Friday, May 2, 2014

Berita Terkini 02 May 2014

Penjenayah bertelagah ketika sedang samun
Penjenayah bertelagah ketika sedang samun
KLANG – “Penjenayah bertelagah sesama sendiri kerana berselisih pendapat. Mujur kami tidak dicederakan,” kata Suhana Mahbob, 34, menceritakan detik cemas ketika disamun sekumpulan lelaki bertopeng yang menceroboh masuk rumahnya di Kuarters Guru Sekolah Kebangsaan Meru 2, dekat sini, semalam. Menurutnya, kumpulan penyamun ini bertengkar kerana salah seorang daripada mereka cuba bertindak agresif, namun rakannya menghalang. “Salah seorang daripada mereka mengarahkan hanya ambil barang sahaja tanpa mencederakan kami,” katanya. Suhana, pembantu pra-sekolah berkata, kejadian 4.30 pagi itu disedari suaminya, seorang juruteknik, selepas terdengar bunyi bising pintu jeriji diumpil. "Menyedari rumah sedang dipecah masuk, suami cuba hubungi polis menggunakan telefon bimbit, namun tidak sempat apabila terserempak dengan penyamun yang sudah masuk ke dalam rumah. Mereka acu parang di leher suami serta ikat tangannya dengan dawai dan heretnya masuk ke bilik utama," katanya. Kumpulan itu memintanya menyerahkan wang tunai serta barang berharga dan 10 minit kemudian mereka beredar. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Shukor Sulung mengesahkan kejadian dan kes masih disiasat. “Mangsa memaklumkan penjenayah disyaki terdiri daripada empat lelaki warga asing. Kumpulan penjenayah itu melarikan barang berharga, antaranya telefon bimbit, beberapa dokumen penting dan wang tunai kira-kira RM2,000,” katanya.

Bukan Islam tak perlu takut hudud
Bukan Islam tak perlu takut hudud
KOTA BHARU - Masyarakat bukan Islam dinasihatkan untuk tidak perlu risau dengan penguatkuasaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 dan memberi peluang kepada kerajaan Pas Kelantan untuk memberikan penerangan tentang pelaksanaannya. Naib Ketua Dewan Himpunan Penyokong Pas Pusat (DHPP), Vincent Lee berkata, pelaksanaan hukum itu juga bukan sesuatu yang baru dibincangkan dalam Pas dan seharusnya ahli-ahli DHPP bersabar dan memberi peluang kepada kepimpinan tertinggi parti itu untuk memberikan penjelasan tentang pelaksanaannya. “Selama ini ahli DHPP telah sampaikan kerisauan dan pandangan serta kebimbangan tentang perkara ini dan kini isu tersebut timbul kembali, namun kita dapat lihat sekarang kepimpinan negeri dan pusat sedang mempelbagaikan cara penerangan tentang hudud. Cuma salah satu sebab kerisauan mereka itu ialah kesan salah anggap yang ditimbulkan pihak tidak bertanggungjawab. “Kalau mereka faham apa yang terkandung dalam hudud ini, sebenarnya ia tiada kaitan langsung dengan apa yang mereka takutkan itu, tambahan lagi, sudah termaktub enakmen tersebut tidak melibatkan orang bukan Islam,. Jadi apa yang perlu ditakutkan? Beri alasan kukuh dan sebab munasabah kenapa kita mesti takut dan tolak pelaksanaannya,” katanya kepada media semalam. Menurutnya, kenyataan Ketua DHPP, Hu Phang Chaw yang menyifatkan DHPP menolak hukum hudud itu tidak betul dan hanya berbentuk pandangan peribadi beliau sahaja. Katanya, banyak kaedah akan dilakukan untuk membantu Pas Kelantan memberi penerangan kepada masyarakat bukan Islam tentang pelaksanaan hukum tersebut. “Sebenarnya sejak penubuhan kelab penyokong Pas dan sehingga kini DHPP tertubuh, ketakutan dan fobia masyarakat bukan Islam terhadap Pas semakin berkurangan. Tetapi bila timbul isu pelaksanaan hudud ini secara tidak langsung ditambah pula dengan pandangan-pandangan individu yang tidak tepat, sekali lagi mempertingkatkan ketakutan mereka terhadap hudud dan Pas. “Kita selalu katakan jangan politikkan isu tersebut, sedangkan dari awal enakmen tersebut telah memutuskan bahawa hanya untuk orang Islam sahaja terlibat. Ia sudah terang dan jelas, selain itu, sebelum membantah, kita kenalah memberi alasan atau sebab munasabah, jangan sekadar membantah untuk mendapatkan sokongan sahaja,” katanya.

Trauma hendak ke sekolah akibat dirotan
Trauma hendak ke sekolah akibat dirotan
MELAKA - Hanya kerana salah faham, seorang murid tahun dua sebuah sekolah kebangsaan di sini, cedera di belakang badan selepas dirotan guru Matematik, dalam kejadian Selasa lalu. Nurul Noor Natasha Abdul Rahim, 8, dirotan guru lelaki berusia 40-an terbabit, selepas bertanya sesuatu yang tidak difahaminya kepada rakan lelaki di dalam kelas. Bapa kanak-kanak itu, Abdul Rahim Osman, 50, mendakwa tindakan guru yang dipanggil Ustaz itu bukan saja menimbulkan rasa sakit tetapi turut meninggalkan kesan lebam pada belakang badan anaknya yang dipanggil Adik. “Sebelum kejadian, guru itu memberi penerangan, namun tidak dapat difahami Adik lalu dia bertanya kepada rakan lelaki yang duduk di sebelahnya untuk minta penjelasan. “Tidak semena-mena mereka berdua dirotan di belakang badan kerana berbual di dalam kelas, selain menuduh mereka membuat maksiat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Seri Telok Mas, Telok Emas, di sini semalam. Abdul Rahim yang bekerja sebagai pemandu di Syarikat Air Me-laka Berhad (SAMB) berkata, dia hanya mengetahui kejadian terbabit selepas dihubungi isterinya, Zainab Sarim, 49. Zainab berkata, dia menjemput anaknya pulang dari sekolah kira-kira jam 1 tengah hari dan terkejut apabila melihat kesan lebam panjang seperti dirotan selepas membuka pakaian untuk mandi. “Adik mengadu sakit di belakang badan dan saya terkejut apabila melihat terdapat kesan lebam. Setelah ditanya, Adik menceritakan dia dirotan guru. Akibatnya, Adik trauma dan takut untuk ke sekolah," katanya. Berikutan kejadian itu, katanya, dia dan suami membuat laporan di Balai Polis Kandang, sebelum membuat pemeriksaan kesihatan di Hospital Melaka pada hari sama. Menurutnya, laporan itu dibuat kerana ia kejadian kali kedua selepas kejadian anaknya itu dirotan di kepala oleh seorang guru wanita, dua bulan lalu, disebabkan tidak mahir dalam subjek Bahasa Inggeris. "Selepas kejadian dulu, suami yang kemudian bertindak bertemu guru disiplin selepas guru besar tiada ketika itu. "Mereka berjanji mahu menyelesaikan secara baik namun bukan sahaja tiada tindakan diambil malah tiada permohonan maaf dibuat guru terbabit," katanya. Zainab berkata, tidak salah sekiranya anaknya dirotan bagi tujuan mendidik tetapi tindakan itu perlu dilakukan di anggota badan yang sesuai seperti di tangan. Sementara itu, Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Md Yunos Husin berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung perkara berkenaan dengan segera. “Saya akan menyiasat kedudukan sebenar dakwaan itu," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Seorang maut,seorang kritikal dilanggar kereta api
KOTA BHARU - Seorang penunggang motosikal maut manakala pemboncengnya cedera parah selepas dilanggar kereta api ketika melintas landasan di Kampung Baru Pahi, Kuala Krai, hari ini. Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang, mangsa yang maut Mohamad Aiman Mat Husin, 17, dan mangsa yang cedera parah Che Nik Che Awang, 55, dikatakan ingin melintas landasan kereta api itu dari arah Ladang Lepan Kabu ke Kampung Baru Pahi. Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Ab Rahim Che Ghani berkata, mangsa dilanggar kereta api itu yang datang dari Kuala Lipis, Pahang menuju ke Tumpat. Siasatan awal mendapati mangsa menggunakan jalan kecil di sebelah pagar landasan kereta api itu untuk melintas setelah laluan untuk pengguna jalan raya melintas ditutup bagi memberi laluan kepada kereta api itu, katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. Beliau berkata, akibat pelanggaran itu kedua-dua mangsa tercampak ke tepi landasan kereta api berkenaan. "Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk rawatan namun Mohamad Aiman meninggal dunia di hospital itu pada pukul 5.05 petang," katanya. - Bernama

PDRM
Tiada peserta himpunan bantah GST ditikam
KUALA LUMPUR - Tiada peserta perhimpunan bantah cukai barang dan perkhidmatan (GST) cedera atau ditikam seperti didakwa di internet, kata Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad. Beliau berkata gambar yang didakwa dihantar oleh Twitter Papa Gomo menunjukkan seorang peserta terlantar atas pengusung akibat ditikam merupakan gambar lama. Zainuddin memberitahu Bernama, dakwaan tersebut "tidak benar sama sekali." Tentang laporan bahawa tiga jurukamera media cedera semasa membuat liputan perhimpunan itu, beliau berkata pihak polis belum menerima sebarang laporan mengenainya. Zainuddin berkata perhimpunan yang bertumpu di kawasan sekitar Dataran Merdeka itu dianggarkan disertai kira-kira 15,000 orang. Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, keadaan di ibu kota terkawal pada pukul 5 petang ini, walaupun terdapat beberapa lokasi dipenuhi peserta perhimpunan GST, dan pada pukul 5.30 petang, kesemua peserta beredar dari lokasi perhimpunan dan keadaan kembali normal. "Ada berlaku insiden kecil seperti tolak-menolak antara peserta, namun keadaan masih terkawal," katanya.. Beliau berkata polis akan tetap melaksanakan kawalan keselamatan di lokasi-lokasi tertentu bagi memastikan keadaan selamat. "Saya menasihatkan peserta perhimpunan supaya tidak menimbulkan kekecohan sehingga menganggu ketenteraman awam," katanya. Mohmad turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang mengamalkan sikap toleransi dan bekerjasama demi mengekalkan keamanan serta kesejahteraan bandaraya Kuala Lumpur. - Bernama

Mayat ditemui terapung di Sungai Kerian
NIBONG TEBAL - Mayat seorang lelaki yang berpakaian lengkap serba hitam dengan matanya ditutup dengan kain ditemui terapung di Sungai Kerian, di sini hari ini. Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintendan Shafien Mamat berkata mayat lelaki tanpa sebarang dokumen perjalanan diri itu ditemui nelayan yang sedang menangkap ikan di sungai berkenaan pada pukul 9.30 pagi tadi. "Pada mulanya nelayan itu menyangka benda yang terapung dan tersangkut di tebing sungai berkenaan adalah sampah berikutan ia berwarna hitam bagaimanapun setelah mendekatinya baru menyedari itu adalah mayat," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini. Beliau berkata nelayan berkenaan terus menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian itu sebelum sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian dan menghantar mayat itu ke Hospital Seberang Jaya, dekat sini untuk dibedah siasat. Shafien berkata berdasarkan keadaan mayat itu, polis tidak menolak kemungkinan mangsa telah mati sekurang-kurangnya tiga hari sebelum ditemui hari ini. Beliau berkata hasil pemeriksaan awal polis tidak menemui sebarang kesan kecederaan di badan mangsa. "Siasatan lanjut masih dijalankan dan kita menunggu laporan bedah siasat sebelum mengklasifikasikan kes berkenaan sama ada mangsa dibunuh atau terjatuh ke dalam sungai berkenaan," katanya. Polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu atau kehilangan anggota keluarga supaya menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. - Bernama

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali
Telefon bimbit Azmin Ali digodam
SHAH ALAM - Telefon bimbit dan nombor talian yang digunakan oleh Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali sekali lagi telah digodam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Dalam satu kenyataan media sebentar tadi, Pejabat Timbalan Presiden memaklumkan, tindakan khianat ini dipercayai bertujuan untuk memecah-belahkan perpaduan di kalangan pimpinan PR. “Justeru itu, tindakan segera sedang diambil,” kenyataan itu dipetik. - Sinar

Reaksi hudud di Brunei
Reaksi hudud di Brunei
BANDAR SERI BEGAWAN - BRUNEI. Kod Panel Syariah diperkenalkan di Brunei tidak menggalakkan penindasan atau kekejaman. Kenyataan itu disampaikan mufti negara itu, Awang Abdul Aziz selepas ia diumumkan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah semalam. “Memotong tangan, rejam atau sebat tidak dilakukan sebarangan. Ada syarat yang adil sebelum dilaksanakan,” katanya kepada The Brunei Times. Pelaksanaan hukuman itu turut diterima seorang paderi Kristian yang berharap, undang-undang itu tidak dilaksanakan terlalu ketat seperti dalam undang-undang bertulis. Sementara itu, Peguam Negara, Hayati Pehin Mohd Salleh mengingatkan rakyat supaya tidak memberi tumpuan kepada hukuman kerana itu bukan matlamat hukuman syariah. “Ia penting kepada masyarakat untuk memahami perbezaan antara keterangan saksi, qisas dan tiada percanggahan fakta,” katanya. Beliau berkata, kod itu mengambil kira hak-hak mangsa atau warisan mangsa termasuk ahli keluarga. “Hukuman untuk membunuh adalah hukuman mati, sebelum ia dilaksanakan waris mangsa boleh memaafkan (qisas) atau meminta pampasan (diyat) dan mahkamah atau kerajaan tidak boleh mencampuri urusan ini. Bagi hukuman sebatan, ia sama seperti dilakukan oleh mahkamah sivil,” katanya. Pelaksanaan hudud sebelum ini mendapat kritikan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Antarabangsa apabila menyifatkan hukuman itu sebagai satu bentuk penyeksaan. - Sinar

Lagi serangan di stesen kereta api di Xinjiang
BEIJING - CHINA. Sekurang-kurangnya tiga maut dan 79 cedera dalam serangan di stesen kereta api di wilayah Xinjiang, semalam. Agensi berita Xinhua melaporkan, penyerang mengelar mangsa dan meletupkan beberapa bahagian di stesen kereta api di Urumqi. "Serangan itu mempunyai kaitan dengan Presiden Xi Jinping yang mengakhiri lawatannya di wilayah terbabit yang dihuni kebanyakannya etnik minoriti Uighur beragama Islam," menurut laporan itu. Susulan kejadian itu, stesen berkenaan terpaksa ditutup dan operasi digantung beberapa jam bagi memberi laluan kepada anggota keselamatan memindahkan mangsa cedera dan orang awam. - Sinar

Syiling lama beri petunjuk baharu
Syiling lama beri petunjuk baharu
MELAKA - Kurang sejam sebelum kontrak pencarian berakhir, syarikat Smart Partnership International (M) Sdn Bhd akhirnya menemui dua kepingan logam dipercayai diperbuat daripada campuran emas dan tembaga, malam kelmarin. Kepingan logam dipercayai berasal dari zaman Kesultanan Melayu Melaka itu ditemui ketika kerja-kerja menebuk dinding batu di kawasan pencarian giat dijalankan. Pengarah syarikat terbabit, Mohammad Foad Khushairy Mohd Said berkata, kedua-dua kepingan itu yang dipercayai syiling lama ditemui dalam keadaan dipenuhi tanah ketika pekerja terbabit sedang menggerudi tembok dinding batu setebal kira-kira lima meter. “Ia ditemui di dalam tiub alat penggerudi sebaik ditarik pekerja yang menjalankan kerja-kerja menggerudi di lokasi terbabit. Syiling pertama ditemui kira-kira 11.15 malam, manakala 15 minit selepas itu, satu lagi syiling ditemui ketika pekerja sedang keluarkan batu dari tiup penggerudi," katanya. Menurutnya, kedua-dua kepingan itu mungkin diperbuat daripada logam dan punyai campuran emas serta perak berdasarkan warnanya. Penemuan terbaharu itu sekali gus membuktikan kewujudan harta karun bernilai berbilion ringgit di pulau itu, ada kebenarannya. Bagaimanapun, Kerajaan Negeri Melaka tidak menganggap penemuan artifak berkenaan sebagai harta karun. Menurut Exco Kerja Raya, Kemudahan Awam, Pengangkutan dan Pemulihan Projek Melaka, Datuk Abdul Ghafar Atan biarpun penemuan itu memberi petunjuk bahawa terdapat harta karun di kawasan berkenaan, namun ia belum disifatkan sebagai bukti kukuh. “Saya tidak boleh mendakwa ini satu penemuan kerana perkara ini jika tersebar, satu dunia tahu. Saya hanya ambil kira apabila terjumpa emas yang sebenar. “Lagipun, penemuan syiling ini menimbulkan pelbagai andaian. Mungkin pencari harta itu sendiri meletakkan syiling di lokasi pencarian, apa lagi ditemui pada waktu malam,” katanya yang turut berada di tapak lokasi pencarian harta itu di Pulau Nangka, semalam. Abdul Ghafar yang juga Pengerusi Pulau Besar berkata, sasaran pencarian sebenar adalah jongkong emas yang diperkatakan. - Sinar

Wanita ditahan reman tiga hari
Wanita ditahan reman tiga hari
BACHOK – Seorang wanita berusia 28 tahun yang menjalankan perniagaan membeli dan menjual kenderaan terpakai serta alat ganti kenderaan ditahan reman tiga hari bermula kelmarin. Wanita itu ditahan pada jam 3 petang 29 April lalu ketika Ops Lusuh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok kerana disyaki memiliki tiga enjin kenderaan curi untuk dijual di premisnya di Kampung Sungai, dekat sini. Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Abdul Hamid Che Ahmad berkata, pihaknya menjalankan operasi berkenaan minggu lalu di beberapa kedai menjual dan membeli kenderaan terpakai serta alat ganti kenderaan di sekitar Bachok. “Hasil semakan sistem kompol dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Link ke atas nombor enjin dan nombor casis ketiga-tiga enjin dimiliki wanita terbabit tiada dalam rekod. “Pemilik kedai gagal mengemukakan dokumen pemilikan enjin selain didapati tidak mempunyai dokumen lesen yang sah untuk menjalankan perniagaan itu,” katanya. Abdul Hamid berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil (AKK) 1955 kerana gagal memberi keterangan munasabah dan tidak dapat mengemukakan dokumen yang sah. “Operasi ini dijalankan sejak seminggu lalu bagi membanteras kegiatan curi dan kereta potong di daerah ini. “Sehingga kini empat kedai menjual dan membeli kenderaan terpakai serta alat ganti kenderaan di Bachok sudah diperiksa,” katanya. - Sinar


Operasi KLIA2 Bermula Secara Rasmi
SEPANG – Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), terminal tambang murah terbesar dunia, memulakan operasi secara rasmi dengan ketibaan pesawat Malindo Air OD1027 dari Kota Kinabalu, Sabah, pada 12.05 tengah malam ini. Pesawat pertama dijadual berlepas daripada lapangan terbang tersebut adalah pesawat Cebu Pacific Airways 5J502 ke Manila, Filipina, pada kira-kira 3.15 pagi ini. Sebanyak 110 penumpang tiba dengan penerbangan Malindo Air manakala 147 penumpang akan berlepas dengan penerbangan Cebu Pacific Airways. Terminal klia2, yang mempunyai kapasiti mengendalikan 45 juta penumpang setahun, akan menggantikan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT). Peristiwa yang membuka lembaran baharu dalam sejarah pengangkutan udara negara itu turut disaksikan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi dan Pengerusi Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB), Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah. Turut hadir Pengarah Urusan MAHB, Tan Sri Bashir Ahmad dan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharudin Abdul Rahman. Abdul Aziz turut menyambut ketibaan dan pelepasan penumpang serta mengagihkan beg cenderahati kepada setiap penumpang. Terdahulu, pada pukul 10.20 malam, proses pendaftaran masuk penumpang bermula dengan lancar tanpa sebarang masalah. Penumpang pertama yang mendaftar masuk pada hari pertama operasi klia2 ialah seorang pembantu rumah warga Filipina, Gemma Camarinta, 39, yang mahu pulang ke kampungnya di Bohol, Filipina. Katanya beliau teruja untuk menjadi sebahagian daripada detik bersejarah itu. Gemma, yang sering menggunakan LCCT untuk balik ke kampungnya, berkata klia2 lebih selesa dan mudah untuk sampai dengan menggunakan perkhidmatan Express Rail Link (ERL) terus ke terminal. Seorang lagi penumpang, Ace Perez, 30 berkata klia2 adalah jauh lebih baik dari segi ruang, keselesaan dan bersih berbanding terminal LCCT. “Saya suka laluan ke klia2 kerana lebih senang sampai daripada lebuh raya. Saya gembira dengan bangunan baharu ini kerana di LCCT, saya terpaksa berjalan jauh untuk menaiki pesawat,” katanya. Sementara itu, dalam sidang media selepas ketibaan pesawat pertama itu, Abdul Aziz berkata pembukaan terminal itu berjalan lancar seperti dirancang. “Kami telah membuktikan semua berjalan mengikut jadual seperti diumumkan sebelum ini. Kami bangga terminal ini menjadi ikon terbaru negara,” katanya. Beliau berkata kos pembinaan klia2 dalam lingkungan RM4 bilion seperti diperuntukkan sebelum ini dan sejumlah 22 juta penumpang dijangka menggunakan terminal ini pada tahun ini. Abdul Aziz berkata kerajaan optimis lebih banyak syarikat penerbangan akan menubuhkan operasi masing-masing di sini pada masa depan. Sementara itu, MAHB dalam kenyataan berkata syarikat penerbangan yang memulakan operasi dari klia2 hari ini ialah Malindo Air, Cebu Pacific Airways, Lion Air dan TigerAir manakala AirAsia akan berpindah ke sini sebelum 9 Mei ini. Menurutnya, pada peringkat permulaan operasi, sejumlah 7,000 penumpang akan menggunakan klia2 setiap hari dan akan mencecah 50,000 penumpang selepas 9 Mei ini. MAHB berkata LCCT akan menghentikan operasi selepas 9 Mei dan bagi keselesaan penumpang, perkhidmatan bas ulang-alik antara klia2 dan LCCT akan disediakan secara percuma mulai 1 hingga 15 Mei ini dengan kekerapan perjalanan setiap 15 hingga 20 minit. Kaunter imigresen, keselamatan dan kastam di LCCT akan meneruskan perkhidmatan masing-masing sehingga 9 Mei ini dan penumpang dinasihatkan supaya menghubungi syarikat penerbangan masing-masing bagi mengesahkan butiran penerbangan bagi mengelak sebarang kesulitan. – BERNAMA


MH370: MAS Akan Tutup Semua Pusat Bantuan Untuk Keluarga Mangsa Tragedi
Malaysia Airlines (MAS) akan menutup Pusat Bantuan Keluarga di seluruh dunia menjelang 7 Mei dalam langkahnya untuk menyusun semula bentuk perkhidmatan dan sokongan yang diberi kepada anggota keluarga mangsa tragedi Penerbangan MH370. Ketua Pegawai Eksekutifnya Ahmad Jauhari Yahya berkata langkah itu sejajar dengan komitmen MAS untuk terus memberi sokongan dan bantuan kepada keluarga penumpang dan anak kapal pesawat berkenaan. “Berdasarkan pengalaman lepas, kami dapati pencarian dan penyiasatan mengenainya akan merupakan suatu proses berlarutan. “Daripada tinggal di hotel, keluarga mangsa tragedi MH370 dinasihati mendapatkan maklumat tentang perkembangan terkini berhubung pencarian dan penyiasatan serta sokongan lain daripada MAS dalam keadaan selesa di rumah masing-masing, dengan mendapat sokongan serta penjagaan daripada keluarga serta rakan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. MAS menubuhkan Pusat Bantuan Keluarga sebagai tempat utama bagi semua aktiviti yang dirancang untuk keluarga penumpang dan anak kapal Penerbangan MH370, termasuk taklimat dan kegiatan keagamaan. Ahmad Jauhari berkata MAS akan sentiasa berhubung rapat dengan keluarga terbabit untuk menyampaikan perkembangan terkini melalui telefon, mesej, Internet dan perjumpaan. Kata beliau Pusat Sokongan Keluarga akan diwujudkan di Kuala Lumpur dan Beijing, manakala pelan terperinci tentang sokongan dan perkhidmatan susulan akan dimaklumkan secara peribadi kepada keluarga terbabit. Beliau juga berkata MAS akan menjelaskan bayaran pampasan pendahuluan dengan secepat mungkin kepada waris yang berhak menerimanya bagi memenuhi keperluan kewangan mereka. Menurut beliau bayaran itu tidak akan menjejaskan hak para waris untuk menuntut pampasan berdasarkan undang-undang kemudian nanti dan bayaran ini akan diambil kira sebagai sebahagian daripada keseluruhan pampasan yang layak mereka terima. “Apabila waris pulang ke rumah masing-masing, wakil kami akan menghubungi mereka dengan secepat mungkin untuk memulakan proses pembayaran pampasan pendahuluan ini,” katanya. Usaha mencari pesawat Boeing 777-200ER itu kini memasuki bulan kedua sejak kehilangannya pada 8 Mac. Pesawat yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu hilang ketika dalam penerbangan ke Beijing kira-kira sejam selepas meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. Selepas analisis terhadap data satelit menunjukkan kedudukan terakhir pesawat itu adalah di Lautan Hindi, di barat Perth, Australia, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada 24 Mac bahawa Penerbangan MH370 “berakhir di selatan Lautan Hindi”. Usaha mencarinya kini diteruskan. Sementara itu dalam satu kenyataan berasingan, Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin, yang juga pengerusi jawatankuasa waris, berkata bagi pihak kerajaan Malaysia, beliau menyokong dan mengesahkan keputusan MAS itu. Beliau menyuarakan keyakinannya terhadap komitmen MAS untuk meneruskan bantuan kepada keluarga penumpang dan kru pesawat MH370. Katanya kerajaan Malaysia akan memastikan bahawa MAS sentiasa berhubung rapat dengan keluarga mereka yang terbabit menerusi Pusat Bantuan Keluarga syarikat penerbangan itu, yang akan diwujudkan segera di Kuala Lumpur dan Beijing. Hamzah berkata selepas berminggu-minggu menjalankan pencarian secara intensif, melibatkan penyertaan 26 negara yang mengesan di darat, laut dan udara sejak 55 hari lepas, “kami masih meneruskan operasi pencarian ini.” “Ini adalah masa yang amat sukar bagi keluarga dan sahabat penumpang serta kru pesawat MH370, dan saya berasa empati dengan penderitaan yang ditanggung mereka. “Saya boleh memberi jaminan bahawa kami melakukan segala-galanya yang termampu bagi memastikan kepentingan kaum keluarga ini sentiasa terpelihara,” katanya. – BERNAMA


Senarai Kargo MH370: Bateri Lithium Ion Patuhi Peraturan Pembungkusan IATA
KUALA LUMPUR – Sebanyak 200 biji bateri lithium ion, dibawa oleh pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang, adalah mematuhi peraturan barangan bahaya Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA). Ini dinyatakan dalam senarai kargo yang disertakan bersama-sama laporan awal MH370 yang dikeluarkan hari ini oleh Kementerian Pengangkutan. Menurut ruangan maklumat pengendalian Air Waybill, nota konsainan udara, menyatakan: “Perisytiharan penghantaran bagi DGD (barangan bahaya) tidak diperlukan. Bateri lithium ion adalah mematuhi seksyen II P.I.965.” Seksyen II peraturan itu terpakai kepada sel lithium ion dengan rating jam- Watt tidak melebihi 20 Wh dan bateri lithium ion dengan rating jam-Watt tidak melebihi 100 Wh, dibungkus dalam kuantiti tidak melebihi had dibenarkan mengikut Seksyen II, Jadual 965-II. Arahan berkenaan digariskan dalam peraturan barangan bahaya IATA. Penerbangan MH370 juga dilaporkan membawa 4,566 kilogram manggis segar, yang dihantar oleh Poh Seng Kian dari Muar, Johor untuk Beijing Guangchangming Trading Co. Baki kargo terdiri bungkusan dan barangan kurier seberat 2,934 kilogram. Penerbangan MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal berlepas pada 8 Mac dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pukul 12.41 tengah malam dan hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian semasa berada di ruang udara Lautr China Selatan. Pesawat itu sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. – BERNAMA

tlkintanseah_leong_peng_taking_oath
Ahli Parlimen DAP Teluk Intan Meninggal Dunia Pagi Tadi
IPOH – Ahli Parlimen Teluk Intan, Seah Leong Peng, 48, disahkan meninggal dunia kerana penyakit kanser yang dihidapinya. Mendiang dilaporkan meninggal dunia jam 7.45 pagi tadi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Berita kematian Leong Peng disahkan sendiri oleh Setiausaha DAP Negeri Perak, Wong Kah Woh ketika dihubungi Sinar Harian sebentar tadi.​ “Ya, memang kita ada terima berita kematian itu. Maklumat yang kita terima dia meninggal kira-kira jam 7 pagi,” katanya. Leong Peng menang di kerusi Parlimen Teluk Intan pada PRU13 lalu dengan majoriti 7,313 menewaskan calon BN yang juga Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong dan calon bebas, K Moralingam.-SH.

