Friday, March 21, 2014
Berita Terkini 21 Mac 2014
Mayat dalam tong disimen
Ahli keluarga menunggu di Unit Forensik Hospital Dungun untuk menuntut mayat bayi berkenaan sebelum dikebumikan di SEREMBAN – Mayat seorang ahli perniagaan ditemui dalam sebuah tong plastik yang telah disimen di tepi jalan dekat Bukit Pelanduk, Lukut, Port Dickson di sini, petang kelmarin. Mangsa yang dilaporkan hilang di Cheras kira-kira tiga bulan lalu, dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum dibawa ke kawasan berkenaan sebagai cara menghilangkan bukti. Bagaimanapun, tindakan itu gagal apabila polis berjaya menahan enam suspek termasuk seorang wanita warga Thailand di Lembah Klang, kelmarin. Jurucakap polis berkata, penemuan itu berdasarkan petunjuk dua daripada suspek terlibat yang mengaku membunuh ahli perniagaan itu, sebelum menunjukkan lokasi mayat disembunyikan kepada polis. Menurutnya, tong setinggi kira-kira 1.2 meter itu kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar, di sini sebelum anggota bomba dipanggil semalam, bagi membantu mengeluarkan mayat yang sudah disimen. Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan, Norazam Khamis berkata, tujuh anggota bersama seorang ketua pasukan mengambil masa kira-kira 45 minit mengeluarkan mayat berkenaan. “Peralatan yang digunakan adalah peralatan pemecah simen atau kayu yang dikenali sebagai 'Paratec' untuk membantu mengeluarkan mayat berkenaan,” katanya di sini, semalam. Sementara itu, anak sulung mangsa yang enggan dikenali berkata, keluarganya menerima panggilan telefon daripada polis, lewat malam kelmarin, meminta mereka datang ke bilik mayat Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) bagi proses pengecaman mayat. Bagaimanapun, katanya, mereka gagal mengecam berikutan mayat sudah reput dan berlumuran simen. "Saya tidak boleh cam muka itu sebab tidak dapat dilihat. Seluruh badan dan muka penuh dengan simen,” katanya ketika ditemui, semalam. Sementara itu, di SHAH ALAM, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, berkata, penemuan mayat di Bukit Pelanduk, Port Dickson itu adalah hasil penahanan enam orang individu di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Menurutnya, kesemua mereka ditahan dalam tiga serbuan berbeza pada Selasa dan kelmarin. Katanya, pihaknya masih siasat motif sebenar pembunuhan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Bayi mati ketika menyusu
Ahli keluarga menunggu di Unit Forensik Hospital Dungun untuk menuntut mayat bayi berkenaan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Tok Kah, Dungun.
DUNGUN – Kegembiraan seorang ibu menyambut kelahiran anak kedua tidak kekal lama apabila bayi yang baru dua bulan dilahirkan itu meninggal dunia, pagi kelmarin. Ahmad Asnawi Asuadi, 2 bulan, dipercayai meninggal dunia ketika ibunya, Nur Atikah Abdul Kadir, 22, sedang menyusukannya selepas dibawa pulang dari Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu. Menurut Nur Atikah, bayinya sebelum itu dimasukkan ke wad selama dua bulan untuk rawatan lanjut kerana mengalami masalah kesihatan sejak dilahirkan. “Ketika sedang menyusu, anak saya tiba-tiba tidak bermaya. Cemas dengan situasi itu, saya bawa dia ke hospital untuk mendapatkan pemeriksaan doktor. “Sebaik tiba di Hospital Dungun, doktor mengesahkan bayi saya sudah meninggal dunia. Apa pun saya terima ketentuan ini,” katanya. Mayat bayi berkenaan yang difahamkan dilahirkan tidak cukup bulan kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun. Ketua Polis Daerah Dungun, Pemangku Superintendan Ahmad Zailani Yaacub mengesahkan kejadian.
Nelayan dijel tiga bulan curi besi
Aminuddin dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam, selepas mengaku salah mencuri tujuh keping besi ‘flange’ milik Syarikat Kreatif Semangat.
KUALA TERENGGANU - Hasrat seorang nelayan menjual besi ‘flange’ yang dicuri di tapak pembinaan tangki air Sekolah Menengah Chung Hwa Wei Sin, Bukit Kecil, di sini, tidak kesampaian apabila ditahan polis, 17 Mac lalu. Aminuddin Sulaiman, 37, dijatuhi hukuman penjara tiga bulan selepas mengaku salah mencuri tujuh keping besi ‘flange’ itu di mahkamah majistret, di sini, semalam. Aminuddin mengaku salah mencuri besi ‘flange’ milik Syarikat Kreatif Semangat pada 13 Mac hingga 15 Mac lalu. Dia didakwa di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. Berdasarkan fakta kes, pada 13 Mac lalu, kira-kira jam 5 petang, Pengurus Syarikat Kreatif Semangat, Rosli Hamzah@Seman, 48, yang selesai bekerja di tapak pemasangan paip air sekolah berkenaan menyimpan kesemua peralatan pemasangan paip iaitu besi ‘flange’ sebanyak 35 keping di dalam sebuah kotak, sebelum pulang ke rumah. Bagaimanapun, pada 15 Mac lalu, kira-kira jam 10 pagi, semasa sampai di tapak pembinaan berkenaan, dia dapati keadaan kotak simpanan peralatan kerja-kerja paip berselerak. Apabila membuat pemeriksaan mendapati besi ‘flange’ bersaiz enam inci sebanyak tujuh keping hilang lalu dia membuat laporan di Balai Polis Daerah Kuala Terengganu. Pada 17 Mac, kira-kira jam 9 malam, ketika sepasukan anggota polis sedang membuat rondaan cegah jenayah, mereka terserempak dengan Aminuddin yang ketika itu sedang mengayuh basikal sambil membawa beberapa kepingan besi tergantung pada pemegang basikalnya berhampiran lampu isyarat Gong Kapas, di sini. Pemeriksaan mendapati kepingan besi berkenaan adalah berkait laporan yang dibuat Pengurus Syarikat Kreatif Semangat sebelum ini.
Kereta diseret lori sawit, pemandu selamat
Lori yang membawa muatan tandan sawit turut merempuh pengadang jalan dan terhumban ke dalam gaung berdekatan.
FELDA TRIANG 3 - Berpantang maut sebelum ajal. Dua sahabat berjiran nyaris maut apabila kereta yang dipandu diheret dan jatuh ke dalam gaung dekat Kilometer 15 Jalan Simpang Kerayong-Mayam-Sebertak. Ketua Polis Daerah, Deputi Suprintrendan Zakaria Yusof berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi, lori yang membawa muatan tandan sawit yang menghala ke arah Bandar Bera itu hilang kawalan kerana tayar hadapan di bahagian kanan tiba-tiba meletup dan memasuki laluan bertentangan. Menurutnya, keadaan itu menyebabkan kereta yang dipandu Norasiah Ibrahim, 48 dirempuh secara berdepan sebelum diheret beberapa meter dari lokasi kejadian. “Kedua-duanya mangsa dikejarkan ke Klinik Kesihatan Bandar 32, dan dipercayai, Norsiah mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kaki, sementara Sabariah Awang Ngah, 60 cedera di bahagian bahu kanan. “Bagaimanapun, kedua-dua mangsa dihantar ke HoSHAS Temerloh untuk pemeriksaan lanjut, sementara pemandu lori hanya cedera ringan,” katanya kepada Sinar Harian. Zakaria berkata, dipercayai kedua-dua mangsa yang berasal dari Felda Kumai dalam perjalanan pulang selepas sejurus selesai urusan di Bandar Bera. Katanya, dalam kejadian itu, lori terbabit turut jatuh ke dalam gaung. Difahamkan, kereta Proton Waja itu yang jatuh dalam gaung itu dalam keadaan terbalik sehingga menyebabkan kedua-dua mangsa cedera.
Guardian lancar kedai online
Guardian kini menawarkan khidmat pembelian secara online kepada pelanggannya
PENERAJU rangkaian farmasi, kecantikan dan penjagaan diri, Guardian Malaysia Sdn Bhd menjangka pengenalan pembelian dalam talian (online), Guardian E-Store akan menyumbang sekurang-kurangnya RM50,000 sebulan kepada jualan syarikat itu. Ketua Pegawai Operasi Guardian Malaysia, Loi Liang Tok berkata, Guardian E-store mempunyai 80 peratus barangan yang ditawarkan di cawangan Guardian. Menurutnya, harga barangan yang ditawarkan dalam talian adalah sama seperti mana-mana cawangan Guardian di seluruh negara. “Guardian E-Store boleh diakses 24 jam dan menawarkan 6,000 produk yang terdiri daripada makanan tambahan kesihatan, produk kecantikan, penjagaan kulit, kosmetik dan barangan am. “Kami akan menambah lebih banyak produk, rangkaian dan formulasi baharu dan keperluan bermusim secara tetap,” katanya selepas merasmikan pelancaran laman beli-belah dalam talian itu di Petaling Jaya, semalam. Liang Tok berkata, pihaknya bekerjasama dengan beberapa pembekal di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak untuk memberikan liputan kawasan yang luas dan memastikan pesanan dapat dihantar dalam masa tiga atau lima hari. “Setakat ini, hanya Guardian di Bangsar, Kuala Lumpur menjadi kedai Guardian E-Store,” katanya. Liang Tok berkata, Guardian E-Store adalah saluran baharu untuk memberikan keselesaan membeli-belah kepada pelanggan dan menjimatkan masa mereka. “Kami juga memberikan penekanan kepada aspek keselamatan transaksi e-Kedai. Kami gunakan penyedia gerbang pembayaran terjamin iaitu CIMB Gateway, salah satu daripada peneraju dalam sektor e-Dagang,” katanya.
Malaysia sedia bekal maklumat diperlukan
CYBERJAYA - Malaysia melakukan segala yang mungkin untuk memberi maklumat terkini mengenai operasi mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines MH370, kepada keluarga 239 penumpang dan kru. Utusan khas Perdana Menteri ke China, Tan Sri Ong Ka Ting berkata Malaysia sentiasa telus dalam membekal dan menyebarkan maklumat kepada mereka. "Kami cuba menjawab soalan dan menyelesaikan kesangsian mereka secepat mungkin," katanya kepada ratusan pemberita asing dan tempatan selepas taklimat dua-setengah jam dengan keluarga penumpang dan kru di sebuah hotel di sini malam ini. Pesawat Malaysia Airlines itu yang membawa 227 penumpang dan 12 kru hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi 8 Mac. Ong berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sentiasa memberi keutamaan teratas terhadap keluarga kru dan penumpang. Taklimat itu turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Seri Long See Wool, Pengerusi MAS Tan Sri Md Nor Yusof, pegawai-pegawai kanan Jabatan Penerbangan Awam, wakil-wakil Angkatan Tentera dan pegawai-pegawai Wisma Putra. - Bernama
Diego Garcia bukan lokasi rahsia
SHAH ALAM - Diego Garcia, pulau terpencil di selatan Lautan Hindi yang menempatkan pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) bukanlah kawasan rahsia sehingga dianggap terlalu bahaya untuk mana-mana pihak pergi ke sana. Bekas Ketua Juruterbang Serantau MAS, Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain berkata, beberapa tahun lalu pihaknya pernah mengatur penerbangan ke Diego Garcia untuk membawa anggota tentera AS pulang ke negara mereka. “Saya mengaturkan pesawat Boeing 747 antara tiga ke empat penerbangan untuk tentera AS. Kita berlepas dari Kuala Lumpur ke Diego Garcia kemudian bawa mereka pulang ke AS. “Jadi, Diego Garcia bukan kawasan rahsia. MAS dah pergi ke sana dan tiada apa-apa yang berlaku,” katanya menerusi program soal jawab sebuah stesen televisyen, semalam. Nik Huzlan berkata demikian bagi menjawab soalan mengenai simulator milik Kapten Zaharie Ahmad Shah yang mengkaji pendaratan pesawat di pulau itu. Mengulas lanjut, beliau berkata, sudah menjadi hobi sesetengah juruterbang bermain dengan simulator untuk mendarat di kawasan yang jarang dilewati. “Mereka akan pilih tempat yang pelik-pelik. Kenapa Diego Garcia yang dipersoalkan. Banyak lagi landasan lain yang dianggap rahsia yang boleh dipersoalkan. “Contohnya di McMurdo, iaitu landasan panjang (berais) di Antartika, atau di Edward Air Force yang memiliki landasan sejauh 11 kilometer. Kalau nak pergi betul-betul dengan Boeing 777 sukar, jadi juruterbang akan bermain dengan simulator, ini 'philosophy' biasa seorang juruterbang,” katanya. Menurutnya, dahulu Lapangan Terbang Kai Tak di Hong Kong antara landasan kegemaran juruterbang kerana laluannya yang mencabar. Terdahulu, akhbar melaporkan terdapat lima landasan rahsia yang dimuatkan dalam simulator milik Zaharie antaranya Lapangan Terbang Antarabangsa Male di Maldives, lapangan terbang milik Amerika Syarikat (Diego Garcia) serta tiga lagi landasan di India dan Sri Lanka.
Apakah keupayaan satelit mencerap imej?
KUALA LUMPUR - Astronautic Technology Sdn Bhd (ATSB) sedang meneliti imej-imej yang diperolehi melalui cerapan satelit antarabangsa dalam usaha mengesan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak 8 Mac lepas. Ketua Pegawai Eksekutif ATSB Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad berkata sebagai agensi di bawah seliaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), ia diarahkan oleh kementerian untuk membantu misi pencarian pesawat itu menerusi imej satelit. Katanya ATSB meneliti imej-imej satelit di sekitar Laut China Selatan dan Laut Andaman yang diperoleh daripada satelit Sepanyol, Korea Selatan, Nigeria, Kanada, Emiriah Arab Bersatu dan Perancis bagi mengesan pesawat itu. Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas ditemu bual dalam program "Ruang Bicara' BernamaTV yang dikendalikan Sherkawi Jirim malam ini. Ahmad Sabirin berkata susulan pengesanan dua objek di selatan Lautan Hindi oleh pihak berkuasa Australia hari ini, yang mungkin boleh dikaitkan dengan pencarian MH370, ATSB kini menumpukan penelitian imej-imej di kawasan itu. Ditanya mengenai keupayaan sesebuah satelit mencerap imej, beliau berkata satelit bergantung kepada sensor optik dan sensor radar. "Sensor optik merakam imej pada waktu siang dan imejnya berwarna, tetapi boleh dihalang oleh awan. "Sensor radar pula boleh digunakan pada waktu siang dan malam tanpa mengira keadaan cuaca kerana kuasanya lebih tinggi," katanya. Ahmad Sabirin juga berpendapat peluang mencari sesuatu yang hilang adalah tinggi jika pelbagai aset angkasa, udara dan laut digabungkan dalam usaha itu. Pesawat MH370 yang membawa 239 orang berlepas ke Beijing dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 8 Mac lepas dan hilang sejak itu, yang kini masuk hari ke-13. - Bernama
BAM sangkal dakwaan isu boikot
PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) menyangkal keras dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan badan induk itu kini diboikot susulan ketiadaan beberapa pemain yang sepatutnya hadir ke perlawanan simulasi skuad Piala Thomas 2014, kelmarin. Pengurus Besarnya, Kenny Goh berkata, tuduhan itu seolah-olah tidak berasas memandangkan pemain yang gagal menghadiri ujian pemilihan tersebut telah menjelaskan alasan mengapa berbuat demikian. "Kami terkejut dengan laporan yang dibuat beberapa media kita. "Untuk makluman anda, Misbun Ramdan dan Zulfadli Zulkifli bukan boikot, tapi mereka ada sebab tertentu. Mereka telah menyatakan untuk datang ujian tersebut pada 21 Mac iaitu esok (hari ini). "Jadi, kita masih mempunyai masa untuk membuat pilihan bagi mengisi slot perseorangan negara pada kejohanan itu nanti," katanya. Kelmarin, media tempatan melaporkan daripada tujuh pemain perseorangan yang sepatutnya hadir ke perlawanan simulasi skuad Piala Thomas 2014, hanya tiga yang muncul di Stadium Juara, Bukit Kiara dan ia seolah-olah memberi petanda majoriti pemain melancarkan boikot terhadap ujian pemilihan yang dianjurkan BAM. Selain Arif Latif, Goh Soon Huat dan Tan Chung Seang, pemain-pemain lain yang dipanggil namun gagal hadir adalah Zulfadli Zulkifli, Misbun Ramdan Misbun dan Chan Kwong Beng yang kesemuanya bukan berada di bawah naungan BAM sementara seorang lagi pemain, Iskandar Zulkarnain masih mengalami kecederaan. Selain mengecewakan jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek, situasi tersebut juga memberi kesan kepada Arif yang akhirnya mengumumkan menarik diri daripada meneruskan sesi pemilihan skuad Piala Thomas dan pada masa sama turut mempertikaikan ketelusan BAM. Dalam pada itu, Arif, 24, yang kini bermain untuk One Badminton Akademi mendakwa wujudnya unsur ketidakadilan dalam proses pemilihan pemain yang dibuat BAM. Menjawab tuduhan itu, Kenny berkata: "Objektif utama ujian pemilihan ini adalah untuk mengembangkan pencarian bakat negara bagi persediaan kita untuk berdepan perlawanan yang besar akan datang seperti Sukan Komanwel dan Sukan Asian. Bukan sahaja untuk Piala Thomas Mei nanti."
Songkhla wilayah paling kotor
SONGKHLA - THAILAND. Songkhla antara 20 wilayah dinamakan sebagai paling kotor di Thailand, menurut perangkaan Jabatan Kawalan Pencemaran. Wilayah berkenaan dikatakan mempunyai sampah tidak lupus paling banyak dalam negara termasuk di Samut Prakan dan Kanchanaburi. Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Pencemaran, Wichien Jungrungruang berkata, sebanyak 2,177 kilogram (kg) sampah tidak dilupuskan di Songkhla tahun lalu atau bersamaan dengan purata 1.7 kg seorang. "Manakala Samut Prakan mempunyai 1,814 kg sampah atau 1.6 kg seorang dan Kanchanaburi memiliki 1,452 kg atau 1.9 kg sampah seorang," katanya dipetik Bangkok Post
Rakyat Malaysia tuntut keadilan
(Kiri) Loh Ah Choi, Chang Koon Ying dan Lim Ah Yin antara keluarga yang menuntut hak.
LONDON - Ahli keluarga rakyat Malaysia yang dibunuh tentera Britain lebih enam dekad lalu berikrar, meneruskan tuntutan undang-undang bagi memperbaharui siasatan ke atas pembunuhan beramai-ramai ketika penjajahan British. Peguam mewakili 24 keluarga pekerja ladang getah yang dibunuh tentera Inggeris pada 1948 berkata, mereka akan membawa kes terbabit untuk siasatan baharu ke Mahkamah Agung dan Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR). Tindakan ini diambil selepas Mahkamah Rayuan England kelmarin, menolak usaha membatalkan perintah mahkamah tinggi yang mengekalkan keputusan kerajaan Britain untuk tidak mengadakan siasatan rasmi. Jurucakap keluarga mangsa, Quek Ngee Meng berkata, walaupun rayuan ditolak tuntutan keadilan tidak akan berakhir. "Kami akan terus berusaha mendapatkan keadilan. Ia sama ada undang-undang hak asasi manusia Britain perlu berunding dengan Eropah dengan bantuan Mahkamah Tinggi Britain," katanya dipetik PressTV Pembunuhan lebih 60 tahun lalu berlaku apabila tentera Britain cuba melakukan pemberontakan pasca Perang Dunia Kedua hingga berlaku darurat dan menembak mati 24 penduduk kampung Sungai Rimoh di Batang Kali sebelum membakar kampung tersebut.
Adik gadai nyawa selamatkan abang
Suhaini menunjukkan tangannya yang cedera dirodok babi hutan ketika mengambil upah mengait kelapa.
KUALA KURAU - Keberanian seorang lelaki berjaya menyelamatkan abangnya yang nyaris maut selepas diserang seekor babi hutan seberat lebih 60 kilogram ketika mengambil upah mengait kelapa di sebuah kebun di Parit Abu Samah, di sini, Selasa lalu. Menceritakan detik mencemaskan itu, Suhaini Kassim, 49, berkata, ketika kejadian jam 9 pagi itu, dia dan adiknya adiknya, Mat Isa, 47, sedang mengikat buluh untuk mengait kelapa. Dia yang cedera parah akibat serangan haiwan liar itu berkata, mereka kemudiannya menyedari kehadiran seekor babi hutan di atas sawah padi berhampiran kebun tempat mereka bekerja. Katanya, tidak menjangkakan sesuatu yang buruk bakal berlaku, mereka berdua tidak menghiraukan haiwan tersebut yang hanya berada kira-kira 20 meter dari lokasi mereka. “Sedang leka bekerja, tiba-tiba saya berasakan ada sesuatu melanggar belakang saya dengan kuat hingga saya berasa teramat sakit. “Apabila saya toleh belakang, saya terkejut lihat babi hutan bertaring sepanjang lebih dua inci yang kami nampak cuba serang muka saya dan hanya mampu tahan dengan tangan,” katanya ketika ditemui di sini. Suhaini berkata, serangan babi hutan itu menyebabkan sikunya tercedera dan tangannya dirobek hinggan menampakkan isi. Menurutnya, dia cuba bangun untuk menyelamatkan diri, namun taring haiwan liar terbabit mengenai pula paha kanannya. “Melihat kecederaan parah dialami, saya pasrah dan sangka akan temui ajal, namun adik saya bertindak berani menghalang babi hutan itu, menyebabkan haiwan itu cuba serang dia pula,” katanya. Suhaini berkata, adiknya turut cedera di bahagian lutut kanan akibat diserang babi hutan terbabit namun lelaki itu nekad mengambil tombak kelapa dan merodok badan haiwan tersebut beberapa kali bagi menyelamatkan mereka berdua. Menurutnya, haiwan terbabit lari dan adiknya segera mencapai dua helai baju untuk menghentikan pendarahan serius pada tubuhnya. Katanya, mereka berdua kemudiannya segera dibawa ke Hospital Parit Buntar oleh seorang kenalan yang kebetulan melalui lokasi kejadian. Menurutnya, akibat serangan tersebut, dia menerima kira-kira 50 jahitan di belakang badan, lengan dan paha kirinya. Dia dan adiknya yang turut dikunjungi beberapa pegawai dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) diminta membuat satu laporan polis berhubung kejadian tersebut. “Saya difahamkan satu operasi khas akan dianjurkan Perhilitan bagi memburu haiwan buas itu. “Saya harap babi hutan itu segera ditembak bagi mengelakkan ia menyerang lagi," katanya.
Lelaki Kapak Bekas Isteri Dan Keluarga
SHAANXI – Gara-gara dendam dengan bekas isterinya, seorang lelaki yang juga ketua sebuah agensi pengiklanan telah membunuh wanita itu, ibu dan adik perempuan serta anak saudaranya yang berusia hanya tiga tahun. Xiang Jan, 39, berbuat demikian kerana dilarang oleh bekas mertuanya untuk bertemu dengan bekas isterinya, Yang Kao, 28. Dia bertambah marah apabila mendapat tahu bahawa Yang akan dikahwinkan dengan seorang lelaki, sedangkan selama ini dia telah menghabiskan wang untuk wanita itu. Xiang kemudiannya menghabiskan masa beberapa minggu untuk memujuk Yang menukar fikiran namun gagal. Kemarahan yang menguasainya mengakibatkan dia membawa kapak lalu menuju ke rumah wanita berkenaan. Sebaik sahaja bekas ibu mertuanya membuka pintu, dia terus membunuh wanita itu dengan kapak dan kemudiannya Yang serta bekas adik perempuannya. Xiang mahu meninggalkan rumah berkenaan apabila dia menemui anak saudaranya yang berusia tiga tahun, lalu budak itu juga dibunuhnya. Lelaki itu kemudiannya melarikan diri ke rumah ibunya, membawa sebakul kentang dan lari ke hutan. Dia akhirnya berjaya ditangkap dan berdepan dengan hukuman mati.
Perompak Jadi Bahan Lawak Dalam Internet
LONDON – Seorang perompak menyerah diri kepada polis selepas 24 jam, setelah dia menjadi bahan jenaka dalam Facebook. Lelaki itu, Nathan Baxendale, 21, tidak menutup muka ketika merompak di sebuah bank menyebabkan wajahnya dirakamkan dalam CCTV. Polis kemudiannya memuat naik gambar mukanya dalam Facebook, sekali gus memudahkan dia ditangkap. Ketika merompak, Baxendale menyerahkan sekeping nota kepada kakitangan bank yang tertulis `Bagi wang pada saya, saya ada pistol’’. Iklan SK Selepas mendapat wang sebanyak £2,000, dia melarikan diri dengan teksi dan Baxendale menyangka dia berjaya melarikan diri daripada ditangkap polis, tanpa mengetahui aksinya dia merompak itu dirakamkan. Selepas gambarnya dimuat naik dalam Facebook , identiti Baxendale dikenalpasti hanya dalam masa beberapa jam. Pengguna Facebook turut menggelarnya bodoh dan dia menjadi bahan jenaka kerana merompak tanpa membuat perancangan terlebih dahulu. Baxendale kemudiannya menyerah diri di balai polis dan mengaku merompak untuk membayar hutang dadah dan membeli baju.
Bangunan Baharu Di Tiga Stesen Keretapi Perak
KUALA LUMPUR – Pembukaan bangunan stesen keretapi baharu di Sungai Siput, Kuala Kangsa dan Taiping di Perak diharap dapat mengalakkan lebih ramai menggunakan perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB). KTMB dalam satu kenyataan media memberitahu, tiga bangunan stesen baharu itu yang mula beroperasi baru-baru ini dilengkapi kemudahan lif untuk orang kurang upaya (OKU) dan menunggu berhawa dingin di Stesen Kuala Kangsar dan Taiping. “KTMB berharap dengan pembukaan bangunan stesen baharu ini dapat menarik minat penumpang untuk menaiki keretapi kerana kemudahan yang lebih moden dan selesa. “Ia juga diharap dapat membant mempromosikan industri pelancongan ke Perak yang mempunyai tarikan pelancongan tersendiri sekali gus mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2014,” kata kenyataan itu hari ini. Menurut kenyataan itu, Stesen Sungai Siput mula beroperasi pada 15 Januari lalu, Kuala Kangsar (24 Februari 2014) dan Taiping (27 Februari 2014). Jelas kenyataan itu, sebelum ini semua urusan di tiga stesen itu dilakukan di stesen sementara bagi membolehkan pembinaan bangunan stesen baharu itu dilaksanakan menerusi projek landasan berkembar elektrik Ipoh – Padang Besar.
Anak Rozita Che Wan Dapat 8A Dalam SPM
Tahniah diucapkan kepada pelakon jelita, Rozita Che Wan kerana pandai mendidik anak bab pelajaran. Pagi tadi Rozita meluahkan rasa bangga apabila anak sulungnya, Ameer Effendy berjaya memperoleh 8A dalam keputusan SPM yang diumumkan pada hari ini. Keputusan SPM Ameer yang merupakan pelajar di Kolej Yayasan Saad, Melaka dikongsikan di laman Instagram miliknya. Seperti diketahui umum, Rozita pernah menolak tawaran berlakon buat seketika bagi memberikan tumpuan kepada Ameer ketika dia hendak menduduki peperiksaan tersebut dulu. Nampaknya, usaha itu nyata membuahkan hasil yang manis. Selain Ameer, Rozita mempunyai seorang lagi anak lelaki, Aniq Ezzra Azuar Effendy, 15, hasil perkahwinan terdahulu dan kini sedang mengandungkan cahaya mata pertama hasil pernikahannya dengan Zain Saidin pada 11 Disember 2013.
VIDEO : Tuduh Malaysia Bukan-Bukan, CNN Buat Silap… Tulis Kuala Lumpur Di Indonesia
SEJAK dari awal insiden pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 berlaku, agensi berita CNN kerap membuat laporan yang tidak tepat serta menuduh Malaysia dengan beberapa dakwaan yang mengarut dan melampau. Antaranya ialah menuduh Malaysia bukan satu sumber maklumat yang rasmi selain mendakwa kerajaan sedang menutup malu berkenaan kehilangan pesawat itu dengan memutarbelitkan fakta. Hari ini SiakapKeli.com membuka pekung CNN yang tidaklah sehebat mana melaporkan berita kerana pengetahuan mereka mengenai Malaysia juga masih tidak lengkap. Dalam satu laporan eksklusif CNN berkaitan misteri kehilangan pesawat MH370, lokasi lintas langsung wartawan CNN dilihat tertera sebagai Kuala Lumpur, Indonesia. Kesalahan sebegitu rupa sememangnya dilihat sebagai satu kegagalan yang teruk oleh sebuah stesen berita lebih-lebih lagi yang mempunyai reputasi tinggi seperti CNN. Pengguna Facebook di Malaysia yang mengesan kesilapan itu menyebarkannya di laman sosial berkenaan sebagai mengecam tindakan CNN membuat pelbagai dakwaan tidak berasas bertujuan menjejaskan prestij Malaysia di peringkat antarabangsa. Biarpun bijak dalam memutarbelitkan berita dan juga mereka cerita sensasi bagi peminat setia berita mereka, tetapi dari segi ilmu yang senang sebegitu pun mereka boleh tersilap dan ia amat memalukan.
Serpihan Ditemui Pihak Australia Mungkin Bukan Dari MH370
Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia berpendapat, penemuan objek sebesar 24 meter oleh salah satu satelit mencari mungkin bukan serpihan MH370. Pihak berkenaan menerima penilaian awal daripada pakar yang beranggapan penemuan itu mungkin tiada kaitan dengan MH370. Imej satelit itu diterima Australia hari ini. Penilaian berhubung apakah sebenarnya imej itu pada asalnya diberikan oleh Australian Geospatial-Intelligence Organisation. Australia bagaimanapun terus menghantar 4 kapal ke lokasi penemuan itu bagi mendapatkan gambaran lebih jelas apa yang dikesan satelit sebelum ini dan pada masa yang sama melahirkan rasa simpati dengan apa yang mungkin berlaku kepada MH370.
MH370: Tak Payah Layan Sangat Media Asing -Tun M
Di saat negara bergelut dengan kehilangan pesawat MH370, ada antara media asing dilihat menggunakan isu ini untuk membuat liputan yang tidak benar dan memburukkan keadaan. Bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mahathir apabila ditanya pendapat tentang perkara ini berkata, kerenah media asing ini sebenarnya tidak perlu dilayan kerana mereka sendiri terbukti tiada kredibiliti. Mengambil contoh akhbar England berusia 168 tahun, News of the World yang akhirnya ditutup selepas terbukti mengamalkan tipu dan rasuah, Tun Mahathir menyatakan media antarabangsa ada yang mempunyai agenda tersendiri dan dipengaruhi oleh individu yang memilikinya. “Apa kita buat pun tak kena. Kalau kita layan pun mereka tak berterima kasih. Jadi kita terima dan buat tak tahu sajalah apa mereka kata. Kita tahu ia tak betul,” katanya. Mengulas tentang juruterbang MH370 yang dikatakan mempunyai pertalian saudara dengan Anwar Ibrahim, Tun Mahathir menyatakan dia tidak boleh memberikan apa-apa komen memandangkan dia tidak mengenali juruterbang terbabit dan setakat ini tiada bukti yang jelas. “Toksahlah buat spekulasi. Saudara mara (penumpang MH370) sedang menderita dan anda menjadikan keadaan lebih sukar buat mereka,” ulas Tun Mahathir.
Penerbangan 858 Korean Air Mengambil Masa 14 Hari Untuk Ditemui
Ketika berita ini mula ditulis, MH370 sudah hilang selama 12 hari 8 Jam dan 50 minit. Perkiraaan itu bermula dengan komunikasi satelit terakhir jam 8.11 pagi, 8 Mac lalu. Mungkin ada antara kita beranggapan kapal MAS yang hilang hampir 2 minggu mungkin tidak akan ditemui. Memang benar sudah agak lama, namun ketika ini MH370 boleh dikatakan yang kedua paling lama untuk ditemui. Ini kerana, penerbangan Korean Air 858 yang hilang pada tahun 1987 mengambil masa 14 hari untuk ditemui. Kapal yang membawa 115 penumpang dan anak kapal itu diletupkan di Laut Andaman oleh dua ejen Korea Utara ketika dalam perjalanan dari Iraq menuju ke Korea Selatan. Bererti, memang adakalanya sesuatu penemuan kapal yang hilang ketika dalam penerbangan boleh mencecah tempoh masa yang sangat lama. Kapal ketiga paling lambat ditemui adalah Adam Air penerbangan 574 pada tahun 2007 (sebahagian mula ditemui selepas 10 hari), diikuti Pan Am (1957 – 6 hari) dan Air France 447 (5 hari – 2009)
Britain hantar kapal peninjau ke Lautan Hindi
LONDON - Sebuah kapal peninjau tentera laut Britain menyertai usaha mencari Penerbanban MH370 yang hilang selepas dua serpihan dipercayaikapal terbang itu dijumpai di Lautan Hindi. Kementerian Pertahanan Britain berkata, kapal HMS Echo kini berada di Lautan Hindi dan bergerak ke lokasi di mana dua objek dipercayai serpihan sebuah pesawat dikesan sebuah satelit. Kapal itu direka untuk mengambil data lautan bagi membantu operasi kapal selam dan tentera laut serta lengkap dengan sebuah bot laju untuk kegunaan tinjauan. Sementara itu, sebuah kapal dagang dari Norway dilaporkan menjadi kapal pertama tiba di lokasi serpihan itu dikesan kira-kira 2,500 kilometer dari barat daya Perth, Australia. Beberapa kapal dan pesawat dari beberapa buah negara juga dikerahkan ke lokasi yang sama bagi membantu usaha mencari. Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang pada 8 Mac lalu ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur, Malaysia menuju ke Beijing, China. - AFP
MH370 tidak menjunam ke laut
NEW YORK - Seorang pakar penerbangan dari Amerika Syarikat (AS) percaya pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang sejak 8 Mac lalu tidak terhempas dengan kuat di Lautan Hindi. Pakar tersebut, David Gallo (gambar kecil) berkata, rumusan itu dibuat selepas sebuah satelit berjaya mengesan beberapa objek bersaiz besar di satu lokasi di Lautan Hindi kira-kira 2,500 dari barat daya Perth, Australia semalam. Gallo merupakan ketua penyiasat AS yang membantu mencari sebuah pesawat Air France yang hilang selepas terhempas di Lautan Atlantik pada 2009. Katanya, berdasarkan gambaran yang diberikan oleh para pegawai Australia, terdapat dua objek besar dengan sebuah objek berkenaan berukuran lebih 20 meter panjang dan dikelilingi beberapa objek kecil terapung di Lautan Hindi. Objek tersebut dipercayai serpihan kapal terbang. Ujarnya, beberapa pakar marin yang mengkaji angin dan ombak memberitahu bahawa keadaan lautan di lokasi objek itu dikesan adalah tenang sejak beberapa hari lalu. "Biasanya serpihan akan bertaburan di lautan tetapi sekiranya keadaan laut adalah tenang kemungkinan serpihan ini berada dekat antara satu sama lain," katanya. Berdasarkan saiz yang digambarkan oleh pegawai Australia, Gallo meramalkan objek itu kemungkinan sayap atau badan pesawat. "Daripada serpihan yang besar ini kemungkinan pesawat ini mendarat dengan agak perlahan ketika di laut. "Kapal terbang ini tidak terhempas secara menjunam ke permukaan laut," jelasnya. Menurutnya, ketika misi mencari pesawat Air France, ekor kapal terbang adalah serpihan pertama ditemui selepas lima hari pesawat itu dilaporkan terhempas. Beberapa serpihan lagi dan beberapa mayat penumpang pesawat itu hanya dijumpai hampir dua minggu selepas penemuan pertama tersebut. Dalam tragedi tersebut, seramai 228 penumpang dan anak kapal pesawat itu maut manakala kotak hitam kapal terbang itu hanya dijumpai selepas dua tahun tragedi berlaku. "Lautan adalah tempat yang misteri dan sukar untuk kita meramalkan sama ada penumpang pesawat MH370 ini terselamat atau sebaliknya. "Kita hanya akan mengetahui semua itu selepas pesawat ini djumpai," jelasnya. - Agensi
Bayi 8 bulan seberat 19.7 kg
SANTIAGO berpotensi menghidap penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi dan masalah yang lebih teruk jika tidak dirawat.
VALLEDUPAR, Colombia - Seorang bayi yang memiliki berat menyamai kanak-kanak enam tahun diselamatkan oleh beberapa sukarelawan selepas ibunya mengaku memberi makan bayi tersebut setiap kali dia menangis. Bayi lelaki itu, Santiago Mendoza merupakan bayi paling berat di Colombia. Dia mempunyai berat 19.7 kilogram (kg) walaupun baru berusia lapan bulan. Purata berat bayi yang berusia lapan bulan ialah antara 5 hingga 8 kg. Sukarelawan-sukarelawan dari yayasan amal tempatan, Chubby Hearts menghulurkan bantuan untuk merawat bayi itu selepas ibunya, Eunice Fandino menulis kepada mereka untuk menyelamatkan anaknya. Santiago telah diterbangkan dari rumahnya di sini menuju ke ibu kota Colombia, Bogota pada Ahad lalu. "Bayi ini kerap menangis dan setiap kali dia menangis saya akan memberinya makanan untuk menenangkannya," kata ibu bayi tersebut. Sementara itu, pengarah Chubby Hearts, Salvador Palacio Gonzalez berkata, pakar-pakar sebuah hospital tempatan akan menilai keadaan kesihatan Santiago. "Pakar-pakar perubatan juga akan cuba untuk menurunkan berat badan bayi itu ke paras yang sihat," katanya. "Santiago boleh menghidap kencing manis, tekanan darah tinggi dan masalah yang lebih teruk jika berat badannya tidak diturunkan," tambah Palacio. - Agensi
Akuarium Disney World pecah
GAMBAR akuarium pecah yang sempat dirakam oleh seorang pengunjung restoran T-Rex Cafe di Disney World Florida, Amerika Syarikat.
BUENA VISTA, Florida - Sebuah akuarium di restoran T-Rex Cafe dalam taman air Disney World Florida di sini pecah menyebabkan sejumlah pelanggan basah kuyup, lapor akhbar New York Daily kelmarin. Bagaimanapun, semua hidupan laut di dalam akuarium besar itu dapat diselamatkan manakala para pengunjung restoran berkenaan juga tidak cedera. Seorang saksi kejadian, Kate Wallace, 28, menyatakan, kejadian itu mencetuskan suasana kelam-kabut di premis berkenaan. Terdapat juga segelintir pengunjung yang hanya memerhatikan akuarium itu pecah sambil merakam gambar insiden tersebut yang berlaku pada Isnin lalu. - Agensi
4 bersalah rogol jurugambar di India
GAMBAR pada 27 Ogos 2013 menunjukkan kawasan kilang bijirin Shakti di Mumbai yang menjadi lokasi seorang jurugambar wanita dirogol beramai-ramai oleh empat lelaki dan seorang remaja.
MUMBAI - Sebuah mahkamah India mendapati empat lelaki bersalah kerana merogol seorang jurugambar di sini pada tahun lalu. Insiden pada Ogos Tahun lalu itu telah mencetuskan kemarahan seluruh rakyat India berhubung isu keselamatan wanita. Mahkamah di sini mendapati Mohammed Salim Ansari, Siraj Rehmat Khan, Vijay Mohan Jadhav dan Mohammed Kasim Hafeez Shaikh bersalah merogol jurugambar berusia 22 tahun tersebut. Hukuman terhadap tertuduh akan diputuskan oleh mahkamah pada hari ini. Kesemua tertuduh berdepan hukuman penjara minimum 20 tahun dan maksimum seumur hidup. Semua tertuduh yang berusia antara 18 hingga 22 tahun ketika ditangkap, didapati memperkosa mangsa di pekarangan sebuah kilang bijirin usang di sini. Sementara itu, tertuduh kelima dalam kes berkenaan dibicarakan secara berasingan di sebuah mahkamah juvenil. - AFP
Keputusan terbaik SPM dalam tempoh 5 tahun
KHAIR menunjukkan laporan pengumuman analisis keputusan SPM 2013 di Kementerian Pendidikan, Putrajaya semalam.
PUTRAJAYA - Seramai 13,970 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 berjaya memperoleh gred A bagi semua mata pelajaran yang diduduki daripada 470,395 calon berdaftar. Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof berkata, jumlah itu mencatatkan peningkatan sebanyak 0.05 peratus berbanding 13,720 calon mendapat gred A bagi semua mata pelajaran tahun lepas. Berdasarkan indeks Gred Purata Nasional (GPN) SPM 2013, pencapaian keseluruhan calon merupakan yang terbaik dalam tempoh lima tahun dengan mencatatkan nilai sebanyak 4.93. "Di samping itu, seramai 405 calon iaitu 366 calon sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan 39 calon bukan KPM berjaya mendapat gred A+ iaitu cemerlang tertinggi bagi semua mata pelajaran diduduki. "Berdasarkan GPN, pencapaian calon bandar juga meningkat kepada 4.68 mata berbanding 4.83 pada tahun lalu, manakala calon luar bandar meningkat sebanyak 0.16 kepada 5.28 mata sekali gus mengecilkan jurang pencapaian kepada 0.60," katanya ketika mengumumkan analisis SPM 2013 di sini semalam. GPN digunakan bagi mengukur pencapaian calon, manakala Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) menunjukkan prestasi mata pelajaran. Nilai kedua-dua indeks yang semakin kecil menunjukkan prestasi lebih baik. "Berdasarkan GPMP, 61 mata pelajaran meningkat manakala 46 lagi menurun dan hanya satu mata pelajaran mengekalkan prestasinya seperti SPM 2012 "Enam daripada tujuh mata pelajaran teras meningkat dengan GPMP Sejarah mencatat peningkatan paling tinggi iaitu 4.81 daripada 5.51 pada tahun lepas namun prestasi subjek Matematik menurun sebanyak 0.08 mata daripada 4.91 kepada 4.99 tahun ini "Bagi mata pelajaran elektif seperti elektif sains, teknikal dan agama, 55 daripada 101 mata pelajaran ini menunjukkan peningkatan prestasi," jelasnya.
Isu salah guna dadah ke Kabinet -(FMFA) 2014
KUALA LUMPUR - Kementerian Belia dan Sukan akan membawa isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia kepada Jemaah Menteri hari ini susulan kejadian enam orang mati akibat mengambil dadah berlebihan pada Festival Future Music Asia (FMFA) 2014 di Stadium Bukit Jalil di sini minggu lepas. Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, perkara itu perlu diketengahkan kepada Kabinet bagi mempergiat usaha memberi kesedaran dan pendidikan kepada golongan belia mengenai penyalahgunaan dadah. "Kita bukan sahaja mahu melihat dari segi penganjuran konsert tetapi juga perkara pokok iaitu kesedaran dan pendidikan yang perlu diberikan kepada generasi muda berkaitan dengan penyalahgunaan dadah terutamanya apabila dicantumkan dengan acara-acara hiburan," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Majlis Perundangan Belia Negara ketiga 2013-2014 di Pusat Belia Antarabangsa di sini semalam. Beliau berkata, kementerian itu berharap insiden itu yang turut menyebabkan beberapa lagi belia kritikal kerana pengambilan dadah berlebihan ketika menonton konsert tersebut tidak berulang. Dalam kejadian Sabtu lepas, tiga lelaki dan tiga wanita berusia antara 19 dan 28 tahun meninggal dunia manakala tiga lagi dirawat di hospital akibat pengambilan dadah berlebihan. Konsert tiga hari itu yang bermula Khamis lepas, dibatalkan pada Sabtu berikutan kejadian itu.
Bomba padamkan kebakaran 1,276 hektar hutan gambut di Terengganu
KUALA TERENGGANU - Enam lokasi kebakaran hutan tanah gambut dan belukar berjaya dikawal serta dipadamkan sepenuhnya oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu. Pegawai Pusat Gerakan Operasi negeri, Abdullah Zawawi Mohamed berkata kebakaran seluas kira-kira 1,276 hektar kawasan hutan tanah gambut membabitkan antara daerah Dungun, Setiu, Besut serta Kuala Terengganu dan Kemaman yang dikesan sejak Januari lalu. "Kesemua kebakaran melibatkan hutan tanah gambut serta belukar berjaya dipadamkan sepenuhnya secara berperingkat bermula 7 Mac sehingga 17 Mac lepas. "Namun bagi kebakaran hutan di Setiu serta Dungun masih terdapat kepulan asap dan kita masih meletakkan anggota di kawasan hutan tanah gambut itu untuk mengawal kebakaran jika terdapat kebakaran berulang di kawasan itu,” katanya. Menurutnya kawasan hutan di Tok Kah, Dungun paling teruk terbakar yang memusnahkan seluas 411 hektar hutan tanah gambut sejak 25 Januari. - Bernama
Peniaga maut rempuh pokok
ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan, semalam.
Alor Gajah: Seorang peniaga terbunuh selepas kereta dipandu terbabit kemalangan di Leboh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), berhampiran Kampung Pegoh, dekat sini, tengah hari semalam. Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 12.20 tengah hari itu, mangsa, Tee Wen Yuan, 33, dari Paya Mengkuang, Kuala Sungai Baru, dalam perjalanan ke Simpang Ampat dari arah pusat bandar sebelum terbabit dalam kemalangan. Menurut sumber, mangsa yang memandu Honda Jazz bersendirian dipercayai hilang kawalan dan terbabas masuk ke lorong kanan lalu berpusing sebelum melanggar pokok dan tiang elektrik. Berikutan perlanggaran itu mangsa tersepit dalam kereta dikeluarkan anggota bomba sebelum dihantar ke Hospital Melaka. Lelaki itu bagaimanapun mati ketika mendapatkan rawatan kerana kecederaan parah dialami tidak lama kemudian.
2 objek merupakan petunjuk paling kukuh
ANGGOTA Tentera Udara Diraja Australia bersiap sedia untuk berlepas dengan pesawat AP-3C Orion bagi mencari penerbangan MH370 di bahagian selatan Lautan Hindi.
Kuala Lumpur: Penemuan dua objek, satu daripadanya berukuran 24 meter panjang yang dikesan di Lautan Hindi, kira-kira 2,500 kilometer ke arah barat daya Perth, Australia, dianggap petunjuk paling kukuh sepanjang operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilancarkan sejak pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 hilang 13 hari lalu. Bagaimanapun, Pensyarah Institut Oceanografi dan Sekitaran di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Dr Mohd Fadzil Mohd Akhir berkata, kawasan perairan dua objek yang ditemui itu dikenali sebagai lokasi ombak besar yang ketinggian melebihi 10 meter. “Laut bergelora sepanjang masa serta cuaca buruk antara cabaran terbesar perlu dihadapi pasukan SAR. “Misi ini mungkin mengambil masa berbulan-bulan dan tidak mustahil bertahun berikutan kawasan itu cukup besar dengan kedalaman lebih empat kilometer,” katanya. Menurutnya, selatan Lautan Hindi yang ketiga terbesar di dunia selepas Lautan Atlantik serta Pasifik.
2 Objek hanyut 400 km
KAPAL Hoegh St Petersburg dijangka tiba di kawasan barat Australia di mana kemungkinan serpihan pesawat hilang MH370 telah dikesan. FOTO AP
KUALA LUMPUR: Dua objek disyaki serpihan daripada pesawat Malaysia Airlines MH370 yang dikatakan ditemui di selatan Lautan Hindi dipercayai hanyut sejauh 300 hingga 400 kilometer (km) ke lokasi imej dirakam satelit Australia. Pakar Oseanografi di University of Western Australia Profesor Charitha Pattiaratch berkata, ini berdasarkan arus kuat di kawasan mencari dan menyelamat berada dalam lingkungan Pentas Naturalist yang berukuran 250 km lebar dan 400 km panjang. Katanya, kawasan itu juga dikelilingi laut sedalam kira-kira 5,000 meter yang boleh menenggelamkan puncak Gunung Kinabalu yang mempunyai ketinggian 4,095 meter. “Berdasarkan faktor arus, serpihan itu kemungkinan hanyut dari barat ke timur sebelum dikesan satelit kira-kira 2,500 km dari Perth. Perairannya tetap dalam walaupun di mana saja pasukan mencari berada,” katanya. Sementara itu, mengikut maklumat pada laman Twitter Lembaga Keselamatan Maritim Australia (AMSA), pasukan penyelamat menghadapi cabaran cuaca dan persekitaran. Kru pesawat Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) berhadapan masalah mengesan objek berkenaan akibat cuaca buruk. Penglihatan kru pesawat RAAF P-3 Orion dibatasi awan dan hujan. Menteri Pertahanan Australia David Johnston juga mengakui kawasan itu adalah 'terpencil' di dunia. "Operasi mengenal pasti dan mengesahkan maklumat yang dikesan satelit ini merumitkan terutama dari segi logistik," katanya dalam temuramah televisyen di Australia. Dalam pada itu, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, walaupun petunjuk terbaru ini nampak meyakinkan, ia masih perlu disahkan terlebih dulu. Beliau menjelaskan beberapa pesawat milik Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat sedang dalam perjalanan ke lokasi objek berkenaan dan akan menghantar laporan apabila maklumat diperoleh lengkap. Menurutnya, pengesahan sama ada objek yang dikesan adalah pesawat MH370 akan diumumkan secepat mungkin. "Selain aset tentera, kapal dagang yang berada berhampiran turut memberi maklum balas terhadap permintaan bantuan oleh Australia," katanya dalam sidang media di Hotel Sama-sama, di sini, hari ini. Dua objek masing-masing sepanjang kira-kira 24 meter dan lima meter dikesan satelit Australia dan penemuan ini diumumkan Perdana Menteri Australia Tony Abbott pada sidang Parlimen di Canberra hari ini. Beliau juga memaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melalui panggilan telefon pada 10 pagi tadi. Empat pesawat tentera dikerah untuk mengenal pasti dua objek yang dikesan satelit Australia, kata Pengurus besar Bahagian Respons Kecemasan Lembaga Keselamatan Maritim Australia (AMSA) John Young. Sebuah pesawat C-130 Hercules RAAF ditugaskan oleh Pusat Penyelarasan Menyelamat Australia (RCC Australia) AMSA untuk menjatuhkan boya penanda datum yang akan digunakan bagi memberikan maklumat mengenai pergerakan air bagi membantu dalam pemodelan aliran, kata Young. Boya itu juga akan menyediakan satu titik rujukan berterusan jika tugas menempatkan semula objek berlanjutan. Tiga pesawat lain juga akan ke kawasan itu termasuk sebuah pesawat Orion Tentera Udara Diraja New Zealand dan pesawat P8 Poseidon Tentera Laut Amerika Syarikat. "Pesawat Poseidon dijangka tiba 3 petang. Pesawat kedua Orion RAAF dijangka berlepas dari pangkalan Pearce RAAF pada 6 petang. Pesawat Orion New Zealand dijangka berlepas 8 malam," katanya. Kapal Tentera Laut Diraja Australia, HMAS Success, juga dalam perjalanan ke kawasan itu tetapi akan mengambil masa beberapa hari sebelum tiba. Kapal itu dilengkapi dengan kemudahan untuk mendapatkan semula mana-mana objek di lokasi dan jika terbukti daripada MH370, katanya. Sementara itu, syarikat perkapalan Hoeeg Autoliners mengesahkan sebuah kapal pengangkut Norway tiba di kawasan berkenaan untuk turut serta dalam gerakan mencari. Bagaimanapun, gerakan mencari hari ini agak terbatas berikutan matahari terbenam pada jam 1300 GMT, kata jurucakap Hooeg Autoliners Christian Dahll. Kapal pengangkut yang didaftarkan di St Petersburg itu dalam perjalanan dari Port Louis, Mauritius ke Melbourne apabila ia diminta pihak berkuasa Australia untuk mengubah laluannya di Lautan Hindi bagi melalui kawasan yang dikenal pasti penemuan objek berkenaan. Operasi SAR ditangguhkan malam ini dan akan bersambung semula pada Jumaat. - Agensi
Merisik khabar gembira
HAMID ditemuramah media mengenai taklimat keluarga penumpang dan kru MH370 di Cyberjaya, malam tadi.
Putrajaya: "Saya berharap anak saya dan menantu Mohd Razahan Zamani (suami Norli Aqmar) yang menaiki pesawat itu dalam keadaan selamat," kata Hamid Ramlan, bapa kepada penumpang pesawat MH370, Norli Akmar. Menurutnya, sesi taklimat bersama keluarga itu kebanyakannya membabitkan perkara yang diterangkan sudah didedahkan pada sidang media di Hotel Sama-Sama, Sepang. "Mengenai penemuan dua serpihan yang dijumpai oleh pihak Australia juga belum disahkan,” katanya yang begitu mengharapkan berita baik daripada pihak berkenaan selepas 13 hari MH370 yang dalam perjalanan ke Beijing hilang. Hamid bersama Kira-kira 50 ahli keluarga penumpang Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 tempatan dan warga China hadir pada sesi taklimat di Hotel Cyberview Lodge Resort and Spa di Cyberjaya di sini, malam ini. Di Hotel Everly, Putrajaya, seorang lagi waris penumpang MH370, Selamat Omar, 60, memberitahu taklimat berlangsung dalam keadaan tenang, namun ada juga di kalangan mereka terutama keluarga dari China yang tidak dapat membendung perasaan sedih. "Mereka banyak bertanyakan soalan terutama mengenai perkembangan terkini kejadian itu. Walaupun ada yang emosi tetapi ada juga di kalangan mereka yang dapat menerima penerangan termasuk kesukaran yang dihadapi pihak berkuasa dalam operasi ini," katanya ketika ditemui selepas menghadiri taklimat berkenaan. Selamat berkata, MAS juga memberi peluang kepada ahli keluarga untuk bertanyakan sebarang soalan. Sementara itu, Wakil Khas Perdana Menteri Malaysia ke China Tan Sri Ong Ka Ting berkata, kerajaan bertindak secara telus untuk memaklumkan sebarang perkembangan terkini dan maklumat terbaru mengenai pencarian pesawat itu kepada keluarga. Beliau berkata, kerajaan tidak pernah menyembunyikan sebarang maklumat berhubung perkembangan terkini kehilangan pesawat MH370 kepada keluarga penumpang. "Taklimat yang diadakan pada malam ini berkisar mengenai usaha dilakukan untuk menjayakan misi mencari pesawat MH370 yang hilang. "Kita memaklumkan semua maklumat terkini yang kita tahu kepada ahli keluarga. Kita tidak menyembunyikan sebarang perkara kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas mengetuai sesi taklimat perkembangan terkini MH370 di Cyberview Lodge Resort and Spa Cyberjaya, sebentar tadi. Hadir sama Pengerusi MAS Tan Sri Md Nor Yusof. Taklimat berkenaan dihadiri ahli keluarga penumpang dan ia berlangsung hampir dua jam bermula jam 9 malam.
KLIA2 diiktiraf selamat
BANGUNAN utama KLIA2 sedia beroperasi mengikut jadual pada Mei ini.
Sepang: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) melaksanakan kerja Kesediaan Operasi dan Pemindahan Lapangan Terbang (ORAT) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada Februari lalu. ORAT yang membabit sejumlah 2,818 peserta, 3,659 bagasi, dan 170 penerbangan yang meliputi operasi domestik, antarabangsa dan pemindahan dilaksanakan berikutan jaminan daripada kontraktor bangunan terminal bahawa kerja-kerja akhir di KLIA2 mengikut jadual serta Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC ) diperoleh pada April ini. Malaysia Airports dalam kenyataannya berkata, antara aktiviti ORAT dijalankan secara berterusan termasuk penggemblengan operasi terminal dan kakitangan keselamatan penerbangan, penyerahan kunci dan penyerahan tapak kepada agensi kawal selia kerajaan serta syarikat penerbangan. Katanya, aktiviti lain yang turut dilaksanakan adalah menguji dan pentauliahan sistem pengendalian bagasi (BHS) yang membabitkan 30,000 beg bagi ujian bebanan dalam tempoh percubaan bukan operasi. “IKRAM Perdana Consulting (IPC), perunding bebas yang dilantik oleh Kementerian Pengangkutan mengiktiraf KLIA2 selamat untuk beroperasi seperti mana yang dinyatakan oleh menteri di kementerian berkenaan. “Penilaian IPC ini memberi tumpuan kepada aspek keselamatan seperti laluan teksi, apron, landasan 3 dan kawasan sekitarnya serta bangunan terminal,” katanya pada satu kenyataan bersama keputusan kewangan Malaysia Airports yang berakhir 31 Disember 2013. Dalam keputusan kewangan itu, Malaysia Airports mencatatkan RM827.5 juta pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) tanpa pendapatan pembinaan dan kos. Angka itu 10.2 peratus lebih tinggi daripada sasaran syarikat berkenaan bersandarkan jumlah penumpang meningkat paling tinggi dalam tempoh dua puluh tahun yang lalu. Malaysia Airports berkata, walau bagaimanapun terdapat penurunan keuntungan selepas cukai (PAT) akibat jumlah kos yang lebih tinggi terutamanya bayaran tinggi pengguna, kos kakitangan, pembaikan dan kos penyelenggaraan. “Pada tahun ini, syarikat mengunjurkan pertumbuhan penumpang sebanyak 9.7 peratus lebih tinggi berbanding tahun lalu bersandarkan pengembangan kapasiti tempat duduk di kalangan syarikat penerbangan,” katanya.
3,900 peluru kosong dirampas
MOHD. Mokhtar (kiri) menunjukkan sebahagian daripada 3,900 butir peluru kosong yang dirampas daripada sebuah premis menjual barangan lusuh pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru, Johor semalam.
Johor Bahru: Polis menemui 3,900 butir peluru kosong SME 5.56mm untuk raifal dalam pemeriksaan di sebuah premis menjual barangan lusuh di Ulu Tiram, dekat sini, Selasa lalu. Dalam pemeriksaan jam 11.10 pagi menerusi Ops Cantas Khas itu, dua lelaki tempatan dan tiga lelaki warga asing berusia 15 hingga 39 tahun dipercayai pekerja premis berkenaan ditahan bagi membantu siasatan. Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, pihaknya menubuhkan pasukan khas bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung rampasan peluru berkenaan. Menurutnya, tumpuan siasatan menjurus kepada tujuan peluru itu disimpan di premis berkenaan serta kegunaannya. “Berdasarkan jumlahnya yang banyak, siasatan terarah sama ada ia diperoleh dari dalam atau luar negara. Siasatan juga dibuat bagi mengenal pasti sama ada premis berkenaan menjual atau membeli peluru berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, semalam. Katanya, peluru berkenaan boleh mendatangkan bahaya termasuk membunuh jika dimasukkan bebola besi untuk menembak. Beliau berkata, pihaknya yakin dapat mengenal pasti tujuan peluru berkenaan disimpan di premis itu tidak lama lagi. “Siasatan lanjut terhadap suspek ditahan mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau, tetapi tiga warga asing terbabit tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah untuk berada di negara ini. “Selain itu, premis berkenaan didapati menjalankan perniagaannya secara haram kerana tidak mempunyai lesen,” katanya. Menurutnya, semua suspek kini direman hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 6 Akta Peniaga Sekendhend 1946 manakala tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) itu disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. “Saya mengesahkan peluru ini bukan untuk kegunaan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.
Cemerlang SPM guna tulisan kaki
HADI (kanan) menerima ciuman daripada ayahnya selepas memperoleh 11A dalam keputusan SPM.
Alor Setar: Kecacatan fizikal bukan penghalang buat Muhammad Hadi Darus, 17, bagi membuktikan dirinya mampu berjaya dalam pelajaran seperti pelajar normal apabila diumumkan memperoleh keputusan cemerlang 11A bagi calon berkeperluan khas (CBK) dalam keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 yang diumumkan, semalam. Muhammad Hadi, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kedah, di sini, yang dilahirkan tanpa lengan dengan hanya jari di bahu juga tidak boleh berjalan berikutan kedua-dua kakinya membengkok sejak berusia dua tahun. Walaupun dikategorikan sebagai orang kelainan upaya (OKU) apabila terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak serta menulis menggunakan kaki kiri, namun ia tidak melemahkan semangatnya untuk mengubah nasib diri. Pelajar berkenaan mendapat A dalam 11 mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah, Bahasa Arab Tinggi, Matematik Tambahan, Fizik, Biologi, Kimia, Pendidikan al-Quran dan Al-Sunnah serta Pendidikan Syariah Islamiah. Muhammad Hadi berkata, dia gembira apabila turut diumumkan sebagai antara pelajar terbaik di peringkat negeri sekali gus membuktikan segala penat lelah membuahkan hasil.
Penggunaan Sistem Sonar kesan objek bawah permukaan laut
Kuala Lumpur: Penggunaan Sistem Sonar atau dikenali sebagai ‘mata dalam air’ adalah satu alat yang menggunakan gelombang bunyi bagi mengesan sesuatu objek di bawah permukaan air. Kaedah yang digunakan itu mampu mengesan serpihan penerbangan MH370 yang mungkin tenggelam di satu kawasan laut luas di Lautan Hindi selatan di kawasan sejauh kira-kira 2,500 kilometer dari Perth, Australia. Menurut pakar, sebaik mengenal pasti kawasan yang mungkin menjadi lokasi sesebuah pesawat itu terhempas maka sistem sonar berkenaan akan digunakan. Katanya, sonar itu akan menghantar frekuensi lengkap mengenai objek yang dikesan di dasar laut kepada peranti yang dipasang pada kapal atau pesawat mencari. Secara kasarnya, sesebuah kapal atau pesawat yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lautan akan dilengkapi dengan sistem berkenaan. Sebaik satelit memberi maklumat mengenai penemuan sesuatu objek, kapal atau pesawat mencari akan digerakkan ke lokasi. Dalam tempoh 48 jam, sistem itu akan digunakan dengan cara menghantar gelombang bunyi ke dalam laut. Sumber bunyi yang disebarkan itu akan bergema di dalam air sebelum dipantulkan kembali oleh objek yang dikesan kepada sistem Sonar terbabit. Pantulan yang dibias semula oleh objek itu akan membawa data mengenai jenis, bentuk dan jarak sebenar objek terbabit. Selain itu, teknologi sonar terkini dan canggih juga mampu memberikan data lengkap mengenai bentuk fizikal atau jenis bahan yang digunakan pada objek terbabit.
Polis tidak kasari warga China
KELUARGA penumpang penerbangan MH370 berpeluk saling memberi dorongan sebelum berbincang dengan wakil MAS di Metro Park Lido Hotel di Beijing, semalam.
Kuala Lumpur: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menafikan dakwaan anggota polis mengasari warga China yang mahu memasuki bilik sidang media di Hotel Sama-Sama di Sepang, kelmarin. Menurutnya, dakwaan yang dilemparkan kepada pihaknya tidak benar. “Ini tidak benar. Mereka yang merempuh masuk ke dalam bilik sidang media itu walaupun pegawai kanan kerajaan cuba mengajak mereka berbincang,” katanya. Media semalam melaporkan, lima warga China yang juga anggota keluarga penumpang pesawat MH370 yang hilang cuba sebanyak dua kali memasuki bilik media di Hotel Sama-Sama yang menjadi lokasi wartawan berkumpul untuk mendapatkan perkembangan terkini operasi mencari pesawat itu. Mereka pada mulanya cuba memasuki bilik sidang media di hotel itu kira-kira jam 4.45 petang sehingga menimbulkan kekalutan sambil menangis dan menjerit selain turut membawa kain rentang yang tertulis dalam tulisan Mandarin. Walaupun pegawai bertugas cuba memujuk dan membawa mereka ke bilik urus setia media di aras sama, namun mereka tetap mahu memasuki bilik sidang media berkenaan. Ketika itu, wartawan asing yang turut berada dalam bilik sidang akhbar itu bertindak merakam gambar dan menemubual mereka.
Pesawat mampu sampai ke lokasi dua objek
JURUTERA pesawat Tentera Udara Diraja Australia melihat kawasan perairan yang menjadi lokasi pencarian terbaru.
Kuala Lumpur: Pakar penerbangan yakin pesawat penerbangan MH370 yang dilaporkan hilang sejak 8 Mac lalu mampu sampai ke lokasi dua objek terapung dikesan satelit di selatan Lautan Hindi kerana mempunyai simpanan bahan api yang mencukupi. Dengan jangkaan membawa bahan api kira-kira 60 tan, pesawat itu mampu terbang jauh sehingga lapan jam termasuk simpanan minyak tambahan. Berdasarkan lokasi penemuan objek berkenaan yang terletak kira-kira 2,500 kilometer dari Perth, Australia, pesawat yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu sudah terbang kira-kira 7,000 kilometer dari kawasan Pulau Perak, iaitu lokasi terakhir pesawat itu dikesan radar tentera. Diandaikan kelajuan maksimum pesawat itu lebih 900 kilometer persegi, pesawat berkenaan mengambil masa hampir lapan jam untuk tiba di lokasi dua objek berkenaan ditemui sebelum kehabisan bahan bakar. Perunding bebas yang juga bekas jurutera penerbangan Hyder Shahrom Mohd Shukor berkata, dengan mengambil kira minyak simpanan yang dibawa, ia membolehkan pesawat berkenaan melalui kawasan itu selepas kali terakhir dikesan radar. “Pesawat berkenaan yang dikesan di lokasi terakhir di Pulau Perak mampu terbang hingga ke selatan Lautan Hindi berdasarkan kapasiti bahan api yang dibawa. “Bagaimanapun, beberapa pakar kejuruteraan penerbangan bingung kenapa alat pemancar isyarat lokasi kecemasan (ELT) tidak berfungsi sekiranya pesawat itu terhempas,” katanya kepada Harian Metro, semalam. Beliau berkata, ELT yang diletakkan di beberapa bahagian luar pesawat tidak mungkin rosak berdasarkan beberapa faktor. “Mustahil sebuah pesawat mengalami ‘total shutdown’ dan sekiranya berlaku sekalipun, pesawat mempunyai masa membuat pendaratan cemas,” katanya.
‘Satu dunia tunggu berita’
Sepang: Sidang media pada jam 5.30 petang hari ke-13 semalam menjadi tumpuan seluruh dunia apabila Australia mengesahkan mengenai penemuan dua objek di Lautan Hindi yang mungkin ada kaitan dengan pesawat penerbangan MH370. Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, itu petunjuk baru yang boleh dipercayai, namun belum dapat disahkan dan lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk mengesan pesawat di kawasan berkenaan. Apapun, katanya, fokus setiap masa ialah mencari pesawat berkenaan. Berikut sedutan sidang media itu yang turut dihadiri Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS Ahmad Jauhari Yahya dan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman. Penemuan rakaman imej satelit dipercayai objek MH370 dikesan Australia di selatan Lautan Hindi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menerima panggilan daripada Perdana Menteri Australia Tony Abbot kira-kira jam 10 pagi tadi (semalam) yang memaklumkan berjaya mengesan dua kemungkinan objek yang dipercayai ada kaitan dengan dengan MH370 yang ditemui di selatan Lautan Hindi. Pihak berkuasa Australia di Kuala Lumpur sudah memaklumkan perkara sama kepada saya mengenai perkembangan situasi terbaru itu. Malah, Anifah turut dimaklumkan perkara sama oleh rakan sejawatnya di Australia. Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) kini sedang menyelaras carian bagi mengesan pesawat itu terutama di kawasan mereka dengan bantuan Pasukan Pertahanan Australia, Pasukan Tentera Udara New Zealand dan Tentera Laut Amerika Syarikat. Pusat Menyelamat Menyelaras (RCC) AMSA Australia menerima imej satelit yang kemungkinan ada kaitan dengan misi mencari pesawat penerbangan MH370. RCC Australia menerima maklumat itu daripada pakar kajian imej satelit, hari ini (semalam). Imej itu dirakam hari ini (semalam), namun belum dapat disahkan lagi sama ada ia ada kaitan dengan MH370. Kajian imej itu disediakan Australian Geospatial Intelligence Organisation yang mendakwa kemungkinan petunjuk penemuan serpihan pesawat di barat daya Perth. Berdasarkan maklumat terbaru itu, empat pesawat diselaraskan semula untuk diterbangkan ke sebuah kawasan 2,500 kilometer (KM) dari barat daya Perth. Pesawat P-3 Orion milik Pasukan Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) sudah tiba di kawasan berkenaan kira-kira jam 10.50 pagi. Selain itu, tiga pesawat lain yang dikendalikan RCC Australia turut dikerah termasuk Orion milik RAAF, Orion milik pasukan udara New Zealand dan P-8 Poseidon milik tentera laut Amerika Syarikat. Pesawat Poseidon dijangka tiba petang ini (semalam), manakala Orion RAAF dan Orion milik New Zealand masing-masing akan berlepas petang dan tengah hari ini (semalam). Sementara itu, pesawat C-130 diarah RCC Australia untuk menjatuhkan boya penanda jenis hanyut sebagai titik rujukan yang berterusan sekiranya objek berkenaan hanyut atau berubah kedudukan ke lokasi lain. Pada masa sama, sebuah kapal dagang yang menerima maklumat imej dikeluarkan RCC Australia itu pada Isnin lalu dijangka tiba di kawasan itu tengah hari ini (semalam). Selain itu, kapal HMAS milik Tentera Laut Diraja Australia juga dikerah ke lokasi itu, namun ia akan memakan masa beberapa hari untuk tiba. Kapal berkenaan mempunyai keupayaan untuk mengesan objek yang didakwa milik MH370 itu. Pelbagai usaha kini dilakukan untuk menjejaki objek yang dikesan satelit itu. Saya sudah senaraikan semua aset yang akan dihantar, malah akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Australia. Saya juga ingin maklumkan tiada bandar paling dekat dengan penemuan itu. Buat masa ini, kami sedang menunggu laporan aset atau kapal berdekatan yang dalam perjalanan ke tempat itu. Ini berita tergempar yang ingin diketahui seluruh dunia. Percayalah kami akan maklumkan dunia seandainya ia sudah disahkan. Saya ingin maklumkan segala maklumat yang diterima penting untuk semua tahap dalam SAR. Berdasarkan imej satelit dan pengalaman sebelum ini, setiap data atau maklumat diterima perlu diteliti untuk pengesahan terlebih dulu. Ini kerana jika maklumat salah akan mengganggu SAR, malah memberikan harapan palsu kepada keluarga. Sekurang-kurangnya hari ini (semalam) ada petunjuk. Tetapi ia memerlukan masa seharian untuk pengesahan. Itu harapan. Selagi ada harapan, kita akan teruskan pencarian. Jika imej dirakam itu sah milik MH370, kami akan mengesan kotak hitam pesawat itu dahulu. Teknologi lebih canggih perlu dikerahkan untuk mencari kotak hitam itu. Operasi SAR akan beralih ke fasa baru sekiranya disahkan penemuan imej satelit itu. Sekiranya maklumat satelit positif, maka kami boleh menggunakan situasi kemalangan pesawat Air France memandangkan cabarannya hampir sama di mana Lautan Atlantik (kes Air France) sama mencabar dengan Lautan Hindi. Pencarian di laut dalam adalah sesuatu yang kita utamakan juga. Kita sedang melihat kemungkinan penggunaan kenderaan penyelam sonar. Namun, aset dan teknologi yang ada kini terhad. Sebelum ini, satu-satunya petunjuk yang kami temui daripada data satelit di Laut China Selatan. Hari ini, maklumat yang diterima pihak berkuasa Australia sebenarnya hasil kerjasama dengan satelit lain. Kita boleh bawa kapal masuk ke kawasan itu, ini sudah dibincangkan dua Perdana Menteri (Malaysia dan Australia). Inilah yang membezakan maklumat itu dengan petunjuk lain sebelum ini.
