Sunday, March 23, 2014

Berita Terkini 23 Mac 2014


Awas! Kesan Sampingan Minyak Wangi Yang Perlu Anda Tahu
Artikel kali ini bukan dengan tujuan memburuk burukan produk wangian tetapi hanya sekadar untuk info yang harus anda tahu. Dengan itu anda harus bijak memilih minyak wangi yang anda akan gunakan dan sebaiknya jauhkan daripada membeli atau mengunakan winyak wangi yang mempunyai kandungan yang banyak. Terutamanya jika ianya beralkohol. Memang tidak dapat dinafikan, anda semua sukakan haruman, sehinggakan kereta dan blik tidur turut dihiasi dengan bahan pewangi. Namun, apa yang anda tidak sedari adalah risiko yang dibawa olehnya yang boleh membawa kesa terhadap kesihatan anda. Jika anda ingin tahu, terdapat lebih kurang 500 bahan kimia digunakan dalam produk wangian, yang kebanyakannya tidak disenaraikan di belakang produk. Antara bahan kimia yang sering digunakan adalah etanol, aseton, alkohol benzil, metilena klorida, kapur barus dan pelbagai lagi yang boleh mengakibatkan anda kelesuan, ketegangan otot, lelah, radang kulit, alahan, pening dan sakit tekak. Bagi anda yang menghidapi ekzema akan mengalami kesan yang lebih padah. Ini kerana kulit yang bermasalah akan menjadi lebih teruk sekiranya terkena bahan yang menggunakan ramuan pewangi, tidak kira sama ada ianya sabun ataupun syampu. Dalam satu kajian saintifik turut mengesahkan bahawa kebanyakan bahan pewangi mempunyai kandungan neurotoksin yang tinggi, yang memberikan kesan negatif terhadap mental, fizikal dan emosi. Kesan-kesan tersebut berupaya mendatangkan penyakit otak seperti Alzheimer dan Parkinson. Sumber dari blogillyz.blogspot.com Walaupun ada banyak kesan sampingannya, penghindaran diri dari bahan wangian bukanlah suatu perkara yang mudah kerana hampir semua produk jagaan peribadi mengandunginya.


Catuan Air Diteruskan – Syabas
KUALA LUMPUR – Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) mengumumkan pengawalan dan pengurangan pelepasan air di Empangan Sungai Selangor dan Empangan Klang Gates masih diteruskan atas keputusan dan arahan kerajaan negeri Selangor. Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas Priscilla Alfred berkata walaupun hujan beberapa hari lepas telah meningkatkan paras air di Sungai Selangor, namun pelan catuan air tetap diteruskan sehingga ke satu tarikh yang akan diputuskan oleh kerajaan negeri Selangor. “Hujan telah membantu peningkatan pengeluaran air di loji-loji rawatan dari Sungai Selangor ke sebahagian kawasan terlibat dalam Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Ketiga,” katanya dalam kenyataan hari ini. Loji Rawatan Air (LRA) yang terlibat ialah LRA Sg Selangor Fasa 1, LRA Sg Selangor Fasa 2, LRA Sg Selangor Fasa 3, LRA Sg Rasa dan LRA Rantau Panjang. Sementara itu, LRA Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi masing-masing mula beroperasi semula sejak 17 Mac dan 19 Mac lepas dengan pemantauan paras kandungan ammonia di Sungai Langat. Pelan Catuan Air Peringkat Ketiga melibatkan beberapa kawasan di Wilayah Gombak, Petaling, Kuala Lumpur, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Shah Alam. Syabas meminta orang ramai memberi kerjasama menjimatkan penggunaan air dan tidak merosakkan fasiliti dan infrastruktur bekalan air yang diuruskan olehnya demi kepentingan semua pihak. – BERNAMA


Skuasy: Laura Massaro Menang Kejohanan Dunia
GEORGETOWN – Laura Massaro dari England merangkul kejuaraan dunia buat kali pertama apabila mengalahkan pemain Mesir Nour El Sherbini pada final Kejohanan Skuasy Wanita Dunia CIMB ke-29 di sini hari ini. Massaro, 30, pemain nombor dunia, menang dengan keputusan 11-7, 6-11, 11-9, 5-11 dan 11-9. – BERNAMA

 
 
 
 

Perompak Gali Terowong Curi Duit Di Pasaraya Tesco (5 Gambar)
Sekumpulan pencuri menggali terowong sepanjang 50kaki di bawah sebuah bangunan untuk mencuri daripada mesin tunai. Polis percaya kumpulan itu menghabiskan masa beberapa bulan menggali struktur ‘kompleks’ dari tanah terbiar berdekatan untuk mendapatkan wang tunai di pasaray Tesco di Eccles, Greater Manchester pada Jumaat lepas, 14 Mac. Rompakan ini telah dikaitkan dengan kumpulan yang dikenali sebagai ‘mole-in-the-wall’, yang dipercayai telah menjalankan tiga plot yang sama di bandar ini sejak tahun 2007.


Malaysia Terima Data Satelit Dari Perancis, Ada Penerbangan SAR Dibatalkan Ekoran Ribut
PAGI tadi, kerajaan Malaysia menerima beberapa data baru satelit dari pihak berkuasa Perancis menunjukkan beberapa objek yang terapung di kawasan koridor selatan di kawasan perairan Lautan Hindi. Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata imej berkenaan segera dihantar kepada Pusat Penyelaras Operasi Menyelamat Australia (RCCA) untuk tindakan selanjutnya. “Pada pukul 2.30 petang tadi, pihak berkuasa Australia memaklumkan kami (Malaysia) bahawa mereka masih tidak menemui apa-apa petunjuk baru yang boleh dikaitkan dengan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Hari ini pihak media dimaklumkan tiada sidang media akan diadakan tetapi pihak kerajaan dan pasukan siasatan hanya akan memberikan kenyataan rasmi berkenaan perkembangan operasi mencari dan menyelamat (SAR) untuk hari ke-16 pencarian pesawat MH370. Berhubung ramalan cuaca buruk yang bakal melanda kawasan koridor selatan pencarian MH370 juga diambil kira dengan beberapa penerbangan ke kawasan berkenaan dibatalkan. “Beberapa penerbangan dari Subang dibatalkan ekoran cuaca buruk akibat ribut tropika Gillian. “Hari ini sebuah pesawat P-8 Poseidon Tentera Laut India dan satu pesawat Hercules C-130 Tentera Udara India berlepas dari Lapangan Terbang Subang untuk menyertadi misi SAR mengesan pesawat MH370,” katanya. Selain itu, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata pihak RCCA akan menghantar lapan pesawat dengan empat daripadanya pesawat tentera dan empat pesawat awam untuk terbang ke koridor selatan untuk melaksanakan misi SAR. Beliau juga memaklumkan dalam kenyataan itu bahawa Pasukan peringkat tertinggi kerajaan Malaysia di Beijing telah mengadakan taklimat pagi ini untuk ahli keluarga penumpang MH370. “Majlis taklimat berkenaan berlangsung selama enam jam dan ia adalah majlis taklimat ketiga telah diadakan. “Pasukan itu memberikan maklumat kepada ahli keluarga dan juga menjawab soalan dan pertanyaan mereka,” katanya menurut kenyataan itu.



Kapten Zaharie Dapat Panggilan Telefon Dari Wanita Misteri?
LAMAN web Daily Mail dari United Kingdom hari ini melaporkan bahawa juruterbang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 Kapten Zaharie Ahmad Shah didakwa menerima panggilan telefon sebelum berlepas daripada seorang wanita misteri. Menurut laporan itu nombor telefon wanita berkenaan dikatakan dibeli dengan menggunakan identiti palsu. Daily Mail menyebut ia adalah antara panggilan terakhir atau diterima Kapten Zaharie beberapa ketika sebelum pesawat Boeing 777-200ER itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Laman web itu melaporkan pasukan penyiasat kehilangan pesawat itu kini giat menyiasat petunjuk baru yang disifatkannya signifikan kerana di Malaysia sesiapa yang ingin membeli sim-kad baru perlu mendaftarkan dirinya terlebih dahulu. Polis telah menjejaki pemilik nombor berkenaan kepada sebuah kedai menjual kad sim di ibu negara Kuala Lumpur, dan polis mendapati ia telah dibeli baru-baru ini oleh seorang yang memberikan nama wanita tetapi ia palsu. Petunjuk baru itu mencetuskan kebimbangan kaitan Kapten Zaharie dengan kumpulan pengganas yang kerap menggunakan nombor telefon yang gagal dikesan dalam modus operandi mereka. Bagaimanapun, laporan Daily Mail ini masih belum mendapat reaksi dari Polis Diraja Malaysia. Sebelum ini Daily Mail membuat laporan bahawa pesawat MH370 berkemungkinan merupakan satu protes oleh Kaptan Zaharie yang merupakan penyokong kuat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang enggan menerima keputusan Mahkamah Rayuan mensabitkan pemimpin parti itu dengan kesalahan meliwat. Kapten Zaharie dikatakan menghadiri prosiding rayuan Anwar sehari sebelum berlepas ke Beijing dan mengetahui berkenaan hukuman yang dikenakan itu. Berikutan dakwaan itu, Ketua Pembantu Sekratariat Ketua Polis Negara Datin Asmawati Ahmad berkata akhbar tabloid tidak memiliki hak untuk mendedahkan maklumat berkaitan siasatan dan dakwaan itu hanya satu spekulasi. “Pihak PDRM tidak bertanggungjawab atas sebarang pendedahan maklumat seperti itu kerana ia diambil daripada sumber yang tidak dipastikan kesahihannya,” kata Asmawati. Hari ini, Daily Mail mendakwa Kapten Zaharie menerima panggilan telefon selama dua minit daripada seoang wanita mitseri sebelum berlepas pada 8 Mac lepas.


Kenyataan Media MH370 Oleh Kementerian Pengangkutan
KUALA LUMPUR – Berikutan kenyataan media oleh Kementerian Pengangkutan mengenai pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 hari ini.  
1. Perkembangan terkini operasi mencari dan menyelamat
a. Operasi mencari dan menyelamat tetap menjadi usaha antarabangsa yang diselaraskan oleh Malaysia. Beberapa negara mengetuai misi pencarian di kawasan masing-masing dan semua negara terlibat mempamerkan tahap kerjasama yang tidak pernah berlaku dahulu.
b. Pagi tadi, Malaysia menerima imej satelit daripada pihak berkuasa Perancis yang menunjukkan objek-objek yang berpotensi di sekitar koridor selatan. Malaysia dengan segera menyalurkan imej ini kepada pusat koordinasi penyelamat Australia.
c. Dua buah pesawat Ilyushin IL-76s China telah tiba di Perth, dan akan berlepas bagi menyertai operasi mencari dan menyelamat esok pada 05:00 dan 06:00.
d. Dua buah pesawat P3 Orion Jepun hari ini berlepas dari lapangan terbang Subang menuju Perth.
e. Pusat Koordinasi Menyelamat Australia akan menggerakkan lapan pesawat (empat pesawat tentera dan empat pesawat awam) ke koridor selatan hari ini untuk menjalankan pencarian visual.
f. Kapal Pertahanan Australia ‘Ocean Shield’, yang dilengkapi “sub-sea remotely operated vehicle” kini dalam pelayaran ke koridor selatan.
g. Sehingga pukul 2:30 petang waktu Malaysia, para pegawai Australia telah memaklumkan kepada kita bahawa mereka belum menghasilkan apa-apa penemuan baharu berhubung MH370.
h. Sebuah pesawat P8 Poseidon tentera laut India dan sebuah pesawat C130 Tentera Udara India berlepas dari lapangan terbang Subang hari ini untuk menyertai operasi mencari dan menyelamat di bahagian utara koridor selatan, yang diketuai oleh Indonesia.
i. Beberapa penerbangan lain dari lapangan terbang Subang ke koridor selatan dibatalkan hari ini kerana cuaca buruk disebabkan oleh taufan Gillian. j. Australia, China dan Perancis kini menyiarkan imej satelit yang menunjukkan objek berpotensi yang mungkin ada kaitannya dengan MH370, di perkarangan koridor selatan. Semua maklumat ini telah disalurkan kepada Australia, sebagai negara yang mengetuai misi pencarian di kawasan berkenaan. 2. Taklimat keluarga a. Pasukan peringkat tertinggi Malaysia mula memberi taklimat di Beijing pagi tadi untuk sanak saudara penumpang MH370. Taklimat itu berlangsung lebih enam jam. Ini merupakan taklimat ketiga seumpamanya yang diadakan. Pasukan itu menyampaikan maklumat kepada ahli keluarga dan menjawab soalan. Kerajaan ingin mengulangi komitmen dan usaha yang berterusan kepada ahli keluarga penumpang pesawat MH370. 3. Perkembangan terkini mengenai transmisi alat Sistem Pelaporan dan Komunikasi Pesawat (ACARS). a. Transmisi terakhir ACARS, yang dihantar pada 1.07 pagi menunjukkan tiada apa-apa yang luar biasa. Transmisi pada 1.07 pagi itu menunjukkan rutin biasa sepanjang masa ke Beijing. – BERNAMA



Ibu Penumpang MH370 Beri Penjelasan Sebenar Kepada Wartawan (Video)
Wawancara khas CCTV News bersama ibu kepada salah seorang penumpang MH370 dari China. Wanita berkenaan sebelum ini didakwa diheret dari sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur oleh media asing kerana ingin bertanyakan perkhabaran anaknya. Ikuti penjelasan ibu kepada penumpang berkenaan. MH370: Ibu Warga China Nafi Laporan Layanan Buruk Polis. Warga China, Liu Guiqui, ibu kepada Li Le, penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu, menyangkal laporan kononnya beliau dilayan buruk oleh polis semasa sidang akhbar yang diadakan pada 19 Mac di Hotel Sama-Sama, Sepang. Liu dalam temubual dengan China Central Television (CCTV), berkata beliau membuat keputusan pergi ke sidang akhbar itu, kerana mahu bertanyakan ahli politik Malaysia mengenai apa yang sebenarnya berlaku terhadap anak lelakinya, yang ketika itu hilang selama 12 hari, kerana beliau tidak faham kenapa tiada sebarang berita mengenainya. “Itu tidak benar. Saya dikerumuni oleh pemberita. Ada seorang anggota polis muda yang pada mulanya saya ingatkan mahu menarik saya.

Calon pembangkang PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tengah)meraikan kemenangannya bersama suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tiga dari kanan) serta pemimpin kuat parti. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 23 Mac, 2014.
PRK Kajang: Dr Wan Azizah menang dengan majoriti lebih kecil
Calon pembangkang PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tengah)meraikan kemenangannya bersama suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tiga dari kanan) serta pemimpin kuat parti. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 23 Mac, 2014.
Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berjaya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dengan majoriti lebih kecil apabila mendapat 16,741 undi berbanding calon Barisan Nasional (BN) Datin Paduka Chew Mei Fun yang hanya berjaya mendapat 11,362 undi. – 23 Mac, 2014.


Ayam disembelih masih hidup
PONOROGO, Jawa Timur - Hasrat seorang penduduk Kampung Keniten di daerah ini untuk menikmati masakan ayam yang dipeliharanya tidak kesampaian selepas ayam itu masih hidup walaupun telah disembelih. Tribunnews.com melaporkan, ayam jaguh milik Samsuri Hidayatulloh, 40, itu bukan sahaja masih mampu berlari seperti ayam normal, malah masih boleh berkokok. Walhal, leher ayam berbulu hitam itu nyaris putus akibat disembelih dengan pisau. Menurut Samsuri, dalam kejadian pada Ahad lalu, dia merancang untuk menjadikan daging ayam itu sebagai hidangan kesyukuran untuk anggota keluarga yang sakit di rumahnya. Oleh kerana ayam itu tidak mati walaupun sudah disembelih, Samsuri tekad untuk tidak mahu memakan daging ayam itu selepas ia mati. "Saya akan tanam ayam itu, sesuai dengan petunjuk dan syariat Islam yang tidak membenarkan makan ayam yang disembelih tetapi tidak mati selepas itu," katanya. Tinjauan Tribunnews.com mendapati, insiden yang menimpa Samsuri membuatkan penduduk kampung gempar dengan kejadian itu. Mereka hairan ayam yang hampir putus lehernya itu masih mampu berjalan dan bertahan sehingga berjam-jam.


Bill Gates tidak wariskan harta pada anak
NEW YORK 21 Mac - Orang paling kaya di dunia, Bill Gates tidak akan meninggalkan harta peribadinya bernilai AS$76 bilion (RM250 bilion) kepada tiga orang anaknya. Portal berita Daily Mail melaporkan, pengasas syarikat perisian Microsoft itu menyatakan bahawa anak-anaknya digalakkan mencari jalan hidup sendiri tanpa bantuan dana atau aset keluarga bernilai berbilion-bilion dolar tersebut. Gates berkata, beliau bersama isteri, Melinda memberikan dua anak perempuan Jennifer Katharine, 18, dan Phoebe Adele, 11, serta anak lelaki, Rory John, 16, pendidikan yang baik supaya mereka belajar bergantung kepada kemampuan sendiri dan bukan mengharapkan harta peninggalan ibu bapa mereka. Beliau berkata, anak-anaknya diajar supaya mereka tahu tentang kepentingan bekerja. "Mereka perlu tahu kemampuan diri sendiri serta apa yang akan mereka lakukan. "Kami ingin membentuk satu keseimbangan supaya mereka ada kebebasan untuk melakukan apa sahaja, dan bukan melimpahi mereka dengan wang supaya mereka keluar dan tidak berbuat apa-apa," katanya pada satu persidangan kebajikan di Vancouver, baru-baru ini. Pasangan suami isteri yang jarang bercakap mengenai kehidupan peribadi mereka itu berkata, anak-anak mereka sudah dimaklumkan bahawa semua harta akan diserahkan kepada badan kebajikan untuk menangani masalah kesihatan dan kemiskinan.


