Sunday, May 18, 2014

Berita Terkini 18 May 2014

Woman in bikinis seen washing cars in freezing weather

By: Debbi Gross (Scroll down for video) Women are lining up to get a job at a bikini car wash, while men are lining up to get their cars washed just to see the women in action. Race car driver Fang Zhao-ze from Kaohsiung, Taiwan, opened a car wash where girls wash cars in bikinis, even when it is cold outside. Zhao-ze said that he gets about 20 applicants a day for the job. He chooses the women by their breast size and looks. The women who work for him, must be at least 5 feet 4 inches tall, and their bra cup size must be at least size D. The women work for 6 hours a day, six days a week. Zhao-ze pays his employees more than other car wash shops do. He pays the women $1,988 per month, while other car wash shops pay $860 a month. Even though the pay is good, many women still say they would not stand in the cold for hours in a bikini for a few extra dollars.



Ops Cantas Khas pantau judi semasa PRK
Mohd Bakri Zinin
Mohd Bakri Zinin
GEORGETOWN - Polis menubuhkan pasukan Ops Cantas Khas untuk memantau aktiviti perjudian sepanjang pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Zinin. Beliau berkata, kegiatan pertaruhan 'siapa yang akan menang' pada pilihan raya pernah berlaku dan polis sentiasa memantau keadaan itu. "Kami memantau setiap apa yang berlaku semasa pilihan raya dan satu daripada pengalaman kami dahulu ialah perkara sedemikian rupa (perjudian bertaruh siapa yang menang). "Sekiranya ada bukti yang nyata kami akan membuat serbuan-serbuan tertentu," katanya kepada pemberita selepas taklimat pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor, di sini hari ini. Sementara itu Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi pada sidang akhbar sama, berkata lapan laporan polis berhubung pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor diterima setakat ini dan dua kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 24A (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. "Dua kertas siasatan yang dibuka membabitkan kes perkauman dan kes parti membawa alat muzik semasa proses penamaan calon," katanya. Abdul Rahim berkata perjalanan kempen pilihan raya kecil itu terkawal dan berjalan lancar serta tiada insiden tidak diingini berlaku sehingga kini. Ditanya mengenai pelekat cukai jalan tamat tempoh pada jip yang digunakan DAP untuk berkempen, Abdul Rahim berkata polis belum menerima laporan berhubung perkara itu. "Kami dapat laporan mengenai perkara ini menerusi blog sahaja. kami tak dapat laporan, kalau kami dapat kesan, kami akan saman. Setakat ini kami tak nampak yang mereka menggunakan roadtax yang tamat tempoh," katanya. Jip kepunyaan mendiang Karpal Singh itu menjadi perhatian ramai kerana cukai jalannya sudah tamat tempoh iaitu pada 24 Mac 2014. - Bernama

35 warga Filipina ditahan dalam Ops Gasak 10
LAHAD DATU - Dalam Ops Gasak 10 yang dilancarkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) semalam, sebanyak 35 pekerja warga Filipina termasuk 16 wanita ditahan kerana tidak memiliki dokumen sah. Pengarah Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam Esscom, Datuk Abdul Rashid Harun berkata mereka ditahan di lima pusat menternak ikan dalam sangkar di sekitar perairan Lahad Datu. "Hasil pemeriksaan ke atas 70 pekerja asing yang kita lakukan selama dua jam bermula 3 petang, kita dapati 35 orang tidak mempunyai sebarang dokumen. Mereka kemudiannya ditahan dan akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan. Beliau berkata, Ops Gasak 10 dilancarkan susulan insiden penculikan yang membabitkan seorang pengurus ternakan ikan dalam sangkar warga Cina di Pulau Baik dekat sini pada 6 Mei lepas. Ia membabitkan pelbagai agensi keselamatan dan pertahanan termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara. Abdul Rashid berkata pihak Esscom memandang serius kehadiran pendatang asing tanpa izin (Pati) atau pekerja asing yang tidak memiliki sebarang dokumen terutama yang menjadi tali barut kepada penjenayah rentas sempadan. "Gerakan mengesan dan memburu Pati ini membuktikan bahawa kerajaan melalui Esscom serius dalam membendung jenayah rentas sempadan serta menjamin keselamatan rakyat Sabah, khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone)," katanya. Esszone merangkumi 10 daerah yang meliputi kawasan 1,733.7 kilometer iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau. - Bernama

Ops larang merokok dalam kenderaan awam bermula
alt
KUALA LUMPUR - Operasi bersepadu penguatkuasaan larangan merokok dalam kenderaan awam di seluruh negara bermula hari ini dalam usaha memastikan pematuhan larangan itu terutamanya di kalangan para pemandu. Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr LokmanHakim Sulaiman dalam satu kenyataan berkata operasi tersebut melibatkan Kementerian Kesihatan dengan kerjasama pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat. Katanya, objektif utama pelaksanaan operasi itu adalah memastikan pematuhan larangan merokok di dalam kenderaan awam khususnya oleh pemandu kenderaan awam dan penumpang. "Operasi ini juga bertujuan memastikan semua pemilik kenderaan awam mempamerkan tanda larangan merokok dengan jelas di dalam kenderaan awam masing-masing seperti di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004. Semua kenderaan awam merupakan kawasan larangan merokok bertujuan melindungi bukan perokok daripada bahaya asap rokok pasif," katanya. Dr Lokman berkata bagi setiap kesalahan merokok di dalam kenderaan awam boleh dikompaun tidak melebihi RM5,000, didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara maksimum dua tahun. Manakala bagi kegagalan mempamerkan tanda larangan merokok di dalam kenderaan awam, pemilik kenderaan boleh dikompaun tidak melebihi RM1,500, didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara maksimum enam bulan, katanya. Katanya, Kementerian Kesihatan juga akan menguatkuasakan peruntukan baharu di dalam PPKHT (Pindaan) 2013 mengenai larangan menjual, membeli atau memiliki rokok tidak sah. "Peraturan 15 (4A) telah dikuatkuasa pada 1 Januari tahun ini di mana sesiapa yang memiliki rokok tidak sah iaitu tidak dicetak dengan imej amaran kesihatan, mereka boleh dikompaun tidak melebihi RM5,000, denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya," katanya. - Bernama

El Nino: Air dijamin cukup sampai hujung tahun
Dr Ahmad Yunus Hairi
SHAH ALAM - Kerajaan negeri memberi jaminan bekalan air terawat mencukupi sehingga penghujung tahun ini, meskipun negara bakal menghadapi fenomena El Nino yang bermula awal Jun ini. Exco Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, kerajaan negeri akan sentiasa memantau paras air di empangan bagi memastikan bekalan air mencukupi untuk disalurkan kepada pengguna. “Kita meneruskan usaha kita untuk mempertingkatkan paras air. Sekarang ini masih musim hujan dan saya jangka hujan turun berterusan hingga hujung bulan ini. “Kita juga meneruskan pembenihan awan dan ia masih berterusan,” katanya pada sidang media di bangunan Sultan Abdul Aziz Shah (SAAS), semalam. Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini menjangkakan fenomena El Nino atau cuaca kering melanda negara awal bulan Jun dan berlarutan antara enam hingga 18 bulan. Lebih merisaukan orang ramai ialah berkenaan bekalan air khususnya di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya pernah terjejas teruk akibat kekurangan bekalan air mentah. “Seperti yang kita beritahu, kita bersedia menghadapi El Nino termasuklah simpanan kolam takungan mencukupi,” katanya. Ini sekali gus memberi jaminan bahawa catuan air tidak akan berulang memandangkan persediaan dan usaha oleh kerajaan negeri. “Dengan keadaan yang kita ada di empangan, hujan yang berterusan ini dan usaha kita, kita jangkakan bekalan mencukupi. “Setakat ini saya boleh kata bekalan air terawat boleh bertahan sehingga lima ke enam bulan akan datang,” katanya. Beliau dalam pada itu memaklumkan paras air di empangan utama iaitu Empangan Sungai Selangor meningkat pada paras 41.75 peratus setakat pagi semalam berbanding 41.56 peratus 14 Mei lalu dan menjangkakan paras empangan terus meningkat. “Saya juga berharap paras empangan terus meningkat kepada 65 peratus bagi memastikan bekalan air mentah kepada pengguna mencukupi,” katanya lagi.

PM kongsi kisah pelayan berhati mulia
PM kongsi kisah pelayan berhati mulia
Paparan skrin akaun FB milik Perdana Menteri yang turut berkongsi kisah menyentuh hati itu.
SENAI – Kisah pekerja Nasi Ayam Penyet Ria di Plaza Angsana, di sini, yang melayan dan menyuap makanan kepada seorang warga emas orang kurang upaya mendapat perhatian ramai selepas seorang pemilik laman sosial Facebook memuat naik status berhubung perkara itu kelmarin dan berkongsi pengalamannya melihat pelayan berhati mulia itu. Artikel berkenaan turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tersentuh serta meminta orang ramai berkongsi tentangnya selain disukai (like) lebih 10,469 individu dan 295 komen sehingga jam 5 petang. Selain itu, laman Sinar Harian Online turut menjadi kesukaan seramai 4,348 individu selain menerima 216 komen masyarakat prihatin dengan artikel berkenaan sehingga jam 6 petang semalam. Antara reaksi positif diterima laman Sinar Harian Online termasuklah mendoakan rezeki mereka dan rata-rata pembaca setia pula terharu sehingga ada yang menangis selain memuji -muji sikap pekerja itu.

Budak 2 tahun maut kereta dinaiki langgar kerbau
KUANTAN - Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut selepas kereta yang dinaiki bersama-sama tujuh anggota keluarganya melanggar seekor kerbau di Kilometer 25 Jalan Belimbing-Maran dekat Paloh Hinai, Pekan semalam. Mangsa yang terbunuh ialah Syed Mohd Qawi Syed Mohd Haika manakala ibunya, Rafidah Hashim, 38, dan nenek, Zabedah Dahan, 66, cedera parah. Ketua Polis Daerah Pekan Superintenden Yahaya Othman berkata, dalam insiden pukul 7.30 malam itu, bapa mangsa, Syed Mohd Haika Syed Abd Wahab, 39, memandukereta berkenaan untuk pulang ke rumah mereka di Kampung Serekam dekat Maran dari Paloh Hinai. "Di tempat kejadian, dipercayai kereta yang dinaiki mangsa telah terlanggar seekor kerbau yang berada di atas jalan. "Akibat itu, mangsa yang berada di tempat duduk penumpang hadapan bersama ibunya mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Klinik Kesihatan Maran," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. Beliau berkata, Syed Mohd Haika dan tiga lagi anaknya, iaitu Syed Muhd Qhayyum, 10, Sharifah Nurnillahi Kasheefah, 7, dan Sharifah Nurkhaleeda, 5, tidak mengalami sebarang kecederaan. Katanya, siasatan awal mendapati ketika kejadian hujan renyai dan cuaca di kawasan itu gelap berikutan tiada lampu jalan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41( 1 ) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama

Lelaki maut terjatuh dari tingkat empat hotel
ALOR SETAR - Seorang lelaki maut dipercayai terjatuh dari tingkat empat sebuah hotel di Bandar Baru Mergong di sini hari ini. Dalam kejadian kira-kira 1.30 petang itu, mangsa Wong Wei Liong, 29, yang berasal dari Tampin, Negeri Sembilan mengalami kecederaan parah di kepala. Seorang saksi berkata kejadian itu disedari orang ramai yang menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dan cedera parah di kepala. Terdapat sebuah beg yang mengandungi beberapa helai pakaian berhampiran mangsa. Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata menurut pihak hotel berkenaan, mangsa tidak menginap di hotel itu. - Bernama

BNM: OPR mungkin perlu diselaras
 Zeti Akhtar Aziz
Dr Zeti Akhtar Aziz
KUALA LUMPUR - Tahap dasar monetari yang akomodatif atau kadar dasar semalaman (OPR) mungkin perlu diselaraskan setelah terdapatnya tanda-tanda ketidakseimbangan kewangan dan ekonomi yang berterusan, demikian menurut Bank Negara Malaysia (BNM). "Perkara ini akan dibincangkan pada mesyuarat bulanan jawatankuasa dasar dan kami akan memantau perkembangan ini dengan teliti," kata Gabenor BNM Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz kepada pemberita selepas mengumumkan perkembangan ekonomi dan kewangan Malaysia pada suku pertama 2014 di sini hari ini. Zeti berkata bank pusat akan melihat dasar yang optimum untuk dilaksanakan bagi menangani isu ini. "Kami mahu membuat jangkaan dan mengambil langkah awal daripada menunggu untuk satu lagi ketidakseimbangan," katanya. Bagi suku pertama, OPR dikekalkan pada 3.00 peratus dan keadaan monetari terus menyokong aktiviti ekonomi. Kadar antara bank tiga bulan lebih tinggi pada suku berkenaan berikutan ketiadaan dagangan dengan BNM pada tempoh tiga bulan akibat daripada pengurangan tempoh maksimum julat lelong matang BNM daripada tiga bulan kepada dua bulan. Kadar purata antara bank bagi tempoh matang lain secara relatifnya kekal stabil manakala kadar deposit runcit stabil dalam tempoh tersebut. Bank pusat itu juga menyatakan bahawa purata kadar deposit tetap disebut harga bank perdagangan secara relatif tidak berubah dengan kos pinjaman yang stabil dan purata kadar pinjaman asas. - Bernama

Pertumbuhan KDNK lebih kukuh
Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz
Dr Zeti Akhtar Aziz
KELUARAN Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatat pertumbuhan lebih kukuh sebanyak 6.2 peratus kepada RM256.9 bilion untuk suku pertama tahun ini, iaitu lebih tinggi berbanding 5.1 peratus pada suku keempat 2013. Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, peningkatan pertumbuhan tersebut didorong oleh permintaan dalam negara yang lebih kukuh dan eksport bersih yang kembali pulih. “Berdasarkan pertumbuhan KDNK yang menggalakkan bagi suku pertama tahun ini, BNM optimis mengekalkan unjuran pertumbuhan sebanyak 5 hingga 5.5 peratus sepanjang tahun bagi semua sektor. “Dari segi penawaran, sektor ekonomi utama terus berkembang disokong oleh aktiviti dalam negara dan juga perdagangan," katanya pada sidang media pengumuman Prestasi Ekonomi Suku Pertama 2014 di Kuala Lumpur, semalam. Beliau berkata, pertumbuhan penggunaan swasta kekal kukuh pada 7.1 peratus manakala penggunaan awam turut meningkat kepada 11.2 peratus mencerminkan perbelanjaan kerajaan yang lebih tinggi untuk bekalan dan perkhidmatan. Sementara itu, kadar inflasi meningkat pada kadar purata 3.4 peratus pada suku pertama 2014 disebabkan inflasi yang lebih tinggi dalam kategori perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain serta pengangkutan. Rizab antarabangsa BNM pula berjumlah RM424.6 bilion pada 31 Mac 2014. Dalam pada itu, Malaysia telah mendefinisikan semula hutang luar negaranya berkuat kuasa pada suku pertama 2014. Menurut Zeti, langkah itu diambil berikutan kemajuan ketara dalam pasaran kewangan negara yang telah menghasilkan penyertaan pelabur luar bukan pemastautin yang lebih tinggi dalam sekuriti hutang domestik dengan denominasi ringgit sejak beberapa tahun kebelakangan ini. “Susulan definisi semula ini, pemegangan sekuriti hutang dalam denominasi ringgit oleh bukan pemastautin, deposit bukan pemastautin, kredit perdagangan yang diberikan oleh rakan-rakan perdagangan asing dan liabiliti hutang lain, kini dimansuhkan sebagai sebahagian daripada hutang luar negara Malaysia,” katanya.

Ini kubur aku, itu kubur engkau..
‘Ini kubur aku, itu kubur engkau...’
Ketiga-tiga mangsa dikebumikan dalam satu liang lahad di tanah perkuburan Islam Felda Palong 13, semalam.
JEMPOL - Ini kubur aku, itu kubur engkau... "Itu antara ayat gurauan mereka ketika sibuk membersihkan kubur. Namun, kami tidak sangka gurauan itu menjadi kenyataan,” kata Jumari Jamalludin, 29, abang salah seorang daripada tiga mangsa kemalangan yang maut dekat sini, kelmarin. Menurut Jumari, mangsa bergurau memilih kubur masing-masing ketika gotong-royong membersihkan kawasan tanah perkuburan Islam Felda Palong 13, anjuran belia kawasan berkenaan pada waktu petang sebelum kejadian. Muhammad Faizal Jamalludin, 14, Mohamad Aflin Norirfan Md Jani, 15 dan Muhammad Syahreedzwan Mohmad Abdullah, 17, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Klinik Kesihatan Felda Palong Sembilan. Seorang lagi rakan mereka, Mohd Mois Ikmal Mohd Nasir, 16, cedera parah dan dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah. Jumari, abang ketiga Muhammad Faizal berkata, adiknya bersama dua lagi rakannya itu sememangnya berkawan rapat sejak kecil walaupun umur mereka berbeza. “Mereka memilih satu kawasan lapang dekat dengan pokok di tanah perkuburan terbabit sambil menunjukkan lokasi kubur tempat mereka bakal dikebumikan kelak,” katanya. Menurut abang kedua Muhammad Faizal, Rosdi, 31, dan ibu mereka, Asiah Roslan, 46, adik bongsu daripada lima beradik itu, tidak banyak bercakap seminggu sebelum kejadian. “Adik memang seorang yang ceria dan periang, cuma sejak seminggu lalu dia lebih banyak mendiamkan diri. "Petang sebelum insiden juga, adik bersama dua rakannya itu kelihatan gembira sambil membawa motosikal dengan gerabak pembawa sawit, mengelilingi kawasan kampung,” katanya. Difahamkan, semua mangsa yang maut merupakan anak bongsu dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Palong 11. Jenazah ketiga-tiga mangsa dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Felda Palong 13. Ketua Polis Daerah, Superintendan Hamzah Alias berkata, ketika kejadian jam 9.30 malam, semua mangsa menaiki motosikal secara berasingan. “Tiga motosikal yang dinaiki kesemua mangsa datang dari arah jalan Felda Palong 16, manakala sebuah lagi motosikal yang dinaiki oleh Muhammad Faizal datang dari laluan bertentangan. Tiba di tempat kejadian kenderaan dinaiki semua mangsa bertembung antara satu sama lain. “Akibatnya, tiga mangsa maut ketika mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Felda Palong Sembilan, dan seorang lagi cedera parah. Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Jempol untuk dibedah siasat sebelum dituntut oleh keluarga masing-masing," katanya.

PM hadiri majlis persandingan anak Ahmad Said
PM hadiri majlis persandingan anak Ahmad Said
KEMAMAN - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menghadiri majlis persandingan anak bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said di kediamannya di Teluk Kalong di sini hari ini. Turut memeriahkan majlis itu ialah Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh. Majlis itu diadakan untuk meraikan perkahwinan anak perempuan Ahmad, Nor Ashahirah, 27, dengan pasangannya Mohd Syahirpaul Redzuan Musa, 28, yang selamat diijabkabul pada 9 Mei lepas. Lebih 10,000 tetamu termasuk para kenamaan hadir ke majlis persandingan tersebut yang bermula pada jam 10 pagi. Khamis lepas, perdana menteri menyatakan hasrat beliau untuk hadir ke majlis persandingan anak kedua Ahmad sebelum berlepas ke Emiriah Arab Bersatu untuk melakukan lawatan rasmi tiga hari atas jemputan Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan. - Bernama

Anak Ahmad Said terharu kehadiran tetamu
Anak Ahmad Said terharu kehadiran tetamu
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (kiri) menapung tawar pengantin, Nor Ashahirah Ahmad dan pasangannya Mohd Syahirpaul Redzuan Musa sewaktu menghadiri majlis perkahwinan anak bekas Menteri Besar Terengganu itu di Teluk Kalong di Kemaman, hari ini. - Foto Bernama
KEMAMAN - Nor Ashahirah, anak perempuan bekas Menteri Besar terengganu Datuk seri Ahmad Said dan pasangannya, Mohd Syahirpaul Redzuan Musa, 28, terharu dengan sambutan lebih 10,000 tetamu yang hadir pada majlis persandingan mereka. Walaupun bapanya tidak lagi bergelar Menteri Besar selain diselubungi dengan kontroversi yang berlaku, namun orang ramai dari pelbagai lapisan masyarakat masih hadir meraikan pasangan mempelai itu. Perasaan itu lebih memunjak dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Turut memeriahkan majlis itu ialah Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh. Pasangan mempelai itu, ketika ditemui Bernama, melahirkan rasa syukur selepas majlis persandingan mereka berjalan lancar biarpun berdepan konflik politik yang membabitkan bapanya. Nor Ashahirah, 27, yang merupakan anak kedua kepada Ahmad berkata konflik yang tercetus itu sedikit pun tidak merencatkan majlis mereka. Beliau mengakui agak terkejut dengan konflik yang tercetus itu ketika majlis persandingannya yang akan berlangsung kurang dari seminggu. Menurutnya, itu adalah adat resam yang perlu dilalui dan diterima dengan tenang. "Alhamdulillah majlis dah selesai dan bersyukur majlis yang berlangsung di kediaman kami di Telok Kalong di sini selesai dan meriah dengan kehadiran sanak-saudara dan tetamu termasuk perdana menteri. "Walaupun perdana menteri padat dengan urusan sebagai pemimpin tertinggi namun masih meluangkan masa menghadiri hari berbahagia kami dan kami tak mahu ingat lagi benda yang sudah berlalu," katanya. Beliau berkata: "Banyak perkara yang perlu kami pelajari dalam kehidupan berumahtangga ini dan sebaiknya kami mahu hari-hari seterusnya dijalani dengan rasa kegembiraan." Katanya saat inilah yang dinantikan oleh mereka sekeluarga dengan status bapanya kini yang bukan lagi menteri besar supaya dapat meluangkan masa lebih banyak bersama bapanya itu. "Hampir 23 tahun saya menunggu detik ini dan kini saya harap ayah saya mempuyai lebih banyak masa bersama keluarga selepas menceburi bidang politik sejak berusia 19 tahun," katanya. Nor Ashahirah berkata, dengan kemelut dan kontroversi yang melanda bapanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kijal, beliau dan adik beradiknya yang lain turut merancang untuk membawa bapa serta ibu mereka untuk melancong ke luar negara. Pada hari ini, lebih 10,000 tetamu termasuk para kenamaan hadir ke majlis persandingan tersebut yang bermula pada jam 10 pagi. Nor Ashahirah dan pasangannya selamat diijabkabul pada 9 Mei lepas. Majlis persandingan di Teluk Kalong itu adalah majlis yang kedua diadakan selepas majlis pertama di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI) di Kuala Terengganu pada 10 Mei lalu, yang turut menyaksikan keberangkatan tiba Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah. - Bernama

Warga Bangladesh maut tertimbus tanah runtuh
Tanah runtuh Sungai Buluh
Pemandangan sekitar kawasan tanah runtuh yang memusnahkan kilang perabot di Kampung Baru Subang di Subang, hari ini. Seorang pekerja lelaki warga Bangladesh maut dalam kejadian tersebut dan punca kejadian masih disiasat. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Seorang pekerja gudang perabot warga Bangladesh ditemui mati tertimbus dalam kejadian tanah runtuh dipercayai akibat hujan lebat di Jalan Kampung Baru, Sungai Buloh dekat sini pagi tadi. Timbalan Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harun berkata dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Abul Kassim, 43, tertimbus sedalam satu meter di bawah timbunan dinding zink, akibat gudang itu ditimbusi tanah yang runtuh itu. Gudang perabot berkenaan terletak berhampiran kawasan bukit. "Semasa kejadian mangsa dipercayai sedang berada di dalam tandas di gudang itu. Dia dipercayai mati akibat kesukaran bernafas dan mayatnya dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat," katanya. Mohd Sani berkata pihaknya yang menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 10.43 pagi mengambil masa lebih daripada tiga jam untuk mengeluarkan mayat mangsa dari timbunan. - Bernama

500,000 pemohon dalam pangkalan data JobsMalaysia
JobsMalaysia
GEORGETOWN - Seramai 101,000 daripada sejumlah 500,000 pemohon kerja dalam pangkalan data JobsMalaysia di seluruh negara sudah diambil bekerja dalam pelbagai sektor awam dan swasta, kata Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semanjung Malaysia (Pusat JobsMalaysia), Mohd Asri Abdul Wahab. Beliau berkata, 50 peratus daripada pemohon kerja terdiri daripada graduan dan lepasan sekolah manakala selebihnya mereka yang sudah bekerja namun ingin memperbaiki taraf kehidupan. "Kami menyasarkan untuk memberi penempatan kerja kepada 220,000 pemohon menjelang akhir tahun ini melibatkan individu berumur antara 20-an dan 40-an," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Pekerjaan Azam Kerja 1Malaysia di Penang Times Square hari ini. Mohd Asri turut meminta majikan bersikap lebih terbuka dan 'mesra pencari kerja' dalam menggajikan pekerja baharu. "Segelintir majikan suka 'peram' resume calon... jangan terlalu menyulitkan keadaan, tidak salah menetapkan spesifikasi atau kelayakan tertentu tetapi berilah peluang kepada pekerja baharu masuk industri," katanya. Dalam perkembangan lain, Mohd Asri berkata JobsMalaysia kini mempromosi pengambilan pesara awam dalam karnival kerjaya anjuran jabatan itu sebagai inisiatif menyokong program Sokongan Pesara Perkhidmatan Awam 1Malaysia Civil (1MCSRS) bagi memberi peluang golongan itu bekerja semula. "Kami menyediakan kaunter khas bermula awal bulan lepas kepada pesara untuk membuat permohonan dan akan meneliti penempatan kerja dalam bidang bersesuaian dengan keupayaan mereka," katanya. Pada karnival dua hari berakhir esok, sebanyak 50 syarikat menawarkan 3,543 kekosongan jawatan dalam pelbagai kategori perjawatan yang berdaftar dengan Jabatan Tenaga Kerja. - Bernama

Ambil tindakan terhadap peniaga cermin gelap
Tan Sri Lee Lam Thye
KUALA LUMPUR - Aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye hari ini menyarankan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) agar mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang menjual produk cermin gelap menyalahi spesifikasi ditetapkan oleh agensi itu. Ini kerana kata Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia itu ada peniaga yang menipu pelanggan dengan mendakwa produk mereka diluluskan oleh JPJ. Tindakan penguatkuasaan perlu dibuat secara menyeluruh, bukan sahaja terhadap pengguna tetapi juga kepada pembekal dan peniaga, katanya ketika dihubungi Bernama, di sini. Selain itu, Lam Thye berkata siasatan juga perlu dilakukan ke atas kereta import terpakai yang telah siap dipasang cermin gelap dan lulus pemeriksaan Pusat Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk tujuan pendaftaran. Bagaimana kenderaan ini boleh diluluskan jika cermin gelap yang dipasang itu melanggar undang-undang, katanya. Lam Thye turut menyambut baik tempoh sehingga 15 Jun yang diberi oleh JPJ kepada pemilik kenderaan bagi menukar cermin gelap kepada yang mematuhi spesifikasi. Pemasangan cermin gelap bukan satu-satunya penyelesaian untuk mengekang haba kerana sekarang terdapat banyak produk plastik kalis haba yang lut sinar dan diluluskan oleh JPJ, katanya. Beliau turut menyarankan pihak berkuasa menjalankan operasi terhadap kenderaan yang menggunakan lampu hadapan tidak mengikut spesifikasi sehingga membahayakan pengguna lain. Ada kenderaan yang mempunyai lampu hadapan terlalu terang sehingga menyebabkan silau pemandu lain, katanya. Beliau juga meminta pihak berkuasa memantau penggunaan lampu mata arah oleh pihak tertentu untuk mengelirukan pengguna jalan raya yang memberi laluan kerana menyangkakan kenderaan polis. - Bernama

Gerakan militan tidak diberi peluang ancam negara
Khalid Abu Bakar
Khalid Abu Bakar. - Foto Bernama
ARAU - Gerakan militan di Malaysia tidak akan diberi ruang atau peluang untuk mengancam keselamatan negara, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar. Beliau berkata polis tidak akan membiarkan sebarang elemen atau apa sahaja yang boleh dikaitkan dengan gerakan pengganas untuk bertapak dan berkembang di sini. "Insya-Allah kita sentiasa buka mata seluas-luasnya kerana menjadi tugas serta tanggungjawab kita untuk memantau sepanjang masa aktiviti rakyat dan warga asing yang mungkin mempunyai elemen gerakan pengganas. "Saya hendak ingatkan dan memberi amaran apa sahaja ancaman mereka terhadap keselamatan negara tidak akan dibenarkan, dan mereka juga tidak akan terlepas daripada jaringan kami. "Kita juga sentiasa berusaha keras membanteras gerakan militan dari awal supaya mereka tidak berpeluang bertindak," katanya kepada pemberita ketika mengulas perkembangan gerakan militan di Malaysia. Beliau ditemui di Istana Arau selepas menerima anugerah Darjah Seri Paduka Mahkota Perlis (SPMP) yang membawa gelaran 'Datuk Seri' daripada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bersempena sambutan ulang tahun ke-71 keputeraan baginda hari ini. Khalid juga berkata sebarang maklumat terkini, termasuk usaha yang dijalankan dan cara polis bekerja, tidak boleh didedahkan agar risikan tidak terjejas. "Biarlah ini menjadi rahsia polis namun kita sentiasa bekerjasama rapat dan bertukar maklumat risikan dengan agensi kerajaan yang berkaitan," katanya. Beliau berkata ketika ini, Malaysia aman dan bebas ancaman gerakan militan. Katanya, polis mempunyai anggota yang mencukupi untuk menjalankan tanggungjawab termasuk menangani aktiviti pengganas. - Bernama

Empat lelaki bertopeng larikan mesin ATM

BESUT - Sekumpulan empat lelaki bertopeng mengambil masa lima minit untuk melarikan dan memecahkan sebuah mesin juruwang automatik (ATM) kepunyaan Bank Rakyat Cawangan Jerteh di sini awal hari ini. Ketua Siasatan Jenayah Negeri, Asistant Komisioner Wan Abdul Aziz Wan Hamzah berkata kejadian yang berlaku antara jam 5.45 hingga 6 pagi itu menyebabkan bank terbabit kehilangan kira-kira RM160,000 dari mesin berkenaan. Katanya, hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan keempat-empat suspek memakai topeng muka itu menggunakan kabel untuk mengikat satu daripada empat ATM bank berkenaan sebelum menariknya keluar daripada ruang ATM dengan menggunakan kereta dan memecahkan mesin itu di luar kawasan bank. "Semasa kejadian pengawal keselamatan bank berkenaan sedang solat subuh di sebuah surau yang terletak di luar kawasan bank berkenaan," katanya. Katanya, pengawal berkenaan yang pulang daripada menunaikan solat ternampak kerosakan pintu cermin bank dan mesin ATM ditinggalkan di luar kawasan bank sebelum menghubungi pihak pengurusan bank yang kemudiannya menghubungi polis. Wan Abdul Aziz berkata pihaknya percaya rompakan itu dilakukan golongan pakar yang pernah melakukan perbuatan seumpama itu sebelum ini. Katanya ini merupakan kejadian pertama melarikan mesin ATM di Besut dan sehubungan itu satu unit khas ditubuhkan oleh IPK Terengganu untuk membanteras kegiatan merompak dan melarikan mesin ATM. Sehubungan itu, beliau meminta orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi Ibu pejabat Polis Besut 09-6956222 atau Balai Polis Jerteh 09-6971222. - Bernama

Kastam dikorporat tahun depan
Jabatan Kastam Diraja Malaysia
SUNGAI PETANI - Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan dikorporatkan pada tahun hadapan, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah. Beliau berkata langkah tersebut amat baik dalam usaha meningkatkan produktiviti anggota Kastam. "Hasil cukai yang dikutip turut bertambah dan akan disumbangkan kepada negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bangunan Pejabat Kastam (Penguatkuasaan) bernilai RM13.02 juta di Tanjung Dawai dekat sini hari ini. Beliau berkata kajian mengenai perkara itu telah siap dan pindaan beberapa akta berkaitan cukai dibuat dan akan dibentang di Parlimen Oktober depan. Katanya, jabatan itu mengambil contoh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang selepas dikorporatkan berjaya menyumbang hasil begitu tinggi kepada negara. Mohd Irwan berkata tahun lepas Kastam menyumbang hasil kepada negara sebanyak RM33.12 bilion dan sasaran pada tahun ini sebanyak RM36 bilion. Sementara itu Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Sri Khazali Ahmad berkata sebanyak 55 syarikat kecil yang telah membeli perisian cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bakal menerima subsidi kerajaan sebanyak RM1,000. Perisian tersebut untuk pengiraan harga barangan yang dikenakan GST. "Mereka yang beli perisian ini perlu memaklumkan kepada SME Corp sebelum mendapat kelulusan untuk subsidi itu. "Kita harap lebih banyak syarikat kecil memohon untuk mendapatkan perisian itu," katanya. Peruntukan sebanyak RM150 juta disediakan kerajaan untuk subsidi RM1,000 kepada setiap syarikat kecil dan sederhana bagi mengemas kini sistem perakaunan syarikat mereka. Pelancaran subsidi itu dijangka dilakukan pada Jun atau Julai ini sebelum kerajaan menguatkuasa GST mulai April tahun depan. - Bernama

Suri rumah lapor polis suami cedera dalam tahanan

IPOH - Seorang suri rumah hari ini membuat laporan polis mendakwa suaminya cedera semasa dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini. M. Pushpa, 37, yang ditemani peguamnya M. Kulasegaran membuat laporan itu di IPD berkenaan pada 12.40 tengah hari. Beliau berkata polis telah memaklumkan suaminya S.Selvakumar, 38, dimasukkan ke di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Raja Permaisuri Bainun dan kini masih tidak sedarkan diri, sejak Rabu. "Saya masih ragu-ragu dengan perkhabaran tersebut dan keesokan harinya telah ke Mahkamah Ipoh untuk memastikan sama ada suami saya berada di hospital atau tidak," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu. Selvakumar, ditahan pada 6 Mei lepas kerana disyaki terlibat dalam kes dadah. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu dan siasatan lanjut akan dijalankan. - Bernama

Ops Noda: 23 GRO dicekup dalam serbuan
Ops Noda: 23 GRO dicekup dalam serbuan
Wanita warga asing salah guna pas lawatan untuk menjadi GRO
KUALA LUMPUR – Seramai 23 pelayan pelanggan (GRO) dicekup dalam serbuan Bahagian Siasatan Jenayah Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman di sebuah bar di Jalan Medan Putra, dekat sini, kelmarin. Ketua Operasi, Inspektor Mohammad Mohd Jais berkata, operasi jam 11 malam melibatkan dua pegawai dan enam anggota. Menurutnya, dari jumlah tangkapan tersebut, empat daripadanya adalah warga tempatan. “Selebihnya adalah 17 warga Vietnam dan dua warga Myanmar. Mereka berusia 16 hingga 33 tahun. “Siasatan awal mendapati tiga daripada mereka tidak mempunyai pasport, manakala yang lain ditahan atas kesalahan menyalahgunakan pas lawatan sosial,” katanya. Beliau berkata, ketika serbuan, didapati kesemua GRO berkenaan sedang leka melayan pelanggan masing-masing. Katanya lagi, risikan selama satu minggu ini mendapati, harga sekitar RM450 hingga RM600 untuk tempoh enam jam bagi pelanggan yang ingin menempah khidmat GRO ini. “Kita turut menahan 25 pelanggan dan seorang pengurus warga tempatan berusia 42 tahun,” katanya. Mohammad berkata, premis ini juga mempersembahkan ‘sexy dance’ seminggu sekali untuk menarik perhatian pengunjung.

Hudud: Apabila Mangsa Rogol Kena Sebat

Antara papan tanda amaran berkhalwat di Bandar Acheh
BANDA ACHEH: Mohd Nasir dilantik sebagai ketua kampung Lhok Bani, Langsa kira-kira 10 bulan lalu dan dalam tempoh singkat itu, beliau dilihat sedang menghadapi cabaran terbesar dalam hidupnya. Dua minggu lalu, sekumpulan remaja dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menonton perlawanan bola sepak tiba-tiba merasakan sesuatu yang tidak kena berlaku ketika melintasi rumah Yus, seorang ibu tunggal berusia 25 tahun. Mengesyaki wanita itu melakukan hubungan terlarang yang sememangnya suatu kesalahan bagi umat Islam di Aceh mengikut undang-undang syariah, remaja itu bertindak menyerbu rumah berkenaan. Selepas memeriksa, seorang lelaki ditemui bersembunyi dalam almari dan mereka mengikatnya dan kemudian menguncinya dalam almari itu semula sebelum bergilir-gilir merogol Yus. Apabila subuh tiba dan Mohd Nasir sedang bersiap untuk menunaikan solat, beliau terkejut apabila sekumpulan remaja itu datang menyerahkan pasangan itu dan menyatakan mereka memerangkap kedua-duanya ketika berkhalwat. Dalam keadaan kusut masai, pasangan itu disimbah air, debu dan kumbahan sebelum dihadapkan ke ketua kampung. Mohd Nasir berkata, ketika dibawa kepadanya, Yus mengenakan pakaian tidur, bagaimanapun beliau tidak mengenali lelaki yang ditangkap bersamanya itu. "Terkejut dengan kejadian itu, malah fikiran saya juga berserabut memikirkan dalam tempoh 10 bulan memikul tanggungjawab ini sudah diuji dan perlu berhadapan dengan kejadian seperti ini," katanya. Beliau yang enggan gambarnya dirakam berkata, susulan kejadian itu beliau menghubungi polis syariah, Wilayahtul Hisbah (WH) yang terus menahan pasangan itu. Bagaimanapun, situasi itu bukan kesudahannya, sebaliknya Mohd Nasir menerima satu lagi kejutan. Dua hari kemudian, polis memaklumkan lapan remaja kampung itu disyaki merogol Yus selepas mendapati janda itu berdua-duanya dengan lelaki berkenaan di rumahnya. "Saya terkejut mendengar berita ini kerana mereka hanya berusia antara 19 hingga 20 tahun, malahan ada juga yang berusia 13 tahun. "Mereka tidak berkata apa-apa mengenainya ketika membawa wanita itu kepada saya," katanya. Berikutan itu, tiga remaja terbabit ditahan polis, bagaimanapun lima yang lain melarikan diri. Mohd Nasir berkata, keluarga lapan remaja terbabit kini tertekan dan trauma berikutan kejadian itu. Sumber: mStar

Panduan Keselamatan: Berhati-Hati Dengan ‘Tunjuk, Henti & Samun’

Petikan: http://panduan-howto.blogspot.com (Panduan Untuk Semua) (Panduan Untuk Semua) CRIME ALERT: Tunjuk, Henti & Samun Baru-baru ini telah dikesan taktik penjenayah yang cuba melakukan rompakan terhadap pemandu kereta yang sedang memandu di jalan raya. Taktik yang diguna pakai penjenayah seperti berikut:
• Menunggang sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki dan menunjukkan tanda isyarat tangan ke arah tayar bahagian kiri atau kanan.
• Sekiranya pemandu tidak berhenti pada waktu itu, datang sebuah motosikal lain (kedua) dinaiki dua lelaki menunjukkan perkara yang sama bagi mewujudkan rasa khuatir dalam diri pemandu supaya memberhentikan kenderaan ke bahu jalan.
• Apabila pemandu memberhentikan kenderaan, suspek akan turun dari motosikal dan menuju ke bahagian kiri atau kanan tayar dan meminta pemandu melihat kerosakan yang dialami.
• Pada masa yang sama, motosikal yang dinaiki dua lelaki yang pertama turut memberhentikan motosikal mereka tidak jauh dari kenderaan mangsa.
• Apabila mangsa keluar dari kenderaan atau menurunkan cermin kereta. Suspek dari motosikal pertama akan bertindak melarikan kereta mangsa atau memaksa mangsa untuk keluar dari kenderaan sebelum melarikan kereta.
NASIHAT
1. Sekiranya anda berada dalam keadaan yang dinyatakan terus memandu ke balai polis berdekatan atau kawasan yang ramai orang atau berhenti di kawasan ‘safety point’ antaranya 7-Eleven, Pos Malaysia dan stesen minyak Petron.
2. Tidak panik dan kenal pasti nombor kenderaan yang dinaiki suspek seperti (jenis motosikal, warna, nombor pendaftaran, bangsa, pakaian dan jantina).
3. Memastikan nombor telefon bilik gerakan mana-mana balai polis berdekatan.
4. Membunyikan hon kereta beberapa kali untuk menarik perhatian penggunakan jalan raya sekiranya berada dalam situasi kecemasan.
5. Jangan menggadai nyawa sekiranya berlaku pergelutan dengan suspek untuk mempertahankan harta benda.

Sumber: panduan-howto.blogspot.com

Vokalis As I Lay Dying Dipenjara Kerana Rancang Bunuh Isteri

VOKALIS kumpulan As I Lay Dying, Tim Lambesis terbukti bersalah kerana merancang untuk membunuh isterinya. Dia menerima hukuman penjara selama enam tahun oleh Mahkamah Wilayah California, Amerika Syarikat. Seperti dipetik Rauters pada Sabtu, Tim terbukti memberi upah untuk membunuh isterinya Meggan. Bagaimanapun, rancangan pembunuhan itu diketahui oleh pihak polis selepas dimaklumkan oleh individu tertentu. Semuanya bermula ketika Tim mengirim emel kepada Meggan untuk memberitahu bahawa dia sudah tidak mencintai wanita itu dan ingin berpisah. Isterinya membalas dengan mendakwa Tim curang dan tidak membenarkan lelaki itu menjaga ketiga-tiga anak angkat mereka. Sumber: mStar

Leong Dilantik Penasihat Persatuan Cegah Jenayah

PERSATUAN Rangkaian Pencegahan Jenayah Malaysia (NCPNA) mengumumkan perlantikan bekas Asisten Komisioner bersara Datuk Dr Leong Chee Woh sebagai penasihat persatuan berkenaan berkuatkuasa serta-merta. Leong merupakan bekas pegawai polis yang berasal dari Taiping dan berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 34 tahun sebelum bersara sebagai Timbalan Pengarah Operasi Cawangan Khas. Dia turut digelar sebagai ikon Cawangan Khas kerana pengorbanannya yang tidak pernah berhenti dalam perjuangan menentang pengganas komunis sejak tahun 1948 hingga 1960 dan dari 1970 hingga 1990. Beliau mula menyertai PDRM ketika Darurat, perkhidmatannya yang baik membawanya ke dalam bidang anti komunis yang mana beliau kemudian berkhidmat dengan Polis Hutan. Bagaimanapun, kekuatan sumbangannya di dalam PDRM diiktiraf pada April 1954 selepas beliau ditukarkan ke Cawangan Khas. Ketika bertugas di Cawangan Khas, Leong telah pun ditugaskan di beberapa buah negeri. Antara negeri utama ialah kejayaan membanteras komunis di Pahang, Perak, Kelantan, Kedah dan Sarawak. Beliau turut dikurniakan pelbagai darjah dan penghargaan termasuk Panglima Mahkota Wilayah (PMW) oleh Yang di-Pertuan Agong yang membawa gelaran Datuk dan juga Darjah High Order Of Tritraphon Mongkut oleh Raja Thailand. Selepas bersara, Leoang banyak terlibat dengan berkongsi pengalamannya bersama orang ramai dalam beberapa siri ceramah awam. Beliau turut melanjutkan pelajaran di peringkat Doktor Falsafah (Ph.D) dan telah menulis lima buah buku dalam siri Scorpio berkaitan perjuangan menentang komunis. NCPNA yakin dengan perlantikan Leong sebagai penasihat ia akan menguatkan lagi semangat dan nilai persatuan dalam perjuangan menentang jenayah. “Kami akan meneruskan niat murni kami untuk menyokong aspirasi kerajaan untuk menurunkan kadar jenayah dan juga membantu persatuan di Malaysia khususnya persatuan golongan muda untuk meraih kualiti dalam hidup,” kata persatuan itu dalam satu kenyataan. Sumber: My News Hub

Suara halus pujuk terjun

GEORGETOWN - Seorang lelaki warga emas maut selepas terjatuh dari tingkat 11 sebuah pangsapuri di Batu Lanchang, Jelutong di sini malam semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 malam itu mangsa yang berusia 60 tahun gagal diselamatkan selepas dia terlepas dari pelukan anggota bomba dan penyelamat yang cuba menghalangnya terjun dari bangunan berkenaan. Dia dilihat meronta-ronta apabila anggota penyelamat berkenaan sempat ‘menyambarnya’ seketika ketika dia leka berdiri di bahagian luar tingkap rumahnya. Akibat tindakannya itu, mangsa jatuh dari bangunan berkenaan. Menurut saksi di tempat kejadian, lelaki berkenaan dikatakan telah berdiri di luar tingkap rumahnya sejak jam 2.30 petang. Saksi yang enggan dikenali itu berkata, mangsa kelihatan tidak keruan dan beberapa kali mengugut untuk terjun. “Beberapa ahli keluarga dan kaunselor datang cuba menenangkannya namun pujukan mereka langsung tidak diendahkan. “Mereka juga menghubungi anaknya yang berada di Kuala Lumpur dan menghulurkan telefon bimbit kepadanya dengan harapan dia dapat bertenang namun ternyata usaha itu hanya sia-sia,” katanya ketika ditemui semalam. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, setelah empat jam berusaha memujuk mangsa pihak polis terpaksa membenarkan pasukan bomba dan penyelamat melakukan tindakan seterusnya. “Siasatan awal di rumah lelaki berkenaan menemui sekeping nota yang ditulisnya dan dia dikatakan terpengaruh dengan suara halus yang didengarinya sejak empat bulan lalu. Suara halus itu juga memujuknya untuk berbuat sedemikian," katanya ketika ditemui di tempat kejadian. Mior berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat. Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Sumber: Sinar Online

Siti Saleha Lebih Berselera Dengan Lelaki Mat Saleh

Pelakon Siti Saleha mengakui yang dia seleas dan hanya meminati lelaki yang mempunyai darah kacukan sepertinya. Jika diperhatikan bekas-bekas teman lelakinya sebelum ini turut mempunyai darah kacukan, antaranya adik pelakon Sharifah Sofia, Syed Adney Syed Hussein dan Robin Coenraad. Terbaharu, si cantik manis ini juga mengakui dia sedang menjalinkan hubungan dengan seorang jejaka yang memiliki darah kacukan. Walau bagaimanapun, Saleha enggan mendedahkan nama kekasihnya kepada pihak media dan umum. “Sejujurnya, selera saya memang lebih kepada lelaki berdarah kacukan. Tapi itu tidak bermaksud saya tak pandang langsung lelaki tempatan,” katanya memetik laporan sebuah akhbar, hari ini. Mengulas lanjut ciri-ciri yang menyebabkan dirinya jatuh cinta dengan jejaka yang bertaktha di hatinya kini, Saleha, 24, mengatakan kekasihnya seorang yang penyayang dan matang selain mereka serasi di antara satu sama lain. Walaupun sudah bertemu jejaka idaman, namun aktres ini menegaskan dia masih belum bersedia untuk melangkah ke alam rumah tangga kerana usianya yang masih muda serta belum terfikir ke arah itu. Sumber: Audrey Lee / My News Hub

Gempa Gegar Barat Banda Acheh

BANDAR ACEH: Gempa bumi berukuran 6.2 magnitud gegar Sumatera pagi Ahad menyebabkan orang ramai panik beredar meninggalkan kediaman mereka. Bagaimanapun, tiada laporan kerosakan dan amaran tsunami tidak dikeluarkan. Agensi Penyelidikan Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, gempa bumi itu melanda pada kedalaman sembilan kilometer, kira-kira 300 kilometer barat Banda Aceh. Ia berlaku pada kira-kira jam 7 pagi tadi. "Gempa itu amat dirasai selama beberapa saat oleh penduduk di perairan barat. Sebahagian daripada orang ramai lari meninggalkan rumah mereka," kata jurucakap Agensi Bencana Negara, Sutopo Purwo Nugroho. Bagaimanapun, katanya, tiada laporan mengenai sebarang kerosakan. Sumber: mStar

Ruminah Sidek Selamat Bergelar Isteri Peneroka Felda

Pelakon veteran Ruminah Sidek selamat bergelar isteri kepada Al Fatah Rahim Ismail, 70, dalam satu majlis yang diadakan di kediaman abang ipar pelakon itu, di Klang, Sabtu. KLANG: Hanya dengan sekali lafaz, pelakon veteran Ruminah Sidek selamat bergelar isteri kepada peneroka Felda Jelai Negeri Sembilan, Al Fatah Rahim Ismail, 70, dalam satu majlis yang diadakan di kediaman abang ipar pelakon itu, di sini, Sabtu. Akad nikah itu disempurnakan oleh Penolong Pendaftar Nikah Kariah Masjid As Syarif, Meru Klang, Mohd Jani Sarman dan disaksikan oleh adik lelaki pengantin perempuan, Mohd Zainal Sidek kira-kira pukul 9.20 pagi. Ruminah atau lebih dikenali sebagai Mak Mah, 68, menerima mas kahwin sebanyak RM300, tanpa wang hantaran. Ruminah menerima sebanyak tujuh dulang hantaran yang berupa kek, Al-Quran, beg tangan, kasut, sejadah, air minuman Twister, dan telekung. Pihak lelaki pula menerima satu set wangian, kek, tepak sirih, set pakaian, sejadah, tuala dan buah-buahan. Majlis tersebut turut disiarkan secara langsung menerusi program Nasi Lemak Kopi O yang diacarakan oleh pelakon Abon, AR Badul dan Aida Gadis Melayu. Dalam pada itu, Ruminah kelihatan sebak dan mengalirkan air mata selepas akad nikah sah dilaksanakan. Dia ketika ditemui selepas selesai majlis akad nikah berkata mereka bersyukur dan gembira apabila telah selamat disatukan sebagai suami isteri dan berharap semua peminat mendoakan kebahagiaan mereka sehingga ke akhir hayat. Majlis persandingan diadakan sejurus selepas selesai akad nikah yang turut disaksikan oleh hampir 3,000 tetamu termasuk keluarga kedua-dua belah pihak. Sementara itu, pada majlis persandingan itu, Ruminah tampil anggun dengan busana berwarna krim koleksi peribadinya. Manakala bagi sesi persandingan pasangan ini mengayakan pakaian pengantin berwarna ungu tajaan Izika Collactin. Bagi pelamin indahnya ditaja oleh Adi Wedding Decoration, manakala sentuhan solekan daripada jurusolek Razzi Musa. Pelbagai jenis bunga hidup berwarna putih dan ungu serta bunga telur menghiasi ruang nikah dan pelamin ditaja oleh Intan Saga Florist. Dalam pada itu, hujan lebat mengiringi majlis akad nikah yang dijalankan di ruang anjung kediaman tersebut. Pihak pengantin perempuan sedondon mengenakan baju berwarna ungu, manakala pihak lelaki yang hadir bertandang lebih 50 orang dengan pakaian berwarna oren. Turut kelihatan pada majlis tersebut pelakon Adlin Aman Ramli dan isteri Emelda Rosmila. Majlis turut demeriahkan dengan dendangan lagu-lagu asli daripada Badan Kebudayaan Kuala Kangsar. Ruminah dan Al Fatah telah mengikat tali pertunangan pada 19 April lalu di rumah abang ipar Ruminah di Meru, Klang dekat sini. Perkahwinan ini merupakan perkahwinan keempat buat Ruminah termasuklah dengan Allahyarham AR Tompel. Hasil perkahwinan lalu, Ruminah dikurniakan enam orang anak termasuklah pelakon Adlin Aman Ramlie. Dia juga mempunyai 20 cucu dan enam cicit.
Mak Mah Kini Sah Isteri Kepada Peneroka Felda
Sumber: mStar

Gangguan misteri semakin menjadi-jadi

Antara baju yang dikesan mempunyai kesan gunting.
Baca: Keluarga ketakutan diganggu api misteri SELAMA - Walaupun telah berusaha dengan pelbagai cara untuk memulihkan kembali kehidupan daripada diganggu api misteri, namun gangguan tersebut semakin menjadi-jadi. Nor Hafizah Ahmad, 29, berkata, semalam (kelmarin) ibunya telah membuang semua bahan-bahan ditabur di bahagian keliling rumah mereka sebagai pendinding. Menurutnya, selepas bahan-bahan tersebut dibuang, mereka mengesan beberapa contengan di bahagian rumah. “Kami juga agak terkejut kerana lebih banyak kerosakan dikesan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam. Nor Hafizah berkata, selain rumah diconteng, buku-buku anak saudaranya turut dikoyakkan. “Baju-baju yang ada dalam rumah juga didapati digunting dan beberapa rak juga diterbalikkan,” katanya. Menurutnya, mereka sekeluarga sedang berusaha untuk memulihkan keadaan tersebut kerana bimbang perkara buruk terjadi. “Kami juga mungkin akan mengadakan bacaan Yasin dan berjumpa dengan seorang pakar perubatan Islam, Ustaz Mohd Redzuan Yusop untuk memulihkan semula keadaan di rumah kami,” katanya. Sumber: Sinar Online

Yammy sokong anak walau dituduh pembelot

Dyana Sofya ditemani Yammy pada majlis penamaan calon serta perasmian Pusat Operasi DAP bagi PRK Parlimen Teluk Intan di Perak, semalam. – Foto Muhaizan Yahya
TELUK INTAN: Yammy Samat, 59, berkata dia tidak kisah digelar pembelot bangsa asalkan anaknya, Dyana Sofya Mohd Daud dapat menjadi wakil rakyat atas tiket DAP dengan memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan pada 31 Mei ini. Beliau mendakwa, isu pembelot bangsa tidak timbul kerana orang Melayu pun ramai yang belot sesama sendiri dan ia adalah satu kebiasaan bagi mana-mana ahli politik atau parti politik untuk bertindak demikian.
Tidak keluar parti.
Justeru, Yammy yang juga ahli UMNO Bahagian Ipoh Barat tidak akan bertindak keluar parti itu walaupun akan menyokong dan turut berkempen untuk DAP bagi memastikan kemenangan anaknya dalam pilihan raya. “Ini bukan kerana mengkhianati parti, tetapi bagi saya adalah wajib mendahului anak saya. “Dalam keadaan sekarang, saya menyokong anak saya, sesiapa pun hendakkan anaknya menang, tidak kisahlah parti apapun (bertanding),” katanya ketika ditemui pada majlis penamaan calon serta perasmian Pusat Operasi DAP bagi PRK Parlimen Teluk Intan di sini semalam. Yammy berkata, beliau tidak akan sama sekali ‘membuang’ anaknya semata-mata menjaga maruah parti politik disertainya kerana mendakwa belum tentu parti berkenaan akan menghargai jasanya sepanjang berada dalam politik.
Berfikiran terbuka.
“Saya berfikiran terbuka dan memberi kebebasan parti mana dia (Dyana Sofya) nak masuk. Pada saya semua parti yang berdaftar adalah parti yang halal dan DAP juga pernah menjadi sebahagian kerajaan (di Perak). “DAP sebenarnya mengambil risiko kemungkinan akan kehilangan kerusi, kerana (sokongan terhadap) DAP semua tahu (daripada) orang Cina. “Tetapi apabila bagi anak Melayu (menjadi calon), sekiranya anak saya menang, satu kerusi (orang) Cina sudah hilang bagi pada Melayu,” katanya sambil menjelaskan beliau berdarah campuran kerana ibunya adalah berketurunan Cina yang berkahwin dengan lelaki Melayu. Beliau juga berpendapat kedudukan ahli keluarganya yang ramai menyertai UMNO, manakala Dyana Sofya menyertai DAP adalah sesuatu yang lumrah kerana dalam satu keluarga pun mesti ada ahli keluarga yang menjadi pembangkang. “Tidak ada keluarga yang semuanya sealiran, kita perlukan pembangkang (dalam keluarga),” katanya. Sumber: BH

Tasha Shila rimas dihentam peminat

BERKONGSI salah, tidak berkongsi pun salah! Mungkin itulah yang dirasai oleh aktres berbakat besar, Tasha Shilla apabila tindakannya berkongsi gambar dan kisah peribadi menyebabkan dia lebih dicemuh peminat. Apatah lagi, kekasih Tasha yang bukan beragama Islam, membuatkan ramai peminatnya lebih senang menghentam dari memuji. Ini membuatkan Tasha merasa rimas dengan tindakan sesetengah peminatnya yang gemar 'berlebih-lebih' mengenai perihal kehidupan peribadinya. “Tipulah kalau saya tidak rimas dan tertekan dengan komen-komen negatif yang ditujukan kepada saya. Mana-mana komen yang kurang ajar memang saya akan ‘block’,” jelasnya ketika di minta mengulas mengenai tindakan beberapa peminat yang menghentam hubungan cintanya bersama ahli tinju, Han Chen Wong menerusi laman Instagram. Menurut Tasha, sebagai manusia biasa dia tidak perlu terlalu memikirkan hinaan mahu pun tohmahan peminat terhadap dirinya. “Dalam soal ini saya lebih menyayangi diri sendiri. Saya tidak perlu menjaga hati peminat kerana saya ada hak untuk berkawan dengan sesiapa sahaja pilihan saya. “Kalau benar-benar meminati saya, sepatutnya mereka terima saya seadanya dan bukannya mengawal diri saya. Lagi pun ke dua belah keluarga merestui hubungan kami,” tegasnya ketika ditemui baru-baru ini. Pada masa yang sama, Tasha turut menafikan khabar angin yang mengatakan dirinya menaja perniagaan kekasih hatinya itu. “Memang keluarga dia ada perniagaan tapi saya memang tidak tahu bagaimana gosip ini boleh timbul. “Sebenarnya, saya sendiri yang banyak belajar daripada keluarga dia mengenai selok-belok perniagaan dan khabar angin ini memang tidak benar,” ulasnya. Bataskan karier lakonan selepas berkahwin Akui sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga, Tasha memberitahu dia akan mengurangkan aktiviti lakonan untuk memberi fokus pada perniagaan keluarga kekasihnya. “Apa yang pasti saya tidaklah akan berhenti berlakon kerana itu memang minat saya. Cuma selepas berkahwin saya perlu bataskan sedikit aktiviti lakonan. “Kami telah berbincang mengenai perkara ini dan keluarga dia pun setuju,” katanya yang kini sedang menjalani penggambaran drama ‘Maafkan Aku Tak Sempurna’ untuk slot Akasia, TV3. Beralih pada karier seninya, Tasha memberitahu lebih selesa menerima tawaran satu persatu memandangkan dia kini bergerak sendiri menguruskan kerjaya lakonannya. “Sebenarnya sudah lebih kurang setahun saya uruskan karier sendiri tanpa pengurus peribadi. Tapi itu tidak menjadi masalah buat saya kerana sudah terbiasa. “Sebelum ada pengurus pun memang saya terima tawaran satu-persatu. Jadi kalau ada syarikat produksi yang masih mahukan saya, mereka perlu ikut jadual saya,” katanya yang kini sedang mencari calon pengurus peribadi yang bersesuaian. Sumber: Sinar Online

Menteri maut nahas pesawat

Duangchay Phichit
VIENTIANE - LOAS. Sekurang-kurangnya 14 penumpang termasuk Menteri Pertahanan Laos terbunuh selepas pesawat tentera udara dinaiki terhempas di wilayah Xiangkhuang, semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 pagi (waktu tempatan) itu, Duangchay Phichit yang juga Timbalan Perdana Menteri dan beberapa pegawai kanan termasuk Gabenor Vientiane sedang dalam perjalanan ke majlis rasmi anjuran Kementerian Pertahanan menaiki pesawat Antonov AN-74TK-300. Jurucakap Jabatan Penerbangan memaklumkan, antara yang terbunuh ialah Menteri Keselamatan Awam ; Thongban Saengaphon, Datuk Bandar; Vientiane Soukan Mahalat dan Ketua Parti Propaganda; Chuang Sombounkhan. "Mayat mangsa akan dibawa pulang ke Viantiane hari ini (semalam). Tiga penumpang dipercayai selamat dalam kemalangan terbabit," katanya dipetik DPA Oktober tahun lalu, kapal terbang awam kendalian Lao Airlines menjunam ke dalam Sungai Mekong akibat cuaca buruk dan mengorbankan kesemua 49 penumpang di dalamnya. Sumber: Sinar Online

Emma sedia jadi isteri Zizan

KETIKA hubungan cinta mereka kini bukan lagi rahsia, persoalan bila Zizan Razak dan Emma Maembong akan ke gerbang perkahwinan pula semestinya dinanti-nanti ramai. Hal itu menjadi lumrah terutama dalam kehidupan mereka yang bergelar selebriti. Malah, saat ini sudah mula timbul spekulasi mengenai tarikh pasangan berkenaan bakal diijabkabul. Januari depan antara yang dikatakan menjadi pilihan kedua-duanya untuk bergelar raja sehari. Namun, peluang menemuramah Emma, 22, petang Rabu lalu memberi ruang kepada kekasih Zizan itu merungkai persoalan berbangkit. Sumber: BH

Jutaan rakyat boikot pilihan raya Mesir

Poster Al-Sisi dan Hamdeen disiram cat sekali gus menyaksikan pilihan raya negara itu diboikot oleh rakyat
KAHERAH - MESIR. Jutaan rakyat mula memboikot Pilihan Raya Presiden Mesir yang mula mengundi bagi ekspatriat negara itu, kelmarin. Media melaporkan, gerakan Ikhwanul Muslimin mengesahkan, sebanyak 63 peratus daripada rakyat negara itu tidak akan keluar mengundi. Pilihan raya kali ini menyaksikan bekas ketua tentera yang melakukan rampasan kuasa, Abdel Fatah Al-Sisi disaingi Hamdeen Sabahi. Jurucakap Ikhwanul berkata, jika jumlah keluar mengundi adalah 16.7 juta daripada 52 juta pengundi berdaftar sama seperti pilihan raya era Presiden Mohammed Mursi, Al-Sisi berkemungkinan akan tewas. “Jika separuh daripada 16.7 juta memboikot pilihan raya itu maka Al-Sisi dijangka kalah teruk kerana 50 peratus daripadanya adalah ahli Ikhwanul,” katanya. Menurutnya, ketika pilihan raya 2012, sebanyak 6 juta pengundi mengesahkan kemenangan Mursi dalam pusingan pertama diikuti oleh Salafi Al-Nour dan Pergerakan Revolusi April 6. “Jika ada kalangan kami (Ikwanul) keluar mengundi, sudah pasti kami memilih Hamdeen,” katanya dipetik Agensi Sementara itu, jurucakap parti Salafi Al-Nour Nader Bakkar berkata, pihaknya juga akan memboikot pilihan raya itu. “Kami tidak akan sokong Al-Sisi. Beliau bunuh 1,400 penyokong kami ketika penggulingan Mursi Julai lalu. Kami mahukan pemerintahan undang-undang Islam di Mesir bukan undang-undang sekular seperti dirancang Al-Sisi,” katanya.

Ramai didakwa masih buta huruf

Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh
SHAH ALAM - Sistem pendidikan negara perlu disemak semula keberkesanannya berikutan masih ramai pelajar didakwa masih tidak berupaya menulis dan bertutur dengan baik. "Sistem pendidikan negara tidak berjaya kerana kita tidak pandai bercakap, tidak pandai menulis dan bahasa Melayu sekarang ini dalam keadaan yang kacau. "Saya risau satu bangsa itu diajar bahasanya hanya melalui jawapan objektif baik bahasa Melayu mahupun bahasa Inggeris, hanya ada satu kebenaran dalam satu jawapan," kata Sasterawan Negara, Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh. Mengulas lanjut, Muhammad berkata, pendidikan yang menggunakan pendekatan jawapan objektif atau pilihan tidak membantu anak bangsa berkembang dan berfikiran kritis. "Itu bukan satu cara untuk membantu bangsa kita berkembang (pemikiran). "Malah bahasa itu juga masuk Parlimen yang membayangkan perasaan, menilai dan cara berbincang kita, kalau begitulah bermakna tamadun kita tidak berapa tinggi," katanya. Sementara itu, Felo Bahagian Nusantara, Penang Institute, Dr Mustafa Kamal Anuar berkata, bahasa adalah medium untuk berhubung antara satu sama lain dengan meluahkan pandangan dan berkongsi idea. Menurut Mustafa, penguasaan bahasa kebangsaan itu penting namun ia tidak sewajarnya dikongkong dan ditentukan oleh kerajaan yang memerintah. "Wacana pun ada dominan untuk pengaruhi masyarakat dikuasai golongan dominan pemerintah atau pemodal. "Apabila ada pihak mengharamkan dan menapis buku, wayang, akhbar dan majalah, tindakan itu dilihat anti demokratik dan menafikan sesuatu idea itu berkembang," katanya lagi. Sumber: Sinar Online

Seludup Diesel: 230 Stesen Minyak Disyaki Bersubahat

PUTRAJAYA: Sebanyak 230 stesen minyak terutama di kawasan sempadan, pelabuhan, lebuh raya dan perindustrian disyaki bersubahat dengan sindiket penyeludupan diesel. Maklumat risikan yang didedahkan kepada mStar Online itu adalah hasil pemerhatian pihak berkuasa berdasarkan lokasi dan kuantiti jualan minyak diesel di stesen minyak terbabit. Berdasarkan pemerihatian kementerian, sebanyak 230 daripada hampir 3,400 stesen minyak di seluruh negara itu direkodkan dalam Senarai Pemerhatian Utama (Priority Watch List). Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Alias Ahmad tidak menafikan ada segelintir pengusaha stesen minyak bersubahat kerana boleh mendapatkan diesel secara terus dari depot minyak. “Mereka (pengusaha) membuat pesanan diesel untuk dibawa ke stesen minyak tetapi sebaik sahaja lori tangki membawa keluar minyak dari depot, arahan baharu akan diberi kepada pemandu lori untuk menukar destinasi penghantaran ke tempat lain. "Bekalan diesel ini seterusnya akan dihantar ke destinasi baharu, terutama di kawasan perindustrian iaitu di kilang yang tidak mendapat susbsidi minyak,” katanya kepada mStar Online dalam satu temubual. Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kegiatan sindiket penyeludupan diesel yang dipercayai berlaku di depot minyak negara ini. Sejak 2007 sehingga 25 April lalu, pihaknya merekodkan sebanyak 3,555 kes membabitkan diesel dengan nilai rampasan mencecah RM77.65 juta. Alias berkata, taktik yang digunakan pengusaha stesen minyak untuk mengaburi mata pihak berkuasa adalah dengan menggunakan lori tangki ‘tidak bertanda’. “Mereka dipercayai akan menggunakan lori tangki tanpa pengenalan atau lambang syarikat minyak yang mengendalikan stesen minyak,” katanya. Walaupun perkara itu masih di dalam risikan, Alias berkata, KPDNKK melakukan pemantauan dengan mengarahkan syarikat minyak mengemukakan maklumat penghantaran minyak ke stesen minyak secara berkala. Alias berkata, ketika ini, kawalan terhadap stesen minyak dilaksanakan dengan menetapkan kuota jualan minyak diesel antara 40,000 liter hingga 800,000 liter sebulan. Selain itu, katanya, kerajaan juga mengehadkan waktu operasi stesen minyak dalam lingkungan 10 kilometer (km) dari sempadan negara jiran sehingga pukul 10 malam sahaja dan jualan diesal pada kadar 20 liter kepada kenderaan asing bagi stesen minyak yang berada dalam lingkungan 50 km dari sempadan. "Pemantauan turut diberikan kepada stesen minyak di kawasan pembalakan di Sabah dan Sarawak, termasuk stesen minyak yang didapati berlaku peningkatan jualan diesel tidak munasabah," katanya. Sumber: mStar

Gagal Julang Trofi, Martino Letak Jawatan Sebagai Pengurus Barcelona

GERARDO Martino meletak jawatan sebagai pengurus Barcelona selepas gagal meraih gelaran juara Liga Sepanyol musim ini. Martino hanya membimbing Barcelona satu musim dengan mengakhiri saingan liga di tangga kedua di belakang Atletico Madrid selepas mencatat 87 mata. Pengurus kelahiran Argentina itu berhadapan dengan cabaran sukar untuk mengekalkan rekod Barcelona musim ini. Biarpun berjaya mengikat kemaraan Atletico Madrid dengan mengikat seri 1-1 pada perlawanan tersebut, Barcelona terpaksa akur dengan kelebihan mata skuad Diego Simeone sekaligus menjulang trofi kejuaraan musim ini dengan mencatat 90 mata keseluruhan. Kelab Catalan ini meraih kedudukan naib juara ini buat kali pertama dalam tempoh enam tahun. Dalam pada itu Barca turut gagal dalam kedudukan empat terbaik Liga Juara-Juara musim ini buat kali pertama dalam tempoh tujuh tahun apabila tewas dengan Atletico dalam saingan suku akhir. "Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kelab yang telah memberi keyakinan untuk membimbing pasukan ini dan saya memohon maaf kerana gagal memberi kejayaan yang diharapkan. "Pasukan telah berjuang dan menamatkan saingan musim ini dengan penuh hormat. Juga tahniah kepada Atletico kerana mereka mengharungi musim ini dengan begitu baik sekali," jelasnya. Bekas pemain, Luis Enrique yang meletak jawatan sebagai jurulatih Celta Vigo Jumaat lalu dijangka menjadi pilihan untuk menggantikan Martino. Sumber: mStar

Bil Surau NEGATIF Dibayar Hamba Allah

Alhamdulillah masih ramai insan yang berhati mulia di luar sana. Tidak hanya memiliki hati emas, sesetengah individu memilih untuk merahsiakan identiti dirinya selepas melakukan kebajikan. Sebagai contoh, bil elektrik dan bil air Surau Taman Alamanda di Senawang, Negeri Sembilan dibayar oleh hamba Allah setiap bulan hinggakan kini bil yang sampai adalah NEGATIF RM435.27 untuk bil elektrik dan NEGATIF RM80 untuk bil air. Siapa pun yang melakukan kebajikan ini, semoga dirinya mendapat rahmat Allah. Pada masa sama, semoga lebih ramai lagi idividu yang melakukan kebajikan serupa ini. Sumber: Rem Ramzi / My News Hub

Gambar Wanita Solat Atas Jejambat Jadi Viral

Gambar yang dikongsi di laman sosial menunjukkan seorang anggota polis trafik sedang mengawal lalu lintas di lokasi wanita warga Indonesia menunaikan solat di atas jejambat berhampiran bangunan DBP, Kuala Lumpur.
PETALING JAYA: Mendakwa mendapat 'hidayah' untuk berubah, seorang wanita warga Indonesia mencetuskan tanda tanya apabila dilihat menunaikan solat dan membaca al-Quran di atas jejambat berhampiran Bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka. Gambar wanita berkenaan mula tersebar di laman sosial sejak tengah hari Sabtu hingga menjadi viral apabila dia yang lengkap bertelekung sedang membaca al-Quran di atas sejadah ditepi jalan. Maklumat awal mendapati Anita Shiar, 27, mendakwa dia bermimpi ditimpa sesuatu perkara yang tidak baik lalu bertindak bersembahyang di merata tempat. Ketua Polis Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan. Menurut Zainuddin, wanita yang ditemui tanpa dokumen pengenalan diri itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan lanjut. Sementara itu jurucakap HKL mengesahkan wanita itu kini sedang menerima rawatan di hospital berkenaan. Sumber: mStar

Gaji Rendah, Tiada Promosi Punca Pensyarah Perubatan Awam Berubah Angin

PETALING JAYA: Menurut Presiden Persatuan Perubatan Malaysia ((MMA), Datuk Dr NKS Tharmaseelan, ramai pensyarah perubatan di universiti awam meninggalkan tempat itu selepas bertahun-tahun bekerja keras dan dibayar gaji rendah. Tharmaseelan mentifatkan keputusan berhenti beramai-ramai itu sebagai satu tragedi selepas 38 pensyarah kanan klinik meninggalkan Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian di Kelantan sejak enam bulan lalu. Beliau mendakwa bahawa beberapa pensyarah klinikal yang merupakan pakar bedah berkelayakan dengan pengalaman bertahun-tahun terperangkap lebih 20 tahun tanpa sebarang tawaran masa depan yang lebih baik. Jelas Tharmaseelan mereka yang bekerja dengan Kementerian Pelajaran sebagai doktor pakar, pensyarah dan penyelidik, menerima gaji yang rendah, kurang faedah dan promosi berbanding jika mereka melayan pesakit atau mengajar di sebuah universiti swasta. "Universiti awam perubatan yang digunakan mempunyai pakar-pakar klinikal terbaik di negara ini tetapi kebanyakan pensyarah yang diiktiraf antarabangsa telah meninggalkan institusi ini untuk pergi ke institusi atau hospital swasta. "Siapakah yang akan melatih doktor-doktor muda masa depan jika penghijrahan ini terus berlaku?" katanya. Katanya, Jabatan-jabatan klinikal akan diambil alih oleh kakitangan yang tidak terlatih dan tidak berpengalaman selepas pakar-pakar ini berhijrah. Oleh kerana kekurangan pensyarah perubatan yang serius, beberapa universiti ternama terpaksa menangguhkan sementara jabatan klinikal mereka. Jelas Tharmaseelan, Kementerian Pelajaran telah bersetuju untuk bekerjasama dengan MMA untuk mengelakkan tragedi ini terus berlaku di universiti-universiti awam. "Sebagai langkah segera , kementerian merancang untuk mewujudkan elaun khas untuk doktor dan dalam jangka masa panjang merangka promosi skim yang lebih baik dan laluan kerjaya kepada pensyarah klinikal," katanya. Beliau berkata MMA telah bertemu Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2 Mei lalu untuk membincangkan isu-isu yang dihadapi oleh doktor klinikal termasuk ketelusan serta kriteria standard untuk promosi. Sementara itu, Pengarah kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) , Datuk Dr Mafauzy Mohamed mengakui bahawa penghijrahan tersebut yang bermula lebih setahun lalu perlu ditangani. Beliau mendakwa pensyarah klinikal universiti itu di Kubang Kerian telah 'tersepit' dengan sebuah institusi perubatan swasta yang baharu. "Memang benar bahawa Skim imbuhan dan kenaikan pangkat di bawah Kementerian Pelajaran tidak begitu menarik seperti mana yang ditawarkan oleh Kementerian Kesihatan dan sektor swasta. "Kita tidak boleh menghalang meninggalkan tempat tersebut, dan kita sedang mencari jalan untuk membayar ganti rugi itu dan mengekalkan pensyarah klinikal kami. "Kami sentiasa memastikan kita mempunyai pensyarah baharu tetapi saya tahu jabatan-jabatan klinikal (di universiti lain) terjejas," ," kata beliau sambil menambah bahawa jabatan klinikal USM kekal terbuka walaupun pensyarah meninggalkan. Sumber: mStar

Gaji baharu Messi mengatasi Ronaldo

Menurut sumber, pemain berusia 26 tahun itu akan mengambil alih tempat penyerang sensasi Real Madrid, Cristiano Ronaldo sebagai penerima gaji termahal dengan pembayaran melebihi 88 juta setahun. “Pihak pengurusan telah bersetuju dengan kontrak baharu kepada Messi kerana dia seorang pemain bola sepak profesional,” katanya. Messi dikatakan akan menandatangani kontrak baharu itu dalam masa beberapa hari lagi. Berita tentang kenaikan gaji ini sudah semestinya akan memberi perangsang kepada Messi untuk kekal setia bersama The Catalan. Sumber: Sinar Online

Pengarah karya lucah hasilkan filem barasaskan tragedi MH370

CANNES, PERANCIS: Walaupun kisah kehilangan pesawat MH370 belum mencapai penghujungnya, namun pengarah filem India, Rupesh Paul yang sebelum ini menghasilkan karya lucah “Kamasutra 3D’ dilaporkan sedang giat menyiapkan filem berasaskan tragedi yang berlaku pada 8 Mac itu. Filem bertajuk “The Vanishing Act” yang dicadangkan untuk tayangan umum September ini, kini sedang dipromosikan di Festival Filem Cannes, yang bakal berakhir 25 Mei ini. Majalah industri hiburan, Hollywood Reporter meletakkan iklan mengenai filem ini yang menggambarkan sebuah kapal terbang keluar dari awan dengan perkataan ‘The Untold Story Of The Missing Malaysian Plane” (Cerita Disebalik Kehilangan Kapal Terbang Malaysia). Bagaimanapun, ketika ditemui media asing, pengarah bersama filem ini, Sritama Dutta berkata, persamaan antara filem yang dihasilkan dengan MH370 hanyalah mengenai pesawat hilang. “Tidak ada persamaan, adalah mustahil menghasilkan cerita sebenar kerana faktanya sentiasa berubah,” katanya sambil menambah filem itu membabitkan pelakon dari pelbagai negara dan penggambaran dilakukan di India dan Amerika Syarikat. Pesawat MH370 hilang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing sebaik berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Susulan itu, misi pencarian terbesar dalam sejarah penerbangan dunia digerakkan, bagaimanapun sehingga kini ia belum menemui sebarang tanda atau serpihan kapal itu. Sumber: New Malaysian Post

Mayat pada dahan pokok

Mayat mangsa dibawa ke tebing oleh anggota bomba dan penyelamat.
PUCHONG – Gempar apabila mayat seorang lelaki yang sudah berulat dan dihurung lalat ditemui tersangkut pada dahan sebuah pokok, merentasi sungai berhampiran Kelab Golf Bandar Kinrara, di sini, petang semalam. Lengkap berpakaian, mangsa dikenali dengan nama Sholehan dari Batam, Indonesia dipercayai sudah meninggal dunia beberapa hari lalu. Telinganya reput dan terdapat beberapa kesan luka di kepala dan juga pergelangan siku. Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Puchong, Pegawai Bomba Kanan II, Saim Tamam berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam kira-kira jam 2.30 petang sebelum sepasukan anggota bersama satu jentera bergegas ke lokasi kejadian. Setiba di kawasan kejadian, mayat didapati masih berada di dahan pokok dalam keadaan tertiarap. Aliran air sungai yang deras menyebabkan pihaknya terpaksa menggunakan tali mengikat perut mangsa untuk membawanya ke tebing. “Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya. Sementara itu, pemangku Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Yong Soo Koon berkata, mangsa memakai kemeja T berwarna kuning, seluar berwarna hitam dan memakai beg lilit di pinggangnya. Keadaan seluar mangsa terkoyak hingga ke bahagian paha dipercayai terkena dahan dan sampah yang berada dalam sungai. Hasil siasatan berdasarkan keadaan tubuh badan, mangsa dipercayai sudah beberapa hari berada dalam sungai tersebut. “Kita percaya mangsa terjatuh dan dihanyutkan air sungai. Punca kematian sebenar perlu tunggu laporan bedah siasat,” katanya. Mayat mangsa semalam dihantar ke Hospital Serdang dan bedah siasat dijangka dilakukan esok. Sumber: Sinar Online

Kedah Bakal Wujudkan Rubber City

KUALA NERANG: Kerajaan negeri Kedah telah mengenal pasti tanah seluas lebih 400 hektar di Bukit Ketapang dekat sini untuk dibangunkan dengan projek 'Rubber City', kata Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir. Katanya ketika ini pihaknya merasakan kawasan tanah kosong itu merupakan tapak paling sesuai untuk dilaksanakan projek itu kerana ia merupakan kawasan rata dan berhampiran dengan populasi. "Perbincangan sedang dijalankan dengan syarikat Tradewinds untuk mengusahakan projek itu. Saya rasa kerajaan Persekutuan akan membantu dalam pembinaan infrastruktur seperti jalan serta bekalan air dan api," katanya kepada pemberita selepas majlis Kenduri Rakyat di Sungai Kampung Mani, di sini pada Sabtu. Beliau berkata banyak pelabur dalam dan luar negeri berminat dengan projek tersebut. Selain kawasan ladang getah, 'Rubber City' itu juga akan mempunyai institusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan industri getah, katanya. Sumber: Sinar Online

Arsenal Julang Piala Pertama Selepas 9 Tahun

Pemain-pemain Arsenal meraikan gol kemenangan mereka dalam perlawanan akhir Piala FA Inggeris di Stadium Wembley, London pada Sabtu. ARSENE Wenger menebus kekecewaan sembilan tahun berjuang tanpa sebarang trofi dengan mengemudi Arsenal muncul juara Piala FA Inggeris menumpaskan Hull City 3-2 selepas masa tambahan. Untuk lapan minit pertama perlawanan berlangsung, Hull bermain bagaikan bakal juara apabila mereka terlebih dahulu mengejutkan Arsenal dengan mendahului pada minit keempat menerusi jaringan James Chester dan empat minit kemudian sekali lagi menerusi Curtis Davies. Tetapi Arsenal cepat membalas dengan jaringan pemain tengah Sepanyol, Santi Cazorla pada minit ke-17. Laurent Koscielny menjadikan kedudukan terikat 2-2 pada minit ke-71 dan situasi ini terus kekal sehinggalah permainan penuh tamat. Selepas separuh masa pertama waktu tambahan kedudukan masih tidak berubah sehinggalah Aaron Ramsey menjaringkan gol kemenangan Arsenal pada minit ke-109. Jaringan tersebut menyentap rentap Hull dan mengecewakan pengurus Hull, Steve Bruce yang sepanjang kariernya pernah menjulang piala ini sebagai pemain ketika bersama Manchester United dahulu. Arsenal: Fabianski; Sagna, Mertesacker, Koscielny, Gibbs; Arteta, Ramsey; Cazorla, Ozil, Podolski; Giroud. Simpanan: Szczesny, Vermaelen, Rosicky, Wilshere, Monreal, Flamini, Sanogo. Hull: McGregor; Elmohamady, Davies, Bruce, Chester, Rosenior; Livermore, Huddlestone, Meyler, Quinn, Fryatt. Sumber: mStar

Tuntut kuat kuasa pemakaian hijab

Ribuan penduduk Iran menuntut supaya pemakaian tudung dikuatkuasakan sepenuhnya
TEHRAN - IRAN. Hampir 1,000 penduduk Iran mengadakan bantahan mendesak kerajaan menguatkuasakan sepenuhnya peraturan wajib bertudung di khalayak ramai. Memetik laporan Arab News, Jumaat lalu, penunjuk perasaan terdiri daripada lelaki dan wanita membantah dengan membawa sepanduk sambil melaungkan pihak berkuasa perlu menghentikan penyebaran maksiat dan menguatkuasakan pemakaian hijab. Sebelum ini, wanita tidak memakai tudung akan dikenakan denda, notis atau pun ditahan kerana dianggap ingkar dengan peraturan ditetapkan. Sumber: Sinar Online

Timbalan Ketua Pemuda MCA keluar parti

BANDARAYA MELAKA - Hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap pucuk pimpinan Pusat MCA merupakan faktor utama yang mendorong Timbalan Ketua Pemuda MCA Kota Melaka, Dr Yee Kok Wah, keluar parti. Menurut Kok Wah, beliau kecewa dengan kepimpinan parti itu yang didakwa ‘banyak membuang masa’ selepas PRU13 tahun lalu. Katanya, beliau sudah pun menghantar surat peletakan jawatan dari semua jawatan parti serta keahlian dalam parti ke ibu pejabat MCA di Kuala Lumpur. “Dengan ini, saya boleh mengesahkan bahawa saya telah menarik diri sebagai ahli MCA kerana saya telah hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap kepimpinan presiden parti (Datuk Seri Liow Tiong Lai). “Saya berharap tindakan saya melepaskan jawatan dan keahlian ini akan menyebabkan kepimpinan parti lebih serius dalam usaha mentransformasikan MCA,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam. Beliau berkata demikian sebagai mengulas khabar angin dalam laman media sosial Facebook, di mana beliau ada mengumumkan mahu meninggalkan parti berkenaan. Beliau memuat naik status yang berbunyi ‘Thank you MCA for giving me a chance to learn..the experience I gained, I will never forget..the ppl that I'm going to miss much r those good comrades and my supporters.. I'm quitting n wish u all the best’ dalam laman sosial itu. Sebelum ini, Kok Wah, 36, pernah disebut sebagai barisan kepimpinan masa depan MCA negeri berikutan sokongan generasi muda kepada beliau. Pada PRU13, beliau bertanding bagi kerusi Parlimen Kota Melaka bagaimanapun, tewas kepada Sim Tong Him (DAP) dengan majoriti 20,746 undi. Mengenai keputusannya untuk keluar parti, Kok Wah berkata, ia merupakan keputusan peribadi dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak. Katanya, beliau akan terus menyokong BN walaupun bukan lagi di dalam MCA. “MCA adalah sebuah parti yang baik. Cuma sayang kepimpinan parti mengecewakan saya. Ini satu tindakan amat berat untuk saya lakukan. Buat masa ini, saya mahu memberi tumpuan penuh kepada klinik serta keluarga saya,” katanya. Sumber: Sinar Online

Pelajar koma jatuh bangunan asrama

KUALA LUMPUR : Seorang pelajar tingkatan empat Maktab Tentera Diraja (MTD) Kem Sungai Besi di sini, parah selepas mangsa dikatakan terjatuh dari tingkat empat bangunan asrama maktab berkenaan. Menurut sumber, dalam kejadian jam 11 malam kelmarin, pelajar lelaki berusia 16 tahun itu dilaporkan koma dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) berikutan kecederaan serius dialami. “Mangsa dikatakan terjatuh dari tingkat empat bangunan asrama berkenaan dan ketika itu terdapat seorang saksi yang melihat kejadian itu. “Saksi kemudian segera memaklumkan kejadian itu kepada pihak warden asrama sebelum mangsa dikejarkan ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut,” katanya. Katanya, pemeriksaan doktor mendapati mangsa disahkan mengalami pendarahan otak selain patah tulang belakang dan tulang pinggul. “Susulan itu mangsa dipindahkan ke HKL untuk rawatan lanjut,” katanya. Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan. berhubung kejadian itu. Sumber: HM

Video: Secawan Untuk Saya Secawan Untuk Dinding

Video ini dikeluarkan oleh Shohwatul Al-Fateh berdasarkan kisah benar. Video pendek berdurasi 3:37 ini memaparkan kepelikan seorang saudara yang setiap kali beliau memesan tea mesti satu untuk dia dan satu untuk dinding. Perilaku tersebut membuatkan seorang lagi pelanggan lain terpinga-pinga berasa aneh melihat perbuatan lelaki tersebut.

Sumber: Shohwatul Al-Fateh

Maut Tertimbus Tanah Runtuh Di Sg. Buloh

KUALA LUMPUR – Seorang pekerja gudang perabot warga Bangladesh ditemui mati tertimbus dalam kejadian tanah runtuh dipercayai akibat hujan lebat di Jalan Kampung Baru, Sungai Buloh dekat sini pagi tadi. Timbalan Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harun berkata dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Abul Kassim, 43, tertimbus sedalam satu meter di bawah timbunan dinding zink, akibat gudang itu ditimbusi tanah yang runtuh itu. Gudang perabot berkenaan terletak berhampiran kawasan bukit. “Semasa kejadian mangsa dipercayai sedang berada di dalam tandas di gudang itu. Dia dipercayai mati akibat kesukaran bernafas dan mayatnya dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat,” katanya. Mohd Sani berkata pihaknya yang menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 10.43 pagi mengambil masa lebih daripada tiga jam untuk mengeluarkan mayat mangsa dari timbunan. Sumber: Bernama

Pemuda MIC Tak Puas Hati Dengan Bung Mokhtar

KUALA LUMPUR – Pemuda MIC mendesak Barisan Nasional (BN) mengambil tindakan ke atas Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Mokhtar Radin dan Ahli Parlimen Padang Besar, Zahidi Zainul Abidin. Ketua Pemuda MIC, C Sivaraajh berkata, tindakan dua Ahli Parlimen BN itu menyuruh ahli parti yang tidak suka dengan perbincangan hudud antara BN dan PAS supaya meninggalkan BN sangat tidak wajar. “Kami mengutuk kenyataan ini kerana membuat permintaan yang tidak rasional itu. Semua ahli BN juga rakyat Malaysia mempunyai hak untuk untuk memberi pandangan tentang Perlembagaan Negara. “Ia juga menunjukkan dua pemimpin BN ini tidak mempunyai keupayaan untuk berfikir sebelum bercakap. Lebih baik mereka tutup mulut sahaja,” katanya melalui satu kenyataan hari ini. Sivaraajh berkata, Pemuda MIC menghormati agama Islam dan agama lain tetapi itu tidak menghentikan mereka daripada memberi komen terhadap sebarang isu kerana ia sejajar dengan hak bersuara. Malah, katanya, dua Ahli Parlimen itu juga mempunyai hak untuk bersuara dan menyatakan pandangan tetapi pandangan itu mesti masuk akal. “Kami meminta kepimpinan BN memberi amaran tegas kepada dua Ahli Parlimen tersebut,” katanya. Sumber: My News Hub

VIDEO: ‘Otai’ Shafie Kumpulan Rio kembali beraksi dengan vokal mantap

BAGI peminat lagu-lagu rock sekitar tahun 1990-an, nama kumpulan Rio pasti berbekas di ingatan. Lagu Layu Di Hujung Mekar pernah mengangkat kumpulan ini di persada muzik dan masih menjadi siulan sehingga hari ini. Kumpulan Rio merupakan kumpulan penyanyi pertama yang menandatangani kontrak dengan Fantasia Music City atau ringkasnya “FMC” dan dianggotai oleh ahli-ahli yang berasal dari Muar, Johor. Anggota kumpulan Rio itu dianggotai oleh Shafie selaku vokalis, Man (pemain gitar), Alias (pemain bass) dan Taufiq (pemain drum). Alias dan Taufiq adalah bekas anggota kumpulan Crossfire. Setelah sudah sekian lama menyepi, Shafie muncul dalam satu majlis perkahwinan baru-baru ini dan mendendangkan lagu hits berkenaan sekaligus menghimbau zaman kegemilan Rio yang pernah memasuki peringkat akhir Konsert Puncak Pujaan 10 tahun 1993 menerusi lagu berkenaan.

Terima Banyak Tawaran, Elfira Nafi Dirinya Tamak

BIARPUN kecil molek orangnya, tetapi auranya sebagai bintang muda dilihat begitu menyerlah pada masa kini. Elfira Loy bukan sahaja bergelar pelakon, malah sudah mula berjinak-jinak sebagai penyampai kontrak radio ERA selama tiga bulan. Pada masa yang sama, pelakon muda itu juga sibuk dengan persembahan teater ‘Di Bawah Lindungan Kaabah’, baru-baru ini. Memetik Harian Metro, Elfira menafikan dirinya bersikap tamak kerana menerima pelbagai tawaran. “Saya bukan tamak kerana menerima pelbagai tawaran yang datang sebaliknya ia rezeki yang sukar ditolak. Saya terima tawaran menjadi penyampai radio dan berlakon teater kerana ia memang minat saya sejak dulu. Selagi saya boleh mengendalikan jadual saya akan terima mengikut kemampuan diri. “Saya menjadi penyampai kerana minat dan apa salahnya saya mencuba bakat sedia ada. Jika nak diikutkan, memang penat dan tidak cukup rehat, tetapi saya pastikan jadual tersusun dan tidak mengganggu komitmen pada bidang lakonan. “Pada masa sama, saya hanya bertugas di konti radio pada waktu pagi dan hanya pada hujung minggu. Selepas selesai di konti barulah saya ke lokasi penggambaran pula,” jelasnya. Hmm…kami rasa tiada salahnya jika Elfira mengambil banyak tawaran sekalipun. Apa yang penting, dia tahu membahagikan jadualnya agar tidak timbul masalah berkaitan komitmen di kemudian hari. Sumber: Elza / My News Hub

UMNO saman Malaysiakini terbit artikel berunsur fitnah

KUALA LUMPUR – : UMNO dan Presidennya mengemukakan notis tuntutan saman terhadap portal berita, Malaysiakini, berikutan penerbitan artikel berunsur fitnah yang bertajuk ‘A Case Of The PM Reaping What He Sows dan How Much Will Najib Spend To Keep Terengganu’, kelmarin. Penguambela dan Penguamcara Hafarizam Wan & Aisha Mubarak, yang mewakili UMNO berkata, notis tuntutan saman itu dihantar ke pejabat operasi Malaysiakini di Bangsar Utama, petang kelmarin. Menunjukkan niat jahat. “MKINI DOTCOM Sdn Bhd melalui portal beritanya, Malaysiakini secara sedar telah mengumpul dan memilih komen-komen yang berunsur fitnah dan hasutan yang jelas menunjukkan niat jahat terhadap anak guam kami dan telah diterbitkan di laman web itu bertarikh 14 Mei 2014 barubaru ini. “Pada awalnya wakil daripada portal berita itu berkeras tidak mahu menerima notis berkenaan, namun akhirnya mereka akur dan menerimanya,” kata syarikat guaman berkenaan. Notis tuntutan itu antara lain meminta Malaysiakini membuat permohonan maaf, penarikan balik artikel, menyediakan akujanji bertulis tidak akan mengeluarkan lagi sebarang kenyataan terhadap UMNO dan Presidennya, Datuk Seri Najib Razak, menyediakan aku janji akan lebih berhati-hati untuk menerbitkan semula komen pengguna secara amnya serta membayar ganti rugi serta kos perbelanjaan dalam perkara ini. “Segala tuntutan yang dibuat oleh anak guam kami itu hendaklah dipenuhi oleh portal berita Malaysiakini dalam tempoh masa 48 jam dan sekiranya mereka gagal, maka kami akan meneruskan prosiding mahkamah bagi permohonan memfailkan injunksi bagi menghalang sebarang penerbitan lanjut berhubung isu berkenaan terhadap Malaysiakini,” katanya. Turut menerima notis tuntutan saman itu ialah Ketua Pengarang Malaysiakini, Fathi Aris Omar dan juga Ketua Editor, Steven Gan. Sumber: BH

CEO MAS didesak letak jawatan

SUBANG JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan Malaysia (MAS), Ahmad Jauhari Yahya didesak meletak jawatan selepas gagal membawa keuntungan kepada syarikat penerbangan itu bagi tempoh tiga tahun berturut-turut. Turut diminta bertanggungjawab adalah Ketua Pegawai Eksekutif MAS Aerospace Engineering (MAE), Azhari Mohd Dahlan dan Pengarah Sumber Manusia MAS, Zahrah Zaid, yang mula bertugas bersama syarikat itu pada awal tahun 2012. Setiausaha Eksekutif Kesatuan Pekerja-Pekerja Penerbangan Malaysia (MASEU), Mohd Jabbarullah Abd Kadir, berkata bagi menyelesaikan isu ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu tampil bagi memastikan MAS dapat melakukan proses transformasi. Katanya, adalah sesuatu yang pelik apabila bekas Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Datuk Seri Idris Jala dan Datuk Tengku Azmil Zaharuddin Raja Abdul Aziz, mampu mencatat keuntungan tetapi selepas Jauhari mengambil alih, sebaliknya pula yang berlaku. “Idris menyertai MAS dalam keadaan syarikat mencatat kerugian RM1.3 bilion pada tahun 2005 selain harga minyak jet dunia yang tinggi, namun beliau dan Azmil masih mampu mencatat keuntungan RM136 juta pada 2006, RM851 juta (2007), RM244 juta (2008), RM490 juta (2009) dan RM237 juta pada 2010. “Masalah bermula pada 2011 apabila syarikat kembali rugi sehingga tahun lalu dan keadaan bertambah buruk apabila MAS semalam (kelmarin) mengumumkan kerugian RM443 juta bagi tempoh suku pertama tahun ini,” katanya pada sidang media Pejabat MASEU di sini, semalam. Keadaan tambah buruk selepas wujud cadangan agar MAS menjual MAE yang dianggar bernilai RM7 bilion bagi membolehkan syarikat memberi lebih tumpuan kepada aktiviti perniagaan terasnya. Moral kakitangan turun Jabbarullah berkata, ketika ini moral kira-kira 19,500 kakitangan syarikat itu berada dalam keadaan paling rendah malah setiap hari ada kakitangan kabin meninggalkan MAS selepas berasakan masa hadapan mereka tidak lagi menentu. “Malah, 30 jurutera yang baharu tamat latihan meletakkan jawatan baru-baru ini selepas bimbang dengan masa hadapan MAS yang dilihat tidak menentu selagi tidak berlaku perubahan dalam kepimpinan atasan. “Saya berharap pengurusan kanan asal MAS diberi peluang menguruskan syarikat kerana mereka adalah individu paling layak, tindakan membawa individu bukan dari bidang penerbangan bakal merosakkan lagi syarikat,” katanya. Sementara itu, usaha mendapatkan komen Jauhari gagal selepas beliau tidak menjawab panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) Sumber: BH

1 comment:

  1. Halo, semua orang, tolong, saya dengan cepat mahu menggunakan media ini untuk berkongsi kesaksian saya tentang bagaimana Tuhan mengarahkan saya kepada pemberi kredit yang benar-benar mengubah hidup saya daripada kemiskinan kepada seorang wanita kaya dan sekarang saya mempunyai kehidupan yang sihat tanpa tekanan dan kesulitan kewangan,

    Selepas berbulan-bulan cuba mendapatkan pinjaman di internet dan saya telah ditipu dari 400 juta, saya menjadi sangat terdesak untuk mendapatkan pinjaman daripada pemberi pinjaman dalam talian yang sah dalam kredit dan tidak akan meningkatkan kesakitan saya, jadi saya memutuskan untuk beralih kepada kawan saya untuk mendapatkan nasihat tentang bagaimana untuk mendapatkan pinjaman dalam talian, kami bercakap mengenainya dan kesimpulannya adalah tentang seorang wanita bernama Puan Maria yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Maria Loan. Syarikat

    Saya memohon untuk pinjaman (900 juta) dengan kadar faedah yang rendah sebanyak 2%, supaya pinjaman yang diluluskan itu mudah tanpa tekanan dan semua persiapan telah dibuat dengan pemindahan kredit, kerana fakta bahawa ia tidak memerlukan cagaran untuk pemindahan daripada pinjaman, saya hanya diberitahu untuk mendapatkan sijil perjanjian lesen mereka untuk memindahkan kredit saya dan dalam masa kurang dari dua jam wang pinjaman telah dimasukkan ke dalam akaun bank saya.

    Saya fikir ia adalah satu jenaka sehingga saya menerima panggilan dari bank saya bahawa akaun saya telah dikreditkan dengan jumlah 900 juta. Saya sangat gembira bahawa akhirnya Tuhan menjawab doa saya dengan memerintahkan pemberi pinjaman saya dengan kredit sebenar saya, yang boleh memberi harapan saya.

    Terima kasih banyak kepada Cik Maria kerana membuat hidup adil untuk saya, jadi saya menasihati sesiapa yang berminat untuk mendapatkan pinjaman untuk menghubungi Puan Maria dengan baik melalui E-mel (mariaalexander818@gmail.com) ATAU Via Whatsapp (+1 651-243 -8090) untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang bagaimana untuk mendapatkan pinjaman anda,

    Jadi, terima kasih banyak kerana mengambil masa anda membaca tentang kejayaan saya dan saya berdoa agar Tuhan akan melakukan kehendak-Nya dalam hidup anda.
    Nama saya adalah kabu layu, anda boleh menghubungi saya untuk rujukan lebih lanjut melalui e-mel saya: (kabulayu18@gmail.com)

    Terima kasih semua.

    ReplyDelete