Friday, May 30, 2014
Berita Terkini 30 May 2014
TOP
Kanak-kanak 18 bulan ditemui mati dikelar
KUALA LUMPUR - Seorang kanak-kanak perempuan berusia 18 bulan ditemui mati di tepi Sungai Klang berhampiran Stesen Komuter Kuala Lumpur di Jalan Hishamuddin di sini malam tadi. Dia dipercayai telah dikelar. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Assisten Komisioner Gan Kong Meng berkata kepala kanak-kanak itu juga didapati terputus daripada badannya. "Kanak-kanak itu ditemui tertiarap, lengkap berpakaian dan bahagian belakang kepalanya pecah akibat hentakan. Turut ditemui di tempat kejadian ialah pecahan seramik bersama kesan darah serta sepasang selipar," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Beliau berkata saksi mendakwa melihat seorang lelaki merebahkan kanak-kanak itu di tepi sungai sebelum menghempaskan sesuatu ke kepalanya dan melakukan 'sesuatu' pada leher mangsa. "Apabila saksi cuba menghampiri lelaki itu, dia melarikan diri dengan terjun ke dalam sungai," katanya. Gan berkata usaha mengesan suspek masih diteruskan. Beliau berkata pihak polis telah mengesan ibu kanak-kanak itu yang merupakan seorang gelandangan berumur 32 tahun. "Wanita itu mendakwa meninggalkan anaknya dengan seorang rakan di sebuah pusat beli-belah untuk ke tandas sebelum mendapati kanak-kanak itu hilang kira-kira lima minit kemudian," katanya. Mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat. - Bernama
TOP
Polis tumpas Geng Asroy
PUTRAJAYA - Polis menumpaskan 'Geng Asroy' yang dianggotai empat remaja termasuk dua yang masih bersekolah dipercayai terlibat dalam sembilan kes pecah rumah sejak Mac tahun lepas dengan menyasarkan pangsapuri sekitar Putrajaya. Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid berkata remaja terbabit yang berusia antara 15 dan 21 tahun itu ditahan di Putrajaya dan Kampar, Perak pada 20 dan 21 Mei lepas. "Nilai kerugian dianggarkan RM55,000. Tetapi dalam serbuan itu setakat ini kita hanya menemui laptop, (gajet) tab, jam tangan, surat pajak gadai dan dompet," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. Abdul Razak berkata modus operandi Geng Asroy ialah memecah masuk pangsapuri melalui balkoni dapur antara 9 pagi hingga 4 petang dan pernah memecah masuk pangsapuri di tingkat 13. "Sasaran mereka adalah rumah yang tidak berkunci. Kita mahu penduduk peka dengan perkara ini kerana penghuni yang memberi peluang kepada penjenayah untuk memecah masuk," katanya. Abdul Razak berkata tindakan sesetengah penghuni yang masih mengamalkan menyimpan kunci rumah di dalam kasut atau pasu bunga, akhirnya mengundang padah. Katanya, semua suspek kini direman mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan. Dalam kes berasingan, seorang bekas pengawal keselamatan di kompleks kerajaan di Putrajaya ditahan di rumahnya di Senawang pada 19 Mei lepas, kerana terbabit dalam 19 kes pecah pejabat, melibatkan 14 kementerian di Putrajaya. Katanya lelaki itu yang memecah masuk selepas habis waktu pejabat akan menggunakan tangga kecemasan untuk kegiatannya dan keluar melalui laluan yang sama. "Lelaki berusia 28 tahun dan mempunyai empat anak ini menyasarkan barang-barang berharga dan wang tunai untuk dicuri. Nilai kerugian dianggarkan RM64,000," katanya. - Bernama
TOP
KE7B Tiada Kaitan Sindiket Plat Kereta G1M
Susulan rampasan 107 kereta mewah bernilai RM100 juta oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia kerana didapati cuba mengelak membayar cukai dengan taktik menggunakan pendaftaran nombor plat Gagasan 1Malaysia (G1M), ada pihak yang berkaitan tampil menjawab. Individu itu ialah Presiden Kelab Eksplorasi Tujuh Benua (KE7B) Muhamad Muqharabbin Mokhtaruddin iaitu pihak yang diberi mandat oleh kerajaan Malaysia menguruskan pengedaran nombor plat berkenaan. Menurut beliau yang dikenali sebagai Qobin, komplot kenderaan mewah yang menggunakan plat G1M untuk mengelak cukai adalah kesalahan mereka sendiri apabila membelinya dengan plat G1M dan membuat pertukaran di tanah besar Semenanjung melalui Langkawi. “Sebenarnya pembeli kenderaan tersebut wajid ada rasa tanggungjawab untuk membayar cukai dan menjadi rakyat yang harus membantu kerajaan dan bukan mengambil kesempatan. “Pihak KE7B tidak ada kena mengena dengan sindiket pendaftaran nombor plat berkenaan,” kata Qobin dalam mesejnya kepada Mynewshub.my Dalam akhbar Harian Metro hari ini, dilaporan antara kereta mewah yang dirampas ialah Ferrari, Audi, Bentley, Rolls Royce, Porsche dan Lamborghini. Kereta Lamborghini misalnya, ia dijual di negara ini dengan harga lebih RM3 juta termasuk cukai. Sindiket berkenaan akan menggunakan taktik mendaftarkan kereta dengan nombor plat G1M di Langkawi menyebabkan harganya hanya RM1.5 juta sebelum ia dijual semula dengan harga jauh lebih murah dari harga asal. Akhbar itu memetik kenyataan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) (Kastam) Datuk Matrang Suhaili yang berkata semua pemilik kereta mewah berkenaan kini sedang disiasat kerana disyaki terbabit dalam penipuan dokumen yang dilakukan sindiket tertentu. Bagi Qobin, pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kastam sudah sedia maklum perkara berkenaan dan beliau bersetuju dengan tindakan mereka merampas kenderaan-kenderaan itu. “Setiap individu boleh membeli nombor plat kenderaan G1M melalui kami dan membuat pendaftaran cara biasa di setiap kaunter JPJ,” katanya. Qobin berkata plat G1M diwujudkan bagi membantu projek-projek rakyat Malaysia yang ingin melakar sejarah buat negara di peringkat antarabangsa melalui idea KE7B. “Antara projek yang-projek yang telah dijalankan adalah ekspedisi Selat Inggeris, Projek Everest Felda, Felda Greenland 2014 dan program-program amal lain,” kata Qobin. Bagi sindiket, penggunaan nombor plat G1M lebih mudah untuk mengelirukan pihak berkuasa kerana jika mereka menggunakan plat Langkawi bermula dengan KV, kenderaan itu mudah dikenali. Sumber: Ibnu Khusairy Aris / Mynewshub
TOP
Bumbung Kanvas Koyak Kerana Dipukul Angin
KANGAR – Bumbung kanvas di kolam Pusat Akuatik Perlis terkoyak akibat hujan dan angin kuat yang melanda Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra di sini petang semalam. Menurut Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perlis Azizan Ab Rahman, kanvas tersebut terkoyak dua selepas berkali-kali ditiup angin. “JKR Perlis dan kontraktor terbabit kemudiannya mengambil keputusan untuk menurunkan bumbung kanvas itu demi keselamatan atlet dan orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Beliau berkata Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) memutuskan untuk meneruskan pertandingan pada pukul 5 petang setelah berpuas hati kolam renang tidak mengalami sebarang kerosakan. Kejadian berlaku kira-kira 2 petang dan kanvas yang koyak itu selesai diturunkan pada pukul 4.40 petang. Semasa kejadian tiada acara yang berlangsung. Azizan berkata kontraktor pembekal bumbung dikehendaki mengemukakan laporan berhubung kerosakan itu. Menurutnya, Majlis Sukan Negara (MSN) juga bersetuju supaya pertandingan acara renang dan terjun diteruskan sehingga Ahad ini tanpa kolam renangnya dipasang bumbung. Bumbung baharu hanya dapat dipasang selepas SUKMA berakhir, katanya. Sumber: Bernama
TOP
Terlalu Awal Untuk Salahkan JKR Dan Kontraktor
KANGAR – Masih terlalu awal untuk menyalahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Perlis dan kontraktor berhubung insiden bumbung kanvas Kompleks Renang, Kompleks Sukan Negeri (KSN) Kangar, terkoyak pada Khamis, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS) Datuk M. Saravanan. Saravanan berkata pihaknya tidak boleh menuding jari menyalahkan JKR berhubung insiden itu namun berharap tuan rumah dan JKR sendiri lebih berhati-hati memilih kontraktor pada masa akan datang. “Pada peringkat awal, saya dimaklumkan bahawa bumbung terkoyak akibat hujan dan angin tapi saya tidak boleh menerima alasan itu. Saya mahu JKR kaji dengan lebih mendalam walaupun ia akan mengambil masa. “JKR kena kaji sama ada ia adalah disebabkan hujan seperti didakwa ataupun disebabkan oleh kualiti kanvas yang digunakan sebagai bumbung itu, kurang berkualiti,” katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan di kompleks renang, di sini hari ini. Saravanan yang agak curiga dengan alasan kerosakan itu disebabkan hujan berkata masalah itu juga berkemungkinan disebabkan oleh kualiti akhir pembinaan kompleks yang kurang bagus. Katanya alasan itu mencurigakan dan beliau hanya boleh menerimanya jika setiap bumbung di venue acara lain mengalami kerosakan serupa. Pada masa sama, beliau berkata venue acara akuatik renang dan terjun tidak akan ditukar ke tempat lain sehingga kategori akhir acara itu, berlangsung Ahad ini. “Pertandingan masih diadakan di sini, tidak akan tukar ke tempat lain. Bumbung tidak akan dipasang sehingga pertandingan akhir. Kita ada masa lagi walaupun sehari lambat. “Kompleks renang biasanya tidak memerlukan bumbungpun tapi disebabkan cuaca, kita bina bumbung. Jadi tidak ada masalah jika perlawanan diadakan secara terbuka,” katanya mengakui agak kecewa dengan kejadian itu. Sementara itu, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man berkata kompleks renang berkenaan dibuka untuk venue acara renang dan terjun sebaik sahaja menerima sijil perakuan ia selamat digunakan oleh JKR. “Dari segi teknikal, ia sudah dipenuhi dan disahkan oleh Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) dan JKR. Ia (sijil) dikeluarkan sebelum acara dipertandingkan di sini. “Kualiti air kolam pun mengikut standard yang ditetapkan ASUM iaitu suhu antara 24 ke 26 darjah Celsius dan selamat dari segi kepekatan alkalinya. Jadi bagi saya, kejadian itu tidak menganggu prestasi kami selaku tuan rumah,” katanya. Pengarah JKR Perlis Azizan Ab Rahman dalam kenyataannya hari ini berkata pihaknya dan kontraktor serta perunding telah membuat semakan terhadap struktur kompleks renang berkenaan. Katanya tiang-tiang bumbung berkenaan masih kukuh serta selamat untuk digunakan dan kontraktor pembekal bumbung telah diarahkan untuk mengemukakan laporan ke atas kerosakan yang berlaku. Sumber: Bernama
TOP
‘Geng Kerol' tumpas, 120 rangka motosikal dirampas
Yong Heng (tiga,kanan) bersama Haliludin (dua,kanan) dan Shamsulmudin (kanan) melihat rangka motosikal yang berjaya ditemui semasa sidang media di IPD Pasir Mas. PASIR MAS - Polis berjaya melumpuhkan sindiket curi motosikal yang dikenali sebagai ‘Geng Kerol’ selepas menahan tujuh individu termasuk ketua kumpulannya dalam Ops Lejang Khas yang dilancarkan 15 Mei lalu. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, kumpulan tersebut dipercayai aktif melakukan kegiatan itu di negeri ini sejak setahun lalu. “Kejayaan menahan suspek terlibat membawa kepada penemuan 120 rangka motosikal curi termasuk komponennya. “Rangka motosikal tersebut telah dibuang di sebatang sungai di Bachok dan turut ditemui di beberapa buah rumah di sekitar Kota Bharu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, di sini semalam. Hadir sama, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Haliludin Rahim dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Pasir Mas, Deputi Supritanden Shamsulmudin Sulaiman. Menurutnya, enam suspek yang ditahan di sekitar Kota Bharu dan Bachok berusia antara 21 hingga 32 tahun manakala salah seorang daripada mereka merupakan ketua kumpulan yang dikenali sebagai ‘Kerol’ berusia 20an, berasal dari Pasir Mas. "Kebanyakan motosikal ini dicuri di kawasan Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh. Kota Bharu mencatat kes kecurian motosikal paling tinggi. "Geng tersebut dipercayai turut aktif melakukan kegiatan berkenaan di beberapa negeri iaitu Pulau Pinang, Perak, Terengganu dan Johor," katanya. Tambahnya, motosikal paling banyak dicuri adalah jenis Honda EX5 dan Kebanyakan motosikal curi dileraikan dan komponennya dijual. "Kita anggarkan nilai motosikal curi ini mencecah lebih RM300,000. Polis masih memburu saki-baki anggota kumpulan terbabit melalui Ops Kerol. Penangkapan anggota kumpulan tersebut telah berjaya mengurangkan kadar kecurian motosikal di negeri ini. "Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal, Seksyen 414 Kanun Keseksaan atas kesalahan melupus barangan curi dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana kesalahan memiliki barangan curi. Sumber: Sinar Online
TOP
VIDEO: Cokelat Haram? Haram Mak Kau.. Kata Pondan Ini
Tak habis lagi isu cokelat Cadbury rupanya. Sejak dua hari lalu, video seorang maknyah menyifatkan cokelat haram dimakan kerana ada DNA babi sebagai mengarut tersebar di media sosial. Dalam video tersebut pemilik akaun Facebook Fidyana Ismail yang dipercayai tinggal di Singapura memberikan komen tentang isu ini sambil makan cokelat dan ‘feeling-feeling’ lawa. Sebenarnya rata-rata penonton video ini mungkin tidaklah marah sangat atas sifat jahil Fidyana ni tapi sukar nak terima ayat di permulaan videonya yang berbunyi, “Cokelat Cadbury haram? Korang punya mak tu yang haram!” Jika benar Fidyana ini seorang Islam, sama-samalah kita doakan semoga dia diberikan hidayah. Maafkanlah dia sebab kalau jantina diri pun dia boleh terkeliru, apatah lagi hukum agama yang lain kan?
Sumber: Rem Ramzi / Mynewshub
TOP
PRK Teluk Intan: Jangan Perjudi Masa Depan
ANALISIS KIRAAN detik hari mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan hanya kurang 24 jam sahaja lagi. Debaran semakin memuncak dalam penentuan 'finale' satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mah Siew Keong, 53, dan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud, 27. PRK Teluk Intan menyaksikan pertaruhan BN menurunkan seorang calon yang tewas dua kali berturut-turut di dalam pilihan raya terdahulu tetapi mempunyai banyak pengalaman manakala DAP mencalonkan muka baharu yang masih mentah tetapi mungkin mempunyai aura tersendiri yang boleh mempengaruhi pengundi. Berdasarkan kempen, ceramah dan 'walkabout' yang dilakukan kedua-dua parti sejak hari penamaan calon, Dyana dilihat lebih popular dalam strateginya untuk memperkenalkan dirinya kepada khalayak. Populariti itu dinilai berdasarkan rasa ingin tahu rakyat Teluk Intan terhadap calon bukan anak tempatan yang belum lagi membuktikan khidmatnya di sini. Kecantikan dan personaliti ceria Dyana turut menjadi 'magnet' penarik perhatian ramai. Pembangkang turut berusaha menumpukan pengundi muda dan pengundi luar yang mempunyai kekuatan dalam pengundian. Calon DAP itu bijak merencanakan strategi dengan membawa tokoh-tokoh pembangkang yang berpengaruh untuk turut serta di dalam kempennya. Nampak perbezaan ketara dari segi sambutan kempen terutama ceramah yang dianjurkan pihak Dyana sekiranya ada atau tanpa penglibatan nama-nama besar dalam Pakatan Rakyat baik DAP, PKR mahupun PAS. Walaupun sekadar ceramah kelompok tanpa pemimpin-pemimpin pembangkang, sekiranya Dyana benar-benar mempunyai potensi untuk menjadi wakil rakyat pilihan ramai, sudah tentu sambutannya turut menggalakkan tetapi malangnya tidak. Jika ditoleh pula kepada calon BN, mungkin Mah sedikit tenggelam dari segi kempennya di tempat-tempat awam tetapi Presiden Gerakan ini juga mempunyai strategi tersendiri untuk meraih sokongan pengundi. Mah memegang gelaran 'orang lama' bukan semata-mata disebabkan jurang usia 26 tahun antara beliau dan calon DAP itu. Hal ini kerana Mah sudah pun dikenali di Teluk Intan menerusi baktinya kepada rakyat sejak menjadi ahli parlimen di sini selama dua penggal. Malah khidmatnya masih berterusan selepas tewas di tangan Seah Leong Peng dan M. Manogaran kedua-duanya dari DAP selama dua penggal berturut-turut. Oleh itu, Mah lebih menumpukan pendekatan yang lebih dekat di hati rakyat, menerusi kunjungannya dari rumah ke rumah di samping memberikan penerangan dan penjelasan berhubung isu-isu yang dibangkitkan pengundi. Sebagai Presiden Gerakan, parti komponen BN, Mah mempunyai kelebihan untuk berbincang dengan Kerajaan Pusat. Sebarang rancangan dan cadangan untuk kepentingan rakyat Teluk Intan lebih mudah disuarakan menerusi peranan yang dibawa Mah dalam parti di peringkat kebangsaan. Berdasarkan tinjauan, rakyat Teluk Intan masih memerlukan khidmat Mah yang sudah pun terbukti pengalamannya sebagai ahli dewan undangan negeri (Adun), ahli parlimen, timbalan menteri dan kini presiden parti. Dalam tinjauan juga, penyokong-penyokong DAP sudah tentu akan memilih Dyana kerana reputasi parti dinaunginya itu meskipun keupayaannya sebagai wakil rakyat masih menjadi tanda-tanya. Dahulunya Dyana diperkatakan sebagai calon 'underdog' tetapi beliau dilihat semakin kuat memperoleh pengaruhnya manakala calon BN pula yang dilabel sebagai 'underdog'. Siapa pun calon 'underdog', kedua-duanya mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing. Dalam manifesto DAP, Dyana menyuarakan banyak pembangunan lebih berpusat di sekitar Kuala Lumpur dan sekiranya dipilih wakil rakyat, beliau akan melawan pemusatan itu agar pekan-pekan seperti Teluk Intan boleh dimajukan. Namun apabila ditanya berkali-kali mengenai apakah idea pembangunan beliau, Dyana tidak tidak menjawab, sebaliknya hanya menunding jari kepada kerajaan BN yang didakwanya tidak mengotakan janji di Teluk Intan. Calon itu lebih mempersoalkan sesuatu isu lapuk sedia ada seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST), rasuah dan salah guna kuasa yang akan dibangkitkan di Parlimen. Nampaknya, Dyana sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat hanya akan melawan dasar kerajaan dan membantah itu ini daripada mengemukakan idea baharu yang lebih segar untuk kepentingan rakyat. Beliau yang masih muda sepatutnya menggunakan kelebihan itu untuk memancing pengundi di Teluk Intan terutama golongan sebayanya dengan idea-ideas original dan kreatif. Dyana tidak perlu 'mengulang tayang' atau 'cut and paste' (potong dan tampal) perkara atau isu yang sering kali dimainkan oleh wakil-wakil rakyat lain sama ada pembangkang mahu pun BN. Malulah kalau orang baharu lagi muda tidak kreatif. Tidak dinafikan, Mah bukannya calon popular dalam pilihan raya kecil ini jika dibandingkan dengan Dyana, tetapi apabila dilihat manifesto calon BN itu untuk rakyat Teluk Intan, ianya lebih 'berisi'. Ia lebih bersifat eksklusif, inklusif dan kreatif menerusi idea baharu untuk kebajikan rakyat Teluk Intan dan pembangunan di kawasan parlimen itu. Cadangan beliau untuk meletakkan Menara Condong Teluk Intan supaya disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) begitu jelas ia lain dari yang lain. Walaupun ada pihak hanya melihat cadangan itu hanya akan memberi keuntungan sektor pelancongan di Teluk Intan, tetapi kesannya jauh lebih hebat. Jika ia direalisasikan, Teluk Intan bukan sahaja akan lebih dikenali sebagai pusat pelancongan bahkan akan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi, pembangunan infrastruktur dan lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan untuk rakyat. Maksudnya, setiap apa yang dibentangkan oleh Mah dalam manifestonya lebih bersifat 'semua dalam satu', secara spesifik sama ada tersurat atau tersirat, kesemuanya memberi faedah kepada rakyat secara menyeluruh. Malah tindakan Dyana untuk melawan pemusatan di ibu negara dilihat lebih berhasil menerusi idea Mah dalam manifestonya seperti penubuhan universiti dan pengiktirafan menara condong. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis bersedia untuk memberikan jawatan dalam Kabinet kepada Mah sekiranya Presiden Gerakan itu memenangi PRK Teluk Intan. Itu jaminan Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) buat Mah dan seluruh rakyat di Teluk Intan. Difahamkan kemungkinan kekosongan jawatan Menteri Pengangkutan yang kini dipangku oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan diisi Mah sekiranya beliau dipilih sebagai wakil rakyat. Jika Dyana yang dipilih, beliau akan terus membangkitkan isu-isu nasional di parlimen tanpa sebarang pengkhususan buat kepentingan rakyat di Teluk Intan. Hari mengundi PRK Teluk Intan pada Sabtu ini bakal memperlihatkan rakyat memperjudikan nasib mereka dan kawasan itu. Siapa pun calon yang dipilih itu hak dan keputusan lebih 60,000 pengundi kerana pilihan rakyat bertunjangkan demokrasi. Sama ada mempunyai pengalaman dan pengaruh mahupun tidak, antara Mah dan Dyana yang bakal dipilih ini diharapkan tidak memperjudikan nasib rakyat yang menaruh kepercayaan dan keyakinan terhadap mereka. Sumber: mStar
TOP
Felixia Yap Tayang Resit Bank Baki RM7 Juta
Selepas bekas model Playboy Felixia Yap memberikan kata-kata pedas kepada beberapa pihak yang cuba mengaibkannya baru-baru ini, kali ini di laman Facebooknya beliau cuba memberi motivasi kepada orang ramai. Felixia memaparkan gambarnya sedang memegang sekeping resit baki sebuah bank dengan baki akaunnya berjuta-juta. “Siapalah yang kaya sampai tahap ni?.. Hmm.. tapi tak mengapa kalau akaun bank tak melimpah sebegini. “Biar kaya iman, kaya budi bahasa, kaya pengetahuan dan kaya pahala.. daripada kaya dalam bank akaun, tapi miskin untuk dunia akhirat,” katanya menyindir pedas. Resit bank berkenaan tertulis baki sebanyak RM7,000,987.35 yang memang melimpah ruah duitnya. Dihujung status Facebooknya, rupa-rupanya slip bank berkenaan adalah resit yang direka untuk tujuan penggambaran bagi sebuah drama telemovie hari ini. Felixia pada satu artikel dilaporkan di Mynewshub hanya menunggu sahaja saat beliau akan memeluk Islam dan mengucapkan dua kalimah syahadah. Di laman Facebooknya atas nama Felixia Yap pun sudah berlumba-lumba lelaki yang pelbagai jenis nak berkenalan dan mahu menjadikan Felixia sebagai teman hidup. Kita berharap Felixia yang cantik jelita ini akan segera memeluk Islam dan boleh menggunakan keayuan dan kebaikannya untuk menarik ramai lagi wanita untuk berhijab dan menjadi Muslimah yang baik. Sumber: IKA / Mynewshub
TOP
Polis: Jangan bersekongkol lindungi militan
KUANTAN - Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang bekerjasama dengan polis antarabangsa (Interpol) bagi mengesan anggota militan yang bersembunyi di negara ini serta rakyat tempatan yang melindungi mereka. Katanya PDRM juga sedang memantau mereka yang disyaki berbuat demikian. "Tindakan tegas akan diambil kepada sesiapa sahaja yang didapati cuba melindungi anggota militan terbabit yang dikehendaki Interpol kerana pembabitan dalam kegiatan pengganas. "Kita tidak menolak ada kes-kes pendududuk tempatan yang bersekongkol dan memberi perlindungan kepada anggota militan ini dan mereka yang terlibat ini sentiasa dalam pemerhatian polis," katanya di sini hari ini. Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Pegawai Awam PDRM ke-8 bersama Ketua Polis Negara sempena peringatan hari polis ke-207. Mengulas lanjut, Khalid berkata, PDRM tidak menolak kemudahan infrastruktur yang lengkap menjadi faktor anggota militan memilih negara ini untuk menjalankan kegiatan mereka. "Bagaimanapun PDRM sentiasa membuka mata dan memantau pergerakan kumpulan dan orang-orang persendirian terbabit yang dilihat mengancam keselamatan rakyat dan negara. "Tindakan segera akan diambil keatas mereka (militan) sebelum mereka melakukan apa-apa kemusnahan," katanya. Akhir bulan lepas, 10 individu termasuk seorang wanita ditahan polis dipercayai terlibat dalam aktiviti militan yang berhubung kait dengan rangkaian Al-Qaeda dan Jemaah Islamiah serta menerima latihan ala ketenteraan. Sumber: Bernama
TOP
FB Hasut Orang Ramai Guling Sultan, YDP Agong
Bernama melaporkan Pengerusi SKMM, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi memberi jaminan bahawa pihaknya sedang bertindak mengesan individu-individu terlibat di samping memohon orang awam yang mempunyai sebarang maklumat tampil memberikan maklumat. “Kami memandang serius penghinaan sebegini dan akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan lunas undang-undang seperti diperuntukkan dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” kata beliau. Begitu pun tinjauan Mynewshub di Facebook Vladimiro Montesinos menunjukkan pemilik akaun ini masih bebas mencerca sultan tanpa gentar dengan pos terakhir memperkatakan tentang amalan membela jin dengan warisan sultan. Di samping itu ada satu pos terang-terangan ditulis; ‘Sultan langsung takda kena mengena dengan hidup aku, dan aku sedang hasut rakyat Malaysia untuk gulingkan sultan termasuk yang dipertuan agong… Ada masalah??’
Sumber: Rem Ramzi / Mynewshub
TOP
Polis nafi khabar angin 3 maut rempuhan di Masjidil Haram
BEIJING - CHINA. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bahasa Melayu kini diangkat sebagai bahasa kelima terbesar di dunia, dengan lebih 300 juta orang penutur. “(Ia) bermula seawal kurun ke-15, apabila Dinasti Ming di China menubuhkan jabatan bahasa asing yang turut merangkumi bahasa Melayu. “Bahasa Melayu tersebar luas sehingga dipelajari oleh penutur dan orang asing, dan usaha ini telah menyemarakkan proses pendidikan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa,” katanya semasa merasmikan persidangan antarabangsa 'Pengajian Melayu 2014 Hubungan Malaysia-China' di Beijing Foreign Studies University (BFSU), pada Jumaat. Persidangan itu dijadual berlangsung empat hari hingga 2 Jun. Najib berkata Profesor Wu Zungyu, tokoh bahasa terkemuka dari BFSU China turut mengakui bahawa bahasa Melayu mempunyai jumlah penutur yang besar di serata dunia. “Oleh yang demikian, tidak hairanlah Pengajian Melayu merupakan satu bidang yang semakin menarik minat orang ramai dan tersebar luas ke seluruh dunia. "Minat terhadap pengajian Melayu bukan sahaja berada dalam lingkungan dunia Melayu, bahkan telah menjadi satu agenda pendidikan hampir di serata dunia,” katanya. Pada majlis itu Najib turut melancarkan tiga buah buku - Kamus China-Melayu Dewan, Kajian Bandingan Pantun Melayu dengan Nyanyian Rakyat Tiongkok dan Eksplorasi Pengajian Melayu-China - terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka serta United Publishing House Sdn. Bhd. Kamus China-Melayu Dewan mempunyai 20,540 entri dan subentri yang terdiri daripada kosa kata bahasa Cina kontemporari dan lazim dalam urusan seharian. Buku Kajian Bandingan Pantun Melayu Dengan Nyanyian Rakyat Tiongkok pula adalah kajian perbandingan dari segi rima, pembayang dan maksud pantun, penggunaan perkataan, dan pemikiran yang terkandung dalam pantun serta nyanyian Melayu-Rakyat Tiongkok, Buku Eksplorasi Pengajian Melayu-China merupakan himpunan pantun mengenai Pengajian Melayu di China. Sumber: Bernama
TOP
Bahasa Melayu bahasa ke-5 terbesar di dunia
BEIJING - CHINA. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bahasa Melayu kini diangkat sebagai bahasa kelima terbesar di dunia, dengan lebih 300 juta orang penutur. “(Ia) bermula seawal kurun ke-15, apabila Dinasti Ming di China menubuhkan jabatan bahasa asing yang turut merangkumi bahasa Melayu. “Bahasa Melayu tersebar luas sehingga dipelajari oleh penutur dan orang asing, dan usaha ini telah menyemarakkan proses pendidikan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa,” katanya semasa merasmikan persidangan antarabangsa 'Pengajian Melayu 2014 Hubungan Malaysia-China' di Beijing Foreign Studies University (BFSU), pada Jumaat. Persidangan itu dijadual berlangsung empat hari hingga 2 Jun. Najib berkata Profesor Wu Zungyu, tokoh bahasa terkemuka dari BFSU China turut mengakui bahawa bahasa Melayu mempunyai jumlah penutur yang besar di serata dunia. “Oleh yang demikian, tidak hairanlah Pengajian Melayu merupakan satu bidang yang semakin menarik minat orang ramai dan tersebar luas ke seluruh dunia. "Minat terhadap pengajian Melayu bukan sahaja berada dalam lingkungan dunia Melayu, bahkan telah menjadi satu agenda pendidikan hampir di serata dunia,” katanya. Pada majlis itu Najib turut melancarkan tiga buah buku - Kamus China-Melayu Dewan, Kajian Bandingan Pantun Melayu dengan Nyanyian Rakyat Tiongkok dan Eksplorasi Pengajian Melayu-China - terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka serta United Publishing House Sdn. Bhd. Kamus China-Melayu Dewan mempunyai 20,540 entri dan subentri yang terdiri daripada kosa kata bahasa Cina kontemporari dan lazim dalam urusan seharian. Buku Kajian Bandingan Pantun Melayu Dengan Nyanyian Rakyat Tiongkok pula adalah kajian perbandingan dari segi rima, pembayang dan maksud pantun, penggunaan perkataan, dan pemikiran yang terkandung dalam pantun serta nyanyian Melayu-Rakyat Tiongkok, Buku Eksplorasi Pengajian Melayu-China merupakan himpunan pantun mengenai Pengajian Melayu di China. Sumber: Bernama
TOP
Ini Bukan Pandu Lalu, Ini Pandu Tembus
Pemandu kereta Perodua Kancil ini mungkin hendak membeli terus barangan di rak pameran apabila dia merempuh sebuah kedai di sebuah stesen minyak di Kampung Melayu di Johor Bahru. Kejadian dikatakan berlaku pada pukul 10.15 pagi tadi melibatkan seorang pemandu wanita berusia 50-an. Gambar berkenaan dipaparkan di akaun twitter Harian Metro hari ini. Ia menunjukkan kereta itu melanggar pintu hadapan kedai sehingga pecah dan turut merempuh beberapa rak pameran jualan. Kereta berkenaan juga mempunyai pelekat lesen memandu “P” di bahagian cermin belakangnya. Tidak diketahui apakah yang menyebabkan kereta itu merempuh kedai berkenaan sehingga saat ini. Sumber: Harian Metro / Mynewshub
TOP
Diugut gara-gara bongkar poligami ekspres
Mohamed Shariff menunjukkan laporan polis yang dibuat berhubung ugutan diterimanya.
ALOR SETAR - Salah seorang Ahli Jawatankuasa Bertindak Anak-anak Kariah Masjid Tunku Abdul Rahman Putra Kuala Kedah menerima lebih 20 khidmat sistem pesanan ringkas (SMS) dan panggilan telefon berbaur ugutan kerana bertindak membongkar aktiviti sindiket poligami ekspres. Pengerusinya, Mohamed Shariff Nawab berkata, dia mula menjadi mangsa ugutan sejak Disember tahun lalu setelah mengambil langkah mengumpul bukti berhubung sindiket terbabit bersama beberapa ahli jawatankuasa dan menyerahkan kepada Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) untuk disiasat. Menurutnya, bagaimanapun sejak membuat pendedahan di media beberapa bulan lalu ugutan yang diterimanya semakin kerap dari dua individu sama. “Sepanjang tempoh lima bulan ini, saya menerima 23 SMS dan kali terakhir pada Jumaat lalu. Kandungan SMS yang dihantar bukan sahaja berunsurkan fitnah tetapi juga menyentuh peribadi hingga boleh mencemar maruah diri serta keluarga. “Mereka juga turut bertindak menyebarkan poster yang tertera dengan kata-kata tohmahan serta fitnah hingga menjatuhkan air muka saya di kawasan pasar Kuala Kedah. Namun beberapa peniaga prihatin sudi membuang poster itu dari terus tersebar,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam. Mohamed Shariff berkata, kesal dengan insiden berkenaan dia akan mengambil tindakan mahkamah terhadap individu terlibat untuk membela maruah diri yang tercemar. “Saya sudah berbincang dengan peguam dan tindakan berkenaan bakal dibuat dalam masa terdekat. “Sepatutnya individu itu perlu membuat laporan polis suruh siasat saya jika segala pembongkaran yang dilakukan bersama jawatankuasa kami tidak benar. Namun mereka bertindak sebaliknya cuba membuat serangan peribadi untuk menjatuhkan maruah saya,” katanya. Menurutnya, laporan polis berhubung insiden ugutan itu sudah dibuat pada Jumaat lalu dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk membuat siasatan lanjut. Dalam perkembangan lain, dia turut menggesa jawatankuasa masjid baru dilantik pada mesyuarat agung yang diadakan pada 1 November lalu hasil persetujuan anak kariah diberi kuasa untuk menjalankan tugas. “Buat masa sekarang, jawatankuasa itu masih tidak berfungsi sepenuhnya kerana masih belum mendapat kebenaran daripada Pejabat Agama Kota Setar. “Disebabkan itu, bendahari dan setiausaha jawatankuasa yang lama bertindak mengambil kesempatan untuk menggunakan sepenuhnya peluang campur tangan urusan pentadbiran masjid terutamanya dari segi pengeluaran wang. Mengikut peraturan tindakan mereka salah kerana jawatankuasa lama sudah terbubar dengan terbentuknya jawatankuasa baru,” katanya. Pada 4 Mac 2014, Sinar Harian melaporkan, bagi merahsiakan perkahwinan kedua mereka daripada diketahui isteri pertama, segelintir individu dikesan menggunakan sindiket penjualan sijil nikah poligami yang menyerupai sijil yang dikeluarkan oleh Jaik. Menurut laporan itu, proses akad nikah pasangan itu dilakukan tanpa melibatkan wali terdekat dari pihak pengantin perempuan. Sindiket berkenaan juga dipercayai aktif sejak beberapa tahun lalu dengan hanya mengenakan bayaran sekurang-kurangnya RM3,000 dan dikatakan mendapat sambutan hangat daripada mereka yang mahu berpoligami secara rahsia. Difahamkan, sindiket itu bijak memancing pasangan berkenaan dengan mempercepatkan pengeluaran sijil nikah poligami beberapa hari sebelum akad nikah berlangsung. Susulan itu, Jaik turut mengambil tindakan menggantung tugas jurunikah terbabit sejak dua bulan lalu sehingga siasatan selesai.
TOP
Pemuda maut dilanggar lari
Mayat mangsa dibawa ke HTJS.
