Wednesday, May 28, 2014

Berita Terkini 28 May 2014

Rumah pensyarah dipecah masuk
Keadaan salah satu bilik yang diselongkar penjenayah.
Keadaan salah satu bilik yang diselongkar penjenayah.
KRUBONG - Seorang Pensyarah Politeknik Kota Melaka rugi kira-kira RM65,000 apabila sebuah barangan berharga termasuk kenderaan pelbagai guna (MPV) miliknya dilarikan pencuri yang memecah masuk rumahnya di Taman Krubong Jaya, dekat sini semalam. Mangsa, Muhadir Saeman, 37, berkata, dia hanya mengetahui kejadian selepas dihubungi jirannya kira-kira 12.15 tengah hari, semalam yang ternampak sebuah kenderaan jenis Perodua Alza melalui hadapan rumah teres setingkatnya. Ketika kejadian, Muhadir dan isteri, Hazwani Hamzah, 37, seorang guru di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Jasin, sudah keluar rumah sejak 7.45 pagi untuk bekerja. “Jiran yang juga merupakan rakan sekerja terdahulu memeriksa rumah saya apabila melihat sebuah Perodua Alza berwarna putih, lalu mendapati cermin tingkap di tepi rumah pecah dan geriji besi tingkap diumpil. “Dia kemudian hubungi saya di tempat kerja sebelum saya terus bergegas balik ke rumah. Dalam perjalanan, jiran turut memaklumkan Proton Exora disimpan di garaj turut lesap,” katanya. Menurutnya, dia tiba di rumah kira-kira setengah jam kemudian dan melihat pintu pagar sudah terbuka, bagaimanapun pintu rumahnya masih berkunci sebelum memeriksa di dalam rumah dan mendapati televisyen LCD 42’ tiada di ruang tamu. "Selain televisyen, komputer riba saya juga hilang. Suspek dipercayai memasuki rumah dan membawa keluar barang tersebut melalui tingkap berikutan tiada kunci pendua bagi pintu rumah. “Suspek yang dipercayai lebih seorang itu menemui kunci kereta dan kunci pagar diletakkan di atas rak berhampiran ruang makan hingga membolehkan mereka membawa lari kereta saya,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya, semalam. Muhadir berkata, tabung milik tiga anaknya berusia satu hingga enam tahun turut dilarikan penjenayah. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman mengesahkan kejadian dan memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 457/379A Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah dan curi kenderaan.

Ops Noda: 17 GRO Vietnam dicekup
Antara gadis dipercayai bekerja sebagai GRO ditahan dalam serbuan Ops Noda, kelmarin.
Antara gadis dipercayai bekerja sebagai GRO ditahan dalam serbuan Ops Noda, kelmarin.
KLANG – Seramai 17 wanita warga Vietnam dipercayai bekerja sebagai GRO dicekup dalam satu serbuan Ops Noda yang dijalankan Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, kelmarin. Operasi kira-kira jam 11 malam itu dijalankan di sebuah pusat hiburan di Bandar Baru Klang dengan kekuatan dua pegawai dan tujuh anggota. Pegawai Turus D7 IPK Selangor, Deputi Superintendan Abdul Ghaffor Ahmad berkata, pihaknya menahan dua lelaki tempatan. “Seorang daripadanya dipercayai penjaga premis, manakala seorang lagi ditahan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.Kesemua yang ditahan berusia 19 hingga 31 tahun,” katanya. Menurutnya, siasatan awal mendapati premis tersebut mempunyai lesen. Serbuan kira-kira tiga jam itu mendapati wanita berkenaan mengenakan pakaian seksi bagi menarik pelanggan. Katanya, sebahagian daripada wanita terbabit didapati masuk ke negara ini tanpa dokumen yang sah dan sebahagian lagi menyalahgunakan permit pekerjaan sedia ada. “Mereka akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut,” katanya. Kes disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen, Seksyen 39 (b) Peraturan Imigresen, Seksyen 6(1) Akta Imigresen dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Selangor kibar bendera separuh tiang

SHAH ALAM - Bendera negeri Selangor akan dikibarkan separuh tiang bermula hari ini sebagai tanda berkabung atas kemangkatan Sultan Perak Sultan Azlan Shah hari ini. Dalam satu kenyataan ringkas di sini, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata pengibaran bendera separuh tiang itu akan berlangsung sehingga hari pemakaman esok. Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengumumkan kemangkatan Sultan Azlah Shah, 86, secara langsung menerusi TV1, Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada pukul 3.40 petang tadi. Baginda mangkat pada pukul 1.30 tengah hari dan akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas solat Asar esok. - Bernama

Suami mahu pulang teman periksa kandungan, insiden tembak di Lahad Datu
Foto
LOKASI kejadian di hadapan premis di pekan Lahad Datu. FOTO Mohd Ridzal Abdullah
PASIR PUTEH - Balu anggota tentera yang maut dalam insiden tembakan di pekan Lahad Datu, Sabah, awal hari ini tidak menduga permohonan maaf berulang kali suaminya adalah petanda beliau akan pergi buat selama-lamanya. Norhidayah Hasbullah, 27, berkata arwah suaminya Lans Koperal Muhammad Fiffixezafey Mat Husin, 28, memohon maaf semasa menghubunginya menerusi telefon malam tadi kerana tidak dapat menemaninya membuat pemeriksaan kandungan di hospital. "Suami hubungi saya pukul 10 malam tadi bertanyakan tentang kandungan dan mohon maaf berulang kali kerana tidak dapat ke hospital bersama-sama saya," katanya ketika ditemui pemberita di rumah ibu mentuanya di Kampung Gong Guchil, Sungai Petai, di sini hari ini. Norhidayah yang hamil anak pertama mereka, berkata kandungannya yang baru berusia tiga bulan mengalami masalah dan memerlukan rawatan secara berkala di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian. "Suami mahu saya membuat laporan di kem tentera di sini memohon agar dia dibenarkan pulang atas faktor kesihatan saya, tapi saya tidak dapat berbuat demikian," katanya. Dalam kejadian 4.45 pagi tadi, Muhammad Fiffixezafey meninggal dunia di Hospital Lahad Datu selepas terkena tembakan di bahagian kiri dada yang dipercayai dilepaskan oleh seorang lagi anggota tentera. Dua orang awam turut cedera dalam kejadian itu yang berlaku semasa anggota tentera terbabit keluar melakukan rondaan Ops Sanggah. Menurut Norhidayah arwah juga pernah ditawar bertugas di Dubai selama sembilan bulan, namun terpaksa menolak atas faktor kesihatan kandungannya. Sementara itu, ibu Muhammad Fiffixezafey, Norma Mohammad, 50, berkata Allahyarham merupakan anak kedua daripada lima beradik dan seorang yang pendiam. "Kami terima khabar kematiannya pada 6.45 pagi tadi. Allahyarham ada menelefon saya tiga malam lepas mengingatkan saya agar makan ubat darah tinggi dan gastrik," katanya. Jenazah Muhammad Fiffiexzafey dijangka dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Gong Tinggi berhampiran Kem Tentera Udara Diraja Gong Kedak lewat hari ini. - Bernama

Aduan sifar terhadap salah laku pegawai SPRM
SPRM
KUALA LUMPUR - Aduan salah laku dan salah guna kuasa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menurun secara mendadak sehingga mencapai angka sifar tahun lalu. Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mustafa Ali berkata aduan salah laku menurun kepada 12 kes pada 2009 berbanding 26 kes pada 2008, 12 kes (2009), satu kes (2011), dua kes (2012) dan sifar (2013). Beliau berkata antara penambahbaikan yang dilihat memberi impak positif dalam meningkatkan profesionalisme kerja-kerja siasatan pihaknya ialah melalui pengenalan Bilik Temu Bual Bervideo (VIR). "Penggunaan VIR telah menyumbang kepada peningkatan kualiti kerja siasatan kami dan melalui adanya teknologi canggih untuk merakam segala perbuatan atau percakapan oleh suspek, maka kami dapat menyelesaikan tomahan orang ramai bahawa kami bertindak ganas ketika menjalankan siasatan. "Ia juga menunjukkan ketelusan SPRM ketika menjalankan siasatan," katanya kepada Bernama pada 'Bengkel Kewartawanan: Bersama SPRM Perangi Rasuah' di kompleks pejabat SPRM KL semalam. Mustafa berkata setakat ini SPRM dilengkapi 48 VIR di semua pejabatnya di seluruh negara, yang kos setiap satu VIR bernilai antara RM140,000 hingga RM200,000. Antara inisiatif lain yang digunakan ialah penubuhan Bilik Gerakan Operasi Siasatan (BGOS) yang bertindak bagi menjalankan siasatan dengan lebih sistematik, efisien dan tangkas. "Siasatan secara berpasukan ini telah memendekkan tempoh masa untuk menjalankan siasatan," katanya. Mengenai prestasi kerja SPRM, beliau berkata pada 2012, sebanyak 69.91 peratus kertas siasatan berjaya disiapkan dalam tempoh satu hingga tiga bulan dan 99.34 peratus dalam tempoh enam bulan. Kadar keyakinan masyarakat terhadap SPRM juga meningkat kepada kira-kira 66 peratus tahun lepas berbanding kira-kira 31 peratus pada 2009, tambahnya. - Bernama

Piala Dunia: Jualan produk tiruan dipantau
KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memperketat penguatkuasaan ke atas penjualan jersi dan alat sukan tiruan melalui pemantauan dan operasi berikutan demam kejohanan bola sepak Piala Dunia 2014. Pengarah Penguatkuasa KPDNKK, Mohd Roslan Mahayudin berkata kepada Bernama bahawa pihaknya memandang serius aktiviti penjualan barangan tiruan kerana ia menyalahi perundangan negara disebabkan barangan tersebut tidak mempunyai lesen sah untuk dijual kepada umum. "Pengedaran dan penjualan barangan tiruan boleh dihukum di bawah Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011 yang memperuntukkan denda maksimum untuk syarikat sehingga RM15,000 bagi setiap barang. "Manakala individu dikenakan denda RM10,000 bagi setiap barang atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya. Bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, mereka boleh didenda di bawah akta sama tidak melebihi RM30,000 bagi setiap barang untuk syarikat, manakala bagi individu pula boleh dikenakan denda RM20,000 bagi setiap barang atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya. Mohd Roslan berkata selain mencuri hak cipta, penjualan barangan tiruan juga merugikan negara kerana tidak dapat mengutip hasil cukai jualan barangan itu. Beliau berkata bagi musim piala dunia di Afrika Selatan pada 2010, sebanyak 429 kes rampasan telah dibuat di seluruh negara dengan anggaran barangan bernilai RM3.2 juta. "Daripada jumlah nilai rampasan itu, kerajaan mungkin kehilangan hasil cukai antara RM3 dan 4 juta," katanya. Sehubungan itu, katanya pihak KPDNKK menasihati orang ramai supaya tidak membeli dan menyokong produk tiruan kerana ia tidak berbaloi dari segi kualiti dan harga serta setiap pembeliannya adalah sama seperti menyokong kegiatan individu atau sindiket yang melanggar undang-undang. Beliau berkata produk tiruan boleh dikenal pasti dengan mudah melalui perbezaan harga yang jauh lebih murah berbanding dengan barangan asal. Malah Mohd Roslan berkata pihaknya bersedia memberikan kerjasama kepada pemilik atau wakil cap dagang dalam membendung barangan dan peralatan sukan tiruan sempena kejohanan tersebut di Brazil yang bermula 12 Jun ini. Malangnya kekurangan aduan daripada pihak pemilik atau wakil cap dagang menyukarkan lagi usaha pihak KPDNKK dalam membendung isu ini kerana pihak KPDNKK hanya boleh membuat serbuan apabila mereka menerima aduan daripada pemilik cap dagang, katanya. Tinjauan Bernama di Petaling Street di sini mendapati barangan tiruan seperti jersi, topi dan seluar dalam yang mempunyai logo Piala Dunia 2014 Brasil dijual secara berleluasa. Jersi tiruan yang mempunyai logo FIFA dan negara yang diwakili dijual dengan harga semurah antara RM15 hingga RM25 bergantung kepada kebolehan tawar menawar pembeli. Berdasarkan tinjauan tersebut, antara jersi piala dunia yang banyak dijual ialah jersi pasukan kebangsaan Brazil, Sepanyol, Itali, Jerman, England, Jepun dan Argentina. Selain itu, kasut-kasut sukan daripada jenama popular juga dijual dengan harga murah, iaitu sekitar RM50 hingga RM100. Seorang pembeli, yang enggan dikenali berkata bahawa dia gemar membeli jersi dan kasut tiruan kerana harga yang murah dan kualiti produk tersebut hampir sama dengan produk asalnya. - Bernama

Berputih mata kerana black money
Bekas Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan (tengah) menunjukkan sijil-sijil dan duit black
money yang dihasilkan oleh sindiket untuk menipu
Bekas Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan (tengah) menunjukkan sijil-sijil dan duit black money yang dihasilkan oleh sindiket untuk menipu
ISU penipuan melibatkan warga asing tidak pernah lapuk, malah golongan penipu ini semakin hari semakin kreatif serta profesional dalam kerjaya yang sentiasa menjanjikan wang lumayan serta kemewahan dalam masa yang singkat. Penjenayah semakin bijak mempelbagaikan taktik penipuan mereka, namun kebanyakan mangsa di negara ini pula semakin hari semakin alpa dan seolah-olah tidak mengetahui langsung mereka sedang ditipu. Hanya kerana sikap tamak serta gelap mata dengan wang lumayan dijanjikan suspek, kebanyakan daripada kita secara rela hati menyerahkan semua wang dimiliki, malah ada yang sanggup berhutang dengan ah long demi mencapai matlamat palsu yang dicipta suspek. Penipuan black money bukanlah jenis penipuan yang asing pada pendengaran kita. Sudah ramai mangsa yang mendedahkan pengalaman mereka ditipu termasuk taktik digunakan suspek. Namun masih ramai di kalangan kita yang terus terjerat. Mereka bukan sahaja menjadi mangsa tipu, malah turut menjadi hamba hutang dan hidup dalam ketakutan selepas kerugian mencecah ratusan ribu ringgit. Ikuti kupasan Modus Operandi minggu ini.
Latar belakang
Suspek menghasilkan sendiri black money atau not palsu dalam bentuk pound sterling dan mata wang ASD. Mempunyai ketua sindiket di negara ini yang akan menyewa mana-mana rumah untuk dijadikan tempat memproses wang palsu. Mempunyai ejen terdiri daripada kalangan warga Afrika yang ditugaskan untuk bertemu dan menipu mangsa di hotel tertentu sekitar ibu negara. Mempunyai mesin memproses black money, peti keselamatan, cecair kimia untuk mencuci black money. Suspek kerap keluar masuk negara dengan menggunakan pas pelancong.
Modus operandi
1. Suspek akan mencari mangsa secara rawak di laman Facebook, berpura-pura untuk berkenalan. Suspek kemudiannya cuba memikat hati mangsa dengan pujian serta kata-kata manis sehingga mangsa terpedaya dan jatuh cinta.
2. Setelah misi menjerat mangsa berjaya, suspek akan meminta bantuan mangsa untuk membantu melepaskan wang miliknya yang kononnya ditahan oleh diplomat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
3. Suspek akan memujuk mangsa untuk meminjamkan wang dalam jumlah tertentu dan berjanji memberi sebahagian wang dalam bentuk pound sterling kepada mangsa.
4. Setelah mangsa bersetuju untuk meminjamkan wang, suspek akan mengajak mangsa bertemu di hotel tertentu sekitar ibu negara.
5. Suspek akan menghantar individu lain yang merupakan ejen dilatih untuk berjumpa sekali gus menipu mangsa.
6. Ejen sindiket akan memberitahu mangsa, duit yang dipinjamkan boleh digandakan dalam bentuk pound sterling atau mata wang ASD.
7. Ejen itu akan menunjukkan cara mencuci wang, sebelum menyerahkan beberapa keping not mata wang ASD kepada mangsa.
8. Suspek sebenarnya menggunakan taktik kotor kerana wang yang diberikan kepada mangsa bukan wang yang dicuci, sebaliknya sudah ditukarkan dengan wang yang asli.
9. Suspek kemudiannya menyuruh mangsa membawa wang diberikan untuk diperiksa di kedai pengurup wang bagi memastikan wang itu adalah asli atau tidak.
10. Selepas pengurup wang mengesahkan wang tersebut adalah asli, mangsa yang percaya akan menyerahkan wang tunai yang kononnya hendak dipinjam suspek.
11. Suspek akan menyerahkan black money (kertas kosong berwarna hitam berbentuk empat segi) yang belum dicuci kepada mangsa untuk dibawa balik.
12. Apabila mangsa mencuci kertas itu seperti yang diajar suspek, ia kekal berwarna hitam dan tidak bertukar menjadi wang asli seperti ditunjukkan.
13. Suspek kemudiannya menghilangkan diri bersama wang yang dipinjamkan mangsa.
Faktor ramai mangsa kecundang
-Perasaan tamak
-Cepat mempercayai kata-kata individu baru dikenali
-Tidak berfikir panjang
-Tidak cuba mendapatkan pandangan pihak ketiga

Dua NGO lapor salah laku pegawai kanan polis
Koordinator Jingga 13, Fariz Musa (tengah) dan Pengerusi MyWatch, R. Sri Sanjeevan (dua, kanan) membuat laporan salah laku rasuah pegawai kanan polis di ibu pejabat SPRM, Putrajaya, hari ini. - Foto Sinar Harian Online oleh NIZAM ZAIN
Koordinator Jingga 13, Fariz Musa (tengah) dan Pengerusi MyWatch, R. Sri Sanjeevan (dua, kanan) membuat laporan salah laku rasuah pegawai kanan polis di ibu pejabat SPRM, Putrajaya, hari ini. - Foto Sinar Harian Online oleh NIZAM ZAIN
PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Badan Pemantau Jenayah MyWatch dan Jingga 13 hari ini membuat satu laporan Suruhanjaya Pencengahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung salah laku rasuah didakwa melibatkan seorang pegawai kanan polis di sebuah pulau peranginan. Pengerusinya MyWatch, R.Sri Sanjeevan mendakwa beliau juga menyerahkan beberapa bukti salah laku tersebut kepada pihak SPRM yang diperolehi daripada seorang pegawai kanan polis lain yang identitinya dirahsiakan. "Sebagai pegawai kanan, beliau telah campur tangan dalam dua kes jenayah dengan bertujuan melindungi beberapa sindiket Cina. "MyWatch dan Jingga 13 mendesak SPRM menyiasat segala rasuah dan salah laku pegawai polis tersebut. Sepanjang siasatan dijalankan, kami mencadangkan beliau diberikan cuti sehingga siasatan selesai dijalankan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan ibu pejabat SPRM, di sini, hari ini. Beliau berkata demikian mengulas lanjut akuan bertulis daripada seorang pegawai kanan polis yang mendakwa seorang pegawai polis berjawatan tinggi terlibat dengan salah laku rasuah termasuk menerima suapan sebanyak RM15,000 untuk melindungi pemilik sebuah pusat hiburan di sebuah pusat peranginan di negara ini. Mengulas lanjut, Sanjeevan juga mendesak Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar supaya memberi kerjasama penuh kepada SPRM untuk melicinkan siasatan ke atas pegawai tertingginya itu. “Kami juga mendesak KPN melakukan satu siasatan dalaman menerusi tata tertib PDRM ke atas pegawai terbabit...saya rasa tiba masanya KPN menangani isu rasuah dengan lebih serius. "Walaupun SPRM melakukan siasatan mereka, tetapi PDRM harus mengambil tindakan dan melakukan siasatan dalaman kerana isu yang dibangkitkan ini melibatkan pegawai-pegawai atasan mereka sendiri,” dakwanya. Tambah beliau, sudah sampai masanya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Bebas dan Salah Laku Polis (IPCMC) dengan segera untuk menyiasat salah laku rasuah khususnya melibatkan pihak polis. Sehubungan itu, beliau mendesak supaya pegawai polis terbabit ditukarkan atau diberikan cuti sehingga siasatan selesai dijalankan. "Kalau kita lihat contoh dua bulan lalu seorang pegawai berpangkat Datuk dari ibu pejabat kontinjen Kuala Lumpur yang disiasat oleh SPRM ditukarkan ke Bukit Aman. "Saya rasa itu satu contoh yang baik dan dalam isu ini, pegawai yang terlibat dan disiasat harus ditukarkan atau sekurang-kurangnya diberikan cuti sehingga habis siasatan agar dia tidak mempengaruhi siasatan ini,” katanya lagi.

Al-Sisi dijangka menang besar
Al-Sisi tiba di pusat mengundi di Heliopolis untuk membuang undi.
Al-Sisi tiba di pusat mengundi di Heliopolis untuk membuang undi.
KAHERAH - MESIR. Bekas Ketua Tentera Mesir, Abdel Fattah Al-Sisi dijangka menang besar dalam Pilihan Raya Presiden yang diadakan selama dua hari pada 26 dan 27 Mei. Sempena hari kedua mengundi iaitu semalam, pihak berkuasa telah mengisytiharkan cuti dan mengarahkan proses pengundian diadakan lebih masa bagi meningkatkan jumlah orang ramai untuk keluar mengundi. Pusat mengundi dijadualkan ditutup pada pukul 10 malam (waktu tempatan) dengan keputusan awal dijangka diumumkan awal pagi ini. Dianggarkan 53.9 juta pengundi layak mengundi dan keputusan akhir bakal diumumkan secara rasmi pada 5 Jun ini. Pilihan raya tersebut adalah yang pertama sejak penggulingan Presiden Mohamed Morsi Julai tahun lalu. - dpa

Cetak rompak: Ganjaran bagi pemberi maklumat

PUTRAJAYA - Business Software Alliance (BSA) memberi ganjaran RM20,000 kepada seorang pemberi maklumat hingga membolehkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan membuat serbuan terhadap pihak yang menggunakan perisian tanpa lesen. Dalam serbuan itu, sebuah syarikat ukur tanah berpejabat di Johor Baharu disyaki menggunakan perisian perniagaan cetak rompak dalam menjalankan urusannya. Dalam kenyataannya, BSA berkata dalam serbuan pada Januari itu, pegawai kementerian tersebut merampas tiga komputer bersama 18 salinan perisian disyaki cetak rompak bernilai kira-kira RM159,000. Pengarah kanan Program Pematuhan BSA - Asia Pacific, Roland Chan memuji tindakan berani wanita berkenaan kerana membuat laporan tentang perkara itu kepada pihak berkuasa. "Menggunakan perisian tanpa lesen yang sewajarnya untuk mengendalikan perniagaan adalah salah di sisi undang-undang di Malaysia. Sekiranya didapati bersalah, syarikat perniagaan dan/pengurusan kanan atau pengarahnya boleh dikenakan denda antara RM2,000 dan RM20,000 bagi setiap salinan perisian dan/atau hingga lima tahun penjara. "Sekarang, mereka yang melanggar peraturan itu juga mugkin dikenakan saman sivil oleh pemilik hak cipta," katanya. Chan berkata sejak awal tahun ini, BSA mengambil inisiatif hingga membolehkan 28 serbuan dilakukan terhadap syarikat yang disyaki menggunakan perisian cetak rompak. Melalui serbuan itu, 83 komputer bersama 426 salinan perisian yang disyaki cetak rompak bernilai kira-kira RM5 juta telah dirampas. "Setiap petunjuk yang diterima BSA mengenai kemungkinan melibatkan penggunaan perisian cetak rompak dan tidak berlesen dalam perniagaan akan diberi ganjaran hingga RM20,000. "Ia akan dibayar bagi setiap serbuan yang berhasil, bergantung pada saiz perniagaan, jumlah rampasan dan nilai perisian yang dicetak rompak," katanya. - Bernama

Polis Tamil Nadu dapat waran tangkap anggota ISI
NEW DELHI- INDIA. - Media India melaporkan Cawangan Q Tamil Nadu, sebuah pasukan perisikan negara, memperoleh waran tangkap pada Selasa terhadap seorang warganegara Sri Lanka yang disyaki menjadi tali barut Inter Services Intelligence (ISI) Pakistan yang ditahan polis Malaysia di Kepong, berhampiran Kuala Lumpur. Suspek ditahan pada 14 Mei. Times of India melaporkan para penyiasat berkata lelaki itu menjadi pembantu utama kepada seorang lagi warganegara Sri Lanka yang menjadi orang suruhan ISI dan ditahan polis Tamil Nadu pada 29 April. Pasukan khas Malaysia memantau pergerakan anggota ISI pertama itu sejak Disember tahun lepas dan memaklumkan kepada agensi keselamatan India bahawa lelaki itu terlibat dengan rancangan untuk melakukan serangan terhadap konsulat Amerika dan Israel di Chennai dan Bangalore. Tali barut ISI itu memberitahu polis Malaysia bahawa dia mendapat arahan supaya membunuh dua lelaki dalam serangan terhadap konsulat Amerika dan Israel di Chennai dan Bangalore. Dia juga memberitahu nama orang Pakistan yang memberi arahan kepadanya. Polis Tamil Nadu dikatakan akan meminta Central Bureau of Investigation (CBI) memulakan proses ekstradisi lelaki berkenaan. Menurut sumber laporan itu, suspek memberitahu polis Malaysia bahawa agensi perisikan Pakistan terbabit merancang menghantar dua lelaki dari Maldives ke Chennai dan Bangalore, manakala dia pula ditugaskan mengatur dokumen perjalanan serta kediaman yang selamat untuk mereka. Sejak 2012, badan perisikan Tamil Nadu mengesyaki seorang pegawai di pejabat suruhanjaya tinggi Pakistan di Colombo bertanggungjawab mengendalikan pengambilan anggota ISI dari Sri Lanka. - Bernama

IPD terbakar, OKT cuba larikan diri
Kelihatan api dan asap di bangunan pentadbiran IPD Rompin.
Kelihatan api dan asap di bangunan pentadbiran IPD Rompin.
ROMPIN - Penduduk di sekitar Bandar Kuala Rompin, di sini, gempar apabila bangunan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin terbakar sekitar jam 8.45 pagi semalam, dan menyebabkan lima daripada tujuh tahanan dalam lokap cedera parah manakala tiga anggota polis turut mengalami kecederaan. Dalam babak cemas tersebut, dua orang kena tahan (OKT) pula cuba melarikan diri dan merampas senjata, namun berjaya ditahan di depan IPD Rompin oleh anggota polis unit kereta peronda (MPV). Dua pasukan bomba seramai 15 anggota dengan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Rompin bergegas ke lokasi kejadian. Kebakaran berjaya dikawal selepas lima minit pihak bomba melakukan operasi memadam. Kesemua mangsa termasuk OKT yang cedera dalam kejadian dibawa ke Hospital Rompin untuk rawatan lanjut dengan kawalan anggota polis. Kegemparan tersebut berpunca daripada aksi latihan kebakaran (mork drill) yang melibatkan kerjasama IPD Rompin, Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Rompin, Hospital Rompin dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Cawangan Rompin itu turut menarik perhatian penduduk sekitar yang hadir untuk melihat kejadian yang berlaku. Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superitendan Johari Jahaya, berkata, latihan kebakaran ini diadakan bagi melatih anggota polis menghadapi situasi tidak dijangka. “Latihan seperti ini sangat penting kerana ia di luar dugaan atau tidak dijangka dan setiap anggota perlu faham serta tahu apa tindakan yang perlu dilakukan ketika menghadapi situasi cemas seperti ini terutama melibatkan OKT. “Lima OKT yang cedera berjaya diselamatkan manakala dua lagi cuba melarikan diri turut berjaya ditahan anggota MPV yang berkawal. Situasi berlaku pagi ini (semalam) mungkin sekadar simulasi tetapi tidak mustahil boleh terjadi dan kita mesti sentiasa bersiap sedia,” katanya. Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Rompin, Penolong Penguasa Bomba, Shamsul Affandy Sulaiman, berkata, latihan seperti ini memberi pendedahan secara praktikal dalam menghadapi situasi kebakaran. “Setiap anggota bomba dan polis serta pasukan perubatan dari Hospital Rompin memberi kerjasama yang sangat baik dan ia terbukti dalam masa yang singkat situasi dapat dikawal. Melalui latihan seperti ini, ia juga memberi ruang kepada pasukan bomba untuk memperkemas setiap tindakan dalam menghadapi situasi kebakaran,” katanya.


PPDNKK Melaka Rampas 300 Tong LPG

MELAKA – Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Melaka merampas 300 tong gas cecair (LPG) masing-masing seberat 14 kilogram yang bernilai RM21,000 daripada seorang pemborong di sebuah stor penyimpanan di Masjid Tanah di sini, semalam. Pengarahnya Muhabir Ibrahim berkata pemborong berusia 64 tahun itu didapati menyimpan 3,800 tong gas yang berat keseluruhannya 53,200 kilogram. Menurutnya pemborong itu menyimpan lebih daripada jumlah yang dibenarkan iaitu 3,500 tong berdasarkan lesen pemborong miliknya. “Serbuan dilakukan ekoran dua aduan awam diterima minggu lepas yang mengesyaki pemborong itu terlibat dalam aktiviti penyeludupan dan penyelewengan gas,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. Beliau berkata serbuan itu juga susulan Ops Titik yang dijalankan serentak di seluruh negara ketika ini dalam usaha membanteras penyelewengan petrol, diesel dan LPG. Muhabir berkata kes itu akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana tidak mematuhi syarat lesen yang memperuntukkan denda sehingga RM250,000 dan penjara tiga tahun, jika sabit kesalahan. Sumber: Bernama

Lelaki Australia Mengaku Tidak Salah Tipu Pelaburan Jual Beli Saham

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Australia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini Rabu terhadap pertuduhan menipu seorang pengarah sebuah syarikat berhubung pelaburan jual beli saham pada Oktober tahun lepas. Robert Alexander Dowling, 57, didakwa menipu dengan memperdaya Lai Pui Weng, 40, untuk mempercayai wujudnya urusan pelaburan jual beli saham dari Amerika Syarikat sehingga mendorong mangsa menyerahkan sekeping cek Standard Chartered Bank bernilai RM157,000 kepadanya. Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Taman Tun Dr Ismail pada 3.39 petang, 7 Oktober 2013. Lelaki itu yang tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Rozana Husin tidak menawarkan jaminan. Hakim Norsharidah Awang menetapkan 27 Jun ini untuk sebutan semula kes. Sumber: mStar

Pengarah Dedah Perangai Sebenar Lana, Rita, Rosnah Mat Aris

Kata-kata hikmah jangan menilai seseorang daripada luaran mungkin ada benarnya walaupun ada orang cakap ungkapan itu seakan tak relevan lagi pada masa kini. Jika melihatkan kepada penampilan daring Lana Nodin, Rosnah Mat Aris dan Rita Rudaini sebelum ini, tak siapa menyangka yang mereka rupa-rupanya sangat menjaga solat lima waktu yang menjadi kewajipan bagi seluruh umat Islam. Perkara ini didedahkan oleh pengarah drama, Shahrulezad Mohameddin yang sebelum ini pernah bekerjasama dengan tiga aktres itu dalam penerbitan drama. Menerusi status Facebook, Shahrulezad menyatakan rasa kagumnya di atas sikap Lana, Rita dan Rosnah yang sentiasa menjaga solat walaupun mengetahui rutin penggambaran drama yang sentiasa tidak menentu masanya. Disebabkan kesukaran pelakon wanita untuk mendirikan solat di lokasi penggambaran, Shahrulezad telah berpesan kepada juru mekap artis untuk memberikan laluan kepada aktres-aktres mengerjakan kewajipan mereka terlebih dahulu barulah meneruskan penggambaran walaupun pihak produksi mengejar waktu dalam menyiapkan sesuatu babak drama yang dilakonkan.

Bila lihat Lana Nordin kat skrin tv skrg buat saya rasa sedikit kagum dgn dia. Dalam segala kutukan yg dia terima disebabkan imej seksi nya itu tapi bila di set lokasi saya dia amat menjaga waktu solatnya walaupun terpaksa dimekapkan berulang ulang kali siap dgn bulu mata palsu setiap kali hendak masuk set selepas solat. Sedikit pun dia tak komplen. Rita Rudaini pun sama. Seorang yg sgt menjaga solatnya. Dia akan gelisah bila waktu solat hampir berlalu. Yer lah waktu shooting kan tak menentu dan sentiasa terkejar kejar scene. So yg selalu jadi masalah ialah artis wanita ler sbb terpaksa tergesa gesa nak buang mekap dan pakai semula.Oh yer Rosnah Mat Aris pun sama jugak dan beberapa artis artis yg lain. Kalau artis lelaki senang jer. Boleh solat di mana saja. Tapi artis perempuan ni sedikit susah. Kadang kadang terkial kial mereka fikir nak solat di mana sekiranya set ditepi jalan atau di dalam hutan. Tu yg kadang kadang ada sesetengah artis wanita terpaksa mengqadakan solat mereka bila balik rumah. Bayangkan bila penat seharian di set shoot sampai lewat malam. Balik umah kena qada solat pulak. Ada tu yg cerita dekat saya pernah sampai tertidur tidur derang dalam solat sebab keletihan. Dah tak pasal pasal kena qada balik. Kesian kan. Sebab tu saya dah pesan dengan krew saya terutamanya mekap artis supaya beri laluan pada artis artis perempuan yg nak bersolat. Memang leceh sebab nak buang mekap dan pakai semula berulang ulang kali tapi demi membantu mereka menjalankan kewajiban itu adalah tanggungjawab dan keutamaan kita. Kita akan tunggu mereka bersiap tanpa syarat walaupun kita cemas mengejar waktu. Apa apa pun saya senang dgn perubahan ini. Telah mula ramai artis artis kita yg mula menjaga solat mereka meskipun keadaan kerja mereka yang tak menentu dan selesa… Alhamdullilah… - Shahrulezad Mohameddin. Itulah jangan ingat, walaupun selebriti sentiasa dilimpahi keglamoran, jangan ingat mereka tidak patuh kepada suruhan-Nya dalam mengejar bekalan untuk akhirat kelak. Sumber: Audrey Lee / Mynewshub

Tanpa Belas, Anak Sendiri Didera Sehingga Habis Nyawa

Jika kita dipukul berulang kali serta disimbah dengan air panas tanpa rasa belas kasihan, pastinya kita akan bertindak balas memukul balik pelaku dan paling tidak pun melarikan diri. Bagaimana pula jika perbuatan sama dilakukan ke atas seorang kanak-kanak berusia baru enam tahun yang tidak mampu membalas balik, sebaliknya hanya mampu merayu. Bayangkan pula apakah kesakitan yang ditanggung si kecil apabila pelakunya bukan penjenayah tetapi ibu kandung dan bapa tirinya sendiri di dalam rumahnya sendiri yang dirasakan tempat paling selamat baginya. Itulah derita dan kesakitan yang ditanggung oleh Allahyarham Mohammad Akhil Mustaqim Rashidy, 6, yang didera ibu kandung dan bapa tirinya sendiri tanpa sekelumit pun belas kasihan. Lebih perit kesakitan dan derita saat pukulan demi pukulan singgah di kulit si kecil terpaksa ditahan sehingga saat dia menghembuskan nafasnya yang terakhir. “Mak, adik tak buat dah.. sakit,” itulah raungan terakhir Mohammad Akhil sebelum pergi selama-selamanya. Bayangkan apabila panggilan “mak” bukan lagi sebagai mengharapkan kasih sayang tetapi ia adalah panggilan merayu meminta belas supaya si emak berhenti memukulnya. Menurut sumber yang enggan dikenali, mangsa dibawa ke Hospital Ampang dalam keadaan cedera parah. “Mana tidaknya, kaki kirinya patah, seluruh badan lebam dan melecur, ada kesan baru dan lama,” katanya memetik laporan akhbar Harian Metro.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata hasil siasatan awal dilakukan pegawai penyiasat mendapati suspek utama kes berkenaan adalah bapa tiri mangsa. “Ibunya yang berusia 31 tahun dipercayai bersubahat dalam kejadian itu. “Sama ada dia diugut ataupun turut dipukul suaminya itu juga menjadi satu aspek siasatan, tetapi sehingga kini kita percaya kita percaya ibu mangsa bersubahat,” katanya. Sementara itu, jiran Allahyarham Mohammad Akhil yang hanya mahu dikenali sebagai Maria, 40, mangsa dan keluarganya baru berpindah ke kawasan perumahan itu empat bulan lalu. Sejak berpindah, Maria sering mendengar anak-anak pasangan itu termasuk mangsa menangis akibat dipukul. “Petang Ahad lalu, saya mendengar suara mangsa meraung kesakitan lebih satu jam akibat dipukul emaknya tanpa henti,” katanya. Kanak-kanak itu dibawa bapa tiri mangsa ke hospital pada pukul 2 petang semalam sebelum disahkan meninggal dunia selepas empat jam menjalani rawatan. Bapa tiri mangsa yang ‘durjana’ itu kemudiannya menghilangkan diri selepas menghantar mangsa ke hospital. Menurut Maria lagi, kakak kepada mangsa yang masih bersekolah rendah turut menjadi mangsa dera oleh ibu bapanya. Moga pihak polis akan menjalankan siasatan menyeluruh dan mereka yang bertanggungjawab dihadapakan ke muka pengadilan dan dikenakan hukuman setimpal. Sumber: Ibnu Khusairy Aris / Mynewshub

Tentera Thailand Bebaskan Yingluck

BANGKOK: Kerajaan junta Thailand membebaskan bekas Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra daripada tahanan tentera dan dibenarkan pulang ke rumah. Yingluck ditahan sejak ditahan 23 Mei lalu. Bagaimanapun, pergerakan utama Yingluck perlu dilaporkan kepada Majlis Kebangsaan Ketenteraman dan Keamanan. "Yingluck telah dibebaskan dan dibenarkan pulang ke rumah. Semua yang dibebaskan juga perlu melaporkan dengan jelas kepada majlis di mana mereka berada," menurut jurucakap junta Winthai Suvaree. Bagaimanapun, Winthai tidak dapat mengesahkan sama ada rumah Yingluck kini sedang diawasi pihak tentera, tetapi memaklumkan beliau membenarkan pemimpin wanita itu keluar membeli-belah. Yingluck ditahan tentera Jumaat lalu dan dibawa ke lokasi yang tidak diketahui sejak rampasan kuasa tentera sehari sebelum itu. Sementara itu, menurut laporan agensi, bekas Menteri Pelajaran, Chaturon Chaisang ditahan selepas enggan melapor diri kepada pihak berkuasa tentera kerana ingin menunjukkan tentangannya terhadap rampasan kuasa tersebut. "Saya tidak mahu ditangkap tanpa peluang untuk bersuara. Saya ingin berjuang untuk demokrasi. Rampasan kuasa bukan penyelesaian kepada konflik di Thailand," katanya. Sumber: mStar

Kimberly Yap Cedera Dalam Kemalangan

Kimberly cedera akibat dirempuh sebuah kereta Toyota Harrier di Penchala Link. 
PETALING JAYA: Pemenang pingat emas Sukan SEA, Kimberly Yap cedera dalam satu insiden di Penchala Link ketika mengayuh basikal untuk pulang ke rumahnya pada Rabu. Difahamkan, basikal yang ditungganginya dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta dipercayai Toyota Harrier. Kimberly dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) untuk mendapat rawatan. Beliau dilaporkan berada dalam keadaan stabil. Laporan imbasan CT menunjukkan tiada kerosakan pada organ pentingnya. Menurut doktor, Kimberly mengalami kecederaan di bahagian paha dan betis. Kemalangan berlaku pada pukul 8.45 pagi selepas di berbasikal melepasi sebuah terowong.

Tentera AS keluar dari Afghanistan hujung 2016 - Obama

WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) akan keluar sepenuhnya dari Afghanistan menjelang penghujung 2016, kata Presiden Barack Obama, yang mengumumkan perancangan bagi menamatkan perang paling lama AS, 15 tahun selepas serangan 11 September. Bercakap di White House Rose Garden, Obama mengesahkan bahawa tentera AS seramai 32,000 orang akan dikurangkan kepada 9,800 pada awal 2015. Katanya, jumlah itu akan dikurangkan separuh lagi menjelang penghujung 2015 sebelum kembali seperti sedia kala dengan hanya kehadiran pegawai kedutaan dan keselamatan menjelang penghujung 2016. “Kami akan selesaikan tugas yang dimulakan dulu,” kata Obama ketika menggariskan penamatan pembabitan AS dalam konflik berkenaan, apabila tentera diketuai AS menyerang Afghanistan bagi menumpaskan Taliban dan memburu pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden. Obama berkata, tentera darat AS akan menamatkan operasinya pada hujung tahun ini, bermakna pasukan AS tidak akan mengawal lagi kawasan bandar, pekan atau lembah di Afghanistan mulai tahun hadapan. Pengunduran itu juga bergantung pada kesediaan Afghanistan untuk menandatangani Perjanjian Keselamatan Bersama (BSA) yang mengandungi syarat dan terma kehadiran tentera AS di negara berkenaan selepas tahun ini. Presiden Afghan yang akan melepaskan jawatan, Hamid Karzai enggan menandatangani perjanjian itu, tetapi kedua-dua calon presiden yang akan bertanding tahun hadapan bagi menggantikan beliau, Ashraf Ghani dan Abdullah Abdullah sudahpun menyatakan kesediaan mereka untuk berbuat demikian. “Saya menaruh harapan ia dapat dilakukan,” kata Obama. Sumber: AFP

Piala Dunia: Polis Lepas Gas Pemedih Mata Ke Arah Penunjuk Perasaan

Sekumpulan penunjuk perasaan yang menyertai demonstrasi membantah penganjuran Piala Dunia. BRASLIA: Polis melepaskan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan yang mengadakan demonstrasi membantah sejumlah wang besar yang dilaburkan untuk kejohanan Piala Dunia. Tindakan tersebut dilakukan untuk menyuraikan penunjuk perasaan itu. Kebanyakan penunjuk perasaan itu terdiri daripada penduduk Brazil yang berarak menggunakan pakaian tradisional termasuk lukisan di muka menuju stadium yang menjadi venue utama kejohanan berprestij dunia itu. Ketika polis cuba menghalang perarakan itu, sekumpulan penunjuk perasaan melepaskan anak panah ke arah polis. Seorang anggota polis cedera di kaki akibat tertusuk anak panah itu. Mangsa dikejarkan ke hospital dengan segera untuk menjalani pembedahan bagi menggeluarkan anak panah itu. Globo TV menunjukkan imej motosikal polis turut menjadi sasaran panah yang dilepaskan. Sumber: mStar

Eira Syazira Labelkan Kru Produksi ‘Sampah’, ‘Hingusan’

INGATKAN sudah reda kes kekasaran yang melibatkan pelakon Eira Syazira terhadap seorang kru produksi sewaktu penggambaran baru-baru ini. Rupa-rupanya, pelakon itu masih meluahkan rasa geramnya menerusi Instagram dengan melabelkan kru tersebut sebagai ‘sampah’ dan ‘budak hingusan’. Menerusi ‘caption’nya, Eira turut mempersoalkan kenapa dia tidak menunjukkan mukanya sewaktu ditemubual oleh pihak Melodi baru-baru ini jika berada di pihak yang benar? Hai, tak tahulah kami nak cakap apa… Biarpun laporan polis sudah dibuat, rasanya lebih elok perkara ini diselesaikan secara baik di luar. Pendek kata, lapangkan dada dan bincanglah dari hati ke hati sebab industri hiburan kita ini bukan besar mana pun. Pusing-pusing, jumpa juga…

Sumber: Elza / Mynewshub

Anggota trafik cedera merempuh kereta

Keadaan kereta terlibat dan motosikal ditunggangi anggota trafik yang rosak. Foto kredit: facebook I Love Perlis. KANGAR - Seorang anggota trafik cedera di muka apabila motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya merempuh sebuah kereta dari arah bertentangan berhampiran Kompleks Kesihatan Negeri Perlis di Jalan Kangar-Utan Aji, dekat sini, petang semalam. Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang, anggota trafik terbabit merempuh sebuah kereta yang membuat pusingan U di jalan tersebut. Menurutnya, berdasarkan siasatan awal kereta itu telah menghalang laluan motosikal semasa membuat pusingan U untuk kembali ke arah bandar. “Anggota trafik ini gagal mengelak dan merempuh bahagian kiri kereta kerana tidak menyangka kereta itu akan terus berpusing dan masuk ke jalan yang menghala ke Kangar. "Mangsa yang cedera di muka kemudiannya dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah untuk rawatan lanjut," katanya. Katanya, pemandu kereta terbabit bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan. "Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan kerana memandu secara cuai,” katanya. Jelas Abdul Rahman, anggota trafik itu dalam perjalanan pulang ke Balai Trafik Kangar dari arah Utan Aji selepas selesai melakukan tugas mengiring kenderaan kontinjen negara Brunei yang menyertai Sukan Malaysia (Sukma). Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai supaya berwaspada dan memberi laluan kepada petugas-petugas trafik yang melakukan tugas semasa Sukma berlangsung. Sumber: Sinar Online

Padah cekik, ugut bunuh ibu kandung guna parang

KUANTAN - Seorang mekanik dihukum penjara selama dua bulan selepas mengaku bersalah dalam Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas tuduhan mengugut untuk bunuh ibunya menggunakan sebilah parang selain mencekik leher wanita itu dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Pandan dekat sini, 7 April lalu. Tertuduh, Muhamad Iqbal Elizardi, 23, yang mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu sebelum ini menukar pengakuannya dalam sebutan kes tersebut, semalam di hadapan Majistret Noor Zaihan Mohamad Ali. Tertuduh yang tidak diwakili peguam sebelum itu merayu supaya hukuman ke atasnya diringankan memandangkan dia sudah meminta maaf dengan ibu serta adik beradik yang lain. “Mereka sudah memaafkan malah laporan polis yang dibuat ke atas saya sebelum ini juga sudah ditarik balik,” katanya. Dia yang kini bekerja sebagai mekanik dengan pendapatan antara RM500 hingga RM1,000 sebulan mendakwa hilang pertimbangan ketika itu sehingga terlupa wanita yang diugut dan dicekik leher itu adalah ibu kandungnya sendiri. Ketika ditanya mahkamah sama ada dia terlibat dengan dadah atau sebaliknya, tertuduh mengakui dia seorang penagih. Noor Zaihan menegur perbuatan tertuduh yang keterlaluan terhadap ibu kandung sendiri yang disifatkan satu penderhakaan amat besar. “Dia ibu kandung kamu yang perlu disayangi dan dihormati bukan dikasari sedemikian rupa.Kamu ada berapa orang ibu? 10 atau bagi kamu seorang ibu itu boleh dibeli di kedai sehingga sanggup mencederakan serta mengugut untuk membunuh ibu sendiri?” tegur Noor Zaihan. Noor Zaihan berkata, walaupun ibu dan keluarga sudah memaafkan malah wanita itu sanggup menjelaskan jaminan RM3,000 ke atasnya sebelum ini, tertuduh dinasihatkan supaya meminta maaf sekali lagi dan menginsafi atas segala kesalahan dilakukan. Berdasarkan fakta kes, ibu terbabit (pengadu) bersama tertuduh dan beberapa orang anaknya yang lain berada di rumah. Kira-kira jam 4.14 petang, 7 April lalu itu, pengadu ternampak tertuduh bertengkar dengan adik beradik lain kerana berebut air teh. Pengadu memarahi anak lelakinya itu kerana selalu menimbulkan masalah kepada keluarga menyebabkan tertuduh naik angin lalu bertindak mencekik leher wanita itu. Dalam kejadian itu, tertuduh turut ugut untuk bunuh ibunya sambil memegang parang. Susulan kejadian, pengadu membuat laporan polis di Balai Polis Jaya Gading sehingga membawa kepada penahanan tertuduh dan diserahkan kepada polis pada hari sama. Sumber: Sinar Online

Erra Boleh Bersatu Dengan Emran Demi Anak

Mungkin apa yang diterapkan Erra Fazira dan bekas suaminya, Engku Emran demi kebaikan anak tunggal mereka, Engku Aleesya boleh dicontohi oleh kebanyakan pasangan suami isteri bercerai yang mempunyai anak. Menurut Erra, demi tanggungjawab terhadap Aleesya, Erra dan Emran boleh bersatu dan bersama untuk anak mereka yang kini berusia lima tahun itu. Emran juga memuat naik gambar terbaharu mereka di laman Instagramnya menunjukkan mereka sama-sama hadir ke ujian pengambilan pelajar tahun satu untuk Aleesya, semalam. “Saya faham niat dia (Emran) ingin menunjukkan kami ni sebagai contoh bahawa walaupun kita berpisah, tanggungjawab terhadap anak tetap diutamakan dan kami boleh bersama dan bersatu. Maksudnya di sini, bukan bersatu kembali, tetapi berbaik demi anak” “Macam baru-baru ini, saya pergi ke sekolah anak bersama dengan dia. Itu yang sepatutnya dipraktikkan oleh insan-insan yang sedang berpisah dan ada anak. Tak semestinya kena berkahwin dan rujuk semula,” katanya. Sementara itu, Erra ketika memberi respons mengenai gosip dirinya kini sedang dikatakan intim dengan Shahir, juara Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) berkata jejaka itu merupakan kenalan sesama artis dan tidak sepatutnya perkara tersebut dijadikan isu. “Saya mengakui saya berkawan dengan Shahir, kenapa dipersoalkan? Saya faham situasi kejadian, dia budak baru dan mungkin terkejut bila diterjah dengan soalan sebegitu dan kenyataannya dimanipulasi oleh media,” katanya mengakui ada melamar Shahir untuk berlakon sebuah teater namun masih belum mendapat jawapan muktamad daripada penyanyi yang popular dengan lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan itu. Sumber: Audrey Lee / Mynewshub

Pencuri getah kena belasah

Dua lelaki dipercayai penagih dadah dibelasah penduduk kampung dalam kejadian kira-kira jam 2 petang semalam. SEBERANG TEMERLOH - Tindakan dua lelaki dipercayai penagih dadah kembali semula ke kebun getah untuk mengambil getah buku yang dicuri akhirnya memakan diri apabila dibelasah penduduk kampung kira-kira jam 2 petang semalam. Kejadian berlaku di Kampung Bangau Parit di sini telah disedari seorang penduduk kampung yang melihat kelibat dua lelaki berkenaan yang dalam keadaan mencurigakan masuk ke kebun getah milik penduduk kampung. Penduduk, Shahidul Rizal Mohd Said, 32, berkata, dia yang mengesyaki sesuatu kemudian bertindak memberitahu ketua kampung dan pemilik kebun tersebut. “Kami tunggu mereka keluar membawa tong berisi dua kilogram getah buku dan menangkap mereka dengan bahan bukti, ini bukan kali pertama, sudah banyak kali berlaku, kali ini dapat tangkap,” katanya. Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Bangau Parit Fadhli Dzulkarnanin berkata, kes kecurian getah dan pecah rumah sebelum ini sangat berleluasa di kawasan tersebut dan penduduk terpaksa mengawal ketat kawasan kampung. “Saya dapat maklumat daripada penduduk kampung mengatakan ada dua orang yang disyaki penagih dadah masuk dalam kawasan kebun getah dan membawa tong, dengan niat dan tujuan yang kita percaya untuk mencuri, dan apabila kita kumpulkan orang kampung dan juga rela untuk membuat tinjauan di sini, didapati, mereka sedang membawa satu tong yang berisi dengan getah buku dan ini kali kedua yang dijual. “Pagi tadi mereka jual dan petang ini mereka datang lagi mengambil getah penduduk kampung kedua-dua lelaki ini, bila kita tangkap dan kita siasat mengaku mereka adalah penagih dadah dan juga mengaku telah mencuri getah di kawasan Kampung Bangau Parit inilah,” katanya. Fadhli berharap polis dapat melakukan rondaan lebih kerap bagi mencegah kes curi getah buku dan ikan sangkar daripada berleluasa di kawasan kampung tersebut dan sekitarnya. Seorang penduduk yang juga penoreh getah Abdul Rahman Mohamad Taib, 54, turut gembira dengan kejayaan penduduk dapat menangkap penjenayah terbabit kerana hasil getahnya selalu dicuri. Berikutan kejadian, penduduk menyerahkan dua lelaki terbabit kepada polis dan membuat laporan mengenai kejadian. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Anuar Othman mengesahkan menerima maklumat kejadian dan dua lelaki terbabit akan disiasat. Sumber: Sinar Online

109 kanak-kanak keracunan makanan di selatan China

HAIKOU: Sekurang-kurangnya 109 kanak-kanak dikejarkan ke hospital dipercayai keracunan makanan selepas menikmati makan tengah hari di sebuah tadika di wilayah Hainan, selatan China, lapor agensi berita Xinhua hari ini. Sebahagian kanak-kanak di sebuah tadika di bandar Yanfeng, Haikou menunjukkan tanda-tanda keracunan makanan selepas makan tengah hari, semalam. Kesemua 109 kanak-kanak kini di bawah pemerhatian doktor dan 69 daripadanya berada dalam keadaan stabil. Sumber: Xinhua

LG lancar telefon pintar untuk peminat 'selfie'

SAN FRANCISCO: LG Electronics melancarkan telefon pintar baru, G3 yang disasarkan untuk mengambil sebahagian pelanggan daripada dua pemain utama industri, Apple dan Samsung. Pelancaran serentak G3 di beberapa bandar raya dunia, akan mula dipasarkan di Amerika Syarikat (AS) September ini. Model ini yang akan menggantikan G2, dipadankan dengan skrin 5.5 inci (14 sentimeter) dengan kualiti skrin empat kali ganda jauh lebih baik berbanding varian standard serta bateri yang tahan lebih lama. Pelbagai ciri terkini turut ditampilkan untuk mengujakan peminat telefon pintar termasuk keupayaan kamera yang dipertingkatkan termasuk perisian termaju yang membolehkan pengguna ‘selfie’ hanya dengan pergerakan tertentu serta fokus yang ditambah baik dengan bantuan laser. “Ia menjadikan selfie lebih mudah,” kata ketua pemasaran produk LG Eropah, James Marshal di sini, semalam. “Kita perlu terima hakikat bahawa di seluruh dunia, pengguna gemarkan selfies,” katanya. Selfie merujuk kepada perbuatan mengambil gambar sendiri menggunakan kamera depan di telefon pintar. Dengan menampilkan pelbagai ciri ergonomik termasuk badan G3 yang melengkung bagi membolehkan peranti itu kemas dalam genggaman, LG juga merombak keseluruhan pemuka telefon pintar itu bagi menjadikannya lebih ringkas dan mudah digunakan. Antara penambahbaikan yang ditampilkan termasuk keupayaan untuk mengaktifkan G3 dengan ‘mengetuk’ skrin atau membuat pergerakan tertentu serta serangkaian perkhidmatan pembantu maya yang dikenali ‘Smart Notice’. Smart Notice menawarkan cadangan berdasarkan pelbagai faktor termasuk tingkah laku pengguna dan lokasi. Contohnya, perisian itu akan mencadangkan aplikasi yang tidak digunakan dan menawarkan untuk memadamkannya atau memaparkan senarai barangan hendak dibeli apabila peranti itu sudah sampai ke pasar raya berkaitan. LG turut memasukkan aplikasi ‘suis padam’ yang membolehkan pengguna untuk mengunci, padam atau merosakkan sesebuah peranti yang hilang atau dicuri. Peranti pintar G3 dijana perisian Android, keluaran Google. LG adalah pengeluar kelima telefon pintar dunia pada suku pertama 2014 dengan 4.4 peratus bahagian pasaran, mengikut firma penyelidikan IDC. Samsung kekal sebagai peneraju dengan 30 peratus pasaran, Apple (15.5 peratus) diikuti Huawei (4.7 peratus) dan Lenovo (4.6 peratus). Sumber: AFP

PKR Dakwa Kongsi Gelap Sabotaj Pemilihan

PETALING JAYA – Drama pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berterusan apabila parti itu kini mendakwa kekecohan yang berlaku di beberapa cabang di Selangor berpunca daripada campur tangan kumpulan kongsi gelap. Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Johari Abdul berkata, pihaknya mempunyai bukti termasuk rakaman video wujudnya campur tangan kumpulan berkenaan untuk mensabotaj proses pemilihan. “Pensabotaj terdiri daripada anggota kumpulan kongsi gelap. “Kami boleh sahkan bahawa perkara ini berlaku sewaktu proses pengundian di Cabang Kota Raja dan Kuala Langat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, Rabu. Jelas Johari, kumpulan kongsi gelap itu menggunakan modus operandi yang sama iaitu menjadikan peti undi sebagai sasaran utama. Bagaimanapun menurut Johari, sehingga kini JPP tidak membuat sebarang laporan polis berhubung dakwaannya itu. “Kita nak kenal pasti dahulu sama ada mereka ahli parti atau tidak. “Bila sah statusnya, barulah kita akan ambil tindakan sama ada untuk buat laporan polis atau tidak,” katanya. Sumber: mStar

Kongsi Gelap Jangan Campur Urusan PRK Teluk Intan

TELUK INTAN – Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran keras kepada kumpulan kongsi gelap dan penjenayah agar tidak mengambil kesempatan pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan. Ahmad Zahid berkata beliau mendapat maklumat ada pihak yang antara lain cuba mengaut keuntungan melalui pilihan raya kecil itu yang akan diadakan Sabtu ini. “Jangan ugut orang, jangan cuba campur tangan dalam politik. Saya tahu muka mereka, saya tahu nama mereka, saya tahu mereka duduk di mana dan lari ke mana. “Saya tahu juga ada yang sedang buka pusat judi untuk 31 hari bulan ini. Saya bukan sekadar beri amaran. Saya tahu macam mana nak lakukan,” katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama-sama penduduk di sini, malam Selasa. Ahmad Zahid yang juga Anggota Parlimen Bagan Datoh berkata pilihan raya kecil itu bukanlah soal perjudian politik, dan menggesa agar urusan memilih diserahkan kepada pengundi di kawasan Parlimen Teluk Intan. Dalam pada itu, Ahmad Zahid sekali lagi menyelar segelintir wakil media yang terus memutarbelitkan kenyataannya berhubung sumbangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Justeru, beliau mengingatkan masyarakat Teluk Intan agar tidak terperdaya dengan propaganda pihak pembangkang khususnya dalam tempoh kempen yang berbaki tiga hari lagi. PRK Parlimen Teluk Intan pada 31 Mei ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional Datuk Mah Siew Keong dan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud. Sumber: Bernama

Peminat Marah Kerana Lancarkan Album Piring Hitam

Penyanyi Aizat Amdan, menyedari ada dikalangan peminatnya merungut apabila mendapat tahu yang dia mahu melancarkan album berkonsepkan piring hitam. Ini kerana mereka berpendapat album piring hitam sukar untuk didengari kerana kebanyakan mereka tidak mempunyai palyer (mesin pemain) piring hitam. Bagaimanapun Aizat tetap nekad mahu merealisasikan ideanya hinggalah semalam, album ketiganya itu yang diberi judul ‘Legasi’ selamat dilancarkan. “Sebenarnya ramai juga peminat yang pada awalnya merungut bila dapat tahu saya nak buat konsep album piring hitam. Sebab mereka kata zaman sekarang tak semua orang ada player piring hitam. Jadi ramai yang tak setuju. “Tapi saya tetap nak teruskan idea ni. Saya minta mereka bertenang. Saya kata, jangan risau kalau mereka tiada player tak mengapa. Sebab sebenarnya mereka masih lagi boleh mendegar lagu-lagu dalam album itu kerana setiap pembelian disertakan sekali dengan USB”, kata Aizat ketika ditemui di Coliseum Cafe, Kuala Lumpur. Bercerita lanjut megenai ‘Legasi’, penyanyi berusia 25 tahhun ini berkata album ini tambah berakna kerana turut mengabadikan kolaborasinya bersama empat penyanyi hebat yang digambarkan Aizat sebagai antara individu yang menjadi inspirasinya sepanjang berkarya. Barisan penyanyi tersebut ialah Yuna, Noh Salleh, Zee Avi dan Lan (Typewriter). Ditampilkan bukan dalam bentuk digital sebaliknya ‘Legasi’ berupa piring hitam berserta setbox eksklusif. Album ini adalah album paling lama untuk dihasilkan semenjak Aizat menceburi bidang muzik. Proses pra-produksi bermula sekitar awal taun 2013 manakala rakamannya pula beraya disiapkan pada awal tahun. Memuatkan empat lagu kolaborasi iaitu ‘Dwihati’ (feat Yuna), ‘We’ll Be Happy’ (feat Zee Avi) ‘Catwalk ke Balai’ (feat Lan) dan ‘In Love With You’ (feat Noh Salleh) serta satu lagu berjudul ‘Baru’ yang mana merupakan lagu ciptaan Aizat bersama abangnya Anas Amdan. “Idea nak hasilkan dalam bentuk piring itam ni datang apabila saya lihat koleksi-koleksi piring hitam yang dikumpul oleh ayah dan ibu saya. Antara yang paling saya suka ialah piring hitam Uji Rashid untuk album ‘Kali Terakhir Ku Lihat Wajahmu’. Saya suka kulit albumnya sebab unik. “Jadi dari situ saya terfikir alangkah bermaknanya kalau saya pun ada karya dalam bentuk piring hitam yang saya rasa ia akan dikenang hingga oleh generasi akan datang sampai bila-bila. Selain itu lagu-lagu dalam album ini saya inpirasikan daripada seniman agung Allahhyarham Tan Sri P. Ramlee yang mana pada zaman beliau memang menggunakan piring hitam. “Saya harap saya menerusi album ‘Legasi’ ini dapat memberi gambaran corak warna muzik peninggalan zaman ini untuk dihayati oleh generasi masa depan”, tuturnya dengan nada teruja. Bagaimanapun hanya sebanyak 222 unit piring hitam saja yang diedarkan. Ini kerana kos untuk menghasil piring hitam ini menelan belanja yang agak tinggi. Namun peminat boleh mendapatkannya dengan cara membida. Bidaan paling tinggi akan memiliki album yang cukup unik ini. Tambah istimewa ‘Legasi’ juga dipakejkan di dalam satu kotak hitam eksklusif beserta album gambar berkulit tebal juga disertakan dengan sebuah USB Drive yang memuatkan lagu-lagu ‘Legasi’ di dalam bentuk digital. Kulit album menampilkan hasil tangan yang sangaat unik dan menarik hasil lakaran artis terkenal, Artech. Selain itu, setiap piring hitam akan mempunyai nombpor siri khas yang akan menjadikan tiap-tiap unit album ini lebih istimewa dan eksklusif. Pembidaan tiap-tiap unit akan bermula apabila sebuah unit piring hitam itu dibida dan akan berlangsung selama 10 hari dari tarikh ia mula dibida. Pembidaan tertinggi selepas tamat tempohh 10 hari akan diiystiharkan sebagai pembida yang berjaya. “Piring hitam ni dihasilkan di Jerman dan kosnya agak tinggi. Sebab tu kita tidak boleh mengeluarkan dalam unit yang banyak, hanya 222 unit sahaja. Lagipun kita nak buat ia sangat-sangat eksklusif dan memberi impak serta nilai yang lebih berharga juga kepuasan para peminat juga pengumpul piring hitam. “Peminat boleh dapatkan ‘Legasi’ dengan cara membida. Mulai hari ini (semalam) peminat dah boleh bida bermula dengan harga RM150 menerusi laman web www.legasi.kge.com.my. Saya harap peminat juga pengumpul piring hitam tidak akan memberi sokongan kepada hasil muzik tempatan dan melepaskan peluang untuk mendapatkan album ini”, kata Aizat. Perkembangan lain, Aizat baru dilantik sebagai duta baru Nescafe untuk perasa Nescafe Latte Caramel. Selain itu dia kini sibuk menghasilkan lagu seorang artis kelahiran program realiti TV ‘Akademi Fantasia’. Bagaimanapun, Aizat enggan mendedahkan nama penyanyi tersebut, buat masa ini. Sumber: Malaysian Digest

Wanita Tua Wasiat Mayat Diletakkan Atas Kerusi

Puerto Rico – Seorang wanita berusia 80 tahun mahu upacara pengebumiannya dilakukan dalam cara yang berbeza. Dia mahu mayatnya diletakkan di atas kerusi kegemarannya dan dipakaikan baju pengantin. Memandangkan ia satu wasiat, maka anak-anaknya terpaksa menunaikannya. Wanita itu, Georgina Chervony Lloren seolah-olah masih hidup dan diletakkan di atas pentas pada upacara pengebumian yang diadakan di rumah mayat Marin di San juan. Selain itu dia juga mahu bunga-bunga segar diletakkan di sekelilingnya dengan baju pengantin yang dipakainya adalah daripada perkahwinan kedua, 32 tahun lalu. Menurut anak perempuannya, Mirian Chervony, ibunya itu membayangkan keadaan berkenaan jika dia dibangkitkan. Georgina meninggal dunia akibat penyakit tua. Sumber: New York Daily New / Mynewshub

Kempen Penyusuan Badan Yang Tidak Kena Langsung, Mexico

Mexico – Iklan untuk kempen penyusuan susu ibu telah mendapat kecaman ramai kerana ia tidak menggambarkan langsung mengenai aspek penyusuan. Sebaliknya iklan yang memaparkan selebriti aktres Camila Sodi dan peninju La Barby Juarez itu seolah-olah satu pertunjukan badan. Dalam iklan itu Sodi tidak berbaju dan hanya menutup dadanya dengan banner . Ia dikecam kerana iklan itu lebih bersifat provokatif dan seksi. Kempen penyusuan ibu di Negara itu terpaksa diadakan bagi menggalak kaum wanita menyusu badan bayi mereka. Mexico merupakan antara negara di Amerika Tengah yang mempunyai kadar penyusuan badan yang rendah. Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyarankan ibu-ibu menyusu bayi mereka sehingga usia bayi enam bulan namun hanya 14 peratus wanita di Mexico menyusukan bayi mereka. Faktor seperti kekurangan zat, cuti bersalin yang tidak sempurna dan ketiadaan peluang untuk mengepam susu di pejabat menyebabkan wanita memberi susu formula kepada bayi mereka. Sumber: Doubletihink / Mynewshub

Bayi Berwajah Dua Akhirnya Meninggal Dunia

Australia – Bayi berwajah dua yang berjaya mencuri tumpuan dunia ketika dilahirkan pada 8 Mei lalu, akhirnya menghembuskan nafas terakhir semalam. Kematian bayi yang diberi nama Hope dan Faith diumumkan melalui akaun twitter Channel 9. Bayi perempuan yang berkongsi satu badan dan mempunyai otak berasingan itu dilahirkan dengan keadaan yang amat jarang ditemui, dikenali sebagai disrosopus. Kurang daripada 40 orang di dunia ini yang dipercayai mengalami keadaan tersebut. Sebaik sahaja berita kematian Hope dan Faith itu diumumkan, ucapan takziah bertalu-talu diterima daripada orang ramai di media sosial. Hope dan Faith dilahirkan oleh Renee Young . Renee dan suaminya Simon Howie juga mempunyai tujuh anak yang lain. Mengulas mengenai kelahiran anak mereka sebelum ini, pasangan berkenaan berkata, mereka telah membawa bayi perempuan yang cantik ke dunia ini. “Anda harus melihat keadaan mereka. Ada kalanya Faith akan menangis dan Hope akan terjaga. Kami sangat bersyukur kerana mendapat bayi ini,’’ katanya dalam satu temubual dengan Woman’s Day sebelum ini. Sumber: DailyMail / Mynewshub

Rogol: 12 Ditahan Setakat Ini - Polis
PDRM
KOTA BARU: Polis sudah memberkas 12 orang termasuk seorang gadis berusia 17 tahun bagi membantu siasatan kes rogol membabitkan lebih 30 suspek dalam satu kejadian di Ketereh pada 20 Mei lalu. Ketua Polis Daerah Kota Baharu ACP Azham Othman berkata empat daripada mereka termasuk gadis berusia 17 tahun itu diberkas pukul 4 pagi Selasa di Ketereh dan mereka kini ditahan reman selama tujuh hari. Perintah reman terhadap tiga lelaki berusia antara 17 dan 30 tahun serta gadis berkenaan bermula pada Rabu, katanya yang ditemui pemberita di luar mahkamah majistret, di sini, Rabu. "Polis pada hari ini (Rabu) telah menahan lapan lagi suspek berkaitan kes itu masing-masing pada pukul 4 pagi dan 10.30 pagi ini di sekitar Ketereh," katanya. Katanya polis akan mendapatkan perintah reman terhadap kesemua lapan suspek berusia 20 hingga 30-an itu Khamis. Semua suspek lelaki yang ditahan juga positif dadah sementara gadis itu pula dipercayai membantu suspek lain dalam kejadian tersebut, katanya. Sementara itu, Azham tidak menolak kemungkinan remaja perempuan berusia 15 tahun itu turut diliwat. Katanya, polis turut akan meneliti laporan perubatan mangsa bagi membantu siasatan. "Kami menjangkakan kes itu ditutup dalam masa terdekat kerana suspek berusia diantara 20 hingga 30 tahun dipercayai berasal dari kampung yang sama. "Kami juga tidak menolak kemungkinan remaja perempuan itu turut diliwat. "Polis mempunyai alasan untuk percaya bahawa hampir kesemua suspek berada pada pengaruh dadah ketika melakukan jenayah itu," katanya. Menurut Azham, polis menubuhkan pasukan khas bagi mengesan saki-baki suspek dalam kes yang disiasat menurut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. Dalam kejadian 7.30 petang itu, seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun dari Kuala Krai mendakwa dirogol secara bergilir-gilir oleh 38 lelaki di sebuah rumah kosong yang dijadikan tempat penagih dadah melepaskan gian. Sumber: mStar

Polis Buru Askar Tembak Rakan Di Lahad Datu

LAHAD DATU: Polis melancarkan operasi memburu seorang askar yang dipercayai terlibat dalam insiden tembakan di sebuah kedai di sini, awal pagi Rabu. Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, mereka telah mengenal pasti suspek dan sedang mempergiatkan usaha memburu askar tersebut yang dipercayai menembak rakannya itu kira-kira pukul 4.45 pagi. "Kami telah mengenal pasti suspek dan akan terus menahannya sebaik saja dia ditemui," kata Hamza ketika dihubungi. Hamza berkata, dua orang awam yang cedera dalam insiden itu dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan. Sumber: mStar

Pengantin baharu dirogol 3 lelaki
Pengantin baharu dirogol 3 lelaki
Kinabatangan: Polis menahan tiga lelaki warga Indonesia kelmarin dipercayai ada kaitan dengan kes merogol bergilir-gilir seorang wanita berusia 18 tahun yang baharu dua bulan berkahwin. Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan A Sahak Rahmat, berkata polis menerima aduan daripada mangsa beberapa hari selepas kejadian didakwa berlaku pada jam 6 petang 14 Mei lalu di Ladang Leepang 5. Mangsa dihantar ke Hospital Kinabatangan untuk pemeriksaan lanjut manakala kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. Mangsa dikatakan dirogol ketika pergi ke tepi sungai berhampiran rumahnya di situ untuk membuang air besar berikutan tandas di kediamannya rosak.
Diekori 3 suspek
Dalam perjalanan, mangsa diekori tiga suspek yang kemudian menariknya ke dalam ladang kelapa sawit sebelum merogol mangsa secara bergilir-gilir. Mangsa kemudian menceritakan perkara berkenaan kepada suaminya beberapa hari selepas kejadian sebelum dibawa membuat laporan polis. Di Sandakan, seorang pelajar Tingkatan Satu mengadu dirogol kekasih yang baharu dikenali dua minggu menerusi Facebook ketika berjumpa di tangga sebuah bangunan di Jalan Singapura di sini, kira-kira jam 3.30 petang kelmarin. Dalam kejadian berkenaan, mangsa dikatakan bertemu remaja berusia 18 tahun itu selepas sesi persekolahan sebelum suspek menawarkan diri untuk menghantarnya pulang ke rumah. Bagaimanapun ketika melalui sebuah bangunan, mangsa mendakwa diajak oleh suspek untuk ke bahagian atas bangunan terbabit dan ketika berbual, suspek dipercayai memujuk mangsa untuk melakukan hubungan seks. Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan Fadzil Mohd Ali mengesahkan ada menerima aduan.

Dirogol Kenalan Facebook Pada Pertemuan Kedua

GARA-GARA terlalu percayakan lelaki yang dikenalinya selama dua minggu menerusi akaun Facebook, seorang remaja perempuan berusia 13 tahun telah dirogol pada pertemuan kedua mereka, semalam. Kejadian berlaku selepas kedua-dua bertemu untuk makan tengah hari di sebuah bangunan berhampiran Jalan Singapura, Sandakan, memetik laporan The Star. Lelaki berusia 18 tahun itu dikatakan telah merayu untuk mengadakan hubungan seks dengan remaja itu sejak pertemuan pertama mereka, namun ditolak. Namun, selepas melihat ‘kegigihan’nya, dia akhirnya mengalah. Kejadian tersebut bagaimanapun terbongkar selepas ibu remaja itu memaksanya berterus-terang selepas dia pulang lewat dari sekolah pada hari itu. Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Supt Fadzil Mohd Ali, satu laporan polis telah dibuat dan mangsa dibawa ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan. Sumber: The Star / My News Hub

Sultan Azlan Shah mangkat

Sultan Perak Sultan Azlan Muhibbuddin Shah diumumkan telah mangkat di Institut Jantung Negara (IJN) hari ini pada pukul 1.30 petang tadi pada usia 86 tahun. Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengumumkan berita berkenaan di bangunan Radio Televisyen Malaysia (RTM) negeri Perak hari ini. “Bahawa dengan sedih dan dukacitanya dimaklumkan, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yusuf Izzudin Shah telah mangkat pada jam 1.30 tengahari pad 28 Mei tahun 2014 Masihi,” demikian umum Dr Zambry sebentar tadi. Menurut beliau, jenazah Almarhum tuanku akan disemayamkan di Balairong Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar untuk rakyat memberikan penghormatan terakhir bermula pukul 9 pagi esok untuk pembesar negeri dan orang kenamaan. “Orang ramai boleh memberikan penghormatan terakhir mulai pukul 11 pagi hingga pukul 2 petang, manakala oleh raja-raja dan pembesar negara asing mulai pukul 2 petang hingga 3 petang. “Jenazah Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas Solat Asar pada 29 Mei 2014,” katanya. Almarhum baginda kini sedang menerima rawatan di IJN sejak April 2013 dan gambar keadaan terkini baginda ketika hayatnya hanya dapat ditatap pada 28 Disember 2013 lepas. Almarhum Sultan Azlan pernah ditabalkan sebagai Yang diPertuan Agong kesembilan pada 26 April 1989 hingga 25 April 1994 serta pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Hakim Negara pada 12 November 1982 menggantikan Tun Mohamad Suffian Hashim yang bersara pada masa itu. Baginda meninggalkan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun Mohd Ali serta seorang putera dan tiga orang puteri. Sultan Azlan Shah dimasyurkan sebagai Sultan Perak ke-34 pada 3 Februari 1984 dan ditabalkan secara rasmi di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak, Malaysia pada 9 Disember 1985. Pada 26 April 1989 baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong kesembilan. Jenazah Almarhum tuanku akan dikebumikan pada Jumaat ini. Ketika mengumumkan kemangkatan baginda, Dr Zambry berkata bendera negeri Perak akan dikibarkan separuh tiang sepanjang tempoh berkabung selama 100 hari mulai hari ini. “Bendera Malaysia pula akan dikibarkan separuh tiang selama tujuh hari sahaja,” katanya. Sepanjang tempoh berkabung tujuh hari, Dr Zambry berkata semua acara berbentuk hiburan, keramaian dan perayaan adalah dibatalkan. “Sebagai tanda penghormatan ke atas kemangkatan baginda Sultan maka esok hari Khamis diisytiharkan sebagai hari cuti umum bagi seluruh negeri Perak sempena hari pemakaman,” katanya.

Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah
- Almarhum baginda dilahirkan pada tahun 1928 di Batu Gajah, Perak
- Anak kepada Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah
- Yang di-Pertuan Agong Malaysia kesembilan
- 1 Julai 1983 Dewan Negara Perak memahkotakan Almarhum baginda sebagai Raja Muda Perak
- 3 Februari 1984 dimahsyurkan sebagai Sultan Perak ke-34
- 9 Disember 1985 ditabal sebagai Sultan Perak secara rasmi
Pendidikan
- Government English School, Batu Gajah (kini SMK Sultan Yussuf, Batu Gajah)
- Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK)
- Ijazah Sarjana Muda Undang-undang di University of Nottingham, United Kingdom pada tahun 1953
- 23 November 1954 sah menjadi ahli di dalam The English Bar oleh The Honorable Society of Lincoln’s lnn
Kerjaya
- Memulakan perkhidmatan sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak
- Menyertai Perkhidmatan Undang-undang dan Kehakiman Persekutuan Tanah Melayu sebagai Majistret Kelas Pertama dan Presiden Mahkamah Sesyen
- Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang
- Penasihat Undang-Undang Negeri Johor
- Pendaftar Mahkamah Tinggi Persekutuan Tanah Melayu
- Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia
- 1965 Almarhum dilantik menjadi Hakim Mahkamah Tinggi Malaya sekali gus menjadi hakim termuda dalam sejarah kehakiman Komanwel pada usia 37 tahun.
- 1973 Hakim Mahkamah Persekutuan
- 1979 Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Malaya
- 12 November 1982 menjadi Ketua Hakim Negara kelima menggantikan Tun Mohamad Suffian Hashim yang bersara
Sumbangan
- Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang (4 Oktober 1971 hingga Februari 1984).
- Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Pendidikan Tinggi (1 November 1974 hingga 31 Oktober 1976)
- Canselor Universiti Malaya sejak 8 Februari 1986 hingga Mei 2014
- Dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran Kesusasteraan oleh Universiti Malaya pada 30 Jun 1979
- Dianugerah Ijazah Kehormat Kedoktoran Undang-undang oleh Universiti Sains Malaysia , Pulau Pinang pada 28 Jun 1980
- Dianugerah Ijazah Kehormat Kedoktoran Undang-Undang oleh University of Nottingham pada 11 Julai1986
- Dianugerah ‘Kerusi Kehormat’ oleh Lincoln’s lnn, London pada 1988
- Dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran Undang-undang oleh Universitas Gadja Mada, Jogjakarta, lndonesia pada 28 September 1990
- Dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran Undang-undang oleh Universiti Brunei Darussalam pada 30 Oktober 1990
- Dianugerahkan Ijazah Kehormat oleh Universiti Chulalongkon, Bangkok, Thailand pada 19 Disember 1990
- Anugerah sebagai Ahli Kehormat The Royal College of Physician of lreland pada 2 Oktober 1991
- Anugerah sebagai Ahli Kehormat The Royal College of Surgeons of Edinburgh dan The Royal College of Surgeons of England pada 1999
Sukan
- Almarhun baginda Sultan Azlan aktif dalam sukan hoki sejak zaman persekolahan di Batu Gajah dan Kuala Kangsar.
- Presiden Persekutuan Hoki Malaysia
- Presiden Hoki Asia
- Naib Presiden Persekutuan Hoki Antarabangsa.
- Membina Stadium Hoki Sultan Azlan Shah di lpoh pada 1983.
- Penaung Diraja bagi Persatuan Undang-undang Malaysia di Great Britain dan Eire, The British Graduates Association of Malaysia, Akademi Perubatan Malaysia, The Rotary Clubs, The Lions Clubs, Kelab Golf Diraja Perak, Kelab Polo lskandar, Kelab Golf Kuala Kangsar, Persatuan Alam Sekitar Malaysia serta Persatuan Hoki Veteran Perak.


Peniaga terima wang palsu
Roslina menunjukkan wang palsu RM50 yang diterimanya.
Roslina menunjukkan wang palsu RM50 yang diterimanya.
KLUANG - Seorang peniaga pasar malam di Kampung Melayu Kluang di sini, terkejut apabila wang RM50 yang disimpan dalam saku seluar bertukar warna menjadi pudar selepas terkena air hujan, semalam. Roslina Abdul Razak,44, yang menjual mee goreng berkata, wang itu diterima anaknya daripada pelanggan lalu diberi kepadanya untuk disimpan. Beliau berkata, ketika menerima wang berkenaan, dia terus menyimpan di poket seluar dan pulang ke rumah sebelum datang semula ke pasar malam. “Wang itu saya hendak beri kepada suami saya, tetapi tidak sempat saya bawa terus balik ke rumah sekejap. Bila tiba di rumah, saya menyeluk poket seluar dan melihat wang RM50 berubah warna menjadi pudar di bawahnya kerana terkena air hujan. “Saya terus datang semula ke pasar dan menunjukkannya kepada suami. Kejadian yang berlaku ini tidak disedari kerana sewaktu mendapat wang berkenaan, pelanggan ramai,” katanya ketika ditemui di Pasar Malam Kampung Melayu, semalam. Roslina berkata, sebelum ini beliau tidak pernah menerima wang palsu dan kejadian itu pertama kali dialaminya. Beliau bimbang dan risau sekiranya peniaga pasar malam lain mengalami kejadian sama. “Apabila kejadian ini berlaku sememangnya peniaga seperti kami kerugian dan mereka yang melakukan perbuatan ini tidak wajar dan jika boleh dikesan sudah pasti akan diheret ke muka keadilan. “Bagaimanapun, kejadian ini mungkin akan saya laporkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan berharap peniaga lain tidak menerima nasib seperti saya. “Saya akan lebih berhati-hati ketika menerima wang seperti RM50 dan RM100. Mungkin orang yang menggunakan wang palsu ini akan menggunakannya di pasar malam lain,” katanya.

Pukul isteri depan anak
Mohd Zulkarnain dibawa keluar dari Mahkamah Majistret semalam.
Mohd Zulkarnain dibawa keluar dari Mahkamah Majistret semalam.
KUALA TERENGGANU - Seorang buruh didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan memukul kepala dan badan isterinya menggunakan kemaluan palsu. Mohd Zulkarnain Ismail, 44, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap isterinya, Che Alirawati Che Abdullah, 36, jam 7.15 petang pada 21 Mei lalu di kediaman di Jalan Surau Haji Daud. Tertuduh yang beralamat di Kampung Batu 6, Chendering bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu dan meminta dibicarakan. Majistret Rozianti Mohd Hanaphi menetapkan tarikh 16 Jun depan sebagai sebutan semula kes dan mengarahkan tertuduh dijamin sebanyak RM4,000 oleh seorang penjamin. Dalam kejadian jam 7.15 petang itu, tertuduh didakwa memukul menggunakan kaki dan tangan dan menghantukkan kepalanya ke kepala pengadu serta memukul kepala dan badan pengadu menggunakan sebatang zakar palsu di hadapan anak-anak. Kesan pukulan itu menyebabkan isterinya mengalami sakit pada badan dan bengkak di kepala. Selepas kejadian, isterinya kemudiannya bertindak melarikan diri sebelum terserempak kereta peronda polis dan meminta bantuan anggota polis untuk membawanya ke balai polis berdekatan. Berdasarkan fakta kes, kejadian itu berpunca daripada tindakan isterinya yang tidak boleh menerima gurauan tertuduh yang meletakkan zakar palsu di punggungnya ketika tidur. Menurut isterinya, sebelum ini, suaminya yang juga seorang penagih dadah sering memukulnya jika berlaku pertengkaran. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman itu. Tertuduh ditahan jam 4.45 pagi pada 22 Mei lalu di kediamannya dan hasil ujian air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine. Pendakwaan dikendalikan Inspektor L Rathna.

Exco Selangor: Nama saya dipergunakan
Rodziah menunjukkan salinan laporan polis yang dibuatnya di balai polis Seksyen 15, semalam.
Rodziah menunjukkan salinan laporan polis yang dibuatnya di balai polis Seksyen 15, semalam.
SHAH ALAM - Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita Selangor, Rodziah Ismail mendakwa sebuah syarikat pembekal di Shah Alam menjaja dan menggunakan namanya bagi kepentingan peribadi serta mengaut keuntungan dengan menipu pelanggan. Beliau menafikan sekeras-kerasnya penglibatannya atau kerajaan negeri dalam syarikat tersebut yang beroperasi di Ken Rimba, Shah Alam. “Syarikat ini kononnya membuka peluang pekerjaan kepada orang ramai dengan gaji yang lumayan, tetapi bila mereka bekerja di sana, tugas hanya mengupas bawang busuk dan tidak mendapat upah seperti yang dijanjikan. “Saya juga ingin tegaskan kepada orang ramai supaya jangan mudah tertipu dengan konspirasi ini, mereka hanya mahu mengambil kesempatan semata-mata,” katanya selepas merasmikan Success Story anjuran Program Mikrokredit Miskin Bandar (MiMMAR) di seksyen 17, semalam. Rodziah yang juga Adun Batu Tiga berkata, syarikat itu juga menjual barangan dapur dan mengambil pesanan serta wang dari pelanggan tetapi barangan yang dipesan tidak dihantar. “Paling teruk, syarikat itu juga mengutip wang RM100 dari orang ramai kononnya sebagai deposit dengan menjanjikan akan mendapat pulangan dalam bentuk barangan sebaliknya hanya janji palsu,” katanya. Pihaknya mendapat maklumat selepas sekumpulan wanita hadir ke pusat khidmat masyarakat di Batu Tiga, mengadu dan bertanya mengenai kesahihan maklumat yang diterima dan penglibatan kerajaan negeri bersama syarikat itu. “Saya menggesa pihak berwajib dan pihak polis segera mengambil tindakan dan siasatan lanjut berhubung penipuan yang dilakukan syarikat ini supaya tiada lagi mangsa yang terlibat. “Saya juga difahamkan lebih kurang 1,000 pelanggan syarikat ini tertipu dan terpaksa menganggung kerugian RM10,000 selepas membayar deposit barang, tetapi barang yang dijanjikan tidak sampai ke tangan mereka,” katanya. Beliau turut menyeru orang ramai yang mahu bekerja di sesebuah syarikat mengambil langkah berhati-hati dan tidak mudah tertipu. “Saya juga ingin memberi nasihat, kalau nak bekerja, kena ada hitam putih atau kontrak. Jangan sampai kena tipu macam ni, kita pun susah nak tolong,” tegasnya. Rodziah menambah, pihaknya sudah membuat laporan polis di balai polis Seksyen 15, kelmarin berhubung penipuan yang dibuat syarikat itu.

Suspek kes bunuh polis mesti dibawa ke pengadilan
Suspek kes bunuh polis mesti dibawa ke pengadilan
KUALA LUMPUR - Pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kematian Lans Koperal Mohd Azuan Abdullah mesti dihadapkan ke muka pengadilan, tegas Datuk Seri Najib Tun Razak. Perdana Menteri menerusi catatan terbaharu beliau di Twitter turut melahirkan ucapan takziah kepada keluarga Mohd Azuan. "Takziah kepada keluarga Lans Koperal Mohd Azuan Abdullah yang terkorban sewaktu bertugas. Mereka yang bertanggungjawab harus dibawa ke muka pengadilan," kata Najib. Dalam insiden 1.15 petang Isnin, Mohd Azuan, 25, anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian, maut di tempat kejadian manakala rakan setugasnya cedera parah selepas motosikal yang ditunggang mereka dirempuh kereta penjenayah. Kejadian berlaku di Batu 10 menghala Alor Pongsu dekat Parit Buntar, ketika kedua-duanya dilapor mengejar sebuah kereta yang dinaiki suspek dalam kes samun van rokok sebelum itu. Ketua Polis Perak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani hari ini berkata kes tersebut diklasifikasi sebagai kes bunuh berdasarkan perbuatan penjenayah yang didapati sengaja merempuh dari arah belakang motosikal anggota URB berkenaan. - Bernama

Pejuang Libya rampas senjata AS, henti program rahsia - NYT

WASHINGTON: Pejuang militia merampas beratus senjata automatik yang dibekalkan Amerika Syarikat (AS) dalam serbuan ke atas sebuah pangkalan Libya di mana Washington melatih askar tempatan, sekali gus menghentikan program rahsia itu. Pasukan elit AS diberi tanggungjawab sejak tahun lalu untuk mewujudkan unit menentang pengganas di Libya, Mauritania, Niger dan Mali, sebagai sebahagian daripada usaha AS memperluaskan peperangan terhadap sekutu Al-Qaeda di Afrika, menurut The New York Times. Menurut the Times, ia dibiayai sebahagiannya dengan jutaan dolar daripada perbelanjaan rahsia Pentagon dan membabitkan arahan dan melengkapkan komando di empat negara dengan harapan mereka akan akhirnya memerangi militia seperti Boko Haram. Tetapi inisiatif itu mengalami beberapa masalah, khususnya di Libya apabila latihan berkenaan dihentikan Ogos tahun lalu apabila sekumpulan militia menawan askar Libya di sebuah kem latihan di luar Tripoli. Selain senjata automatik, mereka juga merampas alat penglihatan waktu malam dan kenderaan, menyebabkan jurulatih tentera AS dihantar pulang. Pegawai AS kini mencari kawasan yang lebih selamat untuk menyambung semula program itu. Sumber:AFP

Pertempuran Sengit, Puluhan Pemisah Maut

DONETSK, Ukraine – Berpuluh mayat penentang bergelimpangan dalam sebuah van di luar sebuah rumah mayat dan kumpulan pemisah itu menyatakan lebih banyak mayat akan dibawa ke sana. Bangkai sebuah trak yang rosak teruk dan dibasahi darah di lapangan terbang Donetsk menunjukkan keadaan ngeri selepas pertempuran. Pertempuran di timur Ukraine semakin sengit apabila kedua-dua pihak meningkatkan serangan selepas wilayah pemberontak memboikot pilihan raya presiden. Sumber: AP

Akhbar Jerman siar gambar punggung Kate
Foto
GAMBAR yang disiarkan akhbar Bild.
Seluar dalam nipis yang dipakainya tidak dapat membantu melindungi punggungnya. Akhbar tabloid Bild am Sonntag menyiarkan imej berkenaan dengan tajuk yang kurang enak didengar. Gambar itu turut digandingkan bersama pelakon realiti televisyen Amerika Syarikat, Kim Kardashian dan adiknya Khloe yang terkenal kerana bentuk pinggul mereka dengan kapsyen bermakna: “Khloe, Kim dan Kate – punggung yang menarik perhatian kita sejak beberapa hari lalu.” Pencabulan privasi itu berlaku kurang dua tahun selepas Putera William dan Kate memfailkan tindakan undang-undang terhadap majalah Perancis yang menyiarkan gambar separuh bogel Kate ketika bercuti. Gambar terbaru itu diambil ketika Kate hendak menaiki helikopter ke Sydney selepas melakukan lawatan rasmi ke Blue Mountains bersama William bulan lalu. Seorang jurugambar sempat merakam gambar ketika gaun Kate terselak dan menawar menjualnya kepada beberapa akhbar antarabangsa. Ia dilaporkan dijual kepada pembida tertinggi selepas akhbar Britain enggan menyiarnya. Bild turut menyiarkan gambar itu di laman webnya dengan kapsyen nakal bermaksud: “Terima kasih kepada angin kerana menampakkan dalaman keluarga diraja.” - Agensi

Cebisan kertas RM30,000
Foto
KEPINGAN kertas yang tercatat perkataan ‘The’ dibida hingga RM30,000.
Canberra: Lelongan secebis kertas dengan perkataan ‘The’ saja di eBay Australia menarik sekurang-kurang 44 bidaan hingga mencecah $9,320 (RM30,000). Menurut ebay, lelongan bermula pada 22 Mei dengan harga serendah $0.99 (RM3.20). Pada awalnya pembida meletakkan harga sebanyak beberapa dollar, tetapi keadaan bertukar menjadi ‘hangat.’ Tiga hari selepas lelongan bermula, tawaran mula mencecah sehingga ribuan dolar. - Agensi

Makan daging sendiri

Oslo: Seorang artis Norway mendakwa memakan daging tulang pinggulnya dan menyifatkannya sama seperti daging ‘biri-biri liar.’ Akhbar Local melaporkan Alexander Selvik Wengshoel, 25 dilahirkan dengan kecacatan pinggul perlu menjalani pembedahan menggantikan salah satu pinggulnya. Dia merakamkan proses pembedahan itu dan mempamerkan tulang pinggul yang dibuang pada satu pameran seni di Oslo. Di pameran itu, Wengshoel memberitahu media dia memakan sebahagian daging yang melekat pada tulang pinggulnya itu. Artis itu memberitahu dia merebus tulang untuk meleraikan daging berkenaan dan kemudian memakannya bersama kentang dan segelas wain. “Saya menyediakan makan malam itu sendiri ketika teman wanita saya tiada di rumah dan memutuskan untuk menikmati saat terbaik hanya bersama tulang pinggul saya,” katanya menurut Local. Ketika ditanya sama ada Wengshoel cuba menipu, artis itu dengan tegas berkata: “Saya bercakap benar. Wengshoel juga menyifatkan proses mengunyah dan memakan daging pinggulnya itu sebagai satu terapi. “Tulang pinggul itu memberikan saya masalah selama lebih 20 tahun dan memakan dagingnya mungkin boleh melegakan saya,” katanya. Mujur Wengshoel melakukannya seorang diri. Pada 2012, seorang artis Jepun, Mao Sugiyama didakwa atas tuduhan melakukan perbuatan tidak senonoh selepas didakwa memasak dan menyajikan sebahagian kemaluannya kepada sekumpulan kanibal yang membayar kira-kira RM750 untuk menikmati sajian berkenaan. Walaupun Wengshoel berkata, daging pinggulnya itu sama rasanya seperti ‘biri-biri liar,’ beberapa orang yang pernah memakan daging manusia berkata, rasanya berbeza. Kanibal warga Jerman yang didapati bersalah kerana membunuh berkata pada 2007, daging manusia sama rasanya dengan daging babi tetapi lebih liat. Dan pada 1920-an, wartawan William Seabrook menulis, daging manusia yang dimakannya ketika menghabiskan masa bersama kumpulan kanibal di barat Afrika mempunyai rasa yang lazat.

Ramai bunuh diri kerana tak mahu mayat dibakar

Anhui (China): Berpuluh-puluh warga tua China membunuh diri untuk mengelak daripada undang-undang mengharamkan pengebumian yang akan dikuatkuasakan tidak lama lagi. Keputusan drastik itu diambil bagi memastikan kematian mereka sempat didaftar sebelum 1 Jun ini apabila pihak berkuasa wilayah Anhui menutup semua tanah perkuburan. Mayat mereka yang mati selepas tarikh berkenaan akan dibakar kerana masalah kekurangan tanah. Pihak berkuasa berkata, tanah perkuburan mengambil ruang yang banyak. Bagi menyampaikan mesej berkenaan, pegawai majlis mengunjungi pusat pengurusan mayat untuk memusnahkan keranda. Tindakan kejam demikian hanya meningkatkan lagi jumlah kes bunuh diri dalam kalangan warga tua kerana mahu memastikan mayat mereka sempat ditanam. Media tempatan melaporkan puluhan kes warga tua wilayah itu membunuh diri kerana mahu mayat mereka layak ditanam. Undang-undang yang hendak dilaksanakan itu tidak memberikan impak besar kepada penduduk bandar, tetapi di kawasan luar bandar pembakaran mayat dianggap hina dan tidak dipersetujui ramai. - AP

Keselamatan KLIA2 keutamaan MAHB
Walaupun sudah hampir sebulan beroperasi, isu keselamatan KLIA2 masih diperkatakan.
Walaupun sudah hampir sebulan beroperasi, isu keselamatan KLIA2 masih diperkatakan.
KESELAMATAN Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) terus menjadi keutamaan tertinggi Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) yang menyambut baik keputusan kerajaan untuk melantik pakar bebas terdiri daripada Ikram Premier Consulting (Ikram) dan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk meningkatkan lagi keselamatan di (KLIA2). MAHB dalam kenyataan semalam berkata, syarikat itu menyokong sepenuhnya usaha kerajaan itu serta akan memberi bantuan dan kerjasama penuh kepada Ikram dan ICAO untuk mencari jalan meningkatkan lagi keselamatan. "MAHB akan bekerja rapat dengan pihak berkuasa, syarikat penerbangan dan semua pihak berkepentingan untuk memastikan semua keperluan dan standard keselamatan dikekalkan dan kecekapan operasi tidak terjejas dengan apa cara sekali pun," menurut MAHB. Kelmarin, pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perkhidmatan kedua-dua organisasi itu akan diteruskan memandangkan mereka juga terlibat dalam memastikan keselamatan struktur bangunan KLIA2 sebelum ini. “Kedua-dua organisasi ini akan mengkaji soal isu keselamatan terutama berkaitan tanah mendap dan takungan air seperti dilaporkan selepas tiga minggu KLIA2 beroperasi. Mereka akan memberi cadangan bagi penambahbaikan ciri-ciri keselamatan di lapangan terbang ini,” katanya selepas lawatan ke KLIA2. Menurut MAHB, sejak dibuka 2 Mei lalu, KLIA2 beroperasi dengan lancar dan telah mengendalikan 1.32 juta penumpang serta 8,500 trafik penerbangan.

Pemuda main video tiga hari lumpuh
Beijing: Seorang pemuda di wilayah Hunan dikejarkan ke hospital minggu lalu dalam apa yang kelihatan seperti satu lagi kes kematian mengejut di kafe internet. Namun beliau bernasib baik kerana masih hidup. Menurut laporan akhbar Voice of China, Xiao Qiang, 26, pengsan di kerusinya di kafe internet selepas sesi bermain permainan selama tiga hari tiga malam. Xiao Qiang dilaporkan dibawa ke Hospital Otak Hunan di Changsa. “Doktor mengisytiharkan beliau mengalami pendarahan otak,” lapor akhbar Laporan menyebut, lelaki berkenaan ialah pekerja pejabat dan pemain permainan online. Menurut Voice of China, Xiao Qiang yang menggemari ayam goreng dan minuman bergas itu, seberat 100 kilogram, antara faktor risiko, kata doktor. “Xiao Qiang kini separuh lumpuh. Doktor Xiong Zhiwei, berkata fungsi motornya dapat pulih tetapi sukar bercakap dan beberapamasalah mental,” kata akhbar itu lagi. AGENSI

Bot nelayan Vietnam karam dirempuh
Hanoi: Vietnam semalam menuduh kapal China merempuh dan menyebabkan salah sebuah bot nelayannya karam, menyemarakkan ketegangan berhubung penempatan Beijing di pelantar minyak di perairan yang menjadi rebutan. Kejadian berkenaan yang disifatkan pesaing China iaitu Jepun, sebagai amat bahaya, berlaku ketika konfrontasi tegang berterusan antara negara komunis berjiran di Laut China Selatan yang mencetuskan kebimbangan antarabangsa. Krew kapal nelayan itu, yang diselamatkan oleh kapal Vietnam lain selepas kejadian tengah hari kelmarin, berkata bot mereka dikepung 40 kapal China sebelum diserang, kata Agensi Berita Vietnam. “Saya mengesahkan kapal nelayan dirempuh,” kata pegawai Pusat Pencarian Maritim dan Penyelaras Penyelamat Wilayah Vietnam di bandar raya Danang.

Pelajar Tingkatan 2 Jadi Mangsa Rogol Lebih 30 Lelaki

PETALING JAYA: Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang keluar untuk bertemu rakan perempuannya dipercayai menjadi mangsa rogol berkumpulan oleh lebih 30 lelaki di sebuah rumah kosong di Ketereh, Kelantan pada malam Selasa lalu. Sumber polis berkata, seorang rakan telah meminta pelajar Tingkatan 2 dari Guchil, Kuala Krai itu untuk mengambilnya di Ketereh. Mangsa kemudiannya menghubungi rakan lelakinya untuk membawanya ke Ketereh yang terletak kira-kira 30 kilometer dari Kuala Krai. Sumber berkata, selepas mengambil rakan mangsa di Ketereh, sahabat lelakinya membawa mereka ke sebuah rumah kosong di Ketereh untuk berehat. Sebelum meninggalkan rumah tersebut, mereka telah ditahan oleh seorang lelaki. Selepas itu, sekurang-kurangnya 40 lelaki masuk ke rumah kosong tersebut dan membawa dua remaja perempuan itu ke dalam sebuah bilik dan merogol mangsa secara bergilir-gilir. Tidak dapat dipastikan sama ada rakan mangsa turut dirogol kerana dia belum membuat sebarang laporan polis berhubung insiden itu. Mangsa, yang pengsan selepas diperkosa sekumpulan lelaki itu tersedar pada keesokan harinya dengan mengadu sakit dibahagian kemaluannya. Menurut sumber, mangsa yang takut untuk memberitahu kedua-dua ibu bapanya mengenai insiden itu, tinggal di rumah saudara teman lelakinya sehingga 24 Mei lalu. Selepas itu barulah mangsa memaklumkan kepada bapanya di Kuala Krai mengenai insiden tersebut. “Apabila di pulang ke rumah pada Ahad, mangsa dibawa ke hospital Kuala Krai kerana kemaluanya mengalami pendarahan yang teruk,” kata sumber. Bapa mangsa kemudiannya membuat laporan polis mengenai insiden tersebut pada hari yang sama. Sumber berkata kes tersebut masih dalam siasatan polis. Sumber: mStar

Siasat dakwaan pelajar dinoda 38 lelaki

Kota Bharu: Kes seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun yang mendakwa dirogol beramai-ramai oleh kira-kira 38 lelaki tidak dikenali di Ketereh, Selasa lalu mendapat perhatian Ahli Parlimennya Tan Sri Annuar Musa. Annuar menerusi laman sosial Facebooknya memuat naik status yang melahirkan rasa terkejut dan dukacita berhubung kejadian itu jam 9 malam semalam. Beliau yang mengetahui berita itu menerusi Buletin Utama TV3 jam 8 malam turut meminta pihak berkuasa segera menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya. “Saya di luar negara terkejut apabila TV3 jam 8 malam memaparkan tajuk utama yang mengaitkan kejadian rogol di Ketereh. “Masya-Allah. Sebagai Ahli Parlimen Ketereh, saya dukacita dengan berita ini. Semoga siasatan dibuat untuk mengetahui kebenarannya,” katanya. Dalam pada itu, beliau turut berkongsi laporan polis mengenai kejadian itu yang mendapat perhatian orang ramai, namun tidak mendedahkan identiti mangsa. Kira-kira dua jam kemudian, beliau memuat naik satu lagi status yang mempersoalkan tindakan pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan identiti mangsa. Mengikut laporan, seorang pelajar tingkatan dua dari Kuala Krai mendakwa dirogol sekumpulan lelaki sekitar 38 orang dalam sebuah rumah.Harian Metro

3 segmen baharu ANGKASA
Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) akan menumpukan tiga segmen perniagaan baharu pada tahun ini dalam usaha mewujudkan peluang dan mempelbagaikan sumber pendapatan ahli koperasi di negara ini. Segmen perniagaan baharu yang akan dikendalikan menerusi anak syarikat ANGKASA iaitu MyANGKASA Holdings Sdn Bhd, merangkumi penjagaan kesihatan, perkhidmatan amanah dan takaful. Ketua Pegawai Eksekutif MyAngkasa Holdings, Shaharuddin Mohamed, berkata segmen penjagaan kesihatan dilaksanakan menerusi penubuhan dua anak syarikat iaitu MyANGKASA Farmasi Sdn Bhd dan MyANGKASA Dialisis Sdn Bhd, perkhidmatan amanah melalui MyANGKASA Amanah Bhd serta cadangan menubuhkan anak syarikat untuk menjalankan perkhidmatan takaful sebelum akhir tahun ini.
Perkasa ekonomi
Katanya, ANGKASA mempunyai aspirasi untuk mencapai sasaran supaya koperasi menyumbang 10 peratus atau RM50 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020, berbanding antara RM23 bilion hingga RM27 bilion pada masa ini. “Bagi mencapai sasaran itu, ANGKASA yang diberikan tanggungjawab oleh kerajaan untuk memperkasakan bidang ekonomi ahli koperasi akan mempelbagaikan segmen perniagaan dengan tumpuan terhadap sektor yang mempunyai nilai tambah tinggi,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis memeterai perjanjian kerjasama (MoC) antara MyANGKASA Holdings dengan rakan perniagaan baharunya, MyGenBizz Bhd untuk mempromosikan penggunaan aplikasi mudah alih peribadi MyBrandApp. MoC membolehkan keduadua pihak meneroka potensi menawarkan MyBrandApp, iaitu aplikasi mudah alih baharu untuk berhubung dan berkomunikasi. Pada majlis itu, Shaharuddin memeterai MoC bagi pihak MyANGKASA Holdings manakala MyGenBizz diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Steve Tan. Ia disaksikan Presiden ANGKASA Bhd, Datuk Abdul Fattah Abdullah dan Pengerusi MyGenBizz, Khalid Ahmad Husni.

Anggota tentera maut, dua orang awam ditembak
Foto
LOKASI kejadian di hadapan premis di pekan Lahad Datu. FOTO Mohd Ridzal Abdullah
Lahad Datu: Seorang anggota tentera maut manakala tiga parah selepas seorang anggota komando Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melepaskan beberapa das tembakan di bandar ini, awal pagi tadi. Dalam kejadian jam 4.45 pagi itu, tiga yang parah adalah seorang anggota komando ATM dan dua orang awam. Dua orang awam yang cedera di kaki dan bahu adalah pekerja pusat hiburan. Semua mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut. Difahamkan, ketika kejadian tiga anggota tentera ini dipercayai bertengkar lalu cuba dileraikan oleh dua individu berkenaan. Bagaimanapun, seorang daripada anggota tentera berkenaan tiba-tiba melepaskan beberapa das tembakan dipercayai menggunakan senjata jenis M-16. Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Senior Asisten Komisioner Omar Mammah ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan semua mangsa masih menerima rawatan di hospital.

Isu babi: Tiada 'bersih darah', tiada samak
BAGI sesiapa yang telah termakan Cadbury berDNA babi secara tersalah atau tidak tahu berkenaan kewujudan unsur babi tersebut.
Menurut hukum Islam, mereka TIDAK BERDOSA dan seterusnya TIDAK PERLU membersihkan darah.

Sebagaimana firman ALLAH SWT:

 وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَا أَخْطَأْتُمْ بِهِ وَلَكِنْ مَا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا {الأحزاب: 5}

Ertinya : Dan tidak ada dosa atasmu terhadap apa yang kamu tersalah padanya, tetapi (yang ada dosanya) apa yang disengaja oleh hatimu. Dan adalah ALLAH Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Ahzab: 5)
Dan Nabi Muhammad salla ‘allahu ‘alaihi wasallam:

 إن الله تجاوز عن أمتي الخطأ والنسيان وما استكرهوا عليه. رواه ابن ماجه وصححه الألباني.

Ertinya: Sesungguhnya ALLAH SWT melepaskan dari umatku apa yang tersalah, lupa dan sesuatau (yang haram atau salah) yang dipaksakan ke atas mereka. ( Riwayat Ibn Majah, sahih)

Justeru, tiada istilah ‘membersihkan darah’, atau seolah DIRI akan ke neraka atau AMALAN LAIN akan DITOLAK kerana coklat terbabit sekiranya darah tidak dibersihkan. Ini semua tidak benar.
Namun, jika ingin diambil SAMAN GANTIRUGI atas kesilapan Cadbury dan kealpaan mereka atau keculasan menggunakan logo halal pada yang tidak halal, itu WAJAR DILAKUKAN namun JANGAN dihujah atas nama ‘membersihkan darah’ seolah ia tuntutan agama.
Juga TIDAK PERLU disamak mulut dan usus dengan air tanah, Islam tidak menuntut sedemikian dalam hal seperti ini. Jangan menyebabkan Islam disalah tanggapi dengan pandangan pelik dan tidak berasas kukuh.

Dr. Zaharuddin Abd Rahman
28 Mei 2014
***Artikel dipetik dari Facebook FB) beliau. Beliau merupakan Presiden Murshid, Pensyarah Kanan UIAM, Penasihat Shariah Kewangan Islam Tempatan dan Antarabangsa, kolumnis, penulis buku, pendakwah.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis yang dipetik dari blog beliau sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan Sinar Harian Online.


As-Sisi lawan Sobahi, pemenang ialah Morsi!
Seorang wanita menjalankan tanggungjawab membuang undi di pusat pengundian di Kaherah.
DATO TUAN IBRAHIM TUAN MAN
28 Mei 2014
Share on facebook Share on twitter Share on google_plusone_share More Sharing Services4 BERBAKI hanya beberapa jam sahaja lagi ketika saya menulis kenyataan ini, pusat-pusat mengundi bagi pilihan raya Presiden Mesir akan ditutup selepas menyaksikan sambutan rakyat yang paling hambar di seluruh negara semenjak proses pengundian dibuka sejak semalam. Senario ini memberikan tamparan hebat kepada pemerintah yang benar-benar dimalukan oleh rakyat. Ia dimulakan oleh rakyat Mesir yang berada di luar negara minggu lalu yang menyaksikan mereka yang keluar mengundi hanya 4 peratus daripada 8 juta pengundi yang berdaftar di kedutaan-kedutaan Mesir di luar negara. Untuk proses pengundian rakyat di dalam negara, pada hari pertama iaitu 26 Mei, berdasarkan angka yang dikemukakan oleh Pertubuhan Hak dan Kebebasan Arab, sebuah pertubuhan hak asasi manusia hanya 6.58 peratus sahaja. Apa lagi taktik, pendekatan dan strategi yang belum digunakan oleh pemerintah untuk memastikan rakyat Mesir turun mengundi?
Sama ada taktik baik yang memujuk atau taktik jahat semuanya digunakan:
1) Memberikan cuti khas kepada para pegawai kerajaan di seluruh negara bagi membolehkan mereka mengundi.
2) Pasukan kempen dari pelbagai parti politik antaranya Parti Nur yang menyediakan perkhidmatan bas percuma bagi mengangkut para pengundi ke pusat pengundian.
3) Menggunakan tokoh-tokoh agama seperti Syeikh Al-Azhar Dr. Ahmad Toyyib sehari sebelum mengundi yang menyeru rakyat Mesir menunaikan kewajipan tersebut. Sebaqgai menyahut seruan Syeikh Al-Azhar yang meminta golongan ulama mendahului saf pengundi-pengundi lain maka bekas mufti, Dr. Ali Gomaa dan Mufti Dr. Syauqi Alam antara yang dilihat cuba meyakinkan rakyat Mesir untuk keluar mengundi. Hari kedua pengundian iaitu hari ini, Menteri Agama, Dr.Mukhtar Jumaah terpaksa mengeluarkan kenyataan yang berbaur ugutan menyeru rakyat Mesir keluar mengundi bagi "menyelamatkan Mesir daripada huru-hara". Ketua agama Kristian antaranya Pope Tawadhrox turut memainkan peranan memaksa penganut Kristian negara itu keluar mengundi atas nama Al-Masih Isa.
4) Pemerintah kemudiannya mengumumkan untuk melanjutkan tempoh pengundian hari ini yang sepatutnya berakhir jam 9 malam dilewatkan kepada jam 10 malam.
5) Pemerintah turut mengugut untuk mengenakan denda LE 500 (kira-kira RM250) kepada mereka yang tidak keluar mengundi bahkan Pejabat Pendakwaraya sedia mengheret mereka yang ingkar untuk didakwa.
6) Ketua-ketua kampung dan pimpinan masyarakat yang pro-Abdul Fatah AsSisi terpaksa menggunakan pembesar suara masjid untuk memaksa rakyat keluar mengundi seperti yang berlaku di wilayah El-Menia.
7) Memaksa mereka yang lalu lalang untuk menjalani kehidupan seharian yang melalui kawasan pusat mengundi untuk mengundi seperti yang berlaku di bandar Mansurah, wilayah Daqahliyah. Mangsa, Puan Su'ad Syarbini yang meluahkan kepada Ikhwanonline.com berkata, seorang pegawai polis menahannya ketika dia berjalan untuk ke pasar bagi membeli keperluan lalu dia bertanya pusat pengundiannya tatkala dia melihat jari Puan Su'ad masih bersih tanpa kesan calit dakwat kekal.
Kegagalan pilihan raya berdarah ini sebenarnya turut diakui oleh penyokong As-Sisi sendiri. Antara mereka iaitu bekas Ahli Parlimen sekular Mesir, Mustafa Bakri yang juga pendokong As-Sisi. Kata Bakri dalam satu wawancara rancangan "Al-Hayah", "Peratusan penyertaan rakyat Mesir dalam pilihan raya Presiden masih belum sampai mencapai nisbah yang diperlukan hingga sekarang." Dia turut menjangkakan As-Sisi akan berundur dari jawatan Presiden kerana malu penyertaan rakyat Mesir. Seorang lagi pengamal media tv pro-Sisi, Ibraheem Isa mengakui bahawa sama ada As-Sisi atau lawannya Hamdin Sobahi, kedua-duanya tidak mempunyai pengikut. Sudah tentu mereka yang memboikot pilihan raya ini bukan sahaja Ikhwan Muslimin tetapi rakyat seluruhnya. Mereka tentu sekali ibu bapa, balu-balu, sepupu, ipar duai, saudara mara dan kenalan kepada mangsa korban lebih 5,000 orang yang dibunuh di dataran Raba'ah, mangsa korban penyembelihan demi penyembelihan yang dilakukan oleh tentera sejak hampir setahun yang lalu. Mereka juga terdiri daripada keluarga dan kenalan mangsa tahanan politik lebih 40,000 orang yang merengkuk dalam penjara kudeta waktu ini. Oleh itu, marilah sama-sama kita terus berdoa kepada ALLAH kerana DIA yang berkuasa menganugerahkan kemenangan dan DIA telah menggerakkan hati jutaan rakyat Mesir untuk memboikot pilihan raya berdarah ini. Kemenangan ALLAH semakin hampir kepada hamba-hambaNYA tetapi musuh-musuhNYA tidak akan mengerti.
Allahu Akbar walillahilhamd!
Akhukum Abdul Malik.
DATO TUAN IBRAHIM TUAN MAN * Ini adalah pendapat peribadi penulis yang dipetik dari blog beliau sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan Sinar Harian Online.

Sembilan jabatan, agensi diiktiraf empat bintang - JAD
KUALA TERENGGANU - Jabatan Audit Negara memberi penarafan empat bintang kepada sembilan jabatan dan agensi kerajaan di Terengganu untuk tahap prestasi pengurusan kewangan berdasarkan indeks akauntabiliti yang cemerlang. Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah berkata, tujuh lagi jabatan dan agensi kerajaan di Terengganu pula menerima penarafan tiga bintang, hasil penilaian Jabatan Audit Negara itu. "Jabatan yang menerima penarafan empat bintang itu ialah Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Pejabat Daerah Kemaman, Pejabat Perbendaharaan negeri, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) serta pejabat Tanah dan Galian negeri. "Empat lagi ialah pejabat Tanah Besut, Majlis Daerah Setiu (MDS), pejabat Tanah Marang dan pejabat Setiausaha Kerajaan negeri," katanya dalam sidang media, di sini, semalam. Susulan itu, beliau turut mengumumkan kerajaan negeri akan memberi hadiah sebanyak RM20,000 kepada sembilan jabatan dan agensi terbabit atas usaha mereka mencapai kecemerlangan itu. Tujuh jabatan dan agensi yang diberi penarafan tiga bintang pula ialah Pejabat Tanah Hulu Terengganu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), pejabat Tanah Kuala Terengganu, Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Jabatan Perhutanan negeri serta pejabat daerah masing-masing di Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu. Mazlan berkata, untuk mendapatkan penarafan empat bintang, markah yang diperlukan ialah ntara 90 hingga 100 peratus manakala tiga bintang pula daripada 70 hingga 89 peratus. "Lebih menggembirakan kita apabila kedudukan kewangan negeri juga disifatkan kukuh berdasarkan laporan yang dibuat oleh Jabatan Audit Negara itu. "Alhamdulillah. Tidak ada jabatan atau agensi kerajaan negeri yang mendapat penarafan dua atau satu bintang," katanya. - Bernama

Kadar pengangguran turun kepada 3 peratus
Datuk Seri Najib Tun Razak - Foto Bernama
Datuk Seri Najib Tun Razak - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata kadar pengangguran di Malaysia turun kepada 3.0 peratus pada Mac 2014. Berikutan prestasi mengagumkan itu, Perdana Menteri merakamkan penghargaan beliau kepada semua pihak yang berusaha untuk memastikan pasaran pekerjaan di negara ini sentiasa stabil. "Saya ucap terima kasih kepada semua sektor yang bekerja keras untuk memelihara kestabilan pasaran pekerjaan kita," kata Najib melalui laman Twitter beliau. Beliau berkata demikian untuk merujuk kepada siaran Perangkaan Tenaga Buruh Malaysia bagi Mac 2014 yang menunjukkan kadar pengangguran di Malaysia ialah 3.0 peratus pada bulan berkenaan, turun 0.2 peratus daripada 3.2 peratus pada bulan sebelumnya. Menurut laporan itu, yang dikeluarkan semalam (26 Mei), setakat Mac 2014, terdapat 13,843,500 tenaga buruh di Malaysia dan daripada jumlah itu, 13,427,800 mendapat pekerjaan, manakala 415,700 lagi masih menganggur. - Bernama

Mayat pekerja kilang terjatuh sampan dijumpai
Mat Da’ae mengecam mayat anaknya ketika dinaikkan ke Jeti Kampung Sungai Kajang kira-kira jam 1030 pagi tadi. - Foto Sinar Harian oleh ARZIANA MOHMAD AZAMAN
Mat Da’ae mengecam mayat anaknya ketika dinaikkan ke Jeti Kampung Sungai Kajang kira-kira jam 1030 pagi tadi. - Foto Sinar Harian oleh ARZIANA MOHMAD AZAMAN
TANJONG KARANG - Suasana hiba menyelubungi pekarangan Jeti Kampung Sungai Kajang, di sini apabila mayat mangsa lemas, Hasan Ashari Mat Da’ae, 39, ditemui kira-kira dua batu nautika dari jarak sampannya pada jam 9.20 pagi, hari ini. Mayat mangsa yang dalam keadaan tertiarap tanpa baju terapung di tengah laut sebelum dilihat nelayan tempatan yang turut terlibat dalam usaha mencari sejak Ahad lalu bersama pasukan bomba, Marin, polis dan Maritim. Mayat mangsa kemudiannya dibawa menggunakan bot nelayan untuk dinaikkan ke jeti kira-kira jam 10.30 pagi sebelum dibawa ke Hospital Tanjong Karang menggunakan trak polis. Suasana cukup mengharukan apabila bapa mangsa, Mat Da’ae Talib, 70, dilihat tidak dapat menahan perasaan sedih apabila diminta mengecam mayat anaknya sehingga terpaksa ditenangkan ahli keluarga yang lain dan penduduk kampung. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Karang, Azmi Abbas ketika ditemui berkata, mayat mangsa ditemui terapung oleh nelayan yang membantu misi mencari kira-kira tiga kilometer dari tempat mangsa dikatakan terjatuh. “Mangsa ditemui nelayan tempatan yang turun ke laut seawal jam 6.30 pagi ini untuk menyertai operasi mencari dan menyelamat dan akan dihantar ke hospital untuk dibedah siasat,” katanya. Isteri mangsa, Maifuzah Jaid, 37, berkata, dia reda dengan ketentuan Ilahi dan bersyukur apabila mayat suaminya berjaya ditemui hasil kerjasama semua pihak termasuk penduduk kampung.

Bekas mekanik ditahan selepas larikan kereta
ROMPIN - Seorang bekas mekanik diberkas polis, kira-kira setengah jam selepas dia melarikan kereta dari hadapan sebuah kedai runcit di Kota Bahagia, Muadzam Shah di sini Jumaat lepas. Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata suspek berusia 30-an itu diberkas di Bandar Satelit, Muadzam Shah pada pukul 8.30 malam. "Pemilik kereta itu meninggalkan kereta dalam keadaan enjin tidak dimatikan di depan kedai runcit untuk membeli barang keperluan, bagaimanapun secara tiba-tiba suspek meluru masuk ke dalam keretanya dan terus melarikannya," katanya dalam sidang media di sini hari ini. Pemilik kenderaan itu cuba mengejar penjenayah terbabit namun gagal sebelum bergegas ke Balai Polis Kota Bahagia untuk membuat laporan. Polis yang menerima laporan itu mengesan suspek bersama kereta berkenaan di Bandar Satelit dan suspek yang menyedari kehadiran polis cuba memecut kenderaan terbabit namun berjaya dipintas oleh polis di Simpang Chanis sebelum menahannya. Johari berkata suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri kenderaan. - Bernama

Azuan gubah hantaran sendiri
Ahli keluarga menyiram air mawar dan menabur bunga di pusara arwah.
Ahli keluarga menyiram air mawar dan menabur bunga di pusara arwah.
KULAIJAYA – Suasana pilu diiringi hujan renyai menyelubungi majlis pengebumian jenazah Lans Koperal Mohd Azuan Abdullah, 25, yang maut akibat dirempuh penjenayah dalam kejadian di Batu 10 menghala ke Alor Pongsu, Perak, kelmarin. Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu 23, di sini yang dihadiri lebih 100 orang termasuk ahli keluarga, sanak-saudara dan rakan sekerja. Jenazah Mohd Azuan sebelum itu tiba di kediaman bapanya di Taman Scientex, di sini kira-kira jam 6 pagi yang kemudiannya disembahyangkan di Masjid Kampung Rahmad sebelum dibawa ke tanah perkuburan jam 10.10 pagi. Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Ismail Yatim dan sebahagian warga PDRM bagi memberikan penghormatan terakhir. Ismail berkata, pemergian Mohd Azuan sebagai satu kehilangan besar warga PDRM kerana menyifatkan Allahyarham seorang anggota yang berdedikasi. “Hari ini merupakan satu yang sangat sedih bagi keluarga PDRM. Seorang anggota yang sangat dedikasi dan baik menjalankan tugas telah meninggal dunia angkara tindakan penjenayah yang tidak pernah bertimbang rasa. “Kita sangat memerlukan maklumat daripada orang awam mengesan dan menangkap penjenayah ini. Sehubungan itu orang ramai diseru untuk menyalurkan maklumat supaya kita dapat ambil tindakan terhadap penjenayah ini,” katanya. Ismail berkata, polis Kontinjen Johor akan mengadakan majlis tahlil untuk Allahyarham selain menyampaikan sumbangan kepada keluarganya di Taman Scientex, di sini, bagi meringankan beban mereka. Sementara itu, ibu Allahyarham, Afidah Ehsan, 53, berkata, Mohd Azuan adalah seorang anak yang bertanggungjawab, baik, lemah-lembut dan tidak pernah bergaduh dengan adik beradiknya yang lain. Anak ketiganya itu dilihat begitu teruja untuk melangsungkan hari bahagianya apabila dia beria-ia membuat hantaran perkahwinannya sendiri. “Saya hairan apabila dia sendiri menyatakan hasrat nak menggubah hantarannya sendiri sedangkan sebelum ini, dia meminta bantuan sanak saudara yang lain. “Apa yang saya tahu dia juga hampir menyiapkan kesemua tujuh dulang hantaran tersebut, namun semuanya hanya tinggal kenangan kerana dia pergi dahulu,” katanya. Dalam kejadian jam 1 petang itu, Mohd Azuan dari Unit Ronda Bermotosikal (URB) Balai Polis Kuala Kurau, meninggal dunia di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah akibat tercampak daripada motosikal yang ditunggangnya. Allahyarham dijangka melangsungkan majlis perkahwinan dengan pasangannya, Nur Faizah Muhammad Rejab di Kampung Paip, Jalan Kuala Kedah, Alor Setar, Ahad ini.

Polis mencari Mohd Fairos
KEPALA BATAS - Polis Pulau Pinang sedang mencari seorang lelaki dikenali sebagai Mohd Fairos Mohamad Sharif, 29, berasal dari Kampung Chegar di Padang Menora, Tasek Gelugor bagi membantu siasatan kes pecah rumah di sekitar Seberang Perai Utara (SPU). Menurut Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, polis menahan rakan lelaki itu berusia 30 tahun baru-baru ini. "Polis merampas alatan pecah rumah serta menemui semula pelbagai barang yang dipercayai disamun. "Antara yang dirampas termasuk telefon bimbit, komputer riba dan barang kemas. "Mereka disyaki aktif menjalankan kegiatan samun sejak setahun lepas," katanya pada sidang akhbar di sini, semalam. Beliau menambah, kedua-dua lelaki terbabit mempunyai 10 rekod jenayah berkaitan dadah, pecah rumah dan samun. - Bernama

MH370: MAS diminta perjelas laporan satelit
MH370
KUALA LUMPUR - Waris penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang pada 8 Mac lepas meminta pihak MAS memberi penjelasan kepada keluarga pesawat berkenaan berhubung data belum diproses laporan satelit yang dikeluarkan oleh firma United Kingdom Inmarsat hari ini. Selamat Omar, 60, bapa kepada penumpang yang dikenali sebagai Mohd Khairul Amri, berkata beliau menerima e-mel selain panggilan telefon daripada pihak MAS sekitar pukul 9.30 pagi berhubung data tersebut. "Dari e-mel yang diterima, saya mendapati data yang dikeluarkan adalah sama seperti mana dalam operasi menyelamat dan mencari dahulu. "Tiada apa yang boleh dikesan untuk dijadikan panduan dan maklumat terbaru dari e-mel tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama. Sementara itu, S.Thenmoli, 26, adik perempuan kepada S.Puspanathan mengesahkan pihaknya tidak menerima sebarang maklumat terkini daripada MAS. "Sehingga kini, saya tidak terima apa-apa maklumat terbaru sejak taklimat terakhir April lepas. "Saya pun tidak mengetahui yang laporan data satelit diedarkan kepada waris keluarga hari ini," katanya. Jabatan Penerbangan Awam (DCA) hari ini mengeluarkan data satelit belum diproses Inmarsat setebal 45 muka surat yang diguna untuk mengesan pola penerbangan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang. Dalam kenyataannya, DCA berkata log data komunikasi daripada Inmarsat, syarikat komunikasi satelit Britain itu, dan keterangan mengenainya, dikeluarkan untuk membolehkan pembaca memahami data berkenaan. Menurut kenyataan itu, log data yang disertakan bersama nota tambahan Log Unit Isyarat (9M-MRO) bagi MH370 disediakan Inmarsat. Penerbangan MH370 bersama-sama 239 penumpang dan anak kapal dari Kuala Lumpur ke Beijing, hilang daripada skrin radar ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam. Pesawat Boeing 777-200ER itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. Gerakan mencarinya, yang melibatkan bantuan beberapa negara dilancarkan, pada mulanya di Laut China Selatan dan kemudian di Lautan Hindi apabila pesawat itu dikatakan melencong daripada laluan asalnya. Apabila analisis terhadap data satelit menunjukkan kedudukan terakhir pesawat itu di Lautan Hindi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada 25 Mac bahawa Penerbangan MH370 'berakhir di selatan Lautan Hindi.' - Bernama

Peluang lihat Zuhal, Musytari, Marikh Sabtu ini
Agensi Angkasa Negara
Agensi Angkasa Negara
KUALA LUMPUR - Orang ramai berpeluang untuk melihat planet Zuhal, Musytari dan Marikh melalui teleskop dengan menyertai program 'Sidewalk Astronomy Night 2014' anjuran Agensi Angkasa Negara (Angkasa), di sini Sabtu ini. Angkasa dalam satu kenyataan malam ini berkata sebanyak lima teleskop akan disediakan pihaknya di Tepian Tasik, Taman Tasik Titiwangsa, di sini. "Pada malam itu juga orang ramai berpeluang untuk mencerap permukaan bulan yang pada ketika ini berada dalam fasa bulan baharu," kata Angkasa. Program dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur itu akan bermula pada pukul 8 malam hingga 10 malam. Tiada sebarang bayaran dikenakan. Angkasa turut menggalakkan orang ramai yang mempunyai teleskop sendiri supaya membawa alat itu pada malam berkenaan. Di samping melihat planet dan bulan, pengunjung juga bakal diberi taklimat berkenaan objek cakerawala yang dilihat serta boleh menyertai kuiz dan aktiviti dikenali sebagai 'space glow in the dark'. - Bernama

Laporan lori ayam seludup budak palsu
Asisten Superintendan Shahidan Ladin
Asisten Superintendan Shahidan Ladin
Alor Setar: Dakwaan mengenai penahanan sebuah lori ayam kononnya menyorokkan enam kanak-kanak untuk diseludup ke Thailand, yang tersebar luas menerusi laman sosial Facebook sejak kelmarin, disahkan palsu oleh Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kedah. Komander UPP Kedah, Abdul Latif Abdul Rahman mengesahkan pihaknya tidak pernah membuat tangkapan membabitkan lori ayam dan kanak-kanak seperti didakwa. Katanya, dakwaan tangkapan terbabit juga tidak berasas sama sekali kerana ayam dari negara ini tidak dieksport ke Thailand hingga memungkinkan kejadian penyeludup menyorokkan enam kanak-kanak. “Saya baru dimaklumkan mengenai dakwaan yang tersebar dan tidak tahu menahu hal penahanan lori ayam itu. “Ini berikutan setiap laporan berkaitan tangkapan dimaklumkan kepada saya terlebih dahulu tetapi semakan mendapati semua anggota dan pegawai saya juga tidak tahu mengenai perkara ini. Tiada ayam ke negara jiran “Adalah mustahil penyeludupan membabitkan lori muatan ayam dari negara ini ke Thailand, kerana biasanya unggas itu dibawa masuk dari negara jiran ke sini. “UPP melakukan pemeriksaan ketat pada kedua-dua arah di Kilometer 1.3, Lebuh Raya Changlun-Bukit Kayu Hitam terhadap kenderaan yang keluar masuk dari negara ini ke Thailand, selain kamera rakaman litar tertutup (CCTV) yang dipasang di sekitar kawasan itu bagi memantau pergerakan kenderaan yang mencurigakan,” katanya ketika dihubungi, semalam. Abdul Latif berkata, UPP tidak menafikan kemungkinan penyeludupan kanak-kanak itu boleh berlaku, namun dakwaan membabitkan tangkapan lori ayam oleh UPP itu adalah tidak benar. Turut disahkan agensi lain “Saya juga sudah berhubung dengan agensi lain, namun tiada sebarang maklumat mengenai kejadian itu,” katanya. Cerita mengenai kejayaan anggota UPP Bukit Kayu Hitam menahan sebuah lori ayam ketika cuba menyeludup enam kanak-kanak itu tersebar sejak kelmarin menerusi Facebook, selain aplikasi whatsapp dan wechat. Antara berita disebarkan adalah tiga daripada enam kanak-kanak itu masih boleh bercakap walaupun dalam keadaan khayal, namun empat lagi membisu dipercayai kerana disuntik dadah.

Kebakaran hospital: 20 pesakit, jururawat maut
Antara pesakit yang berjaya melarikan diri dari kebakaran di tingkat bawah hospital. Foto BBC
Antara pesakit yang berjaya melarikan diri dari kebakaran di tingkat bawah hospital. Foto BBC
SEOUL - KOREA SELATAN. Sekurang-kurangnya 20 pesakit dan jururawat terbunuh manakala enam lagi parah dalam kebakaran di Hospital Hyosarang, di daerah Janseong iaitu 300 km dari Seoul, awal pagi tadi. BBC melaporkan, mangsa yang maut merupakan pesakit warga emas berusia 7o hingga 80 tahun. Menurut pegawai, mangsa yang meninggal dunia disebabkan sesak nafas akibat asap tebal. Kebakaran bagaimanapun berjaya dipadam dalam tempoh setengah jam.

Kes Mers menurun di Saudi
RIYADH - ARAB SAUDI. Kementerian Kesihatan Arab Saudi merumuskan kes virus Sindrom Pernafasan Timur Tengah (Mers) kini semakin menurun di mana hanya empat kes baharu dicatatkan tanpa melibatkan kematian. Menurut jurucakap kementerian itu, penurunan kes dipercayai kerana kerajaan mengambil langkah yang tepat pada waktunya untuk membendung penyebaran penyakit berkenaan. "Kes terbaharu yang dilaporkan melibatkan tiga pesakit wanita berumur 25, 45 dan 32 tahun serta seorang lelaki berusia 44 tahun di Jeddah," katanya. Awal bulan lalu, laporan dipetik dari Arab News, pemangku Menteri Kesihatan, Abdel Fakeih telah melancarkan kempen kesedaran terhadap virus pembawa maut tersebut dengan kerjasama Kesihatan Sedunia (WHO).

Hakim arah Zuckerberg hadir di mahkamah Iran

TEHERAN - Seorang hakim di selatan Iran mengarahkan pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg (gambar) untuk hadir di sebuah mahkamah, lapor agensi berita ISNA semalam. Menurut agensi berita itu, Zuckerberg diminta hadir bagi menjawab aduan yang dibuat beberapa individu yang menyatakan, aplikasi milik Facebook iaitu Instagram dan Whatsapp mengganggu kehidupan mereka. Seorang pegawai separa tentera, Ruhollah Momen Nasab berkata, hakim tersebut turut menyekat kedua-dua laman sosial itu. Pada minggu lalu, sebuah mahkamah Iran turut mengarahkan Instagram disekat berhubung kebimbangan tentang isu-isu peribadi. Bagaimanapun, para pengguna di bandar raya ini masih boleh mengakses kedua-dua laman tersebut pada waktu tengah hari. - AP

Lelaki pernah digelar paling gemuk meninggal dunia
Foto
MONTERREY, Mexico - Seorang lelaki Mexico, Manuel Uribe yang pernah digelar sebagai manusia paling gemuk di dunia meninggal dunia pada usia 48 tahun, kata beberapa pegawai kelmarin. Berat Uribe pernah mencecah sehingga 587 kilogram (kg) sebelum dia menjalani diet untuk mengurangkan berat badannya kepada 394kg. Seorang pegawai di Hospital Universiti, Monterrey berkata, laporan awal menunjukkan dia meninggal dunia disebabkan masalah kadar degupan jantungnya yang tidak teratur dan penyakit berkaitan dengan kehilangan cecair pada kedua-dua kakinya. Dia dimasukkan ke hospital itu pada 2 Mei lalu. Sebuah kren digunakan untuk mengangkut Uribe yang berada di atas katilnya di rumahnya di bandar San Nicolas de los Garza ke hospital tersebut dengan dibantu para pekerja perkhidmatan kecemasan dan pasukan pertahanan awam. Uribe berkahwin pada tahun 2008 dengan Claudia Solis yang berusia 38 tahun. Sebuah stesen penyiaran Amerika Syarikat membeli hak penyiaran majlis perkahwinannya yang dihadiri kira-kira 400 orang tetamu itu. Dia diiktiraf sebagai lelaki paling gemuk di dunia oleh Guinness World Records pada tahun 2007. Bagaimanapun, ekoran berat badannya semakin meningkat, hubungan baik dengan isterinya semakin merosot. "Dia (Solis) meminta saya menceraikannya. Saya berasa amat murung," kata Uribe sebelum ini. Uribe pada mulanya merupakan seorang remaja yang mempunyai berat hanya 113.39kg. Namun, pada tahun 1992, berat badannya mula meningkat. Pada tahun 2007, dia pernah memberitahu saluran televisyen ABC News: "Saya mempunyai masalah obesiti sejak bertahun-tahun lamanya. Berat badan saya bertambah dari semasa ke semasa." Menurutnya, dia makan sama seperti penduduk Mexico yang lain. Antara makanannya itu ialah hamburger, kentang goreng, piza, kacang, nasi dan makanan tradisi Mexico iaitu jagung tortilla. Uribe ketika itu berkata, dia bekerja sebagai juruteknik, membaiki mesin taip, mesin pengira elektronik dan komputer yang menyebabkan dia hanya duduk di atas kerusi. Sejak tahun 2002, Uribe mula terbaring di atas katil dan terpaksa bergantung kepada ibu dan rakan-rakannya untuk memberinya makanan dan membersihkan badannya. Mayat Uribe kemudian dibakar di sebuah pusat pengurusan mayat di sini.

- Agensi

Wanita Pakistan mati dibaling dengan batu
Wanita hamil direjam keluarga di Pakistan
REUTERS BEBERAPA anggota polis dan orang ramai menyaksikan mayat Farhana yang mati akibat dibaling batu dekat Mahkamah Tinggi di Lahore, Pakistan semalam.
LAHORE, Pakistan - Seorang wanita berusia 25 tahun dibaling dengan batu sehingga mati kerana dia berkahwin dengan kekasihnya, kata polis. Menurut seorang pegawai kanan polis, Umer Cheema, wanita itu, Farzana Iqbal pada mulanya tiba di luar sebuah Mahkamah Tinggi di sini. Bagaimanapun, sekumpulan lelaki membaling batu ke arahnya menyebabkan dia meninggal dunia. Umer berkata, bapa, dua orang abang dan bekas tunangnya antara yang menyerang Farzana. Polis berkata, Farzana cedera parah di kepala dan diumumkan meninggal dunia di sebuah hospital. "Semua suspek kecuali bapanya melarikan diri. Dia mengaku membunuh anak perempuannya," kata Cheema. Menurutnya, pembunuhan itu dilakukan disebabkan maruah keluarga. Kebanyakan keluarga Pakistan berpendapat seorang wanita yang berkahwin dengan pilihan sendiri menjatuhkan maruah keluarga. Farzana bertunang dengan sepupunya tetapi berkahwin dengan lelaki lain, jelas Cheema. Keluarganya telah membuat aduan di sebuah mahkamah dengan mendakwa anaknya itu diculik. Cheema berkata, Farzana perlu datang ke mahkamah untuk berhujah bahawa dia telah berkahwin dengan kerelaannya sendiri. Kumpulan hak asasi Pakistan, Yayasan Aurat menyatakan, kira-kira 1,000 wanita Pakistan dibunuh pada setiap tahun oleh keluarga mereka kerana maruah. - Reuters

Blogger tawar RM12,807 bayar pampasan kepada PM Singapura

SINGAPURA - Seorang blogger Singapura semalam menawarkan untuk memberi ganti rugi kepada Perdana Menteri, Lee Hsien Loong sebanyak S$5,000 (RM12,807). Bayaran itu diberikan selepas blogger tersebut, Roy Ngering Yi Ling sebelum ini enggan memberikan ganti rugi itu kepada Hsien Loong. Ganti rugi itu adalah berkaitan dengan satu artikel yang menuduh Perdana Menteri itu menerima rasuah. "Pelanggan kami mahu menawarkan sebanyak S$5,000 sebagai ganti rugi kepada Perdana Menteri," kata M. Ravi yang merupakan peguam kepada Ling. Ravi membuat tawaran itu menerusi sepucuk surat kepada Hsien Loong yang kemudian didedahkan kepada media. Menurut Ravi, ganti rugi itu adalah berdasarkan kehidupan sederhana dan pendapatan Ling yang diterimanya sebagai seorang pekerja kesihatan. Peguam Perdana Menteri itu, Davinder Sing pada minggu lalu menuntut permohonan maaf dan ganti rugi daripada Ling yang berusia 33 tahun berhubung satu artikel yang disiarkan pada 15 Mei lalu yang menuduhnya menerima rasuah. Ling sebelum ini berkata, artikelnya itu bertujuan untuk meminta ketelusan berhubung cara kerajaan melaburkan wang dana pencen menerusi dua buah syarikat. Pada Jumaat lalu, beliau meminta maaf dan memohon Hsien Loong tidak memintanya untuk membayar ganti rugi. Bagaimanapun, Ravi berkata, permohonan maaf itu tidak jujur selepas Ling menyiarkan video di laman YouTube bagi menyuarakan perasaan tentang masalah undang-undang yang dihadapinya itu. - AFP

Tentera junta Thailand umum tubuh pusat perdamaian

REUTERS SEBAHAGIAN penunjuk perasaan berarak menentang pemerintahan tentera di Monumen Kemenangan di Bangkok semalam.
BANGKOK - junta tentera Thailand mengumumkan penubuhan pusat perdamaian bagi mewujudkan suasana harmoni dan keamanan di negara ini ketika protes membantah rampasan kuasa pada 22 Mei lalu berterusan. Jurucakap junta, Kolonel Wintai Suwaree juga mengesahkan bahawa bekas Perdana Menteri Yingluck Shinawatra telah dibebaskan. Wintai berkata, pusat perdamaian itu akan ditubuhkan di bahagian-bahagian utama dan di empat wilayah tentera di seluruh negara untuk menyatukan rakyat Thailand yang berpecah akibat politik selama beberapa tahun. Bagaimanapun, beliau tidak mengumumkan butiran lengkap rancangan itu kecuali semua pihak akan diundang termasuk mereka yang tidak terlibat dalam kemelut politik. Berhubung pembebasan Yingluck yang ditahan pada Jumaat lalu, beliau berkata. Yingluck mungkin berada di Chiangmai, tempat kelahirannya ataupun masih berada di Bangkok. "Benar beliau telah dibebaskan sekarang, beliau berada di rumah. Saya tidak tahu sama ada beliau berada di Chiangmai atau Bangkok," kata Wintai ketika menjawab soalan pada sidang media di sini hari ini. Majlis Keamanan dan Ketenteraman Negara belum membebaskan beberapa tahanan lagi. Namun, Wintai berkata, jumlah mereka yang ditahan dan mereka yang dibebaskan akan diumumkan pada sidang media pada hari ini. Dalam pada itu, seorang anggota utama Parti Pheu Thai pimpinan Yingluck, Chaturon Chaisaeng, ditahan oleh tentera selepas mengadakan sidang media di Kelab koresponden Asing Thailand (FCCT) semalam. "Mereka (anggota-anggota tentera) hanya melakukan tugas mereka," kata Chaturon ketika beliau ditangkap. Beliau memegang jawatan Menteri Pendidikan semasa berkhidmat dalam Kabinet sebelum tentera melancarkan rampasan kuasa pada Khamis lalu. Rampasan kuasa itu dilakukan selepas para penunjuk perasaan antikerajaan melancarkan tunjuk perasaan selama hampir tujuh bulan di Bangkok. Chaturon tidak melawan apabila tentera datang dan menahannya di hadapan wakil media. Di Bangkok, penunjuk perasaan antirampasan kuasa terus mengadakan bantahan selama beberapa jam setiap hari. Bagaimanapun, mereka bersurai pada petang sebelum perintah berkurung pada malam hari bermula. Kelmarin, pemimpin junta tentera, Jeneral Prayuth Chan-ocha mengisytiharkan beliau mendapat perkenan Raja Bhumibol Adulyadej untuk memerintah Thailand. Justeru, beliau memberi amaran akan bertindak tegas ke atas mana-mana pihak yang cuba mencabar kedudukannya. Prayuth berkata, pilihan raya akan diadakan secepat mungkin tetapi beliau tidak menetapkan tempoh masa untuk mengembalikan semula kuasa politik kepada 67 juta rakyat Thailand. - Agensi

Diikat penyamun berparang

YOU KAI (kiri, duduk di atas katil) dan Ah Ying melihat Chan Fei melakonkan semula bagaimana dia diikat penyamun yang memecah masuk rumahnya di Ladang Gaddes, Jempol, Negeri Sembilan semalam.
JEMPOL - Tiga beranak berdepan detik cemas selama lebih dua jam dengan tangan masing-masing diikat selepas rumah mereka di Ladang Gaddes di sini dipecah masuk sekumpulan penjenayah bersenjata tiga bilah parang semalam. Dalam kejadian pada pukul 3 pagi itu, Wong You Kai, 78, dan isteri, Loh Ah Ying, 77, serta anak mereka, Wong Chan Fei, 55, sedang tidur di tiga bilik berasingan sebelum dikejutkan oleh suspek yang memakai topeng muka. You Kai menceritakan, kumpulan suspek itu mengikat tangan dan mulutnya dengan tuala sebelum pergi ke bilik sebelah dan membawa isteri serta anak lelakinya untuk dikumpulkan di dalam bilik yang sam "Saya merayu penjenayah terbabit supaya membuka ikatan di mulut kerana sukar bernafas. "Saya beritahu saya sudah tua, berjalan dengan bantuan tongkat dan tidak mampu melawan. Mereka bersetuju dan mengacu parang di leher meminta saya diam," katanya ketika ditemui di sini.

Polis tumpas 'kumpulan anas'
PDRM
KEPALA BATAS - Polis berjaya menumpaskan 'kumpulan anas' yang aktif menjalankan samun dan pecah kereta selepas menahan tujuh lelaki termasuk seorang pelajar sekolah dalam serbuan di Kepala Batas, di sini. Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, tujuh remaja termasuk dua beradik berusia 16 hingga 22 tahun itu dipercayai aktif menjalankan kegiatan berkenaan di sekitar SPU dan Seberang Perai Tengah (SPS), sejak enam bulan lepas. "Dalam serbuan di sebuah kediaman dipercayai rumah sewa kumpulan berkenaan pada 18 Mei, polis menemui sebilah pedang, sejumlah rokok yang dipercayai disamun dari kedai runcit, minyak pelincir, dan set walkie talkie. "Susulan itu polis berjaya merampas pelbagai peralatan motosikal dan nombor pendaftaran palsu serta topi kaledar, rim motosikal, tablet dan smart tag yang disamun kumpulan terbabit. Semuanya bernilai lebih RM20,000," katanya pada sidang akhbar di sini, semalam. Abdul Rahman berkata, kumpulan itu juga disyaki aktif menyamun kedai runcit termasuk kedai serbaneka dan memecah cermin kereta di tempat parkir sebelum mengambil barangan berharga. "Susulan penahanan kumpulan itu, polis percaya menyelesaikan lebih 10 kes samun, pecah rumah dan pecah cermin kereta di SPU. Mereka semua kini direman hingga 30 Mei ini," katanya. - Bernama

Suami Isteri Ditahan Disyaki Dera Kanak-Kanak

SEORANG ahli keluarga mengangkat mayat Muhammad Akir di Jabatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR – Polis menahan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang kanak-kanak lelaki berumur enam tahun yang disyaki didera. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata ibu mangsa, seorang suri rumah berusia 31 tahun ditahan bersama bapa tiri kanak-kanak itu, seorang pemandu teksi berumur 35 tahun, di rumah mereka di Pangsapuri Permai Ria, Tasik Permai, Ampang, pada 5.30 petang semalam. Ketika dihubungi Bernama di sini hari ini, beliau berkata penahanan itu dibuat selepas polis menerima laporan kematian mangsa, Mohd Akir Rashidi, yang merupakan anak keempat daripada lima beradik, oleh bapa tirinya. “Bapa tirinya dimaklumkan oleh ibu kanak-kanak itu bahawa mangsa tidak sedarkan diri pukul 1 tengah hari semalam sebelum dibawa ke Hospital Ampang. “Hasil pemeriksaan doktor sahkan mangsa telah meninggal dunia, terdapat kesan-kesan lebam pada badan, kaki dan tangannya,” katanya. Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Sumber: Bernama

50 Pegawai Terlibat Rombakan Jawatan Di Terengganu

Datuk Mazlan Ngah 
KUALA TERENGGANU: Seramai 50 pegawai akan terlibat dalam rombakan jawatan di jabatan dan agensi kerajaan Terengganu berkuat kuasa 2 Jun ini, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Mazlan Ngah. Katanya, proses rombakan jawatan itu susulan persaraan wajib Pegawai Kewangan negeri Datuk Mat Razali Kassim dan Pengarah Tanah dan Galian negeri Datuk Tuan Mamat Tuan Ngah. "Jawatan dikosongkan Mat Razali akan diisi oleh Datuk Osman Muda yang kini bertugas sebagai Pengurus Besar Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT). "Manakala Pengarah Bekalan Air Negeri Terengganu Datuk Wan Zahari Wan Ngah pula akan mengambil alih jawatan sebagai Pengurus Besar PMINT," katanya dalam sidang media di sini Selasa. Katanya Pegawai Daerah Setiu ketika ini Mohamad Nor Ibrahim akan menggantikan Tuan Mamat sebagai Pengarah Tanah dan Galian negeri. Antara pegawai terlibat ialah Pegawai Daerah Kuala Terengganu Wan Nawawi Wan Ismail akan menjawat jawatan sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pembangunan); Yang Dipertua (YDP) Majlis Daerah Marang (MDM) Samiun Salleh ke jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pengurusan) dan Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan negeri (Pembangunan) Idham Mustafa ke jawatan Setiausaha Sulit kepada Menteri Besar Terengganu. Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pembangunan) Datuk Zulkifli Mohamad dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Tesdec Sdn Bhd; Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) Zainal Abidin Hussin (sebagai Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan negeri (Kerajaan Tempatan dan Perumahan) dan Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan negeri (Program Khas Sukan, T-Team), Ab Rasid Jusoh sebagai Pengarah MSNT. Mazlan berkata, lima YDP majlis daerah dan perbandaran serta empat pegawai daerah turut terbabit dalam rombkan itu. "Bagi jawatan YDP Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), ia akan dipegang oleh Mohd Zulkifli Abu Bakar (ketika ini Timbalan Rektor TATiUC-Jaringan Industri & Korporat) manakala YDP Majlis Perbandaran Dungun (MPD) dan YDP Majlis Daerah Marang (MDM) pula masing-masing akan dipegang oleh A Rahman Che Ali (ketika ini Pegawai Daerah Marang) dan Mat Arsad Mohamed (Pengurus Kanan Projek Daerah Baru Kuala Nerus UPEN Terengganu). "Jawatan YDP Majlis Daerah Setiu (MDS) pula akan diambil alih oleh Zainal Abidin Mohamed (ketika ini Pengarah Urusan Syarikat Percetakan Yayasan Islam Terengganu) manakala jawatan YDP Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) pula akan disandang oleh Pengarah Yayasan Terengganu (YT) ketika ini Azmi Razik," katanya. Mazlan, bagaimanapun menafikan pertukaran itu dibuat susulan perubahan pucuk pimpinan kerajaan negeri yang baharu selepas Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman mengambil alih jawatan selaku Menteri Besar. Beliau menegaskan perubahan itu adalah pertukaran biasa disebabkan persaraan wajib dua pegawai tinggi kerajaan negeri dan tidak ada kena mengena dengan perubahan pucuk pimpinan kerajaan. "Mereka yang dipilih untuk menerajui satu-satu jawatan juga dinilai berdasarkan beberapa faktor termasuk senioriti dan pengalaman. "Rombakan ini juga diharap dapat melicinkan lagi urusan pentadbiran demi kesejahteraan rakyat Terengganu," katanya. Sumber: mStar

Warga Emas Maut Jatuh Ke Dalam Telaga

ANGGOTA bomba dan polis memeriksa perigi yang meragut nyawa Che Ismail di Jalan Bayam, Kota Bharu semalam.
KOTA BHARU- Seorang lelaki warga emas maut selepas terjatuh ke dalam telaga usang sedalam 2.4 meter di belakang rumahnya di Jalan Bayam di sini, hari ini. Isteri mangsa, Maimun Ahmad, 70, berkata dia sedang menjahit di dalam rumahnya kira-kira jam 9 pagi apabila ternampak suaminya, Che Ismail Che Abdullah, 64, pergi ke bahagian belakang rumah. “Kemudian saya terdengar seperti orang sedang mengerang sebelum saya ternampak suami berada di dalam telaga itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah pasangan itu di sini. Maimun berkata dia sempat memegang kedua-dua bahagian tangan Che Ismail yang sedang berpaut di tepi telaga tetapi tidak berjaya mengangkatnya kerana suaminya itu terlalu berat dan di luar keupayaannya. “Saya sempat mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah sebelum pegangan tangan terlepas dan dia tenggelam ke dalam telaga,” katanya. Sementara itu, Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Baharu Azlan Zainal berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 10.06 pagi dan sampai ke tempat kejadian tiga minit kemudian. “Bomba dengan kekuatan lapan anggota berjaya mengeluarkan mangsa dari telaga pada pukul 10.21 pagi. Ketika bomba sampai mangsa tidak kelihatan di permukaan air kerana telah tenggelam dan mangsa sudah tidak bernyawa lagi semasa diangkat,” katanya. Mayat dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat. Sumber: Bernama

Engku Emran Kongsi Gambar Keluar Dengan Erra

Baru saja nama Erra Fazira menjadi bualan hangat kerana dikaitkan dengan juara Akademi Fantasia musim kelapan (AF8), Shahir, terbaru hari ini bekas suami Erra, Engku Emran berkongsi gambarnya keluar bersama-sama Erra, anak mereka, Engku Aleesya dan keluarga rakan baik mereka. Sebelum ini, memang peminat Erra sudah sedia maklum yang Emran kini sedang dalam misi cuba memujuk semula bekas isterinya supaya kembali kepangkuannya. Ada peminat menyokong, namun tak kurang juga ada peminat yang tidak berapa menyukai tindakan Emran yang berusaha sedaya upaya memberitahu perkara tersebut di laman sosial Instagram miliknya untuk tatapan para pengikutnya. Oh rupa-rupanya mereka keluar bersama untuk menemani anak tunggal mereka yang comel itu untuk mengambil ujian pengambilan pelajar tahun satu. Kita doa-doakan sahaja yang terbaik untuk keluarga kecil ini ya!

Baru saja nama Erra Fazira menjadi bualan hangat kerana dikaitkan dengan juara Akademi Fantasia musim kelapan (AF8), Shahir, terbaru hari ini bekas suami Erra, Engku Emran berkongsi gambarnya keluar bersama-sama Erra, anak mereka, Engku Aleesya dan keluarga rakan baik mereka. Sebelum ini, memang peminat Erra sudah sedia maklum yang Emran kini sedang dalam misi cuba memujuk semula bekas isterinya supaya kembali kepangkuannya. Ada peminat menyokong, namun tak kurang juga ada peminat yang tidak berapa menyukai tindakan Emran yang berusaha sedaya upaya memberitahu perkara tersebut di laman sosial Instagram miliknya untuk tatapan para pengikutnya. Oh rupa-rupanya mereka keluar bersama untuk menemani anak tunggal mereka yang comel itu untuk mengambil ujian pengambilan pelajar tahun satu. Kita doa-doakan sahaja yang terbaik untuk keluarga kecil ini ya! Sumber: Audrey Lee / My News Hub

95.61% Pengundi Awal Mengundi Hari Ini

TELUK INTAN – Sebanyak 95.61 peratus atau 392 daripada 410 pengundi awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan mengundi di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak di sini hari ini. Pengarah SPR Negeri Perak Ahmad Adli Abdullah berkata proses pengundian awal yang bermula sejak 8 pagi hingga 5 petang berjalan lancar. “Selain itu ejen calon, penyokong dan calon parti itu sendiri memberikan kerjasama yang baik,” katanya kepada pemberita selepas pusat pengundian awal itu ditutup. Katanya peti undian awal yang dimeteri itu kemudiannya dibawa ke Majlis Perbandaran Teluk Intan untuk disimpan di dalam peti besi sebelum kiraan kertas undi dilakukan pada Sabtu ini bersama kertas undian pengundian biasa. Beliau menggesa penyokong dan parti politik yang bertanding serta calon yang bertanding supaya sentiasa mematuhi peraturan serta undang-undang pilihan raya bagi memastikan keseluruhan perjalanan PRK Parlimen Teluk Intan berjalan dengan baik. “Sekali lagi saya ingatkan supaya parti politik tidak mewujudkan ‘barung panas’ di kesemua pusat pengundian pada Sabtu ini kerana ia tidak dibenarkan. Mereka juga diminta untuk mengawal penyokong mereka pada hari berkenaan,” katanya. Ahmad Adli berkata SPR akan membuat persiapan terakhir bagi proses pengundian biasa pada Jumaat ini di Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib bermula pukul 8 pagi. “Pada hari pengundian Sabtu ini, kita menjangkakan SPR akan mula menerima Borang 14 (yang mengandungi maklumat keputusan pengiraan undi) pada jam 6.30 petang, selain itu bagi Parlimen Teluk Intan ini ada juga pusat pengundian yang jauh dari pusat penjumlahan rasmi undi yang dibuat di sekolah yang sama,” katanya. PRK Parlimen Teluk Intan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional Datuk Mah Siew Keong dan calon DAP Dyana Sofya Mod Daud. Sumber: Bernama

YouTube Mix Kini Boleh Digunakan Pengguna Android

Google baru-baru ini telah memperkenalkan kemaskini aplikasi YouTube untuk Android, dimana bersama-sama dengannya beberapa perkara baru hadir, termasuk fungsi yang dinantikan ramai pengguna peranti mudah-alih – YouTube Mix. Bagi yang tidak mengenali akan YouTube Mix, ia merupakan salah satu fungsi yang memperlihatkan playlist yang dihasilkan secara automatik untuk sesuatu artis. Untuk mengaksesnya, pengguna hanya perlu membuat carian nama artis, dan ia akan memaparkan pilihan YouTube Mix pada hasil carian.

Sekiranya pengguna klik pada YouTube Mix, ia akan memainkan koleksi lagu artis tersebut daripada pelbagai saluran secara rawak, sekaligus membolehkan pengguna menikmati lagu dari seseorang artis itu dengan mudah. Bagi pengguna Android yang ingin menikmati fungsi ini, anda hanya perlu mengemaskini aplikasi YouTube anda, dan boleh mengaksesnya dengan mudah. Sumber: YoutubeMix, Amanz

Penganggur Dipenjara 3 Bulan Curi Gula-Gula

KUALA LUMPUR – Seorang penganggur yang baru sebulan bebas daripada hukuman penjara sekali lagi merengkok di sebalik tirai besi selepas Mahkamah Majistret di sini hari ini memerintahkannya menjalani hukuman itu tiga bulan kerana mencuri gula-gula di sebuah pasar raya. Majistret Zuraini Abdul Razak memerintahkan Mohd Zaki Abdul Arif, 33, yang mengaku bersalah atas tuduhan itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 26 Mei (semalam). “Kamu ambil benda ini nak buat apa? Nak jual, beli dadah? Kalau saya menjatuhkan hukuman ringan kamu akan buat lagi sebab sebelum ini dah dua kali kamu masuk penjara tapi masih tak insaf. Kamu baru keluar penjara pada 21 April lalu,” kata Zuraini ketika prosiding dan tertuduh kelihatan tunduk sahaja. Mohd Zaki yang tidak diwakili peguam didakwa mencuri dua kotak gula-gula Chewy Dragees Mentos bernilai RM67.20 di pasaraya KK Supermart, Jalan Dang Wangi di sini pada 3.30 petang, semalam. Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda. Ketika rayuan, tertuduh memohon supaya mahkamah menjatuhi hukuman ringan kerana dia perlu menjaga ibu bapanya yang sudah tua, bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh memandangkan dia pernah dipenjarakan sebelum ini. Mengikut fakta kes, pengadu yang merupakan pembantu pasar raya itu melihat tertuduh mengambil dua kotak gula-gula dan menyimpannya di dalam baju sebelum keluar dari pasar raya itu tanpa membuat bayaran. Pengadu kemudian mengejar Mohd Zaki yang melarikan diri ke arah Kompleks Wilayah dan berjaya menangkap tertuduh di hadapan sebuah kondominium lalu merampas semula dua kotak gula-gula yang disorok di dalam poket seluar sebelah kiri serta kanan. Sumber: Bernama

Elliot Rodger Turut Rancang Bunuh Ibu Dan Adik Tiri

Baca: Kesal Masih Teruna, Elliot Rodger Bunuh 6 Wanita
SUSULAN kes pembunuhan enam orang oleh anak kepada pembantu pengarah Hollywood, Elliot Rodger, 22, di California pada Jumaat lalu, dia turut menyenaraikan ibu dan adik tirinya sebagai orang yang akan dibunuhnya menerusi manifesto setebal 141 muka surat. Manifesto tersebut telah dihantar menerusi emel kepada 30 orang tertentu termasuk keluarganya sebelum kejadian itu berlaku.

Antara ayatnya ialah:
“Ia merupakan perkara yang sangat sukar dilakukan sebab saya sangat rapat dengannya (adik tiri) sejak tahun lalu, dan dia menghormati saya. Tapi saya harus lakukannya. Jika saya tak boleh menikmati kehidupan yang menyeronokkan, dia pun tidak boleh! Saya takkan membiarkan dia memalukan legasi saya. “Untuk membunuh dia, saya juga perlu membunuh Soumaya (ibu tiri), tapi ia cukup mudah. Saya cuma perlu fikir segala kepedihan yang telah dia katakan kepada saya sebelum ini sewaktu menikam pisau ke lehernya.”
Elliot menjelaskan yang dia sudah berhasrat untuk membunuh adik tirinya sejak dia bergaduh dengan Soumaya Oktober tahun lalu kerana menganggapnya bercakap besar selepas adiknya dilamar oleh ejen untuk berlakon dalam iklan komersil.

Dia turut menyalahkan gadis yang dikenali sebagai Monette Moio atas pembunuhan yang akan dilakukannya kerana pernah membulinya sebelum ini. Bagaimanapun, ayahnya yang juga pelakon stunt Hollywood, John Moio mempertahankan anaknya dengan menyatakan kali terakhir Monette bertemu dengan Elliot ialah sewaktu berusia 10 tahun. “Dia seorang yang pelik. Dia meminatinya, tetapi Monette tidak mengetahuinya. Saya simpati kepadanya kerana dia tidak mendapat bantuan yang sempurna,” ujarnya. Elliot yang menembak kepalanya selepas pembunuhan tersebut merupakan anak kepada seorang wanita rakyat Malaysia yang sudah berhijrah ke Amerika, Lichin Rodger.

Sumber: Daily Mail / Elza / My News Hub

Semua Sekolah Dilengkapi Internet 4G Tahun Depan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan menyasarkan semua sekolah akan dilengkapi kemudahan Internet 4G menjelang 2015 di bawah program 1BestariNet. Timbalan Menteri Pendidikan II P. Kamalanathan berkata sehingga kini capaian kemudahan itu pada 86.3 peratus atau 8,746 buah sekolah. “Kita masih kekurangan kira-kira 14 peratus dan akan mencapainya menjelang 2015. Kita melihat kepada sekolah-sekolah yang mempunyai akses bawah 2G, terutama di kawasan pedalaman,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan The Digital Education Show 2014 di sini hari ini. Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Amin Senin, Ketua Pegawai Operasi Multimedia Development Corporation (MDeC) Ng Wan Peng dan Pengarah Urusan Terrapin Pte Ltd Katrina Leung. Mengulas lanjut, Kamalanathan berkata program 1BestariNet yang diperkenalkan kementerian itu hujung tahun lepas ternyata memberi impak positif kepada sistem pendidikan negara apabila dijadikan model rujukan oleh beberapa negara maju. “Bandar-bandar yang begitu moden, hebat dengan teknologi seperti Berlin (di Jerman) masih guna 3G, menunjukkan kita berada di depan malah menjadi negara rujuk kepada negara-negara yang memang hebat dalam bidang pendidikan seperti Finland. “Finland datang ke sini untuk belajar dan atas dasar apa kita ambil keputusan ini (mewujudkan 1BestariNet). Bagi saya ia satu lonjakan paradigma dan cara berfikir di luar kotak,” katanya. 1BestariNet ialah portal pembelajaran yang diperkenal oleh Kementerian Pendidikan bagi meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran selain merapatkan jurang digital antara pelajar bandar dan luar bandar. Menerusi sistem itu sekolah akan dihubungkan dengan pangkalan pembelajaran tunggal menggunakan Internet berkelajuan tinggi 4G. Sumber: Bernama

Mendung, Gerimis Iringi Pengebumian Lans Koperal Mohd Azuan

Ibu Lans Koperal Mohd Azuan, Afidah Ehsan menyiram air mawar di pusara anaknya di Tanah Perkuburan Islam Batu 23,Kulaijaya pada Selasa. 
KULAIJAYA: Jenazah Lans Koperal Mohd Azuan Abdullah yang maut selepas motosikalnya dirempuh sebuah kereta dinaiki penjenayah di Batu 10, Parit Buntar, Perak semalam, selamat dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Batu 23, di sini, Selasa. Suasana mendung dan gerimis mengiringi pengebumian jenazah yang sebelum itu disembahyangkan di Masjid Kampung Rahmat. Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Ismail Yatim antara lebih 100 orang, termasuk warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) hadir mengiringi jenazah ke tanah perkuburan itu. Dalam insiden 1.15 tengah hari Isnin, Mohd Azuan, 25, anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian, maut di tempat kejadian, manakala rakan setugas cedera parah selepas motosikal yang ditunggang mereka dirempuh kereta penjenayah. Kejadian berlaku ketika kedua-duanya dilapor sedang mengejar sebuah kereta yang dinaiki suspek dalam kes samun. Sementara itu, Ismail yang ditemui pemberita kemudian menyifatkan kematian Mohd Azuan sebagai satu kehilangan besar kepada warga PDRM kerana Allahyarham merupakan anggota yang berdedikasi. Beliau berkata polis kontinjen Johor akan mengadakan majlis tahlil untuk Allahyarham selain menyampaikan sumbangan kepada keluarganya di Taman Scientex, di sini, bagi meringankan beban mereka. "Kita sedia maklum tugas pegawai dan anggota polis pada masa kini amat mencabar dan sehubungan itu saya juga ingin meminta mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian terbabit tampil membantu polis," katanya. Sumber: mStar

Kematian L/Kpl Azuan Diklasifikasi Kes Bunuh

TELUK INTAN – Polis mengklasifikasikan kes Lans Koperal Mohd Azuan Abdullah yang maut selepas dirempuh oleh kereta dinaiki penjenayah semalam sebagai kes bunuh. Ketua Polis Perak, , berkata klasifikasi itu berdasarkan perbuatan penjenayah yang didapati sengaja merempuh dari arah belakang motosikal anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) berkenaan. “Berdasarkan siasatan awal, polis percaya penjenayah memang sengaja mahu menyebabkan kematian anggota terbabit,” katanya pada sidang media selepas meninjau perjalanan pengundian awal di Dewan Serba guna Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak, di sini, hari ini. Dalam insiden 1.15 tengah hari itu, Mohd Azuan, 25, anggota URB Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian, maut di tempat kejadian manakala rakan setugasnya cedera parah selepas motosikal yang ditunggang mereka dirempuh kereta penjenayah. Ia berlaku di Batu 10 menghala Alor Pongsu dekat Parit Buntar, ketika kedua-duanya dilapor mengejar sebuah kereta yang dinaiki suspek dalam kes samun van rokok sebelum itu. Menurut Acryl Sani, polis memperhebat gerakan memburu penjenayah terbabit. Pada pengundian awal hari ini, seramai 410 daripada 60,349 pemilih berdaftar layak mengundi awal dan kebanyakannya anggota polis serta keluarga mereka. Sumber: Bernama

Wanita Patah Tangan Diragut Di Gombak

BILA difikirkan, memang patut pun peragut dibelasah oleh orang ramai atas jenayah yang mereka lakukan. Apa tidaknya, bukan sahaja meragut harta orang awam, tetapi turut menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsanya sehingga boleh mengundang kematian. Terbaru menerusi Facebook Daily Traffic Report, dua wanita yang menaiki motosikal cedera selepas diragut di Taman Greenwood, Gombak pagi tadi. Salah seorang daripada mereka mengalami patah tangan dan dilihat meraung kesakitan ketika dibantu oleh orang ramai dan pihak Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM). Berikut merupakan gambar dan rakaman video di tempat kejadian:

Sumber: Daily Traffic Report

Kaji Semula Pemberian Subsidi Diesel - SPRM

SPRM merakamkan kegiatan penyeludupan diesel dalam operasi banteras penyeludupan minyak diesel subsidi di Johor tahun lalu. KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta kerajaan mengkaji semula kaedah pemberian subsidi diesel kerana berlaku banyak ketirisan yang merugikan negara. Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, saranan ini sebahagian daripada usaha untuk mencegah kegiatan penyeludupan diesel yang mengakibatkan kerugian wang kerajaan. Beliau berkata, sejak lima tahun lalu SPRM sudah melakukan 90 tangkapan membabitkan penyelewengan diesel meliputi pihak berkuasa dan kumpulan tidak bertanggungjawab. "Jika ketirisan ini dapat dikurangkan, lebihan peruntukan itu boleh disalurkan kerajaan kepada perkara membabitkan kepentingan rakyat," katanya ketika ditemui selepas Bengkel Kewartawanan Bersama SPRM memerangi rasuah di sini. Mengulas tentang kegiatan penyelewengan subsidi diesel baru-baru ini, Abu Kassim berkata, hasil siasatan mendapati mereka yang terbabit begitu mudah cuba merasuah pihak berkuasa dan ini menyebabkan penguatkuasa terpanggil untuk mengambil tindakan tegas terhadap perasuah. Abu Kassim juga menggesa pihak berkuasa dan orang ramai tampil mengemukakan aduan berhubung kegiatan itu bagi membantu SPRM membendung penyelewengan diesel dan memberi jaminan mereka dilindungi mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010. Sumber: mStar

” Ada Lelaki Yang Sanggup Tunggu Saya 3 Hingga 5 Tahun “

Penyanyi dan pelakon popular, Maya Karin mendedahkan ada lelaki yang sanggup menunggu bertahun lamanya untuk dirinya menerima cinta daripada sang jejaka tersebut. “Ya, ada lelaki yang sanggup tunggu saya sehingga tiga hingga lima tahun,” katanya memetik hlive! Selain itu, pelakon kacukan Melayu-Jerman ini juga mengakui enggan mendedahkan identiti teman lelakinya malah menyifatkan dirinya seorang perahsia berkaitan hal-hal peribadi. “Saya memang macam ini, tidak mahu berkongsi hal peribadi saya melainkan benda itu adalah penting. “Malah kawan-kawan saya pun kadang-kadang tidak tahu siapa saya tengah berpacaran kerana saya senyap sahaja. Apatah lagi berkongsi secara umum di media sosial,” katanya lagi. Maya, 35, sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan jejaka Inggeris, Muhammad Ali atau Steven David Shorthose pada 2008 di Itali sebelum disahkan bercerai pada 2010.

Sumber: Audrey Lee / My News Hub

Perjalanan Isra Dan Mikraj Rasulullah SAW

(Atas adalah gambar Masjidil Aqsa)
BULAN Rejab selalu dikaitkan dengan peristiwa Israk dan Mikraj. Para ulama berbeza pendapat menentukan tarikh pasti terjadinya peristiwa tersebut. Imam Al-Nawawi sendiri memiliki dua pendapat yang berlainan. Dalam kitab al-Raudah, beliau menegaskan bahawa Israk dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab. Sementara dalam kitab Fatawanya, beliau mengatakan peristiwa itu berlaku pada 27 Rabiulawal.
Israk dan Mikraj diriwayatkan dalam pelbagai hadis. Sebahagiannya sahih dan ada juga yang lemah.
Derdasarkan hadis-hadis sahih, peristiwa ini berlaku sebelum hijrah ke Madinah. Malam itu, baginda berada di rumahnya di Mekah. Jibril AS dan dua orang malaikat lainnya membangunkan baginda. Mereka membawa Buraq, iaitu seekor haiwan yang lebih kecil daripada kuda, lebih besar daripada keldai. Satu langkahnya sejauh mata memandang. Rasulullah SAW menunggangi Buraq menuju Masjidil Aqsa. Setibanya di masjid, baginda mengikatnya di pintu masjid. Seterusnya baginda masuk ke dalam masjid dan melakukan solat tahiyatul masjid dua rakaat.
Tidak lama kemudian, sebuah mikraj (tangga) di turunkan dari langit. Lalu baginda menaikinya dan terangkat ke langit pertama, kedua dan seterusnya hingga ke langit ketujuh. Di tiap-tiap langit, Rasulullah SAW berjumpa dengan nabi-nabi terdahulu. Antaranya: Adam, Yahya, Isa, Yusuf, Idris, Harun, Musa dan Ibrahim.
Adapun kisah yang mengatakan bahawa Nabi SAW menginjak batu Sakhrah pada masa itu, maka riwayat ini tidak sahih. Demikian penjelasan Syeikh Zahid al-Kauthari dalam Maqalat al-Kauthari.
Rasulullah terus terangkat hingga ke tempat yang sangat tinggi. Beliau diperlihatkan banyak sekali keajaiban dan tanda-tanda kebesaran Allah SWT.
Antaranya Sidratul Muntaha, sebuah pokok besar yang ditutupi oleh warna-warni yang sangat indah. Daun-daunnya sebesar telinga gajah dan buahnya seperti kendi Hajar. Rasulullah turut diperlihatkan Baitul Makmur iaitu kiblat hamba Allah di langit sebagaimana Kaabah yang menjadi kiblat manusia di bumi. Setiap hari 70,000 malaikat masuk ke dalamnya dan tidak keluar lagi. Baginda juga diperlihatkan syurga dan neraka. Kemuncak perjalanan itu, baginda mengadap Allah SWT. Para ulama berbeza pandangan adakah baginda melihat Allah pada saat itu atau tidak. Lalu Allah menurunkan kewajipan solat 50 waktu. Baginda menerimanya dengan patuh. Apabila turun, baginda kembali berjumpa dengan Nabi Musa AS di langit kelima. Nabi Musa menyarankan agar baginda meminta keringanan bagi umatnya. Beliau khuatir umat Islam tidak akan mampu melaksanakan kewajipan itu. Baginda setuju dengan saranan itu, lalu kembali kepada Allah untuk tujuan tersebut.
Setelah lima kali turun naik, Allah SWT mewajibkan solat hanya lima waktu sahaja.
Rasulullah SAW turun kembali ke Masjidil Aqsa, lalu menaiki Buraq ke Mekah. Beliau selamat tiba di rumah awal pagi sebelum matahari terbit.
Baitulmaqdis
Mungkin lahir soalan kenapa Baitulmaqdis menjadi destinasi Israk dan bukan tempat lain? Baitulmaqdis adalah masjid kedua yang didirikan sebagai rumah ibadat menyembah Allah SWT. Yang pertama ialah Masjidil Haram di Mekah yang dibina oleh Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS. Masjid Al-Aqsa diasaskan oleh Nabi Yaakub, cucu Nabi Ibrahim. Selang masa antara pembinaan kedua-dua masjid ini adalah 40 tahun. Abu Zar pernah bertanya kepada Nabi: “Wahai Rasulullah, masjid apa yang pertama kali dibina?” Baginda menjawab: “Masjidil Haram.” Abu Zar bertanya lagi: “Lalu masjid apa?” Rasulullah menjawab: “Al-Masjid al-Aqsa.” “Berapakah selang masa antara (pembinaan) kedua masjid ini?” tanya Abu Zar lagi. Baginda menjawab: “Empat puluh tahun. (riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Simbolik
Israk dan Mikraj menyatukan dua masjid pertama di dunia. Kedua-duanya simbolik risalah tauhid yang dibawa oleh nabi-nabi terdahulu. Kedatangan Rasulullah ke Baitulmaqdis menandakan bahawa Islam adalah lanjutan agama Ibrahim, Yakub, Musa, Isa dan seluruh nabi-nabi sebelumnya. Dan Muhammad adalah nabi terakhir yang menutup seluruh kenabian. Berkata Ibnu Kathir dalam tafsirnya: “Baitulmaqdis adalah tempat asal nabi-nabi sejak Nabi Ibrahim. “Itu sebabnya mereka lalu dikumpulkan di sana. Rasulullah SAW mengimami mereka di tempat mereka sendiri. Ini menunjukkan bahawa beliau adalah imam yang terbesar dan pemimpin yang dikedepankan.” PENULIS sedang menyambung pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Malaya (UM). Sebarang kemusykilan berkaitan ibadah harian boleh diajukan di www.facebook.com/umarmuhammadnoor

Akaun palsu lima beradik yatim piatu biadap

PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim menyelar tindakan pihak yang mengambil kesempatan terhadap tragedi menimpa lima beradik yang kematian ibu bapa dalam kemalangan Jumaat lepas, untuk mengutip derma. Pihak berkenaan seharusnya memberi bantuan sewajarnya dan bukan menggunakan kesusahan anak-anak itu untuk kepentingan diri, katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan kementeriannya di sini, Selasa. Akhbar hari ini melaporkan dakwaan wujudnya saluran bantuan yang memberi nombor akaun bank palsu di laman sosial termasuk Facebook untuk mengutip derma bagi pihak lima beradik itu. Dalam kejadian pada 7.30 pagi itu, juruteknik Jefri Mohd Zain, 50, dan isterinya Noorsalawati Ibrahim, 40, terbunuh ketika dalam perjalanan ke tempat kerja menaiki motosikal setelah digilis sebuah lori dalam kejadian langgar lari berhampiran susur ke Cheras, di Jalan Loke Yew. Pasangan itu meninggalkan lima anak – Muhd Haikal, 16, Fatin Adlina, 14, Mohd Aidil, 10, Norsyamini, 4, dan Nor Auni Safia, 3. Rohani berkata kementerian amat prihatin dengan nasib yang menimpa anak-anak mangsa dan sehubungan itu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memberi bantuan RM450 sebulan untuk meringankan beban mereka. “Selain itu pegawai JKM akan terus memberi sesi kaunseling memandangkan mereka masih trauma akibat kehilangan ibu bapa serentak,” kata Rohani. Sumber: mStar

VIDEO: Iklan Coklat Cadbury Versi ‘Takde Babi’

Kami tahu ramai umat Islam yang marah mengenai isu DNA khinzir dalam dua produk coklat Cadbury, baru-baru ini. Bagi melahirkan rasa tidak puas hati itu, ada pihak yang dengan rajinnya telah mengubahsuai video komersil coklat berkenaan. Biarpun agak melucukan, namun ia mempunyai maksud yang cukup mendalam sebenarnya. Saksikan…

Sumber: Wikipedia Rakyat / Elza / My News Hub

Luahan Cadbury Malaysia Berhubung Isu DNA Babi

KUALA LUMPUR – “Kami telah menerima komen daripada pelbagai pihak dalam perkara ini dan kami juga turut peka akan seruan masyarakat Islam untuk penyelesaian”. Itu luahan syarikat Cadbury Malaysia berikutan isu coklat syarikat itu dikesan pihak berkuasa mengandungi asid deoksiribonukliek (DNA) babi (porcine) baru-baru ini. Pendedahan itu menyebabkan orang ramai termasuk badan bukan kerajaan (NGO) mengecam syarikat tersebut termasuk menggesa umat Islam tidak lagi membeli produk tertentu Cadbury. Ketua Unit Hal Ehwal Korporat Cadbury Malaysia, Raja Zalina Raja Safran turut memaklumkan, Cadbury Malaysia sedang memberi tumpuan penuh terhadap penyiasatan kes itu. “Semua sumber kami ke arah penyiasatan yang sedang berlangsung. Kami juga turut bekerjasama rapat dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim dalam memastikan produk kami mematuhi garis panduan halal,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini. Raja Zalina berkata, Jakim dalam proses menjalankan ujian ke atas produk Cadbury dan akan mengumumkan keputusan itu sebaik sahaja memperoleh maklumat. “Sehingga itu, kami tidak dapat memberikan komen lanjut. Kami memberi jaminan bahawa kami sedang berusaha penuh untuk menangani isu ini secepat mungkin,” katanya. Sumber: My News Hub

Heret Pengeluar Cadbury Ke Mahkamah – LPKPM

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diminta bertindak lebih tegas dengan mengheret pengilang coklat Cadbury Confectionery (M) Sdn Bhd ke mahkamah ekoran daripada penemuan DNA khinzir di dalam dua produknya. Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Prof Datuk Seri Dr Saharuddin Awang Yahya berkata tindakan tersebut wajar bagi memastikan perkara seumpama tidak berulang. “Sekadar nasihat dan amaran tidak cukup, mereka perlu dibawa ke mahkamah supaya perkara ini dapat dijadikan tauladan kepada pengilang lain,” katanya dalam sidang media di sini, Selasa. Saharuddin juga berkata pihak Cadbury perlu membuat kenyataan memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam serta menarik balik semua variasi coklat keluaran syarikatnya daripada pasaran kerana dikhuatiri dikeluarkan menggunakan mesin yang sama. Beliau turut menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengambil langkah mengemas kini hab halal di negara ini supaya tiada keraguan dalam kalangan pengguna terutamanya umat Islam terhadap sijil dan logo halal Malaysia. “Malaysia dikenali sebagai hab halal utama dan terkenal di peringkat global, Jakim merupakan satu-satunya badan yang berkuasa dalam bidang halal, akan tetapi bila berlaku perkara seperti ini pengguna akan hilang kepercayaan terhadap institusi halal negara kita,” katanya. Beliau turut mencadangkan Jakim menjalankan pemantauan dengan lebih kerap terhadap pengilang-pengilang bukan Islam termasuk bagi produk kosmetik. Sabtu lepas Kementerian Kesihatan mengesahkan dua sampel coklat keluaran syarikat itu mengandungi DNA khinzir iaitu Cadbury Coklat Susu dengan Kacang Hazel (nombor kelompok 200813M01H12) dan Cadbury Coklat Susu dengan Buah Badam (nombor kelompok 221013N01RI1). Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment