Friday, March 14, 2014

Berita Terkini 14 Mac 2014

Singapura hantar sebuah lagi pesawat cari MH370
SINGAPURA - Tatkala operasi membabitkan pelbagai negara meneruskan usaha mencari pesawat Malaysia yang hilang kini masuk hari ketujuh, Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) menghantar sebuah lagi pesawat untuk menyertai pasukan mencari. RSAF dalam posting di Facebook menyatakan ia menghantar pesawat peronda maritim Fokker-50 untuk membantu operasi mencari dan mengesan di Selat Melaka. Pesawat itu dilengkapi radar dan 'electro-optic sensors', menurutnya. Menurut kenyataan itu, pesawat Fokker-50 memainkan peranan penting dalam keselamatan maritim di Selat Melaka sebagai sebahagian program "Eyes in the Sky' dijalankan oleh tiga negara pesisir iaitu Indonesia, Malaysia dan Singapura, bersama-sama dengan Thailand. Singapura setakat ini telah menghantar dua pesawat pengangkutan ketenteraan, sebuah helikopter tentera laut dan sebuah kapal selam sokongan dan sebuah kapal penyelamat untuk membantu mencari pesawat Malaysia yang hilang itu. Penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang pada 12.41 pagi Sabtu lepas. - Bernama

Perancis tawar bantuan siasat kehilangan MH370
KUALA LUMPUR - Kerajaan Perancis hari ini menawarkan bantuan kepada Malaysia untuk menyiasat kehilangan pesawat MH370 yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing. Perdana Menteri berkenaan Jean-Marc Ayrault, dalam suratnya kepada Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak, berkata Pejabat Penyiasatan dan Analisis bagi Keselamatan Penerbangan Awam Perancis bersedia memberikan bantuan kepada Malaysia. Surat Ayrault yang ditulis dalam bahasa Perancis dengan versi terjemahan dalam bahasa Inggeris dihantar menerusi e-mel kepada Bernama oleh Kedutaan Perancis di Malaysia di sini, hari ini. Sambil menyatakan rasa sedih dan simpati di atas kehilangan pesawat Malaysia Airlines itu, Ayrault berharap pesawat itu dapat ditemui dengan segera. "Saya ingin memberi jaminan kepada anda, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, tentang pertimbangan tertinggi saya (terhadap usaha ini)," kata beliau. Laporan awal menyatakan terdapat empat penumpang Perancis dalam pesawat itu, yang membawa 239 penumpang termasuk 12 anak kapal. Misi mencari dan menyelamat pesawat itu sudah memasuki hari ketujuh dengan kawasan pencarian diperluaskan ke Lautan Hindi selain dilakukan di Laut China Selatan dan Selat Melaka. - Bernama

Perancis tawar bantuan siasat kehilangan MH370
KUALA LUMPUR - Kerajaan Perancis hari ini menawarkan bantuan kepada Malaysia untuk menyiasat kehilangan pesawat MH370 yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing. Perdana Menteri berkenaan Jean-Marc Ayrault, dalam suratnya kepada Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak, berkata Pejabat Penyiasatan dan Analisis bagi Keselamatan Penerbangan Awam Perancis bersedia memberikan bantuan kepada Malaysia. Surat Ayrault yang ditulis dalam bahasa Perancis dengan versi terjemahan dalam bahasa Inggeris dihantar menerusi e-mel kepada Bernama oleh Kedutaan Perancis di Malaysia di sini, hari ini. Sambil menyatakan rasa sedih dan simpati di atas kehilangan pesawat Malaysia Airlines itu, Ayrault berharap pesawat itu dapat ditemui dengan segera. "Saya ingin memberi jaminan kepada anda, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, tentang pertimbangan tertinggi saya (terhadap usaha ini)," kata beliau. Laporan awal menyatakan terdapat empat penumpang Perancis dalam pesawat itu, yang membawa 239 penumpang termasuk 12 anak kapal. Misi mencari dan menyelamat pesawat itu sudah memasuki hari ketujuh dengan kawasan pencarian diperluaskan ke Lautan Hindi selain dilakukan di Laut China Selatan dan Selat Melaka. - Bernama

Pemuda maut kemalangan dengan bas ekspres
BESUT - Seorang pemuda maut apabila motosikal yang ditungganginya berlanggar dengan sebuah bas ekspres di KM101 Jalan Kuala Terengganu-Jerteh dekat Kampung Apal pagi tadi. Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, dalam kejadian 6.30 pagi itu, Abrar Abdul Rahman, 17, dikatakan keluar dari bahu jalan sebelum membuat pusingan `U' di tempat kejadian hingga menyebabkannya dilanggar oleh bas itu, yang dari arah bertentangan dan sedang menuju ke Jerteh. Beliau berkata Abrar yang tersepit di bahagian depan bas terpaksa dikeluarkan dengan bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Balai Jerteh. "Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala," katanya di sini. Pemandu bas Mat Che Kar, 55, dari Kampung Tepus, Gunung, Bachok dan penumpang tidak cedera. Mat juga didapati negatif dadah. - Bernama

Bekas banduan dipenjara 10 tahun, 3 sebatan kerana merogol
KUALA LUMPUR - Seorang bekas banduan hari ini dipenjara 10 tahun dan dikenakan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ampang di sini kerana merompak dua lelaki dengan bersenjatakan kayu dan besi, serta merogol seorang wanita berumur 20 tahun, pada Jun tahun lepas. Hakim Chan Jit Li menjatuhkan hukuman bagi ketiga-tiga pertuduhan itu terhadap Yusuf Othman, 37, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah ketika kes dibicarakan semalam. Yusuf yang melakukan kesemua kesalahan itu selepas seminggu dibebaskan daripada penjara kerana kesalahan merompak, kemudian diperintahkan mahkamah supaya menjalani hukuman penjara 10 tahun bermula dari tarikh dia ditangkap pada 17 Ogos tahun lepas. Bagi dua pertuduhan merompak, dia didakwa bersama tiga lagi yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan ke atas seorang juruteknik Mohd Nazrin Safai dan rakannya Mohd Zaimramzi Mohd Noor, masing-masing berumur 25 tahun, di di tempat letak kereta Flat PKNS, Taman Keramat, Hulu Kelang di sini pada 11.30 malam, 24 Jun 2013. Antara barang yang dirompak ialah sebuah kereta, sebuah motosikal, tiga telefon bimbit, seutas jam tangan dan seutas gelang tangan berwarna perak. Yusuf, dari Taiping, Perak turut didakwa merogol seorang wanita berumur 20 tahun dalam sebuah rumah kedai di Sentul, di sini pada 5.10 pagi, 25 Jun tahun lepas. Bagi kesalahan merompak, dia didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan manakala bagi kesalahan merogol, dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, yang kedua-duanya membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan. Mengikut fakta kes, ketika ketiga-tiga mangsa tiba di flat itu, mereka didatangi beberapa lelaki yang menyerang menggunakan kayu dan batang besi. Barangan berharga mereka kemudian dirompak lelaki berkenaan manakala wanita itu pula dibawa menaiki kereta oleh Yusuf sebelum dirogol. Beliau berjaya melepaskan diri sebelum membuat laporan polis. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ummi Aliza Ab Kadir manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Tertuduh kemudian dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman itu. - Bernama

Penduduk gempar objek berkilauan di langit
Penduduk gempar objek berkilauan di langit
KUALA KRAI - Pemandu kereta sewa daerah ini dan orang ramai yang melalui jalan berhampiran Pasar Besar Kuala Krai gempar apabila mendakwa melihat objek seperti kertas bersaiz A4 yang berkilauan di langit kira-kira jam 3.15 petang kelmarin. Mereka mendakwa, objek berkenaan kelihatan seolah-olah seperti kertas dalam jumlah yang banyak dibuang dari jarak tinggi dan tersusun jatuh. Dakwa mereka lagi, objek berkenaan dapat dilihat dalam masa kurang satu jam dan ramai pengguna yang memberhentikan kenderaan masing- masing untuk melihatnya. Ramai yang kagum melihatnya dan beranggapan kesemua itu berlaku atas kehendak ALLAH SWT kerana manusia tidak dapat mencampak apa-apa barangan daripada ketinggian seperti itu. Salah seorang yang menyaksikan kejadian tersebut ialah Zalahuddin Ismail, 53. Pemandu kereta sewa itu menyaksikan sendiri kejadian itu berhampiran stesen kereta sewa selepas dimaklumkan dua wanita yang dipercayai mula-mula melihatnya. Menurutnya, pemandu kereta sewa yang berada di stesen berkenaan sempat melihat kejadian dianggap pelik itu kemudian diikuti pengguna jalan yang memberhentikan kenderaan setelah dimaklumkan tentang perkara itu. “Objek seperti ini tidak pernah dilihat sebelum ini dan gambar objek tersebut sukar dirakam kerana kedudukan terlalu jauh. “Objek ini sesekali kelihatan terlindung di sebalik awan, jatuh sebelum hilang dari pandangan,” katanya ketika ditemui pagi semalam. Zalahuddin berkata, walaupun hanya seketika dapat melihat objek tersebut, dia yakin ia berlaku atas kekuasaan ALLAH SWT. Rakannya, Hasan Husin, 56, dari Bukit Sireh berkata, dia tidak pernah melihat kejadian seumpamanya sebelum ini. Dia yakin kejadian berlaku atas kehendak ALLAH SWT yang mahu manusia sedar semua boleh berlaku dengan keizinan-Nya. Menurutnya, jalan berhampiran stesen kereta sewa sesak seketika memandangkan orang ramai memberhentikan kenderaan masing-masing untuk turut melihat kejadian luar biasa itu. Bagi Pengerusi Persatuan Kereta Zewa Kuala Krai, Mohd Yusoff atau lebih dikenali sebagai Abang Pa berkata, seumur hidupnya ini adalah kali pertama dia melihat objek seperti kertas berada di sekitar awan kemudian jatuh. Menurutnya, objek berkenaan dapat dilihat dengan jelas dan adakalanya terlindung di sebalik awan dan jatuh sehingga jumlahnya berkurangan dan hilang dari pandangan kurang dari satu jam.

Polis tumpas sindiket palsu dokumen pohon pinjaman
Polis tumpas sindiket palsu dokumen pohon pinjaman
GEORGETOWN - Satu sindiket yang menghasilkan dokumen palsu untuk mendapatkan pinjaman peribadi daripada sebuah institusi kewangan tumpas apabila polis menahan empat individu dalam serbuan Rabu lepas. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang Asisten Komisioner Azmi Adam berkata, dua lelaki dan dua wanita berusia antara 29 dan 45 tahun itu ditahan secara berasingan di sekitar Seberang Jaya, dekat sini. "Kami menerima laporan daripada sebuah institusi kewangan pada Rabu yang memaklumkan terdapat sindiket menawarkan dokumen palsu kepada orang ramai untuk dapatkan pinjaman peribadi dan hasil maklumat yang diperolehi, anggota polis menyerbu sebuah pangsapuri di Seberang Jaya. "Di situ kami menahan seorang lelaki dan merampas pelbagai peralatan yang digunakan untuk menghasilkan dokumen palsu antaranya sebuah komputer riba, enam keping sim kad, 35 set dokumen permohonan pinjaman, 46 cop pelbagai agensi, 26 cop pelbagai tanda tangan, 11 telefon bimbit dan sebuah pencetak," katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini. Beliau berkata, susulan itu, polis menyerbu tiga rumah di sekitar Seberang Jaya dan menahan tiga anggota sindiket berkenaan. Azmi berkata, modus operandi sindiket itu adalah dengan mencari pelanggan yang kesempitan wang dan mempelawa mereka mendapatkan pinjaman kewangan daripada sebuah institusi kewangan. "Selepas pelanggan menyerahkan salinan kad pengenalan, sindiket terbabit akan menyediakan dokumen-dokumen palsu seperti slip gaji, surat pengesahan majikan dan lain-lain sebelum diserah kepada institusi kewangan," katanya. Beliau berkata, sindiket itu turut memberikan nombor telefon mereka untuk pihak bank membuat pengesahan majikan sama ada maklumat yang diberi betul atau sebaliknya. Setakat ini sebanyak 17 permohonan pinjaman peribadi telah diluluskan institusi kewangan berkenaan dan difahamkan kes melibatkan kerugian ribuan ringgit, katanya. "Sindiket itu akan mengenakan caj berdasarkan berapa banyak pinjaman yang diperoleh peminjam daripada institusi kewangan. Difahamkan sindiket itu baru sahaja beroperasi," katanya. - Bernama

NURUL IZZAH
Telefon bimbit Nurul Izzah digodam
SHAH ALAM - Nombor talian yang digunakan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, dipercayai digodam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang masih lagi belum diketahui identitinya. Dalam satu kenyataan, Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR mendakwa talian beliau telah digunakan oleh penggodam untuk menghantar SMS yang tidak diketahui kandungannya. Menurutnya, PKR percaya perbuatan ini dilakukan dengan untuk mewujudkan kecelaruan di dalam barisan jentera parti-parti pembangkang. Nurul Izzah juga berharap tindakan segera dan tegas diambil syarikat telekomunikasi khususnya Maxis terhadap kelakuan khianat ini.

Korea Selatan hantar 2 pesawat tentera cari MH370
KUALA LUMPUR - Kerajaan Korea Selatan memutuskan untuk menghantar dua pesawat tenteranya menyertai misi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MAS MH370 yang masih hilang. Kedutaan Korea Selatan di sini menyatakan Duta Korea Selatan di Malaysia, Cho Byung-jae, telah memberitahu Kementerian Luar Negeri Malaysia mengenai keputusan itu hari ini. Kerajaan Korea Selatan akan menghantar dua pesawat berkenaan iaitu P-3 dan C-130 dari Tentera Udara Korea Selatan dengan 39 pegawai dan anggota, yang dijangka tiba esok, kata kedutaaan itu dalam kenyataan kepada Bernama hari ini. Pesawat MH370 hilang selepas sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang pada 12.41 pagi Sabtu lepas. Ia dijadualkan tiba di Beijing pada 6.30 pagi pada hari yang sama. Operasi SAR multinasional yang melibatkan 57 kapal dan 48 pesawat dari 13 negara telah dipertingkatkan bagi mencari pesawat itu, yang membawa 239 penumpang termasuk 12 anak kapal. Antara negara yang terlibat dalam operasi itu ialah Singapura, Thailand, Vietnam, Brunei, Amerika Syarikat, China, India, Jepun dan Australia. - Bernama

Terkunci anak dalam kereta
Seremban: Seorang wanita berusia 40-an berdepan detik mencemaskan apabila seorang daripada anaknya berusia dua tahun terkunci di dalam kereta ketika dia sedang menghantar dua lagi anak ke sebuah Tadika di Jalan 3/3, Taman Tuanku Jaafar di sini, pagi tadi. Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Kamis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, wanita terbabit meninggalkan anaknya di dalam kereta tanpa mematikan enjin sebelum menghantar dua anak ke tadika berkenaan. Katanya, dalam perjalanan ke pusat didikan itu, tiba tiba kenderaan terbabit terkunci sendiri menyebabkan wanita itu cemas. "Pihak kami (bomba) yang menerima panggilan kecemasan lapan minit selepas kejadian bergegas ke lokasi dengan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Senawang dikerahkan. "Bagaimanapun usaha menyelamatkan kanak-kanak lelaki itu berjaya dalam masa 15 minit dan kami menggunakan wayar keras melalui ruang cermin untuk membuka kunci pintu kenderaan itu," katanya.

Pelatih pemulihan maut dibelasah
Tumpat: Seorang pelatih pusat pemulihan dadah Islam ditemui mati selepas dipercayai dibelasah oleh 11 pelatih lain dalam kejadian di Kampung Lambor, di sini, semalam. Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, mangsa Muhammad Aiman Syahmi Hamdan, 18, ditemui pelatih lain tidak dalam keadaan tidak sedarkan diri. Mangsa meninggal dunia dalam perjalaan ke Hospital Tumpat. Pemeriksaan forensik mendapati terdapat kesan lebam pada muka, tulang rusuk, tangan, siku, lutut dan paha dipercayai kesan pukul objek panjang. Semua suspek berusia antara 18 hingga 30 tahun ditahan reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pelatih pemulihan maut dibelasah
Tumpat: Seorang pelatih pusat pemulihan dadah Islam ditemui mati selepas dipercayai dibelasah oleh 11 pelatih lain dalam kejadian di Kampung Lambor, di sini, semalam. Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, mangsa Muhammad Aiman Syahmi Hamdan, 18, ditemui pelatih lain tidak dalam keadaan tidak sedarkan diri. Mangsa meninggal dunia dalam perjalaan ke Hospital Tumpat. Pemeriksaan forensik mendapati terdapat kesan lebam pada muka, tulang rusuk, tangan, siku, lutut dan paha dipercayai kesan pukul objek panjang. Semua suspek berusia antara 18 hingga 30 tahun ditahan reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Peniaga gantung diri
Kota Bharu: Seorang peniaga ditemui mati dalam keadaan tergantung dipercayai membunuh diri di Taman Sari, di sini, semalam. Dalam kejadian jam 3.40 petang itu mangsa berusia 59 tahun itu ditemui tergantung di tali 'skipping' yang diikat pada jeriji pintu dapur oleh isterinya yang baru pulang berkerja. Mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini untuk bedah siasat.

3 penagih pecah rumah ditahan
Kangar: Seramai tiga penagih dadah lelaki yang giat pecah rumah ditahan dalam serbuan berasingan kerana disyaki terbabit dalam dua kes pecah rumah dan curi kenderaan di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang. Salah seorang darpada mereka yang juga seorang mekanik berusia 37 tahun ditahan pada 14 Februari lalu di depan sebuah bengkel tidak bernombor di Jalan Sungai Batu Pahat, di sini, ketika sedang meleraikan komponen sebuah Proton Perdana putih yang sebelum ini dilaporkan hilang di Kepala Batas, Pulau Pinang pada 2 Februari lalu. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, Superintendan Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah dalam sidang media pagi tadi berkata, ujian air kencing terhadap suspek mendapati beliau positif dadah jenis 'meth'. Berdasarkan pengakuan suspek pertama, ia membawa kepada tangkapan dua suspek berusia 25 dan 31 tahun ditahan di rumah tidak bernombor di Simpang Empat pada 27 Februari lalu kerana disyaki terbabit dalam kes curi Proton Wira hitam yang dilaporkan hilang di Alor Setar, 21 Februari lalu. "Selain Proton Wira, polis turut merampas pemain DVD dan VCD, mesin pengimbas, amplifier, pembesar suara, pemain laser disc dan sebuah beg berisi beberapa kamera dan peralatan kamera yang disyaki dicuri dalam beberapa kejadian pecah rumah di Perlis dan Kedah. "Kedua-dua suspek juga positif dadah jenis 'meth'," katanya.

Perasuah dipenjara sehari, denda RM30,000
Melaka: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara sehari dan dikenakan denda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini sebentar tadi, selepas mengaku bersalah menawarkan rasuah kepada penjawat awam. Tertuduh Teh Guan Hock, 48, didakwa menawarkan rasuah berjumlah RM6,000 kepada pegawai Imigresen Mohd Tarmizee Mohamad Rashid pada jam 3.30 petang 25 September tahun lalu di sebuah bilik runding cara Kompleks Dalam Negeri di sini. Justeru dia disabit melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

Anggota bomba daki cerun 80 darjah padam api
Butterworth: Anggota bomba terpaksa mendaki bukit dengan kecerunan kira-kira 80 darjah untuk melakukan operasi memadam kebakaran di puncak bukit Pulau Aman, di sini. Selain itu anggota terbabit terpaksa memikul bersama beg khas berisi air untuk ke puncak bukit sejak kebakaran dikesan jam 5 petang kelmarin. Sehingga jam 12 tengah hari, api berjaya dikawal bagaimanapun usaha memadam kebakaran masih dijalankan.

Suspek ragut diberkas
Nibong Tebal: Seorang lelaki berjaya ditahan sepasukan polis Ibu Pejabat Daerah Seberang Perai Selatan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan di Taman Belibis, Simpang Ampat, di sini. Dalam kejadian 6 petang semalam, suspek yang dihampiri terus masuk ke dalam kereta Honda berwarna putih dan memecut ke arah Bukit Minyak. Polis yang mengejar melepaskan satu das tembakan amaran. Namun suspek cuba menghimpit kenderaan polis sehingga polis terpaksa melepaskan dua das lagi tembakan yang mengenai tayar. Lelaki berkenaan menghentikan kenderaan dan cuba melarikan diri namun berjaya diberkas. Polis menemui satu kad pengenalan seorang wanita yang dipercayai mangsa ragut suspek selain enam telefon bimbit, beberapa kad ATM dan dua paket syabu.

FotoAplikasi permainan 'Bomoh' jadi perhatian
Game bomoh kecoh di Android
SHAH ALAM - Kemunculan aplikasi permainan 'Bomoh' di Play Store untuk gajet menggunakan sistem operasi Android semakin mendapat perhatian ramai. Sejak kemunculannya semalam, hampir 1,000 pengguna telah memuat turun permainan ini menerusi telefon dan tablet masing-masing. Permainan ini direka dengan ciri dua dimensi (2D) yang memaparkan lapangan terbang dan sebuah pulau sebagai latar permainan. Aplikasi permainan ini dipercayai diinspirasikan oleh tindak-tanduk individu yang mendakwa dirinya Raja Bomoh Nujum Sedunia VIP yang ingin membantu mengesan pesawat MAS penerbangan MH370 yang hilang sejak Sabtu lalu. Ketika media seluruh dunia menumpukan perhatian dan usaha membantu Malaysia menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR), fokus mereka beralih kepada gelagat Raja Bomoh terbabit, Datuk Mahaguru Ibrahim Mat Zin yang menjalan upacara mengesan pesawat malang tersebut dengan cara yang tersendiri pada 12 Mac lalu. Penyebaran video upacara uniknya menarik perhatian media tempatan dan luar sehingga menjadi viral serta mencambahkan parodi yang disebar di laman sosial.. Tinjauan Sinar Harian Online mendapati, rata-rata pengguna yang telah mencuba aplikasi tersebut memberikan reaksi dan maklum balas positif.

gambar hiasanBudak dua tahun mati dihempap TV
Budak maut dihempap televisyen
Seremban: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun lapan bulan maut dipercayai akibat dihempap televisyen di ruang tamu rumahnya di Taman Gadong Jaya, dekat sini, petang semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa E Soloman Aaron yang cedera di kepala dikejarkan ke Klinik 1Malaysia berhampiran rumahnya untuk rawatan awal oleh ibu bapanya. Mangsa diperiksa oleh kakitangan perubatan bertugas dan diberi bantuan oksigen sebelum dibawa menaiki ambulans ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJ) untuk rawatan lanjut. Bagaimanapun, mangsa gagal diselamatkan akibat kecederaan parah dialaminya dan disahkan meninggal dunia jam 5.45 petang. Bapa mangsa G Egenase berkata, ketika kejadian isterinya berada di dapur untuk membuat susu anak bongsu sebelum dia dikejutkan dengan bunyi bising dari arah ruang tamu rumah. Katanya, isterinya terus memeriksa apa berlaku dan terkejut mendapati rak televisyen menghempap anaknya manakala sebuah televisyen berada di sisi.

Foto
Ibu dakwa anak dirotan hingga lebam
Ipoh: Seorang murid tahun tiga sebuah sekolah di sini mendakwa dipukul guru pendidikan moral yang juga guru kelasnya dengan rotan sehingga menyebabkan lengan kanannya lebam dan berbekas. Ibu murid lelaki, G.Neelalaawathi, 32, mendakwa, kejadian berlaku ketika anaknya sedang mengikuti mata pelajaran Pendidikan Moral di dewan sekolah itu dan diajak oleh rakannya bermain namun dia menolaknya kerana bimbang dipukul guru berkenaan yang ketika itu belum memasuki kelas. Katanya, selepas itu guru berkenaan tiba dan terus merotan anaknya sehingga menyebabkan lengan anaknya lebam dan berbekas. "Apabila saya berjumpa guru berkenaan dan bertanyakan sebab dia memukul anak saya, guru itu memberikan alasan yang dia berbuat demikian hanya untuk melepaskan geram. "Selepas membuat laporan polis semalam, guru berkenaan menelefon suami saya pagi tadi serta memaklumkan dia mahu berbincang dan sanggup membayar berapa saja yang diinginkan," katanya dalam sidang media di Pejabat Pusat Aduan Barisan Nasional (BN) Ipoh, di sini.

Foto
Kilang gas kimia meletup
Serian: Sebuah kilang memproses gas accetylene (sejenis bahan kimia) terbakar dan meletup kira-kira jam 4 petang tadi. Lapan pekerja yang terperangkap dalam kilang berkenaan berjaya diselamatkan dan sudah dihantar ke Hospital Serian. Begitupun, dikhuatiri masih ada pekerja terperangkap dalam kilang itu.

Lautan Hindi pula
Operasi di Lautan Hindi pula
WASHINGTON: Lautan Hindi mungkin menjadi kawasan pencarian terbaru dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370, kata White House, awal pagi tadi. Jurucakap White House Jay Carney berkata, tumpuan di Lautan Hindi berdasarkan maklumat baru namun tidak semestinya muktamad. "Kami dalam perbincangan bersama sekutu antarabangsa untuk memastikan aset yang sepatutnya dikerah ke kawasan itu," katanya. Namun, Carney tidak memberi penjelasan lanjut mengenai maklumat baru ini. Amerika Syarikat termasuk Tentera Lautnya antara beberapa negara yang terbabit dalam operasi SAR pesawat MH370 yang hilang, Sabtu lalu. "Terdapat beberapa senario yang masih disiasat mengenai apa yang berlaku kepada penerbangan ini. Kami tidak dapat membuat kesimpulan mengenai apa yang berlaku tetapi pihak kami giat mengambil bahagian dalam operasi SAR ini. Kami sentiasa mencari maklumat, mengikut petunjuk dan bekerja sama dalam siasatan yang diketuai Kerajaan Malaysia," katanya ketika taklimat berita biasanya, di sini. - Reuters

Foto
KAGAT Baca 30 juzuk
Pasir Puteh: Penasihat Majlis Agama Johor Datuk Noh Gadut bersama 16 rombongan Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) membaca 30 juzuk al-Quran ketika menaiki bot penyelamat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dari Pangkalan APMM Tok Bali dalam perjalanan selama satu jam sebelum mengadakan solat hajat di Pulau Perhentian, Terengganu, semalam. Noh berkata, usaha itu bagi memohon pertolongan Allah SWT dalam usaha mencari pesawat MAS penerbangan MH370 dan turut meminta sesiapa yang berada di Makkah dan Madinah memohon doa di sana. “Sebagai orang Islam, kita yakin dengan pertolongan Allah apatah lagi kita sebagai golongan musafir yang datang dari jauh untuk memohon doa kepada-Nya. “Saya juga mengharapkan umat Islam di seluruh negara ini mengambil peluang untuk berdoa kerana ia sangat mustajab terutama di Makkah dan Madinah,” katanya kepada pemberita yang turut menaiki bot penyelamat berkenaan. Menurut Noh, pelbagai usaha dilakukan kerajaan termasuk mengguna kepakaran sains dan teknologi serta bantuan pakar luar negara, namun sehingga kini masih belum mendatangkan hasil.


Lelaki ditahan kira-kira sejam selepas meragut
NIBONG TEBAL - Seorang lelaki yang dikehendaki polis ditahan, kira-kira sejam selepas dia dilapor meragut seorang lelaki di Bukit Tengah di sini, semalam. Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supritenden Shafien Mamat berkata lelaki itu ditahan di Bukit Minyak di sini, selepas polis mengejar kenderaannya sejauh dua kilometer dari tempat dia dikesan di Taman Belibis, Simpang Ampat, jam 6 petang. Polis juga terpaksa melepaskan tembakan ke arah kenderaan lelaki terbabit selepas tembakan amaran tidak diendahkan, sebaliknya dia cuba menghimpit kenderaan polis yang mengejarnya, kata beliau dalam sidang akhbar di sini hari ini. Beliau berkata lelaki berusia 29 tahun itu dikesan di Taman Belibis, Simpang Ampat ketika dipercayai merancang untuk menyamun mangsa lain. Hasil pemeriksaan terhadap lelaki itu, polis menemui kad pengenalan milik seorang lelaki yang dilapor diragut di Bukit Tengah jam 5 petang dan enam kad ATM pelbagai bank, katanya. Shafien berkata kereta yang digunakan lelaki terbabit adalah kereta yang dilapor hilang di Semanggol, Perak pada 3 Mac lepas dan polis turut menemui pelbagai barangan, antaranya parang dan kunci pendua. "Lelaki terbabit dipercayai aktif menjalankan kegiatan itu sejak beberapa bulan lepas bersama rakannya berusia 20-an. Kedua-dua mereka memang dikehendaki polis Pulau Pinang," katanya. Beliau berkata polis kini menggiatkan usaha untuk mengesan rakan lelaki terbabit yang dikenal pasti. - Bernama

MH370: Jemaah umrah doakan di Tanah Suci
SEPANG - Para jemaah yang akan menunaikan umrah di Makkah akan turut berdoa bagi menemui semula pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak Sabtu lalu. Penolong Jurutera Jabatan Kerja Raya, Ahmad Tarmizi Lim Abdullah, 54, berkata beliau akan menggunakan sebaiknya masanya di sana nanti bagi membawa bersama doa dan harapan rakyat Malaysia, agar ditemui semula pesawat itu. Menyifatkan kejadian itu sebagai ketentuan ALLAH, katanya doa adalah senjata paling utama bagi umat Islam, katanya kepada Bernama di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) sebelum berlepas ke Tanah Suci hari ini. Beliau pergi bersama isterinya Kamariah Husin, 53. "Walaupun tidak berkesempatan untuk turut serta menunaikan solat hajat yang dianjurkan di masjid, namun tanggungjawab saya sebagai rakyat Malaysia, saya mengajak keluarga bersama-sama menunaikan solat hajat di rumah," katanya. Pesawat Boeing 777-200 itu yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang setelah berlepas dari KLIA menuju Beijing, pada pukul 12.41 pagi Sabtu lalu. Operasi mencari yang memasuki hari ketujuh hari ini masih gagal mengesan pesawat. Rohani Awang, 60, dari Perlis berharap doanya di depan Kaabah agar pesawat itu ditemui semula akan dimakbulkan. "Apa pun kita mesti jadikan insiden ini sebagai iktibar untuk memperbaiki diri kita," katanya yang sentiasa mengikuti setiap perkembangan di media massa. Pekerja swasta Afzan Othman, 37, berkata semua pihak mesti optimis dan terus berusaha mencari pesawat itu. - Bernama

Pecah rumah, curi kenderaan: 3 ditahan
KANGAR - Tiga lelaki ditahan dalam dua serbuan berasingan dengan dua kenderaan curi dan beberapa barangan lain dirampas daripada mereka di sini bulan lalu. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perlis, Supritenden Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata seorang mekanik ditahan di Kampung Kurung Batang, Bintong pada 14 Februari lalu sementara dua lagi ditahan di Simpang Empat pada 27 Februari. Beliau berkata penahanan mekanik berumur 37 tahun itu di sebuah bengkel membawa kepada penemuan rangka sebuah kereta Proton Perdana yang telah ditanggal komponennya. Kereta bernombor pendaftaran ACV 9966 itu dilapor hilang di Paya Keladi Hujung, Kepala Batas, Pulau Pinang pada 2 Feb lalu. Sementara itu dua lelaki lagi yang berumur 25 dan 31 tahun dan berasal dari Kedah ditahan di rumah masing-masing. Polis menemui sebuah Proton Wira bernombor pendaftaran WDJ 6879 yang dipercayai palsu yang telah dilaporkan hilang di Taman Mahkota, Alor Setar, pada 21 Februari lalu. Turut dirampas bersama mereka ialah dua pembesar suara, empat pemain DVD, sebuah mesin pengimbas, sebuah pemain VCD, dua alat amplifier, sebuah pemain laser dan kamera yang disyaki dicuri. Tengku Mohd Zailan berkata kesemua mereka merupakan penagih dadah dan mempunyai kes jenayah lampau. - Bernama

Apa lagi petunjuk kesan pesawat?
Apa lagi petunjuk kesan pesawat?
SEJAK kehilangan pesawat MAS MH370, pelbagai petunjuk diberikan. Bermula dengan dakwaan pesawat terbabit telah mendarat, keluarga penumpang boleh menghubungi telefon bimbit mangsa dan kemudian dakwaan seorang petugas di pelantar minyak di Vietnam yang ternampak pesawat terbakar serta pelbagai lagi petunjuk ternyata tidak membantu pencarian pesawat terbabit.
Ia kerana, sehingga kini, pelbagai teori dan petunjuk itu dinafikan sama ada daripada MAS, Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan semua pihak yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Sinar Harian menyenaraikan semua petunjuk yang dikatakan berkaitan dengan misteri kehilangan pesawat Boeing 777-200 dari hari pertama kejadian sehingga semalam berserta penafian yang dibuat.

8 Mac 2014
1) Pesawat MH370 dilaporkan hilang daripada radar pada jam 1.30 pagi 120 batu nautika di perairan timur Kota Baharu, Kelantan. Ia dikatakan membuat pendaratan kecemasan di Nanning, China.
- MAS mengesahkan laporan yang menyatakan penerbangan MH370 telah membuat pendaratan kecemasan di Nanning, China adalah palsu.
2) MH370 juga dikatakan telah terhempas di kawasan pelantar minyak dan gas milik Talisman Malaysia Sdn Bhd. Pegawai tentera laut Vietnam, Laksamana Ngo Van Phat memberitahu Reuters, pesawat tersebut mungkin terhempas di perairan Malaysia, 153 batu di luar pantai Vietnam, Tho Chu mengikut kelajuan dan kawasan terakhir dikesan.
- Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menafikan dakwaan tersebut.

9 Mac 2014
1) Laporan antarabangsa mendakwa satu objek menyerupai ekor pesawat dikesan di Laut China Selatan.
- Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azaharuddin Abdul Rahman menafikan penemuan serpihan objek kononnya komponen pintu pesawat yang dilaporkan media Vietnam adalah milik pesawat MAS MH370, Pihak berkuasa Malaysia segera menghubungi pihak berkuasa Vietnam sejurus laporan berkenaan tersiar dan menafikan menjumpai objek berkenaan.
2) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) menemui satu tompokan minyak berada 100 batu nautika dari pesisir pantai Tok Bali.
- Ketua Pengarah Maritim Malaysia Datuk Mohd Amdan Kurish berkata sebuah kapal peronda milik Maritim sudah diarah mengambil sampel minyak itu.
Minyak yang dijumpai di Laut China Selatan itu hanyalah minyak bunker dan tidak digunakan oleh kapal terbang.
3) Hishammuddin memberitahu empat penumpang MH370 menggunakan pasport palsu.
- Azharuddin bagaimanapun mengesahkan hanya dua penumpang mempunyai pasport curi, daripada negara Itali dan Austria.

10 Mac 2014
1) Pertemuan objek yang pada mulanya disangka ekor kapal terbang yang dikesan di Laut China Selatan oleh beberapa pesawat yang terbabit dalam usaha mencari pesawat MH370.
- Azaharuddin mengesahkan, serpihan pesawat yang dilapor ditemui pihak berkuasa di perairan Vietnam bukan milik pesawat MH370.
2) Dakwaan mengatakan pesawat MH370 berkemungkinan dirampas.
- Azharuddin menafikan kemungkinan pesawat MH370 yang dilaporkan hilang telah dirampas.

11 Mac 2014
1) Sekumpulan nelayan menemui satu objek dipercayai rakit getah pesawat yang bertulis perkataan ‘boarding’ kira-kira 10 batu nautika dari pantai Port Dickson. Rakit tersebut dikatakan milik pesawat MH370 yang dipercayai melintasi perairan Selat Melaka.
- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Daerah Maritim 5 Kuala Linggi mengesahkan objek berkenaan bukanlah rakit penyelamat dan ianya hanyalah boya.
2) Dikatakan lima penumpang telah mendaftar masuk tetapi tidak menaiki pesawat tersebut.
- MAS dalam kenyataan awalnya menjelaskan terdapat empat penumpang yang tidak muncul untuk mendaftar masuk bagi penerbangan MH370 meskipun mereka telah membuat tempahan untuk perjalanan itu.

12 Mac 2014
1) Penemuan mayat di perairan Selat Melaka dikatakan salah seorang penumpang pesawat MH370.
- MAS mengesahkan ia bukan penumpang pesawat MAS penerbangan MH370.

13 Mac 2014
1)  Sumber dalaman MAS memberitahu Sinar Harian bahawa mereka ada mengaktifkan kod tango.
- Azharuddin menafikan kod tango berkenaan diterima.
2) Polis Diraja Malaysia didakwa menggeledah rumah juruterbang dan anak kapal MAS MH370.
- Hishammuddin dan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menafikan perkara tersebut.
3) Wall Street Journal mendakwa pesawat terus terbang selama empat jam selepas hilang dari radar.
- Hishammuddin menafikan pesawat terbang dalam jangka masa tersebut.
4) CNN melaporkan satelit China mendakwa mengesan tiga objek yang terapung di perairan Laut Cina Selatan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kehilangan pesawat MH370. Objek-objek terbabit dianggarkan berukuran sekitar 13 kali 18 meter, 14 kali 19 meter dan 24 kali 22 meter.
- DCA Malaysia mengesahkan tiga objek besar terapung di kawasan terakhir pesawat MAS 370 dilaporkan terputus hubungan sebagai bukan serpihan kapal tersebut.

Plaza tol Bandar Cassla ditutup ahad ini
KUALA LUMPUR - Persimpangan Bertingkat dan Plaza Tol Bandar Cassla di KM154 yang menghubungkan Lebuhraya Utara-Selatan ke Jambatan Kedua Pulau Pinang akan ditutup sementara pada Ahad, bermula 4.30 pagi hingga 2 petang. Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (PLUS) dalam kenyataan hari ini berkata penutupan itu bagi memberi laluan kepada program berbasikal 'Kayuhan Merdeka' di Jambatan Kedua Pulau Pinang. Plaza tol tersebut akan beroperasi seperti biasa pada jam berikutnya pada hari sama. - Bernama


Pelajar Beijing Gelakkan Isu Bomoh
BENAR kata orang, kerana nila setitik, habis rosak susu sebelanga. Dek kerana isu ‘Raja Bomoh’ yang kononnya membantu mengesan pesawat MH370, tercalar nama Islam hingga ke negara luar termasuklah di sebuah universiti di Beijing, China. Bagi yang tidak memahami, mungkin mereka akan mengatakan bahawa ritual pelik yang dilakukan oleh bomoh dan pengikutnya itu merupakan salah satu daripada amalan agama Islam walaupun sebenarnya tidak. Ini merupakan luahan salah seorang pelajar Malaysia, Shallaa Shamimi yang menuntut di sana:
“Dekat Beijing, kami berusaha jaga nama agama dengan negara .
Macam mana setiap kali kami solat di bawah pokok, dikatakan sembah pokok .
Solat di airport, dikatakan upacara nak naik flight .
Solat di tepi kedai , dikatakan sembah kedai .
Sebab mereka tak faham apa yang kita sembah then conclusion terus padu kepada sembah benda yang bukan bukan .
Dan haruslah pengalaman kena halau, solat merata-rata tu kami dah biasa since duduk negara yang bukan Islam .

But then , bila video bomoh tu mula dipasang di kelas one of my friend which have people from many country , macam mana kami nak jelaskan benda tu ? 
Macam mana kami nak cakap bila diorang tanya benda ape ni ? 
Macam mana nak tahan malunya muka bila tengok diorang gelak ? macam mana nilai Islam yang kami tunjuk selama ni diorang akan faham ? 
Macam mana kami nak jelaskan dengan perbezaan bahasa which kitorang pon still belajar lagi?”

Lesen penjaja ditarik balik
Lesen penjaja ditarik balik
KUALA TERENGGANU - Lesen penjaja milik seorang peniaga pasar malam yang dikesan menjadi punca kejadian keracunan makanan pada 3 Mac lalu, sudah ditamatkan pihak berkuasa tempatan. Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Muhammad Pehimi Yusof berkata, peniaga terbabit berniaga di tiga pasar malam sekitar Kuala Terengganu termasuk Pasar Malam Padang Hiliran. “Lesen peniaga terbabit sudah ditamatkan dan tidak dibenarkan menjaja lagi. Namun, kerajaan hanya bertindak menamatkan lesen. Kanak-kanak terbabit meninggal disebabkan bakteria Salmonella Typhi’,” katanya berhubung kes keracunan yang berlaku baru-baru ini. Kata Muhammad Pehimi, berikutan kejadian itu juga, operasi pemeriksaan di pasar malam dijalankan Jabatan Kesihatan negeri dan juga pihak berkuasa tempatan bermula 5 Mac lalu. Menurutnya, sehingga 11 Mac, jumlah keseluruhan premis yang diperiksa sebanyak 463, manakala 205 premis dikenakan kompaun oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dengan nilai keseluruhan kompaun RM4,9750. “Terdapat tiga jenis kesalahan yang dikompaun iaitu tiada kad kesihatan/suntikan antitiford (47), tiada lesen (154) dan tidak memakai apron (4),” katanya. Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia 5 tahun meninggal dunia akibat keracunan makanan, dipercayai selepas makan juadah dibelinya dari sebuah pasar malam di Kuala Terengganu pada Sabtu lalu. Ibu kanak-kanak terbabit, Siti Zuriana Mohd Yusoff, 28, dipetik berkata, anak tunggalnya itu ke pasar malam berkenaan bersama suaminya kira-kira jam 6.30 petang dan membeli ayam goreng, nasi goreng serta air keladi sebelum pulang ke Bukit Payong. Muhammad Iqbal Rafie Mohd Ilme bagaimanapun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 1 petang ketika dalam perjalanan untuk menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu selepas mengalami cirit-birit. Susulan kejadian itu, tiga peniaga pasar malam disoal siasat selepas dipercayai menyebabkan kes keracunan serta mengakibatkan 157 orang terpaksa dirawat di HSNZ sehingga 10 Mac, namun hanya seorang peniaga ditarik balik lesen niaga. Manakala, jumlah keseluruhan pesakit yang dirawat di HSNZ akibat keracunan makanan adalah seramai 157 orang, daripada jumlah itu, 43 orang merupakan pesakit luar.

Malaysia Airlines (MAS)
No telefon dari AS, bukan China
BEIJING - Malaysia Airlines (MAS) menjelaskan bahawa nombor telefon bimbit yang didakwa milik seorang anggota keluarga penumpang pesawat MH370 adalah dari Amerika Syarikat, dan bukan China. Ketua Pegawai Eksekutif Firefly, anak syarikat MAS, Ignatious Ong Ming Choy berkata syarikat telekomunikasi yang dilantik MAS mengenal pasti nombor telefon bimbit itu adalah dari Amerika. Terdahulu, seorang anggota keluarga penumpang MH370 mendakwa beliau menerima panggilan yang dialih dari satu nombor selepas ia hilang dan menggesa MAS menyiasat sumbernya bagi mengesan kedudukan pesawat malang itu. Beliau menyerahkan nombor itu kepada Ming Choy untuk siasatan lanjut ketika sesi taklimat sebelum itu. Khabar angin berkaitan MH370 tersebar luas di Internet termasuk panggilan telefon berkenaan dan ini sedikit sebanyak menghidupkan kembali harapan anggota keluarga penumpang serta anak kapal pesawat itu, yang sebelum ini kian pudar. - Bernama

Lapangan terbang Pekanbaru tutup
Lapangan terbang Pekanbaru tutup
RIAU - INDONESIA. Lapangan Terbang Sultan Syarif Kasim II di Pekanbaru terpaksa ditutup akibat jerebu tebal di wilayah berkenaan. Jurucakap Kementerian Pengangkutan Bambang Ervan berkata, semua operasi penerbangan dihentikan hingga Sabtu. “Jarak penglihatan hanya boleh mencapai 400 meter sahaja. Operasi dihentikan bagi tujuan keselamatan,” katanya pada laporan Kompas. Kelmarin, sebanyak 60 jadual penerbangan terpaksa dibatalkan akibat jerebu semakin buruk. Sementara itu, jurucakap agensi bencana kebangsaan Sutopo Purwo Nugroho berkata, sebanyak 42,000 orang dilaporkan mengalami masalah pernafasan. “Sebanyak 145 titik panas masih dikesan di wilayah itu,” katanya.

Bintang kuning gergasi ditemui
Bintang kuning gergasi ditemui
PARIS - Ahli astronomi menemui bintang kuning gergasi di dalam galaksi Bima Sakti dan didakwa berukuran 1,300 kali ganda lebih besar dari matahari. Menurut saintis di Observatoire de la Cote d'Azur di Nice, bintang HR 5171 A yang disenaraikan sebagai 10 bintang gergasi itu juga adalah sejuta kali ganda lebih terang daripada matahari. "Walaupun terletak hampir 12,000 tahun cahaya dari bumi, objek tersebut masih dapat dilihat dengan mata kasar. Kedudukan bintang berkembar itu sangat rapat dan ia seakan menyentuh seluruh sistem serta menyerupai seperti kacang gergasi," kata Olivier Chesneau kepada AFP. Kumpulan saintis tersebut menganggarkan, HR 5171 A adalah 50 peratus lebih besar dari bintang merah gergasi Betelgeuse. Difahamkan, penemuan bintang gergasi baharu itu dibuat menggunakan Very Large Telescope Interferometer (VLTI) di Balai Pencerap Eropah Selatan di Paranal di Chile.

Israel serang Genting Gaza
Israel serang Genting Gaza
GENTING GAZA - Pesawat pejuang Israel melancarkan serangan udara dengan menyasarkan 29 kawasan termasuk pangkalan Hamas dan kumpulan sayap bersenjata Jihad Islam, Briged al-Quds di wilayah tersebut sejak kelmarin. Bagaimanapun menurut Press TV, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden terbabit. Difahamkan, serangan balas itu dibuat kononnya selepas kumpulan militan mengaku membedil sekurang-kurangnya 90 roket ke Israel sebagai respons terhadap serangan udara yang membunuh tiga anggota mereka di selatan Gaza, Selasa lalu. Sementara itu, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, menggesa Israel supaya menghentikan tindakan agresif ke atas Gaza. Jurucakap beliau, Nabil Abu Rudeina berkata, Mahmoud turut meminta rejim Zionis tidak meningkatkan lagi ketegangan di Genting Gaza yang kini dilanda krisis kemanusiaan meruncing akibat sekatan haram Israel sejak 2007. Dalam perkembangan lain, kerajaan sementara Mesir mendedahkan bahawa mereka telah memusnahkan 1,370 terowong rahsia yang menghubungkan sempadan negara itu dengan Genting Gaza. Tindakan pihak berkuasa Mesir tersebut turut menjejaskan hubungan bersama Hamas selain menyebabkan kira-kira 1.7 juta penduduk Gaza terpaksa hidup menderita selepas laluan utama yang digunakan untuk urusan harian musnah sejak Julai lalu.

Upah warga asing secara tidak sah
Upah warga asing secara tidak sah
GEORGETOWN – Gara-gara mengupah pekerja warga asing tanpa lesen, seorang pemilik pusat urut berdepan hukuman denda RM50,000. Tertuduh, Lim Yeik Lee dari Air Itam dalam pertuduhannya ditahan pada jam 4 petang di sebuah kedai kecantikan di Air Itam. Ketika siasatan mendapati tertuduh berusia 35 tahun itu mengambil dua wanita warga asing bekerja di tempatnya secara tidak sah. Atas kesalahan itu, tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55B (1) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama. Jika didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM10,000 tetapi tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya bagi tiap seorang yang diambil bekerja. Tertuduh kemudiannya mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Umma Devi Loganathan. Dua pekerja wanita warganegara Thailand yang turut hadir ke mahkamah tidak memahami pertuduhan yang dikemukakan. Tertuduh berkenaan, Saruttaya Chancow dan Ratree Phokprakhon ketika di kandang tertuduh hanya mampu menggeleng kepala apabila pertuduhan dibacakan. Tetamu di dalam kamar agak bising apabila dua wanita berkenaan pada awalnya mengakui tidak tahu berbahasa Inggeris, namun apabila majistret mengarahkan mereka duduk dalam bahasa Inggeris, mereka terus duduk. Disebabkan tidak faham berbahasa Inggeris, mahkamah terpaksa membawa jurubahasa Thailand pada perbicaraan seterusnya. Kedua-dua wanita itu dituduh atas kesalahan di bawah peraturan 39 (B) peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan boleh dihukum di bawah peraturan yang sama. Kedua mereka boleh didenda RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali. Yeik Lee yang juga majikan kepada dua wanita berkenaan dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000.

Tentera Vietnam cari pesawat MASdi kawasan hutan, pergunungan
BANDAR HO CHI MINH - Tentera Vietnam memperluaskan usaha mencari sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang di kawasan hutan dan pergunungan negara ini selepas usaha mencari yang disertai pelbagai negara masih belum menemui sebarang petunjuk. Wartawan-wartawan dari Malaysia menyertai rakan media lain dari Vietnam dan China menaiki sebuah pesawat yang berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Briged 918 di sini bagi menyertai usaha mencari pesawat tersebut. Pesawat itu terbang melintasi perairan Laut China Selatan di barat daya negara ini tetapi operasi selama tiga jam tersebut tidak menemui sebarang tanda atau serpihan pesawat MH370. Beberapa pesawat yang berpangkalan di sini turut menyertai misi mencari dengan berlepas pada waktu pagi serta tengah hari tetapi masih tidak menemui sebarang petunjuk positif. Misi mencari di selatan negara ini juga diperluaskan ke beberapa kawasan hutan dan pergunungan selepas terdapat laporan bahawa pesawat yang membawa 227 penumpang dan 12 kru itu mungkin berpatah balik serta tersasar dari laluan asal. - Bernama


Keluarga penumpang MH370 ancam saman kerajaan Malaysia
BEIJING - Sebilangan saudara-mara penumpang pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang di Laut China Selatan mendesak kerajaan Malaysia dan China memberikan jawapan berhubung kehilangan misteri pesawat malang berkenaan, lapor agensi berita Reuters semalam. Mereka juga mengancam untuk menyaman kerajaan Malaysia selain mahu berjumpa dengan Presiden China, Xi Jinping kerana pesawat tersebut masih belum ditemui. Anggota-anggota keluarga itu juga memarahi para petugas media, MAS dan juga kerajaan mereka sendiri kerana tidak mengendahkan permintaan mereka. "Saya betul-betul mahu berjumpa dengan Jinping dan saya juga tidak tahu apa yang lebih penting daripada nyawa 239 orang di dalam pesawat itu," kata seorang wanita muda yang mahu dikenali sebagai Wen. "Saya juga mahu bertanya kepada Jinping jika orang tersayang atau ahli keluarga anda berada dalam pesawat itu, apakah perasaan anda," katanya sambil menangis. "Suami saya berada dalam pesawat itu dan setiap hari anak-anak saya bertanya mengenai bapa mereka, apa yang patut saya beritahu mereka. "Kami kini tidak tahu apa yang patut dilakukan dan memerlukan kerajaan untuk menyokong kami," tambahnya. Seorang lagi keluarga mangsa yang enggan dikenali memberitahu bahawa, dia mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan Malaysia. "Sudah tentu kami akan mengambil tindakan undang-undang kerana apa yang terjadi sesuatu yang teruk. "Kami tidak menyaman MAS tetapi kerajaan Malaysia," katanya kepada wartawan. Pesawat itu membawa 227 penumpang dan 12 kru. Seramai 153 penumpang pesawat itu ialah warga China. Pesawat tersebut juga membawa 38 rakyat Malaysia itu hilang pada Sabtu lalu dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing. - Agensi


PGA tahan 62 pendatang Turki
PADANG BESAR - Keinginan untuk menikmati hidup senang dengan gaji lumayan seperti diceritakan rakan-rakan yang telah menetap di Malaysia menjadi punca 62 warga Turki bertekad menyelinap masuk ke negara ini secara haram melalui sempadan Thailand semalam. Bagaimanapun kesemua mereka termasuk 24 orang kanak-kanak ditahan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang menjalankan rondaan rutin berdekatan pagar sempadan Malaysia-Thailand di Pos Padang Besar 16 dan 17 di sini pada pukul 6 pagi. Penolong Pegawai Pemerintah Batalion Tiga PGA Bidor, Deputi Superintendan S. Sivam berkata, kehadiran PATI terbabit disedari anggota PGA yang berkawal di pos berkenaan yang terlihat pergerakan manusia. "Semasa ditemui, mereka dalam keadaan keletihan dan kelaparan kerana berjalan kaki dari Thailand ke sempadan di sini. Hasil pemeriksaan mendapati mereka tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.


Imej dikesan satelit China disahkan palsu
SEPANG - Penemuan mengenai objek terapung yang didakwa dikesan oleh satelit China di Laut China Selatan semalam, bukan hanya disahkan sebagai palsu, malah ia telah menyusahkan dan membuang masa pihak berkuasa yang terpaksa mengerahkan aset untuk bergegas ke kawasan tersebut. Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Duta Besar China, Dr. Huang Hukiang telah mengesahkan gambar tersebut telah dimuat naik oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan pihak berkuasa negara itu sedang menjalankan siasatan bagi memburu individu tersebut. Katanya, pihak berkuasa China juga mengesahkan tiada sebarang objek berkaitan dengan MH370 dikesan oleh satelitnya di Laut China Selatan. Gambar tersebut dikatakan diperoleh empat hari lalu iaitu selepas 48 jam pesawat MH370 dilaporkan hilang dari dikesan radar. "Mereka (China) memberi jaminan akan menyalurkan segala maklumat yang hanya disahkan kepada kita. "Saya tidak mahu tuduh-menuduh kononnya China lambat memberi maklumat awal kepada kita kerana ini merupakan usaha bersama. Belum pernah dalam sejarah operasi mencari dan menyelamat melibatkan begitu banyak negara dan aset. "Mungkin ada pihak yang ingin melaga-lagakan keadaan ini, namun ia nampaknya tidak berhasil kerana niat kita ialah untuk mencari pesawat berkenaan," katanya pada sidang akhbar di pusat media di Hotel Sama-Sama di sini semalam. Turut hadir ialah Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan Malaysia (MAS), Ahmad Jauhari Yahya. CNN sebelum ini melaporkan satelit China mengesan tiga objek yang dikaitkan dengan pesawat yang hilang itu. Menurut Hishammuddin, maklumat palsu itu telah mengganggu kerana pihak berkuasa telah mengerahkan aset pagi semalam ke tempat yang dimaksudkan, namun tidak menemui apa-apa. "Menjadi kebiasaan negara untuk tidak mendedahkan data kasar yang diperoleh dari radar, namun dalam kes ini, kami meletakkan usaha pencarian mengatasi keselamatan negara. "Kami telah berkongsi maklumat dengan rakan antarabangsa termasuk Amerika Syarikat (AS) dan China untuk membantu," katanya. Ujar Hishammuddin, pihak berkuasa juga bekerjasama rapat dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Persekutuan (FAA) dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) AS bagi membantu usaha mencari. "FAA dan NTSB telah menyokong kita menjalankan operasi di kawasan barat Semenanjung selepas mendapati kita mempunyai asas untuk melakukannya berdasarkan kemungkinan pesawat telah berpatah balik," katanya.


Jerebu: Sekolah di Kuala Langat diarah tutup
SHAH ALAM - Keadaan jerebu dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 300 menyebabkan semua sekolah di daerah Kuala Langat diarah tutup mulai malam tadi. Penutupan itu melibatkan 71 buah sekolah. Pengarah Pendidikan Selangor, Datuk Mahmud Karim berkata, pihaknya sentiasa memantau bacaan IPU yang disiarkan oleh Jabatan Meteorologi dan mengeluarkan arahan pada pejabat pelajaran daerah apabila IPU melebihi 200. "Sekiranya IPU menunjukkam bacaan melebihi 200, sekolah boleh ditutup serta-merta dan sekolah juga diberi kebenaran untuk ditutup sekiranya ramai pelajar mengalami mata merah dan berair kesan keadaan jerebu ini. "Sebagai contoh semalam semasa kita mengeluarkan araham semua sekolah di Klang diarah tutup hari ini, kita dapati ada sekolah di Tanjung Sepat yang turut ditutup selepas pengetuanya mendapati pelajar di situ mengalami masalah mata merah dan berair, itu kita benarkan mengikut pertimbangan pengetua tersebut," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. Selain daerah Kuala Langat, semua 131 sekolah di Klang turut di arah tutup mulai petang semalam. - KOSMO!


Pelabuhan Klang dan Banting catat bacaan IPU berbahaya setakat 7 pagi ini
KUALA LUMPUR - Pelabuhan Klang dan Banting mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berbahaya setakat 7 pagi ini dengan masing-masing mencecah 352 dan 316. Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS), bacaan IPU di Pelabuhan Kelang meningkat dari bacaan 233 (sangat tidak sihat) pada 6 petang semalam kepada paras berbahaya pagi ini manakala Banting dari bacaan 189 kepada 316. 13 kawasan mencatat IPU tidak sihat ialah Petaling Jaya dengan bacaan 186, Putrajaya (176), Batu Muda (176), Shah Alam (165), Cheras (147), Kuala Selangor (152), Nilai (165), Port Dickson (168), Seremban (155), Bukit Rambai (134), Bandaraya Melaka (115), Muar (111) dan Tanjung Malim (107). Sementara 18 kawasan lain mencatat IPU sederhana dan 18 lagi mencatat bacaan IPU baik. Semalam Jabatan Pelajaran Selangor mengarahkan semua 131 sekolah di daerah Klang ditutup serta-merta hari ini berikutan bacaan IPU di kawasan itu mencecah bacaan sangat tidak sihat, sejak petang semalam. Bacaan IPU yang baik berada antara 0-50, sederhana pada 51-100, tidak sihat (100-200), sangat tidak sihat (200-300) dan berbahaya (lebih 300). Orang ramai boleh menyemak status IPU di kawasan masing-masing dengan melayari portal http://apims.doe.gov.my. - Bernama

Langkah Sederhana untuk Membedakan Batu Permata Asli dan Palsu
Rugi RM10,000 diperdaya sindiket permata palsu
JERANTUT - Seorang wanita bersama ibunya kerugian kira-kira RM10,000 apabila menjadi mangsa sindiket penipuan khasiat batu permata palsu. Sindiket yang dipercayai didalangi oleh warga Indonesia yang menyamar sebagai rakyat Brunei itu dikesan menjerat mangsa di daerah ini. Ketua Polis Daerah, Superintendan Azid Ismail ketika dihubungi hari ini berkata, kedua-dua mangsa yang berasal dari Felda Kota Gelanggi 1, di sini itu pada mula berkunjung ke Pasar Tani untuk membeli keperluan harian sebelum didatangi oleh seorang lelaki yang menyamar sebagai rakyat Brunei. "Lelaki tersebut bertanya mengenai sebuah kedai buku di daerah ini namun mangsa menyatakan dia tidak tahu lokasinya dan suspek menyuruh mangsa bertanya kepada seorang lelaki di sebelahnya. "Mereka berempat kemudiannya menaiki kereta Perodua Kancil milik mangsa untuk menuju ke lokasi kedai buku yang ingin ditunjukkan oleh lelaki yang tidak dikenali tadi," katanya. Menurutnya, sebaik menghampiri kedai buku tersebut, suspek mengeluarkan batu permata dan menerangkan khasiatnya sebelum mengajak kedua-dua mangsa ke sebuah restoran makanan segera di bandar ini. Beliau berkata, ketika berada di restoran itu, suspek telah bercerita panjang lebar mengenai khasiat sebutir batu permata berwarna merah dan dua biji lagi berwarna hitam. "Suspek memberitahu batu permata itu mampu mengubati pelbagai penyakit dan pemakainya akan menjadi kebal. "Setelah mendapati mangsa terpedaya dengan hujahnya, mangsa dikehendaki menyerahkan wang tunai dan barang kemas miliknya kira-kira RM10,000 dalam sebuah sampul berwarna coklat untuk dijampi. "Suspek kemudian menyerahkan bekas berisi batu permata dan sampul surat tersebut dan meminta mangsa membukanya di rumah," ujarnya. Azid memberitahu, sebaik tiba di rumah, mangsa terkejut melihat sampul surat tersebut hanya berisi duit syiling dan keratan surat khabar lama manakala semua wang dan barang kemas telah lesap. "Mangsa yang menyedari dirinya tertipu telah melaporkan kejadian tersebut di balai polis dan siasatan kini giat dijalankan bagi mengesan suspek," jelasnya. Sehubungan itu, Azid menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan sapaan orang yang tidak dikenali terutama warga asing lebih-lebih lagi menawarkan sesuatu bagi mengelak tertipu. Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sindiket ini diminta menghubungi balai polis berhampiran dalam usaha membanterasnya daripada terus berleluasa. - KOSMO!


DCA Sahkan 3 Objek Dikesan Satelit China Bukan Serpihan MH307
Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Malaysia mengesahkan tiga objek besar terapung di kawasan terakhir pesawat MAS 370 dilaporkan terputus hubungan sebagai bukan serpihan kapal tersebut. Ketua Pengarahnya, Datuk Azharuddin Abdul Rahman mengesahkan perkara tersebut sebentar tadi. Kata beliau, DCA telah memeriksa kawasan yang dimaksudkan dan tiada sebarang serpihan ditemui. Malah, pasukan Vietnam juga telah melakukan pemeriksaan dan mengesahkan 3 objek yang dikesan satelit China bukan serpihan MH370 yang hilang dari radar sejak Sabtu lalu. Pentadbiran Sains dan Teknologi China pada lewat semalam berkata, satelitnya melihat objek yang disyaki kawasan di mana pesawat hilang’ di Laut China Selatan pada 9 Mac lalu dengan imej satelit sedang dianalisis. Objek yang disyaki dari pesawat itu dikesan di 105.63 darjah longitude Timur dan 6.7 darjah latitude Utara, demikian menurut pusat pentadbiran itu dalam laman webnya. Ia menambah objek itu bertaburan di kawasan lingkungan 20 kilometre dengan bersaiz 13 x 18 meter, 14 x 19 meter dan 24 x 22 meter.


Pegawai Trafik Udara Lari Tugas
Georgetown – Kementerian Pengangkutan Guyana melaporkan seorang pegawai trafik udara yang bertugas di menara kawalan lapangan terbang negara itu digantung tugas selepas dia meninggalkan tugasnya dan keluar dari menara kawalan ketika ada pesawat hendak mendarat. Dalam kenyataan yang dikeluarkan kementerian itu, lelaki itu dan dua pegawai lain digantung tugas sementara siasatan dijalankan. Seorang jurucakap berkata, dua lagi kakitangan yang digantung adalah penyelia dan rakan setugasnya yang dijadualkan mengambil alih tugas kawalan itu. Pegawai berkenaan dikatakan meninggalkan tugasnya kerana kecewa rakan setugasnya tidak hadir untuk menggantikannya pada Jumaat lalu. Ketika itu, pesawat Boeing 737 Caribbean Airways yang membawa 100 orang penumpang dilaporkan akan mendarat dalam tempoh 10 minit dan seorang pengurus terpaksa pergi ke menara kawalan untuk mengambil alih tugas berkenaan. – Agensi


Dr M Pertahan Usaha Pihak Berkuasa Malaysia Tangani Pesawat Yang Hilang
SHAH ALAM, 12 Mac (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata media antarabangsa tidak sepatutnya mengkritik Malaysia dan syarikat penerbangan nasionalnya berhubung cara mereka menangani kehilangan pesawat penerbangan MH370. "Memang mudah untuk mengkritik tetapi kita menghadapi satu keadaan yang tidak pernah dialami oleh mana-mana negara di dunia. "Jika anda kata Malaysia gagal (menangani kehilangan pesawat ini), itu bermakna Amerika Syarikat, New Zealand, Australia, Singapura dan negara-negara lain (yang membantu usaha mencari dan menyelamat) juga gagal, kenapa anda tidak menyalahkan mereka juga," katanya kepada pemberita selepas menjadi anggota panel dalam program Siri Bicara Profesional bersama Tun Dr Mahathir di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini. Pesawat Boeing 777-200ER yang sedang dalam penerbangan ke Beijing dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang daripada imbasan radar, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi Sabtu. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. Sementara itu, Dr Mahathir berkata misi mencari dan menyelamat pesawat itu dikendalikan dengan baik oleh pihak berkuasa Malaysia. Dr Mahathir berkata beliau telah melawat anggota keluarga penumpang penerbangan itu dan keperluan mereka dijaga dengan baik oleh Malaysia Airlines, kerana mereka juga memenuhi permintaan untuk menjaga sehingga lima orang bagi setiap keluarga. Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mengadakan sebarang teori berhubung operasi mencari dan menyelamat bagi mengesan pesawat itu kerana ia tidak membantu keadaan. "Dapatkan fakta dan jangan kita suka membuat teori, ia tidak membantu sesiapapun," katanya. Dalam perkembangan, Dr Mahathir menolak laporan yang menyatakan bahawa bahawa beliau meletak jawatan sebagai penasihat Proton. Sebelum itu, Dr Mahathir melancarkan portal alumni UiTM. -- BERNAMA


Padah Bermain Gunting, Budak Hampir Buta
China – Inilah yang terjadi jika enggan mendengar cakap ibu dan bapa. Akhirnya diri sendiri yang menanggung padah. Seorang budak lelaki berusia tujuh tahun hampir kehilangan sebelah mata selepas gunting tertusuk beberapa milimeter dari matanya, selama lima jam. Ketika kejadian, Xiao Wen bermain dengan gunting di tempat kerja ibu bapanya di sebuah kilang.. Namun dia terjatuh menyebabkan gunting itu tertusuk ke mukanya. Hanya selepas lima jam barulah gunting itu dapat dikeluarkan. Imbasan x ray menunjukkan gunting itu hampir mencederakan anak matanya. Xiao bagaimanapun dijangka pulih sepenuhnya.


Lelaki Tukar Nama Selepas Kalah Pertaruhan
New Zealand – Pernahkan anda mendengar nama Full Metal Havok More Sexy N Intelligent Than Spock And All The Superheroes Combined With Frostnova? Ia adalah nama seorang lelaki dan dia terpaksa menggunakan nama berkenaan selepas kalah dalam satu pertaruhan dengan rakannya. Selepas lima tahun memohon untuk menggunakan nama itu, akhirnya Frostnova diberikan kebenaran dan boleh memperbaharui pasportnya dengan menggunakan nama tersebut. Namun jika Frostnova tidak gembira dengan nama berkenaan, dia boleh menukar kembali nama itu pada bila-bila masa dan hanya perlu membayar wang pendaftaran sebanyak $127. Proses pertukaran nama itu akan mengambil masa selama lapan hari. Baru-baru ini, Jabatan Pendaftaran New Zealand telah menolak pendaftaran nama King, Princess, Majesty, Knight, Justice, Anal, Mafia No Fear, Lucifer, V8, 89, full stop dan *. Pada 2008, New Zealand telah menolak nama yang diberikan oleh sepasang suami isteri untuk anak mereka iaiti 4Real Superman kerana mengandungi digit. Budak itu akhirnya diberi nama Superman.


Bila Media Asing Silap ‘Letak’ Kuala Lumpur
DENGAN kehilangan pesawat MH370, beberapa media asing mula memainkan peranan mereka dalam usaha untuk memburuk-burukan Malaysia di mata dunia. Boleh dikatakan segala macam isu diputarkan untuk menunjukkan bahawa apa yang berlaku adalah kerana ‘kesilapan’ Malaysia. Bagaimanapun, dalam keghairahan itu, mereka sebenarnya tidak cukup mengenali negara ini. Sebagai contohnya, kesilapan yang dilakukan oleh saluran berita Times Now, India ini boleh dianggap memalukan. Lokasi Kuala Lumpur pada peta yang ditunjukkan sewaktu lintas langsung ternyata salah sama sekali. Sewenang-wenangnya Kuala Lumpur ditandakan di Negara Brunei Darussalam yang juga berhampiran dengan Sabah. Kalau peta pun sudah salah, bagaimana agaknya dengan informasi yang disampaikan ya?



Pengurus IT Temui MH370 Guna Satelit Di Internet?
Seorang pengurus IT mendakwa dia telah mengesan satu objek dipercayai pesawat MH370 milik Penerbangan Malaysia dengan hanya menggunakan carian gambar satelit beresolusi tinggi di internet. Mike Seberger, 47, dari Chicago, Amerika Syarikat merupakan salah seorang daripada individu yang tertarik dengan misteri kehilangan pesawat Boeing 777 MH370 yang membawa 239 penumpang, sejak pagi Sabtu lalu. Berdasarkan imej dikesan Seberger, objek menyerupai bentuk pesawat tersebut dikatakan berada di Perairan Thailand, berhampiran Laut China Selatan. Sekiranya penemuan Seberger yang hanya menggunakan internet ini benar, maka ia telah mengakhiri pencarian besar-besaran melibatkan aset canggih termasuk 42 kapal dan 39 pesawat daripada 12 negara. Imej ini berjaya diperoleh Seberger selepas dia memasuki laman web Tomnod sehari selepas MH370 dilaporkan hilang lalu memuatnaik imej satelit 1,000 kaki perbatu di kawasan terlibat. Sekitar setengah juta sukarelawan turut melakukan tindakan sama seperti Seberger pada hari pertama kehilangan MH370 hingga laman web tersebut tergendala sebentar gara-gara trafik yang terlalu tinggi. Walaupun kaedah ini mungkin tidak secanggih sistem radar tentera, ia tidak boleh dipandang enteng kerana carian gambar satelit menggunakan internet yang dirakam pada jarak 400 batu dari atas muka bumi ini boleh mengesan objek meski pun sekecil kotak penalti di atas padang bola. Sumber: DAILY MIRROR


MH370: APMM Dihantar Ke Lokasi Penemuan Objek
KUALA LUMPUR – Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pesawat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia(APMM) sudah dihantar ke lokasi penemuan objek besar yang dikesan satelit China di Laut China Selatan. “Pesawat Bombardier sudah dihantar ke lokasi berkenaan bagi menyiasat dakwaan objek besar yang dijumpai satelit China,” katanya menerusi akaun Twitternya. Langkah itu dibuat pada hari keenam operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370 yang hilang sejak Sabtu lalu ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan 239 orang di dalamnya. China berkata, pihaknya mengesan objek besar menerusi satelit yang ditemui pada Ahad lalu. – AFP

Tentera Udara Indonesia bantu jejak MH370
MAROS, Indonesia 13 Mac. - Pasukan tentera udara Indonesia yang berpangkalan di Pangkalan Udara Sultan Hasanuddin Makassar, di Selatan Sulawesi telah menggerakkan sejumlah anggotanya untuk menjejak pesawat Boeing 777-200ER milik Malaysia Airlines sejak empat hari lalu. Menurut laman portal berita Tribunnews.com, sejak pesawat MH370 didapati hilang pada Sabtu lalu, sejumlah anggota tentera udara Indonesia telah diarahkan untuk melakukan operasi mengesan dan menyelamat sejak Isnin lalu. Pasukan tersebut sehingga semalam telah bergerak dengan menggunakan pesawat peninjau, Boeing 737-200 dari Skuadron Udara 5 Wing 5 untuk menjalankan operasi mengesan dan mencari MH370. Komander Pangkalan Udara Indonesia, Laksamana Udara Dody Trisunu berkata, operasi yang dilakukan berdasar arahan yang diberi oleh pegawai atasan. Namun pihaknya masih menunggu maklumat dari Malaysia untuk menentukan kawasan operasi seterusnya dilakukan.

Gara-gara MH370 Vietnam tingkat kawalan keselamatan
HO CHI MINH CITY 14 Mac - Pihak pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa Tan Son Nhat di sini telah mengetatkan kawalan keselamatan di lapangan terbangnya dengan menambah alat pengesan letupan, meningkatkan jumlah kakitangan pengawal keselamatan dan melakukan pemeriksaan bagasi selepas ia diimbas. Langkah keselamatan itu dilakukan ekoran arahan yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan sejak Sabtu lalu apabila pesawat Malaysia Airlines MH370 dengan tiba-tiba hilang dari radar bersama 239 penumpang dan anak kapal. Pengarah lapangan terbang itu, Do Xuan Toan dilaporkan Agensi Berita Vietnam berkata, kawalan keselamatan telah dikuatkan di kedua-dua pintu di antara penerbangan domestik dan antarabangsa. Tahap keselamatan kini pada tahap tertinggi.


Vietnam gagal kesan objek terapung
PHU QUOC ISLAND, Vietnam 13 Mac - Pasukan mencari Vietnam melaporkan pihaknya tidak menemui sebarang serpihan atau bangkai pesawat ketika mereka memperluaskan kawasan mencari dan menyelamat di perairan di Laut China Selatan setelah satelit China mendakwa mengesan objek terapung di perairan itu, hari ini. Penyelaras Hal Ehwal Antarabangsa, Pentadbiran Penerbangan Awam Vietnam, Doan luu Van berkata, sebuah pesawat Jawatankuasa Mencari dan Menyelamat Vietnam telah dikerahkan ke kawasan yang ditunjukkan oleh imej satelit China tersebut pada pagi ini. Beliau berkata, jawatankuasa itu akan mengadakan satu lagi misi pemantauan di kawasan sama pada petang ini. Wartawan Reuters yang turut sama dalam operasi itu berkata, pesawat berkenaan beberapa kali berlegar-legar di kawasan tersebut di Laut China Selatan, namun tidak dapat mengesan sebarang objek. Beliau berkata, misi memantau oleh pesawat karga Antonov 26 itu berlangsung selama tiga jam. Perkara itu turut disahkan Ketua Pengarah Pentadbiran Penerbangan Awam China, Li Jiaxiang yang menyatakan objek tersebut tidak mempunyai kaitan dengan pesawat MH370. Pentadbiran Sains, Teknologi dan Industri Pertahanan Nasional China berkata, imej-imej satelit itu mengesan tiga objek terapung yang berada di kawasan yang dipercayai pesawat ‘Malaysia Airlines terhempas’. - REUTERS


China dilihat lebih terbuka
BEIJING 13 Mac - Para penganalisis melahirkan rasa terkejut dengan keterbukaan kerajaan China mendedahkan imej satelitnya yang didakwa serpihan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak awal Sabtu lalu. Menurut penganalisis, walaupun Beijing mengambil masa selama empat hari sebelum mendedahkan imej tersebut, tindakan itu dilihat berbeza dengan pendekatan sering berahsia China sebelum ini dalam hal berkaitan program angkasa lepas dan ketenteraannya. Pakar angkasa lepas bebas Australia, Morris Jones berkata, keterbukaan China dalam misi mencari dan menyelamat pesawat MH370 amat mengejutkan. “Imej satelit merupakan satu peralatan strategik yang mempunyai kaitan dengan aplikasi ketenteraan. “China biasanya sangat berhati-hati dalam mendedahkan sejauh mana kemampuan satelit mereka dan apa yang mereka boleh lihat," katanya kepada AFP. Jones berkata, imej sebenar yang dikeluarkan kerajaan China sebenarnya jauh lebih berkualiti berbanding yang didedahkan kepada media. Beliau dalam pada itu percaya, kualiti imej tersebut sengaja dikaburkan China bagi menyembunyikan keupayaan sebenar satelitnya. Semalam, Pentadbiran Sains, Teknologi dan Industri Pertahanan Negara China (SASTIND) mendedahkan tiga imej satelit didakwa objek terapung di Laut China Selatan yang mempunyai kaitan dengan kehilangan pesawat MH370. Imej-imej itu dirakam pada Ahad lalu dan persoalan timbul mengapa hanya semalam Beijing mendedahkan gambar berkenaan. - AFP

NASA kumpul data satelit bantu cari MH370
FlORIDA 14 Mac - Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) dilaporkan turut menghulurkan bantuan dalam usaha mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines MH370 yang didapati hilang berhampiran Teluk Siam, enam hari lalu, semalam. Menurut laman web Space.com, NASA telah menggunakan satelitnya untuk mengumpul data dan imej dari sistem kamera kawalan jauhnya (ISERV) ke Stesen Angkasa Antarabangsa. “Sistem kamera ISERV NASA yang telah dilancar pada Julai 2012 ini, bagi memantau kawasan khusus bumi untuk tujuan analisis bencana dan kajian alam sekitar," kata agensi angkasa itu.


 Malaysia eksport RM1.53b kayu ke India
KUALA LUMPUR 13 Mac - Malaysia mengeksport RM1.53 bilion kayu dan produk kayu ke India pada tahun lalu dengan peningkatan sebanyak 3.7 peratus berbanding 2012. Pada tahun lalu juga, kayu dan produk kayu menyumbang seba­nyak RM19.5 bilion kepada pendapatan tukaran asing negara. Nilai eksport itu sekali gus meletakkan India sebagai pasaran eksport kayu-kayan ketiga terbesar Malaysia selepas Jepun dan Amerika Syarikat (AS). Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perkayuan Malaysia (MTC), Datuk Yeo Heng Hau berkata, produk bernilai tambah seperti kayu kumai dan perabot mempunyai potensi yang baik dengan menyumbang RM170.4 juta daripada nilai eksport ke India pada 2013. “MTC telah mengambil pelbagai inisiatif untuk mempromosikan produk kayu Malaysia dalam pasaran India sejak tahun 2004," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Menurut beliau, pasaran pengguna India sedang mengalami perubahan besar ekoran pertambahan penduduk bagi kelas pertengahan dijangka berkembang kepada 41 peratus menjelang 2025. “Apabila kelas pertengahan bertambah, permintaan untuk perumahan juga akan bertambah dan ini merupakan petanda baik bagi produk kayu kayan kita," katanya. Beliau berkata, MTC dari semasa ke semasa sentiasa menjalankan promosi bagi memper­kenal dan meningkatkan kesedaran mengenai kayu-kayan dan produk kayu Malaysia termasuk perabot di India. Antaranya, penyertaan MTC pada Indiawood 2014 di Bangalore, India pada 24 hingga 25 Februari lalu. Pameran perdagangan terbesar itu menghimpunkan pelbagai syarikat dan agensi yang turut menawarkan pelbagai teknologi terkini dalam industri kayu. Pada pameran itu, katanya, MTC bersama tiga syarikat Malaysia iaitu Euraya Sdn. Bhd., Desa KL Enterprise Sdn. Bhd. dan I Maskayu Industries (M) Sdn. Bhd. yang merupakan pengeluar pintu-pintu kayu dan bingkai pintu menerima pesanan berjumlah RM1.2 juta.


Koperasi disaran wujudkan laman web perniagaan
RAUB 13 Mac - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyasarkan sekurang-kurangnya 300 koperasi di negara ini dalam mewujudkan laman web e-perniagaan pada tahun ini bagi memasarkan produk masing-­masing melalui internet. Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, langkah itu penting bagi meningkatkan ke­upayaan koperasi khususnya di luar bandar untuk bersaing dalam pasaran yang semakin mencabar. “Koperasi khususnya di luar bandar tidak boleh lagi mengabaikan internet kerana dalam zaman ledakan teknologi ini terdapat ba­nyak peluang boleh direbut. “Untuk itu Angkasa akan membantu dan membimbing koperasi ini memulakan perniagaan mereka di internet dengan memasarkan produk mereka secara online ke seluruh dunia," katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Koperasi Ulu Gali Maju Berhad di sini semalam. Yang turut hadir, Pengurus Koperasi Korporat Angkasa, Borhan Mat Aris dan Pengerusi Koperasi Ulu Gali Maju Bhd., Abd. Salam Bidi. Menurut Abdul Fattah, pihaknya akan melakukan pemantauan terhadap koperasi yang didaftarkan di bawah Angkasa seterusnya membantu mereka mewujudkan laman web e-perniagaan. Tambahnya, pihaknya juga akan memberikan khidmat nasihat dan latihan dari semasa ke semasa kepada koperasi yang terlibat. “Kita berharap semua koperasi di negara ini termasuk di luar bandar dapat merebut peluang ini bagi meningkatkan pendapatan mereka. “Semua ahli koperasi termasuk di luar bandar perlu bersedia dan melengkapkan diri dengan kemahiran teknologi maklumat yang sentiasa berubah bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam merebut pelbagai peluang," katanya. Sementara itu, beliau berkata, Angkasa akan terus mencari kaedah dan pendekatan terbaik bagi memajukan lagi koperasi di negara ini. Kata beliau, pihaknya juga akan mencari peluang-peluang baharu yang dapat meningkatkan pendapatan koperasi tersebut.

58 peratus pekerja Malaysia mahu bonus, gaji lebih tinggi
KUALA LUMPUR 13 Mac - Enjin cari­an pe­kerjaan, JobStreet.com mendedahkan l­ebih 58 peratus golongan pekerja di negara ini menjangkakan pembayaran bonus dan peningkatan gaji pada tahun ini. Dalam kaji selidik yang dijalankan, para pekerja percaya bahawa mereka telah memenuhi kriteria dan jangkaan majikan dalam menunjukkan prestasi kerja. Malah, kaji selidik itu turut menunjukkan para pekerja di luar negara telah mene­rima pembayaran bonus secara purata 1.7 bulan gaji. Di Malaysia, para pekerja menerima pembayaran bonus secara purata 1.5 bulan gaji. Malah, lebih menggembirakan apabila 30 peratus daripada majikan bersetuju untuk menawarkan bonus-bonus lebih tinggi kepada kakitangan masing-masing beri­kutan prestasi perniagaan yang semakin baik. “Syarikat-syarikat dalam industri elek­t­ronik, perakaunan/audit dan sektor hospitaliti berjanji akan membayar dua bulan bonus yang melebihi purata pembayaran kaji selidik. “Sektor kewangan, perbankan dan sektor sumber manusia telah menunjukkan bahawa mereka akan membayar bonus sebanyak empat bulan dan ke atas," menurut laporan JobStreet.com. JobStreet.com telah menjalankan kaji selidik tersebut pada Februari lalu melibatkan para pekerja dan majikan di negara ini mengenai pembayaran bonus dan peningkatan gaji pada 2014. Sejumlah 3,287 kakitangan dan 620 majikan telah mengambil bahagian dalam kaji selidik tersebut. Bercakap mengenai peningkatan gaji pekerja, kaji selidik itu menunjukkan 54 peratus daripada pekerja menjangkakan peningkatan gaji sekurang-kurangnya enam peratus pada tahun ini. Bagaimanapun, hasrat itu mungkin tidak dapat dicapai kerana para majikan hanya mampu membayar peningkatan gaji secara purata 5.5 peratus. Sektor perbankan merupakan satu-satunya sektor yang menunjukkan pening­katan gaji tertinggi di Malaysia dengan 10 peratus peningkatan.

Bomoh aib Malaysia
Kuala Lumpur: Kemunculan beberapa individu mendakwa mereka bomoh dengan melakukan pelbagai aksi selain ritual pelik kononnya untuk membantu menjejaki kehilangan pesawat MH370 Sabtu lalu, mengundang pelbagai persepsi negatif termasuk negara luar yang mengecam tindakan syirik dan tahyul berkenaan. Pelbagai media antarabangsa melapor cerita ‘Bomoh Kartun’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak beberapa hari lalu seperti mengaitkan amalan itu sebagai budaya negara ini. Media Arab, Al-Arabia turut melaporkan sihir adalah usaha terakhir rakyat Malaysia dalam menyelesaikan misteri kehilangan MH370. Bekas Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin turut menyelar dan menegur perbuatan pembomohan yang dilakukan kumpulan individu berkenaan memalukan Malaysia. Kata Mohd Asri, perbuatan bodoh, tahyul dan memalukan yang dilakukan kumpulan bomoh berkenaan memberikan imej buruk kepada masyarakat negara ini. “Pelbagai media antarabangsa melapor cerita ‘bomoh kartun’ di KLIA seakan mengaitkan itu dengan budaya kita. “Al-Arabiya ini turut melaporkan bahawa sihir adalah satu jalan yang diambil oleh rakyat Malaysia dalam kes MH370. “Justeru itu Islam melarang karut marut dan tahyul yang membawa kepada syirik, bodoh lagi menjatuhkan nilai diri sebagai manusia berakal,” katanya dalam akaun Facebooknya, DrMAZA.com petang semalam. Petikan status itu turut dimuat naik bersama lampiran laporan media Arab berkenaan yang mendapat perhatian pengguna Facebook. Harian Metro mendapati tidak sampai dua jam status itu dimuat naik ia mendapat reaksi orang ramai dengan lebih 12,000 likes, 1,400 pelbagai komen selain 3,600 berkongsi di laman Facebook masing-masing.

Polis siasat kes tembak pelajar Afrika
Shah Alam: Siasatan berhubung kejadian seorang anggota polis dari negeri ini yang menembak seorang pelajar warga Afrika di Mantin, Negeri Sembilan, 6 Mac lalu dijalankan sepenuhnya Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan. Sumber berkata, anggota polis yang ditahan sememangnya bertugas di Selangor, namun kejadian tembakan berlaku di Mantin dan ia di bawah kuasa siasatan polis negeri berkenaan. Beliau berkata, tindakan selanjutnya yang dikenakan ke atas anggota polis terbabit hanya diputuskan IPK Negeri Sembilan selepas siasatan lanjut dijalankan. “Apa saja tindakan lanjut berhubung kejadian itu hanya akan diputuskan IPK Negeri Sembilan,” katanya tanpa mahu mengulas lanjut mengenai penahanan suspek. Harian Metro sebelum ini melaporkan, seorang anggota polis berusia 24 tahun yang disyaki menembak mati seorang pelajar lelaki kolej swasta di sebuah blok Flat Seri Jasmin 3, Mantin, ditahan beberapa jam selepas kejadian.

Foto
Cari di Laut Andaman pula
PEGAWAI Tentera Udara Indonesia yang berpangkalan di Medan memeriksa peta bagi memastikan kelancaran operasi mencari yang dijalankan pasukan keselamatan negara berkenaan. Alor Setar: Operasi mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines MH370 di bahagian Barat Malaysia akan diperluaskan ke kawasan Laut Andaman sempadan Thailand-Myanmar bermula hari ini selepas usaha di sepanjang Selat Melaka tidak menunjukkan sebarang petanda pesawat malang berkenaan akan ditemui. Usaha mencari membabitkan pesawat dan kapal itu dilakukan dengan rapi di semua empat zon A, B, C dan D di sekitar laluan perkapalan paling sibuk dunia dalam usaha mengesan pesawat itu. Perkara itu disahkan sumber pihak berkuasa operasi mencari dan menyelamat (SAR) ketika dihubungi turut mengesahkan semua aset udara dan laut membabitkan milik pasukan penyelamat seperti Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Agensi Penguat kuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan pelbagai lagi akan mula digerakkan ke Laut Andaman. “Kami sudah melengkapkan pencarian di empat zon di sepanjang Selat Melaka kira-kira jam 4 petang hari ini (semalam), tetapi tidak menemui sebarang petanda. “Jadi, kita akan teruskan pencarian ke kawasan utara yang kita namakan sebagai Zon E di Laut Andaman,” katanya, di sini, semalam.

PM seru rakyat bersatu hati usaha cari pesawat
Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak mengajak rakyat Malaysia bersatu hati dan bersama menyokong segala usaha habis-habisan yang dilakukan untuk mengesan pesawat Penerbangan Malaysia MH370 yang hilang sejak Sabtu. “Kita kena bersama-sama dengan segala usaha yang dilakukan kerajaan, bersatu hati dan berdoa. “Mudah-mudahan Insya-Allah apa yang kita harapkan sesuatu pengetahuan yang boleh menutup isu ini sama sekali akan dapat kita kesan tidak berapa lama lagi,” kata Perdana Menteri ketika ditemu bual stesen televisyen AlHijrah semalam. Najib mengingatkan bahawa bagi umat Islam, mereka diajar menerima hakikat bahawa Allah menentukan segala-galanya, dan perlu menerima qada dan qadar Ilahi. “Kita perlu menghadapi ujian besar Allah ini dengan penuh ketenangan, kita mesti berusaha sedaya upaya kita, dengan segala kemampuan dan kekuatan yang ada pada kita. “Ini yang sedang diusahakan habis-habisan oleh kerajaan,” katanya. Najib berkata, walaupun dengan segala kecanggihan teknologi yang ada, akhirnya umat Islam perlu menerima bahawa mereka hanyalah manusia biasa yang lemah dan kerdil. “Sememangnya pesawat Boeing 777 antara yang paling canggih yang ada track record amat baik. Kita mempunyai segala pengalaman dalam pengendalian pesawat ini, tapi akhirnya kita kena terimalah, kita ini manusia biasa (yang) lemah dan kerdil, kepada Allah juga kita berserah,” katanya. Perdana Menteri berkata, beliau juga amat memahami perasaan keluarga penumpang dan krew pesawat berkenaan yang tidak akan berpuas hati melainkan mereka mendapat perkhabaran yang tepat mengenai nasib orang tersayang. “Keluarga yang terlibat juga perlu sedar ini satu kejadian tak diduga sama sekali dan kita kena faham segala usaha dilakukan dan secara bersungguh-sungguh. “Macam mana pun sebagai orang Islam, kita kena terima hakikat bahawa Allah yang menentukan segala-galanya. Ujian Allah ini, ketika kita sedang senang dan mewah pun diuji, ketika kita menghadapi musibah pun kita diuji,” katanya. Najib menegaskan bahawa kerajaan dengan bantuan sembilan negara dan berbekalkan peralatan yang canggih, bertungkus-lumus dalam usaha mengesan pesawat berkenaan. “Kerajaan lakukan segala-galanya (termasuk) tambah aset, pesawat dan kapal dengan peralatan canggih, dengan sonar dan sebagainya dan mudah-mudahan saya yakin Insya-Allah lambat laun kita akan jumpa juga,” - BERNAMA

8 didakwa hari ini
Balik Pulau: Polis sudah melengkapkan kertas siasatan berhubung penahanan lapan kakitangan sebuah institusi kewangan negeri ini yang disyaki mencuri wang RM300,000 di sebuah bilik pemprosesan mata wang di Bank Negara Malaysia (BNM) di Lebuh Light, di sini, kelmarin. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, keterangan berhubung kejadian sudah selesai diambil daripada lapan suspek termasuk seorang wanita berusia antara 26 dan 34 tahun bagi membantu siasatan. Beliau berkata, kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya sebelum semua tertuduh dijangka didakwa di mahkamah, hari ini. “Polis sudah memiliki keterangan kukuh untuk menghadapkan semua suspek ke mahkamah dan butiran mengenai wang yang dicuri mereka dan sehingga kini tiada tangkapan terbaru dilakukan . “Polis juga sudah mengetahui di mana lokasi wang itu berada dan cara ia digunakan memandangkan semua suspek mengaku terbabit dalam kes mencuri wang bernilai RM300,000 sejak September tahun lalu sebelum terbongkar dan disedari baru-baru ini,” katanya ketika ditemui media ketika mengadakan program High Profile Policing di daerah Barat Daya, di sini, semalam. Mazlan berkata, semua wang yang dicuri itu dipercayai digunakan suspek untuk perbelanjaan peribadi termasuk membayar hutang.

Gadis lari dari rumah diperkosa abang angkat
Arau: Seorang gadis berusia 16 tahun menjadi mangsa rogol seorang lelaki berusia 40 tahun selepas terpedaya dengan taktik suspek mahu menjadikannya adik angkat dalam kejadian pada Isnin lalu. Kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam ketika mangsa yang lari dari rumah tinggal bersama lelaki itu sebelum dirogol suspek di sebuah rumah di Kampung Kebun, di sini. Difahamkan, mangsa tinggal bersama lelaki itu sejak dua minggu lalu dan sudah tidak bersekolah. Ketua Polis Daerah Superintendan Mohd Nadzri Hussain ketika dihubungi berkata, pada malam kejadian mangsa mendakwa dipaksa oleh suspek untuk melakukan hubungan seks dengannya tetapi ditolak oleh gadis terbabit. “Bagaimanapun, mangsa terus dipaksa suspek sebelum dirogol beberapa kali. Gadis terbabit kemudian membuat laporan di Balai Polis Arau berhubung kejadian pada keesokan harinya sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk pemeriksaan. “Pihak polis berjaya menahan lelaki berkenaan semalam (kelmarin) untuk siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya.

Gula-gula untuk cucu bertaburan atas jalan, Atuk kemalangan
Kuala Terengganu: Hasrat datuk menggembirakan cucunya dengan menghadiahkan gula-gula tidak kesampaian apabila manisan berkenaan bertaburan di atas jalan selepas motosikal ditungganginya terbabit dalam kemalangan yang turut meragut nyawanya, kelmarin. Kejadian berlaku ketika mangsa, Abd Rahman Mohamad, 58, dari Taman Permint Perdana, Seberang Takir, di sini, membuat pusingan ‘U’ di Kilometer 6, Jalan Kuala Terengganu-Manir berhampiran Kampung Seberang Baroh Kiri sebelum dirempuh pikap Toyota Hilux dalam perjalanan dari arah Kampung Durian Burong, di sini menghala ke bandar raya ini, jam 6 petang. Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak ke longkang berhampiran tempat kejadian manakala motosikalnya terseret sejauh 10 meter sebelum bahagian depan kenderaan Honda Fame itu terperosok di bawah kereta diletakkan di tepi jalan di kawasan berkenaan. Mangsa yang bekerja sebagai pemandu trak penunda mengalami kecederaan dalaman yang teruk selain remuk kaki kiri. Sebaik dinaikkan daripada longkang, anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) segera memberikan pertolongan cemas bagi menyelamatkan mangsa, namun gagal. Saksi yang enggan dikenali berkata, sebelum kejadian, mangsa seperti biasa dan bergurau senda dengan rakan ketika minum di sebuah kedai makan di Kampung Durian Burong, kira-kira 200 meter dari tempat kejadian. “Saya sungguh tidak menyangka arwah sudah tiada kerana baru sebentar tadi kami bersembang di kedai kopi dan arwah yang mesra dengan panggilan Pak Bakar gembira ketika bercerita,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian. Isteri mangsa, Sofiah Jusoh, 58, yang tiba di tempat kejadian tidak dapat menahan sedih dan hampir pengsan sebaik melihat suami terbujur kaku dan ditenangkan anggota JPAM. Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini untuk dibedah siasat.

Lelaki ditemui mati dalam hotel
Lelaki ditemui mati dalam hotel
Alor Setar: “Sebaik masuk ke dalam bilik, saya terkejut melihat mangsa telentang kaku di atas katil dengan separuh badannya daripada pinggang ke atas berselimut. “Saya pelik lalu memanggil pengawal keselamatan membuat pemeriksaan dan mendapati mangsa meninggal dunia,” kata saksi kejadian yang enggan dikenali. Dalam kejadian pada jam 1.30 tengah hari semalam, mayat lelaki berusia 60-an ditemui dengan kaki terikat tali kasut selain terdapat kesan jerutan pada leher di hotel, di sini. Menurut wanita terbabit, sebelum kejadian dia ditugaskan mengemas bilik mangsa yang sepatutnya mendaftar keluar pada jam 12 tengah hari. Katanya, sebaik membuka pintu bilik, dia melihat mangsa dalam keadaan mencurigakan dan memaklumkan kejadian itu kepada pengawal keselamatan bertugas. Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Asisten Komisioner Nashir Ya berkata, pemeriksaan awal mendapati mangsa beralamat terakhir di Kuala Lumpur dan mendaftar masuk ke hotel berkenaan sejak petang kelmarin sebelum mendaftar keluar tengah hari semalam. Katanya, polis juga masih menyiasat butiran diri mangsa kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui selain meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) hotel itu bagi mengenal pasti punca sebenar kematiannya. Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat.

Kaki mabuk cekik isteri
Shah Alam: Akibat sering berleter kerana tidak tahan dengan tabiat suaminya yang kaki mabuk selain sering bertengkar, seorang wanita ditemui mati selepas dia dipercayai dicekik suaminya dalam satu kejadian di Seksyen 7, di sini, awal pagi semalam. Kejadian dipercayai berlaku pada jam 4.30 pagi apabila mangsa yang juga wanita warga Indonesia berusia 43 tahun pada mulanya dikatakan ditemui tidak sedarkan diri dalam tandas rumah oleh lelaki berkenaan. Sumber berkata, bimbang melihat isterinya tidak bernyawa, suami mangsa berusia 46 tahun itu menghubungi ambulans untuk membawa isterinya ke hospital. “Hasil siasatan lanjut dan berdasarkan keterangan yang diberikan suspek, polis mendapati ia hanya satu rekaan kerana anak pasangan itu mendengar ibu bapanya mereka bertengkar beberapa jam sebelum kejadian. “Bedah siasat yang dijalankan pegawai perubatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang mendapati mangsa mati akibat kegagalan bernafas dipercayai dicekik suspek memandangkan keadaan wajah wanita itu yang kebiruan,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Azisman Alias mengesahkan kejadian dan penahanan suspek.

Foto
Warga emas diculik penyamun
MANGSA samun melakonkan semula insiden diheret ke dalam kereta. Kota Bharu: “Saya hanya mampu berdoa supaya dilepaskan kerana terlalu takut apabila seorang daripada penyamun mengugut mahu membunuh saya jika terus menjerit,” kata Mek Som Che Ali, 59, yang menjadi mangsa samun dan dilarikan di hadapan rumahnya di Kampung Dendang dekat Ketereh, di sini, kelmarin. Akibat kejadian jam 10.15 pagi itu, Mek Som kerugian RM3,500 apabila gelang tangan emas direntap penyamun, selain lebam di pipi kiri akibat ditumbuk dan leher dicengkam ketika dilarikan. Menurutnya, sebelum kejadian, dia menyapu sampah di halaman rumah manakala suaminya berada di dalam rumah kerana terlantar akibat penyakit angin ahmar sebelum tiba-tiba didatangi tiga lelaki yang keluar dari kereta Honda Civic. “Selepas bertanyakan sesuatu, mereka menarik tangan saya dan memaksa masuk ke dalam kereta. “Saya meronta-ronta untuk melepaskan diri tetapi tak mampu melawan kudrat semua lelaki berkenaan yang masih muda. “Malah, kereta juga dipecut laju walaupun ketika itu sebelah kaki saya masih di luar kereta. Saya ditinggalkan di lorong belakang kedai di pekan Ketereh, di sini, sebelum seorang pemuda membantu menghantar saya ke rumah,” katanya. Mek Som berkata, dia trauma dengan apa yang berlaku apatah lagi ketika kejadian, tiada sesiapa yang menghulurkan bantuan. “Hanya ada peniaga daging di tepi jalan dan kedai barangan pertukangan yang buka, namun tiada yang berani membantu kerana bimbang mereka mempunyai senjata tajam,” katanya. Dalam pada itu, saksi kejadian, Azizan Mukhtar, 32, berkata, dia menghubungi polis selepas terdengar jeritan Mek Som yang ketika itu diseret ke dalam kenderaan berkenaan. “Saya memasang bumbung di rumah sebelah rumah Mek Som dan terlihat kereta dinaiki lelaki berkenaan berlegar-legar di hadapan rumahnya,” katanya. Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu Superintendan Idris Abd Rafar mengesahkan menerima laporan.

Kehebatan teknologi Ilahi tiada tandingan
Mana yang lebih hebat, sains atau teknologi manusia atau teknologi Tuhan? Bagi Stephen Hawking, seorang ahli fizik dari Universiti Cambridge, jawapannya jelas. Sains mengatasi segala-galanya. Dalam satu ceramahnya bertajuk ‘Origin of the Universe’ di California pada April 2013, beliau berkata, kejadian alam semesta ini tidak memerlukan Tuhan, kerana Dia tidak berperanan dalam ciptaan alam semesta dan pengurusannya. Kepercayaan ini juga dipegang oleh Richard Dawkins, seorang ateis yang tidak percaya pada agama dan Tuhan (lihat The God Delusion, 2006). Beliau dengan angkuhnya mendakwa kepercayaan pada agama menjadikan manusia dungu kerana agama mematikan kreativiti akal manusia. Islam tidak menolak sains dan teknologi. Pada pandangan Islam, fenomena sains selari dengan sunnatullah atau ‘law of nature’ iaitu ketetapan yang dianugerahkan oleh Allah SWT pada setiap ciptaan-Nya. Api membakar, air dapat menghilangkan dahaga, angin kering sifatnya dan sebagainya. Sunnatullah ini dijelaskan dalam al-Quran seperti firman Allah ‘dan matahari berjalan di tempat peredarannya. Demikianlah ketetapan Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui.’ (Yasin: 38). Manusia pula dilantik oleh Allah sebagai khalifah-Nya dan dia diberi kapasiti ‘taskhir’ iaitu keistimewaan untuk mengurus, mentadbir, memanfaat dan memakmurkan alam ini dengan sebaik mungkin, supaya kelangsungan alam ini dapat dikekalkan. Kerja mengurus ini pula satu ibadah pada-Nya, bila ia dilakukan mengikut tuntutan dan peraturan-Nya. Indah tiada tara Jadi, ini bermakna selain kuasa teknologi yang diciptakan manusia, kita juga beriman bahawa terdapat satu lagi teknologi dan kuasa ‘quwwah’ yang lebih lebat daripada teknologi manusia, iaitu teknologi Allah atau teknologi Ilahi. Kehebatan teknologi Ilahi dapat dilihat dengan jelas dalam alam ini. Bagaimana alam semesta ini diciptakan dengan penuh keindahan dan ia diurus dengan baik, penuh dengan keseimbangan, harmoni, tersusun dan terurus dengan baik tanpa konflik dan ketidakseimbangan atau ‘disharmony’. Keharmonian ini menunjukkan alam semesta taat dan patuh pada Allah. Maknanya, mereka juga beribadat pada Allah dengan cara mereka tersendiri. Kehebatan teknologi Allah dalam aspek ini dikenali dalam ilmu tauhid sebagai manifestasi sifat al-Jamal iaitu keindahan yang tidak ada taranya. Kehebatan teknologi Ilahi juga dapat dilihat hasil manifestasi sifat al-Jalal-Nya. Iaitu kuasa musnah-Nya. Tadi kita lihat daripada aspek kuasa jadi-Nya atau ‘the power of making’. Allah juga mempunyai kuasa musnah atau ‘the power of destruction’ yang dapat dilihat daripada fenomena kejadian letusan gunung berapi, gempa bumi, ribut, tsunami dan sebagainya. Bila Allah menggunakan kuasa teknologi al-Jalal-Nya, seluruh kekuatan teknologi manusia menjadi tidak berguna. Sesungguhnya, kekuatan teknologi Allah mengatasi segala kehebatan teknologi manusia. Api jadi sejuk Lihat bagaimana teknologi Allah dapat menyelamatkan Nabi Ibrahim AS daripada api yang marak membakar seperti dijelaskan dalam al-Quran ‘Hai api, jadikanlah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim.’ (al-Anbiya: 96). Teknologi Ilahi juga berlaku pada Nabi Muhammad SAW ketika baginda mengembara ketika Israk dan Mikraj dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis dan menghadap Hadrat Ilahi di Sidratul Muntaha, dan baginda berpatah balik ke Makkah pada malam yang sama. Sedangkan mengikut perkiraan, untuk sampai ke Jerusalam akan mengambil masa tiga bulan pada masa itu. Tapi dengan teknologi Ilahi, ia boleh berlaku dalam satu malam saja. Dengan teknologi Ilahi juga, Nabi Musa diberi mukjizat membelah lautan untuk menyelamatkan diri dan kaumnya daripada kezaliman Firaun. Begitu juga dalam fenomena lain. Semestinya, kehebatan teknologi Ilahi ini manifestasi ilmu-Nya yang meliputi segala sesuatu. Ilmu-Nya tidak tertakluk pada masa seperti manusia. Dia mengetahui perkara yang lalu, sedang berlaku dan akan berlaku dengan jelas. Tidak ada satu perkara pun yang terlindung daripada pengetahuan-Nya. Firman Allah ‘Dialah Yang Awal dan Yang Akhir Yang Zahir dan Yang Batin dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu.’ (al-Hadid: 3). Dalam ayat lain, Allah berfirman ‘Ingatlah! Sesungguhnya Allah Maha Meliputi pengetahuan-Nya akan tiap-tiap sesuatu.’ (al-Fussilat: 54). Bahkan teknologi Ilahi dapat mengetahui perkara yang tersembunyi dalam hati manusia ‘Katakanlah wahai Muhammad, Jika kamu sembunyikan apa yang ada dalam dada kamu atau kamu melahirkannya, nescaya Allah mengetahui; dan Dia mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.’ (al-Imran: 29). Jelas, bahawa teknologi ciptaan manusia ‘insaniyyah’ ini ada hadnya. Kesedaran kehebatan teknologi Ilahi ini akan menimbulkan rasa keinsafan dalam jiwa insan dan mengukuhkan lagi keimanan dan akidahnya pada Yang Maha Esa seperti disebutkan dalam al-Quran ‘Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah bagi orang-orang yang berakal. Iaitu orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah ketika mereka berdiri dan duduk dan ketika mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan kejadian langit dan bumi sambil berkata: ‘Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.’ (al-Imran: 190-191) Kehebatan teknologi Ilahi ini juga dapat dilihat dalam kejadian kehilangan pesawat MH370 pada 9 Mac baru-baru ini. Sudah masuk hari keenam, ia masih belum ditemui. Pakar penerbangan berpendapat tidak mungkin pesawat secanggih itu boleh hilang begitu saja. Dari segi teorinya, ia satu perkara yang mustahil. Jadi dengan izin Allah Hakikatnya, itu yang terjadi dengan izin Allah. Bahkan dengan teknologi yang ‘advanced’ datang daripada pelbagai negara, termasuk Amerika Syarikat, pesawat MH370 masih belum ditemui, walaupun usaha mencari dilakukan dari udara, darat dan lautan. Ini jelas, kepercayaan Hawking mengenai kehebatan sains dan teknologi itu ada hadnya. Ia bukan segala-galanya. Bahkan, kehebatan teknologi manusia menjadi tidak bermakna apabila berhadapan dengan teknologi Ilahi dan takdir-Nya. Sebagai insan yang beriman pada Allah dan Rasul-Nya, kita perlu berdoa pada Allah dan terus berusaha. Dan ingatlah bahawa Dialah yang mempunyai kuasa atas segala sesuatu. ‘Lahaula wala quwwata illa billah’ tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah. Marilah kita sama-sama berdoa semoga pesawat MH370 ditemui secepat mungkin. Wallahu’alam.

Polis tentera iring bas maut
Kaherah: Lelaki bersenjata menaiki motosikal membunuh seorang anggota polis tentera dan mencederakan tiga yang lain dalam satu serangan menyasarkan sebuah bas tentera, semalam. Pegawai keselamatan berkata, serangan siang hari itu berlaku di kejiranan Amireya di timur bandar raya ini. Serangan itu sekali lagi didakwa dilakukan Ikhwanul Muslimin yang dilabel pengganas walaupun kumpulan itu berkali-kali mengecam sebarang serangan terhadap pasukan keselamatan. Kumpulan Ansar Beit al-Maqdis yang dipercayai ada kaitan dengan al-Qaeda mengakui bertanggungjawab ke atas kebanyakan serangan yang menyasarkan tentera sejak Presiden Mohamed Mursi digulingkan pada Julai tahun lalu. - AFP

Foto
Selatan Israel dihujani roket
Gaza: Pejuang Palestin di Gaza semalam melancarkan serangan roket tehadap selatan Israel selepas pesawat rejim Zionis itu mengebom wilayah berkenaan itu. Serangan Palestin itu menyebabkan ribuan penduduk Israel bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri. Ia dianggap serangan terbesar pejuang Palestin sejak November 2012 yang menyebabkan pertempuran lapan hari antara Israel dan Hamas. Bagaimanapun, tiada kecederaan dialami mana-mana pihak dalam serangan terbaru itu, malah sekolah turut beroperasi seperti biasa. Jurucakap tentera Israel berkata, pejuang Palestin melepaskan lima roket, namun hanya satu mengenai kawasan milik Israel tanpa menyebabkan sebarang kecederaan atau kerosakan. Menurutnya, lebih 60 roket dibedil menyasarkan selatan Israel sejak rejim itu melancarkan serangan Rabu lalu, malah lima daripadanya mengenai kawasan yang berpenduduk. Terdahulu, pesawat Israel mengebom 29 sasaran di Gaza, termasuk pangkalan digunakan pejuang Hamas dan sayap bersenjata Jihad Islam, Briged Quds. Jihad Islam mengakui bertanggungjawab bagi semua serangan roket berkenaan. Jurucakap Presiden Mahmoud Abbas, Nabil Abu Rudeina berkata, serangan udara Israel yang bermula sekitar jam 8.30 malam (waktu tempatan) menimbulkan kemarahan pemimpin Palestin itu yang menuntut Israel berhenti menyerang Semenanjung Gaza. Menjelang petang semalam, Jihad Islam mendakwa sudah melepaskan sekurang-kurangnya 90 roket terhadap Israel. Tindakan itu bagi membalas serangan udara Israel Selasa lalu yang mengakibatkan tiga pejuang maut di Gaza.- AFP

Foto
Russia pamer kekuatan tentera
Moscow: Russia semalam meningkatkan latihan unit kereta kebal, artileri dan infantri di tiga wilayah berhampiran sempadan Ukraine. Tindakan itu menyusuli latihan ribuan anggota pasukan payung terjun yang turut diadakan berhampiran sempadan negara jirannya itu. Pada masa sama kumpulan bersenjata Russia dilihat membuat rondaan di Crimea yang bakal mengadakan pungutan suara Ahad ini untuk menentukan sama ada wilayah itu akan menyertainya, Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan mengesahkan perkara itu. “Latihan dilakukan di wilayah Rostov, Belgorod dan Kursk. “Tujuan utamanya adalah untuk memastikan semua unit beroperasi dengan baik. Ini termasuk bagi menghadapi peperangan di kawasan asing,” kata kenyataan itu. Menurutnya, latihan akan diteruskan sehingga akhir Mac, Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyatakan jumlah tentera terbabit, Namun, satu sumber berkata, ia membabitkan puluhan ribu tentera. Sementara itu, dalam latihan berasingan, 4,000 anggota pasukan payung terjun memulakan latihan di wilayah Rostov semalam yang dijangka diteruskan sehingga hari ini, mengikut laporan agensi berita ITAR-TASS. Televisyen kebangsaan Russia menyiarkan rakaman ratusan anggota payung terjun melakukan latihan di ruang udara negara itu. Timbalan Menteri Pertahanan Anatoly Antonov sebelum ini dilaporkan berkata, Moscow membenarkan permintaan Ukraine untuk sebuah pesawatnya meninjau kawasan sempadan kedua-dua negara berkenaan. Sementara itu, ahli parlimen Russia Leonid Slutsky mengesahkan kumpulan bersenjata di Crimea adalah anggota tentera Russia yang dihantar mengawal keadaan menjelang pungutan suara Ahad ini. “Mereka diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dan bersedia menangani sebarang tentangan bersenjata dari Kiev,” katanya.- AFP

Empat perogol dihukum mati
New Delhi: Mahkamah di sini semalam mengekalkan hukuman mati yang dijatuhkan sebuah mahkamah rendah ke atas empat lelaki yang didapati bersalah merogol dan membunuh seorang wanita di dalam bas yang sedang bergerak pada 2012. Sebuah mahkamah khas menjatuhkan hukuman itu pada September lalu dengan berkata jenayah seperti itu sangat jarang berlaku dan wajar menerima hukuman mati. Mahkamah Tinggi Delhi mengenepikan rayuan yang difailkan tertuduh dan berkata ia bersetuju dengan hukuman yang dijatuhkan mahkamah rendah. Dalam kes berkenaan, seorang pelajar perubatan berusia 23 tahun pulang dari menonton wayang bersama rakannya sebelum diperdaya kumpulan lelaki itu untuk menaiki bas terbabit. Mereka kemudian memukul rakan mangsa sebelum merogol mangsa. Mangsa juga disula dengan batang besi mengakibatkan kecederaan teruk hingga menyebabkan dia mati dua minggu kemudian. Jenayah seksual yang kejam pada Disember 2012 itu menimbulkan kemarahan orang ramai hingga mencetuskan keganasan dan bantahan di seluruh negara. - Reuters

Mayat wanita terbelah dua
Melbourne: Mayat seorang wanita yang terbelah dua ditemui di dua tingkat tempat letak kereta sebuah hotel di Australia semalam. Polis dipanggil ke Bayview On The Park Hotel di Melbourne selepas pekerja pembersihan menemui bahagian bawah badan mayat wanita berkenaan di tingkat bawah tempat letak kenderaan pada jam 5 pagi semalam. Bahagian atas badan mayat wanita berkenaan kemudiannya ditemui di tingkat satu tempat letak kereta itu. “Saya terkedu ketika menemui mayat itu. Saya dan kebanyakan kakitangan menggigil. Kami tidak pernah melihat kejadian seperti itu,” kata pengurus hotel itu, Mathew D'Rozario Mathew berkata mayat wanita itu kelihatan seperti berumur antara 25 hingga 30 tahun dan mempunyai “penampilan Asia”. Polis yang tiba kira-kira jam 6.30 pagi menutup kawasan itu bagi menjalankan siasatan. Jurucakap polis Victoria berkata, tiada keadaan yang mencurigakan mengenai kematian wanita itu. - Agensi

Foto
Pengikut simpan mayat guru
Chandigarh, India: Seorang lelaki yang dianggap alim dan diisytiharkan meninggal dunia enam minggu lalu disimpan dalam peti sejuk beku di Punjab apabila pengikutnya yakin dia akan kembali untuk memimpin mereka. Jurucakapnya Swami Vishalanand berkata, Ashutosh Maharaj yang diistyiharkan mati secara klinikal pada 29 Januari lalu, disimpan dalam peti sejuk itu dengan dijaga pengikutnya. Maharaj yang dipercayai berusia lewat 70-an mengetuai kumpulan Divya Jyoti Jagrati Sansthan dan dikatakan mempunyai jutaan pengikut di seluruh dunia. Menurut Vishalanand, ketua mereka itu tidak mati, sebaliknya dalam keadaan dikenali sebagai ‘samadhi’ iaitu peringkat tertinggi meditasi dan sebenarnya masih dalam keadaan sedar. Menurutnya, pengikutnya kini setia menunggu Maharaj mengakhiri tempoh meditasinya itu. Sehingga waktu itu, ashram yang terletak di bandar Nurmahal akan tetap dibuka dengan pengikut Maharaj meneruskan amalan dan meditasi mereka sendiri. “Mahara-ji masih menghantar pelbagai pesanan melalui pengikutnya yang berada dalam keadaan meditasi. “Pesanannya adalah supaya mereka menjaga dan memelihara badannya sehingga tiba masa untuk dia kembali kepada kami,” katanya. Bagaimanapun, isu itu sudah menjadi kes mahkamah apabila bekas pemandu Maharaj memfailkan permohonan membantahnya kerana mendakwa pengikutnya enggan melepaskan mayat itu kerana mahukan sebahagian daripada hartanya. Namun permohonan itu ditolak mahkamah selepas menerima maklumat daripada pihak berkuasa termasuk hospital yang mengesahkan Maharaj sudah meninggal dunia akibat serangan jantung, kata wakil pejabat peguam daerah Punjab Reeta Kohli. - AFP

Cubaan rompak ATM gagal
Port Dickson: Polis menggagalkan cubaan penjenayah memecahkan mesin juruwang automatik (ATM) di depan sebuah hotel di sini, hasil maklumat awam awal pagi tadi. Kejadian pada jam 3.12 pagi itu, polis yang sampai ke lokasi dengan dua anggota pada jam 3.16 pagi, namun penjenayah sempat melarikan diri dengan meninggalkan pelbagai peralatan termasuk alat pemotong besi dan lampu suluh yang masih menyala dan sebuah kereta yang digunakan di kawasan hotel. Ketua Polis Daerah Superintendan Abd Wahab Harun berkata, dua penjenayah dipercayai masih menyembunyikan diri di kawasan berdekatan dan polis sedang mengesan mereka.

131 sekolah di Klang ditutup esok
SHAH ALAM: Jabatan Pelajaran Selangor mengarahkan semua 131 sekolah di daerah Klang ditutup serta-merta esok berikutan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan bacaan 241 iaitu kategori sangat tidak sihat, hari ini. Pengarah Pelajaran Negeri, Datuk Mahmud Karim ketika dihubungi berkata arahan telah dikeluarkan oleh pihaknya kepada Pejabat Pendidikan Daerah Klang berdasarkan pemantauan paras jerebu di negeri itu. Beliau berkata, tempoh penutupan sekolah tersebut akan bergantung kepada tahap bacaan IPU di kawasan itu dan pembukaan semula sekolah di daerah itu akan diumumkan kelak. Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS), bacaan IPU pada jam 6 petang tadi menunjukkan Pelabuhan Klang merekodkan bacaan 241 iaitu kategori sangat tidak sihat. - Bernama

MAS Tukar Tempat Keluarga Mangsa MH370
KUALA LUMPUR – Semua ahli keluarga penumpang dan krew pesawat penerbangan MH370 tidak lagi ditempatkan di Anjung Tinjau Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dalam satu kenyataan media memberitahu, kesemua waris keluarga mangsa pesawat itu kini ditempatkan di lokasi yang ditetapkan oleh Malaysia Airlines (MAS). “MAHB ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa lokasi Anjung Tinjau di Aras 5 KLIA tidak lagi digunakan sebagai pusat ahli keluarga dan `holdings area’ untuk MH370. “Keluarga mereka kini ditempatkan di lokasi-lokasi yang ditetapkan,” kata kenyataan itu hari ini. Anjung Tinjau KLIA menjadi tempat berkumpul keluarga serta waris keluarga mangsa pesawat MH307 yang dilaporkan hilang sejak kejadian itu berlaku. MAHB dalam pada itu meminta orang ramai yang mahu bersolat supaya berbuat demikian di tempat yang sewajarnya seperti di masjid atau tempat ibadah yang terdapat di KLIA.


Bekalan Air Bersih Di Lembah Klang Kritikal
PETALING JAYA – Paras air empangan terbesar di Selangor iaitu Empangan Sungai Selangor berada di kedudukan kritikal apabila kapasiti yang boleh disalurkan hanya tinggal 40.53 peratus mengikut paras air yang direkodkan pada pukul 8 pagi Khamis. Menurut Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Empangan Sungai Selangor menyalurkan air bersih kepada 60 peratus pengguna di Lembah Klang dan 7.1 juta penduduk orang Selangor. Kadar air di empangan itu yang semakin menurun dilihat konsisten dengan kenyataan kerajaan Selangor pada awal Februari yang mengatakan air di empangan berkenaan berkurangan sebanyak 0.4 peratus setiap hari disebabkan cuaca panas terik dan kekurangan hujan. Empangan lain di Selangor yang turut merekodkan kedudukan paras air membimbangkan ialah Empangan Batu (90,72 peratus), Langat (61.53 peratus), Semenyih (77.49 peratus) , Sg Tinggi (71.22 peratus) dan Tasik Subang (91.63 peratus). Akhbar berbahasa Inggeris, The Star sebelum ini melaporkan paras air di empangan akan dianggap kritikal jika berada dibawah 40 peratus. Walau bagaimanapun, Pengarah LUAS Md Khairi Selamat, menolak dakwaan tersebut kerana kadar air di empangan dianggap kritikal apabila berada dibawah paras 30 peratus. “Jika keadaan seperti ini berterusan iaitu tiada hujan, kita hanya mempunyai masa selama 30 hari sebelum air di Empangan Sungai Selangor mencapai paras kritikal. Kekurangan sumber air bersih di Selangor telah membawa angkah catuan air bagi bulan Mac. Proses catuan air kini melalui fasa ketiga dan menurut Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) tindakan itu telah menjejaskan 722,032 isi rumah atau kira-kira 3.6 juta orang. Misi pembenihan awam juga kini tertangguh gara-gara pasukan keselamatan dan pesawat digunakan untuk mencari penerbangan MH370 yang dilaporkan hilang dari radar. Sementara itu di Johor, beribu-ribu keluarga bakal bergantung kepada lori tangki bagi mendapatkan air bersih. Menurut SPAN, loji rawatan air di Sembrong Timur hanya mampu menghasilkan kurang daripada 0.4 juta liter air terawat sehari, berbanding dengan 31 juta liter yang digunakan di seluruh negeri berkenaan. Keadaan paras air yang kritikal turut direkodkan di Mersing iaitu di empangan Empangan Congok. Berikutan itu, catuan air terpaksa dikenakan di Mersing, Kulaijaya dan Kota Tinggi bermula 17 hingga 31 Mac. – mStar Online


Bomoh ‘Do Re Mi’ Tidak Diupah Oleh BN – Shahidan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim menafikan kerajaan mengupah ‘Raja Bomoh Sedunia Nujum VIP’ yang muncul di KLIA untuk ‘membantu’ mencari pesawat MH370 yang hilang dalam perjalanan ke Beijing. “Tentang bomoh tadi, saya percaya tidak dibuat oleh Umno, oleh BN dan tidak dibuat oleh mana-mana agensi kerajaan kerana cara perlakuan bomoh itu. “Pertama, dibuat di tempat orang ramai. Dia pakai pakaian macam cerita (P Ramlee, Laksamana) Do Re Mi. “Jadi bayangkan, takkan kita nak buat macam itu,” katanya sewaktu menjawab soalan wartawan. Beliau diminta mengulas gesaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar siasatan dilakukan untuk mengetahui siapa yang menjemput bomoh tersebut. – Malaysiakini.com

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
PDRM tempatkan 3,000 anggota pantau PRK Kajang
KUALA LUMPUR - Polis DiRaja Malaysia (PDRM) akan menempatkan seramai 3,000 anggota dan pegawainya sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kajang kali ini. Menteri Dalam Negeri, Datuk Zahid Hamidi berkata, daripada jumlah itu, pihaknya akan menempatkan lebih ramai pegawai trafik bagi menyuraikan kesesakan lalu lintas di Kajang bagi melancarkan proses pilihan raya itu. "PDRM prihatin dengan keperluan itu (pegawai trafik) dan perlu jumlah yang ramai. "Kesemua petugas PDRM itu diambil dari setiap daerah di Selangor bagi tujuan penjimatan kos sepanjang PRK Kajang itu," katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan petugas-petugas PDRM PRK N25 Kajang, di Maktab PDRM, di sini, hari ini. Mengulas lanjut, setakat tiga hari tempoh berkempen sejak Selasa lalu, beliau berkata, pihaknya tidak menerima menerima sebarang aduan dan laporan polis mengenai insiden yang tidak diingini. Jelasnya, kedua-dua calon dan penyokong masing-masing tidak menimbulkan sebarang provokasi melampau dan mengikut garis panduan yang ditetapkan SPR. "Setakat ini tiada satu pun laporan polis dibuat dan tiada insiden berlaku. "Saya berharap semua parti yang berkempen tidak melanggari perundangan dan tidak menimbulkan provokasi, berkempenlah dengan sihat," katanya lagi. Selain itu, beliau juga menyifatkan pilihan raya kali ini agak 'cool' berbanding PRK lain berikutan perhatian orang ramai lebih tertumpu kepada kes kehilangan pesawat MAS MH370 pada Sabtu lalu.

DNA sahkan mayat Muhammad
DNA sahkan mayat Muhammad
DUNGUN - Penantian seorang ibu selama 36 hari untuk mengebumikan mayat anaknya yang ditemui mati lemas berakhir apabila jasad anaknya itu berjaya dituntut selepas keputusan DNA mengesahkan identitinya. Mayat Muhammad Ariffin, 40, dituntut dari Unit Forensik Hospital Kemaman sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Seberang Pintasan jam 3 petang, kelmarin. Fatimah Sulong, 56, berkata, dia bersyukur kerana jasad anak sulungnya itu akhirnya berjaya disemadikan selepas melalui tempoh menunggu agak lama berikutan keraguan identitinya. “Walaupun mayatnya dah jumpa, tapi tak boleh bawa pulang sebab memerlukan keputusan DNA bagi mengesahkan identitinya. “Sekarang Alhamdulillah, semuanya dah selesai, hasrat mak cik nak kebumikan berdekatan pusara arwah bapanya termakbul,” katanya. Muhammad Ariffin dilaporkan hilang 22 Januari lalu ketika terjatuh dari bot akibat dihempas ombak selepas pulang dari menangkap ikan di laut sebelum mayatnya ditemui 4 Februari lalu di Pantai Tanjung Gelang, Kuantan, Pahang. Sinar Harian 5 Februari lalu melaporkan penemuan mayat seorang lelaki dalam keadaan terlentang kira-kira enam batu nautika timur perairan Tanjung Gelang, Kuantan, pada jam 11 pagi.

MH370
Hishammuddin: Tidak putus asa cari pesawat MH370
SEPANG - Tidak akan berputus asa dalam usaha mengesan pesawat MH370 yang hilang tatkala operasi mencari masuk hari keenam hari ini, dengan pihak berkuasa bersedia memperluaskan kawasan operasi mencari dan menyelamat. Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata setakat ini tiada sebarang objek atau barangan ditemui yang ada kaitan secara langsung dengan pesawat yang hilang itu. "Malangnya, tiada setakat ini," katanya dalam sidang akhbar harian mengenai perkembangan operasi mencari dan menyelamat pesawat hilang itu, di sini hari ini. Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan berkata satu-satunya petunjuk yang ada ketika ini adalah di dua kawasan yang diberi tumpuan oleh pihak berkuasa -- Laut China Selatan dan Selat Melaka. Beliau berkata kawasan operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan diperluaskan selagi tiada serpihan atau petunjuk mengenai pesawat Malaysia Airlines (MAS) itu ditemui dalam operasi berkenaan. "Kami akan maklumkan anda, di mana dan bila," katanya dan menurutnya lebih banyak negara dijangka terlibat dengan peluasan kawasan SAR itu. Ketika ini, negara terlibat dalam SAR ialah China dan Vietnam, dengan Thailand dan Indonesia dijangka menyertai operasi itu. Hishammuddin berkata kini sebanyak 43 kapal dan 40 pesawat terbabit dalam operasi mencari pesawat itu di Laut China Selatan (26 kapal dan 25 pesawat) dan Selat Melaka (17 kapal dan 15 pesawat). "Kami amat berterima kasih dengan bantuan diterima dari seluruh dunia. Dengan setiap hari berlalu, tugas ini semakin sukar. "Seperti selalu, harapan dan doa kami untuk anggota keluarga semua yang berada dalam pesawat itu. Kami tidak akan mengecualikan sebarang kemungkinan dalam usaha kami mencari MH370," katanya. - Bernama

Polis Singapura tangkap 101 suspek kes Along
SINGAPURA - Polis menangkap 101 suspek berumur antara 18 dan 72 tahun, dalam satu operasi membanteras kegiatan pinjaman wang tanpa lesen atau Along pada Isnin dan Selasa. Menurut satu kenyataan polis, sebanyak 65 lelaki dan 36 wanita ditangkap dalam serbuan semasa operasi selama 39 jam dijalankan di beberapa lokasi. Tempat-tempat terbabit termasuk Choa Chu Kang, Persiaran Admiralty, Woodlands, Yishun, Ang Mo Kio, Serangoon, Toa Payoh, Macpherson, Simei, East Coast Road, Bedok dan Tampines, kata kenyataan itu. Menurut kenyataan itu, siasatan awal menunjukkan enam daripada suspek itu dipercayai terbabit dalam kegiatan Along sebagai utusan dan membantu Along terbabit dalam kegiatan mereka dengan mengadakan pemindahan wang melalui mesin juruwang automatik (ATM) atau perolehan kad ATM bagi kegunaan sindiket itu. Empat yang ditahan dipercayai memberikan maklumat hubungan palsu apabila mendapat pinjaman daripada Along, kata kenyataan itu. Menurut kenyataan itu siasatan mengikut Akta Pendaftaran Nasional akan dijalankan ke atas suspek terbabit kerana gagal melaporkan perubahan alamat. Baki 91 suspek dipercayai membuka akaun bank dan memberikan kad ATM dan nombor pengenalan peribadi (PIN) kepada Along bagi memudahkan kegiatan pinjaman wang tanpa lesen itu, kata kenyataan itu. - Bernama

Lelaki hilang ketika menjaring ikan dijumpai lemas
PEKAN - Mayat seorang lelaki yang hilang semasa menjaring ikan di Lubuk Cincin di Sungai Mentiga dekat Paloh Hinai di sini petang semalam akhirnya ditemui hari ini. Ketua Polis Daerah Pekan Superintenden Yahaya Othman berkata, mangsa, Mat Dris, 41, yang berketurunan Orang Asli dari Kampung Belukar Nangka dekat sini, ditemui pasukan penyelamat dan penduduk kampung pukul 9 pagi. "Mangsa yang lengkap berpakaian ditemui di dasar sungai dan mayatnya dihantar ke Hospital Pekan untuk bedah siasat. Hasil bedah yang dijalankan petang ini juga mendapati mangsa, yang dipercayai kurang sihat, mati akibat lemas," katanya kepada pemberita hari ini. Beliau berkata, mangsa dipercayai keluar dari rumahnya pada kira-kira 3 petang semalam untuk menjaring ikan dan tidak pulang ke rumah menyebabkan anak lelakinya membuat laporan di Balai Polis Paloh Hinai. "Anaknya juga telah pergi ke lokasi kejadian sejurus kemudian sebelum menemui sampan bapanya yang telah tenggelam. Polis percaya mangsa telah terjatuh ke dalam sungai semasa menjaring ikan sendirian," katanya. - Bernama


Warga emas maut kemalangan 3 kenderaan di Sandakan
SANDAKAN - Seorang lelaki warga emas maut selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori dan bas henti-henti di Batu 3 1/2, Jalan Utara di sini hari ini. Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Rowell Marong berkata, dalam kemalangan kira-kira 8.40 pagi ini, Hiew Yu Choi, 72, mati di tempat kejadian. Beliau berkata, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Sandakan membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk dan mayatnya dihantar ke Hospital Duchess Of Kent di sini untuk bedah siasat. Katanya pemandu lori dan bas itu tidak mengalami kecederaan. - Bernama

Wang BNM hilang: 8 pekerja didakwa
GEORGETOWN - Lapan pekerja sebuah institusi kewangan akan didakwa di Mahkamah Sesyen George Town esok berhubung kes kehilangan wang tunai RM300,000 dari sebuah bilik pemprosesan wang di Bank Negara Malaysia (BNM) Pejabat Wilayah Pulau Pinang di sini. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata polis telah mengambil keterangan daripada kesemua pekerja itu termasuk seorang wanita yang berusia dalam lingkungan 26 hingga 34, yang ditahan secara berperingkat di sekitar Pulau Pinang pada Selasa dan semalam. Beliau berkata polis telah menyerahkan kertas siasatan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya. Setakat ini, katanya polis tidak membuat tangkapan lain dan wang yang hilang itu masih belum ditemui. "Memang wang itu belum ditemui tetapi polis sudah tahu ia di mana dan apa yang mereka buat dengannya. Siasatan juga mendapati sebahagian wang itu telah digunakan untuk perbelanjaan, beri kepada orang dan membayar hutang," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Pada Khamis lepas, pengurus institusi kewangan itu membuat laporan polis berhubung kehilangan itu yang dipercayai berlaku sejak September lepas hingga minggu lepas. Dalam perkembangan lain, Mazlan berkata polis telah mengenal pasti beberapa kumpulan terdiri daripada lelaki warganegara Indonesia yang berusia antara 20 dan 40 tahun yang aktif menjalankan kegiatan pecah rumah di sekitar daerah Barat Daya dan Timur Laut di sini, sejak awal tahun ini. Menurutnya polis kini giat memburu mereka dan menubuhkan sebuah pasukan khas untuk tujuan itu. "Kumpulan terbabit menyasarkan kawasan perumahan baharu berikutan kebanyakan rumah belum dilengkapi pagar jeriji dan kelengkapan keselamatan. Lima kes direkodkan iaitu empat di Barat Daya dan satu di Timur Laut," katanya. Terdahulu, Mazlan mengadakan program `High Policing' di rumah seorang wanita yang menjadi mangsa pecah rumah di Teluk Kumbar High, dekat sini. Dalam kejadian pada 15 Feb lepas, rumah wanita itu yang hanya mahu dikenali sebagai Neoh, 67, dipecah masuk tiga lelaki pada kira-kira 1 pagi ketika beliau dan empat anggota keluarganya tidur. "Mereka yang bersenjatakan parang dan pisau itu mengikat kami semua serta mengarahkan diam. Berdasarkan percakapan tiga lelaki itu, kami percaya mereka rakyat Indonesia. Sebaik mendapat wang tunai, kumpulan itu melarikan diri," katanya. Neoh berkata beliau sekeluarga kerugian lebih RM10,000 selepas wang tunai yang disimpan dalam rumahnya dilarikan kumpulan lelaki terbabit. - Bernama

bomoh
Kerajaan tak hantar bomoh kesan MH370
SHAH ALAM - Susulan kehadiran bomoh di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) kononnya mampu mengesan pesawat MAS yang hilang, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyatakan perkara itu tidak melibatkan usaha kerajaan untuk menyelesaikan misteri kehilangan pesawat tersebut. "Tidak, kerajaan tidak mempelawa bomoh untuk membantu mencari MH370," katanya yang dipetik di laman akaun Twitter, hari ini. Menurut, Khairy yang juga Ketua Pemuda BN itu berkata, alasan dan penjelasan kerajaan berhubung misteri kehilangan pesawat MAS itu terpaksa memberi jawapan yang 'sama'. Katanya, tidak mungkin kerajaan akan menyembunyikan perkara tersebut kepada masyarakat sekiranya mempunyai maklumat. "Kadang-kadang kita hanya perlu mengulangi perkara yang sama lagi dan lagi," katanya. Terbaru, sebuah portal berita antarabangsa melaporkan sekaligus melabelkan kerajaan Malaysia menggunakan "ahli sihir" sebagai usaha terakhir untuk mencari pesawat tersebut yang masih belum ditemui sehingga ke hari ini. Kenyataan itu dikeluarkan apabila gambar dan video bomoh 'tikar terbang' tersebar sekaligus menjadi viral dalam media sosial. Sebelum ini, media turut melaporkan muncul seorang lelaki yang mendakwa sebagai 'Raja Bomoh Sedunia Nujum VIP' yang kononnya mampu membuat ramalan lokasi pesawat MH370 yang hilang itu. Dalam pada itu, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau itu berkata tindakan perlu diambil terhadap bomoh "tikar terbang" tersebut. "Seseorang perlu menangkap bomoh permaidani ajaib itu. Ia memalukan," katanya.

Hishammuddin Tun Hussein
Nafi MH370 terbang 4 jam selepas hilang
SEPANG - Malaysia menafikan laporan media asing berhubung data enjin pesawat Boeing 777-200 yang mendakwa pesawat itu terbang empat jam selepas hilang dari radar. Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan bahawa laporan berkenaan tidak tepat. "Saya nak jelaskan mengenai laporan media berhubung data enjin pesawat dan MAS telah sahkan sebentar tadi bahawa ia tidak tepat. "Kali terakhir enjin dikesan adalah pada 1.07 pagi (Sabtu) yang menunjukkan bahawa semuanya normal," katanya pada sidang media di KLIA, sebentar tadi. Jelasnya, sebarang perkembangan bakal dikongsi semua pihak terlibat dalam siasatan tersebut. "Rolls-Royce dan pengeluar Boeing bekerjasama dengan MAS serta pasukan penyiasat sejak Ahad lalu. Isu ini tak pernah dibangkitkan. "Bila ada maklumat baru, mereka berkolaborasi. Berhubung laporan ini, MAS telah dapatkan maklumat terperinci dari Rolls-Royce dan pasukan Boeing tentang data itu. Mereka mengesahkan laporan itu tidak tepat," katanya. Perkara sama turut dikatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya. "Berdasarkan rekod kami, 'last transmission' adalah 1.07 pagi. "Ia tidak terbang melebihi tempoh itu," katanya. The Wall Street Journal dipetik melaporkan pesawat MH370 disyaki terbang beberapa jam selepas hilang dari radar. Penyiasat Amerika Syarikat (AS) percaya pesawat itu terbang kira-kira empat jam berdasarkan data yang boleh dimuat turun secara automatik dan dihantar melalui enjin Boeing 777 sebagai penyelenggaraan rutin dan program pemantauan.

Warga emas ditemui mati dengan kaki diikat
ALOR SETAR - Seorang lelaki warga emas berusia 60-an ditemui mati dalam keadaan terbaring dan kaki terikat di dalam bilik sebuah hotel di sini hari ini. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata mangsa yang berasal dari Kuala Lumpur itu ditemui pekerja hotel kira-kira 1.40 petang tadi selepas mangsa tidak mendaftar keluar selepas pukul 12 tengah hari. Katanya mangsa yang lengkap berpakaian ditemui dalam keadaan terbaring dan kedua-dua kaki terikat dengan tali kasut milik mangsa dan bilik mangsa turut berkunci serta penyaman udara turut dimatikan. "Hasil pemeriksaan dalam bilik mangsa kita tidak menemui sebarang senjata atau kesan darah serta pergelutan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian. Mohd Nashir bagaimanapun tidak dapat mengesahkan sama ada warga emas itu mati akibat perbuatan jenayah atau sebab lain sehingga bedah siasat selesai selain pihaknya turut melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di hotel tersebut. Beliau berkata mangsa yang dikatakan menginap di hotel tersebut seorang diri mendaftar masuk di hotel tersebut petang semalam. "Kita juga jumpa ubat kencing manis dalam bilik mangsa," katanya. - Bernama

Hishamuddin Tun Hussein
Hishammuddin tolak laporan data enjin hilang
SEPANG - Laporan berita mengatakan Malaysia Airlines (MAS) MH370 mungkin meneruskan penerbangan beberapa ketika selepas hilang daripada radar adalah tidak tepat. Pemangku Menteri Pengangkutan dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata susulan laporan media berhubung data enjin hari ini, syarikat penerbangan MAS telah bertanya kepada pembuat enjin Rolls-Royce dan Boeing secara khusus mengenai perkara itu. "Bagi Rolls-Royce dan Boeing laporan itu tidak tepat," katanya dalam sidang akhbar harian mengenai perkembangan operasi mencari dan menyelamat pesawat MAS MH370 yang memasuki hari keenam di sini hari ini. Media asing melaporkan penyiasat penerbangan dan pegawai keselamatan percaya pesawat itu terbang selama lima jam, berdasarkan data yang dimuat turun secara automatik dan dihantar ke pangkalan daripada enjin pesawat. Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, hilang daripada imbasan radar pada 1.07 pagi Sabtu, kira-kira sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Ia dijangka tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. Hishammuddin berkata transmisi terakhir daripada pesawat itu pada 1.07 pagi yang menunjukkan semuanya normal. "Rolls-Royce dan pasukan Boeing berada di Kuala Lumpur dan bekerjasama dengan MAS dan pasukan penyiasatan sejak Ahad. Isu ini tidak pernah dibangkitkan," katanya. - Bernama

Ketua bahagian syarikat telekomunikasi lemas
BESUT - Ketua bahagian sebuah syarikat perundingan telekomunikasi di ibu negara lemas ketika cuba menyelamatkan seorang pelancong asing yang dipukul ombak besar di Pantai Panjang Pulau Perhentian Besar hari ini. Ketika kejadian, Kong Wai Yoong, 35, dari Bukit Templer, Jalan Tun Dr Ismail, Seremban, Negeri Sembilan sedang mandi di pantai berkenaan bersama-sama tujuh rakan. Ketua Polis daerah Besut Superintenden Kamaruddin Mohd Zakaria berkata mangsa dan rakannya tiba di pulau berkenaan petang semalam dan menginap di sebuah resort. Beliau berkata Kong turun ke pantai itu untuk mandi pada kira-kira 4 petang bersama-sama rakan lain dan ternampak pelancong berkenaan nyaris lemas dipukul ombak besar. "Mangsa cuba menyelamatkan pelancong berkenaan tetapi beliau terus dihanyutkan ombak ke tengah manakala dua rakannya, Snesh Verman, 29, dan Ivan George, 38, yang cuba untuk menyelamatkan mangsa, turut dihanyutkan ombak besar," katanya. Ketiga-tiga rakan berjaya dibawa ke pantai oleh orang ramai tetapi Kong meninggal dunia dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan manakala Snesh dan Ivan menerima rawatan awal di Klinik Pulau Perhentian sebelum dirujuk ke Hospital Besut. Mereka ke Pulau Perhentian untuk berehat dan dijangka pulang ke Kuala Lumpur esok. - Bernama

Foto
Siling lobi hotel dalam pengubahsuaian runtuh
SHAH ALAM - Sebahagian siling lobi sebuah hotel ternama (Hotel Concorde) di Seksyen 9 di sini, yang sedang dalam pengubahsuaian, runtuh hari ini. Usaha media mendapatkan maklumat lanjut kejadian itu bagaimanapun gagal apabila pekarangan hotel itu ditutup kepada orang ramai dan dikawal rapi. Ketika didekati, pengawal keselamatan itu, yang enggan dikenali, hanya memaklumkan hotel berkenaan sedang dalam proses pengubahsuaian. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Azisman Alias ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan. Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul ketika dihubungi bagaimanapun berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu. - Bernama

MH370
MH370: Petugas media buat liputan rugi RM15,000
PUTRAJAYA - Dalam kesibukan petugas media tempatan dan antarabangsa membuat liputan berita kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS)MH370, seorang wartawan TV luar negara mendakwa kehilangan RM15,000 apabila beg miliknya dicuri di sebuah hotel di sini hari ini. Selain wang tunai, Chan Wai Li, lelaki berusia 36 tahun dari Now TV, sebuah stesen TV swasta Hong Kong itu turut kehilangan dokumen perjalanan, dompet, kad kredit dan pita rakaman kamera video. Chan yang merupakan Penolong Pengarang Berita, Now TV mendapati begnya hilang pukul 4 petang, selepas pulang dari pusat beli belah Alamanda yang terletak berhampiran dengan hotel itu setelah membeli kad prabayar bersama dua lagi rakannya. Beliau membuat liputan berita kehilangan penerbangan MH370 sejak 8 Mac lalu. Beg galas itu dipercayai dilarikan seorang lelaki yang disyaki sudah berada di sini sejak semalam. Chan yang kelihatan panik segera memaklumkan kehilangan beg itu kepada pengurusan hotel dan sejurus selepas itu wajah dan pergerakan suspek dapat dikesan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV). Dalam rakaman CCTV, suspek dalam keadaan mencurigakan sebelum mengambil beg itu dan meninggalkan hotel itu ketika kebanyakan petugas media sibuk membuat liputan di ruang lobi hotel. “Saya tak sangka ada orang yang mengambil kesempatan dan mencuri ketika kita (petugas media) buat liputan berita. "Ada RM15,000 dan dokumen penting seperti pasport dalam beg itu,” katanya kepada pemberita. Chan membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya. Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis berhubung kejadian itu. - Bernama

No comments:

Post a Comment