Manusia boleh hidu 1 trilion bau
WASHINGTON 22 Mac - Satu kajian saintis Amerika Syarikat (AS) mendapati hidung manusia boleh menghidu sekurang-kurangnya satu trilion bau yang berbeza, sekali gus melebihi jumlah yang dianggarkan sebelum ini. Selama berpuluh-puluh tahun, saintis percaya hidung manusia hanya boleh menghidu kira-kira 10,000 jenis bau, menyebabkan keupayaan itu lebih rendah berbanding fungsi mata dan pendengaran, Pengarah Makmal Neurogenetik Universiti Rockefeller, Leslie Vosshall berkata, keputusan kajian yang dijalankan baru-baru ini mendapati kemampuan manusia menghidu bau lebih hebat berbanding jangkaan sebelum ini. Jelasnya, pada 1020-an saintis menganggarkan hidung manusia boleh mengesan bau dengan bantuan kira-kira 400 saraf deria olfaktori. Tetapi, katanya, kemampuan hidung dianggap lebih rendah berbanding mata manusia yang hanya mempunyai tiga saraf deria untuk membezakan berjuta-juta warna, dan telinga pula boleh membezakan 340,000 bunyi. "Kajian terbaharu itu menunjukkan deria bau manusia lebih hebat berbanding mata dan telinga. Hidung merupakan organ penting bagi masyarakat pada zaman purba. "Manusia zaman dahulu bergantung pada deria bau untuk membezakan sesuatu benda atau makanan, tetapi penciptaan peti sejuk dan tahap kebersihan diri yang semakin meningkat pada zaman moden mengehadkan keupayaan fungsi hidung," katanya. - AFP


Lelaki bersenjatakan pistol rompak lima beranak
KOTA BHARU 22 Mac - Lima beranak warga emas bukan sahaja kerugian barangan berharga dan wang tunai, malah berdepan detik cemas apabila dua lelaki bersenjatakan pistol melepaskan tembakan ketika merompak rumah mereka di Jalan Kubang Pasu, di sini hari ini. Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, tembakan yang dilepaskan salah seorang suspek yang memakai topi keledar tersebut terkena dinding dan almari namun kesemua mangsa tidak mengalami kecederaan. Suspek dipercayai warga tempatan kemudiannya mengikat tiga daripada lima beranak itu sebelum menyelongkar rumah mereka untuk mencari barangan berharga. Salah seorang mangsa, Goh Wong Leng, 61, memberitahu, rumah berkenaan didiami ibunya yang berusia 86 tahun bersama seorang kakak dan seorang adik lelaki yang lumpuh akibat strok. Katanya, kejadian berlaku ketika dia dan seorang lagi kakaknya menziarahi ibu mereka selain mahu membersihkan rumah tersebut. "Seorang lelaki bertopi keledar tiba-tiba masuk ke dalam rumah sebelum mengacukan sepucuk pistol dan mengarahkan saya menyerahkan barang berharga. "Saya cuba berlindung di sebalik meja namun lelaki berkenaan melepaskan tembakan lalu terkena dinding dan almari di belakang saya. "Seorang lagi lelaki masuk dan mengikat saya serta dua orang kakak sebelum menyelongkar rumah," katanya di sini hari ini. Wong Leng berkata, suspek kemudian berjaya menemui beberapa berharga seperti telefon bimbit dan wang tunai RM500, melarikan diri bersama sebuah kereta Honda Accord kepunyaan adiknya. Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Idris Rafar mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian yang menimpa mangsa. "Kesemua mangsa yang berusia antara 60 tahun hingga 86 tahun itu tidak mengalami kecederaan namun semakan ke atas motosikal yang ditinggalkan dua suspek berkenaan mendapati nombor pendaftarannya palsu," katanya. Idris berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.


MH370: Satelit Perancis kesan objek di Lautan Hindi
KUALA LUMPUR 23 Mac - Satelit Perancis mengesan ‘objek’ yang berpotensi merupakan serpihan pesawat MH370 di selatan kawasan pencarian di Lautan Hindi, lapor pihak berkuasa Malaysia. Kementerian Pengangkutan dalam kenyataannya berkata, maklumat tersebut diterima oleh pihak berkuasa Perancis awal pagi ini dan menghantar imej tersebut kepada pusat penyelarasan Australia yang terlibat dalam operasi di kawasan terbabit. Bagaimanapun, kementerian itu tidak memberi butiran lanjut tentang imej satelit yang diperoleh. - REUTERS

PRK Kajang: Jumlah keluar menurun kepada 72 peratus
BANGI 23 Mac - Sebanyak 28,314 atau 72 peratus daripada 39,278 pengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang telah keluar mengundi sebaik sahaja 16 pusat pengundian itu dibuka sejak 8 pagi sehingga ditutup pada pukul 5 petang ini. Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, jumlah tersebut dilihat merosot 16 peratus berbanding ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), dengan jumlah peratusan keluar mengundi adalah 87.9 peratus daripada jumlah keseluruhan 39,728 pengundi. Katanya, jumlah peratusan keluar itu tidak menepati sasaran yang dijangka oleh SPR iaitu sebanyak 80 peratus. "Sehubungan itu, SPR akan membuat kajian mengenai jumlah peratusan yang menurut dan dilihat paling rendah berbanding PRK di Kedah (DUN Sungai Limau) dan Terengganu (DUN Kuala Besut)," katanya pada sidang akhbar di Pusat Penjumlahan dan Pengumuman Keputusan PRK DUN Kajang di Stadium Majlis Perbandaran Kajang di sini hari ini. Abdul Aziz berkata, keputusan DUN Kajang paling awal mungkin akan dapat diketahui pada pukul 8 malam. PRK DUN Kajang menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN), Datin Paduka Chew Mei Fun dengan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail. Pada PRU-13 lalu, calon PKR, Lee Chin Cheh yang memperoleh 19,571 undi dan menang dengan majoriti sebanyak 6,824. Calon BN, Lee Ban Seng menerima 12,747 undi, sementara Mohamad Ismail (Berjasa) 1,014 undi dan tiga calon Bebas lain mendapat kurang daripada 250 undi. - UTUSAN ONLINE

Wanita bakar kereta kerana McFlurry
Wanita bakar kereta kerana McFlurry
Florida: Seorang wanita membakar kereta teman lelakinya kerana kekasihnya itu enggan membelikannya pencuci mulut McFlurry di McDonald. Saksi memberitahu mereka mendengar pertelingkahan pasangan berkenaan mengenai menu pencuci mulut beku dan ia memuncak pada sekitar jam 12.30 malam pada Ahad lalu di restoran McDonald dekat St John Bluff, menurut laporan WFTV. “Selepas pertelingkahan itu, teman wanitanya berkata ‘Saya akan membakarnya,’ dan kami tertanya-tanya apa yang akan dibakar?” kata saksi Sabryna Mare kepada Action News Jax. Keluarkan gasolin. Jawapannya ialah, kereta teman lelakinya. “Wanita itu mengeluarkan sesuatu daripada kereta berkenaan menyerupai botol dan beliau mengeluarkan gasolin tak tahu entah dari mana,” jelas Mare. “Kemudian beliau mencurahkan kesemua di atas kereta berkenaan dan terdapat mancis. Akhirnya semuanya terbakar.” Pihak Bomba Kebakaran dan Penyelamat Jacksonville tiba untuk memadamkan kebakaran di 1994 El Dorado itu, tetapi apabila mereka tiba suspek sudah tiada. - AGENSI

'Jual anak' untuk kaya
'Jual anak' untuk kaya
Gadis bawah umur heret ibu bapa ke muka pengadilan. DUBAI: Seorang gadis berusia 16 tahun tidak dapat menahan emosi sebaik bersemuka dengan ibu dan bapanya di mahkamah walaupun beliau berada di situ bagi memberi keterangan untuk mensabitkan kedua-duanya dalam satu jenayah. Mungkin ada yang mencebik bibir dan menganggap beliau anak tidak mengenai budi tetapi jenayah yang dilakukan ibu dan bapa gadis malang itu bukan sesuatu yang mudah dimaafkan memaksa anak kandung mereka menjual tubuh semata-mata untuk menjadi kaya. “Ayah menjual dara saya kerana mahu saya membantu keluarga keluar daripada belenggu kemiskinan. Ibu dan bapa saya memaksa saya melacur. Saya dipaksa mencari rezeki apabila bapa marah kerana saya enggan menjual tubuh,” kata gadis Pakistan itu dengan teriak tangis ketika memberi keterangan terhadap kedua ibu bapanya di mahkamah di Dubai.
Fakta nombor. 10 juta kanak-kanak dipercayai terbabit dengan pelacuran di seluruh dunia. 30 juta kanak-kanak menjadi mangsa pemerdagangan manusia sejak 1982 79 peratus kes pemerdagangan manusia adalah untuk pelacuran

700 dihukum mati di Iran
GENEVA: Seramai 700 orang dihukum mati di Iran tahun lalu, lapor Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Kebanyakannya dituduh atas kesalahan berkaitan dadah dan berasal daripada etnik minoriti, menurut kajian terbaru. “Di sebalik sikap terbuka Presiden Hassan Rohani sejak setahun lalu, situasi hak asasi manusia di Iran menyusut,” kata wakil Pertubuhan Hak Asasi PBB Kurdistan di Iran-Geneva, Taimoor Aliassi kepada IPS. Sekurang-kurangnya 687 banduan dihukum pada 2013 dengan 68 peratus daripadanya dihukum selepas pilihan raya presiden pada Jun 2013. Ia adalah jumlah tertinggi dalam tempoh 15 tahun. Beliau berkata kebanyakan tahanan adalah daripada etnik minoriti seperti Kurdis, Baloch dan Bahai. “Tekanan terhadap etnik minoriti ini semakin meningkat,” katanya. Komen Aliassi berlaku menyusul maklumat Pelapor Khas PBB mengenai Iran, Dr Ahmed Shaheed yang memperincikan hukuman. Kerajaan Iran menyifatkan penemuan kajian itu tidak objektif dan kebanyakan kompilasi tuduhan tidak berasas. Iran turut menolak pembaharuan mandat Shaheed. “Tahun lalu, terdapat dua hukuman sehari,” kata Shaheed dalam mesyuarat di Geneva awal minggu ini membabitkan hak asasi di Iran. “60 peratus berkait dengan jenayah dadah.” - AGENSI


Laporan Buruk Polis Tak Benar – Ibu Warga China
KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) — Warga China Liu Guiqui, ibu kepada Li Le, penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak 8 Mac lepas, menyangkal laporan kononnya beliau dilayan buruk oleh polis semasa sidang akhbar yang diadakan pada 19 Mac di Hotel Sama-Sama Sepang. Liu dalam temu bual dengan China Central Television (CCTV), berkata beliau membuat keputusan pergi ke sidang akhbar itu, kerana beliau mahu bertanyakan ahli politik Malaysia mengenai apa yang sebenarnya berlaku terhadap anak lelaki beliau, yang ketika itu telah hilang selama 12 hari, kerana beliau tidak faham kenapa tiada sebarang berita yang diterimanya. “Itu tidak benar. Saya dikerumuni oleh pemberita. Ada seorang anggota polis muda yang pada mulanya saya ingatkan mahu menarik saya. “Pada mulanya saya tidak faham apa yang berlaku tetapi seseorang memberitahu saya jangan panik. Mereka meyakinkan saya, mereka berada di situ untuk melindungi saya,” kata Liu. Liu terbang ke Kuala Lumpur kerana beliau mahu menjadi orang yang pertama menyambut Li bila anaknya itu kembali. Beliau menyifatkan Le yang mempunyai seorang anak perempuan, sebagai orang yang murah hati, baik, setia dan melayani semua orang dengan perasaan hormat. Ditanya mengenai cakap-cakap kononnya kerajaan Malaysia tidak mendedahkan semua maklumat, Liu berkata beliau tidak peduli semua itu kerana apa yang beliau mahukan semata-mata anaknya dan semua penumpang dalam kapal terbang itu kembali dengan selamat. Malah beliau berterima kasih dengan kerajaan dan rakyat Malaysia kerana menjaganya setiap hari dan beliau tidak percaya kepada mereka yang mendakwa kerajaan tidak mengambil berat tentang keluarga penumpang pesawat itu. “Saya tidak percaya perkara itu berlaku. Saya percaya mereka juga amat tertekan. Saya faham bahawa mereka kini sibuk mencari pesawat yang hilang itu. “Oleh itu memang patutlah mereka (kerajaan) tidak dapat memberikan perhatian sepenuhnya kepada keluarga yang terlibat,” kata Liu. Bila ditanya apa yang akan dikatakan kepada anak lelakinya jika dia boleh mendengar ibunya, Liu menangis sambil berkata: “Ibu menunggu kamu. Pulanglah segera. Ibu percaya kamu akan pulang dengan selamat.” Liu juga menunjukkan tanda penghargaannya dan mengucapkan terima kasih kepada semua negara yang turut berusaha mencari pesawat itu. “Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kerana berusaha mencari keluarga kami,” katanya penuh perasaan sambil duduk melutut. - BERNAMA


Nicol Tangisi Kekalahan Gara-Gara Hilang Fokus
Dalam kalangan ahli sukan Malaysia, Datuk Nicol Ann David boleh dikatakan antara pemain yang paling konsisten mempertahankan gelaran juara malah beliau merupakan wanita Asia pertama menduduki tangga nombor satu dalam sukan skuasy wanita. Antara bukti kecemerlangan Nicol adalah memenangi Kejohanan Skuasy Junior Sedunia sebanyak dua kali, Kejohanan Skuasy Asia (tujuh kali), Terbuka Hong Kong (lima kali), Terbuka British (tiga kali) dan Terbuka Dunia (lima kali). Mengharumkan nama negara sebagai pemegang takhta pemain skuasy wanita nombor satu dunia, bukan sahaja peminat sukan malah Nicol sendiri nyata terkesan dengan kekalahannya secara mengejut di tangan pemain bukan pilihan dari Mesir, Nour El Sherbini di peringkat separuh akhir Kejohanan Skuasy Wanita Dunia CIMB ke-29 di Arena SPICE, Pulau Pinang semalam. Mengakui dirinya tidak konsisten ketika bertarung kerana hilang fokus, Nicol memuji pukulan tepat yang dilakukan Nour ketika perlawanan berlangsung. Nicol pada mulanya memenangi set pertama 11-4 namun tewas di set kedua, ketiga dan set penentuan, 11-9. Walaupun Nicol begitu gagah memberikan komen berkaitan kekalahannya, kesedihan tidak mampu disembunyikan apabila dia kelihatan terduduk menangis selepas perlawanan berakhir. Bapa Nicol, Desmond David bagaimanapun dilihat memujuk anaknya. Biasalah, kalah menang adat pertandingan. Rakyat Malaysia tetap berbangga dengan pencapaian Nicol selama ini dan percaya, kekalahan semalam hanya titik hitam kecil dalam kerjaya Nicol yang akan terus cemerlang selepas ini.

VIDEO: Bomoh Ibrahim Mat Zin Terkedu Ditengking Perempuan

Segarang-garang Bomoh Ibrahim Mat Zin sampai berani memberi amaran mahu menampar menteri macam buaya dan menghantarnya ke alam ghaib, dia nyata terkedu apabila ditempelak oleh seorang wanita yang merupakan pengurus dan pengarah jualan sebuah hotel. Suara lantang wanita tersebut bukan sahaja membuatkan Ibrahim bungkam, malah orang-orangnya juga kehilangan kata-kata. Manalah wakil hotel tersebut tak marah, gara-gara perbuatan Ibrahim melakukan sidang media terdahulu di hotel tersebut, pengurus yang bertugas ketika itu telah diberhentikan kerja. Nampaknya Ibrahim punya fasal, bukan nama negara saja tercemar malah hotel terbabit turut berasa demikian hingga mengambil tindakan terhadap kakitangannya yang membenarkan kenyataan Ibrahim dirakam di situ. Bak kata director of sales hotel tersebut, kalau nak buat sidang media kenalah bayar dan hotel ada dewan khas untuk tujuan itu. Kalau main terjah saja macam itu, apa mereka nak jawab kalau ditanya bos atau GM hotel? Macam-macam hal bomoh Ibrahim ni. Rasanya elok dia pasang bubu dan guna teropong bambu dia diam-diam sahaja daripada terus mencipta macam-macam drama di saat satu negara tengah risaukan MH370!

VIDEO: Mano Gadis Jolobunyo WARIS?

Lagu WARIS yang menampilkan Dato’ Hattan, Gadis Jolobu berjaya menjadi siulan di mana-mana. Kini lagu tersebut diserikan lagi apabila klip videonya sudah sedia untuk tontonan di YouTube. Jika ditanya kebanyakan peminat lagu ini, perkara paling menarik perhatian sudah tentulah lirik lagunya yang indah, penuh nasihat dan berjaya disampaikan oleh WARIS dan Dato’ Hattan dalam gaya catchy. Pendek kata, unsur tradisional Melayu iaitu loghat Negeri Sembilan menambahkan keunikan lagu ini. Justeru apabila Gadis Jolobu dibuat klip video, sedikit sebanyak sudah pasti peminat lagu ini membayangkan ada unsur tradisional akan dimasukkan atau setidak-tidaknya ada elemen kampung halaman seperti sawah padi atau gadis pingitan. Namun mereka yang mengharapkan perkara ini pasti kecewa kerana yang ada hanya penampilan WARIS bersama Dato’ Hattan melagukan Gadis Jolobu ala-ala rapper Mat Begitu pun dari satu sisi lain, jika klip video ini mahu menaikkan imej penyanyi rap tempatan agar kelihatan menyamai penyanyi barat mungkin ia boleh dikira berjaya. Justeru tahniah diucapkan kepada pengarah klip video di bawah ini, Dira Abu Zahar untuk cubaan sulungnya.


Perlekeh Program Selawat: “Hati Mereka Berpenyakit”
MUAR – Mereka yang memperlekeh program Selawat Perdana Malam Cinta Allah dan Rasul mempunyai hati yang berpenyakit, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom. Beliau berkata bila pembangkang memperlekeh program, yang berjaya menghimpunkan 500,000 umat Islam di Putrajaya pada Jumaat lepas, bermakna mereka kecewa dengan sambutan ratusan ribu yang menyertainya. Pada malam itu kebanyakan yang hadir berpakaian serba putih, membanjiri Dataran Masjid Putra Presint 1 dan sepanjang jalan Kompleks Pusat Pentadbiran Putrajaya sehinggakan diumpamakan sebagai himpunan di Padang Arafah pada musim Haji dengan penuh ketertiban. “Sebagai umat Islam, sepatutnya mereka bersyukur kerana program itu berjaya menghimpun sebegitu ramai umat tanpa mengira fahaman politik, bersama-sama menunjukkan rasa cinta kepada Rasul dan taqwa kepada Allah,” kata Jamil Khir ketika memberi ceramah sambutan Maulidur Rasul di Masjid Nurul Iman, Parit Bakar Laut, di sini malam tadi, Jamil Khir yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno, berkata pihak pembangkang mahu melihat program yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan beberapa orang menteri Kabinet beragama Islam itu, hanya dihadiri oleh beberapa ratus orang sahaja. Pihak pembangkang melihat dari sudut yang buruk sahaja sedangkan program itu adalah untuk membina persepsi baik terhadap Islam yang kini dicemari dengan pelbagai imej negatif, katanya. Dalam ceramahnya, Jamil Khir turut mendedahkan bagaimana seorang pemimpin badan bukan kerajaan (NGO)mempersoal kononnya pemimpin kerajaan tidak mengadakan solat hajat bagi mendoakan keselamatan penumpang pesawat MH370 yang hilang lebih dua minggu, sejak 8 Mac lepas. “Oleh kerana didesak melalui khidmat pesanan ringkas tiga kali sehari daripada pemimpin NGO berkenaan, saya terpaksa menghubunginya dan menyatakan bahawa perdana menteri dan semua menteri-menteri kabinet serta timbalan menteri adalah kumpulan pertama mengadakan solat hajat selepas Zuhur sebaik sahaja menerima berita kehilangan pesawat pada hari Sabtu 8 Mac lalu,” kata beliau. Jamil Khir berkata beliau tidak gemar menggembar-gemburkan kerja ibadah kepada umum tetapi apabila ditekan bertalu-talu, beliau tidak ada pilihan lain selain terpaksa menghebahkannya. “(Malah) kita bukan fikirkan orang Islam semata-mata tetapi semua penumpang dari pelbagai negara dalam pesawat itu,” kata beliau sambil meminta semua umat Islam terus berdoa dengan mengerjakan solat hajat. – BERNAMA

 

Kedalaman Lautan Hindi Mampu Mencapai 7 Kali Ketinggian KLCC
USAHA mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 merupakan satu misi yang amat sukar kerana keadaan lautan berkenaan yang selalunya bergelora selain ia merupakan laluan terpencil. Kawasan lautan itu jarang dilalui oleh kapal dagang kerana keadaan perairan dan cuacanya yang selalu tidak menentu. Sehingga kini operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan pesawat berkenaan diadakan dengan giat di sekitar kawasan itu yang juga berada dalam kawasan mencari di koridor selatan selain operasi SAR di koridor utara. Jika pesawat jenis Boeing 777-200ER itu berada di Lautan Hindi maka untuk menemui bangkai pesawat jika ia terhempas juga amat mencabar sekali. Lautan Hindi mempunyai purata kedalaman kira-kira 3.6km dan jika diibaratkan dengan ketinggian Menara Berkembar Petronas KLCC, kedalamannya merangkumi tujuh kali Menara KLCC. Bangunan tertinggi di dunia iaitu Burj Al-Khalifa di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu pula hanya berketinggian 829.8 meter. Kedalaman purata lautan itu juga tidak dapat menyaingi ketinggian gunung tertinggi di benua Australia iaitu Gunung Kosciuszko di Taman Negara Kosciuszko di New South Wales, Australia. Gunung itu berketinggian 2,228 meter dari paras laut. Selepas pihak berkuasa China mengumumkan mengesan objek di kawasan perarian itu, sehingga kini pasukan SAR dari Australia masih gagal mengesan objek berkenaan. Operasi Australia dijalankan oleh Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA). Oleh : AIRY ARIS


MH370: Apa Yang Mungkin Dilalui Keluarga Mangsa?
Perasaan waris penumpang MH370 yang menanti khabar mengenai saudara-mara mereka sejak dua minggu yang lalu boleh menjadi amat berbeza antara satu sama lain, kata ahli psikologi. Walaupun tidak terbabit secara langsung dalam memberikan kaunseling kepada keluarga penumpang, namun pakar yang mempunyai pengalaman selama beberapa dekad membantu individu berhadapan dengan trauma berkongsi pandangan dengan The Wall Street Journal. “Bila seseorang itu berhadapan dengan kehilangan yang trauma, akan berlaku tekanan yang amat tetapi akan ada juga tempoh kekeliruan dan lali ketika mereka bergelut untuk menerima kenyataan,” kata Bob Gordon, Ahli Psikologi Konsultan mengkhusus dalam kecemasan di Palang Merah Australia. Tambah Gordon, dalam situasi seperti pencarian MH370, adalah biasa untuk waris mangsa membentuk satu ikatan yang kukuh terhadap apa yang mereka rasa sebagai sumber maklumat yang terbaik. Dalam kes MH370 kata beliau, sumber maklumat yang terbaik adalah MAS. Namun katanya, ikatan yang terbentuk itu boleh berubah menjadi buruk dengan sangat pantas jika ahli keluarga mula hilang kepercayaan terhadap syarikat penerbangan berkenaan. Ketidaktentuan nasib mereka yang dikasihi boleh menyebabkan perubahan kemungkinan yang berterusan dengan saudara mara asyik membayangkan saat terakhir mangsa. Penerbangan MH370 yang hilang sejak dua minggu lalu dalam perjalanan ke Beijing dengan 239 penumpang dan anak kapal. Dengan pencarian yang begitu meluas, ia masih belum ditemui. “Ia boleh wujud dalam bentuk mengelak (dari berdepan dengan masalah), pada yang lain ia wujud dalam bentuk kemarahan yang amat sangat,” menurut Lawrence Palinks, Professor kerja sosial di University California. “Ketiadaan maklumat yang lengkap akan mempunyai kesan yang amat mendalam kepada meraka,” kata Jean Cummings dari UK Charity Crisis. “Mereka tidak mampu memberikan respon normal kerana berada dalam situasi tidak memiliki maklumat, mereka tidak tahu siapa yang harus dipercayai, meraka tidak tahu sama ada menerima maklumat yang tepat atau tidak,” katanya. Penerbangan Malaysia (MAS) berkata, ia telah menyediakan 400 kakitangan untuk membantu memberikan bantuan kemanusiaan kepada semua keluarga mangsa yang terlibat. Keluarga penumpang menerima bantuan setiap hari termasuk dari segi perubatan, terjemahan dan aspek rohani menurut syarikat berkenaan. Namun, untuk sesetengah keluarga, semua usaha itu tidak cukup memandangkan pencarian kapal berkenaan masuk ke minggu kedua tanpa sebarang keputusan. Penemuan serpihan di laut yang kemudian tidak ada kena mengena dengan kehilangan kapal berkenaan berserta dengan kenyataan pihak berkuasa yang adakalanya berubah-ubah menambah rasa kecewa keluarga mangsa.


MH370: Tali Pinggang Turut Ditemui Di Lautan Hindi
Misi mencari pesawat MH370 di Lautan Hindi kian ‘mendebarkan’ apabila Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) mengesahkan serpihan kecil atau objek yang ditemui setakat ini bukan sahaja palet kayu tetapi juga tali pinggang berlainan warna. Objek berkenaan ditemui sebuah pesawat awam yang terbabit dalam misi Mencari dan Menyelamat (SAR) di kawasan terpencil di Lautan Hindi, semalam. Penyelaras Operasi pesawat AMSA, Mike Barton dilaporkan berkata, “Sebahagian daripada objek itu ialah palet kayu dan sejumlah barangan lain serta tali pinggang berlainan warna di keliling dan tali pengikat berlainan ukuran.” Misi SAR dijalankan di Lautan Hindi selepas Australia mengumumkan penemuan dua objek termasuk sebesar 24 meter pada 16 Mac lalu oleh salah satu satelitnya. Empat pesawat kemudiannya dikejarkan ke Lautan Hindi untuk mengenalpasti objek berkenaan namun pesawat P-3 Orion Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) dikatakan gagal mengesan serpihan berkenaan sebelum ini kerana hujan dan awan tebal menghadkan jarak penglihatan. Sumber: AFP

Persatuan mahasiswa sambut baik batal konsert
Persatuan mahasiswa sambut baik batal konsert
KUALA LUMPUR - Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyambut baik pembatalan Konsert Life In Colour yang dijadualkan pada 19 April di Litar Antarabangsa Sepang, Selangor. Setiausaha Agungnya, Khairul Anuar Abdul Manap berkata, pembatalan konsert oleh pihak penganjur itu merupakan satu usaha yang baik untuk menghormati sensitiviti rakyat yang sedang berduka ekoran kehilangan pesawat MH370. Katanya, pembatalan itu juga mungkin bagi mengelakkan dari berulangnya tragedi di Stadium Bukit Jalil pada 15 Mac lepas apabila enam remaja maut selepas dipercayai mengambil dadah dan alkohol berlebihan semasa berlangsungnya Konsert Future Music Festival Asia (FMFA) 2014. "Diharapkan pembatalan konsert seumpama ini yang telah dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan negara akan dibatalkan terus dan tidak langsung diadakan pada tahun-tahun yang akan datang," kata Khairul kepada Bernama. Katanya, golongan mahasiswa berpendapat konsert seumpama ini tidak langsung mempromosi budaya dan adat ketimuran malah telah mencemarkan nama Malaysia apabila budaya kebaratan yang tidak sihat dibawa masuk. "Seharusnya kita lebih kreatif dalam mempromosi kebudayaan dan pelancongan negara ke arena antarabangsa," katanya. - Bernama

PDRM: Suasana meriah, bukan kecoh

PDRM: Suasana meriah, bukan kecoh
KAJANG - [VIDEO] Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan menafikan berlakunya kekecohan seperti mana yang digambarkan sesetengah pihak, sebaliknya suasana mengundi pada PRK N25 Kajang kali ini dilihat agak meriah. Beliau menegaskan kekecohan 'palsu' itu hanyalah berpunca daripada kehadiran ramai penyokong parti yang hadir untuk merayu undi calon masing-masing. "Faktor jalan depan sekolah agak sempit dan ramai pengundi membawa kenderaan dan meletakkannya di tempat yang tidak sepatutnya menyebabkan kesesakan. "Walapun keadaan itu dilihat sebagai agak kecoh tetapi sesungguhnya bukan satu kekecohan, saya lihat ia lebih satu keadaan yang meriah," katanya kepada pemberita ketika mengunjungi pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Sekamat, Batu 10 Cheras, di sini, hari ini. Beliau berkata demikian mengulas lanjut insiden provokasi yang timbul di pusat mengundi di sekitar pusat mengundi di Dewan Orang Ramai dan SKJC Sungai Chua, Kajang hari ini. Suasana tegang antara penyokong BN dan PKR timbul disebabkan kesesakan lalu lintas dan terdapat seorang penyokong membawa alat propaganda 'kangkung' untuk merayu undi. Menurut Mohd Shukri lagi, pihaknya memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya tidak memanipulasikan keadaan semasa hingga boleh mencetuskan suasana tegang dan huru-hara. "Saya tidak mahu sebarang apa jua andaian yang dibuat, sebenarnya tahap keselamatan dalam keadaan terkawal dan anggota polis sedia berada di lokasi khususnya dari cawangan trafik. "Dalam masa sama pasukan lain siap sedia ambil tindakan bagi memastikan proses pengundiannya berjalan lancar," katanya sambil menyeru orang ramai membantu pihak polis bagi melancarkan hari mengundi hari ini.

mh 370
MH370: Media tempatan, asing pindah ke PWTC
KUALA LUMPUR - Kira-kira 48 media tempatan dan lebih 100 media luar negara yang membuat liputan tentang operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MH370, mula berpindah ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini. Wartawan daripada agensi media tempatan dan antarabangsa, termasuk Bernama, mula membawa masuk peralatan masing-masing dan menempah ruang bekerja sejak tengah hari ini. Kebanyakan mereka kelihatan berpuas hati dengan pusat media baharu itu kerana ia menyediakan ruang lebih luas untuk media, dewan lebih besar untuk sidang akhbar dan terletak berhampiran pusat bandar. Di samping itu, pihak urus setia juga menyediakan pelbagai kemudahan, termasuk capaian Internet dan makanan untuk petugas. Media antarabangsa yang berpindah ke situ termasuk CNN, BBC, Bloomberg, Associated Press, Sky News dan CCTV dari China, di samping pertubuhan berita dari Jepun, Indonesia dan Singapura. Kementerian Pengangkutan dalam kenyataannya semalam berkata pemindahan pusat media itu ke PWTC dibuat berikutan komitmen Sama-Sama Hotel terhadap mereka yang membuat tempahan bersempena Grand Prix Formula 1 minggu ini. Sidang akhbar harian diadakan di Sama-Sama Hotel berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa KL sejak hari pertama pesawat Malaysia Airlines MH370 dilaporkan hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac. - Bernama

Satelit China kesan objek baharu
Objek ditemui satelit China mungkin sayap MH370, kata pakar
Berita satelit China menemui objek lain di Lautan Hindi semalam memberikan dorongan baru untuk mencari pesawat MH370 dalam misi pencarian yang sudah masuk minggu ketiga. Lebih banyak pesawat dan kapal menyertai operasi mencari dan menyelamat antarabangsa mengeruk kawasan laut terpencil Bumi, selepas Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein semalam berkata penemuan satelit terkini merupakan objek berukuran kira-kira 22.5m panjang dan 13m lebar. Dr John Blaxland dipetik berkata kepada agensi berita China, Xinhua, jika ukuran tepat, ia konsisten dengan sayap pesawat Boeing 777-200ER, lapor The Sydney Morning Herald (SMH) hari ini. Apabila ditanya apakah penemuan satelit China itu menyerupai imej satelit awal diumumkan Australia, Dr Blaxland dari Australian National University berkata, ia berbeza. “Bentuknya sama tetapi jika ukuran tepat, ini lebih besar saiznya,” katanya. Menurut pihak berkuasa pentadbiran Sains, Teknologi dan industri bagi Pertahanan Negara berkata, objek dikesan oleh satelit pemantauan bumi "Gaofen-1", kira-kira jam 12 pagi 18 Mac waktu Beijing, lapor SMH. Pada 20 Mac lalu, Perdana Menteri Australia, Tony Abbott menghubungi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menyampaikan maklumat penemuan dua imej satelit bersaiz 24 meter yang dipercayai tenggelam timbul di permukaan air berkemungkinan serpihan daripada pesawat MH370. Pakar kejuruteraan penerbangan berpendapat, objek berkenaan berkemungkinan sayap pesawat Boeing 777-200ER. Semua pihak yang terlibat dalam operasi mencari di koridor selatan sudah mengerahkan pesawat dan kapal laut masing-masing ke kawasan pencarian yang terletak lebih kurang 2,300 kilometer ke barat daya Perth. Bagaimanapun, objek tersebut masih gagal ditemui hingga hari ini selepas tiga hari misi pencarian dijalankan bermula Khamis. – 23 Mac, 2014.


Bogel Lawat Suami Dalam Jel
VIRGINIA – Seorang wanita berdepan tuduhan berkelakuan tidak sopan selepas dia melawat suaminya di Penjara Arlington dalam keadaan berbogel. Maura Fussell, 26, datang melawat suaminya petang semalam selepas lelaki itu ditahan pada sebelah pagi namun pihak polis berkata mereka tidak pasti sama ada dia memang siap berbogel ketika datang melawat atau mula menanggalkan pakaian setibanya di penjara itu. Namun, apa yang pasti, dia berada dalam keadaan mabuk ketika itu. Dia bagaimanapun enggan memakai kembali pakaiannya, menyebabkan pihak polis memberi kata dua sama ada mereka menghubungi teksi untuk membawa dia pulang atau dia bermalam dalam lokap. “Anggota kami memberi peluang kepadanya untuk pulang menaiki teksi yang kami hubungi, tetapi dia enggan berbuat demikian dan memilih untuk bermalam di lokap,” kata jurucakap polis Arlington, Dustin Sternbeck. – Agensi

 

Risau anak gadis hilang sejak 18 Mac Lalu.
Azmi menunjukkan laporan polis berkaitan kehilangan anaknya sejak 18 Mac lalu.
BANDARAYA MELAKA – Sepasang suami isteri di sini, bingung dan risau memikirkan nasib anak gadisnya yang hilang sejak lima hari lalu. Bapanya, Azmi Atan, 46, berkata, dia mengetahui kehilangan tersebut apabila dihubungi Politeknik Sultan Ibrahim, Pasir Gudang yang mengatakan anaknya, Mastini Azmi, 19, tidak hadir ke kelas dan tidak berada di asrama sejak 18 Mac lalu. Menurutnya, anaknya adalah pelajar jurusan Diploma Reka Bentuk Grafik di politeknik terbabit dan kali terakhir dia berjumpa dengan anaknya semasa menghantarnya pulang ke asrama pada 15 Mac lalu. “Saya segera membuat laporan polis sebaik sahaja diberitahu pihak kolej dan mencarinya di sekitar Pasir Gudang tetapi gagal. "Saya juga mencarinya di Cheras selepas polis mengatakan anak saya berada di sana, namun tidak menjumpainya,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediamannya di Taman Pulai Indah, semalam. Azmi berkata, selepas beberapa hari hilang, anaknya ada menghubunginya dan ketika itu suaranya agak lemah. Ibu, Nor Rafidah Ab Kadir, 44, berkata, anaknya seorang yang baik dan tidak melawan kata-katanya atau memberontak sekiranya ditegur. "Rakan-rakan anak saya juga ada mengatakan, Mastini sering keluar dengan seseorang yang mendakwa sebagai emak saudara pada cuti hujung minggu sekiranya tidak pulang ke rumah,” katanya. Orang ramai yang melihat Mastini dapat menghubungi Azmi di talian 010-4284446. Sumber: Sinar Harian Online

Pengarah Deep Water terkejut filemnya mirip insiden MH370
Seluruh dunia masih mendoakan semoga pesawat MH370 ditemui walaupun masih belum ada petunjuk kukuh selepas masuk minggu ketiga kehilangannya. Gambar fail.
Pengarah filem Australia Alister Grierson mengakui terdapat sedikit keganjilan apabila plot filem terbarunya mempunyai sedikit persamaan dengan insiden pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang. Pembikin filem yang berpangkalan di Gold Coast itu berkata kepada Daily Mail, meskipun persamaan masih menjadi misteri, filem aksinya, Deep Water jauh berbeza. "Persamaan dan latar masa dua benda menarik dan saya dapat melihat secara anekdot dua benda itu berkait. "Deep Water mengenai kemalangan yang berlaku kepada sebuah pesawat yang tenggelam di lautan dan penyelamat cuba menyelamatkan diri selepas itu. "Ia filem aksi yang menyeronokkan penuh dengan debaran dan menyeramkan ketika babak berdepan penjahat dan jerung," katanya. - 23 Mac, 2014.


Spekulasi bantu siasatan MH370, kata KPN
Semua spekulasi yang disebarkan di internet dipantau dan disiasat jika ia boleh membantu siasatan mencari dan menyelamat MH370, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Gambar fail The Malaysian Insider.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata spekulasi yang menular di internet boleh membantu siasatan dalam misi mencari dan menyelamat pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu. Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau spekulasi mengenai pesawat Boeing 777-200ER itu. "Kami memantau semua spekulasi ini kerana kita merasakan sedikit sebanyak ia membantu dalam siasatan," katanya dalam satu wawancara disiarkan Utusan Malaysia edisi Ahad, Mingguan Malaysia hari ini. Beliau berkata demikian sebagai mengulas berhubung tindakan polis yang bakal diambil kepada penyebar spekulasi di media sosial. "Namun jika sekadar spekulasi, kami melihat belum cukup untuk mengambil tindakan melainkan mereka membuat fitnah," katanya. Bagaimanapun, katanya, semua pihak dinasihatkan bijak membezakan antara fakta dan spekulasi. "Jadi apa juga yang ditulis oleh orang ramai dalam media sosial adalah berbentuk spekulasi kerana tidak disokong oleh fakta, maka ia tetap kekal spekulasi,” katanya. Diminta mengulas mengenai laporan media antarabangsa yang didakwa negatif dan bersikap berat sebelah, Khalid berkata, terdapat media luar sengaja memperkecil-kecilkan Malaysia. "Kita kena faham bahawa ada pihak asing yang dengki dengan kita. Mereka ini sengaja mahu memperlekehkan kita. Malangnya ada kalangan masyarakat kita begitu cepat percaya dengan berita asing. "Walhal akhbar kita yang patut lebih tahu kerana kita memberikan berita sebenar tetapi mereka (rakyat) tidak mahu dengar,” katanya. KPN mendakwa ada cubaan media asing untuk melaga-lagakan negara ini dengan pihak tertentu, termasuk China. MH370 hilang selepas kira-kira sejam berlepas untuk perjalanan ke Beijing dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan 239 penumpang dan anak kapal pada 8 Mac lalu. Hari ini merupakan hari ke-16 misi mencari dan menyelamat antarabangsa yang disertai lebih 26 negara. - 23 Mac, 2014.


MH370: Taufan Gilian Mungkin Jejas Operasi Mencari
Imej satelit taufan Gillian NASA bergerak melalui Pulau Jawa Indonesia yang dirakam pada 21 Mac lalu, pada pukul 2.55 petang waktu Malaysia. -NRL/Nasa
SEPANG: Amaran taufan Gillian di kawasan koridor Selatan setakat ini tidak menjejaskan operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370 yang hilang. Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata taufan itu kini dikesan berada di kawasan sekitar Pulau Krismas dan masih belum memberi kesan kepada kawasan carian di koridor Selatan. "Ia belum lagi berada dalam kawasan mencari dan menyelamat, tetapi ia boleh bergerak menghampirinya," kata beliau sambil menambah ia bolehmenjejaskan usaha carian di sana. Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, ketika ini taufan itu berada di bawah taufan kategori satu dan " masihtidak menjejaskan kawasan carian, tetapi ia boleh melanda kawasan itu." "Beberapa buah kapal mungkin perlu berdepan dengan taufan itu untuk sampai ke kawasan mencari dan menyelamat," katanya. Hishammuddin berkata lima buah pesawat dan dua buah kapal dagang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat di kawasan sekitar kedua-dua objek dikenal pasti oleh pihak berkuasa Australia, yang terletak kira-kira 2,500 km barat daya Perth. "Walaupun keadaan carian visual lebih baik semalam (Jumaat), tidak ada objek yang mempunyai kaitan dapat dikesan. Operasi diteruskan, dan hariini (Sabtu) mereka merancang untuk mencari di keluasan kira-kira 10,500 batu nautika persegi," kata Hishammuddin. Hishammuddin berkata pihak berkuasa Australia menjangkakan bahawa enam pesawat iaitu empat pesawat tentera dan dua pesawat awam akan mencari secara visual di kawasan itu. "Dua kapal dagang juga akan tiba semasa operasi carian dan HMAS Success dijangka sampai ke kawasan carian pada pukul 2.30 petang hari ini (Sabtu)," katanya. Walau bagaimanapun, Hishammuddin berkata keadaan di koridor selatan sangat mencabar. "Lautan ini mempunyai kedalam berbeza antara 1,150 m dan 7,000 m di kawasan di mana objek dikenal pasti oleh pihak berkuasa Australia dan arusnya kuat dan laut bergelora," kata Hishammuddin. Pulau Krismas terletak kira-kira 2,600 km barat laut Perth. Pulau di Lautan Hindi telah diletakkan di bawah amaran berjaga-jaga peringkat merah pada pagi Sabtu dan penduduk sekitar diberitahu jika mereka tidak bersedia untuk dipindahkan, mereka mesti tinggal di dalam rumah dan menjauhkan diri dari pintu dan tingkap. Biro Meteorologi Australia memberi amaran bahawa taufan kategori satu boleh membawa kelajuan tiupan angin dijangka sehingga sehingga 125km/jam.

14,800 pil kuda dirampas
Pasir Mas: Polis berjaya merampas sebanyak 14,800 pil kuda bernilai RM296,000 dalam serbuan di Taman Sri Rantau, Rantau Panjang, Rabu lalu. Turut ditemui dalam serbuan jam 4 petang itu ialah wang tunai berjumlah RM90,000. Susulan serbuan itu, polis menahan dua lelaki berusia 38 dan 42 tahun.

Polis Marin rampas 900 kg daging
Pelabuhan Klang: Harga daging lembu yang mahal di Indonesia, mendorong sindiket tertentu mendapatkan bekalan barangan berkenaan di negara ini sebelum menyeludupnya menggunakan bot tukaran barang ke negara berkenaan. Bagaimanapun, tindakan sebuah bot yang dinaiki lima lelaki warga Indonesia membawa 900 kilogram daging lembu yang dianggarkan bernilai RM12,500 berjaya dirampas Pasukan Polis Marin Pelabuhan (PPM) 7 petang semalam.

Foto
Polis hanya temui sampan, pukat
ORANG kampung dan pasukan penyelamat yang menyertai operasi mencari.
Kuala Lipis: Operasi mencari dan menyelamat Mohamad Mahmud, 52, yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari sampan ketika memukat ikan di Lubuk Law, Sungai Jelai, di sini, sejak 20 Mac lalu, terus buntu. Ketua Polis Daerah Kuala Lipis Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, polis dan bantuan pelbagai agensi penyelamat akan tetap menjalankan gerakan mencari mangsa sehingga dapat ditemui. Katanya, operasi mencari dijalankan jam 6 pagi tadi (semalam) dan berakhir jam 7 malam semalam. Menurutnya, sepasukan anggota polis dibantu Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Unit Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang serta penduduk kampung menjalankan gerakan mencari mangsa. “Bagaimanapun, sehingga kini mangsa belum ditemui dan polis hanya menemui sampan dan pukat miliknya tersangkut di tebing. Polis mengklasifikasikan kes ini sebagai orang hilang,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Mangsa yang berasal dari Kampung Jeram Bungo, di sini, dikatakan keluar dari rumah jam 6 petang bersama seorang rakannya untuk pergi memukat ikan sungai. Ketika tiba di lubuk berkenaan, mangsa bersama rakannya berpecah untuk memukat ikan.

Foto
Tindakan pantas berjaya selamatkan anak
NORWAHIDAH melihat keadaan keretanya yang musnah terbakar.
Melaka: “Allahuakbar, cepat keluar dari kereta nak,” kata Norwahidah Saad, 39, menceritakan detik cemas ketika kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Ria dinaiki bersama tiga anaknya terbakar sejurus berlaku letupan kecil di bahagian enjin di Cheng, di sini, semalam. Norwahidah berkata, dalam kejadian jam 1.10 tengah hari, dia dan tiga anaknya Norhazirah Hanafi, 5, Mohd Hafiz, 9, dan Norhaziqah, 11, dalam perjalanan dari rumah mereka di Masjid Tanah untuk menjemput dua anaknya yang lain di Sekolah Menengah Kebangsan (SMK) Tinggi Perempuan Melaka di Durian Daun. Katanya, ketika memandu, dia dikejutkan dengan bunyi letupan kecil di bahagian enjin dan pada masa sama, brek gagal berfungsi. “Asap tiba-tiba berkepul-kepul keluar daripada bahagian enjin. Saya perlahankan kereta dan menarik brek tangan sebelum mengarahkan anak segera keluar. “Sebaik anak keluar, api terus marak di bahagian enjin. Orang ramai, termasuk pekerja stesen minyak berhampiran, cuba membantu memadam kebakaran namun gagal,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Foto
Kos cecah RM10j, angkat pesawat
Pakar Ukur Hidrografi dan Pemetaan Dasar Laut, Fakulti Geoinformasi dan Harta Tanah, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Mohd Razali Mahmud (gambar) berkata teknologi terkini diperlukan dalam proses pencarian ini yang kosnya pasti membabitkan berjuta-juta ringgit. Kuala Lumpur: Jika benar objek yang dikesan pihak berkuasa China dan Australia di Lautan Hindi adalah pesawat MH370, kos mencari bangkai pesawat dan kotak hitam diyakini boleh mencecah sekurang-kurangnya RM10 juta. Ini berikutan tiga alat yang boleh digunakan untuk mencari kotak hitam iaitu ‘autonomous underwater vehicle’ (AUV), ‘remotely operated vehicles’ (ROV) dan alat teknologi sonar yang dinamakan pemerum gema berbilang alur (PGBA) boleh mencecah nilai berkenaan. Malaysia tidak memiliki PGBA manakala AUV dan ROV lazimnya digunakan untuk operasi cari gali minyak. Selain itu, faktor tempoh operasi yang mungkin berlanjutan boleh menambah kos pencarian kotak hitam.

Foto
Mayat ibu tepi jalan akibat kemalangan
LOKASI mangsa ditemui oleh anaknya, turut kelihatan dua topi keledar milik mangsa.
Lenggong: “Saya hanya mampu meraung sedih sejurus mendapati sekujur tubuh yang terbaring di tepi jalan raya itu adalah mayat ibu,” kata Muhammad Syukran Mat Rozi, 17. Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari semalam, Siti Asiah Mat Hussin, 49, mati di tempat kejadian manakala anaknya Muhammad Lukmanul Hakim Mat Rozi, 12, parah selepas dilanggar sebuah lori dari arah bertentangan di Kilometer 6, Jalan Lenggong-Gerik berhampiran Kampung Gua Badak, di sini. Syukran berkata, dia dalam perjalanan pulang dari sekolah terserempak mayat seorang wanita terbujur tidak jauh dari sebuah motosikal. “Hati saya berdebar-debar dan firasat buruk saya menjadi kenyataan apabila melihat mayat ibu ditutup dengan kertas surat khabar. “Saya menangis tidak henti sehingga terpaksa ditenangkan orang ramai,” katanya.

Agihan air secara berjadual di empat daerah di Johor hingga hujung Mac
JOHOR BAHRU - Pengagihan bekalan air secara berjadual di empat daerah di negeri ini dijangka berterusan hingga hujung bulan ini sehingga air di empangan kawasan itu mencapai paras stabil. Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, walaupun berlaku hujan beberapa hari lepas, namun penyaluran air secara normal kepada pengguna tidak boleh dilakukan selagi paras air di lapan loji yang menerima air dari sungai-sungai berdekatan belum benar-benar mencapai paras stabil. "Umumnya, paras air di loji-loji itu sudah meningkat pada hari ini dan beroperasi seperti biasa. Cuma kita perlu mengambil sedikit lagi masa iaitu selewat-lewatnya 31 Mac untuk menentukan tempoh yang sesuai bagi membekalkan air seperti biasa,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini. Hasni berkata kawasan yang masih terlibat dengan pengagihan air secara berjadual itu adalah beberapa lokasi di daerah Kluang, Mersing, Kota Tinggi dan Kulaijaya. Beliau berkata, bekalan air menerusi khidmat lori tangki di beberapa lokasi yang terlibat itu juga sudah dihentikan dan penduduk kini mendapatkan bekalan air menerusi bekalan secara berjadual. Masalah kekurangan bekalan air di semua daerah itu berlaku sejak awal bulan lepas apabila terjadi penyusutan air di empangan ekoran cuaca panas dan kering yang melanda negara. - Bernama


Lebih 80 peratus dijangka mengundi
KAJANG - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan lebih 80 peratus daripada 38,055 pemilih berdaftar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu hari ini. Setiausahanya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, jangkaan tersebut berdasarkan trend pengundian dan peratusan keluar mengundi semasa Pilihan Raya Umum ke-13 di DUN itu yang melebihi 88.4 peratus. "Saya menasihatkan pengundi agar datang awal dan secara berperingkat bagi mengelakkan kesesakan di pusat mengundi," katanya pada sidang akhbar di sini semalam. Rabu lepas, 88.39 peratus atau 1,050 daripada 1,197 pengundi awal di DUN berkenaan telah melaksanakan tanggungjawab mereka. Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd. Shukri Dahlan memberitahu, semua kenderaan berat kecuali pengangkutan awam tidak dibenarkan memasuki kawasan Kajang mulai tengah malam tadi hingga pukul 4 petang ini. Beliau berkata, langkah itu bertujuan melancarkan lalu lintas di kawasan Kajang berikutan proses pembuangan undi yang berlangsung hari ini. "Lebih 3,000 pegawai dan anggota polis ditugaskan bagi memastikan PRK DUN Kajang berjalan lancar dan selamat," ujar beliau. PRK DUN itu diadakan selepas penyandangnya, Lee Chin Cheh daripada Parti Keadilan Rakyat (PRK) meletak jawatan pada 27 Januari lepas. Hari ini, pengundi di DUN tersebut akan memilih sama ada Datin Paduka Chew Mei Fun daripada Barisan Nasional atau calon PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai wakil rakyat yang baharu.


Lamborghini dipandu pelajar remuk
GUA MUSANG - Sebuah kereta Lamborghini yang dipandu seorang pelajar kolej swasta remuk selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 38, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, pukul 4 petang semalam. Kemalangan itu dipercayai berlaku akibat kegagalan pemandu kereta mewah berkenaan, Ng Euken, 25, memotong sebuah lori yang berada di hadapannya. Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superitendan Saiful Bahri Abdullah berkata, semasa kejadian sebuah lori dari arah bertentangan pula gagal mengelak menyebabkan kenderaan terbabit bergesel dengan kereta Lamborghini yang bernilai kira-kira RM1.2 juta itu. "Lori tersebut berpusing sebelum melanggar sebuah teksi di laluan bertentangan. Bagaimanapun hanya pemandu Lamborghini dan seorang penumpang di dalamnya mengalami cedera ringan," katanya. Jelas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat.


Saudara-mara penumpang MH370 hilang sabar
BEIJING - Polis terpaksa campur tangan semalam selepas terdapat keluarga kepada para penumpang pesawat MH370 dari China bertindak meluru ke arah beberapa pegawai Malaysia di Hotel Metro Park Lido di sini. Anggota-anggota keluarga itu melakukan perbuatan itu kerana mahu mengetahui tentang nasib keluarga masing-masing selepas pesawat Penerbangan Malaysia tersebut hilang pada 8 Mac lalu. Kebanyakan keluarga itu berharap orang yang disayangi itu masih lagi hidup. Seramai 153 warga China menaiki pesawat Boeing 777-200ER itu yang hilang daripada radar pada 8 Mac lalu selepas hampir sejam berlepas pada pukul 12.41 pagi. Pesawat tersebut membawa 227 penumpang dan 12 kru. "Kerajaan Malaysia, tolonglah beritahu kami perkara yang sebenar. Berilah kami semula orang yang kami sayangi," kata beberapa orang yang menghadiri taklimat tentang perkembangan misi mencari pesawat MAS itu. "Kerajaan Malaysia menipu kami. Mereka tidak berani untuk berdepan dengan kami. Kerajaan Malaysia merupakan pembunuh paling utama," kata seorang daripada saudara-mara itu. Ketika saudara-mara itu diselubungi kemarahan, sebahagian mereka meluru ke arah beberapa pegawai Malaysia. Namun, polis pantas bertindak bagi mengelak mereka mendekati para pegawai Malaysia itu. "Kami tidak mampu untuk menanggung penderitaan ini," kata seorang wanita. "Mereka (MAS) memberikan kami pampasan tetapi kami kehilangan seluruh keluarga kami. "Ini merupakan negara China. Mereka (pegawai-pegawai Malaysia) tidak boleh memberitahu kami untuk datang dan pergi mengikut sesuka hati mereka. Kami akan menunggu di sini. Jika mereka tidak datang, kami tidak akan pergi," tambahnya. Kejadian itu berlaku sebelum kerajaan China mendedahkan pada petang semalam bahawa sebuah satelit miliknya menemui imej yang menunjukkan objek berukuran 22.5 meter panjang dan lebar 13 meter di selatan Lautan Hindi. Imej itu dirakamkan pada 18 Mac lalu dan disiarkan di laman web Pentadbiran Negara Teknologi, Sains dan Industri China. Beberapa buah kapal tentera China kemudian dikerahkan ke lokasi tersebut yang hanya 120 kilometer (km) dari objek yang dikesan sebuah satelit milik Australia pada 16 Mac lalu. - Agensi


Tiga penduduk Palestin terbunuh
JENIN, Palestin - Tiga penduduk Palestin terbunuh di kem pelarian Jenin, Tebing Barat awal semalam dalam satu pertempuran, kata beberapa pegawai. Ketiga-tiga mereka terbunuh dalam pertempuran melibatkan askar-askar Israel yang melancarkan operasi untuk menangkap seorang pejuang Palestin. Sumber-sumber perubatan dan keselamatan menyatakan, dua daripada mereka yang terbunuh itu merupakan pejuang Palestin. Salah seorang pejuang yang maut itu ialah Hamza Abu Al-Heja yang merupakan anggota sayap ketenteraan Hamas. Menurut sumber berkenaan, seorang lagi yang terbunuh itu merupakan orang awam. - Agensi


Lima terkorban pesawat terhempas
SYDNEY - Seorang juruterbang dan empat peluncur udara terkorban apabila sebuah kapal terbang ringan Cessna 206 terhempas dan terbakar semasa berlepas di Lapangan Terbang Caboolture, timur Australia semalam. Seorang pegawai polis Queensland, Michael Brady memberitahu Sky News, seorang juruterbang lelaki, dua pengajar peluncur udara dan dua peluncur udara terkorban dalam nahas tersebut. Pesawat itu terbabas ke kirii sebelum terjunam di landasan selepas ia berlepas. Punca kejadian masih lagi disiasat. - Agensi

Komik unsur lucah jadi pilihan
Komik unsur lucah jadi pilihan
ALOR SETAR - Antara sedar mahupun tidak, kebanyakan golongan remaja khususnya pelajar lelaki menjadikan hobi membaca komik sebagai kegilaan dan menyimpannya sebagai koleksi peribadi mereka. Sedangkan, kebanyakan komik yang datangnya dari luar negara seperti Jepun, Korea mahupun Taiwan ini sebenarnya memaparkan imej tidak senonoh sehingga memberi pengaruh negatif. Realitinya, kebanyakan kita tidak sedar bahawa bahan bacaan ringan yang digemari ramai termasuklah kanak-kanak ini sebenarnya ada kalanya berunsur lucah. Buku komik menghairahkan? Tinjauan Sinar Harian mendapati ada pemilik kedai buku tertentu didakwa cuba berselindung di sebalik jualan buku biasa, sedangkan bahan bacaan berunsur luar seperti komik juga dijual. Difahamkan, dengan hanya bermodalkan 50 sen, pembaca didakwa boleh menyewa, sekaligus membaca bahan bacaan kegemaran mereka termasuklah komik berunsur lucah sehingga habis di kedai berkenaan. Malah, mereka dipercayai mudah memilikinya dengan bayaran serendah RM 4.50 hingga RM9.00 semata-mata kerana ia didakwa dijual secara tertutup di kedai buku pusat membeli belah sekitar kawasan ini. Deretan buku komik kelihatan disusun rapi di kedai berkenaan, namun sungguh memalukan apabila sebaik membuka bahan bacaan terbabit, kelihatan gambar perempuan seksi dalam keadaan menghairahkan. Meskipun, tinjauan mendapati bukannya semua bahan bacaan dipamerkan berunsur lucah, namun ia sedikit sebanyak menimbulkan kebimbangan apabila jelas terpampang lukisan perempuan bogel dalam komik itu. Terkejut beli komik bergambar tidak senonoh Seorang remaja hanya ingin dikenali Asrizal, 14, berkata, dia juga terkejut apabila mendapati beberapa buah komik dibelinya di pasar baru-baru ini rupa-rupanya mengandungi bahan bacaan tidak sesuai. “Saya sememangnya gemar membaca komik tak kira apa jenis sekalipun kerana ia menghilangkan rasa tertekan, selain mengisi masa terluang. Bagaimanapun, ada komik dibeli mengejutkan diri saya. “Jumaat lepas, saya membeli bahan bacaan terbabit yang dijual secara terang-terangan di sebuah pasar. Di situ, berbagai buku lama termasuklah komik juga dijual. Kami boleh pilih sesuka hati,” katanya. Katanya, dia tertarik untuk membeli beberapa komik terbabit kerana harganya murah berbanding kebiasaannya, sedangkan sekiranya di kedai buku ia dijual sekitar RM5.50. Menurutnya, dia sememangnya tidak menyangka komik terbabit akan memaparkan lukisan perempuan mandi dan tidak berpakaian sehingga menampakkan bahagian kemaluannya. Asrizal berkata, dia kemudiannya memaklumkan perkara terbabit kepada bapa saudaranya, Aiman Haikal Hashim, 40, dan menyerahkan komik berkenaan kepada lelaki terbabit. Hobi membaca komik perlu diawasi Aiman Haikal berkata, meskipun komik terbabit tidak memiliki bahan erotik yang dikhuatiri menimbulkan keinginan seks luar kawalan, namun kekerapan membacanya akan mengubah persepsi remaja mengenai seks. “Bayangkan, ia secara terangan-terangan menunjukkan tubuh perempuan. Itu baru sedikit, bayangkan jikalau ia menunjukkan aktiviti tidak senonoh lain hingga mengotorkan fikiran mereka,” katanya. Katanya, dia bimbang golongan remaja seperti anak saudaranya cuba mencontohi apa sahaja yang menarik perhatian mereka, justeru hobi berkenaan mesti diawasi sebaiknya. “Mungkin, kita sendiri terlepas pandang. Jadi, tidak boleh menyalahkan sesiapa. Kita tidak tahu mereka berkemungkinan dengan mudahnya boleh mendapatkan bahan bacaan sedemikian di belakang kita,” katanya. Sehubungan itu, katanya, dia memohon pihak bertanggungjawab supaya memantau perkara berkenaan demi memastikan bacaan bacaan sedemikian tidak dijual sewenang-wenangnya.

Sorok motosikal curi di dapur
Sorok motosikal curi di dapur
PADANG SERAI - Tindakan seorang lelaki yang menyorokkan motosikal dicuri di bahagian dapur rumahnya memakan diri apabila ditahan sepasukan polis dalam serbuan di Kampung Ekor Kucing dekat sini, kira-kira jam 4.30 pagi kelmarin. Suspek berusia 40 tahun itu ditahan dalam serbuan yang dijalankan polis dari Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah (JPPJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim yang menerima maklumat orang awam. Ketika ditahan, suspek berada bersendirian di rumah dan selepas memperkenalkan diri, polis kemudiannya masuk ke rumah suspek dan membuat pemeriksaan di bahagian dapur sebelum menemui motosikal yang dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu. Dari semakan dibuat, motosikal itu dipercayai dicuri kerana nombor casis serta enjinnya sudah ditukar. Polis kemudiannya menemui satu enjin motosikal lain dan dari pemeriksaan dijalankan terhadap enjin itu, nombor yang ada pada enjin itu diubah suai dan merupakan enjin motosikal jenis lain. Suspek kemudiannya dibawa pulang ke IPD Kulim untuk siasatan lanjut. Menurut jurucakap polis, dari keterangan dibuat, suspek kemudiannya memaklumkan kepada polis bahawa enjin itu dimiliki oleh rakan sekampungnya. "Setelah dipujuk anggota polis, suspek bersedia menunjukkan rumah kenalannya yang dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri motosikal," katanya.

Tony Abbott
Serpihan kecil ditemui di Lautan Hindi
KUALA LUMPUR - Serpihan-serpihan kecil termasuk sekeping palet kayu dikesan oleh sebuah pesawat yang terbabit dalam pencarian MH370 di selatan Lautan Hindi, lapor Agensi Berita Xinhua. Laporan itu memetik Perdana Menteri Australia Tony Abbott sebagai berkata bagaimanapun masih terlalu awal untuk mengaitkan serpihan tersebut dengan pesawat Malaysia Airlines yang hilang sejak 8 Mac lepas. "Semalam, satu daripada pesawat awam kami yang terbabit dalam pencarian itu mengesan beberapa objek di satu kawasan kecil dalam zon pencarian Australia. "Akan tetapi sebelum kita boleh berbicara secara khusus tentang objek itu, kita perlu mengambilnya dahulu. Masih terlalu awal untuk benar-benar pasti," katanya kepada pemberita di Papua New Guinea pagi Ahad. Laporan Xinhua menerusi laman sesawangnya http://news.xinhuanet.com/english itu turut memetik Abbot sebagai berkata empat lagi pesawat iaitu masing-masing dua dari China dan Jepun akan menyertai pencarian di kawasan berkenaan. Mengenai imej yang dicerap oleh satelit China, beliau berkata cerapan itu membayangkan objek tersebut sangat besar. Katanya harapan bahawa pihak berkuasa mungkin dapat menyelesaikan misteri kehilangan pesawat tersebut semakin meningkat. - Bernama

MH370
Operasi diperhebat, satelit kesan objek besar
KUALA LUMPUR - Misi pencarian MH370 di selatan Lautan Hindi gagal menemui objek yang imejnya dicerap oleh satelit China, meskipun operasi semalam meliputi lokasi objek itu dikesan. Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) dalam kenyataannya di sini hari ini, berkata AMSA menggunakan maklumat yang disalur oleh China itu untuk memeta plot pencarian. Hari ini, pencarian dibahagikan kepada dua, dalam kawasan yang sama meliputi keluasan 59,000 kilometer persegi, kira-kira 2,500 km dari barat daya Perth, kata kenyataan itu. Sebanyak lapan pesawat dikerah melaksanakan operasi hari ini termasuk empat pesawat awam iaitu dua Bombardier Global Express serta sebuah Gulfstream 5 dan Airbus 319. Satu daripada pesawat awam terbabit berlepas dari Perth kira-kira 9 pagi, manakala tiga lagi dijadual berlepas antara pukul 11 pagi hingga tengah hari. Menurut kenyataan itu pesawat P8 Poseidon milik tentera udara Amerika Syarikat berlepas pada pukul 11 pagi, manakala sebuah P3 Orion milik Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) berlepas pada 11.45 pagi. "Sebuah lagi P3 Orion RAAF akan menyusul pada 2 petang," kata kenyataan itu yang menambah P3 Orion milik tentera udara New Zealand akan berlepas pada 4 petang. Kenyataan itu juga menyebut kapal tentera laut Australia HMAS Success turut menjalankan aktiviti pencarian hari ini. "Sebanyak 20 sukarelawan Perkhidmatan Kecemasan Negeri (SES) dari Australia Barat ditugas sebagai peninjau bagi pesawat awam hari ini dengan lima orang bagi setiap pesawat, selain seorang Penyelaras Misi Penerbangan Aerorescue," kata kenyatan itu. Dua pesawat tentera dari China Ilyushin Il-76 sudah tiba di Pangkalan Pearce RAAF dan AMSA dimaklumkan pesawat terbabit sedia untuk dikerah esok. - Bernama

Jenayah libatkan pelajar meningkat di Melaka
ALOR GAJAH - Ketua Polis Melaka, Datuk Chua Ghee Lye berkata, jenayah melibatkan pelajar sekolah di Melaka meningkat tahun lepas berbanding 2012 dan usaha membanterasnya sedang giat dilakukan. Beliau berkata, khidmat Kor Kadet Polis dan anggota Kelab Pencegahan Jenayah di sekolah di negeri ini digunakan bagi memberi nasihat dan ceramah kepada pelajar sekolah mengenai bahaya kegiatan jenayah. "Pasukan ini berfungsi menerapkan nilai-nilai kepolisan dalam diri pelajar agar tidak terjebak dengan gelaja jenayah mahupun aktiviti yang tidak bermoral," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah sempena Pertandingan Rentas Halangan dan Ronda Pandu Arah Kor Kadet Polis di Pusat Latihan Khidmat Negara, Simpang Ampat di sini. Sebanyak 103 kes jenayah dilaporkan melibatkan pelajar sekolah tahun lepas berbanding 63 kes pada 2012, Polis Melaka serius menjalankan peranan membanterasnya, katanya. Ghee Lye berkata, pihak polis turut mewujudkan papan kenyataan cegah jenayah di setiap sekolah yang berfungsi sebagai tempat penyaluran maklumat mengenai kes jenayah terbaharu dan penerangan mengenai pelbagai usaha pencegahan jenayah. Sementara itu, Ghee Lye berkata, Kor Kadet Polis bukan sekadar aktiviti kokurikulum sekolah, malah penubuhannya turut mempunyai signifikan kepada polis. Beliau berkata pada awal penubuhan pasukan itu pada tahun 1970, hanya terdapat 56 platun kor kadet namun kini jumlah anggotanya mencecah 120,000 orang. Terdahulu, beliau menyampaikan hadiah kepada MRSM Terendak yang memenangi pertandingan Rentas Halangan kategori wanita dan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Selandar, Jasin bagi kategori lelaki. Beliau turut menyampaikan hadiah kepada MRSM Alor Gajah yang memenangi Pertandingan Ronda Pandu Arah Platun lelaki dan Sekolah Menengah Agama Al-Ehya Karim, Alor Gajah bagi platun wanita. Sebanyak 984 pelajar dari 65 sekolah di seluruh Melaka menyertai pertandingan berkenaan. - Bernama

 Wanita didakwa kena culik 3 hari sebelum nikah
Wanita didakwa kena culik 3 hari sebelum nikah
ALOR SETAR - Seorang wanita dalam lingkungan usia 20-an didakwa diculik di depan sebuah pasar raya dekat Kuala Ketil, Baling, enam hari lalu. Dalam kejadian Selasa lalu, wanita berkenaan dikatakan diculik oleh beberapa lelaki dengan menggunakan dua kereta. Menurut sumber, keluarga wanita terbabit membuat laporan di Balai Polis Tawar pada hari kejadian. Susulan kejadian itu, seorang pengguna laman Facebook turut menghebohkan kejadian itu berserta nombor pendaftaran kereta yang didakwa digunakan suspek. Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Wari Kiew berkata, pihaknya menerima laporan kes berkenaan. Bagaimanapun, beliau berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai orang hilang dan bukan penculikan selepas siasatan lanjut dilakukan. “Siasatan mendapati wanita terbabit melangsungkan perkahwinan pada 21 Mac (kelmarin) sebelum dilaporkan hilang. Dia juga dipercayai mempunyai teman lelaki lain sebelum bertunang. “Jadi setakat ini kita klasifikasi kes sebagai orang hilang yang berpunca masalah dalaman keluarga dan wanita terbabit,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Pyongyang lancar 30 peluru berpanduKorea Utara tembak 30 roket jarak dekat
Pyongyang lancar 30 peluru berpandu
SEOUL - KOREA SELATAN. Korea Utara, semalam didakwa sengaja melakukan tindakan provokasi dengan menjalankan ujian peluru berpandu menerusi pelancaran 30 roket jarak dekat ke arah Laut Timur. Jurucakap Kementerian Pertahanan di Seoul, Kim Min-Seok memberitahu kesemua peluru berpandu tersebut ditembak pada jarak sehingga kira-kira 60 kilometer. "Korea Utara perlu menghentikan sebarang tindakan yang mahu meningkatkan ketegangan dan boleh memburukkan lagi keadaan. "Tindakan melulu mereka melakukan sebarang ujian peluru berpandu tanpa memaklumkan mengenai perkara itu lebih awal sebenarnya boleh mendatangkan bahaya besar kepada kapal dan pesawat yang melalui kawasan terbabit," tegasnya. Awal minggu lalu, Korea Selatan telah menggesa Pyongyang untuk menghentikan sebarang tindakan provokasi selepas mereka melancarkan 25 peluru berpandu ke kawasan laut berhampiran semenanjung negara terbabit. Menurut laporan AFP, difahamkan, ketegangan semakin memuncak di Semenanjung Korea selepas Pyongyang melihat tindakan Seoul dan Washington yang melancarkan roket jarak dekat ketika latihan ketenteraan bersama pada awal bulan lalu sebagai satu ancaman keselamatan kepada mereka.

H1N1 ragut 18 nyawa di Thailand
BANGKOK - THAILAND. Seramai 18 orang di Thailand telah menjadi korban virus H1N1 sejak ia kembali menular di negara itu, awal tahun lalu. Data dari Kementerian Kesihatan Awam Biro Epidemiologi (BEO) menunjukkan sejumlah 18,290 kes dilaporkan antara 1 Januari hingga 17 Mac dengan catatan kekerapan kes dilaporkan di kawasan utara dan selatan. Presiden Yayasan Influenza Thailand, Dr Prasert Thongjaroen berkata, kebanyakan pesakit berumur antara 25 hingga 40 tahun dan kematian mereka dipercayai berpunca akibat lambat mendapatkan rawatan. "Tiada sebarang mutasi H1N1 dikenal pasti dan setakat ini rawatan sedia ada berkesan untuk mencegah penularan virus tersebut,"katanya. - Bernama

Chef Wan
Chef Wan: Saya hanya nak duga
LEBIH dua minggu hilang di awan biru tanpa khabar berita, sehingga kini, kehilangan MH370 masih dianggap misteri. Namun, penemuan serpihan kapal terbang di Perth, Australia, memberi seribu harapan buat masyarakat di seluruh dunia. Di saat masyarakat sedang menunggu berita kesahihan mengenai penemuan itu, muncul pula jenaka daripada chef selebriti terkenal, Chef Wan. Menerusi akaun, Instagramnya, Chef Wan telah berkongsi foto dan tulisannya menjurus kepada penemuan serpihan berkenaan. Antara kata-katanya berbunyi, "2 'object' di Perth dan satu ni i ingatkan ya la sebahagian dari pintu kapal terbang MAS. Tapi setelah diteliti rupanya ianya sebahagian dari pintu jamban rumah Cik Kiah di pantai Morib yang telah usang rupanya. Adoi.. frustnya". Walaupun ianya lebih kepada gurauan, namun tulisan Chef Wan nyata memberi renjatan buat masyarakat dan ramai yang berpendapat gurauan sebegitu sangat tidak bersesuaian dengan situasi sekarang. Setelah menerima pelbagai bentuk kecaman dan kritikan daripada pengikut di laman sosialnya itu, Chef Wan bertindak memadam gambar berkenaan untuk tidak memanaskan isu ini lagi. Tidak mahu memanjangkan perkara ini, Chef Wan juga turut memberi penjelasan mengenai tindakannya itu. "Masa di pantai pagi tadi, saya beritahu semua kru untuk membuat gurauan dan sekali gus menduga reaksi masyarakat Malaysia yang suka melatah dan mengutuk orang. "Pemandu saya kata, janganlah CW (Chef Wan), nanti orang cari sebab nak marahkan awak walaupun hanya bergurau. "Kru-kru ketawa berderai dan saya letakkan gambar di IG (Instagram). Tak sampai 10 minit, penulis blog tempatan menghubungi saya. Betullah sangkaan saya, orang Malaysia suka cari sebab untuk burukkan orang walaupun ianya hanya gurauan semata," katanya yang memberi penjelasan di laman berkenaan. Terima kritikan. Tambah Chef Wan, apa sahaja kritikan yang dilemparkan, dia menerimanya dengan hati yang terbuka. Selain memberikan penjelasan kepada mereka yang kurang faham mengenai gurauan berkenaan, Chef Wan juga turut menempelak pihak lain yang gemar memanipulasikan isu seumpama ini. "Saya dah beritahu cerita yang sebenar, dan selepas ini, kita lihat cara mereka (blog dan media) melatah dengan menyebarkan berita-berita ini dan melakukan fitnah pula. "Let us see their true colors. Remember what i said at the end of the day, the wiseman will have the last laugh watching all this drama unfold," katanya lagi. Sementara itu, anak perempuan chef terkenal ini, Serina Redzuawan, enggan mengulas lanjut mengenai tindakan bapanya itu. "Saya tak mahu komen apa-apa kerana bapa saya sudah pesan awal-awal agar saya tidak mencampuri urusan sebegini sehingga menjadi isu besar," katanya.

Hafsah Hashim
31 peratus syarikat PKS tidak berdaftar
SEBANYAK 31 peratus syarikat tempatan yang dikategorikan sebagai perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini tidak mendaftarkan perniagaan mereka, menurut SME Corporation Malaysia (SME Corp). Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Hafsah Hashim berkata, pendaftaran perniagaan PKS amat penting dan sektor itu dijangka mampu menyumbang sehingga 41 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020. “Saya mahu syarikat-syarikat tempatan yang masih tidak berdaftar untuk berbuat demikian supaya kami dapat membantu mereka lebih berdaya saing, seterusnya menembusi pasaran global selain ke arah mewujudkan negara berpendapatan tinggi. “Kami berhasrat supaya jumlah 31 peratus perusahaan tidak berdaftar itu dapat dikurangkan kepada 15 peratus menjelang 2020,” katanya ketika berucap pada taklimat Merintis Transformasi Perniagaan di Kuala Lumpur, kelmarin. Katanya, SME Corp turut menyasarkan peningkatan sumbangan PKS dalam nilai eksport negara kepada 25 peratus menjelang 2020 berbanding 19 peratus yang diperoleh pada 2011. Sehingga kini, terdapat 662,939 syarikat PKS di negara ini dalam pelbagai sektor termasuk perkhidmatan, pemborongan dan peruncitan serta pembuatan. Sementara itu, SME Corp masih dalam proses perbincangan untuk memperkenalkan sistem perlepasan automatik bagi memberi peluang kepada syarikat yang dikategorikan sebagai bankrap memulakan semula perniagaan di negara ini. “Ia masih dalam perbincangan kerana banyak aspek perlu diteliti seperti perundangan," kata Hafsah.


Keluarga Mangsa MH370 Kat China Macam Over Pulak La…baling botol
Dalam rencana ini… penulis bukan hendak kata tidak bersimpati dengan nasib keluarga penumpang warga China dalam insiden MH370. Cuma, penulis ada sikit rasa macam menyampah la bila diaorng duk ingat kita ni sengaja sembunyikan kapal tu…sengaja sembunyikan fakta… dan macam-macam tanggapan negatif pasal Malaysia. Lupa kot… kapal yang terlibat itu kapal Malaysia… rakyat Malaysia pun ramai yang terlibat… nama dan maruah Malaysia yang tercalar teruk di mata dunia… bukannya kita dapat untung apa-apa dari kejadian itu. Takda sebab la kerajaan nak sembunyikan apa-apa melainkan ada benda boleh dikongsi… ada benda tidak boleh. Sebagai negara berdaulat… Malaysia pun ada hak mempertahankan sesetengah perkara terutama yang berkaitan dengan keselamatan. Dan apa yang berlaku ini, bukan hanya menjadi debaran dan teka-teki untuk keluarga mangsa di China… keluarga mangsa di Malaysia dan rakyat kita pun melaluinya. Sikap seperti merempuh masuk bilik media… nak maki-hamun pegawai-pegawai kita…. baling botol air mineral… apa diaorang ingat kita sengaja ke larikan MH370 tu untuk suka-suka? Sepatutnya kenalah berakal sikit… setakat mana yang kerajaan mampu …kerajaan bagilah tahu dan tolong sampaikan. Rasanya MAS dah cuba yang terbaik dari hari pertama… tak mungkin MAS akan abaikan keluarga mangsa… begitu juga kerajaan kita…cuma kejadian ini amat misteri…dan tidak sama sekali dijangka atau dirancang. Puluhan negara dengan ratusan kapal dan anggota sedang menjarah sebahagian besar Lautan Hindi…dah 2 minggu tak jumpa…. kita bukan berpeluk tubuh…kita cuba yang terbaik… keluarga di China cubalah faham… diulangi…MAS atau kerajaan Malaysia bukan sengaja bagi hilang kapal tu… Benda sudah berlaku… benda ni memang berat… bagilah kerjasama yang berpatutan… hendak marah boleh… tapi bukanlah setiap hari…setiap masa…pantang pegawai Malaysia datang nak maki hamun… Kekadang waris ni pun mintak maklumat-maklumat yang pegawai Malaysia atau MAS tak ada atau memang diaorang tak boleh nak jawab…. Reaksi balas… maki hamun…baling botol… sakai ke? Bukan pegawai-pegawai tu yang bawak lari MH370… diaorang hanya jalankan tanggungjawab… Kalau sudah tak jumpa tu… nak buat macam mana? Ingat Malaysia tak cadang ke nak tamatkan episod luka ni? Ingat Datuk Seri Hishammuddin takda kerja lain selain bagi sidang akhbar setiap hari…sampai ke peringkat beliau pun macam dah tak tahu nak cakap apa. Kepada keluarga waris di China… kami faham perasaan anda… kami pun ada terjejas secara langsung dan ramai antara kami yang berkongsi simpati… tapi janganlah over sangat… Bertimbang rasalah sikit… macam penulis cakap tadilah… bukan kita hendak benda camni terjadi…bukan kita sengaja hilangkan kapal tu… bukan dapat faedah apa-apa pada kejadian itu… namun, bila itu takdirnya… kita harus tabah ok… Bagilah muka sikit pada kami yang berusaha bersungguh-sungguh seperti mana kerajaan anda juga melakukan yang sama kini.


Madonna Tayang Bulu Ketiak Di Instagram Tren artis Hollywood
Tidak manis sekiranya seorang wanita berbulu ketiak lebat. Mungkin mereka terlupa untuk mencukurnya atau pun memang sengaja mahu menarik perhatian sesetengah pihak. Seperti mana yang dilakukan penyanyi Madonna, yang dilihat tidak mempedulikan perkara tersebut apabila dengan selambanya menayangkan bulu ketiaknya di laman Instagramnya, baru-baru ini. Dengan keterangan gambar, “long hair…Don’t Care!!!”, penyanyi Like A Virgin itu kelihatan seksi dengan hanya menggayakan bra berwarna hitam bersama ‘bow tie’ dari rona yang sama. Sebelum ini, pelakon Julia Roberts juga pernah membuat tindakan yang serupa ketika menghadiri majlis tayangan perdana filem Nothing Hill pada 1999. Sebelum ini, pelakon Julia Roberts juga pernah membuat tindakan yang serupa ketika menghadiri majlis tayangan perdana filem Nothing Hill pada 1999.


Pentagon Letak Bajet RM13 Juta Untuk Pencarian MH370
Agensi Pertahanan Amerika Syarikat, Pentagon memberitahu bahawa badan itu meletakan bajet sebanyak ASD4 juta bagi membantu Malaysia mencari kapal MH370 yang hilang sejak dua minggu lalu. Setakat ini, lebih separuh atau AS2.5 juta sudah pun dibelanjakan pihak itu. Pada masa yang sama, Pentagon memberitahu ia sedang mempertimbangkan permohonan Malaysia untuk mendapatkan alat mencari dan menyelamat yang digunakan dalam laut. MH370 dipercayai sesetengah sebagai mungkin telah tenggelam di Lautan Hindi, justeru pencarian bangkai kapal berkenaan memerlukan peralatan yang khusus untuk laut dalam.


Bayi Dalam Kandungan Ibu Tercampak Keluar
XIAMEN – Seorang saksi satu kemalangan ngeri membabitkan pasangan suami isteri melihat bayi yang berada dalam kandungan ibunya itu tercampak keluar selepas motosikal pasangan itu dilanggar lori. Wang Zhau, 40, yang sarat mengandung dalam perjalanan ke hospital bersama suaminya Mao, 42, apabila motosikal mereka dirempuh lori. Saksi berkata lori itu kemudian menggilis wanita berkenaan menyebabkan bayi yang berada dalam kandungannya terkeluar dan tercampak sejauh tiga meter. Pasangan berkenaan mati di tempat kejadian namun bayi mereka selamat dan dibawa ke hospital di wilayah Fujian China. Bayi yang diberi nama Xiao Zhao oleh kakitangan hopital itu hanya calar-balar. Jurucakap polis, Chan Chien berkata: “Ada saksi yang berkata wanita itu sempat melahirkan anaknya sebelum mati selepas dilanggar lori berkenaan manakala yang lain berkata, impak daripada perlanggaran itu menyebabkan bayi seberat 4.2 kilogram itu terkeluar dari rahim ibunya dan tercampak sejauh tiga meter. Wanita itu sepatutnya dimasukkan ke bilik bersalin pada jam 8.30 pagi waktu tempatan dan suaminya membuat keputusan untuk tidak menunggu ambulans. Dia menghantar isterinya ke hospital menaiki motosikal. Kemalangan berlaku ketika mereka tiba di simpang antara Maqing Lu dan Jiaosong Lu” kata Chan. Polis mengesahkan mereka menahan pemandu lori berusia 45 tahun itu untuk membantu siasatan. Kejadian yang menggemparkan yang menimpa bayi malang itu menjadi tajuk utama akhbar di China dan Badan Kebajikan Xiamen menyumbangkan 5,000 yuan (RM 2,658) untuk penjagaan bayi terbabit. Orang ramai yang mengetahui berita itu turut melawatnya di hospital dengan membawa pelbagai hadiah untuk bayi berkenaan. – Agensi


Kereta Mewah Hilang Di Parkir
BAHAU – Seorang peniaga kerugian RM400,000 apabila kereta jenis Nissan GTR miliknya hilang ketika di parkir di sebuah restoran dekat Taman ACBE di sini, malam kelmarin. Peniaga berkenaan yang dikenali sebagai Koh, 38, berkata, sebelum kejadian sekitar jam 9.30 malam, dia datang ke restoran berkenaan untuk bertemu rakan-rakannya seperti kebiasaan dan parkir di bahagian tepi restoran. Menurutnya, tiada yang pelik ketika dia sampai di restoran berkenaan susulan kereta tersebut dikunci dengan rapi dan kunci kenderaan berkenaan masih berada dalam poketnya sehingga kini. “Sekitar jam 10 malam, saya keluar seketika di luar restoran untuk merokok bersama rakan, namun ketika itu kereta berkenaan masih ada dekat parkir lot restoran. “Kemudian, semasa saya hendak pulang ke rumah, kira-kira jam 1.30 pagi, kereta saya sudah hilang. Memang pelik, puas saya cari di sekitar restoran,” katanya ketika ditemui, kelmarin. Susulan kejadian itu, dia bersama rakannya yang juga seorang ahli majlis, Desmond Lee membuat laporan di Balai Polis Bahau. Bagaimanapun, Koh berkata, selepas kejadian itu, dia singgah di rumah ibunya dekat sini dan menceritakan insiden tersebut kepada salah seorang pekerjanya yang kebetulan berada turut ada di situ. “Pekerja saya maklumkan pada jam 3 pagi dia ternampak kereta saya memotongnya di jalan Kuala Pilah dengan begitu laju. “Dia hanya beranggapan saya yang memandu berikutan saya kerap juga ke Seremban untuk berjumpa rakan-rakan,” katanya. Koh berkata, dia baru menggunakan kereta itu sejak dua tahun lalu dengan nombor pendaftaran kenderaan, WWU 35. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hamzah Alias mengesahkan menerima laporan. Beliau berkata, kes disiasat di bawah seksyen 379 A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan. “Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kereta terbabit diminta menghubungi balai polis terdekat,” katanya. – Sinar Harian


Bom Ikan: Seribu Kilo Ikan Dirampas Polis Marin
KOTA BELUD – Pelbagai usaha dijalankan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) dalam membendung aktiviti pengeboman ikan laut di perairan negara yang kebelakangan ini amat membimbangkan. Baru-baru ini sepasukan PPM dari Wilayah Empat, Sabah yang diketuai Inspektor Aziz Abu Hahim telah membuat serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Pulau Mantanani dalam Operasi Cantas Khas Laut Perairan. Pemeriksaan lanjut telah menjumpai tong berisi ikan putih lebih kurang 1000 kilogram yang disyaki di tangkap menggunakan bahan letupan namun tiada sebarang penahanan dilakukan. Komander PPM Wilayah Empat, ACP Mohamad Madun berkata ikan -ikan yang dirampas dipercayai telah dua hari ditangkap namun tidak dapat dipasarkan kerana operasi yang berterusan dijalankan oleh pihak polis di laluan penduduk Pulau Mantanani ke Tanah besar dan dianggarkan bernilai RM10,000. Kesemua ikan yang dirampas diserahkan ke Jabatan Perikanan dan disiasat di bawah Seksyen 26(1)(c) Akta perikanan 1985. PPM memberi amaran kepada kumpulan atau individu yg menjalankan aktiviti pengeboman ikan agar memberhentikan kegiatan mereka dan sekiranya ditahan dan disabitkan kesalahan boleh didenda RM50,000.00 atau penjara 2 tahun atau kedua-duanya sekali. – FB PDRM

Pelakon sambilan kena samun
Kuala Lumpur: Seorang pelakon sambilan tergamam apabila diacukan pisau oleh seorang perompak ketika sedang menunggu lif di sebuah kondominium di Cheras di sini, Selasa lalu. Dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, mangsa yang berusia 26 tahun terpaksa menyerahkan wang tunai RM200, Ipad dan telefon bimbit kepada penjenayah dipercayai mengekori mangsa. Sumber polis berkata, mangsa dihampiri seorang lelaki berusia 20-an yang mengacukan pisau sebelum mengugut mangsa menyerahkan beg dibawanya. “Mangsa bimbang dicederakan menyerahkan beg kepada penjenayah sebelum suspek melarikan diri,” katanya. “Beberapa dokumen peribadi lain turut dilarikan suspek termasuk Mykad, lesen memandu, kad bank dan kad akses kondominium, “katanya. Difahamkan, mangsa kerugian hampir RM4,000, namun bernasib baik kerana tidak dicederakan. Mangsa membuat laporan di Balai Polis Pudu di sini, sejurus selepas kejadian itu.

Air 6 empangan tak naik
Kuala Lumpur: Enam empangan di Selangor dilaporkan masih tiada peningkatan kapasiti air berikutan kadar taburan hujan yang masih kurang. Hasil semakan dalam laman web rasmi Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), semalam mencatatkan kapasiti takungan air di empat daripada tujuh empangan masih kekal pada paras kritikal iaitu kurang 70 peratus. Empangan Klang Gate mencatatkan kapasiti 51.1 peratus bersamaan 12.9 juta liter padu, Empangan Langat (55 peratus/18.9 juta liter padu), Empangan Sungai Selangor (38.4 peratus/88.4 juta liter padu) dan Empangan Sungai Tinggi (66.6 peratus/76.3 juta liter padu). Kapasiti tiga empangan lain termasuk Empangan Batu, Semenyih dan Tasik Subang pula kekal pada tahap melebihi 70 peratus. Empangan Sungai Selangor pula tidak berubah dengan masih menghampiri paras kritikal iaitu 30 peratus bersamaan 69 juta liter padu. Sekalipun hujan di beberapa kawasan, beberapa empangan masih mencatatkan penurunan kapasiti air tidak ketara berbanding dua hari lalu. Empangan yang mencatat penurunan kapasiti air ialah Klang Gate, Langat, Sungai Selangor dan Sungai Tinggi.

Penjenayah pura-pura disamun
Kuala Lumpur: Niat murni seorang remaja lelaki berusia 17 tahun membantu seorang ‘mangsa’ samun menyebabkan dia kerugian lebih RM3,000 apabila motosikal miliknya dilarikan penjenayah yang berpura-pura meminta bantuan. Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari kelmarin, mangsa dikatakan terserempak seorang lelaki berusia 30-an ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya berhampiran Jalan Jinjang, di sini, kelmarin. Sumber polis berkata, suspek dikatakan bertindak menahan motosikal ditunggang mangsa dengan mendakwa dia baru disamun. “Suspek kemudian meminta pertolongan mangsa supaya menghantarnya pulang ke rumah yang terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian,” katanya. Menurutnya, mangsa yang percaya dengan dakwaan suspek kemudian mempelawa lelaki terbabit menaiki motosikalnya. “Ketika dalam perjalanan, suspek tiba-tiba meminta mangsa menghentikan motosikal di bahu jalan. Suspek kemudian bertindak menolak mangsa secara mendadak dan melarikan motosikal berkenaan. “Mangsa cuba mengejar suspek, namun usahanya gagal. Mangsa yang dibantu orang awam kemudian dibawa ke Balai Polis Jinjang di sini, untuk membuat laporan,” katanya. Harian Metro difahamkan, remaja terbabit mengalami kecederaan di tangan dan lutut akibat ditolak penjenayah. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Zakaria Pagan yang dihubungi, mengesahkan menerima laporan mangsa.

Mati 2 hari tak makan, minum
Tawau: Seorang lelaki yang ditemui terperangkap dalam kenderaan akibat kemalangan Selasa lalu, meninggal dunia selepas dipercayai mengalami penyahidratan kerana tidak makan dan minum selama dua hari di Batu 35, Jalan Kalabakan, dekat sini, petang kelmarin. Dalam kejadian jam 4 petang itu, mangsa Andrew Garcia De Chavez, 57, dalam perjalanan dari Kota Kinabalu menuju ke Tawau melalui Jalan Keningau-Kalabakan bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian mangsa dipercayai terbabas. Difahamkan, mangsa hanya ditemui selepas dua hari oleh orang ramai sebelum dikejarkan ke Hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan selanjutnya. Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Awang Besar Dullah berkata, hasil keterangan daripada adik mangsa Charles Garcia yang ditemui di hospital terbabit berkata, mangsa bekerja di Yayasan Sabah dan memandu kenderaannya bersendirian dari Kota Kinabalu ke Tawau untuk menghadiri mesyuarat. “Mangsa bertolak pada Selasa lalu jam 12 tengah hari dan sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa terbabas sendiri dan masuk ke kawasan semak di tepi jalan. “Mangsa terperangkap di dalam jip yang dipandunya dan hanya ditemui orang ramai selepas dua hari, jam 11.30 pagi,” katanya. Menurut Awang Besar, ketika ditemui, mangsa masih hidup sebelum dihantar ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut. Katanya, kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Amuk bunuh isteri
Betong: Akibat mabuk, seorang lelaki hilang pertimbangan lalu menetak isterinya sehingga mati menggunakan senjata tajam dalam kejadian amuk di sebuah kebun lada berdekatan Rumah Panjang Ringkai Kerapa, Spak, di sini kelmarin. Ketua Polis Daerah Betong Deputi Superintendan Wan Zaizodin Wan Jaafar berkata, mangsa Lenjai Uli, 40, maut akibat parah di kepala akibat dibunuh suaminya, Tuan Jilom, 42. “Polis menerima laporan kejadian itu jam 10.05 pagi kelmarin di Balai Polis Betong. Sepasukan anggota polis dan pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak bergegas ke lokasi kejadian. “Difahamkan, kejadian berlaku jam 9.50 pagi sebelum itu dan dikatakan bermula akibat pertengkaran pasangan suami isteri berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Wan Zaizodin berkata, siasatan awal mendapati lima kesan tetakan di kepala dan badan mangsa. “Suspek ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. Pasangan suami isteri yang mempunyai dua orang anak itu dipercayai bertengkar akibat salah faham. Bagaimanapun, suspek yang dalam keadaan mabuk tiba-tiba mengamuk dan membunuh isterinya. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Betong untuk bedah siasat.

Foto
Premis mewah sedia ‘model’ diserbu
Kegiatan maksiat itu dibongkar sepasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman diketuai Asisten Komisioner Lim Kim Fook yang melakukan serbuan mengejut jam 1 pagi semalam. Dalam operasi ‘Ops Noda’ itu, 33 GRO termasuk lapan wanita asing berpakaian seksi didapati melayan pelanggan sebaik premis itu diserbu. Lim berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat dan risikan pihaknya sejak beberapa minggu lalu. “Ketika serbuan dilakukan, lebih 30 pelanggan lelaki berada di dalam premis dengan ditemani wanita GRO berusia lingkungan 20-an di ruangan tempat duduk masing-masing. “Pemeriksaan lanjut mendapati 25 wanita GRO diberkas adalah warga tempatan manakala lapan lagi wanita warga China, Kemboja, Indonesia dan Vietnam,” katanya ketika ditemui selepas tamat operasi itu. Menurutnya, semua wanita warga asing itu menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk melakukan kerja maksiat. “Semua ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tindakan lanjut,” katanya. Beliau berkata, pihaknya akan menjalankan operasi secara berterusan bagi mengekang aktiviti tidak bermoral selain meminta orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kepada polis untuk tindakan susulan. Harian Metro difahamkan, pusat hiburan mewah itu beroperasi sejak 10 tahun lalu dan pernah diserbu polis sebelum ini.

Foto Foto
‘Tak bagi kereta, aku bunuh anak kau’
Shah Alam: “Tak bagi kunci, aku bunuh anak lu (kau).” Itu ugutan diterima mangsa cubaan rompakan kereta, seorang wanita berusia 34 tahun, apabila enggan menyerahkan kunci kenderaan pacuan empat roda model Toyota Hilux kepada seorang penjenayah. Dalam kejadian jam 7.30 pagi kelmarin, mangsa dikatakan baru selesai membeli barang keperluan di sebuah kedai serbaneka berhampiran Taman Anggerik, Kota Kemuning di sini. Mangsa bagaimanapun mendakwa terkejut apabila disergah seorang lelaki yang tiba-tiba muncul sebelum mengacukan parang. “Saya yang baru menghantar anak sulung ke Sekolah Rendah Kebangsaan Bukit Rimau, di sini, menyedari diekori sebuah kereta Proton Wira berwarna hitam sebelum itu. “Selepas selesai membeli barang, saya meletakkan anak perempuan berusia tiga tahun di tempat duduk belakang, Namun seorang lelaki berusia lingkungan 40-an tiba-tiba menengking dan mengarahkan saya menyerahkan kunci kepadanya,” katanya. Dia tambah panik apabila suspek merentap anaknya sebelum mengacukan parang. “Saya cuba sedaya upaya untuk menarik tubuh anak saya, yang ketika itu menangis ketakutan. Namun penjenayah enggan melepaskan cengkaman dan mengugut mahu membunuhnya. “Saya turut menjerit sekuat hati dengan harapan ada individu yang melihat insiden itu dan menolong. Malah, saya menyebut Allah SWT berulang kali,” katanya. Menurutnya penjenayah akhirnya melepaskan tubuh anaknya selepas mereka tarik-menarik lebih 10 minit sebelum melarikan diri. “Mujur anak perempuan saya hanya mengalami luka kecil di kakinya kerana terkena parang,” katanya. Dia kemudian bergegas mendukung anaknya itu sebelum lari ke sebuah kedai serbaneka berhampiran untuk mencari perlindungan. “Suami yang datang membantu kemudian membawa saya membuat laporan di Balai Polis Shah Alam,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam Komisioner Azisman Alias mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 395/397, Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata.

Samseng maki polis lepas gesel motosikal
Kuala Lumpur: Walaupun dimaki dengan kata-kata kesat, empat anggota trafik Kuala Lumpur menunjukkan tahap kesabaran tinggi ketika diserang seorang samseng mabuk. Dalam kejadian jam 8.45 pagi semalam, lelaki berusia 28 tahun itu ditahan selepas memandu secara berbahaya di Jalan Loke Yew, di sini. Menurut sumber, lelaki yang berada di bawah pengaruh alkohol enggan memberi kerjasama apabila ditahan polis trafik. “Lelaki itu memandu kereta hingga bergesel dengan beberapa motosikal. “Kereta suspek dikejar beberapa penunggang motosikal sebelum polis trafik yang menunggang motosikal menahan kereta itu,” katanya. Menurutnya, sebaik ditahan, suspek diminta menyerahkan kunci kenderaan selain diarah memberi kerjasama untuk siasatan. “Namun lelaki itu mengeluarkan kata-kata kesat serta meninggikan suara terhadap anggota polis yang cuba menenangkannya. “Suspek pura-pura sibuk menggunakan telefon bimbit dan enggan mengikut arahan polis. Dia sekali lagi bertindak agresif apabila menengking seorang anggota polis,” katanya. Polis menahan lelaki itu sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Trafik Jalan Bandar untuk siasatan lanjut. Sementara itu, Pemangku Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur Asisten Superintendan Fadhli Daud ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. “Lelaki itu dipercayai bawah pengaruh alkohol. Dia dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani ujian darah dan air kencing. “Suspek ditahan mengikut Seksyen 45 C (6) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Foto
Simulator cuma ‘penerbangan khayalan’
Kuala Lumpur: Simulasi penerbangan milik juruterbang pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 Kapten Zaharie Ahmad Shah yang hilang sejak 8 Mac lalu hanya permainan video untuk hiburan semata-mata, sekali gus ia ‘penerbangan khayalan’. Pengarah SimFlightKL Kapten Amin Said berkata, penelitiannya terhadap perisian serta perkakasan komputer digunakan Zaharie mendapati ia hanya memenuhi syarat untuk permainan video semata-mata selain pembelajaran. “Ia tidak boleh dibandingkan dengan model simulasi dimiliki sekolah penerbangan yang jauh lebih sukar atau kompleks piawaiannya. “Mungkin inisiatif Zaharie membina struktur berkenaan yang kelihatan umpama replika di dalam kokpit pesawat membuatkan ia dilihat satu kecenderungan luar biasa oleh orang awam,” katanya. Akhbar sebelum ini melaporkan, simulator Zaharie antara disiasat dan hasil siasatan awal mendapati maklumat dipadam dalam simulator milik Zaharie. Ia data log daripada tiga jenis perisian permainan penerbangan iaitu ‘flight simulator X’, ‘flight simulator 9’ dan ‘X flight 10’. Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dipetik berkata, hasil siasatan awal mendapati data log daripada simulator itu dipercayai dipadam pada 3 Februari lalu. Simulator itu diambil pada 16 Mac lalu dari rumah Zaharie di Shah Alam untuk dibawa ke Bukit Aman dan diperiksa, dengan harapan memberi petunjuk bagi mencari pesawat itu. Pada masa sama, Biro Siasatan Persekutuan (FBI) secara rasmi menyertai siasatan kehilangan pesawat MH370 dan dijangka mula menganalisis simulator Zaharie. Menurut Amin, untuk memiliki simulasi penerbangan sebenar bagi kegunaan juruterbang, perisiannya saja menelan kos bermula daripada RM500,000.

Bank Rakyat lulus RM51.77j projek ATOM
Kuala Lumpur: Sebanyak RM51.77 juta pembiayaan pinjaman diluluskan kepada 551 pengusaha bengkel di bawah projek Permodenan Bengkel Automotif (ATOM), melalui Bank Rakyat sehingga 14 Mac tahun ini. Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, projek ATOM adalah antara projek di bawah program tranformasi ekonomi negara. “Sejak dilancarkan pada tahun 2011, kerajaan memperuntukkan RM65 juta sebagai dana pembiayaan ATOM, di mana RM55 juta disalurkan kepada Bank Rakyat dan baki RM10 juta kepada koperasi-koperasi termasuk Koperasi Jaya Diri Malaysia Bhd (KOJADI). “Sasaran kerajaan dalam projek ini bagi tahun 2014 adalah sebanyak 175 buah bengkel dimodenkan dan sehingga hari ini, 48 buah bengkel kenderaan berjaya disiapkan,” katanya ketika merasmikan projek ATOM kelolaan KOJADI dibengkel Wee Advance Motor Sdn Bhd di Kajang, Selangor. - BERNAMA

Pengundi dinasihat keluar mengundi pagi
Pengundi dinasihat keluar mengundi pagi
KAJANG - Pengundi Dun Kajang dinasihatkan keluar mengundi awal hari ini kerana dijangka sebelah tengah hari akan berlaku hujan. Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong berkata, pagi dijangka cerah manakala pada tengah hjri hujan renyai. "Oleh itu dinasihatkan pengundi Kajang selesaikan tanggung jawab dan hak mereka pada sebelah pagi," katanya ketika sidang media, semalam. Calon PR Kajang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail turut berpesan setiap undi penting dan bukan sekadar hak tetapi lebih kepada tanggung jawab memilih wakil mereka. "PR menyediakan pusat aduan di bilik gerakan utama berhubung dakwat kekal, kita akan semak setiap aduan," katanya. Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan untuk sesetengah pihak henti memainkan sentimen PR telah menang dan tidak perlu keluar mengundi.

Simbah cat cemar semangat demokrasi
Simbah cat cemar semangat demokrasi
KAJANG - Perbuatan menyimbah cat ke atas poster calon PRK N25 Kajang, Chew Mei Fun dari Barisan Nasional hanya akan menjejaskan proses demokrasi dan ia tidak harus berlaku. Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Shafie Apdal berkata kempen yang dicemari dengan perbuatan menghina itu tidak akan membantu mana-mana pihak untuk meraiuh sokongan pada hari pengundian esok. "Bukan kita hendak menuduh sesiapa, tetapi seharusnya tidak berlaku. Saya harap amalan demokrasi kita serahkan kepada pengundi Kajang esok. "Tiada paksaan untuk memilih (calon Adun) namun tidak bermakna boleh meletakkan sesuatu yang tidak baik (cat merah) untuk menghina," katanya kepada pemberita ketika mengadakan kunjungan ke rumah pengundi Batu 10 Cheras, hari ini. Beliau berkata demikian mengulas lanjut tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang melempar cat merah ke atas poster calon BN itu di Persiaran Saujana Impian, di sini, semalam. Dalam pada itu, Shafie menegaskan pihaknya tidak pernah mencemarkan sebarang bahan kempen lawan termasuk tindakan menyimbah cat itu. Kita tidak pernah halang (mereka pasang poster), tapi kalau kita pasang mereka marah. "Saya harap simbah cat tidak berlaku," katanya. Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Ahmad Shabery Cheek turut senada terhadap tindakan itu sambil menasihatkan semua pihak supaya tidak melanggari etika berkempen. "Kita kesal sekiranya itu (simbah cat) ada unsur-unsur tidak baik, bila satu pihak kena simbah cat, jangan pula balas kepada pihak yang lain. "Itu tidak membantu untuk mewujudkan suasana pilihan raya yang matang dan aman," katanya.

Hujan tingkatkan paras air Sungai Selangor
KUALA LUMPUR - Hujan yang turun di beberapa kawasan termasuk di Sungai Selangor sejak beberapa hari lepas berjaya meningkatkan paras air sungai tersebut. Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Priscilla Alfred berkata peningkatan paras Sungai Selangor seterusya dapat meningkatkan sumber air mentah di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3, selain LRA Sungai Rasa dan LRA Rantau Panjang. Sehubungan itu, tambahan bekalan air terawat telah disalurkan ke sebahagian kawasan yang terlibat dengan Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Ketiga termasuk di Gombak, Petaling Jaya dan Shah Alam. Namun, Priscilla dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata pihaknya tetap mengawal dan mengurangkan pelepasan air daripada Empangan Sungai Selangor serta meneruskan Pelan Catuan di bawah kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span). Di samping itu, Syabas juga tetap meneruskan Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Pertama yang dilaksanakan ekoran penutupan LRA Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi akibat pencemaran ammonia. Walaupun LRA Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi masing-masing telah beroperasi sejak 17 dan 19 Mac lepas, namun pengoperasian kedua-dua loji itu masih dalam pemantauan syarikat operator loji disebabkan ketidakpastian sama ada paras ammonia tetap ditahap yang rendah. Pada masa ini loji-loji rawatan air tersebut akan terus beroperasi mengikut keadaan kualiti sumber air mentah dan menyalurkan bekalan air ke kawasan yang terlibat dengan Pelan Catuan seperti Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang. Berikutan kedua-dua Pelan Catuan ini masih lagi diteruskan hingga ke satu tarikh yang akan diputuskan oleh kerajaan negeri Selangor, Syabas menyeru para pengguna supaya sentiasa berjimat dan mengurangkan penggunaan air bagi membolehkan bekalan air sedia ada dapat bertahan lama. - Bernama

peta
Objek dikesan Australia belum kelihatan
KUALA LUMPUR - Objek-objek yang dikenal pasti oleh pihak berkuasa Australia berkait dengan pesawat MH370 belum ditemui dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) kehilangan pesawat itu, kata Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Beliau berkata, lima pesawat dan dua kapal dagang terbabit dalam operasi SAR di kawasan dua objek itu dikesan oleh statelit Australia, kira-kira 2,500km dari barat daya Perth, Australia di Lautan Hindi. "Walaupun penggunaan kaedah mencari secara visual yang lebih baik, namun objek itu tidak kelihatan," katanya pada taklimat media hari ini berhubung usaha SAR bagi menjejak pesawat jenis Boeing 777-200ER yang hilang bersama 239 penumpang dan anak kapal pada 8 Mac lepas. Usaha mencari di bahagian selatan Lautan Hindi dimulakan selepas Perdana Menteri Australia, Tony Abbot memberitahu Parlimen negara itu mengenai dua objek berkenaan yang mungkin berkait dengan penerbangan MAS. "Operasi SAR akan diteruskan dan hari ini, mereka bercadang mencari kawasan seluas kira-kira 10,500 batu nautika persegi," kata Hishammuddin. Berhubung hasil pencarian awal di koridor utara, beliau berkata China, Pakistan, India, Myanmar, Laos, Kyrgyztan dan Kazakhstan secara lisan memaklumkan bahawa pesawat itu tidak dikesan di radar negara masing-masing. Beliau berkata, Australia, selaku ketua penyelaras operasi SAR di koridor selatan, menjangkakan sebanyak enam pesawat iaitu empat pesawat tentera dan dua pesawat awam akan melakukan pencarian secara visual di kawasan tersebut. Katanya dua kapal dagang akan turut menyertai operasi bersama kapal tentera laut Australia, 'HMAS Success', hari ini. Hishammuddin berkata, pencarian di koridor selatan amat mencabar kerana kedalaman lautan berbeza antara 1,150 meter dan 7,000 meter. "Dalam kawasan kemungkinan objek-objek yang dikenal pasti oleh pihak berkuasa Australia itu, keadaan ombak yang tinggi dan laut bergelora," katanya sambil menambah bahawa amaran taufan 'Gillian' telah dikeluarkan di koridor selatan itu. Hishammuddin turut menyatakan penghargaan tinggi terhadap semua anggota SAR dari pelbagai negara yang mengambil risiko dalam operasi mencari pesawat berkenaan. Beliau berkata, dua lagi pesawat China, 'Ilyushin IL-76s' akan tiba di Perth untuk membantu dalam operasi SAR manakala pesawat 'Shaanxi Y-8', yang tiba semalam, akan beroperasi dari Pangkalan Udara Subang, dekat sini. "China juga akan menghantar tambahan dua kapal dari Laut Andaman untuk menyertai lima kapal China yang sudah berada di koridor selatan," katanya. Selain itu, dua pesawat India -- P-8 Poseidon dan C-130 Hercules -- tiba di sini semalam untuk membantu operasi SAR. Hishammuddin berkata, kapal Britain, 'HMS Echo, yang dilengkapi dengan sensor canggih yang boleh menyokong operasi kapal selam dan amfibia, kini dalam perjalanan dari Teluk Persia menuju ke koridor selatan. Koridor utara merangkumi kawasan dari sempadan Kazakhstan sehingga ke utara Thailand manakala koridor selatan pula dari Indonesia ke bahagian selatan Lautan Hindi. Kedua-dua koridor tersebut meliputi 2.24 juta batu nautika persegi. - Bernama

Transkrip komunikasi yang didedah tidak tepat
Transkrip komunikasi yang didedah tidak tepat
SEPANG - Transkrip komunikasi yang dikatakan berlaku antara penerbangan MH370 Malaysia Airlines (MAS) dan kawalan trafik udara (ATC) pada malam pesawat dilaporkan hilang pada 8 Mac telah diklasifikasi sebagai tidak tepat dan "tidak sahih". "Transkrip itu tidak sahih dan tidak tepat. Saya perlu memaklumkan bahawa transkrip antara menara kawalan dan pesawat adalah tidak tepat," kata Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman. Beliau menyangkal transkrip yang disiarkan hari ini oleh media asing 'The Telegraph' semasa sidang media mengenai operasi mencari dan menyelamat pesawat itu yang masuk hari ke-15, di sini hari ini. Turut hadir pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya. Ketika ditanya lagi tentang bahagian mana transkrip itu yang tidak tepat, Azharuddin tidak mahu mengulas tetapi berkata: "transkrip itu mengikut prosedur standard tidak boleh didedahkan kepada umum." The Telegraph dalam laporan esklusif bertajuk "Revealed: the final 54 minutes of communication from MH370' mendedahkan komunikasi kokpit bermula semasa pesawat berada di landasan sehingga mesej terakhir pada 1.19 pagi iaitu 'all right, good night'. Transkrip komunikasi yang dikatakan antara pembantu juruterbang Fariq Abdul Hamid dan ATC bermula pada 00.25 dengan arahan am daripada menara kawalan kepada juruterbang. Perbualan terperinci bermula pada 00.36. Terdahulu, Hishammuddin berkata transkrip asal komunikasi antara MH370 dan menara kawalan telah diserahkan kepada pasukan penyiasat yang sedang menganalisis transkrip itu. "Mengikut amalan standard dalam siasatan seperti ini, transkrip tidak boleh didedahkan pada peringkat ini. Saya bagaimanapun dapat mengesahkan bahawa transkrip tidak menunjukkan apa-apa luar biasa," kata beliau. Isu mengenai bateri lithium-ion yang dibawa di dalam kargo pesawat MH370 itu sekali lagi dibangkitkan media hari ini, meskipun Ahmad Jauhari telah menjelaskan secara terperinci mengenai perkara itu pada sidang media semalam, selain mengeluarkan kenyataan rasmi. "Bateri sebagai kargo adalah tidak berbahaya. Sebenarnya (bateri itu) tidak bahaya selagi dikendalikan mengikut spesifikasi garis panduan ditetapkan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA)," katanya. Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pukul 12.41 tengah malam pada 8 Mac. Pesawat itu sepatutnya tiba di Beijing pukul 6.30 pagi pada hari yang sama. Nasib penumpang MH370 belum diketahui ketika 26 negara menggerakkan usaha mencari pesawat yang hilang itu. - Bernama


Keluarga penumpang China dimaklum imej objek
SEPANG - Keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 warga China yang kini berada di Malaysia telah dimaklumkan tentang penemuan imej objek yang dikesan satelit China di koridor selatan, yang mungkin berkaitan dengan pesawat itu. Utusan Khas Perdana Menteri ke China Tan Sri Ong Ka Ting berkata, keluarga terbabit turut menerima maklumat itu daripada laman web sebuah stesen televisyen China. "Saya sedang berjumpa dengan keluarga terbabit secara informal bagi memaklumkan berhubung penemuan baharu itu yang saya terima melalui kedutaan China di sini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini. Ditanya tentang reaksi keluarga berkenaan, Ong berkata, walaupun sedih, mereka mahukan pengesahan ke atas objek itu sebelum membuat keputusan untuk tindakan seterusnya. Imej statelit China dilaporkan mengesan objek yang mungkin berkaitan dengan pesawat MH370 itu terapung di koridor selatan, bersaiz 22.5 meter panjang dan 13 meter lebar. Pesawat itu, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam 8 Mac. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. Nasib penumpang masih belum diketahui ketika operasi mencari pesawat itu dilaksanakan melibatkan pelbagai negara yang sehingga kini belum membuahkan hasil. Misi mencari dan menyelamat kini memasuki fasa baharu, di koridor utara dan selatan, dengan Australia dan Indonesia mengetuai pencarian di wilayah masing-masing. - Bernama

MH370
Satelit China kesan objek di koridor selatan
SEPANG - Imej statelit China telah mengesan objek-objek yang mungkin berkaitan dengan kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 terapung di koridor selatan. Maklumat 'panas' tersebut disampaikan oleh Duta China di Malaysia, Huang Huikang kepada Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semasa taklimat media berhubung kehilangan pesawat itu di sini hari ini. "Berita yang saya baru terima, Duta China menerima imej statelit objek-objek yang terapung di koridor selatan dan mereka kini menghantar kapal-kapal untuk mengesahkannya," katanya. Bercakap dengan menggunakan nota tertulis, Hishammuddin berkata objek berkenaan bersaiz 20 meter panjang dan 30 meter lebar. Beliau berkata, kerajaan China akan mengumumkan butiran lanjut mengenai perkara itu dalam tempoh beberapa jam lagi. Kumpulan media yang tekun mendengar takilmat itu cuba bertanya soalan susulan mengenai penemuan terbaru itu namun Hishammuddin menamatkan sesi sidang media untuk mendapatkan maklumat lanjut. Pesawat MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, hilang daripada imbasan radar, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 12.41 tengah malam, 8 Mac. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama. Sehingga hari ini, operasi SAR oleh pelbagai negara masih belum menemui pesawat mahupun nasib penumpang dan anak kapal tersebut. - Bernama

MH370: Objek di selatan Lautan Hindi belum disah
MH370: Objek di selatan Lautan Hindi belum disah
SEPANG - Belum disahkan sama ada dua objek dikesan dalam imejan satelit Australia di selatan Lautan Hindi ada kaitan dengan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang, kata Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Beliau berkata tiada perkembangan baharu berkaitan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi pesawat Boeing 777 itu. "Tiada perkembangan dan keadaan adalah sama seperti semalam, tetapi boleh dikatakan lebih banyak aset akan digunakan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat harian mengenai operasi SAR itu di sini hari ini. Hishammuddin berkata lebih banyak peralatan canggih dan kapal dari pelbagai negara telah menyertai operasi mencari pesawat Malaysia membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu yang hilang pada 8 Mac, setelah kira-kira sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam. Beliau, bagaimanapun berkata sekiranya misi SAR di selatan Lautan Hindi gagal mengenal pasti serpihan itu, terdapat keperluan untuk kembali ke dua "koridor pencarian" yang dikenal pasti sebelum ini. Perdana Menteri Australia Tony Abbott memberitahu sidang Parlimen bahawa satelit telah mengesan dua objek, termasuk serpihan sepanjang 24 meter. Mengenai sama ada terdapat data baharu satelit, Hishammuddin berkata: "Saya menerima data satelit dari China terutamanya, kerana mereka mempunyai 21 satelit di luar sana...tetapi tiada yang berwibawa ketika ini. Saya boleh sahkannya." Sementara itu, Amerika Syarikat mengerahkan sebuah pesawat peninjau maritim P-3C Orion untuk menyertai misi SAR. "Hari ini, kami perlu melakukan pencarian di kawasan seluas 25,000 batu persegi di tenggara Kepulauan Cocos dalam operasi 10 jam," kata komander misi, Jorge Guilloty kepada Bernama sebelum pesawat itu berlepas dari pangkalan tentera udara di Subang. Pesawat Boeing 777 itu dalam penerbangan ke Beijing apabila hilang secara misteri daripada skrin radar. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi Sabtu (8 Mac). - Bernama

MH370: Pusat media dipindah ke PWTC mulai Ahad
SEPANG - Pusat media bagi petugas yang membuat liputan kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 akan dipindahkan ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur berkuat kuasa esok, menurut Kementerian Pengangkutan hari ini. Kementerian berkenaan dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata langkah itu berikutan komitmen Hotel Sama-Sama kepada tetamu yang datang sempena Grand Prix Formula 1 minggu ini. "PWTC dipilih bagi penempatan semula itu disebabkan kemudahan dan ketersediaan bilik hotel di kawasan berhampiran yang dapat memenuhi keperluan media," menurut kenyataan kementerian. Persidangan media baharu akan diadakan di Dewan Tun Dr Ismail, di Aras 2 PWTC dan tempat bekerja petugas media pula terletak di Dewan Mawar, Aras 2. Petugas media boleh memulakan operasi dari 3 petang esok dan mereka dinasihati supaya melakukan urusan yang perlu. Persidangan media harian diadakan di Hotel Sama-Sama berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sejak hari pertama kehilangan pesawat itu yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac. - Bernama

MH370: AS pertimbang permintaan Malaysia
MH370: AS pertimbang permintaan Malaysia
KUALA LUMPUR - Amerika Syarikat (AS) akan menimbangkan permintaan Malaysia bagi bantuan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MAS MH370 yang hilang dari radar pada 8 Mac lepas. Ini susulan panggilan telefon Pemangku Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kepada Setiausaha Pertahanan AS Chuck Hagel malam tadi. Semalam Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan berkata beliau akan meminta bantuan daripada AS, bagi aset khusus termasuk aset dilengkapi keupayaan mencari di laut dalam. "Tiada permintaan spesifik dibuat bagi mana-mana jenis aset tertentu. Ia berupa permintaan secara umum untuk kami membantu mengesan serpihan pesawat dan kotak hitam," menurut laporan agensi berita Reuters yang memetik jurucakap Pentagon Laksamana Madya John Kirby, semasa diminta mengulas panggilan telefon itu. "Setiausaha berkata beliau akan menimbangkan permintaan itu, dan beliau akan meneliti sama ada kami mempunyai apa-apa yang boleh dan berpotensi untuk membantu dan beliau akan menghubungi semula Menteri (Hishammuddin) dalam masa terdekat," katanya. Menurut agensi berita itu, Tentera Laut AS mempunyai pelbagai sistem sonar yang aktif dan pasif, antaranya berupaya mengesan objek di laut dalam dengan mengeluarkan bunyi 'ping' dan memantau bunyi bergema dan ada yang berupaya mendengar bunyi seperti mikrofon bawah laut. Bagi operasi SAR untuk mengesan pesawat MH370, AS pada awalnya mengerahkan kapal pemusnah misil tentera laut, USS Kidd, serta USS Pinckney, bersama-sama dua pesawat peninjau P-8 dan P-3. Pesawat Boeing 777-200ER yang dalam penerbangan ke Beijing, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac lepas, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. - Bernama

MH370
Media tidak dibenar masuk ke Hotel Bangi-Putrajaya
KUALA LUMPUR - Hotel Bangi-Putrajaya di Bangi yang menempatkan kira-kira 20 anggota keluarga penumpang warga Cina pesawat MH370, diberi kawalan ketat, di pintu masuk utama dan pintu-pintu masuk lain ke hotel tersebut. Pihak media telah dihalang memasuki hotel tersebut dengan papan tanda bertulis "NO MEDIA AFTER THIS PATH" diletakkan di pintu masuk utama hotel, serta di pintu masuk ke tandas, ke lif dan kawasan di sekitar hotel. Beberapa pengawal keselamatan hotel dan pengawal keselamatan Malaysia Airlines (MAS) yang lengkap berpakaian seragam turut kelihatan mengawal sekitar hotel tersebut. Menurut seorang wartawan akhbar Cina dari Malaysia yang enggan mendedahkan namanya, situasi itu (kawalan ketat) berbeza dengan situasi yang dialami pihak media semasa membuat liputan di Hotel The Everly, Putrajaya dan Hotel Cyberview Resort & Spa, Cyberjaya di mana keluarga penumpang MH370 ditempatkan sebelum ini. "Di kedua-dua hotel itu media boleh masuk, cuma tidak dapat mendekati keluarga penumpang," katannya. "Berbeza di hotel ini (Bangi-Putrajaya) kerana pengawal mengawal keadaan sekeliling hotel dan saya juga disoal siasat sebaik kenderaan saya memasuki perkarangan hotel," katanya kepada Bernama di sini hari ini. Keluarga penumpang warga China MH370 semalam dipindahkan ke Hotel Bangi-Putrajaya daripada Hotel Cyberview kerana Hotel Cyberview telah ditempah awal sempena perlumbaan Grand Prix Formula One Petronas Malaysia yang akan berlangsung 28-30 Mac ini di Litar Sepang dekat sini. Pesawat Mas, MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal ke Beijing, hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL, 8 Mac lalu. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama. - Bernama

Lelaki maut kereta bertembung bas ekspres
SANDAKAN - Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 43 Jalan Labuk di sini hari ini. Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Rowell Marong berkata, Aziril Ghani, 29, mati di tempat kejadian dalam kemalangan kira-kira pukul 11.25 pagi itu. Katanya bas ekspres berkenaan dari arah Sandakan menuju ke Kota Kinabalu dipandu seorang lelaki berusia 44 tahun dan membawa 45 penumpang dengan kesemua mereka tidak mengalami kecederaan. "Siasatan awal mendapati kereta dipandu Aziril telah masuk ke lorong bertentangan lalu bertembung dengan bas ekspres," katanya ketika dihubungi Bernama. Beliau berkata, anggota Bomba dan Penyelamat Sandakan dibantu Jabatan Pertahanan Awam Malaysia mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu sebelum dihantar ke Hospital Duchess of Kent di sini untuk bedah siasat. - Bernama

Mayat mangsa lemas ketika memukat ditemui
KUANTAN - Mayat seorang lelaki yang dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh dari sampan ketika memukat ikan di Lubuk Law, di Sungai Jelai, dekat Lipis lewat petang semalam ditemui terapung petang ini oleh penduduk kampung. Ketua Polis Daerah Kuala Lipis Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, mayat Mohamad Mahmud, 52, dari Kampung Jeram Bungo, Kuala Lipis ditemui kira-kira jam 4 petang tadi. "Mayatnya ditemui tersangkut pada akar pokok berhampiran jeti Kuala Kenong kira-kira 10 kilometer dari kawasan mangsa dilaporkan hilang," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini. Menurutnya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat dan pihak keluarga turut dihubungi bagi tujuan pengecaman. Mangsa sebelum itu dilaporkan keluar dari rumahnya kira-kira pukul 6 petang semalam untuk memukat ikan di sungai tersebut bersama seorang rakannya sebelum berpecah apabila tiba di sungai tersebut. Kehilangan mangsa hanya disedari rakannya sejam kemudian apabila apabila mangsa tidak berada di sampannya dipercayai telah terjatuh ke dalam sungai. - Bernama

Tiga beranak disamun 4 lelaki berparang
KUANTAN - Tiga beranak berdepan dengan detik cemas apabila disamun oleh empat lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian di kedai runcit milik mereka di Kampung Huma, Pekan Awah, Maran malam tadi. Ketua Polis Daerah Maran Deputi Superitenden Sulaiman A Hamid berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu si suami, 58, dan isterinya, 56, bersama seorang anak lelaki mereka berusia 15 tahun turut diugut untuk dicederakan dengan parang sebelum mereka diikat. "Ketika sedang berada di dalam kedai itu, empat lelaki bersenjatakan parang tiba-tiba meluru masuk dan terus mengacukan senjatan itu ke arah mereka. "Suspek kemudian bertindak mengikat kaki dan tangan tiga beranak tersebut sebelum menggeledah kedai mangsa," katanya kepada Bernama hari ini. Menurutnya antara barang yang dilarikan termasuk barang kemas milik mangsa yang dianggarkan bernilai RM5,000 dan wang tunai RM300. Kata Sulaiman, polis kini sedang mengesan kesemua suspek terlibat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. - Bernama

Krisis Ukraine tidak jejas pemulihan ekonomi dunia
SINGAPURA - Krisis di Ukraine yang telah mewujudkan persekitaran berisiko dijangka tidak akan menjejaskan pemulihan ekonomi Eropah atau global serta pasaran saham. Ketua Strategi Pelaburan dan Ketua Ahli Ekonomi AMP Capital Investors Ltd Dr Shane Oliver berkata, keganasan etnik di timur Ukraine masih boleh membawa kepada perang saudara dan campur tangan Rusia atas dasar "melindungi warga Rusia", telah menimbulkan risiko yang serius. "Selain itu, sekatan yang lebih besar dari Amerika Syarikat dan Eropah dan juga bagaimana hasil pilihan raya Ukraine pada Mei. Tetapi saya berpendapat krisis di Ukraine adalah hanya gangguan lain. Ia tidak akan menjejaskan pemulihan ekonomi Eropah atau global mahupun pasaran saham yang kini memberangsangkan," kata beliau dalam maklumat terkini pasaran mingguan dan ekonomi. Beliau berkata, minggu lepas menyaksikan kebimbangan mengenai Ukraine semakin pudar tetapi Rizab Persekutuan AS akan menaikkan kadar lebih awal daripada yang dijangkakan mendapat perhatian. "Ini menyaksikan kadar hasil bon meningkat lebih tinggi tetapi walaupun beberapa timbul kebimbangan, kebanyakan pasaran ekuiti naik dibantu oleh gabungan kelegaan isu Ukraine, data ekonomi yang lebih baik dan perjanjian Eropah mengenai kesatuan perbankan,"katanya. - Bernama

Pengawal keselamatan wanita maut dirempuh lori
KUALA LUMPUR - Seorang pengawal keselamatan wanita maut dirempuh sebuah lori mengangkut tanah ketika menunggang motosikalnya di Jalan Raja Muda Abdul Aziz di sini hari ini. Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Rosli Mohd Noor berkata kejadian berlaku kira-kira 11.45 pagi tadi, ketika Siti Rokiah Md Yit, 54, dipercayai dalam perjalanan pulang dari pasar. "Siasatan awal mendapati lori tersebut gagal berhenti dan terus melanggar mangsa dari arah belakang ketika mangsa berhenti di lampu isyarat berhadapan Kondo Setia Sky dan menyebabkan mangsa maut ditempat kejadian," katanya. Sementara itu, saksi kejadian yang enggan dikenali memberitahu Bernama, pemandu lori tersebut tidak sempat menekan brek lalu merempuh mangsa ketika lampu isyarat bertukar merah. Pemandu lori berkenaan ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai/berbahaya hingga menyebabkan kematian. - Bernama

MH370: Tidak putus asa selagi ada harapan
MH370: Tidak putus asa selagi ada harapan
SEPANG - Tiada istilah putus asa dalam kamus hidup pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein selagi ada sinar harapan untuk menemui pesawat dan penumpang Malaysia Airlines MH370, yang hilang lebih dua minggu lepas. "Saya tidak akan berputus asa dan saya akan teruskan sebagaimana hari pertama lagi dan saya menaruh harapan tinggi untuk melihat kesudahannya berdasarkan sokongan yang kami terima," kata beliau pada taklimat harian media berhubung perkembangan terkini pesawat MH370 di sini hari ini. Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan, berkata dengan lebih banyak aset digerakkan dan lebih banyak negara tampil membantu, ia akan memberi lebih banyak harapan untuk terus melangkah. "Namun secara peribadi, saya tidak akan menoleh ke belakang," tegas beliau. Beliau menggambarkan operasi mencari dan menyelamat ini sebagai yang terbesar dalam sejarah berikutan sokongan dan bantuan dari 26 negara yang langsung tidak membangkitkan isu kos. "Inilah yang paling baik, tiada siapapun, tidak Malaysia mahupun rakan kami sekalipun, yang bercakap tentang wang ringgit. Perkara ini tidak pernah terlintas di fikiran kami, keutamaan kami adalah untuk mencari pesawat ini," katanya. Ketika menggambar cabaran semasa operasi mencari dan menyelamat di selatan Lautan Hindi, beliau berkata kapal yang dikerah ke kawasan itu mungkin berdepan arus deras akibat laut bergelora. Beliau berkata kapal juga diberi amaran kemungkinan berlaku angin puting beliung kategori satu, yang ketika ini di kawasan Pulau Christmas, menuju ke arah kawasan pencarian. Pada Khamis, Perdana Menteri Australia Tony Abbott mendedahkan imej satelit menunjukkan dua objek kira-kira 2,500km dari barat daya Perth, yang berkemungkinan mempunyai kaitan dengan kapal terbang yang hilang itu dengan membawa 239 orang. Pesawat Boeing 777-200ER itu dalam penerbangan ke Beijing apabila secara misteri hilang dari radar. Ia dijadual tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. - Bernama

Jambatan Pulau Pinang sesak lebih 4 jam
Jambatan Pulau Pinang sesak lebih 4 jam
GEORGETOWN - Ratusan pengguna Jambatan Pulau Pinang dari Seberang Perai menghala ke pulau terperangkap dalam kesesakan pagi semalam akibat sebuah lori rosak. Tinjauan Sinar Harian mendapati kesesakan berlaku dari susur masuk ke plaza tol hingga kira-kira lima kilometer menuju ke pertengahan jambatan. Menurut info dari twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) (https://twitter.com/LLMinfotrafik), kesesakan itu berpunca dari kerosakan sebuah lori di Kilometer 4.6 dari arah Perai ke pulau kira-kira jam 9.30 pagi. Trafik mula bergerak perlahan sejauh tiga kilometer kira-kira 10.50 pagi apabila lorong kiri mula terhalang akibat kedudukan lori di situ. Trafik bertambah teruk dan terus bergerak perlahan menghala ke pulau sehingga jam 2 petang. Bagaimanapun, keadaan lalu lintas kembali lancar pada jam 2.17 petang hari ini.

No comments:

Post a Comment