Tanah Runtuh: Lebih 2,000 Tertimbus, 4,000 Tinggal Sehelai Sepinggang
KABUL (AFGHANISTAN): Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) dipertingkatkan berikutan angka kematian tragedi tanah runtuh itu dijangka meningkat sehingga sekurang-kurangnya 2,100 orang, manakala kira-kira 4,000 lagi hilang tempat tinggal dalam kejadian di kawasan pergunungan di timur laut Afghanistan.
Jurucakap Gabenor wilayah Badakhshan, Naweed Forotan mengesahkan seramai 300 keluarga yang tinggal di kampung Hargu, daerah Argo tertimbus dalam kejadian terbabit.
Susulan daripada tragedi menggemparkan itu, Presiden Hamid Karzai mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan memberi jaminan tindakan segera akan diambil untuk mencari penduduk yang mungkin terselamat.
Timbalan Ketua Polis Badakhshan, Abdul Qadeer Sayad berkata, SAR kini giat dijalankan pihak berkuasa dengan hanya menggunakan peralatan asas menggali.
"Insiden runtuhan itu dipercayai berlaku sebanyak dua kali dan ia berpunca daripada hujan lebat yang berterusan di kawasan itu sejak lebih seminggu lalu.
"Penduduk di sekitar daerah terbabit termasuk dari Takhar turut sama membantu dalam operasi tersebut, namun ia sukar dilakukan kerana lumpur setebal 100 meter," katanya.
Difahamkan, tentera juga terpaksa menggunakan helikopter untuk menghantar pasukan penyelamat mereka di kawasan bencana terbabit berikutan kebanyakan jalan utama telah rosak akibat cuaca tidak menentu.
Sementara itu, tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) dilaporkan sudah bersiap sedia untuk membantu operasi tersebut, namun kerajaan Afghanistan masih belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara berkenaan.
Dalam kenyataan, jurucakap Misi PBB di Kabul, Ari Gaitanis memaklumkan fokus utama mereka adalah untuk membantu kira-kira 4,000 penduduk yang tinggal sehelai sepinggang.
"Mereka amat memerlukan bantuan makanan, bekalan air bersih, ubat-ubatan dan tempat tinggal sementara," katanya.
MH370: Rakaman audio disunting terlebih dahulu?
PAKAR siasatan forensik hari ini mendakwa bahawa data audio rakaman penerbangan milik MH370 telah diubahsuai dengan sengaja oleh seseorang.
Dalam satu berita yang dilaporkan oleh NBC, berdasarkan siasatan yang dilakukan terhadap data berkenaan, pihak pakar penyiasat mendapati sumber audio tersebut datang dari dua rakaman kaset yang berbeza.
Dalam pada itu, pihak penganalisis juga menemui empat ‘jarak kosong’ yang jelas membuktikan ia hasil daripada suntingan audio.
Salah seorang pakar audio-video, Ed Primeau berkata, bukti yang terhasil dari siasatan rakaman audio tersebut agak meragukan dan tidak masuk akal.
“Pada minit ke-1:14, rakaman tersebut menunjukkan seperti seseorang sedang memegang perakam suara digital dan mula merekod, kemudian pihak tersebut memindahkan mikrofon perakam suara tersebut ke pembesar suara yang terhasil dari kotak maklumat asal.
“Sesiapa sahaja yang menyunting semula rakaman audio itu tidak mahu pihak kami atau pakar penyiasat lain mengetahui perkara sebenarnya yang terjadi di atas pesawat terbabit,” katanya ketika ditemui oleh wartawan NBC.
Sementara itu, seorang lagi pakar penyiasat, Kent Gibson turut menegaskan kenyataan terbabit.
Menurutnya, kepincangan yang dilihat melalui data rakaman audio terbabit menguatkan andaian bahawa data tersebut telah disunting oleh pihak tertentu atas sesuatu sebab.
“Pihak kami mendapati data tersebut telah dirosakkan atau dijejaskan dengan sengaja, ini bukan cara untuk mengendalikan bukti,” kataya.
Beliau dalam pada itu turut menegaskan pihaknya akan terus melakukan siasatan menyeluruh ke atas rakaman tersebut bagi menemui bukti terbaru.
KPN Sangkal Daily Mirror, Siasatan Militan Tiada Kaitan MH370
KUALA LUMPUR: Polis menafikan laporan Daily Mirror yang mendakwa anggota militan yang ditahan di Kedah dan Selangor baru-baru ini disoal-siasat berhubung kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370.
"Ini laporan mengarut. Ia tiada kena mengena dengan MH370," kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar kepada The Star pada Ahad.
Anggota kumpulan militan yang menjadi sasaran Cawangan Khas Unit Anti Keganasan Bukit Aman dipercayai mempunyai rangkaian di Syria dan selatan Filipina.
Sehingga kini polis sudah menahan 11 suspek kerana disyaki terbabit dalam kegiatan militan di dalam dan luar negara.
Semua yang ditahan dalam operasi serentak di beberapa lokasi di Kedah dan Selangor itu berusia antara 22 dan 55 tahun dan disyaki terbabit dalam kumpulan militan yang bertanggungjawab merancang perbuatan ganas.
Mereka ditahan mengikut BAB VI A - Kesalahan Berkaitan Dengan Keganasan dan Akta Kanun Keseksaan.
Media Britain Lapor Suspek Militan Ditahan Turut Disiasat Kes MH370, macam-macam media barat ni.xhabis2 fitnah.
BEBERAPA media Britain melaporkan suspek militan yang ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) minggu lalu kini sedang turut disoalsiasat berkaitan kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.
Menurut laporan laman web New York Post hari ini, agensi risikan antarabangsa seperti Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat dan MI6 dari Britain meminta pihak berkuasa Malaysia mengendalikan soalsiasat lebih tegas ke atas semua suspek.
Suspek berkenaan menurut laporan itu berusia dalam lingkungan 22 hingga 55 tahun antaranya pelajar, golongan profesional dan juga janda muda.
Laman web itu turut memetik kenyataan seorang pegawai dari Cawangan Khas Anti Keganasan Malaysia yang berkata penahanan itu menyemarakkan kebimbangan pesawat berkenaan telah dirampas dan dikawal oleh pengganas.
“Kemungkinan pesawat itu (MH370) dilencongkan oleh militan masih diletakkan pada keutamaan paling tinggi.
“Pihak risikan antarabangsa telah meminta laporan lengkap berkaitan kesemua suspek ini,” kata pegawai itu yang dipetik laporan New York Post.
Menurut pihak berkuasa Malaysua, suspek-suspek berkenaan mengakui ada merancang kempen keganasan di Malaysia tetapi menegaskan mereka tiada kaitan dengan kehilangan pesawat berkenaan.
Pesawat MH370 ketika kejadian kira-kira dua bulan lalu sedang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac dengan 239 orang penumpang di dalam pesawat ketika kehilangannya.
Operasi pencarian besar-besaran untuk mencari pesawat Boeing 777-300ER itu di kawasan selatan Lautan Hindi sehingga kini tidak menemui sebarang serpihan dan bangkai pesawat. – MYNEWSHUB.MY
Budak 11 Tahun Rakyat Britain Termuda Didakwa Membunuh
Kawasan kediaman di mana seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun disyaki terbabit dalam kes pembunuhan.
LONDON: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun menjadi rakyat Britain paling muda dalam sejarah jenayah negara itu apabila didakwa membunuh dalam masa terdekat.
Remaja yang identitinya dirahsiakan atas alasan undang-undang itu didakwa kerana memecah masuk ke kediaman Mark Thomas dan menyebabkan kematian lelaki berusia 39 tahun itu.
Kanak-kanak itu kini masih ditahan dan akan didakwa di Mahkamah Majistret Wimbledon.
Pasukan polis menemui mayat Thomas dengan kesan kecederaan serius akibat ditikam pada paru-paru di kediamannya di Roehampton, barat laut London pada 22 April lalu.
Susulan kejadian itu, remaja berusia 15 tahun telah didakwa, manakala seorang lagi rakannya berusia 17 tahun dibebaskan atas jaminan selepas ditahan kerana disyaki terbabit dalam kejadian sama,
Ketua Detektif Jenayah Berat Scotland Yard, Charlie King, berkata masih terlalu awal untuk memberi sebarang ulasan berhubung kejadian itu dan pihaknya masih menyiasat pelbagai kemungkinan yang mendorong kejadian itu berlaku.
"Penduduk setempat turut membantu polis dengan memberi maklumat mengenai individu yang dilihat berada di sekitar kawasan kejadian.
"Bagaimanapun, bagi sesiapa yang mempunyai maklumat yang lebih terperinci dan kukuh diminta segera hubungi kami," katanya.
Tak perlu tangguh laksana hudud
KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri tidak perlu menunggu lebih lama untuk melaksanakan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) di Terengganu kerana ia sudah diwartakan dan mendapat perkenan Sultan.
Ketua Penerangan Pas Terengganu, Mohd Nor Hamzah berkata, perlaksanaan hukum hudud tidak perlu ditangguhkan kerana ia adalah hukum yang menjadi kewajipan untuk dilaksanakan setiap pemimpin beragama Islam.
“Kenapa nak tunggu orang berjaya buat dulu, baru nak laksana. Mengenai aspek pembangunan negeri, tidak pula tunggu untuk lihat cara orang lain laksana dan tadbir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang bersedia melaksanakan hudud sekiranya Kelantan berjaya melaksanakan hukum berkenaan dengan sempurna.
Kata Mohd Nor lagi, kerajaan negeri diterajui BN kini mempunyai kelebihan tersendiri dalam melaksanakan hukum hudud.
“Tiada masalah untuk berusaha melaksanakan hukum hudud kerana mereka mendapat sokongan kerajaan Pusat.
“Tambahan pula dalam Umno sendiri, ada ulama yang boleh memberikan pandangan dan sebagai tempat rujukan,” katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, kerajaan negeri bersedia untuk menimbang pelaksanaan hukum hudud di Terengganu sekiranya Kerajaan Negeri Kelantan berjaya melaksanakan hukum berkenaan dengan sempurna.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dilaporkan berkata, hudud bukanlah isu politik, sebaliknya sebelum melaksanakan hukum hudud, pelbagai aspek perlu diteliti kerana ia melibatkan hukum ALLAH SWT.
Menurut beliau, kerajaan negeri ingin melihat pendekatan diambil Kelantan dan akan mengkaji bagaimana perlaksanaannya boleh dibuat dengan sempurna kerana tidak mahu ia dilaksanakan secara 'try and error'.
“Dalam Islam sendiri, kita bukanlah cepat menghukum. Islam adalah agama pendidikan, pengajaran. (Tidak boleh) kita nak potong semua tangan kerana mencuri, kalau tak tahu kenapa. Kita kena tahu juga kenapa mereka mencuri. Adakah kerana mereka jahat, tidak ada kerja?
“Sekarang ini, kita tidak boleh tolak hukum. Cuma pendekatannya perlu sempurna. Hudud di Terengganu misalnya, Kanun Jenayah Syariah Terengganu, ada yang bercanggah.
“Bukannya kita tolak, tetapi kemampuan kita, keupayaan kita, persiapan kita, cukup atau tidak. Hudud bukanlah isu politik, tetapi kena lihat kemampuan dan persiapan kita.Kalau Kelantan boleh buat dan berjaya, kita ikutlah. Macam Brunei nak buat, kita tunggu macam mana mereka nak laksanakan. Nak belajar daripada mereka, tetapi jangan benda sebegini jadi isu politik,” katanya.
Samsung diarah bayar Apple RM390 juta
SAN JOSE, CALIFORNIA – Samsung telah diarahkan membayar RM390 juta kepada Apple oleh mahkamah Amerika Syarikat (AS) kerana mencabuli dua paten telefon pintar milik Apple, lapor Reuters.
Dalam perbicaraan di Mahkamah Persekutuan, Apple menuduh Samsung mencabul paten ciri-ciri telefon pintar termasuk pencarian universal sementara Samsung menafikannya.
Semalam, mahkamah membuat keputusan pembuat telefon pintar Korea Selatan itu telah mencabuli dua paten Apple.
Apple dan Samsung telah melalui jalan undang-undang untuk tiga tahun dan pembuat iPhone itu telah mendapat RM3,038 juta dalam perbicaraan pada 2012 tapi Apple gagal meyakinkan mahkamah untuk mengeluarkan perintah injuksi kekal terhadap penjualan telefon Samsung di AS.
Kes terkini ini melibatkan lima paten Apple yang tidak termasuk dalam perbicaraan 2012 yang meliputi ciri-ciri seperti ‘slide-to-unlock’ dan teknologi enjin carian.
klia2 luas, selesa berbanding LCCT tapi...
SEPANG – Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) yang telah mula beroperasi sejak semalam dilihat menyediakan perkhidmatan yang selesa buat penumpang dan pengunjung.
Namun, orang ramai tidak menolak bahawa keluasan itu menyebabkan mereka perlu berjalan jauh berbanding dengan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT).
Penumpang yang baru tiba dari Sibu, hari ini, Amirul Ismail, 58, akui teruja menggunakan perkhidmatan klia2 buat pertama kali.
Menganggap pengalaman pertamanya di situ, Amirul berdepan kesukaran ketika hendak keluar dari balai ketibaan.
“Saya menaiki penerbangan daripada Sibu. Landasan pun baru, jadi, saya teruja. Macam biasa, kita jadi macam budak-budak rakam gambar.
“Perjalanannya itu, ia agak rumit...sebab pertama kali kan. Kita perlu berpusing-pusing untuk keluar dari balai ketibaan,” katanya kepada Sinar Harian Online.
Kemudahan jambatan udara di klia2 memudahkan penumpang tanpa perlu menaiki tangga seperti yang disediakan di LCCT.
“LCCT sangat sesak tapi sangat ‘straight foward’. Cuma di LCCT kita kena jalan kaki, turun tangga tapi di sini ada jambatan udara. Itu perbezaan dan sudah tentu ia lebih selesa daripada LCCT,” katanya.
Perkara sama turut disuarakan Nik Mariam Nik Mohamad, 55 yang menghantar kakak iparnya ke klia2.
“Masalahnya tempat meletak kereta jauh dan untuk ke sini (balai pelepasan) juga jauh. Saya nak hantar kakak ipar dan dia pula memang sakit lutut.
“Kemudahan lain itu semuanya OK. Alhamdulillah,” katanya.
Suria Abak, 25 yang baru tiba dari Sibu turut bersetuju bahawa klia2 lebih cantik dan selesa daripada LCCT.
“Bagus. Servis mereka juga baik. Di sini lebih selesa dan lebih cantik tapi agak jauh,” katanya.
Namun, bagi Zainur Rahim, 40 yang menunaikan hasrat isteri dan anak-anaknya untuk melihat sendiri klia2, merasakan ia berbaloi.
“Saya datang bersama keluarga dari Nilai hanya untuk melihat-lihat. Ketika masuk, saya tak tahu kedudukan kedai dan terminal. Apabila sudah masuk ke dalam barulah tahu kedudukannya.
“Saya rasa puas hati dan ia menarik untuk kita datang. Banyak kedai dan banyak pilihan tidak seperti di LCCT. Kemudahan tempat letak kereta juga lebih banyak,” katanya.
Tinjauan Sinar Harian Online mendapati masih ada beberapa kaunter yang belum beroperasi di klia2 ini dan difahamkan kaunter-kaunter berkenaan akan diisi oleh pengurusan AirAsia yang bakal berpindah ke situ minggu hadapan.
Apa yang menarik, Gateway@klia2 yang dibina bersebelahan terminal klia2 itu menjadikan ruang menanti untuk waktu penerbangan akan terisi dengan kedai-kedai yang menjual pelbagai barangan.
Malah dengan adanya stesen Express Rail Link di klia2 dan kemudahan awam lain juga memudahkan orang ramai ke klia2.
Suamiku miang keladi
SAYA berumur 29 tahun dan merupakan isteri kedua kepada suami yang kini berumur 40 tahun.
Isteri pertama suami sebaya dengannya. Usia perkahwinan baru masuk tahun kedua, tapi saya sudah tidak tahan dengan perangai miang si suami. Suami saya seorang guru sekolah menengah.
Ketika mengorat saya dulu, saya lihat kemachoannya, ketegasan dan tanda berhemah yang dibawa dalam perwatakannya.
Namun setelah mendirikan rumah tangga hampir setahun, baharu saya sedar suami saya seorang yang miang.
Di rumah dia mempamerkan sikap manja dan sedikit keanak-anakkan. Dan di luar pula, hatta di hadapan saya ketika berjumpa dengan pelajar-pelajarnya, dia mempamerkan sikap mengada-ngada dan miang.
Saya dapat lihat ada riak tidak senang di wajah anak muridnya yang datang membuat ulang kaji atau menghadiri kelas tambahan yang dia buat di rumah kami.
Ada masa saya lihat suami saya akan berdiri dekat dengan pelajarnya sambil membahasakan diri sebagai abang dengan intonasi penuh lembut.
Saya hairan dengan perubahan sikapnya itu. Hendak kata saya tidak melayannya dengan baik, lebih lagi. Saya layan dia seperti saya melayan seorang kanak-kanak. Baju, stokin pun saya yang sarungkan.
Sewaktu bercinta dulu, dia tidak pula menggatal dengan saya. Saya hanya tahu dia suami orang beberapa bulan sebelum kami bernikah tapi dek kerana sayang, saya abaikan statusnya dan meneruskan perkahwinan.
Madu pula baik dengan saya. Tapi saya tidak berani menceritakan perangai suami kepada madu. Bimbang dia sakit hati atau berfikir saya mereka-reka cerita.
Saya kini bekerja sebagai seorang pembantu tadika. Saya mohon nasihat doktor, bagaimana menawan hati suami miang keladi ini. Saya tak fikir suami mahu bernikah lagi, sebab dia bukan dalam kalangan orang senang.
Gaji seorang guru tak seberapa. Tapi tak tahulah jika dia ada niat lagi mahu tambah cawangan. Lagi pun perkahwinan kami masih baharu.
Zie, Klang.
APA KATA PAKAR - oleh Dr HM Tuah Iskandar al -Haj,
Tips mengurangkan miang suami.
Hampir semua lelaki semula jadinya ‘miang’, maklumlah setiap lelaki normal pasti bersyahwat, yang membezakan adalah mereka yang pandai mengawal sifat itu dek dibatasi pengetahuan agama, menjaga imej di tengah masyarakat dan lain-lain sebab peribadi.
Sifat ini sebenarnya tidak hilang setelah seseorang lelaki itu berkahwin. Nafsunya sentiasa memuncak apabila terpandangkan wanita cantik, apalagi kalau wanita itu melayaninya, dia akan menjadi semakin gatal. Hingga ada ungkapan, ‘kalau tak miang bukanlah lelaki’.
Namun kebanyakan lelaki akan lebih terkawal apabila berumah tangga. Biarpun nafsunya bagai ombak yang sedang menggila, dia tetap ingat akan hukum ALLAH dan siapa dirinya, lalu berjaya mengawal dirinya daripada berbuat perkara-perkara yang tidak baik.
Suami anda boleh terjerumus kepada perbuatan yang lebih 'daring' andainya dia tidak berusaha mendidik dirinya sendiri, lebih-lebih jika pelajar-pelajar perempuan itu memberi ruang atau peluang untuknya terus menggatal. Seorang lelaki yang berpoligami tentunya seorang yang amat kuat soal ini.
Anda tentu faham apa yang saya maksudkan, bukan?
Oleh itu, di bawah ini saya berikan tiga panduan.
i. Seorang lelaki apabila mencecah umur 40 tahun, dia memang sedang macho.
Kalau diibaratkan buah nangka, sekarang nangka itu sedang sempurna masak dan enak kalau dimakan. Kalau diibaratkan kereta, ia bersedia untuk dipecut dengan laju kerana sempurna buatan dan selenggaraannya. Kalau diibaratkan rumah, ia adalah sebuah rumah yang telah sempurna dibina, enak dan selesa untuk didiami. Bermakna dia kacak luar dan dalam. Inilah saatnya seseorang lelaki itu ‘baligh kali kedua’.
Maksud saya, pemikiran, sikap serta prestasinya berulang sebagaimana dia mula-mula baligh pada usia remaja dahulu. Oleh yang demikian, usah terlalu risau, insya-ALLAH apabila usianya melepasi 40-an nanti, dia akan kembali ‘perlahan’. Usia 40 memanglah sedang matang, malah ada ungkapan berbunyi, Life begin at 40.
ii. Bantu suami dengan memberikannya layanan A1.
Tentu dia ada sebab hingga mengahwini anda sedangkan dia sudah ada isteri. Bongkar kelebihan-kelebihan yang dikagumi ini dan pamerkan selalu, moga-moga dia perasan bahawa apa yang diperlukan itu ada pada diri anda, justeru, dia tidak perlu terlalu miang lagi.
Kesilapan kebanyakan para isteri ialah mereka tidak lagi mempamerkan apa-apa yang dikagumi oleh suami terhadap diri mereka dahulu.
Misalnya kerap kusam di rumah, comot, cincai dan tidak mahu menghias diri. Kerap letih pada waktu suami sangat-sangat memerlukannya. Tiada sebab seorang lelaki hendak bersusah payah mencari di luar jika dia mendapat kesemuanya di rumah.
iii. Bawakan suasana orang beriman di dalam rumah tangga.
Kerap membaca al-Quran, kerap bangun solat malam dan kerap membuka rancangan-rancangan agama di radio dan televisyen.
Juga beli buku-buku motivasi keagamaan, saya cadangkan Komplikasi Jiwa Muslim, Membina Unggul Lelaki dan 101 Rahsia Penguat Nurani.
Letakkan sahaja buku-buku ini di atas meja di ruang tamu, jika dia tidak mahu membaca pun, tajuk-tajuk berkenaan cukup memberikan hentakan. Moga-moga usaha ini sedikit sebanyak membuatkannya segan kepada diri sendiri.
Memang nafsu masih menggila tetapi apabila melihatkan anda yang semakin cenderung ke arah keagamaan, timbullah perasaan untuk membuat perubahan diri.
Jerung Zaman Purba Ditemui Di Florida
NELAYAN di Teluk Mexico terkejut apabila pukatnya bukan saja penuh dengan hasil tangkapan udang, malahan turut memerangkap seekor jerung yang dikenali sebagai goblin shark kerana rupanya yang buruk.
Dianggarkan sepanjang enam meter itu, spesis yang jarang ditemui sejak lebih 10 tahun lalu itu terperangkap dalam pukat udang di perairan barat Florida, Amerika Syarikat.
Berwarna merah jambu gelap, nelayan itu terkejut apabila pukat udangnya turut diselit dengan jerung zaman purba itu.
“Ia memiliki paruh panjang dengan gigi yang tajam, bagaikan fosil hidup.
“Saya tidak tahu apakah ia terutama apabila melihat rupa dan giginya,” kata nelayan, Carl Moore.
Bagaimanapun, saintis kecewa apabila Moore melepaskan jerung berkenaan selepas merakamkan gambarkan.
Berdasarkan gambar itu, saintis berpendapat ia spesis jerung betina yang hidup di laut dalam dan boleh berubah warna kepada hitam jika berhadapan ancaman.
Paruhnya dikatakan berupaya mengesan mangsa walaupun dalam situasi ia tidak dapat melihat atau mendengar.
Spesis jerung goblin ini memakan ikan, termasuk jerung dan pari, selain ketam, udang serta hidupan laut lain.
Moore menangkap jerung itu pada 19 April lalu, bagaimanapun hanya melaporkan kepada National Oceanic and Atmospheric Administration pada Jumaat. – mStar
Ayu Raudhah Selamat Lahirkan Anak Kedua
TAHNIAH diucapkan kepada pelakon Ayu Raudhah dan suaminya, Zaquan Adha atas kelahiran anak kedua mereka pada Jumaat lalu.
Gambar bayi lelaki seberat 2.73 kilogram itu telah dikongsikan oleh Ayu menerusi akaun Instagramnya.
Turut meraikan kehadiran orang baru dalam keluarga mereka ialah kembar Zaquan iaitu Aidil Zafuan.
Selapas ini, mungkin giliran Aidil pula yang akan menerima cahaya mata hasil perkahwinannya dengan Zarema baru-baru ini, tak gitu?
Penjenayah Gagal Larikan Mesin ATM
MACHANG – Dua penjenayah berputih mata apabila usaha mereka melarikan sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank, di sini, gagal sekalipun telah berjaya menarik keluar mesin berkenaan dari kedudukan asalnya, semalam.
Dalam kejadian pada kira-kira jam 5.20 pagi itu, kedua-dua suspek yang memakai penutup muka bertindak mengikat mesin ATM itu pada kenderaan mereka sebelum menariknya keluar daripada bank berkenaan dan terjatuh di atas jalan.
Saksi yang hanya ingin dikenali sebagai Roslan berkata, dia menyedari kejadian itu apabila terdengar bunyi deruman kuat enjin kenderaan sebelum meninjau keadaan di sekitar kedainya.
Katanya, ketika itu dia sedang bersiap-siap untuk membuka kedai makan yang terletak berdekatan dengan bank berkenaan.
“Pekerja saya beritahu mengenai bunyi itu (kereta). Mungkin ada rompakan berlaku, lalu saya segera melihat melalui tingkap dan ternampak dua lelaki berada berdekatan bank. Mereka cuba menarik sesuatu dengan sebuah kereta jenis Proton Waja.
“Saya hanya lihat dari jauh dan tidak berani pergi lebih dekat kerana bimbang penjenayah menyedari kehadiran saya,” katanya.
Pemangku Ketua Polis Daerah, Asisten Superintendan Loo Lian Lai berkata, berdasarkan siasatan awal, suspek didapati telah berjaya menarik keluar mesin ATM berkenaan menggunakan tali yang dipercayai jenis dawai.
Menurutnya, kedua-dua suspek dipercayai telah menghampiri mesin ATM tersebut untuk mengambil sesuatu sebelum beredar meninggalkan tempat kejadian.
“Selang beberapa minit kemudian, suspek berpatah balik dan cuba membuka mesin ATM itu tetapi gagal sehingga memaksa mereka meninggalkannya,” katanya.
“Hasil pemeriksaan ke atas mesin ATM terbabit, didapati tiada kehilangan wang direkodkan dan jumlah keseluruhan baki wang di dalamnya ialah RM178,550,” katanya.
Tambah Lian Lai, pihaknya berjaya mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian untuk membantu siasatan dan berharap dapat mengesan kedua-dua suspek terlibat dengan segera.
“Selain itu, kita juga telah berjaya mengesan lima cap jari pada pemegang pintu bank dan satu kesan cap jari pada tin cat hitam yang dipercayai digunakan suspek,” katanya. - Sinar Harian
Kelajuan Internet Malaysia Perlahan
RAKYAT Malaysia mungkin menjadi antara yang aktif berhubung dengan dunia global, namun kelajuan internet di negara ini tidak begitu memuaskan.
Berdasarkan kajian global terbaru, purata kelajuan jalur lebar di Malaysia adalah lebih rendah berbanding Vietnam dan Kemboja di rantau ini dan melebih sedikit daripada Myanmar.
Hampir tiga kali lebih perlahan daripada Vietnam, Malaysia dengan kelajuan 5.48 Megabit sesaat (Mbps) menduduki tempat ke 126 daripada 192 negara yang dikaji dari Mei 2013 hingga April tahun ini.
Berada pada kedudukan teratas ialah Hong Kong dengan kelajuan 78.3 Mbps.
Singapura berada di tempat kedua dengan 66.6 Mbps manakala Korea Selatan berada di kedudukan keempat (53.77Mbps ).
Berada di kedudukan ke-23 ialah United Kingdom (26.85Mbps) dan Amerika Syarikat di tangga ke-32 (23.9Mbps).
Kajian itu dijalankan oleh Ookla – ujian jalur lebar global dan rangkaian berasaskan web syarikat yang membandingkan kelajuan muat turun, memuat naik dan kualiti sambungan jalur lebar.
Mengulas mengenai kajian itu, Pengerusi Jawatankuasa ICT dan multimedia Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Dr Neoh Vee Heng berkata anggotanya seramai 2,678 secara amnya mengambil berat tentang kelajuan rangakaian internet di negara ini termasuk kos capaian yang tinggi.
“Seorang ahli kita yang melabur dalam projek besar di Sepang bimbang tentang kelajuan jalur lebar 1Mbps di kawasan itu,” katanya.
Menurutnya, FMM akan bertemu dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk membincangkan bagaimana perkhidmatan jalur lebar dapat diperbaiki dan dalam masa yang sama kosnya dikurangkan.
Sementara itu Setiausaha Agung Persekutuan Pengguna Malaysia (Fomca), Datuk Paul Selvaraj berkata, sambungan internet yang perlahan adalah antara rungutan utama pengguna.
“Pengguna mendaftar untuk pakej mahal dan mengharapkan sambungan internet yang stabil dan cepat, namun syarikat-syarikat telekomunikasi gagal untuk memenuhinya,” katanya. – mStar
Tolak Hukum Hudud, Bukan Bermaksud Tolak Islam - MCA.. yer ker..
KUALA LUMPUR – MCA berpegang kuat dengan pendirian menolak hukum hudud kerana tidak mahu melihat wujudnya sistem perundangan yang berbeza dalam satu negara, kata Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Katanya, pendirian MCA menolak hukum hudud bukan bermaksud menolak Islam.
“MCA akan pertahankan keharmonian antara kaum sedia ada,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Perpaduan MCA bertemakan Teguh Bersama di Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR) di sini, sebentar tadi. - BH Online
Seorang Anggota Polis Mesir Maut
KAHERAH – Seorang anggota polis dan tentera terbunuh dalam satu letupan bom di sini semalam, beberapa jam sebelum kempen pilihan raya Presiden bermula yang dijangka akan dimenangi oleh bekas ketua tentera Mesir, Abdel Fattah al-Sisi.
Sejak kebelakangan ini, kumpulan militan melancarkan gelombang serangan dengan menjadikan pasukan keselamatan sebagai sasaran sejak Al-Sisi menumbangkan Presiden Mohammed Morsi pada Julai lalu.
Pihak tentera Mesir menubuhkan sebuah kerajaan sementara yang menggunakan kekerasan untuk mematahkan penentangan yang dilancarkan para pengikut Morsi dan pergerakan Ikhwanul Muslimin yang menyokongnya.
Dalam pada itu, jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Hany Abdel Latif berkata, sebutir bom itu meletup di pondok polis dekat sebuah bangunan mahkamah di daerah Heliopolis, utara bandar raya ini yang menyebabkan seorang anggota polis terbunuh manakala empat lagi cedera.
Kementerian berkenaan kemudian memberitahu bahawa bom tersebut telah disembunyikan di dalam sebuah lampu isyarat di lokasi kejadian. – AFP
Australia Mahu Naikkan Had Persaraan 70 Tahun
SYDNEY – Kerajaan Australia mengumumkan semalam bahawa ia mahu meningkatkan usia kelayakan pencen kepada 70 tahun menjelang tahun 2035 bagi membantu menangani masalah pertambahan warga emas di negara itu.
Usia kelayakan pencen tersebut adalah yang tertinggi dalam kalangan negara maju.
Ketua Perbendaharan Australia, Joe Hockey berkata, kerajaan sebelum ini merancang untuk menaikkan usia pencen daripada 65 tahun kepada 67 tahun pada 2023 manakala pentadbiran sekarang yang diterajui oleh Perdana Menteri Tony Abbott pula mahu melanjutkannya kepada 70 tahun menjelang 2035.
“Kami mahu menaikkan umur penerimaan pencen kepada 70 tahun dan akan melakukannya dalam tempoh 21 tahun,” kata Hockey.
Kerajaan Australia tidak menetapkan had umur persaraan tetapi undang-undang sedia ada menyatakan golongan lelaki layak menerima pencen pada usia 65 tahun dan 60 tahun untuk wanita. – AFP
Dua Beranak Trauma Dikurung 8 Jam oleh suami
PORT DICKSON – Gara-gara berebut anak, seorang wanita bersama anak perempuannya, berusia 9 tahun trauma apabila dikurung oleh suaminya lebih lapan jam di rumah mereka di sebuah taman perumahan di Chuah, dekat sini, petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Abd Wahab Harun berkata, mangsa, 32, masih dalam proses penceraian dengan suaminya itu menghubungi Balai Polis Chuah kira-kira jam 4 petang bagi meminta bantuan untuk menyelamatkan mereka.
Pada jam 7.30 pagi, Khamis lalu, suami mangsa balik ke rumah dan memaksa anak perempuannya masuk ke keretanya untuk dibawa balik ke rumah, namun berjaya dihalang oleh mangsa sebelum mengunci semua pintu untuk berlindung serta menghalang suaminya masuk ke dalam rumah.
“Berang dengan kejadian itu, suami mangsa bertindak membeli mangga baharu dan mengunci semua pintu dan tingkap rumah dari luar,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Tambah Abd Wahab, bertindak atas aduan berkenaan, pihak polis bergegas ke rumah mangsa sebelum menghubungi suaminya untuk menyerahkan kunci tersebut tetapi dia enggan berbuat demikian.
“Polis kemudiannya bertindak memotong mangga pintu hadapan rumah mangsa menggunakan peralatan khas dan mangsa bersama anaknya tidak mengalami kecederaan namun masih berada di dalam keadaan ketakutan dan trauma dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana melakukan kurungan salah,” katanya.
Dalam pada itu, Abd Wahab turut menasihatkan mana-mana pasangan yang mengalami krisis rumah tangga supaya tidak melakukan tindakan bercanggah dengan undang-undang, sebaliknya berunding secara aman.
“Orang ramai dan jiran juga perlu bersikap prihatin kepada jiran sekeliling. Jika keadaan menimbulkan bahaya laporkan segera kepada polis untuk tindakan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.
Pasangan ini mempunyai tiga anak kesemuanya perempuan dan suaminya menjaga dua daripada mereka. – Sinar Harian Online
19 Cedera Kereta Api Tergelincir Di NY
NEW YORK – Seramai 19 orang cedera selepas kereta api bawah tanah tergelincir di Queens, salah satu daripada lima bandar di New York, malam tadi, kata Pihak Berkuasa Pengangkutan Metropolitan (MTA).
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif MTA, Thomas Prendergast memberi jaminan penyiasatan menyeluruh terhadap punca kejadian di mana kira-kira 1,000 penumpang terperangkap dalam kereta api bawah tanah itu selama hampir dua jam.
Kejadian itu berlaku pada kira-kira jam 10.24 pagi (waktu tempatan) apabila enam daripada lapan gerabak laluan Manhattan dan Brooklyn tergelincir. – Agensi
6 Pekerja Maut Terowong Runtuh Di China
HEFEI – Enam pekerja terkorban dan dua lagi mengalami kecederaan ringan selepas terowong yang dalam pembinaan runtuh di wilayah Anhui, China awal hari ini, kata pihak berkuasa tempatan.
Kejadian berlaku pada kira-kira jam 12.53 tengah malam di terowong yang dibina untuk jambatan lebuh raya yang menghubungkan Sungai Yangtze dekat bandar Chizhou, wilayah Dongzhi.
Mangsa yang cedera sedang dirawat di sebuah hospital.
Penyiasatan terhada punca kejadian sedang disiasat. – Agensi
200 Orang Cedera Nahas Tren Bawah Tanah Di Seoul
SEOUL – Sebanyak 200 orang cedera selepas sebuah tren bawah tanah bertembung dengan tren lain di Seoul semalam.
Kejadian itu menambah satu lagi episod malang yang berlaku ke atas Korea Selatan hanya dalam tempoh dua minggu.
Bagaimanapun, tiada orang yang terbunuh apabila tren berkenaan merempuh tren lain di sebuah stesen bawah tanah.
Korea Selatan pada masa ini masih berkabung ekoran kemalangan feri pada 16 April lalu yang menyebabkan 226 daripada 476 orang mati manakala 76 mangsa masih hilang.
Dalam nahas tren pada waktu tengah hari semalam itu, kebanyakan penumpang mengalami luka ringan manakala seorang mengalami pendarahan otak.
Seorang pegawai kecemasan di stesen Sangwangsimni di timur Seoul berkata, seorang lagi mangsa mengalami keretakan tulang.
Menurut seorang pegawai Metro Seoul, Chung Soo-young, nahas itu disebabkan oleh kegagalan isyarat dikeluarkan menyebabkan tren tersebut merempuh sebuah tren lain.
“Saya tercampak mungkin dua atau tiga meter. Ia seperti kita tiba-tiba tersadung ketika kita berlari terlalu laju,” kata seorang pekerja yang menaiki tren itu , Lee Dong-hyeon, 26.
Kira-kira 4.5 juta penumpang menggunakan tren di Seoul pada setiap hari. – Reuters
3 Maut, 30 Tertimbus Lombong Runtuh
BOGOTA – COLOMBIA. Tiga terbunuh dan lebih 30 lagi dikhuatiri maut akibat tertimbus selepas berlaku runtuhan lombong di barat Colombia, semalam.
Ketua Bomba dan Penyelamat Cauca Victor Claros berkata, sejurus tiba di tempat kejadian pasukannya mengeluarkan tiga mayat.
“Usaha menemui mereka yang terselamat tipis kerana masih ramai terperangkap di bawah lombong emas sedalam 20 meter itu,” katanya.
Menurutnya, kejadian berlaku di lombong terletak di pinggir Bandar Santander de Quilichao, di mana mangsa dikatakan menggali lombong tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Colombia mempunyai lebih 14,000 lombong dengan lebih separuh diusahakan tanpa permit, laporan dipetik dari AFP.
Mula-Mula Hanya Oral Seks, Akhirnya Kena Rogol!
SABAK BERNAM – Keinginan pelajar tingkatan empat berseronok dengan teman lelaki sehingga sanggup ponteng sekolah, akhirnya bertukar detik hitam apabila dia dirogol lelaki itu di sebuah rumah di Sungai Besar, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Muhammad berkata, mangsa, 16, dipercayai dirogol temannya lelaki itu antara jam 8 hingga 11 pagi di rumah bapa suspek yang ketika itu tiada di rumah kerana bekerja.
Menurutnya, kesempatan itu digunakan sepenuhnya suspek untuk membawanya ke rumah dan kemudiannya bertindak merogol mangsa yang baru dikenalinya kira-kira sebulan lalu.
“Lelaki yang mengenali mangsa melalui rakannya dipercayai pernah melakukan seks oral beberapa kali sebelum ini, namun mengakui baharu pertama kali melakukan hubungan seks dengan mangsa,” katanya.
Bagaimanapun, Noor Mushar berkata, perbuatan lelaki berusia 19 tahun itu terbongkar selepas kakak mangsa mengesyaki sesuatu berlaku kepada adiknya selepas seorang rakan mangsa menghubunginya memaklumkan mangsa tidak ke sekolah.
Katanya, suspek yang menghantar mangsa di rumah selepas waktu persekolahan, tidak menyangka perbuatannya itu berjaya dihidu kakak mangsa.
“Mangsa yang masuk ke rumah kemudiannya didesak kakaknya beberapa kali sebelum mengaku tidak ke sekolah dan dirogol lelaki berkenaan,” katanya.
Noor Mushar berkata, kakak mangsa yang terkejut dengan pengakuan adiknya itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam bagi memaklumkan kejadian terbabit.
“Polis mereman suspek yang bekerja sebagai mekanik bermula 29 April lalu sehingga 6 Mei ini untuk membantu siasatan lanjut,” katanya. – Sinar Harian Online
GAMBAR: Perkahwinan Jerico Rosales
Selepas lapan bulan bertunang, pelakon Filipina yang dikenali ramai di Malaysia, Jericho Rosales selamat mengahwini model dan hos TV, Kim Jones Boracay, kelmarin.
Perkahwinan pasangan ini dibuat bertemakan pantai dan meluncur yang diketahui merupakan aktiviti kegemaran Rosales.
Rosales bertemu Jones buat kali pertama di satu majlis makan malam anjuran rakan pelakonnya, Dominic Ochoa.
Selepas keluar dating selama dua bulan selepas perkenalan pertama tersebut, mereka kemudiannya mengikat tali pertunangan.
Dalam satu temubual bersama majalah Rappler Februari lalu, Rosales membayangkan dirinya seorang yang romantis dan amat disayangi Boracay.
Berikut adalah gambar-gambar sepanjang majlis Rosales -Boracay yang dikongsikan tetamu di majlis besar pasangan sama cantik dan sama padan ini.
Najib Dan Obama Ber-SELFIE Dalam ‘The Beast’
Rasanya bukan rahsia lagi, Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai hobi sama seperti Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama yang gemar melakukan selfie.
Ahad lalu ketika kunjungan Obama ke Malaysia, Najib telah memuatnaik gambar mereka berdua ber-selfie bersama di Twitter yang kemudiannya mendapat banyak retweet.
Ternyata, bukan itu sahaja gambar selfie kedua-dua pemimpin ini sepanjang tiga hari kunjungan Obama tempoh hari.
Najib dan Obama rupa-rupanya turut sempat mengambil gambar bersama ketika berada dalam kenderaan rasmi Presiden AS yang digelar ‘The Beast’.
Kemungkinan besar gambar yang dipercayai diambil perdana menteri kita ini bagi merakam kenangannya dalam kenderaan hebat tersebut bersama rakan sejawat.
Kelihatan dalam gambar Obama tersenyum lebar manakala Najib agak ‘kontrol macho’. Comel je kan?
Wanita Maut, Adik Parah Kenderaan Rempuh Lembu
DUNGUN – Seorang wanita maut manakala adik perempuannya parah selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka merempuh seekor lembu di Kilometer 337 Lebuhraya Pantai Timur II, dekat Ladang Limau Madu di sini, awal pagi tadi.
Kamariah Ismail, 54, dari Kampung Sat Tengah Tanah Merah, Kelantan meninggal dunia di tempat kejadian manakala adiknya Che Ana, 52, dihantar untuk rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
Ketua Polis Daerah Dungun Deputi Superintendan Ahmad Zailani Yaacub berkata, kejadian kira-kira 3.30 pagi itu berlaku setelah kenderaan yang dipandu menantu Kamariah, Muhamad Akami Mahasan, 27, gagal dikawal selepas merempuh seekor lembu yang berkeliaran di lebuh raya itu.
Kenderaan itu kemudian melanggar pembahagi jalan lalu terbalik, katanya ketika dihubungi di sini.
Menurutnya Muhamad Akami, anaknya Nor Abby Rania, 9 bulan, Saedah Ismail, 45, dan Rosmira Mohd, 38, tidak cedera tetapi isteri Muhamad Akami, Salasiah Sukri, 28, cedera ringan di tangan.
Keluarga itu dalam perjalanan untuk melawat adik Kamariah, yang menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, Pahang. – BERNAMA
Sindrom Tagih Air Ketum Makin Teruk, Haramkan Segera Penanamannya!
KANGAR – Timbalan Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Perlis, Sabri Ahmad berharap Kerajaan Pusat akan menggubal undang-undang untuk mengharamkan penanaman daun ketum bagi mengelak rakyat terus menderita akibat ketagihan.
Sabri berkata, di negeri itu daun ketum juga dijual kepada penduduk di negara jiran yang sanggup masuk ke negeri ini untuk menyeludup daun ketum.
Katanya, segelintir penduduk yang menanam daun ketum di negeri ini menjadi kaya raya sehingga dapat membina sebuah rumah besar hasil jualan daun ketum.
“Pihak kami memandang serius kegiatan menanam daun ketum yang ditanam secara berleluasa terutama di kawasan kampung sehingga menyumbang kepada peningkatan jumlah penagih air ketum.
“Ketagihan air ketum menyebabkan ramai anak muda termasuk orang dewasa mahupun orang tua sanggup berhabis duit untuk mendapatkan air ketum tersebut.
“Selain itu, ketagihan air ketum juga boleh menyebabkan runtuhnya institusi keluarga, malah menyebabkan gangguan kesihatan,” katanya semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pemadam Daerah Kangar ke 19 di sini, kelmarin.
Sabri yang juga Exco Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan kepenggunaan, Pengangkutan, Pembangunan Wilayah, Koridor, Kawasan Pertumbuhan Baru, Bandar Baru berkata, pihaknya akan menyokong segala usaha kerajaan bagi membasmi ketagihan daun ketum.
Kelmarin, semasa sidang Dun di sini, Menteri Besar Azlan Man (BN-Pauh) dalam jawapan bagi menjawab soalan tambahan Khaw Hock Kong (BN-Titi Tinggi) berkata kerajaan Perlis telah mengusulkan kepada kerajaan persekutuan agar kesalahan bersabit daun ketum dimasukkan di bawah akta dadah berbahaya sebagai usaha membendung penyalahgunaan tumbuhan itu. – Sinar Harian Online
Jangan Cuba Rekrut Anak Muda Kita Jadi Pengebom Berani Mati – KPN
KUALA LUMPUR – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yakin undang-undang negara sedia ada mampu menangani ancaman kumpulan militan yang mula menular di Malaysia.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata undang-undang berkenaan bertambah kukuh setelah pindaan dibuat terhadap Kanun Keseksaan yang berkuat kuasa baru-baru ini, selain prosedur khas untuk mencegahnya mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
“Kita telah memberkas 11 anggota kumpulan militan yang kita percaya memberi ancaman kepada keselamatan dan ketenteraman negara.
“Ada beberapa lagi sasaran yang sedang kita pantau, dan kita akan tangkap (mereka) sedikit hari lagi,” katanya dalam sidang media selepas tamat acara menembak bersama media di Lapang Sasar Markas Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras di sini, Sabtu.
Beliau turut mengingatkan anak-anak muda supaya tidak terpengaruh dengan ajakan pihak tertentu untuk menyertai kumpulan militan mereka.
“Saya memberi peringatan kepada anak muda supaya jangan terikut dengan dakyah atau pujukan anggota-anggota kumpulan militan tetapi apa yang lebih penting kita perlu mengutamakan keselamatan negara dahulu,” katanya.
Beliau juga mengeluarkan amaran kepada kumpulan militan supaya tidak merekrut anak muda negara ini untuk menyertai kumpulan itu.
“Jangan cuba merekrut anak-anak muda kita untuk sama-sama menjadi pengebom berani mati dan sebagainya…jangan mengancam keselamatan rakyat dan negara kita. Bila ada unsur-unsur itu (mengancam keselamatan negara), kita akan bertindak,” tegas beliau.
Ketika ditanya pemberita berhubung pembabitan seorang lelaki bergelar ‘ustaz’ dan rakannya yang merupakan seorang anggota kumpulan muzik terkenal dalam kumpulan militan itu, Khalid berkata pihaknya tidak mahu menunding jari tetapi akan meneruskan siasatan terhadap sesiapa yang mempunyai kaitan dengan kumpulan itu.
“Kita tidak mahu tumpukan kepada sesiapa atau tuduh siapa dalang kerana siasatan dijalankan terhadap sesiapa sahaja yang mempunyai kaitan,” katanya.
Menurutnya PDRM turut mengenal pasti Syria dan Filipina sebagai antara negara yang mempunyai rangkaian militan.
Pada 28 April lepas, sembilan individu termasuk seorang wanita berusia antara 22 dan 55 tahun yang dipercayai terlibat dengan kegiatan militan ditahan Polis Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Bukit Aman.
Tiga daripada mereka ditahan di Kedah dan enam di Selangor.
Keesokannya, polis menahan seorang lagi anggota militan ditahan di sini dan seorang lagi ditahan di ibu negara petang semalam.
– BERNAMA
Belasah Ayah Sendiri Sebab Ditegur Buat Maksiat
Ampang – “Anak derhaka! Tergamak dia menghempuk kepala saya dengan kerusi hingga cedera teruk,” luah seorang lelaki warga emas yang hanya ingin dikenali sebagai Murad, 87, selepas dipukul oleh anak perempuannya sendiri.
Murad yang tinggal bersama anak perempuannya berusia 50-an mendakwa turut dihamburkan kata-kata kesat susulan tindakannya menegur perbuatan sumbang anaknya itu bersama bekas menantu di kediamannya di sini.
Menurutnya, kejadian berlaku pada jam 8 malam Selasa lalu, apabila dia mendapati anak perempuannya itu masih ‘bermesra’ dengan bekas suami walaupun mereka sudah bercerai.
“Saya yang tidak tahan melihat gelagat mereka bertindak menegur dan menasihati anak saya itu. Bagaimanapun niat baik saya itu dibalas dengan hamburan kata-kata kesat.
“Tidak cukup dengan itu, dia turut membaling botol minuman ke arah saya sebelum mencapai kerusi kayu berhampiran. Kerusi itu kemudian dipukul sekuat hati ke arah belakang tubuh dan kepala saya,” katanya. – myMetro Online
Tak Padan Dengan Tua, Sanggup Bertumbuk Demi Pelacur!
Seorang pesara berusia 88 tahun yang hilang upaya dihadapkan ke mahkamah selepas menumbuk seorang pekerja rumah kebajikan yang menghalangnya daripada bertemu seorang pelacur.
Kejadian bermula apabila Francis Maples tidak mengizinkan pelacur bernama Terri-Lee Pearce, 31, daripada melawatnya di rumah kebajikan hingga menaikkan kemarahan Allan Thipthorpe.
Maples tidak mengizinkan Pearce bertemu Thipthorpe selepas wanita itu didapati mengikis wang simpanan warga emas tersebut sebanyak £5,000 (RM27,551) namun pesara berkenaan menganggap terpulanglah kepada dia bagaimana mahu membelanjakan wangnya.
Bagi mempertahankan tindakannya, Thipthorne cuba memberitahu Maples bahawa pelacur tersebut ‘menggembirakannya’ tidak hanya menggunakan Viagra tetapi juga memberi penjagaan yang menyenangkan.
Bagaimanapun apabila pendapatnya disangkal, Thipthorne naik angin lalu menggagahkan diri untuk bangkit dari kerusi roda sebelum memukul Maples membuatkan satu laporan polis dibuat terhadapnya.
Ketika membela diri di mahkamah, Thipthorne menyatakan dia masih tertarik dengan wanita walaupun sudah berusia 88 tahun dan adalah menjadi haknya untuk berseronok dengan wang yang ada memandangkan hayatnya sudah tidak tinggal lama.
Trend Selfie Gadis Remaja Dengan Tuala Wanita
Aduh, semakin popular perbuatan mengambil gambar sendiri atau selfie maka semakin banyak trend tidak masuk akal diperkenalkan.
Terbaru, gadis remaja di China dilihat gemar melakukan selfie sambil memegang tuala wanita sebelum memuatnaik gambar tersebut di media sosial Weibo.
Perangai tak senonoh begini membuatkan ramai ibu bapa melahirkan kebimbangan terhadap moral anak gadis negara tersebut pada zaman sekarang yang tampak kian hilang sifat malunya.
Harap-harap perangai bukan-bukan begini tidak merebak ke Malaysia hendaknya..
Lebih 2,000 Disahkan Terbunuh Di Afghanistan Sebab Tanah Runtuh
KABUL – Lebih 2,100 orang disahkan terkorban selepas tanah runtuh melanda perkampungan terpencil di timur laut Afghanistan, kata jurucakap gabenor daerah, hari ini.
“Lebih 2,100 orang daripada 300 keluarga terkorban,” kata jurucakap pejabat Gabenor Badakhstan, Naweed Forotan.
Ketika ini operasi menyelamat dijalankan bagi mencari penduduk kampung yang mungkin tertimbus.
Pasukan kecemasan yang pertama tiba di tempat kejadian ialah dari wilayah Badakhshan sudah mula menggali di celah batu dan lumpur.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pasukan tentera diketuai Nato juga bergegas untuk memperbaiki kerosakan dan menghulurkan bantuan.
Dilaporkan kejadian tanah runtuh berpunca daripada hujan yang berlarutan sejak beberapa hari lalu.
ATC Vietnam Silap Tidak Hubungi MH370 Lebih Awal
Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azaharuddin Abdul Rahman (gambar) mendedahkan petugas di menara kawalan trafik udara (ATC) Ho Chi Minh City, Vietnam didapati melanggar protokol apabila bertindak menghubungi pesawat MH370 hanya 17 minit selepas ia gagal dikesan radar pada 8 Mac lalu.
Mereka sepatutnya berbuat demikian sebaik sahaja pesawat tersebut tidak berhubung dengan menara berkenaan dalam tempoh 5 minit.
Pada jam 1.19 pagi hari berkenaan, menara kawalan Kuala Lumpur telah mengarahkan MH370 menukar frekuensi ke Ho Chi Minh tetapi menara kawalan Vietnam itu hanya menghubungi pesawat pada jam 1.38 pagi selepas mereka tidak menerima sebarang isyarat hubungan.
Azharudin mendedahkan dalam sidang media semalam, sebaik sahaja MH370 melepasi titik Igari di Laut China Selatan pada hari kejadian maka pesawat tersebut berada di bawah tanggung jawab menara kawalan Vietnam.
Kelmarin, Putrajaya telah mengeluarkan laporan oleh Panel Penyiasat Bebas Antarabangsa berkaitan misteri kehilangan MH370 yang kini memasuki hari ke 56.
Selain kelewatan menara kawalan udara Vietnam bertindak, isi laporan yang turut menarik perhatian ramai adalah kelewatan selama empat jam untuk mengaktifkan sistem menyelamat penerbangan selepas MH370 hilang dari radar pada 1.21 pagi, 8 Mac lepas.
Sumber: Malay Mail Online
MH370: PDRM Tidak Akan Keluar Hasil Siasatan Ketika Ini
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) buat masa ini tidak merancang untuk mengeluarkan sebarang hasil siasatan berhubung kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata perkara itu termasuklah empat aspek siasatan iaitu rampasan, sabotaj, masalah psikologi dan masalah peribadi penumpang serta anak kapal.
“Oleh kerana siasatan masih dijalankan, kita tidak akan beritahu apa-apa hasil kedapatan siasatan yang kita ada sekarang ini,” katanya dalam sidang media selepas tamat acara menembak bersama media di Lapang Sasar Markas Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras di sini, Sabtu.
Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin dan Pengarah Jabatan Logistik Polis Bukit Aman Datuk Zulkifli Abdullah.
Beliau turut berkata sehingga semalam, pihaknya merekodkan 311 keterangan termasuk daripada keluarga mangsa terbabit.
Penerbangan MH370 membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang daripada imbasan radar ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam.
Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.
Gerakan mencari melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudiannya difahamkan ia telah melencong daripada laluan asalnya dan berakhir di selatan Lautan Hindi.
Sementara itu, berhubung kejadian penculikan di Singamata Adventures Reef and Resort di Semporna, April lepas, Khalid berkata pihaknya masih berhubung dengan rakannya di China dan Filipina.
“Mangsa selamat dan kita sedang lakukan semua yang mungkin dan mampu untuk selesaikannya,” katanya.
Pada 2 April lepas, sekumpulan tujuh lelaki bersenjata menceroboh Singamata Adventures Reef and Resort dan menculik dua wanita iaitu Gao Hua Yuan, 29, dari Shanghai, China dan seorang pekerja resort warga Filipina, Marcy Dayawan, 40.
– BERNAMA
MAS Minta Media Tidak Dedah Jumlah Pampasan
Malaysia Airlines (MAS) meminta pihak media agar tidak mendedahkan jumlah pampasan yang diberikan kepada keluarga penumpang pesawat MH370 yang hilang bagi mengelak kemungkinan berlaku ancaman keselamatan.
Naib Presiden Kanan Komunikasi Strategik MAS, Datuk Najmuddin Abdullah berkata anggota keluarga penumpang turut membuat permintaan yang sama.
“Malaysia Airlines tidak mendedahkan sebarang maklumat mengenai jumlah pampasan seperti yang diperoleh oleh media dan kami percaya ia diperoleh dari sumber lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini Sabtu.
Oleh itu MAS memohon kerjasama media agar menarik balik segala artikel yang diterbitkan yang menyatakan jumlah pampasan.
Jumlah itu, katanya hanya akan diberitahu kepada keluarga penumpang dan dilakukan para kaunselor MAS dan menambah adalah penting pihak media menghormati keselamatan dan privasi keluarga penumpang.
Terdapat lebih 1,000 anggota keluarga di bawah penjagaan MAS dan keutamaan syarikat penerbangan negara itu adalah bagi membantu mereka, katanya.
Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju Beijing kira-kira sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang pada 8 Mac.
- BERNAMA
No comments:
Post a Comment