NILAI - Seorang lelaki menemui ajal ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya selepas dipercayai dilanggar lari oleh sebuah kenderaan di Jalan Pajam-Mantin berhampiran Pejabat Seri Pajam di sini malam kelmarin. Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, mangsa Saihapudin Arifin, 23, maut di tempat kejadian akibat mengalami cedera parah di kepala. Jurucakap polis berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha RAZ secara berseorangan dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah sewanya di Kampung Gebok, Mantin dari tempat kerja di Kilang SKF di sini. “Bagaimanapun sejurus sampai di lokasi kejadian motosikal dinaiki mangsa tiba-tiba hilang kawalan akibat dilanggar oleh sebuah kenderaan yang tidak dapat dikenal pasti dari arah Mantin. “Difahamkan ketika kejadian kenderaan terbabit dipercayai cuba membelok ke kanan memasuki jalan ke College Height,” katanya. Menurutnya, perlanggaran itu mengakibatkan mangsa tercampak dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami cedera parah. Kata Jurucakap, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban (HTJS) untuk bedah siasat dan dituntut oleh keluarganya untuk dikebumikan di kampung mangsa, Bachok, Kelantan. Sementara itu kata jurucakap, pemandu sebuah kereta kancil warna hijau nombor pendaftaran NAR1402 yang disyaki terlibat dalam kejadian itu diminta tampil bagi membantu siasatan. “Kereta itu dijumpai oleh orang awam di kawasan semak berhampiran Taman Sri Pajam iaitu tidak jauh dari lokasi kejadian. “Pemandu dan pemilik kenderaan diminta tampil untuk membantu siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi talian 06-7991222,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superitendan Abdullah Roning mengesahkan laporan kejadian itu.
TOP
Isu halal, haram dipandang remeh
Dr Abd Latiff Awang
KUALA TERENGGANU - Persoalan produk halal dan haram seolah-olah dipandang remeh sesetengah pengilang sebagaimana ditetapkan di dalam Akta Makanan 1983. Pengerusi Dewan Perdagangan Islam Malaysia cawangan Terengganu (DPIMT), Datuk Dr Abd Latiff Awang berkata, sensitiviti umat Islam tidak lagi dihormati dan ia merupakan perbuatan yang menghina kedudukan Islam dalam perlembagaan. Menurutnya, meskipun ada agensi dipertanggungjawabkan untuk mengurus, memantau serta mengeluarkan sijil halal kepada produk dan pengeluarnya, malangnya mereka seperti sekadar melepaskan batok di tangga. “Sehubungan itu, DPIMT dalam mesyuarat agung di Dewan Konvensyen, Yayasan Pembangunan Usahawan, baru-baru ini meluluskan usul untuk memperkasa dan memperbaiki kelemahan serta penguatkuasaan sedia ada agar pematuhan terhadap garis panduan halal berjalan dengan sempurna. “Kita turut mengusulkan agar mewujudkan satu jawatankuasa audit peringkat kebangsaan dianggotai ahli pakar syariah dan profesional yang berwibawa serta berintegriti. “Tindakan tegas terhadap pengilang juga perlu diambil dengan menggantung atau membatalkan lesen mereka, selain hukuman tegas terhadap pegawai yang menyalahgunakan kuasa, jika sabit kesalahan,” katanya. Selain itu, usul lain turut diluluskan adalah menggesa kerajaan menyemak kembali peraturan atau menguatkuasakan undang-undang, yang mencegah satu daripada elemen pergaulan bebas dengan melarang penunggang motosikal membonceng orang bukan mahram. Kata Abd Latiff, ini kerana penyumbang terbesar kepada masalah sosial adalah pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan terutama dalam kalangan remaja. “Selain itu, ahli DPIMT menyokong usul ucapan syabas dan tahniah kepada Datuk Ahmad Razif Abd Rahman di atas pelantikannya sebagai Menteri Besar Terengganu. “Semoga dengan pelantikan ini, Terengganu akan bertambah maju dan makmur seiring dengan inspirasi Malaysia Maju 2020. Kami akan menyokong dan memberi kerjasama selagi ia memberi kebaikan serta kepentingan kepada seluruh rakyat Terengganu. “Kami juga ucapkan terima kasih kepada mantan menteri besar di atas segala bakti dan keringat yang beliau curahkan selama ini. Yang datang didukung dan dihargai, yang pergi akan dikenangi,” katanya.
TOP
11 pekerja diseksa penyamun
Keng Seng (kiri) menunjukkan gambar keadaan pekerjanya yang cedera dirompak sekumpulan penyamun dalam dua kejadian berasingan.
PUCHONG – Mata dihentak beberapa kali dengan batu, tangan dan kaki pula dibelasah dengan kayu serta parang. Itu nasib diterima 11 pekerja binaan yang tinggal di unit rumah kedai di Jalan Intan 1, Taman Puchong Intan dekat sini, apabila perompak tidak berpuas hati dengan hasil samun diperoleh mereka. Dalam dua kejadian berasingan Ahad lalu, seorang daripada mangsa hampir hilang sebelah penglihatan manakala yang lain menerima beberapa jahitan akibat dipukul berkali-kali oleh sekumpulan penyamun. Majikan mangsa, Yu Keng Seng berkata, pekerja terpaksa menyerahkan wang tunai dan barang berharga apabila kira-kira 20 lelaki bersenjatakan parang, pisau dan kayu menceroboh masuk ke asrama didiami, pagi Ahad lalu. Itu kejadian kedua selepas rompakan pertama dilakukan dipercayai kumpulan gengster sama pada 12 April lalu. Dalam kejadian itu, hampir kesemua pekerja yang mendiami asrama berkenaan cedera dibelasah penyamun selain kerugian ribuan ringgit. Keng Seng berkata, selepas kejadian pertama, dia kemudian menukar pintu asrama berkenaan dengan besi bagi menyukarkan penjenayah memecah masuk kediaman rumah kedai tersebut. Sangkaannya meleset apabila penyamun menggunakan strategi menunggu pekerjanya di luar pintu dan mengacu parang bagi menakut-nakutkan mangsa. Pekerjanya ditolak ke dalam longkang dan dipukul di bahagian lutut serta kepala bagi mengelakkan mereka menyelamatkan diri. Kejadian itu bukan sahaja berlaku kepada pekerjanya namun kepada penghuni sekitar yang keluar bekerja pada waktu awal pagi. “Sekurang-kurangnya 10 hingga 20 orang datang menyamun penghuni di rumah kedai di sini, keadaan ini menimbulkan kegusaran kerana ia boleh berulang lagi. “Ada ramai jiran-jiran di sini yang mengadu mereka juga pernah dirompak, saya percaya gangster ni ‘jaga’ kawasan ini,”katanya. Adun Kinrara, Ng Sze Han yan menerima aduan daripada mangsa berkata, kekurangan anggota polis menjadi punca peningkatan kes jenayah. “Saya gesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) buat penambahan pengambilan anggota baru supaya jumlah mereka selaras dengan jumlah penduduk di sesuatu kawasan,” katanya. Sementara Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, pihaknya akan mengadakan Ops Payung di kawasan itu bermula hari ini. Katanya, kes berkenaan masih dalam siasatan pihaknya dan polis akan mempergiatkan rondaan di kawasan tersebut pada waktu yang menjadi sasaran penjenayah.
TOP
Perompak curah petrol, larikan RM60,000
GEORGETOWN - Tiga perompak bertindak mencurah petrol dan mengugut mahu membakar sebuah bank di Jalan Sungai Dua di sini sebelum melarikan wang tunai kira-kira RM60,000. Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata dua daripada suspek yang bertopi kaledar dan memakai penutup muka serta cermin mata hitam, meluru masuk ke dalam premis itu pada 2.45 petang. "Seorang lagi suspek menunggu di luar. Mereka membawa minyak petrol berkenaan yang diisi dalam tiga plastik dan satu bekas air mineral sebelum mencurahnya di lantai hadapan dan belakang kaunter juruwang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian. Ketika kejadian terdapat 12 orang termasuk enam pelanggan yang sedang berurusan di kaunter dan suspek mengikat pintu dengan getah pengikat barang sejurus mereka masuk ke dalam bank berkenaan. Beliau berkata seorang daripada perompak terbabit bersenjatakan parang, mengumpul semua pelanggan di satu sudut manakala seorang lagi memaksa kakitangan bank memasukkan wang ke dalam beg yang dibawa. "Perompak terbabit mengambil masa antara tiga hingga empat minit sebelum melarikan diri dengan dua motosikal. Satu motosikal ke arah kanan, satu lagi arah kiri," katanya. Mior Faridalatrash berkata pengawal keselamatan yang kemudiannya cuba mengejar suspek tergelincir dan terjatuh akibat lantai licin bagaimanapun tiada kecederaan serius dilaporkan. Beliau berkata polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup untuk siasatan lanjut dan percaya suspek adalah orang tempatan berdasarkan gaya percakapan mereka. Saksi yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta datang atau menghubungi balai polis berdekatan untuk membantu siasatan, katanya. - Bernama
TOP
Aksesori telefon tiruan dirampas
SEREMBAN - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Negeri Sembilan merampas pelbagai aksesori tiruan bagi telefon bimbit jenama Samsung bernilai kira-kira RM94,572 di dua buah premis Pusat Beli-Belah Terminal 1 di sini hari ini. Ketua Pegawai Penguatkuasa PPDNKK Negeri Sembilan, Saifulbahri Abdul Kadir berkata dalam serbuan kira-kira 1 petang itu pihaknya antara lain merampas pelbagai jenis bateri, sarung telefon, pengecas telefon dan telefon. "Pihak kami telah mengambil keterangan daripada seorang pekerja kedai pembekal telefon bimbit berkenaan yang berusia 20-an bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi. Rampasan dibuat hasil aduan syarikat jenama berkenaan. - Bernama
TOP
Warga emas perdaya 30 individu
Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR - Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis bersabit seorang lelaki berusia 60 tahun yang dipercayai memperdayakan 30 individu di sekitar sini sejak Disember tahun lalu dengan menawarkan rumah kos rendah. Presiden Pertubuhan Kebajikan Global Keselamatan Malaysia, T. Kamalanathan berkata modus operandi suspek ialah berjanji untuk menawarkan rumah kos rendah berharga RM33,000 seunit dan meminta wang pendahuluan sebanyak RM5,000 daripada setiap mangsa. "Lelaki ini mengenalkan dirinya sebagai orang tengah bagi mengendalikan urusan jual beli rumah, kononnya dengan mewakili pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). "Suspek juga memperdayakan mangsa dengan mengatakan dia bekerja di bawah dua pegawai DBKL dari bahagian perumahan. Dia menawarkan rumah di kawasan Pantai Permai (1), Pantai Dalam," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi. Beliau berkata mangsa hanya menyedari mereka ditipu apabila pihak DBKL memaklumkan nama kedua-dua pegawai tersebut bukan merupakan kakitangan mereka. Lelaki itu kemudiannya gagal dihubungi, kata Kamalanathan. Seorang kerani syarikat swasta Louisa Chinappan, 39, berkata setelah diperkenalkan kepada lelaki tersebut oleh kenalan rapatnya, beliau mengeluarkan wang simpanannya sebanyak RM4,000 untuk menempah rumah yang dijanjikan itu. “Lelaki itu menjanjikan resit pembayaran akan diberi kemudian. Namun apabila saya menelefonnya, dia memberitahu resit sedang dalam proses dikeluarkan dan memerlukan sedikit masa lagi, sebelum dia (lelaki itu) kemudiannya tidak dapat dihubungi lagi,” katanya. Seorang pesara K. Bhaskaran, 68, berkata beliau turut rugi RM4,000. - Bernama
TOP
Operasi banteras dadah besar-besaran bulan depan
KUCHING - Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sarawak akan melancarkan operasi pembanterasan dadah secara besar-besaran bulan depan, kata Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK Malaysia, Izhar Abu Talib. Beliau berkata, tujuan operasi ialah untuk mengesan dan memerintah penagih supaya mengikuti program pemulihan serta rawatan. Ia akan turut mengesan dan mendakwa Orang Kena Pengawasan (OKP) yang didapati melanggar syarat pengawasan termasuk OKP yang dikeluarkan waran tangkap untuk didakwa di mahkamah, katanya kepada pemberita di sini hari ini. Sebagai permulaan operasi akan diadakan di dua kawasan berisiko tinggi di Kuching iaitu Semariang dan Tabuan. Beliau berkata, Sarawak mencatat bilangan 1,750 penagih bagi tempoh Januari 2011 hingga April 2014 dan daripada jumlah itu 95 orang merupakan penagih berulang manakala 1,655 lagi penagih baharu. Izhar berkata, lima jenis dadah yang mudah diperoleh dalam pasaran di negeri ini ialah syabu, katamin, Erimin 5, ganja dan ekstasi. Sementara itu beliau berkata Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Negeri Sarawak yang dipengerusikan Menteri Pembangunan Sosial merangkap Pengerusi MTMD Sarawak, Tan Sri William Mawan Ikom hari ini telah mencapai beberapa keputusan. Antaranya cadangan membuka Pejabat AADK Dearah di enam bahagian antaranya Sarikei, Betong, Kapit dan Sri Aman. - Bernama
TOP
Pengusaha taska rugi RM300,000 ditipu sindiket
MELAKA - Pihak polis sedang mengesan lapan pemilik akaun bank komersial tempatan yang dipercayai digunakan sebuah syarikat dalam penipuan menyebabkan kerugian kira-kira RM300,000 kepada seorang pengusaha Taska. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Melaka Superintenden Ee Khong Koy berkata semua akaun terbabit yang disyaki milik warga tempatan digunakan syarikat yang dipercayai beroperasi di Hong Kong sebagai medium transaksi pemindahan wang dalam tempoh 10 hari bermula 8 April lepas. Beliau berkata pada mulanya wanita berusia 36 tahun yang berasal dari Semabok dimaklumkan sebagai pemenang cabutan bertuah tempat ketiga kerana pernah membeli seutas jam tangan melalui Internet bernilai RM8,800 dari syarikat terbabit pada September tahun lepas. "Mangsa dimaklumkan perkara tersebut melalui panggilan telefon pada 8 April lepas oleh pekerja syarikat tersebut dan ditawarkan lima tiket penerbangan ke kutub selatan dan Argentina," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibupejabat Polis Kontinjen Melaka di sini hari ini. Beliau berkata mangsa yang menolak pemberian tiket tersebut bagaimanapun ditawarkan wang tunai RM150,000 sebagai ganti. Ee berkata mangsa kemudian diarahkan untuk melakukan beberapa transaksi ke akaun berlainan didakwa sebagai proses bayaran guaman syarikat untuk tawaran tersebut selain ditawarkan melabur dalam sebuah syarikat saham di Eropah sehingga boleh memperoleh keuntungan lebih RM3 juta dalam tempoh dua hari. Sementara itu dalam kes berlainan, polis sedang mengesan seorang bekas penyambut tetamu sebuah hotel di Bandar Hilir bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan penggunaan kad kredit seorang pelancong wanita warga Indonesia melibatkan kerugian RM8,600. Ee berkata suspek Siti Norakmal Abdullah , 23, dari Pontian, Johor ketika kejadian bertugas di bahagian kaunter pendaftaran disyaki mengambil kad kredit milik suri rumah berusia 55 tahun tersebut yang tertinggal selepas membuat pembayaran deposit untuk menginap di hotel terbabit pada 21 April lepas. "Suspek menghilangkan diri serta tidak hadir bekerja dan kad kredit mangsa didapati telah digunakan untuk membeli pelbagai pakaian berjenama melibatkan sembilan transaksi pembayaran pada 22 dan 23 April," katanya. Beliau berkata penipuan kad kredit itu diketahui mangsa setelah wanita terbabit melaporkan kehilangan kad kreditnya pada sebuah bank di Jakarta melalui panggilan telefon pada 23 April. Kepada orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali suspek diminta menghubungi Pegawai Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, ASP Hasbullah Abd Rahman di talian 019-2229996. - Bernama
TOP
Kemiskinan punca perkahwinan kanak-kanak berlaku
Masalah kemiskinan dan kurangnya pendidikan antara punca utama meluasnya amalan perkahwinan kanak-kanak di Nigeria.
NIAMEY - NIGER. Sebagai sebuah negara yang mencatatkan kadar perkahwinan kanak-kanak tertinggi di dunia, Niger sedang berusaha untuk hentikan amalan itu kerana dikhuatiri permasalahan itu tidak ada penghujungnya. Antara faktor yang dikenalpasti berlakunya perkara itu disebabkan oleh masalah kemiskinan dan kedudukan wanita dalam masyarakat. Malah keadaan semakin parah apabila negara itu juga mempunyai kadar kelahiran tertinggi di dunia dan kedudukan negara itu paling rendah dalam indeks Pembangunan Manusia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) di tangga 187 daripada 187 kedudukan. Statistik mendapati 24 peratus daripada gadis yang mencecah umur 15 tahun akan dikahwinkan manakala 80 peratus pula apabila menjangkau 18 tahun, lapor BBC. Namun amalan perkahwinan kanak-kanak sudah menebal dalam masyarakat negara itu susulan pemberian mahar (wang hantaran) yang lumayan sekali gus meringankan beban sara hidup keluarga. Tidak hairanlah wujudnya ketakutan bahawa jika anak gadis mereka tidak dikahwinkan segera, mereka bimbang anak meningkat remaja itu akan hamil sebelum berkahwin dan ia sendiri disuarakan oleh seorang ibu dari negara tersebut. Selain kemiskinan, kekurangan pendidikan dalam masyarakat di Niger juga punca utama perkahwinan kanak-kanak masih dipraktikkan sehingga ke hari ini apabila anak-anak gadis mereka tidak dibenarkan ke sekolah. Apabila kerajaan Niger cuba memberikan perlindungan lebih kepada kaum hawa ini, ia mendapat tentangan yang hebat daripada ulama terkemuka di negara itu. Menurut seorang tenaga pengajar sekolah agama di Agadez, Sheikh Abbas Yahaya bahawa perkahwinan perlu bergantung kepada kematangan fizikal pasangan. "Jika kedua-dua pasangan matang mereka layak berkahwin, kerana dalam agama Islam walaupun pada usia sembilan tahun, jika gadis itu adalah dalam keadaan yang sesuai dia boleh dapat berkahwin,” katanya pada media antarabangsa, semalam. Dalam pada itu, bagi menangani masalah perkahwinan kanak-kanak itu, Tabung Kanak-kanak Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) telah berkempen untuk melakukan perubahan dengan menjalankan program kesedaran di bandar-bandar dan kampung-kampung . Ketua Pegawai perlindungan kanak-kanak di Niger, Brigitte Sonnois berkata, perkahwinan kanak-kanak mesti ditangani dengan meluas pada masa akan datang.
TOP
Anak pemimpin Syiah dihukum mati
JEDDAH - ARAB SAUDI. Sebuah mahkamah di Arab Saudi menjatuhkan hukuman mati terhadap anak seorang pemimpin terkemuka fahaman Syiah, semalam. Agensi berita Rasid.net.news melaporkan, Rida al-Rubh anak kepada pemimpin terkemuka Syiah, Sheikh Jafaar al-Rubh didapati bersalah menembak mati seorang anggota polis ketika protes anti kerajaan pada 2011 lalu di timur negara itu. Menurut laporan itu, Rida juga didapati bersalah kerana memiliki senjata api secara haram dan merekrut beberapa individu dari negara jiran untuk menyertai protes terbabit. “Hukuman mati ini adalah yang pertama dikenakan terhadap pengikut Syiah sejak tiga tahun lalu melibatkan kesalahan protes antikerajaan. Setakat ini, seramai 1,200 pengikut Syiah ditahan bersabit kesalahan bersubahat dalam protes tersebut,” menurut laporan itu, dipetik dari Press TV.
TOP
40 maut dalam 24 jam di Aleppo
Penduduk menyelamatkan diri selepas bangunan dibedil di Aleppo. - Foto EPA
BEIRUT - LUBNAN. Angka kematian meningkat di Aleppo selepas rejim Presiden Syria Bassar Al-Assad mengadakan serangan udara sejak kelmarin lalu. Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia bagi Syria melaporkan, dalam tempoh 24 jam sekurang-kurangnya 40 kematian dicatatkan. “Seramai 22 maut kelmarin di daerah timur Hay Qataneh, Tariq Al-Bab, Bustan Al-Qasr, Bani Zeid, Mghayer dan Lairamoun,” katanya. Menurut laporan itu, pada Rabu lalu pula 21 kematian dicatatkan selepas satu tong bom barrel digugurkan di Mghayer. “Sembilan kanak-kanak antara yang maut manakala puluhan yang lain cedera selepas terperangkap di bawah runtuhan bangunan di kawasan terbabit,” menurut laporan itu lagi. Difahamkan, laporan dipetik dari AFP, pertempuran antara Tentera Pembebasan Syria (FSA) dan rejim semakin meningkat ketika negara itu sedang melakukan kempen pilihan raya yang dijadualkan berlangsung 3 Jun ini.
TOP
Kemenangan paling memalukan buat Al-Sisi
Penduduk Mesir meraikan kemenangan Al-Sisi. Foto: AFP
KAHERAH - MESIR. Bekas ketua tentera, Abdel Fattah al-Sisi dilaporkan meraih majoriti besar dalam Pilihan Raya Presiden Mesir selepas kiraan di 312 pusat mengundi daripada 352 pusat, selesai dijalankan semalam. Media tempatan melaporkan, sekurang-kurangnya 21 juta pengundi atau 96.2 peratus memilih bekas panglima tentera yang menyingkirkan Presiden Mohammed Mursi daripada Ikhwanul Muslimin, Julai lalu. Pencabarnya, Hamdeen Sabbahi berhaluan kiri, menerima 3.8 peratus daripada undi yang dikira setakat ini. Jurucakap penyokong Hamdeen berkata, kerajaan sementara banyak melakukan pembohongan apabila melanggar Perlembagaan dengan melanjutkan tempoh pengundian sehari selepas jumlah pengundi didapati kurang daripada 40 peratus. “Kami mengecam kredibiliti Suruhanjaya Pilihan Raya. Tempoh melanjutkan hari mengundi sengaja dibuat bagi mengelakkan Al-Sisi mendapat malu,” katanya. Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya menyasarkan sekurang-kurangnya 47 peratus pengundi berdaftar menunaikan tanggungjawab itu namun sehingga Selasa hanya 38 peratus berbuat demikian. Selepas angka keluar mengundi didapati amat sedikit, pihak mereka dikatakan melanjutkan tempoh mengundi sehari lagi, laporan dipetik dari Al Arabiya.
TOP
Virus Ebola kembali mengganas?
CONAKRY - GUINEA. Pasukan perubatan antarabangsa tiba di timur Sierra Leone untuk menguruskan beberapa kes melibatkan virus Ebola yang sangat merbahaya. Pakar-pakar perubatan tersebut dari Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) dan badan kebajikan 'Doctors Without Borders', lapor BBC. Kejadian berlaku apabila enam pesakit disyaki dijangkiti virus Ebola telah dibawa keluar oleh hospital tanpa kebenaran doktor. Salah seorang daripada pesakit tersebut meninggal dunia dan dikhuatiri virus tersebut mampu merebak, kata seorang pegawai kesihatan tempatan. Pengarah Kawalan Kesihatan di Kementerian Kesihatan Sierra Leone, Dr Amara Jambai berkata, pekerja di klinik di bandar Koindu di Timur Sierra Leone cuba menghalang pesakit dari dibawa keluar oleh ahli keluarga. "Mereka tidak tahu betapa bahayanya tindakan mereka terhadap diri dan masyarakat untuk cuba mengubati pesakit itu sendiri. "Dua kematian telah direkod setakat ini," tambah beliau. Selepas laporan pertama direkod di pada Mac lalu, hampir 200 orang maut disebabkan virus Ebola di Guinea, Afrika Barat Virus Ebola masih belum mempunyai penawar atau ubat.
TOP
Skandal dana haji: Agung pangku tugas menteri
JAKARTA - INDONESIA. Menteri Penyelaras Kebajikan Rakyat Indonesia, Agung Laksono, dilantik sebagai Pemangku Menteri Hal Ehwal Agama menggantikan Suryadharma Ali, yang meletak jawatan kerana didakwa terlibat dalam skandal penyelewengan dana haji. "Keputusan presiden itu sudah ditandatangani dan saya telah dipanggil. Ini bermakna ia bermula hari ini. Saya secara rasmi menjadi Pemangku Menteri Hal Ehwal Agama sehingga diberitahu kelak," kata Agung yang dipetik sebagai berkata oleh Jakarta Globe pada Rabu. Menurut Agung, beliau diminta mengisi jawatan itu kerana selama ini beliau bekerjasama rapat dengan Kementerian Hal Ehwal Agama berdasakan kedudukannya sebagai Menteri Penyelaras Kebajikan Rakyat. Beliau terlibat dengan usaha kerajaan untuk memastikan mereka yang pulang daripada menunaikan fardu haji tidak menyebarkan virus Sindrom Pernafasan Timur Tengah. Agung berkata keutamaan beliau sekarang ialah untuk memastikan peralihan kuasa itu berjalan lancar bagi membolehkan kementerian berkenaan menjalankan tugasnya seperti yang diharapkan menjelang kedatangan Ramadan dan musim haji. Agung tidak menyatakan tempoh beliau menyandang jawatan itu. "Itu adalah prerogatif presiden, kami tidak boleh mencampurinya. Perkara paling penting sekarang ialah kami ada banyak urusan, termasuk...Ramadan dan pengurusan haji," katanya. - Bernama
TOP
Keadaan di Thailand bertambah baik
BANGKOK- THAILAND. Keadaan politik Thailand yang semakin tenang mendorong junta tentera membebaskan lebih banyak bekas anggota Kabinet daripada tahanan dan sedang menimbang untuk memendekkan atau menarik balik perintah berkurung. Kol. Werachon Sukondhapatipak, timbalan jurucakap Majlis Keamanan dan Ketenteraman Awam Kebangsaan, berkata perintah berkurung mungkin ditarik balik atau tempohnya dipendekkan di wilayah aman dan kawasan pelancongan. "Kami tidak pasti bila akan menimbangnya, minggu depan atau mungkin sebelum minggu depan, ia bergantung pada keadaaan," katanya. Werachon berkata beliau juga akan cuba menunda kepada minggu depan majlis untuk memberi penerangan kepada media asing di Kelab Pewarta Asing Thailand tentang rampasan kuasa yang berlaku di negara ini setelah membatalkan majlis itu yang sepatutnya diadakan pada pukul 6 petang ini. Perintah berkurung mendorong banyak pelancong beralih ke tempat lain dan menyebabkan banyak bilik hotel di Bangkok kosong serta menjejaskan pendapatan mereka yang bergantung pada kegiatan pelancongan. Antara yang dibebaskan ialah Niwatthamrong Boonsongpaisarn, bekas Pemangku Perdana Menteri dan Menteri Perdagangan sebelum tentera mengambil alih kuasa dan membubarkan Kabinet. Tahanan lain yang turut dibebaskan ialah Surapong Tovichakchaikul, bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar, Chartchart Sittipunt, bekas Menteri Pengangkutan dan bekas menteri serta anggota Pheu Thai Party dan bekas anggota Parlimen pembangkang Tankun Jit-Issara. Pemimpin utama Kumpulan Baju Merah termasuk Jatuporn Prompan, Nattawut Saikue, Thida Thawornset, Weng Tojirakarn dan Weerakarn Musikkapong dibebaskan semalam. - Bernama
TOP
Kenapa Menteri Kesihatan bela syarikat Cadbury?
KAMI dari Jaringan Melayu Malaysia (JMM) berasa amat hairan mengapakah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam mengeluarkan kenyataan semalam mengatakan bahawa JMM boleh menyaman Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Kesihatan di dalam isu kandungan porcine (babi) di dalam coklat Cadbury, Coklat Susu dengan Kacang Hazel (Cadbury Dairy Milk Hazelnut) dan Coklat Susu dengan Buah Badam (Cadbury Dairy Milk Roast Almond). Mengapakah Datuk Seri Subramaniam tidak menyuruh JMM menyaman Syarikat Confectionery Malaysia Sdn Bhd (Cadbury) selaku kilang yang mengeluarkan coklat tersebut. Bukanlah Jakim atau Kementerian Kesihatan yang terlibat dalam pengeluaran coklat Cadbury ini, dan bukanlah juga Jakim dan Kementerian Kesihatan yang membuat keuntungan dari penjualan coklat ini. Bagaimanakah Datuk Seri Subramaniam boleh tampil ke hadapan untuk mempertahankan syarikat Cadbury ini dan bukannya Kementerian Kesihatan. Perkara ini amat ganjil apabila seorang menteri boleh menjemput orang ramai untuk menyaman Kementerian Kesihatan iaitu kementerian beliau sendiri, sedangkan kesalahan dilakukan oleh Syarikat Cadbury. Datuk Seri Subramaniam perlu memperjelaskan di mana kepentingan sebenar beliau dalam isu ini. Sedangkan beliau yang sepatutnya melihat kepada kepentingan rakyat dan bukannya kepada Syarikat Cadbury. Dalam masa yang sama beliau berkata, kemungkinan berlakunya pencemaran. Jika pencemaran boleh berlaku bermakna juga coklat Cadbury ini adalah amat berbahaya kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku dan mungkin juga mengandungi racun. Sebarang kemungkinan yang tidak diingini akan juga boleh berlaku. Jika pencemaran ini boleh dijadikan alasan, bagaimanakah ia boleh mendapat status Halal? JMM melihat kemungkinan Datuk Seri Subramaniam juga tidak memahami asas pemakanan Halal. JMM juga menggesa pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh membuat pemantauan tentang proses siasatan ini dan mengumpulkan maklumat dari orang Islam. Bagi pihak JMM, kami akan terus menyaman Syarikat Cadbury dan akan mengumpulkan masyarakat Islam yang telah ditipu oleh Syarikat Cadbury. Sekian.
Azwanddin Hamzah
Presiden
Jaringan Melayu Malaysia (JMM)
* Ini adalah pendapat peribadi penulis yang dipetik dari blog beliau sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan Sinar Harian Online.
TOP
DRB-Hicom catat hasil RM14.2 bilion
Menurut DRB-Hicom, perniagaan automotif lebih mencabar menyebabkan penurunan keuntungan sebelum cukainya.
DRB-Hicom Bhd (DRB-Hicom) mencatatkan hasil RM14.2 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2014, iaitu peningkatan sebanyak 8.1 peratus berbanding RM13.1 bilion pada tahun sebelumnya. Menurut DRB-Hicom, semua tiga sektor perniagaannya iaitu automotif dan pertahanan, perkhidmatan serta hartanah, aset dan pembinaan menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan itu. Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Tan Sri Mohd Khamil Jamil berkata, kumpulan itu kekal fokus dalam usaha mengukuhkan dan mengembangkan perniagaan teras mereka. "(DRB-Hicom kekal fokus) untuk meningkatkan daya saing dan ketangkasan kami melalui peningkatan kecekapan operasi dan pengurusan kos yang efektif," katanya melalui satu kenyataan, semalam. Menurut kenyataan itu, pertumbuhan sektor automotif dan pertahanan didorong terutamanya oleh perkembangan projek kenderaan tentera AV8 dan kemasukan perniagaan komposit aeroangkasa yang diperoleh tahun ini melalui Composite Technology Research Malaysia Sdn Bhd. Sektor perkhidmatan pula menyaksikan peningkatan dalam prestasi perniagaan konsesi manakala pengiktirafan hasil daripada penjualan tanah di Iskandar Malaysia menyumbang kepada pendapatan lebih tinggi bagi sektor hartanah, aset dan pembinaan. Namun, keuntungan sebelum cukai DRB-Hicom merosot kepada RM601.9 juta daripada RM624.8 juta berbanding tahun kewangan sebelumnya. Penurunan itu disebabkan persekitaran perniagaan automotif lebih mencabar dan berdaya saing, mengakibatkan pemampatan margin bagi perniagaan pengedaran automotif, serta peningkatan umum kos menjalankan perniagaan.
TOP
Sektor hartanah kekal rancak
Gambar ilustrasi menunjukkan projek The Jewel yang kini dalam perancangan I-Bhd.
DI sebalik langkah penyejukan bagi sektor hartanah yang diperkenalkan kerajaan melalui Bajet 2014 tahun lalu, penjualan hartanah dilihat kekal rancak dengan pemaju terkemuka mencatat keuntungan dan perolehan tinggi sepanjang suku pertama tahun ini. Kebanyakan pemaju juga yakin prospek sektor hartanah kekal positif bagi tahun ini. Pemaju hartanah, I-Bhd mencatatkan pertumbuhan 65 peratus dalam perolehan, kepada RM44.9 juta serta peningkatan 65 peratus dalam keuntungan sebelum cukai kepada RM8.4 juta bagi suku pertama 2014, berbanding tempoh sama tahun lalu. Perolehan pembangunan hartanah pula ialah RM32.7 juta, lebih sekali ganda berbanding suku pertama 2013. Pengerusi Eksekutif I-Bhd, Tan Sri Lim Kim Hong berkata, jualan daripada projek yang dilancarkan sejak dua tahun lalu, seperti i-Residence, i-SOVO dan i-SOHO menjadi penyumbang besar kepada segmen hartanah. "Kami jangka momentum pertumbuhan itu akan berterusan dalam bulan-bulan akan datang kerana sumbangan (projek) i-Suite (fasa 1) yang dilancarkan akhir tahun lalu akan meningkatkan lagi keputusan kami," katanya melalui satu kenyataan, semalam. I-Bhd juga akan melancarkan hartanah bernilai RM1.6 bilion dalam beberapa bulan akan datang melibatkan projek Grand i-Residence@Kia Peng dan i-Suite (fasa 2) di i-City selain dalam perancangan membangunkan projek ikonik The Jewel, iaitu pembangunan bersepadu dengan kediaman, pejabat dan hotel seluas empat juta kaki persegi. Sementara itu, Mah Sing Group Bhd (Mah Sing) pula merekodkan perolehan kukuh kira-kira RM642.2 juta dan untung bersih RM84 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2014, menandakan peningkatan sehingga 51.8 peratus bagi perolehan syarikat dan kenaikan 20.9 peratus bagi untung bersih, berbanding tempoh sama tahun lalu. Mah Sing juga mencatatkan jualan hartanah kira-kira RM770 juta sehingga 31 Mac 2014, dibantu oleh fokus kumpulan itu terhadap pasaran hartanah umum di lokasi bertepatan dan produk selari dengan permintaan pasaran. Menurut Mah Sing, jualan kukuh dilihat dalam kediaman bertingkat tinggi mampu milik seperti Savanna Executive Suites di SouthvilleCity@KL South, Bangi yang dijual pada harga bermula RM338,000 dan D’saraSentral di Sungai Buloh dengan harga bermula RM380,000. "Kami menjangka momentum pembelian lebih kukuh bagi separuh kedua tahun ini, dengan pembeli berpotensi dijangka membeli sebelum pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan tahun depan," menurut Mah Sing. Kumpulan itu berkata, pasaran hartanah di Malaysia kekal kukuh disokong oleh populasi pekerja muda, proses urbanisasi, pasaran pekerjaan stabil, kadar gadai janji menarik dan budaya memiliki atau melabur dalam hartanah sendiri. Pengarah Urusan LBS Bina Group Bhd (LBS), Datuk Seri Lim Hock San pula berkata, walaupun pasaran hartanah kini menerima pelbagai jenis komen, ia tidak mempengaruhi prestasi LBS. "LBS juga aktif dalam pelancaran projek pembangunan baharu serta gigih mendapatkan tanah yang berpotensi untuk meningkatkan prestasi syarikat," katanya dalam satu kenyataan, Selasa lalu. LBS mencatat peningkatan 34 peratus dalam jumlah pendapatan kepada RM145 juta dan pertumbuhan 12 peratus dalam pendapatan sebelum cukai kepada RM18 juta dalam suku pertama 2014.
TOP
Proton bakal kerjasama dengan Geely Automobile
SYARIKAT automotif negara, Proton Holdings Bhd, bakal bekerjasama dengan pengeluar kereta dari China, Geely Automobile Holdings Ltd, untuk meluaskan pasaran di negara tembok besar itu. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Proton dan Geely kini dalam peringkat rundingan setelah menandatangani 'perjanjian hasrat' pada 22 April lepas yang disaksikan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. "Mereka masih dalam peringkat perbincangan... skop kerjasama yang diteroka termasuk reka bentuk kereta, penyumberan, pengeluaran, pemasaran, import dan pengedaran ke pasaran Asean dan China," katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan beliau ke China di Beijing hari ini. Najib berkata jika perjanjian antara Proton dan Geely dimeterai, pengeluar kereta Malaysia itu bakal mengeluarkan kereta berdasarkan reka bentuk model Geely. Perdana Menteri berkata pada mesyuarat dua hala yang dihadiri beliau dan Perdana Menteri China Li Keqiang pada sebelah petang, beliau meminta kerjasama dan sokongan kerajaan China dalam menjayakan usaha sama Proton dan Geely itu. Geely ialah pengeluar kereta yang memberi tumpuan ke atas bidang pembangunan, pengeluaran dan jualan kenderaan penumpang, dengan sebahagian besar keretanya dijual di pasaran China. Sehingga 4 April tahun lepas, permodalan pasaran syarikat itu berjumlah US$3.9 bilion. - Bernama
TOP
Penswastaan Penang Port diharap tingkat daya saing
MAJLIS Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang berharap penswastaan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) akan meningkatkan daya saing pelabuhan itu yang jauh ketinggalan berbanding pelabuhan swasta lain. Pengerusinya, Datuk Zainal Abidin Osman juga berharap dengan pengambilalihan PPSB oleh Seaport Terminal (Johor) Sdn Bhd, ia juga berupaya menambahbaik prestasi kewangan syarikat berkenaan. "Seaport Terminal mempunyai 19 tahun pengalaman dan komited untuk meningkatkan prestasi PPSB," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang, di Georgetown hari ini. Katanya, rancangan penswastaan PPSB itu bertujuan memajukan pelabuhan tertua negara yang kini menduduki tangga ke-96 dalam senarai 100 pelabuhan kontena dunia. Mengenai perancangan untuk mendalamkan laut bagi memudahkan pengemudian kapal, Zainal Abidin menyerahkan perkara itu kepada Seaport Terminal untuk memperhalusi perkara berkenaan. Selain itu Zainal Abidin berkata, pihaknya akan terus memantau semua projek yang dirancang di bawah Rancangan Malaysia ke-10. "Sehingga 15 Mei lalu sebanyak 16.25 peratus iaitu RM130 juta daripada RM800 juta peruntukan bagi 121 projek yang disediakan, telah digunakan. "Sekarang ini kita sedang dalam fasa penyediaan awal Rancangan Malaysia Ke-11 dan kita fokus kepada lima perkara utama, iaitu melaksanakan projek akujanji yang belum diselesaikan," katanya. Seterusnya ialah memberi tumpuan kepada projek kesejahteraan rakyat iaitu pembasmian kemiskinan khususnya miskin bandar serta infrastruktur. - Bernama
TOP
Malaysia peneraju kewangan Islam
Barisan pembentang dalam MCSN8 yang diadakan di Johor, semalam.
PERKEMBANGAN sistem kewangan Islam memberangsangkan di negara ini menjadikan Malaysia antara negara peneraju sukuk terbesar di dunia berbanding negara Timur Tengah. Pengarah Eksekutif Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam (Isra), Profesor Dr Mohamad Akram Laldin berkata, selain itu, kelengkapan infrastruktur, pengawal selia dan peraturan perundangan yang saling menyokong antara satu sama lain juga menjadi pendorong. Menurutnya, selepas hampir 30 tahun membentuk sistem kewangan Islam, Malaysia kini menjadi contoh dalam sektor berkenaan kepada negara-negara lain berikutan kelebihan kemudahan infrastruktur lengkap di negara ini. “Malaysia ialah pengeluar sukuk terbesar di dunia berbanding negara Timur Tengah seperti Emiriyah Arab Bersatu, Arab Saudi, dan Bahrain. Isu kewangan Islam telah bermula di negara kita sejak 1980-an. “Kita sekarang dalam proses untuk memantapkan serta melakukan inovasi daripada sistem kewangan Islam yang ada kini,” katanya selepas Perasmian Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara kali ke-8 (MCSN8) di Hotel Thistle, di Johor Bahru, semalam, yang dirasmikan Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Datuk Mohamad Aziz. Hadir sama, Mufti negeri, Datuk Mohamad Tahrir Samsudin; Penasihat Agama Islam negeri, Datuk Nooh Gadot dan Ketua Eksekutif Kolej Pengajian Islam Johor (Marsah), Profesor Dr Mohamad@Md Som Sujimon. Muzakarah dua hari itu bertemakan menangani cabaran dan merintis inovasi dalam kewangan Islam dan turut dihadiri cendekiawan dalam bidang berkaitan dari negara luar termasuk Brunei, Indonesia dan Singapura.
TOP
Yakin coklat tempatan jadi pilihan
Antara cabaran pengeluar coklat tempatan terutama Bumiputera ialah kekurangan promosi.
SKANDAL berhubung penemuan bahan tidak halal dalam coklat jenama antarabangsa yang sedang hangat diperkatakan kini sedikit sebanyak menimbulkan kegusaran pelanggan beragama Islam dan menimbulkan persepsi kurang baik terhadap makanan ringan yang kebanyakannya dari negara luar. Namun, dalam masa sama, kontroversi itu sebenarnya memberi peluang kepada pengeluar coklat tempatan untuk memasarkan produk mereka dengan lebih agresif, bagi memenuhi permintaan pelanggan yang kini pastinya lebih berhati-hati dalam memilih makanan ringan. Ryverra Chocolate & Confectionery Sdn Bhd, pengeluar coklat tempatan yakin pengguna Islam di Malaysia akan menyokong coklat yang dihasilkan oleh pengusaha tempatan beragama Islam. Pengarah Urusannya, Muzairee Daud berkata, dengan situasi sekarang, lebih selamat jika pengguna membeli coklat buatan tempatan. “Walaupun coklat yang dihasilkan oleh pengusaha tempatan tidaklah segah jenama yang ada (di pasaran), ia mempunyai kualiti dan rasa yang enak. “Dengan insiden yang berlaku sekarang ini, saya dapat melihat kesedaran masyarakat kita yang akan mula mencari coklat dihasilkan oleh orang Islam,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam. Namun beliau mengakui, kekangan utama jenama coklat buatan syarikat tempatan untuk dikenali oleh pengguna dalam negara ialah dari segi publisiti dan promosi yang kurang meluas. “Mungkin ada pengguna tidak tahu wujudnya coklat jenama Ryverra dalam pasaran, jika mereka sedar kewujudannya pasti mereka akan membelinya sebagai alternatif. “Ada juga produk kami yang tidak sampai kepada pengguna kerana tidak menembusi pasaran sesuatu kawasan,” katanya. Muzairee turut berkata, syarikat itu juga pada masa ini belum merancang untuk mengeluarkan produk coklatnya secara besar-besaran kecuali jika terdapat permintaan luar biasa daripada pengguna. “Buat masa ini kami mengeluarkan 200 jenis coklat berbeza mengikut keperluan dan permintaan pelanggan yang kami terima. “Tetapi secara umumnya kami mempunyai 40 jenis coklat yang memang sudah dikomersilkan dan berada di pasaran tempatan dengan harga bermula RM2 hingga RM20,” katanya.
Pengeluaran coklat tempatan tidak terjejas
Sementara itu, syarikat pengeluar coklat buatan tangan terkenal Fidani Chocolatier Sdn Bhd akan terus mengekalkan pengeluaran produk coklatnya selepas kontroversi membabitkan penemuan DNA babi dalam coklat jenama antarabangsa yang dilihat tidak menjejaskan pasaran coklat tempatan. Eksekutif Pengurusannya, Nor Shila Mohd Nordin ketika dihubungi berkata, selepas isu itu, syarikat tersebut menerima sokongan orang ramai yang banyak mengirim komen di laman sosial Fidani dan menyuarakan sokongan supaya pembeli memilih barangan buatan Malaysia yang dijamin halal, terutamanya produk Bumiputera. “Dari segi sambutan, alhamdulillah, semakin lama semakin ramai menyedari kehadiran Fidani di pasaran tempatan dan sambutan semakin menggalakkan. “Coklat kami mempunyai kualiti dan terjamin halal,” katanya yang memaklumkan produk Fidani merupakan coklat buatan tangan dan tidak dihasilkan menggunakan mesin. Beliau menambah, syarikat itu juga sentiasa bersedia dan tidak gusar jika ada pihak cuba mempertikai status halal produk mereka kerana Fidani sentiasa memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Sabtu lalu, Ketua Pengarah Kesihatan di Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan mengesahkan keputusan analisis mendapati dua produk daripada jenama Cadbury, iaitu Cadbury Dairy Milk Hazelnut dan Cadbury Dairy Milk Roast Almond dikesan mengandungi DNA babi dikenali sebagai porcine.
TOP
Insurans sesuai penting bagi PKS
Dari kiri: Nivet, Mohamed Al Amin dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Hafsah Hashim dalam majlis tersebut.
TAHAP kesedaran dalam pengurusan risiko dan perlindungan insurans dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) masih rendah, kata Pengerusi SME Corporation Malaysia (SME Corp) Datuk Ir Mohamed Al Amin Abdul Majid. Menurutnya, terdapat PKS yang hanya mempunyai perlindungan insurans asas, manakala kebanyakannya masih tidak mempunyai insurans perniagaan yang bersesuaian untuk melindungi perniagaan dan pekerja mereka. “PKS disaran untuk memiliki perlindungan yang bersesuaian dengan perniagaan masing-masing bagi memastikan kelancaran aktiviti dan operasi perniagaan,” katanya dalam majlis pelancaran penyelesaian insurans untuk PKS, SmartBusiness oleh AXA Affin General Insurance Bhd (AXA Affin) di Kuala Lumpur, semalam. Sementara itu, AXA Affin menyasarkan mencatat premium RM10 juta bagi SmartBusiness dalam tempoh 12 bulan akan datang. SmartBusiness menawarkan tiga produk iaitu peruncitan, kecantikan dan kesihatan serta perkhidmatan khusus. Ketua Pegawai Eksekutif AXA Affin Emmanuel Nivet berkata, syarikat itu akan terus komited dalam mengimbangi penawaran serta permintaan untuk mencipta nilai yang berkualiti kepada pelanggan. "SmartBusiness bukan saja memberi perlindungan kebakaran tetapi juga untuk semua aspek perniagaan dengan tiga spesifik perdagangan termasuk kesan peribadi terhadap pelanggan, transaksi perniagaan, kerugian serta kerosakan atau kelewatan penghantaran produk. “SmartBusiness ini turut meliputi tuntutan bayaran pendahuluan tunai 20 peratus bergantung kepada anggaran kerugian yang dialami PKS,” katanya.
TOP
Kedai, pasar raya pulangkan Cadbury DNA babi
SEREMBAN - Rata-rata kedai runcit mahu pun pemborong di negeri ini tidak lagi menjual dua jenis produk Cadbury yang disahkan mengandungi DNA babi. Tinjaun Sinar Harian semalam, mendapati semua coklat jenama tersebut sudah diasingkan dan dibungkus untuk tujuan pemulangan semula kepada agen coklat terbabit. Menurut peniaga yang hanya mahu dikenali Tan, mereka sudah tidak berani menjual dua coklat berkenaan berikutan bimbang ditahan pihak berkuasa kerana menjual produk yang disahkan tidak halal kepada orang ramai. “Sejak keluar di surat khabar kami sudah hentikan jualan dan mana stok coklat yang belum dijual lagi kita sudah simpan dan asingkan di tempat lain. “Kita akan pulangkan semula kepada agen dan meminta produk coklat lain sebagai ganti,” katanya. Sementara itu, di Rembau kesemua pasar raya kecil dan kedai runcit sudah menarik dua produk yang disahkan Kementerian Kesihatan Malaysia mengandungi dna babi. Bagaimanapun menurut seorang pekedai yang tidak ingin dikenali, rata-rata pengguna terutamanya pengguna Islam tidak lagi membeli produk Cadbury walaupun produk lain dikatakan bebas daripada dna babi. Begitu juga di Tampin, pasar raya dan juga kedai runcit sudah mengasingkan produk berkenaan setelah pengumuman rasmi dibuat oleh Kementerian Kesihatan. Menurut seorang pekedai, yang dikenali sebagak Ismaik, isu DNA babi berkenaan menyebabkan pembelian produk coklat menurun dan pengguna menukar produk coklat dari jenama yang lain. Manakala di Kuala Pilah juga, rata-rata kedai dan pasar raya mematuhi arahan dengan menarik balik dua produk Cadbury terbabit, serta tidak menjual coklat berjenama itu.bagi mengelakkan perkara berulang kembali. Di MELAKA, Tinjauan di beberapa lokasi di ketiga-tiga daerah termasuk stesen minyak, kedai serbaneka 24 jam selain kedai runcit dan pusat beli belah di Ayer Molek, Bemban, Telok Mas, Ayer Keroh, Klebang dan Masjid Tanah mendapati pengusaha dan pemilik premis tidak mempamerkan lagi dua produk yang mengandungi DNA babi tersebut. Pengusaha dan pemilik terbabit sudah dimaklumkan oleh pembekal mengenai isu coklat berjenama Cadbury dan bertindak mengasingkan produk mengandungi kacang hazelnut dan almond bagi mengelakkan pelanggan terkeliru dengan membeli coklat berkenaan. Sumber: Sinar Online
TOP
M Daud, Sharifah Aini stabil
YAYASAN Artis 1 Malaysia (YA1M) ditubuhkan bagi menjaga kebajikan karyawan seni, di samping membantu meringankan beban yang dihadapi penggiat seni tempatan. Selaras dengan objektif penubuhannya, Presiden YA1M, Datuk DJ Dave dan salah seorang pemegang amanah YA1M, Datuk Nashrudin Elias atau lebih mesra disapa Nash turun padang untuk meluangkan masa melawat insan yang tidak asing lagi dalam industri seni tanah air kita. Mereka yang dimaksudkan adalah Presiden Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (Papita), Datuk M Daud Wahid dan biduanita negara yang terkenal dengan kelunakkan suaranya, Datuk Sharifah Aini. DJ Dave menjelaskan, sudah menjadi tanggungjawab YA1M untuk turun padang membantu rakan seniman dan karyawan yang ditimpa masalah atau kemalangan. “Kami di YA1M akan terus memberi sumbangan dan meluangkan masa apabila karyawan negara kita dilanda masalah atau sakit. “Dapat berita dia sakit, saya terus naik penerbangan dari Sabah untuk melihat sendiri keadaannya. “Alhamdulillah, keadaan Datuk M Daud semakin baik. Aktiviti seumpama ini akan kami teruskan sekerap mungkin dan melawat karyawan berumur atas 60-an sebagai salah satu tanggungjawab YA1M,” katanya.
Sumbangan amat diperlukan : M Daud
Kunjungan YA1M ke Poliklinik Umra, Shah Alam, nyata diterima baik M Daud, yang sedang menerima rawatan di situ akibat jangkitan kuman pada hempedunya. M Daud berkata, aktiviti melawat dan memberi sumbangan seperti yang dilakukan YA1M amat diperlukan dalam membantu golongan karyawan. “Kami nak harap royalti untuk hidup pun tak seberapa. Kena ada pihak yang jalankan tanggungjawab jaga kebajikan penggiat seni yang memerlukan macam dilakukan YA1M ini. “Nasib baik saya ada anak. Kalau karyawan yang sebatang kara itu siapalah nak bantu mereka kalau tak ada pertolongan dari badan yang berkaitan,” katanya. Tambahnya, dia amat bersyukur dengan kunjungan DJ Dave dan Nash serta wakil dari YA1M yang sentiasa prihatin dalam menyumbangkan pertolongan semampu boleh kepada para karyawan. Sebelum itu, M Daud terjatuh di rumahnya lalu dikejarkan ke poliklinik tersebut oleh anaknya. Tindakan susulan akan dimaklumkan doktor sama ada dia perlu menjalani pembedahan atau tidak. Pun begitu, keadaannya semakin pulih apabila hempedunya sudah kecut setelah menerima rawatan. Penggiat seni berusia 71 tahun ini telah melibatkan diri dalam industri hiburan sejak tahun 1964 lagi ketika usianya baharu 20 tahun. Ketika itu, pemilik nama penuh Mat Dawood @ Mat Daud Wahid ini mula menyanyi dalam sebuah pancaragam sebelum menerbitkan lagu sendiri, khususnya lagu kanak-kanak, enam tahun kemudian. Dia kemudiannya menjalani kehidupan anak seninya sebagai penerbit lagu sebelum menjadi salah seorang daripada pengasas Papita, seterusnya menerajui persatuan itu sebagai presiden.
Sharifah Aini tolak lawatan?
Beberapa bulan lalu, portal dan akhbar tempatan melaporkan pelantun lagu popular, Kenang Daku Dalam Doamu ini dijangkiti virus Influenza A (H1N1). Baru-baru ini pula, beliau dilaporkan terlantar di hospital akibat jangkitan kuman pada paru-paru. Bagaimanapun, lawatan YA1M di hospital tidak diterima penyanyi berkenaan kerana dia masih dalam proses pemulihan. Kata DJ Dave, penyanyi berusia 61 tahun itu hanya akan menerima kunjungan setelah dia bersedia dan sudah pulang ke rumah. Jelasnya, YA1M akan melawat Sharifah Aini sebaik sahaja keadaan mengizinkan, tambahan pula tahap kesihatan penyanyi itu dilaporkan semakin stabil. Sumber: Sinar Online
TOP
Kes Pertama Korban Virus MERS-CoV Di Iran
TEHRAN – Agensi berita rasmi Iran melaporkan republik Islam itu kini menyaksikan seorang korban pertama Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS-CoV) yang merebak dari Asia Barat. Agensi berita IRNA hari ini memetik pegawai Kementerian Kesihatan, Mohammad Mahdi Gouya sebagai berkata, virus berkenaan menyebabkan kematian seorang wanita berusia 53 tahun di Kerman, timur laut Iran. Akhbar Iran pula melaporkan terdapat dua kes MERS-CoV semalam. Namun ia belum jelas bagaimana mangsa menghidap virus berkenaan dan pihak berkuasa tidak memberikan sebarang butiran mengenai merebaknya virus maut itu. Kes pertama akibat jangkitan virus berkenaan dilaporkan di Arab Saudi sebelum ia merebak sejak ia dikesan dua tahun lalu. Sumber: AP
TOP
Pelakon Lydiawati Menderita Sakit Saraf
PELAKON senior, Lydiawati sudah dua bulan dia tidak berlakon selepas serangan penyakit saraf dan reumatik. Lydiawati atau nama sebenarnya Salina Saimon, 48, berkata dia mengalami penyakit itu selepas berasa kebas dan bisa pada bahagian kiri kaki dan tangan sehingga menyukarkan pergerakannya. “Ia bermula pada awal Januari lalu apabila tangan dan kaki kiri saya rasa berbisa. Risaulah jugak, takut ada masalah jantung. “Tetapi doktor cakap saya okey. Sehinggalah pada 23 Mei lalu, saya terus ke Hospital Pakar Ampang Puteri selepas rasa sakit makin teruk dan doktor mengesahkan saya ada penyakit saraf,” katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Khamis. Tambah Lydiawati, sepatutnya dia perlu menjalani beberapa rawatan lain namun selepas melihat bil berjumlah RM5,000 sepanjang tiga hari di hospital itu, dia memutuskan untuk keluar wad pada Isnin lalu kerana merasakan tidak mampu menjelaskan bayaran rawatan yang lebih tinggi. Beritahu Lydiawati dia berkemungkinan besar akan menyambung rawatan penyakitnya itu di hospital kerajaan agar tidak dibebani dengan masalah pembayaran. “Sebelum masuk ke Ampang Puteri, saya ada juga meminta bantuan wang daripada beberapa rakan artis, takut duit tak cukup. “Tetapi melihatkan bil yang harganya tidak munasabah, lebih baik saya membuat rawatan di hospital kerajaan sahaja. Lagi pun di sana juga mempunyai doktor pakar yang bagus-bagus,” ujarnya. Sementara itu, dia turut bersyukur apabila ramai peminat serta rakan artis memberikan sokongan moral selain ubat-ubatan tradisional kepadanya. Kata Lydiawati, dia akan cuba menggunakan beberapa ubat tersebut dalam tempoh masa tiga minggu sebelum menyambung rawatan di hospital kerajaan. Dalam pada itu, Lydiawati berkata, dia akan berehat daripada lakonan sementara waktu namun akan menerima tawaran berlakon sekiranya ada. Sumber: mStar
TOP
Hasan Malek Sedia Disiasat SPRM
PETALING JAYA – Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek sedia membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan campur tangan dalam urusan pinjaman peniaga permaidani, Deepak Jaishikin yang diberikan Bank Rakyat. “Kita bertindak atas dasar, undang-undang dan mengikut peraturan yang sedia ada,” katanya tanpa enggan mengulas lanjut. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan dan Sambutan Hari Penguat Kuasa KPDNKK di Putrajaya pada Khamis. Isu dakwaan campur tangan dan salah guna kuasa oleh Hasan timbul selepas Tan Sri Sabbaruddin Chik mendakwa khidmatnya sebagai Pengerusi Bank Rakyat tidak disambung gara-gara permohonan pinjaman oleh Deepak. Bank Rakyat berada di bawah bidang kuasa KPDNKK yang diterajui Hasan. Dakwa Sabbaruddin, beliau percaya tindakan untuk tidak menyambung khidmatnya mempunyai hubung kait dengan keputusan Lembaga Pengarah Bank Rakyat terhadap permohonan seorang usahawan permaidani untuk membayar pinjaman bernilai RM40 juta tanpa faedah. Bagaimanapun beliau mendakwa, menteri terbabit berkeras supaya lembaga pengarah mengikut telunjuknya supaya menerima permohonan penyelesaian mudah usahawan kontroversi itu agar baki pinjaman berjumlah kira-kira RM32 juta dibuat selama 10 tahun melalui 120 keping cek post dated. Sumber: mStar
TOP
1,000 Menara Telekomunikasi Dalam Tempoh 3 Tahun
TELUK INTAN – Penambahbaikan jalur lebar akan diteruskan di seluruh negara dalam masa tiga tahun dengan pembinaan 1,000 menara telekomunikasi di seluruh negara. Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata ia termasuk agenda besar negara dalam membolehkan internet bercapaian tinggi dinikmati semua pihak. “Kita tahu bahawa mempertingkatkan infrastrutur internet, jalan raya, api dan sebagainya, ialah merupakan antara infrastruktur diperlukan dalam sebuah negara membangun dan ia akan menjadi kayu pengukur,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis kenali jiran bersama komuniti 1Malaysia di Kampung Tengah Ayer Hitam, di sini, malam ini. Terdahulu, beliau turut menunaikan solat Maghrib dan Isyak serta tahlil berjamaah sempena kemangkatan Sultan Perak Almahrum Sultan Azlan Shah di Masjid Jamek Kampung Ayer Hitam di sini. Ahmad Shabery, yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno, juga menyelar pihak yang memutar belit kenyataannya baru-baru ini berkenaan pembangunan infrastruktur berkenaan. “Ini perkara yang banyak orang salah faham. Baru-baru ini saya kata saya menyokong calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mah Siew Keong untuk baiki internet di sini. Tetapi orang kata saya seolah-olah berjanji hanya kalau BN menang baru buat WiFI. Itu janji salah. “Namun penambahbaikan infrastruktur ini ada banyak halangan…sebab itu apabila Datuk Mah kata nak beri kemudahan ini sudah tentu kita akan menyokong dan menjadikan Teluk Intan ini mendapat kemudahan yang dijanjikannya sendiri,” katanya. Ditanya pendapat mengenai media yang memutar belitkan kenyataannya itu, beliau berkata beliau tidak memberi kenyataan yang salah, namun ia telah diputar belitkan secara sengaja oleh media-media propembangkang. “Kita tahu kita tak sempurna ada kelemahan, itu yang dia akan putar belitkan, sebab itu ada yang minta saya minta maaf, saya tak rasa ada apa-apa yang perlu saya nak minta maaf, kerana dia tidak melihat apakah kenyataan saya sebenar. “Saya sokong apabila Datuk Mah katakan yang kalau dia ada sini dia pastikan Teluk Intan akan bina infrastruktur yang baik dan kita akan sokong kemudahan-kemudahan yang akan disampaikan termasuk membuat jalur lebar di sini,” tambahnya. Sumber: Bernama
TOP
Model Argentina Saman Google Isu Web Lucah
BUENOS AIRES – Mahkamah Agung Argentina pada Khamis mendengar hujah seorang model wanita yang menuntut supaya Google menurunkan pauntan laman web lucah dan menyaman enjin carian Internet itu kerana dia bukan pekerja seks. Maria Belen Rodriguez, 30, bertindak menyaman Google dan Yahoo lapan tahun lalu berhubung pauntan enjin carian yang menunjukkan gambar-gambar bukan erotiknya. Dua tahun lalu Yahoo mematuhi arahan itu dan membayar denda 42,000 peso (USD 5,200). Bagaimanapun Rodriguez menuntut lebih daripada itu. Namun Google enggan mematuhi arahan mahkamah. Sebuah mahkamah sivil sebelum ini memutuskan kes berkenaan memihak kepada model itu. Kes ini timbul apabila terdapat sesetengah laman web memaparkan imej Rodriguez dikelilingi oleh imej lucah. Selain itu apabila pengguna Internet klik pada namanya, ia membawa pautan ke laman web lain yang turut memaparkan imej lucah wanita lain. “Pada satu hari ayah saya melakukan carian nama saya di Google dan dia terus dipautkan ke laman web porno. “Ini menyebabkan saya berhadapan masalah. Saya kehilangan peluang pekerjaan kerana perkara in,” kata Rodriguez. Keputusan Mahkamah Agung dijangka diketahui pada Jun depan. Sumber: AP
TOP
SKMM Kesan Individu Hina Kemangkatan Sultan Perak
CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendapati beberapa individu dalam laman media sosial telah menghina Institusi Beraja, terutamanya berhubung kemangkatan Sultan Perak, Almarhum Sultan Azlan Shah baru-baru ini. “Kami sedang bertindak mengesan individu-individu tersebut dan memohon orang awam yang mempunyai sebarang maklumat yang boleh membantu siasatan MCMC untuk tampil memberikan maklumat berkenaan,” kata Pengerusinya, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi. “Kami memandang serius penghinaan sebegini dan akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan lunas undang-undang seperti diperuntukkan dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” tambah beliau. Sumber: Bernama
TOP
VIDEO: Rempuhan di Masjidil Haram
Sedutan video yang tersebar di media sosial.
MAKKAH - ARAB SAUDI. Empat orang cedera selepas mereka terperangkap dalam rempuhan di Masjidil Haram, semalam. Bagaimanapun, polis Makkah menafikan khabar angin yang tersebar di laman media sosial bahawa tiga jemaah terbunuh dalam kejadian itu, lapor Arab News. "Tiga daripada mereka - semua wanita - telah dirawat di tempat kejadian dan mangsa keempat telah dipindahkan ke sebuah hospital tempatan ," kata jurucakap polis Makkah, Aati Al-Qurashi. Menurut pegawai yang lain, terdapat seorang mangsa lelaki mengalami kecederaan teruk di kepala. Beliau berkata, sebaik sahaja pintu Kaabah itu dibuka untuk dibersihkan, beberapa jemaah cuba menghampiri pintu Kaabah bagi mendapatkan gambaran bahagian dalam Kaabah. "Waktu itulah apabila lelaki itu terjatuh," katanya. Ketika kejadian, Gabenor Makkah, Putera Mishaal Abdullah juga mengambil bahagian untuk membasuh Kaabah. Kaabah dicuci dari dalam dua kali setahun dalam bulan Muharam dan Shaaban, iaitu bulan pertama dan kelapan dalam kalendar Hijrah. Sementara itu, menurut sumber lain, Leftenan Kolonel Atiyah Al-Qurashi mengesahkan bahawa empat orang cedera dalam kejadian tersebut. Beliau menafikan khabar angin yang tersebar di media sosial bahawa terdapat cubaan membunuh diri semasa operasi membersihkan Kaabah dijalankan.
Sumber: Sinar Online
TOP
Premis henti jual coklat DNA babi
Tinjuan mendapati premis tidak lagi menjual Coklat Susu dengan Kacang Hazel dan Coklat Susu dengan Buah Badam Cadbury.
SHAH ALAM - Kebanyakan kedai runcit, serbaneka, pasar raya dan stesen minyak, di sini, peka arahan pihak berkuasa supaya menarik semula dua jenis coklat Cadbury yang disahkan mengandungi DNA babi. Sinar Harian mendapati, premis mematuhi arahan itu dan tidak menjual serta mempamerkan produk itu di rak jualan masing-masing. Mereka melahirkan kebimbangan bukan hanya kerana status coklat yang menimbulkan keraguan, malah dikhuatiri menyebabkan pengguna Islam keliru. Seorang penyelia kedai serbaneka, Nur Azmira Azhar berkata, pihaknya menarik balik Coklat Susu dengan Kacang Hazel dan Coklat Susu dengan Buah Badam serta-merta daripada rak jualan, Sabtu lalu. “Kami tarik balik produk tersebut atas dasar prihatin. Buat masa ini, kami simpan coklat itu sehingga pihak Cadbury kutip semula. “Masih ada lagi pelanggan yang bertanyakan tentang dua coklat itu kerana mereka menganggap isu itu khabar angin saja, dan kami sudah berikan penjelasan kepada mereka tentang perkara tersebut,” katanya. Pemilik kedai runcit di Seksyen 17, di sini, Rahmatullah Mohd Sharif berkata, dia mengeluarkan dua jenis coklat berkenaan dari premisnya selepas pihak berkuasa mendedahkan dua jenis coklat berkenaan mengandungi porsin. “Kawan saya yang mempunyai kedai runcit bukan sahaja tarik balik coklat itu daripada rak jualan, malah dia tidak jual semua produk jenama tersebut,” katanya. Hasil tinjauan di kedai serbaneka 24 jam, didapati pengurusan premis ada mengeluarkan notis arahan supaya coklat Cadbury itu disimpan di stor penyimpanan dan tidak diletakkan pada rak pameran, malah, rak jualan yang dahulunya menempatkan coklat jenis itu kelihatan kosong. Di sebuah pasar raya terkemuka dan stesen minyak pula, hanya sedikit gula-gula dan ‘wafer’ jenama Cadbury ada di rak pameran. Ahad lalu, Cadbury Malaysia menarik balik jualan Cadbury Dairy Milk Hazelnut (nombor keluaran 200813M01H |2 yang tamat tempoh pada 13 November 2014) dan Cadbury Dairy Milk Roast Almond (nombor keluaran 221013N01R |1 yang tamat tempoh pada 15 Januari 2015), daripada pasaran serta-merta. Sumber: Sinar Online
TOP
Abby Abadi Masih Sayangkan Farhan
Abby mengakui masih sayangkan suaminya Muhammad Noor Farhan namun menyerahkan soal jodoh mereka kepada Tuhan.
KUALA LUMPUR: Pelakon Abby Abadi mengakui masih sayangkan suaminya, Muhammad Noor Farhan Che Bakar dan tidak pernah menjangkakan perceraian akan berlaku pada perkahwinan keduanya itu. Abby atau nama sebenarnya, Arbaiyah Abdul Manan, 37, berkata, lafaz cerai yang dibuat menerusi mesej Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) daripada pemuda itu pada 9 Mei lalu merupakan satu kejutan kerana ia hanyalah salah faham yang seharusnya tidak berakhir dengan perceraian. "Saya akui masih sayangkan dia dan langsung tidak pernah membayangkan perceraian akan berlaku kerana salah faham yang timbul tidak sepatutnya berakhir dengan perceraian. "Bagaimanapun buat masa ini saya tidak nampak jalan untuk kami berbaik semula kerana saya sudah berusaha sehabis baik untuk memperbetulkan keadaan tetapi apalah daya saya kalau itu ketentuan dan takdir saya," katanya kepada mStar Online. Terdahulu Hakim Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Shaiful Azli Jamaludin pada Khamis menangguhkan kes permohonan pengesahan lafaz cerai yang difailkan Abby terhadap Muhammad Noor Farhan, 24, kepada 11 Jun ni selepas terdapat satu lagi lafaz cerai yang belum difailkan dan disahkan oleh mahkamah. Lafaz cerai kali pertama dibuat oleh Muhammad Noor Farhan pada Januari lalu. Dalam pada itu Abby turut menolak dakwaan keretakan rumah tangganya itu kerana kehadiran orang ketiga termasuk tekanan daripada masyarakat sekeliling yang sentiasa memerhatikannya. "Bukan kerana orang ketiga dan jika komen orang mengenai saya di laman sosial juga tidak pernah menjadi penyebab kepada kejadian ini dan saya tidak salahkan sesiapa kerana kami berdua ada melakukan kesilapan," ujarnya. Sementara itu, Abby mengakui jarak usia sebanyak 13 tahun di antara mereka antara penyebab terjadinya perceraian dalam rumah tangga mereka. Abby berkata, Muhammad Noor Farhan terlalu muda untuk memahami pelbagai perkara mengenai alam rumah tangga namun dia tidak pernah menyesali perkahwinan berkenaan biarpun hanya mampu bertahan selama 10 bulan. "Pada saya dia terlalu muda untuk meletakkan dirinya sebagai suami dan kami juga baru kenal mengenali selepas berkahwin. Mungkin ada beberapa perkara yang dia tidak dapat faham. "Saya tidak salahkan dia kerana ketika saya berusia seperti dia pun banyak perkara yang saya tidak faham dan masih belajar mengenai kehidupan. "Apa-apa pun saya tidak pernah menyesal berkahwin dengannya malah bersyukur dia dipinjamkan kepada saya biarpun singkat," katanya. Sementara itu, mengulas mengenai lafaz cerai yang dibuat kali pertama oleh Muhammad Noor Farhan pada Januari lalu, Abby berkata, dia tidak mahu menghebahkan perkara itu kerana enggan memperbesarkan kejadian itu. "Secara teknikalnya dia tidak melafazkan cerai itu kepada saya tetapi memberitahu kepada seorang kenalan bahawa kami sudah bercerai dan apabila dirujuk kepada bapa saudaranya yang juga seorang imam, beliau memberitahu lafaz yang dibuat itu sah dan kami perlu rujuk semula," jelasnya. Terdahulu ketika di mahkamah kedua-dua pasangan berkenaan hadir secara berasingan. Muhammad Noor Farhan dilihat tergesa-gesa meninggalkan mahkamah dengan menaiki sebuah kereta BMW yang menunggunya di perkarangan mahkamah bagi mengelak didekati pihak media. Kedua-dua pasangan berkenaan tinggal berasingan sejak 9 Mei lalu. Abby dan Muhammad Noor Farhan bernikah pada 9 Julai 2013 iaitu sehari sebelum menjelangnya Ramadan. Mereka bernikah di Selatan Thailand. Pada 17 Mei lalu Abby menulis status di laman Instagram miliknya meminta agar para peminat mendoakan keadaan rumah tangganya itu. Sebelum berkahwin dengan pemuda dari Kelantan itu, Abby pernah bernikah dengan pelakon Norman Hakim dan mereka dikurniakan tiga orang anak. Sumber: mStar
TOP
Tangan putus ditetak lelaki bermotorsikal
Mangsa yang putus tangan kanan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
BACHOK - Seorang lelaki kehilangan tangan kanan akibat ditetak sekumpulan lelaki yang dikenalinya dipercayai akibat dendam lama. Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Abdul Hamid Che Ahmad berkata, mangsa yang beralamat di Besut, Terengganu dikatakan menunggang motosikal dari rumah arwah bapa saudaranya menuju ke rumah ibu mentuanya. “Pada jam 8.45 malam 28 Mei lalu, mangsa yang berusia 43 tahun itu dibawa orang ramai yang melalui lokasi kejadian ke rumah ibu saudaranya dalam keadaan berlumuran darah dan tanpa tangan kanan. “Mangsa memaklumkan ketika tiba di kawasan perumahan baharu di Bukit Temalong, dia didatangi sekumpulan lelaki bermotosikal dari arah belakang yang terus menetaknya menggunakan senjata tajam. Mangsa bagaimanapun sempat melarikan diri selepas ditetak. “Mangsa tidak pasti senjata yang digunakan oleh suspek. Mangsa telah dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM)untuk rawatan. Usaha mencari tangan mangsa yang putus turut berjaya dan dihantar ke HUSM, tetapi tidak diketahui sama ada boleh disambung atau tidak,” katanya. Abdul Hamid berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan. Sumber: Daily Traffic Report / Sinar Online
TOP
Hudud: Jenayah Syariah perlu diiktiraf Persekutuan
BANGI - Hukum hudud yang terkandung dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 Kelantan hanya boleh dilaksanakan di negara ini sekiranya jenayah Syariah itu diiktiraf menjadi undang-undang Persekutuan. Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad berkata, Dewan Undangan Negeri (Dun) tidak mempunyai bidang kuasa membuat undang-undang jenayah Syariah dan hanya Parlimen boleh berbuat demikian. "Dalam Enakmen Kelantan itu, kesalahan jenayah seperti membunuh, merompak dan mencuri itu terletak dalam bidang kuasa Persekutuan. "Mereka sedar ada beberapa perkara termasuk dalam bidang kuasa Persekutuan yang tidak boleh dibuat undang-Undang oleh Dun Kelantan, kalau mereka buat juga akan bercanggah (Perlembagaan)," katanya pada Muzakarah Jenayah Syariah Kebangsaan bertajuk: Hudud di Malaysia, Peluang, Cabaran dan Halangan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, semalam. Beliau berkata demikian mengulas lanjut hasrat Pas Kelantan membawa undang-undang persendirian mengenai hudud ke Parlimen. Mengulas lanjut, Abdul Hamid menambah, jika Pas ingin melaksanakan hudud di Kelantan, undang-undang jenayah Syariah itu hanya terpakai kepada orang Islam sahaja dan bukan Islam tidak boleh disabitkan melainkan ia menjadi undang-undang Persekutuan. "Kalau buat, bagi kesalahan hudud dibuat oleh negeri, ia hanya terpakai kepada orang Islam dan dilaksanakan oleh mahkamah Syariah. "Tetapi bagi kesalahan hudud yang dibuat Persekutuan, dia akan terpakai kepada orang Islam dan bukan Islam dan dilaksanakan oleh mahkamah sivil," katanya. Dalam pada itu, katanya pada masa ini Perlembagaan Persekutuan hanya memperuntukkan bidang kuasa yang terhad kepada Mahkamah Syariah dalam menjatuhkan hukuman hanya kepada kesalahan terhadap suruhan agama. Kesalahan terhadap suruhan agama itu jelasnya hanya melibatkan orang Islam seperti berzina, minum arak, tidak berpuasa di bulan Ramadan dan tidak menunaikan solat Jumaat. "Pada masa ini masih ada satu halangan kecil, iaitu undang-undang Persekutuan yang hanya menghadkan hukuman yang boleh dijatuhkan oleh mahkamah Syariah, dia tidak boleh jatuhkan hukuman selain itu seperti sebat kerana zina, itu tidak boleh," katanya lagi. Sumber: Sinar Online
TOP
VIDEO: Kanak-Kanak Perempuan Ditemui Mati Dipenggal!
Kuala Lumpur – Menyedihkan apabila seorang kanak-kanak perempuan ditemui mati dalam keadaan kepalanya bercerai dari badan di tepi Sungai Klang berhampiran Stesen Komuter Kuala Lumpur, Jalan Hishamuddin di sini, malam tadi. Kanak-kanak malang berusia antara dua hingga tiga tahun berkenaan ditemui orang awam kira-kira jam 9 malam dipercayai dikelar seorang lelaki warga asing yang sempat melarikan diri. Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, mangsa dikatakan dibawa lari oleh suspek berkenaan dari sebuah pusat beli belah di Pudu Sentral ketika ditinggalkan bersama rakan ibunya. “Polis sedang giat mengesan suspek yang melarikan diri sebaik menyedari tindakannya mengelar leher mangsa dilihat orang awam dan usaha mengesan lelaki warga asing berusia 30-an itu sedang giat dijalankan. “Ibu bapa mangsa sudah dimaklumkan dan mereka sudah membuat pengecaman, namun belum disoal siasat berikutan keadaan ibunya yang hampir pengsan sebaik melihat keadaan anaknya,” katanya. Menurut Zainuddin, pemeriksaan di tempat kejadian menemui serpihan marble berhampiran mayat dipercayai digunakan untuk mengelar mangsa. Motif sebenar kejadian itu masih disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sumber: HM Online
TOP
Ana Dahlia Terperangkap, Gagal Sorok Status Sudah Bertunang
Ana menafikan dia bakal berkahwin dalam masa terdekat dengan kekasihnya, Ubaidullah.
KUALA LUMPUR: Hasrat pelakon Ana Dahlia untuk menyembunyikan status hubungannya dengan seorang pemuda tidak berjaya, apabila dia 'terperangkap' dengan jerat sendiri selepas pengacara malam Hari Ibu anjuran Rafflesia, di Hotel Royal di sini pada malam Rabu lalu mengumumkan, pasangan tersebut bakal berkahwin tidak lama lagi. Malah pengacara tersebut turut memperkenalkan pemuda yang dikenali sebagai Ubaidullah itu sebagai tunang kepada Ana Dahlia atau nama sebenarnya Diyana Mastura Jaafar, 31. Peristiwa itu meleraikan segala tanda tanya dan penafian Ana selama ini yang mendakwa hubungannya dengan pemuda berkenaan sekadar kawan biasa walaupun gambar-gambar kemesraan percutian mereka bersama teman ke Thailand beberapa bulan lalu hangat diperkatakan.
Ana mengakui selesa berkawan dengan Ubaidullah kerana jejaka itu sangat mengambil berat tentang dirinya.
Bagaimanapun, Ana ketika ditemui pemberita sebelum acara Hari Ibu itu bermula menafikan khabar angin tersebut dan berjanji akan memaklumkan kepada pihak media sekiranya dia benar-benar bakal berkahwin. "Saya tidak menafikan perancangan untuk berkahwin itu memang ada tetapi gosip sebelum ini mengatakan saya bakal bertunang dan berkahwin pada bulan Mei sama sekali tidak benar. Malah saya sendiri tidak tahu bagaimana cerita itu timbul. "Buat masa ini tiada pengumuman yang ingin saya buat berhubung perkara itu namun sekiranya ada, saya akan beritahu kepada semua pihak. Kita hanya merancang tetapi jodoh itu ketentuan Tuhan," katanya kepada mStar Online sebelum pengacara mengumumkan statusnya itu. Bukan sahaja pengumuman berkenaan malah status Ana Dahlia yang merupakan tunangan orang turut dicatatkan dalam kenyataan media yang diedarkan kepada wartawan.
Ana mengakui keluarga kekasihnya itu ada datang berjumpa dengan keluarganya untuk merisik. Walaupun menafikan sudah bertunang atau bakal berkahwin, Ana Dahlia hanya mengaku keluarga Ubaidullah sudah datang berjumpa keluarganya di Taiping, Perak baru-baru ini untuk merisik tanpa menetapkan sebarang tarikh pertunangan atau perkahwinan. Dalam perkembangan berkaitan Ana memberitahu dia telah lama mengenali Ubaidullah yang tinggal sekampung dengannya namun hubungan mereka rapat sejak setahun yang lalu. Jelas Ana, dia selesa bersama pemuda itu dan menyifatkan Ubaidullah seorang yang mengambil berat dan berfikiran matang selain mampu membimbingnya daripada sudut agama Islam. Sumber: mStar
TOP
AmBank Menang Anugerah Asian Banker
KUALA LUMPUR – Kumpulan AmBank dan rakan kongsi teknologinya TCS, memenangi Anugerah Pelaksanaan Perbankan Teras Negara Tunggal TERBAIK di Program Anugerah Pelaksanaan Teknologi Asian Banker Ke-8. Penyampaian anugerah itu diadakan bersempena dengan Asian Banker Summit 2014, mesyuarat tahunan utama bagi pembuat keputusan dalam industri perkhidmatan kewangan di rantau Asia Pasifik, kata bank itu dalam satu kenyataan. Program itu dikendalikan oleh The Asian Banker dan dirujuk oleh bank-bank terkemuka global, perunding IT dan ahli akademik. Proses penilaian ketat selama tiga bulan menentukan pemenang dari seluruh Asia Pasifik, Timur Tengah dan Afrika. Menurut Ambank, anugerah ini adalah susulan kejayaan pelaksanaan sistem perbankan teras baharu AmBank (AmBanCS) pada November tahun lalu. Pelaksanaan AmBanCS dilaksanakan menerusi program AmHorizon yang bermula pada 2011. AmBank berkata pelaksanaan sistem perbankan teras baharu itu merupakan kejayaan penting dalam usaha transformasi kumpulan sejajar dengan wawasannya “sebagai kumpulan penyelesaian kewangan pelbagai pilihan Malaysia yang mempunyai jaringan hubungan antarabangsa, kami berasa bangga dapat membangunkan masa depan anda bersama kami. Sumber: Bernama
TOP
416 Balak Haram Dirampas Di Simunjan
SIMUNJAN – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak merampas 416 batang kayu balak haram di kawasan pembalakan Kg Telagus, Jalan Serian-Sri Aman dekat sini pagi tadi Ketua Pegawai Risik PGA Briged Sarawak, Inspektor Pabilah Abdullah berkata dalam serbuan kira-kira 10.45 pagi itu, turut ditahan seorang pengurus kawasan dan empat orang pekerja. “Penahanan dan rampasan dibuat di bawah Ordinan Perhutanan Sarawak iaitu membalak secara haram. Turut dirampas dua buah mesin jengkaut. Nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM320,000,” katanya kepada Bernama. Pabilah berkata satu laporan polis juga dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Simunjan. Sumber: Bernama
TOP
Hayden Panettiere Hamil Anak Tunang
Pelakon drama bersiri Heroes, Hayden Panettiere dilaporkan sedang hamil cahaya mata sulung hasil hubungannya dengan tunang, Wladimir Klitschko, 38. Perkara tersebut didedahkan oleh sumber terdekat aktres itu kepada portal hiburan US Weekly. Hayden dan tunang, Wladimir, seorang ahli tinju bertunang Mei tahun lalu selepas pernah terputus hubungan pada 2011. Walaupun masih muda, Hayden pernah menyuarakan hasratnya untuk bergelar ibu secepat mungkin kerana begitu menyukai kanak-kanak selain tak sabar menempuh kehidupan sebagai seorang ibu.
Sumber: Audrey Lee / Mynewshub
TOP
Sweden Mula Eksperimen Kerja 6 Jam Sehari
Sweden dilaporkan bakal memulakan waktu pekerjaan enam jam sehari bermula 1 Julai depan. Ini kerana berbanding waktu kerja minimum lapan jam sekarang ianya dilihat kurang memaksimakan produktiviti pekerja selain menyebabkan pekerja kekurangan masa untuk berhibur di luar waktu kerja. Jadi, sebagai permulaan, kerajaan mereka telah membahagikan kepada dua kumpulan di mana satu kumpulan bekerja enam jam sehari, manakalah yang lagi satu selama lapan jam sehari. Selepas setahun, mereka akan menganalisis keputusan daripada eksperimen tersebut. Jikalau waktu kerja enam jam sehari memberikan kebaikan daripada segi kurangnya bilangan cuti sakit serta produktiviti pekerja meningkat, mereka akan menimbangkan untuk mengaplikasikan perkara tersebut kepada semua pekerjaan dalam sektor awam kelak. Sumber: Audrey Lee / Mynewshub
TOP
Stigma Muslim T’hadap Anjing, Budaya Atau Ajaran Islam?
Pada 15 Mei lepas, satu laporan berita beserta gambar telah membangkitkan sensitiviti pencinta haiwan bertebaran luas di laman sosial mengenai seekor anjing bernama Brianna mati dipanah dua kali di Taman Sinaran, Balakong. Penyebaran imej lelaki yang dilihat berbaju melayu, berkain pelikat dan berkopiah telah tergamak melakukan kekejaman sedemikian rupa ke atas haiwan. Apa yang penulis ingin sentuh di sini adalah kewajaran lelaki berkopiah dan apa yang berada di dalam benak fikirannya semasa memanah anjing tersebut, tidak adakah nilai kasih sayang terhadap haiwan meskipun ia seekor anjing? Mungkin apa yang dapat penulis fahami berkenaan dengan orang seperti ini adalah berkaitan dengan ideologinya. Sebut mengenai ideologinya – “anjing dan babi adalah musuh Allah – sebab itu mendapat pahala untuk dibunuh”. Penulis mencari-cari dalam tafsiran Al-Quran tentang bagaimana dia boleh kata demikian, surah apa, ayat keberapa, daripada siapa dia mendengar tentang ini. Di dalam Islam, terdapat tiga kategori najis dan ada tiga kaedah untuk mencucinya, iaitu mukhafafah (najis ringan), mutawassitah (najis sederhana) dan mughallazah (najis berat). Anjing dan babi – najisnya dikategorikan sebagai najis mughallazah. Jadi, disebabkan itu, ramai di kalangan umat Islam meletakkan anjing bukan sebagai pilihan utama dalam memelihara haiwan peliharaan, dan ada yang lebih ekstrem, meletakkan anjing sebagai musuh. Penulis sering mendengar kata-kata daripada golongan ini bahawa kenyataan “dog is man’s best friend” adalah bersifat dakyah Yahudi dan mahu menyesatkan Islam. Tapi hanya selepas penulis berkawan dengan pelbagai lapisan masyarakat, terutamanya yang memelihara anjing sebagai haiwan peliharaan. Mereka melihat anjing ini bukan sekadar haiwan peliharaan, tetapi seperti ahli keluarga sendiri. Malah, Islam juga tidak sama sekali meminta orang Muslim memusuhi anjing, apatah lagi lari lintang-pukang seperti yang selalu penulis perhatikan dari zaman kanak-kanak. Lebih teruk lagi apabila “ketakutan yang tidak berasas” dan kejahilan itu membawa pula kepada perbuatan menzalimi serta menafikan hak anjing yang juga merupakan ciptaan Allah. Mengikut kajian saintifik, anjing merupakan ‘sahabat baik’ kepada manusia kira-kira 10,000-30,000 tahun yang lalu. Ia bermula dari spesis serigala yang memburu, tetapi ia mendapati persaingan dalam pemburuan sumber makanan karnivor semakin sengit dengan spesis lain seperti harimau, singa, dubuk, dan spesis terbaru yang menemui kaedah memburu – manusia. Oleh kerana persaingan ini menyebabkan mereka sukar mendapatkan makanan, mereka cuba merapatkan hubungan dengan manusia. Manusia mengetahui bahawa deria bau mereka tidak setajam anjing, jadi mereka membuat pertukaran. Anjing akan membantu manusia dalam pemburuan, serta menjaga keselamatan mereka ketika sedang tidur, dan sebagai ganti, anjing akan berkongsi habuan berburu bersama-sama. Sejak itu, hubungan manusia dan anjing menjadi akrab dan sebab itu hubungan itu dianggap istimewa bagi mereka yang memahaminya. Ramai di kalangan orang Melayu hari ini tidak memahami betapa besarnya jasa anjing kepada ketamadunan manusia. Bahkan penemuan negeri Melaka juga berhubung kait dengan kisah seekor anjing dan pelanduk. Kisah Ashabul Kahfi dimana anjing melindungi orang-orang yang diburu dikisahkan dalam al-Quran. Kisah seorang pelacur yang menurut firman Allah akan masuk syurga kerana memberi anjing minum air pada kasutnya. Ya, bagi ajaran Islam, najis anjing ialah najis mughallazah, tetapi tidak ada di dalam al-Quran mengatakan anjing itu musuh kepada manusia. Melalui apa yand dinyatakan oleh Ustaz Azhar Idrus di youtube, menyatakan bahawa anjing adalah haiwan yang mempunyai hukum dan tafsirannya di dalam Islam. Ia adalah binatang yang tidak diharamkan untuk dibela dan tidaklah wajib dibela. Namun begitu sekiranya seseorang Islam itu membela anjing, dia perlu mengikut cara-cara yang telah ditetapkan oleh Islam. Jadi, bukankah kita selaku khalifah yang mampu melindungi semua spesis lain di dalam dunia ini melindungi anjing yang telah membantu kita dan menjadi sahabat kita puluhan ribu tahun lalu? Adakah terlalu susah hendak membasuh “najis” dengan air tanah dan bilas tujuh kali air sehinggakan sampai hendak membunuh anjing? Jangan “racist” walaupun kepada haiwan. Sumber: hzqahmd
TOP
Pecah Rumah: Lima Lelaki Ditahan
KOTA KINABALU – Polis menahan lima lelaki dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah dan samun dalam dua kejadian berasingan di sekitar bandar raya ini. Ketua Polis Kota Kinabalu Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata, kesemua yang ditahan berumur lingkungan 20 hingga 29 tahun. Beliau berkata, dalam kejadian pertama, polis menahan seorang lelaki berumur lingkungan 20-an di Penampang pada pukul 12.10 pagi tadi kerana disyaki terlibat dalam kes pecah masuk rumah di sekitar Kota Kinabalu termasuk di Tanjung Aru dan Open University, Kepayan. “Susulan penangkapan lelaki itu, polis mengesan tiga lelaki yang terlibat melakukan jenayah yang sama ditangkap di sekitar Jalan Sembulan Lama dan Kuarters Perumahan Keretapi Sabah antara pukul 1.30 pagi hingga 3 pagi tadi,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. Beliau berkata, keempat-empat suspek turut mengaku terlibat dalam kes rompakan di Tanjung Aru pada 20 April lepas. Jauteh berkata, antara barangan yang dirampas termasuk motosikal, telefon bimbit milik mangsa ragut berserta barangan curi lain selain peralatan mencuri seperti pisau. Dalam kejadian berasingan, katanya polis menahan seorang lelaki sedang memecah masuk sebuah rumah serta merampas pelbagai peralatan yang digunakan untuk memasuki rumah di University Apartment Alam Mesra pada pukul 2 petang semalam. “Lelaki berusia 29 tahun itu didapati positif dadah dan siasatan mendapati pekerja siber itu terlibat dalam kes pecah rumah dan curi kenderaan di sekitar Inanam dan Menggatal berdasarkan barangan peralatan pecah rumah dan kunci kereta serta sebuah motosikal curi,” katanya. Sumber: Bernama
TOP
AMUK LAHAD DATU: 13 Komando Ditahan, 13 Laras Senjata Dirampas
KOTA KINABALU: Polis menahan 13 anggota tentera bagi membantu siasatan berhubung kes kematian seorang anggota tentera dan dua orang awam cedera di Pekan Lahad Datu, Rabu. Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata kesemua mereka ditahan sejak semalam di sekitar Pekan Lahad Datu dan 13 laras senjata api turut dirampas. "Mereka direman sehingga 4 Jun bagi membantu siasatan," katanya kepada pemberita di sini hari ini dan menambah sehubungan itu kes berkenaan dianggap selesai. Dalam kejadian kira-kira 4.45 pagi itu, seorang anggota tentera dipercayai melepaskan beberapa das tembakan untuk meleraikan kekecohan yang berlaku di hadapan sebuah kedai, yang tembaka itu mengakibatkan Lans Koperal Muhamad Fiffixezapey Mat Hussin, 28, cedera di dada dan meninggal di Hospital Lahad Datu. Dua orang awam turut cedera yang merupakan warga Indonesia berumur 31 dan 38 tahun yang bekerja sebagai penjaga kelab malam. Sementara itu di Tawau, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata kementerian berkenaan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan sebelum pihaknya mengambil sebarang tindakan. Beliau berkata pihaknya memandang serius kejadian tersebut kerana ia melibatkan anggota pasukan keselamatan. "Sekarang kes ini (adalah) kes polis dan polis akan buat siasatan dan kita pun tak pasti apa yang berlaku sehingga polis selesai melakukan siasatan. "Jadi kena tunggu hingga polis membuat pengesahan berkaitan kejadian tersebut," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat mengenai perjalanan pengurusan kem Pusat Latihan Khidmat Negara, Kem San Shui di sini, Khamis. Menurutnya, jika terdapat bukti mencukupi, anggota tentera yang didakwa melepaskan tembakan itu akan didakwa di Mahkamah Awam kerana kes berlaku di kawasan awam serta melibatkan orang awam dan kes bukan berlaku di kawasan kem tentera. Abdul Rahim juga berkata Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam penggunaan senjata api bagi anggota tentera akan ditambah baik jika terdapat kelemahan, tetapi ia bergantung kepada hasil siasatan kes berkenaan. "Penggunaan senjata api di kalangan anggota tentera atau polis mempunyai SOP tertentu dan anggota yang tidak bertugas tidak harus menggunakan senjata api sewenang-wenangnya apatah lagi untuk kegunaan peribadi. "Tapi kita akan tunggu siasatan, sama ada dia (suspek) ikut SOP atau tidak. Kalau dia ikut OK, tetapi kalau dia tidak ikut, kita akan tengok apa (bentuk) tindakannya. Kita akan lihat semula selepas pihak polis siasat," katanya. Sumber: mStar
TOP
VIDEO: Bas Ekspres Bergesel Dengan Lori Di Bentong
NIAT asal penumpang dalam kereta ini sebenarnya hanya mahu merakam video bas ekspres Darul Naim yang dipandu laju. Bagaimanapun, dia tidak menyangka akan berlakunya kemalangan apabila sebuah lori tiba-tiba masuk ke laluan bas tersebut sekaligus menyebabkan kedua-dua kenderaan itu bergesel. Rakaman yang berdurasi enam saat ini diakhiri dengan bas tersebut berhenti di sisi jalan. Mujurlah masing-masing tidak bertembung secara berhadapan. Jika tidak, mungkin ada nyawa yang akan melayang kerana kedua-duanya dipandu dengan laju. Biarpun boleh disifatkan sebagai kemalangan ringan, ia sedikit-sebanyak memberi peringatan betapa kelajuan boleh mendatangkan bahaya terutama di kalangan kenderaan berat. Kejadian ini berlaku di KM16 Jalan Bentong – Raub berhampiran Lurah Bilut, Bentong, Pahang, semalam.
Sumber: Oh Media / Elza / Mynewshub
TOP
Kerajaan Akan Guna Pelantar Minyak Terbiar Sebagai FOB
LAHAD DATU – Kerajaan akan menggunakan pelantar minyak milik Petronas yang terbiar sebagai Pangkalan Operasi Hadapan (FOB) di Zon Selamat Pantai Timur Sabah (ESSZone). Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata pihaknya bersama Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCom) sedang mengenal pasti pelantar minyak terbabit, khususnya yang berhampiran sempadan negara. “Berapa jumlahnya (pelantar minyak terbiar untuk dijadikan FOB), kita akan maklumkan kemudian. “Sebelum pelantar minyak (yang sudah dikenal pasti) dijadikan FOB, kita akan letak bot atau kapal pasukan keselamatan untuk sementara waktu,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan 30 bot Rigid Hull Fender (RHFB) kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman yang juga Pengerusi ESSCom, di Markas Operasi Pangkalan Polis Marin Lahad Datu di sini Khamis. Menurut Shahidan pewujudan FOB merupakan antara langkah mengekang sebarang cubaan pencerobohan. Kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap segala bentuk pencerobohan dan komited untuk tidak beri peluang dan ruang kepada sebarang kegiatan yang mengganggu gugat kedaulatan negara, katanya. Terdahulu, Shahidan meminta anggota keselamatan supaya mempamerkan keberanian dan semangat juang yang tinggi dalam mengawal keselamatan negara. “Kecanggihan bot-bot ini tidak akan membawa sebarang makna jika ia tidak dikendalikan secara cekap dan berkesan serta anggota yang tidak memiliki sifat keberanian yang tinggi,” katanya. Sementara itu, Musa berkata penubuhan ESSCom dan pewartaan ESSZone tidak akan membawa impak positif jika tiada tindakan bersepadu dilaksana bagi memastikan kawasan daratan dan perairan pantai timur Sabah bebas daripada semua bentuk ancaman dan pencerobohan. “Setiap lapisan rakyat juga mestilah membantu agensi-agensi keselamatan bukan sahaja dari segi sokongan moral dan semangat, tetapi juga dalam bentuk penyaluran maklumat bagi memastikan sebarang ancaman keselamatan dan kedaulatan dapat ditangani dengan pantas dan berkesan,” katanya. Sementara itu, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab berkata sebanyak RM50.76 juta dibelanjakan untuk memperoleh 30 RHFB tersebut yang dibekalkan oleh empat syarikat tempatan. Katanya syarikat tersebut ialah MSET Inflatable Composit Sdn Bhd yang dianugerah kontrak bernilai RM17.64 juta untuk membekalkan sembilan RHFB kepada Angkatan Tentera Malaysia; Kay Marine Sdn Bhd (sembilan RHFB bernilai RM17.58 juta untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia); Dalac Marine Engineering and Services Sdn Bhd (enam RHFB bernilai RM7.79 juta untuk Polis Marin; dan Destination Marine Services Sdn Bhd (enam RHFB bernilai RM7.75 juta untuk Polis Marin). Menurutnya, bot berkuasa tinggi tersebut kalis peluru dan memiliki spesifikasi canggih serta berupaya mencapai kelajuan tinggi sehingga 50 knots (92.6 km sejam). “Selain itu, kesemua bot dilengkapi sistem kesedaran situasi iaitu gabungan sistem Pandangan Hadapan Infra Merah (FLIR) berkeupayaan tinggi dan radar yang membolehkan pengesanan dan pemintasan dilakukan terhadap sebarang bentuk pencerobohan di perairan,” katanya. Thajudeen juga berkata kru telah menjalani latihan untuk mengendali bot tersebut pada awal bulan lepas dan kini bersedia untuk diatur gerak pada bila-bila masa. Sumber: Bernama
TOP
Adakah Anda Seorang Yang Stres?
Tekanan memang seringkali dialami oleh manusia tidak kira tua mahupun muda. Tekanan mesti dikawal dengan bijak supaya tidak terjadi sebarang tindakan di luar kewarasan akal fikiran. Adakah anda salah seorang yang sedang mengalami tekanan?
Jangan bimbang kali ini kami ingin kongsikan artikel tentang cara mengurangkan tekanan yang boleh anda cuba:
1. Mencari dan Menikmati Ketenangan
Luangkan masa untuk berjalan-jalan di kawasan persekitaran tenang seperti di tepi pantai, sungai atau taman rekreasi. Carilah ketenangan dengan menikmati segala keindahan yang telah dianugerahkan oleh Ilahi dan lupakan seketika segala masalah yang dihadapi. InsyaAllah hati akan lebih tenang.
2. Perbanyakan membaca Al-Quran
Al-Quran patut dijadikan teman akrab sepanjang waktu. Dengan membaca Al-Quran hati menjadi lebih tenang dan berfikir lebih rasional. Malah, ganjaran yang besar akan diberikan Allah S.W.T bagi sesiapa yang membaca Al-Quran walaupun satu ayat.
3. Lakukan senaman pernafasan mendalam
Pernafasan membawa banyak manfaat, termasuk mengoksigenkan darah yang membangunkan otak, melegakan otot dan menteramkan minda kita. Tarik nafas perlahan-lahan dengan mendalam dan kemudian hembuskan dengan sepenuh hati seperti melepaskan segala bebanan yang terletak di bahu.
4. Lakukan aktiviti luar seperti bersukan, jogging, beriadah
Badan yang cergas akan membentuk otak yang cerdas. Jadi segala tekanan akan dapat dilupakan apabila melakukan aktiviti luar yang dapat menyihatkan badan seperti bersukan dan jogging. Situasi akan menjadi lebih gembira jika kita meluangkan masa membawa keluarga pergi beriadah. Tambahan, ia dapat mengeratkan ikatan kekeluargaan.
5. Mendengar lagu atau muzik yang mendamaikan
Mendengar lagu atau muzik yang mendamaikan banyak mendatangkan faedah kesihatan bagi mereka yang mengalami tekanan perasaan. Muzik yang sesuai boleh mengurangkan tekanan darah tinggi, melegakan badan dan mententeramkan minda anda. Tapi anda perlulah memilih muzik yang lembut dan sesuai.
6. Terima keadaan seadanya atau redha dengan ketentuan Ilahi
Jangan mengharapkan sesuatu keadaan berubah mengikut kehendak kita kerana tidak semua yang kita ingini akan menjadi kenyataan. Dalam keadaan ini, ada baiknya jangan terlalu mengharap sesuatu yang terlampau hebat supaya anda tidak merasa terlalu kecewa lantas tertekan jika tidak memperolehinya. Terima keadaan seadanya dan berbahagia serta menghargai apa yang ada tanpa membandingkan dengan apa yang orang lain dapat. Oleh: hzqahmd
TOP
Najib Beritahu Beijing Usaha Mencari MH370 Akan Diteruskan
BEIJING – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini memberi jaminan kepada kerajaan China dan waris penumpang MH370 dari negara itu bahawa Malaysia akan terus berusaha mencari pesawat yang hilang sejak 8 Mac lalu. Najib yang dalam rangka lawatan rasmi selama enam hari ke China, berkata usaha itu akan dilakukan Malaysia bersama China, Australia dan negara lain. Beliau berkata demikian selepas pertemuan dengan rakan sejawatannya dari China, Li Keqiang, sebentar tadi. Terdahulu, Najib diberi sambutan rasmi di Great Hall of People setibanya di Beijing petang tadi. Sementara itu, Li Keqiang berharap Malaysia akan terus mengetuai siasatan kehilangan MH370 bagi melegakan ahli keluarga dan waris mangsa dari China. Sumber: BH Online
TOP
MH370 Tiada Di Sini, Pencarian Hanya Sia-Sia, Kata JACC
Pencarian pesawat MH370 di kawasan selatan Lautan Hindi di mana isyarat akustik dikesan pada awal April diisytiharkan sebagai sia-sia, kata Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini. JACC memaklumkan kenderaan bawah laut automatik Bluefin-21 menyelesaikan misi terakhirnya semalam, dan setelah memeriksa seluruh kawasan seluas 850 kilometer persegi dasar laut mendapati tidak ada tanda pesawat hilang berkenaan di kawasan itu. “Hasilnya, Biro Keselamatan Pengangkutan Awam Australia (ATSB ) dimaklumkan carian di sekitar kawasan pengesanan akustik kini boleh dianggap lengkap dan berdasarkan pertimbangan profesional, kawasan ini kini boleh dikeluarkan daripada tempat berakhirnya pesawat MH370. “Data yang dikumpul daripada misi semalam sudah dianalisis. Hasilnya, JACC berpendapat tiada tanda-tanda serpihan pesawat dijumpai oleh kenderaan automatik bawah air sejak ia menyertai usaha pencarian,” katanya. HMAS Ocean Shield , kapal utama yang digunakan dalam operasi mencari sejak data satelit menunjukkan penerbangan MH370 “berakhir di selatan Lautan Hindi”, juga sudah keluar dari kawasan carian malam tadi dan dijangka tiba di Pangkalan Armada Barat berhampiran Perth, Sabtu ini.
Kenyataan JACC mengulangi pencarian Boeing 777-200 yang hilang akan diteruskan dan melibatkan tiga peringkat utama:
1.Mengkaji semua maklumat dan analisis yang sedia ada untuk menentukan zon carian sehingga 60,000 kilometer persegi di sepanjang dataran di selatan Lautan Hindi.
2. Menjalankan kajian batimetri untuk memetakan dasar laut secara terperinci di kawasan pencarian.
3.Mendapatkan perkhidmatan pakar untuk pencarian komprehensif dasar laut di kawasan itu.
“Kumpulan pakar satelit terus mengkaji dan menghalusi analisis data satelit yang kompleks dan data prestasi pesawat untuk menentukan di mana pesawat ini paling mungkin memasuki air. Penemuan kajian semula itu akan didedahkan kepada umum dalam masa terdekat.”
Kapal China Zhu Kezhen masih membuat pemetaan dasar laut dan operasi ini disokong oleh satu lagi kapal China Haixun 01 dan kapal Malaysia Bunga Mas 6. “Data kajian kemudiannya akan dihantar ke Fremantle, di Australia Barat, untuk diproses selanjutnya oleh Geosains Australia. Sebuah lagi kapal kontrak akan menyertai Zhu Kezhen bulan depan. “Pemetaan dasar laut, yang dipanggil kajian batimetri, dijangka mengambil masa kira-kira tiga bulan. Mengetahui rupa bumi dasar laut adalah penting untuk membolehkan carian dalam air seterusnya,” kata JACC. Pencarian dalam air kemudian akan disambung semula untuk mencari pesawat dan sebarang bukti (seperti serpihan pesawat dan perakam penerbangan) untuk membantu siasatan Malaysia susulan kehilangan penerbangan MH370. Komponen pencarian itu dijangka bermula pada Ogos dan mengambil masa sehingga 12 bulan. JACC berkata, ATSB akan mengeluarkan tender rasmi untuk membuat pencarian bawah air dan kontraktor utama tunggal akan dipilih untuk membawa bersama-sama dan menguruskan kepakaran, peralatan dan kapal untuk menjalankan kerja mencari. Sumber: The Malaysian Insider
TOP
Raja Nazrin Ditabalkan Sultan Perak Yang Ke-35
PETALING JAYA: Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, 58, putera sulung Almarhum Sultan Azlan Shah yang dilantik sebagai Sultan Perak yang baharu, adalah seorang yang bijaksana dan berjiwa rakyat. Berkelulusan doktor falsafah dalam bidang Ekonomi, Politik dan Kerajaan daripada Harvard University, baginda diisytiharkan sebagai Sultan Perak yang baharu pada istiadat pelantikan dan perisytiharan yang diadakan di Balairong Seri Istana Iskandariah sebelum istiadat pemakaman ayahanda baginda. Keputusan melantik baginda sebagai Sultan Perak yang baharu dibuat dalam mesyuarat khas Dewan Negara Perak petang semalam yang dipengerusikan oleh Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jen (B) Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin berikutan kemangkatan Sultan Azlan Shah pada Rabu. Sultan Nazrin Shah, yang berkahwin dengan Tuanku Zara dan mempunyai seorang putera Raja Azlan Muzaffar Shah, empat tahun, dan seorang puteri Raja Nazira Safya, dua tahun, dilantik sebagai Raja Kecil Besar Perak berikutan pelantikan ayahanda baginda sebagai Sultan Perak ke-34 pada 16 Feb 1984. Mengikut hirarki sistem penggiliran Kesultanan Perak, kedudukan Raja Kecil Besar adalah di tempat ketiga selepas Raja Di-Hilir dan Raja Muda sebelum dilantik sebagai Sultan. Sultan Nazrin Shah adalah pemegang ijazah sarjana muda Filosofi, Politik dan Ekonomi dari Kolej Worcester, Oxford. Baginda juga memilik ijazah sarjana dalam bidang Pentadbiran Awam dari Kennedy School of Government, University Harvard dan selepas itu memperolehi ijazah kedoktoran falsafah dalam Ekonomi Politik dan Kerajaan dari universiti yang sama. Sumber: mStar
Labels:
Berita Terkini
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Aku Widya Okta, saya ingin bersaksi pekerjaan yang baik dari Allah dalam hidup saya kepada orang-orang saya yang mencari untuk pinjaman di Asia dan bagian lain dari kata, karena ekonomi yang buruk di beberapa negara. Apakah mereka orang yang mencari pinjaman di antara kamu? Maka Anda harus sangat berhati-hati karena banyak perusahaan pinjaman penipuan di sini di internet, tetapi mereka masih asli sekali di perusahaan pinjaman palsu. Saya telah menjadi korban dari suatu 6-kredit pemberi pinjaman penipuan, saya kehilangan begitu banyak uang karena saya mencari pinjaman dari perusahaan mereka. Aku hampir mati dalam proses karena saya ditangkap oleh orang-orang dari utang saya sendiri, sebelum aku rilis dari penjara dan teman yang saya saya menjelaskan situasi saya kemudian memperkenalkan saya ke perusahaan pinjaman dapat diandalkan yang SANDRAOVIALOANFIRM. Saya mendapat pinjaman saya Rp900,000,000 dari SANDRAOVIALOANFIRM sangat mudah dalam 24 jam yang saya diterapkan, Jadi saya memutuskan untuk berbagi pekerjaan yang baik dari Allah melalui SANDRAOVIALOANFIRM dalam kehidupan keluarga saya. Saya meminta nasihat Anda jika Anda membutuhkan pinjaman Anda lebih baik kontak SANDRAOVIALOANFIRM. menghubungi mereka melalui email:. (Sandraovialoanfirm@gmail.com)
ReplyDeleteAnda juga dapat menghubungi saya melalui email saya di (widyaokta750@gmail.com) jika Anda merasa sulit atau ingin prosedur untuk memperoleh pinjaman.