3a4d88bd5adbaa84402b5c375fe60935
Bangsa Mana Yang Miskin?
Tidak sependapat dengan Presiden Amerika (AS) Barack Obama, Dr Mahathir Mohamad berkata golongan Cina dan India di Malaysia sebenarnya kaya dan berjaya. “Di Malaysia, dengan dasar-dasar kita, ada kamu nampak orang Cina miskin? “Golongan India pula profesional, peguam dan doktor,” katanya kepada pemberita. “Sesiapa yang tidak datang ke Malaysia sungguhlah tidak bernasib baik,” tambahnya. Mahathir juga berkata beliau bersetuju penuh dengan pandangan ahli ekonomi AS Joseph Stiglitz bahawa terhadap jurang ketidaksamarataan di negara kuasa dunia itu. Obama dalam lawatannya ke Malaysia baru-baru ini berkata, Malaysia tidak akan berjaya jika golongan bukan Islam tidak diberikan peluang sama rata. Malaysiakini

hkpnmedal
Harta Karun Sultan Melaka: Dua Medal Tembaga Ditemui
Medal tembaga yang ditemui di Pulau Nangka – Foto Sinar Harian oleh AMRAN ALI
MELAKA – Dua keping ‘medal’ tembaga dipercayai daripada zaman Kesultanan Melayu Melaka ditemui dalam pencarian harta zaman kesultanan itu oleh syarikat Smart Partnership International (M) Sdn Bhd di Pulau Nangka dekat sini, malam tadi. Exco Kerja Raya, Kemudahan Awam, Pengangkutan dan Pemulihan Projek Melaka Datuk Abdul Ghafaar Atan berkata ‘medal’ itu ditemui pada pukul 11.30 malam tadi, bagaimanapun kesahihan artifak itu masih belum dapat dipastikan buat masa ini. “Saya bersama pasukan saya akan pergi ke pulau itu petang ini untuk melihat sendiri medal itu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini. Ditanya sama ada kontrak pencarian selama empat bulan diperoleh syarikat itu yang tamat pada pukul 12 malam tadi akan dilanjutkan selepas penemuan tersebut, beliau berkata perkara itu akan ditentukan selepas segala urusan berkenaan penemuan medal itu selesai. “Kita tengok sama ada benarkan syarikat itu teruskan atau tidak, pencarian syarikat itu tidak akan ganggu usaha pencarian syarikat kedua kerana lokasi pencarian dua syarikat ini berbeza,” katanya. – BernamaMedal tembaga yang ditemui di Pulau Nangka – Foto Sinar Harian oleh AMRAN ALI MELAKA – Dua keping ‘medal’ tembaga dipercayai daripada zaman Kesultanan Melayu Melaka ditemui dalam pencarian harta zaman kesultanan itu oleh syarikat Smart Partnership International (M) Sdn Bhd di Pulau Nangka dekat sini, malam tadi. Exco Kerja Raya, Kemudahan Awam, Pengangkutan dan Pemulihan Projek Melaka Datuk Abdul Ghafaar Atan berkata ‘medal’ itu ditemui pada pukul 11.30 malam tadi, bagaimanapun kesahihan artifak itu masih belum dapat dipastikan buat masa ini. “Saya bersama pasukan saya akan pergi ke pulau itu petang ini untuk melihat sendiri medal itu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini. Ditanya sama ada kontrak pencarian selama empat bulan diperoleh syarikat itu yang tamat pada pukul 12 malam tadi akan dilanjutkan selepas penemuan tersebut, beliau berkata perkara itu akan ditentukan selepas segala urusan berkenaan penemuan medal itu selesai. “Kita tengok sama ada benarkan syarikat itu teruskan atau tidak, pencarian syarikat itu tidak akan ganggu usaha pencarian syarikat kedua kerana lokasi pencarian dua syarikat ini berbeza,” katanya. – Bernama



VIDEO: Pekerja Syarikat Bas Kasari Petugas Media
SUDAHLAH penumpang sebuah syarikat perkhidmatan bas terkandas, pekerja mereka pula bertindak kasar terhadap dua petugas media yang cuba membuat liputan. Kejadian yang berlaku di Sungai Petani, Kedah ini bermula apabila 13 penumpang bas yang membeli tiket daripada kaunter bas Shamisha di Kangar, Perlis dan Changlon, Kedah untuk ke Gerik, Perak dan Kelantan terpaksa menunggu dari tengah malam hingga ke awal pagi semalam. Percubaan para petugas media untuk mendapat penjelasan daripada pihak syarikat ternyata tidak disenangi sekaligus mencetuskan kekecohan antara mereka. Mereka juga cuba merampas kamera milik petugas media tersebut, namun mereka segera beredar dari situ dan membuat laporan polis. Rasanya perkara sebegini tidak akan berpanjangan jika pekerja syarikat terbabit memberikan kerjasama yang baik dalam menjelaskan masalah tersebut kepada penumpang dan media. Tak pasal-pasal sudah jadi kes polis pula…


Heroin Berlebihan Punca Kematian Peaches Geldof
PUNCA kematian Peaches Geldof yang merupakan anak kepada penyanyi dan komposer terkenal, Bob Geldof adalah kerana pengambilan dadah jenis heroin secara berlebihan. Sebelum ini, ibu Peaches, Paula Yates, turut meninggal dunia akibat punca yang sama pada tahun 2000. Pendedahan itu dibuat oleh sebuah akhbar di London iaitu The Times. Sewaktu mayat Peaches ditemui di kediamannya di Kent pada 7 April lalu, pihak berkuasa menyifatkan ia sebagai kematian yang ‘tidak mencurigakan’ dan ‘mati mengejut’. Bagaimanapun, pendedahan itu menimbulkan kemarahan mereka kerana keputusan toksik sepatutnya tidak diberitahu kepada umum sehingga inkues pada hari ini.

Denggi2
29,788 Kes Denggi Sejak 1 Januari 2014
KUALA LUMPUR – Sebanyak 29,788 kes denggi dilaporkan di seluruh negara sejak 1 Januari hingga 26 April lalu berbanding cuma 7,912 kes bagi tempoh sama tahun lalu. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S.Subramaniam berkata, statistik tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 277 peratus kes denggi. “Jumlah keseluruhan kematian akibat denggi pula sebanyak 66 kematian berbanding 15 kematian pada tahun 2013 iaitu peningkatan sebanyak 340 peratus. “Pada minggu lalu sahaja sebanyak 974 kes denggi dilaporkan. Bagaimana secara keseluruhannya kes denggi di seluruh negara menunjukkan tren penurunan kerana pada minggu sebelumnya sebanyak 1,252 kes denggi dilaporkan,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini. Subramaniam turut memaklumkan, sebanyak 241 lokasi wabak dilaporkan di 11 negeri dan daripada jumlah tersebut, 30 lokasi merupakan kawasan panas dan 15 merupakan wabak tak terkawal. Justeru, beliau menyeru orang ramai supaya memberi kerjasama dalam aktiviti pencegahan dan kawalan demam denggi. Menurutnya, walaupun bilangan kes menunjukkan penurunan waktu ini, orang ramai dinasihatkan supaya tidak alpa dan menjaga serta memastikan persekitaran mereka bebas daripada pembiakan aedes. “Dengan perubahan cuaca yang tidak menentu, risiko penularan denggi juga boleh meningkat. Jika tiada tempat pembiakan aedes, perubahan cuaca tidak akan memberi kesan kepada kejadian demam denggi,” katanya.


AirAsia Beroperasi Di LCCT Hingga 8 Mei 2014
KUALA LUMPUR – AirAsia dan AirAsia X akan hanya memulakan operasi penerbangan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 9 Mei ini. Sehubungan itu, AirAsia dalam satu kenyataan media hari ini mengingatkan bakal penumpang mereka penerbangan dua syarikat itu masih beroperasi di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) sehingga 8 Mei 2014. “Operasi penerbangan bagi AirAsia dan AirAsia X hanya akan bermula di KLIA2 pada Jumaat ini iaitu 9 Mei 2014. “Namun sebilangan penerbangan AirAsia (AK) (antarabangsa dan domestik) akan mendarat terus di KLIA2 pada 8 Mei 2014. Pengguna kami boleh merujuk kepada senarai penuh penerbangan yang akan mendarat di KLIA2 pada 8 Mei ini di airasia.com/klia2,” kata kenyataan itu hari ini. Menurut kenyataan itu, semua bakal penumpang terlibat akan dimaklumkan berhubung perkara itu melalui e-mel dan khidmat pesanan ringkas (SMS). Justeru, AirAsia meminta orang ramai mengemas kini profil ahli AirAsia untuk memastikan syarikat penerbangan itu dapat menghubungi mereka tanpa sebarang masalah.
Semua penerbangan AirAsia X (D7) akan terus berlepas dari dan tiba di LCCT pada 8 Mei 2014 termasuk penerbangan yang berlepas pada awal pagi 9 Mei 2014 seperti berikut:
1. D7 236 ke Perth – 0005hrs (12:05 AM)
2. D7 532 ke Osaka – 0100hrs (1:00 AM)
3. D7 512 ke Busan – 0115hrs (1:15AM)
4. D7 170 ke Jeddah – 0235hrs (2:35AM)
Tambah kenyataan itu, KLIA2 meliputi kawasan yang lebih luas berbanding LCCT dan lebih masa diperlukan untuk mereka sampai dari satu tempat ke tempat yang lain. Maka, pelanggan AirAsia dan AirAsiaX dinasihatkan tiba 3 jam lebih awal sebelum berlepas dan menguruskan segala keperluan perjalanan seawal yang mungkin. “Untuk lebih mudah, tetamu digalakkan untuk melakukan daftar masuk sendiri melalui laman sesawang atau peranti mudah alih, sebelum tiba ke KLIA2,” jelas kenyataan itu. Orang ramai yang mahu mendapatkan maklumat lanjut diminta melayar laman web AskAirAsia di www.airasia.com/ask.


