Sunday, March 9, 2014
Berita Terkini 09 Mac 2014
Ops Mencari MH370 Diperluaskan Ke Kawasan Darat Guna Helikopter – ATM
OPERASI mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 kini diperluaskan di kawasan darat selepas terdapat kemungkinan bahawa ia telah berpatah balik atau “air turn-back” dalam penerbangan. Menurut Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, operasi mencari di kawasan darat dan kawasan perairan lokasi kali terakhir MH370 dilaporkan terputus hubungan iaitu di Laut China Selatan berhampiran dengan perairan Vietnam. “Dua kawasan pencarian ialah satu di bahagian Timur di mana ia dimulakan sejak hari pertama pesawat dilaporkan hilang dan kerana ada kemungkinan pesawat MH370 berpatah balik, kita juga telah melancarkan operasi mencari di bahagian darat menggunakan helikopter. “Pencarian turut dilakukan di kawasan perairan Pantai Timur dan juga Pantai Barat Semenanjung di berhampiran Pulau Pinang,” kata Zulkifeli dalam sidang media pada pukul 1 tengahari tadi di Hotel Sama-Sama, Sepang. Sementara itu, hasil siasatan radar Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menunjukkan terdapat kemungkinan bahawa pesawat Malaysia Airlines (MH370) memang cuba berpatah balik sebelum hilang dan terputus komunikasi dengan menara kawalan. Panglima TUDM Tan Sri Rodzali Daud berkata selepas pencarian sudah dilakukan lebih 24 jam ketika ini, pihak yang melaksanakan mencari dan menyelamat kini sedang cuba melihat kembali bagaimana operasi dilakukan supaya ia dapat dilaksanakan dengan lebih fokus. “Apa yang kami lakukan ialah melihat kembali beberapa rekod yang diperolehi dari radar TUDM, kami melihat ada kemungkinan pesawat itu memang cuba berpatah balik,” katanya. Rodzali berkata ekoran itu lingkungan kawasan mencari dan menyelamat kemungkinan akan diperluaskan lagi melibatkan keseluruhan Laut China Selatan. “Pihak kami sudah memohon pihak berkaitan di Indonesia untuk membantu kami dalam perkara ini,” katanya.
Jamil Khir Arah Semua Masjid Adakan Solat Hajat
KUALA LUMPUR – Semua masjid di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya diarahkan supaya mengadakan solat hajat meminta pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang masih hilang ditemui segera. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, solat hajat itu perlu dilaksanakan serta merta dan segera sehingga pesawat itu ditemui. “Saya dan agensi agama Islam Persekutuan bersama-sama seluruh rakyat Malaysia berkongsi sedih dan berdukacita atas kejadian yang menimpa penerbangan MH370. “Oleh itu saya mengarahkan masjid-masjid di seluruh Wilayah Persekutuan mendirikan solat sunat hajat secara berjemaah dengan serta merta sehingga pesawat ditemui, mendoakan agar usaha mencari dan menyelamat dipermudahkan Allah,lantas segera menemukan pesawat tersebut,” katanya melalui satu kenyataan hari ini. Jamil Khir dalam pada itu turut menyeru semua masjid lain di seluruh negara supaya turut mengadakan solat hajat untuk tujuan sama kerana ia antara sumbangan dan bantuan secara tidak langsung yang boleh disumbangkan.
Pegawai Imigresen Akan Disoal Siasat 5:54pm
Tindakan akan diambil terhadap Pegawai Imigresen bertugas yang membenarkan kedua-dua penumpang dengan pasport curi menaiki pesawat MH370 yang dilaporkan hilang dari radar pada jam 1.30 pagi, Sabtu lalu. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penyiasatan sedang dijalankan dan hasil keputusan daripada siasatan itu akan diberitahu kepada orang awam selepas siasatan itu lengkap sepenuhnya. “Penyiasatan dalaman akan dijalankan terutamanya terhadap pegawai kaunter yang gagal mengesan kerakyatan penumpang beserta meneliti maklumat yang terpapar pada pasport tersebut,” katanya yang dipetik menerusi portal Malaysian Digest. Mengikut kronologi, pasport milik warga Itali dan Austria yang dilaporkan terlibat dalam penerbangan itu telah dicuri ketika keduanya bercuti di Thailand, tahun lalu. Malah, difahamkan juga, dua lelaki misteri itu juga membeli tiket dari Kuala Lumpur ke Beijing pada waktu yang sama sehingga menimbulkan spekulasi mungkin perkara ini melibatkan tindakan pengganas. Setakat ini, pihak berkuasa terus giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat yang turut disertai China, Vietnam, Amerika Syarikat, Filipina, Singapura dan Australia. Pesawat MH370 dijadualkan mendarat di Beijing pada 6.30 pagi semalam namun sehingga ke hari ini nasib 239 nyawa yang terlibat masih tidak lagi diketahui sehingga kini.
Badan Perisikan China Adakan Mesyuarat Khas Hari Ini
Kementerian Keselamatan Dalam Negeri China (MSS) yang merupakan salah satu agensi perisikan paling aktif dan berkuasa di dunia mengadakan mesyuarat khas di Beijing hari ini bagi memulakan penyiasatan untuk mengesan perkaitan sama ada rangkaian pengganas Al-Qaeda berkerjasama dengan pemisah Uighur dalam kehilangan pesawat MH370. Seramai 153 warganegara China dikhuatiri maut jika pesawat berkenaan terhempas. Sehingga jam 3 petang waktu Beijing, belum ada sebarang maklumat dikeluarkan hasil mesyuarat berkenaan. MSS merupakan komponen penting kerajaan China yang bertanggungjawab memastikan Parti Komunis China yang menguasai pasukan tentera (People’s Liberation Army) kekal berkuasa. Agen MSS dikatakan wujud di segenap pelusuk dunia dengan menyamar sebagai warga tempatan di sesebuah negara itu. Penemuan awal pakar penerbangan China ialah berlaku kejadian yang ‘ganas dan membawa bencana’ yang menyumbang kepada kapal MH370 berkecai. Kewujudan dua penumpang misteri yang mengembara secara bersama menggunakan pasport palsu menimbulkan syak berlaku serangan pengganas di udara dalam kes kehilangan MH370. Kedua penumpang berkenaan menggunakan pasport warga Itali dan Austria.
MH370: Tiada kapal selam terlibat 10:26pm
SEPANG 9 Mac - Angkatan Tentera Malaysia ( ATM ) menegaskan, tiada kapal selam atau submarin terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370 yang masih hilang sejak pagi semalam. Panglimanya, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin berkata, sejak operasi tersebut dilaksanakan, hanya kapal jenis peronda dan penyelamat dihantar menyertai operasi tersebut sama ada oleh pihak berkuasa negara ini atau antarabangsa. "Bukan kapal selam sebenar yang terlibat dalam misi ini sebaliknya kapal bantuan mencari dan menyelamat. Kapal ini terlibat dalam operasi tersebut di laut," katanya dalam sidang akhbar tentang insiden kehilangan pesawat MH370 di Hotel Sama-Sama di sini malam ini. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mengenai insiden kehilangan pesawat MH370 di Hotel Sama-Sama di sini malam ini. - UTUSAN ONLINE
MH370: Tiada letupan di Laut China Selatan - Pentagon 6:07pm
NEW YORK 9 Mac - Data pemantauan awal yang diperiksa oleh Pentagon mencadangkan pesawat Malaysia Airlines yang hilang, tidak meletup di Laut China Selatan semalam. Menurut akhbar The New York Times yang memetik pegawai kerajaan Amerika Syarikat (AS), satu sistem yang memantau letupan di seluruh dunia, tidak mengenal pasti sebarang tanda letupan. - Agensi
Tumpuan kini cari pesawat barulah ketahui puncanya - Azaharuddin
SEPANG: Tumpuan pihak berkuasa sekarang mencari pesawat MH370 terlebih dulu barulah dapat dicari punca kehilangannya, kata Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azaharuddin Abdul Rahman. Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan pesawat dirampas namun ia masih dalam siasatan. Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai perkembangan terkini mengenai kehilangan pesawat MAS di sini, malam ini.
Maut terkena renjatan elektrik
Rantau Panjang: Seorang lelaki ditemui mati dipercayai terkena renjatan elektrik daripada alat menangkap ikan buatan sendiri di Kampung Kubang Kuau, jam 9 pagi tadi. Mayat mangsa Che Sahaipul Hafizi Che Hassan, 36, ditemui oleh polis yang mencari mangsa selepas dikatakan tidak pulang ke rumah sejak keluar jam 6 petang kelmarin. Mayat dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat.
Cari di perairan Pulau Pinang
Sepang: Siasatan terkini kehilangan pesawat MH370 mendedahkan bukti dan kemungkinan baru bahawa pesawat berkenaan cuba berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas radar milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesan pergerakan pesawat itu. Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Tan Sri Rodzali Daud berkata, perkembangan terbaru itu menyebabkan operasi mencari dan menyelamat diperluaskan ke sekitar perairan Pulau Pinang. Beliau berkata, ada kemungkinan bahawa pesawat berkenaan akan berpatah balik sekiranya ia tidak dapat meneruskan perjalanan. "Buat masa ini, kami sudah periksa dengan khidmat radar daripada beberapa negara jiran berhubung penemuan pergerakan patah balik pesawat berkenaan. "Pada masa sama, operasi mencari dan menyelamat turut dilakukan di kawasan darat," katanya pada sidang media sebentar tadi. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS Ahmad Jauhari Yahya berkata, pihaknya mengesahkan tidak menerima sebarang panggilan kecemasan berhubung kerosakan daripada pesawat yang memaksa pesawat berkenaan berpatah balik. "Berdasarkan siasatan kami, tiada sebarang hubungan dibuat antara pesawat dan pusat kawalan udara berhubung tindakan patah balik penerbangan itu," katanya. Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata, pihaknya mengesahkan hanya dua identiti penumpang disiasat berhubung pemilikan pasport individu lain berbanding empat dilaporkan sebelum ini. Katanya, pasukan penyiasat sedang meneliti rakaman sistem litar tertutup bagi mengesan dan mengenal pasti dua penumpang yang menggunakan pasport palsu itu. Beliau berkata, lima lagi penumpang disahkan tidak menaiki pesawat MH370 ketika berlepas dan semua bagasi mereka telah dikeluarkan terlebih dahulu. Sebelum ini dilaporkan warga Itali Luigi Maraldi dan Austria Christan Kozel didaftar menaiki pesawat MH370 tetapi hasil pemeriksaan kedutaan negara terbabit mendapati pasport mereka telah dipalsukan. Sehingga kini, Jabatan Penerbangan Awam China mendakwa serpihan ditemui di koordinat 103.29 Timur 6.42 Utara di Laut China Selatan tetapi masih belum disahkan milik MH370 manakala pesawat APMM berjaya mengesan tompokan minyak di permukaan laut kira-kira 100 batu nautika dari Kuala Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan. Kesan tompokan kedua itu dikesan oleh Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Datuk Mohd Amdan Kurish ketika melakukan tinjauan udara dengan pesawat Agusta di kawasan seluas 200 batu nautika, kira-kira jam 11 pagi tadi. Sampel tompokan minyak sudah diambil dan dijangka tiba di pangkalan maritim Tok Bali jam 7.30 malam nanti.
Misteri dua tiket MH370
PELANCONG Itali, Luigi Maraldi, 37, melaporkan pasport miliknya sebelum ini dicuri pada Ogos 2013 dan menunjukkan pasport yang sudah diperbaharui pada sidang akhbar di balai polis di Phuket, selatan Thailand. Kuala Lumpur: Dua penumpang MH370 yang menggunakan pasport curi milik rakyat Itali dan Austria didapati membeli tiket penerbangan bersama-sama. Tiket itu dibeli dengan China Southern Airlines dalam mata wang baht pada harga sama, kata pihak berkuasa sistem e-tiket China Travelsky. Turutan nombor tiket menunjukkan ia dibeli bersama, lapor CNN. Maklumat terbaru ini menjadikan kehilangan pesawat MAS MH370 ketika berlepas ke Beijing awal semalam, semakin menjadi tanda tanya. Itali dan Austria menafikan rakyat mereka berada dalam pesawat MH370 dan pihak berkuasa berkenaan mendakwa pasport Luigi Maraldi (Itali) dan Christan Kozel (Austria) telah dicuri di Asia Tenggara beberapa tahun lalu. Kedua-dua tiket penerbangan itu ditempah bagi destinasi Kuala Lumpur - Beijing sebelum diteruskan ke Amsterdam. Pemegang pasport Itali sepatutnya meneruskan perjalanan ke Copenhagen manakala pemegang pasport Austria akan ke Frankfurt. Pihak berkuasa berkata, mereka masih menyiasat identiti sebilangan penumpang dalam pesawat itu yang didapati bermasalah dengan pasport mereka. Ketua Koordinasi Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) Datuk Azaharuddin Abdul Rahman berkata, pihaknya sedang menyiasat laporan CNN mengenai pembelian tiket menggunakan pasport itu. Bagaimanapun, katanya, tumpuan operasi sekarang adalah untuk mencari pesawat berkenaan berbanding mengesan dua lelaki terbabit. Katanya, kawasan pencarian juga diperluaskan daripada 20 kepada 50 batu nautika manakala gerakan SAR di Selat Melaka masih belum menghasilkan sebarang tanda positif. “Pencarian sedang diteruskan tetapi sehingga kini tiada pesawat dikesan,” katanya Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) itu pada sidang media di Hotel Sama Sama di KLIA di sini, malam ini. Beliau berkata, jumlah pesawat yang terbabit dalam SAR juga meningkat kepada 34 pesawat termasuk dua dari Australia yang dijangka tiba pada lewat malam ini dan pagi esok.
Polis tahan tiga lelaki rampas 11 kenderaan di Kuala Krai
KUALA KRAI - Polis menahan tiga lelaki dan merampas 11 kenderaan dipercayai barang curi dalam dua operasi di Kampung Temalir, semalam. Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Ab. Rahim Che Ghani berkata, menerusi 'Ops Lejang', suspek yang berumur lingkungan 30-an ditahan di rumah mereka pukul 3 pagi. "Dalam serbuan pertama, kami menahan dua lelaki di rumah yang turut dijadikan bengkel haram bersama-sama empat motosikal dan beberapa komponen yang telah dileraikan. "Dalam serbuan kedua pada waktu yang sama, polis menahan seorang lagi lelaki dan merampas 3 kereta serta 4 motosikal di bengkel berasingan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai hari ini. Beliau berkata, siasatan awal mendapati bengkel itu dijadikan tempat meleraikan komponen kenderaan yang dicuri. "Kami tidak menolak kemungkinan yang kes ini akan dapat membantu kita untuk menyelesaikan lebih banyak kes berkaitan kecurian kenderaan yang berlaku di daerah ini," katanya sambil menambah suspek ditahan mengikut Seksyen 29(1) Undang-undang Kesalahan Kecil 2000 kerana gagal memberi keterangan berhubung barang yang dimiliki. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan. - Bernama
Amerika Syarikat hantar dua kapal, pesawat bantu operasi mencari dan menyelamat
KUALA LUMPUR - Amerika Syarikat menghantar dua kapal tentera lautnya untuk membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Malaysian Airlines (MAS) MH370 yang dilaporkan hilang awal Sabtu. Kedutaan Amerika dalam satu kenyataan hari ini berkata, susulan permintaan daripada kerajaan Malaysia, tentera laut Amerika menghantar USS Pinckney (DDG 91) dan USNS John Ericsson untuk membantu operasi SAR. "Kami telah menghantar DDG 91, kapal pemusnah peluru pandu kelas Arleigh Burkecke ke lokasi dan tiba tengah hari ini. "DDG 91 membawa dua buah helikopter MH-60R yang boleh digunakan untuk operasi mencari dan menyelamat," menurut kenyataan itu. Tambah kedutaan, USNS John Ericsson, kapal pembekal minyak yang dikendalikan Markas Tentera Laut, telah belayar dari Singapura pagi tadi untuk membantu operasi SAR. Sebagai tambahan, pesawat P-3C Orion tentera laut Amerika yang dilengkapi kemudahan peralatan mencari jarak jauh, radar dan komunikasi telah berlepas dari Pangkalan Udara Kadena di Okinawa, Jepun pagi tadi dan telah memulakan pencarian, kata kenyataan itu. Menurut kenyataan itu, satu pasukan dari Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat kini dalam perjalanan ke rantau itu untuk menawarkan bantuan. "Kerajaan Amerika akan terus memantau dengan rapi perkembangan dan sedang membantu Kerajaan Malaysia dalam operasi mencari dan menyelamat. "Kami merakamkan simpati dan berdoa bagi keselamatan orang tersayang yang berada dalam pesawat MAS berkenaan," kata kenyataan itu. - Bernama
Serpihan dikesan berhampiran pulau di Vietnam bukan daripada pesawat MH370 - JPA
SEPANG - Bahan serpihan yang dikesan pasukan mencari Singapura kira-kira 100 kilometer di barat daya pulau Tho Chu, Vietnam, tiada kaitan dengan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang, kata ketua pengarah Jabatan Penerbangan Awam (JPA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman. Beliau berkata, walaupun tompokan minyak juga dijumpai, tetapi belum ada pengesahan mengenainya. "Ada tompokan minyak dijumpai, tapi kami masih dalam proses mendapatkan pengesahan sama ada ia berasal daripada pesawat yang hilang itu. Kami belum menerima laporan mengenainya," kata beliau pada sidang akhbar di sini hari ini. Awal hari ini, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menemukan satu tompokan besar minyak kira-kira 100 batu nautika dari Tok Bali, Kelantan. - Bernama
Pesawat MH370 hilang: Solat hajat sebagai ikhtiar
SEPANG - Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi hari ini menyatakan kerajaan telah bekerja keras untuk mencari punca kejadian pesawat MH370 yang hilang, sejak semalam. Menurutnya, rakyat tanpa mengira bangsa agama turut bersama memohon supaya penumpang yang terlibat dengan perkara itu selamat. "Apa yang berlaku sejak semalam sehingga hari ini adalah peristiwa sedih dan dukacita, tetapi yang penting dalam hal ini kita lihat kita berusaha bersungguh untuk kerja menyelamat. "Kalau tidak tentulah apa yang terjadi kejadian yang mendukacitakan, apa yang kita lihat dalam televisyen tadi sampai sekarang ada muafakat dan kerja yang dilakukan bersungguh-sungguh untuk mencari apakah masalah dan apa yang berlaku supaya kita dapat mengambil tindakan sewajarnya. "Apa yang terlibat ini sama ada wakil rakyat,tidak kira bangsa dan agama, Melayu atau bukan, Islam atau bukan Islam, semua memohon pada Tuhan supaya dapat diselamatkan itu harapan semua walaupun sudah dua hari," katanya ketika ditemui pemberita di balai pelepasan, di KLIA, di sini, hari ini. Semalam, media melaporkan pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang termasuk 12 anak kapal yang menuju ke Beijing hilang. Perkara itu, masih belum dapat dipastikan apa punca sebenar walaupun ada usaha mencari dan menyelamat dilakukan. Dalam pada itu,Abdullah juga berkata, melakukan solat hajat adalah ikhtiar khususnya kepada umat Islam di samping berusaha dan bersabar. "Semalam saya nak maklumkan 40,000 orang telah melakukan solat hajat di masjid Putrajaya, kita minta kepada ALLAH supaya malapetaka yang berlaku boleh diatasi," katanya.
China Lakukan Segala Usaha Kesan MH370
NEGARA China kini komited melakukan segala usaha untuk mencari lokasi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang selepas terputus komunikasi dengan menara kawalan sejak semalam. Selain itu, rakyat seluruh negara China ketika ini sedang mendoakan keselamatan dan keadaan semua 239 orang yang menaiki pesawat berkenaan. “Sehingga sekarang, pasukan mencari dan menyelamat masih gagal mengesan di mana lokasi pesawat itu,” kata wakil MAS di Beijing, China pada satu sidang media di ibu negara republik itu yang berlangsung selama 30 minit. Dua kapal perang Tentera Laut China, “Jinggangshan” dan “Mianyang” turut diarahkan berlayar ke lokasi terakhir radar mengesan kedudukan pesawat MH370, menurut sumber tentera laut. Menurut laporan agensi berita Xinhua, kapal “Jinggangshan” dilengkapi dengan peralatan menyelamat, serta alat mengesan bawah permukaan laut dan bekalan makanan dan air, berlayar dari Zhanjiang City di wilayah Guangdong pada kira-kira pukul 3 pagi tadi waktu tempatan. Kapal berkenaan turut dua helikopter, 30 kakitangan perubatan, 10 orang penyelam dan 52 dua anggota marin turut berada dalam kapal perang itu. Kapal “Mianyang” pula telah pun berlayar ke lokasi pada malam tadi lebih awal. Sementara itu di Beijing, sekumpulan 93 orang kakitangan MAS tiba di ibu negara China itu malam tadi. Menurut jurucakap MAS, pasukan itu akan membantu ahli keluarga penumpang dalam memberikan sokongan emosi dan kekuatan dalam menghadapi situasi sukar seperti ini. “Apabila lokasi MH370 telah dikenalpasti, MAS akan menerbangkan semua anggota keluarga penumpang ke lokasi pesawat,” kata jurucakap MAS di Beijing itu. Di China, kira-kira 120 anggota keluarga dan rakan mangsa tiba di Beijing dan ditempatkan di Hotel Lido berdekatan lapangan terbang. Kementerian Pengangkutan China turut menghantar penyelam ke lokasi perairan berdekatan Vietnam di mana ia dipercayai lokasi pesawat MH370 yang dalam penerbangan ke Beijing berada dan kemungkinan terhempas.
Indonesia Hantar Lima Kapal Perang, Sebuah Helikopter Cari Pesawat MH370
JAKARTA, 9 Mac (Bernama) -- Tentera Laut Nasional Indonesia (TNI-AL) menghantar lima kapal perang dan sebuah helikopter bagi membantu mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang hilang ketika dalam penerbangan ke Beijing, awal pagi semalam. Ketua Staf TNI-AL, Laksamana Marsetio berkata kesemua kapal perang yang dikerahkan itu akan bergabung dalam Komando Armada Indonesia Kawasan Barat Tentera Laut Indonesia. "Saya sudah berhubung dengan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tan Sri Abdul Aziz Jaafar. Mereka (TLDM) minta kita bantu mencari pesawat MAS yang dilaporkan tidak dapat dihubungi itu," kata Marsetio kepada agensi berita Antara pada Ahad. Beliau berkata ada antara kapal perang tentera laut negara itu yang sedang mengawal perairan sementara beberapa buah lagi diarahkan menyertai misi mencari itu. "Kami kerahkan kekuatan agar misi pencarian ini dapat menunjukkan hasil. Kami juga sentiasa berhubung dan berkongsi informasi dengan rakan antarabangsa dalam misi ini," katanya. Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang termasuk dua kanak-kanak dan 12 anak kapal, hilang daripada radar, kira-kira sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju Beijing, China pada 12.41 pagi Sabtu. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. -- BERNAMA
Kahwin Di Thailand Undang Lebih Banyak Masalah
KOTA BAHARU – Pasangan yang mempunyai masalah tertentu dinasihati supaya tidak membazir wang dengan berkahwin di Thailand kerana dikhuatiri ia bakal mengundang lebih banyak masalah. Ketua Hakim Syarie Kelantan Datuk Daud Muhammad berkata pihaknya mengesan sebahagian besar pasangan yang berkahwin di negara jiran itu tidak sah dan tidak diakui pihak berkuasa agama negeri di negara ini. “Ini namanya perkahwinan yang sia-sia. Sudahlah berkahwin habis beribu-ribu, berkahwin pula dengan sindiket yang diragui pernikahan mereka dan ini sesuatu perbuatan yang sia-sia. “Ada pula pernikahan yang dibuat di Kelantan contohnya, tetapi surat nikah dikeluarkan di Thailand dan ini sesuatu pernikahan yang sangat meragukan dan nanti boleh disifatkan sebagai tidak sah,” katanya kepada pemberita hari ini. Beliau merasmikan program Jelajah Informasi Mesra Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia 2014 di sini hari ini. Beliau berkata berkahwin di negara jiran itu juga sebenarnya memerlukan kos yang mahal dan akan dibebani lagi sekiranya perkahwinan mereka didaftar semula di negara ini. “Tidak guna untuk sembunyikan taraf perkahwinan daripada isteri pertama atau berikutnya dan jika didaftar semula perkahwinan mereka, isteri akan tahu juga,” katanya. Daud berkata pasangan dinasihati supaya merujuk kepada pihak berkuasa agama jika mahu berkahwin kerana pihak tersebut mempunyai prosedur bagi memudahkan perkahwinan. “Perlu diingatkan jika perkahwinan di luar negara tidak didaftar di mana-mana pihak berkuasa agama negeri, kita khuatir ia akan memberikan masalah akhirnya kepada golongan wanita dan juga anak yang bakal lahir,” katanya. – BERNAMA
KP DCA Perbetulkan Angka Penumpang Misteri – Hanya 2 Orang – Bukan 4
Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman sebentar tadi memaklumkan hanya ada dua penumpang yang diketahui menggunakan identiti dan pasport palsu bukannya empat seperti dimaklumkan dalam sidang media pada awalnya. Dalam sidang media terdahulu, Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengatakan wujud 4 penumpang misteri dan beliau berkata perbincangan telah dilakukannya bersama agensi risikan tempatan dan antarabangsa untuk menyiasat identiti semua yang terlibat. Bagaimanapun, Azharuddin yang kemudian mengatakan hanya ada dua sahaja individu diragui, berkata rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kini digunakan untuk menyiasat individu berkenaan. “Kita mempunyai rakaman cctv apabila dua individu berkenaan sedang mendaftar masuk dan ketika mereka memasuki pesawat untuk berlepas. “Rakaman itu kini sedang digunakan dalam siasatan isu penggunaan pasport curi berkenaan melibatkan identiti seorang warga Itali dan seorang warga Austria,” katanya. Tidak diketahui dari mana Hishammuddin mendapat angka empat itu kerana sejak dari awal media tempatan dan antarabangsa hanya melaporkan kewujudan dua individu misteri atas nama Christian Khozel (Austria) dan dan Luigi Maraldi (Itali). Kedua individu berkenaan masih hidup menjadikan ada pihak lain telah menggunakan pasport mereka untuk terbang menggunakan MH307. Azharuddin pada sidang media sama menegaskan sekali lagi bahawa hanya ada dua nama yang disyaki menggunakan identiti yang dicuri daripada orang lain dan berada dalam pesawat MH370 itu.
China Dakwa Jumpa Serpihan Pesawat Atas Permukaan Laut
KUALA LUMPUR: Beberapa serpihan pesawat dilaporkan ditemui di luar pantai Timur Barat Malaysia, namun ia masih belum dapat disahkan sebagai milik pesawat MH370 milik Malaysia Airlines yang hilang. Pegawai kanan Pentadbiran Penerbangan Awam China, Li Jiaxiang berkata, serpihan terbabit ditemui di kawasan longitud 103.29 darjah timur dan latitud 6.42 darjah utara. “Penemuan ini bagaimanapun masih menanti pengesahan daripada pasukan mencari yang tiba di lokasi,” ujarnya di dalam satu laporan berita. “Kita masih lagi belum pasti dengan lokasi sebenar pesawat tersebut, dan masih berharap akan keajaiban bahawa semua penumpang selamat,” kata Li seperti yang dilaporkan oleh China News. “Ia juga masih belum jelas pada ketika ini sekiranya pesawat tersebut terlibat dalam serangan pengganas,” tambahnya. Satu lagi laporan menyebut bahawa serpihan itu konsisten dengan satu gambar serpihan yang diambil oleh seorang penumpang yang menaiki sebuah lagi pesawat Malaysia Airlines dari Beijing ke Kuala Lumpur, yang telah mendarat pada pagi Ahad. Gambar-gambar tersebut dikatakan sebagai imej serpihan yang terapung di permukaan laut, setelah 90 minit perjalanan dari Kuala Lumpur. Semalam, pesawat Tentera Udara Vietnam mengesan dua tumpahan besar minyak di kawasan di mana pesawat Boeing 777-200 MAS itu dilaporkan hilang dan sehingga kini , proses mencari MH370 yang membawa 239 orang itu masih dijalankan. – Astro Awani
FBI Tak Tolak Aspek Keganasan Dalam Pesawat
Menurut laporan media Amerika Syarikat (AS), Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) tidak menolak sebarang aspek keganasan atau faktor lain sebagai punca kehilangan pesawat malang MAS MH370. FBI dilaporkan telah menghantar satu pasukan terdiri daripada ejen dan pakar teknikal bagi membantu siastan kehilangan pesawat yang dikendalikan Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53. Penglibatan FBI dalam penyiasatan misteri kehilangan pesawat itu adalah disebabkan tiga daripada penumpang MH370 merupakan rakyat Amerika. Sehingga kini misi mencari dan menyelamat terus diperluas dengan bantuan daripada negara yang terlibat seperti China, Vietnam, Amerika Syarikat dan juga dari negara jiran, Singapura.
Wan Azizah calon PRK di Kajang ganti Anwar Ibrahim
KAJANG - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dipilih sebagai calon PKR bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kajang pada 23 Mac ini. Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Wan Azizah diletakkan sebagai calon bagi menggantikan beliau yang tidak dapat bertanding berikutan keputusan Mahkamah Rayuan kelmarin. - KOSMO!
Juruterbang berpatah balik atas sebab tak boleh teruskan penerbangan - CEO MAS
SEPANG - Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya berkata, tindakan berpatah balik biasanya dilakukan jika juruterbang mendapati dia tidak boleh untuk meneruskan perjalanan atas sebab-sebab tertentu. Katanya, juruterbang kebiasaannya akan memaklumkan kepada menara kawalan sebelum membuat tindakan sedemikian. "Namun dalam kes ini, tiada sebarang komunikasi atau isyarat dari MH370 kepada menara kawalan," katanya pada sidang akhbar sebentar tadi. - KOSMO!
PDRM bekerjasama dengan agensi perisikan antarabangsa siasat kehilangan MH370
KEMAMAN - Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang bekerjasama dengan agensi perisikan antarabangsa bagi menyiasat kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370. Katanya PDRM sedang mengumpul maklumat daripada pelbagai pihak selain meneliti semula rakaman kamera litar tertutup di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada hari kejadian sehingga pesawat berlepas. "Polis tidak meletakkan ancaman pengganas sebagai faktor utama kehilangan pesawat MH370 itu tetapi tidak menolak kemungkinan tersebut," katanya dalam sidang media, di sini hari ini. - Bernama
Tujuh lelaki diberkas bersabit pembunuhan Ketua Wanita UMNO Felda Semenchu
JOHOR BAHRU - Polis menahan tujuh lelaki dipercayai terlibat dalam kes samun dan bunuh Ketua Wanita Umno Cawangan Felda Semenchu, Zalifah Jamaluddin, dekat Kota Tinggi, hujung bulan lepas. Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, kesemua suspek yang berumur 23 hingga 27 tahun itu ditahan di kawasan felda tersebut dan Stulang Laut di sini, pada petang Khamis lepas. "Polis menemui semula barangan milik mangsa membabitkan dua telefon bimbit, tiga jam tangan, sejumlah barangan kemas dan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM),” katanya kepada pemberita di sini hari ini. Mohd Mokhtar berkata, kesemua suspek merupakan penagih dadah dan berasal dari felda itu dengan seorang daripada mereka dikehendaki polis. Kesemua suspek kini direman sehingga 21 Mac depan untuk siasatan. - Bernama
ATM guna 22 pesawat, 40 kapal untuk misi menyelamat
SEPANG - Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifeli Md. Zin berkata, setakat hari ini sebanyak 22 pesawat dan 40 kapal digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat. Katanya, daripada jumlah itu, 18 pesawat melibatkan aset negara manakala bakinya dari Amerika Syarikat, Thailand dan Singapura. Bagi kapal pula, 27 melibatkan aset negara manakala bakinya dari China, Singapura, Indonesia dan Thailand. "Jumlah yang besar ini dapat memperkasakan lagi operasi mencari dan menyelamat Vietnam akan mengetuai operasi di perairan dalam sempadan negara itu sahaja," katanya pada sidang akhbar di pusat media di Hotel Sama-Sama di sini hari ini. - KOSMO!
Freescale Semiconductor sahkan 20 pekerja penumpang MH370
KUALA LUMPUR - Sejumlah 20 pekerja Freescale Semiconductor disahkan sebagai penumpang pesawat MH370 milik Malaysia Airlines yang hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing. Menurut kenyataan syarikat Freescale Semiconductor yang berpangkalan di Austin, Texas, daripada jumlah itu, 12 orang adalah rakyat Malaysia dan lapan lagi dari China. Kenyataan itu menyebut seluruh komuniti Freescale Semiconductor amat sedih dengan berita ini dan syarikat berkenaan akan terus memantau perkembangan terkini dan akan memberi lebih banyak maklumat, jika ada. "Ketika ini, kami hanya menumpukan kepada pekerja dan keluarga mereka. Ingatan dan doa kami sentiasa bersama mereka yang terjejas akibat peristiwa tragik ini," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Freescale Semiconductor, Gregg Lowe dalam kenyataan itu. Menurut kenyataan itu, syarikat berkenaan mengumpul kaunselor dan profesional lain menerusi Program Bantuan Pekerja Freescale dengan bantuan 24 jam kepada mereka yang terjejas akibat tragedi berkenaan. - Bernama
Singapura hantar lebih banyak pesawat dan kapal cari pesawat MAS yang hilang
SINGAPURA - Angkatan Tentera Singapura (SAF) menghantar aset-aset tambahan untuk membantu dalam operasi mencari dan mengesan pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang hilang ketika dalam penerbangan ke Beijing. Usaha itu termasuk menghantar dua lagi pesawat C-130 Tentera Udara Republik Singapura (RSAF), kapal frigat Kelas Formidable Tentera Laut Republik Singapura (RSS Steadfast) yang dilengkapi helikopter Sikorsky S-70B, kapal selam dan kapal sokongan dan penyelamat bersama penyelam serta kapal Corvette bersenjatakan peluru berpandu, RSS Cigour. Pesawat C-130 RSAF pertama yang dihantar pada Sabtu telah kembali ke Singapura malam tadi, menurut Kementerian Pertahanan dalam kenyataan di sini Ahad. Kenyataan itu menyebut aset-aset tambahan itu dihantar selepas Menteri Pertahanan, Ng Eng Hen menawarkannya kepada rakan sejawatan beliau dari Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, pada Sabtu. - Bernama
Keluarga berang dakwa dihalang bercakap kepada media
PUTRAJAYA - Seorang ahli keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 naik berang apabila dilarang memberikan sebarang kenyataan kepada pihak media. Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Kong berkata, tindakan pihak MAS yang menahan beliau daripada mengeluarkan sebarang kenyataan sebagai keterlaluan. "Mereka bukan sahaja bertindak keterlaluan, malah asyik menyuruh kami sekeluarga menunggu dan terus menunggu daripada semalam tanpa sebarang berita. "Bukannya saya sengaja ingin mencari masalah dengan mereka tetapi sesiapa sahaja yang berada di tempat saya sekarang juga tentu tidak akan berpuas hati dengan situasi ini," dakwanya. Kong adalah bapa saudara salah seorang penumpang pesawat MH370, Chng Mei Ling, 33. Kong berkata, anak saudaranya itu bertolak ke Beijing pada hari kejadian, sebelum bercadang meneruskan perjalanan ke Amerika Syarikat. Terdahulu, suasana di Hotel Everly agak tegang apabila usaha pemberita untuk menemubual Kong dihalang oleh petugas MAS. Berang dengan situasi tersebut, Kong bertindak menolak dan menengking petugas MAS tersebut. - KOSMO!
CCTV Rakam Dua Individu Guna Pasport Palsu
SEPANG: Gerak-geri dua penumpang misteri yang menaiki pesawat Malaysia Airlines MH370 menggunakan pasport palsu berjaya dirakam menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata rakaman CCTV itu akan digunakan untuk siasatan oleh jabatan tersebut. "Kami ada rakaman CCTV dari permulaan daftar masuk sehingga ke balai berlepas," katanya pada sidang media di sini Ahad. Seorang lelaki warga Itali, Luigi Maraldi yang namanya disenaraikan sebagai penumpang menaiki penerbangan tersebut, sebenarnya tidak menaiki pesawat itu. Terdapat individu lain menggunakan pasport Maraldi untuk menaiki pesawat tersebut. Menurut laporan akhbar di Itali yang memetik Kementerian Luar Itali sebagai berkata, pasport Maraldi telah dicuri pada Ogos tahun lalu di Thailand. Akhbar harian London, Mirror melaporkan bahawa terdapat penumpang kedua yang berada di dalam penerbangan itu turut menggunakan pasport yang dicuri. Pihak berkuasa Austria mengesahkan bahawa Christan Kozel "selamat dan berada dalam keadaan baik. " Kozel memberitahu akhbar Austria, De Standard bahawa pasportnya telah dicuri ketika berkunjung ke Thailand dua tahun lalu.
(Video) Rakaman radar pesawat #MH370 yang hilang
Video berdurasi 1:35 minit di bawah adalah rakaman dari radar yang menunjukkan pesawat MH370 yang berlepas dari KLIA dan kemudiannya hilang dari radar tersebut. Penerbangan MH370 ke Beijing itu membawa 227 penumpang dari 14 negara selain 12 anak kapal terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang pada 2.40 pagi Sabtu. Pesawat itu berlepas dari KLIA pada 12.41 pagi dan dijadual mendarat di Beijing pada 6.30 pagi. Ia dilaporkan hilang selepas gagal dikesan pada radar pusat kawalan trafik udara Vietnam yang kemudian melaporkannya kepada pusat kawalan trafik di Subang.
Kehilangan pesawat MH370 jadi tajuk utama akhbar luar negara
KUALA LUMPUR - Kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, menjadi tajuk utama sebahagian besar akhbar utama luar negara. Akhbar di Australia, The Australian memaparkan tajuk 'Flight Families Pray for Miracle', sementara Sydney Morning Herald pula menggunakan 'Oil slicks Found at Sea in Search for Malaysia Jet' sebagai tajuk laporan muka depannya. Muka depan akhbar USA Today pula memaparkan tajuk 'Stolen Passports Add to Flight Mystery'. Akhbar yang diterbitkan setiap Ahad di Britain, The Observer dalam laporan muka depannya menggunakan tajuk 'Oil Slicks Spotted in Sea as Plane Disappears with 239 Feared Dead'. Turut menjadikan insiden sebagai laporan muka depan ialah The New York Times dengan tajuk 'Passport Theft Adds to Mystery of Missing Jet Carrying 239', manakala laporan Washington Post pula bertajuk ’Passport Mystery Adds to Concern over Missing Jet’. - Bernama
Surirumah Mangsa Pertama Maut Denggi Di Terengganu
BESUT – Seorang surirumah berusia 29 tahun menjadi mangsa pertama yang meninggal dunia akibat demam denggi di Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Muhammad Pehimi Yusof berkata mangsa tinggal di Kompleks Perumahan Polis, Padang Hiliran, Kuala Terengganu. Beliau berkata mangsa dimasukkan ke wad Hospital Sutanah Nur Zahirah pada 5.35 petang Khamis lepas dan meninggal dunia pada kira-kira 12.30 tengah hari semalam. “Ujian darah ke atas mangsa mendapati mangsa positif denggi. Ini adalah kes kematian pertama akibat denggi di Terengganu sejak tahun 2011,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Daerah Besut di sini hari ini. Muhammad Pehimi berkata sehubungan itu, Jabatan Kesihatan Terengganu kini mempertingkat pemeriksaan ke semua unit kediaman di Kompleks Perumahan Polis berkenaan selain semburan pengasapan dan pemusnahan jentik-jentik nyamuk dalam tempoh tiga hari di semua lokaliti kes. “Operasi besar-besaran yang membabitkan pengedaran kit denggi yang mengandungi abate, plastik sampah dan bahan pendidikan kesihatan akan dibuat di setiap rumah bermula hari ini,” katanya. Anggota Dewan Undangan Negeri Kawasan Jerteh itu juga berkata gotong – royong membabitkan anggota kesihatan, badan bukan kerajaan (NGO), agensi negeri dan individu isi rumah di Padang Hiliran akan berterusan selama 7 hari. – BERNAMA
Pasangan kembar lakukan P’bedahan Plastik Untuk Kelihatan Sama
Sydney – Sepasang kembar yang lahir selang seminit, berkongsi segala-galanya dalam kehidupan mereka. Bukan sahaja pekerjaan, kereta dan akaun Facebook malah teman lelaki juga dikongsi kedua-duanya. Perkongsian itu juga nampaknya tidak cukup, hinggakan Anna dan Lucy DeCinque, 28, sanggup berbelanja wang untuk melakukan pembedahan komestik bagi memadamkan perbezaan antara mereka. Mereka menanam implan di bibir, payu dara dan kening palsu dengan anggaran kos pembedahan sebanyak £130,000. Wanita terbabit yang berasal dari Perth menghabiskan masa setiap hari bersama dan turut berkongsi bilik tidur. Anna dan Lucy menetap di rumah ibu mereka dan kedua-duanya percaya dengan berkongsi teman lelaki, Ben Byme, hubungan cinta mereka sudah sempurna. “Kami menjalin hubungan dengan seorang lelaki dan kami berkongsi. Bagi lelaki, memiliki dua teman wanita adalah sesuatu yang mereka impikan,’’ katanya. Kedua-dua beradik itu memberitahu, mereka tidak dapat dipisahkan sejak kecil lagi hinggakan ibu bapa mereka berasa runsing terutama mendiang bapa mereka, Luigi yang meninggal dunia pada 2010. “Kami gembira bersama malah ketika remaja kami akan bertukar –tukar teman lelaki,’’ katanya Anna yang memberitahu bahawa mereka tidak pernah berasa jemu antara satu sama lain.
Najib sahkan tiada bangkai pesawat MH370 ditemui di perairan Vietnam
KUALA LUMPUR: Tentera Laut Vietnam telah mengesahkan bahawa tiada bangkai pesawat MH370 ditemui di laut selatan negara itu seperti yang dilaporkan sebelum ini. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mengesahkan perkara ini, turut menafikan bahawa terdapat cubaan merampas pesawat tersebut. Apabila ditanya sekiranya juruterbang pesawat tersebut melaporkan masalah teknikal yang dialami oleh pesawat sebelum ia dikesan hilang, Najib berkata ia hanyalah satu spekulasi. “Setakat ini semuanya hanya spekulasi. Kita tidak seharusnya membuat sebarang spekulasi pada peringkat ini,” katanya semasa suatu sidang media di Hotel Sama Sama, KLIA hari ini. Najib berkata oleh kerana peringkat pertama pencarian pesawat yang hilang itu di kawasan di mana isyarat terakhir diterima menemui jalan buntu, kerajaan telah mengambil keputusan untuk memperluaskan kawasan pencarian. Najib berkata pencarian akan dilakukan ‘seluas mungkin’ dan kerajaan sedang mengkaji segala kemungkinan. “Kita telah menambah bilangan aset termasuk 15 pesawat dari Tentera Udara Diraja Malaysia. “Untuk memberi impak yang lebih bermakna, kita merasakan kerjasama dengan negara lain perlu dilakukan. “Vietnam telah bersetuju untuk melakukan operasi pencarian di kawasan perairannya dan tentera udara Amerika Syarikat telah bersetuju untuk menghantar pesawat-pesawat mereka untuk operasi mencari. “Singapura turut menghantar satu pesawat untuk membantu operasi mencari,” katanya. Sementara itu, operasi mencari pesawat Malaysia Airlines yang dijalankan oleh pihak berkuasa Vietnam menemui dua tompok tumpahan minyak yang dipercayai datangnya daripada enjin pesawat Boeing 777-200 itu yang hilang sejak awal pagi Sabtu. The Wall Street Journal melaporkan juruterbang pesawat yang menyertai misi pencarian itu menemui tompokan minyak masing-masing sepanjang antara 10 hingga 15 kilometer pada jarak 500 meter antara satu sama lain. Tompokan minyak itu ditemui 140 kilometer ke selatan Pulau Tho Chu di pesisir selatan Vietnam, kata laporan itu memetik kenyataan kerajaan Vietnam yang dikeluarkan di laman web rasminya. Sebelum ini, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata bahawa laporan media yang mendakwa pesawat Malaysia Airlines terhempas ke dalam Laut China Selatan kira-kira 120 batu nautika dari Kota Bharu masih belum dapat disahkan. Sebuah akhbar Vietnam sebelum ini memetik kenyataan Laksamana Tentera Laut negara itu yang mengatakan radar tentera telah mengesan lokasi terakhir penerbangan MH370 itu iaitu di kawasan perairannya sebelum ia dilaporkan hilang. Penerbangan MH370 itu terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara di Subang pada 2.40 pagi Sabtu kira-kira dua jam selepas berlepas. Lebih 12 jam selepas kehilangannya, ia masih belum dapat dikesan. Pesawat itu membawa 227 penumpang, dua daripadanya bayi dan 12 anak kapal. Ia berlepas dari KLIA pada 12.41 pagi Sabtu dan dijadual mendarat di Beijing pada 6.30 pagi.
Keluarga Mangsa Di China Sifatkan MAS Lemah
Anggota keluarga dan saudara mara penumpang penerbangan MH370 yang hilang sejak awal pagi semalam meluahkan rasa marah mereka terhadap cara Penerbangan Malaysia (MAS) melayan mereka berhubung kejadian itu. Agensi media Reuters melaporkan, keluarga mangsa di China dibiarkan ‘dalam kegelapan’ tanpa maklumat di kemas kini secara rasmi oleh pihak MAS atau wakil syarikat penerbangan berkenaan menemui mereka. Media-media China juga menyifatkan MAS memberikan respon yang sangat lemah. “Tidak ada seorang pun wakil syarikat (MAS) di sini, kami tidak menemui seorang pun. Mereka hanya mengunci kami dalam bilik ini dah suruh kami menunggu,” kata seorang lelaki pertengahan usia di sebuah hotel berhampiran lapangan terbang Beijing di mana keluarga mangsa ditempatkan. “Kami mahu seseorang memperlihatkan wajah mereka, mereka belum memberikan kami senarai penumpang,” katanya. Seorang lagi keluarga mangsa, ketika cuba mengelak para wartawan sempat berkata: “Mereka layan kami lebih teruk pada anjing!”. MH370 membawa 227 penumpang dengan 152 daripada mereka merupakan warga China. Kapal berkenaan berlepas pukul 12.40 pagi dari KLIA menuju ke Beijing dalam keadaan cuaca yang elok sebelum hilang daripada radar tidak beberapa lama selepas itu.
Abang Ipar Ameer Forteen Antara Yang Terlibat
Sehingga kini seluruh warga Malaysia dan penduduk seluruh dunia masih lagi menantikan perkembangan terbaharu mengenai ‘misteri’ kehilangan pesawat MAS MH370 yang hilang dari radar sejak 1.30 pagi semalam. Penerbangan itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 12.41 pagi semalam dan sepatutnya mendarat di Beijing pada jam 6.30 pagi hari yang sama. Merasai kesedihan sama ialah ahli kumpulan Forteen, Ameerais apabila dikhabarkan abang iparnya, Junaidi Kassim turut tersenarai antara anak kapal dalam pesawat malang itu. Difahamkan Junaidi, 37, yang merupakan suami kepada kakak sulung Ameer, sudah hampir 15 tahun berkhidmat dengan MAS. Berkongsikan perkara itu, Ameer menyeru semua peminatnya sama-sama mendoakan kesejahteraan semua penumpang serta krew MH370 yang masih tidak diketahui untung nasib mereka sehingga kini. Difahamkan Junaidi, 37, yang merupakan suami kepada kakak sulung Ameer, sudah hampir 15 tahun berkhidmat dengan MAS. Berkongsikan perkara itu, Ameer menyeru semua peminatnya sama-sama mendoakan kesejahteraan semua penumpang serta krew MH370 yang masih tidak diketahui untung nasib mereka sehingga kini.
APMM: Operasi Laut Dan Udara Dah Tiba Di Lokasi Terakhir MH370, Masih Tiada Kesan
KUALA LUMPUR - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah sampai ke lokasi terakhir MH370 yang dilaporkan terputus hubungan iaitu 120 batu nautika ke timur Kota Bharu. Pengarah C3i (Command, Control, Communication and Information) APMM, Kapten Maritim Hamid Mohd Amin memberitahu Astro AWANI bahawa kawasan seluas 40 batu nautika telah diperiksa tetapi tiada apa-apa yang signifikan dijumpai lagi. “Tadi, pesawat kami menjumpai satu objek tetapi setelah disiasat ia hanya satu kanvas berwarna oren yang tidak berkaitan,” kata Hamid. Antara aset APMM yang telah sampai di lokasi adalah kapal KM Amanah, KM Langkawi, serta KD Pahang daripada Tentera Laut DiRaja Malaysia. Sebuah pesawat Bombardier serta helikopter EC275 tentera turut digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan. Pesawat Boeing 777-200 MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara di Subang pada 2.40 pagi, kira-kira dua jam selepas berlepas. Dalam rancangan kedua operasi itu, pasukan-pasukan penyelamat akan menggerakkan KD Terengganu dan beberapa kapal kecil serta pesawat Augusta. – Astro Awani
Isteri Dan Dua Anak Bekas CEO CELCOM DISAHKAN Penumpang MH370
KUALA LUMPUR, 8 Mac – Isteri dan anak pengerusi Kumpulan Modal Perdana Datuk Mohamed Ramli Abbas merupakan antara 239 penumpang yang menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang dilaporkan hilang awal hari ini. Adik ipar Mohamed Ramli, Salmy Hashim berkata isteri bekas Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Datin Biby Nazli Mohd Hassim bersama dua anak perempuan mereka Maria dan Dina telah menaiki pesawat itu untuk bercuti ke Beijing. Salmy yang merupakan pemberita sambilan Bernama di Washington, Amerika Syarikat memberitahu BernamaTV, turut serta bersama Biby dan keluarganya dalam penerbangan itu adalah kakaknya Noorida. Salmy berkata beliau tidak menyangka perbualan menerusi laman sosial skype bersama dua kakak dan dua anak buahnya minggu lepas merupakan detik terakhir mereka berhubung sebelum dilaporkan hilang. Beliau ketika dihubungi tidak dapat menahan sebak berikutan insiden yang menimpa keluarganya dan berkata: “Saya dapat tahu tentang kejadian ini malam tadi (waktu tempatan) bila anak saudara saya memanggil saya.” “Mak dia iaitu kakak saya, dengan dua orang anak dan kakak lagi seorang dalam pesawat. Jadi saya cuma tahu melalui telefon,” kata Salmy yang merupakan anak ke enam daripada sembilan beradik. Salmy turut berharap agar pesawat itu ditemui dan kesemua penumpang berada dalam keadaan selamat. Pesawat MH370 itu hilang daripada radar setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 12.41 pagi tadi menuju ke Beijing, China. Ia sepatutnya mendarat di Beijing 6.30 pagi waktu tempatan.
Kenyataan Malaysia Airlines Untuk Hari Ke-2
SELEPAS 24 jam kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, pasukan mencari dan menyelamat masih gagal mengesan lokasi pesawat berkenaan yang terputus hubungan dengan komunikasi menara kawalan pada pukul 2.40 pagi semalam. Dalam satu kenyataan rasmi hari ini, syarikat MAS kini sedang memberikan bantuan kepada ahli keluarga penumpang termasuk bantuan kewangan segera bagi membantu meringankan beban mereka. Ia telah menubuhkan sebuah pasukan 94 orang yang mengandungi kakitangan yang telah dilatih untuk memberi sokongan emosi kepada ahli keluarga. “Yayasan Tzu Chi turut membantu menjalankan fungsi yang sama,” menurut kenyataan itu yang dikeluarkan pada pagi hari kedua misteri kehilangan pesawat MH370. MAS akan turut menubuhkan sebuah kumpulan yang sama untuk dihantar ke Beijing lewat hari ini. Malam tadi pasukan pengurusan kanan dari MAS tiba di Beijing, China untuk bertemu dengan para media dan juga ahli keluarga penumpang yang juga sedang menunggu berita di sana. “Selain itu, MAS juga secara konsisten bekerjasama dengan pihak berkuasa lain yang turut memberikan bantuan dalam perlaksanaan operasi mencari dan menyelamat. “Untuk bersedia jika kemungkinan pesawat MH370 menghadapi kemalangan serius, satu pakar bencana dari Atlanta, Amerika Syarikat akan membantu Malaysia pada ketika ini,” menurut kenyataan itu.
Ketua Polis Kuching risau nasib anak saudara
Sepang: “Dia (adik) sepatutnya berada di sana (China) selama sebulan atas urusan kerja dipercayai berkaitan pembinaan sebuah kilang baru. “Selain itu, dia dikatakan turut membawa beberapa bekalan makanan seperti mi segera dan paket rendang segera,” kata Lokman Mustapa, 40, abang kepada seorang penumpang pesawat MH370 yang dilaporkan hilang di Vietnam. Adiknya, Suhaili, 31, antara 38 warga tempatan yang menaiki pesawat berkenaan dalam perjalanan ke Beijing, China. Menurut Lokman, adiknya yang bekerja di sebuah syarikat semikonduktor di Petaling Jaya itu masih bujang dan sentiasa menjaga ibu mereka. “Saya difahamkan dia pergi ke China bersama 15 rakan setugas atas urusan kerja,” katanya yang terkejut apabila dimaklumkan mengenai kejadian itu, awal pagi semalam. Beliau berkata, dia juga difahamkan ada satu keluarga lain yang mempunyai empat ahli keluarga turut menaiki pesawat sama dengan adiknya itu. “Sehingga kini, tiada apa-apa maklumat lagi dan keluarga kami masih menunggu berita mengenai adik saya itu,” katanya di perkarangan Anjung Tinjau Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini, semalam.
Hilang 29 rakan sekali gus
Kakitangan kilang Freescale Semiconductor antara penumpang pesawat hilang. Petaling Jaya: “Macam tak percaya apabila kami kehilangan ramai kakitangan pengurusan sekali gus. Sebaik tiba di kilang untuk memulakan syif pagi tadi (semalam) semuanya seperti biasa, sehinggalah kami mendapat e-mel daripada pengurusan. “Saya simpati dengan apa yang berlaku. Kebiasaannya memang syarikat menghantar pengurusan untuk urusan perniagaan ke China, tak sangka kali ini berakhir dengan berita sedih,” kata kakitangan kilang Freescale Semiconductor yang mahu dikenali Amin. Katanya, dia dimaklumkan rakan ketika tiba di tempat kerja pagi semalam dan terkejut apabila mendengar salah seorang daripada pengurus pengeluaran terbabit dalam nahas. Menurutnya, dia mengenali pengurusnya itu sebagai seorang yang baik malah disenangi pekerja dan bersimpati dengan nasib menimpanya. “Semua staf menerima emel mengenai kejadian dan pengurusan menjelaskan masih menunggu perkembangan terkini mengenai kejadian itu,” katanya.
Habuan RM30,300 kekalkan dara
Pretoria: Seorang lelaki menawarkan habuan bernilai RM30,300 kepada mana-mana wanita berusia sehingga 35 tahun jika dapat membuktikan mereka masih dara. Dalam tawaran yang dibuat sempena kempen memerangi HIV dan kehamilan remaja itu, Rabelani Ramali berkata, dia akan menghadiahkan wang berkenaan kepada “anak dara yang berjaya” berserta pingat emas, perak dan gangsa mengikut tahap usia mereka. Selepas mengumumkan tawaran itu, Ramali seorang pekerja sosial dai Limpopo berkata dia menerima reaksi berbeza-beza. “Ada yang menyambut baik tetapi ada yang memandang sinis,” katanya, semalam. Kata Ramali, tawaran berkenaan boleh mendorong remaja mempertahankan dara masing-masing sehingga tiba masa sesuai untuk mereka berpasangan. Ramali yang mempunyai lima anak daripada empat wanita menganggap dirinya sebagai pengasan “Anugerah Anak Dara Afrika Selatan.” Untuk mengesahkan status dara seseorang, Ramali akan mendapatkan pengesahan doktor bertauliah. - AFP
Kiai dituduh noda pelajar
Tulungagung: Polis terpaksa campur tangan dan menyelamatkan seorang kiai dan keluarganya serta beberapa murid lain selepas mereka diserang penduduk kampung yang menuduh lelaki terbabit menyebabkan seorang pelajar hamil. Kiai Jaz, 50, berasal dari Desa Sidem di daerah Gondang, masih ditempatkan di balai polis Tulungagung bagi mengelakkan dia menjadi mangsa rusuhan. Ketua Polis Tulungagung, Lahuri berkata, pihak berkuasa cuba berunding dengan penduduk untuk membenarkan kiai itu pulang namun mereka tetap bercadang untuk mengancam keselamatannya. “Sebelum diselamatkan, Jaz sempat dipukul penduduk kampung,” katanya. Lahuri berkata, Jaz bernasib baik kerana polis tiba tepat pada masanya untuk menyelamatkan lelaki terbabit. Katanya, Jaz menjadi sasaran kemarahan penduduk kerana disyaki mengadakan hubungan seks dengan seorang pelajar berusia 15 tahun. Bagaimanapun, Lahuri berkata, polis percaya pelajar perempuan itu hamil hasil hubungannya dengan seorang pelajar lelaki di situ. Malah, kata Lahuri, mereka sudah bernikah secara rahsia pada 14 Ogos tahun lalu. Petang kelmarin, sekumpulan penduduk yang simpati kepada Jaz datang ke balai polis dan meminta dia dilepaskan kerana polis tidak cukup bukti untuk menahannya. Polis kemudiannya mengumpulkan penduduk kampung yang berbeza pendapat itu untuk menerangkan keputusan siasatan bagi menjernihkan kembali keadaan dan pertelagahan masih berlaku. - Agensi
Pesara miang terlanggan kekasih anak
Rome: Seorang lelaki berusia 70 tahun bernasib baik kerana tidak mengalami serangan jantung selepas mendapat tahu seorang wanita yang dilanggannya sebagai pelacur adalah teman wanita anaknya. Pesara terbabit begitu teruja menunggu kedatangan pelacur yang ditempah ke rumahnya. Namun, warga emas berkenaan terkejut apabila mendapati pelacur yang masuk melalui pintu rumah mewahnya itu ialah wanita yang memang dikenalinya. Sumber berkata, lelaki terbabit menempah pelacur berkenaan dari bandar berhampiran Treviso. Sebelum itu, pelacur terbabit mendakwa kepada anak pesara terbabit bahawa dia bekerja sebagai pelayan kedai makan. Pertemuan “luar biasa” itu mencetuskan pertengkaran antara mereka dan akan didedahkan dalam perbicaraan di mahkamah minggu ini. - Agensi
Budak jadi makanan anjing
Nairobi: Dua pembantu rumah di kawasan perumahan mewah di Nairobi didakwa memotong zakar, menyiat kulit kemaluan dan mengelar badan, peha, kaki dan punggung anak lelaki majikan mereka. Tidak cukup dengan itu, mereka juga menyiat kulit kepala budak terbabit sebelum dicampak ke luar untuk dijadikan makanan anjing. Dalam kejadian jenayah dianggap paling kejam di Kenya itu, pembantu rumah, Concepta Achitsa Mwanje, 27, dan tukang kebun, Vincent Odhiambo Owino, dituduh melakukan rompakan dan penculikan serta mendatangkan kecederaan parah pada budak berkenaan. Dokumen mahkamah menyatakan, mereka menyangka budak terbabit sudah mati ketika mangsa diberikan kepada anjing. Mereka melakukan perbuatan itu dengan harapan jenayah mereka dapat disembunyikan. Dr Joseph Kathuri yang memeriksa budak berusia tiga setengah tahun itu berkata, 75 peratus kulit kepala mangsa hilang dalam kejadian pada 31 Disember 2008 itu. Bulan lalu Mahkamah Tinggi mengekalkan hukuman penjara 30 tahun ke atas Mwanje dan Owino selepas menolak rayuan mereka. Menyingkap kembali kes itu, bapa mangsa mendapat panggilan daripada pembantu rumahnya mendakwa kononnya budak terbabit dibaham anjing. Ketika bapanya pulang ke rumah, Owino sudah melarikan diri. Bagaimanapun, keesokannya dia menghubungi majikannya itu untuk memberitahu apa yang terjadi. Sementara itu ketika dikejarkan ke hospital, mangsa berada dalam keadaan tidak sedar dan hampir mati. Selepas menjalani beberapa pembedahan kanak-kanak itu berjaya diselamatkan. Ibu mangsa berkata, walaupun suaminya seorang panas baran, tetapi dia tidak pernah dilihat memukul pembantu rumah terbabit. Seperti kebanyakan ibu bapa lain, bapa mangsa mendapatkan khidmat Mwanje daripada agensi pembekal pekerja tempatan yang kini popular di kebanyakan pusat bandar. Ia dikatakan mengambil pekerja tanpa mengenali mereka dan hanya mempunyai salinan kad pengenalan mereka. Keajaiban berlaku apabila kanak-kanak itu sembuh dan dapat mengenal pasti pembantu rumah dan tukang kebun yang mencederakannya. - Agensi
Sungai Nil tercemar teruk
GAMBAR fail menunjukkan petani mengambil air berhampiran bangkai keldai di Delta Nil, Kaherah.
Kaherah: Penduduk Mesir yang bergantung kepada air dari Sungai Nil kini menghadapi masalah besar kerana kadar pencemaran di situ semakin tinggi. Pada ketika tertentu, pengambilan air dari sungai berkenaan sepatutnya dihentikan bagi mengelak pengguna yang menerima bekalan di pelbagai bandar di Mesir menghadapi penyakit. Menurut sumber, air Sungai Nil kini tidak lagi memenuhi standard kebersihan yang dibenarkan dan peningkatan pencemaran itu selalunya disebabkan oleh paras air yang menurun. Katanya, sebelum ini sudah ada penduduk kampung yang mengadakan protes kerana kerajaan lambat bertindak mengatasi masalah berkenaan. Malah, katanya, kerajaan pernah disaman atas tuduhan “mencemari air minuman.” “Kes keracunan pula sudah dikesan di banyak kawasan,” katanya dalam satu kenyataan. Sumber berkata, loji air Rosetta adalah antara cawangan mencatat pencemaran tertinggi dengan kepekatan melampau ammonia dan garam tidak terurai. “Air itu mampu membunuh iran dan memberi kesan kepada loji bekalan air bagi wilayah Kafr el-Sheikh, Buhaira dan Damietta,” katanya.
Empat remaja kena jual warga asing
GRO mengenakan pakaian seksi untuk menarik pelanggan yang datang mengunjungi pusat terbabit. Puchong: Empat remaja warga asing bawah umur berjaya diselamatkan daripada aktiviti pemerdagangan manusia dalam serbuan terhadap dua pusat hiburan, Jalan Puchong Mesra 1, di sini kelmarin. Dalam serbuan jam 7.10 malam itu, empat remaja berusia 16 dan 17 tahun itu ditemui bersama 89 lagi pelayan pelanggan (GRO) warga asing di dalam bilik khas dipercayai sedang menunggu dilanggan lelaki hidung belang yang mengunjungi pusat berkenaan. Ketua Operasi Deputi Superintendan Mohd Ishak Yaakob berkata, operasi dilakukan Bahagian Kongsi Gelap/ Perjudian/ Maksiat (D7) Bukit Aman dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras dengan kekuatan tujuh pegawai dan 28 anggota berdasarkan kepada maklumat risikan polis. Katanya, keempat-empat remaja itu dipercayai diperdaya oleh satu sindiket pemerdagangan manusia yang membawa masuk gadis daripada negara jiran untuk aktiviti tidak bermoral di negara ini. “Selain daripada empat gadis bawah umur ini, kita juga berjaya menahan 89 GRO membabitkan 71 warga Vietnam, 17 warga China dan tiga warga Kemboja serta dua daripada Thailand berusia lingkungan 16 sehingga 30 tahun.
Bayi 8 bulan bertarung nyawa akibat didera bapa kandung
Miri: Seorang bayi lelaki berusia lapan bulan kini bertarung nyawa akibat pendarahan dalam otak dan retak tempurung kepala selepas didera bapa kandung yang juga warga Indonesia di sebuah bilik sewa di Jalan Brooke, di sini, kelmarin. Perbuatan itu bukan saja menyebabkan mangsa cedera parah, malah lelaki berusia 38 tahun berkenaan turut membiarkan bayi malang itu menangis kesakitan bersendirian di dalam bilik sewa sebelum dibantu seorang rakan ibu mangsa, jam 8.30 malam. Difahamkan, lelaki tidak bekerja itu mengambil alih tugas menjaga bayi berkenaan dan abangnya berusia dua tahun berikutan isterinya yang juga warga Indonesia jarang pulang kerana bekerja sebagai pelayan wanita (GRO) di sebuah pusat hiburan di sini. Sumber polis berkata, simpati melihat keadaan bayi itu, rakan ibunya berusia 20-an membawa mangsa ke Hospital Miri sebelum doktor yang merawat mengesan kesan lebam dan luka di wajahnya.
15 minit bertarung lawan buaya
Kuching: Seorang pemancing udang bertarung nyawa lebih 15 minit melepaskan diri dari gigitan buaya di Sungai Benat, Simunjan dekat sini, kelmarin. Dalam kejadian jam 6 petang itu, mangsa, Mos Sebeli, 43, dari Kampung Benat, Simunjan pergi ke sungai berkenaan untuk memancing udang sebelum seekor reptilia ganas tiba-tiba muncul di permukaan air dan menyerangnya. Mos berkata, ketika sedang asyik membetulkan mata pancing, beliau terkejut apabila tiba-tiba kaki kirinya digigit buaya dan beliau kemudiannya ditarik ke dalam sungai. Beliau mengerahkan sekuat tenaga melawan buaya berukuran kira-kira dua meter itu dan berpegang pada dinding perahu bagi menyelamatkan diri. “Selepas hampir 15 minit saya bergelut dan dalam keadaan tercungap-cungap kerana tenggelam dan timbul ketika melawan buaya itu, saya menendang kepalanya sekuat mungkin beberapa kali dan akhirnya buaya itu melepaskan cengkamannya. “Dengan keadaan kaki kiri yang patah, saya naik ke tebing sungai untuk mendapatkan bantuan penduduk berhampiran,” katanya ketika ditemui di Hospital Umum Sarawak (HUS). Mangsa dibawa ke klinik kesihatan berhampiran sebelum dirujuk ke HUS untuk rawatan lanjut dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil.
PKR senarai 3 calon ganti di Kajang
Shah Alam: Kepemimpinan pakatan pembangkang sudah menyenarai pendek sekurang-kurangnya tiga nama bagi menjadi calon ganti pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang. Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, berkata nama yang disenarai pendek itu berdasarkan kepada 12 nama yang diteliti oleh kepemimpinan pakatan pembangkang. Bagaimanapun, beliau hanya tersenyum apabila ditanya sama ada namanya turut tersenarai atau tidak. “Saya hanya mahu memberikan tumpuan kepada perjuangan parti,” katanya kepada pemberita di sini, semalam. Khabar angin bahawa Saifuddin bakal menjadi calon pada PRK DUN Kajang pada 23 Mac ini, bertiup kencang pada Konvensyen Pakatan Rakyat Kelima di sini, semalam. Saifuddin, dikatakan akan menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding kerusi itu berikutan Mahkamah Rayuan menjatuhi hukuman penjara lima tahun ke atas Ketua Pembangkang selepas mendapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, enam tahun lalu. Mesyuarat kepemimpinan pakatan pembangkang yang diadakan serentak dengan Konvensyen Pakatan Rakyat di sini, semalam, dikatakan turut membincangkan kemungkinan mencalonkan Saifuddin sebagai pengganti walaupun Anwar pada sidang media sebelum itu, menyatakan namanama yang dilihat berpotensi membabitkan muka lama dan baru.
Adik beradik langgan pelacur, Seorang anggota keselamatan
Masjid Tanah: Seorang anggota keselamatan terpaksa merayu meminta dilepaskan kerana takut dikenakan tindakan tatatertib selepas ditahan kerana melanggan pelacur. Ketika serbuan di sebuah rumah urut di sekitar pekan ini, kira-kira jam 11.30 malam kelmarin, lelaki berusia 50-an itu ditahan ketika berada di dalam premis terbabit. Anggota berkenaan kelihatan terkejut apabila premis itu diperiksa sepasukan 25 anggota dari Jabatan Imigresen Melaka, Majlis Perbandaran Alor Gajah dan Pejabat Agama Islam Daerah.
Isteri beli iklan dedah hubungan sulit suami
Texas: Seorang wanita mengambil pendekatan agresif membalas dendam kepada suami yang curang dengan membeli iklan dalam surat khabar menyiarkan hubungan lelaki berkenaan dengan wanita simpanannya yang sedang hamil. Iklan dalam akhbar Toledo Bend itu memaparkan ucapan tahniah kepada Shara Cormier dan Patrick Brown berikutan berita mereka akan menimang cahaya mata, yang ditandatangani oleh isteri Brown, Timeshia. Ia berbunyi: “Saya mahu mengucapkan tahniah kepada Shara Cormier dan Patrick Brown. Mereka bakal menimang cahaya mata. Harap anda berdua benar-benar dilamun cinta dan harap ia berpanjangan. Sayang selalu, isteri Patrick, Timeshia Brown.” Walaupun tidak dapat dipastikan bila iklan itu disiarkan atau berapa kosnya, ia dikongsi di internet Isnin lalu selepas disiarkan di Facebook. Saudara dan rakan sekerja Cormier yang tinggal di daerah Sabine di Texas enggan memberi komen mengenai iklan itu. Laman Facebook Cormier mendedahkan beliau berkawan dengan Brown yang tinggal di bandar sama, tetapi Timeshia tidak dapat dikesan. AGENSI
Waris di China bimbang nasib penumpang pesawat MH370 2014/03/09 - 12:06:03 PM
BEIJING: Waris kepada penumpang warga China dan pengguna web di seluruh negara ini meluahkan kebimbangan terhadap nasib ahli keluarga dan rakan senegara yang menaiki pesawat MH370. Lebih 24 jam selepas pesawat berkenaan hilang dari radar, perkara itu menjadi topik hangat dibincangkan menerusi Sina Weibo, laman sosial yang mirip seperti Twitter. - AFP
Empat penumpang MH370 guna pasport palsu - Hishammuddin 2014/03/09 - 11:57:01 AM
SEPANG: Empat penumpang MH370 disahkan guna pasport palsu dan Unit Anti Pengganas dari negara terbabit serta FBI akan siasat secara bersama. Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, perkembangan lanjut mengenai empat penumpang itu akan didedahkan dari semasa ke semasa selepas siasatan dijalankan.
Rakyat kita terlebih garam
Kota Bharu: Pengambilan garam di kalangan rakyat Malaysia dalam makanan harian adalah 1.7 kali ganda lebih tinggi berbanding yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata hasil satu kajian membabitkan orang dewasa di negara ini pada 2012 menunjukkan purata p engambilan garam adalah 8.7 gram sehari. “Saranan WHO dalam pengambilan garam untuk penggunaan harian adalah hanya lima gram sehari, tapi rakyat Malaysia mengambil 1.7 kali ganda lebih tinggi berbanding yang disyorkan badan kesihatan dunia itu. Kicap soya tinggi garam. “Daripada kajian itu juga, mendapati kicap soya adalah makanan utama yang menyumbang kepada kandungan garam tinggi, manakala lelaki dikesan mengambil banyak garam berbanding wanita,” katanya dalam kenyataan media sempena Minggu Kesedaran Garam Sedunia 2014: Switch The Salt - Berhenti, Lihat dan Pilih Yang Rendah Garam, di sini, semalam.
Teori kehilangan pesawat MH370
Masalah teknikal
Pesawat MH370 mungkin mengalami masalah teknikal pada enjin yang kemudian melemahkan seluruh sistem pesawat sebelum menyebabkannya terhempas.
Kemungkinan besar pesawat itu menjunam ke laut dan sehingga kini belum dikesan pasukan penyelamat.
Antara masalah teknikal pada enjin yang boleh mengundang malapetaka ialah pesawat kehabisan minyak atau kehilangan kuasa enjin dan tujahan semasa terbang.
Kebakaran
Pesawat kemungkinan mengalami kebakaran yang boleh berpunca daripada enjin atau dari dalam kabin.
Kebakaran dari dalam kabin mungkin boleh berpunca daripada litar pintas atau peralatan elektronik dalam pesawat.
Pesawat juga boleh berdepan dengan gangguan telekomunikasi jika penumpang menggunakan gajet-gajet elektronik yang dibawa bersama semasa penerbangan.
Semua gangguan itu boleh mengundang malapetaka.
Cuaca buruk
Faktor ribut dan kilat boleh menjadi salah satu punca pesawat MH370 ditimpa kemalangan.
Sistem pada pesawat boleh terganggu sekiranya berlaku bencana seperti ribut yang menyebabkan hilangnya imbangan sebelum pesawat kemudian terhempas.
Tersasar penerbangan
Juruterbang mungkin tersasar daripada mengikuti radar semasa penerbangan hingga menyebabkan pesawat MH370 terputus hubungan dengan menara kawalan.
Juruterbang berkemungkinan tidak kembali kepada panduan penerbangan yang diberi oleh menara kawalan atau tidak kembali kepada sistem pengesanan global (GPS) yang terdapat pada pesawat hingga memungkinkan ia terhempas.
Rampasan
Pesawat mungkin dirampas oleh pihak pengganas yang kemudian telah meletupkannya.
Pengganas biasanya akan membuat sesuatu tuntutan jika mereka merampas pesawat dan tidak melakukan perkara itu jika tiada tujuan.
Boeing 777 pesawat paling selamat
LONDON - Pakar-pakar penerbangan melahirkan perasaan terkejut mengenai kehilangan pesawat penumpang Boeing 777-200 milik Penerbangan Malaysia, lapor akhbar The Guardian semalam. Ia ekoran pesawat berkenaan memiliki rekod keselamatan yang hampir sempurna. Perunding keselamatan aviasi yang juga anggota Jawatankuasa Penasihat Keselamatan Penerbangan Awam India, Mohan Ranganathan berkata, "amat, amat" jarang untuk sesebuah pesawat hilang hubungan komunikasi sepenuhnya tanpa sebarang tanda masalah. "Boeing 777 adalah sebuah pesawat yang amat selamat, saya terkejut," katanya. Menurut Mohan, pesawat itu terbang setinggi 10,700 meter dengan data dalam penerbangan menunjukkan ia kehilangan altitud dengan cepat dan berubah haluan. Seorang lagi pakar penerbangan, Neil Hansford yang merupakan pengerusi firma perundingan Strategic Aviation Solutions berkata: "Boeing 777 memiliki rekod keselamatan antara yang terbaik dalam sejarah." "Lebih 1,000 pesawat itu telah dibina manakala cuma 60 insiden telah direkodkan dengan kebanyakannya adalah kemalangan kecil," kata Hansford. Menurutnya, kebarangkalian sebuah pesawat mengalami kegagalan kesemua enjin dalam satu masa adalah amat kecil. "Jika sebuah enjin pesawat itu rosak semasa di udara, ia tidak akan terhempas," tambah Hansford. Jelasnya, beliau turut menerima maklumat terdapat pihak yang mendakwa jet komersial itu telah disabotaj atau dibom tetapi menyifatkan spekulasi tersebut sebagai terlalu awal. "Bagaimana sesiapa boleh tahu tentang perkara ini dengan sebegitu cepat?" ujarnya. - Agensi
Malaysia hargai negara luar bantu operasi mencari dan menyelamat MH370
KUALA LUMPUR - Kerajaan Malaysia menyambut baik kerjasama lima negara luar yang mengerahkan aset masing-masing untuk memberi sokongan dan bantuan dalam usaha mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang dilaporkan hilang sejak awal pagi semalam. Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, Malaysia juga menghargai bantuan yang ditawarkan Vietnam, China, Amerika Syarikat, Singapura dan Filipina dalam usaha itu. Katanya, beliau telah berhubung dengan rakan sejawatannya dari Singapura, Vietnam dan Filipina, dalam kerangka Asean, bagi memohon membantu Malaysia dalm operasi itu. "Kerajaan Malaysia turut menyambut baik bantuan dan kerjasama serupa daripada negara-negara lain dan badan antarabangsa dalam operasi mencari dan menyelamat. "Kerajaan Malaysia berkongsi kesedihan dan kebimbangan sanak saudara terdekat dan ahli keluarga penumpang pesawat MH370. "Segala ingatan dan doa adalah bersama mereka terutamanya kepada semua penumpang dan anak kapal," katanya dalam kenyataan di sini, awal pagi ini. - Bernama
Ada kesan minyak, tiada serpihan pesawat
SEPANG 9 Mac - Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan kewujudan kesan minyak di perairan Vietnam tetapi sebarang serpihan kapal terbang belum ditemui. Beliau berkata, pesawat Vietnam sedang berada di kawasan perairan berkenaan untuk lakukan pengesahan. Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, usaha mencari dan menyelamat penumpang MH370 juga akan mengambil kira kemungkinan pesawat itu melakukan pusingan (air turn back). Pesawat MH370 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 12.41 pagi, 8 Mac lalu hilang ketika dalam perjalanan menuju ke Beijing, China. - UTUSAN ONLINE
Operasi mencari temui tompokan minyak
HANOI — Pihak berkuasa Vietnam semalam menyatakan beberapa kapal terbang penyelamat yang mencari pesawat hilang milik Penerbangan Malaysia menemui dua tumpahan minyak di laut dan menghantar beberapa buah bot ke lokasi tersebut. “Dua kapal terbang kami melihat dua tompokan minyak sepanjang antara 15 hingga 20 kilometer dalam keadaan selari pada selang jarak kira-kira 500 meter,” kata Timbalan Ketua Staf Tentera Darat Vietnam, Vo Van Tuan. Penemuan dua tumpahan minyak itu merupakan petanda pertama bahawa pesawat Boeing 777 tersebut mungkin terhempas ke dalam laut di antara selatan Vietnam dan utara Malaysia. “Kami tidak pasti punca tumpahan-tumpahan minyak tersebut, justeru kami menghantar dua kapal Vietnam ke kawasan tersebut,” kata Tuan. Kehilangan pesawat itu diselubungi misteri sejak ia hilang daripada radar tidak lama selepas berlepas dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing dengan membawa 227 penumpang serta 12 kru. Setakat ini, satu usaha menyelamat antarabangsa melibatkan Malaysia, Vietnam, Filipina dan China dilancarkan bagi mencari pesawat tersebut.– AFP
Bank Negara perlu kaji caj proses cek
Georgetown: Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang (DPMPP) mahu Bank Negara Malaysia (BNM) mengkaji semula bayaran pemprosesan cek yang akan berkuat kuasa di bank komersial pada 1 April ini. Yang Dipertua DPMPP, Rizal Faris Mohideen, berkata tindakan mengenakan bayaran itu akan memberi kesan kepada peniaga pasar malam dan peniaga kecil. “Ini kerana seorang peniaga mengeluarkan 50 hingga 100 cek secara purata bagi tempoh sebulan. Bayaran 50 sen bebankan peniaga. “Selain dibebankan dengan kenaikan harga barang, peniaga akan terus tertekan dengan bayaran cek ini,” katanya di sini, semalam. Difahamkan, bayaran 50 sen akan dikenakan ke atas pengeluar cek atau penunai cek bertujuan menggalakkan penggunaan sistem perbankan elektronik. Mengikut pelan tindakan sektor kewangan BNM, jumlah penggunaan cek disasar menurun sehingga 100 juta berbanding 240 juta pada 2012.
Polis cari suspek kes bunuh
IPOH 8 Mac - Polis sedang mencari seorang suspek bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang lelaki India di Kanthan dekat sini pada 28 Januari lalu. Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, mayat berkenaan dijumpai di hadapan pencawang Digi bersebelahan sebuah kilang di Jalan Perindustrian Kanthan 2 di sini. "Suspek yang berumur 31 tahun itu bernama K. Sri Kanapathy (gambar) dan alamat terakhirnya di No. 34, Hala Chepor Raya 15, Taman Chepor Raya. "Mereka yang mempunyai maklumat, boleh menyalurkannya kepada pegawai penyiasat kes iaitu Asisten Supritendan Mohd. Fakir Fauzi di talian 05-2451 606 atau tampil ke balai polis berhampiran," katanya di sini, semalam.
Tiga negara Arab haramkan tayangan filem Noah
KAHERAH 8 Mac - Qatar, Bahrain dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) hari ini mengharamkan tayangan filem Noah atas alasan agama meskipun sebelum tayangan perdananya di seluruh dunia dengan beberapa negara lain dijangka mengikuti langkah itu. Seorang wakil dari Paramount Pictures yang menghasilkan filem dengan kos AS$125 juta (RM400 juta) itu, bahagian penapisan filem dari ketiga-tiga negara Arab tersebut secara rasmi mengesahkan pada minggu ini bahawa Noah tidak akan ditayangkan di negara tersebut. "Kenyataan rasmi dikeluarkan bagi mengesahkan berita itu kerana filem tersebut bercanggah dengan ajaran Islam,'' kata wakil itu menambah, Mesir, Jordan dan Kuwait dijangka mengambil langkah serupa. Tayangan perdana Noah yang menceritakan kisah Nabi Nuh dan bahteranya di Amerika Syarikat (AS) akan dilancarkan pada 28 Mac ini. Filem itu membariskan bintang terkemuka Hollywood termasuk pemenang Oscar, Russell Crowe dan Anthony Hopkins. Institusi terkenal Islam di Mesir, Al-Azhar kelmarin turut mengeluarkan fatwa yang mengharamkan filem itu. "Al-Azhar memperbaharui bantahannya terhadap apa-apa perbuatan yang menggambarkan rasul-rasul dan nabi-nabi Allah dan para sahabat Nabi Muhammad SAW,'' kata institusi itu dalam satu kenyataan. - REUTERS
Suami isteri rugi, penarik kereta bertindak seperti samseng
MELAKA 8 Mac - Sepasang suami isteri bukan sahaja mengalami kerugian setelah keretanya ditarik pihak bank kerana mempunyai bayaran tertunggak selama empat bulan, malah mereka tidak dibenarkan mengambil barangan berharga di dalam kereta tersebut. Lebih mengejutkan, pasangan yang menetap di Taman Paya Rumput itu turut dikasari dua penarik kereta berusia 20-an yang bertindak seperti samseng apabila melanggar kereta tersebut sebelum merampasnya. Kejadian malang itu berlaku kira-kira pukul 4 petang Rabu lalu semasa mangsa, Abdullah Saffar, 44, sedang memandu kereta Proton Persona dan membawa tiga anaknya untuk pulang ke rumah. Menurut Abdullah, penarik kereta itu telah menghimpit dan melanggar kenderaannya di sebuah simpang berdekatan Kampung Paya Rumput. "Semasa memberhentikan kereta, dua lelaki yang tidak dikenali keluar lalu mengetuk cermin sisi kereta saya hingga menakutkan anak-anak yang ada bersama ketika itu," katanya.
Dua sindiket edar dadah tumpas
MUAR - Dua sindiket pengedaran dadah yang dipercayai bergerak aktif di daerah ini lumpuh dengan tertangkapnya enam suspek bersama bahan terlarang keseluruhannya bernilai RM450,000. Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, kejayaan itu dicapai menerusi dua serbuan yang dilakukan di Kampung Parit Bulat dan Kampung Parit Raja di sini kelmarin dan Selasa lalu. Beliau berkata, dalam serbuan di Kampung Parit Bulat pada pukul 1 petang kelmarin, lima lelaki berusia antara 16 hingga 40 tahun ditahan termasuk seorang warga Indonesia. "Dalam serbuan itu, seorang pelajar yang berusia 16 tahun turut ditahan semasa berurusan untuk membeli dadah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di sini semalam. Tambah Azman, polis juga merampas tiga bungkus heroin seberat 630.7 gram, dua bungkus syabu 6.85 gram bernilai RM325,000 dan satu laras senapang angin berukuran 87 sentimeter panjang.
Padah serang polis dengan parang
PETALING JAYA – Tindakan nekad dua penjenayah yang cuba melanggar dan menyerang anggota polis menggunakan parang untuk melarikan diri membawa padah apabila mereka ditembak dalam satu kejadian di Jalan PJS 7/9, Bandar Sunway dekat sini kelmarin. Dalam kejadian pukul 8.30 malam itu, kedua-dua lelaki rakyat tempatan berusia 28 dan 30 tahun yang disyaki anggota sindiket samun kenderaan di sekitar Lembah Klang sejak enam bulan lalu cedera parah akibat terkena tembakan tersebut. Seorang suspek cedera di kedua-dua belah kaki manakala rakannya cedera di leher sebelumdibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya dekat sini untuk rawatan. Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, kejadian berlaku apabila pihaknya mengesan sebuah kereta Honda Civic di tepi jalan di PJS 7/13 yang dilaporkan hilang di USJ 8 di sini awal bulan lalu.
Lapan pelajar USM gagal turun Gunung Jerai berjaya ditemui
YAN - Seramai lapan penuntut lelaki dari Universiti Sains Malaysia (USM) yang gagal turun dari Gunung Jerai di sini sejak petang semalam ditemui selamat kira-kira pukul 9.25 pagi tadi. Dua daripada mereka dilaporkan cedera termasuk seorang patah tangan dipercayai akibat dihempap batu manakala seorang lagi mengalami kecederaan ringan. Mangsa cedera akan dibawa turun menggunakan helikopter oleh pasukan penyelamat. Kesemua pelajar itu dikatakan mula mendaki kira-kira pukul 10 pagi semalam bagaimanapun gagal turun apabila ada antara mereka mengalami kecederaan. Kesemua mereka berusia antara 23 hingga 26 tahun tersebut dikatakan naik ke Gunung Jerai untuk berkhemah dan difahamkan ia tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa. Pasukan Bomba dan Penyelamat negeri menerima laporan tentang kejadian pada pukul 8.13 malam semalam. - KOSMO!
FBI bantu siasat kehilangan pesawat MH370
KUALA LUMPUR - Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS) menghantar satu pasukan terdiri daripada ejen dan pakar teknikal bagi membantu siasatan kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370. Menurut laporan media AS yang memetik seorang pegawai kerajaan, penglibatan FBI itu disebabkan tiga daripada penumpang merupakan rakyat AS. Pegawai itu juga dipetik berkata, FBI tidak menolak aspek keganasan atau faktor lain sebagai punca kehilangan pesawat tersebut. Sementara itu, agensi berita Perancis AFP melaporkan pengeluar semikonduktor di Texas sebagai berkata, 20 pekerjanya disahkan antara penumpang pesawat berkenaan. "Pekerja Freescale Semiconductor yang menaiki pesawat MH370 tersebut ialah 12 dari Malaysia dan lapan dari China," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat, Gregg Lowe dalam laporan itu. - Bernama
MAS bimbang nasib 239 penumpang
SEPANG - Seramai 239 penumpang hilang apabila pesawat Boeing 777-200 milik Penerbangan Malaysia (MAS) yang mereka naiki dikhuatiri terhempas di Laut China Selatan berdekatan Vietnam setelah ia terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang di Selangor awal pagi semalam. Tragedi terburuk dalam sejarah penerbangan negara itu berlaku ketika pesawat mewah berkenaan berada di antara ruang angkasa Malaysia-Vietnam di Laut China Selatan kira-kira dua jam selepas ia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang. Pesawat MH370 itu berlepas ke Beijing, China pada pukul 12.41 pagi semalam sebelum dilaporkan terputus hubungan dengan menara kawalan pada pukul 2.40 pagi. Pesawat B777-200 itu dijadual mendarat di Beijing pada 6.30 pagi (waktu tempatan). Pesawat yang dikendalikan oleh pegawai berpengalaman Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53, bersama pegawai kanan Fariq Ab. Hamid, 27, itu turut membawa 12 kru dan dua bayi. Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya berkata, daripada jumlah tersebut, 38 penumpang adalah rakyat Malaysia manakala yang lain warganegara China (153 termasuk seorang bayi), Indonesia (12), Australia (7), Perancis (3) dan Amerika Syarikat (3 termasuk seorang bayi). "Selain itu New Zealand (2), Ukraine (2), Kanada (2), Rusia (1), Itali (1), Taiwan (1), Belanda (1) dan Austria (1)," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Pasport palsu timbul dakwaan rampasan
SHAH ALAM - Portal berita CNN melaporkan dua orang lelaki yang tersenarai sebagai penumpang MH370 , tidak menaiki kapal terbang tersebut menimbulkan spekulasi bahawa berlaku aktiviti rampasan. Individu pertama ialah seorang lelaki warga Itali bernama Luigi Maraldi yang dilaporkan kini berada di Phuket, Thailand. Menurut pegawai polis di Casena, Itali, pihaknya telah menemui ibu bapa Luigi semalam bagi memaklumkan tentang kehilangan pesawat itu. Namun, bapanya, Walter memaklumkan baru saja bercakap dengan anak lelakinya itu yang kini sedang bercuti di Thailand serta menafikan anaknya menaiki pesawat tersebut. Pihak polis berkata pasport Luigi dicuri di Malaysia Ogos lalu dan telah mendapat pasport yang baru. Individu kedua yang namanya berada di dalam senarai penumpang tetapi tidak menaiki pesawat MH370 ialah seorang warga Austria yang juga melaporkan pasportnya dicuri dua tahun lalu di Thailand. Kementerian Luar Austria dalam kenyataan kepada media semalam juga mengesahkan lelaki tersebut di mana namanya tidak didedahkan kini berada di Austria. Hanya ada seorang warganegara Austria dalam senarai penumpang bernama Christian Kozel . Namun, sumber pihak berkuasa Amerika Syarikat memberitahu CNN, kedua-dua dokumen itu dicuri di Thailand. Soal pasport yang hilang mengukuhkan dakwaan tentang kemungkinan berlakunya rampasan.
Misteri kehilangan pesawat MH370
ISU yang sedang hangat diperkatakan sekarang terutama di media-media sosial ialah mengenai kehilangan pesawat Malaysian Airlines MH370 yang membawa sebanyak 239 orang termasuk 12 anak kapal dan dua bayi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing, China malam semalam. Orang ramai teruja untuk mengetahui perkembangan terkini pesawat itu sehingga mereka melupakan seketika kes membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijatuhkan hukuman lima tahun penjara kerana didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan. Seawal pagi, mesej melalui aplikasi Whatsapp dan khidmat pesanan ringkas (SMS) diterima bertalu-talu sama ada info atau maklumat yang disampaikan oleh rakan-rakan dan ada juga yang tertanya-tanya kebenaran berita tersebut. Dalam Facebook juga pelbagai status yang dipaparkan seolah-olah maklumat yang diperoleh itu benar-benar sahih, malah secara tidak sedar ada yang menyebarkan berita palsu kononnya pesawat itu terhempas, kehabisan minyak, dirampas pengganas dan sebagainya. Kesan daripada berita yang tidak benar itu dan kekurangan maklumat yang sahih daripada pihak yang bertanggungjawab menyebabkan sebahagian rakyat semakin tertanya-tanya, apa kejadian yang sebenarnya berlaku? Justeru orang ramai dinasihatkan tidak terus membuat spekulasi atau menyebarkan berita palsu mengenai insiden ini bagi menjaga hati keluarga yang terlibat atau menimbulkan panik di kalangan rakyat. Lebih menyedihkan ada pula yang mengambil kesempatan menuduh kerajaan kononnya hendak mengalihkan perhatian rakyat daripada isu kes Anwar. Ketua Pegawai Eksekutif Mas, Ahmad Jauhari Yahya berkata, pesawat tersebut masih tidak dapat dikesan sejak dilaporkan hilang pada pukul 2.40 pagi tadi selepas dua jam berlepas di kawasan perairan Laut China Selatan sempadan antara Malaysia dan Vietnam. Terdapat 12 anak kapal dalam pesawat itu di samping 152 dan seorang bayi warganegara China, Malaysia (38), Indonesia (12), Australia (7) dan Perancis (3). Pesawat itu dikendalikan Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53, bersama pegawai kanan, Fariq Ab. Hamid, 27. Zaharie mempunyai pengalaman sebanyak 18, 365 jam penerbangan dan telah berkhidmat sejak tahun 1981 manakala Fariq mula berkhidmat sejak 2007 dan memiliki jumlah jam penerbangan 2,763. Pesawat Boeing 777 yang hilang itu pula berusia 11 tahun 10 bulan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mengesahkan kali terakhir pesawat itu berkomunikasi dengan menara kawalan pada pukul 1.30 pagi dan dikesan pada kedudukan longitud 06 darjah 55 minit 15 saat Utara dan latitud 103 darjah 34 minit 43 saat Timur. Reuters memetik laporan agensi berita Xinhua berkata hubungan radar dengan pesawat tersebut dikesan hilang ketika di ruang udara dikawal Vietnam. Pesawat itu dilaporkan tidak memasuki ruang udara China dan tidak melakukan sebarang komunikasi dengan pihak kawalan udara. Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan semua pihak mengambil tindakan wajar bagi mengesan pesawat yang masih dilaporkan hilang. Beliau turut menyatakan kebimbangan dan berdoa bersama ahli-ahli keluarga penumpang yang terlibat agar semuanya selamat. “Fikiran dan doa saya bersama ahli-ahli keluarga penerbangan MH370. Saya telah minta semua tindakan yang wajar perlu diambil,” kata beliau menerusi Twitternya. Malaysia juga, katanya, memperluaskan kawasan mencari pesawat itu dengan menambah bilangan aset yang dikerahkan melibatkan sejumlah 15 pesawat. Sementara itu, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sebuah pusat operasi kordinasi ditubuhkan dan diketuaiJabatan Penerbangan Awam (DCA) bagi memastikan operasi menyelamat berjalan lancar. Beliau berkata, pada masa sama, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga akan menggunakan aset mereka untuk melaksanakan operasi itu Anggota keluarga penumpang pesawat mula berkumpul di bilik Menara Tinjau, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak awal pagi dengan wajah suram sambil membawa seribu harapan dan doa. Keluarga mangsa juga diminta membawa pasport dan diminta berada di KLIA sebelum jam 6 petang. Namun persoalannya ke manakah mereka akan dibawa kerana media tidak dibenar menemu bual mereka. Selain Malaysia, empat lagi negara iaitu Vietnam, China, Singapura dan Filipina turut membantu dalam operasi mencari pesawat itu. Namun sehingga jam 10 malam tadi masih belum ada sebarang berita sahih mengenai kehilangan ini walaupun pelbagai teori yang dikemukakan. Perdana Menteri sendiri mengesahkan tidak ada sebarang serpihan pesawat MH370 ditemui buat masa ini dan buat masa ini semua maklumat hanya berdasarkan spekulasi. Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, sama-samalah kita berdoa agar pesawat tersebut dan penumpang-penumpangnya di dalamnya ditemui dalam keadaan yang selamat. Namun apa yang perlu diperbaiki ialah penyampaian maklumat yang lebih efisyen daripada pihak yang bertanggungjawab, agar orang ramai tidak terus tertanya-tanya.
Operasi diperluas babitkan kerjasama 4 negara
KUALA LUMPUR - Kawasan operasi mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, yang hilang hari ini, diperluas sehingga ke sempadan negara Vietnam selepas pencarian awal buntu menemui pesawat itu. Kawasan asal operasi ialah 120 batu nautika timur Kota Baharu, Kelantan. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata usaha mencari pesawat itu diteruskan dengan memperluas kawasan operasi kerana pesawat berkenaan belum ditemui. "Kami tidak menemui sebarang bangkai pesawat," katanya dalam sidang akhbar di Hotel Sama-Sama, KLIA di Sepang selepas bertemu anggota keluarga penumpang dan anak kapal pesawat yang hilang itu. Operasi mencari pesawat itu turut memperkukuh kerjasama erat antara komuniti Asean, China dan Amerika Syarikat. Najib berkata Singapura dan Vietnam bersetuju menyertai operasi itu bersama-sama Amerika Syarikat dan China dengan menggembleng beberapa aset bagi menjayakannya. Malaysia turut menambah asetnya untuk operasi itu membabitkan 15 pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), termasuk empat Hercules C130, sebuah CN 235, empat EC 725, dua helikopter Augusta serta enam kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan tiga kapal Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM). Pesawat MH370 itu hilang daripada radar setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 12.41 pagi menuju ke Beijing, China. Ia sepatutnya mendarat di Beijing 6.30 pagi. Menurut MAS, seramai 38 rakyat Malaysia, 153 rakyat China, lima warga India, tujuh Indonesia, seorang Rusia dan dua Ukraine adalah antara 227 penumpang dari 14 negara. Sehingga kini, tidak diketahui nasib pesawat itu serta penumpang dan 12 anak kapalnya. Perdana Menteri berkata terdapat beberapa teori berkaitan kehilangan pesawat itu dan menyifatkan teori ia dirampas hanyalah spekulasi. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS Ahmad Jauhari Yahya pula berkata insiden itu tidak menjejaskan operasi penerbangan pesawat MAS yang lain manakala Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memaklumkan operasi semua penerbangan di KLIA berjalan seperti biasa. - Bernama
Misi menyelamat: DCA ikut SOP
SEPANG - Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mengikut setiap prosedur operasi standard (SOP) dalam misi menyelamat pesawat MAS, MH370 yang dipercayai hilang di perairan Laut China Selatan. Ketua Pengarahnya, Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan isyarat pesawat itu pada 1.30 pagi dan berusaha mengesan semula kedudukan pesawat berkenaan. Pihaknya juga mendapatkan bantuan dari Vietnam dan Singapura untuk mengesan kedudukan pesawat itu. "Kami menghubungi MAS pada 1.30 pagi untuk memaklumkan pesawat itu hilang daripada radar. "Kami mengaktifkan pusat mencari dan menyelamat pada 5.30 pagi kerana kami perlu mengumpulkan semua maklumat dan bantuan daripada negara jiran dan kami menggerakkan agensi bantuan sebaik hari siang," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Hotel Sama Sama di sini. Azharuddin berkata komunikasi terakhir pesawat itu dikesan ketika berhubung untuk memasuki menara kawalan udara, bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam sebelum hilang. Sementara itu mengenai perkembangan terkini operasi, Azharudin berkata operasi menyelamat dibuat di kawasan pesawat itu dilaporkan hilang dan pihaknya atau pihak penyelamat Vietnam masih tidak menemui sebarang kesan pesawat terhempas. - Bernama
KPN nasihat jangan buat spekulasi
KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menasihati semua pihak agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan sebarang maklumat yang tidak dipastikan kesahihannya tentang kejadian pesawat MH370 yang dilaporkan hilang. "Seluruh warga PDRM mendoakan semoga semua penumpang dan anak kapal yang dilaporkan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang, pada 2.40 pagi tadi ketika berada di antara ruang udara Malaysia dan Vietnam, selamat dijumpai," katanya dalam laman sesawang rasmi PDRM hari ini. Beliau berharap seluruh ahli keluarga yang terbabit tabah dan bersabar menghadapi dugaan. Penerbangan MH370 Kuala Lumpur-Beijing, yang membawa 227 penumpang dan 12 kru, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi tadi dilaporkan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang ketika berada di antara ruang angkasa Malaysia-Vietnam, di Laut China Selatan. Pesawat B777-200 itu dijadual mendarat di Beijing pada 6.30 pagi. - Bernama
Maritim nafi temui tompokan minyak
SHAH ALAM - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia menafikan penyebaran berita mengenai penemuan tumpahan minyak yang dikaitkan dengan kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370. Menurut Pengarah Cawangan Operasinya, Kapten Maritim Hamid Mohd Amin, asetnya tidak melaporkan berita itu. Beliau meminta agar semua pihak tidak mempercayai berita yang tidak sahih. "Cerita tentang tumpahan minyak itu...aset-aset kita tak laporkan berita itu. Tak usah dengar. "PDRM, ATM dan sebagainya bakal menjadi mata serta telinga kita dalam operasi mencari ini," katanya yang dipetik dari program Malaysia Hari Ini Khas, hari ini. Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya bakal memaklumkan apabila telah menemui sebarang petanda. "Apabila kita dah temui sebarang petanda, kita akan maklumlan," katanya. Semalam media asing melaporkan Tentera Udara Vietnam mengesan dua tompok minyak seluas antara 10km dan 15km di perairan dekat selatan Vietnam disyaki daripada pesawat MH370. Operasi mencari yang bermula semalam dan dihentikan tengah malam tadi disambung jam 6 pagi tadi. Katanya, setakat ini, cuaca tidak menghalang proses mencari pesawat berkenaan. "Cuaca tidak memberi gangguan. Hari ini dilihat sama. "Dijangka cuaca akan berada dalam keadaan baik untuk menjalankan operasi," katanya. Tambahnya, 'setakat ini tiada petanda atau pengesanan yang dapat dimaklumkan.'
Media Beijing tumpu insiden pesawat hilang
BEIJING - Media di sini bertungkus-lumus untuk mendapatkan maklumat terkini selepas sebuah pesawat Malaysia Airline (MAS) hilang hari ini ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama 239 orang di dalam pesawat itu. Berpuluh-puluh wartawan membanjiri Lido hotel, tempat pegawai MAS mengadakan persidangan media hari ini. Anggota keluarga penumpang sukar dihubungi kerana mereka ditempatkan di beberapa tempat lain di hotel yang sama. Sesetengah daripada mereka kelihatan menangis dan tidak mahu menjawab soalan para wartawan yang menghampiri mereka. Ada juga anggota keluarga seorang daripada penumpang yang menjerit kepada wartawan sambil berkata: "Kamu ada keluarga tak?. Jangan ganggu kami!" Penerbangan MH370 MAS, yang membawa 227 penumpang meliputi 14 warganegara dan 12 anak kapal terputus hubungan dengan Menara Kawalan Trafik Udara Subang pukul 2.40 pagi (waktu Malaysia), dua jam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL. Pesawat itu dijadualkan mendarat di Beijing pukul 6:30 pagi (waktu Beijing). - Bernama
Sedia 10 kaunselor tenteram waris pesawat hilang
SEPANG - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan 10 kaunselor bagi mententeramkan waris anggota keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden pesawat MH370 yang dilaporkan hilang ketika dalam penerbangan ke Beijing, China sejak pagi tadi. Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JKM Zulkiply Ramli berkata perkhidmatan itu akan disediakan selama 24 jam sehingga situasi kembali pulih. "Kaunselor-Kaunselor ini pakar dalam memberikan khidmat kaunseling terutama kepada mereka yang berada dalam keadaan trauma," katanya kepada pemberita di Anjung Tinjau, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini. Seorang daripada kaunselor berkenaan, Norazura Ahmad berkata, mereka perlu bersedia memberi sokongan emosi kepada keluarga mangsa. "Ini supaya mereka boleh menerima kenyataan. Ada keluarga yang tidak akan dapat terima kenyataan dan hanya menangis," katanya kepada Bernama. Beliau berkata kaunselor akan membiarkan anggota keluarga bertenang terlebih dahulu sebelum mengemukakan sebarang soalan. "Kita kena beri tempoh masa kepada mereka yang trauma dan kaunselor akan bersedia untuk mendengar," katanya. - Bernama
Operasi penerbangan di KLIA berjalan seperti biasa
SEPANG - Insiden kehilangan pesawat MH370 milik Malaysi Airlines (MAS) awal hari ini tidak menjejaskan operasi penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya berkata semua perkhidmatan di lapangan terbang itu berjalan seperti biasa dan tiada sebarang pembatalan jadual penerbangan. Bagaimanapun beliau berkata pengurusan MAS telah menyediakan ruang di Anjung Tinjau di aras lima, KLIA untuk mengumpulkan semua anggota keluarga penumpang yang terlibat bagi memaklumkan perkembangan terkini insiden itu. Setakat jam 3 petang ini 80 peratus anggota keluarga penumpang telah dimaklumkan oleh MAS berhubung perkembangan terkini kehilangan pesawat itu yang telah menimbulkan pelbagai spekulasi. "Semua operasi berjalan lancar seperti biasa. Di aras lima, KLIA (Anjung Tinjau) kita menyediakan sebuah pasukan untuk mengumpulkan dan memberikan maklumat terkini kepada ahli keluarga penumpang," katanya pada sidang media di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Tinjauan Bernama di KLIA mendapati aktiviti ketibaan dan pelepasan penumpang ke destinasi masing-masing berjalan seperti sedia kala. Penerbangan MH370 yang membawa 239 penumpang, terdiri 227 penumpang termasuk dua bayi dan 12 kru pesawat dilaporkan hilang di antara ruang angkasa Malaysia dan Vietnam di perairan Laut China Selatan dengan operasi mencari dan menyelamat masih berterusan. Pesawat itu terakhir dikesan pada pukul 1.30 pagi tadi di garisan bujur 065515 utara dan 1033443 timur di perairan Laut China Selatan. Terdahulu Hishammuddin berkata pasukan Tentera Udara dan Tentera Laut Malaysia telah digerakkan ke kawasan perairan tersebut yang turut disertai agensi berkuasa dari China, Filipina, Vietnam dan Indonesia. Orang ramai boleh menghubungi talian 03-78841234 manakala media boleh menyalurkan pertanyaan mereka melalui talian 03-8775698 atau 03-87871276 atau melayari laman web MAS di www.malaysiaairlines.com. - Bernama
Pegawai Miti sah dalam pesawat MH370
KUALA LUMPUR - Pegawai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Sofuan Ibrahim, disahkan berada di dalam pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang ketika dalam penerbangan ke Beijing. Senarai nama terkini yang dikeluarkan Malaysia Airlines mendapati Sofuan merupakan antara 227 penumpang pesawat yang masih belum dikesan itu. Terdahulu, seorang pegawai komunikasi korporat kementerian itu, Rashid Omar berkata Sofuan mempunyai tugasan rasmi di Beijing. "Beliau mempunyai tugasan rasmi dan tidak melaporkan diri hari pertama bertugas di Beijing seperti yang dikhabarkan di media sosial," katanya kepada Bernama. "Itu sahaja maklumat yang boleh saya berikan setakat ini. Sebagai rakan sekerja saya amat mengharapkan beliau selamat," katanya. Pesawat MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada radar selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi. Ia sepatutnya mendarat di Beijing 6.30 pagi. - Bernama
PM Singapura sampai rasa simpati
SINGAPURA - Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong menghubungi Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak bagi melahirkan rasa simpati dan prihatin berhubung pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang dilapor hilang hari ini. Hsien Loong juga menawarkan bantuan republik itu dalam operasi mencari dan menyelamat. Melalui entri Facebooknya hari ini, Hsien Loong berkata: "Bercakap dengan PM Malaysia Najib Razak melalui telefon tengah hari ini untuk menyatakan rasa simpati dan prihatin berhubung pesawat MAS yang hilang, dan menawarkan bantuan kita dalam operasi mencari. "Harap pesawat dan penumpang akan ditemui tidak lama lagi," katanya. Pesawat MH370 itu hilang daripada radar setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 12.41 pagi menuju ke Beijing, China. Ia sepatutnya mendarat di Beijing 6.30 pagi. Pesawat itu membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal. Mereka termasuk 38 rakyat Malaysia, tujuh Indonesia, lima India, seorang Rusia dan dua Ukraine. Tiada warga Singapura dalam pesawat itu. Sehingga kini, nasib pesawat serta penumpang dan anak kapalnya tidak diketahui. - Bernama
Singapura hantar pesawat C130 bantu cari pesawat
SINGAPURA - Singapura menghantar sebuah pesawat C130 Hercules pada Sabtu untuk membantu misi mencari dan mengesan pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang hilang ketika dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing. Pesawat MH370 itu dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing, kata Tentera Udara Republik Singapura (RSAF). Pesawat berkenaan, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, terputus hubungan dengan Menara Kawalan Udara Subang setelah berlepas dari KLIA pada jam 12.41 pagi Sabtu. Terdahulu, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong menghubungi rakan sejawatannya dari Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak melalui telefon untuk menyampaikan perasaan simpati dan prihatinnya berhubung perkara itu. - Bernama
Kementerian Luar Singapura(MFA) pantau status pesawat MH370
SINGAPURA - Kementerian Luar Singapura (MFA) kini memantau status pesawat MH370 Malaysia Airlines yang dilapor hilang ketika dalam penerbangan ke Beijing awal hari ini. Jurucakap kementerian itu berkata MFA sudah berhubung dengan Malaysia Airlines dan mengesahkan tiada rakyat Singapura menaiki pesawat berkenaan. Beliau berkata rakyat Singapura yang memerlukan bantuan konsular hendaklah menghubungi Pejabat Tugas MFA (24-jam) atau Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur di talian 6379 8800, 6379 8855 (24 jam) dan Faksimili 6476-7302. Katanya, rakyat Singapura bersimpati dengan anggota keluarga mangsa dan mendoakan keselamatan mereka. Pusat Koordinasi Menyelamat Singapura diaktifkan dan sebuah pesawat dihantar bagi membantu usaha mencari dan mengesan mangsa. Jurucakap itu juga berkata Perdana Menteri Lee Hsien Loong serta Menteri Luar dan Undang-Undang K Shanmugam telahpun menghubungi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman untuk menyatakan simpati berhubung insiden itu dan menawarkan bantuan kepada Malaysia. Shanmugam turut melahirkan kebimbangan beliau berhubung insiden itu kepada Menteri Luar Republik Rakyat China Wang Yi memandangkan ramai penumpang dari negara itu menaiki pesawat tersebut. - Bernama
Indonesia prihatin insiden MH370
JAKARTA - Insiden pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang dilapor hilang ketika dalam penerbangan ke Beijing awal hari ini turut mendapat perhatian Indonesia. Demikian dinyatakan Menteri Luar Negeri Indonesia Marty Natalegawa. "Kami merasa keprihatinan dan mendoakan keselamatan bagi seluruh penumpang pesawat berkenaan," kata Marty seperti dipetik akhbar harian tempatan, Kompas.com pada Sabtu. Marty juga mengesahkan pihaknya sudah menerima senarai tujuh nama warga Indonesia yang berada di dalam pesawat itu dan memaklumkan MAS sedang menghubungi kesemua keluarga penumpang berkenaan. Beliau juga sudah mengarahkan Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) Kuala Lumpur dan KBRI Beijing untuk terus memantau perkembangan usaha mencari pesawat itu. Pesawat MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada radar selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi. - Bernama
Tompokan minyak: Belum tentu milik MH370
KUALA LUMPUR - Jabatan Penerbangan Awam (DCA) hari ini berkata laporan media tentang dua tompokan minyak yang ditemui dalam operasi mencari yang dilakukan oleh pihak berkuasa Vietnam, masih belum disahkan. Ketua Pengarahnya, Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata pihaknya telah menghubungi pihak berkuasa di Vietnam untuk mengesahkan laporan Akhbar Tuoi Tre itu tetapi tidak lagi menerima sebarang jawapan. Akhbar itu melaporkan bahawa tompokan minyak itu masing-masing sepanjang 20 kilometer pada jarak 500 meter antara satu sama lain itu ditemui juruterbang pesawat tentera Vietnam yang menyertai misi pencarian tersebut. Tompokan minyak itu dilaporkan ditemui 140 kilometer ke selatan Pulau Tho Chu di pesisir selatan Vietnam. Selain tompokan minyak, pasukan pencari Vietnam juga dilaporkan mengesan kepulan asap di permukaan laut berhampiran tempat tompokan minyak ditemui di koordinat 7.25 utara, 103.2320 timur. Azharuddin turut berkata pihaknya juga telah meneliti rakaman CCTV berkaitan penumpang pesawat terbabit.
Nahas MH370: Dua tumpahan minyak dikesan
KUALA LUMPUR - Pesawat Jabatan Penerbangan Awam Vietnam mengesan dua tumpahan minyak yang besar dipercayai daripada pesawat MH370 yang hilang awal pagi tadi. Menurut satu kenyataan, tumpahan minyak itu dengan masing-masing sepanjang 10 kilometer (km) dan 15 km, dengan jarak 500 meter, ditemui kira-kira 140 meter dari pulau Tho Cu, selatan Vietnam. Kenyataan itu berkata, tumpahan itu dilihat seperti yang ditinggalkan oleh bahan api daripada pesawat yang terhempas. Selain tompokan minyak, pasukan pencari Vietnam juga mengesan kepulan asap di permukaan laut berhampiran tempat tompokan minyak ditemui di koordinat 7.25 utara, 103.2320 timur. Pesawat Boeing 777-222 hilang dari radar dengan 239 orang berada di atas kapal dalam penerbangan ke Beijing selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 12.41 pagi. Ia kemudiannya hilang dari radar pada pukul 1.30 pagi.
Kakak nak berbulan madu di Beijing
KUALA TERENGGANU – “Saya hanya tahu mereka berlepas ke Beijing (China) melalui status kakak di Facebook tengah malam tadi (semalam),” demikian kata Mohd Lokman Hamid, 31. Mohd Lokman merupakan adik kepada Norli Akmar Hamid, 33, dan pasangannya, Mohd Razahan Zamani, yang merupakan antara 239 orang penumpang termasuk anak kapal menaiki pesawat MH370 yang dilaporkan hilang di perairan Laut China Selatan pada pukul 2.40 pagi semalam. Jelas Mohd Lokman lagi, sejak awal tahun ini lagi, kakak dan abang iparnya telah merancang untuk pergi bercuti di China yang disifatkan sebagai bulan madu kedua setelah kakaknya mengalami keguguran beberapa bulan lalu. “Berita mengenai kehilangan pesawat ini (MH370) hanya diketahui setelah saya membaca status Facebook yang dimuat naik oleh salah seorang rakan yang memaklumkan mengenai kejadian ini (pesawat hilang). “Sejurus itu, saya segera menghubungi Malaysia Airlines System (MAS) untuk mengetahui kejadian sebenarnya, namun ketika itu pihak mereka (MAS) belum dapat mengesahkan status sebenar (kehilangan pesawat),” kata kakitangan Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) ini. Menurut Mohd Lokman, sementara menunggu pengesahan daripada pihak MAS, pelbagai spekulasi telah dibuat melalui laman sosial termasuk ada yang mengatakan ia telah mendarat di Naning (China), sebab masalah sistem penentu kedudukan global (GPS) dan sebagainya. “Sebaik menerima pengesahan daripada pihak MAS, hati saya menjadi makin tidak menentu dan tanpa berfikir panjang saya segera menghubungi ibu dan adik beradik lain yang tinggal di Kuala Lumpur. “Ketika ini saya hanya mampu berdoa agar kakak dan abang ipar serta semua penumpang yang lain selamat,” kata anak kedua daripada empat beradik ini. ketika ditemui di kediamannya di Taman Kokitab, Gong Badak, di sini, semalam.
Penunggang motosikal maut nahas
SEREMBAN – Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut apabila motosikal yang ditungganginya terbabas di Kilometer 258.9 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah utara, berhampiran susur Tol Port Dickson, malam kelmarin. Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam, Kamarudin Muhammad, 22, beralamat di Kampung Lampu, Kuala Besut, Terengganu, cedera parah di kepala dan meninggal di tempat kejadian. Jurucakap polis berkata, mangsa yang menunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki ZX-6R itu dipercayai dalam perjalanan dari Melaka ke Taman Permai, Seremban. “Bagaimanapun, sejurus tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan lalu melanggar pembahagi susur di Tol Port Dickson. “Mangsa terhantuk pada besi pembahagi susur dan meninggal di tempat kejadian, manakala motosikal mangsa terperosok di bawah besi itu. “Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga,” katanya. Sementara itu, Pegawai Turus Trafik Negeri, Asisten Superintenden Abd Halil Hamzah meminta saksi kejadian tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
Warga emas maut dirempuh Perodua Kancil
KUANTAN - Seorang lelaki warga emas terbunuh selepas motosikal yang ditunggangnya dilanggar sebuah kereta jenis Perodua Kancil di persimpangan lampu isyarat dekat Sungai Isap di sini, semalam. Pemangku Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, ASP Zainalabidin Othman berkata, dalam nahas 11.45 pagi itu, Ramli Perang, 81, dikatakan menunggang melintasi jalan ke Batu 3 1/2 dari arah Sungai Isap. “Pada masa yang sama, kereta terbabit yang datang dari arah Gambang menghala ke Kuantan tidak sempat membrek lalu melanggar mangsa. “Akibat itu mangsa cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk rawatan, namun disahkan mati kira-kira 3 petang tadi (semalam),” katanya. Beliau berkata, pemandu kereta, Nursaadah Fuyaqibah Mohd Hatta, 20, pelajar Universiti Malaysia Pahang tidak mengalami sebarang kecederaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama
Mangsa dera meninggal dunia
TELUK INTAN – Kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang dipercayai menjadi mangsa dera ibu serta teman lelakinya meninggal dunia setelah hampir seminggu menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh. Mangsa meninggal kira-kira jam 8 malam setelah disahkan kritikal akibat pendarahan dalam otak. Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, berita kematian itu disampaikan sendiri oleh pegawai perubatan kepada polis. “Bedah siasat akan dilakukan hari ini (semalam) bagi mengetahui punca sebenar kematian,” katanya. Beliau berkata, siasatan terhadap wanita dan teman lelakinya itu akan diteruskan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan serta Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak. Kanak-kanak itu dihantar oleh kedua-dua suspek ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam, Selangor pada 3 Mac lalu setelah didapati tidak bergerak dengan mata terbuka dan pernafasan tidak stabil. Beberapa kesan lebam dan calar di tangan, belakang badan serta muka seolah-olah didera, turut kelihatan pada tubuh mangsa. Mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh bagi rawatan lanjut. Sebelum ini, polis menahan reman ibu muda berusia 20 tahun dan teman lelakinya berusia 26 tahun bagi siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak.
Ops Gasak 3 Esscom tahan 262 individu
SEMPORNA - Ops Gasak 3, yang dilancar Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) hari ini, menyaksikan penahanan 262 individu dipercayai pendatang tanpa izin (PATI) di Pulau Nusa Tengah dan Pondohon (pondok-pondok di laut berdekatan Pulau Nusa Tengah) di perairan Semporna. Ketua Pengarah Esscom, Datuk Mohammad Mentek berkata, kesemua mereka berusia lingkungan enam bulan hingga 76 tahun serta ditahan dalam operasi yang bermula pukul 6 pagi dan berakhir kira-kira 2 petang. Beliau berkata daripada jumlah itu, 121 adalah lelaki. "Kita telah membuat pemeriksaan dan menahan mereka yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri atau memiliki dokumen yang meragukan, dan kita serahkan kepada Jabatan Imigresen untuk mengambil tindakan lanjut mengikut undang-undang sedia ada," katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi berkenaan di sini hari ini. Turut hadir Pengarah Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam Esscom Datuk Abdul Rashid Harun, Pengarah Bahagian Pertahanan Esscom Mejar Jeneral Datuk Masrani Paiman dan Pengarah Bahagian Perisikan Pertahanan Mejar Jeneral Datuk Mohd Noor Osman.
Rusia sokong Crimea
MOSCOW - RUSIA . Parlimen Moscow menyambut baik cadangan gerakan pemisah Crimea untuk menarik diri dari Ukraine. Ahli Parlimen Rusia Valentina Matvienko menyatakan sokongan selepas Ahli Parlimen Crimea, Vladimir Konstantinov mengumumkan satu referendum bakal dilakukan pada 16 Mac ini untuk membenarkan penyertaan Crimea ke dalam Persekutuan Rusia. “Kita menghormati pilihan bersejarah bagi rakyat Crimea. Itu hak mereka,” kata Matvienko. Sementara itu kira-kira 65,000 rakyat Crimea menyertai perhimpunan di Red Square, sambil mengibarkan bendera Rusia dan melaungkan ‘Crimea adalah Rusia!’. Khamis lalu, Perdana Menteri Ukraine, Arseny Yatsenyuk berkata, negaranya bersedia mengadakan perbincangan dengan Rusia, tetapi dengan syarat semua tentera negara itu perlu meninggalkan Crimea dan bersetuju menghentikan sokongan terhadap puak pemisah dan pengganas. - Press TV
Saudi senarai Ikhwanul pengganas
RIYADH - ARAB SAUDI . Arab Saudi menyenaraikan Ikhwanul Muslimin (IM) sebagai organisasi pengganas bersama dua lagi sayap al-Qaeda di Syria. Stesen televisyen Saudi melaporkan, pertubuhan terbabit bersama sekutu al-Qaeda di Syria, Jabhat al- Nusra, Kumpulan Negara Iraq dan Jajahannya (ISIL) serta pemberontak Syiah Huthi di utara Yaman dilihat memberi ancaman kepada negara antarabangsa. “Mahkamah turut memerintahkan mana-mana warganegaranya yang berjuang di luar negara untuk kembali dalam tempoh 15 hari atau bakal dipenjarakan. Hukuman sama bakal dihadapi kepada mana-mana individu yang memberi ucapan awam atau menghasilkan karya mengenai pertubuhan itu turut dikenakan hukuman sama,” menurut laporan itu. Bulan lalu, Raja Abdullah menetapkan, hukuman penjara sehingga 20 tahun bakal dikenakan kepada mana-mana individu yang terlibat dengan kumpulan pengganas terbabit. Pada Disember lalu pula, Mesir menyenaraikan IM sebagai pertubuhan pengganas bagi melenyapkan pengaruh Presiden yang digulingkan Mohammed Mursi, dipetik dari laporan Al Ahram.
Makam purba ditemui
KERJA penggalian dilakukan sekumpulan ahli arkeologi Sepanyol dan Itali membawa kepada penemuan makam dipercayai milik pegawai kerajaan baharu Mesir ketika era dinasti ke-18. Menteri Antikuiti Mesir, Mohamed Ibrahim memaklumkan, makam purba Maayi itu ditemui secara tidak sengaja di tebing barat Luxor di kawasan Sheikh Abdel-Gournah. "Lukisan pada dinding makam tersebut menunjukkan Maayi dalam kedudukan berbeza selain memaparkan butiran mengenai hubungan kekeluargaan dan kisah kehidupannya," katanya. Menurutnya lagi, ia turut dihiasi dengan cantik sebagai simbol kemewahan pemiliknya. "Hanya sebahagian makam tersebut berjaya digali kerana terdapat sekatan pada laluan masuk terbabit," jelasnya. Difahamkan, kerja penggalian masih diteruskan untuk membolehkan lebih banyak tinggalan purba diterokai di kawasan tersebut, dopetik dari laporan Al-Ahram.
Cleanpro Express buka 100 cawangan tahun ini
CLEANPRO Laundry Holdings Sdn Bhd menerusi perkhidmatan dobi layan diri, Cleanpro Express Sdn Bhd menyasarkan untuk menambah 50 hingga 100 lagi cawangan sepanjang tahun ini. Pengarah Komunikasi Korporatnya, Chan Huei Ning berkata, setakat ini, Cleanpro Express mempunyai 100 cawangan di seluruh Semenanjung Malaysia dan 11 di Singapura. "Kami belum lagi membuka cawangan di Sabah dan Sarawak, namun telah membuka pejabat di kedua-dua negeri itu baru-baru ini. "Kami jangka untuk menembusi pasaran negeri itu menjelang akhir tahun," katanya selepas pelancaran cawangan ke-100 di Petaling Jaya, semalam. Menurutnya, Cleanpro Express juga akan membuka cawangan di Bangkok, Thailand pada April ini dan menjangkakan untuk membuka sekurang-kurangnya lima hingga 10 cawangan sebelum Jun ini. Katanya, sasaran syarikatnya adalah untuk membuka cawangan di seluruh rantau Asia Tenggara.
Guru App sasar platform pendidikan nombor satu
MENYEDARI pasaran yang agak besar dalam industri pendidikan di Malaysia, bekas graduan London School Of Economics, Warren Leow memperkenalkan aplikasi bagi membantu pelajar mengulang kaji dengan 'hujung jari' mereka. Dikenali sebagai Guru App, aplikasi itu adalah satu rangkaian sosial pendidikan bagi membolehkan pelajar untuk tahap Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengulang kaji soalan-soalan peperiksaan terkumpul bagi tahun sebelumnya. Leow berkata, beliau melihat permintaan dan pasaran yang berpotensi tinggi dalam dunia pendidikan, menyebabkan beliau mengambil peluang membangunkan aplikasi itu. Tambahan pula, setakat hari ini tidak ada banyak aplikasi seumpama itu di pasaran. "Jika dibandingkan pelajar beberapa tahun lalu dengan hari ini, gajet mudah alih seperti tablet dan telefon pintar sering menjadi teman setia mereka. Berdasarkan situasi ini, tidak salah saya membawa satu kelainan dalam sistem pembelajaran.
Diserang lelaki menyamar staf TNB
IPOH - Seorang wanita warga emas berusia hampir 83 tahun patah tulang peha kanannya selepas ditolak seorang penjenayah yang menyamar sebagai staf Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Malim Nawar, kelmarin. Mangsa, Temah Ibrahim yang kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, dia sedang berehat bersendirian di rumahnya kerana demam. “Ketika berehat saya terdengar bunyi motosikal di laman, sebelum pintu rumah diketuk berulang kali. “Saya sangka ada saudara yang datang rumah, sebaliknya saya lihat seorang lelaki berpakaian seragam depan pintu memegang buku log," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui semalam. Menurutnya, lelaki terbabit yang berusia lingkungan 40 tahun memberitahu dia sedang melakukan pemeriksaan bil elektrik. "Bila diberitahu begitu, saya segera mengambil satu bil elektrik dan menyerahkannya kepadanya untuk diperiksa.
Peneroka haram semakin rakus
KAMPAR - Hanya kerana mahu untung, nyawa pengguna lebuh raya menjadi taruhan! Itu yang dapat dilihat hasil kegiatan penerokaan haram di kawasan rizab berhampiran Kilometer (KM) 302 Lebuhraya Utara Selatan (Plus), di sini.
Tinjauan dilakukan bersama pegawai dan kakitangan Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Kampar, semalam, jelas mendapati beberapa lokasi seluas 40 hektar yang diteroka hanya terletak kurang 500 meter dari laluan lebuh raya.
Sinar Harian dimaklumkan, kawasan itu dahulunya paya dan dijadikan kawasan tadahan air dengan binaan saluran sepanjang 1.27 kilometer merentasi tanah rizab bagi mengelak takungan air di lebuh raya terbabit. Risiko Tanah Runtuh. Bagaimanapun, penerokaan lebih dua tahun lalu itu, berisiko menyebabkan pergerakan tanah, terutama berhampiran lebuh raya jika saluran air terus dihalang dengan projek pertanian tidak terkawal.
Dikhuatiri, berlaku insiden mendapan, tanah jerlus dan tanah runtuh jika kegiatan itu terus dibiarkan.
Peneroka didapati semakin rakus berdasarkan pendedahan PTD Kampar menerusi operasi khas Ops Sahom yang dijalankan, 3 Mac lalu.
Sumber memaklumkan, ekosistem hutan sebelum ini menjadi ejen penampan terhadap kesan tanah runtuh akibat perubahan landskap yang menjejaskan kestabilan alam sekitar.
Labels:
Berita Terkini
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment