KEJAM! Mayat Bayi Cukup Sifat Dalam Pam Tandas
Laman Facebook Daily Traffic Report dalam kemaskini hari ini memaparkan penemuan mayat seorang bayi di dalam pam tandas di Klinik Kesihatan Butterworth.
Betapa kejamnya individu yang tergamak melakukan perkara begini.
Jika dikira dan dihitung hukuman setimpal yang ada di dunia ini pasti tidak ada hukuman lain yang terlintas di minda kita selain hukuman mati sama seperti apa yang dilakukan kepada bayi tidak berdosa itu.
Bagaimanapun, itu adalah pemikiran marah kita sebagai manusia, namun perbuatan kejam begini hendak diselesaikan dengan peruntukan undang-undang yang ada di negara kita.
Harapnya pihak berkuasa akan menyiasat dan mendakwa individu bertanggungjawab ke muka pengadilan dan mendapat balasan yang setimpal.
Menurut laman itu lagi, bayi itu dikatakan sudah pun mati beberapa hari lalu.
Dalam ruangan komen yang diterima daripada status berkenaan menunjukkan rasa marah para pembaca ruangan Facebook itu yang begitu marah dengan dengan perbuatan itu.
“Astaghfirullahalazim, pada si pelaku akan tiba balasan.. nantikan sahaja.. sempurna zuriat itu.. tidak layak gelar kau manusia,” menurut satu komen dari pembaca yang begitu marah dengan perbuatan kejam si pelaku itu.
Bayi yang dilihat cukup sifat itu sudah pun meninggal dunia dengan warna kulitnya yang sudah bertukar kebiruan kerana kesejukan ekoran badannya direndam di dalam air dalam jangka masa lama.
Satu komen lagi yang diterima tertulis “Binatang pun bukan, manusia lagi jauh, hanya iblis sahaja yang ada sifat macam ini, Astaghfirullah,” katanya.
Seorang lagi pembaca meluahkan rasanya yang jelas kecewa dengan perlakuan itu yang tidak sepatutnya dilakukan kepada bayi yang baru lahir dan tidak berdosa apapun.
“Berdarah jiwa tengok gambar macam ini, ke mana akal yang waras, semua ditunjangi nafsu syaitan, neraka jahanamlah tempatnya,” katanya.
Oleh : Airy Aris / MyNewsHub
Tahanan Lolos Dari Mahkamah Serah Diri
IPOH – Seorang tahanan yang meloloskan diri dari kawasan Mahkamah Taiping pagi semalam, menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping dekat sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Taiping ACP Yusuf Mohd Diah berkata M.Surishkumar, 25, berasal dari Ipoh, menyerah diri pada 11.30 malam.
“Lelaki itu kini ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Surishkumar melarikan diri pada pukul 10.10 pagi semalam, ketika hendak dimasukkan ke lokap sementara mahkamah itu, selepas sebutan semula kes membabitkannya dijalankan di Mahkamah Sesyen Taiping.- BERNAMA
Masih selamatkah Sabah?
LAHAD DATU: Insiden penculikan terbaharu Pulau Baik, di sini pagi semalam mencetuskan persoalan mengenai situasi sebenar, kawalan dan tahap keselamatan di perairan pantai timur Sabah selepas pencerobohan pengganas dari Selatan Filipina pada Februari tahun lalu.
Ini kerana lanun dan penjenayah bersenjata api dari selatan Filipina masih mampu menembusi kawalan untuk menceroboh di sebalik pelbagai langkah kenyataan pasukan keselamatan mengenai pelbagai usaha diambil, memastikan kedaulatan Sabah tidak tercalar.
Kejadian itu seolah-olah menunjukkan penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di kawasan perairan pantai di Timur Sabah sepanjang 1,400 kilometer belum memadai menyekat pencerobohan.- BH
Isteri cakar, pukul suami dengan alat renjatan elektrik
KUALA LUMPUR – : Berang hasratnya mahu berbaik semula dengan suami dipandang sepi, seorang wanita bertindak ganas apabila mencakar dan memukul pasangannya itu dengan alat renjatan elektrik membunuh nyamuk.
Kejadian berlaku kira-kira jam 4 pagi kelmarin di rumah pasangan berkenaan di Kepong di sini, menyebabkan lelaki berusia 41 tahun itu cedera di badan dan tangan dan terpaksa menerima rawatan di klinik.
Sumber polis berkata, sebelum kejadian mangsa tidur bersendirian di dalam bilik sebelum isterinya yang berusia 40 tahun memintanya membuka pintu bilik kerana mahu berbincang mengenai krisis rumah tangga mereka.
“Namun, mangsa enggan membuka pintu dan memberi alasan dia penat, menyebabkan si isteri mula marah dan mengetuk pintu bilik dengan kuat berulang kali.
“Apabila suami membuka pintu bilik, si isterinya meluahkan perasaan dan mengajak berbincang mengenai masa depan hubungan mereka yang bermasalah, namun suaminya enggan,” katanya.-HM
Tragedi ke kenduri kahwin
KUALA KRAI: Seorang remaja lembam maut manakala bapa saudaranya parah selepas dirempuh kereta api ketika melintasi landasan dalam kejadian dekat Sekolah Kebangsaan (SK) Lepan Kabu, Kampung Pahi, petang tadi.
Kejadian berlaku jam 3 petang ketika mangsa Mohamad Aiman Mat Hussin, 17, menunggang motosikal bersama bapa saudara Che Nik Che Awang, 55, untuk ke majlis perkahwinan jiran tidak jauh dari rumah mereka.
Ketua Polis Daerah Superintendan Ab Rahim Che Ghani yang mengesahkan kejadian berkata, kereta api berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Lipis ke Tumpat sebelum merempuh kedua-dua mangsa.
Katanya, mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Kuala Krai namun Mohamad Aiman meninggal dunia ketika dirawat.
“Seorang lagi mangsa kritikal dan masih dirawat,” katanya. - HM
Tiga Lokasi Di Melaka Tersembunyi Harta Karun Bernilai
MELAKA – Pulau Nangka, Pulau Besar dan Bukit St Paul di Bandar Hilir dipercayai dijadikan tempat menyimpan harta zaman Kesultanan Melayu Melaka yang berkembang maju.
Pengerusi Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia, Prof Datuk Dr Mohd Jamil Mukmin berkata kesultanan itu dipercayai banyak menyimpan harta bagi mengelak daripada dirampas sekiranya Melaka jatuh ke tangan musuh.
Beliau yang juga bekas Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka berkata harta yang disimpan itu dipercayai emas berbentuk syiling, barang perhiasan seperti dulang serta patung yang dihadiahkan negara asing.
“Sama seperti sekarang, adalah penting bagi sesebuah kerajaan menyimpan emas sebagai rizab atas faktor ekonomi. Emas juga disimpan bagi tujuan membina semula kerajaan sekiranya ia jatuh diserang musuh seperti yang berlaku pada zaman Sultan Mahmud Shah.
“Ketika baginda berundur selepas diserang Portugis, baginda membawa bersama khazanah seperti emas bagi tujuan mendirikan semula kerajaan baginda di tempat lain,” katanya dalam sidang akhbar di sini, Rabu.
Namun Mohd Jamil berkata pada masa kini tiada bukti jelas menunjukkan terdapat harta di Pulau Besar dan Bukit St Paul kecuali penemuan artifak porselin di Bandar Hilir berdekatan Bukit St Paul.
Mengenai laporan penemuan harta di Pulau Nangka, beliau berkata ia kemungkinan ada berdasarkan faktor sejarah perdagangan, tetapi usaha mencarinya sukar kerana banyak faktor antaranya disebabkan geografi pulau itu.
“Saya cadangkan lebih ramai pakar dibawa masuk dalam usaha tersebut,” katanya.
Beliau berkata tidak mustahil dua keping artifak berbentuk syiling yang ditemui di pulau itu berasal daripada zaman Kesultanan Melayu Melaka.
“Ada yang kata syiling itu bukan syiling daripada kerajaan Melaka, ia daripada kerajaan Majapahit atau Siam. Tetapi tidak mustahil syiling daripada kerajaan lain jadi simpanan kerajaan Melaka kerana perdagangan kerajaan Melaka ketika itu amat luas hingga ke China dan Eropah,” katanya. – Mstar.com.my
Mengesan Masalah Mata Dengan Telefon Pintar
Masalah mata seperti katarak mudah dikesan di negara moden dan membangun kerana pesakit boleh terus ke klinik untuk melakukan pengesanan awal.
Seperti di negara kita, kerajaan memberikan kemudahan perkhidmatan perubatan kepada orang ramai seperti hospital, Klinik Satu Malaysia dan institusi perbadanan kesihatan bagi memudahkan orang ramai.
Namun, di negara-negara kurang membangun seperti Afrika, Nigeria, Afghanistan atau Iran, masalah katarak ini boleh menyebabkan pesakitnya buta kerana kesukaran bagi mereka untuk mendapatkan rawatan.
Untuk pengetahuan anda, katarak adalah sejenis kerosakan mata yang menyebabkan kanta mata berselaput dan rabun. Kanta mata akan menjadi keruh menyebabkan cahaya tidak dapat menembusinya. Keadaan ini boleh menjejaskan penglihatan seseorang dan akan menjadi buta sekiranya lambat dirawat.
Masalah mengesan masalah mata ini biasanya memerlukan alat khas dan mahal serta doktor yang harus pergi ke kawasan pedalaman untuk melakukan diagnosis.
Portable Eye Examination Kit (PEEK) ialah kit khas yang dicipta bagi mengesan masalah mata dikesan sebelum ianya mencapai tahap kronik. PEEK terdiri daripada lensa khas yang disambungkan kepada kamera utama telefon pintar dan aplikasi yang boleh melakukan pengesanan tahap kesihatan mata.
Di negara dunia ketiga seorang pegawai kesihatan akan dihantar ke kawasan pedalaman untuk mengesan mata penduduk setempat di rumah mereka dan daripada data yang diambil, doktor mata yang bertugas di kawasan bandar boleh melakukan diagnosis dari jauh. Mereka juga boleh memuat turun data yang diambil untuk melihat pesakit manakah yang paling memerlukan bantuan.
Setiap gambar mata yang diambil mempunyai lokasi GPS tersendiri dan ini akan memudahkan lagi doktor untuk mengesan lokasi pesakit. Dianggarkan 285 juta penduduk dunia mengalami masalah penglihatan. Sebanyak 39 juta dari jumlah ini mengalami masalah buta.
Paling menyedihkan dalam 80 peratus kes pesakit buta, penglihatan mereka boleh diselamatkan sekiranya dikesan dengan lebih awal.
Jika dahulu peranti pintar menggantikan kamera, mesin fax, perakam video dan PDA, kini peranti pintar boleh menggantikan alat menguji mata yang anda biasa lihat di kedai cermin mata!
Sumber: www.peekvision.org , Kosmo
Profesor UKM berminat kaji artifak
BANDARAYA MELAKA – Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Zul Iskandar Ramlee berhasrat untuk melakukan kajian usia dan asal usul artifak susulan pencarian harta karun di Pulau Nangka.
Beliau bersama rakannya, Junaidi Abdul Rashid berminat untuk melakukan kajian berkenaan apabila baru-baru ini syarikat Smart Partnership International (M) Sdn Bhd menemui dua syiling, semasa melakukan kerja pengorekan batu di pulau itu.
Katanya, Junaidi seorang pakar arkeologi dan pernah menjadi penolong pegawai warisan di Jabatan Muzium Negara.
Hanya beberapa peralatan asas arkeologi dibawa mereka sebagai persiapan melakukan kajian sekiranya artifak terbabit ditemui.
“Memang ada beberapa bongkah batu yang perlu dialihkan dan jika proses itu selesai, dijangka mereka akan menemui ruangan tempat menyimpan harta ini.
“Kami akan membantu menentukan jenis, usia dan asal usul artifak serta analisis arkeologi hanya akan dilakukan di pulau ini.
“Artifak ini tidak akan dibawa keluar dari ruangan gua kerana ia membabitkan banyak prosedur termasuk perundangan dan lain-lain perkara,” katanya.
Setakat ini, mereka hanya menyediakan pelan tapak dan beberapa peralatan asas sebelum membuat kajian termasuk merakamkan semua kegiatan di dalam ruangan yang dipercayai tersimpannya harta karun berkenaan.
Terdahulu, kerja-kerja mengeluarkan bongkah batu seberat 18 tan diteruskan sehingga semalam selepas peralatan digunakan tidak mampu mengangkat bebanan seberat itu.
Kini kisah harta karun didakwa bernilai berbilion ringgit itu menjadi bualan hangat.-sinar
Wang RM43,000 dalam akaun lesap
Mohd Baki menunjukkan laporan polis yang dibuatnya pada 15 April lalu di Balai polis Bahau.
JEMPOL - Seorang bapa yang juga orang kurang upaya (OKU) terkejut apabila mendapati wang sebanyak RM43,000 dalam akaunnya lesap dikeluarkan tanpa pengetahuannya.
Mangsa, Mohd Baki Meon, 59, berkata, dia hanya menyedari wang berkenaan 'hilang' apabila dia ingin mengeluarkan simpanan tersebut untuk membaiki kereta, tiga minggu lalu, namun mendapati baki akaunnya hanya RM21 sahaja.
“Sebelum kejadian, saya sempat mengeluarkan RM20,000 untuk dipindahkan ke dalam akaun isteri pada November lalu dan hanya mengeluarkan RM500 setiap bulan, bermula November untuk pembayaran bil kerana mempunyai pendapatan daripada Felda sebanyak RM1,200 sebulan.
“Sepanjang tempoh itu, saya tidak menyemak baki simpanan berikutan percaya wang dalam akuan bank itu selamat,” katanya yang menetap di Felda Serting Hilir, dekat sini.
Menurut Mohd Baki, menerusi penyata akaun, dia mendapati wangnya dikeluarkan hampir setiap hari dengan jumlah berbeza tanpa pengetahuannya bermula Oktober tahun lalu.
Menceritakan perkara itu, bapa kepada lima anak ini berkata, sebulan selepas terlibat dalam kemalangan Julai lalu, ada dua individu mendakwa sebagai pegawai bank datang ke rumah untuk menguruskan kad bank baharu.
"Disebabkan kemalangan itu saya kini lumpuh seumur hidup dan saya meminta pegawai bank datang ke rumah untuk membuat kad bank baharu.