Pelakon HK Ditawar Wang 7 Angka Untuk Makan Malam
Pelakon yang juga bekas ratu cantik Hong Kong, Samantha Ko dilaporkan dipelawa untuk makan malam bersama seorang lelaki kaya yang menawarkan wang tujuh angka padanya jika dia setuju. Samantha bagaimanapun memberitahu seorang wartawan yang menghubunginya menerusi telefon, dia menolak tawaran tersebut kerana melanggar prinsip diri. Tawaran untuk makan malam dengan bayaran lumayan itu diterima Samantha menerusi satu panggilan telefon daripada individu yang tidak dikenali. Individu berkenaan dikatakan meminta Samantha memberikan jumlah wang yang diingini bersama nombor akaun banknya jika setuju dengan tawaran ‘makan malam’ tersebut. Namun Samantha berkata, dia menolak mentah-mentah tawaran tersebut dan meminta agar dia tidak dihubungi lagi untuk tujuan sedemikian.


Pengiklanan Barangan Kemas Yang ‘Failed’
Dalam menjalankan perniagaan, kuasa pengiklanan dan penghebahan kepada umum adalah penting untuk kewujudan sesuatu produk itu diketahui oleh sasaran penggunanya. Namun, janganlah pula membuat kesilapan seperti yang terdapat dalam keratan iklan produk barangan kemas yang dipaparkan di bawah ini. Sepatutnya rantai tangan jadi lantai tangan pula. Haha memang epic failed lah!


Mayat Lelaki Ditemui Terapung Di Sg Kerian
NIBONG TEBAL – Mayat seorang lelaki yang berpakaian lengkap serba hitam dengan matanya ditutup dengan kain ditemui terapung di Sungai Kerian, di sini, hari ini. Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superitendan Shafien Mamat, berkata mayat lelaki tanpa sebarang dokumen perjalanan diri itu ditemui nelayan yang sedang menangkap ikan di sungai berkenaan pada jam 9.30 pagi tadi. “Pada mulanya nelayan itu menyangka benda yang terapung dan tersangkut di tebing sungai berkenaan adalah sampah berikutan ia berwarna hitam bagaimanapun setelah mendekatinya baru menyedari itu adalah mayat,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini. Beliau berkata, nelayan berkenaan terus menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian itu sebelum sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian dan menghantar mayat itu ke Hospital Seberang Jaya, dekat sini untuk dibedah siasat. Shafien berkata berdasarkan keadaan mayat itu, polis tidak menolak kemungkinan mangsa telah mati sekurang-kurangnya tiga hari sebelum ditemui hari ini. Beliau berkata hasil pemeriksaan awal polis tidak menemui sebarang kesan kecederaan di badan mangsa. “Siasatan lanjut masih dijalankan dan kita menunggu laporan bedah siasat sebelum mengklasifikasikan kes berkenaan sama ada mangsa dibunuh atau terjatuh ke dalam sungai berkenaan,” katanya. Polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu atau kehilangan anggota keluarga supaya menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. – BERNAMA


Hudud: Perbincangan Redakan Ketegangan
KOTA BHARU – Pelaksanaan hukum hudud yang dibincangkan secara ikhlas dan rasional boleh mewujudkan perpaduan Islam yang lebih mantap di negara ini. Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pendekatan itu boleh mengurangkan ketegangan perbezaan pendapat dalam masyarakat mengenai pelaksanaan hukum Islam itu. “Apabila isu hudud ini dibincangkan secara ikhlas dan rasional, kita dapati suhu ketegangan di kampung-kampung turun sedikit, ini baik untuk perpaduan Islam,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Unggas Antarabangsa Kelantan 2014 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kelantan di sini, hari ini. Mustapa berkata, program penerangan anjuran Umno Kelantan mengenai pelaksanaan hukum hudud yang diadakan di seluruh negeri kini, mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenainya. Sebelum ini dilaporkan, kerajaan Pas Kelantan melalui Ahli Parlimen parti itu akan membawa usul rang undang-undang persendirian (hukum hudud) di Dewan Rakyat bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 selewat-lewatnya Disember tahun ini. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini berkata, kerajaan Persekutuan tidak pernah menolak hukum hudud sebagai hukum yang ditetapkan ALLAH SWT, namun banyak kekangan dan keutamaan yang perlu diperhalusi sebelum dilaksanakan tanpa menjejaskan matlamat hukum itu. – BERNAMA


5 Prinsip Digariskan PM Perlu Diikuti P’jawat Awam
JITRA – Lima prinsip digariskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu diikuti oleh penjawat awam untuk menambah baik lagi perkhidmatan mereka kepada rakyat. Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata kelima-lima prinsip itu amat bermanfaat dalam usaha meningkatkan prestasi kakitangan awam di negara ini. Katanya apa yang penting ialah supaya sumbangan mereka dapat meningkatkan lagi prestasi ekonomi negara pada keseluruhannya. “Kelima-lima prinsip ni kita akan terus perhebatkan lagi dalam perkhidmatan awam khususnya dan bila kita lihat ke lima-lima prinsip ni kita yakin ia akan dapat meningkatkan lagi prestasi kita khususnya dalam meningkatkan produktiviti dan juga sumbangan kita ke arah pembangunan negara,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sambutan Hari Pekerja Penjawat Awam Tahun 2014 di Dewan Wawasan di sini hari ini yang disempurnakan Perdana Menteri. Najib pada majlis itu berkata lima prinsip/kriteria diperlukan pada penjawat awam bagi mendakap tranformasi dan bergerak ke hadapan bagi tempoh 50 tahun akan datang. Prinsip berkenaan adalah berilmu, kebolehpercayaan, budaya amalan kerja terbaik, semangat patriotik dan budaya yang berteraskan hasil. Pada majlis itu, Ali menerima anugerah Khas CUEPACS 2014. Beliau melahirkan rasa terkejut atas anugerah yang diterima kerana tidak menyangka akan dipilih menerima anugerah itu. Sementara itu, beliau mengucapkan selamat menyambut hari pekerja kepada semua penjawat awam khususnya dan semua pekerja seluruh negara. Beliau berharap pekerja sektor awam dan swasta akan terus memberi perkhidmatan, sumbangan kepada negara dengan meningkatkan lagi produktiviti, selain menambah hasil usaha mereka melalui kreativiti dan juga langkah-langkah yang lebih inovatif. – BERNAMA


ANTI GST: Persatuan Bidas Tindakan Serang Tiga Jurufoto
KUALA LUMPUR – Tiga petugas media yang membuat liputan perhimpunan bantah cukai barang dan perkhidmatan (CBP) di Dataran Merdeka hari ini mendakwa dikasari sekumpulan peserta perhimpunan itu. Dalam kejadian yang berlaku ketika perhimpunan mula bersurai sekitar 4.30 petang itu, dua daripada petugas media itu ditumbuk dan disepak, sementara seorang lagi terkena balingan kayu. Jurukamera Xinhua News Agency, Mohd Zul Iskanda Mohd Hanafiah, yang ditendang dan terkena balingan kayu ketika ditemui Bernama, berkata beliau bersama beberapa petugas media lain diprovokasi oleh sekumpulan pemuda yang berpakaian serba hitam dan menutup muka. “Saya dan petugas media lain tak buat apa-apa pun, tengah rakam perbuatan dia orang, tiba-tiba masa itu di orang tolak-tolak media yang tengah buat liputan akhirnya saya ditendang dua kali dekat perut. “Nasib baik kamera saya tak pecah, cuma penutup lensa saya saja yang jatuh,” katanya. Sementara jurufoto Focus Malaysia, Sharil Amin Abdul Rahim mendakwa beliau ditumbuk dan disepak, sementara jurufoto Malaysian Reserved Hafzi Mohamad terkena balingan kayu. Setiausaha Agung Persatuan Jurufoto Media Malaysia (MPPA) Mohammad Naim Firdaus Abdul Aziz berkata pihaknya akan membuat laporan polis mengenai kejadian itu. Beliau berkata pihaknya memandang serius perkara itu yang sepatutnya tidak berlaku kerana perhimpunan tersebut mendapat kebenaran pihak berkuasa. “Kami kesal dengan segelintir kumpulan pemuda (peserta perhimpunan itu) yang masih bertindak liar dengan menyerang jurufoto media yang bertugas,” katanya dalam kenyataan di sini. Kejadian itu dikatakan bermula apabila sekumpulan pemuda yang memakai topeng dan berpakaian serba hitam melakukan provokasi dengan mengeluarkan kata-kata kesat dan menunjukkan isyarat lucah kepada petugas media yang sedang bertugas. Kumpulan pemuda itu juga dikatakan menyalakan suar dan seterusnya berlaku kekecohan ketika kumpulan jurufoto media cuba menghampiri mereka. – BERNAMA


ANTI GST: Keadaan Terkawal, Kata Ketua Polis Kuala Lumpur
Polis Kuala Lumpur mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang mengamalkan sikap toleransi dan bekerjasama demi mengekalkan keamanan dan kesejahteraan di Bandaraya Kuala Lumpur. Begitu juga kepada para petugas yang bersama-sama terlibat dengan penugasan ini. Pada jam 1700hrs, keadaan di Bandaraya Kuala Lumpur ini masih berada dalam keadaan terkawal walaupun terdapat beberapa lokasi yang telah dipenuhi oleh peserta-peserta perhimpunan. Ada juga berlaku insiden-insiden kecil seperti tolak-menolak diantara peserta, namun keadaan masih tetap terkawal. Sehingga jam 1730hrs, keseluruhan peserta beredar dari lokasi perhimpunan dan keadaan kembali seperti biasa. Walau bagaimanapun, Polis Kuala Lumpur akan tetap melaksanakan kawalan keselamatan di lokasi-lokasi tertentu bagi memastikan keadaan selamat. Polis Kuala Lumpur sekali lagi ingin menasihatkan para peserta perhimpunan supaya tidak menimbulkan kekecohan sehingga mengganggu ketenteraman dan keselamatan orang ramai. – FOTO Riza Razak


ANTI GST: Perhimpunan Tamat Awal, Langgar Syarat APA 2012
KUALA LUMPUR – Pihak penganjur perhimpunan membantah pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) di Dataran Merdeka di sini ditamatkan lebih awal, sebelum pukul 5 petang, dengan terdapat segelintir peserta melanggari syarat Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012. Perhimpunan itu, yang mendapat kebenaran pihak polis, tamat pada 4.30 petang, menyaksikan terdapat peserta membawa kanak-kanak, memegang kain rentang dan menggunakan pembesar suara yang jelas menyalahi APA 2012. Kebanyakan mereka ketika ditemui Bernama memberi alasan tiada pihak yang dapat menjaga anak-anak mereka disebabkan perhimpunan itu diadakan pada cuti umum, Hari Pekerja dan mereka terpaksa membawa kanak-kanak kecil di bawah panas terik sejak 1 tengah hari lagi. Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mohmad Salleh dalam sidang medianya memberi peringatan tegas kepada peserta perhimpunan dan pihak penganjur agar mematuhi syarat APA 2012 demi keselamatan umum termasuk tidak dibenarkan membawa kanak-kanak, pembesar suara, kain rentang dan senjata ketika perhimpunan sedang berlangsung. Mengikut APA 2012, adalah menjadi kesalahan jika menyertai dan menganjur protes jalanan, seseorang bawah umur 21 tahun menganjurkan perhimpunan, kanak-kanak menyertai perhimpunan (bawah 15 tahun), merekrut atau membawa kanak-kanak untuk perhimpunan. Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda antara RM10,000 dan RM20,000. Namun terdapat juga para peserta yang membawa kain rentang serta sepanduk yang tertera perkataan “GST Cukai yang melampau satu pengkhianatan kepada rakyat Malaysia”, “Tak nak GST” dan “TPPA makes Malaysia colony of USA” (TPPA menjadikan Malaysia tanah jajahan Amerika). Malah mereka turut mempolitikkan bantahan CBP dengan melaungkan slogan antaranya; “Hancur BN (Barisan Nasional)”, “Turun Umno” dan “Reformasi”. Ketika portal propembangkang (Malaysiakini), mendakwa jumlah orang menyertai perhimpunan itu melebihi 50,000, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad ketika dihubungi Bernama berkata jumlah peserta perhimpunan itu adalah kira-kira 15,000 orang. Perhimpunan itu turut menyebabkan kesesakan lalu lintas di sekitar ibu kota sehingga mengganggu warga kota untuk berurusan dan melakukan aktiviti sosial semasa cuti Hari Pekerja hari ini. Antara pemimpin yang dilihat hadir ialah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali, dua Naib Presiden PKR R. Sivarasa dan Nurul Izzah Anwar, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, dua Naib Presiden Pas Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub. Pada perhimpunan itu juga turut menyaksikan terdapat peserta remaja yang mengibarkan bendera berwarna pelangi LGBT (Gay, Lesbian, Biseksual dan Transeksual) dan membantah CBP. Anwar dalam ucapannya pada penghujung perhimpunan itu menyifatkan CBP adalah satu bentuk cukai menindas rakyat dan beranggapan banyak lagi perhimpunan seumpama hari ini akan diadakan pada masa akan datang. “Perhimpunan aman akan dijalankan dari masa ke semasa sehingga Umno tumbang,” katanya. Laluan di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad kemudiannya kembali dibuka kepada kenderaan awam pukul 5 petang setelah ditutup untuk perhimpunan yang bermula 2 petang itu. Anggota polis yang berkawal di kawasan itu juga mula beredar setelah keadaan kembali normal. Sebelum meninggalkan Dataran Merdeka, terdapat beberapa peserta melepaskan ‘smoke bomb’ atau bom asap dan berlaku pergelutan antara peserta dengan pihak media. Di KEDAH, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa merasmikan Hari Pekerja Penjawat Awam Tahun 2014 berkata, sistem CBP yang akan dilaksanakan mulai April tahun depan mampu menjamin masa depan negara dengan hasil yang lebih mantap. Katanya walaupun ada pihak bercadang untuk membuat bantahan di Kuala Lumpur terhadap CBP tetapi hakikatnya apabila sistem cukai itu diperkenalkan, masa depan negara terjamin. Sementara bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan tindakan mengadakan demonstrasi besar-besaran untuk menjatuhkan kerajaan sebenarnya jauh terpesong daripada landasan amalan demokrasi. - FOTO Riza Razak

VIDEO - Perjuangan belum selesai, kata Mat Sabu






ANTI GST: (VIDEO) Unit Amal Pas Dan SAMM Bergaduh Sama Sendiri Di Dataran Merdeka
KUALA LUMPUR – Satu pergaduhan telah tercetus di antara Unit Amal dan penyokong SAMM & ANARKI di kawasan Dataran Merdeka apabila Unit Amal menghalang kumpulan ini mendekati pentas. Penyokong Anarki dan SAMM telah merungut apabila ahli politik asyik berucap. Akibatnya seorang penyokong Anarki telah ditumbuk oleh Unit Amal dibahagian kening dan berdarah. Ketegangan telah tercetus selama 5 minit dan menyebabkan Pemimpin Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH), Maria Chin Abdullah campurtangan bagi meredakan keadaan.


Julia Ziegler Nafi Mabuk Ketika ‘Shooting’ Di Sydney
Pelakon berdarah kacukan Melayu-Jerman, Julia Ziegler menafikan khabar angin mengatakan seorang pelakon wanita mabuk teruk ketika menjalani pengambaran di Sydney, baru-baru ini. Menurut laporan berita itu, klue yang diberikan banyak terarah kepada pelakon tersebut sehingga ramai membuat telahan memang Julia lah orang yang dimaksudkan. Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Julia menjelaskan, “eh, mana ada, mengarut saja. Jangan percaya mereka (penyampai)”. “Memanglah saya jenis yang gila-gila, tapi tak adalah sampai terjerit dan mabuk macam itu. Orang buat cerita ini. Siapa yang mengadu, siapa yang bercakap? Terkejutlah saya. Siapalah yang buat lawak bodoh macam ini,” katanya dipetik Harian Metro. Kalau betul awak tak buat, tak payah takut lah Julia, lama-lama orang pun akan berhenti bercakap mengenai perkara ini kalau tak de bukti yang jelas. Tak gitu?


Khalid Nak Bagi Peluang ‘Orang Muda’ Pula Jadi MB Selangor Penggal Akan Datang
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini berkata beliau tidak mahu lagi memegang jawatan menteri besar Selangor untuk penggal akan datang. Bagaimanapun, beliau menafikan keputusannya itu dibuat atas desakan pucuk pimpinan Pakatan Rakyat. “Ia adalah keputusan saya, saya telah membuat keputusan lebih awal, kita perlu beri peluang kepada golongan muda untuk tonjol kepemimpinan mereka sama ada parti politik atau negara,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Himpunan Hari Pekerja anjuran Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) di Padang Majlis Perbandaran Petaling Jaya di Petaling Jaya, hari ini. Semalam, Abdul Khalid dalam laman Twitternya berkata: “Saya tidak bercadang menjadi menteri besar untuk penggal yang ketiga. Tapi saya akan terus berkhidmat hingga akhir penggal ini (penggal kedua). “Dalam hidup ini, saya hanya mahu dikenang sebagai seorang yang berkhidmat kepada rakyat,” katanya dalam akaun Twitternya itu. Sementara itu, Presiden MTUC Mohd Khalid Atan berkata himpunan bertemakan “Pekerja Bersatu Rakyat Maju” dihadiri kira- kira 2,000 orang untuk menyambut Hari Pekerja. Himpunan itu bermula seawal pukul 7 pagi dan berakhir kira-kira pukul 11 pagi tadi. - Bernama


Gadis Jaga 194 Ekor Kucing Mohon Bantuan Dana
MAMPUKAH anda menjaga 194 ekor kucing dengan baik dalam satu-satu masa? Rasanya tak ramai yang sanggup memikul tanggungjawab sebesar ini seperti yang dilakukan oleh gadis bernama Nor Aifaa Syazny Norzilan dari Pulau Pinang. Menerusi Facebook OH!Meow, Aifaa kini dalam percubaan untuk mengumpul dana bagi menampung kos perubatan, makanan dan tempat tinggal untuk 194 ekor kucing jalanan yang diselamatkannya sejak sembilan tahun lalu. Menurutnya, kesemua kucing itu kini ditempatkan di sebuah unit pangsapuri yang terletak di Air Itam dan kos bulanan untuk penjagaan haiwan itu mencecah ribuan ringgit. Aifaa turut menghabiskan masa antara lima hingga enam jam setiap hari untuk membersihkan kediaman tersebut bagi memastikan ia bersih untuk kucing-kucingnya. Melihat gambar yang disertakan, kami yakin kucing tersebut dijaga dengan baik kerana bulunya cukup bersih dan ia kelihatan sihat. Selain memohon bantuan untuk penjagaan kucing-kucing itu, Aifaa turut membuka peluang kepada pencinta haiwan untuk mengambil kucing tersebut sebagai haiwan peliharaan mereka agar kebajikannya lebih terbela. Bagi mereka yang ingin membantu Aifaa, salurkan derma anda melalui akaun CIMB: 8600961579. Anda juga boleh melayari Facebook Aifaa’s Shelter Home Sweet Home untuk maklumat lanjut.


Penduduk Khuatir Bangkai Paus Akan Meletup Bila-Bila Masa Sahaja
Penduduk di Pulau Newfoundland, Kanada kini berada dalam kerisauan bangkai seekor paus biru yang terdampar di pantai mereka mungkin akan meletup bila-bila masa sahaja. Bangkai paus berukuran 25 meter yang terdampar di pantai berbatu Trout River, dipercayai sudah mati sejak seminggu lalu dalam lautan berais sebelum dihanyutkan ke situ. Lazimnya, proses penguraian dalam badan paus yang mati dan terdampar akan menghasilkan gas metana yang boleh mengakibatkan letupan dan bau busuk ke kawasan sekitar. Masalah timbul apabila berlaku pertikaian antara pihak berkuasa tempatan dan persekutuan, siapa yang harus menguruskan bangkai paus ini. Cadangan untuk menolak bangkai kembali ke dalam laut pula dikhuatiri boleh membahayakan kapal yang mungkin akan terlanggarnya. Tambah memburukkan keadaan, saiz bangkai paus kini sudah dua kali ganda besar daripada saiz asal sekaligus menambahkan lagi kegusaran 600 penduduk pulau terbabit.


CJA: Seramai 91 Wartawan Terkorban Tahun Lepas, 24 Tahun Ini
KUALA LUMPUR – Pemerhati daripada Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) mendapati 91 wartawan terkorban tahun lepas, manakala 24 kematian lagi direkodkan tahun ini, menurut Persatuan Wartawan Komanwel (CJA). Presidennya, Rita Payne berkata, berpuluh-puluh lagi dipenjarakan atau diancam dan banyak antara mereka yang meninggal dunia dalam zon perang manakala ada juga yang terbunuh ekoran laporan mereka berkaitan jenayah atau politik. “Wartawan dipenjarakan tanpa sebab munasabah atau melalui proses sepatutnya, diserang atau dibunuh di banyak negara, malah sekalipun di negara yang mengisytihar komitmen mereka terhadap kebebasan bersuara dan kebebasan akhbar. “Usaha sah mereka untuk melaporkan perkara membabitkan kepentingan awam dan mendapatkan hak untuk memperoleh maklumat seringkali dihalang oleh kerajaan itu sendiri,” kata Payne dalam satu kenyataan bersempena Hari Kebebasan Akhbar Dunia di sini hari ini. Payne berkata, CJA bersuara lantang menentang keganasan dan tapisan yang dihadapi wartawan di seluruh dunia, dan menyokong kebebasan media yang dibenarkan melaksanakan tugas tanpa bimbang akan diapa-apakan atau mengalami keganasan fizikal. “Kerajaan autoritarian terus menerus berusaha untuk menutup mulut atau memanipulasi media dengan mengancam, menakut-nakutkan atau cuba menyekat akses internet,” kata Payne. Payne berkata, memandangkan tapisan sendiri semakin bertambah lazim, persatuan seperti CJA boleh melaksanakan peranan penting dengan bersuara bagi pihak rakan setugas yang tidak berupaya melaksanakan hak mereka atau melindungi diri daripada gangguan. – BERNAMA



VIDEO: Pemandu Cuba Rasuah Polis, Maki Hamun Polis Trafik
Macam-macam cabaran anggota polis dalam melakukan pekerjaan pada hari ini. Dalam video di bawah, dapat dilihat seorang pemandu cuba memerangkap angggota polis yang menahannya dengan menawarkan rasuah. Sebelum itu dia sudah siap sedia memasang video pada telefon bimbitnya untuk merakam perlakuan ini. Namun apabila anggota polis tidak mahu mengambil rasuah, dia mula melakukan provokasi termasuk memaki hamun hingga membuatkan anggota polis terlibat hilang sabar. Kepada anggota polis yang berkhidmat pada masyarakat, hati-hatilah kerana kini anda ada cabaran baru iaitu kamera tersembunyi yang akan merakam setiap perlakuan anda jika tersilap langkah.

GAMBAR : ANTI GST
Gambar Perhimpunan membantah cukai barang dan perkhidmatan (CBP)- Astro Awani



ANTI GST: Peserta Perhimpunan Bawa Bayi, Kanak-Kanak
KUALA LUMPUR – Segelintir peserta perhimpunan membantah cukai barang dan perkhidmatan (CBP) di sini membawa anak ke perhimpunan itu tanpa menghiraukan keselamatan anak mereka atas alasan tiada orang yang menjaga di rumah. Tindakan itu jelas melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012 yang melarang kanak-kanak dibawa menyertai perhimpunan, seperti yang dinyatakan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mohmad Salleh pada Rabu. Tinjauan Bernama di sekitar Masjid Negara mendapati peserta yang rata-ratanya berpakaian merah, tidak menghiraukan kesihatan anak-anak mereka yang terpaksa berpanas di kawasan lapang berdekatan Masjid Negara. Seorang peserta perhimpunan itu yang hanya mahu dikenali sebagai Osman berkata dia terpaksa membawa dua anaknya ke perhimpunan berkenaan. “Hari ini cuti umum kerana Hari Pekerja, siapa hendak jaga anak saya. Saya kena bawa mereka bersama isteri saya,” katanya ketika ditemui Bernama, di pusat beli-belah di Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini. Seorang lagi peserta perhimpunan itu yang enggan dikenali berkata dia membawa tiga anak perempuannya untuk turut sama dengannya membantah CBP. “Selain tiada orang hendak jaga, saya mahu anak-anak saya ikut kerana mereka pun tidak bersekolah hari ini,” katanya. Sementara itu, di lokasi sama, tinjauan turut mendapati beberapa peniaga menjual senjata tajam, iaitu pisau rambo, dan menggunakan pembesar suara untuk berinteraksi dengan peserta perhimpunan. Di KLCC, ada pihak yang membawa sistem pembesar suara dengan meletakkannya di atas kenderaan pacuan empat roda sambil melaungkan slogan membantah CBP. Beberapa pemimpin kanan pembangkang turut hadir bersama kumpulan peserta perhimpunan antaranya Anggota Parlimen Kuala Krai Dr Mohd Hatta Ramli, Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard dan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan Zulkifli Mamat. Setakat 1.30 tengah hari ini, puluhan peserta mula bergerak ke kawasan Dataran Merdeka dari lima lokasi berkumpul di sekitar ibu negara dan menyebabkan kesesakan lalu lintas di sekitar kawasan dataran itu. – BERNAMA


Kerajaan Tetap Laksana GST – Ahmad Maslan, degil....
KUALA LUMPUR – Kerajaan akan tetap melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada April 2015 meskipun mendapat bantahan dari sesetengah pihak, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan. Katanya, ini kerana kerajaan sudah hampir 30 tahun membuat persiapan bagi tujuan itu. Sambil menyifatkan perhimpunan membantah GST sebagai tidak wajar, Ahmad berkata penganjur perhimpunan seharusnya menggunakan pendekatan lebih baik untuk menyuarakan pendapat mereka. “Mereka sepatutnya mengemukakan memorandum berhubung perkara itu, ini (bantahan) hanya bertujuan untuk mempolitikkan segala perkara baik yang kerajaan mahu laksanakan”, katanya kepada pemberita di sini, hari ini. GST yang dikenakan pada kadar enam peratus menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan dikecualikan ke atas barangan makanan asas seperti beras, gula, garam, tepung dan minyak masak. Barangan dan perkhidmatan lain yang turut dikecualikan ialah perkhidmatan kerajaan seperti pengeluaran pasport, lesen dan perkhidmatan kesihatan. Ahmad Maslan berkata GST bukan perkara baharu, malah 90 peratus penduduk dunia berada dalam negara yang telah mengamalkannya. Kadar GST yang bakal dikenakan juga adalah antara yang terendah dalam dunia, katanya. “Prinsip yang perlu semua fahami adalah cukai itu diproses daripada rakyat dan dikembalikan semula kepada rakyat untuk tujuan pembangunan sosial dan ekonomi mereka. “Kerajaan tak simpan duit itu kerana kita akan kembalikan kepada rakyat melalui bajet tahunan”, katanya. Terdahulu Ahmad menyampaikan cek contoh bernilai RM750,000 oleh Bank Simpanan Malaysia (BSN) selaku penganjur utama Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2014 kepada Majlis Buku Kebangsaan Malaysia. – BERNAMA


ANTI GST: Penjawat Awam Yang Terlibat Adalah Pengkhianat – CUEPACS, pulak dah...
JITRA – Penjawat awam yang terlibat dalam perhimpunan membantah Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) di Dataran Merdeka hari ini dianggap sebagai pengkhianat dan tidak layak bergelar penjawat awam. Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Azih Muda berkata penjawat awam yang terlibat dalam perhimpunan yang menentang kerajaan itu melanggar Akujanji dan Ikrar Perkhidmatan yang telah dibuat. “Sebelum ini saya sudah maklumkan bahawa penjawat awam tidak boleh terlibat dalam apa jua perhimpunan yang menentang kerajaan kerana mereka telah pun melafazkan Akujanji dan Ikrar Perkhidmatan…jadi suka atau tidak mereka perlu akur. “Sekiranya mereka tidak berpuas hati dan ingin menyertai perhimpunan, mereka boleh keluar daripada menjadi penjawat awam. Kita berhasrat untuk menjadikan negara Malaysia sebagai negara maju tetapi sekiranya perkara seperti ini berlaku ia boleh membantutkan perjalanan yang telah dirancang,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sambutan Hari Pekerja Penjawat Awam Tahun 2014 di Dewan Wawasan di sini hari ini yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Azih berkata penjawat awam yang menyertai perhimpunan CBP hari ini boleh dikenakan tindakan sekiranya didapati bersalah. “Jangan pula cakap mereka dianiaya sekiranya dikenakan tindakan tatatertib. Ini salah mereka sendiri kerana mahu menyertai perhimpunan ini sedangkan awal-awal lagi saya telah mengeluarkan kenyataan supaya penjawat awam tidak boleh turut serta. “Perdana Menteri sentiasa membuka pintu kepada Cuepacs mendengar rintihan dan keluhan pekerja dalam sektor awam, yang mampu menyelesaikan sedikit sebanyak tekanan hidup dan melihat apa yang diperlukan dalam sektor awam. Jadi tidak perlu melibatkan diri dalam perhimpunan,” katanya. Beliau berkata Najib turut meminta penjawat awam menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan paling penting mengharapkan agar penjawat awam dapat membantu usaha menyuntik pendapatan negara bagi menampung kos sara hidup penjawat awam. “Bagi meningkatkan pendapatan negara, produktiviti daripada semua penjawat awam diperlukan dan bagi mengekalkannya, semua pihak perlu menggembleng tenaga. Cuepacs dan kerajaan masing-masing mahukan sesuatu jadi di sini kita perlu bersama-sama berusaha untuk memenuhi kehendak satu sama lain,” katanya. – BERNAMA



VIDEO: Lelaki Campak Budak Kerana Marah!
ENTAH di mana letaknya akal dan belas kasihan seorang lelaki di China apabila dia bertindak mencampakkan seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun selepas terbabit dengan satu pergaduhan. Pada mulanya, dia dilihat muncul dalam keadaan marah dan memasuki sebuah premis sebelum beberapa orang lagi masuk ke dalamnya. Tidak lama kemudian, lelaki itu berlari keluar sebelum mengangkat dan mencampakkan kanak-kanak yang sedang berdiri di tepi premis itu. Memetik laporan Daily News, kanak-kanak itu cedera dan telah menerima rawatan di hospital Huainan.


Gambar Tangan Misteri Apit Bayi Di Majlis Kahwin
Cuba perhatikan betul-betul gambar di bawah ni, apa yang peliknya dari gambar lain? Tangan siapa yang mencelah, mengapit bayi dalam gambar ini? Takkan tangan mak ayah budak ni pulak kan, sebab warna kulit memang nampak berbeza sungguh. Tak tahulah kalau ini merupakan hasil editan siapa-siapa yang terlebih rajin. Tapi kalau gambar ni memang betul-betul ‘real’ mahu meremang bulu roma tengok!


Gadis Tidak Makan Sejak Lima Tahun Lalu
SEORANG gadis dari Cheltenham, England terpaksa melupakan nikmat makan sejak lima tahun lalu selepas disahkan menghidap penyakit ‘gastroparesis’ yang menyebabkan otot perutnya lumpuh. Ayllah-Beau Foley, 19, kini hanya bergantung dengan tiub kecil yang membekalkan nutrien yang disambungkan terus ke jantungnya. Penyakit pelik itu dikesan selepas Ayllah kembali dari projek sukarelawan di India. Kesakitan pada bahagian perut itu pada mulanya disangkakan berpunca daripada keracunan makanan, namun ia bertambah teruk sehingga menyebabkan dia terpaksa dirawat di hospital. Selepas beberapa ujian dijalankan, gadis itu disahkan menghidap penyakit tersebut yang sememangnya jarang berlaku. “Keadaan ini mengubah hidup saya. Saya tidak dapat makan bersama keluarga dan rakan-rakan. “Ia sangat sukar, namun saya cuba untuk terus positif dan berharap untuk mengatasi penyakit ini suatu hari nanti,” ujarnya. Nutrien akan disalurkan ke tubuh Ayllah melalui tiub selama 14 jam setiap malam bagi memastikan dia terus hidup. Sehingga ke hari ini, gadis itu masih berharap agar suatu hari nanti dia akan dapat menikmati coklat, gula-gula dan burger yang menjadi kegemarannya sebelum ini.


Warga Emas Maut Terjatuh Dari Tingkat 4 Hospital
KUANTAN – Seorang lelaki warga emas maut selepas terjatuh dari tingkat empat bangunan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh, malam tadi. Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata dalam kejadian 9.40 malam itu, Tan Chiu Chuan, 72, yang dimasukkan ke wad hospital berkenaan pada Selasa akibat serangan jantung, meninggal dunia di tempat kejadian. “Warga emas dari Kampung Baru Triang dekat Bera itu dikatakan terjatuh dari tingkat empat bangunan hospital berkenaan. “Bagaimanapun polis sedang menyiasat sama ada mangsa terjatuh atau bertindak terjun dari bangunan itu,” katanya hari ini. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, katanya. – BERNAMA


Feri Karam: Angka Kematian Kini 213 Orang
JINDO – Angka kematian nahas feri seberat 6,825 tan yang terbalik dan karam di pantai barat daya negara itu kini meningkat. Sehingga tengah hari tadi, 213 orang disahkan mati manakala 89 lagi masih dilaporkan hilang. Tiada laporan mengenai penumpang yang terselamat sejak 174 orang berjaya diselamatkan dari kawasan laut dan kapal berkenaan pada 16 April lalu ketika feri itu terbalik. Pada operasi mencari yang memasuki hari ke-16, hanya satu mayat ditemui dalam feri terbabit hari ini. Operasi mencari dihalang arus deras dan air laut yang keruh. – Agensi


Demonstrasi Langkau Had Amalan Demokrasi
KUALA LUMPUR – Tindakan mengadakan demonstrasi besar-besaran untuk menjatuhkan kerajaan sebenarnya jauh terpesong daripada landasan amalan demokrasi, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Dr Mahathir berkata tindakan itu juga membuktikan pihak terbabit tidak memahami had kebebasan yang diberi untuk melahirkan rasa tidak puas hati. Beliau menegaskan salah guna amalan demokrasi menyebabkan banyak negara gagal membangun dan berkembang maju khususnya negara-negara yang baru berjinak-jinak dengan amalan itu. “Kalau kita perhatikan demokrasi yang lama seperti di Eropah dan Amerika, mereka mungkin tidak puas hati dengan kerajaan yang dipilih majoriti tetapi mereka menunggu sehingga pilihan raya sekali lagi untuk menjatuhkannya. “Sebab itu negara mereka aman, tenteram dan boleh dibangunkan dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama di Perhimpunan Agung Persekutuan Antarabangsa Perekabentuk Dalaman/Pereka XXVI dan Kongres REKA 2014 di sini, hari ini. Dr Mahathir berkata demikian mengulas tentang perhimpunan menolak pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (CBP) yang dianjurkan beberapa badan bukan kerajaan dengan sokongan parti politik pembangkang, yang disifatkan cuma alasan kepada tujuan yang lebih besar iaitu menjatuhkan kerajaan sedia ada. Sejajar dengan itu, Mahathir meminta rakyat Malaysia memilih sama ada mahu hidup secara aman harmoni, atau dalam keadaan huru-hara atas tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pihak. Beliau sekali lagi menegaskan wakil rakyat pembangkang sepatutnya memainkan peranan yang lebih berkesan di saluran yang betul iaitu di Parlimen, dan tidak mengheret rakyat ke jalan raya. “Kalau nak guna ‘street demonstration’ tak guna pilih wakil rakyat sebab tak pernah berkesan,” tegasnya. Terdahulu dalam ucaptamanya, Dr Mahathir menggesa pemain industri untuk lebih kreatif dalam menghasilkan binaan yang mencerminkan identiti Malaysia dan warisan dunia. Beliau juga meminta mereka mengambil perhatian iklim negara supaya binaan yang dihasilkan tidak mendatangkan masalah di kemudian hari. Dr Mahathir juga melahirkan rasa bangga apabila Menara Berkembar Petronas masih menjadi sebagai ikon dan menarik ramai pengunjung meskipun terdapat monumen lain yang lebih menarik di negara luar. – BERNAMA



Video: Hanie Soraya Klon Amy Mastura?
Penyanyi baharu datang bersilih ganti bagi memeriahkan lagi industri hiburan tempatan. Yang terbaharu, penyanyi Hanie Soraya yang muncul dengan single Hujung Dunia semakin mendapat tempat di hati pendengar muzik. Namun, kalau diamati memang terdapat sedikit persamaan vokal yang dialunkan Hanie dengan seorang lagi penyanyi lama iaitu Amy Mastura. Jika diamati daripada laman Youtube muzik video Hujung Dunia, bukan penulis sahaja yang terkeliru malah ramai ingat Amy Mastura buat ‘comeback’ setelah sekian lama menyepi daripada bidang nyanyian. Walau bagaimanapun, Hanie dikira agak bertuah kerana dapat bekerjasama dengan individu berpengalaman dalam bidang muzik seperti Audi Mok dan Faizal Tahir dalam mengembangkan karier seninya Jom layan lagu ni dulu ya, ada macam Amy Mastura tak?


2 Lelaki Dihukum Dan Dipamerkan Di Jalan
Iraq – Dua lelaki yang menjadi tahanan satu kumpulan ekstrimis, telah dihukum dengan cara yang kejam, selepas didakwa melakukan serangan bom tangan terhadap salah seorang pejuang kumpulan terbabit. Kumpulan itu yang menamakan diri mereka Kumpulan Negara Iraq dan Jajahannya (ISIL) telah mengikat dua lelaki itu pada kayu dan kemudian mereka dipamerkan di bulatan di sebatang jalan di Naim. Dalam satu twitter, gambar tahanan tersebut telah dimuat naik dengan mesej “10 hari lalu, penyerang yang menaiki motosikal telah melemparkan bom tangan kepada pejuang kami. Salah seorang awam telah terputus kaki manakala seorang kanak-kanak terkorban. “Pejuang kami kemudiannya telah membuat sekatan jalan dan berjaya menangkap mereka,’’ demikian mesej dalam twitter tersebut. Dalam pada itu, Abu Ibrahim Alrquaoui, yang menggelar dirinya sebagai pengasas Raqqa Is Being Slaughtered Silently memberitahu FoxNews.com bahawa mereka yang terkorban sebelum ini merupakan pejuang yang menentang kerajaan Bashar Assad di Syria. Abu Ibrahim memberitahu dia telah menyaksikan hukuman itu dan mengambil gambar serta menyebarkannya dalam internet. SIL ketika ini telah dihalau keluar dari kawasan di utara Syria namun pejuangnya masih berada di Raqqa, iaitu satu-satu kawasan yang berada di luar pentadbiran rejim Bashar. ISIL ditubuhkan pada April tahun lepas dan menjadi antara kumpulan utama yang menentang rejim Bashar di Syria.


Volkswagen Dibuat Daripada Kayu Oak
CELINAC, Bosnia – Seorang pesara, Momir Bojic membina badan kereta Volkswagen Beetle yang diperbuat daripada 50,000 papan kayu oak di sini. Bojic yang berusia 71 tahun merupakan peminat kereta tersebut tinggal di sini, dekat Banja Luka. Dia mengambil masa selama dua tahun untuk menghasilkan kereta tersebut. Bojic juga memandu kereta itu di atas jalan raya. Rim tayar kereta tersebut juga diperbuat daripada kayu. Papan pemuka kereta itu turut dihasilkan daripada kayu oak. Oak merupakan pokok kayu yang besar. Pokok itu mempunyai kayu yang keras dan pada kebiasaannya digunakan untuk membuat perabot. – Agensi

No comments:

Post a Comment