Saturday, May 31, 2014
Berita Terkini 31 May 2014
TOP
Kes Bank Rakyat: Sah Tiada Unsur Rasuah
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tiada unsur rasuah dikesan berkaitan isu pinjaman tanpa faedah Bank Rakyat kepada seorang ahli perniagaan. Kenyataan SPRM hari ini menyebut penelitian awal mendapati ia lebih kepada isu tadbir urus bank. “Bagaimanapun, SPRM akan mengambil tindakan susulan yang sewajarnya, termasuk memanggil pihak yang berkaitan, jika menerima maklumat baharu,” katanya. Laporan beberapa media baru-baru ini mendakwa Bank Rakyat meluluskan pinjaman sebanyak RM32 juta tanpa faedah kepada seorang ahli perniagaan. Satu portal berita pula memetik bekas Pengerusi Bank Rakyat Tan Sri Sabbaruddin Chik sebagai mendakwa ahli perniagaan terbabit mendapatkan campur tangan seorang ahli politik bagi menyelesaikan pinjaman itu. SPRM bagaimanapun menegaskan bahawa bukan semua aduan atau dakwaan yang dilaporkan media, atau dibangkitkan mana-mana pihak, adalah kes rasuah. “Akta SPRM 2009 hanya menyediakan peruntukan untuk menyiasat kes berunsur rasuah. “Sehubungan itu, SPRM berharap kes seperti ini turut disiasat agensi lain yang berkaitan di bawah undang-undang relevan agar tindakan boleh diambil terhadap pihak tertentu kerana kegagalan mematuhi mekanisme sedia ada,” katanya. Sumber: Bernama
TOP
SEGERA: Kanak-Kanak 7 Tahun Maut Jatuh Tingkat 3 Mid Valley
Seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun meninggal dunia selepas jatuh dari tingkat 3 pusat beli belah The Gardens, Mid Valley, jam 2.20 petang tadi. Tragedi berlaku apabila Nurul Emielda Nadia Sallehuddin dipercayai tergelincir berhampiran tangga eskalator menuju parkir. Nurul Emielda yang jatuh ke tingkat bawah pusat beli belah mengalami kecederaan parah di belakang kepala dan segera dibawa ke hospital menggunakan ambulan namun disahkan sudah meninggal dunia di tempat kejadian. Difahamkan, kanak-kanak tahun satu ini datang ke Mid Valley bersama ibu bapanya. Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah mengesahkan kejadian ini. Gambar tempat kejadian yang diambil oleh pengunjung kini beredar di media sosial. Kepada para ibu bapa, awasilah anak-anak anda untuk mengelakkan sebarang perkara tidak diingini.
Sumber: Rem Ramzi / Mynewshub
TOP
Bumbung Dewan Badminton Pula Bocor
SELEPAS dihantui dengan kelewatan pembinaan Pusat Akuatik, tuan rumah temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-17, Perlis terus dirundung malang apabila bumbung Dewan Badminton yang baru sahaja siap dibina di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra pula bocor petang semalam. Kebocoran kecil itu dikesan di tiga tempat di sudut dewan tersebut berhampiran tempat duduk teres penonton namun ia tidak menjejaskan pertandingan yang sedang berjalan. Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Azizan Ab Rahman dalam kenyataan hari ini berkata kejadian bumbung bocor itu dikesan pukul 4 petang semalam. “JKR mengambil tindakan serta merta dengan mengarahkan kontraktor untuk membaiki kebocoran tersebut dengan segera. Kebocoran ini selesai dibaiki pukul 6 petang pada hari sama,” katanya. Menurut Azizan kebocoran itu dikategorikan sebagai kecacatan kecil berpunca dari air hujan yang memasuki ruang tepi bumbung yang terbuka akibat pemasangan kurang kemas oleh kontraktor. JKR membuat pemeriksaan selepas kebocoran dibaiki dan berpuas hati sambil berharap kejadian itu tidak berulang. Azizan berkata menurut kontrak, kontraktor bertanggungjawab membaiki sebarang kecacatan dan kerosakan bangunan dalam tempoh dua tahun setelah bangunan disiapkan. Sebelum ini, kontraktor bukan sahaja gagal menyiapkan Pusat Akuatik, yang terletak di kompleks sama, mengikut jadual tetapi bumbung kanvas terkoyak di kolam renang pada hari pertandingan. Sumber: Bernama
TOP
Mayat Suspek Penggal Kepala Kanak-Kanak Ditemui
KUALA LUMPUR: Mayat suspek kes bunuh kejam kanak-kanak perempuan berusia 18 bulan yang ditemui tanpa kepala di tebing Sungai Klang berhampiran Jalan Tun Sambanthan Khamis lalu kini dijumpai selepas dua hari pencarian. Penolong Pengarah Operasi Bomba Kuala Lumpur, Azizan Ismail mengesahkan mayat suspek ditemui kira-kira pukul 4 petang Sabtu di Sungai Klang berhampiran plaza tol SUnway Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP).
Sumber: mStar
TOP
Malaysia-China Perbaharui Ikatan Persahabatan
BEIJING – Malaysia dan China pada Sabtu memperbaharui ikatan persahabatan yang terjalin sejak empat dekad yang lalu. Dalam satu majlis ringkas tetapi bermakna di Dewan Agung Rakyat terletak berhadapan Dataran Tiananmen di sini, pemimpin kedua-dua negara yang turut disertai para diplomat, komuniti perniagaan dan belia yang mewakili generasi akan datang, berkumpul bagi memperingati peristiwa bersejarah yang berlaku 40 tahun lalu, di tempat yang sama. Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya dari China Li Keqiang menyempurnakan majlis yang berlangsung di Dewan Barat Dewan Agung Rakyat itu. Ia merupakan dewan yang sama, Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak Hussein yang juga bapa Najib memulakan hubungan muhibah untuk menyemai bibit-bibit pemahaman dan kepercayaan bersama. Di sini juga, pada tanggal 31 Mei 1974, Tun Abdul Razak Hussein menandatangani perjanjian bersama-sama Perdana Menteri Zhou Enlai, secara rasminya menjalinkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara. Pada majlis hari ini, Najib dan Li menandatangani pernyataan bersama untuk terus memperluas dan mengukuhkan kerjasama dalam semua bidang yang membawa manfaat bersama – ekonomi, pelancongan, perkhidmatan kewangan, politik, budaya dan ketenteraan. Kedua-dua negara juga bersetuju untuk melakukan pertukaran lebih ramai pelajar, bekerjasama rapat dalam bantuan bencana dan memelihara kestabilan dan keselamatan di rantau ini. Najib turut menyampaikan satu set setem peringatan kepada Li yang dikeluarkan Bank Negara. Sebagai balasan, Li menyampaikan, satu set setem peringatan yang dikeluarkan China Post kepada pemimpin Malaysia itu. Persahabatan yang bermula semasa Dinasti Song berkembang di bawah Dinasti Ming, kerana hubungan yang dibina di atas dasar perdagangan telah diperkukuhkan dengan pertalian darah — memandangkan keluarga dari China menjadikan Selat Melaka, tempat tinggal mereka. Malaysia negara pertama dari Asia Tenggara yang menjalinkan hubungan diplomatik dengan China. Sepanjang empat dekad lalu, hubungan persahabatan dan perniagaan kedua-dua negara telah membangunkan dengan pesat. China merupakan rakan perdagangan terbesar Malaysia dan Malaysia sebaliknya merupakan rakan perdagangan terbesar China, di Asean. Kedua-dua negara telah membentuk Perkongsian Strategik Komprehensif untuk kemakmuran dan pertumbuhan dan pada tahun lepas dengan menandatangani Program Lima Tahun Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan bagi tempoh 2013 hingga 2017. Sumber: Bernama
TOP
GAMBAR: Harap Kereta Je Besar Tapi Mentaliti…
Melihat kereta mewah dan besar menukar laluan di jalan raya tanpa memberi signal adalah perkara biasa. Mungkin sebilangan ‘orang kaya’ ini mempunyai mentaliti tanpa signal pun pemandu lain akan lebih berhati-hati untuk mengelak daripada terempuh kereta mahal mereka. Ini bukanlah bermakna kesemua pemilik kereta mahal mempunyai sikap berlagak seperti ini tapi pemilik kereta dalam gambar di atas mungkin salah seorang daripadanya. Mentang-mentanglah kereta mahal, selamba saja diparkir di kotak yang dikhaskan untuk motosikal. Dek kerana sebiji kereta dia, empat penunggang motosikal dinafikan hak mereka. Diharapkan pemandu kereta mahal ini dikurniakan kesedaran agar dapat membuat pertimbangan lebih baik pada masa akan datang. Sumber: Rem Ramzi / Mynewshub
TOP
Ular Tedung Terbesar Pernah Ditangkap
BUKIT CHANDAN – Anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kuala Kangsar berjaya menangkap seekor ular tedung selar sepanjang lebih tiga meter di Kampung Sto, Padang Rengas, baru-baru ini. Haiwan seberat hampir 20 kilogram itu ditangkap dalam sebuah perigi di kampung berkenaan selepas anggota menerima panggilan daripada penduduk kampung yang melihat kehadiran ular tersebut. Anggota bertugas yang membantu menangkap ular itu, Prebet Haidir Tarmizi berkata, mereka bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan daripada penduduk kampung kira-kira jam 1.30 tengahari. “Hampir 10 minit kemudian, baru kami dapat menaikkan ular itu ke darat. Tugas untuk menagkap agak sukar kerana ular tersebut bersikap agresif, mungkin kerana ia lapar,” katanya. Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah, Mohd Haspi Hamzah berkata, anggotanya menerima 20 hingga 30 kes ular dalam sebulan, purata satu kes untuk sehari. Menurutnya, ular tedung selar yang ditangkap baru-baru ini merupakan yang terbesar pernah mereka tangkap kerana ia sepanjang lebih tiga meter dan beratnya hampir mencecah 20 kilogram. Katanya lagi, pembangunan yang semakin pesat di Kuala Kangsar mungkin menjadi punca kepada berlakunya kes haiwan berbisa seperti ular menceroboh kawasan kediaman manusia. Sumber: Sinar Online
TOP
Kapal Tangki Disel Thailand Dipercayai Dirampas
Sebuah kapal tangki Thailand dipercayai telah dirampas ketika dalam pelayaran ke Indonesia dari Singapura. Biro Maritim Antarabangsa (IMB) dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia merupakan antara beberapa siri serangan lanun di kawasan perairan Asia Tenggara. Kapal tangki membawa minyak disel itu yang bernama MT Orapin 4 dengan 14 orang anak kapal terputus hubungan dengan syarikat pemiliknya selepas mula berlayar, demikian menurut Pusat Laporan Kegiatan Lanun IMB di Kuala Lumpur. Ia dijadualkan untuk berlayar ke Pontianak dalam wilayah Kalimantan, Indonesia. “Ada kemungkinan kapal berkenaan sudah dirampas,” kata Ketua pusat berkenaan Noel Choong kepada AFP. Pusat itu kini memohon bantuan kapal-kapal lain untuk cuba mengesan di mana lokasi kapal tangki yang hilang itu. Pada bulan lepas, sekumpulan lanun bersenjata berat menaiki sebuah kapal tangki Thailand berhampiran perairan di Malaysia dan mencederakan kapten dan merompak muatan disel dari kargonya. Dalam bulan yang sama juga lanun merampas kapal tangki milik Singapura berhampiran Selat Melaka yang merupakan laluan penting perkapalan menculik tiga kru Indonesia dan turut mencuri muatan kargo disel. Bermula dari Januari hingga Mac dilaporkan sudah terjadi 23 kejadian serangan di perairan Asia Tenggara kebanyakannya berdekatan Indonesia, menurut IMB. Sumber: Mynewshub
TOP
Warga Emas Maut Dalam Kebakaran Di Klang
Gambar Hiasan. Kejadian rumah teres terbakar.
KLANG: Seorang lelaki warga emas maut apabila rumah teres dua tingkat milik anaknya di Ambang Botanic 2 di sini terbakar pagi Sabtu. Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, Yap Soon Tian, 75, yang sedang tidur di bilik tingkat bawah dipercayai mati akibat terhidu asap tebal. Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata, anak lelaki mangsa yang juga pemilik rumah berkenaan dan seorang cucu lelaki mangsa turut berada di rumah itu ketika kejadian. "Mereka yang berada di bahagian lain rumah itu sempat menyelamatkan diri," katanya. Beliau berkata, kebakaran mungkin berpunca daripada penyaman udara di bilik mangsa, namun punca sebenar masih disiasat. Sumber: mStar
TOP
Imigresen Tahan wanita Thai Dipercayai Keldai Dadah
BUTTERWORTH – Jabatan Imigresen menahan seorang keldai dadah warga Thailand yang cuba menyeludup dadah dipercayai ganja dalam operasi bersepadu di sini, semalam. Jurucakap Imigresen berkata suspek wanita berumur 47 tahun itu ditahan kira-kira 5.30 petang ketika berada di dalam bas ekspres yang sedang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Changlun, Kedah. Katanya suspek itu gagal mengemukakan dokumen perjalanan manakala bagasi yang dibawanya juga mencurigakan. “Pemeriksaan pegawai imigresen mendapati kedua-dua bagasi milik suspek telah dikunci dan dipenuhi ketulan mampat dadah dipercayai ganja yang dibalut dengan beg plastik hitam,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu di Tol Sungai Dua di sini, malam tadi. Suspek kemudiannya diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut dan dipercayai kini dalam tahanan reman. Difahamkan polis akan membuat sidang akhbar berkenaan kes tersebut dalam masa terdekat. Sementara itu dalam operasi berkenaan yang diadakan dari 4 petang hingga 1 pagi, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang memeriksa 3,000 kenderaan dan daripada jumlah itu, 307 kenderaan didapati melakukan pelbagai kesalahan. Antara kesalahan itu termasuk nombor plat tidak mengikut spesifikasi, lesen pejalanan tamat tempoh dan cermin gelap. Pengarah JPJ negeri Datuk Hassan Yaacob berkata operasi itu melibatkan 14 agensi penguatkuasa termasuk 187 anggota JPJ dibantu sembilan pegawai trafik Polis Diraja Malaysia, 17 Agensi Anti Dadah Kebangsaan, tiga polis bahagian narkotik, 22 anggota PLUS Malaysia, 12 anggota Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat dan 14 daripada Puspakom. Katanya operasi itu bertujuan sebagai peringatan kepada pengguna jalan raya supaya mematuhi undang-undang. Sumber: Bernama
TOP
PM Arahkan Kedutaan Beri Bantuan Kepada Abdul Hadi
Susulan kejadian Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dikejarkan ke sebuah hospital di Istanbul, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan pihak kedutaan memberikan bantuan sepenuhnya kepada beliau. Najib melalui akaun twitternya @NajibRazak memaklumkan beliau sudah pun menghubungi pihak kedutaan pagi tadi bagi memaklumkan perkara itu. “Dimaklum Datuk Seri Hadi Awan diwadkan di hospital Istanbul. Pagi tadi saya hubungi kedutaan untuk pastikan Datuk Seri diberi sokongan sepatutnya,” katanya. Sementara itu dalam laporan awal Mynewshub.my, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi dalam satu kenyataan ringkas berkata, beliau telah menghubungi Setiausaha Politik Abdul Hadi. “Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kini berada bersama ayahanda Tuan Guru Presiden di Istanbul, Turki “Beliau dimasukkan ke hospital selepas mengadu sesak nafas dan sekarang keadaan beliau stabil dan sedang berehat,” katanya. Difahamkan Abdul Hadi berada di Istanbul untuk menghadiri Seminar Antarabangsa Esam anjuran Gerakan Islam Turki. Beliau dilaporkan berangkat ke Instanbul Selasa lepas dan dijadualkan pulang ke Malaysia pada 3 atau 4 Jun depan. Sumber: Twitter Najib / Mynewshub
TOP
Saya Berdebar, Teruja – Dyana Sofya
TELUK INTAN – Calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud mengakui berdebar menantikan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan yang ketika ini sedang berlangsung di 35 pusat mengundi sekitar kawasan P.76 itu. Beliau yang bertanding satu lawan satu dengan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mah Siew Keong berkata, rata-rata pengundi yang ditemuinya begitu peramah. “Bagaimanapun saya tidak pasti mereka mengundi siapa. Kita tunggu sahaja keputusan nanti. “Apapun, rakyat yang berkuasa dan kita lihat siapa yang mereka akan berikan mandat,” katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan di pusat mengundi di SMK Sultan Abdul Aziz dekat sini, Sabtu. Ditanya mengenai perasaan pada hari mengundi PRK Teluk Intan Sabtu, Dyana berkata, “Ia sungguh mengujakan, saya berdebar untuk tunggu keputusan. Apapun, rakyat yang akan buat keputusan.” Keputusan PRK Teluk Intan pada Sabtu dijangka dapat diketahui seawal pukul 9 malam. Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Seah Leong Peng akibat kanser pada 1 Mei lalu. Sumber: mStar
TOP
Pengantin Tunai Tanggung Jawab Di PRK Teluk Intan
PRK Teluk Intan hari ini menyaksikan satu peristiwa menarik apabila sepasang pengantin hadir untuk melaksanakan tanggung jawab mengundi dalam persalinan mempelai. Amir Johari, 27, datang bersama pasangannya di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Batak Rabit jam 12.40 tengah hari tadi sekaligus menjadi perhatian ramai. PRK Teluk Intan berlangsung hari ini melibatkan 60,349 pengundi yang layak mengundi di 35 pusat mengundi yang dibuka sejak 8 pagi tadi. Hanya dua calon bertanding iaitu calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mah Siew Keong dan Dyana Sofya Mohd Daud yang mewakili DAP. Sumber: Facebook Saya Sayang Tun Dr Mahathir / Rem Ramzi / Mynewshub
TOP
Umno Selangor akan merayu mansuh dua tol Shah Alam
Datuk Seri Noh Omar
SHAH ALAM - Umno Selangor akan membuat rayuan kepada kerajaan Persekutuan dalam usahanya untuk memansuhkan dua plaza tol Lebuh Raya Persekutuan di Batu Tiga dan Sungai Rasau di sini. Pengerusi Badan Perhubungannya, Datuk Seri Noh Omar berkata, beliau akan membuat rayuan tersebut kepada pihak kerajaan dan tidak menolak kemungkinan menyuarakan isu itu ke Parlimen akan datang. Sumber: Sinar Online
TOP
Bank Negara Keluar Syiling Ulang Tahun Ke-40 Hubungan Malaysia-China
Najib (kiri) menyerahkan syiling keluaran Bank Negara Malaysia kepada Li Keqiang sempena ulang tahun hubungan diplomatik Malaysia-China, Sabtu.
KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengeluarkan syiling peringatan sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia-China. Syiling peringatan itu disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Perdana Menteri China, Li Keqiang, sebagai tanda hubungan diplomatik di antara kedua-dua negara selama lebih empat dekad dan akan terus diperkukuh pada masa depan. "Majlis itu diadakan Sabtu di Dewan Besar Rakyat di Beijing," kata BNM dalam satu kenyataan, Sabtu. Tiga jenis syiling peringatan yang dikeluarkan itu ialah emas, perak berwarna dan emas nordic. Ia akan dijual mulai 27 Jun ini di Muzium dan Galeri Seni BNM dan di pejabat wilayah di Pulau Pinang dan Johor Baharu serta cawangan di Kuala Terengganu, Kota Kinabalu dan Kuching. Sumber: mStar
TOP
Suspek Kes Bunuh Kanak-Kanak Tanpa Kepala Belum Ditemui
Gerakan mencari suspek kes bunuh kanak-kanak yang dipercayai lemas ketika melarikan diri sedang giat dijalankan.
KUALA LUMPUR: Pihak polis masih menggiatkan usaha untuk mencari seorang suspek yang dikatakan terjun ke dalam Sungai Klang di sini selepas membunuh dengan kejam seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun di tebing sungai itu, Khamis lalu. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, usaha mencari lelaki itu yang dipercayai lemas, bermula dari kawasan berhampiran stesen minyak Petronas Brickfields menghala ke selatan. "Usaha mencari bermula kira-kira pukul 10.50 pagi dengan dibantu tujuh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dan Unit Skuba. "Operasi akan dipanjangkan hingga ke dalam kawasan negeri Selangor dengan bantuan pasukan bomba Selangor, sehingga ke Puchong (jika perlu)," katanya kepada Bernama. Didapati tiga buah kayak turut digunakan dalam operasi pada Sabtu. Mayat kanak-kanak tersebut ditemui dalam keadaan kepalanya terpisah daripada badan berhampiran stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM), Jalan Tun Sambanthan kira-kira pukul 9 malam. Polis turut menemui serpihan seramik yang dipercayai digunakan untuk mencederakan mangsa di tempat kejadian. Media sebelum ini melaporkan saksi melihat seorang lelaki merebahkan kanak-kanak tersebut di tepi sungai sebelum menghempaskan sesuatu ke kepalanya dan melakukan sesuatu pada leher mangsa. Kanak-kanak itu dikatakan dilarikan suspek setelah ditinggalkan ibunya yang berusia 32 tahun sebelum dia ke tandas di sebuah pusat beli-belah. Sumber: mStar
TOP
Pindah elak nyawa melayang
IPOH: Penghuni tiga kediaman di Laluan Meru Indah 5A, Taman Gerbang Meru Indah, di sini, hari ini, diarahkan berpindah susulan kejadian tanah runtuh 5.30 petang semalam. Runtuhan tanah setinggi kira-kira 30 meter di tebing Sungai Meru, dikhuatiri turut membahayakan 23 unit rumah lain di kawasan taman perumahan berkenaan kerana masih berlaku pergerakan tanah. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya Norazlina Robak’aee berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 6.10 petang. “Selepas memeriksa keadaan tanah runtuh itu dan atas nasihat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), pasukan keselamatan kemudian mengarahkan penghuni dari tiga rumah yang terjejas ekoran kejadian itu berpindah untuk tujuan keselamatan. “Mengikut JPS, tanah runtuh berkenaan dipercayai berlaku akibat hujan lebat selama beberapa jam sebelum kejadian dan aliran air bawah tanah hingga menyebabkan tebing sungai serta jalan di kawasan perumahan terbabit runtuh,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian sebentar tadi. Menurutnya, pihaknya kini menempatkan anggota di kawasan runtuhan terbabit bagi memantau keadaan, selain menunggu laporan dan tindakan lanjut dari pihak JPS dan MBI. Sumber: BH Online
TOP
‘Thundercat’ dalang tembak mati di kuil
SUNGAI BULOH: Polis masih memburu seorang lelaki dikenali sebagai ‘Thundercat’ atau nama penuhnya, Rajthevan Rajamanikam, 41, yang disyaki dalang utama kes tembak mati di sebuah kuil di Kampung Ladang Baru Sungai Buluh, Sungai Pelong Isnin lalu. Ketua Polis Daerah Sungai Buluh, Superintendan Junaidi Bujang berkata, suspek yang juga bekas tahanan ordinan darurat itu dipercayai masih berada di Malaysia. “Kita percaya, kemungkinan suspek telah melarikan diri ke tempat lain namun suspek masih berada di negara ini,” katanya. Menurutnya, beberapa saksi juga sudah dipanggil untuk membantu siasatan termasuk adik kepada mangsa yang berusia 14 tahun. Difahamkan, adik kepada mangsa pernah menjalinkan hubungan dengan suspek sebelum kejadian itu. Mereka yang mempunyai maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi talian 03-2052 9999 atau terus ke balai polis yang terdekat. Sumber: myMetro
TOP
Pengarah Pasti Adegan Kemban Sharifah Sakinah Diterima Penonton
Michael Ang
KUALA LUMPUR: Pengarah drama Michael Ang pasti penonton tidak akan memberi persepsi negatif terhadap karya terbaharunya iaitu Racun Menantu yang mempunyai sedikit adegan kemban lakonan Sharifah Sakinah. Michael berkata, pengarahan dalam karya berkenaan yang menuntut Sharifah Sakinah beraksi ghairah ketika berkemban itu sekadar mahu menyampaikan cerita mengenai watak Sara yang cuba menggoda lelaki-lelaki yang dibencinya. "Memang ada unsur ghairah tetapi tidaklah keterlaluan. Ia nampak ghairah kerana Sakinah berkemban dan selebihnya dia lakonkan adegan yang mahu menggoda beberapa lelaki tanpa menunjukkan apa-apa aksi keterlaluan pun. "Saya percaya penonton zaman sekarang mampu berfikir secara bijak apabila menonton sesebuah karya itu," katanya. Michael ditemui pada majlis pelancaran tiga supertelefilem siaran Astro Box Office Movies iaitu Lai Krathong, Racun Menantu dan Penunggu Bayang di Hard Rock Cafe di sini pada Jumaat. Ketiga-tiga supertelefilem itu merupakan terbitan Dark Wave Productions Sdn Bhd. Racun Menantu memaparkan penderitaan seorang kanak-kanak iaitu Sara yang diculik dan kemudiannya dipaksa menjadi pelacur. Apabila dewasa, Sara membalas dendam terhadap lelaki yang mersokkannya. Karya yang menampilkan pelakon Zaidi Omar, Izreen Azminda, Helmi Moin dan Sakinah itu akan ditayangkan pada 6 Ogos depan. Dalam pada itu Penunggu Bayang yang juga karya Michael lakonan Hairul Azreen akan ditayangkan pada 23 Julai. Sementara itu dalam perkembangan yang sama karya pengarah Zul Huzaimi pula dapat disaksikan menerusi Lai Krathong yang mengisahkan mengenai cinta mendalam Che Yem (Zul) dan Su Fei (Dora Arina). Perasaan cinta Che Yem tidak dapat dilupakan selepas kematian Su Fei sehingga dia sanggup melakukan perbuatan syirik menghidupkan semula kekasihnya itu. "Saya tidak pernah melihat hantu di depan mata tetapi saya percaya adanya jin yang menganggu fikiran manusia. "Jadi saya menghasilkan cerita ini berdasarkan pengamatan saya bahawa manusia suka taksub dengan sesuatu perkara sehingga sanggup melakukan perkara-perkara syirik. "Jadi saya yakin kisah ini mampu memberi pengajaran kepada penonton," ujar Zul Huzaimi. Lai Krathong akan ditayangkan pada 18 Jun ini. Antara pelakon lain yang turut terlibat termasuklah Ruminah Sidek, Roy Azman, Shahrizal Jaszle, Elfira Loy dan Guntur Triyoga. Ketiga-tiga supertelefilem tersebut ditayangkan di Astro Box Office Movies menerusi saluran 130 bermula pukul 10 malam. Sumber: mStar
TOP
Waheeda Tidak Kesal Tinggalkan Dunia Seni
PETALING JAYA – Penyanyi dan pelakon Waheeda tidak pernah berasa kesal apabila membuat keputusan meninggalkan dunia hiburan selepas berkahwin dengan pendakwah bebas iaitu Akhil Hayy lima tahun lalu. Malah Waheeda, 36, berkata, dia tidak selesa kerana masih lagi dikenali oleh orang ramai biarpun dia kini sudah mengenakan purdah. “Saya tidak pernah rasa menyesal dan itu adalah keputusan yang saya buat selepas saya sendiri mengetahui hukumnya haram perempuan menyanyi selain aurat suara yang perlu kita jaga. “Cuma saya lebih kesal kerana hingga kini ada lagi orang dapat mengenali saya sebagai artis biarpun berpurdah. Ia membuatkan saya rasa tidak selesa terutamanya apabila peminat lelaki pula yang mengenali saya,” katanya kepada mStar Online. Dalam pada itu, Waheeda berkata kehidupannya kini lebih tenang dan dia mempunyai banyak masa untuk bersama keluarga dan suami. Katanya, biarpun sudah lima tahun mendirikan rumah tangga masih banyak perkara yang dia tidak ketahui tentang suaminya. “Alhamdulillah, selepas menjadi suri rumah saya banyak masa dengan keluara. Dulu susah sangat nak berkumpul sekeluarga. “Lima tahun melayari kehidupan suami-isteri, memang kami bahagia dan banyak yang saya belajar. Dalam pada kita rasa kenal suami kita, rupa-rupanya ada lagi perkara yang menjadi kejutan menarik yang membuat kita tak tahu tentang dia,” katanya. Dalam pada itu, Waheeda berkata, dia kini aktif menjalankan aktiviti usrah dan mengaji bersama rakan-rakan. Selain itu, dia juga melakukan perniagaan dalam talian seperti menjual koleksi pakaian muslimah dan jubah serta produk kecantikan. “Kami ada kumpulan usrah dan mengaji setiap minggu bersama rakan-rakan dan saya juga ada mengusahakan perniagaan secara dalam talian, menjual jubah dan produk kecantikan,” katanya yang merancang untuk membuka sebuah butik tidak lama lagi. Sumber: mStar
TOP
Nenek 113 Tahun Langsung Perkahwinan
Xinjiang – Seorang wanita berusia 113 tahun, Azatihan Sawuti semalam melangsungkan perkahwinan dengan lelaki berusia 70 tahun, Aimti Ahemti di wilayah Bachu, Xinjiang, selepas berkenalan enam bulan lalu. Menurut laporan, Azatihan sebelum ini pernah menolak lamaran Aimti kerana merasakan dirinya terlalu tua. Aimti ketika ditemui wartawan selepas majlis perkahwinan itu berkata, dia tidak mempedulikan faktor usia. “Saya yakin kami akan bahagia bersama. Saya tidak peduli sama ada dia lebih tua daripada saya. Dia menjaga saya dengan baik dan sanggup berkongsi makanan dengan saya sebelum ini.” Sumber: Agensi
TOP
Penunggang motosikal maut rempuh kereta
Keadaan kereta Perodua Kenari yang terbalik selepas dirempuh motosikal Yamaha RXZ dari arah belakang.
JABI - Seorang penunggang motosikal maut selepas merempuh sebuah kereta Perodua Kenari hingga kenderaan itu terbalik dalam kejadian berhampiran Masjid Jabi, dekat sini, kira-kira jam 11.30 malam, kelmarin. Mangsa, Abdul Rahman Ab Aziz, 24, meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala selepas satu jam menerima rawatan di Hospital Besut. Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, kejadian berlaku apabila kereta Perodua Kenari yang dipandu seorang lelaki berusia 39 tahun dari arah Jabi menghala ke Jertih memberhentikan kenderaannya untuk memasuki kanan jalan ke arah Kerandang. Menurutnya, pada masa sama datang motosikal yang ditunggang mangsa dari arah belakang dan melanggar bahagian belakang kereta tersebut. “Akibat rempuhan itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ cedera parah di kepala dan dikejarkan ke Hospital Besut untuk rawatan. "Bagaimanapun mangsa meninggal dunia kira-kira 12.45 pagi, semalam kerana kecederaan parah yang dialami," katanya. Noorzainy berkata, mangsa yang bekerja sendiri beralamat di Kampung Oh manakala pemandu kereta beralamat di Kampung Kerandang, Jabi. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Sumber: Sinar Online
TOP
Aktivis Thailand Desak Demonstrasi Dibenarkan
BANGKOK – Seorang aktivis antirampasan kuasa di Thailand, Sombat Boongam-anong semalam menggesa agar satu perhimpunan diadakan pada hujung minggu ini untuk menentang larangan berdemonstrasi yang dikuatkuasakan junta tentera. Aktivis tersebut turut menggesa para penunjuk perasaan yang mahu menyertai perhimpunan itu supaya memakai topeng dan bersedia untuk menghadapi tindakan pihak tentera. Gesaan untuk mengadakan perhimpunan itu esok turut mencetuskan kebimbangan tercetusnya konfrontasi antara tentera dan rakyat. Junta tentera sebelum ini melarang perhimpunan politik dan memberi amaran ia tidak akan bertoleransi terhadap bantahan rampasan kuasa yang berlaku pada 22 Mei lalu. “Pihak berkuasa akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang menentang rampasan kuasa ini,” kata timbalan jurucakap tentera, Kolonel Winthai Suvaree. Ketua junta tentera, Jeneral Prayuth Chan-ocha mempertahankan rampasan kuasa tersebut sebagai kaedah untuk mengembalikan ketenteraman selepas Thailand dilanda krisis politik yang semakin ganas sejak tujuh bulan lalu. Sejak seminggu lalu, junta tentera bertindak untuk menutup mulut pengkritik-pengkritik rampasan kuasa itu. Tentera Thailand sejak seminggu lalu telah memanggil lebih 250 orang untuk menyerah diri termasuk dalam kalangan pegawai kerajaan, pemimpin politik, wartawan dan aktivis yang menentang rampasan kuasa tersebut. Kira-kira 70 orang masih ditahan sehingga kini. Antara yang dipanggil untuk menyerah diri termasuk aktivis Sombat yang bersekutu dengan kumpulan Baju Merah. Sombat kini bersembunyi tetapi memuat naik gesaan untuk mengadakan protes itu di laman Facebooknya. Dia meminta 10,000 orang supaya hadir dengan memakai topeng untuk ‘meraikan rampasan kuasa tersebut’. “Tiada keperluan untuk bertindak agresif dalam menentang rampasan kuasa ini. Senyumlah dan bertenang,” kata Sombat. “Topeng yang anda pakai sudah cukup untuk menjatuhkan maruah junta tentera,” tambahnya. Sumber: Agensi
TOP
Lima Lelaki Ditahan Kes Bunuh Wanita Hamil
LAHORE – Polis menangkap empat lelaki termasuk bapa saudara dan dua sepupu seorang wanita hamil yang mati terkena balingan batu sehingga mati di luar sebuah mahkamah di Pakistan, kata seorang pegawai kanan semalam. Farzana Parveen mati pada Selasa lalu di luar Mahkamah Tinggi di sini, timur Pakistan. Lebih 24 penyerang yang bersenjatakan batu termasuk saudara-mara mangsa melakukan perbuatan tersebut kerana dia mengahwini calon bukan pilihan keluarga. Pembunuhan kejam pada siang hari yang berlaku di pusat bandar raya kedua terbesar di Pakistan itu membangkitkan kemarahan penduduk di seluruh dunia. Polis berada di lokasi kejadian tetapi tidak bertindak untuk menghalang insiden tersebut daripada berlaku. Perdana Menteri, Nawaz Sharif kelmarin mengarahkan Ketua Menteri Punjab yang juga saudara lelakinya, Shahbaz Sharif supaya bertindak segera untuk menangani kes itu. “Satu pasukan siasatan khas yang ditubuhkan oleh polis atas arahan ketua menteri telah menangkap empat orang lagi termasuk seorang bapa saudara mangsa, dua sepupunya dan seorang pemandu pada malam kelmarin,” kata seorang pegawai kanan polis, Zulfiqar Hameed semalam. Tangkapan baharu itu menjadikan jumlah mereka yang ditahan berhubung pembunuhan tersebut kini menjadi lima orang. Bapa Farzana sebelum ini turut ditahan di lokasi kejadian. Shahbaz turut mengarahkan polis supaya menangkap semua suspek kes tersebut dalam tempoh 24 jam. Beliau juga mengarahkan kes berkenaan didengar di sebuah mahkamah antikeganasan bagi mempercepatkan prosedur perbicaraan. Farzana berkahwin dengan suami yang dicintainya pada Januari lalu dan kini hamil tiga bulan. Tengkorak wanita itu retak ekoran serangan menggunakan batu itu. Sumber: Agensi
TOP
Keluarga Penumpang MH370 Rasa Tertipu Dan Marah
Perasaan marah keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 kini semakin melua-luap apabila mereka berasa tertipu selepas mengetahui pengumuman terkini bahawa lokasi pencarian bukan tempat pesawat itu berakhir. “Mereka sudah tahu perkara ini. Mereka ada keraguan mengenai lokasi di mana MH370 kali terakhir ‘dikesan’ sejak dari awal. “Kami sudah tahu. Pendedahan terbaru mengenai ping dan kenyataan daripada Australia membuktikan keraguan dan kecurigaan kami mengenai kedudukan terakhir pesawat itu,” kata Zahida Hasnan, menurut laporan The Malaysian Insider. Zahida dari Singapura adalah kakak kepada Mohd Hazrin Hasnan, seorang daripada 12 anak kapal MH370 yang lesap pada 8 Mac bersama 227 penumpang itu. Katanya, lokasi itu, berdasarkan kepada data satelit syarikat British, Inmarsat dan ping yang didakwa pihak berkuasa datang dari kotak hitam pesawat berkenaan, hanya ‘plot’ untuk mengalih perhatian dunia daripada kebenaran. “Mereka tahu sesuatu tetapi tidak beritahu saya,” kata Zahida. Pegawai Australia semalam mengesahkan pesawat MH370 tidak berada di kawasan pencarian di selatan Lautan Hindi. Zahida berkata, beliau penat bersabar dan ‘dibuli’ oleh pihak berkuasa yang terus menipu keluarga. “Saya penat dengan semua ini. Kami perlu pembabitan penyiasat persendirian. Kami perlu ketelusan dan perkongsian maklumat dengan cepat,” kata Zahida. Beliau berkata, di sebalik maklumat yang dipegang oleh pihak berkuasa, terutama daripada kerajaan Malaysia, dunia nampaknya lebih ke depan dalam memberi maklumat. Zahida berkata, kedua-dua perdana menteri Malaysia dan Australia, Datuk Seri Najib Razak dan Tony Abbott masing-masing, menipu sejak dari awal. “Mereka tidak boleh dipercayai lagi,” kata Zahida. Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) dalam satu kenyataan semalam berkata, kenderaan bawah laut robotik Bluefin-21 melengkapkan misinya pada Rabu, dan selepas meneliti lebih 850 kilometer persegi di dasar laut, ia tidak menemui sebarang tanda bangkai pesawat itu. Lokman Mustafa, abang kepada penumpang MH370, Suhaili, berkata pengumuman JACC tidak memeranjatkan kerana kebanyakan rakyat Malaysia percaya pesawat itu tidak terhempas di selatan Lautan Hindi. “Ketiadaan sebarang bangkai atau serpihan, dan empat ping yang diterima itu tidak berkait dengan pesawat itu mengukuhkan lagi kepercayaan ini,” katanya. Beliau berkata, masih ada yang bercakap mengenai laporan terdahulu iaitu MH370 membuat pendaratan kecemasan di satu tempat di selatan China sementara yang lain percaya ia dirampas, dan dibawa ke lokasi rahsia. “Malah ada juga yang mengatakan mengenai kenyataan oleh kapten tidak bernama iaitu ‘pesawat itu tidak pernah meninggalkan ruang angkasa Malaysia’,” katanya. Bercakap bagi pihak keluarganya, Lokman berkata, mereka bersetuju dengan Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang mengenai penubuhan Jawatankuasa Pemilih Parlimen untuk menyiasat perkara ini dan menyelamatkan kredibiliti Malaysia. “Dan ya, mengapa tidak membenarkan pembangkang mengetuai jawatankuasa itu. “Sebagai keluarga penumpang pesawat itu, kami terus berharap, pihak berkuasa sepatutnya tidak cuba memberi penutup tanpa jawapan pasti. “Oleh itu, pengumuman (oleh Najib) ‘pesawat MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi’ sudah tentu ada kelonggaran,” katanya. Sementara itu, K S Narendran, suami kepada penumpang, Chandrika Sharma, mempunyai lebih banyak soalan selepas pengumuman JACC. Beliau berkata, ini adalah jelas menunjukkan kekurangan kepimpinan, ketidakcekapan dan kekurangan bahagian terperinci dan akibat kredibiliti rendah semua pihak terbabit. “Memandangkan sudah lama rakyat tidak mempercayai sumber rasmi, kini semua bebas untuk melontarkan idea, spekulasi,” kata Narendran. Katanya, hingga kini tiada sesiapa yang tahu siapa pakar yang mengetuai pencarian itu. “Kita tidak ada nama, atau kelayakan mereka. Setakat ini, tiada yang tampil untuk mendapatkan kepakaran pihak lain atas semangat inkuiri kerjasama untuk memberikan perkara sebenar kepada umum. “Kita masih tidak tahu siapa ahli tiga jawatankuasa yang diumumkan pemangku Menteri Pengangkutan (Datuk Seri Hishammuddin Hussein), walaupun sudah berulang kali meminta maklumat itu. “Saya bangkitkan perkara ini untuk menunjukkan maklumat asas yang sepatutnya boleh diakses dengan mudah juga ditahan,” kata Narendran. JACC dalam kenyataannya berkata:”Data yang dikumpul daripada misi semalam (Rabu) sudah dianalisis. Hasilnya, JACC boleh menyatakan tiada tanda serpihan pesawat ditemui oleh kenderaan bawah laut automatic sejak ia menyertai usaha mencari itu. “Oleh itu, Biro Keselamatan Pengangkutan Australia menasihatkan pencarian di kawasan di mana akustik dikesan sebelum ini kini dianggap selesai dan mengikut penilaian professional, kawasan itu boleh dikatakan bukan tempat terakhir persemadian MH370.” Penemuan ping pada 5 dan 8 April menjadi permulaan yang penting, dengan Perdana Menteri Australia, Tony Abbott melahirkan keyakinan pencari tahu di mana bangkai pesawat itu berada dalam kawasan beberapa kilometer. Bagaimanapun, imbasan terperinci di kawasan seluas 850 kilometer persegi di sekeliling ping diterima menggunakan kapal selam gagal menemui tanda bangkai. Tiada serpihan yang boleh dikaitkan dengan pesawat itu ditemui walaupun usaha pencarian itu adalah paling besar dan mahal dalam sejarah penerbangan. Ping yang menjadi petunjuk utama untuk mengesan pesawat hilang itu, bagaimanapun tidak lagi dipercayai datang daripada kotak hitam MH370, lapor CNN. Timbalan Pengarah Kejuruteraan Laut Tentera Laut AS, Michael Dean memberitahu CNN kini ada persetujuan ping itu datang daripada sumber buatan manusia lain yang tidak berkait dengan pesawat itu. Bercakap kepada CNN, Dean berkata, jika ping itu daripada perakam pesawat berkenaan, pencari sudah pasti menemuinya. Dean berkata dalam laporan CNN, negara lain yang terbabit dalam pencarian MH370 turut membuat kesimpulan sama. Katanya, walaupun tidak mungkin untuk menolak sepenuhnya teori ping itu datang daripada kotak hitam pesawat berkenaan, tidak ada bukti mencadangkan sebaliknya. Sumber: Themalaysianinsider / Mynewshub
TOP
Lelaki dibunuh sebelum dicampak ke sungai
Polis percaya mangsa dibunuh sebelum dicampak ke dalam Sungai Tabo, Segambut
KUALA LUMPUR - Mayat seorang lelaki, dipercayai warga asing, ditemui terapung di Sungai Tabo, Segambut, di sini, semalam. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, dua lelaki menemui mayat itu yang terapung kira-kira jam 8.15 pagi. Menurutnya, polis menemui kesan darah di jalan berhampiran tempat mangsa dijumpai dan menyiasat kemungkinan mangsa diseret ke dalam sungai. Kong Meng berkata, polis turut menemui tompokan darah berdekatan tiang jambatan dekat tempat mangsa dijumpai. “Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. Sumber: Sinar Online
TOP
Ke mana hala tuju pelajar SBI?
Matlamat Sekolah Bina Insan adalah untuk melahirkan insan cemerlang dunia dan akhirat. (Sekadar gambar hiasan).
ISU pendidikan negeri Selangor tidak pernah sunyi dari kontroversi dan sering menarik perhatian pelbagai pihak. Terbaru, tindakan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) memutuskan untuk menutup Sekolah Bina Insan (SBI) memberi kesan mendalam kepada banyak pihak. Sekolah yang menempatkan 400 pelajar bertempat di Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis) di Kajang itu benar-benar menguji tahap pendidikan di negeri ini. Sebelum ini, perjumpaan ibu bapa pelajar bersama pihak pengurusan sekolah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pastinya meremukkan harapan mereka sebaik mendapat tahu berita penutupan SBI dalam media. Lebih mengecewakan adalah harapan pelajar sekolah ini yang pastinya mahu mendapatkan masa depan yang baik selain menjadi insan yang sempurna melalui pendidikan berpaksikan Al-Quran dan Sunnah. Persoalannya, ke manakah hala tuju mereka selepas ini dan bagaimana pula masa depan 50 tenaga pengajar dan lima kakitangan apabila sekolah ini dijangka diarah tutup pada hujung tahun ini. Berbagai persoalan juga timbul apabila alasan Mais menutup sekolah ini kerana masalah kekangan kewangan dan juga berkaitan perancangan Mais untuk menambah pelajar Kuis kepada 10,000 pelajar. Sayangnya, pelajar-pelajar yang tidak berdosa ini terpaksa menelan pahit keadaan tersebut setelah ribuan ringgit dilaburkan meskipun dikatakan sebahagian pengajian di tanggung oleh Mais. Dalam satu kenyataan Mais menerusi Setiausahanya, Datuk Bakhtiar Hussin berkata, SBI memutuskan untuk menangguhkan penutupannya sehinggalah pelajar sedia ada menamatkan pengajian mereka. Ini pun setelah keputusan tersebut diambil selepas memperhalus dan meneliti semua isu cadangan yang dikemukakan dan mengambil kira pandangan pihak lain untuk mencadangkan menempatkan SBI di kawasan lain. Bagaimanapun, isu penutupan sekolah pastinya mendapat perhatian kerajaan negeri supaya mencari jalan penyelesaian lain bagi menempatkan pelajar-pelajar yang akan ditutup pada tahun ini. Perkara tersebut dicadangkan sendiri oleh Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali yang mencadangkan ibu bapa yang mahu menempatkan anak mereka ke sekolah aliran Islam seperti SBI agar mendaftarkan anak mereka di Kolej Integrasi Tahfiz Tunas Ilmuan Selangor (KITTIS). Dakwa Halimah, ramai ibu bapa yang menyangka SBI ini diuruskan oleh kerajaan negeri tetapi sebenarnya diuruskan oleh Mais namun Kerajaan Negeri tetap akan mempertimbangkan tawaran kepada pelajar yang mahu melanjutkan pengajian di Maahad Tahfiz yang diuruskan oleh kerajaan negeri. Hujah Halimah diperkuatkan lagi oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad supaya Mais mempertimbangkan pelawaan kerajaan negeri untuk menguruskan SBI. Kata Khalid, kerajaan negeri boleh menguruskan sekolah tersebut dari ditutup begitu sahaja dengan syarat Mais menampung kos perbelanjaan dan dan gaji kakitangan sekolah. Sekolah yang beroperasi sejak 2012 itu turut mendapat reaksi Exco Pemuda Umno Malaysia, Mohd Rafiq Naizamohideen yang menggesa Menteri Besar Selangor, Tan Abdul Abdul Khalid Ibrahim bertanggungjawab atas penutupan sekolah ini. Dengan nada sinis, Mohd Rafiq mempersoalkan Mais merupakan badan berkanun di bawah kerajaan negeri Selangor dan penutupan sekolah ini tidak adil. Dakwanya, apa yang akan terjadi kepada tenaga pengajar dan kakitangan dan berapa pampasan yang mereka perlu dapat. Jelasnya lagi, sekolah ini baru setahun jagung dan bagaimana sekolah ini boleh ditubuhkan tanpa memeriksa peruntukan kewangan samaada cukup atau tidak untuk beroperasi. Sungguhpun begitu dengan pelbagai kritikan dan cadangan dilemparkan kepada institusi ini, SBI yang bakal melahirkan pelajar Islam yang intelektual tinggi perlu dipertahankan. Mungkin di sini perlunya dermawan dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam hadir menyelamatkan bakal cendekiawan Islam atau terus melihat arus pendidikan Islam terus tenggelam. Pastinya, masa depan kira-kira 400 pelajar sekolah ini masih tidak menentu dan bantuan dari pihak tertentu khususnya kerajaan negeri sangat diperlukan agar kecemerlangan sekolah dapat dipertahankan. Sumber: Sinar Online
TOP
Kanak-Kanak Mati Tanpa Kepala: Ibu Hidup Gelandangan
Suasana bawah jambatan yang menjadi tempat tinggal sebahagian gelandangan di Kuala Lumpur. PETALING JAYA: Ibu kepada kanak-kanak yang ditemui mati tanpa kepala di Sungai Klang memilih untuk hidup sebagai gelandangan walaupun mempunyai ahli keluarga di Cheras, dekat sini. Pengarah Projek, Kechara Soup Kitchen (KSK), Justin Cheah berkata, pihaknya menyediakan makanan dan bantuan kepada ibu berusia 32 tahun itu yang sering dilihat berlegar di sekitar ibu kota. Beliau berkata, wanita berkenaan, Siti Salmy Suib juga pernah dilihat tinggal di bawah jambatan ditepi sungai berhampiran Bulatan Syed Putra, bersama antara 15 hingga 30 gelandanan lain. "Dia ada masalah dengan keluarganya dan agak melawan. Kaunselor kami yang cuba menasihatkannya supaya pulang ke pangkuan keluarga tetapi dia enggan berbuat demikian," katanya. Cheah berkata, wanita yang sering bertukar kerja itu juga menerima bantunan daripada pertubuhan kebajikan lain. Katanya, keseluruhannya terdapat 850 gelandangan di sekitar Kuala Lumpur dan kebanyakannya kerana masalah sosial termasuk pengangguran, masalah rumah tangga dan gejala dadah. Anak Siti Salmy yang berusia 18 bulan, Siti Soffea Emelda Abdullah ditemui mati tanpa kepala dipercayai dikelar menggunakan serpihan jubin seramik di Sungai Klang. Suspek pembunuhan itu dikenal pasti sebagai bekas banduan berusia 30-an yang dipercayai lemas selepas terjun ke sungai berkenaan untuk melarikan diri. Sumber: mStar
TOP
Pilihan Raya Thai Dalam Masa Setahun Lagi
BANGKOK – Dalam penampilan pertamanya di khalayak umum selepas rampasan kuasa, ketua junta tentera Thai menegaskan pilihan raya baharu hanya diadakan selepas reformasi dan keamanan bejaya dilaksanakan di Thailand. Ketua Tentera, Jeneral Prayuth Chan-ocha juga mengulangi amaran akan bertindak ke atas penunjuk perasaan dan mempertahankan tindakan tentera mengambilalih pemerintahan pada 22 mei lalu. Katanya, meskipun tindakan itu memperlahankan proses bagi mengembalikan kegembiraan orang ramai, namun ia penting bagi mengembalikan proses demokrasi. “Bagi mengembalikan demokrasi tidak akan berlaku jika masih ada penunjuk perasaan yang tidak memahami apa itu demokrasi,” katanya dalam satu ucapan semalam. Ucapan itu bagi memberi jaminan kepada rakyat Thai bahawa tentera mempunyai rancangan bagi memastikan keamanan dan membawa kembali demokrasi. Prayuth berkata, pentadbiran tentera dikenali Majlis Negara bagi Keamanan dan Ketenteraman sekurang-kurangnya memerlukan dua atau tiga bulan untuk memperoleh kesatuan kukuh selepas berlaku perpecahan yang teruk. “Ia memerlukan masa kira-kira satahun selepas itu untuk membentuk satu kerajaan sementara. Hanya selepas itu pilihan raya akan diadakan. “Beri kami masa untuk menyelesaikan masalah kamu. Selepas itu tentera akan berundur dan hanya melihat Thailand (pemerintahan baharu) dari jauh,” katanya. Amerika Syarikat yang menjadi sekutu lama Thailand sebelum ini yakin pilihan raya negara itu akan dilaksanakan dalam masa segera. Sumber: AP
TOP
Ramai penduduk pulau tiada MyKad
Penduduk Pulau Perhentian sedang membuat permohonan kad pengenalan di kaunter yang disediakan JPN melalui Unit Mobile, di pulau itu, baru-baru ini.