"Mereka datang untuk menetapkan nombor pin baharu dengan menggunakan nombor kad pengenalan. Ketika itu saya tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah berlaku perkara ini.
"Kehilangan wang itu memang menimbulkan tanda tanya kerana kad bank dipegang sepanjang masa oleh isteri dan akan meminta anak mengeluarkan wang sekiranya perlu,” katanya.
Katanya, dia berasa sangat terkilan kerana duit itu merupakan hasil simpanan gajinya sebagai pemandu lori, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KSWP) dan pampasan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Tambah Mohd Baki, satu laporan polis telah dibuat pada 15 April lalu dan perkara itu telah dimaklumkan kepada pihak bank.
"Saya mahu pihak tersebut telus dalam penyiasatan termasuk melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV). Namun apa yang saya kesalkan pihak terbabit bagaikan membisu tanpa memberi sebarang maklumat mengenai kehilangan itu," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis daerah Jempol, Superintenden Hamzah Alias ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis yang dibuat oleh mangsa.-sinar
Profesor UKM berminat kaji artifak
BANDARAYA MELAKA – Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Zul Iskandar Ramlee berhasrat untuk melakukan kajian usia dan asal usul artifak susulan pencarian harta karun di Pulau Nangka.
Beliau bersama rakannya, Junaidi Abdul Rashid berminat untuk melakukan kajian berkenaan apabila baru-baru ini syarikat Smart Partnership International (M) Sdn Bhd menemui dua syiling, semasa melakukan kerja pengorekan batu di pulau itu.
Katanya, Junaidi seorang pakar arkeologi dan pernah menjadi penolong pegawai warisan di Jabatan Muzium Negara.
Hanya beberapa peralatan asas arkeologi dibawa mereka sebagai persiapan melakukan kajian sekiranya artifak terbabit ditemui.
“Memang ada beberapa bongkah batu yang perlu dialihkan dan jika proses itu selesai, dijangka mereka akan menemui ruangan tempat menyimpan harta ini.
“Kami akan membantu menentukan jenis, usia dan asal usul artifak serta analisis arkeologi hanya akan dilakukan di pulau ini.
“Artifak ini tidak akan dibawa keluar dari ruangan gua kerana ia membabitkan banyak prosedur termasuk perundangan dan lain-lain perkara,” katanya.
Setakat ini, mereka hanya menyediakan pelan tapak dan beberapa peralatan asas sebelum membuat kajian termasuk merakamkan semua kegiatan di dalam ruangan yang dipercayai tersimpannya harta karun berkenaan.
Terdahulu, kerja-kerja mengeluarkan bongkah batu seberat 18 tan diteruskan sehingga semalam selepas peralatan digunakan tidak mampu mengangkat bebanan seberat itu.
Kini kisah harta karun didakwa bernilai berbilion ringgit itu menjadi bualan hangat.-sinar
Bekas pembantu akaun syarikat Fareeda didakwa
KAJANG – Seorang bekas pembantu akaun syarikat pengeluaran tudung terkenal Fareeda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap 20 pertuduhan menipu pengarah urusan syarikat itu berhubung pembayaran gaji pekerja membabitkan kerugian berjumlah RM57,414.74 antara November 2013 hingga Januari lepas.
Normala Mohd Ali, 25, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin.
Bagi tiga pertuduhan pertama, Normala didakwa menipu Pengarah Urusan syarikat Fareeda Global Resources Sdn Bhd, Aminuddin Basirron, 44, untuk mempercayai representasi satu akaun Maybank milik Noradibah Mohd Razib, 25, adalah pekerja syarikat itu sehingga mendorong Aminuddin membuat pengesahan pembayaran gaji ke dalam akaun Nur Adibah.
Bagi 13 pertuduhan lagi, Normala bersama enam rakannya termasuk seorang wanita didakwa dengan niat bersama menipu Aminuddin untuk mempercayai representasi enam akaun Maybank adalah milik enam pekerja syarikat Fareeda Global Resources sehingga mendorong Aminuddin membuat pengesahan pembayaran gaji ke dalam semua akaun tersebut.
Rakannya itu ialah Intan Suria Abdul Rahman, 33, Mohamad Azuwad Mohd Nor, 26, Mohd Fakrul Razib Mohd Ali, 35, Muhammad Alif Farhan Johari, 25, Mohd Amirul Bedoh Lahata, 21, dan Khairul Azimi, 27, masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.
Normala turut didakwa terhadap empat pertuduhan bersubahat dengan bekas kerani syarikat, Mohamed Nazreen Shah Yem, 21, untuk menipu Aminuddin bagi tujuan sama membabitkan Muhammad Alif Farhan dan Mohd Amirul.
Mohamed Nazreen, yang juga didakwa atas kesalahan bersubahat itu, bagaimanapun mengaku bersalah bagi pertuduhan pertama dan mengaku tidak bersalah bagi tiga pertuduhan lain.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan dalam tiga kejadian berasingan iaitu pada 28 Nov 2013, 30 Dis 2013 dan 29 Jan 2014 di pejabat syarikat itu beralamat No. 69A-71A, Jalan 8/1, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi di sini.
Bagi kesalahan menipu, Normala dan enam tertuduh lain didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda dan sebatan.
Normala dan Mohamad Nazreen juga berdepan hukuman sama apabila didakwa mengikut seksyen sama yang dibaca bersama Seksyen 109 kerana bersubahat.
Aina Azahra membenarkan Normala diikat jamin sebanyak RM122,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan manakala Mohamad Nazreen dibenarkan diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin.
Enam tertuduh lain dibenarkan diikat jamin antara RM6,000 dan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap seorang.
Mahkamah menetapkan 17 Jun depan untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R.Siamalah manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam. – BERNAMA
Ustaz, Ustazah Umpan Jerat Mangsa Tipu Umrah Dan Haji
PETALING JAYA: Ustaz dan ustazah yang dilantik sebagai ejen atau orang tengah syarikat umrah dan haji antara yang diheret bertanggungjawab apabila jemaah mendakwa ditipu syarikat terbabit.
Berdasarkan rekod Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, nilai kerugian yang ditanggung ribuan jemaah umrah dan haji mencecah hampir RM3 juta sejak 2012.
Kebiasaannya syarikat terbabit akan melantik ustaz dan ustazah yang terdiri daripada tenaga pengajar agama, ahli jawatankuasa masjid dan surau sebagai ejen tidak rasmi sesebuah syarikat kerana mereka diyakini, disegani serta mudah memikat orang ramai untuk memilih pakej yang ditawarkan.
Disebalik pelantikan itu, ustaz dan ustazah ini akan mendapat pulangan apabila ditawarkan mengikuti pakej umrah dan haji secara percuma jika berjaya mendapat kuota pelanggan yang ditetapkan.
Bagaimanapun, faktor syarikat tidak kukuh dan beroperasi mengikut pusingan modal yang diperoleh dari semasa ke semasa menyebabkan ustaz dan ustazah ini menjadi mangsa keadaan apabila terjebak dalam penipuan pakej umrah dan haji.
Hasil siasatan mendapati, isu penipuan ini timbul apabila syarikat kecil gagal menguruskan penerbangan serta visa dengan sistematik sehingga menjejaskan persediaan jemaah apabila tiba waktu bertolak ke tanah suci.
Faktor di atas juga menyumbang kepada statistik JSJK apabila rekod jabatan itu mencatatkan kerugian berjumlah RM986.938 sejak Januari hingga April bagi 23 kes penipuan pakej umrah dan haji.
Ketua Penolong Pengarah Risikan JSJK, Asisten Komisioner Najmi Mustaffa memberitahu mStar Online, daripada jumlah tersebut, Selangor merupakan negeri tertinggi yang mencatatkan kerugian iaitu sebanyak RM428,789 daripada lapan kes yang dilaporkan.
"Ia disusuli dengan Negeri Sembilan iaitu RM263,000 untuk satu kes; Johor (RM156,897/dua kes); Pulau Pinang (RM34,300/satu kes); Kuala Lumpur (RM33,468/empat kes); Melaka (RM24,950/tiga kes); Perak (RM22,504/dua kes), manakala Kedah dan Pahang masing-masing satu kes membabitkan RM20,250 dan RM2,780.
"Bagi negeri yang tidak disenaraikan pula, ia tidak bererti tiada kes penipuan pakej haji dan umrah yang berlaku kerana terdapat mangsa malu untuk membuat laporan polis," katanya.
Najmi menambah, sepanjang tahun lalu, pihaknya menerima sebanyak 55 kes penipuan pakej haji dan umrah dengan kerugian keseluruhan berjumlah RM1.693 juta.
Jelasnya, jumlah itu menunjukkan peningkatan hampir 500 peratus jika dibandingkan dengan kerugian pada tahun 2012 iaitu RM281,699 daripada 17 kes yang dilaporkan.
"Sehubungan itu, JSJK meminta orang ramai yang berhasrat untuk menunaikan ibadah haji dan umrah supaya menyelidik latar belakang syarikat tersebut terdahulu. - mStar
Jenazah Aziz Sattar Selamat Dikebumikan
Solat jenazah Allahyarham Aziz Sattar dilakukan di Surau Al-Amin,Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR: Jenazah Seniman Datuk Abdul Aziz Sattar, 89, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tun Hussien Onn, Cheras Perdana dekat sini kira-kira pukul 2.10 petang Selasa.
Allahyarham sebelum itu dimandikan dan disembahyangkan di Surau Al-Amin Bandar Tun Hussien Onn di sini kira-kira pukul 11 pagi.
Pelakon filem Bujang Lapok itu meninggal dunia di Pusat Perubatan KPJ Kajang pada pukul 2 pagi akibat serangan jantung.
Sementara itu, adik kepada Aziz iaitu Zaini Sattar, 87, ketika ditemui berkata, dia ada menelefon abangnya pada Isnin selepas mendapat tahu Allahyarham dimasukkan ke hospital namun arwah menghalangnya daripada datang melawat kerana memberitahu sudah sihat.
Suasana di Tanah Perkuburan Islam, Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Kuala Lumpur.
Jelas Zaini, Aziz tidak mahu menyusahkannya untuk datang dari Singapura semata-mata mahu melawatnya.
"Suaranya kedengaran ceria ketika berbual dengannya di telefon dan dia menghalang saya datang kerana memberitahu keadaannya tidak serius.
"Saya tidak menyangka itu adalah perbualan terakhir kami dan kedatangan saya ke Kuala Lumpur hari ini untuk melihat jenazahnya,” katanya.
Suasana hiba dikalangan sanak saudara, rakan artis dan sahabat handai dapat dilihat ketika mereka melawat jenazah yang rata-rata terkejut dengan pemergiannya.
Antara kenalan artis yang dilihat memberi penghormatan kepada Allahyarham adalah Datuk Mustafa Maarof, Datuk Sarimah Ahmad, Datuk Aziz Singah, AR Badul, Norlia Ghani, Datin Rosnani Jamil, Datuk M Nasir, Datuk Hattan dan Datuk Freddie Fernamdez.
Turut kelihatan pelakon Hans Isaac, Melissa Saila, Fauziah Ahmad Daud, Datuk Rosyam Nor Fizo Omar dan Aizat Amdan.
Allahyarham dimasukkan ke Pusat Perubatan KPJ Kajang pada Ahad lalu akibbat serangan jantung namun keadaannya dilaporkan stabil selepas ditempatkan di Unit Rawatan Korinari (CCU).
Allahyarham merupakan sabahat baik kepada Seniman Agung, Tan Sri P. Ramlee
Beliau yang merupakan rakan seangkatan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee berlakon berpuluh-pulah drama dan filem antaranya Nujum Pak Belalang, Siti Muslihat, Raja Laksamana Bentan, Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok, Seniman Bujang Lapok, Ali Baba Bujang Lapok dan Pontianak Harum Sundal Malam 1 dan 2.
Allahyarham juga mengarah beberapa buah filem seperti Keluarga Si Comat (1975), Si Badol (1979), Prebet Lapok (1979), Penyamun Tarbus (1980), Da Di Du (1981), Setinggan (1982) dan Darah Satria (1993).
Atas sumbangannya dalam dunia seni, beliau dikurniakan Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang membawa gelaran Datuk pada tahun 2007.
Antara kisah menarik Allahyarham, beliau pernah disiksa oleh tentera Jepun kerana dituduh mencuri selain dikenakan penjara selama enam bulan selepas disyaki terlibat dalam kes rusuhan Natrah di singapura pada tahun 1950-an.
Allahyarham pernah empat kali berkahwin tetapi hanya dua pernikahannya sahaja yang lebih diperkatakan iaitu bersama Siti Rumina Ahmad (isteri ketiga bercerai) dan seniwati Dayang Sofia (isteri keempat - bercerai).
Hasil perkongsian hidup, beliau dikurniakan tujuh anak, 20 cucu dan 10 cicit.
Pada 16 Disember 2006 Allahyarham berkahwin dengan Hashimah Delan di Masjid Sultan Abdul Aziz, Shah Alam dekat sini dengan mas kahwin RM100.
Bagaimanapun mereka dikatakan bercerai pada 3 Mac 2012. - mStar
Lelaki Ditemui Mati Dalam Bilik Hotel
KOTA BHARU – Seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan tidak berpakaian dan tertiarap dalam bilik sebuah hotel di Jalan Padang Garong di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Baharu ACP Azham Othman berkata polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 1 tengah hari.
“Mayat ditemui dalam keadaan bogel dan tertiarap oleh pekerja hotel berkenaan yang kemudian memaklumkan kepada polis.
“Mangsa, yang berusia lingkungan 30-an dan berbangsa Melayu itu dipercayai telah meninggal dunia sejak beberapa hari lalu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.
Beliau berkata mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat.
“Pihak kami masih menunggu laporan lanjut sama ada ada unsur jenayah ataupun tidak,” katanya.- BERNAMA
Video : Peragut Sembunyi Dalam Longkang Selepas Kantoi
Seorang peragut terpaksa menyembunyikan dirinya dalam sebuah longkang di sebuah tapak perumahan yang masih lagi belum berpenghuni selepas perbuatannya kantoi dilihat orang ramai di Bandar Mahkota Cheras, baru-baru ini.
Menerusi video yang dikongsikan di bawah ini, peragut itu telah dikepung selain orang ramai menjerit menyuruhnya menyerah diri.
Dapat didengar suara peragut tersebut menangis sambil ditengking orang awam di situ.
Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.
Namun, bagi penulis orang awam yang berada di situ tidak perlu lah terlampau beremosi..
Macam mana nak keluar serah diri, kalau orang kat situ pun dah macam samseng.
VIDEO: Skuter Dirempuh Kereta Di Lampu Isyarat
SATU kejadian langgar lari telah dirakamkan menerusi kamera papan pemuka sebuah kenderaan yang kami percaya berlaku di China pada 1 Mei yang lalu.
Sebuah kenderaan yang dipandu laju tiba-tiba membelok masuk ke laluan yang bertentangan dan terus merempuh penunggang dan pembonceng skuter yang sedang berhenti di lampu isyarat.
Akibatnya, kedua-dua mereka tercampak dan salah seorangnya terseret sehingga menghentam kenderaan yang berada beberapa meter di belakangnya.
Bagaimanapun, pemandu kereta tersebut tidak berhenti, sebaliknya terus memandu meninggalkan tempat kejadian.
Mujurlah kemalangan itu tidak membawa kepada kematian, namun tindakan pemandu itu boleh disifatkan sebagai cukup biadap. Saksikan…
Perbandingan : Galaxy S4 Zoom Dan Galaxy K Zoom
Samsung secara rasminya telah memperkenalkan satu lagi peranti baru daripada mereka, dinamakan Galaxy K Zoom.
Seperti semua sedia maklum, ia merupakan kemaskini untuk peranti Galaxy S4 Zoom yang telah diperkenalkan pada tahun lepas, dan melalui kemaskini baru ini ia turut menyertakan pelbagai kemaskini spesifikasi dan melengkapkannya dengan beberapa fungsi tambahan yang baru.
Sementara kami menyiapkan artikel pandang pertama kami untuk Galaxy K Zoom, mungkin anda boleh menyemak perbandingan secara ringkas antara Galaxy S4 Zoom dan juga Galaxy K Zoom.
Sumber: Amanz
Oleh: hzqahmd
Zizan Razak Bakal Ikat Kontrak RM2 Juta?
BENARKAH pelakon dan pengacara Zizan Razak bakal mengikat kontrak bernilai RM2 juta bersama pihak pengurusan Astro?
Jika ya, mungkin ia antara jumlah yang cukup mahal dalam sejarah industri tempatan.
Menerusi portal hiburan tempatan, Zizan masih belum membuat sebarang pengesahan mengenai perkara itu.
Bagaimanapun, dia mengakui bahawa dia ada mendengar mengenai ura-ura tersebut, namun belum dihubungi oleh pihak Astro sendiri.
Sebelum ini, Zizan dikatakan bakal membubarkan syarikat pengurusannya, Wire Fame Entertainment kerana masalah dengan pengurusnya, Marina Juki.
Namun, ia dinafikan oleh mereka dan menegaskan syarikat itu bakal menguruskan beberapa lagi artis baru.
Tapi, kalau benar ada tawaran sebegitu, mungkin ia peluang yang tidak patut dilepaskan oleh Zizan yang kini sedang berada di kemuncak popularitinya.
Oleh: Elza / MyNewsHub
Huawei Honor 3C Yang Hanya Berharga RM499
Huawei Malaysia secara rasminya mengumumkan bahawa Malaysia merupakan negara pertama di Asia Tenggara yang melancarkan salah satu telefon pintar terbaru pada minggu lepas, iaitu Huawei Honor 3C.
Menariknya mengenai peranti ini, ia membawakan spesifikasi telefon yang agak baik berbanding kebanyakan telefon pintar pada harga serendah RM499.
Huawei Honor 3C memggunakan cip pemprosesan empat-teras 1.3GHz Mediatek , dilengkapi memori 2GB RAM, skrin bersaiz 5-inci, serta menyertakan kamera belakang 8-megapixel, dan kamera hadapan 5-megapixel.
Di samping itu, ia juga mempunyai sokongan dwi-sim dan kad MikroSD.
Selari dengan pengenalan Huawei Honor 3C, pihak Huawei turut melancarkan VMall Malaysia, yang merupakan kedai atas talian untuk produk Huawei.
Pengguna yang berminat boleh membuat tempahan untuk Honor 3C di laman VMall, bermula hari ini.
Pihak Huawei juga merancang untuk membuka sehingga 100 kedai konsep yang menjual pelbagai produk Huawei di Malaysia tidak lama lagi.
Oleh: hzqahmd
Kim Jong-un Dipuja Bak Selebriti Oleh Wanita
PEMIMPIN Korea Utara, Kim Jong-un kerap digambarkan oleh media barat sebagai seorang yang kejam terutamanya selepas tindakannya menjatuhkan hukuman mati terhadap bapa saudara dan keluarganya pada Disember tahun lalu.
Jang Song-thaek, 67, khabarnya dihukum mati dengan dijadikan santapan anjing lapar atas tuduhan cuba menjatuhkan rejim komunis pimpinan Jong-un.
Selain itu, Jong-un juga pernah mengarahkan rakyat lelaki di negara itu supaya memotong rambut sepertinya iaitu pendek dan dikikis di bahagian telinga.
Biar apa pun tomahan negatif yang dilemparkan kepadanya, pemimpin muda itu ternyata menjadi idola ramai wanita di Korea Utara.
Mereka dilihat begitu gembira dan menangis apabila berpeluang untuk berjumpa dengan Jong-un seolah-olah dia seorang selebriti ternama.
Persoalannya, adakah mereka benar-benar menyanjungi pemimpin itu atau sekadar lakonan semata-mata kerana tidak mahu dilihat ‘derhaka’ di matanya?
Oleh: Elza / MyNewsHub
(Sumber: Yahoo)
Nelydia Senrose: Qi Tak Kongkong Saya
Bukan sedikit kontroversi yang menimpa pasangan kekasih ini, malah sepanjang menjalinkan hubungan ada sahaja cerita-cerita kurang enak menimpa mereka.
Walau bagaimanapun, Nelydia Senrose dan kekasihnya, Qi Razali, 36, berjaya menempuhi dugaan tersebut malah hubungan mereka masih kekal kukuh sehingga kini.
Malah, Nelydia, 20, juga mendedahkan Qi tidak pernah mengongkongnya dalam mengejar impiannya dalam bidang seni.
“Qi sentiasa menyokong apa juga keputusan yang dibuat. Malah dia tidak pernah menghalang impian saya menjadi seorang pelakon. Qi juga akur tentang perjalanan kariernya yang masih jauh,” ulasnya yang dipetik menerusi Harian Metro.
Perbezaan usia yang ketara sebanyak 16 tahun di antara mereka langsung tidak menjadi masalah buat pasangan ini kerana mereka saling memahami serta hormat-menghormati di antara satu sama lain.
“Qi seorang lelaki yang bercakap lembut dan sangat menjaga butir bicaranya sekalipun sedang memperkatakan soal yang kurang menyenangkan hatinya.
“Dia matang dan selalunya akan menyelesaikan masalah dengan cara yang berhemah. Kerana itu saya selesa dan menghormatinya,” katanya lagi.
Sebelum ini, Qi dikatakan cemburu dengan aksi mesra Nelydia dengan pasangan heronya dalam drama bersiri Bukan Kerana Aku Tak Cinta, Sharnaaz Ahmad.
Ini termasuklah tindakan Sharnaaz yang gemar memuat naik gambar promosi drama tersebut beserta ‘caption’ yang jiwang dan romantis terhadap kekasihnya itu.
Namun, permasalahan mereka akhirnya terlerai selepas Sharnaaz memohon maaf di atas tindakannya yang hanya mahu memberi publisiti di atas drama lakonannya itu.
Oleh: Audrey Lee / Mynewshub
Seorang Maut, Berpuluh Hilang Bot Terbalik
KINSHASA – Sekurang-kurangnya seorang maut dan berpuluh lagi hilang selepas sebuah bot terbalik di timur Republik Demokratik Congo, kata jurucakap misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini, hari ini.
Pesawat milik PBB mengesan kapal itu teralik di Lake Kivu dan menghulurkan bantuan.
“Satu mayat ditemui dan 14 orang berjaya diselamatkan. Kami diberitahu berpuluh lagi masih hilang,” kata jurucakap PBB di negara itu, Leftenan Kolonel Felix Prosper Basse.
Katanya, tidak dapat dipastikan jumlah sebenar penumpang bot berkenaan yang dalam perjalanan dari wilayah Utara Kivu ke Selatan Kivu. – Reuters
Lelaki Kurung Bekas Isteri, Bimbang Ditinggalkan
SICHUAN– Kerana terlalu sayangkan bekas isterinya, seorang lelaki tidak dapat menerima hakikat bahawa mereka sudah bercerai. Bimbang ditinggalkan, lelaki itu, Lin Dajun, 40, mengurung wanita berkenaan, Lin Yan dalam bilik bawah tanah.
Lin Yan hanya diselamatkan selepas pihak berkuasa tempatan menyiasat kehilangannya, yang dibuat oleh Lin Dajun bagi mengaburi penduduk.
Wanita itu hanya dibenarkan berjalan di dalam rumah jika Lin Dajun berada di rumah. Dia diugut akan dibunuh jika melarikan diri.
Keadaan ini menyebabkan Lin Yan takut dan tidak berani melarikan diri.
Menurut polis, Lin Yan sebelum ini telah ditipu oleh bekas suaminya dengan menjemputnya ke rumah dan memberi alasan bahawa dia mahu bercakap dengannya.
Sebaik sahaja Lin Yan tiba di rumah itu, lelaki terbabit telah mengurungnya dalam bilik bawah tanah.
Lin Yan akan dirantai di dalam bilik tersebut sekiranya Lin Dajun keluar.
“Lin Dajun sebelum itu membuat laporan pihak berkuasa dengan memaklumkan bahawa Lin Yan telah hilang.
“Polis yang menyiasat kemudiannya mendapati tingkah laku Lin Dajun amat mencurigakan sehinggalah mereka menemui Lin Yan terkurung dalam bilik bawah tanah, selepas pemeriksaan dijalankan,’’ kata jurucakap polis.
Susulan itu Lin Dajun telah ditangkap dan didakwa atas tuduhan menculik.
Pulau Nangka: Kami Tidak Tanam Duit Syiling
JASIN – Sebuah syarikat yang bertanggungjawab mencari artifak lama di kawasan tempat tersimpannya khazanah Kesultanan Melayu Melaka di Pulau Nangka menafikan dakwaan bahawa pekerja syarikat tersebut menanam dua keping duit syiling lama yang ditemui di sini minggu lalu.
Smart Partnership International (M) Sdn Bhd berkata pada Isnin bahawa kepingan duit syiling itu ditemui oleh pekerjanya ketika menggerudi tembok dinding batu di pulau tersebut.
Pengarah Urusannya, Mohammad Foad Khushairy Mohd Said memberitahu pemberita bahawa syarikat tersebut telah menyerahkan duit syling itu kepada Perbadanan Muzium Melaka untuk mengesahkan ketulenannya.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata, beliau tidak begitu yakin duit syiling yang ditemui itu datangnya dari kawasan tersebut (Pulau Nangka).
Mohammad Foad berkata, pintu masuk ke gua yang mengandungi harta karun terletak dibawah beberapa batu besar yang cuba dialihkan syarikat tersebut.
Sementara itu, Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Dua ACP Paul Khiu Khon Chiang berkata, polis sedang memantau kepulauan itu untuk memastikan keselamatan dan kerja mengesan harta karun itu diteruskan tanpa sebarang masalah.
“Anggota polis marin akan berhubung dengan syarikat itu untuk terus dimaklumkan mengenai setiap perkembangan mengenai misi pencarian itu,” katanya. – mStar
Dua Murid 10 Tahun Cuba Racun Guru Kelas
WAWICKSHIRE – Seorang guru wanita nyaris maut apabila dia cuba diracun oleh dua muridnya yang berusia 10 tahun selepas mereka meletakkan bahan toksid di dalam minumannya.
Mujurlah seorang murid perempuan yang menyaksikan perbuatan itu memaklumkan kepada guru itu, Emma Place.
Kejadian berlaku ketika Emma sedang mengajar di dalam kelas dan ketika dia memalingkan badan ke belakang, murid-muridnya itu memasukkan racun tersebut yang merupakan bahan yang digunakan untuk membersihkan bilik air.
Murid-murid tersebut dikatakan anggota satu kumpulan di sekolah berkenaan yang menggelar diri mereka `The Mafia’ dan menjadikan enam guru di situ sebagai sasaran.
Emma yang merupakan guru ganti di kelas tersebut bagaimanapun enggan melaporkan kejadian itu kepada polis.
Sebaliknya dua murid tersebut dikenakan tindakan disiplin dan digantung sekolah oleh pihak sekolah.
Manakala murid perempuan yang menjadi wira dengan memaklumkan kepada guru tersebut telah mendapat pingat keberanian daripada pihak sekolah.
Ibu bapa murid terbabit juga dilaporkan amat sedih dengan perbuatan anak mereka.
Kejadian mengejutkan itu berlaku sehari selepas seorang guru, Ann Maquire ditikam hingga mati oleh pelajarnya di dalam kelas di Leeds.
Curi Wang: Seorang Pemain JDT Dipecat
JOHOR BAHRU – Tunku Mahkota Johor hari ini mengesahkan seorang pemain Johor Darul Takzim (JDT) dipecat berikutan laporan polis berhubung kejadian kecurian wang milik seorang pemain pasukan itu semasa sesi latihan pasukan di padang Seri Gelam pada 1 Mei lepas.
Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) berkata, pemain terbabit mengaku mencuri wang daripada seorang lagi pemain JDT ketika sesi latihan pagi enam hari lepas.
“Kita telah mengambil keputusan untuk mengeluarkan beliau daripada pasukan hari ini dan saya ingin ucapkan selamat maju jaya kepada beliau,” katanya kepada pemberita dan wakil-wakil kelab penyokong bola sepak Johor.
Menurutnya, walaupun PBNJ mengambil keputusan memecat pemain terbabit, tetapi pada masa yang sama menyerahkan kes itu untuk siasatan polis.
Pemain pertahanan berusia 26 tahun yang mendakwa wangnya dicuri membuat laporan polis pada 1.37 tengah hari tadi di Ibu Pejabat Polis Johor Baharu Selatan.
Menurut salinan laporan polis yang dibuat pemain terbabit, beliau telah meletakkan begnya yang mengandungi RM500 di dalam beg persalinan dan mendapatinya hilang apabila selesai sesi latihan itu.
Beliau mengadu kepada penjaga pasukan dan mereka telah meneliti kandungan kamera litar tertutup dan mengenal pasti pemain yang bertanggungjawab melakukan perbuatan terbabit.
Berikutan rakaman kamera litar tertutup itu, penjaga pasukan JDT itu itu menemui pemain terbabit dan mengakui perbuatannya itu.
Laporan polis itu turut menyatakan kes terbabit sedang disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Tunku Ismail ditanya tentang perlawanan separuh akhir Piala FA di antara JDT dengan Pahang semalam, berkata, tahap pengadilan adalah yang terburuk pernah disaksikannya seumur hidup.
“Ia adalah yang terburuk disaksikan saya seumur hidup,” katanya tentang mutu pengadilan perlawanan semalam yang berkesudahan seri 1-1.
Katanya, mutu pengadilan itu yang disifatkannya sebagai terburuk itu turut membuktikan kelemahan pengurusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan kegagalan mereka meningkatkan tahap pengadilan bola sepak negara ini.
Beliau mengulangi kesediaannya mengeluarkan peruntukan kewangan daripada poketnya sendiri, jika diminta oleh FAM, untuk meningkatkan taraf dan kualiti pengadilan bola sepak di negara ini termasuk mendirikan akademi pengadil.
“Saya tidak kisah jika kalah atau seri tetapi ia mestilah adil, tetapi perlawanan semalam ia seperti saya telah dirompak,” katanya.
JDT akan bertandang ke Stadium Darul Makmur, Kuantan untuk separuh akhir kedua pada 30 Mei depan.- BERNAMA
Kalimah ALLAH Layak Untuk Umat Islam
SHAH ALAM – Kalimah suci ALLAH layak digunakan oleh umat Islam sahaja berikutan ia sememangnya berasal dari kitab al-Quran dan tidak pernah disebut dalam Bible asli, kata ahli akademik Filologi Islam dan Pengajian Semitik Universiti Airlangga, Surabaya, Jawa Timur, Prof Dr Menachem Ali.
Beliau berkata, bagi merungkai kekeliruan penggunaan kalimah ALLAH, semua pihak seharusnya merujuk kembali pada konteks asal kandungan kitab suci masing-masing dan perkara itu harus segera diselesaikan bagi mengelakkan ketegangan agama.
Hasil kajiannya selama lebih 12 tahun dalam bidang berkaitan menunjukkan bahawa Bible asli yang berasal pada zaman Greek tidak menggunakan kalimah ALLAH untuk merujuk istilah ‘Tuhan’ dalam agama Kristian, katanya kepada pemberita pada ‘Seminar Kalimah ALLAH dan Kristologi Nusantara’ anjuran Universiti Teknologi Mara di sini hari ini.
Prof Dr Menachem menjelaskan bahawa kajiannya juga menunjukkan teks asli New Testament bagi Bible tidak pernah menyebut kalimah ALLAH namun ia (ALLAH) hanya muncul bagi teks terjemahan yang maksudnya diragui berikutan terdapat pergeseran semantik bahasa dan makna mengikut tempat pada abad pertengahan dahulu.
“Mengambil contoh di Indonesia, terjadi kesalahfahaman dalam terjemahan kini yang ALLAH sepatutnya menunjukkan pada nama Tuhan namun dalam bahasa Indonesia, ALLAH hanya sebagai gelar dan ini menjadi persoalan besar dan harus dibincangkan semua ilmuwan agama dan membuat kesepakatan bahawa ALLAH adalah nama khas,” katanya.
Prof Dr Menachem memuji kerajaan Malaysia dalam menangani isu ini namun melihat usaha itu perlu disertai dengan perbincangan terbuka bagi menjelaskan sebab larangan penggunaan kalimah ALLAH dalam terjemahan Bible versi Bahasa Melayu.
Beliau berkata, pemahaman secara mendalam mengenai asal usul kalimah suci itu bagi semua ilmuwan agama amat penting dalam merungkai hak penggunaannya.
“Istilah ALLAH sangat penting untuk difahami semua komuniti agama baik Muslim atau bukan Muslim, yang harus kenal betul kerana jika tidak, akan terjadi kesalahfahaman bahkan timbul persoalan tidak berhujung pada sesuatu yang bersifat kebaikan.” katanya. – BERNAMA
Ganti ‘Tuhan’ dengan ‘Allah’ langkah strategik Kristianisasi, kata NGO
Tindakan pihak gereja yang mahu menggunakan kalimah "Allah" menggantikan perkataan "God" dalam Bible berbahasa Melayu merupakan strategi Kristianisasi terhadap umat Islam, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia, Abdul Karim Omar.
Karim berkata, komuniti Kristian evangelis yang cuba memurtadkan komuniti Islam mula menggunakan kaedah "Strategi Kontekstualisasi" untuk lebih mendekati komuniti Melayu Islam melalui budaya dan adat resam mereka.
"Mereka akan meneruskan identiti komuniti sebagai 'Muslim' tetapi menyatakan ketaatan kepada Tuhan Kristian," katanya ketika seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.
Kaedah itu katanya menjadikan masyarakat Melayu yang menganut agama Kristian "menyembunyikan identiti" mereka apabila bersama kelompok Melayu beragama Islam.
Beliau menegaskan, melalui kaedah itu juga kelompok Melayu Kristian itu menjadi "gerakan dalaman" dalam usaha memurtadkan masyarakat Islam di negara ini.
Karim dalam sesi seminarnya bertajuk, "Cabaran dan Ancaman Kristianisasi Malaysia" menegaskan bahawa berdasarkan satu kajian, masyarakat Melayu yang menganut Kristian juga tidak mempamerkan "elemen Kristian" mereka secara terbuka.
"Mereka tidak letak tanda salib di dalam atau luar rumah. Mereka juga mengaku tidak amalkan ajaran Kristian di hadapan orang ramai.
"Malah, kadang-kala mereka turut solat di masjid dan berpuasa di bulan Ramadhan serta Tidak mempamerkan bahan bacaan Kristian," katanya.
Beliau berkata, sehingga individu Melayu Kristian itu meninggal dunia sekalipun, mayatnya tidak akan direbut pertubuhan Kristian sebaliknya akan diuruskan keluarga beragama Islam.
"Jika orang Melayu Kristian itu mati, keluarganya juga akan menguruskan mayat. Pertubuhan Kristian tidak akan berebut mayat," katanya.
Situasi seperti itu turut berlaku di Bangladesh kata Karim apabila pertubuhan Kristian menggunakan istilah "Iswar" sebagai pengantara kepada agama Kristian untuk gerakan Kristianisasi di sana.
"Di Bangladesh mereka guna istilah 'Iswar'. Untuk 10% penduduk Bangladesh yang beragama Hindu, Iswar adalah istilah pengantara kepada kepercayaan Kristian," katanya.
Karim turut berkata, sekiranya trend memurtadkan umat Islam berkembang, menjelang tahun 2100, penganut Islam dan Kristian akan berada dalam sekitar 40%, manakala lain-lain kaum berada pada paras 20%.
Statistik terkini menunjukkan penganut Kristian di Malaysia adalah sekitar 9.2%, manakala penganut Islam menjadi komuniti majoriti dengan 61.3%, Buddha (19.8%), Hindhu (6.3%), lain-lain (0.4%).
Mengambil Korea Selatan sebagai contoh, Karim berkata pada 1905 jumlah Kristian hanya 0.5% daripada populasi negara itu.
Tetapi akibat perkembangan pesatnya pada tahun 1970an dan 1980an, ia meningkat kepada 30% pada 2005, katanya.
"Ia berlaku di Korea Selatan dan boleh berlaku di sini," tambahnya.
Sebelum itu Karim berkata, ucapannya bertujuan untuk mendedahkan agenda buruk Kristian evangelis.
Beliau juga memberitahu kira-kira 1000 yang hadir, termasuk pelajar sekolah menengah dan universiti, jumlah Muslim yang menganut Kristian pada 1900an boleh dibilang dengan jari.
"Tetapi dalam kertas puteh di Parlimen, presiden PAS ketika itu Yusof Rawa memberitahu bahawa 66,000 meninggalkan Islam."
"Dan pada 2006, Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria memberitahu jumlahnya sudah mencecah 250,000. Saya tidak tahu berapa jumlahnya sekarang," katanya, sambil menambah jumlahnya menakutkan.
Sebelum itu, bekas paderi Katolik Indonesia memberitahu seminar itu bahawa penganut Kristian mengkhianati perintah Tuhan jika tidak menganut Islam.
Insan LS Mokoginta berkata, setiap pengikut Jesus patut menganut Islam jika tidak ia akan mengkhianatiNya.
Mokoginta yang menganut Islam pada 1976 berkata demikian dalam ucapannya bertajuk "Ancaman Kristianisasi". – 6 Mei, 2014.
VIDEO: Cuai…Kanak-Kanak Nyaris Dilanggar Kereta
HANYA beberapa saat sahaja yang memisahkan kanak-kanak ini daripada maut.
Dalam kejadian yang dikongsikan di di Facebook The Real Singapore ini, seorang kanak-kanak berusia sekitar dua tahun tiba-tiba berlari ke tengah jalan raya.
Mujurlah pemandu ini berjaya menghentikan kenderaannya daripada melanggar kanak-kanak tersebut.
Tidak lama selepas itu, kelihatan ibunya yang dipercayai berbangsa India mengejar anaknya yang sudah lari ke seberang jalan.
Kejadian seperti ini adalah antara contoh kecuaian ibu-bapa dalam mengawasi anak-anak mereka sekaligus mampu mendedahkan mereka kepada kemalangan.
Saksikan dan jadikan ia sebagai iktibar.
Kenyataan Penuh Presiden PAS Berhubung Isu Hudud
KUALA LUMPUR – Rancangan PAS untuk melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan dikecam ramai pihak berkepentingan agama atau politik terutama DAP.
Pelbagai hujah dikemukakan mereka bagi membantah rancangan tersebut sehingga menjejaskan hubungan pakatan pembangkang yang terbentuk antara parti PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat.
Berikutan itu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengeluarkan satu kenyataan berhubung rancangan melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan seperti berikut:
1. Semua pihak di kalangan umat Islam adalah wajib menerima kewajiban melaksanakan syariat tanpa menuding jari atau menuduh atau melekehkan di antara satu sama lain. Perlu diingati bahawa perkara yang berkait dengan “ikhlas” adalah urusan Allah, bukan urusan kita.
2. Allah telah menegaskan wujudnya berbagai lapisan dan peringkat di kalangan umat Islam. Baca dan fahamilah firman Allah SWT :
Maksudnya :
(31) Dan al-Quran yang Kami wahyukan kepada mu (Wahai Muhammad) ialah yang benar (segala-galanya) yang tetap mengesahkan kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui dengan sedalam-dalamnya akan keadaan sekalian hambaNya, lagi Maha melihat dan memerhatikan.
(32) kemudian Kami jadikan al-Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang kami pilih dari kalangan hamba-hamba kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengendahkan ajaran al-Quran), dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata). [Surah Fathir]
3. Apa yang wajib ialah membetulkan kefahaman dan menjelaskan terhadap salah faham dan kekeliruan terhadap hukum Allah yang Maha Adil dan Bijaksana. Maka berdosa sekiranya kita semua sibuk dengan perkara sampingan tersebut, iaitu dengan membahaskan keikhlasan atau dengan memperlekehkan di antara satu sama lain.
4. Kita perlu juga ingati bahawa ada kalangan yang hanya mengenali isu ini sebagai isu “hukum Hudud” atau sebahagian daripada hukumnya sahaja, tanpa menyedari bahawa Hudud sebenarnya hanya salah satu daripada cabang undang-undang Kanun Jenayah Syariat Islam (II) yang telah diluluskan oleh kerajaan negeri Kelantan pada tahun 1993. Fahamilah ilmu jenayah syariah Islam itu dalam bentuknya yang lebih jelas seperti hudud, qisas dan takzir.
5. Setengahnya juga tidak ingin memahami kesempurnaan Islam dan hukumnya yang memberi petunjuk ke jalan yang benar tanpa menyekat kemampuan akal yang bijak dan hak asasi yang tidak melampau sehingga menghilangkan sifat kemanusiaan yang sebenar. Sehingga ada yang lebih bersimpati terhadap penjenayah, tanpa peduli terhadap mangsanya. Atau lebih melihat hak asasi binatang lebih daripada hak asasi manusia yang sebenarnya.
6. Sebenarnya kita wajib mengambil hikmah dari para perunding kemerdekaan negara yang mewujudkan Perlembagaan yang memberi ruang adanya hak hukum Syariat dan undang-undang jenayahnya, sehingga menolak dakwaan halangan perlembagaan terhadap wujudnya berbagai-bagai undang–undang dalam masyarakat majmuk.
7. Kewajipan umat Islam sendiri ialah menafsirkan Islam yang sebenar yang wajib menjadi pegangan mereka dan membuang saki baki sekatan penjajah dalam perlembagaan, kerana kita telah mencapai kemerdekaan.
8. Kalangan bukan Islam pula sudah ada hak mereka yang termaktub dalam perlembagaan. Sepatutnya penganut Islam menyedari hak mereka yang sebenar untuk percaya dan beramal dengan ajaran Islam yang sebenar.
9. Fenomena yang berlaku diwaktu ini ialah merebaknya penyakit jenayah yang menimpa seluruh rakyat tanpa mengira kaum, khususnya jenayah berat, menandakan tidak ada kehebatan undang – undang ciptaan manusia yang diamalkan sekarang. Adapun umat Islam wajib kembali ke pangkal jalan kepada ajaran agama Islam yang wajib diperkasakan. Ini adalah hak penganut Islam yang wajib dilindungi oleh perlembagaan yang wajib adil terhadap semua.
10. Ada pun kebimbangan penganut bukan Islam telah dijelaskan oleh al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. Adapun al-Quran ialah firman Allah:
Maksudnya :
(42) oleh itu kalau mereka datang kepadaMu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah dari mereka; dan kalau Engkau berpaling dari mereka maka mereka tidak akan dapat membahayakanmu sedikitpun; dan jika Engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka dengan adil; kerana Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
11. Ayat ini menunjukkan, walau pun berkait dengan penganut agama Yahudi Ahli kitab yang ada hukum hudud dan qisas dalam kitab mereka, namun tidak dipaksakan ke atas mereka. Apa lagi kepada penganut agama yang tidak ada undang –undang jenayahnya yang tersendiri.
12. Imam Ibnu Kathir dan lain-lain merekodkan bahawa perkara ini berlaku dalam masyarakat majmuk di awal negara Islam. Maka mazhab Islam yang diamalkan dalam masyarakat majmuk mengambil kira sejarah ini. Di antaranya mazhab Maliki, Hanafi dan kalangan mazhab Syafe’i dan mazhab yanag lain. Perkara ini termasuk dalam konsep tidak ada paksaan dalam agama.
13. Adapun dakwaan tidak adil terhadap penganut Islam adalah sebenarnya berpunca daripada kejahilan, sehingga salah faham terhadap ajaran agama sendiri, kerana tidak menyedari hikmah kehebatan undang-undang yang menggerunkan sehingga kadar jenayah menurun dan akhirnya hapus di kalangan penganut Islam. Adalah salah akal, sekiranya memahami bahawa rakyat akan berlumba untuk mencuri supaya dipotong tangan dan kaki, apa yang sebenarnya berlaku ramai kalangan para penjenayah akan bertaubat.
14. Wajib difahami, bahawa undang-undang jenayah Islam lebih bersifat mendidik daripada menghukum, kerana adanya syarat-syarat yang sangat menyusahkan bagi menjatuhkan hukuman Qisas dan Hudud yang dinaskan dan lebih banyak ruang kepada hukuman Takzir yang lebih ringan dan dengan mendidik. Dalam masa yang sama hakim diminta mencari jalan untuk membebaskan, sama ada daripada kefahamannya sendiri atau bantuan para peguam, dengan meneliti segala keterangan saksi dan lain-lain, disertakan dengan ayat al-Quran dan Hadis yang lebih menggalak bertaubat kepada Allah dan memaafkan di luar mahkamah.
Sabda Rasulullah SAW
(Hukum hudud ditolak dengan adanya kekeliruan )
15. Kekeliruan yang wujud semasa perbicaraan adalah meliputi sama ada wjudnya unsur paksaan, kejahilan tegar, atau fitnah dalam sesuatu kes itu. Dalam hal ini Imam Malik menegaskan : ”Sekiranya ada satu unsur kekeliruan daripada sembilan puluh sembilan bukti yang sahih maka tidak boleh dijatuhkan hukuman. Sabda Rasulullah S.A.W. :
“Kesilapan hakim membebaskan orang yang dituduh lebih baik
daripada kesilapan menjatuhkan hukuman”
16. Kalangan penentang pelaksanaan Syariat sengaja memilih aspek Hudud dan khususnya isu memotong tangan pencuri dan perompak dan mencacatkan anggota menjadi ruang untuk menyerang undang-undang syariat Allah yang dinaskan, tanpa menghormati hak mangsa jenayah dan lebih mempertahankan penjenayah yang sangat zalim.
17. Hudud dan Qisas adalah hukum jenayah yang dinaskan dalam Al Quran dan Hadis, di mana sejumlah kecil sahaja yang disenaraikan, hanya dalam perkara yang tidak mungkin diselesaikan oleh akal manusia, maka Allah memberi petunjuk dengan rahmatnya. Ada juga yang boleh dikeluarkan daripada senarai Hudud kerana adanya kalangan ulama yang tidak mengiranya kerana nas yang bersifat umum. Ada perkara lain yang tidak terkiranya banyaknya, maka Allah mengizinkan kebijaksanaan manusia dan pengalamannya.
18. Cukuplah dengan akibat tidak mampu mengatasi jenayah khususnya keganasan dan moral yang memusnahkan kehidupan manusia. Bagi penganut Islam, keizinan ini menjadi sempadan aqidah yang besar, kerana firman Allah memberi amaran :
(20) Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakiNya; dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar Yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.
(21) Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan – mana-mana bahagian dari agama mereka – sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah? dan kalaulah tidak kerana kalimah ketetapan yang menjadi pemutus (dari Allah, untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu), tentulah dijatuhkan azab dengan serta-merta kepada mereka (yang berbuat demikian). dan Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
19. Kerajaan negeri Kelantan di bawah PAS sepenuhnya sejak tahun 1990. Undang –undang jenayah syariat dikemukakan mengikut proses siyasah syariah, politik Demokrasi dan pengurusannya. Setelah disusun oleh pakar Syariah dan perundangan moden, ianya di bawa terlebih dahulu kepada umum dengan jemputan kepada semua parti politik, NGO Islam dan bukan Islam untuk mendengar dan memberi penjelasan kepada semua pihak. Selepas ini selesai, baharulah ianya dibawa kepada Dewan Undangan Negeri Kelantan, kemudiannya Terengganu dan berlakulah polemik ilmu secara terbuka selepas dari itu.
20. Oleh kerana PAS terus memimpin di Kelantan, maka PAS memilih Kelantan sahaja, dan PAS wajib menerima secara positif terhadap semua pihak yang bersedia menerimanya dan bersedia memberi penjelasan terbuka atau tertutup kepada semua pihak yang masih ragu atau tidak faham hakikatnya yang sebenar. Marilah kita menjelas dan menyatakan Islam adalah rahmat kepada seluruh manusia.
Haji Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
Ditangkap Lakukan Seks Dalam Kapal Terbang
Seorang wanita British berusia dalam lingkungan 20-an telah ditangkap ketika sedang mengadakan hubungan seks dalam tandas kapal terbang yang dinaikinya, baru-baru ini.
Wanita itu ditangkap mengadakan hubugan kelamin dengan seorang penumpang lelaki yang baru dikenali dalam penerbangan Virgin Atlantic dari London ke Las Vegas itu.
Kedua-dua penumpang tersebut yang mabuk kemudiannya telah digari tangannya oleh krew kabin tersebut sebelum memaklumkan kejadian itu kepada ibu bapa gadis tersebut yang turut berada sama dalam penerbangan terbabit.
Perbuatan pasangan tersebut disedari penumpang lain yang terdengar bunyi kuat datang dari arah tandas yang kemudiannya telah memaklumkan perkara itu kepada krew yang bertugas.
Selepas mendarat, penumpang lelaki dan wanita itu telah disoal siasat namun telah dilepaskan dengan syarat oleh pihak polis.
Kejadian ini berlaku selepas insiden seorang lelaki Australia mabuk cuba membuka pintu kokpit kerana menyangkakan itu adalah pintu tandas ketika dalam penerbangan dari Brisbane ke Bali, Indonesia.
Takut dengan pelbagai kemungkinan pengganas, juruterbang telah membunyikan isyarat kecemasan dan lelaki tersebut telah ditahan sebaik mendarat.
Oleh: Audrey Lee / MyNewsHub
Buat Laporan Polis Nasi Goreng Terlalu Pedas
GELENG kepala kami dibuatnya tatkala melihat satu salinan laporan polis yang dibuat oleh seorang lelaki Cina warga Singapura di sebuah balai polis di Johor ini.
Lelaki berusia 60 tahun ini mengadu bahawa dia telah memesan Nasi Goreng Kampung di sebuah kedai makan di Jalan Bukit Timbalan, Johor Bahru.
Malangnya, nasi goreng yang dimakannya itu terlalu pedas dan dia mengesyaki tukang masak tersebut telah meletakkan cili yang terlampau banyak.
Ujarnya lagi, kepedasan itu masih terasa sehingga keesokan harinya iaitu pada hari laporan itu dibuat.
Aduhai…kalau sudah tahu pedas, kenapa perlu makan juga?
Rasanya, sebagai pelanggan dia boleh meminta tukang masak untuk menukar nasi goreng tersebut kepada yang kurang pedas.
Tak perlulah sampai buat laporan polis.
Oleh: Elza / MyNewsHub
Polis Teliti Video, Gambar Individu Pukul Media
KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur sedang meneliti rakaman video dan gambar perhimpunan membantah cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada Khamis lepas bagi mengenal pasti individu yang memukul pengamal media.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini pada hari yang sama setelah diserang oleh sekumpulan individu dikatakan peserta perhimpunan.
“Pengamal media dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu, diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu sisatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Beliau berkata, polis akan mengedar gambar individu yang terlibat dalam pergaduhan itu di media dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.
Dalam kejadian Khamis lepas, sekumpulan individu yang menyertai perhimpunan membantah GST di Dataran Merdeka bertindak mengasari petugas media yang membuat liputan sehingga ia mencetuskan kekecohan.
Terdahulu, Mohmad turut menyaksikan majlis serah terima tugas Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh yang digantikan oleh Datuk Law Hong Soon.
Amar Singh dilantik sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, (Siasatan dan Perundangan) di Bukit Aman manakala Law sebelum ini menyandang jawatan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak selama enam tahun.
Law yang telah berkhidmat selama 36 tahun mempunyai pengalaman luas dalam mengendali kes jenayah. – BERNAMA
3 Pelajar Terima Biasiswa Kijang Emas Bank Negara
KUALA LUMPUR – Tiga pelajar paling menonjol, cemerlang dalam akademik dan berjaya dalam aktiviti kokurikulum dan sukan, menerima biasiswa Kijang Emas dari Bank Negara Malaysia (BNM).
Gabenor BNM Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata Justin Lim Kai Ze, Nurizati Ali dan Alicia Grace Loh Ern Hui, juga menunjukkan kemahiran memimpin dan personaliti yang kuat.
Beliau dalam ucapannya berkata strategi pembangunan bakat serta pelaksanaan, merupakan kunci utama untuk negara.
“Ketika ekonomi global terus tidak menentu serta menghadapi cabaran besar, ekonomi Malaysia berpotensi untuk kekal pada trajektori pertumbuhan yang mantap dan bergerak dalam rantaian nilai.
“Ini bagaimanapun, hanya boleh dicapai jika kita boleh memupuk bakat yang diperlukan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penganugerahan biasiswa itu di sini hari ini.
Justin dan Nurizati baru sahaja selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan bakal memasuki program prauniversiti manakala Alicia yang mengalami kecacatan fizikal akan meneruskan pengajian ijazah pertama.
Alicia berjaya mendapat tawaran bersyarat untuk belajar undang-undang di University of Cambridge yang berprestij, dan merupakan calon prauniversiti pertama yang dipilih untuk biasiswa itu.
Justin pula bercita-cita menjadi doktor manakala Nurizati meminati bidang dietetik.
Bank Negara menerima 331 permohonan untuk biasiswa Kijang Emas tahun ini dan jumlah itu mewakili 82 peratus daripada 405 pelajar dengan pencapaian A dalam negara.
Sehingga ini, 42 pelajar dengan potensi bakat yang tinggi, dianugerahi biasiswa Kijang Emas dan melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang pengajian seperti perubatan, biokimia, fizik, kejuruteraan, undang-undang dan seni bina di universiti-universiti terkemuka di seluruh dunia. – BERNAMA
Bina menara roti setinggi 15 meter
BEBERAPA Bukit Roti kecil dipamerkan dalam Festival Roti di Hong Kong.- REUTERS
HONG KONG - Penduduk beragama Buddha di sini membina beberapa buah menara daripada ribuan biji roti atau dipanggil Bukit Roti bagi meraikan sambutan Festival Roti yang disambut setiap tahun.
Menara setinggi 15 meter itu diletakkan dengan ribuan roti berbentuk bulat yang ditulis dengan tulisan Cina, Ping An bermaksud ketenangan dan selamat.
Sempena pesta itu, peserta pertandingan yang paling cepat naik ke puncak menara dikatakan akan mendapat kebahagiaan dan akan bernasib baik.
Sambutan itu juga diadakan sebagai tanda memohon ketenangan kepada roh-roh yang tidak tenang termasuk semangat jahat.
Perayaan itu turut diserikan dengan perarakan di mana para peserta akan mengenakan pakaian tradisi mereka termasuk persembahan tarian singa yang diiringi pukulan gong dan gendang. - REUTERS
Kanak-kanak dikhatan beramai-ramai di Bulgaria
KANAK-KANAK Islam diarak menaiki kuda ketika mengambil bahagian dalam majlis berkhatan beramai-ramai di kampung Draginovo, Bulgaria kelmarin.- REUTERS
DRAGINOVO - Seramai 100 kanak-kanak Islam lelaki mengambil bahagian dalam majlis berkhatan beramai-ramai di Bulgaria kelmarin.
Majlis tersebut berlangsung di desa ini yang terletak di tenggara ibu kota negara itu, Sofia.
Bulgaria yang memiliki seramai 7.4 juta penduduk turut dihuni oleh etnik minoriti Turki beragama Islam.
Terdapat kira-kira 740,000 penduduk etnik berkenaan di negara Eropah Timur tersebut. - Agensi
Definisi seks padaTaoisme
FAHAMAN Taoisme menekankan seks sebagai kelangsungan hidupan berpanjangan dan kebahagiaan.
LUKISAN kuno dengan aksi pasangan kekasih yang sedang melakukan hubungan intim dan objek kemaluan lelaki diperbuat daripada batu merupakan koleksi peribadi Ferdinand Bertholet.
Pengumpul berasal dari Belanda itu berazam mahu mengubah tanggapan rakyat China bahawa seks sebagai perkara yang indah melalui pameran hasil karya dari zaman kegemilangan Dinasti Han pada (206 Sebelum Masihi hingga 220 Masihi) dan Dinasti Qing (1644 hingga 1911).
Pameran Gardens of Pleasure: Sex in Ancient China sejak 15 April lalu di Hong Kong, mengundang gelak tawa kecil rakyat tempatan yang menyaksikan sendiri karya seni nenek moyang mereka mengenai seks.
Di satu sudut terdapat lukisan jelas menampakkan dua orang wanita yang ghairah bermain dengan objek seperti kemaluan lelaki. Objek tersebut ada yang diperbuat daripada batu, seramik dan gangsa.
Bertholet merupakan individu yang mempunyai koleksi erotik China purba paling banyak di dunia dengan jumlah kira-kira 500 karya terkumpul sehingga kini.
Katanya, karya tersebut tidak sepatutnya dianggap sebagai lucah atau bahan pornografi sebaliknya, ia perlambangan jelas kepada keseimbangan harmoni dalam falsafah Taoisme sebelum penguasaan fahaman komunisme di China.
"Karya seni China sangat berbeza kerana ia mempunyai falsafah yang terpendam di sebalik setiap karya," kata Bertholet yang berusia 61 tahun bahawa Taoisme merangkumkan hubungan seksual sebagai kebahagiaan dan memanjangkan usia.
Hubungan intim.
Setiap karya yang dipamerkan menggunakan latar tempat taman yang dipenuhi bunga-bungaan dan pepohon sekali gus berkait rapat kepentingan alam dalam Taoisme.
"Hubungan intim pernah menjadi topik yang sering dibincangkan dalam kalangan masyarakat Cina, bagaimanapun selepas revolusi budaya, berbincang mengenai seks dianggap tabu," jelasnya.
KEPESATAN ekonomi di China dan keterbukaan negara komunis itu diyakini mampu mengembalikan semula kepentingan seks di negara itu.
Dia berkata, majoriti peninggalan seperti bangunan, barangan bersejarah berkaitan kebudayaan Cina selain fahaman komunisme dimusnahkan secara besar-besaran antara tahun 1966 hingga 1976.
Tokong, gereja dan rumah ibadat kepada agama lain yang pernah bertapak di negara itu termasuk fahaman purba Taoisme dan Konfusianisme dihapuskan.
Tarikan seksual antara lelaki dan wanita dilarang malah rakyat China pada ketika itu memakai pakaian yang sama tanpa dapat membezakan lelaki dan wanita.
Namun kini, generasi baharu China semakin terbuka mengenai seks dan keluar daripada kepompong fahaman seks generasi terdahulu.
"Mungkin pameran ini boleh membantu mereka memahami erti seks selain mengenal falsafah yang dahulu pernah menjadi pegangan nenek moyang mereka," katanya.
Bagaimanapun di tanah besar China, undang-undang pornografi yang ketat sehingga pameran tersebut menemui jalan buntu menembusi daerah tersebut.
"Pihak berkuasa mungkin melihat karya ini dalam bentuk erotik atau menaikkan nafsu syahwat berbanding nilai kesenian yang ada," terang Ketua Pegawai Eksekutif Sotheby Asia, Kevin Ching.
Tetapi Kevin optimis, tanggapan itu bakal berubah dengan segala kemudahan dan kemewahan di China.
"Negara ini semakin dilimpahi kemewahan dan sifat keterbukaan China terhadap dunia akan memberi ruang kepada rakyat mencari sendiri pengetahuan mengenai seks yang pernah menjadi topik penting generasi terdahulu kami," katanya. - AFP
-kosmo
11 pelacur, tiga bapa ayam ditahan
Abu Bakar Sidek (kiri) melakukan pemeriksaan dan soal siasat ke atas sebahagian daripada 11 pelacur warga Indonesia yang ditahan di Pejabat Imigresen Ayer Keroh, Melaka, semalam.
MELAKA 5 Mei - Sebanyak 11 wanita warga Indonesia serta tiga lelaki tempatan dipercayai terlibat dalam kegiatan pelacuran ditahan dalam serbuan Jabatan Imigresen negeri di sebuah hotel bajet di Jalan Tun Ali, di sini semalam.
Dalam serbuan kira-kira pukul 11.45 pagi itu, kesemua 11 wanita berumur antara 18 dan 30 tahun tersebut ditahan semasa sedang melayan pelanggan di beberapa buah bilik hotel tersebut.
Pemangku Pengarah Imigresen negeri, Abu Bakar Sidek Hasan berkata, kesemua mereka tidak sempat melarikan diri kerana dikepung dan berjaya ditahan pihak berkuasa.
"Siasatan terhadap kesemua wanita berkenaan mendapati 10 daripadanya melanggar syarat permit manakala seorang lagi didapati telah masuk dan tinggal di negara ini tanpa pas atau permit sah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Imigresen negeri, Ayer Keroh, di sini hari ini.
Yang hadir sama, Ketua Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen negeri, Mohd. Sabri Ismail.
Jelas Abu Bakar, siasatan awal mendapati, kesemua pelacur itu menawarkan perkhidmatan seks dengan harga serendah RM30 untuk satu sesi.
"Kebanyakan pelanggan mereka merupakan lelaki warga asing yang menjadikan cuti hujung minggu terutamanya Ahad, untuk memuaskan nafsu," ujarnya.
Sementara itu, kata beliau, tiga lelaki warga tempatan berumur 30 hingga 60 tahun dipercayai pelindung wanita berkenaan turut ditahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi warga asing tanpa permit sah.
"Lelaki tempatan berumur 60 tahun itu sebelum ini pernah ditahan beberapa kali atas kesalahan sama, bertindak sebagai pengawal bilik manakala dua lagi lelaki mengawasi kawasan sekitar hotel daripada diserbu pihak berkuasa," katanya.
Dalam operasi sama, Jabatan Imigresen negeri turut menahan sebanyak 27 warga asing di sekitar Melaka Sentral, pukul 12.30 tengah hari.
Mereka yang ditahan terdiri daripada 10 warga Indonesia termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun, Sri Lanka (5), Bangladesh (4), Nepal (4), serta masing-masing dua warga Pakistan dan Myanmar.
Jelasnya, kesemua yang ditahan itu disiasat mengikut Peraturan 39b Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas serta Seksyen 6 (1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
"Mereka akan dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Machap Umboo di Alor Gajah untuk siasatan lanjut," tambah beliau.
-utusan
Indonesia ekonomi ke-10 terbesar dunia
KUALA LUMPUR 5 Mei - Indonesia muncul kuasa ekonomi kesepuluh terbesar di dunia dengan menyumbang sebanyak 2.3 peratus bagi keluaran ekonomi global, menurut laporan Bank Dunia.
Laporan tersebut dikeluarkan berdasarkan keputusan Program Perbandingan Antarabangsa 2011 (ICP) yang mengukur ekonomi-ekonomi berdasarkan pariti kuasa membeli (PPP) dan menunjukkan bahawa Indonesia melonjak enam anak tangga melepasi negara-negara yang lebih membangun seperti Sepanyol, Korea Selatan dan Kanada.
Negara lain yang berada pada kedudukan sembilan ke atas adalah Amerika Syarikat (AS), China, India, Jepun, Jerman, Rusia, Brazil, Perancis dan Britain.
Negara ekonomi berpendapatan pertengahan iaitu Indonesia, China, India, Rusia, Brazil dan Mexico kini menyumbang 32.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia, berbanding 32.9 peratus yang disumbangkan oleh enam negara ekonomi berpendapatan tinggi iaitu AS, Jepun, Jerman, Perancis, United Kingdom (UK) dan Itali.
Jelas laporan itu lagi, AS dilihat bakal kehilangan status ekonomi terbesar dunia apabila China mungkin mengatasinya menjelang akhir tahun ini, lebih pantas daripada jangkaan.
AS telah menjadi ekonomi terbesar di dunia sejak berjaya memintas UK pada 1872.
Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) telah meramalkan China akan mengatasi AS menjelang 2016 manakala China sendiri menyasar untuk menjadi kuasa ekonomi nombor satu dunia menjelang 2019.
Mengikut laporan itu, KDNK China hampir 87 peratus, berbanding KDNK AS pada 2011, manakala India telah meningkat daripada kedudukan kesepuluh pada 2005 kepada ekonomi ketiga terbesar, mendahului Jepun.-utusan
Bank Indonesia sedia US$100j untuk Garuda
KUALA LUMPUR - Perbankan Islam Kumpulan Maybank melalui Unit Usaha Shariah, PT Bank Internasional Indonesia Tbk (BII), menyediakan kemudahan pembiayaan Islam berasaskan Musyarakah sebanyak US$100 juta kepada Garuda Indonesia untuk jangka masa tiga tahun.
Kemudahan itu, pembiayaan Islam dua hala terbesar di Indonesia, bertujuan menyokong perluasan perniagaan Garuda dan operasinya, kata Maybank Islamic Bhd dalam satu kenyataan.
Maybank Islamic berkata perjanjian itu adalah sebahagian daripada usaha BII untuk menyokong perkembangan perniagaan rakan kongsi, terutama dalam industri pengangkutan dan pelancongan yang akhirnya akan menyumbang ke arah pembangunan ekonomi negara.
"BII juga terikat untuk memain peranan penting dalam pembangunan perbankan Syariah di Indonesia," katanya.
Presiden Pengarah BII Taswin Zakaria berkata perkongsian dengan Garuda itu melambangkan hubungan yang bukan hanya menyediakan sokongan langsung kepada Garuda sebagai rakan kongsi strategik, malah kepada rakan kongsi perniagaan Garuda dan pelanggan. - Bernama
Harta karun sebenar ialah pelaburan di Melaka
MELAKA - Kerajaan negeri Melaka tidak pernah menetapkan matlamat 'mesti cari sampai dapat' pencarian 'harta karun' di Pulau Nangka yang hangat diperbualkan ramai sekarang.
Menegaskan demikian, Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata: "Bagi saya dan kerajaan negeri sendiri minat terhadap harta karun di pulau itu sebenarnya bukan suatu perkara yang all out (sedaya upaya) mesti jumpa.
"Tetapi lebih kepada no harm trying (tak salah mencuba). Kalau jumpa baguslah, kalau tak jumpa tiada apa-apa.
"Harta karun yang sebenar bagi saya ialah pelaburan yang masuk ke negeri ini yang mampu memberikan kemakmuran ekonomi kepada rakyat," katanya ketika ditemui Bernama di sini.
Baru-baru ini dua keping artifak lama berbentuk syiling ditemui syarikat Smart Partnership International (M) Sdn Bhd di pulau tersebut.
Syarikat itu ditugas mengesan dan mencari harta didakwa bernilai berbilion ringgit daripada Zaman Kesultanan Melayu Melaka.
Idris berkata dalam perjanjian pencarian dengan syarikat berkenaan kerajaan negeri langsung tidak mengeluarkan sebarang belanja.
Beliau berkata, kerajaan negeri sebenarnya tidak akan mendapat faedah wang ringgit secara langsung sekiranya harta itu ditemui.
Ia memikul amanah mengekalkan warisan dan sejarah di negeri ini.
"Kita mempunyai undang-undang bagi mengurus (artifak itu) sekiranya ditemui seperti Akta Warisan Kebangsaan.
"Segala yang ditemui akan diserahkan kepada pihak berkuasa terlebih dahulu untuk diuruskan...kita tidak boleh sesuka hati jual selepas jumpa," katanya.
Minat masyarakat dalam cerita misteri seperti harta karun, pulau rahsia dan kapal karam membuatkan isu harta karun di Pulau Nangka menjadi bualan hangat rakyat di negara ini.
Idris berkata adalah lumrah bagi masyarakat memberi perhatian tinggi kepada kepercayaan berunsur misteri dan keinginan membongkar misteri seperti 'harta karun' itu.
Bagaimanapun, katanya, masyarakat jangan terlalu taksub tentang perkara seperti itu sehingga melakukan hal-hal bertentangan dengan Islam.
Ditanya mengapa kerajaan negeri berminat tentang harta itu sekarang sedangkan cerita mengenainya telah tersebar luas di negeri ini sejak lebih 25 tahun lepas, beliau berkata ini kerana maklum balas daripada masyarakat tempatan pada masa ini.
"Kita memandang serius pencarian barang purba ini kerana mendengar pendapat orang tempatan sekarang.
"Kita berasaskan dapatan mereka, kajian mereka, atau pengalaman mereka, namun saya tegaskan sekali lagi ia (harta itu) bukan sesuatu yang mesti ada," katanya.
- Bernama
Indonesia ciplak drama Korea
SINETRON Kau Yang Berasal Dari Bintang yang diterajui Morgan dan Nikita Willy dikatakan menciplak drama popular Korea, Man From The Stars yang dibintangi Kim Soo Hyun dan Jun Ji Hyun.
Menerusi portal Soompi, pihak SBS yang memiliki hak penayangan menjelaskan mereka tidak menandatangani sebarang kontrak bagi versi Indonesia.
"Drama tersebut ditayangkan tanpa kebenaran pihak SBS dan ia boleh dikategorikan menciplak karya drama Korea.
"Pihak kami akan mengambil tindakan tegas berhubung perkara ini," ujar wakil SBS.
Sinetron itu baharu saja ditayangkan di RCTI mulai 28 April lalu.
Rossa kikis imej seksi sebelum berhijab
DIVA pop Indonesia, Datuk Rossa atau nama sebenarnya Sri Rossa Roslaina Handayani merupakan nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam industri hiburan bukan sahaja di negara seberang malah di Malaysia.
Apatah lagi dengan vokal mantap yang dimiliki serta lagu-lagu terkenal yang dilantunkannya seperti Tegar, Aku Bukan Untukmu, Atas Nama Cinta dan Takdir Cinta sangat meruntun perasaan dan meresap ke dalam jiwa setiap orang yang mendengar.
Selebriti jelita ini pernah menimbulkan kontroversi pada tahun lalu apabila cuma mengenakan hijab dalam tempoh yang sekejap sekembalinya dari menunaikan haji di Tanah Suci pada tahun 2012.
Tindakan Rossa dikecam banyak pihak dan mendapat kritikan peminat apabila dia seolah-olah mempersendakan pemakaian hijab yang sepatutnya wajib bagi setiap wanita beragama Islam.
Rossa bagaimanapun mengambil kritikan tersebut sebagai teguran yang baik dan tidak menyalahkan mereka yang mencercanya gara-gara isu tersebut.
Jelasnya, dia masih dalam usaha mempraktikkan pemakaian hijab sepenuhnya dan memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.
Kata-katanya dibuktikan melalui perubahan pakaian yang lebih sopan berbanding imejnya yang berani dan seksi pada suatu ketika dahulu.
Walaupun masih belum berhijab sehingga kini, Rossa tertarik dengan imej seorang Muslimah dan impian untuk bertudung sepenuhnya tidak pernah hilang.
Sanjungan penyanyi Wanita Yang Kau Pilih ini terhadap imej Muslimah turut dapat dilihat dengan sokongannya terhadap protegenya dalam program X-Factor Indonesia, Fatin Shidqia Lubis atau fatin.
Di saat ramai orang berpendapat pemakaian hijab akan membataskan kerjaya seni seseorang artis, mentor kepada juara rancangan realiti Indonesia yang diadaptasi dari X Factor Amerika itu tidak menganggap penampilan akan menjadi penghalang dan mengehadkan bakat seseorang.
Ternyata sokongannya terbukti apabila Fatin menyerlah sebagai artis baharu Indonesia yang berhijab dan mengenakan imej Muslimah serta berjaya menarik peminat untuk memilihnya sebagai juara.
Perkara tersebut dianggap suatu fenomena yang baharu lantaran tidak ramai penyanyi dari negara seberang yang mengenakan tudung, terutamanya golongan artis muda.
Terima kereta mewah
Seperti yang didedahkan dalam satu portal hiburan Indonesia, baru-baru ini Rossa telah menerima hadiah sebuah kereta sport Itali, FIAT 500 Sport yang dianggarkan berharga 365 juta rupiah oleh seorang rakan akrab lelakinya.
Bekas isteri anggota band Padi, Yoyo ini mengakui berasa teruja menerima kereta tersebut dan tidak menafikan mendapat hadiah mahal tersebut kerana disukai oleh jejaka tersebut.
“Sebelum ini saya dihantar oleh pemandu jika ingin ke mana-mana. Sekarang sudah ada kereta ni, senanglah juga nak hantar anak pergi sekolah!
"Saya langsung tak tahu akan diberi kejutan sebegini kerana kereta ini dihadiahkan ketika saya sedang menjalani penggambaran!” ujar ibu kepada Rizki Langit Ramadhan yang tidak menyembunyikan kegembiraan mendapat hadiah tersebut.
Meskipun telah mendapat hadiah mewah seperti itu, pelantun Nada-Nada Cinta ini masih tidak mahu menceritakan perihal hubungannya yang telah berputik dengan jejaka yang masih dirahsiakan itu.
Dia turut mengakui hatinya masih belum terbuka sepenuhnya untuk menerima pasangan baru dalam hidup.
Rossa menyifatkan pemberian kereta dari jejaka tersebut sebagai pepatah “orang berbudi kita berbahasa”.
“Orang dah bagi hadiah, saya terima sahaja. Tak bermakna saya sudah buka hati saya untuk mana-mana lelaki untuk bercinta lagi,” katanya.
Seorang Tahanan Lolos Dari Mahkamah Taiping
IPOH – Seorang tahanan yang dibawa ke Mahkamah Taiping berhubung tuduhan rompakan berkawan, meloloskan diri dari kawasan mahkamah itu, hari ini.
Ketua Polis Daerah Taiping ACP Yusuf Mohd Diah berkata lelaki yang dikenali sebagai M.Surishkumar, 25, berasal dari Ipoh, melarikan diri pada pukul 10.10 pagi ketika sedang dibawa ke lokap tahanan sementara di mahkamah itu.
“Suspek melarikan diri ketika hendak dimasukkan ke lokap mahkamah selepas sebutan semula kes membabitkannya yang dijalankan di Mahkamah Sesyen di sini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya kes rompakan berkawan itu disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
Beliau juga meminta orang ramai membantu polis mengesan suspek itu yang kini sedang diburu. – BERNAMA
Mayat pekerja kontrak MPSP ditemui di Lubuk Meriam
KEPALA BATAS - Mayat seorang pekerja kontrak Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) ditemui di kawasan kebun kelapa sawit di Lubuk Meriam, Tasek Gelugor dekat sini hari ini.
Mayat Rasaidi Ahmad, 50, ditemui oleh orang awam yang melalui kawasan itu pada 10 pagi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, berdasarkan pemeriksaan awal, tiada kecederaan ditemui pada badan lelaki yang berasal dari Taman Pokok Sena Indah, Tasek Gelugor itu.
"Berdasarkan keadaan mayat, polis percayai lelaki itu mati kurang daripada 24 jam lepas," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - Bernama
‘Orang tengah’ bantu masuk polis, kastam ditahan
IPOH - Sepasang kekasih ditahan kerana disyaki menipu mereka yang berminat untuk menjadi anggota Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Lelaki berumur 28 tahun ditahan di Tanjung Rambutan di sini, pada 29 April lepas manakala pasangannya berusia 23 tahun yang merupakan suspek utama kes itu ditahan pada pukul 7 malam tadi di Jinjang, Kuala Lumpur.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak Superintenden Maszely Minhad berkata mereka terlibat dalam 10 kes penipuan itu di Perak sementara satu lagi kes di Nibong Tebal, sejak April lepas.
"Lelaki itu ditahan di sebuah rumah kerana dipercayai bersubahat dengan teman wanitanya, namun ketika serbuan wanita itu berjaya melarikan diri," katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata jumlah wang yang ditipu daripada mereka yang memohon ingin menjadi anggota polis ialah RM33,000 dan daripada mereka yang memohon untuk menjadi anggota kastam ialah RM7,500.
Beliau berkata suspek menipu mangsa kononnya mereka adalah orang tengah yang boleh membantu kemasukan ke dalam perkhidmatan polis dan kastam dengan menunjukkan borang kemasukan dalam dua pasukan itu untuk meyakinkan mangsa-mangsa.
Mangsa diperdaya dengan membuat pembayaran, untuk perkhidmatan polis, mangsa diminta membayar antara RM4,000 hingga RM5,000 manakala bagi kastam (antara) RM2,000 hingga RM3,500," katanya.
Katanya mangsa menyedari mereka ditipu apabila suspek melarikan diri dan
gagal dihubungi.
Maszely berkata wanita itu merupakan bekas anggota sukarelawan polis di Ibu
Pejabat Polis Daerah Ipoh dan telah dipecat pada November lepas.
Wanita itu telah didakwa di mahkamah pada bulan lepas kerana kes penipuan
yang sama dan mahkamah membebaskannya dengan ikat jamin sebanyak RM5,000 tetapi
dia telah melakukan penipuan yang baharu semasa dalam jaminan, katanya.
Katanya wanita itu ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini.
Beliau turut menasihatkan orang ramai yang ingin berkhidmat dalam pasukan
itu, supaya membuat permohonan melalui saluran yang betul.
-- BERNAMA
Penganggur mengaku tidak bersalah rasuah polis
KUALA LUMPUR - Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan cuba memberi rasuah sebanyak RM10,470 kepada seorang pegawai polis supaya tidak diambil tindakan kerana kesalahan dadah.
Mohd Razman Salleh, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rosbiahanin Arifin.
Mohd Razman didakwa menawarkan rasuah wang tunai RM10,470 kepada Ketua Bahagian Siasatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, ASP Nik Ezanee Mohd Faisal sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya, yang ditahan atas kesalahan dadah.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, pukul 6.30 petang, 2 April lepas.
Mohd Razman yang tidak diwakili peguam dituduh mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Mahkamah menetapkan 3 Jun untuk sebutan semula kes. - Bernama
34 rangka motosikal curi ditemui di dalam tali air
BESUT - Unit Ronda Bermotosikal (URB) dari Balai Polis Jerteh berjaya mengeluarkan sebanyak 34 rangka motosikal yang disyaki dicuri dari tali air Kampung Gong Penaga dekat sini hasil maklumat orang awam.
Penduduk kampung berkenaan yang sedang menimba air untuk menangkap ikan di tali air itu terkejut dengan penemuan beberapa rangka motosikal.
Tinjauan Bernama ke lokasi penemuan telah menyaksikan usaha mengeluarkan rangka-rangka motosikal dilakukan oleh anggota polis dalam kawasan lubok sedalam kira-kira 2.5 meter itu dari pagi hingga petang semalam.
Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria yang dihubungi di sini hari ini mengesahkan penemuan itu dan memberitahu siasatan sedang dijalankan dan melibatkan unit forensik.
Penemuan rangka-rangka motosikal itu secara tidak langsung mendedahkan rahsia kehilangan motosikal yang berlaku di sekitar daerah ini.
Mengikut rekod polis sebanyak sebanyak 281 kes kehilangan motosikal dilaporkan di daerah ini tahun lepas berbanding 216 kes pada tahun sebelumnya. - Bernama
Pengurus syarikat dipercayai diculik di Sabah
KOTA KINABALU - Lima lelaki bersenjata menculik seorang pengurus syarikat ternakan ikan dalam sangkar warga China di Pulau Baik di Lahad Datu ada kira-kira 2.45 pagi ini, selepas sebulan seorang pelancong wanita warga China diculik di sebuah resort di Semporna.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata mangsa dikenali Yang Zai Lin, 34, berasal dari Guangzhao dan telah bekerja di syarikat Wonderful Terrace Sdn Bhd, milik warga China dari Hongkong yang beroperasi sejak tahun 2006, selama tiga tahun.
"Dalam kejadian ini, sebuah bot berkuasa kuda 200 dinaiki lima lelaki, dua daripadanya berpakaian celoreng dan bertopeng. Mereka menggunakan senjata yang kita percaya M16. Tiga lagi berseluar pendek dengan pakaian preman.
"Bot ini telah menghampiri kawasan ternakan ikan seterusnya menaiki rumah kediaman pekerja ternakan ikan tersebut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya kumpulan lelaki berkenaan kemudian memasuki sebuah bilik seorang pekerja wanita selepas menendang pintu dan bertanya di mana pengurus syarikat itu berada dengan menggunakan dialek bajau.
Bagaimanapun, katanya pengurus yang tinggal di bilik bersebelahan bilik wanita itu yang keluar selepas terdengar bunyi bising, telah ditangkap kumpulan lelaki berkenaan dan membawanya menaiki bot.
Hamza berkata selepas dimaklumkan kejadian di pusat ternakan ikan yang jaraknya 1.4 kilometer dari Silam pada pukul 2.53 pagi, polis terus menggerakkan tiga bot dan bot Pasukan Polis Marin terserempak dengan bot penjenayah di kawasan perairan Pulau Mataking pada kira-kira 6.20 pagi.
"Penculik telah melepaskan tembakan ke arah anggota keselamatan dan anggota keselamatan membalas tembakan itu namun tidak mengenai sasaran. Anggota keselamatan terus mengejar bot tersebut yang menghala ke negara Filipina melalui kawasan Alice Reef," katanya.
Katanya anggota keselamatan Malaysia terus mengejar bot penjenayah berkenaan sehingga memasuki kawasan perairan Filipina atas kebenaran pihak berkuasa negara jiran itu namun berhenti mengejar apabila bot itu memasuki perkampungan Saluag di selatan Pulau Sibutu atas faktor keselamatan.
Hamza berkata polis telah menahan 19 individu, 11 daripadanya etnik berketurunan Suluk dan selebihnya warganegara Indonesia di kawasan kejadian bagi membantu siasatan.
Katanya cuma sembilan daripada tahanan berkenaan mempunyai dokumen dan kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan dikenakan enam sebatan jika sabit kesalahan.
Polis percaya kumpulan berkenaan merupakan satu daripada kumpulan yang menculik untuk tebusan namun belum dipastikan sama ada kumpulan itu terbabit dalam kes penculikan seorang pelancong China di Singamata Adventures Reef Resort di Semporna pada 2 April lalu. - Bernama
Onederful: Teresa tidak mengaku menghasut
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan menerbitkan satu klip video menghasut bertajuk 'Teresa Kok "Onederful" Malaysia CNY 2014' , yang disiarkan sempena sambutan Tahun Baru Cina tiga bulan lalu.
Teresa yang berbaju kurung merah mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Norsharidah Awang.
Berdasarkan pertuduhan, Teresa, 50, didakwa menerbitkan klip video itu di laman web YouTube yang mana transkrip terjemahaan dalam Bahasa Malaysia mengandungi ayat menghasut.
Kesalahan didakwa dilakukan di alamat 90-02- 07 Aparmen Putra Ria Jalan Bangsar, kira-kira jam 9 pagi, 1 Februari 2014.
Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad memberitahu mahkamah bahawa kes berkenaan termasuk dalam kesalahan yang tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun menurutnya bergantung kepada budi biacara mahkamah untuk membenarkan jaminan terhadap tertuduh dengan jumlah yang munasabah.
Bagaimanapun Peguam Teresa, Datuk C Param memohon mahkamah memberikan bon jaminan peribadi atas kapasiti anak guamnya sebagai pemimpin masyarakat yang tidak mungkin akan melarikan diri, selain memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis.
Mahkamah membenarkan Teresa diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Jun depan untuk sebutan kes.
Mahkamah turut menetapkan empat hari bermula bermula 2 September depan untuk perbicaraan kes itu.
Dalam pada itu, pihak pendakwaan memaklumkan bahawa pihaknya akan memanggil antara 10 hingga 15 saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu.
Turut hadir sebagai peguam bela peguam Sankara Nair, Gobind Singh Deo.
Dalam klip video berdurasi 11 minit itu, Teresa bertindak sebagai hos dalam bual bicara pengamal feng shui yang bertanya secara berjenaka, mengenai pelbagai isu termasuk sistem pendidikan, kenaikan harga barang dan isu keselamatan di Sabah.
Datuk Aziz Sattar ikon seni sepanjang zaman
BAGI peminat filem Melayu lama khususnya filem seniman agung Tan Sri P. Ramlee, dialog "Walaupun rupamu tidak ku kenal, tapi lobang hidungmu tetap menjadi pujaan hatiku", pastinya mengundang ingatan kepada filem komedi 'Seniman Bujang Lapok'.
Dialog itu yang pernah menjadi ikutan ramai diungkap oleh watak yang dilakonkan oleh seniman serba boleh tanah air Datuk Abdul Aziz Sattar atau nama sebenarnya Abdul Azeez Satta yang kembali ke rahmatullah awal hari ini.
Abdul Aziz yang mesra dengan panggilan Pak Ajis dilahirkan pada 8 Ogos 1925 di Surabaya, Indonesia sebelum dibawa berhijrah oleh ibu bapanya Satimah Jalal dan Satta Sawal ke Singapura ketika berusia tiga tahun.
Allahyarham yang dibesarkan di Kampung Panjang, Singapura hanya bersekolah setakat darjah lima di Sekolah Melayu Kota Raja dan bekerja sebagai pemandu lori untuk menampung kehidupannya.
Kehidupan awal beliau penuh onak dan ranjau, malah pernah ditangkap dan diseksa oleh tentera Jepun selepas dikatakan mencuri. Beliau juga pernah dimasukkan ke penjara bersama bapa seniwati Roseyatimah, dikenali Wak Jasni selepas disyaki terbabit dalam rusuhan 'Natrah'.
Kehidupan seniman ini mula berubah apabila beliau menjadi penterjemah di Studio Produksi Filem Melayu, Jalan Ampas selepas diajak oleh dua sahabat baiknya pelakon Salleh Kamil dan Shariff Dol.
Beliau yang pada masa itu aktif dalam Pancaragam Suara Hiburan Keroncong kemudian ditawar watak tambahan dalam filem 'Putus Harapan'.
Perjalanan kariernya semakin berkembang apabila dapat memegang watak utama dalam filem Arjuna (1954) diikuti siri Bujang Lapok (1957-1961) dan Aksi Kucing (1966).
Uniknya kebanyakan dialog dalam filem lakonan beliau diungkap secara spontan dan sering menjadi ikutan peminat filem-filem Melayu malar segar.
Melalui filem-filem ini jugalah beliau menjadi sahabat baik kepada Allahyarham P Ramlee.
Selain berlakon, Allahyarham juga pernah diberi kepercayaan mengarah filem selain menulis skrip antaranya filem 'Si Badol' (1979), 'Da Di Du' (1981), 'Setinggan' (1982), 'Darah Satria' (1984), dan Bujang Lapuk Kembali Da (1984).
Bakat seninya tidak dilupakan oleh penggiat seni era moden apabila sering diundang membintangi filem mereka antaranya 'Cicakman', 'Anak Halal', 'Setem' dan 'Pontianak Harum Sundal Malam'.
Kehebatannya sebagai anak seni diiktiraf menerusi beberapa anugerah antaranya Anugerah Seniman Veteran ketika Festival Filem Malaysia ke-11 (1994), Anugerah Seniman Veteran (Lelaki) ketika Anugerah Bintang Popular (2000) selain Anugerah Artis Sepanjang Zaman (Lelaki) pada Festival Filem Malaysia ke-25.
Allahyarham turut dianugerah Tokoh Budaya Kolej Burhanuddin Helmi oleh Universiti Kebangsaan Malaysia.
Pada 2007 beliau dikurnia Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk oleh Yang di-Pertuan Agong.
Abdul Aziz, 89, dimasukkan ke Hospital KPJ Ampang dua hari lepas setelah mengadu sakit dada dan meninggal dunia pukul 2 pagi tadi.
Allahyarham meninggalkan tujuh anak hasil empat perkahwinan sebelum berkahwin kali kelima dengan Datin Hashimah Delan pada 2006. - Bernama
2 lelaki ditahan tak sampai 30 minit selepas ragut
KEPALA BATAS - Dua lelaki yang aktif menjalankan kegiatan ragut di sekitar daerah Seberang Perai Utara (SPU) di sini, ditahan tidak sampai 30 minit selepas meragut seorang wanita, di Jalan Bertam Indah di sini Sabtu lepas.
Ketua Polis Daerah SPU Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata dua lelaki berusia 25 dan 19 tahun itu ditahan ketika mengira hasil yang disamun mereka di kawasan
hutan di Kampung Permatang Tinggi B pada pukul 11.05 malam.
"Seorang wanita membuat laporan polis memaklumkan dia diragut ketika menunggang motosikal oleh dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal pada pukul 10.40 malam dan bertindak hasil maklumat itu sepasukan anggota polis yang membuat rondaan cegah jenayah menjalankan Ops Rentap.
"Tindakan pantas anggota polis berjaya mengesan dua lelaki itu di kawasan hutan kampung berkenaan dan kami berjaya menahan mereka bersama barang milik mangsa antaranya beg tangan, serangkai kunci, satu unit telefon bimbit dan sejumlah wang tunai," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata dua lelaki yang masing-masing bekerja di sebuah pusat karaoke dan restoran makanan segera itu turut mempunyai rekod jenayah lampau serta positif dadah.
Beliau berkata siasatan mendapati kedua-dua lelaki terbabit aktif melakukan kegiatan ragut sejak tahun lepas untuk membeli dadah dan polis percaya dengan penahanan mereka, sembilan kes ragut yang dilapor di daerah ini berjaya diselesaikan.
Dalam perkembangan lain, polis menahan seorang penjual kereta yang disyaki aktif dalam kegiatan memecah cermin kereta untuk mencuri barang di dalam kenderaan sejak 2001.
Abdul Rahman berkata lelaki berusia 40 tahun yang mempunyai tujuh rekod jenayah itu ditahan ketika cuba memecahkan cermin sebuah kenderaan milik penduduk sebuah pangsapuri di Bagan Jermal, Butterworth, dekat sini kira-kira pukul 11.05 malam, 25 April.
"Hasil pemeriksaan di dalam kereta suspek, polis menemui pelbagai barang yang dipercayai dicuri daripada dalam kereta mangsa antaranya beg baju berjenama, komputer riba, tablet, telefon bimbit, surat pajak gadai dan jam tangan," katanya.
Beliau berkata susulan itu, polis menjalankan pemeriksaan di rumah teman wanita lelaki terbabit di Bagan Jermal dan menemui pelbagai barang dipercayai hasil curi antaranya empat kamera digital, set kayu golf, pelbagai jenis beg berjenama serta surat pajak gadai.
Katanya nilai keseluruhan rampasan termasuk nilai barang kemas yang digadai ialah RM20,000. - Bernama
Malaysia sedia terima aliran masuk modal
KUALA LUMPUR - Malaysia telah menyediakan dasar yang baik untuk memastikan ekonomi sentiasa cergas dan bersedia menerima sebarang aliran masuk modal ke dalam negara dan rantau ini, kata Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.
Beliau berkata Malaysia telahpun menunjukkan bahawa ekonominya berdaya tahan dan kemudahruapan aliran modal bukan suatu yang unik kepada negara.
"Kami melihat aliran masuk serta aliran keluar dan kami percaya sistem kewangan kita boleh menghadapi keadaan tidak menentu ini.
"Oleh kerana ia menjana lebihan kecairan dalam sistem kita, sudah tentunya kita menyerap aliran-aliran ini, tetapi pada masa yang sama, kita melaksanakan langkah-langkah berhemat makro bagi mengekang pertumbuhan kredit yang terlalu pantas ini," katanya kepada pemberita selepas majlis Penganugerahan Biasiswa Kijang Emas di sini, hari ini.
Zeti ditanya mengenai laporan yang memetik International Monetary Fund Asia dan Pacific Department yang menyatakan bahawa modal telah mula mengalir semula ke Asia, kemungkinan disebabkan oleh asas pasaran yang kukuh dan juga rancangan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat untuk mengurangkan pembelian bon bulanannyasecara perlahan-lahan dan teratur.
Laporan itu menyatakan bahawa ekonomi Asia perlu lebih berjaga-jaga dan memulihkan dasar mereka seperti memeriksa tahap defisit fiskal mereka dan pengawal letusan kredit.
Zeti berkata dengan persekitaran ekonomi dinamik sekarang, bank pusat akan memantau dengan rapat dan mengambil tindakan yang sewajarnya sekiranya perlu.
Penekanan utama Bank Negara adalah untuk tidak mempunyai risiko paras keberhutangan yang terlalu tinggi, terutamanya oleh sektor isi rumah serta risiko peningkatan harga hartanah kerana ia akan menjejaskan daya mampu milik.
"Ini menjadi motivasi siri-siri dasar yang kami laksanakan secara berperingkat kerana kami tidak mahu membuat pelarasan berlebihan.
"Kami gembira dengan hasil daripada dasar-dasar itu," katanya.
Beliau percaya pertumbuhan kredit telah mencecah paras yang mencapai tahap mendatar dan kini ini adalah sembilan peratus di rantau ini.
"Sebelum ini ia meningkat sekitar 12 hingga 13 peratus," katanya. - Bernama
Harta karun: Kontraktor nafi sengaja letak syiling
Antara gambar tersebar di internet, kononnya harta karun yang ditemui di Pulau Nangka, Melaka.
MELAKA - Syarikat kontraktor yang bertanggungjawab mencari dan mengeluarkan harta karun di Pulau Nangka, Smart Partnership International (M) Sdn Bhd, menafikan sengaja meletakkan dua keping syiling di kawasan pencarian supaya kontrak yang sepatutnya berakhir 30 April lalu, disambung semula.
Pengarah Urusannya, Mohammad Foad Khushairy Mohd berkata, syiling itu memang ditemui pekerjanya ketika kerja penggerudian bongkah batu di kawasan pencarian.
Katanya, penemuan itu turut disaksikan banyak pihak, termasuk wakil Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) dan media yang membuat liputan.
“Tuduhan mengatakan kami sengaja meletakkan dua keping syiling itu tidak benar. Malah, saya menafikan ia dibawa dari luar,” katanya.
Menurutnya, sejak dua syiling berkenaan ditemui pada malam 30 April lalu, banyak maklum balas daripada pelbagai pihak tertera pada laman sosial yang meragui kesahihannya.
Malah, katanya, ada yang berpendapat syiling seumpama itu mudah diperolehi dan banyak dijual menerusi internet.
Mohammad Foad berkata, dua syiling itu sudah pun diserahkan kepada Perzim bagi tujuan kajian.
“Saya sudah serahkan kepada Perzim untuk memutuskan kesahihannya dan keputusan ujian makmal akan menentukan sama ada ia benar-benar dari kawasan itu atau tidak.
“Saya harap orang ramai tunggu hasil kajian berkenaan sebelum membuat sebarang andaian,” katanya pada di pulau berkenaan, semalam.
Sementara itu, Mohammad Foad menafikan beberapa gambar harta karun yang tersebar di internet ditemui di Pulau Nangka sewaktu kerja pencarian.
“Saya tegaskan, setakat ini hanya dua keping syiling ditemui sepanjang tempoh pencarian dan gambar tersebar di internet itu tidak benar,” katanya.
Dalam perkembangan lain, katanya, kerja-kerja mengalihkan bongkah batu terpaksa ditangguhkan lagi apabila hanya separuh sahaja berjaya dinaikkan, manakala selebih masih tertinggal dalam lubang pencarian sedalam kira-kira lima meter.
Menurutnya, batu berkenaan terpaksa dipecahkan akibat alatan digunakan tidak mampu mengangkat bebanan seberat itu.
"Secara keseluruhan, bebanan yang diangkat seberat 18 tan dan setakat ini sudah 15 tan batu berjaya dialihkan, manakala selebihnya masih tertinggal.
“Kami hanya mampu mengeluarkan separuh sahaja bongkah batu setinggi 2.5 meter dan mempunyai berat kira-kira dua tan selepas melakukan operasi dari jam 8 sehingga 10 malam semalam (kelmarin)," katanya.
Beliau bagaimanapun yakin, dapat mengeluarkan baki batuan tersebut dalam masa dua atau tiga hari lagi sebelum menjalankan kerja membersihkan tanah setebal kira-kira satu meter di dalam lubang itu.
Polis buru pencuri monyet
TIGA monyet spesies cotton top dan dua emperor tamarins antara dicuri dari Zoo Blackpool di Lancashire, Britain, minggu lalu.
Kesemua monyet berkenaan adalah jenis terancam dan memerlukan penjagaan rapi kerana seekor daripadanya masih bayi. Polis Blackpool, Steve Higgs berkata, kesemua
monyet itu dicuri selepas pencuri memecah masuk dengan cara memotong pagar zoo berkenaan.
“Kawalan ketat dikuatkuasakan di pelabuhan dan lapangan terbang bagi mengelakkan pencuri terbabit membawa keluar kesemua monyet itu ke luar negara. Gerakan memburu pencuri dan monyet berkenaan telah di lakukan di seluruh Eropah sejurus kehilangan dimaklumkan,” katanya pada Mirror News.
Menurutnya, jenayah itu adalah terancang dan penyiasat tidak menolak ia didalangi oleh orang dalam.
Sementara itu, Pengarah Zoo, Darren Webster berkata, kejadian itu amat dikesali kerana monyet berkenaan memerlukan rawatan rapi untuk terus hidup.
“Semua haiwan dilahirkan di sini umpama sebuah keluarga. Saya menggesa mana-mana individu dapat menyalurkan maklumat jika terlihat monyet seperti dalam gambar yang diedarkan ini,” katanya.
Senjata buatan sendiri FSA
Askar FSA dari Briged Ansar Dimachk menggunakan iPad sebelum melancarkan mortar di Jobar, Damsyik. - Reuters
BUMI Syria masih terus dilanda perang saudara sejak Mac 2011 hingga mengakibatkan ratusan juta rakyat negara itu maut dan cedera. Angka itu turut menyumbang kepada kebanjiran pelarian di kem pelarian dan perlindungan di negara jiran.
Sungguh pun pelbagai penyeludupan dan sekatan di kawal ketat oleh tentera rejim Basar Al-Assad dan Tentera Pembebasan Syria (FSA) tetapi kedua-dua pihak masih mampu mencetuskan idea kreatif dalam pembuatan senjata buatan sendiri.
Tukar telefon pintar lama kepada iPhone 5S baharu
KUALA LUMPUR - Penyedia perkhidmatan komunikasi, Maxis Bhd, mempelawa rakyat Malaysia untuk menukar telefon pintar lama mereka kepada iPhone 5S baharu pada kadar harga tukar beli terbaik.
Maxis menawarkan harga tukar beli RM750 bagi mana-mana iPhone 4s atau Samsung Galaxy Note 2 (sebarang varian) dan RM500 bagi mana-mana iPhone 4 atau
Samsung Galaxy S3 (mana-mana varian).
Ketua Perniagaan Pengguna Maxis Dushyan Vaithiyanathan berkata 'program Tukar Beli Naik Taraf Hebat' itu merupakan program pertama seumpamanya di negara ini, yang menawarkan pelanggan cara mudah untuk menaik taraf kepada peranti yang diingini.
"Menerusi program tukar beli ini, Maxis kini mempunyai mengenakan tahap kemasukan terendah untuk iPhone 5s (semua varian) bersama kontrak," katanya.
Untuk menukar beli peranti lama mereka, pelanggan boleh menyimpan data telefon dan membawanya ke mana-mana cawangan Maxis di seluruh negara untuk pemeriksaan pengesahan cepat sebelum memilih pelan iValue pilihan dan telefon.
Pelan iValue 1, 2 atau 3 bermula daripada RM100 setiap bulan selama 24 bulan kontrak. Pelanggan hanya perlu memastikan telefon dalam keadaan yang baik - peranti dapat dihidupkan dan dimatikan dan akses IMEI, skrin paparan berfungsi dan tidak retak, tiada butang rosak/hilang atau retak, dan 'Cari ciri iPhone saya' tidak dikunci (untuk iPhone sahaja).
Tawaran ini sah sehingga Julai 2014, atau sementara stok masih ada. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.maxis.com.my /tradeup. - Bernama
No comments:
Post a Comment