Tuesday, March 25, 2014
Berita Terkini 25 Mac 2014
Wartawan Al-Jazeera Di Mesir Dinafi Hak Ikat Jamin
Semalam Mahkamah Mesir menjatuhkan hukuman mati ke atas 529 penyokong bekas presiden Mesir, Mohamed Morsi atas pelbagai alasan yang direka. Di mahkamah sama, tiga wartawan Al-Jazeera turut dinafikan hak untuk dijamin sekaligus menandakan mereka akan disumbat ke dalam penjara hingga kembali dibicarakan Isnin depan. Wartawan tersebut iaitu Peter Greste, Baher Mohamed dan Mohamed Fahmy didakwa atas tuduhan menyebarkan berita palsu dan menyokong pergerakan yang mewakili Mohamed Morsi. Dalam perbicaraan kali ketiga semalam, saksi polis disoal tentang penangkapan yang dilakukan dan bukti yang mensabitkan kesalahan ketiga-tiga wartawan tersebut. Buat pertama kali, Greste yang merupakan warga Australia disediakan khidmat penterjemah. Greste yang sebelum ini pernah merayu meminta Perdana Menteri Australia, Tony Abbott membantu memberikan keadilan buat dirinya dilaporkan berkata: “Kita boleh lihat tiada bukti yang boleh sabitkan kami dengan hukuman penjara. Kami sudah tiga bulan merengkok dalam penjara untuk tuduhan yang tidak berasas.” Sumber: ABC NEWS
Pengacara MSNBC ‘Tutup Mulut’ Teori, Konspirasi
Memasuki hari ke-18 misi mencari dan menyelamat pesawat MH370, pelbagai teori serta konspirasi yang dikongsikan oleh ‘pakar-pakar penerbangan’ di luar sana. Itu belum lagi media-media asing yang sering kali memberikan berita serta fakta yang tidak betul mengenai insiden kehilangan MH370 sejak 8 Mac lalu. Di bawah ini, penulis ingin kongsikan video di mana pengacara wanita program Morning Joe, Mika Brzezinski yang memotong percakapan rakan setugasnya yang terus-terusan memberikan pelbagai teori mengenai MH370. Mika mengatakan, “jika kita fokus kepada cerita yang direka (teori) dalam usaha untuk menaikkan rating dan kemudiannya penonton akan terikut-ikut dengan perkara tersebut, ini memang tidak patut”. Mika menghentikan cakap-cakap yang keterlaluan dan turut menyatakan sepatutnya mereka melaporkan berdasarkan fakta dan bukannya mewujudkan sebarang teori atau konspirasi untuk mengeruhkan lagi keadaan.
Maut langgar tayar lori tercabut
Mayat mangsa dibawa ke HTJS untuk tindakan lanjut.
NILAI – Seorang lelaki maut selepas kereta Perodua Alza dipandunya melanggar sebiji tayar lori yang tercabut sebelum kenderaan dipandunya itu merempuh pembahagi tengah jalan di Kilometer 283.7 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah selatan di sini, semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 12.50 tengah hari itu, mangsa yang dikenali sebagai Eddy Khoo, 25, maut di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan. Jurucakap polis berkata, ketika kejadian mangsa yang memandu secara bersendirian dipercayai dari Kuala Lumpur menghala ke Seremban. “Namun sejurus sampai di lokasi, mangsa yang memandu di lorong paling kanan dikejutkan dengan kehadiran sebiji tayar lori dari arah bertentangan yang tercabut secara tiba-tiba lalu memasuki lorong dipandu mangsa. “Kejadian itu mengakibatkan kereta dipandu mangsa melanggar tayar berkenaan sekali gus menyebabkan kenderaannya hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan,” katanya. Menurutnya, rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa tersepit dan cedera parah serta meninggal dunia di tempat kejadian. Kata jurucakap, pasukan bomba dan penyelamat dikerah ke lokasi kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa. “Mayat dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk tindakan lanjut sebelum dituntut ahli keluarganya,” katanya. Sementara itu, hasil siasatan awal pihaknya mendapati, lori 10 tan terbabit yang membawa muatan batu dipercayai dalam perjalanan dari arah Seremban menghala ke Kuala Lumpur. “Difahamkan lori berkenaan dipandu seorang lelaki berusia 48 tahun. Selepas menyedari sebuah tayar sebelah kanan bahagian hadapan tercabut, pemandunya berhenti di lorong kecemasan,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superitendan Abdullah Roning mengesahkan kejadian itu.
Bahana tumbuk penjual kereta
Chee Soon (kanan) dilihat terpinga-pinga walaupun hukuman telah dijatuhkan.
GEOREGTOWN - Gara-gara tidak berpuas hati dengan kereta yang dibelinya, seorang lelaki berusia 56 tahun bertindak menumbuk seorang penjual kereta. Tertuduh, Lee Chee Soon dari Jalan P. Ramlee itu bertindak sedemikian di sebuah kedai kereta mewah berhampiran Jelutong. Akibatnya, tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan berkenaan. Pengadu yang berusia 42 tahun mendakwa tertuduh pada 28 September 2013 masuk ke kedai kira-kira jam 11.15 pagi dan kemudiannya menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kereta yang dibeli. Namun kemudiannya tidak semena-mena tertuduh menumbuk pengadu yang juga penjual kereta di situ. Atas kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara hingga setahun atau denda hingga RM2,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Chee Soon yang kelihatan menggelabah sejak awal lagi kemudiannya kelihatan terpinga-pinga seketika apabila dipanggil Majistret, Umma Devi Loganathan. Dia dilihat beberapa kali ditegur anggota polis kerana duduk ketika pertuduhan dibacakan ke atasnya. Namun setelah kesemua pendakwaan dibaca dalam Bahasa Hokkien, tertuduh mengangguk tanda bersalah dan merayu supaya hukuman diringankan. Majistret kemudiannya menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,200 terhadap tertuduh, sekiranya gagal bayar, lima bulan penjara akan dikenakan.
Nekad rampas jentera bomba
Keadaan lampu isyarat yang rosak akibat rempuhan jentera bomba yang dilarikan suspek ketika terdesak mencari jalan meloloskan diri daripada sekatan polis.
TELUK INTAN - Seorang lelaki yang dipercayai di bawah pengaruh dadah bertindak nekad melarikan sebuah jentera bomba Balai Bomba dan Penyelamat Hutan Melintang dan memandunya sehingga sejauh 14 kilometer (km) sebelum berjaya ditahan polis 45 minit selepas itu. Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, suspek berusia 30 tahun dari Batu 4 Kampung Selabak, Teluk Intan, dipercayai masuk ke bilik jentera ketika anggota dalam pertukaran syif tugas harian. Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, suspek masuk ke bilik jentera dengan menunggang motosikal jenis Honda EX5 sebelum menghidupkan enjin jentera bomba dan bertindak merempuh pagar bilik balai bomba terbabit dan melarikan diri ke arah Teluk Intan. Beliau berkata, anggota bomba telah memaklumkan kejadian kepada pihak dan sepasukan MPV dari Balai Polis Hutan telah mengejar jentera bomba yang dilarikan oleh suspek yang menghala ke Teluk Intan. “Dalam masa yang sama, anggota MPV Balai Polis Hutan Melintang turut membuat hebahan kepada petugas di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak selain mengarahkan kenderaan yang dilarikan suspek ditahan kerana membahayakan nyawa pemandu lain pada ketika itu. “Ketika jentera bomba dilarikan, suspek telah melanggar beberapa pembahagi jalan, tiang lampu dan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) milik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang diletakkan di Batu 6, turut dilanggar,” katanya kepada Sinar Harian, di IPD Hilir Perak, di sini, semalam. Kok Liang berkata, kira-kira jam 11.30 pagi, tiga MPV dan dibantu anggota Unit Rondaan Bermotosikal serta trafik cuba menahan jentera bomba yang dipandu suspek di KM 3.5 Jalan Maharajalela dengan membuat sekatan jalan. Namun katanya, suspek tidak mengendahkan arahan yang diberikan oleh polis dan cuba melarikan diri dengan melanggar beberapa buah kereta awam, lampu isyarat serta tiang lampu. Beliau berkata, jentera bomba yang dipandu oleh suspek kemudiannya terhenti di tengah-tengah pembahagi jalan di KM 3.5 berhampiran Kilang Caely Girl berhampiran dengan persimpangan lampu isyarat Kampung Banjar. “Kami menahan seorang lelaki berusia 30 tahun bagi membantu siasatan dan ujian saringan awal air kencing suspek mendapati positif dadah jenis Methamphetamine. “Polis juga percaya suspek memandu jentera bomba dengan pengaruh dadah sehingga melakukan pelbagai kerosakan termasuk kenderaan milik orang awam dan setakat ini tiga pemilik kereta telah membuat laporan polis berkenaan kerosakan yang dialami,” katanya. Ketika soal siasat dijalankan, suspek memberi tahu tujuan berbuat demikian kerana mendakwa anggota bomba menipu berdasarkan bunyi siren jentera berkenaan.
Upacara keagamaan buat penumpang, anak kapal MH370
KUALA LUMPUR - Upacara keagamaan mengikut kepercayaan masing-masing akan diadakan bagi penumpang dan anak-anak kapal pesawat MH370, pada suatu waktu yang ditentukan pihak berkuasa. Ketua Penolong Pengarah Perhubungan Awam dan Penerbitan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutan (Jawi) Mohamad Kori Jusoh ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya sudah membuat perancangan untuk mengadakan solat jenazah ghaib untuk penumpang beragama Islam pada bila-bila masa. Beliau berkata pihaknya menunggu keputusan Jawatankuasa Khas Majlis Fatwa Kebangsaan yang bersidang petang ini untuk menentukan tarikh dan waktu pelaksanaan solat jenazah ghaib. Bagi Presiden Malaysia Hindu Sangam, Datuk R.S. Mohan Shan berkata pihaknya akan berbincang dengan keluarga mangsa sebelum mengeluarkan kenyataan media untuk mengadakan satu upacara khas buat semua penumpang dan anak kapal pesawat MH370. "Kita masih menunggu pengumuman lanjut daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari ini, sebelum mengeluarkan kenyataan media berhubung tarikh dan tempat untuk mengadakan sembahyang khas. "Upacara khas mungkin akan dilakukan kepada mangsa pesawat MH370 pada hari ke-30 tragedi tersebut dan perbincangan lanjut akan diadakan bersama ahli keluarga penumpang beragama Hindu sama ada melakukan upacara tersebut di kuil atau di rumah," katanya. Sementara itu, Pegawai media Taiwan Buddhist Tzu Chi Foundation, Chong Chuan Yit berkata kebiasaannya yayasan itu yang mempunyai anggota sukarelawan di seluruh dunia akan melaksanakan majlis ringkas untuk anggota keluarga dan penumpang pesawat itu. "Apa yang boleh kami lakukan ialah sentiasa berada di samping keluarga atau individu terbabit, kami akan berdoa, nyanyikan lagu China bagi menenangkan keluarga berkenaan. Kebiasaannya kami pergi ke rumah mereka tetapi dalam keadaan ini ia mesti mendapat kebenaran keluarga itu terlebih dahulu," katanya. Pesawat malang MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing hilang daripada skrin radar, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam 8 Mac. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. Selepas 17 hari menunggu dengan penuh debaran, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam tadi mengumumkan bahawa penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi. - Bernama
Budak 3 tahun maut, ibu bapa parah dalam nahas
KEMAMAN - Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun maut manakala ibu bapanya parah setelah kenderaan yang mereka naiki bertembung sebuah lori balak tanpa muatan di Kilometer 139.4 Jalan Jerangau-Jabor semalam. Kejadian pada kira-kira 9.30 malam itu berlaku ketika kenderaan serba guna (MPV) jenis Nissan Grand Livina yang dinaiki tiga beranak itu dipercayai dalam perjalanan ke Pahang selepas pulang bercuti ke kampung mereka di Kelantan. Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Che Suza Che Hitam berkata nahas dipercayai berlaku apabila lori balak terbabit cuba membuat pusingan 'U' di lokasi kejadian. "Ekoran daripada itu, kenderaan MPV yang dipandu Hasmizi Che Lah, 30, gagal mengawal kenderaan lalu merempuh bahagian badan lori yang dipandu warga emas berusia 67 tahun hingga menyebabkan bahagian depan kenderaan mereka remuk teruk," katanya kepada Bernama hari ini. Akibat rempuhan kuat itu, ketiga-tiga beranak tersepit dalam kenderaan sebelum berjaya dikeluarkan pihak bomba dan orang ramai yang melihat insiden berkenaan. Bagaimanapun, anak pasangan itu, Nor Aina Marisa, 3, disahkan meninggal dunia ketika dikejarkan ke Klinik Kesihatan Air Putih, Kemaman manakala Hasmizi, yang merupakan seorang guru di Temerloh, cedera di paha manakala isterinya, Nor Ahzalumi Ghazali, 30, patah kaki. Jenazah Nor Aina Marisa dihantar ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat manakala ibu bapanya turut mendapat rawatan lanjut di hospital yang sama. - Bernama
Misi SAR: Faktor masa, cabaran bukan halangan
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tumpuan kerajaan pada masa kini adalah untuk mencari serpihan rangka serta objek-objek yang berkaitan dengan MH370 di selatan Lautan Hindi. Beliau berkata, ini bagi mengesahkan tanpa ragu-ragu bahawa pesawat itu telah pun hilang di selatan Lautan Hindi walaupun ia akan mengambil masa yang lama di samping bakal menghadapi cabaran yang sukar. "Oleh itu, apa yang perlu kita lakukan dalam minggu-minggu dan mungkin bulan-bulan yang akan datang ialah untuk mencari segala serpihan rangka serta objek-objek yang berkaitan dengan pesawat MH370. "Tidak dapat dinafikan kawasan tersebut amat sukar dan mencabar sekali, ini bererti kita akan menghadapi dugaan dan cabaran yang luar biasa untuk mencari serpihan rangka dan objek-objek pesawat," katanya ketika membentang usul khas tragedi MH370 di Parlimen di sini hari ini. Najib berkata, kerajaan tetap komited untuk meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan itu bagi mengesan kotak hitam pesawat MH370 yang akan memberi jawapan ke atas apa sebenarnya yang berlaku ke atas pesawat malang itu. Perdana Menteri berkata, apa sahaja teori yang dibangkitkan pada masa ini mengenai kehilangan pesawat itu tidak boleh disahkan sehingga kotak hitam yang mengandungi perakam kawalan data dan perakam kawalan suara dijumpai. "(Nahas) pesawat Air France yang telah berlaku pada satu ketika dahulu memakan masa dua tahun untuk menjumpai kotak hitam apabila pesawat itu diketahui di mana ia terhempas. "Kali ini, keadaan itu lebih mencabar, walaupun memakan masa yang lama, kerajaan komited untuk meneruskan operasi SAR sehingga dapat mengesan kotak hitam pesawat MH370," katanya. Najib berkata, kerajaan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada badan-badan antarabangsa dan negara-negara asing yang memberi kerjasama baik sekali dalam operasi SAR. "Apa yang kita saksikan tidak pernah berlaku dalam sejarah penerbangan, saya ucapkan terima kasih kepada badan antarabangsa yang memberi kerjasama begitu baik sekali dan menghargai sokongan dari negara asing dan rakan-rakan kita yang tidak mungkin mereka lakukan tanpa hubungan baik Malaysia dengan negara tersebut," katanya. Najib turut menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri Australia, Tony Abbot pagi tadi yang menyatakan sokongan dan kerjasama negara itu untuk memberikan bantuan secara berterusan sehingga dapat mengesan pesawat MH370. "Saya sendiri telah menghubungi ramai pemimpin negara luar dan setiap yang saya hubungi telah menyatakan kesanggupan untuk memberi kerjasama sepenuhnya dan mereka mengarahkan agensi-agensi mereka untuk bekerjasama dari segi maklumat radar, satelit dan juga mengarahkan aset-aset mereka digunakan dalam operasi SAR mengikut kemampuan negara tersebut. "Maka operasi SAR dilancarkan dan telahpun diubah kawasan cariannya mengikut maklumat terkini yang kita peroleh, kita sahkan bahawa kejadian itu berlaku di kawasan selatan Lautan Hindi maka segala tumpuan diberikan di kawasan tersebut," katanya. Najib berkata, kerajaan akan melakukan segala-galanya dengan penuh tanggungjawab dan memberi maklumat yang diterima yang telahpun disahkan secepat mungkin kepada rakyat dan seluruh dunia. Beliau berkata, kerajaan tidak berniat sama sekali untuk menghalang atau menutup sebarang maklumat daripada disampaikan kepada anggota keluarga mangsa ataupun untuk pengetahuan umum. - Bernama
MH370: PM mahu polis siasat segenap sudut
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan rapi dari segenap sudut berhubung tragedi yang menimpa MH370. Perdana Menteri berkata walaupun jawapan sebenar kepada misteri kehilangan pesawat itu hanya boleh diketahui melalui rakaman perbualan kokpit di dalam kotak hitam, namun mereka perlu komited dan profesional semasa menjalankan siasatan. "Siasatan lain amat perlu dilakukan kerana keluarga mangsa mahukan jawapan segera. Ini merupakan satu tragedi besar dan menyayat hati Malaysia dan negara lain. "Misi menjejaki pesawat MH370 dijalankan bersama PDRM, Angkatan Tentera Malaysia dan 26 buah negara, namun siasatan punca kejadian perlu dilakukan secara rapi bagi mengurangkan spekulasi," katanya dalam ucapan perasmian sambutan Peringatan Hari Polis ke-207 di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Semarak di sini, hari ini. Dalam sidang akhbar malam tadi, Najib mengumumkan penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi. Sehubungan itu, polis juga telah mengambil keterangan lebih 50 individu bagi membantu siasatan kehilangan pesawat terbabit. Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata antara yang sudah diambil keterangannya ialah staf Jabatan Penerbangan Awam, anggota Tentera Udara Diraja Malaysia selain anggota keluarga penumpang dan anak kapal MH370. Siasatan masih berdasarkan kepada empat aspek yang diumum sebelum ini iaitu kemungkinan dirampas, sabotaj, keadaan psikologi dan masalah peribadi penumpang serta anak kapal. Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam 8 Mac menuju Beijing, hilang daripada skrin radar sejam kemudian. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. - Bernama
'Mahu lihat bukti sebelum percaya'
Tat Seng kelihatan tenang ketika ditany oleh wartawan sambil ditemani oleh Adun Bercham, Cheong Chee Khing (kanan), hari ini.
IPOH – Bapa mertua kepada Ketua Pramugari, pesawat Penerbangan Malaysia Airlines (MAS), Goh Sock Lay, 45, mahu melihat bukti-bukti tentang keadaan kapal terbang yang hilang itu sebelum mempercayai sepenuhnya menantunya itu terkorban. Choi Tat Sang, 74, berkata, walaupun anaknya, Choi Loong Chow, 48, menghubunginya dan memberitahu mengenai pengumuman yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu namun, ia tetap mematahkan harapan untuk mempercayai dia masih hidup. “Kami sekeluarga melihat pengumuman oleh Perdana Menteri semalam (kelmarin) dan telah bersedia dengan segala kemungkinan. Isteri saya, Thong Say Moi, 73, yang paling rapat dengan Sock Lay menangis selepas mendapat panggilan dari anak saya. “Saya mahu percaya berita yang disampaikan oleh anak saya tetapi saya tetap mahu melihat bukti-bukti sahih sama ada bangkai ataupun serpihan pesawat yang mungkin dinaiki menantu saya itu,” katanya ketika ditemui di hadapan kedainya di Kampung Tawas, di sini, hari ini. Sock Lay yang berasal dari Melaka adalah seorang daripada 12 anak kapal yang berada dalam pesawat MH370 yang hilang ketika dalam penerbangan ke Beijing, China. Ibu kepada seorang anak perempuan ini telah bertugas bersama syarikat penerbangan MAS lebih 10 tahun lalu. Tat Sang berkata, bagi mengetahui perkembangan lebih lanjut, Loong Chow dikatakan akan berlepas ke Australia bersama dengan keluarga penumpang lain. “Anak perempuannya, Choi Wan Ling, 14, dibawa oleh saudara mara ke Pulau Pinang kerana bimbang dia tertekan selepas kehilangan ibunya itu sejak 18 hari lalu,” katanya. Beliau turut menggambarkan menantunya itu sebagai ringan tulang dan ceria terutama ketika menyambut Tahun Baru Cina. “Sock Lay seorang yang baik dan sentiasa membantu terutama memasak malam sebelum sambutan Tahun Baharu Cina di rumah keluarga kami sebelum mereka pulang ke kediaman mereka di Bercham,” katanya. Sementara itu, sebuah keluarga enggan ditemubual wartawan selepas menerima pengumuman itu. Abang kepada penumpang MAS yang enggan dikenali berkata, emosi keluarga mereka masih tidak stabil berikutan kedua ibu bapanya mengalami masalah jantung selain tidak sihat selepas kehilangan pesawat itu. “Kami hanya menanti pihak MAS untuk bawa kami ke Australia dan kami akan berangkat ke Kuala Lumpur tidak lama lagi,” katanya. Penumpang yang berkenaan adalah Tan Ah Meng, 46, bersama isterinya warganegara Taiwan, Chuang Siew Ling, 48 dan anak mereka, Tan Wei Chew, 19.