Lagak saja ‘berani mati’, merempuh sekatan anggota polis
Kapar: Sekumpulan empat penjenayah menaiki sebuah kereta bertindak nekad merempuh sekatan jalan raya diadakan anggota polis di Kampung Bukit Kuda, di sini, sebelum cuba bersembunyi di sebuah masjid berhampiran. Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam Sabtu lalu, suspek yang menaiki kereta curi dikatakan terkejut sejurus terserempak sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara yang membuat sekatan jalan raya dalam ‘Ops Cantas Khas’ di kawasan itu. Menurutnya, suspek kemudian nekad merempuh sekatan jalan raya itu dalam usaha untuk meloloskan diri walaupun cuba ditahan. “Anggota polis kemudian bertindak mengejar kereta penjenayah sebelum kenderaan dinaiki berhenti di tepi jalan berhampiran sebuah masjid di Kampung Kuantan kira-kira satu kilometer dari lokasi sekatan jalan raya. “Semua suspek yang berada di dalam kereta berkenaan kemudian bertindak melarikan diri ke kawasan belakang masjid,” katanya. Menurutnya, salah seorang daripada suspek berusia 22 tahun bagaimanapun berjaya diberkas selepas ditemui bersembunyi di dalam kawasan semak berhampiran. “Berdasarkan siasatan awal, kereta Proton Wira yang ditinggalkan suspek dilaporkan hilang di Shah Alam baru-baru ini. “Hasil pemeriksaan, polis menemui parang di dalam kereta itu selain beberapa telefon bimbit dan kad kredit yang dipercayai milik mangsa disamun. Suspek didapati turut menggunakan nombor pendaftaran palsu pada kereta itu,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong mengesahkan penahanan suspek dan usaha memburu tiga lagi suspek masih diteruskan.
Umur masih panjang, terperosok dibawah lori
NURHIDAYATUL ditenangkan seorang penunggang motosikal.
Kuala Lumpur: Berpantang maut sebelum ajal apabila seorang gadis terselamat walaupun terperosok di bahagian bawah lori sejurus terbabit kemalangan di simpang Jalan Kampung Bandar Dalam, Sentul, di sini semalam. Dalam kejadian jam 8.40 pagi itu, mangsa, Nurhidayatul Afiqah Muassyis, 24, dikatakan terjatuh selepas dirempuh lori itu dari belakang menyebabkan mangsa tercampak. Saksi kejadian, Shamsul Abas, 40-an, berkata, mangsa yang tidak sempat bangkit dari jatuh kemudian hampir digilis lori itu. Menurutnya, pemandu lori terbabit bagaimanapun masih sempat menekan brek sebelum tayar lori berhenti hanya beberapa sentimeter dari kepala mangsa. “Seorang penunggang motosikal yang melalui lokasi kejadian kemudian segera memberi bantuan menarik mangsa keluar dari bahagian bawah lori itu. “Gadis terbabit bagaimanapun hanya menangis teresak-esak akibat terkejut dengan kejadian itu. Saya cuba menenangkan gadis itu selain memintanya supaya menghubungi ahli keluarga,” katanya. Dia berkata, mangsa bagaimanapun terus menangis dan memberitahu gagal mengingati apa-apa. “Orang ramai mengerumuni lokasi kejadian menyebabkan mangsa yang juga penuntut sebuah institut pengajian tinggi itu kian panik. “Saya kemudian menghantar mangsa ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan berikutan mangsa mengalami kecederaan kecil pada bahagian kaki kiri,” katanya. Menurutnya, bapa mangsa yang berjaya dihubungi kemudian muncul tidak lama kemudian. “Dia hanya mampu mengucap syukur sambil memeluk anaknya itu. Mangsa benar-benar bernasib baik dan terselamat dari ajal,” katanya.
Dua pelatih PUSPEN lari lepas solat Subuh
Padang Besar: Dua pelatih yang sedang menjalani rawatan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Bukit Chabang, dekat sini, nekad melarikan diri selepas solat Subuh, semalam. Kejadian berlaku jam 6.45 pagi apabila kedua-dua pelatih berusia antara 20-an hingga 30-an meloloskan diri menerusi pagar keselamatan pusat berkenaan sebelum mencuri sebuah motosikal dan melarikan diri. Pengarah PUSPEN Bukit Chabang Mahadzir Elias berkata, mereka dipercayai melarikan diri selepas selesai solat Subuh kerana asrama dibuka bagi membenarkan pelatih mengerjakan solat Subuh secara berjemaah. Menurutnya, kehilangan dua pelatih itu hanya disedari selepas pengurusan menjalankan pemeriksaan di bilik masing-masing. “Pihak PUSPEN sedang mengesan kedua-dua pelatih itu selepas menerima maklumat mereka melarikan diri dengan menaiki motosikal dan berkeliaran di kawasan Paya, Beseri, di sini. “Justeru, kita meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat dua lelaki yang mencurigakan di kawasan berdekatan supaya menghubungi pihak berkuasa,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar Superintendan Che Man Md Dros ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan dan masih mengesan pelatih terbabit.
Presiden Israel ucap selamat kepada Iran
Baitulmaqdis: Presiden Israel mengambil tindakan “luar biasa” semalam apabila menghantar ucapan selamat sempena tahun baru Parsi kepada Iran. Melalui ucapan disiar radio berbahasa Parsi, Presiden Shimon Peres mengucapkan selamat kepada penduduk Iran yang meraikan perayaan Nowruz. Kenyataan berkenaan turut dimuat naik di laman sosialnya. Tarikh 21 Mac adalah hari pertama musim luruh menandakan sambutan Nowruz dalam kalendar Parsi sejak 1393. Dalam bahasa Hebrew dan Parsi, Peres mengatakan kedua-dua negeri berkenaan saling menghormati budaya dan maruah diri serta cuba hidup dalam keadaan aman dan saling memahami. - Agensi
Empat bersalah noda jurugambar
Mumbai: Mahkamah semalam menyabitkan empat lelaki terhadap tuduhan merogol beramai-ramai seorang jurugambar ketika mangsa melakukan tugasannya tahun lalu. Hakim Shalini Phansalkar Joshi berkata, tertuduh didapati bersalah melakukan hubungan seks secara paksa. Shalini juga menetapkan hari ini untuk menentukan apakah hukuman yang bakal dikenakan terhadap semua empat Mohammed Salim Ansari, Siraj Rehmat Khan, Vijay Mohan Jadhav dan Mohammed Kasim Hafeez Shaikh dituduh merogol jurugambar berusia 22 tahun pada Ogos tahun lalu. Kejadian berlaku di sebuah kilang tinggal berhampiran bandar raya Mumbai. Ketika kejadian, mangsa sedang bertugas bersama seorang rakan lelaki. Tertuduh berusia antara 18 hingga 27 tahun dan mungkin berdepan hukuman penjara seumur hidup. Selain merogol, empat lelaki terbabit juga didapati bersalah atas beberapa tuduhan lain termasuk, melakukan seks luar tabii. Kejadian itu mencetuskan kemarahan orang ramai di bandar raya terbabit yang selama ini dianggap lebih selamat untuk wanita berbanding New Delhi. Tiga daripada mereka - Jadhav, Ansari dan Shaikh - turut didapati bersalah dalam perbicaraan yang sama kerana merogol seorang operator telefon yang berusia 18 tahun sebulan sebelum itu. -AFP
Wanita diupah RM28 berkempen untuk PPP
Jakarta: Menjelang pemilu tidak lama lagi, parti politik yang bertanding menggunakan segala cara untuk menarik sokongan rakyat. Parti Persatuan Pembangunan (PPP) juga tidak terkecuali. Parti berlambang Kaabah itu didakwa menyasarkan kempen mereka kepada golongan muda dan membawa kelompok berkenaan menyertai kempen di setiap lokasi. Caranya - mengupah sejumlah wanita jelita berdiri di persimpangan lampu isyarat dan mengedarkan bunga, risalah serta pelekat berlambang PPP. Antara lokasi kempen itu ialah Blok M di Kebayoran Baru, Jakarta Selatan. Seorang daripada mereka, Barkah, berkata dia diberi upah Rp100,000 (RM28.80) untuk menjayakan kempen berkenaan. Menurut Barkah, 30, dia diajak berkempen untuk PPP oleh pegawai penyelaras parti itu yang memang dikenalinya. “Apa salahnya, daripada saya membuang masa tanpa apa-apa faedah,” katanya. Sementara itu penyelaras terbabit, Waren, 30, berkata PPP memang menyediakan pasukan kempen di sembilan lokasi yang difikirkan strategik. Katanya, petugas diminta mengagih-agihkan kuntuman bunga serta risalah kepada orang ramai. “Mengapa kami memilih sembilan lokasi? Kerana kami mahu berkempen mengenai sembilan program parti,” katanya dalam satu kenyataan, semalam. - Agensi
‘Lelaki bertih jagung’ mengaku diupah pembangkang
MEL menunjukkan buah epal ‘kembar’ yang ditemui di pokok laman rumahnya.
Bangkok: Seorang lelaki bersenjata yang mendapat perhatian meluas kerana melepaskan tembakan menggunakan raifal yang disorokkan dalam bungkusan bertih jagung ketika tunjuk perasaan semalam mendakwa dia diupah penunjuk perasaan antikerajaan. Imej penembak digelar “lelaki bertih jagung” itu tersebar meluas sejak 1 Februari lalu apabila dia melepaskan tembakan ke arah penyokong kerajaan. Malah Wiwat Yodprasit, 24, dianggap sebagai hero oleh sesetengah penunjuk perasaan antikerajaan. Wiwat ditahan kelmarin dan berdepan tuduhan cubaan membunuh serta memiliki senjata. Dalam sidang media polis semalam, Wiwat berkata, dia dilatih menggunakan raifal M-16 oleh pengawal keselamatan pemimpin penunjuk perasaan. Dia juga mengaku menerima upah kira-kira RM30 sehari untuk menjadi pengawal keselamatan gerakan . “Ketua pengawal memberi saya M-16 untuk digunakan dan saya melepaskan 20 das tembakan. Saya membalut bungkusan bertih jagung pada senjata bagi mengelakkan kelongsong peluru jatuh,” katanya. Pemimpin antikerajaan berulang kali menafikan ada pengawal atau penyokong membawa senjata walaupun banyak kejadian berdarah dicatatkan sepanjang tempoh kempen mereka cuba menggulingkan kerajaan Yingluck Shinawatra. Wiwat ditahan di sebuah tokong di Surat Thani - tempat asal pemimpin tunjuk perasaan Suthep Thaugsuban. - AFP
Terkejut jumpa epal ‘kembar’
MEL menunjukkan buah epal ‘kembar’ yang ditemui di pokok laman rumahnya.
Kingston (Australia): Seorang wanita terkejut apabila pokok epal di halaman rumahnya mengeluarkan buah “kembar,” lapor media semalam. Mel Staples berkata, dia meminta anak lelakinya yang berusia lapan tahun untuk memetik buah itu di halaman rumah mereka untuk dimakan. Namun, katanya, dia terkejut kerana ia sangat berbeza daripada epal biasa. “Epal itu kelihatan seperti cantuman epal hijau dan merah dan ia bercantum dengan baik,” katanya. Epal pelik itu tumbuh di laman rumah Mel di Kingston, selatan Tasmania. Mel juga memuat naik gambar epal berkenaan ke laman sosial dan menarik perhatian rakan-rakannya. “Mereka tidak mempercayai epal ini dan menuduh saya mewarnakan buah berkenaan sebagai bahan jenaka,” katanya. Sementara itu, pakar penanaman epal, Bob Magnus berkata dia belum pernah melihat epal seperti itu. “Epal itu sangat jarang ditemui tetapi pelbagai jenis mutasi boleh berlaku pada setiap masa,” katanya. Magnus berkata, epal sememangnya melalui proses mutasi secara semula jadi dan epal gala atau epal merah yang ada kini adalah sangat berbeza daripada generasi asal. “Amalan kacukan epal bukan sesuatu yang aneh kerana apa yang anda jumpa di kedai kini kebanyakannya melalui proses berkenaan,” katanya. - AFP
Buaya betina mati mengawan
The Hague: Seekor buaya betina daripada spesis terancam mati kelemasan di sebuah zoo di Belanda semalam ketika mengawan dengan seekor lagi buaya jantan “dominan.” Menurut pengurusan zoo berkenaan, buaya betina itu tidak dapat menanggung tabiat mengawan ganas pasangannya yang dominan . Kata jurucakap zoo itu, tubuh buaya air tawar berkenaan ditekan dengan kuat menggunakan mulut buaya jantan sebagai langkah menunjukkan penguasaannya. “Buaya betina dilihat menerima saja perlakuan itu tetapi akhirnya dia tidak boleh benafas dan mati dengan kesan gigitan di seluruh badannya, terutama di bahagian leher,” katanya. Dianggarkan, ketika ini hanya ada kira-kira 2,500 ekor spesis False Gavial yang masih hidup di seluruh dunia. Habitat asal buaya berkenaan adalah di Malaysia, selatan Myanmar, Borneo, Jawa dan Sumatera. Zoo berkenaan sudah lama mempunyai buaya jantan dan betina dari spesis itu namun ia tidak pernah mengawan. Justeru, kata jurucakap zoo berkenaan, mereka mengambil langkah memperkenalkan buaya jantan itu kepada seekor buaya betina untuk tujuan pembiakan. “Kami tidak menyangka ia berakhir dengan tragedi,” katanya dalam satu kenyataan. Secara semula jadi, buaya false gavial jantan boleh mengawan dengan beberapa buaya betina dalam masa yang sama. Hanya 10 zoo di eropah mempunyai buaya dari spesis itu. - AFP
Pelakon lucah terseksa
Durham: Seorang siswi Universiti Duke memang menjangkakan orang ramai akan membencinya sebagai pelakon filem lucah, tetapi dia tidak pernah bersedia menghadapi kebencian sehingga ada yang sanggup mengancam nyawanya. Malah, kata Belle Knox, 19, sesetengah pihak juga memuat naik butiran keluarganya di Internet dan mengugut untuk merogol atau membunuhnya. “Ia sangat dahsyat. “Keselamatan saya sekeluarga benar-benar terancam,” katanya. Sejak dua bulan lalu, kerjaya Knox dalam bidang pornografi menggemparkan sekolahnya di Durham, North Carolina hingga satu tahap dia tidak boleh menghadiri majlis terbuka. Kata Belle, keadaannya sangat memalukannya. Kadang-kadang, katanya, ada lelaki mabuk akan menjerit kepadanya: “Kau bintang porno!” manakala golongan wanita pula memandangnya dengan sinis. Walaupun tidak pernah mendedahkan nama sebenarnya, Belle berkata, provasinya seakan diceroboh apabila ada orang memuat naik identiti lengkapnya di Internet. “Ia sangat teruk dan menakutkan betapa taksubnya mereka. “Mereka memandang saya seolah-olah saya sangat jijik,” katanya ketika ditemui media. Kesulitan hidup Belle bermula di sebuah parti apabila seorang lelaki yang pernah melihat aksinya dalam filem lucah mendedahkan rahsianya. - Agensi
Jatuh tingkat tiga tak mati
Sacramento: Tindakan pantas sepasang suami isteri menyelamatkan nyawa seorang budak yang terjatuh dari tingkat tiga sebuah bangunan di pinggir Los Angeles semalam. Konrad dan Jennifer Lighter sedang sibuk mengangkut barangan ke rumah baru mereka apabila ternampak seorang budak memanjat keluar dari apartmen di bangunan itu. Mereka segera menghubungi talian kecemasan bagi mendapatkan bantuan. Bagaimanapun, kata Jennifer, budak berusia tiga tahun itu bergerak pantas dan tergantung pada seutas kabel. “Kami tahu masa semakin suntuk dan bantuan belum tiba. “Justeru kami meletakkan tilam di bahagian yang kami rasa paling sesuai dan bersedia menangkap budak terbabit jika dia terjatuh,” katanya kepada stesen televisyen ABC7 semalam. Kata Jennifer, keadaan ketika itu sangat genting dan budak terbabit tergantung pada kabel di luar apartmennya dan menunggu masa untuk terjatuh. Ketika itu, kata Jennifer, terserah kepada Lighter untuk menyambut tubuh budak terbabit dan berharap dia benar-benar jatuh di atas tilam mereka. “Apabila budak itu benar-benar jatuh, nasib baik Lighter dapat menangkapnya dan saya menarik mereka supaya segera berbaring di atas tilam,” katanya ketika ditemui media, semalam. Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba Burbank berkata, ketika mereka tiba, budak terbabit sudah jatuh ke atas tilam pasangan suami isteri berkenaan. - Reuters
Remaja ditikam 57 kali, ditanam hidup-hidup
Dublin: Seorang remaja Chechnya berdepan dengan maut apabila diserang dan ditanam hidup-hidup oleh sekumpulan lelaki tempatan, lapor media semalam. Adam Labazanov berkata, dia diculik kumpulan terbabit sebelum dibogelkan. Mereka juga, kata remaja berusia 19 tahun itu, bertanya latar belakangnya. “Selepas saya mengaku berasal dari Chechnya dan beragama Islam, mereka menikam kemaluan serta seluruh badan saya,” katanya. Pemeriksaan perubatan mendapati secara keseluruhan Adam mengalami 57 tikaman. Menurut Adam, disebabkan tidak mampu melawan, dia terpaksa berpura-pura mati. Keadaan itu mendorong kumpulan lelaki terbabit menanamnya tanpa menyedari dia sebenarnya masih hidup. Kata Adam, dia dalam perjalanan ke tempat kerja bersama bapa tirinya, Alikhan Bakaev, kira-kira jam 5.15 pagi apabila laluan mereka dihalang sekumpulan lelaki kononnya pengawal keselamatan tempatan di Jalan Bohernabreena, Tallaght, Dublin Selatan Katanya, dia dan Alikhan menaiki kereta untuk ke tempat kerja mereka di sebuah ladang. Tiba di Jalan Bohernabreena, sebuah kereta lain memotong dan mengarahkan mereka berhenti. “Lelaki dalam kereta berkenaan mengancam menahan bapa tiri saya tetapi kami mengesan pembohongan kumpulan terbabit dan cuba melarikan diri,” katanya. Walaupun Alikhan berjaya melarikan diri, Adam tidak bernasib baik dan ditangkap penjenayah terbabit. “Mereka asyik mengulang-ulang ugutan untuk membunuh saya dan membuang mayat saya ke sungai,” katanya. Kereta Alikhan juga dibakar. “Apabila saya diheret ke dalam kereta mereka, saya ditikam berkali-kali di kaki, bahu, belakang, muka dan perut,” katanya. Selepas kira-kira tiga kilometer, penjenayah itu berhenti dan menariknya keluar. Ketika itu, kata Adam, dia sedar satu-satunya cara untuk menyelamatkan diri ialah dengan berpura-pura mati. “Mereka membogelkan saya dan menutup saya dengan daun dan pasir sebelum berlalu pergi. “Saya tak pernah mengalami rasa takut sebegitu sebelum ini,” katanya ketika ditemui. Sementara itu polis berkata, mereka percaya serangan itu dilakukan secara rambang. - Agensi
Nenek usia 110 tahun, janji undi BN
KAJANG - "Saya undi Datin" demikian luahan kata-kata optimis seorang nenek yang berjanji untuk memberi undinya kepada calon BN, Datin Paduka Chew Mei Fun menjelang hari pengundian PRK Dun Kajang pada 23 Mac ini. Suminah Saidi yang kini berusia 110 tahun, membuat 'ikrar' tersebut tatkala menerima kehadiran Mei Fun dan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil ke kediamannya, di Kampung Sungai Kantan Kajang, hari ini. Suminah yang kelihatan masih 'perkasa' berkata , dia tidak pernah ketinggalan mengundi sejak zaman dahulu dan tidak sabar menunggu Ahad ini untuk menunaikan tanggungjawabnya. Dia yang tidak lagi boleh bercakap memberitahu melalui anaknya Alias Othman, 60, bahawa Mei Fun paling layak untuk menjadi wakil rakyat di kawasan tersebut. "Ini adalah kerana BN, terbukti membawa pembangunan sejak dari zaman dahulu lagi. "Saya hanya yakin kepada kemampuan BN, prestasi mereka tidak dapat disangkal. "Kenapa kita hendak beri kepada PKR yang belum pasti lagi, kalau kita lihat janji mereka untuk pembangunan di Selangor (Kajang) masih belum tertunai, lihatlah di kawasan kampung saya ini (Sungai Kantan) jalan masih teruk (sempit, berlubang), lebih baik undi BN," katanya ketika ditemui media, hari ini. PRK Dun Kajang pada 23 Mac ini bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara, iaitu Mei Fun yang mewakili BN dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. PRK Kajang diadakan susulan peletakan jawatan secara mengejut penyandangnya Lee Chin Cheh, daripada PKR meletakkan jawatan pada 27 Januari lalu.
SPM 2013: Seramai 1,229 pelajar MRSM peroleh 'A'
KUALA LUMPUR - Sebanyak 1,229 orang daripada 7,645 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) memperolehi 'A' (A+, A atau A-) bagi semua subjek yang diambil dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 dengan mencapai Gred Purata Maktab 2.019. Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Tan Sri Annuar Musa berkata MRSM Tun Ghafar Baba mencatat keputusan terbaik daripada 45 buah MRSM di negara ini diikuti MRSM Taiping dan MRSM Pengkalan Chepa. "Sementara itu, lima subjek menunjukkan peningkatan iaitu Bahasa Melayu dengan Gred Purata Subjek (GPS) 0.967, Sejarah (GPS 0.971), Fizik (GPS 3.150), Kimia (3.847) dan Pendidikan seni Visual (0.720)," katanya dalam sidang berita di sini, hari ini. Annuar berkata secara keseluruhan pelajar MRSM mencatat keputusan yang cemerlang, selain turut menguasai pelbagai kemahiran lain. Menurutnya MARA juga mempelawa lepasan SPM, yang memperoleh keputusan cemerlang dan mempunyai ciri kepimpinan dan nilai positif, memohon penajaan Mara bagi melanjutkan pengajian di Institut Pengajian Tinggi di dalam dan luar negara. Mereka boleh melayari laman web www.mara.gov.my untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenainya atau mengunjungi Jelajah Karnival Pendidikan Mara di 10 lokasi di seluruh negara yang diadakan sejak Sabtu lepas hingga 27 April ini.
