Sunday, May 11, 2014

Berita Terkini 11 May 2014

Ibu Lina Joy Doa Anaknya Kembali ke Pangkuan Islam

Keputusan wanita Melayu yang mengaku dirinya telah murtad, Lina Joy merupakan insiden paling menyedihkan keluarganya. Ibu kepada Azlina Jailani atau Lina Joy, wanita Melayu berkata, beliau sentiasa berdoa agar anaknya kembali ke pangkuan agama Islam. “Sedih memang sedih tetapi saya tidak berhenti berdoa agar dia kembali kepada agama Islam dan balik kepada keluarga “Saya tetap bersabar dengan dugaan ini walaupun kesihatan tidak mengizinkan saya dan terpaksa berkerusi roda,” kepada pihak media selepas menghadiri Wacana Agenda Kristian Sedunia anjuran bersama Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) dan Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) beberapa bulan lalu.

Beliau turut mengakui tidak menemui anaknya itu sejak membuat keputusan meninggalkan Islam. “Sejak keputusan kes mahkamah pada tahun 2007, dia tidak lagi bertemu dengan anak saya setelah meninggalkan negara untuk berada di Australia,” katanya. Lina Joy pernah menggegarkan negara kerana pengakuan murtadnya, namun dia gagal dalam usahanya untuk menggugurkan perkataan ?Islam? daripada MyKad setelah penghakiman Mahkamah Persekutuan pada tahun 2007. Sumber: Rakyat News

Majoriti rakyat tidak mahu ISA dikembalikan, kata Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata beliau percaya majoriti rakyat Malaysia mahu ruang lebih luas dalam wacana politik tanah air, dan melihatnya sebagai perkembangan positif. – Gambar The Malaysian Insider, 10 Mei, 2014. Kerajaan berdiri teguh dengan keputusannya untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana yakin ia merupakan kehendak majoriti rakyat negara ini. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata dalam keadaan masyarakat yang semakin terbuka dan matang, beliau percaya rakyat negara ini tidak mahu pendapat mereka dikongkong atau hidup dalam ketakutan. "Saya percaya majoriti rakyat Malaysia mahu ruang lebih luas dalam wacana politik tanah air. "Kalau kita buat penilaian, tidak semua hendak balik kepada zaman ISA. Saya lihat ini sebagai satu perkembangan positif," katanya dalam rancangan Ruang Bicara Khas Bersama Perdana Menteri terbitan Bernama TV yang disiarkan melalui saluran Astro 502 malam ini. Najib yang juga Presiden Umno ditemu ramah selama sejam di Pejabat Perdana Menteri oleh Ketua Pengarang Bernama Datuk Zulkefli Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama TV Datuk Ibrahim Yahaya dan Penolong Pengarang Jamaluddin Muhammad sempena ulang tahun Umno ke-68 Ahad ini. Najib turut menepis tanggapan segelintir pihak, kononnya kesabaran beliau dalam berdepan dengan suara-suara yang menentang, memperlihatkan 'kelemahannya' untuk bertindak. "Saya tidak anggap itu (kesabaran) kelemahan. Kalau kita tanya apakah mereka mahu satu keadaan di mana ada saja yang mengeluarkan pendapat kita tangkap di bawah ISA? Apakah itu yang kita hendak? "Tentu sekali majoriti rakyat Malaysia tidak mahu keadaan sedemikian. Mereka mahu kita merupakan masyarakat yang ada latitud atau ruang untuk mengeluarkan pendapat walaupun ia kontra atau berbeza," kata perdana menteri. Bagaimanapun, rakyat diingatkan agar tidak mengambil 'peluang' terhadap 'ruang' yang diberikan oleh kerajaan sehingga membawa kemudaratan kepada negara. Kerajaan pada 2011 menunaikan janji untuk melaksanakan pelbagai pembaharuan dalam perundangan negara, antaranya membatalkan tiga Proklamasi Darurat yang membawa kepada pemansuhan Ordinan Darurat, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1971, Akta Buang Negeri 1959 dan Akta Kediaman Terhad 1933 serta meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan memansuhkan Seksyen 27 Akta Polis. Susulan itu, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) diwartakan pada Jun 2012 bertujuan mengekalkan ketenteraman awam dan keselamatan setelah pemansuhan ISA antaranya melibatkan penahanan tanpa bicara di bawah undang-undang lama itu. Turut diperkenalkan Akta Perhimpunan Aman 2012 yang bertujuan menjamin hak bersuara rakyat mengikut saluran sesuai di samping memastikan ketenteraman awam tidak terjejas bagi melindungi hak dan kebebasan orang lain. Menjawab desakan sesetengah pihak yang mahu ISA dikembalikan, Najib berkata kerajaan yakin undang-undang baru yang diperkenalkan menyediakan kuasa yang cukup untuk kerajaan bertindak terhadap mana-mana pihak yang cuba merosakkan keamanan dan keharmonian negara. Katanya selain Sosma, tindakan tegas juga boleh diambil di bawah Akta Hasutan terhadap mana-mana pihak yang cuba menyentuh perkara sensitif, menghasut atau melakukan tindakan yang boleh membawa pergaduhan dalam negara. "Kita memang ambil tindakan berdasarkan undang-undang negara, tetapi bukanlah dengan cara tangkap ikut rasa kepada mana-mana individu kita tangkap bawah ISA. Saya percaya kalau buat macam itu, lagi ramai orang marah pada kerajaan," katanya yang mengambil perhatian kejatuhan rejim pemerintah di negara-negara Timur Tengah akibat mengamalkan dasar-dasar politik yang lebih keras. Atas dasar itu juga, kata Najib, sebagai kerajaan, tidak boleh hanya mengambil pendapat sekumpulan tertentu kerana yang lebih penting ialah pandangan dan suara kumpulan majoriti masyarakat. Najib berkata sebagai pemimpin, beliau bersedia melakukan apa sahaja yang difikirkan terbaik selepas mengambil kira penerimaan masyarakat, namun pada masa sama yakin apa yang dilakukan kerajaan selama ini adalah yang terbaik untuk negara. Sumber: Bernama

RASMI: PDI-P Disytihar Pemenang Pemilu Parlimen Indonesia

JAKARTA – Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) pimpinan bekas presiden Indonesia, Megawati Sukarnoputeri secara rasmi disahkan sebagai pemenang dalam Pemilihan Umum (Pemilu) Parlimen yang diadakan bulan lalu. Pada pengumuman yang dibuat Suruhanjaya Pemilihan Umum (KPU) tengah malam Jumaat, PDI-P meraih 18.95 peratus atau 23.68 juta undi daripada keseluruhan 124.97 juta pemilih berdaftar. Keputusan rasmi tersebut tidak banyak berbeza dengan kiraan awal yang dilakukan pelbagai badan kaji selidik sejurus selepas pilihan raya tersebut pada 9 April lalu. Parti Golongan Karyawan (Golkar) yang dipimpin Aburizal Bakrie kekal di kedudukan kedua apabila meraih 14.75 peratus atau 18.43 juta undi. Parti yang diterajui Prabowo Subianto iaitu Gerakan Indonesia Raya atau Gerindra pula di tempat ketiga dengan memperoleh 11.82 peratus atau 14.76 juta undian. Parti Demokrat yang dipimpin Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono pula berada pada kedudukan keempat setelah meraih 10.19 peratus atau 12.72 juta undi. Dalam pada itu, daripada 12 parti politik yang bertanding pada pilihan raya itu, dua parti iaitu Parti Bulan Bintang (PBB) serta Parti Keadilan dan Persatuan Indonesia (PKPI) gagal memperoleh jumlah undi minimum sebanyak 3.5 peratus untuk membolehkan kedua parti itu mendapat kerusi di Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) atau Parlimen Indonesia. Pada kiraan pusingan pertama Pemilu yang diadakan bulan lalu itu, PBB memperoleh 1.46 peratus manakala PKPI meraih 0.91 peratus undi. Sementara itu, Pemilu Presiden akan diadakan pada 9 Julai depan. Berdasarkan keputusan rasmi tersebut, tiada satu pun parti politik yang meraih undi minimum untuk membolehkan mereka menamakan calon presiden masing-masing. Justeru, parti-parti politik berkenaan perlu membentuk pakatan untuk bertanding dalam Pemilu Presiden tersebut. Mengikut sistem demokrasi Indonesia, sebuah parti politik perlu meraih sekurang-kurangnya 25 peratus daripada keseluruhan undi atau minimum 20 peratus daripada 560 kerusi DPR sebelum boleh menamakan calon presiden dan naib presiden. Sumber: mStar

Ustaz Bengang Ditegur, Ludah Dalam Mulut Pelajar
GARA-GARA ditegur oleh seorang murid darjah tiga kerana meludah di tingkap, seorang ustaz bertindak meludah ke dalam mulut murid tersebut. Kejadian tersebut dikongsikan di akaun Facebook Oh!Media menerusi satu salinan laporan polis yang dibuat oleh penjaga mangsa.

Menurut pengadu, anaknya kemudian balik ke rumah dalam keadaan menangis. Kejadian itu turut disaksikan oleh murid-murid lain. Sebelum ini, beberapa kes hukuman yang tidak masuk akal oleh beberapa guru kepada pelajar pernah dilaporkan oleh media tempatan. Ia termasuklah mengarahkan pelajar makan rumput, menghentak kepala ke meja dan merotan muka pelajar. Diharap selepas ini, tiada lagi hukuman keterlaluan dikenakan terhadap pelajar oleh segelintir guru kerana secara tidak langsung ia akan merosakkan nama baik golongan pendidik di negara kita. Sumber: Elza / My News Hub

Mayat Remaja Lemas ‘Muncul’ Di Permukaan Selepas Ibunya Berdoa

DUNGUN – “Hanif, mak datang, timbul Hanif, timbul Hanif,” seru Tuminah Taib, 54, sebelum mayat anak lelakinya, Muhammad Hanif Jainuri, 18, timbul di permukaan laut selepas hilang dalam tragedi lemas berdekatan Gua Teluk Bidara, dekat sini pagi kelmarin. Usaha mencari mangsa oleh pasukan penyelamat sejak jam 9.30 pagi kelmarin menemui jalan buntu susulan ombak besar dan arus kuat di pantai berdekatan gua itu, namun mangsa seolah-olah 'menunggu' kehadiran ibunya apabila ia tiba-tiba timbul jam 7.50 pagi semalam sebaik ibunya tiba di lokasi kejadian. Menurut Tuminah, dia menerima berita sedih itu ketika berada di tempat kerjanya di Senggerang Johor, kira-kira jam 2 petang pada hari kejadian dan bertolak ke Dungun pada sebelah malamnya. Katanya, pada malam Jumaat, sebelum kejadian menimpa mangsa, dia bermimpi jatuh dalam gaung yang dalam berdekatan sebuah bukit, namun tidak mengesyaki apa-apa petanda buruk dan beranggapan ia hanya mainan tidur. Terima ketentuan Tuhan Menurutnya, ketika dalam perjalanan sebelum tiba di Dungun, dia hanya berdoa agar mayat anaknya segera ditemui dan sebaik sampai di bandar Dungun kira-kira jam 4.30 pagi semalam, Tuminah terus pergi ke tempat kejadian bagi mengetahui nasib anaknya. “Mak cik berdiri di tepi pantai, jerit namanya beberapa kali, naluri ibu dapat rasa dia ada di sini nak jumpa makcik. “Ia benar-benar berlaku, doa makcik dimakbulkan tuhan. Seketika kemudian, mayat Hanif timbul dan berjaya ditemui,” katanya. Tuminah menganggap kejadian itu adalah ketentuan Tuhan. Hanif timbul selepas hampir 24 jam di tempat dia hilang ketika mandi bersama tiga rakan baiknya termasuk seorang daripadanya, Ahmad Shukrie Eiman Romainor yang turut menjadi korban dalam tragedi hujung minggu itu. Kakak arwah, Hasnah Ahmad Apandi, 31 yang ditemui di Unit Forensik Hospital Dungun berkata, beberapa hari sebelum tragedi, adik lelakinya itu menghubungi ibunya dan sempat bercakap dengan seorang lagi adik lelaki bongsu. Dalam perbualan itu, arwah sempat meminta maaf kerana dia akan bertolak ke Tanah Suci Makkah untuk menunaikan umrah. “Saya tak sangka dia akan pergi begitu cepat. Saya redha dan mendoakan kesejahteraan rohnya,” katanya. Jenazah pelajar semester dua diploma kejuruteraan automatif PSMZA itu dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Parit Sri Dalam, Senggerang Johor. Dalam kejadian di Pantai Teluk Bidara kira-kira jam 9.30 pagi semalam, Muhammad Hanif Jainuri, 18 dan Ahmad Shukrie Eiman Romainor, 18, menjadi korban pantai selepas dibawa arus ombak ketika mandi bersama 11 lagi rakan sekolej. Seorang lagi mangsa, Muammar Farhan Beig Shamsuri, 18, terselamat selepas berhempas pulas mengheret Shukrie ke tepi, namun Hanif yang turut lemas bersamanya gagal diselamatkan berikutan arus ombak terlalu deras. Sumber: Sinar Online

MH370: Pesawat Terakhir TUDM Pulang Ke Tanah Air

SUBANG – Pesawat terakhir Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) C130 Hercules yang menyertai operasi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 di Perth, Australia, selamat tiba di Pangkalan Udara TUDM Subang pada 11 pagi ini. Ketibaan pesawat itu yang membawa 11 pegawai dan 13 anggota lain-lain pangkat (LLP) disambut Panglima 1 Divisyen Udara, Mejar Jeneral Datuk Azizool Arif Abdul Ghani, pegawai TUDM dan anggota keluarga kru. Azizool Arif berkata pesawat berkenaan berlepas dari Pangkalan Udara Pearce, Perth, pada 11 malam waktu tempatan dan singgah di Jakarta, Indonesia sebelum meneruskan perjalanan ke Pangkalan Udara TUDM Subang. “Bagi operasi ini (mencari MH370), TUDM telah menghantar tiga pesawat C130H daripada No.20 Skuadron TUDM ke Perth, Australia untuk menyertai tujuh buah negara lain dalam mengembleng usaha mencari pesawat berkenaan. “Dua buah pesawat telah berlepas ke sana pada 28 Mac lalu manakala sebuah lagi pada 5 April…dua pesawat yang pergi lebih awal sudah kembali ke tanah air pada 30 April dengan membawa 19 pegawai dan 35 anggota LLP,” katanya kepada pemberita. Azizool Arif berkata sepanjang hampir 42 hari terlibat dalam misi mencari MH370 yang hilang sejak 8 Mac lepas, kesemua kru telah menunjukkan semangat berpasukan yang tinggi dan komitmen jitu. “Saya percaya dengan pengalaman ini, mereka akan berupaya berdepan dengan pelbagai tugas lebih mencabar pada masa depan…sesungguhnya ini adalah saat paling bermakna buat mereka dan TUDM secara amnya,” kata beliau. Sementara itu, Zubaidah Zahri, 41, isteri kepada juruterbang Mejar Mohammad Jafri Subuh, berkata, beliau bersyukur suaminya telah pulang dengan selamat sebelum sambutan Hari Ibu esok. “Selepas tahu dia (suami) perlu pergi ke Perth untuk misi ini sebelum ini, saya tidak putus-putus berdoa agar keselamatannya bersama-sama kru lain terjaga. “Memang diakui bukan senang untuk menjadi isteri kepada seorang juruterbang. Kadang-kadang banyak perkara yang membelenggu fikiran lebih-lebih lagi pasal soal anak namun kerana tugas yang digalas, kita perlu merelakan setiap pemergian mereka,” katanya. Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac lepas setelah kira-kira sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam. Pada 24 Mac lepas, setelah 17 hari pesawat Boeing 777-200ER itu hilang, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Penerbangan MH370 “berakhir di selatan Lautan Hindi”. Sumber: Bernama

Umno tidak ikhlas sokong hudud, mahu sembunyi kecuaian kendali MH370, kata Anwar.. betul ker..

Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin Umno menggunakan isu hudud bagi mengaburi mata masyarakat terhadap isu negara lain yang lebih penting. – Gambar fail The Malaysian Insider, 10 Mei, 2014.
Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyifatkan Umno tidak ikhlas dalam menyatakan sokongannya kepada cadangan hudud di Kelantan sebaliknya menjadikan isu itu untuk mengaburi mata rakyat berhubung isu kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370. Ketua Umum PKR itu berkata Umno tidak perlu terburu-buru menyatakan sokongan terhadap percubaan PAS untuk membawa rang undang-undang persendirian hudud di Parlimen tetapi melihat pelbagai salah laku yang biasa dilakukan mereka. “Hudud bukan sahaja isu untuk mengalih perhatian MH370 tetapi saya percaya hudud (mereka) tidak ikhlas. Dia nak hudud, kasino bagaimana? Rompakan kekayaan dan penindasan bagaimana? “Tidak mungkin orang curi ayam (baru mahu) sokong hudud, orang curi balak satu juta hektar dilepaskan. Saya tidak percaya Umno serius tetapi membawa isu ini untuk mengalih pandangan isu lain,” katanya selepas menyampaikan kuliah bertajuk Ekonomi Manusiawi di Dewan Reformasi Demokrasi dan Upaya Masyarakat di Puchong, Selangor. Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob hari ini berkata PAS tidak perlu bergabung dengan Umno bagi menyokong cadangan pelaksanaan hukum hudud di negeri itu sebaliknya kedua-dua parti perlu komited untuk melaksanakan hukum Islam itu, lapor Bernama. Katanya, hukum hudud adalah tuntutan dalam Islam dan isu penggabungan kedua-dua parti itu tidak perlu dibangkitkan langsung. Anwar berkata Umno jelas hanya mahu mempermainkan isu hudud tanpa mempunyai hala tuju sebenar untuk merealisasikan impian kerajaan negeri Kelantan. Katanya, perkara yang harus dibincangkan Jawatankuasa Teknikal Hudud tidak perlu diperbesarkan kerana kepincangan dalam kerajaan masih berleluasa. “Saya ingat bukan soal teknikal tetapi prinsip yang penting. Umno hanya nak permainkan isu ini. Hala tujunya tidak ke mana. Dia kena jawab, betul ke dia nak? “Dia kena betulkan banyak kepincangan yang ada. Saya tidak pakar dalam bidang ini tetapi saya banyak membaca. Semuanya yang dilakukan kerajaan bercanggah. “Jika betul nak buat, dia kena betulkan rasuah yang meluas, kezaliman, bahang perkauman, menghina orang dan salah guna kuasa. Peguam negara macam itu, hakim macam ini. Nak cakap soal hudud. Apa dia?” katanya. Ahli Parlimen Permatang Pauh itu turut mengulas isu pemilihan PKR yang dilihat berlaku kepincangan di beberapa cabang sehingga pemilihan semula terpaksa diadakan. Katanya, isu Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang mungkin akan mempertikaikan pemilihan parti kali ini tidak timbul kerana PKR mengambil segala langkah yang perlu bagi memastikan proses pemilihan diadakan secara telus. “Kami ikut peraturan malah dalam kes DAP, mereka (RoS) tidak kisah tentang peraturan. DAP mengambil semua pendekatan bagi membetulkan apa yang dikatakan RoS sebagai di luar kebiasaan. “Namun mereka tetap bertindak kepada DAP. Semua komponen parti dalam BN lebih teruk,” katanya. Anwar dalam kuliahnya sempat mengkritik moto “Negara Berkebajikan” yang sering digunakan PAS dalam kempen pilihan raya dan mendakwa ia menjadikan rakyat tidak berdikari. Katanya, apa yang patut ditawarkan kepada rakyat adalah kebebasan dari segi ekonomi agar tidak terus dibelenggu dengan kemiskinan. “Saya tak mahu sebut negara kebajikan yang dipopularkan oleh PAS. Ada kebaikannya tetapi saya lihat istilah itu bahaya kerana kebajikan lebih banyak dianggap membantu orang miskin dan menyebabkan sindrom kebergantungan yang banyak dikupas pakar ekonomi. “Bahaya kita jadikan ekonomi ini setakat bantu tetapi tidak memerdekakan. Orang yang miskin terdedah kepada digunakan dan dieksploitasi,” katanya dalam kuliah yang turut dihadiri senator Dr Syed Husin Ali. Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang semasa Pilihan Raya Umum ke -12 (PRU12) 2008 mempromosikan konsep negara berkebajikan yang membawa maksud sebuah negara yang mengutamakan kebajikan dan keselesaan rakyat sebagai agenda utama pembangunan negara. Katanya, antara ciri negara berkebajikan adalah pembangunan bagi manfaat dan kebajikan rakyat awam, kerajaan adalah penjaga kepada rakyat, penekanan kepada kecemerlangan moral dan pembangunan insan adalah matlamat. – 10 Mei, 2014. Sumber: The Malaysian Insider

Isma tidak kisah kritikan Dr Mahathir

Abdullah Zaik terbuka menerima teguran daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kerana berasa semua pihak bebas mengemukakan pandangan dan pendapat masing-masing. – Gambar fail The Malaysian Insider, 10 Mei, 2014.
Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) tidak kisah dengan kritikan terkini yang dilemparkan kepadanya oleh bekas perdana menteri yang paling lama berkhidmat, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menyuruh NGO itu tutup mulut berhubung kenyataannya terhadap bukan Islam. Presiden Isma, Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata, beliau layak bercakap mengenai pendapatnya sama seperti Dr Mahathir yang berhak berbuat demikian. “Itu adalah pendapat beliau. Dan saya ada pendapat sendiri. Kami (Isma) boleh terima jika pihak lain mempunyai pendapat berbeza dengan kami dan kami menghargainya,” kata Abdullah kepada The Malaysian Insider, hari ini. Dr Mahathir semalam meminta kumpulan hak Melayu itu tidak senyap susulan daripada kenyataannya kaum Cina adalah “penceroboh” dan menyeru hukum Islam hudud dilaksanakan kepada semua rakyat Malaysia, tanpa mengira agama. "Dia sepatutnya simpan sahaja pandangannya. Mereka tidak memberikan apa-apa kebaikan kepada negara ini. Kita tidak perlukan sesiapa untuk menghasut supaya berlaku rusuhan kaum dan perkara sebegitu," kata Dr Mahathir, semalam. Dr Mahathir, yang juga penaung satu lagi NGO pendesak Melayu, Perkasa yang turut dituduh bersifat perkauman dan taksub terhadap agama, berkata kenyataan Islam tidak membantu untuk mengekalkan keamanan dalam negara. Bagaimanapun, Abdullah menepis kenyataan Dr Mahathir dan berkata, rakyat mampu membuat keputusan sendiri mengenai pandangan mereka terhadap kumpulan itu. “Saya rasa rakyat boleh menghakimi sendiri sama ada kami konstruktif atau tidak, sama ada kami memulakan masalah perkauman atau tidak. “Kenyataan kami juga tidak berniat untuk memecahkan kaum. Itu tidak betul,” katanya. Abdullah pada awal minggu ini berkata, pendatang Cina yang dibawa masuk ke Tanah Melayu oleh British adalah “penceroboh” dan mempersoalkan kerakyatan serta kekayaan yang diberikan kepada mereka. Pada Selasa, Abdullah bertanya di laman web Isma: “Siapa beri mereka (kaum Cina) kerakyatan dan kekayaan sehingga kesan pencerobohan mereka dilindungi sehingga hari ini? “Ini adalah perbuatan British yang bersekongkol dengan Cina untuk menekan dan membuli orang Melayu.” Kenyataannya itu menerima kritikan daripada kumpulan bukan Islam, akhbar berbahasa Cina menggelar Isma sebagai “kumpulan berhaluan kanan yang ekstrem seperti Perkasa, berasaskan perkauman dan pandangan agama yang sempit”. Semalam, pada sidang media Abdullah berkata, pembabitan bukan Islam dalam politik patut “dihadkan dalam rangka kerja Perlembagaan”. “Mereka melampaui batas dan mencampuri hal ehwal Melayu dan Islam. Ini sudah keterlaluan,” katanya, merujuk kepada bantahan terhadap undang-undang hudud. Beliau juga menyeru supaya hukum hudud dikenakan kepada orang Islam dan bukan Islam walaupun menerima bantahan. Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini berkata, Abdullah Zaik disiasat mengikut Akta Hasutan berhubung kenyataannya itu susulan beberapa laporan polis yang dibuat terhadap presiden Isma itu. Abdullah, bagaimanapun hari ini berkata, beliau tidak takut dan menggesa minda orang Melayu tidak patut dikawal lagi oleh rasa takut serta mendesak mereka bercakap untuk menangkis hinaan dan penindasan yang diterima. “Mereka perlu ada keberanian dan kekuatan untuk bangkit dan tidak bersembunyi lagi,” katanya. – 10 Mei, 2014 Sumber: The Malaysian Insider

Apabila Dr. Mahathir Buka Mulut

KUALA LUMPUR: LEBIH 10 tahun setelah melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memperlihatkan betapa beliau masih ada tempat yang cukup penting dalam peta politik negara ini. Apakah beliau masih relevan dengan zaman ini, itu soal yang lain. Tetapi setidak-tidaknya, Dr. Mahathir menunjukkan betapa beliau tahu apa yang perlu dikatakan serta bagaimana dan bila pula hal itu harus dikatakan. Bekas Perdana Menteri itu pada Khamis mengingatkan rakyat supaya akur dan menerima hakikat bahawa orang Cina adalah sebahagian daripada negara ini; bahawa mereka lahir di sini; bahawa mereka adalah warga negara ini; bahawa mereka juga sama seperti warga yang lain -- ada hak yang dilindungi oleh undang-undang serta ada pula tanggungjawab yang dituntut oleh undang-undang. Dr. Mahathir menyebut secara khusus orang Cina kerana beliau mengulas kenyataan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Abdulah Zaik Abdul Rahman yang mengatakan bahawa orang Cina adalah "penceroboh" dan kedatangan nenek moyang mereka yang dibawa oleh penjajah British ke Tanah Melayu ini adalah satu pencerobohan. Kepada Abdullah Zaik dan konco-konconya, Dr. Mahathir meminta mereka supaya tutup mulut dan simpan sahaja dalam hati apa yang mereka fikirkan tentang orang lain -- tidak usah dicakapkan kepada umum kerana buah fikiran mereka itu "tidak membantu mententeramkan keadaan". Tidak usah sampai Dr. Mahathir cakap begitu -- budak Tahun Tiga pun tahu bahawa negara ini adalah milik semua kaum. Orang Cina -- dan orang kaum apa sekali pun -- berkongsi negara ini dan segala hasil buminya. Kita berpijak pada tanah yang sama, bernaung di bawah langit yang sama. Negara ini adalah milik kita bersama. Kalau negara ini bukan negara mereka juga, cuba beritahu yang mana satu sebenarnya negara mereka? Dalam sebuah masyarakat yang majmuk seperti ini, apakah kebaikan yang boleh kita dapat daripada kenyataan seperti yang diucapkan oleh Abdullah Zaik itu? Kata Dr. Mahathir, ia tidak mendatang faedah apa-apa pun. Kenyataan ISMA itu bagi Dr. Mahathir hanya mengapi-apikan keadaan dan boleh menyebabkan keadaan jadi huru-hara. Kenyataan seperti itu akan menyebabkan pihak yang satu lagi akan membuat kenyataan balas, kemudian yang satu lagi balas semula dan akhirnya sampai ke mana, hendak jadi apa. Bahawa penilaian itu datang daripada Dr. Mahathir adalah sesuatu yang ISMA serta mana-mana NGO yang sekutu dan sekufu dengannya termasuk penaja, pendukung dan penyokong mereka perlu fikirkan. Ketika Dr. Mahathir menempelak ISMA dalam senyum simpul dan ketawa kecil, bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar -- ketua polis yang paling lama berkhidmat -- duduk di sebelahnya. Itu satu kebetulan tetapi ia kebetulan yang cukup signifikan. Ada baiknya sekarang ini ISMA ikut apa yang Dr. Mahathir kata. Tidak usah ISMA sahaja, kita semua pun sama. Baca Al-Quran yang disebut oleh Dr. Mahathir itu maksudnya baca dengan makna dan faham juga tafsirnya -- bukan baca saja-saja. Elok juga baca sejarah dan faham konteks sejarah negara. Bacalah juga permasyhuran kemerdekaan yang diucapkan oleh Tunku Abdul Rahman semasa Tanah Melayu merdeka. Adalah malang yang tersangat malang kalau selepas hampir 60 tahun merdeka dan lebih 50 tahun Malaysia terbentuk, kita masih tidak faham asas serta cita-cita negara ini. Tetapi perlukah tunggu sampai Dr. Mahathir cakap? Apakah semua perkara Dr. Mahathir kena cakap? Itu sebabnya selepas 10 tahun bersara pun, beliau masih ada tempat yang mustahak dalam banyak ruang. Sumber: Malaysian Digest

1 Maut, 5 Cedera Ditembak Sedang Minum Di Sentul

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut manakala lima rakannya cedera ditembak ketika minum di sebuah restoran di Sentul awal pagi tadi. Dalam kejadian 4.50 pagi itu, keenam-enam mangsa ditembak dari dekat oleh seorang lelaki bersenjata pistol yang menaiki Perodua Myvi. Suspek kemudian melarikan diri dengan kenderaan yang dipandu rakannya. Semua mangsa dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) namun seorang mangsa berumur 38 tahun disahkan meninggal dunia sebaik tiba manakala lima lagi dimasukkan ke unit kecemasan. Mangsa yang berusia antara 22 hingga 51 tahun itu mengalami kecederaan di bahagian tangan, kaki, bahu dan pipi. Pasukan Forensik polis menemui lapan kelongsong peluru di tempat kejadian. Sumber: Bernama

Tiga menyamar polis perkosa wanita bergilir – gilir

KAJANG: Tiga lelaki warga India bertindak menyamar sebagai anggota polis sebelum memperkosa seorang wanita selepas berpura-pura mahu memeriksa dokumen pasport milik mangsa. Dalam kejadian jam 10 malam Rabu lalu, mangsa yang berusia 30-an turut diugut akan dijadikan pelacur oleh suspek yang menculiknya berhampiran sebuah pusat beli-belah di kawasan Bandar Mahkota Cheras di sini. Sumber polis berkata, mangsa warga India sebelum itu ditahan kumpulan suspek ketika sedang berjalan bersama tunangnya. “Suspek memperkenalkan diri sebagai anggota polis dan meminta mangsa dan tunangnya menyerahkan pasport untuk diperiksa, namun mangsa memberitahu pasport miliknya tertinggal di rumah. “Tiga lelaki terbabit kemudian mengarahkan tunang mangsa mengambilnya di rumah jika tidak mahu ditahan,” katanya. Menurutnya, ketika tunang mangsa berpatah balik ke rumah, wanita terbabit dibawa ke sebuah hotel di Taming Jaya, di sini. Ketika berada di hotel itu, suspek mengugut mahu menjadikan mangsa pelacur sebelum mangsa diperkosa bergilir-gilir bersama beberapa wanita lain yang berada di situ. “Bagaimanapun mangsa enggan dan merayu dilepaskan. Suspek kemudian membawa mangsa ke sebuah lagi hotel di kawasan berhampiran sebelum diperkosa secara bergilir-gilir,” katanya. Menurutnya, suspek turut merampas wang tunai RM200 milik mangsa sebelum menghantar mangsa ke Balakong dengan menaiki teksi. Tambahnya, polis yang menerima laporan kejadian itu kemudian segera mengesan suspek sebelum berjaya menahan kesemua mereka di Ampang dan Gombak, semalam. Sumber: New Malaysian Post

Pengawal keselamatan gila seks songsang

SUNGAI BULOH: Tindakan gila seorang lelaki misteri yang gemar menculik pelajar sekolah sebelum dipaksa menjadi alat pemuas nafsu sejak sebulan lalu akhirnya terbongkar selepas dia diberkas tengah hari semalam. Suspek yang juga seorang pengawal keselamatan berusia 34 tahun itu dikesan mempunyai nafsu gila apabila gemar memujuk mangsa dalam kalangan remaja lelaki supaya membuka seluar sebelum dicabul.Sumber polis berkata, pihaknya yang menerima beberapa laporan berhubung kejadian itu sebelum ini bertindak melakukan risikan dan siasatan menerusi operasi Ops Cantas semalam. Menurutnya, anggota polis melakukan intipan terhadap seorang pengawal keselamatan yang bertugas di sebuah pusat beli-belah di sini sekitar jam 12.30 tengah hari semalam. “Pemerhatian mendapati suspek yang bertugas di bahagian pakaian kanak-kanak di pusat beli-belah itu dilihat memujuk seorang pelajar lelaki supaya mengikutnya menaiki motosikal. “Anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) kemudian melihat suspek membawa pelajar lelaki itu menaiki sebuah motosikal model Demak ke kawasan Perindustrian SB Jaya di sini,” katanya. Sumber: Metro Online

Belasah isteri dengan ekzos motosikal kerana mencuri

KUALA LUMPUR – : Dihayun dengan ekzos motosikal, badan dibaling periuk selain dikejar dengan pisau pemotong daging. Itu detik cemas dialami seorang suri rumah selepas diserang suaminya yang mengamuk hanya kerana menuduh mangsa mencuri wangnya di kondominium didiami di Setapak, Ahad lalu. Sumber berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, suspek berusia 30-an berang terhadap isterinya yang berusia 20-an sebaik mendapati sarapan tidak disediakan. Menurutnya, suspek kemudian keluar dari rumahnya itu sebelum pulang dengan membawa nasi bungkus hanya untuk dirinya saja. “Seorang daripada tiga anak pasangan itu mengadu kepada mangsa bahawa ayah mereka (suspek) makan bersendirian. “Mangsa yang geram dengan tindakan suaminya makan bersendirian tanpa mempedulikan dia dan tiga anak kemudian keluar rumah membeli ikan. “Mangsa pulang ke rumah dan menyediakan masakan untuk makan tengah hari. Mangsa bagaimanapun terkejut apabila suaminya tiba-tiba ‘naik angin’ dan menuduhnya mencuri duit miliknya,” katanya. Menurut sumber, suspek kemudian bertindak melampau apabila membaling periuk sehingga terkena badan mangsa, selain memecahkan pasu bunga. Tidak cukup dengan itu, suspek yang masih belum berpuas hati kemudian mengambil ekzos motosikal sebelum menghayunkannya ke arah kaki kanan mangsa. “Ketika cuba mengelak ekzos itu, mangsa secara tidak sengaja mencederakan tangan kanan suspek dengan menggunakan pisau yang digunakan untuk memasak di dapur. “Akibatnya suspek bertambah berang lalu bertindak merampas pisau pemotong daging untuk menyerang mangsa. Suspek cuba menetak mangsa, namun dapat dielak. “Suspek kemudian memukul kepala dan perut mangsa menggunakan hulu pisau pemotong daging itu selain turut menendang perut mangsa. “Mangsa yang ketakutan melarikan diri sebelum mengunci dirinya di dalam bilik di rumah berkenaan. “Sejurus memastikan keadaan selamat, mangsa yang mengalami kecederaan di kepala, perut dan badan kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum membuat laporan di Balai Polis Setapak,” katanya. Sumber: Harian Metro

Polis belum temui kanak-kanak dilarikan bersama pikap

KOTA KINABALU: Polis masih belum menemui sebarang petunjuk berhubung kehilangan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang dilarikan bersama kenderaan Hilux-Vigo yang ditinggalkan bapanya di sebuah stesyen minyak di Kampung Air, di sini, awal pagi semalam. Ketua Polis Kota Kinabalu, ACP Jauteh Dikun, berkata gerakan mencari mangsa, Low Min You, masih giat dilakukan termasuk mempertingkatkan pencarian di seluruh negeri termasuk mengadakan sekatan jalan di beberapa laluan di pusat bandar bagi mengesan mangsa. “Polis belum mempunyai perkembangan berhubung kes itu. Tiada sebarang penemuan jejak dan lokasi terakhir mangsa setakat petang ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. Beliau berkata, polis juga mengambil keterangan beberapa anggota keluarga mangsa bagi membantu siasatan kes. Katanya, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi talian 088-529270, 088-529207 atau menghubungi pegawai penyiasat di talian 016-3572935. Dalam kejadian pada kira-kira 6 pagi itu, mangsa berpakaian t-shirt putih dan berseluar pendek difahamkan sedang lena tidur di dalam kenderaan pacuan empat roda itu sebelum polis menemui kenderaan berkenaan di Menara Jam, Bukit Bendera pada kira-kira 9.30 pagi semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan atas kesalahan mengurung dengan sulit atau dengan salah yang boleh dipenjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan. Sumber: Bernama

PM : Jaminan TPPA Beri Faedah Kepada Negara

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mengulangi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa negara akan mendapat faedah daripada pasaran lebih luas dengan menyertai Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) memandangkan 12 negara yang sedang berunding perjanjian itu berpotensi bertambah kepada 20 pada masa depan. Perdana Menteri berkata, jika Malaysia tidak menyertai TPPA, negara akan kerugian besar memandangkan Malaysia sebuah negara berorientasikan eksport yang membentuk sebahagian daripada rejim perdagangan bebas global. Beliau berkata, TPPA berpotensi menawarkan akses pasaran yang lebih luas bukan sahaja kepada syarikat-syarikat yang sedang beroperasi di Malaysia, malah mampu menarik minat pelabur di seluruh dunia untuk membuka operasi perniagaan mereka di sini. “Dengan itu, perkongsian TPP boleh menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menarik, sekali gus meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI),” kata beliau dalam rancangan Ruang Bicara Khas Bersama Perdana Menteri terbitan Bernama TV yang disiarkan melalui saluran Astro 502 malam ini. Najib yang juga Presiden UMNO, ditemu ramah selama sejam di Pejabat Perdana Menteri oleh Ketua Pengarang BERNAMA, Datuk Zulkefli Salleh; Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA TV, Datuk Ibrahim Yahaya; dan Penolong Pengarang, Jamaluddin Muhammad sempena ulang tahun UMNO ke-68. Perdana Menteri berkata, Malaysia adalah antara negara perdagangan yang besar di dunia, dengan jumlah nilai perdagangan negara adalah 167 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar. “Syarikat-syarikat boleh eksport dari Malaysia tanpa dikenakan tarif ataupun dikenakan tarif yang rendah. Jadi kita ada kelebihan untuk menarik pelabur,” katanya. Perdagangan Malaysia tahun lalu berkembang sebanyak 4.6 peratus kepada RM1.36 trilion berbanding RM1.309 trilion pada 2012 dipacu oleh prestasi eksport yang lebih baik meskipun persekitaran luar yang sukar. Negara bersedia untuk mencapai pertumbuhan jumlah dagangan antara lima dan enam peratus tahun ini dengan pemulihan dalam eksport elektrik dan elektronik. Pelaburan yang diluluskan dalam negara mencecah paras tertinggi pada RM216.5 bilion tahun lepas, naik daripada RM167.9 bilion pada 2012. Sementara itu, Najib berkata jumlah negara yang terbabit dalam rundingan TPP juga dijangka bertambah kepada 20 negara pada masa akan datang berbanding 12 negara setakat ini. TPP, perjanjian perdagangan bebas abad ke-21 itu kini dirunding antara Malaysia, Singapura, Jepun, Vietnam, Brunei, Australia, New Zealand, Peru, Mexico, Chile, Amerika Syarikat dan Kanada. Negara-negara ini menguasai sehingga 40 peratus daripada keluaran dalam negara kasar dunia. Taiwan dan Korea Selatan menyatakan minat dalam keanggotaan TPP pada tahun lalu. Najib turut menyarankan seluruh rakyat supaya menilai pembabitan Malaysia dalam rundingan TPP yang masih berjalan secara menyeluruh. “Kalau Malaysia terkeluar daripada TPP, apakah implikasinya? Mesti ada kosnya. Kita tidak nampak hari ini kosnya, sebab itu kita perlu menilai penyediaan kita dalam TPP secara keseluruhan,” kata Najib yang juga Menteri Kewangan. Di samping itu, Najib mengulangai pendirian kerajaan akan memastikan pentadbirannya tidak menandatangani sesuatu yang boleh menjejaskan kepentingan seluruh rakyat Malaysia. “Saya tidak kata kita boleh untung semua, tetapi asalkan keuntungan kita itu melebihi apa yang mungkin kita terpaksa lepaskan. Asalkan keseluruhannya lebih baik untuk kita,” jelasnya. Semasa sidang akhbar bersama bersempena lawatan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama ke Malaysia bulan lalu, Najib berkata Malaysia komited kepada proses mendapatkan persetujuan daripada rakyat sebelum menandatangani TPPA dengan membabitkan orang ramai dan membentangkannya kepada Parlimen. “Kami sedang berusaha dalam soal sensitif dan cabaran dan cuba untuk menyelesaikannya dengan hasrat untuk memuktamadkanya dalam masa terdekat,” katanya. Sementara itu, Obama berkata TPPA akan memberi manfaat kepada Malaysia dalam mencapai status negara berpendapatan tinggi pada 2020. Beliau percaya TPPA adalah perkara yang tepat kerana ia mewujudkan pekerjaan dan perniagaan yang akan memberi manfaat kepada negara-negara seperti Malaysia yang dalam peralihan daripada berintensif buruh kepada tenaga kerja berkemahiran tinggi. TPP adalah perdagangan untuk menguruskan perdagangan, menggalakkan pertumbuhan dan mengintegrasikan ekonomi rantau ini yang mewakili pasaran yang besar daripada 800 juta orang. Setakat ini, 19 pusingan rundingan formal TPP telah diadakan. Sumber: Benama

Jual Sijil Sakit: SPRM Sedia Bantu KKM

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedia membantu Kementerian Kesihatan menyiasat dakwaan bahawa segelintir pengamal perubatan menjual sijil perakuan sakit kepada pekerja. Pengarah Bahagian Siasatan SPRM Datuk Mustafar Ali dalam satu kenyataan hari ini berkata, “SPRM boleh menyiasat memandangkan ia melibatkan elemen pemalsuan dengan tujuan memperdaya majikan dan mengaut keuntungan…terdapat unsur nilai kewangan”. “Tindakan tegas akan diambil bagi memastikan sektor perubatan bebas rasuah atau salah guna kuasa. “Pada masa yang sama integriti pengamal perubatan (dapat) dipertingkatkan,” katanya. Pengeluaran sijil palsu satu kesalahan di pihak pengamal perubatan dan pekerja terlibat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. Katanya, SPRM pernah mengambil tindakan ke atas doktor yang mengeluarkan sijil perakuan sakit palsu kepada pekerja yang tidak layak atau tidak sakit dengan doktor menerima bayaran tertentu. Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata tindakan tegas akan diambil ke atas pengamal perubatan yang terbukti menjual sijil sakit kepada pekerja yang sihat. Pengamal perubatan terbabit akan dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin dan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) yang mempunyai hak untuk membatalkan sijil amalan perubatan, katanya. Sumber: Bernama

Gadis Terdesak ‘Sewa’ Lelaki Dengan Bayaran RM50 Untuk Temankan Ke Kenduri Kahwin

Tak tahu kenapa sampai terdesak sangat buat post macam ini di Facebook. Nak pergi kenduri kahwin pun kena cari lelaki untuk temankan. Tak boleh ke pergi kenduri kahwin seorang? Atau ajak kawan perempuan sebagai teman? Kenapa mesti pergi kenduri dengan lelaki? Baru ada kelas? Gaya? Elegan? Sumber: My News Hub

Kreatif: Seni Makanan Oleh Suri Rumah Malaysia

PELBAGAI cara dilakukan oleh insan yang bergelar ibu bagi memastikan anak-anak mereka mendapat khasiat terbaik daripada makanan yang dimakan. Bagaimanapun, ada yang berdepan dengan kesukaran dengan perangai anak yang sukar untuk menghabiskan makanan yang dihidangkan kepada mereka. Atas sebab itu, seorang suri rumah Malaysia, Samantha Lee tampil dengan idea kreatif iaitu dengan mencipta karakter tertentu dalam hidangan khas buat kedua-dua anak perempuannya.

Ia termasuklah menggunakan karakter animasi kartun terkenal termasuklah Snow White, Hello Kitty, Batman dan bermacam-macam lagi. “Saya mula menghasilkannya pada Disember 2008 sewaktu sedang mengandung anak kedua. Ia untuk menggalakkan anak sulung saya makan secara berdikari selepas kehadiran adiknya. “Saya akan melakar terlebih dahulu hidangan tersebut sebelum menghasilkannya bagi mengelakkan pembaziran makanan. Gunting, pisau dan pencungkil gigi adalah peralatan yang saya gunakan,” ujarnya menerusi laman web miliknya. Gambar-gambar makanan tersebut turut dikongsi menerusi akaun Instagramnya yang kini sudah mencecah hampir 500,000 pengikut. Memang mengagumkan!

Sumber: Elza / My News Hub / Leesamantha.com

Dua Kanak-Kanak Ditemui Mati Lemas

PASIR MAS – Dua kanak-kanak ditemui mati lemas dipercayai ketika mandi di kawasan Tali Air Lati, dekat sini. Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Haliludin Rahim berkata mayat Muhammad Khairul Hafifi Mokhtar, 10, dan Nur Qamariah Ahmad Najman, 8, ditemui oleh penduduk kampung yang ketika itu melalui kawasan tersebut kira-kira 4.40 petang semalam. “Penduduk kampung melihat kedua-dua mangsa terapung dan tidak bergerak… kemudian bertindak untuk terjun ke tali air berkenaan bagi membawa kedua-dua mangsa ke tebing tali air tersebut,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini. Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Lati, untuk bedah siasat. Sementara itu, bapa Muhammad Khairul Hafifi, Mokhtar Ramli, 41, berkata beliau mengetahui mengenai kejadian itu daripada penduduk kampung. “Semasa kejadian saya dan isteri berada di Tanah Merah untuk menghadiri kenduri dan meninggalkan anak berseorangan di rumah,” katanya. Sumber: Bernama

Kohler Cipta Jamban Tanpa Perlu Disentuh

Buat yang sangat mementingkan kebersihan, produk terbaharu daripada Kohler ini pastinya menjadi dambaan anda. Tandas ciptaan syarikat pembuatan terkenal itu memperkenalkan ciri baharu di mana jamban itu tidak perlu disentuh untuk menggunakan ‘flush’ sebaliknya hanya menggunakan arahan daripada gerakan tangan pengguna. Kuasa gerakan itu diperhebatkan dengan sistem bateri 4 AA yang mana dijangka boleh bertahan selama setahun. Kohler mengatakan mereka mendapat inspirasi mereka tandas yang hanya memerlukan gelombang dan isyarat gerakan tangan selepas tahap kesedaran individu mengenai kebersihan tandas semakin meningkat sejak kebelakangan ini. Sumber: Audrey Lee / My News Hub

VIDEO: Hidup Selepas Dua Kali Dipanah Petir

PEPATAH dahulu pernah menyebut, berpantang maut sebelum ajal. Bahasa mudahnya, selagi belum tiba masanya untuk kita dijemput Ilahi, selagi itulah kita masih bernyawa. Video yang ingin kami kongsikan ini adalah antara situasi yang sesuai untuk menggambarkan pepatah itu. Biar pun ia sudah berlaku kira-kira tiga tahun lalu, namun ia masih dianggap keajaiban oleh ramai pihak. Ia merupakan rakaman CCTV mengenai seorang lelaki yang dipanah petir sebanyak dua kali, namun masih hidup dan mampu berjalan selepas itu. Panahan petir mampu menyebabkan kematian akibat cas elektriknya yang menyebabkan jantung dan pernafasan berhenti.

Nikah Ekspres Beri Implikasi Besar Kepada Keluarga

YAN – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berharap pemantauan dan tindakan tegas diambil terhadap individu yang terlibat dengan sindiket nikah ekspres kerana aktiviti itu memberi kesan sangat besar kepada institusi kekeluargaan. Katanya, paling dibimbangkan adalah soal kesahihan pernikahan itu, yang memerlukan tindakan segera pihak yang terlibat dengan soal agama Islam terutama di negeri-negeri. “Saya dah teliti hal berkaitan pernikahan seperti ini di Kedah. Yang paling bimbang soal kesahihan pernikahan, soal sah atau tidak. “Kalau tak sah implikasinya cukup besar dari sudut hukum,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan ulang tahun ke-100 Sekolah Kebangsaan Sungai Limau di sini hari ini. Jamil Khir berkata, ramai yang tidak menyedari tindakan mereka itu salah dari segi hukum dan hanya menyedari apabila sijil nikah mereka tidak dapat dikeluarkan. “(Akibatnya) anak yang dilahirkan tak boleh didaftarkan sama ada kelahiran atau untuk dibinkan. Ada kesan…tak dapat belajar, tak boleh dapat IC (kad pengenalan), nak dapat harta warisan,” katanya. Baru-baru ini, Jawatankuasa Badan Bertindak Anak-anak Kariah Masjid Tunku Abdul Rahman Putra di Kuala Kedah dekat sini, membuat laporan polis berhubung dakwaan terdapat sindiket nikah poligami di masjid itu sejak beberapa tahun lalu. Sumber: Bernama

PAS, Umno Tak Perlu Bergabung Keranan Hudud

KOTA BHARU – PAS tidak perlu bergabung dengan Umno, yang dilihat menyokong cadangan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan, sebaliknya kedua-dua parti perlu komited untuk melaksanakan hukum Islam itu. Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata hukum hudud adalah tuntutan dalam Islam dan isu penggabungan kedua-dua parti itu tidak perlu dibangkitkan langsung. “Yang penting Majlis Tertinggi yang dianggotai orang Muslim (PAS dan Umno) perlu tunjukkan satu komitmen yang mereka mahu undang-undang Islam, itu sahaja. “Tiada isu yang berbangkit sehingga PAS perlu masuk Umno atau Umno masuk PAS,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-4 Pertubuhan Kebajikan Penyokong Setia Tok Guru, di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam Facebooknya yang menyebut PAS tidak akan bergabung dengan Umno walaupun Umno bersetuju untuk melaksanakan hudud di Kelantan. Ahmad berkata beliau turut menyangkal kenyataan sesetengah pihak yang mendakwa cadangan pelaksanaan hukum hudud tidak mendapat sokongan sepenuhnya daripada rakyat Kelantan. “Saya tidak lihat begitu, mungkin mereka melihat dalam konteks yang berbeza. Peratusan orang Islam di negeri ini adalah 95 peratus berbanding negeri-negeri lain yang terdiri daripada 40 peratus orang bukan Islam. “Mungkin bagi mereka agak susah. Kita tidak fikir benda ini menjadi satu penghalang, kita mempunyai 95 peratus orang Islam di negeri ini,” katanya. Sumber: Bernama

“Mak Makin Angau, Gigih Kuruskan Badan” – Adlin

Tinggal beberapa hari sahaja lagi status ibu tunggal yang selama ini digalas pelakon veteran Ruminah Sidek atau lebih dikenali sebagai Mak Mah akan bertukar. Mak Mah dijadualkan bakal melangsungkan perkahwinan dengan seorang peneroka felda Al-Fatah Rahim Ismail, 70, pada 17 Mei depan. Menurut anak Mak Mah, iaitu pelakon dan pengarah terkenal, Adlin Aman Ramlie sempat berseloroh mengatakan ibunya kini sedang angau mengalahkan orang muda yang mahu naik pelamin serta gigih menguruskan badan untuk majlis bahagianya itu. “Alhamdulillah, kami anak-anak tumpang gembira apabila melihat mak bahagia. Kami gembira dengan keputusan mak. Mak sekarang nampak lebih angau daripada orang muda yang nak naik pelamin. “Mak juga sekarang tengah berusaha menguruskan badan agar dapat memakai kebaya. Sampai pitam-pitam mak berusaha pakai kebaya,” katanya memetik Malaysian Digest. Mak Mah, 68, sebelum ini telah mengikat tali pertunangan pada 19 April lalu di Meru, Klang. Bibit-bibit perkenalan Mak Mah dan Al-Fatah bermula ketika kedua-duanya mengerjakan umrah di Mekah pada Mac lalu. Sumber: Audrey Lee / My News Hub

MERS: P’hantaran Jemaah Haji Tak Dikurangkan

YAN – Kerajaan tidak akan mengurangkan penghantaran jemaah haji negara tahun ini walaupun terdapat penularan wabak Sindrom Perfasan Asia Barat (MERS) di Arab Saudi. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata seramai 22,320 jemaah haji negara akan dihantar tahun ini sejajar dengan kuota yang diperuntukkan kerajaan Arab Saudi. Sumber: BH Online

Istilah ‘Harta Karun’ Tak Sesuai Digunakan

MELAKA – Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka, Datuk Khamis Abas berkata, istilah ‘harta karun’ tidak sesuai digunakan bagi menjelaskan berhubung isu harta di Pulau Nangka kerana ia mempunyai istilah yang khusus berdasarkan Akta Warisan Kebangsaan 2005. Malah beliau berkata dalam akta tersebut selain harta karun terdapat istilah lain yang boleh diletakkan kepada harta itu antaranya ‘objek bersejarah’, namun beliau menegaskan tiada istilah khusus dapat diletakkan kepada harta di Pulau Nangka pada masa ini kerana ia masih belum ditemui. “Istilah ini mempunyai spesifikasi khusus yang perlu dipenuhi sesebuah objek itu dan kita kena pastikan objek itu memenuhi spesifikasi ini terlebih dahulu baru boleh beri istilah seperti harta karun atau objek bersejarah. “Tetapi hingga sekarang harta di pulau itu masih belum ditemui..jika masih belum jumpa (harta itu) bagaimana hendak dikaji untuk menentukan sama ada ia memenuhi spesifikasi itu atau tidak,” katanya kepada Bernama di sini. Menurut tafsiran dalam Akta Warisan Kebangsaan 2005, harta karun ialah wang, syiling, emas, perak, saduran, barang kemas bulion, batu berharga atau apa-apa objek bernilai dijumpai tetapi tuan punya tidak diketahui atau tidak dijumpai, namun ia tidak termasuk apa-apa warisan kebudayaan ketara. Objek bersejarah pula ertinya apa-apa artifak atau objek lain yang padanya terdapat kepentingan keagamaan, tradisional, artistik atau bersejarah ini termasuk manuskrip, syiling, wang kertas, pingat, lencana, lambang kebesaran, jata, panji-panji, senjata atau perisai. Memberikan contoh menentukan spesifikasi kepentingan sejarah dalam artifak yang ditemui berdasarkan tafsiran objek bersejarah, Khamis berkata artifak itu perlu dikaji dengan mendalam antaranya dengan menghantarnya ke makmal dan Jabatan Warisan Negara. “Seperti penemuan dua keping artifak (di Pulau Nangka) baru-baru ini kita tidak terus label harta karun atau objek bersejarah, malah saya tidak yakin ia syiling untuk mata wang kerana ia terlalu besar dan nampak seperti medalion (pingat). “Jadi kita hantar dulu kepada pihak berkenaan untuk dikaji sebelum buat tafsiran atau tindakan berdasarkan akta itu…saya tegaskan biar kita jumpa harta yang sahih benar dahulu, kemudian kita ambil dari situ,” katanya. Sementara itu, Pengerusi Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia, Prof Datuk Dr Mohd Jamil Mukmin berkata harta di Pulau Nangka itu tidak sepatutnya dilabel sebagai harta karun yang bakal menjadi sumber kekayaan kepada sesiapa yang menemuinya. Ini kerana berdasarkan pengalaman dan penelitian yang dijalankanya, harta di Pulau Nangka itu sekiranya ditemui dipercayai akan mempunyai nilai sejarah yang tinggi terutamanya dalam perkara berkaitan dengan zaman Kesultanan Melayu Melaka. Antara teori yang menyokong pendapat beliau ialah Pulau Nangka merupakan satu daripada tempat simpanan rizab kerajaan Kesultanan Melayu Melaka antaranya berbentuk syiling emas zaman tersebut, selain dua lagi tempat iaitu Bukit St Paul dan Pulau Besar. “Harta itu jika ditemui ialah artifak bersejarah berharga tetapi generasi sekarang kurang menghargai objek yang mempunyai nilai sejarah, ramai lihat dari aspek kebendaan kerana inilah bila timbul cerita harta karun itu tidak ramai yang lihat (harta itu) sebagai objek nilai sejarah,” katanya. Ditanya apa yang sepatutnya dilakukan sekiranya harta itu ditemui, beliau berkata ia perlu diserahkan kepada Pegawai Daerah terbabit berdasarkan prosedur dalam Akta Warisan Kebangsaan 2005. Beliau berkata Pegawai Daerah akan mengambil tindakan seperti melaporkan kepada pihak berkuasa seterusnya menentukan spesifikasi harta itu bagi mengenal pasti harta itu adalah harta karun, objek bersejarah atau istilah lain dalam akta tersebut. “Setiap satu jenis atau istilah harta ini mempunyai cara tertentu dalam akta itu untuk diuruskan, ini termasuk pemberian ganjaran, faktor lesen pencarian juga memainkan peranan tentang berapa banyak ganjaran patut diberikan,” katanya. Sumber: Bernama

Pengantin Maut Ditembak Ketika Lafaz Ikrar

MALANG bagi seorang pengantin perempuan di India apabila dia maut ditembak oleh sepupunya sendiri yang berpura-pura bertindak sebagai jurufoto pada majlis perkahwinannya. Jaishri Namdeo, 29, yang juga seorang doktor ditembak di tengkuk ketika dia selesai melafazkan ikrarnya bersama suaminya, Rohit Namdeo yang merupakan seorang pakar bedah.

Suspek, Anurag Singh mendakwa dia bertindak demikian kerana Jaishri telah ‘menipu’nya. Selepas menembak sepupunya, dia cuba menembak dirinya, namun tidak mengenai sasaran. Para tetamu kemudian menerpa ke arah suspek dan membelasahnya sehingga polis tiba di tempat kejadiannya. Motif sebenar pembunuhan masih belum dapat dipastikan, namun pihak polis percaya ia mungkin ada kaitan dengan hubungan yang terjalin antara kedua-duanya. Sumber: Elza / My News Hub / Daily Mail

Pelajar Tingkatan 2 Maut Kemalangan Motosikal

BESUT – Seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Payong, Hulu Besut maut apabila motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di Km13, Jalan Jerteh-Kuala Terengganu. Ketua Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Mohd Zakaria berkata dalam kejadian di simpang tiga Lata Belatan, Jabi, pada 11.30 pagi semalam itu, Muhammad Aqis Ikhman Khairuddin, 14, mati di tempat kejadian. Motosikal pelajar itu keluar secara melulu dari simpang itu menyebabkan kereta Proton Persona dipandu juruteknik Mohd Safri Salleh tidak sempat mengelak dan merempuhnya, katanya kepada pemberita di sini hari ini. Kamaruddin berkata Mohd Safri, 28, hanya mengalami cedera ringan. Katanya mayat Muhammad Aqis Ikhman dihantar ke Hospital Daerah Besut untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga untuk pengebumian. Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment