan antarabangsa. "Operasi mencari ini sukar. Kawasan yang amat luas meliputi 600,000 km persegi memberikan cabaran besar buat kami," kata pengurus besar AMSA, John Young. Menurut Young, AMSA dijangka mengambil masa beberapa minggu untuk melakukan operasi mencari secara menyeluruh di kawasan berkenaan. Zon pencarian tersebut dipilih berdasarkan data satelit dan radar tentera yang diterima daripada pesawat yang membawa 239 penumpang serta anak kapal tersebut. Dalam perkembangan berkaitan, pesawat peninjau jarak jauh P-8 Poseidon dan P-3 Orion daripada Armada Ke-7 Tentera Laut AS turut terlibat dalam operasi besar-besaran itu. - AFP


UAE hantar dua pesawat cari MH370
DUBAI - Tentera Emiriyah Arab Bersatu (UAE) akan menyertai misi antarabangsa mencari sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang sejak 8 Mac lalu. Satu sumber di pejabat jeneral tentera UAE memberitahu, dua pesawat mencari dan menyelamat akan dihantar bagi mengesan pesawat yang membawa 239 penumpang serta anak kapal tersebut. Sehingga kini sekurang- kurangnya 26 negara terlibat dalam usaha mencari pesawat tersebut yang disyaki terbang melalui koridor utara dan selatan. Bagaimanapun, sumber itu tidak memberitahu kawasan di mana pesawat tentera UAE tersebut ditugaskan. Pesawat MH370 itu hilang sejam selepas berlepas dari Kuala Lumpur, Malaysia menuju ke Beijing, China. - Bernama


AS tarik USS Kidd daripada misi cari MH370 
Reuters BEBERAPA anggota tentera laut AS membuat pemeriksaan di geladak USS Kidd ketika menyertai usaha mencari pesawat MH370 di Laut Andaman pada Ahad lalu
WASHINGTON - Tentera laut Amerika Syarikat (AS) menarik balik kapal USS Kidd daripada misi mencari sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang sejak 8 Mac lalu, kata pegawai Pentagon kelmarin. Kata pegawai itu, keputusan menarik balik kapal tersebut dibuat kerana kawasan operasi mencari semakin meluas dan lebih efisien menggunakan pesawat peninjau berbanding kapal laut. USS Kidd yang dilengkapi dengan sistem peluru berpandu menyertai usaha mencari tersebut di Laut China Selatan sejak seminggu yang lalu sebelum berlayar ke Laut Andaman atas permintaan kerajaan Malaysia. Tambahnya, usaha mencari yang dijalankan oleh USS Kid yang turut dilengkapi sebuah helikopter itu meliputi kawasan seluas 24,140 kilometer persegi. Tambahnya, tentera laut AS kini menggunakan dua pesawat peninjau iaitu P-8 Poseidon dan P-3 Orion dalam usaha mencari kapal terbang tersebut. "Kerana kawasan mencari kini diperluaskan ke selatan Lautan Hindi, pesawat peronda jarak jauh seperti P-8 Poseidon dan P-3 Orion sangat sesuai dengan misi seperti ini,'' kata pegawai itu dalam satu kenyataan. Setiausaha Pertahanan AS, Chuck Hagel kelmarin memberitahu bahawa, White House masih komited dalam usaha mencari pesawat MH370 yang hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur, Malaysia menuju ke Beijing, China. - AFP


Penjenayah siber eksploitasi kehilangan MH370
SINGAPURA - Penjenayah siber dikesan mengeksploitasi kehilangan sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) dengan menarik pengguna melayari sebuah laman web palsu yang memaparkan berita terkini kehilangan kapal terbang berkenaan sebelum mencuri data peribadi mereka. Sebuah firma keselamatan internet, TrendMicro semalam memberi amaran kepada pengguna internet supaya berhati-hati apabila menekan pautan dikongsi di laman-laman sosial yang memaparkan berita terbaru kehilangan pesawat MH370 tersebut. Pusat kajian, perkhidmatan dan sokongan rangkaian global milik firma itu mengesan beberapa fail pengaturcaraan komputer yang menyamar sebagai satu klip video yang membolehkan penjenayah siber mengumpul data pengguna. "Kehilangan misteri pesawat ini menarik perhatian dunia dan hanya menunggu masa untuk penjenayah siber mengambil kesempatan terhadap peristiwa ini,'' kata pakar TrendMicro, Paul Oliveria. Katanya, penjenayah siber akan menggunakan tajuk pada pautan di laman sosial Facebook seperti: "Berita tergempar, pesawat MH370 dijumpai" untuk mengumpan pengguna menekan pautan berkenaan. "Apabila pautan itu ditekan pengguna dibawa ke laman palsu dan mereka diminta untuk menekan satu lagi fail bagi memainkan video berkenaan sebelum fail tersebut dikongsi kepada akaun Facebook milik rakan mangsa. "Pengguna juga diminta mengesahkan umur mereka dengan membuat satu ujian yang sebenarnya satu helah untuk mendapatkan data peribadi pengguna internet,'' katanya. Penjenayah siber sebelum ini pernah mengeksploitasi beberapa tragedi seperti kejadian Taufan Haiyan di Filipina pada tahun lalu dan serangan bom di acara maraton di Boston, Amerika Syarikat untuk mengumpan mangsa melayari laman web palsu. - AFP

Misi mencari pesawat hilang diteruskan, Perancis bantu cari kotak hitam
SEPANG - Usaha mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 kekal menjadi keutamaan Malaysia yang memasuki hari ke-12 dan tumpuan diberikan kepada dua koridor dengan pihak berkuasa serta pasukan penyiasat mendapatkan kepakaran dan pengalaman Perancis untuk mencari kotak hitam. Bercakap dalam sidang media harian di sini hari ini, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau mendapatkan pembabitan Pihak Berkuasa Penyiasatan Keselamatan Penerbangan Awam Perancis (BEA) yang bersetuju membantu pasukan mencari dan menyelamat. "Mereka ada pengetahuan dalam nahas Air France dan dua tahun diambil untuk jumpa kotak hitam. Maklumat dan pengetahuan mereka akan bantu kita. Kita akan buat keputusan selanjutnya dari situ," katanya ditanya tindakan yang akan dilakukan sekiranya pesawat itu masih tidak dijumpai selepas 30 hari. Tambahnya, pakar penerbangan percaya lampu isyarat perakam penerbangan akan berhenti menghantar isyarat selepas 30 hari. - Bernama


Kereta terbalik elak anjing
SEREMBAN - Anak perempuan kepada jurukamera TV Radio Televisyen Malaysia (RTM) Negeri Sembilan, cedera apabila kenderaan dipandu terbabas, sebelum terbalik beberapa kali di Lebuhraya Kajang - Seremban (Lekas), dekat sini, semalam. Dalam kejadian kira-kira 7.50 pagi itu, mangsa, Suhaila Abd Rahman, 22, sedang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Sikamat menghala ke Senawang memandu kereta Jenis Proton Iswara Aeroback seorang diri. Menurut bapanya, Abd Rahman Ibrahim, 57, insiden berpunca apabila anaknya cuba mengelak daripada melanggar seekor anjing yang melintas secara tiba-tiba di tengah jalan. “Sebagai tindak balas refleks, Suhaila serta-merta memaut stereng ke arah kiri jalan. Akibatnya, kereta dipandu hilang kawalan sehingga terbabas melanggar tebing bukit di tepi lebuhraya. “Impak rempuhan tersebut menyebabkan kereta Suhaila terbalik tiga hingga empat kali. Mujurlah Suhaila tidak cedera parah, kecuali terpaksa menerima empat jahitan pada lengan kanan dan tiga jahitan pada kaki kanan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam. Bercerita lebih lanjut, katanya, dia hanya mengetahui insiden terbabit selepas dimaklumkan sendiri Suhaila, kira-kira 10 minit selepas kemalangan berlaku. “Saya segera bergegas ke tempat kejadian. Setibanya di situ, saya lihat kereta dipandu berada dalam keadaan terbalik di bahu jalan,” katanya yang membuat laporan polis, manakala isterinya membawa Suhaila ke klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan. Menurutnya, walaupun terkejut dengan kemalangan menimpa anak bongsu daripada tiga beradik itu, dia amat bersyukur kerana Suhaila terselamat. “Ini kali pertama dia terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika berulang-alik menggunakan laluan itu sejak empat bulan lalu untuk ke tempat kerja,” katanya.

1,000 anggota Polis Trafik bertugas pada hari pengundian Dun Kajang
KAJANG - Sebanyak 1,000 anggota Polis Trafik akan bertugas pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang Ahad ini bagi mengawal lalu lintas. Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, mereka akan ditempatkan di kesemua persimpangan jalan dan laluan di DUN Kajang bagi memudahkan pengundi keluar menjalankan tanggungjawab mereka. "Fokus kita pada hari itu ialah kelancaran lalu lintas selain memastikan keselamatan dan membantu kelancaran pembuangan undi," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini hari ini. Ditanya sama ada terdapat mana-mana jalan akan ditutup pada hari berkenaan, Mohd. Shukri berkata, buat masa ini perkara itu belum diputuskan. - Bernama

PRK Kajang
PRK Kajang: Lebih 88 peratus keluar mengundi
KAJANG - Lebih 88 peratus anggota dan pegawai polis keluar mengundi awal pada PRK N25 Kajang yang berakhir pada jam 5 petang tadi. Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, daripada1,197 pengundi yang layak mengundi, seramai 1,050 orang telah menunaikan tanggungjawab mereka hari ini.

Kereta terbalik elak anjing
Kereta terbalik elak anjing
SEREMBAN - Anak perempuan kepada jurukamera TV Radio Televisyen Malaysia (RTM) Negeri Sembilan, cedera apabila kenderaan dipandu terbabas, sebelum terbalik beberapa kali di Lebuhraya Kajang - Seremban (Lekas), dekat sini, semalam. Dalam kejadian kira-kira 7.50 pagi itu, mangsa, Suhaila Abd Rahman, 22, sedang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Sikamat menghala ke Senawang memandu kereta Jenis Proton Iswara Aeroback seorang diri. Menurut bapanya, Abd Rahman Ibrahim, 57, insiden berpunca apabila anaknya cuba mengelak daripada melanggar seekor anjing yang melintas secara tiba-tiba di tengah jalan. “Sebagai tindak balas refleks, Suhaila serta-merta memaut stereng ke arah kiri jalan. Akibatnya, kereta dipandu hilang kawalan sehingga terbabas melanggar tebing bukit di tepi lebuhraya. “Impak rempuhan tersebut menyebabkan kereta Suhaila terbalik tiga hingga empat kali. Mujurlah Suhaila tidak cedera parah, kecuali terpaksa menerima empat jahitan pada lengan kanan dan tiga jahitan pada kaki kanan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam. Bercerita lebih lanjut, katanya, dia hanya mengetahui insiden terbabit selepas dimaklumkan sendiri Suhaila, kira-kira 10 minit selepas kemalangan berlaku. “Saya segera bergegas ke tempat kejadian. Setibanya di situ, saya lihat kereta dipandu berada dalam keadaan terbalik di bahu jalan,” katanya yang membuat laporan polis, manakala isterinya membawa Suhaila ke klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan. Menurutnya, walaupun terkejut dengan kemalangan menimpa anak bongsu daripada tiga beradik itu, dia amat bersyukur kerana Suhaila terselamat. “Ini kali pertama dia terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika berulang-alik menggunakan laluan itu sejak empat bulan lalu untuk ke tempat kerja,” katanya.

Nyaris maut rempuh tiga tiang
Nyaris maut rempuh tiga tiang
SEREMBAN – Sebuah kereta dipercayai hilang kawalan, merempuh dua tiang lampu dan satu tiang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) sehingga salah satunya patah di simpang empat Jalan Tan Sri Manickavasagam, berhampiran Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Lobak, dekat sini, malam kelmarin. Dalam kejadian kira-kira 10.45 malam itu, kemalangan membabitkan kereta Honda Civic dipandu seorang lelaki berusia lingkungan 20-an itu, turut menyebabkan orang ramai termasuk pelanggan di restoran berdekatan, terkejut apabila mendengar dentuman kuat. Kemalangan turut mengakibatkan saluran paip di tepi jalan pecah sehingga air memancut ke jalan raya. Saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Wong, 30-an, ketika kejadian, dia bersama rakannya sedang menikmati makan malam di sebuah restoran berdekatan. "Saya terkejut apabila mendengar bunyi kuat dari arah jalan. Saya terus ke lokasi kejadian untuk melihat apa berlaku, sebelum nampak satu tiang lampu daripada dua yang dirempuh patah. Saluran paip di tepi jalan juga rosak,” katanya. Menurutnya, terdapat sedikit percikan api pada enjin kereta berkenaan, bagaimanapun pemandu kereta itu sempat keluar menyelamatkan diri. "Saya percaya kereta itu datang dari arah Taman AST menghala Lobak dan telah hilang kawalan, berdasarkan rempuhan dan kerosakan berlaku," katanya. Wong berkata, kawasan berkenaan memang sering berlaku kemalangan memandangkan terdapat selekoh selain laluan utama kenderaan.

Batal konsert: FMFA akan pulangkan bayaran
Konsert dadah bawa padah!
BELUM reda dengan misteri kehilangan MH370, Malaysia sekali lagi menjadi perhatian umum apabila enam individu meninggal dunia ketika menghadiri konsert Future Music Festival Asia (FMFA) 2014.Didakwa mengambil dadah secara berlebihan semasa menghadiri konsert yang berlangsung di Stadium Bukit Jalil itu, 15 individu lagi dirawat di hospital.Konsert yang diberikan jolokan pesta muzik elektronik terbesar di Asia Tenggara itu menampilkan nama-nama besar muzik antarabangsa termasuk pemenang anugerah Grammy seperti Pharell Williams, Macklemore & Ryan Lewis dan turut dibarisi lebih 70 band.Walaupun konsert itu telah dibatalkan, namun insiden berkenaan memberi impak buruk kepada negara, apatah lagi seluruh masyarakat masih belum menerima perkhabaran mengenai kehilangan pesawat yang hilang sejak 8 Mac lalu.Semakin menambahkan permasalahan yang ada, kejadian ini memberi persepsi negatif kepada negara terutamanya industri muzik.Malah, ada juga yang berpendapat bahawa pihak berkuasa di negara kita memandang enteng situasi ini yang dilihat boleh memusnahkan golongan belia.Menjadi persoalannya, siapakah yang harus dipersalahkan? Adakan penganjur, pihak berkuasa mahupun pengedar pil-pil khayal yang berleluasa di sana sini?
Adakah pelaku itu perlu bertanggungjawab terhadap diri sendiri sehingga terjerumus ke arah kehidupan yang tidak jauh beza dengan budaya barat?
Walaupun konsert ini melibatkan pembabitan artis luar negara, namun insiden ini pastinya memberi tekanan besar buat orang-orang industri dan memberi pemahaman kabur mengenai konsert yang diadakan di negara kita.Di kesempatan ini, Zass mendapatkan pandangan dan reaksi daripada Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Norman Abdul Halim berhubung isu konsert berkenaan.
Sebagai orang seni yang juga pucuk pimpinan RIM, apa pandangan anda mengenai kejadian ini?
Sejujurnya, saya amat sedih dengan situasi ini dan kecewa kerana ianya berlaku di negara kita.Apa yang saya nampak, ada di antara golongan remaja kini semakin hilang arah dan cuba mengambil kesempatan di atas peluang yang diberikan kerajaan dalam membenarkan konsert-konsert luar negara diadakan di negara kita. Malah, perilaku mereka juga turut memberi persepsi negatif orang ramai mengenai konsert dan gambaran buruk kepada negara luar.
Adakah kebanyakan konsert yang membabitkan artis luar negara akan dicemari dengan najis dadah?
Dalam hal ini, kita tidak boleh berfikir secara stereotaip kerana tidak semua konsert akan dicemari dengan dadah. Kalau satu ketika dahulu, orang ramai sering mengaitkan pengambilan dadah dengan konsert-konsert ‘heavy’ rock, namun kini, tumpuan para pengedar dadah ini lebih tertumpu kepada konsert beraliran, Electronic Music Dance (EMD) dan juga di kelab-kelab malam berkonsep ‘techno’. Malah, konsert dan kelab malam sebegini seakan-akan mempunyai kuasa untuk menarik golongan ini.Namun, janganlah pula kesemua konsert yang diadakan dijadikan ‘kambing hitam’ ekoran kejadian ini.
Individu yang menjadi mangsa dadah itu juga terdiri di kalangan belia Melayu Islam yang seakan-akan dahagakan hiburan secara hedonisme, apa pendapat anda?
Saya kecewa dengan mereka kerana sanggup memilih jalan ini sebagai cara untuk berhibur. Malah, ada di antara mereka yang tidak cukup matang untuk berhibur.Saya tidak rasa konsert itu boleh memudaratkan walaupun melibatkan artis luar negara kerana tanpa dadah, ia tetap terkawal. Namun, saya juga turut terkilan dengan sikap pengedar dadah yang sengaja mencari peluang untuk memberi ‘hiburan’ yang tidak sepatutnya kepada golongan ini.
Bagaimanakah pengambilan dadah ini boleh didapati secara mudah dalam konsert seperti ini? Adakah ianya menjadi tanggungjawab penganjur?
Saya tidak rasa penganjur adalah pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah di konsert berkenaan kerana ia kebanyakannya didalangi sekumpulan pengedar yang cuba mencari ‘mangsa’ baharu.Malah, untuk mengawasi konsert sebegini juga menjadi sesuatu perkara yang sukar kerana ianya boleh dibawa dan diletakkan dalam tempat yang tersorok seperti di poket atau di bahagian-bahagian lain kerana saiznya yang kecil. Kemungkinan besar, golongan pengedar itu akan menawarkan dadah berkenaan di luar konsert berkenaan.
Dalam hal ini, siapakah yang patut dipersalahkan?
Diri sendiri sepatutnya lebih bijak dalam membuat keputusan kerana kita tidak perlu menyalahkan orang lain di atas kesalahan kita. Kenapa perlu salahkan penganjur ataupun kerajaan jika diri sendiri tidak dapat membezakan antara kebaikan dan keburukan?Situasi ini sama seperti kerajaan menyediakan jalan raya untuk pemandu. Namun, sekiranya ada pemandu yang cuai dan terlibat dalam kemalangan, adakah kerajaan yang patut dipersalahkan atau pihak yang menyiapkan jalan raya itu? Tepuk dada, tanya selera!
Adakah konsert sebegini masih relevan untuk diadakan di negara kita?
Sebenarnya, konsert yang membabitkan artis luar negara juga turut mendapat perhatian golongan muda di negara kita.Saya tidak nampak konsert ini adalah satu perkara yang tidak relevan diadakan di negara kita, namun ia memerlukan pemantauan yang lebih teliti.Namun, konsert yang menampilkan konsep EMD atau techno ini seharusnya perlu diberi perhatian dan pihak berkuasa harus lebih peka, adakah ianya perlu, dikurangkan atau ditiadakan. Ini kerana, ia adalah ‘sarang’ kepada pengedaran dadah. Penguatkuasaan perlu dilakukan dengan lebih teliti agar perkara sebegini tidak berulang lagi.
Adakah insiden ini memberi impak buruk kepada industri tempatan?
Saya bimbang akan persepsi orang mengenai konsert. Walaupun kita tahu setiap konsert mempunyai konsep yang berbeza, namun saya risau jika masyarakat terus ‘pukul rata’ mengenai konsert yang diadakan.Ianya secara tidak langsung memberi impak yang tidak sepatutnya terhadap industri. Saya berharap agar insiden ini memberi pengajaran dan iktibar kepada golongan berkenaan agar lebih bijak memilih hiburan yang bersesuaian dan tidak sewenang-wenangnya berani mengambil dadah.

Penjual buah sorok dadah dalam dubur
GEORGETOWN - Seorang penjual buah didapati bersalah selepas didakwa atas kesalahan menyimpan dadah di dalam dubur. Tertuduh, Faizul Amirul Ahmad Fareez, 37, didapati melakukan kesalahan tersebut pada 9 Mac 2014 kira-kira jam 12 tengah hari di Flat Taman Manggis Jalan Zainal Abidin. Mengikut fakta kes, rumah tertuduh diserbu anggota polis melalui hasil maklumat yang diberikan. Dalam serbuan berkenaan, polis menjumpai straw serbuk ketulan disyaki heroin yang disorokkan dalam dubur tertuduh. Mengikut fakta pertuduhan pertama, dia dituduh pada 9 Mac 2014 dengan memiliki dadah heroin seberat 2.5 gram. Atas kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta sama. Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak kurang lima tahun atau kedua-duanya sekali. Sementara bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memasukkan dadah ke dalam badannya tanpa kebenaran. Akibatnya dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan 2004) dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama. Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali. Faizul Amirul yang diwakili peguamnya merayu supaya hukuman diringankan kerana mempunyai gaji kurang daripada RM500 sebulan. Majistret Umma Devi Loganathan kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara selama 14 bulan melalui pertuduhan pertama dan penjara selama lima bulan untuk pertuduhan kedua. Tertuduh juga dikehendaki menjalani pengawasan selama dua tahun.

Abdul Khalid Ibrahim
Kajian: Penduduk Kajang tidak perlu MB baharu
SHAH ALAM - Berdasarkan pola kajian yang dilakukan oleh pihak Universiti Selangor (Unisel) menunjukkan rata-rata penduduk Kajang tidak memerlukan Menteri Besar Selangor yang baharu. Menurut Ketua Penyelidikan Kajian Pola Pengundian PRK Dun Kajang, Dr Muhammad Shamsinor Abdul Azzis, seramai 63 peratus penduduk Kajang tidak mahu jawatan menteri besar (MB) itu digantikan dengan pemimpin baharu. "Kajian ini buat hanya di Dun Kajang dan pihak kami mengambil kira undian berdasarkan faktor calon. "Jika calon MB itu pemimpin popular dan pengaruhnya lebih kuat, peratusan penduduk yang mahukan kepimpinan baharu lebih meningkat," katanya dalam satu sidang media yang diadakan di sini, hari ini. Menurutnya lagi, keadaan pasti berbeza sekiranya Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim diletak sebagai calon untuk bertanding untuk jawatan Menteri Besar Selangor. "Anwar mempunyai penyokong di mana-mana. “Saingan untuk kerusi calon pasti sengit jika Anwar turut bertanding kerana beliau merupakan calon pilihan rakyat," katanya lagi.

Mohd Bakri Zinin
Hukuman menanti penyebar khabar angin
KUALA LUMPUR - Mereka yang terbabit dalam penyebaran khabar angin dan spekulasi sehingga menjejas keamanan dan ketenteraman awam akan dikenakan tindakan sewajarnya, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin. Beliau berkata polis akan menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada bagi mendakwa mereka yang menimbulkan rasa bimbang dan tidak selamat dalam kalangan masyarakat. "Apabila timbul sesuatu spekulasi terutamanya berkaitan jenayah, kita akan melihat tindakan-tindakan yang boleh diambil seperti di bawah Akta Hasutan dan sebagainya," katanya ketika ditemui di sini, hari ini. Beliau berkata budaya menyebarkan khabar angin atau membuat spekulasi telah memberi impak negatif sehingga menjejas dan merumitkan siasatan polis terhadap sesuatu kes yang sedang disiasat. Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang akan menyiasat kesalahan perbuatan menyebarkan maklumat tidak sahih sehingga mengganggu ketenteraman awam. Mohd Bakri berkata, siasatan dan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak berkenaan sekalipun ia membabitkan orang kenamaan. "Kalau mereka melakukan perbuatan tersebut, mereka harus bertanggungjawab dengan apa yang mereka lakukan," katanya. Di laman sosial misalnya, pelbagai spekulasi dan khabar angin dengan mudah bertebaran apabila tanpa sebarang rasa bersalah, masing-masing berlumba untuk menjadi yang pertama menekan butang 'share' tanpa mempedulikan kesahihan khabar yang dihantar. Mohd Bakri berkata orang ramai juga tidak sepatutnya mudah terpedaya dan terpesong dengan spekulasi sama ada dari mulut ke mulut atau di alam maya serta seharusnya mengelak daripada menjadi penyampai berita tidak sahih kepada individu lain. - Bernama

Batal konsert: FMFA akan pulangkan bayaran
FMFA: 6 masih terima rawatan
KUALA LUMPUR - Seramai sembilan individu yang dimasukkan ke hospital akibat penyalahgunaan dadah semasa konsert Festival Future Music Asia 2014 (FFMA), dibenarkan keluar hari ini. Ketua Polis Daerah Cheras, Mohan Singh Tara Singh berkata, mereka yang terbabit iaitu empat warga Singapura yang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL). "Manakala lima lagi yang dibenarkan keluar dari Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM), masing-masing seorang warga Taiwan, Filipina, Iran serta dua warga Singapura," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. Enam lagi mangsa yang terdiri dari lima warga Singapura dan seorang warga tempatan itu, masih menerima rawatan, katanya. "Seorang daripada mereka dirawat di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), seorang di Prince Court Hospital, empat di PPUM" kata beliau. Sementara itu, tangkapan terhadap pengunjung yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah itu masih kekal 29 orang iaitu 14 daripadanya warga tempatan dan 15 lagi warga asing. Beliau berkata, setelah siasatan dijalankan 15 orang telah dituduh iaitu seorang warga tempatan dan 14 warga asing manakala dua orang dibebaskan dan 12 orang lagi dibebaskan dengan jaminan polis. "Pihak polis akan terus menjalankan siasatan bagi menyelesaikan kes ini," katanya. Awal pagi Sabtu lepas, enam warga tempatan termasuk tiga wanita, maut akibat mengambil dadah ketika menonton konsert berkenaan di Stadium Bukit Jalil di sini. Mereka berumur antara 19 dan 28 tahun.

STPM 2013: 53,422 lulus peperiksaan
KUALA LUMPUR - Sejumlah 53,422 atau 96.75 peratus calon lulus penuh satu hingga lima mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2013 berbanding 47,910 (92.67 peratus) pada tahun sebelumnya. Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) Profesor Datuk Dr Mohd Noh Dalimin berkata daripada jumlah itu, sebanyak 1,898 (3.44 peratus) calon lulus penuh lima mata pelajaran; 9,717 (17.60 peratus) calon lulus penuh tiga mata pelajaran; 5,234 (9.48 peratus) calon lulus dua mata pelajaran dan 3,810 (6.90 peratus) calon lulus penuh satu mata pelajaran. "Calon yang mendapat lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran meningkat sebanyak 10,155 calon daripada 24,506 (47.40 peratus) calon pada 2012 kepada 34,661 (62.78 peratus) calon pada 2013," katanya ketika mengumumkan keputusan STPM 2013 hari ini. Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia itu berkata prestasi calon STPM 2013 pada umumnya lebih baik berbanding tahun lepas meskipun menggunakan format berbeza mengikut sistem pentaksiran baharu yang turut dibincang bersama wakil dari Cambridge Assesment, United Kingdom. Beliau berkata Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) Negara pada tahun ini, yang dihitung berdasarkan nilai gred mata pelajaran bagi empat mata pelajaran terbaik termasuk Pengajian Am, juga meningkat kepada 2.55 daripada 2.24 pada STPM 2012. "Sebanyak 492 (0.89 peratus) calon mendapat PNGK 4.00 berbanding 442 (0.86 peratus) calon pada tahun 2012, iaitu peningkatan sebanyak 50 calon di mana 273 daripadanya adalah calon aliran sastera dan 219 calon daripada aliran sains," katanya. Mohd Noh berkata jumlah calon yang mendapat Gred A dalam semua mata pelajaran yang diambil pada STPM 2013 meningkat kepada 497 calon berbanding 450 calon tahun lepas, bagaimanapun, calon yang berjaya memperoleh 5A dalam semua mata pelajaran ialah lapan berbanding 18 pada tahun sebelumnya. Peningkatan juga berlaku dalam jumlah calon sekolah kerajaan yang mendapat lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran iaitu daripada 23,698 (49.65 peratus) pada tahun 2012 kepada 34,318 (63.21 peratus) calon pada 2013. Daripada 23 mata pelajaran yang ditawar, prestari 10 mata pelajaran meningkat melebihi 10 peratus berbanding STPM 2012 iaitu Kesusasteraan Melayu Komunikatif (19.87 peratus), Usuluddin (18.53 peratus), Sains Sukan (17.45 peratus), Pengajian Perniagaan (16.87 peratus), Bahasa Arab (16.89 peratus), Sejarah (15.69 peratus), Matematik (M) (15.27 peratus), Perakaunan (13.32 peratus), Syariah (12.36 peratus) dan Bahasa Melayu (12.04 peratus). Sementara itu, prestasi dua mata pelajaran dianggap tidak berubah di mana Literature in English mencatat +1.04 peratus dan Physics sebanyak -0.59 peratus berbanding STPM 2012, iaitu perbezaan antara -2.00 peratus dan 2.00 peratus. Hanya satu mata pelajaran turun prestasinya iaitu Matemetik Lanjutan yang mendapat peratusan -28.57 peratus di mana calon yang hadir menduduki peperiksaan hanyalah tujuh daripada 11 orang yang mendaftar. Selain itu, Mohd Noh berkata jurang prestasi calon bandar dan luar bandar masih ketara di mana prestasi calon bandar jauh lebih baik daripada luar bandar. "Bilangan calon bandar yang mendapat 5A, 4A dan 3A adalah sebanyak 1,189 (12.02 peratus) berbanding hanya 156 (1.58 peratus) calon luar bandar. "Calon aliran sains yang mendapat 5A, 4A dan 3A pula adalah sebanyak 473 (17.23 peratus) berbanding 14 (0.51 peratus) luar bandar manakala calon bandar aliran sastera yang mendapat keputusan sama adalah sebanyak 716 (10.02 peratus) calon berbanding hanya 142 (1.99 peratus) calon luar bandar," katanya. STPM 2013 menyaksikan daripada 58,402 calon mendaftar, sejumlah 55,214 calon (94.54 peratus) hadir menduduki peperiksaan berbanding 51,697 (94.61 peratus) calon yang hadir pada tahun 2012. Mengulas keputusan prestasi 72,101 calon Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) sesi November 2013 yang dikeluarkan pada 8 Januari 2014 pula menyaksikan sebanyak 33.15 peratus calon mendapat Band 3 atau lebih baik berbanding 28.52 peratus pada MUET sesi Julai 2013. Di SEREMBAN, sejumlah 20 pelajar cemerlang iaitu 1.14 peratus calon di Negeri Sembilan memperoleh PNGK 4.00 dalam STPM 2013. Pengarah Pendidikan negeri Datuk Kalsom Khalid berkata mereka terdiri daripada lima orang calon jurusan sains manakala selebihnya (15) orang calon jurusan sastera. Di KUALA TERENGGANU, sejumlah tujuh daripada 3,002 calon di Terengganu memperoleh keputusan empat prinsipal dalam semua mata pelajaran yang diambil. Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Hashim Mohd Zin berkata secara keseluruhan, pencapaian STPM 2013 merupakan keputusan yang cemerlang berbanding pada 2012. "Dari segi lulus penuh empat mata pelajaran juga turut meningkat sebanyak 17.07 peratus berbanding tahun lepas apabila sejumlah 1,757 calon lulus penuh empat mata pelajaran berbanding tahun lepas hanya 1,236 menjadikan peratus lulus empat mata pelajaran tahun ini sebanyak 58.53 peratus," katanya kepada pemberita di sini. Di MELAKA, Pengarah Pendidikan negeri Md Rashid Hussin berkata sejumlah 940 calon atau 61.56 peratus memperoleh keputusan empat prinsipal, menyaksikan peningkatan sebanyak 9.5 peratus berbanding 52.06 peratus pada 2012. Beliau berkata 1,505 calon mencatat keputusan lulus penuh tahun lepas berbanding 1,198 orang pada 2012, meningkat sebanyak 1.87 peratus. Di KUANTAN, Pengarah Pendidikan Pahang, Rosdi Ismail berkata sejumlah 2,893 calon atau 97.97 peratus memperoleh kelulusan penuh iaitu mendapat sekurang-kurangnya satu mata pelajaran lulus penuh. Di PULAU PINANG, sejumlah 61 daripada 3,208 calon STPM memperoleh keputusan cemerlang PNGK 4.0. Pengarah Pelajaran Pulau Pinang Datuk Ahmad Tarmizi Kamaruddin berkata pencapaian itu merupakan peningkatan sebanyak 0.06 peratus berbanding tahun sebelumnya, yang menyaksikan 42 calon memperoleh PNGK 4.0. "Sebanyak 14 sekolah di negeri ini berjaya mencapai kelulusan 100 peratus selepas semua pelajar yang mengambil STPM memperoleh keputusan lulus dalam semua subjek," katanya dalam sidang akhbar berhubung keputusan STPM 2013 hari ini. Di KOTA BAHARU, sebanyak 23 sekolah mencatat kelulusan 100 peratus dengan 15 calon dipilih sebagai pelajar terbaik STPM 2013 berbanding hanya empat pada 2012. Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Hussain Awang berkata pelajar terbabit memperoleh A dalam semua mata pelajaran yang diambil selain mencatat PNGK 4.0. Di IPOH, sejumlah 69 daripada 5,276 calon memperoleh A dalam semua mata pelajaran yang diambil selain mencatat PNGK 4.0. Pemangku Pengarah Pelajaran negeri Mohd Idris Mohd Ramli berkata pencapaian itu menyaksikan peningkatan sebanyak 0.09 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan 51 calon. Di JOHOR BAHARU, Timbalan Pengarah Pendidikan Johor Hasidin Zaini berkata sejumlah 70 calon di negeri itu memperoleh PNGK 4.00 dalam peperiksaan STPM 2013 iaitu 38 calon aliran sains dan 32 calon aliran sastera. Di KANGAR, Pengarah Pendidikan negeri Dun Kasa berkata pencapaian peperiksaan STPM 2013 di Perlis meningkat berbanding tahun 2012. Beliau berkata dari segi peratusan, Perlis mencatat 96.71 peratus atau 618 calon lulus sekurang-kurangnya satu Prinsipal iaitu peningkatan 0.89 peratus berbanding 95.82 peratus pada tahun sebelumnya. Di ALOR SETAR, peratus calon yang lulus penuh ialah sebanyak 98.22 peratus atau 3,983 calon berbanding 3,431 calon atau 93.79 peratus pada 2012. Pengarah Pelajaran negeri Datuk Mansor Lat berkata sebanyak 33 sekolah mencapai keputusan 100 peratus lulus penuh termasuk 17 dalam kategori luar bandar. Di KUCHING, Sejumlah 39 daripada 6,142 calon sekolah kerajaan di Sarawak memperoleh keputusan cemerlang PNGK 4.0, menyaksikan peningkatan berbanding 20 orang pada 2012. Pengarah Pendidikan negeri Datuk Abdillah Adam berkata sejumlah 1,360 calon memperoleh PNGK 3.00 ke atas berbanding 981 orang pada 2012. Di SABAH, sebanyak 35 sekolah mencapai kelulusan 100 peratus dengan 15 pelajar memperoleh PNGK 4.00. Pengarah Pendidikan Negeri Datuk Jame Alip berkata 7,213 daripada 7,515 calon yang menduduki STPM 2013 (atau 95.98 peratus) memperoleh kelulusan penuh berbanding 89.44 peratus pada tahun sebelumnya. Sementara itu, di LABUAN, keputusan STPM 2013 menunjukkan peningkatan 10.73 peratus dengan 96.64 peratus pelajar lulus penuh berbanding 85.71 peratus pada tahun sebelumnya. Pengarah Pendidikan Labuan Mistirine Radin berkata daripada 119 calon yang menduduki peperiksaan itu, sejumlah 115 orang lulus penuh berbanding 84 pelajar yang direkod pada 2012. Sementara itu, di SELANGOR, Pengarah Pendidikan Negeri Datuk Mahmud Karim berkata sebanyak 96.53 peratus daripada sejumlah 5,749 calon memperoleh kelulusan penuh bagi semua mata pelajaran yang diambil dalam peperiksaan STPM tahun lepas. Beliau berkata keputusan itu meningkat 1.68 peratus daripada 94.85 peratus pada 2012 dengan 99 calon mendapat keputusan cemerlang lima Prinsipal. "Bagi keputusan STPM kali ini, seorang calon memperoleh keputusan cemerlang semua A bagi lima mata pelajaran manakala 59 calon pula mendapat semua A bagi empat mata pelajaran dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan 4.0," katanya kepada Bernama hari ini. Mahmud berkata gred purata negeri bagi keputusan STPM kali ini juga meningkat kepada 2.52 mata berbanding 2.35 pada 2012. Katanya, lima sekolah yang dinobat sekolah terbaik STPM 2013 ialah Kolej Islam Sultan Alam Shah; Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Katolik, Petaling Jaya; SMJK Yoke Kuan, Sekinchan; SMK Kepong dan SMK Batu 8, Puchong. - Bernama

Murid dakwa dipukul guru hingga lebam
Murid dakwa dipukul guru hingga lebam
Mustafa menunjukkan cara Abdul Rahman dipukul guru berkenaan. 
KLUANG - Seorang murid darjah lima di salah sebuah sekolah rendah di daerah ini, mendakwa dipukul seorang guru menggunakan rotan di bahagian punggung, paha dan belakang badannya sehingga lebam, pagi kelmarin. Abdul Rahman Mustafa, 11, yang juga kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) fizikal memberitahu, guru berkenaan memukulnya kerana dia gagal menjawab soalan yang diberikan pada sesi pembelajaran. Menurutnya, sebelum dipukul dia diarahkan guru terbabit supaya menghulurkan tangan, tetapi dia mengelak. Akibat tindakan itu katanya, guru tersebut bertindak di luar jangkaan dengan memukul bahagian punggung, paha dan belakang badannya sehingga lebam. Tambahnya, sebelum dipukul, dia terlebih dahulu dipanggil ke hadapan kelas dan cikgu itu menyuruhnya menghadap ke papan hitam lalu memukulnya dengan rotan yang besar. “Lebih daripada sekali saya dipukul sehinggakan saya menangis kerana tidak dapat menahan sakit. Selepas dipukul, saya diarahkan untuk berdiri di atas kerusi,” katanya kepada Sinar Harian, di kediamannya di sini, semalam. Ibu mangsa, Faridah Kunyikoya, 32, meluahkan rasa kesal di atas kejadian itu malah menyifatkan tindakan berkenaan sebagai melampau meskipun sebelum ini dia tidak kisah jika anaknya dipukul bagi tujuan mendidik. Menurutnya, kejadian itu diketahuinya selepas Abdul Rahman mengadu sakit di bahagian belakang badan sebaik pulang dari sekolah kira-kira jam 4.30 petang, kelmarin. “Tanpa berlengah, saya melihat dan terkejut dengan lebam yang terdapat di bahagian belakangnya. "Saya akui anak saya agak lembam dalam pelajaran, tetapi perbuatan guru itu yang menghukum murid secara keterlaluan bukan cara terbaik untuk mendidik. “Pada mulanya saya mahu pendamkan sahaja perbuatannya kerana tidak mahu memalukan pihak sekolah tetapi saya tidak mahu perbuatan sama berulang lagi. "Abdul Rahman kini trauma untuk ke sekolah dan mahu dia ditukarkan ke kelas pendidikan khas,” katanya. Sementara itu, bapa mangsa, Mustafa Mohamed, 35, memberitahu dia dimaklumkan kejadian itu oleh isterinya kira-kira pukul 10.30 malam. Dia kemudiannya segera membuat laporan di Balai Polis Simpang Renggam, di sini, kira-kira sejam kemudian. Dia yang juga seorang penyelia di sebuah syarikat di Pasir Gudang membawa anaknya itu menjalani pemeriksaan di Hospital Kluang sebelum membuat satu lagi laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, tengah malam kelmarin. “Guru tersebut mengaku dan memohon maaf ketika saya berjumpanya di sekolah hari ini (semalam). “Saya menyerahkan hal ini kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya,” dakwanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Roze Shaari, mengesahkan menerima laporan berkenaan dan siasatan awal terhadap guru berkenaan sedang dijalankan.

32,000 pelatih PLKN tamat sesi latihan
SEPANG - Sebanyak 32,000 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) kumpulan pertama bagi 2014 menamatkan latihan mereka selepas tiga bulan menjalani latihan di kem PLKN masing-masing Isnin lepas. Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata jumlah itu adalah sebahagian daripada pelatih yang mengikuti latihan tahun ini iaitu sebanyak 150,000 orang. "Hari ini kumpulan kedua pelatih dari Sabah dan Sarawak yang mengikuti latihan di Semenanjung pulang ke rumah masing-masing," katanya kepada pemberita di Lapangan terbang Antarabangsa KL di sini hari ini. Beliau berkata JLKN menempatkan 1,000 pelatih dari Semenanjung menjalani latihan di Sabah dan Sarawak dan 1,000 pelatih dari Sabah dan Sarawak menjalani latihan di Semenanjung untuk kumpulan pertama tahun ini. - Bernama

Md Khairi Selamat
Tujuh empangan Selangor di atas paras kritikal
KUALA LUMPUR - Lembaga Urus Air Selangor (Luas) berkata, tujuh empangan di negeri Selangor masih berada di atas paras kritikal. Pengarahnya, Md Khairi Selamat berkata, tahap kritikal air di empangan ialah apabila jumlahnya mencecah 30 peratus bersamaan 69 juta meter padu. Beliau berkata pelbagai usaha dilakukan untuk meningkatkan jumlah air di kesemua empangan negeri termasuk pembenihan awan untuk menghasilkan hujan yang dilakukan pada 15 dan 16 Mac lalu. Bagaimanapun tinjaun Luas semalam mendapati kadar hujan yang kurang gagal menyumbang peningkatan kapasiti air di enam empangan - Empangan Langat, Empangan Sungai Selangor, Empangan Sungai Tinggi, Empangan Batu, Empangan Semenyih dan Empangan Tasik Subang. "Hanya kapasiti empangan Klang Gates yang menunjukkan sedikit peningkatan iaitu daripada 51.16 peratus kepada 51.30 peratus," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Selain jumlah hujan yang kurang, kata Md Khairi, faktor kadar pengewapan air yang tinggi ketika cuaca panas ketika ini turut menjadi faktor kurangnya peningkatan air di empangan. Luas juga akan meneruskan catuan air seperti yang sedang dilaksanakan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan mengurangkan pelepasan air di empangan untuk keperluan bagi memanjangkan hayat simpanan air di negeri itu, katanya. Selain daripada usaha-usaha dilakukan pihaknya, Luas juga menasihatkan orang ramai supaya menjimatkan air menerusi penggunaan berhemah. - Bernama

mh 370
MH370 boleh mendarat di landasan pendek
SHAH ALAM - Pesawat MH370 boleh mendarat di landasan lebih pendek daripada biasa sekiranya memerlukan pendaratan kecemasan mengikut kecekapan juruterbang. Bekas Pengawal Trafik Udara, Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Mustapha Kamal Abdul Rahman berkata, apabila ada kecemasan yang memerlukan pendaratan segera, pastinya juruterbang akan cuba mendarat di tempat yang selamat. Menurutnya, tidak kira di pulau atau di atas jalan, asalkan kawasan sekitar muat untuk pesawat itu mendarat. “Setiap pesawat pastinya ada prosedur pendaratan yang disyaratkan agar mengelak sebarang kemalangan. “Oleh itu, pesawat MH370 yang panjang dan besar perlu mendarat di landasan lebih 11,000 kaki panjang,” katanya. Beliau berkata demikian ketika mengulas kebolehan pesawat itu mendarat di landasan pendek jika berlaku kecemasan. Apabila ditanya sama ada pesawat boleh mendarat di landasan yang sudah lama ditinggalkan di beberapa pulau sekitar koridor utara, jawabnya, ia mungkin boleh berlaku asalkan juruterbang pandai mengawal pesawat. “Tetapi risiko kemalangan kecil memang ada, sama ada terbabas sedikit dari landasan itu atau berlaku ketidakseimbangan ketika pesawat berhenti mengejut,” katanya. Sementara itu, pakar penerbangan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohd Tarmizi Ahmad berkata, risiko terhempas ketika mendarat di landasan pendek memang tinggi. “Kerana, pesawat memerlukan kuasa dan masa untuk membuat pendaratan yang bergantung kepada kapasiti pesawat. “Jika momentum tidak stabil, kemungkinan pesawat mengalami kemalangan sangat tinggi walaupun di atas landasan,” katanya. Semalam, Sinar Harian melaporkan terdapat beberapa landasan yang berkemungkinan digunakan oleh pesawat MH370 untuk mendarat di sekitar koridor selatan. Ini termasuk Pulau Nicobar di Lautan Hindi yang mempunyai tiga landasan kapal terbang yang sudah tidak digunakan lagi. Selain itu, terdapat sebuah lagi landasan kapal terbang dibina tentera Jepun pada 1942 hingga 1945. Landasan ini kemudiannya diubahsuai dan dipanjangkan sehingga 8,886 kaki oleh Tentera Udara India pada 1967. Selain itu, terdapat juga landasan kapal terbang di Maldives dan Diego Garcia di Lautan Hindi.

Mas (Malaysia Airlines)
'MAS jaga kami dengan baik'
CYBERJAYA - Keluarga penumpang MH370 dari China yang ditempatkan di Hotel Cyberview Resort & Spa, di sini, berpuas hati dengan segala perkhidmatan yang disediakan syarikat penerbangan itu. Seorang wakil keluarga yang ditemui pemberita berkata, MAS telah melakukan yang terbaik dalam menjaga kebajikan mereka sejak tiba di negara ini minggu lepas. "MAS menjaga kami dengan baik dan memantau kami 24 jam. Syarikat itu juga memenuhi segala keperluan kami di sini. "Pelbagai kemudahan disediakan untuk kami seperti klinik statik dan bilik persidangan untuk kami mengikuti perkembangan terkini pencarian pesawat itu," kata wakil keluarga itu yang enggan namanya disiarkan. Mereka juga masih menaruh harapan anggota keluarga mereka yang menaiki pesawat berkenaan dapat pulang dengan selamat. Terdapat kira-kira 30 anggota keluarga penumpang MH370 dari China ditempatkan di hotel berkenaan. Misi mencari pesawat MAS penerbangan MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu masuk hari ke-12, sejak hilang 8 Mac lepas. - Bernama

Ahmad Zahid Hamidi
Kebanyakan data simulator Kapten Zaharie dipadam
PUTRAJAYA - Kebanyakan maklumat dalam simulator milik juruterbang Malaysia Airlines MH370 Kapten Zaharie Ahmad Shah yang kini masih dalam siasatan polis telah dipadamkan pemiliknya. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketika ini semua input dalam simulator itu sedang diuji dan dikaji. Bagaimanapun, katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan kaedah forensik untuk memperoleh semua maklumat yang telah dipadamkan itu. "Harus diingat bahawa apa yang dilakukan pihak polis bukan untuk menuduh atau mahu menekan mana-mana anggota keluarga, tetapi dibuat untuk menjalankan siasatan paling teliti dan rapi supaya punca kejadian dapat diketahui. "Kita kaji dan membuat siasatan jika terdapat beberapa kemungkinan untuk pihak polis mengkaji sepenuhnya," katanya pada sidang akhbar selepas majlis perjumpaan bersama para penjawat awam di sini hari ini. Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis telah mengambil simulator penerbangan dari rumah juruterbang itu untuk diperiksa oleh pakar dengan harapan mendapat petunjuk bagi membantu mencari pesawat itu. "Saya fikir polis sedang mengambil beberapa aspek terutamanya kita undang beberapa pakar yang terlibat dalam Boeing 777 dan pakar yang mengendalikan simulator latihan dan beberapa aspek teknologi maklumat (IT) kerana ia mempunyai kaitan dan pihak polis sedang minta kerjasama daripada pihak ini," kata Ahmad Zahid. Menurutnya maklumat terperinci mengenai hasil siasatan itu belum dapat dimaklumkan memandangkan siasatan masih dijalankan. "Saya yakin oleh kerana perkara ini sesuatu yang dikatakan 'pengendalian', saya beri kepercayaan sepenuhnya kepada Ketua Polis Negara untuk memberikan maklumat apabila tiba masanya kepada media dan untuk diketahui masyarakat," katanya. Ahmad Zahid berkata polis turut melakukan penyiasatan di rumah pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid, namun tidak mendapat sebarang petunjuk mengenai penglibatannya jika pesawat itu dilencongkan. Ahmad Zahid juga menafikan dakwaan bahawa Malaysia tidak memberi kerjasama kepada Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) dan polis antarabangsa (Interpol) mengenai misteri kehilangan MH370. "Kita yang minta mereka bekerjasama dengan kita kerana tidak boleh bersendirian dalam siasatan ini. Banyak negara itu mempunyai pengalaman mereka sendiri dari segi menangani kehilangan pesawat atau mempunyai sistem komunikasi yang boleh membantu mengesan di mana pesawat itu berada. "Matlamat kita untuk mencari di mana kapal terbang itu. Kita bekerjasama rapat dengan semua badan perisikan antarabangsa," kata beliau. Sementara itu, beliau berkata langkah-langkah keselamatan di kesemua pintu masuk negara akan terus diperketatkan dan ditambah baik termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). "Kami sudah ambil beberapa langkah. Saya sendiri yang telah mempengerusikan mesyuarat itu," katanya. Penerbangan MH370 ke Beijing, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari KLIA pada 12.41 pagi, 8 Mac. Ia sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. - Bernama

Cho Byungjae
Malaysia lakukan dengan tanggungjawab
KUALA LUMPUR - Duta Korea Selatan di Malaysia Cho Byungjae berkata kerajaan Malaysia menangani insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 dengan penuh bertanggungjawab sambil menolak kritikan media antarabangsa terhadap usaha Malaysia berhubung insiden itu. Beliau berkata ia bukan satu tugas mudah untuk menyelaras, menyokong dan mengetuai misi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan 26 negara. Bercakap kepada Bernama di kedutaan di sini hari ini, Cho menyifatkan misi SAR yang sedang berjalan sekarang merupakan satu tugas besar dan setakat ini beliau berpendapat Malaysia menerajui usaha antarabangsa itu dengan jayanya. “Dari segi geografi, pencarian itu meliputi wilayah dan lautan yang luas di sekurang-kurangnya 12 negara. Malah di Malaysia terdapat aset dan kakitangan lebih daripada 20 negara," katanya merujuk kepada operasi SAR besar-besaran pelbagai negara. Sepanjang pengetahuannya, Cho berkata pasukan SAR Korea Selatan dapat berkomunikasi dengan pihak berkuasa Malaysia. “Kami tidak mempunyai sebarang masalah. Kami berjaya berkomuniasi dengan pihak berkuasa tentera dan pihak berkuasa hal ehwal luar Malaysia dan kami tahu apa sebenarnya yang Malaysia mahu. Sepanjang pengetahuan Korea Selatan, tiada masalah," katanya. Dengan kawasan pencarian yang bertambah luas, operasi SAR bagi pesawat Boeing 777-200 mencapai satu dimensi antarabangsa yang baharu meliputi kawasan seluas 2.24 juta batu nautika persegi yang dipanggil sebagai Koridor Selatan dan Utara yang dibahagikan kepada setiap tujuh kuadran. Ketika ditanya jika kerajaan Korea Selatan akan menggantung operasi SAR, duta besar itu berkata tidak ada pertimbangan seperti itu pada masa ini bagi Korea Selatan menarik asetnya daripada misi SAR. Setakat ini tiada rancangan untuk menambah aset bagi misi SAR, katanya sambil menambah ketika ini aset Korea Selatan yang terbabit dalam operasi itu ialah P-3C dan C-130 dengan 39 kakitangan. Mereka kini sedang bekerjasama dengan Tentera Udara Diraja Malaysia di pangkalan udara Subang. Sementara itu, ketika menjelaskan bagaimana misi SAR itu dilakukan, Cho berkata: “Cara mereka melakukannya ialah anda mempunyai rancangan anda dan berunding dengan pihak berkuasa Malaysia dan mereka akan menyelaras dengan semua aset antarabangsa dan sudah tentu dengan aset Malaysia. Daripada situ, mereka (pihak berkuasa Malaysia) akan menetapkan kawasan tertentu bagi aset terbabit." Cho berkata aset Korea Selatan dijangka menghala ke Lautan Hindi hari ini untuk menyertai usaha mencari di koridor Selatan selepas mereka pergi ke kawasan berdekatan kepulauan Andaman semalam. Katanya sejak kehilangan Penerbangan MH370, berita mengenainya menarik perhatian masyarakat dunia dan ia diterbitkan secara meluas dalam akhbar Korea Selatan walaupun tiada penumpang warga Korea Selatan dalam pesawat itu. “Saya ingin menegaskan bahawa Korea Selatan bersama-sama dengan Malaysia. Kami menyokong mereka dan kami percaya kerajaan Malaysia sedang melakukannya dengan penuh bertanggungjawab. “Bagi masyarakat antarabangsa, saya ingin menekankan bahawa kita perlu terus menyokong dan bekerjasama dengan kerajaan Malaysia dalam masa krisis," katanya. Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada skrin radar pada 8 Mac, sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk ke Beijing. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi Sabtu. - Bernama

Penduduk Maldives nampak jet terbang rendah
Penduduk Maldives nampak jet terbang rendah
NEW DELHI - INDIA. Penduduk di kepulauan Maldives mendakwa ternampak sebuah pesawat yang ciri-cirinya menyamai fizikal MH370 membuat penerbangan rendah pada 8 Mac lalu. Memetik laporan portal Haveeru.com, beberapa penduduk di Kudahuvadhoo melihat pesawat tersebut pada jam 6.15 pagi (9.15 pagi waktu tempatan). Menurut saksi, pesawat tersebut yang berwarna putih dan mempunyai garisan merah, padan dengan sifat pesawat MAS yang dilaporkan hilang. Katanya lagi, pesawat tersebut bergerak dari utara ke hujung selatan Maldives. Saksi yang ditemui juga menambah, bunyi pesawat tersebut amat bising semasa bergerak merentasi kepulauan tersebut. "Saya tidak pernah lihat jet yang terbang sebegitu rendah. Saya pernah lihat pesawat ringan dan saya pasti jet tersebut bukan pesawat ringan. "Bukan saya sahaja, beberapa orang lagi juga nampak. Sesetengah daripada mereka keluar dari rumah untuk melihat apakah yang menyebabkan bunyi bising tersebut," kataya. Sementara itu, laporan itu menyebut, seorang pakar penerbangan tempatan memberitahu, bahawa 'kemungkinan besar' MH370 melintasi Maldives. Bagaimanapun, kebarangkalian untuk mana-mana pesawat untuk terbang rendah pada waktu yang direkodkan adalah sangat rendah. Kudahuvadhoo merupakan sebuah pulau kecil yang mempunyai kira-kira 3,580 penduduk dan telah diterokai oleh seorang pengembara dan ahli etnografi dari Norway, Thor Heyerdahl pada awal 1980-an. Pulau ini antara lokasi yang cepat membangun di Maldives dan pihak kerajaan memutuskan untuk membangunkan sebuah lapangan terbang di Kudahuvadhoo menjelang akhir tahun ini. Sementara itu, ahli Majlis pulau Kudahuvadhoo, Mohamed Zaheem berkata, penduduk pulau telah bercakap mengenai insiden berkenaan. Penerbangan MH370 itu dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama 239 penumpang dan anak kapal hilang, selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada 8 Mac lalu. Penyiasat memberitahu, bahawa ia sengaja dilencongkan daripada laluannya. Sejak ia dilaporkan hilang, 26 negara kini membantu untuk mengesan pesawat berkenaan selepas satelit dan data radar tentera meramalkan ia mungkin terbang melalui dua koridor yang besar. Koridor utara terbentang dari utara Thailand ke sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan manakala koridor selatan bermula dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi. Data satelit mencadangkan bahawa 'ping' terakhir, istilah yang digunakan untuk menjelaskan penghantaran data dalam bentuk isyarat pendek kepada satelit, diterima daripada pesawat berkenaan di sekitar Lautan Hindi.

Purnomo Yusgiantoro
MH370 tidak melintasi Aceh Timur
JAKARTA - INDONESIA. Menteri Pertahanan Indonesia, Purnomo Yusgiantoro memaklumkan bahawa radar tentera negara itu di Sabang, Aceh tidak mengesan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak 8 Mac lepas, melintas di sekitar wilayah tersebut. "Saya dapat laporan, sistem radar pertahanan udara di Sabang sangat kuat dan tidak mendeteksi (mengesan) adanya pesawat," kata Purnomo di sini, Rabu, seperti dilapor agensi berita Antara, ketika ditanya tentang kemungkinan pesawat MH370 melintasi wilayah itu. Beberapa nelayan di Aceh Timur dan Sumatera Utara, mendakwa melihat pesawat jatuh di perairan Aceh Timur pada 8 Mac lepas, hari kehilangan pesawat MAS ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing. Purnomo berkata, radar tentera lebih sensitif jika dibandingkan dengan radar awam dan ketepatannya mengesan sesuatu objek itu tidak perlu diragukan. Namun, beliau berkata, pesawat MAS yang terbang ke arah utara Malaysia dan selatan Thailand itu, tidak berada dalam lingkungan radar tentera Indonesia. Purnomo berkata, Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein telah menghubungi beliau pagi tadi untuk meminta bantuan Indonesia mencari pesawat Malaysia Airlines yang hilang itu. Purnomo berkata, beliau sudah menyampaikan permintaan bantuan tersebut kepada Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan perkara itu akan dibahas dalam mesyuarat kabinet. Beliau berkata, Indonesia komited untuk membantu Malaysia dalam usaha mencari pesawat tersebut. - Bernama

FotoFoto
Polis tembak mati 2 suspek dipercayai Geng 21
KAJANG - Polis menembak mati dua suspek dipercayai ahli kumpulan Geng 21 dalam kejadian tembak menembak berhampiran sebuah tapak pembinaan di Ara Damansara, di Selangor malam tadi. Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata kejadian itu berlaku 10.50 malam apabila suspek yang menaiki sebuah kereta Proton Wira Aeroback, melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis yang mengejar mereka selepas mendapati mereka terperangkap di jalan mati. Sepasukan polis dari Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor itu membalas tembakan dan menembak mati suspek, katanya kepada pemberita di Ibu pejabat Polis Daerah Kajang di sini hari ini. Beliau berkata sepasukan polis terdiri daripada seorang pegawai dan tiga anggota polis, sedang menjalankan rondaan mencegah jenayah menghampiri kereta suspek yang dalam keadaan mencurigakan di Jalan PJU1A/9, Ara Damansara tetapi mereka memecut kenderaan itu. "Bagaimanapun kereta terbabit berpatah balik kerana dipercayai memasuki jalan mati, seterusnya melepaskan beberapa das tembakan apabila bertembung dengan kenderaan polis yang mengikut dari belakang," katanya. Mohd Shukri berkata polis dapat mencari perlindungan dan melakukan tembakan balas. Kedua-dua suspek berumur 22 dan 26 tahun mati di tempat kejadian, katanya. Mohd Shukri berkata hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek itu mempunyai enam rekod jenayah lampau termasuk seorang daripadanya pernah ditahan mengikut Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969 (POPOC) di Simpang Renggam pada 2008. "Pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan suspek turut menemui sepucuk pistol jenis LLAMA Cal 7.65mm(32), dua bilah parang, topeng muka dan sarung tangan yang dipercayai digunakan untuk melakukan samun," katanya. - Bernama

Polis tembak mati 2 suspek dipercayai Geng 21
KAJANG - Polis menembak mati dua suspek dipercayai ahli kumpulan Geng 21 dalam kejadian tembak menembak berhampiran sebuah tapak pembinaan di Ara Damansara, di Selangor malam tadi. Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata kejadian itu berlaku 10.50 malam apabila suspek yang menaiki sebuah kereta Proton Wira Aeroback, melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis yang mengejar mereka selepas mendapati mereka terperangkap di jalan mati. Sepasukan polis dari Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor itu membalas tembakan dan menembak mati suspek, katanya kepada pemberita di Ibu pejabat Polis Daerah Kajang di sini hari ini. Beliau berkata sepasukan polis terdiri daripada seorang pegawai dan tiga anggota polis, sedang menjalankan rondaan mencegah jenayah menghampiri kereta suspek yang dalam keadaan mencurigakan di Jalan PJU1A/9, Ara Damansara tetapi mereka memecut kenderaan itu. "Bagaimanapun kereta terbabit berpatah balik kerana dipercayai memasuki jalan mati, seterusnya melepaskan beberapa das tembakan apabila bertembung dengan kenderaan polis yang mengikut dari belakang," katanya. Mohd Shukri berkata polis dapat mencari perlindungan dan melakukan tembakan balas. Kedua-dua suspek berumur 22 dan 26 tahun mati di tempat kejadian, katanya. Mohd Shukri berkata hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek itu mempunyai enam rekod jenayah lampau termasuk seorang daripadanya pernah ditahan mengikut Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969 (POPOC) di Simpang Renggam pada 2008. "Pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan suspek turut menemui sepucuk pistol jenis LLAMA Cal 7.65mm(32), dua bilah parang, topeng muka dan sarung tangan yang dipercayai digunakan untuk melakukan samun," katanya. - Bernama

Dr Saharuddin Awang Yahya
Penganalisis percaya MH370 telah mendarat
KUALA LUMPUR - Penganalisis jenayah percaya tiada unsur bunuh diri dalam misteri kehilangan pesawat MH370 dan pesawat itu selamat mendarat di suatu kawasan yang tidak diketahui lokasinya. Presiden Kesedaran Pencegahan Jenayah, Datuk Seri Dr Saharuddin Awang Yahya berkata, berdasarkan fakta-fakta diumumkan setakat ini, sesiapa jua yang mengambil alih pesawat itu tidak berniat untuk membunuh diri. Katanya ini kerana pihak yang bertanggungjawab nampaknya membuat perancangan teliti dan amat pakar tentang selok-belok penerbangan serta kedudukan radar termasuk cara untuk mengelakkan pesawat itu daripada dikesan. Dr Saharuddin juga percaya sesiapa sahaja yang mengambil alih pesawat Boeing 777-200ER itu berpengalaman mengendalikan pesawat itu. "Walaupun pelbagai kemungkinan boleh berlaku dalam situasi sebegini, namun saya jangkakan tiada unsur bunuh diri melibatkan juruterbang pesawat berkenaan," katanya kepada Bernama. Pesawat yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi 8 Mac lalu. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama. Sehingga kini, nasib penumpang dan anak kapalnya tidak diketahui apabila usaha mencari yang melibatkan pelbagai negara, belum membuahkan hasil. Ia telah didedahkan sebelum ini bahawa seseorang dengan sengaja mematikan sistem komunikasi dalam pesawat itu dan menurut data satelit Inmarsat, pesawat itu dikesan terbang beberapa jam selepas itu. Pihak berkuasa Malaysia percaya pesawat itu terbang ke arah barat Semenanjung Malaysia sebelum membelok ke arah barat laut dan memasuki sama ada koridor utara yang menjangkau lebih kurang dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke bahagian utara Thailand; atau koridor selatan meliputi kawasan dari Indonesia ke bahagian selatan Lautan Hindi. Operasi mencari dan menyelamat terus dipergiatkan membabitkan 26 negara antaranya Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan, Turkmenistan, Pakistan, Bangladesh, India, Vietnam, Thailand, Singapura dan Indonesia . Dr Saharuddin berkelulusan Doktor Falsafah Antropologi Sosial dari Universiti Antarabangsa Wisconsin di Amerika Syarikat, dan menaungi beberapa pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) selain menjadi tenaga pengajar di Universiti Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST), cawangan Kuala Lumpur, dalam bidang Antropologi sejak 2009. Berkecimpung sebagai pejuang hak pengguna selama lima tahun, beliau yang kini berusia 52 tahun itu kerap ditemu bual media tempatan mengenai isu-isu melibatkan keselamatan dan kepenggunaan. - Bernama


Lima sahabat karib maut kemalangan
BUTTERWORTH - "Dia nampak sangat ceria sebelum keluar untuk menonton wayang bersama kawan-kawannya petang semalam". Itu luahan bapa seorang daripada lima remaja yang maut dalam kemalangan di Km141.9 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran kawasan rehat dan rawat Juru di sini malam tadi. Tan Chai Joo, 45, berkata, anaknya Tan Chee Win, 17, seorang yang pendiam dan jarang bercakap tetapi petang semalam dia berbual-bual dengan anggota keluarga lain dan memberitahu tidak sabar untuk keluar bersama empat rakan karibnya, yang turut maut dalam kemalangan itu. "Saya tidak menyangka itulah kali terakhir kami sekeluarga melihat dia," katanya ketika ditemui pemberita di bilik mayat Hospital Seberang Jaya, di sini. Ibu kepada seorang lagi mangsa, Chye Zhi Fei yang ingin dikenali sebagai Teoh, 40-an pula berkata anak lelaki tunggal bongsunya itu meminta kebenaran untuk keluar menonton wayang bersama empat rakannya. Mereka berlima memang kawan baik serta sentiasa melakukan aktiviti bersama-sama, katanya yang mendapat berita sedih itu selepas dihubungi seorang lelaki yang tidak dikenali. Beliau berkata, adalah menjadi kebiasaan bagi anaknya keluar bersama empat sahabatnya itu untuk mengulang kaji pelajaran kerana mereka belajar di sekolah yang sama - Sekolah Menengah Kebangsaan Valdor, di Nibong Tebal. "Mereka mungkin ada ulang kaji bersama kerana buku teksnya turut ditemui dalam kereta itu," katanya. Dalam kemalangan pada pukul 9.30 malam tadi, lima remaja lelaki iaitu Tan Chee Win, 17; Song Jing Ming, 17; Chye Zhi Fei, 17; dan pemandu kereta itu Mar Jin Quan, 18; mati di tempat kejadian manakala seorang lagi rakan mereka Ngan Wei Ming, 17, mati di Hospital Seberang Jaya (HSJ). Ketika kejadian kesemua mereka dalam perjalanan pulang ke Nibong Tebal apabila kereta mereka terbabas dan melanggar pokok di tepi jalan itu. - Bernama

Khalid Abu Bakar
Tiga jenis permainan dipadam dari simulator milik juruterbang Malaysia Airlines MH370
SEPANG - Maklumat yang dipadamkan dalam simulator milik juruterbang Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak 8 Mac, Kapten Zaharie Ahmad Shah adalah data log daripada tiga jenis permainan penerbangan. Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata hasil siasatan awal mendapati data log daripada simulator itu dipercayai dipadamkan pada 3 Februari lepas. "Tiga jenis permainan dalam simulator itu adalah 'flight simulator X', 'flight simulator 9' dan 'X flight 10'," katanya pada sidang media harian mengenai perkembangan terbaharu operasi mencari dan menyelamat MH370 di sini hari ini. Sidang media itu dihadiri pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Ketua Pegawai Eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya dan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman. Simulator itu diambil pada 16 Mac lepas dari rumah Zaharie di Shah Alam untuk dibawa ke Bukit Aman dan diperiksa, dengan harapan memberi penunjuk bagi mencari pesawat itu.

Keluarga penumpang dari China buat kecohFotoFoto
Keluarga penumpang dari China buat kecoh
Keluarga mangsa dari Beijing datang ke Hotel Sama-Sama sewaktu sidang media untuk bertemu media bagi mengetahui perkembangan pencarian Pesawat MH370 di Sepang hari ini.
SEPANG - Keadaan di Hotel Sama - Sama kecoh seketika apabila sekumpulan ahli keluarga penumpang dari China menyerbu bilik sidang media dengan membawa kain rentang yang tertulis "Kerajaan Malaysia sembunyikan kebenaran". Suasana menjadi tidak terkawal apabila wartawan luar negara menyerbu ahli keluarga terbabit. Salah seorang ahli keluarga mula menangis dan menjerit menyatakan rasa tidak puas hati terhadap cara kerajaan Malaysia menangani masalah kehilangan pesawat MH370. "Tolong beritahu di mana anak saya, ke mana dia pergi," kata seorang wanita warga China dalam bahasa Mandarin. Seramai 153 penumpang China yang menaiki penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac lalu. Menyedari keadaan itu, pihak berkuasa meminta ahli keluarga berkenaan bersurai dan keluar daripada bilik sidang media. Kumpulan tersebut tidak berpuas hati dengan tindakan pihak berkuasa dan terus membuat kecoh di lobi hotel berkenaan. Kejadian yang berlaku kurang setengah jam sebelum sidang media rasmi berlangsung.

MH370
Pakar IT India temui imej satelit, mungkin MH370
NEW DELHI - Seorang penganalisis IT India menemui imej satelit menunjukkan sebuah pesawat besar terbang rendah di Kepulauan Andaman pada 8 Mac, pada hari pesawat Malaysia Airlines hilang semasa dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL ke Beijing, menurut akhbar The Hindu. Anoop Madhav Yeggina, 29, percaya imej itu ialah pesawat Boeing 777-200ER MAS yang membawa 239 penumpang dan anak kapal dalam penerbangan MH370, lapor akhbar itu. Pakar IT itu ialah antara beribu-ribu orang dari seluruh dunia yang melibatkan diri dalam projek 'crowdsourcing' iaitu khidmat luar kumpulan yang berusaha mengesan kapal terbang berkenaan yang telah melencong dari laluannya ke arah Lautan Hindi selepas menutup semua hubungan komunikasi ketika terbang merentasi Laut China Selatan. Khidmat luar kumpulan ini merujuk kepada usaha mendapatkan maklumat atau input bagi sesuatu tugas atau projek dengan menyenaraikan perkhidmatan sejumlah individu, sama ada dibayar atau tidak, biasanya melalui Internet. The Hindu melaporkan bahawa Anoop telah meneliti sejumlah imej dari DigitalGlobe Satellite QB02 sejak beberapa hari lalu sehingga beliau terjumpa imej yang benar-benar membuatkannya terkejut. Beliau memuat naik 'penemuannya' bersama penulisan yang menjelaskan perkara itu kepada laman web CNN pada 14 Mac dan sejak itu ia menerima lebih 16,000 pengunjung yang melihatnya dan komen daripada mereka. “Saya yakin imej itu ialah pesawat yang hilang berkenaan atas pelbagai sebab. Satu daripada penunjuknya ialah imej itu dilihat hanya berada di atas sedikit daripada kawasan hutan dan begitu hampir dengan landasan kapal terbang Shibpur Kepulauan Andaman. "Landasan kapal terbang itu digunakan secara eksklusif oleh angkatan tentera dan tidak memberikan kebenaran kepada pesawat awam berada di kawasan itu. "Jika diamati secara teliti terhadap imej itu, akan menunjukkan ia terbang begitu rendah sehinggakan awan berada di atasnya, yang menunjukkan ia dilakukan untuk mengelak daripada dikesan radar. "Yang paling penting ialah ukuran skala standard dan warna pesawat yang hilang itu berpadanan dengan imej kapal terbanag berkenaan," beliau dipetik sebagai berkata demikian dalam laporan The Hindu itu. Anoop mendoakan keselamatan penumpang dan merayu kepada mereka yang pakar dalam IT sesebuah pesawat supaya menyiasat lebih lanjut imej itu bagi mengesan kedudukan pesawat berkenaan, menurut laporan itu. Bagaimanapun, Mapbox, sebuah syarikat yang menyediakan imej satelit untuk orang ramai membantu dalam pencarian MH370 itu telah menyangkal penemuan berkenaan dengan berkata ia berdasarkan data lama, menurut portal berita 3News New Zealand. Ketua Saintis Mapbox Bruno Sánchez-Andrade Nuño mengesahkan dalam Twitter bahawa pesawat itu milik penjaga tapak liputan mereka, menurut 3News. Itu hanya merupakan satu daripada pelbagai perkara mengelirukan yang ditimbulkan dan kemudian ditolak kebenarannya dalam misi mencari pesawat itu, beliau dipetik sebagai berkata demikian oleh 3News. Tompokan minyak dan kononnya penemuan bahagian pesawat dalam gambar-gambar satelit telah terbukti semuanya penunjuk yang tidak benar, menurut portal berita itu. - Bernama

Hishamuddin Tun Hussein
Hishammuddin jawab dakwaan lima 'airport haram'
Hishamuddin Tun Hussein bersama (kiri) Dato' Seri Zulkifli Mohd Zin pada sidang media berkaitan pesawat MH370 yang dilaporkan hilang pada lima hari lalu. 
SEPANG - Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein menyangkal dakwaan lima lapangan terbang haram yang terdapat dalam program simulasi milik juruterbang MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah ada hubungkait dengan kehilangan MH370. "Tidak timbul isu sebegini dalam siasatan MH370, pihak polis sepatutnya sudah boleh mendedahkan perkara ini kepada umum bagi mengelakkan kecelaruan dan percanggahan pendapat oleh mana-mana pihak," katanya pada sidang media di Hotel Sama-sama di sini, semalam. Pada 16 Mac lalu, pihak polis telah menyerbu rumah Zaharie selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat pengesahan pesawat itu menukar haluannya dengan sengaja. Pihak polis memeriksa program simulasi milik juruterbang itu untuk menyiasat dan mengetahui dengan lebih lanjut tentang koordinasi penerbangan beliau. Semalam, media tempatan melaporkan, hasil pemeriksaan polis mendapati, terdapat lima lapangan terbang terbiar berada dalam latihan simulator juruterbang terbabit. Tambah Hishammuddin, "adalah perkara biasa bagi seorang juruterbang memiliki program simulasi di rumah, tak perlu buat sebarang andaian tidak berasas. "Ia hanya akan memburukkan keadaan," katanya.

Gambar enam kanak-kanak jadi tanda tanya
Gambar enam kanak-kanak jadi tanda tanya
MUADZAM SHAH – Sekeping gambar yang ditemui bersama seorang lelaki yang maut dilanggar bas ekspres di di kilometer 144 Jalan Kuantan – Segamat pada 9 Mac yang lalu menimbulkan persoalan kepada pihak berkuasa. Akibat tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri ketika keluar bersendirian, sehingga menyukarkan pihak polis untuk mencari atau menghubungi waris kerana ketika kejadian hanya sekeping gambar enam kanak-kanak berkenaan yang ada dalam simpanan mangsa. Walau bagaimanapun jenazah telah diserahkan kepada Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) dan telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Muadzam Shah, kelmarin. Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superitendan Johari Jaya memberitahu, ketika kejadian menimpa lelaki malang tersebut, bas ekspres datang dari arah Segamat menuju ke Kuantan dengan 12 orang penumpang. “Punca kemalangan dipercayai, mangsa berjalan kaki di tengah jalan di laluan bas. Cuaca berkabus tebal serta gelap dan pemandu bas tidak nampak mangsa. “Mangsa tercampak danjatuh ke dalam longkang. Mayat dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk proses bedah siasat dan hasil bedah siasat mengesahkan mangsa kurang siuman. “Mangsa memakai baju kemeja lengan panjang warna merah berpetak dengan seluar panjang warna hitam. Ada tasbih di leher mangsa dan dua helai kain pelekat lusuh dibalut di dada,” katanya. Kepada sesiapa yang kehilangan waris seperti yang digambarkan atau mengenali kanak-kanak yang terdapat dalam gambar diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Sub Inspektor Md Noor Othman di talian 019-9122011 atau Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin, 09-4145222.

Cuba hargai Malaysia undi tentang AS
KUALA LUMPUR - Kerajaan Cuba mengulangi setinggi-tinggi penghargaannya terhadap kerajaan Malaysia kerana menyokong usul negara itu berhubung sekatan Amerika Syarikat di Perhimpunan Agung ke-68 Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini. "Saya melahirkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia kerana menyokong kami," kata Setiausaha Ketiga (Hal Ehwal Politik dan Konsular) kedutaan Cuba di Malaysia, Yanila Reyes Paret kepada Bernama selepas melawat Ibu pejabat Pertubuhan Berita Nasional Malaysia itu di Wisma Bernama, di sini hari ini. Dalam lawatannya, beliau bertemu pengurus besar Bernama Datuk Yong Soo Heong dan ketua pengarang Datuk Zulkefli Salleh. Usul itu bertajuk 'Keperluan menamatkan Sekatan Ekonomi, Perdagangan dan Kewangan Terhadap Cuba' bertujuan menghapuskan sekatan selama 50 tahun oleh Amerika terhadap negara itu. Pada 29 Oktober, Perhimpunan Agung PBB meluluskan usul dengan 188 undi ke atas usul ini yang menyatakan antara lain, bahawa penderitaan kemanusiaan akibat sekatan itu tidak terkira, dengan 76 peratus daripada rakyat Cuba tinggal di bawah kesan getir sejak hari mereka dilahirkan". Ketika ditanya mengenai kehilangan Penerbangan MH370, Paret berkata kerajaan Malaysia telah melakukan segala usaha bagi mengesan pesawat berkenaan. "Kerajaan Malaysia telah melakukan segala usaha dan rakyat Malaysia mesti yakin dengan kerajaan mereka," katanya. Pesawat Boeing 777-200ER dalam penerbangan ke Beijing dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 pagi 8 Mac lalu. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. Usaha mencari dan menyelamat Penerbangan MH370 yang disertai pelbagai negara setakat ini masih belum berhasil. - Bernama

Punca kematian penunjuk perasaan didedah
KAHERAH - MESIR. Badan hak asasi manusia Mesir mendedahkan pasukan keselamatan dan elemen bersenjata menjadi punca kematian ratusan penunjuk perasaan selepas bekas Presiden Mohammed Mursi digulingkan, tahun lalu. Laporan yang dikeluarkan Majlis Kebangsaan untuk Hak Asasi Manusia menunjukkan 632 orang termasuk lapan anggota polis terkorban apabila pasukan keselamatan menggunakan tindakan kekerasan ke atas mereka. "Kebanyakan penunjuk perasaan tidak dapat menyelamatkan diri ketika pertempuran tercetus antara kumpulan bersenjata dan anggota keselamatan di Kaherah," jelas laporan itu. Sementara itu menurut Press TV, sebuah kumpulan hak asasi mendakwa pasukan keselamatan tidak memberi peluang kepada penyokong pro-Mursi untuk bersurai sehingga menyebabkan mereka menjadi mangsa dalam insiden keganasan tersebut.

Dana Maybank RM1b untuk PKS
Dana Maybank RM1b untuk PKS
Dari kiri: Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank Hamirullah Boorhan, Hong Tat, Wan Azhar dan Naib Presiden Eksekutif Pembangunan Perniagaan CGC, Kristine Ng.
MALAYAN Banking Bhd (Maybank) memperuntukkan pembiayaan sebanyak RM1 bilion kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera di bawah Skim Jaminan Portfolio (PG) yang diperkenalkan bank itu. Ketua Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Datuk Lim Hong Tat berkata, di bawah skim PG, pemohon layak mendapat pembiayaan minimum sebanyak RM50,000 hingga RM1.5 juta dengan jaminan sehingga 80 peratus daripada Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC). “Perjanjian yang ditandatangani bersama CGC ini akan memberi manfaat besar kepada PKS Bumiputera untuk lebih berdaya saing dan mengembangkan lagi perusahaan mereka. “Ia juga membolehkan Maybank membantu PKS Bumiputera bukan sahaja di bandar, tetapi di pinggir bandar dan luar bandar,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman antara Maybank dengan CGC dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia dengan CGC di Kuala Lumpur, semalam. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Datuk Wan Azhar Wan Ahmad berkata, 1,000 PKS Bumiputera dijangka menerima manfaat skim PG. “Maybank turut bersetuju kurangkan kos pinjaman untuk bantu PKS Bumiputera. “Di bawah skim ini juga segala urusan terutama melibatkan proses permohonan dan kelulusan pembiayaan akan menjadi lebih cepat dan mudah,” katanya. Selain itu, CGC akan menawarkan dana RM2.7 bilion tahun ini kepada PKS dalam empat segmen utama iaitu perniagaan baru, usahawan Bumiputera dan pertumbuhan baru.

thailand
Thailand tamat darurat
BANGKOK - Kerajaan Thailand, semalam memutuskan untuk menamatkan perintah darurat yang dikuatkuasakan di sini dan kawasan sekitarnya sejak hampir dua bulan lalu. Menurut AFP, kabinet menarik balik perintah tersebut berikut penurunan mendadak jumlah penunjuk perasaan antikerajaan yang menyertai protes Bangkok Shutdown di sekitar ibu negara. Susulan daripada keputusan itu, Setiausaha Agung Perdana Menteri sementara Yingluck Shinawatra memaklumkan undang-undang khas, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akan menggantikan perintah tersebut bermula hari ini. "Ia akan berkuatkuasa sehingga 30 April depan. Di bawah peraturan tersebut, pihak berkuasa masih diberi kuasa untuk menghalang tunjuk perasaan selain mereka boleh menggunakan teknik kawalan rusuhan bagi menjaga keselamatan,"kata Suranand Vejjajiva. Difahamkan, penarikan semula perintah darurat itu juga bertujuan untuk memulihkan semula iklim ekonomi dan persekitaran perniagaan terutamanya sektor pelancongan yang terjejas sejak beberapa bulan lalu. Krisis politik yang meruncing di negara itu telah meragut 23 nyawa manakala ratusan lagi cedera sejak November lalu.

No comments:

Post a Comment