Cacat penglihatan tidak halang 2 beradik cemerlang
GEORGETOWN - Seorang ibu kepada dua pelajar cacat penglihatan yang mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (2013) hari ini melahirkan penghargaan tidak terhingga kepada para guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (P) St George di sini. Ibu kepada Felicia Pui Jia Yin dan Andrea Pui Jia Hui, Teresa Wong, 53, berkata pujian seharusnya diberikan kepada kesemua guru sekolah itu yang bertungkus lumus membantu anak-anaknya mencapai kejayaan. Felicia, 19, memperoleh tiga A+, empat A dan satu C+ manakala Andrea, 18, memperoleh dua A+, empat A dan dua A-. Teresa berkata kedua-dua anaknya bergantung sepenuhnya kepada pembelajaran di sekolah dan mereka tidak pernah mengambil kelas tuisyen di luar. "Saya rasa amat bangga kerana kerja keras mereka. Mereka kuat belajar. Selalunya mereka belajar bersendirian, katanya. Sementara itu, Felicia berkata walaupun beliau mula bersekolah Tingkatan 1 pada usia 14 tahun, itu tidak menghalangnya untuk mencapai kejayaan sama seperti adiknya, Andrea. Anak sulung daripada tiga beradik itu berhasrat untuk melanjutkan pengajian di universiti tempatan dalam bidang ekonomi. Andrea pula berkata selain mengulangkaji di rumah, beliau juga terpaksa belajar di hospital kerana menerima rawatan dialisis di Hospital Pulau Pinang tiga kali seminggu. Pengetua sekolah itu Shariffah Afifah Syed Abbas berkata pelajar-pelajar yang cacat penglihatan itu mengikuti kelas biasa bersama pelajar-pelajar lain semasa sesi pembelajaran tetapi dibantu oleh salah seorang guru daripada lima guru yang dilatih khas untuk mendidik pelajar-pelajar kurang upaya yang ditempatkan di sekolah itu. Terdapat 10 orang pelajar kurang upaya di sekolah itu dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6 dan mereka akan belajar bersama dengan bimbingan guru-guru terlatih itu selepas tamat waktu sekolah, katanya. Sementara itu, Nur Syazana Idris, 18, anak seorang pengusaha kantin di sekolah itu turut mencatatkan keputusan cemerlang apabila memperoleh lapan A+ dan satu A- dalam SPM 2013. Anak kelima daripada enam beradik itu berterima kasih kepada sokongan para guru dan ibubapanya, malah beliau tidak menduga mendapat keputusan cemerlang itu kerana sangat aktif dengan program kepimpinan. "Saya memang tak sangka dapat keputusan ini kerana banyak ketinggalan di dalam kelas. Ada satu masa saya ke Amerika Syarikat selama sebulan kerana terpilih mengikuti program kepimpinan," katanya. - Bernama
IJN tanam 'pacemaker' terkecil dunia pada pesakit
Perunding Kardiologi dan Elektro-Fisiologi Institut Jantung Negara (IJN) Datuk Dr Razali Omar menunjukkan 'pacemaker' (perentak) terkecil di dunia pada sidang media di sini hari ini mengenai IJN, hospital pertama di Asia Pasifik melakukan implan perentak jantung terkecil di dunia dengan dadar invasif paling minimal. Teknologi bersaiz kecil itu direka untuk memberikan teknologi peranti terbaru kepada para pesakit melalui pendekatan invasif secara minimal berbanding perentak jantung tradisional. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Institut Jantung Negara (IJN) berjaya menanam empat 'pacemaker' terkecil dunia, Medtronic MICRA Transcatheter Pacing System (TPS), pada setiap pesakitnya yang menghidap bradycardia, iaitu denyutan jantung perlahan atau tidak menentu. Pakar kardiologi perunding kanan dan fisiologis elektro Datuk Dr Razali Omar berkata ini dilakukan selepas IJN terpilih sebagai pusat pertama di Asia Pasifik menyertai bersama Medtronic Inc, pengeluar peranti perubatan terbesar dunia itu, dalam kajian klinikal global. "Peranti baharu itu merupakan pembaharuan dari pacemaker (pengatur denyut jantung) sebelumnya yang digunakan bagi merawat pesakit yang menghidap bradycardia. "Peranti itu ditanam sebagai sebahagian dari ujian klinikal pivotal global Medtronic yang akan mendaftar sehingga 780 pesakit dalam dua tahun ini di kira-kira 50 pusat," kata beliau pada sidang akhbar di sini hari ini. Razali berkata jika ujian itu positif, hasilnya akan memanfaat lebih sejuta orang di seluruh dunia yang menerima pacemaker setiap tahun. Sementara itu, Pengarah Kejuruteraan Kanan (MICRA) Transcatheter Pacing System (TPS) Amerika Syarikat, Leonardo Rapallini berkata MICRA TPS berukuran satu persepuluh dari saiz pacemaker konvensional - saiznya sebanding dengan sebutir vitamin besar. "Tidak seperti pacemaker konvensional, peranti baru itu serba lengkap sepenuhnya. Teknologi pengatur denyut termaju ini digunakan dengan pendekatan invasif yang minimum. "Anggaran hayat bateri peranti ini ialah hingga sembilan ke 13 tahun dan ia mampu memberi respons terhadap tahap aktiviti pesakit dan menyelaras terapi secara automatik," katanya. - Bernama
Cuepacs, Fomca sambut baik BR1M naik RM300
KUALA LUMPUR - Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), menyokong penuh usaha kerajaan dalam membantu rakyat menangani kos sara hidup dan cadangan meningkatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tahun depan sebanyak RM300. Presiden Fomca Datuk N. Marimuthu berkata inisiatif itu sememangnya jelas memperlihatkan usaha murni kerajaan untuk membantu golongan yang tidak berkemampuan. "Kami alu-alukan apa jua kebaikan yang kerajaan buat demi kesejahteraan rakyat dan saya merasakan kenaikan bantuan BR1M itu adalah penting. "Pemberian BR1M oleh kerajaan bukan sahaja memberi faedah kepada rakyat berpendapatan rendah malah peniaga juga akan menikmati keuntungan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini. Justeru, katanya, konsep BR1M sememangnya bertujuan untuk membantu rakyat dan membawa kebaikan walaupun mungkin sebilangan berpendapat bantuan yang diberikan tidak seberapa. Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Azih Muda menyambut baik kenaikan BR1M tahun depan dalam membantu golongan memerlukan mengurangkan beban kos sara hidup khususnya penjawat awam. "Kami merasa bangga kalau kerajaan memutuskan tahun depan BR1M ditambah sebanyak RM300 kerana ini adalah sumbangan bersasar yang kerajaan sampaikan kepada kumpulan berpendapatan rendah termasuk juga separuhnya adalah penjawat awam," katanya. Bagaimanapun Azih tetap berpendapat kerajaan harus meneliti kembali kadar gaji minimum penjawat awam untuk dinaikkan kepada RM1,200 bagi mengimbangi kos sara hidup yang semakin meningkat. Kementerian Kewangan semalam menjelaskan bahawa setiap penerima BR1M bakal mendapat tambahan RM300 seorang sebagai menampung kenaikan Indeks Harga Pengguna (IHP) sebanyak 1.8 peratus, berikutan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mulai 1 April 2015. BR1M mula diperkenal pada 2012, yang memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah, dengan bantuan tunai sebanyak RM500 kepada ketua isi rumah berpendapatan RM3,000 dan ke bawah. Pada tahun ini, BR1M 3.0 telah dilaksanakan dan diperluaskan kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 dengan nilai bantuan sebanyak RM450 dan isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah menerima bantuan sebanyak RM650, sementara individu bujang yang berpendapatan tidak lebih RM2,000 sebulan menerima bantuan RM300. Program BR1M 3.0 yang melibatkan peruntukan sebanyak RM4.2 bilion daripada kerajaan, telah memanfaatkan hampir 4.63 juta isi rumah dan 2.4 juta individu bujang. - Bernama
Piala Thomas: Ramdan Misbun pilihan terbaik
MISBUN Ramdan Misbun dilihat sebagai calon pilihan terbaik untuk mengisi kekosongan slot perseorangan lelaki Piala Thomas negara, kata pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei. Beliau berkata pandangan tersebut berdasarkan kedudukan Ramdan sebagai pemain perseorangan lelaki nombor empat negara dan 48 dunia. "Ramdan merupakan salah seorang pemain yang mempamerkan prestasi cemerlang dan konsisten sepanjang tahun lalu sehingga kini. Kita kena ikut kedudukan dunianya dan juga keputusannya sepanjang tahun lepas. "Tapi macam mana pun, pemilihan untuk mengisi slot berkenaan bergantung kepada pihak Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Mereka yang akan buat keputusan, mungkin esok atau pun minggu depan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampian insentif sempena pencapaian cemerlang atlet Kejohanan Badminton Maybank Terbuka Malaysia 2013 dan Sukan Sea, Myanmar tahun lepas. Chong Wei menerima insentif berjumlah RM25,000 bagi kejohanan BWF Super Series Masters Finals 2013, RM25,000 untuk kejohanan All-England Super Series Primier 2014 dan insentif sebanyak RM30,000 bagi Kejohanan Siri Super Premier Terbuka Malaysia 2014. Manakala beregu lelaki negara, Lim Khim Wah-Goh V Shem menerima insentif sebanyak RM25,000 bagi Kejohanan Siri Super Premier Terbuka Malaysia 2014 dan beregu wanita negara, Woon Khe Wei-Vivian Hoo Kah Mun menerima RM28,000 sempena prestasi cemerlang pada Sukan Sea. Insentif berkenaan disampaikan oleh Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan Maybank Mohamed Adam Wee Abdullah. Chong Wei berkata mereka perlu memiliki semangat berpasukan untuk berjuang sebaik mungkin sekurang-kurangnya sehingga saingan suku akhir Piala Thomas walaupun bakal menerima saingan sengit dari pasukan China. Antara pemain yang berpotensi mewakili negara ke Piala Thomas di New Delhi, India dari 18 hingga 25 Mei ini ialah Chong Wei, Chong Wei Feng (ranking dunia nombor 14) dan Liew Daren (ranking dunia nombor 40). Sementara itu, Vivian Hoo berkata pemberian insentif berkenaan merupakan satu motivasi kepada para pemain dan pencapaiannya meraih pingat emas pada temasya Sukan Sea merupakan satu kemenangan yang tidak dapat dilupakan. "Ia memori yang bagus buat saya, tapi itu sudah lepas. Itu kemenangan pada tahun lepas. Sekarang saya mahu fokus untuk tahun ini seperti Sukan Komanwel dan Piala Uber," katanya. - Bernama
Tikus 'berpesta', 18 premis makanan diarah tutup
GEORGETOWN - Akibat tikus dan lipas berkeliaran, lapan belas premis makanan di Pulau Pinang diarah tutup mulai semalam. Arahan itu dikeluarkan kerana premis berkenaan gagal mematuhi peraturan kebersihan, kata Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan) Ku Nafishah Ku Ariffin. Beliau berkata arahan itu hasil operasi bersepadu pihaknya dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, bagi memeriksa kebersihan premis. Kesemua tuanpunya diberi tempoh 14 hari untuk membersihkan premis mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dan premis akan diperiksa sekali lagi, katanya kepada pemberita di sini hari ini. Beliau berkata sebanyak 37 premis diperiksa semalam iaitu 12 di Barat Daya, Timur Laut (tujuh), Seberang Perai Selatan (enam), Seberang Perai Utara (empat) dan Seberang Perai Tengah (lapan). PBT turut mengeluarkan 56 kompaun berjumlah RM7,240 kerana kesalahan berniaga tanpa lesen dan tidak menyediakan perangkap minyak pada saluran buangan di dapur, katanya. Ku Nafishah berkata orang ramai boleh menghubungi talian 04-2017277 atau 04-2017278 jika mempunyai aduan berkenaan premis makanan kotor atau produk makanan rosak di negeri ini. - Bernama
Lebih 17,000 hektar tanah diteroka secara haram
IPOH - Penilaian awal mendapati lebih 17,000 hektar tanah di Perak diteroka secara haram, mengakibatkan kerajaan negeri menanggung kerugian bernilai ratusan juta ringgit. Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata aktiviti penerokaan haram itu dipercayai dijalankan secara terancang oleh kumpulan tertentu. "Ini bukan melibatkan aktiviti kecil-kecilan, ada kawasan di mana aktiviti ini dibuat secara sindiket," katanya kepada pemberita selepas program "Selamat Pagi Perak Bersama Menteri Besar" di PerakFM di sini, hari ini. Beliau berkata selain Pejabat Tanah dan Galian (PTG), langkah penguatkuasaan kini melibatkan pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM). "Mungkin sebelum ini ada kelemahan dari segi penguatkuasaan sehingga menyebabkan ianya berleluasa dan tidak ada mekanisme yang baik bagi mengawal perkara ini daripada berlaku," katanya. Zambry berkata pelbagai langkah diambil bagi mengatasi masalah itu termasuk mengenalpasti kawasan yang terlibat dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap individu yang bertanggungjawab. Beliau berkata terdapat beberapa kes di mana pihak yang bertanggungjawab dikenalpasti tetapi mereka berjaya melarikan diri. - Bernama
MH370 takkan terhempas akibat masalah teknikal
CANBERRA - AUSTRALIA. Pakar keselamatan Australia, Neil Fergus berkata, jika dua objek dikesan di luar pantai Perth disahkan sebagai milik MH370 maka beliau menolak sebarang kemungkinan berlaku kesilapan teknikal. Semalam, kerajaan Australia memaparkan imej satelit yang mungkin serpihan pesawat di kira-kira 2,500 km barat daya Perth. Fergus yang juga Pengarah Perisikan bagi Sukan Olimpik Sydney 2000 berkata, jika berlaku kerosakan pada pesawat itu ini bermakna pesawat terbabit tidak dapat diterbangkan di mana serpihan dikesan. “Jika serpihan itu disahkan betul teori kepincangan teknikal harus ditolak,“ katanya. Menurutnya, tidak mungkin ada masalah teknikal atau berlaku kebakaran jika pesawat itu dapat diterbangkan ke lokasi yang didakwa penemuan serpihan terbabit. Sementara itu, Washington Post dalam satu laporan pakar berkata, Malaysia Airlines tidak memiliki aplikasi asas yang sepatutnya diletakkan pada setiap pesawat seperti pesawat Air France yang terhempas pada 2009. Menurut laporan itu, perisian berharga hanya 6 pound (RM33) itu dapat menghantar data penting seperti arah, kelajuan dan ketinggian walaupun selepas transponder dan sistem ACARS dimatikan. “Aplikasi itu membantu penemuan pesawat France yang terhempas di Lautan Atlantik. Pasukan SAR dapat menemui semula pesawat itu selepas lima hari,” menurut laporan itu kepada Agensi. Difahamkan, aplikasi dikenali sebagai Swift itu dilaporkan tidak digunakan pada pesawat MH370.
MH370: RAAF gagal kesan serpihan di Lautan Hindi
KUALA LUMPUR - Cuaca buruk menyebabkan Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) berdepan masalah mengesan objek yang dicerap satelit di selatan Lautan Hindi, yang boleh dikaitkan dengan pesawat Malaysia yang hilang, demikian menurut Lembaga Keselamatan Maritim Australia (AMSA). Dalam tweetnya, AMSA menyatakan kepulan awan dan hujan mengehadkan jarak penglihatan anak kapal pesawat P-3 Orion RAAF dalam usaha mencari objek itu yang dicerap oleh satelit kira-kira 2,500km dari barat daya bandar raya Perth di Australia. Hari ini, Perdana Menteri Australia Tony Abbott berkata imej satelit itu mencerap dua objek yang mungkin berkaitan dengan pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370. Pesawat Boeing 777-200ER itu yang membawa 239 orang, berlepas ke Beijing dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 8 Mac lepas dan hilang sejak itu, yang kini masuk hari ke-13. Pesawat itu dicari di Laut China Selatan namun kawasan pencarian diperluaskan dengan merangkumi sebahagian besar kawasan barat Malaysia, termasuk Lautan Hindi, apabila pesawat itu dipercayai melencong daripada laluan asal penerbangannya setelah seseorang secara sengaja mematikan sistem komunikasi pesawat, dan pesawat itu terbang untuk beberapa jam selepas itu. Pencarian kini ditumpukan ke dua koridor - koridor utara yang merangkumi Kazakhstan, Turkmenistan hingga ke utara Thailand dan koridor selatan yang merangkumi Indonesia hingga ke selatan Lautan Hindi. - Bernama
Pencarian diterus sekalipun Australia temui objek
SEPANG - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 diteruskan sekalipun Australia ada menerima imej satelit tentang objek yang mungkin berkaitan dengan pencarian pesawat itu. "Selagi kita tidak dapat mempastikan bahawa kita telah mengesan MH370, operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan di kedua-dua koridor," kata Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada sidang akhbar berhubung perkembangan SAR ke atas pesawat berkenaan di Hotel Sama-Sama, di sini hari ini. Awal Khamis, Perdana Menteri Australia Tony Abbott berkata di Canberra bahawa imej satelit menunjukkan dua objek yang mungkin berkaitan dengan MH370. Abbot menghubungi Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai penemuan itu pada 10 pagi. "Perlu ditegaskan bahawa penemuan ini, sekalipun andal, masih perlu disahkan," kata Hishammuddin. Hishammuddin berkata, pada masa ini, terdapat 18 kapal, 29 pesawat dan enam helikopter dibawa kapal dikerahkan ke sepanjang koridor utara dan selatan. Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370, dengan 227 penumpang dan 12 kru, hilang kira-kira sejam selepas meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 pagi, 8 Mac. Pengumuman di Australia itu dibuat pada hari ke-13 pencarian peringkat antarabangsa bagi pesawat berkenaan yang dikatakan telah melencong dari laluan asal di ruang angkasa Laut China Selatan dan menghala ke Lautan Hindi. Kawasan pencarian kini ditumpukan kepada dua koridor, iaitu koridor utara yang merentangi kawasan dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke bahagian utara Thailand, dan koridor selatan merentangi kawasan dari Indonesia ke bahagian selatan Lautan Hindi. - Bernama
MH370: Kenyataan pemangku Menteri Pengangkutan
Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada sidang media mengenai perkembangan terkini pesawat MH370 di pusat media, Hotel Sama Sama, KLIA di Sepang, hari ini. Beliau mengumumkan usaha untuk mendapatkan pengesahan daripada maklumat berkaitan penemuan objek di Lautan Hindi oleh pihak berkuasa Australia. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Berikut adalah kenyataan Menteri Pertahanan dan pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada taklimat media di Sepang, Selangor hari ini mengenai gerakan mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang:
Imej Satelit Australia
"Pada pukul 10 pagi ini, Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) menerima panggilan daripada Perdana Menteri Australia (Tony Abbot), yang memaklumkan kepada beliau bahawa 'dua objek yang mungkin mempunyai kaitan dengan gerakan mencari’ MH370 telah dikenal pasti di selatan Lautan Hindi.
"Pihak berkuasa Australia di Kuala Lumpur juga telah memberi taklimat kepada saya tentang perkara itu, manakala Menteri Luar Australia pula telah berhubung dengan Menteri Luar Malaysia.
"Lembaga Keselamatan Maritim Australia (AMSA) terus menyelaras usaha mencari pesawat Malaysia Airlines yang hilang di kawasan mencari dan menyelamat negara itu, dengan bantuan Angkatan Pertahanan Australia, Tentera Udara New Zealand dan Tentera Laut Amerika.
"Pusat Penyelarasan Menyelamat (RCC) Australia AMSA menerima imej satelit yang berkemungkinan mempunyai kaitan dengan gerakan mencari MH370.
"RCC Australia mendapatkan penilaian pakar tentang imej satelit komersial itu hari ini. Imej berkenaan dirakam oleh satelit. Ia mungkin tidak mempunyai kaitan dengan pesawat terbabit.
"Penilaian tentang imej ini dibuat oleh Pertubuhan Risikan Geopastial Australia yang mendapati ia mungkin merupakan petunjuk mengenai serpihan yang terdapat di barat daya Perth.
"Berikutan maklumat ini, empat pesawat dikerah semula ke satu kawasan 2,500 kilometer di barat daya Perth.
"Sebuah pesawat P-3 Orion Tentera Udara Diraja Australia tiba di kawasan itu pada kira-kira pukul 10.50 pagi. Tiga lagi pesawat dikerah oleh RCC Australia ke kawasan berkenaan, termasuk Orion kedua RAAF, sebuah Orion tentera Udara Diraja New Zealand dan sebuah P-8 Poseidon Tentera Laut Amerika.
"Pesawat Poseidon itu dijangka sampai awal tengah hari ini. Orion kedua RAAF Orion dijangka berlepas dari Pangkalan RAAF Pearce, Perth, pada lewat tengah hari. Orion Zealand pula dijadualkan berlepas tengah hari ini.
"Sebuah pesawat C-130 Hercules RAAF telah ditugaskan oleh RCC Australia untuk melepaskan boya penanda datum bagi membantu dalam 'drift modelling' (pemodelan hanyut).
"Ia akan memberi maklumat tentang titik rujukan sekiranya tugas mengesan objek berkenaan menjadi berlarutan.
"Sebuah kapal dagang yang memberi respons kepada siaran perkapalan yang dikeluarkan RCC Australia pada Isnin juga dijangka tiba di kawasan itu tengah hari ini.
"Kapal Tentera Laut Diraja Australia HMAS Success kini dalam perjalanan ke kawasan itu dan dijangka tiba di sana beberapa hari lagi. Kapal ini memiliki kelengkapan lengkap untuk menaikkan sebarang objek yang dikesan dan dibuktikan berasal daripada MH370.
"Segala usaha sedang dilakukan untuk mengesan objek yang terdapat di dalam imej satelit berkenaan. Perlu ditegaskan bahawa apa yang kelihatan itu, walaupun boleh dipercayai, tetapi masih belum disahkan.
Aset yang digunakan
"Pencarian MH370 merupakan usaha yang melibatkan pelbagai negara. Berikut saya berikan kepada anda maklumat terkini tentang aset yang digunakan.
"Dalam tempoh operasi ini dijalankan, Panglima Angkatan Tentera telah menghubungi rakan sejawatan beliau dari pelbagai negara, termasuk:
• Australia
• China
• India
• Indonesia
• Jepun
• Maldives
• Nepal
• New Zealand
• Singapura
• Thailand
• Vietnam
• UK
• dan Amerika.
"Kesemua mereka memberi sokongan penuh dan menawarkan bantuan. Oleh kerana fokus pencarian ini telah beralih daripada Laut China Selatan dan Selat Melaka ke koridor utara dan selatan, maka rakan antarabangsa kami terus menghulurkan segala bentuk sokongan yang termampu oleh mereka.
"Sejumlah aset telah digunakan dalam fasa tertentu dalam operasi mencari dan menyelamat ini.
"Kini, 18 kapal, 29 pesawat dan enam helikopter daripada kapal digunakan di sepanjang koridor utara dan selatan, seperti berikut:
Pesawat
Di koridor utara, terdapat empat pesawat:
• dua dari Malaysia
• satu dari Jepun
• dan satu dari Amerika
Di koridor selatan, terdapat 25 pesawat:
• dua dari Malaysia
• lima dari Australia
• tiga dari China
• empat dari Indonesia
• dua dari India
• empat dari Jepun
• satu dari New Zealand
• dua dari Korea Selatan
• satu dari UAE
• dan satu dari Amerika
Kapal
Kesemua 18 kapal digunakan di koridor selatan:
• enam dari Malaysia
• satu dari Australia
• lima dari China
• dan enam dari Indonesia
Operasi ini juga melibatkan enam helikopter:
• tiga dari Malaysia dan tiga dari China.
"Selagi kami tidak pasti bahawa kami sudah menemui MH370, operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan di kedua-dua koridor berkenaan.
"Saya ingin mengesahkan bahawa Malaysia menghantar dua pesawat ke Kazakhstan, manakala UK pula merancang menghantar sebuah kapal ke koridor selatan.
"Di samping aset yang saya senaraikan tadi, beberapa negara di koridor utara juga menjalankan operasi mencari dan menyelamat di wilayah masing-masing:
• China menggunakan semua cara yang ada, termasuk 21 satelit, untuk membuat carian di wilayahnya dan bersedia menghantar lebih banyak kapal serta pesawat apabila diperlukan.
• Di Kemboja, empat helikopter menjalankan operasi mencari di wilayahnya.
• Tentera Udara Laos menjalankan operasi mencari di wilayah Laos.
• Singapura menggunakan Pusat Gabungan Maklumat Antarabangsanya, yang Malaysia juga mempunyai wakilnya, untuk memaklumkan kepada pelaut dan membantu dalam kerja mencari.
• Tentera Thailand menjalankan operasi mencari di bahagian utara Thailand dengan menggunakan semua pesawat yang ada.
• Dan Vietnam menjalankan operasi mencari di wilayahnya dengan menggunakan sejumlah pesawat yang tidak dinyatakan.
Secara keseluruhannya, ini merupakan suatu kerahan pasukan antarabangsa secara besar-besaran. Saya mengucapkan terima kasih kepada rakan kami yang memberi kerjasama dalam fokus kami untuk terus mencari MH370.
Penjagaan keluarga
"Pasukan peringkat tinggi yang saya umumkan semalam berlepas ke Beijing petang ini.
"Saya juga ingin mengesahkan bahawa para wakil kerajaan Malaysia telah bercakap dengan keluarga yang hadir di sini semalam.
"Di samping itu, Duta Khas Perdana Menteri ke China, dan Duta Besar China di Malaysia, akan mengetuai satu taklimat hari ini untuk keluarga dari China yang kini berada di Kuala Lumpur.
"Ia akan turut dihadiri Jabatan Penerbangan Awam, Angkatan Tentera, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Luar Negeri dan MAS. Taklimat serupa juga akan diadakan untuk keluarga lain.
Kata penutup
"Kepada keluarga dari seluruh dunia, satu-satunya maklumat yang amat mereka mahukan adalah maklumat yang belum kami ada ketika ini: lokasi MH370.
"Perkara yang menjadi fokus utama kami pada setiap masa ialah untuk mencari pesawat berkenaan. Dan pada setiap hari yang berlalu, kami telah melipatgandakan usaha kami.
"Semalam, saya berkata kami ingin mengurangkan kawasan mencari. Sekarang, kami sudah mendapat petunjuk yang boleh dipercayai. Banyak lagi usaha yang perlu dilakukan dari segi kerahan aset. Usaha ini akan diteruskan dalam tempoh semalaman." - Bernama
MH370: MAS sedia bawa keluarga ke Australia
SEPANG - Malaysia Airlines (MAS) bersedia membawa keluarga penumpang dan anak kapal pesawat MH370 ke Australia jika dua objek yang dikesan imej satelit di selatan Lautan Hindi disahkan sebagai milik pesawat yang hilang itu. Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya berkata, kepentingan keluarga 239 penumpang dan anak kapal pesawat itu sentiasa menjadi keutamaan syarikat penerbangan nasional itu. “Kami memang menjaga waris (para penumpang pesawat ini) dan seandainya pesawat dikesan berada berdekatan Australia, sudah pasti kami akan menguruskan usaha membawa waris ke sana," kata beliau. Beliau berkata demikian dalam taklimat media harian mengenai perkembangan terkini berhubung operasi mencari dan menyelamat pesawat itu di sini, yang turut dihadiri Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Menteri Luar Negeri Datuk Seri Anifah Aman dan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman. Perdana Menteri Australia Tony Abbott berkata di Canberra pada Khamis bahawa imej satelit menunjukkan dua objek yang boleh dikaitkan dengan pesawat Malaysia itu yang hilang pada 8 Mac. Ahmad Jauhari berkata, MAS komited untuk memberikan maklumat yang tepat dan terkini, sehingga dua hingga tiga kali sehari, kepada semua keluarga penumpang. Sementara itu, Hishammuddin memberi jaminan bahawa semua keluarga adalah yang pertama akan dimaklumkan sekiranya ada pengesahan mengenai imej-imej satelit atau sebarang perkembangan terkini dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat itu, yang masuk hari ke-13 hari ini. "Saya rasa berita tergempar yang boleh dipercayai berhubung imej satelit itu hari ini pasti berlegar dalam pemikiran keluarga. "Saya rasa itulah yang akan menjadi perkara pertama yang akan kami sampaikan kepada keluarga apabila maklumat itu diterima," katanya sambil mezahirkan rasa simpatinya yang mendalam kepada keluarga berkenaan. Beliau menyatakan bukan mudah untuk mengendalikan keluarga-keluarga yang dalam keadaan amat sedih, dan pihak berkuasa negara kini mempelajari cara menangani situasi itu daripada Agensi Keselamatan Penerbangan Perancis (BEA). "Ini sangat sukar (untuk berurusan dengan pihak keluarga). Saya telah berbincang dengan pasukan Perancis yang perlu berurusan dengan keluarga para penumpang Air France 447 selama dua tahun selepas nahas itu (pada 2009)," kata beliau. Pasukan BEA tiba pada Isnin untuk membantu pasukan penyiasatan antarabangsa yang diketuai Malaysia mencari pesawat itu, dengan tumpuan carian di dasar laut. Pada 2009, pasukan BEA terlibat dalam usaha mengesan Air France 447 yang terhempas dan mengorbankan kesemua 228 orang yang menaiki pesawat itu, dan kotak hitam pesawat itu hanya ditemui dua tahun selepas tragedi itu. Hishammuddin berkata penyampaian maklumat yang tepat dan terkini kepada keluarga berkenaan juga menjadi keutamaan mereka, hingga mendorong kerajaan menghantar pasukan peringkat tinggi ke Beijing, China petang tadi. "Wakil-wakil kerajaan Malaysia sudah pun menemui keluarga berkenaan yang diketuai utusan khas Perdana Menteri ke China (Tan Sri Ong Ka Ting). "Pegawai Kedutaan China juga membantu dengan mengetuai taklimat untuk keluarga-keluarga dari China yang berada di Kuala Lumpur," kata beliau. Pesawat 777-200ER itu, yang menuju ke Beijing dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang selepas sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang pada 12.41 tengah malam 8 Mac. Ia sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. Pesawat itu dicari di Laut China Selatan namun kawasan pencarian diperluaskan dengan merangkumi sebahagian besar kawasan barat Malaysia, termasuk Lautan Hindi, apabila pesawat itu dipercayai melencong daripada laluan asal penerbangannya setelah seseorang secara sengaja mematikan sistem komunikasi pesawat, dan pesawat itu terbang untuk beberapa jam selepas itu. Pencarian kini ditumpukan ke dua koridor - koridor utara yang merangkumi Kazakhstan, Turkmenistan hingga ke utara Thailand dan koridor selatan yang merangkumi Indonesia hingga ke selatan Lautan Hindi. - Bernama
MH370: Cari kotak hitam selepas pesawat ditemui
SEPANG - Fokus pencarian pesawat MAS penerbangan MH370 akan diteruskan kepada usaha menjejak kotak hitam milik pesawat terbabit. Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata, jika MH370 sudah ditemui, usaha pencarian akan diteruskan dan difokuskan kepada pencarian kotak hitam atau 'black box' yang berada pada badan pesawat terbabit. "Jika maklumat yang diperolehi tepat dan benar, kami akan tumpukan seluruh pasukan penyelamat untuk mencari kotak hitam," "Buat masa ini, usaha masih ditumpukan bagi mencari pesawat terbabit, namun jika pesawat sudah ditemui, pasukan pencari akan diminta bersedia untuk mencari kotak hitam MH370," katanya dalam satu sidang media di Sama-sama Hotel, hari ini. Dalam pada itu, pihaknya masih menunggu maklumat pengesahan terkini berkaitan penemuan dua objek di selatan Laut Hindi. "Buat masa sekarang, kami belum menerima sebarang maklumat terbaru oleh pihak Australia, jika ada perkembangan, kami akan maklumkan segera," katanya.
Dua objek masih tidak dapat disahkan
SEPANG - Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tidak mahu mengesahkan apa-apa maklumat berhubung imej dua objek yang diambil dari satelit oleh Australia. Menurutnya, pihaknya masih menunggu maklumat lanjut dari pihak berkuasa Australia. "Pasukan mencari Australia sedang menuju ke lokasi yang telah dikenal pasti dan buat masa sekarang kami belum menerima sebarang maklumat terbaru," katanya pada sidang media, hari ini. Terdahulu, Perdana Menteri Australia, Tony Abbot telah mengumumkan penemuan misteri dua objek terapung di bahagian selatan Laut Hindi. Menurut beliau, penemuan tersebut ialah hasil maklumat yang diperoleh dari satelit dan mungkin berkait rapat dengan kehilangan MH370. Tambah beliau lagi, sebuah pesawat P-3 Orion telah dihantar ke lokasi di mana objek tersebut kelihatan. Sementara itu, Hishammuddin menasihati semua pihak agar terus sabar dan menunggu maklumat pengesahan selanjutnya. "Kami tidak dapat mengesahkan apa-apa maklumat buat masa sekarang, namun kami akan berikan berita terbaru sebaik sahaja kami dimaklumkan oleh pihak berkenaan,"
MH370: AMSA akui imej satelit 'tidak jelas'
Nota edaran daripada Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia menunjukkan peta kawasan carian MH370. - Foto EPA
KUALA LUMPUR - Imej yang dikesan sebagai dua 'objek' mungkin berkaitan dengan MH370 yang hilang adalah 'tidak jelas', kata Pengurus Besar Bahagian Respons Kecemasan Lembaga Keselamatan Maritim Australia (AMSA), John Young. "Dua objek itu dalam bentuk saiz yang munasabah dan mungkin dihanyutkan oleh air, bergerak turun naik di permukaan," menurut Young seperti yang dilaporkan agensi berita Reuters. Agensi berita itu memetik Young dalam sidang akhbar di Sydney, Australia, sebagai berkata bahawa negara itu telah menghantar empat pesawat pencari dan dua kapal ke kawasan di bahagian selatan zon pencarian di selatan Lautan Hindi yang dikenal pasti sebelumnya minggu ini, untuk mencari objek yang dikesan oleh satelit itu. Young berkata air di kawasan pencarian adalah 'beberapa ribu meter dalam' dan penglihatan yang lemah di kawasan itu akan menjejaskan pencarian, walaupun cuaca sederhana, lapor Reuters. Awal hari ini, Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Perdana Menteri Australia Tony Abbot menelefon Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada jam 10 pagi untuk memberitahu bahawa kemungkinan objek yang berkaitan dengan pesawat Malaysia Airlines yang hilang telah dikesan di selatan Lautan Hindi. "Pada peringkat ini para pegawai Australia masih belum dapat memastikan sama ada dua objek itu benar-benar berkaitan dengan pencarian MH370," kata Hishammuddin. Pesawat MAS penerbangan MH370, dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang pada 8 Mac kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada pukul 12.41 tengah malam sebelumnya. Ia dijadual tiba di Beijing pada jam 6.30 pagi hari yang sama. Pengumuman Australia itu bersamaan hari ke-13 misi mencari dengan kerjasama pelbagai negara dilakukan terhadap pesawat itu yang menurut data satelit telah melencong dari laluan asal di Laut China Selatan menuju ke Lautan Hindi. Kawasan mencari juga telah diperbesar untuk meliputi kawasan luas di sebelah barat Malaysia, termasuk Lautan Hindi, apabila diketahui bahawa pesawat itu telah terbang tujuh jam selepas hilang dari radar. Operasi mencari kemudian ditumpukan kepada dua koridor, iaitu koridor utara yang menjangkaui dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand dan koridor selatan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi. - Bernama
MH370: Kapal, pesawat dihantar kenal pasti objek
SEPANG - Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini berkata pesawat dan kapal telah dihantar untuk mengesahkan maklumat mengenai pengesanan kemungkinan objek yang ada kaitannya dengan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370. Bercakap kepada pemberita sebelum mengadakan pertemuan dengan delegasi Australia di Hotel Sama-Sama di sini, Hishammuddin berkata maklumat itu memberi penunjuk baharu dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat itu yang masuk hari ke-13 hari ini. "Seperti yang telah saya lakukan dari hari pertama, kita akan mengikuti setiap petunjuk baharu. Marilah kita berharap ini adalah perkembangan positif," katanya, dan menambah kata adalah terlalu awal untuk mengesahkan lokasi objek itu ditemui. Ditanya apakah jenis objek yang ditemui dan berapa lama akan mengambil masa untuk mengesahkannya, Hishammuddin berkata: "Kami tidak tahu. Pesawat dan kapal telah dihantar. "(Ia) seperti yang kami lakukan dengan penemuan imej dari satelit China dan lain-lain objek yang memberi penunjuk awal. Kita menggunakan kaedah sama," katanya. Hishammuddin enggan mendedahkan apakah maklumat yang disampaikan oleh kerajaan Australia hari ini. Perdana Menteri Australia Tony Abbott berkata di Canberra pada Khamis bahawa imej satelit telah menunjukkan dua objek yang boleh dikaitkan kepada pesawat Malaysia yang hilang pada 8 Mac, menurut agensi berita Reuters. Agensi berita itu memetik Abbot sebagai berkata dalam ucapannya di Parlimen "bahawa maklumat baharu dan kredibel telah diperoleh berhubung misi mencari ... di selatan Lautan Hindi." Pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang pada 8 Mac kira-kira sejam selepas meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada pukul 12.41 tengah malam sebelumnya. Ia dijadual tiba di Beijing pada pukul 6.30 pagi pada hari yang sama. - Bernama
Satelit Australia kesan objek di Lautan Hindi
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Australia, Tony Abbott berkata di Canberra pada Khamis bahawa imej satelit telah menunjukkan dua objek yang boleh dikaitkan kepada pesawat Malaysia yang hilang pada 8 Mac, menurut agensi berita Reuters. Agensi berita itu memetik Abbot sebagai berkata dalam ucapannya di Parlimen "bahawa maklumat baharu dan kredibel telah diperolehi berhubung misi mencari ... di selatan Lautan Hindi." "Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) telah menerima maklumat berdasarkan imej satelit mengenai objek-objek yang mungkin boleh dikaitkan dengan pencarian," kata Abbot dan menambah pesawat Boeing 777-200ER dalam penerbangan ke kawasan objek-objek ditemui itu. AMSA berkata ia akan mengadakan taklimat media di Canberra kelak, lapor Rueters. Pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang kira-kira sejam selepas meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada pukul 12.41 pagi pada 8 Mac. Ia dijadual tiba di Beijing pada pukul 6.30 pagi pada hari yang sama. Pengumuman di Australia dibuat pada hari ke-13 usaha pencarian antarabangsa terhadap pesawat itu yang menurut data satelit, melencong daripada laluan di Laut China Selatan dan menuju Lautan Hindi. Kawasan pencarian diperluas meliputi di barat Malaysia, termasuk Lautan Hindi, apabila didapati pesawat telah terbang selama tujuh jam selepas itu. Usaha pencarian kemudian ditumpukan di dua koridor iaitu koridor utara yang merintangi dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga utara Thailand, dan koridor selatan dari Indonesia hingga selatan Lautan Hindi. - Bernama
MAS beri tempoh lanjutan penempatan ahli keluarga
PUTRAJAYA – MAS akan melanjutkan tempoh penginapan ahli keluarga mangsa pesawat MH370 sehingga Jumaat ini. Jurucakap MAS berkata, tempoh penginapan keluarga mangsa yang dijadual berakhir semalam, dilanjutkan untuk proses pengurusan pengangkutan pulang keluarga terlibat. “Setakat ini, hampir 10 ahli keluarga mangsa berada di sini, ada yang berhasrat untuk pulang,” katanya. Menurutnya, MAS menyediakan pusat khidmat keluarga yang akan memberikan maklumat terkini secara terus kepada keluarga mangsa. “Memandangkan operasi pencarian MH370 memakan masa, MAS mencadangkan keluarga mangsa pulang sementara menunggu berita dari pusat khidmat keluarga,” katanya. Beliau berkata mengikut prosedur seorang penumpang, MAS menanggung lima ahli keluarga yang terdekat dengan memberi dua bilik penginapan dan menanggung semua makan minum serta keperluan asas. “Ada sesetengah keluarga kita bagi kelonggaran dengan menyediakan maksimum lima bilik kerana mempunyai bilangan ramai. “Dalam perkara ini, MAS banyak bertolak ansur memuaskan kehendak sesetengah keluarga,” katanya. MAS menyalurkan bantuan kewangan sebanyak RM16,500 kepada setiap penumpang sebagai wang poket untuk kegunaan harian. Dalam pada itu, MAS mengadakan solat hajat, bertafakur mengikut agama, di samping taklimat daripada pihak MAS dan Jabatan Penerbangan Malaysia (DCA) selama tiga malam serta kaunseling ahli keluarga. Bermula Jumaat ini, kebajikan keluarga mangsa yang menginap di sini, akan diselia Perbadanan Putrajaya dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
'Boleh terbang rendah tetapi...'
SHAH ALAM – Kemampuan sesebuah pesawat komersial untuk terbang di altitud lebih rendah didorong oleh keupayaan enjin, bahan api dan kecekapan juruterbang, kata penganalisis Kejuruteraan Penerbangan, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Menurut beliau, apabila pesawat dibawa kepada ketinggian yang lebih rendah akan memberi tekanan kepada enjin dan pesawat untuk kekal dengan kedudukan stabil menyebabkan penggunaan bahan api bertambah dengan mendadak. “Sekiranya pesawat itu dari ketinggian 35,000 kaki turun kepada 5,000 kaki, penggunaan bahan api akan bertambah, kerana pesawat terpaksa kekal dalam kedudukan yang ‘stress’ dari segi keupayaan enjinnya,” katanya ketika dipetik dalam wawancara bersama Astro Awani mengulas kebolehan dan limitasi pesawat Boeing777-200 milik MAS yang hilang sejak 8 Mac lalu. Jelas beliau, ini antara aspek yang perlu difahami dari segi kejuruteraan penerbangan terutama sifat dan karakter sebuah enjin pesawat yang dibina supaya efisien untuk ketinggian altitud tinggi. "Walaupun pesawat terbang di ketinggian 5,000 kaki, masih boleh dikesan oleh radar," katanya. Ujarnya lagi, aspek lain yang tidak kurang pentingnya adalah keupayaan pesawat MH370 melakukan perubahan kedudukan dari segi perjalanan. “Apa yang kita faham, dalam kedudukan yang lebih rendah tempat penerbangan itu memainkan faktor penting. “Di mana kawasan itu, sebagai contoh di koridor utara, banyak kawasan pergunungan dan hutan tentulah kedudukan ini memainkan peranan penting kerana sebarang perubahan pesawat komersial seperti pesawat ini tidak mudah berbanding jet pejuang F18 umpamanya yang dibina untuk melakukan perubahan kedudukan dengan tangkas tetapi tidak dibina bagi pesawat komersial,” katanya. Ahmad Samsuri berkata, mengawal keadaan pesawat demikian hampir dengan bentuk muka bumi akan mendatangkan bahaya dan tekanan kepada juru terbang. “Walaupun sebenarnya memang pesawat dibina untuk ketahanan apa juga keadaan, sama ada pada ketinggian 1000 kaki atau 35,000 kaki, kita perlu fahami perubahan tekanan udara dan suhu itu berbeza pada setiap ketinggian,” katanya.
MH370 mungkin di koridor utara
Gambar menunjukkan peta carian pesawat MH370 diperluaskan ke kawasan koridor utara.
SHAH ALAM – Kemungkinan untuk pesawat MAS MH370 dijumpai di koridor utara lebih besar berbanding koridor selatan. Pakar penerbangan, Prof Madya Lt Kol (B) Mohamed Tarmizi Ahmad berkata, ini berdasarkan keluasan kawasan di koridor utara yang meliputi beberapa negara. “Kalau jarak penerbangan diambil kira, lebih selamat ambil koridor utara. Ini kerana jika pesawat mahu mendarat atau berhenti di mana-mana, banyak kawasan lapang dan luas. “Berbeza dengan koridor selatan yang jarang dilalui pesawat kerana lebih banyak kawasan lautan dan pulau-pulau kecil. Kemungkinan untuk pesawat MAS MH370 dijumpai di koridor utara lebih besar berbanding koridor selatan. Sebelum ini, Malaysia mengumumkan pencarian pesawat Boeing 777-200ER milik MAS yang hilang 8 Mac lalu diperluaskan ke koridor utara menghala Kazakhstan dan Kyrgyzstan, manakala koridor selatan ke Lautan Hindi. Mengulas lanjut, beliau berkata, kapasiti minyak yang dimiliki pesawat MAS MH370 juga membolehkannya terbang sehingga Kazakhstan. Oleh itu, katanya, adalah lebih baik kerajaan menumpukan usaha mencari dan menyelamat (SAR) di sepanjang laluan koridor utara kerana terdapat banyak satelit di kawasan itu. “Kalau di koridor utara, kita ada rekod radar yang banyak. Lebih elok sekiranya kita dapat kerjasama dengan negara terlibat untuk dapatkan data satelit. “Sekiranya benar pesawat itu melalui koridor utara, mesti dapat dikesan kerana ia tidak boleh hilang daripada rakaman. Cuma terpulang kepada negara berkenaan mahu berkongsi maklumat atau tidak kerana ini merupakan rahsia tentera sesebuah negara,” katanya. Bagaimanapun, katanya, kemungkinan di koridor selatan tetap ada, namun kekurangan liputan radar dan satelit membataskan pencarian. “Bagi saya, pencarian di koridor selatan tidak perlu hantar aset sebab kawasannya jauh dan berisiko tinggi. Sebaliknya, lebih baik kita menggunakan kepakaran satelit dari negara lain seperti Amerika Syarikat,” katanya. Sementara itu, pensyarah kanan dan Ketua Pusat Teknologi dan Ujian Penerbangan (FTTC), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Rizal Affendy berkata, pencarian di koridor selatan juga perlu diberikan tumpuan. “Sekarang pasukan pencarian masih belum pasti sama ada pesawat melalui koridor utara atau selatan. “Namun, di koridor utara tiada masalah untuk mencari kerana boleh mendapat bantuan daripada banyak negara lain. “Berbeza dengan koridor selatan, tidak meliputi banyak negara. Jadi, kerajaan perlu memberi tumpuan di situ juga,” katanya.
MH370: 26 negara setuju bantu Malaysia
KUALA LUMPUR - Pencarian MH370 kekal menjadi keutamaan Malaysia, yang masuk hari ke-13, dengan memfokus kepada cabaran diplomatik, teknikal dan logistik. Kesemua 26 negara terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat pesawat itu. Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sejumlah aset sedang menunggu kebenaran diplomatik bagi memulakan operasi bagi mempercepat penempatan aset di sepanjang koridor carian. Pencarian pesawat itu kini memfokus kepada dua koridor iaitu koridor utara merentangi sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan sehingga bahagian utara Thailand, dan koridor selatan yang bermula dari Indonesia sehingga bahagian selatan Lautan Hindi. Pesawat Boeing 777-200ER yang dalam perjalanan ke Beijing dan membawa 227 penumpang serta 12 anak kapal, hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 tengah malam. Pesawat itu dijadual mendarat di Beijing pada 6.30 pagi 8 Mac. "Meskipun pencarian masih diselaras oleh Malaysia, rakannya kian mengambil alih operasi dalam wilayah mereka sendiri dan di sektor yang dipersetujui," kata Hishammuddin dalam sidang akhbar harian berkaitan perkembangan operasi mencari dan menyelamat MH370 di Sepang, semalam. Beliau berkata, Malaysia tidak akan tersasar daripada fokusnya untuk mencari pesawat itu dengan menumpukan perhatian yang seimbang di kedua-dua koridor meskipun koridor selatan dilihat sebagai lebih mencabar. Hishammuddin turut menafikan laporan yang mendakwa pesawat itu dilihat terbang rendah di ruang udara Maldives. "Saya boleh mengesahkan bahawa, Panglima Angkatan Tentera Malaysia telahpun menghubungi rakan sejawatan beliau di Maldives, yang mengesahkan kesemua laporan ini adalah tidak benar," katanya. Beliau turut menafikan spekulasi bahawa titik laluan tambahan didokumentasi kepada laluan penerbangan itu dan mengesahkan pesawat berkenaan di laluan normal sehingga ke titik laluan Igari. Hishammuddin menambah, penemuan kotak hitam adalah penting untuk menjawab segala persoalan dan ketidakpastian, oleh itu, pihak berkuasa Malaysia dan pasukan penyiasat meminta bantuan kepakaran serta pengalaman Perancis berhubung kotak hitam. Katanya, beliau mendapatkan khidmat Lembaga Keselamatan Penerbangan Awam Perancis (BEA) bagi membantu pasukan mencari dan menyelamat. "Mereka memiliki pengetahuan berdasarkan nahas pesawat Air France yang terhempas dan mengambil masa dua tahun bagi mengesan lokasi kotak hitam," katanya. - Bernama
India sambung semula pencarian MH370
NEW DELHI - India bersiap sedia untuk menggerakkan semula pesawat rondaan maritim jarak jauh P-81 dan pesawat C-130J Super Hercules bagi meneruskan pencarian pesawat MH370 milik Malaysia Airlines (MAS). Para pegawai kerajaan berkata Malaysia telah membuat permohonan baharu untuk membantu dalam pencarian di kawasan baharu menjangkau 5,000 batu nautika ke arah selatan dari Jakarta, Indonesia. "Sebuah pesawat P-8I telahpun diletakkan dalam keadaan bersiap sedia di stesen udara Arakkonam di Tamil Nadu sementara sebuah lagi pesawat C-130J ditempatkan di Port Blair," kata seorang pegawai seperti dipetik oleh akhbar 'The Times of India'. "Kedua-dua pesawat yang boleh terbang jarak jauh, boleh membuat imbasan di kawasan-kawasan tertentu menggunakan radar, elektro-optik dan peralatan penjejak infra-merah Pesawat-pesawat itu kemungkinan memulakan operasi mulai pagi Khamis untuk melputi kawasan sepanjang 5,000 batu nautika dari Jakarta ke Antartika," katanya. India sebelum ini menyertai misi pencarian oleh lebih 25 negara bagi menjejaki pesawat Boeing 777-200ER dengan menggerakkan enam kapal perang dan beberapa buah pesawat untuk pencarian di kawasan meliputi lebih 250,000 km persegi di Laut Andaman dan Teluk Bengal. Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak telah menghubungi rakan sejawatannya dari India Manmohan Singh untuk memohon bantuan teknikal dan data radar bagi mengenai pasti laluan penerbangan yang kemungkinan pesawat MH370 terbang. Pihak berkuasa tentera India menolak kemungkinan bahawa pesawat itu telah terbang melintasi ruang udara tanah besarnya selepas dilencongkan ke Kazakhstan-Turkmenistan di Asia Tengah seperti dilaporkan oleh akhbar harian berbahasa Inggeris itu sebelum ini. Ini berlaku selepas Sabtu apabila mengumumkan bahawa perhubungan terakhir pesawat itu dengan satelit menunjukkan laluan pesawat mungkin sengaja dilencongkan ke dua koridor selepas alat transponder pesawat dimatikan. Koridor utara dikenal pasti menjangkau dari utara Thailand ke Kazakhstan dan Turkmenistan sementara koridor selatan meliputi dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi. Pesawat yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, hilang daripada imbasan radar, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 12.41 tengah malam, 8 Mac lepas. Pesawat itu sepatut mendarat di Beijing pada pukul; 6.30 pagi hari yang sama. - Bernama
MH370: Keluarga buat kecoh, siasatan dijalankan
Salah seorang ahli keluarga penumpang MH370 dari China ditemui media selepas dihalang memasuki kawasan sidang media di lobi Hotel Sama Sama, Sepang, semalam.
SHAH ALAM - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sudah mengarahkan siasatan segera dijalankan berhubung tindakan lima saudara mara penumpang MH370 warga China yang cuba menceroboh pusat media di Hotel Sama-Sama, semalam. "Kami kesal kejadian yang berlaku di sidang akhbar itu membabitkan beberapa saudara mara penumpang MH370. Kita hanya boleh membayangkan kesedihan yang terpaksa mereka alami," katanya dalam satu kenyataan, semalam. Terdahulu, sejurus sebelum sidang akhbar yang dijadual bermula pada 5.30 petang, lima saudara mara penumpang pesawat berkenaan membuat kecoh apabila dua kali mereka cuba menceroboh pusat media. Kali pertama mereka cuba memasuki pusat media ialah pada 4.45 petang dan menimbulkan kekecohan dengan tangisan serta jeritan selain turut membawa sepanduk bertulisan Mandarin. Taklimat media belum bermula ketika itu. Dalam perkembangan berkaitan, Hishammuddin turut menegaskan, Malaysia sudah melakukan apa yang terdaya untuk mencari pesawat yang hilang itu.
Tidur dekat mayat rakan
Muhamad Putera (kiri) dikunjungi dua rakan sekelasnya ketika dia menerima rawatan di Hospital Kuala Kangsar, semalam.
KUALA KANGSAR – “Saya nampak mereka terkapai-kapai, tapi tak boleh nak selamatkan, keadaan sangat bahaya, sudahnya saya hanya mampu menangis lihat mereka,” kata salah seorang mangsa yang selamat, Siti Azimah Mohd Fitri, 17. Menurutnya, dia tidak mampu menyelamatkan dua rakannya itu berikutan tidak pandai berenang sebelum menjerit meminta bantuan seorang lagi rakan, Muhamad Putera Rafaii yang tidak jauh dari tebing Sungai Gading, lokasi dua mangsa ditemui lemas. “Setibanya Putera ke tebing Sungai Gading, kami tidak nampak mereka lagi. "Sebelum itu, kami bercadang untuk menyeberangi sungai itu untuk menjejaki kumpulan lain, tidak sangka jadi begini. “Sungai itu kelihatan seperti kolam dengan air tenang. Kami ingatkan airnya cetek kerana dari tepi kami nampak dasar sungai itu hanya sejengkal, tidak sangka ia dalam. Di antara kami, hanya Putera sahaja pandai berenang,” katanya ketika ditemui di Hospital Kuala Kangsar di sini, semalam. Siti Azimah yang pernah mengikuti ekspedisi sama tahun lalu mengakui, masih trauma dan tidak bercadang mengikuti ekspedisi lasak kelak selepas kejadian meragut dua nyawa rakannya itu. Katanya, dia bersyukur dapat kembali ke pangkuan keluarga, namun masih bersedih. “Walaupun boleh tidur, kadang-kadang saya masih teringat," katanya. Sementara itu, Muhamad Putera turut menceritakan perit jerih mereka berdua meneruskan perjalanan mencari jalan pulang selepas berpisah dengan kumpulan lain selepas tragedi itu. Katanya, mereka terpaksa mencari tempat teduh dengan tidur di celah-celah batu yang dingin ketika hujan lebat pada malam kejadian. “Pada hari kedua, kami berusaha mencari mereka berdua di pesisir sungai dan menemui Adam Asraf Azman dalam keadaan tertiarap di tebing sungai. Kami berdua cuba menarik mayat Adam ke tepi tetapi kaki dia tersangkut dekat celah-celah batu. “Kami sedih terpaksa meninggalkan dia (Adam) di situ sebelum berusaha mencari jalan keluar dengan menuruni gunung dan tidur kira-kira 500 meter dari mayat Adam,” katanya. Muhamad Putera berkata, mereka memasang unggun api bagi mengelakkan kesejukan dan bergilir-gilir menjaga antara satu sama lain. “Kami guna segala ikhtiar kehidupan yang dipelajari dalam ekspedisi ini dengan menggunakan sungai sebagai sumber minuman. “Kami bernasib baik apabila membawa makanan dalam tin yang disandang sepanjang perjalanan itu dan ketika ditemui, kami ingin memasak makanan berikutan kelaparan dan keletihan,” katanya. Pada Ahad lalu, empat pelajar Tingkatan 5 Kolej Vokasional Padang Rengas dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi mendaki Gunung Bubu di Ulu Kenas. Kehilangan keempat-empat pelajar itu disedari guru pengiring mereka ketika menuruni gunung tersebut kira-kira jam 2.30 petang. Pelajar yang semuanya berusia 17 tahun menyertai perkhemahan yang dianjurkan kolej berkenaan bersama 21 pelajar lain dengan ditemani enam guru pengiring.
Al-Quran ditemui di tempat pembuangan sampah haram
ROMPIN – Gerak hati untuk berlegar-legar serta membuat pusingan kali kedua dengan motosikal di Pusat Pertumbuhan Desa Tanjung Gemok memberi jawapan di luar jangkaan kepada seorang ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan kampung (JKKK) di sini. Kassim Abd Manap. 57, yang melalui kawasan tersebut sekitar jam 10 pagi memberitahu, terkejut apabila melihat lebih 20 naskhah al-Quran telah dibuang di kawasan pembuangan sampah haram. Sebelum memastikan penemuan tersebut, beliau pada mulanya tidak sedap hati apabila melihat terdapat kain kuning di kawasan pembuangan sampah haram itu dan berhenti untuk melihatnya dengan lebih dekat. “Kebiasaannya saya akan melalui kawasan tersebut hanya sekali sahaja tetapi pagi semalam tergerak hati untuk pusing kali kedua dan ketika itu baru saya nampak kain kuning lalu timbul rasa pelik dan mahukan kepastian dan cuba melihatnya dengan lebih dekat. “Bila saya menghampiri kain kuning itu, saya nampak longgokan buku tetapi pada mulanya tidak perasan itu adalah al-Quran. Saya cuba melihat dengan lebih dekat untuk memastikan ia buku apa, terkejutnya saya bahawa ia adalah longgokan lebih 20 naskhah al-Quran dan surah Yasin,” katanya kepada Sinar Harian. Beliau yang berasa tidak sedap hati dengan penemuan tersebut terus menghubungi Biro Keselamatan JKKK Tanjung Gemok, Noor Azhar Abu Bakar, 50, untuk memaklumkan mengenai hal itu. “Saya kecewa dengan tindakan individu tidak bertanggungjawab sebegini yang seolah-olah menghina kesucian al-Quran kerana al-Quran yang dibuang itu telah bercampur dengan botol arak yang turut dibuang di kawasan itu. “Dalam keadaan negara yang menghadapi pelbagai isu ini, masih ada pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan perbuatan sebegini. Bagaimanapun saya ucapkan terima kasih kepada pasukan Penguatkuasa Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) Rompin yang segera bertindak. Dalam pada itu, Azhar yang turut sama mengutip al-Quran berkata apa yang terjadi akan menjejaskan imej orang Islam itu sendiri. “Kenapa orang Islam sekarang begitu mengambil ringan isu begini kerana dengan mudah membiarkan al-Quran dibuang begitu sahaja sedangkan ia adalah kita suci yang patut kita pertahankan darjatnya,” katanya. Menurut Azhar lagi, beliau berharap kes seperti ini tidak berlaku lagi pada masa akan datang kerana ia akan memalukan agama Islam atas tindakan orang Islam itu sendiri. Paid ambil tindakan susulan. Sementara itu, Timbalan Kadi Daerah Rompin, Mohd Nor Senawi yang ditemui ketika mengetuai pasukan Penguatkuasa Paid Rompin yang melakukan siasatan di lokasi kejadian melahirkan rasa kecewa dengan penemuan tersebut dan menegaskan tindakan susulan akan diambil. Menurutnya, perbuatan membuang naskhah al-Quran di tempat yang tidak sepatutnya adalah satu penghinaan kepada kitab suci al-Quran dan agama Islam itu sendiri. “Sepatutnya al-Quran yang sudah lusuh dan mahu dilupuskan perlu dibakar dan abunya ditanam atau buang ke laut. Kebiasaannya ia akan dihantar ke Paid sebelum dihantar ke ibu pejabat Jabatan Agama Islam Pahang untuk proses pelupusan. “Pihak kami akan menjalankan siasatan terperinci mengikut enakmen yang ada dan kemungkinan tumpuan siasatan adalah kepada sebuah premis berhampiran yang menempatkan sejumlah pelajar Islam. Ini kerana al-Quran lusuh yang dibuang itu turut ditulis nama yang kemungkinan nama pemiliknya,” katanya.
Mahkamah tolak permohonan ketua 'ajaran Harun'
Harun Mat Saad, 47, yang digelar "Ajaran Harun". - Foto Bernama
KUANTAN - Mahkamah Tinggi Kuantan di sini hari ini menolak permohonan ketua ajaran sesat 'ajaran Harun' Harun Mat Saat, yang menghadapi tuduhan berkonspirasi membunuh Ketua Penolong Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), supaya dilepaskan dengan jaminan. Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman dalam hujahnya berkata permohonan Harun, 48, ditolak atas sebab, alasan agar tertuduh dilepaskan untuk mendapatkan rawatan di hospital bukan satu keperluan khusus. "Jaminan hanya diberikan kepada pemohon atas sebab-sebab kes istimewa, luar biasa atau khusus. "Dalam kes ini mahkamah tidak melihat satu keperluan kepada tertuduh untuk mendapatkan jaminan tersebut," katanya. Beliau berkata tertuduh juga menghadapi satu tuduhan berat iaitu dituduh berkonspirasi membunuh pegawai Jaip Ahmad Raffli Abd Malek di kediaman mangsa di Lorong IM2/29 Bandar Indera Mahkota di sini pada 10 November tahun lepas. "Kes ini berat dan mahkamah harus meletakkan kepentingan awam mengatasi kepentingan tertuduh. "Ini kerana sepanjang tempoh tahanan tertuduh telah menerima rawatan yang sewajarnya dari doktor pakar dan tidak melihat keperluan untuk tertuduh mendapatkan rawatan di hospital," kata Ab Karim. Sebelum ini peguam tertuduh Hermes Media Putra memohon supaya anak guamnnya dilepaskan dengan jaminan atas alasan bagi membolehkannya mendapatkan rawatan di hospital akibat penyakit strok. Timbalan Pendakwa Raya Kalmizah Salleh bagaimanapun memohon tertuduh tidak dilepaskan dengan jaminan kerana yakin unit perubatan penjara mempunyai pegawai perubatan yang mampu merawat tertuduh dan jika dilepaskan ada kemungkinan tertuduh melarikan diri. Mahkamah kemudiannya menetapkan 21 April ini sebagai tarikh perbicaraan kes bunuh itu. Pada 16 Disember tahun lalu, Sumustapha, 40, didakwa membunuh Ahmad Raffli bersama-sama dua lagi yang masih bebas di rumah mangsa di Nombor 7, Lorong IM 2/29, Bandar Indera Mahkota di sini kira-kira pukul 1.50 petang, 10 November 2013. Tertuduh dari Kampung Sibugal Besar, Sandakan, Sabah didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori. Sementara Harun, isterinya, Azida Mohd Zol, 31, dan seorang lagi pengikut ajaran sesat itu, Shaizral Eddie Nizam Shaari, 38, didakwa bersama-sama Sumustapha dan dua lagi yang masih bebas untuk bersetuju antara satu sama lain melakukan konspirasi jenayah yang membawa kepada pembunuhan Ahmad Raffli. Kesalahan itu yang didakwa dilakukan pada masa, tarikh dan tempat yang sama mengikut Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan turut memperuntukkan hukuman mati mandatori. - Bernama
'Bos' mengaku tidak bersalah kemuka dokumen palsu
KUANTAN - Seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap empat pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi mendapatkan projek bernilai RM4 juta daripada Kementerian Pendidikan pada 2012. Tertuduh, Nik Mohd Suhaimi Ahmad Ghazali, 47, didakwa mengemukakan penyata akaun bank palsu atas nama Satria Perkasa Security Sdn Bhd di pejabat Jabatan Pendidikan Negeri, dekat sini pada 31 Mac, 30 April dan 31 Mei 2012. Pada 3 April 2012, tertuduh didakwa mengemukakan dokumen palsu yang menyatakan syarikat itu layak menerima kemudahan kredit sehingga RM500,000 daripada sebuah bank tempatan di lokasi sama. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. Hakim Nik Nasimah Nik Mohammad membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 April sebutan semula kes. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Shafinaz Shabudin dan tertuduh diwakili peguam Mohd Baharuddin Ahmad Kassim. - Bernama
Pengawal keselamatan didakwa bunuh isteri
SHAH ALAM - Seorang pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan membunuh isterinya, seorang rakyat Indonesia, di sebuah flat di Seksyen 7 di sini, minggu lepas. M.Raman, 46, didakwa membunuh Rasiyah Tawil, 44, di 4-11, Blok 53, Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, Jalan Plumbum 7/100, Seksyen 7, antara 4.30 pagi dan 6 pagi, 13 Mac lepas. Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. Tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan kepadanya dalam Bahasa Tamil oleh jurubahasa mahkamah. Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan. Majistret Ellyana Razali menetapkan 22 April ini untuk sebutan semula kes selepas Timbalan Pendakwa Raya Siti Syakimah Ibrahim memaklumkan bahawa pihaknya masih belum menerima laporan bedah siasat. - Bernama
Penjara 15 tahun: Bekas pengurus bank pecah amanah
PUTRAJAYA - Seorang bekas pengurus bank dihukum penjara 15 tahun oleh Mahkamah Rayuan di sini hari ini kerana melakukan pecah amanah melibatkan RM18 juta. Keputusan itu dibuat selepas Zainal Abidin Othman, 54, gagal dalam rayuan terakhirnya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi yang mendapatinya bersalah terhadap dua tuduhan pecah amanah serta mengenakan hukuman penjara terhadapnya. Ketika menolak rayuan itu, panel tiga anggota yang diketuai hakim Mahkamah Rayuan Datuk Azahar Mohamed berkata terdapat bukti kukuh bahawa Zainal Abidin melakukan jenayah itu. Azahar berkata, petugas bank terbabit bukan rakan sejenayah, tetapi mereka dipaksa Zainal Abidin melakukan jenayah itu. Beliau mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhi kukuman penjara lima tahun bagi tuduhan pertama dan menambah hukuman penjara daripada 10 tahun kepada 15 tahun bagi tuduhan kedua. Zainal Abidin memerintahkan hukuman itu berjalan serentak. Ketika menambah hukuman penjara, Azahar berkata Zainal Abidin menyandang jawatan yang sangat penting iaitu sebagai pengurus bank, dan orang ramai menyimpan wang mereka di bank berkenaan kerana percaya wang mereka akan selamat. Katanya sekiranya mahkamah tidak mengenakan hukuman berat, orang ramai akan hilang keyakinan terhadap sistem perbankan dan ini boleh menjejaskan sistem kewangan dan perbankan di negara ini. Bagi pertuduhan pertama, Zainal Abidin dituduh melakukan pecah amanah simpanan tetap milik pelanggan Bank Bumiputera Commerce Berhad berjumlah RM264,346.11 di premis bank itu di Masjid Tanah, Alor Gajah, Melaka antara Januari 2003 dan Disember 2003. Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh melakukan kesalahan serupa melibatkan simpanan tetap berjumlah RM17,623,274.61 kepunyaan pelanggan bank itu di premis sama antara Januari 2004 dan Disember 2004. Mahkamah Sesyen Ayer Keroh mendapati Zainal Abidin bersalah dan menjatuhi hukuman penjara lima tahun terhadapnya bagi tuduhan pertama dan 15 tahun penjara bagi tuduhan kedua. Zainal Abidin mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi Melaka berhubung keputusan itu. Mahkamah Tinggi Melaka bagaimanapun menolak rayuannya berhubung sabitan kesalahan itu. Mahkamah itu mengekalkan hukuman penjara lima tahun bagi tuduhan pertama, tetapi mengurangkan tempoh hukuman penjara 15 tahun kepada 10 tahun bagi tuduhan kedua. Zainal Abidin kemudian dikenakan ikat jamin RM500,000 dengan dua penjamin sementara menunggu keputusan rayuannya kepada Mahkamah Rayuan. Terdahulu, timbalan pendakwa raya Awang Armadajaya Awang Mahmud meminta mahkamah menambah hukuman penjara terhadap Zainal Abidin kerana kesalahan yang dilakukannya boleh menghakis keyakinan orang ramai terhadap sistem perbankan. Zainal Abidin diwakili peguam Sukhaimi Massod. - Bernama
Mahkamah syariah tentukan kesahihan agama wanita
PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan kesahihan penukaran agama seorang pekerja kilang wanita kepada Islam oleh bapanya semasa berumur tujuh tahun tiga bulan akan ditentukan oleh Mahkamah Syariah. Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria yang mempengerusikan panel anggota, berkata adalah perlu bagi Mahkamah Syariah mengambil kira sama ada penukaran agama Siti Hasnah Vangarama Abdullah pada 1983 oleh bapanya sebagai sah di hadapan Mahkamah Sivil dan boleh menentukan tuntutannya berhubung dakwaan penukaran agamanya pada 1989 oleh pegawai Perkim dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang. Katanya adalah terlalu awal di peringkat ini bagi Mahkamah Sivil untuk melayan permohonan Siti Hasnah. Siti Hasnah, 29, yang mempersoal kesahihan proses penukaran agamanya kepada Islam, mendakwa beliau perlu mengikuti proses penukaran agama kepada Islam pada 1989 semasa berusia tujuh tahun semasa beliau berada di Rumah Anak-Anak Yatim Ramakrishnan. Ibu kepada tiga orang anak itu kemudiannya memfailkan permohonan pada 23 Disember, 2009 di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang untuk memohon satu pengisytiharan bahawa ketika itu pegawai Perkim Raimi Abdullah dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang secara salah menyebabkan beliau berikrar mengenai pegangannya dan meninggalkan agama Hindu dan memeluk Islam semasa berumur tujuh tahun pada 1989. Bagaimanapun, ketika itu Raimi Abdullah dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang yang dinamakan sebagai defendan dalam permohonannya, telah berkata menurut rekod yang diperoleh dari Perkim menunjukkan bahawa Siti Hasnah, bersama-sama ibu bapanya dan adik beradiknya yang lain memeluk Islam pada 1983. Ketika itu, Siti Hasnah berumur setahun. Majlis Agama Islam Pulau Pinang telah berkata bahawa Siti Hasnah melalui proses pengesahan pegangannya pada 1989 kerana sijil penukaran agama tidak dikeluarkan kepada kanak-kanak apabila ibu bapa mereka memeluk islam. Dalam penghakiman sebulat suara yang disampaikan hari ini, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan yang dibuat Raimi dan Majlis Agama Islam untuk mengetepikan perintah Makamah Rayuan bahawa Mahkamah Tinggi mendengar kes mengenai Siti Hasnah. Siti Hasnah diperintah membayar masing-masing RM10,000 bagi kos perundangan kepada Raimi dan Majlis Agama Islam negeri. Hakim Arifin berkata ia merupakan pandangan mahkamah bahawa permohonan Siti Hasnah tidak boleh diputuskan tanpa Mahkamah Syariah menentukan kesahihan penukaran agamanya oleh arwah bapanya pada 1983. "Kami berpendapat bahawa isu berkenaan dengan kesahihan penukaran agama Siti Hasnah pada 1983 merupakan satu perkara yang benar-benar dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah," katanya. Beliau berkata ia akan menjadi sangat tidak sesuai bagi Mahkamah Sivil untuk menentukan kesahihan pertukaran agama bagi mana-mana orang kepada agama Islam kerana ia benar-benar merupakan isu agama dan oleh yang demikian Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa itu mengikut Artikel 121A Perlembagaan Persekutuan. Hakim Arifin berkata keputusan Mahkamah Rayuan bahawa Siti Aminah tidak pernah menjadi orang Islam dan dakwaan penukaran agamanya pada 1989 oleh Raimi dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang adalah menyalahi undang-undang. Katanya Mahkamah Rayuan membuat keputusannya berdasarkan bahawa Siti Hasnah beragama Hindu dan tidak pernah memeluk Islam sebelum 1989 dan ia (Mahkamah Rayuan) benar-benar mengabaikan fakta bahawa sebelum itu dia telah memeluk agama Islam bersama-sama dengan bapanya pada 1983. Hakim Arifin berkata mengikut undang-undang, agama bagi seorang kanak-kanak ditentukan ibu bapa atau penjaga dan oleh itu bapa Siti Hasnah berhak menentukan agama beliau (Siti Hasnah) kerana ketika itu dia seorang kanak-kanak. Beliau berkata Mahkamah Tinggi secara betul telah membatalkan permohonan Siti Hasnah tetapi ia terkhilaf dalam memutuskan bahawa Siti Hasnah sudah menjadi orang Islam pada 1989 kerana sebelum itu penukaran agama didakwa berlaku pada 1983. Katanya ia bukan untuk Hakim Mahkamah Tinggi menentukan kesahihan penukaran agama Siti Hasnah pada 1983 dan hakim telah menghakimi lebih awal perkara itu. Pada 4 Ogos 2010, Mahkamah Tinggi di Pulau Pinang membatalkan permohonan Siti Hasnah selepas memutuskan Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes itu dan bahawa perkara itu adalah tertakluk secara ekslusif kepada Mahkamah Syariah. Pada Januari 2012, Mahkamah Rayuan mengubah keputusan Mahkamah Tinggi dan merujuk perkara itu kepada Mahkamah Tinggi untuk membuat keputusan. Dalam afidavit menyokong permohonannya, Siti Hasnah mendakwa dia tidak faham isi kandungan dan makna perkataan dalam "Sijil Akuan Masuk Islam" yang dibacanya, dilafaz dan ditandatangani, dan menurutnya pada umur tujuh tahun, dia tidak mempunyai pilihan tetapi mengikut arahan defendan untuk mengucap "kalimah shahadat". Pada usia lima tahun, ibu bapanya menempatkannya di rumah anak yatim Ramakrishnan dan dia tinggal di situ selama satu setengah tahun. Ibunya, R.Latchumy, dengan nama Islamnya Siti Aisyah Abdullah, meninggal dunia pada 1989 dan bapanya, B.Subramaniam, yang menggunakan nama Islam Mohd Yusuf Abdullah, meninggal dunia pada 2004. Siti Hasnah berkahwin dengan S. Sockalingam, 32, mengikut upacara agama Hindu. Pasangan itu tidak mendaftarkan perkahwinan mereka. - Bernama
Peniaga berdepan 67 tuduhan tipu Pos Malaysia
TERTUDUH, Ismail (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan semalam.
KOTA BHARU - Seorang peniaga hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas 67 pertuduhan menipu Pos Malaysia Berhad dengan mengemukakan borang Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) menggunakan nama arwah bapanya bagi melakukan pengeluaran berjumlah RM332,000 dari 2007 hingga 2008. Ismail Abdul Rahman, 60, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan itu selepas dibacakan di hadapan Hakim Mohd Yusoff Yunos. Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menipu Pos Malaysia Berhad dengan memperdayakan seorang pegawai dengan mengemukakan borang ASNB 31 di atas nama Abdul Rahman Che Awang untuk dengan curangnya mendorong pegawai itu melakukan satu transaksi pengeluaran wang RM5,000 daripada akaun ASNB itu yang didaftarkan atas nama Abdul Rahman yang disahkan sudah meninggal dunia, di mana pegawai itu tidak akan menyerahkan wang itu sekiranya tidak diperdayakan. Kesalahan itu dilakukan di kaunter pejabat Pos Malaysia cawangan Jalan Kebun Sultan di sini pada 16 Ogos 2007. Untuk pertuduhan kedua hingga 67, Ismail turut didakwa melakukan kesalahan sama di tempat sama menggunakan akaun milik individu sama membabitkan pengeluaran jumlah yang hampir sama dalam tempoh 2007 hingga 2008 yang membabitkan nilaian sebanyak RM332,000. Untuk setiap pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun, dan dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Salam Yusof manakala tertuduh diwakili peguam Nik Mohamad Amin Nik Abdullah. Terdahulu, Ahmad Salam menawarkan ikat jamin sebanyak RM3,000 bagi setiap pertuduhan dan mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM90,000. Mahkamah kemudian menetapkan 24 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes. - Bernama
Bekas pekerja TNB ditangkap ceroboh pencawang
KUALA LUMPUR - Seorang bekas pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) diberkas oleh Pasukan Polis Bantuan syarikat itu ketika menceroboh masuk sebuah pencawang elektrik di Jalan Sri Utara dekat Jalan Kuching, di sini semalam. Pengurus Besar Perkhidmatan Keselamatan TNB Rumaizi Mohd Amin, dalam kenyataan hari ini berkata suspek yang dikenali sebagai Ali Limat, 39, itu ditangkap ketika meleraikan komponen dalaman alat ubah (transformer) untuk mengeluarkan komponen tembaga di pencawang tersebut. "Ali pernah bekerja di TNB sebelum ini tetapi telah dibuang kerja pada November 2006 kerana didapati bersalah terlibat dalam kes kecurian pepasangan TNB di sekitar Lembah Klang," katanya. Menurut kenyataan itu, suspek kemudian diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul untuk sisatan lanjut. - Bernama
Pasangan kekasih didakwa gubah wang haram
SHAH ALAM - Seorang wanita dan teman lelakinya warga Nigeria dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram membabitkan nilai lebih RM230,000, tahun lepas. Zulaikhah Awang, 29 dan Chinedu Cletus Abara, 29, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadap mereka oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim G.Ramesh. Pertuduhan pertama sehingga ketiga mendakwa Zulaikhah membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram dengan menggunakan satu akaun bank untuk menerima wang keseluruhan berjumlah RM232,762.59 daripada akaun milik Angela Lim Eng Lau di Singapura. Tertuduh didakwa melakukan ketiga-tiga kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Bandar Baru Klang dekat sini, antara 28 Mac tahun lepas sehingga 17 April tahun sama. Sementara Chinedu pula menghadapi tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti pengubahan wang haram berjumlah sama daripada Zulaikhah pada tarikh dan tempat sama. Pasangan kekasih itu masing-masing didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Hakim Ramesh membenarkan Zulaikhah dibebaskan dengan jaminan RM8,000 serta seorang penjamin bersama syarat tambahan agar tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai. Beliau bagaimanapun tidak membenarkan Chinedu diikat jamin. Mahkamah menetapkan 11 April ini untuk sebutan semula kes. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Munirah Shamsudin sementara pasangan kekasih itu tidak diwakili peguam. - Bernama
Ancam pegawai kastam: Polis akan bertindak
JOHOR BHARU - Polis akan sentiasa bersama anda. Demikian jaminan yang diberi kepada Jabatan Kastam Johor oleh polis negeri ini berikutan taktik mengancam dan menakut-nakutkan yang digunakan terhadap pegawai peringkat rendah kastam oleh sindiket penyeludupan. Taktik itu digunakan berikutan langkah Jabatan Kastam memperketatkan pemeriksaan keselamatan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin di Tambak Johor dan Linkedua di sini sejak Januari tahun ini. Sebuah akhbar melaporkan pada Isnin bahawa sebuah lori yang sarat dengan muatan bir diarah berhenti di pusat pemeriksaan Linkedua pada kira-kira jam 2 pagi dalam pemeriksaan rutin oleh pegawai kastam. Bagaimanapun, pemandu lori itu merempuh gantri sekatan dan para pegawai kastam bertindak mengejar kenderaan itu. Ketika itu, 'tonto' yang menaiki beberapa kenderaan memintas kereta kastam untuk membolehkan lori berkenaan meloloskan diri. Kira-kira pada jam 2.20 petang hari berikutnya, tiga beg plastik berisi cat merah dilempar ke rumah seorang pegawai kastam di Taman Pelangi, yang dipercayai suatu taktik untuk menakut-nakutkan pegawai berkenaan. "Kami percaya ini merupakan ancaman daripada sindiket penyeludupan untuk menakut-nakutkan pegawai kastam yang membuat pemeriksaan terhadap lori di bahagian import. "Sehubungan itu, kami menubuhkan satu pasukan khas untuk menjalankan penyiasatan menyeluruh tentang kes ini untuk menjejaki mereka yang berkenaan. "Beberapa laporan telah dibuat mengenai ancaman terhadap pegawai kastam sejak Januari tahun ini," kata Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff pada sidang akhbar di sini hari ini. Ketika memberi satu contoh lagi, beliau berkata seorang lelaki menyamar sebagai anggota kerabat diraja Johor untuk mengelak pemeriksaan kastam. Kira-kira pada jam 2.20 petang hari berikutnya, tiga beg plastik berisi cat merah dilempar ke rumah seorang pegawai kastam di Taman Pelangi, yang dipercayai suatu taktik untuk menakut-nakutkan pegawai berkenaan. "Kami percaya ini merupakan ancaman daripada sindiket penyeludupan untuk menakut-nakutkan pegawai kastam yang membuat pemeriksaan terhadap lori di bahagian import. "Sehubungan itu, kami menubuhkan satu pasukan khas untuk menjalankan penyiasatan menyeluruh tentang kes ini untuk menjejaki mereka yang berkenaan. "Beberapa laporan telah dibuat mengenai ancaman terhadap pegawai kastam sejak Januari tahun ini," kata Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff pada sidang akhbar di sini hari ini. Ketika memberi satu contoh lagi, beliau berkata seorang lelaki menyamar sebagai anggota kerabat diraja Johor untuk mengelak pemeriksaan kastam. Bagaimanapun, pegawai kastam tidak terpedaya oleh muslihat lelaki itu dia ditangkap serta dikenakan pertuduhan pada Januari. Mohd Mokhtar berkata hasil maklumat orang ramai, polis berjaya menghalang beberapa individu yang dipercayai anggota sindiket daripada membuat kecoh pada Sambutan Hari Kastam Sedunia ke-32 di Universiti Teknologi Malaysia pada 26 Jan. Majlis itu dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. - Bernama
Tiga pelatih pusat pemulihan dituduh bunuh rakan
Tiga pelatih sebuah pusat pemulihan dadah, Ahmad Sobri Jamil, 26, Mohd Faza Mohd Kamil, 24, dan Syafirul Irwan Hayani, 17 dihadap ke Mahkamah Majistret di Tumpat hari ini atas pertuduhan secara bersama membunuh seorang pelatih di pusat itu, minggu lepas. - Foto Bernama
TUMPAT - Tiga pelatih sebuah pusat pemulihan dadah hari ini dihadap ke Mahkamah Majistret di sini terhadap pertuduhan membunuh seorang pelatih di pusat itu, minggu lepas. Ahmad Sobri Jamil, 26, Mohd Faza Mohd Kamil, 24, dan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun didakwa secara bersama membunuh Muhammad Aiman Syahmi Hamdan, 18, di Pusat Pemulihan Tradisional Pondok Darul Hanan Kampung Lambor, Wakaf Baharu, di sini pada 13 Januari 2014 hingga 13 Mac 2014. Ketiga-tiga tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Adha Amir Yasser Amri. Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan. Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 29 Mei bagi membolehkan mahkamah mendapatkan laporan bedah siasat dan laporan kimia. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Hamiza Ghazali manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama
Rusia kekal anggota G8
BERLIN - Rusia masih kekal sebagai anggota Kumpulan Lapan (G8) biarpun mendapat ugutan untuk digantung keanggotaannya susulan membenarkan kemasukan Crimea ke negara itu, Isnin lalu. Canselor Jerman Angela Merkel berkata, sehingga kini belum ada sebarang keputusan dibuat sama ada, Rusia patut diambil tindakan atau tidak. “Segalanya akan diputuskan ketika sidang kemuncak G8 di Sochi, Jun ini,” katanya pada Al Jazeera. Menteri Luar Perancis, Laurent Fabius dan negara anggota lain dikatakan bersetuju menggantung penyertaan Rusia ke dalam G8 sebagai tanda protes. Sementara itu, Menteri Luar Itali Federica Mogherini menegaskan, format G8 tidak dimansuhkan, Rusia cuma bakal berhadapan penggantungan kerja. Kumpulan G8 terdiri daripada Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, Britain dan Amerika Syarikat. Dalam perkembangan sama, media melaporkan, ibu pejabat tentera laut di Pelabuhan Crimea, Sevastopol ditutup sehingga pihak tertinggi membuat keputusan sama ada ia diletakkan di bawah Rusia atau Ukraine.
Obama: Mencari MH370 'keutamaan tertinggi'
KUALA LUMPUR - Presiden Amerika Syarikat Barack Obama pada Rabu berkata Washington meletakkan misi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 sebagai 'keutamaan tertinggi' negara itu. Agensi berita AFP memetik Obama sebagai berkata demikian dalam komen pertamanya di hadapan kamera mengenai pesawat yang hilang itu dalam temu bual dengan KDFW, stesen televisyen Dallas, di White House. "Saya mahu mereka yakin bahawa kami menganggap ini sebagai keutamaan tertinggi. "Kami telah mengumpulkan semua sumber yang kami ada untuk digunakan dalam proses pencarian ini," kata presiden itu. Menurut laman sesawang stesen televisyen itu, temu bual eksklusif oleh penyampai FOX4 Clarice Tinsley diadakan pada tengah hari Rabu (waktu tempatan). Menurut laporan AFP itu juga, semasa temu bual berkenaan, pemimpin Amerika Syarikat itu turut menyebut tentang kerjasama erat Washington dan Kuala Lumpur berhubung insiden pesawat hilang itu. "Memang wujud kerjasama erat (kami) dengan kerajaan Malaysia," kata Obama. Amerika Syarikat telah menghantar antara lain, pesawat pengawasan dan peninjau, P8 Poseidon serta P-3 Orion dalam misi mencari itu. Menurut AFP, Obama juga berkata Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara (NTSB) dan agensi-agensi atau pegawai yang terlibat dalam bidang penerbangan sedia membantu kumpulan penyiasat yang ada. NTSB ialah sebuah agensi persekutuan bebas yang dibenarkan Kongres untuk menyiasat setiap kemalangan melibatkan penerbangan awam di Amerika Syarikat dan kemalangan besar yang melibatkan pengangkutan lain seperti kereta api, lebuh raya, marin dan saluran paip. Presiden Obama juga melahirkan rasa simpati yang mendalam kepada semua anggota keluarga penumpang dan anak kapal MH370. "Pertama sekali kami mahu menyampaikan ingatan dan doa kami kepada semua keluarga yang terlibat terutama kepada keluarga warga Amerika kami, yang saya hanya boleh bayangkan apa yang sedang mereka lalui dalam keadaan yang tiada ketentuan lagi ini," kata Obama dalam temu bual itu. Terdapat tiga warga Amerika dalam penerbangan itu dan seorang daripadanya ialah Philip Wood, 50, dari Keller, Texas. Boeing 777-200ER yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing apabila ia hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pukul 12.41 tengah malam. Pesawat itu sepatut mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama. Malaysia sebelum ini menyatakan operasi mencari pesawat itu tetap diberi keutamaan dengan memberikan tumpuan kepada cabaran diplomatik, teknikal dan logistik yang ada. Setakat ini 26 negara yang terlibat dalam misi mencari dan menyelamat MH370 telah secara lisan bersetuju membantu Malaysia, dan kerajaan juga telah menghantar permohonan rasmi secara bertulis untuk mendapatkan kerjasama mereka. Misi mencari itu kini tertumpu kepada dua koridor iaitu koridor utara yang menjangkaui dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand, dan koridor selatan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi. - Bernama
MH370: Tujuh penumpang warga Indonesia 'bersih'
JAKARTA - Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono memberi jaminan tujuh warganegara itu yang juga penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang pada 8 Mac lepas, tidak mempunyai kaitan dengan jaringan pengganas. Hal tersebut ditegaskan Presiden Indonesia itu berikutan langkah kerajaan Malaysia yang sedang meneliti profil kesemua penumpang pesawat berkenaan, yang hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing. Susilo berkata, beliau sudah mendapatkan laporan lengkap daripada pihak berwajib negara berkenaan berhubung kesemua latar belakang tujuh penumpang warganegara Indonesia itu. "Jadi, kalau ada kecurigaan Malaysia atau mana-mana pihak, ingin saya jelaskan tidak ada mana-mana warganegara kita (Indonesia) yang memiliki latar belakang misalnya terlibat terorisme," kata Susilo dalam sidang media di sini, semalam. Beliau yang sentiasa memantau perkembangan kehilangan pesawat berkenaan, sebelum itu menghadiri mesyuarat khas bersama beberapa menteri kabinet Indonesia, untuk membincangkan berhubung kehilangan misteri pesawat MH370 itu. Susilo berkata, laporan daripada Menteri Koordinasi Politik, Hukum dan Kemanan, Djoko Suyanto mengenai profil kesemua tujuh penumpang warganegara Indonesia itu menunjukkan bahawa tiada sebarang yang 'aneh' mengenai latar belakang mereka. "Namun hal ini perlu dikomunikasikan dengan jelas jangan sampai ada spekulasi dan berita yang tidak benar," katanya. Presiden Indonesia itu berkata beliau turut menerima laporan terkini daripada Menteri Luar Indonesia, Marty Natalegawa berhubung kehilangan misteri pesawat MH370 itu. Susilo amat mengharapkan tidak ada sebarang kecurigaan kepada Indonesia terhadap insiden itu yang turut dikaitkan dengan kemungkinan pesawat MAS tersebut dirampas. "Saya mendengar ada berita dari satu titik ke titik yang lain tentang itu (rampasan). Saya berharap kita bisa (boleh) memberi maklumat dengan jelas dan tegas bahawa tidak perlu ada kecurigaan seperti itu hasil siasatan kita di dalam negeri," katanya. - Bernama
MH370: Adakah Boeing tergugat?
KEHILANGAN pesawat milik Malaysia Airlines (MAS) bukan hanya memberi kesan besar kepada keluarga penumpang, rakyat Malaysia dan MAS sendiri tetapi juga pengeluar pesawat itu, Boeing Co. Walaupun belum ada sebarang kesimpulan sama ada kehilangan itu disebabkan masalah pada pesawat Boeing 777 yang digunakan penerbangan MH370, tahap keselamatan kapal terbang komersil keluaran syarikat itu kini mula dipersoal. Boeing, syarikat berpusat di Amerika Syarikat (AS) adalah pengeluar pesawat terbesar dunia dan bersaing rapat dengan syarikat Eropah, Airbus. Sebelum kehilangan MH370 lagi, Boeing telah menjadi tumpuan apabila pelbagai laporan membabitkan kecacatan struktur pada pesawat terbarunya, Dreamliner 787, iaitu versi baru pesawat Boeing 777. Hanya sehari sebelum MH370 dilaporkan hilang, Boeing mengumumkan syarikat itu mengesan keretakan halus pada sayap 43 pesawat Dreamliner 787 yang sedang dalam proses pemasangan, memaksa pemeriksaan semula dibuat. Tahun lalu pula, bateri litium ion dalam dua Dreamliner 787 milik Japan Airlines dan All Nippon Airways mengalami kepanasan melampau, menyebabkan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) di AS melarang pesawat itu digunakan di seluruh dunia lebih tiga bulan sementara Boeing memperbaiki sistem baterinya. Insiden sama berulang pada Januari 2014, sekali lagi membabitkan Dreamliner, milik Japan Airlines. Selain itu, awal bulan ini iaitu beberapa hari sebelum MH370 dilaporkan hilang, FAA turut mengeluarkan amaran mengenai keretakan pada Boeing 777 yang boleh menyebabkan malapetaka besar. FAA melaporkan ada rekahan sepanjang 40 sentimeter di bawah antena satelit komunikasi pada sebuah Boeing 777. "Kami menerima laporan berhubung keretakan dan kakisan pada kulit badan pesawat. Jika tidak diperbaiki, ia boleh menyebabkan penyahmampatan dan kerosakan struktur pesawat," menurut FAA. Saham sedikit menurun. Boeing pada Rabu lalu menjelaskan MH370 tidak termasuk di bawah arahan FAA itu kerana pesawat tersebut tidak mempunyai antena yang dikatakan bermasalah itu. Walaupun jurucakap FAA kemudian meminta supaya tidak mengaitkan arahan mereka dengan kehilangan MH370, insiden itu tetap dilihat memberi kesan kepada saham Boeing yang didagangkan di Bursa Saham New York. Semasa pasaran saham mula berniaga semula pada Isnin, 10 Mac, iaitu dua hari selepas MH370 dilaporkan hilang, saham Boeing mula jatuh dari AS$128.54 kepada AS$126.89 sehingga mencecah paras terendah AS$121.89 pada 13 Mac 2014. Boeing 777 dikatakan mempunyai rekod perkhidmatan hampir sempurna sejak 20 tahun lalu tetapi kehilangan MH370 adalah peristiwa kedua membabitkan pesawat itu dalam tempoh kurang 12 bulan. Pada Julai 2013, sebuah Boeing 777 dikendalikan Asiana Airlines terhempas di San Francisco, AS, menyebabkan tiga orang terbunuh. Ini menimbulkan lebih banyak tanda tanya mengenai keselamatan pesawat keluaran Boeing. Prestasi saham Boeing juga mula menurun sejak Januari 2014 kepada tahap terendah dalam tempoh dua tahun selepas syarikat itu mengunjurkan keuntungan yang lebih rendah bagi tahun ini disebabkan tempahan pesawat yang lembab. Boeing yang juga pengeluar pesawat tentera termasuk F18 Super Hornet dan helikopter Apache turut berdepan pemotongan bajet pertahanan AS, mengurangkan tempahan pesawat tentera diterimanya. Adakah pelbagai masalah melanda Boeing, termasuk insiden terbaru membabitkan MH370 akan memberi impak negatif kepada syarikat gergasi itu? Bagi penganalisis, jika tiada kecacatan struktur pesawat pada Boeing 777 milik MAS yang hilang itu, syarikat itu dipercayai tidak akan terjejas walaupun dengan pelbagai masalah membabitkan pesawatnya termasuk Dreamliner 787 dan Boeing 777.
Labels:
Berita Terkini
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Untuk informasi lebih lanjut
ReplyDeleteemail saya ... hendidi01@gmail.com
nomor saya .... + 6289574678659
jaminan pinjaman.
tolong perhatikan bahwa saya orang yang sibuk, akan lebih baik bagi Anda untuk mengirim email jika Anda ingin informasi. Saya akan menjawab ketika saya kurang sibuk
Assalamalekum. nama saya Profesor Hendi Didi dari Bukittinggi, kota pedalaman kecil yang menawan yang terletak di Sumatera Barat. semua harap berhati-hati dalam mendapatkan pinjaman di sini di situs ini, dan jangan tanggapi iklan pinjaman yang dikirim ke alamat email pribadi Anda, mereka adalah pinjaman palsu dari Singapura. Saya kehilangan banyak uang untuk para pemberi pinjaman Singapore palsu sehingga banyak pemberi pinjaman pinjaman di sini semuanya scammers dan mereka hanya di sini untuk menipu Anda keluar dari uang Anda, saya mengajukan pinjaman sekitar Rp. 600 juta dan saya diminta untuk membayar sejumlah biaya pendaftaran dan biaya transfer dan saya membayar, mereka bertanya lagi dan lagi dan lagi, saya membayar Rp 89 juta masih saya tidak mendapatkan pinjaman, happend kepada saya sekitar 7 kali dari berbagai perusahaan pinjaman singapore. saya akan memenuhi satu benar tetapi saya tidak. Saya membaca di koran tentang orang-orang yang mendapat pinjaman tanpa stres, dari seorang ibu muslim yang jujur AASIMAHA ADILA LOAN FIRM Saya mengajukan permohonan untuk Rp 853 juta, saya pikir itu adalah lelucon dan penipuan, tetapi saya memiliki pinjaman saya dalam waktu kurang dari 2 tahun. jam hanya dalam 1% tanpa jaminan. saya sangat senang karena saya menabung dari kemiskinan. jadi saya menyarankan semua orang di sini membutuhkan pinjaman untuk menghubungi AASIMAHA ADILA AHMED LOAN FIRM dan saya meyakinkan Anda bahwa Anda akan mendapatkan pinjaman Anda 100% pasti dan cepat. Saya memiliki daftar 15 orang yang mendapatkan pinjaman dari perusahaan muslim dari indonesia dan malaysis
(aasimahaadilaahmed.loanfirm@gmail.com)
Anda masih dapat menghubungi saya jika Anda memerlukan info lebih lanjut dan bantuan di (hendidi01@gmail.com)
Ikuti kami di halaman instagram ::::::::::: Aasimahaadilaahmed.loanfirm
Twitter ::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::: aasimahaadila loanfirm Saya doakan semoga Anda beruntung, saya berjanji untuk bersaksi setelah saya mendapatkan pinjaman, ini adalah kesaksian saya