Monday, March 24, 2014

Berita Terkini 24 Mac 2014

Juru foto tempatan lakukan kejutan
Juru foto tempatan lakukan kejutan
Gambar yang menempatkan nama Muhamad Saleh sebaris juru gambar antarabangsa lain
KOTA BHARU- Hanya kerana sekeping gambar, namanya kini sebaris juru foto antarabangsa lain selepas dinobatkan sebagai pemenang ketiga Anugerah Fotografi Antarabangsa Hamdan (HIPA), Dubai baru-baru ini. Muhamad Saleh Dollah, 40, tidak pernah menyangka percubaan pertamanya menghantar gambar untuk menyertai pertandingan itu tahun lalu berhasil apabila idea dan kreativiti yang diaplikasikan berjaya menyaingi peserta dari seluruh pelosok dunia. “Mungkin ini rezeki saya, tidak ada persiapan dilakukan, hanya hantar gambar sedia ada yang diambil dua tahun lalu, dengan ambil kira tema ditetapkan, iaitu ‘mencipta masa depan’. Malah, proses penghantaran gambar dibuat melalui laman web anugerah itu juga dilakukan saat akhir, kira-kira enam jam sebelum penyertaan ditutup,” katanya kepada Sinar Harian, semalam. Muhamad Saleh yang lebih dikenali sebagai Abe Less Classictouch Full berkata, beliau merupakan peserta pertama dari Malaysia yang menyertai anugerah itu sejak diperkenalkan pada 2011. Mempertaruhkan gambar warga emas sedang mencari cucunya yang hilang di Pantai Mek Mas, PCB, dengan bertemankan pelita, Muhamad Saleh tidak menyangka ia mampu menarik perhatian juri sehingga melayakkan beliau menangi sebuah trofi dan wang tunai USD6,000 (RM20,000). Pemilik kedai gambar Classictouch Studio ini berkata, bukan kamera yang menentukan kualiti atau menariknya sesuatu gambar sebaliknya objek di sebalik alat tersebut. “Saya tidak gunakan kamera yang mahal kerana pada saya itu bukan syarat dalam mendapatkan foto terbaik,” katanya yang merancang menggunakan sebahagian wang hadiah untuk tujuan pengembaraan dalam mendapatkan gambar-gambar lebih menarik. Menurutnya, mendapat tunjuk ajar daripada abang ipar, Rosdi Ab Hamid yang juga pemilik kedai gambar terkemuka di negeri ini, Rosdi Foto, dan kakaknya, Hanisah Dollah banyak bantu mematangkan dirinya dalam dunia fotografi. HIPA merupakan anugerah fotografi antarabangsa terkenal, yang dilancarkan pada tahun 2011 di bawah naungan Sheikh Hamdan Mohammed Bin Rashid Al Maktoum, Putera Mahkota Dubai, dan terbuka kepada jurugambar tempatan dan antarabangsa, bertujuan mencerminkan komitmen Dubai ke arah pembangunan seni dan budaya di UAE.

Buruh dituduh rogol anak tiri sejak usia 10 tahun
KUALA TERENGGANU- Seorang buruh yang beristeri dua dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Kuala Terengganu, semalam atas pertuduhan merogol anak tirinya sendiri yang masih di bawah umur. Buruh berkenaan yang berusia 38 tahun, berdepan dengan empat pertuduhan merogol anak tirinya itu sejak berusia 10 tahun. Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada 12 Disember 2013, kira-kira jam 4.30 petang bertempat di sebuah pondok di Kuala Berang. Ketika kejadian, mangsa berusia 10 tahun 5 bulan. Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa mengulangi perbuatan yang sama pada 17 Januari lalu, kira-kira jam 5 petang, di sebuah pondok di Kuala Berang. Bagi pertuduhan ketiga, pada 6 Februari lalu, kira-kira jam 3 pagi bertempat di sebuah rumah di Kuala Berang, tertuduh sekali lagi didakwa telah merogol anak tirinya itu manakala bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa melakukan perbuatan yang sama pada 28 Februari lalu, kira-kira jam 3 petang bertempat di dalam sebuah kereta di Kuala Berang. Dengan itu, tertuduh didakwa telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan bagi setiap pertuduhan. Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan penjara selama tidak kurang dari 8 tahun dan tidak lebih dari 30 tahun serta boleh dikenakan sebat tidak kurang dari 10 sebatan bagi setiap pertuduhan itu. Tertuduh bagaimanapun tidak mengaku bersalah sewaktu pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris dan mohon dibicarakan. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa raya, Nazlyza Mohamad Nazri Hakim Wan Fadhilah Nor kemudiannya menetapkan 24 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM27,000. Bagaimanapun, beliau mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi kes berkenaan.

Rebah di tempat kenduri
Rebah di tempat kenduri
Ahli CRC sempat menziarahi jenazah arwah di Unit Forensik Hospital Dungun.
PAKA – “Ketika berada di tepi kereta, dia mengurut dadanya sebelum tiba-tiba rebah,” kata Mohd Ainudin Kamal, 14, anak kepada Kamal Ismail, 46, yang rebah sebelum meninggal dunia ketika menghadiri kenduri di rumah jirannya, dekat sini, tengah hari kelmarin. Kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu dipercayai berlaku ketika arwah yang juga ahli Community Recreation Club (CRC) Paka bersama Mohd Ainudin menghadiri kenduri kesyukuran di rumah jirannya. Menurut Mohd Ainudin, arwah bapanya sebelum ini dikatakan sihat dan sempat menikmati hidangan di tempat kenduri itu. Bagaimanapun, selepas bertemu beberapa rakan sebaik selesai makan, arwah mengajaknya pulang ke rumah dan ketika menghampiri keretanya, bapanya itu dikatakan tiba-tiba mengadu sakit dada. “Sebaik rebah, saya minta tolong orang yang berada di tempat kenduri itu untuk mengangkat bapa saya. “Kami membawanya ke klinik namun dia gagal diselamatkan,” katanya yang masih trauma dengan kejadian itu. Mangsa yang dikejarkan ke Klinik Kesihatan Paka untuk mendapatkan rawatan bagaimanapun disahkan meninggal dunia. Mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun dan hasil bedah siasat mendapati kematian mangsa akibat serangan jantung. Ketua Polis Daerah, Pemangku Superintendan Ahmad Zailani Yaacub mengesahkan kes terbabit.

Remaja hilang ditemui selamat
Remaja hilang ditemui selamat
JASIN - Seorang remaja, Athirah Roshelmy, 16, yang hilang sejak empat hari lalu ditemui dalam keadaan selamat berhampiran Pejabat Fama Merlimau di sini, awal pagi semalam. Bapanya, Roshelmy Md Sharif, 42, berkata, anak sulung daripada lima beradik itu ditemui sekumpulan anggota rukun tetangga di kawasan berkenaan dalam keadaan tidak bermaya bersama basikalnya sebelum dibawa ke Balai Polis Merlimau, di sini kira-kira jam 3 pagi. Menurutnya, dia dimaklumkan mengenai penemuan anaknya itu selepas anggota polis ke rumahnya pagi semalam, sebelum dia dan isteri bergegas ke balai polis untuk menjemput anaknya. “Alhamdulillah saya bersyukur Athirah ditemui dengan selamat walaupun ketika ditemui keadaannya lemah kerana demam dan tidak makan sejak keluar dari rumah Khamis lalu. “Pemeriksaan kesihatan turut dilakukan dan syukur tiada kejadian tidak diingini menimpanya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Roshelmy berkata, selepas keluar dari rumah Khamis lalu, anaknya bersembunyi di bawah jambatan di Sungai Rambai dan sejak itu dia tidak menjamah sebarang makanan kerana tidak mempunyai wang. "Sebelum ditemui Athirah dalam perjalanan pulang ke rumah dengan mengayuh basikal, namun disebabkan tidak makan dan demam dia berhenti di lokasi berkenaan sebelum ditemui ahli rukun tetangga. “Saya percaya Athirah melarikan diri dari rumah selepas tertekan dengan keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diperoleh," katanya. Sinar Harian semalam, melaporkan seorang remaja hilang selepas keluar rumah dengan menunggang basikal dan kali terakhir dilihat di kawasan Masjid Merlimau Pasir kira-kira 7.20 pagi Khamis lalu.

Warga asing kaut untung mudah
Warga asing kaut untung mudah
Salah satu kedai warga asing yang beroperasi di sekitar kawasan ini.
SUNGAI BULOH - Lambakan kedai runcit di sekitar kawasan Kampung Baru Sungai Buloh yang dimonopoli warga asing menimbulkan rasa kurang senang penduduk tempatan di sini. Tinjauan Sinar Harian mendapati, kebanyakan kedai runcit itu diusahakan oleh warga asing bagi mendapatkan keuntungan dengan cara mudah. Salah seorang penduduk, Kumaran Devan Marimuthoo, 33, berkata, kedai yang diusahakan warga asing ini sering dikunjungi pelanggan dari negara mereka sendiri. “Kedai warga tempatan juga dah kurang dapat sambutan kerana kebanyakan warga asing akan pergi ke kedai ini. "Barang yang dijual mereka juga biasanya jauh lebih murah berbanding di kedai orang kita," katanya. Menurut Kumaran, walaupun harga diletakkan murah, tetapi kualiti barangan diragui. Dalam pada itu, Lin Ah Lin, 62, berkata, pertambahan kedai runcit yang diusahakan warga asing ini perlu diberikan perhatian kerana ia memberi impak negatif kepada penduduk setempat. “Mereka berniaga guna lesen peniaga tempatan dan ia menyebabkan pihak berkuasa susah nak ambil tindakan," katanya. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Keamanan Kampung (JKKK) Baru Sungai Buloh, Hoo Sook Wan berkata, pihaknya juga percaya ada segelintir peniaga tempatan yang menyewakan kedai mereka kepada warga asing dalam diam. Menurut Sook Wan, tindakan perlu diambil ke atas golongan ini kerana makin lama mereka dilihat makin melampau. “Ada peniaga tempatan yang cuba ambil kesempatan dengan menyewakan kedai antara RM2,000 hingga RM5,000 mengikut keluasan,” katanya. Tambahnya, Jabatan Imigresen dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) perlu menjalankan operasi secara bersepadu bagi membolehkan tindakan diambil bagi menghalang pertambahan gerai di sini. "Dah banyak aduan dibuat, tapi tak ada perubahan. “Kita tahu ada peniaga tempatan ambil sewa dari warga asing, tapi kami sedang kumpul bukti bagi membolehkan tindakan diambil,” katanya.

Sekatan akses Twitter akan ditarik balik, Turki
ANKARA - TURKI. Presiden Turki Abdullah Gul, semalam memberi jaminan kerajaan akan menarik balik sekatan akses Twitter yang telah mencetuskan kritikan masyarakat antarabangsa. Abdullah menyatakan tindakan menutup internet dan platform seperti Twitter adalah tidak munasabah dari segi undang-undang. "Saya percaya masalah tersebut akan diselesaikan tidak lama lagi. Sekatan seumpama itu sememangnya memberi kesan kepada negara maju seperti Turki," jelasnya lagi. Kelmarin, laporan dipetik dari AFP, pejabat Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan mempertahankan tindakan mereka menyekat akses Twitter yang disifatkan sebagai 'langkah pencegahan' selepas laman blog mikro tersebut menyebarkan pautan berhubung rakaman skandal rasuah melibatkan pegawai kerajaan.

Tiga sekawan kena tipu
Tiga sekawan kena tipu
Abu Bakar (kiri), Mohd Nizam Wahab (tengah) dan Marzuki menunjukkan laporan mengenai suspek yang dibuat di Balai Polis Sungkai.
SUNGKAI - Tiga pekerja kolam ikan di Kampung Menderang, di sini, rugi setelah ditipu seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai daripada institusi perbankan, pagi Isnin lalu. Mangsa, Marzuki Johari, 39, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Rosli dari sebuah bank di Tapah datang ke warung berhampiran kolam ikan dijaganya mahu berbincang mengenai urusan kerja. "Pada mulanya, suspek beritahu mahu buat aktiviti di kolam tempat saya bekerja dan setelah berbincang mengenainya, dia mula bercerita mengenai tender penjualan motosikal yang akan dikeluarkan di Tapah tidak lama lagi. "Dia bercakap secara terperinci mengenai proses mendapatkan motosikal lelong itu dan membuatkannya kami percaya," katanya. Menurutnya, suspek juga turun berjanji akan mendapatkan motosikal yang mereka mahukan dengan segera namun perlu membayar sejumlah wang sebagai cagaran. "Saya membayar sebanyak RM250 sebagai deposit mendapatkan motosikal Yamaha LC, manakala dua rakan masing-masing memberi cagaran RM180 bagi motosikal Honda Ex5 pada hari sama," katanya. Sementara itu, seorang lagi mangsa, Abu Bakar Tan, 53, berkata, selepas menyerahkan keseluruhan wang cagaran sebanyak RM610, suspek memberitahu mereka boleh mendapatkan motosikal itu pada petang hari yang sama. "Kami membuat keputusan menghubunginya setelah menunggu pada petang dijanjikan bagi mendapatkan perkembangan, namun panggilan yang dibuat tidak berjawab sebelum talian dimatikan. “Ketika itu, kami sudah tidak sedap hati dan pada keesokan harinya kami nekad ke bank tempat suspek itu bekerja. Kami dimaklumkan suspek tidak bekerja di bank terbabit, namun ada seorang pekerja dipecat tidak lama dahulu," katanya. Menyedari ditipu, tiga sekawan itu membuat laporan di Balai Polis Sungkai bagi mengelakkan lebih ramai lagi yang menjadi mangsa penipuan suspek.

Mas (Malaysia Airlines)
Penerbangan MAS ke Seoul dilencong ke HK
KUALA LUMPUR - Malaysia Airlines (MAS) hari ini mengesahkan pesawat MH006 syarikat penerbangan itu dari Kuala Lumpur ke Incheon, Seoul, malam tadi, dilencongkan ke Hong Kong ekoran generator kapal terbang yang tidak berfungsi. Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Pengurus Perhubungan Awam Media MAS Kharunnisak Dzun Nurin berkata pesawat Airbus A330-300 itu selamat mendarat di Hong Kong. "Bekalan tenaga biasa terus dibekalkan menggunakan unit Kuasa Bantu dan kapal terbang itu kemudian dilencongkan ke Hong Kong untuk pembaikan dan mendarat dengan selamat," katanya. MH066 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 11.37 malam dan dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon pada 6.50 pagi waktu tempatan (5.50 pagi waktu Malaysia). Beliau berkata kesemua 271 penumpang dari MH066 dipindahkan ke penerbangan lain. "Penerbangan balik MH067 dari Incheon ke Kuala Lumpur dibatalkan dan penumpang dipindahkan ke pesawat lain di samping penerbangan berikutnya oleh Malaysia Airlines ke Kuala Lumpur," katanya. - Bernama

Ambil iktibar nahas Air France
Ambil iktibar nahas Air France
Serpihan besar pesawat Air France ditemui di permukaan laut
USAHA mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MAS MH370 yang memasuki hari ke-16 semalam, masih tidak memberi apa-apa petunjuk sekali gus mengingatkan kejadian hampir serupa berlaku kepada Pesawat Airbus A330-200 Air France yang hilang pada 1 Jun 2009. Namun, kotak hitamnya ditemui hanya selepas dua tahun oleh Biro Penyiasatan dan Analisis Perancis (BEA). BEA mengumumkan mereka berjaya menemui serpihan besar bangkai pesawat itu pada 3 April 2011, seterusnya mengarahkan beberapa kapal tenteranya mencari kotak hitam Airbus di dasar lautan dengan teknologi dimiliki. Ketika itu, Perancis menghantar dua kapal selam mini yang boleh beroperasi sedalam 6,000 meter di Lautan Atlantik bagi mengesan kotak hitam. Empat kapal Tentera Laut Brazil dengan kelengkapan menyelamat dikerah ke kawasan laut sepanjang lima kilometer di mana beberapa serpihan pesawat ditemui oleh Tentera Udara Brazil. Antara serpihan yang ditemui pada kedalaman antara 3,800 hingga 4,000 meter ialah badan pesawat, enjin, sayap, gear pendaratan, kotak hitam dan 104 rangka manusia. Kotak hitam itu ditemui dalam keadaan baik dan datanya masih boleh dibaca namun mengambil masa berbulan-bulan untuk dianalisa. Pada 5 Julai 2012, BEA mengeluarkan laporan siasatan lengkap kotak hitam itu. Laporan berkenaan menyebut, kristal ais telah menyekat peralatan mengukur kelajuan sehingga menyebabkan sistem pemanduan automatik tidak berfungsi. Kegagalan juruterbang bertindak pantas untuk mengambil alih pemanduan pesawat secara manual, menyebabkan pesawat terhempas di laut dengan kelajuan 280 kilometer (km) sejam dan berkecai. Tragedi itu berlaku slepas empat jam pesawat berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Rio de Janeiro, Brazil jam 7.03 petang waktu tempatan pada 31 Mei 2009 menuju ke Lapangan Terbang Paris yang memakan masa 11 jam penerbangan. Ia hilang dari radar Brazil di Lautan Atlantik tidak lama selepas menghantar pesanan rutin pada jam 1.33 pagi, 1 Jun 2009. Tragedi menyebabkan 228 anak kapal dan penumpangnya maut. Jet itu hilang di laluan antara Amerika Selatan dan Afrika, di kawasan yang dikenali kerap dilanda ribut tropika. Pada 6 Jun 2009, cebisan rangka kapal terbang serta dua mayat ditemui di Lautan Atlantik, 680 kilometer di timur laut Kepulauan Fernando de Noronha di utara Brazil. Pada 27 Jun iaitu hari ke-25, pasukan tentera Brazil menamatkan operasi SAR dengan jumlah mayat ditemui kekal 50 dan 640 serpihan pesawat, menjadikan keseluruhan 154 mayat. Manakala, 74 mayat gagal ditemui. Selepas tempoh 30 hari, kotak hitam tidak lagi mengeluarkan isyarat dan ia dipercayai tenggelam ke dalam rabung dengan anggaran kedalaman kira-kira 4,700 meter. Justeru, penemuan kotak hitam adalah penting untuk mengetahui secara tepat apa sebenarnya berlaku kepada pesawat yang mengalami kemalangan tidak kira cepat ditemui ataupun memakan tempoh hingga bertahun kerana ketahanannya membolehkan ia masih boleh dibaca.

Masih boleh dicari jika bateri habis
Masih boleh dicari jika bateri habis
Kotak hitam merekod situasi penerbangan serta mengukur kestabilan pesawat.
SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kotak hitam masih boleh dicari walaupun tiada isyarat dipancarkan selepas kehabisan bateri. Pakar teknologi penerbangan udara, Ir Abu Hanifah Abdullah berkata, kapal tertentu yang mempunyai kepakaran mengesan kotak hitam tetap boleh menemui peralatan itu berdasarkan cirinya yang tahan lasak dan tidak mudah rosak. “Pencarian kotak hitam dibuat berdasarkan isyarat dipancarkan. Jika kehabisan bateri, kotak hitam yang berwarna oren memudahkan kapal yang mencarinya. “Selain itu, rekaan kotak hitam sudah mengambil kira keadaan terburuk yang akan dihadapi pesawat. Kebiasaannya, kotak hitam tidak terjejas walaupun pesawat mengalami kerosakan teruk akibat terhempas dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam. Ketika ditanya mengenai keupayaan kotak hitam mengeluarkan isyarat, katanya, ia bergantung kekuatan bateri. “Kekuatan bateri pula bergantung kepada pengeluar kotak hitam, tidak semestinya 30 hari,” katanya. Mengulas lanjut fungsi kotak hitam, beliau berkata, peralatan itu merekod segala aktiviti dan maklumat pesawat. “Kotak hitam terdiri daripada perakam data penerbangan dan perakam suara kokpit. Perakam data penerbangan merekod segala data berkenaan pesawat. “Perakam suara kokpit, merakam percakapan dan segala bunyi di dalam kokpit. Kedudukan kotak hitam biasanya di ekor pesawat kerana paling selamat,” katanya. Merujuk insiden kehilangan pesawat MH370, beliau berkata, apa yang penting ialah mencari pesawat terlebih dahulu. “Selepas ditentukan sama ada ia terhempas atau tidak, baharulah pencarian boleh ditumpukan kepada kotak hitam. Ini kerana, kotak hitam bukan digunakan untuk tujuan keselamatan. “Data kotak hitam digunakan bagi mengkaji faktor kemalangan pesawat berlaku. Jika kritikal, kita cari jalan halang ia berulang kepada pesawat lain,” katanya.

MH370
MH370: Australia teliti setiap petunjuk
MELBOURNE - Pencarian objek kemungkinan dari MH370 yang hilang diperluas berikutan satelit Perancis memberi petunjuk baharu, lapor agensi berita Australian Associated Press. Kementerian Pengangkutan Malaysia mengumumkan pada Ahad ia telah menerima gambar kemungkinan objek dari pesawat daripada pihak berkuasa Perancis, yang telah diserahkan kepada pihak berkuasa Australia yang mengetuai pencarian pesawat di selatan Lautan Hindi. Timbalan Perdana Menteri Australia, Warren Truss berkata lokasi imej satelit Perancis berbeza sama sekali daripada yang dikeluarkan pihak China dan Australia, yang menjadi fokus utama pencarian. Imej Perancis memfokus di kawasan kira-kira 850 kilometer utara dari kawasan pencarian sekarang, 2,500 kilometer barat daya Perth, Truss memberitahu ABC Radio pagi ini. "Ia bukan di kawasan yang telah dikenal pasti sebagai tempat paling tepat pesawat memasuki laut. "Tetapi dengan berkata begitu, kami perlu memeriksa semua pilihan. Kami hanya, saya agak, memegang kepada apa sahaja maklumat yang ada untuk cuba mencari satu tempat di mana kami mungkin boleh menumpukan usaha kami," katanya. Australia mengetuai operasi mencari kesan pesawat pada Ahad yang belum berhasil, kata Truss. Beliau turut memberi amaran tentang keadaan cuaca yang merosot di zon pencarian dan kemungkinan Taufan Tropika Gillian, yang dijangka kira-kira 1,000 kilometer utara di kawasan pencarian. "Jelas, ia tidak akan bergelora di kawasan yang kita sedang kendalikan pencarian. Tetapi sudah tentu, ia akan menyebabkan keadaan cuaca yang kurang elok," katanya. - Bernama

Pesawat India sertai misi SAR di lautan Hindi
Pesawat Tentera Laut India P8i bersama anak kapal dengan Penasihat Pertahanan India Kolonel Praveen Chhabra di Subang Airport di Malaysia semalam bagi membantu misi mencari dan menyelamat bagi mengesan MH370 yang hilang di Lautan Hindi. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Dua pesawat peninjau maritim jarak jauh India berlepas dari pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang semalam bagi menyertai misi pencarian MH370 di Lautan Hindi. Pesawat P8-I milik Tentera Laut India dan C-130J Tentera Udara India itu mampu terbang untuk tempoh yang lama selain dilengkapi peralatan elektro optronik dan peralatan penjejak infra merah yang canggih. Menurut kenyataan Suruhanjaya Tinggi India di sini semalam, pesawat P8-I turut dilengkapi radar serta peralatan khas bagi operasi mencari dan menyelamat. Selepas mendengar taklimat terperinci di Pusat Penyelarasan Penyelamat Aeronautik (ARCC) pada Sabtu, kedua-dua pesawat bertolak ke kawasan pencarian. Kenyataan itu menyebut kedua-dua pesawat tiba di sini pada 21 Mac berikutan komitmen Perdana Menteri India Manmohan Singh bagi membantu Malaysia dalam pencarian MH370. India menyertai misi pencarian itu sejak 11 Mac lepas di Laut Andaman dan Teluk Benggala dengan menggerakkan lima kapal serta enam pesawat Tentera Laut negara itu selain Pengawal Pantai India dari Markas Andaman dan Nicobarp. MH370, yang dalam penerbangan ke Beijing, China hilang daripada radar pada kira-kira 1.30 pagi 8 Mac di ruang udara antara Malaysia dan Vietnam, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang. Pesawat Boeing 777-200ER itu membawa 239 penumpang dan anak kapal. Operasi mencari dan menyelamat masuk hari ke-17, hari ini. - Bernama

MH370
Pesawat China, Jepun sertai SAR di koridor selatan
KUALA LUMPUR - Dua pesawat Ilyushin IL-76 dari China dan dua pesawat P3 Orion dari Jepun menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) MH370 di koridor selatan hari ini. Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) berkata, sejumlah 10 pesawat akan terlibat dalam pencarian mengesan objek di lokasi pencarian kira-kira 2,500km di barat daya Perth. Ini termasuk tiga pesawat awam - dua Bombardier Global Express dan sebuah Airbus, katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini. Pencarian hari ini dibahagikan kepada dua, dalam kawasan sama meliputi keluasan 68,500 kilometer persegi. AMSA mengulangi bahawa operasi mencari ini adalah mencabar. "Pesawat ini hilang sejak 8 Mac dan AMSA turut melahirkan kebimbangan mengenai nasib yang menimpa penumpang dan anak kapal yang hilang ini," katanya. Keadaan cuaca di kawasan pencarian dijangka kurang baik berikutan kemungkinan hujan. "AMSA menggunakan semua imej satelit dan maklumat yang diperoleh di kawasan pencarian. "Kedua-dua pesawat awam yang digunakan AMSA dan pesawat tentera dari Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, China dan Jepun semuanya membantu dalam operasi mencari berterusan itu untuk menyediakan peluang terbaik untuk mengesan objek yang dicerap imej satelit dengan mata kasar," katanya. AMSA berkata kapal tentera laut Australia HMAS Success turut berada di kawasan carian, manakala beberapa kapal China dalam perjalanan ke kawasan berkenaan untuk membantu mencari objek berkaitan membabitkan pesawat itu. Sementara itu, agensi berita China dalam portal berita xinhua.com berkata pesawat Angkatan Tentera Udaranya adalah pembabitan pertama negara itu dalam operasi mencari pesawat itu di selatan Lautan Hindi. Operasi mencari akan berlangsung selama satu jam meliputi kawasan seluas 400km panjang dan 30km lebar, yang mana imej satelit sebelum ini mencerap objek mencurigakan kemungkinan berkaitan pesawat yang hilang itu. "Menurut Komander Liu Dianjun, pesawat China dijangka membuat lapan jam pusingan penerbangan semasa misi itu, dengan jarak paling jauh 2,700km dari Perth," katanya. Operasi SAR MH370 beralih ke selatan Lautan Hindi selepas Australia pada Khamis berkata imej satelit kemungkinan serpihan daripada pesawat yang hilang itu ditemui di laut kira-kira 2,400km dari Perth. Pesawat Boeing 777-200ER itu yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dalam penerbangan ke Beijing, China hilang daripada radar kira-kira 1.30 tengah malam pada 8 Mac di ruang udara antara Malaysia dan Vietnam, 49 minit selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang. - Bernama

Bayi sakit gara-gara kebakaran hutan
Bayi sakit gara-gara kebakaran hutan
Fatin Nursyirah terpaksa diberi bantuan penafasan akibat sesak nafas.
JERTIH - Seorang bayi berusia lapan bulan terpaksa menerima rawatan selama beberapa hari di hospital akibat kesukaran bernafas dipercayai akibat pencemaran udara ekoran kebakaran hutan berhampiran rumahnya di Kampung Gong Kepas dekat Kampung Raja. Bapa bayi berkenaan, Mohd Azli Mustafa, 39, berkata, anak perempuannya Fatin Nursyirah dimasukkan ke wad Hospital Besut sejak Rabu lalu selepas mengalami batuk kronik dan lelah. Menurutnya, sebelum itu Fatin Nursyirah demam beberapa hari dan masalah kesihatannya mula dialami sejak berlakunya kebakaran hutan di kawasan Gong Kepas menyebabkan asap menyelubungi rumahnya yang terletak kira-kira 300 meter dari tempat kebakaran. “Masalah ini turut berlaku terhadap ramai bayi dan kanak-kanak lain yang tinggal di kawasan berkenaan dan saya percaya ia ada kaitan dengan asap dari kawasan kebakaran,” katanya. Mohd Azli berkata, pihak hospital memberitahu masalah kesihatan dihadapi anaknya disebabkan jangkitan kuman dan pencemaran udara menyebabkan gangguan di bahagian paru-paru. Menurutnya, berikutan itu dia merayu kepada orang ramai agar tidak melakukan pembakaran di kawasan tersebut kerana boleh dikatakan sepanjang musim kemarau baru-baru ini masalah kebakaran hutan di situ berlaku sepanjang masa. “Mereka kena fikir kesihatan orang ramai terutama kanak-kanak.. kini anak saya terpaksa bernafas dengan bantuan oksigen dan saya juga simpati dengan anggota bomba yang sentiasa bertungkus lumus memadam kebakaran di situ,” katanya. Bagaimanapun dia bersyukur kerana keadaan anaknya semakin pulih dan dijangka dibenarkan keluar dari hospital dalam masa terdekat. Sementara itu menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Besut, Hasmadi Jusoh, sikap tidak bertanggungjawab orang ramai yang membakar atau membuang putung rokok di kawasan tersebut amat dikesali. Menurutnya, hampir setiap hari pihaknya terpaksa memadam kebakaran di kawasan tersebut. “Kebakaran hutan itu bukan sahaja boleh menyebabkan jerebu tetapi pencemaran udara memberi kesan buruk kepada kesihatan khususnya kanak-kanak dan warga emas. “Justeru kami nasihatkan orang ramai agar jangan sesekali melakukan pembakaran terbuka pada musim panas dan membuang putung rokok di kawasan belukar,” katanya. Kata Hasmadi, sebanyak tiga lokasi kebakaran hutan berjaya dipadamkan dalam kejadian kelmarin iaitu di kawasan Paya Rawa dekat Gong Kepas, Bukit Jeruk (Jabi) dan Benting Lintang.

Mohd Bakri Zinin
Bakri Zinin: Sting, Stafoc beri impak besar
KUALA LUMPUR - Penubuhan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (Sting) dan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) dalam membanteras jenayah sehingga ke akar umbi pada awal tahun ini, dilihat memberi impak besar. Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, beberapa siri kejayaan Sting dan Stafoc dalam pembongkaran jenayah di seluruh negara, menunjukkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited membanteras jenayah didalangi sindiket yang bergerak aktif di seluruh negara. "Kewujudan Sting dan Stafoc beri impak besar kepada PDRM, pasukan ini umpama Kumpulan Elit atau Skuad yang menerima latihan dan kepakaran tertentu, yang memfokuskan kepada sindiket-sindiket yang bergerak licik untuk kita cantas mereka sehingga akar umbi. "Stafoc misalnya, kumpulan ini akan melaksanakan sesuatu misi bagi memastikan ia dapat selesaikan sesuatu kes secepat mungkin," katanya kepada pemberita di Bukit Aman di sini, baru-baru ini sempena Hari Polis ke-207 yang disambut pada 25 Mac. Beliau berkata begitu juga Sting, yang mana kumpulan ini akan membongkar sehingga ke akar umbi sindiket yang bergerak licik dalam pengedaran dadah di negara ini. Stafoc berkuat kuasa 1 Jan lepas, ditubuhkan bagi menangani dan menguruskan kes-kes jenayah berat, gengsterisme, perjudian, pelacuran dan pemerdagangan manusia. Sting pula dilancarkan pada 30 Januari lepas berperanan mengenal pasti 'kawasan hitam' pengedaran dadah termasuk melibatkan kongsi gelap serta operasi menyekat kemasukan dadah di lapangan terbang, laluan darat dan laut. Mengulas mengenai cabaran dihadapi PDRM ketika ini, Mohd Bakri berkata jenayah siber antara yang menjadi fokus utama pasukan keselamatan itu. "Kita lihat dari sudut jenayah siber, keperluan untuk tingkatkan kekuatan kita untuk menjalankan tugas...dapatkan kepakaran tertentu supaya kita dapat bawa kes sedemikian ke mahkamah. Ini penting bagi kami," katanya. Katanya bagi memenuhi keperluan itu, pakar dalam bidang tertentu dari luar negara mengajar pegawai polis di negara ini atau pegawai polis di sini dihantar berkursus di luar negara bagi mempelajari bidang tertentu termasuk aspek siasatan berkaitan jenayah siber. Menyentuh mengenai kerjasama PDRM dengan persatuan berkaitan bagi memantapkan lagi pasukan itu, Mohd Bakri berkata PDRM menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak, misalnya dengan Majlis Profesor Negara (MPN). "MPN contohnya, kerjasama ini bertujuan bagi PDRM mendapatkan pandangan tentang keselamatan negara, berkongsi input atau idea dengan anggota majlis itu bagi mempertingkat tahap keselamatan negara. Kita setuju untuk berkolaborasi, tubuhkan kumpulan kerja untuk membincangkan aspek keselamatan dan kepolisan. Mohd Bakri berkata pihaknya juga berharap agar dapat tingkatkan kolaborasi dengan agensi lain di dalam Kementerian Dalam Negeri. Sementara itu, ditanya mengenai perancangan PDRM pada masa akan datang, beliau berkata pihaknya merancang untuk mengadakan program yang dapat mendekatkan pasukan itu dengan belia di negara ini. "Kita akan cuba cari jalan untuk dekati masyarakat terutama golongan belia, kita beri mereka peluang untuk berinteraksi, meluahkan pendapat atau pandangan dan dalam masa sama kita akan beri penerangan kepada mereka tentang PDRM. Mengenai sambutan hari Polis ke-207 esok, beliau berkata ia bertemakan 'Komuniti Sejahtera Komitmen Kami'. Pelbagai aktiviti dirancang sempena sambutan itu, antaranya acara perbarisan yang dijadual dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Semarak, di sini pada 8 pagi. Pada sambutan itu juga akan diadakan Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) kepada pejuang polis era persekutuan Tanah Melayu iaitu dalam tempoh 12 Julai 1948 hingga 31 Julai 1960. - Bernama

SPRM
Seleweng dana: SPRM siasat semula kes bekas setpol
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menjalankan siasatan semula terhadap kes seorang bekas setiausaha politik bergelar 'Datuk' berhubung penyelewengan dana lebih RM1.1 juta. Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, suruhanjaya itu telah menyempurnakan siasatan kes itu, namun Jabatan Peguam Negara (AG) memberi arahan agar kekuatan kes itu dipertingkatkan bagi membolehkan ia dapat dituduh di mahkamah. "Kita telah diminta AG untuk lihat kepada perkara yang lebih dalam dan lebih jauh kes ini kerana pihak AG 'concern' mengenai perkara tersebut. "...kerana sekiranya sesuatu kes itu dibawa ke mahkamah dan akhirnya dibuang atau kalah, yang terpalit atau menjadi sasaran adalah mereka (AG) kerana seolah-olah tidak menjalankan tugas dengan betul," katanya pada taklimat bertajuk 'Berwibawakah SPRM' anjuran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di sini, hari ini. Bekas setiausaha politik yang ditahan bersama seorang pengarah yayasan, masing-masing berumur 30-an dan awal 50-an, didakwa terbabit pecah amanah wang melebihi RM1.1 juta dan penipuan melibatkan dana RM1 juta. Penyelewengan itu melibatkan tiga buah yayasan, yang tidak didaftarkan sebagai badan kebajikan atau pertubuhan, sebaliknya bergerak sebagai sebuah syarikat dengan tanggungan berhad. Kedua-dua individu terbabit memegang jawatan sebagai pengarah dan pemegang amanah yayasan-yayasan terbabit dan difahamkan wang telah dikeluarkan bertentangan dengan objektif penubuhan yayasan. Abu Kassim berkata terdapat dua kemungkinan kes itu, iaitu sama ada ia akan dituduh di mahkamah ataupun dibawa ke Jawatankuasa Penilaian Operasi yang akan memantau atau mempersoal mengapa kes itu tidak dituduh sedangkan keterangan yang cukup sudah diperoleh. "Di sini terdapat 'check and balance', dan saya yakin, arahan AG adalah untuk kebaikan SPRM semasa kes ini dibawa ke mahkamah. Saya berharap kes ini dapat diputuskan secepat mungkin," katanya. - Bernama


Kereta terbakar, pemandu hilangkan diri
GEORGETOWN - Sebuah Proton Saga hangus terbakar selepas pemandunya seorang warga asing merempuh tiang elektrik di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini malam tadi. Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Supt Ismail Idris berkata, dalam kejadian pukul 11.30 malam itu, pemandu tersebut dan rakan wanitanya menghilangkan diri sejurus kejadian itu. "Kita masih menyiasat motif mereka melarikan diri dan status kenderaan itu," katanya ketika dihubungi. Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak berkata lebih 80 peratus bahagian kereta itu didapati musnah dijilat api ketika pasukan bomba tiba pada pukul 11.37 malam. Beliau berkata enam anggota serta sebuah jentera berjaya mengawal api dalam masa 10 minit. Punca kebakaran masih disiasat. - Bernama

Hina kesultanan Johor dalam Facebook
KLUANG - Pemuda Umno Bahagian Kluang membuat laporan polis berikutan tindakan individu tidak bertanggungjawab dalam laman sosial Facebook menghina kesultanan Johor. Ketuanya, Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, tindakan pemilik laman sosial berkenaan dianggap terlalu melampau sehingga sanggup mengutuk institusi kesultanan Johor. Beliau berkata, sebagai anak Johor, pergerakannya mengutuk tindakan khianat pemilik laman sosial berkenaan. “Tindakan yang dilemparkan biadab sehingga boleh memperkotak-katikkan institusi kesultanan Johor dan sewajarnya ianya tidak berlaku walaupun laman sosial Facebook bebas mengutarakan pandangan, maklumat serta pendapat. “Setiap yang diletakkan dalam laman sosial berkenaan menyebabkan rakyat di negeri ini berasa marah dan tidak puas hati dengan tindakan individu berkenaan. “Pemilik Facebook berkenaan perlu bertanggungjawab terhadap semua hasil penulisan yang disebarkan di dalam Facebooknya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam. Khairul Anwar yang juga Pengerusi Sukarelawan Peguam (SukaGuam) mendesak agar pihak polis dan kerajaan Malaysia mengambil tindakan tegas berhubung isu menghina institusi kesultanan berkenaan. Beliau berharap kejadian itu tidak akan berulang dan tidak menolak kemungkinan perkara yang sama pernah dilakukan individu terbabit terhadap institusi kesultanan negeri lain. “Pemilik akaun Facebook dinasihatkan agar tidak memuat turun atau menulis sesuatu yang boleh menimbulkan kemarahan orang lain terutama kepada pemerintah dan institusi kesultanan. “Diharap Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dapat mengenal pasti pemilik akaun berkenaan, selain melakukan pantauan terhadap blog dan sebagainya yang memaparkan kutukan serta kritikan terhadap institusi raja atau sebagainya,” katanya.

Suspek baling al-Quran ditahan di wad psikiatri
Suspek baling al-Quran ditahan di wad psikiatri
BESUT - Lelaki yang diberkas selepas disyaki membaling al-Quran di dua masjid di daerah ini pada 4 Mac lalu kini ditahan di wad pesakit psikiatri, Hospital Besar Kota Bharu Kelantan. Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek berusia 27 tahun dari Kampung Keluang, di sini itu ditahan di hospital tersebut selama sebulan untuk pemeriksaan lanjut. Menurutnya, keputusan untuk mendakwa suspek yang dipercayai membaling naskhah al-Quran di Masjid Limbongan dan Masjid Nasaruddin Shah, Kampung Raja itu bergantung kepada pemeriksaan pakar perubatan psikiatri nanti. “Suspek yang sebelum itu ditahan di sini selepas diberkas pada 4 Mac lalu didakwa mengalami masalah mental dan pernah mendapat rawatan sebagai pesakit mental sebelum kejadian itu,” katanya. Dia yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di sebuah institusi pendidikan di daerah ini itu dikatakan bertindak sedemikian pada awal pagi tarikh berkenaan. Sinar Harian keluaran 5 Mac lalu menyiarkan penduduk di Kampung Limbongan dan Kampung Raja gempar apabila masjid mereka dicerobohi dan beratus-ratus naskhah al-Quran serta kitab dirosakkan selain dicampak di merata tempat.

Enggan tunduk ugutan Israel
Enggan tunduk ugutan Israel
Projek penempatan haram Yahudi menjadi halangan utama dalam perjanjian damai antara Palestin dan Israel.
RAMALLAH - PALESTIN. Pemimpin Fatah, Mahmoud Abbas menegaskan tiada perjanjian boleh dicapai bersama Israel jika Palestin tidak diiktiraf sebagai sebuah negara merdeka. Mahmoud berkata, mereka tidak akan tunduk dengan ugutan Israel walaupun tekanan semakin memuncak ketika ini. "Kami juga menolak sebarang ancaman yang bertujuan untuk menakut-nakutkan penduduk Palestin," tegasnya ketika mesyuarat tergempar bersama Jawatankuasa Pusat Fatah di Tebing Barat. Menurutnya lagi, Tel Aviv perlu mengotakan janji mereka untuk membebaskan baki tahanan Palestin dalam tempoh sembilan bulan seperti yang dipersetujui tahun lalu. Bagaimanapun, Israel sekali lagi berdolak-dalik dan enggan membebaskan kesemua tahanan terbabit melainkan Palestin bersetuju untuk menyambung semula rundingan damai selepas tarikh akhir April depan. "Jika Tel Aviv terus berdegil, kami akan mengambil tindakan mengikut norma perjanjian tersebut," katanya. Dalam perkembangan lain, laporan dipetik dari Press TV, pertempuran dilaporkan tercetus antara rejim Zionis dan penduduk Palestin di Baitulmaqdis Timur yang mengadakan bantahan mengutuk pembunuhan tiga saudara mereka di Tebing Barat. Pihak berkuasa turut melepaskan gas pemedih mata dan memberkas beberapa penunjuk perasaan di kota lama tersebut.

Pemimpin pemberontak, isteri ditahan Filipina
MANILA - FILIPINA. Ketua pemberontak komunis dan isterinya ditahan ketika operasi bersepadu, semalam. Ketua tentera Emmanuel Bautista berkata, Pengerusi Parti Komunis Filipina (CPP), Benito Tiamzon dan isterinya Wilma yang juga setiausaha agung parti itu ditangkap di wilayah tengah Cebu. “Tangkapan ini adalah kejayaan gabungan tentera dan polis dalam usaha mencapai keamanan negara,” katanya. Menurutnya, mereka ditahan seminggu sebelum ulang tahun ke-45 penubuhan sayap bersenjata Tentera Rakyat Baru, CPP pada 29 Mac. Beliau berkata, tangkapan itu dibuat berasaskan waran mahkamah. Pada 2012, kerajaan menawarkan 5.6 juta peso (RM400 ribu) kepada mana-mana individu yang dapat menangkap Benito, laporan dipetik dari dpa.

Tanah runtuh di Washington ragut tiga nyawa
Tanah runtuh di Washington ragut tiga nyawa
Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang tertimbus masih dijalankan oleh pihak berkuasa.
LOS ANGELES - AMERIKA SYARIKAT. Sekurang-kurangnya tiga terbunuh manakala lapan lagi cedera dalam kejadian tanah runtuh di bandar timur laut di Seattle. Kelmarin, jurucakap syerif memaklumkan sebanyak enam buah rumah turut musnah akibat bencana alam di bandar Oso, Washington tersebut. "Bayi berumur enam bulan adalah antara mangsa cedera parah yang kini sedang dirawat di hospital berhampiran. "Kami juga telah mengeluarkan amaran kepada penduduk sekitar kawasan itu yang terdedah dengan risiko banjir jika paras sungai Stillaguamish melimpah," kata Shari Ireton. Difahamkan, keadaan hujan lebat yang berterusan di sekitar pergunungan Cascade telah menyebabkan tanah runtuh di kawasan terbabit, laporan dipetik dari AFP.

200 rumah musnah dalam kebakaran
200 rumah musnah dalam kebakaran
Penduduk membersihkan kawasan kediaman yang musnah dalam kebakaran.
ZAMBOANGA - FILIPINA. Sekurang-kurangnya 200 rumah hangus dalam kebakaran di Barangay Canelar, malam kelmarin. Pegawai bomba berkata, kebakaran didakwa berpunca dari kebakaran di sebuah rumah di kawasan terbabit sebelum merebak ke rumah bersebelahan. “Kebakaran menyebabkan kira-kira 300 keluarga hilang tempat perlindungan. Kini mereka ditempatkan di pusat perlindungan sementara di Canelar Elementary School,” katanya. Menurutnya, siasatan awal mendapati kebakaran berpunca daripada lilin memandangkan kawasan berkenaan tidak dibekalkan dengan sumber elektrik. “Kami mengambil masa lebih sejam untuk mengawal kebakaran, sehingga kini, tiada penduduk dilaporkan cedera,” katanya. - AP


Pameran lukisan 3D di Jerman
SEORANG kanak-kanak berdiri dekat lukisan anjing laut tiga dimensi di Istana Augustusburg di Augustusburg Jumaat lalu.
AUGUSTUSBURG, Jerman - Satu pameran lukisan tiga dimensi (3D) diadakan di Istana Augustusburg di sini yang bermula pada 22 Mac sehingga 22 Jun depan. Lukisan-lukisan 3D itu dihasilkan oleh sekumpulan anggota artis Cina. Para pengunjung digalakkan untuk membuat pelbagai gaya ketika gambar mereka dirakamkan bersama lukisan tersebut. Mereka juga digalakkan untuk berkongsi gambar yang dirakamkan itu di laman sosial. Sebanyak 23 lukisan 3D dipamerkan antaranya gambar seekor anjing laut. - Agensi


PM Australia yakin lokasi misi pencarian di Lautan Hindi
Seorang juruterbang, Dave Smith (kanan) memberikan taklimat misi pencarian pesawat MH370 sebelum kapal terbang P-3K2 Orion berlepas dari sebuah pangkalan tentera dekat Perth kelmarin.
PERTH - Penemuan satu palet kayu kargo dan beberapa serpihan lain yang mungkin mempunyai kaitan dengan sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang pada 8 Mac lalu meningkatkan harapan untuk mencari kapal terbang itu. Pencarian pesawat Boeing 777-200ER itu kini pada akhirnya berada pada landasan yang betul selepas lebih dua minggu misi pencarian melibatkan beberapa buah negara menemui petunjuk yang tidak mempunyai kaitan dengan kehilangan kapal terbang berkenaan. Misi pencarian itu juga diperkukuhkan dengan penemuan imej baharu yang dikesan satelit Perancis yang menunjukkan terdapat objek terapung di lokasi pencarian kapal terbang MH370. Beberapa pegawai Australia menyatakan kayu palet bersama tali pinggang atau tali pelbagai warna dikesan kelmarin di lokasi terpencil di selatan Lautan Hindi. Kawasan pencarian itu terletak sejauh 2,500 kilometer dari barat daya Perth, Australia. "Terlalu awal untuk mengenal pasti (objek itu)," kata Perdana Menteri Australia, Tony Abbott (gambar) kepada pemberita semasa melawat Papua New Guinea. "Namun, pastinya, kami mempunyai beberapa petunjuk yang berwibawa dan terdapat peningkatan harapan yang memungkinkan kita berada pada landasan untuk menemui apa yang berlaku ke atas kapal terbang berkenaan," tambahnya. Satelit Australia dan China telah mengesan objek besar yang terapung di kawasan lokasi pencarian tersebut. Penemuan kayu palet dan tali pinggang itu dikesan dari sebuah pesawat pencarian milik New Zealand. Misi mencari pesawat MH370 di selatan Lautan Hindi itu meliputi kawasan seluas 59,000 kilometer persegi. Ekoran jarak penerbangan sejauh empat jam dari daratan, kebanyakan pesawat hanya mampu melakukan misi mencari selama dua jam di kawasan tersebut sebelum ia terpaksa berpatah balik ke daratan. Namun, sebuah pesawat mencari iaitu P3 Orion yang dilengkapi peralatan pemerhatian elektro-optik kemudian dikerah ke kawasan penemuan palet kayu dan objek seperti tali pinggang atau tali itu. Namun, pesawat tersebut hanya membuat laporan bahawa anggota-anggota mencari cuma menemui rumpai air dari paras beberapa ratus meter dari lautan tersebut. Misi mencari semalam melibatkan empat pesawat tentera dan empat kapal terbang awam. Pesawat MH370 hilang semasa ia sepatutnya melaporkan kemasukannya ke ruang udara Vietnam ketika dalam penerbangan ke Beijing, China. Sebanyak 227 penumpang dan 12 kru dilaporkan menaiki pesawat itu. - Agensi


PM Israel pertahan serangan?
PARA penyokong Hamas berhimpun bagi memperingati kematian para pemimpinnya akibat dibunuh tentera Israel di Bandar Gaza, Palestin semalam.
BAITULMUQADDIS - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu semalam menyatakan, satu serangan tentera negaranya di utara Tebing Barat kelmarin merupakan suatu tindakan yang wajar. Menurutnya, serangan itu dilakukan ke atas para pejuang Palestin yang melaku- kan serangan terhadap askar-askar Isarel dan orang awam. "Dasar kami adalah untuk memudaratkan sesiapa yang melakukan kemudaratan ke atas kami," katanya kepada Kabinet di sini. Tiga pejuang Palestin termasuk seorang pejuang pergerakan Hamas terbunuh pada awal kelmarin dalam satu kejadian tembakan di kem pelarian Jenin. Tentera Israel menyerbu kem tersebut untuk menangkap seorang pejuang Palestin, Hamza Abu Al-Haija. Namun, Hamza enggan menyerah diri. Dia kemudian melepaskan tembakan ke arah askar-askar Israel menyebabkan dua daripada mereka cedera. Askar-askar Israel turut melepaskan tembakan menyebabkan Hamza terbunuh. Hamza, 23, merupakan anak seorang ketua ketenteraan Hamas, Jamal Abu Aleija di Tebing Barat. Jamal kini berada di sebuah penjara di Israel kerana menjalani hukuman penjara seumur hidup. - dpa


Jurusolek lelaki jerat wanita obses pada kecantikan
NURLIZAWATI (kiri) dan Azura menunjukkan laporan polis yang dibuat ke atas suspek yang dikenali sebagai Eddy Almo di Bangi baru-baru ini.
BANGI – Lakonan seorang lelaki yang mendakwa dirinya jurusolek yang berpura-pura baik menjadi, apabila dia berjaya menjerat sekumpulan wanita yang obses menjaga kecantikan diri dengan tipu helahnya. Tidak sukar untuk lelaki yang berusia dalam lingkungan 20-an itu bagi mencairkan hati mangsanya apabila dia hanya bermodalkan air liur dalam mempengaruhi mangsa memberinya sejumlah wang kepadanya.


Dua rakan maut dirempuh MPV
DUA rakan maut selepas motosikal dinaiki dirempuh MPV di Ledang, Johor kelmarin.
LEDANG – Dua rakan maut apabila motosikal Modenas Kriss yang dinaiki mereka dirempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 27, Jalan Bukit Gambir-Gersik, di sini kelmarin. Dalam kejadian pukul 1.10 petang itu, mangsa, Mohd. Nor Haziq Ibrahim, 16, dan Mohd. Fazli Kamarudin, 22, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan anggota badan.


Mayat bayi dalam tong sampah
ROSMIATI menunjukkan mayat bayi perempuan yang ditemui di dalam tong sampah Terminal Bersepadu Selatan, Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur kelmarin.
KUALA LUMPUR – Seorang tukang cuci wanita warga Indonesia terkejut apabila menemui mayat seorang bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan di dalam tong sampah tandas awam di Terminal Bersepadu Selatan, Bandar Tasik Selatan, di sini kelmarin. Dalam kejadian pada pukul 11.30 malam itu, Rosmiati Slamet, 35, menjumpai bayi terbabit ketika sedang bertugas mencuci tandas itu pada hari kejadian.


Kehilangan MH370 paling aneh
PENGAMAL media dari serata dunia berpusat di negara ini bagi mengetahui perkembangan kehilangan pesawat MH370 yang sehingga kini terus menjadi misteri.
KUALA LUMPUR – Misteri pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu tanpa meninggalkan jejak mencetuskan kejutan bukan sahaja dalam kalangan orang awam malah lebih hebat lagi melibatkan mereka yang terlibat secara langsung dalam industri penerbangan. Beberapa pakar penerbangan berpendapat, kehilangan pesawat Boeing 777-200ER yang dilengkapi teknologi pengesanan untuk tempoh yang lama sudah mencukupi untuk dijadikan alasan kukuh bagi merombak kaedah pemantauan kapal terbang secara elektronik.


Cubaan usir askar Ukraine
Beberapa penduduk awam yang ketakutan, diiringi anggota tentera pro-Rusia ketika satu serbuan dilancarkan ke atas sebuah Pangkalan Tentera Udara Ukraine di bandar Belbek, Crimea, berhampiran Sevastopol, kelmarin. - REUTERS
SIMFEROPOL 23 Mac - Tentera Rusia menggunakan kende­raan berperisai, senjata automatik dan bom tangan ketika menawan sebuah pangkalan Tentera Udara Ukraine di Crimea, semalam, sehari selepas wilayah itu menjadi milik Moscow. Askar Ukraine turut dilapor meninggalkan sebuah pangkalan tentera lautnya selepas diserang penunjuk perasaan pro-Rusia selain menyerahkan dua kapal perang kepada tentera Rusia. Dalam kejadian di Pangkalan Tentera Udara Belbeck, Reuters melaporkan, tentera Rusia menggunakan kenderaan berperisai untuk memusnahkan tembok sebelum bunyi tembakan dan letupan bom tangan kedengaran. Sebelum ini, tentera Rusia telah menawan lapangan terbang Belbeck dan pesawat perang ketika krisis di Crimea baru bermula. Pangkalan tentera terbabit mempunyai berek, depot simpanan senjata dan sebuah pusat kawalan. Kolonel Yuliy Mamchur yang merupakan komander pangkalan itu berkata, seorang askar Ukraine cedera dalam serangan mengejut tentera Rusia dan beliau dibawa ke lokasi rahsia untuk disoal siasat. Jelasnya, pangkalan tersebut merupakan lokasi utama simpanan senjata oleh askar Ukraine. Sementara itu, Pangkalan Tentera Laut Ukraine di Novofedorovka, dekat Sevastopol dikosongkan selepas penunjuk perasaan pro-Rusia cuba mengusir askar Ukraine yang ditempatkan di situ. Jurucakap tentera Ukraine, Vladislav Seleznyov dalam kenya­taannya berkata, tentera Rusia turut menawan sebuah kapang perang, Slavutich, yang dihalang meninggalkan pelabuhan terbabit. “Satu-satunya kapal selam Ukraine, Zaporizhya turut ditawan oleh tentera Rusia, kelmarin," jelas kenyataannya yang disiarkan melalui laman sosial Facebook. - REUTERS


Bayi kecil diselamatkan guna beg plastik sandwic
Bayi, Lucia Sansbury dilahirkan dengan berat sebanyak 453 gram sahaja dan doktor terpaksa menggunakan beg plastik bagi memastikan dia selamat. - AGENSI
LONDON 23 Mac - Seorang bayi pramatang berusia 27 minggu dan hanya seberat 453 gram, mampu terus hidup apabila doktor membalutnya menggunakan beg plastik sandwic yang diubah suai bagi mengekalkan kepanasan suhu badannya. Laman web, Mail Online melaporkan, bayi tersebut, Lucia Sans­bury dilahirkan tiga bulan awal dari tarikh kelahirannya di Hospital Royal Cornwall di sini tahun lalu dan turut memerlukan rawatan kecemasan bagi mengubati usus serta matanya. Ibunya, Emma Sansbury, 33, ber­kata, dia sememangnya tidak menjangka bayinya itu dilahirkan dalam keadaan fizikal yang sangat kecil. “Kakitangan hospital membe­ritahu kami, keadaan fizikal Lucia adalah sebesar bayi berumur 22 minggu. “Ketika dia dilahirkan menerusi pembedahan, mereka menjelaskan bayi ini hanya mempunyai 50 peratus peluang untuk hidup kerana saiznya itu, namun dia merupakan bayi yang kuat," katanya. Menurut doktor, saiz Lucia amat kecil kerana plasenta ibunya tidak berfungsi dengan baik dan terpaksa dirawat di hospital selama enam bulan sebelum dibenarkan pulang. Tambah Sansbury, dia dan suaminya mencuba proses persenyawaan tabung uji (IVF) sebanyak enam kali dalam masa tiga tahun sebelum berjaya mengandungkan anak istimewanya itu. “Saya tidak mahu melalui pro­ses itu lagi, namun selepas melihat Lucia, kami sedar segala usaha kami berbaloi," katanya.


Drone curi maklumat peribadi
Drone kawalan jauh, Snoppy yang digunakan oleh pakar keselamatan siber, Glenn Wilkinson semasa menjalankan ujian untuk mencuri maklumat peribadi pengguna telefon pintar. - AGENSI
LONDON 23 Mac - Kumpulan penggodam di Amerika Syarikat mempunyai kemampuan untuk mencuri maklumat peribadi termasuk data bank, kata laluan dan alamat rumah menggunakan alat permainan kawalan jauh drone me­lalui akses jalur lebar yang terdapat pada telefon pintar, lapor rangkaian televisyen CNN. Jelas laporan berkenaan, syarikat keselamatan teknologi, Sensepost yang berpangkalan di London menjalankan ujian baru-baru ini menggunakan drone dikenali sebagai Snoopy untuk melihat rekod jalur lebar yang pernah digunakan dalam telefon pintar. Pakar keselamatan siber syarikat itu, Glenn Wilkinson berkata, tele­fon pengguna yang terdedah kepada drone itu akan ‘menjeritkan' nama setiap rangkaian jalur lebar yang pernah digunakan. Sebagai contoh katanya, telefon akan mengeluarkan ayat ‘Anda di situ, Starbucks?’ atau ‘Anda di situ, Wi-Fi Percuma McDonald?’. “Apabila bunyi itu dikeluarkan, drone Snoopy yang berhampiran akan mengeluarkan isyarat jalur lebar palsu untuk mengelirukan sistem telefon yang secara tidak langsung berhubung dengan isyarat tersebut. “Selepas isyarat disambungkan dengan Snoopy, segala maklumat yang terdapat dalam telefon pintar akan dipintas melalui kaedah ter­tentu," katanya. Menurut Wilkinson, penggodam yang menggunakan taktik tersebut boleh melihat segala maklumat dalam telefon pintar yang diceroboh termasuk data kredit kad, nama atau kata laluan untuk laman web yang didaftar serta lokasi pemilik. “Dengan menggunakan teknologi nombor pengenalan unik yang dikenali sebagai Kawalan Akses Media (MAC), penggodam boleh berhubung menceroboh telefon pintar sebanyak 150 kali dalam tempoh sejam," jelasnya.


Iran bina replika kapal untuk propaganda
Iran dipercayai membina sebuah kapal pengangkut pesawat olok-olok menyamai USS Nimitz (kanan), milik Amerika Syarikat untuk diletupkan bagi dengan tujuan propaganda anti-Amerika.
TEHERAN 23 Mac - Iran dilapor sedang membina sebuah kapal pe­ngangkut pesawat olok-olok mirip kapal milik Amerika Syarikat (AS), USS Nimitz, dipercayai dengan tujuan digunakan dalam propaganda. Seorang pegawai tentera AS yang enggan dikenali berkata, pembinaan kapal terbabit dikesan di sebuah limbungan kapal dekat Bandar Abbas berdasarkan imej yang diperolehi daripada sebuah satelit ko­mersial. “Mereka (Iran) menggunakan kayu untuk membina kapal pe­ngangkut pesawat menyerupai USS Nimitz," katanya seperti dilaporkan Mail Online. Pegawai pentadbiran AS percaya kapal palsu itu mungkin digunakan sebagai tujuan propaganda, namun tempoh projek tersebut akan siap belum dapat dipastikan. Satu teori yang dibangkitkan mendakwa, kapal kayu berkenaan akan dibawa ke laut dan diletupkan sebagai propaganda televisyen tempatan bagi menyemarakkan sema­ngat anti-AS. Akhbar New York Times melaporkan, kapal kayu itu berukuran 335 meter panjang, sama seperti kapal pengangkut pesawat milik AS, USS Abraham Lincoln dan USS Carl Vinson dan mempunyai tanda putih di bahagian depan kapal. Jelas laporan tersebut, beberapa buah pesawat palsu turut diletakkan di atas dek kapal berkenaan. Bagaimanapun, AS tidak bimbang dengan projek terbabit kerana Iran tidak menggunakan bahan sebenar untuk membina kapal berkuasa nuklear itu.

Manfaatkan tanah wakaf melalui pembangunan hartanah
PERBADANAN Wakaf Selangor (PWS) merupakan organisasi yang pertama diperbadankan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) ditubuhkan dengan tujuan memperkasakan pengurusan wakaf di Selangor. PWS berkewajipan untuk menggalak, mendorong, membantu, mengusaha, dan memajukan harta dan produk wakaf milik MAIS selaras dengan hukum syarak. PWS diamanahkan untuk menguruskan harta tanah wakaf di Selangor yang dianggarkan bernilai RM80 juta. PWS bekerjasama dengan sebuah badan korporat iaitu Nada Sepakat Corporation (Malaysia) Sdn. Bhd. sebagai pemaju, menggabungkan sumber-sumber mereka untuk membuka nilai tanah wakaf di Selangor. Ia menjana pendapatan melalui kerjasama pintar yang akan memantapkan institusi wakaf untuk membantu memperbaiki tahap sosio-ekonomi umat Islam dan memastikan amal jariah serta pahala pewakaf berpanjangan hingga ke akhirat. Pihak-pihak yang menandatangani perjanjian akan menggunakan konsep Ijarah atau pajakan dalam pelaksanaan projek-projek pembangunan di tanah wakaf ini dan melalui konsep Ijarah, tanah untuk dibangunkan kekal menjadi hak milik MAIS dan hanya manfaatnya dipindahkan. Langkah untuk membangunkan harta tanah wakaf di Selangor adalah mengikut keperluan perubahan masa dan keadaan. Jalinan usaha sama PWS dengan Nada Sepakat yang bertujuan untuk membangunkan harta tanah wakaf secara lebih progresif dan komprehensif adalah positif di samping menjadikan wakaf sebagai suatu instrumen dalam meningkatkan tahap sosio-ekonomi umat Islam. Perkongsian sumber dan kerjasama ini juga akan menyediakan platform untuk PWS merancakkan pembangunan hartanah wakaf di Selangor. Institusi perbankan yang menyertai dan menawarkan pembiayaan kewangan mengikut penstrukturan yang sama akan memudahkan pembangunan tanah wakaf di negara ini. Dengan lebih banyak penyertaan institusi perbankan yang berkepentingan dalam pembiayaan kewangan Islam, konsep ijarah atau pajakan dalam penawaran kediaman tidak akan menjadi perkara asing lagi kepada prospek pemilik rumah. Sebaran penerangan yang luas dan kebiasaan milikan rumah di atas tanah wakaf seperti ini akan membantu perkembangan tanah wakaf. Perjanjian usaha sama pembangunan hartanah wakaf di antara PWS dan Nada Sepakat ini dijangka akan menjadi model dan pemangkin dalam pembangunan masa depan tanah wakaf di Malaysia meningkatkan ekonomi umat islam serta membantu pembangunan insan di Negara kita. PENULIS adalah Pengarah Eksekutif Nada Sepakat Corporation (Malaysia) Sdn. Bhd.


MH370: Hubungan Malaysia-China tetap kukuh
Mustapa Mohamed bersalaman dengan para hadirin selepas menyampaikan ucapan mengenai Program Penggalakan Perniagaan di Malaysia untuk tahun 2014 di Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR 20 Mac - Hubungan dagangan antara Malaysia dan China masih kukuh walaupun berlaku insiden kehilangan pesawat MH370 yang membabitkan 152 penumpang rakyat republik itu sejak 8 Mac lalu. Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, setakat tempoh dua bulan ini, tidak akan nampak sebarang perubahan terhadap hubungan kedua-dua negara. Malah jelasnya, kementerian akan sentiasa memantau hubungan yang sudah lama terjalin ini. Katanya, masih terlalu awal untuk melihat kesan hubungan dagangan dan pelaburan untuk kedua-dua negara kerana masih terlalu awal untuk menilai. "Setakat ini, saya ada dihubungi rakan sejawat dari China yang menyatakan rasa simpati berhubung insiden itu dan saya juga dihubungi rakan-rakan dari negara lain," katanya. "Selepas enam bulan, mungkin kita akan dapat tahu kesan tersebut, tetapi masih terlalu awal untuk menjangkakannya, " katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis bersama perwakilan asing dan komuniti majlis perniagaan antarabangsa di sini hari ini. Yang turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Dr. Rebecca Fatima Sta Maria.

Malaysia sebagai rujukan transaksi
KUALA LUMPUR 23 Mac - Malaysia dilihat berpotensi dijadikan rujukan undang-undang bagi transaksi kewangan Islam antarabangsa didorong kelengkapan dari segi bakat dan tenaga kerja diperlukan serta undang-undang sedia ada yang sentiasa dikemaskini dari semasa ke semasa. Pengerusi ZICOlaw, Datuk Nik Norzrul Thani berkata, negara ketika ini sememangnya antara rujukan oleh negara luar malah terdapat sesetengah negara beranggapan Malaysia adalah pelopor berikutan kajian kesnya dan keberkesanan undang-undang itu sendiri. Beliau justeru berpendapat undang-undang Malaysia seharusnya disusun dan dibukukan dengan jelas supaya dapat dijadikan dokumen rujukan utama di seluruh dunia. “Kedudukan negara sebagai teraju utama bagi negara-negara Islam dalam kesungguhan mengembangkan kewangan Islam yang mendapat sokongan daripada pelbagai pihak termasuk Bank Negara Malaysia (BNM) yang mencerminkan usahanya ke arah itu. “Ini juga dipacu komitmen BNM dalam meneruskan kepemimpinan padu mencipta inovasi bagi inisiatif merangka sesuatu baharu di samping melaksanakan dasar-dasar yang bergerak maju untuk menjadi pusat kewangan Islam unggul," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini. ZICOlaw adalah sebuah penyedia bebas rangkaian perkhidmatan bersepadu undang-undang dan perkhidmatan profesional berkaitan undang-undang. Ujarnya lagi, perbezaan antara undang-undang kewangan Islam bagi Malaysia dan negara Asia Barat hanya 90 peratus memperlihatkan jurang yang begitu sedikit. Norzrul berkata, dalam usaha pihaknya membawa negara lain ke arah mengharmonikan undang-undang kewangan Islam, beliau menyeru pihak berkaitan seperti penganalisis kewanganan Islamik di dalam negara turut serta menyumbang pandangan. “Penganalisis terlibat yang mempunyai pelbagai input tentang sesuatu isu penting pada waktu ini amat digalakkan untuk menghubungi kami, berbincang dan seterusnya mencari jalan penyelasaian terbaik," katanya.

Baling botol kaca di Balai Polis Rawang
Gombak: Tiga anggota polis yang bertugas di Balai Polis Rawang, di sini, dikejutkan dengan balingan botol kaca ke dalam pejabat ketika mereka mengambil laporan. Dalam kejadian jam 8.30 malam Selasa lalu itu, tiga anggota polis berkenaan terkejut selepas terdengar bunyi kuat dari arah pintu hadapan pejabat pertanyaan sebelum mendapati dua botol kaca dibaling seorang lelaki sebelum melarikan diri. Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Ali Ahmad berkata, siasatan mendapati cermin pejabat pertanyaan balai itu pecah akibat dibaling botol. “Hasil maklumat awam dan keterangan saksi, polis menahan seorang lelaki berusia 38 tahun di rumahnya di Rawang,” katanya ketika dihubungi semalam. Beliau berkata, siasatan awal mendapati lelaki itu mempunyai masalah gangguan mental sejak beberapa tahun lalu.

Pilu lihat mentua terbujur kaku, kemalangan hingga meragut nyawanya
Pekan: “Baru beberapa jam kami makan tengah hari bersama, namun saya menerima berita mengejutkan ibu mentua terbabit kemalangan hingga meragut nyawanya,” kata Mohd Azman Ibrahim, 42, menantu wanita warga emas yang maut dalam kemalangan di Kilometer 25, Jalan Pekan-Kuantan di sini, semalam. Kejadian jam 3 petang itu menyebabkan mangsa Zaliha Abdul Aziz, 78, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di badan selepas kereta dinaiki bersama dua anak saudaranya terbabas sebelum melanggar motosikal lalu terjunam dalam parit. Azman berkata, sebelum kejadian, arwah gembira dan bersemangat apabila dapat makan tengah hari bersama anak serta saudaranya yang pulang ke kampung di Taman Perdana, di sini, sempena cuti sekolah. Katanya, namun sebaik selesai menjamu bersama keluarga, Zaliha mahu ke Taman Sungai Isap Kuantan untuk melawat saudaranya, jam 2.30 petang. “Bagaimanapun, sejam kemudian saya menerima panggilan memaklumkan ibu mentua terbabit kemalangan. “Sebaik tiba di tempat kejadian, luluh hati melihat ibu mentua yang sebelum ini makan bersama dan sempat bergurau bersama cucunya kini terbujur kaku. “Kejadian ini memeranjatkan kami sekeluarga kerana arwah tidak menunjukkan sikap aneh, sebaliknya ceria apabila melihat anak serta saudara mengunjunginya,” katanya ketika ditemui, semalam. Menurutnya, arwah penyayang dan baik hati, malah sering melawat saudara-mara yang sakit selain suka melayani kerenah cucu terutama ketika mereka pulang sempena cuti sekolah. “Jenazah arwah akan dikebumikan di kampung halamannya di Taman Perdana selepas urusan bedah siasat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan selesai,” katanya. Penguat kuasa Bomba Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas Kuantan Rosli Daud berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu jam 3.15 petang dan tiba di lokasi 15 minit kemudian. Katanya, siasatan awal mendapati kereta Proton Saga BLM dipandu Hasmadi Abd Halim, 38, bersama dua penumpang Ishah Hamin, 60, dan Zaliha dari Pekan menghala Kuantan terbabas ke kanan lalu melanggar pembahagi jalan. “Akibat perlanggaran itu, kereta berkenaan tersasar ke kiri jalan hingga melanggar seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki Z800 sebelum kedua-dua kenderaan berkenaan terhumban dalam parit. “Kami mengambil masa 15 minit mengeluarkan semua mangsa dalam kereta yang tersempit sebelum dikejarkan ke HTAA oleh anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM),” katanya.

Ayahanda saudara Sultan Selangor mangkat
Shah Alam: Tengku Bendahara Selangor Tengku Azman Shah, 83, yang juga ayahanda saudara Sultan Selangor mangkat pada jam 2.31 petang semalam ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang. Tengku Azman adalah anakanda kepada Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah yang juga adinda kepada Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dikatakan tenat dan dirawat di HTAR sejak kelmarin. Setiausaha Dewan di-Raja Selangor Hanafisah Jais dalam satu kenyataan berkata, jenazah Almarhum Tengku Azman Shah dibawa ke Istana Alam Shah, Klang, jam 5 petang semalam. “Solat jenazah diadakan di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang jam 10.30 pagi esok (hari ini) sebelum dimakamkan di Makam Diraja, Klang dengan penuh Adat Istiadat Diraja Selangor,” katanya.

Nak mengurat tapi disamun
Alor Gajah: Tindakan seorang penternak lembu dipercayai cuba mengurat dua wanita mengundang padah apabila lelaki berkenaan disamun oleh mereka di Jalan Keretapi Lama, Pengkalan, dekat sini, kelmarin. Dipercayai, dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, lelaki berusia awal 40-an berkenaan cuba mengurat kedua-dua wanita terbabit yang berusia lingkungan 30-an sebelum mereka menyerang dan menyamun telefon bimbit milik mangsa. Menurut sumber, ketika kejadian kedua-dua wanita itu berkunjung ke ladang ternakan milik lelaki berkenaan, namun mereka berang selepas dipercayai mangsa cuba melakukan perbuatan kurang menyenangkan. “Difahamkan, lelaki yang tinggal bersendirian di kandang lembu miliknya itu cuba menggoda kedua-dua wanita berkenaan sebelum mereka berpakat menyerang dan mengambil telefon bimbit mangsa. “Kedua-dua suspek kemudian melarikan diri ke arah Pulau Sebang, di sini menunggang sebuah motosikal dipercayai pulang ke rumah mereka,” katanya di sini, semalam. Menurutnya, mangsa yang gagal mengejar suspek kemudian membuat laporan di Balai Polis Alor Gajah sejurus selepas kejadian. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Superintendan Muhamad Laham ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian. Katanya, bertindak atas maklumat berkenaan, dua suspek wanita berusia awal 30-an yang disyaki terbabit dalam kejadian berkenaan ditahan di sekitar Pulau Sebang, jam 3.30 petang, pada hari sama. “Kedua-dua suspek dibawa ke Balai Polis Alor Gajah dan direman selama empat hari bermula hari ini (semalam) sehingga Rabu bagi membantu siasatan, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.

Jel 12 bulan hayun lesung ke kakak
Kuala Terengganu: Seorang penganggur dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam kerana memukul kepala kakaknya menggunakan lesung batu. Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Zaki Mat Zin, 32, dari Kampung Beladau Selat, mengaku salah terhadap tuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya. Zaki didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zaimah Mat Zin, 51, menggunakan lesung batu di Kampung Beladau Selat, kira-kira jam 9.30 pagi, 19 Mac lalu. Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Inspektor L Rathna manakala Zaki tidak diwakili peguam. Mengikut fakta kes, kejadian menimpa mangsa disedari anak saudaranya berusia 32 tahun yang terkejut melihat kepala wanita itu dipenuhi darah selepas terserempak dengan mangsa pada jam 9.30 pagi. Anak saudara mangsa yang kebetulan berada berhampiran rumah itu terserempak dengan ibu saudaranya yang keluar dari rumah sambil menahan kesakitan. Terkejut dengan keadaan itu, anak saudara mangsa terus bertanyakan punca kecederaan sebelum mangsa memaklumkan kepalanya cedera akibat diketuk menggunakan lesung batu oleh tertuduh. Mangsa yang mengalami pendarahan di kepala kemudian dibawa ke klinik untuk rawatan. Harian Metro pada Sabtu lalu melaporkan seorang lelaki yang dipercayai mengalami tekanan mental mengetuk kepala kakaknya menggunakan lesung batu.

MH370
Bantuan negara lain beri kesan positif
Kuala Lumpur: Pembabitan banyak negara dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 mampu memberi kesan positif kepada Malaysia apabila ia melibatkan perkongsian kepakaran dan penggunaan teknologi canggih di peringkat antarabangsa. Bekas Ketua Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan berkata, langkah Malaysia bekerjasama dengan negara luar sememangnya bijak kerana Malaysia tidak mempunyai pengalaman (begitu juga kebanyakan negara lain) untuk mengendalikan krisis seperti ini. “Apatah lagi ini pengalaman kali pertama negara mengendalikan kehilangan pesawat lebih daripada 10 hari. “Insiden seperti ini tidak boleh dikendalikan bersendirian kerana kekangan dari segi kemampuan dan pengalaman Malaysia jadi pembabitan negara maju seperti Amerika Syarikat, China dan Australia mampu membantu dengan teknologi serba canggih mereka,” katanya ketika dihubungi, semalam. Zaman Khan turut mengaitkan insiden kehilangan MH370 dengan pengalamannya dalam kejadian Highland Towers, apabila operasi SAR turut membabitkan beberapa negara luar. Katanya pada waktu itu di bawah naungan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bantuan negara luar sangat dialu-alukan dalam misi mencari dan menyelamat mangsa di bawah timbunan konkrit. Antara negara yang terbabit adalah Perancis, Amerika Syarikat, Singapura dan Britain untuk mengesan mangsa dengan menggunakan teknologi canggih yang dimiliki mereka. Justeru, beliau menasihati orang ramai agar memahami kerajaan bersama-sama anggota keselamatan lain, yang sedang bertungkus lumus untuk mengesan pesawat yang hilang itu. “Saya tahu bukannya mudah untuk mengendali perkara sebegini namun harapan saya agar orang ramai bersabar dan jangan buat sebarang spekulasi tidak menentu yang boleh memburukkan keadaan lagi,” katanya.

MH370
Lelaki dipecat minta pelanggan ramal nasib pesawat
Kuala Lumpur: Seorang timbalan pengurus sebuah rangkaian bakeri Perancis di Singapura diarah berhenti kerja selepas meminta pelanggan untuk meramal apa sebenarnya yang terjadi kepada pesawat MH370, lapor Sunday Times Singapore. Lelaki berusia 30-an itu meminta pelanggan meramal di cawan kertas mengenai apa yang berlaku dan tindakannya itu tidak disukai pelanggan lain yang menganggap kurang sensitif atau jahil. Pada satu cawan kertas, dilukis gambar ekor pesawat yang terjunam ke dalam laut manakala sebuah lagi cawan kertas dilukis gambar sebuah pesawat masuk ke dalam awan dan tertulis ‘Masih hidup’ dan ‘Apa yang berlaku kepada MH370’. Seorang pengguna Facebook, Robert Gaxiola menemui gambar berkenaan di laman sosial sebelum memuat naik gambar berkenaan di akaunnya dan menyoal pengguna lain sama ada gambar itu kurang sensitif atau jahil. Kemudiannya, Robert kongsi gambar berkenaan ke Facebook milik bakeri itu yang mempunyai lima cawangan di Singapura. Bagaimanapun, syarikat bakeri itu kemudian memuat naik status yang menyatakan seorang staf syarikat itu sudah diberhetikan kerja atas sikapnya yang tidak sensitif dan salah laku yang kasar.

Anggota keluarga semakin faham operasi
Bangi: Anggota keluarga penumpang penerbangan MH370 kini lebih tenang dan yakin dengan usaha kerajaan dalam mengesan pesawat itu, setelah beberapa taklimat berterusan mengenai operasi mencari dan menyelamat (SAR) diberikan kepada mereka. Duta Khas Perdana Menteri ke China Tan Sri Ong Ka Ting berkata, anggota keluarga terbabit juga kini lebih rapat dan percaya dengan keikhlasan kerajaan Malaysia dalam membantu dan menjaga kebajikan mereka di sini. “Setelah beberapa sesi taklimat yang dijalankan sejak Khamis lalu, anggota keluarga mangsa yang terbabit kini semakin faham dengan usaha mencari dan menyelamat yang dijalankan. “Taklimat yang diberikan kepada mereka juga menampakkan hasil positif apabila dapat menjawab pelbagai spekulasi negatif yang bermain di laman sosial,” katanya kepada Bernama dalam temu bual khas dengannya di sini, semalam. Taklimat sebelum ini turut dihadiri wakil dari Kedutaan China di Malaysia, Kementerian Pengangkutan, Jabatan Penerbangan Awam, Wisma Putra dan wakil dari MAS. Mengulas larangan kepada media untuk memasuki hotel tempat keluarga mangsa menginap, Ong berkata, ia adalah permintaan keluarga penumpang MH370 yang tidak mahu mereka diganggu media. Katanya, sehingga kelmarin, jumlah keluarga penumpang dari luar negara yang masih berada sini adalah sebanyak 21 dari China, India (6) dan New Zealand (1). Keluarga penumpang warga China kelmarin dipindahkan ke hotel di sini dari Hotel Cyberview kerana hotel itu sudah ditempah awal sempena Perlumbaan Grand Prix F1 Malaysia yang akan berlangsung pada 28 hingga 30 Mac ini di Litar Sepang. Pesawat MAS MH 370 membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal ke Beijing, China hilang pada 8 Mac, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 8 Mac lalu. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama. - BERNAMA

Baju Merah tunjuk perasaan 5 April, Thailand
Bangkok: Penyokong Perdana Menteri Yingluck Shinawatra mengancam mengadakan tunjuk perasaan jalanan besar-besaran ketika usaha untuk mendakwa beliau semakin meningkat. Ancaman itu meluaskan kemungkinan konfrontasi dengan penunjuk perasaan yang membantu menggagalkan pilihan raya Februari lalu yang dijangka dimenangi Yingluck. Mahkamah Perlembagaan memutuskan pilihan raya itu tidak sah Jumaat lalu. Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya berkata, pilihan raya baru mungkin dapat diadakan beberapa bulan lagi, menyebabkan Yingluck yang mengetuai kerajaan sementara akan memerintah negara itu dengan kuasa terhad. “Kepada penyokong baju merah, siap berkemas dan bersedia untuk mengadakan perhimpunan terbesar. Pada 5 April depan, destinasi kita ialah Bangkok atau tempat lain. Ia akan diumumkan kemudian,” kata Jatuporn Prompan, pengerusi ‘baju merah’ Barisan Bersatu bagi Demokrasi Menentang Diktator kepada penyokongnya. Jatuporn membantu menganjurkan kebangkitan ‘baju merah’ menentang kerajaan sebelum ini yang berakhir dengan pertumpahan darah pada Mei 2010. Lebih 90 orang mati ketika tunjuk perasaan di tengah Bangkok itu sementara dalam krisis terbaru, 23 maut dan lebih 700 cedera sejak November. - Agensi

Sorok kokain dalam kondom
Berlin: Pihak berkuasa kastam Jerman memintas bungkusan yang dialamatkan ke Vatican mengandungi 14 kondom berisi kokain, baru-baru ini. Akhbar Bild am Sonntag melaporkan, kotak berisi 340 gram dadah bernilai 40,000 euro (RM182,000) itu dirampas di lapangan terbang antarabangsa di Leipzig, bandar di timur Jerman. Dadah itu yang diposkan dari sebuah negara Amerika Selatan ialah dalam bentuk cecair dan dituangkan ke dalam kondom serta diposkan ke ibu pejabat pos Vatican. Memetik laporan kastam Jerman, akhbar itu berkata, pihak berkuasa menyerahkan bungkusan dadah berkenaan kepada polis di Vatican dengan tujuan memerangkap orang yang akan menuntutnya. Bagaimanapun, menurut akhbar itu, sehingga ini tiada pihak yang datang menuntut. Penyiasat percaya penerima yang dimaksudkan itu sudah dimaklumkan bahawa bungkusan itu sudah dipintas. - AFP

Remaja habis masa 10 jam sehari untuk berselfie
London: Seorang remaja yang taksub untuk mendapatkan gambar potret dirinya (selfie) dengan sempurna cuba membunuh diri apabila gagal berbuat demikian. Danny Bowman, 19, menghabiskan masa 10 jam sehari untuk mengambil hampir 200 keping gambar dirinya menggunakan telefon pintar. Dia sanggup berhenti sekolah, tidak keluar rumah selama enam bulan, menurunkan berat badan sehingga 12 kilogram untuk menjadikan dirinya kelihatan sempurna dalam gambar. Dia juga bertindak agresif apabila ditegur ibu bapanya. Akhirnya, dia mengambil tindakan drastik untuk melepaskan diri dari ketaksubannya dengan mengambil dadah secara berlebihan namun berjaya diselamatkan ibunya, Penny. Kini, dia cuba untuk kembali kepada kehidupan normal selepas menjalani terapi intensif di hospital untuk merawat ketagihan teknologi yang dihidapinya. “Saya sentiasa cuba mendapatkan gambar terbaik diri sendiri dan apabila menyedari yang saya tidak mampu melakukannya, saya mahu membunuh diri. “Saya kehilangan kawan, pelajaran, kesihatan dan hampir kehilangan nyawa,” kata Danny. Kini, dia yang mula memuat naik “selfie” di Facebook sejak berusia 15 tahun sudah tujuh bulan tidak mengambil gambar seperti itu. “Satu-satunya perkara paling penting bagi saya adalah mempunyai telefon pintar bersama saya supaya saya dapat memuaskan keinginan mengambil gambar sendiri pada bila-bila masa. “Akhirnya saya sedar saya tidak mampu memuaskan keinginan saya. Ramai yang tidak sedar apabila mereka memuat naik gambar “selfie” di Facebook atau Twitter, ia dengan cepat menjadi tidak terkawal. Ia akan menjadi misi untuk mendapatkan penerimaan orang ramai melalui “like” atau komen memuji dan lama kelamaan akan menjadi taksub untuk melakukannya. Ia akan merosakkan sesiapa saja,” katanya. - Agensi

FotoFoto
Jamu selera celah kubur
Kami membersihkannya menutupnya dengan kain dan menabur bunga ke atasnya. Sebuah restoran di India memberikan pengalaman “menyeramkan” kepada pelanggan yang berkunjung di restoran itu. Ia menyediakan pengalaman makan di tanah perkuburan apabila restoran itu dibina di atas tapak tanah perkuburan lama. Bagaimanapun, pemilik restoran berkata, tempat itu baik untuk perniagaan. Restoran New Lucky menampilkan konsep berbeza berbanding estoran lain dengan meletakkan meja makan di sekitar bekas tapak perkuburan Islam lama. Pemiliknya, Krishan Kutti memutuskan untuk mengekalkan kubur itu bagi menjalankan perniagaannya. Namun di sebalik ruang dalamannya yang “menyeramkan”, restoran itu menjadi tarikan ramai dan tempat yang popular untuk dikunjungi. “Tanah perkuburan ini mendatangkan rezeki kepada saya. Perniagaan meningkat dan berkembang kerananya dan memberikan pengunjung pengalaman yang unik. “Kami mengekalkan keadaannya asal dan pelanggan nampaknya tidak kisah,” katanya. Bagaimanapun, Krishan tidak pasti siapa pemilik sebenar tanah perkuburan itu. Beberapa penduduk tempatan mendakwa ia menempatkan perkuburan pengikut ahli Sufi abad ke 16. Terdapat 12 kubur di dalam restoran berkenaan dan ia di kelilingi pagar besi. Setiap hari sebelum memulakan perniagaan, pekerja restoran menghabiskan masa membersihkan kubur itu dan menghiasnya dengan bunga segar. “Kami mulakan perniagaan dengan memberi penghormatan kepada kubur berkenaan. Ia penting sebagai penghormatan kepada si mati,” katanya.

CGC jamin biaya RM2.7b
Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) komited untuk menjamin pembiayaan berjumlah RM2.7 bilion tahun ini yang dijangka dapat dimanfaatkan oleh kira-kira 5,600 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Wan Azhar Wan Ahmad berkata, pihaknya berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran itu menerusi pelbagai skim jaminan yang ditawarkan. Beliau berkata, CGC juga mewujudkan kerjasama dengan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dalam usaha mengukuhkan lagi sokongan terhadap pembangunan PKS Bumiputera. “Kerjasama ini akan membuka jalan untuk CGC lebih memahami keperluan ahli DPMM mengenai pembiayaan dan cabarannya yang kami percaya akan membantu dalam membangunkan produk serta perkhidmatan yang bersesuaian bagi memenuhi keperluan perniagaan PKS. “Inisiatif ini adalah selaras dengan agenda pembangunan Bumiputera negara kerana kami komited untuk menangani beberapa isu utama yang membabitkan komuniti usahawan Bumiputera terutama dalam akses kepada pembiayaan,” katanya kepada Bisnes Metro. Menurutnya, CGC dan DPMM juga sedang merancang untuk membangunkan pelan holistik dalam usaha untuk meningkatkan lagi produktiviti dan daya saing PKS Bumiputera untuk memastikan pertumbuhan perniagaan serta kejayaan mereka. Wan Azhar berkata, pada masa ini, CGC menawarkan dua jenis pembiayaan yang direka khas untuk usahawan Bumiputera iaitu Enhancer Bumi dan Projek Tabung Usahawan Bumiputera-i (TPUB-i). Beliau berkata, tahun lalu CGC juga memberi pembiayaan berjumlah hampir RM500 juta di bawah semua jenis skim jaminan dan memberi manfaat kepada lebih 700 PKS Bumiputera. “Tahun ini, kami menyasarkan untuk menyediakan RM2.7 bilion pembiayaan kepada semua segmen PKS dengan 35 peratus daripadanya disasarkan untuk PKS Bumiputera. “Setiap tahun, CGC berusaha membantu sebanyak mungkin syarikat kerana matlamat penubuhan CGC adalah untuk memperkasakan sektor PKS dan menyumbang pelbagai jenis penyelesaian kewangan bagi PKS mendapatkan akses kepada pembiayaan,” katanya. Setakat ini, CGC telah menguruskan sebanyak 42 skim jaminan termasuk 16 skim pembiayaan kerajaan. Pembiayaan lain yang diuruskan oleh CGC termasuk Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (SPTH) dan Tabung Projek Usahawan Bumiputera (TPUB-i) dengan peruntukan masing-masing berjumlah RM3.5 bilion dan RM300 juta. Selain itu, melalui Biro Kredit Malaysia, CGC turut membantu PKS mewujudkan sejarah dan rekod prestasi kredit bagi meningkatkan kredibiliti dan ‘bankabiliti’ mereka untuk mendapatkan pembiayaan secara merit dan pada kos yang berpatutan.

AirAsia perkenal 4 laluan baru
Kuala Lumpur: AirAsia memperkenalkan empat laluan baru dari Sarawak ke Pulau Pinang, Langkawi, Terengganu dan Kota Bharu, sebagai langkah mengukuhkan hubungannya antara negeri berkenaan dan Semenanjung Malaysia. “Dua laluan itu ialah dari Miri ke Terengganu dan Pulau Pinang, serta dari Kuching ke Kota Bharu dan Langkawi,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam. Laluan baru Kuching – Kota Bharu adalah laluan dalam negeri AirAsia yang kesembilan dari bandar itu. AirAsia adalah syarikat penerbangan tunggal menghubungkan Kuching secara langsung ke pantai timur Semenanjung Malaysia. Laluan Kuching – Kota Bharu itu beroperasi tiga kali seminggu mulai semalam manakala empat kali seminggu ke Langkawi. AirAsia menghubungkan Sabah dan Sarawak ke Semenanjung melalui 399 penerbangan seminggu dan menawarkan hubungan terbaik bagi kedua-dua negeri itu.

Public Gold di Vietnam
Public Gold Marketing Sdn Bhd (Public Gold) melebarkan sayap operasinya di rantau Asia apabila secara rasmi menjalinkan kerjasama dengan VietinBank iaitu sebuah institusi perbankan terbesar di Vietnam. Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Louis Ng berkata, pembukaan cawangan terbaru Public Gold di Vietnam dianggap sebagai satu kejayaan membanggakan dan meningkatkan rangkaian cawangan kepada 19 termasuk di Malaysia dan Singapura. Beliau berkata, kejayaan dicapai adalah hasil usahasama antara Public Gold dan VientinBank sejak lebih setahun lalu sebelum kedua-dua belah pihak bersetuju menjalinkan kerjasama dalam perniagaan emas dengan menyasarkan keuntungan mencecah RM200 juta dalam tempoh dua tahun. “Lebih membanggakan Public Gold turut memperkenalkan produk keluaran khas terbaru bersempena Ulangtahun ke-25 VietinBank di Pusat Konvensyen Kebangsaan, Phang Hung Avenue, Tu Liem, Hanoi, Vietnam 8 Julai tahun lalu. “Penghargaan ini membuktikan kemampuan sebenar Public Gold dalam perniagaan emas dan jalinan kerjasama ini adalah satu peluang kami dalam mengembangkan lagi pasaran emas di rantau Asia untuk tempoh masa panjang,” katanya pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Public Gold dan VeitinBank di Wisma Public Gold di sini, kelmarin. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Emas dan Barang Kemas, VietinBank, Pham Thin Hong Phuong, Pengarah VietinBank di Hanoi, Vu Trung Thanh dan Pengurus Besar Public Gold, S S Eng.

Australia juara, belasah Malaysia 8-3
AUSTRALIA muncul juara kali kelapan Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-23 selepas menumpaskan Malaysia 8-3 pada final di Stadium Azlan Shah di sini, malam ini. Australia mendahului pada separuh masa dengan jaringan 3-1. Jaringan Australia disumbang oleh Chris Ciriello seawal minit ke-6, diikuti oleh Eddie Ockenden pada m-11 dan Ciriello menambah jaringan pada m-17, m-42 dan m-52. Nicholas Budgeon turut menyumbang jaringan pada m-46, Matt Ghodes (m-65) dan Tristan White (m-68). Maruah Malaysia diselamatkan oleh Shahril Saabah yang membuat jaringan pada m-24 dan Rashid Baharom (m-40) serta Fitri Saari (m-67). - Bernama


Penambahan Undi Melayu Buat Umno Tertekan
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli hari ini menegaskan bahawa penambahan undi kaum Melayu kepada calon PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam PRK Dun Kajang, akan membuatkan BN berada dalam keadaan tertekan dan goyah.

Hishammuddin Tun Hussein
Satelit Perancis tunjuk objek berpotensi MH370
KUALA LUMPUR - Malaysia menerima imej satelit baharu daripada pihak berkuasa Perancis menunjukkan objek-objek berpotensi yang mungkin berkaitan dengan pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang hilang di sekitar koridor selatan pagi ini, kata pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan berkata imej-imej itu dihantar dengan segera kepada pusat koordinasi menyelamat Australia yang mengetuai usaha mencari di kawasan berkenaan. Sebelum ini, Australia dan China telah mengeluarkan imej-imej satelit yang menunjukkan objek-objek berpotensi, yang mungkin berkaitan dengan MH370 di sekitar koridor selatan, katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini. Bagaimanapun, Hishammuddin berkata kementerian telah dimaklumkan pegawai-pegawai Australia bahawa mereka tidak melihat apa-apa yang baharu mengenai MH370 pada pukul 2.30 petang (waktu Malaysia). Dalam penghantaran aset, dua pesawat Ilyushin IL-76 China akan berlepas dari Perth untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 5 dan 6 pagi esok. Dua pesawat P3 Orion Jepun hari ini berlepas ke Perth dari lapangan terbang Subang, dan pusat koordinasi menyelamat Australia akan menghantar lapan pesawat (empat tentera dan empat awam) ke koridor selatan untuk melakukan pencarian secara visual. "Kapal Pertahanan Australia 'Ocean Shield', yang memiliki kenderaan bawah laut kawalan jauh, sedang dalam pelayaran ke koridor selatan. Sebuah pesawat P8 Poseidon Tentera Laut India dan sebuah pesawat C130 Tentera Udara India berlepas dari lapangan terbang Subang untuk menyertai operasi mencari dan menyelamat di bahagian utara koridor selatan, yang diketuai oleh Indonesia," tambahnya. Beliau berkata beberapa penerbangan lain dari lapangan terbang Subang ke koridor selatan dibatalkan kerana cuaca buruk disebabkan puting beliung Gillian. Sementara itu, Hishammuddin berkata pasukan peringkat tertinggi dari Malaysia memulakan taklimat di Beijing pagi ini untuk keluarga penumpang MH370, yang berlangsung selama enam jam. "Ini adalah kali ketiga perjumpaan sedemikian diadakan. Pasukan itu membentangkan maklumat kepada anggota-anggota keluarga dan menjawab soalan-soalan. Kerajaan menekankan komitmennya dan hubungan berterusan dengan anggota-anggota keluarga penumpang MH370," katanya. Mengenai Sistem Pengendalian Komunikasi dan Laporan Pesawat (ACARS), Hishammuddin berkata penghantaran terakhir dihantar pada pukul 1.07 pagi, tidak menunjukkan apa-apa yang luar biasa tetapi menunjukkan satu laluan normal sehingga ke Beijing. - Bernama

MH370
Keluarga penumpang China hargai sesi taklimat
BEIJING - Anggota keluarga penumpang warga China Malaysia Airlines (MAS) MH370 di sini menghargai inisiatif kerajaan Malaysia menghantar pasukan peringkat tinggi ke Beijing untuk memberi taklimat mengenai situasi dan operasi mencari dan menyelamat pesawat itu. Duta Malaysia di China, Datuk Iskandar Sarudin berkata saudara-mara kepada penumpang pesawat yang hilang sejak 8 Mac lepas itu berpuas hati dengan banyak maklumat yang disampaikan oleh pasukan itu. Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai maklumat terperinci yang disampaikan oleh pasukan yang diketuai oleh Komander Operasi Udara, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Leftenan Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad. "Mereka melihat sesi penerangan itu berguna untuk lebih memahami situasi keseluruhan," katanya kepada wartawan Malaysia selepas sesi taklimat selama tujuh jam yang dihadiri oleh 350 anggota keluarga penumpang di sini hari ini. Iskandar berkata taklimat itu dibahagikan kepada dua sesi iaitu penyampaian maklumat terkini dan sesi soal jawab dengan anggota keluarga. "Seperti biasa, kami menjawab soalan yang boleh dijawab manakala soalan yang memerlukan pengesahan selanjutnya, kami meminta mereka mengemukakan soalan bertulis," katanya. Beliau berkata pelbagai soalan berhubung teknikal, radar, keselamatan serta aspek operasi mencari dan menyelamat dibangkitkan pada sesi taklimat itu. Beliau menyifatkan sesi taklimat hari ini berjalan lancar berbanding keadaan kecoh semalam sehingga menyebabkan anggota pasukan itu dan wakil Malaysia meninggalkan bilik taklimat. Sementara itu, Wen Wancheng, ayah kepada Wen Yongsheng, 33, salah seorang penumpang pesawat itu, memberitahu pemberita bahawa pasukan Malaysia itu telah menjawab soalan-soalan yang dibangkitkan. "Pasukan itu juga menerima beberapa soalan bertulis dan akan menemui kami semula esok," katanya. Pesawat, yang membawa 239 penumpang termasuk 153 warga China itu, hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing pada pukul 12.41 tengah malam, 8 Mac lepas. Misi mencari dan menyelamat membabitkan pelbagai negara yang memasuki hari ke-16 hari ini masih gagal memberi petunjuk sahih tentang nasib mereka yang menaiki pesawat itu. - Bernama

empat beradik kes pukul anak
Empat beradik ikuti kelas intensif Bahasa Melayu
KUCHING - Empat anak pasangan warga Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Sweden kini mengikuti kelas intensif mata pelajaran Bahasa Melayu bagi membantu meningkatkan penguasaan mereka. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata pihak Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Kala dan Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Kala, Kelantan telah pun memulakan kelas berkenaan bagi membantu empat beradik itu. "Ini adalah antara langkah diambil bertujuan membantu Aisyah Azizul Raheem, 14, Ammar, 12, Adam, 11 dan Arif, 7, meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu memandangkan mereka berempat kini berada dalam keadaan yang stabil dan tidak lagi tertekan," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutup Konvensyen Keusahawanan Wanita 2014 di sini, hari ini. Sementara itu, Rohani berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menghantar dua lagi laporan berkala kepada Wisma Putra mengenai keadaan empat beradik itu, Jumaat lepas. Menurut Rohani laporan yang diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Sosial Sweden itu melaporkan perkembangan fizikal dan emosi empat beradik itu. "Di dalam laporan berkala itu, dinyatakan empat beradik berkenaan sudah boleh menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling dan bergaul mesra dengan rakan sebaya di sekolah. Beliau berkata JKM akan sedaya upaya membantu keluarga berkenaan supaya dapat bersatu semula dan sentiasa cuba memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan pihak Sweeden dengan baik. Ibu bapa empat beradik itu, Azizul Raheem Awalludin, pegawai Tourism Malaysia di Sweden dan Shalwati Norshal, guru yang bercuti tanpa gaji, ditahan reman sejak 18 Disember tahun lepas setelah didakwa memukul anak mereka, kini dibicarakan di Mahkamah Daerah di Solna, Stockholm. - Bernama


Penerbangan MAS MH114 Ke Kathmandu Dilanggar Unggas
NEW DELHI – Sebuah pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang membawa 180 penumpang dan anak kapal terselamat daripada mengalami bencana apabila sekumpulan itik merempuh cermin hadapannya ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan (TIA) pada Jumaat malam. Portal berita Nepal kantipuronline.com. pada Sabtu memetik pihak berkuasa lapangan terbang sebagai berkata kejadian pada pukul 10.45 malam itu menyebabkan hujung Landasan 02 dipenuhi serpihan kaca. Tiada laporan mengenai kecederaan yang dialami mereka yang menaiki pesawat MH-144 dari Kuala Lumpur ke Kathmandu itu. Petugas kokpit pesawat itu bagaimanpun dikatakan tidak segera memaklumkan kejadian tersebut kepada Pengawal Trafik Udara (ATC). Kapten pesawat berkenaan bagaimanapun mengesahkan ia “disyaki melanggar unggas”, selepas anak kapal Jet Airways melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa lapangan terbang, kata laporan itu. Juruterbang MAS terbabit dipercayai mungkin dikenakan tindakan kerana tidak segera melaporkan kejadian tersebut. “Kejadian itu terdedah selepas seorang juruterbang Jet Airways, yang mendaratkan pesawatnya beberapa minit selepas pesawat MAS, memaklumkan kepada kami beliau ternampak serpihan kaca berselerak di landasan,” kata seorang pegawai ATC yang enggan dikenali. Para pegawai TIA yang membuat pemeriksaan menjumpai sekurang-kurangnya 10 bangkai itik serta kepingan kaca di landasan. Serpihan kaca itu kemudian dibuang dan lapangan terbang tersebut kembali beroperasi 30 minit kemudian. Para pegawai menjumpai dua lagi bangkai itik ketika melakukan pemeriksaan rutin pada pagi Sabtu. “Ini kali pertama kami melihat begitu banyak itik di kawasan lapangan terbang ini,” kata seorang pegawai yang mengesyaki unggas itu mungkin itik penghijrah. MAS membatalkan penerbangannya ke Kuala Lumpur yang dijadualkan pada pukul 11 malam Jumaat. Semua penumpang yang menempah penerbangan itu ditempatkan di hotel Soaltee, Annapurna dan Hyatt Regency. Pesawat berkenaan berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada pukul 3:30 petang Sabtu setelah dibaiki. Sementara itu, pegawai ATC berkata pengurus besar TIA telah dimaklumkan tentang kejadian tersebut dan beliau mengesyorkan tindakan dikenakan terhadap juruterbang MAS terbabit kerana tidak membuat laporan segera tentang kejadian itu. “Juruterbang berkenaan sepatutnya memaklumkan kejadian itu dengan segera kepada pihak berkuasa lapangan terbang bagi mengelak kejadian tidak diingini,” kata pegawai itu. Lebih 75 kejadian pesawat berlanggar dengan unggas ketika berlepas atau mendarat berlaku di TIA sejak 1990. Tiga daripadanya mengakibatkan kerosakan besar terhadap pesawat. Walaupun sebuah pesawat Airbus A300 Thai Airways dan sebuah pesawat Dc-10 Biman Bangladesh terselamat daripada nahas pada 1996 dan 2010, 19 orang maut apabila pesawat Dornier Sita Air terhempas pada September 2012. – BERNAMA

Calon pembangkang PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tengah)meraikan kemenangannya bersama suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tiga dari kanan) serta pemimpin kuat parti. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 23 Mac, 2014.
Wan Azizah (PKR) Menang PRK Dun Kajang

BANGI – PKR mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang apabila calonnya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, 62, menang Pilihan Raya Kecil (PRK) dengan majoriti lebih kecil 5,379 undi. Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Kajang, Datuk Hasan Nawawi Abdul Rahman, di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Kompleks Sukan Bandar Baru Bangi, di sini, sebentar tadi. Wan Azizah memperoleh 16,741 undi berbanding calon Barisan Nasional (BN), Datin Paduka Chew Mei Fun yang mendapat 11,362 undi. Terdapat sebanyak 176 undi rosak. Peratusan keluar mengundi kali ini merosot kepada 72 peratus berbanding 88.40 peratus yang dicatat semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) tahun lalu. Hanya 28,314 daripada 38,055 pemilih berdaftar keluar mengundi pada PRK kali ini. Pada PRU-13, calon PKR, Lee Chin Cheh, menang dengan majoriti 6,824 undi apabila meraih 19,571 undi berbanding calon BN, Lee Ban Seng yang memperolehi 12,747 undi. Kerusi DUN Kajang kosong berikutan peletakan jawatan Cin Cheh pada 27 Januari lalu.  
KEPUTUSAN – SELANGOR
N25: KAJANG: SELANGOR : 39,278
1. Chew Mei Fun (BN)……………………..11,362
2. Wan Azizah Wan Ismail (PKR)…………….16,741
Jumlah pengundi………………………….28,314
Peratus ………………………..72.1%
Undi ditolak…………………………….176
Majoriti………………………………..5,379
Penyandang: Lee Chin Cheh :
PKR Undi diperoleh: 2013: 19,571
Majoriti: 6,824 -
BERNAMA

No comments:

Post a Comment