KUALA TERENGGANU - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Terengganu berjaya mengesan masalah ketiadaan kad pengenalan dalam kalangan orang dewasa di pulau-pulau di negeri ini. Sehubungan itu, JPN menggerakkan Unit Mobile (unit bergerak) yang bertindak sebagai pemudah cara bagi membantu golongan berkenaan, selain memberi penerangan kepentingan memiliki kad pengenalan. Pengarah JPN negeri, Baitiyamin Mamat berkata, hasil kunjungan Unit Mobile ke Pulau Redang dan Pulau Perhentian, pihaknya mendapati masih ramai tidak mempunyai kad pengenalan. “Perkara ini agak mengejutkan pihak kami, tetapi apabila ditanya mengapa mereka mengelak membuat kad pengenalan, mereka beritahu masalah sebenar ialah kos untuk ke JPN yang memerlukan sekurang-kurangnya RM100 setiap seorang untuk perjalanan pergi dan balik dari pulau ke bandar. “Mendengar masalah mereka ini, Unit Mobile mengambil inisiatif pergi ke pulau berkenaan untuk menyelesaikan masalah mereka sekali gus memberi penerangan tentang perlunya memiliki kad pengenalan,” katanya kepada Sinar Harian. Baitiyamin berkata, majoriti daripada 300 permohonan kad pengenalan di kedua-dua pulau itu adalah orang dewasa. Menurutnya, bagi memudahkan urusan serta mengurangkan kos pemohon, JPN akan datang semula ke pulau berkenaan apabila kad pengenalan siap untuk diserahkan kepada pemilik masing-masing. “Diharap dalam masa terdekat ini, rakyat Terengganu termasuk di pulau, kawasan terpencil dan sebagainya memiliki kad pengenalan dengan adanya inisiatif daripada Unit Mobile ini,” katanya. Sumber: Sinar Online
TOP
Pengedar Dadah Akhirnya Memlih Islam
Sydney – Seorang pengedar dadah yang merupakan antara penjenayah terkenal di Australia, yang menghabiskan masa selama lebih 20 tahun di beberapa penjara paling teruk di dunia, akhirnya memilih untuk memeluk Islam. Martin Garnett, pernah dikenakan hukuman mati di Thailand kerana menyeludup dadah, pernah menjadi sasaran bunuh oleh banduan yang dikenali sebagai `samurai’ dan melancarkan mogok lapar selama sebulan. Dia memilih untuk memeluk Islam selepas membaca al-Quran dalam penjara di Thailand, iaitu satu-satunya bahan bacaan dengan terjemahan dalam bahasa Inggeris yang ada di situ. Selepas menyaksikan banduan dari Pakistan yang bersolat lima waktu, akhirnya Garnett memeluk Islam dan menggunakan nama Amin Mubarak. “Saya sangkakan saya melalui laluan paling sukar dengan memilih memeluk Islam. Namun saya tidak sangka Islam membuatkan hidup saya menjadi lebih tenang dan saya tidak pernah meninggalkan solat lima waktu. “Dalam Islam semua orang adalah sama. Tiada perbezaan kulit atau status atau dari mana anda berasal dan agama ini tidak kisah bagaimana teruknya anda sebelum ini. “Saya berterima kasih kepada Allah sebanyak lima kali sehari kerana masih hidup dan setiap hari adalah amat bernilai,’’ katanya. Garnett mula-mula ditangkap di Lapangan Terbang Bangkok pada 1993 dengan membawa 4.7 kilogram dan dihukum mati, namun pada 1994, hukuman itu ditukar kepada penjara selama 40 tahun. Pada 2001 dia disabitkan oleh kerajaan Amerika Syarikat kerana mengedar dadah ke penjara di Indiana dengan kerjasama pengawal penjara di Thailand. Urus niaga dadah itu dilakukan menerusi telefon. Pada 2011, kerajaan Thailand memberikan keampunan dan dia dipindahkan ke Amerika Syarikat untuk menjalani hukuman penjara selama 52 tahun. Kemudiannya pada 2012, dia ditukarkan ke penjara di Sydney selepas ibunya berjaya mendapatkan wang sebanyai $20,000 bagi memastikan pertukaran penjara dapat dijalankan. Kehidupan yang dilalui Garnett turut memberi kesan kepada keluarganya apabila adiknya, Holly yang juga bekas anggota kumpulan pop terkenal di Australia, Euphoria membunuh diri pada 1998. Sumber: Dailymail
TOP
Dadah Pecah Dalam Perut Juruterbang
Houston – Seorang juruterbang dimasukkan ke hospital selepas bungkusan dadah jenis kokain pecah di dalam perutnya. Stanley Rafael Hill, 49, didakwa menelan 62 bungkusan dadah sebelum menaiki penerbangan Sabtu lalu dari Columbia ke Houston. Juruterbang syarikat penerbangan kecil itu yang menaiki penerbangan berkenaan sebagai penumpang dikejarkan ke hospital sejurus pesawat itu mendarat di Lapangan Terbang Intercontinental George Bush. Hill didakwa atas tuduhan memiliki dadah dengan niat untuk mengedar. Hill menggunakan keistimewaannya sebagai pemandu pesawat untuk melepasi rutin pemeriksaan keselamatan yang ketat. Sumber: Agensi
TOP
VIDEO : Mangsa Dibawa Suspek Sempat Dirakam CCTV
Hari ini video rakaman CCTV itu sudah pun tersebar meluas di internet melalui laman sosial Facebook dan YouTube. Ketika kejadian, ibu mangsa dipercayai sedang berada bersama beberapa orang rakannya di Plaza Kota Raya pada waktu petang. Ibu mangsa kemudian meminta seorang rakannya menjaga Siti Soffea untuk ke tandas sebelum menyedari kehilangan kanak-kanak malamg itu. Dia serta rakannya terus mencari kanak-kanak berkenaan di seluruh plaza itu namun gagal ditemui. Mayat mangsa kemudiannya ditemui orang awam di tepi Sungai Klang berhampiran Stesen Keretapi Lama, Jalan Hishamuddin, malam kelmarin. Menurut polis sehingga kini, suspek gagal ditemui dan dipercayai sudah mati lemas kerana dihanyutkan arus Sungai Klang selepas dia bertindak terjun ke dalam sungai untuk melarikan diri. Siasatan juga mendapati ibu mangsa tidak mempunyai pekerjaan dan hidup secara gelandangan.
Sumber: Inbu Khusairy Aris / Mynewshub
TOP
Kanak-Kanak Mati Tanpa Kepala: Suspek Kelar Leher Mangsa Guna Jubin Seramik
Ahli keluarga mangsa tidak dapat menahan kesedihan apabila mendapat berita Siti Soffea menjadi mangsa pembunuhan kejam. Gambar kecil Siti Soffea Emelda.
KUALA LUMPUR: Kanak-kanak perempuan 18 bulan yang ditemui mati tanpa kepala di Sungai Klang di sini, dipercayai dibunuh menggunakan serpihan jubin seramik, sebelum suspek terjun ke sungai itu. Polis sudah mengenal pasti suspek kes kejam dan ngeri itu iaitu lelaki berusia lewat 30-an yang juga bekas banduan. Sumber berkata, gambaran pada kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah kompleks menunjukkan ada pengawal keselamatan melihat lelaki berkenaan berjalan bersama mangsa, Siti Soffea Emelda Abdullah. Bagaimanapun sumber itu berkata, ketika itu mungkin pengawal keselamatan itu tidak tahu kanak-kanak itu diculik. Siti Soffea bersama ibunya, Siti Salmy Suib, 32, di Kompleks Membeli-Belah Kota Raya dan kemudian meninggalkan anaknya bersama seorang kawan untuk ke tandas pada pukul 3 petang. Bagaimanapun, selepas kira-kira lima minit, ibu mangsa mendapati kedua-duanya tidak kelihatan di tempat terakhir anaknya ditinggalkan di tingkat empat bangunan itu. Siti Salmy hanya mendapat berita mengenai kejadian yang menimpa anaknya selepas polis menjejaki pergerakan kanak-kanak itu dan lelaki terbabit. Pada kira-kira pukul 9 malam, beberapa orang awam melihat seorang lelaki mendukung Siti Soffea ke arah Sungai Klang, kira-kira 1.5 kilometer dari kompleks berkenaan. Seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Mohamad berkata, beliau sedang mandi di sungai berkenaan apabila melihat seorang lelaki tunduk melihat sesuatu yang seakan-akan patung. "Apabila saya bergerak lebih dekat baharu saya nampak seorang kanak-kanak perempuan tanpa kepala hampir tenggelam dalam sungai. "Lelaki itu nampak saya mendekatinya dan terus memandang tepat pada saya," katanya yang mendakwa melihat lelaki itu meminum darah dari kepala kanak-kanak yang dipenggal itu. Mohammad, 29, yang tinggal di bawah jambatan kemudian meminta pertolongan rakannya yang dikenali sebagai Las. Mohammad and Las juga mengaku melihat suspek mengelar leher Siti Soffea menggunakan serpihan jubin seramik dan mengisi darah kanak-kanak itu ke dalam botol. "Apabila polis tiba, lelaki itu terjun ke sungai dan cuba melarikan diri," katanya yang menghubungi polis, manakala Las diminta memerhati pergerakan suspek. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, polis percaya suspek mati lemas ketika cuba melarikan diri. Polis kini berusaha mengesan mayat suspek di dalam sungai itu dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia. Kong Meng berkata, beberapa serpihan jubin seramin, kesan darah dan sepasang selipar dipercayai milik suspek ditemui di lokasi kejadian. Pemeriksaan ke atas mayat Siti Soffea mendapati bahagian belakang kepala kanak-kanak itu juga pecah, dipercayai akibat hentakan. Sumber: mStar
TOP
Logo Halal Dijual Sindiket Tidak Bertanggungjawab
Pengarah Hab Halal Jakim, Hakimah Mohd Yusoff
EKSKLUSIF PETALING JAYA: Sebuah sindiket dikesan menjadikan logo halal sebagai bahan dagangan bagi mengaut keuntungan tanpa mengira kesan terhadap masyarakat Islam lain. Aktiviti penyangak logo halal itu dipercayai dilakukan oleh sebuah persatuan usahawan Muslim yang menawarkan status halal kepada pengusaha produk makanan khususnya usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di kawasan luar bandar. Difahamkan, sindiket yang turut menggunakan nama seorang lelaki bergelar Datuk itu menjerat pemohon sijil halal dengan mengadakan seminar sebelum memberi pengiktirafan tanpa merujuk kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Malah, sindiket berkenaan juga tidak membuat pemeriksaan terhadap premis serta menyiasat status halal bahan asas yang digunakan oleh pemohon seperti yang disyaratkan oleh Jakim. Setiap peserta dikenakan yuran sebanyak RM250 hingga RM600 untuk menyertai seminar dan sindiket berkenaan pula mampu meraih keuntungan lebih RM100,000 dalam setiap program yang diadakan. Seminar ringkas itu kemudian berakhir dengan setiap peserta diberikan hak penggunaan logo halal atau pengiktirafan halal yang kononnya daripada Jakim. Tidak cukup dengan itu, sindiket tersebut juga dikesan menggunakan nama syarikat yang mempunyai kerjasama dengan Jakim untuk menarik kepercayaan peserta seminar. Sementara itu, Pengarah Hab Halal Jakim, Hakimah Mohd Yusoff berkata sijil halal dan pengiktirafannya yang sah hanya boleh dikeluarkan oleh Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) sahaja. "Mana-mana pihak yang mengeluarkan sijil halal palsu boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011, di bawah Perintah Dagangan, Perakuan Halal. "Kita memang ada menerima aduan daripada orang awam mengenai pihak yang mengadakan seminar tersebut. Bagaimanapun, tindakan ini perlu diambil oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)," katanya kepada mStar Online, pada Jumaat. Di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, seseorang yang didapati bersalah boleh dikenakan denda RM10,000 bagi setiap barang atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahn yang kedua atau yang berikutnya, mereka boleh didenda di bawah akta sama tidak melebihi RM30,000 bagi setiap barang untuk syarikat, manakala bagi individu pula boleh dikenakan denda RM20,000 bagi setiap barang atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya. Sumber: mStar
TOP
Wanita China Mangsa Culik Berlepas Pulang
SEPANG – Wanita warganegara China Gao Hua Yuan, yang berjaya diselamatkan pihak berkuasa negara selepas diculik sekumpulan tujuh lelaki bersenjata pada 2 Apri lepas, akan dihantar pulang ke negara asalnya hari ini, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar. Tanpa mendedahkan masa perlepasan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Khalid berkata Gao, 29, terlebih dahulu dibawa dari Sabah sebelum berlepas ke China. Kerajaan Malaysia sedang mengatur perjalanan Gao dengan selamat untuk bertemu keluarga yang menunggu kepulangannya sejak awal April lalu, katanya kepada pemberita di KLIA sebelum berlepas ke London, di sini hari ini. Menurutnya warga Filipina Marcy Dayawan, 40, yang diculik bersama Gao dalam kejadian itu, juga akan dihantar segera ke negara asalnya. Ditanya sama ada pihak media diberi peluang bertemu Gao untuk mendapatkan berita tentang pengalaman pahit yang dilaluinya, Khalid berkata wanita itu tidak harus diberi tekanan. “Saya rasa dia pun tak mahu. Jangan ganggu dia. Dia pun dah lama dalam tekanan. Biarlah dia berjumpa dengan keluarga dahulu,” katanya. Pada 2 April lepas, sekumpulan tujuh lelaki bersenjata menculik Gao, yang berasal dari Shanghai, dan Dayawan, pekerja di Singamata Adventures and Reef Resort, kira-kira 10.30 malam. Malam tadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam laman Twitter beliau @NajibRazak memaklumkan bahawa beliau telah diberi taklimat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahawa dua wanita yang diculik dari sebuah resort di Sabah (pada April lalu) berjaya diselamatkan pihak berkuasa negara ini. “Tiada wang tebusan dibayar bagi pembebasan mereka,” kata Najib dalam Twitter beliau sambil merakamkan penghargaan kepada pasukan keselamatan negara di atas usaha mereka membebaskan kedua-dua mangsa culik itu. Najib berkata kejayaan itu adalah hasil kerjasama pasukan keselamatan Malaysia dan Filipina. Resort 60 bilik itu, yang beroperasi lebih 10 tahun itu, terletak kira-kira dua batu nautika dari Pekan Semporna. Ketika kejadian itu, terdapat 61 pelancong iaitu 59 rakyat China, seorang warga Iran dan seorang pelancong Malaysia. Wanita China itu datang ke resort berkenaan seorang diri untuk mengikuti kursus selaman bagi memperoleh lesen selam skuba laut terbuka anjuran Persatuan Jurulatih Selaman Profesional (PADI). Kejadian itu dilakukan oleh kumpulan penjenayah yang menjadi penculikan sebagai kerjaya untuk mendapatkan wang tebusan, sama seperti insiden pembunuhan dan penculikan sepasang pelancong suami isteri warga Taiwan di Pulau Pom-Pom, Semporna, tahun lepas. Sumber: Bernama
TOP
Benarkah Ada Konspirasi Untuk Selamatkan Cadbury?
Seperti diketahui ramai, antara pihak yang paling lantang menyelar tindakan Cadbury menjual cokelat mengandungi DNA babi adalah Jaringan Melayu Malaysia (JMM). Justeru, JMM dan Sukaguam menggalakkan umat Islam mengemukakan saman berjumlah RM100 juta terhadap syarikat tersebut. Bagaimanapun belum sempat hasrat ini direalisasikan, isu Cadbury dilihat kian kendur apabila Fatwa Majlis Kebangsaan mengumumkan bahawa produk Cadbury yang mengandungi DNA babi ‘halal dimakan’. “Dalam kes produk siap diproses dan telah dipasarkan kepada pengguna yang pada asasnya telah dihasilkan melalui pemprosesan serta menggunakan bahan-bahan yang suci dan halal, dan juga telah disahkan sebagai HALAL tetapi kemudian didapati telah berlaku kontaminasi DNA babi pada sebahagian produk (kelompok tertentu sahaja), maka dalam keadaan ini, Muzakarah telah memutuskan bahawa ia adalah dikategorikan sebagai ‘Umum al-Balwa’. “Hukum produk tersebut adalah merujuk kepada hukum asal iaitu halal dimakan kerana pencemaran atau kontaminasi yang berlaku adalah di luar kawalan dan amat sukar dielakkan,” ujar Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin, pada Khamis. Sedikit sebanyak, kenyataan ini melegakan hati umat Islam yang sebelum ini agak terganggu apabila mengetahui telah termakan cokelat Cadbury. Begitu pun, Pengarah JMM Wilayah Persekutuan, Faiz Mohd Nor telah memuatnaik satu status di Facebook miliknya yang menimbulkan tanda tanya sekiranya terdapat usaha untuk ‘membantu’ Cadbury dalam hal ini demi kepentingan syarikat tersebut dan proksinya.
Faiz mendakwa, perkara ini dimaklumkan sendiri kepadanya oleh kakitangan JAKIM secara sulit. Benarkah dakwaan Faiz? Diharapkan ia dapat disiasat bagi memastikan tiada unsur mencurigakan dalam menangani isu Cadbury ini. Sumber: Rem Ramzi / Mynewshub
TOP
Penggodam Lancar Serangan Siber Piala Dunia 2014
SAO PAULO: Kumpulan penggodam Anonymous sedang bersiap sedia melancarkan serangan siber terhadap penaja korporat Piala Dunia di Brazil sebagai langkah memprotes pembiayaan mewah untuk sukan itu ketika negara berkenaan bergelut untuk menyediakan kemudahan asas kepada rakyatnya. Sumber berkata, mereka sudah melancarkan serangan lewat malam untuk menguji laman sesawang kerajaan yang mana mudah diceroboh serta membocorkan puluhan emel rahsia. Menurut sumber yang hanya dikenali sebagai Che Commodore itu, serangan berikutnya menyasarkan penaja Piala Dunia seperti Adidas, syarikat penerbanagn Emirates, Coca-Cola dan Budweiser. “Kami mempunyai rancangan serangan,” katanya melalui Skype dari lokasi rahsia di Brazil. Awal minggu ini, Anonymous turut menggodam rangkaian komputer Kementerian Luar Brazil. Serangan menggunakan DDos (Distributed Denial-of-Service) adalah langkah murah yang dilakukan bagi menyebabkan sesuatu laman sesawang terputus talian apabila ia mendapat permintaan akses daripada ribuan komputer. Ancaman itu menjadi satu lagi masalah memeningkan penganjur Piala Dunia yang akan bermula 12 Jun ini. Sebanayk 32 negara menyertai pertandingan empat tahun sekali itu. Sebelum ini Brazil sudah diaibkan dengan pelbagai masalah seperti kelewatan menyiapkan stadidum. Sumber: mStar
TOP
PRK: Sejumlah 22.95% Keluar Mengundi Sehingga 10 Pagi
TELUK INTAN – Sejumlah 22.95 peratus atau 13,754 pengundi telah keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan sehingga 10 pagi ini, menurut kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Cuaca cerah pagi ini memboleh pengundi menunaikan tanggungjawab mereka seawal 8 pagi. Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mah Siew Keong dan isteri, Datin Yeoh Pooi Hoon mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Aziz pada 9.10 pagi. Tinjauan Bernama mendapati pengundi warga emas turut dibantu petugas SPR dengan kerusi roda untuk masuk ke pusat pengundian Peraih undi kedua-dua calon juga kelihatan berada 50 meter dari pusat pengundian. Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof meluangkan masa meninjau beberapa pusat mengundi di sekitar kawasan Parlimen Teluk Intan. Beliau memulakan tinjauan di Sekolah Kebangsaan Sultan Abdul Aziz di sini pada kira-kira 9 pagi, diiringi pegawai SPR. Dalam lawatan itu, Abdul Aziz memantau kelancaran perjalanan proses mengundi di pelbagai saluran, termasuk memastikan keadaan peti undi mengikut peraturan yang ditetapkan. Seramai 60,349 pengundi, terdiri daripada 25,310 pengundi Cina, 23,301 (Melayu) dan 11,468 (India) dan selebihnya bangsa lain, layak mengundi pada PRK kali ini. Sementara itu, sebanyak 95.61 peratus atau 392 daripada 410 pengundi awal PRK itu, telah menjalankan tanggungjawab pada 27 Mei lepas. PRK ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Mah dan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud. Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi Parlimen itu, Seah Leong Peng, 48, daripada DAP akibat kanser pada 1 Mei lepas. Pada PRU Mei 2013, Seah menang dengan majoriti undi 7,313 dalam pertandingan tiga penjuru. Sumber: Bernama
TOP
Dua Beranak Maut Dihempap Pokok
TAIPING – Dua beranak maut apabila secara motosikal ditunggang mereka dihempap sebatang pokok sawit di jalan masuk ke Kilang Kelapa Sawit Awan Timur, Batu 26 Jalan Taiping, awal pagi semalam. Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, ketika kejadian itu, mangsa S Mogandas, 37 dan anak lelakinya, M Sivabalan, 13 menggunakan jalan berkenaan untuk ke destinasi yang tidak diketahui. Menurutnya, apabila mereka sampai di tempat kejadian, sebatang pokok sawit tumbang secara tiba-tiba sebelum menghempap dua beranak itu. “Kedua-dua mereka maut di tempat kejadian akibat kecederaan di beberapa bahagian badan. “Mayat kedua-dua beranak itu kemudiannya di hantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, semalam. Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Penolong Penguasa Hasna Rashid berkata, pihaknya telah menerima panggilan dari bilik operasi kira-kira jam 2.45 pagi. “Sepasukan anggota telah bergegas ke tempat kejadian dan sampai di lokasi kira-kira jam 3.41 pagi. “Kita turut menerima bantuan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis,” katanya. Beliau berkata, dalam operasi itu pihaknya menggunakan gergaji berantai untuk memotong pokok sawit berkenaan bagi memudahkan mangsa yang tersepit dikeluarkan. “Operasi yang diketuai PBK II, Izuan Che Ibrahim itu tamat kira-kira jam 4.58 pagi,” katanya. Sumber: Sinar Online
TOP
Isu halal: Jakim perlu ada pasukan khas
Rossilah
MELAKA - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diminta menubuhkan pasukan khas bagi memantau pengeluaran produk yang mempunyai pensijilan halal di negara ini. Ketua Pegawai Eksekutif Halal Hab Melaka, Rossilah Lal Muhammad berkata, pasukan itu perlu memeriksa secara teliti terhadap produk makanan agar ia jelas berasaska sumber halal. Menurutnya, Jakim perlu menggerakkan pemeriksaan lebih konsisten di kilang-kilang yang mempunyai pensijilan halal bagi memastikan tidak wujud penipuan atau pencemaran sehingga menjejaskan pengguna Islam di negara ini. "Pasukan lebih spesifik perlu ditubuhkan untuk membolehkan mereka memeriksa kesemua ramuan adalah halal sebelum ia dicampurkan menjadi satu produk disahkan halal. “Bukan sahaja perlu membuat audit atau pembaharuan sijil halal dua tahun sekali tetapi pemantauan mengejut secara berkala tanpa pengetahuan pihak kilang amat perlu,” katanya pada majlis tandatangan Perjanjian persefahaman (MoU) antara Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Halal Hab Melaka di sini, semalam. Rossilah berkata, kejadian seperti dua coklat Cadbury mengandungi DNA babi atau porsin seharusnya tidak berlaku lagi selepas ini. "Ini kepentingan pengguna kerana mereka membayar untuk mendapatkan makanan. Kita tidak mahu kelemahan seperti ini berulang,” katanya. Katanya, lebih baik lakukan pemantauan daripada hanya ambil tindakan selepas mendapat aduan orang ramai. Sumber: Sinar Online
TOP
Lima lelaki ditahan kes bunuh wanita hamil
LAHORE - Polis menangkap empat lelaki termasuk bapa saudara dan dua sepupu seorang wanita hamil yang mati terkena balingan batu sehingga mati di luar sebuah mahkamah di Pakistan, kata seorang pegawai kanan semalam. Farzana Parveen mati pada Selasa lalu di luar Mahkamah Tinggi di sini, timur Pakistan. Lebih 24 penyerang yang bersenjatakan batu termasuk saudara-mara mangsa melakukan perbuatan tersebut kerana dia mengahwini calon bukan pilihan keluarga. Pembunuhan kejam pada siang hari yang berlaku di pusat bandar raya kedua terbesar di Pakistan itu membangkitkan kemarahan penduduk di seluruh dunia. Polis berada di lokasi kejadian tetapi tidak bertindak untuk menghalang insiden tersebut daripada berlaku. Perdana Menteri, Nawaz Sharif kelmarin mengarahkan Ketua Menteri Punjab yang juga saudara lelakinya, Shahbaz Sharif supaya bertindak segera untuk menangani kes itu. "Satu pasukan siasatan khas yang ditubuhkan oleh polis atas arahan ketua menteri telah menangkap empat orang lagi termasuk seorang bapa saudara mangsa, dua sepupunya dan seorang pemandu pada malam kelmarin," kata seorang pegawai kanan polis, Zulfiqar Hameed semalam. Tangkapan baharu itu menjadikan jumlah mereka yang ditahan berhubung pembunuhan tersebut kini menjadi lima orang. Bapa Farzana sebelum ini turut ditahan di lokasi kejadian. Shahbaz turut mengarahkan polis supaya menangkap semua suspek kes tersebut dalam tempoh 24 jam. Beliau juga mengarahkan kes berkenaan didengar di sebuah mahkamah antikeganasan bagi mempercepatkan prosedur perbicaraan. Farzana berkahwin dengan suami yang dicintainya pada Januari lalu dan kini hamil tiga bulan. Tengkorak wanita itu retak ekoran serangan menggunakan batu itu. - Agensi
TOP
Zoleik miliki wajah baharu selepas tumor dibuang
WAJAH Zoleik selepas tumornya dibuang.
BRATISLAVA - Tumor seberat enam kilogram (kg) yang terdapat pada leher seorang lelaki, Stefan Zoleik berjaya dibuang menerusi satu pembedahan di sebuah hospital baru-baru ini. Menurut agensi berita Reuters, Zoleik menghidap penyakit yang dikenali sebagai Madelung itu sejak 10 tahun lalu. "Ia (menghidap tumor itu) memang tidak menyenangkan. Tumor tersebut menyebabkan kehidupan saya terganggu setiap kali saya memusingkan kepala," katanya Pembedahan untuk membuang tumor itu dilakukan di sebuah hospital dengan melibatkan masa selama lima jam. Menurut Zoleik, wajahnya kini jauh lebih tampan sebelum tumor tersebut dibuang. Dia menganggap pembedahan itu sebagai mengagumkan. - Agensi
TOP
Aktivis Thailand desak demonstrasi dibenarkan
SEORANG pelancong merakamkan gambarnya bersama askar-askar Thailand dekat Monumen Kemenangan di Bangkok semalam.
BANGKOK - Seorang aktivis antirampasan kuasa di Thailand, Sombat Boongam-anong semalam menggesa agar satu perhimpunan diadakan pada hujung minggu ini untuk menentang larangan berdemonstrasi yang dikuatkuasakan junta tentera. Aktivis tersebut turut menggesa para penunjuk perasaan yang mahu menyertai perhimpunan itu supaya memakai topeng dan bersedia untuk menghadapi tindakan pihak tentera. Gesaan untuk mengadakan perhimpunan itu esok turut mencetuskan kebimbangan tercetusnya konfrontasi antara tentera dan rakyat. Junta tentera sebelum ini melarang perhimpunan politik dan memberi amaran ia tidak akan bertoleransi terhadap bantahan rampasan kuasa yang berlaku pada 22 Mei lalu. "Pihak berkuasa akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang menentang rampasan kuasa ini," kata timbalan jurucakap tentera, Kolonel Winthai Suvaree. Ketua junta tentera, Jeneral Prayuth Chan-ocha mempertahankan rampasan kuasa tersebut sebagai kaedah untuk mengembalikan ketenteraman selepas Thailand dilanda krisis politik yang semakin ganas sejak tujuh bulan lalu. Sejak seminggu lalu, junta tentera bertindak untuk menutup mulut pengkritik-pengkritik rampasan kuasa itu. Tentera Thailand sejak seminggu lalu telah memanggil lebih 250 orang untuk menyerah diri termasuk dalam kalangan pegawai kerajaan, pemimpin politik, wartawan dan aktivis yang menentang rampasan kuasa tersebut. Kira-kira 70 orang masih ditahan sehingga kini. Antara yang dipanggil untuk menyerah diri termasuk aktivis Sombat yang bersekutu dengan kumpulan Baju Merah. Sombat kini bersembunyi tetapi memuat naik gesaan untuk mengadakan protes itu di laman Facebooknya. Dia meminta 10,000 orang supaya hadir dengan memakai topeng untuk 'meraikan rampasan kuasa tersebut'. "Tiada keperluan untuk bertindak agresif dalam menentang rampasan kuasa ini. Senyumlah dan bertenang," kata Sombat. "Topeng yang anda pakai sudah cukup untuk menjatuhkan maruah junta tentera," tambahnya. - Agensi
TOP
Rampas wang palsu RM112.52j
HONG SOON menunjukkan hasil rampasan wang palsu membabitkan sindiket Black Money didalangi warga Arfika pada sidang akhbar di IPK Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan Black Money didalangi lelaki warga Afrika selepas menahan tiga suspek termasuk seorang wanita warga tempatan bersama wang asing palsu dolar Amerika Syarikat (AS) berjumlah RM112.52 juta (AS$35 juta) dalam dua serbuan berasingan di sekitar Damansara, Petaling Jaya, Selangor dekat sini 19 Mei lalu. Dalam serbuan pertama pada pukul 5 petang, polis berjaya memberkas dua lelaki Afrika terdiri daripada seorang warga Cameroon dan seorang lagi warga Republik Chad di sebuah kondominium di Damansara Height dekat sini.
TOP
Suspek rogol dua remaja beramai-ramai ada talian keluarga
NILAH antara sembilan suspek termasuk tiga beranak membabitkan kes dua remaja perempuan dirogol dibawa anggota polis untuk mendapat perintah tahanan reman di Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan semalam.
KOTA BHARU – Kebanyakan suspek yang ditahan polis setakat ini berhubung kes dua pelajar perempuan dirogol oleh 38 lelaki di sebuah rumah kosong di Ketereh dekat sini pada 20 Mei lalu mempunyai hubungan kekeluargaan. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, suspek tersebut termasuk tiga beranak yang ditahan di Ketereh kelmarin. Katanya, suspek terbabit kebanyakannya juga tinggal di kampung yang sama.
TOP
Liciknya si Kumar perdaya mangsa
Kamalanathan (dua, kanan) bersama mangsa yang tampil membuat laporan polis setelah menyedari mereka ditipu.
KUALA LUMPUR - Dengan menjanjikan pembelian unit Projek Perumahan Rakyat (PPR), seorang lelaki warga emas didakwa memperdaya sekurang-kurangnya sembilan mangsa membabitkan bayaran deposit hampir RM50,000 kononnya sebagai ‘tempahan’ unit yang terhad. Warga emas dikenali sebagai Kumar, 60-an, itu juga mengaku mengendalikan sebuah yayasan dan memperoleh kuota khas kira-kira 60 unit PPR daripada pegawai DBKL. Salah seorang mangsa, Ravi, 48, berkata, dia mengenali Kumar pada Disember tahun lalu secara kebetulan di sebuah kedai makan. Menurutnya, disebabkan percaya dengan segala jenis surat yang ditunjukkan, dia bersetuju untuk ‘menempah’ unit berkenaan dalam masa sama juga mempelawa lapan lagi kenalannya. “Saya membuat bayaran berjumlah RM4,000 kepada Kumar begitu juga dengan kenalan-kenalan lain kerana percaya dengan kata-katanya. “Dia beritahu proses akan mengambil masa sebulan dan resit pembayaran akan dikeluarkan oleh DBKL, namun setelah beberapa bulan dia sering memberi alasan dan mengelak menemui kami. “Sehinggalah kami berjaya berjumpa dengannya pada 14 April lalu dan mendesak untuk dia menyelesaikan apa yang sepatutnya, dia mengakui mengambil wang namun menyerahkan kepada dua pegawai DBKL seperti mana surat perakuan yang ditandatanganinya,”katanya kepada Sinar Harian. Tambah Ravi, apa yang berlaku adalah sebaliknya kerana hasil pencarian mereka, dua pegawai DBKL yang dinyatakan adalah tidak wujud sementara Kumar terus tidak dapat dihubungi dan rumahnya juga sentiasa berkunci. “Apabila kami datang mencarinya di rumah, rupa-rupanya ramai lagi yang mencarinya untuk mengetahui status unit setelah masing-masing sudah membayar wang kepadanya,” katanya. Seorang lagi mangsa, Devi, 29, berkata, dia bersama tiga rakan lain turut sama terjebak dengan penipuan berkenaan membabitkan bayaran berjumlah RM16,000. Katanya, Kumar memberitahu perlu menyewa terlebih dahulu sebelum boleh membeli unit PPR dengan harga RM33,000 selepas beberapa bulan. “Saya telah terima surat hijau menyatakan pendaftaran permohonan sewa diterima, jadi saya yakin dan mempelawa tiga rakan lain. Walhal permohonan sewa itu sesiapa sahaja boleh buat sendiri,” katanya. Dalam pada itu, hasrat Louisa Chinappan,39, untuk tinggal berasingan dari rumah ayahnya, bersama dua anak dan suami, tidak kesampaian apabila menyedari berlaku penipuan. “Saya bayar RM4,000 menggunakan wang simpanan saya bekerja sebagai kerani dan sekarang jadi begini,” katanya. Berikutan itu, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Daerah (IPD) Dang Wangi yang turut disertai Presiden, Pertubuhan Kebajikan Global Keselamatan Manusia Malaysia, T. Kamalanathan. Sementara itu, Kamalanathan berkata, difahamkan kira-kira 30 mangsa terpedaya dengan helah warga emas berkenaan membabitkan bayaran RM3,500 hingga RM8,000 setiap seorang. “Perkara ini perlu tindakan segera agar tidak ramai lagi yang tertipu. Segala bukti dalam bentuk video dan gambar juga ada untuk mendakwa lelaki berkenaan,” katanya.
TOP
Empat kenderaan berlanggar di jambatan P Pinang
GEORGETOWN - Dua parah dalam kemalangan melibatkan dua kereta dan dua motosikal di Kilometer 7.01 Jambatan Pulau Pinang menghala ke arah pusat bandar malam semalam. Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata, kedua-dua mangsa adalah penunggang motosikal dan identiti mereka masih belum dikenal pasti. "Mangsa kemalangan telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut. Kesemua kenderaan terlibat hanya dapat dialih sepenuhnya pada pukul 10.20 malam semalam," katanya kepada pemberita di sini semalam. Beliau berkata, pemandu dan penumpang kereta jenis Mini Cooper dan Toyota Camry tidak mengalami kecederaan serius. Kemalangan pukul 8.50 malam itu bermula apabila Mini Cooper yang dipandu lelaki berumur 18 tahun bersama dua penumpang dari arah Seberang Perai hilang kawalan sehingga merempuh tembok dan terbabas ke laluan bertentangan. Kereta itu kemudiannya bertembung pula dengan Toyota Camry yang dipandu seorang lelaki berusia 40-an. Pemandu Toyota Camry yang tidak sempat mengelak Mini Cooper itu kemudiannya terlanggar dua penunggang motosikal berkenaan. Kemalangan itu menyebabkan kesesakan luar biasa di kedua-dua arah hampir 10 kilometer. Tinjauan mendapati sekurang-sekurangnya enam kenderaan pelbagai jenis diletakkan di bahu jambatan kerana rosak turut menjadi penyebab trafik bergerak perlahan sehingga pukul 11 malam semalam. - Bernama
TOP
Kepala kanak-kanak dipenggal hingga putus
Pasukan polis memeriksa mayat kanak-kanak di lokasi kejadian di Kuala Lumpur malam kelmarin.
KUALA LUMPUR - Seorang kanak-kanak perempuan berusia 2 tahun 6 bulan mati dalam keadaan tragis apabila lehernya dipenggal hingga putus dalam kejadian di tepi Sungai Klang, berhampiran Stesen Kereta Api Lama, Jalan Hishamuddin di sini, malam kelmarin. Penyerangnya dipercayai menghentak kepala mangsa menggunakan seramik dan mengelar lehernya sehingga putus. Sumber berkata, dua saksi kejadian melihat suspek mendukung mangsa sambil berjalan ke arah tempat kejadian. “Ketika itu, kanak-kanak tersebut masih hidup dan tidak berbaju,” kata sumber itu. Menurutnya, saksi kemudian melihat suspek menekap mangsa ke tanah sebelum memukul mangsa dengan seramik. Selepas melihat kejadian itu, saksi terus menghubungi polis bantuan dekat tempat tersebut. “Suspek terus terjun ke dalam sungai apabila menyedari kehadiran polis bantuan terbabit,” katanya. Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu daripada orang awam kira-kira jam 9 malam. “Polis menemui seramik yang pecah dan sepasang selipar, dipercayai milik suspek,” katanya. Menurutnya, kepala mangsa terputus dari badan dan tempurung kepalanya juga pecah dipercayai akibat hentakan. Kong Meng berkata, polis sedang giat memburu suspek dengan dibantu anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Menurutnya, berdasarkan keterangan ibu mangsa yang berumur 32 tahun, dia melepak bersama beberapa orang rakannya di Plaza Kota Raya pada petang hari kejadian. “Dia meminta rakannya menjaga mangsa dan sebaik keluar dari bilik air, ibu mangsa mendapati anaknya tidak bersama rakannya,” katanya. Kong Meng berkata, ibu mangsa serta rakannya terus mencari kanak-kanak berkenaan di seluruh plaza itu namun gagal ditemui. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
TOP
Pembunuh Lans Koperal Azuan diburu
TELUK INTAN - Bukit Aman menubuhkan pasukan khas memburu penjenayah yang terbabit dalam kematian anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Lans Koperal Mohd Azuan Abdullah, Isnin lepas. Ketua Polis Perak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata pasukan itu juga mengambil alih siasatan kes yang berpunca daripada kejadian samun. "Pasukan khas tersebut akan ambil alih siasatan untuk menahan suspek yang kita anggap sebagai ganas dan agresif ini," katanya kepada pemberita di Makmal Taktikal Polis bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Teluk Intan, di sini hari ini. Dalam kejadian 1.15 tengah hari di Batu 10 menghala Alor Pongsu, Bagan Serai itu, Mohd Azuan, 25, anggota URB Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian maut di tempat kejadian selepas motosikalnya dirempuh dari arah belakang oleh kereta yang dipercayai dinaiki tiga penjenayah. Mohd Azuan sebelum itu mengejar penjenayah terbabit yang dipercayai menyamun sebuah van rokok di Jalan Bagan Serai-Alor Pongsu. Kejadian turut menyebabkan rakan setugasnya cedera parah. Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kes bunuh. - Bernama
TOP
Tiada wang tebusan dibayar bebaskan mangsa culik
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tiada wang tebusan dibayar bagi pembebasan seorang wanita warganegara China dan seorang wanita warganegara Filipina yang diculik dari Singamata Adventures Reef and Resort di Semporna, Sabah awal April lepas. "Saya baru sahaja diberi taklimat oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bahawa dua wanita yang diculik dari sebuah resort di Sabah April lepas, telah diselamatkan oleh pihak berkuasa kita. "Tiada wang tebusan dibayar bagi pembebasan mereka," kata Najib dalam Twitter beliau hari ini. Justeru itu, beliau merakamkan penghargaan kepada pasukan keselamatan negara di atas usaha mereka membebaskan kedua-dua mangsa culik itu. Perdana Menteri berkata kerajaan juga sedang berusaha menghantar pulang wanita China itu ke negaranya secepat mungkin. Najib berkata kejayaan itu adalah hasil kerjasama pasukan keselamatan Malaysia dan Filipina. Pada 2 April lepas, sekumpulan tujuh lelaki bersenjata telah menculik pelancong China, Gao Hua Yuan, 29, dari Shanghai dan warga Filipina, Marcy Dayawan, 40, yang bekerja di Singamata Adventures and Reef Resort, kira-kira 10.30 malam. Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi akaun Twitternya turut merakamkan penghargaan kepada pasukan keselamatan Malaysia dan Filipina yang bekerjasama rapat dalam pembebasan kedua-dua mangsa. "Berbanyak-banyak terima kasih kepada Pasukan Keselamatan Filipina di atas bantuan dan kerja keras mereka bagi membebaskan dua mangsa culik di Semporna, Sabah. "Syabas Cawangan Khas @PDRMsia, di atas kerja keras berterusan berjaya membebaskan 2 tebusan itu. Mangsa dalam keadaan sihat," katanya. Terdahulu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib mengesahkan pembebasan mangsa culik itu adalah hasil kerjasama polis Malaysia dan Filipina. Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan lokasi kedua-dua mangsa itu kini. - Bernama
TOP
Sindiket 'black money' sekitar Damansara tumpas
Datuk Law Hong Soon dan ACP Izany menunjukkan barang "black Money" yang dirampas hasil serbuan polis dalam sidang media Kes Penipuan Black Money di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur. - Foto Sinar Harian oleh Sharifudin Abadul Rahim
KUALA LUMPUR - Polis menumpaskan satu sindiket 'Black Money' apabila menahan dua lelaki warga Afrika dan seorang wanita tempatan di dua lokasi sekitar Damansara pada 19 dan 20 Mei lepas. Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Deputi Superintendan Datuk Law Hong Soon berkata kesemua suspek berusia lingkungan 42 hingga 48 tahun. Beliau berkata seorang lelaki warga Afrika dan wanita tempatan terbabit ditahan di sebuah kondominium di Twins Damansara Heights pada 19 Mei setelah pihaknya menerima aduan pada hari sama daripada seorang guru lelaki, 45, yang mencurigai tawaran suspek dalam urusan mencuci mata wang USD. "Guru terbabit mengenali mereka melalui orang tengah, yang merupakan suspek wanita yang ditahan, sebelum bertemu dua suspek lelaki itu di sebuah restoran di Taman Tun Dr Ismail pada 14 Mei lepas," katanya dalam satu sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini. Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany. Susulan penahanan suspek lelaki dan wanita itu membawa polis ke sebuah rumah di Pusat Bandar Damansara pada keesokan harinya dan menahan seorang lagi suspek lelaki warga Afrika serta merampas 45 ikat kertas bersaiz wang RM50 serta 99 keping logam berwarna keemasan dengan tulisan 99.9 dalam bentuk ketulan. Polis turut merampas sebungkus plastik hitam mengandungi ketulan kecil logam berwarna kuning keemasan, satu peti besi jenama 'Takawachi TK-31' berwarna hitam dan satu kotak berwarna perak mengandungi 18 ikat wang USD100 disyaki palsu, katanya. Law berkata kedua-dua suspek warga Afrika disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Imigresen kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di Malaysia. "Kes itu juga turut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu serta Seksyen 489(c) Kanun Keseksaan kerana memiliki wang palsu," katanya. - Bernama
TOP
Indonesia juga uji produk Cadbury
JAKARTA - INDONESIA. Pihak berkuasa Indonesia menjalankan ujian ke atas beberapa produk Cadbury susulan laporan penemuan DNA babi di dalam coklat keluaran syarikat itu di Malaysia. Ketua Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM) Roy Alexander Sparingga berkata pihaknya akan mengambil sampel dan menjalankan ujian makmal bagi mengesahkan pematuhan Cadbury terhadap garis panduan makanan di republik itu. "Hanya 10 variasi coklat Cadbury yang memperoleh sijil halal daripada Majlis Ulama Indonesia (MUI)," katanya yang dipetik dalam laporan Jakarta Globe, hari ini. Laporan penemuan DNA babi dalam dua produk coklat keluaran Cadbury Malaysia pada Sabtu lepas turut mencetuskan kebimbangan rakyat di negara ini yang menjadikan media sosial sebagai medium menyuarakan keresahan mereka. Ini kerana kedua-dua produk terbabit iaitu Cadbury Coklat Susu dengan Kacang Hazel dan Coklat Susu dengan Badam turut dijual di pasaran Indonesia. Menurut Roy Alexander hanya produk coklat susu dengan kacang hazel berdaftar dengan BPOM selaku badan yang berkuasa memantau produk makanan berbungkus di Indonesia, namun tempoh pendaftarannya sudah berakhir, manakala usaha Cadbury membawa masuk produk coklat susu dengan badam ditolak. Sehubungan itu beliau berkata, pihaknya percaya kedua-dua produk berkenaan dibawa masuk secara haram ke dalam pasaran negara berkenaan. Katanya ujian halal di Indonesia dilakukan atas dasar sukarela, bagaimanapun pengeluar yang mahu produk mereka disahkan halal perlu berbuat demikian menerusi Lembaga Pengkajian Pangan Obat-obatan dan Kosmetik (LPPOM) MUI. "Akan tetapi pengeluar bertanggungjawab memberitahu pengguna (tentang kandungan tidak halal) menerusi label pada produk," katanya. - Bernama
TOP
Hadi dikejarkan ke hospital
SHAH ALAM – Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan mengalami masalah kesihatan dan dikejarkan ke hospital di Istanbul. Timbalan Ketua, Dewan Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi dalam satu kenyataan ringkas berkata, beliau telah menghubungi Setiausaha Politik Abdul Hadi "Dr (Ahmad) Samsuri (Mokhtar) kini berada bersama ayahanda Tuan Guru Presiden (Abdul Hadi) di Istanbul, Turki. "Beliau dimasukkan ke hospital selepas mengadu sesak nafas dan sekarang keadaan beliau stabil dan sedang berehat. "Mohon doa dari semua umat Islam agar beliau pulih dan dapat terus memimpin ummah," katanya. Sementara itu, Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar ketika dihubungi mengesahkan perkara itu. "Saya dimaklumkan melalui pesanan khidmat ringkas (SMS) oleh setiausaha politik beliau tadi. “Abdul Hadi ke Istanbul untuk menghadiri menghadiri Seminar Antarabangsa Esam anjuran Gerakan Islam Turki. Beliau turut dijadualkan bertemu dengan Menteri Luar Turki. Katanya lagi, Abdul Hadi kini berada di bawah pemerhatian doktor pakar. "Saya difahamkan beliau sedar, tak ada apa. Abdul Hadi dilaporkan berangkat ke Istanbul, pada Selasa lepas dan dijadualkan pulang ke tanah air pada 3 atau 4 Jun depan.
TOP
Suspek bunuh kanak-kanak dipercayai lemas
Anggota Bomba dan Penyelamat sedang giat mencari suspek kes bunuh yang dipercayai lemas selepas membunuh seorang kanak-kanak berusia 18 bulan di Sg Klang berhampiran Stesen Komuter Kuala Lumpur di Jalan Hishamuddin malam semalam di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Suspek dalam kes bunuh kanak-kanak perempuan berusia 18 bulan, dipercayai lemas selepas bertindak terjun ke dalam Sungai Klang berhampiran lokasi mayat kanak-kanak itu ditemui semalam. Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Law Hong Soon berkata suspek berbuat demikian selepas dihampiri saksi dalam kejadian kira-kira 9 malam tadi. "Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memang jelas dan kami buat fotofit, namun kami dapati suspek dipercayai lemas selepas melarikan diri dengan terjun ke dalam sungai apabila dihampiri saksi," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini hari ini. Katanya rakaman CCTV itu diambil dari sebuah lif pusat membeli-belah Kotaraya di sini, iaitu lokasi kanak-kanak tersebut ditinggalkan oleh ibunya bersama rakan sebelum ke tandas. Wanita itu kemudian mendapati anaknya hilang dan mayat kanak-kanak tersebut ditemui oleh orang awam kira-kira 9 malam tadi dalam keadaan kepalanya terputus daripada badan. Bahagian belakang kepala kanak-kanak itu juga pecah, dipercayai akibat hentakan. Polis turut menemui pecahan seramik dan sepasang selipar di lokasi kejadian. Mengulas lanjut, Hong Soon berkata polis kini berusaha mengesan mayat suspek di dalam sungai itu dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Gan Kong Meng sebelum ini dilapor berkata ada saksi mendakwa melihat seorang lelaki merebahkan kanak-kanak itu di tepi sungai sebelum menghempaskan sesuatu ke kepalanya dan melakukan "sesuatu" pada leher mangsa. - Bernama
TOP
Belia China Hargai Hubungan Dengan Malaysia
BEIJING – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berkata belia China menghargai hubungan dengan Malaysia dan masih ingat Malaysia negara pertama dari Asia Tenggara yang menjalinkan hubungan diplomatik dengan mereka. Katanya, belia China sentiasa membangkitkan fakta sejarah itu dalam pertemuan beliau dengan mereka. “Ini (permulaan hubungan diplomatik) merupakan peristiwa yang membanggakan kita dan mereka sering membangkitkan peristiwa tersebut (semasa pertemuan kami),” katanya kepada media Malaysia di sini, hari ini. Beliau ditemui semasa menghadiri perasmian Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu 2014: Hubungan Malaysia-China’ yang bermula hari ini sehingga 2 Jun, di Beijing Foreign Studies University, di sini. Khairy mengetuai delegasi 100 belia Malaysia ke sini bermula 26 Mei lalu sehingga esok sempena sambutan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia-China. Menurut Khairy, beliau dan delegasi telah mengadakan pertemuan dengan All China Youth Association dan Communist Youth League. Selain itu, katanya mereka juga melawat ‘The Central Party School of Chinese Communist Party’, iaitu sebuah sekolah untuk Parti Komunis China melatih pemimpin masa depan mereka. “Sudah pasti ideologi mereka lain daripada kita, tetapi cara mereka buat latihan, contohnya sebelum mereka naik pangkat kena balik sekolah mengambil kursus selama dua bulan, saya rasa cara ini amat baik sekali,” katanya. Selain itu, katanya sekolah itu turut mendedahkan pelajarnya dengan isu antarabangsa dan ekonomi. Mengulas lawatan secara keseluruhan, Ketua Pemuda UMNO itu berkata kunjungan bukan sahaja memberi peluang kepada belia Malaysia mempamerkan kebudayaan pelbagai kaum kepada rakan mereka di sini, tetapi juga membuka ruang untuk mereka mewujudkan tanggapan positif selepas tragedi MH370. “Satu rombongan belia China akan membuat lawatan balas ke Malaysia pada September ini,” katanya. Sumber: Sinar Online
TOP
Jawatan Dalam Kabinet Untuk Mah Bukan Gimik
TELUK INTAN – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata janji Perdana Menteri untuk melantik Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong sebagai menteri jika menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Teluk Intan esok bukan sekadar gimik politik. Malah Timbalan Perdana Menteri itu berkata kehadiran Mah dalam barisan Kabinet akan memberikan lebih limpahan manfaat kepada penduduk Teluk Intan. “Kita tidak tipu (mengenai tawaran ini). Bila Mah masuk Kabinet, lebih senang dia nak bantu masyarakat di sini. Kerajaan negeri dah Barisan Nasional (BN), kerajaan pusat dah BN, kenapa Teluk Intan tak hendak BN,” katanya ketika berucap pada majlis sarapan pagi bersama 25 badan bukan kerajaan (NGO) kaum India di sini, hari ini. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang sedang dalam lawatan enam hari ke China semalam, membuat tawaran itu, sambil berkata parti Gerakan merupakan parti pengasas BN dan menjadi amalan untuk presiden parti itu menganggotai Kabinet. Sementara itu, Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN, dalam sidang media selepas majlis itu, berkata Mah adalah seorang yang berpegang kepada janji serta menyifatkan anak jati Teluk Intan itu sebagai seorang yang berprinsip dan mempunyai pendirian. “Saya yakin Mah akan dilantik jika dipilih (menjadi wakil rakyat). Ini akan memberi faedah kepada penduduk dan mudah akses kepada perdana menteri, timbalan perdana menteri untuk bantu dengan pelbagai isu. “Ini juga memberi ruang dan peluang kepada wakil kaum Cina dalam Jemaah Menteri,” jelasnya. Beliau berkata malah Mah sebaik memenangi jawatan presiden parti itu pada Oktober tahun lepas berjanji akan menumpukan sepenuh masanya untuk memulihkan parti Gerakan. Mah, bekas anggota Parlimen Teluk Intan untuk dua penggal sejak Pilihan Raya Umum 1999, dicabar oleh calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud pada PRK esok. Pada 2004, beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri sebelum berpindah ke Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk jawatan yang sama pada 2006. Sumber: Bernama
TOP
Guru Salah Guna Kalimah ALLAH Di Twitter Dipenjara
Seorang guru di Turki dijatuhi hukuman penjara 15 bulan semalam, gara-gara menggunakan nama Allah bagi twithandle Twitter miliknya. Ertan P menggunakan nama Allah (c.c) atau CenabiAllah untuk mengutuk kerajaan menerusi Twitter, kononnya status yang dimuatnaik adalah ‘suara’ daripada Tuhan.
Menerusi tweet terakhir pada 17 Mei, Ertan memuatnaik status yang berbunyi “Here [Heaven] is very safe because there is no police.” (Di sini (syurga) lebih selamat sebab tiada polis. Ia bagi mengutuk campur tangan polis ketika pihak pembangkang mengadakan tunjuk perasaan menentang Kerajaan Turki pada Jun 2013. Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan sebelum ini pernah menggantung Twitter dan YouTube daripada digunakan rakyat negara tersebut kerana ia dianggap menjadi medium menyebarkan propaganda. Penggantungan bagaimanapun hanya berjaya dilaksanakan selama dua minggu apabila Mahkamah Tinggi Turki memutuskan ia menidakkan hak rakyat negara tersebut. Sumber: Mashable / Rem Ramzi / Mynewshub
TOP
Enam Senator Angkat Sumpah Jawatan
KUALA LUMPUR – Sebanyak enam orang mengangkat sumpah sebagai senator di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang di sini hari ini. Empat daripada mereka iaitu Datuk Yunus Kurus, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader, Datuk Chin Su Phin dan Norliza Abdul Rahim merupakan pelantikan semula dan akan berkhidmat untuk penggal kedua bagi tempoh tiga tahun. Dua senator yang baru dilantik ialah Timbalan Ketua Umno Bahagian Sungai Petani Shahanim Mohamad Yusoff dan bekas Ketua Umno Bahagian Jerai Datuk Mohd Suhaimi Abdullah. Shahanim, 41, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (Kepujian) daripada Universiti Utara Malaysia, pernah menjadi Naib Ketua Puteri Umno Malaysia. Ketika ditemui pemberita selepas majlis itu, Shahanim berterima kasih kepada kerajaan atas kepercayaan yang diberi dan berjanji memberikan perkhidmatan terbaik dan akan lebih aktif dalam menyuarakan pendapat berkaitan wanita di Dewan Negara. “Fokus utama saya adalah kesejahteraan wanita muda tidak kira suri rumah, pekerja industri, pekerja swasta atau kerajaan,” kata Shahanim. Mohd Suhaimi, 56, kini bendahari Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam), berkata membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan anak muda akan menjadi antara wadah perjuangannya selain kedudukan ekonomi golongan petani di Kedah. Sementara itu, Abu Zahar dalam ucapannya mengingatkan Anggota Dewan Negara supaya memahami, menghayati, mendukung dan mempertahan Perlembagaan negara, selain memperkasa Dewan Negara sebagai institusi bermaruah, berkredibiliti, berintegriti serta komited kepada kepentingan negara dan rakyat. Beliau turut menasihatkan mereka supaya menjaga tingkah laku, menerapkan sikap hormat-menghormati dan sopan semasa membahaskan hujah di Dewan Negara. Sumber: Bernama
TOP
Culik: Warga China, Filipina Sudah Dibebaskan
KOTA KINABALU – Warga China dan Filipina yang diculik di sebuah resort atas air, Singamata Adventures Reef and Resort, Semporna pada awal April lepas, sudah dibebaskan dan kini berada di Sabah. Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata pembebasan mereka adalah hasil kerjasama polis Malaysia dan Filipina. “Kedua-dua mereka tiba di sini (Kota Kinabalu) pada 10.30 pagi tadi,” katanya kepada Bernama hari ini. Beliau bagaimanapun enggan menyatakan lokasi kedua-dua mangsa itu kini. Pada 2 April lepas, sekumpulan tujuh lelaki bersenjata telah menculik pelancong China, Gao Hua Yuan, 29, dari Shanghai dan warga Filipina, Marcy Dayawan, 40, yang bekerja di Singamata Adventures and Reef Resort, kira-kira 10.30 malam. Kumpulan penculik itu dilaporkan telah menuntut wang tebusan sebanyak RM36.4 juta (AS$11 juta) untuk membebaskan Gao. Susulan kejadian itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengarahkan kawalan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) diperketatkan dengan menambah aset tambahan. Sebelum ini, Bernama melaporkan polis Sabah telah menahan empat orang termasuk tiga wanita bagi membantu siasatan. Dua wanita itu ditahan di resort berkenaan manakala seorang lagi wanita dan seorang lelaki ditahan di sebuah perkampungan di Semporna. Sumber: Bernama
TOP
Pencipta Dari China Cipta ‘Skuter Beg Pakaian’
Seorang pencipta amatur dari China telah mencipta sejenis skuter tetapi hanya menggunakan beg pakaian sahaja dan ia dikuasakan dengan tenaga elektrik. He Liangcai menghasilkan sebuah skuter berupa beg pakaian yang dilengkapi dengan motor yang boleh ditunggang. Kegunaannya dilihat begitu berpotensi jika di lapangan terbang. Skuter berkenaan dicipta dengan berat 6 kilogram dengan bateri dan mampu bergerak selaju 19km sejam sejauh 59km selepas baterinya dicas penuh. Ia bukan sahaja sebuah skuter, ia turut dilengkapi dengan alat navigasi GPS dan juga sistem penggera mencegah kecurian. Untuk menggunakannya, penunggang akan duduk di atas beg pakaian berkenaan dan alat kawalannya mengawal tekanan kuasa, brek dan juga suis lampu. Ketika membuat demonstrasinya, He berjaya menunggang skuter beg itu dari rumahnya ke stesen keretapi Changsha di wilayah Hunan dalam jarak kira-kira 11km. Menurutnya, dia mengambil masa 10 tahun untuk menghasilkan sebuah skuter beg pakaian seperti itu. Idea mencipta skuter seperti itu ialah apabila He kehilangan beg pakaiannya ketika hadir ke satu majlis di Amerika Syarikat untuk menerima anugerah untuk sebuah sistem keselamatan kereta ciptaannya. Sumber: IKA / Mynewshub
TOP
Mercedes-Benz S400L Dapat Pengecualian Duti
KUALA LUMPUR – Mercedes-Benz S400L Hybrid baharu akan dijual di pasaran Malaysia dengan harga RM587,888 seunit. Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Mercedes-Benz Malaysia, Kai Schlickum berkata, harga itu ditetapkan selepas kereta tersebut layak menerima pengecualian duti. “Harga RM587,888 telah ditetapkan untuk Mercedes-Benz S400L Hybrid,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini. Schlickum turut memaklumkan, Mercedes-Benz Malaysia melabur RM15 juta bagi menyiapkan kilang pemasangan kenderaan itu di Pekan, Pahang. Menurutnya, pelaburan itu juga bertujuan menyokong aspirasi kerajaan Malaysia untuk menjadikan negara ini hab kenderaan cekap tenaga. “Kami telah bekerja keras membawa S-Class sebagai kenderaan hibrid ke pasaran Malaysia dan kami berbangga dengannya,” katanya. Sumber: Mynewshub
TOP
VIDEO: Contoh Terbaik ‘Vokal Bukan Sekadar Rupa’
Kalau dengar suara akak ni menyanyi, rasanya inilah paling tepat jika hendak dikatakan ‘vokal bukan sekadar rupa.’ Mendendangkan lagu Mercy (Duffy), kawalan suaranya begitu baik sekali dan disampaikan penuh perasaan. Pendek kata, ni memang bukan taraf karaoke biasa dah ni. Kalau pergi karaoke dengan dia nak nyanyi pun segan kot.
TOP
Kawal Barangan Domestik Berasaskan Gam
KUCHING – Undang-undang berkaitan penyalahgunaan gam akan memfokus kepada kawalan barangan domestik berasaskan bahan itu, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Beliau berkata berdasarkan kajian, gam diguna dalam lebih 500 bahan domestik yang diguna seharian dan individu yang terlibat mudah memperoleh bekalan mereka. “Kita melihat kepada keperluan untuk mendaftar peniaga yang menjual barangan domestik berasaskan gam. Justeru itu peniaga barangan domestik berasaskan gam mungkin perlu mendaftar transaksi yang dilakukan bagi membendung salah guna bahan tersebut,” katanya dan menambah model kawalan yang sama dilaksanakan di Singapura. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan cek peruntukan kecemasan bagi kawasan Parlimen Santubong di sini hari ini. Beliau yang juga Anggota Parlimen Santubong menyerahkan bantuan berupa yuran pengajian dan bantuan kebajikan bagi pesakit kronik berjumlah RM31,400 kepada 53 penerima. Isteri beliau Datin Fiona Sim yang mewakili Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) turut menyerahkan RM2,000 kepada kanak-kanak Muhammad Haneef Edris yang menghidap penyakit jantung. Mengulas lanjut, Wan Junaidi mengakui cadangan untuk mendaftar transaksi mungkin menerima bantahan daripada peniaga namun pihaknya akan mengadakan perbincangan untuk mendapatkan reaksi mereka. Ditanya bila rang undang-undang itu akan dibentangkan, beliau berkata Penasihat Undang-undang Kementerian Dalam Negeri telah diarah untuk menyediakan drafnya. “Jika tidak sempat untuk dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat Jun ini, kita harap rang undang-undang itu dapat dibentang pada persidangan akhir tahun ini,” katanya. Sebelum ini beliau berkata kerajaan sedang meneliti model undang-undang yang dilaksanakan Thailand dan Singapura. Sumber: Bernama
TOP
Tesco Malaysia Memperkenalkan Aplikasi Android
Khusus kepada warga kota yang kesuntukan masa untuk memberi barangan basah, ada berita baik untuk anda. Tesco Malaysia kini dalam usaha untuk memudahkan pengguna membuat pembelian melalui pasaraya mereka menerusi pelancaran sebuah aplikasi yang menawarkan sokongan pembelian melalui peranti pintar khusus untuk pengguna Android. Menggunakan aplikasi berkenaan, pengguna boleh log masuk dan membuat pembelian terus melaluinya. Selain itu, pada masa sama pengguna turut boleh menyemak promosi dan melihat beberapa tawaran menarik daripada Tesco Malaysia. Bagaimanapun buat masa ini Tesco Online hanya ditawarkan di beberapa kawasan sahaja termasuk Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor Bahru. Sumber: Tesco Online / hzqahmd / Mynewshub
TOP
ATSB Pertahan Lokasi Pencarian MH370
Ketua Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) mempertahankan operasi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang sehingga kini masih dipenuhi kebuntuan malahan yakin pasukan mencari telah mendapatkan lokasi yang betul. Analisis satelit pada hari pesawat jenis Boeing 777 itu hilang pada 8 Mac lepas, menunjukkan kemungkinan ia berada di sekitar Lautan Hindi sehinggalah ke Indonesia dan ke Antartika. Bagaimanapun, kawasan yang dipercayai menjadi lokasi akhir pesawat MH370 berada berdasarkan isyarat ping telah ditolak semalam selepas operasi mencari besar-besaran gagal. Ketua ATSN Martin Dolan memberitahu AFP, bahawa isyarat akustik berkenaan yang diyakini dari bahan buatan manusia masih lagi bersifat misteri. “Secara jujurnya, kami tidak tahu, kami kelihatan seperti pakar, tetapi ada ketikanya kami tidak mengetahui semuanya,” katanya. ATSB yang kini memainkan peranan utama dalam operasi mencari sebelum ini berkata empat isyarat akustik yang dikesan pada April merupakan petunjuk paling kuat untuk mengesan pesawat MH370. “Ini adalah kawasan yang paling diyakini untuk dicari, kami masih belum memperolehi apa-apa maklumat yang mengesahkan ia adalah kawasan yang salah. “Kami akan melakukan lagi analisis untuk mengenalpasti lokasi yang lebih sesuai untuk memulakan operasi mencari fasa berikutnya,” katanya. Menurut beliau, ketika para pakar sedang melihat semula data satelit yang membawa kepada operasi mencari di Lautan Hindi, laluan bercorak melengkung hasil analisis itu masih relevan sebagai laluan penerbangan MH370. “Laluan seperti kubah itu betul, kita tahu ada kawasan yang berhampiran laluan yang begitu panjang itu pesawat itu akan ditemui,” katanya. Sumber: AFP / Ibnu Khusairy Aris / Mynewshub
TOP
Cadbury Komited Patuhi Peruntukan Sijil Halal
KUALA LUMPUR – Cadbury Malaysia kekal komited dalam mematuhi garis panduan halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerusi Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia. Ketua Hal Ehwal Korporatnya Raja Zalina Raja Safran dalam kenyataan di sini hari ini, berkata syarikat itu juga percaya semua produk coklatnya tidak mengandungi bahan berkaitan khinzir. “Kami berpegang teguh pada sijil halal kami dan kami juga mempunyai standard pelabelan yang tinggi,” katanya. Dalam pada itu katanya, Cadbury Malaysia akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa sementara menunggu hasil analisis terhadap dua produk yang dikesan mengandungi DNA khinzir. “Kami faham betapa pentingnya isu halal bagi pelanggan kami dan kepentingan kepercayaan berterusan terhadap produk kami. Semua produk kami kekal berstatus halal,” katanya. Beliau juga meminta pengguna berpegang kepada kenyataan Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa produk syarikat itu yang tercemar dengan DNA babi kekal dengan status halal. Sabtu lepas Kementerian Kesihatan mengesahkan dua sampel daripada Coklat Susu dengan Kacang Hazel dan Coklat Susu dengan Badam keluaran Cadbury Malaysia mengandungi DNA khinzir. Susulan itu Cadbury Malaysia menarik balik produk yang bernombor kelompok sama dengan dua sampel berkenaan daripada pasaran. Semalam, Majlis Fatwa Kebangsaan mengumumkan hukum produk Cadbury yang disahkan halal sebelum didakwa mengandungi DNA babi adalah seperti hukum asal, iaitu ‘halal dimakan’. Ini kerana kata Pengerusi jawatankuasa Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin, perkara itu termasuk dalam kategori keadaan ‘Umum al-Balwa’ iaitu keadaan musibah atau kesukaran berleluasa dan sukar dielak. Sumber: Bernama
TOP
Kesian Buaya Ni, MUNTAH 3 Jam Dihempap Wanita Gemuk!
Moscow – Seekor buaya terpaksa dihantar ke hospital selepas dihempap oleh seorang wanita seberat 114 kilogram di dalam sebuah bas. Fredy, repitilia 2.14 meter panjang itu berada di dalam bas yang penuh dengan anggota sarkas dikatakan tidur apabila kenderaan berkenaan melanggar bonggol berhampiran Severomorsk, menyebabkan wanita terbabit jatuh dan menghempapnya yang tidur berhampiran. Agensi berita RIA Novosti melaporkan, pihak pengurusan sarkas bimbang keadaan buaya itu selepas ia muntah selama tiga jam berikutan peristiwa itu. Ia mungkin tanda kecederaan dalaman bagi buaya. Akauntan terbabit hanya cedera ringan, tetapi ditegur kerana tidak memakai tali pinggang keledar. Fredy pula dibawa ke hospital dan menjalani pemeriksaan serta rawatan. Semua persembahan hari itu yang membabitkannya juga dibatalkan. Akhbar Komsomolskaya Pravda melaporkan wanita itu dinasihatkan mengurangkan berat badannya. Haiwan, termasuk harimau, singa dan monyet masih digunakan dalam persembahan sarkas di Russia. Sumber: Agensi
TOP
Cadury : Hasil Ujian Jabatan Kimia Diketahui Rabu Depan
KUALA LUMPUR – Keputusan analisis Jabatan Kimia terhadap sampel coklat Cadbury, yang didakwa mengandungi Asid Deoksiribonukliek (DNA) khinzir dalam ujian makmal Kementerian Kesihatan, akan diketahui pada Rabu, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha. “Kami (Jakim) perlu siasat secara keseluruhan dan teliti, bukan sahaja sampel coklat, tetapi juga seluruh rantaian pengeluaran produk syarikat itu merangkumi bahan mentah, aliran pemprosesan, penyimpanan, peralatan dan lain-lain di kilang itu. “Ujian awal KKM (Kementerian Kesihatan) adalah berdasarkan persampelan di pasaran sahaja… kami (Jakim) perlu mengikut prosedur ketat iaitu sampel mesti diambil di kilang iaitu bermula daripada ia diproses untuk memastikan adakah DNA porcine (khinzir) itu datang dari kilang atau berlaku pencemaran di luar,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Putrajaya. Beliau berkata makmal Jabatan Kimia diwartakan sebagai makmal makanan yang kompeten dalam menjalankan analisis makanan selain mendapat akreditasi daripada Jabatan Standard Malaysia bawah Skim Akreditasi Makmal Malaysia berdasarkan Standard MS ISO/IEC 17025: 2005 bagi pengujian DNA termasuk pengujian produk makanan diproses. Beliau berkata makmal KKM pula diakreditasi untuk membuat ujian terhadap produk berasaskan daging serta ikan dan bukan makanan yang telah diproses. “Ujian penemuan yang dibuat KKM itu juga tidak boleh dibawa ke mahkamah kerana Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia menetapkan bahawa ujian Jabatan Kimia sahaja yang diterima, malah di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, hanya keputusan Jabatan Kimia sahaja yang diiktiraf,” katanya. Othman turut menafikan dakwaan orang ramai bahawa Jakim mendiamkan diri dan lambat bertindak dalam isu coklat Cadbury, sedangkan pengesanan hasil analisis KKM mengesahkan terdapat elemen khinzir terdapat dalam dua sampel coklat Cadbury iaitu Coklat Susu dengan Kacang Hazel (Cadbury Dairy Milk Hazelnut) dan Coklat Susu dengan Buah Badam (Cadbury Dairy Milk Roast Almond). Beliau menjelaskan Jakim tidak dimaklumkan oleh KKM mengenai ujian dan penemuan DNA khinzir yang dibuat pada 27 Feb itu, malah hanya menyedari isu itu setelah ia menjadi viral di dalam laman sosial pada 23 Mei lepas. “Antara Jakim dan KKM telah ada persetujuan dan penyelarasan iaitu apa sahaja hal yang berkaitan halal, ia perlu dirujuk kepada Jakim tetapi tidak tahu mengapa penemuan ini tidak dilaporkan kepada kami sehingga ia (hasil ujian) bocor di di Internet pada 23 Mei,” katanya. Othman berkata Jakim terus bertindak mengadakan mesyuarat tergempar setelah KKM mengesahkan dua produk terbabit mengandungi DNA khinzir, dan menggantung serta-merta sijil pengesahan halal dua produk coklat Cadbury berkenaan pada 24 Mei. Pemeriksaan berkala kali terakhir oleh Jakim pada 20 Feb lepas mendapati syarikat Cadbury Confectionary Malaysia Sdn Bhd, yang menerima status halal sejak 2004, mematuhi kesemua syarat sijil halal termasuk untuk bahan mentah yang digunakannya, katanya. Sumber: Bernama
TOP
Peringatan Sopan Untuk ‘Kaki Picit’ Buah
Antara perkara yang membuat peniaga sayur dan buah-buahan bengang adalah tabiat rakyat Malaysia yang suka memicit sebelum membeli. Kadang-kadang tu kalau beli tak apalah, ini lepas lebam dan rosak sayur serta buah dipicit mereka berlalu pergi begitu sahaja dengan selamba. Tidak hairanlah, peniaga buah di atas menulis kenyataan yang boleh membuatkan pelanggan tersentak dan mengubah niat hati mereka jika terfikir mahu memicit buah-buahan yang dijualnya. Kalau anda sendiri membaca apa yang ditampal pada kertas tersebut, tentu fikir banyak kali kan? Apa pun sekurang-kurangnya ayat yang digunakan masih sopan walau berbaur lucu.
Sumber: Rem Ramzi / Mynewshub
TOP
Kesatuan Sekerja Desak Tiga Orang Besar MAS Letak Jawatan
Kesatuan sekerja yang mewakili hampir separuh kakitangan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) bercadang menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk memohon campur tangan terhadap isu kerugian dialami MAS. Kerugian dialami dikatakan kian diburukkan dengan insiden kehilangan pesawat MH370, Mac lalu. Setiausaha Eksekutif Kesatuan Sekerja MAS (Maseu), Mohd Jabbarullah Abd Kadir berkata, syarikat berkenaan memerlukan peneraju baru untuk kembali membawa keuntungan. Memorandum itu akan diserahkan kepada PM sekembalinya beliau dari lawatan ke China, minggu hadapan. Tambah Jabbarullah, kemelut MAS perlu ditangani sebelum ia menjadi parah memandangkan kesannya sudah dapat dilihat sekarang termasuk pemberhentian kerja beramai-ramai oleh kakitangan disebabkan masalah gaji dan pengurusan yang lemah. Dakwanya, lebih 100 jurutera dan 36 pelatih jurutera meninggalkan MAS dalam masa dua tahun kebelakangan ini manakala 20 anak kapal berhenti kerja setiap bulan. Ini menambahkan kerugian MAS yang telah mengeluarkan biaya besar bagi memberi latihan kepada kakitangannya. Dalam pada itu, tiga individu yang merupakan orang atasan MAS digesa meletak jawatan bagi memberi laluan kepada pihak lebih berwibawa memulihkan MAS iaitu Ketua Pegawai Operasi MAS, Ahmad Jauhari Yahya, Pengarah Kejuruteraan Azhari Dahlan dan Pengarah Sumber Manusia, Zahrah Zaid. Sumber: Yahoo.com / Rem Ramzi / Mynewshub
TOP
Pengalaman Dr. Haron Din Dijemput Masuk Dalam Kaabah
Saya pernah tawaf di Baitullah seorang diri. Pelik tetapi benar. Waktu itu iaitu empat tahun sudah (2001) saya datang ke Mekah, Allah taala lah yang mengaturkannya, saya dapat peluang untuk masuk ke dalam Kaabah. Sebab saya datang atas tetamu tokey yang membuat dan membersihkan Masjidil Haram. Pagi itu saya datang awal. Pengawal keselamatan baru memagar keliling Kaabah dan saya dapat masuk ke dalam pagar itu sebab saya ada Pass VIP. Ketika itu tetamu-tetamu lain tak sampai lagi. Ketika itu lah saya tawaf seorang diri di hadapan Kaabah. Lepas saya habis tawaf baru tetamu-tetamu lain sampai. Ketika itulah saya nampak Hajarul Aswad seterang-seterangnya, ia tidak lagi hitam tetapi sudah kemerah-kemerahan. Bila pintu Kaabah di buka saya orang yang ke tiga masuk ke dalam. Pertama pembuka pintu Kaabah iaitu daripada Bani Syaibah. Pembuka pintu itu sudah tua, dia melatih anaknya yang berumur lebih kurang empat tahun untuk membuka pintu Kaabah itu. Sejarah pintu Kaabah itu, kalau orang yang lain tidak boleh buka. Dia hanya boleh di buka oleh pemegang kunci itu sahaja dari keturunan Bani Syaibah. Bila Nabi meninggalkan Mekah kerana berhijrah ke Madinah, Mekah di kuasai oleh Bani Syaibah. Bani Syaibah ini adalah keturunan yang di amanahkan untuk memegang kunci kaabah sejak turun temurun. Bila nabi balik semula ke Mekah dalam tahun 7 hijiriah, berlaku peperangan pembukaan Mekah, nabi menang dan orang Islam berkuasa ke atas Mekah. Nabi menghantar Sayidina Ali untuk mengambil kunci pintu Kaabah daripada Bani Syaibah. Sayidina Ali pergi ke Bani Syaibah dan rampas kunci tersebut. Bani Syaibah serahkan kunci kepada Sayidina Ali tetapi bila pintu Kaabah nak di buka tak boleh. Sekejap sahaja datang Jibrail kepada Nabi membawa wahyu dari Allah. Al-Quran (An-Nisaa’:58) Mahfumnya “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya” Nabi bagi balik kunci itu kepada Bani Syaibah, walaupun ketika itu Bani Syaibah belum Islam lagi. Rupa-rupanya bila bagi balik, Bani Syaibah kata mesti dia seorang nabi. Kalau dia bukan seorang nabi pasti dia gila kuasa kerana memegang kunci ini adalah satu penghormatan turun temurun. Bila kunci ini dipulangkan balik, ketua Bani Syaibah terbuka hatinya memeluk Islam kemudian semua pengikutnya memeluk Islam sehingga hari ini.
Budak kecil tadi dibawa tangannya untuk pegang kunci oleh bapanya kemudian di buka dan di tolak pintu itu. Saya lihat di depan saya. Berapa besar pintu itu? Berapa tebalnya? Pintu itu dibuat dari Solid Gold beratnya 8 tan. Dia tolak senang sahaja, kemudian kami masuk. Mula-mula sekali saya pergi sembahyang di satu ruang belakang pintu Kaabah yang menghadap ke arah Hajaral Aswad (dari dalam) iaitu di bahagian Multazam. Selama sejam saya berada di dalam Kaabah itu. Di dalam Kaabah itu masih ada lampu yang digunakan pada zaman nabi dahulu. Zaman Kerajaan Umaiyyah ditukar lampu lain seterusnya zaman Kerajaan Abasiyah juga tukar lampu. Apabila lampu di tukar, lampu yang lama di simpan di dalam Kaabah. Berpuluh-puluh atau mungkin beratus-ratus lampu lama ada disimpan di dalam itu.
Sumber: perjuanganku.wordpress.com
TOP
Pengerusi Banel Bantahan PKR Bidas Pemimpin Kemaruk Kuasa
PETALING JAYA: Pengerusi Panel Bantahan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Abd Malek Hussin membidas sikap segelintir pemimpin dan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sanggup melakukan apa sahaja bagi mendapatkan kuasa. Walaupun tidak menyebut secara spesifik pemimpin tertentu, Abd Malek turut membayangkan seolah-olah budaya politik wang turut diamalkan pemimpin parti berkenaan. "Jika perlu bertindak hadapi mereka yang merasuah membeli undi, pasti akan aku lakukan. Aku Malek Hussin. I will fight you!
"Memang sial siapa jua yang menabur duit beli undi nak jadi pemimpin. Kalau dia menang, jenis ini akan jadi makhluk perosak penipu rakyat," kata Abd Malek menerusi akaun Twitter miliknya. Selain itu Abd Malek juga berterusan mengutuk sikap segelintir pemimpin dan ahli PKR yang gagal memahami maksud keadilan yang sebenar seperti yang diperjuangkan mereka. Menurut beliau sepanjang mengendalikan proses pendengaran bantahan, kebanyakan yang terlibat hanya membuat tuduhan liar tanpa mengemukakan bukti kukuh. "Cakap bergegar bicarakan keadilan. Tapi bila kena batang hidung sendiri? Mana keadilan? Jangan cakap sahaja. Buktikan! "Mengadu menuduh seseorang senang, tapi mesti buktikan dengan asas yang kukuh lagi berfakta. Lebih penting mesti beri peluang orang lain bela diri," katanya. Tegas Abd Malek, beliau akan memastikan proses pemilihan PKR dilaksanakan dengan telus dan akan mengambil tindakan tanpa mengira jawatan atau kedudukan pelaku yang didapati bersalah. "Bila aku adili kes dalam pendengaran, aku tak kisah siapa depan aku. Peduli apa aku dia YB (Yang Berhormat), Exco apa bala. Kalau tak betul, tetap tak betul. "Fedap (fed up) betul dengan manusia jenis kemaruk. Dia sahaja yang putih seputih-putihnya. Lawannya hitam sehitam-hitamnya. Macamlah kita tak tahu kisah sebenar!" katanya. Sumber: mStar
TOP
‘Rumah’ Rahsia Tersembunyi Dalam Parit Di Singapura
Seorang lelaki terkejut apabila menemui satu bahagian yang diubahsuai seperti sebuah rumah lengkap dengan dua tempat tidur, tempat mandi dan juga kawasan membasuh pakaian. Semuanya berlaku di dalam sebuah parit di bawah jambatan di Jalan Bukit Panjang di Singapura. Menurut laporan laman web The New Paper, kawasan itu ditemui oleh seorang jurutera teknologi maklumat berusia 43 tahun yang pada mulanya mengesan sesuatu yang mencurigakan. Dia sebelum itu melihat seorang lelaki keluar dari dalam kawasan parit itu. Menurut laporan di portal Stomp pula, lelaki itu yang hanya ingin dikenali sebagai Leon, masuk ke dalam parit itu dengan sebuah lampu suluh dan hanya memakai selipar. Selepas berjalan kaki sejauh kira-kira 600 meter, dia menemui dua buah katil dipasang pada ketinggian 2 meter bagi memastikan penghuni bahagian itu tidak basah terkena air di dalam parit berkenaan. The New Paper turut pergi meninjau lokasi itu dan mereka kemudiannya menemui kira-kira 50 helai baju yang digantung kemas, kebanyakannya milik seorang lelaki dan juga kira-kira 10 pasang kasut turut ditemui. Empat berus gigi yang bersih turut ditemui selain beberapa barangan kanak-kanak seperti beg sekolah, sepasang kasut wanita berkemungkinan milik satu keluarga yang tinggal di dalam parit itu. Turut ada tergantung kemas, sebuah gitar, bola sepak, dan beberapa permainan plastik. Kawasan itu bukan sahaja menjadi kebimbangan kepada Leon tetapi juga kepada beberapa orang lagi penduduk berhampiran Bukit Panjang. Parit itu berpunca dari satu kolam takungan air ke kolam Pang Sua di bukit itu. Tidak diketahui berapa lama penghuni parit itu sudah pun tinggal di sana. Menurut jurucakap polis, pihaknya sudah pun menerima satu laporan polis dan kini sedang menyiasat perkara itu.
TOP
Pembantu Rumah Fasha Sandha Dipenjara Kerana Mencuri
Fasha Sandha bersama suami Rizal Ashram Ramli atau Jejai
SHAH ALAM – Dua pembantu rumah pelakon, Fasha Sandha dijatuhi hukuman penjara enam bulan kerana mencuri wang suaminya, Rizal Ashram di rumahnya, di Duta Suria, Ampang, lapor sebuah portal berita. Nilawati, 39 dan Sri Maniami, 35 masing-masing dari Indonesia mengaku bersalah mencuri wang tunai dalam bentuk Ringgit Malaysia dan Rupiah Indonesia di rumah majikannya. Kejadian itu berlaku sekitar 9.45 malam pada 12 Mac lalu. Fakta kes menyebut pada hari kejadian, Rizal diberitahu pembantu peribadinya bahawa jirannya menyedari rumahnya ditinggal tidak berkunci dan kedua-dua pembantu rumahnya telah hilang. Ketika ditahan, polis menemui wang tunai RM200 pada kedua-duanya pembantu rumah itu. Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam itu merayu agar hukuman diringankan dan berkata wang itu diambil untuk pulang ke kampung bagi menyambut Ramadan bersama keluarga. Majistret Zulyana Zollkapli menjatuhkan hukuman penjara enam bulan kepada kedua-duanya. Sumber: Sinar Online
TOP
Kes rogol: Jangan hanya fikir nikmat
SHAH ALAM- "Jangan fikirkan kenikmatan sahaja. Seeloknya, fikir keburukan terlebih dahulu sebelum kamu melakukan perkara tersebut," kata Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Halim Aman kepada seorang penghantar surat sebuah syarikat insurans yang melakukan kesalahan rogol terhadap gadis bawah umur, tiga tahun lalu. Menurut hakim, usia yang muda bukan menjadi faktor untuk lelaki itu melakukan perbuatan perbuatan itu. "Pada waktu kejadian, kamu berusia 19 tahun dan mampu berfikir lebih jauh terhadap kesan perbuatan yang dilakukan itu," katanya. Bagaimanapun, mahkamah mengurangkan hukuman penjara daripada 10 tahun kepada sembilan tahun atas kesalahan merogol gadis bawah umur. Keputusan itu dibuat selepas mahkamah membenarkan rayuan Umar Abdullah Shani, 23, terhadap sabitan dan hukuman yang dikenakan ke atasnya. Mahkamah juga turut mengurangkan jumlah sebatan daripada tiga kepada satu sebatan. Umar dalam kandang pesalah kelihatan tunduk sewaktu Abdul Halim memberi nasihat kepadanya. Dia didakwa merogol seorang pelajar tingkatan empat yang pada ketika itu berusia 15 tahun di sebuah rumah di Taman Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor. Perbuatan itu didakwa dilakukan jam 11 pagi pada 20 September 2011. Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aidatul Azura Zainal Abidin mengikut Seksyen 375 (g) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan. Tertuduh diwakili peguam, Muhammad Hidhir Mustapa. Sebelum ini, pada 8 April 2013, mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman 10 tahun penjara dan tiga sebatan selepas tertuduh didapati bersalah terhadap pertuduhan tersebut. Sumber: Sinar Online
TOP
Ibu Sebat Suspek Perogol Anaknya Berhadapan Tindakan – Polis
KOTA BAHRU – Ibu kepada kanak-kanak berusia 13 tahun yang mendakwa mendakwa anaknya dirogol boleh didakwa selepas rakaman video menunjukkan wanita itu melakukan sebatan terhadap seorang lelaki yang dipercayai telah merogol anak perempuannya. Suspek yang berusia 30-an tahun telah disebat dengan alat yang kelihatan seperti ranting pokok atau rotan. Rakaman video 37 saat itu menunjukkan tangan dan kaki suspek diikat, dan punggungnya terdedah di hadapan orang ramai di Pantai Seri Tujuh, Tumpat, Kelantan pada hari Khamis, kira-kira pukul 5 petang. Dia adalah seorang daripada dua lelaki yang dipercayai terlibat merogol gadis terbabit. Kes itu bagaimanapun tidak berkaitan dengan kes rogol kanak-kanak yang didakwa dilakukan oleh lebih 30 lelaki di Ketereh, Kelantan. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Komisioner Lai Yong Heng berkata polis memiliki rakaman video tersebut dan berada dalam proses mengenal pasti mereka yang terlibat dalam kejadian itu. “Lelaki dalam klip video itu dimasukkan ke hospital kerana terdapat darah beku di kepalanya. Tetapi dia telah dibenarkan keluar dari hospital. “Polis akan menangkap mereka yang terlibat dalam kes ini dan mereka mungkin didakwa di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah,” kata ACP Lai ketika dihubungi, Jumaat. Beliau juga memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak meletakkan undang-undang di tangan mereka walaupun percaya bahawa mereka mempunyai hak untuk berbuat demikian. “Orang ramai perlu menyerahkan perkara-perkara tersebut kepada pihak polis. “Wanita itu dan mereka yang terlibat dalam kes ini akan didakwa di mahkamah untuk disoal siasat. “Saya menggesa kepada mereka yang terlibat dalam video itu untuk menyerah diri sebelum mereka ditangkap oleh polis,” katanya.
TOP
Presiden China mahu kerjasama hingga jumpa MH370
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bertemu dengan Cina Presiden Xi Jinping di Diaoyutai Negeri Guesthouse di Beijing hari ini. - Foto Bernama
BEIJING - CHINA. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini bertemu Presiden China Xi Jinping di Rumah Tetamu Negara Diaoyutai di sini. Najib dan Jinping, yang diiringi beberapa menteri, mengadakan mesyuarat dua hala kira-kira sejam menyentuh pencapaian dan kemajuan kedua-dua negara sejak menjalin hubungan diplomatik 40 tahun lepas serta hala tuju masing-masing pada masa depan. Dalam ucapan pembukaan, Jinping meluahkan penghargaan di atas sambutan mesra yang diterima beliau ketika melawat Malaysia Oktober lepas dan menyampaikan sembah takzim kepada Yang diPertuan Agong, Sultan Halim Muadzam Shah. Jinping turut menyentuh tragedi MH370 dan berkata China akan terus membantu Malaysia dalam misi pencarian pesawat malang itu, yang hilang pada 8 Mac lepas bersama-sama 239 penumpang dan anak kapal, termasuk 154 warga China. "Kami harap kerjasama ini akan berterusan sehingga pesawat itu ditemui," katanya. Najib, yang tiba di China pada Selasa, berkata beliau tidak sabar untuk melakukan lawatan itu kerana ia mengimbas kembali kunjungan bersejarah bapanya, Tun Abdul Razak, yang juga Perdana Menteri Kedua Malaysia, ke Beijing 40 tahun lepas. "Saya sudah lama menantikan lawatan ini kerana ia memperingati ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik. Saya harap lawatan ini akan memperkukuhkan lagi hubungan kedua-dua negara," katanya. Pada 1974, Allahyarham Tun Abdul Razak memulakan satu era bersejarah apabila beliau menjalin hubungan dua hala dengan China, ketika negara itu masih mengamalkan dasar tertutup kepada sebahagian besar dunia. Malaysia adalah negara Asean pertama yang menjalin hubungan diplomatik dengan China sewaktu era Perang Dingin pada 1960-an dan 1970-an. Najib turut memberi jaminan bahawa Malaysia akan meneruskan usaha mencari pesawat MH370 dengan bantuan China, Australia dan negara lain. Turut hadir Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman; Duta Khas Perdana Menteri ke China Tan Sri Ong Ka Ting; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed; Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Haron serta Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai. Sumber: Bernama
TOP
Dua Wanita Diculik Di Sabah Berjaya Dibebaskan – PM
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang diberi taklimat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), memaklumkan bahawa dua wanita yang diculik dari sebuah resort di Sabah pada April lalu berjaya diselamatkan oleh pihak berkuasa negara ini. Perkara itu dimaklumkan oleh Najib menerusi posting terbarunya di laman Twitter beliau @NajibRazak, sebentar tadi. “Kita sedang mengambil langkah-langkah wajar untuk menghantar tebusan warga China itu pulang ke negara asal mereka dengan segera,” katanya. Najib berkata, tiada wang tebusan dibayar bagi membebaskan mereka dan kejayaan pembebasan mereka itu berdasarkan kerjasama pasukan keselamatan Malaysia dan Filipina. “Saya berterima kasih kepada semua yang terlibat,” katanya. Dua wanita yang diculik ialah Gao Huayuan warga China dan Marcy Dayawan dari Filipina. Sumber: BH Online
TOP
Tukar Hak Milik Kenderaan Guna Biometrik Mulai 1 Jun
PUTRAJAYA – Berkuatkuasa 1 Jun ini, semua urusan pertukaran hak milik kenderaan hanya boleh dilakukan melalui sistem pengesahan biometrik. Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Ismail Ahmad berkata sistem itu diperkenalkan secara berperingkat mulai 1 April lepas. Beliau berkata kaedah itu memudahkan pemilik lama dan baharu dengan mereka tidak perlu hadir serentak di kaunter bagi membuat pengesahan biometrik. “Pemilik berdaftar dan pemilik baharu boleh hadir di mana-mana kaunter JPJ berdekatan secara berasingan dengan syarat pengesahan itu perlu dibuat dalam tempoh tujuh hari,” katanya. Kaedah baharu itu selaras dengan program transformasi JPJ di bawah pelaksanaan sistem mySIKAP. Ismail berkata sistem baru itu dapat mengelak berlakunya pertukaran hak milik kenderaan tanpa diketahui pemilik asal dan mengurangkan peranan orang ketiga. Selain itu, pertukaran hak milik kenderaan juga boleh dilakukan secara dalam talian mulai 1 Jun ini. “Tetapi sebelum itu, pengguna perlu hadir ke kaunter JPJ untuk mendapatkan nombor ID serta membuat pengesahan biometrik. “Nombor ID itu kemudian boleh digunakan untuk urusan lain JPJ,” jelas beliau. Sumber: Bernama
Labels:
Berita Terkini
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment