Tuesday, May 6, 2014

Berita Terkini 06 May 2014

Brunei agresif perjelas kepada bukan Islam mengenai Hudud
Brunei agresif perjelas kepada bukan Islam
Wakil Kerajaan Brunei menerangkan pelaksanaan hudud kepada sebahagian masyarakat India di negara tersebut.
SHAH ALAM - Kerajaan Brunei menitikberatkan penerangan yang jelas mengenai undang-undang hudud kepada rakyatnya, terutama golongan bukan Islam, bagi memastikan ia lebih difahami. Timbalan Peguam Kanan, Jabatan Peguam, Hasanah Hasan berkata, pihaknya bertanggungjawab meningkatkan pemahaman masyarakat bukan Islam tempatan mengenai undang-undang itu berikutan fasa pertama pelaksanaan yang bermula 1 Mei lalu. “Saya ingin mengingatkan orang ramai, pelaksanaan hukum hudud merupakan kewajipan pemerintah sebagaimana diisytiharkan Tuanku Sultan Hassanal Bolkiah sewaktu mengumumkan pelaksanaan hudud. “Fasa pertama hanya meliputi kesalahan am yang ditetapkan undang-undang, manakala hukuman berat seperti hukuman mati hanya akan berkuat kuasa pada fasa ketiga dan terakhir pelaksanaan, 24 bulan selepas Mahkamah Tatacara Jenayah Syariah (CPC) diwartakan,” katanya dipetik The Brunei Times ketika memberi taklimat berkenaan undang-undang jenayah syariah Brunei kepada Persatuan India Belait (IAB). Katanya, rakyat juga mempunyai kewajipan untuk bersungguh-sungguh memahami kandungan dan tujuan sebenar hukum hudud dilaksanakan. “Taklimat ini turut menyentuh jenis-jenis kesalahan dan hukuman serta memberi penekanan kepada kaedah pembuktian dan keadaan apabila ‘hadd’ (hukuman bagi kesalahan tertentu yang ditentukan al-Quran dan as-Sunnah) tidak akan dikenakan untuk ‘sariqah’ atau kecurian,” katanya. Dalam satu kenyataan, IAB berkata, pihaknya telah mengadakan taklimat mendidik ahli-ahlinya dan masyarakat India di Belait, Brunei mengenai undang-undang jenayah syariah bagi memastikan mereka bertanggungjawab serta mematuhi undang-undang ditetapkan. IAB juga berhasrat mengambil segala usaha dalam membantu jabatan kerajaan berkaitan menyebar maklumat dan meningkatkan kesedaran undang-undang dalam kalangan masyarakat India. Dalam perkembangan sama, Kerajaan Arab Saudi bersedia melatih hakim syariah dan pegawai kehakiman Brunei dalam melaksanakan hukum hudud di negara itu. Duta Arab Saudi ke Brunei, Mohammed Jameel Abdul Jaleel Hashim berkata, kerajaannya bakal menyediakan hakim syariah bagi membantu undang-undang berkenaan dilaksanakan. Katanya, Brunei menjadi negara pertama di Asia Tenggara melaksana hudud dan diharap rakyat negara itu mengetahui tujuan undang-undang itu dilaksanakan.

Tangani segera kekeliruan hudud, Hebat Brunei...
Sultan Hassanal Bolkiah
BANDAR SERI BEGAWAN - BRUNEI. Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah mengarahkan pihak berkuasa bertindak segera menangani kekeliruan dalam Kod Panel Syariah 2013. Gesaan itu disuarakan ketika baginda mempengerusikan mesyuarat dengan Majlis Agama Islam Brunei, semalam. Dalam titah ucapan, baginda turut melahirkan kebimbangan mengenai kekeliruan orang ramai dan sebaran maklumat yang salah mengenai perkara berkaitan dengan penguatkuasaan kod baharu tersebut. “Kita perlu bertindak cepat. Segala yang salah perlu diperbetulkan. Terdapat banyak cara untuk memberi penjelasan, memperbetulkan persepsi dan maklumat mengenai undang-undang ini,” katanya. Menurut baginda, media cetak dan elektronik juga perlu memberi pencerahan dengan menjadi saluran utama dalam penyebaran maklumat tepat mengenai Kod Panel Syariah. “Jika orang keliru, ia boleh menyebabkan pelbagai tindak balas seperti marah, rasa tidak puas hati atau takut serta benci,” titahnya lagi. Brunei muncul sebagai negara Asia pertama memperkenalkan Kod Panel Syariah, sekali gus melaksanakan hudud. Kelmarin, Kementerian Hal Ehwal Agama memberitahu, sebuah jawatankuasa penguatkuasaan terdiri daripada 32 pegawai dibentuk untuk memberi lebih banyak taklimat secara konsisten mengenai undang-undang itu. Penerangan mengenai hukuman itu turut disampaikan kepada ketua agama lain bagi memberi pemahaman yang betul. Terdahulu, Sultan Hassanal Bolkiah menangkis kritikan antarabangsa berhubung pelaksanaan hukum hudud di negaranya dan menafikan tindakan itu satu langkah ke belakang. Mac lalu, laman web Mail Online melaporkan, Sultan Hassanal Bolkiah bertitah, semua bangsa perlu bersatu di bawah undang-undang syariah dan baginda menyifatkan kod panel baharu itu merupakan kejayaan besar Brunei. Hukum hudud yang memperuntukkan hukuman sebat dan rejam sehingga mati bagi kesalahan tertentu, mula dilaksanakan sejak 1 Mei. “Pihak luar perlu menghormati sebarang keputusan Brunei sama seperti negara ini menghormati keputusan pihak lain,” titahnya. Sementara itu,menurut laporan Brunei Times, Suruhanjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Rupert Colville mengkritik pelaksanaan hukum hudud di negara terbabit yang dianggap menyalahi undang-undang antarabangsa. Colville dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memandang serius pelaksanaan undang-undang Islam tersebut yang turut memperuntukkan hukuman mati bagi kesalahan seperti merogol, berzina dan meliwat.

Hudud perlu penerangan lebih jelas
Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak
Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak
SHAH ALAM - Sekiranya Pas komited melaksanakan Undang-Undang Jenayah Syariah Negeri Kelantan 1993, negeri itu perlu memberikan penjelasan terperinci kepada rakyat Malaysia. Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, pelaksanaan hudud di Kelantan tanpa penjelasan terperinci bakal menimbulkan kekeliruan dan perdebatan dalam kalangan rakyat. “Jika mereka (Pas) serius mahu melaksanakan hudud, mereka perlu mengkaji dengan lebih terperinci dan tidak terburu-buru sehingga menjadi bahan meraih sokongan politik berbanding melaksana hukum ALLAH,” katanya. Katanya, pihak berwajib terutama Kerajaan Kelantan perlu menerangkan apakah hudud ini hanya dikenakan terhadap orang Islam sahaja atau kesemua rakyat tanpa mengira agama. “Seandainya seorang pesalah melakukan jenayah, bagaimanakah mereka bakal dihukum kerana apa yang pasti bakal ada pertindihan antara undang-undang jenayah dan hukumannya. “Jika hudud untuk orang Islam, bagaimana pula dengan orang bukan Islam? Adakah adil jika hukuman dijatuhkan itu berbeza. Islam sendiri mengetengahkan konsep adil” katanya. Menurut beliau, bidang kuasa mahkamah syariah perlu diteliti kerana kedudukannya lebih rendah berbanding mahkamah sivil dari segi undang-undang jenayah dan kemungkinan berlaku pertindihan hukuman kelak. “Kelantan harus meminda Perlembagaan melaksanakan hukum kanun jenayah syariah bagi membolehkan mahkamah syariah mempunyai kuasa setaraf dengan mahkamah sivil. “Bagaimana pula dengan sokongan majoriti dua pertiga di Parlimen untuk meminda Perlembagaan kerana rakan mereka seperti PKR dan DAP dilihat menolak hukum hudud,” katanya.

Hudud - Tindakan MCA tidak wajar
Keng Liang
SHAH ALAM – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, melihat tindakan MCA yang mahu DAP dan PKR menentang Pas melaksanakan hudud di Kelantan sebagai usaha kurang bijak. Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Amidi Abd Manan berkata, ia memberikan pandangan negatif parti itu kepada rakyat apabila membuat kenyataan tanpa memahami hukum tersebut. Menurutnya, Pas masih dalam kajian untuk laksanakan hukum itu. Oleh itu, kenyataan untuk menolak hudud, terutama daripada bukan Islam, adalah tidak wajar. “Pas sedang memperkemas apa yang perlu dibentang di Parlimen. DAP dan PKR pula masih mahu berbincang dengan Pas. “Saya rasa Pas juga pastinya mengambil sikap berhati-hati untuk bentangkan hudud di Parlimen kerana matlamatnya bukan untuk ditolak,” katanya. Beliau berkata, tidak timbul isu keliru dengan undang-undang yang bakal dilaksanakan itu kerana sebelum ini juga telah ada undang-undang berkaitan adat digunakan dan ia tidak menjadi masalah. Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, rundingan meja bulat pelbagai pihak membincangkan isu hudud perlu dilakukan terlebih dahulu. “MCA sepatutnya berlapang dada kerana hukuman ini tidak terus terlaksana esok, tetapi memakan masa yang lama. “Perbincangan bersama adalah cara terbaik bagi mengelak salah faham ini terus menjadi spekulasi sehingga menimbulkan gambaran negatif kepada rakyat,” katanya. Sementara itu, Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad berkata, MCA juga harus mencari kefahaman terperinci mengenai hudud sebelum menolaknya. “Hudud ada banyak kebaikannya jika dilaksana. Justeru, orang bukan Islam perlu mencari agamawan yang arif mengenai hukum ini untuk mendapatkan penerangan terperinci,” katanya.

Nahas 4 kenderaan ragut 2 nyawa
Nahas 4 kenderaan ragut 2 nyawa
Bantuan kren turut digunakan untuk mengeluarkan lori yang terjunam di dalam gaung.
KUALA NERUS - Laluan Kuala Terengganu-Kota Bharu terus bermandi darah apabila dua lagi maut dalam kemalangan berdekatan Kampung Sungai Ikan, Tepuh, semalam. Kejadian berlaku kurang 24 jam daripada insiden yang berlaku di Kampung Selamat, Sungai Tong, Setiu, kelmarin, yang turut mengorbankan dua nyawa. Kemalangan kira-kira jam 10.30 pagi itu berlaku di Kilometer 29 berhampiran Tapak Pelupusan Sampah, Sungai Ikan, di sini, membabitkan empat kenderaan, iaitu sebuah lori 10 tan, dua Perodua Myvi dan sebuah van jenis Toyota Hiace yang membawa empat penumpang. Mangsa yang maut adalah pemandu lori, Mohd Ghani Embong, 44, beralamat di Kampung Tok Ba, Wakaf Mesira, Tepuh dan pemandu Perodua Myvi, Rohaiza Yusof, 35. Pemandu sebuah lagi Perodua Myvi, juga seorang wanita, cedera, manakala keempat-empat penumpang van tidak cedera.
Lori berpusing rempuh 3 kenderaan
Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Terengganu hilang kawalan, berpusing lalu merempuh tiga kenderaan lain yang berada di laluan bertentangan, sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam tiga meter. Seorang saksi yang hanya ingin dikenali sebagai Nik berkata, sebelum kejadian, lori terbabit berada di belakangnya dan dipandu laju sebelum cuba memotong kenderaan yang dipandunya. “Setibanya di tempat pembuangan sampah (tapak pelupusan sampah di Sungai Ikan), lori itu memotong. Saya lihat di hadapan jalan becak kerana baru lepas hujan," katanya. Katanya, sebaik sahaja lori itu memotong, lori itu berpusing lalu melanggar kenderaan di hadapannya. “Saya terkejut, terus tekan brek, tapi keadaan jalan ketika itu sangat licin dan dalam masa sama saya cuba mengelak sebuah lagi kereta Myvi yang menuju ke arah saya,” katanya.
Mangsa tersepit
Sementara itu, Komander Operasi yang juga Ketua Balai Bomba Kuala Terengganu, Kamerul Bieza Kassim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 10.50 pagi dan bergegas ke tempat kejadian bersama dua jentera. “Setibanya di tempat kejadian, kita dapati dua mangsa tersepit, iaitu pemandu lori dan wanita yang memandu Perodua Myvi. Mereka meninggal dunia. “Pihak kami mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit menggunakan pelbagai peralatan menyelamat, termasuk bantuan kren, kerana berdepan sedikit kesukaran, memandangkan lori tersebut terjatuh ke dalam gaung,” katanya. Bagaimanapun, katanya, dengan kepakaran dan kekuatan 15 anggota, akhirnya mereka berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit akibat rempuhan kuat itu. Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin berkata, kedua mayat itu dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat. Semalam, Sinar Harian melaporkan, seorang wanita bersama rakannya maut dalam kemalangan di Kilometer 46 Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu di Kampung Selamat, Setiu, ketika pulang ke kampung bagi menziarahi bapa saudaranya yang meninggal dunia. Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, Proton Iswara dinaiki mangsa, Rosnazira Mahmud, 33, beralamat di Kampung Keroh Kuala Krai bersama Mohd Hafizan Jusoh @ Ab Ghafar, 35, berasal dari Kubang Parit, Kuala Terengganu, bertembung dengan Toyota Fortuner.

Perkeso gempur majikan ingkar
Perkeso gempur majikan ingkar
Selvarajah menyerahkan risalah pendaftaran pekerja kepada pegawai penguat kuasa yang menyertai Ops Kesan ketika majlis pelancaran, semalam.
JOHOR BAHRU – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melancarkan Ops Kesan Perkeso dengan menumpukan premis di kawasan pembangunan baharu bagi mengesan majikan yang tidak mencarum pekerja masing-masing. Ketua Eksekutifnya, Datuk K Selvarajah berkata, operasi itu dijalankan serentak di seluruh negara sepanjang Mei ini membabitkan 46 pejabat dan 1,000 pegawai penguat kuasa. Katanya, setakat ini terdapat lebih 400,000 majikan aktif yang mencarum bersama Perkeso menerusi Skim Keselamatan Sosial dan kira-kira 5.9 juta pekerja aktif diberi perlindungan di bawah skim itu. “Sejak operasi ini dilancar pada 2009, peratusan majikan yang mematuhi pelaksanaan pendaftaran pekerja meningkat sehingga melebihi tahap 90 peratus. “Tujuan operasi ini bukan untuk menghukum majikan sebaliknya mendidik mereka mengenai kepentingan perlindungan pekerja,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Ops Kesan Perkeso di sini, semalam. Selvarajah berkata, setiap majikan diberikan tempoh dalam tempoh 30 hari dari tarikh pekerja diambil bekerja, sekiranya gagal mereka boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda hingga RM10,000. “Majikan juga boleh dikenakan penjara dan denda jika mereka masih gagal mendaftar caruman pekerja dalam tempoh 30 hari. “Sepanjang tahun lalu, sebanyak 1,827 majikan dikenakan tindakan undang-undang dengan kutipan kompaun mencecah hampir RM1 juta dan denda lebih RM200,000 kerana gagal mendaftar pekerja,” katanya. Dalam pada itu katanya, mana-mana majikan yang tampil membuat pendaftaran sebelum Mei ini tidak akan dikenakan tindakan walaupun tempoh pendaftaran perusahaan atau pekerja sudah melebihi 30 hari. Sementara itu, seramai 120 pegawai penguat kuasa terlibat di dalam Ops Kesan Perkeso di peringkat Johor yang memberi tumpuan di sekitar kawasan Nusajaya.

Anggota St John Ambulan maut kemalangan
Anggota St John Ambulan maut kemalangan
Kereta Lean Hock remuk di bahagian depan selepas bertembung Perodua Kembara
ALOR SETAR - Seorang anggota St John Ambulan maut dalam kemalangan di Kilometer 7, Jalan Alor Setar- Kangar, berhadapan Masjid Padang Lalang, dekat sini, hari ini. Dalam kejadian kira-kira jam 2.15 petang, Peh Lean Hock, 30, dari Simpang Empat Kuar, maut selepas kereta Proton Saga yang dipandu dari arah Alor Setar ke Alor Janggus bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda dari arah bertentangan. Bagaimanapun, pemandu Perodua Kembara, Mohd. Mukhre Shahbudin, 31, bersama isteri, Shaire Izree Ismail, 33, hanya cedera ringan dan menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB). Rakan mangsa, Luh Chu Pin, 28, terkejut ketika menerima berita kemalangan itu membabitkan rakannya dari Skuad Bantuan Krisis MCA (CRSM). "Saya sendiri tidak tahu sama ada dia dalam perjalanan pulang ke rumah atau ke kedai telefon bimbit miliknya di Alor Janggus. "Sepanjang kami berkawan dia seorang yang aktif dalam St John Ambulan sejak lima tahun lalu sehingga dianugerahkan pangkat leftenan muda," katanya ketika ditemui di bilik mayat HSB di sini hari ini. Chu Pin berkata, kali terakhir berjumpa mangsa ialah dua minggu lalu bagi membincangkan pertandingan St John yang bakal mereka sertai. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd. Jan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Mayat tersepit kereta api tergelincir
Mayat tersepit kereta api tergelincir
Anggota keselamatan berusaha mengeluarkan mangsa tersepit dari gerabak.
NEW DELHI - INDIA. Lebih 20 penumpang maut dan lebih 130 cedera selepas kereta api dinaiki tergelincir di Maharashtra, India, semalam. Pegawai polis Ankush Shinde berkata, empat daripada 20 gerabak tergelincir dari landasan berhampiran stesen Roha, kira-kira 110 kilometer dari selatan Mumbai. "Pasukan penyelamat terpaksa memotong gerabak bagi mengeluarkan mangsa dan mayat tersepit," katanya. Menurut laporan AFP, punca kejadian masih dalam siasatan dan operasi menyelamat akan diteruskan di mana jumlah kematian dijangka meningkat. Sementara itu, jurucakap kereta api Anil Kumar Saxena berkata, ketika kejadian kereta api berkenaan sedang dalam perjalanan dari Diva ke Sawantwadi.

Tanah runtuh setinggi 30 kaki
Tanah runtuh
Runtuhan turut meranapkan separuh jalan di kawasan perumahan itu.
SELAYANG - Tapak projek pembinaan stor simpanan di Taman Selayang Baru, runtuh setinggi 30 kaki, lewat malam kelmarin. Meskipun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa, namun runtuhan itu menimbulkan suasana panik dalam kalangan penduduk memandangkan lokasinya dikelilingi kawasan perumahan. Seorang penduduk, William Zuzartee, 34 berkata, gerakan tanah bawah kanvas disedari penduduk sejak jam 10 malam lagi. Sekitar jam 1 pagi katanya, keretakan pada jalan mula kelihatan sementara pada jam 2.40 pagi runtuhan mula berlaku. “Jarak rumah saya dengan lokasi kejadian terlalu dekat, Jadi bunyi runtuhan itu memang jelas sangat. Saya pula memang tak boleh tidur lena lepas tahu ada gerakan tanah. “Lepas dengar runtuhan kebanyakan penduduk yang letak kereta di bahu jalan terus alihkan kenderaan masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian, semalam. Katanya, aduan kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sebelum ini pernah dibuat beberapa kali ekoran tidak berpuas hati dari segi aspek keselamatan selain projek didakwa tidak patuh spesifikasi. “Baru minggu lepas mereka pasang tembok penahan. Sebelum ni hanya pagar sebagai pemisah sedangkan kerja mengorek makin lama makin dalam. “Projek dah bermula sejak dua tahun lalu dan pernah berhenti tahun lepas sebelum sambung semula kerja awal tahun lalu. Kalau betul ada buat permohonan kepada MPS mesti ada papan tanda dipasang,” katanya. Seorang lagi penduduk, Farah Mohd Nor, 28, berkata suaminya melihat ada gerakan tanah dan mereka berada dalam keadaan berjaga-jaga. “Memang takut sebab rumah di tingkat atas dan sebelah dengan tapak projek. Masa runtuhan fikir untuk selamatkan diri serta anak-anak. “Harap MPS bertegas dengan pemilik tanah dan pemaju sebab menimbulkan kacau ganggu kepada penduduk dan mereka pernah buat kerja pada hari minggu juga,” katanya. Katanya, pihak bomba maklumkan keadaan selamat dan tiada arahan pengosongan rumah diterima. Hadir membuat lawatan tapak adalah Adun Taman Templer, Zaidy Abdul Talib sekitar jam 12 tengah hari semalam. Tinjauan di lokasi mendapati petugas penguat kuasa MPS berada di tempat kejadian sebagai memantau kawasan 24 jam.

Pelajar Al-Azhar disingkir
Pelajar Al-Azhar disingkir
Pekarangan Universiti Al-Azhar musnah akibat pertempuran pelajar dan pihak keselamatan sejak Julai tahun lalu.
KAHERAH - MESIR. Puluhan pelajar Universiti Al-Azhar disingkir kerana terlibat dalam protes anti kerajaan. Agensi berita Mena melaporkan, kebanyakkan pelajar kemasukan sesi Ogos tahun lalu itu merupakan penyokong tegar bekas Presiden Mohammed Mursi. Presiden universiti, Osama El-Abd berkata, siasatan membuktikan kesemua pelajar itumengambil bahagian dalam aktiviti yang melanggar peraturan universiti. “Seramai 36 daripada mereka adalah pelajar wanita dari cawangan universiti di bandar Delta Nil di Zagazig,” katanya. Februari lalu, Presiden sementara Adly Mansour meminda undang-undang membenarkan ketua universiti untuk mengusir pelajar yang terlibat dalam rusuhan. Menurut laporan Al Ahram, sebanyak 25 pelajar universiti berkenaan telah diusir sejak Mac lalu namun kumpulan akademik berpendapat, polis sengaja menahan mereka tanpa bukti dan menuduh mereka terlibat dengan aktiviti rusuhan.

Dua peragut berputih mata
Dua peragut berputih mata
Mohd Roze (dua, kanan) menunjukkan pisau lipat yang dirampas polis.
KLUANG - Dua suspek yang baru meragut seorang guru di sebuah kedai di Jalan Kampung Paya, di sini, berputih mata apabila mereka ditangkap orang awam ketika cuba melarikan diri, Sabtu lalu. Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 pagi, mangsa, seorang wanita berusia 33 tahun berkunjung ke kedai milik adiknya sebelum didatangi seorang lelaki berusia 30-an di kedai berkenaan. Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Roze Shaari berkata, lelaki berkenaan yang memasuki kedai tersebut terus meragut beg tangan mangsa. Menurutnya, dalam kejadian berkenaan, berlaku sedikit adegan tarik-menarik antara mangsa dan suspek. “Tetapi peragut berjaya mengambilnya manakala seorang lagi rakannya menanti di luar kedai dengan menaiki motosikal. Namun begitu, mereka berdua tidak sempat melarikan diri apabila orang awam berjaya menangkap mereka. “Mangsa masih mengalami trauma selain lebam-lebam di lengan kiri akibat bergelut dengan peragut berkenaan,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, di sini, semalam. Mohd Rozee berkata, ketika polis tiba di lokasi kejadian, kedua-dua peragut sudah ditangkap oleh orang awam dan hasil pemeriksaan badan, polis menjumpai satu pisau lipat berukuran 8 sentimeter pada salah seorang peragut. “Hasil rampasan barang daripada peragut adalah beg tangan mangsa yang mengandungi dokumen dan kad-kad bank serta wang tunai RM500, pisau, sejambak kunci motosikal serta sebuah motosikal. “Kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara yang boleh sampai 20 tahun dan denda," katanya. Kedua-dua suspek ditahan reman sehingga Rabu ini dan hasil soal siasat mendapati kedua-duanya mempunyai rekod jenayah. Polis berjaya menyelesaikan lima kes ragut yang melibatkan kawasan sekitar bandar Kluang dengan tertangkapnya dua peragut berkenaan.

Pelarian Rohingya menderita di India
pelarian Rohingya
Sebahagian pelarian Rohingya menanti bekalan makanan dan perubatan di sebuah kem pelarian di India.
NEW DELHI - INDIA. Pelarian Rohingya kini terpaksa berhadapan dengan krisis kemanusiaan di kem penempatan sementara mereka di pinggir ibu negara. Menurut laporan terbaharu itu, ratusan etnik Rohingya tersebut sedang mengalami kekurangan bekalan makanan dan ubat-ubatan yang semakin meruncing. "Kami tidak lagi mendapat bantuan kemanusiaan daripada mana-mana pihak dan situasi tersebut menambahkan lagi penderitaan pelarian Rohingya. "Jika keadaan ini berterusan, kami mungkin akan mati kebuluran," kata Sakuara Begum. Menurut laporan Press TV, ratusan penduduk Rohingya di Myanmar dilaporkan turut mengalami nasib sama berikutan bantuan kemanusiaan lambat tiba di Rakhine susulan daripada peningkatan insiden keganasan etnik di kawasan tersebut.

Pelarian Rohingya menderita di India
NEW DELHI - INDIA. Pelarian Rohingya kini terpaksa berhadapan dengan krisis kemanusiaan di kem penempatan sementara mereka di pinggir ibu negara. Menurut laporan terbaharu itu, ratusan etnik Rohingya tersebut sedang mengalami kekurangan bekalan makanan dan ubat-ubatan yang semakin meruncing. "Kami tidak lagi mendapat bantuan kemanusiaan daripada mana-mana pihak dan situasi tersebut menambahkan lagi penderitaan pelarian Rohingya. "Jika keadaan ini berterusan, kami mungkin akan mati kebuluran," kata Sakuara Begum. Menurut laporan Press TV, ratusan penduduk Rohingya di Myanmar dilaporkan turut mengalami nasib sama berikutan bantuan kemanusiaan lambat tiba di Rakhine susulan daripada peningkatan insiden keganasan etnik di kawasan tersebut.

Mahkamah terima pencalonan Assad
Assad serah pencalonan presiden
Assad bersama isteri, Asma dan anak mereka ketika menghadiri kempen awal pilihan raya di Damsyik.
DAMSYIK - SYRIA. Mahkamah Syria kelmarin memaklumkan telah menerima permintaan daripada Presiden Bashar al-Assad dan dua calon untuk dicalonkan dalam pilihan raya presiden bulan depan. Bagaimanapun, ia tidak mungkin menimbulkan ancaman kepada pencabar Assad di mana penentang dan pemberontak antarabangsa yang berjuang untuk menggulingkan beliau menyifatkannya sebagai sandiwara. Menurut perlembagaan, calon perlu mendapat sokongan daripada 35 ahli parlimen pro-Assad. Jurucakap mahkamah Majid Khadra berkata, beberapa hari lalu Mahkamah Perlembagaan Syria menerima permintaan pencalonan daripada Assad, Hassan Abdallah dan ahli parlimen Maher Abdel-Hafiz Hajjar. "Bagi permintaan yang ditolak, mereka mempunyai hak untuk membuat rayuan kepada mahkamah pada 5 hingga 7 Mei," katanya kepad Reuters.

Gempa kuat gegar Tokyo
Gempa kuat gegar Tokyo
TOKYO - JEPUN. Sekurang-kurangnya 17 orang cedera selepas gempa kuat 6.0 magnitud melanda Tokyo, namun tiada amaran tsunami dikeluarkan. Gegaran berkenaan dirasai penduduk menyebabkan mereka lari menyelamatkan diri. Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS) melaporkan, gempa berlaku pada 5.18 pagi waktu tempatan di 98 kilometer di selatan Tokyo. Agensi berita Kyodo News melaporkan, operasi kereta api bawah tanah di ibu negara Jepun itu terjejas sepenuhnya. “Gegaran paling kuat dapat dirasai di tengah bandar raya Tokyo menyebabkan sistem lalu lintas terhenti. Penghuni flat juga bertindak meninggalkan rumah mereka selepas merasai gegaran itu,” menurut laporan itu. Jabatan Meteorologi Jepun menganggarkan gegaran berukuran 6.2 magnitud berlaku di 160 kilometer di dasar laut berdekatan Pulau Izu Oshima di selatan Tokyo. “Gegaran ini adalah kedua terbesar selepas kejadian sama berlaku pada Mac 2011,” menurut satu kenyataannya.

Sewa rahim di India beri pulangan lumayan
Sewa rahim di India beri pulangan lumayan
SIAPA sangka perkhidmatan ibu tumpang kini menjadi industri komersial paling menguntungkan di India walaupun dikritik banyak pihak kerana dianggap sebagai kegiatan mengeksploitasi wanita miskin di negara itu. Semakin ramai pasangan dari luar India terutamanya dari Barat tertarik dengan ‘perkhidmatan’ tersebut kerana kosnya jauh lebih murah selain peraturan dan undang-undang yang longgar di negara terbabit. Bayaran dikenakan untuk melakukan proses persenyawaan in-vitro (IVF) itu adalah kira-kira AS$20,000 (RM65,300) berbanding AS$50,000 (RM163,300) jika dilakukan di Amerika Syarikat (AS). Isu besar membabitkan soal etika mula timbul selepas golongan kaya didakwa mengambil kesempatan terhadap wanita miskin di India bagi mendapatkan zuriat untuk mereka hingga menyebabkan negara itu digelar sebagai ‘kilang bayi’ pada masa ini. Tahun lalu, New Delhi bertindak mengenakan peraturan melarang pasangan homoseksual dan individu belum berkahwin mendapatkan perkhidmatan tersebut selepas undang-undang negara itu membenarkan prosedur itu pada 2002. Sehingga kini, tiada angka rasmi berhubung jumlah sebenar hasil diperoleh daripada industri itu. Bagaimanapun, hasil laporan kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati, perkhidmatan ibu tumpang di India mampu menjana hasil keuntungan secara anggaran AS$2.5 bilion (RM8 bilion) pada setiap tahun. Pada masa ini, lebih 3,000 pusat ibu tumpang sedang beroperasi dan ribuan bayi telah dilahirkan hasil daripada prosedur persenyawaan in-vitro (IVF) yang semakin popular di India. Kesemua pusat terbabit turut menyediakan penjagaan kesihatan sepanjang tempoh kehamilan tersebut selain memberi panduan untuk persediaan mental selepas bersalin.

Vendeur Festival himpun 400 usahawan online
Vendeur Festival himpun 400 usahawan online
KERANCAKAN perniagaan dalam talian (online) di Malaysia akan dizahirkan melalui himpunkan usahawan-usahawan online di bawah program dikenali sebagai Vendeur Festival yang akan diadakan di Stadium Tertutup Melawati Shah Alam, Selangor pada 10 dan 11 Mei ini. Festival itu kali pertama diadakan di Malaysia dengan penyertaan kira-kira 400 usahawan online dari seluruh negara yang akan mempamerkan produk jualan masing-masing selain mengenali pelanggan mereka dengan lebih dekat. Pengurus Projek Vendeur Festival 2014, Erlyn Khairy berkata, sebelum ini Vendeur Festival pernah menganjurkan bazar dan mendapat sambutan luar biasa daripada usahawan online serta pelanggan masing-masing. “Idea menganjurkan Vendeur Festival ini muncul apabila kami mendapati semakin ramai anak muda berminat menceburi bidang perniagaan online terutama di Instagram. "Namun atas faktor kekangan modal, mereka tidak dapat menyewa kedai atau butik fizikal kerana kos yang agak tinggi," katanya dalam satu kenyataan. Menurutnya, perniagaan online bukan lagi kerjaya separuh masa tetapi bidang perniagaan serius yang berjaya menawan ratusan ribu pelanggan secara virtual. Seorang lagi pengasas projek itu, Ashhry Atan berkata, festival dua hari itu menjadi platform untuk peniaga online mengembangkan perniagaan mereka selain mempromosikannya secara fizikal. “Buat julung kalinya kami akan menghimpunkan 400 vendor yang menjual pelbagai barangan serta produk dengan identiti tersendiri. "Ini termasuklah pakaian, aksesori, biskut, beg tangan, hasil kreativiti seni dan pelbagai lagi," katanya. Antara jenama tempatan terkemuka yang bakal menyertai Vendeur Festival ialah Aidijuma, AshhAnnas, Fashion Republic KL, The Geroboc, Al-Humaira Contemporary, dan Tudung People.

Suai padan ke markas maksiat
Foto
Puchong: Persaingan sengit perniagaan rumah urut sekitar daerah ini menyebabkan sindiket pelacuran sengaja mengiklankan coli dan seluar dalam pelbagai bentuk serta warna sebagai ‘pelaris’ menarik pelanggan. Iklan pelik itu tersebar di laman Internet dan pelanggan berminat boleh melakukan suai padan pakaian dalam diminati dengan wanita tukang urut yang diiklan. Promosi jelik itu terbongkar apabila seorang peminat urutan refleksologi mendedahkannya kepada wartawan Harian Metro. Lelaki yang mahu dikenali sebagai Faisal, 35, berkata, iklan seluar dalam dan coli itu mula disebarkan pemilik pusat urutan yang berselindung di sebalik rawatan refleksologi kaki. PAKAI dalam yang diiklankan dalam Internet. Menurutnya, banyak pusat urutan Thai, tradisional dan refleksologi dibuka menyebabkan pemilik premis mengiklankan gambar coli serta seluar dalam bagi menambat pelanggan terutama lelaki.

Aziz Sattar meninggal dunia
Foto
Kuala Lumpur: Seniman negara, Datuk Abdul Aziz Sattar atau lebih dikenali sebagai Aziz Sattar, 89, meninggal dunia akibat penyakit jantung di Hospital Kajang, kira-kira jam 2 pagi tadi. Menurut anak perempuannya Sandakiah Aziz, turut berada di sisi ketika arwah menghembuskan nafas terakhirnya adalah dua anak, menantu dan cucu. Katanya, jenazah akan dibawa ke kediamannya di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras dan dikebumikan sebelum Zohor di Tanah Perkuburan Islam di Cheras Perdana. Seluruh ahli keluarga dan saudara termasuk dari Johor dan Singapura dijangka tiba pagi ini untuk membantu menguruskan jenazah Allahyarham. Pelakon veteran itu dimasukkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU) Hospital Kajang akibat sakit jantung, malam kelmarin.-metro

Kronologi kehilangan pesawat MH370
MH370
KUALA LUMPUR - Pencarian pesawat milik Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 memasuki hari ke-59 hari ini, yang menyaksikan Malaysia dan beberapa negara mempertimbang fasa baharu operasi di dasar Lautan Hindi. Fokus pencarian kini beralih ke dasar laut selepas usaha pencarian dari udara, permukaan dan dalam air gagal menjumpai pesawat malang itu. Berikut kronologi insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370:

* 8 Mac (Hari 1) - Penerbangan MH370 membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 tengah malam dan hilang dari radar kira-kira sejam kemudian ketika terbang di Laut China Selatan. Pesawat itu dijadual mendarat di Beijing, China pada 6.30 pagi hari yang sama.
- Penumpang terdiri daripada 38 rakyat Malaysia, China (153), Indonesia (tujuh), Australia (tujuh), India (lima), Perancis (tiga), Amerika Syarikat (tiga), New Zealand (dua), Ukraine (dua), Kanada (dua), Rusia (satu), Itali (satu), Taiwan (satu), Belanda (satu) dan Austria (satu).
- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat jenis Boeing 777-200ER digerak pada 5.30 pagi dengan fokus di kawasan Laut China Selatan.
* 9 Mac (Hari 2) - Radar tentera menunjukkan kemungkinan sebuah pesawat yang tidak dapat dikenal pasti melakukan 'air turn back'. - Satelit negara China mencerap imej objek berkemungkinan mempunyai kaitan dengan pesawat yang hilang itu di Laut China Selatan.
- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menjumpai tompokan minyak yang besar 100 batu nautika dari Tok Bali, Kelantan.
- Dua penumpang pesawat malang itu didapati menggunakan pasport palsu Itali dan Austria.
* 10 Mac (Hari 3) - APMM mengesahkan tompokan minyak yang ditemui adalah minyak tangki bagi kapal kargo dan bukan minyak pesawat.
* 11 Mac (Hari 4) - Operasi SAR diperluas ke Selat Melaka berikutan terdapat kemungkinan pesawat itu melakukan 'air turn back'.
- Polis Diraja Malaysia dan Interpol mendedahkan dua penumpang lelaki yang menggunakan pasport curi adalah warga Iran iaitu Pouria Nour Mohammad Mehrdad, 19, dan Delavar Seyed Mohammad Erza, 29, yang disahkan tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas.
* 12 Mac (Hari 5) - Operasi SAR diperluas ke selatan Thailand dan Laut Andaman.
* 13 Mac (Hari 6) - Tiada bukti objek terapung di Laut China Selatan yang imejnya dicerap satelit China pada Ahad mempunyai hubung kait dengan pesawat MAS yang hilang. Pihak berkuasa China turut berkata berlaku kesilapan ketika mengeluarkan imej berkenaan.
* 14 Mac (Hari 7)- Operasi SAR diperluas ke Lautan Hindi.
* 15 Mac (Hari 8) - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan pesawat yang dikesan melakukan 'air turn back' oleh radar utama ialah Penerbangan MH370.
- Operasi SAR memfokus kepada koridor utara, yang merentangi kawasan dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke bahagian utara Thailand, dan koridor selatan, yang merentangi kawasan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.
- Transponder dan sistem komunikasi Penerbangan MH370 ditutup ketika pesawat itu tiba di kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia di antara kawasan kawalan trafik udara Malaysia dan Vietnam.
- SAR menamatkan operasi di Laut China Selatan.
* 16 Mac (Hari 9) - Tiada wang tebusan diminta oleh mana-mana pihak.
- Polis menyiasat semua kakitangan dan jurutera MAS yang mengendali pesawat MH370.
- Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata siasatan insiden kehilangan pesawat itu memfokus kepada empat bidang iaitu kemungkinan rampasan, sabotaj, keadaan psikologi penumpang dan anak kapal serta masalah peribadi mereka.
- Polis merampas sebuah simulator penerbangan buatan sendiri dari rumah Kapten Zaharie Ahmad Shah, juruterbang pesawat MH370.
* 17 Mac (Hari 10) - Operasi besar-besaran SAR yang membabitkan 26 negara bermula di koridor utara dan selatan meliputi kawasan seluas 2.24 juta batu nautika.
* 18 Mac (Hari 11) - Operasi SAR memfokus kepada empat tugasan iaitu mengumpul maklumat pemantauan satelit; analisis pemantauan data radar; menambah aset udara dan permukaan laut serta jumlah pakar teknikal dan subjek berkaitan.
- Laporan berita asing mendakwa pesawat yang hilang dilihat terbang rendah di ruang udara Maldives.
* 19 Mac (Hari 12) - Pihak berkuasa Malaysia menafikan dakwaan itu.
* 20 Mac (Hari 13) - Perdana Menteri Australia Tony Abbott memaklumkan Najib berkaitan objek yang mungkin mempunyai hubung kait dengan MH370, telah dikesan di selatan Lautan Hindi kira-kira 2,500 kilometer di barat daya Perth.
* 21 Mac (Hari 14) - Australia meneruskan pencarian dua objek yang gambarnya diambil oleh sebuah satelit.
* 22 Mac (Hari 15) - Satelit China mengesan satu objek terapung berukuran 22.5 meter kali 13 meter di Lautan Hindi.
- Tiada objek dikesan pihak berkuasa Australia kira-kira 2,500 kilometer di barat daya Perth.
* 23 Mac (Hari 16) - Imej baharu satelit milik pihak berkuasa Perancis menunjukkan objek yang mungkin mempunyai kaitan dengan pesawat MH370 di koridor selatan.
* 24 Mac (Hari 17) - Najib mengumumkan data yang dikeluarkan satelit Inmarsat milik Britain merumuskan bahawa penerbangan pesawat Boeing 777-200ER yang hilang berakhir di selatan Lautan Hindi iaitu di barat Perth.
- Tiada bukti objek berpotensi yang dicerap satelit Perancis adalah serpihan pesawat MH370.
* 25 Mac (Hari 18) - Operasi SAR memfokus di selatan Lautan Hindi berikutan petunjuk terbaharu dan pencarian di koridor utara dihentikan.
* 26 Mac (Hari 19) - Imej baharu satelit mencerap 122 objek berpotensi yang mungkin mempunyai kaitan dengan pesawat MH370 kira-kira 2,557 kilometer dari Perth.
* 27 Mac (Hari 20) - Satelit Thailand mengesan 300 objek terapung di selatan Lautan Hindi kira-kira 2,700 kilometer (1,680 batu) di barat daya Perth.
* 28 Mac (Hari 21) - Operasi SAR dipergiat bagi mengesan serpihan yang mungkin mempunyai kaitan dengan pesawat MH370 di selatan Lautan Hindi.
* 29 Mac (Hari 22) - Kementerian Pengangkutan mewujudkan panel antarabangsa bagi menyiasat insiden kehilangan MH370.
* 30 Mac (Hari 23) - Lembaga Keselamatan Maritim Australia (Amsa) berkata beberapa objek yang diperoleh Kapal HMAS Success dan Haixun 01 telah diperiksa dan dipercayai tidak mempunyai kaitan dengan pesawat MH370.
* 31 Mac (Hari 24) - Hishammuddin mengeluarkan transkrip perbualan terakhir antara pengawal trafik udara dan kokpit pesawat MH370 pada jam 0119 (waktu Malaysia) pada 8 Mac iaitu "Selamat malam pesawat Malaysia tiga tujuh kosong".
* 1 April (Hari 25) - Kementerian Pengangkutan mengeluarkan transkrip penuh komunikasi antara MH370 dan Pusat Kawalan Lalulintas Udara Kuala Lumpur, yang tidak menunjukkan terdapat sebarang keganjilan.
* 2 April (Hari 26) - Polis mendapati kesemua penumpang pesawat yang hilang "bersih" daripada elemen rampasan, sabotaj dan masalah psikologi serta peribadi namun masih menjalankan siasatan terhadap anak kapal termasuk juruterbang dan pembantu juruterbang.
* 3 April (Hari 27) - Najib berkunjung ke Australia bagi mengucapkan terima kasih kepada rakan sejawatan beliau dan mereka yang terbabit dalam operasi mencari bangkai pesawat itu.
* 4 April (Hari 28) - Pencarian MH370 memasuki fasa baharu dengan pendekatan operasi dalam air di selatan Lautan Hindi bagi mengesan pinger kotak hitam pesawat MH370.
* 5 April (Hari 29) - Hishammuddin mengumumkan Malaysia akan menubuhkan satu pasukan penyiasat bebas terdiri daripada kumpulan layak terbang, kumpulan operasi dan kumpulan perubatan serta faktor manusia, bagi menyiasat kehilangan Penerbangan MH370.
- Kerajaan Malaysia mewujudkan tiga jawatankuasa peringkat menteri bagi memperkemas dan memperkukuh usaha berterusan pencarian pesawat.
-Alat pengesan kotak hitam yang digunakan kapal peronda China Haixun 01,mengesan dua isyarat detik di perairan selatan Lautan Hindi.
* 6 April (Hari 30) - Satu lagi isyarat detik dikesan di selatan Lautan Hindi oleh Kapal Pertahanan Australia (ADV) Ocean Shield kira-kira 300 batu nautika dari isyarat detik yang dikesan Haixun 01.
* 7 April (Hari 31) - Ocean Sheild mengesan dua isyarat detik dengan yang pertama selama dua jam 20 minit dan yang kedua, 13 minit.
* 8 April (Hari 32) - Pencarian dipergiat susulan petunjuk baharu.
* 9 April (Hari 33) - Pakar Amerika dan Australia mengesahkan isyarat detik yang dikesan di selatan Lautan Hindi adalah daripada sejenis alat buatan manusia dan bukan bunyi semula jadi dari laut berikutan frekuensinya.
* 10 April (Hari 34) - Sebuah pesawat Australia mengesan satu isyarat berpotensi ketika mengendali pencarian akustik bagi pesawat MH370 yang hilang di selatan Lautan Hindi.
* 11 April (Hari 35) - Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) mengesahkan bahawa isyarat yang dikesan pesawat AP-3C Orion milik Australia semalam di kawasan pencarian selatan Lautan Hindi tidak mempunyai kaitan dengan alat pengesan mata arah bawah air sebuah pesawat.
* 12 April (Hari 36) - Ocean Shield meneruskan pencarian di dasar laut menggunakan alat pengesan pinger bagi mengesan isyarat lanjut yang mempunyai kaitan dengan kotak hitam pesawat.
* 13 April (Hari 37) - Ocean Sheild mengesan tompokan minyak di selatan Lautan Hindi.
* 14 April (Hari 38) - Kenderaan dalam air autonomous (AUV) Bluefin-21 digunakan dalam operasi pencarian pesawat MH370.
* 15 April (Hari 39) - Data yang dikumpul selama kira-kira enam jam oleh Bluefin-21 diambil dan dianalisis.
* 16 April (Hari 40) - Tiada objek yang mempunyai kepentingan ditemui daripada data yang dikumpul Bluefin-21 dalam misi pertamanya pada 14 April bagi membantu mengesan bangkai pesawat MH370, kata JACC.
* 17 April (Hari 41) - Tompokan minyak yang dikesan Ocean Shield didapati bukan cecair hidrolik atau enjin pesawat, kata JACC.
* 18 April (Hari 42) - Bluefin-21 meneruskan misi pencarian.
* 19 April (Hari 43) - Bluefin-21 meneruskan misi pencarian.
* 20 April (Hari 44) - Tiada objek yang mempunyai kaitan ditemui, kata JACC
* 21 April (Hari 45) - Pencarian secara visual disambung dengan pesawat serta kapal digerakkan semula ke selatan Lautan Hindi manakala Bluefin-21 meneruskan misinya.
* 22 April (Hari 46) - Pencarian udara diteruskan meskipun Taufan Tropika Jack melanda selatan Lautan Hindi.
* 23 April (Hari 47) - Bahan yang tidak dikenali dijumpai di pantai kira-kira 10 kilometer di timur Augusta, 322 kilometer di selatan Perth.
- Pencarian udara ditangguh berikutan cuaca buruk.
* 24 April (Hari 48) - Bahan yang ditemui di Augusta disahkan bukan daripada bangkai pesawat MH370.
* 25 April (Hari 49) - Pencarian udara dan dalam air diteruskan.
* 26 April (Hari 50) - Bluefin-21 berdepan masalah teknikal
* 27 April (Hari 51) - Tiada perkembangan terbaharu dilaporkan.
* 28 April (Hari 52) - Operasi pencarian bawah air memasuki fasa baharu dengan tumpuan kepada kawasan di dasar laut diperluas.
* 29 April (Hari 53) - Terdapat dakwaan bangkai pesawat MH370 mungkin ditemui di Teluk Benggala, Bangladesh.
* 30 April (Hari 54) - Hishammuddin mengumumkan laporan awal berhubung kehilangan Penerbangan MH370 akan dikeluarkan esok.
* 1 Mei (Hari 55) - Kementerian Pengangkutan mengeluarkan laporan awal berhubung kehilangan Penerbangan MH370 termasuk senarai kargonya dan rakaman audio antara kokpit pesawat itu dan Pusat Kawalan Lalulintas Udara Kuala Lumpur.
* 2 Mei (Hari 56) - Hishammuddin mengumumkan Malaysia, China dan Australia akan mengadakan mesyuarat tiga hala di Canberra pada 5 Mei.
- MAS mengumumkan syarikat penerbangan itu akan memulakan proses pembayaran pampasan pendahuluan kepada anggota keluarga penumpang yang menaiki Penerbangan MH370.
- JACC mengesahkan tiada apa-apa yang ditemui di Teluk Benggala.
* 3 Mei (Hari 57) - Tiada perkembangan baharu.
* 4 Mei (Hari 58) - Tiada perkembangan baharu.
* 5 Mei (Hari 59) - Pencarian memasuki fasa baharu dengan operasi dipergiat di dasar selatan Lautan Hindi. - Bernama

Murid tahun 4 dikhuatiri lemas di Sungai Pahang
KUANTAN - Seorang murid lelaki tahun empat dikhuatiri lemas semasa mandi bersama dua rakannya di Sungai Pahang dekat Ulu Perting, Bentong hari ini. Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Mohamad Nor Mansor berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 3 petang tadi melibatkan murid Sekolah Kebangsaan Perting, Bentong, Ngai Ji Hong, 10. "Ketika kejadian mangsa sepatutnya menghadiri kelas tambahan, namun dilaporkan telah pergi ke sungai berkenaan untuk mandi bersama dua rakannya. Bagaimanapun, semasa sedang mandi mangsa tiba-tiba lemas dan melihat keadaan itu rakan mangsa kemudiannya bertindak meminta pertolongan orang awam sebelum melaporkannya kepada polis," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini. Beliau berkata, sebaik menerima panggilan, polis bersama anggota bomba dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamatkan mangsa. Bagaimanapun operasi mencari dan menyelamat ditamatkan lewat petang tadi dan akan disambung esok, katanya. Sementara itu, Mohamad Nor berkata usaha mencari dan menyelamat pelajar lelaki Tingkatan Tiga, Sean Ng, 15, yang lemas ketika mandi di Air Terjun Sungai Gapoi kira-kira 22 kilometer dari perkampungan Orang Asli Telemong dekat Bentong, Sabtu lepas masih diteruskan hari ini. Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang Sabtu lepas, mangsa yang beralamat di Taman Melawati, Kuala Lumpur dilaporkan telah pergi berkelah di kawasan rekreasi berkenaan bersama 11 lagi rakannya sebelum lemas dalam kejadian itu. - Bernama

Gempa bumi berukuran 6.2 landa utara Thailand
BANGKOK - Satu gempa bumi berukuran 6.2 pada skala Richter melanda bahagian utara Thailand hari ini mengakibatkan beberapa bangunan dan jalan raya rosak. Menurut Biro Seismologi Jabatan Meteorologi Thailand, tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Gempa yang mempunyai kedalaman 10 kilometer itu berlaku pada 6.08 petang di daerah Phan, Chiangrai dan gegarannya turut dirasai wilayah berdekatan. - Bernama

Mayat lelaki Myanmar dengan kesan tikaman ditemui
BUKIT MERTAJAM - Mayat seorang lelaki Myanmar dengan beberapa kesan tikaman di badan dan kelar di leher ditemui di belakang sebuah kilang ais di Taman Nagasari di sini hari ini. Mayat Saw Ah Lu, 25, ditemui dalam keadaan terlentang oleh seorang lelaki yang melalui kawasan itu pada pukul 8.30 pagi tadi dan ketika ditemui mangsa memakai topi keledar. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, hasil pemeriksaan unit forensik menemui kesan kelar pada leher dan perut lelaki itu serta kesan tikaman di perut dan belakang badan. "Berdasarkan kesan darah pada badannya, polis tidak menolak kemungkinan lelaki itu baru mati dan polis juga percaya dia dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di kawasan itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Beliau berkata, lelaki itu juga mempunyai tatoo tulisan di lengan kirinya dan mayatnya dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat. Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - Bernama

Polis Besut tahan enam suspek proses air ketum
BESUT - Polis berjaya menahan enam suspek selepas menyerbu lokasi memproses air ketum di belakang sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Padang Luas di sini semalam. Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, dalam serbuan kira-kira 1 tengah hari itu, keenam-enam lelaki berumur antara 30 hingga 40 tahun itu sedang leka mengikat bungkusan plastik mengandungi cecair di percayai air ketum. "Apabila nampak anggota polis tiba kesemua suspek telah melarikan diri ke dalam semak berhampiran tetapi sempat ditangkap," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. Hasil pemeriksaan di belakang rumah berkenaan, polis menemui dua bakul berisi daun ketum dan 50 bungkusan plastik air ketum yang telah diproses, periuk untuk merebus daun ketum dan tong gas, katanya. Katanya keenam-enam suspek merupakan penduduk setempat dan serbuan dilakukan hasil maklumat awam. - Bernama

Kumpulan samun asrama pekerja asing tumpas
MELAKA - Empat lelaki yang menyasar pekerja asing untuk menyamun ditahan di Melaka Tengah pada 20 dan 21 April lalu. Pihak polis turut merampas 35 buah telefon bimbit, enam utas jam tangan, sebuah komputer riba, tujuh senjata tajam serta dua motosikal. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata mereka yang berusia antara 26 hingga 38 tahun ditahan di empat lokasi berasingan dan kini direman sehingga 11 Mei untuk disiasat kerana melakukan samun berkumpulan dan bersenjata yang membabitkan 11 kes dengan nilai kerugian dianggarkan RM150,000. "Kumpulan ini menyasar asrama pekerja warga Bangladesh, Myanmar dan Nepal di Taman Perindustrian Teknologi Cheng dan Taman Perumahan Ayer Keroh sejak Februari hingga 4 April lepas. "Mereka dilapor menyamar sebagai anggota polis ketika melakukan tiga daripada kes samun tersebut," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di sini hari ini. Raja Shahrom berkata kumpulan tersebut akan memakai topi kaledar bertutup muka untuk kononnya melakukan pemeriksaan di asrama warga asing terbabit, mengacu senjata tajam dan mengikat mangsa sebelum menyelongkar dan mengambil barangan berharga. Beliau berkata tiga daripada mereka termasuk ketua kumpulan yang berusia 25 tahun mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan mencuri kenderaan. Mereka juga didapati positif methamphetamine. - Bernama

Hukum Hudud: Pemuda Gerakan sedia temu Pemuda Umno
Keng Liang
ALOR SETAR - Pemuda Gerakan bersedia bertemu Pemuda Umno bagi mendengar penjelasan mengenai hudud. Ketuanya, Tan Keng Liang berkata, mereka sedia mendengar penjelasan Pemuda Umno mengenai hukum hudud dengan hati terbuka sekaligus tidak akan menghalang mana-mana ahli Parlimen BN yang beragama Islam untuk menyokong usul itu jika dibentangkan di Parlimen kelak. "Kita terima jemputan Pemuda Umno untuk berbincang dan mendengar apa jua perkara yang akan diperkatakan mengenai hudud. Kami hanya tunggu tarikh yang ditetapkan. "Kami tidak menentang Islam dan tidak menghalang mana-mana ahli Parlimen Islam untuk sokong hudud kerana faham ia terkandung dalam ajaran Islam," katanya pada sidang media, di ibu pejabat Gerakan di sini, hari ini. Bagaimanapun, dalam pertemuan itu kelak, pihaknya akan mengambil kesempatan untuk mengutarakan pandangan dan alasan bantahan terhadap hukum itu. "Namun kami akan ambil peluang untuk memperjelaskan pendirian secara terperinci dari segi teknikal dan perundangan kenapa kami bantah," katanya. Kelmarin, media melaporkan Pemuda Umno akan mengadakan perjumpaan tertutup dengan rakan Pemuda dari parti komponen BN termasuk MCA, Gerakan dan MIC untuk memberi penjelasan mengenai hukum hudud. Dalam pada itu, Keng Liang berkata, jawatankuasa khas akan ditubuhkan sebagai penasihat berhubung pendirian parti itu untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pembentang usul hukum hudud serta kerajaan Kelantan jika diluluskan oleh Parlimen. "Kita tidak menghalang Pas untuk membentang usul di Parlimen, itu adalah hak demokrasi. Namun kita akan ambil tindakan mahkamah terhadap pembentang dan kerajaan Kelantan jika ia diluluskan tanpa ada kompromi dan perundingan," katanya.

Raja paling lama bertakhta sambut ulang tahun
Raja Bhumibol Adulyadej
BANGKOK - THAILAND . Raja Bhumibol Adulyadej muncul di khalayak ramai, sesuatu yang jarang dilakukan, untuk menghadiri istiadat sambutan ulang tahun ke-64 Hari Pertabalan baginda. Beribu-ribu rakyat berpakaian kuning berbaris di sepanjang jalan Hua Hin pada Isnin dekat istana di pinggir pantai ketika perarakan kereta yang membawa Raja Bhumibol melalui jalan itu menuju ke tempat berlangsungnya upacara mengikut agama Buddha sempena ulang tahun Hari Pertabalan baginda. Upacara itu berlangsung di Istana Klai Kangwon iaitu tempat bersemayam Raja Bhumibol dan Permaisuri Sirikit. Turut menghadiri upacara itu ialah anggota keluarga diraja dan para pegawai kerajaan termasuk Perdana Menteri Yingluck Shinawatra. Di Bangkok, politik dilupakan buat seketika ketika beribu-ribu penunjuk perasaan antikerajaan berarak sejauh beberapa kilometer ke Grand Palace dan kuil Emerald Buddha bagi menghadiri sambutan ulang tahun Hari Pertabalan raja yang paling lama bertakhta di dunia. Mereka yang menghadiri upacara itu semuanya memakai baju kuning. "Dirgahayu Raja Bhumibol", teriak para penunjuk perasaan sepanjang perarakan mereka menuju ke destinasi dengan diketuai Suthep Thaugsuban, pemimpin Jawatankuasa Reformasi Demokratik Rakyat. - Bernama

Pemerintah Mesir disifatkan sebagai kejam
Dr Salah Abdul Maqsoud
Dr Salah Abdul Maqsoud - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
PETALING JAYA - Menteri Penerangan Kabinet Presiden Morsi, Dr Salah Abdul Maqsoud menyifatkan tindakan Mesir yang menjatuhkan hukuman mati ke atas 683 penyokong Ikhwanul Muslimin dan Mursi sebagai suatu bentuk kezaliman dan kekejaman secara besar-besaran. Menurutnya, keputusan yang dibuat oleh pihak hakim menunjukkan bahawa mahkamah tersebut berlaku tidak adil kepada para penyokong Mursi dan Ikhwanul Muslimin. "Hakim perbicaraan dalam sebuah mahkamah di Minya telah mengambil keputusan sebulat suara kurang dari 20 minit untuk menjatuhkan hukuman mati ke atas pengikut Ikhwanul Muslimin dan Mursi, ianya satu bentuk kezaliman dan tidak adil," ulasnya ketika ditemui di sidang media di sini hari ini. Beliau dalam pada itu turut menafikan dakwaan pihaknya mengarah sebuah stesen televisyen ditutup atas niat menyekat kebebasan pihak media dalam melaporkan pergolakan yang sedang berlaku di negara tersebut. Menurutnya, stesen televisyen tersebut diarah tutup selama sebulan kerana tidak mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak media sendiri. Beliau dalam pada itu turut menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah menyekat kebebasan media dalam melaporkan pemberitaan dan perkembangan semasa di Mesir. - sinar

Pilihan Raya Presiden Mesir didakwa tidak sah
Dr Salah Abdul Maqsoud
Dr Salah Abdul Maqsoud - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
PETALING JAYA - Menteri Penerangan Kabinet Presiden Muhammed Mursi, Dr Salah Abdul Maqsoud mendakwa Pilihan Raya Pemilihan Presiden yang bakal berlangsung pada 26 dan 27 Mei ini tidak sah dan tidak diiktiraf oleh barisan Kabinet berkenaan. Bercakap dalam sidang media yang berlangsung di sini hari ini, beliau berkata, sebarang proses perlembagaan termasuk pilihan raya yang dilakukan oleh pihak tentera dianggap tidak sah kerana mereka tidak mempunyai hak untuk membatalkan kuasa sesebuah kerajaan melalui rampasan kuasa. "Bekas Ketua Tentera Mesir, Abdel Fattah Al-sisi mendakwa apa yang sedang dilakukan kini bukan demi kepentingan rakyat, namun sebenarnya tujuan asal perjuangannya adalah demi kepentingannya sendiri. "Pihak kami tidak bersetuju dengan pilihan raya, namun kami tidak membantah dengan menggunakan kekerasan, kami akan terus tekan mereka melalui demonstrasi secara aman yang dilakukan secara berterusan," katanya. Beliau dalam pada itu turut menggesa seluruh rakyat Mesir untuk terus memperjuangkan hak asasi mereka demi menuntut kebebasan negara. Menurutnya, sokongan dan harapan yang tidak putus harus diberikan supaya pejuang-pejuang negara akan terus melawan demi membina semula negara Mesir yang merdeka. "Pemimpin negara yang 'naik' melalui peti undi, akan 'jatuh' melaui peti undi juga, jika perkara sedemikian tidak berlaku, akan berlaku kekecohan dan kekacauan besar dalam negara. "Pejuang hak asasi harus tunjukkan kepada semua pihak bahawa kita semua menuntut sebuah keamanan dan negara yang demonstrasi tanpa kekacauan dan sikap pecah belah seperti yang sedang berlaku di Mesir sekarang," katanya lagi. Menurutnya lagi, perjuangan yang dilakukan ini adalah berdasarkan gabungan nasional yang melibatkan 60 organisasi yang menghimpunkan semua jenis bangsa dan pihaknya akan terus mendesak Al-sisi untuk memberikan kebebasan mutlak ke atas negara tersebut. - sinar

Obama terharu layanan baik, mesra Malaysia
Barack Obama
Presiden Amerika Syarikat Barack Obama setibanya di Lapangan Terbang Tentera Udara Diraja Malaysia, Subang bagi rangka lawatan ke ibu negara selama tiga hari bermula hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Walaupun hanya sempat berada selama tiga hari di negara ini, namun Presiden Amerika Barack Obama amat terharu dengan layanan istimewa yang beliau terima daripada Malaysia serta terpikat dengan keramahan dan kemesraan rakyatnya. Perkara ini dinyatakan Duta Besar Amerika di Malaysia Joseph Y Yun pada perjumpaan meja bulat dengan media di kedutaan Amerika di sini hari ini, dan menurut beliau, Obama meninggalkan Malaysia dengan membawa kenangan manis yang begitu berkesan di hatinya. "Sepeninggalan beliau, Obama meminta saya menyampaikan ucapan terima kasih beliau kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak), yang katanya seorang tuan rumah yang amat berhemah serta kepada beberapa menteri, termasuk (Menteri Luar Datuk Seri) Anifah Aman, (Menteri Belia dan Sukan) Khairy Jamaluddin, yang juga menteri pengiring, yang memainkan peranan besar dalam kunjungan beliau itu. "Beliau begitu bersungguh-sungguh meminta saya menyampaikannya (ucapan terima kasih) kepada tuan rumah atas layanan mesra serta budi baik mereka sepanjang lawatan itu. Obama sungguh terharu dengan sambutan yang diberi kepadanya ke mana sahaja beliau pergi oleh rakyat Malaysia, pelajar di Universiti Malaya, usahawan muda di Cyberjaya dan para pemimpin masyarakat sivil," katanya. Lawatan rasmi bermula 26 April ke negara Asia Tenggara yang mempunyai 30 juta penduduk ini - sebahagian daripada rangka kunjungan Obama ke empat negara Asia - merupakan kunjungan pertama presiden Amerika ke negara ini sejak 48 tahun lepas, setelah kali terakhir dilakukan Presiden Lyndon B. Johnson pada 1966. Yun berkata Obama terharu apabila melihat orang ramai sangggup menunggu untuk melihat kelibat presiden Amerika itu di laluan yang digunakannya ketika berada di negara ini. Menurut Yun, beliau berpendapat Obama dan Najib mempunyai hubungan yang amat baik serta begitu serasi antara satu dengan lain, seolah-olah dua sahabat yang sudah lama tidak berjumpa. "Mereka sudah banyak kali bertemu di pentas pelbagai hala serta dua hala dan apabila saya melihat mereka berinteraksi dengan baik, barulah saya menyedari bahawa mereka sememangnya mengenali satu sama lain dengan baik dan oleh itu, tidak perlulah saya memberi sebarang taklimat kepada presiden," katanya sambil menjelaskan bahawa kunjungan Obama ke negara ini amat berjaya. Menurut beliau, secara peribadi, banyak yang diketahui Obama tentang Malaysia dan inilah yang menyebabkan beliau sentiasa berasa selesa dari segi hubungan, yang ingin beliau pertingkatkan antara Amerika dan rantau ini. "Sejarah peribadi beliau amat bermakna, sebagai contoh, pada majlis jamuan negara, beliau mengimbau kisah lampau perihal ibunya yang gemar mengumpul kain batik serta iparnya dari sebelah Indonesia yang merupakan rakyat Malaysia. "Malah, pada majlis jamuan tengah hari dua hala di Seri Perdana, Obama memberitahu orang ramai cara sebenarnya untuk menyediakan nasi goreng yang enak. Beliau juga bergurau tentang durian, yang pernah beliau cuba makan beberapa kali, tetapi bukanlah buah kegemarannya," kata Yun. Beliau berkata, melalui hubungan persahabatan unik yang terjalin antara Obama dan Najib, kedua-dua pemimpin itu dapat membawa hubungan Amerika dan Malaysia ke peringkat perkongsian komprehensif melalui peningkatan kerjasama dalam bidang ekonomi, keselamatan, pendidikan, sains, teknologi dan banyak lagi. Menjelaskan tentang Program Pengecualian Visa Amerika, Yun berkata Malaysia perlu memenuhi syarat yang terkandung dalam undang-undang dan peraturan negaranya, termasuk kadar sekatan visa perlulah kira-kira tiga peratus, kewajipan Malaysia melaporkan kepada Interpol tentang pasport yang dicuri atau hilang dan pertukaran data tentang pengganas dan penjenayah. "Walaupun Malaysia sudah memenuhi beberapa syarat seperti penyediaan pasport yang mampu dibaca mesin, membenarkan rakyat Amerika memasuki negara ini tanpa visa serta beberapa kemajuan lain, namun ia mungkin mengambil sedikit masa sebelum layak menikmati program itu," katanya. Bagaimanapun, tegas beliau setakat ini tiada tarikh ditetapkan untuk mengadakan perundingan dan taklimat teknikal berkaitan urusan membuat penilaian tentang program itu. Rakyat negara yang disenaraikan di bawah program pengecualian visa itu dibenarkan berkunjung dan tinggal di Amerika bagi tempoh maksimum 90 hari. Kadar penafian visa Malaysia kekal sebanyak lima peratus. Mengenai giliran Malaysia yang akan menjadi pengerusi Asean pada 2015, Yun berkata Amerika menunggunya dengan penuh minat dari segi diplomatik dan ekonomi serta bersedia memberi sumbangan besar berkaitan hala tuju Asean dan hasratnya untuk menjadi satu lagi gergasi serantau. "Amerika sentiasa menyokong Asean sebagai sebuah kumpulan negara dan sebab itulah kami menyertai Sidang Kemuncak Asia Timur serta menawarkan bantuan teknikal kepada Asean mengenai pasaran tunggal, isu tenaga. Ia memberi peluang kepada Amerika untuk melakar banyak kemajuan dalam pelbagai perkara," katanya. - Bernama

JUMPR :Powerbank mampu cas bateri kereta
JUMPR :Powerbank mampu cas bateri kereta
HARI ini kami rasa kami menemui raja segala powerbank yang diberi nama Jumpr. Powerbank berkapasiti 6000 mAh ini bukan sahaja mampu mengecas kesemua peranti pintar mudah alih anda tetapi juga mampu menghidupkan semula kereta anda apabila baterinya mati. Paling menakjubkan produk itu bersaiz kecil (panjang 5.5 inci) dan hanya seberat 198 gram, lebih ringan daripada Xperia Z Ultra. Ia juga turut mempunyai lampu suluh LED terbina yang boleh digunakan ketika kecemasan pada waktu malam. Bakal memasuki pasaran bulan depan pada harga AS$70 (RM228). Kolum ini dibawakan oleh laman web berita teknologi Amanz.my

KLIA2 kendali 20,500 penumpang sejak dibuka
KLIA2
KUALA LUMPUR - KLIA2 telah mengendalilkan 20,500 penumpang sejak dibuka pada 2 Mei. Operasi Malindo Airways, Lion Air, Tiger Airways International dan Cebu Pacific Airways terus berjalan dengan lancar pada hari ketiga terminal penerbangan tambang rendah baharu itu beroperasi, kata Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam satu kenyataan. "Dari 12.01 tengah malam pada 4 Mei hingga 12.01 tengah malam hari ini, sejumlah 52 penerbangan dan 7,300 penumpang dicatatkan untuk kedua-dua ketibaan dan perlepasan antarabangsa dan domestik. "Terdapat 32 penerbangan semuanya daripada Malindo Airways, enam daripada Lion Air, 10 oleh Tiger Airways dan empat oleh Cebu Pacific Airways," kata syarikat itu. MAHB berkata sistem pengangkutan awam di hab pengangkutan termasuk teksi, bas dan kereta api laju Express Rail Link (ERL) juga mencatatkan peningkatan penggunaan oleh orang ramai dengan sejumlah 541 perjalanan teksi dan 263 penumpamh bas. "Perkhidmatan ERL juga mencatat pertambahan trafik apabila orang ramai semakin membiasakan diri dengan perkhidmatan itu," ia menambah. AirAsia, AirAsia X, AirAsia Indonesia, AirAsia Thai dan AirAsia Zest akan mula beroperasi di KLIA2 pada 9 Mei apabila semua penerbangan akan tiba dan berlepas dari KLIA2. - Bernama

Kargo udara meningkat 5.9 peratus pada Mac
PASARAN kargo udara pada Mac meningkat 5.9 peratus tahun ke tahun, dengan kapasiti berkembang pada 3.4 peratus, demikian menurut data yang dikeluarkan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA). "Sejak awal tahun ini, jumlah kargo udara pada asasnya tidak berubah. Keadaan itu adalah konsisten dengan ketiadaan peningkatan dalam keyakinan perniagaan dan perdagangan dunia," kata IATA dalam satu kenyataan. Peningkatan dalam tempahan eksport dijangka memberi momentum positif kepada pasaran Amerika Syarikat dan Eropah, mengimbangi kelembapan dalam pengeluaran di China yang kini memasuki bulan keempat, katanya. Di Asia-Pasifik, kargo udara meningkat 6.9 peratus pada Mac berbanding setahun lalu manakala kapasiti menambah 7.5 peratus. "Bagaimanapun, kelembapan berterusan dalam pertumbuhan kasar produk domestik China dijangka memberi kesan kepada pertumbuhan perdagangan dan permintaan kargo udara untuk syarikat penerbangan tempatan," kata IATA. - Bernama

Uniknya produk penjara
Uniknya produk penjara
Produk Batik Eksklusif yang menjadi pilihan golongan atasan.
MUNGKIN tidak ramai masyarakat luar tahu mengenai produk penjara. Tidak kurang juga yang tahu tetapi masih merasa sangsi dengan kualitinya hanya kerana ia hasil tangan penghuni tirai besi. Stigma masyarakat tidak pernah lari daripada merasa bimbang terhadap bekas penghuni tirai besi itu, meskipun mereka berkelakuan baik, dan ia sedikit sebanyak turut terkena tempiasnya pada produk yang mereka hasilkan. Tetapi itu cerita dahulu. Kini stigma itu sudah hilang ditelan masa. Jika ada sekali pun, mungkin hanya segelintir dan wajarlah pemikiran seperti itu dibuang dan terus bersangka baik, kerana penghuni tirai besi juga mencari rezeki di bumi milik ALLAH. Siapa sangka, latihan berkemahiran diberikan kepada banduan yang melalui fasa ketiga pemulihan di penjara, mampu menghasilkan produk berkualiti dan diterima di pasaran tempatan. Lebih membanggakan, produk ini bakal menembusi pasaran China menerusi dua produk terbaik mereka iaitu Tenun Pahang Diraja dan Batik Eksklusif dengan sasaran awal pembeli golongan atasan. 40 produk terhasil di tirai besi Di bawah jenama My Pride, Jabatan Penjara Malaysia mempelbagaikan pengeluaran produk berkualiti dan berdaya saing untuk pasaran meluas. Timbalan Komisioner Penjara, Ketua Seksyen Vokasional dan Industri Jabatan Penjara Malaysia, Datuk Mohd Sakeri Dollah berkata, pelbagai latihan diberikan bagi menghasilkan pengeluaran produk kualiti tinggi mengikut piawaian. “Objektif ialah membangunkan dan melakukan penyelidikan produk mampu berdaya saing dalam pasaran terbuka, sekali gus meningkatkan perolehan Jabatan Penjara Malaysia,” katanya. Katanya, ada 40 bidang latihan di penjara yang dipecahkan kepada empat kategori iaitu pembuatan, perkhidmatan, makanan dan penghasilan fabrik. “Menerusi kategori pembuatan, antara dihasilkan ialah produk hiasan rumah berasaskan besi, perabot kayu dan rotan serta seramik. Perkhidmatan pula menyediakan kemudahan seperti spa, salon, urutan refleksologi dan produk sara diri (tanaman sayuran dan ternakan ikan). “Bagi penghasilan makanan, kami agak terkenal dengan pengeluaran kuih raya. Malah produk sejuk beku My Pride kini boleh didapati di pasar raya Mydin terpilih seperti di Semenyih dan USJ, Subang Jaya," katanya. Menurutnya, lebih membanggakan, penghuni sendiri yang menghasilkan roti untuk kegunaan di dalam penjara. "Tahun lepas, kita berjaya buka sebuah kilang untuk bekalkan roti kepada penjara di Zon Tengah. Kini terdapat 12 penjara di seluruh negara yang terlibat dalam industri makanan,” katanya. Selain itu, penghasilan fabrik dari penjara juga menarik perhatian ramai terutama golongan atasan. Menurut Mohd Sakeri, kain songket dan Tenun Pahang Diraja menjadi pilihan menteri selain berjaya memikat hati Puteri Mahkota Denmark, Mary Elizabeth Donaldson. "Secara tidak rasmi, produk penjara sudah pun 'menembusi' pasaran antarabangsa melalui pembelian tetamu luar negara yang melawat galeri penjara. "Kain tenun hasil buatan tangan penghuni penjara turut mendapat pengiktirafan Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, isteri kepada Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah," katanya. Pertingkat pasaran produk Ditanya tentang kaedah pemasaran, Mohd Sakeri berkata, buat masa ini Jabatan Penjara Malaysia menggunakan empat kaedah bagi memasarkan produk buatan penghuninya. “Kaedah pertama ialah jualan dalam talian di laman sesawang rasmi galeri penjara. Kedua, melalui jualan terus di galeri pameran untuk pasarkan produk penjara kepada pengguna tempatan. “Terdapat lima galeri jualan di Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Kajang; Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng, Perak; Kuantan, Pahang; Kempas, Johor Bahru dan Ayer Keroh, Melaka,” katanya. Menurut Mohd Sakeri, Jabatan Penjara Malaysia turut mengadakan jualan bergerak secara berkala di setiap negeri melalui Program Info Kraf. “Kami turut menerima jemputan untuk sertai pameran industri seperti Hari Kraf Kebangsaan,” katanya. Jabatan Penjara Malaysia juga mengutamakan pengukuhan pasaran domestik bagi produknya. “Kami perlu dapatkan keyakinan pengguna supaya memilih produk penjara sekali gus mengurangkan pandangan negatif masyarakat terhadap produk dihasilkan banduan. “Kami juga akan pastikan produk dihasilkan memenuhi ketetapan Kementerian Kesihatan serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia terutama bagi produk makanan,” katanya. Selain itu, Mohd Sakeri berkata, jabatan itu juga sentiasa menambahbaik sistem perniagaan dalam talian bagi menarik lebih ramai pengguna membeli mahupun melihat produk dihasilkan.

Produk dari penjara jana jutaan ringgit
Produk dari penjara jana jutaan ringgit
Mohd Sakeri menunjukkan songket dan kain tenun buatan penghuni penjara yang dihasilkan dengan penuh teliti, berkualiti dan dijual pada harga berpatutan
JABATAN Penjara Malaysia mencatat kira-kira RM21.5 juta jualan tahun lalu melalui penghasilan produk penjara, sekali gus meningkatkan keyakinan jabatan itu untuk sasarkan peningkatan sehingga RM25 juta tahun ini. Timbalan Komisioner Penjara, Ketua Seksyen Vokasional dan Industri Jabatan Penjara Malaysia, Datuk Mohd Sakeri Dollah berkata, usaha promosi akan dilipat gandakan selain menambah baik jualan dalam talian. “Produk penjara turut dijual menerusi Koperasi Penjara, selain dalam ekspo dan pameran seperti sambutan hari Keluarga Kementerian Dalam Negeri atau Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade). “Tahun lalu sahaja, jabatan ini mencatat jualan RM2 juta hasil jualan produk fabrik dan RM1 juta menerusi jualan kuih raya sahaja,” katanya. Katanya, berdasarkan peningkatan positif ini, Jabatan Penjara Malaysia berhasrat menghasilkan produk berskala besar menerusi segmen fabrik, makanan dan perkhidmatan sara diri seperti penternakan ikan dan tanaman sayuran. Latihan untuk banduan sara diri Jabatan Penjara Malaysia mempunyai visi dan misi memastikan banduan yang bebas memiliki masa depan lebih cerah. Program latihan berkemahiran bagi penghuni penjara ialah asas pembinaan kerjaya dan antara fasa yang perlu dilalui penghuni tirai besi sebelum dibebaskan. Menurut Mohd Sakeri, terdapat empat fasa perlu dilalui penghuni. Pertama, fasa orientasi yang menekankan aspek pembinaan fizikal dan spiritual, diikuti fasa pengukuhan sahsiah, latihan kemahiran dan terakhir fasa penyesuaian diri penghuni dengan masyarakat luar. “Dalam membentuk peluang kerjaya, program pemulihan fasa ketiga sebelum ini berkonsepkan latihan sahaja, tetapi sebaik bebas, menjadi kebijaksanaan bekas banduan mencari kerjaya sendiri. “Bagaimanapun, apabila diwujudkan Pelan Pembangunan Insan, ia lebih tersusun dan sistematik. Latihan kemahiran diperkemas dengan matlamat untuk melahirkan banduan berkemahiran tinggi dan memiliki sijil yang diiktiraf Kementerian Sumber Manusia,” katanya. Dalam fasa ketiga, Jabatan Penjara Malaysia menyasarkan 70 peratus banduan memiliki kemahiran bersijil sama ada sijil Jabatan Pembangunan Kemahiran atau Kemahiran Kecekapan di bawah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia. “Hasil daripada latihan ialah pengeluaran dan pemasaran produk. Namun ia bukanlah matlamat utama latihan, tetapi lebih kepada menyediakan penghuni dengan latihan kerjaya. “Mereka mungkin ‘keluar’ dan menjadi usahawan berjaya atau dapat bekerja dengan majikan,” katanya. Stigma semakin berkurangan Sebut sahaja penjara pasti terlintas di fikiran perkara negatif, sedikit sebanyak memberi kesan kepada produk dihasilkan. Namun menurut Mohd Sakeri, stigma masyarakat terhadap banduan mahupun produk penjara semakin berkurangan kerana sambutan produk penjara yang menggalakkan. “Ia mungkin didorong penglibatan banduan dalam aktiviti kemasyarakatan yang kami sediakan sebelum mereka dilepaskan. “Jadi masyarakat dapat melihat kesan positif sekali gus menambah kepercayaan mereka untuk membeli produk penjara,” katanya.

Kalimah Allah: Mahkamah terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Sidang Injil Borneo (SIB) untuk mendapatkan semakan kehakiman bagi mencabar perintah Kementerian Dalam Negeri yang melarang pengimportan buku Kristian mengandungi kalimah “Allah”. Hakim Datuk Zaleha memutuskan Mahkamah Tinggi terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan bahawa kalimah ‘Allah’ bukan sebahagian daripada aspek penting dalam kepercayaan dan amalan agama Kristian. Dalam penghakiman beliau, yang dibaca Penolong Kanan Pendaftar N. Arun di dalam kamar, Zaleha berkata mahkamah itu tiada pilihan selain merujuk kepada keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes Kementerian Dalam Negeri lawan Gereja Roman Katolik berhubung larangan penggunaan kalimah “Allah” dalam penerbitan mingguannya, ‘Herald’. “Oleh yang demikian, walaupun keputusan itu adalah khusus bagi Herald, semua hakim yang arif berpendapat bahawa kalimah “Allah” bukan sebahagian daripada aspek penting dalam kepercayaan dan amalan Kristian dan oleh itu, larangan menteri berkenaan tidak bercanggah dengan perlembagaan. “Selagi keputusan itu terpakai, doktrin ‘stare decisis’ (duluan), mahkamah ini terikat dengan keputusan mahkamah lebih tinggi,” katanya. Beliau berkata mahkamah menolak permohonan itu dengan tidak mengenakan sebarang printah berkaitan kos. Pada 10 Dis 2007, SIB dan presidennya Rev Jerry W. A. Dusing alias Jerry W. Patel, memfailkan permohonan untuk mendapatkan semakan kehakiman terhadap Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan bagi mencabar tindakan Jabatan Kastam merampas buku yang dibawa masuk dari Surabaya, Indonesia, di Terminal Penerbangan Tambang Rendah di Sepang pada 15 Ogos, 2007. Buku berkenaan bagaimanapun dikembalikan kepada gereja itu pada 25 Jan 2008. Mereka memohon perisytiharan bahawa mereka mempunyai hak di sisi perlembagaan untuk menggunakan kalimah “Allah” dalam semua penerbitan dan amalan agama mereka, bukan sahaja di gereja. Peguam Lim Heng Seng mewakili gereja berkenaan dan Dusing, manakala peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan mewakili kerajaan. – Bernama

AUDIO: Seramnya… Suara Misteri Hantui Penduduk Flora Damansara

BEBERAPA minggu lalu, beberapa rakan telah berkongsi rakaman suara aneh yang didengari oleh penduduk apartmen Flora Damansara di Damansara Perdana menerusi laman Facebook. Penulis sendiri pernah menyewa di salah sebuah blok di kediaman tersebut kira-kira dua tahun lalu, namun tidak pernah melalui sebarang pengalaman yang menakutkan. Menerusi laman Ping.Busuk, suara aneh itu didengari beberapa kali selepas pukul 11 malam dan kebimbangan itu turut dikongsikan melalui Facebook komuniti penduduk di situ.

Berikut merupakan ‘screenshot’ penduduk yang mengadu mengenai perkara itu: Berdasarkan perbincangan forum di ‘Cari.com‘, beberapa individu telah berkongsi mengenai cerita misteri di Flora Damansara.
Antaranya:
1. “Member satu ofis ramai duk Flora Damansara. Al kisahnya ada semua unit rumah sana adalah laluan orang bunian. x pernah ada yg lama menyewa sana, kadar sewa pun murah. Citanya gini. kat rumah tu, area ruang tamu nya adalah laluan bunian. imagine la, time tgk tv bleh tengok ada orang lalu lalang kat depan, then tembus dinding. Ada sapa2 yg tahu rumah mana satu? aku x tanya plak kawan aku tapi mmg betul2 ada sebab ada geng satu ofis duk situ kejap je, terus pindah lain.”
2. “sesiapa sini yang tau ttg kisah hantu di kawasa perumahan flora Damansara? tapak ni bekas kubur orang asli..mula2 pindah dulu 2 malam berturut2 jumpa rambut panjang berbelit kat pokok kaktus dlm rumah..padahal kami rambut pendek je..huhuhu.”
3. “flora damansara… opismate dulu ada stay situ… mlm mlm dgr la, makhluk tu main tarik tin atas awning tingkap… bunyi tin dengan zink awning… last last pindah gi kota damansara…”

Sejauh mana kebenarannya, hanya Allah S.W.T sahaja yang mengetahui sama ada betul atau tidak cerita-cerita ini. Apa pun, janganlah membiarkan ketakutan itu menguasai diri sehingga kita merasakan bahawa makhluk lain lebih berkuasa dari-Nya. Wallahu a’lam…

Punca Shah Jaszle Padam Foto Kekasih Baru Di Instagram
Pertengahan bulan lalu, Shah Jaszle telah berkongsi dua keping foto mesranya bersama teman wanita baru bernama Hanis Husna di akaun Instagram. Perkongsian itu mendapat kecaman dari peminat sehingga ada yang menggelar Shah Jaszle atau nama sebenarnya Mohd Shahrizal Jaszle bin Jasmin, 26, sebagai kaki perempuan dan tidak boleh dipercayai. Baru-baru ini, gambar-gambar tersebut dikatakan sudah dipadam dari Instagram Shah. Ia menimbulkan persoalan di kalangan penggiat-penggiat laman sosial samada hubungan aktor itu dan kekasih barunya kini sudah putus atau belum.

Menurut Portal Murai Batu pula, ada kemungkinan Shah dan bekas tunangnya, Redzwani Puteri telah kembali bersama memandangkan mereka pernah putus tunang beberapa kali sebelum ini. Bagaimanapun, punca sebenar pelakon kacak itu memadam kedua keping gambar mesranya dengan Hanis tidak pula diketahui. Rasanya, kita tunggu sahaja penjelasan dari kedua belah pihak.

Dakwaan syiling yang ditemui adalah palsu tidak benar

Syiling lama yang ditemui pada 30 April. -Gambar Fail
UMBAI: Pengarah Urusan Smart Partnership International (M) Sdn Bhd, Mohammad Foad Khushairy Mohd Said menafikan dakwaan kononnya beliau sengaja meletakkan dua syiling ditemui di Pulau Nangka bagi tujuan meraih penyambungan kontrak yang sepatutnya berakhir 30 April lalu. Menurutnya, syiling berkenaan ditemui ketika kerja-kerja pengerudian bongkah batu yang menjadi lokasi tumpuan pencarian. Malah katanya, ketika ia ditemui turut disaksikan banyak pihak termasuk para media dan juga wakil Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM). Sejak dua syiling berkenaan ditemui pada malam 30 April lalu, ia menerima banyak maklum balas dari pelbagai pihak di laman sosial yang meragui kesahihannya. Malah ada yang berpendapat syiling seumpama itu mudah diperolehi dan banyak dijual di internet. Mohammad Foad berkata, dua bahan yang ditemui berkenaan sudahpun diserahkan kepada pihak PERZIM untuk memutuskan kesahihannya dan keputusan ujian makmal akan menentukan sama ada ia benar-benar dari kawasan berkenaan atau pun sebaliknya. Dalam pada itu, Mohammad Foad turut menafikan beberapa gambar harta karun yang tersebar di internet kononnya ditemui di Pulau Nangka sewaktu kerja-kerja pencarian. Beliau turut bertegas setakat ini hanya dua keping syiling ditemui sepanjang tempoh pencarian dan gambar yang tersebar di internet itu adalah tidak benar. - Awani

Pelancaran Firefox Bahasa Malaysia Pada 10 Mei

Mozilla Firefox yang lebih dikenali sebagai Firefox adalah pelayar web yang boleh dimuat turun secara percuma. Dibangunkan untuk Windows, OS X dan Linux, ia merupakan pelayar yang ‘wajib’ ada bagi sesetengah pengguna kerana kelebihannya yang sangat terperinci dan lebih efisyen berbanding pelayar web yang lain. Sehingga Februari 2014, Firefox mempunyai kadar di antara 12 peratus ke 22 peratus pengguna di seluruh dunia, menjadikannya pelayar web ketiga paling popular. Bagi para pengguna pelayar web Firefox, anda mungkin perasan Firefox 29 kini hadir dengan antaramuka Australis dan mempunyai pilihan bahasa Malaysia buat kali pertama. Bersempena pengenalan Firefox berbahasa Malaysia ini, pihak Mozilla Malaysia menjadualkan sebuah acara pelancaran pada 10 Mei ini di GTower, Kuala Lumpur. Bagi pengguna tempatan yang berminat untuk menyertai majlis tersebut, anda boleh mendaftarkan diri untuk acara #FirefoxKita. Ini adalah peluang untuk bertemu dengan para komuniti Firefox tempatan selain menyambut pelayar web sumber terbuka ini dalam bahasa kebangsaan.

GAMBAR: Gigi Ubah Rupa Selebriti Hollywood

PERCAYAKAH anda jika kami katakan gigi merupakan salah satu bahagian pada wajah yang boleh mengubah rupa anda? Jika tidak, lihat saja wajah-wajah selebriti Hollywood yang telah melakukan pemutihan atau memperbetulkan struktur gigi mereka. Memang berubah sama sekali, malah lebih kacak dan jelita selepas itu.

Zac Efron


Matthew Lewis


Cristiano Ronaldo


Miley Cyrus


David Beckham


Melanie C


Niall Horan


Tom Cruise


Cheryl Cole


Nicolas Cage


50 Cent


Lindsay Lohan
Oleh:MyNewsHub

Tawar khidmat seks dalam ‘fanpages’ rahsia

PUTRAJAYA: Sebuah laman ‘fanpages’ Facebook (FB) dikenali SMO-Seks Melayu Official boleh dianggap pusat pelacuran alam maya apabila menawarkan wanita untuk dijadikan teman tidur digelar ‘cheong’ atau FL (freelancer). Bukan sekadar gadis bergetah, laman sosial itu turut menawarkan janda serta isteri orang, mahu pun pelajar institut pengajian tinggi. Carian Harian Metro di enjin FB secara langsung tidak menemui sebarang page SMO, tetapi perlu membuka pentadbir kumpulan SMO yang dikenali sebagai Chester Melvin seterusnya baru boleh mendapat akses kepada laman berkenaan. Bagaimanapun, bagi mendapatkan maklumat mengenai ‘cheong’ bukan mudah sebaliknya hanya individu tertentu bergelar ejen yang boleh memberi akses kepada pemilik akaun FB yang berminat, sebelum boleh dibimbing ke peringkat seterusnya termasuk proses pendaftaran dan bayaran yuran keahlian. Sebaik menyelesaikan bayaran menerusi akaun bank diberikan, ahli berdaftar akan dijemput ke satu ‘fanpages’ rahsia bagi menikmati pelbagai maklumat sulit mengenai pelbagai jenis ‘cheong’ yang ingin dilanggani. Lelaki yang ingin menjadi ahli diberi panduan oleh seorang ejen menerusi mesej peribadi apabila yuran dikenakan sekitar RM720 hingga RM1,200 bagi perkhidmatan setahun. Sejurus mendaftar dan membuat bayaran, ahli menikmati faedah keahlian selama setahun termasuk mendapat akses kepada maklumat sulit ‘cheong’ termasuk nombor telefon. Pada masa sama, ahli juga berpeluang berborak mengenai seks menerusi FB dan medium sosial lain secara peribadi dengan gadis berkenaan selain boleh mengatur pertemuan lebih rahsia termasuk penganjuran parti seks. Harian Metro turut difahamkan, terdapat juga pelanggan yang menjadi ahli ‘fanpages’ ini terdiri daripada orang kenamaan. Ahli juga dibekalkan dengan maklumat lengkap tanpa batas mengenai gadis yang ditawarkan di ‘fanpages’ berkenaan termasuk gambar; nombor telefon dan lokasi tepat kedudukan gadis yang bersedia untuk dilanggani di seluruh negara. Jangan terkejut kerana pelbagai varian ‘cheong’ ditawarkan termasuk dari gadis berusia belasan tahun seawal 18 tahun sehinggalah berstatus isteri dan janda berusia sekitar 40-an yang mempunyai pelbagai latar belakang termasuk pelajar kolej; pekerja swasta; suri rumah dan pelayan kelab (GRO). Harga ditawarkan bagi setiap langganan bermula dari serendah RM200 bagi satu sesi sehinggalah kepada RM1,200 bergantung jenis perkhidmatan yang mahu dinikmati ketika melanggan. Difahamkan, ada juga ‘cheong’ yang membuat tetapan sendiri kepada ahli terutama dari segi pilihan lokasi untuk tidur bersama sama ada di hotel, pangsapuri peribadi dan rumah kawan selain masa ditetapkan. Bagaimanapun, apa yang lebih menyedihkan, kebanyakannya ‘cheong’ adalah gadis Melayu berdasarkan gambar dipaparkan dalam senarai langganan malah, ada sebahagiannya lengkap bertudung dan berbaju kurung. Laman rahsia itu turut memberi ruang kepada ahli untuk berkongsi apa juga topik termasuk hubungan, perkahwinan, cinta, seks, kesihatan, prestasi dan apa saja berkaitan ‘cheong’. Difahamkan, portal itu mula beroperasi sejak tahun 1998 dengan menggunakan medium sosial seperti internet relay chat (IRC), myspace, tagged, yahoo private group, forum dan kini Facebook. Admin yang mengendalikan portal arif dalam bidang teknologi maklumat (ICT) selain berkongsi pelbagai maklumat mengenai ‘cheong’ hampir setiap jam tanpa henti sepanjang hari dan tujuh hari seminggu. Lebih licik, mereka turut berkongsi pengakuan ahli yang pernah melanggan ‘cheong’ berkenaan, yang dipercayai untuk menarik lebih ramai ahli ke fanpages berkenaan.- HarianMetro

Suami curang wanita tekad terjun jambatan

MUAR: “Panggil suami aku datang sini, kalau tidak aku bunuh diri,” kata seorang wanita yang dikenali sebagai Suriani, 30, ketika cuba terjun dari Jambatan Kedua Muar di sini, kira-kira jam 4.30 petang, semalam. Tindakan nekad wanita berkenaan mendapat perhatian orang awam yang selepas itu melaporkan kejadian kepada polis. Kira-kira lima minit kemudian, polis tiba di lokasi lalu cuba memujuk wanita berkenaan supaya tidak meneruskan hajatnya. Bagaimanapun, wanita bersenjatakan sebilah pisau itu beberapa kali meminta suaminya datang ke tempat kejadian. Katanya, jika permintaan itu tidak dipenuhi, dia akan terjun dari jambatan selain mengelar lehernya menggunakan pisau di tangannya. Difahamkan, wanita terbabit bertindak sedemikian selepas mengetahui hubungan sulit suaminya bersama seorang wanita lain. Berikutan itu, dia yang tidak berpuas hati melarikan diri dari rumahnya di Tanjong Agas dekat sini, sebelum menuju ke jambatan berkenaan. Kakaknya, yang dipanggil polis bagi memujuknya terlebih dulu tiba di lokasi, bagaimanapun wanita itu gagal ditenteramkan, malah tetap mahu suaminya datang untuk menyelesaikan masalah. Selepas beberapa kali mengugut mahu membunuh diri, akhirnya polis akur dengan permintaan Suriani dan mencari suaminya. Kira-kira 10 minit kemudian, suaminya berusia sekitar 30-an tiba di lokasi dan berjaya memujuk isterinya bertenang serta menyelesaikan masalah melalui perbincangan. PUJUK…Suriani dipujuk suaminya selepas cubaan membunuh diri di Jambatan Kedua Muar, petang semalam. “Kita selesaikan perkara ini cara baik,” teriak lelaki itu dengan jarak kira-kira 50 meter dari isterinya. Suriani yang berpuas hati dengan pujukan suaminya, kelihatan tenang sebelum turun dari palang jambatan dan menyerah diri kepada polis. Suami isteri berkenaan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar bagi membantu siasatan. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika dihubungi berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan mengenai punca sebenar mengapa wanita terbabit mahu membunuh diri. Pada masa sama, katanya, polis merampas sebilah pisau digunakan wanita itu. “Kami percaya kejadian berpunca masalah peribadi dirinya dan suami,” katanya. Menurutnya, kes disiasat mengikut Sekyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan untuk membunuh diri di mana jika sabit kesalahan, seseorang itu boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali. - New Malaysian Post

Dua maut dalam nahas membabitkan empat kenderaan di Kuala Terengganu

Dua orang maut dalam nahas yang membabitkan empat kenderaan termasuk sebuah lori di Kilometer 29, Jalan Kuala Terengganu-Kota Baru kira-kira 10 pagi tadi. Yang maut ialah pemandu lori Mohd Ghani Embong, 44, dari Wakaf Mesira, Tepoh dan pemandu kereta Perodua MyVi, Rohaiza Yusof, 35, dari Marang. Seorang saksi berkata lori berkenaan yang hilang kawalan merempuh tiga kenderaan yang datang dari arah bertentangan, sebelum lori itu terjunam ke dalam gaung sedalam tiga meter. Kereta yang dipandu Rohaiza dikatakan terbabas ke kiri jalan dan turut merempuh sebuah van sebelum keretanya turut terjatuh ke dalam gaung. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Kamarul Bieza Mohd Kassim berkata pihaknya mengambil masa selama 20 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kedua-dua kenderaan tersebut. "Pemandu van itu selamat manakala pemandu sebuah kereta Proton Iswara iaitu seorang wanita cedera dan kedua-dua mereka dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah," katanya. Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Zamri Shamsuddin mengesahkan kejadian itu. – Bernama, 5 Mei, 2014.

Abdul Khalid nafi sokong GST

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak menyokong cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tetapi hanya menyarankan agar pelaksanaannya ditangguhkan sehingga jurang pendapatan diselesaikan. Beliau menerusi laman sosial Facebook menyatakan, laporan yang mendakwa beliau menyokong cukai yang akan berkuat kuasa 1 April tahun depan itu disalah tafsir oleh media. “Kenyataan saya mengenai GST disalah tafsir. Saya dengan jelas berkata pelaksanaan GST hanya boleh dilakukan jika Gini coefficient (ukuran statistik ketidakseimbangan pendapatan dalam negara) adalah kurang daripada 4.5. “Pelaksanaan GST perlu ditangguhkan sehingga kerajaan persekutuan menangani isu jurang pendapatan itu,” katanya. Dalam pada itu, Abdul Khalid di laman sama Jumaat lalu turut menyatakan perkara sama dan meminta ia ditangani terlebih dahulu. “Belum masanya lagi untuk negara ini melaksanakan GST. Selesaikan dahulu jurang pendapatan rakyat. “Saya tidak bersetuju dilaksanakan GST sekarang kerana jurang pendapatan antara rakyat berpendapatan rendah dan rakyat berpendapatan tinggi masih jauh,” katanya. Sinar Harian Sabtu lalu melaporkan Menteri Besar itu menyokong tindakan kerajaan mahu melaksanakan GST, tetapi menyifatkan cukai tersebut masih belum sesuai dilaksanakan di negara ini. Beliau dalam laporan itu menekankan perbezaan pendapatan rakyat di negara ini amat tinggi dan sekiranya GST tetap dilaksanakan akan menambah beban khusus kepada golongan rendah pendapatan.

AirAsia tawar perjalanan ke Cebu serendah RM0

AIRASIA akan menghubungkan semula penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Cebu, Filipina, tiga kali semingggu mulai 24 Julai, 2014. Syarikat penerbangan tambang rendah berkenaan dalam satu kenyataan hari ini berkata, tempat duduk promosi itu akan boleh mula ditempah secara dalam talian dengan tambang asas serendah RM0 bagi penerbangan sehala bermula 5 Mei. "Penerbangan terus itu sebelum ini dioperasikan oleh AirAsia Zest dan kini akan dioperasikan oleh beroperasi Malaysia AirAsia. "Penerbangan terus tiga kali seminggu ini akan beroperasi setiap Selasa, Khamis dan Sabtu menjadikannya destinasi ketiga AirAsia ke Filipina dari Malaysia, selain Manila dan Kalibo (pintu masuk ke Pulau Boracay)," kata syarikat itu. Promosi tempat duduk istimewa bermula daripada RM0 tambang asas dengan tambang termasuk semua bermula daripada RM80 sehala boleh didapati untuk tempahan di laman web AirAsia bermula dari 5-11 Mei bagi tempoh perjalanan dari 24 Julai 2014-30 April 2015. Tempahan juga boleh dibuat menerusi aplikasi mudah alih AirAsia melalui iPhone, peranti Android, Blackberry10 dab platform Windows. - Bernama

Bapa Dikecam Bawa Bayi Baru Lahir Tonton Bola - macam-macam

TINDAKAN seorang bapa di Britain membawa bayi lelakinya ke stadium untuk menonton perlawanan bola sepak ternyata mendapat reaksi negatif daripada orang ramai. Bayi yang baru berusia empat hari itu baru dibenarkan keluar dari hospital 30 minit sebelum itu, memetik Daily Mail. Menurut bapanya, Anthony Roach, 39, dia mahu anaknya Arlo Roach menyaksikan perlawanan pasukan kegemarannya, Torquay United menentang Wycombe Wanderers. Ia sekaligus menjadikan Arlo sebagai penonton termuda pada perlawanan itu. Kebanyakan pembaca menyifatkan tindakan Anthony itu sebagai tidak bertanggungjawab dan boleh mendedahkan bayinya kepada pelbagai penyakit akibat bersesak dengan orang ramai. Berikut adalah antara komen yang diterima:

Kami sendiri setuju dengan pendapat mereka kerana sistem ketahanan badan bayi masih belum berkembang sepenuhnya terutama pada awal kelahiran. Beringatlah ya… MyNewsHub

Pemuda MCA Perak minta sokongan DAP, PKR halang hudud Pas

IPOH – Pemuda MCA Perak memperhebatkan kempen ‘Say No To Hudud Pas’ (Katakan Tidak Kepada Hudud Pas) dengan meminta sokongan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menghalang Pas melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan. Ketuanya, Ting Tai Fook bersama beberapa anggota parti itu, hari ini dilihat mengunjungi pejabat DAP dan PKR di Jalan Medan Istana di sini bagi mengedarkan borang serta mendapatkan tandatangan sokongan menjayakan kempen itu. Usaha rombongan tersebut mendapatkan tandatangan di pejabat PKR bagaimanapun tidak berhasil apabila premis berkenaan ditutup. Tai Fook dan rakan-rakannya kemudian mengunjungi pejabat DAP Perak yang terletak kira-kira 150 meter dari situ dan disambut oleh beberapa kakitangan parti tersebut. Tidak ada pemimpin utama DAP berada di pejabat berkenaan dan borang tandatangan kempen tersebut diterima oleh seorang kakitangan parti itu. Sementara itu, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dalam laman Twitter menyifatkan kempen tersebut membuktikan sikap hipokrasi MCA dalam isu hudud. Sambil menyifatkan tindakan berkenaan sebagai satu “pertunjukan monyet”, Kor Ming meminta MCA supaya meminta UMNO supaya menghalang Pas daripada melaksanakan undang-undang berkenaan. “Ketika UMNO menyokong hudud, Pemuda MCA mengadakan pertunjukan monyet mengemukakan (borang) tandatangan supaya DAP menghalangnya (hudud). Sangat hipokrit,” tulis Kor Ming. Pas Kelantan bertekad untuk mengemukakan Rang Undang-Undang persendirian di Parlimen bagi membolehkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dilaksanakan. Rancangan itu bagaimanapun dibantah keras sekutu Pas dalam pakatan pembangkang, malah DAP memberi kata dua kepada Pas supaya membatalkan langkah itu atau keluar daripada pakatan. Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini dilaporkan bersedia untuk meneliti cadangan Pas itu manakala Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan supaya jawatankuasa khas di peringkat nasional ditubuhkan bagi meneliti aspek teknikal bagi pelaksanaan undang-undang tersebut. Presiden MCA, Datul Liow Tiong Lai semalam meminta DAP dan PKR supaya memainkan peranan terlebih dahulu bagi menghalang Pas melaksanakan hukum hudud kerana mereka sebelum ini bekerjasama dengan parti tersebut pada pilihan raya umum lalu. Penasihat DAP, Lim Kit Siang pula melihat hasrat Pas untuk melaksanakan undang-undang berkenaan adalah petanda bahawa pakatan pembangkang akan berpecah memandangkan pelaksaan hudud tidak pernah dipersetujui secara konsensus oleh gabungan itu. - New Malaysian Post

Video Onederful Malaysia: Teresa Kok akan didakwa

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dijangka akan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini esok berikutan penghasilan video klip kontroversi, Onederful Malaysia sempena Tahun Baru Cina yang sebelum ini dikecam pelbagai pihak. Beliau akan didakwa di mahkamah bawah Akta Hasutan, lapor portal Malaysiakini yang mengesahkan perkara tersebut melalui peguam pemimpin DAP itu. Teresa sebelum ini mencetuskan polemik apabila menyiarkan video bertajuk ‘Onederful Malaysia’ yang dianggap menghina orang Melayu kerana menggunakan skrip “Malay Sei lah” (Matilah Melayu). Pemimpin DAP itu bagaimanapun menegaskan, beliau sebenarnya menyebut perkataan “’Ma-lai-sai-lei-ah’ yang didakwanya bermaksud “kuda datang dengan hebat” sambil merujuk Tahun Kuda. Beberapa NGO sebelum ini mendakwa perkataan tersebut “memberi makna yang jahat” kerana walaupun Teresa mengatakan ungkapan itu ialah ‘ma-lai-sai-lei-ah’, namun cara pemimpin itu menyebut dan mengintonasikan ayat itu seolah-olah menyampaikan mesej berbeza. Mereka mendakwa, walaupun boleh menyebut ‘Ma-lai-sai-lei-ah’ secara terus, Teresa sengaja memanjangkan ungkapan ‘Sei’ untuk memberi tafsiran berbeza iaitu ‘Malay Sei lah’ (matilah Melayu). Selain itu, salah satu daripada watak dalam video itu bernama Mrs Jit seorang wanita yang gemarkan beg tangan mewah dan batu permata lakonan Lim Ching Miau (kanan). Watak Mrs Jit dianggap sebagai parodi terhadap isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor. Ching Miau bagaimanapun sebelum ini menafikan melakonkan watak Rosmah, sebaliknya mendakwa meniru gaya pelakon veteran Hong Kong, Lydia Shum. Teresa bagaimanapun tidak mahu berterus terang sama ada watak tersebut sememangnya merujuk kepada Rosmah, sebaliknya sekadar menyerahkan tafsiran itu kepada penonton. “Sehingga sekarang, mereka (termasuk Rosmah) tidak kata apa-apa bukan? Jadi, lebih baik saya tak kata apa-apa. Saya ambil pendirian, kalau kamu kata begitu, begitulah,” kata Teresa. – New Malaysian Post

Kalimah Allah: Mahkamah Tolak Permohonan Sidang Injil Borneo

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Sidang Injil Borneo (SIB) untuk mendapatkan semakan kehakiman bagi mencabar perintah Kementerian Dalam Negeri yang melarang pengimportan buku Kristian mengandungi kalimah “Allah”. Hakim Datuk Zaleha memutuskan Mahkamah Tinggi terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan bahawa kalimah ‘Allah’ bukan sebahagian daripada aspek penting dalam kepercayaan dan amalan agama Kristian. Dalam penghakiman beliau, yang dibaca Penolong Kanan Pendaftar N. Arun di dalam kamar, Zaleha berkata mahkamah itu tiada pilihan selain merujuk kepada keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes Kementerian Dalam Negeri lawan Gereja Roman Katolik berhubung larangan penggunaan kalimah “Allah” dalam penerbitan mingguannya, ‘Herald’. “Oleh yang demikian, walaupun keputusan itu adalah khusus bagi Herald, semua hakim yang arif berpendapat bahawa kalimah “Allah” bukan sebahagian daripada aspek penting dalam kepercayaan dan amalan Kristian dan oleh itu, larangan menteri berkenaan tidak bercanggah dengan perlembagaan. “Selagi keputusan itu terpakai, doktrin ‘stare decisis’ (duluan), mahkamah ini terikat dengan keputusan mahkamah lebih tinggi,” katanya. Beliau berkata mahkamah menolak permohonan itu dengan tidak mengenakan sebarang printah berkaitan kos. Pada 10 Dis 2007, SIB dan presidennya Rev Jerry W. A. Dusing alias Jerry W. Patel, memfailkan permohonan untuk mendapatkan semakan kehakiman terhadap Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan bagi mencabar tindakan Jabatan Kastam merampas buku yang dibawa masuk dari Surabaya, Indonesia, di Terminal Penerbangan Tambang Rendah di Sepang pada 15 Ogos, 2007. Buku berkenaan bagaimanapun dikembalikan kepada gereja itu pada 25 Jan 2008. Mereka memohon perisytiharan bahawa mereka mempunyai hak di sisi perlembagaan untuk menggunakan kalimah “Allah” dalam semua penerbitan dan amalan agama mereka, bukan sahaja di gereja. Peguam Lim Heng Seng mewakili gereja berkenaan dan Dusing, manakala peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan mewakili kerajaan. — Bernama

VIDEO: Pasangan Asyik Berasmara Dalam Kereta Yang Tengah Dipandu (Only in China)

TIDAK dapat dinafikan banyak perkara lain yang biasa dilakukan oleh para pemandu termasuklah makan, membalas SMS atau membual panggilan telefon. Tetapi yang berlaku di China ini mungkin boleh dikategorikan sebagai agak ekstrem kerana pemandunya begitu asyik berasmara dengan seorang wanita. Pemanduannya yang kelihatan tidak tentu arah menarik minat seorang lagi pemandu yang kemudiannya merakamkan aksi mereka. Hai…inilah yang dikatakan ‘putus’ urat malu bila nafsu sudah menguasai diri. Jangan sampai ditimpa kemalangan baru nak sedar ya…

MH370: Maklumat Rakaman Audio Tidak “Diubahsuai” – Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Tiada sebarang maklumat berkenaan dakwaan rakaman audio antara juruterbang pesawat MH370 Penerbangan Malaysia (MAS) dan menara trafik udara yang dikatakan telah “diubahsuai”. Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjelaskan bahawa pihaknya tidak menerima sebarang informasi berkenaan dakwaan rakaman audio yang telah didedahkan kepada umum dalam laporan awal kehilangan pesawat tersebut minggu lalu telah “disunting”. “Setiap dokumen yang didedahkan sudah tentu akan membawa kepada bermacam-macam spekulasi terutamanya dalam rakaman audio tersebut. Namun, saya masih tidak menerima sebarang informasi berkenaan dakwaan ianya telah diubah,” beliau memberitahu pemberita dalam sidang media di Canberra, Australia hari ini. Dalam laporan sebuah agensi berita Amerika Syarikat, NBC News yang telah memetik kenyataan pakar audio yang mendakwa bahawa terdapat jelas “empat ruang masa” yang dianggap sebagai suntingan “aneh”. Agensi berita berkenaan memetik pakar forensik audio-video dan penyiasat, Ed Primeau dan pemeriksa forensik audio yang bertugas di Forensik Audio di Los Angeles. Laporan yang sama juga dipetik melalui Tom Owen, seorang konsultan audio analisis Owen Forensic Services yang juga pengerusi emeritus American Board of Recorded Evidence yang mengatakan bahawa suntingan tersebut sememangnya sudah dijangka. – Astro Awani

Suami layu dibelai gadis ‘cheong’

DEMI mempertahankan mahligai cinta yang dibina lebih 20 tahun lalu seorang isteri sanggup menanggung dosa dan memendam rasa sekian lama walaupun mengetahui suami ‘makan luar’ dengan melanggan pelacur untuk memuaskan nafsu. Bebanan perasaan itu mula ditanggung wanita dikenali sebagai Zalina, 40-an sejak mereka berkahwin kerana suaminya seorang kaki perempuan, tetapi tidak terlalu serius kecuali setahun kebelakangan ini apabila dia mula berani melanggan pelacur dan menjadi ahli VIP sebuah kelab pelacuran atas talian. Walaupun perkahwinan mereka dibina atas pilihan keluarga, namun suri rumah itu menyayangi suaminya sepenuh hati dan tidak sanggup berpisah, sedangkan mengetahui dia melakukan perbuatan tidak bermoral dengan wanita lain. Ibu kepada tiga anak itu berkata, dia mengetahui suami mula terjebak dengan kegiatan tidak bermoral sejak setahun lalu selepas mendapati dia sering memberi alasan menghadiri mesyuarat dan makan malam syarikat untuk keluar dari rumah walaupun di hujung minggu. “Saya pernah bertanya kepadanya mengapa sanggup berbuat demikian, tetapi saya hanya mendapat amukan dan maki hamun daripadanya. Sejak itu saya tidak berani bertanya dan banyak memendam perasaan sehingga memudaratkan kesihatan. “Semua saya lakukan untuk menjaga maruah suami, diri sendiri selain mengelakkan anak mendapat kesan negatif daripada perbuatan bapa mereka, tetapi saya mula berfikir sampai bila saya perlu menanggung dosa diatas perbuatannya,” katanya. Zalina berkata, perubahan drastik oleh suaminya menimbulkan pelbagai persoalan, sedangkan sebelum ini dia sering ‘melekat’ di rumah sekiranya tidak mempunyai sebarang urusan kerja atau mesyuarat. Disebabkan perasaan ingin tahu yang membuak-buak dia memeriksa telefon bimbit suaminya secara diam, untuk mendapatkan kepastian. Katanya, alangkah terkejut apabila menemui pelbagai SMS dan WhatApps temu janji dengan wanita di hotel bajet sekitar Lembah Klang yang dihantar individu tertentu termasuk wanita. “Selepas menyiasat saya dapati suami melanggan ‘cheong’ atau gadis pengiring dari sebuah laman sosial Facebook (FB) dikenali SMO (Seks Melayu Official), malah dia menjadi ahli VIP kelab berkenaan untuk menikmati pelbagai keistimewaan. “Saya tidak sangka suami terbabit dalam aktiviti tidak bermoral itu sedangkan selama ini hidup kami amat bahagia. Malah, saya geli geleman apabila membaca beberapa SMS berbaur lucah yang dihantar wanita yang pernah dilanggannya,” katanya. Zalina berkata, walaupun dia boleh dikategorikan sebagai individu yang buta teknologi, tetapi cuba menyiasat dengan membuat kajian di Internet dan FB mengenai maksud gadis pengiring atau ‘cheong’ dan menganggap ia satu kegiatan pelacuran kelas atasan. Apa tidaknya, dia berkata, bayaran yang dikenakan untuk menjadi ahli mencecah ribuan ringgit, malah bayaran keahlian lebih tinggi jika ingin menikmati kemudahan lebih istimewa. Tetapi yang menyedihkan, katanya kebanyakan wanita yang diperdagangkan dalam pusat pelacuran maya itu adalah wanita Melayu, dan lebih mengejutkan ada antara mereka gadis bertudung dan isteri orang. Selepas mengetahui perbuatan suami, Zalina berkata, dia hanya mampu mengadu kepada Allah dengan memperbanyakkan solat hajat dan berdoa supaya suaminya yang berusia lebih 50 tahun itu diberikan hidayah untuk berubah satu hari kelak. Malah, dia juga mengambil keputusan memaklumkan kepada ahli keluarga dan meminta mereka melakukan perkara sama supaya suami menyedari perbuatannya. “Saya terlalu menyayanginya dan tidak sanggup berpisah, pada masa sama saya memikirkan nasib anak yang bersekolah. “Jadi, sekarang saya perbanyakkan doa dan sering mengadakan sembahyang hajat supaya suami dilembutkan hati dan sedar kesilapannya, serta bertaubat dan kembali ke pangkal jalan, saya rasa ini usaha terbaik yang saya boleh lakukan supaya suami insaf,” katanya. Sambil mengakui suaminya seorang yang berpendidikan tinggi, Zalina cuma berharap suatu hari kelak doanya dimakbulkan Allah dan kerukunan rumah tangga mereka berkekalan hingga akhir hayat. “Dia seorang yang terpelajar dan mempunyai pekerjaan bagus. Malah, sebagai isteri saya juga percaya dia boleh berubah… Kini saya berdoa dan berserah kepada Allah semoga satu hari kelak ada perubahan dan penyesalan dalam dirinya,” katanya. “Saya sedar saya tidak mempunyai pendidikan tinggi dan hanya bergantung sepenuhnya kepada suami, tetapi sebagai isteri sayaberharap ada sinar baru dalam kehidupan kami sekeluarga,” katanya. Zalina berkata, dia dijodohkan dengan suami ketika berusia 18 tahun manakala suami 28 tahun, dan sepanjang perkahwinan mereka dikurniakan tiga anak. - New Malaysian Post

Guru Rugi Lebih RM40,000 Disamun 3 Lelaki

KUANTAN – Seorang guru kerugian lebih RM40,000 selepas disamun tiga lelaki bertopeng bersenjatakan pisau pemotong daging dan pemutar skru di rumahnya di Felda Jengka 11, Bandar Jengka, Maran, awal hari ini. Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superitendan Sulaiman A Hamid berkata dalam kejadian kira-kira jam 2.15 pagi itu, mangsa 36, dan isterinya, 34, sedang nyenyak tidur bersama dua anak mereka berusia empat dan enam tahun di dalam bilik. Beliau berkata, suspek yang dipercayai masuk ke rumah mangsa selepas mengumpil tingkap dapur, bertindak mengacukan senjata tajam ke arah mangsa yang sedang tidur dan mengikat mereka dengan dawai pagar sebelum menggeledah rumah. “Selepas kira-kira 40 minit berada di dalam rumah, suspek kemudiannya melarikan diri melalui pintu tengah rumah mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. Sulaiman berkata mangsa yang berjaya melepaskan diri kemudiannya menghubungi polis. Siasatan awal mendapati mangsa mengalami kerugian lebih RM40,000 membabitkan barangan kemas, wang tunai, dua buah komputer riba, dua buah telefon bimbit dan jam tangan, katanya. – BERNAMA

278 Pengarah Syarikat Dilarang Tinggalkan M’sia

KUALA LUMPUR - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengemukakan sebanyak 278 nama pengarah syarikat kepada Jabatan Imigresen sehingga Mac lalu bagi menghalang mereka daripada meninggalkan Malaysia. Pengurus Besar Komunikasi Korporat KWSP, Nik Affendi Jaafar berkata, majikan terbabit tidak dibenar meninggalkan negara ini sebelum menyelesaikan tunggakan caruman KWSP pekerja mereka seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 39 Akta KWSP 1991. “KWSP mengingatkan semua majikan supaya melaksanakan tanggungjawab membayar caruman bulanan KWSP pekerja dengan teratur kerana caruman ini untuk persaraan mereka. “Majikan perlu sedar bahawa kegagalan menjelaskan caruman bulanan pekerja merupakan kesalahan serius. KWSP tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap majikan terbabit termasuk menyita harta alih mereka atau memfailkan saman sivil,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini. Di bawah Akta KWSP 1991, semua majikan diwajibkan membayar caruman bulanan untuk pekerja mereka sebelum atau pada 15 haribulan pada setiap bulan. Nik Affendi seterusnya memaklumkan, seramai 157 majikan tidak mencarum didenda RM218,650 oleh mahkamah di bawah Seksyen 43(2) Akta KWSP 1991 sehingga Mac lalu. Tambahnya, sebanyak 251 saman sivil dan 775 kes jenayah turut difailkan di mahkamah terhadap pengarah syarikat dan majikan yang tidak membayar caruman bulanan KWSP pekerja mereka. “Antara majikan yang telah didenda oleh mahkamah ialah Kimpack Plastic Industries dari Perak sebanyak RM5,000, Syac Enterprise dari Wilayah Persekutuan RM4,000. Empat syarikat dari Selangor – Jurukur Putra dan Grand March masing-masing didenda RM3,800, manakala Intergate Digital Solutions dan Caidmark masing-masing didenda RM3,500 dan RM2,500,” katanya. Menurutnya, mahkamah kebiasaannya membenarkan majikan yang didenda menjelaskan tunggakan caruman secara ansuran sehingga enam bulan dan KWSP akan mengkreditkan semua tunggakan caruman ke dalam akaun ahli terbabit setelah setelah semua tunggakan itu dibayar sepenuhnya. Sehubungan itu, beliau meminta ahli KWSP yang ada sebarang keraguan dalam akaun KWSP mereka mendapatkan penjelasan daripada majikan atau membuat laporan kepada KWSP. “Laporan terhadap majikan tidak mencarum boleh dibuat di cawangan KWSP berdekatan atau menghubungi Pusat Panggilan KWSP di talian 03–8922 6000 dari pukul 8 pagi hingga 6 petang, Isnin hingga Jumaat. “Ahli juga boleh membuat laporan secara online melalui laman web myEPF di http://enquiry.kwsp.gov.my,” katanya.

PM Slovenia Sah Letak Jawatan

LJUBLJANA – Perdana Menteri Slovenia, Alenka Bratusek sah meletakkan jawatan, sekali gus memberi laluan kepada pilihan raya lebih awal bagi negara kecil dalam Kesatuan Eropah itu. Bratusek menghantar surat peletakan jawatannya itu kepada speaker parlimen hari ini selepas mengumumkan pengundurannya sebelum itu. Berusia 44 tahun, pakar kewangan itu menyertai politik ketika zon ekonomi Eropah mengalami krisis. Beliau sebelum ini kalah dalam pemilihan ketua Parti Positif Slovenia kepada Datuk Bandar Ljubljana, Zoran Jankovic. Bratusek berkata, beliau tidak boleh memimpin kerajaan tanpa sokongan daripada parti. – AP

Rebecca Tak Serik, Dari Baju ‘Teletubbies’ Kepada Gaun Paras Betis…

TIDAK serik-serik. Itulah yang dilakukan oleh pelakon Rebecca Nur Al Islam apabila dia sekali lagi mengenakan pakaian yang tidak sesuai dengan imej bertudungnya. Menerusi gambar yang tersebar di Internet yang diambil dari akaun Instagram rakannya, dia dilihat mengenakan tudung yang dipadankan dengan gaun sendat paras betis. Kami tidak pasti sama ada dia turut mengenakan legging berwarna kulit atau tidak, namun keseluruhannya gayanya memang serba tak kena.

Sebelum ini, Rebecca dikritik hebat kerana busana ala Teletubbies ketat yang dipakainya sehingga menampakkan susuk tubuh. Rasanya selepas ini, Rebecca mungkin perlu merujuk majalah fesyen muslimah agar pemakaiannya selepas ini lebih sempurna selari dengan imej bertudungnya. Oleh: Elza / Mynewshub

No comments:

Post a Comment