Caleb Johnson Juara 'American Idol' Ke-13
PENYANYI berasal daripada Asheville, North Carolina, Caleb Johnson telah diumumkan sebagai juara American Idol musim ke-13 pada malam Rabu.
Johnson yang berusia 23 tahun itu telah menewaskan saingannya, Jena Irene, 17, pada pentas akhir tersebut melalui undian tertinggi penonton.
Johnson membuat persembahan memukau di pertandingan akhir dengan kemantapan vokal dan kemenangannya itu menepati ramalan sejak awal lagi.
Bagaimanapun, peserta yang yang berasal daripada Farmington Hills, Michigan itu turut akan menerima hadiah saguhati.
Kedua-dua peserta ini turut diadili oleh juri American Idol musim ini iaitu Keith Urban, Jennifer Lopez, dan Harry Connick Jr.
Sumber AP / mStar
Budak Perempuan Maut Dipukul Bapa Di China
Beijing – Seorang budak perempuan berusia 11 tahun di China dipukul hingga mati oleh bapanya kerana meniru kerja rumah rakan sekelasnya, lapor media tempatan semalam.
Lelaki terbabit mengarahkan budak perempuan berkenaan melutut, mengikat tangan mangsa dan memukul mangsa, lapor agensi berita rasmi Xinhua.
Bapa berkenaan kemudian membawa anaknya itu ke hospital selepas mendapati mangsa berhenti bernafas tetapi budak terbabit disahkan meninggal dunia keesokan harinya, lapor Xinhua.
Doktor di hospital di Hangzhou mendapati kesan lebam dan kecederaan di leher dan belakang tubuh mangsa selain tanda tercekik selama kira-kira lima minit, lapor Xiandai Jinbao.
Terdahulu bulan ini, gambar grafik seorang budak lelaki berusia 10 tahun dari wilayah Guangdong didakwa dipukul ibu tirinya tersebar meluas di halaman media sosial China, dengan kebanyakan pengguna menggesa undang-undang tegas terhadap penderaan kanak-kanak.
Sumber: AFP / BH
Iran Bebaskan 6 Orang Didapati Menari, Selepas Bertaubat
Tehran – Enam orang termasuk tiga gadis di Iran yang ditangkap kerana bergaul bebas antara lelaki dan wanita serta menari dalam rakaman video yang dimuat naik dengan lagu Happy nyanyian Pharrell William, telah dibebaskan selepas mereka bertaubat.
Ia disiarkan dalam stesen televisyen kerajaan.
Bagaimanapun pengarah video tersebut masih ditahan.
Salah seorang daripada mereka, Reihane Taravati, mengumumkan pembebasan tersebut melalui instagramnya.
Mereka ditangkap selepas polis mendapati berlaku pergaulan bebas termasuk bercampur antara lelaki dan wanita ketika menari dan rakaman video tersebut disifatkan sebagai lucah serta menyinggung perasaan orang ramai.
Rakaman tarian itu dijalankan di atas sebuah bumbung bangunan. Hukuman bagi kesalahan tersebut adalah penjara atau sebat atau denda.
Malah wanita dalam rakaman video itu juga tidak memakai hijab, iaitu satu kesalahan dalam undang-undang di Iran.
Video itu dimuatnaik ke dalam Facebook dan Instragram sebelum ia dijadikan privasi.
Sumber: My News Hub
Gempa 6.0 Magnitud Landa India
NEW DELHI: Gempa berukuran 6.0 magnitude melanda Teluk Benggala, di perairan timur India namun tiada amaran tsunami dikeluarkan.
Pusat gempa di 275 kilometre di tenggara Bandar Konarka di kedalaman 39 kilometer, demikian menurut Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS).
Setakat ini tiada laporan mengenai kerosakan atau kemalangan jiwa.
Sumber: AFP / BH
Pelajar Malaysia kemalangan di Perth
Media Australia melaporkan mengenai kejadian.
PERTH: Tiga belas kanak-kanak dari Indonesia dan Malaysia dikejarkan ke hospital selepas bas mereka terbalik dan terjatuh ke dalam ke dalam gaung di Australia Barat, kata polis Khamis.
Kanak-kanak yang berumur antara 10 dan 12 tahun itu sedang menuju ke Tasik Leschenaultia bersama dengan lapan orang dewasa untuk berkhemah pada petang Rabu apabila pemandunya hilang kawalan bas, yang menyebabkan bas terjatuh ke dalam gaung.
"Tiga mengalami kecederaan termasuk yang dipercayai patah tulang dan semua telah dibawa ke hospital untuk pemeriksaan," kata polis dalam satu kenyataan.
"Walaupun kecederaan yang dialami adalah serius, dipercayai ia tidak mengancam nyawa."
Lapan kanak-kanak ditahan di dua hospital Perth pada Khamis berada dalam keadaan yang stabil.
Lapan orang dewasa juga dimasukkan ke hospital, walaubagaimanapun tahap kecederaan mereka tidak diketahui.
Penyiasat berkata mereka sedang mengkaji sama ada kabus merupakan faktor menyebabkan kemalangan itu yang berlaku di Gidgegannup, 40 kilometer (25 batu) timur Perth.
Kanak-kanak dan orang dewasa terbabit adalah anggota kumpulan alam sekitar E- Ijau di Malaysia dan Tunas Indonesia, kata akhbar The West Australian.
Pecahan bangsa masih belum diketahui.
Sumber: The West Australian / mStar
ERL Dapat Anugerah 'AirRail Link' Terbaik Kali Ke-2
Perkhidmatan ERL Ekspres dan ERL Transit sekali lagi mendapat pengiktirafan.
KUALA LUMPUR: Express Rail Link Sdn Bhd (ERL), pengendali kereta api KLIA Ekspres dan KLIA Transit, menerima anugerah 'AirRail Link' terbaik pada Anugerah Global AirRail 2014, kali kedua selepas kemenangan pertama pada 2012.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Noormah Mohd Noor dalam satu kenyataan berkata, anugerah itu membuktikan syarikat Malaysia boleh menyediakan perkhidmatan bertaraf dunia dengan campuran tepat teknologi dan pelaburan sumber manusia.
"Terdapat 140 lapangan terbang di dunia yang mempunyai sambungan kereta api secara terus dan sekurang-kurangnya 24 daripadanya mereka adalah sambungan khusus. Jadi, ia tentunya satu penghormatan besar diiktiraf oleh rakan-rakan kami di peringkat global.
"Kami bekerja keras untuk meningkatkan perkhidmatan kami kepada pelanggan," kata Noormah.
Beliau menerima anugerah itu pada majlis yang diadakan semasa persidangan antarabangsa 'Global AirRail: Customer Experience' yang berlangsung di Oslo Khamis lepas, anjuran the Global AirRail Alliance (GARA), sebuah pertubuhan antarabangsa khusus untuk pengangkutan rel udara.
Menurut kenyataan itu, hakim memuji ERL di atas prestasi jangka panjangnya yang sangat baik, penerimaan teknologi baru, hasil perniagaan yang positif, dan kagum dengan pembangunan infrastruktur stesen sebagai sebahagian daripada pelan pertumbuhan.
Mengenai pelaksanaan sistem Kutipan Tambang Automatik (AFC) baharu ERL berasaskan awan, hakim berpendapat pembangunan konsep itu telah membawa kepada peningkatan jumlah penumpang, yang merupakan perkara penting dalam sambungan kereta api yang baik.
Menurut kenyataan itu, hakim dari industri penerbangan dan kereta api menilai penyertaan dan memilih pemenang tahun ini dalam sembilan kategori termasuk perkhidmatan kepada pelanggan, pertumbuhan hasil dan peningkatan prestasi, pembangunan dan pengenalan perkhidmatan dan produk baru serta komunikasi berkesan dengan pelanggan.
ERL ialah pengendali KLIA Ekspres dan KLIA Transit yang menghubungkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA & KLIA2) dan pusat bandar Kuala Lumpur.
Sebelum anugerah tahun ini, ERL telah memenangi Anugerah AirRail Global Khidmat Pelanggan Terbaik (2011), Personaliti Terbaik - Noormah Mohd Noor (2011)
dan Iltizam Alam Sekitar ( 2013).
Sumber: mStar
Penjenayah Bermotosikal Campak Pistol Atas Jalan
Serdang: Seorang penjenayah bermotosikal yang dikejar anggota polis bertindak mencampakkan sepucuk pistol dan satu kelopak peluru ke atas jalan raya bagi menghapuskan bukti jenayah dilakukan.
Dalam kejadian jam 4.30 pagi semalam, suspek bertindak merempuh pemeriksaan anggota polis sewaktu ditahan untuk pemeriksaan di Jalan Puteri di sini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Serdang Superintendan Yong Soo Koon berkata, suspek dikesan menaiki tiga motosikal bersama empat rakan lain sebelum cuba ditahan tiga anggota unit kereta peronda polis.
Beliau berkata, kelima-lima suspek yang dilihat dalam keadaan mencurigakan bagaimanapun bertindak melarikan diri sebelum dikejar polis.
“Seorang suspek yang membonceng motosikal terbabit dilihat sempat mencampakkan sepucuk pistol ketika sedang melarikan diri.
Sumber: Harian Metro
'Terima kasih tangkap anak saya'
Empat suspek ini dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun untuk siasatan lanjut.
DUNGUN – “Sudah puas saya nasihatkan dia agar kembali ke pangkal jalan, namun nasihat saya tidak diendahkannya. Terima kasih kepada polis sebab datang tangkap anak saya. Semoga kejadian ini dapat memberi pengajaran buatnya.”
Demikian luahan hati seorang bapa selepas dua anak lelakinya ditahan kerana disyaki memiliki dadah.
Dua beradik masing-masing berusia awal 20-an itu ditahan di rumah mereka dekat Padang Pulut, di sini, kira-kira jam 7 pagi, semalam, selepas maklumat risikan mengatakan dua beradik itu aktif membekalkan pil kuda kepada penagih sekitar.
Ketika serbuan dilakukan sepasukan polis narkotik diketuai Inspektor Mohd Ridhuan Ismail, dua beradik itu sedang khayal dan disyaki baharu mengambil dadah.
Pemeriksaan lanjut menemui satu beg kecil berwarna putih biru dalam poket seluar suspek yang mengandungi 150 pil kemerahan disyaki dadah jenis methamphetamine.
Pemeriksaan pada seorang lagi suspek pula menemui satu beg hitam mengandungi tiga pil sama dalam straw berangkai.
Menurut seorang suspek, dia terlibat dengan pengedaran dadah secara kecil-kecilan sejak beberapa bulan lalu.
Kata anak sulung daripada lima beradik itu, sejak ibu bapa mereka bercerai, dialah yang menjaga adik-adik dengan menjual dadah secara sambilan untuk menambah pendapatan, namun tidak menyangka perbuatannya itu akhirnya membawa padah sehingga ditangkap polis.
"Kehidupan saya berubah sejak ibu bapa bercerai lebih lima tahun lalu. Sejak itu, kami kehilangan kasih sayang menyebabkan saya makin tertekan hingga terjebak dengan penyalahgunaan dadah setelah terpengaruh dengan rakan.
“Ini kali pertama saya ditahan polis, mungkin saya akan dipenjarakan sebab tak mampu nak bayar wang jaminan. Saya tak sempat nak nikmati keuntungan, dah masuk perangkap polis,” katanya yang disahkan positif dadah selepas melakukan ujian saringan air kencing.
Dua beradik itu ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39 A (1) dan 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Selain dua beradik itu, seorang sepupu dan seorang rakan mereka turut ditahan kerana positif dadah.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub mengesahkan tangkapan berkenaan.
Sumber: Sinar Online
Kaya Dengan 'Rompak' Bangkai Kapal
Operator yang menjalankan operasi secara haram ini berjaya mengumpul bertan-tan logam dan besi buruk dari kapal karam, Kuma. -Gambar ihsan Hayazy Nayan
EKSKLUSIF GEORGE TOWN: Operasi 'merompak' besi buruk daripada sekurang-kurangnya lima bangkai kapal, termasuk dua kapal Perang Dunia II Jepun, di perairan Pulau Pinang sejak awal tahun ini berjaya dilakukan secara haram dan aktiviti mereka tidak dapat dikesan oleh pihak berkuasa.
Mereka yang melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab ini dipercayai telah 'menyapu bersih' sekurang-kurangnya dua bangkai dari kapal-meriam Jepun, Chosa Maru, dipanggil Kapal Jepun oleh penduduk tempatan yang tenggelam pada Ogos 1943, dan 'cruise' ringan Jepun, Kuma yang karam pada Januari 1944 serta mendapat pulangan bernilai jutaan ringgit.
Tiga kapal karam lain yang turut 'diambil' adalah kapal perang Jepun Haguro, Kapal Taiwan dan Kapal Simen yang semuanya terletak di luar Pulau Kendi.
Lembaga Tourism Malaysia Pulau Pinang pada Disember tahun lepas telah melancarkan promosi memancing di kapal karam berhampiran perairan Pulau Pinang sebagai sebahagian daripada aktiviti Tahun Melawat Malaysia.
Penganjur acara, Wan Hayazy Nayan berkata promosi memancing itu hanya akan menjadi satu pembaziran wang rakyat kerana tiada lagi kapal karam di perairan Pulau Pinang.
Beliau berkata adalah satu tindakan sia-sia apabila Lembaga Pelancongan Malaysia menggalakkan aktiviti memancing di kapal karam di Pulau Pinang yang menjadi syurga bagi pemancing dan dalam masa yang sama membenarkan tapak itu dirompak.
Wan Hayazy berkata beliau telah memaklumkan perkara ini kepada Jabatan Laut apabila beliau dan kawan-kawannya secara tidak sengaja terserempak dengan aktiviti itu tetapi terkejut dengan 'mentaliti' pihak berkuasa.
Pengarah Jabatan Laut Wilayah Utara Abdul Aziz Mahmud memberitahu The Star bahawa agensi itu tidak mengetahui sebarang operasi haram seperti itu di Pulau Pinang.
"Jabatan ini tidak mengeluarkan apa-apa kebenaran kepada mana-mana syarikat untuk menjalankan operasi pemuliharaan atau penyelamatan kapal karam di perairan Pulau Pinang. Pihak-pihak yang berkaitan hendaklah melaporkan semua aktiviti seperti itu kepada kami," katanya.
Beliau menganggap operasi itu sebagai menyalahi undang-undang dan berkata jabatan itu telah melancarkan siasatan.
Menurut sumber, operator menjalankan operasi menggunakan tongkang dan kren untuk menarik keluar bangkai.
"Oleh kerana kapal-kapal ini berada di dalam air untuk sekian lama, kren akan berlegar sekitar bangkai kapal dan merentap ketulan logam dari kapal yang berkarat. Tugas menarik kepingan logam dari kapal berkarat agak mudah kerana bangkai adalah rapuh dan telah reput."
Gambar yang diambil pada 9 Mei menunjukkan besi buruk dan logam
ditarik keluar dari bangkai kapal Kuma yang karam pada Januari 1944.
Tambahnya, pemancing terlihat operasi haram ini sebanyak tiga kali di Kuma dan sekurang-kurangnya dua kali di Chosa Maru.
Kali terakhir pemancing ternampak aktiviti haram ini di Kuma adalah pada 9 Mei.
Sumber itu berkata, mereka menganggarkan operasi 'pembersihan' itu berjaya membawa pulang di antara 80 dan 100 tan besi buruk dari bangkai kapal dalam sekali kunjungan. Ia kemudiannya akan dijual.
"Logam lama dari bangkai kapal dijual dengan harga RM600 setiap tan. Harga boleh menjadi lebih tinggi, bergantung kepada keadaan logam," kata sumber.
Sumber itu berkata bangkai kapal lama tetap mempunyai nilai kerana logam itu tidak sepenuhnya berkarat.
Kumo adalah sebuah kapal 5,182 tan, Chosa Maru 2,538 tan, dan Haguro 13,500 tan. Kapal-kapal juga membawa meriam, sauh dan senjata lain di atas kapal.
'Terima kasih tangkap anak saya'
Empat suspek ini dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun untuk siasatan lanjut.
DUNGUN – “Sudah puas saya nasihatkan dia agar kembali ke pangkal jalan, namun nasihat saya tidak diendahkannya. Terima kasih kepada polis sebab datang tangkap anak saya. Semoga kejadian ini dapat memberi pengajaran buatnya.”
Demikian luahan hati seorang bapa selepas dua anak lelakinya ditahan kerana disyaki memiliki dadah.
Dua beradik masing-masing berusia awal 20-an itu ditahan di rumah mereka dekat Padang Pulut, di sini, kira-kira jam 7 pagi, semalam, selepas maklumat risikan mengatakan dua beradik itu aktif membekalkan pil kuda kepada penagih sekitar.
Ketika serbuan dilakukan sepasukan polis narkotik diketuai Inspektor Mohd Ridhuan Ismail, dua beradik itu sedang khayal dan disyaki baharu mengambil dadah.
Pemeriksaan lanjut menemui satu beg kecil berwarna putih biru dalam poket seluar suspek yang mengandungi 150 pil kemerahan disyaki dadah jenis methamphetamine.
Pemeriksaan pada seorang lagi suspek pula menemui satu beg hitam mengandungi tiga pil sama dalam straw berangkai.
Menurut seorang suspek, dia terlibat dengan pengedaran dadah secara kecil-kecilan sejak beberapa bulan lalu.
Kata anak sulung daripada lima beradik itu, sejak ibu bapa mereka bercerai, dialah yang menjaga adik-adik dengan menjual dadah secara sambilan untuk menambah pendapatan, namun tidak menyangka perbuatannya itu akhirnya membawa padah sehingga ditangkap polis.
"Kehidupan saya berubah sejak ibu bapa bercerai lebih lima tahun lalu. Sejak itu, kami kehilangan kasih sayang menyebabkan saya makin tertekan hingga terjebak dengan penyalahgunaan dadah setelah terpengaruh dengan rakan.
“Ini kali pertama saya ditahan polis, mungkin saya akan dipenjarakan sebab tak mampu nak bayar wang jaminan. Saya tak sempat nak nikmati keuntungan, dah masuk perangkap polis,” katanya yang disahkan positif dadah selepas melakukan ujian saringan air kencing.
Dua beradik itu ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39 A (1) dan 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Selain dua beradik itu, seorang sepupu dan seorang rakan mereka turut ditahan kerana positif dadah.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub mengesahkan tangkapan berkenaan.
Sumber: Sinar Online
Pesawat Singapore Airlines Tergelincir Ketika Mendarat, Tiada Kecederaan
SINGAPURA: Sebuah pesawat Singapore Airlines tergelincir di landasan ketika mendarat semasa hujan lebat di Lapangan Terbang Antarabangsa Yangon, Myanmar, tetapi tiada kecederaan dilaporkan, lapor syarikat penerbangan itu, Khamis.
Pesawat Airbus A330 "berdepan hujan lebat dan terpesong sedikit dari landasan ketika melakukan pendaratan" yang dijadualkan mendarat pada pukul 9.20 pagi (0250 GMT), Rabu, sebelum ia dikawal kembali dengan selamat, kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan.
"Pesawat itu telah ditunda dan penumpang diarahkan keluar dari pesawat seperti biasa," kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan, sambil menambah pesawat ganti telah dihantar ke Yangon untuk penerbangan pulang.
Pesawat penerbangan harian SQ998 ke Myanmar itu membawa 265 penumpang dan anak kapal, kata syarikat penerbangan itu kepada AFP.
Pada 9 Mei, sebuah pesawat superjumbo Airbus A380 penerbangan ke Hong Kong yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan itu terpaksa berpatah balik ke Singapura selepas juruterbang menerima amaran mengenai masalah pintu kargo.
Pada Januari, salah sebuah pesawat A380 syarikat penerbangan yang sama terpaksa membuat pendaratan kecemasan di Azerbaijan selepas mengalami penurunan tekanan kabin.
Singapore Airlines mempunyai 19 pesawat A380 dengan lima yang lain telah ditempah, beroperasi dari Singapura ke pelbagai destinasi termasuk Hong Kong, Frankfurt, London dan Los Angeles.
Sumber: mStar
Seorang bekas penjawat awam ditahan tipu diculik
KOTA KINABALU: Polis menahan seorang bekas penjawat awam kerana memeras ugut isterinya selepas mendakwa dia diculik sehingga meminta wang tebusan sebanyak RM8,000 dua minggu lepas.
Ketua Polis Kota Kinabalu ACP Jauteh Dikun berkata lelaki yang berumur awal 30-an itu ditahan semasa mengeluarkan wang dari mesin teller automatik (ATM) pada kira-kira jam 3.00 petang di sekitar bandaraya ini, pada 16 Mei lalu.
“Pada 15 Mei, isteri mangsa yang berumur 22 tahun menerima beberapa keping gambar mangsa dan meminta memasukkan wang ke dalam akaun untuk membebaskannya.
“Hasil siasatan lanjut, polis mendapati dia mengadakan-adakan cerita diculik oleh sekumpulan lelaki pada 7 Mei lalu,” katanya pada sidang media di sini, Rabu.
Jauteh berkata polis turut merampas sembilan sim kad termasuk salah satu daripadanya digunakan untuk menghubungi isterinya dan melakukan pemerasan.
Dalam perkembangan lain, katanya, polis menahan seorang suspek tanpa pengenalan diri kerana melakukan rompakan bersenjata di Telipok pada pukul 9.45 malam, Isnin lepas.
Beliau berkata polis menemui sebilah pedang samurai bersama suspek lelaki yang berumur 29 tahun dipercayai digunakan untuk merompak serta sebuah motosikal curi.
“Polis sedang menjejaki seorang lagi rakan suspek kerana melakukan rompakan bersenjata ke atas seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun yang kerugian kira-kira RM4,000 pada kejadian 4.30 petang itu, Sabtu lepas,” katanya.
Sumber: Sinar Online
DUN P.Pinang Kecoh Lagi
GEORGE TOWN: Perkarangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang kembali kecoh kira-kira pukul 12.30 tengah hari Khamis apabila seorang ahli Soladiriti Anak Muda Malaysia (SAMM) mendakwa dikasari sekumpulan Pemuda Umno.
Lelaki tersebut yang mendakwa kumpulan yang berada di seberang jalan di hadapan DUN memijak kasut dan merampas topi kaledar miliknya.
Kekecohan itu menyebabkan kesesakan di Lebuh Light.
Lelaki terbabit dilihat dibawa oleh polis untuk beredar dari kawasan tersebut.
"Apa salah saya? Saya nak pergi minum tapi mereka pijak kaki saya," dakwa lelaki itu.
Ketua Pembangkang Datuk Jahara Hamid dan beberapa Adun BN turut keluar untuk menenangkan keadaan.
"Hangpa kena ingat, hangpa pembangkang di sini," katanya.
Polis berjaya mengawal keadaan dan situasi kembali normal kira-kira 15 minit kemudian.
Seramai 20 Unit Tindakan Ringan (LSF) ditugaskan mengawal pintu utama DUN sejak pukul 8.30 pagi untuk mengelakkan insiden menceroboh masuk dewan pada petang Rabu tidak berulang lagi.
Sementara itu, Exco Pemuda Umno, Arman Azha Abu Hanifah menafikan sekumpulan pemuda Umno mengasari lelaki tersebut.
Sebaliknya, beliau mendakwa lelaki tersebut yang memulakan provokasi terlebih dahulu.
"Dia datang ke arah kami dan bersalaman dengan ketua bahagian kemudian tunjuk helmet yang tertera perkataan 'asal bukan Umno'," kata Arman ketika ditemui pemberita.
Sumber: mStar
GAMBAR: ‘Sweet Je’ KJ Ambil Anak Balik Sekolah
Tak keterlaluan dikatakan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (KJ) mempunyai populariti ala-ala artis di negara ini.
Jadi selayaknya artis, apa sahaja yang dibuat semua jadi perhatian.
Sampaikan gambar KJ yang datang mengambil anaknya balik dari sekolah seterusnya membantu kanak-kanak melintas jalan pun diambil oleh ‘peminatnya’ yang kemudian memuatnaik gambar tersebut di media sosial.
Rata-rata memberi komen tindakan KJ ini sebagai ‘sweet’ dan bertanggungjawab.
Dari satu segi menghantar dan mengambil anak balik dari sekolah adalah perkara biasa sebenarnya namun apabila seorang menteri mempunyai masa untuk melakukannya sudah tentu ia menjadi satu perkara menarik untuk dikongsikan.
Sebelum ini KJ turut dipuji apabila menghantar anaknya ke sekolah kebangsaan biasa dan bukannya sekolah antarabangsa sebagaimana biasa dilakukan golongan ternama lain.
Sumber: Rem Ramzi / My News Hub
Kerajaan Negeri Siasat Kejadian Ceroboh Sidang DUN
Ketua Pemuda Umno Jelutong, Jasmin Nordin berucap di hadapan pintu utama DUN semasa membuat demontrasi terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, R.S.N Rayer di persidangan DUN di George Town, Rabu.
GEORGE TOWN: Ketua Menteri Lim Guan Eng mencadangkan agar satu jawatankuasa khas ditubuhkan untuk mengkaji kejadian pada Rabu di mana penunjuk perasaan merempuh masuk ke dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
Disokong oleh ahli-ahli pembangkang, Lim berkata jawatankuasa itu akan menyediakan laporan untuk menjelaskan apa yang telah berlaku dan pihak-pihak yang terbabit.
Beliau berkata laporan itu akan mencadangkan tindakan yang akan diambil terhadap mereka yang terbabit dan langkah-langkah pencegahan yang perlu diambil untuk mengelakkan kejadian itu daripada berulang.
"Jawatankuasa khas akan diketuai oleh speaker dan empat ahli dewan," katanya kepada sidang dewan pada Khamis.
Sumber: mStar
Zoo tawar urutan ular sawa Burma
Setiap ular diberi makan sebanyak 10 ekor ayam atau lebih sebelum sesi urutan. - Foto Caters News Agency
CEBU - FILIPINA. Sebuah zoo di Filipina menawarkan urutan badan secara percuma kepada pengunjungnya, lapor portal Daily Mail.
Meskipun percuma, pengunjung yang mahu menikmatinya perlu mempunyai keberanian tinggi untuk mencubanya kerana mereka akan 'diurut' oleh empat ekor ular sawa Burma yang sangat besar.
Ular sawa yang diberi nama Michelle, Walter, EJ dan Daniel akan dibawa keluar dari sangkar dan diletakkan atas badan seorang pengunjung yang berbaring di pondok buluh berdekatan pintu masuk zoo untuk satu-satu masa.
Sesi selama 15 minit itu akan diperhatikan penjaga zoo.
Namun aktiviti ini bukan untuk orang yang menghidapi lemah jantung kerana ular sawa sepanjang 5 meter itu boleh membelit mangsa sehingga mati.
Malah tiada jalan keluar apabila sesi 'rawatan' itu sudah bermula.
Sumber: Sinar Online
2 Jaga, 1 Penganggur Didakwa Bunuh Warga Bangladesh
PORT DICKSON – Dua pengawal keselamatan dan seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, kerana membunuh warga Bangladesh di Bukit Pelandok di sini, 10 Mei lalu.
Tertuduh, R Thineshwaran, 22; K Velmurugan, 23, dan AB Tamilarasan, 27, dituduh menyebabkan kematian Md Abdul Hossain, 32.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka bersama dua individu yang masih bebas melakukan perbuatan itu di hadapan rumah pekerja kilang di Jalan Haiwan, Bukit Pelandok, di sini, jam 9.30 pagi, 10 Mei lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan boleh dihukum mati, jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan dan Majistret M Mageshwary menetapkan sebutan semula kes pada 2 Julai ini.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suhaili Sapun, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sumber: BHarian
Ngeri.. Lengan Koyak Tersangkut Pagar
Seperti kita tahu, tugas Jabatan Bomba & Penyelamat tidak terhad hanya memadamkan kebakaran dan menyelamatkan mangsa kemalangan sahaja.
Kadangkala bomba terpaksa bergegas datang untuk menyelesaikan kes-kes yang agak unik dan jarang berlaku.
Menerusi Facebook mereka, Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia hari ini berkongsi khidmat khas yang dilakukan anggota mereka iaitu memotong besi pagar SMK Rantau Panjang untuk membolehkan seorang lelaki dibawa ke hospital.
Daripada gambar dapat dilihat lengan mangsa tercucuk pada besi pagar yang terpaksa dipotong menggunakan pemotong hidraulik.
Memang ngeri namun kami percaya sesiapa sahaja yang melihat gambar di atas pasti tertanya-tanya, “Macam mana sampai boleh jadi macam ini?”
Sumber: Rem Ramzi / My News Hub
Aksi Baring Abu Backer, Gambarnya Jadi Mangsa ‘Super-Impose’
Foto dari komen Facebook Page SiakapKeli oleh Mohd Firdaus Ishak
Susulan aksi drama oleh calon Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor, Abu Backer Sidek Mohamad Zan yang terbaring di bawah bahagian hadapan kereta rasmi Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, aksinya itu kini sudah menjadi bahan lawak.
Boleh dikatakan semua pihak tahu bahawa insiden dia dilanggar kereta Guan Eng hanyalah rekaan semata-mata untuk menarik perhatian para wartawan.
Katanya, dia sudah dipulaukan oleh media selepas sukar untuk mendapat bahan berita mahupun membuat liputan tentang dirinya.
Sudah tersebar di internet gambar yang diolah menunjukkan Abu Backer Sidek terbaring di bawah tayar kapal terbang.
Memang lawak kerana sekali pandang memang ia seperti seakan-akan betul. Bila ditenung dengan lebih dekat barulah nampak kesan bahawa gambar itu telah menjalani proses ‘super-impose’.
Baju yang dipakai olehnya juga sama dengan baju yang dipakai ketika kejadian drama itu pada Selasa lepas.
Dia turut dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dengan ambulans dan seorang Pegawai Perubatan HPP yang datang bersama-sama ambulans memberitahu pemberita Abu Backer Sidek mengalami keretakan pada bahagian kanan pinggangnya.
Sumber: My News Hub
Guru Tahfiz paksa murid lakukan seks oral dicekup polis
JASIN 21 Mei - Kelakuan sumbang seorang guru di sebuah pusat tahfiz al-Quran di daerah ini yang menyuruh seorang murid lelaki melakukan seks oral akhirnya terbongkar apabila perkara itu diadukan sehingga membawa kepada penahanan guru agama berkenaan Ahad lalu.
Lelaki berumur 20 tahun itu ditahan pihak polis selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri sejurus laporan mengenai kelakuan tidak bermoralnya dibuat oleh ibu mangsa.
Menurut sumber, guru berkenaan telah mengajak mangsa yang berumur 12 tahun masuk ke biliknya dengan alasan meminta bantuan untuk mengurut badannya pada awal bulan ini.
Jelas sumber itu, mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa kemudian disuruh pula melakukan perbuatan sumbang itu selain turut dicium di bahagian mulut.
"Bimbang akan dimarahi jika menolak, mangsa kemudian menuruti sahaja permintaan suspek," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mangsa yang bimbang kejadian sama akan berulang kemudian terus menghubungi ibunya melalui telefon memaklumkan bahawa dia mempunyai masalah namun tidak menyatakan masalah dihadapi pada awalnya.
"Setelah dipaksa, barulah murid itu memberitahu perkara sebenar dilakukan ustaz tersebut terhadapnya dan ibu mangsa kemudian mengambilnya dari pusat tahfiz berkenaan pada 16 Mei lalu sebelum membuat laporan di Balai Polis Merlimau," kata sumber itu.
Ujar sumber itu, menyedari ibu mangsa telah mengambil anaknya dari pusat tahfiz, suspek yang mengajar sejak Februari lalu kemudian mengambil cuti panjang untuk pulang ke kampungnya di Dungun, Terengganu.
"Namun apabila dia mengetahui polis sedang memburunya, dia kemudian menyerah diri ke IPK negeri dan ditahan untuk siasatan," tambah sumber itu.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Katanya, suspek yang ditahan sejak Ahad lalu akan direman sehingga hari ini dan siasatan terperinci masih dijalankan di bawah Seksyen 377E iaitu melakukan kelucahan melampau," katanya.
Sumber: Utusan
Banyak perlu dibuat jika mahu laksana GST
SHAH ALAM - Memahami mekanisme cukai barangan dan perkhidmatan (GST) lebih sukar daripada melaksanakan namun sejauh mana cukai baharu itu mampu memberi kebaikan atau keburukan kepada rakyat belum terbukti selagi ia tidak diaplikasikan dalam sistem percukaian negara.
Wacana Sinar Harian Siri ke-28 semalam membawa tajuk "GST: Siapa Untung Siapa Rugi" mengupas lanjut cukai baharu itu yang telah menimbulkan pelbagai persepsi masyarakat, sedikit sebanyak memberi pencerahan kepada kekeliruan yang timbul.
Pertemuan empat mata antara wakil kerajaan, pembangkang, ahli akademik dan wakil pengguna berjaya memberikan penjelasan yang seimbang, berfakta dan praktikal, bukan berwacana untuk menjaga kepentingan entiti yang diwakili.
Walaupun pada mulanya panel akademik, Profesor Pengurusan Strategi dan Pemasaran, Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi Mara, Prof. Dr Faridah Hassan cuba memberikan pengertian sebenar GST yang dipraktikkan di 160 negara di seluruh dunia, namun kekeliruan pula timbul apabila beliau mengatakan cukai itu lebih rendah kadarnya berbanding cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dipraktikkan pada masa ini.
Kekeliruan itu kemudiannya dibidas wakil pembangkang oleh Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli sambil menegaskan SST dan GST tidak boleh disamakan malah kadarnya juga berbeza.
Beliau juga kesal apabila istilah SST juga cuba dikelirukan Faridah dengan mengatakan kadarnya ketika ini 16 peratus lebih tinggi daripada GST pada kadar enam peratus sedangkan cukai lama itu adalah antara enam atau 10 peratus.
Menurut Rafizi, perbandingan GST ditimbulkan Faridah di negara maju sehingga 21 peratus berbanding Malaysia enam peratus tidak banyak membantu mengikis perspsi negatif memandangkan ia diperkenalkan dalam keadaan terburu-buru tanpa memberi kefahaman yang mendalam kepada rakyat.
Implikasi GST katanya tidak timbul sebaliknya kerajaan perlu mengambil kira tahap kesediaan semua pihak termasuk kedudukan ekonomi kukuh dan kadar pendapatan tinggi perlu dicapai sebelum diperkenalkan di negara ini.
Hasil kutipan GST perlu dikembalikan kepada rakyat tidak timbul jika kerajaan berhemah berbelanja dan mengelakkan ketirisan, pemborosan dan rasuah bermula dari cukai sedia ada.
Hujah Rafizi kemudiannya disambut Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Muhammad Sha'ni Abdullah sambil mengatakan penjelasan cukai kepenggunaan itu perlu dipergiatkan sebelum ia boleh dilaksakan.
Menurut Muhammad Sha'ni lagi, percukaian adalah langkah yang baik untuk membiayai negara namun jika kerajaan masih gagal mengekang tabiat lama, cukai itu tidak mungkin menguntungkan rakyat.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed pula mempertahankan hasrat kerajaan memperkenalkan cukai itu namun beliau mengakui ia perlu dilakukan secara telus.
Jelasnya lagi, cukai yang dikenakan perlu mengikut kesesuaian mengikut kemampaun dan gaya hidup rakyat sendiri.
Rafizi terus menerus menyerang kekeliruan GST yang mengatakan lebih rendah sedangkan semua peringkat dan lapisan masyarakat selepas ini akan menanggung kesannya.
Dakwanya GST hanya menguntungkan pengilang, pemborong dan peruncit yang diberi mekanisme untuk menuntut semula cukai itu daripada kerajaan, sedangkan rakyat sebenarnya menanggung keseluruhan cukai itu dengan bebanan kenaikan harga mendadak.
Akhirnya kegagalan kerajaan memberikan kefahaman GST kepada rakyat terserlah hingga gagal menepis tanggapan buruk akibat cukai itu bukan lagi terpilih seperti SST.
Sumber: Sinar Online
Tong Gas Memasak Meletup, Bapa & Dua Anak Cedera
KOTA BAHARU: Seorang bapa dan dua anaknya cedera selepas terkena api akibat letupan tong gas memasak yang bocor di rumah mereka Taman Mimi, Wakaf Baharu, Tumpat, pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira 3.40 petang itu, Mohd Eddie Hariry Mohd Nor, 33, bersama-sama dua anaknya Nor Syafiqa, 10, dan Nor Syakira Anis, 2, berada di bahagian dapur rumah dan cuba membaiki kerosakan pada tong gas selepas terhidu bau gas.
Bernama difahamkan mangsa dipercayai telah memasang kepala tong gas itu dan menghidupkan api sebelum ia meletup.
Ibu mentua Mohd Eddie Hariry, Hamidah Hamzah, 63, berkata: "Ketika saya berada di ruang tamu rumah, saya lihat dia (Mohd Eddie Hariry) berjalan ke arah dapur. Memang ada bau gas dan saya rasa gas bocor, sebelum berlaku letupan kuat secara tiba-tiba."
Bercakap kepada pemberita di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini hari ini, beliau berkata ketika api mula marak di ruang dapur, dia melihat menantunya merempuh pintu dapur untuk menyelamatkan diri dan anak-anak.
Jurucakap HRPZII berkata mangsa tiba di hospital itu pada 4.20 petang sebelum ditempatkan di Unit Rawatan Rapi untuk rawatan.
"Mohd Eddie Hariry dan Nor Syafiqa cedera parah di badan dan kedua-dua mereka akan menjalani pembedahan malam ini," kata jurucakap itu.
Nor Syakira Anis cedera ringan dan keadaaannya dilaporkan stabil.
Sumber: mStar
Sharifah Aini hidap radang paru-paru
Kuala Lumpur: Biduanita negara, Datuk Sharifah Aini (gambar), kini dalam rawatan pakar perubatan sebuah hospital swasta di ibu negara.
Masalah kesihatan artis veteran itu disahkan sahabat baiknya, Khalilah Mohd Talha, yang juga Pengurus Besar Komunikasi Strategik PLUS Malaysia Berhad, menerusi coretan di laman Facebook penyanyi itu.
Namun, Khalilah tidak menyatakan penyakit yang sedang dideritai Sharifah Aini serta tidak menyatakan lokasi pusat rawatan berkenaan.
Sebelum itu, Sharifah Aini pernah menulis di laman sosialnya, menyatakan beliau dijangkiti radang paru-paru. Namun, sehingga malam tadi, penyanyi Seri Dewi Malam itu gagal dihubungi.
Reda dengan ketetapan.
Khalilah turut memaparkan pesanan Sharifah Aini kepada peminatnya, yang tertanya-tanya mengenai keadaan dirinya selama ini.
“Setiap dari kita tidak tahu bila kita akan dijemput oleh-Nya. Jika ditakdirkan Allah, sampai masanya untuk saya pulang ke rahmatullah, jika ditakdirkan ujian yang Allah berikan ini berakhir dengan saya keluar sebagai jenazah, dengan hati yang damai, saya tenang dan reda dengan apa yang ditetapkan.
“Doakan saya berakhir dalam husnul khatimah. Sesuatu yang saya ingin anda, keluarga FB saya tahu, saya teramat sayangkan anda semua. Saya sangat menghargai segala kasih sayang, ingatan, doa dan budi baik yang anda curahkan kepada saya selama ini.
“Doakanlah kesejahteraan saya, sedekahkan al-Fatihah, ingatlah saya dalam setiap doa anda. Insya-Allah, kita semua akan menjadi keluarga semula di jannah!” katanya.
Lebih 20 jam coretan itu dimuatkan ke laman sosialnya itu, ia menggamit perhatian lebih 2,000 peminat dengan hampir 300 daripada mereka berkongsi perkembangan berkenaan di Facebook masing-masing, selain hampir 700 komen yang rata-ratanya turut mendoakan kesejahteraan penyanyi ini.
Mangsa culik, penderaan seksual bertindak selepas 10 tahun
LOS ANGELES: Seorang wanita yang dikatakan diculik sedekad yang lalu pada usia 15 tahun, didera secara seksual dan dikurung tanpa kerelaannya, ditemui selamat di California manakala suspek penculiknya ditahan.
Wanita berkenaan, kini berusia 25 tahun, diculik di Santa Ana, di tenggara Los Angeles, pada 2004 oleh teman lelaki ibunya.
Beliau akhirnya melaporkan perkara itu dan lelaki berusia 41 tahun yang dikenali sebagai Isidro Garcia, ditangkap.
Menurut kenyataan polis Santa Ana, mangsa berpeluang untuk melarikan diri selama tempoh itu tetapi "tidak melihat jalan keluar kepada situasi yang dihadapinya".
"Pada 2007, Garcia dikatakan memaksa beliau berkahwin dan pada 2012 mereka mendapat anak.
"Beliau akhirnya tampil selepas menghubungi kakaknya menerusi Facebook dan mengumpul kekuatan untuk menghubungi polis," menurut kenyataan itu. - AFP
LHDN sasar kutip RM140.15 bilion pada 2014, kata Ahmad
TELUK INTAN 22 Mei - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyasarkan kutipan cukai sebanyak RM140.15 bilion tahun ini, berbanding RM128.9 bilion tahun lepas, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan.
Beliau yakin sasaran itu mampu dicapai memandangkan sehingga 30 April ini, sebanyak RM41.5 bilion sudah dikumpul.
Beliau juga berharap rakyat perlu melihat tanggungjawab membayar cukai sebagai satu kewajipan kepada negara dan tidak harus dianggap sebagai membebankan.
``Kita mahu rakyat melihat pembayaran cukai sebagai perkara positif dan pembayar cukai sebagai orang yang patriotik,'' katanya kepada pemberita selepas melawat cawangan LHDN Teluk Intan, di sini hari ini.
Ahmad berkata, rakyat perlu memahami bahawa setiap ringgit yang dibayar melalui cukai dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk perkhidmatan dan pembangunan.
Sementara itu, beliau juga berpuas hati dengan kutipan LHDN cawangan Teluk Intan yang berjaya mengutip RM350.5 juta tahun lalu, berbanding RM328 juta pada 2012.
``Terdapat 85,296 pembayar cukai termasuk individu dan syarikat di Teluk Intan. Saya ucapkan tahniah kepada LHDN cawangan Teluk Intan,'' katanya.
Menyentuh mengenai kedudukan daya saing Malaysia yang meningkat tiga mata ke tangga ke-12 dalam kalangan 60 negara (Laporan Tahunan Daya Saing Dunia), beliau berkata ia menunjukkan bukti kukuh pencapaian baik kerajaan pimpinan BN.
Tahun lepas Malaysia menduduki tempat ke-15 dalam Laporan Tahunan Daya Saing Dunia, yang dikeluarkan oleh Institut Pembangunan Pengurusan berpangkalan di Switzerland. - BERNAMA
Piala Thomas: Malaysia jumpa Denmark hari ini
PEMAIN bergu kedua negara, Tan Wee Kiong (kanan) dan Goh V Shem meraikan kejayaan apabila menumbangkan gandingan Korea Selatan, Kim Ki Jung-Kim Sa Rang dengan keputusan 21-17, 21-19 untuk muncul juara Kumpulan C kempen Piala Thomas, di Stadium Tertutup Siri Fort, New Delhi, India, semalam. - Foto Goh Thean Howe
NEW DELHI 22 Mei - Laluan berliku menanti pasukan badminton negara pada suku akhir Piala Thomas hari ini, apabila diundi menentang gergasi Eropah, Denmark.
Dalam undian yang diadakan awal pagi tadi, selepas semua perlawanan terakhir peringkat kumpulan tamat, Malaysia yang muncul juara Kumpulan C selepas menewaskan Korea Selatan 3-2 turut diletak dalam laluan yang sama dengan juara 13 kali, Indonesia dan Korea Selatan.
Itu bermakna, seandainya berjaya menumpaskan Denmark di suku akhir skuad negara akan menempah pertemuan dengan pemenang di antara Indonesia dan Korea Selatan di separuh akhir.
Penyandang juara, China pula akan berdepan Thailand pada suku akhir, sebelum bertemu pemenang di antara Jepun dan Perancis pada suku akhir. - UTUSAN ONLINE
Malaysia komited laksana TPPA - Najib
PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersalaman dengan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong (kanan) selepas menyampaikan ucaptama bertajuk "Rising Asia - Messages for the Next 20 Years" pada Persidangan Antarabangsa Nikkei ke-20 di sini hari ini. - Foto BERNAMA
TOKYO: Datuk Seri Najib Razak hari ini menegaskan Malaysia komited untuk melaksanakan Perjanjian Perdagangan Bebas Trans-Pasifik (TPPA) tanpa terikat dengan tempoh masa rundingan.
Perdana Menteri menegaskan, apa yang penting kandungan perjanjian itu harus memenuhi dua matlamat iaitu mengembangkan perdagangan bebas dan membawa manfaat dari segi kadar pertumbuhan serta tambahan pelaburan.
"Ia (TPPA) juga perlu menjaga kedaulatan negara kita dan tidak menjejaskan dasar yang diamalkan di Malaysia.
"Jadi, kita pegang pada dua prinsip ini dan saya telah bagi arahan pada pasukan perunding kita untuk merundingkan satu bentuk perjanjian yang boleh diterima oleh Malaysia, itu syarat kita berhubung TPPA," katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia di sini, hari ini.
Terdahulu Perdana Menteri menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Nikkei Ke-20 Mengenai Masa Depan Asia, di sini.
Persidangan dua hari itu bertemakan 'Kebangkitan Asia - Mesej Untuk 20 Tahun Akan Datang' anjuran Nikkie Inc.
Budak 10 tahun dirogol sepupu
Kediaman mangsa bunuh di Taman Perumahan MNLG Jalan Tanjung Kidurong yang di pecah masuk sekumpulan enam penjenayah, malam kelmarin. - foto Kandau Sidi
Betong: Tidak cukup hanya dirogol, seorang kanak-kanak berusia 10 tahun turut dibelasah oleh sepupunya sebelum dia ditinggalkan keseorangan di sebuah rumah di Spaoh, di sini kelmarin.
Sebelum kejadian pada jam 2.15 petang itu, suspek berusia 17 tahun meminta mangsa menemaninya mengambil bungkusan ais di rumahnya yang terletak berhampiran rumah mangsa. Kehilangan budak perempuan itu disedari ibunya berusia 30 tahun, kira-kira 45 minit kemudian.
Menurut sumber, wanita itu kemudian mencari anak perempuannya dan menemui mangsa dalam keadaan takut sambil menangis sebelum memaklumkan dirogol oleh suspek, manakala siasatan awal polis mendapati kanak-kanak itu dirogol dalam bilik tidur remaja terbabit.
Ibu buat laporan polis
“Susulan itu, mangsa ditemani ibunya membuat laporan di Balai Polis Spaoh. Suspek ditahan di rumahnya jam 5.35 petang semalam (kelmarin). Polis merampas pakaian suspek untuk dijadikan barang kes serta tilam yang dipercayai digunakan dalam kejadian terbabit,” katanya.
Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Superintendan Aidil Bolhassan, ketika dihubungi mengesahkan polis menerima laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Sementara itu di Bintulu, seorang kontraktor binaan maut ditikam ketika cuba menyelamatkan isterinya yang bergelut dengan sekumpulan enam penjenayah bersenjatakan parang dan pisau di banglo dua tingkat milik mereka di Taman Perumahan MNLG, Jalan Tanjung Kidurong, jam 10.30 malam kelmarin.
Mangsa hanya dikenali sebagai Lau, 48, sebelum itu bergegas ke tingkat bawah banglo sejurus mendengar isterinya menjerit meminta tolong.
Rampas beg tangan
Wanita terbabit ketika itu membuka pagar kediaman sebaik pulang dari bermain bola tampar apabila diserbu kumpulan itu yang turut merampas beg tangannya.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Abdul Razak Mohammad pada sidang medianya, semalam berkata siasatan awal mendapati sebuah bilik yang dijadikan pejabat di tingkat bawah kediaman itu digeledah dan telefon bimbit serta sejumlah wang tunai milik mangsa hilang selain menemui tiga bilah parang ditinggalkan di sekitar lokasi kejadian.
Katanya, polis menahan empat suspek, termasuk dua warga Indonesia di sebuah tapak pembinaan berdekatan Lapangan Terbang Bintulu dan sedang memburu dua lagi penjenayah.
Industri sawit dianggar sumbang RM200 bilion
SANDAKAN 21 Mei - Industri minyak sawit akan terus menjadi sektor penting kepada ekonomi Sabah dan Malaysia, berikutan industri itu diunjurkan menyumbang anggaran RM200 bilion kepada nilai eksport negara menjelang 2020, kira-kira tiga kali ganda nilai semasa.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman berkata, unjuran itu dijangka dicapai dengan menggantikan pokok kelapa sawit yang tua dengan pokok yang memberikan hasil lebih tinggi, meningkatkan kadar perahan minyak, mekanisasi di ladang untuk meningkatkan produktiviti dan mempromosi produk nilai tambah hiliran.
"Sabah merupakan negeri pengeluar minyak sawit mentah utama Malaysia dengan 1.44 juta hektar ditanam dengan tanaman itu. Dari segi hasil, perladangan Sabah menghasilkan purata 20.4 tan buah tandan segar sehektar, berbanding 19 tan di Semenanjung Malaysia dan 16.6 tan di Sarawak," katanya pada Ekspo Teknologi Minyak Sawit Antarabangsa Ke-5 (Palmex Malaysia 2014) di sini hari ini.
Pameran Palmex yang berlangsung di Dewan Komuniti Sandakan menyaksikan penyertaan 38 syarikat dari Malaysia dan negara lain termasuk Jerman, Singapura, China, Amerika Syarikat dan India.
Musa juga berkata, bagi menggalakkan pembangunan aktiviti pemprosesan hiliran, kerajaan negeri Sabah telah mula mewujudkan kluster perindustrian kelapa sawit di Sandakan dan Lahad Datu.
Beliau berkata, kemudahan di Lahad Datu meliputi 1,780 hektar, dibangunkan dalam tiga fasa dengan masih terdapat lot tanah untuk pelabur yang berpotensi.
Katanya, Kluster Perindustrian Kelapa Sawit (POIC) di Lahad Datu dibangunkan di bawah konsep kluster perindustrian bukan hanya bagi sektor hiliran tetapi juga untuk menyokong industri seperti logistik dan pengangkutan, pengeluaran baja dan kemudahan bagi industri kecil dan sederhana.
"POIC Lahad Datu dilengkapi infrastruktur moden termasuk jalan raya, perparitan, bekalan air dan elektrik, telekomunikasi dan jeti yang sesuai. POIC Sandakan pula meliputi 1,120 hektar dengan kerja tertumpu kepada dua fasa," katanya.
Musa berkata, kedua-dua kluster perindustrian itu merupakan bukti komitmen kerajaan dalam menyokong industri hiliran dan kerajaan negeri berharap untuk melihat maklum balas yang positif terhadap kemudahan tersebut melalui pelaburan yang sesuai. - BERNAMA
Russia berminat kongsi kepakaran aeroangkasa
Russia berminat untuk berkongsi kepakarannya dengan Malaysia dalam industri aeroangkasa memandangkan pengalaman luas negara itu dalam bidang itu.
Duta Rusia ke Malaysia Lyudmila G Vorobyeva, berkata negara itu akan menimbang sebarang kerjasama dalam bidang itu jika Malaysia berminat.
"Kami telah menjalin kerjasama dalam bidang itu (industri aeroangkasa) dengan beberapa projek sedang dipertimbang oleh komuniti perniagaan masing-masing," kata Vorobyeva kepada media pada sidang media tahunan di Kedutaan Persekutuan Rusia di Kuala Lumpur, semalam. Ia sempena Hari Kebangsaan Russia pada 12 Jun ini.
"Negara kami memiliki pengalaman luas dalam industri aeroangkasa dan hari ini semua angkasawan yang dihantar ke Stesen Angkasa Antarabangsa dihantar oleh kenderaan Russia (kaedah pengangkutan yang disediakan oleh Russia)," katanya.
Mengenai pelancongan, Vorobyeva berkata, penerbangan terus antara Malaysia dan Russia serta sebaliknya akan meningkatkan kedatangan pelancong dan perniagaan bagi kedua-dua negara.
"AirAsia sedang menimbang menyediakan penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Moscow. Harapnya ini akan membuahkan hasil," katanya.
Semasa musim cuti Russia, syarikat penerbangan negara itu, Transaero Airlines, mengadakan penerbangan terus antara Moscow dan Kuala Lumpur dari November 2013 hingga Februari tahun ini. - BERNAMA
CGC Sedia Pembiayaan RM800 Juta
Komited bantu PKS, Bumiputera kembang syarikat.
CREDIT Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) terus komited membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendapatkan akses kepada pembiayaan dengan memperuntukkan jaminan pembiayaan sehingga RM800 juta tahun ini khusus kepada syarikat Bumiputera.
Pengarah Urusannya, Datuk Wan Azhar Wan Ahmad (gambar), berkata peruntukan itu adalah kira-kira 30 peratus daripada sasaran pengeluaran jaminan pembiayaan CGC berjumlah RM2.7 bilion tahun ini yang dijangka dimanfaatkan oleh lebih 5,600 syarikat di negara ini.
Beliau berkata, bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini, CGC sudah meluluskan jaminan pembiayaan sebanyak RM670 juta yang mana kira-kira 38 peratus atau RM230 juta daripadanya disalurkan kepada syarikat Bumiputera yang layak.
Justeru, katanya masih terdapat kira-kira RM570 juta jaminan pembiayaan yang boleh dimanfaatkan oleh syarikat Bumiputera yang layak untuk tujuan mengembangkan perniagaan mereka serta memenuhi keperluan modal kerja syarikat.
Pub kena serbu, 11 GRO diberkas
Antara wanita warga asing yang ditahan dalam operasi kelmarin.
PETALING JAYA – Seramai 11 wanita warga asing yang dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) ditahan sepasukan anggota unit maksiat, Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman dalam serbuan di sebuah pub di Kelana Jaya, di sini, kelmarin.
Operasi itu diketuai Inspektor Muhammad Mohd Jais berjaya memberkas tujuh warga Filipina dan empat warga Thailand yang dipercayai bekerja sebagai GRO.
Muhammad berkata, pihaknya melakukan risikan hasil aduan laporan orang awam, sebelum menyerbu premis berkenaan, kira-kira jam 11.45 malam.
“Kita mendapati premis berkenaan berkonsepkan pusat pub terbuka dan tidak mempunyai bilik. Ketika serbuan kesemua GRO itu sedang asyik melayan 20 pelanggan,” katanya.
Menurutnya, hasil pemeriksaan juga mendapati premis itu mempunyai lesen hiburan.
“Kita turut menahan seorang lelaki warga Myanmar yang dipercayai pengurus premis itu, kita turut merampas buku daftar pekerja GRO bagi membantu siasatan,” katanya.
Kesemua yang ditahan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk tindakan lanjut.
11 wanita warga asing disiasat mengikut Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen, manakala lelaki warga Myanmar itu pula disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imegresen.
Pele kritik persiapan Piala Dunia
LEGENDA bola sepak Brazil, Pele berkata, kelewatan beberapa stadium yang menjadi gelanggang Piala Dunia disiapkan amat memalukan sambil mendakwa gejala rasuah menjadi punca kelewatan itu.
Kurang sebulan sebelum sepak mula, tiga stadium iaitu di Sao Paulo, Cuiaba dan Curitiba gagal siap mengikut jadual ditetapkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).
Menurut Pele, kelewatan tersebut tidak boleh dimaafkan dan ia mencalarkan imej Brazil selaku tuan rumah.
"Situasi politik di Brazil turut menjejaskan persiapan Piala Dunia. Perkara ini amat membimbangkan saya.
"Tambahan pula, masa semakin suntuk dan saya risau stadium tersebut tidak dapat disiapkan.
"Saya anggap kelewatan ini memalukan dan tidak boleh diterima," kata Pele.
Untuk rekod, Brazil diberikan hak sebagai tuan Piala Dunia 2014 pada 2007.
Pada masa sama, Pele tidak menolak beberapa siri demonstrasi jalanan di negara itu turut mengancam dan menjejaskan kemeriahan Piala Dunia kali ini.
Katanya, bantahan berpanjangan terhadap penganjuran Piala Dunia 2014 yang berlangsung dari 13 Jun hingga 14 Julai depan menyebabkan penyokong dari negara lain bimbang untuk datang ke Brazil.
"Ya, saya tahu bahawa 25 peratus orang luar sudah membatalkan perjalanan mereka ke Brazil," katanya.
Minggu lalu, sebilangan penunjuk perasaan bertindak membakar tayar di hadapan Arena Corinthians (Sao Paulo) bertujuan membantah perbelanjaan tinggi bagi membaiki stadium berkenaan.
Kemarahan itu timbul selepas ujian di stadium berkenaan mendapati beberapa lif tidak berfungsi, selain bumbung stadium mengalami kebocoran.
"Saya sudah tekankan perkara ini (proses baik pulih) sejak enam tahun lalu. Tapi nampaknya pandangan saya tidak diambil serius," ujarnya.
Lori rempuh pagar rumah
Keadaan lori yang merempuh pagar rumah seorang penduduk, semalam.
SEREMBAN - Seorang wanita terkejut apabila lori tiga tan yang diekorinya semasa pulang dari membeli sarapan kira-kira jam 6.40 pagi semalam, tiba-tiba terbabas dan merempuh pagar rumahnya depan mata sendiri.
Menceritakan semula detik cemas dialami, Hamidah Ab Rahman, 53, berkata, dia hanya pasrah apabila melihat tembok pagar rumahnya musnah sekelip mata dalam kejadian yang berlaku di Batu 6, Jalan Labu-Seremban, dekat sini.
“Ketika itu, saya sedang memandu dari gerai berhampiran dan melihat lori di hadapan saya bergerak semakin lama semakin ke tepi, seolah-olah mencari lokasi sesuai untuk berhenti di bahu jalan.
"Namun jangkaan saya meleset apabila tiba-tiba sahaja lori itu hilang kawalan ketika di kawasan selekoh, sebelum membelok ke arah rumah saya yang berada di sebelah kiri jalan,” katanya.
Walaupun terkejut dan bersedih dengan kejadian tersebut, Hamidah tetap bersyukur kerana dirinya tidak terlibat dalam kemalangan itu.
“Tidak dapat dibayangkan, apa akan terjadi jika saya berada di hadapan lori atau sedang membelok masuk ke rumah pada ketika itu,” katanya yang pertama kali melihat kemalangan berlaku depan mata.
Menurut Hamidah, difahamkan lori dinaiki dua beranak yang penuh dengan muatan barangan elektrik itu dalam perjalanan dari Shah Alam, Selangor menuju ke Melaka.
“Paling tidak dapat saya lupakan apabila melihat kaki kanan anak pemandu lori yang terpusing ke belakang dari bahagian lutut ke bawah akibat kemalangan dialami.
“Malah semua yang ada di tempat kejadian turut dikejutkan dengan kehadiran seekor anak ular yang menyelinap masuk ke dalam lori dan menuju ke arah remaja berkenaan, tetapi mujurlah salah seorang jiran bertindak pantas membuang ular tersebut,” katanya.
Sementara itu, bapa mertua Hamidah, Md Sari Naim, 87, pula berharap pihak berwajib memasang pengadang keselamatan di sepanjang bahu jalan memandangkan kemalangan kerap berlaku di kawasan itu.
“Kejadian pertama membabitkan sebuah kenderaan berat, lebih kurang tiga tahun lepas. Kemalangan kali kedua dan ketiga pula melibatkan Proton Iswara dan Toyota LE sekitar penghujung tahun lalu.
“Pada masa sama, saya minta jasa baik syarikat pemilik lori berkenaan supaya menanggung segala kerosakan terhadap pagar rumah yang dianggarkan berjumlah antara RM10,000 hingga RM15,000,” katanya.
Dalam pada itu, salah seorang jiran Hamidah, Noramirah Mohd Zaki, 27, berkata, kemalangan tersebut menyebabkan dia lewat ke tempat kerja.
“Sejak 6.30 pagi saya sudah bersiap untuk ke tempat kerja. Malangnya, semua kenderaan termasuk motosikal sekali pun tidak dapat lalu kerana jalan keluar sudah ditutup lori terbabit,” katanya yang bekerja di sebuah bakeri terletak lebih kurang 10 kilometer dari rumahnya.
Sementara itu, Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Harzizi Hashim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden terbabit sekitar jam 6.48 pagi.
“Sebuah jentera dengan kekuatan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 dikejarkan ke tempat kejadian.
“Sebaik sahaja sampai di situ, kita dapati lori dinaiki Zulkifli Hashim, 45, bersama anaknya, Zulhakimi Zulkifli, 13, sudah terbalik ke sebelah kiri,” katanya.
Harzizi berkata, kira-kira 15 minit diperlukan untuk mengeluarkan kaki Zulhakimi yang tersepit bawah lori berkenaan.
“Mangsa yang patah kedua-dua belah kaki kemudiannya dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya yang menjelaskan bapa mangsa hanya cedera ringan.
Gadis hilang sudah ditemui
Keratan akhbar Sinar Harian bertarikh 18 Mei mengenai kehilangan Nur Ain.
AYER KEROH - Tidak sampai 24 jam berita mengenai kehilangan Nur Ain Kamarudin, 19, dari Rumah pangsa Sri Siantan dilaporkan secara meluas di akhbar, gadis tersebut berjaya ditemui semula dalam keadaan selamat, 19 Mei lalu.
Menurut Pengarah Pusat Perkhidmatan Masyarakat Barisan Nasional (Pembela BN) negeri Melaka, Amir Hamzah Aziz, pihaknya dimaklumkan oleh polis, gadis terbabit meninggalkan rumah dipercayai mengikut seorang lelaki dari Sabah, ditemui dalam keadaan selamat dan kini berada di bawah jagaan keluarga lelaki terbabit di Sabah.
“Saya pun sudah dapat menghubungi dan bercakap dengan Nur Ain dan dia kini dalam keadaan selamat serta berada di sebuah daerah di Sabah.
“Usaha untuk membawa dia pulang ke Melaka akan diuruskan oleh Pembela BN dalam tempoh terdekat dan saya ingin tegaskan isu ini tiada kaitan dengan sebarang unsur jenayah mahupun culik,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Bangunan Kota Cemerlang di sini, semalam.
Amir Hamzah berkata, sebaik berita mengenai kehilangannya tersiar di akhbar, ibunya, Latifah Abd Rahman, 55, merujuk masalah berkenaan di Pejabat Pembela BN.
“Hari ini kita bersyukur dengan bantuan pelbagai pihak terutama polis, akhirnya Nur Ain berjaya ditemui,” katanya.
Pada 18 Mei lalu, Sinar Harian melaporkan mengenai seorang gadis yang meninggalkan rumah sehelai sepinggang mengikut seorang lelaki berasal dari Sabah menyebabkan hidup ibunya tidak tentu arah.
Nur Ain yang juga anak bongsu dari dua adik beradik, kali terakhir dilihat pada jam 6.30 petang, 1 Mei lalu, ketika pulang ke rumah untuk mengambil kunci motosikal.
Dyana dihalau ketika berkempen
TELUK INTAN - Calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud dipercayai dihalau ketika menjalankan kempen di tapak pasar malam Rumah Awam, Kampung Padang Tembak, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang itu, Dyana Sofya yang hadir bersama pimpinan tertinggi DAP termasuk Lim Kit Siang menerima kecaman daripada sebuah kumpulan yang mengeluarkan kata-kata mengusir.
Sinar Harian dimaklumkan, sebelum kejadian, rombongan berkenaan diganggu dengan bunyi bising motosikal.
Antara perkataan yang diterima rombongan kempen itu termasuklah menyatakan kampung berkenaan kawasan Melayu dan dilarang membawa masuk orang bukan Melayu.
Keadaan itu menimbulkan sedikit ketegangan apabila turut mendapat perhatian peniaga di tapak berkenaan.
Bagaimanapun, kempen tetap berlangsung dengan edaran poster dan risalah calon.
Provokasi diterima Dyana Sofya pada hari ketika berkempen itu dikatakan dilakukan sekumpulan pemuda yang memakai pakaian mempunyai lambang BN.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan kebenaran berikutan tiada laporan polis dibuat sehingga berita ini ditulis.
Difahamkan, Taman Perumahan Awam Padang Tembak itu merupakan kawasan kubu kuat BN.
Sementara itu, Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pihaknya sudah menerima laporan berhubung kejadian itu.
Katanya, pihaknya akan membuat semakan dan siasatan sekiranya benar insiden itu membabitkan Pemuda BN.
"Saya dah terima laporan itu, kita akan pastikan sama ada yang ganggu dia itu, pakai baju BN atau tidak.
"Apa-apa pun kita akan semak, jika benar akan ambil tindakan," katanya ketika ditemui dalam program walk about di Menara Condong, di sini.
Hanez Suraya, kekasih saman MAS
SHAH ALAM - Pelakon kontroversi, Hanez Suraya Abdul Aziz dan kekasihnya, Romie Razin Aidilha Abd Jais memfailkan saman terhadap Malaysia Airlines System (MAS) hari ini atas dakwaan mendedahkan tiket penerbangan mereka ke Bangkok, Thailand di laman sosial, April lalu.
Polis bantuan dikompaun pukul isteri hamil
SEREMBAN - Mahkamah Majistret di sini, semalam memerintahkan seorang polis bantuan membayar kompaun RM100 atas kesalahan memukul isterinya yang sedang hamil tiga bulan, April lalu.
Majistret Siti Khairiah Abdul Razak dalam penghakimannya turut mengarahkan tertuduh, Mohd Yusof Jamal, 28, memohon maaf kepada isterinya, Siti Asiah Ramli, 28, di mahkamah berhubung kejadian itu.
Siti Khairiah membuat keputusan berkenaan selepas isteri tertuduh bersetuju kes itu diselesaikan melalui pembayaran kompaun mengikut Seksyen 260 Kanun Keseksaan Prosedur Jenayah.
Semasa prosiding, beliau turut melahirkan rasa kecewa dengan sikap tertuduh yang bertindak memukul isterinya sedangkan wanita itu sedang mengandung.
Mengikut kertas pertuduhan, Yusof didakwa memukul kepala isterinya secara bertubi-tubi. Mangsa yang cuba menahan serangan tersebut dengan tangan berasa sakit pada bahagian kepala, tangan dan perut.
Kejadian itu berlaku di rumah pasangan suami isteri terbabit di Nilai pada 13 April lalu, sekitar jam 9 pagi.
Justeru, tertuduh didakwa bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, sejurus kejadian tersebut, tertuduh segera membawa isterinya ke sebuah klinik untuk mendapatkan rawatan, di mana pengadu kemudiannya dirujuk ke Hospital Tuanku Ja’afar, dekat sini kerana tangan kirinya mengalami keretakan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syamimi Farhana Muhammad A Aziz manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Perogol dikenakan hukuman penjara 1,000 tahun
Tallahassee: Mahkamah semalam mengekalkan hukuman penjara 1,000 tahun ke atas seorang lelaki dari Jacksonville yang merogol tiga remaja pada 31 tahun lalu.
Mahkamah Rayuan Tallahassee menetapkan hukuman itu terhadap Arthur O’Derrell Franklin, kini 48, selepas dia disabitkan dengan 20 tuduhan termasuk melakukan siri serangan seksual, penculikan, rompakan bersenjata dan keganasan melampau.
Rakan Franklin, Terrance Jamar Graham yang baru dibebaskan dari penjara ketika kejadian, dikenakan hukuman penjara seumur hidup. Graham baru berusia 17 tahun ketika itu.
Hukuman penjara 1,000 tahun itu menyebabkan dia hanya boleh dipertimbangkan untuk mendapat parol selepas 333 tahun.
Dalam hujahnya, Franklin berkata, hukuman dikenakan Mahkamah Agung pada 2010 bercanggah dengan perlembagaan.
Ia juga, katanya, tidak menepati peraturan kerana dia dibicarakan sebagai seorang juvana.
Bagaimanapun, semalam tiga hakim yang bersidang bersetuju Franklin kini boleh dipertimbangkan untuk mendapat parol.
Justeru, kata hakim, keputusan penjara 1,000 tahun itu wajar dikekalkan.
Hakim Brad Thomas berkata, keputusan sama ada Franklin boleh diberi parol atau tidak kini terletak di tangan Suruhanjaya Parol Florida.
Sementara itu, peguam Franklin, Bryan Gowdy berkata, dia kecewa dengan ketetapan hakim dan menganggap anak guamnya dikenakan hukuman penjara seumur hidup.
Florida memansuhkan parol pada pertengahan 1980 namun Suruhanjaya Parol masih wujud bagi menangani kes seperti Franklin yang dikenakan hukuman sebelum tarikh berkenaan.
Kata Gowdy, dia pasti terkejut jika Suruhanjaya Parol Florida membebaskan Graham. - Agensi
Pesara ditembak, dibakar selepas bersenam
Pattani: Seorang pesara tentera ditembak mati ketika pulang daripada melakukan senaman pagi semalam di kawasan terpencil kampung Ban Khao Sai, daerah Khok Pho.
Mangsa dikenal pasti sebagai Leftenan Muda (B) Perm Phetnui yang juga abang kepada ketua daerah Thung Yang Daeng, Sawet Phetnui.
Jurucakap polis berkata, dia ditembak ketika menunggang motosikal untuk pulang kira-kira jam 8 pagi.
“Selepas ditembak, mayat mangsa dibakar dipercayai untuk menghapuskan bukti,” katanya. Jurucakap polis itu berkata, mereka mengesyaki pesara tentera itu dibunuh kumpulan pemberontak. - Agensi
Air perigi didakwa Zamzam
Jawa Tengah: Seorang lelaki dihukum penjara 30 bulan selepas didapati bersalah menjual air perigi yang didakwa air Zamzam.
Thalib, 58, yang bertugas sebagai Pengarah CV Ebin Thalib Mandiri didakwa memperoleh keuntungan lumayan dengan menjual air perigi berhampiran rumahnya.
Pendakwa berkata, Thalib menjaja air perigi itu di seluruh Jawa sejak 2011. Mahkamah turut mendapati Thalib bersalah kerana syarikatnya tidak memiliki lesen. Hukuman yang dikenakan bagaimanapun lebih ringan berbanding tiga tahun penjara yang dipohon pihak pendakwaan. - Agensi
Pisau untuk selesai masalah
Taipei/Beijing: Sekurang-kurangnya tiga kejadian serangan bersenjata tajam dilapor media semalam.
Dalam kejadian pertama seorang siswa universiti menyerang pengguna kereta api bawah tanah di Taipei menyebabkan tiga maut dan kira-kira 20 lagi cedera.
Menurut polis, penyerang terbabit dipercayai mabuk mula mengganas menggunakan pisau sepanjang 10 sentimeter kira-kira jam 4 petang di kawasan berkenaan yang sibuk. Dia juga membawa senjata tajam kedua yang panjangnya 30 sentimeter.
Agensi berita Taiwan melaporkan, penumpang bertempiaran lari menyelamatkan diri sebaik saja kereta api berkenaan berhenti di stesennya di Jiangzicui.
Mereka turut menjerit mengarahkan penumpang yang akan naik kereta api supaya melarikan diri. Penyerang kemudian ditahan tidak lama kemudian. Ketua Polis Taipei, Chen Kou-en berkata, penyerang berusia 21 tahun dan penuntut tahun kedua di Universiti Tunghai di bandar Taichung. Sementara itu, di Pingdingshan, seorang lelaki mengamuk dan membunuh lapan orang jirannya di daerah Lushan, China.
Siasatan awal menunjukkan lelaki terbabit mengamuk kerana percaya rumahnya mempunyai feng shui buruk. Di Macheng yang terletak di wilayah Hubei pula, seorang lelaki bersenjata pisau mengamuk di sebuah sekolah rendah.
Dikenali sebagai Chen Zuihang, 35, dia mengamuk kira-kira jam 4 pagi semalam. Sumber berkata, Chen bertindak ganas selepas terbabit dalam perselisihan faham dengan jirannya. - Agensi
Tabah temani suami koma
ZAINAB di sisi suaminya ketika ditemui di HSNZ.
Kuala Terengganu: “Kaki kanan suami sudah mula bergerak dan mungkin tidak lama lagi dia akan sedar,” kata Zainab Musa, 44, isteri Che Nik Che Awang, 55, yang koma sejak 1 Mei lalu, akibat diseret kereta api sejauh lebih 100 meter di Kampung Pahi, Kuala Krai, Kelantan.
Ibu kepada dua anak ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, semalam, berkata suaminya koma sejak 19 hari lalu selepas motosikal dinaiki bersama anak saudaranya, Muhammad Aiman Mat Husin, 17, bertembung dengan kereta api dari arah Kuala Lipis ke Tumpat berhampiran Kampung Pahi.
Menurutnya, dalam kejadian itu, anak saudaranya meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Kuala Krai manakala suaminya kritikal selepas motosikal dinaiki mereka terseret pada tangga kereta api ketika dalam perjalanan ke kenduri kahwin di kampung itu.
Katanya, disebabkan kesesakan di Hospital Kuala Krai, suami yang kritikal itu dirujuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNZ.
“Akibat kejadian itu, rusuk kiri suami patah di lapan bahagian manakala betis dan paha serta tangan kiri masing-masing patah dua bahagian.
Laman Facebook selar Dyana
Kuala Lumpur: Laman Facebook bagi menjawab maklumat salah tentang Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang ditimbulkan oleh calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, Perak Dyana Sofya Mohd Daud, diwujudkan.
Laman itu yang mula didaftar kelmarin, sehingga kini menerima 406 ‘like’ daripada pengguna media sosial itu.
Menurut laman itu, ia diwujudkan bagi menjawab balik maklumat salah dan penipuan yang disebarkan oleh Dyana Sofya tentang UiTM.
“Untuk menjawab maklumat salah dan pembohongan sedang disebarkan oleh anggota DAP Dyana Sofya Mohd Daud berhubung UiTM,” menurut laman itu.
Dyana Sofya menerima kritikan hebat, khususnya daripada warga UiTM selepas secara lantang mempertikai peranan universiti itu yang memberi pendidikan peringkat tinggi untuk orang Melayu dan Bumiputera.
Dyana Sofya, yang juga bekas penuntut jurusan undang-undang UiTM sebelum ini mendakwa universiti itu hanya mengambil penuntut daripada kalangan keluarga pemimpin Umno yang berada untuk melanjutkan pelajaran, berbanding penuntut miskin yang lebih layak bukan daripada keluarga anggota Umno.
Dakwaan itu kemudian ditolak Naib Canselornya Tan Sri Profesor Sahol Hamid Abu Bakar yang berkata penuntut UiTM dipilih berdasarkan merit dan cukup syarat, bukan berdasarkan fahaman politik dan status keluarga masing-masing.
Sahol Hamid berkata UiTM mengambil penuntut berdasarkan permohonan Unit Pusat Universiti (UPU) untuk ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan ia tidak boleh membuat pilihan mengikut parti.
Berkhatan kurang risiko AIDS, HIV
Putrajaya: Kajian Kementerian Kesihatan mendapati lelaki yang berkhatan dapat mengurangkan 64 peratus risiko jangkitan penyakit AIDS dan HIV, kata Timbalan Menterinya Datuk Seri Dr Hilmi Yahya.
Menurutnya, angka itu amat signifikan dan dapat membantu mengurangkan kes jangkitan AIDS dan HIV di negara ini.
“Berdasarkan kajian yang kita buat, berkhatan di kalangan lelaki sangat baik kerana ia dapat mengurangkan kes jangkitan AIDS dan HIV, iaitu sebanyak 64 peratus.
“Kita mengalakkan lelaki di negara ini termasuk bukan Islam supaya berkhatan untuk mengurangkan risiko jangkitan terhadap penyakit berbahaya ini,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan peruntukan berjumlah RM6,315,000 kepada Majlis AIDS Malaysia (MAM) di sini, semalam.
Turut hadir Timbalan Pengarah Kawalan Penyakit (Penyakit Berjangkit) dan Ketua Sektor (AIDS/STI) Dr Sha’ari Ngadiman dan Presiden MAM Datuk Dr Raj Abdul Karim.
Peruntukan itu bertujuan membiayai usaha MAM menangani penularan penyakit AIDS dan HIV dalam negara, termasuk untuk membeli kit pencegahan dan jarum suntikan bagi aktiviti di bawah Global Fund.
Sehingga tahun lalu, jumlah kumulatif pesakit HIV adalah 101,672 kes; AIDS (20,235) dan 16,340 kematian menjadikan jumlah mereka yang hidup dengan HIV (PLHIV) adalah sebanyak 85,332 kes.
Sementara itu, Dr Hilmi berkata, kadar jangkitan HIV/AIDS di negara ini juga semakin turun iaitu dari 28.4 kes per 100,000 penduduk pada 2002 kepada 11.4 kes per 100,000 penduduk tahun lalu.
Katanya, ini bermakna negara sudah hampir mencapai sasaran Matlamat Pembangunan Millenium (MDG) untuk mengurangkan kadar jangkitan AIDS/HIV kepada 11 kes per 100,000 penduduk menjelang 2015.
‘Kejayaan mengurangkan kadar jangkitan AIDS/HIV hasil daripada usaha kerajaan melaksanakan pelbagai program termasuk pemberian jarum suntikan dan kondom percuma kepada golongan sasar iaitu penagih dadah serta pekerja seks.
“Usaha ini dilakukan sejak 2006, dan ia berjaya membuahkan hasil, program ini bukan bertujuan menggalakkan seks rambang, tetapi untuk mengurangkan jangkitan kepada orang lain termasuk dari suami dan isteri serta sebaliknya,”katanya.
Malah, katanya jumlah kes baru yang dicatatkan tahun lalu juga berkurang iaitu 3,393 kes berbanding tahun sebelumnya.
Selain itu, kadar kematian juga berkurangan berikutan usaha kerajaan memberikan rawatan anti AIDS/HIV yang dilihat mampu meningkatkan jangka hayat pesakit.
Rela sakit asal peragut tak bolos
PERAGUT yang ditahan dibawa ke balai polis untuk siasatan.
Jasin: Seorang pemandu bas sekolah nekad bergelut dengan peragut walaupun kakinya tersepit pada rantai motosikal sehingga penjenayah itu diberkas dalam kejadian di sekitar pekan ini, kelmarin.
Sebelum kejadian, mangsa A Charles, 29, dalam perjalanan ke sebuah bank sebelum dihampiri seorang lelaki menunggang motosikal Yamaha 125Z yang meragut rantai leher dipakainya, jam 11.25 pagi.
Menurut Charles, dia yang menunggang motosikal Honda EX5 didatangi seorang lelaki menaiki motosikal dari arah belakang yang terus memotongnya melalui sebelah kanan.
“Bagaimanapun, ketika motosikal kami beriringan, lelaki itu merentap rantai leher saya dan terus memecut laju motosikal ke arah jalan utama. Dalam keadaan terkejut saya mengejar dan menghimpit motosikal peragut itu menyebabkan kami hilang kawalan lalu terjatuh.
“Saya nekad menerkam dan peragut yang cuba bangun untuk melarikan diri itu menyebabkan dia rebah semula sebelum mencekak lehernya sambil menjerit meminta tolong,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Menurutnya, peragut yang panik selepas melihat orang ramai mengerumuninya merayu dilepaskan sebelum seorang anggota polis berpakaian biasa datang lalu menahannya.
Charles berkata, biarpun kesakitan kerana kakinya tersangkut pada rantai motosikal peragut itu, namun dia nekad memeluk dan mencekak leher penjenayah itu sehingga polis tiba.
Peragut dibalun
Kota Bharu: Malang bagi seorang lelaki yang bukan saja gagal meragut beg tangan seorang wanita, malah tersungkur di tempat kejadian akibat dipukul rakan mangsa menggunakan beg tangan di Jalan Parit Dalam, di sini, petang kelmarin.
Difahamkan, ketika kejadian jam 3.30 petang itu, mangsa berusia 23 tahun sedang berjalan bersama rakan apabila dihampiri lelaki yang merentap beg tangan dan telefon bimbit milik mangsa.
Mangsa yang juga jurujual pasar raya enggan melepaskan beg tangannya ketika ditarik peragut berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Azham Othman berkata, rakan mangsa memukul suspek menggunakan beg tangannya menyebabkan lelaki itu jatuh tersungkur.
Katanya, suspek melarikan diri ke arah Pasar Siti Khadijah, namun berjaya ditahan orang ramai.
“Berdasarkan laporan, suspek datang dari arah depan berjalan kaki dan cuba meragut beg tangannya.
“Melihat keadaan itu, rakan mangsa memukul kepala suspek menggunakan beg tangannya,” katanya.
Perniagaan guna Internet perlu daftar dengan SSM
Petaling Jaya: Semua usahawan yang menjalankan perniagaan menggunakan Internet diminta mendaftarkan perniagaan mereka di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi mengelakkan berlaku penipuan dan memudahkan pemantauan pihak berkuasa.
Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Mas Ermieyati Samsuddin berkata, pendaftaran itu perlu bagi memulihara jenama dan produk keluaran usahawan terbabit daripada ditiru, selain memastikan usahawan sentiasa mematuhi etika perniagaan.
“Tujuan ia diwajibkan adalah untuk memastikan hak cipta setiap produk contohnya tudung tidak diciplak dan jika ia berlaku, kita boleh membuat aduan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
“Adalah lebih baik jika kita mengeluarkan modal sedikit untuk mendaftarkan perniagaan daripada kita kerugian beribu-ribu ringgit akibat tindakan tidak bertanggungjawab sesetengah pihak,” katanya.
Temui mayat suami berulat
Serdang: Seorang wanita yang baru pulang melawat anaknya di Australia terkejut apabila menemui mayat suaminya sudah berulat di dalam rumah terletak di Taman Wawasan, Puchong, di sini.
Dalam kejadian jam 11 pagi semalam, mangsa berusia 54 tahun yang juga seorang ahli perniagaan dipercayai meninggal dunia sekurang-kurangnya sejak lapan hari lalu berdasar keadaan mayatnya.
Sumber polis berkata, isteri mangsa yang berusia 50-an tiba di rumah jam 11 pagi sebelum terhidu bau busuk dari dalam kediamannya itu.
Menurutnya, wanita terbabit bagaimanapun terkejut apabila menemui mayat suaminya dalam keadaan berulat dan membengkak di dalam tandas bilik utama kediaman mereka.
“Wanita terbabit sebelum ini bimbang apabila gagal menghubungi suaminya ketika dia berada di Australia,” katanya.
Tiga suspek samun ditahan, dua rakan diburu
Sungai Buloh: Polis menahan tiga lelaki berusia 19 hingga 27 tahun dipercayai cuba melakukan samun di Bandar Rahman Putra, di sini kira-kira jam 8 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supritenden Junaidi Bujang berkata, tiga lelaki berkenaan ditahan selepas mereka berada dalam keadaan mencurigakan sebelum polis cuba melakukan pemeriksaan ke atas kesemua suspek yang berada di dalam kereta jenis Toyota Vios.
"Ketika seorang anggota cuba melakukan pemeriksaan, kesemua suspek dipercayai cuba bertindak agresif dengan mengeluarkan senjata dari dalam sebuah beg dan anggota berkenaan bertindak melepaskan tiga das tembakan," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, bagaimanapun ketiga-tiga suspek tidak mengalami sebarang kecederaan dan berjaya ditahan pihak polis.
Katanya, polis masih memburu dua lagi rakan suspek yang dipercayai turut terbabit dengan kumpulan berkenaan apabila disyaki bertindak sebagai 'pointer' dengan menggunakan motosikal untuk mencari sasaran sebelum tiga suspek berkenaan melakukan samun.
Lelaki mirip Putera Harry cari jodoh
LOS ANGELES - Sebuah program realiti mencari jodoh menampilkan sekumpulan 12 wanita bersaing sesama sendiri untuk merebut cinta seorang pemuda yang memiliki wajah mirip pewaris keempat takhta diraja Britain, Putera Harry.
Program realiti televisyen yang bertajuk, I Wanna Marry Harry itu mula disiarkan di stesen televisyen Fox, Amerika Syarikat (AS) kelmarin.
Seorang perunding alam sekitar dari Britain, Matt Hicks yang mempunyai wajah seiras putera raja berusia 29 tahun itu akan memilih jodohnya pada program tersebut.
Hicks, 24, berkata, dia berdepan cabaran untuk berlakon menjadi Putera Harry kerana semua peserta dalam program tersebut yakin bahawa mereka sebenarnya cuba menawan hati putera berkenaan.
Misi Hicks dari Hertfordshire, Britain selama lima minggu itu adalah untuk meyakinkan semua peserta bahawa dia merupakan Putera Harry yang sebenar.
Apabila program tersebut berakhir, dia perlu mendedahkan identitinya kepada seorang pemenang.
Hicks yang pernah belajar di Universiti Southampton dalam jurusan kelautan dan geologi itu berharap wanita tersebut dapat menerima dirinya yang sebenar.
Antara peserta program itu ialah Rose yang merupakan seorang guru sekolah cantik berusia 22 tahun dan Karina iaitu seorang pelajar berusia 25 tahun yang sedang mengambil jurusan PhD dalam bidang terapi fizikal.
Hicks berkata, dia tidak menganggap program itu sebagai kejam atau cuba menipu para peserta walaupun dia berlakon sebagai Putera Harry.
"Mereka (peserta) bukanlah seorang yang lemah dan mudah menangis. Kami semua akan ketawa apabila semua itu akan berakhir," katanya. - Reuters
Hosni Mubarak dihukum penjara tiga tahun
HOSNI duduk di dalam kurungan di sebuah mahkamah di Kaherah semalam.
KAHERAH - Bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak dihukum penjara tiga tahun oleh hakim sebuah mahkamah Mesir di sini semalam atas kesalahan mencuri wang dari dana awam.
"Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun terhadap Mohamed Hosni Mubarak," kata Hakim Osama Shaheen ketika membacakan keputusan itu.
Hosni berada di dalam kandang tertuduh bersama dua anaknya, Gamal dan Alaa yang turut dijatuhkan hukuman penjara empat tahun atas kesalahan yang sama.
Mahkamah turut menjatuhkan hukuman denda sebanyak AS$17.5 juta (RM56 juta) ke atas Hosni dan dua anaknya selain memerintah mereka untuk membayar semula kira-kira AS$17.53 juta (RM56.34 juta) dana milik orang awam yang dicuri.
Hosni ditahan di sebuah hospital tentera sejak Ogos tahun lalu ketika dia menunggu perbicaraan semula kesalahan bersubahat dalam satu siri pembunuhan beramai-ramai pada tahun 2011.
Dia meletakkan jawatan pada Februari 2011 ekoran kebangkitan penduduk yang menentang pemerintahannya yang didakwa korup selepas memerintah selama sejak 14 Oktober 1981. - Agensi
Lelaki cuba langgar polis, cedera ditembak
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki cedera ditembak di kaki apabila cuba melanggar anggota polis setelah enggan menghentikan keretanya apabila diminta berbuat demikian di Bandar Baru Sungai Buloh, di sini malam tadi.
Ketua Polis Sungai Buloh, Superintendan Junaidi Bujang berkata, suspek berumur 27 tahun itu juga cuba mengeluarkan sesuatu daripada beg sandangnya menyebabkan polis bertindak melepaskan tiga das tembakan ke arah suspek.
Terdahulu polis yang membuat rondaan cuba menahan kenderaan suspek tersebut apabila mencurigai kehadirannya serta empat lagi rakannya yang menaiki dua buah motosikal di kawasan tersebut, kira-kira 8 malam.
Dua suspek yang menaiki sebuah motosikal dapat ditahan manakala dua lagi suspek dapat melarikan diri.
"Hasil siasatan awal mendapati suspek itu mempunyai rekod jenayah lampau dan kereta yang dipandunya dilaporkan hilang di Saujana Utama, Sungai Buloh.
"Kumpulan itu juga didapati bergiat aktif melakukan samun jalanan dan pecah kereta menggunakan senjata seperti parang dan senjata api sejak tiga bulan lepas," katanya lagi. - Bernama
Bekas MP berskandal isteri pegawai
Antara kiriman WhatsApp Datuk tersebut kepada isteri mangsa.
AMPANG - Bekas Ahli Parlimen dari Melaka bergelar Datuk didakwa mempunyai hubungan sulit dengan isteri seorang pegawai kanan sebuah agensi penguat kuasa di negara ini.
Difahamkan hubungan terlarang itu bermula sejak lebih setahun lalu dan berterusan sehingga wanita berkenaan mendirikan rumah tangga dengan pegawai kanan terbabit pada November 2013.
Wanita berusia 44 tahun itu yang turut terlibat dalam politik, dikatakan 'diikat' Datuk berkenaan dengan pelbagai kemewahan seperti duit mencecah puluhan ribu ringgit setiap bulan, selain turut dihadiahkan sebuah kereta mewah jenis Mercedez Benz.
Menurut sumber, perbuatan curang wanita itu yang juga seorang pemilik sebuah syarikat pembekal, berjaya dihidu suaminya selepas hampir sebulan mereka berkahwin.
Menurutnya, isteri pegawai terbabit kerap menyimpan telefon bimbit dan tidak membenarkan suaminya menyentuh, melihat sebarang mesej atau menjawab panggilan.
"Tindak-tanduk wanita itu semakin hari semakin mencurigakan dan seolah-olah menyembunyikan sesuatu. Apabila ditanya, dia akan beri pelbagai alasan yang tidak munasabah seperti bimbang maklumat atau rahsia sulit berkaitan politik terdedah.
"Isterinya kerap 'outstation' ke Melaka kononnya ada mesyuarat atau urusan politik. Sepanjang berada di sana, wanita itu langsung tidak menjawab panggilan," katanya.
Sumber berkata, perbuatan wanita itu terbongkar selepas suaminya ternampak mesej melalui aplikasi 'WhatsApp' antara isterinya dan Datuk terbabit pada 27 Januari lalu ketika ke pusat beli-belah di Ampang.
AKAN MENYUSUL.
Pemuda tak sempat ke rumah ibu
Pertembungan kuat dari arah bertentangan menyebabkan mangsa parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
JENGKA - Adik kepada ipar Adun Jengka, Datuk Wan Salman Wan Ismail maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 47.5 Jalan Temerloh-Bandar Jengka dekat Felda Jengka 14, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, mangsa, Mohd Helmie Che Hamid, 26, baharu mendirikan rumah tangga pada tahun lepas dan belum dikurniakan cahaya mata meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.
Ibu mangsa, Nik Jah Daud, 64, berkata, mangsa yang menetap di Kampung Senggora, Maran memandu sendirian kerana isteri bekerja dan dalam perjalanan menziarahinya di Felda Jengka 15.
Menurutnya, sehari sebelum kejadian (kelmarin), dia bersama suami terlebih dahulu ke Kampung Senggora bagi menziarahi mangsa dan isteri serta bermalam di sana.
“Kelmarin mak cik dan suami ke rumah mereka dan pulang ke Jengka 15 pada jam 10 pagi tadi (semalam).
“Bila sampai di rumah, arwah telefon mak cik dan beritahu dia pula mahu ke Jengka 15 dengan alasan hanya sekadar membalas ziarah.
“Mak cik tidak sangka pagi tadi menjadi pertemuan terakhir kami dan kami sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Pemangku Deputi Superintendan Sulaiman A Hamid berkata, mangsa yang memandu kereta jenis Proton Wira seorang diri dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan di hadapan.
Menurutnya, namun kegagalan memotong menyebabkan kereta tersebut bertembung dengan sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dinaiki lima beranak di laluan bertentangan.
“Tempat kejadian merupakan jalan lurus dua hala dengan garisan tengah putus-putus selain cuaca baik.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Jengka untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga.
“Lima beranak dalam Triton dalam perjalanan dari Felda Jengka 16 ke Bandar Jengka tidak mengalami kecederaan serius,” katanya.
Kongsi maklumat risikan, banteras militan
KUALA LUMPUR - Polis akan terus meningkatkan kerjasama perkongsian maklumat perisikan dengan agensi keselamatan luar negara bagi memastikan Malaysia tidak menjadi hab atau transit untuk kumpulan militan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, kerjasama itu penting bagi memudahkan pemantauan aktiviti dan pergerakan kumpulan militan yang cuba mengembangkan ideologi mereka serta merekut anggota baharu di negara ini.
"Biarpun negara ini menerima banyak kedatangan pelancong tetapi kami tahu apakah tindakan yang seharusnya diambil untuk memantau aktiviti militan," katanya, semalam.
Pada 28 dan 29 April lepas, 11 individu dipercayai terbabit dengan kegiatan militan ditahan di Selangor dan Kedah oleh Polis Bahagian Counter Terrorism dan Cawangan Khas Bukit Aman.
Kumpulan itu dipercayai terbabit dalam kumpulan militan yang mempunyai rangkaian di Syria dan selatan Filipina.
Pada 8 Mei lepas, polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun warga Somalia di Selangor kerana dipercayai anggota kumpulan pengganas Al-Syabab dari Afrika.
Pada 15 Mei lepas, polis menahan seorang suspek dari Asia Selatan yang dipercayai merancang melakukan serangan ke atas pejabat konsulat asing di India. - Bernama
Rasuah penjawat awam serius
Azam (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen serah tugas antara Yaacop (dua, kiri) dan Alias (dua, kanan) di Pejabat SPRM Perlis, Bangunan Persekutuan, semalam.
KANGAR - Risikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati penyelewengan petrol dan diesel bersubsidi melibatkan sindiket di negara ini dengan negara jiran sudah berada di tahap serius.
Pengarah Bahagian Risikan SPRM, Datuk Azam Baki yang tidak menyebut negara jiran itu berkata, operasi sindiket terbabit berjalan dengan terancang dan bukan dilakukan oleh individu.
“Penyelewengan ini sampai tahap serius kerana unsur-unsur rasuah membabitkan penjawat awam dari pelbagai agensi sangat jelas manakala syarikat pembekal tidak terbabit,” katanya.
Beliau bercakap dalam sidang akhbar selepas menyaksikan majlis serah terima tugas jawatan Pengarah SPRM Perlis antara Alias Darus kepada Yaakop Angah di sini, semalam.
Alias ditukarkan ke Kedah sebagai timbalan pengarah mulai 15 Februari lalu manakala Yaakop sebelum ini merupakan Ketua Cawangan SPRM Seberang Prai, Pulau Pinang.
Menurut Azam, ketirisan bermula di lapangan akibat sistem dan prosedur yang longgar selain harga bahan bakar itu antara yang termurah dalam kalangan negara Asean menyebabkan banyak pihak ingin mencari keuntungan mudah.
Katanya, pemantauan ketat di tempat-tempat yang dikenalpasti telah dilaksanakan sejak isu terbongkar malah SPRM bekerjasama rapat dengan agensi-agensi kerajaan yang lain untuk membanteras penyelewengan itu.
"Pengarah-pengarah SPRM negeri akan turut dilibatkan jika timbul isu berkaitan di negeri terbabit, " katanya.
Sebelum itu, Yaakop berkata pihaknya menerima 29 maklumat dakwaan rasuah sehingga semalam dan membuka tujuh kertas siasatan membabitkan tuntutan palsu dan penyalahgunaan kuasa dan satu kes telah didakwa di mahkamah.
Katanya, sebanyak 37 kertas siasatan dibuka hasil 184 maklumat diterima tahun lalu yang kebanyakannya membabitkan masalah disiplin penjawat awam.
SPRM Perlis mengesyorkan tindakan tatatertib dan teguran dibuat terhadap mereka.
Sementara itu, SPRM Perlis percaya ketirisan bahan api ke negara jiran ada melibatkan anggota agensi penguatkuasaan dalam negeri ini.
Yaacop berkata, ketirisan itu boleh menyebabkan ekonomi negara terjejas, justeru pihaknya akan melakukan intipan dan risikan secara berterusan di kawasan yang berisiko berlakunya rasuah terutamanya di sempadan negara.
Katanya tindakan itu diambil berikutan beberapa siri rampasan bahan api seperti diesel dan petrol yang disyaki mahu diseludup keluar oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Bagi memudahkan urusan risikan, pihak kami akan mengukuhkan kerjasama antara ketua dan anggota di setiap jabatan dan agensi terlibat.
“Kita sedang berusaha menumpaskan sindiket dan sesiapa sahaja anggota yang terlibat, perkara ini tidak boleh dipandang remeh kerana ia melibatkan ekonomi negara,” katanya.
'Ke rumah kekasih nak cuci baju',
Pasangan kekasih dicekup dan ditahan sebelum disoal siasat.
SUNGAI PETANI - “Dia baru sahaja sampai rumah saya pagi tadi,” demikian helah seorang remaja lelaki yang memberikan alasan bagi ‘menyelamatkan’ kekasihnya ketika serbuan dilakukan anggota penguatkuasa kerana bersekedudukan.
Pasangan itu dicekup dalam sebuah rumah di sini ketika sedang tidur pada jam 9.30 pagi oleh sepasukan sembilan anggota termasuk pegawai dari Pejabat Agama Daerah Kuala Muda.
Pasangan itu yang berusia 20 tahun berasal dari Pokok Sena dan Alor Setar menyewa di perumahan terbabit kerana mendakwa sedang bekerja di bandar ini.
Apabila ditanya, wanita itu berkata, rumah sewanya hanya 200 meter dari situ dan datang ke rumah kekasihnya pada jam 8 pagi untuk mencuci baju kerana terdapat sebuah mesin basuh di situ.
Bagaimanapun, ketika dicekup kedua-duanya ditemui berada di sebuah bilik dan salah seorangnya tidak berpakaian.
Berdasarkan pengakuan, mereka sudah berkenalan lima tahun lalu sejak di bangku sekolah dan kini masing-masing sedang bekerja di sebuah pasar raya dan kilang berasaskan ubat-ubatan di bandar ini.
Sementara itu, Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kuala Muda, Zaiferi Zainul Abidin berkata, aduan dikemukakan orang awam apabila ternampak seorang wanita sering berkunjung ke rumah kekasihnya yang tinggal seorang diri termasuk pada waktu malam.
“Hasil siasatan kami dapati terdapat sepasang kekasih berada di dalamnya dipercayai tinggal serumah berdasarkan penemuan pakaian dalam wanita terbabit termasuk kelengkapan lain yang tersusun dalam almari milik kekasihnya,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 9 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988 iaitu bersekedudukan, bersembunyi atau bersama wanita bukan mahram.
Sekiranya sabit kesalahan, hukuman denda RM2,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya atau ditahan di rumah kebajikan selama tiga tahun boleh dikenakan.
Dalam serbuan berasingan, sepasang kekasih dicekup oleh jawatankuasa masjid ketika tidur berdua-duaan di sebuah pondok berteduh dalam kawasan rumah dekat Gurun, Kedah pada jam 8 pagi.
Menurut Zaiferi, pasangan berusia 18 dan 20 tahun itu ditemui sedang nyenyak tidur dalam pondok yang terdapat dalam halaman rumah si lelaki.
“Kes itu, bagaimanapun masih dalam siasatan,” katanya.
Lebih 230 premis dalam pemerhatian KPDNKK
PUTRAJAYA - Lebih 100 stesen minyak adalah antara 230 hingga 250 premis yang berada dalam radar pemerhatian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) kerana dipercayai menjadi lokasi penyimpanan dan penyeludupan minyak petrol, diesel dan gas petroleum cecair.
Pengarah Penguatkuasa KPDNKK Mohd Roslan Mahayudin berkata premis-premis tersebut kebanyakannya berada di negeri pantai timur kerana berhampiran dengan laut dan jeti manakala di utara pula yang bersempadan dengan negara jiran.
Beliau berkata premis tersebut akan terus digempur habis-habisan dalam Ops Titik yang bermula 15 Mei lepas sehingga 31 Dis tahun ini.
"Selain stesen minyak kawasan hotspot lain ialah pusat pengumpulan minyak yang kebanyakannya dibina di kawasan pedalaman seperti dalam hutan malah terdapat juga di kawasan kubur Cina," katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini hari ini.
Ops Titik ialah tindakan penguatkuasaan bersepadu secara besar-besaran di seluruh negara berdasarkan hasil risikan dalaman dan maklumat daripada
agensi-agensi penguatkuasaan yang lain.
Beberapa individu, syarikat, sektor dan lokasi titik panas (hot spot) telah dikenalpasti untuk disasarkan seperti stesen minyak yang disenarai pendek, pemborong serta gudang-gudang simpanan yang menjadi transit untuk sindiket beroperasi.
Roslan berkata operasi itu juga adalah dengan kerjasama Polis Diraja\ Malaysia (PDRM), Kastam Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta lain-lain agensi.
Beliau meminta orang ramai yang melihat sesuatu yang mencurigakan terhadap sesebuah stesen minyak atau gudang penyimpanan supaya membuat laporan selain menasihatkan pengusaha stesen minyak supaya jujur dalam berniaga.
"Contohnya stesen minyak di kawasan pedalaman yang tidak banyak kenderaan di situ tetapi setiap hari kontena minyak menyalurkan minyak, itu adalah sesuatu yang pelik dan orang ramai boleh membuat aduan," katanya.
Sementara itu, untuk tempoh enam hari operasi tersebut dilancarkan, sebanyak 39 kes telah ditumpaskan dan nilai barangan yang disita ialah RM1.3 juta dengan Kelantan mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu sembilan dan nilai rampasan ialah RM133,908.
"Manakala Wilayah Putrajaya mencatatkan nilai rampasan tertinggi iaitu RM 300,000 dengan satu kes," katanya. - Bernama
KPDNKK rampas 516 tong gas dari kilang
ROSLI (kanan) bersama beberapa anggota KPDNKK melakukan pemeriksaan ke atas sebuah premis yang dijadikan stor simpanan tong gas secara haram di Kawasan Perindustrian Gua Musang, Kelantan kelmarin.
GUA MUSANG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan menyita sebuah kilang dan merampas 516 tong gas yang akan dijual secara haram.
Tindakan itu dilakukan 10 anggota penguat kuasa diketuai Ketua Cawangan KPDNKK Kuala Krai, Rosli Ismail yang membuat serbuan ke kilang itu di kawasan perindustrian di sini pada 3 petang semalam.
Rosli berkata kilang itu menyimpan 516 tong gas bersubsidi yang seberat antara 12 dan 14 kilogram bernilai RM36,839 tanpa lesen.
Semasa serbuan itu, hanya isteri pemilik kilang itu berada di premis berkenaan, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata hasil siasatan mendapati peniaga itu menjalankan perniagaantanpa lesen atau kebenaran daripada pegawai KPDNKK untuk menyimpan dan menjual tong gas kepada pelanggan di sekitar daerah ini sejak setahun lepas.
Kes itu disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, yang jika sabit kesalahan, boleh didenda RM100,000 atau tiga tahun penjara. - Bernama
Dua remaja tidak sempat pecah masuk kedai runcit
TANGKAK - Dua orang remaja masing-masing berusia 16 dan 17 tahun diberkas sebelum sempat memecah masuk sebuah kedai runcit di Batu 19, Sengkang, Bukit Gambir di sini awal hari ini.
Dalam kejadian pukul 1.30 pagi itu, kedua-dua remaja tersebut yang berada di atas bumbung kedai dua tingkat itu terkejut dengan kehadiran polis lalu menyerah diri sebelum sempat memasuki premis berkenaan.
Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Mohamed Salleh Abd Razak memberitahu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah itu petang ini, kejayaan tersebut adalah hasil daripada tindakan pantas pemilik kedai berkenaan menghubungi polis sebaik terdengar sesuatu di atas bumbung kedainya.
Katanya, beberapa orang anggota polis dari Balai Polis Pekan Bukit Gambir bergegas ke tempat kejadian hingga menyebabkan kedua-dua remaja yang belum sempat memasuki kedai, tergamam melihat kehadiran polis.
Remaja pertama berumur 17 tahun berasal dari Sengkang dan tidak bersekolah manakala rakannya berusia 16 tahun dari daerah Segamat, merupakan pelajar tingkatan empat di sini.
Polis tidak menemui sebarang peralatan yang boleh digunakan untuk memecah rumah daripada mereka.
Mereka direman empat hari mulai hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali. - Bernama
Tong gas meletup, tiga beranak cedera
KOTA BHARU - Seorang bapa dan dua anaknya cedera selepas terkena api akibat letupan tong gas memasak yang bocor di rumah mereka Taman Mimi, Wakaf Baharu, Tumpat, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 3.40 petang itu, Mohd Eddie Hariry Mohd Nor, 33, bersama-sama dua anaknya Nor Syafiqa, 10, dan Nor Syakira Anis, 2, berada di bahagian dapur rumah dan cuba membaiki kerosakan pada tong gas selepas terhidu bau gas.
Bernama difahamkan mangsa dipercayai telah memasang kepala tong gas itu dan menghidupkan api sebelum ia meletup.
Ibu mentua Mohd Eddie Hariry, Hamidah Hamzah, 63, berkata: "Ketika saya berada di ruang tamu rumah, saya lihat dia (Mohd Eddie Hariry) berjalan ke arah dapur. Memang ada bau gas dan saya rasa gas bocor, sebelum berlaku letupan kuat secara tiba-tiba."
Bercakap kepada pemberita di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini hari ini, beliau berkata ketika api mula marak di ruang dapur, dia melihat menantunya merempuh pintu dapur untuk menyelamatkan diri dan anak-anak.
Jurucakap HRPZII berkata mangsa tiba di hospital itu pada 4.20 petang sebelum ditempatkan di Unit Rawatan Rapi untuk rawatan.
"Mohd Eddie Hariry dan Nor Syafiqa cedera parah di badan dan kedua-dua mereka akan menjalani pembedahan malam ini," kata jurucakap itu.
Nor Syakira Anis cedera ringan dan keadaaannya dilaporkan stabil. - Bernama
Lemas: Mayat pelajar IPTA ditemui
SETIU - Mayat Muhammad Irham Mohd Rosli, 20, pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Pulau Pinang yang dihanyutkan arus deras ketika sedang menjala udang di Sungai Kuala Setiu malam tadi ditemui 5 petang ini.
Mayat mangsa yang merupakan pelajar Jurusan Diploma Kejurteraan Elektrik dalam semester 6 itu ditemui pasukan penyelam dari Balai Bomba dan Penyelamat di sini kira-kira 600 meter dari tempat dia dihanyutkan arus deras.
Menurut bapa saudaranya, Sulaiman Hussin, 33, yang ditemui di tempat kejadian, beliau bersama mangsa termasuk adik mangsa Hafizi, 18 dan anak sepupunya Arshad Hasbullah, 17, pergi menjaring udang di sungai berkenaan kira-kira jam 6.30 petang semalam.
Katanya setelah hampir tiga jam menjala udang mereka beredar untuk naik ke tebing dan ketika itulah mangsa tenggelam dan hilang akibat arus deras sungai ketika itu.
Ibu mangsa Zawiah Meli, 44, pula berkata anaknya pulang ke kampungnya di Kampung Tempinis kerana cuti semester sejak April lalu dan memulakan pengajian 8 Jun depan.
Katanya mangsa pernah ke kawasan berkenaan sebelum ini untuk menjala udang dan tempat berkenaan tidak asing baginya.
"Arwah merupakan anak sulung daripada enam adik beradik dan sentiasa ceria dan menghormati orang tua," kata ibunya.
Sementara itu, mayat mangsa dihantar ke Hospital Daerah Setiu, di Bandar Permaisuri untuk bedah siasat. - Bernama
Bekas penjawat awam tipu diculik
INILAH Kampus Universiti Sabah tempat suspek bersembunyi dan ditahan ketika mengeluarkan wang.
KOTA KINABALU - Polis menahan seorang bekas penjawat awam kerana memeras ugut isterinya selepas mendakwa dia diculik sehingga meminta wang tebusan sebanyak RM8,000 dua minggu lepas.
Ketua Polis Kota Kinabalu Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata lelaki yang berumur awal 30an itu ditahan semasa mengeluarkan wang dari mesin teller automatik (ATM) pada kira-kira jam 3.00 petang di sekitar bandaraya ini, pada 16 Mei lalu.
"Pada 15 Mei, isteri mangsa yang berumur 22 tahun menerima beberapa keping gambar mangsa dan meminta memasukkan wang ke dalam akaun untuk membebaskannya.
"Hasil siasatan lanjut, polis mendapati dia mengadakan-adakan cerita diculik oleh sekumpulan lelaki pada 7 Mei lalu," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Jauteh berkata polis turut merampas sembilan sim kad termasuk salah satu daripadanya digunakan untuk menghubungi isterinya dan melakukan pemerasan.
Dalam perkembangan lain, katanya, polis menahan seorang suspek tanpa pengenalan diri kerana melakukan rompakan bersenjata di Telipok pada pukul 9.45 malam, Isnin lepas.
Beliau berkata polis menemui sebilah pedang samurai bersama suspek lelaki yang berumur 29 tahun dipercayai digunakan untuk merompak serta sebuah motosikal curi.
"Polis sedang menjejaki seorang lagi rakan suspek kerana melakukan rompakan bersenjata ke atas seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun yang kerugian kira-kira RM4,000 pada kejadian 4.30 petang itu, Sabtu lepas," katanya. - Bernama
Kes tipu: Warga China dihukum penjara
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga China dihukum penjara berjumlah 25 bulan selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan menipu pekerja sebuah pasar raya dan satu pertuduhan tidak memiliki permit masuk ke negara ini.
Majistret Erry Shahriman Nor Aripin menjatuhkan hukuman penjara lima bulan terhadap Wu Qing Feng, 52, bagi setiap pertuduhan.
Bagaimanapun, Wu, seorang tukang goreng ayam di sebuah kedai makan, hanya perlu menjalani hukuman penjara lima bulan selepas mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh dia ditangkap, iaitu 7 Mei lepas.
Bagi pertuduhan menipu, dia didakwa melakukan perbuatan itu di Pasaraya Tesco Ekstra Taman Midah, Cheras pada 12 tengah hari 7 Mei lepas mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan, Wu didakwa memasuk atau menambah berat ketam yang berharga RM17.25 kepada berat lain dan selepas ditimbang semula, barangan itu sebenarnya berharga RM36.23.
Barangan lain dalam pertuduhan kedua hingga keempat ialah paha ayam (berharga RM70.65/harga sebenar RM102.75), ketulan paha ayam (RM16.66/RM36.81) dan sotong (RM9.70/RM24.06).
Bagi pertuduhan tidak memiliki permit masuk ke negara ini, Wu didakwa mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155)(Pindaan 2002) dan dihukum mengikut Seksyen 6(3) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali serta boleh disebat enam kali.
Ketika merayu hukuman ringan dalam Bahasa Mandarin, Wu yang tidak diwakili peguam memaklumkan mahkamah dia perlu menanggung dua anak dan seorang isteri yang tidak bekerja.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang awam. - Bernama
Amuk dalam restoran, pemandu lori terima padah
KUALA LUMPUR - Gara-gara merosakkan barangan termasuk dapur dan tong gas di sebuah restoran, seorang pemandu lori hari ini dihukum penjara sehari dan didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini.
Majistret Saifulakmal Said menjatuhkan hukuman itu terhadap A. Vijayan, 47, setelah dia mengaku bersalah melakukan khianat dengan merosakkan barangan itu sehingga menyebabkan kerugian RM1,000 terhadap pengusaha Restoran Al Janna di Jalan Angsoka Nagasari di kawasan Dang Wangi di sini pada 6 petang, 25 April lepas.
Vijayan didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, Vijayan telah bertindak merosakkan barangan termasuk memecahkan kerusi dan pinggan mangkuk sehingga menyebabkan pelanggan restoran itu berasa takut.
Sementara itu, rakannya K.Nesa Sivabalan, 46, didenda RM1,000 oleh mahkamah sama selepas mengaku bersalah mencederakan seorang lelaki warganegara Bangladesh di restoran itu pada masa dan tarikh sama.
Pemandu teksi itu didakwa memukul lelaki itu yang dikenali sebagai Aktar dengan kerusi sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian mulut dan kepalanya.
Nesa Sivabalan, bapa kepada tiga anak, didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.
Vijayan dan Nesa Sivabalan membayar denda masing-masing.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Tan Sew Ping manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Vincent Chew Zi Xian. - Bernama
Seludup diesel, pemandu lori ditahan
KUALA TERENGGANU - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Terengganu menahan seorang pemandu lori dan merampas 500 liter diesel bersubsidi.
Timbalan Pengarah PPDNKK negeri Alwi Abdul Hamid berkata pemandu lori berusia 29 tahun itu ditahan ketika sedang mengisi diesel ke dalam tangki lori di sebuah stesen minyak di Kampung Wakaf Tengah di sini malam tadi.
"Hasil pemeriksaan lanjut kita dapati pemandu lori berasal dari Melaka itu telah selesai mengisi minyak di empat buah stesen minyak sebelum ditahan di stesen kelima dan kita dapati sebanyak 500 liter minyak bernilai RM1,000 dalam tangki tersebut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, tangki yang diubah suai itu mampu memuatkan kira-kira 5000 liter minyak dan pihaknya mempercayai suspek bergiat aktif sejak dua bulan lepas.
Katanya penahanan pemandu lori itu adalah hasil intipan sejak tiga hari lalu dan dipercayai diesel itu untuk dijual dan diedarkan di Pulau Pinang.
"Nilai rampasan (diesel) termasuk lori yang disita dianggarkan bernilai RM19,000 dan kita akan meningkatkan operasi tidak kira siang atau malam bagi membanteras kegiatan ini," kata Alwi.
Katanya, modus operandi sindiket berkenaan adalah mengisi diesel di beberapa stesen minyak di sekitar Kuala Terengganu dalam kuantiti tertentu bagi mengaburi mata orang ramai sebelum dijual kepada pihak industri.
Beliau berkata pihaknya menjalankan "Ops Titik" bagi mengesan dan membanteras kegiatan menyeleweng diesel bersubsidi untuk mengaut keuntungan mudah. - Bernama
Mesir tumbang jika Al-Sisi jadi Presiden
KAHERAH - MESIR. Parti Islam kedua terbesar, Salafi Nour menjangkakan kerajaan akan tumbang jika Abdel Fattah Al-Sisi menjadi Presiden Mesir.
Menurut Agensi, Ketua Parti Nour Younis Makhyoun berkata, senario itu dilihat sama seperti yang berlaku ketika penggulingan Presiden Mohammed Mursi, Julai lalu.
“Sejak Mursi digulingkan, rakyat bangkit kerana menentang rampasan kuasa hingga ke hari ini. Rakyat tidak boleh terima kepimpinan tentera dan ia terbukti ketika penggulingan Hosni Mubarak pada 2011,” katanya.
Menurutnya, beliau tidak gentar jika partinya menerima nasib sama seperti Ikhwanul Muslimin kerana hingga kini partinya tetap menyokong Mursi.
Sementara itu, mahkamah Mesir mensabitkan tiga tahun penjara terhadap Hosni atas tuduhan rasuah manakala anaknya Alaa dan Gamal masing-masing menerima hukuman penjara empat tahun atas tuduhan sama.
Ketua tentera buat mesyuarat tergempar
Prayut (tengah) menghadiri sidang media di kelab tentera di Bangkok. Foto: AFP
BEBERAPA askar mengawal Kelab Tentera di Bangkok semalam.
BANGKOK - THAILAND. Ketua Tentera Thailand, semalam cuba menyelesaikan kemelut politik di negara itu dengan mengadakan mesyuarat tergempar bersama 40 wakil kerajaan, pembangkang, Senat, Suruhanjaya Pilihan Raya (EC) dan ketua kumpulan penunjuk perasaan.
Menurut AFP, rakaman televisyen turut memaparkan Jeneral Prayut Chan-O-Cha mempengerusikan mesyuarat yang diadakan di Bangkok.
Bagaimanapun, Perdana Menteri sementara Niwattumrong Boonsongpaisan dilaporkan tidak hadir kerana mempunyai urusan lain dan digantikan dengan lima menteri kanan.
Kelmarin, Niwattumrong menggesa pilihan raya baharu diadakan pada 3 Ogos depan selepas tentera menguatkuasakan undang-undang tentera di seluruh negara.
Dalam satu kenyataan, Prayut menegaskan konflik tersebut perlu diselesaikan dengan baik sebelum beliau bersara pada akhir September depan.
"Saya tidak akan membiarkan Thailand menjadi seperti Ukraine atau Mesir," katanya.
Sementara itu, jurucakap tentera Sirichan Ngathong memaklumkan rundingan tersebut masih menemui jalan buntu, namun ia menunjukkan beberapa perkembangan positif.
"Semua wakil bersetuju mempertimbangkan cadangan pihak lain dan ia akan dibincangkan semula dan diputuskan dalam mesyuarat susulan pada hari ini," katanya lagi.
Dua serangan bom gegar Nigeria
Bomba cuba mengawal kebakaran di sekitar kawasan terminal bas di Jos, kelmarin. Foto: AFP
ABUJA - NIGERIA. Sekurang-kurangnya 118 maut dalam serangan bom berkembar menyasarkan terminal bas di tengah Nigeria, menurut pihak berkuasa, kelmarin.
Penyelaras Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan (Nema), Mohammed Abdulsalam memaklumkan, seramai 56 orang awam cedera dalam insiden menggemparkan di bandar Jos di Plateau .
"Jumlah kematian mungkin meningkat. Letupan kuat itu turut menyebabkan bangunan di kawasan berhampiran runtuh dan terbakar," katanya pada AFP.
Letupan pertama di New Abuja Market dipercayai berlaku dari sebuah trak pada jam 3 petang (waktu tempatan) disusuli serangan kedua kira-kira 20 minit kemudian ketika bomba tiba di lokasi kejadian.
Sementara itu, Presiden Nigeria Goodluck Jonathan mengutuk keras insiden pengeboman tersebut dan menyifatkannya sebagai serangan tragik ke atas kebebasan manusia.
Sehingga kini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan itu walaupun pihak berkuasa mendakwa ia didalangi kumpulan militan.News.
Amah Filipina disimbah air panas
Fatma melecur seluruh badan kerana disimbah air panas.
MANILA - FILIPINA . Seorang pembantu rumah Filipina parah selepas didera majikan hanya kerana secawan kopi.
Fatma, 23, melecur teruk di badan dan kaki selepas disimbah air panas oleh majikannya, warga Arab Saudi di Riyadh.
Mangsa kemudiannya ditinggalkan enam jam dalam keadaan parah sebelum menerima rawatan.
Ketika di hospital, mangsa meminta menghubungi sepupunya bagi mendapatkan pertolongan daripada Kedutaan Filipina.
Sejurus sepupunya tiba, dia memuat naik gambar kecederaan mangsa ke laman Facebook hingga mencetuskan kemarahan penduduk negara itu.
Difahamkan, Fatma juga mendakwa tidak diberi makan dan sering dipukul oleh majikannya, dipetik dari laporan ABS-CBN News.
Kucing bawa ganja mampat
WELLINGTON - NEW ZEALAND. Seorang wanita terkejut apabila kucingnya membawa pulang beg plastik berisi ganja seberat lima gram ke pintu rumahnya di St Ashmore, New Zealand.
Menurut BBC, Wanita hanya mahu dikenali sebagai Fluffy itu segera menghubungi polis sejurus mendapat tahu kandungan plastik berkenaan.
“Saya sangka ia membawa balik bangkai tikus atau burung tetapi selepas diperiksa ia adalah ganja mampat,” katanya.
Pegawai polis Dunedin, Reece Munro berkata, nilai ganja berkenaan sekitar NZ$150 (RM400) dan siasatan masih dijalankan.
Industri pengiklanan Malaysia makin berkembang
INDUSTRI pengiklanan di Malaysia berkembang pada purata lima hingga enam peratus tahun ke tahun, kata Media Specialists Association (MSA).
Antara lain, iklan digital berkembang pada kadar paling pantas iaitu 25-35 peratus setiap tahun, diikuti TV berbayar pada kadar penembusan 55 peratus dalam kalangan pemilik rumah Malaysia, kata persatuan itu dalam satu kenyataan.
"Iklan cetak dan radio juga mengalami pertumbuhan tahun ke tahun yang mantap, menjadikan bidang ini antara industri paling menarik dan dinamis di Malaysia," katanya.
MSA berkata pengiklan dalam akhbar, media cetak dan radio, menggunakan sepenuhnya media digital dan teknologi dan menjadi lebih imaginatif dalam pendekatan mereka untuk kekal bersaing.
Persatuan itu akan mengadakan majlis Anugerah Media Malaysia 2014 pada 19 Jun di Petaling Jaya bagi mengiktiraf iklan yang baik dalam pelbagai platform dalam industri itu. - Bernama
LKIM peruntuk RM250,000 untuk nelayan di Limbang
Irmohizam melihat udang yang dijual di Pasar Tamu Limbang semasa lawatannya ke Sarawak, semalam. - FOTO: MOHAMAD HAFIZI MOHD SAID
LEMBAGA Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengumumkan peruntukan sebanyak RM200,000 untuk membina pusat pengumpulan ikan (PPI) di Pasar Tamu Limbang, Sarawak selain RM50,000 untuk membaik pulih bumbung tempat letak bot di lapan kampung sekitar Limbang.
Pengerusinya, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, Limbang ialah lokasi strategik dalam mewujudkan PPI kerana berhampiran dengan Brunei, dan pusat itu dapat menghapuskan aktiviti orang tengah yang menjadi faktor kenaikan harga ikan.
“Apabila PPI Limbang siap sepenuhnya nanti, ia akan menjadi satu mercu tanda bagi nelayan di kawasan tersebut dan sekali gus membantu menaik taraf ekonomi nelayan di situ.
“Dengan adanya pusat pengumpulan tersebut nelayan boleh terus menjual hasil tangkapan mereka kepada orang ramai tanpa ada campur tangan orang tengah,” katanya selepas melawat perkampungan nelayan sekitar Limbang, Sarawak, semalam.
Irmohizam turut menyeru nelayan di Limbang supaya melakukan transformasi dari segi kegiatan ekonomi mereka seperti mewujudkan perniagaan berasaskan makanan laut dan industri hiliran.
“PPI Limbang kelak akan turut membantu nelayan mengeksport atau mengimport hasil tangkapan mereka mengikut skala dan keupayaan tertentu,” katanya.
SME Corp sasar 100 syarikat dapat sijil Malaysian
Dari dua kiri: Dr Paul Temporal dari Universiti Oxford, Hafsah dan Pengarah Urusan Malaysia Debt Ventures Bhd, Datuk Md Zubir Ansori Yahaya. - FOTO: AFIQ RAZALI
SME Corporation Malaysia (SME Corp) yakin sasarannya untuk 100 syarikat tempatan menerima pensijilan Tanda Keunggulan Kebangsaan untuk Jenama Malaysia (Malaysian Brand) menjelang hujung tahun ini akan tercapai.
Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Datuk Hafsah Hashim berkata, pada suku pertama tahun ini sebanyak tujuh syarikat tempatan baharu telah menerima pengiktirafan itu, menjadikan keseluruhannya 92 syarikat telah menerima sijil itu sejak ia diperkenalkan pada 2009.
"Dengan kerjasama Sirim QAS, kami telah mengenal pasti beberapa syarikat layak untuk mendapat pensijilan itu dan kini dalam proses penilaian terhadap tujuh atau lapan syarikat lagi.
"Oleh itu, kami yakin untuk mencapai jumlah itu sebelum Januari 2015," katanya selepas pelancaran Seminar Penjenamaan 2014 yang julung kali dianjurkan di Kuala Lumpur, semalam.
Sementara itu, ketika mengulas berhubung jumlah syarikat menerima pensijilan itu yang masih agak rendah, Hafsah berkata, Malaysian Brand bukan mengenai kuantiti tetapi penumpuan diberikan kepada kualiti jenama yang akan turut menjadi imej kepada negara.
Pensijilan Malaysian Brand menggambarkan kualiti, kecemerlangan dan keunikan produk dan perkhidmatan oleh syarikat tempatan.
Sementara itu, Seminar Penjenamaan 2014 yang dianjurkan SME Corp dihadiri oleh 150 syarikat kecil dan sederhana (PKS) yang merupakan penerima pensijilan Malaysian Brand dan pemenang Anugerah E50.
Hafsah berkata, PKS disarankan menggunakan platform seperti seminar itu untuk menimba lebih banyak maklumat, bertukar idea, pengetahuan dan pengalaman dalam isu seperti nilai dan inisiatif penjenamaan di samping mewujudkan jaringan perniagaan yang mantap.
Tujuan seminar satu hari itu adalah untuk memberikan kesedaran dan menambah pengetahuan berkenaan kepentingan penjenamaan dan cara meningkatkan keberkesanan penjenamaan.
Pengecualian GST bukan sekadar belacan, cencaluk
Dr Faridah Hassan
SHAH ALAM – Kajian lanjutan perlu dilaksanakan dalam menyenaraikan barangan asas lain yang dikecualikan daripada cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Profesor Pengurusan Strategi dan Pemasaran, Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (Uitm), Prof. Dr Faridah Hassan berkata, kajian itu perlu dilaksanakan terhadap semua lapisan masyarakat di negara ini.
"Minta maaf YB, kita sebut tadi (semalam) tentang budu, belacan dan lain-lain lagi, saya rasa barang-barang itu tidak terhad.
"Bahan-bahan mentah ini, kita kena buat kajian kepada seluruh lapisan kaum, rakyat untuk mengetahui apa sebenarnya mereka berkehendak lagi dan kajian ini akan berterusan," katanya yang mengulas tentang kenyataan Pengarah Strategis PKR, Rafizi Ramli pada Wacana Sinar Harian siri ke-28, di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, semalam.
Wacana Sinar Harian kali ini membawa tajuk "GST: Siapa Untung Siapa Rugi".
Rafizi sebelum itu menyebut sepuluh barang yang diberikan pengecualian GST.
"Pengecualian cukai ke atas barang-barang asas yang ini sering disebut berkali-kali sebagai satu alasan kononnya GST ini tidak membebankan rakyat. Bahan asas ini ialah bahan makanan.
"Bahan makanan yang diumumkan setakat ini hanyalah beras, gula, garam, tepung gandum, rempah ratus, budu, belacan, kacang dal dan cencaluk. Saya hafal itu.
"Ia dituliskan dalam ucapan Perdana Menteri sendiri ketika mengumumkan GST.
"Masalahnya, kita tidaklah makan belacan 24 jam sehari. Kita ada banyak lagi benda asas lain yang sebenarnya kena GST. Kita lihat barang makanan. Biskut, roti, susu pekat manis kena. Tak boleh minum teh tarik lepas ini. Mahal," katanya.
Selain Rafizi dan Prof Faridah, wacana kali ini membariskan panelis yang tidak asing lagi iaitu Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Muhammad Sha'ni Abdullah.
Wacana ini dikendalikan oleh pensyarah Fakulti Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Terknologi Mara (UiTM), Prof. Madya Dr Shaharuddin Badaruddin.
Sumber: Sinar Online
Tegar Terpaksa Makan Tempe Ditipu Pengurus Sendiri
KUALA LUMPUR: Penyanyi cilik dari Indonesia iaitu Tegar yang pernah hidup miskin mendedahkan kehidupannya selepas bergelar artis turut berliku apabila ditipu oleh bekas pengurus sendiri.
Tegar atau nama sebenarnya Tegar Septian, 13, berkata, keadaan bertambah buruk apabila dia tidak dapat merasai wangnya sendiri selain hanya diberi makan tauhu dan tempe.
"Sumber kewangan saya disekat. Malah saya diberi makan tauhu dan tempe sahaja seperti ketika saya mula-mula menjadi penyanyi jalanan dahulu.
"Malah, saya tidak dapat membeli apa-apa benda yang diinginkan kerana bekas pengurus itu tidak memberikan wang kepada saya. Kononnya mahu saya berjimat dan sentiasa ingat asal usul. Tetapi wang hasil titik peluh saya, semua dia ambil.
"Mujurlah saya bertemu dengan seorang lelaki yang boleh dipercayai untuk membantu saya lari daripada bekas pengurus tersebut," katanya.
Tegar ditemui pada majlis pelancaran album keduanya berjudul Kemana Kasih Sayang di Hotel Seri Pacific di sini pada Rabu.
Tegar menunjukkan album baharunya.
Sebelum ini lagu nyanyiannya iaitu Aku Yang Dulu Bukan Yang Sekarang merupakan antara lagu hit di negara ini.
Sementara itu, pengurus barunya yang bernama Arif Dollah berkata, selepas mendapat tahu mengenai masalah Tegar, dia telah 'melarikan' penyanyi itu ke Bandung selama seminggu dan kemudian meminta Tegar untuk dilepaskan.
"Selepas membaca semula kontrak Tegar, ia didapati tidak sah dan hal tersebut membuatkan masalah itu lebih mudah diselesaikan.
"Dua bulan lalu, saya larikan Tegar ke Bandung sehinggalah pengurus itu membuat keputusan untuk tidak menguruskannya lagi.
"Dan sekarang ini, barulah Tegar dapat merasa wang hasil daripada titik peluhnya dengan membeli sebanyak dua buah motosikal KTN Motorcross selain membeli beberapa bidang tanah sawah untuk bapa tirinya," kata Arif.
Malah Tegar juga membeli tiga gitar akustik dan tiga buah lagi ukulele untuk digunakan ketika membuat persembahan.
Mengenai album kedua Tegar di bawah label Hapro Records, ia memuatkan sebanyak tujuh buah lagu iaitu Indah Pada Waktunya, Gitar Kecil, Sekeping Recehan, Aku Masih Tegar, Tak Boleh Sombong, Lihat, Dengar Dan Rasa serta Kemana Kasih Sayang.
"Dalam album ini, saya masih membawakan lagu mengenai diri saya yang masih sama seperti dahulu.
"Saya mahu semua tahu bahawa diri ini akan sentiasa mengingati asal usul," ujarnya.
Album Kemana Kasih Sayang akan diedarkan di bawah syarikat Media Asia Production Sdn Bhd (MAP).
Sumber: mStar
Najib Ucap Takziah Kepada Keluarga Tunku Annuar
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Almarhum Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah atas kemangkatan baginda tengah malam tadi.
“Takziah kepada keluarga Tengku Bendahara Kedah, Tunku Annuar. Semoga roh Almarhum ditempatkan dalam golongan yang beriman. Al-Fatihah,” kata Najib dalam catatan Twitter beliau hari ini.
Almarhum mangkat di Hospital Pantai Ipoh, Perak pada jam 12.20 tengah malam.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, mengumumkan tempoh perkabungan negeri itu selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 27 Mei dan sepanjang tempoh itu, semua bentuk hiburan, keramaian serta perayaan dibatalkan.
Sebagai penghormatan ke atas kemangkatan Tunku Bendahara Kedah itu, hari ini diisytiharkan sebagai hari kelepasan am bagi seluruh negeri Kedah.
Sumber: Bernama
Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Mangkat
ALOR SETAR: Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah mangkat di Hospital Pantai Ipoh, Perak pukul 12.20 tengah malam tadi.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata jenazah Almarhum Tunku Annuar akan disembahyangkan di Istana Anak Bukit di sini pukul 3 petang ini.
“Jenazah Almarhum akan disemayamkan di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit mulai pukul 1 petang hingga 3 petang bagi maksud memberi penghormatan terakhir,” katanya ketika mengumumkan berita itu melalui siaran Kedah.fm di sini, Rabu.
Beliau berkata, jenazah Almarhum akan dimakamkan di Makam Diraja Langgar selepas solat Asar.
Katanya jenazah Almarhum akan dibawa melalui Jalan Sultanah, Jalan Titi Gajah, Jalan Hutan Kampung, Jalan Langgar dan terus ke makam.
Sehubungan itu, Mukhriz berkata, bendera negeri, Persekutuan dan lain-lain hendaklah dikibarkan separuh tiang selama tiga hari mulai hari ini.
Beliau berkata tempoh perkabungan adalah selama tujuh hari mulai hari ini sehingga 27 Mei dan sepanjang tempoh berkenaan semua bentuk hiburan, keramaian serta perayaan adalah dibatalkan.
Sebagai penghormatan ke atas kemangkatan Tunku Bendahara Kedah itu, hari ini diisytiharkan sebagai hari kelepasan am bagi seluruh negeri Kedah.
Sumber: mStar
SPRM: Penyelewengan Diesel Di Tahap Serius
KANGAR – Risikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati penyelewengan petrol dan diesel bersubsidi melibatkan sindiket di negara ini dengan negara jiran kini berada di tahap serius.
Pengarah Bahagian Risikan SPRM, Datuk Azam Baki yang tidak menyebut negara jiran itu berkata operasi sindiket terbabit berjalan dengan terancang dan bukan dilakukan oleh individu.
“Penyelewengan ini sampai tahap serius kerana unsur-unsur rasuah membabitkan penjawat awam dari pelbagai agensi sangat jelas manakala syarikat pembekal tidak terbabit,” katanya.
Beliau bercakap dalam sidang akhbar selepas menyaksi majlis serah-terima tugas jawatan Pengarah SPRM Perlis oleh Alias Darus kepada Yaakop Angah di sini, hari ini.
Alias ditukarkan ke Kedah sebagai timbalan pengarah mulai 15 Februari lepas manakala Yaakop sebelum ini merupakan ketua cawangan SPRM Seberang Prai, Pulau Pinang.
Menurut Azam ketirisan bermula di lapangan akibat sistem dan prosedur yang longgar selain harga bahan bakar itu antara yang termurah dalam kalangan negara Asean menyebabkan banyak pihak ingin mencari keuntungan mudah.
Katanya pemantauan ketat di tempat-tempat yang dikenalpasti telah dilaksanakan sejak isu terbongkar malah SPRM bekerjasama rapat dengan agensi-agensi kerajaan yang lain untuk membanteras terus penyelewengan itu.
Pengarah-pengarah SPRM negeri akan turut dilibatkan jika timbul isu berkaitan di negeri terbabit, kata Azam.
Sebelum itu, Yaakop berkata pihaknya menerima 29 maklumat dakwaan rasuah sehingga semalam dan telah membuka tujuh kertas siasatan membabitkan tuntutan palsu dan penyalahgunaan kuasa dan satu kes telahpun didakwa di mahkamah.
Katanya, 37 kertas siasatan dibuka hasil 184 maklumat diterima tahun lepas kebanyakannya membabitkan masalah disiplin penjawat awam.
SPRM Perlis mengesyorkan tindakan tatatertib dan teguran dibuat terhadap mereka.
Sumber: Bernama
Kanak-Kanak Dirogol Jiran
BETONG: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun dirogol oleh jiran yang sering membantu dia mengambil kiub ais daripada rumah ibu saudaranya.
Insiden itu berlaku pada pukul 2 pagi Selasa apabila mangsa yang berasal dari Kampung Hilir Supa, Spaoh diminta pergi ke rumah ibu saudara yang tinggal berhampiran dengan rumahnya untuk mengambil sedikit kiub ais.
Suspek yang berusia 16 tahun sepatutnya membawa mangsa ke rumah ibu saudaranya sebaliknya dia membawa mangsa ke rumahnya dan merogolnya.
Mangsa turut dipukul oleh suspek kerana cuba melawan. Selepas melalui pengalaman getir itu, suspek kemudiannya menghantar mangsa ke rumah ibu saudaranya, sebaik sahaja tiba dia menangis dan menceritakan apa yang berlaku kepada ibu saudaranya.
Sementara itu, seorang lelaki turut ditahan atas dakwaan merogol pada petang Selasa.
Suspek yang berusia 22 tahun itu bekerja di sebuah kilang di Pending didakwa merogol mangsa yang berusia 13 tahun dan berasal dari Petra Jaya.
Menurut sumber, mangsa telah keluar rumah untuk berjumpa dengan suspek. Selepas mangsa tidak pulang ke rumah pada hari berkenaan, ibu bapanya mula bimbang dan membuat laporan di balai polis Gita pada Isnin.
Mangsa pulang ke rumah selepas mengetahui keluarganya membuat laporan polis berhubung kehilangannya. Dia turut mengaku telah mengadakan hubungan seks dengan suspek. Suspek kini direman sementara menunggu siasatan selesai dijalankan.
Sumber: mStar
Wanita Malaysia Ditahan Sembunyi Dadah Dalam Seluar Dalam Di Surabaya
Cubaan seorang wanita rakyat Malaysia untuk menyeludup syabu dengan menyembunyikan dadah itu pada seluar dalamnya, gagal apabila ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Surabaya pada 12 Mei lepas.
Wanita berusia 29 tahun itu, yang menaiki pesawat Cathay Pacific dari Hong Kong ke Surabaya, ditahan pegawai Kastam dan Eksais sejurus tiba di lapangan terbang berkenaan pada 10.45 malam.
Jurucakap Kastam dan Eksais Juanda, Iwan Heriawan berkata dadah seberat 720 gram itu ditemui dalam dua bungkus plastik yang dijahit menyerupai tuala wanita dan dilekatkan pada seluar dalam suspek.
“Pengawasan ketat terhadap wanita itu dilakukan selepas kami mengesyaki sesuatu lalu pegawai keselamatan melakukan pemeriksaan terhadap semua barang yang dibawanya termasuk seluar dalam yang dipakainya,” kata Iwan pada Rabu.
Beliau berkata dalam siasatan itu, suspek memberitahu dia diminta membawa dadah itu untuk diserahkan kepada seseorang di Jakarta.
“Dengan kerjasama Bahagian Narkotik Polis Daerah Jawa Timur, kenyataan suspek benar apabila polis berjaya menangkap seorang suspek lain iaitu warga Nigeria yang berada di Jakarta,” katanya.
Jurucakap Polis Daerah Jawa Timur, Andi Ludianto berkata pihaknya akan terus menjalankan siasatan berhubung kes itu.
“Ini modus operandi rangkaian pengedaran. Individu yang memesan barang (dadah) ada di Jakarta tetapi barang diturunkan di Surabaya. Kami masih menjalankan siasatan kes ini,” kata Andi.
Sumber: Bernama
Bas Ekspres ‘Bertembung’ Dengan Helikopter Di PLUS
Difahamkan ada kejadian sebuah bas ekspres bertembung dengan sebuah helikopter di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) berdekatan Kepala Batas, Pulau Pinang.
Kejadian itu melibatkan sebuah bas ekspres dan sebuah helikopter milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Sebuah kereta turut terbalik dalam kejadian itu.
Jika anda sedang memandu ke arah utara sebaiknya berhati-hati jika melalui kawasan itu kerana kemalangan seperti itu pastinya akan menjadikan jalan raya sesak teruk.
Jangan panik dahulu, sebenarnya itu adalah latihan kecemasan kemalangan yang diadakan oleh pihak PLUS dua hari lepas.
Mynewshub menghubungi talian PLUS untuk mendapat kepastian berkenaan.
Jurucakap itu berkata latihan itu sebagai langkah persediaan kepada PLUS jika kejadian tidak diingini seperti sebuah helikopter mendarat cemas di atas lebuh raya atas sebab-sebab teknikal.
“Sebenarnya itu adalah latihan tuan, kami adakannya dua hari lepas untuk bersedia jika ada helikopter terpaksa mendarat di lebuh raya jadi kami bersedia untuk semua kemungkinan,” katanya.
Syabas kepada pihak PLUS kerana mengadakan latihan sebegitu kerana ia pastinya tidak terfikir untuk sebuah helikopter mendarat di atas lebuh raya PLUS yang begitu sibuk digunakan oleh pengguna lebuh raya setiap hari.
Lebih-lebih lagi apabila terjadi kehilangan sebuah pesawat milik Malaysia Airlines (MAS) MH370 pada 8 Mac lepas yang tidak diketahui lokasinya sehingga hari ini.
Sumber: My News Hub
Kit Siang Bimbang DAP Hilang Undi Kaum Cina
KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengakui beliau bimbang parti itu akan kehilangan undi kaum Cina kerana menampilkan calon Melayu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan.
Beliau mendakwa, terdapat propaganda berlegar di Teluk Intan iaitu kaum Cina di kawasan itu mesti mengundi calon dari kaum tersebut dan bukan calon kaum Melayu.
“Bagaimanapun seluruh jentera DAP dan pakatan berusaha berhabisan-habisan memastikan kita boleh mendapatkan undi semua kaum.
“DAP dan pakatan mahu melihat Dyana Sofya Mohd. Daud dapat mengekalkan tahap undi kaum Cina yang kita peroleh pada Pilihan Raya Umum Ke-13,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Malah, Kit Siang mengakui disebabkan kebimbangan itu beliau berkampung di Teluk Intan sejak tiga hari lalu dan tidak pernah berkempen sekuat itu sebelum ini.
Tambahnya, beliau masih menganggap Dyana Sofya sebagai calon `underdog’ di Teluk Intan sejak hari penamaan calon pada 19 Mei lalu.
Sumber: My News Hub
Pemandu MPV Maut Rempuh Bas Ekspres
Kemalangan maut membabitkan MPV dan bas ekspres di Lebuhraya Utara-Selatan, pagi Rabu.
IPOH: Seorang pemandu maut apabila kenderaan serba guna (MPV) yang dinaiki merempuh sebuah bas ekspres dari arah bertentangan selepas terbabas di Kilometer 371.1 Lebuhraya Utara-Selatan di sini, Rabu.
Jailani Din, 44, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala serta anggota badan.
Ketua Polis Daerah Tanjung Malim Superintenden Othman Nayan berkata, dalan insiden pukul 10 pagi itu, Nissan X-Trail yang dipandu mangsa dalam perjalanan dari utara ke selatan tanah air, terbabas dan melanggar pembahagi jalan.
"Akibat daripada itu, MPV tersebut telah melambung dan berpusing ke laluan bertentangan lalu merempuh bas ekspres Star Mart. Kesan daripada pelanggaran mengakibatkan pemandu MPV tersepit," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas(SMS).
Kemalangan maut membabitkan MPV yang melambung dan merempuh bas ekspres di Lebuhraya Utara-Selatan, pagi Rabu.
Bagaimanapun, beliau berkata, pemandu bas ekspres dan sembilan penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, jenazah Jailani dibawa ke Hospital Slim River untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: mStar
VIDEO : Demo Di Ibu Pejabat PKR, Anwar Pujuk Suruh Bersurai
Susulan beberapa luahan tidak puas hati para ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkenaan isu di dalam pemilihan parti, satu protes tercetus di hadapan ibu pejabat parti itu malam tadi.
Bimbang ia akan tersebar di media arus perdana ekoran kepincangan pemilihan parti, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bertindak merayu kepada para penyokong yang protes untuk bersurai.
Menurut Anwar yang juga Ketua Pembangkang, pihak parti akan menyiasat segala aduan penipuan yang berlaku antaranya melibatkan perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR.
“Saya bagi jaminan dan saya tidak peduli.. jika buat jugak selepas saya cakap ini, saya pecat.. Biar saya sorang tak apa, sebab kita bertanding atas prinsip.
“Jadi, saya minta bersurai sekarang.. jangan layan satu dua khianat.. jangan.. anda semua kena ingat.. bukan cari makan’ apa yang kita buat ini, kita susah payah.. faham tak.. jadi saya minta bersurai dengan baik.
“Jika tidak, siapa yang masih hadir, saya akan ambil tindakan,” katanya mententeramkan pihak yang melakukan protes.
Bantahan difahamkan dilakukan kira-kira 200 orang ahli PKR yang membantah dan mengkritik peranan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) yang didakwa gagal mengendalikan pemilihan parti dengan baik.
Tindakan Anwar jelas tidak menggambarkan apa yang biasa dilakukan oleh parti itu jika tidak berpuas hati dengan dasar kerajaan iaitu dengan mengadakan demonstrasi besar-besaran di ibu negara untuk menimbulkan kekecohan.
DUN P Pinang Dirempuh, Bantah Kenyataan “UMNO Celaka”
GEORGE TOWN: Sekumpulan 200 lelaki membabitkan ahli Umno dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bertindak merempuh pagar utama Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membantah tindakan wakil rakyat DAP yang membuat kenyataan yang disifatkan biadab.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.10 petang pada Rabu, sekumpulan lelaki itu bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati dengan kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima, RNS Rayer yang menyebut "Celaka, Celaka, Celaka Umno' ketika membahaskan usul ucapan terima kasih di atas perasmian Yang DiPertua Negeri Pulau Pinang pada Sidang DUN Pulau Pinang pada Selasa.
Sehingga berita ini disiarkan, kumpulan itu hanya keluar dari pekarangan DUN menuju arah bertentangan bangunan itu pada pukul 4 petang dan masih belum bersurai sepenuhnya.
Insiden yang juga menyaksikan kumpulan berkenaan melemparkan telur ke pintu utama DUN itu menyebabkan kesesakan lalu lintas di Lebuh Light, di sini.
Ketua Pembangkang merangkap Adun Teluk Air Tawar, Datuk Jahara Hamid turut mengecam tindakan Rayer yang disifatkan sebagai satu cubaan untuk merendah-rendahkan umat Islam.
Sementara itu, Adun Pulau Betong, Farid Muhammad Saad menemui penyokong Umno dan NGO di seberang jalan di hadapan bangunan DUN Pulau Pinang untuk mengawal keadaan.
"Kami tak boleh terima perkataan 'celaka' untuk semua orang Melayu. Perhimpunan bukan bertujuan mencetuskan huru-hara tetapi menyatakan rasa kurang senang terhadap perkataan yang kesat itu
"Imuniti dewan tidak harus disalahgunakan dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan sehingga mencetuskan kemarahan dan tidak menunjukkan kematangan politik secara profesional," katanya.
Naib Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Jasmin Noordin ketika ditemui berkata, kenyataan Adun pembangkang itu menggambarkan Rayer sebagai ahli politik tidak matang.
"Kita minta YB Rayer tampil ke hadapan. Kita tidak akan berhenti di sini saja. Kalau dia tak keluar kami akan kejar dia sampai ke rumah," katanya.
Jasmin turut menuntut Rayer untuk memohon maaf dan menarik kata-katanya yang dilihat sengaja menyalakan sentimen perkauman.
"Selagi dia tak minta maaf, kita tunggu dia. Kalau dia tak nak keluar, minta maaf. Jangan kurang ajar dengan kita... jangan sentuh Melayu.
"Kita tak bagi tempoh masa untuk dia minta maaf. Kita mahu dia perbetulkan tindakannya," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid yang hadir bersama sepasukan anggota polis mengarahkan kumpulan lelaki terbabit bersurai bagi mengelak keadaan tidak diingini berlaku.
Sumber: mStar
Polis cari Pijo bantu kes pecah mesin ATM
Kamaruddin menunjukkan gambar Pijo untuk membantu siasatan kes pecah mesin ATM sambil diperhatikan Kamsani di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut, semalam.
BESUT - Orang ramai diminta membantu mengesan seorang lelaki yang dikehendaki bagi membantu siasatan berhubung kes tarik dan pecah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank di bandar Jertih, awal pagi Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, Mohd Afizul Muhammad, 37, dengan alamat terakhir Lot 533, Lorong Rogayah, Pasir Mas, Kelantan diperlukan bagi bantu siasatan.
Katanya, polis percaya lelaki yang turut dikenali sebagai Pijo itu dapat membantu polis mengesan dan mengenal pasti empat suspek yang disyaki terlibat dalam kes berkenaan.
“Hasil pemeriksaan CCTV mendapati seramai empat suspek dipercayai mengambil masa kira-kira lima minit untuk menarik keluar sebuah mesin ATM.
“Mereka menggunakan Proton Waja dipercayai untuk menarik kabel mesin ATM sebelum melarikan wang tunai kira-kira RM165,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut, semalam.
Beliau juga meminta lelaki yang dikehendaki itu tampil atau orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Ketua Siasatan Jenayah Daerah, Asisten Superintendan Kamsani Hasaan menerusi talian 013-3612080 atau Bilik Gerakan IPD Besut, 09-6956222.
Sumber: Bernama
Pihak Keselamatan Malaysia Pintas 8 Kapal Cuba Ceroboh Perairan Sabah
KOTA KINABALU: Pasukan keselamatan Malaysia berjaya memintas lapan buah kapal dari selatan Filipina kerana cuba menceroboh perairan Sabah pada Selasa.
Pengarah Bahagian Penguatkusaan Maritim Esscom, Laksamana Pertama Maritim M. Karunanithi pada Rabu berkata, anggota keselamatan berjaya menahan sebuah daripada kapal berkenaan.
Beliau berkata dalam kejadian pada pukul 5.30 pagi Selasa itu, kakitangan Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) ternampak sebuah kapal yang tidak dikenali berhampiran Pulau Mataking.
Menyedari mereka dilihat, kapal-kapal itu kemudiannya mengubah haluan dan memecut kembali ke arah perairan Filipina melalui Reef Alice.
Tambah beliau, 30 minit kemudian anggota KM Bangi ternampak tujuh lagi kapal yang tidak dikenali.
Sekali lagi apabila kehadiran mereka disedari, kapal-kapal tersebut mengalih arah laluan mereka kembali ke perairan Filipina.
Sumber: mStar
PM Umum Nama Baru Pasangan Beruang Panda Bulan Depan
SEPANG – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengumumkan nama baharu bagi beruang panda gergasi dari China pada hari haiwan berkenaan dipertontonkan kepada umum akhir Jun ini, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G Palanivel.
Beliau berkata nama baharu pasangan panda itu sudah dibincangkan antara Najib dan Duta Besar China di Malaysia Dr Huang Huikang.
“Beliau sendiri (Najib) akan mengumumkan nama itu ketika melawat Zoo Negara nanti,” katanya kepada media selepas menyambut ketibaan pasangan panda itu di Kompleks MASKargo, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini Rabu.
Pasangan panda gergasi dari China, Fengyi dan Fuwa, simbol jalinan hubungan diplomatik 40 tahun Malaysia-China, tiba di Malaysia kira-kira 7.53 pagi selepas diterbangkan melalui pesawat khas MASKargo Airbus 330-200 MH6462 dari Chengdu, China.
Kedua-dua haiwan yang masing-masing berusia tujuh tahun itu kemudian dibawa terus ke Zoo Negara dan akan dikuarantinkan kira-kira sebulan di tempat khas yang siap dibina.
Menjadi simbolik kepada sambutan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik kedua-dua negara, pasangan panda itu dipinjamkan kerajaan China kepada Zoo Negara Malaysia bagi tempoh 10 tahun menerusi Program Penjanjian Kerjasama Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi.
Melalui program perjanjian yang ditandatangani pada 2012 itu, Malaysia berpeluang menjalankan penyelidikan konservasi panda gergasi, selain dapat membangun dan melatih kepakaran tempatan.
Palanivel berkata selain menjadi simbolik persahabatan antara China dan Malaysia, kedatangan pasangan panda itu juga dijangka mampu memberikan sokongan kepada Zoo Negara sekali gus mampu menarik lebih ramai pengunjung ke zoo berkenaan.
Mengenai kos, beliau berkata setakat ini kerajaan membelanjakan kira-kira RM60 juta termasuk untuk pembinaan rumah untuk haiwan berkenaan yang berjumlah RM25 juta, RM20 juta untuk tempoh sewaan selama empat tahun dan RM15 juta untuk kos penyelenggaraan.
Sementara itu, Huikang berkata beliau percaya pasangan beruang panda gergasi itu yang diberi sambutan hangat sebaik tiba di rumah kedua mereka di Malaysia, akan gembira sepanjang berada di sini untuk tempoh 10 tahun.
“Tiada kelewatan langsung,” katanya ketika menjawab soalan wartawan berhubung ketibaan pasangan beruang panda itu ke Malaysia.
Beliau juga menjelaskan bahawa pasangan beruang panda gergasi – Fengyi dan Fuwa – simbol jalinan persahabatan Malaysia-China itu sepatutnya tiba sebelum hari ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia-China pada 31 Mei.
Sebagai tambahan, beliau berkata banyak persiapan perlu dilakukan terutama dari segi aspek teknikal dan logistik sebelum ketibaan panda itu yang memerlukan persekitaran yang selesa.
Sumber: Bernama
Anak Mahathir puji Dyana Sofya
KUALA LUMPUR – Anak kepada bekas perdana menteri, Datuk Marina Mahathir memuji calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud yang menurutnya lebih baik daripada kebanyakan ahli politik sedia ada.
“Gadis ini sangat bijak. Beliau boleh berfikir, petah berkata-kata, dan beliau juga boleh menulis
“Itu sudah tiga perkara, lebih baik dari kebanyakan ahli politik,” katanya dalam satu tulisan di Facebook.
Beliau merujuk kepada satu tulisan Dyana yang disiarkan di laman The Malay Mail Online, berhubung pendirian peguam muda itu dalam isu kemasukan pelajar ke Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Selain itu, Marina yang dikenali sebagai aktivis sosial, turut menafikan tanggapan bahawa beliau juga akan menyertai DAP, seperti Dyana.
Beliau malah menganggap perkara itu sebagai satu jenaka dan berkata, tanggapan itu timbul ekoran salah tafsir ke atas satu kenyataan oleh ibu Dyana, Yammy Samat.
“Kononnya ada orang kata saya akan sertai DAP… Ini perkara paling kelakar yang saya pernah dengar sejak sekian lama.
“Saya rasa ada orang salah tafsir apa yang ibu Dyana katakan.
“Tidak, saya tidak sertai mana-mana parti politik. Itu bukan satu-satunya cara untuk berkhidmat kepada negara.
“Dan saya tidak (berminat) untuk bercakap mengenai politik sepanjang masa. Kadang-kadang saya hanya mahu bercakap tentang tenis,” katanya.
Sumber: Malaysian Kini
Puncak jambatan jadi tempat melepas nafsu
ENTAH apa yang difikirkan oleh pasangan ini. Mencari suasana yang ekstrem agaknya?
Tapi begitulah perlakuan orang barat. Tiada rasa malu atau segan yang tersemat dalam hati mereka.
Selayaknya sikap ini sudah sama seperti haiwan, melempias nafsu tanpa mengira tempat dan waktu.
Sumber: New Malaysian Post
Polis dituduh pukul orang awam
KOTA BHARU – Seorang anggota polis berpangkat lans koperal dihadapkan ke mahkamah majistret, di sini, semalam, atas tuduhan mencederakan seorang lelaki dengan kayu, enam tahun lalu.
Lans Koperal Fakrul Azam Ab Alim@Musthapa, 26, didakwa dengan niat mencederakan Mohd Zulfadhli Razali, 28, di alamat Kampung Pasir Kasar Sering, di sini, pada jam 6.15 petang, 15 Disember lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara yang boleh sampai tiga tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu.
Pada prosiding semalam, tertuduh mengaku tidak bersalah. Majistret, Nik Habri Muhamad kemudian menetapkan sebutan semula pada 18 Jun depan.
Sementara menunggu sebutan semula, dia dibenarkan diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin. Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad. Sebutan semula ditetapkan bagi pengurusan kes.
Sumber: Sinar Online
Ratu Cantik Terlanjur
Bangkok: Sejurus selepas diumum sebagai pemenang, Weluree mula dihujani kritikan pedas orang ramai.
Keadaan itu memaksa Weluree meminta maaf dan berjanji berubah sebelum mewakili Thailand di pertandingan ratu cantik antarabangsa itu.
Pemenang Miss Universe Thailand Weluree ‘Fai’ Dissayabut semalam memohon maaf secara terbuka selepas teruk dikecam pengguna laman sosial kerana ‘terlanjur’ membuat komen mengenai krisis politik negara itu.
Dikenali sebagai pelakon dan hos rancangan televisyen Strawberry Cheesecake, Weluree dinobat sebagai juara Miss Universe Thailand pada malam Ahad di dalam acara yang disiarkan secara langsung di televisyen.
Media melaporkan, Weluree pernah mengecam kumpulan Baju Merah sebagai antimonarki dan menganggap Thailand akan menjadi lebih aman tanpa mereka.
Kemenangan Weluree dianggap mengejutkan kerana pemenang tempat kedua, Pimbangkot ‘Ellie’ Jankaew dan ketiga Sunnanipa ‘Namphet’ Krisanasuwan lebih digemari penonton.
Malah, selepas kemenangan Weluree diumum, hadirin terus menjerit nama Pimbangkot.
Laman media sosial pula menjadi tempat pengguna Internet melepaskan rasa tidak puas hati dan terkejut mereka dengan kemenangan Weluree itu.
Ada antara mereka turut berkongsi gambar Weluree dan Pimbangkot serta membuat perbandingan antara mereka.
Antara kecaman dimuat naik di Internet ialah: “Binatang! Wanita memiliki payudara besar memang pasti berjaya.”
Sumber: Agensi / HM
Pelajar Tingkatan 3 Dirogol Dalam Belukar
SEGAMAT – Seorang pelajar tingkatan 3 bukan sahaja dipaksa menaiki motosikal, tetapi mengalami mimpi ngeri apabila dirogol dalam belukar di Batu Anam, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, ketika kejadian jam 6.15 petang Sabtu lalu, mangsa yang berusia 15 tahun bersama seorang lagi rakannya dalam perjalanan ke rumahnya menaiki motosikal.
“Secara tiba-tiba, sebuah motosikal yang ditunggang laju seorang lelaki menghalang motosikal mereka dan merampas kunci motosikal.
“Suspek juga mengugut mangsa supaya menaiki motosikal bersamanya sekiranya mahu kunci motosikal kembali dan mangsa yang ketakutan ketika itu tidak dapat berbuat apa-apa dan hanya mengikuti arahan suspek,” katanya.
Menurutnya, selepas mangsa menaiki motosikal bersama suspek, suspek membaling kunci motosikal milik rakan mangsa sebelum memecut laju ke kawasan belukar.
Rakan mangsa juga cuba mengejar motosikal dinaiki suspek dan mangsa, tetapi tidak berjaya dan tidak menyangka rakannya dirogol.
“Suspek membawa mangsa ke dalam belukar sebelum merogolnya dan meninggalkan mangsa di persimpangan jalan dekat Batu Anam.
“Sehari selepas kejadian, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Batu Anam jam 2 petang dan suspek ditahan beberapa jam selepas kami menerima laporan,” katanya.
Menurutnya, suspek yang berumur 21 tahun itu merupakan penduduk tempatan dan tidak mempunyai pekerjaan tetap dan ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana rogol.
Sumber: Sinar Online
Pelajar IPT Lemas Ketika Menjala
BESUT: Seorang pelajar sebuah universiti tempatan dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika turun ke Sungai Kuala Setiu dekat Kampung Beting Lintang untuk menjala udang, malam Selasa.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat, Hasmadi Jusoh berkata mangsa dikenali sebagai Mohammad Irham Mohd Rosli, 20, berasal dari Kampung Tempinis dekat sini.
Dalam kejadian 9.30 malam tadi, mangsa bersama seorang rakannya menyeberang Sungai Kuala Setiu dari tebing Pantai Laguna, Kampung Batu Lintang, Setiu ke tebing Kampung Beting Lintang untuk menjala udang, kata Hasmadi.
Katanya, hanya sahaja beberapa meter mangsa turun ke dalam sungai berkenaan beliau dihanyutkan arus deras sungai berkenaan. Bagaimanapun, rakannya dapat menyelamatkan diri.
Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Jabi Mohd Iskandar Jaafar yang turut berada di tempat kejadian berkata operasi mencari dijalankan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kampung Raja dengan disertai penduduk kampung sehingga 3 pagi tadi dan diambil alih anggota Balai Bomba dan Penyelamat Setiu 7 pagi ini.
Katanya mangsa merupakan pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang yang baharu balik bercuti di kampungnya.
Setakat ini operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan.
Sumber: mStar
SPR Sasar 99.9 Peratus Mengundi Awal
Seorang anggota polis mengundi awal untuk PRK Bukit Gelugor di Balai Polis Bandar Baru Air Itam, Rabu.
GEORGE TOWN: Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh menjangkakan 99.9 peratus pengundi berdaftar akan menunaikan hak mengundi pada proses pengundian awal, pada Rabu.
"Setakat pukul 10.30 pagi ini, sebanyak 29 peratus sudah menunaikan tanggungjawab. Kita jangka 99.9 peratus akan keluar mengundi sebelum proses pengundian tamat pada pukul 2 petang ini," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas meninjau pusat pengundian awal di Balai Polis Bandar Baru Air Itam di sini, Rabu.
Jelasnya, setakat pukul 10.30 pagi tadi, seramai 45 daripada 148 pengundi selesai membuang undi.
"Situasi di empat lokasi mengundi tenang dan semuanya lancar. Kita akan maklumkan dari semasa ke semasa mengenai perkembangan proses pengundian ini," katanya.
Abdul Ghani berkata, daripada 148 pengundi, seorang pengundi disahkan sakit, manakala dua lagi anggota polis melalui undi pos, menjadikan jumlah sebenar pengundi hari ini seramai 145 orang.
Katanya, keputusan undi awal hanya akan diumumkan serentak selepas selesai pengundian pada Ahad ini.
Sumber: mStar
Pasangan Safura-Shahronizam dapat baby girl
TAHNIAH penulis ucapkan buat pasangan selebriti Safura dengan Shahronizam sebab baru saja dikurniakan seorang baby girl.
Safura yang juga seorang penyanyi telah melahirkan bayi keenamnya itu di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) pada petang semalam, kira-kira jam 6.52 petang.
Bayi perempuan comel yang masih belum dinamakan itu dilahirkan secara normal dengan berat sebanyak 2.55 kilogram dan kedua-dua anak beranak itu berada di dalam keadaan sihat serta selamat.
Penulis difahamkan Safura telah pun dibenarkan untuk pulang ke rumah pada tengahari ini. Tahniah sekali lagi penulis ucapkan buat pasangan pelakon berkaliber ini.
Sumber: Murai
Rintihan dimakan api
KEADAAN kereta mangsa yang rentung selepas terhumban ke dalam parit
PASIR PUTEH: “Saya dengar dia merintih sayu meminta tolong, namun saya tak dapat berbuat apa-apa kerana ketika itu api marak dengan cepat,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak Zawawi Othman yang juga antara saksi awal kemalangan ngeri di Kilometer 43, Jalan Pasir Puteh-Kuala Terengganu dekat Kampung Wakaf Bunut, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 4 pagi itu, Wan Ros Iskandar Wan Jusoh, 24, mekanik dari Kampung Landak, Jerteh, Terengganu rentung dalam kereta Toyota LE dipandunya yang terhumban ke dalam parit selepas bertembung dengan kereta Proton Saga BLM dipandu Muhd Safuan Zainal, 30, dari arah bertentangan.
Difahamkan, Wan Ros Iskandar dalam perjalanan ke bandar Pasir Puteh dari Jerteh gagal menyelamatkan diri berikutan terperangkap dalam keretanya yang remuk manakala Muhd Safuan yang juga seorang jurutera, cedera dan dihantar ke Hospital Tengku Anis (HTA), di sini, untuk mendapatkan rawatan.
Zawawi berkata, beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh penduduk kampung lalu bergegas ke tempat kejadian.
“Setiba di sana, saya melihat kereta mangsa sudah terbakar dan dia ketika itu masih hidup, meminta tolong, tetapi kami tidak dapat bertindak kerana api semakin marak.
Sumber: HM
Penyeludup bertempiaran lari
Seorang anggota Polis Marin menunjukkan bungkusan rokok seludup yang berjaya dirampas dalam serbuan tersebut.
SENAI – Tindakan pantas sepasukan anggota Polis Marin di sini berjaya merampas cubaan menyeludup rokok seludup bernilai RM151, 200 dalam satu serbuan di di pantai Tanjung Siang, Bandar Penawar, Kota Tinggi, di sini semalam.
Komander Polis Marin Wilayah Dua, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, pasukan yang terdiri seorang pegawai dan lapan anggotanya telah melakukan serbuan terhadap sekumpulan lelaki yang sedang memunggah bungkusan hitam iaitu 1,500 kotak rokok.
”Apabila menyedari kehadiran polis, kumpulan lelaki tersebut telah melarikan diri ke dalam hutan bakau berhampiran, manakala tekong bot berjaya meloloskan diri ke tengah laut bersama bot.
”Anggota pasukan serbuan bertindak mengejar kumpulan yang melarikan diri namun tidak berjaya kerana keadaan persekitaran yang gelap dan hujan lebat semasa kejadian,” katanya.
Pemeriksaan awal menemui bungkusan hitam yang bermuatan rokok putih sebanyak 1,500 karton rokok jenama ’Lavish’.
Kes disiasat di bawah Sek 135 (1)(e) iaitu menyeludup barang bercukai Akta Kastam 1967 .
”Pasukan Polis Marin sentiasa prihatin terhadap aktiviti-aktiviti haram di pesisiran pantai Kota Tinggi dan akan menggerakkan bot ronda dan anggota ke lokasi yang strategik untuk menangani kegiatan ini,” katanya.
Sumber: Sinar Online
Bayi Ada Kepala Tambahan Di Perut
Jaipur – Seorang ibu muda, Amlekha Bairva yang berusia 22 tahun tidak menyangka bahawa bayi yang dilahirkannya mempunyai satu lagi kepala dan ia terlekat di bahagian perut bayinya itu.
Doktor menyifatkan kepala tambahan itu merupakan kembar parasit yang melekat pada bayi perempuan tersebut, yang dilahirkan pada bulan lepas secara normal.
Bayi itu yang belum diberikan nama kini diletakkan di dalam perhatian pegawai perubatan di Hospital JK Lone.
Doktor kini berharap untuk menjalankan pembedahan untuk membuang kepala tambahan itu sebaik sahaja keadaannya stabil.
Menurut pakar pediatrik, Dr Chetan Sharma,kebiasaannya pembedahan bagi membuang kembar parasit ini selalunya berjaya.
“Bayi ini sihat dan mempunyai denyutan jantung yang normal. Dia juga tidak mempunyai sebarang masalah dalaman atau luaran,’’ katanya.
Dalam pada itu, Amlekha dan suaminya, Ramji Lal Bairva 29, juga mempunyai anak lelaki berusia lima tahun berasal dari keluarga miskin hinggakan mereka tidak dapat mengesan keadaan bayi tersebut ketika dalam kandungan.
“Saya amat terkejut apabila menyaksikan keadaan anak saya itu. Saya tidak membawa isteri saya berjumpa doktor semasa mengandung kerana kami tiada wang.
“Bila melihat keadaannya saya amat terkejut dan tidak dapat memangkunya. Saya yakin pada Tuhan bahawa pembedahan itu akan berjaya,’’ katanya.
Sumber: My News Hub
Budak Lidah Mengembang Bakal Mulakan Pra Sekolah
London – Olivia Gillies, si comel yang dilahirkan lidah yang mengembang sehingga terjulur keluar, akhirnya akan memulakan sesi pra sekolah selepas empat tahun dilahirkan dengan keadaan tersebut.
Dia yang dilahirkan dengan sindrom Beckwith-Wiedemann, terpaksa menjalani tiga pembedahan bagi mengurangkan saiz lidahnya.
Olivia dikesan menghidap penyakit berkenaan ketika dia berada dalam kandungan ibunya, Emma Gillies.
Ketika menceritakan pengalamannya berdepan dengan keadaan Olivia, Emma berkata, sebaik dilahirkan kanak-kanak tersebut terus dimasukkan ke unit rawatan rapi.
“Ia amat sukar. Saya hanya dapat melihatnya dalam tempoh seminit sebelum Olivia dimasukkan ke unit berkenaan, sedangkan ibu-ibu yang lain dapat menatap bayi mereka berjam-jam.
“Lidah Olivia terjulur keluar sebaik dilahirkan tapi saya tidak terkejut dan pertama kali memandangnya, timbul perasaan sayang yang amat sangat,’’ katanya.
Menurut Emma, dia dimaklumkan oleh doktor bahawa sebahagian anggota badan Olivia termasuk lidah dan organ dalamannya akan membesar dari saiz normal.
Keadaan ini, katanya, menyebabkan Emma tidak dapat menyusukan Olivia dan bayinya itu hanya diberikan minum susu melalui tiub kerana bimbang lidahnya itu akan menyebabkan dia mengalami kesukaran bernafas.
Pada 2012, Olivia menjalani pembedahan pertama ketika dia berusia enam bulan bagi mengecilkan lidahnya itu.
Penyakit yang dialami oleh Emma itu juga menyebabkan dia sukar bercakap dengan betul.
“Kami merupakan keluarga yang rapat antara satu sama lain dan membantu satu sama lain ketika ditimpa masalah,’’ katanya yang bersyukur kerana anaknya itu semakin pulih.
Sumber: Medavia.Co.Uk / My News Hub
Semakin Galak ‘selfie’ Di Bangkok
Bangkok: Ketika Thailand kini diletak di bawah kuasa tentera, orang ramai kelihatan tidak cemas, malah mengambil kesempatan bergambar ‘selfie’ bersama anggota keselamatan.
Tanpa mengendahkan puluhan kenderaan pacuan empat roda milik tentera di sekitar jalan raya di bandar raya itu awal semalam, beberapa individu selamba merakam gambar mereka menggunakan telefon bimbit.
Kalangan pelancong juga tidak terkecuali daripada melakukan ‘selfie’ di situ. Sementara itu, beberapa orang ditemui media tengah hari semalam mengaku tidak menyedari penguatkuasaan undang-undang tentera berlangsung di Thailand.
Keadaan itu mungkin disebabkan kewujudan kubu daripada guni pasir sudah menjadi perkara biasa sepanjang tujuh bulan tunjuk perasaan antikerajaan berlangsung.
Sumber: AFP / BlogBahNi
Justin Bieber Luah Perasaan Selalu Dikritik Pedas
Gara-gara merampas telefon seorang wanita yang didakwa mengambil gambar curi, Justin Bieber yang dikecam ramai meluahkan kekesalannya di laman Twitter kerana sering dipersalahkan dan tidak dapat membela diri.
Penyanyi itu menegaskan, beliau lelaki baik yang dibesarkan oleh ibunya, tetapi sering disangka kasar serta dihakimi berikutan sikap orang ramai yang lebih mempercayai desas-desus.
“Saya sukar membela diri walaupun hak peribadi dicerobohi. Ibu saya membesarkan saya untuk bersikap baik terhadap orang lain. Saya dihakimi dan dimalukan, padahal saya cuba melakukan perkara betul biarpun ia bukan perkara mudah. Saya tetap cuba menjadi lelaki diharapkan ibu.
“Jangan percaya khabar angin. Terima kasih kepada mereka yang terus menyokong serta mematangkan hidup saya setiap hari,” katanya yang nyata terpukul dengan kejadian di sebuah pusat hiburan keluarga.
Dalam insiden berkenaan, wanita itu mengambil gambar Bieber yang sedang bermain golf untuk anak gadisnya yang berusia 13 tahun, namun secara tiba-tiba penyanyi itu mendekatinya untuk memadam gambar terbabit.
Disebabkan berang permintaan melihat telefon itu tidak diendahkan, beliau merampasnya dari dalam beg, sekali gus mencetuskan kemarahan peminatnya hingga masing-masing saling berebut.
Wanita terbabit kesal dengan tindakan kasar penyanyi itu memandangkan anaknya yang turut berada di tempat kejadian ketakutan. Perkara itu diadukan kepada pihak polis di atas alasan kekasaran.
Petugas keselamatan hotel pula menafikan Justin memulakan pergaduhan, sebaliknya kedegilan pengadu yang tidak menghiraukan amaran supaya tidak lagi mengambil gambar mencetuskan segala-galanya.
Sumber: BH
Lelaki Pakistan dipenjara kerana cabul
SEREMBAN – Seorang lelaki warganegara Pakistan dikenakan hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas kesalahan mencabul kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun, pada 6 Januari lalu.
Tertuduh, Muhammad Saleem, 28, yang memakai pakaian lokap berwarna oren mengaku bersalah di hadapan Majistret Siti Khairiah Abd Razak.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai penjaga kedai melakukan kekerasan jenayah ke atas anak pelanggan dalam kejadian kira-kira 5 petang di Impian Boutique & Collection Nilai 3, Nilai.
Mengikut fakta kes, tertuduh meraba bahagian punggung dan dada mangsa semasa ibu mangsa sedang leka memilih pakaian di kedai kain tersebut.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Kaiyisah Shukri; manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sumber: Sinar Online
Rakyat Malaysia dinasihat tangguh lawatan ke Thai
Kumpulan penunjuk perasaan berhimpun di hadapan kelab polis di Bangkok, semalam.
KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia dinasihat menimbangkan untuk menangguhkan lawatan tidak perlu ke Thailand susulan penguatkuasaan undang-undang tentera oleh Tentera Diraja Thailand.
Kementerian Luar berkata rakyat Malaysia yang kini berada di Thailand perlu berwaspada dan memantau perkembangan menerusi media tempatan dan antarabangsa.
Menurutnya terdapat 596 rakyat Malaysia tinggal di Thailand yang telah berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok.
"Tiada laporan berhubung rakyat Malaysia yang terjejas dengan perkembangan terkini di Thailand," menurut kementerian itu.
Katanya Malaysia berharap semua pihak di Thailand terus berusaha untuk mencari penyelesaian secara aman terhadap kemelut yang dihadapi di negara itu.
Malaysia akan terus memantau perkembangan politik di Thailand, menurut kenyataan itu.
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsulat boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok di talian +662 629 6800 (pada waktu bekerja) atau +687 028 4659 (selepas waktu bekerja).
Sumber: Bernama
PKR Pecat Ahli Tuduh Khalid Terbabit Rasuah
PETALING JAYA: Gara-gara bertindak memalukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di khalayak ramai, seorang ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) dipecat daripada parti itu.
Zulkafli Abdullah dari Cabang Hulu Selangor didapati bersalah kerana menjerit dan menuduh Menteri Besar Selangor itu menipu dan mengamalkan rasuah.
Keputusan pemecatan itu diumumkan Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong selepas dipersetujui Biro Politik yang bermesyuarat pada Selasa.
Pada insiden yang berlaku 16 Mei lalu, Zulkafli secara tiba-tiba menjerit ke arah Abdul Khalid dengan dakwaan sebagai penipu dan mengamalkan rasuah yang dipercayai merujuk kepada proses pemilihan parti itu.
Pada pemilihan kali ini, Abdul Khalid bertanding jawatan Timbalan Presiden dan Ketua Cabang Kuala Selangor.
Selain Zulkafli, PKR turut memecat tiga lagi ahlinya atas pelbagai kesalahan sepanjang tempoh berkempen dan pemilihan parti.
Dua daripada mereka iaitu Radin Sharifuddin Mohd Yasin (Selayang) dan R. Kumara Guru (Alor Setar) masing-masing bersalah mencetuskan kekecohan semasa proses pengundian berlangsung.
Radin Sharafuddin bersalah kerana merempuh masuk ke pusat pengundian dan merampas kotak undi sewaktu proses pemilihan Cabang Selayang yang berlangsung pada 11 Mei lalu, manakala Kumara Guru bertindak mengambil beberapa kertas undi yang ditanda sendiri dan memasukkan kertas undi tersebut ke dalam peti undi walaupun dia bukan anggota Cabang Kota Raja.
Seorang lagi anggota PKR yang dipecat ialah Ahmad Jufliz Faiza dari Cabang Setiawangsa kerana tidak mengendahkan amaran tatatertib yang dikeluarkan Lembaga Disiplin, sebaliknya berterusan mengkritik parti secara terbuka.
Selain itu, Lembaga Disiplin PKR turut menggantung 10 anggotanya atas kesalahan mengganggu proses pengundian.
Sepuluh yang berkenaan ialah V. Shanmuganathan (Selayang), N. Patmanathan (Selayang), Norizan Omar (Selayang), Azman Yaakob (Selayang), S. Manugharan (Kota Raja), M. Telai Amblam (Kota Raja), DK Vicknesvaran (Kota Raja), M. Nageswaran (Kota Raja), P. Chandrasekaran (Kota Raja) dan Syed Ahmad Putra Syed Isa (Kota Raja).
Sumber: mStar
Pemilihan PKR: 4 dipecat, 10 digantung keahlian
SHAH ALAM – Seramai empat ahli PKR dipecat, 10 yang lain digantung serta-merta manakala seorang diberi surat tunjuk sebab sehingga siasatan selesai dijalankan susulan penggantungan pemilihan di 27 cabang yang berakhir pada 11 Mei lalu.
Pengerusi Lembaga Disiplinnya, Datuk Dr Tan Kee Kwong dalam satu kenyataan hari ini menyebut, keputusan itu dibuat selepas meneliti beberapa kes berkaitan tatatertib dan disiplin anggota sepanjang pemilihan parti itu.
“Kes-kes ini telah pun dibentangkan dalam mesyuarat Biro Politik semalam (20 Mei 2014) yang dipengerusikan Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali dan turut dihadiri Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta anggota-anggota Biro Politik yang lain,” katanya.
Izreen Azminda Kena Cerai Di Lokasi Penggambaran
MENGEJUTKAN sungguh khabar yang kami terima mengenai pelakon Izreen Azminda menerusi Berita Harian, hari ini.
Dia telah diceraikan suaminya, Muhammad Riza di lokasi penggambaran di Pulau Pinang selepas berlaku pertengkaran antara mereka.
Perkara itu telah pun disahkan oleh Izreen yang menyifatkan jodoh antara mereka sudah tiada lagi.
Izreen yang pasrah dengan ketentuan itu bagaimanapun tidak mahu mengulas lanjut mengenai perceraian itu.
“Mungkin ini sudah tertulis dan langkah terbaik buat saya dan dirinya. Beliau lelaki yang baik yang pernah hadir dalam hidup saya. Hidup harus diteruskan dan paling utama ialah saya ada anak untuk dibesarkan,” ujarnya.
Pasangan ini mempunyai anak lelaki, Adrian Umar yang berusia 10 bulan.
Sebelum berkahwin, Izreen pernah terpalit dengan kontroversi berikutan hubungan cintanya dengan pelakon Johan As’ari yang tidak kesampaian.
Hmm…nampaknya dalam kemeriahan para selebriti tempatan kita mendirikan rumahtangga tahun ini, banyak juga yang mengalami kegagalan.
Apapun, kami berharap selagi ada ruang untuk Izreen dan Riza memperbaiki hubungan itu, cubalah sedaya mungkin.
Bukan apa, kasihan pada anak yang masih kecil dan masih memerlukan belaian kasih ibu-bapanya…
Sumber: Elza / My News Hub
Eksklusif: Peraturan cermin gelap dipinda
Pindaan diputuskan dalam bengkel khas babit semua agensi
KUALA LUMPUR : Kementerian Pengangkutan semalam memutuskan untuk meminda peraturan penggunaan cermin gelap ke atas kenderaan di negara ini.
Bagaimanapun, perincian mengenai pindaan itu akan diputuskan dalam bengkel khas membabitkan semua pihak berkepentingan, termasuk pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan (NGO), minggu depan.
Antara agensi yang akan menyertai bengkel itu ialah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), penasihat undang-undang kementerian dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).
Sumber: BH
Filem 'Abang Long Fadil', Yusof Haslam Kesal Diberi (PG18)
Yusof Haslam berharap pihak LPF lebih terbuka dalam menapis sesebuah filem tempatan.
PETALING JAYA: Penerbit filem Datuk Yusof Haslam meluahkan rasa kesal apabila karya anaknya, Syafiq Yusof iaitu Abang Long Fadil diberi had tontonan untuk golongan 18 tahun ke atas (PG18) oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF).
Yusof berkata, dia terkejut dengan keputusan LPF itu kerana karya berkenaan hanyalah sebuah filem dengan babak yang penuh aksi lawan selain berunsur komedi.
Sedangkan banyak filem lain terutamanya karya antarabangsa yang lebih ganas tetapi diberi pula tontonan untuk golongan berumur 13 tahun ke atas (P13).
"Abang Long Fadil akan ditayangkan pada 29 Mei ini dan ia jatuh pada musim cuti sekolah dan sayang sekali filem ini tidak dapat ditonton oleh budak sekolah kerana klasifikasinya ialah PG18.
"Saya rasa sangat kecewa apabila LPF tidak terbuka dengan filem-filem Melayu, sebaliknya mereka lebih terbuka dengan filem luar negara.
"Sudahlah ia mendapat sembilan kali potongan, diberi pula had tontonan hanya untuk golongan yang berusia 18 tahun ke atas," katanya dengan nada kesal kepada mStar Online.
Tambah Yusof, pihak LPF sepatut lebih bersikap terbuka dalam menapis sesebuah filem tempatan kerana kebanyakkan filem Melayu sering ditapis sedangkan ia bukanlah babak yang boleh menjejaskan fikiran penonton.
Syafiq Yusof
Dalam pada itu Yusof berkata ia juga sedikit sebanyak boleh menjejaskan industri filem negara tanpa sedar.
"Saya harap isu filem ditapis tanpa alasan relevan tidak berlaku lagi. Bukannya saya nak minta pihak LPF bersikap terbuka sehingga melanggar adat dan tatasusila budaya negara Timur.
"Kalau nak cakap filem Melayu boleh mengubah fikiran penonton ke arah perkara negatif, tak perlu susah-susah. Di laman sosial YouTube sendiri, video-video yang di muat naik lebih dasyat malah banyak berunsur lucah," tegasnya.
Abang Long Fadil merupakan kesinambulangan filem KL Gangster berkonsepkan gangster komedi parodi menampilkan barisan pelakon Aaron Aziz, Syamsul Yusof, Kamal Adli, Soffi Jikan, Tauke Raja Lawak, Yassin Senario, Arman Graseka, Zizan Razak dan Harun Salim Bachik.
Filem ini mengisahkan tentang Abang Long Fadil lakonan Zizan Razak mahu menjadi samseng sehebat Malik (Aaron) dan Shark (lakonan Syamsul Yusof).
Selepas keluar daripada kumpulan gangster Shark, Fadil diminta untuk menawan Kampung Berani menjadi ketua gangster di kampung tersebut agar tidak dibunuh oleh Shark.
Abang Long Fadil bakal ditayangkan di 81 pawagam bermula 29 Mei 2014.
Sumber: mStar
No comments:
Post a Comment