Wednesday, March 5, 2014

Berita Terkini 05 Mac 2014

Obat herbal paling direkomendasikan untuk penyakit asma
Doktor sahkan asma punca tahanan dalam lokap mati
GEORGETOWN - Kematian seorang tahanan dalam Lokap Berpusat Balai Polis Bayan Baru di sini Sabtu lepas adalah kerana penyakit asma, dan bukannya disebabkan anggota polis sebagaimana didakwa pihak tertentu, kata Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi. Beliau berkata punca kematian tahanan itu juga telah disahkan oleh doktor yang menjalankan bedah siasat terhadap mayat lelaki terbabit di Hospital Pulau Pinang. "Tiada sebarang kecederaan lain di badan tahanan itu malah keluarganya juga menerima kejadian berkenaan kerana mengetahui lelaki itu mempunyai penyakit. "Jadi hari ini saya nak nafikan tuduhan yang dilempar oleh pihak tertentu yang mendakwa polis menyebabkan kematian tahanan itu. Kami juga tidak menerima sebarang aduan daripada keluarga tahanan atau laporan polis bagi menyiasat (polis sebabkan kematian tahanan)," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri Dr Afif Bahardin memuat naik status di laman twitternya berbunyi "Penjenayah bunuh polis itu tidak menghairankan tetapi bila polis yang sepatutnya menegakkan undang-undang membunuh tahanan, itu masalah".


Remaja lelaki maut motosikal terbabas
KEMAMAN - Kegembiraan seorang remaja lelaki mandi bersama-sama rakan dan abangnya di kawasan air terjun Benderu, di sini berakhirnya tragedi apabila maut selepas motosikal ditunggangiya terbabas semasa dalam perjalanan pulang ke rumahnya. Dalam kejadian kira-kira 4 petang semalam, Shahril Amiezat Abdullah, 15, maut di tempat kejadian selepas motosikal ditungganginya terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dekat Kemasik di sini. Menurut abangnya Mohd Afizuddin, 19, ketika kejadian dia dan adiknya serta enam lagi rakan dalam perjalanan pulang selepas mandi-manda di kawasan air terjun berkenaan ke rumah mereka di Felda Seri Bandi. Katanya adiknya menunggang bersendirian manakala dia mengekori jauh di belakang namun sebaik tiba di tempat kejadian dia melihat adik sudah terbaring di atas jalan. "Selepas diperiksa nadi oleh seorang pengguna jalan raya yang kebetulan melalui kawasan itu adik disahkan sudah meninggal dunia," katanya kepada pemberita ketika ditemui di unit forensik Hospital Kemaman. Sementara itu Ketua Polis Daerah Kemaman Che Suza Che Hitam ketika dihubungi mengesahkan kejadian. - Bernama

Foto
Rumah operasi dadah terbongkar
PULAU PINANG 5 Mac - Satu sindiket memproses dadah yang menjadikan premis kediaman sebagai tempat operasi terbongkar apabila polis menemui pelbagai jenis dadah bernilai RM500,000 dalam serbuan di Alma, Bukit Mertajam di sini malam tadi. Serbuan pada pukul 10.45 malam itu dilakukan oleh sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri. Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, polis juga merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah termasuk senjata seperti parang dan pedang di dalam rumah teres dua tingkat itu. Beliau berkata, ketika serbuan, tiga lelaki warga tempatan berusia 25 hingga 38 tahun berada di dalam rumah terbabit dan kesemua mereka telah ditahan reman sehingga 11 Mac ini. "Dadah yang ditemui ialah 13 kilogram heroin, 7.5 kilogram serbuk dadah, 100 kilogram serbuk kafein dan 20 botol asid yang digunakan untuk memproses dadah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Jambatan kedua Pulau Pinang
Jangan berhenti atas jambatan PP ke-2 untuk rakam gambar
GEORGETOWN - Orang ramai dinasihati agar tidak memberhentikan kenderaan di atas Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah atas faktor keselamatan. Penolong Pengurus Perhubungan Awam dan Komunikasi Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) Azizi Azizan berkata sejak dibuka Ahad lepas pihaknya mendapati ramai yang berhenti untuk merakam gambar. "Keadaan ini bahaya kerana mereka akan berada di lorong motosikal yang menghalang penunggang motosikal," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini. Jambatan yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 1 Mac lepas mencatat rekod sebagai jambatan terpanjang di Asia Tenggara iaitu 24 kilometer yang menghubungkan Batu Kawan di tanah besar dan Batu Maung di bahagian pulau. Sementara itu Ketua Polis Trafik dan Ketenteraman Awam Pulau Pinang Supt Wan Aziz Wan Husin ketika dihubungi, berkata pihaknya menubuhkan pasukan khas untuk memantau keadaan lalu lintas di jambatan berkenaan. "Pasukan khas itu akan membuat rondaan secara berkala dan akan mengeluarkan notis saman kepada mereka yang membuat kesalahan trafik termasuk berhenti di atas jambatan itu," katanya. - Bernama

Datuk Abdul Rahim Hanafi
Polis P. Pinang Perangi Dadah Dan Ah Long
GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang akan memberikan tumpuan memerangi dua jenayah iaitu sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen, ah long dan aktiviti pengedaran dadah. Ketua polis negeri itu, Datuk Rahim Hanafi berkata, bagi memerangi jenayah berkenaan, dua ketua bagi dua jabatan berasingan iaitu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) akan memulakan tugas mereka. Mereka yang dimaksudkan ialah Asisten Komisioner Azmi Adam iaitu ketua JSJK dan Ketua JSJN, Supritendan Guan Beng Kang. "Kedua-dua pegawai ini sangat komited terhadap tugas dan saya percaya mereka dapat melakukan yang terbaik," katanya selepas majlis serah-terima tugas kedua-dua jawatan tersebut di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini pada Rabu. Sementara itu, Azmi memberitahu, JSJK akan memberikan tumpuan terhadap kes melibatkan ah long dan aktiviti penjualan DVD cetak rompak. "Dalam usaha mencapai visi dan misi PDRM, saya akan melakukan yang terbaik untuk memastikan segala tugas jabatan berjalan lancar. "Kami juga berazam untuk menyelesaikan banyak kes yang tertunggak," jelasnya. Sementara itu, Guan berkata, JSJN negeri itu akan menggandakan operasi terhadap pengedar dadah selepas ini. "Sehingga kini kami telah membuat 13,000 tangkapan dan merampas pelbagai jenis dadah dan usaha ini akan diteruskan bagi memerangi jenayah dadah," katanya.


IPK Pulau Pinang terima dua pegawai kanan baharu
Guan Beng Kang (kiri) dan Azmi Adam akan mengetuai JSJN dan JSJK Pulau Pinang. PULAU PINANG 5 Mac - Supritendan Pengajian Sains Kepolisan Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Azmi Adam dilantik sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri yang baharu berkuat kuasa hari ini. Azmi dilantik ke jawatan berkenaan menggantikan Senior Asisten Komisioner Roslee Chik yang dinaikkan pangkat menjadi Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman. Selain Azmi, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Supritendan Guan Beng Kang dilantik sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Pulau Pinang menggantikan Asisten Komisioner S. Batumalai yang bertukar ke Bahagian Narkotik Bukit Aman. - UTUSAN ONLINE


Hasrat dua pencuri sarang burung walit tidak kesampaian
JEMPOL 6 Mac - Hasrat dua penjenayah melarikan sarang burung walit tidak kesampaian apabila ditahan polis ketika memecah masuk premis sarang burung walit di Taman Perindustrian Mahsan, dekat sini kelmarin. Kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu disedari pemilik premis berkenaan berusia 59 tahun selepas mendapati sistem penggera kedainya berbunyi melalui telefon bimbit. "Sebaik tiba ditempat kejadian anggota mendapati dua orang suspek yang berusia 20-an berada di atas bumbung premis dua tingkat tersebut. "Suspek yang menyedari kehadiran pihak polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) mula panik dan segera mencampakkan sebungkus plastik yang mengandungi sarang burung walit ke bawah,'' kata Ketua Polis Daerah, Supritendan Hamzah Alias di sini hari ini.

Tiga geng 08 antara ditahan di kelab malam
KUALA LUMPUR 5 Mac - Tiga pengawal kelab malam, disyaki anggota geng kongsi gelap 08, antara yang ditahan dalam Op Noda dan Op Cantas Khas di sebuah pusat hiburan di Jalan Klang Lama, malam tadi. Turut diberkas orang dikehendaki warga tempatan berusia 44 tahun berhubung kes jenayah di bawah Seksyen 324 dan 326 Kanun Keseksaan kerana menyerang serta mendatangkan kecederaan menggunakan senjata. "Dalam serbuan pukul 11.30 malam oleh anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman itu, seramai 51 warga asing yang bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) ditahan terdiri daripada 43 rakyat Thailand, China (6) dan Vietnam (2)," kata Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Roslee Chik di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE.

Rogol: Hukuman penjara 25 tahun, 7 sebatan kekal
SHAH ALAM 5 Mac - Seorang bekas pembantu jualan hari ini gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi di sini untuk mengetepikan hukuman penjara 25 tahun dan sebatan tujuh kali yang dihadapinya setelah didapati bersalah merogol seorang gadis bawah umur dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard milik ibunya, tiga tahun lalu. Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan demikian setelah menolak rayuan Khairul Ivan Iqmal Khairul Azizan Saw, 25, sekali gus mengekalkan hukuman tersebut yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Ampang, dua tahun lalu. Beliau memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman tersebut bermula hari ini.-UTUSAN ONLINE.


Syabas belum terima arahan laksana catuan peringkat ketiga
KUALA LUMPUR - Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) belum menerima apa-apa arahan daripada kerajaan negeri untuk melaksanakan Pelan Catuan Bekalan Air peringkat ketiga, kata Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred. Priscilla berkata, setakat ini tiada sebarang perubahan akan dilakukan pada pelan catuan air peringkat kedua yang bermula Ahad lalu berikutan pengurangan pelepasan air mentah sebanyak 200 Juta Liter Sehari (JLH) di empangan Sungai Selangor. Semalam, Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Selangor, Elizabeth Wong megeluarkan kenyataan dalam sebuah portal online bahawa rakyat negeri Selangor perlu bersiap sedia menghadapi catuan fasa ketiga melibatkan lebih banyak pengguna termasuk kawasan Ampang dan Melawati jika paras air di Empangan Klang Gates tidak menunjukkan peningkatan. Elizabeth dipetik sebagai berkata, setakat semalam, paras air di empangan tersebut adalah 52.91 peratus dan jika mencecah 50 peratus, ia diisytihar kritikal dan catuan fasa ketiga terpaksa dilaksanakan. Sementara itu, mengulas tentang rungutan pengguna yang mendakwa menerima bekalan air berlumpur setiap kali bekalan air disambung semula, Priscilla berkata, ia disebabkan mendapan kotoran pada sistem paip Syabas setiap kali pintu air ditutup atau dibuka. - Bernama


Depot peluru Tentera Laut Indonesia meletup, 25 cedera
JAKARTA 5 Mac - Seorang pegawai Tentera Laut Indonesia maut, sementara 87 yang lain cedera apabila satu letupan dan kebakaran berlaku di sebuah gudang senjata pasukan keselamatan tersebut di Tanjung Priok, utara ibu negara ini hari ini. Jurucakap tentera, Iskandar Sitompul berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Iman, seorang pegawai penyelenggaraan tentera di gudang tersebut. Katanya, kejadian dipercayai berlaku ekoran litar pintas di dalam bangunan yang menyimpan senjata dan peluru berkenaan dan terletak di kawasan perairan Jakarta. “Letupan tersebut memusnahkan gudang dimiliki pasukan penggempur elit tentera laut dan menyebabkan peluru, kaca dan kepingan kayu mengenai mangsa. “Kebanyakan mangsa cedera akibat terkena serpihan kayu dan kaca. Mereka cedera di pipi, dada dan perut,’’ katanya. Beliau berkata, kakitangan tentera berjaya mengawal keadaan dengan segera bagi mengelak kejadian tidak diingini. Dalam pada itu, laman web Jakarta Post melaporkan, Ketua Turus tentera laut Indonesia, Laksamana Marsetio berkata, pihaknya akan menyiasat punca letupan itu. “Kami masih menyiasat kejadian tersebut," katanya di pada satu majlis di Merak, Banten, hari ini. Beliau berkata, terdapat satu padang menembak yang terletak berdekatan gudang tersebut. - AFP

Armstrong menang rayuan kes tuntutan bayaran bonus AS$12 juta
Armstrong menang rayuan kes tuntutan bayaran bonus AS$12 juta
AUSTIN, Texas: Mahkamah Rayuan Texas memutuskan sekatan sementara dikenakan terhadap panel timbang tara daripada mengkaji semula pemberian bonus sebanyak AS$12 juta yang dibayar kepada pelumba basikal, Lance Armstrong. Syarikat itu memohon menuntut semula duit mereka. Bagaimanapun, keputusan mahkamah itu menyekat usaha untuk memaksa pelumba terbabit untuk memberi keterangan baharu mengenai ujian dadahnya pada masa lalu. Syarikat itu, SCA Promotions memohon dibuka semula kes berkaitan pembayaran pada 2006 kepada Armstrong sejak pengakuannya pada 2013 mengenai penggunaan dadah perangsang prestasi ketika menjuarai perlumbaan Tour de France. Panel timbang tara berkenaan pada mulanya meluluskan tuntutan yang dipersetujui bagi mengkaji semula kes terbabit dan hakim Dallas pada minggu lalu menolak permohonan Armstrong untuk menghalang. - AP

Kronologi Kes Kalimah Allah
PUTRAJAYA, 5 Mac (Bernama) -- Berikut adalah kronologi kes 'Kalimah Allah' yang membawa kepada pendengaran permohonan Gereja Katolik untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan di Mahkamah Persekutuan bahawa penerbitan mingguannya 'The Herald' versi bahasa Melayu, dilarang menggunakan kalimah Allah.

16 Feb 2009: Gereja Roman Katolik diketuai Archbishop Murphy Pakiam memfailkan permohonan semakan kehakiman menamakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan sebagai responden, memohon diisytiharkan keputusan kementerian melarang penggunaan kalimah Allah dalam The Herald adalah tidak sah.
Majalah mingguan itu, diterbitkan dalam empat bahasa, dan telah menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada Tuhan dalam seksyen bahasa Melayunya.
Permohonan itu menuntut tujuh deklarasi lain termasuk hak berperlembagaan untuk menggunakan perkataan Allah dalam The Herald, bahawa Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan tidak memberi kuasa kepada responden untuk melarang pemohon daripada menggunakan perkataan Allah dalam The Herald dan bahawa pemohon mempunyai hak berperlembagaan untuk menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan mingguan itu.
Ia juga menuntut deklarasi bahawa Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 tidak memberi kuasa kepada responden untuk melarang pemohon daripada menggunakan perkataan Allah dalam The Herald dan bahawa perkataan Allah bukan eksklusif kepada agama Islam.

31 Dis 2009: Mahkamah Tinggi mengisytiharkan keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang The Herald daripada menggunakan kalimah Allah adalah salah di sisi undang-undang, batal dan tidak sah.
Hakim Datuk Lau Bee Lan, dalam keputusan lisannya, menegaskan bahawa The Herald mempunyai hak berperlembagaan untuk menggunakan perkataan itu dalam majalah berkenaan untuk menyebarluaskan agama Kristian dan bukannya agama Islam.
Beliau berkata lanjutan kepada Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan, adalah menjadi kesalahan bagi bukan Islam untuk menggunakan perkataan 'Allah' kepada umat Islam untuk menyebarluaskan agama itu.
Bagaimanapun ia bukanlah satu kesalahan untuk bukan Islam menggunakan perkataan itu kepada bukan Islam bagi tujuan agama, katanya.

6 Jan 2010: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penangguhan perintah yang dikeluarkan sebelum ini bagi membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh majalah mingguan Katolik, The Herald, berikutan persetujuan KDN dan Ketua Paderi Roman Katolik Malaysia bagi kepentingan negara.
Hakim Datuk Lau Bee Lan yang mengeluarkan perintah sebelum ini pada 31 Dis 2009 membuat keputusan itu setelah dipohon Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

14 Okt 2012: Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali sebulat suara membenarkan rayuan kerajaan untuk melarang The Herald daripada menggunakan kalimah Allah.
Mahkamah mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penerbitan itu menggunakan kalimah Allah.
Mahkamah itu berpendapat kalimah Allah tidak pernah menjadi bahagian penting daripada amalan kepercayaan agama Kristian dan dengan mengambil kira fakta sejarah dan agama, beliau tidak dapat menemui sebarang sebab munasabah kenapa responden (Titular Roman Catholic Archbishp of Kuala Lumpur) berkeras untuk menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan buletin mingguan mereka.

11 Nov 2013: Gereja memfailkan permohonan bagi kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan dengan mengemukakan 26 soalan mengenai undang-undang pentadbiran dan kuasa mahkamah untuk membenarkan Menteri Dalam Negeri melarang penggunaan perkataan teologi (Tuhan).

5 Mac 2014: Mahkamah Persekutuan akan menetapkan satu tarikh lain untuk membuat keputusan pendengaran permohonan Gereja Katolik bagi kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bahawa penerbitan mingguannya The Herald dilarang menggunakan kalimah Allah,BERNAMA

Wanita tertua dunia sambut hari lahir 116 tahun di Jepun
Wanita tertua dunia sambut hari lahir 116 tahun di Jepun
TOKYO: Wanita tertua di dunia meraikan hari lahirnya yang ke-116 hari ini di rumah orang tua dengan sebiji kek dan lilin. Kakitangan rumah orang tua berkata, Misao Okawa, seorang peniaga kimono di bandar Osaka, barat Jepun menerima kunjungan Datuk Bandar, Takehiro Ogura awal minggu ini menjelang hari lahirnya. Ditanya mengenai hari lahirnya tahun ini, katanya: "Ia masa yang agak panjang,". - AFP


Budak Agih RM8,730 Kepada Rakan
Riyadh – Seorang bapa memberi anak lelakinya SR10,000 (RM8,730) kerana berkelakuan baik di sekolah namun budak itu terus mengagihkannya kepada rakan sekelas di sebuah sekolah di Dammam pada keesokannya. Akhbar Sabq melaporkan murid kelas itu berebut mendapatkan wang itu sehingga seorang guru datang merampasnya. “Guru itu sangsi melihat kejadian lalu menghubungi bapa kanak-kanak terbabit yang mengakui memberi anaknya wang berkenaan pada malam sebelumnya. “Bapa murid itu meminta guru berkenaan menyimpan wang itu dan dia akan datang mengambilnya. “Dia sendiri terkejut kerana tidak menyangka anaknya membawa wang berkenaan ke sekolah,” kata laporan itu. – Agensi


Isteri Beli Iklan, Balas Dendam Pada Suami
Texas – Seorang isteri yang marah kerana suaminya mempunyai perempuan simpanan dan bakal mendapat cahayamata dengan perempuan itu telah membeli iklan untuk membalas dendam pada suaminya. Pada iklan di suratkhabar itu, wanita tersebut yang dikenali sebagai Timeshia Brown telah menulis sekeping nota yang ditujukan kepada suaminya, Patrick dan kekasihnya, Shara Cormier. “Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Shara Cormier dan Patrick Brown. Mereka bakal mendapat cahayamata. Didoakan semoga anda berdua mendapat cinta sejati dan berkekalan, Yang benar, isteri Patrick Timeshia Brown. Tidak diketahui bila iklan itu diterbitkan namun ia telah dikongsi dalam Facebook. Dalam pada itu, rakan sekerja dan saudara Cormier yang menetap di Sabine enggan mengulas mengenai iklan tersebut. Manakala dalam Facebook Cormier pula menunjukkan Patrick Brown turut berada sebagai senarai kenalannya dan mereka menetap di bandar yang sama. Namun Timeshia tidak dapat dikesan.


Berlian RM12 juta: Bekas pengawal peribadi dibebaskan
London – Pengawal peribadi bekas isteri Sultan Brunei, Fatimah Lim dibebaskan oleh mahkamah daripada tuduhan mencuri berlian bernilai £12 juta daripada majikannya, Mariam Aziz. Juri mengambil masa selama 15 jam ketika membuat keputusan bahawa Fatimah bebas daripada tiga tuduhan mencuri. Wanita itu, yang pernah mendapat pingat gangsa untuk sukan badminton pada kejohanan Sukan Komanwel itu didakwa menukar berlian berkenaan dengan replika yang diperbuat daripada kaca. Dia didakwa menjual berlian berwarna biru bernilai £7.6 juta, berlian kuning bernilai £600,000 serta didakwa mencuri gelang tangan berlian milik Mariam bernilai £3.3 juta. Barang kemas itu dijual kepada pembeli di Switzerland pada jumlah £5 juta iaitu jumlah sama yang didakwa sebagai hutang majikannya dengan sebuah kasino di London. Fatimah mendakwa dia menjual berlian itu bagi pihak majikannya, Mariam Aziz yang menyuruhnya berbuat demikian secara rahsia kerana beliau memerlukan wang itu bagi membayar hutang. Menurut Fatimah, Mariam mempunyai hutang yang sangat banyak dengan kasino-kasino terkenal di London dan menyuruhnya berbuat demikian supaya beliau dapat menyembunyikan ketagihan judi itu daripada keluarga diraja Brunei. Katanya, Mariam, 59, pernah membelanjakan sebanyak £500,000 semalam semata-mata untuk berjudi di dan pernah berjudi di London, Singapura serta Macau. Mariam ketika memberikan keterangan mengaku pernah menjual barang kemas bernilai £1 juta untuk membayar hutang judinya.


Kad Kahwin Syamsul, Syafiq Diedar 2 Minggu Lagi
PETALING JAYA – Persiapan majlis resepsi anak kepada pengarah filem Datuk Yusof Haslam iaitu Syamsul dan Syafiq yang akan dilakukan secara serentak pada 18 April depan berjalan lancar dan hampir selesai. Ibu kepada kedua-dua selebriti tersebut, Datin Patimah Ismail berkata, kad undangan akan mula diedarkan dalam tempoh dua minggu lagi. “Alhamdulillah semuanya persiapan berjalan dengan lancar, tinggal beberapa perkara sahaja termasuk kad undangan yang masih belum siap lagi. “Kad jemputan ditempah di Jakarta, Indonesia dan belum lagi sampai, Insya-Allah lagi dua minggu kita akan edarkan,” katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Selasa. Tambah Fatimah, majlis menyambut tetamu akan diadakan secara sederhana di Dewan Perdana Felda dengan bertemakan putih dan merah jambu dengan busana rekaan Alia Bustamam.


Dibelasah Penduduk Curi Tabung Masjid
DUNGUN – Tindakan seorang lelaki cuba mencuri wang tabung sebuah masjid, dekat sini membawa padah apabila dia bukan sahaja berjaya ditangkap penduduk kampung, malah turut dibelasah kerana bertindak agresif. Kejadian kira-kira jam 12.40 tengah malam itu disedari anggota Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang secara kebetulan melakukan rondaan di kawasan terbabit sebelum melihat kelibat suspek dalam keadaan mencurigakan berada di kawasan Masjid Kuala Abang. Suspek dikatakan cuba mencuri tabung dalam masjid itu menggunakan tali seperti pancing dan tindakannya disedari anggota KRT sebelum menyerbu ke arah suspek. Suspek yang terkejut dengan kehadiran anggota KRT itu cuba melarikan diri. Anggota KRT berkenaan terpaksa membelasah suspek yang bertindak agresif sebelum berjaya ditahan.


Kerajaan Kaji Guna Sumber Air Bawah Tanah
PEDU – Kerajaan akan mengkaji kemungkinan untuk menggunakan sumber air bawah tanah bagi mengatasi masalah bekalan air pada masa depan. Timbalan Menteri Tenaga Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata buat masa ini masih banyak perkara yang memerlukan penelitian dan kerajaan akan mendapatkan khidmat pakar bagi mendapatkan maklumat yang jelas. “Masih banyak perkara yang perlu dikaji antaranya kesesuaian kawasan, kaedah dan belanja yang diperlukan untuk melaksanakannya,” katanya selepas majlis penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) 3.0 di pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu, di sini. Semantara itu, beliau berkata, kerajaan persekutuan juga tidak mempunyai kuasa untuk mengawal kadar tarif air di Selangor berikutan perjanjian Langat 2, baru baru ini. Katanya, berdasarkan perjanjian itu tarif air di Selangor akan ditentukan oleh kerajaan negeri sendiri dan tidak timbul isu kerajaan pusat akan menaikkan tarif air seperti yang digembar gemburkan sesetengah pihak. – BH Online


Dera Anak Guna Seterika Panas
KUANTAN – “Perbuatan kamu langsung tidak berperikemanusiaan. Walaupun dia hanya anak angkat, amanah itu sepatutnya dijaga bukan didera. “Dalam usianya baru tujuh tahun, dia terpaksa berdepan tekanan emosi selain kecederaan fizikal yang serius akibat perbuatan kamu,” tegur Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah terhadap seorang peniaga, Abdul Muhamad Khalifah Ali, 39. Tertuduh yang beralamat di Taman Tas, dekat sini sebelum itu mengaku bersalah dalam Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas tuduhan mendera anak angkatnya menggunakan seterika panas, di sini, September tahun lalu. Mangsa yang dijaga tertuduh dan isterinya sejak kecil dilaporkan melecur di beberapa bahagian badan termasuk lengan, tapak kaki dan badan akibat ditekap seterika panas dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi di rumah mereka di Lorong Tas 24, Taman Tas dekat sini, 5 September tahun lalu.



VIDEO: Hujan Air Batu Di Semenyih
Cuaca panas kering sejak akhir-akhir ini membuatkan rakyat Malaysia begitu merindui cuaca mendung dan hujan. Tak hairanlah, hujan yang turun dari langit Semenyih, Selangor 2 Mac lalu membuatkan David dan adik beradiknya begitu gembira. Mereka mula keluar untuk mandi air hujan namun lama kelamaan keadaan dirasakan semakin sejuk. Seterusnya, kepala mereka mulai sakit apabila ditimpa sesuatu yang keras. Tidak lama kemudian, mereka menyedari ketulan yang menimpa kepala mereka adalah ais. Selain hujan ais, angin dikatakan bertiup tambah kencang hingga menjadi ribut yang menerbangkan bumbung rumah jiran mereka. Apa pun, hujan ais sebenarnya bukanlah perkara luar biasa di negara ini. Bagaimanapun, mungkinkah kejadian hujan ais yang berlaku di Semenyih, Ahad lalu ada kena mengena dengan operasi pembenihan awan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia bagi mengatasi masalah kemarau kebelakangan ini?


19 PATI Ditahan : Ops Nyah PATI Klang Selatan
SATU operasi Nyah Pendatang Tanpa Izin (PATI) telah diadakan malam tadi di kawasan Taman Sentosa Klang melibatkan 27 orang pegawai dan 163 orang anggota yang terdiri daripada kerjasama dengan beberapa pasukan. Polis berjaya memberkas 19 orang warga asing yang gagal melampirkan dokumen perjalanan yang sah hasil operasi berkenaan. Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 6(1)C Akta Imigresen 1959/63. Terdahulu, operasi itu melibatkan semua cawangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan serta bantuan kekuatan Ibu Pejabat (IPK) Polis Kontinjen Selangor dan juga pasukan Gerakan Am (PGA). Menurut laman Facebook Polis Selangor, operasi itu merupakan Operasi Cantas Bersepadu IPD Klang Selatan yang sememangnya sedang giat dijalankan setiap hari.

Foto
Indeks Jenayah Kuala Lumpur Turun 3.3 Peratus Tahun Lepas
KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) - Polis Kontinjen Kuala Lumpur merekodkan penurunan indeks kadar jenayah sebanyak 3.3 peratus tahun lepas iaitu sebanyak 23,755 kes berbanding tahun sebelumnya sebanyak 24,572 kes. Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mohmad Salleh berkata statistik yang membabitkan penurunan sebanyak 399 kes itu merupakan hasil daripada perancangan pencegahan jenayah yang tepat dan kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) serta penduduk setempat. "Saya berharap agar semua ketua polis daerah dan warga polis Kuala Lumpur akan terus meningkatkan usaha bagi memastikan kejayaan yang lebih baik pada masa akan datang khususnya tahun 2014. "Bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia tahun ini, pelbagai kempen, promosi dan aktiviti telah dan akan diadakan. Sebagai pegawai dan anggota polis yang amat penting adalah untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan para pelancong," katanya semasa perhimpunan bulanan kontinjen Kuala Lumpur di sini Rabu.

Serang polis: Empat warga asing ditahan
Polis Yang Diserang Tidak Langgar SOP
KUCHING – Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata tidak berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam kejadian dua anggota unit peronda polis diserang dengan senjata tajam, seorang maut, di Taman Sentosa, Klang pada Selasa. Beliau berkata dua anggota itu melakukan tindakan betul dengan berhenti untuk memeriksa lima individu yang kelihatan mencurigakan. “Kalau dilihat dari sudut SOP, tidak ada pelanggaran SOP berlaku. Dua anggota tersebut cuba menahan lima individu itu kerana kelihatan mencurigakan dan kemudiann membawa tiga wanita yang ditahan masuk ke dalam kereta untuk dibawa ke balai polis bagi pemeriksaan lanjut. “Pemeriksaan terhadap wanita tidak boleh dilakukan oleh anggota polis lelaki,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pengagihan Baucar BR1M 3.0 peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai dan DUN Demak Laut di sini Rabu. Mengulas lanjut, Wan Junaidi yang juga anggota Parlimen Santubong berkata sebagai bekas pegawai polis, beliau juga tidak melihat ada kelemahan SOP dalam kejadian itu kerana dua anggota itu diserang dalam keadaan tidak disangka. “Tindakan mereka berdua juga tepat, nampaknya individu yang cuba ditahan itu juga membawa parang dan pisau,” katanya.

Ultras Malaya
Ultras Malaya Enggan Berbincang Dengan FAM
KUMPULAN penyokong yang menggelarkan diri mereka Ultras Malaya enggan mengadakan sebarang perbincangan dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung kekacauan yang ditimbulkan mereka semasa perlawanan persahabatan antara Harimau Malaya dan Filipina di Stadium Selayang pada Sabtu lalu. Jurucakapnya yang enggan dikenali berkata ia sudah terlambat untuk membincangkan sebarang perkara antara kedua-dua pihak. “Dulu kami pernah guna saluran yang betul untuk menyampaikan ketidakpuasan hati kami terhadap FAM, tetapi ia tidak diendahkan. Jadi sekarang kita tunggu dan lihat sahaja,” katanya kepada Bernama. Beliau diminta mengulas mengenai hasrat FAM untuk mencari penyelesaian terbaik bagi meredakan ketegangan membabitkan kumpulan itu yang bertindak membakar suar dan mercun ketika perlawanan persahabatn tersebut sehingga menyebabkan permainan terpaksa dihentikan lapan minit. Jurucakap itu berkata pihaknya mahu menyampaikan mesej kepada FAM dan berharap ia berubah demi masa depan bola sepak tanah air. – BERNAMA


Dijel, Denda RM8,000 Bantu Wanita Melacur
GEORGETOWN – Pemandu teksi diperintah menjalani hukuman penjara sebulan dan didenda RM8,000 atas tuduhan membantu wanita Vietnam menjalankan kegiatan pelacuran di sebuah hotel bulan lalu. Selepas menjatuhkan hukuman itu, Hakim Mahkamah Sesyen, Khairul Anuar Abdul Halim juga mengarahkan Chee Wah Seng, 56, menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal menjelaskan denda itu. Mengikut pertuduhan, Wah Seng disabit mengikut Seksyen 372 (1)(f) Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun, sebatan dan denda. Sejurus pertuduhan dibacakan kali kedua, Wah Seng menukar pengakuan bersalah di hadapan Zulhazmi. Pada 25 Februari lalu, Wah Seng dibenarkan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Mac (semalam) untuk sebutan semula.

Lelaki Dihukum Korek Mata , Potong Telinga
Tehran – Seorang lelaki Iran dijatuhkan hukuman kedua-dua matanya dikorek manakala telinga kanan dan hidungnya dipotong selepas dia didapati bersalah mencurahkan asid ke muka seorang budak perempuan. Hukuman itu dijatuhkan selepas lelaki berkenaan disahkan melakukan perbuatan berkenaan secara sengaja dalam satu kejadian, pada Oktober lalu. Budak perempuan itu hilang penglihatan dan telinga kanannya tidak dapat mendengar selepas diserang dengan asid. Meskipun hukuman itu mendapat tentangan banyak pihak terutama badan asasi kemanusiaan, namun Majlis Kebangsaan Iran memutuskan bahawa hukuman itu merupakan sebahagian daripada sistem perundangan negara berkenaan. Mahkamah negara berkenaan juga sebelum ini telah mengarahkan tangan dan kaki seorang lelaki dipotong. Tahun lepas, antara 500 hingga 625 orang termasuk 28 wanita dan dua kanak-kanak telah dihukum di Iran.


Wanita Terkejut Suami Ditemui Mati Bersama Kekasih
KUALA LUMPUR – Seorang isteri terkejut mendapati suaminya dan seorang wanita lain mati dalam sebuah kereta di Taman Metropolitan, Batu Muda di sini, petang Selasa. Pegawai Operasi, Balai Bomba dan Penyelamat Gombak Selatan Sabri Sulaiman berkata pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung kejadian itu kira-kira 5.10 petang tadi. Ketika di tempat kejadian, lelaki itu yang berumur dalam lingkungan 60-an dan wanita berumur dalam lingkungan 50-an itu telah pun meninggal dunia. Tiada pengenalan diri ditemui pada mereka, katanya. – BERNAMA

Keputusan permohonan gereja ditangguhFoto
Kalimah Allah: Umat Islam Berkumpul Di Putrajaya
Kira-kira 100 orang umat Islam menunaikan solat hajat di hadapan Istana Kehakiman sementara menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai penggunaan kalimah Allah di sini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA – Ribuan umat Islam dari seluruh negara berkumpul di luar Istana Kehakiman di sini pada Rabu bagi memberi sokongan dalam mengekalkan hak penggunaan eksklusif kalimah Allah terhadap umat Islam sahaja. Antara kumpulan yang berkumpul terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Perkasa, Isma, Jalur Tiga, Persatuan Mukabuku dan Pertubuhan Islam Gabungan Amal (Petiga). Presiden Petiga cawangan Putrajaya Mohd Rosli Ani berkata, pihaknya berharap mendapat keputusan yang terbaik untuk umat Islam. “Sekarang kita boleh membezakan penggunaan kalimah Allah oleh orang Islam dan Kristian tetapi pada masa akan datang, kita tidak boleh yakin bahawa generasi muda akan faham dengan perbezaan ini,” katanya. Peguam yang mewakili Mingguan Herald pula berharap mendapatkan kebenaran merayu di Mahkamah Rayuan yang mengharamkan pihaknya menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mereka. - mStar Online


Kalimah Allah: Mahkamah Persekutuan Tangguh Keputusan Permohonan Kebenaran Merayu
PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menangguhkan keputusan berhubung permohonan Gereja Katolik bagi kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang melarang penerbitan mingguannya, ‘The Herald’ daripada menggunakan kalimah Allah. Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, yang mempengerusikan panel tujuh hakim, berkata mahkamah menangguhkan keputusannya sehingga satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian. Terdahulu, panel itu mendengar penghujahan daripada peguam yang mewakili gereja itu, enam majlis agama Islam negeri dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) di samping penghujahan daripada peguam kanan persekutuan mewakili Menteri Dalam Negeri. Enam negeri itu ialah Terengganu, Kedah, Johor, Melaka, Wilayah Persekutan dan Selangor.

Foto
Peniaga ikan dipenjara 14 tahun kerana melakukan rompakan bersenjata
Kuching: Seorang peniaga ikan dijatuhkan hukuman penjara 14 tahun dan 13 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuching sebentar tadi atas kesalahan melakukan rompakan bersenjata terhadap Mufti Perlis, Datuk Dr Juanda Jaya di Jalan Sultan Tengah, Petra Jaya 16 Ogos lalu. Tertuduh Shariman Alwi, 31 dijatuhkan hukuman mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan oleh Hakim Nixon Kennedy Kumbong. Terdahulu pada 9 Oktober 2012, tertuduh dijatuhkan hukuman tujuh tahun dan lima sebatan kerana meragut.

al-Quran
Suspek sepah al-Quran diberkas
Kuala Terengganu: Polis menahan seorang lelaki berusia 27 tahun di Besut, jam 5 petang semalam, dipercayai mempunyai kaitan dengan kes al-Quran yang dicampak di dalam masjid dan lubang tandas di Masjid Limbongan dan Masjid Nasaruddin Shah, Kampung Raja. Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata, dengan penahanan suspek, pihaknya percaya dapat menyelesaikan kes itu.

Foto
Nokia X masuk Malaysia
Kuala Lumpur: Nokia Malaysia kini memperkenalkan siri terbaru telefon pintar, Nokia X ke pasaran Malaysia mulai minggu depan yang boleh didapati pada harga RM399. Telefon pintar mampu milik itu didatangkan dalam empat warna iaitu hijau cerah, merah, putih klasik dan hitam. Telefon pintar berkenaan mempunyai kamera 3 mega pixel, memori dalaman (eMMC) 4GB, RAM 512MB, Sim Dual dan pelindung belakang telefon boleh tukar yang akan berada di pasaran tidak lama lagi. Dua lagi model di bawah siri sama iaitu Nokia Xplus dan Nokia XL dijangka akan berada di pasaran pada suku kedua tahun ini. Dengan menggunakan sistem Android, pengguna mampu mengakses pelbagai aplikasi Nokia dan pengalaman mereka di luar talian.


10 pelajar maut akibat denggi
Putrajaya: Kementerian Pendidikan mengesahkan seramai 10 pelajar masing-masing empat dari sekolah rendah dan enam dari sekolah menengah meninggal dunia akibat wabak demam denggi bagi tempoh antara Januari hinggga 2 Mac lalu. Timbalan Pendidikan II P Kalamanathan berkata, bagi tempoh sama sebanyak 3,571 kes demam denggi membabitkan pelajar dan murid di seluruh negara iaitu 19.6 peratus daripada keseluruhan 18,165 kes dilaporkan setakat ini. Beliau berkata, empat kematian membabitkan murid sekolah rendah masing-masing dilaporkan di Melaka, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan dua kematian di Sabah. "Manakala, bagi sekolah menengah pula, seramai enam kematian pelajar dilaporkan masing-masing di Johor; Kedah; Perak; Selangor dan dua kes di Sabah. "Kami sudah memantau sekolah terbabit dan sudah melakukan semburan (fogging). Kerjasama juga dilakukan dengan Kementerian Kesihatan untuk melakukan pemantauan menyeluruh," katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Dengue Patrol di sini sebentar tadi.

Sebutan kes khalwat 19 Mac ini
Sebutan kes khalwat 19 Mac ini
KANGAR - Mahkamah Syariah di sini menetapkan 19 Mac depan sebagai tarikh sebutan kes seorang pemimpin politik wanita yang dituduh berkhalwat bersama pasangannya selepas mereka ditahan anggota Bahagian Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) di sebuah hotel, awal pagi kelmarin. Menurut sumber Bahagian Penguatkuasa JAIPs ketika dihubungi, kedua tertuduh telah dibenarkan diikat jamin dengan seorang penjamin sebanyak RM2,500 setiap seorang. Katanya pasangan itu kini dibebaskan setelah membayar wang jaminan tersebut sementara menunggu kes berkenaan disebut di mahkamah. Jelas beliau, keduanya akan didakwa mengikut Seksyen 9, Enakmen Jenayah Dalam Syarak 1991 Negeri Perlis yang membawa kepada denda sehingga RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan. Dalam laporan akhbar semalam, wanita yang berusia 34 tahun yang difahamkan seorang janda tiada anak itu telah ditahan dalam sebuah bilik bersama pasangannya berusia 47 tahun berasal dari Terengganu, jam 1.30 pagi kelmarin.

Beg pakaian misteri disahkan kosong
Beg pakaian misteri disahkan kosong
GEORGETOWN - Misteri sebuah beg baju yang ditinggalkan di sebuah taman permainan di Medan Maktab, Pulau Tikus terjawab apabila polis mengesahkannya sebagai beg kosong. Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Ismail Idris berkata, kira-kira jam 9.10 malam semalam, polis menerima panggilan telefon dari pembantu pejabat Ahli Parlimen Bukit Bendera mendakwa ternampak sebuah beg pakaian berwarna kuning dalam keadaan mencurigakan ditinggalkan di padang permainan berdekatan pejabatnya. “Pada malam semalam, seorang wanita yang juga pembantu Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari mendakwa ada sebuah beg pakaian ditinggalkan di situ. “Menurut wanita itu, beg berkenaan ditinggalkan hanya 30 meter dari pusat komuniti ahli parlimen itu. Dia yang mengesyaki beg berkenaan mengandungi bahan berbahaya kerana ditinggalkan begitu lama dari jam 4 petang semalam terus menghubungi balai polis berdekatan,” katanya kepada Sinar Harian.

Geng samun lori tumpas
Geng samun lori tumpas
JOHOR BAHRU – Tidak sampai setengah jam melakukan jenayah, polis berjaya menumpaskan satu sindiket samun yang melarikan lori bermuatan jongkong tembaga bernilai RM400,000 di Jalan Litar, Pasir Gudang, di sini, minggu lalu. Dalam kejadian pada 24 Februari lalu, sekumpulan lelaki melarikan lori berkenaan yang membawa muatan 12 tan jongkong tembaga. Ketua Polis Johor, Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, bertindak atas aduan diterima, pada jam 2.42 petang, polis melancarkan gerakan mengesan kumpulan terbabit. "Tindakan pantas polis, dalam masa setengah jam lori berkenaan berjaya dikesan bersama muatannya di Ladang Sawit, Mount Austin. Bertindak atas maklumat, pihak polis telah menjalankan beberapa siri serbuan di sekitar kawasan Seri Alam dan Johor Bahru.

Pendaki Everest perlu kutip sampah
Pendaki Everest perlu kutip sampah
KATHMANDU - NEPAL. Pendaki Gunung Everest kini diwajibkan membawa turun sekurang-kurangnya 8 kilogram sampah sebagai usaha kerajaan Nepal untuk membersihkan kawasan puncak tertinggi dunia itu. Menurut jurucakap Kementerian Pelancongan, Madhusudan Burlakotti, ia merupakan salah satu daripada peraturan terbaharu dikenakan terhadap pendaki di kawasan pergunungan Himalaya itu dan akan berkuat kuasa bermula bulan hadapan. Difahamkan, tindakan undang-undang sama ada denda atau penalti akan dikenakan terhadap pendaki yang gagal mematuhi peraturan tersebut dalam laporan AFP.

'Saya bangga dengan abang saya'
'Saya bangga dengan abang saya'
SAYONG - "Saya bangga kerana abang saya meninggal dunia sewaktu sedang melakukan tugas namun saya sedih dengan cara pemergiannya," demikian luahan adik kepada Koperal Raja Aizam Raja Mohid, 55, yang maut diserang warga Indonesia ketika sedang melakukan pemeriksaan di Taman Sentosa, Klang. Raja Azizul Azan Raja Mohid, 53, berkata, dia mempunyai hubungan yang baik dengan arwah abangnya itu meskipun mereka jarang berjumpa. Menurutnya, kali terakhir dia berjumpa dengan abangnya itu adalah pada dua tahun lepas ketika dia pulang ke rumah ibu mereka, Sapiyah Endut, 79, di Kampung Sayong Lembah, di sini. "Kali terakhir saya berhubung dengan arwah adalah pada Selasa minggu lepas. Masa itu kami berbual seperti biasa, berbual tentang keluarga kami. "Kemudian dia kata dia ada kerja, jadi dia menghentikan perbualan dan akan hubungi saya semula pada sebelah malam. Tapi saya pun lupa dan dia pun tiada hubungi saya lagi.

Perang jalan terakhir: Putin
Perang jalan terakhir: Putin
MOSCOW - 'Ukraine dicemari dengan insiden rampasan kuasa bersenjata yang menentang Perlembagaan'. Menurut laporan Agensi, kenyataan pertama sejak krisis Crimea bermula itu dikeluarkan Presiden Rusia Vladimir Putin selepas beliau mengarahkan 150,000 askar yang menjalani latihan ketenteraan berhampiran sempadan Ukraine sejak 26 Februari lalu supaya kembali semula ke pangkalan masing-masing. Tindakan tersebut turut mencetuskan persoalan banyak pihak sama ada Moscow mula akur dengan gesaan Barat supaya tidak meningkatkan lagi ketegangan di Ukraine. Selain itu, Putin turut mengulangi pendirian bahawa Rusia masih mengiktiraf Viktor Yanukovych sebagai Presiden Ukraine yang sah. Menurutnya, Yanukovcyh telah memenuhi semua syarat yang terkandung di dalam perjanjian bersama pembangkang pada 21 Februari lalu, namun beliau menjadi mangsa permainan politik kotor di Kiev.


Muka Taikun Terkena Dakwat Hitam
NEW DELHI – Muka Pengerusi Kumpulan Sahara, Subrata Roy terkena dakwat hitam yang dicurahkan seorang peguam, Manoj Sharma semasa dia tiba di Mahkamah Tinggi di sini semalam. Sebuah stesen televisyen di India menyiarkan gambar muka Roy yang dipenuhi dakwat hitam itu. Beberapa anggota polis kemudian bergegas membawa masuk Roy ke dalam mahkamah selepas kejadian itu berlaku. “Saya membaling dakwat itu kerana dia seorang pencuri. Dia merompak wang daripada penduduk miskin,” kata Sharma. Sharma kemudian dipukul oleh beberapa penyokong Roy sebelum dia ditangkap polis. Roy menghadiri pendengaran kesnya berhubung kes penipuan pelaburan yang menyebabkan dia berhutang lebih AS$3.5 bilion (RM11.47 bilion) kepada para pelaburnya. – Agensi

Mayat hanya berseluar dalam
Kuantan: Mayat seorang lelaki yang hanya berseluar dalam, ditemui dalam sebuah bilik rumah teres dua tingkat di Lorong Sri Kuantan, dekat sini, tengah malam kelmarin, dipercayai dibunuh. Mayat Thang Suam Kim, 20, yang bekerja sebagai pelayan sebuah restoran di bandar ini, ditemui rakan serumahnya kira-kira jam 12 tengah malam. Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusof berkata, mayat ditemui dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di tingkat atas berdekatan dengan tangga. Menurutnya, seorang saksi mendakwa terdengar pergaduhan sebelum menemui mangsa terbaring berlumuran darah. Katanya, ketika ditemui, mangsa hanya memakai seluar dalam dan terdapat gelas yang pecah, baju kemeja dan sehelai kain di sisi mayat.


Cuaca, tiupan angin burukkan api belukar
Rompin: Tiupan angin, cuaca panas serta kering menjadi punca utama kebakaran belukar di kawasan pedalaman Kampung Orang Asli Kerpal, di sini, yang semakin merebak sekali ganda kepada 80 hektar sejak petang semalam. Harian Metro difahamkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang dari Balai Bomba Rompin dengan bantuan pekerja ladang kelapa sawit berhampiran bertungkus-lumus ‘melawan’ api daripada merebak ke kawasan lebih luas dengan menggali tanah sebagai usaha mengawal kebakaran. Pegawai Bomba Kanan I Md Yunus Isnin berkata, kebakaran bermula Ahad lalu itu pada mulanya tidak membimbangkan, namun semakin merebak berikutan angin kuat dan cuaca panas berpanjangan ditambah pula keadaan kawasan hutan belukar berkenaan adalah jenis tanah gambut.


417 kes kebakaran direkodkan
Kuala Lumpur: Dalam tempoh 24 jam hingga jam 8 pagi semalam, sebanyak 417 kes kebakaran terbuka, belukar, hutan dan gambut direkodkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan Johor mencatatkan angka tertinggi iaitu 85 kes. Ia termasuk kebakaran hutan yang membabitkan keluasan lebih 1,200 hektar di Terengganu, Selangor, Pahang dan Perak. Ketua Pengarahnya Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata, pihaknya ketika ini melalui keadaan agak kritikal dengan purata lima hingga enam panggilan membabitkan kebakaran diterima setiap hari di setiap balai bomba. Susulan itu, beliau meminta kerjasama penuh daripada orang ramai supaya menghentikan sebarang aktiviti pembakaran khususnya yang dilakukan secara terbuka bagi mengelak cuaca sedia ada bertambah teruk.

Foto
Terkejut al-Quran di lantai
Jertih: “Saya tergamam sebaik tiba di masjid untuk solat Subuh pagi tadi (semalam) apabila melihat ada anggota polis dan menyangka ada sesuatu yang buruk berlaku,” kata Imam Masjid Kampung Limbongan Deraman Che Mat, 60. Bagaimanapun, katanya selepas masuk ke dalam masjid dia tersentak melihat ratusan al-Quran bertaburan di lantai, tangga dan paling menyedihkan ada yang dibuang dalam mangkuk tandas. Menurutnya, beliau yang tiba di masjid itu kira-kira jam 5.30 pagi, tidak menyangka ada manusia sanggup melakukan perbuatan terkutuk melemparkan al-Quran di merata tempat termasuk dalam tandas. “Selain al-Quran bertaburan, dua kipas dan cermin pintu masuk ruang solat utama juga pecah. Paling menakutkan terdapat kesan tompokan darah di hamparan,” katanya ketika ditemui di Masjid Kampung Limbongan, dekat sini, semalam.

Foto
Seorang lelaki sedang khayal bertindak membakar lima kereta
Ipoh: Seorang lelaki yang khayal akibat menghidu gam bertindak membakar lima kereta hingga rentung dalam kejadian di sebuah bengkel kenderaan di Buntong, di sini, awal pagi semalam. Dalam kejadian jam 1 pagi itu, suspek yang berusia 35 tahun membakar semua kenderaan itu menggunakan kertas dan pemetik api. Perbuatan khianat itu menyebabkan pemilik bengkel baik pulih kenderaan terbabit terpaksa menanggung kos ganti rugi lebih RM130,000 berikutan semua kenderaan milik pelanggannya musnah. Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, pihak polis mendapat maklumat kejadian itu daripada orang awam yang menyaksikan kebakaran berkenaan.

Foto FotoFoto
Darah balas darah
Klang: “Syukur nyawa saya masih panjang apabila pistol tidak meletup ketika penjenayah itu melepaskan tembakan yang disasar tepat ke kepala saya,” kata Koperal Aidil Mustafa, 29. Dia seorang daripada dua anggota polis yang diserang sekumpulan lima warga Indonesia di Taman Sentosa, dekat sini awal pagi semalam, menyebabkan rakannya Koperal Raja Aizam Raja Mohid, 53, meninggal dunia akibat ditetak di kepala. Kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu turut mengakibatkan dua daripada penjenayah terbabit mati selepas ditembak Aidil yang berjaya merampas semula senjata, namun dia turut cedera di muka akibat ditikam dengan pisau. “Lelaki yang merampas pistol (milik Raja Aizam) itu memetik picu sambil pistol dihalakan tepat ke kepala. Saya terdengar bunyi tap! tap! Apabila pistol tidak meletup, saya rampas semula senjata itu dan menendangnya hingga terjatuh.

Jualan PlayStation 4 cecah lebih enam juta unit
Jualan PlayStation 4 cecah lebih enam juta unit
SAN FRANCISCO: Sony hari ini mengumumkan bahawa jualan konsol PlayStation 4 sudah mencecah lebih enam juta sejak sistem permainan video itu diperkenalkan pada November lalu. Gergasi produk teknologi dan hiburan Jepun itu berkata, angka jualan di seluruh dunia termasuk 370,000 konsol PS4 yang habis dijual di Negara Matahari Terbit itu sejak dilancarkan pada 22 Februari. "Saya amat gembira bahawa PS4 membuat permulaan yang baik di Jepun," kata Ketua Eksekutif Sony Computer Entertainment, Andrew House dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini. - AFP


9 juta wanita di EU jadi mangsa rogol - Kajian
VIENNA: Kajian membabitkan 42,000 wanita dalam Kesatuan Eropah (EU) mendapati kira-kira seorang daripada 10 orang pernah menjadi mangsa keganasan seksual dan separuh daripada mereka dilaporkan pernah diperkosa. Perangkaan itu dianggap terbesar seumpamanya diumumkan hari ini oleh Agensi untuk Hak Asas EU dalam usaha untuk mengurangkan kes keganasan seksual dan mencabul kehormatan yang dialami 186.6 juta wanita di 28 negara kesatuan berkenaan. Kajian berkenaan turut menyatakan bahawa lebih 100 juta wanita menjadi mangsa gangguan seksual yang dijelaskan menerusi 11 kategori termasuk berkaitan kelakuan tidak senonoh dan undangan tidak sesuai untuk keluar. Sementara itu, hanya seorang daripada tujuh wanita melaporkan kejadian paling serius berkaitan keganasan teman lelaki mereka kepada polis. - AP


Lokasi anggota polis diserang digempur malam tadi
KLANG: Lokasi kejadian dua polis peronda diserang, digempur malam semalam, dalam satu Ops Cantas Bersepadu Khas bagi mengesan pendatang tanpa izin yang tiada dokumen yang sah. Dalam operasi yang diketuai oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintendan Goh Lee Fook, seramai 38 warga asing berjaya ditahan, masing-masing 24 warga Indonesia; tujuh warga Myanmar; enam warga Nepal dan seorang Thailand. Sebanyak tujuh sekatan jalan raya dilakukan di Taman Sentosa, bermula jam 10 malam dan berakhir kira-kira jam 12 tengah malam. Lee Fook berkata, Ops Cantas Bersepadu Khas itu akan diteruskan malam ini. Semalam, seorang anggota peronda, Koperal Raja Aizam Raja Mohid, 55, meninggal dunia ketika dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) kerana mengalami kecederaan parah di bahagian kepala selepas diserang dua lelaki dipercayai warga Indonesia ketika membuat pemeriksaan terhadap suspek dan tiga wanita lagi. Rakan setugasnya, Koperal Mohd Aidil Mustaffa, 29, cedera parah dalam kejadian itu dan masih dirawat di hospital sama.

Eksklusif: 50 stesen subahat seludup diesel
50 stesen subahat seludup diesel
Pihak berkuasa SPRM dan KPDNKK memeriksa pam yang digunakan menyedut dan memindahkan minyak di pusat penyimpanan di Jalan Bangi menghala Semenyih.
Sindiket kaut untung RM1.2 juta dalam tempoh empat bulan. Kuala Lumpur: Lebih 50 stesen minyak di Lembah Klang, dipercayai bersekongkol dengan sindiket seludup diesel dan mengaut keuntungan RM1.2 juta dalam tempoh empat bulan operasi. Kegiatan yang meraih keuntungan RM300,000 sebulan itu terbongkar hasil serbuan pihak berkuasa di satu pusat penyimpanan di Jalan Bangi menghala Semenyih, di sini, semalam. Kegiatan sindiket terbabit dikesan penduduk sekitar Kajang, Semenyih dan Bangi selepas mendapati kebanyakan stesen minyak sentiasa kehabisan diesel.

Status halal 1.3 juta ayam sembelihan diragui
Status halal 1.3 juta ayam sembelihan diragui
Susulan pembongkaran BH: 4 agensi Pusat, negeri ambil tindakan serta-merta tangani isu syubhah. Kuala Lumpur: Kira-kira 80 peratus atau 1.3 juta ekor ayam yang disembelih setiap hari di hampir 2,000 pusat penyembelihan ayam di seluruh negara diragui status halalnya. Ini diakui sendiri Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerana kebanyakan premis itu tidak berlesen atau dipantau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).Hanya 300,000 ekor ayam sehari (20 peratus) yang disembelih di 23 loji penyembelihan berskala besar yang dipantau Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dijamin halal serta mendapat akreditasi Veterinary Health Mark (VHM) dan Good Veterinary Hygiene Practices (GVHP).

Guna tag pengenalan diri mulai Mei
Perunding hartanah akan menggunakan tag pengenalan diri mulai Mei ini untuk menangani aktiviti ejen hartanah tidak sah. Pengarah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Datuk Abdul Hamid Abu Bakar berkata sistem pengenalan baharu itu bukan sahaja akan meningkatkan standard industri, malah meningkatkan keyakinan masyarakat. "Terdapat kod QR pada tag tersebut. Sesiapa sahaja boleh mengimbas kod itu dan memeriksa sama ada perunding hartanah itu berdaftar atau tidak," katanya pada majlis taklimat media di sini hari ini. "Kami boleh mengambil tindakan berdasarkan aduan terhadap perunding hartanah yang berdaftar. Tetapi bagi perunding hartanah yang tidak sah, kami tidak boleh berbuat apa-apa, dan menyerahkan kes itu untuk disiasat oleh polis," katanya sambil menambah semua perunding hartanah mesti bekerja sepenuh masa. Setakat ini ada 1,779 ejen hartanah dan lebih daripada 16,243 perunding berdaftar dengan BOVEA.

Polis selesai 50 peratus kes di Selangor
KUALA LUMPUR 4 Mac - Polis Kontinjen Selangor merekodkan 50 peratus kadar penyelesaian kes daripada 40,000 kes yang diterima kontinjen itu tahun lepas. Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, pencapaian itu menunjukkan komitmen polis kontinjen Selangor mencegah jenayah sekali gus optimis untuk meningkatkan kadar penyelesaian kes tahunan. "Selangor merupakan negeri yang merekodkan laporan kes jenayah tertinggi berbanding negeri-negeri lain, jadi dengan kejayaan ini ia menunjukkan tanda-tanda positif daripada usaha berterusan yang dijalankan. "Sejak awal Januari sehingga hari ini, sebanyak 7,000 kes telah diterima. Bagaimanapun bagi dua bulan pertama untuk tahun ini, indeks jenayah diturunkan sehingga empat peratus dan matlamat kita bagi pengurangan indeks jenayah tahunan dapat dicapai melebihi sasaran ditetapkan iaitu lima peratus," katanya dalam sidang media selepas menghadiri majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Gombak dekat sini hari ini. Beliau berkata, Ibu Pejabat Polis Dearah Gombak merekodkan penurunan indeks jenayah 26.6 peratus bagi tempoh Januari hingga Februari lepas berbanding tempoh sama tahun lepas. - BERNAMA

Lagi bayi maut di rumah pengasuh
PUTRAJAYA 4 Mac - Hari kedua menghantar bayi ke rumah pengasuh di Presint 18 di sini menjadi episod ngeri buat sepasang suami isteri apabila anak mereka yang berusia tiga bulan meninggal dunia dipercayai tersedak susu. Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 1.20 petang itu, bayi malang tersebut, Muhammad Niyyaz Firash Mohamad Zaidi dihantar ke rumah pengasuh oleh ibunya dalam keadaan sihat. Bapa bayi tersebut, Mohamad Zaidi Masri berkata, hari ini kali kedua anak tunggalnya itu dihantar ke rumah pengasuh berkenaan dan tidak menyangka perkara buruk akan menimpa keluarganya. Mohamad Zaidi memberitahu, isterinya menerima panggilan telefon daripada pengasuh yang memaklumkan muka Muhammad Niyyaz Firash kelihatan pucat dan mengalami sesak nafas.

Johor catat pelaburan RM14.4 bilion, destinasi popular pelaburan di Malaysia
KUCHING 4 Mac - Johor merupakan destinasi pilihan utama pelabur di negara ini apabila mencatatkan nilai pelaburan berjumlah RM14.4 bilion dalam sektor pembuatan mengatasi Selangor, Sarawak dan Pulau Pinang pada tahun lalu. Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, Selangor berada di tangga kedua dengan hasil pelaburan sebanyak RM9.8 bilion, diikuti Sarawak (RM8.27 bilion) dan Pulau Pinang (RM3.9 bilion). Katanya, daripada keempat-empat negeri itu, Sarawak mencatat hasil pelaburan hampir mencecah dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM4.72 bilion. Menurutnya, jumlah itu menunjukkan pengusaha dan penggiat aktiviti perniagaan pelbagai peringkat di Sarawak mempunyai keyakinan dalam menarik pelabur asing dan domestik terhadap prestasi ekonomi negeri itu.

Foto
Pasangan bunuh diri di pusat riadah
Sentul: Sepasang lelaki dan perempuan dipercayai membunuh diri di dalam sebuah kenderaan jenis Mercedes Benz di pusat riadah Taman Metropolitan, Batu Muda, petang tadi. Kedua mangsa ditemui tidak sedarkan diri di dalam kenderaan oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian sebelum melaporkan kepada pihak polis. Ketua Polis Daerah Sentul Asisten komisioner Zakaria Pagan berkata, hasil siasatan awal pihaknya percaya pasangan terbabit membunuh diri berdasarkan kepada bau gas di dalam kenderaan berkenaan. Katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut dan setakat ini kes diklasifiksikan sebagai mati mengejut.


Rejim Zionis mahu sekat laungan azan
Ramallah: Rejim Israel merancang memperlahankan sistem siar raya di semua masjid di Baitulmaqdis Timur bagi mengurangkan tahap azan dikumandangkan. Sistem siar raya di Masjid al-Aqsa juga tidak terkecuali jika arahan itu dilaksanakan nanti. Bagaimanapun pentadbiran masjid di kawasan terbabit mengecam cadangan Israel dan memberi amaran ia tidak dapat diterima sama sekali. Timbalan Mufti Palestin, Sheikh Ebrahim Awad berkata, Israel tidak berhak campur tangan dalam hal ehwal masjid dan kezaliman terkini dalam masyarakat Muslim di Baitulmaqdis. “Azan adalah unsur utama dalam ibadah umat Islam dan tiada mana-mana pihak boleh memperlekehnya. “Cadangan Israel itu mesti dikutuk sekeras-kerasnya,” atanya. Sheikh Ebrahim berkata, azan hanya dikumandangkan selama beberapa minit dan tidak mengganggu sesiapa pun. “Israel bukan menyasarkan azan, tetapi pihak berkuasa Masjid al-Aqsa,” katanya. - Agensi

Egyptian Minister of Defense Abdel-Fattah al-Sissi
Al-Sisi akur desakan jadi presiden
Kaherah: Panglima tentera Mesir Abdel Fattah al-Sisi semalam berkata dia tidak dapat mengetepikan desakan supaya bertanding jawatan presiden dan akan bertindak sewajarnya dalam masa terdekat. Media tempatan melaporkan semalam, al-Sisi bakal meletakkan jawatan menteri pertahanan selepas undang-undang diluluskan bagi mengawal selia proses pilihan raya yang bakal diadakan pada musim bunga ini. “Al-Sisi dilaporkan berkata dia tidak boleh mengetepikan desakan majoriti yang mahukan supaya dia bertanding dalam pilihan raya presiden akan datang,” lapor agensi berita MENA, semalam. Al-Sisi menjadi tokoh politik paling popular Mesir selepas menggulingkan Presiden Mohamed Mursi, Julai tahun lalu. Januari lalu, ribuan penyokongnya berhimpun menggesa supaya dia bertanding malah pihak tentera juga berkata akan menyokong penuh jika dia berbuat demikian. Presiden sementara Adly Mansour dijangka meluluskan undang-undang pilihan raya itu, paling lewat minggu depan. - AFP

Bill Gates paling kaya
Washington: Bill Gates kembali ke kedudukan teratas senarai tahunan orang paling kaya di dunia yang dikeluarkan majalah Forbes, semalam. Berdasarkan pengumuman yang dibuat majalah berkenaan, dengan nilai bersih hartanya yang berjumlah AS$76 bilion (RM 249.5 bilion), pengasas Microsoft itu kembali menduduki tangga teratas senarai selepas empat tahun berada di belakang jutawan komunikasi Mexico, Carlos Slim Helu. Amanico Ortega dari Sepanyol yang menjadi pengasas konglomerat pakaian, termasuk rangkaian fesyen jenama Zara, berada di kedudukan ketiga dengan kekayaan berjumlah AS$ 64 bilion (RM 210.1 bilion). Ikon pelaburan Warren Buffet yang menguruskan Berkshire Hathaway Inc dan sering menjadi rakan kongsi Gates, berada di tempat keempat dengan harta AS$ 58.2 bilion (RM 191.1 bilion) manakala pengarah Oracle Corp di tempat kelima dengan AS$ 48 bilion (RM157 bilion).

Foto
Renjer Thailand mengaku bunuh 3 budak ketika mangsa pulang dari masjid
Narathiwat: Dua renjer tentera Thailand mengaku menembak mati tiga beradik berusia tiga, lima dan sembilan tahun ketika mangsa dalam perjalanan pulang dari masjid, kata polis semalam. Maming Mama, 21, dan Sagrueara Jaehsea, 25, mengaku melakukan pembunuhan di daerah Bacho pada awal Februari lalu itu. Renjer terbabit turut menembak ibu mangsa yang hamil tetapi berjaya diselamatkan. Ketua Polis Narathiwat, Pattanawuth Angkanawin berkata, renjer terbabit melakukan serangan itu selepas bapa mangsa didakwa menembak mati abang dan kakak ipar Maming di daerah sama pada Ogos tahun lalu. “Bapa mangsa ditangkap tetapi dibebaskan kerana bukti tidak mencukupi untuk mendakwanya.

Bieber cuba pikat semula Selena Gomez
Los Angeles: Justin Bieber menggelar bekas kekasihnya Selena Gomez ‘puteri paling anggun di dunia.’ Bintang berusia 20 tahun itu memuat naik gambar Selena di laman Instagram miliknya menunjukkan bekas teman wanitanya itu memakai gaun Emilio Pucci ketika menghadiri majlis Vanity Fair selepas anugerah Oscar. Tindakannya itu menimbulkan spekulasi dia mungkin cuba memikat semula Selena untuk kali ketiga. Pasangan itu pertama kali menjalinkan hubungan pada 2010 namun berpisah pada Januari 2013 sebelum kembali bersama awal tahun ini.


Seludup rakan dalam bagasi
Madrid: Polis sempadan Sepanyol semalam terkejut selepas menahan seorang rakyat Maghribi dan menemui rakannya dalam beg yang diheretnya ketika memasuki negara itu. Polis merampas bagasi berkenaan serta menahan suspek selepas melihatnya mengheret beg besar dan berbentuk pelik ketika menyeberang sempadan Melilla di utara Afrika dan bandar Beni Ansar di Maghribi. Apabila dikejar suspek selamba mengheret beg itu. Polis yang berjaya merampas beg berkenaan terkejut apabila membuka beg itu dan melihat seorang lelaki warga Mali berusia 19 tahun merengkuk di dalamnya.

Foto
Air terjun Niagara beku
Niagara: Buat kali kedua pada musim sejuk ini, air terjun Niagara di bahagian timur Amerika Syarikat ‘terhenti’ apabila enam juta kaki padu air menjadi beku. Aliran air di lokasi itu selalunya mampu menahan suhu sejuk ekstrem yang melanda kawasan berkenaan. Bagaimanapun, semalam, air terjun itu beku selepas suhu sejuk mencecah -24 selsius. Keindahan pemandangan itu berjaya dirakamkan jurugambar yang berada di situ. Cuaca dijangka terus kekal sejuk untuk beberapa hari lagi. Ini bererti air terjun berkenaan mungkin terus beku buat sementara waktu. Januari lalu, cuaca sejuk ekstrem turut mengakibatkan pusaran kutub menyebabkan air terjun berkenaan beku. - Agensi

Foto
Ikan masak merah terakhir kemuadian kemalangan
Kuala Terengganu: “Dia jarang memasak, tapi pagi tadi (semalam), dia masakan saya ikan kembung masak merah dan menghidangkannya untuk saya. “Rupanya itu hidangan terakhir arwah yang dapat saya rasa,” kata Mohd Ismail, 74, datuk Fateen Faraheen Ahmad Faizi, 22, yang maut apabila motosikal ditunggangnya bergesel menyebabkannya terjatuh dan digilis lori di Kampung Kubang Jela, Manir, di sini, petang semalam. Dalam kejadian jam 3 petang itu, pekerja pembersihan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dari Batu Rakit di sini, terbunuh di tempat kejadian ketika dia dalam perjalanan dari arah Kampung Buluh Gading menuju Manir. Bagaimanapun, pemandu lori terbabit melarikan diri dari tempat kejadian.

PAC tidak akan siasat kerugian MAS
Kuala Lumpur: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menegaskan tidak akan menyiasat kerugian Penerbangan Malaysia (MAS) kerana ia bukan di bawah bidang kuasa badan itu. Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, pihaknya percaya kerugian MAS adalah berpunca daripada masalah pengurusan pentadbiran syarikat itu dan bukannya kerana ketirisan. “Mereka punya ramai pakar, ahli lembaga pengarah yang hebat dan di bursa saham kerana itu mereka patut tampil menjelaskan kenapa perkara itu berlaku,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat PAC bersama wakil daripada Jabatan Akauntan Negara dan Tabung Kewangan Antarabangsa mengenai pelaksanaan Sistem Perakaunan Akruan (SPA) di bangunan Parlimen, di sini, semalam.

Sindiket samun jongkong tembaga RM1j tumpas
Sindiket samun jongkong tembaga RM1j tumpas
Johor Bahru: Setengah jam selepas dilarikan, polis menemui semula sebuah lori muatan jongkong tembaga bernilai RM1 juta disembunyikan penjenayah di ladang kelapa sawit di Mount Austin, di sini, pada 24 Februari lalu. Sebelum itu, polis menerima laporan berkaitan lori membawa muatan seberat 12 tan dilarikan di Jalan Litar, Pasir Gudang, kira-kira jam 2.42 petang. Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, hasil maklumat awam dan risikan, pihaknya berjaya mengesan lokasi lori terbabit. “Susulan penemuan itu, kami melakukan serbuan di sekitar Seri Alam dan bandar raya ini sebelum menahan 18 lelaki berusia antara 19 hingga 48 tahun. “Semakan mendapati empat daripada 18 suspek mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, semalam. Menurut Mohd Mokhtar, semua suspek direman sehingga 8 Mac ini bagi membantu siasatan. “Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397, Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan. “Dengan tertumpasnya sindiket ini, polis berjaya menyelesaikan 13 kes samun dilaporkan di sekitar bandar raya ini,” katanya.


Pengedar dadah ‘rekrut’ murid
Kajang: Sindiket pengedaran dadah di negara ini kini mula mencari ‘pasaran baru’ dengan menyasarkan kanak-kanak seawal usia 10 tahun yang dikesan terjebak dengan penyalahgunaan dadah. Pendedahan itu dibuat Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berikutan terdapat kanak-kanak berusia 10 tahun yang turut mendapatkan rawatan pemulihan di Klinik Cure & Care 1Malaysia. Menurutnya, kegiatan penyalahgunaan dadah semakin membimbangkan apabila pengedar mula menyusup masuk ke sekolah rendah untuk mencari pasaran baru. “Kita khuatir berikutan pengedar (dadah) runcit sudah mula mencari peluang dengan menjadikan kanak-kanak sebagai mangsa semata-mata untuk mengaut keuntungan,” katanya pada majlis sambutan Hari Antidadah 2014 di Pejabat Pendidikan Hulu Langat di sini, semalam.

Singapura bandar raya paling mahal di dunia
Singapura: Kos kenderaan dan kemudahan asas yang melambung tinggi serta nilai mata wang yang kukuh menjadikan Singapura bandar raya paling mahal di dunia. Menurut kajian Tinjauan Kos Sara Hidup Sedunia 2014 yang dilakukan Economist Intelligence Unit (EIU) nilai mata wang Yen yang semakin lemah menyebabkan Tokyo, yang sebelum ini dinobatkan bandar termahal dunia, merosot ke tangga keenam yang diduduki Singapura tahun lalu. Tinjauan itu yang mengkaji harga 160 produk dan perkhidmatan di 140 bandar raya bertujuan membantu syarikat mengira elaun untuk eksekutif yang dihantar berkhidmat di luar negara. Kajian itu mendapati, sekatan yang dilakukan Singapura terhadap pemilikan kereta, termasuk mengenakan sistem kuota dan cukai yang tinggi menjadikannya terlalu mahal berbanding lokasi lain untuk memiliki kenderaan. - AFP

Foto
Bomba selamatkan lembu jatuh kolam ikan
Alor Gajah: Sepasukan anggota bomba dan penyelamat terpaksa bertungkus lumus lebih 20 minit menaikkan seekor lembu yang terperangkap di dalam kolam ikan di Kampung Kelemak Dalam, petang semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang, lembu dianggarkan seberat 200 kilogram (kg) itu berjaya ditarik keluar dari kolam menggunakan kabel oleh anggota bomba sambil dibantu penduduk kampung. Pemilik lembu berkenaan K Saravanan, 38, berkata, dia yang bekerja berdekatan lokasi kejadian didatangi seorang pekerjanya memberitahu seekor lembu betina peliharaannya tergelincir dalam kolam berlumpur. “Saya terus berlari bagi mendapatkan haiwan itu dan cuba menariknya naik menggunakan tali sambil dibantu beberapa penduduk namun gagal sebelum meminta bantuan pasukan bomba dan penyelamat,” katanya di lokasi kejadian, kelmarin.

Foto
"Dia pernah ugut bunuh kakak" - Cubaan membakar dan bunuh isteri
Kota Bharu: “Saya mahu dia ditangkap secepat mungkin. Tergamak dia membakar perempuan seperti itu. Sebelum ini pun dia pernah mengugut mahu membunuh kakak,” kata Ahmad Syafiq Abdullah, 21, yang kakak iparnya disimbah petrol dan dibakar di rumah mangsa di Jalan Sultan Yahya Petra, di sini, Ahad lalu. Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, Rohfadla Daud, 30, diselamatkan adik-beradiknya yang tiba tempat kejadian, namun dia terpaksa dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) akibat melecur di muka serta kedua-dua tangan. Mangsa yang juga ibu kepada tiga anak berusia antara lima dan lapan tahun melecur kira-kira 40 peratus. Ahmad Syafiq berkata, hubungannya dengan kakak iparnya itu rapat dan wanita berkenaan sering menceritakan masalahnya dengan suami kepadanya.

Foto
Bakteria dalam darah - Keracunan makanan pasar malam
Kuala Terengganu: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengenal pasti tiga peniaga yang menyebabkan keracunan makanan lebih 100 pesakit sehingga menyebabkan seorang kanak-kanak lima tahun mati. Pengarahnya Datuk Dr Anwa Sulaiman berkata, tiga peniaga berkenaan disiasat dan pihaknya kini menunggu laporan penuh sebelum mendakwa tiga peniaga berkenaan mengikut Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988. Menurutnya, hasil bedah siasat Muhammad Iqbal Rafie Mohd Ilmie, 5, menemui bakteria Salmonella dalam badannya. “Bakteria itu dikesan menerusi air tulang belakang serta darah dari saluran jantung kanak-kanak itu dan kami yakin punca kematiannya disebabkan bakteria berkenaan. “Kami percaya bakteria berkenaan datang dari pasar malam di Dataran Shahbandar dan Jalan Hiliran. “Buat masa ini, kita masih menunggu bukti dan ketiga-tiga peniaga pasar malam terbabit pasti berdepan hukuman sekiranya bakteria berkenaan dikesan di gerai mereka,” katanya yang ditemui ketika melawat pesakit yang mengalami keracunan makanan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam.

Rakyat Malaysia ditahan mencuri data pelanggan bank melalui mesin juruwang automatik (ATM)
Kuala Lumpur: Enam rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa Indonesia dipercayai terbabit dalam jenayah memintas akaun dan mencuri data pelanggan bank melalui mesin juruwang automatik (ATM) membabitkan nilai kerugian RM350,040 (Rupiah 1.24 bilion). Suspek berusia antara 24 dan 42 tahun itu ditahan 28 Februari lalu di Terminal Feri Pulau Batam, Indonesia dipercayai dalam perjalanan pulang ke Malaysia melalui Johor. Menurut laporan akhbar tempatan, keenam-enam suspek terbabit dipercayai sebahagian daripada 21 anggota sindiket jenayah siber yang bergiat aktif di negara itu sejak awal Februari lalu. Turut dirampas, iPad, 24 kad ATM, kad SIM telefon bimbit, 11 telefon bimbit dan wang tunai dalam pelbagai mata wang termasuk Dolar Amerika, Dolar Singapura dan Baht Thailand.

Foto
35 GRO, termasuk remaja 13 tahun ditahan
Melaka: Seorang gadis warga Vietnam berusia 13 tahun yang dipaksa menjadi pelayan pelanggan (GRO) di sebuah pusat hiburan di Taman Melaka Raya, di sini, diselamatkan polis dalam Ops Noda tengah malam semalam. Serbuan jam 12.30 tengah malam itu dilakukan Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7), Bukit Aman jam 12.30 tengah malam itu turut menahan 34 GRO warga asing selain tiga warga tempatan termasuk pengurus pusat hiburan terbabit. Ketua Unit D7 Bukit Aman Asisten Superintendan Sharulnizam Jaafar berkata, 32 GRO yang ditahan membabitkan warga Vietnam, manakala tiga lagi warga Indonesia berusia antara 13 hingga 32 tahun. “Siasatan polis mendapati GRO terbabit didapati mempunyai pasport lawatan, namun menyalahgunakannya untuk bekerja di pusat hiburan terbabit.

4 suspek bunuh polis ditahan
Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi amaran kepada orang ramai terutama warga asing - anggota polis diserang warga asing
Klang: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi amaran kepada orang ramai terutama warga asing agar memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sekiranya diminta berbuat demikian. Mengulas kematian seorang anggota polis akibat diserang lelaki warga asing di sini, semalam, beliau menyifatkan ia tindakan melampau dan keterlaluan oleh warga asing. “Perkara seperti ini tidak boleh dibiarkan, saya bagi amaran keras kepada mana-mana pihak terutama warga asing yang menyerang anggota polis menjalankan tugas. “Perbuatan ini melampau dan keterlaluan,” katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini selepas melawat Koperal Aidil Mustafa, 29, yang cedera akibat kejadian itu. Rakan setugas Aidil, Koperal Raja Aizam Raja Mohid, 53 meninggal dunia di tempat kejadian di Taman Sentosa, dekat sini akibat ditetak di kepala oleh seorang daripada penjenayah terbabit. Turut mengiringi Khalid, Timbalannya, Datuk Seri Bakri Zinin dan Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan.

Foto Foto
Produk kecantikan beracun diserbu
Serdang: Sembilan kilang dan stor haram serta lapan premis pengedar utama sebuah syarikat produk kecantikan beracun diserbu Cawangan Penguat Kuasa Farmasi (CPF) Selangor, semalam. Dalam serbuan serentak jam 12 tengah hari di Seri Kembangan, Puchong, Klang dan Kuala Lumpur itu, kira-kira 20 jenis produk pelangsingan badan dan perangsang seks yang dipercayai dicampur racun bernilai RM1.5 juta dirampas. Difahamkan, syarikat berkenaan pernah diserbu pada 2010 manakala pemiliknya sudah dikenakan tindakan mahkamah dan dilarang menjual produk berkenaan. Bagaimanapun, dia kembali aktif beberapa bulan kemudian dengan lokasi berbeza, malah premis berkenaan didirikan secara haram dan tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).


Pesta baling bedak di Santa Cruz de La Palma
SANTA CRUZ DE LA PALMA, Sepanyol - Sejumlah orang mengambil bahagian dalam karnival membaling bedak talkum di sini kelmarin. Dalam pesta itu, mereka saling membaling bedak talkum di antara satu sama lain. Badan sebahagian orang yang menyertai pesta tersebut dipenuhi dengan bedak yang berwarna putih. Pesta itu diadakan bagi memperingati kepulangan imigran dari benua Amerika ke Kepulauan Canary. - Agensi


Mahkamah haram aktiviti Hamas di Mesir
KAHERAH - Seorang hakim di sebuah mahkamah di Mesir semalam mengharamkan semua aktiviti pergerakan Hamas di negara ini. Keputusan tersebut dilihat sebagai salah satu rancangan pihak berkuasa untuk menghapuskan pengaruh pergerakan tersebut yang kini menguasai Genting Gaza di Palestin. Hamas mempunyai hubungan baik dengan pergerakan Ikhwanul Muslimin yang diisytiharkan sebagai kumpulan pengganas oleh kerajaan Mesir sehingga membawa kepada penahanan beberapa pemimpin pergerakan itu termasuk bekas Presiden Mohamed Morsi. "Mahkamah mengarahkan semua aktiviti pergerakan Hamas di Mesir diharamkan," kata hakim berkenaan. Katanya, mahkamah juga mengarahkan beberapa pejabat Hamas di Mesir ditutup. Kes tersebut difailkan oleh sekumpulan peguam di Mesir pada tahun lalu yang memohon mahkamah mengharamkan Hamas dan mengisytiharkan pergerakkan itu sebagai sebuah pertubuhan pengganas. Pihak berkuasa Mesir menganggap Hamas sebagai ancaman keselamatan utama dan menuduh pergerakan itu menyokong pemberontakan di Semenanjung Sinai. - Reuters


Petronas untung RM95.61 bilion
KUALA LUMPUR - Keuntungan sebelum cukai Petronas bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013 meningkat sebanyak lima peratus kepada RM95.61 bilion berbanding RM91.07 bilion pada tahun sebelumnya. Naib Presiden Eksekutif (Kewangan) Kumpulan, Datuk George Ratilal berkata, hasil naik sembilan peratus kepada RM317.31 bilion berbanding RM291.23 bilion pada tahun sebelumnya. "Jumlah aset meningkat kepada RM528.7 bilion pada 2013 berbanding RM489.2 bilion tahun sebelumnya," kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam. Turut hadir ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas. Ratilal menerangkan, peningkatan ekuiti pemegang saham sebanyak RM28.8 bilion kepada RM335.8 bilion sehingga 31 Disember lalu disebabkan oleh impak bersih keuntungan yang boleh diagih kepada pemegang saham syarikat. Tambah beliau, ekuiti pemegang saham yang lebih tinggi menyebabkan penurunan dalam nisbah hutang kepada 11 peratus berbanding 11.7 peratus pada 2012 meskipun kenaikan kecil dalam paras hutang. Bagi suku keempat yang berakhir pada 31 Disember lalu, untung sebelum cukai kumpulan menambah kepada RM17.89 bilion berbanding RM15.69 bilion manakala hasil meningkat kepada RM84.81 bilion daripada RM76.88 bilion pada 2012. - Bernama


Syamsul bakal nikah di hospital
KUALA LUMPUR – Pengarah dan pelakon popular, Syamsul Yusof, 30, yang bakal melangsungkan perkahwinannya bersama Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 29, Sabtu ini mungkin terpaksa melangsungkan upacara akad nikah di hospital kerana demam denggi. Ibunya, Datin Patimah Ismail memberitahu, Syamsul dikejarkan ke Pusat Perubatan Gleneagles di sini semalam selepas mengadu sakit kepala dan panas badan sejak tiga hari lalu. “Pagi tadi (semalam) saya terus membawanya ke hospital dan doktor sahkan dia menghidap denggi, jika dia belum pulih sepenuhnya atau tidak dapat daripada doktor (untuk keluar), kemungkinan besar nikah terpaksa dijalankan di hospital. “Syamsul beritahu, dia tetap mahu bernikah pada hari yang ditetapkan dan tidak kisah kalau pernikahannya itu terpaksa dilakukan di sini (hospital),” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.


Jual air ketum - Dakwa mahu bayar kos belajar anak
PASIR PUTEH – Seorang penganggur mendakwa, dia terpaksa menjual air ketum kerana mahu menampung kos pengajian anaknya di salah sebuah institut pengajian tinggi (IPT) di sini. Apa jua alasan yang diberikan olehnya bagaimanapun tidak mampu mengelak dirinya daripada didakwa di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas kediamannya di Kampung Gong Kelih, Gaal di sini didapati telah dijadikan tempat memproses bahan terlarang itu. Ketika serbuan dijalankan pada pukul 7.20 pagi kelmarin, suspek yang berusia 43 tahun itu juga sedang asyik memasak daun ketum. Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd. Kamal Zainal (gambar kecil) berkata, penahanan itu dibuat selepas pihak polis menjalankan intipan dan risikan selama beberapa hari di rumah itu yang didakwa menjalankan aktiviti haram ini.


Pencuri mati direnjat elektrik
KOTA BHARU - Seorang lelaki berusia 40 tahun maut terkena renjatan elektrik ketika dipercayai cuba mencuri kabel elektrik di dalam rumah pencawang yang terletak di Kawasan Industri Mara II, Pengkalan Chepa dekat sini semalam. Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, mangsa dikatakan cuba memotong salah satu kabel yang terdapat di dalam rumah pencawang berkenaan sebelum terkena renjatan elektrik. Difahamkan mangsa pernah bertugas sebagai pengawal keselamatan di kawasan berkenaan namun dibuang kerja sejak dua tahun lalu ekoran masalah disiplin. Turut ditemui bersama mangsa ialah beg yang mengandungi peralatan digunakan untuk memotong kabel berkenaan.


Warga emas mati disembelih
IPOH - Rutin harian seorang wanita melawat bapa mentua setiap hari membawa pada penemuan seorang warga emas yang mati dibunuh dengan kesan kelaran di leher di rumahnya di Taman Soon Choon di sini semalam. Mangsa, Chan Yan Choi, 70, ditemui menantunya berusia 30-an pada pukul 7.55 pagi dalam keadaan terbaring berlumuran darah di dapur rumah teres setingkat itu. Wanita berkenaan sebelum itu memanggil mangsa yang tinggal bersendirian selepas melihat pagar dan pintu rumah dalam keadaan terbuka. Apabila ditinjau ke dalam rumah, dia mendapati bapa mentuanya terbujur di atas lantai sebelum melaporkan kejadian itu kepada polis. Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian itu pada pukul 8.15 pagi dan bergegas ke tempat kejadian.


Pembenihan awan diteruskan
KUALA LUMPUR - Operasi pembenihan awan diteruskan semalam dengan tumpuan lokasi di kawasan selatan Semenanjung, kata Pengarah Bahagian Sains Atmosfera dan Pembenihan Awan Jabatan Meteoro- logi, Azhar Ishak (gambar kecil). Menurutnya, tumpuan masih diberi kepada kawasan tadahan air dan empangan yang dilaporkan surut akibat cuaca panas dan kering yang membawa kepada catuan bekalan air di sekitar Lembah Klang. "Kami akan tunggu sehingga kira-kira pukul 1 tengah hari hingga 2 petang ini (semalam) dan berpandukan kepada gambar radar untuk melihat kawasan yang terdapat pembentukan tompokan awan yang sesuai. "Kemudian, barulah kami lakukan pembenihan awan," katanya kepada Bernama semalam. Menurut Azhar, setiap operasi mengambil masa kira-kira dua hingga tiga jam dengan kos sekitar RM80,000.


Ramai sakit tekak, pedih mata
KUALA LUMPUR - Keadaan berjerebu di ibu kota sudah mula memberikan kesan kepada orang ramai yang terpaksa mengharungi jarak penglihatan semakin berkurangan serta kabur selain mereka mengadu mengalami masalah sakit tekak. Tinjauan Kosmo! di beberapa kawasan termasuk di Taman Tasik Titiwangsa dan Bandar Sri Permaisuri di sini mendapati, orang ramai tetap bebas melaku- kan aktiviti seharian, namun ada dalam kalangan mereka masih belum mengambil langkah pencega- han seperti menggunakan topeng muka. Bagaimanapun, orang ramai yang ditemui mengakui, keadaan berjerebu yang berterusan sejak kelmarin menyebabkan mereka mengalami sakit tekak, sesak nafas dan pedih mata. Seorang pekerja swasta, Mohd. Zaimi Hasnizam, 26, berkata, keadaan jerebu di Taman Tasik Titi- wangsa berlarutan sejak dua hari lalu dan keadaan agak buruk semalam.


Sekolah ditutup jika IPU melebihi 200
PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan telah mengaktifkan arahan tetap bagi sekolah-sekolah mengambil langkah sewajarnya sekiranya jerebu bertambah buruk, termasuk memberi kuasa kepada pengetua untuk menutup sekolah jika bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) yang juga Menteri Pendidikan berkata, guru besar dan pengetua hanya perlu memaklumkan mengenai penutupan sekolah kepada Pegawai Pendidikan Daerah. "Guru besar dan pengetua mempunyai kuasa membuat keputusan mengikut panduan yang ditetapkan. "Ini sudah dikuatkuasakan dan ia terserah kepada mereka (guru dan pengetua)," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Majlis Negara Kerjaan Tempatan Ke-67 di sini semalam. Turut hadir Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan serta menteri besar negeri-negeri.


4 termasuk tiga wanita diberkas
GOMBAK - Tiga wanita dan seorang lelaki kesemuanya dipercayai warga Indonesia ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian serangan hendap yang mengakibatkan seorang anggota polis maut manakala seorang lagi cedera parah. Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd. Shukri Dahlan (gambar) berkata, kesemua mereka ditahan di kawasan berhampiran di Taman Sentosa, Klang sejurus selepas kejadian itu. "Polis tahan tiga wanita dan seorang lelaki warga asing dan kami masih cuba mengenal pasti kerakyatan sebenar mereka yang ditahan itu," kata beliau ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di sini semalam. Menurut beliau, polis kini sedang mengesan suspek-suspek lain yang dipercayai turut berada atau terlibat dalam kejadian itu.


Dua koperal diserang hendap
KLANG - Dedikasi dua anggota polis melakukan rondaan cegah jenayah di Taman Sentosa dekat sini semalam bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut manakala seorang lagi cedera parah akibat diserang hendap sekumpulan warga Indonesia yang cuba ditangkap kerana tiada dokumen pengenalan diri. Anggota polis yang terbunuh ialah Koperal Raja Aizam Raja Mohd. 53, manakala rakannya, Koperal Mohd. Aidil Mustafa, 29, cedera parah. Kedua-dua anggota polis itu ditetak, ditikam dan dilibas dengan pisau rambo dan parang oleh dua daripada sekumpulan enam warga asing yang bertindak agresif ketika cuba diberkas. Dalam pergelutan itu, dua lelaki Indonesia yang menyerang anggota polis itu mati ditembak oleh anggota polis yang cedera parah. Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, kejadian pada pukul 4.30 pagi itu berlaku ketika dua anggota polis yang menaiki kereta peronda memasuki kawasan perumahan di Taman Sentosa dan terserempak dengan sekumpulan enam warga asing termasuk tiga wanita di Lorong Yusuf Shahbudin 44D.


Presiden Rusia beri amaran kepada Barat
MOSCOW - Presiden Rusia, Vladimir Putin semalam memberi amaran bahawa ancaman untuk mengenakan sekatan terhadap Moscow sebagai huku- man kerana menceroboh Semenanjung Crimea di Ukraine bakal memberi kesan terhadap negara-negara di Barat. Putin semalam berkata, sekatan tersebut akan menyebabkan penduduk di Barat mengalami penderitaan. Beliau juga menuduh Barat terlibat dalam konflik di Ukraine dengan menyokong rampasan kuasa yang melanggar perlembagaan. Dalam pada itu, Putin memberitahu bahawa bekas Presiden Ukraine, Viktor Yanukovych tidak mempunyai masa depan dalam politik negara itu. Menurutnya, Rusia memberi perlin- dungan kepada beliau bagi menyela- matkan nyawa pemimpin itu. Beliau juga memberitahu bahawa Moscow mempunyai hak untuk menggunakan kekuatannya bagi melindungi rakyat Rusia di Ukraine. Putin mengeluarkan kenyataan itu selepas mengarahkan berpuluh-puluh ribu askar Rusia yang menyertai latihan ketenteraan di sempadan Ukraine kembali ke pangkalan mereka.

No comments:

Post a Comment