Juruteknik mesin ATM tak mengaku curi RM80,850
KUALA LUMPUR - Seorang juruteknik mesin pengeluaran wang automatik (ATM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mencuri RM80,850 daripada mesin ATM Maybank pada 7 Mac lepas. Hamdan Abu Hussin, 27, yang bekerja dengan G4S Safeguard, didakwa melakukan perbuatan itu di ruang legar Bangunan JPN, Presint 2, Putrajaya pada 3.20 petang mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan. Hakim Norsharidah Awang membenarkan Hamdan diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 April untuk sebutan kes. Beliau turut mengenakan syarat tambahan iaitu Hamdan perlu melapor diri di Balai Polis Travers sebulan sekali, dan jika tertuduh mengganggu proses siasatan, jaminan akan ditarik balik. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Svetlana Mohd Noor Nordin membantah sebarang jaminan kerana Hamdan, yang bekerja sebagai juruteknik sejak Mac 2010, memiliki pengetahuan dan kemahiran mengendali mesin ATM di seluruh Putrajaya. Bagaimanapun, peguam Farhan Read memohon mahkamah mengenakan jaminan RM3,000 atas alasan tertuduh tinggal bersama ibu bapanya, yang masing-masing bekerja sebagai tukang cuci dan pemandu teksi dengan pendapatan sekitar RM1,800 sebulan. - Bernama
Bekas pegawai polis zaman darurat terima pingat
KUALA LUMPUR - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menganugerah Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) kepada 104 bekas pegawai polis yang berkhidmat pada zaman darurat. Istiadat penganugerahan itu yang pertama kali diadakan di Semenanjung turut disaksikan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar di Dewan Bankuasi Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) di sini. Ia diadakan sempena sambutan peringatan Hari Polis Ke-207. Pingat dikurniakan bagi menghargai jasa kepahlawanan dan bakti mereka kepada negara semasa zaman darurat (12 Julai 1948 hingga 31 Julai 1960) serta zaman insurgensi komunis (17 Jun 1968 hingga 2 Disember 1989). Ia juga bagi mengiktiraf mereka yang berkorban dalam mempertahankan kedaulatan negara di Sabah dan Sarawak. - Bernama
AIA jamin proses tuntut insurans lancar
KUALA LUMPUR - Syarikat insurans AIA Berhad hari ini memberi jaminan akan memastikan kelancaran proses tuntutan insurans untuk waris penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang di selatan Lautan Hindi. AIA berkata memandangkan sebahagian penumpang pesawat itu adalah pemegang polisi AIA, syarikat itu memberi jaminan kepada keluarga mangsa, mereka akan menghubungi waris untuk menyegerakan proses tuntutan polisi insurans hayat dalam tempoh 24 jam. "Pihak pengurusan dan kakitangan AIA Bhd dengan penuh tulus ikhlas mengucapkan takziah kepada keluarga penumpang dan anak kapal penerbangan MH370," kata AIA dalam kenyataan di sini hari ini. Anggota keluarga terbabit boleh menghubungi AIA di talian 1300-88-8860/70 atau e-mel members@aia.com untuk bantuan lanjut, katanya. Malam tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penerbangan MH370, yang hilang semasa merentasi Laut China Selatan ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, "berakhir di selatan Lautan Hindi". Pesawat Boeing 777-200ER, dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam. Ia dijadual mendarat di Beijing pada 6.30 pagi (waktu Malaysia) pada hari sama. - Bernama
Terus solat hajat, perbanyak doa
JOHOR BAHRU - Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut meminta umat Islam di negara ini agar terus melakukan solat hajat dan memperbanyakkan doa supaya usaha menyelamat MH370 dan kotak hitamnya dipermudahkan. Menurut beliau, ini adalah kerana kotak hitam tersebut boleh merungkai segala persoalan mengenai apa yang sebenarnya berlaku ke atas pesawat yang hilang sejak 8 Mac lalu. "Sejak peristiwa ini berlaku, saya lihat banyak surau dan masjid yang melakukan solat hajat dan saya berharap usaha ini sentiasa diteruskan agar pencarian pesawat dipermudahkan. "Kesedihan ini bukan hanya dirasai oleh ahli keluarga yang terlibat tetapi juga seluruh rakyat di negara ini yang prihatin terhadap situasi yang berlaku," katanya di sini hari ini. Beliau juga meminta keluarga anak kapal dan penumpang MH370 supaya bersabar dan menerima pemergian anggota keluarga masing-masing kerana kematian mereka boleh disifatkan sebagai 'syahid akhirat'. Sekiranya semua yang berada di dalam pesawat itu terkorban maka kematian mereka yang beragama Islam boleh disifatkan sebagai syahid akhirat dan ALLAH telah menyediakan banyak kebaikan kepada mereka, kata Noh. "Saya berharap keluarga mangsa yang terlibat (yang beragama Islam) agar tidak terlalu bersedih sebaliknya perlu banyak bersabar dan menerima ketentuan ALLAH seperti yang terkandung dalam Rukun Iman," katanya. Dalam pada itu, beliau turut menggesa orang ramai agar menghentikan penyebaran sebarang bentuk spekulasi atau pandangan yang boleh mengguris perasaan pihak-pihak yang terlibat dalam insiden itu. "Bertaubatlah segera, jangan buat dosa kering. Jangan buat spekulasi atau andaian sebaliknya tunggu sehingga kotak hitam ditemui," katanya. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak malam tadi mengumumkan bahawa laluan penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi. - Bernama
MAS beri bantuan awal kewangan US$5,000
SEPANG - Malaysia Airlines (MAS) telah menyediakan bantuan awal kewangan US$5,000 setiap penumpang untuk anggota keluarga penumpang pesawat yang hilang, kata ketua pegawai eksekutif kumpulannya Ahmad Jauhari Yahya. Beliau berkata sejak kehilangan penerbangan MH370 pada 8 Mac, fokus MAS adalah bagi menyokong dan memberi keselesaan kepada anggota keluarga terbabit dan menyokong usaha pencarian yang disertai pelbagai negara. Ahmad Jauhari berkata MAS akan terus menyokong usaha pasukan penyiasatan di selatan Lautan Hindi yang merupakan lokasi berakhirnya penerbangan pesawat Boeing 777-200ER. "Fokus MAS akan tetap sama seperti yang dilakukan pihak luar bagi memberikan sokongan kepada anggota keluarga terlibat melalui program yang komprehensif. Melalui rangkaian 700 sukarelawan yang berdedikasi, anggota keluarga bagi setiap penumpang disediakan dua sukarelawan bagi setiap keluarga dengan menyediakan penjagaan, sokongan dan kaunseling. "Kami juga membantu lebih 900 orang di bawah program ini dan sejak 72 jam lalu, kami telah melatih 40 sukarelawan bagi memastikan anggota keluarga mereka mendapat sokongan 24 jam. "Kami menyedari bahawa sokongan kewangan bukan satu-satunya pertimbangan. Tetapi pencarian yang berpanjangan biasanya meletakkan tekanan kewangan ke atas kaum keluarga. Oleh itu, kami bersedia menawarkan bayaran tambahan dengan usaha pencarian yang berterusan," katanya pada sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa KL di sini hari ini. Ahmad Jauhari berkata bantuan awal kewangan itu termasuk penginapan hotel untuk sehingga lima anggota keluarga setiap penumpang, pengangkutan, makanan dan perbelanjaan lain yang disediakan sejak 8 Mac. Sementara itu, Pengerusi MAS Tan Sri Md Nor Yusof berkata siasatan masih dijalankan dan mungkin lebih lama dan kompleks berbanding sejak hari pertama MH370 hilang. "Berdasarkan bukti baharu yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, mesejnya ialah kita mesti menerima kenyataan yang menyedihkan bahawa pesawat itu kini hilang dan tiada seorang penumpang atau anak kapal dalam pesawat itu terselamat. "Ini adalah hari yang sedih dan tragik bagi kami semua di Malaysia Airlines. Walaupun tidak sepenuhnya dan tidak dijangka selepas carian pelbagai negara merentasi kawasan 2.24 juta batu persegi, berita ini jelas memusnahkan harapan paling kecil untuk mendapat berita positif mengenai orang kesayangan mereka," katanya. Pesawat malang yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing itu, hilang daripada skrin radar, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam 8 Mac. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. Usaha mencari dibahagikan kepada dua koridor iaitu koridor utara yang menganjur dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan sehingga ke sebelah utara Thailand, manakala koridor selatan meliputi kawasan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi. Operasi SAR MH370 disifatkan sebagai yang terbesar seumpamanya dalam sejarah membabitkan lebih 27 negara. Berdasarkan hasil analisis yang belum pernah dibuat sebelum ini, syarikat Inmarsat United Kingdom dan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB) memaklumkan Najib bahawa mereka merumuskan Penerbangan MH370 terbang di koridor selatan dan kedudukan terakhirnya adalah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth, Australia. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan malam tadi: "Oleh itu dengan penuh rasa sedih dan kesal saya mesti memaklumkan kepada anda bahawa menurut data baharu ini, Penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi." - Bernama
Keluarga penumpang MH370 warga India tak percaya
NEW DELHI - INDIA. Walaupun selepas menerima SMS dari Malaysia Airlines yang meminta keluarga penumpang dan anak kapal pesawat MH370 supaya menganggap orang kesayangan mereka telah tiada, namun masih terdapat anggota keluarga yang tidak percaya dengan apa yang mereka baca dan dengar. Warga India, Pralhad iaitu suami kepada Kranti Shirsath, 44, yang merupakan antara penumpang pesawat tidak mahu menerima nasib yang menimpa isterinya. "Malah selepas menerima SMS mereka, saya tidak percayakan mereka. Saya masih yakin pesawat MH370 akan ditemui," katanya di rumahnya di Bhugaon, Pune, Maharashtra kepada DNA, sebuah harian berbahasa Inggeris. Buat beberapa hari, keluarga itu berdoa agar anggota keluarga mereka yang merupakan bekas pensyarah kimia akan kembali dengan selamat. Mangsa bercadang balik ke India bersama suaminya yang bekerja untuk pertubuhan bukan kerajaan di Malaysia. Pralhad yang sedih berkata “kami diminta menonton televisyen mengenai pengumuman perdana menteri Malaysia. Sejurus sebelum pengumuman itu, saya menerima SMS yang mengejutkan saya." Beliau berkata beliau tidak sampai hati untuk memberitahu anak-anak lelakinya yang sangat berharap kepulangan ibu mereka. "Saya tidak mahu mengecewakan mereka tetapi saya berharap mereka mendengar mengeninya. Saya masih tidak faham apa asasnya kenyataan ini dibuat. Sekiranya benar, mengapa telefon selular sesetengah penumpang masih berbunyi jika sekiranya mereka lemas." Lima dari 227 penumpang pesawat itu merupakan warga India dan tiga daripadanya merupakan satu keluarga. Mereka dikenali sebagai Chetna Kolekar, 55, Swanand Kolekar, 23, Vinod Kolekar, 59, Chandrika Sharma, 51, dan Kranti Shirsath, 44. - Bernama
Masyarakat Cina Perth sedia terima keluarga mangsa
MELBOURNE - AUTRALIA. Perth membuat persiapan untuk menghadapi kemungkinan kedatangan beramai-ramai anggota keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang lebih dua minggu lepas. Australian Associated Press (AAP) melaporkan Perth kini bersiap sedia untuk menerima kedatangan keluarga 239 penumpang dan anak kapal MH370, yang penerbangannya berakhir di selatan Lautan Hindi, selepas Malaysia Airlines menyatakan kerajaan Australia akan memberi visa kepada mereka sebaik sahaja disahkan serpihan daripada MH370 dijumpai. Malaysia Airlines akan membantu anggota keluarga terbabit untuk ke Australia. Sementara itu, Sammy Yap, presiden Persatuan Chung-Wah Perth berkata masyarakat Cina yang ramai jumlahnya di bandar raya itu bersedia membantu keluarga terbabit dari segi fizikal, emosi dan rohani. "Kami sentiasa bersedia membantu dengan apa jua cara yang boleh. "Bandaraya Perth akan cuba mengurangkan penderitaan mereka dan membantu mereka menerima hakikat tentang apa yang berlaku," kata Yap kepada AAP. Kerajaan persekutuan dan Australia Barat dipercayai telah membincangkan langkah untuk mewujudkan sebuah pusat bagi menyambut kedatangan keluarga yang kehilangan orang yang mereka sayangi dalam tragedi itu dari China dan tempat lain. Kuil Buddha di sekitar bandar raya itu juga dikatakan bersedia untuk memberi bantuan dari segi rohani kepada mereka yang terbabit, kata Yap. Kaunselor Perth Lily Chen, yang juga presiden Persekutuan Wanita Cina Australia, berkata sokongan dari segi emosi juga akan disediakan. "Kami akan cuba beri ketenangan kepada mereka kerana langkah mengurangkan tekanan mental, kesedihan dan perasaan terkejut mereka amat perlu diredakan," kata Chen seperti yang dipetik AAP. Bayaran visa juga dijangka dikecualikan bagi keluarga penumpang pesawat malang itu, yang 152 daripada mereka adalah warga China, manakala Menteri Pertahanan David Johnston berkata isu logistik berhubung kedatangan keluarga terbabit sedang diberi perhatian. "PM begitu tegas dengan pendiriannya untuk membantu Malaysia dalam menangani keperluan keluarga penumpang dan anak kapal pesawat terbabit," kata Johnston. Sementara itu, operasi mencari serpihan pesawat itu oleh pasukan dari pelbagai negara, yang diselaraskan di pangkalan Tentera Udara Diraja Australia Pearce di utara bandar raya ini, dihentikan sementara pada Selasa kerana cuaca buruk di Lautan Hindi. - Bernama
Presiden Susilo simpati keluarga penumpang MH370
JAKARTA - INDONESIA. Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono melahirkan rasa simpati dan dukacita kepada seluruh keluarga penumpang MH370 yang dilaporkan hilang di selatan Lautan Hindi. Susilo, dalam akaun twitter beliau @SBYudhoyono, turut merakamkan perasaan sedih yang mendalam khususnya kepada keluarga tujuh warga Indonesia yang merupakan antara 227 penumpang pesawat tersebut. "Indonesia berdukacita atas tragedi yang menimpa MH370, semoga keluarga yang ditinggalkan tabah. "Dukacita mendalam khususnya bagi keluarga tujuh penumpang MH370 asal Indonesia," kata Presiden Indonesia itu seperti dipetik agensi berita Antara di sini, Selasa. Susilo turut menyampaikan rasa dukacita kepada kerajaan dan rakyat Malaysia berikutan tragedi yang berlaku itu. "Kepada bangsa Malaysia dan PM (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib Razak, kami mengucapkan dukacita atas tragedi ini," kata Presiden Indonesia itu. Dalam sidang media malam tadi, Najib mengumumkan penerbangan pesawat Malaysia Airlines MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi. Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam 8 Mac, menuju ke Beijing, hilang daripada skrin radar sejam kemudian. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. - Bernama
1,095 hari penuh liku di Syria
KETIKA dunia memberi tumpuan kepada krisis politik di Ukraine, pergolakan di Syria masih berlarutan tanpa penyelesaian. Penderitaan 23 juta penduduk negara itu akibat perang saudara sejak tiga tahun lalu menjadikan ia sebagai konflik sivil paling kejam dan paling berpanjangan sejak Perang Dunia Kedua. Pada ulang tahun ketiga revolusi menentang rejim Presiden Bashar al-Assad, lebih 140,000 dilaporkan terkorban manakala kira-kira 2.5 juta penduduk lagi terpaksa menjadi pelarian. Kebangkitan kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan bermula pada 15 Mac 2011 di bandar selatan Daraa selepas revolusi di Tunisia merebak ke beberapa negara rantau Arab. Pada awalnya, protes tersebut diadakan secara aman tetapi ia bertukar ganas selepas pasukan keselamatan menggunakan tindakan kekerasan ke atas penunjuk perasaan hingga mencetuskan pertempuran berdarah di negara terbabit. Menjelang Julai pada tahun sama, konflik tersebut bertukar menjadi pemberontakan bersenjata lebih dahsyat dan akhirnya menyebabkan negara itu terjerumus ke kancah perang saudara hingga kini. 1,095 hari telah berlalu, pergolakan di Syria didakwa semakin buruk akibat campur tangan dan kemasukan lebih 7,000 militan asing disokong kuasa Barat yang kononnya mahu membantu puak penentang utama, Tentera Pembebasan Syria (FSA) menggulingkan Bashar. Sampai bila kemelut ini akan berterusan?
2011
Keganasan tercetus pada pertengahan Mac selepas sekumpulan remaja dan kanak-kanak menghasilkan grafiti berbaur politik ditahan pihak berkuasa. Puluhan orang dilaporkan terkorban selepas pasukan keselamatan menggunakan tindakan kekerasan ke atas kumpulan penunjuk perasaan. Menjelang April, puluhan ribu penduduk Syria menyertai Hari Kemarahan yang diadakan di seluruh negara untuk menyuarakan bantahan terhadap kekejaman rejim Bashar. Sebagai respons terhadap bantahan berterusan, kerajaan Syria mengumumkan beberapa pelan untuk memuaskan hati rakyat termasuk rancangan mengkaji semula undang-undang darurat. Bagaimanapun, menerusi ucapan Bashar yang disiarkan selama 45 minit menerusi stesen televisyen tempatan, beliau memaklumkan bahawa kerajaan tidak dapat memenuhi sebarang tuntutan rakyat selain tidak menawarkan sebarang perubahan konkrit. Pada 21 April, Bashar menarik semula perintah darurat yang dikuatkuasakan selama 48 tahun di negara itu selain mengeluarkan dekri mengawal selia hak bantahan secara aman sebagai satu daripada hak asasi manusia dijamin Perlembagaan. Tidak lama selepas itu, bekalan air dan elektrik serta perkhidmatan talian telefon dipotong oleh kerajaan. Konflik semakin meningkat selepas Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan ke atas Bashar dan enam pegawai kanan kerajaan pada 18 Mei. Kira-kira tiga bulan selepas itu, Syria dikenakan sekatan ekonomi dan aset kerajaan turut dibekukan serta larangan mengimport minyak dari negara itu dikuatkuasakan oleh Kesatuan Eropah (EU) selepas Bashar dituduh melancarkan kempen keganasan ke atas rakyatnya. Pada 2 Oktober, pembangkang menubuhkan Majlis Kebangsaan Syria (SNC) yang bertujuan untuk menggulingkan kerajaan Bashar dan mewujudkan sistem demokrasi. Rusia dan China menggunakan kuasa veto mereka menyekat resolusi Majlis Keselamatan PBB bagi mengenakan sekatan ke atas Rusia hingga mencetuskan kritikan beberapa pihak. Pada 16 November, Liga Arab memutuskan untuk menggantung keanggotaan Syria selepas digesa banyak pihak. Syria akhirnya menandatangani kertas cadangan Liga Arab pada pertengahan Disember yang bertujuan menamatkan pertempuran antara pasukan keselamatan dan penunjuk perasaan selepas 19 negara anggota mengundi untuk mengenakan sekatan ekonomi ke atas Damsyik.
2012
Pada 28 Januari, Liga Arab terpaksa menangguhkan misi mereka selepas keganasan semakin meningkat di Syria. Mesyuarat Majlis Keselamatan PBB juga berakhir tanpa sebarang kata putus terhadap draf resolusi yang bertujuan memberi tekanan kepada kerajaan pimpinan Bashar supaya berundur. Konflik yang semakin meruncing memaksa AS menutup kedutaan mereka di Damsyik dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) juga bertindak memanggil pulang duta mereka serta mengusir diplomat Syria pada 7 Februari. Pada 16 Februari, Perhimpunan Agung PBB meluluskan resolusi tidak terikat yang bersetuju dengan rancangan Liga Arab untuk menggesa Bashar meletak jawatan selepas memperoleh 137 undi negara anggota. Sekitar pertengahan Mac, Utusan Khas PBB ke Syria, Kofi Annan bertemu pegawai kerajaan dan wakil pembangkang di Turki untuk membincangkan pelaksanaan gencatan senjata, pembebasan tahanan serta membenarkan bantuan dihantar kepada penduduk. Setahun selepas konflik tersebut tercetus, lebih 8,000 dilaporkan maut akibat insiden pembunuhan beramai-ramai di negara terbabit, namun kumpulan aktivis mendakwa angka sebenar mungkin mencecah lebih 10,000 orang awam. Pada 1 April, SNC secara rasmi diiktiraf sebagai wakil sah penduduk Syria selepas kerajaan bersetuju dengan pelan keamanan Annan. Menjelang pertengahan tahun, majlis Keselamatan PBB telah menghantar kira-kira 300 anggota pemerhati untuk menyertai misi keamanan selama 90 hari di Syria. Untuk pertama kali, kerajaan dan pembangkang Syria sebulat suara bersetuju dengan prasyarat perjanjian yang dimeterai dalam rundingan damai pusingan pertama di Geneva. Sekitar Jun, masyarakat antarabangsa dikejutkan lagi dengan insiden pembunuhan beramai-ramai yang didalangi militia Bashar (shabiha) di sebuah perkampungan di Houla dan tengah Hama. Ratusan penduduk termasuk puluhan kanak-kanak dilaporkan dibunuh kejam dalam tempoh 14 hari di negara tersebut. Tidak lama selepas itu, beberapa menteri dilaporkan berpaling tadah dan meletak jawatan termasuk bekas Perdana Menteri Riyad al-Hijab yang digantikan oleh bekas Menteri Kesihatan, Wael al-Halki. Pada awal September, Lakhdar Brahimi dilantik sebagai wakil misi keamanan PBB yang baharu di Syria selepas Annan berundur berikutan pelan damainya gagal dilaksanakan. Pakatan pembangkang akhirnya bersetuju untuk bersatu sebagai Gabungan Kebangsaan Syria dan Sheikh Ahmed Moaz al-Khatib dilantik sebagai pemimpin pakatan tersebut pada 11 November.
2013
Pada 12 Februari, Majlis Keselamatan PBB menganggarkan jumlah mangsa yang terbunuh dalam tempoh 24 bulan di negara itu mencecah 70,000 orang. Selain itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) melaporkan lebih 1.5 juta penduduk Syria menjadi pelarian. Pada 27 Mei, EU memutuskan untuk menamatkan embargo senjata ke atas FSA dan pada hari sama Senator AS, John McCain dilaporkan bertemu dengan kumpulan bersenjata tersebut. PBB dan AS menggesa satu siasatan segera dilakukan selepas kumpulan aktivis mendakwa kerajaan menggunakan senjata kimia di kawasan luar Damsyik hingga meragut 1,300 nyawa termasuk kanak-kanak pada 21 Ogos. Susulan daripada insiden menggemparkan itu, badan amal Doctors Without Borders mendakwa 3,000 pesakit mengalami gejala keracunan neurotoksik dan 355 daripadanya dilaporkan meninggal dunia di tiga hospital. Pada 26 Ogos, pemeriksa PBB tiba di lokasi serangan senjata kimia di Moadamiyet al-Sham berhampiran Damsyik. Campur tangan asing cuba untuk meningkatkan lagi ketegangan di Syria selepas Presiden AS Barack Obama mengarahkan tentera ‘bersiapsedia’ untuk melancarkan tindakan ketenteraan ke atas Syria. Selepas menerima ancaman ketenteraan AS, Damsyik akhirnya bersetuju dengan cadangan Rusia untuk melepaskan kawalan senjata kimia mereka. Pada 14 September, AS dan Rusia bersetuju untuk menghapuskan senjata kimia milik Syria selepas laporan PBB menunjukkan gas sarin digunakan dalam serangan yang mengorbankan ribuan penduduk. Majlis Keselamatan PBB meluluskan resolusi 2118 yang menghendaki Syria melupuskan seluruh bekalan senjata kimia mereka yang turut dipersetujui oleh Bashar. Sekitar Oktober, Syria mula menghapuskan program senjata kimia mereka dan perkara itu disahkan Pertubuhan bagi Pencegahan Senjata Kimia (OPCW). Ketika itu, PBB turut mendedahkan bukti yang menunjukkan kerajaan Syria melakukan jenayah perang. Menjelang akhir tahun, kerajaan Syria didakwa melanggar tarikh akhir untuk menjayakan pelan penghantaran keluar bagi melupuskan lebih 1,000 tan senjata kimia di laut.
Pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal teguh
PETALING JAYA - Pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal teguh tahun ini, disokong oleh peningkatan eksport serta kemungkinan impak hasil penyatuan fizikal, kata ahli ekonomi. Ahli Ekonomi Kanan Bank Dunia untuk Malaysia Dr Frederico Gil Sander, berkata negara ini akan bergantung kepada sektor eksport dan domestik jika diperlukan. "Malaysia adalah negara stabil dari segi kadar pertumbuhan. Saya kira keadaan tidak akan berbeza daripada apa yang wujud sebelum ini," katanya kepada pemberita di luar ceramah Siri Global Malaysia di sini hari ini. Gil Sander berkata demikian ketika diminta mengulas keluaran dalam negara kasar Malaysia (KDNK) tahun ini. Tahun lepas, Bank Dunia mengunjurkan pertumbuhan KDNK Malaysia menyederhana, daripada 5.6 peratus pada 2012 kepada 4.5 peratus pada 2013. Kerajaan komited untuk mengurangkan defisit fizikal kepada tiga peratus KDNK pada 2015 dan mencapai bajet berimbang pada 2020. Gil Sander berkata Malaysia memerlukan pendekatan menyeluruh untuk mengubah sistem pendidikan bagi melahirkan modal insan dan mengaitkannya dengan syarikat yang inovatif dan berteknologi tinggi. "Ia memerlukan satu komitmen daripada semua pihak untuk membaiki bidang pendidikan, terutama pentadbir sekolah, guru dan ibu bapa," katanya. Beliau berkata sistem pendidikan am Vietnam lebih berjaya berbanding negara lain, termasuk Program untuk Penilaian Pelajar Antarabangsa Malaysia 2012. Keputusan yang disiarkan tahun lalu menunjukkan prestasi pelajar Vietnam di kawasan luar bandar jauh lebih baik daripada pelajar Malaysia secara puratanya, katanya. - Bernama
MH370: Ahli Keluarga Buat Bacaan Yasin
Sebahagian daripada ahli keluarga penumpang pesawat MAS MH 370 membaca surah Yasin di Hotel Everly Putrajaya setelah lokasi pesawat berkenaan disahkan berakhir di selatan Lautan Hindi malam tadi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.- Foto Bernama
PUTRAJAYA – Anggota keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370, yang ditempatkan di Hotel Everly di sini, mengadakan majlis bacaan Yasin pada Selasa bagi memohon misi pencarian pesawat berkenaan dipermudahkan. Antara yang hadir ialah anggota keluarga kepada penumpang, Mohd Razahan Zamani dan isteri Norli Akmar Hamid, Khairul Amri Selamat dan Suhaili Mustafa. Menurut Naib Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Anak Pahang di Ibukota Datuk Mustaffa Mat Yasin yang turut serta dalam majlis, majlis itu juga diadakan untuk mendoakan agar pesawat serta penumpang dapat dijumpai segera. “Dulu ayahnya selalu bawa anaknya ke pejabat saya dan sejak kecil lagi anaknya telah menunjukkan minat untuk menjadi jurutera,” katanya yang mengenali Khairul iaitu anak kepada Selamat Omar sejak kecil, kepada pemberita di sini. Penerbangan MH370 membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing itu, hilang daripada skrin radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam 8 Mac. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. – BERNAMA
VIDEO: Petugas Media China Meraung Sampaikan Berita MH370
Semalam, satu negara menitiskan air mata setelah mendengar pengumuman Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa nasib pesawat MH370 sudah berakhir di selatan Lautan Hindi. Seperti diketahui, selain daripada Malaysia penumpang paling ramai yang menduduki pesawat adalah warga China. Tidak hairanlah, petugas media negara sana yang berada di sini cukup terkesan dengan berita sedih ini. Video di bawah merakamkan bagaimana seorang petugas media China menangis teresak-esak ketika menghubungi rakan di negaranya untuk memaklumkan berita semalam.
Jangan Salah Faham – MH370 Belum Ditemui – Cuma Nasibnya Sudah Disahkan
“Kita Bukan Mencari Jarum Dalam Jerami – Jerami Pun Kita Belum Jumpa Lagi” Baris ayat di atas adalah rumusan yang diberikan oleh pihak berkuasa Australia bagi menzahirkan betapa sukarnya usaha untuk mengesan serpihan dan bangkai pesawat MH370. Analogi itu menzahirkan secara umum bahawa pasukan mencari sebenarnya belum betul-betul pasti lokasi di mana di Lautan Hindi bangkai pesawat MH370 berada. Setakat ini seperti yang kita tahu ialah MH370 disahkan terhempas di selatan Lautan Hindi seperti yang dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak malam tadi. Rumusan itu dibuat berdasarkan maklumat data satelit oleh sebuah syarikat dari United Kingdom. Sejak itu, segelintir anggota masyarakat yang salah faham beranggapan bahawa kapal malang itu sudah ditemui. Bukan… MH370 masih belum ditemui. Apa yang diumumkan semalam ialah nasib kapal itu yang telah diketahui berdasarkan pengkajian mendalam dan teliti terhadap data satelit. Nasibnya ialah ia terhempas di selatan Lautan Hindi. Namun, apa sahaja serpihan atau bangkai dan jasad para penumpang belum ditemui. Usaha mencari dan mengesan kapal itu sedang dilaksanakan secara berterusan… termasuk dalam cuaca yang buruk. Jadi… diharap pembaca dapat membezakan apa yang diumumkan semalam dengan apa yang masih berlangsung ketika ini.
Terkini: Polis China Tiba Di Kedutaan, Keluarga Mangsa MH370 Di China Mula Berarak
GAMBAR (atas): KELUARGA mangsa MH370 di Beijing berarak menuju ke Kedutaan Malaysia dan GAMBAR (bawah): Pasukan polis tambahan China tiba di hadapan kedutaan Malaysia.
Keluarga para penumpang MH370 di China sebentar tadi mula berarak ke Kedutaan Malaysia Beijing bagi membuat bantahan dan mengelar Penerbangan Malaysia (MAS) sebagai pembunuh. Sebelum ini, seorang ahli keluarga yang tidak dikenali membacakan satu kenyataan di sebuah hotel di ibu negara China itu mengutuk MAS, kerajaan dan tentera Malaysia sebagai ‘secara berterusan melambatkan, menyorok dan menutup kebenaran’. “Ia adalah satu percubaan untuk menipu keluarga mangsa dan cubaan menipu rakyuat seluruh dunia,” kata kenyataan itu yang kemudiannya dimuat naik ke mikroblog di China. Mereka berarak dengan azam untuk memperlihatkan tanda marah dengan apa yang disifatkan mereka sebagai rasa bersalah yang tidak boleh dimaafkan. Ketika tiba di hadapan kedutaaan, para keluarga penumpang melaungkan ; “Beritahu kami kebenaran, pulangkan orang yang tersayang kepada kami”. Sementara itu di Kuala Lumpur, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam usul tergempar ucapana takziah kepada keluarga mangsa di Parlimen memberitahu, kejadian MH370 bukan isu politik dan sikap bersatu semua pihak amat perlu. Beliau juga memberitahu bahawa kawasan pencarian di Lautan Hindi adalah sangat mencabar dan kerajaan berusaha sebaik mungkin untuk mengesan kotak hitam penerbangan. Najib juga memberikan jaminan bahawa kerajaan Malaysia tidak sama sekali cuba menyembunyikan sebarang fakta atau maklumat. Malam tadi, beliau memberitahu bahawa data satelit yang ditafsir sebuah syarikat pakar dari United Kingdom mengesahkan MH370 terhempas di selatan Lautan Hindi. Sementara itu, kerajaan China mendesak Malaysia agar menyerahkan data satelit yang diperoleh dalam rumusan bahawa MH370 telah terhempas di kawasan yang dimaksudkan. Proses mencari MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu dihentikan beberapa negara termasuk Australia dan New Zealand pagi ini berikutan keadaan cuaca yang buruk.
Hukuman Mati Penyokong Morsi Sudah Dijangka
Selain perkhabaran sedih bahawa pesawat MH370 disahkan mengakhiri destinasinya di Lautan Hindi, terdapat satu lagi berita melibatkan angka kematian yang besar diumumkan semalam. Ia ada hukuman gantung sampai mati yang dijatuhkan Mahkamah Mesir terhadap 529 penyokong bekas Presiden kelima Mesir, Mohamed Morsi. Seperti diketahui umum, Mohammed Morsi yang merupakan presiden Mesir pertama dipilih oleh rakyat secara demokrasi telah digulingkan oleh Ketua Tentera, Jeneral Abdul Fattah al-Sisi pada 3 Julai tahun lalu. BACA: Mohamed Morsi Sah Presiden Mesir Antara yang diisytiharkan dijatuhi hukuman mati semalam termasuklah Mursyidul Am pergerakan Ikhwanul Muslimin, Dr Mohamed Badie. Bagaimanapun, berita ini tidaklah terlalu mengejutkan kerana banyak lagi kekejaman tentera Al-Sisi yang dilakukan setelah Morsi diguling. Rakyat yang melakukan demonstrasi meminta suara mereka didengar dan tidak mahu tunduk kepada pemerintahan tentera telah dibom, dibunuh, diperkosa, diracun menggunakan gas dan disiksa dengan kejam dan tanpa perikemanusiaan.
Ahli Parlimen DAP Kutuk Mahkamah Mesir
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Serdang, Dr. Ong Kian Ming dari parti DAP mengutuk mahkamah Mesir kerana menjatuhkan hukuman mati kepada 529 penyokong Presiden yang digulingkan, Mohamed Mursi. Beliau mendakwa, `Amnesty International’ turut menggelarkan keputusan mahkamah itu sebagai keputusan hukuman mati terbesar pernah berlaku dalam sejarah dunia. “Ia jelas satu percubaan memalukan apabila tertuduh dilaporkan tidak diberi akses kepada bukti. Tambahan pula, tidak seorang pun daripada defendan atau peguam mereka dibenarkan hadir di mahkamah ketika keputusan itu diberikan. “Saya meminta kerajaan Malaysia turut mengutuk tindakan itu dan sistem mahkamah Mesir kerana menganiaya rakyatnya sendiri,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini. Media semalam malaporkan sebuah mahkamah di Mesir menjatuhkan hukuman mati kepada 529 penyokong Presiden yang digulingkan, Mohamed Mursi selepas perbicaraan secara massa. Penyokong Mursi berdepan dengan tindakan keras untuk menghancurkan sokongan mereka oleh kerajaan yang dibentuk tentera sejak Julai lalu. Ratusan penyokong telah dibunuh manakala ribuan lagi ditahan. Daripada 529 yang dijatuhi hukuman mati itu, 153 orang berada dalam tahanan manakala selebihnya melarikan diri dan keputusan itu tidak boleh dirayu.
China mahu Malaysia serah data satelit MH370
SHAH ALAM - Pemerintah China meminta Malaysia menyerahkan kepadanya semua analisis data satelit yang berkaitan dengan kehilangan pesawat Malaysia Airlines, lapor agensi berita Reuters. Permintaan itu disampaikan oleh Timbalan Menteri Luar China, Xie Hangsheng kepada Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Iskandar Sarudin malam tadi. Xie mengadakan pertemuan dengan duta Malaysia itu selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penerbangan pesawat Boeing 777-200 "berakhir" di kawasan selatan Lautan Hindi, berdasarkan kepada data terbaru satelit. Najib yang mengumumkan perkembangan terbaru mengenai MH370 kepada pemberita malam tadi berkata beliau dimaklumkan mengenai perkara ini oleh wakil Cawangan Siasatan Nahas Udara (AAIB) dari Britain. Najib berkata, pakar analisis data satelit Inmarsat, yang sebelum ini memberi anggaran lokasi pesawat itu di dua koridor utara dan selatan, merumuskan pesawat malang itu mengakhiri perjalanannya di tengah-tengah Lautan Hindi di barat bandaraya Perth, Australia. "Ini merupakan lokasi terpencil, jauh dari mana-mana kawasan landasan. "Dengan penuh rasa sedih dan kesal, saya ingin memaklumkan kepada anda, bahawa berdasarkan data baru ini, penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi," kata Najib dalam sidang media yang turut disiarkan secara langsung. Dalam kenyataan ringkasnya, Najib berkata butiran terperinci akan diumumkan pada sidang media hari ini.
MH370: Kargo Dibawa Tidak Berbahaya – MAS
KUALA LUMPUR – Kargo yang dibawa pesawat MH370 adalah tidak berbahaya dan dibawa mengikut peraturan yang ditetapkan badan selia penerbangan antarabangsa, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya. Sehubungan itu, katanya, terpulang kepada pasukan penyiasat untuk memutuskan sama ada memenuhi permintaan pihak berkuasa Australia untuk mendapatkan senarai itu. “Berhubung senarai kargo itu, Australia perlu memintanya daripada pasukan penyiasat,” katanya pada sidang media harian MH370 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, sebentar tadi. Ahmad Jauhari turut menjelaskan bahawa pesawat MH066 dari Kuala Lumpur ke Incheon, Seoul, dilencongkan ke Hong Kong malam tadi sebagai langkah berjaga-jaga berikutan generator pesawat tidak berfungsi. “Ia dilencongkan ke Hong Kong bukan kerana isu keselamatan tetapi teknikal,” katanya. Ahmad Jauhari juga menegaskan laporan media asing berhubung insiden membabitkan pesawat MAS di Kathmandu adalah tidak benar. “Hanya lampu pesawat yang pecah apabila dilanggar sekumpulan burung dan juruterbang segera melaporkan kepada menara kawalan,” katanya. – BH Online
AS Hantar Kenderaan Khas Menyelam Dasar Laut
WASHINGTON – Amerika Syarikat akan menghantar alat pengesan bunyi dan dengungan yang mampu menerokai dasar laut sedalam 15,00 kaki untuk membantu operasi mencari bangkai pesawat MH370. Pentagon berkata, peralatan sonar yang dilengkapkan dalam kenderaan menyelam dasar laut – Bluefin itu kini berada di Australia selepas jam kerajaan Malaysia mengumumkan bahawa pesawat MH370 mengakhiri penerbangannya di Lautan Hindi, semalam. “Kita mempunyai kira-kira 200 orang yang dalam kesedihan ketika ini. Mereka baru saja menerima berita yang mengejutkan dari kerajaan Malaysia,” kata jurucakap Pentagon, Laksamana Muda, John Kirby. Bluefin berukuran lima meter panjang dan seberat 800 kilogram, demikian menurut Tentera Laut AS. Kirby berkata, Bluefin mampu beroperasi lebih sehari dalam had laju perlahan. Keputusan untuk menghantar Bluefin itu adalah tambahan kepada aset pengesan sonar “Towed Pinger Locater,” yang mempunyai teklologi lebih tinggi untuk mengesan kotak hitam. – AFP
Indeks Jenayah Daerah Kota Kinabalu Turun 9.8%
KOTA KINABALU – Indeks jenayah di Kota Kinabalu turun 9.8 peratus dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, kata Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Jauteh Dikun. Beliau berkata ini berikutan usaha berterusan dari segi pencegahan dan risikan serta maklumat orang ramai sehingga membolehkan polis menangkap penjenayah dan menumpaskan beberapa sindiket di sekitar bandar raya ini. “Sepanjang Mac ini, polis berjaya menangkap beberapa individu yang terlibat dalam beberapa sindiket termasuk sindiket curi motorsikal, pecah rumah dan ragut,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan sempena sambutan hari polis ke-207 peringkat daerah Kota Kinabalu di Karamunsing di sini hari ini. Jauteh berkata polis turut menjalankan rondaan dan pemantauan keselamatan di kawasan-kawasan yang baharu diwujudkan termasuk kawasan perumahan, taman rekreasi dan kawasan yang melibatkan aktiviti masyarakat. Beliau berkata kerjasama orang ramai dan media yang menyampaikan dan menyebarkan maklumat antara faktor penting dalam menwujudkan komuniti sejahtera. Pada majlis itu, beberapa anggota polis menerima sijil penghargaan termasuk 18 pengamal media di negeri ini. – BERNAMA
Petronas Batal Konsert `Twin Towers@Live 2014’
KUALA LUMPUR – Petronas membuat keputusan untuk membatalkan konsert `Twin Towers@Live 2014’ yang dijadualkan berlangsung pada 28 dan 29 Mac ini. Petronas dalam satu kenyataan media memberitahu, keputusan itu dibuat secara bersama dengan penganjur lain konsert itu. “Pembatalan ini sebagai menghormati ahli keluarga dan sahabat handai penumpang dan krew pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370. “Kami akan sedih dengan tragedi ini dan mengucapkan takziah kepada ahli keluarga terlibat,” kata kenyataan itu hari ini. Petronas bagaimanapun memberi jaminan akan memastikan semua pihak yang terkesan akibat pembatalan itu akan diberi layanan seadilnya. Selain Petronas, Nestlé Malaysia turut mengumumkan pembatalan pelancaran kempen Lebih Kebaikan Lebih Nilai Nestlé yang sepatutnya berlangsung di pusat membeli belah 1Utama di sini pada 26 Mac ini. Ia juga bertujuan menghormati ahli keluarga dan sahabat handai penumpang dan krew pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang disahkan terhempas di Lautan Hindi.
Foto Penumpang Termuda Penerbangan MH370
Ini merupakan foto penumpang termuda penerbangan MH370, seorang kanak-kanak perempuan, Wang Mohen yang berusia dua tahun. Tiada siapa menduga percutiannya bersama kedua ibu bapa ke Malaysia berakhir dengan tragedi apabila MH370 disahkan terhempas di selatan Lautan Hindi, semalam. Wang Mohen dan bapa, Wang Rui dan ibunya, Jiao Weiwei menaiki pesawat tersebut untuk kembali ke Beijing selepas menghabiskan percutian di Malaysia. Menurut seorang rakan rapat keluarga itu, Xie Yongzhen berkata kepada New York Times, Wang Rui sekeluarga bercuti ke Malaysia untuk ‘melarikan diri’ seketika daripada kualiti udara tidak sihat yang melanda Beijing, baru-baru ini.
Komuter rempuh platform tren bawah tanah
SEBUAH komuter merempuh platform dan eskalator di stesen tren bawah tanah di Lapangan Terbang Antarabangsa O'Hare, Chicago semalam.
CHICAGO, Amerika Syarikat - Sebuah komuter merempuh platform dan eskalator di stesen tren bawah tanah di sini semalam, kata beberapa pegawai. Seramai 32 orang cedera dalam kejadian yang berlaku di stesen tren tersebut di Lapangan Terbang Antarabangsa O'Hare. Punca kejadian masih disiasat Pihak Berkuasa Transit Chicago, Jabatan Bomba dan polis. Tren itu dipercayai bergerak dengan laju semasa ia merempuh platform dan eskalator. Bilangan penumpang yang menaiki tren dalam kejadian yang berlaku pada pukul 2.50 pagi waktu tempatan itu masih belum diketahui. - AP
Pakar dakwa MH370 terbang rendah elak bertembung pesawat lain
KUALA LUMPUR - Satu maklumat terbaharu yang diperoleh pihak berkuasa memberikan gambaran mengenai apa yang berlaku ke atas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang sejak 8 Mac lalu. Satu sumber yang rapat dengan siasatan itu memberitahu stesen penyiaran CNN kelmarin, log daripada radar tentera menunjukkan pesawat MH370 tersebut terbang rendah selepas melencongkan arah ketika berada di Lautan Hindi dan terus menuju ke Selat Melaka. Kata sumber itu lagi, pada satu ketika pesawat itu didapati terbang serendah 3,657 meter sebelum hilang dari radar tentera. Pihak berkuasa sebelum ini memberitahu bahawa pesawat itu tidak membuat sebarang panggilan kecemasan tetapi ramai penganalisis berkata, kemungkinan juruterbang gagal memberi isyarat kecemasan kerana kerosakan yang dialami pada pesawat. "Selepas membuat lencongan, pesawat jenis Boeing 777-200 itu masuk ke laluan udara yang sibuk dan tindakan juruterbang terbang rendah adalah untuk menyelamatkan pesawat itu daripada bertembung dengan pesawat lain," kata sumber tersebut. Maklumat terbaharu tersebut memberikan sedikit gambaran berhubung apa yang berlaku pada pesawat berkenaan tetapi ia masih gagal menjelaskan kenapa pesawat itu hilang atau lokasi ia berada. Pakar juga masih berbelah bagi sama ada maklumat terbaharu itu merupakan petanda pesawat itu mengalami masalah mekanikal sehingga menyebabkan juruterbang terpaksa mengubah haluan. Pesawat itu membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal ketika ia dalam penerbangan ke Beijing sebelum hilang semasa ia perlu menghubungi menara kawalan trafik udara di Vietnam. - Agensi
Singapura perketat kawalan di lapangan terbang
SEORANG saudara penumpang menunjukkan penumbuk sambil menangis di Hotel Lido.
SINGAPURA - Pihak berkuasa Singapura telah meningkatkan pemeriksaan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi sebagai langkah berjaga-jaga selepas sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) hilang pada 8 Mac lalu, kata polis semalam. Pihak berkuasa Malaysia sebelum ini mendedahkan bahawa dua penumpang menaiki penerbangan itu dengan menggunakan pasport curi sekali gus menimbulkan kebimbangan tragedi itu mungkin mempunyai kaitan dengan aktiviti pengganas. Pihak berkuasa Malaysia juga percaya pesawat itu sengaja dilencongkan oleh seseorang di dalam kapal terbang berkenaan dan siasatan juga ditumpukan kepada kemungkinan rampasan. "Changi adalah salah satu laluan antarabangsa di mana lebih 7,000 pesawat mendarat dan berlepas yang membawa lebih 147,000 penumpang pada setiap minggu," kata pihak polis Singapura dalam satu kenyataan. "Ekoran kejadian yang menimpa pesawat MH370, Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Pihak Berkuasa Pemeriksaan Imigresen (ICA) telah meningkatkan tahap amaran keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi sebagai langkah berjaga-jaga," tambah kenyataan itu. Menurut kenyataan itu, pihak polis dan ICA kini memantau situasi ancaman secara dekat. - AFP
Pesakit buah pinggang Kena tunggu hingga 20 tahun
KUALA LUMPUR - Lebih 18,000 pesakit buah pinggang di negara ini terpaksa menunggu hingga 20 tahun untuk mendapatkan organ daripada para penderma. Fakta yang mendukacitakan itu dianalisis berdasarkan statistik penderma organ yang sangat rendah diterima daripada Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) Malaysia. Pengasasnya, Dr. S. S Gill berkata, lebih 99 peratus daripada 18,347 pesakit akan terus berasa hampa apabila terpaksa menunggu dalam jangka masa yang sangat panjang. "Untuk pengetahuan semua, kurang satu peratus pesakit buah pinggang menerima buah pinggang dan jika bernasib baik, ahli keluarga pesakit yang menyumbangkan organ," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam. Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan mengenai 18,347 pesakit yang hidup dengan dialisis sementara menunggu untuk mendapatkan transplan buah pinggang. Malaysia merupakan antara negara paling ramai pesakit yang mengalami kegagalan fungsi organ tersebut.
Polis Johor sasar pengambilan 500 anggota dari kaum Cina
JOHOR BAHRU - Polis Johor menyasarkan pengambilan 500 anggota polis dari kaum Cina bagi memantapkan penugasan dan mengimbangi komposisi kaum dalam pasukan berkenaan. Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Ismail Yatim berkata, jumlah pegawai dan anggota polis kaum Cina di negeri ini amat kurang ketika ini iaitu hanya 63 pegawai dan 82 anggota daripada jumlah keseluruhan 9,000 pegawai dan anggota polis di Johor. "Pengambilan ini adalah selaras dengan hasrat Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menyasarkan pengambilan 5,000 anggota polis kaum Cina di seluruh negara tahun ini. "Pertambahan jumlah anggota polis dari kaum berkenaan diyakini dapat memudahkan penugasan dari segi komunikasi dengan masyarakat kaum itu dan menangani kegiatan lain seperti pelacuran," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan dan perbarisan Hari Polis ke-207 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini. Ismail berkata, bagi menjayakan usaha itu, pihaknya akan mengadakan program khas dengan Persatuan Tiong Hua Negeri Johor pada 6 April depan, di Wisma Tiong Hua di sini, untuk menarik belia kaum itu secara besar-besaran menyertai polis. - Bernama
MH370: Perak kibar bendera separuh tiang
IPOH - Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah menitahkan semua Jabatan agensi, institusi, sekolah termasuk pihak swasta menaikkan bendera Negeri Perak separuh tiang esok. Tindakan itu sebagai tanda simpati dan dukacita negeri dan rakyat Perak kepada kaum keluarga penumpang serta anak kapal pesawat MH370. Baginda turut menzahirkan rasa dukacita dan simpati kepada keluarga penumpang dan anak kapal pesawat MH370 susulan laporan terkini tragedi tersebut. Titah itu disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Datuk Razali Othman melalui satu surat pekeliling yang diedarkan kepada media hari ini.
Bendera separuh tiang di Johor
Bendera negeri Johor di bangunan kerajaan negeri dikibarkan separuh tiang bagi menghormati penumpang dan anak kapal MH370.
JOHOR BAHRU - Semua bangunan kerajaan di negeri Johor mula mengibarkan bendera negeri separuh tiang hari ini bagi menghormati semua penumpang dan anak kapal pesawat MH370. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melalui laman Facebook beliau mengeluarkan kenyataan bahawa Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan agar negeri Johor berkabung atas tragedi yang menimpa semua penumpang dan anak kapal pesawat MH370. Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa berdasarkan analisis terkini oleh Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB), pesawat MAS MH370 disahkan hilang di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth, Australia. Di IPOH, Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah hari ini menitahkan supaya bendera negeri Perak dikibar separuh tiang di negeri itu esok bagi menghormati tragedi itu. Semua jabatan agensi, institusi, sekolah termasuk pihak swasta perlu berbuat demikian sebagai tanda dukacita negeri dan rakyat Perak kepada kaum keluarga penumpang dan anak kapal pesawat itu, titah baginda dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri. Raja Nazrin turut menzahirkan rasa dukacita dan simpati kepada keluarga penumpang dan anak kapal MH370. Di KOTA KINABALU, Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dalam perutusannya menzahirkan rasa dukacita dan sedih di atas insiden yang berlaku ke atas pesawat MH370. Sambil merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga terbabit, Juhar memohon agar mereka kekal tabah dan reda menerima ketentuan ini. "Seluruh rakyat di negeri ini melahirkan rasa sedih dan dukacita atas berita mengejut pesawat Penerbangan Malaysia MH370 yang berakhir perjalanannya di tengah-tengah Lautan Hindi," katanya. Sementara itu, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berharap agar semua keluarga dan waris yang terlibat terus tabah, bersabar dan diberikan kekuatan dalam menghadapi tempoh yang sukar ini. "Percayalah semangat dan doa seluruh rakyat Malaysia tetap bersama-sama mereka," katanya pada sidang akhbar di kediaman rasmi Sri Gaya di sini, hari ini. Di SEREMBAN, Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata bagi pihak kerajaan dan seluruh rakyat Negeri Sembilan, "saya ingin bersama-sama menyatakan kesedihan dan merakamkan ucapan takziah di atas tragedi yang menimpa pesawat MH370." "Kita berdoa kepada Allah SWT memberikan kesabaran kepada seluruh keluarga yang menghadapi saat yang begitu menyedihkan ini," katanya kepada pemberita ketika melakukan lawatan kerja ke loji rawatan air Ngoi-Ngoi. Di IPOH, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hari ini meminta rakyat Malaysia supaya bersatu menghadapi saat-saat kehilangan rakyat Malaysia dan negara lain dalam pesawat itu. Sedih di atas tragedi itu, beliau berkata tiada perkataan sesuai untuk menggambarkan kesedihan yang dirasai kaum keluarga penumpang dan anak kapal MH370. "Dalam tempoh kesedihan ini, kita hanya boleh bersimpati dan menyampaikan ucapan takziah," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Di SHAH ALAM, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyampaikan ucapan takziah daripada rakyat dan kerajaan negeri itu kepada kaum keluarga penumpang dan anak kapal MH370, dengan berkata satu majlis tahlil akan diadakan di Masjid Negeri malam esok. "Saya mewakili kerajaan dan rakyat Selangor mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa dan berdoa agar Allah SWT permudahkan mereka dalam menghadapi kesedihan ini," katanya dalam satu kenyataan. Abdul Khalid dalam pada itu turut meminta orang ramai khususnya pihak media supaya menghormati ruang peribadi dan emosi setiap anggota keluarga penumpang dan anak kapal yang terlibat dalam menghadapi masa yang amat mencabar dan memilukan ini. Di MELAKA, Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata beliau yang mewakili kerajaan negeri dan rakyat Melaka berdoa agar Allah SWT mempermudahkan kaum keluarga penumpang dan anak kapal MH360 menghadapi kesedihan ini. "Ia adalah takdir Allah, dan kita menerima ia sebagai satu dugaan serta ujian kepada kita selaku manusia dengan penuh rasa keinsafan, saya pasti ada hikmah di sebalik apa yang berlaku," katanya. Beliau berkata Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri esok akan membincangkan mengenai menaikkan bendera negeri separuh tiang bagi menghormati penumpang serta anak kapal pesawat MH370, sebelum mengusulkan perkara itu kepada Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaacob. Di BESUT, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said turut menyampaikan ucapan takziah kerajaan negeri dan rakyat negeri itu kepada semua keluarga mangsa pesawat MH370. " Saya berharap mereka bersabar dan dapat menerima ketentuan setelah berita itu diumumkan Perdana Menteri malam tadi," katanya kepada pemberita pada majlis minum pagi di Dataran Kuala Besut bersama anggota-anggota exco kerajaan negeri. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam tadi mengumumkan bahawa penerbangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu telah berakhir di Lautan Hindi. - Bernama
Australia kecualikan bayaran visa
MELBOURNE: Australia akan mengecualikan bayaran visa bagi anggota keluarga penumpang dan anak kapal pesawat Malaysia Airlines MH370 sekiranya mereka ingin datang ke negara itu. Perdana Menteri Australia Tony Abbott memberitahu Parlimen Persekutuan, bahawa bayaran itu akan dikecualikan bagi keluarga penumpang dan anak kapal pesawat yang penerbangannya berakhir di selatan Lautan Hindi, di Western Australia. Beliau sekali lagi merakamkan ucapan takziah kepada sanak saudara dan keluarga penumpang serta anak kapal terbabit dan berkata usul rasmi berkaitan ucapan takziah itu akan dikemukakan pada Rabu. "Berkemungkinan besar dalam beberapa hari dan minggu yang mendatang, banyak saudara mara penumpang pesawat MH370 akan berhasrat untuk datang ke Australia," kata Abbott kepada parlimen pada Selasa. Malam tadi Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa penerbangan MH370, yang hilang semasa merentasi Laut China Selatan ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, "berakhir di selatan Lautan Hindi". Pesawat Boeing 777-200ER, dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam. Ia dijadual tiba di Beijing pada 6.30 pagi (waktu Malaysia) pada hari sama. - Bernama
MAS tambah bantuan kewangan
Sepang: Penerbangan Malaysia (MAS) akan meneruskan program sokongan kepada keluarga penumpang dan anak kapal tragedi MH370 sehingga bukti kukuh dapat disahkan. Pihak MAS juga akan menambah bantuan kewangan sepanjang misi pencarian dilakukan. Setakat ini keluarga penumpang dan kakitangan MAS yang terbabit dalam kejadian berkenaan diberikan bantuan kewangan sebanyak AS$5,000. Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya berkata, seramai 700 pegawai sokongan dikerahkan sepanjang tempoh 72 jam ini untuk membantu ahli keluarga mangsa berdepan detik sukar. Sebagai tambahan, pihak MAS menyediakan penginapan, makanan dan pengangkutan untuk lima ahli keluarga bagi setiap individu yang terjejas dalam kejadian ini.
Tiada bukti anak saya sudah tiada
Kluang: "Saya tidak percaya pesawat yang dinaiki anak saya berakhir di Lautan Hindi selagi belum menemui sebarang bukti yang jelas," kata ibu kepada salah seorang anak kapal pesawat MH370. Wanita berusi 60-an itu enggan dikenali adalah ibu kepada pramugari, Tan Ser Kuin, 42, berkata, dia masih lagi menaruh harapan untuk menemui anaknya selagi belum menemui sebarang bukti. "Tiada bukti menunjukkan anak saya sudah tiada, bangkai pesawat pun masih belum ditemui dan saya berharap dia akan balik menemui kami sekeluarga. "Sewaktu melihat sidang media di televisyen semalam, saya dan suami tidak percaya dengan berita yang menimpa anak kami itu, katanya ketika ditemui di Taman Aman, di sini, tadi.
Jualan insurans kemalangan penerbangan naik mendadak
Kuala Lumpur: Insiden kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac lalu menyebabkan lebih ramai pelancong di China cenderung untuk membeli insurans kemalangan. Pelancong di negara itu membeli insurans kemalangan penerbangan selepas dikejutkan dengan kehilangan pesawat MAS itu yang membawa 239 penumpang dan anak kapal. “Saya tidak terfikir untuk membeli insurans kemalangan penerbangan sebelum ini setiap kali menaiki pesawat, tetapi kes MAS membuatkan saya sedar akan risikonya. “Saya perlu fikir bagaimana untuk melindungi keluarga sekiranya saya cedera atau maut dalam nahas pesawat,” kata Zhang Jin yang terbang empat hingga lima kali setahun. Seorang profesor dalam bidang insurans berkata, insurans kemalangan penerbangan adalah atas kesedaran sendiri dan ia sangat digalakkan. “Sebenarnya, sangat mudah membeli insurans itu melalui Internet tetapi saya sendiri tidak sedar kepentingannya. Saya mungkin tidak membeli insurans pelancongan tetapi insurans kemalangan penerbangan sangat diperlukan,” katanya. Jualan insurans kemalangan penerbangan naik mendadak selepas pesawat MH370 hilang pada 8 Mac lalu. Dilaporkan, produk insurans kemalangan bagi perjalanan sehala ditawarkan China Pacific Insurance menerusi platform beli-belah atas talian, Taobao menunjukkan purata 43 transaksi sehari selepas kejadian pesawat hilang itu meningkat daripada 22 transaksi sebelumnya. Katanya, produk insurans kemalangan penerbangan PICC Life yang menawarkan polisi selama setahun merekodkan 12 polisi terjual selepas itu meningkat daripada tiga polisi sebelumnya.
47 penumpang Malaysia miliki insurans
Kuala Lumpur: 47 daripada 50 rakyat Malaysia yang berada dalam MH370 mempunyai polisi insurans, kata Persatuan Insurans Nyawa Malaysia dalam kenyataan. Ia merangkumi 38 penumpang dan 12 krew kapal dan polisi insurans nyawa mereka diambil daripada 14 syarikat insurans di Malaysia. Presidennya, Vincent Kwo berkata, enam rakyat asing turut mengambil polisi insurans dengan syarikat insurans tempatan. "Ahli keluarga yang ingin mengetahui jenis polisi insurans yang diambil mangsa boleh menghubungi talian 0326916628 atau emel ke liaminfo@liam.org.my," katanya.
Tiada bukti Zaharie terbabit
SEORANG ahli keluarga penerbangan MH370 kelihatan sugul selepas menghadiri pertemuan dengan Duta Besar Malaysia ke China dan wakil MAS di Beijing, China.
Hong Kong: Tiada bukti mengaitkan kapten pesawat MH370, Zaharie Ahmad Shah terbabit dalam kehilangan pesawat itu bersama 227 penumpang dan 11 anak kapal selepas siasatan dijalankan pihak berkuasa Malaysia. Walaupun ada simulator penerbangan di rumahnya, namun ia adalah minat peribadi mendalam juruterbang itu dalam bidang penerbangan. Reuters melaporkan, pasukan penyiasat Malaysia dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat masih menjalankan siasatan berhubung simulator dan perisiannya sejak dua minggu lalu. Zaharie juga didapati ada mengirim e-mel kepada rakan di Internet tetapi semua mereka itu adalah peminat permainan simulator. Malah, kapten berusia 53 tahun itu sering bertukar pandangan serta komponen kerana minat yang mendalam terhadap bidang penerbangan. “Ramai juruterbang yang menghubungi saya adalah peminat yang memiliki simulator sendiri di rumah. Zaharie adalah antara kumpulan juruterbang yang menggunakan pengawal gerakan saya untuk menaik taraf simulator dengan membina platform gerakan,” kata seorang peminat penerbangan yang berpangkalan di California, Thanos Kontogiannis yang pernah menolong Zaharie membina simulator dalam laman blognya.
Saintis rancang gerak tiga kapal selam tanpa pemandu
Kuala Lumpur: Sekumpulan saintis yang juga pakar oseanografi merancang untuk menggerakkan tiga kapal selam tanpa pemandu jenis ‘Abyss’ bagi membantu pencarian pesawat MH370 yang kini banyak tertumpu di laut dalam selatan Lautan Hindi. Menurut laporan The Telegraph, beberapa saintis dari Institut Oseanografi Helmholtz di Pelabuhan Kiel, Jerman sudah menghubungi rakan mereka di Institut Woods Hole di Massachusetts, Amerika Syarikat untuk melaksanakan usaha itu. Pengarah Institut Helmholtz Peter Herzig dipetik sebagai berkata, mereka merancang untuk menghantar tiga kapal selam tanpa pemandu yang mampu menyelam sehingga kedalaman 6,000 meter serta mampu beroperasi sehingga 24 jam. “Kami sudah bersetuju menyertai pasukan mencari bersama rakan dari Amerika Syarikat. Dengan kelengkapan sonar dari tiga kapal selam itu, kita mampu mencari di kawasan yang lebih luas,” katanya. Herzig berkata, kumpulannya baru saja memperbaharui bateri kapal selam ‘Abyss’ dan kini memeriksa enjin serta sensor kapal selam bernilai RM6.83 juta (€1.5 juta) itu. Menurutnya, ia sebahagian usaha untuk memastikan kapal selam itu dapat ditempatkan di lokasi kawasan pencarian dengan segera. “Kami sudah melakukan segala persediaan yang perlu, namun ketika ini kami menunggu pengesahan rasmi mengenai penemuan serpihan MH370,” katanya. Institut Helmholtz memiliki satu daripada tiga kapal selam jenis ‘Abyss’ yang berukuran 3.65 meter panjang yang biasanya digunakan untuk kajian oseanografi manakala dua lagi kapal selam jenis sama dimiliki Institut Woods Hole. Tiga kapal selam itu digunakan pada 2011 untuk mengesan bangkai pesawat Air France 447 yang hilang sebelum ditemui terhempas di Lautan Atlantik pada 2009 bersama 228 penumpang. Kapal selam ‘Abyss’ dilengkapi sistem sensor khas, kamera dan sistem sonar ultra sensitif menyerupai torpedo dan dicat kuning untuk memudahkan ia lebih mudah untuk dikenal pasti. Sementara itu, usaha pencarian MH370 semalam terus tertumpu di Selatan Lautan Hindi selepas cerapan imej satelit milik Australia dan Perancis mengesan beberapa objek terapung yang mungkin ada kaitan dengan pesawat berkenaan. AFP melaporkan, pihak berkuasa China pula memberitahu sebuah pesawatnya yang mencari di kawasan berkenaan ternampak satu objek mencurigakan seperti serpihan pesawat.
Dua bayi dibunuh ibu sendiri
Kajang: Dua bayi luar nikah maut di tangan ibu masing-masing dengan secara kejam apabila dirodok dan dikelar di leher dengan menggunakan gunting dalam dua kejadian berasingan di sini. Sumber polis berkata, dalam kejadian pertama, suspek seorang wanita warga Indonesia bekerja sebagai pembantu rumah di Taman Baru, Bukit Kajang, di sini. Menurutnya, suspek berusia 26 tahun itu dipercayai melahirkan bayi luar nikah di dalam tandas di rumah majikannya sebelum menikam leher bayi itu menggunakan gunting menyebabkan mangsa mati serta-merta. “Suspek kemudian memasukkan mayat bayi lelaki itu ke dalam bungkusan plastik sebelum menyembunyikannya di dalam bilik tidur,” katanya. Difahamkan gunting yang digunakan suspek milik majikannya yang dipinjam sebelum pembunuhan dilakukan.
Polis tumpas geng curi kereta
Tawau: Polis berjaya menumpaskan sekumpulan lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes curi kenderaan di sekitar daerah ini dalam kejadian kejar mengejar di Sin Onn Tiku, dekat sini awal pagi tadi. Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Superintendan Awang Besar Dullah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1 pagi tadi apabila beberapa anggota polis peronda terserempak dengan sebuah Nissan Navara yang hilang sejak Ahad lalu di kawasan terbabit.
Dipanah di leher di kelab malam
Penampang: Seorang lelaki cedera apabila satu anak panah melekat di lehernya manakala seorang lagi rakannya cedera ditetak dalam pergaduhan berhampiran kelab malam di sini, awal pagi tadi. Difahamkan dua lelaki berusia 20-an itu diserang sekumpulan antara lima hingga lapan lelaki manakala anak panah terbabit dilepaskan menggunakan lastik atau dikenali sebagai 'flying feather' atau pitik.
4 ditahan bunuh rakan sekampung
JERANTUT: Empat lelaki diberkas polis malam tadi dipercayai terbabit dalam pergaduhan menyebabkan seorang rakan sekampung mereka terbunuh. Mangsa, Mohd Sabri Yazid, 33, bekerja sendiri dan menetap di Felda Padang Piol, di sini, disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh, pada 7 malam semalam. Ketua Polis Daerah Jerantut Supt Azid Ismail berkata, selepas menerima laporan daripada adik mangsa polis bergegas ke rumah suspek dan manahan mereka kira-kira 9 malam tadi. "Siasatan awal mendapati hanya seorang sahaja suspek, yang berusia 20 tahun, terlibat dalam pergaduhan itu sementara tiga lagi lelaki hanya ditahan bagi membantu siasatan. "Polis juga percaya suspek yang positif dadah itu turut berada di bawah pengaruh alkohol semasa kejadian," katanya kepada Bernama hari ini. Azid berkata, sebelum kejadian itu kira-kira pukul 3 pagi, mangsa bersama empat rakannya termasuk suspek ke Taman ICT di bandar ini, dari rumah mereka dengan menaiki sebuah kereta. Beliau berkata, tiba-tiba mangsa dan suspek bertekak dan bergaduh apabila mangsa meminta suspek membaiki keretanya yang mengalami kerosakan semasa dipinjam suspek. "Suspek yang tidak berpuas hati dengan permintaan mangsa itu tiba-tiba menjadi agresif lalu menumbuk dan menendang mangsa di kepala dan badan. "Mangsa dibelasah teruk sebelum terjatuh ke dalam longkang di situ menyebabkannya tidak sedarkan diri," katanya. Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Jerantut sebelum dibawa ke Hoshas dan disahkan meninggal dunia dipercayai akibat pendarahan dalaman di kepalanya. Bagaimanapun katanya, polis masih menunggu laporan penuh bedah siasat yang dijangka siap petang ini. "Kesemua suspek kini ditahan reman selama seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan," katanya. - Bernama
Kerusi Presiden FAM Dicabar
Kuala Lumpur: Selepas berdekad lamanya, akhirnya kerusi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bakal dicabar selepas Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim (gambar) mendapat pencalonan untuk bertanding pada Mesyuarat Kongres Pemilihan badan induk itu pada 25 Mei ini. Selain Tunku Ismail, penyandang jawatan Presiden Sultan Ahmad Shah serta anaknya yang juga Timbalan Presiden Tengku Abdullah turut mendapat pencalonan daripada ahli gabungan selepas proses pencalonan ditutup semalam. “Tunku Ismail mendapat pencalonan apabila ada ahli gabungan berasakan mereka mahukan perubahan dalam kepimpinan FAM. Sememangnya sumbangan dan jasa Sultan Ahmad Shah bersama FAM dalam membangunkan bola sepak di Malaysia tidak dapat dinafikan namun ada ahli gabungan yang tidak gembira,” menurut sumber. Setakat ini hanya Tunku Ismail dan Tengku Abdullah yang menyatakan keinginan untuk bertanding bagi kerusi presiden sekiranya mendapat sokongan ahli gabungan namun Sultan Ahmad Shah yang menerajui FAM sejak 1984 masih belum membuat sebarang kenyataan berhubung pemilihan kali ini. Biarpun Tunku Ismail yang berjaya membawa perubahan besar dalam bola sepak di Johor sejak kebelakangan ini tidak memberitahu secara terbuka namun beliau pernah menyatakan hasratnya untuk bertanding kepada Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa.
Video - Inmarsat guna teknik kurun ke-19 kesan MH370
LONDON - Satelit Britain, Inmarsat menggunakan teknik fenomena gelombang yang ditemui pada kurun ke-19 untuk menganalisis tujuh isyarat 'ping' yang dicerap satelit itu daripada MH370 untuk memastikan titik destinasi terakhirnya. Petunjuk terbaru itulah yang membawa kepada pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak malam tadi bahawa pesawat Boeing 777 yang hilang sejak lebih dua minggu itu 'berakhir' di selatan Lautan Hindi. Isyarat 'ping itu secara automatik dipindahkan pada setiap jam daripada pesawat selepas semua sistem perhubungan pesawat dimatikan dan dikesan ia meneruskan penerbangan untuk beberapa jam selepas dilaporkan hilang ketika perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing. Daripada waktu isyarat mengambil masa untuk sampai ke satelit dan sudut ketinggian, Inmarsat mampu untuk memberikan dua arca, satu di utara dan satu lagi di selatan kemungkinan pesawat melaluinya. "Saintis Inmarsat kemudian menyiasat isyarat 'ping' itu menggunakan teknik berdasarkan kesan Doppler yang menghuraikan bagaimana perubahan pada arus gelombang secara relatif kepada pemerhatian menerusi imej satelit," kata jurucakap Inmarsat hari ini. - AFP
Hanya kotak hitam dapat beri jawapan misteri MH370
KUALA LUMPUR - Misteri kehilangan penerbangan MH370 milik Malaysia Airlines sejak 16 hari lepas, terjawab malam tadi menerusi pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa penerbangan itu berakhir di selatan Lautan Hindi. Berdasarkan rumusan itu hanya kotak hitam pesawat Boeing 777-200ER berkenaan yang dapat menjawab misteri kehilangannya sejak awal pagi 8 Mac lepas. Perdana Menteri pada Isnin malam berkata berdasarkan taklimat Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB) dan analisis lanjut data oleh Inmarsat, kesimpulan dibuat bahawa MH370 terbang di koridor selatan dan kedudukan terakhirnya di tengah-tengah Lautan Hindi, barat Perth. "Kawasan ini merupakan lokasi terpencil, jauh dari sebarang tempat pendaratan. Oleh itu dengan perasaan amat sedih dan terharu saya ingin memaklumkan bahawa menurut data terkini, penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi," kata Najib Pesawat itu yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dalam penerbangan ke Beijing apabila dilapor hilang daripada radar kira-kira 1.30 pagi 8 Mac, setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Sejak hari pertama kehilangannya, lebih 12 negara membantu Malaysia dalam misi mencari dan menyelamat pesawat tersebut. Pada Isnin, pesawat Australia dan China masing-masing mengesan beberapa objek yang terapung di selatan Lautan Hindi, namun belum diambil. Pihak berkuasa Malaysia akan mengadakan sidang media esok untuk menjelaskan butiran lanjut mengenai perkembangan terbaharu itu. - Bernama
Pengumuman Najib jadi tumpuan dunia
KUALA LUMPUR - Pengumuman terbaharu yang membongkar kehilangan pesawat MH370 oleh Perdana Menteri Najib Tun Razak menjadi tumpuan media di seluruh dunia. Sejam sebelum sidang media itu dibuat, kebanyakan laman web dan blog memberi isyarat bahawa Najib akan membuat akan membuat pengumuman penting. Ramai pihak sudah membuat pelbagai andaian, namun kesahihan berita tersebut hanya disahkan selepas sidang media itu. Sidang media berlangsung kurang 10 minit, terus menjadi tumpuan dunia dengan kebanyakan laman web memaparkan tajuk antaranya, "Families told plane lost in Indian Ocean, Flight 370 ended in ocean, Malaysian Airlines to families: None of those on board survive, Malaysian plane crash into Indian Ocean". Paparan berita itu rata-rata dikongsi di laman sosial dan Twitter lebih dari sejuta pengguna. Maklumat terbaharu mengenai susulan penemuan pesawat MH370 itu dijangka menjadi topik utama di seluruh dunia hari ini.
Urutan peristiwa kehilangan MH370
KUALA LUMPUR - Misteri kehilangan MH370 terjawab pada hari ke-17 operasi mencari dan menyelamat yang disertai pelbagai negara, apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak malam tadi mengumumkan penerbangan itu berakhir di selatan Lautan Hindi. Berikut kronologi insiden kehilangan MH370:
* 8 Mac - Pesawat MH370, jenis Boeing 777-200, membawa 239 penumpang dan anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 pagi dan dijadual mendarat di Beijing, China pada 6.30 pagi hari yang sama.
* 8 Mac - Pesawat MH370 dilaporkan hilang daripada radar awam Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) pada 1.30 pagi 120 batu nautika di timur perairan Kota Baharu, Kelantan.
* 8 Mac - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerak pada 5.30 pagi melibatkan 15 pesawat TUDM, termasuk empat Hercules C130, sebuah CN 235, empat EC 725, dua helikopter Augusta serta enam kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan tiga kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim).
* 8 Mac - Kenyataan media Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS Ahmad Jauhari Yahya pada 7.30 pagi mengesahkan kehilangan pesawat itu dan kesemua keluarga penumpang dimaklumkan; pecahan kerakyatan penumpang MH370 iaitu 38 rakyat Malaysia, 153 rakyat China, Indonesia (12), Australia (7), Perancis (3), Amerika Syarikat (3), New Zealand (2), Ukraine (2), Kanada (2), Rusia (1), Itali (1), Taiwan (1), Belanda (1) dan Austria (1).
* 9 Mac - Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata kawasan pencarian diperluas di Laut China Selatan dan Selat Melaka.
* 9 Mac - Ketua Pengarah DCA Datuk Azharuddin Abdul Rahman mengesahkan hanya dua penumpang yang menggunakan pasport palsu Itali dan Austria, menaiki pesawat MH370.
* 10 Mac - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berikrar kerajaan akan melakukan yang terbaik dalam operasi mencari dan menyelamat MH370.
* 10 Mac - Maritim menerima keputusan ujian sampel tompokan minyak yang ditemui di perairan Vietnam, yang negatif minyak pesawat dan disahkan sebagai minyak bagi kapal kargo.
* 11 Mac - Misteri dua penumpang terjawab apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ibu pejabat Interpol mendedahkan identiti mereka iaitu warga Iran yang dikenali sebagai Pouria Nour Mohammad Mehrdad, 19, dan Delavar Seyed Mohammad Erza, 29. Kedua-dua mereka disahkan tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas dan dipercayai cuba berhijrah ke Eropah.
* 12 Mac - Hishammuddin memperjelas beberapa isu termasuk ada sedikit kemungkinan MH370 melewati Selat Melaka, kerjasama dengan pakar penerbangan luar negara dan semua orang yang mendaftar dalam penerbangan MH370 menaiki pesawat. Empat penumpang tidak muncul semasa mendaftar. Mereka diganti dengan penumpang daripada senarai menunggu. Penumpang berkenaan menaiki pesawat. Tiada bagasi yang tidak dimuatkan. Dua lelaki rakyat Iran, yang memasuki dan meninggalkan Malaysia menaiki pesawat MH370, menggunakan pasport yang sama.
* 13 Mac - Hishammuddin menafikan dakwaan bahawa pesawat itu mungkin terbang kira-kira empat sejam selepas ia hilang dari skrin radar.
* 13 Mac - China menyatakan bahawa tiada bukti objek terapung yang dikesan satelit di Laut China Selatan pada Ahad mempunyai hubung kait dengan pesawat MAS yang hilang. Pihak berkuasa China juga berkata berlaku kesilapan ketika mengeluarkan imej itu.
* 14 Mac - Pencarian diperluas sehingga ke Lautan Hindi. Armada Ketujuh Tentera Laut Amerika Syarikat USS Kidd tiba di Selat Melaka untuk membantu pencarian.
* 14 Mac - Pihak berkuasa mengkaji empat hingga lima kemungkinan bagaimana transponder pesawat ditutup. * 15 Mac - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak dapat mengesahkan laporan kemungkinan pesawat dirampas. Najib berkata komunikasi terakhir pesawat dengan satelit dikesan di satu daripada dua koridor; koridor utara merentangi kawasan dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke bahagian utara Thailand atau koridor selatan yang merentangi kawasan dari Indonesia ke bahagian selatan Lautan Hindi. Najib berkata operasi mencari dan menyelamat di Laut China Selatan ditamatkan.
* 16 Mac - Hishammuddin berkata tiada sebarang tuntutan dibuat berhubung kehilangan pesawat.
* 16 Mac - Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata insiden kehilangan MH370 disiasat mengikut Seksyen 130(C) Kanun Keseksaan bagi kesalahan merampas, keganasan dan sabotaj, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan Akta Kesalahan Penerbangan 2003.
* 16 Mac - Polis mengambil simulator penerbangan dari rumah juruterbang MH370 Kapten Zaharie Ahmad Shah.
* 17 Mac - Hishammuddin berkata operasi pencarian multinasional membabitkan 26 negara di koridor utara dan selatan bermula.
* 18 Mac - Hishammuddin berkata tiga juta orang mungkin terbabit dalam usaha mencari pesawat itu dengan dibantu pengusaha satelit DigitalGlobe.
* 19 Mac - Hishammuddin menafikan laporan bahawa pesawat itu dilihat terbang rendah di ruang udara Maldives.
* 20 Mac - Perdana Menteri Australia Tony Abbot menghubungi Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 pagi untuk memaklumkan bahawa objek yang dikesan satelit negara itu mungkin ada kaitan dengan pesawat yang hilang Satelit Australian Maritime Safety Authority (AMSA) mengesan imej dua objek di bahagian selatan Lautan Hindi terletak kira-kira 2,500 kilometer barat daya Perth. Hishammuddin berkata operasi pencarian pesawat itu diteruskan dan objek yang dikesan di Australia akan ditentukan sama ada sebahagian daripada MH370.
* 21 Mac - Malaysia masih menunggu maklumat daripada pihak berkuasa Australia sama ada objek yang dikesan di selatan Lautan Hindi pada Khamis ada kaitan dengan MH370. Hishammuddin berkata agensi perisikan antarabangsa tidak menemui sebarang keganjilan berdasarkan manifes penumpang pesawat itu. Hishammuddin berkata siasatan terhadap penumpang tunggal warga Ukraine yang dijalankan oleh pihak berkuasa negara itu juga mengesahkan latar belakang penumpang berkenaan bersih.
* 22 Mac - Transkrip komunikasi yang didakwa antara pesawat MH370 dan pusat kawalan trafik udara pada malam pesawat dilapor hilang diklasifikasi sebagai tidak tepat dan tidak sah, kata DCA. Hishammuddin berkata satelit China mencerap imej objek terapung berukuran 22.5 meter x 13 meter. Hishammuddin berkata pihak berkuasa Australia tidak mengesan sebarang objek dalam pencarian di kawasan berkedudukan kira-kira 2,500 km dari barat daya Perth.
* 23 Mac - Hishammuddin berkata Malaysia menyerahkan imej baharu yang dicerap oleh satelit pihak berkuasa Perancis kepada pusat koordinasi menyelamat Australia. Hishammuddin berkata setakat 2.30 petang waktu Malaysia, pihak Australia memaklumkan mereka tidak menemui sebarang petunjuk baharu berhubung MH370.
* 24 Mac - Hishammuddin berkata polis sudah mengambil keterangan lebih 100 orang termasuk keluarga juruterbang MH370. Pada 10 malam, Najib mengumumkan kedudukan terakhir penerbangan MH370 dikesan di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth. MAS meluahkan rasa duka penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi. - Bernama
Cuaca buruk, pencarian MH370 ditangguh
KUALA LUMPUR - Pencarian MH370 ditangguh hari ini berikutan cuaca buruk di kawasan pencarian, kata Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA). Ia berkata keadaan laut bergelora hari ini dengan ombak setinggi dua meter hingga mencecah empat meter. Kawasan itu juga diramal mengalami tiupan angin kencang sehingga 80 kilometer sejam, beserta hujan lebat dan awam yang rendah dengan ketinggian antara 200 dan 500 kaki dari paras laut. "AMSA telah membuat penilaian dan mengambil keputusan keadaan cuaca sekarang akan menyebabkan sebarang aktiviti pencarian udara dan laut berbahaya dan mendatangkan risiko kepada kru. "Oleh yang demikian, AMSA menangguh semua operasi mencari di laut dan udara hari ini ekoran keadaan cuaca sebegini," katanya dalam satu kenyataan. Pihak AMSA turut mendapatkan pandangan Biro Meteorologi dan cuaca dijangka bertambah baik di lokasi pencarian pada sebelah petang dan dalam beberapa hari lagi. Operasi mencari dijangka disambung semula esok sekiranya keadaan cuaca mengizinkan. HMAS Success akan kembali ke kawasan pencarian apabila cuaca bertambah baik. Malam tadi kapal tersebut cuba mencari objek-objek yang dilihat oleh pesawat RAAF P3 Orion, tetapi tidak menemuinya. Malam tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa berdasarkan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB) dan satelit syarikat Inmarsat, penerbangan pesawat Malaysia Airlines itu yang membawa 239 penumpang dan anak kapal berakhir di selatan Lautan Hindi. Pesawat yang menuju Beijing hilang dari skrin radar pada 8 Mac. - Bernama
Perintah SAR perlu ikut SOP
KUALA LUMPUR - Pihak berkuasa perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan piawaian penerbangan antarabangsa sebelum mengeluarkan perintah menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) MH370 yang hilang 8 Mac lalu. Sambil menafikan perintah SAR itu lambat dikeluarkan, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perintah tersebut tidak boleh dikeluarkan dengan sewenang-wenangnya. "Sepanjang penerbangan pesawat MH370 dalam KLIFR, pesawat dapat dilihat dalam radar KLATCC (Kuala Lumpur Air Traffic Control Centre), sehingga masuk 'flight information region' HCMATCC (Ho Chi Minh Air Traffic Control Centre) Vietnam. Namun begitu, pada jam 1.21 pagi, pesawat telah hilang daripada paparan radar. Pada 1.38 pagi, KLATCC terima panggilan dari HCMATCC. "Selepas dimaklumkan HCMATCC yang mereka tidak menerima sebarang komunikasi daripada MH370, penyelia KLATCC telah membuat penilaian situasi semasa dengan mengikuti SOP yang ditetapkan. "Setelah semua cubaan dan usaha mengesan dan menjejaki pesawat tersebut menemui jalan buntu, maka mengikut peraturan penerbangan antarabangsa dan selaras dengan IAMSAR IKO Document 9771. 4444, SAR diaktifkan pada jam 5.30 pagi," katanya. Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja di Dewan Rakyat di sini malam tadi. Jawapan Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan itu menimbulkan rasa tidak puas hati pembangkang yang bangun meminta penjelasan antaranya Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad (Pas), Mohamad Imran Abdul Hamid (PKR-Lumut) dan R. Sivarasa (PKR-Subang). Kekecohan itu berlanjutan kira-kira 10 minit, memaksa Hishammuddin mengulangi beberapa kali sebab SOP tersebut perlu dipatuhi. Menyambung penjelasannya, Hishammuddin berkata, MAS mengeluarkan maklumat awal kehilangan pesawat itu dan mengumumkan SAR pada 7.40 pagi. Hishammuddin turut bersetuju dengan saranan Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah) supaya diwujudkan Jawatankuasa Terpilih Parlimen untuk mengkaji dan meneliti kes kehilangan pesawat itu. Persidangan bersambung hari ini. - Bernama
Cabaran SAR berdepan lautan 'ganas'
SHAH ALAM – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang kini tertumpu Lautan Hindi, berdepan cabaran sukar memandangkan situasi lautan itu yang ganas, kata bekas Juruterbang Penerbangan Serantau MAS, Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussein. Ujarnya, ketinggian ombak yang boleh mencecah 40 kaki dengan angin kuat menambah kesukaran mencari serpihan objek yang dikaitkan dengan MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu. Keletihan pihak SAR dan daya ketahanan kapal mampu bertahan dalam misi terbabit perlu diambil kira. “Mereka keletihan berdiri di tingkap dengan keadaan pesawat bergoyang-goyang. Dari pangkalan ke kawasan itu juga mengambil masa empat jam, ditambah waktu pergi balik menjadi lapan jam. “Dengan kapasiti minyak yang ada, mungkin ada dua jam sahaja untuk mencari,” katanya dipetik dalam wawancara bersama Astro Awani. Beliau juga berkata, keadaan matahari di sana yang condong dan mewujudkan bayang-bayang walaupun di waktu tengah hari merumitkan lagi pencarian menggunakan mata kasar. Dalam pada itu, mengulas pendedahan transkrip pesawat didedahkan oleh akhbar Britain, Daily Telegraph, Nik Ahmad Huzlan menganggap ia meragukan dan sebagai bahan jenaka. Menurut beliau, tiada istilah seumpama itu digunakan oleh juruterbang untuk berkomunikasi dengan menara kawalan kerana terma yang digunakan lebih teratur, tepat, padat dan mengikut perundangan. Jelas beliau, lebih meragukan apabila transkrip itu berdasarkan versi bahasa Mandarin daripada terjemahan bahasa bahasa Inggeris dengan salinan asal tidak dedahkan. “Kita tidak bertutur secara beramah mesra dalam komunikasi penerbangan kerana banyak kapal terbang nak guna radio, dan akan ‘jammed’ dan tidak ada peluang orang lain. "Bahasa yang digunakan juga bukan bahasa juru terbang, tetapi bahasa imaginasi orang yang nak jadi juruterbang sehingga masyarakat fikir inilah bahasa yang diguna pakai sedangkan tidak,” katanya. Ujar beliau, radio ada ungkapan dan terma tertentu dan mereka perlu menjalani ujian. Beliau juga berkata, tidak ada keperluan kepada DCA untuk memberikan pita rakaman itu kepada forensik antarabangsa untuk disiasat. Butiran perbualan kokpit MH370 bermula dari saat berlepas jam 12.36 pagi hingga mesej terakhir 1.19 pagi pada 8 Mac itu didedahkan oleh, laporan akhbar Daily Telegraph. Laporan itu mendedahkan transkrip komunikasi juruterbang bersama menara kawalan dan lain-lain pengawal trafik udara bermula Boeing 777-200 milik MAS berlepas dari landasan hingga kedudukannya di Laut China Selatan. Ia juga termasuk pertukaran dari satu lokasi dan juga perkataan terakhir pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid, “All right good night”.
MAS sedih, kesal nasib menimpa MH370
KUALA LUMPUR - Malaysia Airlines (MAS) malam tadi menyatakan kesedihan dan penyesalan yang mendalam bahawa Penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. "Doa kami buat semua yang tersayang 227 penumpang dan 12 sahabat serta rakan kami pada saat yang amat memeritkan ini. "Kami tahu tiada kata-kata yang kami atau sesiapa sahaja dapat ungkapkan yang berupaya meredakan kesedihan ini," kata MAS dalam kenyataan di sini. Kenyataan itu menyebut MAS akan terus memberi bantuan dan sokongan kepada anggota keluarga penumpang dalam mengharungi kesukaran pada minggu dan bulan yang mendatang. "Operasi pencarian membabitkan pelbagai negara akan diteruskan bagi mencari jawapan terhadap pelbagai persoalan yang berbangkit. Di samping usaha pencarian MH370, penyiasatan yang intensif akan dijalankan bagi mencari jawapannya," menurut kenyataan itu. Selepas 17 hari menunggu dengan penuh debaran, Najib malam ini mengumumkan bahawa laluan penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi. Najib membuat pengumuman itu berikutan analisis yang belum pernah digunakan dalam sesuatu penyiasatan seumpama ini, oleh Cawangan Siasatan Kemalangan Udara UK (AAIB) dan Inmarsat, syarikat UK yang menyediakan data satelit meliputi koridor utara dan selatan. Pesawat MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan terbang Antarabangsa KL pada tengah malam. Pesawat itu sepatutnya tiba di Beijing pukul 6.30 pagi pada hari yang sama. Pada sidang media khas itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ahmad Jauhari Yahya kelihatan menitiskan air mata ketika pengumuman itu dibuat. - Bernama
PM Singapura sedih nasib menimpa MH370
SINGAPURA - Perdana Menteri, Singapura Lee Hsien Loong melahirkan rasa sedih yang amat mendalam apabila mendengar berita mengenai nasib tragik MH370. "Lebih dua minggu, kami berharap sesuatu buruk tidak berlaku. Kami tahu betapa marah dan kecewa keluarga dan rakan kepada mereka yang berada di atas pesawat," katanya menerusi Facebook beliau malam tadi. "Sementara kita masih belum mengetahui apa yang berlaku, saya berharap berita terbaharu ini akan memberi beberapa ketentuan dan pengakhiran. "Simpati saya yang amat mendalam dan takziah kepada keluarga dan rakan kepada mereka di atas pesawat, dan kepada kerajaan Malaysia serta China," tambah Hsien Loong. Dalam sidang akhbar malam tadi, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan laluan penerbangan pesawat MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi. Ia yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada pukul 12.41 tengah malam pada 8 Mac menuju Beijing, hilang daripada skrin radar sejam kemudian. Pesawat sepatutnya tiba Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama. - Bernama
Hantaran perkahwinan hangus
Nor Haslinda menyusun barangan persiapan perkahwinan yang ditemuinya, semalam.
MANJOI – Impian bakal pengantin melangsungkan majlis perkahwinannya pada 18 Mei ini musnah apabila rumah pusaka bersama persiapan hantaran hangus dalam kebakaran, Sabtu lalu. Nor Haslinda Mohd Abdullah, 25 berkata, kira-kira jam 6.30 petang, salah seorang ahli keluarganya menerima panggilan penduduk kampung memaklumkan rumah mereka di Jalan Tun Terang, Kampung Sungai Tapah terbakar. Menurutnya, ketika itu dia sekeluarga berada di Kangar, Perlis untuk menghadiri majlis perkahwinan saudara terdekat. “Menggeletar seluruh badan bila memikirkan barang hantaran dan persiapan perkahwinan yang dikumpul sedikit demi sedikit musnah dalam sekelip mata. “Disebabkan kejadian ini, saya tidak tahu sama ada mahu teruskan perkahwinan atau tidak berikutan kad jemputan telah ditempah. Mungkin majlis diadakan secara sederhana dengan mengubah lokasi,” katanya Akibat kejadian berkenaan, Nor Haslinda bakal mendirikan rumah tangga dengan pasangannya, Hairi Shaari, 30 pada 18 Mei ini mengalami kerugian kira-kira RM3,000. Manakala Roseshita Ibrahim, 30, yang turut tinggal di rumah itu berkata, kira-kira jam 6 petang menerima panggilan penduduk kampung mengenai kejadian itu. Dia berharap kejadian itu membabitkan kediaman lain sehinggakan tidak berani melihat gambar dihantar rakan kerana bimbangkan keselamatan adik bongsunya, Shahrul, 29, yang berada di rumah itu ketika kejadian. "Saya dimaklumkan kebakaran bermula dari stor belakang sebelum merebak ke seluruh rumah yang musnah hampir 90 peratus. “Sebaik menerima panggilan, kami segera bertolak pulang dan tiba di rumah kira-kira jam 11 malam. Kami tergamam apabila dapat lihat langit sahaja,” katanya. Roseshita berkata, jumlah kerugian mencecah RM150,000 dan kini mereka sekeluarga terpaksa menumpang di rumah saudara berhampiran. Sementara itu, Timbalan Ketua Bomba dan Penyelamat Meru, Mohamad Nasir Mohamad Arshad berkata, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Meru dan Ipoh disertai 13 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik terima panggilan kira-kira jam 6.45 petang. Katanya, jentera pertama yang tiba pada jam 6.55 petang mendapati api marak di kawasan pertengahan rumah yang diperbuat daripada batu. “Api berjaya dikawal kira-kira 24 minit kemudian dengan bantuan dari balai Ipoh namun, operasi pemadaman mengalami sedikit kesukaran berikutan faktor angin dan cuaca panas. “Operasi tamat kira-kira jam 10.48 malam dan sewaktu kejadian terdapat seorang penghuni namun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya. Katanya, Unit Forensik Bomba masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti lebih lanjut punca sebenar dan jumlah kerugian.
Kes buang bayi: Penuntut IPT disiasat polis
KUALA LUMPUR – Seorang penuntut sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat bayi perempuan dalam tong sampah di tandas wanita di Terminal Bas Bersepadu Selatan, Sabtu lalu. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, wanita berusia dalam lingkungan 20-an itu berasal dari Johor Bahru, ditahan di Kajang kira-kira jam 10 malam, kelmarin. Bayi malang itu ditemui seorang tukang cuci, wanita warga Indonesia, ketika menukarkan plastik sampah di tandas berkenaan, kira-kira jam 11.30 malam. Dia mendapati bungkusan sampah itu agak berat daripada kebiasaan, sebelum menjumpai mayat bayi berkenaan. Dia kemudian segera memaklumkan kepada anggota polis yang bertugas di Balai Polis Terminal Bas Bersepadu Selatan. Ia dibungkus dalam lapisan tisu putih dan dibalut dengan plastik sampah warna biru. Siasatan juga mendapati ada kesan luka dileher bayi berkenaan, dipercayai terkoyak semasa dilahirkan. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, pihaknya menerima laporan itu daripada seorang pensyarah sebuah IPT berhubung kejadian tersebut. "Pensyarah itu mendakwa penuntutnya memaklumkan terdengar tangisan bayi di dalam tandas di IPT tersebut kira-kira jam 7.30 malam pada hari kejadian, sebelum ternampak wanita berkenaan keluar dari IPT itu dengan membawa dua beg plastik," katanya. Menurutnya, wanita tersebut dipercayai tinggal di sebuah hotel di Melaka sejurus selepas kejadian itu, sebelum pulang semula ke IPT berkenaan. "Pensyarah tersebut telah membawa penuntut berkenaan ke balai polis berhampiran, sebelum dibawa berjumpa dengan doktor di sebuah hospital dan disahkan baru bersalin. "Siasatan awal mendapati wanita itu mengaku melahirkan bayi itu, sebelum membawanya ke Terminal Bersepadu Selatan," katanya.
Keluarga pesawat MAS MH370 tak dapat kawal emosi
Ahli keluarga penumpang pesawat tidak dapat menahan kesedihan ketika disoal pemberita di Beijing semalam. dan ada seorang saudara penumpang MH370 yang tidak bermaya di atas katil beroda ditolak seorang anggota perubatan.
BEIJING - CHINA . Seramai 50 pegawai polis dikerah ke Hotel Lido di sini selepas kekecohan tercetus sejurus Perdana Menteri Malaysia Najib Tun Razak membuat sidang akhbar pada jam 9.45 malam di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur (PWTC). Kebanyakan ahli keluarga penumpang MH370 tidak dapat mengawal emosi mereka selepas Najib mengesahkan pesawat berkenaan berakhir di selatan Lautan Hindi. Memetik laporan ABC, keluarga penumpang yang berada di hotel berkenaan dilaporkan menjerit dan meraung kerana tidak dapat menerima kenyataan terbaharu yang merungkai misteri kehilangan sejak 17 hari lalu. Media tempatan melaporkan, mereka dilihat sangat tertekan hingga ada yang pengsan dan terpaksa dibawa keluar dengan pengusung. Jeritan dan tangisan dapat didengar dari luar bilik yang dikhaskan untuk keluarga mangsa. "Satu insiden perang mulut berlaku antara keluarga penumpang dan wakil dari kerajaan Malaysia," jelas laporan itu. Namun, situasi tegang dapat dikawal dan dileraikan oleh pasukan perubatan serta anggota keselamatan. Hotel berkenaan kini dikawal ketat bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini tercetus.
Sidang media khas esok (Hari ini)
KUALA LUMPUR - Perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mengadakan sidang media khas berkenaan pesawat MAS MH370. Beliau memaklumkan perkara itu selepas mengumumkan pesawat tersebut terhempas di tengah Lautan Hindi, sebentar tadi. Sidang meda tersebut akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Misi mencari dan menyelamat pesawat berkenaan memasuki hari ke-17 berakhir dengan pengumuman pilu itu.
'Makcik Tak tahu nak cakap apa lagi'
IBU penumpang Penerbangan Malaysia MH370, Khairul Amri Selamat,29.
Kuantan: "Makcik sedih sangat dengar berita ini (pesawat MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak). "Makcik tak tau nak cakap apa lagi," kata Normah Jaafar, 50 an ibu kepada seorang penumpang Penerbangan Malaysia (MAS) MH370, Khairul Amri Selamat,29. Ketika dihubungi, di sini, semalam, Normah yang berada di rumahnya di Kerayong Makmur, Bera, kedengaran menangis teresak-esak dan menyatakan kesedihannya kepada wartawan mengenangkan nasib anaknya, Khairul Amri yang menaiki pesawat itu ke Beijing, China, 17 hari lalu untuk menjalankan tugas membaiki sebuah pesawat di sana. "Terima kasih kerana menghubungi makcik dan bersimpati atas apa yang terjadi, makcik tidak tahu nak cakap apa lagi. "Bagi makcik masa dulu," katanya mengakhiri perbualan. Harian Metro difahamkan, wanita itu akan ke Kuala Lumpur ditemani seorang anaknya untuk mendapat maklumat lanjut mengenai pengumuman dibuat Perdana Menteri.
Keluarga masih bersedih enggan ditemubual
KUBANG PASU - Suasana pilu menyelubungi rumah keluarga Jee Jing Hang, 41, di belakang Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hwa di sini sejurus mendengar pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai perkembangan terbaharu pesawat milik Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 di sini malam tadi. Tinjauan Kosmo! mendapati, saudara-mara dan jiran tetangga mula berkumpul di rumah ibu bapa mangsa bagi menunjukkan tanda sokongan dan simpati ke atas apa yang berlaku. Bagaimanapun, usaha untuk mendekati keluarga mangsa gagal selepas salah seorang jiran memaklumkan ahli keluarga masih bersedih dan belum bersedia untuk ditemubual. Salah seorang jiran yang enggan dikenali memberitahu, keluarga mangsa mengetahui kejadian itu melalui pengumuman Perdana Menteri di televisyen selain dimaklumkan rakan yang berada di Kuala Lumpur. "Semua ahli keluarga berada di rumah ketika ini dan mereka masih bersedih selepas mendengar pengumuman terbaharu itu. "Mereka minta saya maklumkan pada media yang mereka tidak mahu diganggu dan belum bersedia memberi sebarang kenyataan atau ditemubual," katanya. - KOSMO!
Hotel The Everly dipenuhi media untuk dapatkan reaksi keluarga 11:18pm
PUTRAJAYA 24 Mac - Media tempatan dan luar negara mula memenuhi lobi Hotel The Everly malam ini sejurus pengumuman terkini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung status misi mencari dan menyelamat pesawat MH370. Suasana hotel yang agak lengang pada waktu malam sejak empat hingga lima hari lepas agak berbeza berbanding malam ini dengan para media yang menunggu bagi mendapatkan reaksi keluarga penumpang pesawat terbabit. Sehingga sejam selepas pengumuman Najib, media masih gagal mendapatkan komen pihak keluarga, dan rata-rata wartawan dilihat tidak mengganggu selain memberi ruang serta masa kepada mereka untuk menenangkan diri. Difahamkan masih terdapat lima keluarga penumpang dari Malaysia menetap di hotel itu sejak 8 Mac lepas. - BERNAMA
Malaysia rakam takziah kepada ahli keluarga penumpang dan kru MH370 10:35pm
KUALA LUMPUR 24 Mac - Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada semua ahli keluarga penumpang dan kru pesawat MH370 yang disahkan berakhir di tengah-tengah Lautan Hindi. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta semua pihak menghormati privasi setiap ahli keluarga mangsa. Katanya, Malaysia telah memaklumkan berita menyedihkan itu kepada mereka. - UTUSAN ONLINE
MH370 berakhir di Lautan Hindi
Kata Najib, kerajaan akan berkongsi maklumat dengan keluarga penumpang dan sidang media lanjut mengenai perkara berkenaan akan dibuat dalam masa terdekat.
Kuala Lumpur: Misteri kehilangan pesawat MH370 sejak 17 hari lalu terungkai apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebentar tadi mengesahkan penerbangan pesawat itu berakhir di selatan Lautan Hindi. Menurut beliau, perkara itu dimaklumkan oleh pihak Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) petang tadi yang memaklumkan data satelit INMARSAT melakukan kiraan lanjut dan mengesahkan pesawat itu terbang ke Koridor Selatan. "Lokasi terakhir pesawat MH370 terbang dikesan di tengah Lautan Hindi di Barat Perth, Australia. "Ini adalah lokasi terpencil yang jauh daripada mana-mana lokasi pendaratan. Oleh itu, saya dengan dukacitanya memaklumkan penerbangan pesawat itu berakhir di selatan Lautan Hindi," katanya.
Kenyataan Perdana Menteri dalam Bahasa Inggeris.
This evening I was briefed by representatives from the UK Air Accidents Investigation Branch (AAIB). They informed me that Inmarsat, the UK company that provided the satellite data which indicated the northern and southern corridors, has been performing further calculations on the data. Using a type of analysis never before used in an investigation of this sort, they have been able to shed more light on MH370’s flight path. Based on their new analysis, Inmarsat and the AAIB have concluded that MH370 flew along the southern corridor, and that its last position was in the middle of the Indian Ocean, west of Perth. This is a remote location, far from any possible landing sites. It is therefore with deep sadness and regret that I must inform you that, according to this new data, flight MH370 ended in the southern Indian Ocean. We will be holding a press conference tomorrow with further details. In the meantime, we wanted to inform you of this new development at the earliest opportunity. We share this information out of a commitment to openness and respect for the families, two principles which have guided this investigation. Malaysia Airlines have already spoken to the families of the passengers and crew to inform them of this development. For them, the past few weeks have been heartbreaking; I know this news must be harder still. I urge the media to respect their privacy, and to allow them the space they need at this difficult time.
MH370: Kenyataan Perdana Menteri
KUALA LUMPUR - Berikut ialah kenyataan akhbar oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai perkembangan terkini penerbangan MH370 yang hilang. Malam ini saya diberi taklimat oleh wakil-wakil dari Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB). Mereka memberitahu saya bahawa Inmarsat, syarikat UK yang menyediakan data satelit meliputi koridor utara dan selatan, telah melakukan pengiraan lanjut terhadap data itu. Dengan mengggunakan kaedah analisis yang belum pernah digunakan dalam sesuatu penyiasatan seumpama ini, mereka telah berjaya membuat pencerahan mengenai laluan penerbangan MH370. Berdasarkan analisis baharu mereka, Inmarsat dan AAIB telah membuat kesimpulan bahawa MH370 terbang melalui koridor selatan, dan kedudukan terakhirnya adalah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth. Ini merupakan lokasi yang terpencil, jauh dari sebarang lokasi pendaratan. Justeru itu dengan perasaan sedih dan kesal yang amat sangat, saya perlu memaklumkan anda bahawa menurut data baharu ini, penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi. Kami akan mengadakan sidang akhbar esok untuk memaklumkan butiran lanjut. Sementara itu kami ingin memaklumkan anda mengenai perlembangan terbaharu ini dalam kadar segera. Kami berkongsi maklumat ini atas dasar komitmen kami terhadap keterbukaan dan perasaan hormat kepada seluruh keluarga, dua prinsip yang menjadi panduan penyiasatan ini. Malaysia Airlines sudah pun memaklumkan kepada semua keluarga penumpang dan anak kapal untuk memberitahu mereka perkembangan ini. Bagi mereka dua minggu yang berlalu cukup memeritkan; saya sedar bahawa berita ini akan lebih sukar lagi. Saya menggesa pihak media supaya menghormati privasi mereka dan memberi mereka ruang menghadapi situasi getir ini. - Bernama
Najib sahkan MH370 hilang di Lautan Hindi
SEDIH!!!… PM Najib Sahkan MH370 Terhempas Di Selatan Lautan Hindi
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan bahawa pesawat MH370 yang tidak dapat dikesan sejak 8 Mac lalu hilang di Lautan Hindi. Dalam sidang media tergempar yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, beliau berkata, maklumat tersebut diperoleh dari data terbaru yang dianalisis oleh Inmarsat, syarikat United Kingdom yang menyediakan data satelit dan Air Accidents Investigation Branch (AAIB). "Berdasarkan maklumat yang diterima, saya dengan dukacitanya memaklumkan penerbangan pesawat MH370 telah berakhir di selatan Lautan Hindi," "Maklumat ini telah diterima dan dianalisis AAIB berdasarkan data satelit yang disalurkan oleh Inmarsat," katanya dalam persidangan media hari ini. Menurutnya, berdasarkan teknik analisis yang belum pernah digunakan dalam siasatan sebegitu, mereka mendapat lebih banyak petunjuk mengenai laluan penerbangan MH370. Beliau berkata, data terbaru menunjukkan MH370 telah meneruskan penerbangannya ke koridor selatan dan hilang di pertengahan Laut Hindi di barat Perth. "Kawasan ini terpencil, jauh daripada sebarang kawasan yang boleh dilakukan pendaratan," kata Najib lagi. Menurutnya, perkembangan terbaru dalam usaha pencarian pesawat itu telah dimaklumkan terlebih dahulu kepada pihak keluarga penumpang dan krew. Beliau turut memberikan jaminan untuk memaklumkan sebarang perkembangan terbaru mengenai MH370 dan berharap keluarga penumpang dan pesawat dapat menerima berita ini dengan tabah.
Cabaran Seterusnya : Mencari Kotak Hitam Dan Jasad Mangsa Di Dasar Selatan Lautan Hindi
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan MH370 terhempas di Selatan Lautan Hindi. Beliau mengesahkan mimpi ngeri yang selama ini ada dalam kotak pemikiran kita tetapi tidak mahu kita terima. Kita tetap berdoa agar keajaiban berlaku dan semua yang terlibat pulang dengan selamat. Namun, kita hanya mampu merancang… tuhan jua yang menentukan segalanya. Kini, tumpuan adalah untuk mencari mangsa di dasar lautan dan serpihan serta bangkai pesawat. Perasankah anda… kenyataan Najib bahawa MH370 terhempas bukan bersandarkan sebarang penemuan serpihan tetapi berdasarkan laporan satelit. Bermakna, pencarian MH370 terutama kotak hitam sebenarnya masih sukar dan mungkin masih jauh. Penemuan beberapa serpihan yang dilaporkan beberapa negara belum dapat disahkan sebagai milik MH370. Justeru… mencari MH370 termasuk jasad penumpangnya masih jauh. Suasana lautan dan kedalaman Lautan Hindi yang ada kawasannya sehingga 7 kali ganda ketinggian KLCC pasti boleh memberikan kita serba sedikit gambaran akan cabaran yang menanti pasukan mencari MH370. Kalau berkesempatan… bacalah dua rencana di bawah yang ditulis wartawan Mynewshub sebelum ini, agar kita semua dapat membayangkan bagaimana sukarnya langkah seterusnya yang akan dilalui semua pihak… termasuk kesabaran para keluarga penumpang yang pastikan mahu penutup kepada episod sedih ini dengan penemuan jasad orang tersayang dari dasar selatan Lautan Hindi.
PM Australia maklumkan Najib penemuan objek
Gambar Ihsan laman Twitter Mohd Najib Tun Razak.
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menerima panggilan telefon daripada rakan sejawatannya di Australia Tony Abbott memaklumkan tentang penemuan dua objek oleh Tentera Udara Diraja Australia (RAAF), dalam misi mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang. Najib berkata Abbott memberitahu beliau objek itu akan diambil dalam beberapa jam lagi. "Baru terima panggilan daripada PM Australia Tony Abbott. Dua objek yang dikesan akan diambil dalam beberapa jam lagi," kata Najib menerusi mesej twitter hari ini. Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) dalam laporan terkini berhubung operasi mencari yang dimuat naik dalam laman webnya, berkata objek itu dikesan pesawat P3 Orion RAAF dan kapal HMAS Success yang kini berada di lokasi untuk mendapatkannya. Laporan itu menyebut objek berkenaan dikesan di kawasan pencarian kira-kira 2,500 kilometer dari Perth kira-kira 2.45 petang Waktu Siang Timur Australia (AEDT). Najib turut menyuarakan penghargaannya kepada Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan yang turut menghubungi beliau untuk menyatakan keprihatinan dan menawarkan bantuan dalam mencari MH370. "PM Turki Erdogan telefon. Saya ucap terima kasih kepada beliau atas keprihatinan dan bantuan yang ditawarkan," katanya. MH370 dalam penerbangan ke Beijing, China hilang daripada radar kira-kira 1.30 pagi pada 8 Mac di ruang udara antara Malaysia dan Vietnam, 49 minit setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang. Pesawat Boeing 777-200ER itu membawa 239 penumpang dan anak kapal. - Bernama
MH370: Allison Norris Ketuai 200 Anak Kapal
KUALA LUMPUR – Kapten Allison Norris, yang mengetuai Tentera Laut Diraja Australia (RAN) dalam misi mencari penerbangan MH370 , adalah seorang wanita yang lasak. Beliau mempunyai 25 tahun pengalaman dan merupakan pakar peperangan. Sebagai ketua untuk kapal HMAS Success, Kapten Norris kini mengetuai lebih 200 anak kapal dalam misi carian di laut dalam di selatan Lautan Hindi. Carian ini amat sukar tetapi Kapten Norris adalah seorang yang tegas dan tidak takut cabaran. “Anak-anak kapal memberi tumpuan sepenuhnya kepada misi. Semangat berpasukan kita adalah tinggi dan kami memberi tumpuan untuk mendapatkan apa-apa serpihan yang mungkin boleh dikaitkan dengan kapal terbang yang hilang,” katanya. “Anak-anak kapal kapal sedar terdapat 239 keluarga di dalam pesawat itu dan kami berasa adalah menjadi peranan kami untuk melakukan apa sahaja yang termampu bagi memberikan jawapan yang mereka tunggu dan berhak mendapatkannya.” Kapten Norris, yang membesar di Maitland, New South Wales, menyertai angkatan tentera laut pada tahun 1987 dan merupakan lulusan Akademi Pasukan Pertahanan Australia pada tahun 1989. Menurut laman web RAN, beliau menjalani latihan Pegawai Pelaut di Teluk Jervis dan Tobruk bagi mendapatkan sijil ‘Bridge Watchkeeping’ pada tahun 1992. Beliau telah dinaikkan pangkat Leftenan pada tahun 1993 semasa berkhidmat di HMAS Sydney dan dikerahkan ke Timur Tengah bagi menyokong Operasi Damask (sumbangan tentera Australia ke Perang Teluk). Selepas mendapat kelayakan sebagai Air Intercept Controller, beliau pulang ke laut untuk bersama HMAS Canberra, menurut RAN. Kapten Norris berjaya menamatkan latihan peperangan pakar dalam Peperangan Di atas Air pada tahun 1996 dan kemudian berkhidmat di Sydney dan Adelaide, termasuk perkhidmatan bagi menyokong Operasi Bastille di Timur Timor, kata tentera laut. Beliau telah dinaikkan pangkat ke Leftenan Komander pada tahun 2000 dengan pelantikan dua tahun dengan Tentera Laut Amerika Syarikat di Pusat Sistem Data Pertempuran Tentera Laut di Virginia. Kembalinya beliau, RAN berkata Kapten Norris berkhidmat sebagai Pegawai Arahan Armada sebelum dilantik sebagai Pegawai Eksekutif HMAS Melbourne , termasuk sekali lagi penempatan ke Timur Tengah, kali ini bagi menyokong operasi kempen menentang keganasan, keselamatan maritim dan cetak rompak. Kapten Norris memegang Ijazah Sarjana Muda Sains, Ijazah Sarjana Pengurusan (Pengajian Pertahanan) dan Ijazah Sarjana Pengajian Maritim. Beliau mengetuai HMAS Melbourne antara Julai 2008 dan Disember 2009, yang digambarkan tentera laut sebagai “kemuncak penting dalam kerjayanya setakat ini”. Pada tahun 2010, Kapten Norris adalah salah seorang finalis dalam Telstra Business Women’s Award dalam Kategori Komuniti dan Kerajaan untuk Australian Capital Territory. Beliau telah dinaikkan pangkat kepada Kapten pada Ogos 2011 dengan mengambil peranan sebagai Pengarah di Pusat Kawalan Bersama di Ibu Pejabat Perintah Operasi Bersama. – mStar Online
Kerajaan disaran miliki sistem radar tercanggih
KUALA LUMPUR - Insiden kehilangan pesawat MAS MH370 perlu menyedarkan pimpinan negara betapa pentingnya memiliki satu sistem radar yang canggih, bukan sahaja untuk pertahanan malah untuk operasi mencari dan menyelamat. Malah pada 17 Mac lalu, Menteri Pertahanan dan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berjanji untuk mengkaji semula sistem radar negara selepas operasi mencari pesawat berkenaan selesai. Mengulas perkara itu, Ahli Geostrategi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Azmi Hassan berkata Malaysia perlu memiliki radar dengan kemampuan mengesan sasaran objek dengan keluasan yang besar dan tidak terhad. "Sebagai contoh Australia dan Amerika Syarikat antara negara yang memiliki radar tercanggih. Di mana radar pengesan mereka memiliki teknologi jaringan yang dipanggil 'Jindalee' yang mampu mengesan sasaran objek dengan keluasan 2,000 km. "Selain itu, radar mereka juga mempunyai teknologi yang dipanggil 'Synthetic Aperture Radar' (SAR) yang dapat mencerap imej dengan jelas serta mampu mengesan bacaan koordinat objek dengan tepat," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. Berbanding negara yang memiliki radar tercanggih, Malaysia menggunakan 'Primary Radar' yang hanya terdapat di muka bumi dan bukan di ruang angkasa lepas. "Saya menyarankan sebelum pelancaran satelit RAZAKSAT2 ke angkasa lepas seharusnya satelit itu memiliki teknologi jaringan SAR," katanya. Azmi berkata, dengan adanya teknologi sedemikian, Malaysia tidaklah semata-mata menghantar satelit malahan pada masa sama memiliki teknologi radar pada satelit itu. Sementara itu, bekas Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera, Datuk Mohamad Abdul Ghani berpendapat radar yang digunakan di Malaysia masih lemah dan perlu dipertingkatkan keupayaannya. "Kerajaan perlu mempunyai radar di seluruh negara yang dapat mengesan kapal terbang yang keluar masuk melalui ruang udara Malaysia sama ada yang terbang rendah mahupun tinggi," katanya. Beliau berkata, jika sesuatu radar pengesan tidak berfungsi ini menyebabkan mana-mana pesawat asing yang tidak dikenali dengan mudah melintasi ruang udara dan menceroboh negara ini dan ini menunjukkan radar pengesan yang dimiliki kerajaan masih tidak mencukupi dan perlu ditambah. "Soal keselamatan orang ramai tidak harus dipandang mudah, pembelian radar berteknologi tinggi dari negara luar dapat mengembalikan maruah negara yang sebelum ini diperlekeh negara luar," katanya. Menurutnya, bukan sekadar kehilangan pesawat MH370 yang menjadi fokus utama kerajaan malah pencerobohan pesawat asing di negara ini harus menjadi perhatian utama kerajaan. "Oleh sebab itu kerajaan harus membuat pelaburan jangka masa panjang dalam bidang radar, hal ini bukan sahaja untuk kepentingan generasi hari ini malah untuk generasi seterusnya," katanya. Penerbangan MH370 ke Beijing, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 tengah malam 8 Mac. Ia sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. Operasi mencari pesawat itu yang melibatkan 26 buah negara setakat ini tidak membuahkan hasil. - Bernama
50 polis kawal keluarga mangsa
BEIJING - CHINA. Seramai 50 pegawai polis dikerah ke Hotel Lido di sini selepas kekecohan tercetus sejurus Perdana Menteri Malaysia Najib Tun Razak membuat sidang akhbar pada jam 9.45 malam di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur . Menurut ABC, kebanyakan ahli keluarga penumpang MH370 tidak dapat mengawal emosi mereka selepas Najib mengesahkan pesawat berkenaan terhempas di selatan Lautan Hindi. Keluarga penumpang yang berada di hotel berkenaan dilaporkan menjerit dan meraung kerana tidak dapat menerima kenyataan terbaharu yang merungkai misteri kehilangan sejak 17 hari lalu. Media tempatan melaporkan, mereka dilihat sangat tertekan hingga ada yang pengsan dan terpaksa dibawa keluar dengan pengusung. Jeritan dan tangisan dapat didengar dari luar bilik yang dikhaskan untuk keluarga mangsa. "Satu insiden perang mulut berlaku antara keluarga penumpang dan wakil dari kerajaan Malaysia," jelas laporan itu. Namun, situasi tegang dapat dikawal dan dileraikan oleh pasukan perubatan serta anggota keselamatan. Hotel berkenaan kini dikawal ketat bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini tercetus.
Semua anak kapal HMAS Success terlibat cari objek
KUALA LUMPUR - Semua anak kapal HMAS Success ditugaskan mencari objek yang dikesan pesawat P3 Orion Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) di Lautan Hindi dalam operasi mencari pesawat Malaysian Airlines MH370 yang hilang. "Semua anak kapal HMAS Success kini terlibat dalam mencari objek untuk mengesan MH370," kata Lembaga Keselamatan Maritim Australia (AMSA) dalam mesej terbarunya melalui Twitter. Awal hari ini, AMSA berkata sebuah pesawat P3 Orion RAAF mengesan dua objek di Lautan Hindi Selatan, kira-kira 2,500 kilometer di barat daya Perth, Australia dalam mencari pesawat yang hilang itu. Katanya anak kapal P3 Orion melaporkan mereka ternampak dua objek -- yang pertama berbentuk bulat berwarna kelabu atau hijau, manakala yang kedua berbentuk empat segi bujur berwarna oren -- pada kira-kira pukul 2.45 petang waktu Siang Australia Timur (AEDT). AMSA berkata dua objek itu bukan objek yang dikesan pesawat Ilyushin IL-76 China awal hari ini. Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menerima panggilan telefon daripada rakan sejawatan beliau dari Australia Tony Abbott untuk memaklumkan tentang objek yang dikesan itu dan memberitahu beliau bahawa objek berkenaan akan dipungut beberapa jam kemudian. Penerbangan MH370, yang dalam perjalanan ke Beijing, China hilang daripada pengesanan radar pada kira-kira pukul 1.30 pagi 8 Mac ketika berada di ruang udara antara Malaysia dan Vietnam, 49 minit setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang. Pesawat Boeing 777-200ER itu membawa 239 penumpang dan anak kapal. - Bernama
'Susah nak tiru Tony Jaa'
Rohim Apollo (kiri) bakal berdepan peninju Perancis, Julie pada kategori Super 4 Edition 65 kg, Sabtu ini.
"NAK tiru aksi Tony Jaa nampak senang tapi sukar nak dipraktikkan atas gelanggang. Itu kata peninju Kelab Kuda Merah PDRM, Shalihem Mohamad atau lebih terkenal gelaran Rohim Apollo yang meminati aksi pelakon filem Ong Bak yang dilakonkan Tony Jaa. Filem aksi Ong Bak pada 2003 berkisarkan kepada seni mempertahankan diri yang tertua di Thailand, muay thai atau tomoi bukan hanya popular di Thailand tetapi menjadi satu fenomena ke seluruh dunia. "Saya cuba tiru gerak pantas Tony pada sesi latihan. Cuma, bila beraksi atas gelanggang lain pula yang jadi. Memang sukar nak mengaplikasikan semasa perlawanan sebenar," katanya. Rohim berkata, beliau berlatih hampir setiap hari dan akui tidak penat kerana itu sudah menjadi rutin dalam kehidupan sebagai anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM). Anak muda dari Tumpat, Kelantan ini akan berentap dengan peninju Perancis, Julie pada kategori Super 4 Edition 65 kg dalam Kejohanan Kuala Lumpur International Muaythai Challenge ‘Super 4 Edition Series 2014’ di Stadium Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur pada Sabtu ini.
Tindakan guna gambar Sultan Kelantan dibidas
Tindakan seorang pemilik akaun laman sosial facebook menggunakan gambar Sultan Muhammad V sebagai gambar profil yang dibidas halaman Tanah Merah Di Hatiku.
TANAH MERAH - Laman facebook ‘Tanah Merah Di Hatiku’ membidas tindakan seorang pemilik akaun laman sosial itu yang menggunakan gambar Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai gambar profil. Beberapa ahli halaman itu menyifatkan perbuatan pemilik akaun menggunakan nama ‘Raja DPPK’ terbabit sebagai menghina Sultan Kelantan dan mempersendakan institusi raja. Selain mengharapkan ada pihak tampil memperbetulkan keadaan itu dan menasihati pemilik akaun berkenaan, ada pihak yang menggesa supaya laporan polis dibuat. Hasil semakan Sinar Harian di facebook mendapati, pemilik akaun terbabit mula menggunakan gambar Sultan Muhammad V sebagai gambar profilnya pada 20 Mac lalu. Semakan juga mendapati, individu terbabit yang berasal dari Kampung Bechah Laut, di sini, merupakan seorang ahli jawatan kuasa sayap Pemuda sebuah parti politik. Seorang ahli, Hasbullah Mamat menyifatkan perbuatan menggunakan gambar Sultan Kelantan sebagai menghina dan meminta polis melakukan siasatan terhadap pemilik akaun terbabit. Pemilik akaun yang menggunakan nama ‘Mahfuz Mahfaz Mahfuza’ pula mempersoalkan pemimpin parti politik terbabit yang membiarkan seorang ahli jawatan kuasa pemudanya berbuat demikian. Dia berharap, ada pihak tampil menasihati pemilik akaun terbabit supaya individu berkenaan tidak berdepan kemungkinan dikenakan tuduhan mencemar duli Sultan Kelantan. Azhar Muhamad selaku individu yang membangkitkan isu penggunaan gambar Sultan Kelantan sebagai gambar profil turut menyifatkan perbuatan itu sebagai penghinaan dan berharap ada pihak tampil membetulkan keadaan. “Gambar Sultan Kelantan dipersendakan. Apakah relevan tindakan sebegini? Apakah rasional gambar Baginda Sultan dijadikan picture profile (gambar profil)?,” soal Azhar pada entrinya. “Sebaiknya gambar Tuanku (Sultan Kelantan) tidak diletakkan sebagai gambar profil personal (peribadi) rakyat," kata seorang lagi ahli ‘Tanah Merah Di Hatiku’, Nadzri Hamzah.
Lima tukang urut kena cekup
Tukang urut yang diserahkan kepada pihak polis selepas dicekup di premis pusat urut haram di Bandar Puteri.
PUCHONG - Dua premis urut yang dipercayai menawarkan aktiviti pelacuran antara yang dikenakan tindakan Jabatan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dalam Ops Khas yang dilakukan, semalam. Rampasan set peralatan urut dan tindakan penutupan premis diambil di bawah UUK 3 Undang-Undang Kecil Pusat Kecantikan Dan Penjagaan Kesihatan MPSJ 2007. Lima tukang urut yang didapati menyalahgunakan permit perjalanan dicekup dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi Khas itu melibatkan Unit trafik Jabatan Penguatkuasaan MPSJ yang memberi penekanan terhadap pemilik kenderaan yang melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas dengan mengeluarkan 598 Notis Tawaran Kompaun (NTK). Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPSJ, Mejar Mohd Rasip Rasul berkata, meskipun sudah melaksanakan beberapa kali operasi trafik khas sebelum ini, pemandu dilihat masih berdegil dan membelakangkan undang-undang. Katanya, antara kesalahan dilakukan termasuk meletakkan kenderaan di tempat tidak sepatutnya dan menyebabkan halangan. Tindakan diambil bawah Peruntukan tempat letak kereta MPSJ 2007, Akta Pengangkutan Jalan 1987. Beliau berkata, dalam Ops Khas dilaksanakan bersama 90 anggota, pihaknya turut membuat pemeriksaan lesen di premis perniagaan di kawasan Bandar Puteri. Sebanyak 21 NTK dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk menjalankan perniagaan tanpa lesen dan melanggar syarat-syarat lesen yang dikeluarkan. Selain menyita dua rumah urut, anggota MPSJ juga berjaya menurunkan 347 unit iklan haram yang dipamer tanpa kebenaran pihak majlis. Pengusaha berdepan tindakan di bawah UUK 7 Undang-undang Kecil Iklan MPSJ 2007.
Buat maksiat dalam banglo dua tingkat
Keadaan dalam banglo yang dipercayai menjadi tempat remaja melakukan perbuatan sumbang dan menghidu gam.
BUKIT BERUNTUNG - Lokasi tersorok dan jauh daripada pandangan awam menjadikan sebuah banglo dua tingkat berdekatan sebuah kelab golf di sini sasaran golongan remaja melakukan maksiat. Kegiatan remaja lelaki dan perempuan berusia lingkungan 12 hingga 17 tahun seringkali dihidu penduduk di kawasan sekitarnya. Penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai nenek, 69, berkata, kumpulan remaja terbabit sering memasuki kawasan hujung minggu di antara jam 5 hingga 7 petang. “Selalunya nenek tengok budak naik motor beramai-ramai ke belakang nak hidu gam. “Nenek dengar budak itu buat perkara tak senonoh lelaki dan perempuan. Lebih sedih perempuan dijadikan habuan bila ada perlumbaan motosikal,” katanya. Manakala seorang lagi penduduk yang bekerja di kelab golf berkenaan dikenali sebagai Selvadewi, 40, berkata, dia dan suaminya pernah terserempak sekumpulan remaja bermotosikal kemalangan berdekatan banglo tersebut. “Pakcik (suami) bersama pemain golf pernah tolong seorang budak perempuan yang cedera sebab jatuh bersama motosikal dalam longkang. “Pakcik tanya budak tu, kamu perempuan buat apa dalam hutan ni dengan ramai budak lelaki, tapi lepas diselamatkan budak tu terus lari,” katanya. Menurutnya, ini bukan pertama kali dia terserempak remaja bermotor masuk ke kawasan banglo itu kerana hampir setiap hujung minggu dan cuti sekolah pasti ada kumpulan bermotor masuk ke kawasan tersebut.
Pengantin tiba-tiba bersilat
Mohd Shahfizal secara tiba-tiba meninggalkan kerusi pengantin untuk beraksi.
SUNGAI PETANI - Orang ramai yang menghadiri majlis perkahwinan di Taman Keladi dekat sini kelmarin gempar apabila pengantin lelaki yang lengkap mengenakan pakaian mempelai meninggalkan kerusi tempat duduk pengantin yang telah dikhaskan. Tindakan pengantin lelaki, Mohd Shahfizal Muhammad Shahfawi, 27, yang bekerja di sebuah syarikat industri itu turut mengejutkan pasangannya, Nor Hasliza Abd Rashid, 24, yang sedang disandingkan bersama ketika itu. Bukan sahaja tetamu yang hairan, malah ibu bapa pengantin turut terkejut menjadikan suasana sedikit cemas dan kelam-kabut. Bagaimanapun, tindakan Mohd Shahfizal itu dilakukan bagi membolehkannya membalas ‘panggilan’ salah seorang ahli pertubuhan silat yang sedang dalam pertunjukan ketika itu. Dia dilihat mengambil tempat di lokasi pertunjukan silat bersama beberapa ahli pertubuhan berkenaan sebelum mempamerkan kemahiran yang dimiliki dalam seni mempertahankan diri tersebut. Tindakannya mendapat perhatian pengunjung yang kemudian mengerumuni tempat pertunjukan bagi menyaksikan dengan lebih dekat. Menurut Shahfizal yang juga Jurulatih Silat Lincah Malaysia, tindakan itu dilakukan bagi ‘membalas’ pergerakan setelah dicabar anak buah yang sedang membuat pertunjukan ketika itu. Mohd Shahfizal berkata, dia terus memulakan langkah apabila dicabar anak buah yang sedang beraksi. “Saya juga tidak menyangka akan turut serta membuat pertunjukan kerana mengikut perancangan awal, hanya anak buah sahaja yang terlibat. “Tetapi, secara tiba-tiba mereka ‘mencabar’ saya untuk turut serta dan saya menyambut cabaran itu tanpa dirancang. Namun Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar akhirnya,” katanya kepada Sinar Harian. Sementara itu, Nor Hasliza yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta turut terkejut dengan tindakan suami yang secara tiba-tiba meninggalkan kerusi pengantin untuk beraksi. “Saya juga tidak menyangka suami akan membuat persembahan kerana dia pun tidak membuat sebarang persiapan,” katanya.
Akhirnya padam jua..
Anggota bomba bertungkus lumus mengawal api di Hutan Pengkalan Jering, Che Lijah yang memusnahkan hampir lima hektar hutan semula jadi.
DUNGUN - Setelah hampir dua bulan terpaksa berkampung di hutan, pasukan penyelamat kini boleh menarik nafas lega apabila operasi pemadaman kebakaran hutan ditamatkan ekoran api mulai padam sejak dua hari lalu. Selain pasukan penyelamat yang terlibat dengan operasi, berita gembira itu juga pastinya disambut baik oleh masyarakat setempat setelah sekian lama diselubungi asap tebal sehingga menjejaskan kehidupan seharian mereka. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Dungun, Penolong Penguasa Nor Azizi Che Noh berkata, kawasan yang paling teruk terjejas sebelum ini ialah di Hutan Tok Kah melibatkan keluasan 411 hektar. Menurutnya, kebakaran itu berjaya diatasi berikutan hujan lebat dalam tempoh beberapa hari lalu. Nor Azizi berkata, pihaknya juga sudah menutup pusat operasi di kawasan tersebut, namun pemantauan masih dilakukan untuk memastikan kawasan yang mencatat sejarah kebakaran paling buruk itu dalam keadaan selamat.
Pengkalan Jering Che Lijah paling teruk
Selain Tok Kah, api yang memusnahkan hutan gambut di Kampung Alor Mak Bah dan Batu Tiong masing-masing seluas hampir dua hektar juga berjaya dipadamkan. “Dalam kes terbaru, kawasan hutan di Pengkalan Jering Che Lijah adalah paling teruk terjejas dengan keluasan kebakaran hampir lima hektar. “Api di kawasan Hutan Batu Tujuh melibatkan kawasan seluas lima hektar juga berjaya dipadamkan dan setakat ini semuanya terkawal,” katanya. Menurutnya, biarpun kebakaran hutan di beberapa lokasi utama itu berjaya dipadamkan, namun beberapa kes melibatkan kebakaran semak dalam skala kecil seperti di Jalan Melati dan Jalan Kenanga serta hutan simpan Rantau Abang juga masih dilaporkan. Namun menurut beliau, ia merupakan kes terpencil yang masih dalam kawalan pihaknya dan kebakaran itu tidak melibatkan keselamatan orang ramai. “Kita menasihati orang ramai agar tidak lagi melakukan pembakaran terbuka kerana ia memberi kesan buruk kepada alam sekitar apabila api merebak dan gagal dikawal. “Pihak kita juga tidak akan berkompromi lagi dan mana-mana individu yang berjaya dibuktikan terlibat dengan aktiviti ini mereka tidak terkecuali daripada berhadapan tindakan undang-undang,” katanya. Sinar Harian keluaran 28 Januari 2014 menyiarkan kira-kira 1.8 hektar hutan paya gambut di kawasan hutan simpan dekat Tok Kah musnah dalam kebakaran yang disifatkan terburuk pada tahun ini. Kejadian itu dipercayai berpunca daripada aktiviti pembakaran hutan secara terbuka oleh pihak tidak bertanggungjawab sebelum merebak ke kawasan kebakaran. Pasukan penyelamat berjaya memadam sebahagian kebakaran, namun keadaan angin kencang dan cuaca panas menyebabkan api merebak dengan cepat sehingga melibatkan keluasan 411 hektar.
Cuaca panas: Petani rugi ribuan ringgit
Tanaman cili yang diusahakan Ismail tidak dapat melalui proses tumbesaran sempurna kerana cuaca panas berpanjangan.
KUANTAN - Cuaca panas dan kemarau yang berlarutan sejak dua bulan lalu menyebabkan golongan petani di daerah ini mengalami kerugian, bahkan sebahagian daripada mereka rugi mencecah ribuan ringgit. Petani di perkampungan Sungai Soi dan mereka hanya mampu berserah dengan dugaan yang datang serta berharap hujan akan turun. Wang Her Ban, 42 berkata, sejak kemarau melanda tanamannya menjadi tidak subur kerana masalah kekurangan air, malah kolam menakung air juga kering. Menurutnya, dia mengalami kerugian mencecah ribuan ringgit dalam tempoh sebulan memandangkan terpaksa mengeluarkan belanja lebih dan hasil pengeluaran juga terjejas. “Keluasan tanaman saya kira-kira 22 hektar dan apabila kemarau melanda ia akan menjejaskan kesemuanya. “Tumbesaran pokok dan buah terbantut kerana kekurangan air menyebabkan hasil pengeluaran tidak seperti sebelum ini. “Jika pada hari biasa kami menyiram tanaman dua hari sekali tetapi dalam keadaan sekarang hanya mampu menyiram tiga atau empat hari sekali dan tanaman mulai layu. Menurutnya, jika sebelum ini dia menggunakan kira-kira RM 5,000 untuk membeli minyak diesel bagi menggerakkan mesin menyiram tetapi bulan ini sahaja sudah melebihi RM10,000. “Masalah untuk menyiram pula timbul apabila kolam kering kontang dan baru-baru ini ada hujan tetapi tidak lama. “Jika musim biasa kita menyiram dalam tempoh satu jam tetapi sekarang hanya mampu bertahan kira-kira 15 minit sahaja kerana bekalan air tidak ada,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam. Katanya, sejak bergelar petani kira-kira 18 tahun yang lalu, kemarau kali ini paling teruk melanda dan berpanjangan. “Setiap hari saya membekalkan bertan-tan sayur seperti kacang panjang, cili, peria dan pelbagai lagi kepada pemborong dan setakat ini masih mampu bertahan walaupun cuaca sangat teruk,” katanya. Seorang lagi petani, Ismail Ahmad, 47 turut berdepan masalah sama, malah lebih kritikal kerana tanaman cilinya masih dalam proses peringkat awal. “Saya mengeluarkan modal berbelas ribu untuk tanaman cili seluar kira-kira 0.8 hektar ini dan jika kemarau berterusan memang teruk akibatnya. “Jika dahulu kita siram dua kali sehari tetapi sekarang hanya mampu sekali sehari sahaja dan itu pun dalam kadar yang sedikit. “Kolam mulai mengering dan kerana tiada hujan kita terpaksa membeli petrol dengan lebih kerap serta terpaksa berbelanja lebih,” katanya. Petani berpengalaman lebih 30 tahun, Han Tee Bu, 78 berkata, jika sebelum ini dia mampu mengutip kira-kira 30 bakul cili besar tetapi sekarang hasilnya tidak sampai 10 bakul. “Keluasan tanaman saya kira-kira 4 hektar dan baru sahaja mengeluarkan hasil tetapi ia tidak begitu memberangsangkan. “Saiznya kecil dan pokoknya tidak tahan lama, sekali gus menjejaskan pendapatan harian. “Sekarang hanya mampu mengutip di antara tujuh hingga lapan bakul cili sahaja dan keadaan ini memang jauh berbeza jika dibandingkan jika cuaca normal,” katanya.
Sepupu Assad dibunuh, Erdogan ucap tahniah
Lokasi bedilan roket dilepaskan di wilayah Latakia . Gambar kecil: Hilal
LATAKIA - SYRIA. Sepupu Presiden Syria, Bashar al-Assad terbunuh dalam pertempuran dengan kumpulan pejuang berhampiran sempadan Syria-Turki. Hilal al-Assad yang juga Ketua Pasukan Pertahanan Syria, maut di Kasab di wilayah Latakia selepas terkena bedilan roket yang disasar ke arah kenderaannya. Kumpulan Hak Asasi Manusia berpangkalan di Britain mengesahkan kematian itu. “Roket pertama disasarkan ke kenderaan beliau diikuti roket kedua disasarkan ke rumah Hilal lima minit kemudian," menurut laporan itu. Sementara itu, Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan mengucapkan tahniah kepada anggota tenteranya, sekali gus memberi amaran kepada pihak luar yang cuba mencabul keamanan negaranya. “Pesawat Syria memasuki ruang udara kita secara haram maka itu kami arahkan pesawat F-16 untuk melakukan serangan,” katanya, laporan dipetik dari Al Jazeera.
Malaysia diunjur pertumbuhan dagangan 5-6 peratus
MALAYSIA dijangka mencatat pertumbuhan antara lima dan enam peratus dalam perdagangan pada 2014, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed. Beliau berkata pemulihan meluas kini dicatat dalam eksport barangan elektrik dan elektronik manakala lebihan dagangan bertambah baik dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini. "Kita telah mencapai kemajuan dalam dua bulan pertama. Prestasi dicapai mengatasi rekod pada tempoh yang sama tahun lepas," katanya. Mustapa bercakap kepada pemberita selepas pelancaran buku oleh bekas timbalan perdana menteri Tun Musa Hitam, di sini hari ini. Buku "21st Century Economics in the Muslim World," ialah himpunan pandangan mengenai isu ekonomi semasa dengan tumpuan khusus untuk mereka yang mengikuti perkembangan dalam dunia Islam. Perdagangan Malaysia berkembang 4.6 peratus kepada RM1.36 trilion pada 2013 berbanding RM1.309 trilion pada 2012, disokong oleh prestasi eksport lebih baik. Lebihan dagangan tahun lepas mencapai RM70.63 bilion. Ia adalah tahun ke-16 berturut-turut negara mencatat lebihan dagangan. Mustapa berkata pasaran eksport tradisional Malaysia, iaitu Timur Laut Asia dan negara anggota Asean, kekal penting kepada negara. "Kita juga mempunyai dagangan yang baik dengan dunia Islam, seperti negara anggota Majlis Kerjasama Teluk dan di Afrika Utara. "Kami harap keadaan akan menjadi stabil dalam tempoh beberapa bulan ini di negara-negara Afrika Utara untuk membolehkan eksport kita ke sana dipulihkan," katanya. Sementara itu, Musa yang juga Pengerusi Yayasan Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) berkata perbankan dan kewangan Islam sebenarnya merupakan industri baharu dalam pasaran global. "Masih banyak kerja perlu dijalankan dari segi menyelaras dan menyeragamkan peraturan dan syarat. Banyak seminar dan perbincangan diadakan hampir setiap hari atau minggu. "Peserta datang dari seluruh pelosok dunia dan kami mencapai kemajuan yang baik," katanya. - Bernama
PROJEK Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) di Pulau Indah jana RM100j setiap tahun
PROJEK Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) di Pulau Indah, yang kini mempunyai kadar pendudukan 94 peratus, dijangka menjana hasil RM100 juta setahun dalam tempoh lima tahun, kata Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Datuk Teh Kim Poo. Beliau berkata ini disebabkan PKFZ yang diurus oleh Port Klang Free Zone Sdn Bhd, unit milik penuh LPK, menawarkan peluang pelaburan kepada syarikat multinasional yang mempunyai potensi jangkauan ke pasaran luas meliputi negara Asean dan melepasinya. "Kira-kira 94 peratus daripada 256 hektar di PKFZ sudah pun dijanjikan kepada pelabur. "Ini akan membolehkan PKFZ menjana hasil sebanyak RM100 juta setahun dalam tempoh lima tahun berbanding hanya RM40 hingga RM50 juta masa kini. "Ini membuktikan bahawa PKFZ bukan projek tidak membawa hasil seperti didakwa oleh sesetengah pihak memandangkan kita sudah pun mula mencari lebih ramai pelabur," katanya kepada pemberita selepas taklimat mengenai pembangunan PKFZ dengan pelabur. PKFZ terletak sebelah Pelabuhan Barat di Pulau Indah, dibina untuk menjadi hab eksport serantau dengan kegiatan perkilangan, selain kemudahan untuk memudahkan pertumbuhan pusat pengedaran serantau atau pusat perolehan antarabangsa. Teh berkata pembangunan zon bebas itu melengkapi rancangan kerajaan Selangor untuk mengubah PKFZ menjadi pusat industri dan komersil, sekali gus memberikan pelabur pilihan membina kemudahan mereka sendiri. PKFZ menawarkan peluang pelaburan kepada syarikat bertaraf dunia China seperti SM International berpangkalan di China, Global Vietnam Aluminium dan Schlumberger yang sudah pun membuka pusat pembaikan dan penyelenggaraannya. Sementara itu, Teh berkata PKA, badan pengawal selia dua pengendali terminal swasta - Pelabuhan Utara dan Pelabuhan Barat - berada dalam kedudukan kewangan yang kukuh untuk membayar pinjamannya daripada hasil dijana daripada operasi LPK dan projek PKFZ tanpa perlu bergantung kepada dana daripada kerajaan. Mengenai rancangan masa depan, Teh berkata, beliau akan membina sebuah bangunan pejabat LPK baharu, lapan tingkat yang antara lain akan menempatkan sebuah dewan serba guna yang boleh mengisi 100 meja, selain memperkenalkan satu pelayaran menyusuri pelabuhan untuk memikat lebih ramai pelancong ke pelabuhan itu dan juga perkampungan nelayan di Pulau Ketam dan Sungai Lima. - Bernama
Lesap 22 jam, berjalan ketika tidur
London: Pihak polis semalam melancarkan usaha besar-besaran mencari seorang wanita yang sering jalu (berjalan dalam tidur) selepas dia hilang selama 22 jam dengan hanya memakai baju tidur. Wendy Richards, 43, keluar dari rumahnya dalam keadaan lena di Stretton, Burton-upon-Trent jam 9.30 malam sebelum ditemui polis Staffordshire pada jam 8.30 malam berikutnya berdekatan rumahnya. Ketika ditemui, Wendy memakai baju biru dan jubah tidurnya. Dia diberikan pemeriksaan kesihatan, namun dilaporkan sihat walaupun mengadu kesejukan. Jurucakap polis berkata, Wendy sering berjalan ketika tidur akibat masalah kesihatan dialaminya. “Kami mengucapkan terima kasih kepada semua yang membantu kami mencari wanita ini,” katanya. Menurutnya, pihaknya bimbang dengan keadaan Wendy, malah tidak menolak kemungkinan kejadian itu akan berulang. Ini bukan kali pertama kejadian seumpama itu berlaku. Mac tahun lalu, seorang wanita hilang hampir 24 jam Mac tahun lalu selepas dipercayai memanjat tingkap dapurnya dalam keadaan tidur. Joy Grigg, 50, dikesan hilang oleh suaminya Richard pada awal pagi dan hanya ditemui hampir 24 jam, lebih 19 kilometer dari rumahnya.- Agensi
8 mayat mangsa banjir lumpur ditemui
ANGGOTA pasukan penyelamat dan penduduk mencari mangsa di bawah runtuhan sebuah rumah.
Arlington: Pihak berkuasa mengakui semakin tipis harapan untuk menemui mangsa terselamat dalam banjir lumpur yang mengakibatkan sekurang-kurang lapan orang semalam apabila lebih banyak mayat ditemui. Pasukan mencari dan menyelamat menggunakan helikopter selain berjalan mencari sesiapa yang mungkin masih terselamat dalam tragedi itu. Sabtu lalu, mereka berharap dapat menemui mangsa terselamat apabila masih terdengar jeritan meminta bantuan di celah timbunan sampah, pokok dan lumpur. Bagaimanapun, pasukan penyelamat terpaksa berpatah balik akibat keadaan berbahaya sebelum meneruskan pencarian seawal mungkin keesokannya. Ketua Bomba Daerah Snohomish Travis Hots berkata, anggota penyelamat kini gagal menemui sebarang tanda ada mangsa masih hidup. “Keadaan amat mengecewakan kami. Namun kami tidak mengalah dan akan terus mencari mangsa yang mungkin terperangkap dalam rumah atau kenderaan mereka,” katanya. Sementara itu, syerif Daerah Snohomish Leftenan Rob Palmer berkata, tiga mangsa disahkan meninggal dunia pada petang Sabtu, manakala empat lagi mayat ditemui lewat kelmarin. Masih ramai mangsa dilaporkan hilang malah jumlah sebenar masih tidak dapat dipastikan. Banjir lumpur membabitkan kawasan seluas 2.5 kilometer persegi itu turut mengakibatkan beberapa orang termasuk seorang kanak-kanak cedera parah, selain memusnahkan 30 rumah. Mangsa, Bruce Blacker berkata dia tidak tahu nasib yang menimpa enam jirannya. “Kami semua memang rapat. Saya harap mereka ditemui,” katanya. - AP
Saudi haram animasi adiwira Islam
SIRI animasi ‘The 99’ ditayangkan di televisyen di Arab Saudi dan Kuwait.
Riyadh: Jawatankuasa Fatwa Arab Saudi semalam mengharamkan siri animasi adiwira, ‘The 99’. Siri animasi itu dibuat berdasarkan budaya dan kehidupan masyarakat Islam dan ia yang pertama seumpamanya di dunia. Ahli jawatankuasa itu berkata, siri animasi hasil karya warga Kuwait, Nayef Al Mutawa yang disiarkan di stesen televisyen Saudi itu tidak boleh diterima dan mesti diharamkan. ‘The 99’ mencetuskan kontroversi di Kuwait dan Arab Saudi dengan beberapa pihak menyuarakan bantahan dan mendesak pengharamannya kerana bertentangan dengan Islam apabila ia melambangkan 99 nama Allah, lapor agensi berita Arab Saudi semalam. Di Kuwait, seorang peguam tempatan memfailkan saman ke atas penerbit animasi itu yang dikhaskan untuk kanak-kanak kerana mendakwa plot cerita itu menggambarkan sifat Allah secara jelas. “ Siri animasi ini jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Saya mendesak penahanan semua yang terbabit dalam penghasilan dan penyiarannya. Saya juga mendesak pengharaman penyiaran semua episod siri ini,” kata peguam berkenaan, Dwaim Al Muwaizri Di Arab Saudi, Sa’ad Hassan Al Shammari mendesak Jawatankuasa Tetap Kajian Saintifik dan Ifta negara itu mengharamkan siri berkenaan. “The 99 memaparkan sifat Allah dalam setiap karakter animasi itu. Siri itu juga memberi mesej penyatuan semua 99 karakter yang kononnya mempunyai hati yang suci dan kuasa luar biasa akan membebaskan dunia dari ancaman. Saya berharap siri ini diharamkan,” katanya. - Agensi
Kerat urat untuk cuti
Fujeirah: Seorang pekerja sanggup mengerat uratnya bukan untuk membunuh diri tetapi semata-mata mahu mendapatkan cuti. Namun tindakannya itu sia-sia apabila dia bukan saja tidak diberi cuti malah turut didenda. Lelaki yang tidak didedahkan identitinya itu dikejarkan ke hospital minggu lalu selepas melakukan perbuatan itu. Doktor berjaya menyelamatkan dan menyambung uratnya. Mahkamah di Fujairah semalam mendendanya sebanyak Dh2000 (RM 1,796) selepas dia mengaku kepada polis bahawa dia bertindak demikian untuk mendapatkan cuti daripada majikannya. - Agensi
Pelampau Yahudi toreh tayar kereta
Baitulmaqdis: Puak pelampau Yahudi disyaki bertanggungjawab membocorkan tayar berpuluh-puluh kereta penduduk Palestin di timur bandar raya ini Serangan berlaku di Beit Hanina, kawasan penempatan rakyat Palestin di sektor utara dan timur Baitulmaqdis dengan grafiti bahasa Ibrani pada sebuah bas tertulis ‘Bangsa lain di muka bumi adalah musuh’. Polis berkata, tayar 34 kenderaan dibocorkan, namun wakil media di tempat kejadian menyatakan jumlahnya 45 buah dan keempat-empat tayar pada setiap kenderaan ditoreh. Penduduk tempatan memberitahu, kamera pengawasan di kawasan itu menunjukkan sekumpulan lelaki melakukan jenayah itu yang melambangkan jenayah kebencian terhadap penduduk Palestin. Pada mulanya jenayah ini dilakukan kepada masyarakat Palestin sebagai balas dendam kerana langkah rejim Zionis merobohkan penempatan haram penceroboh Yahudi. Serangan itu bagaimanapun kini menjadi fenomena berbaur perkauman. Pada Jun tahun lalu 21 kenderaan musnah dalam serangan serupa di bandar sama.
Hanya temui tengkorak selepas dibaham dubuk
Sana’a: Seorang lelaki berusia 50-an mati dibaham dubuk di wilayah Rayma ketika pulang ke rumah pada waktu malam. Keluarga mangsa berkata, lelaki itu menghubungi isterinya selepas berjaya melepaskan diri dari cengkaman haiwan itu. Namun, ketika dia memberitahu kejadian yang berlaku, haiwan itu kembali menyerangnya. Isterinya berkata, dia mendengar suara suaminya menjerit meminta tolong sebelum suasana menjadi senyap. Wanita itu menghubungi anak lelaki mereka yang bergegas ke tempat kejadian. Bagaimanapun dia hanya menemui tengkorak, kaki dan pakaian bapanya yang koyak-rabak. Penduduk tempatan memberitahu kawasan itu terkenal sebagai pusat lindungan haiwan liar.
Peminta sedekah guna telefon mahal
Jeddah: Seorang lelaki Saudi yang dalam perjalanan ke masjid terkejut apabila melihat seorang peminta sedekah wanita mengguna telefon pintar yang mahal. Lelaki itu berkata, dia bersedia untuk memberi sedekah kepada wanita itu apabila dia melihat wanita itu mengeluarkan telefon bimbit berkenaan dari beg yang dipegangnya dan membuat panggilan secara sembunyi. Lelaki itu memberitahu akhbar Sabq dia berjaya merakam kejadian itu menggunakan telefon bimbitnya ketika wanita itu menggunakan telefon pintar model terbaru itu berhampiran sebuah masjid di Jeddah. Video yang dimuat naik ke Youtube itu menunjukkan peminta sedekah itu dirakam mengguna telefon bimbit berkenaan dia menyedari perbuatannya dirakam. - Agensi
529 penyokong mursi dihukum mati
Kaherah: Sebuah mahkamah Mesir semalam mendapati 529 penyokong bekas Presiden Mohamed Mursi bersalah dan menjatuhkan hukuman mati ke atas mereka atas tuduhan membunuh seorang anggota polis dan menyerang polis dalam satu perbicaraan berama-ramai di negara itu. Sebahagian besar defendan dibicarakan tanpa kehadiran mereka. Bagaimanapun, keputusan berkenaan dijangka ditolak dalam perbicaraan rayuan, kata peguam hak asasi manusia selepas perbicaraan itu berakhir di bandar Minya, selatan Kaherah. Perbicaraan kes itu yang dilihat sebagai tergesa-gesa hanya berlangsung selama dua hari. Enam belas suspek yang turut berdepan dengan tuduhan itu dibebaskan. “Keputusan itu tidak boleh diterima. Ia menggambarkan sistem kehakiman dijadikan alat untuk membalas dendam. Keputusan ini akan menjadi duluan, baik dalam sejarah kehakiman Mesir dan mungkin di luar negara,” kata peguam Mohammed Zarie yang mengetuai sebuah pertubuhan hak asasi di Kaherah. Perbicaraan beramai-ramai itu menunjukkan hasrat kerajaan Mesir yang disokong tentera untuk memusnahkan pergerakan Ikhwanul Muslimin tanpa memberi peluang untuk mereka bangkit dalam politik Mesir. Mursi pernah mengetuai kumpulan itu dan memenangi pilihan raya hasil daripada sokongan mereka. Mahkamah itu semalam mengumumkan keputusannya selepas bersidang selama dua sesi. Peguam defendan membantah keputusan berkenaan dengan alasan mereka tidak diberi peluang berhujah. Sebahagian besar defendan dalam perbicaraan semalam ditahan ketika pertempuran yang meletus di Minya pada 14 Ogos lalu. Selain dituduh membunuh dan menyerang polis, defendan juga menghadapi tuduhan merosakkan harta awam. “Kes ini yang paling cepat dan jumlah mereka yang dihukum mati paling ramai dalam sejarah kehakiman Mesir,” kata peguam Nabil Abdel Salam yang mewakili pemimpin kanan Ikhwan, termasuk Mursi. Stesen televisyen Mesir melaporkan keputusan perbicaraan itu, tetapi tidak mengulasnya. Hanya 123 defendan menghadiri perbicaraan semalam. Yang lain sama ada dibebaskan, diikat jamin atau masih belum ditangkap.
Menteri suruh pengundi menipu
New Delhi: Seorang menteri kabinet India berdepan undi tidak percaya selepas dia meminta penyokongnya mengundi partinya dua kali dalam pilihan raya akan datang. Bercakap dalam satu rapat umum kelmarin, Menteri Pertanian Sharad Pawar menggesa penyokongnya membasuh dakwat pada jari mereka selepas mengundi dan pergi ke kawasan mengundi lain untuk mengundi Parti Kongres Nasional. Selepas menjelaskan pengundian bagi dua kawasan berhampiran di Maharashtra dijalankan pada hari yang berbeza, Sharad berkata: “Undilah ‘jam’ (simbol parti itu) ketika berada di sana dan balik ke sini untuk mengundi ‘jam’ sekali lagi.” Ucapannya itu disaksikan oleh beberapa pesaingnya dalam pilihan raya pada 7 April nanti termasuk Parti antirasuah Aam Aadmi yang berkata, ia akan melaporkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya. Sharad yang kini menjadi sekutu parti pemerintah ketawa ketika ditanyakan mengenai isu berkenaan dan mengangap ucapannya hanya sebagai gurauan. “Pekerja parti sudah bosan dengan ucapan yang sama berulang kali. Ucapan saya itu bagi mengurangkan tekanan kerja mereka,” katanya,” - AFP
Jika Telefon Bimbit Anda Jatuh Ke Dalam Air?
Kemalangan seperti terjatuhnya telefon di dalam air, atau tertumpahnya air di atas telefon dan barangan elektronik adalah salah satu perkara yang tidak dapat dielakkan. Tetapi bagaimanakah untuk menyelamatkannya? Semestinya salah satu cara adalah membawanya ke kedai telefon berdekatan. Namun, ia mungkin mengambil masa, ataupun sukar dilakukan sekiranya kedai berdekatan tutup dan sebagainya. Untuk mengelakkan daripada telefon anda menghadapi sebarang masalah, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah mengeluarkan bateri serta-merta, supaya dapat mengelakkan daripada berlakunya litar-pintas dan sebagainya. Bagi anda yang menggunakan telefon dengan bateri terbina seperti iPhone, One X dan sebagainya, anda boleh mematikan peranti anda serta-merta, dengan menekan butang kuasa padanya. Sebaik sahaja mengeluarkan bateri, keringkan peranti, bateri dan pelbagai perkara lain (kad-SIM, mikro-SD) dengan menggunakan kain ataupun tuala. Walaupun anda berjaya menghilangkan air daripada peranti anda, kebarangkalian untuk peranti anda mempunyai kelembapan di bahagian dalam dan sebagainya adalah tinggi. Untuk itu, para pengguna dinasihatkan untuk menggunakan silica gel (yang biasa terdapat dalam ubat untuk mengekalkan kekeringan). Namun, memandangkan ia sukar untuk didapati, salah satu alternatif adalah menggunakan beras. Di internet, ramai yang berkongsi kisah mereka, mengatakan penggunaan beras adalah salah satu kaedah yang baik untuk menghilangkan kelembapan daripada peranti mereka Anda boleh meninggalkan peranti anda didalam bekas berisi beras antara 24 jam hingga ke 72 jam, dan kemudiannya mencuba untuk menghidupkan kembali peranti anda. Walaupun kaedah ini adalah salah satu perkara yang popular, namun mungkin tidak memberikan hasil yang baik kepada semua pengguna. Sekiranya anda mempunyai kaedah tersendiri, jangan lupa berkongsi bersama kami. Sumber: Wikihow
Pastikan Pelajar Cemerlang Dapat Tawaran IPT
KUALA LUMPUR – Seramai 100 pelajar yang mencatatkan keputusan 12A dalam peperiksaan SPM 2013 mesti ditempatkan di universiti terbaik sama ada di dalam atau luar negara. Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berkata, penempatan itu mesti dilakukan tanpa mengira keturunan pelajar terbabit. “Pemuda UMNO mencadangkan semua pelajar mendapat 12A ini dijamin mendapat tempat dan kursus yang mereka inginkan di universiti terbaik tempatan mahupun di luar negara. “Kita tidak mahu wujud lagi mereka yang cemerlang tertinggal dan tidak mendapat tempat. Kali ini, kita mesti buktikan bahawa di atas landasan Merit, mereka berhak diberikan tempat tanpa mengira latar belakang kaum dan sebagainya,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini. Khairul Azwan berkata, langkah itu dapat memberi keyakinan kepada golongan pelajar bahawa mereka tidak akan dipinggirkan atau faktor kaum sekali gus membuktikan semangat 1Malaysia yang diterapkan kerajaan. Katanya, Pemuda UMNO turut meminta pihak swasta memberi ruang tajaan yang lebih meluas kepada lebih 13,000 pelajar yang mendapat keputusan A dalam semua subjek.
Sistem Kepolisian Moden Di Johor
JOHOR BAHARU — Polis Diraja Malaysia akan mewujudkan sistem kepolisan moden bermula di Johor dalam usaha memerangi jenayah dan meningkatkan keyakinan rakyat serta pelabur terhadap negara. Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ini juga selaras dengan usaha kerajaan dalam mencapai status negara maju menjelang 2020. Beliau berkata antara tiga aspek yang ditekankan termasuk menambah jumlah personel mengikut nisbah yang telah ditentukan mengikut piawaian antarabangsa, mewujudkan peralatan moden dalam sistem pemantauan polis dan juga menambah dan memperbaharui aset-aset yang dimiliki polis termasuk pondok polis, balai polis, ibu pejabat polis daerah dan ibu pejabat polis kontinjen. “Kita sudah mulakan program ini di Wilayah Iskandar memandangkan jumlah pelaburan yang tinggi di sana. Kita rasa bertanggungjawab bagi memastikan tahap keselamatan di seluruh negara tidak boleh dikompromi. Kita juga hendak lihat kebolehpercayaan pelabur dan pelancong dapat dipertingkatkan,” kata beliau kepada pemberita di sini hari ini. Terdahulu, Ahmad Zahid mendengar taklimat keselamatan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam di sini. Turut hadir Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff. Ahmad Zahid berkata meskipun jumlah indeks jenayah di Johor berada dalam penurunan sejak 2012, ia tidak cukup memandangkan rakyat mahukan tahap keselamatan itu dapat dirasai. Beliau berkata antara rancangan termasuk memasang peralatan canggih yang boleh dipasangkan termasuk kamera litar tertutup (CCTV) definisi tinggi bagi menguatkan lagi sistem pemantauan. Ahmad Zahid berkata proses mengintegrasi sistem sedia ada iaitu sistem analog kepada sistem digital akan turut dilakukan secara berperingkat sebagai antara usaha dalam memodenkan sistem kepolisan negara. Bagaimanapun, usaha akan dipergiat lebih kepada kawasan-kawasan panas, kata beliau.– BERNAMA
Powerbank Berbentuk Lego Yang Menarik
Powerbank kini menjadi aksesori penting pengguna peranti pintar kerana bateri yang sedia ada tidak mampu untuk bertahan sepanjang hari. Kebiasaanya, powerbank yang sedia ada di pasaran mementingkan saiz yang kecil dan padat dengan kuasa caj. Tetapi lain punya cerita mengenai peranti bateri gantian ini. COI + Lego Power Brick tidak menitik beratkan saiz yang kecil tetapi menetapkan ruang untuk ciptaan lego di atasnya. COI+ Lego Power Brick mungkin di antara powerbank yang paling menarik kerana ianya merupakan kolaborasi dengan syarikat Lego. Ia mempunyai kapasiti kuasa sebanyak 4200 mAh dan turut disertakan beberapa keping Lego yang membolehkan anda mengubahnya menjadi sebuah ciptaan mainan mengikut kreativiti sendiri. Anda boleh mengecas telefon pintar atau tablet anda di pot USB yang disediakan di sebelah peranti supaya ia tidak menganggu ruang dekorasi anda. Di bahagian belakang pula terdapat lampu penunjuk jangka tahap caj. Powerbank yang menarik ini dijual pada harga USD 49 (RM 160) sebuah.
Bilangan Pengundi Cina Merosot 20% – DAP
KUALA LUMPUR – MCA mungkin mengalami kekalahan lebih besar sekiranya peratusan kaum Cina keluar mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang semalam tidak merosot sebanyak 20 peratus. Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mendakwa, peratusan kaum Cina yang keluar mengundi di DUN Kajang semalam merosot lebih 3,000 pengundi. “Jika tidak, calon MCA mungkin kalah dengan beza undi lebih besar berbanding perbezaan sebanyak 6,824 undi pada tahun lalu apatah lagi jika diambil kira Parti Keadilan Rakyat (PKR) meningkatkan sokongan pengundi Melayu daripada 35 peratus kepada 44 peratus,” dakwanya melalui satu kenyataan media har ini. PKR mempertahankan kerusi DUN Kajang dengan majoriti lebih rendah iaitu 5,379 undi berbanding 6,824 pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Calon PKR yang juga Presidennya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail memperoleh 16,741 undi mengatasi Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun yang meraih 11,362 undi manakala sebanyak 176 undi ditolak.
Foto Sharifah Aleya Bersanding Ikut Adat Bajau
Ramai yang sudah mengetahui bahawa penyampai radio Hot FM, Sharifah Aleya sudah pun hampir tiga bulan mendirikan rumah tangga dengan jejaka dikenali sebagai Miko Abdullah pada 11 Januari lalu. Terbaharu, kakak Sharifah Amani ini telah melangsungkan majlis persandingan menyambut menantu di kampung halaman Miko di Sabah, semalam. Apa yang menariknya, pasangan mempelai itu menggayakan pakaian pengantin mengikut tradisi masyarakat pribumi Sabah. Memang unik dan klasik! Hasil perkahwinan sebelum ini, Aleya mempunyai sepasang anak kembar perempuan, Aza Ameena dan Asha Ameena yang kini berusia empat tahun. Di bawah ini merupakan sebahagian gambar menarik sepanjang majlis persandingan Aleya yang dikutip daripada Instagram adiknya, Sharifah Aryana.
Penyanyi Bienda Hamil Anak Kedua
Penyanyi Bienda mengesahkan dia kini sedang hamil anak kedua dan usia kandungannya sudah pun memasuki bulan kedua. Memetik laporan Harian Metro, Bienda pada mulanya tidak menyangka dia sedang berbadan dua kerana merasakan muntah teruk yang dialaminya sebelum itu adalah disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu sejak kebelakangan ini. Ketika ini difahamkan Bienda sekeluarga sedang bercuti di Pulau Perhentian, Terengganu untuk meluangkan masa berkualiti bersama ahli keluarga. Untuk makluman, Bienda dan suaminya, Kamarul Zariman sebelum ini dikurniakan seorang anak perempuan, Lavienda Namiraz yang kini berusia dua tahun. Tahniah Bienda dan keluarga!
57 sungai utama di Indonesia teruk tercemar
JAKARTA - Menteri Alam Sekitar Indonesia Balthasar Kambuaya mendedahkan bahawa 75 peratus daripada sungai utama di negara berkenaan berada dalam kategori teruk tercemar. Beliau berkata 60 peratus daripada punca pencemaran itu disebabkan sisa buangan domestik. "Daripada 57 sungai besar (utama) yang dipantau kualiti air pada 2013, 75 peratus sungai tersebut tercemar teruk," katanya seperti dilapor agensi berita Antara, ketika merasmikan mesyuarat kerja teknikal Pemantauan Kualiti Air seluruh Indonesia di Kota Bengkulu, Isnin. Mesyuarat yang disertai seluruh pemimpin Badan Alam Sekitar Indonesia itu, turut menjadi platform untuk membincangkan punca pencemaran dan strategi kawalan terhadap kualiti air sungai di negara tersebut. Balthasar berkata pencemaran sungai itu sangat berkait rapat dengan tingkah laku masyarakat Indonesia, sambil menambah bahawa sektor industri juga menyumbang terhadap pencemaran sungai itu. "Sungai ini dianggap tempat paling strategik untuk membuang sampah padahal sumber air mentah yang kita gunakan datangnya dari air sungai," katanya. Timbalan Bidang Sokongan Teknikal dan Peningkatan Kapasiti Kementerian Alam Sekitar, Hendri Bustaman berkata mesyuarat itu juga akan melaporkan keputusan penilaian terhadap kualiti sungai-sungai utama di Indonesia yang dijalankan dari 2008 hingga 2013. "Akan ada satu siri data sejak 2008 hingga 2013 daripada 57 sungai yang dipantau," katanya. Hendri berkata data itu akan digunakan untuk menentukan kualiti indeks alam sekitar Indonesia serta bagi kepentingan pelbagai institusi yang terlibat. - Bernama
Pecah amanah, tipu: Bekas CEO Sime Darby dibicara
PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan memerintahkan bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Berhad Datuk Seri Ahmad Zubair Murshid dibicarakan di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan pecah amanah jenayah dan menipu. Panel lima anggota diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif membuat keputusan itu selepas sebulat suara menolak rayuan Ahmad Zubair bagi membatalkan kesemua pertuduhan terhadapnya. Md Raus mengarahkan kes itu dikembalikan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk perbicaraan dan menetapkan 7 April sebagai sebutan kes. Turut menganggotai panel itu ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum serta tiga Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Ahmad Maarop, Datuk Zainun Ali dan Datuk Mohamed Apandi Ali. Pada 17 Julai 2012, Ahmad Zubair, 56, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan pindaan utama pecah amanah jenayah dana Sime Darby Berhad membabitkan projek pembangunan tanah adat Sarawak yang menyebabkan kerugian lebih RM100 juta. Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan serta boleh didenda, jika sabit kesalahan. Ahmad Zubair juga berdepan dua pertuduhan alternatif iaitu memperdaya anggota lembaga pengarah Sime Darby Berhad membabitkan projek sama mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan di pejabat Sime Darby Berhad, Tingkat 21, Wisma Sime Darby, Jalan Raja Laut di sini antara 17 Nov 2008 dan 4 Disember 2009. Pada 15 Mac tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Ahmad Zubair untuk membatalkan pertuduhan berkenaan. Mahkamah Rayuan menolak rayuannya berhubung perkara itu pada 18 Julai tahun lepas. Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Anthony Kevin Morais dan Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi mewakili pendakwaan manakala Ahmad Zubair diwakili sepasukan peguam diketuai Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden. - Bernama
Tiga sekeluarga maut, tiga lagi cedera nahas
BANDAR BAHARU - Tiga sekeluarga maut manakala tiga lagi cedera dalam nahas yang membabitkan dua kenderaan di Kilometer 170 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran sempadan Bandar Baharu-Nibong Tebal di sini hari ini. Dalam kejadian 7 pagi itu, mangsa yang maut ialah Teoh Yee Wei, 36, dari Simpang Empat, Alor Setar dan anak sulungnya, Heng Dy Hong, 5, (lelaki) dan anak bongsu, Heng Yin Rue, 1 (perempuan). Dua mangsa yang cedera parah ialah suami Teoh, Heng Cheng Hang, 36, serta seorang pembantu rumah warga Filipina dikenali sebagai Pachuya, 25. Seorang lagi anak mereka, Heng Xin Ler, 2, (perempuan) cedera ringan. Pemangku Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Asisten Superintendan Azmi Abu Bakar berkata nahas dipercayai berlaku apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire dipandu Cheng Hang cuba memotong sebuah lori membawa makanan ternakan yang bergerak perlahan. Beliau berkata bagaimanapun, MPV hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh bahagian belakang lori berkenaan. "Semasa kejadian, mereka sekeluarga dalam perjalanan dari Simpang Empat, Alor Setar menghala ke Kuala Lumpur. Berikutan itu, kereta Toyota Vellfire berkenaan remuk teruk. "Yee Wei yang duduk di kerusi penumpang depan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sementara anak sulung dan anak bongsunya, yang duduk di kerusi penumpang belakang, turut parah. Ketiga-tiga mereka meninggal dunia di tempat kejadian," katanya. Azmi berkata Cheng Hang dan Pachuya pula dipercayai tersepit di tempat duduk masing-masing manakala pemandu lori, Tan Kim Leng, 56, tidak mengalami sebarang kecederaan. Beliau berkata orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat. Mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Parit Buntar, Perak manakala mayat dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat sebelum dituntut anggota keluarga lewat petang ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama
Waspada individu menyamar pegawai Bank Negara
KUALA LUMPUR - Orang ramai diingatkan supaya berwaspada terhadap mereka yang menyamar sebagai pegawai Bank Negara Malaysia, bank perdagangan dan agensi kerajaan, termasuk polis dan Lembaga Hasil. Menurut Bank Negara Malaysia, mereka yang menyamar itu berniat untuk menipu orang ramai supaya memindahkan wang ke akaun pihak ketiga yang tidak dikenali, kononnya selamat dalam simpanan bank pusat itu. "Aktiviti penipuan ini dilakukan melalui pelbagai cara termasuk panggilan telefon, SMS, e-mel atau dalam bentuk komunikasi lain," kata bank pusat itu dalam kenyataan. Sehubungan itu, bank itu menggesa orang ramai supaya sentiasa berwaspada apabila menerima panggilan telefon, SMS atau e-mel yang tidak diundang. "Mereka tidak perlu membalas sebarang panggilan telefon yang tidak diundang itu. Bank Negara tidak pernah meminta sesiapa untuk membuat sebarang pindahan wang untuk disimpan dengan selamat," kata pengawal selia itu. Bank Negara turut menasihatkan orang ramai supaya melindungi diri mereka daripada tertipu serta mengambil langkah tidak mendedahkan maklumat kewangan peribadi kepada mana-mana pihak dan tidak membuat pindahan wang ke akaun pihak ketiga yang tidak dikenali. Orang ramai juga dinasihatkan sentiasa berhubung dengan pihak bank perdagangan untuk mengesahkan identiti akaun pihak ketiga yang tidak dikenali supaya dapat mengelak daripada ditipu. Orang ramai boleh berhubung terus dengan Pusat Perhubungan Khidmat Pelanggan Bank Negara di talian 1-300-88-5465, faks 03-2174 1515 atau e-mel, bnmtelelink@bnm.gov.my. Untuk menghantar pertanyaan atau aduan melalui SMS, taip "BNM TANYA" [pertanyaan/aduan] dan hantar kepada 15888, katanya. - Bernama
Polis cari teman lelaki bantu siasatan
BALING - Polis sedang menjejaki teman lelaki seorang wanita berusia lingkungan 20-an yang dilaporkan hilang di sebuah pasar raya dekat Kuala Ketil tiga hari sebelum akad nikah. Timbalan Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Wari Kiew berkata, keterangan lelaki berusia lingkungan 30-an itu diperlukan untuk membantu siasatan. “Kita sudah menghubungi nombor telefon teman lelaki wanita itu tetapi tiada jawapan. Bagaimanapun, kita akan giatkan operasi untuk mencari dan mengesannya,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling hari ini. Beliau berkata, sehingga kini, polis sudah merakam keterangan daripada enam orang individu termasuk ahli keluarga dan kenalan rapat wanita tersebut. “Kes ini masih dalam siasatan. Ia akan dibuat dari pelbagai sudut untuk mengetahui punca wanita keluar rumah, penganjuran majlis perkahwinan dan masalah keluarganya. “Kita membuka kertas siasatan kes ini bawah orang hilang,” katanya. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai wanita itu atau teman lelakinya boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Balai Polis Tawar, Sarjan Mejar Nasir Omar di talian 04-4766221 atau mana-mana balai polis berdekatan. Sementara itu, ahli keluarga wanita itu ketika ditemui di rumahnya dekat Kampung Tiban, Tawar, Kuala Ketil enggan mengulas lanjut kes berkenaan. Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, seorang wanita dalam lingkungan usia 20-an didakwa diculik di depan sebuah pasar raya dekat Kuala Ketil beberapa hari lalu. Menurut laporan itu, wanita berkenaan dikatakan diculik oleh beberapa lelaki dengan menggunakan dua kereta pada Selasa minggu lalu. Bagaimanapun, siasatan polis mendapati wanita itu dipercayai mempunyai teman lelaki lain sebelum bertunang. Majlis perkahwinan sepatutnya berlangsung pada 21 Mac lalu.
Pecah amanah, tipu: Bekas CEO Sime Darby dibicara
PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan memerintahkan bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Berhad Datuk Seri Ahmad Zubair Murshid dibicarakan di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan pecah amanah jenayah dan menipu. Panel lima anggota diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif membuat keputusan itu selepas sebulat suara menolak rayuan Ahmad Zubair bagi membatalkan kesemua pertuduhan terhadapnya. Md Raus mengarahkan kes itu dikembalikan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk perbicaraan dan menetapkan 7 April sebagai sebutan kes. Turut menganggotai panel itu ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum serta tiga Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Ahmad Maarop, Datuk Zainun Ali dan Datuk Mohamed Apandi Ali. Pada 17 Julai 2012, Ahmad Zubair, 56, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan pindaan utama pecah amanah jenayah dana Sime Darby Berhad membabitkan projek pembangunan tanah adat Sarawak yang menyebabkan kerugian lebih RM100 juta. Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan serta boleh didenda, jika sabit kesalahan. Ahmad Zubair juga berdepan dua pertuduhan alternatif iaitu memperdaya anggota lembaga pengarah Sime Darby Berhad membabitkan projek sama mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan di pejabat Sime Darby Berhad, Tingkat 21, Wisma Sime Darby, Jalan Raja Laut di sini antara 17 Nov 2008 dan 4 Disember 2009. Pada 15 Mac tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Ahmad Zubair untuk membatalkan pertuduhan berkenaan. Mahkamah Rayuan menolak rayuannya berhubung perkara itu pada 18 Julai tahun lepas. Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Anthony Kevin Morais dan Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi mewakili pendakwaan manakala Ahmad Zubair diwakili sepasukan peguam diketuai Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden. - Bernama
Seorang pelajar maut, 35 cedera bas terbalik
Keadaan bas yang terlibat dalam kejadian kemalangan di Jalan Batu 9, Hulu Langat. - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR - Seorang pelajar maut apabila sebuah bas yang membawa 34 pelajar dan seorang guru dalam satu program percutian terbalik dalam perjalanan ke Menara Tinjau Hulu Langat di Batu 9, Ampang di sini hari ini. Tiga puluh lima pelajar cedera, tiga daripada mereka dalam keadaan kritikal, dalam kemalangan yang berlaku pada kira-kira 2 petang, kata Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Bomba Selangor, Mohd Sani Harul ketika dihubungi Bernama. - Bernama
Murid lemas di Sungai Beluran
BELURAN - Seorang murid tahun empat mati lemas ketika mandi bersama rakannya di Sungai Beluran berhampiran jeti rumah rehat hari ini. Ketua Polis Daerah Beluran Deputi Superintendan Sivanathan Velautham berkata, mangsa dikenali sebagai Rizlan Bin Abdul Latif, murid Sekolah Kebangsaan Pekan Beluran. Katanya dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa yang tidak pandai berenang pergi ke jeti tersebut untuk mandi bersama seorang rakannya yang berusia 11 tahun. Mayat mangsa dijumpai kira-kira pukul 2.20 petang oleh anggota polis dan penduduk di kawasan tempatnya dilaporkan lemas, katanya. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Beluran untuk bedah siasat. - Bernama
Labels:
Berita Terkini
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment